Tafsir Surah Maryam Ayat 77 – 84 (Allah hadiahkan syaitan)

Ayat 77:

أَفَرَأَيتَ الَّذي كَفَرَ بِآياتِنا وَقالَ لَأوتَيَنَّ مالًا وَوَلَدًا

Sahih International

Then, have you seen he who disbelieved in Our verses and said, “I will surely be given wealth and children [in the next life]?”

Malay

Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan, akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta dia berkata: “Demi sesungguhnya, aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?”

أَفَرَأَيْتَ الَّذِي كَفَرَ بِآيَاتِنَا

Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat Kami?

Huruf ف dalam perkataan أَفَرَأَيْتَ itu hendak menyampaikan maksud ‘konklusi’. Setelah segala maklumat yang diberikan kepada mereka, apakah konklusinya? Masih ramai lagi yang tidak mahu percaya dengan wahyu.

Mereka masih lagi mahu engkar dengan ayat-ayat Allah. Mereka tidak mahu percaya adalah kerana mereka tidak mahu belajar. Macam orang kita juga, macam-macam ilmu agama mereka telah belajar, tapi tafsir Qur’an tak pernah belajar lagi.

Keseluruhan makna perkataan أَفَرَأَيْتَ bermaksud: “Boleh percaya tak dengan perbuatan mereka? Boleh percaya tak, yang ada manusia yang tak terima ayat Allah? Setelah diberikan petunjuk dari Allah dari segi ciptaan Allah dan kalamNya?”

Padahal mereka boleh lihat alam ini dan mereka boleh baca ayat-ayat Allah. ‘Ayat-ayat’ Allah bukan sahaja dalam bentuk ayat-ayat Qur’an sahaja, tapi termasuk juga dengan tanda-tanda yang ada dalam alam ini (itu pun dipanggil ‘tanda’ juga). Sepatutnya kejadian alam yang amat indah ini, menjadi peringatan kepada manusia bahawa tentunya ada satu Tuhan yang menjadikannya. Tentunya ianya tidak terjadi dengan sendiri.

وَقَالَ لَأُوتَيَنَّ مَالًا

serta dia berkata: “Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan pada hari akhirat

Bukan sahaja mereka ingkar dengan ayat-ayat Allah, tapi mereka mempunyai harapan dan fahaman yang amat salah. Mereka sangka mereka akan diberikan dengan kebaikan kalau benar mereka akan dibangkitkan di akhirat kelak. Mereka sebenarnya tidak percaya pun hari kebangkitan. Tapi mereka kata, kalau adapun Hari Kebangkitan, tentunya mereka akan dapat kesenangan kerana mereka telah hidup senang di dunia ini.

Ini adalah fahaman salah kebanyakan manusia. Faham mereka: kalau senang di dunia, maka tentu akan senang di akhirat nanti. Kalau Tuhan sayang mereka di dunia, tentulah Tuhan akan sayang juga mereka apabila di akhirat kelak. Itu sangkaan mereka sahaja. Padahal, kesenangan hidup di dunia bukanlah tanda yang mereka itu disayangi Allah. Kerana kekayaan itu adalah ujian sahaja.

Asbabun Nuzul ayat ini: seorang sahabat Nabi yang bernama Khabab telah meminjamkan sejumlah wang kepada seorang lelaki yang musyrik. Apabila Khabab minta dipulangkan wangnya, lelaki itu tak mahu pulangkan duit Khabab melainkan Khabab tinggalkan agama Islam. Dia nak gunakan wang itu untuk menyuruh Khabab tinggalkan Islam. Tentunya Khabab tidak mahu. Khabab marah dan terus berkata yang dia tak akan tinggalkan Islam dan dia kata kepada lelaki itu untuk tunggulah balasannya pada hari kebangkitan. Lelaki itu kata, kalau dia akan dibangkitkan, dia akan bayar Khabab apabila dia dibangkitkan. Sebab dia kata dia akan dapat kekayaan juga di sana. Sebab dia kata, kalau di dunia dia sudah banyak harta, tentunya dia juga akan dapat kebaikan di akhirat. Khabab menceritakan kejadian ini kepada Nabi, maka itulah diturunkan ayat ini.

Orang Islam sekarang pun ramai yang rasa mereka akan dapat balasan yang baik di akhirat kelak. Kenapa mereka rasa begitu? Kerana ada kalangan kita yang banyak beri derma kepada anak yatim, orang susah dan sebagainya.

Sebagai contoh, mereka akan beri banyak derma semasa mereka jadi wakil rakyat. Lebih-lebih lagi apabila musim pilihanraya. Tapi apakah niat mereka semasa beri derma itu? Adakah mereka ikhlas? Tentunya kita tidak dapat tahu hati manusia. Tapi, kalau nak tahu mereka ikhlas atau tidak, kita lihat apabila mereka tidak jadi wakil rakyat lagi. Kalau selepas tak jadi wakil rakyat, mereka sudah tak derma lagi, maknanya mereka semasa memberi itu tidak ikhlas – mereka hendak sokongan undi sahaja.

Jadi, apabila mereka telah beri banyak derma, mereka sangka bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik. Mereka sangka mereka sudah banyak pahala kerana mereka telah banyak memberi. Tapi mereka lupa, sedekah yang tidak ikhlas tidak akan dikira. Ini adalah satu contoh bagaimana ada orang yang sangka mereka akan mendapat kebaikan di Akhirat kelak.

وَوَلَدًا

dan anak-pinak”

Ayat ini bukan sahaja sahaja bermaksud ‘anak-anak’ sahaja. Boleh juga bermaksud ‘ramai pengikut’. Dia berbangga kerana di sisinya ada ramai orang. Mungkin ramai ahi keluarga, ramai hamba atau ramai pekerja.

Bukan lelaki musyrik itu sahaja yang berfahaman begini. Zaman sekarang pun banyak yang berfahaman begini. Sebagai contoh, ada pemahaman dalam Kristian yang mengatakan tanda tuhan sayang kepada seseorang itu adalah tuhan akan memberikan kemewahan kepada seseorang itu. Oleh itu, mereka akan mencari harta sebanyak mungkin kerana mereka sangka dengan banyak harta, itu menunjukkan yang tuhan sayang mereka.

Ini adalah kefahaman yang salah. Tidaklah menjadi tanda kalau Allah beri kemewahan kepada seseorang itu, bermaksud dia akan mendapat balasan yang baik di akhirat kelak. Kekayaan dan kemiskinan adalah ujian dari Allah. Miskin itu ujian, kaya juga ujian. Ianya bukanlah tanda nasib mereka di akhirat kelak. Kalau dia kaya, tapi dia salah gunakan kekayaannya itu, dia akan disoal di akhirat kelak.

Ayat ini adalah pengulangan konsep salah faham manusia dengan kekayaan dunia. Mereka sangka kalau mereka beruntung di dunia, mereka akan beruntung juga di akhirat. Kisah ini disebut dalam Surah Kahf tentang bagaimana seorang lelaki yang telah diberikan harta yang banyak berupa kebun yang hebat semasa di dunia. Dia juga merasa bahawa dia akan mendapat kelebihan juga di akhirat kerana dia rasa dia istimewa di dunia.


Ayat 78: Allah menempelak dan mengejek mereka yang berkata begitu.

أَطَّلَعَ الغَيبَ أَمِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا

Sahih International

Has he looked into the unseen, or has he taken from the Most Merciful a promise?

Malay

Adakah dia telah mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah dia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?

أَطَّلَعَ الْغَيْبَ

Adakah dia telah mengetahui akan perkara yang ghaib,

Mereka boleh lihat alam ghaib kah sampai mereka tahu yang mereka akan selamat? Perkataan أَطَّلَعَ bermaksud ‘mengintai’. Atau bermaksud memanjat gunung dan mengintai dari atas.

Maksudnya: Adakah mereka nampak tempat duduk mereka di akhirat kelak? Adakah mereka nampak istana mereka yang kononnya mereka akan dapat di syurga kelak? Tentu tidak ada. Tidak ada sesiapa yang boleh lihat alam ghaib.

أَمِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحْمَٰنِ عَهْدًا

atau adakah dia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?

Kalimah عَهْدًا bermaksud suatu perjanjian, seperti kontrak. Allah menempelak mereka, adakah mereka tahu sangatkah tentang akhirat sampai berani kata begitu? Mereka sudah yakin sangat yang mereka akan selamat? Mereka ada perjanjian dengan Allah yang mengatakan mereka pasti akan selamat?

Kalimah الرَّحْمَٰنِ diulang sekali lagi dalam ayat ini. Banyak sekali sifat Allah ini ditekankan dalam Surah Maryam ini, sampaikan 16 kali disebut. Berbagai-bagai nikmat yang Allah telah berikan yang disebut dalam surah ini. Ini adalah untuk mengingatkan kita betapa Allah telah banyak memberi kepada kita.

Kalau Allah telah banyak memberi kepada kita, kenapa kita tidak menyembahNya sahaja? Kenapa kita tidak ikut apa yang Allah telah arahkan kepada kita? Kalau manusia yang banyak berbudi dengan kita pun, kita segan dengan mereka, apatah lagi Allah yang telah memberikan segalanya kepada kita? Adakah sesiapa yang beri lebih banyak dari Allah? Tentu tidak ada.


Ayat 79: Dalam ayat sebelum ini, Allah tanya adakah mereka boleh nampak kedudukan mereka di akhirat kelak. Allah beri jawapannya dalam ayat ini.

Allah jawab kerana kalau tak jawab, mungkin ada yang kata boleh jadi mereka akan dapat apa yang mereka kata itu. Allah tak beri ruang langsung untuk timbul kebarangkalian itu. Maka, Allah jawab dengan sejelas-jelasnya:

كَلّا ۚ سَنَكتُبُ ما يَقولُ وَنَمُدُّ لَهُ مِنَ العَذابِ مَدًّا

Sahih International

No! We will record what he says and extend for him from the punishment extensively.

Malay

Tidak sekali-kali! Kami akan menulis apa yang dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa, berganda-ganda.

كَلَّا

Tidak sekali-kali!

Tidaklah mereka boleh nampak nasib mereka di akhirat kelak dan tidaklah mereka ada perjanjian dengan Allah yang mengatakan mereka akan dapat itu dan ini apabila mereka mati nanti.

Perkataan ‘kalla’ ini digunakan untuk menidakkan apa yang telah disebut sebelum ini dan menguatkan apa yang hendak dikatakan selepas ini.

سَنَكْتُبُ مَا يَقُولُ

Kami akan menulis apa yang dikatakannya,

Sebaliknya, semua perbuatan mereka akan ditulis. Dalam Surah Kahf ada disebut bagaimana orang yang malang akan kehairanan dengan betapa detailnya Kitab Amalan nanti. Semua akan ditulis, kecil dan besar semuanya akan ditulis. Dan akan ditunjukkan kembali segala apa yang mereka telah katakan. Ini disebut dalam ayat 49 surah Kahf.

Kalau kita ingat ini, tentulah kita akan takut untuk berbuat kesalahan. Tentulah kita takut untuk bercakap benda-benda yang tidak patut.

وَنَمُدُّ لَهُ مِنَ الْعَذَابِ

dan Kami akan memanjangkan azab seksa baginya,

Mereka telah diberi masa panjang di dunia, maka mereka akan diberikan masa azab yang panjang. Semasa di dunia, mereka telah diberi masa panjang untuk mereka bertaubat dan kembali kepada Islam. Orang seperti Abu Sufyan dan Khalid al Walid telah mengambil peluang itu dan menjadi Muslim yang baik. Walaupun bertahun mereka menentang dan berperang dengan Nabi tapi akhirnya mereka memeluk Islam.

Tapi, kepada mereka yang tidak mengambil peluang itu, masih lagi berterusan dalam kekufuran, maka mereka akan dikenakan azab yang panjang, azab yang berkekalan. Setiap kali mereka rasa azab mereka akan berakhir, azab itu akan ditambah lagi, ditambah lagi. Begitulah nasib mereka nanti. Mereka sangka mereka akan masuk syurga, tapi akhirnya mereka akan masuk neraka.

مَدًّا

Yang amat lama.

Ini adalah ayat penegasan untuk menekankan betapa masa mereka diazab itu adalah amat panjang. Mereka akan rasa bahawa azab itu tidak berhenti-henti. Dek kerana lamanya azab itu.

Kadang-kadang, ada penjenayah di dunia diberikan 500 tahun hukuman penjara (kerana dicampur semua kesalahan dia). Tapi itu tidak mungkin dapat dilakukan kerana penjenayah itu akan mati dalam masa 10 tahun sahaja. Tapi, di akhirat kelak, hukuman sebegitu boleh dikenakan kepada manusia yang engkar, malah lebih lagi. Kerana penghuni neraka tidak mati-mati.


Ayat 80:

وَنَرِثُهُ ما يَقولُ وَيَأتينا فَردًا

Sahih International

And We will inherit him [in] what he mentions, and he will come to Us alone.

Malay

Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakannya itu, dan dia akan datang kepada kami dengan seorang diri.

وَنَرِثُهُ مَا يَقُولُ

Dan Kami akan warisi apa yang dikatakannya itu,

Allah maha tahu apa yang mereka kata. Padahal semua malaikat yang menulis amalan kita semua sudah mati. Iaitu apabila Allah sudah matikan semua makhluk termasuk malaikat. Tapi Allah tetap tahu.

Apakah yang dia kata dulu? Dia kata dia akan dapat balasan kekayaan dan anak pinak yang ramai kerana dia ada banyak harta dan banyak anak pinak semasa di dunia. Dia amat berbangga dengan apa yang dia ada.

Yang dia banggakan itu akan diambil oleh Allah akhirnya. Apabila dia meninggal nanti, dia akan tinggalkan hartanya dan anaknya dan semua itu akan diambil oleh Allah. Itulah maksud ‘warisi’. Sebagai contoh, apabila kita mati, harta-harta kita akan diwarisi oleh orang yang selepas kita. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini, semuanya itu akhirnya akan diwarisi oleh Allah.

وَيَأْتِينَا فَرْدًا

dan dia akan datang kepada kami dengan seorang diri.

Sebelum ini dia banggakan anak-anak dan penyokongnya yang ramai. Anak-anak dan penyokong itu semua akan melarikan diri dari dia pada hari kiamat. Dia akan datang berjumpa Tuhan berseorangan sahaja, tanpa ada sesiapa yang teman dia. Dalam keadaan telanjang bulat. Tiada siapa yang akan menolong.

Tiada siapa lagi yang akan memberi sokongan. Ini ada disebut dalam Abasa:34 dan seterusnya. Ada disebutkan bagaimana manusia akan melarikan diri dari orang yang mereka kenal.


Ayat 81: Kenapa mereka jadi begitu? Allah beritahu kita dalam ayat ini.

وَاتَّخَذوا مِن دونِ اللَّهِ آلِهَةً لِيَكونوا لَهُم عِزًّا

Sahih International

And they have taken besides Allah [false] deities that they would be for them [a source of] honor.

Malay

Dan mereka (yang kafir) menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.

وَاتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ آلِهَةً

Dan dulu mereka menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai ilah-ilah,

Ada manusia yang sembah berhala. Ada yang sembah tuhan-tuhan selain Allah. Itu adalah mereka yang jelas kekafiran mereka. Tapi mereka yang mengaku beragama Islam, ada juga yang menyembah selain Allah. Dalam mereka sembah Allah, mereka sembah dan puja entiti-entiti lain.

Mereka puja wali, malaikat dan Nabi. Mereka beri salam kepada malaikat, Nabi dan wali. Mereka berharap kepada entiti-entiti itu walaupun sebenarnya kita sepatutnya hanya berharap dengan Allah. Mereka berdoa kepada entiti-entiti itu sebagai wasilah. Mereka sudah tidak berdoa terus kepada Allah.

Kalau kita tanya kepada orang Hindu pun, mereka bukan sembah patung itu, tapi ‘dewa’ yang ada dalam patung itu. Dewa itu pula, pada fahaman mereka adalah seperti malaikat pada fahaman kita. Mereka pun tahu bahawa bukan dewa itu yang menyempurnakan hajat mereka. Tapi mereka mengharapkan supaya dewa itu menyampaikan doa mereka itu kepada tuhan yang satu.

Fahaman itu sama sahaja dengan fahaman kebanyakan dari orang kita. Mereka minta ustaz doakan hajat mereka. Ustaz itu akan bertawasul kepada Nabi, wali atau malaikat. Supaya Nabi, wali atau malaikat itu menyampaikan doa itu kepada Allah. Sama sahaja akidah mereka dengan akidah Hindu!

Jangan kita sempitkan آلِهَةً itu hanya merujuk kepada sembahan seperti berhala sahaja, tuhan yang jelas disembahi sahaja, macam Vishnu, Buddha, Jesus dan sebagainya. Tapi kita kena tafsir آلِهَةً sebagai sembahan, pujaan, harapan. Sebagai contoh, ada yang sudah sampai memuja Nabi Muhammad, bukan setakat memuji lagi.

Ada yang berzikir kepada Nabi Muhammad tanpa sedar. Diulang-ulang pujian mereka kepada Nabi, macam berzikir. Ada yang mengharap kepada entiti lain seperti puak tarekat yang berdoa kepada wali-wali mereka. Mereka rasa kalau doa terus kepada Allah, Allah tak dengar. Itu adalah kerana mereka telah salah anggap kepada Allah.

Mereka ‘buruk sangka’ yang Allah tidak mendengar doa mereka kerana mereka orang yang jauh dari Allah. Padahal, Allah tidak pernah pun kata Dia tidak menerima doa orang yang berdosa. Tambahan pula, dalam Qur’an, Allah berkali-kali suruh kita doa terus kepadanya, dan Allah larang kita menggunakan perantaraan.

Itu semua adalah contoh-contoh ‘ilah’ kepada manusia. Bukan hanya sembah berhala sahaja yang syirik tapi banyak perkara lagi. Kalau kita sangka berhala sahaja yang dilarang sembah, maka sedaplah hati kita. Sebab kita perasan kita selamat kerana tidak sembah berhala. Padahal kita ada juga buat syirik dengan perkara yang lain.

Kebanyakan dari kita sangka ayat-ayat Qur’an tentang larangan  syirik itu hanya ditujukan kepada agama lain sahaja. Padahal, yang baca Qur’an itu kita. Ingatlah bahawa ayat Qur’an ditujukan kepada kita belaka. Allah hendak mengingatkan kita supaya jangan jadi macam orang kafir yang salah faham dan salah sangka dalam agama. Kerana dari kalangan Muslim pun ada banyak salah sangka tentang Allah dan buat syirik tanpa mereka sedari.

لِّيَكُونُوا لَهُمْ عِزًّا

supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.

Kalimah عِزًّا bermaksud ‘sumber kekuatan dan kekuasaan’. Mereka mahukan kekuasaan di dunia. Mereka mahu disanjung di dunia. Oleh kerana itu mereka menjadikan yang sesat menjadikan pujaan-pujaan mereka itu sebagai pelindung-pelindung mereka.

Sebagai contoh, mereka rasa kalau ada orang yang berniat tidak baik dengan mereka, pujaan-pujaan mereka itu akan melindungi mereka. Kalau nak buat sesuatu yang penting, mereka sangka pujaan-pujaan itu akan menolong mereka memudahkannya. Jadi, kalau orang Islam pun ada fahaman bahawa ada entiti lain yang boleh begitu selain dari Allah maka kita pun sama sahaja dengan mereka itu.

Jangan sangka kalau kita sudah beragama Islam, kita boleh buat sesuka hati kita sahaja. Jangan sangka kita sudah selamat dan pasti masuk syurga. Jangan terus sangka ajaran tok-tok guru kita yang selama ini sudah lama diamalkan terus betul belaka. Sebagai orang yang prihatin dengan agama, kenalah kita periksa balik dan bandingkan dengan dalil dari Qur’an dan sunnah. Janganlah kita bodoh sangat sampai terima sahaja bulat-bulat.

Orang-orang yang sesat itu sangka mereka boleh dapat kuasa dengan menggunakan entiti-entiti ini. Sebagai contoh, guru-guru tarekat akan ajar tawasul kepada wali dan Nabi. Mereka kata manusia tidak layak berdoa terus kepada Allah. Mereka kata kena melalui perantaraan. Mereka sahaja yang cipta fahaman yang salah itu. Kemudian akan ditanya bagaimana pula caranya untuk berdoa?

Maka mereka juga yang reka caranya – kena buat begini, begitu. Sebab amalan itu mereka kena reka yang baru, sebab dalam sunnah tidak ada. Dan untuk mendapatkan cara itu, kena belajar dengan mereka. Memang sudah kena belajar dengan mereka sebab orang lain tak tahu kerana memang tidak ada dalam syarak. Contohnya kalau saya reka satu ciptaan baru, anda kenalah datang belajar dengan saya sebab saya yang reka ciptaan itu. Begitu jugalah amalan-amalan bidaah dan sesat ini. Kena belajar dengan mereka yang menciptanya.

Dan kemudian mereka kata doa itu akan lebih mantap lagi kalau mereka sendiri dijadikan perantaraan juga. Kerana kononnya mereka lebih rapat dengan perantaraan-perantaraan itu. Jadi anak murid mereka akan bertawasul kepada mereka, mereka pula akan bertawasul kepada wali, malaikat dan Nabi. Apabila kena melalui mereka, maka mereka berkuasa.

Malangnya ramai anak murid mereka yang jahil itu sanggup melakukan segalanya untuk mereka. Itulah sebabnya kalau anda belajar tarekat seperti tarekat Naqsyabandiah, mereka akan membayangkan wajah guru mereka dalam mereka berdoa. Kerana mereka iktikad bahawa guru mereka itu akan menyampaikan doa itu kepada wali, dan wali itu akan menyampaikan doa itu kepada Allah. Ini adalah syirik.


Ayat 82:

كَلّا ۚ سَيَكفُرونَ بِعِبادَتِهِم وَيَكونونَ عَلَيهِم ضِدًّا

Sahih International

No! Those “gods” will deny their worship of them and will be against them opponents [on the Day of Judgement].

Malay

Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

كَلَّا

Tidak sekali-kali!

Itu semua adalah fahaman yang sesat sama sekali. Semua cara-cara itu salah dan jauh terpesong dari agama. Apa yang mereka ajar itu adalah ajaran salah dan sesat. Maka jangan tertipu dengan hujah-hujah batil mereka. Mereka akan memberikan hujah yang hanya menggunakan akal sahaja.

Perkataan ‘kalla’ adalah menidakkan dengan kuat apa yang telah disebut sebelum ini dan menguatkan apa yang akan disebut selepasnya.

سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ

Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu akan mengingkari perbuatan mereka menyembahnya,

Mereka yang disembah itu tidak mengaku yang mereka disembah. Yang disembah akan kata mereka tak pernah suruh pun mereka disembah. Mereka yang menyembah sahaja yang memandai-mandai. Macam Imam-imam Syiah, mereka itu semua baik, tapi mereka tidak pernah mengaku pun mereka itu Imam Syiah. Penganut Syiah sahaja yang kena tipu oleh syaitan dan melantik mereka itu sebagai imam mereka.

Sebagai contoh lagi, Jesus akan kata, dia tidak pernah suruh pun penganut Kristian untuk sembah dia. Ini ada disebut dalam Surah Maidah, Ayat 116 dan seterusnya.

وَإِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ أَأَنْتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ اتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَٰهَيْنِ مِنْ دُونِ اللَّهِ ۖ قَالَ سُبْحَانَكَ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِي بِحَقٍّ ۚ إِنْ كُنْتُ قُلْتُهُ فَقَدْ عَلِمْتَهُ ۚ تَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِي وَلَا أَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِكَ ۚ إِنَّكَ أَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ‘ “Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

Itu adalah contoh bagaimana Nabi Isa sendiri menolak sembahan-sembahan mereka yang menyembahnya. Yang selainnya juga akan berkata begitu juga nanti. Dalam Yunus:28 ada disebut perkara ini:

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ ۚ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ ۖ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ

Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada orang-orang yang berbuat syirik itu: “Tunggulah di tempat kamu ini kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu”; sesudah itu Kami putuskan perhubungan di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang kena sembah itu (sebagai berlepas diri): “Bukanlah kami yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!

Kalimah تَعْبُدُونَ itu bukan hanya bermaksud ‘sembah’ sahaja. Tapi termasuklah beri salam, sedekah Fatihah, zikir, puja, dan sebagainya. Sebagai contoh, masyarakat kita bagi salam kepada Nabi, malaikat dan sebagainya. Itu adalah dari ajaran karut orang-orang dahulu yang kita terus sahaja amalkan tanpa usul periksa. Mereka itu semua yang diberi seruan, pujian dan Fatihah itu sudah mati dan tidak mendengar apa yang kita katakan. Malaikat pula tidak ada apa-apa perhubungan dengan kita.

Dalam ayat dari surah Yunus itu, mereka-mereka yang kena sembah itu akan kata bahawa bukan mereka yang puak-puak itu sembah. Mereka tak pernah suruh pun diibadati.

Mereka yang kena sembah, kena puja, diberi salam, disedekah Fatihah itu, langsung tak terima pun sembahan-sembahan, hadiah-hadiah mereka itu. Ini diterangkan dalam ayat seterusnya dari surah Yunus itu.

فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ إِن كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ

“(Allah mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.

Orang kita sedekah fatihah, bagi salam, qasidah dan sebagainya itu sebab nak bodek, nak rasuah mereka yang dipuja itu. Dengan harapan nanti mereka yang diseru itu akan beri pertolongan nanti. Tapi lihatlah ayat ini, mereka langsung tak tahu pun! Bertepuk sebelah tangan sahaja sebenarnya mereka yang berhempas pulas buat amalan-amalan bidaah dan syirik itu.

Nabi tak pernah suruh kita beri salam, sedekah Fatihah kepadanya. Yang ada, hanyalah selawat sahaja. Lafaz-lafaz selawat itu pun telah diajar kepada umat. Tidak perlu dicipta lafaz-lafaz selawat yang baru. Ini adalah bahaya kerana kalau kita lihat lafaz-lafaz selawat yang dicipta, ada lafaz selawat yang mempunyai pujian yang diberikan kepada Nabi yang terlalu melampau, sampaikan boleh sampai ke tahap mensyirikkan Allah.

Sebagai contoh, lafaz selawat Syifa’ dan selawat Tafrijiyyah itu ada elemen syirik. Secara ringkasnya lafaz selawat Syifa’ mengatakan Nabi Muhammad ada kuasa untuk menyembuhkan penyakit – padahal, Allah lah yang menyembuhkan penyakit. Lafaz selawat Tafrijiyyah pula mengatakan Nabi adalah punca penyelesaian masalah – adakah ini benar? Siapa yang cakap?

Malangnya, amalan ini diamalkan di masjid-masjid, surau-surau malah telah masuk ke dalam TV pun sekarang, diajar kepada seluruh masyarakat. Apabila telah banyak diamalkan, maka orang kita yang tidak faham agama, hanya ikut-ikut sahaja, terus sangka bahawa ianya adalah sesuatu yang benar.

Dan kalau kita tegur, mereka akan kata: “begitu ramai orang buat, takkan salah?” Adakah agama Islam ini satu parti politik, sampaikan kalau majoriti buat, ianya akan menang? Adakah Allah ikut suara majoriti? Adakah begitu?

وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

dan akan menjadi musuh kepada mereka.

Kalimah ضِدًّا bermaksud ‘lawan’ kepada mereka. Bayangkan dalam mahkamah dunia sekarang, mereka itu seperti saksi kepada pendakwaraya dan kita pula jadi tertuduh. Kita sebenarnya hendakkan saksi yang baik kepada kita, bukan jadi lawan kita.

Maknanya, sudah jadi terbalik dari apa yang mereka harapkan. Mereka harap entiti-entiti itu yang beri sokongan kepada mereka, tapi sebaliknya yang terjadi. Bayangkan penyesalan mereka di akhirat nanti.


Ayat 83: Ayat ini sebagai pemujuk kepada Nabi dan pendakwah agama. Iaitu apabila kita berjumpa dengan mereka yang teruk sangat. Walaupun berkali-kali berdakwah kepada mereka, mereka masih lagi tak terima.

Apabila itu terjadi, sedikit sebanyak, kita akan rasa lemah semangat. Kita rasa macam sia-sia sahaja kita buat jalan dakwah ini. Dalam ayat ini, Allah memberikan penjelasan kenapa mereka tidak mahu terima dakwah itu.

أَلَم تَرَ أَنّا أَرسَلنَا الشَّياطينَ عَلَى الكافِرينَ تَؤُزُّهُم أَزًّا

Sahih International

Do you not see that We have sent the devils upon the disbelievers, inciting them to [evil] with [constant] incitement?

Malay

Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir, untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?

أَلَمْ تَرَ

Tidakkah engkau mengetahui

Tidakkah engkau lihat, tidakkah engkau memerhatikan? Tidakkah engkau tahu?

أَنَّا أَرْسَلْنَا الشَّيَاطِينَ عَلَى الْكَافِرِينَ

bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir,

Allah sendiri yang telah ‘mengutus’ syaitan-syaitan kepada mereka yang engkar itu. Iaitu setelah mereka memilih jalan yang salah, Allah akan hantar syaitan kepada mereka. Bukanlah Allah hendak kita jadi sesat sampai Allah hantar syaitan-syaitan itu. Allah hantar syaitan-syaitan itu setelah manusia memilih jalan yang salah. Kalau kita memilih jalan yang salah, Allah akan membuka jalan itu lagi.

Syaitan sebenarnya terdiri dari golongan jin dan manusia. Kerana makna ‘syaitan’ adalah sesiapa yang mengajak untuk menjauhkan diri dari Allah. Kalau yang menjauhkan kita dari Allah adalah jin, maka jin itu adalah syaitan. Dan kalau yang menjauhkan kita dari Allah itu adalah manusia, maka manusia itu adalah syaitan.

Maksud ayat ini adalah Allah melepaskan syaitan-syaitan itu untuk menyesatkan manusia. Macam seorang pemburu melepaskan anjing buruan mereka kepada binatang buruan. Maka anjing itu akan meluru lari kepada binatang buruan itu, sama ada kijang kah, lembu kah dan sebagainya. Maka, bertempiaran larilah binatang yang diburu itu ke sana ke mari. Dikejar dari kiri, mereka akan lari ke kanan, dikejar dari kanan, mereka akan lari ke kiri.

Maksud dalam ayat ini adalah, mereka yang menolak dakwah itu telah menjadi barang mainan syaitan sahaja. Yang boleh disuruh-suruh oleh syaitan. Syaitan suruh A, mereka buat A; syaitan suruh buat B, mereka buat B. Kerana syaitan telah memiliki mereka. Mereka sudah tidak ada ‘penapis’ untuk menapis bisikan-bisikan dan ajakan syaitan-syaitan itu.

Memang dalam ayat lain pun Allah ada sebutkan lagi bahawa memang Allah akan ‘hadiahkan’ syaitan kepada manusia. Dalam Zukhruf:36, Allah berfirman:

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

‘Tidak mengendahkan’ dalam ayat ini bermaksud mereka tidak belajar isi kandung Qur’an. Itulah mereka yang tidak mahu belajar tafsir. Mereka tidak ada usaha untuk faham apakah yang Allah hendak sampaikan dalam Qur’an itu. Kalau setakat baca dan hafal sahaja, tanpa faham, ianya tidak akan memberikan pemahaman.

Ketahuilah Qur’an ini kena dipelajari maksudnya. Kena kuatkan semangat untuk belajar. Kena buka minda dan hati untuk menerimanya. Kadang-kadang kita akan berjumpa dengan perkara yang kita tidak pernah dengar. Kadang-kadang nasihat yang diberikan kena tepat kepada kita. Kadang-kadang kutukan Allah pun kena tepat kepada kita.

Kita kena terima itu semua dan jangan sombong untuk memperbaiki diri. Baik kita kena kutuk di dunia ini supaya kita boleh memperbetulkan perbuatan kita dari terus dilaknat di akhirat kelak.

Setelah Allah hadiahkan syaitan kepada mereka, apakah yang akan dilakukan oleh syaitan-syaitan itu?

تَؤُزُّهُمْ أَزًّا

untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?

Syaitan akan membisikkan mereka untuk melakukan perkara-perkara yang jahat: buat amalan bidaah, amalan syirik dan sebagainya. Syaitan tidak henti-henti membisikkan kepada mereka. Syaitan bukan ada kerja lain lagi melainkan menyesatkan manusia. Menyesatkan manusia adalah kerja sepenuh masa mereka. Mereka yang kufur ingkar itu akan ikut sahaja.

Itulah asal datangnya amalan-amalan yang salah yang diamalkan oleh masyarakat kita. Yang kita tahu, ianya telah lama diamalkan oleh tok nenek kita dahulu, ustaz-ustaz dari dulu lagi. Tapi asalnya yang awal dari mana? Asalnya dari bisikan syaitan.

Tujuan Allah adalah memberikan nasihat kepada Nabi supaya jangan putus asa kepada semua manusia. Bukan semua manusia macam itu. Yang teruk sahaja akan jadi begitu. Memang ada yang tak boleh buat apa-apa dengan mereka. Berkali-kali kita beri nasihat mereka tetapi takkan terima. Mereka pula kata kita yang salah. Tinggalkan sahaja mereka kepada Allah. Teruskan dengan kerja dakwah kepada orang lain kerana akan ada yang akan menerima dakwah kita.

Tapi janganlah kita awal-awal lagi terus cap seseorang itu termasuk dalam golongan sebegini. Kita kena usaha dakwah dulu kepada mereka. Cuba dakwah dulu dengan bersungguh-sungguh. Mungkin pertama kali mereka tak dengar, kena datang kali kedua dan ketiga. Setiap kali kita dakwah itu, kita akan dapat pahala. Maka bukan sia-sia usaha kita itu. Mungkin mereka tidak mampu terima waktu ini, kita belum tahu masa hadapan.

Sepertimana kita minta berlindung kepada Allah dari syaitan, kita pun hendaklah minta perlindungan dari jin-jin dan manusia-manusia yang seperti ini.


Ayat 84: Dari ayat ini sehingga ke  hujung adalah Perenggan Makro Keenam yang merupakan penutup surah ini. Ia mengingatkan kita yang Qur’an membawa khabar gembira dan peringatan.

Ayat ini adalah peringatan dari Allah bahawa memang ada jenis-jenis manusia yang tidak menerima dakwah kita. Walaupun telah berkali-kali kita berdakwah kepada mereka, dengan berbagai cara. Bukan sahaja mereka tak mahu terima, tapi mereka menentang kita pula.

Bila itu terjadi, tentulah kita akan sakit hati, sedih dengan tolakan mereka itu. Lebih-lebih lagi kalau yang tolak itu adalah ahli keluarga kita sendiri. Tapi jangan kita mendoakan keburukan kepada mereka.

فَلا تَعجَل عَلَيهِم ۖ إِنَّما نَعُدُّ لَهُم عَدًّا

Sahih International

So be not impatient over them. We only count out to them a [limited] number.

Malay

Oleh itu, janganlah engkau segera marah terhadap mereka yang ingkar itu, kerana sesungguhnya

فَلَا تَعْجَلْ عَلَيْهِمْ

Oleh itu, janganlah kamu tergesa-gesa terhadap mereka yang ingkar itu,

Jangan tergesa-gesa hendakkan mereka itu diberikan dengan balasan azab. Jangan doa kepada Allah supaya mereka itu diberikan azab, dimatikan atau doa-doa seumpama itu. Allah larang Nabi mendoakan keburukan kepada mereka yang seperti itu. Itu bukan kerja Nabi. Nabi kena teruskan dengan dakwah sahaja.

Begitu juga dengan kita. Memang ramai yang akan menentang kita. Ada yang sampai hina kita dengan kata-kata nista. Beri kita gelaran yang macam-macam seperti wahabi lah dan sebagainya. Ada yang sampai kata kita ini sesat pula. Bawa ajaran salah dan macam-macam lagi. Dan memang kita akan sakit hati dengan kata-kata mereka yang menghina kita.

Tapi jangan kita doakan keburukan untuk mereka. Hanya doakan supaya mereka diberi hidayah. Itulah yang sebaik-baiknya. Kerana kalau kita mendoakan keburukan untuk mereka, bermaksud kita telah ‘tergesa-gesa’. Dan Allah telah larang kita dari tergesa-gesa dalam ayat ini.

Kerana apa dipanggil ‘tergesa-gesa’ itu? Kerana kita tak tahu kesudahan mereka. Memang mereka tolak kita sekarang, hina kita dan sebagainya. Tapi kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Allah boleh lagi bukakan pintu hati mereka untuk menerima hidayah. Lihatlah contoh Abu Sufyan dan Khalid al Walid. Berapa lama mereka menentang Islam, tapi akhirnya mereka masuk Islam.

Kecuali lah kalau mereka ancam hendak bunuh kita, barulah kita angkat tangan dan doa kepada Allah. Selagi mereka tidak buat begitu, biarkan sahaja. Entah di masa hadapan, mereka jadi lebih baik dari kita.

إِنَّمَا نَعُدُّ لَهُمْ عَدًّا

kerana sesungguhnya Kami menghitung apa yang mereka lakukan dengan teliti.

Allah mengatakan bahawa Allah mengira apa yang mereka lakukan. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Semua yang mereka lakukan akan ditulis dan mereka akan dibalas dari perbuatan mereka itu. Ini adalah sebagai satu pujukan dari Allah sebenarnya. Allah nak beritahu bahawa mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Kalimah عَدًّا dalam ayat ini adalah kata penguat. Betul-betul perbuatan mereka akan dikira dengan teliti. Mereka dibiarkan berterusan buat dosa supaya mereka nanti akan diadili dan dosa mereka itu akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka.

Ayat ini juga boleh bermaksud Allah menghitung masa sehingga mereka akan dikembalikan kepadaNya. Dari tahun, bulan hari dan jam sehingga mereka akan mati. Atau boleh bermaksud Allah menghitung nafas-nafas mereka. Maknanya, mereka tunggu masa sahaja untuk kembali dan mereka akan dapat yang mereka patut dapat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya:

Kemaskini: 5 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s