Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 21 – 25 (Kaum Aad yang tinggal di Ahqaf)

Ayat 21: Sekarang masuk kepada kisah yang baru. Ayat 21 – 26 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia adalah tentang Nabi Hud dan Kaum Aad. Ia adalah kisah mereka menolak tauhid dan akhirnya dibinasakan dengan ribut kencang.

Ayat 21 ini adalah Dalil Naqli Tafsili dari kisah Nabi Hud عليه السلام dan juga mengandungi Takhwif Duniawi. Allah ﷻ hendak mengingatkan kepada Musyrikin Mekah dan kita juga, apakah kesan kalau tidak ikut ajaran Rasul.

وَاذكُر أَخا عادٍ إِذ أَنذَرَ قَومَهُ بِالأَحقافِ وَقَد خَلَتِ النُّذُرُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And mention, [O Muḥammad], the brother of ‘Aad,¹ when he warned his people in [the region of] al-Aḥqāf – and warners had already passed on before him and after him – [saying], “Do not worship except Allāh. Indeed, I fear for you the punishment of a terrible day.”²

  • i.e., the prophet Hūd.
  • Upon the earth. It could also refer to “a tremendous Day,” i.e., that of resurrection.

MALAY

Dan ingatlah peristiwa (Nabi Hud) saudara kaum Aad, ketika dia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah “Al-Ahqaaf”, – sedang (amarannya itu samalah seperti) amaran-amaran yang telah diberikan oleh Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya – (dengan berkata): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya)”.

 

وَاذكُر أَخا عادٍ

Dan ingatlah peristiwa saudara kaum Aad,

‘Saudara’ Kaum Aad yang dimaksudkan adalah Nabi Hud عليه السلام. Baginda adalah seorang Nabi dari kalangan bangsa Arab. Jadi Musyrikin Mekah memang kenal baginda. Kaum Aad ini adalah kaum yang ada selepas Banjir Besar Nabi Nuh.

Selepas Banjir itu, semua manusia yang ada adalah beriman belaka. Melalui merekalah keturunan manusia bercambah membiak. Akan tetapi lama-kelamaan, manusia kembali melakukan syirik. Jadi Kaum Aad ini adalah antara kaum yang awal menolak tauhid.

 

إِذ أَنذَرَ قَومَهُ بِالأَحقافِ

ketika dia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah “Al-Ahqaaf”,

Nama surah ini diambil dari ayat ini: ahqaf (bukit-bukit pasir). Kaum Aad tinggal di daerah Ahqaf. Ia terletak antara kawasan Yaman dan Hadramawt. Tempat itu dinamakan begitu kerana ada bukit-bukit pasir yang tinggi. Menurut Ikrimah, Al-Ahqaf ertinya bukit-bukit dan gua-gua.

Musyrikin Mekah memang kenal dengan peninggalan mereka kerana selalu melalui kawasan peninggalan kaum Aad itu dalam safar mereka.

 

وَقَد خَلَتِ النُّذُرُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ

dan telah berlalu Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya

Terdapat banyak rasul-rasul yang telah menyampaikan dakwah dan akan ada lagi rasul-rasul lain. Ada Rasul yang sezaman dengan Nabi Hud عليه السلام dan ada yang datang pada zaman sebelum. Nanti akan ada Nabi lain yang akan datang sesudah baginda. Semua Nabi-nabi itu menyampaikan mesej tauhid yang sama.

Apakah mesej semua Nabi dan Rasul?

 

أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ

“Janganlah kamu menyembah melainkan Allah,

Mesej yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu sama sahaja pada dasarnya. Mereka mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah ﷻ sahaja dalam sembahan dan dalam seruan doa. Jangan taat kepada selain dari Allah ﷻ dan meminta kepada selain Allah ﷻ. Selain itu jangan amalkan tawasul yang salah dan jangan minta kepada Nabi, wali dan malaikat.

Maknanya, semua Nabi-nabi dalam dunia ini menyampaikan mesej yang sama. Itulah yang hendak disampaikan kepada Musyrikin Mekah dan manusia seluruhnya.

 

إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

sesungguhnya aku bimbang ke atas kamu akan beroleh azab hari yang besar

Ini adalah Jumlah ta’liliyah. Ia hendak memberitahu kenapa Nabi Hud عليه السلام sampaikan dakwah Tauhid itu?

Ini kerana baginda takut mereka kena azab dan baginda sayang kepada kaumnya itu kerana baginda dari kalangan mereka. Begitulah kita juga bagi peringatan kepada keluarga dan kawan-kawan kita kerana kita sayang kepada mereka.

Kita takut mereka dikenakan azab nanti kerana tidak tahu mereka ada melakukan perbuatan yang salah. Sebagai contoh, ramai yang tidak tahu amalan doa bertawasul kepada makhluk itu adalah syirik. Oleh kerana diajar oleh guru-guru yang salah, ramai yang melakukannya. Maka kitalah yang kena terangkan kepada mereka.


 

Ayat 22: Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ telah ditolak dan ditentang, begitu juga dengan Nabi Hud عليه السلام dulu. Ayat ini sebagai tasliah (pujukan) kepada Nabi, kerana Nabi Muhammad ﷺ telah ditolak oleh kaumnya.

Allah ﷻ hendak memujuk Nabi dengan memberitahu, bukan baginda sahaja yang kena tolak, tetapi Nabi Hud عليه السلام pun kena tolak juga. Bukan sahaja Nabi, malah kita para pendakwah juga akan ditolak.

قالوا أَجِئتَنا لِتَأفِكَنا عَن ءآلِهَتِنا فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Have you come to delude us away from our gods? Then bring us what you promise us, if you should be of the truthful.”

MALAY

Mereka menjawab: “Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”

 

قالوا أَجِئتَنا لِتَأفِكَنا عَن ءآلِهَتِنا

Mereka menjawab: “Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah ilah-ilah kami?

Kaum Nabi Hud عليه السلام tidak dapat menerima ajaran tauhid yang disampaikan oleh Nabi Hud عليه السلام itu. Mereka marah kepada baginda dan menuduh baginda hendak memesongkan mereka dari ilah-ilah mereka (mereka ada banyak ilah selain Allah). Seperti yang kita telah sentuh dalam banyak tempat, ilah itu adalah tempat penyempurna hajat dan tempat manusia meletakkan harapan hati.

Ia hanya boleh diletakkan kepada Allah ﷻ sahaja tetapi kaum Aad itu sudah lama mengamalkan amalan syirik. Apabila perkara besar begitu dikatakan salah oleh Nabi Hud عليه السلام, tentulah mereka melenting.

Masyarakat memang takut kalau perkara yang telah lama mereka lakukan diganggu gugat dan dikatakan salah. Macam masyarakat kita sekarang juga, kalau ada yang kata amalan bidaah mereka seperti talqin, Doa Selamat, Solat Hajat, Majlis Tahlil dan yang seumpamanya dengannya itu adalah salah, melenting sungguh mereka.

Kita yang memberi nasihat kepada mereka pula yang dimarahi kerana dikatakan hendak menukar agama nenek moyang mereka. Mereka kata: “benda ni sudah lama orang kita dok amalkan, tiba-tiba kamu kata salah pulak? Ulama’ zaman berzaman sudah bahas dah, sekarang kau kata salah???!! Siapa kau!??”

 

فَأتِنا بِما تَعِدُنا

Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu

Mereka dengan beraninya telah mencabar Nabi Hud عليه السلام untuk membawakan azab yang telah dijanjikan kepada mereka. Nabi Hud عليه السلام telah berdakwah dan memberi amaran kepada mereka, kalau mereka tetap meneruskan melakukan syirik, mereka akan ditimpa oleh azab.

Akan tetapi mereka tetap tidak mahu mendengar nasihat baginda, malah telah berani mencabar Nabi Hud عليه السلام untuk bawakan azab itu dengan segera. Ini kerana mereka tidak percaya dengan azab itu.

 

إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”

Begitulah kurang ajarnya mereka. Mereka tidak percaya yang Nabi Hud عليه السلام itu adalah Nabi yang sebenar. Maka mereka cabar baginda tanpa usul periksa lagi, tanpa berfikir panjang. Mereka cabar supaya disegerakan azab yang dijanjikan itu.

Ini adalah permintaan yang amat bodoh sekali kerana sepatutnya kita minta elak dari musibah dan azab, tetapi mereka ini minta azab dipercepatkan pula. Tidakkah gila kalau minta perkara buruk? Memang jenis tidak sayang nyawa.


 

Ayat 23: Allah ﷻ ajar dalam ayat ini bahawa azab itu janji Allah ﷻ, bukan datang dari kehendak Nabi.

قالَ إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ وَأُبَلِّغُكُم مّا أُرسِلتُ بِهِ وَلٰكِنّي أَرٰكُم قَومًا تَجهَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Knowledge [of its time] is only with Allāh, and I convey to you that with which I was sent; but I see you [to be] a people behaving ignorantly.”

MALAY

Nabi Hud berkata: “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul)!”

 

قالَ إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ

(Nabi Hud) berkata: “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, 

Kuasa untuk menurunkan azab adalah dalam tangan Allah ﷻ; Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu bilakah ia akan dikenakan kepada mereka. Nabi Hud  عليه السلام hendak turunkan azab yang dijanjikan itu pun tidak boleh kerana bukan baginda yang jaga azab. Bukan baginda yang menentukan.

Atau, ia bermaksud ilmu sama ada mereka layak dikenakan dengan azab atau tidak hanya ada pada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu. Nabi Hud عليه السلام boleh sampaikan sahaja. Baginda hanya boleh beri ancaman sahaja.

Macam kita boleh sebut kriteria orang kafir begini dan begitu, tetapi kita tidak boleh label seseorang sebagai ‘kafir’ (perbuatan takfir). Kita tidak boleh kata: “kau kafir, pasti kena azab, pasti masuk neraka!”. Paling kuat kita boleh kata: “aku tengok engkau ni ada ciri-ciri orang kafir. Maka berhati-hatilah dan baikilah diri kamu.”

Kita tidak boleh kata seseorang itu akan dikenakan dengan azab atau seseorang itu pasti masuk neraka. Kena ingat yang kita tidak jaga neraka dan syurga. Malangnya ramai sangat yang ringan sahaja mulut mengkafirkan orang lain.

 

وَأُبَلِّغُكُم مّا أُرسِلتُ بِهِ

dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, 

Bukan baginda boleh tentukan siapa masuk neraka dan siapa kena azab, kerana baginda boleh beri peringatan dan ancaman sahaja. Kerana itulah tugas yang baginda diutuskan oleh Allah.

Dan baginda telah menjalankan tugas baginda dalam menyampaikan ajaran wahyu. Maka, yang selain darinya terpulang kepada Allah ﷻ. Maka kita pun kenalah jalankan tugas kita menyampaikan ajaran wahyu kepada umat. Apa yang orang hendak kata, itu mulut mereka. Tugas kita sampaikan sahaja.

 

وَلٰكِنّي أَرٰكُم قَومًا تَجهَلونَ

tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil

Baginda kata mereka adalah kaum yang jahil atau ‘buat-buat jahil’. Buat-buat tidak faham dengan apa yang disampaikan. ‘Buat-buat bodoh’, kata orang kita.

Jahil itu adalah apabila ikut perasaan sahaja iaitu ikut kehendak nafsu sahaja, sudah tidak ikut akal. Ini kerana kadangkala akal boleh terima apa yang disampaikan, tetapi nafsu yang tidak boleh terima. Kerana nafsu telah menguasai akal mereka. Maka mereka yang menolak akan menolak dengan berbagai-bagai cara.

Sebagai contoh, Kaum Aad itu tahu yang azab itu bukan dari baginda tetapi mereka minta juga dari baginda. Mereka sengaja hendak menyakitkan hati baginda dengan berkata begitu. Konon-kononnya apabila baginda tidak dapat turunkan azab, maka mereka boleh berhujah: baginda tidak benarlah pada mereka.


 

Ayat 24: Takhwif Duniawi. Kaum Nabi Hud عليه السلام telah dikenakan dengan azab. Ini sebagai penguat kepada Maksud Surah ini – pujaan-pujan yang mereka sembah itu tidak dapat menolong mereka apabila mereka dikenakan dengan azab. Sama ada azab itu di dunia atau di akhirat kelak.

Salah satu rahmat Allah ﷻ yang kita mungkin tidak perasan adalah Allah ﷻ sudah tidak hancurkan umat setiap kali mereka menolak Nabi mereka. Sejak kedatangan Nabi Muhammad ﷺ, Allah ﷻ sudah tidak buat begitu lagi. Malah semenjak Nabi Musa عليه السلام lagi sudah tidak ada azab yang menghancurkan kaum diberikan. Ini adalah kerana syariat perang sudah diberikan. Kerana Allah telah beri kebenaran untuk berperang kepada umat Islam untuk kenakan azab sendiri kepada musuh mereka.

Allah ﷻ tidak hancurkan manusia secara keseluruhan lagi kerana kalau Allah ﷻ buat macam dulu, lagi teruklah manusia zaman ini kena azab, kerana penentangan kita lagi teruk dari kaum-kaum terdahulu. Itulah sebabnya Nabi Muhammad ﷺ digelar sebagai ‘rahmat kepada sekalian alam’ – kerana selepas baginda, azab yang besar-besar sudah tiada – kita diberi peluang untuk bertaubat.

Dan kalau Allah ﷻ musnahkan ‘umat’ Nabi Muhammad ﷺ, maka tiada lagi manusia atas muka bumi, kerana semua kita adalah umat Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya. Sedangkan kalau dulu Allah ﷻ musnahkan satu kaum, ada lagi kaum lain. Waktu itu apabila Allah ﷻ musnahkan kaum Aad, ada lagi kaum lain yang akan dibangkitkan selepas mereka (atau sezaman dengan mereka).

فَلَمّا رَأَوهُ عارِضًا مُّستَقبِلَ أَودِيَتِهِم قالوا هٰذا عارِضٌ مُّمطِرُنا ۚ بَل هُوَ مَا استَعجَلتُم بِهِ ۖ ريحٌ فيها عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they saw it as a cloud approaching their valleys, they said, “This is a cloud bringing us rain!” Rather, it is that for which you were impatient:¹ a wind, within it a painful punishment,

  • When you challenged your prophet. See verse 22 of this sūrah.

MALAY

Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

 

فَلَمّا رَأَوهُ عارِضًا مُّستَقبِلَ أَودِيَتِهِم

Maka apabila mereka melihat (azab itu sebagai) awan yang menghala ke lembah-lembah mereka,

Oleh kerana kedegilan mereka, Allah ﷻ telah hentikan hujan untuk mereka. Jadi mereka sudah lama dalam kemarau. Mereka ada masalah kerana kekurangan makanan. Allah ﷻ jadikan begitu supaya mereka rasa rendah diri tidak sombong, supaya hilang ego mereka.

Ini kerana selalunya orang jadi sombong apabila mereka senang dan apabila mereka susah, baru teringat kepada Allah ﷻ. Sifat manusia, apabila sudah jatuh terduduk, barulah hati lembut untuk terima peringatan.

Sepatutnya bila kena musibah sebegitu, membuatkan mereka terfikir yang mungkin perkara itu terjadi akibat tidak beriman dan supaya mereka kenangkan dosa mereka dan kembali ke pangkal jalan.

Maka lamalah mereka tidak dapat hujan, maknanya sudah lama musim kemarau. Tiba-tiba satu hari mereka boleh nampak datangnya awan yang tebal menuju ke lembah tempat tinggal mereka. Mereka pun teruslah suka apabila nampak awan itu.

 

قالوا هٰذا عارِضٌ مُّمطِرُنا

mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!”

Mereka sudah melonjak kegembiraan, kerana mereka sangka itu adalah awan yang membawa hujan yang akan turun. Mereka tidak sangka yang ia adalah azab yang dibawa untuk mereka kerana ia datang dalam bentuk awan. Mereka memang gembira kerana mereka memang tunggu hujan pun.

Siti Aisyah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ. apabila melihat mendung atau angin yang besar, maka terlihat ada perubahan pada roman muka beliau. Lalu Siti Aisyah bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang merasa gembira bila mereka melihat awan kerana adanya harapan akan turun hujan. Tetapi aku amati apabila engkau melihatnya, ada perasaan kurang senang di wajahmu.” Maka Rasulullah ﷺ menjawab:

“يَا عَائِشَةُ، مَا يُؤَمِّنُنِي أَنْ يَكُونَ فِيهِ عَذَابٌ، قَدْ عُذِّبَ قَوْمٌ بِالرِّيحِ، وَقَدْ رَأَى قَوْمٌ الْعَذَابَ فَقَالُوا: هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا”

Hai Aisyah, aku merasa khawatir bila di dalam awan itu terdapat azab, kerana ada suatu kaum yang telah diazab melalui angin yang besar (awan), kaum itu melihat kedatangan azab tersebut, lalu mereka mengatakan, ‘Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami.”

Dalam  hadis yang lain:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman, dari Sufyan, dari Al-Miqdam ibnu Syuraih, dan ayahnya, dari Aisyah r.a. yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ apabila melihat awan muncul di cakrawala langit dari arah mana pun, baginda meninggalkan pekerjaannya. Dan jika baginda berada di dalam salatnya, mengucapkan doa berikut:

“اللَّهُمَّ، إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيهِ”

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari keburukan yang terkandung di dalam awan ini.

Dan jika ternyata awan itu hilang, maka baginda memuji kepada Allah ﷻ. Jika hujan turun, maka baginda membaca doa:

“اللَّهُمَّ، صَيِّبًا نَافِعًا”

Ya Allah, (jadikanlah hujan ini) hujan yang bermanfaat.

 

Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan. Ini dalam bentuk hujan yang positif.

Dan kadangkala Allah menggunakan kalimah مطر bagi hujan yang negatif. Iaitu sesuatu yang tidak baik seperti dalam ayat ini.

 

ۚ بَل هُوَ مَا استَعجَلتُم بِهِ

“Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya,

Tetapi ia bukannya awan nikmat tetapi itulah dia azab yang dulu mereka minta disegerakan. Bukankah sebelum ini mereka telah cabar Nabi Hud untuk bawakan azab yang dijanjikan? Sekarang ia sudah datang, hendak cakap apa pula?

 

ۖ ريحٌ فيها عَذابٌ أَليمٌ

iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

Ia adalah angin kencang yang ada azab di dalamnya. Di dalamnya bukan air hujan tetapi api.

Dalam surah lain ada disebut yang angin taufan itu melanda mereka selama tujuh malam lapan hari. Kalau sekarang kita tengok tornado serang sesuatu kawasan tiga minit pun kita boleh tengok kehancuran yang dilakukannya. Tambahan pula kalau berhari-hari, datang dengan api pula. Memang tidak dapat dibayangkan kemusnahan itu.


 

Ayat 25: Takhwif Duniawi.

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيءٍ بِأَمرِ رَبِّها فَأَصبَحوا لا يُرىٰ إِلّا مَسٰكِنُهُم ۚ كَذٰلِكَ نَجزِي القَومَ المُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Destroying everything by command of its Lord. And they became so that nothing was seen [of them] except their dwellings. Thus do We recompense the criminal people.

MALAY

“Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya”. (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah) – tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.

 

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيءٍ بِأَمرِ رَبِّها

“Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya”.

Semua yang ditakdirkan hancur, musnah dengan arahan Tuhan. Terpulang kepada Allah  ﷻ bahagian mana yang Dia hendak hancurkan. Ini kerana tempat tinggal mereka tidak dihancurkan. Maknanya Allah ﷻ hendak hancurkan tubuh badan mereka sebenarnya.

 

فَأَصبَحوا لا يُرىٰ إِلّا مَسٰكِنُهُم

maka menjadilah mereka (punah ranah) – tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka.

Kelibat mereka tidak ada, tinggal tinggalan rumah sahaja. Tubuh badan mereka sedikit pun tidak ada lagi. Allah ﷻ tinggalkan tempat tinggal mereka sebagai peringatan kepada orang kemudian. Manusia kemudian boleh tengok kesan mereka itu dan mengingatkan kepada azab yang dikenakan kepada orang yang engkar dengan agama.

 

ۚ كَذٰلِكَ نَجزِي القَومَ المُجرِمينَ

Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.

Begitulah Allah ﷻ beri contoh apa yang terjadi kepada kaum yang buat dosa. Bukanlah ia khusus kepada kaum Aad sahaja. Mereka dikenakan dengan azab sebegitu kerana mereka telah melakukan kesalahan yang berat dari segi akidah.

Namun ia boleh lagi dikenakan kepada kaum yang Allah ﷻ ingin balas semasa di dunia. Macam umat Nabi Muhammad ﷺ, Allah ﷻ tidak azab sampai habis keturunan kerana kalau diberi azab begitu, maka tidaklah ada tinggal lagi umat manusia kerana semua manusia sekarang adalah umat Nabi Muhammad ﷺ.

Maka azab yang dikenakan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ adalah sikit-sikit sahaja, hanya dikenakan kepada tempat-tempat tertentu. Tidaklah sampai habis semua keturunan terus seperti yang dilakukan kepada Kaum Aad ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Oktober 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s