Tafsir Surah Hud Ayat 1 – 2 (Peringatan tentang Tauhid Ilahiyah)

Pengenalan

Surah ini adalah pertalian dengan Surah Yunus, iaitu surah sebelumnya kerana Nabi ﷺ pernah memberitahu akan hal ini. Surah Hud ini menambah apa yang telah disentuh dalam Surah Yunus. Ia diturunkan selepas Surah Yunus dari segi kronologi (dan disusun begitu juga di dalam mushaf). Sebelum itu telah diturunkan Suruh Isra’, sebelum itu Surah Furqan. Semua surah-surah ini tentang akidah.

Surah Hud ini juga hendak menafikan Syafa’at Qahriyyah yang telah disentuh sebelum ini di dalam Surah Yunus maka ada kesinambungan di situ. Maksudnya tidak ada sesiapa yang boleh mendesak Allah ﷻ untuk menolong sesiapa walaupun Allah ﷻ benci orang itu kerana dia kufur.

Surah ini diturunkan di hujung-hujung waktu baginda dan sahabat berada di Mekah sebelum berhijrah ke Madinah. Waktu surah ini diturunkan, ia adalah waktu kesukaran baginda dan sahabat dalam berdakwah kepada Musyrikin Mekah. Baginda terpaksa menghadapi mereka yang menentang baginda dengan keras sekali. Tahun itu dinamakan Tahun Dukacita kerana isterinya Khadijah رضي الله عنها meninggal dunia dan tidak lama selepas itu matilah pula bapa saudaranya Abu Thalib yang selama ini menjadi penaung kepada baginda. Ternyata dua tongkat Nabi ﷺ telah patah.

Oleh kerana penduduk Mekah tidak mahu menerima dakwah baginda, maka baginda membuat keputusan untuk berdakwah kepada penduduk Taif pula. Kita sudah tahu bagaimana kisah baginda di sana. Pulangnya baginda ke Mekah tidak disambut dengan baik tambahan pula baginda sudah tidak ada penaung, maka keadaan semakin sukar buat baginda. Baginda telah dihalang daripada memasuki Mekah ketika itu. Baginda meminta tolong kepada ketua-ketua kabilah untuk menolong baginda akan tetapi tidak ada yang mahu membantu kecuali Al-Mut’im bin Adi. Mut’im adalah seorang kafir akan tetapi kafir yang baik. (Peristiwa ini menjadi dalil bahawa boleh meminta bantuan orang kafir). Oleh itu jelas sekali berat sungguh dugaan baginda. Waktu inilah diturunkan Surah Hud ini.

Surah ini adalah tafsir bagi إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ dalam Surah Fatihah. Ia juga adalah tafsir bagi surah Az-Zumar dan surah-surah Ha Mim yang tujuh.

Nama Surah Hud sempena mengambil nama Nabi Hud عليه السلام, Nabi bagi Kaum Aad. Surah ini hanya ada nama ini sahaja. Aad, Tsamud, Madyan adalah bangsa-bangsa Arab purbakala yang telah pupus daripada sejarah dan bumi. Kisah Nabi Hud عليه السلام hanya disebut sebanyak 10 ayat sahaja tetapi ini tidaklah pelik kerana Surah Yunus hanya ada satu ayat sahaja tentang Nabi Yunus عليه السلام. Selainnya terdapat banyak kisah-kisah para Nabi yang lain untuk memujuk hati Rasulullah ﷺ.

Apa yang disampaikan dalam surah ini adalah amat berat bagi Nabi Muhammad ﷺ, sampaikan rambut baginda telah beruban kerana mengenangkan berita yang disampaikan dalam surah ini. Ini ada disebut dalam sebuah hadith riwayat Tirmidhi:

– عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ شِبْتَ قَالَ شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلَاتُ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ
Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, dia berkata; Abu Bakr رضي الله عنه berkata; ‘Wahai Rasulullah, aku telah beruban. Baginda bersabda: “Aku telah dibuat beruban oleh Surat Hud, Al Waqi’ah, Al Mursalat, ‘Amma yatasaa aluun, serta idzasysyamsu kuwwirat.” Abu Isa berkata; hadith ini adalah hadith hasan gharib.
(Jami’ Tirmidzi (3297))
Status: Sahih

Syarah: Hadith ini memberitahu kepada kita, antara surah yang menyebabkan baginda rasa berat untuk membawanya adalah Surah Hud ini kerana penekanan dan arahan yang diberikan di dalamnya amatlah berat. Juga kerana menyebut tentang azab yang dikenakan kepada umat-umat terdahulu.

Kalau kita baca tidak ada apa-apa kesan pun, bukan? Sebab kita bukanlah Rasulullah ﷺ. Baginda sangat terkesan kerana sangat cintanya baginda kepada umat baginda dan resahnya hati baginda terhadap kaum baginda yang tidak mahu beriman. Ini telah disebut di hujung ayat Surah Tawbah sebelum ini di dalam ayat 128:

عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم
berat terasa olehnya penderitaanmu

Sebelum kita masuk ke dalam tafsir ayat satu persatu, di sini adalah beberapa perkara utama yang disentuh di dalam surah ini:

1. Menyebut kebesaran dan keutamaan Al-Quran yang secara jelas membuktikan ia adalah daripada Allah ﷻ

2. Allah ﷻ sentiasa memerhati segala rahsia hamba-hambaNya.

3. Allah ﷻ menjamin rezeki hamba-hamba-Nya termasuklah semua makhluk-Nya yang lain.

4. Menceritakan tentang hari kebangkitan dan pembalasan

5. Menghiburkan hati Nabi ﷺ dan meneguhkan pendiriannya dalam menghadapi tekanan dan sekatan Musyrikin Mekah.

6. Menceritakan sebahagian besar kisah-kisah para nabi dan balasan yang menimpa kaum mereka.

7. Surah ditutup dengan perintah agar bertawakal sepenuhnya hanya kepada Allah ﷻ dalam semua keadaan.


 

MESEJ DARI AL-QUR’AN

Hud Ayat 1: Ayat pertama sehingga ke ayat 24 adalah Perenggan Makro yang Pertama. Ia adalah muqaddimah di mana Allah ﷻ menceritakan tentang Tauhid Uluhiyyah.

الر ۚ كِتٰبٌ أُحكِمَت ءآيٰتُهُ ثُمَّ فُصِّلَت مِن لَّدُن حَكيمٍ خَبيرٍ

Sahih International

Alif, Lam, Ra. [This is] a Book whose verses are perfected and then presented in detail from [one who is] Wise and Acquainted.

Malay

Alif, Laam, Raa’. Al-Qur’an sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

 

الر

Alif, Laam, Raa’.

Hanya Allah ﷻ yang tahu maknanya. Allah ﷻ tidak beritahu maksudnya kepada kita. Maknanya ada ayat-ayat dalam surah ini yang kalau ditanya, ada yang kita tidak tahu kerana Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita. Permulaan yang sama juga ada dalam surah Yunus.

Huruf-huruf sebegini dipanggil huruf-huruf Muqattaah. Telah dibincangkan dalam surah-surah sebelum ini. Antaranya dalam Surah Yaasin. Boleh dirujuk di situ untuk pemahaman yang lebih lanjut lagi.

 

كِتٰبٌ أُحْكِمَتْ ءآيٰتُهُ

Al-Qur’an sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh,

Ada beberapa tafsir maksud kalimat ini:

1. Ayat-ayat Al-Qur’an itu kukuh dan tersusun rapi. Ia dilakukan sebegitu supaya manusia faham maksud yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Ia akan dapat difahami oleh mereka yang belajar tafsir. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang belajar bahasa Arab dan nahu bahasa Arab.

Mereka yang ada pengetahuan itu, lebih memahami bagaimana susunan ayat-ayat dalam Al-Qur’an itu membawa makna yang amat hebat. Kita mungkin tidak dapat faham keseluruhannya, namun sekurang-kurangnya kita cuba untuk memahami setakat yang kita boleh.

2. Perkataan أُحْكِمَتْ juga boleh bermaksud ‘menyempurnakan sesuatu’. Iaitu menjadikan sesuatu itu kuat, tiada kekurangan di dalamnya. Sebagaimana binaan yang tidak ada ruang kosong antara batu bata itu kerana kalau ada bahagian yang kosong, ia akan melemahkan binaan bangunan itu. Maka Al-Qur’an itu sempurna dalam segala segi, tidak ada cacat dan tidak ada keraguan padanya. Allah ﷻ berfirman dalam Nisa’:82

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلٰفًا كَثِيرًا
Apakah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

3. Perkataan أُحْكِمَتْ juga bermaksud ia tidak dimansukhkan oleh kitab lain. Ini adalah pendapat Ibn Abbas رضي الله عنهما. Al-Qur’an adalah Kitab Kalam Allah yang terakhir sekali diturunkan dan tidak akan ada lagi kitab-kitab lain selepasnya. Tidak sama dengan kitab-kitab yang sebelumnya. Sebagaimana Kitab Taurat, Injil dan Zabur telah dimansukhkan dengan turunnya Al-Qur’an. Ada pun tentang pemansukhan ayat-ayat Al-Qur’an dengan ayat Al-Qur’an sendiri, ini boleh berlaku.

Akan tetapi tidak ada lagi kitab wahyu lain selepas ini. Oleh kerana ini adalah wahyu terakhir, maka inilah pegangan agama kita, kita kena ikut apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini. Maka kena ada usaha untuk memahaminya. Apabila kita sudah mulakan usaha, Allah ﷻ akan buka ilmu Al-Qur’an kepada kita.

Walaupun ayat-ayat Al-Qur’an itu pendek-pendek sahaja, namun pengajaran di dalamnya amat padat sekali. Ia tersusun dengan amat indah sekali. Ia membawa maksud kesempurnaan, bijaksana.

4. Perkataan أُحْكِمَتْ itu daripada katadasar ح ك م، digunakan juga untuk perkataan ‘hakim’. Bukankah hakim itu seorang yang bijaksana? Dia perlu menyampaikan keputusannya dalam kata-kata yang jelas dan padat. Begitulah juga bahasa Al-Qur’an adalah bahasa yang tepat. Tidak berpusing-pusing sampai mengelirukan. Senang untuk difahami oleh banyak peringkat umur, hampir semua peringkat pendidikan. Boleh difahami oleh orang biasa, dan boleh difahami oleh seorang profesor. Malah jin pun boleh faham seperti disebut di dalam Jin: 1

قُل أوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ استَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الجِنِّ فَقالوا إِنّا سَمِعنا قُرءآنًا عَجَبًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Qur’an (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!

5. Satu lagi maksud أُحْكِمَتْ ءآيٰتُهُ adalah telah dihukumkan ayat-ayat Al-Qur’an ini mengandungi hikmah. Oleh itu, bagi sesiapa yang mahu hikmah, maka dapatkan daripada Al-Qur’an ini yang mengandungi hikmah yang banyak.

Itulah kehebatan Al-Qur’an. Bayangkan, kalau tulisan ilmiah yang lain, semakin susah sesuatu topik yang diperkatakan, semakin susah untuk disampaikan mesej itu, dan orang yang faham sahaja yang boleh tahu. Apabila peringkat ilmu berlainan dicapai, maka peringkat pemahaman pun berbeza. Bagi orang yang berilmu, lagi banyak maklumat yang dia boleh ambil daripada Al-Qur’an.

Kalau seorang profesor yang tinggi ilmunya, susah untuk dia bercakap dan menyampaikan maklumat kepada orang kampung yang tidak berpelajaran tinggi. Ini adalah kerana perbezaan bahasa yang ketara. Akan tetapi tidak begitu dengan Al-Qur’an. Ia senang untuk difahami, asalkan mahu belajar sahaja.

Itulah sebabnya tulisan kita ini disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami oleh semua peringkat umur. Al-Qur’an sebenarnya mudah difahami, sampaikan apabila ahli falsafah Greek membaca Al-Qur’an, mereka tidak suka. Sebab mereka lihat bahasanya tidak berpusing-pusing. Dalam bidang falsafah, pemikiran mereka berpusing-pusing sebabnya mereka sendiri yang suka yang berpusing-pusing.

 

ثُمَّ فُصِّلَتْ

kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu;

Kalimah فُصِّلَتْ daripada katadasar ف ص ل yang bermaksud ‘memisah’. Untuk memperjelaskan sesuatu perkara yang besar dan rumit, sesuatu topik itu perlu dipisahkan satu persatu, supaya dapat difahami.

Sebagai contoh, untuk memahami biologi tubuh manusia, pembelajaran biologi di sekolah akan dipecahkan atau dibahagikan tubuh badan manusia mengikut bahagian-bahagian tubuh manusia – kepala, tangan, kaki dan sebagainya. Kemudian diperbincangkan tentang kepala, kemudian tangan dan kemudian baru kaki.

Lihatlah juga bagaimana Al-Qur’an itu dipecahkan mengikut ayat-ayat dan surah-surah yang membincangkan sesuatu topik utama. Topik-topik itu pula bersangkutan antara satu sama lain. Untuk mengetahuinya, kenalah belajar. Kalau mana-mana ayat yang kita tidak faham, maka telah ada penjelasannya daripada Rasulullah ﷺ. Sebagai contoh di dalam Al-Qur’an terdapat arahan untuk mengerjakan solat. Kemudian cara solat itu telah diterangkan dengan panjang lebar oleh baginda.

Ayat-ayat Al-Qur’an bukan sahaja indah dibaca, tetapi setiap ayatnya menjelaskan sesuatu. Ia jelas kepada mereka yang belajar dan mahu memahami. Kalau tidak belajar, dia akan baca kosong sahaja, tidak tahu apakah mesej yang hendak disampaikan.

Penyampaiannya juga adalah tepat. Ia menjelaskan apakah yang baik dan tidak, apa yang patut dilakukan dan apa yang patut ditinggalkan. Apa sahaja yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada manusia sebagai hidayah telah dijelaskan dalam 30 juzuk Al-Qur’an ini.

Diperjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an itu secara terperinci. Yang belajar sahaja akan jelas maknanya. Mula-mula belajar pun tidak jelas juga, namun lama kelamaan kita akan faham. Kalau kita meluangkan masa untuk meneliti ayat-ayat Al-Qur’an itu (tadabbur) dan hati kita memang mahu untuk memahaminya.

Oleh itu, perkataan فُصِّلَتْ bermaksud Allah ﷻ telah pecahkan ayat-ayat itu satu persatu dan menjelaskan satu persatu. Namun ada juga tempat yang kita tidak akan tahu, seperti ayat tentang mutashabihat.

Satu lagi tafsir adalah Al-Qur’an ini adalah salinan daripada Kitab yang ada di Lauh Mahfuz. Ia telah lengkap di sana dan diturunkan sedikit demi sedikit kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat supaya mereka senang mempelajarinya dan mengamalkannya. Ini berbeza kalau ia diturunkan sekaligus dengan lengkap yang akan memberatkan mereka.

 

مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

Allah ﷻ mengingatkan siapakah yang menurunkan Al-Qur’an ini. Ia daripada Allah ﷻ. Bukanlah ia daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula kerana Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya menyampaikannya.

Kalau ia daripada Allah ﷻ, maka tentu ia amat penting. Kalau kita dapat surat daripada orang besar-besar, daripada PM contohnya, tentu kita akan buka dan baca surat itu berkali-kali, bukan? Kita akan baca kerana ia penting kerana datang daripada orang penting kita. Bagaimana pula dengan Al-Qur’an ini? Sepatutnya kita kena beri perhatian kepadanya. Jikalau surat itu di dalam bahasa yang kita tidak faham, tentu kita akan cari orang yang boleh terangkan maknanya kepada kita, bukan? Kalau surat penting kita boleh buat begitu, maka takkan dengan Al-Qur’an yang terlebih penting ini kita buat tidak tahu sahaja?

Ayat-ayat Al-Qur’an adalah jelas kerana ia daripada Allah ﷻ yang Maha Bijaksana (حَكِيمٍ) dan mendalam pengetahuan-Nya. Dia amat tahu dengan makhluk-Nya. Allah ﷻ tahu luar dan dalam tentang kita. Dia tahu apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku. Oleh itu, Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan, dan Allah ﷻ tahu bagaimana hendak menyampaikannya kepada kita.

Satu lagi sifat Allah ﷻ adalah خَبِيرٍ yang bermaksud pengetahuan Allah ﷻ amat mendalam, Dia tahu kedudukan keseluruhan sesuatu perkara dan Dia tahu kesudahan sesuatu perkara itu. Oleh itu, siapakah lagi yang lebih layak untuk memberitahu sesuatu perkara itu kepada kita kalau bukan Allah ﷻ? Terutama sekali perkara ghaib, kerana kalau bukan diberitahu tentang perkara ghaib daripada wahyu, kita tentu pasti tidak akan dapat tahu.

Ayat-ayat awal dalam Surah Hud ini memberitahu kita tentang apakah yang Allah ﷻ akan sebut dengan lebih mendalam dalam ayat-ayat seterusnya, iaitu akan menerangkan dengan sejelas-jelasnya. Sebagaimana dalam penulisan thesis, permulaan thesis itu akan menerangkan pengenalan dan objektif thesis itu.

Begitulah juga dengan permulaan ayat-ayat dari Surah Hud ini. Ia akan memberikan penerangan ringkas, dan kemudian akan diberikan penerangan yang lebih jelas dalam ayat-ayat seterusnya.


 

Hud Ayat 2: Apakah objektif utama yang Allah ﷻ hendak sampaikan dalam Al-Qur’an? Tentang Tauhid. Iaitu hendaklah kita hanya menyembah Allah ﷻ sahaja. Jangan sembah yang lain. Maka ini adalah Dakwa Pertama Surah ini – Sembah Allah ﷻ sahaja.

أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ ۚ إِنَّني لَكُم مِّنهُ نَذيرٌ وَبَشيرٌ

Sahih International

[Through a messenger, saying], “Do not worship except Allah . Indeed, I am to you from Him a warner and a bringer of good tidings,”

Malay

(Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatu pun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang (ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman).

 

أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا اللَّهَ

janganlah kamu menyembah sesuatu pun melainkan Allah.

Inilah Maksud/Dakwa surah ini – iaitu hendaklah kita hanya menyembah Allah ﷻ sahaja. Iaitu kita hendaklah menghambakan diri kepada Allah ﷻ semata-mata. Maka ini adalah berkenaan Tauhid Uluhiyyah atau dinamakan Tauhid dalam Ibadat. Jangan buat ibadat kepada selain kepada Allah ﷻ.

Ada nafi dan ithbat di sini seperti kalimah la ilaaha illallah juga iaitu menafikan dahulu ibadat kemudian ditetapkan hanya ibadah kepada Allah ﷻ.

Semua Nabi-nabi dan rasul-rasul membawa mesej yang sama: iaitu hanya menyembah Allah ﷻ sahaja; Berdoa pun hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Ia juga bermaksud tidak boleh menggunakan perantaraan (wasilah) dalam doa kita. Begitu ramai yang tidak faham, maka mereka akan menggunakan perantaraan untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ.

Mereka beranggapan Allah ﷻ tidak akan mendengar doa mereka kerana mereka orang yang berdosa. Itu adalah fahaman yang salah. Fahaman itu juga ada dalam agama-agama lain seperti Hindu, Buddha, Kristian dan Syiah. Maka, kalau ada pemahaman kita yang sama dengan agama lain, itu adalah tidak benar.

Apakah lagi maksud tidak ‘menyembah’ selain Allah ﷻ? Kita jangan hanya sangka yang ‘sembah’ itu hanya bermaksud ‘sujud’ sahaja. Kalau kita taat kepada seseorang yang berlawanan dengan taat kepada Allah ﷻ, itu sudah bermaksud ‘sembah’ atau mengabdikan diri kepada selain Allah ﷻ.

Pemujaan dan ibadat juga hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan buat ibadat kepada yang selain Allah ﷻ. Jangan berzikir kepada selain Allah ﷻ kerana zikir adalah juga satu ibadat, maka tidaklah boleh kita berzikir melainkan nama Allah ﷻ sahaja.

Selain daripada itu, kita mestilah hanya taat kepada Allah ﷻ sahaja. Berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Takut hanya kepada Allah ﷻ sahaja kerana tujuan kita dijadikan adalah untuk menyembah dan memperhambakan diri kepada-Nya sahaja seperti disebut dalam Dzariyat:56

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Apakah maksud ibadah kepada-Nya? Adapun maksud ibadah secara istilah syari’at, para ulama memberikan beberapa definisi yang beraneka ragam. Di antara definisi terbaik dan terlengkap adalah yang disampaikan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله:

Beliau mengatakan, “Ibadah adalah suatu istilah yang mencakup segala sesuatu yang dicintai Allah dan diredhai-Nya, baik berupa perkataan mahupun perbuatan, yang tersembunyi (batin) mahupun yang nampak (lahir). Maka solat, zakat, puasa, haji, berbicara jujur, menunaikan amanah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali kekerabatan, menepati janji, memerintahkan yang ma’ruf, melarang daripada yang munkar, berjihad melawan orang-orang kafir dan munafiq, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan bekal di perjalanan), berbuat baik kepada orang atau haiwan yang dijadikan sebagai pekerja, memanjatkan do’a, berzikir, membaca Al Qur’an dan lain sebagainya adalah termasuk bahagian daripada ibadah.
Begitu pula rasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah, inabah (kembali taat) kepada-Nya, memurnikan agama (amal ketaatan) hanya untuk-Nya, bersabar terhadap keputusan (takdir)-Nya, bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya, merasa redha terhadap qadha/takdir-Nya, tawakal kepada-Nya, mengharapkan rahmat (kasih sayang)-Nya, merasa takut daripada seksa-Nya dan lain sebagainya itu semua juga termasuk bahagian daripada ibadah kepada Allah.” (Al ‘Ubudiyah, cet. Maktabah Darul Balagh hal. 6).

Kalau dilihat daripada definisi ibadah di atas, maka ada banyak perkara yang dikira sebagai ibadah. Jikalau kita rasa solat, puasa, zakat dan seumpamanya sahaja sebagai ibadah, maka kita sudah tersilap sebenarnya. Ibadah ini boleh dilakukan sepanjang masa, bukan hanya ketika solat, ketika haji sahaja. Maka kita kena reset minda kita ini dan jangan sangka ibadah itu terhad sahaja. Bayangkan, kalau berjimak dengan isteri pun mendapat pahala juga seperti disebut di dalam satu hadith, yang diriwayatkan oleh Abu Zarr al-Ghifari رضي الله عنه:

وَبُضْعُ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، قِيلَ‏:‏ فِي شَهْوَتِهِ صَدَقَةٌ‏؟‏ قَالَ‏:‏ لَوْ وُضِعَ فِي الْحَرَامِ، أَلَيْسَ كَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ‏؟‏ ذَلِكَ إِنْ وَضَعَهَا فِي الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ
Dan kemaluan salah seorang kamu juga ada sedekah. Ditanyakan: Pada syahwat seseorang juga terdapat sedekah ? Baginda menjawab: Kalau diletakkan syahwat pada tempat yang haram (berzina) tidakkah seseorang itu mendapat dosa? Begitulah juga apabila syahwat diletakkan di tempat yang halal (persetubuhan suami isteri) maka dia mendapat pahala.
(Riwayat Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad (227))

 

إِنَّنِي لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ

Sesungguhnya aku kepada kamu, dari Allah, sebagai pemberi amaran dan pembawa berita gembira.

Rasulullah ﷺ disuruh memberitahu yang baginda adalah utusan Allah ﷻ sahaja. Tugas baginda adalah menyampaikan wahyu dan berita daripada Allah ﷻ. Bukanlah berita itu daripada Rasulullah ﷺ. Maka janganlah ambil mudah dan buat tidak tahu sahaja dengan apa yang disampaikan oleh baginda.

Sesiapa yang ingkar, kita kena beri ancaman kepada mereka. Kita kena beritahu kalau ada perbuatan mereka yang syirik. Jangan kita buat tidak tahu sahaja. Jangan kita takut hendak memberitahu mereka. Hendaklah kita memberitahu bahawa mereka akan masuk neraka disebabkan oleh perbuatan mereka. Kita beri peringatan itu adalah kerana kita kisah tentang mereka. Kita tidak mahu mereka terjerumus ke dalam neraka.

Kalimah نَذِيرٌ ini bermaksud meletakkan ketakutan kepada seseorang namun ini bukanlah tentang takut kepada mara bahaya seperti harimau, gempa bumi dan sebagainya, tetapi tentang hal agama. Ia diberikan kerana sifat kasih sayang kepada orang yang diberi peringatan itu. Iaitu tidak mahu orang yang diberi peringatan itu gagal di dunia dan akhirat.

Selain daripada memberi ancaman, Nabi ﷺ juga ditugaskan untuk memberi berita gembira bahawa perbuatan baik akan dibalas dengan baik.

Oleh itu, tugas utama Nabi ﷺ ada dua: memberi peringatan dan memberi berita gembira. Dalam ayat ini, apabila نَذِيرٌ (peringatan) disebut sebelum بَشِيرٌ (berita gembira), bermaksud surah Hud ini akan ada lebih banyak tentang ancaman berbanding berita gembira. Kerana itulah surah ini banyak mengandungi kisah-kisah tentang umat terdahulu yang telah dihancurkan disebabkan mereka menolak ajakan dakwah daripada Nabi-Nabi mereka. Kisah-kisah itu untuk memberi ancaman kepada kita.

Pengajaran kepada kita adalah kepentingan untuk memberi peringatan kepada manusia. Kalau ia telah ditugaskan kepada Nabi Muhammad ﷺ, maka kita sebagai umatnya juga ditugaskan untuk memikul tugas baginda setelah ketiadaan baginda. Namun adakah kita telah menjalankannya? Ini yang menakutkan kita. Adakah kita sampaikan ajaran wahyu ini kepada manusia?

Ya mungkin ada. Mungkin kita mengajar, mungkin kita menulis di blog, di FB dan sebagainya. Adakah kita pergi kepada orang-orang yang tidak terfikir pun tentang agama dan mengingatkan mereka? Ini kerana kalau yang sudah datang kelas, itu menandakan mereka sudah mahu kepada agama, tinggal diajar sahaja; kalau yang baca post anda di FB, adakah itu sudah cukup memberi kesan kepada mereka? Akan tetapi bagaimana orang yang jauh daripada agama, atau orang yang tidak mendapat akses kepada maklumat agama? Siapa yang akan sampaikan kepada mereka? Allahu Akbar!

Dalam ayat-ayat seterusnya, akan diberikan dengan lebih banyak lagi tentang ancaman-ancaman dan berita gembira yang dimaksudkan. Maknanya, ayat ini masih lagi ayat pengenalan tentang apakah yang akan disampaikan seterusnya dalam surah Hud ini nanti.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Julai 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Jathiya Ayat 33 – 37 (Sombong untuk belajar tafsir)

Ayat 33: Sambungan Takhwif Ukhrawi. Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang tidak percaya dengan Hari Kiamat. Bila manusia tidak yakin benar-benar dengan adanya Hari Kiamat, mereka tidak takut melakukan dosa.

Maka, apa yang akan terjadi pada Hari Kiamat itu nanti? Allah ﷻ ceritakan keadaan di neraka kelak untuk menakutkan kita. Kalau kita dapat selami ayat ini, maka kita akan takut untuk masuk neraka dan akan takut untuk buat dosa.

وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

Sahih International

And the evil consequences of what they did will appear to them, and they will be enveloped by what they used to ridicule.

Malay

Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

وَبَدَا لَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا عَمِلُوا

Dan nyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan,

Dosa-dosa yang manusia telah lakukan semasa di dunia akan menjelma di hadapan mata mereka dalam bentuk fizikal, boleh nampak manakah dosa mereka.

Maknanya, dosa mereka semasa di dunia sudah menjadi azab neraka. Semasa mereka buat dosa itu di dunia, nampak macam tidak ada apa-apa tetapi kesannya akan menjelma di akhirat kelak. Bayangkan betapa terkejutnya nanti!

 

وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِءونَ

serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

Dulu mereka ejek-ejek tidak percaya kepada Hari Akhirat, sekarang sudah nampak di depan mata mereka. Azab itu pun akan meliputi mereka, sampai tidak boleh lari lagi! Na’uzubillah min zalik!

Mereka juga dulu tidak percaya kepada azab-azab yang dijanjikan kepada mereka, malah dijadikan sebagai bahan ejekan sahaja. Sebagai contoh, mereka kata: “Ah, kami tak kisah kalau makan buah Zaqqum tu, sedap kot buah tu!”. Nah, di akhirat nanti mereka akan diseliputi dengan azab-azab itu.


 

Ayat 34: Sambungan takhwif ukhrawi.

وَقيلَ اليَومَ نَنسٰكُم كَما نَسيتُم لِقاءَ يَومِكُم هٰذا وَمَأوٰكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن نّٰصِرينَ

Sahih International

And it will be said, “Today We will forget you as you forgot the meeting of this Day of yours, and your refuge is the Fire, and for you there are no helpers.

Malay

Dan dikatakan (kepada mereka): “Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan.

وَقِيلَ الْيَوْمَ نَنسٰكُمْ

Dan dikatakan: “Pada hari ini Kami lupakan kamu

Inilah kata-kata Allah ﷻ kepada mereka yang berdosa itu. Allah ﷻ kata yang Dia ‘lupakan’ mereka iaitu bermaksud Allah ﷻ tidak hiraukan mereka yang menderita di dalam azab seksa.

Allah ﷻ sengaja ‘lupa’ hendak masukkan mereka ke dalam syurga. Inilah bahasa kiasan yang Allah ﷻ gunakan. Ini kerana bukanlah Allah ﷻ pelupa, takkan Allah ﷻ boleh lupa, cuma Allah tidak layan sahaja. Meraung meronta macam mana pun, Allah ﷻ buat tidak kisah sahaja.

 

كَمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا

sebagaimana kamu lupakan persediaan untuk menemui hari kamu ini;

Sebab dulu mereka buat tidak kisah kepada Hari Kiamat dan tidak bersedia pun menghadapi hari itu. Malah mereka juga tidak takut kerana tidak percaya. Mereka leka dengan keindahan dan kesenangan di dunia sampai tidak beramal dengan amalan yang soleh.

Mereka sibuk ke sana dan ke sini sampai tidak luangkan masa untuk belajar agama dengan benar. Maka balasannya Allah lupakan mereka untuk diberi rahmatNya.

 

وَمَأْوٰكُمُ النَّارُ

dan tempat kamu ialah neraka,

Kalimah مَأْوٰ adalah tempat tinggal yang kekal sampai bila-bila. Kekal mereka di dalam neraka, bergantung kepada dosa yang telah dilakukan. Kalau dosa syirik, mereka tidak akan ada peluang untuk keluar dari Neraka itu.

Kalau mereka beriman dan tidak melakukan syirik, tetapi ada melakukan dosa, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka untuk waktu yang tertentu – tidak tahu berapa lama. Kemudian mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

 

وَمَا لَكُم مِّن نّٰصِرِينَ

dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.

Selalunya dalam dunia, ada sahaja sesiapa yang boleh tolong kita; keluarga kita, kawan-kawan kita dan sebagainya. Namun, tidak ada sesiapa yang dapat menolong mereka di Neraka itu.


 

Ayat 35: Kenapa mereka mendapat balasan seteruk itu? Ini akan diberitahu kepada mereka sebagai takzib rohani. Sebagai azab kepada jiwa mereka.

ذٰلِكُم بِأَنَّكُمُ اتَّخَذتُم ءآيٰتِ اللهِ هُزُوًا وَغَرَّتكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۚ فَاليَومَ لا يُخرَجونَ مِنها وَلا هُم يُستَعتَبونَ

Sahih International

That is because you took the verses of Allah in ridicule, and worldly life deluded you.” So that Day they will not be removed from it, nor will they be asked to appease [ Allah ].

Malay

“(Balasan buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia”. Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka, dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat (memperbaiki kesalahannya).

ذَٰلِكُم بِأَنَّكُمُ اتَّخَذْتُمْ ءآيٰتِ اللهِ هُزُوًا

“Yang demikian ini ialah kerana kamu telah mengambil ayat-ayat Allah sebagai ejek-ejekan,

Mereka jadikan ayat-ayat Al-Qur’an itu sebagai mainan sahaja. Macam-macam cara mereka mengejek ayat-ayat Allah ﷻ itu. Mereka ambil kisah-kisah yang pada mereka tidak masuk akal, dan mereka kutuk ayat-ayat itu. Mereka kata kenapalah orang-orang Islam bodoh sangat sampai boleh percaya.

Bukan orang bukan Islam sahaja yang mengejek ayat-ayat Allah ﷻ sebagai ejekan, yang orang Islam pun begitu juga. Apabila mereka tidak belajar, dan kita katakan ayat ini membawa maksud yang tertentu, mereka kata kita yang salah, mereka buat ejek-ejekan pula.

Atau mereka kata kepada mereka yang berdakwah dengan menggunakan ayat Al-Qur’an: “Tak habis-habis dengan Al-Qur’an, tidak ada benda lain lagi kah?”.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak belajar langsung? Apabila kita ajak mereka belajar Tafsir Al-Qur’an, mereka kata tidak perlu belajar, sebab sudah faham Al-Qur’an. Ada yang lebih karut kata Al-Qur’an sudah ada dalam dada mereka, kerana mereka ada ilmu ‘sedut’ Al-Qur’an. Ini selalunya difahami oleh golongan tarekat yang karut.

Begitulah macam-macam lagi alasan yang mereka berikan. Ingatlah, tidak belajar Tafsir Al-Qur’an pun sudah dikira main-main sebab tidak menghiraukan ayat Allah ﷻ. Mereka merendahkan kepentingan memahami Al-Qur’an. Amat ramai yang begini.

 

وَغَرَّتْكُمُ الْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا

dan kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia”.

Maksudnya mereka telah terpedaya dengan dunia. Mereka telah disibukkan dengan keinginan berlebihan kepada dunia. Sibuk macam-macam hal – kerja, persatuan, anak dan isteri, rukun tetangga dan sebagainya hingga hendak belajar pun susah. Kalau diajak untuk belajar, ada sahaja masalah mereka – tidak senang, anak sakit, anak kena hantar ke tuisyen dan macam-macam lagi.

Mereka terpesona dengan segala keindahan dunia. Mereka hendak buat itu dan ini, pergi main golf, jalan-jalan ke tempat pelancongan, pergi gym dan sebagainya.

Mereka juga hendak keindahan dan gemerlapan dunia. Ini seperti barang kemas, jam yang cantik, kereta yang cantik, rumah yang cantik, isteri yang cantik dan macam-macam lagi. Jadi, untuk mendapatkan semua itu, mereka kena bekerja keras, berniaga dengan tekun.

Kerja dan berniaga tidaklah salah tetapi kalau sampai ia menyebabkan lupa kepada agama, sibuk sangat sampai tidak belajar agama, maka itulah yang jadi salahnya. Ini kerana apabila tidak belajar, maka mereka jadi jahil dan apabila jahil, ada benda salah yang mereka lakukan. Syaitan pun senang hendak menipu mereka.

Ingatlah bahawa agama ini kena nombor 1. Ia kena duduk di atas dalam prioriti kehidupan kita. Bukanlah belajar agama ini kalau ‘ada masa lapang’, ‘bila senang’, ‘bila tidak ada apa-apa hendak buat’, bukan. Memang kena cari masa untuk belajar agama dan tinggalkan perkara lain kalau terpaksa. Janganlah sampai hendakkan dunia sangat sampaikan lupa tentang agama.

Ini kerana kalau untuk belajar, kena tunggu bila masa percuma, tidak akan ada, kerana kita akan disibukkan sentiasa dengan masalah dunia. Syaitan akan pastikan ada sahaja alasan untuk tidak belajar. Maka kena kuatkan semangat.

 

فَالْيَوْمَ لَا يُخْرَجُونَ مِنْهَا

Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka,

Kalau mereka telah melakukan syirik atau ada fahaman syirik, mereka akan tinggal selama-lamanya di dalam neraka. Tidak akan ada peluang untuk keluar. Inilah yang amat menakutkan sekali.

 

وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ

dan mereka tidak diberi peluang untuk menyelamatkan diri.

Kalimah يُسْتَعْتَبُونَ adalah apabila seseorang mengurangkan marah orang lain dengan meminta maaf, minta ampun, bertaubat, minta tolong. Di akhirat kelak, mereka tidak dibenarkan minta maaf pun. Seperti disebut dalam Zukhruf:77

وَنَادَوْا يَا مَالِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ قَالَ إِنَّكُم مَّاكِثُونَ

Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”

Apa sahaja yang mereka minta di Neraka nanti tidak akan dilayan. Zaman untuk bertaubat sudah terlepas. Masa untuk merayu sudah tiada lagi. Mereka tidak akan diberi peluang pun untuk merayu. Jangan kata rayuan diluluskan, didengarkan pun tidak.


 

Ayat 36: Ayat 36 & 37 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan terakhir. Ia mengandungi puji-pujian kepada Tuhan yang AzizulHakim. Ayat 36 ini adalah Dalil Aqli. Siapakah Allah ﷻ? Allah ﷻ memberitahu sifat-sifat-Nya dalam ayat ini. Maka kerana itu penting untuk belajar kenal Allah dari ayat-ayat Al-Qur’an kerana Allah memperkenalkan DiriNya dalam Al-Qur’an.

فَلِلَّهِ الحَمدُ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَرَبِّ الأَرضِ رَبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

Then, to Allah belongs [all] praise – Lord of the heavens and Lord of the earth, Lord of the worlds.

Malay

(Demikianlah ajaran dan peringatan Allah Yang Maha Adil) maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.

فَلِلَّهِ الْحَمْدُ

maka hanya bagi Allah jualah segala pujian dan penghargaan,

Segala pujian itu milik Allah ﷻ. Satu puji, dua puji dan segala puji. Perkataan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam perbahasan Surah Fatihah.

Namun, ada sedikit perbezaan dalam penggunaan kata alhamdu dalam Surah Fatihah dan surah ini. Apabila diterbalikkan dengan didahulukan kalimah فَلِلَّهِ itu, ia bermaksud *hanya* iaitu dalam bentuk eksklusif.

Dalam Fatihah tidak disebut ‘hanya’ Allah ﷻ sahaja yang terpuji. Kenapa ada penambahan dan penekanan dalam ayat ini? Sebab ada manusia yang menyembah selain dari Allah ﷻ. Allah ﷻ menekankan bahawa itu tidak boleh, yang sepatutnya kita lakukan adalah *hanya* sembah Allah ﷻ sahaja.

Allah ﷻ tekankan dalam ayat ini kerana ada jenis manusia yang menyembah dan memuja juga kepada selain Allah ﷻ. Jadi Allah ﷻ memperbetulkan pemahaman mereka. Namun, di dalam Surah Fatihah, itu adalah pemberitahuan tentang sifat Allah ﷻ sahaja dan bukannya untuk menidakkan salah faham golongan-golongan yang musyrik.

Maka susunan dalam ayat Fatihah itu adalah dalam bentuk normal sahaja.

 

رَبِّ السَّمٰوٰتِ

Tuhan yang mentadbirkan langit,

Allah ﷻ lah yang menjadikan dan mentadbir langit itu. Bukan sahaja Allah ﷻ menjadikan langit itu dari tiada kepada ada, tetapi selepas Allah ﷻ jadikan, Allah ﷻ  mentadbir langit itu. Allah ﷻ tidak membiarkan sahaja alam ini bergerak sendiri tetapi Allah ﷻ yang menjaga dan urus segala perkara.

 

وَرَبِّ الْأَرْضِ

dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, –

Allah ﷻ lah yang menjadikan dan mentadbir bumi ini. Bukan sahaja Allah ﷻ menjadikan bumi ini dari tiada kepada ada, tetapi selepas Allah ﷻ jadikan, Allah ﷻ  mentadbir bumi ini.

 

رَبِّ الْعٰلَمِينَ

Tuhan sekalian alam.

Bukan sahaja langit dan bumi, tetapi seluruh alam. Allah ﷻ sebutkan langit dan bumi dahulu kerana itulah yang kita tahu dan kita nampak. Ada lagi alam lain yang kita tidak nampak dan kita tidak tahu.

Inilah juga kata-kata yang terdapat dalam Surah Fatihah juga. Terdapat persamaan dan perbezaan antara ayat ini dan ayat dalam Fatihah nampaknya.


 

Ayat 37: Oleh kerana Allah ﷻ sahaja yang ada sifat sebegitu, maka hendaklah kita sembah dan seru doa kepada Allah ﷻ sahaja.

وَلَهُ الكِبرِياءُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Sahih International

And to Him belongs [all] grandeur within the heavens and the earth, and He is the Exalted in Might, the Wise.

Malay

Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

وَلَهُ الْكِبْرِيَاءُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dan bagiNyalah kebesaran di langit dan di bumi;

Kehebatan dan kekuasaan hanya milik Allah ﷻ. Allah ﷻ menekankan dalam ayat ini kerana ada manusia yang sombong. Allah ﷻ hendak kata, apalah yang hendak disombongkan sangat, padahal mereka itu bukan besar mana pun. Allah ﷻ yang paling besar dan tidak ada yang lebih besar dari Allah ﷻ.

Maka oleh kerana Dialah yang paling besar, maka kepada-Nya sahajalah kita sembah dan seru dalam doa. Jangan sembah dan buat ibadat kepada selain Allah ﷻ dan berdoa kepada yang selain Allah ﷻ. Selain itu jangan gunakan entiti mana-mana sebagai wasilah dalam amalan tawasul.

 

وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia hendak. Allah ﷻ boleh menghukum hamba-Nya bila-bila masa sahaja yang Dia mahu.

Namun, walaupun Allah Maha Berkuasa, Allah ﷻ mentadbir alam ini dengan Sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Dua sifat ini telah disebut di awal surah ini dan sekarang di hujungnya disebut lagi. Nanti di awal surah seterusnya, Surah Ahqaf pun akan disebut lagi dua sifat Allah ini.

Allah ﷻ boleh seksa dan azab makhluk-Nya bila-bila masa, tetapi dengan kebijaksanaan-Nya, Dia tangguhkan seksaan itu sehingga ke waktu yang tertentu. Ini memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat. Tidaklah kita terus diberi balasan azab setiap kali kita melakukan dosa.

Allahu a’lam. Sekian terjemah Surah Jathiya ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Ahqaf.

Kemaskini: 30 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Jathiya Ayat 28 – 32 (Duduk melutut)

Ayat 28: Takhwif Ukhrawi. Dari perkataan جاثِيَةً inilah diambil nama surah ini.

وَتَرىٰ كُلَّ أُمَّةٍ جاثِيَةً ۚ كُلُّ أُمَّةٍ تُدعىٰ إِلىٰ كِتٰبِهَا اليَومَ تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

And you will see every nation kneeling [from fear]. Every nation will be called to its record [and told], “Today you will be recompensed for what you used to do.

Malay

Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!

وَتَرَىٰ كُلَّ أُمَّةٍ جَاثِيَةً

Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut;

Kalimah كُلَّ أُمَّةٍ bermaksud setiap manusia, dari setiap umat. Setiap umat yang bathil akan melutut dalam keadaan takut dan malu. Atau, ketakutan hari akhirat ini menyebabkan semua manusia akan takut termasuklah yang beriman dan tidak beriman sekali. Maknanya, semua akan takut. Kerana ia adalah hari yang amat menakutkan semua orang.

Kalimah جَاثِيَةً bermaksud jatuh atas lutut kita. Duduk melutut dengan punggung kita di atas tumit. Inilah nama yang dipilih untuk surah ini. Kedudukan ini menunjukkan kerendahan dan rasa malu kita di hadapan Allah ﷻ. Kita semua akan duduk berlutut dalam keadaan tangan di atas paha dan menunggu di dalam ketakutan dan kecemasan.

Semuanya pula di dalam keadaan berbogel. Iaitu kita semua dikembalikan kepada keadaan asal kita. Bukankah kita dulu dilahirkan dalam keadaan bogel? Maka kita akan dihadapkan dalam keadaan bogel juga nanti.

Kalau sudah takut macam tu, adakah berani hendak berhujah dengan Allah ﷻ lagi? Jangan kata hendak bercakap, hendak angkat muka pun tidak berani. Kalau di dunia, bila kita tanya manusia kenapa buat amalan bidaah dan syirik, mereka pandai sahaja jawab begini dan begitu. Kalau Allah ﷻ sendiri tanya, macam mana?

 

كُلُّ أُمَّةٍ تُدْعَىٰ إِلَىٰ كِتٰبِهَا

tiap-tiap umat diseru kepada kitabnya

Ada yang mengatakan كِتَابِهَا bermaksud Kitab Wahyu yang diberikan kepada Rasul umat-umat itu iaitu akan diseru: “Mana dia pengikut Kitab Taurat?”, “Mana dia pengikut Kitab Injil?” dan sebagainya iaitu umat manusia akan dipecahkan mengikut kitab pegangan mereka.

Pendapat lain mengatakan كِتَابِهَا bermaksud ‘Kitab Amal‘ mereka. Ini lebih kuat pendapatnya kerana sambungan ayat selepas ini adalah tentang amalan manusia yang dilakukan semasa di dunia. Mereka akan diberikan dengan Kitab Amalan semasa di dunia.

Mereka yang berdosa akan takut untuk melihat kitab amalan mereka. Ini kerana mereka sudah dapat agak apa yang ada dalam Kitab itu bukanlah sesuatu yang baik untuk mereka. Maka mereka akan melarikan diri daripada kitab amalan mereka sambil dikejar oleh kitab amalan itu. Semasa dia berlari-lari itu, kitab itu dapat mengejarnya dan terus melekat kepada tangan kiri mereka.

Maka, kitab itu telah diterimanya dengan tangan kiri. Sesiapa yang menerima Kitab Amalan mereka dengan tangan kiri bermakna mereka akan masuk ke dalam neraka. Ini disebut dalam Surah Waqiah.

Maknanya, mereka yang menerima Kitab Amalan dengan tangan kiri tidak diberi kitab macam yang disangka-sangka. Kalau yang terima dengan tangan kanan, mereka akan dapat dari depan. Namun yang terima dengan tangan kiri akan dikejar oleh kitab amalannya sendiri dan mereka sebenarnya menerima kitab itu dari belakang.

Maka kita akan membaca sendiri kitab kita itu seperti yang disebut dalam Isra’:14. Tidak boleh hendak menipu waktu membaca itu. Pandai buat dosa, maka pandailah baca sendiri apa yang telah dilakukan. Tidakkah kita akan malu nanti? Semua makhluk boleh dengar apa yang telah kita lakukan. Maka kita kenalah beringat dari sekarang supaya kita tidak jadi macam itu nanti. Allah ﷻ boleh buat supaya kejadian itu disaksikan oleh semua makhluk.

Sedangkan kalau ahli syurga, mereka akan berbangga dengan Kitab Amalan mereka dan mereka pula yang akan suruh orang lain baca kitabnya kerana dia berbangga dengan apa yang tertulis di dalamnya.

Namun, harapnya kita tidak perlu dibicarakan di Mahsyar nanti. Kerana dari ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis yang kita baca, ia adalah sesuatu yang amat-amat menakutkan dan memenatkan. Semoga terus masuk sahaja ke syurga, tanpa hisab, in sha Allah, aameen.

Waktu di Mahsyar itu, akan dikatakan kepada mereka:

 

الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!”

Manusia akan dibalas mengikut apa yang mereka lakukan sahaja. Sama ada dosa ataupun pahala. Ini memberitahu kepada kita bahawa kita tidak akan tanggung dosa orang lain.

Ia juga bermaksud tidak ada amalan sedekah pahala untuk diberikan kepada sesiapa sahaja. Tidak akan terjumpa di dalam kitab amalan mereka itu pahala-pahala yang dikirimkan kepada mereka oleh mereka yang hidup. Tidak ada mukasurat ‘amalan sendiri’ dan mukasurat lain, ‘amalan sedekah dari orang lain’. Cuma yang ada hanyalah pahala-pahala dari amalan mereka sendiri.

Maka di manakah dalil amalan sedekah pahala yang sedang diamalkan oleh masyarakat Islam kita? Tidak ada. Ia memang tidak ada dalam hadis-hadis dan amalan para sahabat. Maka kita kena berharap dengan amalan kita sahaja. Jangan berharap dari pahala sedekah dari orang lain. Kerana belum tentu lagi ia akan diterima.


 

Ayat 29: Sambungan Takhwif Ukhrawi

هٰذا كِتٰبُنا يَنطِقُ عَلَيكُم بِالحَقِّ ۚ إِنّا كُنّا نَستَنسِخُ ما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

This, Our record, speaks about you in truth. Indeed, We were having transcribed whatever you used to do.”

Malay

“Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!”

هَٰذَا كِتٰبُنَا

“Inilah Kitab Kami,

Inilah kata Allah ﷻ yang merujuk kepada Kitab Amalan setiap makhluk. Allah ﷻ yang menjadikan kitab itu dan kerana itu Allah ﷻ kata: ‘Kitab Kami’. Allah ﷻ yang arahkan para malaikat untuk menulis segala perbuatan manusia di dalam Kitab Amalannya.

 

يَنطِقُ عَلَيْكُم بِالْحَقِّ

ia memperkatakan terhadap kamu dengan yang benar,

Allah ﷻ menggunakan perkataan يَنطِقُ dalam ayat ini. Ia memberi isyarat bahawa Kitab itu akan berkata-kata. Jadi ini bukanlah kitab biasa.

Dan ia hanya mengatakan perkara yang benar sahaja. Tiada yang kurang dan tidak akan ditambah dari yang dilakukan oleh makhluk. Seperti disebut dalam Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

 

إِنَّا كُنَّا نَسْتَنسِخُ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

sesungguhnya Kami telah menulis segala yang kamu telah lakukan!”

Kalimah نَسْتَنسِخُ dari katadasar ن س خ yang bermaksud ‘menghapuskan sesuatu’ atau ‘memansuhkan sesuatu’. Namun apabila digunakan dalam wazan إستِنسَخ, ia membawa maksud menulis, menyalin seperti perkataan nuskhah yang bermaksud salinan kitab. Seperti kita salin dari sesuatu kitab yang lain.

Oleh itu ia bermaksud, semasa kita melakukan sesuatu, malaikat ‘menyalin’ apa kita lakukan. Bayangkan, apa sahaja yang kita tulis dalam SMS, dalam Whatsapp, dalam twitter dan Facebook, malaikat pun salin apa yang kita tulis itu. Maka, ingatlah semasa kita menulis semua itu, malaikat sedang menyalin apa yang kita tulis itu.

Kita sangka perkara sesuatu perkara yang kita lakukan itu kecil sahaja, tetapi itu pun ditulis oleh malaikat. Kadang-kadang perkara kecil itulah yang menyebabkan orang sakit hati, orang marah, orang berkelahi kerananya. Kita sahaja yang sangka ianya tidak ada apa, tapi orang lain rasa ia besar. Maka, kita akan lihat bagaimana perkara yang kita sangkakan kecil, rupanya besar di mata Allah ﷻ .

Namun malaikat hanya mencatat sahaja. Mereka tidak tahu kita ikhlas atau tidak. Sebab itu ada amalan yang memang kita telah lakukan, tetapi Allah ﷻ suruh buang sahaja, kerana Allah ﷻ tahu yang kita tidak ikhlas semasa melakukannya.


 

Ayat 30: Tabshir Ukhrawi.

فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ فَيُدخِلُهُم رَبُّهُم في رَحمَتِهِ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ المُبينُ

Sahih International

So as for those who believed and did righteous deeds, their Lord will admit them into His mercy. That is what is the clear attainment.

Malay

Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmat-Nya; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.

فَأَمَّا الَّذِينَ ءآمَنُوا

Adapun orang-orang yang beriman

Iaitu orang-orang yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Mereka itu tahu apakah tauhid dan apakah syirik. Oleh kerana itu mereka meninggalkan syirik dan mengamalkan ajaran tauhid sahaja dalam kehidupan mereka.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحَاتِ

dan beramal soleh,

Bukan sahaja mereka itu beriman, tetapi mereka juga menunjukkan iman mereka dengan mengerjakan amalan-amalan ibadat. Amalan ibadat yang mereka lakukan itu adalah mengikut amalan ajaran Nabi sahaja dan tidak melakukan amalan bidaah. Amalan yang bidaah, tidak dinamakan ‘amalan soleh’. Amalan bidaah adalah amalan sia-sia.

 

فَيُدْخِلُهُمْ رَبُّهُمْ فِي رَحْمَتِهِ

maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmatNya;

Apabila Allah ﷻ berfirman yang mereka itu dimasukkan ke dalam ‘rahmat-Nya’, itu bermaksud Allah ﷻ akan selamatkan mereka dari neraka dan masukkan ke dalam syurga. Ini kerana kita tidak akan dapat masuk ke dalam syurga melainkan dengan rahmat Allah ﷻ.

Ini juga sebagai dalil bahawa kita masuk syurga atas rahmat Allah ﷻ. Ini kerana kalau dengan amalan kita sepanjang hidup walau bagaimana baik pun, tidak cukup lagi kalau dibandingkan dengan nikmat syurga yang amat besar itu. Tidak cukup ‘tambang tiket’ hendak masuk ke dalam syurga dengan amalan kita sahaja. Hanya kerana rahmat Allah ﷻ lah sahaja kita dapat masuk syurga.

Jadi kena berharap yang Allah ﷻ merahmati kita dan untuk dapat rahmat Allah ﷻ itu, kenalah pula beramal. Maknanya, tidak dapat lari dari amal juga. Walaupun amal kita tidak cukup, tetapi kita kena beramal sebanyak yang mungkin kerana kita berharap Allah ﷻ akan merahmati kita dengan amal kita yang sedikit itu.

 

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْمُبِينُ

yang demikian itu ialah kemenangan yang jelas.

Lafaz الْفَوْزُ bermaksud kemenangan selepas selamat dari bahaya. Mereka yang dapat masuk syurga itu bermaksud mereka juga telah terlepas dari azab neraka, dan itu adalah kemenangan yang amat besar.

Kalau dapat masuk ke dalam syurga, barulah boleh dikatakan kemenangan yang jelas. Kalau setakat menang hujah di dunia, tetapi di akhirat nanti akan memasukkan mereka ke dalam neraka, itu bukanlah kemenangan namanya. Ramai golongan ahli bidaah di negara ini yang berkedudukan tinggi, pandai berhujah menggunakan akal mereka untuk membolehkan amalan bidaah mereka.

Maka ramailah yang tertipu dengan hujah mereka kerana mereka pandai berkata-kata. Memang mereka mungkin menang kalau dalam dunia tetapi adakah mereka akan menang di akhirat kelak? Bolehkah mereka berhujah dengan Allah ﷻ?


 

Ayat 31: Takhwif Ukhrawi. Bagaimana pula dengan nasib orang yang engkar?

وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا أَفَلَم تَكُن ءآيٰتي تُتلىٰ عَلَيكُم فَاستَكبَرتُم وَكُنتُم قَومًا مُّجرِمينَ

Sahih International

But as for those who disbelieved, [it will be said], “Were not Our verses recited to you, but you were arrogant and became a people of criminals?

Malay

Adapun orang-orang yang kafir, (maka mereka akan ditempelak dengan dikatakan kepada mereka): “Bukankah ayat-ayatKu telah disampaikan dan dibacakan kepada kamu, lalu kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?

وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا

Adapun orang-orang yang engkar,

Dalam ayat ini dikatakan orang ‘kafir’, tetapi kita terjemahkan sebagai orang yang ‘engkar’. Ini kerana sebenarnya, orang yang kafir itu adalah orang yang engkar.

Maka kalau kita beragama Islam, tetapi engkar dengan arahan Allah ﷻ, adakah kita masih boleh mengaku kita orang Islam? Mungkin dalam mata manusia, kita masih lagi digelar Muslim, tetapi apakah pula pandangan Allah ﷻ kepada kita? Itu yang kita kena fikirkan.

 

أَفَلَمْ تَكُنْ ءآيٰتِي تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

“Bukankah ayat-ayatKu telah dibacakan ke atas kamu,

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini. Tidak diberitahu siapakah yang berkata-kata. Yang berkata-kata itu adalah Allah ﷻ.

Soalan ini ditanya sebelum mereka dihumban ke dalam neraka. Allah ﷻ sendiri berkata dalam ayat ini; Allah ﷻ bertanya kepada mereka, tidakkah ayat Al-Qur’an pernah dibacakan kepada mereka? Tentulah ada. Agaknya, apakah jawapan mereka yang dalam keadaan berlutut dan menundukkan kepala itu? Adakah mereka boleh menjawab kepada Allah ﷻ? Adakah kita sanggup hendak kata kepada Allah ﷻ waktu itu: “Maaf Allah ﷻ, aku tidak sempat hendak belajar, aku sibuk dengan kerja, aku sibuk dengan keluarga….”.

Ayat ini mengajar kita bahawa kita kena dakwah manusia dengan Al-Qur’an. Kita kena bacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Lebih-lebih lagi kita kena bacakan ayat tauhid. Lihatlah bagaimana soalan yang Allah ﷻ tanya kepada mereka adalah tentang Al-Qur’an. Menunjukkan betapa pentingnya Al-Qur’an itu. Dan mereka yang masuk ke dalam neraka itu kerana mereka tidak menghiraukan Al-Qur’anlah.

Kita kena baca Al-Qur’an itu dan tadabbur selalu dan kena fahamkan serta mengamalkan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Tidak dapat tidak, kita kena belajar keseluruhan 30 juzuk Al-Qur’an itu. Nak masuk syurga kena belajar tafsir Al-Qur’an dan amalkan ajaran dalam Al-Qur’an.

 

فَاسْتَكْبَرْتُمْ

lalu kamu berlaku sombong,

Iaitu, mereka sombong hendak belajar dan mendengar penjelasan pendakwah tentang agama dan tentang Al-Qur’an. Mereka juga sombong hendak ikut arahan-arahan Allah ﷻ dalam Al-Qur’an itu walaupun ia telah jelas. Mereka tidak jelas itu adalah kerana tidak mahu belajar, mendengar dan membuka hati mereka kepada kebenaran.

Maknanya, mereka bukannya tidak tahu langsung berkenaan Al-Qur’an, tetapi mereka sombong. Sikap sombong hendak mendengar, ikuti dan menerima kerana mereka rasa diri sudah besar, berasa hebat dan tahu banyak pasal agama. Selain itu mereka juga berasa selamat dan pasti masuk syurga. Adakah begitu? Tentu tidak, bukan?

Kadang-kadang manusia membuat kesilapan dengan melihat siapakah yang memberi nasihat itu. Kalau nampak macam orang yang tidak penting atau tidak ada kedudukan, mereka buat tidak layan sebab mereka sombong. Mereka rasa mereka lebih bagus dari orang yang memberi nasihat kepada mereka. Ini kerana mereka lihat diri lebih tinggi kedudukan dan kekayaan dari mereka yang memberi nasihat itu. Sepatutnya mereka melihat apakah nasihat yang disampaikan, bukannya melihat siapakah yang menyampaikannya.

Hanya kerana sombong, kadang-kadang manusia marah kalau kita beri nasihat kepada mereka. Mereka melenting balik kalau diberi nasihat. Mereka rasa kita macam merendahkan diri mereka dengan beri nasihat sebegitu. Padahal, kita memberi nasihat sebagai peringatan sahaja. Mereka pun boleh beri nasihat kepada kita balik, apa salahnya?

 

وَكُنتُمْ قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

serta kamu menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?

Oleh kerana mereka tidak mahu belajar dan memahami Al-Qur’an, maka mereka tidak tahu manakah yang salah dan manakah yang benar. Mereka hanya ikut apa yang disampaikan kepada mereka oleh guru-guru yang tidak semestinya benar.

Kalau mereka belajar Tafsir Al-Qur’an, mereka akan tahu bahawa ada perkara yang dilakukan selama hari ini adalah salah. Mereka dapat bandingkan ajaran manusia dan ajaran dari Al-Qur’an. Namun, kerana tidak mahu belajar, maka mereka terus melakukan kesilapan itu tanpa henti.

Sebagai contoh, banyak amalan bidaah yang mereka lakukan. Mereka sangka sedang buat perkara baik dan mendapat pahala, tetapi sebenarnya mereka sedang mengumpul dosa.


 

Ayat 32: Sambungan kata-kata Allah ﷻ dari ayat sebelum ini. Allah ﷻ mengingatkan kembali apa kata-kata mereka semasa di dunia. Allah ﷻ memberitahu yang sebab kedua mereka masuk ke dalam neraka adalah kerana menolak adanya akhirat.

وَإِذا قيلَ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَالسّاعَةُ لا رَيبَ فيها قُلتُم مّا نَدري مَا السّاعَةُ إِن نَّظُنُّ إِلّا ظَنًّا وَما نَحنُ بِمُستَيقِنينَ

Sahih International

And when it was said, ‘Indeed, the promise of Allah is truth and the Hour [is coming] – no doubt about it,’ you said, ‘We know not what is the Hour. We assume only assumption, and we are not convinced.’ “

Malay

“Dan apabila dikatakan (kepada kamu): `Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar, dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya’, kamu berkata: ` Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali menyakininya ‘.”

وَإِذَا قِيلَ

“Dan apabila dikatakan

Allah ﷻ mengingatkan bagaimana mereka dulu pernah juga diberi dakwah. Pernah juga dikatakan kepada mereka tentang agama dan lebih-lebih lagi tentang Kiamat semasa di dunia. Bukannya tidak datang pemberi dakwah dan penyebar tauhid kepada mereka semasa di dunia dulu.

 

إِنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ

Sesungguhnya janji Allah adalah benar,

Telah diberitahu kepada mereka bahawa janji Allah ﷻ itu benar iaitu janji Allah ﷻ untuk memasukkan mereka yang engkar ke dalam neraka. Manakala yang beriman dan membuat amalan yang soleh akan dimasukkan ke dalam syurga.

 

وَالسَّاعَةُ لَا رَيْبَ فِيهَا

dan Hari Kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya ‘,

Iaitu Hari Kiamat pasti akan terjadi, Allah ﷻ pasti akan buat. Cuma bila terjadinya, tidak ada sesiapa pun yang tahu melainkan Allah ﷻ sahaja. Telah diberitahu berkali-kali tentang perkara ini kepada mereka.

Apabila telah diberitahu perkara-perkara di atas, apakah jawapan balasan dari mereka?

 

قُلْتُم مَّا نَدْرِي مَا السَّاعَةُ

kamu semua berkata: `Kami tidak mengetahui apa dia Hari Kiamat itu;

Lihatlah apa kata mereka apabila Hari Kiamat diingatkan kepada mereka. Mereka tidak mengaku yang mereka tahu tentang Hari Kiamat. Maknanya, mereka tidak percaya. Mereka buat-buat tidak tahu.

 

إِن نَّظُنُّ إِلَّا ظَنًّا

kami mengira ianya hanya sebagai sangkaan sahaja,

Mereka ini adalah jenis orang yang dipanggil agnostik. Mereka itu selalunya ahli saintis. Jadi kononnya semua perkara kena dibuktikan dengan sains. Kalau sains tidak dapat buktikan, mereka tidak mahu menerima.

Mereka sangka mereka pandai kerana berpendidikan tinggi dan ada buat banyak kajian. Namun, sebenarnya mereka amat bodoh. Mereka kata kejadian hari kiamat itu hanya sangkaan-sangkaan manusia yang bodoh sahaja, tetapi sebenarnya merekalah yang bodoh. Mereka tidak mahu percaya kepada perkara yang mereka tidak nampak. Jadi mereka tolak mentah-mentah. Mereka tidak mahu mendengar hujah-hujah yang ada dalam Al-Qur’an.

Terdapat pula manusia yang tidak berapa yakin dengan akhirat itu. Mereka rasa macam ada akhirat itu, tetapi kadangkala mereka rasa mungkin tidak ada. Ini pun manusia yang ada masalah.

 

وَمَا نَحْنُ بِمُسْتَيْقِنِينَ

dan kami tidak sekali-kali menyakininya ‘.”

Mereka tidak yakin tentang akan datangnya Hari Kiamat itu. Mereka kata ia hanya syak orang-orang yang bodoh sahaja. Pada mereka, Kiamat itu tidak benar. Mereka pun jenis tidak mahu mencari kebenaran dan tidak kisah.

Sebab kalau mereka jenis yang hendak mencari kebenaran, tentu akan terjumpa bukti-bukti dan hujah-hujah yang mengatakan Hari Kiamat itu pasti terjadi. Amat banyak sekali kita berjumpa di dalam pembelajaran tafsir Al-Qur’an. Namun, kerana mereka sendiri tidak mahu Hari Kiamat itu terjadi, jadi hati mereka telah berat kepada mengatakan Hari Kiamat itu tidak akan terjadi.

Oleh kerana tidak percaya kepada akhiratlah yang menyebabkan manusia melakukan banyak kesalahan dan dosa. Akhirnya, mereka akan masuk ke Neraka dan akan rasa amat rugi sekali. Waktu itu sudah terlambat. Namun, apa lagi yang mereka boleh buat?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Jathiya Ayat 23 – 27 (nafsu sebagai ilah)

Ayat 23: Ayat Zajrun dan Khatmul Qalbi. Ramai manusia yang mengikut hawa nafsu mereka. Sampaikan nafsu mereka sudah mengganti tempat Tuhan.

Bagaimana pula menjadikan nafsu sebagai ilah? Ia apabila bertembung antara wahyu dan nafsu, mereka menolak wahyu dan menggunakan nafsu. Waktu itu, nafsu yang menjadi ilah bagi dia sedangkan Allah ﷻ kata hanya Dia sahaja ilah yang sebenar. Allah ﷻ  suruh amalkan fahaman tauhid, tetapi nafsu mahu kepada syirik.

Begitu juga dalam amal ibadat, hanya mengikut hawa nafsu mereka. Ramai yang tetap juga hendak membuat amalan bidaah, walaupun tidak ada dalil dalam syariat. Seolah-olah amal yang berlandaskan syariat sudah habis dilakukan sampai mereka ada banyak masa untuk membuat amalan bidaah pula.

Begitu juga dengan hukum: ada larangan Allah ﷻ tetapi mereka tetap hendak buat juga kerana mengikut keinginan nafsu untuk melakukannya. Maka mereka telah jadikan nafsu sebagai ilah.

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلىٰ عِلمٍ وَخَتَمَ عَلىٰ سَمعِهِ وَقَلبِهِ وَجَعَلَ عَلىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً فَمَن يَهديهِ مِن بَعدِ اللهِ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

Sahih International

Have you seen he who has taken as his god his [own] desire, and Allah has sent him astray due to knowledge and has set a seal upon his hearing and his heart and put over his vision a veil? So who will guide him after Allah ? Then will you not be reminded?

Malay

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar), dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

 

أَفَرَءيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوىٰهُ

Apakah engkau memikirkan tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah?

Nabi Muhammad ﷺ ditanya adakah baginda pernah melihat dan memikirkan tentang mereka yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah? Sepatutnya manusia ikut syariat dari Allah ﷻ sebagai ilah, tetapi ramai yang mengambil nafsu dan guna pakai sebagai ilah mereka pula.

Kalimah هَوَاهُ dari kata dasar ه و ي yang bermaksud ‘jatuh’ seperti yang digunakan di dalam ayat Najm:1

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ

Demi bintang semasa ia jatuh, –

Hawa nafsu bermaksud keinginan pada seseorang yang sampai boleh ‘menjatuhkan’ dirinya. Itu akan terjadi jikalau seseorang tidak dapat mengawal keinginan hawa nafsunya. Semua orang ada hawa nafsu dan keinginan tetapi bahayanya adalah apabila tidak dapat mengawalnya.

‘Jatuh’ itu pula bermaksud dia jatuh pada pandangan Allah ﷻ.

Apakah maksud seseorang itu menjadikan hawanya sebagai ilahnya? Itu terjadi apabila seseorang itu melebihkan hawa nafsunya dari perkara lain. Di dalam membuat keputusan di dalam hidupnya, dia mengikut kehendak hawa nafsunya dan bukan kehendak Allah ﷻ. Dia langgar hukum yang ditetapkan oleh Allah ﷻ.

Bukan kehendak Allah ﷻ sahaja yang dia langgar, tetapi akalnya yang waras juga dia langgar. Apa yang dia hendak buat, dia akan buat tanpa usul periksa. Selain itu dia tidak memikirkan apakah kesannya kepada dirinya dan kepada orang lain.

Sebagai contoh, dia tahu bahawa dia sepatutnya kena bangun awal untuk pergi kerja esoknya, tetapi kerana mengikut kehendak hawa nafsunya yang hendak terus berjaga malam (mungkin kerana hendak main game), dia tidur lewat dan akhirnya esok pagi dia bangun lambat juga.

Dia juga pentingkan dirinya sahaja. Makanannya, pakaiannya, segala perhiasan dan kesukaan yang hendak dilakukannya, akan dilakukan sebab dia hendak buat apa sahaja yang dia suka. Semuanya berkenaan dirinya sahaja dan apa yang dia suka. Wangnya mungkin tidak cukup untuk membeli segala kemewahan itu, tetapi dia beli juga kerana itulah kehendak nafsu dia. Mungkin dia terpaksa berhutang untuk mendapatkannya. Bahayanya apabila berhutang, dia sudah kena pakai sistem riba pula dan itu bermakna dia melanggar hukum Allah ﷻ.

Nabi Muhammad ﷺ ditanya pernahkah baginda melihat orang yang sebegitu? Pernahkah kita sendiri lihat? Tentu pernah, bukan? Berlambak jenis orang sebegini yang kita boleh lihat. Malah kadangkala kita pun begitu agaknya.

Satu lagi adalah jenis orang yang hanya mementingkan keduniaan sahaja. Kerjanya hanya bekerja sahaja, berniaga dan mengumpul harta. Dikira-kira hartanya itu semakin banyak dan semakin banyak. Selain itu, belajar agama tidak mahu, buat ibadat pun tidak, hanya ingin puaskan nafsunya hendak melihat wangnya yang semakin banyak dan banyak.

Malangnya, inilah agenda hidup kebanyakan manusia. Mereka membuat sesuatu hanya mengikut hawa nafsu mereka sahaja. Kalau mereka teringin untuk buat sesuatu, barulah mereka akan buat. Mereka dipandu oleh perasaan dan hati mereka sahaja. Kalau kita minta dia buat benda yang baik, tetapi hawanya tidak mahu buat, dia tidak buat.

Padahal, dalam agama ini ada perkara yang kita kena buat walaupun kita tidak suka. Sebagai contoh, mungkin kita kepenatan tetapi apabila masuk waktu solat, kita kena tunaikan. Bukannya kita solat bila senang dan bila kita suka sahaja.

Ini adalah sesuatu yang tidak patut dilakukan oleh manusia kerana seperti telah disebut dalam ayat sebelum ini, kita semua ada tujuan hidup kita. Tujuan hidup kita adalah untuk menghambakan kepada Allah ﷻ dan bukannya memuaskan hawa nafsu kita. Kalau kita hanya mengikut hawa nafsu kita sahaja, maka kita akan gagal dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat.

Nafsu tidaklah salah semuanya kerana kalau tidak ada nafsu, tidaklah kita ini menjadi manusia. Memang Allah ﷻ telah letakkan nafsu dalam diri kita, maka kita tidak boleh membuang nafsu itu. Bukan semua kehendak nafsu itu salah. Sebagai contoh, nafsu untuk makan perlu ada untuk kelangsungan hidup kita. Kalau tidak ada nafsu makan, macam mana pula?

Namun, kehendak nafsu itu hendaklah dikawal supaya jangan berlebihan. Maka, kena kawal nafsu makan untuk makan makanan yang halal seperti yang Allah ﷻ suruh, dan janganlah makan berlebihan sampai memudharatkan diri kita.

Ayat ini juga sebagai penerangan kepada kita, bahawa bukanlah ilah itu benda yang disembah sahaja. Tidaklah kita solat kepada nafsu kita, membaca doa kepada nafsu kita, sedekah Fatihah atau sebagainya. Namun, apabila mengikut kehendak nafsu kita dan ia berlawanan dengan kehendak syarak, maka itu bermakna kita menjadikan nafsu pula sebagai ilah.

Maknanya, antara salah satu perkara yang kita lakukan dengan ilah kita adalah kita taat kepadanya. Jadi kalau Allah ﷻ lah ilah kita, maka hendaklah kita taat kepada Allah ﷻ dan bukan nafsu kita itu.

 

وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ

dan dia disesatkan oleh Allah atas ilmu

Ada dua ‘wajah’ berkenaan maksud ‘ilmu’ dalam ayat ini. Maksudnya ada dua tafsir.

Pertama: Allah ﷻ tahu dengan ‘Ilmu-Nya’ yang orang itu memang akan sesat dari azali lagi. Maka Allah ﷻ menyesatkan orang itu atas Ilmu-Nya. Allah ﷻ sendiri tahu kenapa orang itu sesat dan Allah ﷻ sahaja yang tahu kenapa dia disesatkan. Kita tidak dapat tahu kerana ilmu kita terhad.

Oleh kerana Allah ﷻ mempunyai pengetahuan yang tidak terbatas itu, maka layaklah Allah ﷻ menyesatkan mereka. Hanya Allah ﷻ sahaja yang berhak buat keputusan ini dan kita tidak ada hak untuk mempersoalkannya.

Cuma, jangan kita salah faham pula. Bukanlah Allah ﷻ sengaja menyesatkan orang itu, tetapi orang itu sesat kerana kehendaknya sendiri. Selepas dia tidak mahu terima kebenaran setelah diajak berkali-kali, barulah Allah ﷻ sesatkan dia terus.

Kedua: Ilmu yang dimaksudkan dinisbahkan kepada orang yang sesat itu. Orang itu sesat walaupun dia ada ilmu. Selalunya manusia akan ikut kehendak hawa nafsunya apabila mereka tidak tahu dan tidak ada ilmu. Sebagai contoh, seorang yang makan makanan yang buruk kerana dia tidak tahu ia tidak elok tetapi kalau dia tahu ia tidak baik, dia tidak akan makan.

Namun, yang lagi teruk adalah mereka yang tahu makanan itu buruk lagi busuk, tetapi masih juga makan makanan yang tidak elok itu. Sebagai contoh, seseorang itu tahu yang makanan itu tidak elok untuk kesihatan tetapi dia makan juga.

Bagaimanakah lagi kita hendak menolong orang-orang yang sebegini? Mereka menolak akal mereka yang waras. Orang yang sebeginilah yang Allah ﷻ sesatkan mereka. Ini kerana mereka itu sudah tahu apakah kebenaran, tetapi tetap juga menolak  kebenaran itu.

Bagaimana pula dengan seseorang yang telah tahu syariat dan hukum Allah ﷻ tetapi mereka masih juga hendak melanggarnya? Kenapakah mereka sanggup buat begitu? Ini kerana mereka hanya mengikut hawa nafsu sahaja. Sepatutnya mereka mengikut perintah Allah ﷻ.

Apabila ‘taat’ kepada hawa nafsu, bermaksud kita telah menjadikan hawa nafsu kita itu sebagai ilah. Nauzubillah min za lik! Macam ini, tidak perlu sembah berhala lagi kerana ini lagi teruk dari berhala. Jika berhala, kita boleh pecahkan tetapi bagaimana hendak pecahkan hawa nafsu yang berada dalam diri kita? Kita tidak nampak dia, minta doktor bedah tolong buang keluar juga tidak boleh.

Ayat ini memberitahu kita bahawa tidak cukup jikalau seseorang itu hanya tahu tentang syariat. Selain daripada itu, dia juga perlu mengawal hawa nafsunya. Ilmu sahaja tidak cukup. Sebab itu banyak kita dengar bagaimana ‘orang agama’ juga turut terjerumus dalam kancah maksiat dan dosa. Tidak kiralah sama ada dia itu ustaz, guru agama, kerja di JAKIM, JAIS dan sebagainya. Ada pengetahuan agama tidak semestinya sudah menyelamatkan seseorang daripada melakukan maksiat kerana mereka masih boleh kalah dengan keinginan hawa nafsunya.

Apakah yang boleh kita gunakan untuk melawan kehendak nafsu kita? Hanya dengan adanya rasa takut kepada Allah ﷻ sahaja baru kita boleh melawan nafsu. Kalau hendak lawan dengan menggunakan akal sahaja tidak cukup kerana hawa itu berada dalam diri kita dan rapat sangat dengan kita.

Keduanya, kena ada harapan kepada akhirat iaitu dia percaya yang kalau dia tidak ikut nafsunya yang buruk, dia akan dibalas dengan baik di akhirat nanti. Dia kena yakin bahawa dengan menahan keinginannya yang tidak patut itu semasa di dunia, dia akan mendapat balasan yang lebih baik di akhirat kelak.

Sebagai contoh, dia yakin bahawa kalau dia menahan dirinya dari berzina di dunia, dia akan mendapat bidadari syurga untuk dia memuaskan nafsunya di syurga nanti; kalau dia menahan dirinya dari minum arak di dunia, dia akan dapat minum arak di syurga nanti. Arak di syurga itu lebih banyak dan jauh lebih sedap dari arak di dunia. Hanya perlu menahan sekejap sahaja di dunia, akan dapat menikmati nikmat yang selamanya di akhirat kelak yang tidak ada halangan dan batasan.

Kalau dikira-kirakan dengan akal yang waras, tentu itulah yang sepatutnya menahannya dari mengikut hawa nafsu. Namun kenalah yakin sepenuhnya bahawa akhirat itu ada. Masalahnya apabila ramai manusia yang tahu tetapi tidak yakin sebab kalau kita tanya dia percaya kepada akhirat, tak? Mereka akan jawab: ya. Namun, dari cara kehidupan mereka, nampak jelas mereka hidup seolah-olah akhirat itu tidak ada kerana tiada keyakinan mengenainya.

وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ

dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya,

Ada manusia yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah. Apabila diberi nasihat  dia tidak mahu dengar dan akan pekakkan telinga sahaja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Bukan dia tidak tahu, cuma dia tidak mahu dengar. Dia mungkin ada terdengar ceramah agama, dengar khutbah Jumaat dan dengar kata-kata nasihat di TV dan radio, tetapi apa yang disampaikan oleh ceramah dan nasihat itu tidak masuk dalam hatinya.

Apabila telah sampai satu tahap, Allah ﷻ ‘kunci hati’ mereka dari menerima kebenaran. Dalam hati mereka, tidak ada keinginan hendak belajar agama dan mengubah cara hidup. Malah yang hairannya, yang sudah tua begitu juga. Kita sangkakan, kalau sudah pencen dan banyak masa terluang, tentulah mereka hendak belajar agama tetapi tidak.

Mereka bukannya tidak beramal, solat, puasa, dan sebagainya. Semua itu mereka buat, tetapi setakat itu sahaja. Mereka hanya buat amal ibadat luaran sahaja. Ini kerana bagi mereka apabila sudah membuat amal ibadat luaran itu, kewajipan  sudah dilakukan. Padahal Islam bukanlah berkenaan dengan ibadat luaran sahaja kerana banyak lagi perkara yang perlu dilakukan.

Ini adalah peringkat terakhir dari kesesatan manusia yang dinamakan ‘Khatmul Qalbi’. Mereka yang telah dikunci mati hati mereka oleh Allah ﷻ, tidak ada harapan lagi untuk menerima hidayah. Walau apapun diberitahu kepada mereka tentang agama, mereka tidak akan mendengar.

 

وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً

serta dijadikan penutup atas penglihatannya

Dia sudah nampak kebenaran (kerana sudah ada orang sampaikan), tetapi dia tidak mahu ikut juga kerana penglihatannya telah ditutup. Walaupun kebenaran itu di depan matanya dia tidak nampak. Dia akan buat tidak nampak. Ini dinamakan Khatmul Qalbi di mana hatinya telah tertutup langsung dari terima kebenaran.

 

فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللهِ

Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah?

Allah ﷻ tanya: selepas Dia telah buat keputusan untuk menutup pendengaran, hati dan penglihatan mereka itu, siapa lagi yang boleh beri hidayah kepadanya? Orang yang sudah sesat, kalau Allah ﷻ tidak memberi hidayah, siapa lagi yang boleh hidayah kepada mereka?

Tidak ada sesiapa lagi kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh memberi hidayah kepada makhluk. Kita hanya boleh sampaikan sahaja, tetapi kalau Allah ﷻ tidak membuka pintu hati seseorang dari menerima hidayah, mereka tidak akan dapat terima. Jadi kalau Allah ﷻ sudah buat keputusan untuk tidak beri hidayah lagi kepada orang itu, maka tidaklah dia ada harapan lagi.

Mereka yang jenis begini tidak akan bertaubat sendiri kerana mereka sangka mereka buat benda betul. Mereka juga sudah tidak kisah dengan syurga, neraka dan dosa lagi. Kalau orang buat dosa dan dia sedar itu adalah perkara salah, mungkin dia akan bertaubat di masa hadapan. Namun, kalau dia tidak sangka dia buat salah, adakah dia akan bertaubat?

Begitulah yang terjadi dengan ramai orang yang buat amalan bidaah di negara kita ini. Mereka sangka amalan mereka itu benar, dapat pahala, ada pula ustaz yang ajar itu adalah Bidaah Hasanah, maka berterusanlah mereka mengamalkan benda yang salah. Pada mereka, buat apa hendak bertaubat kerana mereka bukan buat benda salah pun?

Dalam ayat ini, disebut ‘pendengaran’ dahulu sebelum ‘penglihatan’ kerana ada kepentingan dalam pendengaran. Untuk mendapat nasihat agama, mestilah melalui pendengaran dahulu, bukan? Dari pendengaranlah yang membawa mesej agama itu ke hati. Kalau pendengaran juga sudah ditutup, harapan untuk mendapatkan nasihat agama adalah amat tipis.

Lalu bagaimana hendak buat dengan mereka? Kita hanya boleh doakan mereka sahaja dan kalau mereka mahu, kita suruh berdoa sendiri kepada Allah ﷻ supaya diberikan kebenaran kepada mereka. Suruh mereka berdoa: “ya Allah, tunjukkan kebenaran kepada aku.”

 

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Oleh itu, mengapa kamu tidak ambil peringatan?

Peringatan yang kita boleh ambil, antaranya: ilmu sahaja tidak cukup untuk melawan kehendak nafsu. Kena ada rasa takut kepada Allah ﷻ dan kena ada harapan kepada akhirat. Kedua-dua perkara ini amat penting.

Kalau ada ilmu sahaja, tahu mana salah dan mana betul, tetapi tidak ikut, tidak berguna juga. Berapa ramai dalam dunia yang tahu perkara yang mereka lakukan itu salah, tetapi mereka masih buat juga? Terlalu ramai, bukan?


 

Ayat 24: Ayat Syikayah (rungutan dari Allah ﷻ). Ini pula adalah tentang mereka yang berpegangan materialistik. Mereka yang hanya mementingkan keduniaan sahaja. Juga berkenaan mereka yang berfahaman ateis (free thinker). Apa yang mereka kata?

وَقالوا ما هِيَ إِلّا حَياتُنَا الدُّنيا نَموتُ وَنَحيا وَما يُهلِكُنا إِلَّا الدَّهرُ ۚ وَما لَهُم بِذٰلِكَ مِن عِلمٍ ۖ إِن هُم إِلّا يَظُنّونَ

Sahih International

And they say, “There is not but our worldly life; we die and live, and nothing destroys us except time.” And they have of that no knowledge; they are only assuming.

Malay

Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا

Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini.

Mereka rasa hanya ada kehidupan di dunia sahaja dan tidak ada kehidupan di akhirat. Oleh kerana ada pegangan begini, hidup mereka akan dipenuhi dengan perkara keduniaan sahaja untuk memenuhi kehendak nafsu yang ada. Mereka hendak memuaskan nafsu sebelum mati.

Inilah mereka yang menggunakan motto: Hidup hanya sekali (We only live once). Maka mereka katakan akan buat segalanya supaya tidak menyesal sebab tidak sempat buat itu dan ini, pergi ke sana dan ke sini. Maka masa mereka terbuang di situ sahaja. Perbuatan itu sampai boleh menyebabkan mereka melanggar syarak Allah ﷻ atau melanggar hukum alam.

Mereka tidak akan takut untuk melakukan apa-apa sahaja kerana tidak percaya bahawa perbuatan salah akan dibalas di akhirat nanti. Malah perasaan takut dengan balasan azab akhirat juga tidak ada kerana tidak percaya adanya azab neraka itu.

 

نَمُوتُ وَنَحْيَا

Kita mati dan kita hidup;

Disebut ‘mati’ dahulu kerana ‘mati’ bermaksud ‘tiada nyawa’. Maknanya, sebelum kita hidup di dunia, kita dalam keadaan ‘mati’ kerana kita tidak ada nyawa waktu itu. Itulah semasa kita di alam roh.

Mereka sebut ‘mati’ dahulu kerana itulah sahaja yang mereka nampak di hadapan mereka dan tidak lebih dari itu. Mereka tahu akan mati, dan rasa sebelum mereka mati, mereka hendak menikmati kehidupan ini.

Inilah sebabnya ada yang menggunakan slogan: YOLO – You Only Live Once. Inilah slogan hidup yang menyebabkan mereka buat macam-macam supaya tiada kerugian dalam menikmati hidup. Sebelum mati, mereka hendak mencuba macam-macam.

 

وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ

dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran masa”.

Pada mereka, kita manusia tertakluk dengan masa sahaja. Sampai masa, kita akan matilah. Inilah akidah puak Ateis, iaitu mereka yang tidak percaya dengan Allah ﷻ. Mereka juga digelar ‘free thinker’ dan mengamalkan konsep Hedonisme iaitu mencari-cari kegembiraan sahaja. Mereka hendak enjoy sahaja hidup ini.

Mereka hendak membuat apa yang disukai dalam masa yang terhad ini. Pada mereka yang berfahaman begini, sama ada ateis atau tidak, Muslim atau tidak, kematian itu adalah kematian biasa sahaja. Ia kerana peredaran zaman, iaitu mati kerana tua sahaja. Mereka tidak terima bahawa itu dimatikan oleh Allah ﷻ, yang kehidupan dan kematian ditentukan oleh Allah ﷻ.

Sedangkan ‘masa’, ‘zaman’ itu semuanya adalah Allah ﷻ – ini adalah mafhum dari hadis. Allah ﷻ lah yang membuat zaman dan masa itu. Jadi kalau kita kata masa yang mematikan kita, sebenarnya Allah ﷻ lah juga yang mematikan kita sebenarnya.

لا تسبوا الدهر، فإن الله هو الدهر

“Jangan kamu mencela ad-Dahr (masa), kerana Allah adalah ad-Dahr (masa).” (Hadis Riwayat Ahmad, 15/70, no. 9137. Muslim, 11/313, no. 4169)

Oleh kerana masa itu adalah Allah, maka jangan kita keji, hina, cela masa itu. Ini ramai antara kita yang tidak perasan. Mereka akan marah kepada zaman/masa. Sebagai contoh, mereka kata: “kita sekarang hidup ‘zaman maksiat’, itulah sebabnya kita susah nak buat ibadat”. Itu maksudnya mereka menyalahkan Allah juga, kerana Allahlah yang telah memasukkan kita dalam zaman ini.

Nota: bukanlah salah satu nama Allah ﷻ adalah ad-Dahr pula. Allah ﷻ bukanlah ‘masa’ tetapi Allah ﷻ yang menjadikan masa.

Adakah Allah ﷻ bersalah? Tentu tidak, apa sahaja yang Allah ﷻ buat adalah benar belaka, tidak akan ada perkara yang Allah ﷻ salah buat pula. Jadi kenalah kita berhati-hati dengan apa yang kita katakan dengan mulut kita. Satu lagi contoh apabila kita salahkan hujan turun – ini tidak patut kerana hujan itu Allah ﷻ yang turunkan. Kalau marah kepada hujan, maknanya kita marah kepada Allah ﷻ.

Maka, jangan kita kata juga: “ini sudah nasib”. Ini salah kerana Allah ﷻ yang buat segala perkara. Jangan kita jadi seperti Musyrikin Mekah yang memang tahu Allah ﷻ yang jadikan mereka tetapi tidak terima Allah ﷻ yang uruskan semua sekali perkara dan kejadian setiap saat. Tidak ada yang di luar takdir dan kuasa Allah ﷻ. Maka, kalau terjadi sesuatu perkara yang kita suka atau tidak suka, kita kena sebut qaddarallah (ini qadr Allah ﷻ).

 

وَمَا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ

dan mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu;

Mereka berkata begitu dengan tidak ada dalil dari Al-Qur’an atau hadis. Tidak ada juga hujah kalau menggunakan akal pun. Mereka sangka sudah pandai ilmu sains, tetapi mereka tidak ada bukti yang kukuh pun bahawa alam ini terjadi dengan sendiri.

Cuba bayangkan, takkanlah kehidupan kita terjadi begitu sahaja? Begini punya hebat alam ini, ia terjadi sendiri? Takkanlah pula, kan? Jadi ini sahaja sudah menjadi hujah yang cukup kuat. Yang menolaknya adalah kerana menolak akal mereka sahaja.

 

إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

Yang mereka ada hanyalah teori khayalan sahaja. Tidak ada bukti yang kukuh bagi menyokong pendapat dan pegangan mereka. Mereka berusaha untuk mengelabui mata mereka yang bodoh dengan  mengatakan yang alam ini boleh terjadi sendiri, tetapi itu semua adalah sangkaan-sangkaan belaka.


 

Ayat 25: Ini adalah syikayah lagi. Allah ﷻ merungut dengan memberitahu apakah akidah dan pemahaman mereka yang salah itu. Oleh kerana gersang ilmu, mereka akan katakan macam-macam perkara yang karut.

Maka kena belajar tafsir sampai habis 30 juzuk dan sibukkan diri kita dengannya. Apabila sudah habis belajar tafsir 30 juzuk maka teruskan mengkaji dan mengkaji Al-Qur’an ini kerana tidak akan habis kajian tentang Al-Qur’an sampai mati.

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآيٰتُنا بَيِّنٰتٍ مّا كانَ حُجَّتَهُم إِلّا أَن قالُوا ائتوا بِئآبائِنا إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

And when Our verses are recited to them as clear evidences, their argument is only that they say, “Bring [back] our forefathers, if you should be truthful.”

Malay

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata (mengenai soal hidup semula sesudah mati), tidaklah ada hujah mereka (untuk menolak kebenarannya) selain daripada berkata: “Bawakanlah datuk nenek kami (hidup semula) kalau betul kami orang-orang yang benar!”

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءآيٰتُنَا بَيِّنٰتٍ

Dan apabila dibacakan ke atas mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata

Ayat-ayat Al-Qur’an telah banyak memperkatakan mengenai soal hidup semula sesudah mati, dengan hujah-hujah yang jelas. Berkali-kali diulang-ulang dalam Al-Qur’an. Telah dibentangkan bahawa Allah ﷻ lah yang menentukan segalanya.

Apa yang disampaikan itu adalah jelas. Tidak ada alasan untuk mereka kata yang ia tidak jelas. Ini kerana yang tidak nampak hanya untuk mereka yang tidak belajar sahaja, sombong untuk belajar.

Allah ﷻ memberitahu yang Al-Qur’an ‘dibacakan’ kepada mereka. Ini kerana mereka tentunya tidak akan membaca Al-Qur’an sendiri. Maka, kitalah yang kena bacakan kepada mereka. Namun apabila sudah dibacakan pun, mereka tidak terima juga. Ini adalah kerana mereka itu degil. Apakah pula hujah penolakan mereka?

 

مَّا كَانَ حُجَّتَهُمْ إِلَّا أَن قَالُوا ائْتُوا بِئآبَائِنَا

tidaklah ada hujah mereka selain daripada mereka berkata: “Bawakanlah datuk nenek kami

Mereka memang tidak ada hujah, jadi hujah bodoh sahaja yang mereka ada. Mereka suruh Nabi Muhammad ﷺ menghidupkan balik tok nenek mereka yang sudah lama mati itu. Ini kerana bila Nabi ﷺ kata yang kita semua akan dihidupkan semula, mereka hendak tengok sendiri dengan mata mereka bagaimana orang yang mati boleh dihidupkan kembali dan beritahu berita tentang kematian dan kehidupan semula itu.

Ini kerana mereka kata, mereka ikut amalan tok nenek dari dulu lagi. Maka, bawakanlah tok nenek itu semula, supaya mereka boleh beritahu yang amalan mereka selama mereka hidup di dunia itu memang salah, dan mereka telah kena azab dalam kubur.

Bila Nabi ﷺ tidak boleh hidupkan balik mereka yang telah mati, kerana memang kita tidak boleh pun, mereka gembira kerana hujah itu mereka sangka kuat, sebab baginda  ﷺ  tidak boleh hendak memberi apa yang mereka hendak.

Inilah sahaja hujah mereka. Padahal, Allah ﷻ dan Nabi ﷺ tidak pernah mengatakan yang makhluk akan dihidupkan semula dalam dunia ini, tetapi hanya pada Hari Kiamat sahaja. Jadi, apa yang kita tidak boleh buktikan bukanlah apa yang dikatakan oleh ayat-ayat Al-Qur’an. Ayat Al-Qur’an hanya mengatakan yang makhluk akan dihidupkan semula hanya apabila Kiamat, bukannya zaman sekarang.

 

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

Inilah antara hujah-hujah bodoh yang dikeluarkan oleh mereka yang jahil. Walaupun begitu, kita masih terpaksa menghadapi mereka. Mungkin mereka tidak akan beriman selepas kita sampaikan dakwah kepada mereka pun, tetapi manfaat dakwah itu akan dapat kepada kita yang berdakwah. Kita akan dapat pahala menyampaikan dakwah kalau kita menyampaikan dakwah itu walaupun mereka tidak terima.

Sebagai contoh, tidakkah Allah ﷻ tahu bahawa Firaun tidak akan beriman? Tentu Allah ﷻ tahu kerana semua perkara dalam ilmu Allah ﷻ. Namun kenapa Allah ﷻ hantar juga Nabi Musa عليه السلام kepada Firaun untuk berdakwah? Ini kerana ada kelebihan dalam memberi dakwah itu. Dengan berdakwah, dapat meningkatkan kekuatan iman Nabi Musa عليه السلام dan memberi pahala kepada baginda kerana usaha baginda itu.

Begitu jugalah dengan kita – kalau kita berdakwah sahaja, kita akan dapat pahala sama ada orang itu terima atau tidak. Maka jangan segan nak dakwah. Jangan rasa ia tidak bermanfaat kerana orang yang tolak dakwah itu mungkin tidak dapat manfaat, tetapi kita yang berdakwah ini akan dapat manfaatnya.

Kadang-kadang orang yang kita dakwahkan itu tidak mahu terima, tetapi ada kalanya orang yang mendengar perbincangan itu pula yang beriman. Lihatlah bagaimana Nabi Musa عليه السلام yang berdakwah kepada Firaun, tetapi yang beriman itu bukannya Firaun, tetapi orang lain yang mendengar.

Antaranya adalah seorang Lelaki Mukmin dan kemudian ahli-ahli sihir yang berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام. Begitu juga dengan kita, kadang-kadang kita berdakwah dengan orang di kedai kopi – orang yang kita dakwah itu tidak terima, tetapi ada pula orang lain yang mendengar di belakang yang terima.

Maknanya Allah ﷻ telah beri pahala kepada kita kerana dakwah, dan Allah ﷻ juga memberi pahala tambahan dengan ada orang lain yang beriman kerana dakwah kita itu. Maka berilah sahaja dakwah itu. Bukan banyak modal pun untuk berdakwah kerana kita cakap sahaja.


 

Ayat 26: Ayat 26 – 35 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia menceritakan keadaan Hari Kiamat. Waktu itu manusia akan menunggu dengan keadaan melutut.

Ayat 26 ini adalah jawapan kepada ayat Syikayah sebelum ini: bukan peredaran yang mematikan makhluk, tetapi Allah ﷻ.

قُلِ اللَّهُ يُحييكُم ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يَجمَعُكُم إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ لا رَيبَ فيهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

Sahih International

Say, ” Allah causes you to live, then causes you to die; then He will assemble you for the Day of Resurrection, about which there is no doubt, but most of the people do not know.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Dia akan mematikan kamu, setelah itu Dia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat – (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)”.

قُلِ اللَّهُ يُحْيِيكُمْ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menghidupkan kamu,

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini memperbetulkan kefahaman salah manusia yang tidak percaya kepada kebangkitan semula. Juga kerana mereka kata yang mematikan mereka adalah masa sahaja.

Ingatlah bahawa Allah ﷻ lah yang berkuasa penuh. Allah ﷻ lah yang menghidupkan kita pada kali pertama dan yang menguruskan semua sekali, bukannya masa, bukannya peredaran masa.

 

ثُمَّ يُمِيتُكُمْ

kemudian Dia akan mematikan kamu,

Allah ﷻ lah yang akan mematikan kita, apabila sampai waktunya, pasti kamu akan mati. Bukannya peredaran waktu.

 

ثُمَّ يَجْمَعُكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيٰمَةِ

setelah itu Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat –

Inilah kehidupan selepas mati yang tidak dipercayai oleh mereka-mereka yang tidak ada agama. Padahal, Allah ﷻ telah menjadikan kita dari tiada kepada ada, maka tentulah lagi mudah kalau Dia hendak menjadikan kita kembali, bukan?

Apabila mereka dihidupkan semula nanti, mereka akan terkejut dan ketakutan yang amat sangat kerana perkara yang mereka nafikan itu benar-benar terjadi. Dan mereka tidak bersedia langsung untuknya.

 

لَا رَيْبَ فِيهِ

(hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya;

Maksudnya Allah ﷻ pasti akan buat hari kebangkitan itu. Sama ada kita bersedia atau tidak, suka atau tidak, ia pasti akan terjadi dan yang kamu tolak itu hanya kerana degil sahaja. Tidak perlu tahu bilakah terjadinya Hari Kiamat itu kerana kalau tahu pun, bukan boleh buat apa pun, kena terima juga, bukan?

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)”.

Kebanyakan manusia tidak yakin dengan Hari Kiamat itu. Termasuklah kebanyakan orang Islam sekalipun. Ini kerana kalau mereka percaya penuh, tentunya mereka akan mengubah cara hidup. Namun kalau kita lihat orang Islam sekalipun, mereka menjalankan kehidupan mereka seperti tidak ada Hari Kiamat.

Mereka cakap sahaja yang mereka percaya Hari Kiamat, tetapi tidak sebenarnya iaitu mereka tidak ‘yakin’.


 

Ayat 27: Dalil Aqli

وَلِلَّهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ وَيَومَ تَقومُ السّاعَةُ يَومَئِذٍ يَخسَرُ المُبطِلونَ

Sahih International

And to Allah belongs the dominion of the heavens and the earth. And the Day the Hour appears – that Day the falsifiers will lose.

Malay

Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi; dan ketika berlakunya hari kiamat, pada saat itulah ruginya orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Dan milik Allah jualah kerajaan langit dan bumi;

Allah ﷻ sahaja yang menguasai langit dan bumi. Ayat ini mengajar tentang tauhid fi tasarruf (tauhid dalam pengurusan). Ini kerana segala alam ini milik Allah ﷻ belaka maka Dia lah juga yang uruskan. Tidak ada yang mempunyai kuasa yang sama dengan Allah ﷻ dan Allah ﷻ tidak berikan sedikit pun kuasa kepada sesiapa – termasuklah wali, Nabi atau malaikat untuk mengurus alam ini.

Allah ﷻ tidak berkongsi kerajaan-Nya dan pengurusan alam ini dengan sesiapa pun. Tidaklah Allah ﷻ minta tolong Nabi atau wali apabila hendak uruskan bahagian mana pun alam ini. Yang ada fahaman begitu adalah golongan tarekat sahaja yang jahil dengan wahyu.

Kita juga termasuk dalam alam ini. Maka kita dan segala makhluk pun tertakluk kepada kekuasaan Allah ﷻ. Kita semua milik Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ boleh buat apa sahaja dengan kita. Maka sayugialah kita sembah Allah ﷻ dan berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan doa kepada selain Allah ﷻ dan juga doa menggunakan perantaraan makhluk.

 

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ

dan apabila berlakunya hari kiamat,

Iaitu apabila berlakunya hari yang pasti itu. Allah sekarang hendak mengingatkan kita yang Hari itu pasti akan berlaku dan kita kena bersedia dan jangan buat benda yang salah dalam agama.

 

يَوْمَئِذٍ يَخْسَرُ الْمُبْطِلُونَ

pada hari itu, rugilah orang-orang yang berpegang kepada kebathilan.

Ini adalah takhwif ukhrawi. Mereka itu adalah orang yang tidak percaya kepada kebenaran. Yang benar mereka katakan bathil manakala yang bathil dikatakan ia benar. Kepercayaan dan kefahaman mereka sudah terbalik.

Bukanlah mereka rugi waktu itu sahaja tetapi  telah lama rugi di dunia kerana tidak percaya kepada wahyu. Namun, kerugian di dunia itu tidak nampak, maka tidak berubah perangai dan fahaman mereka. Pada Hari Kiamat itu, baru zahir kerugian mereka. Sedangkan di dunia lagi mereka sudah lama rugi.

Dalam kehidupan dunia, mereka buat perkara yang bathil antaranya, syirik dan bidaah. Mereka itu adalah orang yang amat-amat rugi nanti apabila Hari Kiamat menjelma.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Jathiya Ayat 18 – 22 (Syariat Allah sudah jelas)

Ayat 18: Ayat ini adalah Dakwa/Maksud surah ini iaitu perkara yang paling penting dalam surah ini. Ia menceritakan tentang Syariat – iaitu tariqah ilahiyah – (jalan ketuhanan).

Kalimah syariat berasal dari ش ر ع yang bermaksud ‘jalan untuk ambil air’. Jadi ia adalah sesuatu yang amat penting dan dapat menyelamatkan manusia kerana manusia memerlukan air dalam kehidupannya.

ثُمَّ جَعَلنٰكَ عَلىٰ شَريعَةٍ مِّنَ الأَمرِ فَاتَّبِعها وَلا تَتَّبِع أَهواءَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ

Sahih International

Then We put you, [O Muhammad], on an ordained way concerning the matter [of religion]; so follow it and do not follow the inclinations of those who do not know.

Malay

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

 

ثُمَّ جَعَلْنٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ

Kemudian Kami jadikan engkau di atas satu Syariat dari arahan ugama;

Syariat adalah ‘peraturan’ dan ayat ini memberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ sudah berada atas landasan syariat. Maknanya, syariat itu sudah sedia ada dan hanya perlu diikuti sahaja tanpa ada tambahan dan kurangan.

Dari segi bahasa, ‘syariat’ bermaksud ‘jalan yang jelas membawa kepada sumber air’. Oleh itu, syariat Allah ﷻ itu semestinya sesuatu yang ‘jelas’.  Bagi yang mengikutnya akan mendapat kebaikan sebagaimana kita memerlukan air untuk kehidupan kita. Maka, kalau ada sumber agama yang tidak jelas dan menggunakan dalil ‘agak-agak’ sahaja, janganlah kita terus terima dan ikuti.

Syariat itu ada dua bahagian utama iaitu tentang akidah dan amal ibadah. Kalau syariat bab akidah, ia telah ditetapkan sama bagi setiap Nabi dan umat masing-masing sepanjang zaman. Ia sama sahaja dan tidak berubah-ubah dari dulu sampai bila-bila.

Namun, syariat bahagian hukum dan ibadah, ia berubah-ubah mengikut zaman. Sebagai contoh, syariat Nabi Musa عليه السلام dan syariat Nabi Muhammad ﷺ tidak sama. Selepas sahaja Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, maka syariat-syariat lain termansukh dan yang terpakai hanyalah syariat Nabi Muhammad ﷺ sahaja.

Satu perkara yang kita kena tahu adalah syariat itu bukan hanya hukum-hakam dan halal, haram, makruh dan sunat sahaja. Ia merangkumi banyak lagi perkara dan ada juga bermaksud cara hidup yang baik iaitu cara etika universal. Sebagai contoh, berbuat baik dengan orang, bercakap baik, jangan menipu, jangan menindas, jangan memotong dalam barisan dan sebagainya.

Apabila Allah ﷻ berfirman dalam ayat ini yang Dia yang menjadikan Nabi di atas landasan syariat, itu bermaksud syariat itu datang dari Allah ﷻ, bukan dari Nabi ﷺ . Ini kerana baginda ﷺ cuma menjalankannya sahaja, dengan mengajar dan memberi contoh tauladan supaya manusia senang untuk tahu apakah syariat itu.

 

فَاتَّبِعْهَا

maka turutlah Syariat itu,

Bila jalan yang jelas dan syariat sudah ada, maka ikut sahaja keduanya itu. Syariat itu telah ada dijelaskan dalam Al-Qur’an dan juga Sunnah. Malah disyarahkan oleh ulama-ulama kerana kita tidak mampu hendak fahami sendiri. Maka, kenalah belajar dua sumber ini untuk mengetahui apakah syariat dan kenalah belajar dengan  berguru. Ini kerana kalau kita membaca sendiri, susah hendak faham nanti. Lagi bahaya, boleh jadi salah faham pula.

Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk mengikut syariat yang Allah ﷻ telah sampaikan. Ini adalah amrun ibqa’ie sebab Nabi ﷺ memang sudah mengikut syariat. Maksudnya, terus melakukan apa yang sedang dilakukan – bukanlah Nabi ﷺ baru hendak ikut syariat pula.

Ikut itu maksudnya percaya, hayati dan tabligh (sampaikan) sebagaimana yang diajar oleh Al-Qur’an. Dalam kata lain, ikut seperti yang dibuat oleh Nabi ﷺ .

Janganlah kita mencari jalan selain dari syariat Allah ﷻ. Kita juga sudah melafazkan Syahadah untuk ikuti Nabi Muhammad ﷺ dan ajarannya. Kalau kita sudah berikrar begitu, kenapa hendak mengikuti lagi jalan-jalan yang lain? Kenapa hendak mengikuti ajaran guru-guru yang tidak menggunakan Al-Qur’an dan Sunnah, termasuk kitab-kitab tulisan manusia yang tidak merujuk kepada ayat-ayat Allah ﷻ?

Kenapa masih lagi hendak membuat perkara bidaah dalam agama? Kenapa hendak mengamalkan tawasul yang dilarang sedangkan Nabi ﷺ tidak pernah mengajar cara berdoa begitu. Entah berapa ramai yang melafazkan Dua Kalimah Syahadah tetapi tidak memahami apakah yang disebutkan itu. Mulut mereka katakan berjanji hendak mengikut Nabi ﷺ, tetapi dalam amalan, masih mengikut akal, hujah dari kitab-kitab dan guru mereka.

Oleh itu, hendaklah kita faham syahadah yang dilafazkan setiap hari itu, sekurang-kurangnya dalam Tahiyat solat kita. Ini kerana pentingnya syahadah itulah, Allah ﷻ selalu ingatkan kita sampaikan mewajibkan kita mengucapnya setiap hari tetapi berapa ramai yang ambil peringatan? Berapa ramai yang engkar dengan kata-katanya sendiri? Kata hendak ikut ajaran Nabi ﷺ , tetapi ajaran orang lain juga yang mereka ikuti.

 

وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui

Ini pula perkara yang jangan dilakukan. Maknanya, ada yang kena ikuti dan ada yang tidak boleh. Ramai yang keliru dengan perkara ini. Mereka hanya tahu tentang perkara yang perlu dilakukan tetapi  tidak tahu ada perkara yang perlu tinggalkan.

Termasuk dalam perkara ini adalah larangan membuat amalan bidaah. Ini kerana segala amalan yang kita hendak lakukan kenalah ada dalil. Kalau bukan dari nas yang sahih, maka itu adalah ikut hawa nafsu. Namun, masyarakat banyak yang bagi alasan ‘tidak ada larangan’. Mereka terus mengamalkan juga amalan-amalan bidaah kerana mereka kata Nabi Muhammad ﷺ ‘tidak pernah larang’. Ini adalah hujah yang amat dangkal sekali. Hal ini terjadi adalah kerana mereka tidak belajar agama dan main-main sahaja dengan agama (tidak kisah dan ambil endah).

Hendaklah kita ikut orang yang tahu. Tahu apa? Tahu Al-Qur’an dan Sunnah – maknanya tahu ilmu wahyu. Itulah dua syarat utama yang perlu kita lihat dalam guru dan orang yang hendak kita ikuti dalam kehidupan kita. Mereka yang tidak tahu Al-Qur’an dan Sunnah itu adalah orang yang tidak boleh dijadikan sebagai panduan kita.

Ketahuilah bahawa orang-orang yang membuat amalan bidaah itu adalah mereka yang tidak tahu dan jahil mengenai tafsir Al-Qur’an dan hadis. Maka jangan belajar dengan mereka yang belum belajar wahyu. Terdapat ramai lagi yang telah belajar wahyu, jadi kalau ada guru yang mengajar, tanya dia, adakah dia sudah habis belajar tafsir Al-Qur’an?

Adakah salah tanya begitu? Kalau dia sendiri tidak tahu, kita takut ada ajaran salah yang disampaikannya. Ini penting kerana kita kena menjaga agama dan tidak mungkin hendak ambil agama dari orang yang tidak layak pula.

Jangan mengikut orang yang ikut hawa nafsu mereka. Apakah yang dimaksudkan dengan Hawa Nafsu? ‘Hawa nafsu’ itu adalah dakwaan dan hujah tanpa dalil yang sah. Dalil yang sah hanyalah dari Al-Qur’an dan Hadis Sahih sahaja. Kalau hujah bukan datang dari dua sumber itu, maka kita kena berhati-hati. Tidak kira dari guru sebesar mana pun yang memberi hujah kerana hujah manusia belum tentu benar. Landasan agama kita memerlukan dalil yang sah.

Jadi ada ramai yang membuat amalan dan fahaman agama mengikut dalil hawa nafsu, kehendak hati dan akal sahaja. Ini tidak boleh dan orang-orang sebegini jangan kita ikut. Tinggalkan sahaja mereka sebab bahaya kalau kita mendengar ceramah dan hujah yang disampaikan. Ini kerana mungkin mereka pandai berhujah dan dapat mengelabui mata kita pula.


 

Ayat 19: Kalau ikut juga mereka yang tidak tahu?

إِنَّهُم لَن يُغنوا عَنكَ مِنَ اللهِ شَيئًا ۚ وَإِنَّ الظّٰلِمينَ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۖ وَاللهُ وَلِيُّ المُتَّقينَ

Sahih International

Indeed, they will never avail you against Allah at all. And indeed, the wrongdoers are allies of one another; but Allah is the protector of the righteous.

Malay

Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikit pun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya).

 

إِنَّهُمْ لَن يُغْنُوا عَنكَ مِنَ اللهِ شَيْئًا

Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikit pun dari Allah;

‘Dari’ Allah ﷻ maksudnya ‘dari azab Allah ﷻ’. Kalau kita mengikut mereka yang tidak tahu agama, Al-Qur’an dan Hadis, membuat perkara yang berlawanan dengan apa yang disampaikan oleh wahyu dan syariat, mereka masih tidak dapat menyelamatkan kita juga.

Mereka juga tidak dapat memberi pertolongan kepada kita. Bagaimana mereka hendak menyelamatkan kita, sedangkan mereka sendiri tidak selamat? Maka janganlah berlindung dengan alasan: “alah, ramai orang yang buat, takkan salah”, “tok guru itu kata boleh buat begitu….”, “ustaz itu selamba sahaja buat, takkan salah kalau begitu?”.

Ini adalah contoh hujah-hujah yang bukan berlandaskan syariat. Hujah berlandaskan syariat adalah yang ada dalil dari Al-Qur’an dan sunnah. Hujah-hujah itu adalah bathil dan tidak akan menyelamatkan sesiapa jua dari Allah ﷻ.

 

وَإِنَّ الظّٰلِمِينَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ

dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain;

‘Zalim’ itu bermaksud berbuat syirik. Apabila tidak memahami Al-Qur’an, bermakna mereka tidak tahu apakah kehendak Allah ﷻ dalam hal akidah. Oleh kerana mereka tidak tahu, maka tentu akan melakukan banyak kesalahan lebih-lebih lagi tentang hal tauhid dan syirik. Ini kerana Al-Qur’an itu menerangkan tentang tauhid dan syirik. Itulah malangnya kalau tidak belajar Tafsir Al-Qur’an.

Apabila tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka syaitan akan mengambil peluang untuk menipu orang itu. Senang sahaja syaitan hendak bisikkan perkara yang salah kerana mereka tidak tahu ajaran Al-Qur’an. Maka, mereka tidak dapat membandingkan bisikan syaitan itu dengan Al-Qur’an. Itulah sebabnya Al-Qur’an itu adalah ‘neraca’ kerana ia dapat membezakan mana yang benar dan salah.

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini bahawa golongan yang mengamalkan syirik itu bertolongan dan memberi semangat kepada sesama mereka. Malahan ada juga puak yang sokong menyokong antara mereka kerana ada yang sama fahaman. Oleh itu mereka rasa takkanlah salah sebab ada juga yang berfahaman sama.  Namun, ingatlah yang Allah ﷻ tidak akan membantu mereka.

 

وَاللهُ وَلِيُّ الْمُتَّقِينَ

dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa.

Mereka yang jahil itu tidak dapat menolong kita dari azab Allah ﷻ; yang dapat menolong kita waktu itu adalah Allah ﷻ sahaja. Bayangkan, kalau Allah ﷻ sendiri yang menjadi penolong kita? Mana lagi bagus? Penolong yang tidak boleh menyelamatkan kita, atau Allah ﷻ?

Tentulah Allah ﷻ itu lebih baik. Maka, hendaklah kita bertaqwa supaya Allah ﷻ hendak menjadi penolong kita dan ikuti apa yang disampaikan dalam syariat Allah ﷻ.

Taqwa itu bermaksud menjaga hukum dalam setiap perbuatan kita. Dalam setiap amalan dan perbuatan kita, kita akan memikirkan sama ada Allah ﷻ suka kita buat atau tidak perkara itu.


 

Ayat 20: Kesimpulan dari Dakwa Surah.

هٰذا بَصٰئِرُ لِلنّاسِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّقَومٍ يوقِنونَ

Sahih International

This [Qur’an] is enlightenment for mankind and guidance and mercy for a people who are certain [in faith].

Malay

Al-Qur’an ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang menyakini (kebenarannya).

 

هَٰذَا بَصٰئِرُ لِلنَّاسِ .

Ini adalah pandangan jelas bagi manusia,

‘Ini’ yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Qur’an itu memberi pandangan yang jelas kepada manusia. Hanya dengan memahami Al-Qur’an, akan memberikan kepada kita pandangan yang benar tentang agama, kehidupan di dunia dan akhirat.

Digunakan kalimah بَصَائِرُ (dari kalimah ب ص ر yang bermaksud pandangan) kerana ia adalah dalil yang boleh difahami oleh akal kita. Kalau kita dapat pandang sesuatu, barulah ia jelas bagi kita, bukan? Maka hujah dari Al-Qur’an ini adalah hujah yang jelas, bukannya jelas hujah yang ‘kena percaya’ sahaja, tetapi dapat difahami dan dijelaskan oleh akal.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Al-Qur’an ini ditujukan kepada لِلنَّاسِ (seluruh manusia). Al-Qur’an ini membawa mesej universal yang memberi kebaikan kepada semua, bukan hanya kepada orang Islam sahaja. Sepatutnya setiap manusia mengkaji Al-Qur’an itu tetapi sekarang ini yang hanya mengambil perhatian adalah orang-orang Islam sahaja. Itu pun bukan semua.

Ramai yang mengaku Muslim, tetapi  tidak menggunakan Al-Qur’an sebagai panduan hidup mereka. Amat jarang sekali orang yang mahu belajar dan memahami Al-Qur’an. Bilangan yang membaca Al-Qur’an, memang ramai tetapi yang memahami tafsir Al-Qur’an, amat kurang. Mereka rasa asing sahaja dengan ajaran Al-Qur’an. Pada mereka, ia sesuatu yang tidak akan dapat difahami, melainkan oleh mereka yang ‘istimewa’ sahaja.

Maka, kalau Al-Qur’an ini untuk semua manusia, kita yang kenal Al-Qur’an inilah yang kena sampaikan kepada mereka. Oleh kerana mereka lahir dalam keluarga kufur, maka tentu tidak akan dapat memahami Al-Qur’an kalau kita tidak sampaikan kepada mereka.

Apabila Al-Qur’an dikatakan sebagai ‘pandangan’ kepada manusia, itu bermaksud tanpa Al-Qur’an, kita seperti buta. Apabila kita tidak dapat melihat, tentu kita tidak dapat menemui jalan dan akan tersesat. Begitu jugalah, jika kita tidak mempunyai panduan hidup, pasti akan tersesat di jalanan, bukan? Maka panduan Al-Qur’an ini sangat penting agar kita tidak tersesat di dalam kehidupan. Sekiranya kita sesat, pasti di akhirat kelak kita akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam.

 

وَهُدًى وَرَحْمَةٌ

dan petunjuk serta rahmat

Kita sudah tahu bagaimana Al-Qur’an itu adalah petunjuk. Ia adalah sumber ilmu untuk membezakan manakah yang benar dan salah – antara haq dan bathil. Al-Qur’an juga mengajar kita apa yang perlu dilakukan semasa di atas muka bumi ini. Kalau tidak belajar, itulah ramai yang terkeliru dan senang kena tipu oleh syaitan dari kalangan jin dan syaitan dari kalangan manusia.

Selain dari petunjuk, Al-Qur’an itu juga akan menjadi sumber rahmat kepada mereka yang mengikutinya. Ia akan memberi rahmat kepada kita kalau kita mengamalkannya. Namun, untuk menggunakannya, kenalah kita belajar. Kalau setakat membaca sahaja, rahmat itu tidak sempurna kerana tidak tahu apakah yang dibaca.

 

لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

bagi kaum yang menyakini.

Al-Qur’an itu untuk semua manusia, tetapi yang boleh mengambil manfaat darinya adalah mereka yang ‘mahu’ menyakini sahaja iaitu mahu yakin dengan kebenaran yang Al-Qur’an bawa. Bukanlah semua manusia terus yakin dengan Al-Qur’an kerana keyakinan tidak dapat terus, kena ada usaha – dimulai dengan keinginan dulu.

Yakin apakah yang dimaksudkan? Yakin bahawa Allah ﷻ itu Tuhan kita dan kita adalah hamba-Nya.

Jadi kalau seseorang itu lahir dalam keluarga bukan Islam, tetapi kerana ada keinginan dalam hatinya kepada kebenaran, Allah ﷻ akan heret mereka kepada cahaya keimanan sampai yakin bahawa Islam inilah agama yang benar.

Dari ayat ini, kita boleh tahu bahawa boleh mendapat hidayah dan rahmat kalau yakin. Itulah syaratnya tetapi tentulah tidak semua bermula dengan yakin. Maka, kita hendaklah bermula dengan kehendak kepada kebenaran. Dalam jiwa kita, kita mahu ditunjukkan manakah jalan yang benar.


 

Ayat 21: Ayat 21 – 25 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi hujah dengan puak Atheis yang bertuhankan nafsu. Ayat 21 ini adalah ayat Zajrun.

أَم حَسِبَ الَّذينَ اجتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَن نَّجعَلَهُم كَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَواءً مَّحياهُم وَمَماتُهُم ۚ ساءَ ما يَحكُمونَ

Sahih International

Or do those who commit evils think We will make them like those who have believed and done righteous deeds – [make them] equal in their life and their death? Evil is that which they judge.

Malay

Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.

 

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ

Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka

Kalimah اجْتَرَحُوا dari kata dasar ج ر ح yang antaranya bermaksud ‘luka’. Maka kalimah تجترح boleh bermaksud ‘melukakan orang lain’. Jadi dalam ayat ini, ia bermaksud melakukan sesuatu dengan anggota badan, mulut dan kata-kata.

Selain itu ia juga boleh bermaksud mereka ‘melukakan’ diri sendiri dengan perbuatan dosa-dosa. Perbuatan dosa-dosa itu akan menyebabkan kesusahan dan menyakitkan mereka nanti. Mungkin bukan di dunia, tetapi sudah pasti di akhirat mereka akan menerima kesannya.

Kalimah السَّيِّئَاتِ pula bermaksud amalan yang bercanggah dengan syariat. Maknanya mereka melukakan diri sendiri dengan perbuatan buruk dan berdosa.

Mereka telah banyak berbuat dosa, tetapi mereka ada sangkaan yang salah. Apakah sangkaan mereka itu?

 

أَن نَّجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ ءآمَنُوا

bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman

Orang yang melakukan dosa-dosa itu tentulah tidak sama dengan orang yang beriman. Oleh itu, adakah patut kalau mereka hendak Allah ﷻ  layan mereka sama seperti Allah ﷻ akan layan orang-orang yang beriman? Adakah mereka sangka yang mereka akan selamat? Mereka sangka diri mereka siapa?

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan beramal soleh,

Seseorang itu bukan sahaja perlu beriman, tetapi juga kena melakukan amal yang soleh. Ini kerana iman itu bukan hanya di hati sahaja tetapi perlu ditunjukkan dalam perbuatan. Jadi kalau tidak membuat amalan agama yang dari syariat, bagaimana mereka sangka akan selamat?

Amalan itu juga hendaklah amalan yang ‘soleh’. Apakah amalan yang ‘soleh’ itu? Itulah amalan yang ada dasarnya dari ajaran Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Bukanlah amalan-amalan yang bidaah. Ini kerana amalan bidaah bukan dari ajaran Nabi ﷺ dan ia tidak dikira sebagai amalan yang ‘soleh’.

Jadi, adakah sama orang yang berbuat dosa dengan orang yang beriman dan beramal soleh? Tentulah tidak sama. Jadi, adakah patut mereka mengharap Allah ﷻ akan memberi layanan yang sama kepada mereka?

 

سَوَاءً مَّحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ

dengan menyamakan keadaan semasa mereka hidup dan semasa mereka mati?

Takkan Allah ﷻ samakan mereka yang baik dengan mereka yang jahat?

Mereka hendak diberikan sama sahaja balasan seperti yang diberi kepada orang yang beriman dan beramal soleh, walaupun apa sahaja yang mereka lakukan di dunia. Ini tidak mungkin sedangkan amalan mereka di dunia berlainan dengan amalan orang mukmin. Maka tidak mungkin balasan akan boleh sama juga.

Khitab ayat ini mulanya kepada Musyrikin Mekah. Mereka sangka kalau mendapat kebaikan di dunia ini, tentunya mereka dapat kebaikan di akhirat (kalau ada – kerana mereka tidak mempercayai kepada kebangkitan di akhirat). Ini adalah pengharapan yang salah.

Namun ia membawa fahaman yang universal. Kita boleh melihat bagaimana ada orang yang tidak takut akhirat kerana tidak nampak akhirat itu. Mereka tidak yakin yang akhirat itu ada hingga sanggup melakukan dosa, kezaliman, penipuan dan segala macam lagi perkara yang salah di dunia ini.

Oleh itu walaupun mereka melakukan jenayah, kezaliman, penindasan dan sebagainya, mereka selamat sahaja di dunia. Mereka juga mungkin lebih kaya lagi dari orang yang baik. Ini adalah kerana mereka sudah ikut undang-undang, maka peluang mereka membuat duit lagi banyak kerana memang tidak kisah dari sumber mana wang itu datang.

Maka takkan mereka itu diberi dengan balasan yang sama? Jadi ini tentu tidak adil. Mereka mendapat segala kesenangan di dunia, tetapi tidak dikenakan dengan balasan buruk di akhirat? Lalu apa kelebihan kepada mereka yang melakukan kebaikan dan menjaga diri dari melakukan dosa? Tentu tidak patut kalau sama sahaja balasan yang diberikan kepada orang yang jahat.

Maka ini adalah hujah bahawa syurga dan neraka itu pasti ada kerana dunia ini tidak memberi balasan setimpal kepada mereka yang baik dan tidak memberi balasan buruk yang setimpal kepada pelaku kejahatan. Maka balasan yang sempurna tentunya di akhirat kelak.

 

سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.

Buruk sungguh anggapan mereka terhadap keadilan Allah ﷻ. Adakah mereka sangka yang Allah ﷻ tidak membalas kesalahan mereka? Adakah mereka sangka yang Allah ﷻ tidak pandai membalas kebaikan yang dilakukan manusia dan membalas dengan azab kepada kejahatan yang dilakukan oleh mereka?

Kalau begitu, mereka tidak faham dengan maksud keadilan dari Allah ﷻ. Memang itu yang dialami kerana mereka (Musyrikin Mekah) sudah lama tidak ada Nabi yang menyampaikan ajaran agama yang benar kepada mereka. Begitu juga, orang yang jahil agama zaman sekarang juga tidak tahu perkara ini kerana jauh dari agama.


 

Ayat 22: Ini adalah dalil aqli. Ingatlah bahawa Allah ﷻ akan membalas perbuatan buruk mereka.

وَخَلَقَ اللَّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ وَلِتُجزىٰ كُلُّ نَفسٍ بِما كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

Sahih International

And Allah created the heavens and earth in truth and so that every soul may be recompensed for what it has earned, and they will not be wronged.

Malay

Dan (ingatlah), Allah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat (untuk membuktikan keesaan-Nya dan keadilan-Nya), dan supaya tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan (baik atau jahat), sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

 

وَخَلَقَ اللَّهُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ

Dan Allah menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran,

Allah ﷻ yang menjadikan alam ini. Tujuan dijadikan langit dan bumi ini ialah sebagai tempat ujian. Mereka yang melepasi ujian adalah yang berbuat kebaikan, iaitu yang mengikuti syariat Allah ﷻ .

Mereka yang gagal pula adalah yang melakukan dosa-dosa sepanjang hidup mereka di dunia. Dalam ayat sebelum ini, mereka hendak dibalas sama dengan orang yang beriman dan beramal soleh. Itu adalah sebab mereka tidak faham apakah tujuan dunia ini dijadikan. Mereka sangka hidup main-main sahaja di dunia.

Alam ini dijadikan dengan ada tujuan, bukan suka-suka. Kalau alam ini dijadikan dengan tujuan, takkan kejadian manusia tidak dijadikan dengan tujuan juga? Tidak mungkin Allah ﷻ menjadikan manusia sia-sia sahaja dan hidup untuk makan, minum, kerja dan membuat anak? Tentu tidak, bukan? Tentu ada tujuan kehidupan ini. Kalau kita semua ada tujuan hidup, takkan sama mereka yang memenuhi tujuan hidup dengan mereka yang tidak memenuhi tujuan hidup.

 

وَلِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ

dan supaya tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan,

Jangan manusia sangka yang mereka boleh hidup di dunia ini tanpa dipersoalkan tentang apa yang mereka telah lakukan. Ingatlah bahawa apa sahaja yang kita lakukan sama ada besar atau kecil akan dihisab dan akan diberi dengan balasan yang setimpal. Ingatlah yang dunia adalah tempat untuk mengumpul dosa dan pahala.

 

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

sedang mereka tidak dizalimi.

Balasan yang Allah ﷻ berikan adalah amat adil. Tidak ada sesiapa yang akan dizalimi. Keadilan Allah ﷻ akan diiktiraf oleh semua makhluk. Kita tidak dapat membayangkan bagaimana keadilan Allah ﷻ itu tetapi bayangkan, jikalau kita melakukan kebaikan, Allah ﷻ akan balas berganda-ganda. Jikalau kita melakukan kejahatan, kita dibalas sama sahaja dengan kejahatan itu. Adakah itu tidak adil namanya?

Kita juga tidak akan dipersalahkan atau diazab dengan perkara yang tidak kita lakukan. Kita semua akan diadili dan segala perbuatan akan dipersembahkan kepada kita. Kita akan diberikan dengan bukti-bukti dan saksi-saksi seperti anggota badan kita yang akan menjadi saksi untuk mengatakan bahawa kita memang ada melakukan kesalahan-kesalahan itu. Jadi tidak ada harapan hendak kata Allah ﷻ tidak adil kerana semua bukti akan dipersembahkan.

Selain itu tidak akan ada amalan baik kita yang tidak dibalas nanti. Semuanya akan diambil kira dan akan dibalas melebihi dari apa yang kita telah lakukan – kita akan dibalas berkali-kali ganda.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2309 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani