Tafsir Surah Hud Ayat 60 – 61 (Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Tsamud)

Hud Ayat 60: Penutup kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

وَأُتبِعوا في هٰذِهِ الدُّنيا لَعنَةً وَيَومَ القِيٰمَةِ ۗ أَلا إِنَّ عادًا كَفَروا رَبَّهُم ۗ أَلا بُعدًا لِّعادٍ قَومِ هودٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they were [therefore] followed in this world with a curse and [as well] on the Day of Resurrection. Unquestionably, ‘Aad denied their Lord; then away with ‘Aad, the people of Hūd.

(MALAY)

Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di dunia ini dan (begitu pula) di hari kiamat. Ingatlah, sesungguhnya kaum ‘Ad itu kafir kepada Tuhan mereka. Ingatlah kebinasaanlah bagi kaum ‘Ad (iaitu) kaum Hud itu.

 

وَأُتبِعوا في هٰذِهِ الدُّنيا لَعنَةً

Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di dunia ini 

Di dunia ini, mereka mendapat laknat daripada semua yang melaknat. Kisah mereka ini akan ada sampai ke Kiamat nanti dan sepanjang itu mereka mendapat laknat. Setiap kali kita baca kisah mereka dalam Al-Qur’an pun kita benci dan melaknat mereka.

Apakah maksud ‘laknat’? Laknat ertinya kutuk, doa atau kata-kata yang dapat mengakibatkan kesusahan atau bencana kepada seseorang. Laknat juga dapat diertikan sebagai perbuatan mencela, dan menghina. Dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ juga banyak menggunakan kata laknat pada setiap ayat yang menjelaskan mengenai azab atau hukuman. Oleh itu pengertian laknat hendaklah dilihat daripada dua sudut pandang bergantung kepada objek yang melakukannya.

Pertama, laknat yang dilihat dari sudut pandang Sang Pencipta akan memiliki erti sebagai tindakan yang menjauhkan daripada rahmat-Nya. Kemudian, laknat dari sudut pandang makhluk memiliki erti sebagai doa atau cacian terhadap orang-orang tertentu.

Di dalam ayat ini tidak disebut siapakah yang melaknat kerana ia disebut secara umum sahaja. Oleh itu ia boleh bermaksud Allah ﷻ yang melaknat mereka dan menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya, atau ia juga boleh bermaksud laknat (kutukan dan doa) daripada makhluk seperti para malaikat, orang beriman, dan juga makhluk lain seperti binatang dan juga bumi.

 

وَيَومَ القِيٰمَةِ

dan (begitu pula) di hari kiamat.

Laknat itu akan berterusan sampai ke Hari Kiamat. Laknat maksudnya jauh daripada rahmat Allah ﷻ. Maknanya, kalau tidak dapat rahmat daripada Allah ﷻ, maka tentunya tempat mereka adalah dalam Neraka.

 

أَلا إِنَّ عادًا كَفَروا رَبَّهُم

Ingatlah, sesungguhnya kaum ‘Ad itu kafir kepada Tuhan mereka. 

Telah pasti yang Kaum Aad itu telah kufur kepada Allah ﷻ dan kerana itu janganlah ikut jejak langkah mereka. Sebab itulah disebut kisah-kisah umat yang terdahulu supaya kita boleh mengambil iktibar daripada kesalahan yang mereka lakukan.

Kita boleh simpulkan di sini adalah segala kesalahan mereka itu adalah berkisar tentang menolak ayat-ayat Allah ﷻ dan juga ajaran para Rasul. Maka jikalau kita pun tidak mempelajari ayat-ayat Allah ﷻ untuk memahaminya (supaya kita dapat mentaatinya) dan kemudian kita tidak ikut ajaran Rasulullah ﷺ dan mengamalkan kehidupan ini seperti yang diajarnya (ajaran Sunnah), maka kita pun boleh termasuk golongan yang mendapat nasib seperti kisah-kisah kaum yang dilaknat sebelum ini.

Di sini hanya disebut mereka kufur kepada Tuhan akan tetapi jikalau kita pun tidak ikut ajaran Rasul, maka itu pun termasuk kufur kepada Allah ﷻ. Ini kerana para Rasul itu membawa ajaran Allah ﷻ untuk disampaikan kepada kita untuk kita amalkan.

 

أَلا بُعدًا لِّعادٍ قَومِ هودٍ

Menjauhlah bagi kaum ‘Ad (yaitu) kaum Huud itu.

Mereka jauh daripada rahmat Allah ﷻ, maka mereka tidak akan ada peluang untuk masuk ke dalam Syurga. Sekian kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Aad.


 

KISAH NABI SALEH عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 61: Sekarang kita masuk kepada Kisah Ketiga dalam surah ini. Daripada ayat ini sehingga ke ayat 68 adalah Perenggan Makro ke 4 berkenaan kisah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia membawa Dakwa yang sama: sembah Allah ﷻ sahaja dan jangan sembah selain Allah ﷻ.

۞ وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا ۚ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الأَرضِ وَاستَعمَرَكُم فيها فَاستَغفِروهُ ثُمَّ توبوا إِلَيهِ ۚ إِنَّ رَبّي قَريبٌ مُّجيبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Thamūd [We sent] their brother Ṣāliḥ. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. He has produced you from the earth and settled you in it, so ask forgiveness of Him and then repent to Him. Indeed, my Lord is near and responsive.”

(MALAY)

Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka Shaleh. Shaleh berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)”.

 

وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا

Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka Shaleh. 

Selepas hancurnya Kaum Aad, kaum yang bangkit selepas mereka adalah Kaum Tsamud. Mereka diberikan dengan Rasul dalam kalangan kerabat mereka sendiri, Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka hidup sesudah kaum ‘Ad, lalu Allah ﷻ mengutus seorang rasul kepada mereka yang juga dalam kalangan mereka.

Baginda adalah daripada umat itu juga, saudara mereka juga, keturunan mereka juga. Baginda memang tinggal di situ dan mereka kenal baginda. Ini mengajar kita yang pendakwah terbaik datangnya daripada penduduk setempat. Baru senang mad’u hendak terima dakwah itu. Ini sepertimana dalam pilihanraya juga, calon selalunya datang dari tempat itu juga baru senang mendapat sambutan dan undian. Kalau bangsa lain yang datang, tentu ada penghalang sedikit sebanyak. Allah ﷻ telah sebut tentang hal ini dalam Ali Imran:164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri,

Telah disebutkan juga bahawa Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah Nabi bangsa Arab yang pertama, dan beliaulah yang mula-mula bercakap dalam bahasa Arab, dan Rasul Arab yang kedua ialah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan yang penutup sekalian Rasul ialah Muhammad ﷺ orang Arab juga.

Mereka adalah orang-orang yang bertempat tinggal di kota-kota Hajar yang terletak di antara Tabuk dan Madinah. Tempat mereka itu dipanggil Mada’in Saleh dan sampai sekarang masih ada lagi. Kisah kaum ini disebut banyak di dalam Al-Qur’an kerana penerima Al-Qur’an yang pertama adalah Musyrikin Mekah. Mereka itu kenal dengan kedua-dua kaum ini kerana mereka telah melalui kawasan-kawasan mereka di dalam musafir perniagaan. Ini seperti disebut dalam Sajdah: 26

أَوَلَم يَهدِ لَهُم كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّنَ القُرونِ يَمشونَ في مَسٰكِنِهِم
Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak daripada kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu?

Di musim sejuk mereka pergi ke bahagian selatan iaitu Yaman dan mereka akan melalui kawasan kaum Aad dan di musim sejuk mereka akan pergi ke bahagian utara iaitu Syams dan mereka boleh melihat peninggalan kaum Tsamud dan juga kaum Luth. Inilah musafir mereka yang Allah ﷻ sebut dalam Quraisy:2

إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ
(iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

 

قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

Shaleh berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia.

Lihatlah bagaimana mesej yang sama dibawa oleh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sama seperti mesej Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan juga Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Iaitu Dakwa Surah ini: sembahlah Allah ﷻ sahaja dan jangan sembah selain Allah ﷻ kerana tiada ilah selain Allah ﷻ. Sembahlah Allah ﷻ sahaja. Inilah Dakwa Pertama. Maka tauhid yang hendak ditekankan di dalam surah ini adalah Tauhid Ibadah atau kita panggil Tauhid Uluhiyyah. Inilah tujuan kita dijadikan seperti disebut dalam Dzariyat:56

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Mana-mana Nabi akan berkata begini; iaitu hendaklah manusia menyembah Allah ﷻ sahaja. Jangan sembah yang lain daripada Allah ﷻ. Maka, setiap guru yang mengajar agama pun mesti sampaikan perkara terpenting ini juga. Kita kenalah ajar akidah kepada manusia kerana itu adalah perkara dan ilmu yang paling penting sekali. Itulah ilmu yang mula-mula mesti dipelajari.

Oleh itu, hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan campur aduk ibadat kepada makhluk lain. Contohnya, dalam berdoa, jangan berdoa kepada selain Allah ﷻ dan jangan guna tawasul (perantaraan).

Jangan zikir kepada selain Allah ﷻ. Tidak perlu puja Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana golongan Habib buat sekarang. Kita juga kena faham makna ibadat itu luas. Memang kita tidak sujud dan rukuk kepada berhala, tidak sujud dan rukuk kepada tuhan lain. Namun dengan perbuatan kita yang sedekah Fatihah, beri salam, baca selawat yang bukan diajar oleh Nabi ﷺ, maka itu semua adalah ‘ibadat’ yang diserahkan kepada selain daripada Allah ﷻ.

Perbuatan itu pun termasuk ‘sembah’ juga. Kalau kita tidak faham maksud ‘sembah’ dan sempitkan pemahaman itu, kita tidak akan faham dan kita akan keliru kenapa ada amal ibadat yang dilarang dilakukan.

Maka kita lihat di dalam ayat ini memberitahu kita yang Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Inilah yang sepatutnya kita lakukan dalam dakwah. Bukannya mengajak kepada persatuan, mazhab, fahaman, kumpulan, parti, individu tertentu seperti pemimpin, ulama’ dan sesiapa sahaja. Malangnya inilah yang kita lihat terjadi sekarang. Ramai bukannya ajak kepada Allah ﷻ tetapi ajak kepada perkara lain. Akibatnya setiap kumpulan akan berasa merekalah yang hebat dan benar. Maka masing-masing akan mendabik dada dan merendahkan kumpulan yang lain seperti disebut di dalam Mukminoon: 53

فَتَقَطَّعوا أَمرَهُم بَينَهُم زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ
Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).

Mesej dakwah kita mestilah jelas iaitu mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Tidak payahlah sibuk melabel dan mengasingkan (pigeonholed) pendakwah itu daripada kumpulan mana. Jangan dilayan orang bodoh yang bertanya “Dia kumpulan mana?”, “Apa fahaman dia?” kerana yang penting adalah ajak dulu manusia kepada Allah ﷻ. Beginilah yang Allah ﷻ ajar seperti disebut dalam Nahl:125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah

 

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الأَرضِ وَاستَعمَرَكُم فيها

Dia telah menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya,

Allah ﷻ mengingatkan nikmat yang telah diberikan kepada mereka: Allah ﷻ jadikan mereka daripada tanah yang tidak ada nilai tetapi kemudian Allah ﷻ beri mereka kuasa mentadbir di bumi. Kita tahu yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan terus daripada tanah. Akan tetapi kita sebagai anak cucunya juga dibina daripada elemen-elemen yang datang daripada tanah juga seperti zat dan vitamin. Ini kerana makanan kita datangnya daripada tanah, bukan? Maka boleh dikatakan juga kita manusia selain daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dijadikan daripada tanah.

Kalimah استَعمَرَ daripada katadasar ع م ر yang bermaksud untuk mendiami; tinggal; membaiki; pembaikan; membina; bercucuk tanam; menjadikan boleh dihuni; melakukan lawatan suci; populasi; kehidupan; umur; panjang umur; berusia; mendatangi satu-satu tempat. Kalimah عمر bermaksud mendiami sesuatu kawasan di bumi, membangun rumah dan mendudukinya untuk meningkatkan kualiti hidup. Inilah nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

Mereka hidup dalam tamadun yang lama, bertukar daripada satu keturunan ke keturunan yang lain. Tamadun mereka lama di bumi. Mereka mentadbir bumi dan sambil itu mereka mengambil manfaat daripada segala sumber yang ada pada bumi itu. Kisah mereka ini ada disebut dalam A’raf: 74

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ عادٍ وَبَوَّأَكُم فِي الأَرضِ تَتَّخِذونَ مِن سُهولِها قُصورًا وَتَنحِتونَ الجِبالَ بُيوتًا
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu pengganti sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah.

Maka dari sini kita tahu yang nikmat yang telah diberikan kepada mereka amatlah banyak dan mereka mendapat kesenangan hidup di bumi. Allah ﷻ menjadikan tempat mereka itu subur dan amat sesuai untuk didiami maka kerana itulah tempat itu menjadi makmur yang bermaksud ramai orang tinggal di situ dan berkembang biak di situ. Cuma mereka hendaklah menghargai pemberian daripada Allah ﷻ itu dengan mentaati Allah ﷻ dan juga beribadah hanya kepadanya. Ini mengingatkan kita yang juga mendapat nikmat kesenangan di dunia ini supaya jangan lupa untuk taat kepada Allah ﷻ dan tidak menyembah selain daripada Allah ﷻ.

Banyak sekali bukti bertemu sampai sekarang, baik di dalam isyarat Al-Qur’an, ataupun hasil penyelidikan purbakala (ilmu arkeologi), bahawa tanah-tanah yang sekarang telah tandus, padang pasir Sahara, bertemu bekas-bekas kemakmuran zaman lampau. Inilah yang telah diingatkan oleh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada kaumnya, agar mereka mensyukuri nikmat kemakmuran yang telah diberikan Tuhan kepada mereka.

Kita boleh lihat walaupun ada persamaan dakwah yang disampaikan oleh Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi ada penambahan hujah yang diberikan antara Rasul-rasul itu. Maka kita dapat tahu yang Allah ﷻ berhujah kepada manusia mengikut tingkat kedewasaan berfikir manusia. Kalau kita lihat hujah yang diberikan kepada kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia mudah sahaja – sembah Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ tidak berhujah panjang dengan mereka.

Akan tetapi, apabila tiba dalam kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Aad, terdapat pertambahan hujah, memberi isyarat yang kaum Aad itu mempunyai daya fikir yang lebih tinggi daripada kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di mana Allah ﷻ mengingatkan mereka betapa mereka telah diberi nikmat kekuatan tubuh badan. Ini dapat dilihat dalam A’raf: 69.

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ قَومِ نوحٍ وَزادَكُم فِي الخَلقِ بَسطَةً
Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu.

Sekarang, kepada Kaum Tsamud, Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh berhujah dengan mereka dengan lebih panjang lagi kerana mereka sudah semakin matang dalam hidup dan tamadun semakin maju. Maka mereka diingatkan yang mereka dijadikan daripada tanah dan mereka telah diberikan kelebihan memakmurkan bumi keturunan demi keturunan. Nanti kita akan lihat kisah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula nanti di mana hujah yang lebih kompleks akan diberikan.

Semuanya membawa kepada hujah-hujah yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini, wahyu terakhir Allah ﷻ yang tentunya penuh dengan hujah-hujah yang lebih canggih lagi kerana ia diberikan kepada kaum yang lebih moden dan maju fikirannya. Kerana itu Al-Qur’an ini amat sesuai zaman berzaman. Kalau sains semakin maju pun, Al-Qur’an tetap harmoni dengan fahaman sains moden.

 

فَاستَغفِروهُ ثُمَّ توبوا إِلَيهِ

kerana itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya,

Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kepada umatnya (sama seperti Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), hendaklah mereka istighfar akan tetapi tidak disebut apakah dosa mereka. Akan tetapi daripada ayat-ayat yang lain kita dapat tahu yang dosa mereka adalah menyembah ilah selain Allah ﷻ. Ini adalah dosa yang paling besar. Segala amalan baik jika adalah musnah begitu sahaja jika ada mengamalkan syirik seperti disebutdi dalam Zumar: 65

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

Tambahan pula dosa syirik itu adalah kezaliman yang paling besar seperti disebut di dalam Luqman:13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Maka mereka disuruh oleh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk istighfar dan tinggalkan fahaman dan amalan syirik yang mereka telah lakukan selama ini. Mereka kena minta maaf daripada hati, disebut dengan lidah dan mereka pun mesti berhenti daripada fahaman syirik itu. Maka jangan sebut sahaja istighfar dengan mulut tetapi amalan salah masih dilakukan lagi.

Ini banyak dilakukan oleh masyarakat sekarang. Selalu sahaja istighfar, tetapi amalan syirik dan bid’ah masih lagi dilakukan. Ini adalah kerana tidak belajar sahaja. Mereka sendiri pun tidak sangka yang mereka sedang melakukan amalan-amalan syirik kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Ini adalah amat malang sekali kerana penjelasan tentang tauhid dan syirik banyak disebut di dalam Al-Qur’an dan jikalau kita tidak mahir tafsir Al-Qur’an maka kita tidak akan tahu ada kesalahan-kesalahan syirik yang telah kita lakukan.

‘Istighfar’ bermaksud kita meminta ampun kepada kesalahan ‘telah lalu‘ yang kita telah lakukan. Yang masa depan kita tidak tahu lagi, tetapi kita minta ampun daripada kesalahan lalu yang telah dilakukan. Kena menyesal atas perbuatan dosa kita sebelum ini.

Di dalam ayat sebelum ini Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ajak kaumnya untuk beribadat hanya kepada Allah ﷻ. Sekarang disuruh untuk meminta ampun atas kesalahan dosa mereka yang lalu. Ini adalah kerana dosa adalah penghalang kepada ibadah. Kalau ada banyak dosa, kita akan susah untuk melakukan ibadah. Ini kerana ada titik-titik hitam dalam diri kita. Ini disebut dalam hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih, namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (Muthafifin:14).
(Sunan Ibn Majah (4234))
Status: Hasan

Sekiranya ada dosa syirik lagi, maka amalan ibadah apa pun tidak berguna kerana tidak diberikan pahala kepada pelakunya. Maka kena minta ampun atas dosa syirik supaya pahala-pahala dapat dikumpul.

Setelah mereka istighfar, kemudian hendaklah mereka bertaubat. Mereka mesti menyesal kerana ada akidah syirik yang lama dan hendaklah mereka kembali kepada Allah ﷻ. Kembali dapatkan fahaman yang benar dan amalan yang benar kerana ‘taubat’ itu maksudnya ‘kembali’. Kembali amalkan Tauhid.

Kalau kita dapat bayangkan sedang memandu, tiba-tiba kita perasan yang kita berada atas salah jalan, maka kita ‘u-turn’ untuk kembali ikut jalan yang betul. Begitu jugalah dengan fahaman akidah. Kalau selepas kita belajar baru tahu yang fahaman yang kita ada selama hari ini adalah salah, maka tinggalkan fahaman itu dan ikutlah fahaman yang benar.

Sebelum ini telah disebut tentang istighfar dan dan sekarang tentang taubat pula. Bertaubat itu pula bermaksud sedar tentang kesalahan yang ‘sedang’ kita lakukan dan berazam untuk tidak akan buat lagi dosa yang kita telah buat. Bukan itu sahaja, kita hendaklah mengubah cara hidup kita selepas bertaubat itu. Ini adalah kerana, daripada lafaz ‘taubat’ itu, ia membawa maksud ‘kembali’. Iaitu kembali ke pangkal jalan seperti telah disebut di atas. Maka dalam hal itu, kita kena ‘kembali’ ke jalan yang benar. Begitu jugalah dengan ‘taubat’. Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
(Riwayat Ibn Majah (4392))
Status: Hasan

Selalu kita sangka ‘istighfar’ dan ‘taubat’ adalah perkara yang sama. Akan tetapi Allah ﷻ meletakkan kedua-duanya dalam ayat ini, yang bermaksud yang keduanya berbeza. Ini adalah salah satu daripada peraturan Al-Qur’an: jikalau Allah ﷻ letakkan dua perkataan itu sekali dalam satu ayat, bermaksud ia tidak sama. Tentu ada perbezaan antara keduanya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘istighfar’ dulu sebelum ‘taubat’. Maka, ini memberi isyarat bahawa kita kena istighfar dulu. Berapa kali kita kena bertaubat? Lakukanlah sebanyak mungkin, akan tetapi sekurang-kurangnya seratus kali sehari. Ini kerana Ibnu Umar رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya, di dalam satu hari sebanyak 100 kali.
(Sahih Muslim No. 2702)


Kenapa pula Rasulullah ﷺ bertaubat sedangkan baginda tidak ada dosa? Kerana hendak menjadi contoh bagi kita kerana bukanlah baginda itu contoh bagi kita?

‘Istighfar’ itu adalah kita sedar bahawa kita sudah bersalah, kita sudah banyak buat dosa. Kita menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat selama ini. Kemudian, setelah kita istighfar, barulah kita bertaubat – kembali kepada Allah ﷻ. Maksud kembali ini adalah azam yang kuat untuk tidak melakukan lagi apa dosa yang kita telah buat. Maka istighfar adalah untuk dosa masa lalu dan taubat adalah azam untuk masa depan.

Jikalau kita istighfar sahaja tanpa ada niat untuk meninggalkan dosa itu, ia bukanlah istighfar yang benar dan tidak akan diterima. Tidak diterima kerana tidak cukup syaratnya. Itu istighfar main-main sahaja.

Satu lagi tafsiran yang diberikan tentang perbezaan antara istighfar dan taubat adalah istighfar itu adalah perbuatan mulut, dan taubat itu adalah perbuatan fizikal. Maksudnya selepas kita meminta ampun dengan Allah ﷻ (dengan mulut) maka hendaklah kita mengikutinya dengan badan kita. Iaitu hendaklah meninggalkan perbuatan salah yang telah dilakukan dahulu dan menggantikannya dengan mengamalkan amalan-amalan yang baik. Janganlah kita setakat menyesal dan tidak melakukan amalan salah lagi, tetapi tidak melakukan amal-amal yang baik pula. Kita hendaklah melakukan amal-amal yang baik sebagai ganti perbuatan salah yang kita lakukan dahulu semoga Allah ﷻ merahmati kita dengan perbuatan kita yang baik.

 

إِنَّ رَبّي قَريبٌ مُّجيبٌ

Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan

Mintalah kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ itu maha dekat untuk menyahut doa hamba. Apa sahaja doa kita kepada-Nya, sama ada untuk meminta ampun, atau apa sahaja keperluan, Allah ﷻ maha mendengar dan Allah ﷻ akan balas. Ini sama seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam ayat yang lain:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila dia berdoa kepada-Ku. (Al-Baqarah: 186)

Maka di sini kita belajar satu perkara yang penting tentang berdoa iaitu kita sepatutnya berdoa terus kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah beritahu yang Dia dekat. Maka kita tidak perlu menggunakan perantaraan (wasilah) kerana Allah ﷻ maha dekat dan menjawab permintaan kita. Apabila Allah ﷻ sudah kata Dia dekat dengan kita, maka kenapa kita hendak menjauhkan diri kita daripada-Nya dengan meletakkan orang ketiga pula sebagai perantara? Ini adalah satu perbuatan yang merugikan.

Maka jikalau kita ada apa-apa permintaan kepada Allah ﷻ maka terus sahaja minta kepada Allah ﷻ dan tidak perlu kita minta kepada ustaz ataupun sesiapa untuk mendoakan bagi pihak kita. Memang ada pendapat yang mengatakan menjadikan orang soleh itu sebagai wasilah kita adalah harus, akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sunnah, malah ia seperti tidak faham maksud ayat-ayat Allah ﷻ yang mengatakan Dia dekat.

Antara hujah yang digunakan oleh orang yang masih juga mahu menggunakan perantara di dalam berdoa adalah kerana mereka kata orang soleh itu tiada dosa, sedangkan mereka sendiri banyak dosa dan Allah ﷻ tidak terima doa-doa mereka kerana dosa mereka. Ya benar, dosa boleh menyebabkan doa ditolak. Akan tetapi bukanlah caranya dengan minta orang lain pula berdoa bagi pihak kita. Jikalau kita ada dosa dan hendak berdoa maka jalan penyelesaiannya Allah ﷻ telah ajar di dalam sambungan kepada ayat Baqarah: 186 di atas.

فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي
Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku

Jelas di sini kita belajar untuk doa kita dimakbulkan oleh Allah ﷻ maka hendaklah kita mengubah hidup kita dengan meminta ampun kepada Allah ﷻ, dan mula melakukan taat kepada Allah ﷻ. Bukannya kita terus hidup di dalam dosa dan jalan penyelesaiannya minta orang lain pula doa untuk kita. Perbuatan begini tidak bijak!

Perumpamaannya seperti seorang anak yang takut kepada ayahnya kerana ada kesalahan yang dia ada lakukan. Maka jikalau ada permintaan maka dia minta kepada emaknya untuk sampaikan. Akan tetapi sampai bila? Kerana anak itu tetap juga anak kepada ayah itu maka jalan yang sepatutnya dilakukan adalah dengan minta maaf kepada ayahnya, dan berbaik semula dengan ayahnya, dan mula ikut arahan daripada ayahnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 September 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Hud Ayat 55 – 59 (Mencabar musuh)

Hud Ayat 55: Sambungan terus daripada ayat sebelum ini.

مِن دونِهِ ۖ فَكيدوني جَميعًا ثُمَّ لا تُنظِرونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Other than Him. So plot against me all together; then do not give me respite.

(MALAY)

dari selain-Nya, sebab itu jalankanlah tipu dayamu semuanya terhadapku dan janganlah kamu memberi tangguh kepadaku.

 

مِن دونِهِ

daripada selain-Nya, 

Iaitu mereka melakukan syirik terhadap selain daripada Allah ﷻ. Baginda kata baginda tidak terlibat dengan mereka. Maka kita pun janganlah ada kena mengena dengan amalan-amalan syirik. Jika ada kawan-kawan ajak pergi kubur wali, jangan ikut mereka. Kalau mereka ajak menyertai majlis para Habib berqasidah pun jangan ikut sekali.

 

فَكيدوني جَميعًا

sebab itu jalankanlah tipu dayamu semuanya terhadapku

Baginda disuruh untuk mencabar mereka untuk membuat segala rancangan terhadap baginda. Bergabunglah mereka semua dengan tuhan-tuhan pujaan mereka itu untuk merancang apa sahaja perkara buruk terhadap baginda.

Nabi Hud عَلَيْهِ السَّلَام bersikap berani kerana benar dan kerana baginda yakin Allah ‎ﷻ bersama baginda dan pasti akan memberikan pertolongan dan perlindungan kepada baginda. Beginilah juga keberanian yang ada pada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَام apabila dilemparkan ke dalam api dan beginilah juga keberanian pada Rasulullah ﷺ dan para sahabat apabila ditakutkan dengan tentera musyrikin Mekah. Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ { حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ } قَالَهَا إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام حِينَ أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَقَالَهَا مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ قَالُوا { إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ }
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] ‘حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ’ adalah ucapan Ibrahim عَلَيْهِ السَّلَام ketika dilemparkan ke api. Juga diucapkan oleh Nabi ﷺ ketika orang-orang kafir berkata; “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.” (Ali Imran: 173)”
(Sahih Bukhari (4197))

Begitulah juga keberanian yang ada pada ghulam (budak lelaki) seperti yang disebut di dalam Surah Buruj. Ini adalah kerana mereka semua ini percaya dengan Allah ﷻ dan yakin yang Allah ﷻ akan memberi perlindungan kepada mereka.

 

ثُمَّ لا تُنظِرونِ

dan janganlah kamu memberi tangguh kepadaku.

Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cabar mereka, selepas mereka buat rancangan untuk menjatuhkan baginda, jangan bertangguh untuk menjalankan rancangan itu. Tidak perlu beri peluang kepada baginda untuk untuk buat persediaan untuk menolak dan menghadapi rancangan jahat mereka itu.

Dalam jawapan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini terkandung hujah yang mematahkan dan dalil yang pasti menunjukkan kebenaran daripada apa yang disampaikannya kepada mereka; juga menunjukkan kebatilan daripada apa yang mereka kerjakan, iaitu penyembahan mereka kepada berhala-berhala.

Ini kerana baginda yakin yang berhala-berhala itu tidak dapat memberikan manfaat, tidak pula dapat mendatangkan mudarat, bahkan berhala-berhala itu hanyalah objek yang tidah bernyawa yang tidak dapat mendengar, tidak dapat melihat, tidak dapat melindungi, dan tidak dapat memusuhi. Maka kerana itu Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak takut memberikan cabaran itu. Kita pun jangan takut untuk meratakan kuburan para wali yang dijadikan sembahan golongan musyrik di negara ini.

Sesungguhnya yang berhak disembah secara murni dan ikhlas hanyalah Allah ﷻ semata, tiada sekutu bagi-Nya. Di tangan kekuasaan-Nyalah kerajaan, dan Dialah yang mengaturnya. Tidak ada sesuatu pun melainkan semuanya berada di bawah kepemilikan, pengaruh, dan kekuasaan-Nya; maka tidak ada Tuhan selain Dia, dan tidak ada Rabb selain Dia.

Kisah ini merupakan tauladan lagi daripada seorang Nabi Allah ﷻ, yang harus kita jadikan contoh. Iaitu apabila kita telah yakin akan kebenaran pendirian kita dan kesucian yang kita perjuangkan, kita bersedia walaupun apa yang akan terjadi. Biarpun bagaimana kuatnya pihak yang menentang, bukanlah itu bererti bahawa kebenaran pendirian kita dapat diubah dan dimundurkan ke belakang, demi menyesuaikan diri dengan kebiasaan masyarakat yang telah rosak. Mereka ancam, “Yang hak adalah hak, oleh kerana itu kami akan bunuh kau!” Maka kita balas, “Bunuhlah! Jangan engkau beri lagi kesempatan kepadaku”.


 

Hud Ayat 56: Kenapa baginda tidak takut dengan rancangan mereka itu?

إِنّي تَوَكَّلتُ عَلَى اللَّهِ رَبّي وَرَبِّكُم ۚ مّا مِن دابَّةٍ إِلّا هُوَ ءآخِذٌ بِناصِيَتِها ۚ إِنَّ رَبّي عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, I have relied upon Allāh, my Lord and your Lord. There is no creature but that He holds its forelock [i.e., controls it]. Indeed, my Lord is on a path [that is] straight.”

(MALAY)

Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus”.

 

إِنّي تَوَكَّلتُ عَلَى اللَّهِ رَبّي وَرَبِّكُم

Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. 

Baginda tidak takut kepada mereka dan rancangan jahat mereka kerana baginda tawakal kepada Allah ﷻ, bergantung kepada Allah ﷻ. Kenapa baginda boleh bergantung kepada Allah ﷻ kerana selepas itu disebut yang Allah ﷻ itu adalah (Tuhanku dan Tuhan kamu رَبّي وَرَبِّكُم). Rabb adalah Tuhan yang mengurus dan memelihara dan tentunya berkuasa memberi perlindungan kepada makhluk-Nya.

Kalau sudah bergantung dengan Allah ﷻ, sudah tidak perlu takut lagi kerana Allah ﷻ itu adalah Tuhan baginda dan Tuhan mereka juga. Yang mereka puja dan sembah itu bukanlah tuhan, dan tidak dapat melakukan apa-apa pun.

Ini mengingatkan kita supaya bertawakal kepada Allah ﷻ kalau kita benar-benar beriman. Tidak ada cara lain. Kita hendaklah berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Hendaklah serahkan semua urusan kita kepada Allah ﷻ. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. Formula untuk tawakal telah disebut di dalam Ahzab: 22.

وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

Kita boleh belajar daripada sejarah betapa hebatnya tawakal Rasulullah ﷺ kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Hadith,

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَ أَنَّهُ غَزَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ نَجْدٍ فَلَمَّا قَفَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَفَلَ مَعَهُ فَأَدْرَكَتْهُمْ الْقَائِلَةُ فِي وَادٍ كَثِيرِ الْعِضَاهِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَفَرَّقَ النَّاسُ يَسْتَظِلُّونَ بِالشَّجَرِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ سَمُرَةٍ وَعَلَّقَ بِهَا سَيْفَهُ وَنِمْنَا نَوْمَةً فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَا وَإِذَا عِنْدَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ إِنَّ هَذَا اخْتَرَطَ عَلَيَّ سَيْفِي وَأَنَا نَائِمٌ فَاسْتَيْقَظْتُ وَهُوَ فِي يَدِهِ صَلْتًا فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي فَقُلْتُ اللَّهُ ثَلَاثًا وَلَمْ يُعَاقِبْهُ وَجَلَسَ
Bahawa [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] mengabarkan bahawa dia berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ melewati Najd. Ketika Rasulullah ﷺ kembali dan Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا pun ikut kembali, mereka menjumpai sungai di bawah lembah yang banyak pepohonannya. Maka Rasulullah ﷺ turun dan para sahabat pun bertebaran mencari tempat berteduh di bawah pohon. Dan Rasulullah ﷺ singgah berteduh di bawah suatu pohon lalu menggantungkan pedang baginda pada pohon tersebut kemudian baginda tidur sejenak. Ketika Rasulullah ﷺ memanggil kami, di hadapan baginda ada seorang lelaki Badwi. Baginda berkata: “Orang ini telah mengambil pedangku ketika aku tidur lalu aku bangun sedang tangannya sudah memegang pedang yang terhunus lalu dia berkata: “Siapa yang dapat melindungimu daripadaku?” Aku jawab: “Allah” sebanyak tiga kali. Maka orang itu tidak dapat berbuat apa-apa kepada baginda lalu dia terduduk lemah.
(Sahih Bukhari (2694))

Maka kita diajar untuk membiasakan diri ingat kepada tawakal. Maka satu amalan yang boleh mengingatkan kita adalah zikir yang dibaca ketika keluar rumah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ قَالَ يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang laki-laki keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: ‘BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah). ‘ Beliau bersabda: “Maka pada saat itu akan dikatakan kepadanya, ‘Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan’, hingga syaitan-syaitan menjauh daripadanya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan.”
(Sunan Abi Dawud (4431))
Status: Sahih

Maka amalkan doa ini dan faham maksudnya apabila anda membacanya. Kalau selalu dilakukan, maka anda akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah ﷻ. Ia juga akan mengingatkan anda kepada tawakal kerana setiap kali hendak keluar, anda akan menyebutnya.

Kena faham apa maksud tawakal. Bukan setakat serah sahaja urusan kita kepada Allah ﷻ. Namun kena ada usaha, kemudian serah kepada Allah ﷻ, dan selepas itu apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ berikan kepada kita, kita kena redha. Janganlah pula kata tawakal, tetapi apabila Allah ﷻ buat keputusan yang kita tidak suka, kita marah pula.

Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan kesannya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Namun kena pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))

Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya tunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan usaha dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita lakukan, kita serah kepada Allah ﷻ. Melalui sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang. Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal.
(Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708))


Maka daripada hadith ini kita tahu yang kita bukannya bergantung kosong sahaja tetapi hendaklah kita mengambil langkah-langkah untuk memastikan apa yang kita hendak itu boleh tercapai. Cuma kita tahu yang apa-apa sahaja usaha kita itu tidak akan berjaya jikalau Allah ﷻ tidak izinkan dan kerana itu kita serah kepada Allah ﷻ.

 

مّا مِن دابَّةٍ إِلّا هُوَ ءآخِذٌ بِناصِيَتِها

Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya. 

Allah ﷻ menguasai segala makhluk. Maksud pegang ubun-ubun adalah kiasan kepada ‘menguasai’. Seolah-olah Allah ﷻ pegang kepala mereka dan boleh gerakkan mengikut arah mana yang Allah ﷻ hendak arahkan. Oleh itu, kalau mereka hendak buat apa-apa pun, tetapi kalau Allah ﷻ tidak izinkan, ia tidak akan terjadi.

Di ayat ini disebut ناصية, yang bermaksud ubun-ubun. Ertinya puncak kepala kita, yang menguasai seluruh badan kita ialah ubun-ubun. Maka ubun-ubun itulah yang dikuasai dan dipegang oleh Tuhan, sehingga tidak satu pun yang melata di atas bumi ini yang mampu keluar daripada apa yang telah ditentukan oleh Tuhan. Sebab itu lebih baiklah patuh daripada melawan.

 

إِنَّ رَبّي عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus”.

Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yakin bahawa jalan Tuhan itu lurus; صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ, iaitu dalam jalan itu yang benar mesti menang dan yang batil pasti hancur. Kalau bukan begitu bukanlah itu jalan Tuhan.

Oleh kerana Allah ﷻ berada atas jalan yang lurus, maka kita kenalah ikut jalan yang lurus. Jalan yang lurus itu adalah dengan hanya menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah ﷻ mengikut apa yang diajar dalam wahyu. Bagi kita sekarang hendaklah kita menentukan mana satu jalan yang benar dan lurus, dan mana satukah jalan yang bengkang bengkok. Ini tentunya memerlukan pembelajaran dan penelitian menggunakan akal yang sihat dan waras.


 

Hud Ayat 57:

فَإِن تَوَلَّوا فَقَد أَبلَغتُكُم مّا أُرسِلتُ بِهِ إِلَيكُم ۚ وَيَستَخلِفُ رَبّي قَومًا غَيرَكُم وَلا تَضُرّونَهُ شَيئًا ۚ إِنَّ رَبّي عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ حَفيظٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they turn away, [say], “I have already conveyed that with which I was sent to you. My Lord will give succession to a people other than you, and you will not harm Him at all. Indeed my Lord is, over all things, Guardian.”

(MALAY)

Jika mereka berpaling, maka sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu apa (amanat) yang aku diutus (untuk menyampaikan)nya kepadamu. Dan Tuhanku akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain (dari) kamu; dan kamu tidak dapat membuat mudharat kepada-Nya sedikit pun. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pemelihara segala sesuatu.

 

فَإِن تَوَلَّوا فَقَد أَبلَغتُكُم مّا أُرسِلتُ بِهِ إِلَيكُم

Jika mereka berpaling, (maka katakanlah): maka sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu apa (amanat) yang aku diutus (untuk menyampaikan)nya kepadamu. 

Ini adalah suruhan Allah ﷻ kepada Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalau mereka masih berpaling juga daripada ajakan tauhid selepas baginda memberikan segala hujah kepada mereka dengan membawakan dalil-dalil yang jelas nyata, maka katakanlah sahaja kepada mereka: “Aku telah sampaikan apa yang aku kena sampaikan.”

Maksudnya jelas yang baginda hanya boleh sampaikan sahaja dakwah dan ajaran agama, tetapi tidak boleh paksa hati mereka untuk beriman. Baginda disuruh memberitahu yang baginda telah menjalankan tugas baginda untuk menyampaikan.

 

وَيَستَخلِفُ رَبّي قَومًا غَيرَكُم

Dan Tuhanku akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain (dari) kamu; 

Allah ﷻ akan gantikan mereka dengan kaum lain. Kalau mereka tidak mahu beriman, Allah ﷻ akan gantikan mereka dengan kaum yang mahu beriman nanti. Itu senang sahaja bagi Allah ﷻ. Maka jangan mereka sangka mereka hebat sangat sampaikan mereka sangka mereka kekal selama-lamanya. Mereka tidak akan kekal lama, lambat laun akan mati juga. Namun Allah ﷻ boleh matikan mereka terus dan ganti mereka dengan kaum yang lain yang mahu beriman.

 

وَلا تَضُرّونَهُ شَيئًا

dan kamu tidak dapat membuat mudharat kepada-Nya sedikit pun.

Mereka tidak dapat membahayakan Allah ﷻ sedikit pun dengan syirik mereka itu. Allah ﷻ tidak memerlukan mereka beriman. Segala perbuatan mereka tidak memberi kesan kepada Allah ﷻ. Kalau semua makhluk di dalam dunia ini tidak beriman maka ia tidak mengurangkan kuasa Allah ﷻ dan sekiranya semua makhluk di dunia ini beriman pun tidak menambah kehebatan Allah ﷻ. Mereka boleh buat apa sahaja yang mereka mahu tetapi Allah ﷻ mahu mereka beriman dan tidak redha dengan kesyirikan mereka.

Mereka mungkin sangka dengan mereka tidak beriman dengan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu menyebabkan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ rugi atau menyebabkan Allah ﷻ rugi; akan tetapi Allah ﷻ hendak menekankan bahawa Allah ﷻ tidak terkesan langsung dengan kesyirikan yang mereka lakukan itu. Sebaliknya merekalah yang akan rugi nanti dan mereka tidak mengetahui perkara itu kerana mereka jahil.

 

إِنَّ رَبّي عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ حَفيظٌ

Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pemelihara segala sesuatu.

Pemelihara di sini ertinya ialah tidak ada barang sesuatu pun yang dilakukan oleh makhluk yang terlepas daripada tilikan dan penjagaan Tuhan. Janganlah orang yang kafir yang menderhaka menyangka bahawa mereka akan lepas daripada tilikan Tuhan. Dia selalu menilik, Dia selalu memperhatikan, tidaklah ada sesuatu pun amal perbuatanmu yang terlepas daripada penjagaan-Nya. Jika kamu menyeleweng dari jalan Tuhan itu, kamu pasti sengsara. Jika kamu sengaja menentang Tuhan, yang akan kalah ialah kamu. Namun Tuhan tetap menang dan perkasa.

Allah ﷻ maha menjaga segala sesuatu. Maka Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki kerana semua makhluk adalah dalam jagaan-Nya. Kalau Allah ﷻ hendak tukar mereka dengan kaum lain, malah dengan makhluk lain pun, Allah ﷻ boleh lakukan.

Allah ﷻ menjaga dan merekod segala amalan-amalan manusia. Maka bagi orang yang beramal soleh akan bergembira kerana mereka tahu yang segala amal-amal kebaikan mereka akan dibalas dengan pahala. Akan tetapi ia menjadi bala kepada orang-orang yang tidak taat kerana segala dosa-dosa mereka dicatatkan dan mereka akan dibalas dengan azab di akhirat kelak.


 

AZAB YANG DIKENAKAN

Hud Ayat 58: Ini adalah apabila azab dunia dikenakan kepada kaum Aad itu.

وَلَمّا جاءَ أَمرُنا نَجَّينا هودًا وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِّنّا وَنَجَّينٰهُم مِّن عَذابٍ غَليظٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Our command came, We saved Hūd and those who believed with him, by mercy from Us; and We saved them from a harsh punishment.

(MALAY)

Dan tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Hud dan orang-orang yang beriman bersama dia dengan rahmat dari Kami; dan Kami selamatkan (pula) mereka (di akhirat) dari azab yang berat.

 

وَلَمّا جاءَ أَمرُنا

Dan tatkala datang azab Kami,

Akhirnya Allah ‎ﷻ telah memberi azab kepada Kaum Aad itu yang menghancurkan mereka semua sekali. Ini adalah Sunnatullah di mana apabila umat menentang Allah ﷻ dan juga Rasul mereka, maka mereka dikenakan dengan azab seperti banyak diceritakan di dalam Al-Qur’an tentang umat-umat yang terdahulu. Ia diberitahu kepada kita sebagai takhwif duniawi (penakutan dengan azab dunia) supaya kita tidak mengikut jejak langkah mereka dan supaya kita taat kepada ajaran Allah ﷻ dan Rasul.

Di dalam ayat ini tidak disebut apakah azab yang dikenakan kepada kaum itu tetapi disebut di dalam ayat-ayat yang lain. Kerana itulah Al-Qur’an ini tidak boleh difahami kalau melihat satu ayat sahaja tetapi hendaklah rujuk kepada ayat-ayat yang lain barulah kita boleh faham. Kerana itulah kena belajar keseluruhan tafsir Al-Qur’an 30 juzuk.

Azab itu dalam bentuk angin yang sangat kuat yang menyebabkan mereka semua jatuh dan mati kerana sejuk sangat. Ini disebut di dalam beberapa ayat yang melengkapkan kisah azab itu. Lihat Fussilat:16

فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا صَرصَرًا في أَيّامٍ نَّحِساتٍ لِّنُذيقَهُم عَذابَ الخِزيِ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا
Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia;

Maka di sini kita tahu mereka dikenakan azab angin ribut dalam beberapa hari. Berapakah hari itu disebut di dalam ayat lain iaitu Haqqah: 6-8

وَأَمّا عادٌ فَأُهلِكوا بِريحٍ صَرصَرٍ عاتِيَةٍ
Adapun kaum ‘Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang,

سَخَّرَها عَلَيهِم سَبعَ لَيالٍ وَثَمٰنِيَةَ أَيّامٍ حُسومًا فَتَرَى القَومَ فيها صَرعىٰ كَأَنَّهُم أَعجازُ نَخلٍ خاوِيَةٍ
yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus; maka kamu lihat kaum ‘Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk).

فَهَل تَرىٰ لَهُم مِن باقِيَةٍ
Maka kamu tidak melihat seorang pun yang tinggal di antara mereka.

Maka kita dapat maklumat tambahan yang angin itu berpusing selama tujuh malam dan lapan hari. Ia telah menghancurkan mereka sampaikan tidak ada kesan lagi. Kalau hendak mencari mayat mereka pun tidak jumpa kerana tidak ada kesan. Namun bagaimana dengan rumah-rumah mereka? Ia dibiarkan selamat seperti disebut dalam Ahqaf: 24-25

فَلَمّا رَأَوهُ عارِضًا مُّستَقبِلَ أَودِيَتِهِم قالوا هٰذا عارِضٌ مُّمطِرُنا ۚ بَل هُوَ مَا استَعجَلتُم بِهِ ۖ ريحٌ فيها عَذابٌ أَليمٌ
Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيءٍ بِأَمرِ رَبِّها فَأَصبَحوا لا يُرىٰ إِلّا مَسٰكِنُهُم ۚ كَذٰلِكَ نَجزِي القَومَ المُجرِمينَ
“Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya”. (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah) – tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.

 

نَجَّينا هودًا وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِّنّا

Kami selamatkan Hud dan orang-orang yang beriman bersama dia dengan rahmat dari Kami;

Namun sebelum azab itu sampai, Allah ﷻ telah menyelamatkan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mereka yang beriman dengan rahmat khas daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ suruh mereka keluar dahulu dari kawasan itu. Begitulah selalunya yang dilakukan kepada orang beriman di tempat-tempat azab akan dikenakan.

Mereka itu diselamatkan bukannya kerana mereka solat dan berpuasa, tetapi Allah ﷻ beritahu بِرَحمَةٍ مِّنّا (dengan rahmat daripada Kami). Hanya kerana rahmat Allah ﷻ sahaja mereka selamat. Iaitu kerana kasih sayang Allah ﷻ. Kerana itu kita kena berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Untuk masuk ke dalam syurga pun bukannya bergantung kepada ibadah solat dan puasa kita, tetapi bergantung kepada rahmat Allah ﷻ juga. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah ﷻ.”
(Riwayat Muslim (5042))

 

وَنَجَّينٰهُم مِّن عَذابٍ غَليظٍ

dan Kami selamatkan (pula) mereka (di akhirat) dari azab yang berat.

Ini pula tentang azab di akhirat kerana azab dunia telah disebut di atas tadi. Bukan sahaja mereka selamat daripada azab di dunia itu, malah mereka yang beriman akan selamat daripada azab di akhirat kelak kerana mereka sanggup beriman walaupun kaum mereka tidak mahu beriman. Allah ﷻ tekankan yang azab di akhirat itu adalah lebih berat lagi.


Hud Ayat 59:

وَتِلكَ عادٌ ۖ جَحَدوا بِئآيٰتِ رَبِّهِم وَعَصَوا رُسُلَهُ وَاتَّبَعوا أَمرَ كُلِّ جَبّارٍ عَنيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that was ‘Aad, who rejected the signs of their Lord and disobeyed His messengers and followed the order of every obstinate tyrant.

(MALAY)

Dan itulah (kisah) kaum ‘Ad yang mengingkari tanda-tanda kekuasaan Tuhan mereka, dan mendurhakai rasul-rasul Allah dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi menentang (kebenaran).

وَتِلكَ عادٌ

Dan itulah (kisah) kaum ‘Aad

Selesailah sudah kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kaum Aad itu. Allah ﷻ ajarkan kepada Nabi ﷺ supaya memberi pengajaran kepada kaum baginda pula dan kepada kita. Kisah mereka ini sangat penting sampaikan disebut berkali kali di dalam Al-Qu’ran.

جَحَدوا بِئآيٰتِ رَبِّهِم

yang mengingkari tanda-tanda kekuasaan Tuhan mereka, 

Mereka menentang ayat-ayat Tuhan kerana degil. Mereka melawan dan berhujah untuk menolak ayat-ayat Allah ﷻ dalam bentuk wahyu yang jelas. Sedangkan wahyu itu telah disampaikan oleh rasul mereka sendiri dengan begitu jelas akan tetapi mereka tetap juga hendak menolak. Bagaimana pula dengan orang kita?

Ada antara orang kita yang menolak ayat-ayat Allah ﷻ walaupun telah disampaikan kepada mereka hanya kerana mereka tidak pernah dengar dan tidak faham disebabkan mereka tidak pernah belajar tafsir Al-Qur’an. Maka mereka itu tidaklah banyak bezanya dengan kaum-kaum yang telah disebut sebelum ini yang menolak wahyu yang disampaikan oleh Allah ﷻ melalui rasul mereka. Ini seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ] ia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: ” Barangsiapa mentaatiku maka dia telah taat kepada Allah ﷻ dan barangsiapa derhaka kepadaku maka dia telah derhaka kepada Allah ﷻ.”
(Sahih Bukhari (3))

وَعَصَوا رُسُلَهُ

dan mendurhakai rasul-rasul Allah

Mereka menderhakai rasul-rasul mereka. Kalau dalam kisah yang kita telah baca tadi, hanya disebut Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja, bukan? Kenapa Allah ﷻ sebut ‘rasul-rasul’? Ini adalah kerana kalau mereka tolak satu rasul sahaja, bermakna mereka telah tolak semua rasul. Ini adalah kerana semua Rasul membawa mesej yang sama, iaitu mesej Tauhid.

Apabila disebut tentang Rasul, maka ia bermaksud mereka menolak ajaran yang disampaikan oleh Rasul mereka berkenaan dengan cara hidup, cara ibadah, cara bermasyarakat dan lain-lain lagi. Inilah ilmu-ilmu Sunnah yang disampaikan kepada manusia untuk diamalkan di dalam segenap kehidupan. Akan tetapi ini juga ramai yang tidak tahu, maka mereka juga mengamalkan kehidupan mereka ikut kehendak dan nafsu mereka sendiri.

Di dalam beribadah pula ramai yang reka amalan-amalan yang baru kerana mereka tidak tahu bahawa itu adalah amalan-amalan yang bid’ah dan Allah ﷻ dan rasul telah melarang daripada melakukan perkara bid’ah dalam urusan agama. Semua yang berlaku ini adalah kerana jahil tentang agama terutama sekali jahil tentang ilmu wahyu. Maka kerana itu kita sarankan kepada masyarakat untuk meluangkan masa untuk belajar terutama sekali di dengan ustaz-ustaz yang Sunnah.

Memang telah banyak berlaku kekeliruan di dalam masyarakat kita tentang agama kerana budaya ilmu amat jauh daripada masyarakat kita sekian lama. Ramai yang hanya ikut-ikut sahaja apa yang disampaikan oleh orang tanpa usul periksa dengan kesahihan wahyu. Oleh kerana itu apabila ada asatizah Sunnah yang menyampaikan ilmu yang benar, maka masyarakat menolak kerana mereka tidak pernah mendengarnya daripada ustaz-ustaz mereka selama ini. Memang manusia akan memusuhi perkara yang mereka tidak tahu.

Ramai juga yang takut hendak menolak apa-apa yang disampaikan oleh ustaz mereka kerana mereka sangka kalau ustaz yang cakap, tentulah benar. Akan tetapi ini bukanlah cara beragama kerana kita telah diberikan dengan akal untuk menilai mana yang benar dan mana yang tidak. Maka jikalau ada persoalan tentang apa yang diajar oleh ustaz maka kita boleh bertanya dan kita juga boleh tolak kalau ia tidak sesuai dengan wahyu. Ini seperti kata Imam Malik رَحِمَهُ اللَّهُ.

ليس أحد بعد النبي صلى الله عليه وسلم إلا ويؤخذ من قوله ويترك إلا النبي صل الله عليه وسلم
“Dan tidak ada seorang pun sesudah Nabi ﷺ melainkan diambil perkataannya dan ditinggalkan, kecuali Nabi ﷺ.”

Maknanya selagi sesuatu ilmu agama itu berdasarkan kata-kata manusia, kita boleh tolak jikalau ia tidak benar. Jangan kita terus sahaja terima kata-kata orang hanya kerana dia itu dipanggil ‘ustaz’.

وَاتَّبَعوا أَمرَ كُلِّ جَبّارٍ عَنيدٍ

dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi menentang

Mereka mengikut perintah semua mereka yang ganas lagi degil. Mereka ikut arahan ketua mereka yang ganas dan degil. Ganas maksudnya tidak ada kasihan belas kepada makhluk.

Degil itu maksudnya tidak menghormati dan mengesakan Allah ‎ﷻ. Itulah maksud عَنيدٍ, iaitu menolak kebenaran walaupun sudah jelas kebenaran itu – maknanya mereka degil.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Insyiqaq Ayat 16 – 25 (Fasa kehidupan)

Insyiqaq Ayat 16: Ayat 16 – 19 adalah Perenggan Makro Ketiga. Kita belajar bagaimana manusia seperti juga bulan akan melalui fasa-fasa dalam kehidupannya. Maka kena berjaga-jagalah semoga pengakhiran hidup kita adalah dalam husnul khatimah.

Dalam ayat 16 ini Allah ﷻ bersumpah tentang keadaan hari kiamat.

فَلا أُقسِمُ بِالشَّفَقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So I swear by the twilight glow

(MALAY)

Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah di waktu senja,

 

Kalimah فَلا dinamakan fa fasihah. Setelah diterangkan semua ayat-ayat dan disentuh berbagai perkara sebelum ini, sekarang adalah kesimpulan kepada perkara-perkara itu. Allah ﷻ hendak terangkan perkara yang amat penting, maka Allah ﷻ gunakan qosam (sumpah) untuk memberi penekanan itu.

Kalimah فَلا boleh ditafsirkan sebagai: “maka, tidaklah.” Iaitu tidaklah benar sangkaan mereka tentang agama, tentang tidak ada kehidupan selepas kematian. Fahaman mereka itu salah maka mereka kena tinggalkan fahaman salah mereka itu. Janganlah lagi ditipu oleh hawa nafsu dan syaitan. Janganlah lagi ada pemahaman sebegitu.

Seperti yang kita telah sebut, Allah ﷻ bersumpah dalam ayat ini. Allah ﷻ bersumpah demi mega merah apabila matahari telah terbenam. Inilah waktu Maghrib.

Dalam ayat-ayat lain dan surah-surah lain, selalunya sumpah yang dimulai dengan kalimat فَلا أُقسِمُ digunakan untuk Al-Qur’an. Maknanya, selepas digunakan lafaz ini, ayat-ayat seterusnya adalah tentang Al-Qur’an. Akan tetapi tidak dalam surah ini. Cuma akhir nanti di hujung surah ini baru akan berjumpa dengan isyarat kepada Al-Qur’an.


 

Insyiqaq Ayat 17: Sumpah yang kedua.

وَاللَّيلِ وَما وَسَقَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the night and what it envelops

(MALAY)

dan dengan malam dan apa yang diselubunginya,

 

Dan demi malam dan apa yang ditutupinya. Apabila malam datang, ia menyeliputi semuanya. Dalam ayat sebelum ini, disebut tentang waktu senja mega merah, iaitu dalam waktu Maghrib. Sekarang sudah masuk ke waktu malam yang semakin menggelap. Jadi ada kenaikan dari mega merah ke malam yang gelap.


 

Insyiqaq Ayat 18: Sekarang waktu semakin menaik lagi. Dari maghrib – malam gelap – keluar bulan.

وَالقَمَرِ إِذَا اتَّسَقَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the moon when it becomes full

(MALAY)

dan dengan bulan apabila jadi purnama,

 

Dan bulan apabila menjadi purnama (اتَّسَقَ). Allah ﷻ menunjukkan proses alam di mana ianya beransur-ansur berubah. Dari siang masuk ke malam. Dari bulan sabit ke bulan penuh. Kita boleh lihat sendiri dengan mata kita, bagaimana alam ini melalui banyak peringkat.

Ianya sentiasa berubah dari satu keadaan ke satu keadaan lain. Begitulah juga manusia. Terus bergerak ke hadapan, dari asal muda semakin jadi tua. Tidak ada yang terus kekal muda walaupun berbagai cara mereka gunakan untuk kekal muda.


 

Insyiqaq Ayat 19: Apabila ada qosam (sumpah) selalunya akan ada jawabul qosam (jawapan kepada sumpah). Kalau manusia bersumpah pun, ada benda yang hendak ditekankan. Sebagai contoh, seseorang bersumpah: “Demi Allah, aku tak curi barang itu!” Jadi apakah yang hendak Allah ﷻ tekankan?

لَتَركَبُنَّ طَبَقًا عَن طَبَقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[That] you will surely embark upon [i.e., experience] state after state.¹

  • i.e., various stages, both in this life and in the Hereafter.

(MALAY)

sesungguhnya kamu pasti melalui tingkat demi tingkat (dalam kehidupan),

 

Kita sebagai manusia melalui banyak peringkat. Dalam sumpah sebelum ini pun telah diberikan isyarat bagaimana perubahan alam berubah dari satu peringkat ke peringkat yang lain. Oleh itu, ingatlah yang hidup ini tidak kekal – sentiasa ada perubahan dan akhirnya akan berhenti (mati).

Kalimah لَتَركَبُنَّ dari ركب yang bermaksud menaiki – macam naik kuda. Oleh itu, kita dengan kehidupan ini seperti kita duduk atas eskalator, sama ada kita mahu atau tidak, ianya akan berubah juga. Lihatlah kita dahulu bermula dari perut ibu, kemudian keluar ke dunia semasa kelahiran, kita mula dengan merangkak, akhirnya dapat berjalan, mula belajar bercakap, meningkat dewasa, bekerja, berkeluarga dan terus umur meningkat sehingga akhirnya sampai tidak boleh berdiri tegak.

Semua ini tidak dapat dihalang. Dan pasti, akhirnya kita akan mati dan bertemu Tuhan dan kena berdiri depan Allah ﷻ untuk dipertanggungjawabkan atas segala amalan dan perbuatan kita di dunia ini.

Kalimah طَبَقًا itu boleh diterjemahkan sebagai ‘fasa’ kehidupan. Oleh itu, kita boleh katakan yang kehidupan kita menempuh berbagai-bagai fasa kehidupan. Fasa kanak-kanak, fasa persekolahan, fasa dewasa, pekerjaan, perkahwinan, keluarga, fasa tua sebelum mati. Dan dalam setiap fasa kehidupan itu, ramai dari manusia yang leka dengan fasanya.

Sebagai contoh, semasa fasa persekolahan, sibuk dengan sekolah; semasa fasa pekerjaan, sibuk dengan kerjaya; kemudian sibuk dengan keluarga. Kalau kita tidak sedar dan prihatin dengan agama dan dengan akhirat, kita boleh tenggelam dalam fasa-fasa itu dengan segala keindahan dan kesibukannya.

Atau kalimah طَبَقًا itu juga boleh bermaksud keadaan demi keadaan di akhirat. Bermula dengan kematian, masuk dalam kubur (alam barzakh), mahsyar, Titian Sirat, Syurga atau Neraka.

Dari segi bahasa, kalimah طَبَقًا itu bermaksud ‘lapisan’. Seolah-olah membayangkan seseorang menaiki satu lapisan sebagai kenderaan. Kerana itu dahulu ada lagenda kononnya ada karpet terbang. Tapi sebenarnya Allah menyebut tentang kapalterbang yang akan dinaiki oleh manusia 1,400 tahun dahulu yang tidak pernah dapat difikirkan oleh umat manusia zaman itu. Jadi takkanlah ia tulisan manusia? Ini adalah salah satu mukjizat Al-Qur’an yang menceritakan apa yang akan berlaku di masa hadapan.


 

Insyiqaq Ayat 20: Ayat 20 – 25 adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Allah ﷻ suruh kita ambil peduli dengan Al-Qur’an. Mengabaikannya akan menyebabkan penyesalan dan menerima azab yang pedih.

Sebelum ini telah disebut tentang fasa-fasa kehidupan kita sebagai manusia. Apakah peringatan atau teguran dari Allah ﷻ tentang perkara ini?

فَما لَهُم لا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So what is [the matter] with them [that] they do not believe,

(MALAY)

Mengapa mereka tidak mahu beriman?

 

Kenapakah ramai manusia tidak beriman? Setelah diberikan dengan segala keperluan dalam kehidupan ini, maka kenapa manusia tidak mahu beriman?

Allah ﷻ telah jawab sebenarnya dalam surah sebelum ini: hati mereka telah ditutup dari beriman kerana dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa dan tidak bertaubat dari dosa-dosa itu, maka hati mereka telah dipenuhi dengan karat dari dosa yang mereka telah lakukan. Ini telah disebut dalam Mutaffifeen:14

كَلّا ۖ بَل ۜ رانَ عَلىٰ قُلوبِهِم ما كانوا يَكسِبونَ

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.


 

Insyiqaq Ayat 21:

وَإِذا قُرِئَ عَلَيهِمُ القُرآنُ لا يَسجُدونَ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the Qur’ān is recited to them, they do not prostrate [to Allāh]?

(MALAY)

dan apabila Al-Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka tidak bersujud,

 

Apabila dibacakan Al-Qur’an, mereka tidak sujud pun. Kita kena faham yang orang Arab biasanya akan sujud kalau sesuatu itu menakjubkan mereka. Dalam Al-Qur’an pun ada disebut tentang perkara ini. Sebagai contoh, ada kisah bagaimana bulan sujud kepada Nabi Yusuf عليه السلام. Begitu juga dengan kisah para ahli sihir yang sujud kepada Allah ﷻ setelah mereka kalah dengan Nabi Musa عليه السلام.

Pernah ada satu kejadian di mana Rasulullah ﷺ membacakan Surah an-Najm kepada Musyrikin Mekah. Apabila tamat membaca surah itu, baginda pun sujud dan Musyrikin Mekah pun secara automatik pun sujud juga! Juga ada kisah bagaimana ada penyair yang sujud kepada penyair yang hebat kerana terpesona dengan syair sampaikan syair yang ditulis itu digantung ke Kaabah.

Jadi ini adalah kebiasaan manusia terutama sekali bangsa Arab. Akan tetapi Allah ﷻ tegur mereka dalam ayat ini, kenapa mereka tidak sujud dan taat kepada Al-Qur’an? Mereka masih juga degil tidak mahu ikut panduan yang diberikan dalam Al-Qur’an walaupun mereka tahu yang Al-Qur’an itu bukanlah kata-kata biasa.

Ramai dari mereka pun sudah terpesona dan sedikit sebanyak sudah yakin yang Al-Qur’an itu bukan tulisan Nabi Muhammad ﷺ tetapi datang dari Allah ﷻ. Akan tetapi, mereka tahan diri mereka kerana degil. Hanya orang beriman sahaja yang sujud dan taat kepada ayat-ayat Al-Qur’an. Sedangkan Musyrikin Mekah berusaha untuk tidak dengar bacaan Al-Qur’an dengan tutup telinga dengan jari dan dengan kapas, tahan orang lain dari dengar bacaan Al-Qur’an, buat bising supaya tenggelam bunyi Al-Qur’an dan sebagainya.

Oleh kerana mereka tahan diri mereka, nanti Allah ﷻ akan hijabkan diriNya dari mereka seperti disebut dalam surah sebelum ini.

Nota: ini adalah salah satu dari ayat tilawah. Oleh itu disunatkan untuk kita sujud selepasnya membacanya, sama ada dalam solat atau di luar solat.


 

Insyiqaq Ayat 22:

بَلِ الَّذينَ كَفَروا يُكَذِّبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who have disbelieved deny,

(MALAY)

bahkan orang-orang kafir itu mendustakan(nya).

 

Mereka sepatutnya sujud dan taat kepada Al-Qur’an, tetapi sebaliknya mereka mendustakan Nabi ﷺ dan apa yang dibawanya. Maksud ‘mendustakan’ adalah mereka kata Nabi ﷺ berdusta dalam menyampaikan wahyu. Sedangkan dalam hati mereka, mereka tahu yang ianya benar, tetapi mereka dustakan juga kerana mereka degil.

Kalimah takzib (pendustaan) telah disebut banyak kali dalam surah-surah Juz Amma sebelum ini. Allah ﷻ ulangi kerana beratnya perbuatan mereka itu.


 

Insyiqaq Ayat 23: Ayat takhwif ukhrawi.

وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما يوعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh is most knowing of what they keep within themselves.

(MALAY)

Padahal Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan.

 

Allah ﷻ maha tahu apa yang ada dalam hati mereka.

Dan kalimah يوعونَ dari katadasar و ع ي  yang bermaksud ‘kumpul dan simpan’. Contohnya kutip batu dan simpan dalam bag plastik. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kumpul dosa. Ini bermaksud Allah ﷻ lebih mengetahui apa yang mereka kumpulkan (dari amal baik dan amal buruk).

Mereka kumpul segala dosa mereka. Mereka himpun banyak-banyak untuk dibawa ke akhirat. Memang mereka sendiri tahu apa yang mereka buat tetapi Allah ﷻ lebih tahu. Kerana manusia selalunya lupa apa yang mereka telah lakukan, tetapi Allah ﷻ takkan lupa.


 

Insyiqaq Ayat 24: Kena beritahu kepada mereka, kesan kalau tidak mahu bertaubat juga.

فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So give them tidings of a painful punishment,

(MALAY)

Maka beri khabar gembiralah mereka dengan azab yang pedih,

 

Berilah kepada mereka ‘berita baik’ tentang azab yang pedih. Tentulah tidak ada berita baik bagi mereka, jadi ini adalah sebagai ayat sinis kepada mereka.

Pada permulaan surah ini telah disebut tentang langit dipecahkan. Allah ﷻ suruh beritahu mereka semasa langit dipecahkan itu, berilah ‘berita gembira’ kepada mereka dengan azab. Kalau tetap degil untuk menerima kebenaran, maka tunggulah ‘berita gembira’ itu nanti.


 

Insyiqaq Ayat 25: Ayat tabshir. Siapakah yang akan selamat pada Hari Kiamat dan Akhirat nanti?

إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ لَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for those who believe and do righteous deeds. For them is a reward uninterrupted.

(MALAY)

tetapi orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka pahala yang tidak putus-putusnya.

 

Semua akan rugi kecuali orang-orang yang beramal soleh. Maka mereka akan mendapat balasan baik yang tidak putus-putus. Ini menunjukkan ada harapan lagi kepada manusia jika mereka mahu mengubah diri mereka. Mereka kena bertaubat dari akidah yang salah dan perbaiki amalan mereka. Banyak dari kalangan Musyrikin Mekah itu yang akhirnya masuk Islam, walaupun pada awal Islam, ada antara mereka yang memerangi Nabi ﷺ dan para sahabat.

Bagi mereka, أَجرٌ غَيرُ مَمنونٍ yang bermaksud: kalau mereka ditakdirkan masuk syurga, mereka tidak akan keluar lagi selama-lamanya. Mereka akan kekal dalam syurga. Mereka tidak akan berhenti dari menerima nikmat.

Maka, ayat ini adalah sebagai ajakan kepada Musyrikin Mekah dan mereka yang selama ini tidak beriman, untuk mula mengubah keadaan diri mereka. Jangan lagi degil, tetapi bacalah ayat-ayat Al-Qur’an ini dengan mata hati supaya dapat mengambil pengajaran darinya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Burooj

Kemaskini: 17 Jun 2023


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Hud Ayat 52 – 54 (Istighfar akan memberi kekayaan)

Hud Ayat 52:

وَيٰقَومِ استَغفِروا رَبَّكُم ثُمَّ توبوا إِلَيهِ يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِّدرارًا وَيَزِدكُم قُوَّةً إِلىٰ قُوَّتِكُم وَلا تَتَوَلَّوا مُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And O my people, ask forgiveness of your Lord and then repent to Him. He will send [rain from] the sky upon you in showers and increase you in strength [added] to your strength. And do not turn away, [being] criminals.”

(MALAY)

Dan (dia berkata): “Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa”.

 

وَيٰقَومِ استَغفِروا رَبَّكُم

Dan (dia berkata): “Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu

Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar umatnya, hendaklah mereka istighfar akan tetapi tidak disebut apakah dosa mereka. Akan tetapi daripada ayat-ayat yang lain kita dapat tahu yang dosa mereka adalah menyembah ilah selain Allah ﷻ. Ini adalah dosa yang paling besar. Segala amalan baik ada musnah begitu sahaja jika ada mengamalkan syirik seperti disebut di dalam Zumar: 65

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi daripada orang-orang yang rugi.

Tambahan pula dosa syirik itu adalah kezaliman yang paling besar seperti disebut di dalam Luqman:13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Maka mereka disuruh oleh Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk istighfar dan tinggalkan fahaman dan amalan syirik yang mereka telah lakukan selama ini. Mereka hendaklah meminta maaf tulus daripada hati yang dalam, disebut dengan lidah dan mereka juga mesti berhenti daripada fahaman syirik itu. Maka jangan sebut sahaja istighfar dengan mulut tetapi amalan salah masih dilakukan lagi.

Ini banyak dilakukan oleh masyarakat sekarang. Selalu sahaja istighfar, tetapi amalan syirik dan bid’ah masih lagi dilakukan. Ini adalah kerana tidak belajar sahaja. Mereka sendiri pun tidak sangka yang mereka sedang melakukan amalan-amalan syirik kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Amat malang sekali kerana penjelasan tentang tauhid dan syirik banyak disebut di dalam Al-Qur’an dan jikalau kita tidak mahir tafsir Al-Qur’an tentulah kita tidak akan tahu akan kesalahan-kesalahan syirik yang kita lakukan.

‘Istighfar’ bermaksud kita meminta ampun kepada kesalahan yang ‘telah lalu‘ yang kita telah lakukan. Yang masa depan kita tidak tahu lagi, tetapi kita minta ampun daripada kesalahan lalu yang telah dilakukan. Kena menyesal atas perbuatan dosa kita sebelum ini.

Di dalam ayat sebelum ini Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengajak kaumnya untuk beribadat hanya kepada Allah ﷻ dan sekarang disuruh untuk meminta ampun atas kesalahan dosa mereka yang lalu. Ini adalah kerana dosa adalah penghalang kepada ibadah. Kalau ada banyak dosa, kita akan susah untuk melakukan ibadah. Ini kerana ada titik-titik hitam dalam diri kita. Ini disebut dalam hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih, namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (Muthafifin:14).
(Sunan Ibn Majah (4234))
Status: Hasan


Sekiranya ada dosa syirik lagi, maka amalan ibadah apa pun tidak berguna kerana tidak diberikan pahala kepada pelakunya. Maka kena minta ampun atas dosa syirik supaya pahala-pahala dapat dikumpul.

Di dalam ayat ini digunakan استَغفِروا رَبَّكُم dan bukannya استَغفِروا اللهَ sedangkan ia membawa maksud yang lebih kurang sama, bukan? Kerana di sini Nabi عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ Hud hendak menekankan sifat ‘Rabb’ Allah ﷻ yang mengingatkan mereka bahawa Dia lah yang telah mencipta mereka dan memberi segala keperluan hidup mereka dan menjaga mereka. Maka ini mengajar kepada kita sebagai manusia untuk mengenang jasa Allah ﷻ. Manusia sepatutnya ada perasaan berterima kasih dan mengenang jasa yang telah membantu kita maka itulah efek yang hendak ditekankan di sini.

 

ثُمَّ توبوا إِلَيهِ

lalu bertaubatlah kepada-Nya, 

Setelah mereka istighfar, kemudian hendaklah mereka bertaubat. Mereka mesti menyesal kerana ada akidah syirik yang lama dan hendaklah mereka kembali kepada Allah ﷻ. Kembali dapatkan fahaman yang benar dan amalan yang benar kerana ‘taubat’ itu maksudnya ‘kembali’. Kembali amalkan Tauhid.

Kalau kita dapat bayangkan sedang memandu, tiba-tiba kita perasan yang kita berada atas salah jalan, maka kita ‘u-turn’ untuk kembali ikut jalan yang betul. Begitu jugalah dengan fahaman akidah. Kalau selepas kita belajar baru tahu yang fahaman yang kita ada selama hari ini adalah salah, maka tinggalkan fahaman itu dan ikutlah fahaman yang benar.

Sebelum ini telah disebut tentang istighfar dan dan sekarang tentang taubat pula. Bertaubat itu pula bermaksud sedar tentang kesalahan yang ‘sedang’ kita lakukan dan berazam untuk tidak akan buat lagi dosa yang kita telah buat. Bukan itu sahaja, kita hendaklah mengubah cara hidup kita selepas bertaubat itu. Ini adalah kerana, daripada lafaz ‘taubat’ itu, ia membawa maksud ‘kembali’. Iaitu kembali ke pangkal jalan seperti telah disebut di atas. Maka dalam hal itu, kita kena ‘kembali’ ke jalan yang benar. Begitu jugalah dengan ‘taubat’. Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
(Riwayat Ibn Majah (4392))
Status: Hasan


Selalu kita sangka ‘istighfar’ dan ‘taubat’ adalah perkara yang sama. Akan tetapi Allah ﷻ meletakkan kedua-duanya dalam ayat ini, yang bermaksud yang keduanya berbeza. Ini adalah salah satu daripada peraturan Al-Qur’an: jikalau Allah ﷻ letakkan dua perkataan itu sekali dalam satu ayat, bermaksud ia tidak sama. Tentu ada perbezaan antara keduanya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘istighfar’ dulu sebelum ‘taubat’. Maka, ini memberi isyarat bahawa kita kena istighfar dulu. Berapa kali kita kena bertaubat? Lakukanlah sebanyak mungkin, akan tetapi sekurang-kurangnya seratus kali sehari. Ini kerana Ibnu Umar رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya, di dalam satu hari sebanyak 100 kali.
(Sahih Muslim No. 2702)


Kenapa pula Rasulullah ﷺ bertaubat sedangkan baginda tidak ada dosa? Kerana hendak menjadi contoh bagi kita kerana bukanlah baginda itu contoh bagi kita?

‘Istighfar’ itu adalah kita sedar bahawa kita sudah bersalah, kita sudah banyak buat dosa. Kita menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat selama ini. Kemudian, setelah kita istighfar, barulah kita bertaubat – kembali kepada Allah ﷻ. Maksud kembali ini adalah azam yang kuat untuk tidak melakukan lagi apa dosa yang kita telah buat. Maka istighfar adalah untuk dosa masa lalu dan taubat adalah azam untuk masa depan.

Jikalau kita istighfar sahaja tanpa ada niat untuk meninggalkan dosa itu, ia bukanlah istighfar yang benar dan tidak akan diterima. Tidak diterima kerana tidak cukup syaratnya. Itu istighfar main-main sahaja.

Satu lagi tafsiran yang diberikan tentang perbezaan antara istighfar dan taubat adalah istighfar itu adalah perbuatan mulut, dan taubat itu adalah perbuatan fizikal. Maksudnya selepas kita meminta ampun dengan Allah ﷻ (dengan mulut) maka hendaklah kita mengikutinya dengan badan kita. Iaitu hendaklah meninggalkan perbuatan salah yang telah dilakukan dahulu dan menggantikannya dengan mengamalkan amalan-amalan yang baik. Janganlah kita setakat menyesal dan tidak melakukan amalan salah lagi, tetapi tidak melakukan amal-amal yang baik pula. Kita hendaklah melakukan amal-amal yang baik sebagai ganti perbuatan salah yang kita lakukan dahulu semoga Allah ﷻ merahmati kita dengan perbuatan kita yang baik.

 

يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِّدرارًا

nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, 

Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ‎ memberitahu kelebihan kalau mereka istighfar; Allah ﷻ akan sirami mereka dengan air hujan yang banyak sebagai rezeki. Ini adalah isyarat kepada rezeki yang banyak kerana kita sebagai manusia memerlukan rezeki dan isyarat rezeki itu Allah ﷻ selalu gunakan air hujan sebagai isyarat. Dengan air hujan itu akan menumbuhkan tanam-tanaman dan bintang dapat minum dan membiak.

Perkara ini juga sebenarnya pernah diberitahu oleh Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada kaum baginda seperti yang kita boleh lihat di dalam Nuh:10-12

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِدرارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمدِدكُم بِأَموالٍ وَبَنينَ وَيَجعَل لَكُم جَنّاتٍ وَيَجعَل لَكُم أَنهارًا
“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Maka dari sini kita tahu yang jikalau ada masalah dengan rezeki, tidak dapat anak dan hidup itu susah, maka ia ada kena mengena dengan dosa-dosa yang kita lakukan. Ini adalah kerana dosa kita itu menyebabkan musibah daripada Allah ﷻ untuk mengingatkan kita seperti disebut di dalam Sajdah: 21.

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

Disebut dalam Syura: 30 bahawa musibah yang kita alami semasa di dunia ini adalah kerana dosa-dosa yang kita lakukan.

وَما أَصٰبَكُم مِّن مُّصيبَةٍ فَبِما كَسَبَت أَيديكُم وَيَعفو عَن كَثيرٍ
Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.

Maka jikalau kita minta ampun daripada Allah ﷻ (dan Allah ﷻ ampunkan) maka nikmat-nikmat akan kembali diberikan kepada kita.

 

وَيَزِدكُم قُوَّةً إِلىٰ قُوَّتِكُم

dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu,

Allah ﷻ akan tambah kekuatan baru atas kekuatan mereka yang sudah ada. Mereka akan mendapat nikmat baru lagi di atas nikmat-nikmat yang mereka telah ada. Itu boleh jadi apa-apa sahaja seperti kesenangan hidup dan kekayaan yang mereka sedang alami pada waktu itu ataupun kekuatan tubuh badan mereka yang kita telah sebut lebih daripada manusia biasa yang lain.

Ini menjadi dalil bagi kita bahawa kalau kita amalkan istighfar, maka Allah ﷻ akan beri rezeki yang melimpah-limpah kepada kita dan nikmat-nikmat yang lain.

Kenapa semasa Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdakwah ini baginda ada sebut tentang keduniaan? Ini adalah kerana dalam dakwah kita bukan hanya sebut tentang Iman dan Akhirat sahaja tetapi hendaklah kita juga menyebut tentang kelebihan yang manusia boleh dapat semasa di dunia lagi. Ini adalah kerana kita ini masih hidup di dunia dan memerlukan nikmat-nikmat semasa hidup di dunia lagi. Jikalau kita hanya menyebut tentang syurga dan nikmat di dalam syurga sahaja maka ia tidaklah menarik sangat kerana syurga itu jauh dan lama lagi. Maka perlu diberitahu kepada manusia apakah yang mereka akan dapat jikalau mereka beriman dan mengamalkan agama seperti yang sepatutnya, iaitu kehidupan mereka di dunia pun akan menjadi senang.

Kerana itulah Allah ﷻ menjanjikan rezeki yang melimpah ruah kepada manusia yang taat kepada-Nya dan ikut suruhan wahyu seperti disebut di dalam Maidah: 66

وَلَو أَنَّهُم أَقامُوا التَّوراةَ وَالإِنجيلَ وَما أُنزِلَ إِلَيهِم مِن رَبِّهِم لَأَكَلوا مِن فَوقِهِم وَمِن تَحتِ أَرجُلِهِم
Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan (Al Qur’an) yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhannya, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan dari bawah kaki mereka.

 

وَلا تَتَوَلَّوا مُجرِمينَ

dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa”.

Akhir sekali baginda beritahu mereka supaya jangan berpaling daripada tauhid dan menjadi golongan musyrik. Ulama’ mengatakan مُجرِمينَ di sini bermaksud مُشرِكِينَ. Maka Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan mereka supaya tidak melakukan syirik. Kalau mereka berbuat kerosakan di dalam agama juga dengan berbuat syirik, maka mereka akan mendapat azab daripada Allah ﷻ.

Kesimpulannya ayat ini memberitahu yang jika mereka taat mereka akan mendapat nikmat, dan jika mereka berpaling mereka akan mendapat azab. Maka mereka kena fikirkan mana satu yang mereka hendak.

Untuk mengelakkan daripada azab, manusia hendaklah meninggalkan dosa dan perbanyakkan istighfar. Ini disebut di dalam Anfal: 33

وَما كانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم وَأَنتَ فيهِم ۚ وَما كانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُم وَهُم يَستَغفِرونَ
Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun

Di dalam ayat Anfal: 33 ini kita dapat tahu bahawa penyebab azab tidak dikenakan kepada manusia ada dua: iaitu pertama, apabila Rasul bersama dengan manusia; dan keduanya, jikalau manusia meminta ampun. Rasul sekarang tidak ada bersama dengan kita tetapi kita masih ada satu lagi pelindung untuk melindungi kita daripada azab iaitu dengan sentiasa meminta ampun maka hendaklah kita sentiasa meminta ampun.

Ringkasan dakwah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada ayat 50 – 52 ini ada tiga:

1. Sembah Allah ﷻ sahaja

2. Baginda adalah Rasul yang tidak minta upah daripada mereka

3. Mintalah ampun daripada kesalahan yang lalu


 

PENOLAKAN KAUM DAN HUJAH BAGINDA

Hud Ayat 53: Adakah Kaum Aad menerima dakwah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?

قالوا يٰهودُ ما جِئتَنا بِبَيِّنَةٍ وَما نَحنُ بِتارِكي ءآلِهَتِنا عَن قَولِكَ وَما نَحنُ لَكَ بِمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O Hūd, you have not brought us clear evidence, and we are not ones to leave our gods on your say-so. Nor are we believers in you.

(MALAY)

Kaum ‘Ad berkata: “Hai Hud, kamu tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang nyata, dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana perkataanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu.

 

قالوا يٰهودُ ما جِئتَنا بِبَيِّنَةٍ

Kaum ‘Ad berkata: “Wahai Hud, kamu tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang nyata,

Mereka menuduh Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tunjukkan pun sebarang bukti sebagai dalil kenabian baginda. Mereka telah menutup penglihatan dan pendengaran mereka dari percaya kepada dalil yang telah dibawa oleh Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Takkanlah seorang Nabi seperti Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberikan dalil bukti yang nyata kepada umat baginda di dalam berdakwah. Akan tetapi kaumnya sahaja yang menolak dan tidak menerima dalil daripada baginda kerana mereka mahu dalil ikut tekak mereka dan ikut nafsu mereka. Contohnya mereka mahu ramai orang beriman sebagai bukti bahawa apa yang disampaikan oleh baginda itu benar; ataupun yang selalu diminta oleh umat yang menentang adalah malaikat yang menyampaikan kepada mereka.

Apakah bukti nyata yang dimaksudkan? Ia adalah daripada fitrah keimanan yang Allah ﷻ telah berikan kepada setiap insan. Fitrah ini telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Juga bermaksud wahyu yang Allah ﷻ sampaikan kepada baginda.

Dari sini kita dapat tahu bahawa bukti itu mesti daripada Tuhan (بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي). Sebab itu kita kena rujuk kepada wahyu dalam hal agama, tidak boleh kita buat fahaman sendiri.

Yang kedua sifatnya pula adalah بَيِّنَةٍ (jelas). Memang apa-apa sahaja daripada Tuhan adalah jelas. Yang tidak jelas kalau tidak belajar dan kalau hati keras tidak mahu menerima kebenaran. Jikalau ia jelas, maka salahlah fahaman sesetengah orang agama yang kata tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an bagi orang awam. Seolah-olah orang istimewa sahaja yang boleh belajar. Mereka sampai kata kalau belajar tafsir, boleh keliru dan malah boleh menjadi sesat! Ini adalah pandangan yang salah dan merbahaya.

Bayangkan Al-Qur’an adalah sumber utama kita tetapi kita tidak boleh belajar untuk memahaminya? Amatlah rugi kalau begitu. Di dalam masa yang sama, kita faham juga kerisauan mereka. Memang kalau tidak belajar dengan orang yang mahir, ia boleh menyebabkan salah faham dan ya, boleh sampai sesat. Kita pun pernah baca fahaman-fahaman yang mengarut daripada orang yang tafsir Al-Qur’an ikut nafsu sendiri, hanya berdasarkan terjemahan sahaja.

Maka nasihat kami adalah kena belajar tafsir, tetapi hendaklah berhati-hati. Dapatkan ilmu daripada guru yang mahir. Hendaklah belajar lebih daripada satu guru supaya dapat banding-bandingkan. Kalau kita baru belajar, kita tidak tahu guru itu ajar betul atau tidak. Sebab itulah seeloknya belajar secara talaqqi (berdepan) supaya boleh bertanya soalan.

 

وَما نَحنُ بِتارِكي ءآلِهَتِنا عَن قَولِكَ

dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana perkataanmu,

Mereka berkata mereka tetap tidak akan tinggalkan ilah-lah yang mereka sembah dan puja itu hanya dengan kata-kata daripada Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mereka tidak terima itu.

 

وَما نَحنُ لَكَ بِمُؤمِنينَ

dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu.

Mereka bertegas yang mereka tidak akan percaya kepada Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan apa yang disampaikan oleh baginda. Maknanya, dari awal lagi mereka telah tutup hati mereka. Ini amat bahaya kerana perbuatan ini boleh menyebabkan Allah ﷻ terus tutup hati (Khatmul Qalbi) daripada menerima hidayah.

Kita hendaklah buka telinga kita untuk dengar apakah yang disampaikan oleh pendakwah dan juga guru agama (yang sunnah). Jangan terus tolak seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang. Ramai yang terus tolak sebelum dengar apa yang hendak disampaikan. Ini adalah kerana sudah ada ustaz-ustaz yang jahil beritahu anak murid mereka: “Jangan dengar ustaz-ustaz Wahabi itu, jangan bagi mereka mengajar”.

Maka anak-anak murid yang jahil juga teruslah tolak kalau ada ustaz yang mengajar ada sedikit perbezaan daripada ustaz mereka ajar. Mereka pun berzikirlah wahabi, wahabi, wahabi tidak tentu pasal. Bila tanya apakah wahabi, mereka pun tidak boleh jawab melainkan: “Entah, tapi ustaz aku kata depa tu WAHABI. Bahaya!”.

Ini telah banyak berlaku dan kalau ada yang bagi pinjam telinga untuk mendengar apakah yang diajar oleh ustaz-ustaz ‘Wahabi’ itu, akhirnya mereka baru tahu yang tidak ada salah pun apa yang disampaikan. Kerana hujah yang diberi ada dalil daripada Al-Qur’an dan hadith. Maka di mana pula salahnya?


 

Hud Ayat 54:

إِن نَقولُ إِلَّا اعتَرىٰكَ بَعضُ ءآلِهَتِنا بِسوءٍ ۗ قالَ إِنّي أُشهِدُ اللَّهَ وَاشهَدوا أَنّي بَريءٌ مِّمّا تُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We only say that some of our gods have possessed you with evil [i.e., insanity].” He said, “Indeed, I call Allāh to witness, and witness [yourselves] that I am free from whatever you associate with Allāh

(MALAY)

Kami tidak mengatakan melainkan bahawa sebahagian sembahan kami telah menimpakan penyakit gila atas dirimu”. Hud menjawab: “Sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah dan saksikanlah olehmu sekalian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan,

 

إِن نَقولُ إِلَّا اعتَرىٰكَ بَعضُ ءآلِهَتِنا بِسوءٍ

Kami tidak mengatakan melainkan bahawa sebahagian sembahan kami telah menimpakan penyakit gila atas dirimu”.

Kaum Aad tidak dapat menerima apa yang disampaikan oleh baginda. Maka mereka telah beri hujah kenapa baginda jadi begitu. Kononnya setengah ilah-ilah sembahan mereka telah timpakan penyakit gila kepada Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (konon kerana baginda tidak menerima ilah-ilah itu). Iaitu jenis penyakit yang menyebabkan gila, tidak boleh berfikir, mengarut dan sebagainya.

Begitulah kacau-bilaunya pemikiran orang yang musyrik itu di segala zaman. Kalau misalnya kita mencela orang-orang yang menyembah yang selain Allah ﷻ, misalnya memuja kubur, mengasapi keris dengan kemenyan di malam Jumaat, kita yang menegurlah yang diancamnya akan kena itu ini daripada kubur dan keris itu. Apatah lagi kalau sesudah mencela kemusyrikan itu kita jatuh sakit kerana masuk angin misalnya, mereka pun berkata: “Ha kau tengok! Dia sudah kena tulah sumpahan dari kubur tuan Syaikh atau dari keris pusaka.” Namun kalau fikiran mereka sendiri jadi kacau, dan mereka diperbodoh oleh saudagar-saudagar kubur, sehingga diperas wang mereka, tidak pula mereka sedari.

Memang ada manusia yang percaya benda-benda karut sebegini. Teringat kisah Ustaz Hussein Yee semasa dia masuk Islam. Ibu bapanya takut yang dia terkena sampuk dengan jin yang menyebabkan dia masuk Islam, maka mereka telah bawa kepada bapa saudara beliau, seorang bomoh Cina. Maka macam-macam lah yang diberi jampi dan minum air jampi bapa saudaranya itu kerana kononnya untuk mengeluarkan sampuk daripada Ustaz Hussein Yee.

Begitulah bodohnya orang kafir dan begitu juga bodoh dan jahilnya Kaum Aad berkenaan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Mereka tidak dapat terima, maka mereka jelaskan keadaan baginda dengan sesuatu yang mereka faham.

Penyembah kubur juga ada fahaman begitu. Kalau kubur wali sembahan mereka hendak dirobohkan, mereka akan kata nanti akan terkena bala orang yang hendak robohkan kuburan wali itu.

Mereka kata Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terkena sampuk dengan ilah-ilah sembahan mereka itu kerana baginda telah mencela mereka. Sebenarnya Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah mencela, kerana ada larangan daripada Allah ﷻ untuk mencela sembahan orang kafir. Akan tetapi bila Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata roh yang mereka seru itu tidak ada kuasa, mereka kata Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seolah-olah telah mencela roh-roh itu. Sedangkan tidaklah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencela.

 

قالَ إِنّي أُشهِدُ اللَّهَ

Hud menjawab: “Sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah

Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadikan Allah ﷻ sebagai saksi bagi akidah baginda. Iaitu baginda tidak melakukan syirik. Juga dengan sumpah ini baginda tangkis persangkaan kaumnya bahawa baginda sudah mendapat sakit otak kerana kena keparat, kena itulah daripada sebahagian tuhan mereka. Bahkan baginda tegaskan bahawa sedikit pun tidak ada kepercayaan kepada tuhan-tuhan dan dewa-dewa yang mereka sembah itu, dan sedikit pun tidak ada pengaruh benda-benda yang dituhankan itu atas dirinya.

 

وَاشهَدوا أَنّي بَريءٌ مِّمّا تُشرِكونَ

dan saksikanlah olehmu sekalian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu persekutukan,

Baginda menjadikan mereka sebagai saksi juga, iaitu baginda membebaskan diri baginda daripada amalan dan kepercayaan mereka yang syirik itu. Jangan sekali-kali kata yang baginda ada terlibat dengan mereka. Kita wajib berlepas diri daripada amalan-amalan salah masyarakat kita.

Kita sesekali tidak boleh menerima amalan syirik khurafat masyarakat kita. Tidak perlu kita menjaga hati mereka dengan mengatakan perbuatan itu boleh dilakukan. Jangan duduk-duduk dengan mereka semasa mereka melakukan amalan sesat mereka itu. Kita wajib untuk isytihar berlepas diri daripada amalan mereka. Jangan bersekongkol dengan mereka. Jangan iktiraf perbuatan salah mereka. Kena sampaikan kepada mereka bahawa perbuatan mereka itu salah.

Kita juga tidak bertanggungjawab dengan amalan mereka. Mereka yang kena tanggung sendiri kesan daripada amalan mereka. Kita tidak masuk campur dan kita tidak akan sertai. Memang tidak boleh sertai majlis yang ada elemen syirik dan bid’ah. Kita kena tinggalkan, jangan hirau apa yang orang kata. Kalau ada juga yang tanya, jawab: “Maaf, aku tak sertai majlis bid’ah” dan kemudian terus pergi, jangan tunggu jawapan dia.

Mereka sendiri yang akan tanggung dosa itu kerana manusia lain tidak menanggung dosa orang lain. Sendiri buat, sendiri tanggung seperti disebut di dalam Fatir:18

وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۚ وَإِن تَدعُ مُثقَلَةٌ إِلىٰ حِملِها لا يُحمَل مِنهُ شَيءٌ وَلَو كانَ ذا قُربىٰ
Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikit pun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya.

Oleh kerana ia adalah perkara penting, disebut sekali lagi di dalam Fussilat: 46

مَّن عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۗ وَما رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ
Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.

Satu lagi ayat yang kita semua tahu iaitu Kaafiroon:6

لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ
Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”.

Begitu juga disebut dalam Baqarah:139

قُل أَتُحاجّونَنا فِي اللَّهِ وَهُوَ رَبُّنا وَرَبُّكُم وَلَنا أَعمَـٰلُنَا وَلَكُم أَعمالُكُم وَنَحنُ لَهُ مُخلِصونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaan-Nya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu, dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya;

Ayat-ayat ini menceritakan tentang kesan daripada amalan. Kita hendak ingatkan mereka yang kalau mereka buat amalan salah mereka itu, mereka akan dapat bahaya. Bukannya ayat-ayat ini bagi lampu hijau kepada orang lain untuk buat apa yang mereka hendak buat. Ada orang sangka begitu. Mereka kata tidak perlu ganggu dan dakwah kepada orang lain kerana bagi mereka fahaman mereka dan bagi kita fahaman kita, masing-masing beramallah, kubur pun masing-masing…. eh, ini adalah tafsiran salah. Ayat-ayat ini sebenarnya adalah ancaman kepada mereka yang tidak mahu beramal dengan kebenaran.

Jikalau mereka tetap tidak mahu beramal, maka kita hendaklah berlepas diri daripada mereka. Namun adakah ini bermakna kita terus berlepas diri daripada mereka yang menolak agama? Kalau begitu, tidak perlu dakwah lagi kepada mereka. Mereka tidak mahu sahaja terima, atau mereka lain pegangan dengan kita, kita terus katakan: “hidup kau, hidup kau, hidup aku, hidup aku, tak campur”. Tidaklah begitu. Kita katakan seperti dalam ayat ini kepada orang tertentu sahaja. Iaitu kepada mereka yang berterusan menolak walaupun telah banyak kali kita dakwah kepada mereka. Seboleh-bolehnya kita teruskan dakwah kepada mereka selagi boleh.

Kita juga katakan ayat ini kepada mereka yang hanya mahu berdebat dengan kita sahaja. Mereka hanya suka melawan sahaja. Kepada mereka sebegini, barulah kita katakan sebegini kepada mereka kerana buang masa bertegang leher dengan mereka lama-lama kalau kita sudah nampak mereka bukannya mahukan kebenaran. Ini kerana kadangkala kita boleh mengagak orang itu boleh terima atau tidak. Kalau nampak macam memang jenis degil teruk sangat, maka biarkan mereka dengan amalan dan fahaman karut mereka.

Oleh itu, meninggalkan mereka yang melakukan syirik adalah termasuk dalam perkara yang sunnah. Jangan rasa bersalah kalau kita tidak bersama dengan akidah ahli keluarga kita yang syirik. Tidak perlu kita sertai majlis mereka kalau mereka mengamalkan amalan yang syirik dalam majlis itu (termasuk juga kalau bid’ah). Ini adalah kerana kita lebih pentingkan redha Allah ﷻ daripada redha manusia, termasuk ahli keluarga kita sendiri dan ini Allah ﷻ puji Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan suruh kita ikut baginda seperti disebut di dalam Mumtahanah: 4

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ
Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.

Akan tetapi perkara ini memerlukan iman yang kuat sampai sanggup berbeza dengan amalan masyarakat setempat. Ini penting untuk kita faham yang kita tidak perlu takut kepada orang-orang yang bodoh dan tidak ada ilmu. Memang amat pelik kalau dengan orang bodoh pun kita takut akan kata-kata mereka dan pandangan mereka. Jangan jadi seperti seorang ustaz yang pulang dari Pakistan setelah belajar amalan yang sunah dan belajar tafsir Al-Qur’an dan juga hadith, namun apabila dia mula mengajar, masyarakat tidak dapat terima kerana berlainan dengan fahaman mereka yang mereka ambil daripada fahaman tok nenek mereka. Akhirnya ustaz itu tidak tahan dan lama kelamaan duduk bersama dengan masyarakat lalu beramal seperti amalan masyarakatnya itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Hud Ayat 50 – 51 (Kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Aad)

KISAH NABI HUD عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 50: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 3 daripada ayat ini sehingga ke ayat 60. Ia berkenaan kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kaum baginda, Aad. Ini adalah kisah kedua selepas kisah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum ini. Semua sekali ada 7 kisah Nabi di dalam surah ini dan sekarang masuk kepada kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kaumnya, Aad. Nama baginda telah diambil sebagai nama surah ini.

Ini juga adalah pengulangan Dakwa Pertama surah ini; iaitu ibadat kepada Allah ﷻ sahaja.

وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا ۚ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ إِن أَنتُم إِلّا مُفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to ‘Aad [We sent] their brother Hūd. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. You are not but inventors [of falsehood].

(MALAY)

Dan kepada kaum ‘Ad (Kami utus) saudara mereka, Huud. Dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Kamu hanyalah mengada-adakan saja.

 

وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا

Dan kepada kaum ‘Ad (Kami utus) saudara mereka, Hud.

Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutus kepada kaum Aad. Baginda adalah daripada umat itu juga, saudara mereka juga, keturunan mereka juga. Baginda memang tinggal di situ dan mereka kenal baginda. Ini mengajar kita yang pendakwah terbaik datangnya daripada penduduk setempat. Barulah mudah mad’u hendak menerima dakwah itu. Ini sepertimana dalam pilihanraya juga, calon selalunya datang dari tempat itu juga barulah mudah untuk mendapat sambutan dan undian. Kalau bangsa lain yang datang, tentu ada penghalang sedikit sebanyak. Allah ﷻ telah sebut tentang hal ini dalam Ali Imran:164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri,

Menurut sejarah kita dapat tahu yang kaum Aad adalah daripada keturunan Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tempat tinggal baginda adalah di Yaman. Daripada anak cucu Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ada yang berkembang biak dan menjadi satu umat yang lain. Menurut sejarah penyelidikan silsilah keturunan bangsa Arab, diterangkan bahawa kaum’Ad dan kaum Tsamud, adalah suku-suku daripada bangsa Arab Purbakala yang telah punah. Sebab itu mereka disebut ‘Al-Arab al-Baidah”. Iaitu bangsa Arab yang telah habis tidak ada lagi. Disebut juga di samping ‘Ad dan Tsamud itu kaum Jurhum al-Ula (Jurhum Pertama). Kedudukan kaum ‘Ad ini ialah di sekitar Hadhramaut yang sekarang ini.

Nota: Jurhum merupakan suku yang berasal dari Yaman. Kaum ini mendiami Makkah dan menjadi penguasa suci kota itu. Jurhum menetap di Makkah atas persetujuan keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana isteri kedua Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berasal dari Jurhum.

Nama surah ini diambil daripada nama Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat ini. Namun kisah yang paling panjang adalah kisah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita telah baca. Nama Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun baru disebut di ayat ke 50 ini sedangkan selalunya nama surah diambil daripada ayat-ayat yang di permulaan. Maka ini bukanlah satu kebiasaan dan kenapa agaknya?

Ulama’ mengatakan ini adalah kerana di surah ini sahaja yang paling banyak disebut nama Nabi Hud. Nama Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut hanya 7 kali sahaja di dalam Al-Qur’an dan 5 daripadanya disebut di surah ini. 2 lagi disebut di dalam Surah A’raf dan Syuaraa’.

Kaum Aad ini ada kelebihan yang tidak diberikan kepada manusia yang lain. Mereka itu sangatlah kuatnya. Kelebihan mereka ini disebut dalam Fussilat:15

فَأَمّا عادٌ فَاستَكبَروا فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَقالوا مَن أَشَدُّ مِنّا قُوَّةً
Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?”

Bukan itu sahaja, mereka diberi dengan kesenangan hidup di dunia seperti disebut dalam Fajr: 6-8

أَلَم تَرَ كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعادٍ
Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Aad?

إِرَمَ ذاتِ العِمادِ
(iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi,

الَّتي لَم يُخلَق مِثلُها فِي البِلٰدِ
yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain,

 

قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ

Dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah,

Baginda juga berdakwah untuk ajak manusia kepada ajaran tauhid. Sembahlah Allah ﷻ sahaja. Inilah Dakwa Pertama. Maka tauhid yang hendak ditekankan di dalam surah ini adalah Tauhid Ibadah atau kita panggil Tauhid Uluhiyyah.

Ini sama sahaja dengan perkara pertama yang disampaikan oleh Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ayat 26 surah ini. Mana-mana Nabi akan berkata perkara yang sama sahaja; iaitu hendaklah manusia menyembah Allah ﷻ sahaja. Jangan sembah yang lain daripada Allah ﷻ. Maka, setiap guru yang mengajar agama pun kena cakap begini juga. Kita kenalah ajar akidah kepada manusia kerana itu adalah perkara dan ilmu yang paling penting sekali. Itulah ilmu yang mula-mula mesti dipelajari.

Oleh itu, hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan campur aduk ibadat kepada makhluk lain. Contohnya, dalam berdoa, jangan berdoa kepada selain Allah ﷻ dan jangan guna tawasul (perantaraan).

Jangan zikir kepada selain Allah ﷻ. Tidak perlu puja Nabi Muhammad ﷺ sepertimana golongan Habib buat sekarang. Kita juga kena faham makna ibadat itu luas. Memang kita tidak sujud dan rukuk kepada berhala, tidak sujud dan rukuk kepada tuhan lain. Namun dengan perbuatan kita yang sedekah Fatihah, beri salam, baca selawat yang bukan diajar oleh Nabi ﷺ, itu semua adalah ‘ibadat’ yang diserahkan kepada selain daripada Allah ﷻ. Itu pun termasuk ‘sembah’ juga. Kalau kita tidak faham maksud ‘sembah’ dan sempitkan pemahaman itu, kita tidak akan faham dan kita akan keliru kenapa ada amal ibadat yang dilarang dilakukan.

Maka kita lihat di dalam ayat ini memberitahu kita yang Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Inilah yang sepatutnya kita lakukan dalam dakwah. Bukannya mengajak kepada persatuan, mazhab, fahaman, kumpulan, parti, individu tertentu seperti pemimpin, ulama’ dan sesiapa sahaja. Malangnya inilah yang kita lihat terjadi sekarang. Kebanyakannya bukan mengajak kepada Allah ﷻ tetapi ajak kepada benda yang lain. Bila ajak kepada benda yang lain, maka setiap kumpulan akan rasa merekalah yang paling hebat dan benar. Maka masing-masing akan mendabik dada dan merendahkan kumpulan yang lain seperti disebut di dalam Mukminoon: 53

فَتَقَطَّعوا أَمرَهُم بَينَهُم زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ
Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).

Mesej dakwah kita mestilah jelas iaitu mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Tidak payahlah sibuk melabel dan mengasingkan (pigeonholed) pendakwah itu daripada kumpulan mana. Jangan dilayan orang bodoh yang bertanya “Dia kumpulan mana?”, “Apa fahaman dia?” kerana yang penting adalah ajak dulu manusia kepada Allah ﷻ. Beginilah yang Allah ﷻ ajar seperti disebut dalam Nahl:125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah

 

ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

sekali-kali tidak ada bagimu ilah selain Dia. 

Ini adalah kalimah nafi dan ithbat – menafikan ada ilah selain Allah ﷻ dan ithbat bahawa hanya Allah ﷻ sahaja ilah. Apabila ada kalimah ما dalam ayat ini, ia bermaksud Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menidakkan fahaman mereka yang ada ilah selain Allah ﷻ. Maknanya telah ada perdebatan antara Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan umatnya.

Kita kena faham apakah maksud ‘ilah‘ itu. Ia adalah tempat sandaran hati manusia. Tidak semestinya ilah itu adalah ‘tuhan’ kerana ‘ilah’ boleh jadi bermacam-macam. Sebagai contoh, kalau kita berdoa kepada dzat selain Allah ﷻ, maka itu adalah ‘ilah’ bagi kita dan ini adalah syirik.

 

إِن أَنتُم إِلّا مُفتَرونَ

Sesungguhnya kamu hanyalah mengada-adakan saja.

Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatakan umatnya telah reka sendiri fahaman agama. Mereka kata ada ilah selain Allah ﷻ. Ertinya, apabila mereka menjadikan dewa-dewa dan tuhan-tuhan yang lain selain Allah ﷻ, nyatalah bahawa itu hanya timbul daripada khayal semata, bukan pertimbangan daripada akal yang waras. Itulah yang disebut mengada-adakan, menimbulkan yang tidak-tidak, menegakkan sesuatu fikiran yang tidak ada dasar.

Dalam ibadat, mereka reka sendiri ibadat yang tidak ada dalam syarak. Masalah yang sama juga tentunya dihadapi oleh umat setiap zaman. Ramai yang telah mereka-reka perkara baru dalam agama. Sebagai contoh, mereka reka tentang amalan tawasul kerana pada mereka, berdoa terus kepada Allah ﷻ tidak makbulkan. Ini sama sahaja fahaman agama lain seperti agama Hindu dan Kristian.

Ramai dalam kalangan manusia termasuk orang Islam sendiri yang reka perkara-perkara baru bid’ah di dalam agama kerana mereka rasa agama itu tidak lengkap lagi. Mereka sangka apa yang mereka lakukan itu benda yang baik namun ini datang daripada ilmu agama mereka yang jauh daripada sandaran wahyu dan Sunnah. Maka ini adalah amat bahaya kerana ia menyebabkan agama ini boleh bertukar menjadi agama lain seperti yang telah berlaku kepada Yahudi dan juga Nasrani dek kerana mereka senang-senang reka amalan dan fahaman yang baru.

Satu lagi tafsiran bagi kalimah إِن أَنتُم إِلّا مُفتَرونَ ini adalah ia adalah daripada kata-kata para penentang Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menolak baginda dengan mengatakan apa yang baginda sampaikan itu adalah rekaan daripada baginda sahaja. Oleh itu ayat ini mengandungi dakwah daripada Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan juga mengandungi sekali penolakan yang dilakukan oleh kaumnya.


 

Hud Ayat 51: Sekali lagi disebut tidak boleh ambil upah dalam agama.

يٰقَومِ لا أَسئَلُكُم عَلَيهِ أَجرًا ۖ إِن أَجرِيَ إِلّا عَلَى الَّذي فَطَرَني ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O my people, I do not ask you for it [i.e., my advice] any reward. My reward is only from the one who created me. Then will you not reason?

(MALAY)

Hai kaumku, aku tidak meminta upah kepadamu bagi seruanku ini. Upahku tidak lain hanyalah dari Allah yang telah menciptakanku. Maka tidakkah kamu memikirkan(nya)?”

 

يٰقَومِ لا أَسئَلُكُم عَلَيهِ أَجرًا

Hai kaumku, aku tidak meminta upah kepadamu bagi seruanku ini.

Seperti juga Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum ini (ayat 29), Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga menekankan yang baginda tidak minta upah kepada umatnya atas ajar tauhid kepada mereka. Maka, bukanlah baginda ajak mereka kepada tauhid itu dengan tujuan keuntungan dunia seperti mendapat upah harta yang banyak atau baginda minta disanjung atau diberi kedudukan tinggi.

Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatakan bahawa baginda tidak mengharapkan bayaran daripada umatnya. Baginda ikhlas di dalam menyampaikan dakwah Tauhid. Tidaklah baginda meminta upah dalam mengajar agama dan dakwah kepada mereka. Bukanlah kekayaan yang dicari baginda kerana baginda bukanlah seperti mereka yang memandang kepada kebendaan. Sama sahaja bagi baginda yang kaya dan yang miskin. Maka, jangan disangsikan keikhlasan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam menyampai ajakan dakwah itu. Jangan takutlah yang baginda akan sakau harta mereka itu kalau mereka beriman nanti sebab bukan itu yang baginda mahukan daripada mereka.

Kita tidak mengharapkan banyaknya wang dalam kerja-kerja agama ini. Malangnya, orang-orang masjid selalu mengharapkan bantuan kewangan daripada kumpulan elit dalam masyarakat untuk menderma kepada masjid atau surau. Padahal, mereka yang elit itu pun bukannya pergi ke masjid dan surau itu pun.

Ini juga mengajar kita untuk tidak meminta upah dalam mengajar. Ada banyak lagi dalam ayat-ayat lain yang mengatakan sedemikian. Oleh itu, dalam kita mengajar, tidak boleh kita meminta upah kepada anak murid dalam mengajar. Namun, apa yang terjadi sekarang adalah terbalik. Guru akan meminta upah untuk mengajar malah meletakkan harga pula.

Padahal, sepatutnya tidak boleh begitu. Anak murid bertanggungjawab untuk memberi sedekah sekiranya dia mampu. Orang yang ada ilmu bersedekah dengan ilmu dia. Maka, sama-sama sedekah dan sama-sama dapat pahala. Bukanlah tidak boleh terima pemberian daripada anak murid, tetapi janganlah ditetapkan harga yuran itu.

Adakah patut apabila seorang guru itu meminta upah selepas dia sedekah ilmu? Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mempunyai duit, adakah mereka tidak layak mendapat ajaran agama? Adakah mereka yang tidak mampu itu dibiarkan sahaja dalam kejahilan? Tentulah tidak, bukan? Kasihanlah kepada orang miskin yang tidak ada harta untuk belajar agama.

Kalau kita perhatikan masyarakat miskin kita, kebanyakan mereka kurang ilmu agama. Ini kerana tidak ramai yang santuni mereka untuk ajaran agama. Lain dengan para sahabat zaman Nabi zaman dahulu. Mereka pun miskin juga, tetapi bab agama mereka hebat. Orang miskin kita sudahlah tidak ada duit, ilmu agama pun tidak ada. Ini kerana hendak belajar agama kena pergi ke kelas pengajian, sudahlah jauh dan kadangkala kena bayar yuran pula. Mereka hendak makan pun susah, apatah lagi hendak membayar yuran untuk belajar agama!

Jangan jadikan bab yuran sebagai penyebab manusia tidak belajar agama. Ini disentuh di dalam Qalam: 46. Kalau kita letakkan yuran, seolah-olah kita mengusir orang miskin daripada belajar pula. Nanti kita akan belajar yang Rasulullah ﷺ dilarang daripada menghalau orang miskin.

أَم تَسأَلُهُم أَجرًا فَهُم مِّن مَّغرَمٍ مُّثقَلونَ
Apakah kamu meminta upah kepada mereka, lalu mereka diberati dengan hutang?

Maka sepatutnya asatizah kenalah juga pergi meluangkan masa mengajar orang miskin. Memang kena pergi ke tempat mereka kerana mereka memang tidak boleh bergerak ke mana-mana. Namun sekarang kita lihat ia tidaklah berlaku sangat. Yang ada mengajar di rumah pun rumah orang kaya raya. Orang pun ramai ke sana sebab selepas selesai kuliah daripada ustaz, boleh makan sedap-sedap. Suasana belajar pun selesa, mungkin bersebelahan kolam renang.

 

إِن أَجرِيَ إِلّا عَلَى الَّذي فَطَرَني

Upahku tidak lain hanyalah daripada Allah yang telah menciptakanku.

Yang baginda harapkan adalah upah daripada Allah ﷻ. Bukanlah langsung baginda tidak mengharapkan apa-apa. Baginda berharap bukanlah daripada umat baginda namun daripada Allah ﷻ terus! Tentunya upah daripada Allah ﷻ itu lebih hebat dan melimpah banyak lebih daripada apa yang boleh diberikan oleh manusia. Allah ﷻ boleh bagi rezeki yang lebih banyak lagi kerana sumber rezeki adalah daripada Allah ﷻ dan pasti rezeki diberikan oleh Allah ﷻ adalah berkat.

Sebab itu Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak kata rezeki itu baginda mengharap daripada Allah (من الله) akan tetapi daripada الَّذي فَطَرَني (yang menjadikan aku). Apabila disebut sifat Allah ﷻ yang menjadikan, maka ia menekankan tentang kuasa Allah ﷻ yang menjadikan segala-galanya termasuk kita dan segala rezeki yang disediakan untuk kita. Maka inilah pengharapan yang patut kita lakukan kerana kita berharap kepada Allah ﷻ yang memang boleh memberikan. Sedangkan jikalau kita berharap kepada manusia belum tentu manusia boleh memberi apa-apa kepada kita.

Rezeki itu tidak semestinya di dalam bentuk harta dan kesenangan tetapi Allah ﷻ boleh beri ketetapan hati kepada orang yang menjalankan kerja dakwah. Oleh kerana itulah kerja-kerja dakwah ini perlu dijalankan kerana Allah ﷻ hanya berjanji memberi keteguhan hati dalam iman kepada orang-orang yang membantu-Nya iaitu menjalankan kerja-kerja dakwah dan menyebarkan agama Islam ini di muka bumi. Ini seperti yang disebut di dalam Muhammad: 7

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِنْ تَنْصُرُوا اللّٰهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ اَقْدَامَكُمْ
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.

 

أَفَلا تَعقِلونَ

Maka tidakkah kamu memikirkan(nya)?”

Oleh itu, tidakkah mereka mahu memikirkan yang Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ikhlas dalam menyampaikan ajaran tauhid kepada mereka. Baginda mahukan keselamatan untuk umat baginda, bukannya baginda hendak menjadi kaya atau hendak isi perut baginda dengan bayaran upah daripada kaumnya itu.

Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengajak kaumnya berfikir dengan tenang. Fikirkan segala kejadian, rezeki dan perlindungan yang diberikan Allah ﷻ kepada mereka, yang semuanya itu akan menimbulkan keinsafan tentang nilai hidup dan nilai seruan yang dibawa oleh saudara mereka sendiri. Dengan menggunakan akal dan fikiran yang jernih, nescaya mereka tidak akan merasa perlu lagi menyembah kepada yang selain Allah ﷻ, lalu bertaubatlah kembali kepada Allah ﷻ.

Kita juga, tidakkah mahu memikirkan – jikalau para Nabi tidak meminta upah daripada ajaran agama mereka, tentulah kita yang mengajar agama pun tidak boleh meminta upah daripada anak murid kita. Kita pun sepatutnya mengharapkan upah pahala daripada Allah ﷻ sahaja kerana pahala daripada Allah ﷻ itu lebih besar daripada apa yang boleh diberikan oleh manusia.

Malangnya, ramai golongan ustaz di negara ini yang menjadikan agama sebagai punca pendapatan mereka. Bila sudah ambil upah, mulalah takut hendak menegur amalan dan fahaman salah anak murid kerana jika ditegur, nanti anak murid akan marah dan tidak panggil datang mengajar lagi. Akhirnya mereka rasa pendapatan mereka akan terjejas. Inilah akibatnya apabila mengajar agama berkiblatkan upah manusia semata-mata. Agaknya masih ada lagikah sisa keikhlasan?

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA