Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 18 – 22 (Mengejar keduniaan)

Ayat 18: Takhwif ukhrawi. Ayat ini menjawap persoalan: kenapa orang yang derhaka dilimpahkan dengan nikmat? Mereka itu langgar segala macam undang-undang dan arahan Allah, tapi hidup mereka senang pula di atas dunia?

مَن كانَ يُريدُ العاجِلَةَ عَجَّلنا لَهُ فيها ما نَشاءُ لِمَن نُريدُ ثُمَّ جَعَلنا لَهُ جَهَنَّمَ يَصلاها مَذمومًا مَدحورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever should desire the immediate¹ – We hasten for him from it what We will to whom We intend. Then We have made for him Hell, which he will [enter to] burn, censured and banished.

  • i.e., worldly gratifications.

(MELAYU)

Barangsiapa menghendaki yang segera, maka Kami segerakan baginya dari itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahannam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.

 

مَن كانَ يُريدُ العاجِلَةَ عَجَّلنا لَهُ فيها

Barangsiapa menghendaki yang segera, maka Kami segerakan baginya dari itu

Ini berkenaan mereka yang mahukan habuan dunia dengan cepat. Ini seperti yang telah disebut dalam ayat 11 sebelum ini. Mereka mahukan kesenangan yang cepat dan segera. Dan kesenangan yang cepat itu adalah apa yang mereka boleh lihat di depan mata mereka – dunia.

Walaupun telah disebut tentang balasan di akhirat yang melimpah ruah, kekal abadi dan tidak dapat dibayangkan dengan akal, tapi itu semua bukan depan mata dan lambat kalau nak tunggu – maka mereka yang singkat akalnya, tidak lihat kepada akhirat tapi mereka lihat kepada dunia sahaja. Maka mereka berusaha dan berharap sungguh-sungguh kepada keduniaan dan tidak mengharap kepada balasan di akhirat.

Ada muqaddar berkenaan ayat ini. Ayat ini adalah jawapan kepada soalan manusia. Ada yang hairan kenapa mereka yang derhaka diberikan juga dengan kesenangan? Sedangkan mereka itu tidak taat kepada Allah, menderhaka kepada Allah dan selalunya berlaku zalim kepada manusia. Tapi mereka itu senang sahaja hidup mereka, malah mereka ada yang lebih senang dari orang beriman.

Allah jawab dalam ayat ini, mereka diberikan dengan apa yang mereka hendak itu kerana mereka hanya mahukan dunia sahaja. Dan kerana itu sahaja yang mereka mahu, maka itu sahaja yang mereka akan dapat. Mereka tidak akan dapat bahagian dari akhirat. Allah terus berikan kepada mereka kerana Allah tidak ada masalah untuk beri keduniaan kepada mereka kerana dunia ini harga rendah sahaja, sementara sahaja. Yang mahalnya adalah syurga dan mereka tidak akan dapat syurga.

 

ما نَشاءُ لِمَن نُريدُ

apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki 

Kepada mereka yang sebegitu, Allah boleh berikan kepada mereka, tapi ia ikut kemahuan Allah mana yang Allah hendak beri. Bukan semua Allah akan akan beri. Bukan semua yang mereka hendak mereka akan dapat. Ianya setakat yang Allah hendak beri sahaja.

Dan Allah berikan kepada siapa yang Allah hendak berikan – bukan semua akan dapat. Kerana bukan semua manusia dapat apa yang mereka hendak kerana Allah pilih-pilih siapa yang Dia hendak beri. Kehendak di tangan Allah juga.

 

ثُمَّ جَعَلنا لَهُ جَهَنَّمَ يَصلاها مَذمومًا مَدحورًا

dan Kami jadikan baginya neraka jahannam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.

Kemudian Allah akan masukkan mereka ke dalam neraka jahanam. Memang mereka senang semasa mereka hidup di dunia, tapi apa ertinya kalau di akhirat kelak mereka masuk neraka selama-lamanya?

Mereka akan masuk dalam keadaan hina dan tercela kerana mereka layak dicela kerana kesalahan mereka semasa mereka hidup di dunia.

Mereka adalah orang-orang yang diusir. Maksudnya mereka akan ditendang masuk ke dalam neraka. Maksudnya terusir itu adalah terusir dari rahmat. Kerana manusia akan masuk syurga dengan rahmat Allah dan mereka tidak akan dapat rahmat Allah itu dan kerana itu mereka akan masuk ke dalam neraka.


 

Ayat 19: Sekarang keterbalikan dari orang yang mahukan dunia sahaja. Allah bandingkan golongan lain pula. Dan golongan inilah yang kita kena masuk.

وَمَن أَرادَ الآخِرَةَ وَسَعىٰ لَها سَعيَها وَهُوَ مُؤمِنٌ فَأُولٰئِكَ كانَ سَعيُهُم مَشكورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But whoever desires the Hereafter and exerts the effort due to it while he is a believer – it is those whose effort is ever appreciated [by Allāh].

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang dia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.

 

وَمَن أَرادَ الآخِرَةَ

Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat

Ini pula adalah tentang mereka yang telah buat keputusan untuk mendapat kebaikan di akhirat kelak. Mereka ingin akhirat dalam amalan dunia. Mereka bukannya tolak dunia terus tapi mereka menggunakan dunia untuk bersiap untuk akhirat.

 

وَسَعىٰ لَها سَعيَها

dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh

Kemudian mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh. Mereka bukan berangan sahaja, tapi mereka tambah dengan usaha mereka. Ditambah dengan maf’ul mutlak (سَعيَها), yang maksudnya mereka memang bersungguh-sungguh berusaha, bukan main-main sambil lewa sahaja.

Mereka sanggup buat begitu kerana mereka tahu bahawa ianya berbaloi. Kerana mereka tahu balasan yang mereka akan dapat di akhirat itu adalah balasan yang besar dan segala usaha mereka itu tidak sia-sia. Mereka tahu yang syurga itu adalah mahal dan mereka tahu yang mereka kena berusaha untuk mendapatkannya.

Dan yang penting, mereka beramal ikut cara yang sepatutnya dilakukan. Kerana mereka tahu yang mereka kena ikut undang-undang Tuhan. Kerana itu ada maf’ul mutlaq dalam ayat ini sebagai penguat. Oleh itu, tidak boleh nak beramal ikut rekaan sendiri atau rekaan manusia. Tidak boleh nak beramal dengan amalan bidaah kerana amalan itu sia-sia sahaja dan tidak membawa ke syurga.

 

وَهُوَ مُؤمِنٌ

sedang dia adalah mukmin,

Dan ada satu lagi syarat yang amat penting – kena mentauhidkan Allah. Kena jadi orang mukmin iaitu beriman sempurna. Dan beriman sempurna ini adalah percaya dengan segala yang perlu dipercayai dan tidak melakukan syirik.

Maknanya kenalah belajar apa yang perlu dipercayai. Kena mulakan dengan belajar tafsir Qur’an supaya faham apa yang Allah hendak. Kalau setakat kata beriman sahaja, tapi tak tahu apakah iman itu sendiri, maka masalah lah. Maka kena belajar.

Kemudian kena pastikan belajar tafsir supaya tahu tentang syirik. Kerana ramai yang kata mereka beriman, tapi mereka tak sangka mereka ada melakukan syirik kerana mereka tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan syirik dan mereka tidak sedar yang mereka ada melakukan syirik.

Ini adalah satu kejahilan yang berleluasa di kalangan masyarakat kita kerana mereka jauh dari Qur’an. Mereka tidak sangka mereka kena belajar tafsir Qur’an untuk tahu apakah syirik itu. Mereka sangka mereka sudah jadi Muslim yang baik apabila mereka sudah banyak baca Qur’an.

Ramai yang sangka mereka telah tahu apa yang perlu diimani, tapi dalam masa yang sama, mereka buat pula amalan syirik. Maka segala iman dan segala amal mereka itu tidak bernilai kerana ianya terhapus semua sekali.

 

فَأُولٰئِكَ كانَ سَعيُهُم مَشكورًا

maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.

Kepada mereka yang sanggup melakukan perkara-perkara di atas, maka Allah sendiri memberitahu bahawa segala amalan mereka itu dihargai oleh Allah sendiri. Maksud ‘dihargai’ itu adalah, Allah akan balas dengan sempurna. Ini adalah janji yang amat berharga sekali.

Ringkasnya, ada 3 syarat yang perlu dipenuhi untuk selamat:

  1. Niat yang benar kerana Allah
  2. Perbetul amal mengikut ajaran agama
  3. Akidah yang benar, tidak mensyirikkan Allah

 

Ayat 20: Neraca Allah taala: Pemberian Allah kepada manusia tidak bermakna penerimaanNya.

كُلًّا نُمِدُّ هٰؤُلاءِ وَهٰؤُلاءِ مِن عَطاءِ رَبِّكَ ۚ وَما كانَ عَطاءُ رَبِّكَ مَحظورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To each [category] We extend – to these and to those – from the gift of your Lord. And never has the gift of your Lord been restricted.

(MELAYU)

Kepada masing-masing golongan baik golongan ini mahupun golongan itu Kami berikan bantuan dari kemurahan Tuhanmu. Dan kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalangi.

 

كُلًّا نُمِدُّ هٰؤُلاءِ وَهٰؤُلاءِ مِن عَطاءِ رَبِّكَ

Kepada masing-masing golongan baik ini mahupun golongan itu, Kami berikan bantuan dari kemurahan Tuhanmu.

Kedua-dua kumpulan yang dimaksudkan itu adalah mereka yang berusaha untuk dunia dan mereka yang berusaha untuk akhirat. Kerana telah disebut tentang dua jenis manusia sebelum ini, bukan?

Kepada kedua-dua jenis golongan itu, Allah akan benarkan mereka untuk berusaha ke arah apa yang mereka kehendaki. Kalimah نُمِدُّ itu dari م د د yang bermaksud ‘memanjangkan’ yang membawa erti ‘membantu’ dalam ayat ini. Maknanya, Allah akan bantu untuk mereka mendapat apa yang mereka hendak.

Tapi janganlah senang hati pula, kerana nanti di akhirat mereka akan dibalas sesuai dengan apa yang mereka lakukan. Maknanya kedua-dua kumpulan itu akan mendapat pemberian dari Allah; yang baik akan dapat pemberian yang baik dan yang buruk pun akan dapat pemberian yang buruk pula.

Allah berikan itu dari kemurahanNya. Kerana Allah ikut apa yang mereka hendak; nak jadi baik, Allah bantu, dan nak jadi sesat pun Allah bantu juga. Kerana manusia telah diberikan dengan pilihan, sama ada nak pilih jalan ke neraka atau jalan ke syurga.

Maka jangan sangka apa yang kamu dapat itu sudah menunjukkan Allah suka. Jangan sangka kerana kamu senang di dunia ini bermakna Allah sayang kamu kerana ia tidak semestinya begitu. Allah beri kesenangan keduniaan kepada mereka yang hendakkan dunia sebagai istidraj untuk mereka. Pemberian itu bukannya menyebabkan mereka jadi taat kepada Allah, sebaliknya menjauhkan mereka dari Allah. Maksud istidraj adalah mereka ditarik sedikit demi sedikit ke arah kehancuran mereka.

Maka kena berhati-hati dengan apa yang kita ada. Kita kena ingat yang perkara keduniaan yang banyak, bukanlah neraca kejayaan. Kejayaan yang sebenar adalah di akhirat kelak. Kalau berjaya di dunia, tapi tidak berjaya di akhirat, apa gunanya?

 

وَما كانَ عَطاءُ رَبِّكَ مَحظورًا

Dan kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalangi.

Dan pemberian Allah tidak dapat dihalang. Maka kalau orang-orang yang baik tidaklah boleh nak halang kalau Allah nak beri kebaikan kepada orang-orang yang tidak baik. Jangan marahlah kalau Allah beri banyak kelebihan keduniaan kepada orang yang engkar dan tidak taat kepada Allah. Semua itu Allah yang beri, takkan nak marah dengan Allah pula?


 

Ayat 21: Targhib (ajakan) kepada akhirat.

انظُر كَيفَ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ ۚ وَلَلآخِرَةُ أَكبَرُ دَرَجاتٍ وَأَكبَرُ تَفضيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Look how We have favored [in provision] some of them over others. But the Hereafter is greater in degrees [of difference] and greater in distinction.

(MELAYU)

Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya.

 

انظُر كَيفَ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ

Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain). 

Dan begitulah kalau kita lihat dalam dunia ini ada orang yang dapat lebih dan ada orang yang dapat kurang. Ada yang jadi tuan dan ada jadi hamba. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang dihormati dan ada yang dihina. Ini biasa sahaja dan termasuk dalam takdir Allah taala.

Tapi itu semua dari segi kedudukan dunia sahaja. Ia bukanlah tanda yang Allah sayang seseorang atau Allah benci seseorang. Jadi tidak perlu sedih kalau dapat kurang dari segi keduniaan. Dan jangan dengki dengan orang lain yang dapat banyak.

 

وَلَلآخِرَةُ أَكبَرُ دَرَجاتٍ

Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya

Tapi tetap pemberian di akhirat itu lebih baik dari segi darjat. Tidak sama pemberian di dunia dan pemberian di akhirat. Dan di akhirat itu nanti memang lebih banyak lagi darjat-darjat dan kelas-kelas tingkatan yang Allah akan buat kalau dibandingkan dengan darjat dan kelas di dunia ini.

Sebagai contoh, Allah bukan kira darjat daripada segi ilmu sahaja tetapi Allah kira daripada segi amalan-amalan manusia kerana ada orang yang kurang ilmu tetapi amalan mereka tinggi. Dan yang lebih tinggi adalah apabila kadar keikhlasan mereka lebih tinggi. Dikatakan bahawa tingkatan di syurga nanti ada seratus dan jarak antara satu tingkatan dan tingkatan di atasnya adalah sejauh langit dan bumi.

Tambahan pula balasan di akhirat itu kekal. Dibandingkan dengan kedudukan di dunia yang sekejap sahaja. Kalau ada kedudukan tinggi di mata masyarakat pun, sekelip mata ia boleh hilang. Orang yang sayang kita pun tiba-tiba boleh jadi benci kepada kita kerana sebab-sebab tertentu yang kadangkala kita pun tidak tahu, bukan?

Maka, yang perlu kita dambakan adalah kedudukan tinggi di akhirat. Kalau kedudukan kita rendah di dunia, tidak mengapa. Kerana kedudukan rendah di dunia ini hanya sementara sahaja. Kita kena simpan niat untuk berjaya di akhirat.

 

وَأَكبَرُ تَفضيلًا

dan lebih besar keutamaannya.

Maka kita kenalah berusaha di dalam amalan yang kita boleh buat dengan harapan amalan yang kita banyak buat itu dapat memenuhi kekurangan-kekurangan kita di tempat tempat yang lain. Kita kena sedar yang kita kena kejar keutamaan di akhirat kelak kerana itu yang lebih penting.

Tidak perlu dikejar sangat keutamaan dan kedudukan tinggi di dunia kerana ianya sementara sahaja dan tidak sama kalau dibandingkan dengan akhirat. Lebih baik kita tumpukan usaha kita untuk mengejar kedudukan di akhirat dari buang masa yang banyak untuk kejar kedudukan di dunia.

Bukanlah tidak boleh berusaha langsung untuk kejayaan di dunia. Jangan salah faham pula. Memang kita kena berusaha untuk dunia tapi kenalah lebihkan untuk akhirat. Malangnya ramai yang lebihkan dunia dari akhirat dan ini yang salah.


 

Ayat 22: Ayat Tauhid. Juga takhwif ukhrawi.

لا تَجعَل مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ فَتَقعُدَ مَذمومًا مَخذولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do not make [as equal] with Allāh another deity and [thereby] become censured and forsaken.

(MELAYU)

Janganlah kamu adakan tuhan yang lain di samping Allah, agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggalkan (Allah).

 

لا تَجعَل مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ

Janganlah kamu adakan tuhan yang lain di samping Allah,

Jangan jadikan ilah selain Allah kerana itu adalah perbuatan syirik. Ilah adalah tempat sandaran dan tempat harapan kita. Hanya Allah sahaja ilah untuk kita dan tidak ada yang lain.

Untuk faham perkara ini, kena belajar keseluruhan ayat-ayat Qur’an kerana banyak disentuh di dalamnya. Allah mengajar tentang ilah sedikit demi sedikit. Apabila semua ayat Qur’an telah kita pelajari, maka kita akan mendapat kefahaman yang lengkap.

 

فَتَقعُدَ مَذمومًا مَخذولًا

maka kamu duduk tercela dan ditinggalkan

Kalau kamu buat juga ilah selain Allah, maka kamu akan terus duduk tercela dan tertipu. مَخذولًا bermaksud tertipu dengan kawan yang kita sangkakan kawan. Macam syaitan yang berpura-pura menjadi kawan kita tetapi sebenarnya dia hendak merosakkan kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 18 – 22 (Mengejar keduniaan)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s