Tafsir Surah ad-Dukhan Ayat 30 – 39 (Penindasan Firaun)

Ayat 30: Sekarang Allah mengalihkan pandangan kita kepada Bani Israil pula. Ayat ini termasuk dalam jenis Tabshir Duniawi. Natijah yang terjadi apabila seseorang itu mengikuti Rasul mereka.

وَلَقَد نَجَّينا بَني إِسرٰءيلَ مِنَ العَذابِ المُهينِ

Sahih International

And We certainly saved the Children of Israel from the humiliating torment –

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israil, dari azab yang menghina, –

 

وَلَقَدْ نَجَّيْنَا بَنِي إِسْرٰءيلَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israil,

Allah mengingatkan kepada orang Yahudi dan kita juga betapa mereka telah diberi rahmat dengan diselamatkan mereka. Mereka dulunya menjadi hamba abdi kepada Firaun dan kaum Qibti. Mereka telah ditindas oleh kaum itu. Tapi Allah telah menyelamatkan mereka.

Ini adalah kerana mereka telah mengikut Nabi mereka, Nabi Musa. Jadi mereka telah diberikan dengan keselamatan dari Firaun. Maka kalau kita ikut wahyu, kita pun akan selamat. Walaupun mulanya mungkin susah tapi yang penting adalah hujungnya. Kalau ada kesusahan dan dugaan, maka kena tanggung dan sabar dahulu.

 

مِنَ الْعَذَابِ الْمُهِينِ

dari azab yang menghina, –

Azab yang dimaksudkan adalah perhambaan ke atas Bani Israil. Kerana perhambaaan adalah sesuatu yang amat menghinakan. Sudahlah dihambakan, ditambahkan lagi dengan seksaan yang dikenakan ke atas mereka.

Dan tentunya teruk sekali apa penindasan yang dilakukan oleh Firaun. Antara yang disebut adalah Firaun telah membunuh anak lelaki mereka.


 

Ayat 31: Siapakah Firaun dan apakah sifatnya?

مِن فِرعَونَ ۚ إِنَّهُ كانَ عالِيًا مِّنَ المُسرِفينَ

Sahih International

From Pharaoh. Indeed, he was a haughty one among the transgressors.

Malay

Dari penindasan Firaun, sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takbur lagi terbilang dari orang-orang yang melampaui batas (dalam keganasan dan kekejamannya).

 

مِن فِرْعَوْنَ

Dari penindasan Firaun,

Dan mereka juga dikerah untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Antaranya, mereka telah dikerah untuk membina piramid yang kita boleh lihat sampai hari ini. Dan kerja-kerja berat yang lain. Kalau sudah dijadikan sebagai hamba, maka tentulah mereka kena buat macam-macam.

 

إِنَّهُ كَانَ عَالِيًا

sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takbur

Dia rasa dia tinggi sangat. Sampai dia menjadi sombong. Dia mempunyai kelebihan kerajaan yang besar dan kekuatan tentera. Ekonomi mereka kuat dan tamadun mereka tinggi. Maka kerana itu dia berlagak dan sombong. Dan sebab dia teruk, maka orang bawah dia pun jahat juga.

Macam kalau kita lihat pekerja satu syarikat sombong, ada kemungkinan ketua syarikat itu pun begitu juga, kerana orang bawahan akan akan ikut orang atasan.

Dalam ayat ini juga Allah perli kepada pemuka Quraish. Mereka itu bangga dengan kedudukan mereka. Tapi adakah mereka sama tahap dengan Firaun? Tentu tidak. Firaun yang hebat itu pun mudah sahaja Allah musnahkan.

 

مِّنَ الْمُسْرِفِينَ

dari orang-orang yang melampaui batas.

Tidak ada yang melebihinya dalam perangai buruknya. Lihatlah bagaimana teruk sekali seksaan yang diberikan kepada Bani Israil. Dalam Qur’an telah disebut bagaimana dia telah menyalib keseluruhan ahli sihir yang telah beriman dengan Nabi Musa dan Nabi Harun.

Bilangan mereka dikatakan sampai beribu orang waktu itu dan semuanya sekali telah disalib. Sedangkan isterinya yang beriman pun dia sanggup bunuh, apatah lagi kalau orang lain? Apabila dia buat keburukan, dia buat dalam keadaan melampau. Yang lebih lagi dari orang lain. Orang lain pun kejam juga, tapi tidaklah sekejam Firaun.

Sebelum itu, kita pun telah baca bagaimana beliau telah mengarahkan seluruh anak lelaki yang baru lahir dari Bani Israil dibunuh kerana dia takut ada penentangnya dari kalangan Bani Israil itu. Itu amat kejam dan entah apa lagi kekejaman yang dilakukan olehnya yang kita tidak tahu.

Allah menegur musyrikin Mekah dengan membawakan kisah Firaun ini. Lihatlah bagaimana kaum musyrikin Mekah pun telah melampau dalam kegiatan mereka menyeksa orang Islam yang beriman dengan Nabi Muhammad.

Kisah yang paling selalu masyarakat kita dengar adalah bagaimana Bilal telah dijemur di tengah panas dan ditindih dengan batu. Bukan Bilal sahaja yang diseksa, malah banyak lagi.

Allah kisahkan bagaimana Firaun juga kuat menyeksa Bani Israil dan lihatlah bagaimana kesudahannya. Allah beri peringatan kepada kaum musyrikin dalam ayat ini sebenarnya. Maka hendaklah mereka berhati-hati. Jangan mereka ingat mereka kuat dan mereka boleh terlepas dari hukuman Allah.


 

Ayat 32: Sekarang disebut tentang bagaimana mereka telah dilebihkan kedudukan mereka daripada bangsa lain pada zaman itu.

وَلَقَدِ اختَرنٰهُم عَلىٰ عِلمٍ عَلَى العٰلَمينَ

Sahih International

And We certainly chose them by knowledge over [all] the worlds.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan (Kami) – menjadi lebih pangkatnya dari penduduk dunia (pada zaman itu),

 

وَلَقَدِ اخْتَرْنٰهُمْ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Bani Israil. Allah telah beri mereka dengan banyak kelebihan. Begitu banyak sekali kelebihan yang telah diberikan kepada mereka. Antaranya, paling banyak sekali golongan rasul dan Nabi adalah dari golongan mereka.

 

عَلَىٰ عِلْمٍ

dengan berdasarkan pengetahuan

Allah tahu kelebihan dan kekurangan Bani Israil, tapi Allah tetap beri kelebihan kepada mereka. Ini adalah kerana Allah telah memilih mereka di atas pengetahuanNya yang sempurna. Maka kita tidak boleh persoalkan pemilihan Allah ini. Kita tidak mampu nak mempersoalkan pilihan Allah.

Ada dua pendapat tentang maksud ‘pengetahuan’ dalam ayat ini.

1. Kerana ilmu yang mereka ada. Iaitu ilmu tentang tauhid. Walaupun waktu itu mereka belum dapat kitab Taurat lagi, dan mereka tidak mahir tentang agama lagi, tapi mereka telah tahu tentang tauhid, mereka tahu tentang Allah.

Mereka juga tahu serba sedikit tentang agama. Mereka tidak sama dengan bangsa Qibti yang mengamalkan agama syirik. Kerana pengetahuan agama yang sedikit ini pun, Allah telah pilih mereka.

Oleh itu, tahulah kita yang pengetahuan agama lah yang menaikkan kedudukan manusia. Bukannya pengetahuan tentang dunia. Dengan tahu agama, seseorang itu akan selamat dunia dan akhirat. Ini menunjukkan kepentingan ilmu. Malangnya, masyarakat kita buat tak endah sahaja tentang pengetahuan agama.

Malangnya kebanyakan manusia lebih pentingkan kepandaian dalam hal-hal dunia. Kalau hal dunia, mereka sibuk mendapatkan ilmunya sampaikan dapat PHD, Master dan sebagainya. Itu adalah kerana mereka hendakkan kehidupan yang senang, gaji yang tinggi dan sanjungan masyarakat.

Tapi bagaimana dengan pengetahuan agama? Mereka tahu sedikit sangat, setakat ada-ada sahaja. Selainnya, mereka serahkan kepada orang lain. Jadi imam, baca doa, beri hukum dan sebagainya, mereka akan minta kepada ‘ahli agama’. Diri sendiri mereka tidak mahu belajar. Amat menyedihkan sekali apa yang terjadi sekarang ini di kalangan masyarakat kita. Amat jahil tentang ilmu agama sampai boleh dipesongkan dengan mudah.

2. Mereka dipilih atas pengetahuan Allah. Allah tahu yang mereka layak dipilih. Allah tahu yang mereka lebih layak lagi dipilih kalau dibandingkan dengan Firaun dan kaumnya. Allah Maha Tahu dan kita tidak tahu. Maka jangan kita persoalkan keputusan Allah. Allah tahu kelebihan dan kelemahan mereka, tapi Allah tetap pilih mereka.

Allah pilih mereka walaupun Allah tahu yang mereka akan melakukan kesalahan. Allah pilih mereka walaupun Allah tahu yang mereka lemah. Tapi kerana mereka duduk dengan Nabi, maka mereka telah diberi kelebihan itu.

Kenapa Allah pilih juga mereka? Katakanlah kita ada anak yang kita tahu mereka pandai. Maka kita beri mereka pendidikan yang baik. Tapi ada antara mereka yang tak mahu belajar. Mereka rasa senang diri sebab tahu kita ada yang akan membantu mereka. Mereka fikir kalau mereka buat salah, mereka ada orang yang akan bantu dan selamatkan mereka. Tapi kita sebagai ibubapa tetap beri peluang kepada mereka, bukan?

Allah tahu yang Bani Israil adalah bangsa yang pandai. Mereka ada potensi dalam diri mereka. Dan ada antara mereka yang baik. Tapi apabila mereka telah menggagalkan diri mereka, barulah mereka ditinggalkan. Maknanya, Allah tetap beri peluang kepada mereka.

 

عَلَى الْعٰلَمِينَ

menjadi lebih dari penduduk dunia,

Lihatlah bagaimana Allah telah menyelamatkan mereka dari kaum Firaun. Bukan sekumpulan Bani Israil yang diselamatkan tapi keseluruhan kaum mereka. Dan bukan itu sahaja, Allah juga telah hapuskan Firaun dan tenteranya sekali. Termasuk mereka yang telah menyeksa Bani Israil sebelum itu.

Dan kemudian Allah telah memberikan kerajaan Palestin kepada mereka. Mereka telah diberikan dengan pemimpin yang mulia seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Dulunya mereka tertindas, tapi kemudian Allah telah muliakan mereka dengan diberikan entah berapa banyak rasul dan Nabi dari kalangan mereka. Allah telah naikkan kedudukan mereka. Mereka menjadi umat yang utama melebihi kaum lain waktu zaman mereka.

Merekalah yang orang Islam waktu itu. Tapi pada waktu itu sahaja. Bukanlah mereka terus menjadi umat pilihan sampai sekarang. Kerana apabila mereka telah menyalahgunakan agama, maka kedudukan mereka telah ditarik dan diberikan kepada kita sekarang.

Maka, kita kena beringat dengan kelebihan yang Allah telah berikan kepada kita. Kalau kita juga buat seperti mereka, maka kita pun akan ditarik status keislaman kita dan akan diberikan kepada orang lain. Tidakkah ini amat menakutkan? Kerana itu Allah banyak sebut tentang mereka dalam Qur’an kerana hendak beri peringatan kepada kita supaya jangan jadi seperti mereka.


 

Ayat 33: Tambahan maklumat tentang apakah lagi yang telah diberikan kepada Bani Israil.

وَءآتَينٰهُم مِنَ الآيٰتِ ما فيهِ بَلٰؤا مُّبينٌ

Sahih International

And We gave them of signs that in which there was a clear trial.

Malay

Dan Kami berikan kepada mereka (melalui Nabi Musa) berbagai mukjizat yang mengandungi ujian yang jelas nyata (untuk melahirkan sikap mereka).

 

وَءآتَيْنٰهُم مِّنَ الْآيٰتِ

Dan Kami berikan kepada mereka daripada tanda-tanda

Yakni hujah-hujah, keterangan-keterangan dan mukjizat-mukjizat yang berbeda dengan hukum alam. Tanda-tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat-mukjizat. Banyak mukjizat telah ditunjukkan kepada mereka. Antaranya:

– Tongkat Nabi Musa menjadi ular.
– Tangan Nabi Musa bercahaya.
– Laut terbelah dua dan mereka menyeberanginya dengan selamat.
– Nabi Musa memukul tongkat yang mengeluarkan air untuk minuman mereka.

Dan banyak lagi tanda-tanda yang telah diberikan kepada mereka. Semua tanda-tanda itu mereka boleh lihat dengan mata kepala mereka sendiri.

 

مَا فِيهِ بَلٰؤا مُّبِينٌ

yang mengandungi ujian yang jelas nyata

Tanda-tanda mukjizat itu adalah sebagai ujian kepada mereka. Apakah ujian itu? Samada bersyukur atau tidak. Samada mereka nak ikut arahan Nabi Musa atau tidak. Samada mereka beriman dengan Allah atau tidak. Bukan senang-senang sahaja Allah beri tanda-tanda itu.

Ini memberi peringatan kepada kita. Walaupun satu-satu bangsa itu diberikan nikmat agama, tapi dalam masa yang sama, mereka akan diuji dalam agama. Tidak ada yang tidak diuji. Waktu zaman itu, Bani Israil adalah umat Islam waktu itu.

Dan sekarang, kitalah pula umat Islam yang memegang agama Islam sekarang. Kita sekarang sedang diuji samada kita bertanggungjawab dalam memegang agama Allah ini. Kita diuji samada kita bersyukur atau tidak dengan kedudukan tinggi yang Allah berikan kepada kita sebagai umat Islam. Ini adalah satu ujian dan tanggungjawab yang tinggi.

Adakah kita sedar tentang perkara ini? Adakah kita sedang menjalankan tanggungjawab kita? Adakah kita sedang sampaikan agama tauhid ini kepada seluruh manusia? Kalau tidak, ada masalah di situ kerana berkali-kali dalam Qur’an Allah suruh kita sampaikan kerana ini adalah tanggungjawab kita.

Kalimah بَلَاءٌ juga boleh diterjemahkan sebagai ‘nikmat’. Ini adalah kerana ia adalah satu perkataan yang boleh ada maksud yang berlawanan. Jadi kalau begitu, kita boleh terjemah ayat ini: “yang mengandungi nikmat yang jelas”. Iaitu Bani Israil telah diberikan dengan kelebihan-kelebihan yang tidak diberikan kepada bangsa lain.

Selesai kisah Firaun.


 

Ayat 34: Ayat Syikayah. Sekarang Allah kembali memperkatakan tentang Musyrikin Mekah yang tidak mahu beriman. Ini adalah iltifad – perubahan tajuk. Setelah diberikan contoh tentang Bani Israil, Qur’an kembali menyentuh tentang Musyrikin Mekah.

Iaitu bagaimana mereka telah diberikan peluang untuk mendapat kelebihan agama. Bayangkan, mereka telah diberikan dengan Nabi Muhammad, Rasul dan Nabi akhir zaman. Itu adalah satu kelebihan yang amat besar. Tapi malangnya, mereka tidak mengambil peluang keemasan itu. Apa kata mereka?

إِنَّ هٰؤُلاءِ لَيَقولونَ

Sahih International

Indeed, these [disbelievers] are saying,

Malay

(Berbalik kepada kisah kaum musyrik penduduk Makkah, Allah berfirman): “Sesungguhnya mereka ini akan berkata (kepadamu – wahai Muhammad dan kepada pengikut-pengikutmu):

 

إِنَّ هَٰؤُلَاءِ لَيَقُولُونَ

Sesungguhnya mereka ini berkata:

Apa yang mereka katakan menunjukkan apakah fahaman mereka, apakah iman mereka. Bukan mereka cakap dengan mulut sahaja. Jadi kita boleh tahu apakah pegangan mereka dengan melihat kata-kata mereka ini. Kita tidak tahu apakah yang ada dalam hati manusia, tapi kita boleh agak dari perkataan-perkataan mereka.

Sebab itu, kita tidak boleh kata seseorang itu sesat atau kafir kerana perkara itu dalam hati manusia. Tapi kalau dia sudah mengeluarkan kata-kata yang kufur, tidakkah boleh kita mengatakan mereka telah sesat? Kerana ianya telah keluar dari mulut mereka sendiri. Dan kita hanya nilai dari apa yang mereka kata dan mereka tulis, atau perbuatan mereka yang mereka lakukan di hadapan kita. Kalau dalam hati, memang kita tidak tahu.


 

Ayat 35: Inilah kata-kata mereka.

إِن هِيَ إِلّا مَوتَتُنَا الأولىٰ وَما نَحنُ بِمُنشَرينَ

Sahih International

“There is not but our first death, and we will not be resurrected.

Malay

“Mati, hanyalah mati kita yang pertama, dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup lagi (sesudah itu);

 

إِنْ هِيَ إِلَّا مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ

“Mati, hanyalah mati kita yang pertama,

Mereka percaya bahawa kehidupan dunia hanya sekali sahaja. Mati hanya sekali itu sahaja dan tidak akan dihidupkan lagi setelah mati.

Apakah yang dimaksudkan dengan مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ? Kita semua ada dua kali kematian. Iaitu sebelum kita hidup di dunia ini, kita dalam keadaan ‘mati’ – iaitu ketiadaan nyawa. Ketiadaan nyawa juga adalah satu kematian.

Kemudian Allah hidupkan kita dalam dunia ini. Kemudian kita akan mati sekali lagi dan akan dihidupkan semula di akhirat. Ini adalah pemahaman kita sebagai orang Islam.

Jadi مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ adalah keadaan mati kita sebelum kita dihidupkan di dunia. Iaitu kita tidak ada apa-apa, belum jadi apa-apa. Apakah faham musyrikin Mekah? Iaitu apabila kehidupan ini telah habis, manusia akan kembali kepada keadaan مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ itu. Iaitu tidak ada apa-apa. Tidak jadi apa-apa. Non-existance. Mereka sanga mereka akan habis begitu sahaja.

 

وَمَا نَحْنُ بِمُنشَرِينَ

dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup semula

Mereka tidak percaya bahawa mereka akan dihidupkan semula. Kerana mereka tidak ada kitab wahyu maka mereka tidak tahu. Lain dengan Ahli Kitab kerana mereka tahu tentang akhirat. Maka untuk boleh terima akhirat kena rapat dengan wahyu.

Apabila diberitahu tentang akhirat kepada musyrikin Mekah, mereka tidak dapat terima kerana kalau mereka percaya mereka akan dibangkitkan, mereka kena terima yang mereka akan diadili tentang perkara yang mereka lakukan semasa di dunia. Mereka tak mahu kalau jadi begitu, kerana mereka nak buat apa yang mereka suka.

Pemahaman seperti ini masih ada lagi sekarang. Lihatlah agama-agama lain seperti Buddha yang tidak percaya dengan kiamat. Mereka percaya yang mereka akan dihidupkan semula (reinkarnasi). Kalau mereka tak baik, maka mereka akan dihidupkan sebagai binatang atau serangga.


 

Ayat 36: Mereka sanggup cabar Nabi Muhammad dengan kata-kata ini:

فَأتوا بِئآبائِنا إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

Then bring [back] our forefathers, if you should be truthful.”

Malay

“(Jika tidak) maka bawakanlah datuk nenek kami (yang telah mati) kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

 

فَأْتُوا بِئآبَائِنَا

“Maka kamu semua bawakanlah datuk nenek kami

Mereka cabar Nabi dan orang-orang Islam untuk bawa hidup kembali datuk nenek mereka yang telah mati. Baru mereka nak percaya adanya kehidupan selepas kematian. Mereka kata, “biarkan mereka yang telah mati itu sendiri beritahu yang mereka telah hidup setelah mereka mati, tak payah kamu (Nabi Muhammad dan orang Mukmin) sibuk nak beritahu kami, biar mereka sahaja yang beritahu”.

Maka inilah dalil orang jahil. Masih juga nak pakai dalil tok nenek. Mereka berhujah yang tok nenek mereka tak pernah cakap tentang kehidupan semula. Mereka nak suruh Nabi bawa balik tok nenek untuk beritahu mereka bahawa ada akhirat.

Begitulah juga orang jahil dari kalangan masyarakat Islam kita: masih juga menyebut amalan-amalan tok nenek yang dahulu. Orang beriman dan bijak berbeza, kerana dapat yakin dengan wahyu.

 

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

Ini adalah hujah mereka yang mengarut. Mereka sangka mereka pandai dan berjaya membungkam orang mukmin dengan memberikan cabaran ini. Mereka pun memang tidak pernah lihat orang mati hidup semula, maka mereka sudah rasa bangga dengan hujah ini.

Tapi ini adalah hujah yang dangkal. Kerana takkan akan dihidupkan orang yang mati. Bukan begitu cara Allah untuk menunjukkan kebenaran. Allah, Nabi dan orang mukmin tidak kata pun yang manusia akan dihidupkan kembali semasa ‘di dunia ini’, tapi selepas kiamat sahaja. Mereka tidak dapat nak bezakan.

Ingatlah bahawa Allah kata bahawa semua kita ini akan dihidupkan di akhirat kelak, apabila semua makhluk telah mati di Hari Kiamat, bukan di dunia sekarang. Tidaklah Allah kata nak hidupkan tok nenek mereka yang telah lama mati itu semasa di dunia. Yang dijanjikan adalah semua makhluk akan dihidupkan semula di akhirat kelak.

Allah tak jawap pun tuduhan mereka ini kerana tuduhan ini tidak layak dilayan. Allah terus cerita benda lain selepas ini.


 

Ayat 37: Takhwif Duniawi. Sekarang Allah menempelak mereka. Mereka sangka mereka bagus sangat, maka Allah perli mereka.

أَهُم خَيرٌ أَم قَومُ تُبَّعٍ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ أَهلَكنٰهُم ۖ إِنَّهُم كانوا مُجرِمينَ

Sahih International

Are they better or the people of Tubba’ and those before them? We destroyed them, [for] indeed, they were criminals.

Malay

Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau kaum “Tubba'” dan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.

 

أَهُمْ خَيْرٌ

Adakah mereka yang lebih baik

Musyrikin Mekah memang rasa mereka tinggi kedudukan mereka. Mereka ada harta, mereka ada kuasa. Oleh kerana itu, mereka tidak rasa bersalah menentang Nabi Muhammad. Mereka rasa mereka lebih baik dari baginda.

Maka, Allah soal mereka balik dalam ayat ini: adakah mereka sangka mereka hebat?

 

أَمْ قَوْمُ تُبَّعٍ

atau kaum “Tubba'”

Adakah mereka lebih hebat dari kaum ‘Tubba’? Dikatakan bahawa Tubba adalah nama seorang raja yang baik. Dan rakyatnya dipanggil Tubba’. Sepertimana juga Bani Israil dipanggil sempena nama Nabi mereka, begitu juga rakyat Tubba’ ini mengambil nama raja mereka.

Ada juga yang mengatakan mereka adalah orang Arab yang tinggal di Yemen yang berasal dari keturunan Qahtan. Puak Quraish pula dari keturunan Adnan. Mereka memerintah satu kerajaan yang besar di Yemen. Raja-raja mereka dikenali sebagai ‘Tubba’. Ini adalah gelaran kepada raja-raja mereka, sepertimana juga Raja Mesir dikenali sebagai Firaun, raja Habsyah dikenali sebagai Najashi, raja Parsi – Kisra, raja Rom – Ceaser dan lain-lain.

Mereka ada nama mereka sendiri, tapi pangkat raja mereka adalah begitu. Maka, raja kerajaan di Yemen ini dikenali sebagai Tubba’. Dikatakan mereka mengambilalih kerajaan Saba’ pada tahun 150 SM selama 300 tahun. Kerajaan mereka amat besar sampaikan ke negara Russia sekarang.

Maka, mereka mempunyai kekuatan dan kekayaan yang banyak. Contoh kaum Tubba’ dibawakan kepada musyrikin Mekah kerana mereka kenal tamadun itu.

Ada pula yang kata mereka adalah kaum selepas kematian Firaun dan tenteranya. Mereka telah mengambil alih peninggalan kaum Firaun yang semuanya telah mati kerana ditenggelamkan dalam laut. Mereka menjadi hebat dengan apa yang mereka ada. Mereka memerintah satu kerajaan. Allahu a’lam.

Salah satu kisah tentang mereka adalah seperti yang disebut dalam Surah Saba’ itu. Kerana mereka telah mengamalkan syirik, maka kerajaan mereka telah dihancurkan dan bangsa mereka bertebaran di tanah Arab.

Tetapi sebelum itu, Raja Tubba’ adalah seorang yang baik dan telah menganut agama Tauhid sampaikan baginda memujinya.

وَقَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبُو زُرْعَة، حَدَّثَنَا صَفْوَانُ، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بن لَهِيعَة عَنْ أَبِي زُرْعَة -يَعْنِي عَمْرَو بْنَ جَابِرٍ الْحَضْرَمِيَّ-قَالَ: سَمِعْتُ سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ السَّاعِدِيَّ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا تَسُبُّوا تُبَّعًا؛ فَإِنَّهُ قَدْ كَانَ أَسْلَمَ”.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Zar’ah, telah menceritakan kepada kami Safwan, telah menceritakan kepada kami Al-Walid, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Lahi’ah, dari Abu Zar’ah (Yakni Amr ibnu Jabir Al-Hadrami) yang telah mengatakan bahwa ia pernah mendengar Sahl ibnu Sa’d As-Sa’idi r.a. mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Janganlah kalian mencaci Tubba’, kerana sesungguhnya dia adalah orang yang telah masuk Islam.

Yang pastinya, siapa sahaja mereka itu, mereka tentunya lebih hebat dari segi tamadun kalau dibandingkan dengan kaum Musyrikin Mekah itu. Allah nak beritahu kepada Musyrikin Mekah itu, kaum Tubba’ itu hancur kerana tidak terima akhirat. Tidak kira betapa hebat pun mereka, Allah hancurkan sahaja dengan mudah. Adakah kamu rasa kamu tidak hancur kerana tidak terima akhirat? Adakah kamu rasa kamu dapat tahan kemarahan dari Allah dengan apa yang kamu ada?

 

وَالَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

dan orang-orang yang terdahulu dari mereka?

Banyak lagi kaum-kaum sebelum kaum Tubba’ pun yang lebih hebat dari Arab Mekah. Sebagai contoh, sebelum itu ada kerajaan besar Firaun. Dan berbagai-bagai lagi tamadun yang hebat-hebat. Apalah sangat yang Mekah itu ada? Memang tidak ada apa-apa pun kalau dibandingkan dengan tamadun lain.

 

أَهْلَكْنٰهُمْ

Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan,

Mereka yang lebih hebat dari penduduk Mekah pun Allah telah musnahkan kerana mereka tidak beriman. Adakah kaum Quraish rasa mereka bagus sangat? Mereka tak terfikirkah yang Allah boleh sahaja musnahkan mereka sepertimana Allah telah musnahkan kaum-kaum terdahulu yang lebih hebat dari mereka?

 

إِنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ

kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.

Kaum-kaum dulu itu memang hebat tapi mereka syirik kepada Allah. Oleh kerana itu, mereka telah dibinasakan oleh Allah. Mereka pun tidak dapat menyelamatkan diri mereka, maka kenapa Musyrikin Mekah ingat mereka boleh selamat?

Allah tidak kira bagaimana mereka menjalani kehidupan keduniaan mereka kalau mereka melakukan syirik dan berdosa kepada Allah. Allah akan tetap menghukum mereka, walaupun mereka nampak hebat dan berjaya dalam dunia.


 

Ayat 38: Mereka yang tidak menerima kebangkitan semula itu sangka yang kehidupan dunia ini main-main sahaja. Allah jadikan nak main-main sahaja, nanti bila sudah mati, habis begitu sahaja. Ini kan main-main? Tentu Allah tidak main-main dalam menjadikan dunia ini. Ia adalah tempat ujian. Jadi ini adalah jawapan kedua bagi mereka yang menolak kebangkita semula.

Ini juga adalah Dalil Aqli. Kenapa kita kena beriman dan ikut arahan Allah sahaja? Kerana Allah adalah Tuhan sekelian alam ini. Allah beri dalil dalam ayat ini. Allah suruh kita lihat alam ini.

وَما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما لٰعِبينَ

Sahih International

And We did not create the heavens and earth and that between them in play.

Malay

Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main;

 

وَمَا خَلَقْنَا السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi

Allah memberitahu kita semua termasuk kepada Musyrikin Mekah bahawa Dia lah yang telah mencipta alam ini.

 

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya,

Segala apa sahaja yang ada dalam alam ini, adalah dari penciptaan Allah belaka. Kita pun tidak tahu apakah yang ada di antara kedua langit dan bumi kerana ilmu kita terhad.

 

لٰعِبِينَ

secara main-main;

Bukanlah Allah saja suka-suka ciptakan alam ini. Bukanlah Allah tiada apa nak buat dan bosan sangat, maka Allah cipta alam ini. Kalau begitu, itu bermakna Allah main-main sahaja. Dan Allah tidak begitu. Tidaklah sia-sia Dia jadikan alam ini. Telah disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat lain:

{وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاءَ وَالأرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا بَاطِلا ذَلِكَ ظَنُّ الَّذِينَ كَفَرُوا فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ كَفَرُوا مِنَ النَّارِ}

Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka. (Shad: 27)

Bukanlah Allah sengaja nak tengok apa yang akan terjadi kalau Dia buat begini, begitu. Bukanlah Allah main-main dengan kita. Ini kita sebut sebab dalam agama lain, macam-macam fahaman karut yang ada. Sebagai contoh, dalam salah satu fahaman Hindu, memang tuhan dewa mereka bermain-main dengan manusia – nak tengok apa manusia nak buat kalau begini dan begini. Macam budak-budak main mainan.

Dan firman Allah Swt. lainnya yang menyebutkan:

{أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ}

Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia. (Al-Mu’minun: 115-116)

Allah ciptakan alam ini semuanya bersebab. Bukanlah alam ini tempat kita tinggal sekejap, kemudian mati begitu sahaja tanpa ada apa-apa tujuan. Kehidupan di dunia ini ada tujuan. Allah beritahu dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 39: Kenapa Allah cipta alam ini?

ما خَلَقنٰهُما إِلّا بِالحَقِّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Sahih International

We did not create them except in truth, but most of them do not know.

Malay

Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

 

مَا خَلَقْنٰهُمَا

Tidaklah Kami menciptakan keduanya

Allah nak beritahu kita kenapakah Dia telah menjadikan alam ini.

 

إِلَّا بِالْحَقِّ

melainkan kerana hendak menzahirkan kebenaran;

Kebenaran apa? Iaitu Allah lah yang menciptakan segalanya. Hendak memberitahu kewujudanNya. Juga hendak memberitahu bahawa Allah Maha Berkuasa untuk melakukan segalanya.

Alam ini juga sebagai dalil yang Allah mampu untuk membangkitkan semula makhluk selepas kematian mereka. Ini kerana kalau Allah mampu menjadikan alam ini dari tiada kepada ada, maka apakah yang menghalang Allah untuk menjadikan mereka hidup semula?

Dan alam ini menjadi dalil adanya hari akhirat. Kerana kalau tidak ada akhirat, maka sia-sialah Allah jadikan alam dunia ini kerana habis begitu sahaja tanpa ada pembalasan baik dan buruk. Takkan Allah yang Maha Hebat dan Bijaksana buat sesuatu yang sia-sia? Tidak mungkin.

Maka apabila semuanya dicipta olehNya, dan Dia maha berkuasa, maka kenalah kita sembah Allah sahaja, doa kepada Allah sahaja, jangan sembah yang selainNya dan jangan berdoa dan meminta kepada selain dari Allah. Maknanya, Allah hendak menzahirkan kebenaran tauhid dengan menjadikan alam ini.

Hendaklah juga kita berterima kasih dan bersyukur kepada Allah kerana telah menjadikan alam ini dan memberi peluang kepada kita untuk menimba pahala dan dimasukkan ke dalam syurga yang kekal di dalamnya.

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

Benda ini mudah sahaja untuk difahami tapi ramai yang tidak faham. Kebanyakan manusia tidak tahu yang tuntutan untuk sembah Allah dan berdoa kepadaNya sahaja adalah tuntutan terpenting dalam agama.

Ramai manusia yang tidak faham kenapa alam ini dijadikan. Ini adalah kerana mereka tak memikirkan tentang alam. Takkan alam yang begini hebat dan teratur ini tidak ada Penciptanya? Kalau mereka memikirkan, tentu mereka akan terima bahawa ada Tuhan yang menjadikan mereka.

Takkan alam yang begini hebat ini tidak ada sebab ia dijadikan? Maka mereka yang tidak memikirkan perkara ini akan menjadi orang yang sesat dalam kehidupan dunia ini dan mereka akan mendapat balasannya di akhirat kelak.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Ogos 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s