Tafsir Surah Yunus Ayat 4 – 5 (Lihatlah penciptaan alam)

Yunus Ayat 4: Sekarang disentuh akidah tentang Akhirat dan balasan yang akan diberikan di sana bagi yang baik dan yang buruk. Ia adalah salah satu daripada akidah yang wajib kita terima. Di dalam ayat ini ada ayat Tabshir Ukhrawi (berita gembira dengan akhirat) dan Takhwif Ukhrawi (ancaman dengan azab akhirat)

إِلَيهِ مَرجِعُكُم جَميعًا ۖ وَعدَ اللَّهِ حَقًّا ۚ إِنَّهُ يَبدَأُ الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ لِيَجزِيَ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ بِالقِسطِ ۚ وَالَّذينَ كَفَروا لَهُم شَرابٌ مِّن حَميمٍ وَعَذابٌ أَليمٌ بِما كانوا يَكفُرونَ

Sahih International

To Him is your return all together. [It is] the promise of Allah [which is] truth. Indeed, He begins the [process of] creation and then repeats it that He may reward those who have believed and done righteous deeds, in justice. But those who disbelieved will have a drink of scalding water and a painful punishment for what they used to deny.

Malay

KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur.

 

إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا

Hanya kepada-Nya-lah kamu semuanya akan kembali;

Semua makhluk akan dikumpulkan kepada-Nya, tidak ada satu pun yang akan tertinggal. Baik yang derhaka atau yang taat setia, semua akan dihadapkan kepada Allah ﷻ. Kalau dalam dunia ada perhimpunan, mungkin ada yang boleh lari daripada menghadirinya, namun tidak di akhirat nanti.

Kita semua akan *terus* dihadapkan kepada Allah ﷻ untuk diadili. Tidak boleh melencong ke tempat lain. Ini berlawanan dengan kepercayaan Musyrikin Mekah dan mereka-mereka yang berakidah yang sama dengan mereka. Mereka sangka yang mereka akan bertemu dengan ‘pemberi-pemberi Syafaat’ mereka. Ayat ini adalah kesinambungan daripada ayat 3 sebelum ini tentang hal Pemberi Syafaat.

Mereka sangka sembahan-sembahan mereka semasa di dunia dahulu akan memberi pertolongan kepada mereka dalam bentuk Syafaat di akhirat kelak. Kononnya kerana mereka telah puja, telah sembelih kambing lembu dan sebagainya, maka mereka akan ditolong. Pada mereka, sembahan-sembahan mereka itu akan menjadi seperti ‘peguam’ yang akan membawa kes mereka kepada Tuhan. Kononnya ini seumpama kita di mahkamah, di mana kita tidak perlu bercakap pun, sebab kita sudah mengupah peguam kita untuk mewakili dan membela kita.

Maka, mereka sangka berhala yang mereka sembah, malaikat yang mereka seru dan apa-apa lagi yang mereka sembah itu, akan menunggu mereka di akhirat kelak untuk membantu mereka. Mereka sangka mereka akan bertemu dengan sembahan mereka itu dahulu sebelum bertemu dengan Allah ﷻ. Itu pun jikalau akhirat terjadi, kerana mereka bukan percaya ada kehidupan akhirat pun.

Pada mereka, kalau ada akhirat pun, mereka akan selamat kerana mereka sudah pasang ‘kaki’. Mereka sangka mereka tidak perlu pun untuk menjawab dengan Allah ﷻ kerana mereka sudah ada ‘peguam’. Ini adalah fahaman dan sangkaan yang amat salah.

Begitu jugalah pemahaman agama lain seperti agama Buddha. Penganut agama Buddha sangka mereka akan dikumpulkan kepada Gautama Buddha dan beliau akan mewakili mereka untuk berjumpa dengan Tuhan. Begitu juga dengan penganut Kristian, mereka sangka mereka akan bertemu dengan Jesus di akhirat kelak yang mereka sangka akan membela mereka. Begitu jugalah pemahaman penganut agama lain.

Masyarakat Islam kita yang sekarang sedang rancak meminta syafaat kepada Nabi Muhammad ﷺ pun sebenarnya adalah seperti itu juga. Mereka sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi ‘peguam’ yang dapat menyelamatkan mereka daripada azab Allah ﷻ. Ada yang puja wali itu dan ini pun sangka wali (lantikan mereka sendiri) akan membantu mereka nanti.

Anggapan itu semua adalah anggapan yang salah kerana ayat ini menekankan kepada kita bahawa kita semua akan *terus* dibawa kepada Allah ﷻ. Apabila terus dibawa kepada Allah ﷻ, maknanya, kita terus kena jawab kepada Allah ﷻ. Tidak ada yang akan mewakili kita dan mempertahankan kita. Kita kena berharap kepada diri kita dan amalan kita sahaja. Maka jangan berharap kepada orang lain.

 

وَعْدَ اللَّهِ حَقًّا

sebagai janji yang benar daripada Allah,

Iaitu janji Allah ﷻ yang sesiapa yang berbuat kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, dan sesiapa yang berbuat jahat akan dibalas dengan azab. Allah ﷻ bawa kita kepada-Nya untuk memenuhi janji-Nya yang telah diberikan kepada kita. Semuanya nanti akan dibalas dengan adil, tidak akan ada sekelumit kekejaman daripada keputusan Allah ﷻ. Apabila Allah ﷻ berjanji, pasti akan ditunaikan. Kalau manusia yang berjanji, belum tentu lagi dapat dipenuhi.

 

إِنَّهُ يَبْدَأُ الْخَلْقَ

sesungguhnya Allah menciptakan makhluk pada permulaannya

Ini adalah ayat dalil untuk menjawab kemusykilan manusia tentang penciptaan semula. Bolehkah? Tentu boleh sebab Allah ﷻ juga yang jadikan alam ini pada awalnya.

Kalimah يَبْدَأُ berasal daripada katadasar ب د أ yang bermaksud ‘memulakan sesuatu’. Yang mula-mula membuat sebelum ada lain yang buat. Allah ﷻlah yang mula-mula mencipta alam ini. Sebelum itu, tidak pernah dicipta alam sebegitu. Allah ﷻ tidak memerlukan contoh untuk mencipta makhluk dan alam ini. Bukan seperti manusia yang mencipta sesuatu mestilah berdasarkan suatu contoh yang telah ada. Sebagai contoh untuk mencipta sebuah kereta berpandukan contoh kereta atau alat pengangkutan yang telah dihasilkan sebelum itu.

Allah ﷻ juga menciptakan sesuatu tanpa perlu ada apa-apa bahan serta alatan untuk menjadikannya. Bukan seperti manusia, yang memerlukan bahan-bahan seperti besi, plastik, getah untuk tayar dan sebagainya serta peralatan mesin dan tenaga manusia bagi menghasilkan sebuah kereta baru. Allah ﷻ tidak memerlukan apa-apa pun.

Daripada katadasar ب د أ ini jugalah datangnya perkataan ‘bid’ah‘. Itulah maksudnya amalan agama yang dimulakan yang tidak pernah diajar dan dilakukan oleh Nabi ﷺ dan para sahabat. Inilah satu perkataan yang menjadi kemelut hebat di negara ini sekarang. Ramai yang sangka mereka faham maksud dan takrif bid’ah ini, namun malangnya boleh dikatakan kebanyakan masyarakat Islam kita keliru dengan maksud bid’ah ini.

Termasuk yang keliru adalah guru-guru agama sendiri yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan sunnah. Maka mereka menyampaikan kekeliruan mereka itu kepada orang awam yang belajar dengan mereka. Maka kerana itulah amalan bid’ah bercambah mekar di negara kita ini kerana ramainya mengikut sahaja amalan orang sebelumnya.

 

ثُمَّ يُعِيدُهُ

kemudian mengulanginya (menghidupkannya) kembali,

‘Mengulangi’ dalam ayat ini bermaksud Allah ﷻ menjadikan makhluk itu sekali lagi setelah alam ini dihancurkan. Bermaksud Allah menghidupkan kembali makhluk itu di hari kebangkitan. Allah ﷻ menjadikan makhluk pada asal kejadiannya, kemudian mematikannya, dan kemudian akan menghidupkannya kembali.

Oleh itu, kenapa begitu susah untuk menerima konsep ‘kebangkitan semula’? Musyrikin Mekah dan atheist tidak dapat menerima konsep ‘kebangkitan semula’. Manakah yang lagi susah: menjadikan semula atau menciptakannya pertama kali? Tentu penciptaan yang pertama kali itulah kalau difikirkan mengikut logik, lebih susah daripada menghidupkan semula. Melakukan perkara yang sama kali kedua tentunya lebih mudah daripada kali pertama.

Sebagai contoh, sekiranya kita sudah pernah menjalani satu peperiksaan, dan kemudian  melalui peperiksaan yang sama untuk kali kedua, maka tentulah ia adalah lebih mudah buat kita. Begitu juga, jikalau Allah ﷻ boleh melakukan penciptaan yang asal, tentu lebih mudah bagi Allah ﷻ menjadikan semula makhluk yang telah dimatikan-Nya kerana itu hanya mengulang apa yang telah pernah diperbuat sebelum itu.

Walau bagaimanapun ini adalah penjelasan dari segi logik akal sahaja, kerana pada Allah ﷻ, menjadikan makhluk buat kali pertama dan kali kedua adalah sama mudah sahaja bagi Allah ﷻ. Musyrikin Mekah susah sangat hendak terima yang Allah ﷻ boleh mencipta semula manusia daripada tulang yang telah hancur seperti disebut dalam Yaasin: 78. Maka Allah ﷻ jawab yang di dalam ayat yang selepasnya

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ

Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

قُل يُحييهَا الَّذي أَنشَأَها أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلقٍ عَليمٌ

Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya);

Jelas sekali, tidak mustahil bagi Allah ﷻ untuk membangkitkan kita nanti di akhirat. Malah Allah ﷻ sebut Dia menjadikan semula makhluk itu sepenuhnya seperti kejadian asal manusia itu termasuk ruas jari jemari (cap jari). Ini seperti disebut dalam Qiyamah: 4

بَلىٰ قادِرينَ عَلىٰ أَن نُسَوِّيَ بَنانَهُ

Bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya

Kenapakah Allah ﷻ menjadikan makhluk dan kemudian menghidupkan kembali?

 

لِيَجْزِيَ الَّذِينَ ءآمَنُوا

agar Dia memberi pembalasan kepada orang-orang yang beriman

Kenapakah adanya kehidupan semula? Tujuan Allah ﷻ menghidupkan kita semula adalah untuk memberikan balasan kenikmatan kepada mereka yang telah beriman. Beriman yang dimaksudkan adalah ‘beriman sempurna’ iaitu iman dalam rangka yang tidak ada syirik di dalamnya. Ramai umat Islam yang ada iman, iaitu percaya seperti apa yang patut dipercayai seperti percaya kepada Allah ﷻ, malaikat dan sebagainya. Namun dalam masa yang sama, mereka ada pula percaya kepada fahaman syirik. Inilah masalahnya kerana iman mereka tidak sempurna.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحَٰتِ

dan yang mengerjakan amal soleh

Iman itu di hati, disebut dengan mulut dan diamalkan dengan perbuatan. Tidaklah lengkap iman itu setakat beriman sahaja tetapi hendaklah ditunjukkan dengan amal perbuatan. Amal perbuatan itu tentulah ibadah yang disyariatkan.

Yang penting, amal itu mestilah amal yang soleh. Ini yang menjadi masalah dalam kalangan masyarakat kita. Sepatutnya amal yang soleh adalah amalan yang diajar oleh Allah ﷻ dan Nabi. Namun malangnya ramai yang beramal dengan amalan tanpa dalil yang sah. Ini bahaya kerana amal yang bukan daripada Allah ﷻ dan Nabi adalah amalan bid’ah dan kita telah sebut tentang bid’ah di atas tadi. Kita sepatutnya tidak melakukan amal yang bid’ah.

 

بِالْقِسْطِ

dengan adil.

‘Adil’ bermaksud makhluk akan mendapat apa yang mereka patut dapat. Mereka tidak akan dizalimi. Segala amalan baik akan dibalas baik, malah digandakan. Sementara untuk amalan yang berdosa, hanya dibalas sama sahaja. Tidak ada penambahan untuk perbuatan dosa. Tidak ada mana-mana amalan baik yang ketinggalan daripada dibalas, dan tidak ada dosa diberikan dengan tersilap.

Begitulah keadilan yang Allah ﷻ berikan kepada makhluk-Nya. Namun harus ingat, keadilan ini hanya akan didapati di akhirat sahaja. Di dunia mungkin kita tidak mendapat balasan yang adil. Bayangkan ramai manusia bekerja semenjak muda untuk mengumpul harta. Dia akhirnya kaya pada waktu usia tua, namun hendak menikmati harta itu tenaga kederat pula sudah tidak ada. Maka rugilah dia, sebab lama kumpul harta, tetapi tidak dapat digunakan sepenuhnya. Ini tidak adil.

Berbeza pula dengan nikmat Allah ﷻ balasan yang sangat hebat. Di syurga nanti semua ahlinya akan dimudakan usia mereka dan diberikan dengan balasan yang amat-amat hebat di atas usaha mereka semasa di dunia dahulu. Waktu itu tidak perlu untuk bekerja dan berusaha lagi, tetapi hanya digunakan masa untuk dinikmati sahaja.

Di dunia juga ada orang yang zalim, tetapi selamat. Ini memang tidak adil. Namun begitulah resam dunia di mana tidak semua yang zalim akan terus mendapat balasan. Ini kerana balasan yang sebenarnya adalah di akhirat. Begitu juga, perbuatan baik kita mungkin tidak dibalas baik di dunia. Namun pasti akan mendapat balasan yang berganda di akhirat kelak. Maka carilah keadilan di akhirat, bukannya di dunia. Kerana itulah kalau ada manusia yang kata mereka tidak mendapat keadilan, itu maknanya mereka tidak faham tentang dunia dan akhirat. Mereka sangka mereka patut mendapat keadilan di dunia, tetapi sebenarnya tidaklah begitu.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ

Dan untuk orang-orang kafir disediakan minuman air yang panas

Ini pula takhwif ukhrawi (berita menakutkan di akhirat). Air yang panas itu sangat panas sampaikan akan merosakkan muka apabila diletakkan dekat dengan muka. Suhunya entah beribu juta darjah. Ini bagi mereka yang telah sampai kebenaran kepada mereka tetapi mereka ingkar untuk menerima dan mengamalkannya.

Allah ﷻ banyak kali sebut tentang air panas dalam neraka antaranya Kahf: 29

وَإِن يَستَغيثوا يُغاثوا بِماءٍ كَالمُهلِ يَشوِي الوُجوهَ ۚ بِئسَ الشَّرابُ وَساءَت مُرتَفَقًا

dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang

Air panas itu ada pula diambil daripada nanah-nanah penghuni neraka itu sendiri. Mereka memang haus tetapi bila diminta air diberikan air nanah panas pula dan mereka sendiri tidak sanggup meminumnya dan dipaksa ke atas mereka seperti disebut dalam Ibrahim: 17

يَتَجَرَّعُهُ وَلا يَكادُ يُسيغُهُ

diminumnya air nanah itu dan hampir dia tidak mampu menelannya

Sekarang bandingkan dengan air minuman bagi penghuni syurga pula disebut dalam Muhammad: 15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى

di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

 

وَعَذَابٌ أَلِيمٌ

dan azab yang pedih

Ada azab yang selain air panas itu yang lebih teruk lagi. Jangan kita sangka hanya dikenakan azab air panas sahaja pula maka di sini Allah ﷻ sebut azab-azab lain secara umum. Tidak diberitahu apakah ia tetapi yang pasti kesemua azab-azab itu amatlah pedih belaka.

 

بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

disebabkan kekufuran mereka.

Balasan yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana salah mereka yang kufur ingkar dengan perintah Allah ﷻ. Adalah lebih baik kalau kita terjemahkan perkataan كفر dengan maksud ‘ingkar’ dan bukan setakat kita kata ‘kafir’. Ini adalah kerana apabila kita menterjemahkan كفر dengan maksud ‘kafir’, ramai dalam kalangan orang Islam akan rasa selamat sebab mereka kata, mereka bukan orang kafir.

Padahal dalam masa yang sama, mereka ingkar dengan arahan Allah ﷻ. Kita juga kena ingat, bukanlah semua orang Islam terselamat daripada seksa neraka. Kalau mereka melakukan dosa, mereka tetap akan dibalas di neraka melainkan mereka diampunkan oleh Allah ﷻ.

Walaupun ada kalangan kita yang mengaku Muslim, namun dalam masa yang sama jika mereka melakukan perkara syirik, maka mereka akan dimasukkan ke dalam neraka seperti orang kafir dan mereka juga akan kekal dalam neraka seperti orang kafir juga.


 

TANDA-TANDA PADA PENCIPTAAN ALLAH ﷻ

Yunus Ayat 5: Ini adalah Dalil Aqli. Allah ﷻ memperkenalkan Diri-Nya lagi dalam ayat ini. Di dalam ayat 3 telah disebut Dia yang  menjadikan langit dan bumi, sekarang disebut lagi yang Dia menjadikan matahari dan bulan. Allah ﷻ menceritakan tentang ciptaan-Nya kepada kita, supaya kita dapat mengetahui kehebatan-Nya.

هُوَ الَّذي جَعَلَ الشَّمسَ ضِياءً وَالقَمَرَ نورًا وَقَدَّرَهُ مَنازِلَ لِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ ۚ ما خَلَقَ اللَّهُ ذٰلِكَ إِلّا بِالحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ

Sahih International

It is He who made the sun a shining light and the moon a derived light and determined for it phases – that you may know the number of years and account [of time]. Allah has not created this except in truth. He details the signs for a people who know

Malay

Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).

 

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً

Dialah yang menjadikan matahari bersinar

Lihatlah matahari yang hebat itu. Perkataan ضِيَاءً berasal daripada katadasar ض و ء yang bermaksud ‘cahaya yang bersinar dan memancar’ iaitu cahaya itu berasal daripada dirinya sendiri seperti yang kita lihat pada matahari. Bukan seperti bulan yang walaupun bercahaya, tetapi cahayanya bukan berasal daripada bulan itu sendiri namun hanyalah pantulan cahaya daripada matahari. Lagi satu, ضِيَاءً ia bermaksud cahaya yang memberi kepanasan.

Seperti kita sudah tahu, matahari adalah sumber cahaya bagi Bima Sakti. Ini kita tahu setelah kita mempelajari ilmu sains. Namun bagaimanakah orang Arab ketika zaman itu tahu tentang perkara ini? Tentulah mereka tidak tahu kerana zaman itu teknologi dan sains tidak ada lagi seperti sekarang. Ini menunjukkan ketepatan ilmu sains yang ada dalam Al-Qur’an ini. Ia tepat kerana ia datang daripada Allah ﷻ. Ini adalah salah satu daripada tanda-tanda kebenaran Al-Qur’an.

Matahari mempunyai sumber cahaya sendiri; ia adalah amat panas dan berwarna kemerahan

Apakah pengajaran kepada kita di sini? Ada dua pengajaran sekurang-kurangnya. Pertama, betapa hebatnya Allah ﷻ mencipta matahari yang telah sekian lama menyala entah berapa juta tahun. Thomas Alva Edison hendak mencipta mentol lampu yang kecil itu pun sampai 10,000 kali katanya dia gagal. Itu baru mentol sahaja dan bukan tahan lama mana pun.

Keduanya, kita dapat tahu betapa kasihnya Allah ﷻ kepada makhluk-Nya dengan diberikan nikmat cahaya matahari yang kita amat perlukan. Dengan cahaya matahari inilah fotosintesis boleh berlaku dan kita dapat hidup dengan memakan tumbuh-tumbuhan. Dengannya juga kita mendapat kebaikan vitamin D yang diperlukan oleh tubuh badan kita serta dapat memanaskan badan kita. Lihatlah bagaimana mereka yang berada di negara empat musim begitu menghargai nikmat cahaya matahari ini apabila mereka lebih banyak terpaksa menghadapi kesukaran di musim sejuk. Apabila tiba musim panas mereka sanggup berjemur semata-mata ingin merasai nikmat cahaya matahari ini. Dengannya baju kita dapat kering, dengannya juga kita tidak perlu memakai baju tebal-tebal dan entah berjuta lagi kelebihan matahari ini. Setiap kali kita lihat matahari, ingatlah nikmat yang besar ini.

Apasih manfaat Matahari bagi kehidupan manusia? -
Antara manfaat matahari kepada manusia dan tumbuhan

وَالْقَمَرَ نُورًا

dan bulan bercahaya

Allah ﷻ juga telah mencipta bulan. Kalimah نُورًا berasal daripada katadasar ن و ر yang juga bermaksud ‘cahaya’, tetapi cahaya yang bagaimana? Ia adalah cahaya tanpa kepanasan dan kemerahan. Atau, kita boleh katakan kalau نُورًا merujuk kepada semua jenis cahaya, tetapi kalimah ضِيَاءً yang digunakan untuk matahari adalah cahaya yang terang benderang.

Seperti kita tahu dalam sains, bulan memang nampak bercahaya, tetapi cahayanya itu bukan daripada dirinya, tetapi datang daripada cahaya matahari. Cahaya bulan itu hanyalah daripada pantulan cahaya yang datang daripada matahari.

Fasa Bulan | Science - Quizizz
Cahaya bulan datangnya daripada matahari

Lihatlah bagaimana tepatnya Al-Qur’an menerangkan tentang cahaya pada matahari dan pada bulan. Allah ﷻ menggunakan perkataan yang berbeza untuk cahaya matahari dan cahaya bulan. Allah ﷻ juga ada menyebut tentang perbezaan kedua-dua cahaya ini di dalam ayat-ayat yang lain seperti Nuh: 16

وَجَعَلَ القَمَرَ فيهِنَّ نورًا وَجَعَلَ الشَّمسَ سِراجًا

“Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),

Juga disebut dalam Furqan: 61

تَبارَكَ الَّذي جَعَلَ فِي السَّماءِ بُروجًا وَجَعَلَ فيها سِرٰجًا وَقَمَرًا مُّنيرًا

Maha Berkat Allah yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang dan Dia menjadikan juga padanya lampu dan bulan yang bercahaya.

Tidak mungkin perkara ini diketahui oleh manusia ketika zaman Nabi Muhammad ﷺ. Maka ini menjadi dalil bagi kita yang tidak mungkin Al-Qur’an ini ditulis oleh Nabi ﷺ. Ilmu sains yang ada pada Al-Qur’an boleh dibuktikan dengan kajian sains moden. Ini bermakna kalau perkara sains itu benar, maka tentulah perkara-perkara lain yang disebut dalam Al-Qur’an itu adalah benar juga. Maka jelas sekali, tentang syurga, tentang neraka dan segala-gala yang disebut dalam Al-Qur’an itu adalah benar belaka.

Cahaya matahari dan bulan tidaklah sama. Kita pula memerlukan kedua-dua jenis cahaya ini. Untuk bekerja di siang hari kita memerlukan cahaya matahari yang terang benderang. Namun di waktu malam kita memerlukan cahaya bulan sahaja, tidak perlu terang sangat. Kalau cahaya sama di malam hari, susah untuk kita hendak tidur, bukan?

 

وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ

dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu,

Kalimah مَنَازِلَ adalah jamak kepada perkataan منزل yang berasal daripada katadasar ن ز ل yang bermaksud ‘turun’. مَنَازِلَ bermaksud ‘tempat yang tetap’ setelah sesuatu itu turun iaitu turun dan kemudian menetap di tempatnya.

Allah ﷻ telah menetapkan tempat-tempat yang tetap untuk bulan dan matahari. Kalimah قَدَّرَ bermaksud menentukan kadar. Bermaksud ada beberapa tempat kedudukan atau tahap bulan itu. Dari bermula sebagai anak bulan, kemudian menjadi bulan sabit, kemudian menjadi separuh dan akhir sekali menjadi bulan penuh. Kemudian berulang kembali proses kitaran fasa bulan itu.

Allah ﷻlah yang menetapkan yang bulan itu ada banyak tahap. Sebagai contoh, kalau kita lihat bulan penuh malam itu, kita akan tahu yang ia adalah pertengahan bulan hijriah. Tentang perubahan bulan ini ada disebut dalam Yaasin: 39

وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَاهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ

Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua.

Sebenarnya bulan dikatakan ada 28 tempat setiap bulan. Maka setiap malam akan ada perubahan tempat bagi bulan. Sebagai contoh, kalau bulan ini kita boleh nampak bulan dari satu tingkap rumah kita, bulan depan, ia akan kelihatan daripada tingkap lain pula. Malah ada ulama’ telah membahagikan fasa bulan setiap bulan kepada lapan fasa bermula daripada al-Hilal sehinggalah al-Muhaq.

Walaupun dhomir هُ di dalam قَدَّرَهُ dari segi bahasa bermaksud satu sahaja, akan tetapi banyak contoh-contoh di dalam Al-Qur’an dan bahasa Arab yang menjadi contoh yang walaupun dhomir yang digunakan satu sahaja, tetapi ia boleh merujuk kepada lebih daripada satu. Maka ia juga merujuk kepada matahari.

Namun ada juga pendapat yang mengatakan memang dhomir هُ itu merujuk kepada bulan sahaja, kerana yang diceritakan di dalam ayat ini adalah tahap-tahap bulan. Tahap bulan berubah-ubah di dalam tempoh sebulan bermula daripada penampakan Anak Bulan (Hilal), kemudian sabitnya membesar dan kemudian mengecil, sehingga akhirnya hilang sebelum keluar Anak Bulan yang baru. Ini boleh dilihat dengan mata kasar sedangkan tahap-tahap matahari sukar dikenalpasti melainkan dengan alat canggih.

Kedudukan bulan yang berubah-ubah dari awal bulan ke hujung bulan

 

Allah ﷻ juga menentukan kadar masa siang dan malam seperti disebut dalam Muzzammil: 20

وَاللَّهُ يُقَدِّرُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ

dan Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang

Maknanya panjang dan pendek siang dan malam adalah dalam ketentuan Allah ﷻ. Ini semua kita selalunya tidak kisah sangat kecuali ketika bulan Ramadhan. Waktu itu satu minit bertukar waktu Maghrib dan Subuh pun kita perasan. Ketahuilah yang itu semua di dalam penentuan Allah ﷻ.

Kajian Astronomi memberitahu kita yang kedudukan segala planet di alam ini adalah amat tepat, sampaikan kalau bergerak sedikit sahaja kedudukan bulan, matahari, bumi dan planet-planet lain, maka akan berantakanlah semua sekali kerana ada daya tarikan graviti dan sebagainya. Semua kadar ini Allah ﷻ yang tentukan supaya boleh ada kehidupan dan ini disebut dalam Furqan: 2

وَخَلَقَ كُلَّ شَيءٍ فَقَدَّرَهُ تَقديرًا

dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya

 

لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ

supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu).

Disebabkan oleh kedudukan bulan yang berubah-ubah itu, kita boleh menentukan waktu. Kita boleh tahu bilakah bulan bermula dan bulan berakhir. Kita menggunakan penentuan itu untuk mengira bulan dan tahun. Sebagai contoh untuk membuat perjanjian untuk berjumpa bolehlah diletakkan penetapan seperti berjumpa ketika awal Syawal. Lebih-lebih lagi ia digunakan untuk menentukan permulaan ibadat seperti permulaan Puasa, Hari Raya dan bulan Haji.

Bukan bulan sahaja yang boleh menentukan masa tetapi matahari juga kerana dhomir ه dalam perkataan وَقَدَّرَهُ itu boleh digunakan untuk bulan dan untuk matahari juga. Semua ini dapat menentukan kalendar yang kita gunakan dalam kehidupan kita. Di dalam Isra’:12 juga Allah ﷻ menyebut tentang nikmat pergerakan bulan dan matahari ini yang membantu kita mengira takwim,

وَجَعَلنَا اللَّيلَ وَالنَّهارَ آيَتَينِ ۖ فَمَحَونا آيَةَ اللَّيلِ وَجَعَلنا آيَةَ النَّهارِ مُبصِرَةً لِتَبتَغوا فَضلًا مِن رَبِّكُم وَلِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ ۚ وَكُلَّ شَيءٍ فَصَّلناهُ تَفصيلًا

Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia daripada Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas.

Di dalam ayat ini kalimah اللَّيلَ merujuk kepada bulan (kerana bulan keluar pada waktu malam) manakala kalimah النَّهارَ merujuk kepada matahari (kerana matahari keluar pada waktu siang). Maka kedua-dua bulan dan matahari terpakai untuk kalendar.

Sekali lagi disebut di dalam Rahman: 5 tentang perkara ini,

الشَّمسُ وَالقَمَرُ بِحُسبانٍ

Matahari dan bulan beredar dengan peraturan yang tertentu;

Apabila matahari dan bulan beredar dengan peraturan tertentu, maka ahli Astronomi semenjak dulu sampai sekarang boleh menggunakan keduanya untuk membuat penentuan waktu.

 

مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ

Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak.

Bukanlah Allah ﷻ mencipta alam ini semua secara main-main tetapi bersebab iaitu sebagai bukti yang Allah ﷻ adalah Pencipta yang Maha Berkuasa. Tidaklah layak Allah ﷻ berbuat sesuatu yang sia-sia kerana Allah ﷻ sebut di dalam Dukhan:  38

وَما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما لٰعِبينَ

Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main;

Salah satu tujuan Allah ﷻ mencipta alam ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menzahirkan hakikat yang Dia adalah Pencipta. Ciptaan-Nya pula amatlah hebat. Lihatlah bulan dan matahari sudah berjuta tahun bergerak, tidak pernah sehari cuti masuk bengkel lagi.

Tujuan alam ini adalah untuk menzahirkan tanda bahawa Allah ﷻlah satu-satunya Tuhan yang wajib disembah. Segala penciptaan itu adalah daripada Allah ﷻ, maka sembahlah Dia sahaja. Jangan sembah yang lain. Malangnya ramai tidak tahu dan melakukan syirik dengan menyembah selain Allah ﷻ. Kalau tidak sembah pun, mereka berdoa kepada selain Allah ﷻ. Perbuatan ini adalah membuang masa sahaja.

Pengajaran lain bagi kita untuk kita fikirkan adalah sekiranya bulan dan matahari ada gunanya, tentulah kita yang dijadikan ini pun ada sebab juga kita dijadikan. Bukanlah kita ini dijadikan sia-sia sahaja. Takkanlah lahir, makan minum dan kemudian mati begitu sahaja? Kalau bulan dan matahari menjalankan tugas dan mengikut tuntutan mereka dijadikan, maka kita pun kenalah juga memenuhi tanggungjawab kita dijadikan.

 

يُفَصِّلُ الْآيٰتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mahu mengetahui.

Allah ﷻ memperjelaskan tanda-tanda Qudrat-Nya. Diberikan tanda itu kepada semua manusia dan jin, tetapi yang mahu menerimanya adalah mereka yang mengetahui iaitu mengetahui bahawa Allah ﷻlah Tuhan yang patut kita sembah dan beribadat kepada-Nya sahaja. Oleh itu, jangan jalankan ibadat kepada makhluk. Jangan beri salam kepada Nabi, wali dan malaikat. Jangan hadiah Fatihah kepada Nabi dan juga wali. Jangan berdoa kepada mereka. Kerana itu semua adalah termasuk dalam perbuatan yang kufur syirik.

‘Yang mengetahui’ di dalam ayat ini adalah mereka yang mengetahui bahawa kita ini dijadikan dengan sebab tertentu. Mereka sedar yang sebagaimana bulan dan matahari juga dijadikan dengan tugasnya masing-masing, kita juga ada tugas kita dijadikan oleh Allah ﷻ.

Kalau dilihat perkataan يَعْلَمُونَ itu di dalam fiil mudhari’ (present tense), ia juga membawa maksud mereka yang sedang cuba sedaya upaya untuk mengetahui. Ini kerana kita masih lagi dalam proses untuk belajar. Belum tentu lagi kita dapat memahaminya dengan mendalam. Oleh itu, Allah ﷻ tidak mensyaratkan kita sudah mengetahui, tetapi cukuplah kalau kita sedang cuba untuk mengetahui. Maka  kalimah يَعْلَمُونَ boleh ditafsirkan sebagai ‘mereka yang mahu mengetahui’.

Juga di dalam ayat ini Allah ﷻ hendak memberitahu kelebihan orang yang berilmu. Banyak kali Allah ﷻ sebut tentang kelebihan orang berilmu seperti di dalam Zumar: 9,

قُل هَل يَستَوِي الَّذينَ يَعلَمونَ وَالَّذينَ لا يَعلَمونَ

“Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”

Maka hendaklah kita berusaha untuk menjadi orang yang berilmu dengan melakukan usaha untuk mendapatkannya. Ia tidak datang begitu sahaja melainkan kena ada usaha juga daripada kita. Kita usaha, dan pemberian ilmu itu Allah yang akan beri. Ini kerana ilmu pengetahuan adalah hak milik Allah ﷻ semata dan Dia pilih siapa yang Dia kehendaki seperti disebut dalam sebuah hadith, daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, maka Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama

(Riwayat Muslim no 1037)

 

Allahu a’lam, sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Mei 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 3 (Salah faham tentang Syafaat)

ASAL USUL PENCIPTAAN

Yunus Ayat 3: Sekarang diberikan dalil aqli kenapa kita kena taat kepada Allah ﷻ. Sekiranya ayat pertama adalah tentang Al-Qur’an, kemudian ayat kedua pula adalah tentang penyampai Al-Qur’an iaitu Rasulullah ﷺ, dan sekarang Allah ﷻ menyebut tentang Diri-Nya pula.

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ ۖ يُدَبِّرُ الأَمرَ ۖ ما مِن شَفيعٍ إِلّا مِن بَعدِ إِذنِهِ ۚ ذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

 
Sahih International

Indeed, your Lord is Allah, who created the heavens and the earth in six days and then established Himself above the Throne, arranging the matter [of His creation]. There is no intercessor except after His permission. That is Allah , your Lord, so worship Him. Then will you not remember?

Malay

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu – setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?

 

نَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah

Allah ﷻ mengingatkan manusia siapakah Tuhan mereka. Peringatan ini diberikan terutama sekali kepada puak musyrikin yang menyembah juga sembahan yang lain. Walaupun mereka juga menyembah kepada yang lain, tetapi Allah ﷻ tetap Tuhan mereka.

Rabb bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara dan memiliki semua makhluk. Ada 3 elemen di situ yang kena ada dan kita kena faham Siapa Rabb:

1. Dia mencipta alam ini

2. Maka Dia memiliki alam ini

3. Dia mengurus dan memelihara alam ini. Semua keperluan makhluk diberi oleh-Nya. Allah ﷻ sahaja yang menguruskan alam ini sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana Nabi, wali atau malaikat. Malaikat itu hanya menerima arahan Allah ﷻ sahaja, bukannya mereka yang menentukan apa yang akan berlaku.

 

الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Yang menciptakan langit-langit dan bumi

Alam ini bukan terjadi sendiri seperti kata saintis yang atheis itu, tetapi Allah ﷻlah yang menjadikan alam ini. Takkan alam yang sebegini hebat boleh terjadi secara tidak sengaja? Memang pelik sungguh akal kalau ada fahaman yang sebegitu.

Adakah lagi tuhan yang lain yang boleh menjadikan alam ini? Tentu tidak ada. Maka sembahlah Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ selalu menyebut dua perkara ini iaitu langit-langit dan bumi kerana ia adalah dua makhluk Allah ﷻ yang besar yang manusia boleh nampak dan perhatikan. Allah ﷻ selalu suruh perhatikan untuk kita sedar tentang kebesaran Allah ﷻ. Maka kena sedar kedudukan kita yang kerdil ini yang amat memerlukan Allah ﷻ.

Kalimah السَّمٰوٰتِ adalah jamak bagi السماء kerana langit itu ada 7 lapis. Namun kalimah الْأَرْضَ pula di dalam bentuk mufrad walaupun bumi pun ada 7 lapis juga seperti disebut dalam Talaq: 12

اللَّهُ الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ وَمِنَ الأَرضِ مِثلَهُنَّ

Allah-lah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi

Namun kenapakah untuk bumi Allah ﷻ menggunakan kalimah الْأَرْضَ dan bukan الْأَرْضَون? Ini adalah kerana tidak sama lapisan langit dan bumi. Lapisan langit itu ada ruang di antaranya sedangkan lapisan bumi rapat antara satu sama lain, maka ia  seolah-olah satu sahaja.

Allah ﷻ hendak menekankan yang Dialah yang menjadikan alam semesta ini. Maka kenapakah tidak sembah dan taat kepada-Nya sahaja? Adakah kamu tinggal di alam lain? Adakah kamu boleh berharap kepada selain Allah ﷻ? Tentu tidak.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia menjadikan alam ini sendirian berhad. Tidak ada bantuan daripada mana-mana makhluk. Maka kenapa hendak disembah dan dipuja dan diminta doa kepada selain daripada Allah ﷻ? Kenapakah ada fahaman sesat yang ada bahagian alam ini ditadbir oleh Nabi, oleh wali?

 

فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ

dalam enam hari,

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa alam ini dijadikan dalam ‘enam hari’ bermula dari hari Sabtu sehingga hari Khamis. Ini adalah maklumat yang kalau Allah ﷻ tidak beritahu kita, kita tidak akan tahu. Allah ﷻ beritahu Dia menjadikan dalam enam hari namun dengan tepat berapa lama, kita tidak dapat tahu kerana jangkamasa يوم (satu hari) itu boleh menjadi pendek atau panjang. Tiada ada sesiapa yang tahu melainkan Allah ﷻ sahaja.

Allah ﷻ beritahu secara ringkas sahaja kerana kita tidak perlu tahu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa satu hari itu sama dengan seribu tahun dalam kiraan kita di dunia ini sekarang. Maklumat ini tidak penting untuk dikaji sangat kerana kita tidak akan tahu.

Sebenarnya Allah ﷻ boleh sahaja menjadikan alam ini dalam sekelip mata. Namun Allah ﷻ hendak mengajar kita bahawa dalam melakukan perkara yang penting, perlu mengambil masa yang lama. Maka ini mengajar kita yang kita perlu ada perancangan dalam kehidupan kita. Kerana itulah kita tertakluk kepada proses dalam kehidupan kita. Allah ﷻ boleh sahaja menjadikan seorang ibu mengandung hari ini dan esok sudah bersalin. Akan tetapi Allah ﷻ menjadikan proses itu mengambil masa selama 9 bulan kerana itulah proses yang kita kena lalui. Ia memberi masa kepada kita untuk bersedia dan tidak kelam kabut. Maka dalam perkara yang penting, kita hendaklah memikirkan rancangan dengan baik untuk menjalankannya.

 

ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ

kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy

Ini adalah ayat mutashabihah, yang kita tidak tahu dengan pasti apakah maksudnya. Semua Imam mazhab dan Imam hadith menerima yang Allah ﷻ bersemayam di Arasy. ‘Bersemayam’ itu dalam bahasa Melayu kita adalah ‘duduk’. Tidaklah tepat sangat terjemahan itu kerana dalam bahasa Arab, duduk itu adalah جلس. Namun kita kena terima hakikat yang bahasa kita ini miskin. Maka kita menggunakan kalimah ‘duduk’ dan kita ubah sedikit menjadi ‘bersemayam’ sebab Raja kita tidak menggunakan kalimah duduk tetapi semayam. Bunyi hebatlah sedikit.

Namun sudah tentulah Allah ﷻ tidak duduk sama sebagaimana kita duduk. Bukannya kita menyamakan Allah ﷻ dengan makhluk. Cuma kita terima seadanya yang Allahﷻ istiwa di langit (luar dari alam sebenarnya, bukan langit kita ini). Hanya puak Jahmiyah sahaja yang menolak Allah ﷻ bersemayam di Arasy. Ini adalah salah kerana nyata ia telah disebut dalam Al-Qur’an, bukan?

Ini adalah jenis ayat-ayat mutashabihah. Ayat mutashabihah adalah ayat-ayat yang kita faham apabila kita baca, tetapi kita tidak tahu cara bagaimana di mana kita hanya tahu Dia duduk, namun duduk yang bagaimana kita tidak tahu. Kerana itulah kita berpegang, kita terima Allah ﷻ duduk di Arasy, tetapi bagaimana caranya, kita tidak tahu. Allah ﷻ bersemayam selayak dengan kedudukan-Nya.

Ayat ini adalah antara ayat yang sering memecah belahkan umat Islam di negara kita. Panjang perbincangan tentang ayat ini. Kita tidak mahu memanjangkan perbincangan itu di sini kerana sesungguhnya ia adalah perbuatan yang membuang masa sahaja dan menyibukkan kita dengan perkara yang tidak perlu difikirkan. Sedangkan banyak lagi perkara lain yang kita patut fikirkan. Namun syaitan sudah menyibukkan umat Islam hari ini dengan perkara sebegini. Perselisihan faham begitu dahsyat berlaku dalam kalangan sesama muslim sendiri sehinggakan timbul tuduhan untuk mengatakan bahawa golongan yang berkata Allah ﷻ istiwa di Arasy adalah sesat.

Kemudian mereka membuat tuduhan dengan mengatakan kenyataan Allah ﷻ istiwa’ di Arasy adalah kufur kerana menyamakan sifat Allah ﷻ dengan makhluk. Sungguh terpesong tuduhan ini. Senario tuduhan seperti ini dinamakan ‘Strawman Fallacy’ (Falasi Orang Jerami). ‘Strawman Fallacy’ maksudnya dia menggambarkan hujah atau kata-kata seseorang itu dengan tidak tepat, kemudian dia mengalahkan hujah yang tidak tepat itu pula. Maksudnya hujah yang mereka kalahkan itu sekadar orang jerami sahaja, bukanlah hujah sebenar orang itu.

 

Mereka telah salahtafsir dengan menyatakan kenyataan Allah ﷻ istiwa’ di Arasy adalah seperti menyamakan Allah ﷻ dengan makhluk walhal tidak pernah kita mengatakan bahawa Allah ﷻ sama dengan makhluk. Namun bukankah kenyataan tersebut telah dinyatakan sendiri oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an? Kemudian dengan salahtafsir hujah inilah mereka sewenang-wenangnya menyerang kita pula.

Sedangkan isu ini merupakan perkara yang mudah sahaja untuk difahami sebenarnya. Contohnya tangan Allah ﷻ tidak sama dengan tangan manusia, bukan? Susah sangatkah hendak faham? Ini samalah seperti kita boleh sahaja membezakan di antara tangan kita dengan tangan beruk. Pasti sekali tidak sama, bukan?

Ringkasnya, kita sebagai seorang Islam sepatutnya menerima apa sahaja yang Allah ﷻ sampaikan dalam ayat-Nya. Tidak layak bagi kita untuk mengubah maksud yang telah disampaikan oleh Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ kata Dia bersemayam di Arasy, maka begitulah yang kita terima. Kita taat dan kita patuh. Senang sahaja sebenarnya, namun kalau sudah degil itu, degillah juga.

Malangnya ramai yang mentakwil (mengubah) ayat ini dengan maksud lain. Antaranya mereka mengatakan yang ‘istiwa’ dalam ayat ini bermaksud ‘memerintah’. Adakah begitu pemahaman Nabi ﷺ dan para sahabat? Tidak. Sebab untuk menerangkan tentang memerintah, kalimah yang lain pula digunakan.

Sementara itu, ada sebahagian pula yang mentakwil dengan mengatakan istiwa itu bermaksud istawla (menguasai). Masalahnya jika ia membawa makna kalimah istawla, ia bermaksud menguasai sesuatu yang sebelum itu belum pernah dikuasai. Adakah mereka hendak mengatakan yang sebelum itu Allah ﷻ tidak menguasai langit dan hanya selepas itu barulah dikuasai? Teramatlah salah pendapat ini. Sebab itu jangan sesuka hati sahaja hendak mentakwil ayat-ayat Al-Qur’an ini.

IMG_20230603_203853_256

Dalam menafsirkan sesuatu ayat Al-Qur’an, kita hanya menerima tafsir yang sahih sahaja. Antaranya sesuatu ayat itu ditafsirkan sendiri oleh ayat Al-Qur’an yang lain; ataupun daripada hadith Nabi; atau daripada kata-kata sahabat kerana sahabat faham Al-Qur’an dan mereka belajar sendiri dengan Nabi ﷺ; jikalau selain daripada itu, kita sewajarnya tidak sepatutnya berani untuk menafsirkan sesuatu ayat itu mengikut pemahaman akal kita semata-mata.

Pegangan kita tentang ayat-ayat sebegini adalah seperti yang Allah ﷻ firmankan di dalam Ali Imran: 7

هُوَ الَّذي أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ فَيَتَّبِعونَ ما تَشَـٰبَهَ مِنهُ ابتِغاءَ الفِتنَةِ وَابتِغاءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأويلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّن عِندِ رَبِّنا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو ٱلأَلبَـٰبِ

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an. Sebahagian besar daripada Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Qur’an. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada Al-Qur’an untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Oleh itu, secara ringkasnya, kita menerima bahawa Allah ﷻ bersemayam di Arasy, tetapi dengan cara yang bagaimana, kita tidak tahu. Bukan tugas kita untuk memikirkan. Ini adalah antara perkara yang kita tidak perlu fikirkan panjang-panjang. Kita tidak diberatkan dengan perkara ini.

Cukup kita tahu yang Arasy itu adalah makhluk Allah ﷻ yang paling besar. Malah ia lebih besar daripada langit dan bumi kerana kita tahu daripada dalil bahawa ia meliputi alam ini. Namun Allah ﷻ tidak suruh kita melihat Arasy, bukan? Kerana kita tidak akan mampu hendak nampak Arasy itu. Tidaklah dapat kita bayangkan betapa besarnya ia.

 

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ

Dia mengatur segala urusan.

Selepas Allah ﷻ sebut tentang istiwa di Arasy, Allah ﷻ memberitahu apa yang Dia tadbir. Oleh kerana Dia memiliki makhluk, maka Dia akan menguruskan keperluan makhluk itu. Seperti kita perlu makan, Allah ﷻlah yang memberi kita makan. Apabila ada rezeki kita telah disediakan oleh Allah ﷻ, ia akan tersedia untuk kita. Makanan kita itu sudah siap menunggu kita kerana ia telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Selagi belum habis rezeki kita yang Allah ﷻ telah tentukan, maka selagi itu nyawa kita masih dikandung badan.

Allah ﷻ menguruskan segala perkara di dalam ini. Setiap perkara sama ada kecil atau besar adalah dalam perancangan Allah ﷻ. Dalam Saba’: 3 Allah ﷻ berfirman:

لَا يَعْزُبُ عَنْهُ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ وَلَا أَصْغَرُ مِنْ ذَٰلِكَ وَلَا أَكْبَرُ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

Tidak ada tersembunyi daripada-Nya sebesar zarrah pun yang ada di langit dan yang ada di bumi dan tidak ada (pula) yang lebih kecil daripada itu dan yang lebih besar, melainkan tersebut dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)”,

Ini bermakna Allah ﷻ bukan menjadikan alam kemudian membiarkannya begitu sahaja. Allah ﷻ menguruskan alam ini daripada sekecil-kecilnya hingga ke sebesar-besarnya. Dia berkuasa ke atas segalanya. Tidak ada yang berlaku tanpa pengetahuan-Nya dan izin-Nya. Tidaklah Allah ﷻ disibukkan oleh satu-satu masalah sehingga tidak dapat menyelesaikan masalah yang lain; Allah ﷻ tidak bosan dengan desakan makhluk yang meminta kepada-Nya; ketika mengatur perkara yang besar, tidaklah membuatnya lalai untuk mengatur perkara yang kecil.

Kadang-kadang kita tidak nampak pun kepentingan perkara-perkara yang terjadi dalam alam ini. Sebagai contoh apabila banjir berlaku, kita mungkin akan berasa tidak senang kerana ia merupakan sebuah musibah dan tidak dapat dirasai hikmahnya dengan jelas serta tertanya-tanya apakah manfaatnya. Namun tahukah anda ada perlunya banjir itu kerana di antara hikmah yang jelas di sebalik kejadian banjir adalah terdapat beberapa jenis ikan yang hanya dapat bertelur apabila tiba musimnya banjir. Ternyata kita pula sebagai manusia memerlukan ikan dan telurnya sebagai sebagai salah satu sumber makanan kita. Sungguh hebat aturan Allah ﷻ menyusun atur segala kejadian di bumi milik-Nya ini. Ma shaa Allah. Tiada kejadian di bawah pentadbir terhebat berlaku secara sia-sia.

Contoh ikan loma yang hanya bertelur di sungai di Perak ketika musim tengkujuh.

 

Begitu juga dengan hujan yang turun. Mungkin ada sesetengah daripada yang tidak suka kerana sedikit sebanyak ia dapat mengganggu kehidupan seharian kita, namun dengan hujan itulah yang menghidupkan rumput sebagai makanan kepada haiwan. Kita memang tidak makan rumput, tetapi kita makan haiwan ternakan itu. Semua itu dalam perancangan Allah ﷻ untuk mengurus makhluk-Nya untuk hidup. Allah ﷻ Maha Tahu keperluan kita dan Dia akan memberi mengikut keperluan kita.

Seluruh alam ini Allah ﷻ uruskan sendiri. Tidaklah berat bagi Allah ﷻ menguruskan tanpa sedikita pun rasa penat. Bukan macam kita, hendak uruskan pejabat dan rumah pun sudah penat. Jangan kata rumah, isteri seorang pun penat untuk diuruskan. Kemudian setelah penat mengurus urusan kerja di pejabat, kita akan balik rumah dalam kepenatan. Allah ﷻ tidak begitu, Allah ﷻ sebut di dalam Ayat Kursi,

وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ ۖ وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما

Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya

Allah ﷻ sedikit pun tidak penat setelah menjadikan alam ini. Maka salahlah akidah Yahudi dan Kristian yang kata Allah ﷻ penat setelah mencipta alam dan kena berehat pada hari Sabtu (Sabbath). Apa mereka sangka Allah ﷻ seperti manusiakah yang kena ambil cuti?

 

مَا مِن شَفِيعٍ إِلَّا مِن بَعْدِ إِذْنِهِ

Tiada seorang pun yang boleh memberi syafa’at kecuali sesudah izin-Nya.

Sekarang Allah ﷻ sebut tentang Syafaat pula. Inilah periode akhir kehidupan kita. Di awal ayat Allah ﷻ sebut tentang penciptaan alam, dan di akhirnya adalah setelah alam musnah dan masuk alam akhirat pula. Waktu itu yang amat-amat diperlukan makhluk adalah Syafaat.

Syafaat bermaksud ‘pertolongan’. Lebih tepat lagi ia bermaksud ‘rekomendasi’ di mana seseorang rekomen kepada Allah ﷻ untuk menyelamatkan seseorang yang lain. Itu pun kira bagi pertolonganlah juga. Syafaat hanya boleh diberikan apabila Allah ﷻ izinkan. Maknanya hendak rekomen itu pun kenalah dapat izin dahulu. Syarat untuk mendapatnya mestilah mengamalkan Tauhid. Barulah Allah ﷻ redha untuk beri Syafaat kepada orang itu. Terdapat dua syarat utama untuk mendapat Syafaat: izin dan redha. Allah ﷻ sebut dalam Taha: 109

يَومَئِذٍ لا تَنفَعُ الشَّفاعَةُ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ وَرَضِيَ لَهُ قَولًا

Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (daripada dan kepada sesiapapun) kecuali daripada orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya, dan kepada orang yang diredhai perkataannya.

Maka Syafaat itu mestilah diharapkan sepenuhnya daripada Allah ﷻ sebenarnya. Rasulullah ﷺ pun tidak boleh memberi Syafaat sebenarnya, tetapi sebagai tukang sampaikan, atau tukang rekomen sahaja. Allah ﷻ sebut dalam Zumar: 43-44

أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ شُفَعاءَ ۚ قُل أَوَلَو كانوا لا يَملِكونَ شَيئًا وَلا يَعقِلونَ

Patutkah mereka mengambil yang lain daripada Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain daripada Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak mempunyai apa-apa, dan tidak pula mengerti (sebarang apa pun)?”

قُل ِللهِ الشَّفٰعَةُ جَميعًا ۖ لَّهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepada-Nya (untuk menerima balasan).”

Maka ini menolak fahaman manusia yang meminta-minta syafaat daripada wali, Nabi dan malaikat. Semua yang diminta itu tidak mempunyai kuasa untuk membantu. Kuasa mutlak adalah di tangan Allah ﷻ semata. Allah ﷻ yang menentukan siapa yang boleh mendapat syafaat. Bukan itu sahaja, untuk memberi syafaat itu pun sudah memerlukan izin.

Musyrikin Mekah tahu yang Allah ﷻ itu adalah Tuhan yang menciptakan mereka dan menjadikan alam ini. Namun pada fahaman mereka, mereka akan lebih dekat dengan Allah ﷻ sekiranya mereka menggunakan syafaat daripada yang lain iaitu mereka akan bertawasul kepada Nabi, wali, malaikat atau jin. Niat mereka adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Sebagaimana Allah ﷻ berfirman dalam Zumar: 3

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (daripada syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya”. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.

Begitulah juga masyarakat Islam yang salah faham dengan hal syafaat ini, maka mereka minta pertolongan daripada wali, kubur, Nabi, malaikat dan sebagainya. Ini semua menyalahi Sunnah, Nabi ﷺ tidak pernah ajar pun. Begitulah golongan yang dengan selambanya reka fahaman dan amalan baru dalam agama. Bagi mereka ini tidak ada harapan langsung untuk mendapat Syafaat, awal-awal lagi sudah dihalau oleh Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ bersabda,

أَنَا فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ ، لَيُرْفَعَنَّ إِلَىَّ رِجَالٌ مِنْكُمْ حَتَّى إِذَا أَهْوَيْتُ لأُنَاوِلَهُمُ اخْتُلِجُوا دُونِى فَأَقُولُ أَىْ رَبِّ أَصْحَابِى . يَقُولُ لاَ تَدْرِى مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ

“Aku akan mendahului kalian di al haudh (telaga). Lalu ditampakkan di hadapanku beberapa orang di antara kalian. Ketika aku akan mengambilkan (minuman) untuk mereka daripada al haudh, mereka dijauhkan daripadaku. Aku lantas berkata, ‘Wahai Rabbku, ini adalah umatku’. Allah ﷻ berfirman, ‘Engkau tidak tahu (bid’ah) yang mereka ada-adakan sepeninggalmu’ “

(Riwayat Bukhari no. 6576, 7049).

Nota: Al-haudh adalah sebuah telaga di Mahsyar. Airnya akan diberikan kepada Muslim yang tidak mengamalkan syirik dan bid’ah. Minum sahaja air telaga itu, hilang rasa dahaga sampai bila-bila.

Maka kena faham betul-betul tentang Syafaat ini. Jangan minta Syafaat sebarangan. Masalahnya, apabila kita rasa ada orang yang akan beri ‘pertolongan’, maka kita akan rasa selamat. Kesannya kita sudah tidak sembah Allah ﷻ betul-betul. Sudah tidak mengharap sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Pengharapan sudah beralih pula kepada Nabi, wali, malaikat dan jin. Begitulah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah. Mereka sangka, kerana mereka sudah selalu memuja dan sembah berhala yang mereka anggap sebagai perantara mereka dan Allah ﷻ, maka mereka akan selamat.

Begitu juga mereka menganggap para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah ﷻ dan mereka ada juga sembah malaikat. Maka mereka berasa sudah selamat. Mereka sudah tidak memuja Allah ﷻ sahaja, mereka sudah tidak berharap sepenuhnya dengan Allah ﷻ sahaja. Mereka berharap juga kepada Allah ﷻ namun dalam masa yang sama mereka ada sembahan lain dan tempat pengharapan lain.

Masyarakat Islam kita pun sudah bergerak ke arah itu. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana semakin ramai yang suka memuja Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ boleh memberi Syafaat kepada mereka. Maka, mereka mengadakan majlis Mawlid Nabi, majlis selawat perdana dan sebagainya.

Mereka mengadakan semua itu dengan harapan, apabila mereka memuja Nabi Muhammad ﷺ, minta pertolongan kepada Nabi Muhammad ﷺ, mereka akan diselamatkan oleh baginda. Mereka yang berbuat begitu adalah mereka yang salah faham dengan maksud Syafaat. Penerangan tentang syafaat ini ada banyak lagi dalam ayat-ayat lain. Apabila kita kumpulkan semua ayat-ayat itu, maka kita akan dapat pemahaman yang lebih jitu.

 

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ

(Dzat) yang demikian itulah Allah, Tuhan kamu,

Allah ﷻ yang mencipta alam ini, menguruskan segalanya itulah Tuhan kamu, bukannya yang lain. Kalau ada yang boleh cipta alam lain, boleh pula tadbir alam itu, barulah layak dipanggil tuhan. Yang kamu puja Nabi, wali dan malaikat itu, adakah mereka mampu cipta apa-apa? Tentu tidak, bukan?

Tidak ada lain lagi yang boleh melakukan seperti Allah ﷻ. Maka, kalau Dia lah Tuhan kita, apa yang perlu lakukan?

 

فَاعْبُدُوهُ

maka sembahlah Dia.

Inilah tuntutan hidup kita. Hanya Allah ﷻ sahaja yang layak disembah. Hanya Allah ﷻ sahaja yang layak dipuja, diibadati, tempat kita minta doa, tempat kita tawakal, tempat kita minta pertolongan, tempat kita berharap. Inilah Tauhid. Tauhid itu wajib diketahui dan wajib diamalkan.

Malangnya, kerana tidak faham konsep ‘sembah’, maka ramai dalam kalangan masyarakat kita telah melakukan sembahan kepada selain Allah ﷻ. Mereka telah berdoa kepada selain Allah ﷻ, puja selain Allah ﷻ, mengharap kepada selain daripada Allah ﷻ dan sebagainya.

 

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maka mengapakah kamu tidak mengambil pelajaran?

Mengapa kamu tidak faham bahawa hanya Allah ﷻ sahaja yang layak disembah? Musyrikin Mekah tahu bahawa Allah ﷻ yang menjadikan alam ini dan Dia adalah Tuhan. Namun dalam masa yang sama, mereka sembah juga ilah yang lain.

Begitu juga lah kebanyakan masyarakat Islam kita yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak faham bagaimana konsep *hanya* menyembah Allah ﷻ. Kerana itulah terdapat amalan ibadat yang dilakukan kepada selain daripada Allah ﷻ juga.

Antaranya, mereka akan berdoa kepada selain Allah ﷻ. Sebagai contoh, terdapat puak-puak Habib sekarang yang mengajar masyarakat kita untuk berdoa kepada ahli kubur. Itu adalah satu perkara syirik.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Mei 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 1 – 2 (Salah faham bab Syafaat)

Pengenalan:

Surah Yunus ini adalah Surah Makkiyah. Oleh kerana itu kandungannya hampir sama dengan surah-surah Makkiyah yang lain. Penekanan semua surah Makkiyah adalah tentang 4 perkara:

1. Tauhid, dan lawan kepada Tauhid iaitu Syirik,

2. Tentang Al-Qur’an dan kebenaran yang disampaikan di dalamnya,

3. Pembalasan di akhirat sama ada baik atau buruk,

4. Terakhir sekali tentang Rasul yang dipilih dalam kalangan manusia

Surah ini diturunkan selepas Surah Isra’ (dari segi sejarah) dan Surah Isra’ itu diturunkan selepas Nabi Isra’ Mi’raj.  Dari segi susunan dalam Al-Qur’an, ia diletakkan selepas Surah Tawbah. Di dalam Surah Tawbah kita disuruh memerangi golongan kuffar musyrik dan di dalam Surah Yunus ini diceritakan kesyirikan yang mereka lakukan dan kerana itu mereka perlu diperangi.

Surah Yunus ini menekankan tentang tauhid kepada Allah ﷻ dan juga tentang kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Inilah dua perkara yang sentiasa diulang-ulang di dalam surah-surah Makkiyah. Surah ini juga mengajar kepada kita tentang Qada’ dan Qadar Allah ﷻ.

Surah Yunus ini adalah tafsir bagi Surah Zumar. Dalam surah Yunus ini diberikan dengan lebih mendalam contoh-contoh tentang Tauhid supaya kita lebih faham lagi dengan perkara-perkara yang sudah disentuh dalam Surah Zumar.

Surah ini juga berkenaan penafian Syafaat Qahriyyah (Syafaat kerana kasih sayang). Ia hendak menekankan bahawa Allah ﷻ tidak terkesan dengan kedudukan makhluk-Nya. Maka kalau kita bodek wali, Nabi, malaikat pun (untuk meminta tolong bagi pihak kita – tawasul), tidaklah Allah ﷻ terkesan sehinggakan terpaksa memberi apa yang kita minta. Tidaklah Allah ﷻ kena beri hanya kerana Dia sayang kepada hamba-Nya yang mukmin.

Kalau dalam dunia, ini dinamakan menggunakan ‘orang dalam’ dan rasuah. Contohnya kita kenal dengan kenalan rapat menteri, mungkin menteri itu akan tolong (bukanlah menteri negara ini tapi Negara Pasir Berdengung) kerana dia sayangkan kawannya itu. Sekiranya ia terjadi dalam kehidupan dunia, jangan pula kita rasa perkara yang sama berlaku dalam kerajaan Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak terkesan sebegitu.

Ramai golongan masyarakat kita yang jahil meminta syafaat daripada mereka yang telah mati. Itu adalah perbuatan yang karut dan syirik. Ini kerana yang diminta tolong itu pun sudah mati, maka itu adalah perbuatan yang sia-sia. Mereka yang telah mati itu tidak tahu pun apa yang kita minta kepada mereka. Mereka tidak dengar pun permintaan kita dan tidak mampu hendak menolong kita.

Keduanya, kalaulah ada makhluk yang boleh memaksa Allah ﷻ (untuk melakukan sesuatu) itu wujud, mestilah dia akan duduk di sebelah Allah ﷻ di Mahsyar nanti. Namun, ayat 4 surah ini memberitahu kita bahawa semua makhluk akan berada di hadapan Allah ﷻ menunggu untuk diadili juga. Maka tidak ada sesiapa yang boleh menolong sesiapa, melainkan diberikan izin oleh Allah ﷻ.

Suruh Yunus ini ada banyak kaitan dengan Surah Hud. Ada penyambungan kisah antara keduanya. Banyak perkara penting diulang-ulang supaya lebih memantapkan lagi pemahaman manusia.

Surah Yunus ini termasuk di dalam kumpulan Surah Makkiyah (yang diturunkan di Mekah) walaupun ada ayat yang diturunkan di Madinah juga. Surah-surah Makkiyah banyak memberi semangat kepada Muslim yang awal untuk bersabar dan berpegang dengan agama. Mereka adalah golongan awal Muslim dan banyak mendapat tentangan daripada golongan kafir.

Surah ini boleh dibahagikan kepada 10 Perenggan Makro:

Makro 1: Ayat 1 — 2 (AL-QURAN ADALAH KITAB ALLAH)
Ada juga diberikan berita gembira untuk orang beriman.

Makro 2: Ayat 3 — 20 (DIALOG DENGAN MUSYRIKIN YANG MENOLAK HARI AKHIRAT)
Masalah mereka ini adalah mereka berpuas hati dan bersenang lenang dengan kehidupan dunia.

Makro 3: Ayat 21- 46 (DEBAT, DIALOG DENGAN PEMIMPIN QURAISY DAN PEMUJA HIDUP DUNIA)
Janji pembalasan azab kepada yang kufur dan ganjaran nikmat kepada yang beriman. Diingatkan yang akan adanya hari kebangkitan semula.

Makro 4: Ayat 47 – 58 (DEBAT DENGAN KAFIR QURAISY YANG MENENTANG RASUL DAN TIDAK PERCAYA HARI AKHIRAT)

Makro 5: Ayat 59 – 70 (DEBAT DENGAN KAFIR QURAISY YANG MENGADAKAN SENDIRI SYARIAT HALAL-HARAM)

Makro 6: Ayat 71 – 93 (DEBAT DENGAN KAFIR QURAISY YANG MENGINGKARI HARI AKHIRAT)
Kisah Nabi Nuh عليه السلام dengan umatnya yang dibinasakan kerana ingkar. Juga ada kisah Nabi Musa عليه السلام, Firaun dan tukang sihirnya.

Makro 7: Ayat 94 – 103 (TAUHID TIDAK DIPAKSA, AL-QUR’AN BERSIH DARIPADA SYUBHAT DAN KERAGUAN)

Makro 8: Ayat 104  – 109 (TEGUH DAN BERSABAR DENGAN AJARAN AL-QUR’AN)


 

RISALAH KENABIAN

Yunus Ayat 1: Makro 1 adalah ayat ini sampai ayat ke 2. Allah ﷻ menekankan yang Al-Qur’an ini adalah daripada Allah ﷻ dan mengandungi berita gembira kepada orang yang mahu beriman dengannya.

الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ الحَكيمِ

Sahih International

Alif, Lam, Ra. These are the verses of the wise Book

Malay

Alif, Laam Raa’ ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Qur’an) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.

 

الر

Alif laam raa.

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib.

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqattaah. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak difahami kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan.

Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah  berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan ra’, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alar’. Namun tidak pula dalam kes Surah Yunus ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini  membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk dengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.

 

تِلْكَ ءآيٰتُ الْكِتٰبِ الْحَكِيمِ

Itulah ayat-ayat Kitab Al Qur’an yang penuh hikmah.

Al-Qur’an ini bukanlah kitab yang biasa. Ia merupakan sebuah kitab yang penuh hikmah. Ia menjadi ‘ayat’ (tanda-tanda) kepada Allah ﷻ. Kita tidak boleh melihat Allah ﷻ tetapi kita boleh lihat tanda-tanda-Nya di dalam alam (tanda-tanda yang dilihat) dan di dalam Al-Qur’an ini (tanda-tanda yang dibaca). Semakin banyak kita baca dan cuba mendalami ayat-ayat Al-Qur’an, semakin kita kenal Allah ﷻ dan sayang kepada Allah. Tidak kenal maka tidak cinta, bukan?

Oleh itu, janganlah kita pandang ringan kepada Al-Qur’an ini. Hendaklah kita ambil peluang untuk memahami apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan dalam Al-Qur’an ini dengan belajar tafsir dan tadabbur (bukan setakat baca sahaja seperti kebanyakan orang). Sesiapa yang belajar tafsir Al-Qur’an akan mendapat hikmah. Jika kita memerlukan panduan dalam kehidupan kita maka kita hendaklah merujuk kepada Al-Qur’an. Panduan itu bukan hanya untuk dunia sahaja, tetapi untuk akhirat.

Adakah Al-Qur’an yang penuh hikmah ini hanya dibaca sahaja tanpa dipelajari isi kandungnya? Tentu tidak, namun malangnya itulah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Ada yang hari-hari membaca Al-Qur’an (dan ramai juga yang menghafalnya) tetapi mereka tidak mengambil pelajaran daripada apa yang mereka baca itu kerana mereka tidak faham apa yang dibaca. Kitalah satu-satunya bangsa dalam dunia yang hanya membaca (mengeja) sesuatu tetapi tidak kisah apabila tidak faham apa yang dibaca. Setakat sebut sahaja apa yang dibaca tetapi ‘blur’ tentang maknanya. Masing-masing relaks sahaja dan berpuas hati selepas membaca Al-Qur’an. Malah ada yang bergembira berjaya khatam bacaan Al-Qur’an berkali-kali namun sedikitpun tidak difahami apatah lagi diamalkan apa yang telah dibaca itu.

Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan yang bertentangan dengan ayat-ayat yang mereka sendiri baca. Ini kerana mereka bagaikan burung kakak tua yang menyebut sahaja dengan mulut mereka, tetapi tidak faham apa yang mereka sebutkan. Ada suruhan dan larangan dalam Al-Qur’an itu mereka tidak tahu pun. Bila tidak tahu, maka berkemungkinan besar mereka langgar.

Perkataan تِلْكَ (itulah) adalah kata penunjuk yang bermaksud sesuatu yang ditunjuk itu adalah jauh. Kenapakah begitu? Bukankah Al-Qur’an ini di tangan kita sahaja? Perkataan تِلْكَ dan ذٰلِكَ digunakan dalam Bahasa Arab untuk dua kegunaan: Pertama, untuk memberitahu kepada kita bahawa sesuatu yang ditunjuk itu jauh. Keduanya, untuk memberitahu kepada kita bahawa perkara yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang tinggi dan mulia.

Penggunaan kedua inilah yang digunakan dalam ayat ini. Ini seperti penggunaan ذٰلِكَ di dalam Baqarah: 2 juga,

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ

Itulah Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Dalam perkataan تِلْكَ ini pun Allah ﷻ sudah isyaratkan tentang kehebatan Al-Qur’an itu. Jangan kita pandang ringan sahaja Al-Qur’an yang di tangan kita kerana ia amat hebat. Belajarlah tafsir dan tadabbur, jangan degil.

Perkataan الْحَكِيمِ berasal daripada katadasar ح ك م yang bermaksud hikmah atau ‘kebijaksanaan’. Oleh itu, perkataan الْحَكِيمِ boleh bermaksud sesuatu yang ‘penuh kebijaksanaan’. Untuk mendapat hikmah, kita hendaklah mempelajari tafsir Al-Qur’an supaya kita boleh mengambil pengajaran daripadanya. Setiap ayat Al-Qur’an mengandungi hikmah untuk membimbing kita menjalani kehidupan kita di dunia ini. Takkan habis umur kita untuk menggali hikmahnya kerana ia terlalu banyak. Namun sekurang-kurangnya kita telah cuba untuk tahu setakat yang kita mampu dalam umur kita yang singkat ini.

Kalimah الْحَكِيمِ juga boleh dikatakan bermaksud حُكُم (hukum). Dalilnya telah disebut di dalam Baqarah: 213

كانَ النّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيّينَ مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ لِيَحكُمَ بَينَ النّاسِ فيمَا اختَلَفوا فيهِ

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu, maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran; dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan

Ia bermaksud hukum agama yang menentukan manakah yang halal dan manakah yang haram. Terdapat banyak sekali ayat-ayat hukum dalam Al-Qur’an ini. Hukum itu semuanya untuk kebaikan kita juga. Ia diberikan kepada kita supaya kehidupan kita selamat daripada sengsara dunia dan sengsara akhirat.

Selain daripada itu, apabila diletakkan kalimah الْحَكِيمِ di dalam permulaan surah ini, ia memberi isyarat yang surah ini mengandungi banyak dalil-dalil aqli (akal) yang akan diberikan nanti. Kalau digunakan kalimah مُبِين pula, ia isyarat yang surah itu banyak mengandungi dalil naqli. (nukilan kisah).

Selain itu juga, hukum-hukum yang diberikan adalah untuk memberitahu kita apa yang perlu kita lakukan dan apa yang kita perlu tinggalkan. Sebagai orang mukmin, perlulah kita mengetahuinya dan taat dalam mengamalkannya. Kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimana kita boleh tahu apakah yang kita perlu lakukan?

Secara ringkasnya, dalam ayat ini Allah ﷻ memperkenalkan kepentingan Al-Qur’an kepada kita. Dalam ayat yang pendek, Allah ﷻ menyebut sifat-sifat Al-Qur’an kepada kita supaya kita tahu dan kita ingat kembali kepentingan Al-Qur’an.


 

Yunus Ayat 2: Daripada ayat ini sampai ke ayat 20 adalah ayat-ayat dialog dengan Musyrikin Mekah yang menolak Hari Kebangkitan. Mulanya Allah ﷻ menegur kekeliruan Musyrikin Mekah dan jawapan kepada kemusykilan mereka itu. Maka ia adalah Zajrun (teguran) kepada mereka. Kemudian Allah ﷻ meneruskan dengan ayat jenis Tabshir Ukhrawi (berita gembira tentang akhirat) kepada mereka yang beriman.

أَكانَ لِلنّاسِ عَجَبًا أَن أَوحَينا إِلىٰ رَجُلٍ مِّنهُم أَن أَنذِرِ النّاسَ وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا أَنَّ لَهُم قَدَمَ صِدقٍ عِندَ رَبِّهِم ۗ قالَ الكٰفِرونَ إِنَّ هٰذا لَسٰحِرٌ مُبينٌ

Sahih International

Have the people been amazed that We revealed [revelation] to a man from among them, [saying], “Warn mankind and give good tidings to those who believe that they will have a [firm] precedence of honor with their Lord”? [But] the disbelievers say, “Indeed, this is an obvious magician.”

Malay

Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya): “Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan). (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang menggembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: “Sebenarnya (Al-Qur’an) ini ialah sihir yang terang nyata.”

 

أَكَانَ لِلنَّاسِ عَجَبًا

Patutkah menjadi kehairanan bagi manusia

Allah ﷻ murka kepada manusia yang rasa hairan bagaimana wahyu boleh diturunkan kepada manusia. Perkataan أَكَانَ  boleh dibaca: “Adakah patut?” Adakah patut mereka berfikiran begini?

Kalimah عَجَبًا bermaksud ‘takjub’. Mereka hairan sampai tidak boleh menerima wahyu yang diberikan kepada manusia biasa. Ia juga boleh bermaksud kita yang beriman ini juga takjub kepada mereka di mana takjubnya kita dengan mereka yang rasa hairan dengan penurunan wahyu ini. Sebagaimana kalau ada orang yang melakukan perkara yang pelik, kita akan takjub dengan dia. Kita kata dalam hati kita: “Kenapalah dia buat perkara macam ni?”

Maka Allah ﷻ mengutuk tindakan mereka ini. Apalah yang mereka hendak hairan sangat? Memang Al-Qur’an ini menakjubkan kerana kehebatan yang ada padanya. Makhluk ada dua jenis takjub kepada Al-Qur’an, sama ada beriman kepadanya atau menolaknya. Di dalam ayat ini disebut penolakan manusia sedangkan di tempat yang lain Allah ﷻ sebut makhluk jenis jin yang memandang dengan takjub juga Al-Qur’an ini, tetapi mereka beriman seperti disebut di dalam Jin: 1-2

قُل أوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ استَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الجِنِّ فَقالوا إِنّا سَمِعنا قُرءآنًا عَجَبًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Qur’an (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!

يَهدي إِلَى الرُّشدِ فَئآمَنّا بِهِ ۖ وَلَن نُّشرِكَ بِرَبِّنا أَحَدًا

Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

Maka apa yang Musyrikin Mekah itu hairankan sangat?

 

أَنْ أَوْحَيْنَا إِلَىٰ رَجُلٍ مِّنْهُمْ

bahawa Kami mewahyukan kepada seorang laki-laki dalam kalangan mereka:

Kalimah رَجُلٍ (lelaki) yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ﷺ. Mereka yang ingkar merasa hairan bagaimana seorang manusia biasa boleh mendapat wahyu? Apabila seorang lelaki itu mendapat wahyu, maka statusnya bertukar menjadi Nabi dan dia tidak boleh berdiam diri tetapi akan menyampaikan kepada manusia yang lain.

Pada golongan Musyrikin Mekah, sepatutnya wahyu itu disampaikan oleh malaikat. Namun dakwah tidak sesuai disampaikan oleh makhluk yang lain jenis kerana ia tentu tidak sampai. Kerana itu, Nabi-nabi dibangkitkan daripada jenis manusia. Maka ia tidak perlu dihairankan. Allah ﷻ sentuh banyak kali di dalam Al-Qur’an tentang perkara ini antaranya di dalam Isra’: 95

قُل لَو كانَ فِي الأَرضِ مَلائِكَةٌ يَمشونَ مُطمَئِنّينَ لَنَزَّلنا عَلَيهِم مِنَ السَّماءِ مَلَكًا رَسولًا

Katakanlah: “Kalau seandainya ada malaikat-malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni di bumi, nescaya Kami turunkan dari langit kepada mereka seorang malaikat menjadi rasul”.

Maknanya untuk mengajar malaikat, malaikatlah; dan untuk manusia, kenalah manusia juga yang menyampaikan dakwah. Tidak sesuai kalau diberikan malaikat kerana malaikat amat jauh bezanya dengan manusia. Malaikat tidak makan minum dan tidak ada nafsu, maka bagaimana mereka boleh menjadi contoh kepada manusia yang diajarnya? Tentulah tidak sesuai sekali.

Kalimah مِّنْهُمْ bermaksud ‘dalam kalangan mereka’. Mereka hairan kenapa ia diturunkan kepada seorang lelaki berbangsa Arab. Sudahlah manusia, dalam kalangan bangsa Arab pula. Maka bagi mereka Nabi ﷺ tidak ada kelebihan sebab sama sahaja dengan mereka. Tambahan pula pada mereka, bangsa Arab dari dulu lagi tidak mendapat wahyu, tidak ada kitab. Ini pun tidak ada masalah sebenarnya dan tidaklah sepatutnya menghairankan kerana yang memberi peringatan sepatutnya datang dalam kalangan penduduk setempat, yang tahu bahasa, tahu amalan, masalah dan adat resam mereka supaya lebih jelas apa yang hendak disampaikan.

Namun sebenarnya mereka memandang rendah kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana pada mereka, baginda itu anak yatim dan miskin, tidak ada kedudukan di dalam masyarakat. Maka ‘susah’ untuk mereka ikuti. Beginilah salah manusia dalam menilai orang lain. Yang dipandang tinggi selalunya yang mempunyai harta dan kedudukan. Umat terdahulu pun begitu juga seperti disebut di dalam Baqarah: 247

وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ اللَّهَ قَد بَعَثَ لَكُم طالوتَ مَلِكًا ۚ قالوا أَنّىٰ يَكونُ لَهُ المُلكُ عَلَينا وَنَحنُ أَحَقُّ بِالمُلكِ مِنهُ وَلَم يُؤتَ سَعَةً مِّنَ المالِ

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?”

Maka begitulah juga pandangan rendah Musyrikin Mekah terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Musyrikin Mekah kata ada lagi yang lebih hebat yang mereka rasa lebih layak untuk mendapatkan wahyu kalau dibandingkan dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana mereka memandang Nabi Muhammad ﷺ itu tidak ada kedudukan dalam masyarakat. Ini disebut dalam Zukhruf: 31

وَقالوا لَولا نُزِّلَ هٰذَا القُرءآنُ عَلىٰ رَجُلٍ مِّنَ القَريَتَينِ عَظيمٍ

Dan mereka berkata: “kenapakah Al-Qur’an ini tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?”

Dua buah bandar yang dimaksudkan di sini adalah Mekah dan Taif; manakala tokoh yang mereka rasa lebih layak berbanding Nabi Muhammad Jagaimana hendak memilih siapa yang Dia hendak berikan wahyu. Sebenarnya tidak layak mereka bertanya dan mempersoalkan keputusan Allah ﷻ.

Begini jugalah orang kita sekarang. Kadang-kadang ada antara kita yang asalnya tidak pandai agama, baca Al-Qur’an pun tidak lancar. Namun mereka telah diberikan fahaman Al-Qur’an kerana mereka belajar. Adakah kita patut berasa hairan dengan mereka itu sepertimana Musyrikin Mekah hairan dengan Nabi Muhammad ﷺ yang mendapat wahyu?

Kerana sikap yang sama, ramai orang kita pun rasa tidak sesuai kalau seseorang yang dulunya nakal, tetapi sekarang sudah pandai agama? Sudah boleh berdakwah? Sudah boleh menegur mereka? Mereka pun mulalah mengejek pendakwah itu dengan berkata: “Bukan kau dulu nakal, suka kacau sana dan sini, kan? Sekarang kau pula nak nasihat kepada kami?”.

Ingatlah bahawa Allah ﷻ boleh memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Bukan kedudukan kita untuk mempersoalkan hak Allah ﷻ itu.

 

أَنْ أَنذِرِ النَّاسَ

“Berilah peringatan kepada manusia

Para Nabi dan Rasul tidak boleh berdiam diri kerana mereka mempunyai tugas. Apakah arahan dalam wahyu itu yang perlu disampaikan oleh para Rasul? Dalam wahyu itu ada arahan untuk memberi peringatan dan ancaman kepada manusia. Memberitahu kepada manusia supaya jangan berbuat syirik, jangan kufur, jangan buat bid’ah. Juga beritahu kepada mereka yang ingkar arahan Allah ﷻ akan mendapat balasan buruk di Akhirat kelak.

Arahan itu memang asalnya diberikan kepada Nabi, akan tetapi kita yang membaca ayat-ayat ini sekarang, telah disampaikan dengan arahan itu juga. Maka, kita juga hendaklah berdakwah dan menyampaikan peringatan dan ancaman ini kepada manusia. Sekiranya kita membiarkan sahaja manusia ini dengan kehendak mereka, mereka akan lalai dan mereka akan melakukan kesyirikan dan perbuatan bid’ah akan berleluasa.

 

وَبَشِّرِ الَّذِينَ ءآمَنُوا

dan gembirakanlah orang-orang beriman

Sekarang ayat tabshir (berita gembira) iaitu kepada yang beriman dan sudah menerima arahan Tauhid, berikan berita gembira kepada mereka. Maknanya, untuk yang ingkar, berikan ancaman; manakala untuk yang beriman, berikan berita gembira kepada mereka. Itulah dua tugas Nabi Muhammad ﷺ dan juga kepada pendakwah.

Kalau kita lihat dalam susunan, Allah ﷻ menyebut tentang ancaman sebelum menceritakan tentang berita gembira. Ini bermaksud, surah ini akan mengandungi banyak ayat-ayat ancaman.

 

أَنَّ لَهُمْ قَدَمَ صِدْقٍ عِندَ رَبِّهِمْ

bahawa mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka”.

Inilah balasan yang akan diberikan kepada mereka yang beriman.

Kalimah قَدَمَ berasal daripada katadasar yang bermaksud ‘melangkah’. قَدَمَ juga digunakan untuk bermaksud ‘kedudukan’ dan ‘status’ seseorang itu kerana di situlah dia berdiri.

Kalimah صِدْقٍ pula bermakna ‘kebenaran’. Ia juga digunakan untuk menunjukkan ‘kebaikan’. Ia juga memberi indikasi bahawa kedudukan ini diberikan kepada mereka yang membenarkan segala kebenaran yang telah sampai kepadanya. Maknanya kena ikhlas, tidak hanya dikatakan dengan mulut sahaja tetapi perlu dipraktikkan.

Apabila digabungkan perkataan قَدَمَ صِدْقٍ, ia boleh membawa maksud beberapa makna. Satu maksudnya adalah orang yang beriman akan mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah ﷻ hasil daripada amal baik mereka. Kedudukan itu akan kekal abadi sampai bila-bila. Dalam Qamar: 55 ada digunakan perkataan yang hampir sama:

فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ

di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Berkuasa.

 

قَالَ الْكٰفِرُونَ

Orang-orang yang ingkar berkata:

Akan tetapi majoriti manusia akan menolak dakwah yang disampaikan kepada mereka. Pelbagai tuduhan dan alasan yang diberikan oleh mereka untuk menolak ajakan tauhid itu. Marilah kita lihat salah satu daripada tuduhan-tuduhan mereka untuk menolak seruan dakwah itu.

Hebatnya Al-Qur’an ini, segala bentuk penolakan daripada manusia sudah disebut siap-siap dalam Al-Qur’an ini. Untuk orang yang belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak hairan dengan cara penolakan manusia kerana semuanya telah disebut dalam Al-Qur’an. Sebelum manusia sebut pun Allah ﷻ sudah sebut dalam Al-Qur’an untuk kita tahu dulu. Alasan yang digunakan oleh orang dahulu pun masih digunakan sekarang, maka kita tidak pelik apabila ia berlaku.

 

إِنَّ هَٰذَا لَسٰحِرٌ مُّبِينٌ

“Sesungguhnya orang ini (Muhammad) benar-benar adalah tukang sihir yang nyata”.

Lihatlah bagaimana teruknya tuduhan yang mereka berikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata Nabi Muhammad ﷺ itu tukang sihir pula. Sedangkan tidak sama seorang Nabi dan seorang tukang sihir. Namun dek kerana mereka ingin menolak, maka salah satu daripada tuduhan yang dilemparkan kepada para Rasul adalah mereka itu ahli sihir seperti yang disebut dalam Dzariyat: 52

كَذٰلِكَ ما أَتَى الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّن رَّسولٍ إِلّا قالوا ساحِرٌ أَو مَجنونٌ

Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang tukang sihir atau seorang gila”.

Pangkat kenabian hanya boleh dianugerahkan oleh Allah ﷻ sahaja. Tidak ada sesiapa yang boleh mencapai kedudukan seorang Nabi tanpa dilantik sendiri oleh Allah ﷻ. Sedangkan sesiapa sahaja yang belajar dan berusaha untuk mengamalkan amalan sesat, boleh menjadi ahli sihir. Itulah sebabnya ada manusia boleh melakukan perkara-perkara yang ajaib.

Ada yang boleh menghilangkan diri, tampar tangan keluar api, tunjuk monyet di pokok boleh jatuh dan sebagainya. Itu semua adalah ilmu sihir. Mereka mendapat ilmu sihir itu kerana mereka mengamalkan wirid-wirid yang bukannya daripada ajaran Nabi tetapi rekaan manusia dan Syaitan. Itu bukannya karamah, tetapi sihir!

Tujuan Nabi diutuskan adalah untuk membawa manusia kepada iman dan keselamatan mereka di dunia dan di akhirat. Sedangkan tujuan ahli sihir adalah untuk mendapat duit. Itulah sebabnya ada manusia yang menggunakan kelebihan-kelebihan sihir yang mereka ada itu untuk menipu manusia supaya percaya kepada mereka dan memberi imbuhan kewangan kepada mereka. Kita lihat banyak di media sosial sekarang yang dipanggil ustaz, dukun serta uskun dan sebagainya yang menjadi terkenal kerana mereka menayangkan sihir mereka di khalayak ramai.

Rasulullah ﷺ bukanlah tukang sihir seperti yang didakwa oleh Musyrikin Mekah. Amat jauh perbezaan antara seorang Nabi dan seorang ahli sihir. Lalu bagaimana Musyrikin Mekah itu sampai sanggup menuduh Nabi Muhammad ﷺ sebagai ahli sihir? Mereka sudah tidak menggunakan akal mereka lagi, tetapi mereka sudah tunduk kepada nafsu mereka yang menolak kebenaran yang sampai kepada mereka.

Dalam masa yang sama, mereka tidak sudah kehabisan idea untuk menuduh baginda. Maka mereka memilih untuk menuduh baginda sebagai ahli sihir kerana apabila Nabi Muhammad ﷺ membacakan ayat-ayat Al-Qur’an, ramai yang masuk Islam dan berubah 180 darjah! Mereka sendiri tidak dapat menjelaskan perkara itu (kerana mereka tidak dapat mengaku yang Al-Qur’an daripada Allah ﷻ). Mereka sendiri sedar yang ayat-ayat Al-Qur’an itu bukan sesuatu yang biasa. Antara yang nampak perkara ini adalah Walid al-Mughirah (bapa Khalid al-Walid) yang pada mulanya telah nampak kebenaran Al-Qur’an, tetapi dia kemudian telah berubah kerana ditegur oleh Abu Jahal. Kisahnya ada disebut dalam Surah Muddaththir. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengatakan Al-Qur’an itu adalah sihir seperti disebut dalam Muddaththir: 24

فَقالَ إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ يُؤثَرُ

Serta dia berkata: ” (Al-Qur’an) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (daripada ahli-ahlinya);

Itu sahaja alasan yang mereka ada walaupun tidak kuat. Sepatutnya sihir itu adalah dalam bentuk perbuatan, tetapi sekarang mereka mengatakan yang perkataan pun adalah sihir juga. Itu menunjukkan mereka sendiri sudah nampak yang Al-Qur’an itu bukanlah perkara yang biasa.

Maka ada dua sebab kenapa tuduhan ahli sihir dipilih kepada para Nabi:

1. Mereka ada pengikut tanpa ada sebab keduniaan. Kalau bapa para Nabi itu pemimpin, mungkin manusia ikut kerana kedudukan dia; atau, kalau ada harta yang ada para Nabi itu, mungkin manusia ikut kerana hendakkan harta. Akan tetapi bagi para Nabi, mereka tidak ada semua itu namun ramai manusia mengikut mereka.

2. Perkara yang diberitahu oleh para Nabi dan Rasul itu adalah perkara luarbiasa; dan kerana mukjizat yang ada para mereka itu mirip kepada sihir (bagi mereka yang jahil).

Untuk zaman sekarang pula, memanggil seseorang sebagai tukang sihir kepada pendakwah tauhid adalah dengan mengatakan pendakwah tauhid itu sesat. Ini kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka apabila disampaikan ajaran daripada Al-Qur’an, mereka akan kata itu adalah ajaran yang sesat.

Mereka kata guru yang mengajar tafsir Al-Qur’an mengamalkan ilmu salah kerana anak murid mereka taat dengan guru itu. Itu semua adalah antara tohmahan yang diberikan kepada pendakwah tauhid. Kalau Nabi pun dituduh, begitulah juga kepada penyeru tauhid. Akan ada sahaja tentangan daripada manusia yang ingkar.

Kadangkala kalau non-Muslim memeluk Islam, mereka pun dituduh juga terkena sihir. Kisah yang terkenal adalah Sheikh Hussein Yee. Pakciknya seorang tabib Cina, maka bapanya memaksa dirinya untuk berubat dengan pakciknya. Maka terpaksalah beliau meminum air rendaman kertas yang ditulis mentera Cina kononnya untuk mengubatinya.

Namun yang sebenarnya manusia terpukau dengan Al-Qur’an kerana ia adalah daripada Allah ﷻ dan kerana itu tentunya ia ada mu’jizah. Mereka yang menekuni ayat-ayat Al-Qur’an menjadi tertarik dan mereka boleh berubah ke arah kebaikan. Jika dahulu mereka jahil, maka mereka sekarang sudah pandai; kalau dulu mereka tidak ada tujuan hidup, sekarang mereka sudah ada; kalau dulu mereka perangainya buruk, sekarang sudah baik. Ini semua adalah kerana didikan daripada Al-Qur’an yang disampaikan oleh guru yang benar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Mei 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibnu Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah al-Qamar Ayat 46 – 55 (Semua perbuatan akan ditulis)

Ayat 46:

بَلِ السّاعَةُ مَوعِدُهُم وَالسّاعَةُ أَدهىٰ وَأَمَرُّ

Sahih International

But the Hour is their appointment [for due punishment], and the Hour is more disastrous and more bitter.

Malay

(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.

بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ

Sebenarnya hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka

Allah telah beri janji bahawa mereka itu akan diazab. Azab yang mereka kena di dunia itu tidak ada apa-apa kalau dibandingkan dengan azab neraka. Walaupun mereka selamat di dunia, mereka tidak akan selamat di Akhirat.

وَالسَّاعَةُ أَدْهَىٰ وَأَمَرُّ

dan kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit.

Kalimah أَدْهَىٰ dari kata dasar د ه ي yang bermaksud musibah yang manusia tidak mampu nak tanggung, yang tak boleh dielak. أَدْهَىٰ bermaksud ‘lebih dahsyat’. Maknanya azab neraka lebih dahsyat lagi dari azab dunia.

Kalimah أَمَرُّ bermaksud ‘lebih pahit’, lebih teruk lagi. Azab Neraka itu lebih pahit, lebih teruk lagi dari azab dunia.

Maka azab nerakalah yang kita kena takut. Kalau kita selamat di dunia, belum tentu selamat di akhirat nanti. Kita kena sentiasa berhati-hati dalam segala perbuatan kita. Kalau silap langkah, kita akan terjerumus ke dalam lembah kehinaan di Akhirat kelak.


Ayat 47:

إِنَّ المُجرِمينَ في ضَلٰلٍ وَسُعُرٍ

Sahih International

Indeed, the criminals are in error and madness.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api Neraka.

Golongan Musyrikin Mekah dalam kebengongan. Kalimah سعر dari kata dasar س ع ر yang bermaksud ‘menyalakan api’, dan boleh juga bermaksud ‘menjadi gila’. Maka kerana itu ada dua terjemahan ini yang berbeza-beza, mengikut pilihan penterjemah.

Maka selain dari bermaksud mereka masuk api neraka, ia juga boleh bermaksud golongan penentang itu dalam kegilaan. Begitulah juga keadaan puak-puak Musyrikin dan ahli-ahli bidaah sekarang, apabila kita memberitahu kepada mereka ajaran tauhid yang ada di dalam Al-Qur’an. Mereka akan melihat kita dengan penuh kebingungan (kerana tidak faham-faham). Ajakan tauhid itu amat asing dan pelik sangat kepada mereka, sampai mereka jadi bingung.

Oleh itu mereka hanya dapat melihat kita dengan penuh kebingungan. Mereka nak terima apa hujah yang kita bawa, ianya berlawanan dengan pemahaman mereka; tapi hendak dilawan, mereka tak berani kerana ayat Al-Qur’an yang kita bawakan. Maka, mereka jadi bengong.

Mereka bingung dengan hal agama. Sebagai contoh, mereka diajar bagaimana kalau mati, perlu ditalqin si-mati dalam kubur itu. Semasa panggil si-mati dalam kubur itu, kena ‘bin’kan kepada emaknya, kononnya kalau di’bin’kan kepada ayah, tak sampai talqin itu. Dari ajaran mana, kita pun tak tahu.

Talqin ini adalah ajaran yang bidaah. Adakah boleh kita nak ajar aqidah kepada mereka yang sudah mati? Kalau begitu, tak perlu belajar agama semasa hidup, tunggu mati sahaja. Dan alangkah ruginya mereka yang mati dalam hutan dibaham harimau, sebab tidak ditalqinkan lagi.

Atau rugilah orang Islam yang tidak tinggal di Malaysia ini sebab ajaran mazhab mereka tidak ada bacaan talqin. Adakah begitu? Ini adalah kerana tempat lain tidak ada talqin sebab ini bukanlah ajaran Islam tapi rekaan manusia sahaja. Dan ianya berlawanan dengan ayat Al-Qur’an Fathir:22

وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَن يَشَاءُ وَمَا أَنتَ بِمُسْمِعٍ مَّن فِي الْقُبُورِ

dan tidak (pula) sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tidak boleh menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar.

Kalau kita berikan hujah yang jelas ini untuk mengatakan bahawa orang mati tidak boleh dengar apa yang kita katakan kepada mereka, mereka akan termanggu-manggu kebingungan kerana mereka tidak tahu ada dalil selama ini yang mengatakan bahawa orang yang sudah mati tidak boleh mendengar. Mereka hanya ‘sangka’ sahaja orang mati dalam kubur itu boleh dengar.

Mereka terima tanpa usul periksa kerana talqin itu bukan dibaca oleh orang lain, tapi tok-tok imam mereka, ustaz-ustaz mereka – jadi mereka rasa, takkan salah kalau perbuatan itu dibuat oleh mereka yang ‘alim’.

Oleh itu ada dua makna kalimah سعر ini:

1. Kalimah سُعُرٍ ditafsirkan dengan ‘gila’. Mereka gila kerana masih lagi mahu menolak ajakan dakwah dan tidak takut azab neraka. Kalau mereka takut azab neraka, tentulah mereka akan mengubah cara hidup mereka.

2. Kalimah سُعُرٍ juga boleh ditafsirkan sebagai ‘Api Neraka’. Oleh kerana mereka ضَلَالٍ (sesat) di dunia, mereka akan merasa سُعُرٍ (api) di neraka. Ini kerana katadasar س ع ر bermaksud menyalakan api, membangkitkan kerosakan, gila, dirasuk, lapar dan dahaga yang amat sangat.


 

Ayat 48:

يَومَ يُسحَبونَ فِي النّارِ عَلىٰ وُجوهِهِم ذوقوا مَسَّ سَقَرَ

Sahih International

The Day they are dragged into the Fire on their faces [it will be said], “Taste the touch of Saqar.”

Malay

Semasa mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka.

يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِي النَّارِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ

(Ingatlah) pada hari mereka diseret di neraka atas muka mereka.

Mulanya mereka akan kena ikat, kemudian kena seret pula. Mereka kena seret kerana mereka tak mahu pergi ke neraka sendiri. Mereka nak lari jauh, tapi mereka akan kena tangkap, diikat, kemudian diseret.

Alangkah hinanya, alangkah sakitnya. Mereka dipegang di kaki dan muka mereka terseret di tanah. Kalau kena seret belakang badan pun sudah sakit, apatah lagi kalau diseret di atas muka!

 

ذُوقُوا مَسَّ سَقَرَ

(Dikatakan kepada mereka): “Rasakanlah sentuhan api neraka!”

Kalimah سَقَرَ itu adalah ‘bahang api neraka’. Bukan kena api neraka lagi, tapi kalau kena bahang pun sudah boleh terbakar. Bayangkan kalau kita buka oven yang panas, walaupun kita tak kena apinya, tapi kita pun sudah rasa bahangnya. Itu baru api oven, bagaimana pula kalau kena terus api neraka?

Sebagai seorang yang beriman dengan Hari Akhirat, kita kena tahu hal syurga dan neraka. Dalam Al-Qur’an telah disebut tentang neraka dan ada lebih banyak maklumat lagi maklumat tentangnya ada dalam hadis. Jadi kalau sesiapa yang mengamalkan sunnah, mestilah tahu tentang syurga dan neraka. Barulah dikatakan beriman dengan hari akhirat.

Kalau setakat tahu yang Syurga itu ‘tempat sedap’, Neraka itu ‘ada api’, itu belum boleh dikira beriman lagi dengan Hari Akhirat.


 

Ayat 49: Ini adalah ayat Dakwa Surah ini. Allah telah takdirkan semuanya, maka kita wajib mempercayai dan menerimanya. Mesti ada takut dan harap terhadap Allah.

Tapi dalam masa yang sama, jangan lupa jasa-jasa Allah terhadap kita. Kalau orang yang senang kenang jasa Allah, itu alamat yang dia itu senang mendapat taqdir yang baik.

إِنّا كُلَّ شَيءٍ خَلَقنٰهُ بِقَدَرٍ

Sahih International

Indeed, all things We created with predestination.

Malay

Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).

 

Musyrikin Mekah sangka mereka akan terus berkuasa, tapi Allah memberitahu dalam ayat ini, bahawa semuanya telah ditetapkan oleh Allah. Berapa lama mereka akan berkuasa juga telah ditetapkan oleh Allah. Berapa lama mereka hidup juga telah ditentukan. Ditentukan oleh siapa? Oleh Allah yang Maha Berkuasa.

Semuanya yang ada dalam alam ini adalah mengikut ketentuan Allah. Sebagai contoh, lihatlah tangan kita. Betapa cantiknya dengan bilangan jarinya, dengan saiznya yang sesuai dan sebagainya.

Begitu juga lihatlah kejadian matahari yang Allah ciptakan. Tidaklah Allah buat matahari itu sembrono sahaja. Ada ukuran yang tepat (ada kadar). Berapa besarnya ia, kekuatan habanya, kedudukan berapa jauh dari bumi dan planet yang lain, bilakah waktu bergeraknya dan macam-macam lagi.

Semuanya itu mengikut kadar yang tepat sebagaimana yang sesuai untuknya dan sebagai yang telah ditetapkan Allah. Kalau bergerak sedikit sahaja dari tempat orbitnya, boleh hancur musnah bumi ini kerana kepanasannya.

Kadar itu ditentukan Allah sebelum sesuatu itu dijadikan lagi. Apa yang kita lalui juga adalah dalam kadar ketetapan Allah. كُلَّ شَيْءٍ itu bermaksud semua sekali. Tidak ada yang tertinggal dari ketetapan dan ketentuan Allah.

Kalau Allah menentukan segalanya itu, maka kita sebagai hambaNya kenalah menerima ketetapan Allah itu. Jangan kita persoalkan keputusan dan apa-apa yang telah ditentukan oleh Allah. Kerana semua itu ada hikmah di sebaliknya. Kalau hujan turun, jangan marah; kalau banjir, jangan marah.

Ia juga bermaksud, kalau kita ada masalah dan cabaran dalam perjalanan hidup kita, kita kena terima dan berharap kepada Allah semoga ia diselesaikan. Kerana Allahlah sahaja yang boleh mengubahnya. Tidak ada yang lain. Kerana yang menetapkan kejadian sesuatu perkara itu adalah Allah. Maka jangan kita putus harap dengan Allah.


 

Ayat 50:

وَما أَمرُنا إِلّا وٰحِدَةٌ كَلَمحٍ بِالبَصَرِ

Sahih International

And Our command is but one, like a glance of the eye.

Malay

Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata.

وَمَا أَمْرُنَا إِلَّا وٰحِدَةٌ

Dan perintah Kami hanyalah satu perkataan

Apabila Allah hendak sesuatu terjadi, ianya akan terus terjadi. Ianya amat mudah bagi Allah. Allah hanya beri arahan sekali sahaja. Itulah kalimah كُن (Jadilah!).

Allah telah berfirman tentang perkara ini dalam Yaasin:82

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.

 

كَلَمْحٍ بِالْبَصَرِ

seperti kerlipan mata.

Kita tidak akan dapat tahu dengan tepat bagaimanakah cara Allah menjadikan sesuatu. Allah cuma beri isyarat kepada kita bahawa ianya amat cepat dan cepatnya itu boleh dibayangkan seperti kerdipan mata sahaja. Begitulah cepatnya. Ianya akan terjadi tanpa lengah.

Allah tak perlu nak cakap banyak kali. Bandingkan, kalau kita hendakkan sesuatu, sebagai contoh kita beri arahan kepada anak kita, kita kena suruh berkali-kali. Dan bukannya dia terus buat, tapi dia akan berlengah-lengah lagi, bukan? Tidak terjadi begitu dengan Allah.

Kalimat أَمْرُنَا (Urusan Kami) yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh juga dimaksudkan ‘apabila tiba keputusan Allah untuk menjadikan kiamat’. Apabila Allah mahu Kiamat itu jadi, ia akan terjadi dalam sekelip mata sahaja. Tak perlu nak ambil masa nak rancang dan bina apa-apa.

Dalam Yaasin:53 Allah telah memberitahu kepada kita bagaimana cepatnya terjadi hari Kiamat itu:

إِن كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ

Tidak adalah teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba-tiba mereka semua dikumpulkan kepada Kami.

‘Dikumpulkan’ itu bermaksud dikumpulkan untuk dibawa ke Mahsyar.


 

Ayat 51:

وَلَقَد أَهلَكنا أَشياعَكُم فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have already destroyed your kinds, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan orang-orang yang sama keadaannya seperti kamu; maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran?

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا أَشْيَاعَكُمْ

Dan sesungguhnya telah Kami binasakan orang yang serupa dengan kamu.

Kalimat أَشْيَاعَكُمْ bermaksud ‘mereka yang sama dengan kamu dalam cara menjalankan kehidupan dan cara beragama’. Allah memberitahu kepada kita bahawa Allah telah pernah memusnahkan mereka yang mempunyai pegangan agama yang sama sesat seperti Musyrikin Mekah itu.

Iaitu mereka yang beribadat kepada selain Allah, yang mengamalkan amalan syirik, yang buat bidaah, yang menggunakan tawasul dalam berdoa dan sebagainya. Jangan rasa yang mereka akan selamat kerana kaum dulu sudah pernah dimusnahkan, maka mereka pun boleh dimusnahkan.

Maka, kalau masyarakat kita pun mengamalkan amalan dan pegangan yang sama, Allah boleh musnahkan juga mereka kalau Dia mahu. Masyarakat kita telah banyak membaca tentang kekufuran kaum-kaum terdahulu, tetapi mereka baca sahaja tanpa rasa apa-apa. Mereka sangka itu hanya kisah orang terdahulu sahaja. Macam tidak berkenaan mereka sahaja.

Padahal ayat ini Allah perli mereka dengan berfirman bahawa sudah ada ramai orang yang buat macam itu dan Allah telah musnahkan. Tapi kerana mereka tidak belajar wahyu, maka mereka rasa mereka dalam golongan selamat.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?

Tidakkah ada yang mahu mengambil pengajaran dari azab yang Allah telah berikan itu? Adakah kita hanya tahu sahaja tapi tidak mengambil pengajaran? Itu adalah amat malang sekali. Macam orang kita yang hari-hari baca Al-Qur’an, tapi tidak mengambil pelajaran dari pembacaan itu kerana mereka tidak faham. Tidak faham itu adalah kerana tidak mahu belajar sahaja.

Ramai yang baca bagaimana Allah telah beri balasan buruk kepada puak musyrik, puak Yahudi dan puak Kristian. Tapi mereka setakat baca sahaja. Kerana mereka tidak faham bagaimana ada amalan-amalan dan pegangan agama mereka itu sama sahaja seperti Musyrikin Mekah, Yahudi dan Kristian.


 

Ayat 52:

وَكُلُّ شَيءٍ فَعَلوهُ فِي الزُّبُرِ

Sahih International

And everything they did is in written records.

Malay

Dan tiap-tiap perkara yang mereka lakukan, adalah tertulis di dalam Kitab suratan amal;

 

Semua yang dilakukan oleh manusia ada tertulis dalam الزُّبُرِ (Kitab Amalan). Ianya tidak akan hilang. Semua yang dilakukan dan dikatakan akan ditulis.

Kalau Musyrikin Mekah melihat amalan kaum yang telah dihapuskan itu, mereka akan nampak bahawa sama sahaja amalan syirik mereka. Begitu juga, kalau ‘Musyrikin Malaysia’ melihat amalan-amalan syirik kaum terdahulu, sama sahaja amalan mereka dan mereka.

Antaranya, Musyrikin Mekah juga mengamalkan tawasul seperti kebanyakan masyarakat kita yang mengaku Islam. Mereka juga banyak mencipta amalan bidaah macam masyarakat kita juga. Ma sha Allah!

Segala perbuatan itu bukan ditulis sahaja, tapi akan dibalas di Akhirat kelak. Kalau tulis tapi disimpan sahaja, tidak mengapa. Tapi, ianya akan dikeluarkan dan akan dibentangkan kepada mereka dan kemudian akan dibalas.

Lalu bagaimana kita tidak takut melakukan kesalahan, kalau kita tahu yang setiap apa yang kita lakukan akan ditulis?


 

Ayat 53:

وَكُلُّ صَغيرٍ وَكَبيرٍ مُّستَطَرٌ

Sahih International

And every small and great [thing] is inscribed.

Malay

Dan tiap-tiap perkara yang kecil dan yang besar tetap tercatit.

 

Kalimah مُّسْتَطَرٌ bermaksud ‘ditulis baris demi baris’. Tak kira kecil atau besar, ianya akan ditulis. Akan ditulis dalam Kitab Amalan kita.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘perkara yang kecil?’. Kalau jari kita kena cucuk dengan duri pun, akan ditulis. Kenapa nak kena tulis benda sekecil itu? Kerana kalau kita sabar dengan kesusahan sekecil itu, maka kita akan dapat pahala juga. Kalau tak ditulis, maka akan rugilah kita sebab ianya tidak ditulis.

Kalau yang sekecil itu pun ditulis, apatah lagi kalau kita buat perkara yang melawan perintah Allah? Tentulah itu pun akan ditulis juga. Kerana itu nanti manusia akan terkejut betapa semuanya sekali akan ditulis sebagaimana yang disebut dalam Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun”.


 

Ayat 54: Setelah banyak diberikan peringatan dan ancaman dalam ayat-ayat sebelum ini, sekarang diberikan berita baik pula kepada mereka yang mahu mendengar dan memikirkan tentang amaran dan ancaman itu dan mengubah cara hidup mereka.

إِنَّ المُتَّقينَ في جَنّٰتٍ وَنَهَرٍ

Sahih International

Indeed, the righteous will be among gardens and rivers,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai,

 

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhati-hati dengan setiap perbuatan mereka. Sama ada yang kecil atau besar.

Antaranya, mereka berhati-hati dalam amalan ibadat mereka. Mereka tak mahu nak buat satu pun perkara bidaah. Kalau dia musykil sama ada sesuatu amalan itu adalah dari ajaran Nabi atau tidak, dia akan tinggalkan amalan sampai dia dapat kepastian yang ianya memang ajaran dari Nabi.

Lebih baik meninggalkan sesuatu amalan ibadat yang kita tidak pasti, dari melakukan sesuatu yang kita tidak tahu dari mana datangnya. Seperti sabda Nabi:

دَعْ ما يُرِيبُكَ إلى ما لا يُرِيبُكَ
Tinggalkan perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu.

Apakah balasan kepada mereka yang bertaqwa ini? Mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga. Mereka akan menikmati nikmat dalam syurga seperti taman-taman dan sungai-sungai di dalamnya. Itulah nikmat yang dibalas kepada mereka. Bandingkan mereka yang telah engkar yang akan duduk dalam neraka, dalam kepanasan api Neraka dan bahang api Neraka.

Ayat-ayat inilah yang memberi semangat kepada para sahabat yang ditindas semasa mereka di Mekah. Ianya memberi harapan kepada mereka. Dan para sahabat memang banyak membaca Al-Qur’an. Maka mereka sentiasa diberikan dengan berita-berita gembira ini.

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhati-hati dalam amalan mereka. Dan mereka yang tidak bertaqwa adalah mereka yang telah banyak disebut dalam surah ini sebelum ini: mereka tidak mengendahkan amaran yang telah diberi oleh Rasul-Rasul mereka.

Sekarang ini Nabi dan Rasul tidak ada lagi. Tapi masih ada lagi di kalangan kita, penyebar-penyebar tauhid yang masih mengingatkan manusia supaya jangan engkar dengan Allah dan jangan melakukan syirik.


 

Ayat 55:

في مَقعَدِ صِدقٍ عِندَ مَليكٍ مُّقتَدِرٍ

Sahih International

In a seat of honor near a Sovereign, Perfect in Ability.

Malay

Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.

فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ

di tempat duduk penuh kemuliaan

Kalimah صِدْقٍ bermaksud ‘kebenaran’. Ianya juga boleh bermaksud ‘kemuliaan’. Kalimah مَقْعَدِ adalah satu majlis yang apabila kita duduk, kita tidak mahu bangun sebab kita suka berada di situ.

Kalimah مَقْعَدِ صِدْقٍ juga bermaksud ‘tempat duduk yang penuh kebenaran’. Tidak ada lagi penipuan dan pembohongan di dalamnya. Ini adalah kerana di syurga, segala yang ada padanya adalah benar dan mulia.

Ada yang kata kedudukan ini hanya diberikan kepada mereka yang ‘berkata benar’ sahaja. Mereka yang penipu, tidak akan ada peluang untuk mendudukinya.

Mereka juga adalah orang yang membenarkan/mengiyakan kebenaran apabila mereka melihatnya. Sebagai contoh, katakanlah mereka mendengar seseorang mengatakan kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an, mereka akan kata “benarlah apa yang dikatakannya itu dari Qur’an”.

Ini penting, kerana ada yang takut hendak membenarkan. Sebagai contoh, ada ramai yang tahu dan sudah mengamalkan sunnah. Tapi mereka senyap sahaja, kerana takut dikutuk, takut dimarahi, takut dimaki. Itu adalah orang-orang yang tidak ‘membenarkan’. Mereka itu dikira sebagai ‘syaitan bisu’ sebab tidak menegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia.

Kepada mereka yang menjalankan tugas sebagai seorang mukmin, balasan bagi mereka adalah syurga. Dalam syurga nanti, tidak ada cakap-cakap kosong, cakap-cakap lalai dan pembohongan, tetapi hanya ada kata-kata yang benar sahaja. Dalam Maryam:62 Allah berfirman:

لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَامًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا

Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezekinya di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang.

 

عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ

di sisi Raja (Tuhan) Yang Berkuasa.

Inilah sebabnya kita tidak mahu bangun dari tempat duduk itu – kerana kita duduk berdekatan Allah. Inilah nikmat yang paling besar sekali. Mereka yang masuk syurga dapat duduk berdekatan dengan Allah.

Tidakkah kita mahu untuk duduk berdekatan dengan Allah? Melihat Allah adalah nikmat yang paling besar, lebih besar lagi dari masuk syurga itu sendiri. Inilah maksud ayat Qiyamah:22-23

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ

Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Kepada Tuhannyalah mereka melihat.

Kalimah مَلِيكٍ bermaksud raja, tapi bukan raja yang biasa. Kerana kalau ‘raja’ sahaja, perkataan مَلِكٍ digunakan. Tapi, dalam perkataan ini, ada penambahan huruf ي yang menunjukkan lebih lagi. Begitulah apabila ada penambahan huruf, maka ia menambah maksud.

Kalimah مُّقْتَدِرٍ bermaksud ‘mampu melakukan segalanya’. Allah boleh buat apa sahaja. Tidak ada larangan atau sekatan kepada Allah untuk melakukan sekehendakNya. Allah boleh berikan apa-apa sahaja kepada kita kalau Allah mahu dan tidak ada yang boleh menghalangNya. Tidak ada yang boleh kalahkan Allah.

 

Allahu a’lam. Tamatlah sudah tafsir Surah al-Qamar ini. Lompat ke surah yang seterusnya: Surah ar-Rahman.

Kemaskini: 7 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah al-Qamar Ayat 34 – 45 (Golongan dalil pun baca Qur’an)

Ayat 34: Apakah azab yang dikenakan kepada mereka kerana dosa-dosa yang mereka lakukan?

إِنّا أَرسَلنا عَلَيهِم حاصِبًا إِلّا ءآلَ لوطٍ ۖ نَجَّينٰهُم بِسَحَرٍ

Sahih International

Indeed, We sent upon them a storm of stones, except the family of Lot – We saved them before dawn

Malay

Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam,

إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ حَاصِبًا

Sesungguhnya Kami telah menghantarkan ke atas mereka taufan batu-batu,

Mereka dikenakan dengan hujan batu dari neraka. Setiap batu-batu itu telah ada nama mangsanya. Ini adalah kerana penolakan mereka terhadap dakwah dan ajaran Nabi Luth. Mereka menolak ajakan tauhid dari Nabi Luth dan mereka juga melakukan perbuatan terkutuk iaitu liwat (homoseksual).

Merekalah yang pertama sekali melakukan perkara ini kerana tidak pernah ada sejarah lagi dari perbuatan manusia lain. Binatang pun tak buat kerja ini. Oleh itu, dari kalimah nama Nabi Luth inilah dijadikan kalimah perbuatan ‘liwath’ itu.

 

إِلَّا ءآلَ لُوطٍ

kecuali keluarga Luth.

Hanya keluarga Nabi Luth sahaja yang terselamat. Malaikat telah menyuruh mereka meninggalkan tempat itu sebelum bala itu turun. Hanya Luth a.s. dan dua anak perempuannya sahaja. Isteri Nabi Luth pun tak selamat kerana dia bersekongkol dengan kaumnya yang homoseksual. Ini adalah kerana dia seorang munafik. Jiwanya bersama kaumnya.

Apabila dia seorang munafik maka dia tidak tinggalkan kaumnya. Macam orang munafik, boleh sahaja duduk dengan orang mukmin yang lain. Dan Nabi Luth sendiri tidak tahu yang isterinya itu munafik, kerana itulah dia tidak ceraikan.

 

نَّجَّيْنٰهُم بِسَحَرٍ

Mereka Kami selamatkan menjelang fajar menyingsing,

Malaikat datang dan suruh mereka selamatkan diri sebelum waktu subuh (waktu sahur). Mereka telah disuruh pergi tanpa pandang ke belakang. Supaya mereka tidak melihat bala yang menimpa kaum mereka. Kerana trauma sangat kalau tengok azab itu.

Sedangkan kaum Nabi Musa boleh melihat bala yang dikenakan kepada Firaun dan tentera-tenteranya, kerana mereka boleh melihat mereka lemas dalam laut. Dan umat Nabi Muhammad pula dibenarkan untuk berperang dengan musuh mereka dan bunuh sendiri musuh mereka dengan tangan dan pedang mereka.

Itu adalah beza antara umat-umat. Ada yang dapat melihat azab yang dikenakan kepada golongan penentang mereka.


 

Ayat 35:

نِعمَةً مِّن عِندِنا ۚ كَذٰلِكَ نَجزي مَن شَكَرَ

Sahih International

As favor from Us. Thus do We reward he who is grateful.

Malay

Sebagai limpah kurnia dari Kami. Demikianlah kami membalas orang-orang yang bersyukur.

نِّعْمَةً مِّنْ عِندِنَا

sebagai nikmat dari sisi Kami.

Kalau Allah selamatkan, itu adalah nikmat yang Allah berikan. Ini bermakna, apa sahaja keselamatan yang kita dapat, ianya adalah dari Allah dan ianya adalah satu nikmat sebenarnya.

 

كَذَٰلِكَ نَجْزِي مَن شَكَرَ

Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur,

Kalau kita bersyukur, kita akan dibalas dengan nikmat. Apakah ‘syukur’ yang dilakukan oleh Luth sampaikan baginda mendapat keselamatan itu? Kerana baginda telah beriman dan bersabar. Baginda telah bersyukur kerana baginda dalam agama Islam. Dan baginda tetap tinggal bersama kaumnya walaupun mereka tidak beriman.

Padahal baginda bukan berasal dari kaum itu. Baginda terus tinggal untuk berdakwah kepada mereka. Ada ulama’ berpendapat tidak boleh kita tinggal di negara bukan Islam kecuali kalau kita hendak berdakwah di situ. Kalau kita tidak boleh berdakwah, maka kita kena tinggalkan. Kena tinggalkan lebih baik untuk menjaga agama kita. Kerana kalau terus duduk di negara non-Muslim, susah kita hendak mengamalkan agama dengan sempurna.

Jadi, bersyukur itu dapat dilaksanakan dengan menyebarkan agama. Oleh itu bukanlah maksud bersyukur itu hanya menyebut alhamdulillah berkali-kali sahaja tanpa mengamalkan agama Islam dengan benar dan menyebarkannya kepada orang lain juga. Maka kenalah kita mengajak manusia yang ramai-ramai itu kepada ajaran tauhid.

Begitulah Allah telah selamatkan Nabi Luth dan keluarganya. Begitulah juga Allah akan menyelamatkan hamba-hambaNya yang beriman nanti. Bukan hanya Nabi Luth sahaja yang akan diselamatkan. Maka kalau kita juga beriman, dan kita juga menyebarkan dakwah, maka kita akan diselamatkan juga.


 

Ayat 36: Inilah ajakan dakwah Nabi Luth kepada kaumnya.

وَلَقَد أَنذَرَهُم بَطشَتَنا فَتَمارَوا بِالنُّذُرِ

Sahih International

And he had already warned them of Our assault, but they disputed the warning.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Nabi Luth telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa Kami; dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu.

وَلَقَدْ أَنذَرَهُم بَطْشَتَنَا

Dan sesungguhnya dia (Luth) telah memperingatkan mereka akan azab-azab Kami,

Nabi Luth telah pernah memberikan ancaman kepada mereka dengan azab yang Allah boleh kenakan kepada kaum itu, kalau mereka engkar dengan arahan Allah. Bukannya mereka itu tidak diberi ancaman, tapi sudah berkali-kali diberikan ancaman.

 

فَتَمَارَوْا بِالنُّذُرِ

maka mereka mendustakan ancaman-ancaman itu.

Tapi mereka tidak mahu mendengar dan taat kepada ancaman dan dakwah itu. Ini adalah kerana mereka ragu-ragu. Dan ragu-ragu ini bahaya kerana lama kelamaan ia boleh menjadi kafir. Kerana itu tidak salah untuk ragu-ragu pada peringkat awal, tapi kenalah dihilangkan ragu-ragu itu dengan mencari kebenaran.

Sebagai contoh, sekarang ramai yang hairan dengan apa yang disampaikan oleh ustaz-ustaz sunnah kerana ianya perkara baru dalam masyarakat. Sampai ramai yang keliru kerana berlainan dengan apa yang mereka telah biasa. Jadi ragu adalah perkara biasa. Tapi kenalah cari dalil apakah yang benar. Kena dengar dulu apa yang disampaikan dan kena tanya kepada orang yang tahu.

Walaupun kaum Nabi Luth itu tidak mahu menerima ajakan tauhid Nabi Luth tetapi baginda masih dikira sebagai seorang yang ‘bersyukur dan diselamatkan’. Kerana Allah bukan kira kejayaan seorang pendakwah itu berapa ramai orang yang mengikutnya tetapi Dia mahu melihat kita melakukan dakwah. Kerana kita tidak boleh memberi hidayah kepada orang lain, kita cuma boleh menyampaikannya sahaja.


 

Ayat 37: Kaum Nabi Luth telah melakukan satu dosa yang besar iaitu homoseksual.

وَلَقَد رٰوَدوهُ عَن ضَيفِهِ فَطَمَسنا أَعيُنَهُم فَذوقوا عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

And they had demanded from him his guests, but We obliterated their eyes, [saying], “Taste My punishment and warning.”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Luth mengenai tetamunya, lalu Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

وَلَقَدْ رٰوَدُوهُ عَن ضَيْفِهِ

Dan sesungguhnya mereka telah memaksanya (agar menyerahkan) tamunya (kepada mereka),

Kaum Nabi Luth memaksa Nabi Luth untuk memberikan tetamu baginda kepada mereka untuk diliwat.

Dalam ayat ini hanya disebut kisah itu secara ringkas. Dalam surah lain disebutkan bagaimana Nabi Luth telah didatangi oleh dua malaikat yang merupakan diri mereka seperti lelaki yang kacak. Mereka pula adalah kaum yang mengamalkan homoseksual. Dan isteri Nabi Luth lah yang membocorkan berita kedatangan dua ‘lelaki’ itu kepada kaumnya.

Maka mereka telah berkenan kepada tetamu Nabi Luth itu tanpa mengetahui yang mereka berdua adalah malaikat yang datang untuk menghancurkan mereka. Kisah ini telah disebut dengan lebih panjang di dalam Hud:77-83 dan Al-Hijr:61-74.

Nota: ada golongan gay yang jahil agama dan bodoh berkata: yang salah kalau ‘memaksa’ sahaja macam yang disebut dalam ayat ini. Maka mereka kata, kalau rela sama-sama suka, tidak mengapa.

Ini amat bahaya sekali kalau pemahaman ini menular dalam masyarakat yang memang telah sedia jahil agama. Ayat-ayat Al-Qur’an kenalah dibaca semua sekali, janganlah tebuk dan cari ayat-ayat yang agak-agak kena dengan kehendak golongan kita dan pandai-pandai sahaja tafsir sendiri nak membenarkan amalan salah sendiri.

Eloklah golongan gay pun baca Al-Qur’an. Tapi bacalah semua ayat dan marilah belajar tafsir Al-Qur’an supaya tidak salah faham. Kerana apa yang mereka faham itu amat jauh dari agama. Memang tidak akan pernah liwat dibenarkan dan tidak akan dibenarkan sampai bila-bila.

 

فَطَمَسْنَا أَعْيُنَهُمْ

lalu Kami butakan mata mereka,

Allah menjadikan mereka buta sampaikan tidak boleh buat apa-apa kepada malaikat itu. Iaitu apabila mereka merempuh masuk ke dalam rumah Nabi Luth a.s, cahaya terang telah menyilaukan mata mereka.

Juga ada dikatakan bahawa Jibril telah memukul mata mereka dengan sayapnya. Maka mereka tidak nampak apa yang di hadapan mereka.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ

maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.

Ayat ini lain sedikit daripada ayat-ayat yang sebelum ini. Dalam ayat ini, digunakan perkataan فَذُوقُوا  (rasakanlah) dan ayat-ayat sebelum ini digunakan perkataan فَكَيْفَ كَانَ (bagaimana). Ini adalah kerana sebelum ini, ayat-ayat itu ditujukan kepada Musyrikin Mekah. Dalam ayat ini, Allah quote terus apakah yang dikatakan kepada kaum Luth itu sendiri.

Allah menceritakan apakah azab yang telah dikenakan kepada kaum-kaum itu dan Allah suruh Musyrikin Mekah dan kita membayangkan bagaimanakah azab-azab itu. Tapi dalam ayat ini, Allah tujukan terus pada kaum Nabi Luth kerana murkaNya Allah kepada mereka terlalu tinggi.

Kerana mereka telah melakukan syirik dan kemudian amalkan homoseksual pula. Maka memang amalan homoseksual (semburit) ini tidak patut diterima. Maka kita kena halang dari perkara ini terus berleluasa dalam masyarakat.


 

Ayat 38:

وَلَقَد صَبَّحَهُم بُكرَةً عَذابٌ مُّستَقِرٌّ

Sahih International

And there came upon them by morning an abiding punishment.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Mereka telah ditimpa azab yang kekal pada pagi-pagi hari (esoknya).

وَلَقَدْ صَبَّحَهُم بُكْرَةً

Dan sesungguhnya pada esok harinya

Azab yang dikenakan kepada mereka itu datang pada awal pagi. Ayat ini adalah ringkasan sahaja, tidak disebutkan apakah azab itu. Dari riwayat lain kita dapat tahu yang negeri mereka telah dicungkil oleh Jibril dan diangkat ke langit. Dan kemudian mereka telah dihujani dengan batu. Dan mereka telah dihempaskan kembali ke bumi dan dibenamkan (setelah diterbalikkan).

 

عَذَابٌ مُّسْتَقِرٌّ

mereka ditimpa azab yang kekal.

Azab itu kekal sampaikan ke neraka dan tidak akan keluar sampai bila-bila. Kerana mereka tidak ada peluang untuk bertaubat dan kerana itu mereka akan kekal dalam neraka.


 

Ayat 39:

فَذوقوا عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

So taste My punishment and warning.

Malay

Lalu (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

Inilah ancaman dari Allah. Allah ceritakan apa yang terjadi kepada kaum-kaum yang terdahulu sebagai peringatan kepada umat-umat selepas itu. Janganlah mereka degil untuk menerima ajakan tauhid dan ajaran agama dari Rasul mereka.

Jangan kita sangka mereka sahaja yang boleh dikenakan dengan azab. Kalau kita pun berperangai seperti mereka, maka azab pun boleh dikenakan kepada kita semasa di dunia lagi. Maka janganlah amalan homoseksual ini langsung diterima dalam masyarakat. Kita kena kutuk habis-habisan. Jangan langsung beri ruang kepada mereka untuk rasa selesa mengamalkannya.

Kerana kita takut kalau ia jadi normal sahaja dalam masyarakat, maka Allah turunkan azab ke atas kita. Takut nanti dengan kita sendiri kena azab kerana tidak menjalankan tugas menghalang amalan buruk ini. Jangan jadi ahli politik yang bermain kata-kata kerana takut undi mereka kurang. Kita yang tahu agama ini kena tetap kuat mengutuk amalan ini.


 

Ayat 40:

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْءآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur’an untuk pelajaran,

Maka janganlah kita leka lalai dari Al-Qur’an ini. Semua sudah kenal apa itu Al-Qur’an, maka teruskan dengan berusaha untuk memahami apakah ajaran dalam Al-Qur’an itu. Jangan pandai baca sahaja seperti kebanyakan dari masyarakat Melayu kita.

Kalau bab baca Al-Qur’an, beriya-iya sungguh mereka belajar, tapi bab belajar faham makna? Tidak ramai lagi yang mahu belajar. Tidak ramai yang sanggup luangkan masa untuk belajar.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Ayat ini ditujukan kepada kita. Maka kenalah kita menjawab yang kita yang akan mengambil pengajaran dan peringatan dari Al-Qur’an ini. Kitalah yang menyahut ajakan dari Allah ini untuk belajar. Kerana itu ada yang sampai ke sini dan berusaha untuk baca dan belajar.

Semoga Allah tempatkan kita di dalam kalangan orang-orang yang alim tentang Al-Qur’an ini.

Habis Ruku’ 2 dari 3 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 41: Ayat 41 & 42 adalah Perenggan Makro Keenam dan ia adalah berkenaan pendustaan Firaun dan ahlinya.

وَلَقَد جاءَ ءآلَ فِرعَونَ النُّذُرُ

Sahih International

And there certainly came to the people of Pharaoh warning.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Firaun dan kaumnya telah didatangi (Rasul-rasul) pemberi amaran.

Kepada Firaun dan keluarganya, telah didatangkan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. Firaun dan kaumnya bangsa Qibti telah diberikan dengan ancaman-ancaman yang jelas. Bukan satu ancaman sahaja, tapi banyak yang diberikan kepada mereka.

Bukan seorang Rasul yang dihantar kepadanya, tapi sampai dua orang. Tapi apakah yang dilakukan oleh Firaun dan pengikutnya?


 

Ayat 42:

كَذَّبوا بِئآيٰتِنا كُلِّها فَأَخَذنٰهُم أَخذَ عَزيزٍ مُّقتَدِرٍ

Sahih International

They denied Our signs, all of them, so We seized them with a seizure of one Exalted in Might and Perfect in Ability.

Malay

Mereka telah mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan azab seksa kepada mereka sebagai seksaan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.

كَذَّبُوا بِئآيَٰتِنَا كُلِّهَا

Mereka mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya,

Firaun dan pengikut-pengikutnya tidak mahu menerima dakwah Nabi Musa dan mukjizat-mukjizat yang ditunjukkan. Itulah maksud كُلِّهَا (semuanya) itu. Semuanya mereka tolak walaupun entah berapa banyak mukjizat yang telah ditunjukkan kepada mereka.

Dalam Al-Qur’an telah disebut sebanyak sembilan mukjizat ditolak oleh mereka. Selain dari mukjizat itu, ada lagi ayat-ayat dari Allah yang mereka tolak. Dalam A’raf:132 ada disebut:

وَقَالُوا مَهْمَا تَأْتِنَا بِهِ مِنْ آيَةٍ لِّتَسْحَرَنَا بِهَا فَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ

Mereka berkata: “Bagaimanapun kamu mendatangkan keterangan kepada kami untuk menyihir kami dengan keterangan itu, maka kami sekali-kali tidak akan beriman kepadamu”.

Mereka bukan sahaja menolak, tapi mereka tuduh pula apa yang Nabi Musa dan Nabi Harun bawakan itu adalah sihir. Dalam Taha:56 juga telah disebut bagaimana Firaun dan konco-konconya telah ditunjukkan dengan semua tanda, tapi mereka menolak kebenaran.

وَلَقَدْ أَرَيْنَاهُ آيَاتِنَا كُلَّهَا فَكَذَّبَ وَأَبَىٰ

Dan sesungguhnya Kami telah perlihatkan kepadanya (Fir’aun) tanda-tanda kekuasaan Kami semuanya maka dia mendustakan dan enggan (menerima kebenaran).

Digunakan perkataan كُلِّهَا kerana mereka tolak semua sekali dakwah dari Nabi Musa dan Nabi Harun. Memang bahaya kalau tolak wahyu. Kalau kita tolak satu sahaja ayat Allah, bermaksud dikira semuanya sekali ditolak. Ini adalah amat bahaya. Kita tidak boleh tolak walau satu pun ayat dalam Al-Qur’an. Bayangkan satu negeri dalam negara kita ini yang menolak tiga ayat Al-Qur’an berkenaan pembahagian harta.

Sepatutnya harta dibahagikan mengikut cara faraid, tetapi sebaliknya mereka menggunakan Adat Perpatih untuk membahagikan harta itu. Kalau satu ayat sahaja ditolak bermaksud seluruh Al-Qur’an itu ditolak, bagaimana pula kalau tiga ayat Al-Qur’an ditolak?

Bagaimana pula mereka yang menolak ayat-ayat hudud dari Allah? Bagaimana pula mereka yang menolak ayat-ayat tentang tawasul dan sebagainya?

 

فَأَخَذْنَٰهُمْ أَخْذَ عَزِيزٍ مُّقْتَدِرٍ

lalu Kami azab mereka dengan azab dari Yang Maha Perkasa lagi Maha Kuasa

Kerana menolak ayat-ayat dari Allah, maka mereka telah diazab oleh Allah semasa mereka di dunia lagi. Yang dimaksudkan adalah azab mereka dihempas dan dilemaskan dengan air laut semasa mereka mengejar Bani Israil untuk menyeberanginya.

Firaun amat berbangga dengan kekuatan dan kekuasaannya. Dalam Zukhruf:51 ada disebut bagaimana bangga dan sombongnya dia:

وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَٰذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِن تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan Fir’aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: “Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat(nya)?

Firaun sangka dia yang berkuasa dan gagah, tapi Allah beritahu Dialah sebenarnya yang mempunyai kuasa.


 

Ayat 43: Ayat 43 – 55 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan terakhir. Ia memberitahu akibat mendustakan seruan para Rasul.

أَكُفّارُكُم خَيرٌ مِّن أُولٰئِكُم أَم لَكُم بَراءَةٌ فِي الزُّبُرِ

Sahih International

Are your disbelievers better than those [former ones], or have you immunity in the scripture?

Malay

Adakah kafir kamu (wahai kaum musyrik Mekah), lebih baik (kekuatan, kekayaan dan kehandalannya) daripada kafir yang tersebut itu? Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti dalam Kitab-kitab Suci tentang kebebasan kamu (dari azab)?

أَكُفَّارُكُمْ خَيْرٌ مِّنْ أُولَٰئِكُمْ

Apakah kafirmu (hai kaum musyrikin) lebih baik dari mereka itu,

Kalimah أُولَٰئِكُمْ itu bermaksud kaum-kaum yang disebut sebelum ini. Telah disebutkan bagaimana mereka itu dihancurkan kerana keengkaran mereka. Allah nak tanya kepada puak Musyrikin Mekah dan kita juga: adakah kita lebih hebat dari mereka?

Mereka itu memang lebih hebat, tapi Allah boleh hancurkan mereka. Jangan sangka yang kita akan selamat dengan kehebatan yang kita ada. Kalau kita engkar, Allah boleh azab kita di dunia ini lagi. Dan kita tidak akan selamat di akhirat kelak.

Jangan kita sangka kita akan selamat walau siapa pun kita. Allah tanya kepada golongan kafir dalam ayat ini: adakah kamu sangka kafir kamu ini jenis baik? Dan kerana itu kamu sangka kamu akan selamat? Tentu tidak sama sekali. Kalau kafir itu sama sahaja, tempatnya di neraka.

 

أَمْ لَكُم بَرَاءَةٌ فِي الزُّبُرِ

atau apakah kamu telah mempunyai jaminan kebebasan (dari azab) dalam Kitab-kitab yang dahulu?

Kalimah بَرَاءَةٌ dari katadasar ب ر أ yang bermaksud sesuatu yang jelas, tidak bersalah, menyelamatkan diri dari sesuatu, immuniti. Maka kalimah بَرَاءَةٌ dalam ayat ini bermaksud imuniti. Adakah ada tertulis di mana-mana kitab-kitab sebelum ini yang mereka ada imuniti, boleh terselamat dari azab Allah?

Musyrikin Mekah perasan mereka itu umat terpilih kerana mereka Penjaga Kaabah waktu itu. Allah nak beritahu yang mereka pun tidak selamat.

Ada kalangan kita yang sangka kita boleh selamat dari azab Allah. Kerana mereka itu ada yang keturunan Nabi, ada mereka yang ikut sekian guru dan sebagainya, maka mereka sangka mereka insan terpilih dan kerana itu mereka akan selamat. Allah tanya balik kepada mereka yang rasa sebegitu, adakah tertulis dalam mana-mana kitab yang terdahulu yang mereka akan selamat?

Tentulah tidak ada. Keturunan atau dekatnya dengan seseorang yang baik tidaklah menjadi syarat bahawa seseorang itu akan selamat. Atau mana-mana sebab pun. Kalau anak Nabi pun belum tentu selamat, apatah lagi kita yang bukan anak sesiapa pun.


 

Ayat 44:

أَم يَقولونَ نَحنُ جَميعٌ مُّنتَصِرٌ

Sahih International

Or do they say, “We are an assembly supporting [each other]”?

Malay

(Mereka tidak mempunyai sebarang bukti) bahkan mereka akan berkata (dengan angkuhnya): Kami satu kaum yang bersatu, yang sudah tentu dapat membela diri!

أَمْ يَقُولُونَ

Atau apakah mereka mengatakan:

Ini ada satu lagi hujah yang Allah buka kepada kita tentang mereka yang melakukan keengkaran itu.

 

نَحْنُ جَمِيعٌ مُّنتَصِرٌ

“Kami adalah satu golongan yang bersatu yang pasti menang”.

Musyrikin Mekah kata mereka ramai dan kerana itu mereka boleh membantu sesama mereka. Mereka sangka kalau azab Allah dikenakan kepada mereka, mereka boleh lawan balik kerana mereka ramai.

Ada yang rasa kerana mereka ramai, mereka akan selamat. Sebagai contoh, lihatlah betapa ramainya golongan yang ber’ya hanana’ sampai penuh satu stadium buat syirik. Adakah mereka sangka, mereka ramai itu mereka akan selamat?


 

Ayat 45:

سَيُهزَمُ الجَمعُ وَيُوَلّونَ الدُّبُرَ

Sahih International

[Their] assembly will be defeated, and they will turn their backs [in retreat].

Malay

Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari.

سَيُهْزَمُ الْجَمْعُ

Golongan itu pasti akan dikalahkan

Tidak kira berapa ramai pun mereka, mereka akan dikalahkan. Kalimah سَيُهْزَمُ dari katadasar ه ز م yang bermaksud mengalahkan, diatasi, dilawan.

Kisah ini tentang Perang Badr di mana waktu itu Musyrikin Mekah itu ramai dari umat Islam Madinah, tapi golongan Musyrikin Mekah kalah juga dan mereka sampai terpaksa melarikan diri. Kerana kemenangan dan kekuatan bukan pada diri sendiri tapi dengan bantuan Allah.

 

وَيُوَلُّونَ الدُّبُرَ

dan mereka akan mundur ke belakang.

Para musuh akan lari ketakutan apabila berdepan dengan umat Islam yang ada iman. Dan Allah bantu umat Islam.

Sebagai contoh, apabila Nabi hendak menyerang sesuatu tempat, Allah akan tanamkan ketakutan dalam diri musuh baginda walaupun mereka itu ramai. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi dan kata-kata mereka yang dulunya menentang Islam dan kemudian masuk Islam, apabila mereka menceritakan pengalaman mereka dalam kufur dan berperang dengan tentera Islam.

Mereka kata semasa mereka berperang dengan Nabi dan tentera Islam dulu, mereka amat takut dengan tentera Islam walaupun bilangan mereka ramai dan kelengkapan perang mereka lebih hebat. Dalam hadis ada disebut bagaimana walaupun jarak Nabi dari mereka seribu batu pun, mereka sudah rasa takut.

Jadi, ini adalah ramalan apa yang akan terjadi kepada Musyrikin Mekah di Perang Badr, Uhud dan Ahzab. Allah sudah beritahu kejayaan yang akan diterima oleh golongan Islam terhadap Musyrikin Mekah.

Begitu juga dengan puak-puak syirik dan bidaah sekarang. Puak-puak syirik dan bidaah ini, kalau kita berhujah dengan mereka, mereka akan mengundur ke belakang kerana mereka takut berhadapan dengan wahyu. Katakanlah kita berhujah dengan salah seorang dari mereka, penyokong-penyokongnya tidak akan membantunya dalam berhujah. Mereka akan biarkan sahaja.

Mereka akan berundur ke belakang. Mereka tidak akan menyokong kawannya yang sedang berhujah dengan kita. Kerana mereka tahu yang mereka tidak ada hujah. Maka dalam kita berhujah dengan mereka semasa berdakwah dengan mereka, hendaklah kita berharap dengan berdoa kepada Allah untuk bantu kita beri hujah kepada mereka. Allah akan membantu kita memberi hujah dalam melawan mereka kerana hujah-hujah itu datang dari Allah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 7 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair