Tafsir Surah Zukhruf Ayat 83 – 89 (Tiada Syafaat Qahriyah)

Ayat 83: Zajrun dan Takhwif Ukhrawi.

فَذَرهُم يَخوضوا وَيَلعَبوا حَتّىٰ يُلٰقوا يَومَهُمُ الَّذي يوعَدونَ

Sahih International

So leave them to converse vainly and amuse themselves until they meet their Day which they are promised.

Malay

Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main (dalam dunia mereka), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan).

فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا وَيَلْعَبُوا

Oleh itu, biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main

Kalimah يَخُوضُوا dari katadasar خ و ض yang asalnya bermaksud masuk dalam air dan diliputi oleh air itu, macam seorang yang sedang berendam dalam pool. Maksudnya, seseorang yang tenggelam dalam apa yang sedang dilakukannya. Tengah leka sungguh. Jadi ia bermaksud seseorang yang bersungguh-sungguh melakukan sesuatu.

Dalam konteks ayat ini, ianya tentang mereka yang membantah-bantah dalam ayat-ayat Allah. Mereka bersungguh-sungguh bantah tentang agama. Mereka terus menentang dengan memberikan hujah-hujah bathil (tanpa nas).

Allah suruh biarkan mereka dalam kesesatan dan sedang leka bermain-main dan leka dengan dunia. Tak perlu layan bantahan dan debat mereka itu. Jangan hiraukan. Akan tetapi dalam masa yang sama, jangan pula berhenti dari tabligh kepada mereka. Teruskan berdakwah kepada mereka. Tapi bagaimana pula?

Maksudnya, jangan peduli kata-kata mereka yang hendak melemahkan agama itu. Teruskan berdakwah untuk sampaikan kepada manusia. Jangan hirau gangguan, halangan dan bantahan dari mereka. Jadi maksud ayat ini adalah teruskan dalam dakwah. Jangan hiraukan apa yang mereka buat. Kena faham maksud ayat ini, jangan silap tafsir pula. Bukannya tinggalkan dakwah kepada mereka, kerana kita tetap kena dakwah juga.

Ayat ini juga tentang mereka yang bermain-main hal agama. Ramai manusia yang kalau hal agama, mereka akan buat main-main. Kalau kita beritahu sesuatu tentang perkara agama, mereka akan jadikan bahan jenaka. Mereka tidak serius dalam hal agama.

Malangnya, ada penceramah yang begitu juga, sampaikan ada yang dalam ceramah agama pun, mereka akan buat lawak juga. Padahal, perkara agama ini adalah perkara yang besar, perkara yang serius. Maka, jangan kita layan ustaz-ustaz yang menggunakan lawak dalam kuliah mereka. Itu bukanlah cara untuk menyampaikan dakwah.

Juga ayat ini tentang mereka yang leka dengan dunia. Mereka sendiri tahu yang mereka akhirnya akan tinggalkan semua perkara yang mereka kumpulkan itu. Bagaikan budak-budak main permainan daun terup. Mereka pakai duit dari daun. Mereka pun tahu yang duit daun itu tidak laku, tapi semasa bermain itu mereka bersungguh-sungguh benar. Bukankah apabila emak mereka panggil mereka makan, mereka tinggalkan sahaja, bukan?

Begitulah perumpamaan dunia dan kerana itu Allah gunakan kata mereka jadikan dunia sebagai permainan. Mereka tahu mereka akan tinggalkan semua pencarian dunia nanti apabila mati kelak, tapi semasa mereka mencarinya, bersungguh benar mereka, leka sungguh sampai lupa akhirat.

 

حَتَّىٰ يُلٰقُوا يَوْمَهُمُ الَّذِي يُوعَدُونَ

sehingga mereka menemui hari mereka yang dijanjikan kepada mereka

Iaitu janji yang telah diberikan kepada mereka, dimana Allah sudah berjanji untuk memberi balasan azab kepada mereka. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan dikenakan dengan azab seksa. Waktu itu baru mereka menyesal kerana leka sangat dengan dunia, sampai tidak bersedia untuk akhirat.


 

Ayat 84: Ini adalah dalil aqli.

وَهُوَ الَّذي فِي السَّماءِ إِلٰهٌ وَفِي الأَرضِ إِلٰهٌ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ العَليمُ

Sahih International

And it is Allah who is [the only] deity in the heaven, and on the earth [the only] deity. And He is the Wise, the Knowing.

Malay

Dan (ingatlah), Allah jualah Tuhan yang berhak disembah di langit, dan Dia lah Tuhan yang berhak disembah di bumi; dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ إِلَٰهٌ

Dan (ingatlah), Allah jualah ilah yang berhak disembah di langit,

Allahlah sahaja yang layak disembah oleh penduduk langit. Kerana Dia Tuhan bagi langit.

 

وَفِي الْأَرْضِ إِلَٰهٌ

dan Dia lah ilah yang berhak disembah di bumi;

Allahlah sahaja yang layak disembah oleh penduduk bumi. Kerana Dia Tuhan di bumi. Tidak boleh disembah selain Allah. Yang selain Allah, tidak layak dan tidak boleh disembah.

Kalau di langit, Allah itu Tuhan dan di bumi itu juga Allah sebagai Tuhan, maksudnya Allahlah sahaja yang layak disembah di mana-mana pun. Tidak ada Tuhan yang lain.

Jangan silap faham pula: Tidaklah ada satu Tuhan di langit dan satu Tuhan di bumi pula. Di kedua-dua alam itu, Allahlah sahaja Tuhan yang boleh disembah. Takut ada yang salah faham pula dengan ayat ini dengan kata ada dua ilah pula.

 

وَهُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ

dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

Kenapa Allah sahaja yang layak jadi ilah? Kerana hanya sahaja yang memiliki dua sifat ini.

Allah memerintah alam ini dengan Maha Bijaksana kerana Dia Maha Mengetahui keperluan segala perkara.

Dia juga yang Maha Mengetahui apakah hakikat dunia dan hakikat langit. Kita hanya dapat mengetahui sedikit sahaja berdasarkan dari kajian sains. Tapi pengetahuan yang sempurna hanya ada pada Allah sahaja. Allah tahu apakah yang akan terjadi kepada manusia itu sebelum dia lahir lagi.


 

Ayat 85:

وَتَبارَكَ الَّذي لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما وَعِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

And blessed is He to whom belongs the dominion of the heavens and the earth and whatever is between them and with whom is knowledge of the Hour and to whom you will be returned.

Malay

Dan Maha Berkat Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; dan Dia lah jua yang mengetahui tentang (masa datangnya) hari kiamat; dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.

وَتَبَارَكَ الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dan Maha Berkat Dia yang milikNya kerajaan langit dan bumi

Ayat ini menafikan syirik dalam berkat. Allahlah sahaja yang mempunyai Keberkatan. Allahlah yang Maha Berkat. Ini adalah salah satu dari Sifat Allah.

Oleh kerana berkat itu milik Allah, maka sesiapa yang hendak mengambil berkat kepada selain Allah, itu adalah kufur. Maka, jangan minta berkat daripada makhluk, dari guru, ustaz, wali dan sesiapa pun. Ramai masyarakat kita yang salah faham dengan maksud berkat dan kerana itu mereka selalu melakukan tabarruk kepada perkara-perkara yang tidak patut.

Antaranya, mereka bertabarruk dengan ustaz mereka, guru mereka, orang yang balik dari Mekah dan sebagainya. Sebagai contoh, ada orang yang peluk mereka yang baru balik dari Haji dengan kata: “nak ambil berkat sikit”.

Ini adalah salah sama sekali. Yang lebih teruk adalah mengambil keberkatan dari kubur seperti yang mula diajar oleh puak-puak Habib yang datang dari Yaman itu. Ingatlah yang tidak ada keberkatan pada kubur, termasuklah kubur Nabi sendiri.

Allah ada memberi keberkatan kepada beberapa perkara seperti Tanah Haram dan lain-lain lagi. Tapi kenalah ada dalil baru boleh kita kata yang tempat-tempat tertentu itu ada berkat. Kena ada disebut oleh Allah dalam Al-Qur’an atau dalam hadis. Ini perkara yang memerlukan dalil dan bukannya kata-kata dari manusia.

Perbincangan tentang tabarruk adalah perbincangan yang panjang yang perlulah dipelajari oleh orang-orang kita supaya tidak tersalah faham dan melakukan tabarruk yang dilarang.

 

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya;

Segalanya milik Allah. Langit adalah milikNya dan bumi juga milikNya dan apa-apa sahaja di antara keduanya. Apa yang ada diantara keduanya pun kita tidak tahu, tapi apa-apa sahaja yang ada antara keduanya, milik Dia sahaja.

Oleh kerana segalanya milik Allah, maka Dia tidak memerlukan sekutu atau wakil.

 

وَعِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ

dan di SisiNyalah sahaja ilmu tentang Hari Kiamat;

Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah akan terjadinya Kiamat itu dan apa yang benar-benar akan terjadi. Nabi tak tahu, para Malaikat hatta Jibrail pun tidak tahu bilakah akan berlakunya Hari Kiamat. Banyak kali diulang-ulang dalam Al-Qur’an tentang perkara ini.

Maka, berhentilah untuk agak-agak bilakah ianya akan berlaku. Yang pasti, ia akan berlaku. Yang kita perlu lakukan adalah bersedia untuk menghadapinya. Malangnya, ada orang yang mengaku ahli agama yang cuba-cuba juga untuk mengagak bilakah Hari Kiamat itu akan berlaku.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.

Dalam dua ayat ini adalah pegangan Tauhid kita. Iaitu ada Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Asma wa Sifat. Itulah juga dinamakan Tauhid Tiga Serangkai atau Tauhid 3T.

Tauhid Rububiyyah – Allah memberitahu kita yang Dialah yang memiliki alam ini. Itu adalah sifat Rabb.

Tauhid Uluhiyyah – Allah memberitahu kita yang Dialah ilah di langit dan di bumi. Hanya Dia sahaja yang layak disembah dan layak diibadati.

Tauhid Asma’ wa Sifat – Allah memberitahu salah satu SifatNya, iaitu hanya Dia sahaja yang mempunyai ilmu tentang Hari Kiamat. Sifat ini tidak ada pada makhluk yang lain.


 

Ayat 86: Ini adalah Maksud Surah ini.

وَلا يَملِكُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَن شَهِدَ بِالحَقِّ وَهُم يَعلَمونَ

Sahih International

And those they invoke besides Him do not possess [power of] intercession; but only those who testify to the truth [can benefit], and they know.

Malay

Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu).

وَلَا يَمْلِكُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِ الشَّفٰعَةَ

Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat,

Hanya Allah sahaja yang mempunyai kuasa syafaat. Allahlah sahaja yang menentukan siapa yang boleh ‘beri’ syafaat dan siapa yang boleh ‘mendapat’ syafaat itu. Maknanya, pemberi syafaat Allah yang tentukan, dan penerima syafaat pun Allah juga yang tentukan. Tidak ada sesiapa yang selain dari Allah mempunyai kuasa penentuan itu.

Ramai yang mengamalkan tawasul dan menyembah kepada sembahan-sembahan seperti wali, Nabi dan malaikat kerana mengharapkan ‘syafaat qahriyah’ dari mereka. Syafaat Qahriyah adalah ‘syafaat kasih-sayang’. Mereka sangka, kerana Allah sayang kepada Nabi, wali dan malaikat itu, maka kalau mereka merapatkan diri dengan wali, Nabi dan malaikat itu, Allah akan sayang juga kepada mereka. Ini adalah fahaman yang amat salah sekali.

Dalam potongan ayat ini seterusnya, Allah memberikan dua syarat untuk membolehkan memberi dan menerima syafaat:

 

إِلَّا مَن شَهِدَ بِالْحَقِّ

kecuali sesiapa yang bersaksi dengan Kalimah Haq

Iaitu dua Kalimah Syahadah, Kalimah Tauhid. Iaitu mereka yang hanya menyembah Allah dan hanya mengikut agama dan amalan yang diajar oleh Nabi. Mereka ini sahaja yang dibenarkan memberi syafaat dan menerima syafaat. Seperti para Nabi kerana mereka hanya menyembah Allah sahaja, dan mereka itu dibenarkan memberi syafaat. Tetapi hanya boleh diberikan kepada mereka yang layak sahaja. Iaitu mereka yang tauhidnya juga sempurna.

Kalau mereka yang tauhidnya tidak sempurna, ada mengamalkan syirik dalam amalan dan fahaman mereka, mereka itu tidak ada harapan untuk memberi dan menerima syafaat. Malang sekali masyarakat Islam kita yang ada fahaman syirik, tapi dalam masa yang sama mereka meminta-minta syafaat dari Nabi Muhammad.

Meminta syafaat kepada Nabi Muhammad itu juga sudah amalan yang syirik, kerana yang ada kuasa syafaat hanya Allah sahaja. Mereka telah meletakkan kuasa Allah pada Nabi Muhammad pula, dan ini adalah syirik.

 

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

dan mereka mengetahui

Iaitu mengetahui apa yang mereka saksikan. Mereka tahu siapa yang mereka berikan syafaat itu. Mereka tahu siapa yang boleh diberikan syafaat itu. Mengetahui bahawa menyeru Allah sahaja yang akan dapat syafaat.

Hanya Allah sahaja yang boleh beri syafaat. Nabi Muhammad tidak dapat memberikan syafaat kepada mereka yang tidak layak. Nabi Muhammad pun bukan boleh menentukan siapa yang dapat syafaat. Baginda hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat itu. Dan kalau ada yang mengamalkan amalan syirik, mereka tidak layak diberikan syafaat itu.

Maksud ‘mengetahui’ itu juga boleh bermaksud mengetahui tentang apakah tauhid dan apakah syirik. Untuk tahu, kena belajar sampai faham. Kalau tidak faham, itu maksudnya tidak tahu dan mereka yang tidak belajar dan tidak tahu, akan terjerumus ke dalam lembah kesyirikan kerana tidak belajar. Syaitan akan mengambil peluang dari kejahilan mereka itu untuk menyesatkan mereka.

Sebab itu orang yang masuk syurga adalah mereka yang ada ilmu. Tidak ada dalil yang orang jahil masuk syurga. Maka, kita kenalah ambil usaha untuk faham tentang tauhid dan tentang syirik supaya iman kita sempurna. Kalau iman kita sempurna, barulah layak untuk mengharapkan syafaat dari Allah.

Inilah kekeliruan yang amat banyak dalam masyarakat kita. Mereka sangka ada orang yang boleh memberi syafaat kepada mereka. Oleh itu mereka rasa selamat. Antaranya yang mereka keliru adalah tentang Nabi Muhammad sendiri. Mereka sangka Nabi Muhammad itu ada ‘kuasa’ untuk memberi syafaat. Maka kerana itu ramai yang meminta syafaat sekarang kepada baginda.

Ini adalah kerana kekeliruan kepada dalil yang ada dalam Al-Quran dan hadis. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar. Bila tidak belajar, mereka ikut sahaja kata-kata orang yang tidak semestinya benar.

Maka kerana mereka sangka Nabi Muhammad boleh menentukan syafaat ikut kehendaknya, mereka telah meminta syafaat itu kepada Nabi dalam berbagai cara. Ada yang buat qasidah, ada yang minta syafaat kepada Nabi di kuburan baginda dan macam-macam lagi. Antaranya, mereka sedekah Fatihah kepada baginda sebagai ‘upah’ untuk beri syafaat kepada mereka. Ini adalah antara kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat kita tanpa sedar.


 

Ayat 87: Ini adalah dalil aqli i’tirafi. Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah pun boleh terima yang menjadikan mereka adalah Allah.

Inilah dalil bahawa mereka itu ada Tauhid Rububiyyah. Maka, kenapa ada yang tidak dapat terima perkara ini? Mereka kata Ajaran Tauhid 3T adalah salah kerana mengatakan Musyrikin Mekah itu ada tauhid. Kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tahu baca sahaja, memang akan kata begitu. Tapi kita yang belajar Al-Qur’an dan cuba menghayati Al-Qur’an ini, memang selalu berjumpa dengan ayat ini. Apa mereka tidak baca Al-Qur’ankah?

Dalil aqli i’tirafi bermaksud hendak menunjukkan kepada Musyrikin Mekah yang mereka pun sudah terima Allah itu ada, hanya Allah sahaja yang menjadikan mereka dari tidak ada kepada ada. Kalau perkara itu mereka sudah iktiraf, maka kenapa mereka tidak terus sembah hanya Allah sahaja?

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَهُم لَيَقولُنَّ اللَّهُ ۖ فَأَنّىٰ يُؤفَكونَ

Sahih International

And if you asked them who created them, they would surely say, ” Allah .” So how are they deluded?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?”

Tanyalah kepada Musyrikin Mekah itu. Tanyalah kepada musyrik zaman sekarang pun. Tanya mereka: Siapakah yang menjadikan kamu dan alam ini?

لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”.

Musyrikin Mekah kenal Allah dan mereka terima yang Allahlah Pencipta alam ini. Musyrikin Mekah akan jawab yang Allahlah yang mencipta dan menjadikan mereka. Mereka tidak akan kata berhala yang menjadikan mereka, atau malaikat yang menjadikan mereka dan lain-lain. Mereka akan tetap kata Allah lah yang menjadikan mereka.

Ini disebut dengan jelas dalam ayat-ayat seperti ini. Maka, kalau ada yang mempertikaikan ajaran Tauhid 3T yang mengatakan Musyrikin Mekah ada Tauhid Rububiyyah, maka kita boleh katakan yang mereka itu tidak baca Al-Qur’an – atau, kalau mereka baca, mereka tidak faham Al-Qur’an; maknanya, mereka orang jahil.

Musyrik zaman sekarang pun. Mereka mungkin tidak kenal nama Allah, tapi mereka akan jawab: Tuhan yang satu. Tanyalah kepada orang Hindu contohnya. Baru kita tahu bahawa patung yang mereka sembah itu adalah ‘dewa’ sahaja, bukannya Tuhan.

 

فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

(Jika demikian) maka bagaimana mereka boleh dipesongkan?

Bagaimana mereka boleh terpesong fahaman dalam bab tawasul? Kalau mereka kata Allahlah yang menjadikan mereka, kenapa mereka boleh kata sembah selain Allah? Kenapa mereka boleh minta kepada Allah melalui perantaraan? Itulah yang menghairankan sekali. Tentulah ada banyak sebab yang antaranya kerana mereka sombong untuk terima kebenaran.


 

Ayat 88:

وَقيلِهِ يٰرَبِّ إِنَّ هٰؤُلاءِ قَومٌ لّا يُؤمِنونَ

Sahih International

And [ Allah acknowledges] his saying, “O my Lord, indeed these are a people who do not believe.”

Malay

Dan (Dia lah Tuhan yang Mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai TuhanKu! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman (maka terserahlah kepadaMu untuk mengadilinya)!”

وَقِيلِهِ يٰرَبِّ

Dan katanya: Wahai TuhanKu!

Kata siapa? Kata Nabi Muhammad. Ini adalah kata-kata Nabi Muhammad setelah berdakwah sekian lama dan Musyrikin Mekah itu tetap menolak dakwah baginda. Ini adalah kata-kata rayuan baginda kepada Allah.

Lihatlah kata-kata Nabi Muhammad ini. Baginda sendiri tidak bertawasul kepada selain Allah. Baginda terus minta dan seru kepada Allah sahaja. Bukankah Nabi Muhammad itu adalah ikutan kita? Adakah contoh bagaimana Nabi menggunakan perantaraan dalam doa baginda?

Ayat ini boleh diterjemahkan begini: Allah bersumpah dengan perkataan Nabi Muhammad.

 

إِنَّ هَٰؤُلَاءِ قَوْمٌ لَّا يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak beriman

Ini adalah kata-kata aduan dari Nabi Muhammad kepada TuhanNya. Setelah melihat apakah reaksi kaumnya terhadap dakwah baginda, baginda mengadu kepada Allah yang kaumnya itu mungkin tidak akan beriman.

Bayangkan yang Nabi Muhammad sendiri akan mengadu tentang mereka. Nabi Muhammad seorang yang lembut tapi baginda sendiri pun akan mengadu tentang umat baginda! Maknanya, Nabi telah terasa sangat dengan apa yang mereka telah kata dan lakukan.

Nabi sendiri akan menjadi saksi bahawa mereka tidak beriman. Bayangkan dalam pengadilan mahkamah Allah nanti, yang menjadi saksi mahkamah itu adalah Nabi Muhammad sendiri. Bagaimana nak selamat kalau begitu?

Nabi ada juga mengadu di waktu lain dalam Furqan: 30

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur’an ini sesuatu yang ditinggalkan”.

Tidakkah kita takut kalau Nabi sendiri beritahu kepada Allah bahawa kita buat tak kisah kepada Al-Qur’an yang Allah telah turunkan ini? Bukankah ramai antara masyarakat kita yang memang buat tak endah sahaja dengan Al-Qur’an ini? Mereka baca Al-Qur’an, tapi mereka tidak faham apa yang mereka baca.


 

Ayat 89: Apakah jawapan Allah kepada kata Nabi itu?

Ini adalah apa yang perlu Nabi dan kita lakukan kepada mereka yang tidak mahu beriman dan benci kepada islam.

فَاصفَح عَنهُم وَقُل سَلٰمٌ ۚ فَسَوفَ يَعلَمونَ

Sahih International

So turn aside from them and say, “Peace.” But they are going to know.

Malay

(Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): “Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! ‘Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)!”

فَاصْفَحْ عَنْهُمْ

Maka janganlah engkau hiraukan mereka,

Kata dasar فَاصْفَحْ telah dibincangkan dalam ayat 5 surah ini. Kalimah ini digunakan antara Nabi dengan umat – Ibubapa dengan anak – Suami dengan isteri.

Jangan hiraukan mereka. Maksudnya, jangan hukum mereka lagi. Kerana bila kita tak hiraukan, kurang sedikit resah hati kita. Mereka nak berdebat dan menentang itu adalah kerana mereka tak faham. Allah tenangkan hati Nabi dalam ayat ini supaya Nabi jangan putus asa. Jangan layan sangat penolakan mereka itu.

Teruskan dakwah kepada manusia yang mahu mendengar. Yang tak mahu dengar, hanya mahu berdebat dan menentang sahaja, tinggalkan mereka buat sementara waktu. Oleh itu, palingkan muka kamu dari memarahi mereka. Kerana marah bukanlah ubat. Cuma ajar supaya mereka boleh memahami dengan sukarela, tanpa paksaan.

 

وَقُلْ سَلٰمٌ

dan katakanlah: `Selamat tinggal! ‘

Kita disuruh kata begitu untuk habiskan perdebatan itu. Kalau cakap banyak pun buang masa. Inilah yang diajar kepada kita untuk kita katakan.

Kena tahu bahawa lafaz سَلَامٌ dalam ayat ini bukannya bermaksud ‘Salam sejahtera’ seperti yang selalu kita guna. Takkan kita nak kata mereka sejahtera pula setelah tolak wahyu. Tapi maksud سَلَامٌ dalam ayat ini adalah ‘Selamat tinggal’. Ini dinamakan ‘Salam Mufaraqah’ iaitu ucapan selamat tinggal buat sementara waktu. Nanti datang lain kali di kesempatan yang lain untuk berdakwah kepada mereka. Ini bukanlah tinggalkan terus.

 

فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

Mereka akan mengetahui kelak

Mereka akan mengetahui akibat keingkaran mereka itu di Hari Akhirat nanti. Mereka sedap sahaja menolak dakwah Nabi dan penyebar tauhid kepada mereka, tapi nanti mereka akan merasai akibat penolakan mereka itu di akhirat kelak.

Atau, ia boleh bermaksud mereka akan dapat kebenaran. Akhirnya nanti mereka akan tahu apakah kebenaran itu dan mereka akan beriman. Lihatlah bagaimana mereka yang tolak Nabi pada awal Islam pun ramai yang masuk Islam akhirnya.

Allahu a’lam. Lompat ke Surah yang seterusnya, Surah Dukhan

Kemaskini: 28 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani