Tafsir Surah Ali Imran Ayat 20 (Kebenaran Islam vs Kedegilan Ahli Kitab)

Ali Imran Ayat 20: Setelah didakwahkan kepada orang kafir, dan kepada orang yang menentang, adakah mereka terus akan terima? Tentu tidak, mereka akan berhujah dan buat helah.

فَإِن حآجّوكَ فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ وَمَنِ اتَّبَعَنِ ۗ وَقُل لِّلَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالأُمِّيّينَ ءأَسلَمتُم ۚ فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا ۖ وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

SAHIH INTERNATIONAL
So if they argue with you, say, “I have submitted myself to Allah [in Islam], and [so have] those who follow me.” And say to those who were given the Scripture and [to] the unlearned, “Have you submitted yourselves?” And if they submit [in Islam], they are rightly guided; but if they turn away – then upon you is only the [duty of] notification. And Allah is Seeing of [His] servants.

MALAY
Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

 

فَإِن حاجّوكَ

Maka jika mereka berhujah membantahmu

Harf fa’ di sini dinamakan fa fasihah. Setelah diberikan dengan berbagai hujah, mungkin ada yang menolak dan menentang. Sekarang Allah akan ajar bagaimana kalau mereka menolak juga. Mereka yang menentang itu berbantah tentang hal tauhid, bukannya perkara lain. Ini adalah kerana perkara akidah adalah yang paling besar. Apabila selisih hal akidah inilah yang menyebabkan manusia pecah belah dengan amat teruk sekali.

Beginilah yang terjadi kepada Nabi Muhammad ketika bersemuka dengan ahli-ahli agama Kristian dari Najran. Mereka telah berdebat dan bertukar fikiran, tapi masih lagi degil. Segala bukti dan dalil telah diberikan  yang sepatutnya mereka telah faham, tapi tetap berdegil!

Tidak disebutkan siapakah yang berhujah dengan Nabi Muhammad. Ia tentulah golongan Yahudi, Kristian dan juga Musyrikin Mekah pada zaman itu. Mereka inilah yang menolak dakwah yang Nabi Muhammad sampaikan.

Dan begitulah juga yang terjadi zaman berzaman. Akan ada sahaja yang degil dan berhujah dengan hujah bodoh menggunakan akal dan hujah amalan tok nenek. Kitanya beri ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih, mereka beri hujah akal pula… beri hujah tok guru…. beri hujah tok nenek…. Memang tidak ke manalah jawabnya kalau berdebat begitu. Maka sekarang Allah beritahu apa yang kita patut katakan kepada mereka.

Manusia memang sentiasa sahaja berhujah menentang kebenaran dan kadangkala mereka menggunakan ayat-ayat kita sendiri. Mereka pusing dan pusing untuk mengalahkan kita. Contohnya kita lihat Anbiya’:98

إِنَّكُم وَما تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُم لَها وٰرِدونَ
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah, adalah kayu api Jahannam, kamu pasti masuk ke dalamnya.

Puak kafir pada zaman Rasulullah ada menggunakan ayat ini untuk cuba memerangkap Nabi Muhammad. Ayat-ayat Al-Qur’an menegur tentang amalan menyembah ma’bud bathil. Antaranya berhala dan ada disebut di dalam ayat lain, berhala pun akan dibakar dalam neraka juga. Mereka tetap hendak berhujah dengan mengatakan oh kalau yang disembah itu masuk neraka, jadi kami sembah Nabi Isa, baginda masuk neraka jugalah? Yahudi pula sembah Uzair, beliau masuk neraka jugalah? Lihat permainan mereka. Kebenaran mereka tidak mahu terima, tapi mereka menggunakan hujah-hujah bodoh sebegini. Maka Allah jawab hujah mereka ini di dalam Anbiya’:101-102

إِنَّ ٱلَّذِينَ سَبَقَت لَهُم مِّنَّا ٱلحُسنَىٰٓ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ عَنہَا مُبعَدُونَ (١٠١) لَا يَسمَعُونَ حَسِيسَهَا‌ۖ وَهُم فِى مَا ٱشتَهَت أَنفُسُهُم خَـٰلِدُونَ (١٠٢)
Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari Neraka itu. (101) Mereka tidak mendengar suara (julangan) api Neraka itu dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka. (102)

Maka Allah jawab orang seperti Nabi Isa, Uzair itu, mereka telah mendapat nikmat dari awal lagi. Mereka disembah itu bukannya kerana mereka suruh. Maka mereka pasti dijauhkan dari api neraka! Mereka pun tidak tahu yang mereka disembah. Dan nanti apabila diberitahu yang mereka disembah, mereka tidak redha pun dengan penyembahan itu!

 

فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ

maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah

Sekarang Allah ‎ﷻ ajar Nabi Muhammad supaya jawab sahaja begini. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut, إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ (Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam). Dan sekarang Nabi pun disuruh sebut oleh Allah untuk mengaku baginda sudah menyerah diri sepenuhnya kepada Allah, baginda sudah Muslim. Kalimah أَسلَمتُ adalah dalam bentuk fi’il madhi, sesuatu yang telah berlaku. Maknanya Nabi Muhammad sudah sepenuhnya menyerahkan diri baginda kepada Allah. Kalau Nabi sendiri pun sudah mengaku, maka siapa kita untuk berdegil lagi?

Maknanya Nabi Muhammad disuruh tunjuk apa yang baginda lakukan. Begitulah kadangkala kita tidak perlu berhujah banyak, cuma tunjuk apa yang kita lakukan. Kita berdakwah dengan amal perbuatan kita, akhlak kita. Inilah yang dinamakan Dakwah Bil Hal (دعوة بالحَال) bermaksud dakwah melalui perbuatan, tingkah laku, akhlak, dan teladan yang baik, bukannya secara lisan atau ceramah semata-mata.

Allah tak suruh Nabi menjawab hujah mereka, bukan? Kerana segala hujah telah disampaikan. Apabila kita mengetahui bahawa orang yang menolak dan memprotes itu hanya bertujuan untuk memenangkan pendapatnya sendiri walaupun ia adalah batil, maka kita berhak berpaling daripadanya. Ini kerana orang tersebut tidak layak untuk dijadikan sebagai rakan berdebat atau bertengkar. Kalau layan lagi dengan hujah, takkan habis hujah mereka kerana mereka memang degil. Mereka hendak berdebat sahaja. Menarik diri daripada berdebat dengan orang yang degil dan biadab bukanlah tanda kalah, sebaliknya merupakan adab Islam untuk menjaga maruah dan mengelakkan perbalahan yang sia-sia.

Begitulah kadangkala kita bila berdakwah, kita akan jumpa orang sebegini. Kerana degil, mereka berhujah dan berhujah dengan akal yang jahil. Maka Allah ajar, ada ketikanya jangan cakap banyak lagi dengan mereka. Ini kerana sudah banyak hujah yang diberikan kepada mereka. Mereka itu degil dan tidak akan berubah. Mungkin belum sampai masanya untuk mereka terima, jadi jangan buang masa lagi dengan mereka. Ada lagi orang lain untuk kita dakwahkan. Kalau layan mereka yang degil ini, buang masa dan buang karan sahaja. Maka beginilah juga kita diajar apabila berhadapan dengan orang-orang sebegini. Ada satu quote yang popular ini adalah daripada penulis terkenal, George Bernard Shaw: “I learned long ago, never wrestle with a pig. You get dirty, and besides, the pig likes it.”

Jadi tak perlu sangat layan orang degil. Contoh yang kita boleh baca sendiri adalah bagaimana Allah telah menegur Nabi Muhammad di dalam Surah Abasa. Nabi sedang berdakwah kepada pemuka Quraish kerana baginda berharap mereka akan beriman dan ramailah lagi akan beriman kalau begitu. Ketika itu datanglah Abdullah ibn Ummi Maktum yang buta hendak bertanyakan sesuatu kepada Nabi. Dahi baginda berkerut kerana ‘gangguan’ dari Abdullah itu. Allah menegur baginda kerana baginda sibuk melayan pemuka Quraish itu yang tidak akan beriman pun. Allah sebut di dalam Abasa:5-7

أَمَّا مَنِ ٱستَغنَىٰ (٥) فَأَنتَ لَهُ ۥ تَصَدَّىٰ (٦) وَمَا عَلَيۡكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ (٧)
Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), (5) Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. (6) Padahal engkau tidak bersalah kalau dia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). (7) 

Digunakan lafaz ‘wajah’ dalam ayat ini tetapi yang dimaksudkan semua sekali – jiwa, hati dan diri semua sekali. Ia adalah bahagian tubuh yang paling mulia. Kalau ada orang hendak pukul kita, kita selalunya akan tutup wajah kita, bukan? Dan kerana ia mulia, maka kita tundukkan wajah kita kepada Allah ketika di dalam sujud. Dan ketika itulah doa kita paling mustajab. Maka Allah sebut wajah kerana wajah mewakili keseluruhan tubuh. Kalau tubuh tertutup, wajah terbuka, masih boleh dikenal individu itu. Tambahan pula, wajah menjelaskan isi hati kerana apa yang dalam hati kita, boleh terzahir dengan wajah kita. Ini seperti firman Allah tentang bapa Arab Jahiliyyah yang dapat anak perempuan di dalam Nahl:58

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالأُنثىٰ ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا وَهُوَ كَظيمٌ
Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia menahan marah.

Tambahan pula, di wajahnya juga ada mata, ada telinga, otak pun ada sekali di situ. Maknanya, walaupun sebut wajah sahaja, tetapi maksudnya semua sekali. Maksudnya, serah diri kepada Allah ‎ﷻ dengan mengikut syari’at dengan sepenuhnya. Begitulah kita baca kata-kata Nabi Ibrahim di dalam An’am:79

إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ
“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Wajah juga adalah tempat yang sentuh ketika kita sujud dalam solat, bukan? Apabila Allah sebut wajah di sini, ia juga adalah teguran pedas kepada mereka kerana Ahli Kitab telah meninggalkan solat, juga telah meninggalkan sujud, bukan? Sedangkan ia ada di dalam syariat mereka, dan malah masih disebut lagi di dalam kitab mereka, lihat Matius 26:39

“Kemudian Dia pergi jauh sedikit lalu meniarap ke tanah (menyembah/sujud) dan berdoa, ‘Ya Bapa-Ku, jika boleh, jauhlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.'”

Kalimat أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ juga menjadi dalil bahawa kita merujuk kepada Allah dalam hal agama. Bukannya kepada mana-mana ahli agama atau ulama’. Segala keputusan agama kita kena rujuk kepada wahyu yang Allah sampaikan di dalam Al-Qur’an dan juga melalui hadis yang Nabi sampaikan kepada kita.

 

وَمَنِ اتَّبَعَنِ

dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”

Harf waw di sini adalah waw ma’iyah (bersama). Maksudnya sesiapa sahaja yang sama-sama mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ. Ketika ayat ini diturunkan, tentulah ia merujuk kepada para sahabat baginda. Merekalah yang membantu baginda menjalankan kerja-kerja dakwah. Dan Nabi Isa juga ada pembantu baginda yang digelar sebagai Hawariyyun. Nanti kita akan bertemu kisah mereka nanti.

Ia bukan hanya bermaksud para sahabat Nabi, tapi sesiapa sahaja yang mengikut baginda zaman berzaman; maka kita pun boleh termasuk di dalam ayat ini. Kalau mereka kata mereka ikut baginda, mereka juga akan serahkan seluruh diri mereka mengikut Nabi ﷺ dan syari’at Islam. Maka kalau kita mengaku sebagai umat baginda, maka hendaklah kita serahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ dan taat kepada segala suruhan-Nya.

Dan kena taat dan ikut Nabi Muhammad sepenuhnya, bukannya separuh ikut, separuh tidak. Jangan juga separuh ikut Nabi tapi separuh lagi reka sendiri dengan fahaman dan amalan bid’ah. Kena ingat yang kita kena ikut adalah Nabi Muhammad, bukannya guru kita. Kalau guru kita pun ikut Nabi, bagus. Tapi kalau tok guru pun masih goyang, kita pun tidak pasti dari mana ajaran dia dapat, baik tinggalkan sahaja.

Perhatikan ada pemisahan tentang Nabi Muhammad dan para pengikut di dalam ayat ini. Allah sebut أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ yang merujuk kepada Nabi Muhammad sendiri, kemudian barulah disebut وَمَنِ اتَّبَعَنِ yang merujuk kepada mereka ikut ajaran Nabi Muhammad. Kenapa ada pemisahan ini? Kenapa tidak disebut sahaja أَسلَمتُ وَمَنِ اتَّبَعَنِ وَجهنا لِلَّهِ?

Yang pertama, kerana tidaklah sama iman dan keikhlasan Nabi Muhammad dengan manusia yang lain. Yang kedua, kerana tanggungjawab dakwah yang utama sekali diletakkan di atas pundak baginda. Ini seperti firman Allah di dalam Nisa’:84

فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِِِ لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفْسَكَ وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ
Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani).

Perhatikan frasa yang digunakan di sini adalah وَمَنِ اتَّبَعَنِ (dan demikian juga orang-orang yang mengikutku) dan bukanlah وَمَنِ آمَنُوا بِي (dan yang beriman denganku). Kerana iman sahaja tidak cukup, tapi kenalah membuahkan hasil iman itu dengan mengikut jejak langkah Rasulullah. Nabi Muhammad bukan sahaja beriman dengan Allah, tapi baginda berdakwah dan menyampaikannya kepada umat. Maka kalau ikut jejak langkah baginda, kenalah ikut berdakwah juga. Jangan buat tidak tahu sahaja.

 

وَقُل لِّلَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالأُمِّيّينَ ءأَسلَمتُم

Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi”:  “Sudahkah kamu menyerahkan diri?

Walaupun telah ada frasa di atas yang berbunyi seolah-olah tidak ada lagi guna dakwah kepada mereka, akan tetapi sambungan ini memberitahu kita yang dakwah masih lagi tidak tertutup. Masih lagi Nabi Muhammad disuruh berdakwah kepada mereka.

Sekarang Allah ‎ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ tanya kepada Ahli Kitab dan penduduk Mekah yang tidak ada kitab. Yang pertama adalah golongan أوتُوا الكِتٰبَ (yang telah diberikan kepada mereka kitab wahyu). Mereka adalah golongan agamawan di dalam agama Yahudi dan Kristian. Iaitu Rabbi mereka dan paderi mereka dan yang seumpamanya. Ini kerana mereka sahaja yang dapat pegang, baca dan menelaah kitab Taurat dan Injil.

Golongan kedua Allah tidak sebut siapa mereka tapi gunakan istilah الأُمِّيّينَ sahaja yang bermaksud mereka yang tidak tahu membaca dan menulis. Ia merujuk kepada Musyrikin Mekah tapi Allah gunakan istilah الأُمِّيّينَ kepada mereka. Kenapa mereka digelar begitu? Kerana mereka tidak ada kitab wahyu di tangan mereka seperti golongan Ahli Kitab. Mereka juga kebanyakannya tidak tahu menulis dan membaca. Dalil Musyrikin Mekah adalah الأُمِّيّينَ adalah seperti disebut di dalam Jumuah:2

هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِهِ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلاٰلٍ مُّبينٍ
Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,

Akan tetapi, bukan golongan Arab sahaja. Ahli Kitab pun boleh jadi Ummiyyin juga kalau mereka pun tidak tahu apa isi kandungan kitab mereka. Ini adalah orang awam mereka, bukan ahli agama yang telah disebut di atas iaitu أوتُوا الكِتٰبَ. Ini kerana penganut bawahan mereka tidak dibenarkan pegang dan baca kitab Taurat dan Injil. Itu golongan agama mereka simpan supaya senang hendak tipu orang bawah. Oleh itu kerana mereka tidak tahu kitab wahyu mereka, serupa seperti tidak tahu membaca pun. Ini seperti disebut tentang mereka di dalam Baqarah:78

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

Ini adalah kerana Yahudi dan Nasara, walaupun mereka ada kitab, tapi mereka tidak tahu apa isi kandungan kitab wahyu mereka itu. Yang tahu dari kalangan agamawan mereka pun sembunyikan isi kandungan kitab itu. Dan ini juga berlaku di dalam masyarakat Islam kita. Walaupun setiap rumah ada Al-Qur’an, akan tetapi kebanyakan dari kita tidak tahu isi kandungan Al-Qur’an ini, bukan? Hanya setakat tahu baca, ada juga yang hafal; tapi mereka sama sahaja dengan kebanyakan Yahudi dan Nasara itu. Sejarah berulang, tapi kita tidak sedar-sedar lagi. Sebagaimana orang kebanyakan dari Ahli Kitab itu percaya semata-mata kepada golongan agamawan mereka, begitu jugalah kita. Sedangkan golongan agamawan pun belum tentu tahu isi kandungan Al-Qur’an itu.

Jadi ayat ini ditujukan kepada dua jenis golongan: golongan yang tahu agama dan golongan yang tidak tahu. Kenapa ini penting? Kerana selalunya kita apabila bercakap atau berdakwah, kita kena cakap ikut tahap ilmu orang yang kita sedang bercakap itu. Kalau dengan pelajar universiti, ada cara bahasanya; dengan orang kampung, ada cara bahasanya pula. Kerana kalau bahasa digunakan tinggi apabila berdakwah dan bercakap dengan mereka, mereka pun tidak faham. Saidina Ali ada memberikan peringatan tegas tentang pentingnya meletakkan kadar percakapan mengikut akal pendengar:

«حَدِّثُوا النَّاسَ بِمَا يَعْرِفُونَ، أَتُحِبُّونَ أَنْ يُكَذَّبَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ؟»
“Bercakaplah kepada manusia mengikut apa yang mampu mereka fahami. Adakah kamu suka Allah dan Rasul-Nya didustakan (kerana salah faham)?”

(Riwayat Sahih al-Bukhari, No. 127)

Jadi itu adalah konsep utama. Tapi di dalam ayat ini, dua-dua pihak disebut dan disampaikan dakwah kepada mereka dalam masa yang sama. Jadi ia adalah satu pengecualian. Ini adalah kerana mesej yang hendak disampaikan adalah mudah sahaja dan terpakai bagi orang yang terpelajar dan juga orang yang tidak ada ilmu.

Allah suruh Nabi bercakap dengan mereka kerana di dalam agama Yahudi dan Kristian, golongan atasan dalam agama mereka itu menjadi ‘gatekeeper’. Mereka tak beri orang bawahan mereka dengar dakwah Islam, takut masuk Islam pula. Maka Allah suruh Nabi bercakap juga dengan orang bawahan mereka, jangan hiraukan agamawan mereka. Kerana golongan agamawan mereka susah hendak terima kerana takut kedudukan mereka jatuh. Jangan kata mereka, golongan ustaz kita pun ada yang menghalang pelajar mereka dari dengar ajaran sunnah kerana takut anak murid berubah arah pula. Maka ini mengajar kita untuk bercakap terus dengan orang awam dalam dakwah kerana mereka ini yang memerlukan hidayah dan sanggup menerima kebenaran. Mereka tidak ada apa-apa yang hendak dipertahankan seperti kedudukan di dalam masyarakat.

Apakah soalan kepada mereka? Adakah kamu mahu menyerahkan diri 100% kepada Allah ‎ﷻ dalam hal akidah dan amalan agama? Sudah diberikan dakwah kepada mereka, adakah mereka boleh rendahkan diri dan terima kebenaran?

Kalimah ءأَسلَمتُم adalah di dalam bentuk الاستفهامُ iaitu kata tanya. Tapi ia bukan benar-benar bertanya. Ia boleh membawa beberapa maksud, antaranya:

1. Ia di dalam bentuk celaan dan herdikan (at-tawbikh wa at-taqri’). Pada ayat ini terdapat isyarat bahawa pihak yang diajak bicara (al-mukhatab) itu seorang yang tebal akal (dungu) dan kurang kefahaman. Sudah diberi penerangan pun masih tidak faham lagi.

2. Atau ia bertujuan sebagai dorongan kuat dan menganggap lambatnya tindakan dari mereka. Ia didatangkan dalam bentuk fi’il madhi (ءأَسلَمتُم) dan tidak menggunakan fi’il mudhari’ (أَتُسلِمون [apakah kamu mahu masuk Islam?]) dan ini agak berbeza daripada kebiasaan cara kita menggunakan bahasa. Kenapa digunakan fi’il madhi pula? Ini kerana mereka kata mereka ikut ajaran Nabi-nabi mereka sendiri dan mereka telah mengaku mereka itu Muslim. Jadi sekarang mereka dipersoalkan.

Sebagai contoh, Yahudi kata ikut mereka kerana ikut ajaran Nabi Musa عليه السلام; Kristian pula kata mereka ikut ajaran Nabi Isa عليه السلام; dan orang-orang Arab kata mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Sekarang kita disuruh tanya mereka: sudahkah mereka kaji apakah fahaman dan amalan Nabi-nabi mereka itu? Bukankah Nabi-Nabi itu semuanya Muslim (seperti yang mereka kata sendiri)? Oleh itu, adakah kamu mahu kembali kepada ajaran Nabi-nabi itu dan meninggalkan ajaran-ajaran daripada rabbi, paderi dan ulama’-ulama’ kamu yang berlawanan dengan ajaran para Nabi?

3. Atau maksud daripada kata tanya itu adalah perintah (Masuk Islamlah!); maka ia berkedudukan sebagai tuntutan dan ajakan untuk melakukan perbuatan tersebut.

Mesej ini penting kepada golongan agamawan Yahudi dan Kristian. Kerana mereka inilah yang menghalang dakwah dari sampai kepada masyarakat mereka yang di bawah. Mereka memegang tampuk agama dan orang di bawah melihat tindakan mereka. Kalau mereka yang ada ilmu pun tidak masuk Islam, takkan orang bawah senang-senang masuk Islam? Tapi apakah masalah mereka yang di atas itu? Kerana dengki, kerana sombong, kerana tidak mahu hilang dunia mereka. Maka mereka akan ada saham dengan kekufuran orang-orang yang melihat mereka sebagai panduan. Maka di dalam ayat ini, Allah ajar supaya mereka tundukkan ego mereka, masuk sahaja lah ke dalam agama Islam. Serahlah diri supaya selamat dunia dan akhirat. Jangan lagi degil buat sombong tak tentu pasal.

Tapi di dalam masa yang sama, Allah tidak suruh cakap kepada orang berilmu dari kalangan mereka sahaja. Kerana itu ayat ini untuk golongan agamawan dan golongan orang biasa. Terus bercakap kepada golongan bawahan juga, kerana mereka juga perlu tahu apa itu kebenaran yang ada di dalam Islam. Dan ia juga mengajar kita yang agama Islam ini untuk semua, bukan untuk orang pandai sahaja, bukan untuk orang Arab sahaja, tapi untuk semua.

Apa yang kita boleh ambil sebagai seorang pendakwah dan sebagai pengajar agama? Iaitu kita jangan lupa orang-orang yang baru bertatih hendak mula belajar agama. Kadangkala kita kalau dijemput bercakap tentang agama, kita gunakan bahasa yang tinggi, konsep yang tinggi, jargon yang hebat-hebat; padahal yang di hadapan kita orang yang baru sangat hendak belajar. Mereka mungkin tidak kisah pun lagi tentang kumpulan itu dan ini, firqah itu dan ini, pandangan ulama’ itu dan ini. Mereka hanya hendak kenal Islam yang sebenarnya, apa yang mereka perlu lakukan sebagai permulaan sahaja. Kerana itulah Nabi Muhammad dihantar di kalangan ummiyyin (هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم). Kerana itu kita boleh belajar dari cara dakwah Nabi Muhammad yang menggunakan bahasa yang mudah, tidak berbelit-belit.

Maka ini adalah ayat tentang dakwah walaupun ia di dalam bentuk soalan. Tujuannya adalah supaya ajak mereka kepada agama Islam yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah. Jangan lagi berpegang kepada agama selain dari agama Islam. Ini Nabi Muhammad telah lakukan. Baginda telah berdakwah kepada Yahudi, Nasrani, juga golongan Musyrikin. Bagaimana pula dengan kita?

Kita pun wajib untuk sampaikan kepada orang kafir juga dakwah Islam ini. Jangan kita simpan agama Islam ini untuk diri kita sahaja. Di dalam ayat ini, suruhan dakwah itu kepada Nabi Muhammad, tapi ia juga kepada kita juga, bukan? Apa yang Nabi dapat dari wahyu, kita pun kena sampaikan juga. Bukankah Rasulullah telah bersabda, melalui Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As r.a.

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat. Ceritakanlah tentang (kisah) Bani Israil dan tidak ada dosa (untuk menceritakannya). Dan sesiapa yang mendustakan atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia bersiap sedia mengambil tempat duduknya di dalam neraka.”

(Riwayat al-Bukhari, No. 3461)

Maka ini mengajar kita, walaupun setelah kita dakwah kepada manusia, dan mereka menolak, jangan terus tinggalkan mereka. Mungkin ketika itu mereka tidak mahu beriman, tidak mahu ikut, kita tinggalkan dahulu. Tapi di hari lain, kita dakwah lagi kepada mereka. Kita dapat faham ini adalah dakwah di hari lain kerana kalimah permulaannya adalah وَقُل (dan katakanlah) yang memberi isyarat ini adalah kata-kata di waktu lain. Iaitu kita telah sampaikan tempoh hari dalil dan bukti, dan apabila kita berjumpa di lain kali, kita tanya balik: “amacam? boleh terima ke yang aku cakap hari tu?”

 

فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا

Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; 

Sekiranya mereka mahu serah diri dan taat sepenuhnya kepada Allah dan ajaran Nabi Muhammad, barulah mereka dikira terpimpin yang sebenarnya. Barulah mereka boleh kata mereka telah menerima hidayah. Kalau tidak, mereka hanya perasan sahaja.

Serah diri kepada Allah itu bermaksud sepanjang masa kita beramal, bekerja, kehidupan kita adalah kerana Allah. Kita makan kerana Allah, kita bekerja kerana Allah, kita berkawan kerana Allah. Maknanya bukan solat dan puasa sahaja kerana Allah. Dalam segenap kehidupan juga adalah kerana Allah. Apa maksud kerana Allah? Iaitu kita menjalani kehidupan kita ikut hukum Allah, ikut syariat Allah, ikut panduan yang Allah berikan. Jangan semasa beribadah sahaja kita ikut cara Allah ajar kita, tapi dalam kehidupan seharian kita tidak ikut pula!

Balaghah: kenapa frasa ini di dalam bentuk fi’il madhi? (أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا). Kerana ia menggambarkan perkara yang diharapkan berlaku pada masa hadapan menggunakan dengan menggunakan kata bentuk masa lalu (madhi) menunjukkan betapa besarnya harapan mereka masuk Islam. Dan untuk menunjukkan kepastian bahawa kebenaran Islam itu sangat jelas untuk diterima.

 

وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ

dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan

Kalau mereka tidak terima, maka Nabi ﷺ diingatkan yang tugas baginda hanya untuk sampaikan sahaja. Jadi ini adalah ayat tasliah (pujukan) untuk Nabi. Kerana Nabi Muhammad memang terkesan sangat kalau orang tidak beriman. Kerana baginda amat prihatin dengan umat baginda. Kalau boleh baginda hendak semuanya beriman. Sampaikan di dalam Kahf:6 Allah terpaksa memujuk Nabi kerana baginda rasa bagai hendak bunuh diri sahaja,

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا
Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Dan juga disebut di dalam Shu’ara:3

لَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ أَلّا يَكونوا مُؤمِنينَ
Boleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan dirimu, kerana mereka tidak beriman.

Jadi Allah ingatkan bahawa tugas baginda hanya sampaikan sahaja. Baginda dan juga kita tidak boleh memaksa orang beriman. Baginda tidak dipertanggungjawabkan sama ada mereka ikut atau tidak. Yang penting, baginda sudah sampaikan. Baginda tidak perlu pening dan stress kerana baginda telah sampaikan. Allah berfirman di dalam Fatir:8

فَإِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ ۖ فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ
Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka.

Yang patut rasa takut dan stress adalah kalau tidak berdakwah. Ini macam kitalah, belajar tapi tidak sampaikan. Berapa ramai orang kafir dan sesat, tapi kita biarkan sahaja mereka begitu.

Bagi Rasulullah dan para sahabat, mereka telah sampaikan, maka mereka tidak perlu risau, bersedih, dan takut. Kerana Allah tegaskan yang tugas kita sebagai pendakwah adalah untuk sampaikan sahaja wahyu Allah. Begitu jugalah dengan kita. Kita hanya dipertanggungjawabkan untuk sampaikan ajaran wahyu ini kepada seramai yang boleh. Akan tetapi, malangnya ramai yang tidak akan dengar. Namun, tidak mengapa,  sekurang-kurangnya kita sudah sampaikan. Mereka terima atau tidak, itu di luar kuasa kita. Kalau mereka tidak terima pun, tanggungjawab kita sudah selesai dan dengan menyampaikan sahaja, kita sudah dapat pahala dakwah.

Maka ayat ini mengajar kita tentang usaha dakwah. Kadang-kadang mungkin kita rasa kalau kita cakap pun, hanya buang masa sahaja kerana kita rasa orang yang didakwah tidak akan dengar. Atau kita rasa tidak sedap hati untuk berdakwah, sebab walaupun kita sudah dakwah tetapi orang yang didakwah tidak ikut pun. Ramai yang putus asa dalam berdakwah. Ini adalah satu kesilapan. Kita bukannya boleh tukar isi hati dan pegangan orang lain. Allah berfirman di dalam Ghashiyah:22

لَستَ عَلَيهِم بِمُصَيطِرٍ
Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka,

Akan tetapi Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang tidak mengapa kalau mereka tidak ikut, kerana tugas kita adalah untuk sampaikan sahaja. Kita tetap akan dapat pahala setelah kita sampaikan dan kita akan tingkatkan iman kita setelah kita berdakwah. Maka jangan jemu berdakwah dan mengajar. Ini adalah tugas kita semua, kena sampaikan dakwah agama Islam kepada manusia. Tak perlu mengadu kalau sudah berdakwah, tapi orang tidak dengar dan tidak ikut. Itu biasa sahaja!

Balaghah: frasa فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ (maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan) adalah di dalam bentuk قصرٌ (pembatasan). Ini kerana ada penggunakan إنَّما di sini. Takdir (maksud tersirat) bagi ayat ini ialah: Maka sesungguhnya tanggungjawab yang diwajibkan ke atasmu hanyalah menyampaikan sahaja; adapun hidayah itu bukanlah tugasmu, sebaliknya ia adalah urusan Kami (Allah) semata-mata. Mesej Utama Kepada Pendakwah: Ayat ini menegaskan pembahagian tugas yang jelas: tugas Rasul dan pendakwah hanya menyampaikan (Al-Balagh), manakala hasil keimanan dan hidayah hati adalah hak mutlak Allah.

 

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

Frasa penutup ayat ini mengandungi janji ganjaran (وعدٌ) dan juga ancaman balasan (وعيد). وعدٌ adalah janji Allah untuk membalas mereka yang baik dengan pahala dan syurga. Sedangkan وعيد pula adalah janji Allah kepada orang yang berpaling, degil, dan menolak kebenaran, yang Dia akan membalas mereka dengan azab yang setimpal.

Dan Allah akan balas dengan adil. Kenapa Allah boleh membalas? Kerana Allah ‎ﷻ sedang melihat segala perbuatan kita. Allah melihat usaha mereka yang berdakwah. Kalau kita tidak dakwah, Allah ‎ﷻ pun lihat dan akan azab kita kalau kita tidak meneruskan tugas Nabi. Jadi ini adalah dorongan untuk berdakwah kepada orang lain.

Dakwah amat penting sekali. Kalau dakwah tidak dijalankan, maka ramailah manusia semakin kufur dengan Allah. Bukan sahaja yang kafir terus kafir, yang sudah masuk Islam pun akan terpesong dengan amalan-amalan yang salah dan fahaman-fahaman yang sesat.

Allah sedang melihat mereka yang menerima dakwah dari kita. Mungkin di hadapan kita, mereka buat tidak tahu, malah menentang. Tapi entah mereka balik dan mereka fikir-fikir balik, barulah mereka sedar dan mereka terima. Mereka tidak datang pun cakap dengan kita, tapi Allah tahu kerana Allah sedang memerhatikan semua orang.

Allah ‎ﷻ juga sedang melihat mereka yang berpaling. Allah ‎ﷻ catit dalam kitab amalan mereka bagaimana mereka telah menolak dan malah mungkin menentang para pendakwah tauhid. Allah tahu siapa yang benar-benar mahu beriman setelah menerima dakwah dan siapa yang menolak. Kerana Allah melihat sampai ke dalam hati manusia. Maka tidak perlulah kita risau sangat dengan apa yang terjadi. Janji Allah ‎ﷻ nampak usaha kita.

Ringkasan kaitan antara ayat-ayat:

Sekian Ruku’ 2 dari 20 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Ogos 2020

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment