Tafsir Surah Ali Imran Ayat 19 (Hanya Islam agama yang diterima)

HANYA ADA SATU JALAN SAHAJA

Ali Imran Ayat 19: Ilmu tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘ilah’ kena dipelajari sehingga jelas bagi kita. Dan maklumat telah banyak diberikan dalam wahyu, akan tetapi ada juga berlaku banyak perselisihan di kalangan manusia. Sekarang Allah jelaskan kenapa ada perselisihan itu. Kita juga boleh tahu kenapa ada perselisihan di kalangan masyarakat Muslim kita juga.

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ ۗ وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ إِلّا مِن بَعدِ ما جآءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۗ وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, the religion in the sight of Allah is Islam. And those who were given the Scripture did not differ except after knowledge had come to them – out of jealous animosity between themselves. And whoever disbelieves in the verses of Allah , then indeed, Allah is swift in [taking] account.

MALAY
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

 

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ

Sesungguhnya ugama di sisi Allah ialah Islam.

Ingatlah bahawa hanya Akidah dan cara hidup Islam sahaja yang diterima. Perhatikan Allah menggunakan kalimah taukid إِنَّ di sini. Apabila dikatakan الدّينَ, ia terdiri dari akidah dan cara hidup (bukan hanya bab ibadah sahaja). Dan cara hidup pula merangkumi dua perkara – hubungan dengan Allah yang dipanggil ‘ibadat‘ dan hubungan dengan makhluk yang dipanggil ‘adat‘. Keduanya kena ikut cara Islam iaitu syariat. Semua ada diajar di dalam wahyu dan disampaikan oleh Rasul kita.

Tapi الدّينَ ada banyak makna lagi. Ia merujuk kepada sistem pegangan hidup yang dipilih secara sedar, diyakini bulat-bulat, dan mendarah daging dalam jiwa seseorang.

Ia juga ada mengandungi maksud tanggungjawab. Ia ada kena mengena dengan hutang yang di dalam bahasa Arab adalah دَيْن. Bukankah kalau kita berhutang, kita ada tanggungjawab untuk membayarnya? Kita juga ada hutang yang banyak dengan Allah sebenarnya. Secara falsafahnya, manusia pada asalnya tidak wujud, kemudian diciptakan oleh Allah daripada tiada kepada ada. Segala apa yang dimiliki manusia seperti nyawa, akal, deria, kesihatan, dan rezeki, ialah pemberian daripada Allah. Oleh itu, manusia berada dalam keadaan berhutang secara kewujudan (existential debt) kepada Penciptanya. Kerana itu di dalam Surah Fatihah kita membaca,

مٰلِكِ يَومِ الدّينِ
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

Ini kerana di Hari Akhirat nanti, segala hutang kita dengan Allah akan dibuat kira. Segala nikmat kita yang Allah berikan, adakah kita boleh bayar? Tentu tidak. Tetapi jikalau kita taat kepadaNya, melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya, maka Allah akan lupuskan hutang kita dan dikira kita telah bayar. Akan tetapi, kalau tidak, maka padahlah jawabnya.

Rasa terhutang yang teramat sangat ini secara automatik melahirkan kesedaran kerendahan hati yang mutlak (overwhelming sense of humility). Kesannya kita tidak akan ada rasa sombong (kibr). Bagaimana seseorang boleh merasa berkuasa, sombong, atau berbangga diri (ujub) sedangkan nyawa dan nafasnya sendiri adalah pinjaman daripada Pencipta? Manusia yang sedar tentang perkara ini akan menyedari dirinya adalah hamba (‘abd) yang serba kekurangan di hadapan Allah yang Maha Kaya dan Maha Kuasa. Kerendahan hati ini bukan sekadar adab luaran, tetapi penghayatan jiwa bahawa manusia sentiasa berhajat (faqir) kepada Allah.

Daripada gabungan makna hutang dan kerendahan hati ini maka terhasillah الدّينَ (Cara Hidup/Agama). Seseorang tidak dianggap benar-benar menghayati الدّينَ jika dia tidak mempunyai kerendahan hati di hadapan Allah. الدّينَ itu sendiri bermaksud ketundukan yang lahir daripada rasa kerdil dan terhutang hamba kepada Tuhannya.

Kalimah الدّينَ juga ada berkait dengan undang-undang peradaban. Ini seperti yang digunakan di dalam Yusuf:76

كَذٰلِكَ كِدنَا لِيُوسُفَ‌ۖ مَا كَانَ لِيَأخُذَ أَخَاهُ فِى دِينِ ٱلمَلِكِ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ‌ۚ
Demikianlah Kami atur untuk (mencapai maksud) Yusuf. Tiadalah boleh Yusuf menghukum saudaranya menurut undang-undang raja, kecuali Allah menghendakinya. 

Ketika Nabi Yusuf hendak kekalkan adiknya di istana bersamanya, tidak boleh kerana dalam undang-undang Mesir, orang luar tidak boleh duduk dalam istana. Tapi perancangan Allah lebih kuat lagi dan Nabi Yusuf berjaya menggunakan helah untuk melakukannya. Jadi maksud دِينِ di dalam ayat itu bukanlah ‘agama’ tapi ‘undang-undang’ atau kita boleh katakan ‘perlembagaan’. Dan dari kata dasar yang samalah, nama Madinah terbentuk. Iaitu ia bandar baru yang ada undang-undang yang dikuatkuasakan mengikut hukum Allah. Ia ada peradaban yang mengawal perlakuan penduduknya, apa yang boleh buat dan apa yang tidak boleh dibuat.

Maka الدّينَ mana yang diterima? Perhatikan kalimah عِندَ اللَّهِ ( di sisi Allah). Maknanya hanya ada satu الدّينَ sahaja yang ada nilai di sisi Allah dan ia adalah الإِسلٰمُ. Agama lain Allah tidak terima dan kalau Allah tidak terima, sikit habuk pun ia tidak bernilai. Ayat ini diturunkan ketika delegasi Kristian Najran datang ke Madinah untuk bertemu dan berhujah dengan Rasulullah.

Kisah ini merupakan antara peristiwa sejarah yang sangat terkenal dan menjadi asbabun nuzul (sebab penurunan) bagi banyak ayat awal dalam Surah Ali ‘Imran (termasuk ayat 19 & ayat 61). Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 9 atau 10 Hijriah, apabila kedudukan Islam di Madinah semakin kukuh dan banyak utusan daripada pelbagai wilayah datang bertemu Rasulullah SAW.

Najran ialah sebuah wilayah di selatan Semenanjung Tanah Arab (berhampiran sempadan Yaman sekarang) yang majoriti penduduknya menganut agama Kristian yang sangat kuat. Satu delegasi besar yang terdiri daripada 60 orang pakar dan pimpinan Kristian Najran, termasuk 14 orang tokoh utama mereka seperti Al-A’qib (pemimpin politik/masyarakat), Al-Sayyid (penasihat pentadbiran), dan Abu Harithah bin ‘Alqamah (Uskup/Paderi Besar) telah datang ke Madinah dengan pakaian yang mewah untuk berdialog dengan Rasulullah SAW di dalam Masjid Nabawi.

Dalam perbincangan tersebut, Rasulullah SAW mengajak mereka untuk mentauhidkan Allah dan menerima ajaran Islam. Namun, pimpinan mereka menolak dan berkata kepada Nabi SAW: “Kami telah berserah diri (sudah menjadi Muslim/Islam) sebelum kamu lagi!” Penggunaan kata “Islam”: Dari sudut bahasa Arab, kata Islam bermaksud “penyerahan diri secara mutlak kepada Allah”. Mereka mendakwa bahawa ajaran Kristian yang mereka anut itu sudah pun merupakan “Islam” (penyerahan diri) yang benar.

Rasulullah SAW menjawab dengan lembut tetapi tegas: “Kamu berbohong (iaitu dakwaan bahawa kamu sudah Islam itu tidak benar). Terdapat tiga perkara yang menghalang kamu daripada menjadi Muslim yang sebenar: Kamu menyembah/mengagungkan salib, kamu memakan daging babi, kamu mendakwa bahawa Allah mempunyai anak (iaitu Nabi Isa AS).” Nabi SAW menjelaskan bahawa walaupun ajaran asal Nabi Isa AS adalah tauhid (Islam), amalan dan iktikad mereka pada waktu itu telah disusupi fahaman triniti dan penyelewengan yang membatalkan hakikat “Islam” (penyerahan diri yang murni) itu sendiri.

Akidah yang percaya Nabi Isa adalah anak Allah itu telah menyebabkan mereka telah menipu mereka. Kerana mereka percaya Nabi Isa telah disalib dan telah berkorban untuk memasukkan penganut Kristian ke dalam syurga. Jadi apa lagi yang kena buat kalau sudah selamat? Maka mereka tertipu dengan akidah mereka itu. Mereka sudah tidak perlu taat kepada Allah kerana kononnya telah diselamatkan oleh penyaliban Nabi Isa itu.

 

Jadi apakah ‘Islam’? Kalimah ‘الإِسلٰمُ‘ bermaksud agama yang ditetapkan oleh Allah dan diamalkan oleh para Nabi zaman berzaman. Ia merujuk kepada satu agama yang khusus kerana ada ال pada kalimah الإِسلٰمُ. Kalimah الإِسلٰمُ dari kata dasar yang bermaksud menyerahkan diri bulat-bulat 100% kepada Allah. Maka, الدّينَ yang dikehendaki oleh Allah adalah menyerahkan diri kepada Allah dengan sepenuhnya. Kalau tidak menyerahkan diri kepada Allah sepenuhnya, tidaklah dikira sebagai agama yang Allah terima.

Kalau setakat dalam kad pengenalan sahaja pakai nama ‘Muslim’, tapi tidak taat kepada perintah Allah, maka tidak bermakna langsung status Muslim mereka itu. Kerana yang penting adalah kita Muslim di mata Allah. Jangan orang pandang kita Muslim, tapi sebenarnya tidak di sisi Allah. Kerana itu orang Islam sekarang ada pembahagian pula: Practising Muslim dan Non-Practising Muslim. Sebab ada orang yang nama sahaja agamanya Islam, tapi tidak nampak roh Islam pada dirinya.

Di dalam Ayat 18 sebelum ini, kita telah bincangkan tentang keadilan Allah, bukan?

قآئِمًا بِالقِسطِ ۚ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Apabila kita sudah faham dan terima bahawa segala keputusan dan tindakan Allah itu adalah yang paling adil, maka tentu kita tidak ada masalah untuk taat dan menyerahkan diri kita kepada arahan Allah sepenuhnya, bukan? Jadi kalimah الإِسلٰمُ ada kaitan dengan القِسطِ juga.

Dan keadilan adalah satu perkara yang sangat penting di dalam agama Islam. Sebenarnya bukan agama Islam sahaja, tapi kita semua mahukan keadilan, bukan? Orang Islam atau orang kafir, semuanya mahukan keadilan. Itu adalah fitrah kita; kita mahu keadilan dalam gaji kita, dalam pemerintahan, di tempat kerja, dalam mahkamah, di semua tempat. Keadilan adalah kehendak setiap manusia. Dan inilah yang ditekankan di dalam agama Islam. Tapi malangnya bukan semua orang Muslim mengamalkan keadilan, bukan? Ramai yang sibuk menjaga ibadah mereka, solat kena cukup, Haji kena pergi; makan kena halal belaka, daging babi tak boleh makan, kalau cokelat ada sikit babi pun, akan kecoh satu Malaysia.

Akan tetapi, keadilan dalam pemerintahan, dalam rumah tangga, dalam urusan kekeluargaan, dalam kehidupan yang lain, ramai Muslim tidak ambil kisah. Mereka ambil hak orang lain, curi, abaikan dengan tidak memberi, selamba sahaja. Padahal, solat puasa haji semua mereka jaga. Jadi ada ketidakseimbangan dalam hal ini. Sepatutnya kita amalkan keadilan di dalam segenap kehidupan kita, bukannya di dalam ibadah sahaja. Itulah baru Islam namanya.

Oleh itu maksud perkataan الدّينَ dalam ayat ini ialah kepercayaan, cara hidup, atau sistem pengabdian yang benar di sisi Allah. Secara istilah, ia merujuk kepada الإِسلٰمُ, iaitu sikap tunduk, patuh, dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah SWT dengan mengesakan-Nya serta mengikuti ajaran para Rasul. Allah berfirman di dalam Shura:13

۞ شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدّينِ ما وَصّىٰ بِهِ نوحًا وَالَّذي أَوحَينا إِلَيكَ وَما وَصَّينا بِهِ إِبرٰهيمَ وَموسىٰ وَعيسىٰ ۖ أَن أَقيمُوا الدّينَ وَلا تَتَفَرَّقوا فيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى المُشرِكينَ ما تَدعوهُم إِلَيهِ ۚ اللهُ يَجتَبي إِلَيهِ مَن يَشاءُ وَيَهدي إِلَيهِ مَن يُنيبُ
Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Dia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).

Dari Ayat Shura:13 ini mengajar kita bahawa الدّينِ setiap Nabi dan Rasul itu sama sahaja dari Nabi Adam sampailah kepada Nabi Muhammad. Dan agama Islam ini bukanlah bagi Nabi Muhammad dan umat baginda sahaja, akan tetapi bagi semua yang mengikuti ajaran الدّينِ yang sebenarnya. Dalilnya banyak, antaranya kita boleh lihat kata-kata Nabi Nuh seperti disebut di dalam Yunus:72

وَأُمِرتُ أَن أَكونَ مِنَ المُسلِمينَ
dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam

Begitu juga kita boleh lihat doa Nabi Ibrahim seperti yang disebut di dalam Baqarah:128

رَبَّنا وَاجعَلنا مُسلِمَينِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنا أُمَّةً مُّسلِمَةً لَّكَ
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu

Dan nanti kita boleh lihat di dalam Ayat 52 nanti dalam surah Ali Imran ini, Nabi Isa pun mengajar pengikut baginda untuk mengaku Muslim.

قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ ءآمَنّا بِاللَّهِ وَاشهَد بِأَنّا مُسلِمونَ
Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam. 

Maka ini menjadi dalil bagi mereka yang mengatakan para Nabi dahulu pun menamakan agama mereka sebagai ‘Islam’. Mereka tidak ada nama lain setahu kita. Kalau sekarang disebut Yahudi dan Kristian, itu adalah nama yang datang kemudian yang diberi oleh pengikut mereka sahaja. Ia diambil dari nama individu dan kita tidak buat begitu. Kerana itulah nama agama kita bukan Muhammadiyah atau Mohammadan.

Menyerah diri kepada Allah itu antaranya dengan taat kepada segala arahanNya. Maka kenalah dipelajari wahyuNya kerana arahanNya ada di dalam wahyu. Kalau tidak belajar, bagaimana hendak taat? Maka ramailah di antara kita perasan sudah taat, tapi apa yang perlu ditaati pun tidak tahu. Hukum agama tidak tahu, wahyu Allah pun dia tidak tahu.

Sebagai seorang Muslim, ada beberapa perkara yang perlu kita penuhi untuk melayakkan diri kita digelar sebagai seorang Muslim yang mengamalkan agama Islam. Ini seperti kita diajar di dalam satu hadis terkenal yang dinamakan ‘Hadis Jibril’ di mana Rasulullah ditanya tentang beberapa perkara agama. Kita berikan potongan berkenaan Islam sahaja,

فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنِ الْإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
 الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ
اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا”. قَالَ: صَدَقْتَ
Lalu lelaki itu (Jibril) berkata: “Wahai Muhammad, beritahulah kepadaku tentang Islam.” Maka Rasulullah SAW bersabda:”Islam itu ialah engkau mengucapkan syahadah bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Utusan Allah, engkau mendirikan solat, menjelaskan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu sampai kepadanya.” Lelaki itu berkata: “Engkau benar…”

Sahih Muslim (8)

Jikalau semua agama yang dibawa oleh para Nabi itu juga adalah Islam, maka mungkin timbul persoalan, adakah boleh diikut ajaran mereka (selain dari Nabi Muhammad)? Tentu tidak, kerana syariat mereka telah dimansukhkan dengan bangkitnya Nabi Muhammad. Lagi pun ajaran para Nabi itu semua sudah hilang ditelan zaman dan kita pun tidak pasti apakah yang sampai daripada mereka itu benar atau tidak kerana telah diubah-ubah oleh manusia. Maka kerana itu pakai sahaja ajaran Nabi Muhammad.

Islam pada setiap zaman para Nabi itu diterima pada zaman itu sahaja, tetapi tidak lagi. Maksudnya syariat Nabi Ibrahim adalah ‘Islam’ pada zamannya. Kemudian apabila Nabi Musa datang, maka syariat Nabi Musa pula adalah ‘Islam’ pada zamannya. Kemudian datang pula syariat Nabi Isa yang memegang status Islam pada zaman itu. Sekarang Islam yang terpakai adalah syariat Nabi Muhammad sahaja. Rasulullah SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَا يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ يَهُودِيٌّ، وَلَا نَصْرَانِيٌّ، ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ، إِلَّا كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ
“Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, tidak ada seorang pun daripada umat manusia ini, sama ada Yahudi mahupun Nasrani, yang mendengar tentangku, kemudian dia mati dalam keadaan tidak beriman dengan apa yang aku diutuskan dengannya (ajaran Islam), melainkan dia pasti menjadi penghuni Neraka.”

(Riwayat Sahih Muslim, Hadis No. 153)

Di dalam hadis yang lain,

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ أَصَابَهُ مِنْ بَعْضِ أَهْلِ الْكُتُبِ، فَقَرَأَهُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَغَضِبَ وَقَالَ: “أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ؟ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً، لَا تَسْأَلُوهُمْ عَنْ شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ، أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ كَانَ مُوسَى حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتَّبِعَنِي”

Daripada Jabir bin ‘Abdillah RA, bahawasanya ‘Umar bin al-Khattab RA telah datang menemui Nabi SAW dengan membawa satu naskhah tulisan (lembaran) yang diperolehnya daripada sebahagian Ahlul Kitab (Yahudi/Nasrani). Lalu ‘Umar membacakannya di hadapan Nabi SAW. Mendengar hal itu, raut wajah Nabi SAW berubah menjadi marah lalu bersabda: “Apakah engkau sedang ragu-ragu dan bingung (tentang kebenaran agama ini) wahai Ibn al-Khattab?! Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh aku telah membawa ajaran (Islam) ini kepada kalian dalam keadaan putih bersih. Janganlah kalian bertanya kepada mereka (Ahlul Kitab) tentang sesuatu pun, kerana dikhuatiri mereka memberitahu kalian tentang suatu kebenaran lalu kalian mendustakannya, atau mereka memberitahu kalian tentang suatu kebatilan lalu kalian membenarkannya. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya Musa (AS) masih hidup, tiada kelapangan (pilihan) baginya melainkan wajib mengikutiku.”

Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, No. 15156, dan Imam ad-Darimi. Hadis ini dinilai sebagai Hasan oleh Syeikh al-Albani

Nanti akan disebut di dalam Ayat 85,

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ
Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Ini adalah bantahan kepada fahaman pluralisme. Sering kali kita mendengar ungkapan seperti: “Semua agama itu sama, semuanya mengajar kebaikan.” Malah kadangkala ia datang dari seorang Muslim! Dari sudut akhlak kemanusiaan dan hubungan sosial, kenyataan ini nampak murni. Namun, dari sudut akidah, logik, dan teologi Islam, pandangan ini mempunyai kesalahan yang sangat ketara.

Dari sudut prinsip logik, dua perkara yang saling bertentangan tidak mungkin kedua-duanya benar pada masa yang sama:

Agama A mengajar bahawa Tuhan itu Esa/Satu (Islam – Tauhid).

Agama B mengajar bahawa Tuhan itu Tiga dalam Satu (Triniti).

Agama C mengajar bahawa Tuhan itu Banyak (Politeisme).

Agama D mengajar bahawa Tuhan itu tidak wujud (Ateisme/sebahagian aliran Buddha).

Bagaimana mungkin semua agama ini “sama-sama benar” sedangkan konsep asas mereka tentang Pencipta alam semesta ini saling membelakangi dan bercanggah? Jika semuanya benar, ia bermakna kebenaran itu sendiri sudah tidak wujud.

Memang benar hampir semua agama melarang mencuri, membunuh, dan menipu. Namun, kebaikan moral hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan agama, bukannya tujuan utama kewujudan manusia. Fungsi utama agama adalah memberitahu manusia siapa Tuhan sebenar, dari mana kita datang, mengapa kita diciptakan, dan ke mana kita akan pergi selepas mati. Sekarang bayangkan dua orang pemandu. Kedua-duanya mematuhi undang-undang jalan raya (memakai tali pinggang, tidak melanggar lampu merah). Tetapi Pemandu A memandu ke arah destinasi yang betul, manakala Pemandu B memandu ke arah gaung. Adakah mematuhi undang-undang jalan raya sahaja cukup untuk menyelamatkan Pemandu B? Begitulah akhlak tanpa Tauhid; ia adalah pemanduan yang cemerlang menuju destinasi yang salah.

Kenyataan “semua agama mengajar kebaikan” mengandaikan bahawa takrifan “baik” itu sama dalam semua agama. Hakikatnya, definisi kebaikan berbeza mengikut pegangan. Dalam sesetengah kepercayaan, menyembah patung atau berhala dianggap sebagai “kebaikan” dan ibadah. Dalam Islam, ia adalah Syirik, dosa paling besar di sisi Allah. Dalam sesetengah fahaman moden/sekular, hubungan bebas atau perkahwinan sejenis dianggap “hak manusia/kebaikan”. Dalam Islam, ia adalah Fahisyah (kemungkaran besar). Siapakah yang berhak menetapkan takrifan “kebaikan” yang hakiki? Manusia, atau Pencipta Manusia? Tanpa wahyu yang sahih (Al-Qur’an), takrifan “kebaikan” akan sentiasa berubah mengikut hawa nafsu dan zaman. Rosak manusia kalau kita semua dibenarkan untuk ikut akal sahaja!

Satu lagi kerosakan menggunakan akal adalah apabila menambah-nambah dalam hal agama. Ya ini ramai orang kita buat dengan selamba sahaja. Itulah amalan bid’ah yang banyak diamalkan oleh umat Islam. Tapi apabila mereka buat begitu, mereka tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya. Sudah jadi Islam ++ pula, sebab mereka tambah-tambah, bukan? Ia bukan lagi ajaran Nabi Muhammad, tapi ajaran manusia pula. Dan apabila mereka tambah, mereka ada anggapan (sama ada sedar atau tidak) yang agama Islam yang Nabi Muhammad sudah ajar itu tidak cukup lagi, tak sempurna, sampai perlu ditambah-tambah. Sedangkan Allah sudah berfirman di dalam Maidah:3

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.

Lihatlah betapa pentingnya ayat ini yang umat Islam perlu tahu dan faham sungguh-sungguh. Allah beritahu yang agama ini telah lengkap (الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ) dan hari (الْيَوْمَ) yang dimaksudkan adalah Hari Arafah, iaitu ketika kali terakhir Nabi Muhammad memberi ceramah baginda ketika mengerjakan Haji. Itu tidak berapa lama sebelum kewafatan baginda. Maknanya apa? Maknanya agama Islam ini telah lengkap, tak perlu ubah, tak perlu tambah.

Kemudian Allah kata وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي yang bermaksud agama ini telah sempurna, maka itulah nikmat terbesar dari Allah. Nikmat terbesar bagi kita bukannya anak isteri, harta atau kedudukan, tapi agama yang benar. Dan akhir sekali Allah sambung وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ yang bermaksud Allah hanya redha dengan agama Islam sahaja. Agama lain tak boleh pakai, tidak boleh diterima! Dan kita pun kena redha dengan agama Islam yang inilah juga. Dan bagaimana kalau main tambah-tambah? Tidakkah itu menandakan kita tidak redha dengan agama yang Allah telah sempurnakan ini?

 

وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ

Dan tidaklah berselisih orang-orang yang diberikan Kitab itu 

Yang dimaksudkan dengan الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ adalah golongan Yahudi dan Nasara. Mereka menolak kebenaran Al-Qur’an dan kenabian Nabi Muhammad. Di atas tadi kita telah sebut dua orang ulama’ yang masuk Islam setelah Nabi Muhammad dapat menjawab soalan mereka. Akan tetapi majoriti dari mereka tidak menerima Islam, malah menentang keras agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Balaghah: Frasa ini bermula huruf athaf و kerana mengaitkan dengan frasa sebelumnya إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ. Persoalan yang mungkin timbul adalah: jikalau agama Islam sahaja yang diterima, kerana bukan semua Ahli Kitab masuk Islam? Sekarang Allah jelaskan. Jawabnya disambung terus dengan kata hubung و: Kerana mereka berselisih disebabkan dengki dan melampaui batas sesama sendiri (وَما اخْتَلَفَ… بَغْيًا بَيْنَهُمْ), bukan kerana kekurangan bukti.

Balaghah: Ada penggunaan حُذِفَ (pengguguran maklumat tertentu) di sini. Di dalam ayat ini, Allah cuma gunakan kalimah اختَلَفَ (berselisih) tanpa menyebut mereka ikhtilaf tentang apa. Maknanya objek perselisihan mereka itu tidak disebut. Apabila objeknya tidak dikhususkan, kata kerja اخْتَلَفَ itu menjadi bersifat umum (umum al-ikhtilaf). Ini bermakna perselisihan Ahli Kitab melingkupi semua peringkat:

    • Sesama Mazhab mereka: Perpecahan sesama Kristian (e.g. Nestorian vs Monofisit) atau sesama Yahudi.
    • Antara Agama Ahli Kitab: Perbalahan sengit antara penganut Yahudi dan Kristian (saling mengkafirkan).
    • Penolakan Terhadap Islam: Penolakan bersama mereka terhadap Nabi Muhammad SAW dan Al-Qur’an.

Mereka ini bukannya asing dengan agama, malah mereka telah ada kitab wahyu pun di tangan mereka. Kita pun tahu bahawa telah ada perselisihan di kalangan Yahudi dan Nasrani. Yang berselisih itu adalah di antara ulama’ dalam kalangan mereka, sebab itu digunakan lafaz ‘mereka yang diberi Kitab’. Maknanya mereka yang ada ilmu agama. Itulah kalangan agamawan mereka.

Samalah dalam masyarakat Islam pun, dalam kalangan ahli agama pun ramai yang bercakaran. Ramai yang hendak menegakkan fahaman yang mereka anuti. Kadangkala pertelingkahan mereka itu di luar norma kebiasaan manusia. Kadangkala kita orang awam pun rasa malu dengan perbuatan dan pertengkaran mereka.

Kenapa ahli agama ini berselisih? Ulama-ulama dari kalangan Ahli Kitab itu telah merasa diri mereka berkuasa dan mereka hendak membuat agama ikut acuan mereka sendiri. Sebagai contoh, kita pun tahu bahawa agama asal Nabi Isa adalah tauhid. Tapi ianya telah dipesongkan oleh sesetengah golongan paderi mereka. Terdapat pertentangan antara mereka yang memegang fahaman tauhid dan mereka yang memegang fahaman triniti. Tetapi kerana yang berfahaman triniti itu yang kuat dengan Raja Rom waktu itu, maka fahaman triniti yang dipegang dan dipakai dan mereka yang berfahaman tauhid telah dicari dan dibunuh selagi ada.

 

إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ

melainkan setelah datang kepada mereka ilmu

Maknanya mereka yang berselisih itu sebenarnya ada ilmu. Maknanya mereka ini bukannya masyarakat awam yang tidak tahu apa-apa. Ahli agama mereka digelar Al-Ahbar (الأَحْبَار) yang diambil dari kalimah ‘dakwat’. Kerana mereka ini orang yang bergelumang dengan kitab-kitab dan banyak membaca. Sampaikan tangan mereka ada tanda dakwat sebab selalu sangat membaca. Orang awam memang sudah selalu berselisih sebab mereka itu jahil. Tetapi sepatutnya ulamalah yang kena tahu yang mana benar dan mana yang tidak.

Nota: sedikit tentang nahu Arab. Perhatikan tambahan ما di dalam frasa ini. Kalau kita terjemah secara harfiah, jadi pelik sikit: “…daripada selepas apa yang telah datang kepada mereka ilmu.” Kalimah ما di sini berfungsi sebagai Mā Masdariyyah (ما المصدريّة) dan tugasnya menukarkan kata kerja (fi’il) yang hadir selepasnya menjadi satu bentuk Kata Terbitan / Kata Nama Action (Masdar). Jadi frasa ini menjadi “…daripada selepas kedatangan ilmu kepada mereka.”

Kalau kita fikirkan sejenak, ini agak pelik, bukan? Sepatutnya semakin banyak ilmu, semakin kita faham agama. Dan semakin faham agama, semakin kita merendahkan diri di hadapan Allah dan taat kepadaNya, bukan? Bayangkan pokok yang banyak buat, mesti akan menunduk. Begitulah yang sepatutnya bagi orang yang ada ilmu. Kita selalu fikir semakin lama dan banyak belajar, semakin waraklah orang itu. Tapi bukan itu yang berlaku dengan puak-puak Yahudi dan Nasara ini. Nanti sebentar lagi kita akan diberitahu kepada mereka jadi begitu.

Balaghah: Allah sebut جاءَهُمُ العِلمُ tanpa disebut ilmu apa yang sampai kepada mereka. Di sini juga ada penggunaan حُذِفَ. Allah tidak sebut adakah ia ilmu wahyu, ilmu dari Kitab Taurat, ilmu dari Al-Qur’an. Allah tidak spesifikkan. Di dalam pengguguran ini terhadap hikmah: Menunjukkan bahawa sebarang bentuk ilmu kebenaran, sama ada kebenaran yang tertulis dalam kitab asal mereka mahupun wahyu Al-Qur’an yang dibawakan oleh Nabi SAW dan dari Nabi Muhammad sendiri, sebenarnya sudah cukup terang dan jelas dan ia telah sampai kepada mereka. Tapi tetap juga berselisihan dengannya. 

Ayat ini adalah peringatan kepada umat Islam juga. Jangan sangka Allah hanya bercakap tentang golongan Ahli Kitab itu sahaja. Teguran tentang kesalahan mereka adalah untuk kita ambil pengajaran. Jangan jadi seperti mereka kerana musnahlah akibatnya. Tapi malangnya ada ulama’ yang ikut wahyu dan ada yang tidak. Ini biasa sahaja dari dahulu lagi. Maka kita yang orang awam ini kenalah pandai membezakan mana yang menggunakan dalil yang sahih, jangan pakai terima sahaja semua kata ulama’ dan ustaz.

Cara untuk bezakan adalah dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an kerana inilah asas agama. Apabila kita sudah ada asas, maka kita dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak benar. Kerana kita sudah ada kayu ukur.

Bagaimana dengan perpecahan dan perbezaan pendapat di kalangan umat Islam pula? Adakah ia berlaku? Sudah tentu! Salah satu tuduhan yang dikenakan kepada golongan Sunnah adalah kita memecah belahkan umat Islam di negara ini. Kalau kita tengok zaman dahulu, tidak ada pun perbezaan pendapat sangat. Tidak ada teguran tentang amalan syirik, amalan bid’ah apa semua. Sekarang sahaja baru timbul isu ini.

Kenapa ia terjadi? Kerana seperti disebut di dalam ayat ini, setelah datangnya ilmu. Zaman dahulu ilmu umat Islam amatlah sedikit. Bayangkan, baru dalam tahun 80an sahaja baru para wanita mula tahu tentang menutup aurat, pakai tudung, pakai baju yang tidak menampakkan aurat. Kalau kita tengok gambar para wanita zaman dahulu, selamba sahaja mereka pakai pakaian seksi dan seksa! Yang lelaki pula ramai minum arak macam orang barat sahaja kerana masih lagi baru dijajah oleh mereka! Jadi fahaman agama memang jauhlah dari wahyu. Nama nak belajar tafsir Al-Qur’an dan Hadis memang tidak kedengaran.

Akan tetapi apabila sudah sampai pengajaran ilmu agama berlandaskan wahyu, maka barulah ada golongan yang sudah faham apa itu Sunnah, apa itu tafsir Al-Qur’an dan apa itu syarahan Hadis. Dan apabila itu berlaku, maka bermulalah pencerahan ilmu, bermulalah teguran kepada amalan dan fahaman yang salah. Ya benar, umat Islam tidak berpecah zaman dahulu, tapi mereka bersatu di dalam kesesatan! Maka adakah salah kita menegur? Adakah kita lebih rela bersatu tapi bersatu di dalam kesesatan?

 

بَغيًا بَينَهُم

semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.

Inilah penyebab kenapa walaupun mereka itu ada ilmu, tapi mereka jadi degil dan bertelagah. Kalimah بَغيًا bermaksud dengki, hasad, zalim, atau melampaui batas. Dari segi bahasa, kalimah بَغيًا dari kata dasar ب غ ي bermaksud

    • Melampaui Batas (Al-Muzawazah/At-Ta’addi): Keluar daripada garis keadilan kepada kezaliman.
    • Kezaliman dan Menceroboh Hak (Az-Zulm): Mengambil atau merampas hak orang lain secara tidak adil.
    • Mencari/Menginginkan Sesuatu Secara Melampau: Menuntut kedudukan atau harta melebihi kadar yang patut.

Tapi kalau kita perhatikan, ia banyak diterjemahkan sebagai ‘hasad dengki’. Kenapa jadi begitu? Ulama tafsir (seperti Imam at-Tabari, Ibn Kathir, dan al-Qurtubi) menjelaskan bahawa بَغي (kezaliman/penolakan kebenaran) yang berlaku dalam kalangan Ahli Kitab itu didorong oleh sifat hasad dan dengki.

    • Mereka sudah tahu kebenaran Al-Qur’an dan kenabian Nabi Muhammad SAW melalui kitab mereka (Taurat dan Injil).
    • Namun, apabila Nabi terakhir tersebut diutus daripada kalangan bangsa Arab (Bani Ismail) dan bukannya daripada keturunan mereka (Bani Israil), timbul rasa dengki, cemburu, dan ego yang melampau.
    • Sifat dengki (hasad) inilah yang menyebabkan mereka bertindak بَغي iaitu melampaui batas dengan menolak kebenaran, menyelewengkan teks kitab, dan berpecah-belah.

Ini dikuatkan lagi dengan ayat Baqarah:109 yang menyebut kalimah hasad dengki yang ada pada mereka,

وَدَّ كَثيرٌ مِّن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ لَو يَرُدّونَكُم مِّن بَعدِ إِيمَـٰنِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِّن عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ
Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran

Oleh kerana mereka ada sifat mahukan kedudukan, mengejar kepentingan duniawi, serta enggan tunduk kepada kebenaran demi mempertahankan pengaruh dan kepimpinan mereka, mereka sanggup menentang dan menolak kebenaran. Mereka melampau sampai mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatnya. Benar atau salah, mereka sudah tidak kira.

Mereka telah mengadakan kelas ulama’ tersendiri, iaitu yang tidak boleh disoal lagi keputusan mereka. Orang awam kena terima sahaja apa yang mereka cakap. Mereka sanggup ubah agama untuk mencapai kehendak mereka. Orang awam ditipu buta-buta sahaja! Dan apabila datang Nabi yang baru yang menegur kesalahan mereka itu, para Nabi itu pula yang mereka berselisih dengannya.

Kalimah بَينَهُم memberi satu lagi maksud tambahan. Iaitu perangai mereka ini bukan terpencil, tetapi telah menjadi budaya dan norma masyarakat mereka. Mereka ada banyak puak, dan masing-masing puak buat perangai yang sama.

Bukan mereka sahaja tapi manusia zaman berzaman pun begitulah juga. Semua perselisihan itu terjadi kerana dengki rupanya. Kerana mereka ingin memiliki kedudukan tinggi di dunia. Semua nak tunjuk pandai kerana hendak duduk di atas. Ramai yang hendak mempertahankan kedudukan mereka kerana takut anak murid sudah tidak percaya kepada mereka.

Jangan kata agama lain, ahli agama Islam sendiri pun ada penyakit ini. Sampai mereka sanggup melakukan perkara yang memalukan di kalangan orang awam. Pening orang awam tengok mereka yang dipanggil ulama’ melondehkan sesama sendiri. Mana satu yang benar pun mereka sudah tidak tahu. Orang awam pula banyak yang jahil yang akan ikut sahaja siapa yang memegang tampuk kekuasaan. Mereka inilah yang digelar sebagai Ulama’ Su’ (عُلَمَاءُ السُّوءِ) bermaksud “ulama yang jahat, jahil, atau buruk”. Istilah ini merujuk kepada golongan ahli agama, pendeta, atau cendekiawan yang mempunyai ilmu pengetahuan agama yang luas, tetapi menggunakan ilmu tersebut untuk kepentingan peribadi, duniawi, atau menyesatkan orang ramai, bukannya untuk mencari keredhaan Allah.

Mereka inilah yang memang ada ilmu agama, tapi mereka gunakan untuk kepentingan keduniaan mereka. Mereka mengejar dunia dengan menjual agama. Mereka sanggup mengubah hukum asalkan mereka boleh dapat habuan dari pemerintah atau masyarakat. Mereka mengajar orang lain tentang kebaikan, wara’, dan ketakwaan, tetapi diri sendiri menyalahgunakan amalan tersebut dan melanggar hukum-hakam secara bersembunyi. Mereka berilmu tetapi megah, suka merendahkan orang lain, dan enggan menerima kebenaran sekiranya kebenaran itu datang daripada pihak lain.

Dan ini boleh sahaja berlaku di mana-mana. Katakanlah ada seorang alim yang telah belajar di madrasah, universiti, tidak kisahlah di mana. Dia memang ada kelayakan dan dia dilantik menjadi imam, contohnya. Adakah dia boleh bercakap dengan bebas? Belum tentu. Katakanlah dia hendak menegur kesalahan amalan dalam masyarakat, mungkin bid’ah, mungkin syirik. Dia belum tentu boleh bercakap kerana dia ada boss dia. Mungkin pemimpin, mungkin AJK masjid. Jadi sekarang dia kena buat keputusan: ikut Allah atau ikut manusia? Kalau dia ikut Allah dan tidak tunduk kepada manusia, jawatannya mungkin hilang begitu sahaja. Mungkin dia terpaksa fikir jawatan dan gajinya, maka dia pun tidaklah tegur kesalahan masyarakat. Dia buat bodoh sahaja walaupun dia sendiri tidak amalkan bid’ah itu. Sebab kalau tegur, dia pun susah.

Dan begitulah terjadi sampai masyarakat jadi celaru. Macam sekarang di negara ini, ramai yang menilai siapa yang benar, dengan melihat siapakah yang terkenal, siapakah yang masuk TV, pendapat siapa yang dipakai di dada akhbar dan sebagainya. Mereka sudah tidak mahu belajar sendiri tapi cuma mahu taklid buta sahaja. Mereka cuma melihat mana ustaz yang popular. Tambahan pula sekarang banyak siaran realiti yang mengeluar banyak ustaz-ustaz selebriti. Tapi fikir balik, bagaimana ustaz itu boleh jadi begitu? Adakah dengan menegur kesalahan masyarakat, atau kerana dia bercakap perkara yang manis-manis indah sahaja?

Begitulah realiti seorang alim di negara kita dan di negara lain. Bukannya boleh bercakap dengan bebas. Melainkan kalau dia seorang ulama’ yang lebih takutkan Allah daripada takut kepada manusia. Lebih berharap rezeki dari Allah dan bukannya dari manusia. Yang berani berkata benar walaupun membahayakan dirinya. Dan mereka sebegini tidak ramai.

Dan golongan agama pula ada kumpulan mereka sendiri. Pakai baju sama, bercakap benda yang sama, mempertahankan sesama sendiri. Mereka berusaha untuk menjadi kumpulan yang paling ramai pengikut, paling ramai dipanggil masuk TV, boleh berjumpa pemimpin itu dan ini. Dan kalau ada kumpulan lain yang nampak macam hendak naik, mereka akan jatuhkan dengan mencari-cari kesalahan kumpulan yang lain itu. Macam tidak ada kerja lain. Dan kemudian dua kumpulan ini bertelagah, اختَلَفَ sesama mereka. Inilah ‘dark side’ golongan agamawan.

 

وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi (penakutan dengan azab akhirat). Allah sebut balasan bagi mereka yang kufur dengan ayat-ayat Allah. Tapi, bagaimana mereka ini dikira sebagai kufur, sedangkan mereka ini orang yang ada ilmu? Kerana ada ilmu sahaja tidak cukup kalau mereka menyalahgunakan ilmu itu.

Di sini kita belajar kufur itu ada dimensi yang berbagai. Ada yang kufur dengan menolak terus ayat-ayat Allah. Mereka ini kita panggil kafir dan mereka pun mengaku mereka kafir. Akan tetapi ada jenis kufur yang menggunakan ayat-ayat Allah dengan cara yang salah. Mereka mengubah makna, mereka pusing, mereka tarik ayat-ayat Allah supaya menyokong fahaman mereka. Ini lebih teruk. Mereka ini juga lebih bahaya kerana mereka dipandang sebagai orang yang ada ilmu agama, ada autoriti.

Jadi kufur ini tidaklah semestinya menolak semua ajaran agama Islam. Kalau tolak satu ayat Al-Qur’an pun sudah cukup. Bayangkan kalau kita sudah ada pegangan yang kita yakin sudah bertahun-tahun. Kerana kita belajar dari guru kita. Tapi tiba-tiba datang seorang yang memberi satu ayat Al-Qur’an yang menolak pegangan kita itu. Apa yang kita hendak buat? Adakah kita tetap berpegang dengan pendapat guru kita atau kita terima ayat Al-Qur’an itu dan tinggalkan fahaman lama? Kalau kita tetap pegang pendapat guru kita itu, maknanya kita telah kufur dengan ayat Allah!

Kita kena ingat yang Allah cepat sahaja dalam membuat keputusan. Allah hendak menakutkan orang-orang yang buat dosa kufur itu dengan memberitahu yang nanti apabila mereka diadili nanti, cepat sahaja hukuman dikenakan kepada mereka. Bukan macam mahkamah di negara kita yang bertahun-tahun pun tak selesai kes lagi. Bagaimana kita hendak faham yang hisab Allah itu sangat cepat? Apabila Allah sebut hisabNya amat cepat, ia mempunyai beberapa makna,

1. Hisab Allah sudah dekat, boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka jangan lengah dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Dalilnya adalah Anbiya’:1

اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ
Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

2. Hisab sebelum mati. Allah boleh beri terus balasan semasa di dunia lagi dan kadangkala ia sangat cepat. Contohnya selepas kita baca Al-Qur’an dan selepas solat, kita terus rasa tenang. Dan kalau kita buat dosa, selepas buat dosa sahaja kita rasa bersalah, bukan? Kadang selepas kita buat dosa, Allah terus beli balasannya secara ‘cash’. Sebagai contoh, maka kita melihat aurat orang lain, kemudian Allah beri kepala kita terlanggar dinding.

3. Apabila Allah buat pengiraan hisab di akhirat, ia cepat sahaja. Menunggu di Mahsyar yang lama, sampai keresahan yang amat besar sampaikan makhluk akan pergi dari satu Rasul ke Rasul yang lain untuk minta mereka berdoa kepada Allah supaya percepatkan hisab. Dan apabila Mahkamah Pengadilan dimulakan, ia akan selesai dalam masa setengah hari sahaja. Ada yang kata satu hari dan ada yang kata selama memerah susu sahaja. Bagaimana mungkin Allah lakukan audit yang sebegini?

Pernah Saidina Ali ditanya tentang hal ini. Beliau jawab sebagaimana Allah mampu untuk memberikan rezeki kepada semua makhlukNya tanpa ada langsung yang tertinggal, maka begitu jugalah Allah mampu untuk membuat pengiraan hisab itu serentak. Kita sahaja yang tidak dapat bayangkan kerana ia adalah perkara ghaib dan akal kita tidak mampu mencapai pemahaman itu.

Imam Al-Muzani رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

وَبَعْدَ البِلَى مَنْشُوْرُوْنَ وَيَوْمَ القِيَامَةِ إِلَى رَبِّهِمْ مَحْشُوْرُوْنَ وَلَدَى العَرْضِ عَلَيْهِ مُحَاسَبُوْنَ بِحَضْرَةِ الموَازِيْنِ وَنَشْرِ صُحُفِ الدَّوَاوِيْنَ وَنَسُوْهُ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِيْنَ أَلْفَ سَنَةٍ لَوْ كَانَ غَيْرُ اللهِ الحَاكِمَ بَيْنَ خَلْقِهِ لَكِنَّهُ اللهُ يَلِي الحُكْمَ بَيْنَهُمْ بِعَدْلِهِ بِمِقْدَارِ القَائِلَةِ فِي الدُّنْيَا “وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ”[الأنعام:٦٢] كَمَا بَدَأَهُ لَهُمْ مِنْ شَقَاوَةٍ وَسَعَادَةٍ يَوْمَئِذٍ يَعُوْدُوْنَ “فَرِيْقٌ فِي الجَنَّةِ وَفَرِيْقٌ فِي السَّعِيْرِ” [الشورى:٧]
“Setelah hancur, manusia dibangkitkan. Dan pada hari kiamat, manusia dikumpulkan di hadapan Rabb-Nya. Di masa penampakan amal manusia dihisab. Dengan dihadirkannya timbangan-timbangan dan ditebarkannya lembaran-lembaran (catatan amal). Allah menghitung dengan teliti, sedangkan manusia melupakannya. Hal itu terjadi pada hari yang kadarnya di dunia adalah 50 ribu tahun. Seandainya bukan Allah sebagai hakimnya nescaya tidak akan mampu, akan tetapi Allahlah yang menetapkan hukum di antara mereka secara adil. Sehingga lama waktunya (bagi orang beriman) adalah sekadar masa istirehat siang di dunia, dan Allah Yang Paling Cepat Perhitungan Hisabnya. Sebagaimana Allah memulai menciptakan mereka, ada yang sengsara atau bahagia, pada hari itu mereka dikembalikan. Sebahagian masuk syurga, sebahagian masuk neraka.”

Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah:202

أُولٰئِكَ لَهُم نَصيبٌ مِّمّا كَسَبوا ۚ وَاللَّهُ سَريعُ الحِسابِ
Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.

4. Hisab dari Allah itu boleh bermula sebaik sahaja manusia ditimpa kematian. Di dalam kubur lagi Allah sudah kenakan dengan azab bagi orang jahat dan nikmat bagi orang yang baik. Ia adalah muqaddimah kepada timbangan amal dan balasan setelah dibangkitkan setelah Kiamat nanti.

Kenapa Allah ﷻ beritahu perkara ini? Kerana ia hendak memberi galakan kepada orang yang baik supaya bersegera buat kebaikan. Kerana kita suka jikalau balasan kita diberikan dengan segera. Ini sepertimana kita apabila menunggu gaji bulanan – lagi cepat lagi bagus, bukan? Ia juga sebagai peringatan kepada orang yang jahat supaya mengubah hidup mereka. Kerana orang jahat takut kepada balasan yang segera, kalau boleh mereka hendak ditangguhkan hukuman buat mereka. Maka Allah takutkan mereka dengan ingatkan yang cepat sahaja mereka akan dikenakan hukuman nanti.

Maka beringatlah dengan ancaman Allah dan peringatan dari Allah ini. Takutlah kita kepada hari di mana segala amalan kita akan dihisab oleh Allah. Agak-agak kita selamat atau tidak? Tidakkah kita takut? Maka ikutlah kata Saidina Umar,

حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا، وَزِنُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُوَزَنُوا، وَتَزَيَّنُوا لِلْعَرْضِ الْأَكْبَرِ
“Hisablah (periksalah) diri kamu sebelum kamu dihisab (di akhirat kelak), dan timbanglah (amalan) diri kamu sebelum kamu ditimbang, serta berhiaslah (bersiap sedia) untuk hari pembentangan amalan yang besar (Hari Kiamat).”

Balaghah: Allah berfirman فَإِنَّ اللَّهَ dan bukannya menggunakan kalimah فَإِنَّهُ. Allah boleh sahaja menggunakan dhomir فَإِنَّهُ kerana nama Allah telah disebut sebelum itu. Akan tetapi dengan menggunakan nama اللَّهَ di dalamnya, kesannya adalah untuk menambahkan kegerunan kerana nama Allah yang disebut.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Ogos 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment