Tafsir Surah an-Nahl Ayat 94 – 97 (Jangan lebihkan dunia)

Ayat 94: I’adah tentang masalah janji.

وَلا تَتَّخِذوا أَيمانَكُم دَخَلًا بَينَكُم فَتَزِلَّ قَدَمٌ بَعدَ ثُبوتِها وَتَذوقُوا السّوءَ بِما صَدَدتُم عَن سَبيلِ اللهِ ۖ وَلَكُم عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not take your oaths as [means of] deceit between you, lest a foot slip after it was [once] firm, and you would taste evil [in this world] for what [people] you diverted from the way of Allāh,¹ and you would have [in the Hereafter] a great punishment.

  • Referring to those who would be dissuaded from Islām as a result of a Muslim’s deceit and treachery.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu, yang menyebabkan tergelincir kaki(mu) sesudah kukuh tegaknya, dan kamu rasakan kemelaratan (di dunia) kerana kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah; dan bagimu azab yang besar.

 

وَلا تَتَّخِذوا أَيمانَكُم دَخَلًا بَينَكُم

Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu,

Jangan jadikan sumpah kamu sebagai penghalang untuk kebaikan dan sebagai alat untuk menipu.

 

فَتَزِلَّ قَدَمٌ بَعدَ ثُبوتِها

yang menyebabkan tergelincir kaki(mu) sesudah kukuh tegaknya, 

Kerana kalau buat juga, nanti akan tergelincir kaki kamu selepas ianya kukuh.

 

وَتَذوقُوا السّوءَ بِما صَدَدتُم عَن سَبيلِ اللهِ

dan kamu rasakan kemelaratan (di dunia) kerana kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah; 

Dan kalau kamu buat juga, nanti kamu akan merasai azab kerana kamu halang orang dari mengenal dan mengamalkan agama Allah. Di dunia lagi kamu akan dikenakan dengan azab ini.

 

وَلَكُم عَذابٌ عَظيمٌ

dan bagimu azab yang besar.

Dan tentunya kamu akan mendapat azab yang berat di akhirat kelak. Dan azab di akhirat lagi teruk kalau dibandingkan dengan azab dunia.


 

Ayat 95:

وَلا تَشتَروا بِعَهدِ اللهِ ثَمَنًا قَليلًا ۚ إِنَّما عِندَ اللهِ هُوَ خَيرٌ لَكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not exchange the covenant of Allāh for a small price. Indeed, what is with Allāh is best for you, if only you could know.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu tukar perjanjianmu dengan Allah dengan harga yang sedikit (murah), sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah, itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

 

وَلا تَشتَروا بِعَهدِ اللهِ ثَمَنًا قَليلًا

Dan janganlah kamu tukar perjanjianmu dengan Allah dengan harga yang sedikit 

Jangan tukar perjanjian dengan Allah dengan harta yang sedikit. Maknanya jangan jual agama untuk dapat habuan dunia. Ini adalah bahaya kalau terlalu cintakan dunia. Kerana ramai yang sudah tahu kebenaran dan kepentingan agama, tetapi mereka kalah kerana keduniaan. Mereka tidak dapat hendak tinggalkan habuan dunia. Maka mereka sanggup menipu dalam hal agama.

 

إِنَّما عِندَ اللهِ هُوَ خَيرٌ لَكُم

sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah, itulah yang lebih baik bagimu

Janganlah terikat dengan dunia kerana apa sahaja yang kamu boleh dapat dari dunia itu, tidak dapat hendak dibandingkan langsung dengan apa yang ada dengan Allah. Apa yang Allah boleh beri kepada kita itu tentu sahaja lebih baik untuk kita berbanding dengan dunia.

Perumpamaannya adalah, kalau kita pergi ke kedai telefon bimbit, kedai itu ada sample telefon bimbit yang plastik sebagai model kepada telefon yang sebenar, bukan? Maka ketahuilah yang segala keindahan dunia ini adalah sample plastik itu, dan telefon bimbit yang sebenar itu adalah dunia. Maka takkan kita hendak pakai telefon bimbit sample plastik itu dan tinggalkan telefon bimbit sebenar?

Maka arak di akhirat lebih sedap dari arak di dunia; susu akhirat lebih sedap dari susu dunia; sutera akhirat lebih hebat dari sutera dunia; makanan di syurga lebih sedap dari makanan di dunia tidak kira sedap macam mana pun. Maknanya, apa yang ada di dunia ini hanyalah ciplak bagi apa yang ada yang di syurga nanti.

Maka jangan kita terpesona dan terkejar-kejar sangat keduniaan. Itu semua adalah dugaan sahaja. Kalau kita dapat tahan diri kita, maka balasannya adalah nikmat yang lebih hebat di akhirat kelak. Sebagai contoh, kalau kita dapat tahan diri kita dari melakukan zina di dunia, maka kita akan diberikan bidadari di syurga kelak yang tentunya lebih hebat dari wanita dunia; kalau dapat tahan diri dari minum arak di dunia ini, maka kita akan dapat minum arak di syurga yang jauh lebih hebat.

 

إِن كُنتُم تَعلَمونَ

jika kamu mengetahui.

Jika kita dapat mengetahui perkara ini dengan yakin, tentulah dunia ini senang sahaja untuk kita tinggalkan kalau ia ada konflik dengan agama. Bukanlah kita hendak tinggalkan dunia terus, tetapi harus lebihkan akhirat. Lebih-lebih lagi kalau ada pertentangan antara keduanya. Kita harus pilih akhirat setiap masa.

Kalau kita percaya dengan balasan di akhirat, maka senang sahaja kita nak tinggalkan dosa di dunia ini. Kalau ada wanita goda kita ajak berzina pun, kita dapat tahan kerana kita tahu yang balasan menahan zina itu akan dibalas dengan bidadari syurga yang jauh lebih hebat.


 

Ayat 96:

ما عِندَكُم يَنفَدُ ۖ وَما عِندَ اللهِ باقٍ ۗ وَلَنَجزِيَنَّ الَّذينَ صَبَروا أَجرَهُم بِأَحسَنِ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whatever you have will end, but what Allāh has is lasting. And We will surely give those who were patient their reward according to the best of what they used to do.

(MELAYU)

Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

 

ما عِندَكُم يَنفَدُ

Apa yang di sisimu akan lenyap,

Ramai dari kalangan kita yang sayang sangat dengan dunia. Harta yang kita ada itu sayang sekali kita hendak tinggalkan. Tetapi Allah hendak beritahu kita perkara sebenar: Apa yang ada pada diri kita ini, tidak kira berapa banyak sekali pun, akhirnya akan lenyap juga. Sama ada kita yang mati dahulu atau benda itu yang rosak dahulu.

Yang menariknya Allah gunakan kalimah يَنفَدُ dalam ayat ini dalam bentuk mudhari’  (present tense) kerana ia tidak kekal. Kalau tidak sedar tentang perkara inilah yang menyebabkan orang pegang sungguh-sungguh dunia ini. Mereka susah mahu tinggalkan kerana harta dunia ini telah ada depan mata, tetapi harta akhirat yang dijanjikan itu, walaupun banyak mana pun, ianya tidak ada depan mata lagi. Itu yang susah mahu bayangkan kalau kita tidak yakin.

 

وَما عِندَ اللهِ باقٍ

dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal.

Kalau yang ada di dunia tidak kekal (sama ada ia rosak dahulu atau kita mati dahulu), apa yang ada dengan Allah itu akan kekal sampai bila-bila. Kalau kalimah يَنفَدُ dalam ayat sebelum ini dalam fi’il mudhari, kalimah باقٍ dalam ayat ini pula dalam bentuk isim kerana hendak menunjukkan ia kekal.

Maka kalau kita kena pilih antara yang kekal atau yang akan rosak, mana kita mahu pilih? Tentulah jawapannya adalah yang kekal, bukan? Kita tentu tidak suka benda yang sekejap-sekejap sahaja.

 

وَلَنَجزِيَنَّ الَّذينَ صَبَروا أَجرَهُم بِأَحسَنِ ما كانوا يَعمَلونَ

Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

Allah pasti akan balas perbuatan baik dengan kebaikan. Siapakah yang akan mendapat balasan baik itu? Itulah mereka yang sabar. Sabar dalam melakukan amal ibadat dan amal kebaikan. Oleh kerana itulah ‘sabar’ itu juga boleh bermaksud ‘istiqamah’. Iaitu tetap melakukan perkara kebaikan itu secara berterusan.

Dan ini adalah susah kerana kita selalunya boleh mulakan melakukan ibadat, tetapi masalahnya untuk kekal terus melakukan perkara yang sama setiap hari. Memang mahu jadi sabar dalam taat ini adalah amat susah. Maka kena pupuk sifat ini.

Apabila digunakan kalimah بِأَحسَنِ, ia bermaksud Allah akan balas mengikut markah yang paling tinggi dari amalan kita. Ini adalah kerana amalan kita ada yang baik dan ada yang tidak berapa baik. Dan bila Allah balas nanti, Allah akan beri ikut markah yang paling tinggi sekali.

Ia juga boleh bermaksud: Allah balas lebih lagi dari apa yang kita lakukan. Kita beramal bukannya banyak pun, dan bukan sangat lama. Tetapi apabila Allah balas, ia tentulah berlebihan dari apa yang kita telah amal. Kerana umur kita tidak seberapa, tapi apabila dapat balasan itu, akan diberikan selama-lamanya kepada kita. Tidak baik lagikah jikalau begitu?


 

Ayat 97: Ayat tabshir.

مَن عَمِلَ صالِحًا مِن ذَكَرٍ أَو أُنثىٰ وَهُوَ مُؤمِنٌ فَلَنُحيِيَنَّهُ حَياةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجزِيَنَّهُم أَجرَهُم بِأَحسَنِ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever does righteousness, whether male or female, while he is a believer – We will surely cause him to live a good life, and We will surely give them their reward [in the Hereafter] according to the best of what they used to do.

(MELAYU)

Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

 

مَن عَمِلَ صالِحًا مِن ذَكَرٍ أَو أُنثىٰ

Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki mahu pun perempuan

Balasan akan diberikan kepada sesiapa sahaja yang berbuat amal kebaikan. Tidak ada pilih kasih, tidak pilih keturunan (golongan habib atau tidak), lelaki atau perempuan. Semua ada peluang untuk mendapat balasan baik dari. Ini kerana Allah Maha Adil. Tidak seperti agama lain contohnya agama Hindu yang meletakkan kasta-kasta di dalam agama mereka; dan tidaklah seperti agama lain yang merendahkan kedudukan wanita.

Satu syarat yang harus difahami, amalan itu mestilah amalan yang soleh. Dan amalan yang soleh itu adalah amalan yang ada sunnah daripada Nabi dan para sahabat. Jangan amal amalan rekaan yang tidak ada contoh daripada Nabi, kerana itu adalah amalan bid’ah. Dan amalan bid’ah tidak ada pahala padanya, malahan dosa. Tetapi orang kita ramai yang tidak faham tentang perkara ini dan kerana itu ramai yang mengamalkan amalan bid’ah tanpa mereka sedari bahawa ianya tidak ada pahala.

 

وَهُوَ مُؤمِنٌ

dalam keadaan beriman, 

Tetapi ada syarat yang harus dipenuhi. Mereka yang beramal itu harus ada iman yang sempurna. Iaitu tidak melakukan syirik. Ini penting kerana ada yang beriman, tetapi dalam masa yang sama, dia ada fahaman atau amalan syirik – dia percaya ada Allah, tetapi dia juga percaya ada ilah-ilah lain yang boleh dijadikan sebagai wasilah dalam doa.

Ini adalah kerana mereka jahil dengan wahyu Qur’an ini (kerana tidak belajar tafsir Qur’an) dan kesannya mereka tidak tahu yang fahaman dan amalan mereka itu adalah amalan yang syirik.

Oleh itu, harus ada dua elemen – amal dan iman. Dan dua-dua harus baik. dua-dua harus ada. Kalau satu sahaja ada, tetapi satu lagi tidak ada, maka amalan itu akan tertolak tidak dapat pahala.

 

فَلَنُحيِيَنَّهُ حَياةً طَيِّبَةً

maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik

Kepada mereka yang dapat buat amal soleh dan beriman (dengan menjaga syarat-syarat seperti yang telah disebut), Allah pasti akan beri kehidupan yang baik kepada mereka. Apakah ‘kehidupan yang baik’ itu?

Ianya adalah kehidupan yang memuaskan hati mereka. Apabila mereka mentaati arahan syariat dan tepati sunnah, mereka akan rasa puas hati. Hidup mereka tenang sahaja, tidak ada masalah yang besar sangat. Jadi ia bukanlah bermaksud kemewahan dari segi harta dan kuasa. Jangan kita pandang kesenangan dalam bentuk itu sahaja.

Untuk faham, kita harus lihat contoh kehidupan para Nabi dan para sahabat. Tentunya mereka itu mendapat kehidupan yang baik kerana mereka turut dan taat syariat. Tapi kalangan mereka ada yang kaya dan ada yang miskin. Kalau kehidupan yang baik itu adalah diberikan dengan harta, tentulah semua dapat harta, bukan?

Jadi semua mereka dapat kepuasan hidup dalam bentuk yang lain. Kepuasan hati yang susah untuk dijelaskan. Mereka tidak kecoh dengan apa yang terjadi di dalam dunia ini. Hati mereka sentiasa sahaja tenang dan bukankah ini yang lebih baik dari harta yang banyak?

Ad-Dahhak mengatakan, makna yang dimaksudkan ialah rezeki yang halal dan kemampuan beribadah dalam kehidupan di dunia. Ad-Dahhak mengatakan pula bahawa yang dimaksudkan ialah mengamalkan ketaatan, dan hati berasa lega dalam mengerjakannya.

Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad disebutkan bahawa:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَزِيدَ، حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ أَبِي أَيُّوبَ، حَدَّثَنِي شُرَحْبِيلُ بْنُ شَرِيكٍ، عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ الحُبُلي، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمرو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ ورُزق كَفَافًا، وقَنَّعه اللَّهُ بِمَا آتَاهُ”.

telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Yazid, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Abu Ayyub, telah menceritakan kepadaku Syurahbil ibnu Syarik, dari Abu Abdur Rahman Al-Habli, dari Abdullah ibnu Umar. bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya beruntunglah orang yang telah masuk Islam dan diberi rezeki secukupnya serta Allah menganugerahkan kepadanya sifat qana’ah (cukup) terhadap apa yang diberikan kepadanya.

 

وَلَنَجزِيَنَّهُم أَجرَهُم بِأَحسَنِ ما كانوا يَعمَلونَ

dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

Sekali lagi disebut perkara yang sama dalam ayat sebelum ini. Ia bermaksud Allah akan balas dengan balasan yang lebih baik dari amalan yang dilakukan. Amalan bukannya banyak pun, tapi Allah balas dengan berlipat kali ganda, kekal selama-lamanya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s