Tafsir Surah Yunus Ayat 3 (Salah faham tentang Syafaat)

Yunus Ayat 3: Sekarang diberikan dalil aqli kenapa kita kena taat kepada Allah ﷻ. Kalau ayat pertama tentang Al-Qur’an, kemudian ayat kedua tentang penyampai Al-Qur’an iaitu Rasulullah ﷺ, dan sekarang Allah ﷻ menyebut tentang Diri-Nya pula.

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ ۖ يُدَبِّرُ الأَمرَ ۖ ما مِن شَفيعٍ إِلّا مِن بَعدِ إِذنِهِ ۚ ذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

 
Sahih International

Indeed, your Lord is Allah, who created the heavens and the earth in six days and then established Himself above the Throne, arranging the matter [of His creation]. There is no intercessor except after His permission. That is Allah , your Lord, so worship Him. Then will you not remember?

Malay

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu – setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?

 

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah

Allah ﷻ mengingatkan manusia siapakah Tuhan mereka. Peringatan ini diberikan terutama sekali kepada puak musyrikin yang menyembah juga sembahan yang lain. Walaupun mereka juga menyembah kepada yang lain, tetapi Allah ﷻ tetap Tuhan mereka.

Rabb bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara dan memiliki semua makhluk. Ada 3 elemen di situ yang kena ada dan kita kena faham siapa Rabb:

1. Dia mencipta alam ini

2. Maka Dia memiliki alam ini

3. Dia mengurus dan memelihara alam ini. Semua keperluan makhluk diberi oleh-Nya. Allah ﷻ sahaja yang menguruskan alam ini sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana Nabi, wali atau malaikat. Malaikat itu hanya menerima arahan Allah ﷻ sahaja, bukannya mereka yang menentukan apa yang akan berlaku.

الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Yang menciptakan langit-langit dan bumi

Alam ini bukan terjadi sendiri seperti kata saintis yang atheis itu, tetapi Allah ﷻlah yang menjadikan alam ini. Takkan alam yang sebegini hebat boleh terjadi secara tidak sengaja? Memang pelik sungguh akal kalau ada fahaman yang sebegitu.

Adakah lagi tuhan yang lain yang boleh menjadikan alam ini? Tentu tidak ada. Maka sembahlah Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ selalu menyebut dua perkara ini iaitu langit-langit dan bumi kerana ia adalah dua makhluk Allah ﷻ yang besar yang manusia boleh nampak dan perhatikan. Allah ﷻ selalu suruh perhatikan untuk kita sedar tentang kebesaran Allah ﷻ. Maka kena sedar kedudukan kita yang kerdil ini yang amat memerlukan Allah ﷻ.

Kalimah السَّمٰوٰتِ adalah jamak bagi السماء kerana langit itu ada 7 lapis. Namun kalimah الْأَرْضَ pula di dalam bentuk mufrad walaupun bumi pun ada 7 lapis juga seperti disebut dalam Talaq: 12

اللَّهُ الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ وَمِنَ الأَرضِ مِثلَهُنَّ

Allah-lah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi

Namun kenapakah untuk bumi Allah ﷻ menggunakan kalimah الْأَرْضَ dan bukan الْأَرْضَون? Ini adalah kerana tidak sama lapisan langit dan bumi. Lapisan langit itu ada ruang di antaranya sedangkan lapisan bumi rapat antara satu sama lain, maka ia  seolah-olah satu sahaja.

Allah ﷻ hendak menekankan yang Dialah yang menjadikan alam semesta ini. Maka kenapakah tidak sembah dan taat kepada-Nya sahaja? Adakah kamu tinggal di alam lain? Adakah kamu boleh berharap kepada selain Allah ﷻ? Tentu tidak.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia mejadikan alam ini sendirian berhad. Tidak ada bantuan daripada mana-mana makhluk. Maka kenapa hendak disembah dan dipuja dan diminta doa kepada selain daripada Allah ﷻ? Kenapakah ada fahaman sesat yang ada bahagian alam ini ditadbir oleh Nabi, oleh wali?

فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ

dalam enam hari,

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa alam ini dijadikan dalam ‘enam hari’ bermula dari hari Sabtu sehingga hari Khamis. Ini adalah maklumat yang kalau Allah ﷻ tidak beritahu kita, kita tidak akan tahu. Allah ﷻ beritahu Dia menjadikan dalam enam hari namun dengan tepat berapa lama, kita tidak dapat tahu kerana jangkamasa يوم (satu hari) itu boleh menjadi pendek atau panjang. Tiada ada sesiapa yang tahu melainkan Allah ﷻ sahaja.

Allah ﷻ beritahu secara ringkas sahaja kerana kita tidak perlu tahu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa satu hari itu sama dengan seribu tahun dalam kiraan kita di dunia ini sekarang. Maklumat ini tidak penting untuk dikaji sangat kerana kita tidak akan tahu.

Sebenarnya Allah ﷻ boleh sahaja menjadikan alam ini dalam sekelip mata. Namun Allah ﷻ hendak mengajar kita bahawa dalam melakukan perkara yang penting, perlu mengambil masa yang lama. Maka ini mengajar kita yang kita perlu ada perancangan dalam kehidupan kita. Kerana itulah kita tertakluk kepada proses dalam kehidupan kita. Allah ﷻ boleh sahaja menjadikan seorang ibu mengandung hari ini dan esok sudah bersalin. Akan tetapi Allah ﷻ menjadikan proses itu mengambil masa selama 9 bulan kerana itulah proses yang kita kena lalui. Ia memberi masa kepada kita untuk bersedia dan tidak kelam kabut. Maka dalam perkara yang penting, kita hendaklah memikirkan rancangan dengan baik untuk menjalankannya.

ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ

kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy

Ini adalah ayat mutashabihah, yang kita tidak tahu dengan pasti apakah maksudnya. Semua Imam mazhab dan Imam hadith menerima yang Allah ﷻ bersemayam di Arasy. ‘Bersemayam’ itu dalam bahasa Melayu kita adalah ‘duduk’. Tidaklah tepat sangat terjemahan itu kerana dalam bahasa Arab, duduk itu adalah جلس. Namun kita kena terima hakikat yang bahasa kita ini miskin. Maka kita menggunakan kalimah ‘duduk’ dan kita ubah sedikit menjadi ‘bersemayam’ sebab Raja kita tidak menggunakan kalimah duduk tetapi semayam. Bunyi hebatlah sedikit.

Namun sudah tentulah Allah ﷻ tidak duduk sama sebagaimana kita duduk. Bukannya kita menyamakan Allah ﷻ dengan makhluk. Cuma kita terima seadanya yang Allahﷻ istiwa di langit (luar dari alam sebenarnya, bukan langit kita ini). Hanya puak Jahmiyah sahaja yang menolak Allah ﷻ bersemayam di Arasy. Ini adalah salah kerana nyata ia telah disebut dalam Al-Qur’an, bukan?

Ini adalah jenis ayat-ayat mutashabihah. Ayat mutashabihah adalah ayat-ayat yang kita faham apabila kita baca, tetapi kita tidak tahu cara bagaimana di mana kita hanya tahu Dia duduk, namun duduk yang bagaimana kita tidak tahu. Kerana itulah kita berpegang, kita terima Allah ﷻ duduk di Arasy, tetapi bagaimana caranya, kita tidak tahu. Allah ﷻ bersemayam selayak dengan kedudukan-Nya.

Ayat ini adalah antara ayat yang sering memecah belahkan umat Islam di negara kita. Panjang perbincangan tentang ayat ini. Kita tidak mahu memanjangkan perbincangan itu di sini kerana sesungguhnya ia adalah perbuatan yang membuang masa sahaja dan menyibukkan kita dengan perkara yang tidak perlu difikirkan. Sedangkan banyak lagi perkara lain yang kita patut fikirkan. Namun syaitan sudah menyibukkan umat Islam hari ini dengan perkara sebegini. Perselisihan faham begitu dahsyat berlaku dalam kalangan sesama muslim sendiri sehinggakan timbul tuduhan untuk mengatakan bahawa golongan yang berkata Allah ﷻ istiwa di Arasy adalah sesat.

Kemudian mereka membuat tuduhan dengan mengatakan kenyataan Allah ﷻ istiwa’ di Arasy adalah kufur kerana menyamakan sifat Allah ﷻ dengan makhluk. Sungguh terpesong tuduhan ini. Senario tuduhan seperti ini dinamakan ‘Strawman Fallacy’ (Falasi Orang Jerami). ‘Strawman Fallacy’ maksudnya dia menggambarkan hujah atau kata-kata seseorang itu dengan tidak tepat, kemudian dia mengalahkan hujah yang tidak tepat itu pula. Maksudnya hujah yang mereka kalahkan itu sekadar orang jerami sahaja, bukanlah hujah sebenar orang itu.

Mereka telah mensalahtafsir bahawa dengan menyatakan kenyataan Allah ﷻ istiwa’ di Arasy adalah seperti menyamakan Allah ﷻ dengan makhluk walhal tidak pernah kita mengatakan bahawa Allah ﷻ sama dengan makhuk. Namun bukankah kenyataan tersebut telah dinyatakan sendiri oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an? Kemudian dengan salahtafsir hujah inilah mereka sewenang-wenangnya menyerang kita pula.

Sedangkan isu ini merupakan perkara yang mudah sahaja untuk difahami sebenarnya. Contohnya tangan Allah ﷻ tidak sama dengan tangan manusia, bukan? Susah sangatkah hendak faham? Ini samalah seperti kita boleh sahaja membezakan di antara tangan kita dengan tangan beruk. Pasti sekali tidak sama, bukan?

Ringkasnya, kita sebagai seorang Islam sepatutnya menerima apa sahaja yang Allah ﷻ sampaikan dalam ayat-Nya. Tidak layak bagi kita untuk mengubah maksud yang telah disampaikan oleh Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ kata Dia bersemayam di Arasy, maka begitulah yang kita terima. Kita taat dan kita patuh. Senang sahaja sebenarnya, namun kalau sudah degil itu, degillah juga.

Malangnya ramai yang mentakwil (mengubah) ayat ini dengan maksud lain. Antaranya mereka mengatakan yang ‘istiwa’ dalam ayat ini bermaksud ‘memerintah’. Adakah begitu pemahaman Nabi ﷺ dan para sahabat? Tidak. Sebab untuk menerangkan tentang memerintah, kalimah yang lain pula digunakan.

Sementara itu, ada sebahagian pula yang mentakwil dengan mengatakan istiwa itu bermaksud istawla (menguasai). Masalahnya jika ia membawa makna kalimah istawla, ia bermaksud menguasai sesuatu yang sebelum itu belum pernah dikuasai. Adakah mereka hendak mengatakan yang sebelum itu Allah ﷻ tidak menguasai langit dan hanya selepas itu barulah dikuasai? Teramatlah salah pendapat ini. Sebab itu jangan sesuka hati sahaja hendak mentakwil ayat-ayat Al-Qur’an ini.

IMG_20230603_203853_256

Dalam menafsirkan sesuatu ayat Al-Qur’an, kita hanya menerima tafsir yang sahih sahaja. Antaranya sesuatu ayat itu ditafsirkan sendiri oleh ayat Al-Qur’an yang lain; ataupun daripada hadith Nabi; atau daripada kata-kata sahabat kerana sahabat faham Al-Qur’an dan mereka belajar sendiri dengan Nabi ﷺ; jikalau selain daripada itu, kita sewajarnya tidak sepatutnya berani untuk menafsirkan sesuatu ayat itu mengikut pemahaman akal kita semata-mata.

Pegangan kita tentang ayat-ayat sebegini adalah seperti yang Allah ﷻ firmankan di dalam Ali Imran: 7

هُوَ الَّذي أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ فَيَتَّبِعونَ ما تَشَـٰبَهَ مِنهُ ابتِغاءَ الفِتنَةِ وَابتِغاءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأويلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّن عِندِ رَبِّنا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو ٱلأَلبَـٰبِ

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an. Sebahagian besar daripada Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Qur’an. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada Al-Qur’an untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Oleh itu, secara ringkasnya, kita menerima bahawa Allah ﷻ bersemayam di Arasy, tetapi dengan cara yang bagaimana, kita tidak tahu. Bukan tugas kita untuk memikirkan. Ini adalah antara perkara yang kita tidak perlu fikirkan panjang-panjang. Kita tidak diberatkan dengan perkara ini.

Cukup kita tahu yang Arasy itu adalah makhluk Allah ﷻ yang paling besar. Malah ia lebih besar daripada langit dan bumi kerana kita tahu daripada dalil bahawa ia meliputi alam ini. Namun Allah ﷻ tidak suruh kita melihat Arasy, bukan? Kerana kita tidak akan mampu hendak nampak Arasy itu. Tidaklah dapat kita bayangkan betapa besarnya ia.

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ

Dia mengatur segala urusan.

Selepas Allah ﷻ sebut tentang istiwa di Arasy, Allah ﷻ memberitahu apa yang Dia tadbir. Oleh kerana Dia memiliki makhluk, maka Dia akan menguruskan keperluan makhluk itu. Seperti kita perlu makan, Allah ﷻlah yang memberi kita makan. Apabila ada rezeki kita telah disediakan oleh Allah ﷻ, ia akan tersedia untuk kita. Makanan kita itu sudah siap menunggu kita kerana ia telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Selagi belum habis rezeki kita yang Allah ﷻ telah tentukan, maka selagi itu nyawa kita masih dikandung badan.

Allah ﷻ menguruskan segala perkara di dalam ini. Setiap perkara sama ada kecil atau besar adalah dalam perancangan Allah ﷻ. Dalam Saba’: 3 Allah ﷻ berfirman:

لَا يَعْزُبُ عَنْهُ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ وَلَا أَصْغَرُ مِنْ ذَٰلِكَ وَلَا أَكْبَرُ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

Tidak ada tersembunyi daripada-Nya sebesar zarrah pun yang ada di langit dan yang ada di bumi dan tidak ada (pula) yang lebih kecil daripada itu dan yang lebih besar, melainkan tersebut dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)”,

Ini bermakna Allah ﷻ bukan menjadikan alam kemudian membiarkannya begitu sahaja. Allah ﷻ menguruskan alam ini daripada sekecil-kecilnya hingga ke sebesar-besarnya. Dia berkuasa ke atas segalanya. Tidak ada yang berlaku tanpa pengetahuan-Nya dan izin-Nya. Tidaklah Allah ﷻ disibukkan oleh satu-satu masalah sehingga tidak dapat menyelesaikan masalah yang lain; Allah ﷻ tidak bosan dengan desakan makhluk yang meminta kepada-Nya; ketika mengatur perkara yang besar, tidaklah membuatnya lalai untuk mengatur perkara yang kecil.

Kadang-kadang kita tidak nampak pun kepentingan perkara-perkara yang terjadi dalam alam ini. Sebagai contoh apabila banjir berlaku, kita mungkin akan berasa tidak senang kerana ia merupakan sebuah musibah dan tidak dapat dirasai hikmahnya dengan jelas serta tertanya-tanya apakah manfaatnya. Namun tahukah anda ada perlunya banjir itu kerana di antara hikmah yang jelas di sebalik kejadian banjir adalah terdapat beberapa jenis ikan yang hanya dapat bertelur apabila tiba musimnya banjir. Ternyata kita pula sebagai manusia memerlukan ikan dan telurnya sebagai sebagai salah satu sumber makanan kita. Sungguh hebat aturan Allah ﷻ menyusun atur segala kejadian di bumi milik-Nya ini. Ma shaa Allah. Tiada kejadian di bawah pentadbir terhebat berlaku secara sia-sia.

Contoh ikan loma yang hanya bertelur di sungai di Perak ketika musim tengkujuh.

Begitu juga dengan hujan yang turun. Mungkin ada sesetengah daripada yang tidak suka kerana sedikit sebanyak ia dapat mengganggu kehidupan seharian kita, namun dengan hujan itulah yang menghidupkan rumput sebagai makanan kepada haiwan. Kita memang tidak makan rumput, tetapi kita makan haiwan ternakan itu. Semua itu dalam perancangan Allah ﷻ untuk mengurus makhluk-Nya untuk hidup. Allah ﷻ Maha Tahu keperluan kita dan Dia akan memberi mengikut keperluan kita.

Seluruh alam ini Allah ﷻ uruskan sendiri. Tidaklah berat bagi Allah ﷻ menguruskan tanpa sedikita pun rasa penat. Bukan macam kita, hendak uruskan pejabat dan rumah pun sudah penat. Jangan kata rumah, isteri seorang pun penat untuk diuruskan. Kemudian setelah penat mengurus urusan kerja di pejabat, kita akan balik rumah dalam kepenatan. Allah ﷻ tidak begitu, Allah ﷻ sebut di dalam Ayat Kursi,

وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ ۖ وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما

Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya

Allah ﷻ sedikitpun tidak penat setelah menjadikan alam ini. Maka salahlah akidah Yahudi dan Kristian yang kata Allah ﷻ penat setelah mencipta alam dan kena berehat pada hari Sabtu (Sabbath). Apa mereka sangka Allah ﷻ seperti manusiakah yang kena ambil cuti?

مَا مِن شَفِيعٍ إِلَّا مِن بَعْدِ إِذْنِهِ

Tiada seorang pun yang boleh memberi syafa’at kecuali sesudah izin-Nya.

Sekarang Allah ﷻ sebut tentang Syafaat pula. Inilah period akhir kehidupan kita. Di awal ayat Allah ﷻ sebut tentang penciptaan alam, dan di akhirnya adalah setelah alam musnah dan masuk alam akhirat pula. Waktu itu yang amat-amat diperlukan makhluk adalah Syafaat.

Syafaat bermaksud ‘pertolongan’. Lebih tepat lagi ia bermaksud ‘rekomendasi’ di mana seseorang rekomen kepada Allah ﷻ untuk menyelamatkan seseorang yang lain. Itu pun kira bagi pertolonganlah juga. Syafaat hanya boleh diberikan apabila Allah ﷻ izinkan. Maknanya hendak rekomen itu pun kenalah dapat izin dahulu. Syarat untuk mendapatnya mestilah mengamalkan Tauhid. Barulah Allah ﷻ redha untuk beri Syafaat kepada orang itu. Terdapat dua syarat utama untuk mendapat Syafaat: izin dan redha. Allah ﷻ sebut dalam Taha: 109

يَومَئِذٍ لا تَنفَعُ الشَّفاعَةُ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ وَرَضِيَ لَهُ قَولًا

Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (daripada dan kepada sesiapapun) kecuali daripada orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat0Nya, dan kepada orang yang diredhai perkataannya.

Maka Syafaat itu mestilah diharapkan sepenuhnya daripada Allah ﷻ sebenarnya. Rasulullah ﷺ pun tidak boleh memberi Syafaat sebenarnya, tetapi sebagai tukang sampaikan, atau tukang rekomen sahaja. Allah ﷻ sebut dalam Zumar: 43-44

أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ شُفَعاءَ ۚ قُل أَوَلَو كانوا لا يَملِكونَ شَيئًا وَلا يَعقِلونَ

Patutkah mereka mengambil yang lain daripada Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain daripada Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak mempunyai apa-apa, dan tidak pula mengerti (sebarang apa pun)?”

قُل ِللهِ الشَّفٰعَةُ جَميعًا ۖ لَّهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepada-Nya (untuk menerima balasan).”

Maka ini menolak fahaman manusia yang meminta-minta syafaat daripada wali, Nabi dan malaikat. Semua yang diminta itu tidak mempunyai kuasa untuk membantu. Kuasa mutlak adalah di tangan Allah ﷻ semata. Allah ﷻ yang menentukan siapa yang boleh mendapat syafaat. Bukan itu sahaja, untuk memberi syafaat itu pun sudah memerlukan izin.

Musyrikin Mekah tahu yang Allah ﷻ itu adalah Tuhan yang menciptakan mereka dan menjadikan alam ini. Namun pada fahaman mereka, mereka akan lebih dekat dengan Allah ﷻ sekiranya mereka menggunakan syafaat daripada yang lain iaitu mereka akan bertawasul kepada Nabi, wali, malaikat atau jin. Niat mereka adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Sebagaimana Allah ﷻ berfirman dalam Zumar: 3

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (daripada syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya”. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.

Begitulah juga masyarakat Islam yang salah faham dengan hal syafaat ini, maka mereka minta pertolongan daripada wali, kubur, Nabi, malaikat dan sebagainya. Ini semua menyalahi Sunnah, Nabi ﷺ tidak pernah ajar pun. Begitulah golongan yang dengan selambanya reka fahaman dan amalan baru dalam agama. Bagi mereka ini tidak ada harapan langsung untuk mendapat Syafaat, awal-awal lagi sudah dihalau oleh Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ bersabda,

أَنَا فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ ، لَيُرْفَعَنَّ إِلَىَّ رِجَالٌ مِنْكُمْ حَتَّى إِذَا أَهْوَيْتُ لأُنَاوِلَهُمُ اخْتُلِجُوا دُونِى فَأَقُولُ أَىْ رَبِّ أَصْحَابِى . يَقُولُ لاَ تَدْرِى مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ

“Aku akan mendahului kalian di al haudh (telaga). Lalu ditampakkan di hadapanku beberapa orang di antara kalian. Ketika aku akan mengambilkan (minuman) untuk mereka daripada al haudh, mereka dijauhkan daripadaku. Aku lantas berkata, ‘Wahai Rabbku, ini adalah umatku’. Allah ﷻ berfirman, ‘Engkau tidak tahu (bid’ah) yang mereka ada-adakan sepeninggalmu’ “

(Riwayat Bukhari no. 6576, 7049).

Nota: Al-haudh adalah sebiji telaga di Mahsyar. Airnya akan diberikan kepada Muslim yang tidak mengamalkan syirik dan bid’ah. Minum sahaja air telaga itu, hilang rasa dahaga sampai bila-bila.

Maka kena faham betul-betul tentang Syafaat ini. Jangan minta Syafaat sebarangan. Masalahnya, apabila kita rasa ada orang yang akan beri ‘pertolongan’, maka kita akan rasa selamat. Kesannya kita sudah tidak sembah Allah ﷻ betul-betul. Sudah tidak mengharap sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Pengharapan sudah beralih pula kepada Nabi, wali, malaikat dan jin. Begitulah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah. Mereka sangka, kerana mereka sudah selalu memuja dan sembah berhala yang mereka anggap sebagai perantara mereka dan Allah ﷻ, maka mereka akan selamat.

Begitu juga mereka menganggap para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah ﷻ dan mereka ada juga sembah malaikat. Maka mereka berasa sudah selamat. Mereka sudah tidak memuja Allah ﷻ sahaja, mereka sudah tidak berharap sepenuhnya dengan Allah ﷻ sahaja. Mereka berharap juga kepada Allah ﷻ namun dalam masa yang sama mereka ada sembahan lain dan tempat pengharapan lain.

Masyarakat Islam kita pun sudah bergerak ke arah itu. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana semakin ramai yang suka memuja Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ boleh memberi Syafaat kepada mereka. Maka, mereka mengadakan majlis Mawlid Nabi, majlis selawat satu stadium dan sebagainya.

Mereka mengadakan semua itu dengan harapan, apabila mereka memuja Nabi Muhammad ﷺ, minta pertolongan kepada Nabi Muhammad ﷺ, mereka akan diselamatkan oleh baginda. Mereka yang berbuat begitu adalah mereka yang salah faham dengan maksud Syafaat. Penerangan tentang syafaat ini ada banyak lagi dalam ayat-ayat lain. Apabila kita kumpulkan semua ayat-ayat itu, maka kita akan dapat pemahaman yang lebih jitu.

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ

(Dzat) yang demikian itulah Allah, Tuhan kamu,

Allah ﷻ yang mencipta alam ini, menguruskan segalanya itulah Tuhan kamu, bukannya yang lain. Kalau ada yang boleh cipta alam lain, boleh pula tadbir alam itu, barulah layak dipanggil tuhan. Yang kamu puja Nabi, wali dan malaikat itu, adakah mereka mampu cipta apa-apa? Tentu tidak, bukan?

Tidak ada lain lagi yang boleh melakukan seperti Allah ﷻ. Maka, kalau Dia lah Tuhan kita, apa yang perlu lakukan?

فَاعْبُدُوهُ

maka sembahlah Dia.

Inilah tuntutan hidup kita. Hanya Allah ﷻ sahaja yang layak disembah. Hanya Allah ﷻ sahaja yang layak dipuja, diibadati, tempat kita minta doa, tempat kita tawakal, tempat kita minta pertolongan, tempat kita berharap. Inilah Tauhid. Tauhid itu wajib diketahui dan wajib diamalkan.

Malangnya, kerana tidak faham konsep ‘sembah’, maka ramai dalam kalangan masyarakat kita telah melakukan sembahan kepada selain Allah ﷻ. Mereka telah berdoa kepada selain Allah ﷻ, puja selain Allah ﷻ, mengharap kepada selain daripada Allah ﷻ dan sebagainya.

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maka mengapakah kamu tidak mengambil pelajaran?

Mengapa kamu tidak faham bahawa hanya Allah ﷻ sahaja yang layak disembah? Musyrikin Mekah tahu bahawa Allah ﷻ yang menjadikan alam ini dan Dia adalah Tuhan. Namun dalam masa yang sama, mereka sembah juga ilah yang lain.

Begitu juga lah kebanyakan masyarakat Islam kita yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak faham bagaimana konsep *hanya* menyembah Allah ﷻ. Kerana itulah terdapat amalan ibadat yang dilakukan kepada selain daripada Allah ﷻ juga.

Antaranya, mereka akan berdoa kepada selain Allah ﷻ. Sebagai contoh, terdapat puak-puak Habib sekarang yang mengajar masyarakat kita untuk berdoa kepada ahli kubur. Itu adalah satu perkara syirik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Mei 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s