Tafsir Surah Ali Imran Ayat 15 (Nikmat yang Berkekalan)

NIKMAT YANG BERKEKALAN

Ali Imran Ayat 15: Ayat ini adalah bayangan kepada maksud حُسنُ المَآبِ (tempat kembali yang sebaik-baiknya) yang disebut dalam ayat sebelum ini. Inilah yang kita kena kejar sebenarnya. Maka Allah suruh kita bandingkan: hendak yang tidak kekal atau hendak yang kekal? Boleh fikir atau tidak?

۞ قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِّن ذٰلِكُم ۚ لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها وَأَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

SAHIH INTERNATIONAL
Say, “Shall I inform you of [something] better than that? For those who fear Allah will be gardens in the presence of their Lord beneath which rivers flow, wherein they abide eternally, and purified spouses and approval from Allah. And Allah is Seeing of [His] servants –

MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

 

قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِّن ذٰلِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? 

Mahukah kalau Allah ‎ﷻ beritahu yang lebih baik daripada nikmat-nikmat dunia yang disebut dalam ayat sebelum ini? Allah ‎ﷻ suruh Nabi Muhammad tanya dalam bentuk soalan supaya menarik minat manusia untuk tahu jawapannya. Supaya teruja untuk tahu apa yang hendak disampaikan. Ini adalah salah satu dari cara menarik minat manusia. Tentulah kita mahu tahu, bukan? Tambahan pula yang menyampaikannya adalah Rasulullah dan baginda dapat pun daripada Allah!

Kalimah أَؤُنَبِّئُكُم (Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu) daripada katadasar ن ب ا yang bermaksud tinggi; berita; maklumat; nubuwwat; nabi; untuk memaklumkan; mesej; pengumuman (orang yang diberi kitab suci). Maka kalimah أَؤُنَبِّئُكُم bermaksud pemberitahuan tentang ‘berita yang besar’. Bukan setakat khabar biasa sahaja. Kalau khabar (berita biasa) itu, digunakan lafaz ‘خبر’ sahaja. Sebagai contoh, berita biasa (khabar) itu adalah berita pukul 8 yang kita tonton setiap hari dalam berita di TV.

Akan tetapi berita besar adalah berita tentang kejadian tsunami contohnya. Yang kita perlu ambil tindakan. Sebab kalau diumumkan akan ada tsunami, takkan kita hendak duduk relaks lagi, bukan? Tentulah kita akan bertindak dengan segera. Oleh itu, berita-berita besar dalam Al-Qur’an ini bukanlah untuk kita baca sahaja, sebaliknya ada tindakan yang kita kena lakukan – sama ada kita kena berhenti melakukannya kerana ia salah, atau kita kena lakukannya kerana Allah ﷻ suruh kita buat.

Berita-berita itu juga adalah sesuatu yang relevan dengan keadaan masyarakat semasa. Apa yang terjadi zaman dahulu, masih lagi terjadi pada zaman sekarang. Jangan kita lihat kisah para Nabi itu sebagai hanya kisah sejarah sahaja, tetapi kita kena ambil pengajaran daripada kisah mereka. Kerana ia terpakai sampailah ke akhirat.

Lafaz ‘Nabi’ juga diambil daripada kata yang sama, kerana para Nabi itu membawa berita besar kepada umat mereka. Mereka telah menyampaikan berita penting kepada kita yang kita kena tahu, kena faham dan kena ikut. Bukannya kita buat tidak tahu sahaja.

Maka berita dan ilmu yang akan diberitahu ini adalah ilmu yang amat penting. Ia mengajar kita bahawa kita kena melihat perhiasan dunia itu dengan mata berilmu. Bukanlah semuanya indah belaka. Kalau dapat isteri yang mukminah, baguslah. Tapi kalau dapat isteri yang menyakitkan hati, neraka dunialah jawabnya. Dapat anak ramai, tapi tak boleh pakai pun, tidak ada gunanya. Buat malu keturunan sahaja kalau dapat anak pelesit. Harta yang banyak pun boleh buat kita jadi gelisah sebab kena dijaga, kena dipertahankan. Kadangkala orang yang kaya, tidur pun tidak nyenyak kerana banyak perkara dia kena fikirkan.

 

لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Balasan  yang baik ini hanya bagi orang yang bertaqwa, iaitu mereka yang boleh jaga hukum semasa mereka hidup di dunia. Mereka boleh bersabar daripada tergoda dengan pujukan nikmat dunia. Mereka nampak nikmat-nikmat itu di hadapan mereka tetapi mereka tidak terpengaruh. Kerana mereka tahu itu hanyalah dunia sahaja yang sementara, tidak kekal dan rendah kalau dibandingkan dengan akhirat. Oleh kerana itu mereka letak dunia di tangan sahaja, bukannya di hati.

Balaghah: ada taqdim pada kalimat لِلَّذينَ اتَّقَوا (bagi orang-orang bertaqwa). Kalau susunan yang biasa adalah جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ لِلَّذينَ اتَّقَوا. Jadi apabila Allah taqdim (mendahulukan) sebut لِلَّذينَ اتَّقَوا, ia bermaksud eksklusif iaitu syurga itu khusus untuk mereka yang bertaqwa sahaja. Ia bukan untuk orang kaya sahaja, bukan untuk orang berpengaruh sahaja. Ia adalah untuk orang bertaqwa sahaja. Jadi kalau kita tidak ada taqwa, maka jangan berangan untuk masuk ke syurga! Allahu Akbar!

Dan kemudian Allah tambah عِندَ رَبِّهِم (di sisi Tuhan mereka). Ia untuk menunjukkan betapa hebatnya syurga itu dan syurga itu dekat dengan Allah. Ini seperti doa Asiah isteri Firaun yang minta syurga dekat dengan Allah seperti disebut di dalam Tahreem:11

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ ءآمَنُوا امرَأَتَ فِرعَونَ إِذ قالَت رَبِّ ابنِ لي عِندَكَ بَيتًا فِي الجَنَّةِ
Dan Allah ﷻ membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata: “Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga

Yang Allah ‎ﷻ akan sebut ini beribu juta kali lebih bagus daripada perhiasan dunia yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Bayangkan anak yang kita banggakan itu, tentunya ada masalah dia. Kadangkala anak-anak itulah juga yang memalukan muka kita. Kalau ada harta yang banyak pun, tidaklah menyenangkan semua kerana harta yang banyak pun, kita kena jaga. Begitulah juga dengan mana-mana nikmat di dunia, ada sahaja kekurangannya kalau kita tengok. Yang kita tidak nampak sekarang hanyalah kerana cinta itu buta; kita membutakan mata kita kepada kekurangan yang ada pada nikmat dunia itu sahaja.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mulakan dengan sebut nikmat dalam bentuk jasmaniah (fizikal). Iaitu Allah beritahu ﷻ yang mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya. Nikmat di dalam syurga itu tidak dapat digambarkan kerana akal kita tidak akan cukup untuk memahaminya. Akan tetapi Allah memberi bayangan syurga itu supaya kita boleh terliur apabila teringat kepadanya.

Allah ‎ﷻ selalu menyebut sungai di bawah syurga kerana tempat ada airlah yang disukai oleh manusia. Kalau dapat duduk di rumah yang ada air sungai, air laut, itu memang kesukaan manusia. Sebab itu kalau hotel pandang ke arah laut pun (ocean view) sudah lebih mahal dari yang pandang ke arah lain. Tambahan pula kalau hotel itu sendiri di atas air, tentu lagi mahal. Kalau kita hidup di dunia, agak mustahil kita akan dapat duduk di rumah yang ada sungai mengalir di bawahnya, bukan? Tapi di syurga nanti, semua rumah ada sungai. Dan sungai pula ada empat jenis seperti yang disebut di dalam ayat yang lain. Lihat Muhammad:15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

 

خٰلِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya. 

Kalau tinggal di tempat yang menyenangkan, tetapi sekejap sahaja, itu bukan nikmat sebenar. Macam kita kalau duduk di hotel yang beribu ringgit semalam pun, tetapi dalam hati kita, kita tahu yang kita hanya duduk sekejap sahaja di situ. Esok lusa kena keluar juga. Akan tetapi ahli syurga itu duduknya adalah selama-lamanya. Maka ahli syurga akan tenang sahaja di sana kerana dia tidak takut yang dia akan dikeluarkan.

Ingat tak lagi di dalam Ayat 14 sebelum ini disebut البَنينَ (anak-anak)? Dan antara sebab manusia mendambakan anak adalah untuk kelangsungan nama mereka, kerana mereka tahu yang mereka akan mati. Jadi tidak ada keperluan ini di dalam syurga lagi kerana mereka sendiri akan kekal hidup.

Jadi ahli syurga akan duduk di dalam syurga itu tidak tua-tua, tidak akan mati.

 

وَأَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ

Disediakan juga pasangan-pasangan yang suci bersih, 

Kalau duduk tempat nikmat, duduk pula selama-lamanya, tetapi kalau duduk seorang sahaja pun, tentu tidak menggembirakan kerana kita manusia memang tidak suka tinggal berseorangan. Maka Allah ‎ﷻ berikan teman hidup untuk ahli syurga.

Perhatikan kalimah أَزوٰجٌ di sini bermaksud ‘pasangan’ dan ia boleh jadi pasangan lelaki atau wanita, suami dan isteri. Sedangkan di dalam Ayat 14 sebelum ini digunakan kalimah khusus untuk wanita iaitu النِّسآءِ. Maknanya seorang lelaki akan dapat pasangan wanita yang suci dan wanita juga akan dapat pasangan suami yang suci juga.

Tetapi kenapa ada perbezaan pula? Kenapa khusus disebut wanita di dalam Ayat 14 dan sekarang menjadi umum pula? Ini kerana dalam Ayat 14, Allah sedang memperincikan perkara-perkara dunia yang menjadi tarikan/ujian terbesar kepada kaum lelaki sebagai penggerak utama aktiviti dunia. Dari segi psikologi dan fitrah, tarikan visual dan fizikal terhadap wanita (النِّسآءِ) adalah ujian yang paling dominan bagi kaum lelaki. Oleh itu, Allah menyebut secara spesifik (النِّسآءِ) untuk memberikan amaran langsung tentang ujian yang paling sukar dikawal oleh lelaki di dunia. Jika Allah sekadar menyebut “pasangan” (أَزوٰجٌ) di dalam Ayat 14, ia kurang memberikan kesan psikologi amaran (tahzir) yang kuat kepada kaum lelaki yang sememangnya mudah tewas dengan fitnah wanita di dunia.

Apabila masuk ke Ayat 15, fokus berubah daripada “ujian” kepada “ganjaran” bagi orang-orang yang bertakwa (لِلَّذينَ اتَّقَوا). Golongan bertakwa ini terdiri daripada lelaki dan juga wanita. Jika Allah mengekalkan penggunaan kalimah النِّسآءِ di dalam syurga (contohnya: “dan bagi mereka wanita-wanita yang disucikan”), ia akan kelihatan seolah-olah ganjaran syurga itu hanya eksklusif untuk lelaki sahaja, manakala orang wanita yang bertakwa tidak mendapat bahagian mereka. Dengan menukarkan kalimah kepada أَزْوَاجٌ (pasangan-pasangan) yang bersifat umum (neutral dari segi jantina), ia bermakna lelaki bertakwa mendapat pasangan mereka (bidadari & isteri dunia yang disucikan). Dan wanita bertakwa juga mendapat pasangan mereka (suami dunia yang disucikan kembali menjadi muda/tampan, atau pasangan yang menyenangkan hati mereka). Ini menunjukkan keadilan mutlak Allah di akhirat kelak dalam meraikan ganjaran buat kedua-dua jantina.

Satu lagi sudut pandang yang sangat halus: Di Dunia (Ayat 14): Hubungan manusia dengan wanita kerap kali didasari oleh syahwat fizikal (sebab itu Ayat 14 menyebut حُبُّ ٱلشَّهَوٰتِ – keinginan syahwat). Perkataan النِّسآءِ (wanita) menggambarkan sosok fizikal yang dipandang. Sedangkan di Syurga (Ayat 15), hubungan itu bukan lagi hubungan syahwat yang rendah atau kotor. Ia dinaikkan taraf menjadi hubungan زوج (Pasangan). Dalam bahasa Arab, زوج bermaksud dua entiti yang bergabung menjadi satu kesatuan yang harmoni dan saling melengkapi (ketenangan jiwa, cinta, dan kasih sayang yang suci). Ini kerana di syurga tidak ada lagi istilah “memuaskan nafsu terhadap wanita” semata-mata, sebaliknya ia adalah “kebahagiaan bersama pasangan” yang suci dari segi fizikal dan rohani (مُطَهَّرَةٌ).

Pasangan itu pula dari jenis yang suci مُطَهَّرَةٌ daripada segi fizikal dan juga dari segi akhlak. Daripada segi jasmani, mereka tidak ada kekotoran najis dan bau yang tidak enak. Tidaklah kita tengah sembang dengan dia, tiba-tiba dia hendak pergi tandas sekejap. Tidak ada haidh langsung, selesema bersin itu apa semua tidak ada. Gigi tak payah gosok pun. Malah amat cantik dipandang mata dan tidak ada cacat cela langsung. Ini adalah dari segi hissi (fizikal).

Dan daripada segi maknawi iaitu dari segi akhlak dan hati, mereka tidak ada langsung sifat buruk. Contohnya, tidaklah ada perasaan cemburu dan marah-marah seperti pasangan kita sekarang. Tidak ada dengki, tidak ada kesedihan

Di dalam ayat sebelum ini disebut salah satu kehendak syahwat adalah wanita. Tentulah ini lebih baik dari pasangan kita di dunia. Kerana isteri kita itu betapa baiknya dan hebatnya dia, tentulah ada kekurangannya juga, seperti juga manusia yang lain. Akan tetapi pasangan di syurga itu sempurna segala-galanya kerana Allah akan pastikan mereka begitu. Dan jangan lupa, pasangan kita di syurga itu mungkin juga pasangan yang sama juga di akhirat. Cuma tentulah Allah telah sempurnakan isteri kita itu.

Jadi nikmat fizikal yang kita di dunia tidak akan dapat menandingi nikmat fizikal di syurga kelak. Kita boleh lihat nikmat di syurga itu telah upgrade dari nikmat di dunia. Isteri pun akan diganti dengan isteri yang lebih baik. Akan tetapi tidak disebut pula anak. Ahli syurga itu mungkin tidak ada keinginan kepada anak kerana dia pun tidak pernah dapat anak di dunia. Atau, anak-anaknya sendiri pun sudah dapat masuk ke syurga dan duduk bersamanya dan ini disebut di dalam Thur:21,

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَاتَّبَعَتهُم ذُرِّيَّتُهُم بِإيمٰنٍ أَلحَقنا بِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَمآ أَلَتنٰهُم مِّن عَمَلِهِم مِن شَيءٍ ۚ كُلُّ امرِئٍ بِما كَسَبَ رَهينٌ
Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.

Akan tetapi kalau ahli syurga itu tidak ada anak di syurga, bolehkah dia minta anak juga? Nabi ﷺ menjelaskan bahawa jika seorang ahli syurga sangat menginginkan anak, proses kehamilan, kelahiran, dan tumbesaran anak tersebut akan berlaku dengan sangat cepat (bahkan dalam tempoh satu jam atau sekelip mata sahaja). Hadis tersebut telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, Ibn Majah, dan Imam Ahmad:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْمُؤْمِنُ إِذَا اشْتَهَى الْوَلَدَ فِي الْجَنَّةِ كَانَ حَمْلُهُ وَوَضْعُهُ وَسِنُّهُ فِي سَاعَةٍ كَمَا يَشْتَهِي
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
“Seorang mukmin itu apabila dia sangat menginginkan anak di dalam syurga, maka proses mengandungkannya, melahirkannya, dan tumbesaran umurnya (menjadi dewasa) akan berlaku dalam tempoh satu saat (sangat cepat/seketika), seumpama apa yang dia inginkan.”

(Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 2563, Ibn Majah, no. 4338 & Ahmad. Dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani)

Di dalam ayat sebelum ini disebut harta dari emas dan perak. Tidak disebut di sini kerana harta dan perak itu digunakan untuk mendapatkan apa yang kita kehendaki di dunia. Di syurga, segala apa yang kita kehendaki sudah tersedia, maka tidak ada keperluan kepada matawang seperti emas dan perak lagi. Tapi kalau untuk perhiasan, memang ada dalil yang menyebut ahli syurga akan dipakaikan dengan perhiasan dari emas dan perak. Allah sebut di dalam Hajj:23

يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤًا ۖ وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ
“Mereka dihiaskan di dalam syurga itu dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ adalah sutera.”

Dan di dalam Insan:21 disebut perhiasan dari perak:

عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُندُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ ۖ وَحُلُّوا أَسَاوِرَ مِن فِضَّةٍ
“Mereka memakai pakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal (yang berkilauan), dan mereka dihiasi dengan gelang-gelang dari perak...”

Malah peralatan yang digunakan untuk menghidangkan makanan dan minuman di syurga juga diperbuat daripada emas dan perak yang sangat indah. Lihat Zukhruf:71,

يُطَافُ عَلَيْهِم بِصِحَافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ
“Diedarkan kepada mereka piring-piring dan piala-piala daripada emas…”

Dan disebut juga di dalam Insan:15,

وَيُطَافُ عَلَيْهِم بِآنِيَةٍ مِّن فِضَّةٍ وَأَكْوَابٍ كَانَتْ قَوَارِيرَا
“Dan diedarkan kepada mereka bejana-bejana daripada perak dan piala-piala yang bening laksana kaca.”

Malah ketika para sahabat bertanya tentang binaan syurga, Nabi ﷺ bersabda:

لَبِنَةٌ مِنْ ذَهَبٍ وَلَبِنَةٌ مِنْ فِضَّةٍ، وَمِلاَطُهَا الْمِسْكُ الأَذْفَرُ…
“(Binaan syurga itu) satu bata daripada emas dan satu bata daripada perak, simennya (pelekatnya) adalah kasturi yang sangat harum…”

(Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 2526 & Ahmad. Dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani)

Jadi tidaklah ada kekeringan emas dan perak di syurga nanti. Bagaimana pula dengan kuda? Kalau hendak kuda, kuda pun boleh dapat, tidak ada masalah dalam syurga. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, seorang sahabat datang bertanya kepada Nabi ﷺ kerana dia sangat meminati kuda di dunia:

عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَلْ فِي الْجَنَّةِ مِنْ خَيْلٍ؟ قَالَ: إِنِ اللَّهُ أَدْخَلَكَ الْجَنَّةَ فَلاَ تَشَأْ أَنْ تُرْكَبَ فِيهَا عَلَى فَرَسٍ مِنْ يَاقُوتَةٍ حَمْرَاءَ تَطِيرُ بِكَ فِي الْجَنَّةِ حَيْثُ شِئْتَ إِلاَّ فَعَلْتَ
Daripada Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ: “Wahai Rasulullah, adakah di dalam syurga ada kuda?” Baginda ﷺ menjawab: “Jika Allah memasukkanmu ke dalam syurga, lalu kamu berkeinginan untuk menunggang seekor kuda yang diperbuat daripada permata yaqut (delima) merah yang boleh terbang membawa kamu di dalam syurga ke mana sahaja yang kamu kehendaki, nescaya kamu pasti akan dapat melakukannya.”

(Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 2544. Dinilai hasan oleh sebahagian ulama dan mempunyai syawahid/sokongan)

Binatang ternak bagaimana? Pun ada juga kerana ada hadis yang memberi isyarat sebegitu,

صَلُّوا فِي مَرَاحِ الْغَنَمِ، فَإِنَّهَا مِنْ دَوَابِّ الْجَنَّةِ
“Solatlah kamu di kandang-kandang kambing, kerana sesungguhnya ia termasuk binatang syurga.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah, no. 769. Sahih)

Tanaman pun tidak perlu sebenarnya sebab semua keperluan makanan kita akan dipenuhi. Tapi kalau ada yang memang suka bercucuk tanam, pun akan dapat juga,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَوْمًا يُحَدِّثُ، وَعِنْدَهُ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ: أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ اسْتأْذَنَ رَبَّهُ فِي الزَّرْعِ، فَقَالَ لَهُ: أَلَسْتَ فِيمَا شِئْتَ؟ قَالَ: بَلَى، وَلَكِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَزْرَعَ. قَالَ: فَبَذَرَ، فَبَادَرَ الطَّرْفَ نَبَاتُهُ وَاسْتِوَاؤُهُ وَاسْتِحْصَادُهُ، فَكَانَ أَمْثَالَ الْجِبَالِ، فَقَوْلُ اللَّهُ: دُونَكَ يَا ابْنَ آدَمَ، فَإِنَّهُ لَا يُشْبِعُكَ شَيْءٌ. فَقَالَ الْأَعْرَابِيُّ: وَاللَّهِ لَا تَجِدُهُ إِلَّا قُرَشِيًّا أَوْ أَنْصَارِيًّا، فَإِنَّهُمْ أَصْحَابُ زَرْعٍ، فَأَمَّا نَحْنُ فَلَسْنَا بِأَصْحَابِ زَرْعٍ. فَضَحِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ, bahawa pada suatu hari Nabi ﷺ sedang berbicara (menyampaikan ilmu) dan di sisi baginda ada seorang lelaki daripada kalangan Arab Badwi (penduduk pedalaman). Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya ada seorang lelaki daripada ahli syurga meminta izin kepada Tuhannya untuk bercucuk tanam. Allah bertanya kepadanya: ‘Bukankah kamu telah berada di dalam segala (nikmat) yang kamu inginkan?’ Lelaki itu menjawab: ‘Benar (wahai Tuhanku), akan tetapi aku ini seorang yang sangat suka bercucuk tanam.’ Nabi bersabda lagi: ‘Lalu lelaki itu pun menabur benih. Maka dengan sekelip mata, benih itu tumbuh, menjadi matang (tegak berdiri), dan sedia untuk dituai, sehinggalah hasilnya bertimbun-timbun sebesar gunung-gunung!’ Lalu Allah SWT berfirman: ‘Ambillah ini wahai anak Adam, sesungguhnya tiada sesuatu pun yang dapat memuaskan hatimu!’ (Mendengarkan kisah itu), lelaki Arab Badwi yang berada di sebelah Nabi tadi terus menyampuk: “Demi Allah (wahai Rasulullah), kamu tidak akan mendapati lelaki itu melainkan dia seorang Quraisy atau seorang Ansar! Ini kerana mereka adalah orang-orang yang suka bercucuk tanam, adapun kami (kaum Badwi) bukanlah orang yang suka bercucuk tanam.” Mendengarkan kata-kata spontan lelaki itu, Rasulullah ﷺ pun tertawa.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 2348 / Hadis Kitab al-Harth wa al-Muzara’ah)

Apa lagi yang kita hendak sebut dan tanya? Tak perlu sebut semua, letih kita nanti hendak fikirkan. Jawapannya apa sahaja yang kita boleh fikirkan, kita boleh dapat. Nabi ﷺ telah memberikan satu kaedah umum yang sangat indah tentang nikmat syurga:

إِنْ يُدْخِلْكَ اللَّهُ الْجَنَّةَ يَكُنْ لَكَ فِيهَا مَا اشْتَهَتْ نَفْسُكَ وَلَذَّتْ عَيْنُكَ
“Jika Allah memasukkanmu ke dalam syurga, maka kamu akan mendapat apa sahaja yang diingini oleh jiwamu dan apa sahaja yang enak (indah) dipandang oleh matamu.”

(Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 2545)

 

وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ

serta keredhaan daripada Allah

Setelah disebut contoh-contoh nikmat jasmani, Allah ‎ﷻ sebut pula nikmat rohani. Nikmat rohani yang akan diberikan adalah keredhaan daripada Allah ‎ﷻ. Kalimah رِضوٰنٌ ini di dalam Wazan (Acuan Kata) فِعْلَان (Fi’lān), iaitu رِضْوَان (Ridwān). Ia bermaksud: Keredaan yang besar, agung, dan sempurna (daripada Allah). Tambahan huruf alif dan nun (ان) di hujung kalimah ini berfungsi untuk memberi penekanan mubalaghah (membawa maksud “sangat melimpah-ruah/sempurna”).

Ini adalah nikmat yang paling hebat sebenarnya. Tidak ada yang lebih hebat daripada nikmat ini. Allah sebut tentangnya di dalam Tawbah:72

وَعَدَ اللَّهُ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ ۚ وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ أَكبَرُ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di Syurga ‘Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar; itu adalah kejayaan yang besar.

Bayangkan, kalau ayah kita kata dia bangga dengan kita pun, kita sudah suka. Bagaimana kalau majikan kita bangga dan puji kita? Pun kita suka, bukan? Bagaimana kalau Perdana Menteri bangga dengan kita? Lagi besar, bukan? Namun adakah yang lebih besar daripada pujian Allah ‎ﷻ? Tidak ada lagi. Bayangkan Allah ‎ﷻ beritahu kita yang Dia redha dengan kita, dengan apa yang kita telah lakukan semasa di dunia, tidak terbayang nikmat itu. Tambahan pula Allah sendiri ada sebut (melalui hadith) yang inilah nikmat yang terbesar,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَقُولُ لِأَهْلِ الجَنَّةِ: يَا أَهْلَ الجَنَّةِ؟ فَيَقُولُونَ: لَبَّيْكَ رَبَّنَا وَسَعْدَيْكَ، فَيَقُولُ: هَلْ رَضِيتُمْ؟ فَيَقُولُونَ: وَمَا لَنَا لاَ نَرْضَى يَا رَبِّ وَقَدْ أَعْطَيْتَنَا مَا لَمْ تُعْطِ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ؟ فَيَقُولُ: أَنَا أُعْطِيكُمْ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ، قَالُوا: يَا رَبِّ وَأَيُّ شَيْءٍ أَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ؟ فَيَقُولُ: أُحِلُّ عَلَيْكُمْ رِضْوَانِي، فَلاَ أَسْخَطُ عَلَيْكُمْ بَعْدَهُ أَبَدًا
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah تَبَارَكَ وَتَعَالَى akan menyeru kepada ahli syurga: ‘Wahai ahli syurga!’ Maka mereka pun menjawab: ‘Kami menyahut seruan-Mu wahai Tuhan kami, dan kami sedia melaksanakan perintah-Mu dengan penuh kebahagiaan.’ Allah bertanya: ‘Adakah kamu semua sudah berpuas hati (reda)?’ Mereka menjawab: ‘Bagaimanakah kami tidak reda (puas hati) wahai Tuhan kami, sedangkan Engkau telah mengurniakan kepada kami nikmat-nikmat yang tidak pernah Engkau berikan kepada seorang pun daripada makhluk-Mu yang lain?’ Lalu Allah berfirman: ‘Mahukah Aku kurniakan kepada kamu sesuatu yang lebih utama daripada semua nikmat ini?’ Mereka bertanya: ‘Wahai Tuhan kami, apakah perkara yang lebih utama daripada nikmat (syurga) ini?’ Allah berfirman: ‘Aku melimpahkan keredaan-Ku (رِضْوَانِ) ke atas kamu sekalian, dan Aku tidak akan murka kepada kamu selama-lamanya selepas ini.'”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6549 & Muslim, no. 2829)

Maka hilanglah segala ketakutan ahli syurga nanti kerana Allah kata Dia tidak akan murka kepada mereka lagi selama-lamanya. Inilah yang kita kena kejar semasa kita hidup di dunia ini.

Kalimah redha ini ada dua maksud sebenarnya. Yang kita telah sebut, Allah redha dan puas hati dengan kita. Satu lagi maksud, ahli syurga itu yang redha dan puas hati dengan apa yang Allah telah berikan. Kalau nikmat dunia, banyak mana pun kita ada, kita pasti tidak akan rasa puas; tetapi kalau dengan nikmat syurga, ditambah dengan redha Allah ‎ﷻ, ahli syurga itu akan puas sepuas-puasnya. Tidak ada lagi bantahan atau kritikan terdapat nikmat itu. Semoga apabila kita mati kelak, Allah akan sambut kita dengan memberi RedhaNya seperti disebut di dalam Fajr:27-28

يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفسُ ٱلمُطمَٮِٕنَّةُ (٢٧) ٱرجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرضِيَّةً (٢٨)
Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! (27) Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! (28) 

Dan ada hadis Rasulullah menyampaikan kepada kita dialog antara ahli syurga dengan Allah yang membayangkan bagaimana mereka telah puas dengan pemberian Allah sampai tidak tahu lagi apa yang hendak diminta.

إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ، قَالَ: يَقُولُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ؟ فَيَقُولُونَ: أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا؟ أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ، وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ؟ قَالَ: فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ، فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ
Apabila ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: “Apakah kalian mahukan sesuatu yang boleh Aku tambahkan lagi untuk kalian?” Ahli syurga menjawab: “Bukankah Engkau telah memutihkan (mencerahkan) wajah-wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?”  Rasulullah SAW bersabda: “Lalu Allah pun membuka hijab (tirai pembatas). Maka tiada satu pun nikmat yang telah diberikan kepada mereka yang lebih mereka cintai daripada melihat kepada Tuhan mereka ‘Azza wa Jalla.”

Riwayat Imam Muslim (No. 181)

Begitulah kata-kata ahli syurga itu dan mereka menjawab begini kerana merasakan nikmat yang ada itu sudah terlalu sempurna dan melimpah-ruah sehingga tidak dapat bayangkan ada nikmat yang lebih besar lagi. Maka Allah tambah lagi dengan beri nikmat yang mereka tidak pernah fikirkan iaitu dapat melihat wajahNya.

 

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

Allah ‎ﷻ sedang melihat kita daripada segi jasmani dan rohani, ke manakah kita akan pergi, dan Allah ‎ﷻ melihat tempat yang sedang kita tuju, sama ada ke syurga atau neraka. Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan dan apa yang kita fikirkan. Semua itu akan dinilai.

Kalau kita dapat sematkan pemahaman ini dalam diri kita, maka kita akan banyak beramal yang baik dan akan takut untuk buat dosa. Kita akan sentiasa jaga amalan kita dan jaga hati kita. Kerana itu Allah ﷻ selalu sebut tentang perkara ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

 

Tafsir Al-Azhar – Prof Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment