Tafsir Surah Jathiya Ayat 14 – 17 (Perpecahan terjadi setelah ada ilmu)

Ayat 14: Takhwif duniawi.

قُل لِّلَّذينَ ءآمَنوا يَغفِروا لِلَّذينَ لا يَرجونَ أَيّامَ اللهِ لِيَجزِيَ قَومًا بِما كانوا يَكسِبونَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], to those who have believed that they [should] forgive those who expect not the days of Allah so that He may recompense a people for what they used to earn.

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: hendaklah mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari-hari (pembalasan yang telah ditentukan) Allah; (disuruh berbuat demikian), kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak: balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan.

قُل لِّلَّذِينَ ءآمَنُوا

Katakanlah kepada orang-orang yang beriman:

Nabi Muhammad ﷺ diperintah oleh Allah ﷻ untuk memberikan peringatan ini kepada orang-orang yang beriman. Maka, kalau kita rasa kita orang yang beriman, maka kena ambil tahu tentang ayat ini:

 

يَغْفِرُوا لِلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ أَيَّامَ اللهِ

hendaklah mereka memaafkan orang-orang yang tidak berharap kepada hari-hari Allah;

Ini adalah perintah supaya jangan hiraukan mereka. Bukanlah maksud maafkan itu bermaksud mereka tidak salah. Maksud ayat ini adalah jangan hiraukan mereka.

Mereka yang kufur itu tidak percaya kepada ‘Hari-Hari Allah ﷻ’. Hari itu boleh diterjemahkan sebagai Hari Akhirat di mana akan diberikan balasan baik dan balasan buruk kepada sesiapa yang berhak mendapatnya. Allah ﷻ yang akan memberi pembalasan kepada mereka, maka kita jangan hiraukan mereka yang tidak takut kepada Akhirat itu. Kita sudah memberi peringatan kepada mereka, tetapi jika tetap tidak mahu mendengar, biarkan sahaja.

‘Hari-hari Allah ﷻ’ juga boleh merujuk kepada kejadian-kejadian azab yang dikenakan kepada umat-umat terdahulu yang engkar. Ia adalah azab-azab yang boleh Allah ﷻ kenakan semasa di dunia – sama ada dalam bentuk bencana alam atau azab yang Allah ﷻ turunkan dari langit untuk mereka.

Ada golongan yang tidak langsung mahu mengambil pengajaran dari kejadian-kejadian itu walaupun mereka tahu tentang kejadian-kejadian itu. Mereka sangka tidak akan kena dengan azab-azab sebegitu kerana jahil dan tidak tahu. Maka maafkanlah (biarkanlah) mereka.

Kenapa kita hendak kena diingatkan supaya maafkan atau jangan hiraukan mereka? Ini kerana mereka tentu akan buat salah dengan kita iaitu tidak hiraukan dakwah apabila kita sampaikan. Kadang-kadang ada yang menggunakan kata-kata kesat dan menyakitkan kita. Tidak kurang juga ada yang menentang kita dengan teruk sekali. Mereka katakan kita macam-macam seperti sesat, Wahabi dan sebagainya.

Allah ﷻ menyuruh kita memaafkan sahaja mereka yang sebegitu dan jangan hiraukan apa yang telah dikatakan. Ia hanya membuatkan kita  sesak kepala sahaja fikirkan dan sakit hati sahaja. Nanti susah pula kita hendak berdakwah, bukan? Biarkanlah apa yang mereka hendak kata, kita tidak perlu hendak balas kerana Allah ﷻ sendiri akan balas.

Namun ayat ini bukanlah bermaksud buat tidak tahu sahaja. Ia bermaksud kita tetap kena teruskan sahaja dakwah dan mengajak mereka kepada Allah ﷻ. Cuma kalau dibalas dengan keji, maka jangan hiraukan sangat dan hanya buat pekak sahaja kata-kata mereka. Seandainya mereka berkeras sangat, kita tinggalkan sekejap dan kemudian nanti boleh datang balik semula.

 

لِيَجْزِيَ قَوْمًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan.

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini: Kita tidak perlu balas perbuatan jahat mereka itu kepada kita kerana Allah ﷻ sendiri yang akan membalas. Ia pasti akan berlaku, tidak payah kita sibuk fikirkan macam mana hendak balas kejahatan dan kedegilan mereka itu. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ . Lagipun kalau kita hendak balas, tentu kita tidak mampu.

Maksud قَوْمًا pertamanya adalah merujuk kepada kaum yang mengejek-ngejek ayat-ayat Allah ﷻ. Mereka tidak mengendahkan ‘Hari-hari Allah ﷻ’. Kita tidak perlu balas dendam dengan mereka dan serahkan kepada Allah ﷻ untuk balas bagi pihak kita. Ia pasti akan berlaku.

Apa-apa kesalahan dan kata-kata engkar mereka akan bertambah-tambah banyak dan kesemuanya akan dibalas dengan azab kepada mereka. Allah ﷻ membiarkan mereka membuat banyak-banyak dosa lagi supaya balasan seksa kepada mereka akan menjadi bertambah banyak lagi.

Kenapa serahkan kepada Allah ﷻ? Ini kerana kalau kita sendiri hendak membalas kepada mereka tentu tidak mampu sebenarnya kerana kita lemah sangat seperti Muslim di Mekah dahulu. Mereka langsung tidak ada kekuatan untuk membalas segala salahlaku yang dikenakan ke atas mereka.

Begitu juga kita yang lemah ini yang hanya boleh menyampaikan sahaja dakwah kepada mereka, tetapi tidak boleh paksa. Kalau mereka lawan dan buat tidak patut dengan kita, bukan kita boleh buat apa pun. Namun, kalau Allah ﷻ yang balas, tentunya Allah ﷻ akan memberi balasan yang setimpal. Ini akan memuaskan hati kita di akhirat kelak.

Kenapa kita disuruh ‘maafkan’ mereka? Ini kerana kalau kita memaafkan, kita sudah tidak perlu memikirkan hal mereka, menyimpan perasaan marah dan dendam itu dalam diri kita. Jika simpan dalam diri kita, ia akan menyakitkan kita sahaja. Akibatnya nanti tidak boleh tidur malam dan tidak lalu hendak makan pula.

Bukanlah ini bermaksud kita tidak marah. Memang kita kena marah dan benci apa yang mereka lakukan kerana mereka menentang agama (bukan kerana mereka menentang kita). Namun, kita tidak perlu angkat tangan dan mulut untuk mengenakan balasan kepada mereka.

Maksud kedua kalimah قَوْمًا dalam ayat ini adalah merujuk kepada ‘orang-orang yang beriman’. Apabila orang yang beriman itu sabar dengan apa yang dikenakan kepada mereka dalam bentuk sendaan, ejekan, kutukan atau apa-apa sahaja kesakitan yang dikenakan kepada kita, Allah ﷻ akan balas dengan pahala yang setimpal malah lebih lagi.

Itulah yang lebih baik lagi – apabila kita tahu yang kita akan dibalas dengan segala kesusahan yang kita terima kerana menyampaikan agama ini, maka kita akan rasa lega sikit. Barulah kita rasa berbaloi apa yang kita lakukan dan penentangan mereka kepada kita itu akan rasa berkurangan sedikit. Kita berasa senang sahaja hendak memaafkan dan biarkan sahaja apa yang dikatakan oleh orang terhadap kita. Kalau ada orang yang kutuk kita dan tuduh kita ‘Wahabi’, kita senyum sahaja.


 

Ayat 15: Ayat idkhal ilahi – pencelahan dari Allah ﷻ. Ia hendak menjawab pertanyaan dalam hati manusia. Ada sesuatu yang penting yang Allah ﷻ hendak beritahu dan kerana itu Allah ﷻ ‘mencelah’ dalam rentetan ayat-ayat ini.

Allah ﷻ hendak menjawab persoalan yang mungkin timbul: adakah Allah ﷻ zalim kerana ada ramai yang mati teruk kerana dikenakan dengan azab semasa di dunia dan di akhirat kelak? Ini kerana apabila Allah ﷻ memberi azab, kadangkala ada yang tidak bersalah juga dikenakan azab habis semua sekali. Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia tidak pernah zalim.

Ada yang beberapa tahun sahaja membuat syirik, tetapi nanti kekal di neraka selama-lamanya. Tidakkah itu tidak sama dengan kesalahan yang dilakukan? Macam tidak setimpal pula.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia akan membalas mengikut amalan manusia semasa di dunia. Allah ﷻ tahu bagaimana hendak memberi azab kepada pelaku kezaliman. Kalau yang tidak zalim juga kena azab, maka azab yang mereka terkena semasa di dunia itu sebagai ujian sahaja dan akan mendapat pahala di atas kesabaran.

مَن عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۖ ثُمَّ إِلىٰ رَبِّكُم تُرجَعونَ

Sahih International

Whoever does a good deed – it is for himself; and whoever does evil – it is against the self. Then to your Lord you will be returned.

Malay

(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.

مَنْ عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفْسِهِ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri;

Kalau kita hendak kebaikan dan pahala, maka kita kena buat sendiri amal kebaikan. Oleh itu, janganlah berharap kepada orang lain untuk ‘sedekah’ pahala kepada kita dalam bentuk Majlis Tahlil dan sebagainya. Ayat ini jelas mengatakan bahawa tiada ‘pahala sedekah’. Tiada konsep ‘hadiah pahala’ seperti yang difahami oleh kebanyakan masyarakat kita sekarang.

Lalu, bacaan pada Majlis Tahlil dan sedekah Fatihah kepada orang lain itu adalah satu amalan yang salah dan sia-sia sahaja. Ia tidak pernah diajar dan berlawanan dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Itu semua adalah adalah amalan bidaah. Banyak lagi ayat-ayat Al-Qur’an yang membawa maksud yang sama.

Malangnya, amat ramai dalam kalangan masyarakat Islam kita yang tidak faham tentang perkara ini. Maka, berbagai amalan dilakukan untuk menghadiahkan pahala kepada si mati dari kalangan keluarga mereka.

Niat mereka baik dan mungkin ikhlas, tetapi kalau bukan dari ajaran Islam, ia tetap juga salah. Ingat kembali maksud surah ini adalah tentang ‘syariat’. Kalau tidak ada dalam syariat, ia bukanlah perkara yang baik dalam agama. Bagi yang mengatakan  ‘baik’ itu, itu hanyalah sangkaan mereka sahaja.

 

وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا

dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri;

Maksudnya kita jangan risau dengan perbuatan mereka yang engkar itu. Mereka telah melakukan dosa dan akan tetap dikenakan dengan balasan. Maka biarkanlah perbuatan orang yang telah berlaku kejahatan terhadap kita. Mereka tidak akan terlepas dari kesalahan yang telah lakukan itu.

Ayat ini juga memberitahu bahawa kita sendiri yang kena tanggung dosa yang telah dilakukan. Kita tidak boleh hendak memberikan dosa atau pahala kita kepada orang lain. Jika ada anak perempuan kita tidak memakai tudung, maka tidaklah kita berdosa kerana kesalahan itu adalah kesalahan mereka.

Ia juga mengingatkan bahawa segala perbuatan buruk dan dosa kita, akan ada kesannya kepada kita, sama ada di dunia ini lagi atau di akhirat kelak. Dosa yang dilakukan jika tidak dibersihkan, akan menyebabkan kita senang untuk melakukan dosa-dosa yang lain. Maka, tinggalkanlah amalan yang buruk dan dosa itu.

 

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.

Ingatlah bahawa kita semua akan mati dan akan bertemu Allah ﷻ . Waktu itu kita akan dihisab dan akan dibalas dengan perbuatan kita semasa di dunia. Kalau baik, dibalas baik. Kalau buat amalan bidaah seperti yang disebut sebelum ini, kita akan bertemu dengan dosa kita. Malah kita akan bertemu dengan Allah ﷻ membawa dosa amalan salah itu.

Waktu bertemu dengan Allah ﷻ, agaknya bagaimana kita hendak jawab kepada Allah ﷻ tentang amalan-amalan bidaah yang kita lakukan tanpa ada dalil yang jelas? Kalau Allah ﷻ tanya kepada kita: “Kenapa buat Majlis Tahlil, kenapa buat Solat Hajat berjemaah, kenapa buat Doa Selamat” dan sebagainya, apa yang kita hendak jawab?


 

Ayat 16: Ayat 16 – 20 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia memberitahu apakah tujuan syariat Nabi Muhammad selepas Bani Israil. Syariat Bani Israil telah diperselisihkan akibat kedengkian sesama mereka. Diturunkan Syariat Nabi Muhammad sebagai syariat penamat pengganti syariat Bani Israil.

Ayat 16 ini adalah Dalil Naqli. Allah ﷻ sebut tentang Bani Israil pula. Bani Israil dijadikan sebagai contoh umat yang salah supaya kita jangan ikut mereka kerana itu adalah kaum yang tidak mengikut jalan yang benar. Memang banyak kisah mereka disebut dalam Al-Qur’an sebagai pengajaran bagi kita.

وَلَقَد ءآتَينا بَني إِسرٰءيلَ الكِتٰبَ وَالحُكمَ وَالنُّبُوَّةَ وَرَزَقنٰهُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ وَفَضَّلنٰهُم عَلَى العٰلَمينَ

Sahih International

And We did certainly give the Children of Israel the Scripture and judgement and prophethood, and We provided them with good things and preferred them over the worlds.

Malay

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil Kitab Taurat, dan pangkat kehakiman serta pangkat kenabian; dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik, serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang yang ada pada zamannya.

وَلَقَدْ ءآتَيْنَا بَنِي إِسْرٰءيلَ الْكِتٰبَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil, Kitab,

Kitab yang dimaksudkan adalah Kitab Taurat. Sepertimana kita diberikan dengan Al-Qur’an, Bani Israil juga mendapat Kitab wahyu juga.

 

وَالْحُكْمَ

dan kehakiman

Ada dua maksud potongan ayat ini:

  1. Mereka telah diberikan syariat yang perlu diikuti dalam bentuk hukum-hukum.
  2. Mereka diberikan dengan kedudukan dan pemerintahan dalam dunia.

 

وَالنُّبُوَّةَ

serta pangkat kenabian;

Ramai Nabi dan Rasul telah dilahirkan dari golongan mereka. Maka sentiasa sahaja ada rasul yang memberikan pengajaran dan dakwah kepada mereka. Nabi dan Rasul-rasul itu bukan datang dengan tangan kosong tetapi mereka bawa dalil dan bukti.

 

وَرَزَقْنٰهُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ

dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik,

Bukan hal agama sahaja mereka mendapat kelebihan tetapi  berkaitan dunia juga termasuk. Mereka telah diberikan dengan kekayaan, kebijaksanaan dan macam-macam lagi kelebihan yang melimpah ruah. Sampai sekarang, mereka adalah orang yang kaya raya, orang yang bijak pandai.

 

وَفَضَّلْنٰهُمْ عَلَى الْعٰلَمِينَ

serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang.

Pada zaman sebelum Nabi Muhammad ﷺ, merekalah yang paling tinggi sekali kemuliaan kerana ada agama wahyu. Orang lain akan rujuk kepada mereka tentang perkara agama.

Namun, sekarang kedudukan itu telah diberikan kepada Umat Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya, waktu itu mereka dalam kedudukan yang tinggi, lebih dari orang-orang lain yang tidak ada wahyu tetapi selepas mereka menolak kenabian Nabi Muhammad ﷺ, kedudukan itu telah ditarik.

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ telah memuliakan mereka dengan diberikan berbagai-bagai kelebihan dalam perkara agama dan keduniaan. Namun, mereka telah mengubah agama, sampaikan apa yang tidak boleh dibuat, menjadi boleh pula. Sebagai contoh, arak tidak boleh diminum tetapi mereka buat sampai tidak menjadi masalah kalau hendak minum. Selain itu babi juga termasuk dalam usaha mereka. Sebenarnya, Ahli Kitab tidak boleh makan babi tetapi mereka buat sampai jadi boleh dimakan.

Macam kita juga zaman sekarang yang telah mengubah agama Islam yang suci. Tawasul yang tidak dibenarkan sudah jelas dalam Al-Qur’an tetapi ada guru yang mengajar telah mengubah jadikan ia boleh dilakukan. Bukan setakat itu sahaja, mereka telah galakkan lagi supaya diamalkan oleh masyarakat. Maka berleluasalah amalan tawasul ini dan diamalkan di mana-mana sahaja. Ketika dalam Majlis Tahlil, ada tawasul dan begitu juga amalan-amalan lain seperti dalam Mawlid, Majlis Doa Selamat.

Selalunya hendak tahu mana tawasul adalah dengan lihat bacaan yang dimulakan dengan “ila hadratin nabi…”. Selalunya, yang membacanya turut tidak tahu apa mereka bacakan kerana hanya ikut-ikut sahaja apa yang dibuat oleh orang terdahulu tanpa usul periksa. Kalau tidak percaya, tanyalah mereka apa maksud bacaan mereka itu. Mereka tentu  akan menjawab: “entah, tetapi itulah yang tok guru-tok guru kita buat dulu”.

Ini amat menyedihkan. Ada syariat, tetapi mereka tidak mahu belajar.


 

Ayat 17: Sambungan Dalil Naqli tentang Bani Israil.

وَءآتَينٰهُم بَيِّنٰتٍ مِّنَ الأَمرِ ۖ فَمَا اختَلَفوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۚ إِنَّ رَبَّكَ يَقضي بَينَهُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Sahih International

And We gave them clear proofs of the matter [of religion]. And they did not differ except after knowledge had come to them – out of jealous animosity between themselves. Indeed, your Lord will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ.

Malay

Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara ugama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara ugama itu) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

وَءآتَيْنٰهُم بَيِّنٰتٍ مِّنَ الْأَمْرِ

Dan Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara ugama;

Kalimah الْأَمْرِ dalam ayat ini merujuk perintah dalam hal agama. Ia adalah syariat-syariat yang telah dijelaskan kepada mereka. Hal agama dijelaskan kepada mereka oleh kitab wahyu dan oleh Nabi-nabi dari kalangan mereka. Ia telah dijelaskan sejelas-jelasnya.

Maknanya, bukanlah agama ini samar-samar pada mereka. Ini kerana mereka mendapat kitab dan Nabi sudah amat banyak. Allah ﷻ telah memberikan keterangan yang jelas nyata – sama ada dalam bentuk wahyu atau mukjizat. Maka tidak ada alasan untuk tidak menerima.

Begitu juga dengan kita, agama ini telah jelas kepada kita sebenarnya tetapi ia hanya jelas kepada mereka yang belajar sahaja. Kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah, maka memanglah samar dan keliru. Maka ajaklah kawan-kawan anda belajar tafsir Al-Qur’an.

 

فَمَا اخْتَلَفُوا

maka mereka tidak berselisihan,

Namun, walaupun telah sepatutnya jelas kepada mereka tetapi masih ada lagi yang berselisih sesama mereka. Hukum agama menjadi mainan hingga sanggup mengubah agama dan syariat mengikut nafsu mereka sahaja. Jadi, ada kalangan mereka yang terus beriman dan ada juga kufur dengan melakukan syirik.

Bilakah mereka berselisih itu?

 

إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ

melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu;

Mereka tidaklah berselisih, melainkan selepas datang ilmu Tauhid dan ilmu agama kepada mereka. Bukannya mereka berselisih dalam jahil, tetapi mereka sudah tahu apa yang benar. Cuma mereka degil sahaja untuk ikut kebenaran yang telah disampaikan. Mereka tidak suka kalau disuruh hanya menyembah Allah ﷻ sahaja kerana masih hendak teruskan menyembah dan buat ibadat kepada selain Allah ﷻ.

Begitu juga dalam kalangan masyarakat kita. Kalau dibawakan ilmu Tauhid kepada mereka, akan ada yang terima, dan akan ada yang menentang. Maknanya, bukan tidak diberitahu kepada mereka, para pendakwah sudah datang dan cakap kepada mereka. Biasanya akan ada sahaja perselisihan sesama kita. Sampaikan ustaz-ustaz juga boleh berselisih, padahal sepatutnya merekalah yang tahu tentang hal agama.

Maka, sebab itu tidak ramai yang mengajar Ilmu Tauhid kepada masyarakat. Kalau diajar bab feqah, bab Nikah Kahwin dan sebagainya, tidak ada masalah dari segi penerimaan masyarakat. Maka pengajaran Tauhid melalui pemahaman Al-Qur’an ditinggalkan. Tapi apabila tidak ramai yang mengajar Ilmu Tauhid kepada mereka, maka ramai yang tidak tahu dan sesat.

Oleh kerana itu, apabila ada guru yang mengajar hal Tauhid, masyarakat jadi asing dan pelik dengan hal Tauhid kerana ia tidak banyak ditekankan dalam pengajaran di kuliah-kuliah dan masjid-masjid.

Kenapa Ahli Kitab itu jadi begitu, sedangkan mereka sudah ada ilmu?

 

بَغْيًا بَيْنَهُمْ

hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.

Terjadinya perselisihan itu adalah kerana hasad sesama mereka. Ini kerana ada yang rasa mereka lagi pandai, lagi bagus dalam hal agama dan berasa kedudukan mereka lebih tinggi dalam hal agama.

Mereka dengki apabila melihat orang lain mendapat kebaikan. Lihatlah keadaan bagaimana apabila bangsa Arab setelah mendapat pula Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul dan Nabi terakhir. Bani Israil telah menolak kerana baginda ﷺ dari kalangan bangsa Arab dan bukan dari bangsa mereka (bani Israil).

Inilah satu masalah manusia. Apabila tahu lebih sedikit, mereka akan rasa tinggi diri. Itu tidak patut sebenarnya. Sepatutnya, semakin banyak ilmu, menjadikan kita lebih merendah diri tetapi, yang sebaliknya yang terjadi. Ini adalah dugaan kepada orang yang berilmu.

Oleh itu, kita kena tahu bahawa ini adalah masalah zaman sekarang juga, bukannya zaman dahulu sahaja. Terlalu banyak perselisihan sesama kita. Malah yang dalam satu agama juga sudah bertelagah, apatah lagi kalau bukan dalam satu agama.

 

إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِي بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Sesungguhnya Tuhanmu akan memutuskan di antara mereka pada hari kiamat

Perselisihan itu akan diputuskan oleh Allah ﷻ nanti iaitu Allah ﷻ akan beritahu mana yang benar dan mana yang tidak. Kalau di dunia, mungkin tidak dapat diputuskan kerana masing-masing tidak mahu mengalah. Namun, di Akhirat nanti, semua akan tahu manakah yang benar dan manakah yang salah.

Pemutusan yang akan dilakukan adalah keputusan amali. Bukanlah di sana baru tahu mereka salah, kerana memang telah diberitahu mana yang benar dan mana yang salah seperti yang boleh dilihat dalam dalil-dalil syariat. Cuma, keputusan secara amali akan diberi di akhirat kelak. Jadi, kalau baru tahu waktu itu, sudah terlambat kerana tidak boleh hendak perbaiki amalan lagi.

 

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

Contoh perselisihan yang besar adalah tentang tawasul. Kita katakan bahawa ada tawasul yang tidak dibenarkan dan ada yang digalakkan. Perkara ini ada yang bersetuju dan ada yang tidak apabila diberitahu perkara ini kepada mereka. Maka, Allah ﷻ akan memberi keputusan kepada perselisihan itu. Sebenarnya, yang mana benar sudah ada dalam syariat dan dalam wahyu (secara teori) – jadi keputusan yang akan diberikan adalah keputusan amali.

Namun, keputusan itu akan diberikan di akhirat kelak. Bagaimana kalau kita di pihak yang salah? Apa lagi yang kita boleh buat waktu itu? Ini adalah bahaya kerana kalau kita salah, kita tidak dapat pulang ke dunia untuk memperbetulkan kesilapan kita itu lagi, bukan? Maka, kita akan hanya dapat menanggung sahaja kesalahan itu dengan azab seksa di neraka. Adakah kita hendak kalau begitu?

Jadi, kita hendak benar di dunia dan akhirat atau tidak kisah? Oleh itu, hendaklah belajar Tafsir Al-Qur’an dan Hadis Nabi yang sahih kerana itulah jalan yang selamat untuk mempelajari kebenaran. Kalau belajar, maka tahulah kita mana jalan yang benar dan mana jalan yang salah. Maka kenalah luangkan masa mencari guru dan luangkan masa untuk belajar.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Jathiya Ayat 9 – 13 (Orang Islam pun ada yang tolak Quran)

Ayat 9: Ayat Zajrun kepada mereka yang bukan sahaja berpaling dari Al-Qur’an, malah mengejek-ngejeknya.

وَإِذا عَلِمَ مِن ءآيٰتِنا شَيئًا اتَّخَذَها هُزُوًا ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

Sahih International

And when he knows anything of Our verses, he takes them in ridicule. Those will have a humiliating punishment.

Malay

Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat Kami, dia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian, akan beroleh azab yang menghina.

 

وَإِذَا عَلِمَ مِنْ ءآيٰتِنَا شَيْئًا

Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat Kami,

Tentunya ramai yang dapat mendengar ayat-ayat Allah ﷻ. Musyrikin Mekah telah banyak mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan oleh Nabi ﷺ dan juga para sahabat.

Bagi orang Islam pula, memang akan selalu jumpa ayat-ayat Al-Qur’an. Namun orang bukan Islam kadang-kadang sahaja akan bertemu dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Kemungkinan hanya apabila ada orang Muslim yang post di forum, Facebook dan lain-lain. Sebahagian daripada mereka apabila melihat tidak berkata apa-apa. Namun ada juga yang bersuara apa yang difikirkan oleh mereka seperti katakan sesuatu yang tidak elok tentang ayat-ayat Allah ﷻ .

Nota: potongan ayat ini dan sambungan selepasnya adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

 

اتَّخَذَهَا هُزُوًا

dia menjadikannya ejek-ejekan;

Ada yang selepas tahu serba sedikit tentang ayat Al-Qur’an mereka telah mengejek ayat-ayat itu. Maksudnya buat main-main menunjukkan mereka tidak pentingkan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Dahulu, Musyrikin Mekah telah mengejek-ngejek ayat-ayat Al-Quran apabila dibacakan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Sebagai contoh, apabila Nabi ﷺ membacakan ayat Al-Qur’an tentang neraka dan bagaimana neraka itu dikawal oleh 19 malaikat, mereka gelakkan ayat itu. Mereka kata bagaimana 19 orang malaikat boleh hendak menjaga ramai orang dalam neraka?

Seorang lelaki yang kuat tubuhnya telah berkata: biarlah orang lain menguruskan dua orang dari malaikat itu dan dia sendiri akan menguruskan lagi 17 itu. Lihatlah bagaimana teruknya mereka mengejek-ngejek ayat-ayat Allah ﷻ.

Malahan, dalam masyarakat kita juga ramai sebenarnya yang buat begini. Kalau masyarakat bukan Islam, kita boleh faham, tetapi bagaimana kalau dengan orang Islam sendiri? Kalau kita sudah mula berdakwah kepada manusia dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an, kita akan berjumpa dengan mereka yang seperti ini.

Mereka ada yang kata: “Sikit-sikit baca ayat Al-Qur’an. Sikit-sikit hadis. Tiada benda lain lagikah?” Lihatlah bagaimana mereka sanggup kata begitu. Seolah-olah ayat-ayat Al-Qur’an itu tidak ada makna bagi mereka. Maknanya, mereka juga menolak ayat-ayat Al-Qur’an itu tetapi mereka sedar tentang kedudukan ayat Al-Qur’an. Walaupun begitu ada juga ayat-ayat lain yang mereka terima.

Maknanya, bukannya mereka tidak mendengar, cuma tidak mahu terima. Sudahlah tidak mahu terima, malah mereka turut mengejek pula. Sebagai contoh, kadangkala kita bacakan ayat Al-Qur’an sebagai nasihat kepada mereka namun, apabila mendengar ayat-ayat yang macam pelik, mereka buat lawak pula dengan ayat itu.

Mungkin juga kalau kita baca dengan cara yang dia tidak pernah dengar, dia gelakkan cara bacaan kita pula. Bukannya dia hendak memikirkan tentang ayat yang dibaca, sebaliknya mereka buat lawak pula.

Itulah cara yang digunakan oleh manusia untuk menolak orang lain dan melarikan diri dari kebenaran. Mereka akan buat lawak dan jadikan perkara itu sebagai perkara ringan sahaja. Ini kerana apabila mereka jadikan ia sebagai bahan jenaka, mereka boleh menolak kepentingan sesuatu perkara itu.

Ada juga kalangan bukan Islam yang sengaja membaca ayat Al-Qur’an dan mengejek-ngejek ayat-ayat itu. Mereka membaca Al-Qur’an untuk mencari kesalahan-kesalahan yang mereka jumpa. Sebenarnya mereka tidak faham, tetapi masih mahu mengejek. Mereka hendak kata bahawa Muslim ini sangat bodoh sampai boleh percaya kepada Al-Qur’an itu sedangkan bagi mereka tidak ada apa-apa.

Sebagai contoh, ada yang mencari dan senaraikan kesalahan grammar (nahu) yang ada pada Al-Qur’an itu. Mereka kata begitu kerana tidak faham apakah Al-Qur’an itu sendiri dan tidak tahu bahawa nahu Arab yang kena ikut Al-Qur’an.

Apakah yang Allah ﷻ firmankan tentang orang-orang yang sebegini?

 

أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

mereka yang demikian, akan beroleh azab yang menghina.

Ketika di dunia, mereka telah menghina Al-Qur’an. Namun, di Akhirat, nanti mereka yang akan dihinakan dan akan dimalukan di khalayak ramai di Masyhar nanti.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan hina dina. Dulu mereka di dunia orang yang mulia, tetapi di neraka nanti akan menjadi orang yang hina dina.


 

Ayat 10: Apakah kesudahan mereka? Ini adalah ayat jenis ta’yin – menentukan jenis azab apa yang mereka akan dapat.

مِّن وَرائِهِم جَهَنَّمُ ۖ وَلا يُغني عَنهُم مّا كَسَبوا شَيئًا وَلا مَا اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ أَولِياءَ ۖ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

Sahih International

Before them is Hell, and what they had earned will not avail them at all nor what they had taken besides Allah as allies. And they will have a great punishment.

Malay

Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada neraka Jahannam (yang disediakan untuk mereka), dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan; dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar.

 

مِّن وَرَائِهِمْ جَهَنَّمُ

Di hadapan mereka ada neraka Jahannam,

Neraka akan menunggu di hadapan mereka. Ini disebabkan mereka menolak ajaran-ajaran dalam Al-Qur’an, mengejek-ngejek dan menghina ayat-ayat Allah ﷻ itu. Mereka sangka mereka pandai, tetapi lihatlah apa yang akan terjadi kepada mereka.

Kalimah وراء selalunya digunakan untuk maksud ‘belakang’ dalam bahasa Arab. Namun, ada juga digunakan untuk membawa maksud ‘hadapan’ seperti dalam ayat ini.

Kalau digunakan sebagai ‘belakang’ boleh juga iaitu: mereka yang mengejek wahyu akan diikuti oleh neraka dari belakang yang mengejar mereka.

 

وَلَا يُغْنِي عَنْهُم مَّا كَسَبُوا شَيْئًا

Tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun apa jua yang mereka usahakan;

Amalan-amalan bidaah dan syirik yang mereka lakukan semasa di dunia tidak akan dapat membantu walaupun sedikit.

Selalunya mereka ini ada juga jenis orang yang beramal. Namun amalan itu jenis syirik, bidaah dan bukan amalan dari wahyu tetapi dari bisikan syaitan. Apabila sudah banyak amalan dilakukan, mereka berasa akan selamat dengan pahala amalan  sebegitu dan  sangka syeikh-syeikh akan selamatkan mereka.

Mereka turut menyangka telah mendapat banyak pahala dari amalan yang dibuat, tetapi sebaliknya hanya mendapat dosa. Amalan-amalan itu direka oleh manusia dan bukannya diajar oleh Allah ﷻ dan Nabi ﷺ iaitu amalan yang tidak ikut syariat. Jangan lupa surah ini tentang syariat.

Ada di antaranya, yang mengamalkan amalan salah seperti Hizb Bahar. Mereka sangka telah mengamalkan sesuatu yang bagus dan hebat. Ini kerana yang mengamalkan Hizb  adalah orang-orang besar, terkenal dan nampak hebat dalam kedudukan agama di antaranya guru-guru pondok. Sebenarnya dalam amalan itu, mereka berlindung dengan tiang Arash. Tidakkah itu satu amalan yang syirik atau adakah mereka tidak faham apakah itu syirik?

Satu lagi amalan salah adalah memasukkan bacaan ayat Al-Qur’an ke dalam air, kismis, minyak dan sebagainya. Ini bukan ajaran dari agama dan adalah rekaan belaka. Mereka yang melakukannya mungkin berniat baik dan sangka itu adalah benar sebab diamalkan oleh banyak orang yang nampak macam ada ilmu agama.

Terdapat juga yang menggunakan cara itu untuk melariskan barang jualan mereka. Memang lucu kalau kita melihat berbagai jenis barangan yang dibacakan ayat Al-Qur’an. Sampaikan ayam juga ada dibacakan Al-Qur’an! Barangan yang asalnya murah, jadi mahal kerana dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an.

Ayat ini juga bermaksud, apa-apa sahaja yang dimiliki di dunia, tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Sama ada anak-anak, harta benda yang dibanggakan, kekuatan dan sebagainya, tidak berguna langsung di akhirat kelak.

Ia juga bermakna, perbuatan baik semasa di dunia juga tidak dapat menolong mereka di akhirat kelak. Mungkin mereka orang yang banyak berjasa, banyak menolong orang lain atau mereka ahli sains yang mencipta sesuatu untuk memudahkan manusia keseluruhannya, mungkin sahaja.

Namun, kalau mereka mengamalkan syirik, segala kebaikan yang dibuat di dunia itu tidak bernilai. Allah ﷻ beritahu siap-siap dalam ayat ini.

 

وَلَا مَا اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللهِ أَوْلِيَاءَ

dan tidak juga yang mereka ambil selain Allah, sebagai wali;

‘Wali’ bermaksud mereka yang memberi pertolongan dan perlindungan. Masyarakat kita memang amat suka dengan kisah para wali. Kadang-kadang orang gila juga mereka sangka wali. Mereka kata: “Jaga-jaga dengan orang itu, entah-entah dia wali”.

Oleh kerana terpesona dengan kisah-kisah wali yang kononnya hebat-hebat dalam kitab-kitab kisah dongeng yang selalu ada dalam dunia tarekat, mereka memuja dan bertawasul dengan wali-wali itu. Mereka sangka, wali-wali itu boleh memberi pertolongan di akhirat kelak.

Ini adalah satu kesilapan dalam meletak pengharapan. Tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi pertolongan kepada mereka. Sedangkan ahli keluarga sendiri tidak mahu memberi pertolongan, inikan pula orang lain yang tidak kena mengena dengan kita.

Dalam Dukhan: 41 Allah ﷻ ada menyebut tentang hal ini:

يَوْمَ لَا يُغْنِي مَوْلًى عَن مَّوْلًى شَيْئًا وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (untuk menghapuskan azab itu),

Oleh itu, tidak bermanfaat kalau mengambil selain Allah ﷻ sebagai wali. Namun ramai yang mengambil selain Allah ﷻ sebagai wali. Mereka akan bertawasul kepada wali itu dan wali ini antaranya, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Mereka juga menjadikan para Nabi dan para malaikat sebagai wali mereka.

Malangnya nanti kepada mereka, mereka yang disembah itu tidak akan mengaku penyembahan yang dilakukan kepada mereka. Ini disebut dalam Maryam:82

كَلَّا سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka seru itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

Mereka sangka, mereka yang disembah, diseru, diberi salam dan diberi sedekah Fatihah itu akan jadi penolong mereka, tetapi sebaliknya tidak. Memang buang masa sahaja apa yang dilakukan oleh manusia yang buat begitu. Itu adalah kerana kebodohan mereka dan dibodoh-bodohkan oleh guru-guru yang mengajar ajaran salah.

Mereka yang ada penyokong di dunia, akan rasa kuat dan rasa boleh buat apa sahaja. Begitu juga dengan mereka yang sangka ada wali yang akan tolong mereka di akhirat kelak kerana sudah buat ‘ibadat’ kepada wali-wali itu.

Mereka buat tawasul kepada wali-wali itu, beri salam, sedekah Fatihah kepada wali-wali itu, sembelih binatang korban di kubur dan macam-macam lagi amalan pelik. Itu semua adalah bentuk-bentuk ibadah yang salah dan tidak pernah diajar oleh Nabi dan orang-orang dahulu. Ia tidak ada langsung dalam syariat.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar.

Amat sedih sekali kepada mereka kerana membuang masa, duit dan tenaga membuat amalan-amalan salah, tetapi amalan itu membawa mereka ke dalam neraka.


 

Ayat 11: Takhwif Ukhrawi

هٰذا هُدًى ۖ وَالَّذينَ كَفَروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم لَهُم عَذابٌ مِّن رِّجزٍ أَليمٌ

Sahih International

This [Qur’an] is guidance. And those who have disbelieved in the verses of their Lord will have a painful punishment of foul nature.

Malay

Al-Qur’an ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

هَٰذَا هُدًى

Ini ialah petunjuk;

Maksudnya adalah Al-Qur’an ini. Lebih khusus lagi, merujuk kepada ayat pertama sampai ke ayat 10 sebelum ini. Al-Qur’an inilah yang sepatutnya dijadikan sebagai sumber hidayah petunjuk.

Kalau tidak mengambil Al-Qur’an ini sebagai petunjuk, maka manusia tidak akan dapat petunjuk selama-lamanya. Jangan sangka guru boleh memberi petunjuk, begitu juga dengan kitab-kitab yang ditulis oleh manusia. Itu semua boleh belajar, tetapi kena didahulukan dengan pemahaman Al-Qur’an. Barulah dapat membezakan mana yang benar dan mana yang tidak.

Guru-guru sepatutnya mengajar Tafsir Al-Qur’an kepada manusia, bukannya memberi pendapat mereka. Tafsir Al-Qur’an ini kena belajar dahulu sebelum ilmu yang lain.  Selepas itu, belajar hadis pula. Kemudian kalau ada masa, barulah belajar kitab-kitab yang lain.

Namun, kalau belajar perkara-perkara lain sebelum belajar Tafsir Al-Qur’an, mereka berkemungkinan besar akan sesat kerana Al-Qur’anlah yang menjadi kayu ukur untuk menentukan kebenaran ajaran-ajaran lain.

Oleh itu, kita kena sentiasa merujuk Al-Qur’an. Semua orang Islam akan terima bahawa Al-Qur’an itu adalah petunjuk tetapi ramai yang tidak tahu macam mana hendak gunakan petunjuk dalam Al-Qur’an sebab tidak belajar Tafsir. Mereka membaca Al-Qur’an tetapi tidak memahami apa yang dibaca.

Mereka ‘pandai cakap’ sahaja yang Al-Qur’an itu petunjuk. Ramai yang kata: ‘marilah kembali kepada Qur’an’, dan macam-macam lagi laungan tetapi semua itu kosong belaka. Mereka hanya pandai bercakap sahaja dan tidak belajar Tafsir Al-Qur’an. Oleh itu tidak akan tahu apakah yang Allah ﷻ  hendak dengan mereka.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِئآيٰتِ رَبِّهِمْ

dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka,

Kufur ingkar itu adalah menolak ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila dibacakan mereka tidak mahu mendengar dan apabila diajak belajar Tafsir Al-Qur’an, ditolak dengan berbagai-bagai alasan. Kalau tidak mahu belajar maksud yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an, itu sebenarnya sudah dikira engkar. Ini kerana Allah ﷻ  suruh kita belajar, tetapi kita tidak belajar, tidakkah itu sudah engkar?

Apabila mereka tidak tahu tafsir Al-Qur’an, tentunya akan membuat amalan yang berlawanan dengan Al-Qur’an. Syaitan tidak akan melepaskan peluang untuk menyesatkan mereka dengan membisikkan perkara-perkara yang salah. Ini kerana kalau tidak tahu apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an, macam mana mereka boleh tahu manakah yang salah?

Jadi, ada yang termakan dengan bisikan syaitan kerana mereka sangka apa yang dibisikkan oleh syaitan itu adalah benar. Kesannya bukan kecil tetapi amat berat. Apakah yang mereka akan terima?

 

لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ

untuk mereka, azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Kalimah رِّجْزٍ adalah sesuatu yang menyebabkan kita menggigil ketakutan dan kesakitan. Selalunya bila kita menggigil? Ia akan dialami selepas melihat sesuatu yang teruk seperti binatang dan mayat manusia yang reput dan sebagainya. Jadi, apabila ahli neraka melihat teruknya azab yang diberikan, mereka akan menggigil ketakutan dan kengerian.

Kalimah رِّجْزٍ juga boleh diterjemahkan sebagai najis. Ini adalah kerana teruknya azab yang akan dikenakan kepada mereka sampaikan dibandingkan dengan najis.  Itulah azab seksa yang mereka akan terima.


 

Ayat 12: Ayat 12 – 15 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia adalah dalil bagi amalan bersyukur. Ianya adalah amalan bagi orang yang berakal. Bersyukur dan menggunakan akal adalah punca untuk mendapat petunjuk hingga membuat persiapan hari Akhirat.

Ayat 12 ini Allah ﷻ menyambung dengan menceritakan lagi tanda-tanda-Nya. Jadi, ini adalah Dalil Aqli.

۞ اللهُ الَّذي سَخَّرَ لَكُمُ البَحرَ لِتَجرِيَ الفُلكُ فيهِ بِأَمرِهِ وَلِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Sahih International

It is Allah who subjected to you the sea so that ships may sail upon it by His command and that you may seek of His bounty; and perhaps you will be grateful.

Malay

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan juga supaya kamu bersyukur.

اللهُ الَّذِي سَخَّرَ لَكُمُ الْبَحْرَ

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu,

Kalimah سَخَّرَ bermaksud menguasai sesuatu. Allah ﷻ telah benarkan kita menguasai laut. Tidaklah ini bermaksud kita boleh kawal lautan pula, seperti boleh gerakkan laut itu supaya tenang atau berombak pula, tidak. Itu tentu tidak boleh. Allah yang mengawal laut dan Dia bagi ia mudah bagi kita untuk gunakan.

Ini hanya bermaksud yang kita boleh mengambil faedah dari laut iaitu dengan Allah ﷻ  memberi kepada kita ‘ilmu’ tentang laut. Kita diberi dengan ilmu tentang arusnya, cuacanya, cara membuat kapal, berlayar dan sebagainya. Maka dengan ilmu ini, kita boleh mengembara menggunakan laut itu.

Segala perkara dan ilmu itu, Allah ﷻ  juga yang ilhamkan kepada kita. Ini kerana kalau Allah ﷻ  tidak memberi ilham, kita juga tidak berani hendak masuk dalam laut itu.

 

لِتَجْرِيَ الْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِ

supaya belayar kapal-kapal padanya dengan perintahNya,

Dengan ilmu laut itu, kita boleh berlayar dengan mengikut undang-undang Allah ﷻ  yang telah ditetapkan iaitu ‘atas kebenaran’ dan izin yang Allah ﷻ berikan. Ia kena mengikut angin, arus dan sebagainya.

Ingatlah bahawa ilmu itu dari Allah ﷻ  sebenarnya. Kita tidak akan pandai mengembara di lautan kalau Allah ﷻ  tidak tanamkan ilmu itu dalam akal manusia. Kita boleh buat apa-apa sahaja di laut adalah dengan kebenaran-Nya. Kalau Allah ﷻ tidak benarkan, maka tiada apa yang akan terjadi.

 

وَلِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ

dan supaya kamu mencari dari limpah kurniaNya,

Dengan kita mengembara di lautan itu, kita boleh dapat hasil dari laut. Kita boleh menangkap ikan, mencari harta karun, mutiara, perhiasan dan sebagainya.

Itu menjadi sumber pendapatan yang amat besar bagi sesetengah orang. Selain dari itu, boleh jadikan laut sebagai laluan perniagaan. Barang perniagaan yang berat dan banyak boleh diangkut dengan mudah dan cepat kalau dibandingkan dengan laluan darat.

Oleh kerana itu, walaupun dunia semakin maju dan ada cara pengangkutan yang lebih cepat seperti kapal terbang, penggunaan jalan lautan masih lagi digunakan dengan lebih banyak kerana ia lebih jimat.

 

وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

dan supaya kamu bersyukur.

Yang paling penting, kita kena bersyukur. Bersyukur kepada Allah ﷻ kerana telah memberi ilmu itu kepada kita dan telah menenangkan laut itu supaya kita boleh mengambil manfaat darinya. Selain itu perlu bersyukur kepada Allah ﷻ kerana menyelamatkan kita dalam pengembaraan di lautan yang luas dan bergelora itu.

Lihatlah bagaimana tujuan laut itu dimudahkan untuk kita adalah supaya kita mengucapkan syukur kepada Allah ﷻ . Sifat suka bersyukur ini, Allah ﷻ suka kerana ada manusia yang bersyukurlah, Allah ﷻ  tidak musnahkan lagi alam ini.

Sebab itu waktu Kiamat nanti, oleh kerana tidak ada lagi manusia yang bersyukur kepada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ  akan musnahkan alam ini. Apabila manusia tidak lagi bersyukur kepada Allah ﷻ , maka laut tidak perlu lagi tenang, laut akan bergelora dan akan menghancurkan bumi pula nanti. Subhanallah.

Namun bagaimana hendak menunjukkan kesyukuran kepada Allah ﷻ? Kesyukuran ditunjukkan dengan mentaati Allah ﷻ dan bukannya mengucap-ngucap alhamdulillah berulang-ulang sahaja. Kena taat kepada segala perintahNya.


 

Ayat 13: Sambungan Dalil Aqli

وَسَخَّرَ لَكُم مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ جَميعًا مِّنهُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Sahih International

And He has subjected to you whatever is in the heavens and whatever is on the earth – all from Him. Indeed in that are signs for a people who give thought.

Malay

Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمٰوٰتِ

Dan Dia memudahkan untuk kamu, apa yang ada di langit

Allah ﷻ juga telah memberi ilmu tentang langit, bulan, bintang, awan dan sebagainya kepada manusia. Semua ilmu itu diberi agar kita  dapat gunakan untuk hidup.

Sebagai contoh, kita gunakan ilmu tentang bintang untuk mencari perjalanan di malam hari. Apabila mengkaji tentang awan, kita dapat tahu tentang tempat-tempat yang hujan akan turun. Malah banyak lagi.

Kalimah سَخَّرَ bermaksud ‘menundukkan’. Adalah ini bermaksud Allah ﷻ akan memberi kita kebolehan untuk menundukkan langit? Mungkin lebih dari apa yang Allah ﷻ telah berikan sekarang? Bayangkan, manusia sudah boleh sampai ke bulan dan mungkin tidak lama lagi boleh sampai ke planet lain. Allahu a’lam. Allah ﷻ boleh beri apa sahaja kepada kita dan ada isyaratnya dalam ayat ini.

 

وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

dan apa yang ada di bumi, daripadaNya;

Semua pemberian itu daripada Allah ﷻ antaranya Allah ﷻ telah menundukkan bumi untuk kita. Allah ﷻ  telah memberi kita ilmu tentang cara mengurus bumi ini dan ajar macam mana hendak gunakan segala sumber yang ada dalam dunia.

Banyak sekali kegunaan segala tumbuhan, binatang, mineral dan macam-macam lagi yang kita telah manfaatkan untuk kehidupan. Kita masih mengkaji lagi bagaimana menggunakan sumber yang Allah ﷻ  telah jadikan itu. Ingatlah bahawa Allah ﷻ telah jadikan dunia ini untuk kita. Maka tidak salah kalau  mengambil manfaat dari bumi untuk kegunaan kita.

 

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda bagi kaum yang mahu berfikir.

Itu semua adalah dalil bagi kekuasaan Allah ﷻ. Dalil itu diberikan kepada semua orang tetapi yang boleh mengambil pengajaran hanyalah mereka yang menggunakan akal untuk berfikir.

Ini bagi mereka yang apabila melihat kepada alam ini, sentiasa mengingatkan diri mereka kepada Allah  ﷻ. Bahawa hanya Allah ﷻ lah yang telah menjadikan semua itu dan telah memberikannya kepada kita.

Memang ramai saintis yang mengkaji tentang alam, tetapi mereka tidak mengaitkannya dengan Allah ﷻ . Mereka hanya menggunakan sumber yang ada, tetapi  tidak bersyukur. Mereka juga tidak langsung berfikir bagaimana alam yang begini hebat itu, boleh terjadi. Tidak mungkin ia terjadi dengan sendiri seperti yang disangkakan oleh golongan Atheis yang tidak percaya kepada Tuhan itu?

Mereka sangka sudah pandai tetapi sebenarnya mereka tidak menggunakan fikiran pada tempat yang sepatutnya.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Jathiya Ayat 1 – 8 (Andaian agama yang salah)

Pengenalan:

Ini adalah surah yang menceritakan tentang kekeliruan dalam berdoa yang akan menyebabkan manusia dihumban ke dalam neraka. Kalau tidak faham tentang tauhid dalam berdoa, maka manusia akan melakukan syirik, yang menyebabkan mereka akan dihumban ke dalam neraka selama-lamanya.

Surah ini adalah Surah Makkiyah dan mesej utama yang hendak disampaikan selain dari bahaya syirik adalah: hendaklah kita menyelamatkan diri kita dari sombong dan bongkak. Maka surah ini mengajar kita untuk merendahkan diri.

Kita dapat merendahkan diri kita dengan melihat tanda-tanda pada alam. Allah ﷻ yang telah menjadikan alam yang begini hebat. Maka ketahuilah yang Allah ﷻ yang hebat dan bukannya kita. Kita selamanya bergantung kepada Allah ﷻ. Oleh kerana itu, janganlah kita rasa sombong dan bongkak pula.

Surah ini juga menceritakan tentang kekeliruan dalam berdoa. Ada salah faham dalam masyarakat kita yang selalunya menggunakan ‘wasilah’ yang dilarang dalam urusan doa mereka. Surah ini adalah salah satu dari surah ‘tujuh ha mim’ yang menjadi tafsir untuk ayat  وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ daripada surah Fatihah.

Surah-surah hawamin itu adalah tentang ‘doa’ dimana kita diajar untuk hanya meminta kepada Allah ﷻ, tanpa menggunakan perantaraan (wasilah) yang dilarang. Menggunakan perantaraan dalam berdoa dalam bahasa Arab dipanggil tawasul.

Seperti yang kita telah belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam berdoa. Tentang cara berdoa telah diberitahu dalam Surah Ghafir dan Dakwa Surah ini sama seperti surah-surah Ha Mim yang lain – Tauhid dalam berdoa dan istianah (permintaan).

Cuma surah ini juga mempunyai ‘Maksud’ surah yang tersendiri. Apabila diberitahu tentang tauhid dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul dalam fikiran manusia. Untuk menjawab kesamaran-kesamaran itu, Allah ﷻ turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamin sebagai menjawab kesamaran dan kekeliruan itu. Surah Jathiya ini mempunyai satu kesamaran yang hendak diperjelaskan kekeliruannya.

Mari kita lihat ringkasan kekeliruan yang telah disentuh dalam Surah-surah Ha Mim ini selepas Surah Ghafir:

Surah Fussilat menjawab kekeliruan manusia yang pertama. Mereka yang mengamalkan syirik dalam berdoa berkata, apabila mereka seru selain dari Allah ﷻ dalam doa, mereka dapat juga apa yang mereka kehendaki. Maka Allah ﷻ menjawab kekeliruan ini dengan memberitahu dalam Surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

Selepas itu, Surah Syura pula menjawab kekeliruan kedua: kononnya ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah ﷻ itu boleh. Surah Syura telah memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak. Itu semua dalil palsu atau disalah fahami.

Seterusnya, Surah Zukhruf telah menjawab kekeliruan yang ketiga: Ada yang berhujah dengan kata mereka tidak meminta kepada selain Allah ﷻ itu tetapi mereka cuma seru untuk mendapatkan sokongan dan syafaat dari wali, Nabi atau malaikat. Mereka berharap supaya doa mereka makbul dan mendapat syafaat dari mereka di akhirat kelak.

Mereka kata mereka tidak minta terus kepada seruan-seruan itu kerana tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita juga ada fahaman sebegini, maka mereka turut sama sahaja dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at.

Surah Dukhan telah menjawab kekeliruan yang keempat: Kesamaran tentang doa timbul kerana ada manusia yang kata, selain Allah ﷻ ada makhluk lain yang boleh mendengar juga doa manusia dan tahu isi hati manusia yang berdoa. Mereka kata begitu kerana akidah syirik mereka.

Mereka katakan ada makhluk-makhluk yang boleh mendengar seruan manusia yang berdoa kepada mereka walaupun mereka sudah mati. Mereka beranggapan Allah ﷻ telah memberi berkat kerana kelebihan dan kemuliaan makhluk itu, sampai boleh mendengar seruan manusia. Walaupun sudah mati bagi mereka sekurang-kurangnya, apa yang diseru itu boleh membawa doa kepada Allah ﷻ dan memberi keberkatan kepada mereka

Maka Allah ﷻ telah menjawab dalam Surah Dukhan bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan tahu doa kita. Oleh kerana itu kita harus berdoa dan seru hanya kepada Allah ﷻ.

Surah Jathiya ini hendak menjawab kesamaran yang kelima. Ada yang kata, kalau Allah ﷻ hendak, Dia boleh beri ilah lain seperti Nabi dan wali itu boleh mendengar doa dan seruan mereka itu. Mereka kata mungkin Allah ﷻ pendengarkan doa manusia kepada mereka, sebab itulah tok nenek pakai pendapat itu dulu (dan mereka ikut sahaja pendapat itu).

Mereka kata mustahil Allah ﷻ tidak boleh buat begitu. Dalam hal ini, kena tegaskan kepada mereka bahawa bukan itu syariat Allah ﷻ. Akal kamu sahaja yang kata mereka yang mati itu boleh dengar. Apa-apa pun, tentang perkara ghaib kena ada dalil.

Mereka kata apa yang mereka buat itu bukan sampai jadi syirik. Allah ﷻ jawab yang dalam syariat Allah ﷻ tentang akidah ini tidak ada sebarang kemungkinan. Tidak boleh pakai agak-agak atau mungkin-mungkin. Syariat tentang akidah memang sudah jelas kerana ia adalah dalil yang qat’ie – dalil yang jelas, tidak ada kemungkinan lain.

Allah ﷻ juga sudah melarang seru kepada selain dari Dia dalam berdoa dan penyembahan. Terdapat banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang memberi hujah tentang ini. Lalu bagaimana Allah ﷻ benarkan perkara yang Dia sudah larang? Ini tidak mungkin.

Maksud surah ini berkenaan perkara itu ada dalam ayat 18 yang memberitahu bahawa syariat Allah ﷻ ini jelas terutama sekali tentang akidah:

ثُمَّ جَعَلناكَ عَلىٰ شَريعَةٍ مِنَ الأَمرِ فَاتَّبِعها وَلا تَتَّبِع أَهواءَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ

Kemudian Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). 

Allah ﷻ memberitahu yang Dia telah menjadikan syariat atas kita yang perlu diikuti. Kita kena ikut syariat yang Allah ﷻ telah tetapkan kerana syariat adalah satu pegangan dan cara hidup. Cara hidup itu ada dua jenis: Ibadat (hubungan makhluk dengan Allah ﷻ) dan Adat (hubungan hamba dengan hamba yang lain). Kedua-dua perkara ini perlu ikut syariat.

Syariat itu amat jelas kepada mereka yang belajar, dan apa yang mereka perlu lakukan hanyalah ikut sahaja. Jangan memandai-mandai buat andaian yang baru.

Memang ramai yang hendak reka perkara baru dalam agama, dan mereka tidak bawa dalil, melainkan andaian mereka sahaja. Contoh seperti yang kita telah sebut sebelum ini – kalau Allah ﷻ mahu, Dia boleh memberi wali dan Nabi itu mendengar doa dan seruan kita.

Ini amat bahaya, jadi kita kena tolak andaian yang sebegitu kerana berlawanan dengan dalil-dalil yang ada. Oleh itu, kalau ada hujah yang bukan datang dari dalil yang sahih, maka itu adalah dalil dari hawa nafsu. Ia datang dari mereka yang tidak tahu tentang syariat dan wahyu, jadi kita jangan ikut orang yang sebegitu.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ayat 1 – 6 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia adalah dalil daripada Tuhan yang Azizulhakim.

حم

Sahih International

Ha, Meem.

Malay

Haa, Miim.

 

حم

Haa, Miim.

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqatta’ah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqatta’ah ini sahaja. Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah ﷻ tidak memberitahu apa-apa, kita tidak akan tahu.

Bukanlah huruf-huruf Muqatta’ah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana Allah ﷻ tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ juga tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi ﷺ memberitahu maknanya.

Ada perkara yang Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana ilmu ghaib hanya milik Allah ﷻ sahaja.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk melihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’ dan mengaku begitu kepada manusia.

Ini penting kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun tidak tahu dengan pasti, mereka akan menjawab juga mengikut agak-agak, walaupun tahu maklumat itu tidak tepat. Maknanya mereka menggunakan akal sahaja tanpa landasan dalil dari wahyu. Ini salah dan tidak boleh dilakukan. Kalau tidak tahu, cakap sajalah tidak tahu, senang.

Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 soalan sahaja dan selainnya, Imam Malik jawab: ‘tidak tahu’. Sebenarnya menjawab ‘tidak tahu’ pun adalah sebahagian dari ilmu, maka janganlah segan untuk mengaku tidak tahu.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Mulakan belajar dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu baru. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqatta’ah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqatta’ah ini tidak pernah mereka dengar.

Jadi, apabila Al-Qur’an menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Qur’an itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqatta’ah ini, ia adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Ia ada ‘getaran’ tersendiri. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Al-Qur’an yang Allah ﷻ telah turunkan untuk kita.


 

Ayat 2:

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Sahih International

The revelation of the Book is from Allah , the Exalted in Might, the Wise.

Malay

Turunnya Al-Qur’an ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

تَنزِيلُ الْكِتٰبِ

Turunnya Al-Qur’an ini,

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memperingatkan kita bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh-Nya. Umumnya adalah bermaksud seluruh Al-Qur’an ini diturunkan dan khususnya, ia merujuk kepada surah ini.

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ  ini menunjukkan bahawa penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ mengambil masa hampir 23 tahun lamanya. Allah ﷻ mengambil masa untuk memberikan Al-Qur’an ini kepada manusia.

Kelebihannya, manusia dapat mengambil pengajaran sedikit demi sedikit kerana cara begini dapat memantapkan pemahaman dan ingatan kita terhadap Al-Qur’an. Jika diberikan sekaligus, boleh menyebabkan manusia lemas dengan maklumat kerana terlalu banyak diterima dalam satu masa.

Ini mengajar kita bahawa untuk memahami Tafsir Al-Qur’an, perlu mengambil masa yang lama dan tidak boleh dipelajari dengan kelam kabut. Kita kena memahaminya dengan mendalam. Sekurang-kurangnya setakat yang kita mampu. Belajarlah sedikit demi sedikit supaya pemahaman semakin meningkat dan meningkat. Jangan kelam kabut hendak faham semua.

 

مِنَ اللهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Al-Qur’an ini bukan daripada Nabi, malaikat atau wali-wali lain. Ia daripada Allah ﷻ semata-mata. Rasul itu hanya pesuruh Allah ﷻ dan tugasnya menyampaikan Al-Qur’an ini kepada kita. Oleh itu Al-Qur’an bukanlah dari kata-kata Rasul.

Rasul itu bersifat sebagai hamba Allah ﷻ semata-mata yang sentiasa menurut arahan Allah ﷻ dan menyampaikan apa yang telah disuruh. Manusia pula bersifat hamba, oleh itu kena ikuti apa yang telah disampaikan oleh Allah ﷻ. Begitu juga Malaikat, mereka juga taat kepada arahan dari Allah ﷻ. Jibrail hanya sampaikan Al-Qur’an dari Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita. Maka dengar baik-baik, bahawa Al-Qur’an ini daripada Allah ﷻ, bukan dari orang lain.

Oleh itu, jangan kamu mempermainkan dan buat tidak endah kepadanya. Kita kenalah belajar Al-Qur’an itu dan tafsirnya sampai faham. Bukan setakat membaca sahaja, tetapi tidak memahami apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Malangnya, kebanyakan dari orang Islam hanya membaca sahaja Al-Qur’an ini tanpa memahami apa yang mereka baca. Oleh kerana itu, banyak perkara yang mereka langgar.

Sepatutnya kita menghargai ayat-ayat dari Al-Qur’an ini kerana ia dari Allah ﷻ, Tuhan yang menjadikan kita. Namun, amat sedih sekali dengan sikap masyarakat kita. Jika menerima surat dari orang lain, kawan-kawan, kerajaan, majikan, malah surat dalam bentuk iklan mereka akan terus baca. Begitu juga kalau surat dari kekasih, berkali-kali dibaca dan tenung.

Berbeza pula dengan Al-Qur’an, mereka buat tidak endah sahaja. Padahal ayat-ayat Al-Qur’an itu bukan dari sesiapa melainkan Allah ﷻ. Tidakkah kita malu dengan Allah ﷻ?  Apabila ‘surat’ dari Allah ﷻ, kita buat biasa sahaja. Sedangkan surat manusia kita baca sahaja semuanya.

Ingatlah, Al-Qur’an itu dari Allah ﷻ. Kemudian Allah ﷻ terangkan Sifat-Nya agar manusia dapat mengenal Allah ﷻ dan semua itu telah diterangkan dalam Al-Qur’an ini satu persatu tentang siapakah Diri-Nya.

Siapakah yang layak untuk memperkenalkan diri? Tentulah orang itu sendiri yang selayaknya memperkenalkan dirinya sendiri. Kalau orang tidak kenal saya, tentulah saya orang yang paling layak untuk kenalkan diri sendiri, bukan?

Bagaimana pula dengan Allah ﷻ? Tentulah Allah ﷻ paling layak memperkenalkan Diri-Nya, sifat-Nya, kemahuan-Nya dan kebencian-Nya. Allah ﷻ memang telah terangkan siapa Diri-Nya dalam Al-Qur’an ini. Tambahan lagi dengan pemberitahuan dari Nabi-Nya Muhammad ﷺ yang paling kenal Allah ﷻ.

Maka, hendak mengenal Allah ﷻ, mula-mula sekali kenalah belajar Tafsir Al-Qur’an. Begitu banyak Allah ﷻ telah terangkan mengenai Diri-Nya dalam Al-Qur’an.

Bukannya dengan belajar tarekat untuk mengenal Allah ﷻ, ini adalah cara yang tidak sahih. Mereka itu mereka-reka sahaja cara untuk mengenal Allah ﷻ kononnya hendak kenal Allah ﷻ dengan cara cepat, tetapi mereka tertipu. Mereka ditipu oleh syaitan.

Mereka reka cara-cara amalan yang salah, bidaah dan cara yang syirik turut ada. Amalan mereka itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Malah yang mencipta cara amalan begitu adalah mereka sendiri. Maka, berhati-hatilah dengan gerakan tarekat dan tasawuf yang banyak dalam negara ini dan serata dunia.

Allah ﷻ sebut dalam ayat ini yang Dia bersifat Maha Perkasa. Kalau kamu hendak lawan Allah ﷻ, Dia boleh kalahkan kamu. Tidak lemah Dia oleh sebab penentangan kamu terhadap-Nya. Dia Maha Perkasa dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa jua. Dia kebal daripada segala ancaman makhluk.

Allah ﷻ tidak akan terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan makhluk serta daripada apa perkara sekalipun. Kerajaan-Nya tetap seperti biasa dan tidak ada sesiapa yang boleh menentang-Nya. Sama ada kita hendak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah ﷻ jadi kurang martabat-Nya.

Ini berlawanan manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya atau tidak memberi sokongan kepadanya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa.

Termasuk juga mana-mana ketua atau pemimpin. Kalau ditentang, mereka akan hilang sokongan dari orang bawahan. Seseorang ketua atau pemimpin jika tiada sokongan itu, mereka akan lemah dan rebah. Namun, Allah ﷻ tidak begitu sifat-Nya. Jika seluruh makhluk menentang-Nya, kuasa Allah ﷻ tidak akan berkurangan walaupun sedikit.

Jika  kita semua mengamalkan Islam mengikut apa yang Dia syariatkan, ia tidak akan menyebabkan Dia bertambah perkasa. Dia perkasa dengan sendiri, bukan disebabkan sokongan, kepatuhan kita atau dipengaruhi oleh apa-apa faktor.

Allah Maha Sempurna, tidak terkesan dengan sebarang perbuatan kita. Maka wajiblah kita menerima Al-Qur’an kerana Allah ﷻ menegaskan bahawa turunnya Al-Qur’an adalah daripada Allah ﷻ yang bersifat Al-Aziz.

Kalau kita mendapat arahan dari pihak berkuasa, kita akan patuh kerana mereka itu yang berkuasa. Sekarang, yang Maha Kuasa adalah Allah ﷻ, tidakkah layak untuk kita patuh kepada-Nya? Ada lagikah yang lebih perkasa dari Allah ﷻ? Maka disebabkan sifat-Nya yang tiada tandingan, Allah ﷻ boleh buat apa-apa sahaja, kepada sesiapa, mengikut kehendak-Nya.

Untuk lebih faham apakah maksud Maha Perkasa, mari kita buat satu contoh. Katakanlah di satu negeri, ada samseng yang menakutkan semua orang termasuk polis, askar mahupun ulama. Oleh sebab semua orang takut kepadanya, si samseng ini bebas melakukan apa sahaja tindakan yang diingininya, pada bila-bila masa yang dia mahu.

Perkara sebegini sebenarnya tidak berlaku pada manusia. Sekuat mana seseorang samseng itu, mustahil baginya untuk mengalahkan semua orang. Tidak akan ada yang bersifat sebegitu dalam alam ini. Sifat Maha Berkuasa hanya ada pada Allah ﷻ  .

Kuasa Allah ﷻ itu tanpa ada had batasan. Selalunya, kalau seseorang manusia ada kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa, menindas orang lain dan berbuat sesuka hati. Allah ﷻ memang Maha Perkasa, tetapi Allah ﷻ sertakan sifat kedua iaitu yang Maha Bijaksana.

Allah Maha Berkuasa dan tidak boleh dikalahkan tetapi sifat itu diimbangi dengan sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Allah ﷻ tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimiliki-Nya itu.

Allah Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah ﷻ  tetapkan, kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Apa sahaja yang Allah ﷻ tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru. Hukum dan undang-undang Allah ﷻ  adalah tepat dan sesuai untuk manusia. Kalau ada yang rasa tidak sesuai, masalahnya dengan orang itu dan bukannya dengan hukum Allah ﷻ.

Allah ﷻ yang tetapkan manusia ada yang kaya dan miskin. Namun, ia bukanlah sebagai penyebab orang itu menjadi tidak dapat menerima agama Allah ﷻ. Ada yang ibu bapanya musyrik, tetapi masuk Islam juga akhirnya.

Semua hukum Allah ﷻ sama ada sunat, wajib dan sebagainya yang telah ditetapkan-Nya tidak akan bercelaru dengan kaedah dunia. Bila dikaji, ia sebenarnya amat bersesuaian dengan kehidupan di dunia. Kalau tidak selari, bermakna kaedah yang kita gunakan tidak betul.

Allah ﷻ mencipta manusia sebaik-baiknya untuk layak menerima Al-Qur’an. Jangan kata seseorang itu bebal tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an. Allah ﷻ telah jadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian dan manusia pasti mampu terima pengajaran Al-Qur’an. Maka jangan kata susah hendak belajar tafsir Al-Qur’an ini. Malangnya ada juga golongan ustaz yang jahil, kata manusia biasa tidak layak belajar tafsir Al-Qur’an.

Ayat ini juga berbentuk ancaman, di mana keputusan di akhirat kelak, adalah mengikut keadilan-Nya. Mengikut hukum yang Dia telah tetapkan. Sesiapa yang kufur, akan masuk neraka dan untuk yang beramal soleh, masuk syurga. Semua hukum Allah ﷻ telah tentukan.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat hukum. Manusia pula kena ‘mengikut’ hukum, bukan ‘membuat’ hukum. Jika hendak buat hukum, mesti Al Hakim iaitu Allah ﷻ sahaja kerana Allah Maha Bijaksana. Sebab itu dalam mahkamah kita panggil yang memberi kehakiman itu hakim iaitu yang bijaksana.

Dia sememangnya Maha Bijaksana. Sebagai contoh, Allah ﷻ akan menangguh-nangguhkan azab kepada manusia untuk memberi peluang agar manusia bertaubat. Allah ﷻ tidak terus memberi hukuman azab kepada manusia. Tidaklah apabila kita tinggalkan solat, kita terus jatuh sakit, mati dan sebagainya.

Begitu juga bagi orang yang menyembah patung Hindu itu. Tiada terjadi apa-apa kepada kepada mereka seperti sakit perut, kena sambar petir atau sebagainya. Allah ﷻ biarkan sahaja manusia hendak buat syirik dan kezaliman. Allah ﷻ tangguhkan azab supaya mereka ada peluang untuk bertaubat. Namun, apabila mereka mati dan tidak bertaubat, maka siaplah tempat di neraka.

Maksud al-Hakim ada dua: ‘Yang Maha Bijaksana’ dan ‘yang menetapkan hukum’.

  1. Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Al-Qur’an itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Kita hendaklah mengikutinya kerana kalau kita mengikuti ajaran dalam Al-Qur’an itu, kita adalah orang yang bijak.
  2. Dalam Al-Qur’an itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

 

Ayat 3: Dalil Aqli kepada Qudrat Allah ﷻ .

إِنَّ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ لَآيٰتٍ لِّلمُؤمِنينَ

Sahih International

Indeed, within the heavens and earth are signs for the believers.

Malay

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

 

Berbagai-bagai tanda kekuasaan Allah ﷻ terdapat dalam alam ini. Tanda-tanda itu diberikan kepada semua, tetapi yang boleh mengambil pengajaran adalah mereka yang beriman sahaja. Oleh itu, lihatlah bagaimana indahnya Allah ﷻ menjadikan alam ini.

Semakin beriman seseorang itu, maka semakin banyak tanda-tanda kehebatan Allah ﷻ yang dia akan nampak. Mereka yang tidak beriman akan melihat alam ini biasa-biasa sahaja tanpa terdetik dalam hatinya bahawa semuanya ini dijadikan oleh Allah ﷻ. Namun apabila seseorang itu beriman, dia akan melihat segala keindahan dan kejadian alam ini adalah begitu hebat dan indah sekali. Malah mengingatkan dia kepada Allah ﷻ.

Bukti dari dalil itu telah diberikan kepada semua orang. Namun yang boleh ambil peringatan itu adalah mereka yang mukmin sahaja iaitu mereka yang ada inabah untuk beriman, mahu jadi orang beriman dan taqwa.

Malangnya, dalam dunia ini ramai saintis yang mengkaji tentang alam ini, tetapi mereka tidak menyandarkan kelebihan alam itu kepada Allah ﷻ. Mereka hanya melihat perkara luaran sahaja dan segala kehebatan alam itu hanya kejadian alam yang biasa dalam fikiran mereka.


 

Ayat 4: Sambungan Dalil Aqli

وَفي خَلقِكُم وَما يَبُثُّ مِن دابَّةٍ ءآيٰتٌ لِّقَومٍ يوقِنونَ

Sahih International

And in the creation of yourselves and what He disperses of moving creatures are signs for people who are certain [in faith].

Malay

Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkan-Nya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya.

وَفِي خَلْقِكُمْ

Dan pada kejadian diri kamu sendiri,

Lihatlah juga kepada diri kita sendiri. Kita dijadikan dalam sebaik-baik kejadian. Padahal asal kita ini hanyalah sperma sahaja. Sebagai contoh, tengoklah kepada kehebatan kulit kita sahaja sudah cukup. Tidak ada yang dapat menandingi kehebatan penciptaan kulit kita. Itu belum dikira penciptaan organ dalaman lagi.

 

وَمَا يَبُثُّ مِن دَابَّةٍ

serta (pada kejadian) segala binatang yang melata yang dibiakkanNya,

Binatang yang melata itu termasuklah kita dan binatang yang terbang di udara. Entah berapa banyak jenis binatang termasuk serangga yang hidup di dalam alam ini sampaikan para saintis juga belum lagi berjaya untuk mengenali kesemuanya. Di segenap tempat di alam dunia ini sama ada sejuk atau panas akan ada sahaja kehidupan padanya.

 

ءآيٰتٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang menyakininya.

Siapakah yang menjadikan segala binatang dan kehidupan itu? Itulah Allah ﷻ. Oleh kerana itu, hendaklah kita yakin bahawa Allah ﷻ lah pencipta dan pentadbir langit dan bumi. Siapakah yang memberi makanan dan keperluan mereka kalau bukan Allah ﷻ?

Tanda ini semua manusia boleh melihatnya tetapi siapakah yang boleh mengambil pelajaran darinya? Ia hanya boleh difikirkan oleh mereka yang yakin sahaja iaitu yakin dengan Allah ﷻ, Hari Kebangkitan dan kekuatan serta kehebatan Allah ﷻ.

Selain itu, mereka mungkin belum yakin lagi, tetapi ‘mahu’ menyakini iaitu bagi yang membuka hati terhadap kebenaran. Mereka mencari-cari kebenaran dan kerana itu Allah akan tarik mereka kepada kebenaran.


 

Ayat 5: Sambungan Dalil Aqli.

وَاختِلٰفِ اللَّيلِ وَالنَّهارِ وَما أَنزَلَ اللهُ مِنَ السَّماءِ مِن رِّزقٍ فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها وَتَصريفِ الرِّيٰحِ ءآيٰتٌ لِّقَومٍ يَعقِلونَ

Sahih International

And [in] the alternation of night and day and [in] what Allah sends down from the sky of provision and gives life thereby to the earth after its lifelessness and [in His] directing of the winds are signs for a people who reason.

Malay

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, serta keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

وَاخْتِلٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti,

Lihatlah bagaimana siang itu sentiasa datang selepas malam dan malam sentiasa datang selepas siang tanpa ada perubahan padanya.

Lihatlah juga bagaimana sifat malam itu amat berbeza dengan sifat siang. Ada perkara yang kita lakukan pada waktu malam dan ada yang khusus pada waktu siang.

Malam dan siang adalah tanda Qudrat Allah ﷻ, kerana bukanlah malam dan siang itu terjadi sendiri. Allah ﷻ yang jadikan siang dan malam. Bukanlah siang itu ada kerana ada matahari, tetapi Allah ﷻ yang jadikan siang itu.

Maka untuk mengingatkan manusia dengan perkara ini, Nabi ﷺ mengajar bacaan doa pagi dan petang. Doa ini diajar supaya kita ingat bahawa Allah ﷻ yang zahirkan malam dan siang.

 

وَمَا أَنزَلَ اللهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن رِّزْقٍ

dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit,

Yang dimaksudkan ‘rezeki’ dalam ayat ini adalah ‘air hujan’. Kenapakah air hujan ini dinamakan ‘rezeki’? Ini kerana air hujan itu menjadi sebab untuk memenuhi pelbagai keperluan lain antaranya dapat kita dan binatang-binatang yang melata jadikan  minuman. Selain itu, air hujan juga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber makanan untuk manusia dan binatang.

 

فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا

lalu Dia hidupkan dengannya bumi sesudah matinya,

‘Bumi yang mati’ maksudnya adalah bumi yang gersang, tidak ada tumbuh-tumbuhan. Bila tidak ada semua itu, maka binatang dan manusia juga tidak mahu duduk di tanah kerana sumber makanan tidak ada.

Namun, apabila Allah ﷻ menurunkan hujan kepada bumi, ia seperti hidup semula. Tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan subur dan binatang juga akan datang kerana ada sumber makanan di tempat itu. Maka kawasan tanah itu akan ‘hidup’.

 

وَتَصْرِيفِ الرِّيٰحِ

serta (pada) pertukaran angin,

Lihatlah bagaimana pergerakan angin itu boleh berubah-ubah. Kadangkala dapat dirasakan, dan kadangkala tidak. Arah pergerakannya turut berubah-ubah. Kadangkala dari arah kanan atau kiri, atau dari arah depan ataupun belakang. Tiupannya juga berbeza-beza. Kadangkala lembut sahaja bagaikan sepoi-sepoi bahasa, kadangkala sangat kuat sehingga boleh menumbangkan pokok!

Kehadiran angin itu juga menggerakkan awan yang membawa air dari satu tempat ke tempat yang lain. Peredaran angin adalah satu rezeki kerana dengannya dapat menyampaikan debunga dari satu tanaman kepada tanaman yang lain yang menyebabkan penumbuhan tanaman yang pelbagai.

Siapakah yang menentukan pergerakan itu? Adakah kita mempunyai kuasa langsung untuk mengubah pergerakan angin? Tidak ada langsung. Kita lemah dan hanya menerima sahaja apa yang Allah ﷻ berikan.

 

ءآيٰتٌ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

(semuanya itu mengandungi) tanda-tanda bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

Segala kejadian yang disebut dalam ayat ini boleh dirasai dan dilihat oleh semua manusia, tetapi siapakah sahaja yang boleh mengambil pelajaran daripadanya? Hanya mereka yang menggunakan akal sahaja yang boleh mengambil ingatan daripadanya. Mereka menggunakan akal untuk melihat alam ini dan berfikir tentangnya.

Allah ﷻ telah berikan akal kepada semua manusia, tetapi yang mahu menggunakannya tidak ramai. Ingatlah semua yang terjadi itu bukan terjadi sendiri tetapi Allah ﷻ yang jadikan dengan Qudrat-Nya.


 

Ayat 6: Kesimpulan Dalil-dalil Aqli yang telah disebut.

تِلكَ ءآيٰتُ اللهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ ۖ فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَ اللهِ وَءآيٰتِهِ يُؤمِنونَ

Sahih International

These are the verses of Allah which We recite to you in truth. Then in what statement after Allah and His verses will they believe?

Malay

Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaan-Nya (mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)?6

تِلْكَ ءآيٰتُ اللهِ

Itulah ayat-ayat dalil kekuasaan Allah

Telah diberikan sebelum ini tanda-tanda tentang esa-Nya Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ sahaja tempat untuk disembah dan dipuja dalam berdoa.

‘Ayat’ atau ‘tanda-tanda’ itu ada di dalam dua jenis iaitu ayat yang kita boleh baca (Al-Qur’an) dan ayat yang ada pada alam ini. Ayat-ayat yang disebut sebelum ini adalah tentang tanda-tanda yang ada pada alam. Berkenaan ayat-ayat yang Allah ﷻ turunkan dalam bentuk ayat-ayat Al-Qur’an, apakah firman Allah ﷻ tentangnya?

 

نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ

yang Kami bacakan kepadamu kerana menegakkan kebenaran;

Selain daripada tanda-tanda pada alam, ada juga ayat-ayat yang dibaca, diberi kepada kita untuk dibaca dan fikirkan. Itulah pentingnya kita membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia dan ia perlu difahami dengan belajar Tafsir Al-Qur’an. Kalau setakat membaca sahaja, tetapi tidak faham, ia tidaklah memenuhi kehendak Allah ﷻ.

Apakah haq yang Allah ﷻ hendak tegakkan? Ia untuk menzahirkan kebenaran bahawa Allah ﷻ lah sahaja yang layak disembah dan tempat kita meminta pertolongan.

 

فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَ اللهِ وَءآيٰتِهِ يُؤْمِنُونَ

maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya?

Kalau ayat-ayat yang Allah ﷻ telah berikan itu tidak dapat melahirkan iman dalam diri manusia, maka ayat mana lagikah yang mereka mahu?

Kalimat حَدِيثٍ بَعْدَ اللَّهِ merujuk kepada ayat-ayat Al-Qur’an yang diwahyukan kepada manusia.

Kalimat آيَاتِهِ pula merujuk kepada tanda-tanda yang ada pada alam ini untuk kita perhati dan fikirkan. Kedua-dua tanda ini berkait rapat kerana kita melihat pada Al-Qur’an dan adakala juga alam. Ayat Al-Qur’an ini mengingatkan kepada alam dan alam pula mengingatkan kita kepada ayat-ayat Al-Qur’an.

Kedua-dua jenis ayat ini diberikan kepada kita untuk membangkitkan iman dalam diri. Lihatlah bagaimana ada manusia yang masuk Islam selepas membaca ayat-ayat Al-Qur’an. Terdapat manusia setelah melihat pada tanda-tanda alam ini, terbuka hati tentang kewujudan Tuhan. Mereka yang mendapat iman ini terus mencari-cari siapakah Tuhan yang menjadikan alam ini. Ini kerana di dalam diri mereka ada keinginan untuk mencari kebenaran.

Kalau kedua-dua ayat ini tidak dapat membangkitkan iman mereka, maka tidak ada lagi harapan untuk manusia memperolehi iman. Ini kerana cuma dua cara ini sahaja yang dapat membantu.


 

Ayat 7: Ayat 7 – 11 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia tentang kesombongan dan kesyirikan Quraish Mekah. Penyakit Orang Mekah percaya adanya Allah tetapi mensyirikkanNya dengan menggunakan perantara dalam doa dan ibadah.

Ayat 7 ini adalah Ayat Zajrun dan takhwif ukhrawi kepada mereka yang berdusta dalam perkara akidah yang tidak diajar dalam syarak

وَيلٌ لِّكُلِّ أَفّاكٍ أَثيمٍ

Sahih International

Woe to every sinful liar

Malay

Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa, –

 

Celaka besarlah bagi mereka yang tidak mahu menerima wahyu di akhirat kelak. أَفَّاكٍ adalah mereka yang melakukan penipuan yang besar dari segi akidah. Mereka telah reka perkara-perkara baru dalam bab iman dan  melakukan penipuan dalam agama.

Dia juga menjadi أَثِيمٍ kerana apa yang dilakukannya adalah berlawanan dengan suruhan Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an. Mereka langgar syariat yang Allah telah tetapkan untuk diiikuti. Apa sahaja yang berlawanan dengan apa yang Allah ﷻ suruh akan menyebabkan dosa.


 

Ayat 8: Siapakah mereka itu dan apakah sifat-sifat mereka?

يَسمَعُ ءآيٰتِ اللهِ تُتلىٰ عَلَيهِ ثُمَّ يُصِرُّ مُستَكبِرًا كَأَن لَّم يَسمَعها ۖ فَبَشِّرهُ بِعَذابٍ أَليمٍ

Sahih International

Who hears the verses of Allah recited to him, then persists arrogantly as if he had not heard them. So give him tidings of a painful punishment.

Malay

Yang mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

يَسْمَعُ ءآيٰتِ اللهِ تُتْلَىٰ عَلَيْهِ

Dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya,

Ini adalah tentang mereka yang telah dibacakan ayat-ayat Al-Quran dan tafsirnya. Mereka sudah biasa mendengar ayat Al-Qur’an, bukan tidak tahu langsung mana satu ayat Al-Qur’an.

 

ثُمَّ يُصِرُّ مُسْتَكْبِرًا

kemudian dia terus berlagak sombong,

Berlagak sombong enggan menerima apa yang disampaikan dalam ayat-ayat itu. Mereka menolak kebenaran dan menghina orang yang sampaikan kebenaran serta tidak mahu mengambil pengajaran dari ayat-ayat yang disampaikan.

Ada pendakwah yang telah memberikan tafsir ayat-ayat itu. Namun, mereka tidak mahu terima dan juga enggan belajar Tafsir Al-Qur’an kerana sombong. Mereka rasa tindakan yang dilakukan itu sudah betul walaupun ia berlawanan dengan ayat Allah ﷻ.

 

كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا

seolah-olah dia tidak mendengarnya;

Mereka buat tidak tahu sahaja selepas dibacakan ayat-ayat Allah ﷻ dan diterangkan maksudnya. Macam masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Mereka masih lagi hendak pakai apa yang dikatakan dan diajar oleh guru mereka. Termasuk juga segala yang telah diamalkan turun temurun oleh tok nenek mereka.

 

فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang amat pedih.

Allah ﷻ perli dengan sebut ‘beri berita gembira’. Padahal ia bukan berita baik. Berita yang diberikan kepada mereka adalah azab seksa iaitu azab dalam neraka. Maka mana berita gembiranya?

Azab pedih itu tentunya akan dimasukkan ke dalam neraka. Mereka dimasukkan kerana mereka tidak endah dengan ajaran Al-Qur’an, buat tidak tahu sahaja. Lihatlah bagaimana besarnya balasan azab kepada mereka yang tidak endahkan ayat-ayat Allah ﷻ .

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 83 – 89 (Tiada Syafaat Qahriyah)

Ayat 83: Zajrun dan Takhwif Ukhrawi.

فَذَرهُم يَخوضوا وَيَلعَبوا حَتّىٰ يُلٰقوا يَومَهُمُ الَّذي يوعَدونَ

Sahih International

So leave them to converse vainly and amuse themselves until they meet their Day which they are promised.

Malay

Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main (dalam dunia mereka), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan).

فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا وَيَلْعَبُوا

Oleh itu, biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main

Kalimah يَخُوضُوا dari katadasar خ و ض yang asalnya bermaksud masuk dalam air dan diliputi oleh air itu, macam seorang yang sedang berendam dalam pool. Maksudnya, seseorang yang tenggelam dalam apa yang sedang dilakukannya. Tengah leka sungguh. Jadi ia bermaksud seseorang yang bersungguh-sungguh melakukan sesuatu.

Dalam konteks ayat ini, ianya tentang mereka yang membantah-bantah dalam ayat-ayat Allah. Mereka bersungguh-sungguh bantah tentang agama. Mereka terus menentang dengan memberikan hujah-hujah bathil (tanpa nas).

Allah suruh biarkan mereka dalam kesesatan dan sedang leka bermain-main dan leka dengan dunia. Tak perlu layan bantahan dan debat mereka itu. Jangan hiraukan. Akan tetapi dalam masa yang sama, jangan pula berhenti dari tabligh kepada mereka. Teruskan berdakwah kepada mereka. Tapi bagaimana pula?

Maksudnya, jangan peduli kata-kata mereka yang hendak melemahkan agama itu. Teruskan berdakwah untuk sampaikan kepada manusia. Jangan hirau gangguan, halangan dan bantahan dari mereka. Jadi maksud ayat ini adalah teruskan dalam dakwah. Jangan hiraukan apa yang mereka buat. Kena faham maksud ayat ini, jangan silap tafsir pula. Bukannya tinggalkan dakwah kepada mereka, kerana kita tetap kena dakwah juga.

Ayat ini juga tentang mereka yang bermain-main hal agama. Ramai manusia yang kalau hal agama, mereka akan buat main-main. Kalau kita beritahu sesuatu tentang perkara agama, mereka akan jadikan bahan jenaka. Mereka tidak serius dalam hal agama.

Malangnya, ada penceramah yang begitu juga, sampaikan ada yang dalam ceramah agama pun, mereka akan buat lawak juga. Padahal, perkara agama ini adalah perkara yang besar, perkara yang serius. Maka, jangan kita layan ustaz-ustaz yang menggunakan lawak dalam kuliah mereka. Itu bukanlah cara untuk menyampaikan dakwah.

Juga ayat ini tentang mereka yang leka dengan dunia. Mereka sendiri tahu yang mereka akhirnya akan tinggalkan semua perkara yang mereka kumpulkan itu. Bagaikan budak-budak main permainan daun terup. Mereka pakai duit dari daun. Mereka pun tahu yang duit daun itu tidak laku, tapi semasa bermain itu mereka bersungguh-sungguh benar. Bukankah apabila emak mereka panggil mereka makan, mereka tinggalkan sahaja, bukan?

Begitulah perumpamaan dunia dan kerana itu Allah gunakan kata mereka jadikan dunia sebagai permainan. Mereka tahu mereka akan tinggalkan semua pencarian dunia nanti apabila mati kelak, tapi semasa mereka mencarinya, bersungguh benar mereka, leka sungguh sampai lupa akhirat.

 

حَتَّىٰ يُلٰقُوا يَوْمَهُمُ الَّذِي يُوعَدُونَ

sehingga mereka menemui hari mereka yang dijanjikan kepada mereka

Iaitu janji yang telah diberikan kepada mereka, dimana Allah sudah berjanji untuk memberi balasan azab kepada mereka. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan dikenakan dengan azab seksa. Waktu itu baru mereka menyesal kerana leka sangat dengan dunia, sampai tidak bersedia untuk akhirat.


 

Ayat 84: Ini adalah dalil aqli.

وَهُوَ الَّذي فِي السَّماءِ إِلٰهٌ وَفِي الأَرضِ إِلٰهٌ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ العَليمُ

Sahih International

And it is Allah who is [the only] deity in the heaven, and on the earth [the only] deity. And He is the Wise, the Knowing.

Malay

Dan (ingatlah), Allah jualah Tuhan yang berhak disembah di langit, dan Dia lah Tuhan yang berhak disembah di bumi; dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ إِلَٰهٌ

Dan (ingatlah), Allah jualah ilah yang berhak disembah di langit,

Allahlah sahaja yang layak disembah oleh penduduk langit. Kerana Dia Tuhan bagi langit.

 

وَفِي الْأَرْضِ إِلَٰهٌ

dan Dia lah ilah yang berhak disembah di bumi;

Allahlah sahaja yang layak disembah oleh penduduk bumi. Kerana Dia Tuhan di bumi. Tidak boleh disembah selain Allah. Yang selain Allah, tidak layak dan tidak boleh disembah.

Kalau di langit, Allah itu Tuhan dan di bumi itu juga Allah sebagai Tuhan, maksudnya Allahlah sahaja yang layak disembah di mana-mana pun. Tidak ada Tuhan yang lain.

Jangan silap faham pula: Tidaklah ada satu Tuhan di langit dan satu Tuhan di bumi pula. Di kedua-dua alam itu, Allahlah sahaja Tuhan yang boleh disembah. Takut ada yang salah faham pula dengan ayat ini dengan kata ada dua ilah pula.

 

وَهُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ

dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

Kenapa Allah sahaja yang layak jadi ilah? Kerana hanya sahaja yang memiliki dua sifat ini.

Allah memerintah alam ini dengan Maha Bijaksana kerana Dia Maha Mengetahui keperluan segala perkara.

Dia juga yang Maha Mengetahui apakah hakikat dunia dan hakikat langit. Kita hanya dapat mengetahui sedikit sahaja berdasarkan dari kajian sains. Tapi pengetahuan yang sempurna hanya ada pada Allah sahaja. Allah tahu apakah yang akan terjadi kepada manusia itu sebelum dia lahir lagi.


 

Ayat 85:

وَتَبارَكَ الَّذي لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما وَعِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

And blessed is He to whom belongs the dominion of the heavens and the earth and whatever is between them and with whom is knowledge of the Hour and to whom you will be returned.

Malay

Dan Maha Berkat Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; dan Dia lah jua yang mengetahui tentang (masa datangnya) hari kiamat; dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.

وَتَبَارَكَ الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dan Maha Berkat Dia yang milikNya kerajaan langit dan bumi

Ayat ini menafikan syirik dalam berkat. Allahlah sahaja yang mempunyai Keberkatan. Allahlah yang Maha Berkat. Ini adalah salah satu dari Sifat Allah.

Oleh kerana berkat itu milik Allah, maka sesiapa yang hendak mengambil berkat kepada selain Allah, itu adalah kufur. Maka, jangan minta berkat daripada makhluk, dari guru, ustaz, wali dan sesiapa pun. Ramai masyarakat kita yang salah faham dengan maksud berkat dan kerana itu mereka selalu melakukan tabarruk kepada perkara-perkara yang tidak patut.

Antaranya, mereka bertabarruk dengan ustaz mereka, guru mereka, orang yang balik dari Mekah dan sebagainya. Sebagai contoh, ada orang yang peluk mereka yang baru balik dari Haji dengan kata: “nak ambil berkat sikit”.

Ini adalah salah sama sekali. Yang lebih teruk adalah mengambil keberkatan dari kubur seperti yang mula diajar oleh puak-puak Habib yang datang dari Yaman itu. Ingatlah yang tidak ada keberkatan pada kubur, termasuklah kubur Nabi sendiri.

Allah ada memberi keberkatan kepada beberapa perkara seperti Tanah Haram dan lain-lain lagi. Tapi kenalah ada dalil baru boleh kita kata yang tempat-tempat tertentu itu ada berkat. Kena ada disebut oleh Allah dalam Al-Qur’an atau dalam hadis. Ini perkara yang memerlukan dalil dan bukannya kata-kata dari manusia.

Perbincangan tentang tabarruk adalah perbincangan yang panjang yang perlulah dipelajari oleh orang-orang kita supaya tidak tersalah faham dan melakukan tabarruk yang dilarang.

 

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya;

Segalanya milik Allah. Langit adalah milikNya dan bumi juga milikNya dan apa-apa sahaja di antara keduanya. Apa yang ada diantara keduanya pun kita tidak tahu, tapi apa-apa sahaja yang ada antara keduanya, milik Dia sahaja.

Oleh kerana segalanya milik Allah, maka Dia tidak memerlukan sekutu atau wakil.

 

وَعِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ

dan di SisiNyalah sahaja ilmu tentang Hari Kiamat;

Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah akan terjadinya Kiamat itu dan apa yang benar-benar akan terjadi. Nabi tak tahu, para Malaikat hatta Jibrail pun tidak tahu bilakah akan berlakunya Hari Kiamat. Banyak kali diulang-ulang dalam Al-Qur’an tentang perkara ini.

Maka, berhentilah untuk agak-agak bilakah ianya akan berlaku. Yang pasti, ia akan berlaku. Yang kita perlu lakukan adalah bersedia untuk menghadapinya. Malangnya, ada orang yang mengaku ahli agama yang cuba-cuba juga untuk mengagak bilakah Hari Kiamat itu akan berlaku.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.

Dalam dua ayat ini adalah pegangan Tauhid kita. Iaitu ada Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Asma wa Sifat. Itulah juga dinamakan Tauhid Tiga Serangkai atau Tauhid 3T.

Tauhid Rububiyyah – Allah memberitahu kita yang Dialah yang memiliki alam ini. Itu adalah sifat Rabb.

Tauhid Uluhiyyah – Allah memberitahu kita yang Dialah ilah di langit dan di bumi. Hanya Dia sahaja yang layak disembah dan layak diibadati.

Tauhid Asma’ wa Sifat – Allah memberitahu salah satu SifatNya, iaitu hanya Dia sahaja yang mempunyai ilmu tentang Hari Kiamat. Sifat ini tidak ada pada makhluk yang lain.


 

Ayat 86: Ini adalah Maksud Surah ini.

وَلا يَملِكُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَن شَهِدَ بِالحَقِّ وَهُم يَعلَمونَ

Sahih International

And those they invoke besides Him do not possess [power of] intercession; but only those who testify to the truth [can benefit], and they know.

Malay

Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu).

وَلَا يَمْلِكُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِ الشَّفٰعَةَ

Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat,

Hanya Allah sahaja yang mempunyai kuasa syafaat. Allahlah sahaja yang menentukan siapa yang boleh ‘beri’ syafaat dan siapa yang boleh ‘mendapat’ syafaat itu. Maknanya, pemberi syafaat Allah yang tentukan, dan penerima syafaat pun Allah juga yang tentukan. Tidak ada sesiapa yang selain dari Allah mempunyai kuasa penentuan itu.

Ramai yang mengamalkan tawasul dan menyembah kepada sembahan-sembahan seperti wali, Nabi dan malaikat kerana mengharapkan ‘syafaat qahriyah’ dari mereka. Syafaat Qahriyah adalah ‘syafaat kasih-sayang’. Mereka sangka, kerana Allah sayang kepada Nabi, wali dan malaikat itu, maka kalau mereka merapatkan diri dengan wali, Nabi dan malaikat itu, Allah akan sayang juga kepada mereka. Ini adalah fahaman yang amat salah sekali.

Dalam potongan ayat ini seterusnya, Allah memberikan dua syarat untuk membolehkan memberi dan menerima syafaat:

 

إِلَّا مَن شَهِدَ بِالْحَقِّ

kecuali sesiapa yang bersaksi dengan Kalimah Haq

Iaitu dua Kalimah Syahadah, Kalimah Tauhid. Iaitu mereka yang hanya menyembah Allah dan hanya mengikut agama dan amalan yang diajar oleh Nabi. Mereka ini sahaja yang dibenarkan memberi syafaat dan menerima syafaat. Seperti para Nabi kerana mereka hanya menyembah Allah sahaja, dan mereka itu dibenarkan memberi syafaat. Tetapi hanya boleh diberikan kepada mereka yang layak sahaja. Iaitu mereka yang tauhidnya juga sempurna.

Kalau mereka yang tauhidnya tidak sempurna, ada mengamalkan syirik dalam amalan dan fahaman mereka, mereka itu tidak ada harapan untuk memberi dan menerima syafaat. Malang sekali masyarakat Islam kita yang ada fahaman syirik, tapi dalam masa yang sama mereka meminta-minta syafaat dari Nabi Muhammad.

Meminta syafaat kepada Nabi Muhammad itu juga sudah amalan yang syirik, kerana yang ada kuasa syafaat hanya Allah sahaja. Mereka telah meletakkan kuasa Allah pada Nabi Muhammad pula, dan ini adalah syirik.

 

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

dan mereka mengetahui

Iaitu mengetahui apa yang mereka saksikan. Mereka tahu siapa yang mereka berikan syafaat itu. Mereka tahu siapa yang boleh diberikan syafaat itu. Mengetahui bahawa menyeru Allah sahaja yang akan dapat syafaat.

Hanya Allah sahaja yang boleh beri syafaat. Nabi Muhammad tidak dapat memberikan syafaat kepada mereka yang tidak layak. Nabi Muhammad pun bukan boleh menentukan siapa yang dapat syafaat. Baginda hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat itu. Dan kalau ada yang mengamalkan amalan syirik, mereka tidak layak diberikan syafaat itu.

Maksud ‘mengetahui’ itu juga boleh bermaksud mengetahui tentang apakah tauhid dan apakah syirik. Untuk tahu, kena belajar sampai faham. Kalau tidak faham, itu maksudnya tidak tahu dan mereka yang tidak belajar dan tidak tahu, akan terjerumus ke dalam lembah kesyirikan kerana tidak belajar. Syaitan akan mengambil peluang dari kejahilan mereka itu untuk menyesatkan mereka.

Sebab itu orang yang masuk syurga adalah mereka yang ada ilmu. Tidak ada dalil yang orang jahil masuk syurga. Maka, kita kenalah ambil usaha untuk faham tentang tauhid dan tentang syirik supaya iman kita sempurna. Kalau iman kita sempurna, barulah layak untuk mengharapkan syafaat dari Allah.

Inilah kekeliruan yang amat banyak dalam masyarakat kita. Mereka sangka ada orang yang boleh memberi syafaat kepada mereka. Oleh itu mereka rasa selamat. Antaranya yang mereka keliru adalah tentang Nabi Muhammad sendiri. Mereka sangka Nabi Muhammad itu ada ‘kuasa’ untuk memberi syafaat. Maka kerana itu ramai yang meminta syafaat sekarang kepada baginda.

Ini adalah kerana kekeliruan kepada dalil yang ada dalam Al-Quran dan hadis. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar. Bila tidak belajar, mereka ikut sahaja kata-kata orang yang tidak semestinya benar.

Maka kerana mereka sangka Nabi Muhammad boleh menentukan syafaat ikut kehendaknya, mereka telah meminta syafaat itu kepada Nabi dalam berbagai cara. Ada yang buat qasidah, ada yang minta syafaat kepada Nabi di kuburan baginda dan macam-macam lagi. Antaranya, mereka sedekah Fatihah kepada baginda sebagai ‘upah’ untuk beri syafaat kepada mereka. Ini adalah antara kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat kita tanpa sedar.


 

Ayat 87: Ini adalah dalil aqli i’tirafi. Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah pun boleh terima yang menjadikan mereka adalah Allah.

Inilah dalil bahawa mereka itu ada Tauhid Rububiyyah. Maka, kenapa ada yang tidak dapat terima perkara ini? Mereka kata Ajaran Tauhid 3T adalah salah kerana mengatakan Musyrikin Mekah itu ada tauhid. Kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tahu baca sahaja, memang akan kata begitu. Tapi kita yang belajar Al-Qur’an dan cuba menghayati Al-Qur’an ini, memang selalu berjumpa dengan ayat ini. Apa mereka tidak baca Al-Qur’ankah?

Dalil aqli i’tirafi bermaksud hendak menunjukkan kepada Musyrikin Mekah yang mereka pun sudah terima Allah itu ada, hanya Allah sahaja yang menjadikan mereka dari tidak ada kepada ada. Kalau perkara itu mereka sudah iktiraf, maka kenapa mereka tidak terus sembah hanya Allah sahaja?

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَهُم لَيَقولُنَّ اللَّهُ ۖ فَأَنّىٰ يُؤفَكونَ

Sahih International

And if you asked them who created them, they would surely say, ” Allah .” So how are they deluded?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?”

Tanyalah kepada Musyrikin Mekah itu. Tanyalah kepada musyrik zaman sekarang pun. Tanya mereka: Siapakah yang menjadikan kamu dan alam ini?

لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”.

Musyrikin Mekah kenal Allah dan mereka terima yang Allahlah Pencipta alam ini. Musyrikin Mekah akan jawab yang Allahlah yang mencipta dan menjadikan mereka. Mereka tidak akan kata berhala yang menjadikan mereka, atau malaikat yang menjadikan mereka dan lain-lain. Mereka akan tetap kata Allah lah yang menjadikan mereka.

Ini disebut dengan jelas dalam ayat-ayat seperti ini. Maka, kalau ada yang mempertikaikan ajaran Tauhid 3T yang mengatakan Musyrikin Mekah ada Tauhid Rububiyyah, maka kita boleh katakan yang mereka itu tidak baca Al-Qur’an – atau, kalau mereka baca, mereka tidak faham Al-Qur’an; maknanya, mereka orang jahil.

Musyrik zaman sekarang pun. Mereka mungkin tidak kenal nama Allah, tapi mereka akan jawab: Tuhan yang satu. Tanyalah kepada orang Hindu contohnya. Baru kita tahu bahawa patung yang mereka sembah itu adalah ‘dewa’ sahaja, bukannya Tuhan.

 

فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

(Jika demikian) maka bagaimana mereka boleh dipesongkan?

Bagaimana mereka boleh terpesong fahaman dalam bab tawasul? Kalau mereka kata Allahlah yang menjadikan mereka, kenapa mereka boleh kata sembah selain Allah? Kenapa mereka boleh minta kepada Allah melalui perantaraan? Itulah yang menghairankan sekali. Tentulah ada banyak sebab yang antaranya kerana mereka sombong untuk terima kebenaran.


 

Ayat 88:

وَقيلِهِ يٰرَبِّ إِنَّ هٰؤُلاءِ قَومٌ لّا يُؤمِنونَ

Sahih International

And [ Allah acknowledges] his saying, “O my Lord, indeed these are a people who do not believe.”

Malay

Dan (Dia lah Tuhan yang Mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai TuhanKu! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman (maka terserahlah kepadaMu untuk mengadilinya)!”

وَقِيلِهِ يٰرَبِّ

Dan katanya: Wahai TuhanKu!

Kata siapa? Kata Nabi Muhammad. Ini adalah kata-kata Nabi Muhammad setelah berdakwah sekian lama dan Musyrikin Mekah itu tetap menolak dakwah baginda. Ini adalah kata-kata rayuan baginda kepada Allah.

Lihatlah kata-kata Nabi Muhammad ini. Baginda sendiri tidak bertawasul kepada selain Allah. Baginda terus minta dan seru kepada Allah sahaja. Bukankah Nabi Muhammad itu adalah ikutan kita? Adakah contoh bagaimana Nabi menggunakan perantaraan dalam doa baginda?

Ayat ini boleh diterjemahkan begini: Allah bersumpah dengan perkataan Nabi Muhammad.

 

إِنَّ هَٰؤُلَاءِ قَوْمٌ لَّا يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak beriman

Ini adalah kata-kata aduan dari Nabi Muhammad kepada TuhanNya. Setelah melihat apakah reaksi kaumnya terhadap dakwah baginda, baginda mengadu kepada Allah yang kaumnya itu mungkin tidak akan beriman.

Bayangkan yang Nabi Muhammad sendiri akan mengadu tentang mereka. Nabi Muhammad seorang yang lembut tapi baginda sendiri pun akan mengadu tentang umat baginda! Maknanya, Nabi telah terasa sangat dengan apa yang mereka telah kata dan lakukan.

Nabi sendiri akan menjadi saksi bahawa mereka tidak beriman. Bayangkan dalam pengadilan mahkamah Allah nanti, yang menjadi saksi mahkamah itu adalah Nabi Muhammad sendiri. Bagaimana nak selamat kalau begitu?

Nabi ada juga mengadu di waktu lain dalam Furqan: 30

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur’an ini sesuatu yang ditinggalkan”.

Tidakkah kita takut kalau Nabi sendiri beritahu kepada Allah bahawa kita buat tak kisah kepada Al-Qur’an yang Allah telah turunkan ini? Bukankah ramai antara masyarakat kita yang memang buat tak endah sahaja dengan Al-Qur’an ini? Mereka baca Al-Qur’an, tapi mereka tidak faham apa yang mereka baca.


 

Ayat 89: Apakah jawapan Allah kepada kata Nabi itu?

Ini adalah apa yang perlu Nabi dan kita lakukan kepada mereka yang tidak mahu beriman dan benci kepada islam.

فَاصفَح عَنهُم وَقُل سَلٰمٌ ۚ فَسَوفَ يَعلَمونَ

Sahih International

So turn aside from them and say, “Peace.” But they are going to know.

Malay

(Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): “Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! ‘Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)!”

فَاصْفَحْ عَنْهُمْ

Maka janganlah engkau hiraukan mereka,

Kata dasar فَاصْفَحْ telah dibincangkan dalam ayat 5 surah ini. Kalimah ini digunakan antara Nabi dengan umat – Ibubapa dengan anak – Suami dengan isteri.

Jangan hiraukan mereka. Maksudnya, jangan hukum mereka lagi. Kerana bila kita tak hiraukan, kurang sedikit resah hati kita. Mereka nak berdebat dan menentang itu adalah kerana mereka tak faham. Allah tenangkan hati Nabi dalam ayat ini supaya Nabi jangan putus asa. Jangan layan sangat penolakan mereka itu.

Teruskan dakwah kepada manusia yang mahu mendengar. Yang tak mahu dengar, hanya mahu berdebat dan menentang sahaja, tinggalkan mereka buat sementara waktu. Oleh itu, palingkan muka kamu dari memarahi mereka. Kerana marah bukanlah ubat. Cuma ajar supaya mereka boleh memahami dengan sukarela, tanpa paksaan.

 

وَقُلْ سَلٰمٌ

dan katakanlah: `Selamat tinggal! ‘

Kita disuruh kata begitu untuk habiskan perdebatan itu. Kalau cakap banyak pun buang masa. Inilah yang diajar kepada kita untuk kita katakan.

Kena tahu bahawa lafaz سَلَامٌ dalam ayat ini bukannya bermaksud ‘Salam sejahtera’ seperti yang selalu kita guna. Takkan kita nak kata mereka sejahtera pula setelah tolak wahyu. Tapi maksud سَلَامٌ dalam ayat ini adalah ‘Selamat tinggal’. Ini dinamakan ‘Salam Mufaraqah’ iaitu ucapan selamat tinggal buat sementara waktu. Nanti datang lain kali di kesempatan yang lain untuk berdakwah kepada mereka. Ini bukanlah tinggalkan terus.

 

فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

Mereka akan mengetahui kelak

Mereka akan mengetahui akibat keingkaran mereka itu di Hari Akhirat nanti. Mereka sedap sahaja menolak dakwah Nabi dan penyebar tauhid kepada mereka, tapi nanti mereka akan merasai akibat penolakan mereka itu di akhirat kelak.

Atau, ia boleh bermaksud mereka akan dapat kebenaran. Akhirnya nanti mereka akan tahu apakah kebenaran itu dan mereka akan beriman. Lihatlah bagaimana mereka yang tolak Nabi pada awal Islam pun ramai yang masuk Islam akhirnya.

Allahu a’lam. Lompat ke Surah yang seterusnya, Surah Dukhan

Kemaskini: 28 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 74 – 82 (Permintaan untuk dimatikan)

Azab siksaan ahli neraka
Neraka adalah seburuk-buruk tempat kembalinya insan. Tidak ada lagi kematian, hanya kehidupan yang abadi.

Ayat 74: Ayat 74 – 80 adalah Perenggan Makro Kelapan dan Allah memberitahu kita balasan bagi orang yang durhaka. Ayat 74 ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Ayat-ayat sebelum ini adalah tentang penghuni-penghuni Syurga. Apabila Allah menceritakan tentang Syurga, Allah menceritakan juga tentang neraka.

Begitulah juga apabila diceritakan tentang orang beriman, diceritakan juga tentang orang yang tidak beriman. Begitu juga apabila Allah memperkatakan tentang tauhid, Dia juga akan memperkatakan tentang syirik.

Oleh kerana itu, seorang guru mestilah memberitahu dua-dua perkara itu. Iaitu kena beritahu kepada masyarakat apa yang perlu dilakukan dan juga perlu memberitahu kepada mereka apa yang perlu ditinggalkan. Kena cerita berita baik dan juga berita buruk supaya kita dapat berjaga-jaga.

Malangnya, kebanyakan guru hanya memberitahu apa yang perlu dilakukan sahaja, tetapi tidak memberitahu apa yang salah. Macam mereka cerita tentang syurga sahaja tapi tak sebut tentang neraka pula.

Mereka tidak beritahu tentang kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat kerana takut yang masyarakat akan marah kalau diberitahu yang apa yang mereka lakukan adalah perkara salah. Seperti amalan-amalan syirik dan amalan-amalan bidaah. Takut nanti masyarakat sudah tidak hormat mereka, tidak panggil mereka datang mengajar lagi, takut masyarakat tidak beri upah lagi kepada mereka.

Oleh kerana itu ramai masyarakat tidak tahu bahawa banyak perkara yang salah mereka lakukan kerana mereka tidak diberitahu. Kerana kalau ustaz yang mengajar mereka pun tidak tegur, tentulah mereka sangka apa yang mereka lakukan selama itu adalah benar sahaja.

إِنَّ المُجرِمينَ في عَذابِ جَهَنَّمَ خٰلِدونَ

Sahih International

Indeed, the criminals will be in the punishment of Hell, abiding eternally.

Malay

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa (dengan kekufurannya), kekal selama-lamanya di dalam azab seksa neraka Jahannam.

إِنَّ الْمُجْرِمِينَ

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa,

Dalam tafsir disebut yang dosa yang dimaksudkan adalah dosa syirik. Mereka berdosa sama ada mereka sedar atau tidak sedar yang mereka telah melakukan syirik. Mereka dikira salah dan berdosa walaupun tidak tahu kerana tidak ada usaha untuk belajar.

Mereka juga telah terbukti berdosa dan telah dihakimi di Mahsyar. Mereka telah diadili dengan seadil-adilnya oleh Allah SWT. Apa yang akan jadi kepada mereka?

 

فِي عَذَابِ جَهَنَّمَ خٰلِدُونَ

kekal selama-lamanya di dalam azab seksa neraka Jahannam.

Mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka dan mereka akan kekal di dalamnya. Inilah sebesar-besar seksa yang mereka akan hadapi.

Oleh kerana mereka kekal dalam neraka, ini bermaksud ‘dosa’ yang dimaksudkan adalah dosa syirik. Azab yang paling berat di akhirat adalah kerana dosa syirik. Kerana kalau seseorang itu beriman, tapi ada melakukan dosa, dia akan dimasukkan ke dalam neraka tapi tidak akan kekal di dalamnya.

Ini adalah pemahaman dengan ayat-ayat dan hadis Nabi. Iaitu cuma mereka yang melakukan syirik sahaja yang akan kekal dalam neraka selama-lamanya.


 

Ayat 75: Allah sambung dengan menceritakan azab kerana syirik.

لا يُفَتَّرُ عَنهُم وَهُم فيهِ مُبلِسونَ

Sahih International

It will not be allowed to subside for them, and they, therein, are in despair.

Malay

Tidak diringankan azab itu daripada mereka, dan mereka tinggal menderitainya dengan berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan),

لَا يُفَتَّرُ عَنْهُمْ

Tidak diringankan azab itu daripada mereka,

‘Taftir’ adalah apabila sesuatu itu diringankan atau direhatkan. Itu tidak akan berlaku kepada ahli-ahli neraka walaupun sesaat pun, sejam atau sehari. Mereka akan terus diseksa tanpa henti.

Bukan itu sahaja, kekuatan seksaan itu juga tidak akan dikurangkan, malah akan bertambah. Memang ada ayat yang menceritakan bagaimana ahli neraka akan meminta kepada penjaga neraka untuk memberi rehat kepada mereka dari seksaan azab neraka, tapi tidak dimakbulkan permintaan mereka itu.

 

وَهُمْ فِيهِ مُبْلِسُونَ

dan mereka di dalamnya berputus asa

Kalimah مُبْلِسُونَ dari katadasar ب ل س yang bermaksud tidak ada harapan – putus asa. Dari katadasar yang sama juga Iblis dinamakan – kerana Iblis itu tidak ada harapan untuk selamat. Dia sudah berputus asa untuk masuk ke dalam syurga.

Ahli neraka memang ada merayu bersungguh-sungguh untuk diselamatkan dan dimaafkan, tapi tidak dilayan dan akhirnya mereka akan putus asa. Ini dipanggil iblas.

Mereka putus asa kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka daripada keadaan itu. Mereka tidak boleh bergerak ke mana-mana pun. Permintaan mereka untuk keluar dari neraka, diberi rehat atau diberi kurang azab tidak diendahkan.

Mereka akan terus menerima apa yang mereka akan terima di dalam neraka. Tidakkah ini menakutkan sekali? Jadi kenapa tidak mahu mengamalkan tauhid? Kenapa ada lagi yang masih sembah dan buat ibadat kepada selain Allah? Kerana ada lagi yang doa kepada selain Allah? Kenapa ada lagi yang mengamalkan tawasul dalam doa mereka?

Kalau di dunia, kita ada juga harapan yang kesusahan dan musibah yang kita hadapi akan diangkat, berkurang atau diberi penyelesaiannya. Harapan itu akan mengurangkan sedikit rasa kesusahan yang kita alami itu. Paling kurang pun, kita tahu yang akhirnya kita akan mati dan apa yang sedang kita hadapi itu akan selesai juga dengan kematian kita.

Tapi, bukankah di akhirat nanti tidak ada kematian? Ini dengan terang disebut dalam Taha:74

إِنَّهُ مَن يَأْتِ رَبَّهُ مُجْرِمًا فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيَىٰ

“Sesungguhnya, sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang dia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.


 

Ayat 76: Maka berat sekali azab yang akan dikenakan kepada golongan musyrik itu. Tapi adakah Allah zalim dengan memberi azab kepada mereka selama-lamanya?

وَما ظَلَمنٰهُم وَلٰكِن كانوا هُمُ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And We did not wrong them, but it was they who were the wrongdoers.

Malay

Dan tidaklah Kami menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

وَمَا ظَلَمْنٰهُمْ

Dan tidaklah Kami menganiaya mereka,

Mungkin ada tanya atau terfikir dalam hati: “tidakkah Allah zalim dengan melakukan begitu?” Mereka gunakan akal mereka dan kira: manusia hidup dan buat salah selama mereka hidup sahaja (entah berapa tahun sahaja), tapi kena azab selama-lamanya.

Jawapannya: Allah tidak zalim kerana Allah tahu apa yang akan dilakukan oleh manusia itu dalam ilmuNya yang sempurna – kalau mereka hidup lama lagi pun, mereka akan terus melakukan syirik. Oleh itu dalam ayat ini, Allah hendak memberitahu yang Dia adalah adil dan apa yang Dia lakukan itu tidaklah zalim.

Allah tidak zalim dengan mengenakan azab sesuka hati. Bukanlah Allah terus membuat keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka. Tapi Allah telah berikan peringatan demi peringatan kepada manusia.

Bukan sahaja diturunkan wahyu untuk manusia, tapi Allah telah bangkitkan juga para Nabi dan Rasul, para penyebar tauhid untuk memberi ingat kepada mereka; mereka sahaja yang degil tidak mahu dengar dan tidak mahu memberi perhatian. Jadi, tidaklah Allah zalim.

 

وَلَٰكِن كَانُوا هُمُ الظّٰلِمِينَ

akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

Mereka dikenakan azab kerana salah mereka sendiri. Allah telah beri hidayah kepada mereka. Hanya apabila mereka menolak hidayah baru mereka ditetapkan akan dimasukkan ke dalam Neraka itu. Dan mereka telah melakukan kezaliman yang paling besar iaitu melakukan syirik terhadap Allah.

Ini penting untuk kita fahami kerana jangan salahkan Allah akan nasib mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu.  Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana mereka yang engkar, bukan sebab lain. Ingatlah yang Allah tidak pernah zalim sama sekali.


 

Ayat 77: Selepas mereka dimasukkan ke dalam Neraka, apakah permintaan mereka?

وَنادَوا يٰمٰلِكُ لِيَقضِ عَلَينا رَبُّكَ ۖ قالَ إِنَّكُم مّٰكِثونَ

Sahih International

And they will call, “O Malik, let your Lord put an end to us!” He will say, “Indeed, you will remain.”

Malay

Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”

وَنَادَوْا يٰمٰلِكُ

Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik!

Ini adalah permintaan mereka sebelum mereka jadi mublis (putus ada). Banyak sekali permintaan ahli neraka nanti yang disebut dalam Al-Qur’an. Mereka ada minta keluar untuk kembali ke dunia, mereka ada minta dikurangkan azab, minta diberi tangguh azab untuk seketika. Dalam ayat ini disebut lagi permintaan mereka.

Ini adalah dalil bahawa nama malaikat penjaga neraka adalah Maalik. Banyak nama-nama malaikat yang tidak ada dalil, seperti nama Azazil, Izrail, Israfil sebenarnya tidak ada dalil. Maka, hendaklah kita guna nama yang digunakan dalam Al-Qur’an ataupun dalam hadis yang sahih.

Nama Maalik ini bukanlah bermaksud ‘Raja’ dalam bahasa, tapi memang nama khasnya ‘Malik’. Allahu a’lam.

 

لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ

Biarlah Tuhanmu buat keputusan ke atas kami!”

Keputusan apa yang mereka minta? Keputusan untuk mematikan mereka terus. Mereka minta supaya mereka dimatikan sahaja kerana kerana sudah tidak tahan menderita dengan azab Neraka.

Kalimah لِيَقْضِ dari katadasar ق ض ي yang bermaksud ‘memberi ketetapan’ dan dalam ayat ini bermaksud ‘ketetapan kematian’. Kita pun biasa pakai kalimah qada’ dan qadar kerana Allah telah menentuk perjalanan hidup kita. Tapi dalam ayat ini bermaksud minta mati. Macam kita kalau kena seksa di dunia, kita minta mati sahajalah, kerana sudah tidak tahan. Kerana kita tahu kalau mati, kesakitan itu akan berhenti.

Malangnya, tidak akan ada kematian lagi di akhirat kerana mereka akan diseksa berterusan. Kalau mereka mati, tidaklah merasa terseksa lagi. Padahal, tujuan mereka dimasukkan ke dalam Neraka adalah untuk merasai seksa. Maka, mereka tidak akan dimatikan sampai bila-bila. Mereka memang diseksa teruk sangat sampai rasa macam nak mati, tapi mati tak datang-datang. Kalau sudah rentung, mereka akan diberi dengan kulit yang baru.

Bayangkan, selalunya manusia tak minta mati. Kalau sakit macam mana pun, manusia akan cuba nak terus hidup juga. Manusia akan cari ubat, cari jalan bagaimana untuk meneruskan kehidupan walaupun untuk masa yang sekejap lagi. Tapi lain pula di neraka nanti. Di Neraka, mereka beriya-iya minta supaya dimatikan. Menunjukkan seksa sangat rasanya.

Kenapa mereka minta kepada Malik pula? Kenapa tak minta terus kepada Allah? Kerana apabila mereka berdoa Allah tak bagi mereka bercakap lagi. Itulah sebabnya mereka cuba minta kepada Malik pula.

 

قَالَ إِنَّكُم مّٰكِثُونَ

Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal!”

Selepas malaikat penjaga neraka ditegur selepas 1,000 tahun baru dia menjawab. Kerana kerja malaikat bukan untuk melayan ahli neraka tetapi untuk seksa mereka. Tapi akhirnya Maalik dengar juga setelah sekian lama.

Tapi jawapan yang diterima itu langsung tidak memberi kepuasan kepada mereka. Mereka diberikan jawapan yang mereka tidak akan diberi peluang langsung. Sudahlah tidak ada peluang untuk diringankan azab dan direhatkan azab seketika pun tidak boleh, sekarang permintaan untuk dimatikan pun tidak dilayan.

Oleh itu ada dua yang kekal:
1. Mereka akan kekal tidak mati-mati
2. Mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila.


 

Ayat 78: Ayat Zajrun. Kenapa mereka diseksa? Mereka diberitahu seperti yang disebut dalam ayat ini:

لَقَد جِئنٰكُم بِالحَقِّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَكُم لِلحَقِّ كٰرِهونَ

Sahih International

We had certainly brought you the truth, but most of you, to the truth, were averse.

Malay

(Bagi menyatakan sebabnya mereka dibiarkan di dalam azab, Allah Taala berfirman): “Demi sesungguhnya! Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu (melalui Rasul Kami), akan tetapi kebanyakan kamu (telah menentangnya, kerana kamu) tidak suka kepada kebenaran itu”.

لَقَدْ جِئْنٰكُم بِالْحَقِّ

“Demi sesungguhnya! Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu

Mereka diseksa kerana Allah telah menyampaikan kebenaran dalam bentuk wahyu dan telah dibangkitkan Nabi dan Rasul untuk menyampaikan ajaran tauhid kepada mereka. Dan Allah telah memberikan guru-guru agama yang mengajar tauhid.

Kalau dulu ada Nabi dan Rasul yang menyampaikan ajaran Allah, tapi sekarang manusia yang memberi peringatan itu. Bukannya Allah tidak beri hidayah kepada mereka. Tapi apa yang terjadi?

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَكُمْ لِلْحَقِّ كٰرِهُونَ

akan tetapi kebanyakan kamu tidak suka kepada kebenaran itu”.

Bukan mereka tidak tahu, tapi mereka yang tak mahu. Mereka tak suka dengan ajakan tauhid itu. Ini kerana  mereka sombong nak ikut. Mereka berat hati nak ikut. Hati mereka tak boleh nak terima.

Mereka hendak menikmati kehidupan dunia tanpa kekangan. Sebagaimana Allah telah firman dalam Shura:13

كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).

Apabila tidak ikut, mereka akan buat perkara yang salah. Sebab itulah mereka dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 79: Ayat Zajrun.

أَم أَبرَموا أَمرًا فَإِنّا مُبرِمونَ

Sahih International

Or have they devised [some] affair? But indeed, We are devising [a plan].

Malay

Bahkan mereka (yang kafir) itu telah mengambil keputusan menjalankan satu rancangan, maka Kami juga mengambil keputusan (menggagalkan rancangan mereka).

أَمْ أَبْرَمُوا أَمْرًا

Adakah mereka itu telah mengambil keputusan?

Kalimah أَبْرَمُوا dari kata dasar ب ر م yang bermaksud ‘mengikat’ seperti mengikat tali. Jadi إبرَم bermaksud mengikat dan mengumpulkan sesuatu bersama. Ini adalah satu peribahasa Arab. Sebab waktu itu, pembinaan rumah mereka menggunakan tali untuk mengikat bahagian binaan rumah.

Dan tali yang dipintal dan diikat itu adalah untuk kekal kerana bukan untuk dibuka lagi kerana rumah itu perlu kukuh, jadi tali tidak boleh senang teruntai. Maksudnya dalam peribahasa ini, Allah tanya adakah mereka sudah buat keputusan tetap untuk tidak beriman? Adakah keputusan sudah muktamad?

Dan ayat ini juga boleh bermaksud membuat rancangan.

Apakah rancangan mereka? Adakah mereka sudah buat rancangan untuk menyelamatkan diri mereka dari neraka? Allah tanya adakah mereka sudah ikat tali-tali mereka – sudahkah mereka ada rancangan untuk menyelamatkan diri mereka?

Ini adalah kerana mereka memang telah berbincang sesama sendiri apa yang mereka akan buat kalau mereka dimasukkan ke neraka. Ada yang kata mereka akan merayu bersungguh-sungguh, ada yang kata mereka akan lawan dengan penjaga neraka kerana dalam Al-Qur’an disebut mereka itu beberapa orang sahaja.

Atau rancangan yang dimaksudkan adalah rancangan untuk membunuh Nabi Muhammad. Kerana mereka sudah tidak boleh melawan Nabi Muhammad dengan hujah, maka mereka buat perancangan untuk membunuh sahaja Nabi Muhammad.

Tapi kenapa mereka tidak bunuh baginda dari awal-awal lagi?

Kerana Nabi ada penaung iaitu Abu Thalib. Tapi selepas Abu Thalib mati, mereka nampak peluang untuk menjalankan rancangan mereka berhasil. Tapi, kabilah Arab amat kuat tahap persatuan mereka, sampaikan kalau kabilah yang membunuh ahli kabilah mereka, mereka akan bersatu untuk menentang kabilah yang membunuh itu.

Oleh itu, mereka telah membuat perancangan untuk bergabung semua wakil dari kabilah Arab untuk membunuh Nabi. Itu adalah supaya Kabilah Bani Hashim tidak dapat hendak membalas balik kerana mereka terpaksa berhadapan dengan semua kabilah Arab.

 

فَإِنَّا مُبْرِمُونَ

maka Kami juga merancang

Kalau mereka telah tetap untuk tidak mahu beriman, atau merancang hendak melepaskan diri, maka Allah pun membuat rancangan untuk menghancurkan mereka. Dan kalau begitu, Allah pun sudah tetapkan akan masukkan mereka ke dalam neraka.

Kalau mereka sudah dimasukkan ke dalam neraka, mereka tidak ada peluang untuk keluar lagi dari Neraka.

Dan kalau mereka membuat rancangan untuk membunuh Nabi, Allah pun buat rancangan juga untuk menggagalkan rancangan mereka. Iaitu Allah hijrahkan Nabi ke Madinah dan memenangkan Islam.

Rancangan mereka tidak akan berjaya, tapi rancangan Allah akan berjaya. Seperti yang Allah firmankan dalam Ali Imran:54

وَمَكَروا وَمَكَرَ اللهُ ۖ وَاللهُ خَيرُ الماكِرينَ
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

 

Ayat 80: Apa mereka sangka mereka akan lepas dengan perancangan mereka itu?

أَم يَحسَبونَ أَنّا لا نَسمَعُ سِرَّهُم وَنَجوٰهُم ۚ بَلىٰ وَرُسُلُنا لَدَيهِم يَكتُبونَ

Sahih International

Or do they think that We hear not their secrets and their private conversations? Yes, [We do], and Our messengers are with them recording.

Malay

Patutkah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri? (Bukan sebagaimana yang mereka sangka) bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) ada menulis segala yang mereka lakukan.

أَمْ يَحْسَبُونَ أَنَّا لَا نَسْمَعُ سِرَّهُمْ وَنَجْوٰهُم

Adakah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri?

Mereka sangka, dengan mereka berbincang sesama sendiri senyap-senyap di tempat tersembunyi, Allah tidak tahu? Adakah mereka sangka perancangan sulit mereka itu selamat?

Sirr – perbincangan rahsia dua orang sahaja (atau apa yang ada dalam hati mereka dan diberitahu kepada orang lain).

Najwa – perbincangan rahsia lebih dari dua orang.

 

بَلَىٰ وَرُسُلُنَا لَدَيْهِمْ يَكْتُبُونَ

bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) di sisi mereka ada menulis segala yang mereka lakukan.

Tentulah Allah dengar. Malah ada malaikat yang mencatat apa yang mereka rancangkan. Mereka sangka mereka sedang berahsia dalam membuat rancangan mereka tetapi Allah beritahu malaikat itu di sisi mereka sahaja. Lalu bagaimana mereka hendak menyelamatkan diri mereka? Semua itu akan dibentangkan kepada mereka sebagai bukti.


 

Ayat 81: Ayat 81 – 89 adalah Perenggan Makro Kesembilan dan ia mengajar kita Tauhid Uluhiyyah. Maka sekarang kita berbalik kepada perbincangan Tauhid kembali. Ini adalah satu hujah yang Allah ajar kepada Nabi. Allah menekankan yang Dia tidak mempunyai anak.

Musyrikin Mekah mengatakan Allah ada anak dan anak-anak itu adalah para malaikat. Kristian pula mengatakan Nabi Isa anak Allah. Yahudi pula kata Nabi Uzair anak Tuhan. Maka Allah menolak fahaman salah mereka.

قُل إِن كانَ لِلرَّحمٰنِ وَلَدٌ فَأَنا أَوَّلُ العٰبِدينَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “If the Most Merciful had a son, then I would be the first of [his] worshippers.”

Malay

Katakanlah (Wahai Muhammad, kepada mereka yang musyrik itu): “Kalau betul Allah yang Maha Pemurah mempunyai anak (sebagaimana yang kamu dakwakan) maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu; (tetapi dakwaan kamu itu tidak berasas)!”

قُلْ إِن كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدٌ

Katakanlah: “Kalau betul yang Maha Pemurah mempunyai anak

Musyrikin Mekah itu menentang tauhid kepada Allah. Mereka kata Allah ada anak. Begitu juga agama-agama yang lain seperti Yahudi dan Kristian pun kata Tuhan ada anak. Tapi tidak pernah Allah beritahu sendiri yang Dia ada anak.

Kalau ada, tentu Dia beritahu sendiri seperti firmanNya dalam Zumar:4

لَّوْ أَرَادَ اللهُ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّاصْطَفَىٰ مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ سُبْحَانَهُ هُوَ اللهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ

Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Dia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya; Maha Sucilah Dia (dari menghendaki yang demikian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya.

Kalau Allah hendakkan anak, tentu Dia sendiri pilih siapa anakNya, dan apakah yang kita perlu buat kepada anakNya itu – nak kena sembahkah, nak bagi korbankah dan sebagainya.

Sebenarnya, bukan ‘anak’ yang dimaksudkan. Mereka melantik ‘anak’ itu sebagai perantara doa sahaja untuk sampai kepada Allah. Kerana mereka rasa Allah tidak dengar doa mereka kalau tidak ada perantara.

Jadi, ‘anak’ yang dimaksudkan dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain adalah ‘na’ib‘ untuk menyampaikan doa mereka. Iaitu seseorang yang rapat dengan orang yang tinggi kedudukannya. Macam orang kanan menteri yang boleh bisikkan permintaan kepada menteri. Maka ramailah yang minta kepada orang kanan itu, bukan?

 

فَأَنَا أَوَّلُ الْعٰبِدِينَ

maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu;

Nabi disuruh memberi satu hujah kepada manusia yang syirik itu. Kalau Allah itu ada anak dan Dia telah beritahu untuk sembah anakNya itu, tentu Nabi sendiri akan mula-mula sembah. Kerana Nabi akan taat dengan apa yang Allah suruh.

Tapi Allah tidak pernah ada anak. Allah juga tidak pernah kata Dia ada anak. Yang Allah suruh adalah menyembahNya sahaja. Jadi, kita nak buat apa lagi? Sembah Allah sahaja.

Jadi, apabila Nabi pun disuruh berhujah sampai begini, memang menunjukkan bahawa memang Allah tidak pernah dan tidak akan ada anak.

Jangan kita sangka ayat ini tidak kena kepada kita. ‘Anak’ yang dimaksudkan bukanlah ‘anak kandung’, tapi ‘Anak Angkat’ Allah (atau na’ib). Kerana manusia menyangka Allah ada menyayangi makhluk-makhlukNya sampaikan macam anak angkat.

Maka, orang kita pun begitulah juga pemahaman mereka. Mereka kata ada orang yang rapat dengan Allah, maka kenalah sembah mereka, beribadah kepada mereka, bodek mereka, gunakan mereka sebagai wasilah dalam doa dan sebagainya.

Sebab itulah ramai kalangan masyarakat kita yang beri salam, puji dan puja, sedekah Fatihah dan sebagainya kepada Nabi, wali dan Malaikat. Apabila berdoa, sebelum berdoa mereka akan seru nama-nama wali, Nabi dan malaikat itu sebagai perantara dalam doa. Itulah salah faham dalam kalangan kita tentang ‘Anak Angkat’ ini.

Terjemahan kedua bagi ayat ini: Nabilah yang pertama-tama sekali mengingkari. Maknanya Nabilah orang yang mula-mula menolak pembohongan itu. Iaitu menolak dengan beriman dalam mendustakan dakwaan Allah ada wakil / anak / anak angkat / na’ib.


 

Ayat 82: Adakah benar tanggapan mereka itu? Tentu tidak!

سُبحٰنَ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ رَبِّ العَرشِ عَمّا يَصِفونَ

Sahih International

Exalted is the Lord of the heavens and the earth, Lord of the Throne, above what they describe.

Malay

Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, – Tuhan yang mempunyai Arasy (yang melambangkan kebesarannya), – (Maha Sucilah Dia) dari apa yang mereka katakan itu.

سُبْحٰنَ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan dan memelihara langit dan bumi,

Allah itu Maha Suci dari apa yang mereka katakan itu. Mereka sahaja yang memandai-mandai cipta satu akidah baru dalam agama. Mereka memang tidak ada dalil.

 

رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Tuhan Arasy, – (Maha Sucilah Dia) dari apa yang mereka sifatkan itu.

Allah Maha Suci dari apa yang mereka sifatkanNya, iaitu Dia ada anak angkat. Allah juga Maha Suci dari memerlukan perantaraan dalam berdoa, dalam ibadat (kecuali wasilah yang dibenarkan).

Maka, janganlah kita buat ibadat kepada entiti yang lain. Berhentilah dari beri salam, sedekah Fatihah kepada Nabi, wali dan malaikat seperti yang dibuat oleh ramai dalam kalangan masyarakat kita. Berhentilah dari mengamalkan tawasul yang dilarang.

Allah menyebut bahawa Dia adalah Tuhan Arash. Arash itu amat tinggi. Dan Allah itu di atas lagi dari Arash. Ini hendak menceritakan ketinggian Allah. Allah Maha Tinggi dari apa yang mereka itu sifatkan. Apa yang mereka sifatkan kepada Allah itu adalah tidak layak untuk Allah.

Sifat memerlukan anak ini adalah sifat makhluk yang lemah yang mahukan kesinambungan keturunan kita. Kita juga memerlukan anak-anak untuk menolong kita dalam kehidupan dunia ini. Allah tidak perlukan semua  itu. Jadi, kenapa Allah perlukan anak?

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani