Tafsir Surah Insyiqaq Ayat 1 – 15 (Hisab yang ringan)

Pengenalan:

Surah ini hampir sama dengan Surah Takweer dan Infithar sebelum ini. Surah ini diturunkan dalam Peringkat Kedua Kenabian Tahun 4 – 5 di Mekah.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 6 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ﷻ memberitahu yang manusia seperti semua makhlukNya yang lain, sedang menuju ke destinasi akhir.

Ayat 1 ini adalah ayat takhwif ukhrawi.

إِذَا السَّماءُ انشَقَّت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Inshiqāq: The Splitting.

When the sky has split [open]

(MALAY)

Apabila langit terbelah,

 

Allah ﷻ menceritakan dan menyuruh kita membayangkan bagaimana keadaannya apabila langit terbelah. Waktu itu malaikat juga turun untuk menjalankan tugas mereka. Surah ini adalah sambungan dari surah-surah sebelum ini yang menceritakan tentang kejadian Hari Kiamat dan surah ini meneruskan kisah-kisah itu.

Dalam surah-surah sebelum ini, telah banyak digunakan kalimah إِذَا seperti dalam Surah Takweer:

إِذَا الشَّمسُ كُوِّرَت

وَإِذَا النُّجومُ انكَدَرَت

dan seterusnya sampai ke ayat ke 13, semuanya mempunyai kalimah إِذَا.

Akhirnya, dalam ayat ke 14, Allah ﷻ sebut:

عَلِمَت نَفسٌ ما أَحضَرَت

Selepas semua itu terjadi, manusia akan tahu dan teringat dengan apa yang mereka telah lakukan semasa mereka hidup di dunia. Maksudnya, Allah ﷻ menggunakan kalimah إِذَا dalam Surah Takweer dan juga dalam Surah Infithar (rujuk ayat 1 – 5). Selepas rentetan ayat-ayat yang ada kalimah إِذَا itu, Allah ﷻ memberi kesimpulannya. Akan tetapi, ada kelainan sedikit dalam Surah Insyiqaq ini kerana tidak disebut apakah kesimpulannya.

Kalimah انشَقَّت dari kata dasar  ش ق ق yang bermaksud terbelah jenis yang tidak dapat disambung kembali. Penggunaan kalimah ini telah meningkat dari kalimah-kalimah yang digunakan sebelum ini seperti انفَطَرَت dan كُشِطَت kerana kalimah انشَقَّت adalah jenis rosak yang tidak dapat diperbaiki lagi. Maka surah-surah ini menceritakan keadaan yang semakin teruk dan semakin teruk. Ini adalah kerana Allah ﷻ sedang memberi peringatan dan hendak menakutkan kita.


 

Ayat 2:

وَأَذِنَت لِرَبِّها وَحُقَّت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And has listened [i.e., responded]¹ to its Lord and was obligated [to do so]

  • It will have heard Allāh’s command and will have inclined immediately to compliance and willing obedience.

(MALAY)

dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya langit itu patuh,

 

Langit itu mendengar dan mematuhi arahan Tuhan dan semestinya ia mematuhi. Ini adalah kata perlian dari pada Allah ﷻ kepada kita: Sedangkan langit yang lagi besar juga patuh kepada Allah ﷻ untuk memusnahkan dirinya, kenapa pula manusia yang kerdil ini tidak taat?

Banyak dari kalangan manusia yang degil dengan arahan Tuhan dan Allah ﷻ sedang menegur dan memerli mereka yang engkar itu. Allah ﷻ menyuruh kita melihat bagaimana langit itu ikut dan taat apa yang Allah ﷻ suruh mereka lakukan. Mereka menunggu sahaja apa yang mereka perlu lakukan kerana memang itulah hujung kejadian mereka. Kerana mereka tahu yang mereka dijadikan untuk dihancurkan juga akhirnya. Jadi, selama ini mereka tunggu sahaja arahan Allah ﷻ apabila sudah sampai masanya.

Begitulah Allah ﷻ selalu bandingkan manusia dengan alam kerana Allah ﷻ hendak tunjuk kepada kita sesuatu. Iaitu, bagaimana alam itu ikut sahaja apa yang Dia suruh mereka lakukan, tetapi manusia ini amat degil. Kita sepatutnya ikut seperti alam yang memang menjalankan apa jua tugas yang diberikan kepada mereka.

Kalimah حُقَّت bermaksud memang patut langit itu berbuat begitu. Tidak ada perkara lain yang patut dilakukannya. Ibn Abbas رضي الله عنهما berkata, ianya adalah haq Allah ﷻ untuk langit dengar dan taat kepadaNya. Maka, kita sebagai manusia juga hendaklah memenuhi haq Allah ﷻ itu. Hendaklah kita taat  dan patuh kepada apa sahaja arahanNya.


 

Ayat 3:

وَإِذَا الأَرضُ مُدَّت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the earth has been extended¹

  • i.e., stretched flat and spread out.

(MALAY)

dan apabila bumi diratakan,

 

Apabila bumi diratakan selebar-lebarnya. مُدَّ bermaksud diregangkan, dibuka selebar-lebarnya. Jadi, permukaan bumi itu diregangkan sampai menjadi datar. Bayangkan kertas direnyuk dan ditegangkan balik.

Ada riwayat yang mengatakan Allah ﷻ akan menegangkan dunia seperti menegangkan kulit. Ini menunjukkan kekuasaan Allah ﷻ untuk melakukan apa sahaja terhadap bumi ini. Ini adalah kerana memang Allah ﷻlah yang menguruskan dunia ini dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya.

Ini berlawanan dengan kefahaman zaman dahulu yang mengatakan Tuhan jadikan alam dan kemudian manusia yang menguruskan dunia. Zaman sekarang juga masih ada orang yang ada sangkaan begitu dan itu adalah fahaman yang salah. Mereka seolah-olah mengatakan Allah ﷻ tidak mempunyai kuasa atau tidak kisahkan langsung dunia ini.

أَخْبَرَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ الْفَضْلِ الشَّعْرَانِيُّ، ثَنَا جَدِّي، ثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ حَمْزَةَ الزُّبَيْرِيُّ، ثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ عَلِيِّ بْنِ حُسَيْنٍ، عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: ” تُمَدُّ الْأَرْضُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَدًّا لِعَظَمَةِ الرَّحْمَنِ، ثُمَّ لَا يَكُونُ لِبَشَرٍ مَنْ بَنِي آدَمَ إِلَّا مَوْضِعَ قَدَمَيْهِ، ثُمَّ أُدْعَى أُولَى النَّاسِ فَأَخِرُّ سَاجِدًا ثُمَّ يُؤْذَنُ لِي فَأَقُومُ فَأَقُولُ: يَا رَبِّ أَخْبَرَنِي هَذَا – لِجِبْرِيلَ وَهُوَ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ وَاللَّهِ مَا رَآهُ جِبْرِيلُ قَبْلَهَا قَطُّ – أَنَّكَ أَرْسَلْتَهُ إِلَيَّ، قَالَ وَجِبْرِيلُ سَاكِتٌ لَا يَتَكَلَّمُ حَتَّى يَقُولَ اللَّهُ: §صَدَقَ، ثُمَّ يُؤْذَنُ لِي فِي الشَّفَاعَةِ فَأَقُولُ: يَا رَبِّ عِبَادُكَ عَبَدُوكَ فِي أَطْرَافِ الْأَرْضِ، فَذَلِكَ الْمَقَامُ الْمَحْمُودُ

«هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحُ الْإِسْنَادِ عَلَى شَرْطِ الشَّيْخَيْنِ وَلَمْ يُخْرِجَاهُ

Telah mengabarkan kepada kami, Ismail bin Muhammad bin al-Fadhl asy-Sya’rani,  datukku menceritakan kepada kami, Ibrahim bin Hamzah az-Zubairi mengabarkan kepada kami, Ibrahim bin Sa’d menceritakan kepada kami, dari Ibnu Syihab, dari Ali bin al-Husain, dari Jabir bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Bumi pada Hari Kiamat akan terbentang kerana keagungan (Tuhan) Ar-Rahman. Kemudian manusia dari anak cucu Adam tidak akan mendapati tempat berpijak kecuali hanya tempat bagi kedua telapak kakinya (kerana semua makhluk pada hari itu telah dibangkitkan). Lalu aku dipanggil sebagai manusia pertama , maka akupun sujud kemudian aku diberi izin dan akupun berdiri seraya berkata, “Ya Rabb, telah dikhabarkan kepadaku ini –  sedangkan Jibril berada di sebelah kanan Tuhan Yang Maha Pemurah. Demi Allah, Jibril belum pernah melihat-Nya sebelum itu – dan aku berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah mengutus Jibril kepadaku.” Baginda melanjutkan “Jibril diam tidak berbicara sampai Allah berfirman “Iya benar.” Kemudian aku diberi izin untuk memberi syafa’at lalu aku katakan, “Ya Rabb, hamba-hamba-Mu menyembah-Mu di pelbagai penjuru bumi, maka itu adalah tempat yang terpuji”

Sanad hadis ini sahih, sesuai dengan syarat al-Bukhari dan Muslim. Namun mereka tidak meriwayatkannya

[Mustadrak Imam al-Hakim No. 8701. Imam az-Zahabi berkata dalam al-Talkhish, “Hadis ini sahih, sesuai syarat al-Bukhari dan Muslim. Namun az-Zahabi memursalkan hadis ini dari Ibnu Syihab dari Ali bin al-Husain semisalnya]

 


 

Ayat 4:

وَأَلقَت ما فيها وَتَخَلَّت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And has cast out that within it¹ and relinquished [it]

  • Of the dead and all else buried therein.

(MALAY)

dan dilemparkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong,

 

Kalimah أَلقَت asalnya dari kalimah ألقى yang bermaksud baling, buang, macam Nabi Musa عليه السلام baling tongkat baginda. Ini bermaksud bumi akan baling/buang apa yang ada di atas dan di dalamnya. Dalam surah sebelum ini telah disebut bagaimana kubur akan dibongkarkan iaitu apabila yang telah lama mati akan dikeluarkan dari dalam perut bumi.

Kalimah تَخَلَّت dari kalimah خلو yang bermaksud mengosongkan sesuatu. تَخَلَّت bermaksud mengosongkan terus sebagaimana seorang ibu mengosongkan perutnya selepas melahirkan anak. Setelah menanggung anaknya selama sembilan bulan dalam perut, akhirnya ibu itu akan mengeluarkan anaknya.

Begitu juga, bumi akhirnya akan mengeluarkan semua yang ada di dalamnya setelah menanggung sekian lama dan bumi akan menjadi kosong. Bumi akan mengeluarkan orang yang baik dan yang jahat juga untuk semuanya menerima pengadilan. Lepaslah ia daripada segala tanggungannya selama ini di dalam perutnya.


 

Ayat 5:

وَأَذِنَت لِرَبِّها وَحُقَّت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And has listened [i.e., responded] to its Lord and was obligated [to do so] –

(MALAY)

dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya bumi itu patuh, (pada waktu itu manusia akan mengetahui akibat perbuatannya).

 

Ulangan sekali lagi ayat ke 2. Sepertimana langit, bumi juga menurut perintah Allah ﷻ dan memang layak bumi taat kepada arahan daripada Allah ﷻ. Bumi juga seperti langit, menunggu sahaja apa yang telah ditetapkan dan akan dilakukannya.

Dari dulu sampai ke hari kiamat nanti, ia memang menunggu-nunggu sahaja untuk menjalankan tugasnya itu. Kerana bumi suka untuk taat kepada Allah ﷻ. Kadang-kadang kita ada kerja yang kita suka buat dan ada kerja yang kita mesti buat tetapi kita tidak suka, bukan? Dalam kes ini, bumi memang suka untuk melakukannya.

Bumi memang suka sebab selama ini bumi terpaksa menanggung mereka semua yang berbuat dosa di atasnya. Ia memang berasa terbeban menanggung makhluk yang berbuat dosa di atasnya. Maka, ia akan jadi lega selepas melepaskan bebannya itu.

Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, lima ayat yang pertama ini tidak ada kesimpulannya seperti kalimah عَلِمَت نَفسٌ ما أَحضَرَت dalam surah yang lepas. Allah ﷻ tidak perlu ulang sebab sudah disebut dalam surah-surah sebelum ini. Kita boleh isikan tempat kosong ini kerana kita telah tahu.

Oleh itu, selepas langit dihancurkan dan dibelah, maka waktu itu, tahulah manusia tentang segala kesalahan dan dosa yang mereka telah lakukan selama mereka hidup. Pada waktu itu, baru lah mereka teringat dan sedar. Tetapi, kalau tidak taat dulu, sekarang sudah terlambat untuk berbuat apa-apa lagi untuk menyelamatkan diri.

Oleh itu, jangan tunggu perkara-perkara ini terjadi, baru hendak menyesal. Maka hendaklah kita terus berbuat baik dan beramal serta meninggalkan dosa semampu yang boleh.


 

Ayat 6: Kita masuk ke bahagian kedua dalam surah ini. Inilah ayat terpenting surah ini yang mengandungi targhib (ajakan) kepada amal soleh. Allah ﷻ hendak mengingatkan kita semua, semasa di dunialah mesti buat amal.

يا أَيُّهَا الإِنسانُ إِنَّكَ كادِحٌ إِلىٰ رَبِّكَ كَدحًا فَمُلاقيهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, indeed you are laboring toward your Lord with [great] exertion¹ and will meet it.²

  • i.e., striving throughout your life until you meet your Lord, hastening toward death.
  • i.e., you will find all that you intended and accomplished awaiting you in the Hereafter. Another meaning is “And will meet Him [i.e., your Lord]” and be recompensed in full by Him.

(MALAY)

Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.

 

Ayat ini bermula dengan kalimat يا أَيُّهَا الإِنسانُ . Maksudnya, ayat ini ditujukan kepada semua manusia, bukan sahaja kepada orang Muslim. Juga kalimah الإِنسانُ itu bermaksud ‘makhluk yang pelupa’. Oleh itu, ayat ini sedang ditujukan kepada manusia yang pelupa terhadap tugas mereka. Langit dan bumi tidak lupa tugas mereka, janji mereka kepada Allah ﷻ, tetapi kamu wahai manusia, sangat cepat kamu lupa kepada tugas dan janji kamu.

Sepanjang hidup kita, kita berusaha dalam kehidupan. Memang hendaklah kita sentiasa berusaha mendapatkan sesuatu untuk meneruskan kehidupan. Semenjak Nabi Adam عليه السلام diturunkan dari syurga, begitulah nasib manusia, mesti sentiasa berusaha. Kerana kehidupan di dunia ini tidak seperti di syurga. Di syurga, tidak perlu lagi bekerja untuk mendapatkan makanan. Tetapi di dunia, Nabi Adam عليه السلام sendiri juga berusaha untuk mendapatkan makanan bagi meneruskan kehidupan.

Kita berpindah dari satu peringkat ke peringkat kehidupan yang lain. Dari peringkat kanak-kanak, kemudian masuk ke peringkat persekolahan, kemudian ke peringkat pekerjaan, kemudian berkeluarga, beranak, bercucu, peringkat tua dan sebagainya.

Juga dalam setiap peringkat, ada usaha yang kita mesti perlu lakukan. Semasa belajar, mesti belajar; semasa berkeluarga, mesti mencari nafkah untuk keluarga dan sebagainya. Kalimah كدِحٌ bermaksud berusaha dalam sesuatu perkara, tidak kira sama ada perkara itu baik ataupun buruk. Kerana dalam perkara baik atau buruk, kita tetap mesti tumpukan usaha terhadap menyelesaikannya.

Dalam setiap peringkat kita, pasti ada gol yang kita hendak capai. Sebagai contoh, semasa di peringkat pembelajaran, kita berusaha untuk mencapai lulus dalam peperiksaan. Dalam pekerjaan pula, kita berusaha untuk naik pangkat atau mendapat kejayaan dalam perniagaan kita. Semua peringkat ada gol yang kita hendak capai.

Tetapi sekarang Allah ﷻ letakkan satu gol untuk kita fikirkan dan tujui – iaitu menuju kepada Tuhan ﷻ. Kerana akhirnya, kita akan tetap menemui Allah ﷻ dengan apa yang telah kita berusaha susah payah dahulu. Allah ﷻ mengingatkan kita kerana kita selalunya sibuk dengan dunia dan keindahan di dalamnya. Perkara yang kita kejar dalam dunia seperti hendak siapkan projek, hendak dapatkan bisnes, hendak kejar itu dan ini, hinggakan kita lupa kepada Allah ﷻ.

Kita senang lupa kepada Allah ﷻ padahal semua gol-gol itu sebenarnya kecil sahaja, akan hilang begitu sahaja apabila kita tiada nanti. Akan tetapi yang pasti, kita akhirnya akan sampai kepada Allah ﷻ, mengadap Allah ﷻ. Sama ada mahu atau tidak mahu, kita tetap akan menuju ke sana.

Tetapi, apa yang kita sediakan untuk kita ke sana? Kepada langit dan bumi, mereka tahu tujuan hidup mereka dan mereka akan melaluinya. Tetapi bagaimana dengan kita, adakah kita akan memenuhi tujuan hidup kita?

Oleh itu, Allah ﷻ ingatkan kita berkali-kali dalam Al-Qur’an termasuk ayat ini. Kalimah فَمُلاقيهِ bermaksud kamu pasti akan menemui-Nya. Pasti, pasti dan pasti; atau, ada juga yang mentafsirkan maksud فَمُلاقيهِ begini: kamu pasti akan menemui kesan segala usaha kamu di akhirat kelak. Dan ini juga tidak lari dari tafsiran yang pertama, kerana semua hasil perbuatan kita itu ada bersama Allah ﷻ.

Oleh itu, kita hendaklah menjaga amal kita. Apakah kita tidak takut membawa amalan yang buruk di akhirat nanti yang akan menjerumuskan kita ke dalam neraka?


 

Ayat 7: Ayat 7 – 15 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ﷻ memberitahu yang golongan Abrar akan menerima Kitab Illiyin dengan tangan kanan. Sementara Golongan Fujjar akan menerima Kitab Sijjin daripada belakangnya.

Ayat 7 ini adalah ayat tabshir ukhrawi.

فَأَمّا مَن أوتِيَ كِتابَهُ بِيَمينِهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then as for he who is given his record in his right hand,

(MALAY)

Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya,

 

Kalimah yang digunakan adalah أوتِيَ (diberikan), iaitu dalam bentuk madhi (past tense) walaupun kejadian ini belum berlaku lagi. Dalam Al-Qur’an, past tense digunakan untuk menunjukkan ianya pasti. Maksudnya, pasti ianya akan berlaku.

Allah ﷻ menyebut yang mereka akan mendapat kitab amalan بِيَمينِهِ (pada tangan kanan). Ada golongan manusia yang akan menerima kitab amalan mereka pada tangan kanan. Mereka akan bergembira nanti dan mereka menerima kitab amalan itu seperti menerima sijil selepas berjaya dalam sesuatu ujian dengan cemerlang.

Ini kerana mereka telah menjaga amalan mereka semasa di dunia kerana mereka takut amal timbangan mereka diteliti oleh Allah ﷻ. Kerana takut, mereka amat berhati-hati semasa di dunia dengan segala perbuatan dan tindak-tanduk mereka.

Apabila kitab amalan itu diberikan pada tangan kanan, itu menunjukkan bahawa orang itu dimuliakan. Tangan kanan juga digunakan untuk menunjukkan kuasa; maksudya mereka ada kuasa untuk membaca buku amalan mereka sendiri dan mereka akan suka hendak membacanya kerana sangat gembira.

Tangan kanan juga digunakan sebagai isyarat perjanjian, kerana orang yang berjanji akan berjabat tangan dengan  menggunakan tangan kanan – sebagai isyarat yang dia telah memenuhi perjanjian dia dengan Allah ﷻ. Mereka yang menerima Kitab Amalan mereka pada tangan kanan akan bergembira.


 

Ayat 8:

فَسَوفَ يُحاسَبُ حِسابًا يَسيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will be judged with an easy account

(MALAY)

maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah,

 

Mereka yang menerima kitab amalan mereka pada tangan kanan akan menerima hisab yang mudah. Allah ﷻ akan melihat dan menilai amalan mereka lebih kurang sahaja. Sebab kalau diteliti satu persatu, maka akan ada lah banyak yang salah. Ini amat menakutkan, bukan?

Tetapi Allah ﷻ akan melihat dengan pandangan yang biasa sahaja, bukan dengan teliti. Inilah nikmat yang pertama kerana kalau diteliti betul-betul, akan ada masalah. Bayangkan kalau di imigresen negara yang kita hendak masuk, pegawai itu lihat dengan teliti. Itu juga kita sudah berasa sangat takut, bukan? Oleh itu, apabila seseorang itu dapat buku pada tangan kanannya, dia tentu akan gembira.

Para salaf amat takut akan hisab. Mereka takut yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Bayangkan para sahabat juga takut dengan amalan mereka. Maka, kalau kita tidak takut dan rasa selamat sahaja, memang sangat tidak patut.

Bayangkan sahabat besar seperti Abu Bakr رضي الله عنه takut, Umar رضي الله عنه juga takut, takkan kita pula berasa tidak takut? Takkan mereka tidak berasa selamat, tetapi kita pula berasa selamat? Ketahuilah, memang bahaya kalau kita rasa selamat kerana kita tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam amalan kita jikalau kita sudah berasa selamat. Yang rasa selamat itulah sebenarnya yang tidak selamat.

Ada satu hadith riwayat Aisyah رضي الله عنها yang bertanya tentang ayat ini. Beliau bertanya kepada Rasulullah ﷺ, apakah maksud ‘mudah’ dalam ayat ini? Rasulullah ﷺ menjawab: Allah ﷻ tengok tetapi tidak cakap apa.

Ini seperti polis trafik tahan kita di tengah jalan, memang dia minta untuk lihat lesen kita, tetapi dia lihat sahaja tidak saman kita. Alangkah leganya kita waktu itu, memang waktu dia lihat lesen kita, kita benar-benar takut. Tetapi apabila dia puas hati dan lepaskan kita serta tidak bercakap apa-apa, tentu kita ucap syukur berkali-kali, bukan kerana terselamat dari di saman oleh polis trafik itu?

Inilah yang kita harapkan dengan kitab amalan kita nanti. Memang ada perbuatan salah dalam kitab amalan kita, kerana malaikat sememangnya juga mencatat. Tetapi kita berharap sangat yang Allah ﷻ tidak kisah, tidak tanya tentang kesalahan yang kita lakukan. Inilah riwayatnya:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ هَلَكَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ { فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ إِلَى قَوْلِهِ يَسِيرًا } قَالَ ذَلِكِ الْعَرْضُ
Dari [Aisyah], dia berkata; saya mendengar Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda: “Barang siapa yang diperdebatkan hisabnya, dia binasa.” Maka saya katakan; wahai Rasulullah, bukankah Allah berfirman: “Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, –hingga ayat-maka akan dihisab dengan hisab yang mudah?.” (Al-Insyiqaq ayat 7-8), Baginda bersabda: Yang dimaksudkan ayat itu hanyalah saat catatan amal diperlihatkan.
Jami’ Tirmizi (3260) Status: Sahih (Darussalam)

Oleh itu, maksud perbicaraan yang mudah itu adalah: ditunjuk sahaja amalan, tetapi tidak disoal ‘kenapa’?. Memang masalah kalau ditanya. Kalau ditanya sahaja, itu sudah tanda tidak selamat walaupun belum dengar jawapan lagi.

Sebagai contoh, kalau kita ditanya: kenapa lakukan amalan ini? Ada dalilkah? Kalau ditanya sahaja, itu maksudnya memang akan diazab di dalam neraka. Jadi, tidak takutkah wahai pengamal bidaah, kalau Allah ﷻ bertanya apakah dalil kita lakukan sesuatu amalan yang Nabi ﷺ tidak ajar itu?


 

Ayat 9: Kalau kita dapat berita baik, dapat kerja, dapat hadiah besar, siapa yang kita akan beritahu dulu? Tentu kita hendak berkongsi berita gembira itu dengan ahli keluarga kita dulu, bukan?

وَيَنقَلِبُ إِلىٰ أَهلِهِ مَسرورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And return to his people in happiness.

(MALAY)

dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira.

 

Kejadian ini selepas mereka selamat dalam penghisaban kitab amalan. Tentunya mereka sangat gembira dan mereka akan pulang menemui keluarga mereka dengan perasaan gembira. Mereka pulang dengan segera kerana mereka hendak memberitahu berita gembira itu kepada ahli keluarga mereka.

Tetapi bukankah sebelum ini dalam surah lain disebut manusia akan lari daripada ahli keluarga mereka, bukan? Jadi, kepada siapa yang mereka akan beritahu? Siapakah ‘ahli keluarga’ yang dimaksudkan?

Oleh itu, kita hendaklah lihat dan fikirkan kalimah أَهلِ yang digunakan dalam ayat ini. ‘Keluarga’ yang dimaksudkan bukan hanya bermaksud keluarga darah daging tetapi keluarga dalam agama Islam. Kalau keluarga itu dari darah daging tetapi mereka bukan beriman, maka belum tentu lagi mereka itu termasuk dalam ahli keluarga kita lagi. Mereka yang sama akidah dengan kita jua yang kita paling sayang sebenarnya.

Pertalian kekeluargaan di dunia ini tidak ada lagi di akhirat kelak, hanya ada di dunia sahaja. Memang akan ada ahli keluarga dari darah daging yang tidak masuk syurga dan ahli syurga juga tidak ingat kepada mereka lagi kerana Allah ﷻ akan hilangkan kasih dan sayang kepada mereka, serta lupa terus kepada mereka. Kerana kalau teringat kepada mereka, tentu akan wujud kesedihan dalam hati dan syurga bukanlah tempat untuk bersedih hati.

Maka, kita hendaklah mengajak ahli keluarga kita beramal baik, supaya mereka juga termasuk dalam ahli yang akan bersama dengan kita di dalam syurga. Bayangkan, kalau dapat masuk syurga dengan ahli keluarga kita sekali, alangkah indahnya.

Dalam ayat ini, diberitahu yang mereka bertemu dengan ahli keluarga mereka di syurga, bukan? Tetapi bukankah ada tingkatan di syurga nanti? Kerana tidak semestinya dia dan ahli keluarganya duduk di tingkatan yang sama. Oleh itu, ini memberi isyarat bahawa, ahli syurga itu akan dapat menaikkan ahli keluarga mereka yang di tingkatan rendah untuk naik sama dengan tingkatannya di tempat yang tinggi. Jadi dia tidak perlu pergi ke tempat yang rendah untuk berjumpa dengan ahli keluarga dia. Ini adalah nikmat tambahan lagi.

Jadi, kalau ada ahli keluarga kita yang lakukan kerja agama, sokonglah mereka. Entah-entah mereka boleh naikkan tingkatan kita nanti di syurga. Tetapi apa yang jadi dalam masyarakat kita? Kalau ada yang bekerja keras dalam agama, ada sahaja yang akan tegur supaya jangan membuang masa. Ini jenis keluarga apa juga kita tidak tahu.

Kalimah مَسرورًا (gembira) ada kena mengena dengan سرر (rahsia). Iaitu jenis perasaan dalam hati yang tidak keluar. Inilah kegembiraan dalaman dan ia lebih lama lagi dan lebih kekal dari gembira yang biasa sahaja.

Kejadian yang disebut dalam ayat ini adalah kejadian di akhirat, bukan di dunia. Kerana di dunia, mereka tidak rasa selamat dan kadang-kadang tidak dapat bergembira dengan ahli keluarga mereka. Kerana mereka risau tentang iman ahli keluarga mereka. Sekarang, kita risau tentang apakah yang akan dipelajari oleh anak-anak kita selepas kita tiada nanti, jadi kita sangat risau tentang agama mereka.

Malangnya, kita lihat sekarang ramai yang hanya risaukan makanan apa anak hendak makan, baju apa anak hendak pakai, game apa anak hendak main, rancangan TV mana anak hendak tengok, ke mana anak hendak  di bawa melancong dan benda-benda lain yang tidak penting. Hal-hal agama, amal anak isteri kita, ramai yang tidak kisah. Kita tidak dapat rasa bahawa kebahagiaan yang berkekalan adalah apabila ahli keluarga sama-sama beriman dan beribadat kepada Allah ﷻ sekali dengan kita.

Itulah kegembiraan yang sebenar, bukannya bergembira dalam hal-hal yang kecil dan remeh dalam dunia seperti pergi melancong bersama-sama sahaja. Maka, kita hendaklah mewujudkan suasana ilmu di dalam rumah kita.

Oleh itu, bagaimana kita hendak lakukan? Walaupun kita mahu kepada agama, tetapi kadang-kadang bila kita mengajak ahli keluarga kita dan anak-anak kita, mereka seperti tidak suka hendak beramal bersama dengan kita. Ketahuilah yang kita tidak boleh hendak paksa anak-anak kita dan ahli keluarga kita untuk beramal. Oleh itu, kita hendaklah pandai dalam seni berdakwah supaya mereka nampak agama ini adalah perkara yang menggembirakan dan menarik.

Ini bermaksud, jangan memaksa mereka – kalau mereka tidak suka, maka kita hendaklah mencari jalan yang lebih lembut dan berhikmah. Kerana kalau dipaksa, mereka akan menjadi semakin benci kepada agama. Ini memang memerlukan kepandaian psikologi sedikit dalam diri kita.

Maka, jangan lupa berusaha untuk ajar agama kepada ahli keluarga kita. Memang susah, tetapi itu yang perlu dilakukan. Kerana kita tidak boleh biarkan ahli keluarga kita begitu sahaja. Kita hendak mereka beriman dan beramal dengan amal yang baik. Kerana kita tentu mahu mereka tinggal dengan kita di dalam syurga, bukan?


 

Ayat 10: Sekarang kita masuk ke ayat takhwif ukhrawi.

وَأَمّا مَن أوتِيَ كِتابَهُ وَراءَ ظَهرِهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for he who is given his record behind his back,

(MALAY)

Adapun orang-orang yang diberikan kitabnya dari belakang,

 

Dan ada pula yang akan menerima kitab mereka pada tangan kiri. Juga dalam ayat ini, bukan dengan tangan kiri sahaja tetapi dari belakang. Untuk mengetahui keadaan itu, hendaklah membaca semua sekali nas yang ada tentang perkara ini.

Dalam nas yang lain, kita dapat tahu yang tangan kanan mereka telah diikat dan tangan kiri mereka pula diikat ke belakang. Sebab itulah mereka hanya akan dapat kitab amalan mereka dari belakang dan di belakang itu pula adalah tangan kiri.

Jadi, apabila dapat kitab amalan dari tangan kiri juga sudah tahu yang perkara buruk sahaja ada di dalam kitab amalan itu. Juga ada yang berkata bahawa mereka akan menyorokkan kitab mereka di belakang mereka. Kerana mereka sangat malu sampai tidak ambil dari depan.


 

Ayat 11:

فَسَوفَ يَدعو ثُبورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will cry out for destruction

(MALAY)

maka dia akan berteriak: “Celakalah aku”.

 

Selepas mendapat kitab amalan di tangan kiri, mereka akan diperlihatkan dengan api neraka yang membara. Maka, mereka akan berteriak supaya mereka dibinasakan sahaja. Mereka berasakan bahawa biarlah mereka terus mati pada waktu itu.

Ini adalah kerana mereka sangat takut apabila mereka sudah melihat neraka. Mereka berteriak minta dimatikan, tetapi mereka boleh minta kepada malaikat sahaja kerana Allah ﷻ tidak menampakkan diri kepada mereka.


 

Ayat 12: Akan tetapi mereka tidak akan dimatikan.

وَيَصلىٰ سَعيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [enter to] burn in a Blaze.

(MALAY)

Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).

 

Mereka tidak akan terus dimatikan, tetapi mereka akan dimasukkan ke dalam neraka untuk diazab. Sekarang digunakan nama lain untuk neraka – سَعيرًا. Memang dalam juz 30 ini kita asyik dengar adalah jaheem selalunya tetapi sekarang digunakan kalimah سَعيرًا pula.

Kalimah سَعيرًا maksudnya api yang menjulang tinggi. Mereka akan masuk ke dalam neraka yang apinya menjulang tinggi. Apabila mereka diperlihatkan sahaja neraka itu, mereka akan minta dimatikan segera kerana mereka tidak sanggup untuk menghadapinya. Waktu itu mereka nampak dari jauh sahaja, namun mereka sudah dapat mendengar bunyi neraka yang menakutkan itu.

Apabila digunakan kalimah يَصلىٰ (masuk) ianya memberi isyarat yang mereka akan masuk sendiri. Tetapi bagaimana pula boleh jadi seperti itu? Bukankah kita selalu dengar tubuh kita akan jadi saksi di akhirat kelak, bukan? Kerana mereka boleh bercakap, maka mereka akan jadi saksi ke atas segala perbuatan dosa yang dilakukan oleh tuannya itu. Maka, persaksian dari tubuhnya sendiri yang akan menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka itu.

Bukan begitu sahaja, malah tubuh badan itu juga boleh pergi sendiri masuk ke dalam neraka kerana mereka taat kepada perintah Allah ﷻ. Walaupun tuannya tidak mahu, tetapi tubuh mereka sudah dapat bergerak sendiri. Allah ﷻ akan memerintahkan tubuh itu masuk ke dalam neraka dan ia akan ikut mengikut perintah Allah ﷻ.


 

Ayat 13: Sekarang Allah ﷻ beritahu kita kenapa mereka boleh jadi begitu.

إِنَّهُ كانَ في أَهلِهِ مَسرورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, he had [once] been among his people in happiness;

(MALAY)

Sesungguhnya dia dahulu (di dunia) bergembira di kalangan kaumnya (yang sama-sama kafir).

 

Ini seperti yang telah disebut dalam Surah Mutaffifin:31

وَإِذَا انقَلَبوا إِلىٰ أَهلِهِمُ انقَلَبوا فَكِهينَ

Dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira.

Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana dahulu semasa mereka di dunia, mereka sentiasa bergembira bersama puak mereka tanpa memikirkan tentang hari pembalasan. Mereka hanya bergembira sahaja tanpa menjaga iman dan amal mereka.

Juga mereka bergembira dalam mengejek orang mukmin, menjeling mata terhadap orang mukmin, kata mereka sesat dan sebagainya. Jadi, mereka dulu semasa di dunia, duduk bergembira dalam derhaka. Mereka tidak kisah akidah dan apa amalan yang mereka akan bawa di akhirat nanti. Mereka hanya tahu bersuka ria dengan kesenangan dunia sahaja tanpa memikirkan persiapan untuk akhirat.


 

Ayat 14:

إِنَّهُ ظَنَّ أَن لَن يَحورَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, he had thought he would never return [to Allāh].

(MALAY)

Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia sekali-kali tidak akan kembali (kepada Tuhannya).

 

Mereka berfikir bahawa mereka tidak akan يَحورَ (kembali). يَحورَ bermaksud pulang kembali ke asal. Mereka tidak menyangka yang mereka akan dikembalikan bertemu Allah ﷻ untuk dipersembahkan segala amalan mereka.

Jadi, mereka berbuat sesuka hati mengikut hawa nafsu mereka sahaja tanpa memikirkan yang diri mereka akan kembali kepada Allah ﷻ jua suatu hari nanti. Kerana kalau mereka yakin bahawa mereka akan bertemu dengan Allah ﷻ, mereka tidak akan bersikap seperti itu.


 

Ayat 15:

بَلىٰ إِنَّ رَبَّهُ كانَ بِهِ بَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But yes! Indeed, his Lord was ever, of him, Seeing.

(MALAY)

(Bukan demikian), yang benar, sesungguhnya Tuhannya selalu melihatnya.

 

Sesungguhnya segala yang mereka lakukan, Allah ﷻ Maha Melihat. Allah ﷻ sentiasa melihat sahaja apa yang mereka lakukan. Malah, Allah ﷻ Maha Mengetahui bukan sahaja apa yang mereka lakukan, tetapi termasuk juga apa yang berada didalam hati mereka. Kerana sebelum ini, telah pernah disebut tentang malaikat yang menulis amalan. Akan tetapi, malaikat tidak tahu apa yang dalam hati manusia.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang Maha Mengetahui apa yang ada didalam hati dan akal manusia. Juga kerana Allah ﷻ Maha Mengetahui apa yang kita lakukan dan niat kita dalam melakukannya, maka Allah ﷻ layak untuk menjatuhkan hukuman kepada kita nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Hud Ayat 47 – 49 (Bersabar dalam dakwah)

Hud Ayat 47: Setelah teguran daripada Allah ‎ﷻ itu, inilah tindak balas Nabi Nuh عليه السلام. Nabi Nuh.

قالَ رَبِّ إِنّي أَعُوذُ بِكَ أَن أَسئَلَكَ مَا لَيسَ لِي بِهِ عِلمٌ ۖ وَإِلّا تَغفِر لِي وَتَرحَمنِي أَكُن مِّنَ الخٰسِرِينَ

Sahih International

[Noah] said, “My Lord, I seek refuge in You from asking that of which I have no knowledge. And unless You forgive me and have mercy upon me, I will be among the losers.”

Malay

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku daripada orang-orang yang rugi”.

 

قَالَ رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu

Nabi Nuh عليه السلام telah sedar kesalahan baginda. Maka baginda meminta ampun kepada Allah ﷻ. Nabi Nuh عليه السلام berdoa agar baginda tidak akan mengulangi kesalahannya itu lagi. Baginda memohon supaya Allah ﷻ memberi petunjuk kepadanya. Inilah tanda orang yang baik – kalau telah buat salah maka mengaku sahaja. Mungkin dulu tidak tahu, tetapi apabila sudah tahu, maka mengaku dan minta ampun.

Selepas ditegur, terus baginda meminta ampun dan meminta rahmat daripada Allah ﷻ. Bukannya baginda berhujah lagi. Begitulah kita juga bila ditegur kesalahan, hendaklah mengaku kesalahan dan jangan beri hujah lagi untuk mempertahankan diri kita. Kalau salah, mengaku sahaja salah.

Lihatlah di sini Nabi Nuh عليه السلام tidaklah berkata yang baginda ‘tidak akan buat lagi’ kesalahan itu tetapi baginda minta tolong daripada Allah ﷻ. Ini kerana baginda tahu kelemahan diri baginda sebagai seorang manusia. Maka baginda menyerahkan diri baginda kepada Allah ﷻ dan meletakkan diri baginda di bawah pengawalan-Nya. Ini kerana tidaklah ada daya dan upaya kita ini untuk taat kepada perintah dan larangan Allah ﷻ melainkan dengan kuasa-Nya juga. Kerana itu kita kena ingatkan diri kita dengan doa/zikir:

لَا ‌حَوْلَ ‌وَلَا ‌قُوَّةَ ‌إِلَّا ‌بِاللهِ
tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah

 

أَنْ أَسْئَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ

daripada memohon kepada-Mu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;

Selepas ditegur, Nabi Nuh عليه السلام terus menerima teguran itu. Baginda berjanji tidak akan berdoa perkara yang baginda tidak tahu. Baginda telah sedar kesalahannya itu dan terus meminta ampun. Walaupun baginda asalnya bertanya sahaja, bukanlah hendak mempersoalkan perbuatan Allah ﷻ. Sepertimana Nabi Adam عليه السلام juga, apabila telah melakukan kesalahan, terus sahaja Nabi Adam عليه السلام meminta ampun kepada Allah ﷻ.

 

وَإِلَّا تَغْفِرْ لِي

dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku,

Nabi Nuh عليه السلام tahu yang baginda telah membuat salah lalu terus sahaja meminta ampun. Nabi Nuh عليه السلام amat mengharapkan pengampunan daripada Allah ﷻ. Baginda tahu nasibnya malang sekali jikalau Allah ﷻ tidak ampunkan dosa. Maka kita pun dalam istighfar, mestilah berharap sungguh-sungguh dengan pengampunan daripada Allah ﷻ.

Begitulah sikap permohonan seorang Rasul kepada Tuhannya. Dalam kekhilafan yang sedikit pun, mereka tetap memohon ampun. Ini kerana baginda sedar sebanyak mana pun kebajikan yang diperbuat, belum tentu sepadan dengan nikmat yang dilimpahkan Tuhan. Sebab itulah maka orang yang soleh dan berbuat baik terus-menerus, dan kemudian terus-menerus pula mereka memohon ampun.

Begitulah kita kena takut jikalau sedar kita ada dosa dan sudah tentu sebagai hamba biasa kita tidak akan sunyi daripada dosa. Kita kena pandang dosa kita sebagai besar dan menakutkan, jangan pandang enteng-enteng sahaja dosa kita itu. Inilah bezanya antara orang baik dan orang jahat seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا
Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه berkata, bahawa Nabi ﷺ bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin (ketika) dia melihat dosa-dosanya, adalah seperti (ketika) dia duduk di lereng sebuah gunung, dan dia sangat khuatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (orang yang selalu berbuat dosa), ketika dia melihat dosa-dosanya adalah seperti dia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya seperti ini lalu terbang (dia menganggap remeh dosa).”

(Sahih Bukhari No. 6309)

وَتَرْحَمْنِي

dan memberi rahmat kepadaku,

Nabi Nuh عليه السلام amat mengharap rahmat daripada Allah ﷻ. Baginda sedar yang segala rahmat hanyalah daripada Allah ﷻ. Maka kita dalam berdoa juga hendaklah berharap rahmat daripada Allah ﷻ. Selepas minta ampun atas kesalahan dosa, terus sahaja minta rahmat daripada Allah ﷻ.

 

أَكُن مِّنَ الْخٰسِرِينَ

nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Baginda tahu yang sekiranya Allah ﷻ tidak ampunkan dan tidak memberi rahmat, maka amat rugilah baginda. Kalau seorang Nabi membuat kesalahan pun akan kerugian, apatah lagi kita manusia biasa ini?

Kalau seorang Nabi pun tidak dapat menolong anaknya sendiri, apatah lagi kalau antara manusia biasa? Lalu bagaimana kita boleh mengharap syafaat daripada orang lain kalau kita sendiri tidak berbuat kebaikan dan beriman?

Kesalahan apakah yang menyebabkan Nabi Hud عليه السلام meminta ampun ini? Itulah kesalahan dalam berdoa. Maka ini mengajar kita berhati-hati dalam bab berdoa. Jangan reka cara baru dalam berdoa. Jangan sandarkan kepada pendapat ustaz itu dan ini, ulama’ itu dan ini. Kekarutan orang kita dalam bab doa ini memang pelik sampai ada yang minta kepada malaikat. Walaupun dalam bab doa ini agak luas, tetapi mestilah berwaspada. Kalau tidak tahu, eloklah bertanya kepada orang yang tahu. Orang kita kadangkala tidak melihat makna doa pun tetapi hanya dengan mendengar doa yang berbunyi ‘sedap’ di telinga mereka. Itu sebab ada yang mendayu-dayu dalam doa sebab mahu ‘sedap’ bunyi sahaja.


 

Hud Ayat 48: Akhirnya bahtera pun mendarat

قيلَ يٰنوحُ اهبِط بِسَلٰمٍ مِّنّا وَبَرَكٰتٍ عَلَيكَ وَعَلىٰ أُمَمٍ مِّمَّن مَّعَكَ ۚ وَأُمَمٌ سَنُمَتِّعُهُم ثُمَّ يَمَسُّهُم مِّنّا عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

It was said, “O Noah, disembark in security from Us and blessings upon you and upon nations [descending] from those with you. But other nations [of them] We will grant enjoyment; then there will touch them from Us a painful punishment.”

Malay

Allah berfirman: Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak terperi sakitnya”.

 

قِيلَ يٰنُوحُ

Dikatakan: Wahai Nuh!

Sekarang Allah ﷻ berfirman kepada Nuh عليه السلام selepas baginda berdoa agak panjang lebar tadi.

Kalimah قِيلَ (dikatakan) adalah dalam bentuk mabni majhul (bentuk pasif dan tidak disebut siapa yang berkata). Ini adalah salah satu daripada keindahan bahasa Al-Qur’an. Ia kadangkala digunakan dan antara sebabnya adalah:

1. Kerana pelakunya sudah jelas, maka tidak perlu disebut lagi. Di dalam ayat ini, jelas sekali yang berkata itu adalah Allah ﷻ.

2. Untuk menekankan subjek, bukannya menekankan pelakunya. Di dalam ayat ini hendak menekankan arahan yang diberikan kepada Nabi Nuh عليه السلام.

 

اهْبِطْ بِسَلٰمٍ مِّنَّا

Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dari Kami

Kalimah اهْبِطْ yang sama digunakan kepada Nabi Adam عليه السلام semasa baginda diturunkan dari syurga. Sekarang digunakan kepada Nabi Nuh عليه السلام pula. Maka ini memberitahu kita yang ada persamaan antara keduanya kerana kedua-dua mereka telah melakukan kesalahan.

Kedua-duanya telah mengaku dengan kesalahan mereka yang mereka telah lakukan. Nabi Adam عليه السلام bersalah memakan pokok larangan dan Nabi Nuh عليه السلام telah memohon doa untuk anaknya yang kafir; Nabi Adam عليه السلام telah diturunkan dari syurga ke bumi dan Nabi Nuh عليه السلام juga diturunkan dari bahtera ke bumi juga; kedua-dua Nabi Allah ﷻ itu telah diampunkan oleh Allah ﷻ atas kesalahan mereka.

‘Selamat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah selamat daripada kesusahan. Bayangkan, apabila Nabi Nuh عليه السلام dan sahabat-sahabatnya turun dari kapal itu, semua kehidupan yang mereka kenali dulu sudah tidak ada. Binatang sudah tidak ada kecuali yang dalam bahtera, tumbuh-tumbuhan pun tidak ada juga.

Maka tentu makanan pun susah untuk didapati. Mereka kena memulakan hidup baru, tetapi Allah ﷻ menjanjikan keselamatan untuk mereka. Mereka akan duduk dengan sejahtera di muka bumi. Apabila Allah ﷻ telah rancang banjir itu, maka Allah ﷻ juga telah rancang bagaimana mereka akan diselamatkan selepasnya. Maka mesti berharap, yakin dan percaya kepada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ tidak akan sia-siakan mereka dan juga orang-orang beriman (semoga kita termasuk golongan orang beriman). Kalau Allah ﷻ sendiri kata selamat, pastilah selamat seperti Allah ﷻ sejukkan api yang mengelilingi Nabi Ibrahim عليه السلام seperti yang disebut dalam Anbiya’:69

قُلنا يٰنارُ كوني بَردًا وَسَلٰمًا عَلىٰ إِبرٰهيمَ
Kami berfirman: “Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim”,

Apakah yang selamat itu? Kalau bumi sudah lama banjir, maka tentu susah hidup mereka. Sebenarnya maksud yang selamat adalah iman mereka dan ini yang lebih penting. Kehidupan yang susah itu biasa sahaja kerana memang sentiasa menjadi ujian bagi kita. Akan tetapi iman, ini lebih utama. Jangan jadi seperti kebanyaka orang kita yang dilanda musibah banjir, sudahlah hidup susah, iman pula tidak dijaga. Kita lihat bila susah dilanda banjir, solat pun sudah tidak dijaga lagi.

Allah ﷻ sebut di sini بِسَلٰمٍ مِّنَّا yang bermaksud keselamatan mereka itu datangnya daripada Allah ﷻ, bukannya dari kapal. Maka ini mengajar kita untuk berharap keselamatan dan meminta keselamatan daripada Allah ﷻ. Segala punca keselamatan adalah daripada Allah ﷻ. Segala usaha kita tetap lakukan juga namun jangan lupa meminta dan meletakkan pengharapan penuh kepada Allah ﷻ apabila kita mengalami kesusahan hidup.

 

وَبَرَكٰتٍ عَلَيْكَ

dan berkat kepadamu

Allah ﷻ memberi berkat kepada baginda. Apakah maksud ‘berkat’?. Berkat adalah mendapat banyak kebaikan walaupun dari segi kuantiti, mungkin nampak sedikit.

Sebagai contoh, katakan kita sedang dahaga, tetapi air yang ada hanya sedikit sahaja. Kalau Allah ﷻ beri keberkatan kepada kita, air yang sedikit itu sahaja boleh menghilangkan dahaga kita. Begitu juga, kalau gaji kita kecil, tetapi kalau Allah ﷻ beri keberkatan, gaji yang sedikit itu cukup untuk kita dan keluarga kita.

Berkat juga bermaksud berkembang banyak. Allah ﷻ telah memberi keberkatan kepada Nabi Nuh عليه السلام. Keturunan manusia itu semuanya berasal daripada keturunan Nabi Nuh عليه السلام. Dikatakan bahawa hanya anak cucu Nabi Nuh عليه السلام sahaja yang meneruskan kelangsungan zuriat manusia. Tidak ada anak cucu daripada sahabat-sahabat baginda yang lain. Dalilnya adalah ayat Saffat:77

وَجَعَلنا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الباقينَ
Dan Kami jadikan anak cucunya orang-orang yang melanjutkan keturunan.

Maka, kita ini adalah keturunan Nabi Adam عليه السلام dan juga keturunan Nabi Nuh عليه السلام belaka. Sebab itulah Nabi Nuh عليه السلام juga digelar ‘Adam kedua’ atau أبو البشر الثاني (bapa manusia kedua). Maka kalau golongan Habib itu perasan mereka sahaja keturunan Nabi, maka kita pun boleh kata kita daripada keturunan Nabi juga (iaitu Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام ).

 

وَعَلَىٰ أُمَمٍ مِّمَّن مَّعَكَ

dan kepada umat-umat yang bersama-samamu.

Yang turun bersama baginda Nuh عليه السلام itu tidaklah ramai, tetapi mereka dikatakan sebagai أُمَمٍ – umat-umat. Ini memberi isyarat bahawa mereka bukan sahaja individu biasa, tetapi daripada keturunan mereka (keturunan Nabi Nuh عليه السلام), umat manusia akan berkembang biak dan menjadi bapa kepada umat-umat selepas mereka. Akan tetapi, seperti telah disebut sebelum ini, ada pendapat yang mengatakan keturunan Nabi Nuh عليه السلام sahaja yang berterusan.

Sebagai contoh, salah seorang anaknya yang bernama Sam bin Nuh akan lahir daripadanya keturunan orang-orang Semitik dan ada anak-anak yang lain. Tidak dapat dipastikan kerana kejadian itu telah terlalu lama dahulu dan dahulu tidak ada Pejabat Pendaftaran anak-anak yang lahir.

 

وَأُمَمٌ

Dan kaum-kaum lain

Iaitu selepas daripada anak cucu Nabi Nuh عليه السلام. Daripada keturunan baginda, diteruskan kelangsungan kehidupan anak cucu Nabi Adam عليه السلام dan Nuh عليه السلام di muka bumi ini. Ada yang baik dan ada yang tidak. Umat yang baik akan diberikan keselamatan dan keberkatan, tetapi umat yang tidak lain yang melakukan kebaikan, lain pula yang akan diberikan kepada mereka.

Atau, ia merujuk kepada kaum-kaum lain selain daripada umat Nabi Nuh عليه السلام pada zaman itu. Kerana baginda hanya diutus kepada umat baginda sahaja, seperti kebiasaan Nabi-nabi yang lain kecuali Nabi Muhammad ﷺ yang diutus ke seluruh alam seperti disebut dalam Anbiya’: 107

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا رَحمَةً لِّلعٰلَمينَ
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Sedangkan Nabi Nuh عليه السلام hanya diutus kepada umatnya sahaja seperti disebut dalam A’raf: 59

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya

Menjadi pembicaraan juga dalam kalangan ahli-ahli sejarah dan penyelidik keadaan bumi, untuk pembuktian manusia purbakala tentang taufan zaman Nabi Nuh عليه السلام itu; apakah taufan itu meliputi seluruh permukaan bumi, ataukah hanya sebahagian bumi saja.

Menurut al-Maqrizhi: Seluruh penganut agama, pengikut Nabi-nabi, baik Islam atau Yahudi atau Nasrani, semuanya sama kepercayaannya bahawa Nabi Nuh عليه السلام itu adalah Bapa Kedua daripada manusia. Bahawa keturunan Adam عليه السلام ialah melalui Nuh عليه السلام, sehingga tidak ada satu orang atau satu kelompok manusia di muka bumi ini, yang bukan keturunan Adam عليه السلام melalui Nuh عليه السلام. Namun begitu menurut al-Maqrizhi seterusnya, orang Koptik, orang Majusyi dan Hindu dan orang Cina berpendapat lain; mereka tidak mengakui adanya taufan Nabi Nuh عليه السلام.

Setengah mempercayai bahawa taufan itu meskipun ada, hanya terbatas di bahagian Babylon dan di sebelah negeri-negeri bahagian Barat saja. Menurut mereka manusia pertama itu bernama Kiomrat. Kepercayaan mereka tentang Kiomrat manusia pertama sama dengan kepercayaan kita tentang Nabi Adam عليه السلام. Mereka berdiam di negeri sebelah Timur dari Babylon; Taufan itu tidak sampai ke daerah mereka, dan tidak juga sampai ke Hindustan dan Cina.

Akan tetapi ada yang percaya ia meliputi seluruh dunia. Dijadikan alasan oleh golongan sarjana yang menguatkan pendapat bahawa taufan itu meliputi seluruh permukaan bumi di waktu itu, ialah terdapatnya bekas-bekas yang ajaib pada lapisan-lapisan bumi, dan dapat disaksikan timbunan-timbunan kulit kerang, baik di daratan bumi sampai ke puncak-puncak bumi dan gunung. Di lembah-lembah bertemu bekas-bekas dan fosil daripada binatang-binatang purbakala dan tumbuh-tumbuhan berbagai ragam. Setengahnya tertonjol ke atas dan terdapat pula yang bertemu ketika digali. Di dalam gua-gua didapati orang tulang-tulang binatang berbagai bentuk yang mengagumkan. Didapat pula sisa-sisa alat perkakas manusia purbakala.

Semuanya itu dikatakan membuktikan bahawa taufan pun sampai meliputi tempat itu. Semuanya terpaksa berkumpul di sana, tetapi dihancurkan oleh taufan. Setengahnya tertimbun ke bawah lapisan kulit bumi, yang kian lama kian membatu, untuk digali orang yang datang di belakang akan menjadi bukti atas Kekuasaan dan Kebesaran Allah ﷻ.

Syaikh Muhammad Abduh رحمه الله sebagai Mufti Kerajaan Mesir, pernah ditanyakan pendapat beliau tentang itu. Jawapan beliau:

“Di dalam al-Qur’an tidaklah bertemu nas yang pasti yang dapat dijadikan keputusan tentang Taufan Nabi Nuh itu. Dan tidak pula dijelaskan apakah Risalat Nuh itu umum untuk seluruh manusia di muka bumi ini. Dan apa yang tersebut di dalam Hadis-hadis, meskipun ada yang sah sanadnya, namun semuanya adalah Hadis Ahad yang tidak menjadikan yakin. Padahal dalam menetapkan soal-soal yang akan dijadikan i’tikad seperti ini mestilah yakin, bukan semata-mata zhan.”

Ada pula yang berpendapat bahawa taufan itu adalah umum meliputi manusia yang ada pada waktu itu, sebab bumi belumlah begitu ramai, kecuali baru kaum Nuh عليه السلام; sebab itu taufan adalah umum juga, meskipun keumuman itu masih terbatas dengan mereka, sebab belum ada manusia lain kecuali mereka.

Mereka berkata: “Turunlah Adam ke muka bumi, sedang dia di waktu itu belum lagi dapat disebut ummat. Tetapi setelah berlalu beberapa kurun, barulah ada ummat sebagai keturunan daripada Adam. Adam hanya datang dua laki isteri. Keturunannya itulah yang berkembang dengan beransur-ansur. Jarak dari masa Adam dengan masa Nuh adalah lapan keturunan. Maka jika keturunan daripada lapan angkatan (generasi) itu menurunkan pula anak-pinak berlipat- ganda beribu-ribu, lalu terpancar-pancar di muka bumi ini, dan perpindahan baru dengan jalan kaki, lalu membangun hidup yang lebih maju bertamadun, nescaya hal itu mesti tersebut di dalam sejarah sebagai suatu keajaiban”.

Maka kesimpulannya ada 3 pendapat tentang banjir ini:

1. Ia terjadi seluruh dunia. Ini juga pendapat ahli kitab.

2. Ia hanya terjadi di kawasan Nabi Nuh عليه السلام dan umatnya sahaja dan ada umat lain yang tidak mengalaminya

3. Ia terjadi pada seluruh manusia yang waktu itu hanya umat Nabi Nuh عليه السلام sahaja. Maka banjir itu di kawasan itu sahaja, bukan seluruh dunia.

 

سَنُمَتِّعُهُمْ

yang Kami akan beri kesenangan kepada mereka,

Untuk umat lain, mereka akan mendapat kesenangan semasa di dunia. Di dunia mereka tidak dikenakan azab. Mereka tidak dikenakan dengan azab banjir ini. Maknanya banjir ini tidaklah seluruh dunia seperti yang dikatakan oleh Bible. Ia hanya dikenakan kepada umat Nabi Nuh عليه السلام sahaja. Maka ini adalah mukjizat sejarah Al-Qur’an. Kalaulah ia banjir satu dunia, maka tentu ada rekod tentang perkara ini, tetapi tidak ada. Maka Al-Qur’an memberitahu perkara yang sebenarnya bukanlah seperti yang disebut di dalam Bible.

Mereka yang hidup itu bolehlah hidup senang lenang sementara waktu. Namun tidak semestinya mereka akan selamat di akhirat. Kalau hidup senang di dunia bukanlah tanda Allah ﷻ sayang dan selamat di akhirat kerana orang kafir pun mendapat kesenangan juga seperti disebut dalam Baqarah:126

قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ
Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka

Ramai yang salah sangka dengan kesenangan hidup yang mereka alami. Mereka sangka Allah ﷻ sayang mereka, Allah ﷻ akan selamatkan mereka di akhirat kelak. Mereka sangka mereka golongan terpilih. Akan tetapi sebaliknya seperti firman Allah ﷻ dalam Mukminoon: 55-56

أَيَحسَبونَ أَنَّما نُمِدُّهُم بِهِ مِن مّالٍ وَبَنينَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),

نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ ۚ بَل لّا يَشعُرونَ
Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.

Ternyata sesiapa sahaja Allah ﷻ boleh berikan nikmat kesenangan di dunia, akan tetapi orang tertentu sahaja yang boleh mendapat nikmat iman. Maka kita kena berusaha untuk menjadi orang yang diredhai oleh Allah ﷻ.

 

ثُمَّ يَمَسُّهُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ

kemudian mereka akan merasakan daripada Kami azab yang tidak terperi sakitnya”.

Mereka itu dikenakan azab jikalau mereka kufur kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ sudah beritahu kepada Nabi Nuh عليه السلام bahawa ada dalam kalangan anak cucunya yang akan menentang Allah ﷻ. Memang semua mereka yang turun bersama dengan Nabi Nuh عليه السلام itu beriman semuanya. Namun Allah ﷻ sudah beri isyarat dalam ayat ini, akan ada dalam kalangan mereka yang tidak akan beriman.


 

KISAH-KISAH SILAM

Hud Ayat 49: Ayat ini sekarang berubah kepada firman Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Ini dipanggil jumlah mu’taridah – ada selit perkara lain – dalam bercakap tentang kisah Nabi Nuh عليه السلام, tiba-tiba terus khitab kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Maka selesailah kisah Nabi Nuh عليه السلام di sini.

تِلكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيها إِلَيكَ ۖ ما كُنتَ تَعلَمُها أَنتَ وَلا قَومُكَ مِن قَبلِ هٰذا ۖ فَاصبِر ۖ إِنَّ العٰقِبَةَ لِلمُتَّقينَ

Sahih International

That is from the news of the unseen which We reveal to you, [O Muhammad]. You knew it not, neither you nor your people, before this. So be patient; indeed, the [best] outcome is for the righteous .

Malay

(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

 

تِلْكَ مِنْ أَنبَاءِ الْغَيْبِ نُوحِيهَا إِلَيْكَ

Itu adalah dari berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),

Sebelum ini telah disebut tentang kisah Nabi Nuh عليه السلام. Kisah tentang Nabi Nuh عليه السلام itu adalah satu sahaja kalau kita lihat secara biasa. Namun Allah ﷻ menggunakan perkataan أَنبَاءِ iaitu dalam bentuk jamak (plural), seolah-olah ada banyak kisah di dalamnya. Ini memberi isyarat kepada kita bahawa kita mesti melihat kisah Nabi Nuh عليه السلام ini sebagai banyak kisah. Ada banyak kisah pengajaran dalam sebuah kisah yang besar. Maka, kita kena pecahkan dan mengambil pengajaran daripada setiap satu kisah itu.

Perkataan أَنبَاءِ bermaksud ‘berita-berita besar’. Berita-berita itu juga relevan dengan keadaan masyarakat semasa. Apa yang terjadi zaman dahulu, masih lagi terjadi pada zaman sekarang. Maka jangan kita lihat kisah Nabi Nuh عليه السلام ini sebagai hanya kisah sejarah silam sahaja, tetapi kita mesti ambil pengajaran daripada kisah baginda ini.

Kisah Nabi Nuh عليه السلام yang kita telah baca tadi termasuk kisah perkara ghaib yang Allah ﷻ wahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini menunjukkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak mengetahui perkara dan ilmu ghaib. Kalau Allah ﷻ tidak beritahu kepada Nabi ﷺ, Nabi ﷺ pun tidak tahu. Ini adalah kerana bangsa Arab telah lama tidak ada kitab wahyu dan telah lama tidak ada Nabi yang menyampaikan berita agama kepada mereka.

Ia juga sebagai dalil yang Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Rasul – kalau tidak seorang Nabi dan Rasul, tidak akan mengetahui kisah-kisah ini. Tidak mungkin baginda boleh reka kisah-kisah ini yang boleh dipastikan dengan maklumat yang ada di dalam simpanan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sedangkan baginda tidak ada perantaraan dengan mereka, tidak ada pun berbincang dengan mereka tentang hal-hal ini.

 

مَا كُنتَ تَعْلَمُهَا

yang engkau tidak mengetahuinya

Nabi ﷺ tidak akan mengetahui tentang kisah Nabi Nuh عليه السلام itu kalau Allah ﷻ tidak beritahu kepada baginda. Kisah ini telah terlalu lama berlaku dan tidak tercatat dalam buku sejarah. Mungkin disampaikan dari mulut ke mulut sahaja, tetapi tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya.

 

أَنتَ وَلَا قَوْمُكَ مِن قَبْلِ هَٰذَا

engkau dan kaum engkau, sebelum ini.

Sebelum turun ayat ini, Nabi Muhammad ﷺ dan bangsa Arab tidak tahu pun berkenaan kisah ini. Mereka mungkin ada dengar-dengar kisah itu, tetapi tidak pasti kesahihannya dan maklumat yang mereka dapat tidak banyak dan mungkin telah ditambah dengan kisah-kisah dongeng sebagai tambahan.

 

فَاصْبِرْ

Oleh itu, bersabarlah.

Bersabarlah kamu dalam belajar agama ini.
Bersabarlah kamu dalam menyebar agama tauhid ini.
Bersabarlah kamu menghadapi manusia yang menentang itu.

Bersabarlah juga dengan kata-kata nista dan penghinaan daripada orang kafir. Kalau mereka tidak terima, maka tetaplah dalam sabar. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh عليه السلام itu telah melalui kesusahan demi kesusahan. Waktu ayat ini diturunkan, Nabi ﷺ telah berdakwah selama lebih kurang sepuluh tahun kepada penduduk Mekah. Baginda dan para sahabat yang telah memeluk Islam telah mengalami tentangan yang hebat daripada Musyrikin Mekah.

Namun Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini supaya mereka bersabar dalam dakwah mereka. Untuk beri semangat kepada mereka, Allah ﷻ bawakan kisah Nabi Nuh عليه السلام yang telah berdakwah lebih lama lagi daripada mereka – 950 tahun! Dugaan yang Nabi Nuh عليه السلام alami juga adalah hebat. Oleh itu, mesej utama yang hendak disampaikan daripada kisah Nabi Nuh عليه السلام itu adalah tentang sabar.

Maka kalau kita baru berdakwah setahun dua dan sudah terasa bosan, maka bacalah kisah Nabi Nuh عليه السلام itu berkali-kali. Jangan perasan sudah lama berdakwah kalau baru setahun jagung mengajak orang lain kepada agama. Maka bersabarlah dalam perjuangan mengembangkan Islam, dalam berdakwah. Selalunya, apabila kita dakwah, ramai tidak mahu dengar dan mereka tolak kita, maka bersabarlah. Kerja dakwah ini memanglah susah.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun hendaklah bersabar. Kadang-kadang kita kena hadapi ejekan, tohmahan, penghinaan daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil:10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Maka sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam taat. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar:10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tanpa hisab

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sehingga tidak terkira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Sedangkan menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun merupakan sebuah kesengsaraan juga kerana terpaksa menunggu dalam tempoh masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini berbeza dengan amalan ibadat lain seperti solat dan puasa di mana ia akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran:133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

 

إِنَّ الْعٰقِبَةَ لِلْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Walaupun susah dalam menegakkan agama dan menyampaikan dakwah kepada manusia, tetapi hendaklah kita ingat bahawa balasan yang baik adalah bagi mereka yang bertaqwa. Bertaqwa itu maksudnya menjaga hukum yang Allah ﷻ telah sampaikan kepada kita. Dijanjikan penghujung yang baik mereka ini dan bukankah ini juga yang kita inginkan?

Dalam banyak ayat lain Allah ﷻ beritahu yang Dia bersama orang-orang yang sabar antaranya seperti disebut di dalam Anfal: 46

وَاصبِروا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ
dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

Habis Ruku’ 4 daripada 10 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 44 – 46 (Cara doa yang tidak bagus)

Hud Ayat 44: Ini adalah sepotong ayat yang indah sekali. Ada kisah seorang Kristian yang pakar dalam bahasa Arab. Beliau telah menyediakan beberapa perkara untuk menunjukkan kekurangan dalam Al-Qur’an dan beliau hendak bawa kepada orang Islam untuk berdebat dengan mereka. Akan tetapi, dalam perjalanan itu, beliau telah terdengar seorang budak Muslim yang sedang menghafal ayat ini. Apabila beliau mendengar keindahan bahasa yang digunakan dalam ayat ini, lalu beliau telah memeluk Islam. Begitu hebat ayat ini, walaupun pendek tetapi ia telah menceritakan kejadian banjir itu dengan indah sekali.

Sekarang kita masuk ke senario yang baru iaitu apabila banjir sudah sampai ke penghujungnya. Mereka terapung dalam air atau dalam banjir selama 150 hari kemudian baru mendarat pada 10 Rejab. Mereka kekal dalam kapal selama sebulan kemudian turun ke darat pada 10 Muharram. Tempat mendarat adalah di atas bukit dikenali al-Judi.

وَقيلَ يٰأَرضُ ابلَعي ماءَكِ وَيٰسَماءُ أَقلِعي وَغيضَ الماءُ وَقُضِيَ الأَمرُ وَاستَوَت عَلَى الجودِيِّ ۖ وَقيلَ بُعدًا لِّلقَومِ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And it was said, “O earth, swallow your water, and O sky, withhold [your rain].” And the water subsided, and the matter was accomplished, and the ship came to rest on the [mountain of] Judiyy. And it was said, “Away with the wrongdoing people.”

Malay

Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itu pun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim”.

 

وَقِيلَ يٰأَرْضُ

Dan telah dikatakan: “Wahai bumi

Dalam ayat ini, tidak disebutkan Allah ‎ﷻ yang berkata, tetapi kita sudah maklum bahawa ia adalah perintah Allah ﷻ kepada bumi. Begitu juga dengan bumi, apabila disuruh, ia sudah tahu yang arahan itu daripada Allah ﷻ. Bumi sentiasa sahaja menunggu arahan daripada Allah ﷻ dan bumi taat. Maksudnya, bumi sekarang sedang menunggu arahan Allah ﷻ untuk terjadinya Hari Kiamat. Bumi menunggu-nunggu sahaja kerana ia sudah tahu apakah akhir yang terjadi kepadanya nanti.

Namun bagaimana pula langit dan bumi boleh faham, bukankah mereka itu tidak berakal? Memang kalau kita perhatikan kita tidak boleh pun berkomunikasi dengan langit dan bumi kerana percakapan mereka bukanlah seperti kita. Sebaliknya Allah ﷻ boleh berkomunikasi dengan langit dan bumi. Lagi pun semua di dalam alam ini bertasbih seperti disebut dalam Isra’: 44

تُسَبِّحُ لَهُ السَّماواتُ السَّبعُ وَالأَرضُ وَمَن فيهِنَّ ۚ وَإِن مِن شَيءٍ إِلّا يُسَبِّحُ بِحَمدِهِ وَلٰكِن لا تَفقَهونَ تَسبيحَهُم
Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka.

Allah ﷻ hanya kata يَا أَرْضُ, bukan ‘ya ayyatutuhal ardhu‘, tidak seperti kalau Allah ﷻ bercakap kepada manusia. Ini adalah kerana bumi sentiasa sahaja menunggu arahan daripada Allah ﷻ. Sebaliknya, jikalau bercakap dengan manusia, ditambah ‘ayyuha‘, untuk menarik perhatian manusia dan bahasa yang lebih lembut.

Segala di dalam alam ini termasuk langit dan bumi menerima arahan daripada Allah ﷻ dan mereka akan taat seperti disebut dalam Taha: 50

أَعطىٰ كُلَّ شَيءٍ خَلقَهُ ثُمَّ هَدىٰ
yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya

 

ابْلَعِي مَاءَكِ

telanlah airmu.

Kalimah ابْلَعِي daripada katadasar ب ل ع yang bermaksud menelan; menyerap sesuatu; Di dalam ayat ini kalimah ابْلَعِي bermaksud ‘telanlah’ dan yang dimaksudkan telan air. Allah ﷻ suruh bumi ‘menelan airmu’ bukan ‘menelan air’ tetapi air bumi itu sendiri. Apakah maksudnya? Maksudnya bumi disuruh menelan semua air yang dikeluarkan olehnya sebelum itu. Air yang turun dari langit pula pergi ke laut, tasik dan sungai.

Atau, apabila Allah ﷻ suruh telan air itu, yang disuruh telan itu adalah air yang turun dengan hujan sahaja. Bukan semua sekali air, kerana kalau ditelan semua air, maka akan kering kontanglah bumi ini. Maka hanya telan air yang turun dengan hujan itu kerana air hujan itu dari bumi juga. Sebab itulah Allah ﷻ suruh telan ‘airmu’ sahaja, bukan semua air. Allahu a’lam.

Kita tidak tahu berapa banyak air yang berada dan disimpan dalam bumi. Allah ﷻ boleh perintahkan bumi untuk keluarkan dan Allah ﷻ boleh suruh bumi telan semula.

Allah ﷻ suruh bumi menelan ‘airnya’ sahaja. Kalau Allah ﷻ cakap ‘telan’ sahaja, tanpa menyebut ‘air’, tentu bumi akan menelan segala yang ada di bumi termasuk segala tumbuhan, segala bukit bukau, segala tanaman, binatang dan manusia, semua sekali.

Bumi disuruh menelan airnya dahulu kerana air perlu ditelan supaya boleh bahtera boleh mendarat di tanah yang kering.

 

وَيٰسَمَاءُ أَقْلِعِي

dan wahai langit, berhentilah serta merta”.

Pada waktu itu langit sedang mencurah-curah menurunkan air hujan. Kalimah أَقْلِعِي daripada katadasar ق ل ع yang bermaksud antara lain, ‘tidak bergerak’ atau ‘berhenti’. Ketika Allah ﷻ berfirman itu, hujan sedang turun dengan lebat. Maka, perkataan أَقْلِعِي itu bermaksud untuk berhenti menurunkan air dengan serta merta. Seperti seseorang yang sedang sibuk melakukan sesuatu, dan kita suruh dia berhenti saat itu juga.

Kita sudah tahu bahawa ayat ini adalah perintah Allah ﷻ kepada bumi dan langit. Sudah sememangnya Allah ﷻ layak untuk berkata begitu kepada makhluk-Nya. Akan tetapi, telah terjadi sekitar penghujung tahun 2014, di mana Kelantan telah dilanda banjir yang paling dahsyat. Waktu itu, terdengarlah bacaan ayat ini digunakan sebagai doa oleh manusia yang jahil. Mereka menggunakan ayat ini sebagai ‘arahan’ mereka kepada bumi dan langit supaya berhenti hujan dan mengarahkan bumi menelan air! Adakah patut mereka berkata begitu? Ia langsung tidak sesuai sama sekali.

Lebih teruk lagi, imam-imam di masjid-masjid telah membaca doa begini semasa khutbah Jumaat: “Ya Allah, arahkan bumi untuk menelan air, dan arahkan langit-Mu untuk berhenti daripada hujan!” Subhanallah! Adakah layak seorang hamba mengarahkan Tuhannya untuk melakukan sesuatu?! Apakah mereka tidak sedar apakah yang mereka sedang baca itu? Kenapa sampai begitu sekali kurang ajar mereka? Kenapa sampai begitu jahil sekali?

 

وَغِيضَ الْمَاءُ

Dan surutlah air,

Daripada غيض yang bermaksud: mengurangkan; tenggelam; menjadi sedikit; keguguran; menyerap; mereda; penurunan; teringin; janin belum lengkap. Maka kalimah غيض kita boleh terjemahkan sebagai ‘surut’. Selepas bumi dan langit menjalankan perintah Allah ﷻ, maka air itu surut. Perkataan غِيضَ bermaksud ‘surut dengan perlahan’. Untuk memberikan pendaratan yang lembut kepada bahtera itu kerana kalau surut dengan tiba-tiba, tentu bahtera itu akan terjatuh.

 

وَقُضِيَ الْأَمْرُ

serta terlaksanalah perintah itu.

Iaitu keputusan Allah ﷻ mematikan orang yang ingkar dan yang beriman diselamatkan. Selesailah hukum Allah ﷻ ke atas mereka dan berlakulah pengajaran daripada Allah ﷻ kepada kita zaman berzaman: jauhnya rahmat Allah ﷻ daripada kaum yang zalim, setelah mereka diberi peluang berkali-kali dan sekian lama untuk berubah.

 

وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ

Dan bahtera Nabi Nuh itu pun berlabuh di atas gunung “Judi”

Dikatakan Gunung Judi itu terletak di Turki manakala ada pendapat mengatakan di tempat lain. Namun, tidak dapat dipastikan kerana ada juga Gunung Judi itu di Utara Iraq.

Kenapa bahtera itu berlabuh di gunung? Kenapa tidak tempat lain? Sebab bumi waktu itu masih becak selepas banjir yang teruk itu. Tentu tidak sesuai kepada Nabi Nuh عليه السلام dan mereka yang berada dalam bahtera itu untuk turun ke bumi yang masih teruk kebasahan.

Kalau banjir zaman sekarang pun, kita boleh lihat kesannya yang teruk. Ia mengambil masa yang lama untuk menjadi kering. Tentunya berlaku kematian yang banyak, maka banyak bangkai yang bergelimpangan dan baunya tentu dahsyat sekali. Maka, apabila kapal itu berlabuh di atas gunung, mereka akan lebih selesa di situ sampailah keadaan di bumi lebih stabil. Ada riwayat yang mengatakan, mereka tetap di Bukit Judi itu selama sebulan sebelum turun.

Apabila kapal itu boleh berlabuh di satu gunung, ini juga menunjukkan betapa tingginya air banjir itu sampai kapal itu boleh naik sampai ke gunung.

Ia juga kerana Allah ﷻ simpan bahtera itu sebagai tanda kepada orang yang kemudian. Ini disebut dalam Qamar: 15 dan Haqqah: 12. Kerana kalau ia dilabuhkan di bumi yang rendah, nanti senang untuk dilihat oleh orang lain. Nanti mereka akan menggunakan kayu bahtera itu untuk perkara lain pula.

وَلَقَد تَّرَكْنَاهَا آيَةً فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi pengajaran, maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf?

لِنَجْعَلَهَا لَكُمْ تَذْكِرَةً وَتَعِيَهَا أُذُنٌ وَاعِيَةٌ
Untuk Kami jadikannya itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran.

Ada pengajaran yang kita kena ambil daripada kisah Nabi Nuh عليه السلام ini. Malangnya orang kita tidak belajar tafsir, mereka tidak ambil pusing pun dengan apa yang kita telah baca sepanjang dalam tafsir surah ini. Yang mereka tahu, ada kapal dan selepas mendarat mereka tidak ada makanan maka terpaksa campur-campur semua apa yang ada, terhasillah bubur Asyura. Maka setiap kali tiba 10 Muharram, telah menjadi adat untuk membuat Bubur Asyura. Itu sahajalah kepala orang kita fikir: makan. Padahal Sunnah Nabi ajar adalah berpuasa hari itu tetapi mereka sibuk memasak bubur sahaja.

Tradisi memasak bubur asyura yang sudah sebati dalam masyarakat kita

وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظّٰلِمِينَ

Dan dikatakan: “Celakalah bagi orang-orang yang zalim”.

Ayat ini mungkin Allah ﷻ yang berkata, atau malaikat yang berkata, atau orang beriman yang berkata, atau langit dan bumi pun boleh juga berkata.

Perkataan بُعْدًا daripada katadasar ب ع د yang bermaksud ‘jauh’. Ia bermaksud ini adalah doa laknat supaya mereka yang zalim itu jauh daripada rahmat Allah ﷻ. Ini semua adalah pengajaran kepada mereka yang menentang Allah ﷻ dan suruhan-Nya.


 

Hud Ayat 45: Sekarang kita lihat pertanyaan Nabi Nuh عليه السلام tentang anaknya yang telah lemas.

وَنادىٰ نوحٌ رَّبَّهُ فَقالَ رَبِّ إِنَّ ابني مِن أَهلي وَإِنَّ وَعدَكَ الحَقُّ وَأَنتَ أَحكَمُ الحٰكِمينَ

Sahih International

And Noah called to his Lord and said, “My Lord, indeed my son is of my family; and indeed, Your promise is true; and You are the most just of judges!”

Malay

Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”.

 

وَنَادَىٰ نُوحٌ رَّبَّهُ

Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya

Ini adalah doa terakhir untuk keselamatan anaknya. Ini adalah permintaan dan doa yang jujur daripada baginda.

 

فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ابْنِي مِنْ أَهْلِي

dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku,

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana seorang daripada anaknya telah mati kelemasan dalam banjir besar itu. Namun sebagai seorang ayah, baginda berharap semoga anaknya itu dimasukkan dalam kalangan orang beriman. Nabi Nuh عليه السلام kata anaknya itu tentulah ahli keluarganya, maka kenapakah tidak diselamatkan?

 

وَإِنَّ وَعْدَكَ الْحَقُّ

dan bahawa janji-Mu adalah benar,

Iaitu Allah ﷻ telah berjanji untuk menyelamatkan ahli keluarganya kerana dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ sudah kata untuk bawa sekali ‘ahlinya’ untuk menyelamatkan mereka. Namun kenapa anaknya tidak diselamatkan pula?

Kita kena faham yang Nabi Nuh عليه السلام bukan hendak mempersoalkan keputusan Allah ﷻ, tetapi baginda keliru dan baginda hendak faham. Tentulah seorang Nabi tidak akan mempersoalkan keputusan yang telah dibuat oleh Allah ﷻ.

 

وَأَنتَ أَحْكَمُ الْحٰكِمِينَ

dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”.

Nabi Nuh عليه السلام mengakui bahawa Allah ﷻ lah yang paling berhikmah dalam berhukum. Tentunya keputusan yang Allah ﷻ telah buat tidak salah. Maknanya, Nabi Nuh عليه السلام tidak mempersoalkan tindakan Allah ﷻ itu. Cuma baginda hairan sahaja dan hendak tahu kenapa Allah ﷻ buat begitu.


 

Hud Ayat 46: Ini adalah jawapan daripada Allah ﷻ kepada Nabi Nuh عليه السلام

قالَ يٰنوحُ إِنَّهُ لَيسَ مِن أَهلِكَ ۖ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيرُ صٰلِحٍ ۖ فَلا تَسأَلنِ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۖ إِنّي أَعِظُكَ أَن تَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ

Sahih International

He said, “O Noah, indeed he is not of your family; indeed, he is [one whose] work was other than righteous, so ask Me not for that about which you have no knowledge. Indeed, I advise you, lest you be among the ignorant.”

Malay

Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana dia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”.

 

قَالَ يٰنُوحُ

Allah berfirman: “Wahai Nuh!

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Nuh عليه السلام telah bertanya kepada Allah ﷻ kenapa anaknya tidak diselamatkan sedangkan anaknya itu adalah ahli keluarga baginda, darah daging baginda.

Baginda keliru kerana sebelum itu, Allah ﷻ telah menyuruh baginda memasukkan keluarganya dalam bahtera itu. Namun apabila baginda mengajak anaknya, anaknya tidak mahu mengikut ajakannya. Akibatnya anaknya telah mati kelemasan. Maka, Nabi Nuh عليه السلام hairan dan bertanya kepada Allah ﷻ. Sekarang Allah ﷻ jawab kekeliruan baginda.

 

إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ

Sesungguhnya dia bukanlah dari keluargamu

Memang dia ‘anak’ kandung Nabi Nuh عليه السلام, tetapi bukan ‘keluarga’ baginda. Seorang anak yang beriman barulah dikatakan ‘keluarga’. Allah ﷻ hanya berjanji menyelamatkan ahli keluarganya yang beriman sahaja, bukan kesemuanya sekali.

Seorang anak yang bukan beriman, tidak dianggap sebagai ahli keluarga Islam lagi. Katakanlah seorang ibu atau bapa masuk Islam, tetapi jika anaknya tidak masuk Islam, anaknya itu bukan daripada keluarganya lagi. Sebagai contoh, harta pusaka tidak boleh diterima daripada ayahnya dalam hukum faraid. Kecuali kalau diberikan melalui wasiat setakat 1/3 daripada hartanya.

Atau maksudnya anaknya itu bukan ‘ahli’ dalam ‘deen’. Di sini kita kena ikut takrif Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ kata yang dia bukan anak baginda, maka itu bermaksud dia bukan anak baginda. Kita kena ingat yang hubungan kekeluargaan itu hanya di dunia sahaja. Apabila hari Akhirat sudah bermula, maka terputuslah segala perhubungan. Maka jangan kita pelik kalau anak sendiri pun Allah ﷻ tidak kategorikan sebagai ‘ahli keluarga’.

Beginilah yang difahami oleh para sahabat dahulu. Kita tahu daripada sejarah yang di dalam perang-perang melawan kuffar, puak Mukmin memerangi ahli keluarga mereka sendiri di dalam Perang Badr, Uhud dan juga Ahzab. Mereka sudah faham yang musuh tetap musuh walaupun daripada darah daging sendiri. Yang ahli keluarga sebenar (di dalam agama) adalah orang yang berakidah yang sama. Ini seperti disebut di dalam ayat terkenal, Hujurat:10

إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ
Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara

Apabila digunakan kalimah إِنَّمَا yang bermakna ‘sesungguhnya hanya’ maka ia memberitahu kita saudara kita yang sebenarnya hanyalah jikalau sama-sama beriman. Kalau saudara mara lain agama itu hanyalah pada darah dan semasa di dunia sahaja. Kita kena sanggup menolak ahli keluarga yang hanya daripada darah daging jikalau mereka tetap mahu mengamalkan agama kufur seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini disebut di dalam Mumtahanah: 4

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ
Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.

Memang anak Nabi Nuh عليه السلام yang tenggelam itu adalah anak kandungnya sendiri (anak biologi). Ada pula yang kata anak itu bukan anaknya yang sebenar, tetapi anak haram hasil daripada penzinaan isteri baginda (dengan orang lain). Namun ini adalah pendapat yang bathil kerana isteri seorang Nabi tidak akan berzina. Isteri para Nabi walaupun mereka tidak beriman, tetapi mereka tidaklah sampai melakukan maksiat sebegitu sekali kerana Allah ﷻ pelihara.

Sebenarnya Allah ﷻ telah beritahu pun kepada Nabi tentang hal ini dalam Nuh: 40. Akan tetapi Nabi Nuh عليه السلام hanya nampak satu bahagian tetapi tidak nampak bahagian lain. Bahagian yang baginda nampak:

قُلنَا احمِل فيها مِن كُلٍّ زَوجَينِ اثنَينِ وَأَهلَكَ
Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah dalam bahtera itu dua daripada tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu

Akan tetapi baginda tidak nampak syarat yang Allah ﷻ telah letakkan di dalam ayat itu juga,

إِلّا مَن سَبَقَ عَلَيهِ القَولُ
kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya)

Atau, memang Nabi Nuh عليه السلام sendiri tidak tahu yang anaknya itu menyembunyikan kekufurannya (munafik). Ini kerana baginda adalah manusia dan tidak tahu isi hati manusia dan iman manusia. Akan tetapi pendapat ini agak tidak kuat kerana kalau lihat seruan terakhir Nabi Nuh عليه السلام kepada anaknya (ayat 42) adalah وَلا تَكُن مَّعَ الكٰفِرينَ (dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir). Maka seolah-olah baginda sudah tahu tentang keadaan anaknya itu.

Maka baginda hendaklah melupakan anaknya itu kerana baginda mesti meneruskan hidup baginda dan nanti baginda akan mendapat nikmat di alam akhirat nanti. Kalau baginda teringat lagi tentang anaknya, tentulah baginda akan bersedih dan sedih bukanlah tempatnya di syurga nanti. Oleh itu jikalau ada ahli keluarga kita yang tidak beriman dan kita tidak boleh jumpa mereka di syurga, Allah ﷻ akan lupakan mereka daripada fikiran kita kerana kalau kita teringat, tentulah kita akan bersedih. Lagi pun hubungan kekeluargaan itu hanya di dunia sahaja, di akhirat nanti sudah tidak ada lagi seperti disebut dalam Mukminoon: 101

فَإِذا نُفِخَ فِي الصّورِ فَلا أَنسابَ بَينَهُم يَومَئِذٍ وَلا يَتَساءَلونَ
Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

Begitu jugalah yang akan terjadi kepada Nabi Ibrahim عليه السلام apabila hubungan mereka akan diputuskan terus di Akhirat. Ini disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَلْقَى إِبْرَاهِيمُ أَبَاهُ آزَرَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَعَلَى وَجْهِ آزَرَ قَتَرَةٌ وَغَبَرَةٌ فَيَقُولُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ أَلَمْ أَقُلْ لَكَ لَا تَعْصِنِي فَيَقُولُ أَبُوهُ فَالْيَوْمَ لَا أَعْصِيكَ فَيَقُولُ إِبْرَاهِيمُ يَا رَبِّ إِنَّكَ وَعَدْتَنِي أَنْ لَا تُخْزِيَنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ فَأَيُّ خِزْيٍ أَخْزَى مِنْ أَبِي الْأَبْعَدِ فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى إِنِّي حَرَّمْتُ الْجَنَّةَ عَلَى الْكَافِرِينَ ثُمَّ يُقَالُ يَا إِبْرَاهِيمُ مَا تَحْتَ رِجْلَيْكَ فَيَنْظُرُ فَإِذَا هُوَ بِذِيخٍ مُلْتَطِخٍ فَيُؤْخَذُ بِقَوَائِمِهِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ bersabda: “Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertemu dengan ayahnya, Azar, pada hari kiamat. Ketika itu wajah Azar ada debu hitam lalu Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kepada bapanya: “Bukankah aku sudah katakan kepada ayah agar ayah tidak menentang aku?”. Bapanya berkata; “Hari ini aku tidak akan menentangmu?” Kemudian Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata; “Wahai Rabb, Engkau sudah berjanji kepadaku untuk tidak menghinakan aku pada hari berbangkit. Lalu kehinaan apalagi yang lebih hina dari pada keberadaan bapaku yang jauh (daripadaku)?”. Allah تَعَالَى berfirman: “Sesungguhnya Aku mengharamkan syurga bagi orang-orang kafir”. Lalu dikatakan kepada Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; “Wahai Ibrahim, apa yang ada di kedua telapak kakimu?”. Maka Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihatnya yang ternyata ada seekor anjing hutan yang kotor. Maka anjing itu diambil kakinya lalu dibuang ke neraka”.
(Jami’ Tirmidzi (3101))
Status: Sahih

Syarah: Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ malu kerana ayahnya dihinakan kerana dia dianggap ayahnya lagi. Maka Allah ﷻ menukarkan ayahnya itu menjadi anjing hina supaya hilanglah rasa sayang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada ayahnya, barulah dicampakkan ke dalam neraka.

 

إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صٰلِحٍ

sesungguhnya amalannya bukan amalan yang soleh,

Tidaklah Allah ﷻ kata terus yang anaknya itu kafir kerana itu adalah anak Nabi. Kira-kiranya Allah ﷻ sedang berbahasa lembut dengan Nabi-Nya demi menjaga hati baginda.

Allah ﷻ memberitahu anak Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tidak beramal dengan amalan yang soleh (amalan Sunnah). Kalau anaknya itu beriman tentulah dia akan mengamalkan amal yang soleh. Ini kerana iman itu bukan hanya sekadar di hati sahaja tetapi mestilah ditunjukkan dengan amalan ibadah juga dan amalan taat kepada perintah Allah ﷻ. Maka ini mengajar kita jangan lupa tentang amalan dan kena pastikan amalan kita itu amalan yang soleh dan sunnah. Jangan kita menyesal seperti disebut dalam Mukminoon:99-100

حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَهُمُ المَوتُ قالَ رَبِّ ارجِعونِ
(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia),

لَعَلّي أَعمَلُ صٰلِحًا فيما تَرَكتُ ۚ كَلّا ۚ إِنَّها كَلِمَةٌ هُوَ قائِلُها ۖ وَمِن وَرائِهِم بَرزَخٌ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ
agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.

Lihatlah penyesalan mereka kerana mereka semasa di dunia tidak melakukan amal-amal yang soleh. Bila sudah mati barulah hendak minta dikembalikan ke dunia untuk melakukan amalan-amalan yang mereka tinggalkan dahulu. Akan tetapi kita dapat baca yang ia tidak akan dibenarkan.

Maka tafsiran pertama kalimah إِنَّهُ itu merujuk kepada anak Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Atau tafsiran lain mengakan إِنَّهُ ini merujuk kepada doa Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tentang anaknya. Ia bukanlah amal yang soleh. Tidak sesuai untuk mendoakan orang yang telah jelas kufurnya. Walaupun anak sendiri tetapi kalau sudah jelas yang dia kafir, kita tidak boleh mendoakan supaya Allah ﷻ selamatkan mereka di akhirat.

Begitu jugalah yang ditegur kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mendoakan ayah baginda. Maka, kalau ada sesiapa yang masuk Islam dan ibu bapa mereka tidak masuk Islam lagi dan telah mati, tidak boleh mendoakan keselamatan untuk mereka, kerana mereka telah jelas mati kufur. Selama mereka hidup, boleh lagi berdoa supaya Allah ﷻ bukakan hati mereka masuk Islam, tetapi apabila sudah mati, jangan lagi berdoa untuk mereka; maka, perbuatan Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendoakan anaknya itu bukanlah amalan soleh dan tidak boleh diteruskan lagi.

Malangnya, pernah ada pertubuhan Mualaf yang buat Majlis Tahlil dengan para mualaf untuk mendoakan ibubapa para mualaf itu semoga dengan amalan Tahlil itu dapat menyelamatkan mereka. Perbuatan ini adalah amat jahil sekali! Sudahlah buat amalan bid’ah (yang memang sudah berdosa) dan berharap dengan perkara yang berlawanan dengan ayat Al-Qur’an dan agama pula. Malangnya mereka itulah yang mengajar para mualaf. Apa hendak jadi?

 

فَلَا تَسْأَلْنِ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ

maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

Ini adalah satu pengajaran yang penting. Ia mengajar kita hukum dan cara berdoa. Kalau ada ahli keluarga yang mati dalam kufur, maka tidak boleh mendoakan untuk mereka. Telah ada larangan yang jelas tentang perkara ini. Allah ﷻ larang untuk berdoa untuk mereka.

Lagi satu, jangan minta apa yang kita tidak tahu tentangnya. Sebagaimana Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda tidak tahu tidak boleh mendoakan untuk orang yang kafir. Sekarang Allah ﷻ beritahu, maka jangan buat lagi. Kalau tidak tahu, maka dimaafkan, tetapi jangan buat lagi selepas ini. Begitu juga teguran kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda tidak tahu.

Ayat ini juga sebagai dalil melarang kita berdoa apa yang kita tidak tahu. Iaitu kita berdoa, tetapi kita tidak tahu apa yang kita doakan. Selalu terjadi, kita ambil doa-doa dalam teks bahasa Arab, tetapi kita tidak tahu maknanya. Itu bukan ‘berdoa’ maknanya. Sebab kita pun tidak tahu apa yang kita minta. Maka, tidak perlulah baca doa yang menggunakan bahasa Arab kalau kita tidak faham makna. Lebih baik kalau berdoa dalam bahasa Melayu sahaja. Lagi kita faham dan lagi ikhlas kita dengan doa kita itu dan lagi khusyuk kita semasa berdoa kerana kita faham.

Malangnya, ramai dalam kalangan masyarakat kita, sebab mahukan ada juga bunyi Arab, mereka berdoa tanpa mereka faham apakah yang mereka bacakan dalam doa itu. Tambahan pula doa itu diberi oleh para ustaz yang mengatakan doa itu hebat dapat begitu dan begini. Maka mereka hanya baca sahaja tanpa faham. Kejahilan agama ini hendaklah kita hakis sedikit demi sedikit daripada masyarakat kita. Jangan terima sewenang-wenang sahaja segala apa yang disampaikan oleh ustaz.

Selain daripada itu, kita kenalah tahu perkara-perkara yang tidak patut kita berdoa tentangnya. Antaranya:

1. Minta Disegerakan Hukuman di Dunia

2. Berlebih-lebihan dalam Berdoa

3. Berdoa Demi Suatu Dosa atau Memutus Hubungan Kekeluargaan

4. Mendoakan Supaya Celaka

5. Mengharap-harap Kematian kerana Menderita

Ini mengajar kita untuk berhati-hati dalam berdoa, jangan doa semberangan sahaja. Kena lihat kepada situasi. Kena tanya soalan: ‘Adakah patut aku berdoa begitu? Adakah patut aku minta dengan Allah dalam hal ini?’

 

إِنِّي أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ الْجٰهِلِينَ

Sebenarnya Aku menasihatimu dari menjadi orang yang jahil”.

Kalimah أَعِظُكَ daripada katadasar و ع ظ yang bermaksud untuk menegur; berdakwah; memberi amaran; mengingatkan; memberi nasihat atau nasihat yang baik (yang membawa kepada pertaubatan dan pembaharuan). Maknanya Allah ﷻ menasihati baginda dan kita juga. Jangan lagi berdoa begitu. Maknanya, kalau anak kita ada yang murtad, jangan berdoa untuk mereka. Kalau ada ahli keluarga yang mati sebelum masuk Islam, jangan doakan untuk mereka. Doa sebegitu tidak diterima, malah dilarang sama sekali.

Sama juga kalau kita minta doa untuk orang-orang yang melakukan syirik. Walaupun itu adalah doa anak untuk mak ayah yang syirik. Kalau kita tidak tahu mereka itu mengamalkan syirik, masih lagi kita boleh berdoa untuk mereka kerana kita hendaklah bersangka baik. Namun kalau kita sudah tahu mereka mengamalkan syirik, kita tidak boleh mendoakan untuk mereka. Kalau doa juga, itu berdosa.

Seperti yang telah disebut tadi, pernah kejadian di markas tempat pengajian mualaf. Ada ustaz yang mengajar mereka selepas majlis ilmu, ajak mualaf-mualaf itu untuk mengadakan tahlil untuk sedekahkan pahala tahlil itu kepada ibu bapa mualaf-mualaf itu. Ustaz itu kata, mudah-mudahan dengan ikhlas hati mereka, doa itu sampai kepada ibubapa yang mati kafir itu.

Kita katakan yang ini adalah satu perbuatan yang amat jahil sekali, berlawanan dengan apa yang ada dalam Al-Qur’an, termasuk ayat ini. Bagaimana seorang ustaz boleh tidak tahu tentang perkara itu? Bagaimana dia boleh mengajar agama kalau perkara asas sebegini pun dia tidak tahu?

Janganlah jadi orang yang jahil seperti nasihat Allah ﷻ kepada Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Seorang Nabi tidak termasuk golongan orang bodoh. Hanya orang bodoh yang lebih mementingkan kekeluargaan, walaupun keluarga itu tidak mahu menerima iman. Orang yang mempunyai tujuan hidup untuk menegakkan jalan Allah ﷻ tidaklah demikian halnya.

Maka jangan doakan untuk ahli keluarga yang mati kufur. Yang kita boleh doakan adalah semasa mereka masih hidup – iaitu kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya memberi hidayah kepada mereka. Kita memang sayangkan mereka, namun hidayah itu milik Allah ﷻ dan ia diberi kepada mereka yang mahu. Para Nabi sendiri pun tidak boleh memberi iman kepada orang yang mereka sayang seperti firman Allah ﷻ dalam Qasas:56

إِنَّكَ لا تَهدي مَن أَحبَبتَ وَلٰكِنَّ اللهَ يَهدي مَن يَشاءُ
Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya

Kita juga tidak dapat menyelamatkan orang yang kita sayangi daripada azab Allah ﷻ. Mereka mesti selamatkan diri mereka sendiri seperti disebut di dalam hadith,

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أُنْزِلَ عَلَيْهِ { وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ } يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ اشْتَرُوا أَنْفُسَكُمْ مِنْ اللَّهِ لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا بَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا عَبَّاسَ بْنَ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ لَا أُغْنِي عَنْكَ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا صَفِيَّةُ عَمَّةَ رَسُولِ اللَّهِ لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا فَاطِمَةُ بِنْتَ رَسُولِ اللَّهِ سَلِينِي بِمَا شِئْتِ لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا
[Abu Hurairah] berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda ketika turun ayat ini kepadanya: ‘(Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang dekat) ‘ (Syu’ara`: 214). Baginda bersabda: “Wahai sekelompok orang Quraisy, belilah diri kalian daripada Allah, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai bani Abd al-Muththalib, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai Abbas bin Abd al-Muththalib, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai Shafiyyah, bibi Rasulullah, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai Fatimah binti Rasulullah, mintalah kepadaku sesuatu yang kamu kehendaki, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun.”
(Sahih Bukhari (305))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Hud Ayat 41 – 43 (Suasana banjir)

Hud Ayat 41:

۞ وَقالَ اركَبوا فيها بِسمِ اللَّهِ مَجرىٰها وَمُرسٰها ۚ إِنَّ رَبّي لَغَفورٌ رَّحيمٌ

Sahih International

And [Noah] said, “Embark therein; in the name of Allah is its course and its anchorage. Indeed, my Lord is Forgiving and Merciful.”

Malay

Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): “Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ‘Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya’. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

وَقَالَ ارْكَبُوا فِيهَا

Dan dia berkata: “Naiklah kamu ke bahtera itu

Sama ada Allah ‎ﷻ yang berkata-kata atau Nabi Nuh عليه السلام. Kalau Allah ﷻ yang beri arahan, ia ditujukan kepada Nabi Nuh عليه السلام. Jika Nabi Nuh عليه السلام, maksudnya baginda berkata kepada orang-orang yang beriman yang bersama baginda, mengajak mereka menaiki bahtera, kerana masa sudah tiba. Sudah keluar tanda-tanda yang telah Allah ﷻ beritahu kepada baginda.

Sudah sampailah pertolongan daripada Allah ﷻ. Setelah sekian lama jihad dakwah dan menghadapi kaumnya itu, sekarang sudah sampai ke penghujungnya. Makna yang mendalam daripada ayat ini dapatlah kita rasakan kalau kita telah membiasakan diri berjihad pada jalan Allah ﷻ. Jihad pada jalan Allah ﷻ, yang dahulu telah ditempuh oleh Rasul-rasul Allah ﷻ itu benar-benar memerlukan keringat, fikiran, dan kadang-kadang air mata dan darah, bahkan maut. Kadang-kadang dapat lihat betapa besarnya rintangan yang dihadapi, timbullah ragu-ragu apakah benar janji yang telah dijanjikan Allah ﷻ itu. Kalau benar, mengapa tidak juga datang janji itu, walhal kita rasa bagaikan tidak tahan lagi. Lihat Baqarah:214

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

 

بِسْمِ اللَّهِ

sambil berkata: ‘ Dengan nama Allah

Nabi Nuh عليه السلام suruh mereka naik dengan menyebut nama Allah ﷻ. Begitulah, apabila kita hendak memulakan apa-apa kerja, hendaklah kita memulakan dengan basmalah. Terutama sekali kalau ikut sunnah ayat ini, semasa menaiki kenderaan.

Maknanya, hendaklah mengingati Allah ﷻ dalam perjalanan menggunakan kenderaan itu kerana dengan izin Allah ﷻ lah yang memberikan kita kenderaan itu dan memberi keselamatan kepada kita. Walaupun ayat ini tentang menaiki bahtera, namun ia juga digunakan dalam kenderaan lain juga.

Dan ada lagi doa daripada Al-Qur’an yang digunakan dalam menaiki kenderaan. Ini ada disebut dalam Zukhruf:13-14. Iaitu naik kenderaan dengan berkat nama Allah ﷻ. Nama Allah ﷻ itu sendiri ada berkat.

سُبحٰنَ الَّذي سَخَّرَ لَنا هٰذا وَما كُنّا لَهُ مُقرِنينَ
Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya

وَإِنّا إِلىٰ رَبِّنا لَمُنقَلِبونَ
“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

 

مَجْرىٰهَا

semasa belayar

Kalimah مَجْرىٰهَا daripada katadasar ج ر ي yang bermaksud mengalir, berlari dengan cepat, mengikuti suatu jalan, sesuatu yang berlaku, untuk mengambil atau menyasarkan sesuatu, untuk berterusan atau kekal, untuk menghantar wakil. Digunakan di sini dalam bentuk ‘belayar’. Maknanya, semasa menaiki kapal itu dan semasa kapal itu sedang berlayar, sebutlah basmalah itu berterusan.

Walaupun kita bukan hendak belajar tajwid di sini tetapi kerana bacaan kalimah ini lain daripada yang lain, maka kita sentuh juga di sini. Pembacaan tajwid ayat ini berlainan dengan tajwid yang biasa. Ini adalah satu-satunya tempat yang menggunakan kaedah tajwid sebegini. Pembacaan tajwid sebegini bertepatan dengan maksud ayat. Kita baca perkataan ini dengan cara ‘senget’ kerana semasa kapal itu belayar, kapal itu pun dalam keadaan senget juga kerana dibuai oleh ombak yang kuat.

Cara bacaan yang betul ialah maj + rare (British pronunciation) + haa

Bukannya maj + roo + haa

ataupun maj + ray + haa

Kaedah bacaan ini dipanggil Al-Imalah (الإمالة)

Beginilah bacaan qira’at Imam Hafs.

 

وَمُرْسٰهَا

dan semasa ia berlabuh’.

Kalimah مُرْسٰهَا daripada katadasar ر س و yang bermaksud menjadi tetap; ditentukan; ditubuhkan; stabil; tidak beralih; masih; meletakkan sauh; tambatan; ketibaan; akan berlalu. Juga bacalah basmalah semasa bahtera itu mendarat atau berlabuh. Waktu itu pun kena sebut nama Allah ﷻ kerana kenderaan itu dalam kawalan Allah ﷻ. Dengan nama Allah ﷻ ia berlayar, dan dengan nama Allah ﷻ juga, ia akan berlabuh atau berhenti. Allah ﷻ yang tentukan bila ia akan berhenti sebenarnya. Berapa banyak kita dalam kereta sangkakan kereta itu akan terus berjalan, tetapi Allah ﷻ takdirkan ia berhenti tiba-tiba? Kita sangka kenderaan itu dalam kawalan kita, tetapi sebenarnya tidak.

Dalam Mukminoon:28-29 juga ada disebut satu lagi doa yang perlu disebut.

فَإِذَا استَوَيتَ أَنتَ وَمَن مَعَكَ عَلَى الفُلكِ فَقُلِ الحَمدُ لِلَّهِ الَّذي نَجّانا مِنَ القَومِ الظّالِمينَ
“Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata:`Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim ‘.

وَقُل رَبِّ أَنزِلني مُنزَلًا مُبارَكًا وَأَنتَ خَيرُ المُنزِلينَ
“Dan berdoalah dengan berkata: `Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat ‘ “

إِنَّ رَبِّي لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Waktu itu umat sedang diberikan azab, tetapi Allah ﷻ mengingatkan kita bahawa sifat-Nya adalah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Jangan kita lupa tentang sifat Allah ﷻ ini. Jangan kita sangka sifat Allah ﷻ hanya menghukum sahaja. Allah ﷻ sanggup mengampuni dosa kita yang banyak kerana Dia sangat kasih kepada kita.

Dua sifat ini amat penting bagi kita. Kita memang banyak dosa, maka kita memerlukan sifat Allah ﷻ yang غَفُورٌ kerana kalau tidak, kita pasti akan masuk ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita. Kemudian kita tentu mahu masuk ke dalam syurga-Nya, maka ini memerlukan sifat Allah ﷻ yang رَحِيمٌ kerana kita tidak akan dapat masuk syurga melainkan dengan rahmat-Nya.

Selepas Allah ﷻ sebut sifatnya yang mengampunkan (غَفُورٌ) Allah ﷻ selalu sebut sifat رَحِيمٌ. Ini sebenarnya memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Apabila kita bertaubat, Allah ﷻ akan memasukkan kita ke dalam rahmah-Nya. Maka untuk segera dapat rahmah, maka bersegeralah meminta ampun. Perumpamaannya begini, katakanlah kita ada berbuat salah dengan seorang yang kaya. Kemudian dia kata kalau kita meminta maaf kepadanya, bukan sahaja dia akan maafkan kita, tetapi dia juga akan hadiahkan kita sebuah kereta BMW baru! Apa kita akan buat kalau begitu? Tentulah kita akan segera meminta maaf, bukan?

Apabila di hujung ayat ini ada menyebut tentang sifat pengampun Allah ﷻ, maka ia memberi isyarat kepada kita untuk meminta ampun apabila kita menaiki kapal atau menaiki kenderaan secara umum. Kerana kita tidak tahu nasib kita semasa di dalam kenderaan kita itu. Entah-entah menemui kemalangan yang menyebabkan nyawa kita melayang, maka mintalah ampun siap-siap.


 

ANAK NABI NUH عليه السلام

Hud Ayat 42: Keadaan semasa pelayaran

وَهِيَ تَجري بِهِم في مَوجٍ كَالجِبالِ وَنادىٰ نوحٌ ابنَهُ وَكانَ في مَعزِلٍ يٰبُنَيَّ اركَب مَّعَنا وَلا تَكُن مَّعَ الكٰفِرينَ

Sahih International

And it sailed with them through waves like mountains, and Noah called to his son who was apart [from them], “O my son, come aboard with us and be not with the disbelievers.”

Malay

(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.

 

وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ

dan bahtera itu pun bergerak laju membawa mereka

Selepas mereka naik, maka berlayarlah Nabi Nuh عليه السلام berserta dengan orang-orang yang beriman dengannya dan binatang-binatang yang telah dimasukkan ke dalam bahtera itu. Kenapa digunakan kalimah هِيَ di sini? Kerana ia merujuk kepada kalimah السَّفينَةِ kerana selain daripada الفلك, digunakan juga kalimah السَّفينَةِ sepertidi dalam Ankabut: 15

فَأَنجَينٰهُ وَأَصحٰبَ السَّفينَةِ وَجَعَلنٰها آيَةً لِّلعٰلَمينَ
Maka Kami selamatkan Nuh dan penumpang-penumpang bahtera itu dan Kami jadikan peristiwa itu pelajaran bagi semua umat manusia.

Manakala di dalam ayat Haqqah:11 pula digunakan kalimah الجارِيَةِ.

إِنّا لَمّا طَغَى الماءُ حَمَلنٰكُم فِي الجارِيَةِ
Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik (sampai ke gunung) Kami bawa (nenek moyang) kamu, ke dalam bahtera,

 

فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ

dalam ombak yang seperti gunung-ganang,

Pelayaran itu bukanlah pelayaran yang tenang. Bayangkan waktu itu, air keluar dari bumi dan dalam masa yang sama, air turun dari langit. Ombak memukul-mukul kapal itu. Ombak itu amat besar sekali, bagaikan gunung tingginya.

Mungkin kita boleh bayangkan kalau zaman sekarang, ombak itu seperti Tsunami besarnya. Bahtera itu hebat sampaikan boleh menghadapi ombak yang besar itu. Walaupun ombak tinggi, namun bahtera Nabi Nuh عليه السلام tetap dapat bertahan.

Kita boleh bayangkan sedikit betapa hebatnya banjir itu. Selalunya kita tahu ombak yang ada di lautan tetapi kali ini bukan sahaja di lautan, namun air yang naik ke daratan pun ada ombak juga!

 

وَنَادَىٰ نُوحٌ ابْنَهُ

dan Nabi Nuh menyeru anaknya,

Anaknya itu dikatakan bernama كِنعَان (Kin’an). Ada juga riwayat yang mengatakan namanya adalah Yaam. Allahu a’lam kerana nama tidak penting. Beliau adalah anak Nabi Nuh عليه السلام yang keempat. Emaknya juga, iaitu isteri Nabi Nuh عليه السلام, tidak beriman.

Seorang anak Nabi Nuh عليه السلام dan isterinya tidak beriman. Pengajarannya, kalau kita sebar agama tetapi orang tidak terima, tidak mengapa kerana Nabi yang juga Rasul pun ada keluarga yang tidak menerima agama. Memang hidayah bukan kita yang beri. Sedangkan anak Nabi pun ada yang tidak beriman, apatah lagi anak kita.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Maka kalimat نُوحٌ ابْنَهُ dibaca noohunibnahu. Boleh rujuk hukum tajwid.

 

وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ

yang sedang berada di tempat yang terasing

Perkataan مَعْزِلٍ bermaksud ‘berada di sudut’. Ia daripada katadasar ع ز ل yang bermaksud mengetepikan; keluarkan daripada tampat; tempat yang berasingan daripada yang lain; tempat terpencil; jauh. Daripada katadasar yang sama jugalah perkataan ‘muktazilah’ digunakan, kerana mereka mengasingkan diri mereka daripada kumpulan Islam yang lain.

Ia adalah seperti seorang yang melarikan diri ke sudut dewan kalau dia tidak mahu bercampur dengan orang lain di dalam satu majlis. Bermakna, anaknya itu menjauhkan diri daripada Nabi Nuh عليه السلام. Juga dia menjauhkan diri daripada agama. Dia tidak mahu mendekatkan diri dengan ayahnya dan dengan agama kerana dia tidak suka dengan agama.

Apabila banjir terjadi dan air semakin naik, dia sangka dia boleh menyelamatkan diri dengan pergi ke tempat yang paling tinggi.

 

يٰبُنَيَّ

“Wahai anakku,

Ini adalah panggilan manja seorang ayah kepada anaknya. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh عليه السلام memanggil anaknya dengan nada lembut dan sayang. Walaupun anaknya itu tidak mahu mengikut jejak langkahnya, namun Nabi Nuh عليه السلام tetap memanggil anaknya dengan panggil yang manja. Kerana panggilan yang biasa adalah ‘ya ibni’ akan tetapi kalau menjadi ‘ya bunaiyya’ seperti di dalam ayat ini, ia bermaksud secara literal ‘wahai anakku yang kecil’ atau ‘wahai anakku yang disayangi’.

Begitulah seorang ayah yang baik dengan anaknya. Walaupun anaknya itu tidak beriman, baginda tetap sayang kerana sifat kasih seorang ayah. Ini juga mengajar kita untuk bercakap baik-baik dengan ahli keluarga kita, juga dengan orang yang kita sedang ajak ke jalan yang benar.

 

ارْكَب مَّعَنَا

naiklah bersama-sama kami,

Nabi Nuh عليه السلام mengajak anaknya naik bersama-sama mereka menaiki bahtera yang selamat itu. Marilah ke tempat yang selamat. Tentulah kerana kasihnya seorang ayah kepada anaknya. Perhatikan rahsia perikemanusiaan, rahsia cinta ayah yang telah tua kepada anak kandungnya, penyambung keturunannya. Meskipun Tuhan telah berkali-kali memperingatkan, meskipun Tuhan telah melarang memohonkan perlindungan bagi orang-orang yang aniaya, kerana orang- orang itu pasti tenggelam (ayat 37),

وَلا تُخٰطِبني فِي الَّذينَ ظَلَموا ۚ إِنَّهُم مُّغرَقونَ
dan janganlah engkau merayu kepada-Ku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.

Meskipun Tuhan telah menjelaskan bahawa di antara ahli keluarga baginda ada yang telah tertentu lebih dahulu bahawa mereka tidak akan dapat masuk (ayat 36),

وَأوحِيَ إِلىٰ نوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤمِنَ مِن قَومِكَ إِلّا مَن قَد ءآمَنَ فَلا تَبتَئِس بِما كانوا يَفعَلونَ
Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

Namun Nabi Nuh عليه السلام sebagai ayah, masih belum putus harapan bahawa anaknya akan terpelihara. Nuh عليه السلام sebagai ayah tidak juga dapat menahan hati melihat anaknya akan binasa. Walaupun Allah ‎ﷻ telah sebut sebut sebelum ini dalam ayat 40,

قُلنَا احمِل فيها مِن كُلٍّ زَوجَينِ اثنَينِ وَأَهلَكَ إِلّا مَن سَبَقَ عَلَيهِ القَولُ
Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah dalam bahtera itu dua daripada tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya

 

وَلَا تَكُن مَّعَ الْكٰفِرِينَ

dan janganlah engkau bersama dengan orang-orang yang kafir”.

Ini adalah dakwah terakhir Nabi Nuh عليه السلام kepada anaknya itu. Kerana kalau anaknya itu menaiki kapal itu, bermaksud anaknya telah beriman dan menerima dakwah ayahnya dan dia akan selamat. Walaupun sebelum ini dia tidak benar-benar beriman.

Lihatlah Nabi Nuh عليه السلام mengajak anaknya jangan bersama ‘orang yang kafir’, bukannya bersama ‘orang yang akan tenggelam’. Ini walaupun baginda tahu yang kalau anaknya tidak ikut, anaknya itu akan mati. Mati itu tidak ada masalah asalkan beriman, kerana semua orang akan mati. Namun yang penting adalah jangan mati dalam kufur. Kerana itu kita dianjurkan berdoa supaya dimatikan dalam iman seperti disebut oleh Nabi Yusuf عليه السلام di dalam Yusuf: 101

أَنتَ وَلِيّي فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ تَوَفَّني مُسلِمًا وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ
Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.

Ini amat penting sekali kerana ia menentukan sama ada kita di syurga atau neraka. Malangnya orang kita tidak perasan perkara ini, bukan? Ramai yang hanya berdoa supaya dipanjangkan umur sahaja dan dimurahkan rezeki. Maka ingatlah doa ini supaya kita dapat amalkan kerana penting kita mati dalam Islam seperti firman Allah ﷻ dalam Ali Imran: 102

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اتَّقُوا اللّٰهَ حَقَّ تُقٰىتِهٖ وَلَا تَمُوْتُنَّ اِلَّا وَاَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Juga diajar doa di dalam ayat yang lain iaitu Ali Imran:193

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

Malangnya anak Nabi Nuh عليه السلام tidak begitu. Anaknya jadi begitu kerana telah tersilap pilih kawan. Sudah lama dia berkawan dengan orang yang kafir. Ayahnya seorang Nabi sebaliknya dia berkawan dengan orang kafir. Pengajarannya di sini, kita mestilah memerhatikan siapa kita dan anak kita berkawan. Jangan kita biarkan sahaja anak kita berkawan tanpa pengawasan daripada kita. Kita kena selidik ke mana mereka pergi. Memang mereka tidak suka kita tanya mereka, tetapi kena tanya juga. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana terdapat terlalu banyak kemudahan untuk melakukan keburukan dan perkara yang salah.

Allah ‎ﷻ telah beritahu Nabi Nuh عليه السلام bahawa tidak akan beriman lagi melainkan orang yang telah beriman. Ini termasuklah anak baginda sendiri. Kalau ada yang bertaubat apabila mereka hampir mati dalam banjir ini, mereka tidak akan diterima taubat mereka kerana mereka sudah tahu mereka akan mati. Apabila bala sudah sampai, kalau mereka baru bertaubat waktu itu, taubat itu tidak diterima.

Kenapa Nabi Nuh عليه السلام ajak juga anaknya? Adakah baginda sendiri tidak tahu anaknya itu tidak beriman? Mungkin. Mungkin anaknya itu seorang munafik. Atau, kalau baginda tahu pun, ajakan terakhir ini adalah dakwah baginda yang terakhir kepada anaknya.


 

Hud Ayat 43: Apa jawapan daripada anaknya itu?

قالَ سَئآوي إِلىٰ جَبَلٍ يَعصِمُني مِنَ الماءِ ۚ قالَ لا عاصِمَ اليَومَ مِن أَمرِ اللَّهِ إِلّا مَن رَّحِمَ ۚ وَحالَ بَينَهُمَا المَوجُ فَكانَ مِنَ المُغرَقينَ

Sahih International

[But] he said, “I will take refuge on a mountain to protect me from the water.” [Noah] said, “There is no protector today from the decree of Allah, except for whom He gives mercy.” And the waves came between them, and he was among the drowned.

Malay

Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

 

قَالَ سَئآوِي إِلَىٰ جَبَلٍ

Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung

Inilah jawapan anaknya apabila diajak oleh ayahnya, Nabi Nuh عليه السلام. Dia masih tidak mahu mendengar kata dan nasihat ayahnya. Air sudah naik tinggi pun masih tidak mahu mengikut ayahnya lagi. Waktu itu kapal sudah belayar, tetapi air belum lebih daripada gunung lagi. Maka anaknya itu sangka, kalau dia lari panjat gunung yang tinggi, tentu dia akan selamat.

 

يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ

yang dapat menyelamatkan aku daripada air”.

Mereka tidak pernah menyaksikan keadaan air naik sebegitu tinggi. Oleh itu anaknya tidak tahu apa yang akan terjadi. Dia sangka dia boleh selamatkan dirinya dengan pergi naik ke gunung yang tinggi. Dia sangka air itu tidaklah sampai akan menghapuskan gunung yang besar.

Kalimah يَعْصِمُنِي daripada katadasar ع ص م yang bermaksud untuk melindungi; mencegah; menghalang; mempertahankan; memelihara; berpegang teguh; berpantang; jimat; menjaga keselamatan daripada kejahatan; mencari perlindungan; menjauhi kejahatan. Daripada katadasar inilah kita selalu dengar ma’sum (maksum) bagi para Nabi kerana mereka terpelihara daripada dosa.

Sangkaannya itu salah sama sekali kerana air banjir itu akan memenuhi bumi dan akan lebih tinggi lagi daripada gunung yang tertinggi sekali pun. Memang tidak ada tempat yang akan selamat melainkan atas bahtera itu sahaja. Ini bukan calang-calang punya banjir tetapi bagaimana pula bahtera itu boleh selamat? Kerana Allah ‎ﷻ yang selamatkan mereka.

Di sini kita boleh lihat betapa anaknya itu sangat-sangat tidak kenal Allah ﷻ dan kuasa-Nya. Dia sangka dia boleh lari daripada takdir Allah ﷻ? Itulah masalahnya kalau kita tidak kenal sifat-sifat Allah ﷻ sampaikan kita rasa kita masih ada peluang untuk melarikan diri daripada-Nya. Sebab itulah penting kita belajar Asmaul Husna supaya kita boleh kenal Allah ﷻ dengan lebih mendalam lagi.

 

قَالَ لَا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ

Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang akan dapat melindungi pada hari ini daripada keputusan Allah,

Sangkaan anaknya yang rasa boleh menyelamatkan diri dengan pergi berlindung ke tempat yang tinggi, salah sama sekali. Jikalau Allah ﷻ telah tetapkan yang banjir itu akan memusnahkan semua tempat di bumi, Maka ia pasti terjadi. Tidak ada sesiapa yang boleh lari daripada ketetapan Allah ﷻ.

Dari segi bahasa, apabila digunakan kalimah لا dan selepasnya kalimah yang tidak ada ال dan di dalam bentuk nasab seperti عَاصِمَ ini, ia bermakna ia menolak kesemua jenis. Maknanya tidak ada apa-apa jenis langsung yang boleh memberi perlindungan pada hari itu. Tidak perlu cari lah perlindungan itu.

 

إِلَّا مَن رَّحِمَ

kecuali orang yang dikasihani oleh-Nya”.

Tidak ada apa-apa perlindungan langsung yang boleh diharapkan melainkan satu sahaja iaitu perlindungan daripada Allah ﷻ! Yang boleh selamat adalah hanya mereka yang mahu diselamatkan oleh Allah ﷻ. Mereka itulah yang berada dalam bahtera Nabi Nuh عليه السلام itu.

Ada kisah dongeng tentang Banjir Besar ini. Ada kisah yang kata ada seorang perempuan tua yang selamat daripada banjir. Dia sampai tidak tahu ada banjir. Ini adalah kisah yang palsu dan berlawanan dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Kalau sengaja menyampaikan kisah itu kepada orang lain, maka itu adalah dosa besar dan boleh jatuh kufur. Maka, kenalah berhati-hati dengan kisah yang disampaikan.

Ia adalah kisah Israiliyyat dan Riwayat Israiliyat dapat dibahagikan menjadi tiga kategori:

Pertama, sahih dan sesuai ajaran Islam. Jenis ini boleh diterima dan diriwayatkan.

Kedua, tawaqquf. Dalam kajian israiliyat, ini bererti tidak ditemukan penjelasan/alasan untuk membenarkan atau menentang riwayat tersebut. Para ulama tafsir berbeza pendapat tentang hukum meriwayatkannya. Tawaqquf maksud berhenti, iaitu kita tidak benarkan, juga kita tidak tolak. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ – رضى الله عنه – قَالَ كَانَ أَهْلُ الْكِتَابِ يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ بِالْعِبْرَانِيَّةِ ، وَيُفَسِّرُونَهَا بِالْعَرَبِيَّةِ لأَهْلِ الإِسْلاَمِ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – « لاَ تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلاَ تُكَذِّبُوهُمْ ، وَقُولُوا ( آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ ) الآيَةَ
Daripada Abi Hurairah رضى الله عنه berkata:”Pada suatu hari ahl al-kitab membaca Taurat dengan bahasa ‘Ibrani dan diuraikan dengan bahasa Arab kepada orang-orang Islam, maka Rasulullah ﷺ bersabda:”Janganlah kamu membenarkan (perkataan) ahl al-kitab dan jangan pula kamu dustakan mereka, berkatalah kamu sekalian “Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (ayat al Qur’an)”.
(Sahih Bukhari (7362))

Ketiga, adalah kisah-kisah mereka yang batil/bohong dan bertentangan dengan ajaran agama dan wahyu. Jenis ini tidak boleh dinukil kecuali dengan menyebut status riwayat tersebut. Seperti kisah wanita itu berlawanan dengan ayat Al-Qur’an maka ia tidak boleh diterima.

 

وَحَالَ بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ

Dan ombak memisahkan antara keduanya,

Sebelum si anak sempat menjawab kembali seruan ayahnya, atau sebelum si anak sempat memanjat dinding kapal, atau bergayut pada tali yang mungkin akan dihulurkan, terjadilah apa yang ditakdirkan oleh Allah ﷻ.

Kalimah حَالَ daripada katadasar ح و ل yang mempunyai banyak maksud dan salah satunya adalah ‘penghalang’. Semasa mereka sedang bercakap-cakap itulah ombak yang besar menghalang antara mereka dan anaknya itu mati lemas. Ada riwayat yang mengatakan ombak itu setinggi 15 hasta, ada pula yang mengatakan 40 hasta, dan ada yang kata 80 hasta! Anaknya itu lemas di depan mata ayahnya sendiri. Bayangkan keadaan baginda waktu itu. Tentunya baginda amat bersedih yang tidak terhingga.

 

فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ

lalu menjadilah dia daripada orang-orang yang ditenggelamkan.

Anaknya itu tidak dapat diselamatkan lagi. Dia bersama dengan mereka yang tidak mahu beriman yang juga semuanya telah ditakdirkan mati dalam Banjir Besar itu. Nanti kita akan lihat apa kata Nabi Nuh عليه السلام tentang perkara ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Sunatkah Menyapu Muka Selepas Solat?

 حَدَّثَنَا بَكْرُ بْنُ سَهْلٍ الدِّمْيَاطِيُّ ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللهِ بْنُ صَالِحٍ ، حَدَّثَنِي كَثِيرُ بْنُ سُلَيْمٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا صَلَّى وَفَرَغَ مِنْ صَلاتِهِ مَسَحَ بِيَمِينِهِ عَلَى رَأْسِهِ وَقَالَ بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ 
Daripada Anas r.a, diriwayatkan bahawa apabila baginda s.a.w selesai mendirikan solat, baginda akan menyapu kepalanya dengan tangan kanannya lalu membaca: Dengan nama Allah, tiada tuhan yang berhak disembah selainnya, yang Maha Pemurah dan Penyayang. Ya Allah, hapuskanlah daripada ku perasaan susah hati dan kesedihan. [At-Thabrani dalam Ad-Dua’, dan Al-Awsath]

Pada sanad hadis ini terdapat perawi bernama Katsir bin Salim (كَثِيرُ بْنُ سُلَيْمٍ ). Beliau seorang yang sangat lemah.
Imam Al-Bukhari: Beliau Munkarul Hadis.
Yahya bin Ma’in: Dhaif.
Abu Zur’ah: Wahiy al-Hadis.
Abu Hatim: Dhaif al-Hadis, Munkar al-Hadis.
An-Nasaie: Matruk al-Hadis.
Kesimpulan: Hadis ini sangat lemah.


659- حَدَّثَنَا أَبُو مُسْلِمٍ الْكَشِّيُّ ، حَدَّثَنَا حَفْصُ بْنُ عُمَرَ الْحَوْضِيُّ ، حَدَّثَنَا سَلامٌ الطَّوِيلُ عَنْ زَيْدٍ الْعَمِّيِّ عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَضَى صَلاتَهُ يَعْنِي وَسَلَّمَ مَسَحَ جَبْهَتَهُ بِيَدِهِ الْيُمْنَى ثُمَّ يَقُولُ بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلا هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ
Diriwayatkan apabila Nabi s.a.w selesai mendirikan solat baginda menyapu dahinya dengan tangan kanannya kemudian membaca: Dengan nama Allah, tiada tuhan yang berhak disembah selainnya, yang Maha Pemurah dan Penyayang. Ya Allah, hapuskanlah daripada ku perasaan susah hati dan kesedihan.

[Ad-Dua’ li at-Thabrani, ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah Ibn Sunni]
Pada sanad hadis ini terdapat perawi bernama Zaid al-‘Amiy (زَيْدٍ الْعَمِّيِّ).

Imam Ahmad: Soleh
Yahya bin Ma’in: La Syai’i
Abu Hatim: Dhaif al-Hadis, ditulis hadisnya akan tetapi tidak berhujah dengannya.
Abu Zur’ah: Dia tidak kuat, Wahiy al-Hadis.
An-Nasaie: Dhaif.
Ibnu Hibban: Tidak boleh berhujah dengan riwayatnya.

Pada sanad hadis ini juga terdapat perawi bernama Salam at-Thowil (سَلامٌ الطَّوِيلُ). Beliau seorang yang sangat lemah bahkan ia adalah masalah utama kerana dia lebih teruk kelemahannya berbanding Zaid al-‘Amiy.
Yahya bin Ma’in: Hadisnya tiada apa-apa. Dhaif, tidak ditulis hadisnya.
Abu Hatim: Dhaif, ulama hadis meninggalkannya.
Abu Zur’ah: Dhaif al-Hadis.
Imam Ahmad: Munkar al-Hadis.
Al-Bukhari: Ulama meninggalkan hadis Salam at-Thawil daripada Zaid al-‘Amiy.
An-Nasaie: Matruk al-Hadis.
Kesimpulan: Hadis ini sangat lemah.


40446 – ثنا عبد الرحمن بن محمد بن حماد الطهراني ، ثنا الحسن بن يزيد الجصاص ، ثنا داود بن المحبر ، ثنا العباس بن رزين مصطفى السلمي ، عن جلاس بن عمرو ، عن ثابت البناني ، عن أنس بن مالك ، قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا قضى صلاته مسح جبهته بكفه اليمنى ، ثم أمرها على وجهه حتى يأتي بها على لحيته ويقول : « بسم الله الذي لا إله إلا هو عالم الغيب والشهادة الرحمن الرحيم ، اللهم أذهب عني الغم والحزن والهم ، اللهم بحمدك انصرفت وبذنبي اعترفت ، أعوذ بك من شر ما اقترفت ، وأعوذ بك من جهد بلاء الدنيا ومن عذاب الآخرة »
Diriwayatkan apabila nabi s.a.w selesai solat, baginda akan menyapu dahinya dengan tapak tangan kanannya kemudian melalukannya di atas wajahnya sehingga sampai ke janggutnya. Kemudian baginda membaca: Dengan nama Allah, tiada tuhan yang berhak disembah selainnya. Yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nampak, yang Maha Pemurah lagi Penyayang. Ya Allah, hapuskanlah daripada aku rasa dukacita, kesedihan dan susah hati. Ya Allah, dengan memujiMu aku pergi dan dengan dosa ku aku mengakui. Aku berlindung dengan Mu daripada keburukan yang telah aku lakukan, aku berlindung dengan Mu daripada kesusahan bala di dunia dan azab di akhirat.

[Abu Nu’aim dalam Akhbar Asbahan]
Pada sanadnya terdapat perawi bernama Daud al-Muhabbir. Beliau sangat lemah.
Al-Bukhari: Munkar al-Hadis.
Imam Ahmad: Anak Imam Ahmad pernah bertanya kepada beliau tentang Daud. Lalu Imam Ahmad ketawa dan berkata: Kelihatan hadisnya tiada apa-apa. Dia tidak tahu yang mana satukah hadis.
Ali bin al-Madini: Dzahaba Haditsuhu
Abu Hatim: Tidak thiqah, Dzahib al-Hadis, Munkar al-Hadis.
Abu Zur’ah: Dhaif al-Hadis.
Ad-Daraquthni: Matruk
Yahya bin Ma’in: Thiqah, bukan pendusta, akan tetapi banyak silapnya.
Kesimpulan: Hadis ini sangat lemah.


Jelas bahawa kesemua hadis berkaitan menyapu wajah selepas solat adalah sangat lemah. Oleh itu tidaklah disunatkan menyapu muka selepas solat.
Wallahua’lam.

Ustaz Dr Rozaimi Ramle – Hadith