BALASAN BAGI MEREKA YANG DEGIL
Ali Imran Ayat 21: Ini adalah ayat zajrun (ayat teguran) dan takhwif ukhrawi (penakutan azab akhirat). Ia diberikan kepada orang-orang yang degil. Maka ancamanlah yang layak diberikan kepada mereka. Asbabun Nuzul ayat ini adalah golongan Kristian Najran yang datang berjumpa dengan baginda kerana mereka tidak puas hati bila dengar ada pula umat selain mereka yang dapat kitab. Maka mereka telah berdebat dengan Rasulullah dan selepas itu mereka tetap berdegil untuk menerima Islam. Maka Allah ﷻ beri ancaman kepada mereka dalam ayat ini.
Di dalam ayat-ayat sebelum ini, ia tentang golongan Kristian. Kemudian di dalam Ayat 20 sebelum ini, Yahudi juga disebut; dan sekarang masih lagi disebut tentang golongan Yahudi itu, tentang apa yang mereka telah lakukan. Kalau sebelum ini disebut mereka berhujah sahaja, tapi mereka ada juga melakukan perkara yang lebih berat lagi. Ayat ini menyebut 3 dosa besar mereka.
إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ
SAHIH INTERNATIONAL
Those who disbelieve in the signs of Allah and kill the prophets without right and kill those who order justice from among the people – give them tidings of a painful punishment.
MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah
Ini adalah ayat ancaman kepada mereka yang ingkar tak mahu terima pakai ajaran dari wahyu. Ini kerana mereka kufur dan menolak wahyu walaupun mereka tahu ia benar. Ini seperti disebut di dalam Ayat 19 sebelum ini,
وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ إِلّا مِن بَعدِ ما جآءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۗ وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ
Dan orang-orang yang diberikan Kitab itu tidak berselisih melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
Apa maksud kufur? Ia bermaksud menutupi. Iaitu fitrah mereka sepatutnya senang sahaja menerima ajaran wahyu di dalam Al-Qur’an, tapi mereka tutup fitrah semulajadi mereka itu. Orang yang tidak menutup fitrah mereka, akan senang sahaja menerima Islam, bukan? Entah berapa banyak kita dengar dan baca kisah orang yang lahir di dalam agama lain, tapi apabila mereka membaca ayat-ayat Al-Qur’an, terus mereka beriman. Apabila ada orang ajar tentang Islam, mereka terus terima. Atau ada yang mencari-cari agama apakah yang sebenarnya dalam dunia, mereka terus terus terima Islam setelah mengkaji Islam.
Tapi kebanyakan manusia kufur dengan fitrah yang Allah telah letakkan di dalam diri mereka. Begitulah walaupun telah diajak kepada Islam, tapi masih ramai yang berdegil tidak mahu beriman juga lagi. Ini adalah kerana mereka menutup telinga dan hati mereka dari kebenaran. Maka mereka akan mendapat ancaman dalam ayat ini.
Asbabun Nuzul ayat ini merujuk kepada golongan Yahudi yang kufur dengan Kitab Injil dan Al-Qur’an. Walaupun ada banyak jenis orang kafir, tapi ayat ini lebih menekankan sifat golongan Yahudi. Akan tetapi walaupun bercakap tentang mereka, bukankah orang lain pun ada juga sifat-sifat seperti mereka, bukan? Kerana itu digunakan kalimah يَكفُرونَ yang di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang bermaksud ia berterusan dilakukan oleh manusia zaman berzaman sehinggalah kini.
Mereka itu kufur dengan ءايَـٰتِ اللَّهِ (ayat-ayat Allah). Tapi apakah maksud ءايَـٰتِ اللَّهِ itu? Maksud ءايه asalnya adalah ‘tanda’. Dan tanda ini boleh dibahagikan kepada dua: pada alam dan pada Al-Qur’an. Kerana dua-dua menjadi tanda kepada adanya Allah. Manusia boleh kufur kepada salah satu atau kedua-dua tanda ini. Sebagai contoh, ada orang lihat kepada alam yang indah ini dan kata bukan ada tuhan yang buat alam ini, tapi ia terjadi semulajadi. Ini adalah kufur. Atau, ada yang kata pentadbiran alam ini selain Allah, dibantu juga oleh makhluk lain; ini juga kufur. Jadi ada berbagai cara manusia boleh kufur dengan tolak tanda-tanda Allah pada alam.
Kemudian ada yang kufur dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Ada yang kata bukan Allah yang turunkan Al-Qur’an. Ada yang kata hukum hakam di dalamnya karut atau sudah lapuk tidak boleh digunapakai lagi. Ada yang tak tolak Al-Qur’an tapi dia buat tidak tahu, tidak amalkan. Bukankah itu seolah-olah seperti menolak? Ada yang menukar teks yang Allah telah berikan dengan maksud yang lain. Seperti kalimah يد dalam Al-Qur’an mereka kata ia hanya bermaksud qudrat sahaja. Ada yang kata maksud استواء yang ada banyak disebut di dalam Al-Qur’an bermaksud إِسْتَوْلَى.
Jadi ini adalah sangat bahaya. Ada yang selamba sahaja terima fahaman-fahaman sebegitu tanpa mereka sedar yang sedang melakukan kekufuran. Tidaklah mereka jatuh kafir pula, tapi ia adalah perbuatan kufur dan patutnya diberhentikan. Kita sepatutnya terima sepenuhnya apa yang Allah telah berikan kepada kita, jangan tolak dan jangan tukar!
وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ
dan mereka membunuh Nabi-nabi tanpa sebab yang benar,
Allah tegur golongan Bani Israil yang banyak tanya soalan kepada Nabi Muhammad itu. Allah kata tidak payahlah mereka nak tunjuk pandai. Nabi kamu sendiri pun kamu bunuh. Walaupun yang membunuh itu bukanlah yang datang bertemu dengan Nabi, tapi mereka itu dari keturunan golongan itu. Perangai masih ada persamaan dengan tok nenek mereka juga. Mereka pun tahu apa yang berlaku kerana perbuatan membunuh para Nabi itu ada disebut di dalam kitab mereka sendiri.
Dan para Nabi itu tentulah tidak bersalah dan tidak ada sebab yang sah untuk membunuh mereka. Manusia memang boleh dibunuh kalau mereka melakukan kesalahan yang layak dibunuh. Akan tetapi apakah kesalahan para Nabi itu? Tentu tidak ada. Takkan Nabi ada buat kesalahan pula?
Jadi kenapa perlu ditambah dengan kalimat بِغَيرِ حَقٍّ (dengan cara yang tidak benar)? Ini adalah untuk menekankan yang mereka yang membunuh itu sendiri tahu dan sedar yang perbuatan mereka itu salah, akan tetapi mereka tetap melakukannya juga. Ada juga yang mengatakan kalimat بِغَيرِ حَقٍّ ini untuk menolak jikalau ada pandangan yang mengatakan pembunuhan itu terjadi kerana mungkin salah faham. Tidak sama sekali!
Siapa yang membunuh para Nabi itu? Orang awamkah? Bukan…. mereka ini orang agama, yang ada kedudukan dalam struktur agama mereka. Yang boleh beri arahan, yang ada pengikut, yang boleh pelbagai alasan. Walaupun tidak ada punca kuasa atau alasan yang sahih untuk membunuh (بِغَيرِ حَقٍّ), tapi mereka boleh sahaja reka supaya matlamat mereka tercapai. Mereka boleh bagi alasan seperti: ‘dia ini memecah belahkan masyarakat’, ‘dia hendak mengganggu tradisi tok nenek kita’ dan sebagainya. Kuasa politik digunakan untuk membunuh para Nabi kerana para Nabi itu mengganggu kekuasaan mereka. Golongan ahli agama itu menggunakan kuasa politik seperti yang dilakukan oleh rabbi Yahudi untuk membunuh Nabi Isa.
Para pemuka agama Yahudi (termasuk rabbi dan majlis tertinggi Sanhedrin) menggunakan strategi politik yang licik untuk menggunakan Kerajaan Rom bagi membunuh Nabi Isa AS. Mereka terpaksa menggunakan tangan pihak Rom kerana pada waktu itu, wilayah Judea (Baitulmaqdis) berada di bawah penjajahan Rom, menyebabkan mahkamah Yahudi tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukuman mati. Mereka mendakwa Nabi Isa AS menghasut rakyat supaya tidak membayar cukai kepada Maharaja Rom (Caesar). Mereka juga mendakwa Nabi Isa AS mengaku sebagai “Raja Orang Yahudi”, yang bermaksud mencabar kedaulatan politik Maharaja Rom.
Entah berapa ramai para Nabi mereka yang mereka bunuh kerana hendak tutup mulut Nabi mereka sendiri. Ya, memang benar Bani Israil banyak membunuh Nabi-Nabi dari kalangan mereka. Contohnya, mereka telah bunuh Nabi Zakariya dan anaknya Nabi Yahya. Mereka juga cuba buat komplot untuk bunuh Nabi Isa sendiri, tapi telah gagal. Kenapa mereka bunuh para Nabi itu? Kalau ada Nabi yang cakap sesuatu yang tak kena dengan jiwa mereka, mereka akan cuba untuk bunuh. Dalam sesetengah kitab tafsir ada disebut riwayat pernah pada satu hari ada seramai 43 orang Nabi yang mereka bunuh. Dan di dalam riwayat yang lain, disebut 70 orang! Akan tetapi riwayat itu tidak sahih, jadi kita tidak tahu berapa banyak para Nabi yang mereka bunuh. Riwayat ini adalah lemah jadi ia tidak boleh dijadikan sebagai dalil tentang berapa ramai para Nabi yang telah dibunuh.
Ayat ini turun sebagai tamparan kepada golongan Ahli Kitab. Walaupun mereka itu keturunan Yahudi yang duduk tinggal di Madinah dan mereka tidak pernah membunuh Nabi, tapi saki baki perangai jahat itu masih ada lagi dalam diri mereka. Kerana itulah di dalam ayat ini digunakan kalimah يَقتُلونَ (mereka membunuh) di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang memberi isyarat mereka masih lagi melakukannya. Buktinya, mereka pernah ada komplot untuk membunuh Nabi Muhammad sendiri.
Percubaan pembunuhan Nabi Muhammad oleh suku Yahudi Bani Nadhir merupakan peristiwa penting yang berlaku pada tahun ke-4 Hijrah (sekitar 625 Masihi) di Madinah, yang menjadi punca utama pengusiran mereka dari Kota Madinah. Nabi Muhammad bersama beberapa sahabat. telah pergi ke perkampungan Bani Nadhir. Tujuan baginda adalah untuk berunding dan meminta sumbangan diyat (ganti rugi darah) bagi dua orang lelaki dari suku Bani Amir yang tersilap dibunuh oleh seorang sahabat (Amr bin Umayyah al-Dhamri), mengikut syarat perjanjian perikatan yang telah dimeterai bersama.
Pemimpin Bani Nadhir berpura-pura menerima baik kedatangan baginda dan menyuruh Baginda duduk bersandar pada dinding salah sebuah rumah mereka sementara mereka mengumpulkan wang diyat tersebut. Di belakang tabir, para pembesar Bani Nadhir berkumpul secara rahsia. Amr bin Jahsy membuat tawaran untuk naik ke bumbung rumah tersebut dan melempar ketul batu pengisar yang besar tepat ke atas kepala Nabi untuk membunuh baginda. Ketika pakatan itu sedang diatur, Allah memelihara Rasul-Nya dengan mengutuskan Malaikat Jibril untuk menyampaikan wahyu tentang niat jahat dan rancangan pembunuhan tersebut. Tanpa berlengah dan tanpa menunjukkan sebarang reaksi kepada Bani Nadhir, Nabi segera bangkit dan terus berjalan pulang ke Madinah. Para sahabat yang hairan kemudian menyusul Baginda, dan Baginda menceritakan pengkhianatan yang telah berlaku.
Kemudian ada peristiwa cubaan meracuni Nabi Muhammad yang berlaku di Khaibar pada tahun ke-7 Hijrah, sejurus selepas kemenangan tentera Islam dalam Perang Khaibar. Zainab binti Al-Harith, seorang wanita Yahudi (isteri kepada Sallam bin Mishkam yang terkorban dalam Perang Khaibar), merancang untuk membunuh Rasulullah. Dia bertanya kepada para sahabat tentang bahagian daging kambing yang paling disukai oleh Nabi. Setelah diberitahu bahawa baginda menyukai bahagian paha, dia membakar seekor kambing dan meletakkan racun paling berbisa pada keseluruhan daging tersebut, terutamanya pada bahagian paha.
Zainab membawa kambing bakar itu dan menghadiahkannya kepada Rasulullah. Baginda mengambil bahagian paha dan mengunyah sepotong daging tersebut. Bersama baginda, seorang sahabat bernama Bishr bin al-Bara’ r.a. turut makan daging tersebut. Sebelum sempat menelan daging itu, Nabi SAW segera meludahkannya semula dan bersabda: “Tariklah tangan-tangan kamu! Sesungguhnya tulang (paha) ini memberitahuku bahawa ia telah diracuni.” Namun, Bishr bin al-Bara’ r.a. sempat menelan sepotong daging tersebut dan kemudiannya meninggal dunia akibat kesan racun yang sangat kuat.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: لَمَّا فُتِحَتْ خَيْبَرُ أُهْدِيَتْ لِلَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاةٌ فِيهَا سُمٌّ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اجْمَعُوا لِي مَنْ كَانَ هَا هُنَا مِنْ يَهُودَ، فَجُمِعُوا لَهُ… [إِلَى أَنْ قَالَ]: هَلْ جَعَلْتُمْ فِي هَذِهِ الشَّاةِ سُمًّا؟ قَالُوا: نَعَمْ قَالَ: مَا حَمَلَكُمْ عَلَى ذَلِكَ؟ قَالُوا: أَرَدْنَا إِنْ كُنْتَ كَاذِبًا نَسْتَرِيحُ مِنْكَ، وَإِنْ كُنْتَ نَبِيًّا لَمْ يَضُرَّكَ
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Apabila Pembukaan Khaibar berlaku, seekor kambing yang telah diracuni dihidangkan sebagai hadiah kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW bersabda: “Kumpulkan kepadaku semua orang Yahudi yang ada di sini.” Lalu mereka dikumpulkan… [sehingga baginda bertanya]: “Adakah kamu telah meletakkan racun pada kambing ini?” Mereka menjawab: “Ya.” Baginda bertanya: “Apakah yang mendorong kamu berbuat demikian?” Mereka menjawab: “Kami mahu jika engkau seorang pendusta, kami dapat berehat daripadamu (terbebas darimu). Namun jika engkau seorang nabi, racun itu tidak akan membahayakanmu.”
Sahih al-Bukhari, Hadis No. 3169; Sahih Muslim, Hadis No. 2190.
Meskipun terselamat daripada mati serta-merta pada hari kejadian, kesan racun itu kekal berada dalam tubuh baginda dan menyebabkan baginda kerap menanggung kesakitan sepanjang baki hayatnya. Di penghujung hayat baginda, ketika jatuh sakit sebelum wafat, Rasulullah bersabda kepada ‘Aisyah r.a.:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ يَا عَائِشَةُ، مَا أَزَالُ أَجِدُ أَلَمَ الطَّعَامِ الَّذِي أَكَلْتُ بِخَيْبَرَ، فَهَذَا إِبَّانُ وَجَدْتُ قَطْعَ أَبْهَرِي مِنْ ذَلِكَ السُّمِّ
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a., beliau berkata: Nabi bersabda ketika sakit yang membawa kepada kewafatan baginda: “Wahai ‘Aisyah, aku sentiasa merasakan kesakitan akibat makanan yang aku makan di Khaibar dahulu. Inilah waktunya aku merasakan uratku seakan-akan terputus disebabkan racun tersebut.”
Sahih al-Bukhari, Hadis No. 4428.
Akan tetapi kalau kita perhatikan penggunaan kalimah يَقتُلونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’, ia bukan hanya pada zaman Nabi Muhammad, tapi ia berterusan sampai sekarang. Tapi sekarang tidak ada lagi Nabi, jadi siapa yang mereka bunuh? Mereka bunuh kumpulan yang sambung tugas para Nabi itu seperti ulama’, pendakwah dan sebagainya.
وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ
serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil
Di dalam riwayat yang menyebut 43 orang Nabi dibunuh di dalam satu hari, seramai 170 orang soleh berdiri menegur perbuatan mereka yang membunuh itu. Maka 170 orang soleh itu terus dibunuh oleh orang Yahudi itu.
Dan sekali lagi digunakan kalimah يَقتُلونَ di sini yang memberitahu kita yang perbuatan membunuh orang baik-baik ini masih lagi berlaku sekarang, tidak pernah berhenti. Siapa yang mereka bunuh? Iaitu الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ iaitu mereka yang menjalankan amar ma’ruf nahi munkar. Penggunaan kalimah يَأمُرونَ di sini di dalam bentuk fi’il mudhari’ memberi isyarat yang mereka berterusan melakukan amar ma’ruf nahi munkar itu.
Begitulah akan ada golongan manusia (مِنَ النّاسِ) yang ada kesedaran menegur kesalahan manusia sambil mengajar manusia melakukan kebaikan. Inilah tugas yang perlu dijalankan oleh setiap orang Mukmin. Apabila ditambah مِنَ النّاسِ ia bermaksud mereka ini manusia biasa sahaja, bukannya para Nabi. Rasulullah telah bersabda di dalam Hadis Arbain #34,
عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُوْلُ: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ
Dari Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Barangsiapa dari kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka ingkarilah dengan hatinya, dan itu merupakan selemah-lemahnya iman.”
[Sahih Muslim, no. 49]
Dan menjalankan يَأمُرونَ بِالقِسطِ ini telah pernah disebut di dalam Ayat 18 sebelum ini,
وَأُولُو العِلمِ قآئِمًا بِالقِسطِ
dan orang-orang yang berilmu, yang menegakkan keadilan
Akan tetapi menjalankan kerja menegur orang ini datang dengan risiko yang besar. Ini kerana orang yang ada kuasa selalunya tidak suka apabila ditegur, jadi untuk tutup mulut orang yang menegur itu, mereka bunuh sahaja kerana mereka ada kuasa. Kalau para Nabi pun boleh dibunuh, apatah lagi manusia biasa (مِنَ النّاسِ), jadi ini lebih banyak terjadi sebenarnya. Jangan sangka menyampaikan kebenaran itu adalah sesuatu yang mudah, sebaliknya ia penuh dengan liku-liku.
Kita sangka apabila kita bercakap untuk menegakkan kebenaran agama, tentulah ramai ahli agama akan sokong kita, bukan? Tidak! Maka ini menjadi pengajaran kepada kita supaya kita bersedia. Bersedia dengan tindakan pihak-pihak yang tidak suka dengan kebenaran. Mereka akan menentang kebenaran dari tersebar kerana ia akan merugikan mereka dari segi keduniaan.
Kemudian kita sangka yang akan menentang kita itu adalah dari kalangan orang kafir, bukan? Tidak semestinya. Kadangkala ahli agama lah yang akan menjatuhkan kita kerana fahaman agama yang kita bawa mungkin tidak sama dengan pegangan mereka. Ada golongan agama yang menggunakan agama untuk kepentingan diri mereka dan apabila kita hendak bawa kebenaran, ia sebenarnya mengganggu gugat kedudukan dan status mereka. Jadi mereka inilah yang akan menentang kita.
Jadi perbuatan membunuh orang yang memberi nasihat ini telah berlaku zaman berzaman. Sebagai contoh, telah dibunuh guru-guru yang mengajar ajaran tauhid dan berdakwah dengan benar. Begitulah yang terjadi sekarang kepada pada pendakwah tauhid. Ramai yang tidak disukai dan ditentang dan ditohmah. Kita yang ajar ilmu wahyu ini berkemungkinan tidaklah sampai dibunuh jiwa kita, tapi ada bukan karektor kita dibunuh? Kita dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan dan cacian seperti Wahabi dan sebagainya? Kalau ajar agama sahaja seperti cara melakukan ibadah, tidak mengapa, tapi kalau sudah sentuh tentang tauhid, ramai yang akan melenting dan cakap macam-macam.
Sampaikan ada yang mendapat teguran dari orang ramai, malah ada yang ditohmah sampaikan dipenjarakan. Ini terjadi zaman berzaman. Sebagai contoh, lihat sejarah apa yang terjadi kepada Ibnu Taimiyyah dan juga Imam Syafie. Dan sampai zaman sekarang ini pun masih ada lagi perkara ini berlaku.
فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ
maka sampaikanlah berita gembira kepada mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Sekarang Allah perli mereka (استهزاء). Kalimah بَشِّر bermaksud ‘berilah beri gembira’. Allah sebut beri ‘berita gembira’ tapi sebenarnya berita yang diberikan adalah amat menakutkan. Maksud عَذابٍ pun sudah berat, tapi Allah tambah pula lagi dengan أَليمٍ yang bermaksud azab itu sangatlah berat dan pedih.
Mereka mungkin berjaya menutup mulut para Nabi dan orang yang hendak menegakkan kebenaran ini di dunia. Mereka boleh bunuh, penjara, burukkan nama orang-orang soleh itu, akan tetapi Allah suruh ingatkan bahawa mereka takkan selamat di akhirat kelak.
Di dalam ayat ini dengan jelas Allah suruh kita beritahu kepada mereka. Maka menjadi kewajipan kepada kita untuk sampaikan kepada dengan memberitahu mereka yang jikalau mereka berterusan di dalam dosa-dosa mereka itu, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan dikenakan dengan azab yang sangat-sangat pedih.
Ali Imran Ayat 22: Apakah balasan yang akan dikenakan kepada mereka?
أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ
SAHIH INTERNATIONAL
They are the ones whose deeds have become worthless in this world and the Hereafter, and for them there will be no helpers.
MALAY
Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.
أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ
Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat,
Digunakan kalimah أُولٰئِكَ iaitu kata tunjuk yang jauh kerana mereka itu jauh dari kebenaran. Gugur amalan mereka kerana kekufuran yang mereka telah lakukan. Kalimah حَبِطَتْ di dalam bermaksud “gugur”, “sia-sia”, “terhapus”, atau “musnah” (terutamanya merujuk kepada amalan kebaikan atau pahala). Tidak guna satu sen pun. Di dalam Al-Qur’an, perkataan ini hampir sentiasa digunakan untuk menggambarkan keadaan di mana segala pahala amal soleh seseorang terpadam sepenuhnya akibat perbuatan kufur, syirik, atau murtad.
Kalau mereka ada amal kebaikan pun, ia tidak akan memberi makna kepada mereka. Ia tidak akan melindungi mereka kerana kekufuran yang mereka lakukan. Mereka ini golongan agamawan Yahudi, bukan? Kedudukan mereka itu tidak akan menyelamatkan mereka. Jangan sangka mereka ahli agama, mereka akan selamat!
Macam Musyrikin Mekah pula sangka mereka tentunya dapat banyak kebaikan kerana mereka menjaga Ka’bah dan berkhidmat kepada orang yang menziarahi Ka’bah. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang mereka langsung tidak akan dapat apa-apa kebaikan.
Ini mengajar kita iman yang sebenar itu sangat penting. Kadangkala orang kafir pun ada buat benda baik seperti tolong orang, bina hospital, bantu sana sini kerana memang hati mereka baik. Tapi mereka tidak akan dapat pahala sedikit pun. Allah tetap balas kebaikan yang mereka buat itu, tapi diberikan balasan itu di dunia lagi, supaya mereka tidak boleh tuntut di akhirat kelak. Kerana itulah kita lihat orang kafir yang baik di dunia ini hidup mereka senang dan kaya raya kerana Allah telah balas perbuatan baik mereka di dunia lagi. Semakin banyak mereka menderma, semakin banyak rezeki mereka Allah berikan.
Mereka tidak dapat pahala kerana syarat dapat pahala adalah beriman. Kalau kufur, tidak ada pahala langsung. Dan ada banyak kekufuran yang manusia boleh lakukan. Salah satu cabang kufur adalah syirik dan ini adalah kufur terbesar dan dosa terbesar. Ia sampai boleh menggugurkan iman sedangkan kalau buat dosa besar lain pun masih tak gugur iman lagi.
Bukan sahaja iman gugur, tapi amalan baik yang pernah dibuat dulu pun akan jadi kosong. Ini kerana dosa syirik ini amat besar dan amat bahaya sekali. Malang sekali kalau amal baik kita banyak, tapi kita ada pula fahaman syirik. Nauzubillah!
Sedangkan kita perlu pahala dari amalan-amalan baik kita itu. Amalan yang baik ada kesannya di dunia lagi dan akan dibalas lagi di akhirat. Sebagai contoh, solat yang baik akan menenangkan hati kita; infak yang dikeluarkan akan menambah rezeki kita. Solat yang kita lakukan akan menghalang keburukan. Itu semua adalah contoh kebaikan yang Allah beri semasa di dunia lagi. Tetapi orang yang melakukan syirik langsung tidak dapat kebaikan di dunia dan di akhirat pun tidak ada pahala buat dijadikan bekal.
Baik, dari segi pahala untuk akhirat, kita sudah faham. Tapi dalam ayat ini Allah sebut حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ. Maknanya di dunia pun mereka tidak akan dapat habuan dari amalan baik mereka itu. Jadi apakah maksud فِي الدُّنيا itu? Amal kebaikan yang kita lakukan, sebenarnya Allah sudah balas semasa di dunia lagi. Contohnya solat akan menyelamatkan kita dari musibah, sedekah menambah rezeki, puasa menaikkan iman kita.
وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ
dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.
Di akhirat nanti tidak akan ada pembantu untuk mereka. Puak Yahudi sangka mereka itu orang kesayangan Tuhan, tapi tidak sama sekali! Mereka akan diazab! Allah takkan bantu mereka di akhirat kelak. Dan orang Kristian pula sangka yang Nabi Isa yang mereka puja dan sembah itu akan membantu mereka. Tapi Allah jawab jangan harap. Mereka tidak akan sebarang penolong. Kalimah مِن ditambah sebagai penekanan yang mereka tidak akan satu penolong pun.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 Ogos 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Dr Hamka
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
