Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 17 – 20 (Anak yang degil)

Ayat 17: Ini adalah Ayat Syikayah (rungutan Allah tentang kata-kata manusia yang degil). Sebelum ini telah disebut contoh ibubapa dan anak yang baik. Sekarang diberikan contoh anak yang tidak baik pula. Ibubapanya mengamalkan tauhid tetapi anaknya tidak beriman dengan tauhid dan mengamalkan syirik.

Jadi ini adalah contoh seorang anak yang derhaka kepada ibubapanya. Kita juga tahu teruknya orang begini kerana tidak mengenang jasa ibubapa sendiri. Allah ﷻ hendak mengajar kita, kalau degil dengan ibubapa sudah teruk, maka degil dengan Allah ﷻ lagilah teruk kerana Allah ﷻ lebih banyak jasa-Nya kepada kita.

وَالَّذي قالَ لِوٰلِدَيهِ أُفٍّ لَّكُما أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ وَيلَكَ ءآمِن إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But one who says to his parents, “Uff¹ to you; do you promise me that I will be brought forth [from the earth] when generations before me have already passed on [into oblivion]?” while they call to Allāh for help [and to their son], “Woe to you! Believe! Indeed, the promise of Allāh is truth.” But he says, “This is not but legends of the former peoples” –

  • An expression of distaste and irritation.

MALAY

Dan (sebaliknya amatlah derhakanya) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka mengajaknya beriman): “Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua! Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur, padahal berbagai umat sebelumku telah berlalu (masih lagi belum kembali)? ” Sambil mendengar kata-katanya itu – ibu bapanya merayu memohon pertolongan Allah (menyelamatkan anak mereka) serta berkata (kepada anaknya yang ingkar itu): “Selamatkanlah dirimu! Berimanlah (tentang hidup semula menerima balasan amal)! Sesungguhnya janji Allah tetap benar”. Lalu dia menjawab (dengan angkuhnya): “Semuanya itu hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!”

 

وَالَّذي قالَ لِوٰلِدَيهِ أُفٍّ لَّكُما

Dan orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya: “Ah! Bosan kamu berdua!”

Kata-kata ini dikeluarkan oleh seorang anak kepada ibubapanya. Dia kata dia sungguh bosan dengan mereka kerana dia rasa serabut mendengar nasihat agama daripada mereka berdua. Asyik-asyik kena nasihat, kena tegur apabila dia buat salah. Apabila dia tidak suka, sampai keluar kata-kata kurang ajar itu.

Itu adalah kata permulaan bagi derhaka. Dengan kata-kata ini pun sudah dikira derhaka. Ibubapa bagi nasihat tetapi dia tidak mahu terima, dan marah pula kepada ibubapa yang beri nasihat itu. Sedangkan ibubapa itu memberi nasihat kerana dia telah buat kesalahan dalam agama. Memanglah patut ibubapa itu menasihatkan dia, tetapi dia pula yang tidak suka. Kalau ibubapa pun tidak boleh nasihat, siapa lagi yang boleh nasihat?

Nota: tidak pasti siapakah individu yang dimaksudkan dalam ayat ini. Tafsir Ibn Kathir ada meriwayatkan beberapa riwayat yang menyebut salah satu pendapat yang mengatakan bahawa individu yang dimaksudkan adalah anak Saidina Abu Bakar رضي الله عنه, tetapi Ibn Kathir menolak hujah itu kerana ia tidak kuat. Jadi, kita gunakanlah ayat ini sebagai makna yang umum, tidak tertakluk kepada mana-mana individu. Tidak perlu kita kaitkan kepada mana-mana individu.

 

أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ

Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur, 

Ini anak yang tidak percaya kepada kebangkitan semula. Walaupun ibubapa dia mengingatkan dia kepada hari akhirat, dia tidak percaya dan tidak suka diperingatkan. Ini adalah jenis ibubapa yang baik, kerana mereka ingatkan anak tentang akhirat dan kepentingan agama. Inilah yang sepatutnya kita sebagai ibubapa kena lakukan. Jangan biarkan anak terus hanyut.

Ibubapa yang soleh tidak kisah hal lain, asalkan anak dia jadi baik dalam agama. Mereka tidak risaukan tentang kerja anaknya itu kerana mengharapkan anaknya akan menanggungnya bila sudah tua nanti; atau jenis ibubapa yang berbangga kalau anak mereka berjaya dalam kerjaya, kehidupan dan rupa kerana mereka hendak berbangga dengan anaknya itu.

Hanya yang mereka lebih pentingkan adalah agama anaknya itu. Biarlah tidak berjaya dalam kerjaya, asalkan berjaya dan faham dalam agama. Tentunya berlainan sekali dengan kebanyakan fahaman ibubapa di dunia ini yang mahukan anak berjaya dalam dunia supaya mereka pun boleh menumpang hidup senang.

 

وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي

padahal berbagai generasi sebelumku telah berlalu?

Anak itu pun memberi alasan kenapa dia tidak percaya dengan kebangkitan semula dan dia rasa pandai dengan hujahnya itu, tetapi dia bodoh sebenarnya. Dia kata orang sudah banyak yang lama mati, tetapi tidak ada pun yang hidup semula dan beritahu yang memang akhirat itu ada?

Ini adalah hujah yang bodoh kerana Allah ﷻ tidak pernah kata yang orang yang mati akan dihidupkan semula ‘dalam’ dunia ini, tetapi kehidupan semula itu adalah ‘selepas’ Hari Kiamat dan setelah alam bumi ini hancur.

 

وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ

ibu bapanya merayu memohon pertolongan Allah

Ibubapanya berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberi taufik untuk anak mereka. Mereka sudah tidak tahu hendak buat apa lagi dengan anak mereka itu. Sudah nasihat banyak kali, tetapi kalau sudah jenis anak tidak mahu mendengar nasihat, memang tidak boleh buat apa. Maka mereka berharap kepada Allah ﷻ sahaja.

Ini mengajar kita, kita tidak boleh hendak mengubah pendirian seseorang. Kadangkala kita sudah berhujah dan beri dalil banyak kali, tetapi orang yang didakwah tidak dengar juga. Maka waktu itu kita hanya berdoa kepada Allah ﷻ sahaja untuk membuka pintu hati mereka. Serahkan kepada Allah ﷻ sahaja.

Bukannya pergi jumpa bomoh atau Uskun (Ustaz Dukun) minta air penerang hati. Itu amat mengarut sekali dan saki baki fahaman Jahiliyah. Ia juga syirik kerana ada fahaman ada manusia boleh ubah hati manusia.

 

وَيلَكَ ءآمِن إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

“Bahaya kamu! Berimanlah! Sesungguhnya janji Allah tetap benar”.

Ibubapa itu tetap memberi nasihat kepada anaknya itu disamping memarahi anaknya. Ini memang kes yang ibubapa patut marah anak.

Maksud وَيلَكَ – ‘bahaya kamu’. Ibubapa mengingatkan anaknya itu berjaga-jaga dengan apa yang dia katakan. Kalau hendak selamat, berimanlah!

Maknanya, ibubapa itu suruh anaknya itu perbetul akidahnya dahulu. Bahaya kalau anaknya itu berterusan dengan akidah itu kerana Allah ﷻ sudah janji hendak azab dan kekalkan pengamal syirik dalam neraka selama-lamanya. Allah ﷻ pasti akan tunaikan janji-Nya itu.

 

فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

Lalu dia menjawab: “Semuanya ini hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!”

Anaknya itu masih tidak percaya dengan apa yang disampaikan oleh ibubapanya itu. Ini adalah alamat seorang ahli neraka. Dia kata semua yang diberitahu tentang agama itu adalah perkara dongeng orang dahulu kala sahaja.

Ini selalu terjadi kepada mereka yang rasa mereka pandai, terutama pandai dalam sains. Mereka kononnya mahu perkara-perkara yang dikatakan dalam agama itu kena ada bukti dalam sains, baru mereka nak percaya. Kalau tidak ada bukti, pada mereka itu kisah dongeng sahaja.

Mereka tidak kisahkan agama kerana hendak hidup ikut nafsu mereka sahaja. Ini kerana kalau kena terima agama, mereka rasa susah sebab kena kekang nafsu mereka. Mereka tidak mahu kekang nafsu kerana mereka hendak segalanya dengan segera. Mereka telah terikat dengan nikmat dunia yang segera.


 

Ayat 18: Takhwif Ukhrawi. Ini adalah natijah kalau tidak ikut nasihat.

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ إِنَّهُم كانوا خٰسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the ones upon whom the word [i.e., decree] has come into effect, [who will be] among nations which had passed on before them of jinn and men. Indeed, they [all] were losers.

MALAY

Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ

Mereka yang bersifat seperti itu telah tetap keputusan ke atas mereka (azab)

Telah tsabit (tetap) taqdir Allah ﷻ untuk penuhkan golongan seperti mereka dalam neraka. Anak jenis macam itu adalah salah seorang dari mereka yang akan masuk neraka. Allah ﷻ sudah membuat keputusan atas mereka. Mereka itu tunggu mati sahaja untuk dikenakan dengan azab.

 

في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ

bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia;

Mereka bukan masuk sendirian sahaja ke dalam neraka. Mereka akan masuk neraka bersama dengan orang-orang yang terdahulu dari kalangan mereka yang juga telah ditakdirkan masuk neraka. Bukan mereka sahaja yang baru buat kerja tolak wahyu ini, tetapi sudah banyak lagi dari golongan terdahulu. Semuanya nanti boleh berjumpa dalam neraka dan berkenalan.

Bukan manusia sahaja yang tolak wahyu, ada kalangan jin juga termasuk  yang tolak wahyu. Sama-sama akan masuk neraka. Surah ini nanti akan sebut tentang jin dan sekarang sudah mula disebut tentang jin.

 

ۖ إِنَّهُم كانوا خٰسِرينَ

sesungguhnya mereka telah menjadi orang-orang yang rugi.

Sungguh rugi sekali mereka. Semua itu kerana kesalahan mereka juga, bukan kerana Allah ﷻ tidak memberi peluang kepada mereka. Mereka rugi kerana tidak ambil peluang semasa hidup di dunia dahulu. Mereka rugi sebenar-benar rugi. Sekarang di dunia mereka tidak nampak, tapi nanti akan jelas di akhirat kelak. Tapi waktu itu sudah terlambat.


 

Ayat 19: Ahli neraka dan syurga ada darjat mereka dalam neraka dan dalam syurga. Tidak sama kedudukan semua orang.

Kedudukan itu bergantung kepada tahap keburukan dan tahap kebaikan mereka. Semakin teruk, maka semakin rendah darjat mereka dalam neraka dan semakin baik dan banyak seseorang itu dalam amal, maka semakin tinggi kedudukannya dalam syurga.

وَلِكُلٍّ دَرَجٰتٌ مِّمّا عَمِلوا ۖ وَلِيُوَفِّيَهُم أَعمٰلَهُم وَهُم لا يُظلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for all there are degrees [of reward and punishment] for what they have done, and [it is] so that He may fully compensate them for their deeds, and they will not be wronged.

MALAY

Dan bagi mereka masing-masing (dari puak jin dan manusia – yang berbuat baik dan yang berbuat jahat) disediakan berbagai peringkat (balasan) yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, dan (ketetapan yang demikian ialah) supaya Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka, sedang mereka tidak dirugikan (sedikit pun).

 

وَلِكُلٍّ دَرَجاتٌ مِّمّا عَمِلوا ۖ

Dan bagi mereka masing-masing berbagai peringkat yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, 

Ada yang duduk di tingkatan rendah dalam syurga. Ada yang duduk di tingkatan tinggi. Bergantung kepada amalan mereka dalam dunia dulu. Bagi yang beramal banyak, akan mendapat kedudukan yang lebih tinggi.

Begitu juga dalam neraka, ada tingkatan juga. Keburukan yang manusia lakukan tidak sama; ada yang lagi teruk dari orang lain. Orang yang menyembah patung sekali, tidak sama dengan orang yang menyembah berhala sepanjang hidup dia. Maka yang paling teruk akan duduk di tingkatan yang paling rendah dan mereka mendapat azab yang paling teruk.

 

وَلِيُوَفِّيَهُم أَعمٰلَهُم

Agar Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka,

Mereka diberikan darjat dalam neraka dan syurga supaya Allah ﷻ balas dengan sempurna. Amalan yang baik dibalas dengan baik dengan sempurna dan yang jahat akan dibalas sempurna dengan keburukan yang layak bagi mereka. Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim. Segala balasan yang Allah ﷻ berikan adalah adil dan sempurna.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

mereka tidak dizalimi

Allah ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan zalim dalam memberi balasan. Tidak ada yang rugi kerana tidak dibalas amal kebaikan mereka. Tidak ada juga yang diberi balasan buruk pada perkara yang mereka tidak pernah buat. Kalau dibandingkan dengan mahkamah dunia, ada juga manusia yang salah dihukum – mereka tidak buat jenayah tetapi kena masuk penjara juga. Mahkamah Allah ﷻ tidak begitu.

Yang buat amal kebaikan, semuanya akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikit pun. Kalau kita buat kerja lebih di dunia, mungkin majikan kita tidak beri imbuhan lebih pun, kerana dia tidak tahu yang kita buat kerja lebih. Namun, Allah ﷻ maha tahu segalanya, jadi Dia akan balas tanpa tertinggal satu pun. Malah Allah ﷻ akan balas lebih lagi dari apa yang dilakukan oleh manusia.


 

Ayat 20: Takhwif Ukhrawi

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ أَذهَبتُم طَيِّبٰتِكُم في حَياتِكُمُ الدُّنيا وَاستَمتَعتُم بِها فَاليَومَ تُجزَونَ عَذابَ الهونِ بِما كُنتُم تَستَكبِرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَبِما كُنتُم تَفسُقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Day those who disbelieved are exposed to the Fire [it will be said], “You exhausted your pleasures during your worldly life and enjoyed them, so this Day you will be awarded the punishment of [extreme] humiliation because you were arrogant upon the earth without right and because you were defiantly disobedient.”

MALAY

Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): “Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik”

 

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ

Dan hari orang-orang kafir didedahkan kepada api neraka

Allah ﷻ hendak menceritakan keadaan mereka yang kafir yang duduk dalam neraka. Mereka akan dipanggang dengan api neraka yang suhunya ribu juta darjah.

Sambil mereka dipanggang itu, mereka akan dihinakan dengan kata-kata para malaikat yang sedang menyeksa mereka.

 

أَذهَبتُم طَيِّبٰتِكُم في حَياتِكُمُ الدُّنيا وَاستَمتَعتُم بِها

“Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; 

Ada muqaddar dalam ayat ini: ‘dikatakan kepada mereka’. Semasa mereka sedang dipanggang itu, mereka diberi syarahan yang menyakitkan hati. Ini adalah takzib rohani – azab penyeksaan jiwa. Ini untuk menambah azab badan yang mereka sedang terima. Sudahlah tubuh mereka sedang diazab, jiwa mereka pun diseksa dengan kata-kata yang menyakitkan hati.

Diingatkan kembali kehidupan mereka di dunia yang menyebabkan mereka jadi sesat dan tidak bersedia untuk menghadapi akhirat – mereka dulu bersuka ria dalam dunia, menghabiskan masa dengan nikmat kehidupan sahaja. Dunia telah melalaikan mereka sampai mereka tidak sempat meluangkan masa untuk mencari kebenaran, tidak beramal dengan amal yang soleh.

Tentang dunia mereka hebat, tetapi tentang agama mereka ambil mudah sahaja. Mereka tidak kisah kalau mereka jahil tentang agama, asalkan kehidupan mereka senang lenang. Macam orang kita juga yang pakai ilmu agama yang mereka dapat di sekolah rendah sahaja. Tidak berubah dan bertambah ilmu agama sampailah mereka sudah dewasa dan sudah tua. Mereka tidak menaiktaraf ilmu agama mereka. Kerana itu bila ditegur, mereka melenting kerana mereka tidak pernah dengar tentang hukum hakam agama.

Ini juga celaan kepada manusia yang makan segala rezeki pemberian Allah ﷻ, tetapi tidak taat kepada-Nya. Sebenarnya segala nikmat yang kita gunakan ini adalah percuma kalau kita taat kepada Allah ﷻ tetapi kalau tidak taat, maka akan ditanya apakah yang mereka lakukan semasa di dunia. Hendak bayar macam mana segala oksigen yang kita sedut dan segala makanan yang kita sudah makan?

Ada satu lagi maksud ayat ini: segala perbuatan baik orang kafir itu telah Allah ﷻ balas semasa di dunia. Mereka pun ada buat baik juga, tetapi perbuatan baik itu Allah ﷻ telah balas di dunia lagi. Jadi mereka tidak dapat hendak tuntut perbuatan baik mereka itu di akhirat kerana mereka tidak ada pahala.

Kerana itulah kita lihat orang bukan Islam yang banyak menderma, mereka menjadi semakin kaya dan kaya. Allah telah balas derma dan segala kebaikan mereka di dunia lagi. Jadi tidak ada bahagian mereka di akhirat kelak.

 

فَاليَومَ تُجزَونَ عَذابَ الهونِ

maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina

Kerana mereka lalai dari agama dan leka dengan dunia, sekarang mereka akan merasai azab yang menghinakan di neraka. Dulu mereka di dunia, hebat sekali – semua orang kenal, semua orang takut dan hormat kepada mereka, apa sahaja yang mereka hendak, mereka boleh dapat.

Kalau ada sesiapa yang mereka tidak setuju, siaplah orang itu kerana akan susah kehidupannya. Mereka hina orang yang di bawah mereka. Namun, terbalik sekali dengan nasib mereka di neraka – mereka jadi orang yang hina sehina-hinanya. Dulu semasa di dunia, mereka mungkin hina orang lain, tetapi di akhirat nanti mereka akan dihinakan sehina-hinanya.

 

بِما كُنتُم تَستَكبِرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ

kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar,

Kerana apa mereka dihinakan dengan teruk sekali? Kerana mereka dulu sombong tidak mahu menerima kebenaran. Apabila kebenaran disampaikan kepada mereka, mereka sombong nak terima.

Mereka juga sombong hendak belajar, macam tidak penting sahaja pelajaran agama itu sampaikan mereka hendak luangkan masa pun tidak layak. Kita ajaklah banyak kali ajak datang kelas, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja.

Mereka tolak kebenaran tanpa hak – tanpa beri dalil bukti pun kenapa mereka tidak terima. Mereka tolak mentah-mentah sahaja dan sombong pula untuk terima ajaran tauhid yang disampaikan kepada mereka. Mereka tolak orang yang beri nasihat kepada mereka dengan sombong. Mereka tolak itu kerana mereka degil sahaja, bukan sebab lain.

 

وَبِما كُنتُم تَفسُقونَ

dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik”

Dari segi perbuatan mereka pula, mereka berbuat fasik – fasik maksudnya keluar dari taat. Sentiasa melakukan dosa dan menzahirkan dosa mereka itu. Tidak malu buat dosa dan tidak kisah orang nampak mereka buat dosa.

Apa yang Allah ﷻ suruh mereka buat, mereka tidak mahu buat tetapi perbuatan dosa mereka selalu dan banyak pula dibuat. Inilah apabila tidak ada ilmu agama. Mereka sudah tidak kisah halal haram lagi. Semuanya mereka redah sahaja. Maka, kerana sebab-sebab inilah mereka dimasukkan ke dalam neraka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s