Tafsir Surah Hud Ayat 20 – 22 (Siapa yang azabnya akan digandakan)

Hud Ayat 20:

أُولٰئِكَ لَم يَكونوا مُعجِزينَ فِي الأَرضِ وَما كانَ لَهُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن أَولِياءَ ۘ يُضٰعَفُ لَهُمُ العَذابُ ۚ ما كانوا يَستَطيعونَ السَّمعَ وَما كانوا يُبصِرونَ

Sahih International

Those were not causing failure [to Allah ] on earth, nor did they have besides Allah any protectors. For them the punishment will be multiplied. They were not able to hear, nor did they see.

Malay

Mereka itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia, dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah, sesiapapun yang dapat menolong melepaskan mereka dari seksaNya. Azab untuk mereka akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan ugama Allah), sehingga mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya.

 

أُولَٰئِكَ لَمْ يَكُونُوا مُعْجِزِينَ فِي الْأَرْضِ

Mereka itu tidak akan dapat melemahkan (Allah) di dunia,

Apabila Allah ﷻ biarkan mereka dengan perbuatan ingkar mereka, mereka sangka Allah ﷻ lemah sampai tidak boleh mengazab mereka. Namun sebenarnya Allah ﷻ biar sahaja sebab Allah ﷻ mahu azab mereka di akhirat kelak.

Perkataan لَمْ يَكُونُوا bermaksud mereka ‘tidak akan sampai bila-bila’ boleh melemahkan Allah ﷻ. Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, bahawa Allah ﷻ boleh sahaja untuk beri azab kepada mereka semasa di dunia lagi, cuma Allah ﷻ tidak buat sahaja. Jikalau Allah ﷻ kenakan azab kepada mereka, mereka tidak dapat melemahkan, tidak dapat mengelak lagi. Nabi ﷺ pernah bersabda:

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَيُمْلِي لِلظَّالِمِ حَتَّى إِذَا أَخَذَهُ لَمْ يُفْلِتْهُ قَالَ ثُمَّ قَرَأَ {وَكَذَلِكَ أَخْذُ رَبِّكَ إِذَا أَخَذَ الْقُرَى وَهِيَ ظَالِمَةٌ إِنَّ أَخْذَهُ أَلِيمٌ شَدِيدٌ}
Daripada [Abu Musa رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah ﷻ akan menangguhkan seksaan bagi orang yang berbuat zalim. Dan apabila Allah ﷻ telah menghukumnya, Dia tidak akan pernah melepaskannya.” Kemudian Rasulullah ﷺ membaca ayat yang berbunyi: ‘Begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu sangat pedih dan keras.’ (Hud:102).
(Sahih Bukhari (4318))

Ada satu lagi pendapat tentang ayat ini iaitu mereka tidak dapat melemahkan. Melemahkan apa? Melemahkan Allah ﷻ dan menghalang manusia daripada tahu tentang Al-Qur’an. Mereka tidak mahu manusia belajar Al-Qur’an, tetapi ia akan sampai kepada manusia juga.

Sebelum ini telah diberitahu bahawa ayat ini diturunkan di hujung-hujung waktu baginda di Mekah (sebelum hijrah ke Madinah) dan waktu itu tekanan Musyrikin Mekah kepada orang-orang Islam amatlah kuat. Sampaikan Abu Bakar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ pun telah memikirkan untuk meninggalkan Mekah kerana tidak tahan. Sebelum itu, hanya mereka yang lemah di mata masyarakat sahaja yang ditindas, namun apabila mereka tidak dapat menghalang Islam daripada berkembang, mereka juga telah menindas dan memberi tekanan kepada mereka-mereka yang ada kedudukan seperti Abu Bakr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ.

Disebut bagaimana mereka tidak dapat menghalang kuasa Allah ﷻ di bumi. Bukan hanya di bumi sahaja, tetapi di akhirat juga tentunya. Namun disebut ‘bumi’ dalam ayat ini, kerana mereka sangka mereka ada kuasa di bumi. Kalau di bumi sudah tidak berkuasa, apatah lagi di akhirat nanti.

 

وَمَا كَانَ لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ

dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain daripada Allah, sesiapapun yang dapat menolong mereka

Mereka sangka tuhan-tuhan mereka yang mereka sembah akan dapat melepaskan mereka nanti. Mereka sangka yang wali-wali yang mereka puja, malaikat-malaikat yang mereka beri salam itu, Nabi-nabi yang mereka selalu bertawasul kepada mereka itu akan dapat menyelamatkan mereka, namun tidak sama sekali. Ketahuilah yang hanya Allah ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan mereka. Maka turutlah perintah Allah ﷻ.

 

يُضٰعَفُ لَهُمُ الْعَذَابُ

Azab untuk mereka akan dilipatgandakan,

Mereka akan mendapat azab yang berganda. Kenapa? Kerana bukan sahaja mereka tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an, tetapi mereka menghalang orang lain juga daripada mendekatkan diri dengan Al-Qur’an. Mereka hendak menjadikan agama itu bengkok.

Dilipatgandakan azab kepada mereka kerana mereka telah berusaha untuk merosakkan agama ini seperti yang disebut dalam Fussilat:26

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ
Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah ia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

 

Begitu juga Allah ﷻ telah berfirman dalam An’am: 26

وَهُمْ يَنْهَوْنَ عَنْهُ وَيَنْأَوْنَ عَنْهُ وَإِن يُهْلِكُونَ إِلَّا أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ
Dan mereka pula melarang orang ramai daripada mendengar Al-Qur’an dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.

Oleh itu, jikalau ada dalam kalangan kita yang menghalang manusia daripada mempelajari Al-Qur’an (iaitu tafsir Al-Qur’an), maka mereka pun akan ditimpa nasib yang sama. Terdapat banyak halangan-halangan dalam masyarakat kita yang menghalang manusia daripada memahami Al-Qur’an. Mereka tidak membenarkan Tafsir Al-Qur’an diajar di surau dan masjid. Mereka kata orang awam tidak perlu mempelajari Tafsir Al-Qur’an. Mereka kata orang awam tidak akan faham, kalau belajar boleh menjadi sesat! Ini adalah kata-kata yang amat mungkar!

Mereka lakukan begitu kerana mereka kata orang awam tidak mampu memahaminya dan akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Maka, manusia pun ramai yang takut sampai tidak belajar. Sebenarnya mereka lakukan begitu kerana ajaran tafsir Al-Qur’an akan menyebabkan manusia tahu bahawa ajaran mereka selama ini bertentangan dengan Al-Qur’an. Susahlah mereka hendak cari makan selepas ini. Lagi satu, sebab mereka pun tidak tahu ilmu Al-Qur’an, maka orang lain tidak boleh lah lebih tahu daripada mereka. Sudahlah bodoh, mahu orang lain pun bodoh juga seperti mereka!

Maka ramailah golongan jahil mengajar agama dan orang jahil yang belajar agama dengan mereka. Mereka ini nanti bila dimasukkan ke dalam neraka (kerana salah amalan dan fahaman) akan berkelahi sesama sendiri. Ini disebut dalam A’raf: 38

قالَ ادخُلوا في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِكُم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ فِي النّارِ ۖ كُلَّما دَخَلَت أُمَّةٌ لَّعَنَت أُختَها ۖ حَتّىٰ إِذَا ادّارَكوا فيها جَميعًا قالَت أُخرىٰهُم لِأولىٰهُم رَبَّنا هٰؤُلاءِ أَضَلّونا فَئآتِهِم عَذابًا ضِعفًا مِّنَ النّارِ ۖ قالَ لِكُلٍّ ضِعفٌ وَلٰكِن لّا تَعلَمونَ
Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, daripada jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka”. Allah berfirman: “Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui”.

Dalam Hud: 20 sebut tentang azab yang digandakan dan di A’raf: 38 pun sebut tentang azab gandaan. Di dalam A’raf: 38 ini golongan pengikut minta tok guru mereka diberikan azab gandaan (sebab mereka lah yang mengajar ajaran salah). Namun Allah ﷻ beritahu jangan kamu risau, dua-dua akan mendapat azab gandaan. Kenapa? Kalau yang ajar salah itu fahamlah dia dapat azab gandaan. Kenapa yang ikut semberono pun terkena juga?

Kerana yang mengikut pun ada salah mereka juga. Mereka tidak selidik betul-betul apa yang diajar. Kemudian mereka ikut pula tok guru salah itu malah ada yang ikut sehingga taksub. Tok guru sesat itu kalau mereka tidak ada pengikut, mereka pun tidaklah mengajar ajaran salah. Namun sebab ada ramai yang mengikut mereka lah yang menyebabkan mereka semangat untuk terus mengajar!

 

مَا كَانُوا يَسْتَطِيعُونَ السَّمْعَ

mereka dulu tidak mampu mendengar,

Mereka semasa di dunia tidak mendengar wahyu daripada Allah ﷻ. Mereka tidak mampu mendengarnya. Pelajaran diperolehi melalui pendengaran, dan apabila mereka tidak mahu mendengar ayat-ayat Al-Qur’an yang disampaikan, maka mereka tidak dapat memasukkan ilmu agama ke dalam hati mereka.

Allah ﷻ perli mereka dalam ayat ini: “Adakah mereka semasa di dunia dulu, tidak mampu mendengar?” Tentulah mereka boleh mendengar kerana Allah ﷻ sudah memberi kebolehan mendengar kepada manusia. Pendengaran adalah cara paling senang untuk belajar sebab sudah automatik telinga itu terbuka. Cuba kita bandingkan dengan cara membaca untuk mendapat ilmu, ia lebih susah, bukan? Namun bila telinga ini hanya perlu tadah sahaja. Akan tetapi mereka sendiri tidak mahu menggunakannya untuk mencari kebenaran. Padahal, mendengar itu adalah jalan yang paling senang untuk mendapat ilmu.

Bayangkan, kalau hendak membaca, kena buka buku, kena baca, kena duduk di tempat yang sesuai, kena dalam kedudukan yang selesa, kena waktu terang, mata kena melihat dan sebagainya. Sebaliknya, kalau hendak mendengar, tidak perlu buka apa-apa sebab memang telinga sudah tersedia terbuka. Namun itu pun mereka tidak mampu melakukannya, kerana hati mereka telah rosak dengan fahaman yang salah.

 

وَمَا كَانُوا يُبْصِرُونَ

dan mereka dulu tidak melihat

Walaupun tanda-tanda kebenaran sudah ada di depan mata mereka, mereka akan tetap menolaknya kerana hati mereka telah tolak sebelum itu lagi. Belum apa-apa lagi mereka terus tolak, mereka tidak mahu dengar dan memikirkan. Ini disebut di dalam An’am: 110

نُقَلِّبُ أَفۡـِٔدَتَهُمۡ وَأَبۡصَٰرَهُمۡ كَمَا لَمۡ يُؤۡمِنُواْ بِهِۦٓ أَوَّلَ مَرَّةٖ
Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya

Maka ini adalah peringatan kepada semua orang. Sekiranya ada yang datang membawa ajaran wahyu, jangan terus tolak tetapi dengarlah dahulu. Ditakuti kalau kita terus tolak, Allah ﷻ buat keputusan untuk terus tutup hati kita sampai tidak dapat langsung masuk hidayah! Kalau tidak faham, tidak pernah dengar, rasa seperti tidak betul, lain dengan apa yang kita biasa dengar…. dengarlah dahulu sebab yang datang itu bawa ayat Al-Qur’an, bukan?

Allah ﷻ juga perli dalam ayat ini: adakah mereka tidak mampu melihat dahulu semasa mereka hidup di dunia? Tentulah mereka boleh mendengar dan melihat, tetapi mereka tidak mahu menggunakannya untuk mencari kebenaran. Mereka yang bersalah dan mereka akan mengakuinya di akhirat kelak seperti disebut dalam Mulk: 8-10

تَكادُ تَمَيَّزُ مِنَ الغَيظِ ۖ كُلَّما أُلقِيَ فيها فَوجٌ سَأَلَهُم خَزَنَتُها أَلَم يَأتِكُم نَذيرٌ
Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: “Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?”

قالوا بَلىٰ قَد جاءَنا نَذيرٌ فَكَذَّبنا وَقُلنا ما نَزَّلَ اللهُ مِن شَيءٍ إِن أَنتُم إِلّا في ضَلٰلٍ كَبيرٍ
Mereka menjawab: “Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatu pun, kamu hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!”

وَقالوا لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ
Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.

Lihat, penghuni neraka tidak salahkan sesiapa melainkan diri sendiri. Begitulah Allah ﷻ telah beri pancaindera kepada manusia untuk mendapatkan ilmu. Maka tidak ada alasan lagi bagi mereka yang sempurna alat pancaindera mereka. Tujuan telinga dan mata adalah sebagai ujian daripada Allah ﷻ, sama ada kita guna untuk cari kebenaran atau tidak. Ini disebut dalam Insan:2

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.


 

Hud Ayat 21:

أُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

Sahih International

Those are the ones who will have lost themselves, and lost from them is what they used to invent.

Malay

Merekalah orang-orang yang merugikan diri sendiri, dan hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.

 

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ

Merekalah orang-orang yang merugikan diri sendiri,

Mereka sendiri yang merugikan diri mereka sendiri. Mereka tidak sedar yang mereka sedang merugikan diri mereka kerana mereka sangka orang lain yang rugi. Ada orang dakwah kepada mereka tetapi mereka tidak ikut. Sebaliknya mereka sangka pendakwah itu yang rugi. Eh bukan begitu, sebenarnya mereka yang rugi. Malah pendakwah itu sudah memperolehi pahala dengan usaha dakwahnya itu.

Namun ramai yang tidak sedar hal ini. Mereka ada peluang untuk beriman kepada Allah ﷻ semasa di dunia, tetapi mereka sia-siakan. Malah mereka terus melakukan perkara yang menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Janganlah kita menggadaikan nasib kita di akhirat kelak. Semoga kita tidak termasuk di dalam golongan orang yang rugi seperti disebut di dalam ayat ini dan Zumar:15

فَاعبُدوا ما شِئتُم مِّن دونِهِ ۗ قُل إِنَّ الخٰسِرينَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم وَأَهليهِم يَومَ القِيٰمَةِ ۗ أَلا ذٰلِكَ هُوَ الخُسرانُ المُبينُ
“(Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik, dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain daripada Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya)”. Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”

Di akhirat nanti tidak boleh berbuat apa lagi kerana dunia sudah tiada, keputusan telah diberikan dan Allah ﷻ tidak memberi peluang yang kedua! Maka ambillah peluang semasa masih hidup di dunia ini untuk membuat keputusan yang bijak.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita tidak akan rugi? Ya, kita mungkin tidak menghalang orang lain daripada agama dan sebagainya tetapi kita pun boleh menjadi rugi di akhirat kelak walaupun kita beriman. Allah ﷻ sebut di dalam ayat Asr: 2-3

إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ
Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,

Nah, sekarang Allah ﷻ sebut semua manusia (termasuk kita juga) boleh menjadi rugi. Namun ada cara untuk selamat daripada kerugian itu seperti disebut seterusnya,

إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh

Ada empat perkara yang akan menyelamatkan kita daripada rugi. Dua daripadanya adalah dengan beriman sempurna dan membuktikan iman kita itu dengan melakukan amal-amal soleh (ikut cara Rasulullah ﷺ). Rasanya cara ini mudah untuk dicapai. Akan tetapi seterusnya Allah ﷻ sambung dengan dua perkara yang berat:

وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ
dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan nasihat menasihati kepada kesabaran.

Dua perkara inilah yang banyak ditinggalkan oleh kebanyakan kita. Jikalau tinggalkan sahaja, automatik kita akan rugi. Iaitu tidak menjalankan kerja dakwah mengingatkan manusia tentang kebenaran wahyu; dan selepas kita mula berdakwah kita akan diperangi dan ketika itulah kita memerlukan kesabaran.

 

 

وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا يَفْتَرُونَ

dan hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.

Ibadat bid’ah yang mereka ada-adakan itu tidak menjadi pahala sebaliknya dosa untuk mereka. Hilang lenyap begitu sahaja. Sudahlah tidak ada pahala, nanti ditanya: “ni kenapa buat amalan ini? Ada dalil?” Kebanyakan kita tidaklah cipta ibadah. Namun kebanyakan kita ‘ikut’ melakukan ibadah-bidaah yang direka oleh orang-orang sebelum kita.

Mencipta ibadah baru adalah dosa yang berat. Begitu juga kalau kita amalkan ibadah yang direka itu. Yang ikut itu adalah kerana mereka tidak belajar wahyu sahaja (itu sebab mudah ditipu). Mereka tidak mengambil jalan selamat dengan bertanya sama ada ibadah itu ada dalam Islam atau tidak (ada dalil atau tidak?). Kebanyakannya terus bersangka baik, mereka sangka kalau ustaz yang ajar, tidak mungkin salah. Itu amat bahaya juga amat bodoh sekali.

Sekarang, hendaklah kita mengubah minda kita. Jangan kita terus sahaja terima apa yang disampaikan kepada kita. Kita kena ada inisiatif untuk selidik apakah amalan-amalan yang kita biasa buat itu ada dalam Islam atau tidak. Kalau tiada, tinggalkan sahaja. Itu adalah satu perkara yang paling senang – tinggalkan terus.

Begitu juga hilang lenyap sembahan-sembahan mereka yang mereka puja semasa di dunia. Mereka sendiri yang reka sembahan mereka itu. Lihat contoh berhala-berhala pujaan manusia. Rupa, bentuk dan tugas berhala itu semua mereka reka sahaja ikut sedap perencah sup Adabi. Bukannya mereka pernah lihat pun. Tuhan-tuhan rekaan manusia itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka nanti. Begitu juga dengan penolong-penolong mereka. Mereka sangka, wali-wali dan Nabi-nabi yang mereka sedekah Fatihah hari-hari itu akan tolong mereka, tetapi tidak sama sekali. Semua itu akan hilang lenyap kerana itu semua adalah rekaan sahaja.

Sebelum ini, mereka tuduh Nabi ﷺ reka agama baru, namun hakikatnya mereka yang reka perkara baru dalam agama seperti yang Allah ﷻ sebut dalam ayat ini.


 

Hud Ayat 22:

لا جَرَمَ أَنَّهُم فِي الآخِرَةِ هُمُ الأَخسَرونَ

Sahih International

Assuredly, it is they in the Hereafter who will be the greatest losers.

Malay

Tidak syak lagi, bahawa sesungguhnya merekalah yang paling rugi, pada hari akhirat kelak.

 

لَا جَرَمَ

Tidak syak lagi,

Perkataan جَرَمَ asalnya bermaksud ‘memotong’. Ia dari segi lughah (bahasa) bermaksud ‘ia pasti akan berlaku’. Tidak ada halangan kepada perkara itu daripada berlaku. Ia pasti akan terjadi. Tiga kali perkataan ini digunakan dalam Al-Qur’an.

Apa yang telah dijanjikan itu pasti akan terjadi kerana kalau kita hendak memperkatakan sesuatu tentang masa hadapan, ada kemungkinan ia tidak terjadi, bukan? Sebagai contoh, kita kata kita hendak melawat kawan kita yang sakit, esok. Adakah kita pasti yang kita akan dapat melawatinya? Tidak, bukan? Kerana mungkin ada halangan, kita sendiri mungkin jatuh sakit dan sebagainya.

Namun begitu, apabila Allah ﷻ kata لَا جَرَمَ, ia bermaksud, ia pasti akan berlaku. Tidak akan ada perkara yang akan menghalangnya. Siapa lagi yang boleh menghalang Allah ﷻ?

 

أَنَّهُمْ فِي الْآخِرَةِ هُمُ الْأَخْسَرُونَ

bahawa sesungguhnya merekalah yang paling rugi, pada hari akhirat kelak.

Mereka bukan sahaja akan merugi, tetapi الْأَخْسَرُونَ – paling rugi. Ada penegasan di dalam ayat ini kerana ada penambahan هم. Kalau tidak ditambah pun ayat itu kita sudah boleh faham. Allah ﷻ tambah هم sebagai penegasan eksklusif, iaitu mereka sahaja yang paling rugi nanti di Akhirat. Kenapa? Kerana kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan dalam ayat-ayat yang lepas – mereka menolak fitrah, mereka menolak Al-Qur’an dan menolak Kitab terdahulu.

Mereka bukan sahaja tidak mahu menerima Al-Qur’an itu, mereka menghalang orang lain daripada menerimanya juga. Mereka berusaha untuk menjadikan agama ini bengkok. Mereka tidak mahu mendengar dan melihat kebenaran. Akhir sekali, mereka mereka-reka perkara baru dalam agama. Begitu banyak sekali kesalahan yang mereka lakukan.

Apabila semua itu dicampur, balasan mereka adalah mereka akan menjadi orang yang ‘paling rugi’. Tidak ada peluang untuk mereka memperbetulkan kembali perbuatan salah mereka itu. Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan mereka.

Kalimah الْأَخْسَرُونَ di dalam ayat ini penting kerana Allah ﷻ menggunakan kalimah yang tepat dalam setiap ayat. Ada ayat yang lebih kurang sama tetapi hujungnya menggunakan kalimah lain. Lihat Nahl: 109

لا جَرَمَ أَنَّهُم فِي الآخِرَةِ هُمُ الخاسِرونَ
Pastilah bahawa mereka di akhirat nanti adalah orang-orang yang merugi.

Kalau diperhatikan, ayat Nahl: 109 menggunakan kalimah الخاسِرونَ dan bukannya الْأَخْسَرُونَ. Ini adalah kerana الْأَخْسَرُونَ itu bermaksud ‘paling’ rugi. Kesalahan yang disebut sebelum ayat Hud: 22 ini tidak sama seperti disebut sebelum ayat Nahl: 109. Mereka menjadi الْأَخْسَرُونَ kerana mereka itu:

1. Paling zalim
2. Berdusta atas nama Allah ﷻ
3. Mereka dilaknat oleh Allah ﷻ
4. Mereka sesat
5. Sudahlah sesat, mereka pula menghalang manusia lain dari jalan Allah ﷻ
6. Hendak menjadikan agama ini bengkok
7. Tidak beriman dengan Akhirat
8. Azab mereka akan digandakan

Lihatlah senarai ini. Memang sepatutnya mereka digelar sebagai الْأَخْسَرُونَ. Kesalahan mereka lebih berat daripada golongan yang disebut sebelum ayat Nahl: 109.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 18 – 19 (Teguran kepada pelaku bid’ah)

MEREKA YANG KERUGIAN

Hud Ayat 18: Ayat ini adalah ayat Zajrun dan Takhwif Ukhrawi. Ayat ini adalah tentang orang yang mereka-reka perkara baru dalam agama. Perkara baru dalam agama adalah ‘bid’ah‘. Jadi, ini adalah dalil Al-Qur’an tentang larangan bid’ah dalam perkara agama.

Ada banyak salah faham tentang bid’ah ini kerana itu ramai yang mengamalkan perkara bid’ah. Antaranya, mereka salah faham tentang upah dalam ibadat. Mereka itu telah mereka-reka dalam hal agama. Mereka yang kata beri sedekah itu dapat ‘pahala sedekah’. Mereka yang mendakwa boleh membuat perkara itu sedangkan tidak ada dalil daripada Al-Qur’an dan Hadith, sebaliknya dalil yang melarang memang ada.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا ۚ أُولٰئِكَ يُعرَضونَ عَلىٰ رَبِّهِم وَيَقولُ الأَشهٰدُ هٰؤُلاءِ الَّذينَ كَذَبوا عَلىٰ رَبِّهِم ۚ أَلا لَعنَةُ اللَّهِ عَلَى الظّٰلِمينَ

Sahih International

And who is more unjust than he who invents a lie about Allah ? Those will be presented before their Lord, and the witnesses will say, “These are the ones who lied against their Lord.” Unquestionably, the curse of Allah is upon the wrongdoers.

Malay

Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): “Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka”. Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!

 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah!

Kalimah وَمَنْ أَظْلَمُ ini adalah di dalam bentuk soalan yang dinamakan istifham inkari. Ia bentuk soalan tetapi bukan untuk bertanya tetapi untuk mengingkari fahaman sesat mereka itu. Ia adalah kemuncak kesesatan.

Ini adalah tentang mereka yang membuat perkara bid’ah dalam agama. Dalam ayat sebelum ini, Musyrikin Mekah ada yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ mereka-reka sendiri ayat Al-Qur’an dan mereka-reka perkara baru dalam agama. Itu adalah satu pembohongan yang besar. Sedangkan mereka lah sebenarnya yang reka perkara baru dalam agama.

Bagaimana pula dengan orang Islam yang reka perkara baru dalam agama? Sebagai contoh, mereka mendakwa upah solat jenazah itu dibolehkan. Mereka kata boleh mendapat pahala walaupun ambil upah dengan beranggapan yang sedekah itu sunat. Padahal tidak ada dalil yang mengatakan sedemikian.

Namun itu adalah dalil umum – memang sedekah itu baik dan digalakkan dalam Islam. Akan tetapi tidak ada dalil mengatakan terdapat pahala sedekah untuk memberi upah kepada mereka yang melakukan ibadat. Jelas sekali, perbuatan memberi upah/sedekah kepada mereka yang beribadat itu adalah bid’ah sebab tidak ada dalil.

Mereka sewenang-wenangnya mengambil dalil umum kemudian mereka menggunapakai kepada semua perkara. Itu adalah salah satu contoh penggunaan dalil yang salah. Hanya dilakukan oleh mereka-mereka yang jahil sahaja. Tambahan pula dalam ayat ke 15 tadi kita telah jelaskan bagaimana tidak boleh ambil upah dalam perkara ibadat. Memang terlalu ramai yang menggunakan dalil yang tidak berkenaan bagi membenarkan amalan bid’ah mereka.

Kenapakah perbuatan bid’ah itu berat? Kerana bid’ah itu dianggap sebagai dusta atas nama Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tidak pernah ajar, Nabi ﷺ pun tidak pernah ajar, sahabat pun tidak lakukan. Akan tetapi mereka dakwa itu adalah perkara baik dalam agama dan Allah ﷻ suka dan akan beri pahala pula. Bila masa pula Allah ﷻ kata Dia akan beri pahala atas amalan yang direka? Perbuatan itu adalah berdusta atas nama Allah ﷻ!

Malangnya ramai yang tidak faham tentang hal ini dan mereka ikut sahaja amalan yang tidak ada dalil. Contohnya Maulid Nabi, Solat Hajat berjemaah, Majlis Tahlil dan lain-lain lagi. Allah ﷻ panggil mereka yang melakukan perkara-perkara ini adalah orang yang ‘zalim’. Alangkah buruk panggilan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Tidak ada yang lebih zalim daripada mereka; merekalah yang paling zalim!

Kenapakah berat sekali tuduhan kepada mereka ini? Kerana sebelum ini telah disebut tentang bagaimana agama itu tertegak. Pertama, daripada ‘fitrah’ manusia. Kemudian, Al-Qur’an. Ketiga, dari kitab-kitab terdahulu. Selepas banyak sekali sumber rujukan itu, kenapa manusia masih lagi membuat dusta atas nama Allah ﷻ? Kenapa beramal dengan perkara yang tidak ada sumber daripada wahyu?

Kebenaran itu ada dalam nas yang sahih, iaitu Al-Qur’an dan Sunnah tetapi bagaimana manusia boleh menolak kebenaran? Iaitu apabila ada segelintir manusia yang mengeluarkan pendapat yang menyebabkan manusia lain menjadi keliru. Sepatutnya, sesuatu kebenaran itu jelas seperti Al-Qur’an, tetapi apabila manusia menggunakan akal mereka untuk mempersoalkan sesuatu perkara itu, serta mempngaruhi yang lain, akibatnya manusia ramai yang jadi keliru.

Sebagai contoh, kita semua tahu khasiat minum susu itu banyak. Namun kalau ada orang yang mempersoalkan khasiat susu, bagaimana? Dia pun keluarkan hujah-hujah yang susu itu tidak baik untuk kesihatan sebenarnya, dengan mengeluarkan pendapat orang lain, kajian orang lain dan sebagainya. Lalu, susu yang sudah diterima berkhasiat itu, telah diragui oleh orang ramai.

Begitu juga dengan dalil-dalil yang jelas nyata daripada Al-Qur’an dan Hadith. Ia telah jelas, namun ada juga manusia yang mengeluarkan pendapat yang berbagai-bagai untuk mempersoalkan kebenaran itu. Mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak dengar syarah pengajian Hadith, tetapi mereka mengeluarkan pendapat mereka sendiri. Orang yang tidak tahu, atau jahil tentang agama, akan mudah terpedaya dengan hujah-hujah mereka.

Mereka yang jahil pun turut sama berbincang tentang perkara itu. Akhirnya, perkara yang telah jelas, menjadi keliru. Itulah bahayanya apabila berbincang dengan mereka yang tidak berilmu. Kita pun boleh menjadi terkeliru kerana terpedaya dengan hujah-hujah bathil mereka.

 

أُولَٰئِكَ يُعْرَضُونَ عَلَىٰ رَبِّهِمْ

Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka,

Apabila perkataan يُعْرَضُونَ digunakan, itu bermaksud mereka akan ‘dibawa’ mengadap Allah ﷻ. Bukan mereka pergi sendiri dengan sukarela. Dalam nahu ayat yang digunakan, ada makna ‘paksaan’. Bayangkan mereka yang meronta-ronta semasa dibawa ke tali gantung. Mereka tidak mahu pergi, tetapi mereka dipaksa pergi dan dibawa pergi dengan paksa. Begitu jugalah mereka yang dibawa kepada Allah ﷻ pada hari Kiamat nanti.

Kenapa mereka dibawa mengadap Allah ﷻ? Untuk dihisab segala amalan mereka semasa di dunia. Mereka akan ditanya atas amalan yang mereka lakukan semasa di dunia. Antaranya, mereka akan ditanya dari mana mereka dapat dalil untuk mengerjakan amalan-amalan bid’ah mereka itu? Bagaimana agaknya mereka akan jawab nanti?

Kenapa disebut mereka dibawa mengadap Allah ﷻ? Bukankah semua makhluk akan dibawa mengadap Allah ﷻ? Tentulah semua makhluk akan menemui Allah ﷻ akan tetapi ayat ini menekankan kepada mereka yang telah berbuat dosa semasa mereka di dunia atau mereka yang tidak beriman. Mereka tidak sangka yang mereka kena mengadap Allah ﷻ dan alangkah malangnya pada waktu itu mereka akan mengadap Allah ﷻ di dalam keadaan Allah ﷻ sedang murka!

Ternyata mereka yang mengamalkan amalan bid’ah ini tidak sedar tentang perkara ini kerana mereka tidak yakin yang mereka kena mengadap Allah ﷻ. Inilah faktor utama menyebabkan mereka berani melakukan perkara zalim dalam agama. Namun Allah ﷻ mengingatkan mereka dalam ayat ini yang fahaman mereka itu salah. Maka berhati-hatilah dalam amalan ibadat kita setiap hari. Pastikan ia adalah amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ.

 

وَيَقُولُ الْأَشْهٰدُ

dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi

Allah ﷻ tidak memerlukan saksi kerana Allah ﷻ maha tahu apa yang mereka telah lakukan. Namun begitu untuk menzahirkan keadilan, akan dibawakan saksi-saksi untuk menyelesaikan kes mereka nanti di akhirat. Akan tetapi siapakah yang dimaksudkan dengan ‘saksi-saksi’ itu? Mereka itu adalah dalam kalangan malaikat-malaikat, Nabi-nabi, orang-orang mukmin dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri.

Malaikat telah menurunkan wahyu dan mereka akan ditanya apakah mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka itu. Mereka akan bersaksi bahawa mereka telah menjalankan tugas, cuma manusia yang ingkar sahaja yang tidak mahu mengikutinya.

Begitu juga para Nabi akan ditanya sama ada mereka telah sampaikan wahyu kepada umat mereka. Mereka juga akan memperkatakan perkara yang sama.

Orang-orang mukmin yang telah menjalankan tanggungjawab mereka menyampaikan dakwah juga akan menjadi saksi. Mereka akan memberitahu bahawa mereka telah berdakwah kepada orang itu dan orang ini, tetapi mereka sahaja yang tidak mahu menerimanya. Mereka akan menjadi saksi di hadapan Allah ﷻ nanti terhadap mereka yang menipu dalam hal agama iaitu mereka yang mengajar salah, yang mengamalkan amalan bid’ah.

Begitu juga, tubuh badan orang itu sendiri akan mengaku yang tuannya dulu pernah melakukan perkara-perkara yang salah dalam agama dan dalam kehidupan.

Ini berbeza dengan orang-orang Mukmin. Orang-orang mukmin akan diampunkan dosa mereka. Sebaliknya orang musyrik dan mereka yang melakukan bid’ah akan ada saksi yang akan menjadi saksi di atas perbuatan mereka di dunia dulu. Mereka tidak akan terlepas. Kadang-kadang kalau kita buat salah di dunia, tidak ada orang perasan, tidak ada orang yang nampak, maka kita terlepas. Namun ini tidak akan berlaku di akhirat nanti.

Apakah yang akan dikata oleh saksi-saksi itu nanti?:

 

هَٰؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَىٰ رَبِّهِمْ

“Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka”.

Yang berbuat dusta waktu itu akan duduk dalam bersaf-saf, tunduk menunggu, tidak berani untuk bersuara, tidak berani hendak berbuat apa-apa.

Dalam ayat ini, perkataan هَٰؤُلَاءِ digunakan. Ia adalah kata penunjuk kepada orang yang duduk dekat dengan kita sampai kita boleh tunjuk mereka. Bermakna, mereka yang ditunjuk itu dekat sahaja, boleh nampak. Kalau kita tunjuk kepada orang yang jauh, ada kemungkinan orang yang melihat itu tidak pasti kepada siapa kita tunjuk. Apabila هَٰؤُلَاءِ digunakan, bermakna mereka dekat sahaja dan pasti tahu dengan jelas siapakah yang mereka itu yang ditunjuk, tidak syak lagi. Tidak boleh lari lagi pada waktu itu. Ke manakah hendak lari?

 

أَلَا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظّٰلِمِينَ

Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!

Ini adalah pengumuman penting daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ mengumumkan dalam ayat ini bahawa yang berbuat dusta atas nama Allah ﷻ dikira orang yang ‘zalim’. Maksud ‘laknat’ Allah ﷻ adalah: Allah ﷻ tidak ampun dosa dan tidak terima taubat mereka dan mereka tidak akan dimasukkan ke dalam syurga. Tidak akan ada peluang untuk masuk dalam syurga. Amat menakutkan apa yang berlaku di Akhirat kelak seperti disebut di dalam hadith,

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ زُرَيْعٍ حَدَّثَنَا سَعِيدٌ وَهِشَامٌ قَالَا حَدَّثَنَا قَتَادَةُ
عَنْ صَفْوَانَ بْنِ مُحْرِزٍ قَالَ بَيْنَا ابْنُ عُمَرَ يَطُوفُ إِذْ عَرَضَ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَوْ قَالَ يَا ابْنَ عُمَرَ سَمِعْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي النَّجْوَى فَقَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يُدْنَى الْمُؤْمِنُ مِنْ رَبِّهِ وَقَالَ هِشَامٌ يَدْنُو الْمُؤْمِنُ حَتَّى يَضَعَ عَلَيْهِ كَنَفَهُ فَيُقَرِّرُهُ بِذُنُوبِهِ تَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا يَقُولُ أَعْرِفُ يَقُولُ رَبِّ أَعْرِفُ مَرَّتَيْنِ فَيَقُولُ سَتَرْتُهَا فِي الدُّنْيَا وَأَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ ثُمَّ تُطْوَى صَحِيفَةُ حَسَنَاتِهِ وَأَمَّا الْآخَرُونَ أَوْ الْكُفَّارُ فَيُنَادَى عَلَى رُءُوسِ الْأَشْهَادِ { هَؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى رَبِّهِمْ أَلَا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ }
Telah menceritakan kepada kami [Musaddad] Telah menceritakan kepada kami [Yazid bin Zura’i] Telah menceritakan kepada kami [Sa’id] dan [Hisyam] keduanya berkata; Telah menceritakan kepada kami [Qatadah],
Daripada [Shafwan bin Muhriz] dia berkata; ketika Ibnu ‘Umar رضي الله عنهما sedang tawaf, tiba-tiba seseorang menghadangnya seraya berkata; wahai Abu ‘Abdur Rahman, atau wahai Ibnu ‘Umar apa kamu mendengar daripada Nabi ﷺ mengenai An-Najwa (bisikan di hari kiamat)? [Ibnu Umar رضي الله عنهما] menjawab: “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: Nanti di hari kiamat, seorang mukmin mendekat kepada Rabb-nya. Hisyam berkata; ‘Seorang mukmin mendekat hingga Dia meletakkan naungan-Nya ke atasnya, iaitu menutupi (dosa-dosa) -nya kemudian Dia berkata, “Apakah kamu mengakui dosa ini?” Dia menjawab, “Wahai Rabb-ku, saya mengetahuinya.” -sebanyak dua kali- Allah berfirman kepadanya: “Aku telah menutupinya (merahsiakannya) di dunia dan pada hari ini aku telah mengampuninya bagimu.” Kemudian diberikanlah kepadanya catatan kebaikan-kebaikannya. Adapun yang lainnya atau orang-orang kafir, maka mereka dipanggil di hadapan semua manusia dan dikatakan: “Inilah mereka yang telah mendustakan Rabb mereka, ketahuilah bahawa laknat Allah berlaku atas orang-orang yang zalim.” (Hud: 18).
(Sahih Bukhari (4317))

Kalimah الظَّالِمِينَ ada banyak makna. Secara umum, ia merujuk kepada mereka yang berbuat jahat. Orang kita sangka, buat amalan bid’ah itu kecil sahaja, namun sebenarnya ia adalah amat besar sekali. Mereka sanggup buat kerana mereka tidak belajar dan sangka itu perkara kecil sahaja, yang menyebabkan mereka tidak segan silu buat benda-benda bid’ah itu. Mereka dikatakan zalim kerana tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Amalan ibadat patutnya diajar oleh Allah ﷻ dan disampaikan oleh Rasulullah ﷺ. Akan tetapi mereka ambil pula rekaan amalan daripada manusia pula.

Mereka pula pandai berhujah (hujah bathil): “Takkan salah apa yang ustaz-ustaz itu buat”, “walaupun Nabi tak buat, tapi kalau benda baik, tak salah kalau kita buat”, “kalau niat kita ikhlas, Allah akan terima,” “takkan berdosa pula kalau aku buat begini?” dan entah berapa banyak lagi contoh-contoh hujah bathil yang mereka akan beri lagi.

Kezaliman yang paling besar adalah melakukan syirik. Bid’ah itu adalah sesuatu yang amat luas. Bid’ah ada banyak peringkat. Antara perkara bid’ah yang dilakukan dalam agama boleh termasuk dalam perkara berdosa, ada yang berdosa besar, malah ada juga yang termasuk dalam perkara syirik pun. Sekiranya bid’ah yang mereka buat itu termasuk dalam hal akidah, maka boleh boleh bertukar menjadi syirik; manakala jika bid’ah dalam hal amalan, maka ia boleh menyebabkan dosa.


 

Hud Ayat 19: Siapakah orang-orang yang zalim itu dan apakah sifat mereka? Ada tiga sifat mereka yang disebut dalam ayat ini.

الَّذينَ يَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَيَبغونَها عِوَجًا وَهُم بِالآخِرَةِ هُم كٰفِرونَ

Sahih International

Who averted [people] from the way of Allah and sought to make it [seem] deviant while they, concerning the Hereafter, were disbelievers.

Malay

Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan ugama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat;

 

الَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ

Orang-orang yang menghalang dari jalan Allah,

Mereka yang zalim itu menghalang diri mereka dan orang lain dari jalan Allah ﷻ. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘mereka menghalang’? Apabila kita tegur bahawa amalan yang mereka buat itu salah, fahaman mereka tentang Islam salah, bukan berdasarkan sumber yang sahih, mereka adalah antara orang yang mencerca kita dan mengajak orang lain untuk turut sama dengan mereka mencerca kita.

Mereka enggan belajar dengan orang yang dalam jalan Sunnah malah mereka akan melarang dan halang orang lain daripada belajar dengan orang yang mengajar agama berasaskan sunnah. Sudahlah mereka tidak mahu belajar, mereka halang pula orang lain daripada belajar juga – ini amat teruk sekali.

Mereka sanggup beri gelaran buruk-buruk kepada orang-orang yang mahu sunnah: mereka kata orang yang mengamalkan sunnah itu Wahabi, Kaum Muda dan sebagainya. Sampai orang lain pun yang tidak tahu apa-apa pun pandang serong terhadap kita.

Perkataan يَصُدُّونَ adalah dalam bentuk mudhaari’ (present and future continuous), bermakna ia masih berjalan lagi. Kalau dahulu, ia merujuk kepada Ahli Kitab yang tidak mahu menerima kebenaran dan kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menghalang diri mereka daripada beriman dan dengan itu, mereka menghalang juga orang lain daripada beriman. Orang-orang yang tidak berilmu biasanya memandang tinggi terhadap mereka yang kononnya ada ilmu agama seperti Ahli Kitab itu. Apabila Ahli Kitab pun menolak Nabi Muhammad ﷺ, maka yang tidak ada kitab pun tentu juga tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ juga.

Namun, golongan ahli kitab itu adalah golongan yang dahulu, mereka telah lama berlalu. Untuk sekarang mereka yang menolak dari jalan Allah ﷻ ini masih ada lagi. Maka ayat ini bukan hanya hendak menceritakan tentang orang-orang dahulu sahaja tetapi merujuk orang-orang sekarang juga.

Dalam kalangan orang Islam di negara ini pun ada yang menghalang manusia dari jalan Sunnah. Ia akan berterusan sampai ke hari kiamat nanti. Termasuk dalam hal ini, adalah pemimpin-pemimpin masyarakat yang tidak mahu beriman dan dengan itu menghalang golongan bawahan daripada beriman juga. Mereka ini termasuk di dalam firman Allah ﷻ dalam Baqarah: 114

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?

Begitulah juga dengan kalangan ‘orang-orang agama’ yang tidak mahu mengamalkan sunnah. Apabila mereka sendiri tidak mahu beriman dengan sunnah, maka masyarakat awam pun tidak berasa bersalah kalau tidak beriman dengan sunnah kerana mereka akan melihat pemimpin-pemimpin agama itu sebagai kayu ukur mereka.

Kebiasaannya kebanyakan orang awam akan melihat dan mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh ustaz-ustaz di negara ini. Sekiranya para ustaz pun tolak sunnah, apatah lagi orang awam yang memang tidak tahu tentang agama.

 

وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا

dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong,

Mereka mencari-cari kelemahan dalam agama. Mereka akan korek dan cari sampai dapat apakah hujah yang mereka boleh kata jalan Sunnah itu salah dan nampak bengkok. Kita bagi ayat Al-Qur’an, mereka akan bagi ayat Al-Qur’an juga tetapi dengan pemahaman mereka yang salah. Mereka hendak bagi ia nampak bengkok sedangkan siratal mustaqim adalah jalan yang tegak lurus.

Kita bagi hadith sahih, mereka bagi hadith palsu/dhaif yang entah daripada kitab mana. Kita kata ini kata-kata Nabi, mereka beri kata-kata ulama’ yang mereka pilih sendiri yang selaras dengan fahaman mereka. Mereka cari dalam kitab mereka, mereka cari maklumat dalam internet dan kadang-kadang mereka reka sendiri hujah mereka.

Apabila tidak dapat beri hujah, mereka akan serang peribadi orang yang berdakwah itu. Mereka serang ulama-ulama yang membawa ajaran Sunnah. Dengan perbuatan mereka itu, mereka sebenarnya telah menjadikan jalan Allah ﷻ yang lurus itu menjadi bengkok. Sampai orang awam pun tidak mahu kepada agama. Orang awam akan pening dengan pertembungan fikiran ini dan mereka kata: kalau ahli agama pun bertelagah, agama jenis apa ini?

Sepatutnya jalan Allah ﷻ itu lurus. Senang sahaja jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ, para sahabat dan mereka yang hendak mengamalkan Sunnah. Namun ramai dalam kalangan manusia yang telah bengkokkan jalan agama yang lurus dan mudah ini. Agama yang senang menjadi susah. Sebagai contoh, solat cara mereka susah, istinjak cara mereka pun susah kerana mereka menokok tambah macam-macam perkara baru dalam agama. Mereka buat begitu dengan amalan dan pemahaman bid’ah.

Termasuk dalam perkara ini adalah orang kafir yang hendak mengutuk agama Islam. Sebagai contoh, mereka akan kata bagaimana agama Islam itu teruk, sampai membenarkan orang lelaki kahwin sampai empat. Mereka itu adalah orang-orang yang jahat yang niatnya hendak menghalang manusia daripada kebenaran Islam.

 

وَهُم بِالْآخِرَةِ هُمْ كٰفِرُونَ

sedang mereka pula engkarkan hari akhirat;

Orang-orang yang kufur itu tidak percaya kepada Hari Akhirat dan kerana tidak percaya, mereka tidak takut kepada pembalasan di akhirat. Sebab itulah, mereka berani untuk berbuat apa sahaja yang nafsu mereka suruh.

Bagaimanakah pula dengan mereka yang sengaja mengamalkan bid’ah dan syirik dan menolak sunnah? Mereka juga sebenarnya tidak beriman dengan Hari Akhirat. Bermakna mereka yang buat bid’ah itu ingkar sebenarnya dengan akhirat, walaupun mereka kata mereka percaya. Mereka bukan tidak percaya dengan hari akhirat dan mereka tahu ia pasti akan terjadi. Namun perangai mereka seolah menunjukkan yang mereka tidak percaya.

Seolah-olah mereka tidak tahu bahawa mereka akan dihadapkan nanti di hadapan Allah ﷻ dan mereka kena jawab di atas perbuatan-perbuatan bid’ah mereka itu. Mereka boleh jawab kepada pendakwah-pendakwah Sunnah semasa di dunia, dengan memberi berbagai-bagai hujah batil mereka, tetapi bolehkah mereka jawab di hadapan Allah ﷻ nanti?

Hujah apa mereka hendak bawakan nanti? Hujah kitab? Hujah daripada ulama’ itu dan ini? Hujah akal mereka? Jikalau mereka tahu apakah yang akan terjadi di Akhirat nanti, mereka tentu tidak berani melakukan apa yang mereka sedang lakukan sekarang. Pasti mereka akan buat perkara yang sahih ada dalam Sunnah sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 17 (Berpegang dengan Al-Qur’an)

KEJAYAAN SEBENAR YANG BERKEKALAN

Hud Ayat 17: Ini adalah Dakwa Surah ini yang keempat: yang tidak menerima ajaran tauhid adalah golongan yang degil.

Ayat ini agak sukar untuk dijelaskan kerana terdapat banyak pendapat tentangnya. Saya cuba untuk menjelaskan dengan sebaiknya.

أَفَمَن كانَ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّهِ وَيَتلوهُ شاهِدٌ مِّنهُ وَمِن قَبلِهِ كِتٰبُ موسىٰ إِمامًا وَرَحمَةً ۚ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۚ وَمَن يَكفُر بِهِ مِنَ الأَحزابِ فَالنّارُ مَوعِدُهُ ۚ فَلا تَكُ في مِريَةٍ مِّنهُ ۚ إِنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّكَ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يُؤمِنونَ

Sahih International

So is one who [stands] upon a clear evidence from his Lord [like the aforementioned]? And a witness from Him follows it, and before it was the Scripture of Moses to lead and as mercy. Those [believers in the former revelations] believe in the Qur’an. But whoever disbelieves in it from the [various] factions – the Fire is his promised destination. So be not in doubt about it. Indeed, it is the truth from your Lord, but most of the people do not believe.

Malay

Adakah sama mereka itu dengan orang-orang yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang terdapat dari (benda-benda yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan diikuti oleh Kitab Suci Al-Qur’an memberi kenyataan – sebagai saksi dari pihak Tuhan meneguhkan bukti yang tersebut; dan sebelum itu, kenyataan yang serupa diberi oleh Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya)? Orang-orang yang berkeadaan demikian, mengakui – menerima Al-Qur’an; dan sesiapa engkar akan Al-Qur’an itu dari kumpulan-kumpulan kaum kafir, maka nerakalah dijanjikan menjadi tempat mereka. Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Qur’an, kerana sesungguhnya Al-Qur’an itu adalah perkara yang benar daripada Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepadanya.

 

أَفَمَن كَانَ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّهِ

Adakah (sama mereka itu dengan) orang-orang yang di atas bukti yang nyata daripada Tuhannya;

Ayat ini adalah untuk membuat bandingan antara orang yang bagus dan tidak bagus. Pertamanya dimulakan disebut tentang orang yang bagus iaitu yang mendapat petunjuk Ilahi.

Siapakah yang dimaksudkan di dalam ayat ini. Ada dua pendapat:

1. Kalimah من di dalam ayat ini boleh jadi sesiapa sahaja. Sesiapa sahaja boleh berpegang dengan bukti yang jelas nyata dari Tuhan dan memang itulah yang sepatutnya.
2. Yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad kerana baginda yang di atas bukti yang jelas dari Tuhannya

Ini kerana mereka berpegang dengan بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّهِ. Apa-apa sahaja yang datang daripada Allah ﷻ tentulah jelas, tidak syak lagi. Mereka yang bijak tentu akan memegangnya. Orang yang prihatin dengan agama akan membandingkan kata-kata manusia dengan wahyu Allah ﷻ kerana kata-kata manusia belum tentu benar lagi. Sekarang bandingkan orang yang berpegang dengan kebenaran daripada Allah ﷻ, dengan mereka yang disebut dalam ayat sebelum ini. Tentu tidak sama.

Tafsir بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّهِ ini adalah berbagai-bagai. Kita cuba ambil beberapa sahaja.

1. Tafsir pertama bagi kalimah ‘bukti daripada Tuhannya’ adalah Al-Qur’an dan Sunnah. Oleh itu, tidak sama mereka yang berpegang dengan Qur’an dan Hadith dibandingkan dengan mereka yang tidak berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Seperti di negara ini, terdapat perbezaan yang ketara antara golongan yang mahu kepada manhaj Sunnah dan yang tidak. Ada yang mahu kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah dan ada golongan yang mengikut pendapat-pendapat manusia sahaja.

2. Kalimah بَيِّنَةٍ itu diambil daripada katadasar ب ي ن yang bermaksud ‘sesuatu yang jelas’. Ia juga boleh bermaksud ‘fitrah‘ keimanan yang telah ada dalam diri manusia. Manusia sebenarnya telah kenal Allah ﷻ semenjak dari alam ruh lagi. Kita semua telah ada iman kepercayaan kepada Tuhan dalam diri manusia dari mula lagi. Akan tetapi apabila mereka lahir ke dunia, mereka telah lupa. Oleh itu, kalau ikut tafsir ini, tidak sama mereka yang berada atas fitrah yang Allah ﷻ telah berikan berbanding dengan mereka yang tidak. Ada manusia yang tidak belajar pun agama, tapi mereka dapat rasa bahawa apa yang mereka sedang lakukan itu tidak benar. Itulah fitrah yang Allah ﷻ telah tanam dalam diri mereka.

Dalil manusia dilahirkan di dalam fitrah adalah Rum:30

فَأَقِم وَجهَكَ لِلدّينِ حَنيفًا ۚ فِطرَتَ اللهِ الَّتي فَطَرَ النّاسَ عَلَيها ۚ لا تَبديلَ لِخَلقِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,

Dan perkara ini juga ada disebut di dalam sebuah hadith yang terkenal iaitu Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.
(Riwayat Bukhari No. 1385)

Oleh itu, ayat ini bermaksud: adakah sama mereka yang berpegang dengan fitrah yang telah ada dalam diri mereka itu sama dengan orang yang tidak mengiktirafnya? Iaitu mereka yang dapat merasa kepercayaan kepada Tuhan yang telah sedia ada dalam diri mereka dan mereka terima dan teruskan ikut perasaan itu.

Allah ﷻ bandingkan mereka ini dengan orang-orang yang tidak mengiktiraf perasaan itu dalam diri mereka. Ada orang yang ada rasa itu tetapi mereka ‘bunuh’ perasaan itu, mereka buat tidak tahu sahaja.

Sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi pun, sudah ada dalam kalangan penduduk Arab Mekah yang mencari-cari Tuhan. Mereka tidak percaya dengan amalan-amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Musyrikin Mekah itu. Mereka ini dinamakan golongan Hunafa’ – golongan yang Hanif – mereka yang condong kepada kebenaran – condong kepada Tauhid. Mereka mengiktiraf fitrah yang telah ada dalam diri mereka dan mereka menolak perbuatan syirik kaum mereka. Mereka dapat rasakan yang apa yang diamalkan oleh masyarakat mereka waktu itu adalah salah. Kebanyakan mereka mengamalkan saki baki ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Kerana itu sahaja yang mereka ada.

Tapi ada juga dalam kalangan mereka yang pergi berjumpa dengan Ahli-Ahli Kitab Yahudi dan Nasara kerana hendak belajar agama dari mereka. Ini adalah kerana mereka rasa, Yahudi dan Nasara lebih benar dalam hal agama. Sebagai contoh, kita pun tahu tentang Waraqah bin Naufal yang bersaudara dengan Siti Khadijah رضي الله عنها yang telah mengkaji Kitab Injil. Beliaulah yang Khadijah رضي الله عنها rujuk apabila Nabi Muhammad ﷺ menerima wahyu kali yang pertama. Khadijah رضي الله عنها telah membawa Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Waraqah itu.

 

وَيَتلوهُ شاهِدٌ مِّنهُ

dan diikuti pula oleh saksi dariNya

Sekarang siapa pula yang dimaksudkan dengan شاهِدٌ مِّنهُ? (Saksi dari Allah). Saksi ini menjadi bukti bagi kebenaran yang jelas itu. Ini pun ada beberapa pendapat:

1. Saksi yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Fitrah yang telah ada dalam diri manusia itu telah dibuktikan dengan datangnya Al-Qur’an yang membenarkan apa yang sudah ada di dalam fitrah manusia.

2. Saksi yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad. Nabi seorang yang bijaksana dan seorang yang baik akhlaknya pun telah menerima Al-Qur’an.

3. Bukti-bukti itu boleh jadi mukjizat-mukjizat yang datang kepada para Nabi.

4. Ia juga boleh bermaksud kitab Injil yang membenarkan apa yang ada di dalam Al-Qur’an.

5. Ada pendapat yang mengatakan saksi yang dimaksudkan adalah Jibril.

Potongan ayat ini menguatkan بَيِّنَةٍ itu. Kerana ada saksi yang menguatkannya. Sama ada Al-Qur’an (yang menjadi saksi bagi fitrah) atau mukjizat-mukjizat, kitab Injil atau Jibril. Jadi tidak ada kesangsian lagi bagi بَيِّنَةٍ itu.

Oleh itu, mereka yang selamat akan ‘ikut’ apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an melalui Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya baca dan ikut, bukan baca sahaja Al-Qur’an itu seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Kenapa kita kata begitu? Kerana perkataan يَتْلُوهُ daripada kata dasar ت ل و yang bermaksud ‘ikut’. Ia juga adalah kata dasar bagi perkataan ’tilawah’ kerana orang yang membaca itu ‘mengikut’ apa yang tertulis. Oleh itu, apabila ayat Al-Qur’an sampai kepada orang yang baik, mereka akan mengikutinya kerana ia bertepatan dengan apa yang telah ada dalam hati mereka. Allah ﷻ sebut di dalam Baqarah: 121

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya dan mengikutinya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Perkataan ‘ikut’ juga boleh bermaksud ‘diikuti’. Iaitu fitrah telah ada, kemudian Al-Qur’an itu ‘mengikuti’ di belakang. Ia memberi persaksian kepada fitrah itu. Al-Qur’an menjadi شَاهِدٌ (saksi) kepada kebenaran fitrah yang memang telah sedia ada dalam diri manusia. Al-Qur’an membenarkan apa yang telah diketahui oleh hati. Maknanya iman itu adalah apa yang sudah ada dalam hati dan Al-Qur’an itu adalah apa yang ada di luar. Seperti situasi dalam mahkamah ada plaintif dan ada saksi. Plaintif akan beri hujah mereka dan saksi akan membenarkan hujah yang telah diberi.

Akan tetapi untuk mendapat manfaat daripada Al-Qur’an, ia hendaklah diikuti. Untuk diikuti, kenalah difahami dahulu dan untuk faham, kenalah belajar tafsir. Setelah faham, maka amalkan di dalam kehidupan kita. Kalau setakat baca sahaja tidaklah ia memberi manfaat sebagaimana yang sepatutnya. Ramai sahaja orang kita hanya ‘mengeja’ sahaja Al-Qur’an itu atau ‘sebut’ sahaja, bukannya ‘baca’ kerana kalau ‘baca’, kenalah faham apa yang dibaca, bukan? Kalau setakat sebut di majlis tertentu, sesekali baca (selalunya Bulan Ramadhan), maka tidak jauh bezanya dengan orang Yahudi sahaja seperti disebut dalam Baqarah: 78

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain daripada penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

Ibn Abbas رضي الله عنهما mentafsirkan ayat Baqarah: 78 ini dengan mengatakan: Bani Israil itu hanya membaca dan menghafal sahaja kitab Taurat itu tanpa memahaminya. Mereka memang baca terutama dalam majlis-majlis keramaian mereka. Rasulullah ﷺ juga telah menyebut tentang mereka ini di dalam hadith,

عَنْ زِيَادِ بْنِ لَبِيدٍ قَالَ ذَكَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا فَقَالَ وَذَاكَ عِنْدَ أَوَانِ ذَهَابِ الْعِلْمِ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَذْهَبُ الْعِلْمُ وَنَحْنُ نَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَنُقْرِئُهُ أَبْنَاءَنَا وَيُقْرِئُهُ أَبْنَاؤُنَا أَبْنَاءَهُمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ لَبِيدٍ إِنْ كُنْتُ لَأَرَاكَ مِنْ أَفْقَهِ رَجُلٍ بِالْمَدِينَةِ أَوَلَيْسَ هَذِهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ لَا يَنْتَفِعُونَ مِمَّا فِيهِمَا بِشَيْءٍ
Daripada [Ziyad bin Labid] dia berkata, Nabi ﷺ menyebutkan sesuatu, maka baginda berkata: “Itulah masa hilangnya ilmu.” Labid berkata, “Kami lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah ilmu akan hilang, sementara kami selalu membaca Al-Qur’an dan membacakannya kepada anak-anak kami, dan anak-anak kami juga membacakannya untuk anak-anak mereka. Kemudian anak-anak mereka hingga datangnya hari kiamat?” Baginda menjawab: “Celaka kamu wahai Ibnu Abu Labid! Aku melihatmu termasuk orang yang paling faqih di Madinah ini. Bukankah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani juga membaca Taurat dan Injil, namun mereka tidak memetik manfaat sedikit pun daripada apa yang termaktub dalam keduanya?”
(Jami’ Tirmidzi (16828)) Disahihkan oleh Albani

Takkan kita hendak jadi seperti mereka? Maka berusahalah untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an sedikit demi sedikit. Anda mungkin sudah lama membaca Al-Qur’an tanpa memahaminya dan ya memang ada pahala apabila membaca Al-Qur’an. Akan tetapi manfaatnya tidaklah banyak kerana Al-Qur’an ini untuk diamalkan dan bagaimana kita boleh mengamalkannya kalau kita tidak faham? Lihat apa kata Rasulullah ﷺ berkenaan hal ini:

Daripada Abu Musa Al Asy’ariy, Rasulullah ﷺ bersabda,
الْمُؤْمِنُ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالأُتْرُجَّةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ ، وَالْمُؤْمِنُ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالتَّمْرَةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالرَّيْحَانَةِ ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالْحَنْظَلَةِ ، طَعْمُهَا مُرٌّ – أَوْ خَبِيثٌ – وَرِيحُهَا مُرٌّ
“Permisalan orang yang membaca Al Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah utrujah, rasa dan baunya enak. Orang mukmin yang tidak membaca Al-Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah kurma, rasanya enak namun tidak beraroma. Orang munafik yang membaca Al Qur’an adalah bagaikan royhanah, baunya menyenangkan namun rasanya pahit. Dan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an bagaikan hanzholah, rasa dan baunya pahit dan tidak enak.”
(Sahih Bukhari No. 5059)

Malah kalau kita baca sahaja dan tidak mengamalkannya, Al-Qur’an itu sendiri akan menjadi musuh kita! Rasulullah ﷺ bersabda,

وَالقُرْاَنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ
“Al Qur’an itu bisa menjadi pembelamu atau musuh bagimu.”
(Sahih Muslim No. 223)

 

Oleh itu, saksi yang dimaksudkan itu adalah Al-Qur’an. Diri manusia itu memang sudah ada iman (iaitu fitrah yang telah disebutkan sebelum ini) dan iman itu dibenarkan oleh Al-Qur’an pula. Itulah sebabnya, apabila Al-Qur’an dibacakan kepada mereka yang membuka hati kepada kebenaran, mereka terus percaya kerana ‘kena’ dengan apa telah ada dalam jiwa mereka.

Seperti yang kita telah beritahu, ada banyak pendapat tentang ayat ini. Oleh itu, ada juga pendapat yang menyatakan bahawa شَاهِدٌ (saksi) yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu, manusia yang sudah ada fitrah itu, mengikut Nabi Muhammad ﷺ kerana apa yang disampaikan oleh baginda adalah bertepatan dengan fitrah yang telah ada dalam diri mereka.

Ada pula yang menyatakan yang أَفَمَن (siapa) yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad ﷺ sendiri dan شَاهِدٌ yang dimaksudkan adalah adalah Jibril عليه السلام. Iaitu, Nabi ﷺ sudah ada fitrah (kepada kebenaran) dalam diri baginda dan apabila Jibril عليه السلام membawa Al-Qur’an kepada baginda, baginda terus percaya kerana apa yang dibawa oleh Jibril عليه السلام itu bertepatan dengan apa yang ada dalam dirinya.

Allahu a’lam tidak perlu ditekankan yang mana satu yang paling tepat. Kesemua pendapat itu boleh digunakan. Yang penting kita kena belajar ilmu wahyu dan tidak ragu-ragu tentangnya.

 

وَمِن قَبْلِهِ كِتٰبُ مُوسَىٰ

dan sebelum itu, Kitab Nabi Musa;

Ini adalah saksi yang seterusnya bagi بَيِّنَةٍ. Perkataan كِتَابُ مُوسَىٰ (Kitab Musa) yang dimaksudkan adalah Kitab Taurat, kerana ia telah diturunkan kepada Nabi Musa عليه السلام. Maknanya, sebelum diturunkan Al-Qur’an itu, telah ada Kitab Taurat yang membawa mesej yang sama tentang Tauhid. Intisari yang ada di dalam Taurat itu sama seperti intisari yang ada di dalam Al-Qur’an. Ini menguatkan lagi hujah tentang akidah tauhid ini – kerana memang telah ada kitab suci sebelum Al-Qur’an lagi. Maka Kitab Taurat ini juga menjadi saksi kepada kebenaran Al-Qur’an.

Ini menunjukkan bahawa sebelum manusia diberikan dengan wahyu Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ telah sediakan Kitab lain lagi. Allah ﷻ tidak tinggalkan manusia tanpa pedoman. Maknanya, bukanlah umat tidak ada kitab rujukan langsung sebelum Al-Qur’an kerana Kitab Taurat itu ada, cuma mereka yang di Mekah sahaja yang tidak mengetahuinya.

Kenapa Allah ﷻ sebut Kitab Taurat tetapi tidak disebut Kitab Injil? Ini kerana,

1. Kitab Taurat adalah kitab induk Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Kitab Injil itu hanya menambah sahaja apa yang ada di dalam Kitab Taurat. Hukum hakam Kitab Taurat masih lagi berjalan walaupun Kitab Injil telah diturunkan.

2. Kitab Taurat juga diterimapakai oleh puak Nasrani. Sedangkan Kitab Injil tidak diterima oleh puak Yahudi. Maka cukup Allah ﷻ sebut Kitab Taurat yang dipegang oleh dua-dua puak itu.

 

إِمَامًا وَرَحْمَةً

yang menjadi ikutan dan rahmat

Ini adalah penjelasan kepada Kitab Taurat itu. ‘Imam’ itu adalah sesuatu yang dijadikan ikutan. Asalnya ia bermaksud sesuatu yang berada di depan kita (أمام) kerana itu dalam solat, kita akan ikut imam yang berada di hadapan kita. Apabila ia berada di hadapan, maka ia menjadi pemandu dan pedoman. Maka, kita kena jadikan kitab Kalam Allah ﷻ di hadapan kita sebagai pemandu kita. Zaman Nabi Musa, ia adalah Taurat, maka zaman sekarang tentulah Al-Qur’an yang kena diletakkan di hadapan. Bukannya letak Al-Qur’an di belakang dan ditinggalkan begitu sahaja.

Taurat menjadi rahmat kerana mengeluarkan manusia daripada kegelapan syirik kepada cahaya iman yang sebenar. Begitu jugalah Al-Qur’an itu menjadi rahmat dan ikutan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Ini disebut dalam Isra’: 82

وَنُنَزِّلُ مِنَ القُرآنِ ما هُوَ شِفاءٌ وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ
Dan Kami turunkan daripada Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.

Itu pun kalau diikuti. Kalau setakat baca sahaja tetapi tidak faham, tentu mereka tidak tahu apa yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Tambahan lagi kalau mereka hanya tahu baca Surah Yaasin sahaja pada malam Jumaat. Atau mereka hanya baca Al-Qur’an pada majlis kematian dan Majlis Tahlil sahaja. Itu bukannya mereka baca untuk mendapat panduan, tetapi sebagai memenuhi ‘adat’ sahaja.

 

أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ

Orang-orang yang berkeadaan demikian, beriman dengannya (Al-Qur’an);

Maka hendaklah beriman dan beramal dengan Al-Qur’an. Sebelum Al-Qur’an diturunkan, Kitab Taurat telah diturunkan kepada manusia. Ia juga adalah kalam Allah ﷻ. Ia menjadi pedoman dan pegangan manusia juga pada waktu itu. Kepada mereka yang betul-betul beriman dan berpegang dengan Taurat, mereka tidak boleh lari daripada beriman dengan kalam Allah ﷻ yang diturunkan selepasnya: Al-Qur’an. Kerana di dalam Taurat itu mengandungi ajaran akidah yang sama dengan Al-Qur’an.

Tambahan pula, ahli-ahli agama dalam agama Yahudi sudah tahu bahawa akan turun Rasul terakhir di tanah Arab. Lebih tepat lagi, di Madinah. Sebab berita itu telah tertulis dalam kitab-kitab mereka. Sebab itulah mereka ramai yang telah berada di Madinah kerana mereka menunggu Nabi akhir zaman itu kerana tanda-tanda dalam kitab mereka menunjukkan bahawa Rasul baru itu akan muncul di Madinah. Malah tanda-tanda pengenalan Nabi Muhammad ﷺ juga mereka sudah tahu. Cuma mereka tidak mahu terima sahaja setelah nyata bahawa Rasul yang dimaksudkan itu adalah Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tidak dapat terima kerana Rasul yang baru itu bukan daripada bangsa mereka tetapi daripada bangsa Arab.

Sebaliknya mereka yang benar-benar beriman dengan Kitab Taurat, mereka akan terima Al-Qur’an dan terima Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu mereka yang jujur dengan ilmu yang mereka sendiri sudah ada. Antara yang kita selalu dengar adalah seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Salam رضي الله عنه. Beliau adalah seorang pendeta Yahudi, maka beliau mahir dengan kitab Taurat dan kitab-kitab agama Yahudi. Apabila telah nyata kepadanya bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu benar-benar seorang Rasul, beliau telah menjadi seorang Muslim dan menjadi sahabat Nabi yang terkenal. Tentu ada lagi dalam kalangan Yahudi yang telah masuk Islam juga seperti beliau. Seorang lagi yang terkenal adalah Salman al Farisi رضي الله عنه. Beliau telah mengembara untuk mencari agama yang benar dan akhirnya beliau menunggu Nabi Muhammad ﷺ di Madinah. Setelah beliau melihat tanda-tanda yang ada pada baginda, beliau -pun terus beriman.

 

وَمَن يَكْفُرْ بِهِ مِنَ الْأَحْزَابِ

dan sesiapa yang ingkar akan Al-Qur’an itu daripada kumpulan-kumpulan kaum kafir,

Siapakah yang dimaksudkan dengan ‘kumpulan-kumpulan’ itu? Surah ini diturunkan di hujung era Nabi Muhammad ﷺ di Makkah. Waktu itu sudah ada kumpulan-kumpulan seperti musyrik, Kristian dan Yahudi dan lain-lain lagi. Mereka itulah kumpulan-kumpulan yang dimaksudkan.

Selain itu ada banyak kumpulan yang tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Maka, sesiapa sahaja penduduk bumi yang tidak beriman dengan Al-Qur’an, sama ada mereka itu kafir atau mengaku sebagai orang Islam, maka ancaman bagi mereka adalah:

 

فَالنَّارُ مَوْعِدُهُ

maka nerakalah yang menjadi perjanjiannya.

Mereka yang tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, dijanjikan neraka bagi mereka. Maka kerana itu orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an sampai habis 30 juzuk, tidak layak untuk masuk syurga! Jadi ini bukanlah perkara main-main. Dan bukan dengan Al-Qur’an sahaja kena beriman, kerana untuk masuk syurga, salah satu syaratnya adalah beriman dengan kenabian Nabi Muhammad ﷺ sebagai pembawa Al-Qur’an itu sendiri. Imam Muslim رحمه الله ada meriwayatkan hadith daripada Nabi ﷺ:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ ‏ “‏ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلاَ نَصْرَانِيٌّ ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلاَّ كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ ‏”‏ ‏.‏
Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah ﷺ baginda bersabda: “Demi Dzat yang jiwaku berada di Tangan-Nya, tidak seorang pun daripada umat ini, baik Yahudi mahupun Nasrani yang mendengarku kemudian dia tidak beriman kepadaku melainkan dia akan masuk neraka.”
(Sahih Muslim (153))

Oleh kerana mereka tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka telah kufur dan tempat mereka adalah neraka.

 

فَلَا تَكُ فِي مِرْيَةٍ مِّنْهُ

Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Qur’an,

Apabila wahyu yang datang daripada Allah ﷻ itu jelas (بَيِّنَةٍ) maka janganlah ragu-ragu lagi. Begitulah yang disebut di dalam Baqarah: 147

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ
Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

Kalimah مِرْيَةٍ adalah sesuatu yang benar tetapi kemudian manusia ragu-ragu padanya. Allah juga berfirman di dalam Baqarah:2

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ
Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Apabila Nabi ﷺ disuruh jangan ragu-ragu, maka kita pun begitu juga, jangan ragu-ragu dengan Al-Qur’an yang ada pada kita ini. Namun kalau tidak belajar apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini (dengan belajar tafsir), bagaimana kita boleh yakin dengan Al-Qur’an? Tentu tidak, maka kenalah belajar tafsir. Kalau tidak teringin hendak belajar tafsir Al-Qur’an, maka itu menandakan orang itu tidak benar-benar yakinlah dengan Al-Qur’an, bukan?

Apabila Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ jangan ragu-ragu, bukanlah bermakna baginda ada ragu-ragu. Namun ia adalah supaya Nabi ﷺ sampaikan kepada kita supaya jangan ragu-ragu. Jangan pula ada yang tafsir dengan mengatakan Allah menegur Rasulullah yang ragu dengan Al-Qur’an.

 

إِنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ

kerana sesungguhnya Al-Qur’an itu adalah perkara yang benar daripada Tuhanmu,

Kalau Al-Qur’an itu benar daripada Allah ﷻ, kenapa kita tidak mahu mempelajarinya? Kenapa masih ada lagi sebahagian daripada kita yang masih buat tidak kisah dengan Kalam Allah ﷻ ini? Adakah kita ragu-ragu tentang berita yang disampaikan di dalamnya?

Atau adakah kita ragu-ragu kepentingan Al-Qur’an itu dalam kehidupan kita? Adakah kita ragu-ragu dengan panduan Al-Qur’an ini yang boleh membawa kita kepada jalan yang benar dan seterusnya membawa ke syurga? Ini perkara yang kita perlu fikirkan dengan mendalam.

Amat malang apabila kita abaikan Al-Qur’an ini sedangkan ia adalah pemberian daripada Allah ﷻ. Ia menjadi tandanya sayangnya Allah ﷻ kepada kita. Allah ﷻ sebut di dalam Surah Rahman ayat 2,

عَلَّمَ الْقُرْءآنَ
Dialah yang mengajarkan Al-Qur’an.

Surah ini menyebut banyak rahmat-rahmat yang diberikan kepada kita makhluk-Nya dan yang paling awal disebut adalah Al-Qur’an! Menunjukkan ia adalah rahmat yang terbesar.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut مِن رَّبِّكَ (daripada Tuhanmu) dan bukannya مِنَ اللهِ (daripada Allah ﷻ). Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menekankan sifat Rabb itu. Dialah yang menjadikan kita, mendidik (tarbiyah) kita dan sayangkan kita. Maka takkan Allah ﷻ yang memberi tarbiyah kerana sayangkan kita akan memberikan sesuatu yang buruk dan tidak bermanfaat kepada kita?

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepadanya.

Walaupun Al-Qur’an itu benar, namun hakikatnya, ramai manusia yang tidak mempercayainya. Termasuklah dalam kalangan umat Islam pun begitu juga. Ramai daripada kita yang percaya Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ, tetapi mereka belum mahu belajar maknanya dengan tidak mahu belajar tafsir. Sama ada mereka tidak mahu belajar apabila diajak, atau mereka tidak kisah. Itu pun seperti tidak percaya juga, kerana kalau percaya sungguh, tentu mereka akan berusaha untuk mempelajarinya, bukan? Begitulah nanti Nabi Muhammad akan mengadu kepada Allah tentang umatnya yang tidak mengendahkan Al-Qur’an seperti disebut di dalam Furqan:30

وَقالَ الرَّسولُ يٰرَبِّ إِنَّ قَومِي اتَّخَذوا هٰذَا القُرآنَ مَهجورًا
Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Qur’an itu sesuatu yang tidak diacuhkan”.

Mereka itu dianggap tidak percaya kepada Al-Qur’an juga kerana apabila kita beri hujah kepada mereka yang datang daripada Al-Qur’an, mereka kata: “Ya kah? Betulkah begitu?”. “Itu faham kamu sahaja.” “Itu tafsiran kamu sahaja.” “Guru saya kata lain maksud ayat itu” dan macam-macam lagi hujah mereka. Padahal mereka bukan belajar tafsir Al-Qur’an pun. Amat hairan sekali, orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tetapi kata tafsiran kita salah pula.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa kebanyakan manusia tidak beriman. Ada yang kata kalau Islam itu benar, kerana tidak ramai ikut? Mereka kata sepatutnya kalau ia adalah kebenaran, tentu ramai yang akan beriman dengannya. Itu hanya logik akal mereka sahaja kerana dalam fahaman mereka, kalau sesuatu itu baik, tentulah ramai yang akan menyokongnya, bukan? Maka, Allah ﷻ sudah jawab dalam ayat ini, memang telah ditakdirkan tidak ramai umat manusia yang beriman. Jangan hairanlah kalau ramai tidak beriman; jangan hairanlah juga kalau ramai tidak mahu menerima jalan Sunnah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2025

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Hud Ayat 15 – 16 (Bolehkah ambil upah dalam mengajar?)

KEINDAHAN DUNIA YANG SEMENTARA

Hud Ayat 15: Ini adalah ayat Zajrun dan Takhwif. Iaitu teguran kepada mereka yang mementingkan keduniaan sahaja.

Di sini juga ada teguran kepada guru-guru yang mengambil upah dalam mengajar. Guru mengajar agama sebenarnya tidak boleh meminta upah dalam mengajar. Ini berbeza dengan guru-guru yang ditugaskan mengajar oleh kerajaan seperti guru KAFA dan yang seperti itu, mereka boleh makan gaji kerana mereka telah dilantik oleh kerajaan.

Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang tidak bekerja dengan kerajaan. Yang mengajar di surau-surau, masjid-masjid dan sebagainya. Mereka yang kebiasaannya menjana pendapatan melalui mengajar agama. Mereka yang menetapkan harga bayaran. Paling kurang yang kita dengar, sekali mengajar tidak sampai dua jam, dikenakan bayaran RM500. Kalau sudah terkenal, sampai beribu-ribu ringgit bayaran pun ada. Ada yang hidup mewah hasil daripada mengajar agama.

Ayat ini adalah ayat teguran kepada sesiapa mengajar ugama yang mbil upah dan ia juga berkenaan mereka yang buat ibadat dan ambil upah. Sebagai contoh, ambil duit bila solat jenazah, Solat Hajat, baca Talqin, baca Doa Selamat, upah tunggu kubur bila seseorang baru meninggal, menjadi imam Solat Terawih dan macam-macam lagi.

مَن كانَ يُريدُ الحَيَوٰةَ الدُّنيا وَزينَتَها نُوَفِّ إِلَيهِم أَعمٰلَهُم فيها وَهُم فيها لا يُبخَسونَ

Sahih International

Whoever desires the life of this world and its adornments – We fully repay them for their deeds therein, and they therein will not be deprived.

Malay

Sesiapa yang usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Qur’an tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.

 

مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَوٰةَ الدُّنْيَا

Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia

Manusia tentunya suka dengan dunia kerana hidup di atas dunia ini. Akan tetapi kebanyakkannya tidak sedar bahawa dunia ini adalah ujian. Kadangkala ada antara mereka yang sedar juga mudah lalai dan leka dengan keindahan dan keseronokan dunia ini. Maka keindahan ini mengalihkan perhatian kita daripada membuat persediaan yang sepatutnya kepada akhirat. Kalau dunia dilebihkan daripada akhirat, maka itu adalah masalah. Dunia ini bukanlah kita kena tolak, akan tetapi janganlah sampai akhirat diabaikan.

Kalimah yang digunakan adalah مَن كَانَ يُرِيدُ iaitu mereka yang hanya mahukan dunia. Yang langsung tidak memandang kepada akhirat. Sama ada tidak percaya kepada akhirat seperti orang kafir, atau orang Muslim namun hanya percaya kepada akhirat secara teori sahaja. Akan tetapi sekiranya dia tidak mengabaikan akhirat dan berusaha kepada dunia demi melangsungkan kehidupannya, tidaklah ada masalah. Ia bergantung kepada niat seperti disebut dalam hadith yang masyhur:

عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الْمِنْبَرِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
[Umar bin Al Khathab رضي الله عنه] di atas mimbar berkata; saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Semua perbuatan tergantung niatnya, dan (balasan) bagi tiap–tiap orang (tergantung) apa yang diniatkan; Barangsiapa niat hijrahnya kerana dunia yang ingin digapainya atau kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia diniatkan“
(Sahih Bukhari (1))

Antara yang gagal dengan ujian dunia adalah guru-guru agama. Iaitu mereka yang ajar agama dan buat ibadat kerana hendakkan upah. Mengapakah mereka hendakkan juga balasan di dunia, dan tidak buat ibadat-ibadat itu dengan ikhlas kerana Allah ﷻ sahaja? Kerana kalau serah diri kepada Islam, mereka sangka mereka tidak dapat dunia. Mereka fikir mereka kena makan, kena ada pakaian dan sebagainya. Mereka takut mereka jatuh miskin kalau mereka tidak minta upah, mereka akan kelaparan atau kesusahan hidup.

Ini adalah isu yang agak sensitif juga kerana ramai yang melakukannya. Kalau tidak boleh ambil upah langsung, bagaimana para ustaz dan ustazah yang kerja mereka memang mengajar sahaja? Apa yang mereka makan kalau tidak ada imbuhan daripada pelajar? Tentulah mereka susah.

Bagi mereka yang berfikiran sebegitu, maka mereka boleh ambil sumbangan daripada pelajar. Akan tetapi janganlah letak harga yuran. Kalau mereka letak yuran, maka ada orang miskin yang tidak dapat belajar kerana tidak ada harta langsung. Sedangkan belajar itu wajib. Maka guru agama jangan letak yuran, terpulang kepada pelajar untuk beri berapa yang mereka mampu. Namun ramai yang takut kalau mereka tidak letak harga, tiada orang akan beri duit kepada mereka. Mereka mengharapkan pemberian daripada anak-anak murid mereka. Ini kerana mereka mahukan kehidupan yang senang.

Bagi para pelajar pula, kenalah faham susah senang guru agama mereka. Ada yang memang ada pekerjaan lain, tidak mengapalah kalau belajar percuma sahaja tetapi bagaimana kalau guru agama mereka tidak ada pekerjaan lain? Berikanlah sumbangan setakat yang mampu kerana para ustaz itu sudah melakukan suatu kerja yang mulia iaitu membimbing anda dalam hal agama. Maka ringan-ringankanlah tangan dengan menghulur.

 

وَزِينَتَهَا

dan perhiasannya;

‘Kehidupan dunia’ bermaksud ‘upah’ dari segi kebendaan. ‘Perhiasannya’ pula bermaksud perkara lain seperti glamor, pujian dan pujaan, menjadi terkenal pangkat dan kemasyhuran. Kadang-kadang manusia tidak mahukan duit sebab mereka sudah memiliki banyak duit, sebaliknya mereka mahu menjadi terkenal. Mereka hendak orang rujuk mereka kalau ada hal apa-apa. Mereka bangga menjadi tempat rujukan.

Atau, ada pendapat yang mengatakan زِينَة adalah tambahan lagi. Contoh الْحَيَوٰةَ الدُّنْيَا umpamanya seperti kereta dan زِينَة adalah kereta yang mewah seperti BMW. Inilah yang didambakan oleh manusia yang mementingkan kebendaan, bukan? Mereka sukakan barang-barang mewah dan bangga dipandang manusia. Ini ada masalah sebenarnya kerana sudah terjatuh ke dalam perangkap materialistik.

Di dalam Kahf: 46 Allah ﷻ menafsirkan apakah yang dimaksudkan dengan زِينَة itu.

المالُ وَالبَنونَ زينَةُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia

Allah ﷻ beri contoh زِينَة iaitu harta dan anak pinak. Apakah persamaan keduanya? Keduanya tidak kekal dan bukan selamanya berada bersama-sama kita. Kalau kita beli rumah baru, 2 atau 3 buah, entah berapa lama sahaja kita duduk di situ. Mungkin setahun sekali sahaja kita singgah. Anak-anak pun selalunya bukan duduk dengan kita pun. Maksudnya ia bukanlah benda yang utama dalam kehidupan pun.

Di dalam Ali Imran:14 Allah ﷻ beri lagi contoh apa yang dikatakan sebagai زِينَة itu.

زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوٰتِ مِنَ النِّساءِ وَالبَنينَ وَالقَنٰطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ وَالأَنعٰمِ وَالحَرثِ ۗ ذٰلِكَ مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia.

Dunia ini serta segala isinya tidak kekal lama. Namun malangnya ramai manusia yang mengambil kehidupan dunia dan menggantikannya dengan amal mereka. Mereka terpesona dengan dunia lalu terikut-ikut dengan orang yang ada keduniaan seperti Qarun dan ini disebut dalam Qasas: 79

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ في زينَتِهِ ۖ قالَ الَّذينَ يُريدونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا يٰلَيتَ لَنا مِثلَ ما أوتِيَ قٰرونُ إِنَّهُ لَذو حَظٍّ عَظيمٍ
Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

Inilah masalah yang banyak dihadapi oleh umat manusia. Manusia tertipu dengan imbuhan dunia sampaikan bagi umat Islam, untuk ibadat pun mereka hendak upah. Sebagai contoh, mereka yang solat jenazah, mereka ambil upah. Sekurang-kurangnya, setiap orang akan dapat RM10 kalau di Malaysia ini. Itu kepada jemaah, kalau kepada imam, lebih lagi sekurang-kurangnya RM50. Ada tempat yang pernah kedengaran, puak surau tanya: “Makcik nak bayar upah berapa ringgit?” Ma sha Allah?! Kenapa sampai teruk begitu sekali?


Sampaikan keluarga si mati akan pening kepala kalau ada kematian ahli keluarga mereka. Mereka terpaksa bersusah payah untuk menyiapkan duit untuk membayar upah orang yang solat jenazah itu. Itu belum dicampur dengan upah mandi mayat, upah kafan, upah bawa mayat ke kubur, upah baca talqin.

Kos itu belum termasuk lagi untuk beri makan kepada perut-perut mereka yang datang berziarah si mati. Sampai ada yang bergadai untuk keluarkan duit buat kenduri. Ada yang sampai kena keluar 9 ribu ringgit untuk upah kepada orang yang solat jenazah itu. Itu belum termasuk bayaran kepada orang yang tunggu kubur.

Amalan ini selalunya dibuat oleh sekolah-sekolah pondok. Mereka yang banyak mengajar bayar upah perkara sebegini. Mereka sudah ada ‘senarai pakej bayaran’ untuk diberikan kepada orang ramai: kalau jadi imam berapa bayaran, jadi jemaah solat berapa bayaran, baca talqin berapa, tunggu kubur sehari semalam berapa, tiga malam berapa, seminggu berapa.

Masalahnya, apabila dimulakan oleh guru-guru dan pelajar pondok, maka masyarakat yang jahil agama, sangka itulah perkara yang benar. Mereka sangka tentulah pelajar dan guru-guru pondok itu betul agama mereka. Maka, masyarakat sudah rasa biasa sahaja kena keluarkan beribu ringgit begitu. Walaupun susah, namun kerana mereka sangka memang itu yang kena buat dalam agama, maka mereka keluarkanlah juga.

Yang kenyang adalah mereka yang kononnya ‘orang agama’ di kampung itu – termasuklah tok imam, pak lebai, tok siak, ahli surau/masjid dan sesiapa sahaja, termasuklah guru-guru dan pelajar pondok. Mereka memang tidak berhati perut. Sudahlah orang yang kematian ahli keluarga itu dalam kesedihan dan dalam kesusahan kerana ada ahli keluarga mereka yang mati, mereka sanggup lagi susahkan orang sebegitu? Mereka inilah antara golongan penunggang agama di peringkat tertinggi sekali!

Pernah berlaku, ahli keluarga si mati hanya membenarkan beberapa orang sahaja menjadi makmum Solat Jenazah kerana dia hanya mampu membayar beberapa orang sahaja. La hawla wal quwata ilabillah, apa sudah jadi dengan masyarakat kita? Kenapa jahil agama sangat? Kenapa senang sangat ditipu oleh mereka yang suka mengambil kesempatan?

Adakah ini bermakna orang-orang miskin yang tidak mampu bayar kepada juak-juak ini tidak boleh mati? Sebab kalau mati, entah berapa banyak duit yang perlu dikeluarkan? Adakah nanti ada golongan masyarakat miskin terpaksa buang sahaja mayat ahli keluarga dalam lubang atau parit sebab tidak mampu sediakan kos pengebumian jenazah?

Sekiranya anda tidak pernah mengalami perkara ini, kerana belum ada ahli keluarga anda yang mati, maka kalau ada dengar sesiapa yang mati dalam masyarakat anda, pasanglah telinga dan dengarlah berapakah bayaran yang perlu dikeluarkan kepada pengambil-pengambil upah itu. Kalau boleh, tegurlah sedikit kepada mereka yang jenis sebegini. Mereka mungkin berani buat kerana tidak ada orang tegur mereka.

Cubalah tegur sekali, bagi mereka fikir dan gunakan otak mereka. Bukankah segala amal ibadat itu perlu dilakukan kerana ikhlas? Bukan semata-mata hendak buat duit sahaja?

Itu baru upah solat jenazah. Bagaimana pula dengan ‘Doa Selamat’? Kenduri Tahlil? Solat Hajat dan lagi dan lagi? Pengetahuan serba sedikit baca doa dan baca zikir sudah boleh menjadi modal untuk dijadikan sebagai satu profesi di Malaysia ini. Boleh pakai kereta mewah kalau terkenal. Boleh kahwin dua tiga empat dan lima. Untuk imam kampung, amalan ini sudah menjadi salah satu pendapatan tambahan pula (selain daripada menjadi imam terlantik, boleh buat duit tambahan tukang baca doa).

Masyarakat kita pula memang sudah tersedia jahil, tidak dapat dinafikan lagi. Mereka sampai tidak tahu cara untuk melakukan perkara asas dalam agama. Kerana itulah mereka terpaksa panggil ‘orang surau’, ‘orang masjid’ untuk doa, uruskan jenazah, uruskan itu dan ini. Maka mereka pun terpaksalah bayar kepada pengambil upah itu.

Walaupun jahil, apabila diajak belajar, mereka tidak mahu pula, katanya sibuk dengan hal-hal dunia lain. Maka, berterusanlah masyarakat kita dalam keadaan kena ditipu sahaja. Disebabkan beterusan jahil, akhirnya mereka asyik ‘outsource’ segala perkara agama kepada orang lain.

نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمٰلَهُمْ فِيهَا

maka Kami akan sempurnakan amalan-amalan mereka di dunia,

Allah ‎ﷻ beri imbuhan kepada mereka yang mahu upah itu semasa di dunia seperti yang mereka ingini kerana mereka hendakkan harta, Allah ﷻ akan beri harta kepada mereka. Kerana mereka hendak makan nasi kenduri, Allah ﷻ beri mereka makanan itu. Kerana mereka hendak kedudukan, Allah ﷻ beri kedudukan yang mereka mahukan.

Mereka inilah penunggang agama yang dikenali sebagai tok siak, bilal, tok imam dan apa-apa sahaja yang mereka mahu. Tidak ada masalah kepada Allah ﷻ untuk beri apa yang mereka mahu kerana segala perhiasan dunia ini tidak ada nilai apa-apa pun sebenarnya. Berapa sahaja mereka mahu, Allah ﷻ boleh beri kepada mereka. Namun ingatlah, mereka tidak mendapat ganjaran pahala.

Rasulullah ﷺ telah bersabda tentang hal ini:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَتْ الْآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ وَمَنْ كَانَتْ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهُ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنْ الدُّنْيَا إِلَّا مَا قُدِّرَ لَهُ
Daripada [Anas bin Malik] berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa yang keinginannya hanya kehidupan akhirat maka Allah ﷻ akan memberi rasa cukup dalam hatinya, menyatukan urusannya yang berserakan dan dunia datang kepadanya tanpa dia cari, dan barangsiapa yang keinginannya hanya kehidupan dunia maka Allah ﷻ akan jadikan kemiskinan selalu membayang-bayangi di antara kedua matanya, mencerai beraikan urusannya dan dunia tidak akan datang kepadanya kecuali sekadar apa yang telah ditentukan baginya.”
(Jami’ Tirmidzi (2389))
Disahihkan oleh Albani

 

وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ

dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.

Mereka tidak boleh mengadu nanti di akhirat yang mereka tidak dapat apa yang mereka sepatutnya dapat kerana Allah ﷻ sudah beri wang, kedudukan dan kemewahan yang mereka mahukan itu semasa di dunia lagi. Tidak kurang sedikit pun.

Bagi orang kafir pun begitu juga. Iaitu ramai yang berbuat baik, derma sana sini, bukan? Maka balasan kepada mereka akan dipenuhi di dunia lagi. Kalau mana-mana dermawan kafir itu mereka akan perasan, lagi banyak mereka menderma, lagi banyak keuntungan rezeki mereka dapat. Akan tetapi mereka hanya dapat ganjaran di dunia sahaja lah. Apabila di akhirat kelak, tidak ada balasan dalam bentuk pahala kepada mereka.

Kalimah بْخَسُ digunakan apabila dalam sistem pertukaran barter, tidak sama nilai satu barang dengan barang yang dipertukarkan. Ayat ini bermaksud, mereka akan dapat apa yang mereka patut dapat, tidak dikurangkan. Mereka sudah dapat segala perkara itu di dunia, maka jangan tuntut lagi di akhirat nanti.

Bagi orang Islam pula, segala amal ibadat mereka, segala yang mereka ajar itu, mereka tidak akan dapat pahala sebagai bekalan di akhirat. Allah ﷻ sudah ‘bayar’ siap-siap di dunia lagi.

Di sini Allah ﷻ kata mereka akan diberi dan tidak dikurangkan. Akan tetapi mungkin ada yang bertanya, ramai yang sudah berusaha tetapi mereka tidak dapat banyak pun. Malah yang ada susah papa kedana walaupun setelah berusaha. Boleh rujuk ayat lain iaitu Isra’: 18

مَن كانَ يُريدُ العاجِلَةَ عَجَّلنا لَهُ فيها ما نَشاءُ لِمَن نُريدُ
Barangsiapa menghendaki yang segera, maka Kami segerakan baginya dari itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki

Maknanya, apa yang mereka dapat itu tertakluk kepada kehendak Allah ﷻ juga. Allah ﷻ akan beri apa yang Dia mahu beri bergantung kepada kebijaksanaan Allah ﷻ. Ini kita tidak boleh persoalkan kenapa kerana Allah ﷻ yang Maha Bijaksana dalam memberi.


 

Hud Ayat 16: Apakah yang mereka akan dapat di akhirat kelak?

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَيسَ لَهُم فِي الآخِرَةِ إِلَّا النّارُ ۖ وَحَبِطَ ما صَنَعوا فيها وَباطِلٌ ما كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

Those are the ones for whom there is not in the Hereafter but the Fire. And lost is what they did therein, and worthless is what they used to do.

Malay

Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.

 

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ

Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada api neraka,

Mereka yang mementingkan dunia dan tidak beriman akan mendapat balasan neraka sahaja. Inilah balasan yang layak bagi mereka. Ini juga telah disebut dalam Isra’: 18 yang sebahagiannya telah dikongsi di atas. Sambungannya,

ثُمَّ جَعَلنا لَهُ جَهَنَّمَ يَصلاها مَذمومًا مَدحورًا
dan Kami tentukan baginya neraka jahannam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.

Begitu juga bagi mereka yang mengajar kerana hanya mahukan harta dan mereka yang beribadat kerana mahu upah sahaja. Amalan mereka akan diganti dengan api neraka atas upah yang mereka ambil itu. Mereka tidak dapat pahala, tetapi diganti dengan api neraka. Bayangkan betapa beratnya hukuman yang dikenakan. Mereka sangka kecil sahaja RM10, RM50, RM200 itu. Mereka tidak tahu bahawa hasil yang mereka ambil itu adalah balasan neraka daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ akan balas ganti upah mereka itu dengan api neraka! Fikirlah balik, berbaloikah?

Namun begitu ramai yang tidak dapat terima apa yang kita cakap ini. Kalau ditegur, imam-imam yang buat kerja-kerja ini, mereka tidak dapat terima hujah ini dan mereka akan marah. Kalau kita mengajar di masjid mereka, lepas tegur sudah tidak dibenarkan untuk mengajar di sana lagi. Mereka kata kita memandai-mandai sahaja bawa ajaran baru. Mereka kata kita Wahabi, puak sesat dan sebagainya. Mereka marah kerana punca pendapatan mereka telah tiada kalau manusia terima ajaran Sunnah ini.

Orang yang beriman mengharapkan balasan di akhirat, bukan di dunia. Mereka sedar ganjaran di akhirat adalah berlebih-lebih kali ganda daripada apa yang telah dilakukan. Sampaikan ada sahabat yang takut apabila mereka mendapat kemewahan, kerana mereka takut tidak ada balasan bagi mereka di akhirat kelak – kerana mereka lebih pentingkan balasan di akhirat, bukan di dunia.

Ini berlaku setelah kerajaan Islam berkembang, sehingga para sahabat telah mendapat banyak kekayaan. Mereka takut apabila mereka mendapat kekayaan itu kerana mereka takut mereka dibalas di dunia sahaja, sedangkan mereka hendak amalan dan pekerjaan agama yang mereka lakukan itu dibalas di akhirat, bukan di dunia.

 

وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا

dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan semasa di dunia,

Amalan-amalan ibadat yang mereka telah buat itu, tiada nilai. Tidak dapat pahala langsung. Gugur segala pahala solat mereka, baca doa mereka, dan sebagainya.

Kalimah صَنَعُوا bermaksud berbuat sesuatu yang mengambil masa. Ada proses yang terlibat dalam melakukannya. Memang ibadat itu mengambil masa untuk dilakukan. Sepatutnya bolehlah diharapkan pahala daripada amalan itu. Namun malangnya bagi mereka yang tidak ikhlas, tidak ada balasan langsung.

Bagi orang kafir yang telah melakukan kebaikan, pun tidak ada pahala bagi mereka. Walaupun apa yang mereka lakukan semasa hidup itu memberi kebaikan kepada manusia yang ramai. Bukannya Allah ﷻ tidak balas, tetapi Allah ﷻ balas kepada mereka di dunia lagi supaya mereka tidak boleh tuntut di akhirat.

 

وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.

Kalau buat sesuatu amal ibadat kerana mahukan upah, maka batal amalan yang mereka lakukan. ‘Batal’ bermaksud tidak ada nilai di sisi Allah ﷻ. Kalau solat jenazah, solat mereka batal, tidak sah.

Maka bayangkan: kalau semua yang solat itu terima upah, bermakna solat jenazah itu tidak sah lagi. Kalau tanam terus, maka jenazah itu belum disolatkan lagi. Kita tidak kasihankah, tanam si mati tanpa disolatkan lagi?

Mujahid mengatakan termasuk di dalam ayat ini adalah mereka yang melakukan sesuatu amalan kerana riya’ (menunjuk-nunjuk sahaja). Tidak ada pahala apa yang mereka dapat daripada amalan itu walaupun amalan itu benar dan bagus kerana yang dikira adalah amal daripada hati juga iaitu ikhlas kerana Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Ogos 2023


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 13 – 14 (Cabaran buat surah seperti Al-Qur’an)

MENCABAR GOLONGAN MUSYRIKIN

Hud Ayat 13: Ayat Syikayah (rungutan daripada Allah ﷻ) dan Zajrun. Allah ﷻ sekarang beritahu apa lagi hujah golongan yang menolak itu. Ayat sebelum ini mereka menolak kerana Nabi Muhammad ﷺ miskin dan lemah.

Mereka juga minta kalau benar baginda itu Nabi, maka tunjuklah kekayaan dan tunjuklah malaikat. Di dalam ayat-ayat lain ada disebut mereka minta mukjizat daripada baginda. Sekarang Allah ﷻ sentuh tentang satu mukjizat yang memang sudah ada, iaitu Al-Qur’an.

أَم يَقولونَ افتَرىٰهُ ۖ قُل فَأتوا بِعَشرِ سُوَرٍ مِّثلِهِ مُفتَرَيٰتٍ وَادعوا مَنِ استَطَعتُم مِّن دونِ اللَّهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

Or do they say, “He invented it”? Say, “Then bring ten surahs like it that have been invented and call upon [for assistance] whomever you can besides Allah, if you should be truthful.”

Malay

Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Qur’an itu! “katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرىٰهُ

Atau mereka menuduh dengan mengatakan: “Dia (Muhammad) mereka-reka;

Musyrikin Mekah ada yang menuduh bahawa Nabi Muhammad ﷺ sendiri mereka-reka ayat-ayat dalam Al-Qur’an itu. Mereka kata Nabi Muhammad ﷺ buat perkara bid’ah (perkara baru) dalam agama pula kerana mereka kononnya berpegang dengan syariat Nabi Ibrahim عليه السلام dan mereka kata Nabi Muhammad ﷺ bawa benda yang baru pula.

Padahal, syariat Nabi Ibrahim عليه السلام itu mereka yang telah ubah-ubah dan tambah sendiri ikut suka mereka. Macam zaman sekarang, apabila kita bawa ajaran Sunnah yang kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan Sunnah Nabi, puak ahli bid’ah pula yang kata kita yang bawa ajaran baru. Padahal merekalah yang bawa ajaran baru yang tidak ada dalam ajaran Islam. Begitulah manusia akan tuduh orang lain walaupun dia sendiri yang buat. Pencuri contohnya akan senang menuduh orang lain mencuri.

Memang ada persamaan sedikit syariat Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Seperti nikah kahwin dan cerai, memang ada persamaan. Banyak persamaan yang masih lagi diamalkan pada zaman Nabi Muhammad ﷺ pun. Maka, ada yang Nabi ﷺ teruskan dan ada yang Nabi ﷺ tukar.

 

قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيٰتٍ

katakanlah (wahai Muhammad): “maka datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu.

Kalimah مُفْتَرَيَاتٍ bermaksud buatan/rekaan. Kalau kamu kata Al-Qur’an itu buatan manusia, maka tentu kamu boleh buatkan yang sama seperti itu juga bukan? Kamu tentu lagi pandai daripada Muhammad ﷺ, kerana kamu lebih pandai tentang bahasa dan syair daripada baginda.

Maka, buatlah surah-surah yang sama setanding itu juga. Bukan banyak, buat sepuluh surah sahaja. Surah yang pendek-pendek pun tidak mengapa. Kalau kamu kata Nabi ﷺ yang buat, tentu kamu pun boleh buat juga, bukan?

Namun kena buat surah-surah yang sama lah dengan Al-Qur’an, sama hebat. Jangan buat lebih kurang sahaja. Kena setanding dengan Al-Qur’an yang dibacakan oleh Rasulullah ﷺ.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak mengingatkan kita kepada ketinggian Al-Qur’an itu. Dalam ayat pertama surah ini, telah diberitahu kepada kita bagaimana ayat-ayat Al-Qur’an itu bersifat أُحْكِمَتْ dan فُصِّلَتْ . Maka, mereka kenalah bawa surah yang bersifat begitu juga.

Mereka tidak akan boleh hendak membawakan sepuluh surah sepertinya. Jangan kata sepuluh surah, satu surah pun tidak mampu kerana ayat-ayat dalam Al-Qur’an itu bukanlah daripada percakapan manusia sepertimana Allah ﷻ itu tidak sama dengan makhluk. Maka Allah ﷻ telah ringankan cabaran itu seperti disebut dalam Baqarah: 23

وَإِن كُنتُم في رَيبٍ مِّمّا نَزَّلنا عَلىٰ عَبدِنا فَأتوا بِسورَةٍ مِّن مِّثلِهِ وَادعوا شُهَداءَكُم مِّن دونِ اللهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur’an) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Juga disebut cabaran ini sekali lagi di dalam Yunus:38

أَم يَقولونَ افتَرىٰهُ ۖ قُل فَأتوا بِسورَةٍ مِّثلِهِ وَادعوا مَنِ استَطَعتُم مِّن دونِ اللَّهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Qur’an menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang selain Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”.

Sudah tentulah mereka tidak boleh buat malah mereka sendiri mengaku betapa ayat-ayat Al-Qur’an itu menakjubkan. Sampai ada antara mereka tidak mahu dengar Nabi ﷺ membaca ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka kerana mereka takut kalau mereka dengar, mereka akan terpesona dan akan masuk Islam akhirnya. Mereka pun tidak benarkan orang lain mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan kerana mereka tahu, ramai yang akan masuk Islam dan ikut Nabi Muhammad ﷺ kalau dengar ayat-ayat Al-Qur’an yang menakjubkan itu.

 

وَادعوا مَنِ استَطَعتُم مِّن دونِ اللَّهِ

dan kamu panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah,

Cabaran diteruskan lagi: Panggillah sesiapa sahaja yang kamu hendak panggil. Kalau mahu panggil penyair-penyair yang terkenal pun boleh, hendak panggil orang Yahudi atau Nasrani pun boleh, ingin panggil jin atau tuhan-tuhan berhala yang kamu sembah itu pun boleh. Panggillah mereka untuk tolong kamu. Panggillah sesiapa sahaja yang kamu mampu, Allah ﷻ tidak kisah. Maknanya Allah ﷻ beri kemudahan kepada mereka untuk mudahkan mereka.

Panggillah sesiapa sahaja asalkan yang selain daripada Allah ﷻ kerana Nabi ﷺ itu manusia dan kamu kata manusia boleh reka Al-Qur’an, maka kamu rekalah juga surah-surah yang sama seperti Al-Qur’an. Tentu ada manusia yang kamu rasa hebat dalam bahasa sampai boleh membuat juga surah seperti surah-surah dalam Al-Qur’an itu.

 

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Ini adalah ayat cabaran daripada Allah ﷻ kepada mereka. Ada lagi ayat cabaran lain yang diberikan dalam Al-Qur’an.

Ada manusia yang masuk Islam disebabkan oleh ayat cabaran ini kerana ayat-ayat cabaran ini adalah menakjubkan. Kalau ada cabaran yang sebegini, tentunya ia adalah sesuatu yang benar. Bayangkan, kalau kita menulis sebuah buku, satu thesis atau seumpamanya, beranikah kita beri cabaran kepada manusia lain untuk kritik tulisan kita itu?

Kita pun tidak berani beri cabaran sebegitu sebab kita tahu tidaklah sempurna penulisan kita itu. Kadang-kadang salah eja, salah fakta dan sebagainya. Sebaliknya Allah ﷻ, dengan segala kesempurnaan-Nya, tidak gentar untuk mencabar manusia. Maka ramai yang terkesan dan takjub dengan cabaran Allah ﷻ ini dan mereka yakin yang memang Al-Qur’an ini daripada Allah ﷻ. Kalau selain daripada Allah ﷻ, tentu tidak berani beri cabaran sebegitu.


 

Hud Ayat 14:

فَإِلَّم يَستَجيبوا لَكُم فَاعلَموا أَنَّما أُنزِلَ بِعِلمِ اللَّهِ وَأَن لّا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَهَل أَنتُم مُّسلِمونَ

Sahih International

And if they do not respond to you – then know that the Qur’an was revealed with the knowledge of Allah and that there is no deity except Him. Then, would you [not] be Muslims?

Malay

Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Qur’an), maka ketahuilah bahawa Al-Qur’an itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?

 

فَإِلَّمْ يَسْتَجِيبُوا لَكُمْ

Oleh itu, jika mereka tidak dapat melaksanakan permintaan kamu

Iaitu, permintaan untuk tolong cuba buat yang sama seperti Al-Qur’an. Lihat bagaimana perkataan فَإِلَّمْ digunakan dalam ayat ini. Dari segi nahu, ayat itu dalam bentuk ‘past tense’. Bermakna, kafir musyrikin telah cuba untuk membuat seperti Al-Qur’an itu tetapi tidak berjaya.

Surah Hud ini diturunkan di hujung zaman Nabi ﷺ di Mekah (Peringkat Empat baginda di Mekah). Maka telah banyak perkara yang telah berlaku sebelum ayat ini diturunkan. Antaranya, mereka telah melakukan usaha untuk mencipta ayat-ayat seperti ayat-ayat Al-Qur’an itu. Namun tidak berjaya kerana apa sahaja yang mereka cuba bawakan, tidak sampai ke tahap bahasa Al-Qur’an yang indah dan mantap.

Mereka tidak mungkin dapat melakukannya seperti disebut dalam Baqarah: 24

فَإِن لَّم تَفعَلوا وَلَن تَفعَلوا فَاتَّقُوا النّارَ الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ ۖ أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

Al-Qur’an mengandungi 30 juzuk dan 114 surah, sehingga kini belum ada yang mampu menyahut cabaran Allah ﷻ untuk menandingi walau satu surah dalam Al-Qur’an hatta surah yang terpendek iaitu Surah al-Kautsar.

Orang Arab pada zaman tersebut menggunakan 16 cabang puisi atau syair antaranya ialah al-Rajs, al-Wafir, al-Muktatab dan al-Hajaz. Namun, mereka masih gagal mencipta ayat yang mampu menyamai sekurang-kurangnya sependek surah berkenaan. Allah ﷻ beritahu juga di dalam Isra’: 88

قُل لَئِنِ اجتَمَعَتِ الإِنسُ وَالجِنُّ عَلىٰ أَن يَأتوا بِمِثلِ هٰذَا القُرآنِ لا يَأتونَ بِمِثلِهِ وَلَو كانَ بَعضُهُم لِبَعضٍ ظَهيرًا
Katakanlah: “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al Qur’an ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekali pun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain”.

 

فَاعْلَمُوا أَنَّمَا أُنزِلَ بِعِلْمِ اللَّهِ

maka ketahuilah bahawa Al-Qur’an itu diturunkan hanyalah dengan ilmu Allah,

Kalau kamu dan mereka yang kamu minta tolong itu tidak boleh buat surah-surah yang serupa dengan Al-Qur’an, maka yakinlah kamu bahawa ia daripada Allah ﷻ. Takkan kamu mahu persoalkan lagi?

Memang mereka tidak mampu buat, dari dulu sampai sekarang. Memang ada sampai kepada kita surah-surah cubaan mereka itu. Ada kalangan orang kafir yang cuba membuat ayat-ayat Al-Qur’an. Syiah pun ada reka surah juga. Namun, tidak sama bahasa yang digunakan dan tidak sama kesempurnaan yang mereka hendak sampaikan. Manusia tidak akan mampu.

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa Al-Qur’an itu diturunkan dengan ‘ilmu’ Allah ﷻ. Kalau ia diturunkan dengan ilmu Allah ﷻ, maka tentunya tidak ada salah dan cacat cela dalam ayat-ayat Al-Qur’an itu. Tentu manusia tidak akan mampu untuk mencapainya. Lagi pun manusia tidak akan dapat membuatnya kerana manusia tidak ada ilmu Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu segala perkara yang berlaku dahulu, yang sedang berlaku, juga yang akan berlaku. Contohnya Allah ﷻ menyebut tentang kemenangan Rom ke atas Parsi 10 tahun sebelum ia berlaku. Lalu bagaimana manusia boleh buat sesuatu seperti Al-Qur’an kerana manusia tidak ada ilmu seperti ilmu Allah ﷻ?

Selain itu, Allah ﷻ juga telah mencabar golongan yang menentang kitab Al-Qur’an untuk mencari kelemahan isi kandungannya. Hasil daripada cabaran ini menurut Dr Zakir Naik حفظه الله, banyak pengkaji yang telah cuba mencari kelemahan Al-Qur’an, namun tidak dapat dijumpai sebarang kesalahan dalam kitab tersebut. Tambah beliau lagi, Al-Qur’an juga tiada kelemahan yang boleh dicari jika dicari satu persatu. Ada yang mendakwa ada kelemahan pada Al-Qur’an, tapi apabila diperiksa, ia hanya kerana mereka yang tidak faham bahasa Arab.

Dr Gary Miller (seorang pakar Matematik Kanada) pula pernah menegaskan bahawa tidak ada seorang penulis pun di dunia ini yang memiliki keberanian untuk menulis sebuah buku dan kemudian mendakwa bahawa bukunya itu tidak ada sebarang kesalahan mahupun kesilapan kecuali Al-Qur’an. Bahkan Al-Qur’an mencabar seandainya anda mencari-cari kesalahan itu, anda pasti tidak akan menemukannya. Dr Gary Miller sangat mengagumi perihal tersebut setelah beliau melakukan kajian selama setahun dengan menyelak satu persatu helaian Al-Qur’an untuk mencari kesilapan serta kesalahan dalam Al-Qur’an. Beliau yang pada mulanya akhirnya telah memeluk Islam pada tahun 1977 dengan nama baru beliau Abdul Ahad Omar setelah menemui kajian saintifik dalam Al-Qur’an yang diturunkan lebih kurang pada tahun 610 Masihi.

 

وَأَن لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia sahaja.

Maka, terimalah hakikat bahawa tidak ada ilah yang disembah selain Allah ﷻ. Dalam banyak-banyak ayat-ayat Al-Qur’an, ayat tentang tauhid lah yang paling penting sekali. Ini yang paling penting sekali dan yang perlu ditegakkan adalah kalimah tauhid ini.

Kerana itulah, kita kena belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita dapat faham apa itu akidah tauhid. Untuk faham Tauhid, kena ambil daripada Al-Qur’an, bukannya ambil daripada susunan ulama’ sahaja. Kena dapatkan terus daripada Al-Qur’an. Tulisan ulama’ tentang Tauhid itu hanyalah sebagai rumusan sahaja, tetapi ia mesti diambil daripada Al-Qur’an.

 

فَهَلْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ

Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu hendak berserah diri?

Tidakkah kamu mahu berserah diri menerima tauhid, berserah diri bulat-bulat kepada Allah ﷻ? Soalan ini sepatutnya dijawab: ‘Ya!’ Apa lagi yang kamu hendak lawan? Masih lagi kamu tidak mahu terima Islam yang benar ini? Kenapa kamu tidak mahu terima? Hanya kerana ia lain daripada pemahaman kamu selama ini? Kamu sanggup tidak terima kebenaran, hanya kerana ia lain dengan apa yang kamu faham dan kamu amalkan?

Begitulah juga dengan puak-puak bid’ah di Malaysia ini. Apabila kita telah berikan dengan hujah-hujah daripada Al-Qur’an, mereka masih tidak mahu terima. Hanya kerana ia berbeza daripada apa yang mereka telah belajar semenjak kecil? Hanya kerana ia berlainan daripada apa yang diajar oleh guru-guru dan ustaz-ustaz mereka yang telah mereka biasa. Atau ustaz-ustaz yang mereka biasa lihat di YouTube dan televisyen. Padahal, walaupun mereka terkenal, belum tentu mereka itu benar. Yang benar adalah yang memberikan dalil daripada Al-Qur’an dan Hadith sahih.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an