Tafsir Surah Yusuf Ayat 111 (3) (Apa maksud Al-Qur’an sebagai petunjuk?)

وَهُدًى

dan petunjuk 

Al-Qur’an ini mengandungi petunjuk untuk kita hadapi kehidupan kita di dunia ini. Dan kita selalu sebut tentang Al-Qur’an menjadi petunjuk bagi kita; tapi adakah kita memahaminya? Atau adakah kita hanya sebut sahaja tanpa memahaminya dengan lebih mendalam?

Pertamanya kita lihat penggunaan kalimah هُدًى di sini. Kalimah هُدًى adalah dalam bentuk isim masdar (kata terbitan). Allah tidak menggunakan kalimah dalam bentuk fi’il يَهْدِي (memberi petunjuk) tetapi Allah terus kata هُدًى (petunjuk). Kalau susunan biasa, kita katakan: ‘Al-Qur’an memberi petunjuk’. Tapi bukan itu yang Allah gunakan, sebaliknya Allah gunakan: Al-Qur’an petunjuk. Ini ada menyentuh balaghah sedikit. Kalau يَهْدِي yang digunakan, ia menunjukkan perbuatan yang terikat dengan masa. Ia bermaksud “sedang atau akan memberi petunjuk”. Sedangkan apabila digunakan هُدًى yang di dalam bentuk  Isim Masdar, ia menunjukkan sifat jati diri atau hakikat sesuatu.

Dalam kaedah bahasa Arab, menggunakan Masdar untuk menyifatkan sesuatu dipanggil sebagai bentuk Mubalaghah (hyperbole). Sebagai contoh: Jika anda kata “Zaid itu adil (Aadil)”, itu sifat biasa. Tetapi jika anda kata “Zaid itu adalah Keadilan (Adlun)”, ia bermaksud seluruh diri Zaid itu melambangkan keadilan. Begitu juga dengan Al-Qur’an. Allah tidak hanya kata Al-Qur’an itu “memberi petunjuk” (Haadin), tetapi Al-Qur’an itu adalah “Hudan” (Ibu bagi segala petunjuk). Segala hidayah terpancar daripadanya. Oleh itu apabila Allah menyifatkan Al-Qur’an sebagai هُدًى, ia bermaksud Al-Qur’an itu adalah “Petunjuk” itu sendiri. Ia bukan sekadar “alat” yang memberi petunjuk kadang-kala, tetapi zatnya, hurufnya, dan maknanya adalah sumber hidayah yang mutlak dan tidak berubah oleh masa.

Bagaimana kita boleh memahami perkara ini? Bagaimana cara Al-Qur’an memberi petunjuk itu?

Baik, kita pun tahu di dalam dunia ini adalah banyak bidang seperti perubatan, perundangan, psikologi, ekonomi, politik, sosial, dan banyak lagi. Dan setiap bidang ini ada pakarnya, bukan? Ada sumber rujukannya seperti buku, contohnya. Ada bahagian Sejarah, Bahasa, Sains dan sebagainya. Dan selain dari bidang-bidang ini, kalau kita pergi ke kedai buku, ada bahagian agama atau spiritual, bukan? Dan antara rujukannya adalah kitab Al-Qur’an. Al-Qur’an diletakkan di situ kerana kalau masuk bahagian perubatan tidak boleh, bahagian perundangan pun tidak boleh, bukan? Tapi siapakah Penulis Al-Qur’an sebenarnya? Allah adalah Penulisnya. Ada manusia dan buku tentang perubatan, tapi Allah lah penyembuh. Ada yang pakar dalam psikologi tapi Allah yang buat otak dan minda dan emosi kita ini, bukan? Jadi segala ilmu-ilmu yang ada dalam dunia ini, Allah lebih pakar dari yang paling pakar, bukan?

Allah memberikan jenis petunjuk yang menerangi. Ia menerangi semua bidang-bidang yang lain. Sebagai contoh, ia menerangi pemikiran kita mengenai politik. Ia menerangi pemikiran kita mengenai penjagaan diri mahupun kesihatan mental. Al-Qur’an memberi bimbingan rohani yang benar-benar membantu kita mendapatkan arah yang betul dalam mana-mana bidang. Ia memberikan pandangan yang memastikan bahawa bidang tersebut ada tujuan dan arah yang baik. Kerana semua bidang penyelidikan dan kajian manusia seumpama pedang bermata dua. Contohnya anda boleh belajar fizik dan mencipta perkara yang luar biasa seperti kereta, tetapi di dalam masa yang sama, anda boleh boleh juga mencipta bom nuklear, bukan? Jadi sains itu buta. Ia tidak mempunyai arah dari mula lagi. Jadi supaya ia mempunyai arah yang selamat, maka kena ada panduan dari Al-Qur’an.

Kitalah yang kena memandu sains itu. Wahyu akan mengajar bagaimana menggunakan sains dalam cara yang benar-benar memberi manfaat kepada manusia. Tanpa panduan wahyu, sains boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza. Psikologi juga boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza, terapi boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza. Kerana ia tidak mempunyai cahaya yang perlu dipatuhi. Dan ini bahaya kerana apabila ia tidak ada panduan, ia boleh menjadi sesuatu yang buruk, gelap. Jadi semua bidang memerlukan cahaya, dan cahaya itu ialah cahaya wahyu Allah, iaitu petunjuk. Jadi agama bukanlah kena cerita tentang sains, psikologi, perubatan dan sebagainya, tapi cukup sebagai pemandu dan pemberi cahaya sahaja.

Ramai yang sudah mula hendak menggunakan Al-Qur’an sebagai sumber panduan hidup, ramai yang sudah mula menyertai kelas tafsir Al-Qur’an dan memulakan halaqah pengajian dan tadabbur. Alhamdulillah, manusia semakin kenal Al-Qur’an dan sudah ada usaha untuk membumikan Al-Qur’an kepada masyarakat Islam di Malaysia ini. Sebelum kita mula untuk menjadikan Al-Qur’an sebagai panduan hidup, ada beberapa syarat yang kita boleh perhatikan. Ini adalah petikan dari tulisan Amin Ahsan Islahi. Ini bukanlah proses cara belajar tapi persediaan hati sebenarnya. Persediaan sebelum kita mula belajar tafsir dan tadabbur Al-Qur’an.

 

1. Kemurnian Niat

Keikhlasan niat adalah yang paling utama daripada semua syarat yang lain. Ini bermakna seseorang harus membaca dan mempelajari tafsir Al-Qur’an hanya untuk mendapatkan bimbingan daripadanya dan bukan untuk apa-apa maksud yang lain. Maknanya kita hendaklah memurnikan niat kita, jaga niat kita jangan terpesong. Mungkin menjaga niat ini perkara biasa sahaja bagi kebanyakan orang, akan tetapi kalau kita tidak berhati-hati, niat kita mungkin boleh tertukar. Jika seseorang mempunyai tujuan lain dalam fikiran, dia bukan sahaja akan dilucutkan daripada keberkatan Al-Qur’an, tetapi dia juga boleh dijauhkan dari Al-Qur’an, malah lebih jauh dari sebelum ini.

Sebagai contoh, jika seseorang itu mengkaji Al-Qur’an untuk menjadi seorang ahli tafsir supaya dia boleh mendapat kemasyhuran dan kepentingan keduniaan, dia mungkin mencapai sasaran ini, tetapi dia tidak akan sampai kepada kefahaman sebenar Al-Qur’an. Begitu juga, jika seseorang mengkaji Al-Qur’an untuk mempertahankan hujah yang dia telah pegang sebelum itu lagi, dia mungkin berjaya menang menggunakan hujah itu setelah diputarbelitkan, dan dia mungkin menang berdebat, tetapi harga yang dia kena bayar adalah dia tidak akan dapat memahami Al-Qur’an. Dan dia tidak akan dibimbing dengan Al-Qur’an. Nampak bagaimana niat boleh berubah?

Sekarang kita ada banyak kumpulan, bukan? Dan setiap kumpulan, sekolah, madrasah, mazhab, mempertahankan fahaman mereka menggunakan Al-Qur’an. Setiap kumpulan rasa merekalah yang paling benar, paling mempertahankan agama Islam ini, paling tersyurga sekali. Mereka sudah hafal mana ayat yang menyokong kumpulan mereka, yang mereka akan bacakan di setiap perdebatan. Tapi bayangkan, kalau pihak lawan tiba-tiba memberikan ayat Al-Qur’an yang menjatuhkan pegangan mereka? Bagaimana ketika itu? Adakah mereka tetap berpegang dengan kumpulan dan ustaz yang menjadi pegangan, atau ketika itu Al-Qur’an menjadi pembimbing? Ketika itulah kita semua diuji sama ada untuk mempertahankan kumpulan atau mempertahankan iman.

Sebenarnya kita kena pegang apa yang Al-Qur’an kata. Pegangan kumpulan kita, mazhab kita, ustaz dan guru kita, boleh sahaja berubah-ubah. Kita tidak disuruh fanatik kepada mana-mana kumpulan. Kefanatikan itu akan menjerumuskan ke lembah kehinaan. Guru kita mungkin sahaja tersilap kerana mereka juga manusia. Maka jangan pertahankan sangat manusia yang mungkin mereka pun tidak pertahankan anda. Yang terlebih penting adalah iman yang perlu dijaga, Al-Qur’an perlu ditinggikan melebihi mana-mana kumpulan. Kumpulan anda tidak ada apa-apa nilai sebenarnya kalau dibandingkan dengan Al-Qur’an. Kita kena ada kefahaman ini dahulu sebelum berhujah dan berdebat. Kerana perdebatan bukanlah mempertahankan kumpulan sendiri, tapi hendak mencari kebenaran!

Allah telah menghadiahkan Al-Qur’an sebagai kitab bimbingan dan telah memupuk keinginan untuk mendapatkan bimbingan dalam setiap jiwa. Oleh itu jika seseorang mengkaji Al-Qur’an daripada keinginan untuk mendapatkan bimbingan, dia akan meraih hasil mengikut usaha yang dikeluarkan dan tentunya dengan bantuan Allah. Tetapi jika dia berhasrat kerana motif lain, pada dasarnya, dia juga akan mendapat apa yang dia cari. Ini kerana Allah telah berfirman di dalam Baqarah:26

يُضِلُّ بِهِۦ ڪَثِيرًا وَيَهدِى بِهِۦ كَثِيرًا‌
Dia menyesatkan ramai orang, dan Dia memberi hidayah kepada ramai orang

Bayangkan, ada orang boleh jadi sesat dek kerana Al-Qur’an! Bila? Apabila tidak menjadikan Al-Qur’an sebagai pembimbing tapi hanya digunakan sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan dan pemahaman sendiri. Dan selepas menerangkan prinsip ini, Allah sambung di dalam ayat yang sama:

وَمَا يُضِلُّ بِهِۦۤ إِلَّا ٱلفَـٰسِقِينَ
Tetapi Dia tidak menyesatkan, kecuali orang-orang yang ingkar. 

Ini bermakna Allah hanya menyesatkan mereka yang menyimpang daripada jalan yang betul. Jika seseorang menyembah berhala sedangkan dia berada di dalam Ka’bah, maka dia tidak layak untuk mengenali rahsia Tauhid. Jika seseorang berminat untuk mengumpul duri walaupun ada bunga, maka dia tidak layak diberkati dengan wangian bunga. Jika seseorang kerana sifat buruknya, menganggap ubat sebagai penyakit, maka dia tidak layak mendapat nikmat kesihatan; sebaliknya dia berhak untuk menjadi lebih sakit lagi. Allah berfirman di dalam Baqarah:16

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالهُدىٰ فَما رَبِحَت تِّجٰرَتُهُم وَما كانوا مُهتَدينَ
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

Bagi yang sedang membaca tulisan ini, dan saya yang sedang menulis tafsir ini, memang kita sudah memulakan perjalanan untuk memahami Al-Qur’an. Kita telah meluangkan masa menulis, belajar, berbincang, dan sebagainya. Dan mungkin telah banyak ayat-ayat yang kita telah pelajari. Dan kita menambah dari semasa ke semasa pemahaman kita. Akan tetapi, kalau kita tidak jaga hati kita, ada kemungkinan niat kita bukan lagi untuk mendapatkan petunjuk, tapi setakat belajar sahaja. Boleh faham? Memang belajar itu penting, tapi belajar ini adalah jalan untuk mendapat bimbingan dan hidayah. Belajar bukanlah matlamat utama. Bukan untuk kita beritahu kepada orang: “aku sudah habis belajar tafsir 30 juzuk sekian dan sekian..” bukan! Kena ingat yang tujuan kita adalah untuk menjadikan Al-Qur’an ini sebagai pembimbing kita. Jadi kena ada niat di dalam hati: “Ya Allah, Engkau bimbinglah aku dengan Al-Qur’an ini….”

Ada yang belajar Al-Qur’an supaya mereka boleh mengajar Al-Qur’an nanti. Jadi niatnya pada Al-Qur’an, apa? Untuk mengajar! Bukannya untuk mendapatkan hidayah. Jadi boleh nampak bagaimana niat kita boleh terpesong? Kita bukanlah kata jangan mengajar pula, tapi kena ingat yang niat asal kita bukan untuk mengajar, tapi untuk mendapat hidayah. Macam saya asalnya bukan untuk mengajar, bukan menulis untuk orang lain. Asalnya saya hendak buat nota untuk diri saya sahaja. Dan kemudian saya diminta pula untuk menulis dan kemudian diminta pula untuk mengajar. Saya kena jaga hati saya supaya jangan niat asal untuk mendapat hidayah itu terpelihara. Mengajar itu adalah sekunder sahaja. Kerana memang ada kebaikan dalam kita mengajar. Kerana apabila kita mengajar, maka kita memaksa diri kita untuk belajar dahulu, bukan? Ia memaksa kita untuk memahami dengan lebih mendalam kerana tak tahu pelajar akan tanya apa nanti kepada kita, maka kita siap-siap sudah belajar dengan mendalam.

Kadang-kadang manusia memang melakukan perkara yang nampak mulia, tapi sebenarnya niat boleh lari. Sebagai contoh, ramai orang menghafal Al-Qur’an, sama ada di Sekolah Tahfiz atau buat secara persendirian. Ini memang amalan mulia, tapi kena periksa balik, apakah niat kita menghafal Al-Qur’an? Adakah kerana hendak mendapat hidayah atau kerana semata-mata menghafal? Sebenarnya apa tujuan kita menghafal Al-Qur’an? Kita sepatutnya menghafal Al-Qur’an supaya kita siap ada Al-Qur’an di dalam dada kita. Yang apabila kita hendak baca (untuk dapatkan hidayah), tidaklah kita perlu buka mushaf, baru boleh baca. Kita hendakkan setiap saat mudah untuk kita rujuk Al-Qur’an supaya ia boleh membimbing kita. Bukannya menghafal itu niat asal, boleh faham? Bukannya hendak menjadi hafiz supaya nanti boleh jadi Imam Tarawih (dan buat content transition), bukan supaya dipandang tinggi oleh masyarakat, bukan supaya boleh beri syafaat kepada 10 orang, bukan supaya dapat kerja mengajar hafazan pula. Tujuan kita menghafal adalah supaya Al-Qur’an dekat dengan hati kita. Tetapi kerana tidak faham perkara inilah, Sekolah Tahfiz dan pelajar tahfiz setakat hafal sahaja, tapi apa yang mereka hafal pun mereka tidak tahu. Setakat jadi burung tiong yang ulang sahaja apa yang mereka dengar.

Apa kita tidak boleh mengharap pahala baca Al-Qur’an? Apa kita tidak boleh beri syafaat dengan Al-Qur’an? Apa kita tidak boleh mengajar Al-Qur’an? Tak bolehkah kita ambil berkat dengan Al-Qur’an? Semua itu boleh, tapi itu adalah niat sekunder. Niat utama kita telah ditetapkan oleh Allah di dalam Surah Fatihah lagi apabila kita minta setiap hari: اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ ( Tunjukilah kami jalan yang lurus) dan Allah telah menjawab permintaan itu dengan memberikan keseluruhan Al-Qur’an kepada kita dan permintaan kita telah dijawab di dalam Surah Baqarah Ayat 2 ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ (Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa). Dan kemudian Allah sambung seterusnya dengan ayat demi ayat untuk memenuhi permintaan kita kepada hidayah tadi.

Begitulah orang yang terpesong niatnya seumpama pergi ke taman bunga, tapi ambil duri bunga sahaja. Adalah benda dia dapat, tapi adakah itu yang utama? Selain dari menghafal, satu lagi adalah belajar tajwid. Ya silakan belajar, tapi bukan itu tujuan asal kita dengan Al-Qur’an. Tujuan asal kita adalah untuk mendapat hidayah darinya dan kerana ia mulia, maka tentulah kita hendak membacanya dengan cara yang terbaik. Tapi tak perlulah sampai 20 tahun belajar tajwid sahaja. Dan kalau sudah pencen, tak perlulah belajar tajwid sangat sebab belajar tajwid itu adalah ketika muda. Apabila sudah pencen, kenalah lebih luangkan masa untuk memahami Al-Qur’an kerana semua tahu selepas pencen, masa tidak lama.

Amat senang sekali niat ini tersasar. Mungkin ia bermula dengan tujuan untuk mendapatkan hidayah, tapi semakin kita tumpukan kepada ilmu, akhirnya mungkin ilmu sahaja yang kita dapat, tapi tidak hidayahnya. Maka kita kena ingatkan diri kita sekali sekala. Di dalam kita mendalami ilmu tafsir Al-Qur’an ini, kita kena tanya diri kita: “apakah pengajaran bagi kita di dalam ayat ini?” Kerana kita boleh bincangkan pendapat ulama’ itu dan ini, kita boleh bincangkan secara mendalam dari segi bahasa, tapi akhirnya yang kita hendak dan perlukan adalah hidayah. Kadang-kadang kita terlalu mengejar ilmunya, kita terlupa hidayahnya.

Apabila kita menerima Al-Qur’an sebagai hidayah, ini bermakna kita kena biarkan Al-Qur’an membimbing kita dan membetulkan perjalanan kehidupan kita. Al-Qur’an tunjuk ke kanan, kita ke kanan; Ia tunjuk ke kiri, kita ke kiri, bukan? Maknanya kita ikut apa yang Al-Qur’an arahkan. Tapi kalau kita sudah ada pandangan sendiri, dan kita ‘memaksa’ Al-Qur’an ikut kehendak kita, pandangan kita, ini bermakna tidaklah menjadikan Al-Qur’an sebagai pemandu, bukan? Allah perli mereka yang buat hal ini di dalam Hujurat:16

قُل أَتُعَلِّمونَ اللهَ بِدينِكُم وَاللهُ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۚ وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليم
Katakanlah: “Apakah kamu akan mengajar kepada Allah tentang agamamu, padahal Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu?”

Bayangkan, Allah pula kena ikut fahaman kita! Bagaimana ini terjadi? Contohnya ada golongan yang menari bila berzikir. Apabila kita minta dalil, kelam kabutlah mereka cari dalil, petik selagi boleh. Antaranya mereka kata ada dalil dalam ayat Ali Imran:191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring

Sedangkan ini bukanlah dalil zikir menari! Beribu tahun orang yang membaca ayat ini tidak terfikir pun yang ini adalah dalil suruh kita menari ketika zikir! Tiba-tiba kamu ‘memaksa’ ayat ini untuk membenarkan perbuatan bid’ah kamu itu! Mereka ini memang golongan yang telah terbalik; sepatutnya Al-Qur’an  yang membimbing mereka, tapi mereka pula yang bimbing Al-Qur’an!

 

2. Keunggulan Al-Qur’an

Syarat kedua untuk mengkaji Al-Qur’an dan menjadikan ia sebagai panduan hidup, ialah ia harus diakui sebagai perkataan yang paling tinggi sebelum seseorang memulakan perjalanan untuk memahaminya. Maknanya belum belajar lagi pun sudah terima yang Al-Qur’an itu yang paling tinggi. Jika seseorang tidak menerima hakikat tentang nilai Al-Qur’an yang tinggi dan kepentingan Al-Qur’an, seseorang itu tidak akan bekerja keras seperti yang diperlukan, untuk memahami khazanah dari Al-Qur’an.

Mungkin ada yang rasa ini tidak masuk akal kerana belum mula pun mengkaji Al-Qur’an. Kalau sudah kaji barulah dapat tahu ia hebat, bukan? Tetapi pendapat ini bukanlah salah sama sekali, malah ia merupakan sikap yang sangat waras dan logik. Lagipun, Al-Qur’an mempunyai sejarah yang luar biasa dan sudah dikenali sebagai sesuatu yang hebat pun, jadi tidak salah kalau kita sudah ada pandangan sebegini terhadap Al-Qur’an.

Kesan dari Al-Qur’an telah terbukti sejak sekian lama, ia telah berjaya mengubah minda dan ideologi manusia zaman berzaman. Selain itu, berjuta-juta manusia di dunia tidak menganggapnya hanya sebuah buku, sebaliknya mereka menganggapnya sebagai Kalam Allah, perkataan yang diwahyukan daripada Allah sendiri, Tuhan yang mencipta kita semua. Mereka mengakui ia sebagai perkataan yang tidak boleh ditiru oleh makhluk, sama ada manusia atau jin dan mereka tidak akan dapat berbuat demikian selama-lamanya walaupun manusia dan jin itu bersatu tenaga untuk menghasilkannya.

Ia adalah kitab yang diagungkan di masa lalu dan masa kini dan yang dipandang tinggi sejak sekian lama. Oleh itu tidak syak lagi ia mempunyai kepentingan yang khas dan seseorang boleh memahaminya dengan tepat hanya jika seseorang itu mempunyai penghormatan yang layak terhadapnya dan bersetuju dengan kepentingannya di dalam kehidupan. Jika seseorang tidak mempunyai idea tentang kepentingan kitab ini, mustahil bagi seseorang itu untuk merenungkannya dengan mendalam seperti yang diperlukan.

Perumpamaan: Sekiranya telah diketahui bahawa sebidang tanah itu mengandungi emas dan sejumlah besar emas telah digali daripadanya, maka tidak salah kalau kita buat anggapan yang lebih banyak emas akan diperoleh pada penggalian selanjutnya. Adakah kita akan berhenti menggali tanah itu? Tentu tidak, bukan? Dan apa sahaja sumber yang dibelanjakan untuk mendapat manfaat daripada sekeping tanah yang sedemikian adalah berbaloi, bukan? Memang untuk mendapatkan hasil emas dari tanah, juga ilmu bermanfaat dari Al-Qur’an, memerlukan usaha, tenaga dan masa. Ia tentunya tidak akan datang dengan mudah, goyang kaki sahaja. Kenapa kita luangkan masa, tenaga dan usaha kita? Kerana kita telah yakin yang ia khazanah yang amat-amat berharga! Dan khazanah itu bukan buat orang tertentu sahaja, seperti tuan guru, pak sheikh, ustaz, orang Arab, orang itu dan ini… bukan! Ia boleh sahaja digali oleh sesiapa sahaja yang berkehendak. Allah tidak pernah menghadkan pemahaman Al-Qur’an ini kepada orang tertentu sahaja. Sesiapa sahaja boleh mengambil manfaat darinya.

Tetapi jika lombong itu dianggap sebagai kosong sahaja, iaitu jika ia digali, hanya arang batu atau batu kapur sahaja yang akan dijumpai, maka hanya boleh ada dua kemungkinan sahaja: sama ada tiada sesiapa pun yang akan membuang masa menggalinya; atau jika seseorang menggalinya, mungkin ada hasil lain yang dia harapkan (bukan keuntungan).

Perkara ini disebut kerana terdapat beberapa salah faham mengenai Al-Qur’an yang berleluasa di kalangan manusia yang tidak memberikan hak yang sepatutnya terhadap Al-Qur’an. Salah faham ini terdapat dalam kalangan orang yang beriman dan juga yang mendustakan Al-Qur’an. Yang menafikan kepentingan Al-Qur’an mungkin mengakui ada beberapa pembaharuan yang telah dibawa oleh kitab ini di zaman dahulu. Tetapi pada pandangan mereka, masa itu telah berlalu. Bagi mereka, kitab ini mungkin telah berguna untuk Arab Badwi yang hidup di zaman mudah, tetapi ia tidak cukup berguna untuk menangani isu-isu kompleks hari ini.

Bagi orang-orang yang beriman pula, ada yang menganggap Al-Qur’an sebagai kod doktrin yang menjelaskan hukum hakam agama, dan selepas itu, jika masih ada apa-apa kepentingan Kitab ini, ia adalah dari sudut memberi berkat sahaja. Sebahagian daripada mereka hanya menganggap Al-Qur’an sebagai koleksi nasihat sahaja. Ramai pula menganggap ia sebagai instrumen untuk memindahkan ganjaran pahala bacaan kepada orang-orang yang telah mati, dan ada juga menganggap ia untuk mengurangkan penderitaan kematian (ketika nazak).

Selain itu, ramai orang menggunakannya sebagai penghalau hantu dan untuk menyingkirkan bencana dan kemalangan. Ini sama seperti orang Kristian yang menyimpan Injil dalam poket mereka, malangnya umat Islam juga telah mengamalkan sikap yang sama. Umat Islam yang sebegini mempunyai salah faham mengenai Al-Qur’an dan mereka tidak akan mampu mengambil faedah sebenar dari Al-Qur’an. Mereka seperti orang yang diberikan dengan meriam untuk merobohkan kubu musuh tetapi mereka menganggapnya hanya boleh membunuh nyamuk sahaja dan mula membunuh nyamuk dengannya.

Al-Qur’an itu sangat bermakna. Apa maksudnya? Apa-apa dalam Al-Qur’an tidak ada yang remeh. Tiada apa-apa di dalam Al-Qur’an hanya sebagai tambahan. Tiada apa-apa di dalam Al-Qur’an yang tidak relevan. Setiap bahagiannya, setiap perkataan, setiap frasa, setiap ceritanya, setiap hukum hakam, semuanya bermakna bagi kita. Allah Pencipta langit dan bumi,  mahu kita tahu tentang Al-Qur’an ini. Ada orang yang kata bagus Al-Qur’an ini dan baguslah kalau ada yang belajar, tapi bagi saya tidaklah. Ini adalah satu keputusan yang silap kerana mengandaikan Al-Qur’an hanya untuk sesetengah orang sahaja. Setiap hari, badan kita memerlukan air dan kita tidak boleh kata “alhamdulillah saya sudah minum tahun lepas”. Takkan begitu? Allah menciptakan setiap tubuh manusia memerlukan air berulang-ulang kali. Dan Allah bandingkan Al-Qur’an dengan air seperti disebut di dalam Ra’d:17

أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌۢ بِقَدَرِهَا فَٱحْتَمَلَ ٱلسَّيْلُ زَبَدًۭا رَّابِيًۭا…
“Allah menurunkan air (hujan) dari langit, lalu mengalir air itu di lembah-lembah mengikut ukurannya (kadarnya) masing-masing, maka arus itu membawa buih yang terapung-apung…”

Takkan kita hendak kata kita tidak perlukan air? Takkan kita hendak kata sesekali sahaja kita minum air? Setiap hati kita memerlukan Al-Qur’an sepertimana setiap hari kita memerlukan air. Dan kerana itu setiap hari kita kena ada memikirkan tentang Al-Qur’an.

 

3. Tekad untuk hidup mengikut Al-Qur’an

Untuk benar-benar mendapat manfaat daripada Al-Qur’an, syarat ketiga yang paling penting adalah untuk mempunyai tekad yang kukuh untuk mengubah diri mengikut arahan Al-Qur’an. Kita sudah tahu yang Al-Qur’an itu memberi petunjuk, bukan? Jadi anda mula menyedari bahawa Al-Qur’an membersihkan idea-idea anda, cara anda melihat dunia, cara anda melihat betul dan salah, cara anda melihat apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Fikiran anda mengenai sejarah, mengenai budaya, tentang bangsa-bangsa, fikiran anda tentang kebaikan dan kejahatan, dan fikiran anda mengenai diri anda sendiri sepatutnya dipandu oleh Al-Qur’an.

Anda bukan sahaja dapati Al-Qur’an bukan sahaja mengajar anda sesuatu, tapi Al-Qur’an juga menuntut. Menuntut apa? Menuntut perubahan dari anda! Kerana Al-Qur’an bukanlah satu buku feel-good yang bila baca buat suka-suka sahaja, tapi ia memberi pengajaran yang menegur kita untuk berubah. Lainlah kalau anda malaikat yang tidak perlu berubah apa-apa. Tapi kalau anda manusia, mesti adalah sesuatu yang Al-Qur’an tegur untuk berubah.

Maka hendaklah dia mengubah kehidupannya mengikut acuan Al-Qur’an ini. Dan ini bukanlah mudah bagi semua orang. Apabila seseorang belajar secara mendalam Kalamullah ini, dia akan merasakan bahawa apa yang dituntut daripada hamba adalah sama sekali berbeza daripada kehendak dan keinginannya sendiri. Dia akan sedar bahawa bukan sahaja cita-cita dan pemikirannya sendiri berbeza daripada Al-Qur’an, tetapi juga urusan dan hal ehwal sosialnya telah melepasi had yang dibenarkan oleh Al-Qur’an. Dia akan sedar bahawa dalaman dan luaran dirinya bercanggah dengan Al-Qur’an. Cara bercakap dia pun mungkin kena diubah apabila dia bercakap dengan orang lain, berinteraksi dengan keluarga dan kawan.

Selepas menyedari perbezaan ini, seorang pencari kebenaran akan bersungguh-sungguh membuat keputusan dan azam bahawa apa sahaja keadaan, dia akan cuba menyesuaikan dirinya mengikut acuan yang Al-Qur’an tetapkan. Dan ini hendaklah dilakukan dengan mengorbankan segala-galanya dan mungkin menanggung pelbagai kesusahan dan dengan mengatasi setiap halangan yang menghalang jalan ke arahnya, berusaha sedaya upaya untuk membentuk dirinya mengikut kehidupan yang dibayangkan oleh Al-Qur’an.

Tetapi seseorang yang tidak mempunyai kehendak dan kekuatan, tidak akan boleh mengisi jurang yang besar antara Al-Qur’an dan dirinya. Kerana apabila belajar dan mendalami Al-Qur’an, Al-Qur’an akan menunjukkan di mana dirinya sekarang dan apakah kedudukan dirinya yang sepatutnya. Semoga dia sedar yang perubahan itu bukanlah boleh dilakukan dalam sehari, tapi dia kena cuba. Dia juga yang minda hidayah, bukan? Nah sekarang Allah sudah berikan.

Tapi ramai yang gagal. Kerana dia merasakan bahawa jika dia cuba mengubah kepercayaan dan cita-citanya mengikut kehendak Al-Qur’an, dia perlu menjalani perubahan mental yang luar biasa. Dia fikir jika dia membentuk kelakuan dan adabnya mengikut acuan Al-Qur’an, dia terpaksa mengasingkan dirinya daripada masyarakat. Dia takut jika dia berkomitmen kepada objektif yang ditetapkan oleh Al-Qur’an, dia bukan sahaja perlu meninggalkan semua kepentingan dan kesenangannya, tetapi dia juga mungkin perlu menanggung kesusahan yang teruk seolah-olah dia menjalani hukuman penjara atau bahkan dihukum kerana kepercayaannya. Kerana perubahan itu bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri, tapi orang sekeliling juga akan merasainya. Jadi mereka akan memandang anda pelik, mereka sudah tidak boleh lagi buat dosa dengan anda, tidak boleh lagi mengutuk orang, ghibah dan sebagainya bersama anda. Mereka sampai tidak kenal anda lagi, tidak geng dengan anda lagi.

Dia juga takut jika dia meneliti cara kewangannya dalam cahaya kriteria Al-Qur’an yang menunjukkan mana halal dan haram, dia bukan sahaja perlu melepaskan semua kemewahan dan keselesaan hidup yang dimilikinya, tetapi dia juga mungkin tidak dapat memenuhi keperluan minimum kehidupannya.

Tidak semua orang mampu menghadapi kehidupan yang bergelora; hanya mereka yang mempunyai moral yang sangat tinggi dan tekad yang tegas sahaja yang boleh menghadapi dugaan kehidupan ini. Terdapat mereka yang lemah akal yang sentiasa mematuhi keinginan nafsu mereka, walaupun mereka mungkin mengakui bahawa jalan Al-Qur’an adalah satu-satunya jalan yang betul, tetapi pada masa yang sama, sangat sukar untuk diikuti. Dan ada juga golongan munafik yang ikut sifat pengecut mereka sebagai cita-cita dan kepura-puraan sebagai iman. Mereka lebih rela ikut nafsu mereka dari hidup dengan Al-Qur’an.

Sesetengah orang ada yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal atas alasan tidak berdaya dan terpaksa berbuat demikian kerana dugaan kehidupan. Sesetengah daripada mereka menutup kebenaran dengan kepalsuan dengan bantuan tafsiran yang mengelirukan dan diputarbelitkan. Sesetengah orang mencari perlindungan dengan mengatakan mereka mengikut keadaan semasa untuk mensahihkan semua perbuatan mereka yang salah. Ada yang cuba memutarbelitkan makna Kitab Ilahi seperti yang telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi di dalam Taurat. Ada yang cuba mencari jalan tengah antara iman dan kufur, iaitu mereka hanya mengikuti sebahagian sahaja Al-Qur’an yang mereka dapati sesuai dengan keinginan mereka sendiri dan mereka mengabaikan apa yang bertentangan dengan kehendak mereka.

Semua cara ini adalah helah dari syaitan dan siapa yang ikut akan dibawa terus kepada kebinasaan. Satu-satunya jalan keselamatan ialah apabila seseorang cuba menyesuaikan diri mengikut dekri Al-Qur’an dengan mengorbankan semua yang diperlukan dalam hal ini. Kesungguhan ini telah diuji oleh Tuhan dalam masa yang lama zaman berzaman kepada umat sebelum kita. Jika seseorang berjaya melepasi ribut ujian ini, dia akan mendapat nikmat. Jika satu pintu telah ditutup untuknya, Allah boleh membuka satu lagi. Jika satu masyarakat membuang beliau, masyarakat lain mengalu-alukan beliau. Jika satu tempat enggan memberi perlindungan kepada beliau, yang lain akan menerima beliau dengan tangan terbuka. Begitulah firman Allah di dalam Ankabut:69

وَالَّذينَ جٰهَدوا فينا لَنَهدِيَنَّهُم سُبُلَنا ۚ وَإِنَّ اللهَ لَمَعَ المُحسِنينَ
Dan orang-orang yang berusaha untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.

Apabila arahan untuk berubah datang dari Al-Qur’an, kita akan dapati tiga jenis orang. Sekarang kena tentukan mana satu yang kita akan masuk antara tiga golongan ini:

1. Mereka ini adalah yang tidak kira berapa banyak dugaan yang akan dihadapi untuk berubah, dan berapa banyak ia menyakitkan dirinya, dia akan buang perasaan susah, emosinya yang bergelora, keinginan nafsu yang tidak sihat, ketagihan apa-apa sahaja, tarikan apa sahaja, ketakutan, kebimbangan, tekanan di luar, tekanan di bahagian dalam, dia tidak hiraukan dan dia akan anggap itu semua kecil sahaja. Dia akan jadikan komitmen kepada Allah dan Al-Qur’an yang lebih besar. Firman Allah lebih tinggi daripada semua perasaan itu semua. Dan dia akan cuba buat perubahan. Mereka ini adalah orang-orang yang merasakan kemanisan iman yang bermakna dengan mempunyai petunjuk daripada Allah. Mereka merasakan kemanisan bimbingan. Mereka ialah beberapa orang yang bertuah. Semoga Allah menjadikan kita semua daripada mereka.

2. Kumpulan kedua ialah orang yang melihat Allah mahukan perubahan yang begitu banyak dan dia tidak sanggup. Dia tahu benda itu baik dan memandang tinggi orang yang berjaya melakukannya, tapi dia sendiri, dia rasa dia tidak mampu. Dia takut dengan penerimaan keluarganya, dia takut menghadapi cemuhan dari kawan-kawannya. Dia hendak semuanya sama seperti dahulu sahaja. Dia takut dibuang kerja, dia takut ekonomi dia merudum. Dia takut kehilangan kasih sayang. Dia teringin berubah, dia tahu perubahan itu bagus, tapi dia rasa dia tidak mampu. Dia bukannya menolak Al-Qur’an kerana dia tahu memang apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu benar-benar belaka.

Ini ialah dusta yang dia buat terhadap dirinya sendiri dan ini adalah satu pembohongan terhadap Allah. Kita tidak sedar bahawa Allah mengatakan Allah tidak meletakkan beban kepada sesiapa kecuali bahawa mereka boleh membawanya. Allah berfirman di dalam Baqarah:286

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Jika Allah memberi petunjuk kepada anda dengan petunjuk yang indah ini, jika Allah membebankan anda dengan permintaan ke arah perubahan, Allah tidak akan meletakkan beban itu kepada anda jika Dia tahu anda tidak mampu. Jika anda tidak mampu, permintaan ini tidak akan diletakkan pada anda. Oleh itu, apabila anda berpaling kepada Allah dan berkata, “Allah, apa yang Engkau minta terlalu banyak. Ia terlalu keras, ia terlalu sukar”, ini ialah dusta terhadap diri sendiri dan ini adalah satu pembohongan terhadap Allah. Jangan tergolong di dalam golongan ini.

Kena sedar bahawa apa-apa sahaja tujuan yang elok memerlukan usaha dan melibatkan kesukaran dan kadangkala kesakitan. Hendak sihat? Kena beriadah. Hendak jadi ahli sukan berjaya? Lagilah kena berlatih kuat. Hendak jadi doktor? Kena susah belajar. Mungkin anda akan hilang kawan. Tidak mengapa, kerana anda akan dapat kawan yang lebih baik dari mereka. Allah berfirman di dalam Maryam:96

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَيَجعَلُ لَهُمُ الرَّحمٰنُ وُدًّا
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang.

3. Ini mungkin golongan paling teruk. Dia sudah tahu apa yang Al-Qur’an mahu dia lakukan dan dia tidak mampu seperti golongan ke 2 di atas. Akan tetapi di dalam masa yang sama, dia tidak mahu kelihatan seperti tidak ikut Al-Qur’an. Jadi dia buat apa? Dia ubah interpretasi Al-Qur’an itu ikut seperti apa yang dia hendak! Mereka kena jadi kreatif sikitlah sebab Al-Qur’an ini memang sudah jelas. Jadi kalau hendak ubah Al-Qur’an ikut kehendak sendiri, kena bersilat sikit. Mereka akan ambil ayat-ayat yang mereka suka dan itulah yang mereka ulang-ulang dan abaikan ayat-ayat yang lain. Allah berfirman tentang mereka ini di dalam Saff:7

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

Allah kata وَمَن أَظلَمُ kerana mereka inilah yang paling zalim, paling teruk kerana tidak ada yang lebih dusta dari mereka. Kerana mereka berdusta atas nama Allah! Mereka kata ini dan itu Allah suka, kerana mereka yang tafsir ikut nafsu mereka sendiri.

 

4. Tadabbur

Memikirkan Kitab Ilahi adalah syarat keempat yang paling penting untuk mendapat manfaat daripada Al-Qur’an, yang Al-Qur’an sendiri menyebut berulang kali antaranya di dalam Muhammad:24,

أَفَلا يَتَدَبَّرونَ القُرءآنَ أَم عَلىٰ قُلوبٍ أَقفالُها
Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?

Untuk mendapat manfaat dari Al-Qur’an dan menjadikannya sebagai panduan hidup kita, bukannya sekali baca terus boleh faham. Tidak cukup dengan hanya baca terjemahan sahaja kerana tidak faham pun kalau setakat baca terjemahan. Jangan perasanlah anda telah faham Al-Qur’an kalau setakat baca terjemahan sahaja. Tapi ia adalah usaha permulaan. Kena ada usaha tadabbur, fikir, refleksi terhadap ayat-ayatnya.

Bukanlah kita kata kena jadi ulama’ pula, bukan. Ulama’ buat tafsir, kita sebagai bukan ulama’, kena tadabbur. Tadabbur ini datang selepas kita belajar tafsir, dan tafsir itu telah dikupas oleh para alim ulama’. Sekarang ramai yang baca Al-Qur’an, belajar tafsir, hafal Al-Qur’an, tapi tidak faham apa yang mereka baca dan hafal. Apa Allah kata tentang mereka di dalam Jumu’ah:5

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا ۚ بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu; dan Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang zalim.”

Para sahabat Nabi merupakan orang-orang yang paling pertama dinasihati dalam Al-Qur’an. Kita kena ikut contoh mereka. Mereka berfikir dan membincangkan Al-Qur’an dan yang paling hebat di antara mereka dalam memahami Al-Qur’an ialah orang-orang yang paling banyak merenungkan ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka membentuk kumpulan halaqah untuk mengkaji Al-Qur’an di mana mereka akan membincangkan ayat-ayat Al-Quran secara kolektif. Rasulullah suka dengan apa yang mereka lakukan ini. Selepas baginda, semua Khulafa’ ur Rashidin, terutamanya Saidina Umar menunjukkan minat yang berterusan dengan kumpulan-kumpulan sebegitu dan dengan orang-orang yang telah menjadi mahir dalam Al-Qur’an.

Membaca tanpa memahami Al-Qur’an semata-mata demi mendapatkan berkat bukanlah jalan sahabat Nabi. Mereka tak buat perkara ini. Membaca tanpa faham ini wujudnya kemudian, iaitu apabila orang mula menganggap Al-Qur’an hanyalah buku yang bertuah tanpa mereka melihat ia sebagai panduan yang benar. Al-Qur’an kemudiannya hanya digunakan untuk melembutkan penderitaan kematian dan untuk memindahkan ganjaran pahala kepada orang mati; daripada digunakan untuk mendapatkan bimbingan sebagai sumber perubahan dalam kehidupan. Ia akan hanya dibaca apabila ada melakukan salah laku supaya ia boleh memberkati salah laku itu. Orang ramai juga mula menggunakannya sebagai alat pengusiran hantu untuk melindungi mereka.

Ada orang yang tidak pandang pun kepentingan mempelajari makna ayat-ayat Al-Qur’an. Ada yang beranggapan segala apa yang ada di dalam Al-Qur’an ini telah ada dalam ilmu aqeedah dan mereka telah belajar Sifat 20. Dan Al-Qur’an mengandungi hukum hakam dan ulama’ telah bincangkan di dalam ilmu fiqh. Jadi pada mereka, tak perlu mempelajari tafsir Al-Qur’an. Sebab itu banyak yang apabila berdakwah, ajak orang belajar ilmu Fardhu Ain. Fardhu Ain sahaja? Mereka sangka itu sudah cukup agaknya. Malang sekali cetek pengetahuan mereka. Mereka telah merendahkan ilmu dan khazanah yang ada di dalam Al-Qur’an. Mereka hanya baca di dalam solat sahaja, ambil berkat sahaja, kalau ada majlis perkahwinan atau pembukaan madrasah, barulah baca ayat-ayat suci Al-Qur’an.

Ini sangat menyayat hati kerana masyarakat kita telah merendahkan kepentingan Al-Qur’an. Ada yang simpan mushaf di dalam kereta dan di bawah bantal sebagai perlindungan dari syaitan; ada yang gantung di kereta; ada yang gantung khat di rumah dan pejabat. Itu sahaja bagi mereka? Alangkah sedihnya. Ada yang pasang audio Al-Qur’an sebagai muzik latar sahaja. Kemudian buat kerja yang tidak kena mengena, bukan mereka dengar pun! Begitu kurang ajarnya mereka dengan Al-Qur’an, Kalam Allah!

Al-Qur’an mungkin satu-satunya buku di dunia yang mengatakan di dalam banyak tempat bahawa ia boleh menjadi benar-benar bermanfaat hanya apabila ia diperhatikan maknanya dan dibincangkan. Tetapi malangnya ia juga adalah buku yang sentiasa dibaca dengan mata tertutup. Orang ramai membaca Al-Qur’an sambil menutup fikiran mereka tidak terkesan dengan apa yang di dalamnya.

 

5. Penyerahan kepada Allah

Untuk benar-benar mendapat manfaat daripada Al-Qur’an, syarat kelima ialah apabila tidak memahami mana-mana ayat, hendaklah menyerahkan kesukaran untuk memahami ayat-ayatnya kepada Yang Maha Kuasa dan meminta bimbingan-Nya.

Memang kadangkala apabila kita baca Al-Qur’an, baca terjemahan dan mungkin baca tafsirannya, kita tidak faham. Mungkin ada yang kata kenapa ayat ini tidak jelas? Kenapa berpusing-pusing? Pada mereka susah sangat ayat ini. Mengkritik Al-Qur’an apabila tidak memahaminya adalah sikap yang tidak patut sama sekali. Kalau kita tidak faham, bukanlah salah Allah dan Al-Qur’an, tapi kita yang lemah akal! Kita yang ada kekurangan!

Kadang-kadang, seseorang jumpa kalimah-kalimah yang berat dan gagal untuk memahaminya. Mungkin syaitan pun masuk jarum dan kata buang masa sahaja belajar maksudnya, engkau takkan faham. Mungkin ada yang rendah diri dan kata agaknya tahap pemikiran aku tidak boleh hendak mencapainya, ulama’ sahaja boleh faham, jadi aku baca sahajalah tanpa faham. Ini adalah pemahaman salah! Kalau dengan mana-mana buku lain, kalau tidak faham apa maksud penulis, kita boleh tinggalkan buku itu; tapi tidak dengan Al-Qur’an ini. Kita tidak boleh tinggalkannya.

Pendekatan yang betul dalam keadaan ini ialah seseorang harus terus berdoa kepada Yang Maha Kuasa untuk bantuan-Nya dan teguh dalam berpegang kepada Al-Qur’an. Jika seseorang menghafal mana-mana ayat Al-Qur’an, dia perlulah membacanya perlahan-lahan semasa solat malam. Minta dengan Allah supaya beri kita kefahaman ayatNya itu. Al-Qur’an ialah Allah yang berbicara kepada kita. Sekarang kitalah yang kena berbicara pula kepada Allah dan kata: “Ya Allah. Ayat ini aku tak boleh faham. Bukalah pintu kefahaman kepadaku. Biar aku faham maksudMu di sini. Aku akan cuba untuk merenungkan yang terbaik daripada keupayaan aku, aku akan mencari ilmu daripada mereka yang memilikinya, aku akan siasat dan siasat. Tetapi Allah, aku tahu satu-satunya yang boleh membuka pintu ilmu dan membuka pintu panduan dan membuka pintu kebijaksanaan ialah Engkau. Allah, bukakan pintu ini untukku, aku merayu kepadaMu!”

Kalau anda beli buku dan anda tidak faham apa yang penulis itu tulis, adakah anda berpeluang telefon penulis buku itu dan tanya apa maksud dia? Penulis tidak mempunyai masa untuk anda. Tetapi Penulis semua penulis, iaitu Allah sendiri, telah menjemput anda untuk pergi dan bertanya kepada-Nya. Pergilah bertanya kepada Allah sendiri. Kalau awak tak faham sesuatu, pergilah minta kepada Allah. Dengan kehendak Allah, kesukaran memahami akan reda dan seseorang itu akan diberkati dengan cahaya Al-Qur’an. Doa berikut juga amat berguna dalam keadaan sedemikian:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak hamba-Mu (Nabi Adam) dan anak hamba perempuan-Mu (Hawwa’). Ubun-ubunku di tangan-Mu, keputusan-Mu berlaku padaku, Qadha-Mu (takdir dan ketetapan-Mu) kepadaku adalah adil. Aku mohon kepada-Mu dengan setiap nama (terbaik) yang telah Engkau gunakan untuk diri-Mu, yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhluk-Mu atau yang Engkau khususkan untuk diri-Mu dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, semoga Engkau jadikan Al-Qur’an sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad dan selainnya. Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani rahimahullah)

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 1 – 3 (Panjangnya angan-angan)

Pengenalan:

Surah ini dinamakan Al-Hijr mengambil sempena nama tempat tinggal kaum Tsamud. Erti yang asal daripada kalimat ini ialah “Batu Besar”, atau “Batu Gunung”. Disebut tempat tinggal kaum Tsamud itu dengan al-Hijr, kerana negeri mereka terjadi daripada lembah-lembah dan gunung-gunung batu. Akan tetapi mereka mempunyai kepintaran membangun rumah-rumah dan gedung-gedung yang indah megah, yang dapat mempertalikan bukit-bukit dengan lembah, dan dapat memahat batu-batu gunung itu untuk dijadikan bangunan. Diambil nama tempat mereka itu menjadi nama surah ini, kerana kisah mereka ada tersebut pada ayat 80 sampai ayat 84.

Nabi mereka adalah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda adalah salah satu di antara Nabi-nabi yang dibangkitkan dalam kalangan bangsa Arab. Nabi-nabi daripada Arabi ialah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ. Termasuk juga Nabi Arabi adalah Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sebab baginda diutus kepada Bani Jurhum yang daripada bangsa Arab.

Dakwa Surah ini adalah tentang Tauhid. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita yang manusia lalai leka tidak menerima tauhid adalah kerana mereka leka dengan dunia. Maka surah ini mengingatkan kita supaya jangan terpengaruh dan lalai dengan dunia. Khulasah (ringkasan) surah ini adalah kalau tidak juga mahu terima Tauhid, akhirnya manusia itu akan dikenakan azab. Ini seperti yang terjadi kepada Ashabul Hijr yang akan diceritakan nanti.

Di hujung Surah Ibrahim telah disebut tentang Ulul Albaab dan penyesalan orang kafir. Maka disambung di dalam Surah Hijr ini penyesalan orang kafir setelah dikenakan dengan azab.

Surah ini diturunkan di peringkat awal Makkah dan kerana itu ayat-ayatnya pendek-pendek sahaja. Ada keindahan pada bacaan surah ini menunjukkan keindahan pembacaan Al-Qur’an. Hujungnya pun sama sahaja dan ada ritma yang indah dan amat sedap dibaca.

Begitulah Al-Qur’an mesti dialami dengan pendengaran (mesti didengari selalu). Maksud asal Al-Qur’an pun adalah ‘bacaan’. Orang Islam, kalau tidak faham Al-Qur’an pun, sekurang-kurangnya mereka dapat menghargai keindahan bacaan Al-Qur’an yang berlagu. Kalau dibaca dengan tartil, tajwid dan makhraj yang betul, ia amat merdu sekali.

Dalam surah ini kita akan bertemu dengan kisah iblis yang ketiga. Sebelum ini telah ada kisah iblis dalam surah Baqarah dan A’raf. Dalam surah ini pula tentang dialog dia dengan Allah ﷻ. Maka di sini dikisahkan kembali tentang pertentangan Manusia Pertama, Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan lblis, dan betapa Iblis diberi kesempatan melakukan tipudayanya kepada Insan, dan Tuhan memberi ingat kepada lblis bahawa hamba-hamba Tuhan yang ikhlas tidaklah akan dapat dikuasainya, sehingga meninggalkan kesan dalam jiwa kita bahawasanya keselamatan kita hanya akan terjamin bilamana mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah ﷻ dengan sungguh-sungguh pengabdian.

Kemudian ada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada kisah tambahan dengan Surah Ibrahim sebelum ini. Allah ﷻ banyak mempersembahkan dimensi lain bagi kisah yang sama. Ini salah satu daripada keindahan penceritaan dalam Al-Qur’an. Maknanya, untuk tahu kisah penuh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Al-Qur’an, hendaklah dibaca kesemua surah agar menjadi sebuah cerita yang lengkap.

Kemudian akan disebut kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kemudian kisah lain. Akhirnya kembali kepada perkara asal iaitu tasliah kepada Nabi. Marilah kita tadabbur ayat-ayat surah ini satu persatu, in sha Allah.

Surah Hijr merupakan surah Makkiyah yangditurunkan pada tahun ke 11 hingga 13 di Makkah. Ia merupakan surah ke 15 dalam tertib mushaf dan mengandungi 99 ayat. Surah ini terdiri daripada 6 ruku’ dan 5 Perenggan Makro seperti berikut:

Perenggan Makro 1: (Ayat 1 hingga Ayat 15)
Mengandungi ancaman kebinasaan kerana melabel Nabi Muhammad ﷺ gila dan mengolok-olok Al-Qur’an.

Perenggan Makro 2: (Ayat 16 hingga Ayat 25) merupakan Dalil Afaqi (alam). Lihatlah ayat-ayat Allah ﷻ di alam semesta sebagai bukti adanya akhirat.

Perenggan Makro 3: (Ayat 25 hingga Ayat 50) merupakan Dalil Anfusi (diri). Renungan dan mencari kesimpulan dalam diri daripada Kisah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Iblis, Pertentangan Baik dan Buruk. Hukum balasan Baik dan Buruk.

Perenggan Makro 4: (Ayat 51 hingga Ayat 84) mengandungi Dalil Tarikihi (sejarah). Kisah teladan daripada sejarah. Kaum-kaum yang dibinasakan Kaum Nabi Lut, Penduduk Aikah dan penduduk Al-Hijr.

Perenggan Makro 5: (Ayat 85 hingga Ayat 99) mengandungi motivasi dan pujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan pejuang tauhid. Surah ini diturunkan di waktu Nabi ﷺ dan para sahabatnya ditentang keras oleh Musyrikin Makkah. Mengetahui kisah-kisah Nabi terdahulu membuatkan hati Nabi Muhammad ﷺ lebih tabah.

Mesej Utama Surah

1. Dalil Afaqi (alam), Anfusi (diri) dan Tarikihi (sejarah)
Gunakan mata, deria, akal dan hati untuk menerima tauhid dan beriman tentang Hari Akhirat. Cara untuk mengenal Allah ﷻ:

a) Mempelajari ayat-ayat yang berada di luar wujud manusia. Hal yang demikian disebut ayat Āfāqi.
b) Mempelajari ayat-ayat Allah ﷻ yang ada di tubuh dan dalam jiwa manusia. Hal yang demikian disebut ayat Ānfusi.
c) Mempelajari pula bukti-bukti daripada kesan sejarah (Dalil Tarikhi)

2. Setiap kaum ada zamannya
Rujuk ayat 4 dan 5: Dan Kami tiada membinasakan sesuatu negeri pun, melainkan ada baginya ketentuan masa yang ditetapkan. Tidak ada suatu umat pun yang dapat mendahului ajalnya, dan tidak (pula) dapat mengundurkan(nya).

3. Mempersendakan Rasul utusan Allah ﷻ dan menolak Al-Qur’an adalah punca sesuatu kaum itu dibinasakan. Ini boleh dilihat dalam ayat 11 hingga 13:
Ayat 11: Dan tidak datang seorang rasul pun kepada mereka, melainkan mereka selalu memperolok-oloknya.
Ayat 12: Demikianlah, Kami memasukkan (rasa ingkar dan memperolok-olokkan itu) ke dalam hati orang-orang yang berdosa (orang-orang kafir).
Ayat 13: mereka tidak beriman kepadanya (Al-Qur’an) dan sesungguhnya telah berlalu sunnatullah terhadap orang-orang dahulu.

Dalil Aqli Afaqi dapat dibuktikan jelas dengan fakta sains:

1. Angin sebagai agen pendebungaan
Rujuk ayat 22: Dan Kami telah meniupkan angin untuk mengahwinkan (tumbuh-tumbuhan) dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami beri minum kamu dengan air itu, dan sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya.

2. Komposisi unsur kimia manusia sama dengan unsur kimia tanah
Rujuk ayat 26: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.

Manakala Dalil Tarikihi pula dapat dilihat dalam ayat-ayat berikut:

Allah ﷻ kata kota kaum yang dibinasakan itu terletak di laluan umum yang jelas. Antara kaedah arkeologi mencari tapak kota purba ialah dengan mengambil gambar dari udara laluan kafilah-kafiah zaman dahulu. Kesan binaan kota mereka dahulu masih dapat dilihat oleh manusia hari ini sebagai pengajaran.

Ayat 79: maka Kami membinasakan mereka. Dan sesungguhnya kedua kota itu benar-benar terletak di jalan umum yang terang.
Ayat 82: dan mereka memahat rumah-rumah daripada gunung-gunung batu (yang didiami) dengan aman.
Ayat 83: Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur di waktu pagi

Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur di waktu pagi [15:83]


 

AMARAN KEPADA ORANG KAFIR

Hijr Ayat 1: Surah ini mempunyai 5 Perenggan Makro. Ayat 1 – 15 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia berkenaan ancaman kerana melabel Nabi ﷺ gila dan mengolok-olok Al-Qur’an.

الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ وَقُرءآنٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ḥijr: The Valley of Stone. It was inhabited by the tribe of Thamūd (mentioned in verses 8084), who carved palaces and dwellings out of the rock.

Alif, Lām, Rā.¹ These are the verses of the Book and a clear Qur’ān [i.e., recitation].

  • See footnote to 2:1.

(MELAYU)

Alif, laam, raa. (Surat) ini adalah (sebahagian daripada) ayat-ayat Al-Kitab (yang sempurna), iaitu (ayat-ayat) Al Qur’an yang memberi penjelasan.

 

الر

Alif, laam, raa.

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib. Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqattaah. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak difahami kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Ada pendapat yang mengatakan bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas.

Akan tetapi, ada juga pendapat yang mengatakan memang tidak ada. Kerana, jikalau ia ada makna tetapi Allah ﷻ sahaja yang tahu, mesti Rasulullah ﷺ sudah beritahu. Namun begitu tidak sampai maklumat kepada kita tentang hal ini. Maka ia kekal sebagai pendapat sahaja yang mungkin benar dan mungkin tidak. Pendapat ini mengatakan memang ayat-ayat muqatta’ah ini tidak ada makna kerana kalau terputus begitu, ia tidak membawa apa-apa maksud. Contohnya kalau ك ت ا ب tidak ada makna, tetapi kalau disambungkan menjadi كتاب, barulah ada makna.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan.

Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan ra’, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alar’. Namun tidak pula dalam kes Surah Ibrahim ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk dengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Satu lagi pendapat mengatakan yang Allah ﷻ sebenarnya mencabar bangsa Arab untuk membuat Al-Qur’an yang lain kerana Al-Qur’an ini menggunakan huruf-huruf mereka juga. Maka Allah ﷻ beri huruf-huruf itu dan cabar mereka. Kalau hebat sangat, buatlah satu lagi kitab yang seperti Al-Qur’an ini dan gunakanlah huruf-huruf itu.

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.

 

تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ

ini adalah ayat-ayat Al-Kitab

Ini merujuk kepada Al-Qur’an di Lauh Mahfuz dan Al-Qur’an yang di tangan kita dan sedang dibaca di dunia ini. Allah ﷻ mengaitkan antara keduanya kerana hendak memberitahu bahawa kedua-duanya adalah sama. Ia telah disampaikan dengan selamat kepada kita dan keasliannya terjaga. Ini penting kerana ada yang mempertikaikannya.

Apabila digunakan kalimah الكِتٰبِ di sini, ia memberi isyarat yang Al-Qur’an ini juga mengandungi perkara-perkara yang telah disentuh di dalam kitab-kitab terdahulu. Maka bukan sahaja hal semasa disentuh di dalam Al-Qur’an akan tetapi ia juga membenarkan kebenaran Tauhid seperti yang telah disentuh di dalam kitab-kitab terdahulu. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 3

نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab Taurat dan Injil.

 

وَقُرءآنٍ مُّبينٍ

dan bacaan yang jelas nyata.

Al-Qur’an ini adalah jelas nyata. Segala perkara yang penting dan kita perlukan untuk keselamatan hidup dunia akhirat telah diberikan dengan jelas. Yang tidak jelas adalah mereka yang tidak belajar tafsir sahaja. Malangnya ramai daripada masyarakat kita yang tidak meluangkan masa untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an. Maka mereka keliru tentang agama kerana sumber utama iaitu Al-Qur’an pun mereka tidak faham.

Apabila digunakan kalimah مُبينٍ di awal surah ini, ini bermakna surah ini akan menyampaikan dalil dalam bentuk naqli. Ini adalah salah satu tanda yang ada dalam Al-Qur’an.


 

Hijr Ayat 2: Ini adalah Dakwa Surah ini maka kita kena berikan perhatian lebih kepada ayat ini.

رُّبَما يَوَدُّ الَّذينَ كَفَروا لَو كانوا مُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Perhaps those who disbelieve will wish¹ that they had been Muslims.

  • On the Day of Judgement or at the time of death.

(MELAYU)

Orang-orang yang kafir itu seringkali (nanti di akhirat) menginginkan, kiranya mereka dahulu (di dunia) menjadi orang-orang Muslim.

 

Allah ﷻ menceritakan keadaan orang kafir di akhirat kelak. Allah ﷻ beritahu tentang hari-hari di hadapan supaya kita dapat ambil pengajaran mulai sekarang (supaya jangan sesal di akhirat kelak). Waktu itu orang-orang kafir itu akan menyesal sangat-sangat. Kalimah رُبَما di dalam bahasa Arab boleh diterjemahkan sebagai sesekali atau selalu. Ulama’ lebih cenderung menggunakan maksud ‘selalu’. Mak ia berkenaan orang kafir yang selalu sangat berharap yang mereka dulu di dunia menjadi mukmin. Keadaan mereka ini sama dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَلَوْ تَرَى إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ فَقَالُوا يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِآيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Dan jika kamu (Muhammad) melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata, “Kiranya kami dikembalikan (ke dunia) dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang-orang yang beriman,”
(Al-An’am: 27)

Bukan sahaja orang kafir yang akan menyesal, tetapi orang Islam pun akan menyesal juga jikalau mereka tidak benar-benar menjadi Muslim sejati. Ini kerana maksud ‘muslim’ itu adalah berserah sepenuhnya kepada Allah ﷻ, taat kepada suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bukankah ada ramai orang Islam yang tidak melakukan seperti itu?

Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan ini juga berlaku di dunia. Ini kerana orang-orang kafir yang telah terlanjur menentang agama itu, kadang-kadang merasa juga dalam hati sanubarinya bahawa apa yang diserukan oleh Muhammad ﷺ itu adalah benar. Maka timbullah satu perasaan dalam hati keinginan hendak masuk Islam. Namun mereka tidak juga masuk Islam kerana merasa diri lebih baik dan tinggi. Mereka ini amat berlainan dengan Saidina Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, yang sebaik sahaja membaca beberapa ayat daripada Surah Taha, terus sahaja datang kepada Rasulullah ﷺ dan menyatakan diri masuk Islam.

Maka pemuka-pemuka Quraisy itu pun ada juga yang di dalam hati kecilnya mengakui kebenaran Islam, terasa juga ingin masuk Islam. Namun ditolak rasa itu disebabkan merasa diri mereka terlalu tinggi untuk datang bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Sebaliknya mereka mahu Nabi Muhammad ﷺ sendiri menjemput mereka dan menyediakan tempat yang istimewa bagi mereka untuk belajar. Mereka tidak mahu duduk bersama golongan yang lemah seperti hamba-hamba abdi yang telah dahulu masuk Islam.

Akan tetapi oleh kerana Islam hanya mengenal taqwa, taat dan menyediakan tempat bagi sesiapa saja yang suka, dengan tidak memilih kedudukan dan darjat, maka Nabi kita Muhammad ﷺ tidak sekali-kali akan menjemput mereka, kecuali kalau terang-terang mereka meminta datang dan meminta diajar. Maka banyaklah pemuka-pemuka Quraisy itu yang kadang-kadang telah merasa akan kebenaran Islam, tetapi tidak jadi masuk Islam sampai mereka mati dalam kufur.

Di dalam Al-Qur’an ada disebut tentang seorang Musyrik yang bernama Walik al-Mughirah. Dia memang telah nampak kebenaran Al-Qur’an tetapi dia menentang. Allah ﷻ sebut kisahnya di dalam Muddaththir: 16 – 25

كَلّا ۖ إِنَّهُ كانَ لِأَيَـٰتِنَا عَنيدًا
Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya ayat-ayat Kami

سَأُرهِقُهُ صَعودًا
Aku akan mengenakan dia dengan azab yang menaik.

إِنَّهُ فَكَّرَ وَقَدَّرَ
Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Qur’an) –

فَقُتِلَ كَيفَ قَدَّرَ
Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?

ثُمَّ قُتِلَ كَيفَ قَدَّرَ
Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?

ثُمَّ نَظَرَ
Kemudian dia merenung dan memikirkan

ثُمَّ عَبَسَ وَبَسَرَ
Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut;

ثُمَّ أَدبَرَ وَاستَكبَرَ
Kemudian dia berpaling (daripada kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,

فَقالَ إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ يُؤثَرُ
Serta dia berkata: ” (Al-Qur’an) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (daripada ahli-ahlinya);

إِن هٰذا إِلّا قَولُ البَشَرِ
“Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!”

Lihatlah apa yang dilakukan oleh Walid al-Mughirah ini. Asalnya dia telah nampak kebenaran yang dibawa oleh Nabi namun kerana didesak oleh pemuka Quraisy yang lain, maka dia reka tuduhan kepada Al-Qur’an itu! Dengan ini diteroponglah hati kecil mereka sebagai manusia. Sebab di dalam hati kecil itu pasti ada juga terselit pengakuan akan kebenaran, tetapi sejak dari mula telah terlanjur menentang. Maka di dalam duduk sendirian, ditinjau-tinjau dan dibanding, terasa benarnya apa yang diserukan oleh Muhammad ﷺ, tetapi tidak dipunyai keberanian moral, ketangkasan budi buat merubah pendirian, sehingga akhirnya berlarut-larut dan tidak dapat untuk diperbaiki lagi.

Ini pun menjadi pengajaranlah bagi kita yang datang di belakang, jangan sampai sebagai keadaan penentang-penentang Quraisy itu pula. Kita takut ada yang sudah nampak kebenaran yang dibawa oleh jalan Sunnah ini, namun kerana dari mula sudah meratib Wahabi, Wahabi, (mengutuk orang yang hendak mengamalkan sunnah) maka mereka menjadi segan pula untuk terima. Akibatnya mereka terus abaikan perasaan kecil mereka dan terus mencari kesalahan di dalam jalan Sunnah ini.


 

Hijr Ayat 3:

ذَرهُم يَأكُلوا وَيَتَمَتَّعوا وَيُلهِهِمُ الأَمَلُ ۖ فَسَوفَ يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Let them eat and enjoy themselves and be diverted by [false] hope, for they are going to know.

(MELAYU)

Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka).

 

ذَرهُم يَأكُلوا وَيَتَمَتَّعوا

Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang

Nabi Muhammad ﷺ dan kita sebagai pendakwah hanya boleh sampaikan sahaja agama dan ajakan tauhid kepada mereka. Kalau mereka masih juga tidak terima, masih juga mahu menentang kita, maka Allah ﷻ kata: biarkan mereka. Biarkan mereka bersenang lenang dalam dunia ini, sementara menuju sampai hari akhirat itu. Kerana kamu telah menjalankan kerja kamu mengajak dan berdakwah kepada mereka. Kalau layan mereka juga, nanti akan buang masa kamu sahaja.

Mereka sahaja yang tidak mahu dengar dan berfikir kerana mereka hanya memikirkan perut dan hendak memuaskan hawa nafsu mereka sahaja seperti disebut dalam Muhammad: 12

وَالَّذينَ كَفَروا يَتَمَتَّعونَ وَيَأكُلونَ كَما تَأكُلُ الأَنعٰمُ وَالنّارُ مَثوًى لَّهُم
Dan orang-orang kafir bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang. Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka.

Kita orang Islam juga makan dan minum, bukan? Akan tetapi bukan itulah sahaja yang kita lakukan. Kerana kita tahu tujuan hidup di dunia ini bukan untuk memenuhkan perut, sebaliknya ada tugas kita yang kita kena lakukan untuk menghadapi akhirat nanti.

 

وَيُلهِهِمُ الأَمَلُ

dan dilalaikan oleh angan-angan

Kalimah يُلهِهِمُ bermaksud ‘mereka dilalaikan’. Kalimah الأَمَلُ pula bermaksud harapan yang panjang. Bagi Musyrikin Mekah itu mereka sangka dan berangan yang mereka akan kekal berkuasa selama di dunia dan nanti apabila mati, mereka terus mati sahaja dan tidak ada kebangkitan semula. Begitulah juga manusia yang dalam fikiran mereka, panjang angan-angan mereka, hendak buat itu dan ini. Sememangnya kebanyakan manusia fikir benda ini sahaja.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا مُرَبَّعًا وَخَطَّ فِي وَسَطِ الْخَطِّ خَطًّا وَخَطَّ خَارِجًا مِنْ الْخَطِّ خَطًّا وَحَوْلَ الَّذِي فِي الْوَسَطِ خُطُوطًا فَقَالَ هَذَا ابْنُ آدَمَ وَهَذَا أَجَلُهُ مُحِيطٌ بِهِ وَهَذَا الَّذِي فِي الْوَسَطِ الْإِنْسَانُ وَهَذِهِ الْخُطُوطُ عُرُوضُهُ إِنْ نَجَا مِنْ هَذَا يَنْهَشُهُ هَذَا وَالْخَطُّ الْخَارِجُ الْأَمَلُ
Daripada [Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata: Rasulullah ﷺ membuat garis kotak, di tengah-tengahnya baginda membuat satu garis, satu garis di luarnya dan beberapa garis di sekitar tengahnya lalu baginda bersabda: “Ini adalah anak cucu Adam, ini ajalnya mengitarinya, yang ada di tengah ini manusia dan garis-garis ini halangan-halangannya, bila dia selamat daripada yang ini dia digigit oleh yang ini (maksudnya kematian), sementara garis yang di luar adalah angan-angan.”
(Sahih Bukhari (2378))

Ramai yang mahu tambah harta sahaja kerana mereka hendak buat itu dan ini, pergi jalan ke sana dan sini, beli itu dan ini. Itulah sahaja matlamat hidup mereka (setakat dunia sahaja mereka fikirkan). Mereka dilalaikan dengan angan-angan yang panjang itu sampai lupa tauhid, lupa belajar agama, lupa perbaiki diri. Mereka fikir mahu senang di dunia sahaja. Maka mereka tidak buat persiapan untuk akhirat.

Ali bin Abi Thalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengatakan:

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ اتِّبَاعُ الْهَوَى، وَطُولُ الْأَمَلِ. فَأَمَّا اتِّبَاعُ الْهَوَى فَيَصُدُّ عَنِ الْحَقِّ، وَأَمَّا طُولُ الْأَمَلِ فَيُنْسِي الْآخِرَةَ
“Perkara yang paling aku takutkan adalah mengikuti hawa nafsu dan panjang angan-angan. Adapun mengikuti hawa nafsu, ia akan memalingkan daripada kebenaran. Adapun panjang angan-angan, ia akan membuat lupa akan akhirat”
(Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya’, 1/76).

Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ juga mengatakan:

لا يطولنّ عليكم الأمد ولا يلهينّكم الأمل فإنّ كلّ ما هو آت قريب، ألا وإنّ البعيد ما ليس آتيا
“Janganlah kalian panjang angan-angan, dan jangan sampai kalian terlena oleh panjang angan-angan. Sesungguhnya semua yang sedang terjadi itu yang dekat. Dan sesuatu yang jauh adalah yang belum datang”
(HR. Ibnu Majah no. 3 secara marfu‘, namun yang sahih adalah mauquf daripada Ibnu Mas’ud. Disebutkan Ibnul Qayyim dalam al-Fawaid, hal. 200)

Malangnya kita selalu terjebak dalam perkara ini kerana ia percuma sahaja. Bukan kena bayar pun untuk angan-angan, bukan? Maka sikit-sikit kita berangan, sikit-sikit berangan. Bukan orang muda sahaja, orang tua yang kubur sudah melambai-lambai itupun begitu juga seperti sabda Rasulullah ﷺ,

لاَيَزَالُ قَلْبُ الْكَبِيْرِ شَابًّا فِي اثْنَتَيْنِ : فِي حُبِّ الدُّنْيَا وَطُولِ الْأَمَلِ
“Orang yang sudah tua senantiasa berhati muda pada dua perkara: dalam cinta dunia dan panjangnya angan-angan.”
(Sahih Bukhari No. 6420)

Namun begitu tidaklah semua angan-angan dilarang dalam islam. Bahkan jika itu bentuknya kebaikan, kita dianjurkan untuk berangan-angan untuk mendapatkannya. Daripada Aisyah رضي الله عنها, Nabi ﷺ bersabda,

إِذَا تَمَنَّى أَحَدُكُم فَلْيُكثِر ، فَإِنَّمَا يَسأَلُ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ
Ketika kalian berangan-angan, perbanyaklah… kerana sejatinya dia sedang meminta Rabb-nya subahnahu wa ta’ala.
(Riwayat Ibnu Hibban 2403, Thabrani dalam al-Ausath 2/301 dan disahihkan al-Albani)

Syarah: Ketika menyebutkan hadith ini, al-Baghawi menjelaskan,

هَذَا فِيمَنْ يَتَمَنَّى شَيْئًا مُبَاحًا مِنْ أَمْرِ دُنْيَاهُ وَآخِرَتِهِ، فَلْيَكُنْ فَزَعَهُ فِيهِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَمَسْأَلَتُهُ مِنْهُ، وَإِنْ عَظُمَتْ أُمْنِيَتُهُ، قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ}
Ini berlaku bagi orang yang berangan-angan sesuatu yang mubah, terkait perkara dunia atau akhiratnya, agar dia jadikan tempat bergantungnya kembali kepada Allah, doanya kepada Allah, meskipun angan-angannya sangat besar. Allah berfirman (yang ertinya), “Mintalah kepada Allah kurnia-Nya.”
(Syarh as-Sunah, 5/208).

Di antara angan-angan baik yang kita dianjurkan untuk mendapatkannya adalah berangan-angan untuk memiliki sesuatu agar boleh beramal soleh dengannya. Dalam hadith daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda,

لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ آتَاهُ اللهُ مَالًا، فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَآخَرُ آتَاهُ اللهُ حِكْمَةً، فَهُوَ يَقْضِي بِهَا، وَيُعَلِّمُهَا
Tidak boleh ada hasad kecuali untuk 2 orang:
Orang yang diberi harta oleh Allah, lalu dia gunakan harta itu untuk membela kebenaran. Yang kedua, orang yang diberi ilmu oleh Allah, lalu dia memutuskan perkara berdasarkan ilmu agamanya dan dia mengajarkannya.
(Riwayat Ahmad 4109, Bukhari 1409 dan yang lainnya).

Syarah: di dalam hadith ini mengandungi dua angan-angan yang dibenarkan. Satu untuk dapat banyak harta supaya dia dapat infak, dan keduanya supaya dia dapat ilmu banyak supaya dia dapat mengajar.

 

Maka kena berhati-hati kalau berangan-angan, takut angan-angan itu adalah angan-angan yang salah. Al-Ḥasan al-Baṣrī رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

مَا أَطَالَ عَبْدٌ الأَمَلَ إِلَّا أَسَاءَ الْعَمَلَ
“Seorang hamba yang panjang angannya pasti buruk amalnya.”

Fuḍail bin ‘Iyāḍ رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan,

إِنَّ مِنَ الشِّقَاءِ طُوْلَ الأَمَلِ وَمِنَ النَّعِيْمِ قِصَرَ الأَمَلِ
“Panjang angan-angan adalah suatu bentuk kesengsaraan, sedangkan pendek angan adalah suatu bentuk kebahagiaan.”

 

فَسَوفَ يَعلَمونَ

maka kelak mereka akan mengetahui 

Biarkan mereka dan serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Tahulah Allah ‎ﷻ apa yang akan dilakukan kepada mereka. Kerana nanti bila sudah mati nanti, mereka pasti akan mengetahui. Mereka akan sedar dengan sebenar-benar sedar akan kesilapan yang mereka telah lakukan semasa mereka hidup di dunia. Maka Allah ‎ﷻ yang akan uruskan hal mereka, Rasulullah ﷺ dan para pendakwah tidak perlu menjadi penghukum kerana manusia tidak mampu menghukum pun.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Oktober 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 35 – 36 (Doa-doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

DOA NABI IBRAHIM عليه السلام

Ibrahim Ayat 35: Dalil naqli tafsili tentang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ayat ini sehingga ke ayat 41 adalah Perenggan Makro ke 7 berkenaan Syukur dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini juga adalah nikmat khusus bagi penduduk Mekah.

Sekarang kita akan mula belajar tentang seorang contoh yang baik yang kita patut ikut. Allah ﷻ sebutkan tentang kisah para Nabi lain dalam Al-Qur’an kerana hendak memberitahu kepada manusia, bukan Nabi Muhammad ﷺ yang mula bawa agama Islam ini. Sebelum Rasulullah ﷺ beritahu tentang agama, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun sudah sampaikan.

Hanya kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang penting sahaja yang dimasukkan dalam Al-Qur’an kerana Allah ﷻ mahu sampaikan perkara tertentu sahaja. Kita kena ingat yang Al-Qur’an bukan buku sejarah, dan bukan buku hiburan; maka bukan semua kisah disampaikan. Yang Allah ﷻ pentingkan adalah untuk beri kefahaman dan mengajar tentang ketaatan kepada manusia. Maka tidaklah disebut kesemua kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ pilih-pilih mana perkara yang perlu disampaikan sahaja.

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ ءآمِنًا وَاجنُبني وَبَنِيَّ أَن نَّعبُدَ الأَصنامَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when Abraham said, “My Lord, make this city [i.e., Makkah] secure and keep me and my sons away from worshipping idols.

(MELAYU)

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.

 

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ ءآمِنًا

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman,

Kalimah إِذ ada ulama’ yang mengatakan ia اذكر (ingatlah). Maksudnya kena tahu untuk mengambil pengajaran. Maka ini adalah suruhan kepada kita untuk tahu. Perintah daripada Allah ﷻ bukan sahaja dari segi perbuatan, akan tetapi ada perintah untuk kita tahu. Maka Allah ﷻ menceritakan kembali doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah disebutnya beribu tahun dahulu.

Baginda berdoa supaya Allah ﷻ jadikan Mekah itu satu tempat yang selamat. Baginda doa begini selepas Mekah menjadi bandar. Itu sebab dalam ayat ini, digunakan kalimah البَلَدَ (ada alif lam). Walaupun tidak disebut nama Mekah di sini, akan tetapi apabila ditambah alif lam makrifah, maka ia merujuk kepada sesuatu yang diketahui. Tambahan pula selepas ini akan disebut Baitullah, maka memang yang dimaksudkan adalah Mekah.

Doa-doa para Nabi di dalam Al-Qur’an menjadi pengajaran kepada kita. Oleh itu kita patut belajar cara mereka berdoa dengan melihat kepentingan doa mereka itu. Di sini kita lihat Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa supaya dijadikan tempat itu aman sentosa kerana aman itu penting. Untuk beribadah kepada Allah ﷻ juga memerlukan keamanan. Kalau tempat kacau bilau, maka susah kita hendak amalkan agama. Bayangkan penduduk Palestin yang tidak ketentuan hidup mereka, bagaimana hendak beribadah dengan tenang? Kerana itu mereka tetap berusaha untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman Israel.

Ayat ini menyuruh Nabi Muhammad ﷺ memperingatkan kembali kepada kaum Quraisy itu bahawasanya yang memulai memancang negeri Makkah tempat mereka berdiam itu ialah nenek-moyang mereka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Daripada sebuah lembah yang belum ada penghuninya, sehingga menjadi sebuah negeri besar. Daripada keturunan Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, timbullah kaum Adnan, yang disebut Arab Musta’ribah, yang terjadi sebab perkahwinan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ anak Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan perempuan kaum Jurhum Kedua. Adnan itulah yang menurunkan dua cabang suku, iaitu Rabi’ah dan Mudhar. Mudhar inilah yang menurunkan Quraisy dan salah seorang daripada keturunannya ialah Qushai. Qushai inilah yang datang memperbaiki kembali Ka’bah dan memuliakannya. Daripada keturunan Qushai inilah segala cabang persukuan Quraisy itu.

Oleh itu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diingatkan kembali kepada Musyrikin Mekah kerana baginda adalah datuk mereka. Masyarakat Arab telah melakukan syirik yang amat besar hanya kerana mengikut ajaran dan amalan tok nenek mereka. Maka sekarang mereka diingatkan yang datuk mereka yang asal mengamalkan tauhid. Orang selepas baginda yang telah merosakkan agama maka jangan ikut mereka, tetapi ikutlah datukmu yang asal iaitu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Baginda berdoa begini setelah meninggalkan anak dan isterinya dan kemudian baginda datang kembali dari masa ke semasa. Doa ini baginda sebut apabila Mekah sudah menjadi satu bandar. Allah‎ ﷻ mengabulkan permintaannya, seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النَّاسُ مِنْ حَوْلِهِمْ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya diculik.
(Ankabut: 67)

Ini adalah kerana penduduk Mekah dihormati di Tanah Arab kerana mereka itu adalah penjaga Ka’bah dan bangsa Arab menghormati Ka’bah. Tambahan pula penduduk semenanjung Tanah Arab meletakkan berhala mereka di Ka’bah dan mereka tidak berani mengganggu penduduk Mekah kerana takut berhala-berhala mereka akan diapa-apakan pula. Maka penduduk Mekah mendapat kelebihan tidak diganggu di dalam perjalanan mereka, sedangkan zaman itu lebih teruk lagi dari zaman koboi kerana tidak selamat perjalanan ke mana-mana pun. Namun berbeza nasib penduduk Mekah seperti disebut di dalam Quraisy: 1-2

لِإيلافِ قُرَيشٍ
Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy,

إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ
(iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

Begitulah kelebihan yang Allah ﷻ letakkan pada Ka’bah, sampaikan mereka yang menjaganya dimuliakan. Ini tidaklah pelik kerana Ka’bah adalah ‘Rumah Allah ﷻ’ dan Allah ﷻ akan sentiasa menjaganya. Kita pun tahu kisah kegagalan Abrahah untuk menghancurkannya seperti disebut dalam Fiil: 1-2

أَلَم تَرَ كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصحابِ الفيلِ
Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah?

أَلَم يَجعَل كَيدَهُم في تَضليلٍ
Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’bah) itu sia-sia?

Pernah dahulu baginda berdoa semasa bina Ka’bah, waktu itu tidak ada apa lagi di situ. Maka baginda minta diberikan buah-buahan (makanan) di situ. Ayat ini sekarang, terjadi apabila baginda datang kembali dan keperluan sudah ada di Mekah. Makanan sudah ada, maka baginda doa meminta keselamatan pula. Doa baginda semasa Mekah tidak ada apa-apa adalah di dalam Baqarah: 126

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”.

Dalam Surah Baqarah itu, digunakan kalimah بَلَدًا dalam bentuk nakirah (umum) sahaja kerana waktu itu Mekah itu tidak ada apa lagi, belum jadi negeri. Dalam Surah Ibrahim ini, Mekah sudah menjadi negeri dan rezeki sudah banyak, makanan pun sudah ada. Akan tetapi walaupun makanan sudah ada, tempat itu tidak semestinya selamat. Baginda seorang yang bijak, maka baginda tahu yang untuk satu-satu tempat itu menjadi maju, memerlukan ekonomi stabil dan keamanan. Kalau salah satunya tidak ada, maka tidak ramai yang akan duduk tinggal di situ. Allah ﷻ makbulkan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini seperti disebut di ayat yang lain,

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِلْعَالَمِينَ فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَقَامُ إِبْرَاهِيمَ وَمَنْ دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا
Sesungguhnya rumah yang mula-mula di bangun untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barang siapa memasukinya (Baitullah itu), menjadi amanlah dia.
(Ali Imran: 96-97)

Makkah disebut Tanah Haram kerana daerah ini diharamkan atas perbuatan zalim, seperti memburu binatang, menebang pohon, mencuri, lebih-lebih lagi membunuh. Maka ia bukanlah tempat yang biasa akan tetapi ada larangan-larangan yang termaktub padanya. Jangan katakan manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan pun aman di Mekah.

Kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ banyak disebut di dalam Al-Qur’an (walaupun tidak sebanyak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Nama baginda disebut di dalam 25 surah dan diulang sebanyak 69 kali. Ada banyak kisah-kisah baginda kerana baginda melalui berbagai fasa hidup. Semua itu menjadi pengajaran kepada kita dan kerana itulah kita kena baca dan faham kesemuanya supaya dapat menjadi sebuah kisah yang lengkap.

 

وَاجنُبني وَبَنِيَّ أَن نَّعبُدَ الأَصنامَ

dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.

Doa yang kedua Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah berkenaan syirik kerana kalau amalkan syirik, apa pun tidak berguna. Baginda berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya diri baginda dan anak keturunannya diselamatkan daripada menyembah berhala. Selepas baginda berdoa supaya Mekah diberikan keamanan, baginda sebut tentang berhala pula. Ini kerana kalau negeri aman, tetapi penduduknya sembah berhala dan buat syirik pun tidak berguna langsung. Buat apa berjaya di dunia tetapi akhirnya rugi di akhirat?

Kita pun tahu yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang membangunkan Ka’bah. Adapun maksud baginda mendirikan negeri Makkah itu ialah kerana hendak mendirikan sebuah rumah persembahan kepada Allah Yang Maha Esa, dan sunyi daripada berhala.

Lihatlah susunan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Baginda sebut keselamatan dirinya dahulu (وَاجنُبني dan jauhkanlah aku). Setiap orang yang berdoa dianjurkan agar mendoakan dirinya sendiri, lalu buat kedua orang tuanya dan kemudian anak cucunya. Kalau kita naik kapal terbang, pramugari akan sebut sekiranya dijatuhkan alat bantuan pernafasan, hendaklah dipakaikan untuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum diberikan kepada orang lain, bukan? Kerana kalau diri tidak selamat, bagaimana hendak menyelamatkan orang lain?

Makna yang kita boleh ambil daripada ayat ini, hendak selamat daripada syirik pun kena doa kepada Allah‎ ﷻ. Kerana untuk selamat daripada buat syirik memerlukan hidayah dan taufik daripada Allah‎ ﷻ, bukan daripada kekuatan kita sahaja.

Kenapa baginda minta baginda diselamatkan? Bukankah baginda itu seorang Nabi lagi Rasul dan telah dijanjikan oleh Allah ﷻ akan tempatnya di syurga? Ini mengajar kita agar jangan perasan. Orang seperti Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun berhati-hati dan tidak perasan akan selamat. Kerana itulah baginda berdoa supaya baginda diselamatkan. Namun bagaimana dengan kita? Kita yang tidak ada jaminan selamat ini pun jarang berdoa, bukan? Maka jangan perasan sangat selepas ini. Kena berdoa kepada Allah ﷻ untuk selamatkan iman kita.

Kalimah yang merujuk kepada ‘berhala’ ada banyak jenis dalam Al-Qur’an kerana berhala pun ada banyak jenis juga. Kalimah الأَصنامَ yang digunakan di dalam ayat ini merujuk kepada jenis berhala yang dibuat daripada emas, perak atau kayu yang dibuat cantik untuk dijual. Kita boleh katakan, ini adalah jenis berhala yang datang daripada industri pembuatan berhala.

Baginda menggunakan kalimah ini kerana baginda tahu sangat perkara ini kerana bapa baginda dahulu seorang pengukir berhala jenis ini dan menjualnya. Maka baginda ada pengalaman dan baginda takut kalau-kalau perkara ini terjadi lagi terutama kepada anak cucu baginda. Maka baginda minta baginda dan anak cucunya dijauhkan daripada menyembah dan menyeru kepada selain Allah‎ ﷻ kerana amat bahaya sekali kalau ia terjadi kepada umat manusia.

Sebenarnya manusia yang ada akal tahu yang mereka buat sendiri patung berhala itu. Mereka pun tahu yang patung batu itu tidak boleh berbuat apa-apa. Maka kenapa mereka sembah? Kerana berhala itu sebagai simbolik sahaja kepada sembahan atau tujuan yang lain seperti Nabi, wali, malaikat atau jin. Kerana semua itu tidak ada atau tidak nampak, maka mereka sembah patung untuk menghalakan (memusatkan) fokus mereka dalam ibadat sesat mereka itu. Kerana itu namanya ber’hala’. Bukanlah semua patung dijadikan berhala, bukan? Hanya kalau kita ada anggapan yang patung itu mewakili sesuatu yang lain barulah ia menjadi berhala.

Apabila tidak faham hal ini, maka ada manusia jahil yang sembah atau berdoa kepada selain Allah ﷻ tetapi mereka kata mereka tidak membuat syirik hanya kerana mereka tidak minta kepada patung. Mereka tidak faham bahawa yang sembah patung itu pun sebenarnya meminta kepada Nabi, wali, malaikat dan jin juga. Cuma mereka mengadakan wakil dalam bentuk patung sahaja. Ini memang salah tetapi minta kepada Nabi, wali, malaikat atau jin pun salah dan syirik juga. Janganlah pula rasa selamat hanya kerana Al-Qur’an sebut berhala sahaja. Kena lihat semula apakah latarbelakang berhala itu.

Jangan sangka berhala itu dalam bentuk patung dan gambar sahaja. Zaman sekarang manusia sudah semakin pandai dan sudah berasa bodoh menyembah patung yang mereka sendiri buat. Maka berhala dalam bentuk patung dan gambar semakin berkurangan, akan tetapi ada juga berhala yang moden. Perkataan ‘berhala’ yang disebut di dalam Al-Qur’an merujuk kepada patung yang disembah. Namun di dalam kamus-kamus Bahasa Arab tidak mengkhususkan kepada patung semata-mata. Boleh jadi ia hanya sekadar gambar dan boleh menjadi apa-apa sahaja. Patung pula tidak dikhususkan kepada material batu semata-mata. Boleh jadi kayu, emas dan sebagainya.

Di dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua menyatakan maksud berhala ialah patung-patung dewa yang dipuja oleh beberapa golongan bukan Islam. Ia juga boleh bermaksud kuil, iaitu rumah khas tempat memuja patung-patung dewa. Walau bagaimanapun kita harus faham kata kunci dalam istilah berhala ini ialah sesuatu yang dipuja dan disembah.

Dari sudut Bahasa Inggeris, berhala adalah patung atau sebarang objek yang mewakili dewa-dewi di mana dalam penyembahan atau pemujaan keugamaan ditujukan atau sebarang orang atau benda yang dihormati, disayangi, atau ditaati secara membuta tuli (“blind admiration, adoration, or devotion“). Secara mudahnya dalam Bahasa Inggeris ia diterjemahkan sebagai idola.

Idola itu boleh jadi bermacam-macam zaman sekarang. Contohnya penyembahan kepada orang soleh. Asalnya adalah untuk menghormati mereka tetapi golongan kemudian menghormati dan memuja berlebihan sampai menjadi menyembah. Allah ﷻ menceritakan kewujudan 4 ketul berhala yang dibina di zaman Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا
“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: “Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.””
(Nuh: 23)

Imam Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ ketika menafsirkan ayat ini, beliau menukilkan riwayat daripada Imam Ibn Jarir At Tabari رَحِمَهُ اللَّهُ:

وقال ابن جرير : حدثنا ابن حميد ، حدثنا مهران ، عن سفيان ، عن موسى عن محمد بن قيس ) [ يغوث ] ويعوق ونسرا ) قال : كانوا قوما صالحين بين آدم ونوح وكان لهم أتباع يقتدون بهم ، فلما ماتوا قال أصحابهم الذين كانوا يقتدون بهم : لو صورناهم كان أشوق لنا إلى العبادة إذا ذكرناهم ، فصوروهم ، فلما ماتوا وجاء آخرون دب إليهم إبليس فقال : إنما كانوا يعبدونهم وبهم يسقون المطر ، فعبدوهم .

Petikan ini menyatakan bahawa Wadd, dan Suwaa’, Yaghuth dan Ya’uuq, serta Nasr merupakan orang soleh yang hidup di antara zaman Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hingga Zaman Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Setelah mereka mati, para pengikut generasi pertama membina patung mereka sebagai tugu peringatan, untuk menambahkan kerinduan ketika beribadah.

Namun apabila generasi pertama ini sudah mati, generasi kedua diperdaya oleh syaitan menyatakan bahawa generasi pertama dulu menyembah patung-patung ini, sehinggalah generasi kedua itu pun menyembah patung-patung itu kononnya mengikuti cara generasi pertama. Ini kita lihat semakin ramai pula umat Islam yang semakin ke arah itu seperti yang dilakukan oleh golongan Habib dari Yaman itu. Mereka terlalu memuja golongan mereka yang telah mati sampai ada dihiasi gambar dan kuburan mereka. Golongan ini memang sesat dan mereka sudah mula membawa kesesatan kepada umat Islam di negara ini sekarang. Mereka ini ramai peminat, tetapi kita kena sedarkan masyarakat tentang kekarutan mereka ini supaya umat Islam kita jangan terpesong.

Maka kita boleh lihat bagaimana konsep penyembahan dan pemujaan hari ini sudah berevolusi kepada idol atau idola. Sepertimana yang disebutkan tadi, idol itu sendiri diterjemahkan sebagai berhala, kerana ia dipuja. Agama Hindu dan Budhha masih mengekalkan cara penyembahan patung. Manakala Generasi X, Y dan Z lebih cenderung kepada menyembah dan memuja “manusia”.

Penyembahan manusia ini dimaksudkan sebagai projek melahirkan artis-artis yang di”idola”kan. Di mana mereka berada, mereka ditatang bagai berhala di zaman dulu. Kalau dulu manusia memuja batu yang dirupakan dengan rupa dewa atau roh, hari ini manusia memuja manusia atas tiket hiburan.

Secara sejarahnya, alatan muzik sudah wujud pada zaman Nabi Idris عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi. Yang digunakan untuk berhibur dan ber”hedonism”. Manakala artis bermaksud orang yang menghasilkan sesuatu karya seni seperti pelukis, penyajak, pemain muzik. Ia juga bermaksud penghibur, seperti penyanyi, pelakon, rakaman penyanyi atau pemuzik yang merakamkan persembahannya dalam sesebuah album.

Sejarah hedonism walaupun dikatakan bermula sejak zaman Nabi Idris عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, namun ia mula diistilahkan sebagai satu ideologi pada 433 SM iaitu di era Socrates. Dia lebih menumpu kajian falsafahnya mencari matlamat akhir seseorang manusia. Lalu disambut oleh Aristippos menjawab bahawa matlamat seseorang manusia itu ialah “mengejar kesenangan”. Lalu diolah oleh Epikuros yang merupakan pendasar aliran pemikiran Epikurean (أبيقورية) menterjemahkan dalam bentuk “kenikmatan”.

Lalu generasi Epikurean mengolah kepada kebebasan daripada segala kerisauan atau dipanggil ketenteraman. Pengertian hedonisme berasal daripada Bahasa Yunani “hedone” yang bererti “kepuasan”. Bahkan di dalam Oxford Advanced Learner’s Dictionary, “Hedonism” diertikan sebagai “the belief that pleasure should be the main aim in life.“

Ada pula manusia yang menjadikan berhalanya duit dan harta. Hidup mereka berpaksikan dan berkiblatkan pencarian harta dan menambahnya sahaja. Itu sahaja yang difikirkannya. Rasulullah ﷺ telah memberi peringatan tentang hal ini di dalam sabda baginda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ وَعَبْدُ الْقَطِيفَةِ وَعَبْدُ الْخَمِيصَةِ إِنْ أُعْطِيَ رَضِيَ وَإِنْ لَمْ يُعْطَ لَمْ يَفِ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Binasalah hamba dinar, hamba dirham, hamba sutera dan hamba pakaian, jika diberi dia redha dan jika tidak diberi dia tidak taat.”
(Sahih Bukhari (4125))

Begitulah sebahagian daripada berhala zaman moden yang kita kena perhatikan dan berhati-hati. Ini hanya sebagai contoh dan ada banyak lagi perkara lain yang boleh menjadi berhala kita (bukannya patung sahaja). Jikalau bukan Allah ‎‎ﷻ dan Rasul-Nya di dalam hati kita, maka perkara-perkara itu boleh menjerumuskan kita ke lembah kebinasaan. Ini adalah kerana kalau bukan Allah ‎‎ﷻ dan Rasulullah yang dijadikan ikutan, maka kita akan menjadikan hawa nafsu kita sebagai ilah seperti disebut di dalam Jathiya: 23

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya

Maka apa-apa sahaja yang kita sembah, taat, puja selain Allah ‎ﷻ adalah nafsu dan kita jadikan sebagai berhala atau ilah kita.


 

Ibrahim Ayat 36: Sambungan tentang berhala-berhala itu. Ini penting kerana semasa ayat ini diturunkan, Musyrikin Mekah sedang menyembah berhala. Maka ayat ini tepat ditujukan kepada mereka. Sebelum ini Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa supaya mereka diselamatkan daripada menyembah berhala, tetapi kenapa?

رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضلَلنَ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ ۖ فَمَن تَبِعَني فَإِنَّهُ مِنّي ۖ وَمَن عَصاني فَإِنَّكَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

My Lord, indeed they have led astray many among the people. So whoever follows me – then he is of me;¹ and whoever disobeys me – indeed, You are [yet] Forgiving and Merciful.

  • i.e., of my religion.

(MELAYU)

Ya Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka barangsiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barangsiapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضلَلنَ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ

Ya Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan banyak daripada manusia, 

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah pernah melihat bagaimana berhala yang dibuat di rumahnya sendiri. Baginda sudah nampak bahayanya penyembahan berhala itu dan kerana itu baginda guna kalimah إِنَّهُنَّ sebagai penekanan. Baginda tahu sangat yang berhala telah banyak menyesatkan ramai manusia.

Nabi lbrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah banyak mengembara, sejak dari tanah kelahirannya di Babil, (negeri Iraq sekarang), sampai ke Palestina, tanah yang dijanjikan Tuhan pula buat keturunannya, sampai ke Mesir, tempat baginda mengahwini Hajar ibu Ismail, dilihatnya di seluruh negeri itu betapa sesatnya manusia kerana menyembah berhala, bahkan sampai baginda bertentangan dengan ayahnya sendiri dan dengan rajanya. Sekarang dibukanya negeri baru, lembah yang tidak ada tanam-tanaman itu, ialah kerana hendak mendirikan sebuah daerah yang bersih daripada berhala, bersih daripada yang menyesatkan manusia.

Cuma berhala itu patung sahaja, bukan? Adakah ia berkuasa untuk menyesatkan manusia? Tentu tidak kerana ia tidak ada apa-apa kehendak. Maka maksud Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah dengan sebab berhala itu, manusia boleh menjadi sesat.

Walaupun disebut berhala dalam ayat ini, tetapi ia juga sebagai nasihat untuk kita juga. Walaupun mungkin ada yang kata, kita tidak sembah berhala pun. Akan tetapi ia berkaitan juga sebenarnya kerana bukan patung itu yang disembah, namun merujuk kepada roh-roh yang diseru. Patung itu sebagai tempat tawajjuh (fokus) sahaja.

Maka, sekiranya orang Islam kita sembah kubur seperti yang dilakukan oleh puak-puak Habib itu, termasuk jugalah dalam perkara ini. Cuma sekarang belum jadi dalam bentuk berhala sahaja. Jikalau kita tidak tegur, lama-lama sudah jadi berhala. Sekarang pun kita boleh lihat diletakkan gambar besar-besar arwah Habib mereka. Itu memang sudah mengarah ke arah penyembahan.

Kita pun tahu yang gambar dilarang di dalam Islam. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ katanya:

اسْتَأْذَنَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ادْخُلْ فَقَالَ كَيْفَ أَدْخُلُ وَفِي بَيْتِكَ سِتْرٌ فِيهِ تَصَاوِيرُ فَإِمَّا أَنْ تُقْطَعَ رُءُوسُهَا أَوْ تُجْعَلَ بِسَاطًا يُوطَأُ
Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk masuk ke rumah Baginda. Nabi ﷺ menyebut: masuklah. Kata Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: bagaimana aku mahu masuk sedangkan di dalam rumah engkau ada langsir yang ada lukisan padanya. Sama ada engkau potong kepala (lukisan tersebut) atau dijadikan alas yang dipijak-pijak.
(Riwayat al-Nasai’y (5270))

Apa salahnya gambar, bukan kita sembah pun? Ia dilarang kerana ia boleh membawa kepada syirik. Kita yang mula-mula gantung mungkin sebagai peringatan sahaja. Namun bagaimana apabila kita tiada nanti dan rumah itu terbakar? Ditaqdirkan pula gambar itu tidak terbakar. Mungkin anak cucu kita akan ada sangkaan yang gambar tok nenek dia itu ada kelebihan, atok kita orang sekian-sekian ada kelebihan, wali dan patut dipuja. Sebab itulah kita pandang bahayanya apabila golongan Habib itu suka sangat menggantung gambar habib-habib mereka itu.

 

فَمَن تَبِعَني فَإِنَّهُ مِنّي

maka barangsiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku,

Baginda kata, sesiapa yang ikut baginda, sama ada anak keturunannya atau sesiapa sahaja, maka mereka dikira dalam kalangan baginda. Maknanya mereka dikira sebagai Muslim. Iaitu mereka yang ikut ajaran tauhid dan meninggalkan syirik, maka mereka itu dikira sebagai pengikut Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan akan selamat.

Ini mengajar kita kepentingan mengikut ajaran Rasul. Itulah jalan yang selamat, iaitu kena ikut betul-betul jejak langkah mereka. Bukannya setakat baca sejarah mereka sahaja, tetapi kena ikut. Kerana itulah kita pentingkan kepentingan belajar Sunnah, untuk lihat bagaimana Rasulullah ﷺ mengamalkan agama ini. Bukannya buat rekaan baru pula. Kerana tidak faham perkara inilah agama ini sudah menjadi kacau bilau kerana ramai yang suka amalan baru, bukannya ikut ajaran Rasul. Sedangkan kita sendiri pun sudah diperintahkan untuk ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ seperti disebut di dalam Ali Imran: 31

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku

Masyarakat Arab berbangga kononnya mereka itu keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan agama yang mereka amalkan itu adalah daripada ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi kalau kita lihat apa yang mereka amalkan, dibandingkan dengan apa yang disebut oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, Musyrikin Mekah itu amat jauh daripada ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bayangkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa supaya mereka tidak menyembah berhala, tetapi Musyrikin Mekah itu pergi sembah berhala pula. Maka, mereka tidak boleh mengaku ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi. Mereka perasan sahaja yang mereka ikut. Bagaimana dengan kita? Adakah kita sekadar perasan juga yang kita ini telah mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ?

 

وَمَن عَصاني فَإِنَّكَ غَفورٌ رَّحيمٌ

dan barangsiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Derhaka kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu maksudnya melakukan syirik. Sesiapa yang derhaka tidak taat kepada ajaran baginda, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memuji Allah ‎ﷻ sebagai yang Maha Pemaaf. Kenapa baginda puji Allah ‎ﷻ pula dan menyebut secara khusus sifat pengampun Allah ﷻ? Ini kerana baginda tidak minta mereka diazab jikalau tidak ikut baginda, sebaliknya baginda minta supaya Allah ‎ ﷻ maafkan mereka. Baginda terus puji yang Allah‎ ﷻ maha pengampun. Maksudnya, supaya Allah ‎ ﷻ menggunakan sifat keampunan-Nya untuk beri ampun kepada mereka yang tidak taat. Kerana Allah ﷻ boleh azab mereka dan Allah ﷻ boleh ampunkan mereka seperti disebut dalam Maidah: 118

إِن تُعَذِّبهُم فَإِنَّهُم عِبادُكَ ۖ وَإِن تَغفِر لَهُم فَإِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ
Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Maka ini adalah doa baginda yang amat halus dan baik sekali. Kerana kalau ikut kaedah ayat, sekiranya yang ikut akan menjadi sebahagian daripada baginda (dan masuk syurga), maka kalau tidak ikut, maka terkeluar daripada umat baginda (dan tentulah masuk neraka) bukan? Akan tetapi baginda tidak sebut begitu. Baginda tidak sampai hati menerakakan mereka, sebaliknya baginda berharap semoga Allah ﷻ mengampunkan mereka. Ini kerana baginda ada sifat hilm, maksudnya tenang, tidak mudah dipengaruhi/diganggu, karakter yang menghadapi setiap sesuatu dengan sabar, dengan ilmu dan hikmah. Ia ada pada orang yang ada kuasa untuk membalas, tetapi tidak membalas sebaliknya memaafkan.

Ini kita boleh lihat bagaimana apabila bapanya menolak dan menghalaunya, baginda tidak melenting marah sebaliknya mengatakan yang baginda akan meminta ampun untuk bapanya. Ini disebut dalam Maryam: 47

قالَ سَلامٌ عَلَيكَ ۖ سَأَستَغفِرُ لَكَ رَبّي
Nabi Ibrahim berkata: “Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu;

Begitulah kita lihat kata-kata Rasulullah ﷺ pun begitu juga tidak menerakakan orang. Baginda menggunakan bahasa yang lembut seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan, ”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?” Nabi ﷺ menjawab: “Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang menderhakaiku dialah orang yang enggan.”
(Sahih Bukhari No. 6737)

Tidaklah baginda kata mereka masuk neraka terus! Begitulah kita sepatutnya di dalam hidup ini. Jangan senang sangat mahu menerakakan orang. Ini makan keropok lekor dengan darah tidak dibasuh pun dikatakan masuk neraka. Janganlah senang-senang sahaja hendak kata orang lain masuk neraka, lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat berhati-hati daripada menyebut perkataan itu. Maka sekiranya orang ikut dakwah kita, bagus; tetapi kalau orang tidak ikut, janganlah kata mereka masuk neraka pula. Doakanlah sahaja mereka dapat hidayah.

Allah ﷻ mendengar doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dan tanda alamat Ampun dan Sayang Tuhan, maka diutus-Nyalah Nabi Muhammad ﷺ membawa kembali ajaran Tauhid Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Ini sesuai dengan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lain dan termaktub dalam Baqarah: 129

رَبَّنا وَابعَث فيهِم رَسولًا مِّنهُم يَتلو عَلَيهِم ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلكِتَـٰبَ وَالحِكمَةَ وَيُزَكّيهِم ۚ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ
“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Qur’an) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Tidaklah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa agar orang yang buat syirik diampunkan kerana tidak ada keampunan bagi pelaku syirik. Namun yang sebenarnya adalah supaya mereka diberi hidayah untuk tidak melakukan syirik dan meninggalkannya. Lalu ﷻ Allah bangkitkan Nabi Muhammad ﷺ untuk tujuan itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan memang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa supaya Allah ﷻ ampunkan dosa syirik jika dilakukan oleh anak cucunya. Namun kalau pegang pendapat ini, ia mestilah dikatakan doa ini sebelum Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberitahu yang haram meminta ampun bagi dosa pelaku syirik.

Maka adalah lebih baik kalau kita katakan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta ampun bagi mereka itu adalah supaya mereka itu diberikan taufik supaya dapat meninggalkan fahaman dan amalan syirik. Apabila mereka telah meninggalkan syirik, maka berilah ampun kepada mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 32 – 34 (Nikmat tidak mampu dikira)

JASA-JASA DARI ALLAH KEPADA MANUSIA

Ibrahim Ayat 32: Dalil aqli ketiga. Ia adalah dalil nikmat dunia yang kita boleh lihat dan fikirkan. Ia adalah nikmat am yang Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia termasuk penduduk Tanah Arab yang pertama kali menerima Al-Qur’an ini.

اللهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَأَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزقًا لَّكُم ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الفُلكَ لِتَجرِيَ فِي البَحرِ بِأَمرِهِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الأَنهٰرَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is Allāh who created the heavens and the earth and sent down rain from the sky and produced thereby some fruits as provision for you and subjected for you¹ the ships to sail through the sea by His command and subjected for you the rivers.

  • i.e., made serviceable to you.

(MELAYU)

Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.

 

اللهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi

Kenapa kita kena sembah dan seru Allah ‎‎ﷻ sahaja dalam doa? Kerana Allah ‎ ﷻ yang jadikan langit dan bumi ini. Roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu tidak jadikan apa-apa pun. Semua yang ada dalam alam ini yang kita gunakan adalah daripada ciptaan Allah‎ ﷻ. Allah ﷻ tetap berikan segala macam nikmat kepada manusia walaupun kebanyakan manusia ingkar kepada-Nya.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut dijadikan langit dahulu, sedangkan dari segi kronologi, bumilah yang dijadikan dahulu seperti disebut dalam Baqarah: 29

هُوَ الَّذي خَلَقَ لَكُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ فَسَوّٰهُنَّ سَبعَ سَمٰوٰتٍ
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendak-Nya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna;

Maka kenapa Allah ﷻ sebut langit dahulu di dalam banyak ayat Al-Qur’an? Kerana langit menunjukkan kehebatan Allah ﷻ disebabkan langit lebih hebat, lebih besar, dijadikan tanpa tongkat, begitu sempurna sekali. Juga sebagai tanda kemuliaan kerana di situlah para malaikat berada, juga para Nabi yang telah wafat dan juga tempat turunnya wahyu.

 

وَأَنزَلَ مِنَ السَّماءِ

dan Dia menurunkan air hujan dari langit,

Manusia, tumbuhan dan haiwan memerlukan air hujan untuk kehidupan kita. Seandainya tidak ada air hujan, memang tidak ada kehidupan. Allah ﷻ ingatkan yang Dialah menurunkan air hujan itu. Ini kita semua sudah tahu tetapi apakah kepentingannya?

Allah ﷻ hendak mengingatkan kita tentang kehebatan-Nya. Kita mungkin tidak perasan kerana kita hari-hari dapat air. Namun kalau kita hendak menurunkan air dari langit, tentu sekali tidak mampu. Hebatnya Allah ﷻ turunkan air dari langit tetapi asalnya adalah dari bumi, bukan? Dia sejatkan air itu agar naik ke langit, Allah ﷻ simpan di dalam awan dan kemudian gerakkan awan itu ke tempat yang memerlukan air. Perkara ini berlaku setiap hari tanpa susah bagi Allah ﷻ.

Lalu kenapa Allah ﷻ turunkan dari langit (dari atas)? Kerana kalau Allah ﷻ beri air dari bawah, yang duduk di kawasan tinggi tidak dapat air pula, bukan? Maka Allah ﷻ uruskan supaya air itu diturunkan dari atas supaya yang rendah mendapat air, yang duduk di kawasan tinggi pun dapat air juga. Hebat, bukan?

 

فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزقًا لَّكُم

kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; 

Dengan air hujan itulah, tumbuhan boleh hidup. Kita makan tumbuh-tumbuhan itu; binatang juga boleh makan tumbuh-tumbuhan itu; dan kita pula makan binatang-binatang itu. Jelas sekali air ini amat penting bagi kita dan kerana itu kalau beberapa hari sahaja tidak turun air kerana kemarau, kita sudah susah hati.

Betapa hebatnya Allah ﷻ, dengan air yang satu jenis itu, tumbuh berbagai-bagai jenis tumbuhan. Kita mencipta minyak untuk kereta pun terpaksa menggunakan banyak jenis minyak (minyak untuk kereta, lain; untuk brek, lain; untuk enjin lain pula). Namun Allah ﷻ beri satu jenis air sahaja tetapi keluarkan berbagai-bagai jenis tumbuhan.

Malah air itu satu warna sahaja, tetapi keluar daripadanya tumbuhan yang berbagai-bagai warna. Jangankan kata yang berlainan jenis, tumbuhan daripada pokok yang sama pun berlainan warnanya. Lihatlah epal pun ada banyak jenis warna dan rasa yang berlainan. Dalam satu pokok pun boleh berlainan warna seperti buah rambutan itu yang ada warna kuning, warna merah dan sebagainya. Sebiji buah pun boleh jadi berlainan warna ikut tahapnya – waktu muda berwarna hijau, sudah masak sedikit menjadi warna kuning, bila sudah masak betul menjadi warna merah pula. Kalau warna sama sahaja dari muda sampai masak, kita pun susah untuk tahu ia sudah masak atau tidak, bukan? Ma shaa Allah, Allah ﷻ memang hebat.

Buah-buahan itu adalah rezeki bagi kita. Maka rezeki itu bukanlah dari segi harta sahaja tetapi ia bermakna apa-apa sahaja yang memberi kepentingan kepada kita. Oleh itu kalimah الثَّمَرٰتِ bukan hanya buah-buahan sahaja tetapi termasuk segala rezeki kita seperti makanan, pakaian, rumah dan sebagainya. Akan tetapi kita selalu anggap rezeki itu sebagai harta dan duit sahaja, bukan? Sebab itu orang kita bersungguh sekali amalkan Solat Dhuha sebab sangka ia adalah amalan yang boleh menambahkan duit, beriya sekali menghafal Surah Waqiah pun kerana mereka percaya ia boleh menambah duit mereka. Sedangkan makanan itu rezeki, kesihatan itu juga rezeki, masa lapang untuk beribadah dan baca Al-Qur’an pun rezeki juga dan terlalu banyak lagi.

Dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu kita yang rezeki itu Dia yang beri. Maka apa kita kena buat untuk mendapatkan rezeki? Tentulah dengan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ, bukannya menjauhkan diri daripada-Nya! Contohnya lihat Ali Imran: 37 bagaimana Maryam diberi rezeki oleh Allah ﷻ kerana beribadat dan mendekatkan dirinya kepada Allah ﷻ.

وَكَفَّلَها زَكَرِيّا ۖ كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.

Oleh itu, kunci utama untuk mendapatkan rezeki daripada Allah ﷻ adalah dengan taqwa. Ini disokong dengan firman Allah ﷻ di dalam Talaq: 2-3; yang begitu popular sekali dengan jenama ‘Ayat 1000 dinar’ malah dijadikan sebagai poster dan perhiasan seringkali dibingkai indah dan digantung di dinding. Namun persoalannya: adakah mereka yang menggantungkan ayat ini di dinding premis mereka benar-benar mengamalkan apa yang dinyatakan dalam ayat ini?


Maka kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah ﷻ untuk menambah rezeki kita, bukannya menjauhkan diri daripada Allah ﷻ. Belajarlah cara bagaimana untuk mencapai taqwa itu sepertimana Allah ﷻ kehendaki, bukan sekadar hanya menghafal dan membingkaikan ayat-ayat Allah ﷻ ini sekadar hiasan sahaja. Bukan itu caranya wahai manusia. Allah ﷻ sudah tentukan rezeki buat kita, maka jangan terlampau sibuk mengejar rezeki sampai keluarga dan ibadah terabai lalu persediaan untuk akhirat juga terabai. Lihatlah yang Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini رِزقًا لَّكُم yang bermakna rezeki itu sudah ditentukan buat kita. Pengajarannya jangan risau sangat bab rezeki kerana ia telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Selagi kita hidup, selagi itu rezeki akan mengalir buat kita. Bukanlah kita kata jangan bekerja pula, tetapi berpada-padalah. Jangan sibuk siang malam untuk dunia sampai lupa tentang akhirat.

Yakinlah yang Allah ﷻ tahu bagaimana memberi rezeki kepada kita. Ini akan kita yakin jikalau kita faham apa yang Allah ﷻ telah sebut di dalam Dzariyaat: 58

إِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزّاقُ ذُو القُوَّةِ المَتينُ
Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.

 

وَسَخَّرَ لَكُمُ الفُلكَ لِتَجرِيَ فِي البَحرِ بِأَمرِهِ

dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya,

Kemudian Allah ‎ﷻ beritahu jasa-Nya menundukkan bahtera untuk kita. Kalimah سَخَّرَ daripada katadasar س خ ر yang bermaksud mengejek; ketawakan; mempersendakan; ejekan; memandang rendah / memaksa bekerja tanpa bayaran; menjadikan sesuatu itu tunduk; memaksa beri perkhidmatan; abah-abah; meletakkan di bawah kawalan; menundukkan. Maksud ‘tunduk’ itu adalah kita boleh menggunakan bahtera itu untuk kegunaan kita. Allah ﷻ telah memudahkan untuk kita menggunakannya. Allah ‎ ﷻ yang memberikan ilham kepada kita bagaimana cara untuk membina kapal kemudian Allah ‎ ﷻ tundukkan kapal dan juga lautan untuk kita agar dapat menggunakannya untuk kemudahan kita. Dengan itu, mudahlah kita gunakan laluan laut untuk kita bermusafir dan berniaga.

Kalau kita meletakkan besi ke dalam air, tentu ia tenggelam bukan? Namun kenapakah apabila kapal besi yang amat besar, menanggung pula muatan bertan-tan itu tetapi boleh pula timbul? Kapal-kapal yang terapung menggunakan konsep daya keapungan (buoyancy force). Daya ini akan menolak kapal itu untuk kekal terapung di atas air. Konsep ini menggunakan prinsip fizik iaitu prinsip Archimedes yang ditemukan oleh Archimedes sendiri yang merupakan seorang ahli fizik yang terkenal. Apakah itu prinsip Archimedes? Prinsip ini menyatakan bahawa apabila sesuatu objek diletakkan ke dalam air atau bendalir, daya apungan yang menolak objek itu adalah sama dengan berat air atau bendalir yang disesarkan.

Namun itu hanyalah penjelasan dari sudut sains fizik. Dari sudut hakikatnya, hukum alam (fizik) ini adalah kerana Allah ﷻ yang menentukannya dan begitulah Allah ﷻ tundukkan air laut buat kita.

Mungkin kita tidak nampak kepentingan kapal ini kerana kita bukannya menaiki kapal hari-hari. Akan tetapi jasa kapal itu amatlah besar bagi kita kerana banyak keperluan kita dipenuhi dengan adanya pengangkutan kapal di laut. Bayangkan segala barang yang kita perlukan adalah dibawa dari negara yang jauh melalui jalan laut, sama ada makanan, pakaian dan sebagainya. Walaupun ada lagi cara pengangkutan lain, akan tetapi cara pengangkutan laut adalah cara yang paling ekonomik untuk penghantaran barangan sejak zaman berzaman.

Maka perhatikanlah nikmat kapal dan laut ini yang Allah ﷻ telah mudahkan untuk kita seperti firman-Nya di dalam Luqman: 31

أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.

 

وَسَخَّرَ لَكُمُ الأَنهٰرَ

dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.

Lautan adalah jalan untuk pergi ke tempat-tempat yang jauh. Dalam negara kita juga ada laluan lain, iaitu laluan sungai. Kerana itulah Allah ‎ ﷻ sebut tentang sungai kerana ia telah digunakan sebagai cara pengangkutan di daratan. Kerana itulah tamadun, bandar dan komuniti zaman dahulu maju jikalau ia berdekatan dengan kawasan laluan sungai. Dengannya manusia dapat bergerak ke tempat-tempat yang lain untuk berniaga dan sebagainya. Sampai sekarang ia menjadi kaedah pengangkutan di kawasan pedalaman.

Hebatnya air sungai itu dari tempat yang tinggi turun ke tempat rendah dan sentiasa mengalir tanpa henti. Dengan air itu juga memberi sumber rezeki kepada kita untuk berniaga. Ia juga menjadi sumber makanan kerana ada yang menangkap ikan padanya. Kita juga dapat berehat di kawasan yang ada sungai kerana ia memang menyegarkan. Ia juga merupakan sumber bekalan air mentah. Ia juga berfungsi sebagai habitat penting flora dan fauna. Sekarang ia juga digunakan sebagai sumber tenaga kuasa elektrik serta boleh diperbaharui malah bertindak sebagai sistem saliran semula jadi.


 

Ibrahim Ayat 33: Ayat tentang ‘taskhir’ (penundukan) diteruskan.

وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمسَ وَالقَمَرَ دائِبَينِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He subjected for you the sun and the moon, continuous [in orbit], and subjected for you the night and the day.

(MELAYU)

Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan bagimu malam dan siang.

 

وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمسَ وَالقَمَرَ

Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan

Allah ‎ﷻ juga menundukkan matahari dan bulan untuk kita. Maksudnya kita boleh gunakan untuk kemudahan kita. Bukanlah bermaksud matahari dan bulan di bawah kawalan kita pula, tetapi Allah ﷻ tundukkan matahari dan bulan untuk berkhidmat bagi manusia. Manusia jadikan matahari dan bulan itu sebagai penanda waktu. Kalau kita gantung kalendar dan jam di dinding, Allah ‎ﷻ gantung ‘kalendar’-Nya di langit. Kalendar bulanan adalah bulan dan jam menggunakan kedudukan matahari yang Allah ‎ﷻ gantung di langit.

Dengan adanya matahari kita boleh menjemur pakaian kita, jemur makanan untuk dikeringkan, senang untuk kita bergerak di siang hari, menumbuhkan tanam-tanaman dan tentunya banyak lagi. Sinaran suria adalah penting untuk mengekalkan kehidupan di Bumi. Selain menjadi sumber utama haba di planet ini, ia membekalkan tenaga untuk fotosintesis tumbuhan dan organisma kloroplas lain dan mempengaruhi irama sirkadian makhluk hidup.

Dengan adanya bulan selain menjadi kalendar kita, ia juga menjadi lampu untuk kita bergerak di malam hari. Matahari adalah kehadiran pusat, sumber tenaga yang membolehkan kewujudan makhluk hidup di planet kita, tetapi Bulan juga memainkan peranan asas. Kehadirannya menstabilkan Bumi, yang jika ia tidak mempunyai satelit yang begitu besar, Bumi akan menari seperti gasing yang hampir jatuh.

 

دائِبَينِ

yang terus menerus beredar

Matahari dan bulan sentiasa bergerak mengikut orbit masing-masing. Kalimah دائِبَينِ daripada katadasar د ا ب yang bermaksud rajin; bersemangat; berusaha secara berterusan; menggesa; memandu; mengadakan laluan sendiri; bekerja keras secara berterusan; kebiasaan; adat; cara; kes; urusan; cara melakukan sesuatu; kerja. Matahari dan bulan tidak berhenti bergerak dan berputar walaupun sesaat, kerana Allah ‎ ﷻ tidak benarkan seperti di dalam firman-Nya:

لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ
Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan, dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.
(Yaasin: 40)

Namun bukanlah ia akan berterusan kerana nanti akan sampai satu masa kedua-duanya akan berlanggar satu sama lain.

Nota: Ini juga menjadi dalil yang bumi dan planet-planet tidaklah ‘pegun’ seperti yang diperkatakan oleh sesetengah orang.

Allah ﷻ menjadikan matahari dan bulan bergerak silih berganti supaya berlakunya siang dan malam buat kita. Kalau hanya ada malam sahaja susah, kalau siang sahaja pun susah kerana kita memerlukan siang dan malam silih berganti. Siang untuk bekerja dan malam untuk berehat.

Allah mencipta matahari dan bulan. Matahari dan bulan itu beredar dalam orbit masing-masing.

Pergerakan matahari dan bulan ini sebagai satu lagi tanda kehebatan Allah ﷻ. Kedua-duanya adalah makhluk yang amat besar tetapi Allah ﷻ mampu mengawal pergerakannya tanpa lari sedikit pun daripada orbitnya. Ia telah berlangsung selama entah berapa ribu juta tahun kita pun tidak tahu. Pergerakannya sangat tepat sampaikan kita boleh menggunakannya sebagai kiraan masa dan juga sebagai panduan arah bagi pengembara di malam hari (kompas mungkin tiada atau rosak).

 

وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ

dan telah menundukkan bagimu malam dan siang.

Allah ‎ﷻ tundukkan malam dan siang untuk kita juga. Malam adalah masa untuk berehat dan siang Allah ‎ ﷻ terangkan untuk memudahkan kita bekerja. Allah ‎ ﷻ yang menjadikan siang dan malam, bukan terjadi sendiri.

 


Apabila sesuatu direndahkan untuk kita gunakan, tentu kita lebih tinggi kedudukan daripadanya, bukan? Contohnya, kalau ada orang buat kerja-kerja ringan kita, itu adalah untuk memudahkan kita. Maknanya kita ada kerja yang lebih penting lagi, sampaikan kita susah untuk fikirkan benda-benda yang kecil. Ini sepertimana seorang ketua syarikat yang mempunyai pembantu peribadi untuk membuat kerja-kerja ringan kerana dia sendiri ada kerja yang lebih penting untuk dibuat.

Itu adalah perkara biasa dan itulah masanya kita memerlukan pembantu. Akan tetapi ia adalah salah seandainya semua perkara dilakukan untuk seseorang itu sedangkan dia sendiri tidak ada kerja penting untuk dilakukan.

Pengajaran daripada ayat ini, Allah ‎ ﷻ menjadikan alam ini di bawah kekuasaan kita dan kita boleh gunakan, kerana kita ada kerja yang lebih penting untuk kita lakukan: iaitu taat dan berkhidmat untuk Allah‎ ﷻ sebagai khalifah di muka bumi. Oleh itu kenalah faham kepentingan Allah ‎ ﷻ berikan segala kemudahan untuk kita. Kita kena gunakan alam ini untuk memudahkan kita menjadi khalifah di bumi.


 

Ibrahim Ayat 34:

وَآتىٰكُم مِّن كُلِّ ما سَأَلتُموهُ ۚ وَإِن تَعُدّوا نِعمَتَ اللهِ لا تُحصوها ۗ إِنَّ الإِنسٰنَ لَظَلومٌ كَفّارٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He gave you from all you asked of Him.¹ And if you should count the favor [i.e., blessings] of Allāh, you could not enumerate them. Indeed, mankind is [generally] most unjust and ungrateful.²

  • Something of what you asked and all of what you continually require, according to His wisdom.
  • i.e., disbelieving and denying of Allāh’s favor.

(MELAYU)

Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).

 

وَآتىٰكُم مِّن كُلِّ ما سَأَلتُموهُ

Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya.

Allah ﷻ beritahu yang Dia beri apa sahaja yang kita minta. Akan tetapi adakah semua yang kita doa kepada-Nya setiap hari diberikan? Tentu tidak, bukan? Maknanya Allah ﷻ beri apa yang sesuai untuk diberikan kepada kita. Kadangkala kita minta sesuatu akan tetapi tidak diberikan kepada kita kerana ia tidak sesuai buat kita atau perkara itu belum sampai waktunya. Allah ﷻ lagi mengetahui apa yang kita perlu dan bilakah kita memerlukannya. Sebagai contoh kita minta dijadikan kaya raya, tetapi Allah ﷻ tidak beri kerana Allah ﷻ tahu yang kalau kita kaya raya, hanyut kita jadinya.

Kerana itu perlu diketahui bahawa setiap doa yang kita panjatkan, tidak semestinya dikabulkan mengikut keinginan kita. Boleh jadi, Allah ﷻ mengabulkannya dengan cara lain. Nabi ﷺ menjelaskan bahawa ada tiga bentuk pengabulan oleh Allah ﷻ terhadap doa para hambanya sebagaimana disebut dalam hadith berikut:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ
دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا قَالُوا إِذًا
نُكْثِرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah ﷻ akan mengabulkannya dengan tiga cara;
(1). Allah akan mengabulkan doanya dengan segera,
(2). Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak,
(3). Allah akan memalingkan daripadanya keburukan seumpamanya.
Mereka (para sahabat) berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyak berdoa.” Nabi ﷺ bersabda: “Allah akan banyak mengabulkan doa-doa kamu.”
(HR Ahmad – Sahih)

Oleh kerana itu kita kena ingat yang kalau kita tidak dapat apa yang kita minta, mungkin Allah ﷻ beri yang lebih baik. Kita sahaja yang tidak tahu ia lebih baik tetapi Allah ﷻ yang Maha Tahu. Sebagai contoh, kita minta kaya tetapi Allah ﷻ beri keselamatan kepada kita, dan keselamatan itu lebih baik daripada kekayaan harta. Kita mungkin minta kesihatan, tetapi Allah ﷻ beri kita sakit kerana dengan sakit itu kita menjadi rapat dengan Allah ﷻ. Lihatlah juga bagaimana ibu Maryam berdoa supaya diberikan anak lelaki tetapi diberikan anak perempuan seperti disebut dalam Ali Imran: 36

فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما وَضَعَت وَلَيسَ الذَّكَرُ كَالأُنثىٰ
Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan;

Allah ﷻ berikan anak perempuan kepada ibu Maryam dan kita pun tahu kedudukan Maryam yang mulia dan menjadi ibu pula kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka ini adalah contoh bagaimana Allah ﷻ beri yang lebih baik daripada apa yang kita minta.

Kalimah سَأَل boleh bermaksud ‘minta’, dan boleh juga bermaksud ‘perlukan’. Maknanya, perkara yang kita minta kepada Allah ﷻ ada dua peringkat. Ada permintaan kita yang kita sebut dan ada juga yang kita minta daripada perlakuan kita. Sebagai contoh kita hendak kenyang, maka kita makan. Waktu kita makan itu, tidaklah kita berdoa supaya kita kenyang, bukan? Namun perbuatan makan itu adalah usaha dan perbuatan kita untuk mengenyangkan perut kita. Begitu juga kalau kita bersenam untuk mengekalkan kesihatan kita. Tidaklah semasa kita bersenam itu kita berdoa supaya sihat, bukan? Namun itulah usaha kita untuk mengekalkan kesihatan kita. Antara perkara yang kita minta dan perkara yang kita hendak dan usahakan, yang kita hendak itulah yang lebih banyak Allah ﷻ telah berikan kepada kita.

Bukan semua keperluan kita diminta secara khusus. Ada orang yang minta sesuatu dan Allah ﷻ beri apa yang dia minta itu. Ada yang diperlukan (didambakan) oleh diri kita. Ini adalah kerana kehendak yang mendesak – seperti oksigen, air dan sebagainya. Ini kita tidak minta pun kepada Allah ﷻ supaya diberikan oksigen setiap hari, tetapi Allah ﷻ berikan kerana memang kita memerlukannya. Ini mengajar kita yang memang semua makhluk memerlukan pemberian daripada Allah ﷻ pun – oleh itu semua permintaan dan pemenuhan desakan adalah daripada Allah ﷻ.

Ini penting untuk difahami, kerana kalau kita kata سَأَل itu hanya bermaksud ‘minta’ sahaja, nanti boleh dihujah: orang kafir tidak minta kepada Allah ﷻ pun – mereka minta kepada tuhan mereka. Namun sebenarnya walaupun mereka tidak minta, tetapi diri mereka sendiri ada menuntut daripada Allah ﷻ juga. Maknanya, mereka tetap memerlukan pemberian daripada Allah ﷻ kerana mereka juga memerlukan keperluan hidup seperti oksigen, air dan sebagainya. Kalau bukan Allah ﷻ yang beri, siapa lagi yang beri?

 

وَإِن تَعُدّوا نِعمَتَ اللهِ لا تُحصوها

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. 

Allah ﷻ beritahu sekiranya mahu dihitung segala nikmat yang diberikan-Nya, kamu tidak akan terhitung. Kalaulah boleh kira pun, kita tidak boleh faham kepentingan sesuatu perkara itu. Sebagai contoh, salah satu nikmat yang kita boleh sedar, adalah nikmat boleh bercakap. Ini nampak macam biasa sahaja kerana ramai orang yang boleh bercakap. Namun itu pun ada banyak perkara yang terlibat yang kita tidak perasan pun. Kelebihan yang ada dalam kebolehan bercakap itu pun sudah hebat, bukan?

Selalunya kita terus cakap sahaja, tetapi kalau kita fikirkan, faham bahasa yang kita ucapkan itu pun sudah hebat. Kerana bukan senang sebenarnya untuk faham bahasa dan lenggok bahasa orang, bukan? Maka waktu bercakap itu, otak kita berpusing sentiasa, bukan? Dengan satu nikmat bercakap pun kita tidak dapat faham secara keseluruhannya kerana satu nikmat itu juga melibatkan nikmat-nikmat yang lain.

Maka Allah ﷻ beritahu terlampau banyak nikmat yang telah diberikan kepada kita, maka hendaklah kita menghargainya dengan bersyukur. Namun hendaklah belajar cara bersyukur dengan betul. Ini kita telah sentuh panjang lebar di dalam ayat Ibrahim: 7. Kalau kita bersyukur, maka kita akan selamat daripada azab seperti firman Allah ﷻ di dalam Nisa’: 147

ما يَفعَلُ اللهُ بِعَذابِكُم إِن شَكَرتُم وَءآمَنتُم ۚ وَكانَ اللهُ شاكِرًا عَليمًا
Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmat-Nya) serta kamu beriman (kepada-Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

Maknanya yang dikenakan azab selama ini adalah kerana kita tidak bersyukur dengan sebenarnya. Namun begitulah hakikatnya ramai yang tidak bersyukur kepada Allah ﷻ.

 

إِنَّ الإِنسٰنَ لَظَلومٌ كَفّارٌ

Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari 

Memang sudah terlalu banyak nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita, cuma insan ini sifatnya لَظَلومٌ (sangat zalim) dan tidak menghargai nikmat (kufur nikmat). Kalimah ظَلومٌ itu adalah di dalam bentuk sighah mubalaghah (bersangatan) dan ditambah pula dengan huruf taukid (penekanan) ل itu. Maka mereka ini memang teruk betul. Mereka tidak fikirkan pun nikmat yang mereka sudah banyak mereka dapat. Mereka makan dan menggunakan segala nikmat yang Allah ﷻ berikan, tetapi mereka ingkar dengan arahan Allah ﷻ.

Kalimah كَفّارٌ itu bermaksud ‘kufur berkali-kali’, kerana ada syaddah di dalamnya. Ini juga di dalam bentuk sighah mubalaghah. Maknanya, bukan sekali atau sekali sekala sahaja mereka kufur, tapi banyak kali – selalu. Sentiasa sahaja kita tidak hargai nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita sepanjang masa. Namun mereka sentiasa melanggar arahan Allah ﷻ.

Jangan lupa yang kita semua ini akan ditanya tentang segala nikmat yang kita dapat semasa di dunia ini. Ini diingatkan di dalam Takathur: 8

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ
kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

Bukan hanya benda-benda besar sahaja akan ditanya, akan tetapi perkara-perkara kecil pun seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ أَوْ لَيْلَةٍ فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ فَقَالَ مَا أَخْرَجَكُمَا مِنْ بُيُوتِكُمَا هَذِهِ السَّاعَةَ قَالَا الْجُوعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَنَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَخْرَجَنِي الَّذِي أَخْرَجَكُمَا قُومُوا فَقَامُوا مَعَهُ فَأَتَى رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَإِذَا هُوَ لَيْسَ فِي بَيْتِهِ فَلَمَّا رَأَتْهُ الْمَرْأَةُ قَالَتْ مَرْحَبًا وَأَهْلًا فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيْنَ فُلَانٌ قَالَتْ ذَهَبَ يَسْتَعْذِبُ لَنَا مِنْ الْمَاءِ إِذْ جَاءَ الْأَنْصَارِيُّ فَنَظَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَاحِبَيْهِ ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ مَا أَحَدٌ الْيَوْمَ أَكْرَمَ أَضْيَافًا مِنِّي قَالَ فَانْطَلَقَ فَجَاءَهُمْ بِعِذْقٍ فِيهِ بُسْرٌ وَتَمْرٌ وَرُطَبٌ فَقَالَ كُلُوا مِنْ هَذِهِ وَأَخَذَ الْمُدْيَةَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكَ وَالْحَلُوبَ فَذَبَحَ لَهُمْ فَأَكَلُوا مِنْ الشَّاةِ وَمِنْ ذَلِكَ الْعِذْقِ وَشَرِبُوا فَلَمَّا أَنْ شَبِعُوا وَرَوُوا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ الْجُوعُ ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ
[Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah ﷺ pergi keluar rumah, tiba-tiba baginda bertemu dengan Abu Bakar dan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Lalu baginda bertanya: “Mengapa kalian keluar rumah malam-malam begini?” Mereka menjawab; ‘Kami lapar, ya Rasulullah! ‘ Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi Allah yang jiwaku dalam Tangan-Nya, aku juga keluar kerana lapar seperti kalian. Marilah!” Mereka pergi mengikuti baginda ke rumah sahabat Anshar (Abu Haitsam bin At Taihan). Namun sayang dia tidak di rumah. Tetapi tatkala isterinya melihat Rasulullah ﷺ datang, dia mengucapkan; “Marhaban wa Ahlan (selamat datang).” Maka Rasulullah ﷺ bertanya: “Ke mana si Fulan (Abu Haitsam)?”‘ Isterinya menjawab; ‘Dia sedang mengambil air tawar untuk kami.’ Tiba-tiba suaminya datang dan melihat Rasulullah ﷺ berserta dua sahabat baginda, maka dia berkata; ‘Alhamdulillah, tidak ada orang yang lebih bahagia daripadaku hari ini, kerana kedatangan tetamu yang mulia.’ Lalu dia mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang masih muda, yang mulai masak, dan yang sudah masak betul. Katanya; ‘Silakan dimakan ini.’ Sambil dia mengambil pisau. Nabi ﷺ bersabda: ‘Jangan disembelih yang lagi mempunyai susu.’ Maka dipotongnya seekor kambing, lalu mereka makan kambing, makan kurma setandan, dan minum. Setelah semuanya kenyang dan puas makan dan minum, Rasulullah ﷺ bersabda kepada Abu Bakar dan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: ‘Demi Allah yang jiwaku berada dalam Tangan-Nya, kalian akan ditanya pada hari kiamat tentang nikmat yang kalian peroleh ini. Kalian keluar dari rumah kerana lapar dan pulang sesudah memperoleh nikmat ini.’
(Sahih Muslim (3799))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Yusuf Ayat 111 (2) (Penjelasan segala sesuatu?)

ما كانَ حَديثًا يُفتَرىٰ

Al Qur’an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat,

Ini berkaitan dengan Dakwa ketiga, iaitu hujah bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah benar seorang Rasul. Buktinya adalah baginda dapat membawakan kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini yang memang tidak ada dalam sejarah orang Arab. Namun baginda boleh menyampaikannya dan ia adalah sama dengan kisah yang ada dalam kalangan Bani Israil. Oleh itu, ia bukan perkataan yang direka oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah حَديثًا dan ini pun boleh menjadi isu juga. Terutama kepada orang yang jahil dan sombong seperti golongan Anti-Hadis. Mereka kata Hadis yang sebenar adalah ayat Al-Qur’an, bukannya kata-kata Nabi Muhammad. Dan mereka menggunakan ayat ini dan beberapa ayat lain yang menggunakan istilah حَديث bagi Al-Qur’an. Malah di dalam Zumar:23 Allah menggelarnya sebagai أَحسَنَ الحَديثِ,

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an

Jadi kita kena jelaskan sikit apakah maksud حَديث ini. Istilah Hadith (حَدِيث) mempunyai akar bahasa yang sangat unik. Memahami etimologinya akan menjelaskan mengapa Al-Qur’an (Kalam Allah) dan Sunnah (Kata-kata Rasulullah ﷺ) kedua-duanya menggunakan istilah ini.

Secara bahasa, Hadith berasal daripada kata dasar ح د ث yang membawa dua maksud utama:

1. Sesuatu yang Baharu (Al-Jadid). Lawan bagi Hadith ialah Qadim (Sesuatu yang sedia kala/lama). Ia dipanggil hadith kerana berita atau maklumat tersebut baru sahaja sampai atau disampaikan kepada pendengar, yang sebelumnya mereka tidak ketahui. Malah kalau ‘zaman moden’, di dalam bahasa Arab adalah حديث. Kalau kemalangan, ia adalah حادثة kerana ia baru terjadi.

2. Percakapan atau Berita (Al-Khabar). Sesuatu yang diucapkan dan dipindahkan daripada seorang penyampai kepada pendengar. Di dalam Bahasa Arab, percakapan ada beberapa jenis, seperti كلام dan juga حَدِيث. Dan حَدِيث digunakan jikalau perkataan itu baharu.

Jadi kenapa Al-Qur’an disebut “Hadith”? Walaupun Al-Qur’an adalah Kalam Allah yang bersifat Qadim (pada zat Allah), ia disebut sebagai Hadith kerana:

    • Berita Baharu: Al-Qur’an membawa berita-berita tentang umat terdahulu, hari kiamat, dan hukum-hakam yang “baharu” bagi telinga manusia ketika ia diturunkan. Kebanyakan manusia ketika itu tidak mengetahuinya.
    • Kesan yang Segar: Ayat-ayat Al-Qur’an sentiasa terasa “baharu” dan segar setiap kali dibaca, tidak pernah usang walaupun diulang ribuan kali.

Kenapa kata-kata Rasulullah ﷺ juga disebut “Hadith”? Secara istilah teknikal, hadith merujuk kepada apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi ﷺ sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan (takrir), atau sifat baginda. Sekarang kalau disebut hadith, kebanyakan dari kita terus terfikir tentang makna ini, bukan? Kerana itulah penggunaan yang lebih banyak. Sebab penggunaan istilah ini untuk Rasulullah ﷺ:

    • Pembeza dengan Al-Qur’an: Pada awal Islam, istilah “Hadith” digunakan secara khusus untuk membezakan antara wahyu matlu (Al-Qur’an) dengan kata-kata manusiawi Nabi ﷺ agar tidak bercampur aduk.
    • Penyampaian Berita: Para sahabat menyampaikan “berita” tentang apa yang mereka lihat dan dengar daripada Nabi ﷺ kepada orang lain. Proses “bercerita” ini dipanggil tahdith (تحدث). Dan kalau anda ada belajar hadith, di permulaan setiap hadith itu ketika menyampaikan sanad perawi, selalunya kita akan baca  حَدَّثَنَا (telah meriwayatkan kepada kami).

Jadi, kalimah حَديثًا boleh sahaja digunakan untuk Al-Qur’an dan boleh sahaja digunakan untuk kata-kata Rasulullah. Akan tetapi cuma di dalam penggunaan biasa, ia selalunya merujuk kepada kata-kata Nabi. Tapi ia bukanlah eksklusif. Jadi jangan tak tahu pula selepas ini.

Jadi, kembali kepada maksud حَديثًا يُفتَرىٰ. Ia bukanlah sesuatu yang direka-reka. Bayangkan seseorang disuruh untuk bercerita, dan dia buat cerita ikut imaginasi dia, itu adalah حَديثًا يُفتَرىٰ. Al-Qur’an bukan begitu. Ia adalah berita benar yang Allah sampaikan dan tentulah Allah tidak reka-reka akan sesuatu. Kalau manusia buat cerita, kalau ia dari kisah benar, selalunya ditambah gula dan garam bagi lagi hebat, bukan? Tidak begitu dari kisah yang Allah sampaikan. Allah sampaikan kisah yang benar-benar berlaku, tidak ada penambahan. Di dalam masa yang sama, Allah hendak perli golongan Yahudi dan Nasrani yang juga ada kisah Nabi Yusuf ini di dalam kitab-kitab mereka dan penceritaan mereka. Tapi mereka tidak berikan kisah yang benar. Mereka ada ubah, mereka ada tambah ikut suka mak nenek mereka.

Kalimah (يُفْتَرَىٰ) berasal daripada akar kata (فرى) yang bermaksud: Mengada-adakan secara dusta / Rekaan / Fitnah. Dalam konteks ini, ia bermaksud sesuatu cerita yang sengaja dicipta atau direka-reka oleh manusia. Tapi kalimat yang digunakan bukanlah حَديثًا يُفتَراً tapi حَديثًا يُفتَرىٰ di mana يُفتَرىٰ itu di dalam bentuk fi’il mudhari’. Kalau dua-dua isim (حَديثًا يُفتَراً) maka ia diterjemahkan sebagai perkataan yang direka. Tapi apabila ia di dalam bentuk حَديثًا يُفتَرىٰ, ia bermaksud perkataan yang TIDAK langsung boleh direka. Ia bersamaan dengan banyak hujah di dalam Al-Qur’an yang berkali-kali mengatakan Al-Qur’an ini bukan rekaan, tidak boleh ditiru oleh manusia mahu pun jin, walaupun mereka bekerjasama untuk melakukannya.

Sedikit lagi tentang kalimah يُفتَرىٰ. Kalimah asal فرى digunakan untuk perbuatan menukar sesuatu kepada bentuk yang lain. Contohnya kita potong kulit binatang dan menjadikannya kasut. Tapi apabila kalimah فرى ditambah menjadi افترى (wazan yang berbeza) ia bermaksud lebih lagi, seperti berlebihan menggunting kulit itu sampai menjadikannya rosak. Dari segi bahasa, kalimah افترى adalah satu perbuatan yang mengambil dari kisah yang benar, kemudian tambah sana dan sini menjadikan sesuatu kisah yang lain. Ini seperti filem, bukan? Ada filem yang berasaskan kepada kisah benar, tapi tukang buat skrip tambah sana dan sini sampai ia tidak lagi menjadi kisah yang asal. Dalam erti kata yang lain, kita telah menipu bukan kalau kita افترى?

Jadi Allah hendak menekankan yang kisah-kisah di dalam Al-Qur’an secara umumnya dan kisah Nabi Yusuf ini tidak mungkin kisah yang direka. Tidak mungkin sama sekali. Tapi perhatikan Allah sebut tentang hal ini di hujung di dalam Ayat 111, selepas kisah itu selesai disampaikan. Bukan di awal surah. Bayangkan begini: katakan seseorang hendak menjual sesuatu barang, maka dia akan kata barang dia baik, tunjuk gambar brosur, tunjuk testimoni kepada orang yang belum pun pakai lagi barang itu. Tapi kalau kita sudah beri seseorang itu pakai barang itu dan kita kata kepada dia, “amacam barang ini? Baik tak?” Jadi ini lebih hebat kerana orang itu telah rasa barang itu, pegang dan pakai barang itu. Maka begitulah dengan kisah Nabi Yusuf ini, Allah ceritakan dahulu dan kemudian Allah beritahu: takkan kisah ini kisah rekaan kot… begitu punya hebat kisah ini!

Perhatikan Allah menggunakan kalimah ما sebagai النَّافِيَةُ (penolakan) di sini dan bukan لا. Kalimah ما lebih kuat dari لا di mana ما digunakan apabila hendak menolak kata-kata atau pandangan seseorang. Jadi apabila ما yang digunakan di sini, ia memberi isyarat bahawa ada yang mengatakan kisah Nabi Yusuf di dalam surah ini adalah rekaan, dan Allah menolak kata-kata itu.. tidak, ia bukan rekaan manusia. Kalau hendak reka, pun tidak akan mampu. Nah, surah ini mulanya didengari oleh Quraisy Mekah yang tidak tahu apa-apa tentang Nabi Yusuf, Nabi Ya’qub dan mungkin Mesir pun. Jadi bagi mereka, mereka pertama kali mendengar kisah ini dan mereka tidak ada rujukan untuk bandingkan kisah itu. Akan tetapi, mereka tetap dapat mendengar bagaimana hebatnya kisah itu disampaikan oleh Allah dalam bahasa yang tepat dan menarik.

Tapi yang tahu kisah para Nabi itu, siapa? Itulah golongan Yahudi yang waktu itu berada di Yathrib (nama lama bagi Madinah). Ketika surah ini diturunkan, Nabi Muhammad masih lagi di Mekah dan tidak ada interaksi berhadapan dengan mereka lagi. Golongan Yahudi itu mesti terkejut apabila mendapat tahu orang Arab tahu tentang kisah para Nabi itu kerana ia adalah di dalam riwayat mereka. Dan apabila mereka bandingkan dengan kisah-kisah yang ada di tangan mereka, adakah ia sama? Tentu tidak. Mereka mungkin menuduh kisah yang Muhammad sampai itu tidak benar, tak sama dengan kisah kami ada. Tapi Allah dengan tegas mengatakan ما, ia bukan kisah rekaan manusia, bukan rekaan Nabi Muhammad.

Di dalam masa yang sama, Allah memberi isyarat yang golongan Yahudi itu telah melakukan افترى iaitu telah menokok tambah kisah Nabi Yusuf itu sehingga menjadi kisah yang lain. Kita sendiri boleh periksa hal ini jikalau kita baca kisah tersebut disampaikan di dalam kitab mereka. Digunakan kalimah افترى kerana mereka telah rosakkan, telah jadikan benda yang lain, telah memotong dengan teruk sekali sehingga menjadikan benda yang asalnya cantik menjadi buruk! Mereka telah rosakkan sejarah dan nama Nabi Yusuf, Nabi Ya’qub dan sekarang di dalam Surah Yusuf ini Allah sedang mengembalikan maruah para Nabi itu kepada keadaan yang sebenarnya.

Akan tetapi jikalau kamu أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ tidak kira sama ada dari Yahudi atau Nasrani, atau dari Quraisy yang tidak pernah mendengar kisah itu, jikalau kamu membaca dan menekuni kisah ini dengan hati yang suci murni, kamu akan dapat rasa dengan yakin yang kisah yang di dalam Al-Qur’an inilah kisah yang benar.

Dan bukan mereka sahaja… bagaimana dengan kita yang sudah lama tahu tentang kisah Nabi Yusuf ini tapi sekarang baru melihatnya di dalam tafsir dan tadabbur? Kisah yang kita dahulu sudah tahu apa yang terjadi, akan tetapi sekarang apabila kita kupas dan kita bentangkan, perkara yang kita tahu dahulu semakin terbuka kepada kita. Dan kita takkan habis mengkaji surah ini dan kisah ini kerana semakin lama kita mengkajinya, semakin terbuka ilmu-ilmu baru yang Allah buka kepada kita.

Di dalam masa yang sama, sekarang ini adalah pengkaji-pengkaji Al-Qur’an yang Non-Muslim yang sedang mengkaji Al-Qur’an dan mencari kesalahan dan kesilapan di dalamnya. Mereka adalah sarjana yang bekerja keras dan bagi mereka, tentunya Al-Qur’an ini adalah rekaan. Ia hebat, tapi bagi mereka ia tetap rekaan manusia. Kepada mereka ini juga Allah dengan tegas mengatakan ما، ini bukan kisah rekaan. Kamu kaji sikit lagi dan kamu akan dapati yang ia bukan rekaan. Masalah dengan mereka adalah mereka ini sudah ada prejudis terhadap agama Islam dan Al-Qur’an, mereka sudah ada keputusan bahawa Al-Qur’an ini rekaan, jadi kerana itu mereka mencari-cari kesalahan. Akan tetapi kepada mereka ini, Allah ada berpesan di dalam Muhammad:24

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
“Maka adakah mereka sengaja tidak mentadabbur Al-Qur’an? Atau mungkinkah hati mereka telah terkunci rapat?”

Hati mereka telah terkunci rapat kerana mereka telah ada prejudis yang Al-Qur’an ini rekaan Nabi Muhammad. Dan di dalam Nisa’:82 Allah menegur mereka dan suruh mereka berfikir:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا
“Maka tidakkah mereka mentadabbur Al-Qur’an? Kalaulah Al-Qur’an itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati di dalamnya banyak perselisihan.”

 

وَلٰكِن تَصديقَ الَّذي بَينَ يَدَيهِ

akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya

Sekarang Allah akan menyebut 4 kualiti yang ada pada Al-Qur’an. Ia bukan rekaan, tetapi ia adalah kebenaran dan sekarang akan dibuktikan. Yang pertama, ia adalah sama dengan apa yang ada di tangan Bani Israil zaman itu. Kalimat بَينَ يَدَيهِ secara literal: di antara dua tangannya. Jadi ia bermaksud yang di hadapan mereka, iaitu kitab yang ada di tangan mereka (Taurat dan Injil). Orang yang bertanya tentang kedatangan Bani Israil ke Mesir itu, mereka pun ada kitab dan soalan mereka dijawab dengan kisah ini, yang membenarkan apa yang mereka tahu. Jadi, mereka boleh rujuk sendiri dan pastikan bahawa ini bukanlah cerita rekaan. Ada golongan Ahli Kitab yang menangis apabila membaca Al-Qur’an kerana mereka nampak kebenaran yang di dalam Al-Qur’an sepertimana yang mereka tahu terdapat di dalam kitab mereka. Ini disebut di dalam Maidah:83

وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ ۖ يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ
Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad s. a. w.).

Kisah Nabi Yusuf ini terdapat di dalam Genesis 37-50. Kisah itu disampaikan dengan panjang lebar. Tapi tidaklah sama penegasan dan perjalanan cerita itu kalau dibandingkan dengan Al-Qur’an. Kisah di dalam kitab mereka panjang cerita tentang fakta, secara kronologi tapi Al-Qur’an lebih menegaskan tentang pengajaran. Agak membosankan kalau baca di dalam Genesis itu. Tapi memang kisah Nabi Yusuf itu memang ada di dalam kitab mereka.

Apabila Nabi Muhammad hijrah ke Madinah, maka baginda akan bersemuka dengan puak Yahudi di sana. Akan ada ayat-ayat yang lebih terperinci tentang sejarah Bani Israil. Akan tetapi semasa Nabi Muhammad di Mekah lagi, mereka di sana telah mendengar tentang kisah-kisah mereka disampaikan oleh Allah. Kandungan Al-Qur’an sebenarnya 2/3 dari keseluruhannya telah diturunkan di Mekah. Dan orang Yahudi telah dengar kisah tok nenek mereka disebut ketika itu. Macam kisah Nabi Yusuf, Nabi Ya’qub, Bunyamin dan abang-abang mereka itu adalah leluhur mereka. Ada 12 adik beradik semua sekali, bukan? Dari 12 adik beradik itulah mereka dibahagikan kepada 12 puak. Nama mereka Bani Israil dan Nabi Ya’qub itulah Israil! Maka sekarang Allah beritahu kembali kisah para Nabi itu yang memang telah ada dalam sejarah hidup mereka. Jadi Allah membenarkan (تَصديقَ) apa yang ada di tangan mereka.

Tapi ada satu terjemahan تَصديقَ yang menarik. Ia bermaksud mengeluarkan yang benar dari sejarah itu. Di dalam kisah Nabi Yusuf dalam sejarah mereka, ada yang benar dan ada yang tidak benar (penipuan). Maka Allah keluarkan mana yang benar dan tidak sentuh kisah yang tidak benar itu. Makanya Allah sekarang melakukan pemurnian/pemutihan kepada kisah yang ada pada mereka.

Jadi tidaklah Nabi Muhammad ciplak dari kitab mereka. Allah telah tegaskan yang kisah ini مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ (dari berita-berita yang ghaib) seperti disebut di dalam Ayat 101

ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم وَهُم يَمكُرُونَ
Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.

Bukti Nabi Muhammad tidak ciplak:

1. Nabi Muhammad seorang ummiy (tidak boleh menulis dan membaca) jadi tidak mungkin baginda boleh baca apa yang ada di dalam kitab mereka.
2. Kisah di dalam Al-Qur’an mengandungi fakta yang tidak ada di dalam kitab mereka. Antaranya kisah di dalam penjara dan dialog dengan Raja Mesir.
3. Kisah di dalam Al-Qur’an tidak sama dengan kisah di dalam kitab terdahulu. Antaranya kisah antara Nabi Yusuf dan isteri Al-Aziz. Al-Qur’an menegaskan yang Nabi Yusuf tidak bersalah, berbeza dengan apa yang disampaikan di dalam kitab mereka.

Jadi ada kisah di dalam kitab-kitab mereka dan kisah di dalam Al-Qur’an. Mana yang benar? Maka untuk menerima kisah yang benar, maka ia memerlukan orang yang أُولِي الأَلبابِ iaitu mereka yang ada minda dan hati yang suci. Barulah dia boleh menilai mana kisah yang lebih bagus dan lebih menjaga nama Nabi Yusuf dan mana kisah yang ada pengajaran di dalamnya.

 

وَتَفصيلَ كُلِّ شَيءٍ

dan penjelasan segala sesuatu,

Dalam Al-Qur’an ini bukan sahaja ada kisah-kisah, pemurnian sejarah yang lama dahulu, akan tetapi ia ada penjelasan bagi ‘semua perkara’ (كُلِّ شَيءٍ). Maknanya Al-Qur’an bukan sahaja memandang kepada masa lampau, tapi ia juga menjelaskan tentang kehidupan yang di hadapan kita sekarang. Ia menjadi panduan bagi kehidupan kita. Ia tidak hanya terhad kepada perbincangan perkara yang telah berlaku zaman dahulu.

Tapi apakah yang dimaksudkan dengan ‘semua perkara’? Kalau kita baca satu persatu, tidaklah Al-Qur’an menceritakan semua perkara tentang dunia, bukan? Contohnya, tidaklah Al-Qur’an menceritakan tentang sains sepenuhnya, tentang sejarah semuanya. Tidaklah Al-Qur’an sentuh tentang mikrobiologi, sosiologi, virus dan lain-lain bidang akademik. Ia tidak ajar tentang matematik dan geometri. Ajar tentang buat roti canai pun tidak ada. Bukanlah Al-Qur’an ini buku akademik yang menceritakan semua, bukan?

Jadi apa maksudnya? Maksudnya Al-Qur’an menceritakan semua yang manusia perlukan untuk memastikan yang Al-Qur’an ini adalah wahyu. Semua perkara yang penting tentang agama telah disentuh dalam Al-Qur’an. Benda yang paling penting ada dalam Al-Qur’an. Perkara yang kita perlukan untuk menjalani kehidupan kita di dunia dengan baik, ada di dalam Al-Qur’an ini.

Kita bayangkan satu suasana, di mana anda datang dan bertanya tentang cara ambil wuduk. Saya pun jelaskan satu persatu sampai anda faham dan kemudian saya tanya: “sudahkah saya jelaskan semuanya?” Anda pun jawab: “ya ustaz, ustaz dan jelaskan semuanya.” Semuanya? Saya ada cerita tentang alam, tentang ekonomi kah? Tidak, bukan? Tapi saya sudah jelaskan semuanya tentang soalan awak tentang wuduk, bukan? Adakah maklumat itu penting bagi awak? Adakah awak perlukan maklumat itu ketika itu? Ya, bukan? Bukankah saya telah jawab semua soalan awak? Pergi balik ke awal surah ini di dalam Ayat 7.

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ
Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

Bukankah ada persoalan di situ? Soalan dikemukakan untuk mendapatkan penjelasan. Di akhir Surah, penjelasan telah diberikan untuk segala-galanya yang ditanya dan diperlukan, yang bermaksud semua yang telah diminta. Setiap isu yang anda ada dalam hidup, setiap kebimbangan yang anda ada, setiap tempat di mana anda memerlukan bimbingan, setiap kali anda terjebak dan tidak tahu apa yang betul untuk dilakukan, setiap kali anda putus asa dan mencari harapan, setiap kali anda tidak tahu bagaimana untuk menghadapi ketakutan anda, bagaimana untuk menangani keputusasaan anda, setiap kali anda terluka oleh seseorang dan tidak tahu bagaimana menanganinya. Adakah Allah membantu orang yang terluka oleh orang lain? Ya, lihat kisah Nabi Ya’qub. Bukankah baginda terluka oleh anak-anaknya? Bagaimana anda hendak uruskan pengkhianatan? Bagaimana awak uruskan fitnah? Semua ini bukankah telah diceritakan dan dijelaskan?

Bagaimana anda menguruskan semua ini? Bagaimana anda menangani apabila orang melakukan perkara-perkara buruk kepada anda? Bagaimana anda boleh mencari kekuatan dalam? Dan Allah telah menjawab kepada semua soalan ini, mengenai perjuangan anda, rasa ingin tahu anda. Jadi maksudnya bukanlah pertanyaan tentang astronomi, bukan mengenai aerodinamik, bukan mengenai itu semua. Yang anda perlukan adalah tentang apa yang berlaku di dunia dan kesannya kepada anda, di dalam kompas moral anda, kompas rohani anda, perjuangan anda, ujian anda, naik dan turun anda di dalam kehidupan. Semua persoalan tentang kehidupan anda, yang anda perlukan, ada di dalam surah ini. Kerana Al-Qur’an bukannya buku sejarah, buku perubatan dan buku sains, tapi ia buku kehidupan. Ya Al-Qur’an ada sentuh semua perkara sedikit, tapi yang lebih penting ia adalah tentang kehidupan.

Sekarang kita hendak pecah dan kupaskan kalimah تَفصيلَ. Terjemahan ringkasnya adalah: penjelasan. Ia dari kata dasar ف ص ل yang bermaksud mengasingkan; membezakan; had; bahagian; berlepas; buat keputusan; ditetapkan; bahagikan kepada bahagian; menjelaskan secara terperinci; memberi penjelasan; hakim; menceritakan sesuatu perkara secara terperinci; cerai susu; keluarga; kerabat. Dari ini kita ada kalimah seperti مفصل yang bermaksud engsel, yang menghubungkan antara dua pintu. مفصل juga adalah bahagian yang memegang antara dua tulang dalam tubuh kita. Kalau daging dipotong dan dibahagikan ikut bahagian masing-masing, ia dipanggil فَصَّلَ.

Jadi kalimah ini ada kena mengena dengan pemisahan, akan tetapi menyambungkan juga. Macam antara dua tulang itu, ia memisahkan antara satu tulang dengan tulang yang lain, tapi bukankah tulang itu bersambung juga? Ia bukan terpisah satu duduk sana satu duduk sini. Konsep ini juga digunakan di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Perhatikan di dalam Fussilat:3

كِتٰبٌ فُصِّلَت ءآيٰتُهُ
Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu

Untuk menjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an, Allah telah pisahkan setiap ayat satu persatu. Tetapi adakah setiap ayat itu tidak berkaitan? Tentu ia berkaitan antara satu ayat ke ayat yang lain. Kerana itu di dalam ilmu tafsir, kita kena lihat kepada ayat sebelum dan ayat selepasnya untuk memahami konteks sesuatu ayat itu.

Satu lagi kalimah yang menarik untuk kita bincangkan dan lebih memahami konsep ini adalah kalimah فِصالًا di dalam Baqarah:233

فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما
kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu

Kalimah فِصالًا adalah putus susu dengan anak. Ibu itu tidak lagi menyusukan anaknya itu; tapi adakah putus terus hubungan ibu itu dengan anak? Jadi konsep pisah tapi bersambung, tetap ada. Dan kalau kita perhatikan, kata dasar ini juga ada digunakan di dalam Ayat 94,

وَلَمَّا فَصَلَتِ ٱلعِيرُ
Tatkala kafilah itu telah ke luar (dari negeri Mesir)

Maknanya, abang-abang Nabi Yusuf itu bertolak meninggalkan Mesir, bukan? Akan tetapi adakah mereka terus terputus hubungan dengan Mesir? Tidak. Mereka bawa barang-barang dari Mesir dan nanti mereka akan kembali ke sana kerana Nabi Yusuf telah suruh mereka bawa keluarga mereka ke Mesir, bukan?

Di dalam Ayat 111, ia digunakan di dalam bentuk penjelasan. Kerana apabila kita hendak menjelaskan sesuatu, kita kena pisahkan setiap topik supaya dapat dibezakan antara satu sama lain. Kerana itu kalau kita belajar biologi contohnya, kita akan pisahkan antara tubuh, bahagian tangan, bahagian kaki dan sebagainya. Akan tetapi adakah setiap bahagian itu betul-betul terpisah dari badan? Tidak, bukan? Cuma untuk jelaskan, kena dipisahkan satu persatu supaya nampak perbezaan dan ini memberi pemahaman kepada pelajar. Begitulah apabila kita mengajar, kita akan pisahkan konsep untuk senang difahami oleh pelajar. Kalau kita gaulkan semua sekali, tentu akan ada kekeliruan.

Maka di dalam kisah Nabi Yusuf ini, konsep yang banyak telah dipisahkan di dalam kisah-kisah di dalam setiap ayat. Ini supaya kita mudah faham dan kita terapkan di dalam kehidupan kita.

Konsep pisah dan bersambung juga terpakai antara kita dengan Nabi Yusuf. Kita terpisah dengan baginda dari segi masa yang ribuan tahun dan kedudukan geografi yang jauh. Akan tetapi setelah kita menekuni kisah baginda, bukankah kita terasa ada kaitan antara baginda dan kita? Apa yang baginda lalui, kadang-kadang kita juga lalui. Allah telah jadikan kisah baginda ini ada sahaja kaitannya dengan kita. Tentulah tidak semua, tapi pasti ada.

Dan begitulah Al-Qur’an ini memandu kita di dalam kehidupan kita dengan memberikan berbagai-bagai konsep tentang kehidupan. Supaya kita dapat mengaplikasi di dalam setiap sudut kehidupan kita yang berliku-liku. Allah telah terangkan segalanya di dalam Al-Qur’an. Kerana inilah yang kita perlukan, bukan? Iaitu panduan hidup di dunia untuk membawa kita ke akhirat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)