Tafsir Surah Hud Ayat 11 – 12 (Kelebihan Sabar)

Hud Ayat 11: Lalu bagaimanakah sifat kita yang sepatutnya? Ini adalah tabshir kepada mereka yang baik. 

إِلَّا الَّذينَ صَبَروا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أُولٰئِكَ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَأَجرٌ كَبيرٌ

Sahih International

Except for those who are patient and do righteous deeds; those will have forgiveness and great reward.

Malay

Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

 

إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا

Kecuali orang-orang yang sabar

Sifat yang patut kita ada adalah SABAR. Ini berlawanan dengan sifat mereka yang tidak beriman seperti yang disebut dalam ayat 9 sebelum ini. Apabila nikmat ditarik daripada mereka yang tidak beriman, mereka berputus asa dan kufur nikmat. Sebaliknya orang yang beriman, ketika nikmat ditarik dan mereka ditimpa musibah, mereka akan bersabar.

Tanpa sabar, ia akan mengganggu hidup kita termasuk ibadat kita kerana kalau kita sedih sangat, sampai hendak solat pun sudah tiada rasa dan tidak tenang apatah lagi khusyuk, bukan? Kalau ada masalah, kita sudah tidak ingat untuk menolong orang, hendak bersedekah kepada orang lain, hendak berzikir pun tidak ada semangat, bukan? Kerana fikiran kita berpusing-pusing dengan masalah yang kita sedang hadapi.

Sabar adalah satu perbuatan yang amat penting apabila kita ditimpa musibah. Kita tahu bahawa musibah itu datang daripada Allah ﷻ dan ia adalah ujian kepada kita maka kita hendaklah berdoa kepada Allah ﷻ untuk mengangkatnya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Shuhaib, dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda,

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim No. 2999)

Maknanya, hadith ini menyatakan orang mukmin sahaja yang akan bersyukur apabila mendapat kebaikan dan bersabar apabila mendapat musibah. Ini adalah dua sifat yang kita mesti ada kerana memang kehidupan kita antara adalah di dalam senang, atau di dalam kesusahan. Kalau tidak senang, susah; kalau tidak susah, senang.

Sabar itu mengawal diri kita dalam masa susah dan senang. Ia untuk mengawal diri kita daripada berputus asa semasa susah. Sabar juga mengawal diri kita daripada bermegah-megah dalam keadaan senang. Ini kerana mereka yang sabar itu sedar bahawa apa sahaja yang terjadi, ia hanya sementara sahaja. Kalau sedang susah, ia juga sementara. Kalau dalam senang pun, sementara juga.

Apakah maksud ‘sabar’? Dari segi bahasa ia bermaksud mengikat, memeriksa, berhenti, tahan. Antara sabar yang kita kena ada adalah menahan diri kita daripada melakukan perkara yang dilarang di dalam agama. Kita boleh ringkaskan sabar ini di dalam 3 kategori:

#1 – Sabar Dalam Ketaatan
Sabar dalam ketaatan bermaksud seseorang itu sabar dalam beribadat kepada Allah ﷻ. Bukan mudah untuk taat kepada Allah ﷻ, namun apabila seseorang itu bersabar, tidak mustahil jika dia boleh menjadikan sesuatu yang sebati dalam diri.

#2 – Sabar Dalam Meninggalkan Maksiat
Sabar yang kedua ialah bersabar dengan menahan diri daripada melakukan maksiat dan dosa. Ia adalah salah satu perkara yang perlu diambil perhatian. Tidak semua orang boleh menahan diri daripada melakukan maksiat.

Contohnya, anda sering bercakap kasar dengan ibubapa anda. Apa kata mulakan dengan menahan diri daripada bercakap dengan intonasi yang tinggi dengan mereka. Kemudian, boleh dicuba untuk bercakap secara lemah-lembut dengan mereka bagi membantu hubungan anda dengan ibu sendiri.

Nampak di sini bahawa perubahan itu perlu dilakukan perlahan-lahan dan bukannya secara mendadak. Yang paling penting ialah ia perlu dimulai dengan kesabaran yang jitu.

#3 – Sabar Dalam Menerima Takdir
Apabila menerima ujian atau perkara yang buruk dalam hidup, ada orang yang akan dirundung kemurungan dan kesedihan kerana tidak dapat menerima perkara tersebut dengan hati yang lapang.

Maka salah satu cara untuk tidak larut dalam kekecewaan adalah dengan bersabar dan menerima ujian tersebut dengan hati yang terbuka.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan mengerjakan amal soleh

Selalunya ayat Al-Qur’an akan menyebut orang beriman sebelum menyebut orang-orang yang mengerjakan amal soleh seperti di dalam Baqarah: 25, bukan?

الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
orang-orang yang beriman dan beramal soleh

Cuma di dalam Hud: 11 ini sahaja yang dimulai dengan sifat sabar. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menekankan kepentingan sabar bagi orang-orang yang beriman. Mereka orang yang akan bersabar ketika susah dan tidak sombong ketika senang. Bukanlah seperti jenis orang yang disebut dalam ayat sebelum ini. Orang yang tidak beriman, apabila mereka ditimpa musibah atau nikmat ditarik daripada mereka, mereka berputus asa dan jmenadi kufur (kufur nikmat). Apabila mereka mendapat semula nikmat daripada Allah ﷻ, mereka tidak bersyukur.

Sebaliknya, orang yang beriman, akan terus melakukan amal yang soleh, sama ada mereka ditimpa musibah, atau diberikan dengan nikmat. Janganlah kita hanya melakukan amal soleh dalam waktu-waktu tertentu sahaja. Ada orang yang beramal waktu susah sahaja; ada pula yang beramal waktu senang sahaja. Padahal kita kena beramal soleh waktu senang dan waktu susah.

Allah ﷻ sebut tentang amal soleh ini, kerana ada orang yang apabila ditimpa masalah dan musibah, mereka sudah tidak buat amal ibadat lagi kerana mereka hanya sibuk menyelesaikan masalah mereka, sibuk mengadu dengan orang, hanya duduk berseorangan memikirkan bagaimana cara untuk menyelesaikan masalahnya, menangisi nasib mereka dan macam-macam lagi. Mereka buat segala perkara itu, tetapi dalam masa yang sama, meninggalkan amal ibadat.

Kalau kita ditimpa kesusahan dan musibah, bukan cukup dengan sabar sahaja kerana fikiran kita mungkin masih terfikirkan tentang masalah yang sedang dihadapi itu. Antara taktik untuk melupakan tentang masalah itu adalah dengan melakukan sesuatu yang dapat mengisi minda kita. Maka kerana itu Allah ﷻ suruh kita sibukkan diri kita dengan amal soleh. Prof Hamka apabila beliau dipenjarakan, bukan sahaja beliau sabar, malah beliau menyibukkan diri dengan menulis Kitab Tafsir Al-Azhar. Saya juga pernah diuji dengan isteri yang sakit terlantar berbulan lamanya. Saya isikan masa saya dengan menulis tafsir ini. Banyak yang dapat saya tulis semasa tempoh itu.

Kesedihan tetap ada apabila ditimpa musibah. Rasulullah ﷺ juga mengalami kesedihan. Namun kesedihan baginda itu tidak mengganggu urusan dakwah baginda. Maka bukanlah kita disuruh untuk menghilangkan kesedihan itu tetapi menanganinya dengan cara terbaik seperti diajar di dalam ayat ini.

Amal soleh yang dimaksudkan adalah amal sepertimana yang Nabi ﷺ ajar. Bukan amalan bid’ah yang diajar oleh guru-guru yang tidak mementingkan ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Banyak guru-guru ugama sekarang yang mengajar, tetapi tidak ramai yang mengajar berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah. Mereka ajar banyak amalan, yang mereka sangkakan ia adalah baik, tetapi kalau ia bukan daripada ajaran Nabi ﷺ, maka ia adalah bid’ah dan bid’ah adalah perkara yang buruk.

Ini kita kena beritahu walaupun ramai orang yang marah apabila kita cakap amalan yang mereka buat selama ini adalah bid’ah dan tidak ada dalam Islam. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja. Sama ada mereka terima atau tidak, bukan kita boleh paksa mereka.

 

أُولَٰئِكَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ

maka mereka itu akan beroleh keampunan yang besar.

Inilah tabshir (berita gembira) daripada Allah ﷻ. Mereka yang beriman, sabar dan beramal soleh itu akan mendapat keampunan daripada Allah ﷻ kerana mereka telah bersabar semasa mereka ditimpa kesusahan, ketika nikmat ditarik daripada mereka. Mereka juga diampunkan kerana mereka terus mengamalkan amal soleh.

Tahukah anda kepentingan keampunan ini? Ini adalah satu pemberian yang amat besar kerana kita masuk ke dalam neraka adalah kerana dosa kita. Bayangkan kalau kita tidak ada dosa? Ke mana lagi kita akan dimasukkan kalau bukan ke dalam syurga?

 

وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

dan pahala yang besar.

Orang yang beriman akan mendapat pahala yang besar kerana terus melakukan amal yang soleh. Maksudnya, syurga. Maka harga syurga adalah sabar dan ini disokong oleh ayat Insan: 12

وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا جَنَّةً وَحَريرًا
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera

Sekiranya kita bersabar semasa kita ditimpa musibah dan terus melakukan amal ibadat seperti yang Nabi ﷺ ajar, maka kita akan mendapat keampunan dan pahala yang besar. Janganlah apabila kita ditimpa masalah, kita buat amalan yang bid’ah pula.

Sebagai contoh, berapa banyak manusia yang buat solat Hajat berjemaah apabila mereka ditimpa musibah? Sikit-sikit Solat Hajat dan ajak ramai-ramai orang berjemaah. Sedangkan itu bukan ajaran Islam tetapi ajaran manusia yang tidak ada sumber yang sahih. Walaupun orang kita sudah lama buat, ustaz-ustaz ramai yang buat, tidak semestinya ia adalah benar.


 

MUSYRIKIN YANG TIDAK SELESA DENGAN KEBENARAN

Hud Ayat 12: Ayat ini adalah salah satu lagi Dakwa Surah.

Ayat ini adalah satu pujukan kepada Nabi ﷺ atas kata-kata orang-orang musyirikin terhadap baginda apabila baginda berdakwah kepada mereka. Dakwa dalam ayat ini: Mesti menyampaikan wahyu dalam apa keadaan pun, walaupun ada kebimbangan atau ada halangan.

Ayat sebelum ini menyebut tentang hati yang sedih kerana musibah. Ini satu lagi contoh tentang Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang diuji emosinya.

فَلَعَلَّكَ تارِكٌ بَعضَ ما يوحىٰ إِلَيكَ وَضائِقٌ بِهِ صَدرُكَ أَن يَقولوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ كَنزٌ أَو جاءَ مَعَهُ مَلَكٌ ۚ إِنَّما أَنتَ نَذيرٌ ۚ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ وَكيلٌ

Sahih International

Then would you possibly leave [out] some of what is revealed to you, or is your breast constrained by it because they say, “Why has there not been sent down to him a treasure or come with him an angel?” But you are only a warner. And Allah is Disposer of all things.

Malay

Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang engkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?” Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri kepadaNya).

 

فَلَعَلَّكَ تَارِكٌ بَعْضَ مَا يُوحَىٰ إِلَيْكَ

Barangkali engkau (wahai Muhammad) meninggalkan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu

Kalimah فَلَعَلَّكَ di sini bukanlah bermaksud ‘mudah-mudahan’ seperti yang selalu digunakan. Di sini ia bermaksud ‘barangkali’, ‘entah-entah’. Ia sebagai teguran kepada Rasulullah ﷺ kerana nampak seolah-olah baginda hendak meninggalkan sebahagian ayat daripada disampaikan kepada manusia (bukan semua tetapi sebahagian sahaja). Iaitu baginda mungkin meninggalkan sedikit ilmu semasa mengajar kerana mungkin baginda takut hendak memberitahu kepada masyarakat yang dirasakan sebagai sesuatu yang berat.

Ayat apa yang baginda terasa hendak tinggalkan? Mungkin ayat-ayat yang mengatakan berhala-berhala sembahan mereka tidak ada kuasa.

Ia juga adalah penzahiran simpati daripada Allah ﷻ terhadap Nabi ﷺ. Allah ﷻ tahu apa yang baginda lalui.

Bayangkan beratnya memberitahu bahawa perbuatan syirik itu salah kepada masyarakat yang memang bergelumang dengan perbuatan syirik sepanjang hidup mereka? Kita yang hendak sampaikan ini pun tidak tahu bagaimana mereka akan menerima pemberitahuan itu. Sudah tentu kita tahu yang mereka susah hendak menerimanya, tetapi apakah tingkatan reaksi mereka? Kerana ada kemungkinan yang mereka boleh menyakiti baginda.

Tentunya Nabi ﷺ kena sampaikan juga semua ayat-ayat Al-Qur’an itu, tidak boleh ditinggalkan walaupun satu ayat. Seperti firman Allah ﷻ dalam Maidah: 67.

۞ يَٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُۥۚ وَٱللَّهُ يَعۡصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.

Zaman sekarang pun banyak terjadi perkara begini. Ada guru yang takut anak muridnya akan meninggalkannya kalau dia mengajar perkara yang berat, yang tidak suka didengari. Disebabkan takut apa kata anak murid, maka dia ada sembunyikan perkara-perkara yang sepatutnya anak murid dia tahu. Maka ada sesetengah ayat Al-Qur’an tidak diberitahu kepada manusia. Atau ditafsirkan secara lembut sahaja. Ini semua kerana bimbang tidak ada orang akan belajar dengan mereka.

Adakah Nabi Muhammad ﷺ ada meninggalkan mana-mana ayat Al-Qur’an? Tentulah Nabi ﷺ tidak ada. Nabi ﷺ tentunya tidak meninggalkan apa-apa yang sepatutnya disampaikan kepada manusia kerana baginda amat taat kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ cuma tegur di dalam ayat ini kerana Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati Nabi ﷺ. Allah ﷻ tahu yang berat pada Nabi ﷺ untuk menyampaikan semua ayat Al-Qur’an kepada manusia. Meninggalkan sebahagian wahyu adalah perkara yang bahaya, sampai Allah ﷻ berikan peringatan kepada baginda supaya baginda jangan tinggalkan mana-mana ayat pun.

Maka ayat ini ditujukan juga kepada guru-guru dan pendakwah yang datang kemudian selepas Nabi ﷺ kerana ada guru-guru yang mengambil upah dalam mengajar. Apabila mereka mengambil upah, mereka takut untuk bercakap perkara yang akan menyebabkan anak murid mereka lari. Kalau mereka tidak datang lagi belajar dengannya, tentu hilanglah pendapatan mereka.

Begitulah, apabila guru agama mengambil upah, mereka selalunya tidak mengajar daripada Al-Qur’an dan hadith. Akibatnya, umat tidak diberikan dengan ilmu agama yang sepatutnya. Hendaklah kita ingat bahawa menyampaikan ajaran agama adalah satu tanggungjawab, maka tidak boleh meminta upah dalam mengajar.

 

وَضَائِقٌ بِهِ صَدْرُكَ

serta merasa sempit dadamu untuk menyampaikannya

Atau, sekurang-kurangnya Nabi ﷺ berasa sempit dada apabila hendak menyampaikan ayat-ayat Al-Qur’an yang berat itu. Kadangkala kita pun ada rasa susah untuk menyampaikan kebenaran kerana kita tahu bahawa orang yang mendengar itu susah hendak terima. Namun kita kena sampaikan juga. Maka jangan simpan-simpan ilmu tetapi sampaikan sahaja. Sama ada mereka terima atau tidak, itu bukan urusan kita.

Kadang-kadang orang bukan Islam bertanya kepada kita tentang perkara-perkara dalam Islam yang menyebabkan kita susah untuk menjawabnya. Sebagai contoh, mereka tanya kenapa Allah ﷻ berikan kesusahan kepada manusia, kenapa agama lain tidak benar, kenapa ada hukum Hudud yang nampak keras dan sebagainya? Mereka tanya begitu dengan nada sinis terhadap Islam. Ini juga adalah soalan-soalan yang berat untuk dijawab.

Kadang-kadang kita rasa berat untuk menjawab soalan-soalan sebegini. Dalam keadaan begini, kita cuma disuruh memberitahu yang benar sahaja. Jangan kita rasa berat hati hendak memberitahu perkara yang benar. Janganlah kerana mereka tidak dapat terima, kita tidak beritahu mereka, atau kita lembutkan pegangan kita. Jangan begitu. Jangan beritahu melainkan yang benar sahaja. Mungkin kita susah untuk sampaikan kerana kekurangan ilmu pada diri kita, maka mungkin kena dapatkan penjelasan daripada guru yang lebih arif. Namun ketahuilah, tidak ada mana-mana ayat Al-Qur’an yang kita perlu malu untuk sampaikan kepada manusia.

Ayat ini adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ (dan para pendakwah) yang ditolak. Kata-kata manusia memang menyakitkan hati. Allah ﷻ hendak beritahu di sini yang Dia tahu apa yang dikatakan oleh mereka dan apa perasaan baginda. Kalau ada orang yang kita pandang tinggi sedar apa yang kita lalui, sedikit sebanyak akan mengurangkan kesedihan di hati kita, bukan? Apatah lagi kalau Allah ﷻ sendiri yang berkata begitu. Banyak lagi Allah ﷻ pujuk baginda antaranya lagi di dalam Hijr: 97

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ
Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,

Dada baginda sempit kerana baginda mahukan mereka selamat, akan tetapi apa yang mereka minta itu, baginda tidak boleh berikan.

 

أَن يَقُولُوا لَوْلَا أُنزِلَ عَلَيْهِ كَنزٌ

disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak),

Atau Nabi ﷺ mungkin berasa berat kerana Musyrikin Mekah tanya kenapa Nabi ﷺ tidak ada harta. Mereka mengejek Nabi Muhammad ﷺ kerana kemiskinan baginda. Mereka kata kalau baginda itu adalah Nabi Allah ﷻ, tentu dia akan menjadi orang kaya. Kerana Allah ﷻ boleh sahaja berikan kekayaan, bukan?

Itulah sangkaan buruk dan bodoh mereka. Itu sama seperti mempersoalkan kenapa seorang doktor tidak boleh memandu sebuah jentolak. Itu tidak ada kena mengena. Tugas doktor tidaklah memerlukan kepandaian memandu jentolak. Samalah juga kalau mempersoalkan kenapa Nabi ﷺ tidak kaya? Apa yang Nabi ﷺ perlu lakukan adalah hanya menyampaikan mesej yang perlu dibawakan dan diberitahu kepada umat. Manusia sememangnya suka memandang kedudukan manusia lain baru mereka hendak ikut seperti disebut dalam Baqarah: 247. Bagi mereka kehebatan manusia itu dinilai berdasarkan kedudukan dan status kekayaannya.

وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ اللَّهَ قَد بَعَثَ لَكُم طالوتَ مَلِكًا ۚ قالوا أَنّىٰ يَكونُ لَهُ المُلكُ عَلَينا وَنَحنُ أَحَقُّ بِالمُلكِ مِنهُ وَلَم يُؤتَ سَعَةً مِّنَ المالِ ۚ قالَ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰهُ عَلَيكُم وَزادَهُ بَسطَةً فِي العِلمِ وَالجِسمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤتي مُلكَهُ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ
Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmuNya.

Nabi Muhammad ﷺ telah berasa sempit dan terasa hati kerana mereka menghina baginda. Perumpamaannya kita menggunakan kereta kecil dan murah tetapi hendak nasihat orang yang berkereta BMW bergemerlapan. Sedikit sebanyak ada rasa kekurangan juga, bukan? Sebab itu ramai pendakwah yang tinggalkan usaha dakwah mereka kerana tertekan dengan kata-kata manusia. Namun Rasulullah ﷺ tidaklah tinggalkan walaupun sedikit.

Begitulah manusia kebanyakannya memandang harta dan kesenangan hidup. Pada mereka, orang yang disayangi oleh Allah ﷻ, tentulah banyak harta dan senang lenang. Sebab itu ramai yang tertipu dengan kemewahan hidup mereka. Ini seperti disebut di dalam Kahf: 36

وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُ إِلىٰ رَبّي لَأَجِدَنَّ خَيرًا مِنها مُنقَلَبًا
Dan aku tidak fikir hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

Ayat Kahf: 36 ini adalah tentang seorang pemilik kebun yang kaya. Dia sangka Allah ﷻ sayangkan dirinya dan kerana itu dia perasan kalau di akhirat nanti tentu dia pun akan mendapat kesenangan juga (kerana dia sudah mendapat kesenangan di dunia). Di sini kita belajar bahawa cara manusia memandang harta dan kekayaan adalah salah satu penyebab yang menghalang mereka beriman.

Maka Musyrikin Mekah juga telah mempersoalkan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Pada mereka, kalau baginda itu utusan Allah ﷻ, tentu Allah ﷻ beri kesenangan kepada baginda. Akan tetapi status kedudukan dalam masyarakat dan kemewahan hidup bukanlah tanda orang itu lebih tinggi daripada kita. Allah ﷻ telah pernah tegur Rasulullah ﷺ di dalam Abasa:1-12

عَبَسَ وَتَوَلّىٰ
Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling,

أَن جاءَهُ الأَعمىٰ
kerana telah datang seorang buta kepadanya.

وَما يُدريكَ لَعَلَّهُ يَزَّكّىٰ
Bagaimanakah kamu hendak tahu, barangkali dia ingin membersihkan dirinya (daripada dosa),

أَو يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ الذِّكرىٰ
atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?

Di sini kita boleh lihat bagaimana Allah ﷻ menegur Nabi Muhammad ﷺ (dengan cara yang lembut) apabila baginda memandang enteng seorang lelaki buta yang hendak mendapatkan ilmu. Allah ﷻ beritahu ada kelebihan kepada orang yang hendakkan ilmu walaupun mereka rakyat marhaen sahaja. Kemudian Allah ﷻ bandingkan dengan orang kaya pula:

أَمّا مَنِ استَغنىٰ
Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup,

فَأَنتَ لَهُ تَصَدّىٰ
maka kamu melayaninya.

وَما عَلَيكَ أَلّا يَزَّكّىٰ
Padahal tidak ada (celaan) atasmu apabila dia tidak membersihkan diri (beriman).

Allah ﷻ beritahu yang orang kaya yang rasa diri sudah serba cukup itu tidak perlulah dikejar-kejar. Bukan kewajipan Nabi ﷺ untuk pastikan mereka beriman. Asalkan Nabi ﷺ sudah sampaikan, itu sudah cukup dan bukan kena dipaksa-paksa dan diberi perhatian lebih pula kepada mereka hanya kerana mereka kaya dan berkuasa. Kemudian Allah ﷻ patah balik cerita tentang golongan miskin tetapi mahu kepada agama:

وَأَمّا مَن جاءَكَ يَسعىٰ
Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran),

وَهُوَ يَخشىٰ
sedang dia takut kepada (Allah),

فَأَنتَ عَنهُ تَلَهّىٰ
maka kamu mengabaikannya.

Allah ﷻ tegur lagi Nabi ﷺ di sini. Maka ia juga teguran kepada kita yang mengajar agama. Jangan lebihkan orang kaya melebihi orang miskin. Kadang-kadang kita dijemput menyampaikan kuliah di rumah-rumah agam dan mewah, bukan? Memanglah menarik sebab suasana cantik, selesa, lepas kelas ada makanan sedap-sedap, bukan? Namun jangan kita terikut-ikut sangat kerana entah mereka ambil pengajaran atau tidak. Bagaimana pula dengan orang miskin yang juga memerlukan ajaran agama? Kalau semua ustaz pergi rumah orang kaya, siapa pula yang akan pergi jumpa orang-orang miskin itu? Mereka hendak datang ke kelas pun payah sebab tidak ada kenderaan. Maka adakah tidak boleh kita sendiri pergi kepada mereka?

كَلّا إِنَّها تَذكِرَةٌ
Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan,

فَمَن شاءَ ذَكَرَهُ
maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah dia mengingatinya,

Maka jangan kita pilih-pilih siapa yang kita akan sampaikan ilmu. Kita kena sampaikan kepada semua orang. Cuma mungkin kepada yang miskin lebih memerlukan perhatian kita kerana kedudukan mereka yang lemah dan susah untuk datang ke kelas pengajian seperti orang lain.

Kenapa Allah ﷻ tidak beri sahaja kekayaan dan kedudukan kepada Nabi Muhammad ﷺ? Bukankah mudah baginda hendak berdakwah dan senang sahaja orang ramai ikut baginda? Kerana Allah ﷻ tidak mahu manusia beriman kerana harta dan kekayaan orang yang berdakwah. Allah ﷻ mahu manusia beriman kerana kebenaran yang disampaikan, bukannya kedudukan orang yang menyampaikan. Inilah ujian namanya.

 

أَوْ جَاءَ مَعَهُ مَلَكٌ

atau pun datang bersama-sama dengannya malaikat

Atau Nabi ﷺ mungkin berasa berat kerana mereka mempersoalkan kenapa baginda tidak ditemani oleh malaikat. Mereka kata kenapa tiada malaikat yang mengiringinya, sebagaimana raja yang sentiasa diiringi? Bukankah kalau seorang raja itu, akan ada sahaja pengikut-pengikutnya? Maka, soalan-soalan dan sindiran seperti ini menyesakkan hati baginda.

Akan tetapi, sekiranya baginda ada malaikat yang mengikuti baginda, adakah mereka akan ikut baginda? Kalau begitu, mereka ikut Nabi Muhammad ﷺ hanya kerana baginda ada malaikat dan itu adalah salah.

Lagi pun kalau malaikat menemani baginda, adakah mereka nampak kerana malaikat itu ghaib. Kalau tidak bagi ghaib, maka Allah ﷻ akan jelmakan malaikat itu dalam bentuk manusia, maka tentu mereka tolak juga seperti disebut dalam An’am:9

وَلَو جَعَلنٰهُ مَلَكًا لَّجَعَلنٰهُ رَجُلًا وَلَلَبَسنا عَلَيهِم مّا يَلبِسونَ
Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad).

 

إِنَّمَا أَنتَ نَذِيرٌ

sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran;

Ini adalah tasliah daripada Allah ﷻ kepada Nabi ﷺ. Nabi ﷺ diingatkan bahawa baginda hanyalah pemberi amaran dan peringatan sahaja. Iaitu baginda ditugaskan untuk memberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, kerana tugas kita semua adalah menyampaikan peringatan sahaja. Bukanlah baginda diberatkan atau dipersalahkan kalau mereka tidak mahu menerima kebenaran.

Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mengikut apa yang kita kata. Kita hanya boleh sampaikan dan terpulang kepada mereka untuk mengikut atau tidak. Kalau mereka tidak ikut, maka mereka akan kena akibatnya.

Namun yang pasti baginda dan para pendakwah kena sampaikan نَذِيرٌ itu. Apabila disebut نَذِيرٌ, ia adalah peringatan yang mengandungi ancaman. Barulah manusia akan beringat-ingat. Sebagai contoh kalau setakat suruh anak pergi sekolah sahaja tidak cukup. Kena juga beritahu yang kalau tidak pergi sekolah, akan dihukum rotan. Barulah نَذِيرٌ dan نَذِيرٌ inilah yang manusia tidak suka. Namun tetap kita kena sampaikan.

Satu lagi kriteria نَذِيرٌ ini adalah ia datang daripada hati yang prihatin kepada orang yang disampaikan nasihat dan ancaman itu. Teguran yang kita berikan adalah kerana kita sayang kepadanya dan mahu dia selamat. Sepertimana anak kita yang kita suruh pergi sekolah itu adalah kerana kita mahu dia berjaya dalam hidupnya.

 

وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu

Yang menguruskan hal makhluk hanyalah Allah ﷻ sahaja. Kita tidak dapat memberi hidayah kepada mereka kerana kita tidak menjaga hati manusia. Kita cuma boleh menyampaikan sahaja dakwah kepada mereka. Selebihnya, terpulang kepada Allah ﷻ. Maka jangan ditahan mana-mana wahyu tetapi sampaikan sahaja. Oleh kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ pasti akan menjaga baginda daripada mara bahaya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 8 – 10 (Ujian dalam Susah & Senang)

Hud Ayat 8: Bukan itu sahaja, mereka menjadi bongkak dan mencabar Allah ﷻ!

وَلَئِن أَخَّرنا عَنهُمُ العَذابَ إِلىٰ أُمَّةٍ مَّعدودَةٍ لَّيَقولُنَّ ما يَحبِسُهُ ۗ أَلا يَومَ يَأتيهِم لَيسَ مَصروفًا عَنهُم وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sahih International

And if We hold back from them the punishment for a limited time, they will surely say, “What detains it?” Unquestionably, on the Day it comes to them, it will not be averted from them, and they will be enveloped by what they used to ridicule.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): “Apakah yang menghalangnya?” Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka, dan tentulah mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

 

وَلَئِنْ أَخَّرْنَا عَنْهُمُ الْعَذَابَ

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka

Allah ﷻ telah beri berbagai-bagai ancaman tentang azab, tetapi Allah ﷻ tidak terus turunkan azab itu. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Ini kerana ramai daripada Musyrikin Mekah itu yang mulanya menentang Nabi Muhammad ﷺ, namun akhirnya mereka telah bertaubat dan masuk Islam seperti Abu Sufyan, Khalid al Walid dan ramai lagi.

Kalaulah Allah ﷻ terus matikan mereka semasa mereka mula menentang Nabi ﷺ, tentu mereka tidak ada peluang untuk bertaubat. Begitulah, kita kena bersyukur yang Allah ﷻ tidak terus beri azab kepada kita setiap kali kita buat salah, buat syirik. Kalau tidak, sudah lama kita dikenakan azab dari dulu lagi. Ini kerana dulu kita tidak tahu apa itu tauhid, apa itu syirik dan banyak kesalahan yang kita telah lakukan. Kalau dulu Allah ﷻ telah beri azab kepada kita, bagaimana?

 

إِلَىٰ أُمَّةٍ مَّعْدُودَةٍ

hingga ke suatu masa yang tertentu,

Kalimah أُمَّةٍ dalam ayat ini bermaksud ‘jangka masa’. Bukan daripada pemahaman ‘ummat’ seperti yang kita faham selalunya. Perkataan itu diambil daripada kata dasar أم yang bermaksud ‘ibu’. Kalau kita lihat seorang wanita yang sedang mengandung, kita akan tahu bahawa masanya untuk bersalin telah ditetapkan. Maka ada berkenaan dengan masa juga. Begitu juga dunia dan alam ini telah ada masa yang ditetapkan oleh Allah ﷻ akan hancur. Tunggu masanya untuk sampai sahaja. Allah ﷻ lengahkan, tetapi ia tetap akan terjadi.

Itulah pentingnya belajar tafsir untuk mengetahui penjelasan tentang kalimah-kalimah yang kita mungkin tersilap terjemah dan tafsir jikalau tidak tahu. Kalau kita tahu satu terjemahan sahaja, maka pening kita untuk sesuaikan dengan maksud ayat ini. Untuk kalimah أُمَّةٍ ini sampai ada 4 jenis maksud yang digunakan di dalam Al-Qur’an. Mari kita lihat satu persatu.

1. Sekumpulan daripada manusia. Ini yang kita banyak gunakan di dalam Al-Qur’an, apabila kita kata ‘umat manusia’. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 134 & 141

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya;

2. Yang membawa maksud syariat, jalan agama atau manhaj di dalam agama. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Zukhruf:22

بَل قالوا إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّهتَدونَ
(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

3. Seorang lelaki yang diikuti dalam semua hal. Contohnya firman Allah ﷻ di  dalam Nahl: 120

إِنَّ إِبراهيمَ كانَ أُمَّةً
Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan

Nabi Ibrahim seorang sahaja, maka tidak patutlah kalau dikatakan baginda ‘sekumpulan manusia’. Maksudnya di sini adalah baginda menjadi contoh bagi manusia. Inilah juga maksud gelaran ‘Imam’ yang diberikan kepada orang yang menguasai banyak ilmu agama yang menjadi rujukan kita. Ini seperti Imam Syafie, Imam Bukhari dan sebagainya kerana mereka menjadi contoh. Kita juga diajar untuk berdoa semoga Allah ﷻ menjadikan kita sebagai ‘imam’ di dalam Furqan:74

وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا

dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa

4. Tempoh dari masa. Ini juga digunakan di dalam Yusuf: 45

وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa

Ini juga digunakan di dalam Hud: 8 ini.

 

لَّيَقُولُنَّ مَا يَحْبِسُهُ

tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): “Apakah yang menghalangnya?”

Apabila mereka ingkar kepada Tuhan tetapi mereka tidak dikenakan azab, mereka akan mengejek kenapa mereka tidak dikenakan azab lagi? Berlagak sungguh mereka kerana mereka tidak dikenakan dengan azab. Mereka meminta azab disegerakan kepada mereka dengan cara mengejek. Mereka kata: ‘kenapa tak kena azab lagi ni? Kau kata kami sudah lama buat derhaka ni… kenapa azab tak dapat jumpa kamikah?’

Begitulah Musyrikin Mekah dan juga umat-umat penentang kebenaran dahulu, selalu meminta azab dipercepatkan. Ini adalah kerana mereka tidak percaya dengan azab itu, maka mereka kononnya minta dipercepatkan. Ini antaranya seperti disebut dalam Mulk: 25

وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Dan mereka (yang ingkar) berkata: “Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”

 

أَلَا يَوْمَ يَأْتِيهِمْ

Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka,

Azab itu pasti akan sampai kepada mereka. Mereka cuma tunggu sahaja kerana azab itu semua telah ditentukan masanya oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak beri kerana dua sebab:

1. Beri peluang untuk bertaubat

2. Sebagai istidraj. Untuk melalaikan mereka kerana Allah ﷻ telah membuat keputusan untuk mengazab mereka akhirnya (sama ada di dunia dan di akhirat). Allah ﷻ beri mereka terbuai oleh nikmat kesenangan sampaikan mereka tidak bertaubat kerana mereka sangka mereka telah mendapat nikmat dan tentunya mereka akan selamat.

 

لَيْسَ مَصْرُوفًا عَنْهُمْ

tidak akan dapat dielak daripada menimpa mereka,

Mereka tidak akan dapat elak azab itu apabila ia sampai kepada mereka nanti. Mereka sangka yang azab itu lemah sampaikan boleh ditahan-tahan. Tidak, tidak begitu. Azab itu adalah amat besar dan kuat sekali sampaikan ia akan meliputi mereka. Waktu itu mereka tidak dapat elak lagi.

 

وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

Apabila manusia tidak mahu terima sesuatu perkara itu, mereka akan mengejeknya. Ini adalah salah satu cara penolakan. Ini apabila sudah tidak ada hujah lagi, maka mereka terpaksa menggunakan cara lain untuk menolak seperti mengejek-ngejek. Perkataan يَسْتَهْزِئُونَ khusus digunakan untuk mengejek perkara yang tidak terjadi lagi.

Kalimah يَسْتَهْزِئُونَ ini di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang bermaksud ia berterusan dilakukan sampai sekarang oleh golongan manusia yang menentang kebenaran. Bukan Musyrikin Mekah sahaja yang menggunakan taktik ini, tetapi sudah zaman berzaman ia digunakan.

Perkataan حَاقَ pula bermaksud sesuatu yang jatuh ke atas sesuatu dan menyeliputi. Bayangkan kalau jala yang jatuh ke atas kita, dan kemudian menyeliputi kita. Ia mesti sesuatu yang jatuh dari atas, memberi isyarat bahawa ia adalah kuat dan tidak boleh lari lagi.

Habis Ruku’ 1 dari 11 surah ini


 

UJIAN DAN KESENANGAN

Hud Ayat 9: Ini adalah ayat Zajrun (teguran). Ayat ini menyentuh tentang masalah yang dihadapi dan sedang dihadapi oleh begitu ramai manusia zaman sekarang. Banyak sangat manusia yang rasa putus asa dalam kehidupan ini. Apabila mereka putus asa dengan kehidupan mereka, mereka sebenarnya putus asa dengan agama, dan seterusnya mereka putus harap dengan Allah ﷻ. Ia tidak bagus dan sekarang ayat ini memberitahu kita kenapa manusia putus asa dan tidak percaya kepada Allah ﷻ. Ia menjelaskan kenapa manusia tidak beriman.

وَلَئِن أَذَقنَا الإِنسٰنَ مِنّا رَحمَةً ثُمَّ نَزَعنٰها مِنهُ إِنَّهُ لَيَئوسٌ كَفورٌ

Sahih International

And if We give man a taste of mercy from Us and then We withdraw it from him, indeed, he is despairing and ungrateful.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, dia jadi amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.

 

وَلَئِنْ أَذَقْنَا الْإِنسٰنَ مِنَّا رَحْمَةً

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami

Allah ﷻ meletakkan perkataan مِنَّا (daripada Kami) sebelum perkataan ‘rahmat’ kerana hendak menekankan bahawa rahmat itu semuanya daripada-Nya. Susunan ayat itu menyebut – “apabila Kami rasakan insan itu daripada Kami rahmat”. Apakah yang dirasakan daripada-Nya itu? – itulah rahmat-Nya. Begitulah susunan ayat itu.

Ada sebab kenapa susunan ayat itu sebegitu – kerana hendak menekankan bahawa rahmat itu daripada Allah ﷻ. Kita kena faham bahawa ada makna yang hendak disampaikan di sebalik susunan perkataan dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Daripada susunan itu pun kita boleh belajar apakah yang hendak disampaikan, manakah yang ditekankan dan manakah yang lebih utama. Maka, ringkasnya dalam ayat ini Allah ﷻ hendak menekankan yang segala rahmat adalah daripada-Nya.

Perkataan yang digunakan adalah أَذَقْنَا yang bermaksud ‘Kami rasakan’. Apakah maksud ‘rasa’. Kalau kita ‘rasa’ makanan, kita rasa sekejap sahaja. Lainlah kalau kita makan terus – tentulah lama sikit. Ini menunjukkan sekejap sahaja nikmat itu. Ataupun diberikan sedikit sahaja – sebab kalau kita ‘rasa’, kita rasa sikit sahaja, bukan?

Maknanya, kenikmatan di dunia ini adalah sekejap dan sedikit sahaja. Sebagai contoh, kalau makan makanan yang sedap, rasa sedap itu sekejap sahaja pada mula-mula makan itu sahaja. Selepas itu sudah tidak berapa sedap sebenarnya, bukan? Terutama bila kenyang, makanan sedap bagaimana sekalipun kita tidak kisah lagi.

Diri kita pun tidak sama, mula-mula muda tetapi lama kelamaan kita akan menjadi tua. Makanan yang dulu rasa sedap, bila kita sudah tua, deria rasa pun sudah kurang.

Rahmat itu boleh dalam pelbagai bentuk: keluarga, kekayaan, kesihatan, kesenangan dan sebagainya.

Sebenarnya, nikmat yang kekal hanyalah di Syurga sahaja. Allah ﷻ berikan kita ‘rasa’ nikmat yang di dunia ini sebagai ‘contoh’ sahaja apa yang kita boleh dapat jikalau kita menjadi ahli Syurga. Sebagai contoh, kesedapan makanan diberikan kita rasa semasa di dunia untuk kita dapat bayangkan bahawa di Syurga nanti, kesedapannya adalah berganda-ganda lagi.

Madu di dunia ini contohnya, adalah tiruan kepada madu yang asli di Syurga; sutera yang lembut di dunia ini, adalah hanya tiruan sahaja kepada sutera yang lebih hebat di Syurga nanti. Jikalau nikmat di dunia ini pun kita sudah rasa sedap, nikmat di syurga nanti berganda-ganda sedap, maka kejarlah untuk masuk ke syurga.

Begitu juga, kesusahan yang kita alami di dunia itu adalah contoh sahaja kesusahan dan azab yang dialami oleh ahli Neraka. Kalau mereka rasa susah di dunia ini, apakah mereka sanggup menanggung kesusahan yang lebih berganda-ganda di Neraka nanti?

Ayat ini mengingatkan kita betapa Pemurahnya Allah ﷻ. Walaupun orang itu kufur, namun Allah ﷻ beri juga nikmat kepadanya. Kerana dalam ayat ini, Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘insan’ – bermaksud seluruh manusia dan bukannya orang Islam sahaja yang dapat nikmat.

 

ثُمَّ نَزَعْنٰهَا مِنْهُ

kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya,

Kalimah نَزَعَ bermaksud menggerakkan sesuatu yang tidak bergerak. Sebagai contoh, almari yang sudah lama ada di tempatnya, kemudian kita gerakkan. Sebagaimana juga manusia yang sudah lama mendapat nikmat daripada Allah ﷻ, sudah tetap dengan nikmat itu, Allah ﷻ gerakkan supaya ditarik nikmat itu.

Pada waktu itu mereka sedang menikmati nikmat yang diberikan kepadanya itu. Kemudian nikmat itu diambil daripada mereka tentu tidak rela. Macam kita ambil mainan daripada kanak-kanak yang sedang bermain dengan mainan itu, adakah dia akan beri dengan senang hati? Tentu tidak, bukan?

Kata ini digunakan untuk menerangkan bagaimana manusia yang sudah lama mendapat nikmat daripada Allah ﷻ, mereka tidak rasa bahawa itu adalah satu nikmat pemberian sebenarnya. Mereka sangka mereka akan terus dapat sahaja nikmat itu. Dalam bahasa Inggerisnya: “They take it for granted”. Mereka tidak sangka bahawa ia boleh ditarik balik. Ini adalah fahaman yang salah. Hendaklah kita ingat, bahawa nikmat itu Allah ﷻ yang beri, tentulah Allah ﷻ boleh tarik balik.

Ingatlah juga bahawa apa sahaja nikmat yang diberikan kepada kita, sebenarnya ia adalah ‘amanah’ daripada Allah ﷻ. Ia bukan hak kita. Contohnya, kekayaan yang kita ada, harta yang kita kumpulkan, anak-anak lelaki dan perempuan – semua itu adalah ‘amanah’ daripada Allah ﷻ. Untuk kita jaga dan kita gunakan selagi kita ada.

Apabila ia adalah daripada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ boleh sahaja menariknya kembali sebagai ujian bagi kita. Ini adalah ujian yang sangat berat terutama kepada mereka yang tidak faham bahawa ia adalah ujian. Bayangkan yang ditarik adalah kekayaan seperti rumah besar dan perniagaan maju, anak isteri yang sudah lama bersama-sama kita tiba-tiba kemalangan sampai semuanya mati; dan macam-macam lagi perkara yang boleh berlaku. Untuk menerima ujian yang hebat sebegini, kita kena ingat yang semua yang kita ada sekarang adalah pinjaman amanah sahaja. Ia mungkin boleh hilang tiba-tiba. Maka jangan berpegang kuat sangat kepadanya.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah daripada kisah Nabi Ayyub عليه السلام yang disebut di dalam Al-Qur’an yang bermula dari Anbiya’:83

وَأَيّوبَ إِذ نادىٰ رَبَّهُ أَنّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرحَمُ الرّٰحِمينَ
dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika dia menyeru Tuhannya: “(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa kesusahan dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang”.

Tempoh berapa lama Nabi Ayyub عليه السلام menderita, ulama’ tidak sepakat. Ada yang kata 3 tahun, ada yang kata 7 tahun malah ada yang kata 18 tahun. Baginda mempunyai harta yang banyak, anak isteri yang ramai. Kemudian hartanya diambil, baginda juga ditimpa penyakit kronik. Kemudian anak-anaknya meninggalkannya. Seorang isterinya terus menjaga baginda tetapi beliau pun akhirnya meninggalkan Nabi Ayyub عليه السلام. Namun begitu baginda tetap kekal beriman dan Allah ﷻ balas dengan kebaikan seperti disebut di dalam ayat seterusnya,

فَاستَجَبنا لَهُ فَكَشَفنا ما بِهِ مِن ضُرٍّ ۖ وَآتَينٰهُ أَهلَهُ وَمِثلَهُم مَّعَهُم رَحمَةً مِّن عِندِنا وَذِكرىٰ لِلعٰبِدينَ
Maka Kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan kesusahan yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah.

Begitulah ujian yang Allah ﷻ berikan kepada manusia. Cuma ujian kepada para Nabi memanglah hebat berbanding dengan manusia biasa. Dan kemudian orang yang beriman akan diuji keimanannya. Semakin beriman, semakin bertambah ujian sebenarnya. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ:

يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ
“Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya sedang kuat, maka ujiannya akan ditambah.”
(Riwayat Ahmad (1481))
Status: Sahih

 

إِنَّهُ لَيَئُوسٌ كَفُورٌ

dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.

Apabila nikmat yang telah diberikan kepada mereka ditarik, mereka putus asa daripada usaha yang mereka telah buat. Inilah sifat kebanyakan manusia – sebab itu digunakan perkataan ‘insan’. Kerana Allah ﷻ tarik sesuatu yang mereka sudah lama nikmati. Mereka akan berasa sangat putus asa, sangat hampa. Ini kerana mereka pandang apa yang depan mata mereka sahaja, pandang dunia sahaja. Mereka lupa yang Allah ﷻ telah pernah memberi nikmat yang banyak kepada mereka. Allah ﷻ yang sama beri nikmat dulu, dan sedang tarik nikmat itu sekarang, boleh sahaja memberikan kepadanya nikmat baru di masa hadapan. Bukanlah ditarik nikmat itu terus mati atau terus Kiamat, bukan?

Maka masalah mereka ini amat berat dan kerana itu Allah ﷻ sentuh tentang hal ini di sini dan juga ada disebut dalam Fussilat: 49

لّا يَسئمُ الإِنسٰنُ مِن دُعاءِ الخَيرِ وَإِن مَّسَّهُ الشَّرُّ فَيَئوسٌ قَنوطٌ
Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau dia ditimpa kesusahan maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya.

Perkataan لَيَئُوسٌ adalah isim mubalaghah – membawa elemen kesangatan. Maknanya, terus putus asa sangat sampai rasa hidupnya sudah berakhir. Dia rasa dialah manusia paling malang di dunia ini. Inilah penyakit depresi yang banyak dialami oleh manusia. Ada yang sampai merosakkan diri mereka sendiri dengan melakukan perkara yang tidak baik, seperti pergi main judi, minum arak sampai mabuk-mabuk dan sebagainya. Malah, ada juga yang membunuh diri.

Perasaan ini boleh menjadikan seseorang itu kufur kerana mereka rasa Allah ﷻ telah tinggalkan mereka, maka mereka boleh terus jadi kufur. Mereka juga akan ada rasa Islam adalah satu agama yang tidak bagus. Mereka rasa Allah ﷻ zalim, tidak patut buat begitu dan mereka marah kepada Tuhan. Jikalau ia agama yang bagus, tentu mereka tidak dirundung masalah, bukan? Itu adalah kata-kata orang yang bodoh.

Ataupun ia juga boleh bermaksud, selepas nikmat itu ditarik, mereka buat perkara kufur dengan bermacam-macam cara. Buat solat tolak bala, solat hajat. Ada yang jumpa bomoh, beli nombor ekor dan sebagainya. Orang kafir pula, mereka mengadu kepada ilah mereka, dewa mereka dan sembahan mereka yang lain. Itu semua adalah perbuatan kufur.

Perkataan ‘kufur’ juga bukan sahaja membawa maksud ‘tidak beriman’ seperti yang kita selalu faham itu. Ia juga membawa maksud ‘kufur kepada nikmat’. Iaitu dia menidakkan segala nikmat lain yang telah diterimanya. Dulu dia terima banyak nikmat, tetapi dia cakap seolah-olah dia tidak pernah terima nikmat pula.

Ingatlah yang kalaupun satu nikmat ditarik oleh Allah ﷻ, ada terlalu banyak lagi nikmat-nikmat lain yang dia masih sedang terima. Namun oleh kerana dia ditarik satu nikmat sahaja (daripada banyak nikmat-nikmat lain), dia menidakkan nikmat-nikmat yang lain. Sebagai contoh, kalau seorang anaknya meninggal, dia tidak bersyukur dengan anak-anaknya yang lain yang masih sihat.

Ayat ini menceritakan kepada kita bahawa kejadian itu terjadi kerana ada sesuatu yang ditarik daripada mereka. Bukan hanya harta, tetapi perkara-perkara yang mereka mahukan dan mereka anggap sebagai penting. Sebagai contoh, mereka hendak tergolong dalam kumpulan tertentu, dan kemudian mereka dikeluarkan daripada kumpulan itu. Seperti seorang ahli politik yang dibuang daripada parti. Mereka tidak terima kalau perkara yang mereka anggap penting itu kehilangan daripada mereka.

Islam mengajar bahawa kalau ada kehilangan atau musibah dalam kehidupan kita, hendaklah kita bersabar. Segala kesusahan dan kekurangan yang kita hadapi dalam dunia ini adalah dugaan buat kita. Selepas diberikan dengan dugaan sebegitu, barulah sifat asal manusia itu akan keluar. Barulah kita tahu dia itu orang yang jenis bagaimana.

Surah ini nanti akan mengajar kita tentang bagaimana mencari sabar. Kita kena fokuskan perhatian kita kepada perkara yang baik. Jangan fokus kepada apa yang kita sudah kehilangan. Sebaliknya fokus kepada nikmat yang kita masih ada dan kita kena berdoa yang baik-baik sahaja kepada Allah ﷻ. Teruskan berharap kepada Allah ﷻ. Jangan putus harap seperti orang yang ingkar. Seperti yang Allah ﷻ ajar dalam Qalam:32

عَسىٰ رَبُّنا أَن يُبدِلَنا خَيرًا مِنها إِنّا إِلىٰ رَبِّنا راغِبونَ
“Semoga Tuhan kita, menggantikan bagi kita yang lebih baik daripada itu; sesungguhnya, kepada Tuhan kita sahajalah kita berharap”.


 

Hud Ayat 10:

وَلَئِن أَذَقنٰهُ نَعماءَ بَعدَ ضَرّاءَ مَسَّتهُ لَيَقولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنّي ۚ إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخورٌ

Sahih International

But if We give him a taste of favor after hardship has touched him, he will surely say, “Bad times have left me.” Indeed, he is exultant and boastful –

Malay

Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah dia menderita kesusahan, tentulah dia akan berkata: “Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku”. Sesungguhnya dia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).

 

وَلَئِنْ أَذَقْنٰهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ

Dan demi sesungguhnya! kalau Kami merasakan pula kesenangan baru sesudah dia menderita kesusahan, yang telah menyentuhnya dulu,

Ini adalah keadaan selepas manusia ditimpa bala atau musibah, kemudian Allah ﷻ angkat musibah itu. Dia sudah menjadi lega sekarang kerana masalah yang dihadapinya sebelum itu telah tiada.

Kalimah نَعْمَاءَ adalah nikmat yang banyak kerana ia adalah dalam bentuk isim mubalaghah. Ia juga bermaksud jenis nikmat yang jelas kelihatan kepada orang lain pun. Sebagai contoh, dia menjadi kaya raya. Nikmat ada banyak sebenarnya, tetapi kadang-kadang kita tidak perasan nikmat itu. Sebagai contoh, boleh bernafas adalah satu nikmat, bukan? Namun kita tidak perasan ia adalah nikmat kerana semenjak kecil sampai besar, kita boleh bernafas. Akan tetapi, perkataan نَعْمَاءَ adalah jenis nikmat yang jelas kepada manusia, semua orang boleh nampak, semua orang akan kata yang itu memang nikmat.

Nikmat yang banyak pun adalah ujian juga sebenarnya kerana jika kita tidak pandai menangani nikmat yang banyak itu, kita mungkin tersasar dari jalan yang benar. Sebagai contoh, entah berapa ramai yang kita lihat, apabila mereka menjadi kaya, perangai mereka yang baik sudah berubah? Kalau dahulu mereka rajin beribadat, apabila dia menjadi kaya, dia tidak kuat beribadat lagi; kalau dulu mereka boleh bercakap lembut dengan orang, tetapi bila sudah kaya, menjadi berlagak dan sombong pula? Bukanlah semua, namun ada.

Lihat penggunaan bahasa yang digunakan di sini. Apabila menyebut tentang nikmat, Allah ﷻ sandarkan kepada Diri-Nya (أَذَقْنٰهُ نَعْمَاءَ) tetapi apabila menyebut tentang kesusahan, ia tidak disandarkan kepada-Nya (ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ). Kenapa begitu? Kerana segala nikmat adalah kurniaan daripada Allah ﷻ, tetapi azab musibah yang dikenakan kepada manusia adalah kerana salah mereka sendiri. Ini seperti disebut dalam Shura: 30

وَما أَصٰبَكُم مِّن مُّصيبَةٍ فَبِما كَسَبَت أَيديكُم وَيَعفو عَن كَثيرٍ
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

 

لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي

tentulah dia akan berkata: “Telah hilang lenyaplah daripadaku segala kesusahan”.

Itulah kata-kata lega daripada orang itu. Mungkin dulu dia tidak ada kerja tetap, tetapi sekarang dia sudah mendapat kerja yang dia boleh banggakan. Masalahnya, dia tidak cakap pun Allah ﷻ telah menghilangkan kesusahan daripadanya. Dia tidak ingat pun takdir Allah ﷻ dalam menghilangkan masalahnya itu.

Kalau dia cakap alhamdulilah pun, sebab dia sudah biasa cakap kalimah itu. Secara automatik sahaja terpancul keluar daripada mulutnya, tetapi dia tidak terfikir pun rasa syukur kepada Allah ﷻ itu. Ini kita kena ingat kerana mungkin kita selalu buat.

Kita kena ingat yang dalam kesenangan yang kita dapat itu pun adalah ujian daripada Allah juga. Allah ﷻ mahu menguji kita sama ada kita bersyukur atau tidak. Contohilah Nabi Sulaiman عليه السلام seperti disebut di dalam Naml:40

قالَ الَّذي عِندَهُ عِلمٌ مِّنَ الكِتٰبِ أَناْ ءآتيكَ بِهِ قَبلَ أَن يَرتَدَّ إِلَيكَ طَرفُكَ ۚ فَلَمّا رَءآهُ مُستَقِرًّا عِندَهُ قالَ هٰذا مِن فَضلِ رَبّي لِيَبلُوَني ءأَشكُرُ أَم أَكفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبّي غَنِيٌّ كَريمٌ
Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada Al Kitab: “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. Maka tatkala dia melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.

 

إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ

Sesungguhnya dia gembira sangat, lagi bermegah-megah.

Musibah yang telah terjadi kepadanya tidak menjadikan dia rendah diri. Dia cuma rasa putus asa, tidak keruan sahaja. Dia tidak pun menyerah diri kepada Allah ﷻ. Dia tidak pun berdoa kepada Allah ﷻ.

Apabila dia mendapat nikmat, dia tidak ingat Allah ﷻ pun. Dia hanya bergembira kesukaan sahaja. Kalimah فَرِحٌ bermaksud gembira sangat sampai galak sangat sampai seolah-olah tidak ada Allah ﷻ pula. Dia gembira kerana dia hanya melihat kepada keduniaan sahaja. Apabila hal dunianya sudah selesai, tidak ada masalah lagi, dia menjadi gembira. Ini adalah kerana fokusnya hanya kepada dunia sahaja.

Dia berbangga sampai bermegah-megah dengan orang lain. Kalimah فَخُورٌ adalah jenis bangga dan bermegah sampai nampak pada zahir. Kalau dalam hati lain, tetapi ini sampai dizahirkan. Dia rasa dia layak dapat segala itu walaupun sebenarnya dia telah derhaka kepada Allah ﷻ. Dia tidak buat apa yang Allah ﷻ suruh malah dia banyak melakukan perkara yang Allah ﷻ larang. Dia pun bercerita dengan orang lain bagaimana dulu dia ada masalah, tetapi sekarang tidak lagi.

Tidak pun dia hendak berterima kasih kepada Allah ﷻ dan beritahu kepada orang lain yang Allah ﷻ telah menyelesaikan masalahnya itu. Dia kata dia berjaya selesaikan masalah dia kerana usaha dan kepandaiannya sahaja. Dia sombong untuk terima kebenaran kalau ada orang yang datang beri nasihat kepadanya. Ini juga disebut dalam Fussilat: 50

وَلَئِن أَذَقنٰهُ رَحمَةً مِّنّا مِن بَعدِ ضَرّاءَ مَسَّتهُ لَيَقولَنَّ هٰذا لي وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُّجِعتُ إِلىٰ رَبّي إِنَّ لي عِندَهُ لَلحُسنىٰ ۚ فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذينَ كَفَروا بِما عَمِلوا وَلَنُذيقَنَّهُم مِّن عَذابٍ غَليظٍ
Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat daripada Kami sesudah dia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah dia (dengan sikap tidak bersyukur): “Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisi-Nya (seperti kesenanganku sekarang ini)!” Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.

Ayat-ayat ini mengingatkan kita supaya apabila masalah kita selesai, maka bersyukurlah kepada Allah ﷻ. Kalau ada masalah, berdoalah kepada Allah ﷻ. Apabila kita berdoa kepada Allah ﷻ, itu menunjukkan kebergantungan kita kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ suka kalau kita bergantung kepada-Nya. Jangan lupa satu ayat yang ramai orang kita hafal iaitu Ibrahim: 7

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكُم لَئِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم ۖ وَلَئِن كَفَرتُم إِنَّ عَذابي لَشَديدٌ
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Februari 2025

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 7 (Tentang Arasy)

Hud Ayat 7: Di dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ beritahu Dialah yang memberikan rezeki. Sekarang Allah ﷻ beritahu kenapa Dia boleh beri rezeki: kerana Dialah yang mencipta alam ini. Kemudian Allah ﷻ menceritakan kenapa kita dijadikan.

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ وَكانَ عَرشُهُ عَلَى الماءِ لِيَبلُوَكُم أَيُّكُم أَحسَنُ عَمَلًا ۗ وَلَئِن قُلتَ إِنَّكُم مَّبعوثونَ مِن بَعدِ المَوتِ لَيَقولَنَّ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ

Sahih International

And it is He who created the heavens and the earth in six days – and His Throne had been upon water – that He might test you as to which of you is best in deed. But if you say, “Indeed, you are resurrected after death,” those who disbelieve will surely say, “This is not but obvious magic.”

Malay

Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang “ArasyNya, berada di atas air (Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: “Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati” tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: “Ini tidak lain, hanyalah sihir yang nyata (tipuannya)”.

 

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi

Allah ﷻ mengingatkan kita yang Dialah yang telah menjadikan langit dan bumi ini. Maka, kalau begitu, hendaklah kita hanya menyembah-Nya sahaja. Jangan sembah dan buat ibadat kepada entiti-entiti yang tidak mampu hendak mencipta apa-apa pun. Kalau tIDak mahu sembah hanya Allah ﷻ, maka carilah dunia yang lain untuk tinggal.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut dijadikan langit dahulu, sedangkan dari segi kronologi, bumilah yang dijadikan dahulu seperti disebut dalam Baqarah:29

هُوَ الَّذي خَلَقَ لَكُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ فَسَوّٰهُنَّ سَبعَ سَمٰوٰتٍ
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendak-Nya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna;

Maka kenapa Allah ﷻ sebut langit dahulu di dalam banyak ayat Al-Qur’an? Kerana langit menunjukkan kehebatan Allah ﷻ disebabkan kejadian langit yang teramat besar itu lebih hebat, dijadikan tanpa tongkat, begitu sempurna sekali. Juga sebagai tanda kemuliaan kerana di situlah para malaikat berada, juga para Nabi yang telah wafat dan juga tempat turunnya wahyu.

 

فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ

Dalam enam masa;

Allah ﷻ sahaja yang tahu berapa lama alam ini dijadikan kerana Dia yang menjadikannya. Kalau kita buat kajian pun, kita tidak akan tahu. Maka Allah ﷻ beritahu alam ini dijadikan dalam ‘enam masa’. Ia mula dijadikan pada hari Ahad dan selesai pada hari Jumaat. Kerana itulah ada akidah sesat dalam Yahudi dan Nasrani yang kata Allah ﷻ berehat setelah penat menjadikan alam selama enam hari. Sebab itu mereka kata hari Sabtu adalah hari untuk berehat kerana Allah ﷻ pun berehat pada hari Sabtu. Ini adalah akidah sesat kerana Allah ﷻ sesekali tidak penat.

Allah ﷻ juga terangkan tentang 6 hari ini di dalam Fussilat: 9-12

۞ قُل أَئِنَّكُم لَتَكفُرونَ بِالَّذي خَلَقَ الأَرضَ في يَومَينِ وَتَجعَلونَ لَهُ أَندادًا ۚ ذٰلِكَ رَبُّ العٰلَمينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagi-Nya! Yang demikian (sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah, Tuhan sekalian alam,

وَجَعَلَ فيها رَوٰسِيَ مِن فَوقِها وَبٰرَكَ فيها وَقَدَّرَ فيها أَقوٰتَها في أَربَعَةِ أَيّامٍ سَواءً لِّلسّائِلينَ
Dan Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Dia menentukan ada pada-Nya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.

ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ وَهِيَ دُخانٌ فَقالَ لَها وَلِلأَرضِ ائتِيا طَوعًا أَو كَرهًا قالَتا أَتَينا طائِعينَ
Kemudian Dia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”

فَقَضٰهُنَّ سَبعَ سَمٰوٰتٍ في يَومَينِ وَأَوحىٰ في كُلِّ سَماءٍ أَمرَها ۚ وَزَيَّنَّا السَّماءَ الدُّنيا بِمَصٰبيحَ وَحِفظًا ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ
Lalu Dia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

Allah ﷻ boleh sahaja menjadikan alam ini sekelip mata, kun fayakun, maka kenapa perlukan sampai enam hari? Ini kerana Allah ﷻ hendak mengajar kita dalam membuat sesuatu perkara yang penting, kena ada perancangan dan kena ambil masa supaya tidak kelam kabut dan mengelakkan kesilapan.

Secara literal ayat ini menyebut ‘enam hari’ tetapi ada pendapat yang mengatakan tidak boleh dikatakan dalam enam ‘hari’, kerana hari berkait dengan waktu dunia. Bukankah kita mengira ‘hari’ itu dengan menggunakan matahari, sedangkan semasa Allah ﷻ menjadikan alam ini, matahari tidak ada lagi? Namun bilangan berapa lama ‘masa’ itu kita tidak tahu dan ini termasuk dalam perkara ghaib yang kita tidak akan dapat tahu.

Juga mungkin hari-hari itu sudah ada, tetapi di dalam pengiraan Allah ﷻ yang Dia sahaja tahu. Allah ﷻ cuma beritahu kita kerana hendak mengingatkan yang kita memang tidak tahu semua perkara. Ada perkara yang Allah ﷻ beritahu tetapi kita hendak selidik lebih-lebih pun kita tidak mampu.

 

وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ

sedang “ArasyNya, berada di atas air;

Dari segi bahasa, arasy boleh diterjemahkan sebagai singgahsana kerana ada ayat Al-Qur’an yang menggunakan kalimah yang sama. Lihat Naml:23

إِنّي وَجَدتُّ امرَأَةً تَملِكُهُم وَأُوتِيَت مِن كُلِّ شَيءٍ وَلَها عَرشٌ عَظيمٌ
Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar.

Namun begitu tentulah singgahsana Allah ﷻ tidak sama sekali dengan singgahsana manusia. Memang akal kita tidak dapat fikirkan bagaimana rupanya. Malah bukan itu sahaja, Allah ﷻ tambah maklumat, waktu Allah ﷻ ciptakan dunia, Arasy Allah ﷻ itu berada di atas air. Bagaimana keadaannya pun kita tidak tahu. Yang pasti, ia bukanlah air yang sama seperti yang ada di dunia. Kerana itu tidak mungkin kerana Arasy Allah ﷻ itu sendiri merangkumi seluruh alam ini dan bukan hanya bumi sahaja.

Ini adalah antara perkara yang tidak mungkin tercapai oleh akal kita yang lemah dan terbatas ini. Kita tidak akan mampu untuk mengetahuinya dan dapatkan kepastian kerana kita tidak ada pada masa itu. Maka, tidak perlu difikirkan dengan panjang lebar kerana ini adalah perkara di luar jangkauan akal fikiran kita untuk memahaminya. Perkara ini ada sedikit disebut dalam hadith-hadith antaranya seperti berikut:

عَنْ وَكِيعِ بْنِ حُدُسٍ عَنْ عَمِّهِ أَبِي رَزِينٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيْنَ كَانَ رَبُّنَا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ خَلْقَهُ قَالَ كَانَ فِي عَمَاءٍ مَا تَحْتَهُ هَوَاءٌ وَمَا فَوْقَهُ هَوَاءٌ وَمَا ثَمَّ خَلْقٌ عَلَى الْمَاءِ
Daripada [Waki’ bin Hudus] daripada bapa saudaranya [Abu Razin] dia berkata; Aku bertanya; “Wahai Rasulullah, di manakah Rabb kita sebelum menciptakan makhluk-Nya?” Baginda menjawab: “Dia berada di ruang hampa, di bawah dan di atasnya tidak ada udara, dan di sana tidak ada makhluk. Setelah itu Dia menciptakan ‘Arsy-Nya di atas air.”
(Sahih Bukhari (178))

Di dalam hadith yang lain,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنْفِقْ أُنْفِقْ عَلَيْكَ وَقَالَ يَدُ اللَّهِ مَلْأَى لَا تَغِيضُهَا نَفَقَةٌ سَحَّاءُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَقَالَ أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْفَقَ مُنْذُ خَلَقَ السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ فَإِنَّهُ لَمْ يَغِضْ مَا فِي يَدِهِ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ وَبِيَدِهِ الْمِيزَانُ يَخْفِضُ وَيَرْفَعُ { اعْتَرَاكَ } افْتَعَلَكَ مِنْ عَرَوْتُهُ أَيْ أَصَبْتُهُ وَمِنْهُ يَعْرُوهُ وَاعْتَرَانِي { آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا } أَيْ فِي مِلْكِهِ وَسُلْطَانِهِ عَنِيدٌ وَعَنُودٌ وَعَانِدٌ وَاحِدٌ هُوَ تَأْكِيدُ التَّجَبُّرِ { اسْتَعْمَرَكُمْ } جَعَلَكُمْ عُمَّارًا أَعْمَرْتُهُ الدَّارَ فَهِيَ عُمْرَى جَعَلْتُهَا لَهُ { نَكِرَهُمْ } وَأَنْكَرَهُمْ وَاسْتَنْكَرَهُمْ وَاحِدٌ { حَمِيدٌ مَجِيدٌ } كَأَنَّهُ فَعِيلٌ مِنْ مَاجِدٍ مَحْمُودٌ مِنْ حَمِدَ سِجِّيلٌ الشَّدِيدُ الْكَبِيرُ سِجِّيلٌ وَسِجِّينٌ وَاللَّامُ وَالنُّونُ أُخْتَانِ وَقَالَ تَمِيمُ بْنُ مُقْبِلٍ وَرَجْلَةٍ يَضْرِبُونَ الْبَيْضَ ضَاحِيَةً ضَرْبًا تَوَاصَى بِهِ الْأَبْطَالُ سِجِّينَا
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah عَزَّ وَجَلَّ berfirman: ‘Berinfaklah, maka aku akan berinfak kepadamu.’ Dan Nabi ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya tangan Allah terisi penuh, pemberian-Nya siang mahupun malam tidak pernah menguranginya.” Juga baginda bersabda: “Tidakkah kalian melihat bagaimana Allah telah memberikan nafkah (rezeki) semenjak Dia mencipta langit dan bumi. Sesungguhnya Allah tidak pernah berkurang apa yang ada pada tangan kanan-Nya.” Baginda bersabda: “Dan ‘Arsy-Nya ada di atas air, di tangan-Nya yang lain terdapat neraca, Dia merendahkan dan meninggikan.”
(Sahih Bukhari (4316))

Apabila kalimah كان terdapat di dalam ayat ini, ia bermakna Arasy Allah ﷻ itu telah ada sebelum alam ini dicipta. Maksudnya semasa langit dan bumi dicipta, Arasy sudah ada. Itulah kepentingan kalimah كان di sini.

Apakah pula maksud air di sini? Bagaimanakah rupa air itu? Kenapa air itu? Allahu a’lam kerana kita tidak tahu dan tidak akan dapat tahu kerana maklumat ini tidak disampaikan kepada Rasulullah ﷺ dan baginda tidak memperincikan maklumat ini. Kita kena terima seadanya sahaja dan tidak perlu dirincikan tentang hal ini. Ini sama seperti soalan tentang Istiwa’ yang telah diberikan kepada Imam Malik رحمه الله.

Dalam kitab Syarh Usul I’tiqad Ahlis Sunnah Wal Jamaah, al-Shaikh al-Imam Hibatullah al-Lalika’i رحمه الله telah mendatangkan riwayat yang masyhur berkenaan kenyataan al-Imam Malik bin Anas رحمه الله tentang Istiwa, iaitu:

Daripada Jaafar bin Abdullah katanya, “Seorang lelaki telah datang kepada Malik bin Anas lalu berkata, “Wahai Abu Abdillah {Al-Rahman alal ‘arsyistawa} bagaimanakah Dia istawa?” Katanya, “Saya tidak pernah melihat Malik begitu marah tentang sesuatu seperti marahnya dia dengan persoalan itu dan dia kelihatan berpeluh.” Katanya, “Orang ramai menunggu apa yang akan disebutnya tentang hal ini.” Katanya, “Kemudian Malik kembali tenang lalu berkata, “Bagaimana, adalah ghair ma‘qul (tidak dapat dicapai akal), istiwa’ pula ghair majhul (tidak merupakan perkara yang tidak diketahui), beriman dengannya adalah wajib dan bertanya tentangnya adalah bid’ah. Aku risau engkau ini sesat.” Lalu dia menghalaunya keluar.”

Menurut pentahqiq kitab Syarh Usul I’tiqad, athar ini dinilai sahih satu sanadnya sebagai sanad jayyid (jalur periwayatan yang baik) oleh al-Imam Ibnu Hajar رحمه الله.

Begitulah kita dapati betapa al-Imam Malik marah terhadap soalan yang tidak beretika ini, iaitu tentang kaifiyyah (bagaimana) iaitu bentuk dan bagaimana Allah ﷻ istiwa’. Al-Imam Malik رحمه الله adalah merupakan salah seorang ulama Salaf di peringkat Tabiut Tabiin. Kenyataan beliau mengandungi empat bahagian.

Pertama, “Bagaimana, adalah ghair ma‘qul (tidak dapat dicapai akal)”; ertinya sebagai seorang muslim yang beriman dengan apa sahaja yang datang daripada Allah ﷻ, wajarlah kita mengetahui bahawa terdapat perkara yang tidak mampu dicapai akal manusia. Justeru, janganlah membincang tentangnya kerana itu di luar tanggungjawab kita.

Kedua, “Istiwa pula ghair majhul (tidak merupakan perkara yang tidak diketahui)”; ertinya istiwa adalah satu perkataan yang sedia maklum di sisi orang Arab. Hal ini dijelaskan lagi oleh al-Imam al-Lalikai dalam kitabnya ini dengan mengatakan bahawa {Istawa alal arsy}: ‘ala. ‘Ala dapatlah diterjemahkan kepada: meninggi.

Ketiga, “Beriman dengannya adalah wajib dan bertanya tentangnya adalah bid’ah”; ertinya menurut ulama Salaf, apa sahaja yang Allah ﷻ beritahu tentang nama-nama-Nya yang termulia dan sifat-sifat-Nya yang teragung; hukumnya adalah wajib diimani oleh kita. Seterusnya kita dilarang bertanya tentang perinciannya melebihi mafhumnya dalam Bahasa Arab yang fasih.

Kita juga sedia maklum bahawa tiada persamaan antara Allah ﷻ dengan makhluk-Nya.

Justeru, kita diperintahkan untuk mengikuti jejak langkah generasi terawal dalam kehidupan beragama; jika mereka berbicara kita berbicara, dan jika mereka senyapkan kita juga senyapkan.

Keempat, “Aku risau engkau ini sesat.” Lalu dia menghalaunya keluar.”; ertinya Imam Malik bin Anas رحمه الله merupakan seorang ulama yang tegas dalam urusan akidah. Ketegasan ini wajar diikuti oleh umat Islam. Dalam hal akidah kita bertegas, manakala dalam hal feqah kita berlapang dada dalam kepelbagaian pendapat dan pandangan.

Sebaliknya umat kita telah menyibukkan diri dalam hal yang tidak perlu disibukkan. Sudah beratus tahun ada perbezaan tentang di mana Allah ﷻ, tentang Arasy, tentang sifat-sifat Allah ﷻ yang mutashabihat. Ini adalah perbuatan yang membuang masa kerana kita tidak akan dapat mengetahui dengan tepat. Kita tidak diberatkan pun untuk tahu perkara ini. Malangnya umat Islam saling kafir mengkafirkan sesama sendiri hanya kerana berpegang dengan pendapat yang dia tidak pegang. Sepatutnya dia pegang satu pendapat kemudian kalau orang lain terima, maka berlapang dadalah kerana dia pun tidak pasti sebenarnya pendapat itu benar atau tidak.

 

لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;

Allah ﷻ memberitahu tujuan kenapa Dia jadikan langit dan bumi: untuk menguji manusia dan jin. Apabila ujian itu besar, maka perkara yang hendak diuji itu adalah besar juga. Untuk uji kita, Allah ﷻ jadikan khas bumi dan dunia ini seluruhnya. Ujian bulanan tidak sama dengan Peperiksaan SPM contohnya. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ jadikan dunia ini dengan segala kehebatannya hanya kerana untuk menguji kita sahaja kerana ujian yang akan diberikan kepada kita juga adalah besar juga.

Bayangkan, segala dunia yang besar ini adalah untuk menguji kita. Bukannya untuk kita kenal setiap apa yang ada di dunia ini kerana tempat kekal kita adalah di akhirat sana. Maka amat malang apabila manusia melebihkan perkara yang hanya dijadikan untuk menguji sahaja dan kemudiannya akan dihancurkan. Hakikatnya dunia ini sebenarnya bagaikan prop sahaja.

Sememangnya diri kita ini terlalu kecil berbanding alam ini. Akan tetapi alam ini untuk kita dan dijadikan sebab kita sebenarnya. Maknanya, fokus penciptaan alam ini bukanlah alam itu, tetapi kita. Allah ﷻ berfirman dalam ayat yang lain:

{أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ}
Maka apakah kalian mengira bahawa Kami menciptakan kalian secara main-main (saja), dan bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha tinggi Allah, Raja yang sebenarnya, tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia. (Al-Mu’minun: 115-116)

Dalam ayat ini, Allah ﷻ kata Dia hendak menguji hamba-Nya, siapakah yang ‘lebih baik amalnya’. Bukan ‘lebih banyak amalnya’. Oleh kerana itu, kita kena faham apakah ‘amal yang baik’ itu. Amal yang baik itu adalah amal yang ikhlas kerana Allah ﷻ. Bukannya untuk ditunjuk kepada orang lain, bukan kerana hendak mendapatkan sesuatu perkara, tetapi kerana ia semata-mata kerana Allah ﷻ.

Amal itu kenalah amal yang soleh, yang mengikut sunnah Nabi dan amal itu dilakukan dengan sebaik mungkin. Ini kerana semua orang solat, tetapi tidaklah sama solat antara seorang dengan seorang yang lain. Allah ﷻ mahu kita buat amalan dengan sebaik mungkin.

Bukan itu sahaja, amal itu kenalah bertepatan dengan amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ. Bukan amalan ibadat yang bid’ah. Amalan bid’ah itu tidak ada harga, walaupun banyak mana dilakukan. Walaupun mereka yang melakukannya ikhlas kerana Allah ﷻ. Berapa banyak kita dengar hujah pengamal bid’ah yang berkata: “Tidak mengapa, asalkan kita buat amalan itu ikhlas kerana Allah, Allah akan terima.”

Itu adalah hujah yang batil. Hujah ikut sedap hati sendiri sahaja. Banyak hujah yang ada dalam Al-Qur’an dan hadith yang menolak hujah itu. Dalam setiap amalan kita, bukan hanya perlu ada ikhlas, tetapi perlu ikut apa yang Nabi ﷺ ajar. Kedua-dua elemen itu kena ada barulah dikira sebagai ‘amalan yang baik’ seperti yang disebut dalam ayat ini.

Inilah tafsir Al Imam Fudhail bin Iyadh رحمه الله ketika menafsirkan firman Allah ﷻ:

يَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ…
“… Untuk menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik Amalnya. (Al-Mulk:2)

Beliau berkata: maksudnya, dia ikhlas dan benar dalam mengerjakan. Sebab amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak benar maka amalan itu tidak akan diterima dan jika dia benar tetapi amalannya tidak ikhlas maka amalannya juga tidak diterima. Adapun amal yang ikhlas adalah amalan yang dilakukan kerana Allah, sedangkan amal yang benar adalah yang dikerjakan sesuai dengan Sunnah Rasulullah ﷺ.
(Syarh Arba’in An-Nawawi Hal: 25).

قال الشيخ ابن قيم الجوزية رحمه الله:
“العمل بغير إخلاصٍ ولا اقتداءٍ كالمسافِر يملأ جرابه رملا يثقله ولا ينفعه” انتهى.
Berkata Al Imam Ibnu Qoyyim Al-jauziyah رحمه الله :
Beramal tanpa (didasari) ikhlas dan iqtida’ (mengikuti Sunnah Rasulullah ﷺ ) seperti seorang musafir yang memenuhi kantung airnya dengan pasir. Hal tersebut hanya memberatkan namun tidak memberikan manfaat. (Al-fawaid, hal: 49)

Berkata Al Imam lbnu Katsir رحمه الله:
Sesungguhnya Amal yang diterima harus memenuhi 2 syarat:
1) Ikhlas kerana Allah.
2) Benar dan sesuai dengan Syariat.
Jika dilakukan dengan Ikhlas tetapi tidak benar maka tidak akan diterima (Amalannya).
{Tafsir Inbu Katsir (I/389)}.

Ayat yang lebih kurang bunyinya juga terdapat di dalam Kahf:7

إِنّا جَعَلنا ما عَلَى الأَرضِ زينَةً لَّها لِنَبلُوَهُم أَيُّهُم أَحسَنُ عَمَلًا

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

Ternyata, selama kita hidup di dunia ini, kita diuji sebenarnya. Akan tetapi kita selalu perasan kita diuji hanya ketika kita ditimpa kesusahan, bukan? Kita tidak nampak pun sebenarnya kita sedang diuji ketika senang juga. Kita berat sebelah rupanya. Kita tidak perasan kita sedang diuji ketika memilih kerja, memilih makanan di kedai, memilih pasangan, memilih kereta yang hendak dibeli dan sebagainya. Ini kerana semua itu ketika senang, bukan? Padahal semua keindahan dan kesenangan dunia ini Allah ﷻ jadikan untuk uji kita juga, untuk lihat mana satu kita pilih.

Sebagai contoh, ada makanan sedap tetapi ia tidak halal; adakah kita makan atau tidak? Kalau kita makan juga, maka kita telah gagal. Bagaimana kita dalam memilih pasangan hidup? Ada yang cantik tetapi agamanya tidak ke mana, adakah kita tetap pilih dia? Bagaimana dengan tempat kerja; adakah kita pilih kerja yang gajinya besar tetapi susah untuk melakukan ibadah di situ?

Begitulah manusia yang lalai daripada wahyu. Mereka tidak perasan pun yang mereka sedang diuji ketika di dalam kesenangan. Mereka sangka mereka berjaya, diberi nikmat sahaja waktu itu. Padahal susah adalah ujian dan senang juga ujian. Allah ﷻ sebut ramai yang gagal ketika diberi kesenangan seperti disebut dalam Fajr: 15

فَأَمَّا الإِنسٰنُ إِذا مَا ابتَلٰهُ رَبُّهُ فَأَكرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقولُ رَبّي أَكرَمَنِ
Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.

Lihatlah Allah berfirman مَا ابتَلٰهُ yang bermaksud mengujinya. Iaitu Allah ﷻ menguji orang itu dengan kesenangan! Betapa ramai yang gagal dalam hal ini termasuk kita, bukan?

 

وَلَئِن قُلْتَ إِنَّكُم مَّبْعُوثُونَ مِن بَعْدِ الْمَوْتِ

(Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: “Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati”;

Ini adalah Ayat Syikayah (rungutan daripada Allah ﷻ). Sekiranya Nabi ﷺ berkata yang mereka akan dibangkitkan di hari kiamat nanti dan beritahu kepada orang kafir, golongan musyrik dan para penentang tidak dapat terima.

Yang menerima berita ini daripada Nabi Muhammad ﷺ adalah penduduk Mekah. Mereka bukan tidak kenal Allah ﷻ. Mereka tahu bahawa alam ini dijadikan oleh Allah ﷻ dan mereka kenal Allah ﷻ itu sebagai Tuhan. Ini telah disebut dalam ayat Zukhruf: 87. Bermakna, mereka terima Allah ﷻ yang menjadikan alam ini, Allah ﷻ juga Tuhan, namun mereka tidak boleh terima bahawa mereka akan dihidupkan kembali.

Padahal, antara menjadikan dan menghidupkan kembali, tentulah menjadikan sesuatu daripada tiada kepada ada, lagi susah. Maka senang sahaja sekiranya Allah ﷻ mahu menjadikan semula alam ini untuk membangkitkan makhluk-Nya:

{وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ}
Dan Dialah yang menciptakan (manusia) daripada permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah. (Ar-Rum: 27)

Namun begitulah kalau fikiran telah menjadi syirik, mereka tidak dapat terima ajakan dakwah yang mudah pun.

 

لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: “

Lihatlah, hanya apabila disebut tentang kebangkitan semula baru mereka menolak. Padahal, kalau bab penciptaan alam ini, Musyrikin Mekah itu terima sahaja kerana memang mereka terima pun yang Allah ﷻ adalah Pencipta.

Namun begitu bab akhirat, mereka tidak boleh terima. Ada sahaja jawapan yang mereka akan berikan untuk menolak kebenaran. Memang ada manusia yang hanya terima separuh-separuh sahaja. Ada yang terima Allah ﷻ itu Tuhan, tetapi tidak mahu terima Nabi Muhammad ﷺ; ada yang terima tentang Allah ﷻ sebagai Pencipta, tetapi bab hukum hakam mereka tidak mahu ikut. Malah bermacam-macam lagi kesesatan umat manusia di dunia ini.

Begitulah Musyrikin Mekah itu dalam menolak, bukan semua mereka tolak. Allah ﷻ sudah jelaskan apakah yang mereka akan katakan apabila disentuh tentang kebangkitan semula. Sebelum mereka kata lagi Allah ﷻ sudah beritahu Nabi Muhammad ﷺ siap-siap. Apakah kata mereka?

 

إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)”.

Kalimah هَٰذَا di sini boleh bermaksud kisah tentang kebangkita semula atau ia merujuk kepada Al-Qur’an. Ini adalah kerana yang banyak menceritakan tentang kebangkitan semula adalah Al-Qur’an.

Mereka kata apa yang Nabi Muhammad ﷺ katakan itu adalah ‘sihir’ sahaja kerana mereka mahu kata bahawa Nabi ﷺ menipu. Mereka sudah tahu bahawa sihir itu adalah tipuan sahaja. Macam kita lihat pertunjukan Silap Mata (magik) di pentas, kita tahu yang ia tidak benar. Takkanlah benar-benar seorang perempuan dipotong badannya, bukan? Maka memang sihir itu adalah penipuan. Begitulah mereka hendak katakan tentang berita-berita yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah tipu semata-mata.

Begitu juga dengan kata-kata manusia yang pandai bercakap. Bila dia ‘goreng’ orang lain, ada orang yang percaya habis seolah-olah dia terkena sihir. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ قَدِمَ رَجُلَانِ مِنْ الْمَشْرِقِ فَخَطَبَا فَعَجِبَ النَّاسُ لِبَيَانِهِمَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ الْبَيَانِ لَسِحْرًا أَوْ قَالَ إِنَّ بَعْضَ الْبَيَانِ لَسِحْرٌ
Daripada [Abdullah bin Umar رضي الله عنهما] dia berkata; “Dua orang datang dari timur lalu mereka menyampaikan khutbah sehingga membuat orang-orang takjub terhadap penjelasannya, Rasulullah ﷺ lalu bersabda: ‘Sesungguhnya di antara penjelasan itu adalah sihir, ‘ atau baginda bersabda: ‘Sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan dengan kata-kata) itu adalah sihir’.”
S(ahih Bukhari (1564))

Ayat ini bermaksud, mereka menolak apa yang Nabi ﷺ katakan. Mereka tidak dapat terima bahawa mereka akan dibangkitkan semula apabila dimatikan nanti. Mereka tidak percaya kepada akhirat, kepada kebangkitan semula. Ini kerana mereka hanya gunakan akal mereka sahaja. Mereka tidak nampak bagaimana tulang belulang makhluk yang telah mati boleh dihidupkan semula seperti disebut dalam Yaasin:78

قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ
dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

Mereka lupa yang Allah ﷻ telah pernah menjadikan alam ini daripada tidak ada kepada ada seperti disebut di awal ayat ini. Maka apa masalahnya bagi Allah ﷻ untuk menjadikan semula sesuatu yang telah pernah dibuat-Nya dahulu? Hujah mereka telah banyak dijawab di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang lain.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Ogos 2023


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 5 – 6 (Jangan risau sangat tentang Rezeki)

MENYEMBUNYIKAN KEKUFURAN

Hud Ayat 5: Ini adalah akidah sesetengah orang kafir yang salah dan Allah ﷻ hendak memperbetulkan akidah mereka itu. Maka ini adalah Dakwa Kedua Surah ini: Ilmu yang sempurna hanya ada pada Allah ﷻ sahaja.

أَلا إِنَّهُم يَثنونَ صُدورَهُم لِيَستَخفوا مِنهُ ۚ أَلا حينَ يَستَغشونَ ثِيابَهُم يَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ ۚ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sahih International

Unquestionably, they the disbelievers turn away their breasts to hide themselves from Him. Unquestionably, [even] when they cover themselves in their clothing, Allah knows what they conceal and what they declare. Indeed, He is Knowing of that within the breasts.

Malay

Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

 

أَلَا إِنَّهُمْ يَثْنُونَ صُدُورَهُمْ

Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan dada-dada mereka;

Ayat ini banyak pentafsiran yang dilakukan oleh mufassir. Kita cuba beritahu beberapa di sini.

Yang dimaksudkan dalam ini adalah Musyrikin Mekah yang membongkokkan dada mereka. Perkataan يَثْنُونَ daripada katadasar ث ن ي yang bermaksud ‘melipat sesuatu’. Yang dimaksudkan adalah, mereka ‘melipat dada’ mereka. Dalam erti kata lain, mereka membongkokkan badan atau dada mereka.

Mereka bongkok itu kerana kononnya hendak menyembunyikan apa yang ada dalam hati mereka. Mereka sangka dengan buat begitu, mereka boleh menyembunyikan apa yang ada dalam dada mereka daripada Allah ﷻ. Mereka sebenarnya tahu bahawa Islam itu benar, tetapi mereka tidak mahu terima juga. Mereka tidak mahu terima kerana tidak kena dengan nafsu mereka, kerana sombong dan kerana tidak mahu menukar apa yang mereka telah biasa buat.

Kenapa mereka sangka mereka boleh menyorok apa yang ada dalam hati mereka daripada Allah ﷻ? Kerana mereka ini telah lama terpesong pemahaman mereka tentang Allah ﷻ. Mereka memang kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan dan pencipta alam ini, tetapi mereka sudah tidak ada maklumat tepat tentang agama melainkan apa yang disampaikan turun temurun.

Maka mereka ada fahaman yang salah tentang Allah ﷻ. Sebagai contoh, mereka sangka, kalau mereka bercakap perlahan, Allah ﷻ tidak dengar apa yang mereka katakan; begitu jugalah dalam ayat ini, mereka sangka kalau mereka bongkokkan diri mereka, Allah ﷻ tidak tahu tentang mereka.

Makna kedua, mereka membongkok itu kerana hendak menyorok daripada Nabi ﷺ. Mereka pusingkan badan sebab tidak mahu berjumpa Nabi ﷺ. Kalau mereka nampak sahaja Nabi Muhammad ﷺ datang, mereka akan cuba kecilkan diri mereka dengan membongkok. Kalau Nabi ﷺ datang juga bercakap dengan mereka, mereka akan bongkokkan badan juga. Sebab mereka tidak mahu mendengar dakwah Nabi ﷺ.

Mereka tidak mahu dengar apa yang hendak disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Macam pelajar sekolah sekarang, kalau guru sekolah datang masa mereka sedang melepak, mereka akan cuba buat-buat tunduk supaya guru tidak nampak mereka yang sedang bersidai itu.

Ini adalah satu perbuatan yang amat kurang ajar. Bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diperlakukan begini. Dalam Nuh:7, telah diceritakan bagaimana Nabi Nuh عليه السلام pun telah menerima nasib yang serupa:

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا
“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

لِيَسْتَخْفُوا مِنْهُ

untuk menyembunyikan daripada-Nya;

Mereka sangka mereka boleh menyembunyikan perkataan mereka dan isihati mereka daripada Allah ﷻ. Mereka bercakap-cakap dengan perlahan supaya Allah ﷻ tidak dengar. Musyrikin Mekah yang buat begini kerana mereka sangka Allah ﷻ tidak dengar. Maka akidah yang mengatakan Allah ﷻ tidak mendengar adalah kufur.

Kita kena yakin yang Allah ﷻ itu Maha Mendengar. Bukan sahaja apa yang kita cakap, sama ada dengan cara kuat atau bisikan, tetapi apa yang ada dalam hati kita juga Allah ﷻ tahu. Mana mungkin kita dapat menyembunyikan apa-apa daripada Allah ﷻ. Ini adalah makna pertama, iaitu mereka hendak menyembunyikan daripada Allah ﷻ. Ini telah disebut juga di dalam Mulk: 12-14

إِنَّ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَأَجرٌ كَبيرٌ
Sesungguhnya orang-orang yang takut Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

وَأَسِرّوا قَولَكُم أَوِ اجهَروا بِهِ ۖ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ
Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

أَلا يَعلَمُ مَن خَلَقَ وَهُوَ اللَّطيفُ الخَبيرُ
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya!

Makna kedua yang dikatakan oleh mufassir, dhomir مِنْهُ itu merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu mereka hendak menyembunyikan diri mereka daripada baginda. Allahu a’lam.

 

أَلَا حِينَ يَسْتَغْشُونَ ثِيَابَهُمْ

Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun,

Bagaimana lagi mereka hendak melarikan diri mereka? Mereka sangka kalau mereka selubungkan diri mereka dengan pakaian mereka, mereka boleh larikan diri daripada Allah ﷻ? Mereka boleh hilangkan diri mereka daripada dilihat oleh Nabi ﷺ? Tentulah itu tidak masuk akal.

Allah ﷻ menyebut tentang pakaian kerana manusia selalu bersembunyi di sebalik pakaian mereka. Mereka mungkin memakai pakaian kebesaran, kemuliaan, yang berpangkat untuk mengelabui mata manusia. Maka dengan pakaian itu mereka nampak gah, nampak alim, nampak pandai. Namun kebenaran tidak dapat ditutup dengan pakaian. Pakaian bukan boleh dipakai sentiasa, sewaktu mandi dibuka, sewaktu tidur akan diganti juga dengan pakaian tidur. Maka tidak ke mana pun pakaian kebesaran dan kedudukan mereka itu. Akhirnya akan terbongkar juga pekung mereka.

 

يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ

Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan

Kerana Allah ﷻ tahu segalanya, maka Allah ﷻ tahu ikhlasnya hati manusia. Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati kita.

Allah ﷻ juga tahu apabila kita melakukan satu-satu ibadat atau amalan itu, sama ada kita buat kerana-Nya, atau kerana orang lain. Allah ﷻ tahu bagaimana kufurnya hati manusia. Kita mungkin tunjukkan di luar bagaimana kita mengamalkan amalan orang Islam, namun hati kita belum tentu lagi. Ada kemungkinan kita ada simpan akidah-akidah yang kufur kepada Allah ﷻ. Manusia lain tidak tahu, tetapi Allah ﷻ Maha Mengetahui.

Daripada ayat ini, kita diingatkan bahawa hanya Allah ﷻ yang Maha Mengetahui. Namun ada masyarakat kita yang sangka ada tok guru yang tahu isi hati kita. Maka, apabila mereka hendak berjumpa dengan tok guru mereka, mereka takut kerana mereka risau kalau-kalau tok guru tahu niat jahat mereka kerana pada mereka, tok guru mereka itu hebat sangat, sampaikan boleh baca apa yang ada dalam hati mereka.

Mereka akan memperbetulkan niat mereka sebelum berjumpa dengan guru. Maka ketahuilah, itu adalah akidah syirik kerana mereka memberikan sifat yang hanya ada pada Allah ﷻ kepada manusia. Kita mungkin sangka yang perkara ini kecil sahaja, tetapi sebenarnya, ia adalah besar. Ia adalah perkara yang melibatkan akidah.

 

وَمَا يُعْلِنُونَ

dan apa yang mereka zahirkan;

Allah ﷻ tahu apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan. Sama sahaja pada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

Asbabun Nuzul ayat ini:

مُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادِ بْنِ جَعْفَرٍ أَنَّهُ سَمِعَ ابْنَ عَبَّاسٍ يَقْرَأُ أَلَا إِنَّهُمْ تَثْنَوْنِي صُدُورُهُمْ قَالَ سَأَلْتُهُ عَنْهَا فَقَالَ أُنَاسٌ كَانُوا يَسْتَحْيُونَ أَنْ يَتَخَلَّوْا فَيُفْضُوا إِلَى السَّمَاءِ وَأَنْ يُجَامِعُوا نِسَاءَهُمْ فَيُفْضُوا إِلَى السَّمَاءِ فَنَزَلَ ذَلِكَ فِيهِمْ
[Muhammad bin ‘Abbad bin Ja’far] berkata: bahawasanya aku mendengar [Ibnu Abbas] membaca; ‘Ketahuilah, sesungguhnya mereka memalingkan dada mereka (Hud:5).’ Ibnu Ja’far berkata; Aku bertanya kepadanya mengenai ayat tersebut. Maka Ibnu Abbas menjawab; beberapa dalam kalangan orang-orang munafik merasa malu ketika membuang hajat mereka dalam keadaan telanjang dan ketika mereka bersetubuh dengan isteri-isteri mereka. Maka ayat ini turun kepada mereka.
(Sahih Bukhari (4313))

 

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

Allah ﷻ tahu semua yang ada dalam dada dan hati kita. Ada perkara yang kita beritahu orang lain pun, tetapi Allah ﷻ tahu. Allah ﷻ maha tahu sampai ke dalam ‘lipatan’ hati kita. Sampaikan perkara yang kita tidak cakap dalam dalam hati kita pun. Namun ia ada dalam hati, itu pun Allah ﷻ tahu juga.

Allah ﷻ maha mengetahui sampaikan perkara yang dalam ‘sub-concious mind’ kita pun Allah tahu juga. Sub-concious mind itu adalah perkara di bawah sedar kita, yang kadang-kadang kita sendiri tidak tahu, namun yakinlah bahawa Allah ﷻ tahu.

Maka ini mengajar kita untuk menjaga percakapan kita dan jaga hati kita kerana semua itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ﷻ nanti seperti disebut dalam Baqarah:284

وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم أَو تُخفوهُ يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ
Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.


 

KEKUASAAN ALLAH ﷻ

Hud Ayat 6: Ilmu Allah ﷻ amat luas dan merangkumi segala-galanya. 

۞ وَما مِن دابَّةٍ فِي الأَرضِ إِلّا عَلَى اللَّهِ رِزقُها وَيَعلَمُ مُستَقَرَّها وَمُستَودَعَها ۚ كُلٌّ في كِتٰبٍ مُّبينٍ

Sahih International

And there is no creature on earth but that upon Allah is its provision, and He knows its place of dwelling and place of storage. All is in a clear register.

Malay

Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata.

 

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ

Dan tiadalah dari binatang-binatang yang bergerak di bumi

Allah ﷻ bukan sahaja menguruskan manusia, namun Allah ﷻ menguruskan semua makhluk yang hidup dan bergerak di alam ini. Perkataan دَابَّةٍ bermaksud ‘yang bergerak’. Sama ada melata di bumi ataupun terbang di langit kerana burung yang terbang pun sarangnya di bumi. Ikan dalam laut pun ada juga tanah tempat menakung air itu. Maka semua binatang termasuk dan begitu juga manusia. Daripada sekecil-kecil bakteria hingga kepada sebesar-besar makhluk ciptaan-Nya. Bilangannya pun kita tidak tahu.

 

إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا

melainkan Allah jualah yang memberi rezeki mereka;

Bayangkan, semua makhluk yang entah berapa banyak, entah berapa jenis itu, semuanya Allah ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka. Apabila digunakan kalimah عَلَى اللَّهِ maka ia bermakna Allah ﷻ mewajibkan ke atas Diri-Nya kerana Dia yang menjadikan makhluk itu, maka Dia jugalah yang akan beri rezeki. Kejamlah kalau Allah ﷻ jadikan makhluk kemudian biarkan sahaja tanpa sumber kehidupan. Ke mana sahaja binatang itu pergi, makanannya telah ada di situ. Makanan itu telah menunggunya di situ. Begitu juga manusia, pagi makan di kedai itu dan petang di kedai lain pula. Semuanya telah ditetapkan.

عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ إِنَّهُ سَمِعَ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
[Umar Bin Al Khathab] menerangkan bahawa dia mendengar Nabiyullah ﷺ bersabda: “Jika kalian bertawakal kepada Allah ﷻ dengan sebenar-benarnya tawakal, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepada kalian, sebagaimana Dia telah memberikan rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dalam keadaan kosong dan kembali dalam keadaan kenyang.”
(Sunan Ibn Majah (200))
Status: Hasan

Allah ﷻ yang beri, bukannya berhala-berhala, pujaan-pujaan kamu selain Allah ﷻ, bukan Nabi, bukan wali, bukan mana-mana malaikat. Semua makhluk yang ada di muka bumi diberi rezeki oleh Allah ﷻ termasuklah kamu dapat rezeki itu pun daripada Allah ﷻ juga.

Kenapa sebut tentang rezeki pula dalam ayat ini? Allah ﷻ beritahu bahawa tidak perlu tunggu pun hari pembalasan untuk Allah ﷻ beri azab kepada mereka yang menolak ajakan dakwah kerana Allah ﷻ yang memberi rezeki, dan kalau Allah ﷻ menahan rezeki-Nya daripada sampai kepada mereka, mereka sudah mendapat seksa di dunia lagi. Janganlah mereka berlagak sombong dengan Allah ﷻ, padahal segala rezeki yang mereka ada dan mereka dapat makan, pakai dan segalanya diberi oleh Allah ﷻ.

Maka, janganlah sombong dengan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh menahan rezeki yang diberinya itu dengan tiba-tiba sahaja. Siapa lagi yang boleh beri rezeki kepada kita kalau Allah ﷻ sudah tahan?

Ia juga hendak menceritakan kekuasaan Allah ﷻ, bagaimana Allah ﷻ itu maha berkuasa dan kita amat berharap kepada Allah ﷻ. Tidak ada yang selain Allah ﷻ yang boleh beri rezeki kepada makhluk.

Mungkin timbul persoalan: kalau Allah ﷻ telah mewajibkan memberi rezeki ke atas Diri-Nya, kenapa ada juga yang mati kebuluran? Yang mati kebuluran itu kerana rezeki yang ditetapkan untuknya telah habis dimakan. Selagi belum habis rezeki yang telah ditakdirkan untuk kita, kita tidak akan mati sebagaimana diriwayatkan Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّهُ لَيْسَ شَيْءٌ يُقَرِّبُكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ, وَيُبَاعِدُكُمْ مِنَ النَّارِ إِلَّا قَدْ أَمَرْتُكُمْ بِهِ, وَلَيْسَ شَيْءٌ يُقَرِّبُكُمْ مِنَ النَّارِ, وَيُبَاعِدُكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ إِلَّا قَدْ نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ, وَأَنَّ الرُّوحَ الْأَمِينَ نَفَثَ فِي رُوعِيَ أَنَّهُ لَنْ تَمُوتَ نَفْسٌ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا, فَاتَّقُوا اللهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ, وَلَا يَحْمِلَنَّكُمُ اسْتِبْطَاءُ الرِّزْقِ أَنْ تَطْلُبُوهُ بِمَعَاصِي اللهِ, فَإِنَّهُ لَا يُدْرَكُ مَا عِنْدَ اللهِ إِلَّا بِطَاعَتِهِ
“Sungguh tidak ada satu pun yang mendekatkan kalian ke syurga dan menjauhkan kalian dari neraka kecuali aku telah memerintahkannya kepada kalian, dan tidak ada satu pun yang mendekatkan kalian ke neraka dan menjauhkan kalian dari syurga kecuali aku telah melarangnya atas kalian.
Dan sungguh ar-ruhul amin (malaikat Jibril yang terpercaya) telah menyampaikan kepadaku bahawa tidak akan mati satu jiwa sampai dia menyempurnakan rezekinya, maka bertaqwalah kepada Allah dan perbaguslah dalam mencari rezeki, dan sekali-kali janganlah lambatnya rezeki menjadikan kalian mencarinya dengan bermaksiat kepada Allah, kerana sesungguhnya tidak akan diraih apa yang ada di sisi Allah kecuali dengan mentaati-Nya.”
(Riwayat Al Baihaqi di dalam Sya’bul Iman No. 9891 dengan sanad yang sahih)

Pengajaran kepada kita adalah rezeki itu pasti kita akan dapat. Maka sepatutnya bab rezeki ini kita tidak perlulah risau sangat kerana rezeki telah ditentukan. Selagi kita masih lagi bernyawa, maka rezeki kita akan sampai kepada kita walau di mana pun kita berada. Malangnya ramai manusia yang risau sangat bab rezeki kerana tidak yakin dengan Allah ﷻ. Mungkin dia tahu tentang rezeki, tetapi tidak sampai ke tahap yakin. Maka keluh kesahlah hidupnya di dunia. Takut sana dan takut sini apabila melibatkan bab rezeki. Kalaulah kita dapat sampai ke tahap yakin tentang rezeki ini, kita akan dapat kehidupan yang tenang dan bening sahaja. Alangkah hebatnya perasaan itu!

Sekiranya kita hendak melebihkan rezeki kita, sekurang-kurangnya gunalah cara yang Nabi ﷺ sendiri ajar kepada kita seperti disebut di dalam sebuah hadith:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
(Riwayat Bukhari (5986) dan Muslim (2557))

Syarah: Imam Nawawi رحمه الله dalam menjelaskan hadith ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114).

Pendapat yang mengatakan diberkati rezeki itu lebih menarik kerana banyak mana rezeki kita sudah ditentukan, maka yang membezakan adalah berkat atau tidak rezeki itu. Kita sebenarnya bukan mahu harta yang banyak, kerana tidak berguna pun harta banyak tanpa berkat. Kita sebenarnya mahu biarlah harta kita sedikit, tetapi berkat.

Maka tenang-tenang sahaja dalam rezeki ini. Yang lebih penting kita bertaqwa dan percaya dengan Allah ﷻ seperti disebut dalam hadith,

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ فَإِنَّ نَفْسًا لَنْ تَمُوتَ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا وَإِنْ أَبْطَأَ عَنْهَا فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ خُذُوا مَا حَلَّ وَدَعُوا مَا حَرُمَ
Daripada [Jabir bin Abdullah] ia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Wahai manusia, bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang baik dalam mencari dunia. Sesungguhnya sebuah jiwa tidak akan mati hingga terpenuhi rezekinya meskipun lewat. Bertaqwalah kepada Allah, carilah yang baik dalam mencari dunia, ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.”
(Sunan Ibn Majah (2135))
Status: Sahih

Allah ﷻ mengingatkan kita di dalam Ankabut:56 bahawa bumi Allah ﷻ ini luas maka jangan takut tentang rezeki. Kalau satu tempat tidak ada rezeki, boleh cari di tempat yang lain. Kalau tempat kerja kita tidak baik bagi agama kita, maka tukarlah kerja lain kerana bukan di situ sahaja rezeki kamu.

يٰعبادِيَ الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّ أَرضي وٰسِعَةٌ فَإِيّٰيَ فَاعبُدونِ
Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku luas, maka sembahlah Aku sahaja.

Jangan kita gadaikan agama kita kerana takut rezeki. Ada orang yang telah beriman dengan Nabi ﷺ di Mekah tetapi mereka takut untuk berhijrah ke Madinah kerana takut tidak ada rezeki tempat yang baru. Maka Allah ﷻ tegur mereka di dalam ayat Ankabut ini. Sekali lagi disebut dengan lebih keras di dalam Nisa’: 97

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ وٰسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Lihatlah pengakhiran buruk bagi mereka. Maka kita pun tidak boleh takut tentang rezeki sampai menggadaikan agama kita. Sebagai contoh jikalau tempat tinggal kita tidak memungkinkan kita mengamalkan agama dengan sempurna, maka kita mesti tinggalkan tempat itu berhijrah ke tempat yang lebih baik. Mungkin ada yang tinggal di negara kafir yang menindas umat Islam dan tidak membenarkan umat Islam mengamalkan kewajipan seperti menutup aurat. Maka tidak boleh lagi tinggal di negara itu lagi dan kena pindah ke negara Islam.

Jangan takut tidak dapat rezeki kerana Allah ﷻ akan memberikan rezeki itu di mana sahaja kita berada. Ingatlah kisah Hajar apabila beliau ditinggalkan di Mekah yang tandus. Mari kita lihat potongan hadith ini,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا كَانَ بَيْنَ إِبْرَاهِيمَ وَبَيْنَ أَهْلِهِ مَا كَانَ خَرَجَ بِإِسْمَاعِيلَ وَأُمِّ إِسْمَاعِيلَ وَمَعَهُمْ شَنَّةٌ فِيهَا مَاءٌ فَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ فَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ فَوَضَعَهَا تَحْتَ دَوْحَةٍ ثُمَّ رَجَعَ إِبْرَاهِيمُ إِلَى أَهْلِهِ فَاتَّبَعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ حَتَّى لَمَّا بَلَغُوا كَدَاءً نَادَتْهُ مِنْ وَرَائِهِ يَا إِبْرَاهِيمُ إِلَى مَنْ تَتْرُكُنَا قَالَ إِلَى اللَّهِ قَالَتْ رَضِيتُ بِاللَّهِ قَالَ فَرَجَعَتْ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى لَمَّا فَنِيَ الْمَاءُ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا قَالَ فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ هَلْ تُحِسُّ أَحَدًا فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا فَلَمَّا بَلَغَتْ الْوَادِيَ سَعَتْ وَأَتَتْ الْمَرْوَةَ فَفَعَلَتْ ذَلِكَ أَشْوَاطًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ تَعْنِي الصَّبِيَّ فَذَهَبَتْ فَنَظَرَتْ فَإِذَا هُوَ عَلَى حَالِهِ كَأَنَّهُ يَنْشَغُ لِلْمَوْتِ فَلَمْ تُقِرَّهَا نَفْسُهَا فَقَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا حَتَّى أَتَمَّتْ سَبْعًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ فَإِذَا هِيَ بِصَوْتٍ فَقَالَتْ أَغِثْ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ خَيْرٌ فَإِذَا جِبْرِيلُ قَالَ فَقَالَ بِعَقِبِهِ هَكَذَا وَغَمَزَ عَقِبَهُ عَلَى الْأَرْضِ قَالَ فَانْبَثَقَ الْمَاءُ فَدَهَشَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ فَجَعَلَتْ تَحْفِزُ قَالَ فَقَالَ أَبُو الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ تَرَكَتْهُ كَانَ الْمَاءُ ظَاهِرًا قَالَ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الْمَاءِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا قَالَ فَمَرَّ نَاسٌ مِنْ جُرْهُمَ بِبَطْنِ الْوَادِي فَإِذَا هُمْ بِطَيْرٍ كَأَنَّهُمْ أَنْكَرُوا ذَاكَ وَقَالُوا مَا يَكُونُ الطَّيْرُ إِلَّا عَلَى مَاءٍ فَبَعَثُوا رَسُولَهُمْ فَنَظَرَ فَإِذَا هُمْ بِالْمَاءِ فَأَتَاهُمْ فَأَخْبَرَهُمْ فَأَتَوْا إِلَيْهَا فَقَالُوا يَا أُمَّ إِسْمَاعِيلَ أَتَأْذَنِينَ لَنَا أَنْ نَكُونَ مَعَكِ أَوْ نَسْكُنَ مَعَكِ فَبَلَغَ ابْنُهَا فَنَكَحَ فِيهِمْ امْرَأَةً
Daripada [Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما] berkata; “Ketika Ibrahim keluar berkelana bersama Isma’il dan ibu Isma’il, mereka membawa geriba (kantung empat air) yang berisi air, ibu Isma’il minum daripada persediaan air dalam geriba tersebut sehingga dia dapat menyusui bayinya. Ketika tiba di Makkah, Ibrahim menempatkan keduanya di bawah sebuah pondok. Tatkala Ibrahim hendak kembali kepada keluarganya, ibu Isma’il mengikutinya di belakang hingga ketika sampai di dataran yang agak tinggi, ibu Isma’il memanggilnya dari belakang; “Wahai Ibrahim, kepada siapa engkau meninggalkan kami?”. Ibrahim menjawab; “Kepada Allah”. Hajar berkata; “Kalau begitu, Aku telah redha kepada Allah”. Perawi berkata; “Lalu Hajar kembali (ke tempat semula dia dan minum geriba kunonya dan boleh menyusui bayinya hingga ketika air persediaan habis dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Perawi berkata; “Maka dia pergi dan naik ke atas bukit Safaa lalu melihat-lihat apakah ada orang namun dia tidak merasakan ada seorang pun. Ketika sampai di lembah dia lari-lari kecil dan mendatangi Marwa, dia lakukan yang demikian berkali-kali. Kemudian dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihatnya, yang dimaksudnya adalah bayinya. Maka dia pergi mendatangi bayinya yang ternyata keadaannya seperti ketika ditinggalkan seolah-olah menghisap nafas-nafas kematian sehingga hati Hajar tidak tenang. Dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Maka dia pergi untuk mendaki bukit Safaa lalu melihat-lihat namun tidak ada seorang pun yang ditemuinya hingga ketika dia telah melakukan upaya itu sebanyak tujuh kali (antara bukit Safaa dan Marwah) dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat apa yang terjadi dengan bayiku”, ternyata dia mendengar suara, maka dia berkata; “Tolonglah (aku) jika memang kamu baik”. Ternyata (suara itu) adalah malaikat Jibril عليه السلام. Perawi berkata; Lalu Jibril عليه السلام berbuat dengan tumitnya begini. Dia mengais-ngais tanah dengan tumitnya”. Perawi berkata; “Maka memancarlah air dan ibu Ism’ail menjadi terperanjat dan segera menampungnya”. Perawi berkata; Berkata Abu Al Qasim ﷺ: “Seandainya Hajar membiarkannya pasti air akan mengalir”. Perawi berkata; “Maka Hajar minum air (zamzam) itu sehingga dapat menyusui bayinya”. Kemudian serombongan orang daripada suku Jurhum melalui di dasar lembah dan mereka melihat ada seekor burung, seakan mereka tidak percaya, Mereka berkata: “Tidak akan ada burung melainkan pasti kerana ada air”. Akhirnya mereka mengutuskan seorang utusan mereka untuk melihatnya yang ternyata mereka memang berada di kawasan yang ada air. Utusan itu kemudian kembali kepada mereka dan mengabarkan (apa yang dilihatnya). Kemudian mereka menemui Hajar dan berkata; “Wahai Ibu Isma’il, apakah kamu mengizinkan kami untuk tinggal bersama kamu atau kami hidup bertetangga bersama kamu?”. Kemudian anaknya (Isma’il) tumbuh menjadi seorang pemuda lalu menikah dengan seorang wanita”.
(Sahih Bukhari (3114))

Keyakinan Hajar kepada Allah ﷻ di dalam hadith ini menjadi pengajaran kepada kita. Oleh kerana keyakinannya itu, Allah ﷻ telah memberikan air Zam-Zam kepada mereka sampai ke hari ini. Kemudian tempat yang tandus itu berubah menjadi maju dan bermasyarakat dengan datangnya puak Jurhum yang akhirnya telah menjadi perintis tok nenek kepada bangsa Arab sekarang.

 

وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا

dan Dia mengetahui tempat tinggalnya

Bagaimana Allah ﷻ boleh beri rezeki kepada semua makhluk yang hidup di langit dan di bumi yang entah berapa ramai itu? Allah ﷻ boleh beri rezeki kerana Allah ﷻ tahu di mana kita duduk dan tinggal. Ini sama seperti kata-kata ‘rezeki tidak pernah salah alamat’. Ya memang benar. Kita kalau anak ramai lapan orang pun sudah menggelabah untuk beri makan kepada mereka, tetapi mudah sahaja bagi Allah ﷻ.

Kerana Allah ﷻ Maha Tahu di manakah tempat kediaman, tempat bermastautin semua makhluk-Nya, termasuklah kita. Perkataan مُسْتَقَرَّهَا diambil daripada katadasar ق ر ر yang bermaksud ‘sejuk’ atau ‘tidak bergerak’. Selalunya, kita boleh lihat bagaimana apabila sesuatu benda itu sejuk, maka ia tidak bergerak. Seperti kita lihat salji, ia tidak bergerak ke mana-mana pun.

Maka perkataan مُسْتَقَرَّ bermaksud tempat tinggal, tempat bermastautin yang tetap. Iaitu tempat yang kita tinggal lama. Untuk manusia, bermaksud rumahnya. Allah ﷻ tahu di mana kita tinggal, walaupun kita hendak menyorok bagaimana cara sekalipun.

 

وَمُسْتَوْدَعَهَا

dan tempat ia disimpan.

Ini pula bermaksud tempat tinggal yang sekejap sahaja. Kadang-kadang kita pergi ke merata tempat, tetapi kita akan pulang juga ke tempat tinggal kita yang tetap, ke kampung halaman kita. Allah ﷻ tahu segala-galanya. Allah ﷻ tahu di mana kita berada pada setiap ketika, tidak kira untuk masa yang lama ataupun sekejap sahaja.

Perkataan مُسْتَوْدَعَ daripada katadasar و ض ع yang bermaksud ‘meninggalkan sesuatu’. Sebagai contoh, apabila kita meninggalkan sesuatu barang dengan seseorang untuk disimpan sebagai amanah. Oleh itu, مُسْتَوْدَعَ bermaksud tempat barang-barang yang diamanahkan itu ditinggalkan. Sebagai contoh, kita simpan duit di bank atau locker tempat kita tinggalkan baju-baju kita kalau kita pergi gym. Barang-barang itu bukan ditinggalkan lama di situ tetapi untuk sementara waktu sahaja.

Allah ﷻ tahu di mana sahaja kita tinggal sebelum kita berpindah-randah. Bukan sahaja kita, tetapi segala makhluk-makhluk-Nya yang kecil ataupun besar. Kalau kita jenis orang yang berpindah-randah pun, tentu kita lupa di mana kita tinggal dahulu tetapi ﷻ Allah tahu. Tempat tempat dan tempat kita pernah singgah di dalam hidup kita pun kita tidak ingat, tetapi Allah ﷻ tahu ke mana-mana sahaja tempat yang kita pernah pergi.

Kalaulah makhluk yang memberikan rezeki kepada kita, tentulah kita kena beritahu dia ke mana kita pergi sekian-sekian waktu. Kalau tidak, dia bawa makanan dan lihat kita tidak ada. Tapi kerana Allah ﷻ yang memberikan rezeki kepada kita, tidak kira di mana kita, rezeki yang telah ditakdirkan untuk kita itu pasti akan sampai.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa مُسْتَوْدَعَ bermaksud ‘kubur’ kerana kita akan tinggal sekejap sahaja di dalam kubur itu. Selepas mengalami alam kubur sekian lama, nanti akan Kiamat dan akan dibicarakan di akhirat kelak.

 

كُلٌّ فِي كِتٰبٍ مُّبِينٍ

Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata.

Rezeki yang telah ditakdirkan untuk kita itu sebenarnya telah ditulis oleh Allah ﷻ di dalam Lauh Mahfuz. Ia mengandungi segala perkara yang akan terjadi dari mula alam ini dicipta sehinggalah alam ini Kiamat nanti. Maka jangan takut tentang rezeki. Tentang takdir kita telah disebut di dalam sebuah hadith:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ قَالَ وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ
Daripada [‘Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash] dia berkata; “Saya pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah ﷻ telah menentukan takdir bagi semua makhluk lima puluh ribu tahun sebelum Allah ﷻ menciptakan langit dan bumi.’ Rasulullah menambahkan: ‘Dan arsy Allah ﷻ itu berada di atas air.”
(Sahih Muslim (4797))

Ayat ini mengingatkan kepada kita tentang ilmu Allah ﷻ yang Maha Luas. Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana Musyrikin Mekah cuba menyembunyikan apa yang ada di dalam hati mereka daripada diketahui Allah ﷻ. Mana mungkin mereka boleh menyembunyikannya sedangkan Allah ﷻ tahu segala-galanya.

Allah ﷻ juga maha mengetahui segalanya tentang makhluk-Nya termasuk di mana mereka tinggal dan tempat mereka akan mati. Semua mendapat rezeki masing-masing dan tidak ketinggalan walau satu pun. Ini seperti firman Allah ﷻ dalam An’am:38

وَما مِن دابَّةٍ فِي الأَرضِ وَلا طٰئِرٍ يَطيرُ بِجَناحَيهِ إِلّا أُمَمٌ أَمثالُكُم ۚ مّا فَرَّطنا فِي الكِتٰبِ مِن شَيءٍ
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab;

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 3 – 4 (Anjuran Istighfar dan Taubat)

Hud Ayat 3: Dalam ayat sebelum ini, telah diingatkan kepada kita bahawa kita mesti menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja, tidak boleh kepada yang lain. Ini telah disebut dalam ayat sebelum ini. Itu adalah perkara dan pengajaran yang paling penting sekali. Selepas itu, apa pula?

وَأَنِ استَغفِروا رَبَّكُم ثُمَّ توبوا إِلَيهِ يُمَتِّعكُم مَّتٰعًا حَسَنًا إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤتِ كُلَّ ذي فَضلٍ فَضلَهُ ۖ وَإِن تَوَلَّوا فَإِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ كَبيرٍ

Sahih International

And [saying], “Seek forgiveness of your Lord and repent to Him, [and] He will let you enjoy a good provision for a specified term and give every doer of favor his favor. But if you turn away, then indeed, I fear for you the punishment of a great Day.

Malay

Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).

 

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ

Dan hendaklah kamu sentiasa meminta ampun kepada Tuhan kamu;

Ini adalah peringatan seterusnya dalam ayat ini: hendaklah sentiasa meminta ampun daripada perbuatan syirik, bid’ah, dosa besar dan kecil yang kita pernah buat. Kadang-kadang kita tahu perbuatan salah yang kita lakukan dan kadang kita tidak tahu. Kita tidak tahu itu mungkin kerana kita tidak belajar lagi dan oleh kerana itu kita tidak tahu manakah kesalahan yang kita telah lakukan. Kita hendaklah meminta ampun segalanya sekali.

‘Istighfar’ bermaksud kita meminta ampun kepada kesalahan ‘telah lalu‘ yang kita telah lakukan. Yang masa depan kita tidak tahu lagi, tetapi kita minta ampun daripada kesalahan lalu yang telah dilakukan. Kena menyesal atas perbuatan dosa kita sebelum ini.

Di dalam ayat sebelum ini telah disebut untuk beribadat kepada Allah ﷻ. Sekarang disuruh untuk meminta ampun atas kesalahan dosa kita yang lalu. Ini adalah kerana dosa adalah penghalang kepada ibadah. Kalau ada banyak dosa, kita akan susah untuk melakukan ibadah kerana ada titik-titik hitam dalam diri kita. Ini disebut dalam hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih, namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (Muthafifin:14).
(Sunan Ibn Majah (4234))
Status: Hasan


Sekiranya ada dosa syirik lagi, maka amalan ibadah apa pun tidak berguna kerana tidak diberikan pahala kepada pelakunya. Maka kena minta ampun atas dosa syirik supaya pahala-pahala dapat dikumpul.

 

ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ

kemudian hendaklah kamu bertaubat kepada-Nya;

Bertaubat itu pula bermaksud sedar tentang kesalahan yang ‘sedang’ kita lakukan dan berazam untuk tidak akan membuat lagi dosa yang kita telah buat. Bukan itu sahaja, kita hendaklah mengubah cara hidup kita selepas bertaubat itu. Ini adalah kerana, daripada lafaz ‘taubat’ itu, ia membawa maksud ‘kembali’. Iaitu kembali ke pangkal jalan. Katakanlah kita sedang memandu, dan kita perasan yang kita sedang melalui jalan yang salah. Maka dalam hal itu, kita kena ‘kembali’ ke jalan yang benar. Begitu jugalah dengan ‘taubat’. Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
(Riwayat Ibn Majah (4392))
Status: Hasan

Selalu kita sangka ‘istighfar’ dan ‘taubat’ adalah perkara yang sama. Akan tetapi Allah ﷻ letak kedua-duanya dalam ayat ini, yang bermaksud yang keduanya berbeza. Ini adalah salah satu daripada undang-undang Al-Qur’an: jikalau Allah ﷻ letakkan dua perkataan itu sekali dalam satu ayat, bermaksud ia adalah tidak sama. Tentu ada perbezaan antara keduanya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘istighfar’ dulu sebelum ‘taubat’. Maka, ini memberi isyarat bahawa kita kena istighfar dulu. Berapa kali kita kena bertaubat? Lakukanlah sebanyak mungkin, akan tetapi sekurang-kurangnya seratus kali sehari. Ini kerana Ibnu Umar رضي الله عنهما berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

«يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ، فَإِنِّي أَتُوبُ، فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ، مَرَّةٍ»
Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya, di dalam satu hari sebanyak 100 kali.
(Sahih Muslim No. 2702)

Kenapa pula Rasulullah ﷺ bertaubat sedangkan baginda tidak ada dosa? Kerana hendak menjadi contoh bagi kita kerana bukanlah baginda itu contoh bagi kita?

‘Istighfar’ itu adalah kita sedar bahawa kita sudah bersalah, kita sudah banyak buat dosa. Kita menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat selama ini. Kemudian, setelah kita istighfar, barulah kita bertaubat – kembali kepada Allah ﷻ. Maksud kembali ini adalah azam yang kuat untuk tidak melakukan lagi apa dosa yang kita telah buat. Maka istighfar adalah untuk dosa masa lalu dan taubat adalah azam untuk masa depan.

Oleh itu, jikalau kita istighfar sahaja tanpa ada niat untuk meninggalkan dosa itu, ia bukanlah istighfar yang benar dan tidak akan diterima. Tidak diterima kerana tidak cukup syaratnya. Itu istighfar main-main sahaja.

 

يُمَتِّعْكُم مَّتٰعًا حَسَنًا

nescaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik;

Selepas istighfar dan bertaubat, apa yang kita akan dapat? Allah ﷻ terangkan di sini kerana tahu manusia dalam buat apa-apa mesti ada sebab, mesti ada imbuhan. Kalau tidak, mungkin tiada motivasi untuk kita melakukannya, bukan? Maka ini mengajar kita di dalam berdakwah, beritahu kepada mad’u apakah balasan baik yang kita akan dapat supaya mereka segera melakukannya.

Allah ﷻ beritahu yang kalau kita buat perkara-perkara yang telah disebut di atas, iaitu istighfar dan taubat, Allah ﷻ akan memberi nikmat hidup kepada kita semasa di dunia lagi. Kenapa nikmat yang besar diberikan kepada mereka yang istighfar dan taubat, sedangkan bukankah mereka itu telah melakukan kesalahan?

Jawapan: Ini adalah kerana mereka yang istighfar dan taubat itu adalah mereka yang mengaku mereka telah melakukan kesalahan. Ini adalah satu perkara yang susah hendak dilakukan. Ramai yang buat salah, tetapi mereka tidak mahu mengaku. Mereka hendak juga mengatakan yang mereka tidak melakukan kesalahan. Kalau ditegur, mereka akan beri berbagai-bagai alasan untuk menjustifikasikan kesalahan yang mereka telah lakukan.

Oleh itu, mengaku bersalah bukanlah satu perkara yang mudah. Oleh kerana ia memang susah, maka itulah sebabnya Allah ﷻ memberikan balasan yang baik kepada mereka yang sebegitu. Allah ﷻ memang suka orang yang mengaku kesalahan mereka.

Kebaikan yang Allah ﷻ berikan itu, bukan perlu tunggu di Akhirat nanti baru dibalas. Di dunia lagi, Allah ﷻ akan balas perbuatan istighfar dan taubat mereka itu. Maknanya, mereka akan mendapat kebaikan di dunia, dan juga kebaikan di akhirat. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Nahl:97 tentang hal ini:

مَن عَمِلَ صالِحًا مِن ذَكَرٍ أَو أُنثىٰ وَهُوَ مُؤمِنٌ فَلَنُحيِيَنَّهُ حَياةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجزِيَنَّهُم أَجرَهُم بِأَحسَنِ ما كانوا يَعمَلونَ
Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.

Berbagai maksud ‘nikmat’ itu. Mungkin dalam bentuk harta benda dan mungkin tidak. Kita sering fikir nikmat dalam bentuk harta benda serta fizikal material sahaja, tetapi ada nikmat yang lebih besar daripada itu sebenarnya. Mungkin mereka akan mendapat lebih lagi daripada harta kekayaan.

Contohnya, mereka tidak akan berasa kosong dalam hidupnya. Mereka akan berpuas hati dengan apa yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Ini adalah lebih besar daripada harta kerana berapa ramai yang melimpah ruah harta mereka, tetapi mereka rasa ‘kosong’ sahaja hidup mereka.

Atau seseorang itu tidak berasa dukacita sangat dengan musibah yang menimpanya. Ada orang yang walaupun kita lihat dari segi harta, mereka kurang dari segi kebendaan, namun dari segi emosi mereka, mereka berasa cukup dan selesa. Kita lihat mereka tenang sahaja dalam hidup mereka.

Sebagai contoh, Nabi ﷺ hidup dalam serba kekurangan namun baginda puas hati. Begitu juga dengan para sahabat. Nabi ﷺ sebenarnya mendapat banyak harta tetapi baginda sentiasa sedekah sampaikan baginda tidak ada harta pada tangan baginda. Dapat sahaja harta, terus infak.

Maka, mereka yang diberikan nikmat oleh Allah ﷻ itu mungkin tidak ada harta yang mereka simpan. Namun mereka rasa cukup sahaja dengan apa yang mereka ada dan tidak mendambakan benda yang mereka tidak ada. Alangkah nikmatnya jikalau kita dapat mencapai perasaan sebegini. Berapa ramai yang kita lihat banyak hartanya, tetapi mereka tidak tenang sahaja. Ada sahaja masalah mereka yang tidak selesai. Walaupun hidup mereka mewah, tetapi kita lihat mereka tidak senang, tidak gembira dan tidak tenang.

Ada orang yang kaya tetapi jiwanya kosong. Kena pergi ke sana sini mencari ketenangan. Sudah beli barang banyak pun beli lagi. Bukan dia guna pun barang-barang itu. Beli barang yang mahal-mahal pula. Mereka kadangkala buat begitu hanya kerana hendak mencari ketenangan dan mengisi kekosongan hatinya. Namun masih lagi ada kekosongan. Masalah mereka pun banyak walaupun mereka kaya raya. Contohnya seperti masalah keluarga yang menyesakkan hati mereka.

Semua manusia memang menghadapi dugaan dalam hidup. Memang itulah lumrah alam ini kerana alam dunia ini adalah tempat ujian. Sama ada beriman atau tidak. Namun bezanya, mereka yang mengharap balasan daripada Allah ﷻ, akan ada rasa lega sedikit kerana mereka tahu, kalau pun mereka susah di dunia ini, mereka akan senang di akhirat kelak. Biarlah rumah kecil, namun hati tenang dan redha. Begitulah yang Rasulullah ﷺ ajar kita,

عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ قَالَ دَخَلْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى حَصِيرٍ قَالَ فَجَلَسْتُ فَإِذَا عَلَيْهِ إِزَارٌ وَلَيْسَ عَلَيْهِ غَيْرُهُ وَإِذَا الْحَصِيرُ قَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبهِ وَإِذَا أَنَا بِقَبْضَةٍ مِنْ شَعِيرٍ نَحْوِ الصَّاعِ وَقَرَظٍ فِي نَاحِيَةٍ فِي الْغُرْفَةِ وَإِذَا إِهَابٌ مُعَلَّقٌ فَابْتَدَرَتْ عَيْنَايَ فَقَالَ مَا يُبْكِيكَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ فَقُلْتُ يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَمَالِي لَا أَبْكِي وَهَذَا الْحَصِيرُ قَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبِكَ وَهَذِهِ خِزَانَتُكَ لَا أَرَى فِيهَا إِلَّا مَا أَرَى وَذَلِكَ كِسْرَى وَقَيْصَرُ فِي الثِّمَارِ وَالْأَنْهَارِ وَأَنْتَ نَبِيُّ اللَّهِ وَصَفْوَتُهُ وَهَذِهِ خِزَانَتُكَ قَالَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ أَلَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ لَنَا الْآخِرَةُ وَلَهُمْ الدُّنْيَا قُلْتُ بَلَى
[Umar bin Khattab رضي الله عنه] beliau berkata, “Saya pernah menemui Rasulullah ﷺ saat baginda berada di atas tikar.” Umar رضي الله عنه melanjutkan, “Lalu aku duduk, ternyata saya dapati baginda hanya mengenakan selembar kain dan tidak ada kain lain selain yang dipakainya, sementara tikar itu telah membekas pada sisi baginda. Saya juga (melihat) segenggam gandum sekitar satu sha’ dan daun yang dipergunakan untuk menyamak yang terletak di sudut kamar dan kulit yang menggantung. Tidak terasa kedua mataku berlinang air mata. Baginda bertanya: “Apa yang membuatmu menangis wahai Ibnul Khattab?” Saya menjawab, “Wahai Nabi Allah, bagaimana saya tidak menitiskan air mata, sementara tikar ini membekas di sisimu, dan aku tidak melihat dalam ruanganmu kecuali apa aku lihat. Sedangkan raja Kisra dan Kaisar Romawi dipenuhi buah-buahan dan sungai-sungai, engkau adalah Nabi Allah dan pilihan-Nya, namun ruanganmu hanya seperti ini! “Baginda menjawab: “Wahai Ibnul Khattab, tidakkah kamu redha kita mendapatkan akhirat dan mereka mendapatkan dunia?” Aku menjawab, “Tentu.”
(Sunan Ibn Majah (4243))
Status: Sahih

Mereka tahu yang hidup dan kesusahan yang dialami di dunia ini bersifat sementara sahaja. Mereka yakin dengan janji Allah ﷻ untuk memberi kebaikan di akhirat kelak, maka mereka tidak kisah sangat dengan kesusahan di dunia ini.

Kita tidak tolak yang nikmat yang dimaksudkan itu boleh sahaja bermaksud nikmat dari segi harta. Allah ﷻ beri harta yang berlimpah ruah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Allah ﷻ boleh beri rezeki dari tempat yang tidak disangka-sangka. Inilah kelebihan istighfar seperti disebut di dalam Nuh: 10-12

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِدرارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمدِدكُم بِأَموالٍ وَبَنينَ وَيَجعَل لَكُم جَنّاتٍ وَيَجعَل لَكُم أَنهارًا
“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Ada satu kisah tentang Hasan al-Basri رحمه الله. Diceritakan pada satu hari, seorang lelaki telah datang mengadu kepadanya kerana berdepan masalah kelaparan. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Seterusnya beliau didatangi seorang yang menceritakan masalah yang dilaluinya kerana ketiadaan zuriat. Sekali lagi Imam Hasan رحمه الله menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Kemudian datang pula seorang lelaki merintih mengenai kebunnya kekeringan kerana musim kemarau. Jawapan sama diulangi dengan penuh hikmah, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Jawapan Hasan al-Basri رحمه الله menghairankan masyarakat sekitarnya. Salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”

Hasan al-Basri رحمه الله menjawab: “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun daripada diriku sendiri. Sesungguhnya Allah ﷻ berfirman seperti itu.” Firman Allah ﷻ yang dimaksudkan oleh Hasan رحمه الله adalah Surah Nuh ayat 10-12.

Penghalang kepada nikmat dan rahmat adalah dosa. Allah ﷻ tahan daripada memberi rahmat kepada kita kalau kita banyak melakukan dosa. Maka musibah dan azab yang kita sedang hadapi di dunia adalah kerana dosa kita maka mohonlah ampun ke atas dosa-dosa kita. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Rum:41

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِي النّاسِ لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذي عَمِلوا لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Jelas dari sini kita dapat tahu yang Allah ﷻ timpakan musibah kepada kita supaya kita beringat (apa dosa yang telah dilakukan) dan kembali kepada Allah ﷻ.

 

إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

hingga ke suatu masa yang tertentu,

Nikmat dunia itu bukanlah berterusan sampai bila-bila. Ia hanyalah setakat kita hidup di dunia sahaja. Kita pun tahu yang kita tidak akan hidup berterusan di dunia. Apabila tiba ajal kita, maka kita akan meninggalkan dunia ini.

Akan tetapi, apabila di akhirat kelak, apakah yang mereka akan terima?

 

وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ

Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan akan mendapat kurniaNya;

Di dunia, mereka telah mendapat kesenangan hidup. Kemudian, di Akhirat, mereka akan mendapat balasan yang baik juga lagi, malah lebih lagi daripada yang mereka terima semasa di dunia. Ini kerana kalimah فَضْلٍ bermaksud pemberian yang lebih lagi daripada apa yang patut diberikan. Begitulah apabila Allah ﷻ membalas, Dia akan membalas berganda-ganda seperti yang disebut dalam Baqarah:245

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?

Qatadah رضي الله عنه mengatakan ini adalah tentang pemberian di akhirat pula. Ayat ini menyebut bahawa sesiapa yang melakukan apa yang disuruh di atas, Allah ﷻ akan memberi apakah yang mereka layak terima di Syurga nanti. Tentunya balasan itu adalah syurga dan segala nikmat di dalamnya. Ini adalah kerana mereka ذِي فَضْلٍ (mempunyai keutamaan) iaitu mereka mempunyai amal sebagai bekal mereka.

Maknanya, di akhirat pun akan memperoleh nikmat juga. Pemilik nikmat itu adalah mereka yang melakukan lebih banyak perkara baik. Mereka melakukan lebih daripada perkara yang wajib. Iaitu mereka yang melakukan perkara-perkara sunat. Mereka yang buat lebih, akan dapat lebih lagi.

Kalimah فَضْلٍ juga dikatakan peluang untuk melakukan lebih banyak kebaikan. Apabila mereka telah mula melakukan kebaikan, Allah ﷻ akan buka lagi peluang kepada mereka untuk melakukan kebaikan lagi. Maka, pahala mereka akan bertambah-tambah dan mereka akan mendapat lebih banyak kebaikan lagi.

Lihatlah bagaimana kalau kita sudah mula melakukan perkara-perkara yang wajib, kemudian kita terus melakukan perkara-perkara yang sunat sebagai tambahan, lama kelamaan kita lebih senang untuk melakukan kebaikan lagi. Namun, kenalah dimulakan dengan perkara yang sedikit dahulu. Kemudian tambah sedikit demi sedikit.

Kita akan mendapat ‘kelazatan’ dalam melakukan amalan kebaikan itu. Itu adalah taufik daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ yang gerakkan hati kita untuk suka membuat amalan baik kerana Allah ﷻ hendak beri balasan kepada kita.

 

وَإِن تَوَلَّوْا

dan jika kamu berpaling;

Sekarang ayat ancaman pula. Iaitu mereka yang berpaling daripada mengesakan Allah ﷻ, daripada berbuat perkara yang baik di dunia. Kalau terus melakukan dosa, kemudian tidak mahu istighfar dan taubat, maka Allah ﷻ boleh kenakan azab kerana perbuatan dosa boleh menyebabkan kita dikenakan azab di dunia lagi dan terlebih lagi di akhirat.

 

فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ

maka sesungguhnya aku bimbang akan menimpa ke atas kamu

Mereka sendiri memang tidak takut kerana mereka tidak percaya, tetapi Nabi Muhammad ﷺ yang takut untuk diri mereka. Ini kerana Nabi ﷺ mahu mereka selamat tetapi mereka tidak mahu terima. Kita telah belajar di hujung Surah Tawbah betapa prihatinnya Rasulullah ﷺ terhadap umat baginda. Baginda lebih takut tentang umatnya daripada umat itu sendiri. Sama sahaja seperti orang kita yang macam tidak kisah sahaja dengan nasib mereka di akhirat kelak.

Mereka macam tidak percaya ada hari kebangkitan selepas kematian. Mereka buat apa yang mereka suka sahaja. Kita yang tahu ini, risau nasib mereka nanti kerana mereka ahli keluarga kita, kawan-kawan kita dan saudara seislam kita. Kita yang melihat ini pula yang berasa risau, tetapi mereka tidak risau pun… pelik.

 

عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

akan beroleh azab hari yang besar.

Yang dimaksudkan adalah Hari Kiamat kerana kejadian pada hari itu adalah kejadian yang besar-besar belaka. Ia hari yang amat menakutkan, antaranya Allah ﷻ telah berfirman dalam Ghafir: 16

يَومَ هُم بٰرِزونَ ۖ لا يَخفىٰ عَلَى اللهِ مِنهُم شَيءٌ ۚ لِّمَنِ المُلكُ اليَومَ ۖ ِللهِ الوٰحِدِ القَهّارِ
Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatu pun daripada hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!

Maka, dalam ayat ini ada targhib dan tarhib. Bahagian pertama ayat ke 3 ini adalah targhib (motivasi) dan bahagian keduanya adalah tarhib (halangan). Targhib adalah sebagai motivasi kepada kita untuk melakukan sesuatu yang baik. Kalau kita buat baik, kita akan dibalas baik. Tarhib pula adalah ancaman. Kalau kita buat kejahatan, akan dibalas dengan buruk pula.

Atau dalam kata lain, dalam pengenalan kepada Sudah Hud ini, ada ‘berita ancaman’ dan ‘berita gembira’ kerana itulah dua tugas yang perlu dilakukan oleh Rasul. Begitu juga dengan kita. Kita juga perlu menyampaikan kedua-dua berita ini kepada manusia kerana kita diwajibkan menjalankan kerja dakwah kepada manusia.


 

Hud Ayat 4: Allah ﷻ ingatkan ke mana tujuan akhir kita.

إِلَى اللَّهِ مَرجِعُكُم ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

To Allah is your return, and He is over all things competent.”

Malay

Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

 

إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ

Kepada Allah jualah kembalinya kamu,

Tidak kira apa sahaja kita buat semasa di dunia, kita akan kembali bertemu Allah ﷻ. Maka insaflah tuan-tuan. Hidup ini ada penghujungnya yang datang dengan tiba-tiba. Sama ada kita kaya atau miskin; sama ada kita buat ibadat atau tidak, kita akan kembali kepada Allah ﷻ. Sama ada kita suka atau tidak, itulah yang akan berlaku. Sama ada kita bersedia atau tidak, kita tetap kena kembali mengadap Allah ﷻ. Maka jangan abaikan peluang masa kita hidup di dunia ini.

Oleh kerana itu, kita kenalah fikirkan, apakah yang kita akan bawa bekal apabila bertemu dengan Allah ﷻ nanti? Adakah kita hendak bawa dosa kita yang tinggi menggunung, atau kita hendak bawa pahala amalan-amalan yang kita lakukan semasa kita di dunia?

 

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Allah ﷻ berkuasa dalam setiap perkara. Allah ﷻ berkuasa hendak menjadikan Hari Kiamat itu. Allah ﷻ berkuasa untuk menghukum kita atau memberi nikmat kepada kita. Kita tidak boleh menghalang Allah ﷻ, kita tidak akan mampu melawan kehendak Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Julai 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA