Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 59 – 60 (Mukjizat Muqtarahah)

Isra’ Ayat 59: Di dalam ayat sebelum ini disebut negeri-negeri yang dihancurkan. Timbul persoalan kenapa Mekah tidak dihancurkan lagi walaupun mereka telah menentang Nabi Muhammad ﷺ? Jawapannya di dalam ayat ini. Allah ﷻ tidak tunaikan permintaan mereka berkenaan mukjizat yang mereka minta-minta. Kerana kalau mereka minta (dan kemudian tetap ingkar), mereka pasti telah dihancurkan terus.

Ayat ini adalah adalah berkenaan satu lagi helah Musyrikin Mekah untuk tidak terima ajaran tauhid yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ. Mereka meminta mukjizat sebelum mereka mahu percaya kepada baginda. Mereka kata mereka mahu lihat dengan mata mereka sendiri. Hujah ini sebenarnya diajar oleh puak Yahudi kepada mereka.

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang mukjizat itu diberi bukan kerana mereka minta. Siapa mereka? Allah ﷻ tidaklah kena taat kepada permintaan mereka kerana tidak ada kepentingan kalau begitu.

Ayat ini juga mengandungi Zajrun dan Takhwif Duniawi – Allah ﷻ berkuasa melahirkan mukjizat yang diminta, tetapi keingkaran kepadanya menyebabkan azab terlalu berat seperti yang telah berlaku kepada kaum terdahulu.

وَمَا مَنَعَنَآ أَن نُّرسِلَ بِٱلأَيَـٰتِ إِلَّآ أَن ڪَذَّبَ بِہَا ٱلأَوَّلُونَ‌ۚ وَءَاتَينَا ثَمُودَ ٱلنَّاقَةَ مُبصِرَةً فَظَلَمُواْ بِہَا‌ۚ وَمَا نُرسِلُ بِٱلأَيَـٰتِ إِلَّا تَخوِيفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And nothing has prevented Us from sending signs [i.e., miracles] except that the former peoples denied them. And We gave Thamūd the she-camel as a visible sign, but they wronged her. And We send not the signs except as a warning.

(MELAYU)

Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu. Dan Kami tidak memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakuti.

 

وَمَا مَنَعَنَآ أَن نُّرسِلَ بِٱلأَيَـٰتِ

Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda

Kalimah ٱلأَيَـٰتِ dari segi bahasa bermaksud ‘tanda-tanda’ dan di dalam ayat ini bermaksud mukjizat. Berbagai-bagai mukjizat yang Musyrikin Mekah telah minta. Kebanyakannya yang karut-karut sahaja. Kerana mereka sengaja minta perkara yang mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat penuhi.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَتْ قُرَيْشٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ادْعُ لَنَا رَبَّكَ أَنْ يَجْعَلَ لَنَا الصَّفَا ذَهَبًا وَنُؤْمِنُ بِكَ قَالَ وَتَفْعَلُونَ قَالُوا نَعَمْ قَالَ فَدَعَا فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ إِنَّ رَبَّكَ عَزَّ وَجَلَّ يَقْرَأُ عَلَيْكَ السَّلَامَ وَيَقُولُ إِنْ شِئْتَ أَصْبَحَ لَهُمْ الصَّفَا ذَهَبًا فَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ مِنْهُمْ عَذَّبْتُهُ عَذَابًا لَا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِنْ الْعَالَمِينَ وَإِنْ شِئْتَ فَتَحْتُ لَهُمْ بَابَ التَّوْبَةِ وَالرَّحْمَةِ قَالَ بَلْ بَابُ التَّوْبَةِ وَالرَّحْمَةِ
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا], dia berkata; Orang-orang Quraisy berkata kepada Nabi ﷺ; “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, agar merubah bukit Safaa menjadi emas maka kami akan beriman kepadamu.” Baginda bersabda: “Sungguh kalian akan melakukannya (beriman)?” Mereka menjawab; “Ya.” Maka baginda berdoa lalu datanglah Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan berkata; “Sesungguhnya Tuhanmu عَزَّ وَجَلَّ menyampaikan salam untukmu.” Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melanjutkan; “Jika engkau menghendaki maka bukit Safaa akan berubah emas untuk mereka. Siapa sahaja di antara mereka kafir setelah itu, Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang belum pernah Aku seksakan kepada seorang pun di alam semesta ini. Dan jika engkau menghendaki Aku akan membukakan pintu taubat dan rahmat untuk mereka.” Baginda bersabda: “Bahkan pintu taubat dan rahmat (yang aku kehendaki).”
(Musnad Ahmad (2058))
Status: Sahih

Syarah: oleh kerana mukjizat muqtarahah (mukjizat yang diminta) ini tidak diberikan kepada Musyrikin Mekah, maka mereka tidaklah dihancurkan terus dan sempatlah kebanyakan daripada mereka beriman.

Allah ﷻ boleh sahaja kalau hendak berikan kerana Allah ﷻ mampu untuk lakukan apa sahaja. Namun Allah ﷻ tidak mahu buat begitu kerana tidak ada kebaikannya. Allah ﷻ mahu mereka beriman dengan ikhlas hati mereka dengan iman sebenar kerana diberi itu dan ini tidaklah dikira beriman sebenarnya. Maka Allah ﷻ telah membuat keputusan untuk beri tangguh kepada mereka, memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Akan tetapi kalau mereka diberi juga dengan mukjizat yang mereka minta, dan kemudian mereka menolak kebenaran juga, maka Allah ﷻ akan terus azab mereka dengan segera.

Maka kerana itu Nabi Muhammad ﷺ pilih supaya mukjizat itu tidak diberikan kerana Allah ﷻ sudah beri isyarat yang mereka memang akan menolak pun kalau diberikan dengan mukjizat itu.

Lagi pun Nabi Muhammad ﷺ tidak banyak menunjukkan mukjizat yang besar-besar. Ini adalah kerana perbezaan perutusan Nabi Muhammad ﷺ membawa dakwah kepada manusia dengan Nabi-nabi yang terdahulu ialah bahawa dalam dakwah Nabi Muhammad ﷺ, mukjizat atau keganjilan-keganjilan yang luar daripada kebiasaan tidaklah dijadikan sendi yang penting untuk dakwah itu. Walaupun ada, tetapi ia tidaklah ia menjadi sumber dakwah yang utama. Nabi Muhammad ﷺ tidak disuruh membelah laut sebagaimana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan Nabi Muhammad ﷺ tidak disuruh membawa tongkat untuk sewaktu-waktu dapat menjelma jadi ular, untuk menundukkan kesombongan Fir’aun. Nabi Muhammad ﷺ tidak disuruh melompati api berkobar sebagaimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang tidak hangus dalam api itu. Baginda tidak diberi mukjizat menghidupkan orang mati atau mengubati orang sakit kusta, sebagaimana Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Mengapa tidak? Kerana sejarah menunjukkan mukjizat itu tidaklah sekaligus akan membawa manusia beriman. Yang kafir tetap kafir juga; Fir’aun tetap menentang sampai dia tenggelam di laut. Demikian pun yang lain.

Akan tetapi mukjizat Nabi Muhammad ﷺ yang terhebat adalah Al-Qur’an. Ya, ia tidak terbang atau sebagainya, tetapi mukjizat ini tetap kekal. Kalau tongkat menjadi ular, hanya manusia zaman itu sahaja yang nampak. Akan tetapi Al-Qur’an adalah mukjizat zaman berzaman. Ia menjadi mukjizat mengikut zaman. Bagi zaman Nabi Muhammad ﷺ, manusia beriman kerana keindahan bahasa Al-Qur’an itu kerana umat pada zaman itu kenal bahasa Arab.

Namun bagi zaman sekarang, mungkin tidak Nampak tetapi yang kita nampak adalah sains, bukan? Apabila manusia semakin menggunakan sains, Allah ﷻ bukakan mukjizat berkenaan sains pula. Allah ﷻ tunjukkan bagaimana Al-Qur’an telah sebut pun kejadian-kejadian alam yang sains moden baru jumpa dan jelaskan. Ini seperti laut yang tidak bercantum, penciptaan susu di dalam perut lembu, besi sebenarnya dari langit dan macam-macam lagi. Allah ﷻ tunjukkan perkara itu supaya manusia sedar bahawa Al-Qur’an sebagai mukjizat Nabi Muhammad ﷺ ini tidak mungkin ditulis oleh manusia akan tetapi ia diberi oleh Allah ﷻ, Tuhan sekalian alam.

 

إِلَّآ أَن ڪَذَّبَ بِہَا ٱلأَوَّلُونَ‌ۚ

melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu.

Allah ﷻ memberitahu yang menyebabkan Dia menahan daripada memberi mukjizat yang mereka minta itu adalah kerana pada masa dahulu, ada umat-umat dahulu yang sudah diberi pun mukjizat yang diminta oleh mereka, tetapi selepas diberikan, mereka tolak juga. Ini memang kurang ajar peringkat tertinggi. Ini adalah jenis mukjizat muqtarahah, iaitu yang diminta, didesak. Sudah diberi apa yang diminta, tetapi tetap berdegil. Allah ﷻ tidak akan beri peluang tangguh lagi kalau mereka buat perangai sebegitu. Sebagai contoh, akan disebut selepas ini tentang mukjizat unta Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu diberikan sebagai memenuhi permintaan Kaum Tsamud namun lihatlah apa yang terjadi selepasnya.

Perihalnya sama dengan apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ di dalam surat Al-Maidah, melalui firman-Nya:

{قَالَ اللَّهُ إِنِّي مُنزلُهَا عَلَيْكُمْ فَمَنْ يَكْفُرْ بَعْدُ مِنْكُمْ فَإِنِّي أُعَذِّبُهُ عَذَابًا لَا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِنَ الْعَالَمِينَ}
Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepada kalian, barang siapa yang kafir di antara kalian sesudah itu, maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah Aku timpakan kepada seorang pun di antara umat manusia.”
(Maidah: 115)

Allah ﷻ sudah tahu dengan ilmu-Nya yang Qadim bahawa memang kalau diberikan juga mukjizat yang mereka minta-minta itu, golongan Musyrikin Mekah itu pasti akan tetap menolak ajaran Tauhid.

 

وَءَاتَينَا ثَمُودَ ٱلنَّاقَةَ مُبصِرَةً فَظَلَمُواْ بِہَا‌ۚ

Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu.

Allah ﷻ beri satu kisah sebagai contoh, iaitu unta Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang diberikan sebagai memenuhi permintaan Kaum Tsamud. Maka Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berdoa untuk mengeluarkan unta itu daripada batu. Allah ﷻ jawab doa itu dengan beri apa yang mereka minta kerana Allah ﷻ boleh berbuat apa-apa sahaja termasuk mengeluarkan unta daripada batu bukit atau yang lebih hebat daripada itu pun boleh. Kalimah مُبصِرَةً bermaksud jelas boleh dilihat dengan mata kepala mereka.

Akan tetapi lihatlah apa yang terjadi selepasnya. Kaum itu telah bunuh unta itu. Maka Allah ﷻ berfirman:

تَمَتَّعُوا فِي دَارِكُمْ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ ذَلِكَ وَعْدٌ غَيْرُ مَكْذُوبٍ
Bersukarialah kamu sekalian di rumah kalian selama tiga hari, itu adalah janji yang tidak dapat didustakan.
(Hud: 65)

Allah ﷻ beri contoh kaum Tsamud ini untuk mengingatkan penduduk Mekah kerana mereka apabila bermusafir, ada yang melalui kawasan bekas penempatan kaum Tsamud itu.

 

وَمَا نُرسِلُ بِٱلأَيَـٰتِ إِلَّا تَخوِيفًا

Dan Kami tidak memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakuti.

Allah ﷻ beritahu yang kalau Allah ﷻ hantar juga tanda, ia akan hanya sebagai cara untuk takutkan mereka sahaja. Maknanya, kalau sekarang mereka minta mukjizat, ia akan diberikan dengan cara yang menakutkan. Ia adalah cara yang menakutkan kerana kalau tolak, memang pasti akan kena hukum. Adakah mereka hendak begitu?

Kota Kufah pernah mengalami gempa di masa Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ lalu Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Hai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian sedang memperingatkan kalian, maka kembalilah kalian kepada-Nya!”

Hal yang sama pernah terjadi pula atas kota Madinah di masa pemerin¬tahan Khalifah Umar ibnul Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ selama berkali-kali, maka Khalifah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Kalian telah membuat bid’ah. Demi Allah, seandainya terjadi lagi gempa, sungguh saya akan melakukan anu, sungguh aku akan melakukan anu (maksudnya membanteras perkara bid’ah).”

Dalam hadith yang muttafaq ‘alaih disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، وَإِنَّهُمَا لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ، وَلَكِنَّ اللَّهَ، عَزَّ وَجَلَّ، يُرْسِلُهُمَا يُخَوِّفُ بِهِمَا عِبَادَهُ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ”. ثُمَّ قَالَ: ” يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، وَاللَّهِ مَا أَحَدٌ أَغْيَرُ مِنَ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدَهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتَهُ، يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ، لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا”
Sesungguhnya matahari dan bulan, keduanya adalah tanda kekuasaan Allah, dan sesungguhnya keduanya tidak mengalami gerhana kerana matinya seseorang dan tidak (pula) kerana hidup (lahir)nya seseorang, tetapi Allah mempertakuti hamba-hamba-Nya melalui keduanya. Untuk itu apabila kalian melihat gerhana, bergegaslah kalian untuk mengingat Allah, berdoa dan memohon ampun kepada-Nya. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: Hai umat Muhammad, demi Allah, tiada seorang pun yang lebih cemburu daripada Allah, bila ada hamba laki-lakinya berbuat zina atau ada hamba perempuannya berbuat zina. Hai umat Muhammad, demi Allah, seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, tentulah kalian sedikit tertawa dan banyak menangis.
(Sahih Bukhari (398))

Syarah: Allah ﷻ hendak tunjukkan kuasa-Nya, sebesar-besar matahari itu pun Allah ﷻ boleh hilangkan cahayanya. Maka takutlah dengan Allah ﷻ supaya kita tidak ingkar kepada-Nya dan ikutlah arahan-Nya. Serahlah diri kita kepada Allah ﷻ. Kerana itulah ketika gerhana, kita disunatkan untuk melakukan Solat Sunat Gerhana sebagai tanda kita taat dan menyerahkan diri kepada-Nya.

Maka, kalau ada kejadian pelik atau yang menakutkan terjadi pada alam ini, maka ketahuilah dan terimalah itu sebagai peringatan daripada Allah ﷻ kepada kita. Kalau kita terkena musibah, kenang balik apakah dosa yang kita telah lakukan kerana mungkin musibah yang Allah ﷻ kenakan kepada kita itu adalah sebagai peringatan.

Mungkin timbul persoalan, kenapa Nabi Muhammad ﷺ tidak banyak menunjukkan mukjizat yang boleh dilihat dan dirasai oleh pancaindera? Memaparkan bukti-bukti yang bersifat sebegitu, amat patut apabila yang dihadapi adalah masyarakat yang belum mencapai kedewasaan berfikir. Ini seperti memujuk seorang anak untuk meminum ubat, dengan diberi gula-gula terlebih dahulu. Seorang anak memang perlu dipujuk untuk minum ubat, tetapi orang dewasa tidak demikian. Masyarakat para nabi yang lalu (sebelum Nabi Muhammad ﷺ), belum lagi mencapai kedewasaan berfikir, kerana itu untuk mereka dipaparkan bukti-bukti yang bersifat pancaindera.

Ketika Nabi Muhammad ﷺ datang membawa risalahnya, baginda berhadapan dengan masyarakat manusia yang sudah mulai menginjak kedewasaannya. Dari hari ke hari mereka semakin dewasa, sehingga pembuktian kebenaran ajaran baginda tidak lagi disuguh dengan mukjizat yang bersifat pancaindera, tetapi bersifat aqliah (akal). Ketika orang-orang musyrik mengusulkan diturunkannya bukti-bukti pancaindera, Allah ﷻ berfirman di dalam Ankabut: 51:

أَوَلَم يَكفِهِم أَنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ يُتلىٰ عَلَيهِم
Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawasanya Kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) sedang dia dibacakan kepada mereka?

Di sisi lain, seandainya Nabi Muhammad ﷺ memaparkan bukti kebenaran baginda yang bersifat mukjizat yang boleh dilihat dengan pancaindera, maka ini hanya akan terbatas untuk lokasi tertentu bahkan waktu tertentu sahaja, walaupun risalah baginda bersifat universal lagi abadi. Kerana itu, baginda sama sekali tidak menunjukkan bukti yang bersifat pancaindera, walaupun harus diakui bahawa terdapat hal-hal luar biasa yang yang terjadi melalui baginda. Ini bukan dalam rangka mukjizat atau pembuktian kebenaran ajaran baginda, akan tetapi sebagai anugerah Allah ﷻ, serta karamah yakni penghormatan kepada baginda dan umatnya.


 

MUKJIZAT SEBAGAI UJIAN

Isra’ Ayat 60: Ini adalah Dalil Wahyi dan kisah tentang Isra’ Mi’raj. Musyrikin Mekah mengejek Rasulullah ﷺ apabila baginda menceritakan apakah yang baginda lihat semasa Isra’ Mi’raj. Maka Allah ﷻ mengingatkan kepada Nabi Muhammad ﷺ agar tidak ragu-ragu menyampaikan risalah-Nya, dan tidak bersedih hati kerana penolakan orang-orang kafir terhadap ayat-ayat Allah ﷻ.

وَإِذ قُلنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِٱلنَّاسِ‌ۚ وَمَا جَعَلنَا ٱلرُّءيَا ٱلَّتِىٓ أَرَينَـٰكَ إِلَّا فِتنَةً لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلمَلعُونَةَ فِى ٱلقُرءَانِ‌ۚ وَنُخَوِّفُهُم فَمَا يَزِيدُهُم إِلَّا طُغيَـٰنًا كَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember, O Muhammad], when We told you, “Indeed, your Lord has encompassed the people.”¹ And We did not make the sight which We showed you¹ except as a trial for the people, as was the accursed tree [mentioned] in the Qur’an. And We threaten [i.e., warn] them, but it increases them not except in great transgression.

  • In His knowledge and power, meaning that Allah would protect him from their harm.
  • During the mi‘rāj (ascension) into the heavens.

(MELAYU)

Dan (ingatlah), ketika Kami wahyukan kepadamu: “Sesungguhnya (ilmu) Tuhanmu meliputi segala manusia”. Dan Kami tidak menjadikan penglihatan yang telah Kami tunjukkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia dan (begitu pula) pohon yang terkutuk dalam Al Qur’an. Dan Kami menakut-nakuti mereka, tetapi yang demikian itu hanyalah menambah besar kedurhakaan mereka.

 

وَإِذ قُلنا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحاطَ بِالنّاسِ

Dan (ingatlah), ketika Kami wahyukan kepadamu: “Sesungguhnya (ilmu) Tuhanmu meliputi segala manusia”.

Sebelum ini disebut manusia yang ingkar dan menolak kebenaran akan dihancurkan sebelum Kiamat. Sekarang Allah ﷻ beritahu yang kalau Allah ﷻ datangkan azab itu, tiada sesiapa yang boleh mengelaknya kerana Allah ﷻ dan kuasa-Nya meliputi semua manusia.

Setelah kejadian Isra’ Mi’raj itu dan Rasulullah ﷺ memberitahu apa yang baginda alami itu, golongan Musyrikin Mekah telah mengutuk baginda. Di sini Allah ﷻ memberitahu yang Dia memberi sokongan kepada Rasulullah ﷺ dalam melaksanakan tugas-tugas kerasulannya dan akan melindungi baginda daripada tipu daya orang-orang yang mengingkari risalahnya dengan mengingatkan Rasul ﷺ dan mewahyukan kepadanya bahawa ilmu Tuhan meliputi segala hal ehwal manusia. Maksudnya ialah Allah ﷻ Maha kuasa terhadap seluruh hamba-Nya. Mereka berada di bawah genggaman-Nya sehingga tidak dapat bergerak kecuali menurut ketentuan-Nya. Allah ﷻ berkuasa melindungi Rasul-Nya daripada orang-orang yang memusuhinya, sehingga mereka tidak mungkin secara semena-mena menyakiti hatinya. Maka baginda tidak perlu takut di dalam menyampaikan ajaran tauhid kepada manusia, walaupun ada yang tidak suka. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Maidah: 67

يَـٰٓ يٰٓاَيُّهَا الرَّسولُ بَلِّغ ما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ ۖ وَإِن لَّم تَفعَل فَما بَلَّغتَ رِسالَتَهُ ۚ وَاللَّهُ يَعصِمُكَ مِنَ النّاسِ
Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan risalah-Nya. Dan Allah akan memelihara kamu dari (gangguan) manusia.

Dan kalimah yang Allah ﷻ gunakan adalah رَبَّكَ أَحاطَ بِالنّاسِ (Tuhanmu meliputi segala manusia) tetapi maksudnya ‘ilmu’ Allah ﷻ yang meliputi manusia. Maka maksud kedua, Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia mengetahui segala apa yang manusia lakukan. Tujuannya untuk menakutkan puak Quraish itu. Akan tetapi kalau cakap begini pun mereka tidak takut kerana mereka itu jenis kafir yang degil. Ada pun bagi kita, jagalah perbuatan dan percakapan kita kerana ilmu Allah ﷻ meliputi segala apa yang kita lakukan.

Kalimah أَحاطَ bermaksud meliputi dari segi kuasa dan ilmu.

Oleh kerana Surah Isra’ ini diturunkan di hujung-hujung waktu baginda di Mekah, setelah sekian lama berdakwah, pihak Musyrikin Mekah telah membuat perancangan untuk menghalau atau membunuh baginda. Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ memberi ketenangan hati kepada baginda yang Dia akan memberi perlindungan kepada baginda. Ayat lain yang mengandungi maksud ini ada di dalam Anfal: 30

وَإِذ يَمكُرُ بِكَ الَّذينَ كَفَروا لِيُثبِتوكَ أَو يَقتُلوكَ أَو يُخرِجوكَ ۚ وَيَمكُرونَ وَيَمكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ
Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.

 

وَمَا جَعَلنَا ٱلرُّءيَا ٱلَّتِىٓ أَرَينَـٰكَ إِلَّا فِتنَةً لِّلنَّاسِ

Dan Kami tidak menjadikan penglihatan yang telah Kami tunjukkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia

Sekarang Allah ﷻ kembali menyebut tentang peristiwa is’ra yang mula disebut di awal surah ini. Semasa dalam perjalanan ke Baitul Maqdis di dalam peristiwa itu, baginda telah nampak banyak perkara dalam perjalanan itu. Akan tetapi penglihatan Nabi ﷺ pada isra’ mi’raj itu menjadi ujian untuk manusia.

Ada yang menjadikan kejadian itu sebagai bukti bahawa memang Nabi Muhammad ﷺ itu orang gila. Ada yang masih lemah imannya telah keluar daripada Islam (walaupun ada pendapat yang mengatakan pendapat ini lemah). Namun ada yang semakin teguh imannya dengan kisah itu. Ini seperti Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Tersebutlah di dalam riwayat, bahawasanya pagi-pagi esoknya, setelah Nabi ﷺ kembali daripada Isra’ dan Mi’raj itu Saiyidina Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ditemui oleh seseorang dan orang itu berkata kepadanya: “Kawan kamu mengatakan bahawa dia tadi malam kembali dari Baitul Maqdis.” Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: “Kalau dia berkata begitu, benarlah katanya itu.” Orang itu bertanya: “Apakah langsung engkau benarkan padahal belum engkau dengar sendiri daripadanya?”

Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: “Di mana akalmu? Sedangkan dia mengatakan menerima wahyu dari langit lagi aku akui kebenarannya, bagaimana tidak akan aku benarkan kalau dia mengatakan dia kembali dari Baitul Maqdis malam tadi? Padahal langit lebih jauh dari Baitul Maqdis?”

Kemudian seketika didengarnya sendiri Rasulullah ﷺ menceritakan Isra’ dan Mi’raj itu kepadanya, dia berkata: “Saddaqta!” (Benar engkau!). Sejak itu Nabi ﷺ memberinya gelaran “SIDDIQ”. “Yang selalu membenarkan!” Gelaran yang mulia sekali.

Kalimah ٱلرُّءيَا memang ada diterjemahkan sebagai mimpi, tetapi di dalam konteks Isra’ Mi’raj ini, ia bukanlah mimpi tetapi penglihatan dalam sedar. Rasulullah ﷺ bukan bermimpi seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak.

Puak itu berhujah bahawa kalimah الرُّؤيَا itu bermaksud mimpi kerana mereka faham ia bermaksud mimpi sahaja. Memang ada terjemahan yang menggunakan kalimah mimpi di sini. Namun kenapa pula ia tidak boleh bermaksud penglihatan baginda semasa di langit? Kalimah الرؤيا yang utama adalah penglihatan, iaitu melihat dengan mata kasar. Kalau dalam bahasa Arab Klasik, kalimah الرؤيا ini boleh juga digunakan untuk bawa maksud lihat dengan mata atau lihat dengan hati.

Makna kedua baginda kalimah الرُّؤيَا adalah ‘pandangan’ atau ‘pendapat’. Makna Ketiga adalah ‘kefahaman’ atau ‘pengetahuan’. Maka ia tidak terus membawa maksud ‘mimpi’. Perkataan MIMPI yang merujuk kepada الرؤيا bagi orang Arab pada waktu itu adalah jarang digunakan. Mereka tidak akan fikir رءيا merujuk kepada mimpi pada asalnya. Kalau mimpi, untuk bahasa Arab yang digunakan adalah الحلم.

Iaitu ujian sama ada mereka boleh terima atau tidak, terutama kepada orang Mekah. Ini memang satu ujian kepercayaan kepada kata-kara Rasulullah ﷺ kerana apabila Nabi ﷺ cakap apa yang baginda lalui itu, ada yang bertambah iman dan ada yang tidak mahu beriman langsung.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا فِي قَوْلِهِ تَعَالَى { وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِلنَّاسِ } قَالَ هِيَ رُؤْيَا عَيْنٍ أُرِيَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ قَالَ { وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ } قَالَ هِيَ شَجَرَةُ الزَّقُّومِ
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا tentang firman Allahتَعَالَى (Isra’ ayat 60): (“Dan tidaklah kami jadikan pandangan yang Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai ujian bagi manusia”). Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; “Itu adalah penglihatan mata telanjang yang diperlihatkan kepada Rasulullah ﷺ pada malam baginda diIsra’ menuju Baitul Maqdis”. Dan Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا juga berkata; bahawa lanjutan ayat yang ertinya: (“dan begitu pula pohon yang terkutuk di dalam al-Qur’an.”) maksudnya adalah pohon zaqqum (di neraka) “.
(Sahih Bukhari No. 3599)

 

وَٱلشَّجَرَةَ ٱلمَلعُونَةَ فِى ٱلقُرءَانِ‌ۚ

dan (begitu pula) pohon yang terkutuk dalam Al Qur’an.

Semasa perjalanan baginda di dalam Isra’ Mi’raj itu, baginda telah melihat ‘pokok yang dilaknat’, iaitu Pokok Zaqqum. Zaqqum ini telah disebut di dalam beberapa ayat di dalam Al-Qur’an (semuanya Surah-surah Makkiah) seperti di dalam Waqiah: 56

لَآكِلونَ مِن شَجَرٍ مِّن زَقّومٍ
Tetap akan memakan (pada hari itu) daripada sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum,
Maklumat yang lebih banyak Allah ﷻ sebut dalam Dukhan: 43-46

إِنَّ شَجَرَتَ الزَّقّومِ
(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum,

طَعامُ الأَثيمِ
(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).

كَالمُهلِ يَغلي فِي البُطونِ
(Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut,

كَغَليِ الحَميمِ
Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.

Apabila Nabi ﷺmemberitahu yang penghuni neraka akan diberi makan dengan Zaqqum, mereka mengejek pula pasal pokok itu pula. Mereka ejek, bagaimana pula ada pokok yang boleh hidup dalam api. Mereka kata Nabi Muhammad ﷺ itu berkata bohong sahaja ataupun sudah gila. Maka maklumat ini sebagai ujian juga.

Seketika ayat-ayat yang menceriterakan Zaqqum ini dibacakan oleh Nabi Muhammad ﷺ, datanglah Abu Jahal mencemuhkan. Dia berkata kepada orang yang telah beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ: “Kawan kalian itu mengatakan bahawa daripada sangat panasnya api neraka, batu yang keras pun akan dibakarnya. Kawan kalian itu mengatakan bahawa dalam neraka itu ada kayu ajaib namanya Zaqqum, pohon berduri memecah perut.” Maka dengan senyum yang penuh cemuh disuruhnya budak perempuannya mengambil sepiring berisi kurma dicampurnya dengan keju, lalu dihidangkannya kepada orang yang hadir dan katanya: “Inilah dia zaqqum, mari kita makan zaqqum ramai- ramai.”

Mereka tidak mengetahui bahawa di dunia ini juga terdapat keajaiban-keajaiban yang mencengangkan, terlebih-lebih lagi di akhirat. Misalnya di dunia ada semacam serat yang tidak terbakar oleh api (asbestos). Bahan ini sering dipergunakan untuk bahan baju yang tahan api. Bumi ini mengandung api (iaitu magma) di dalam perut bumi yang akan terlihat pada saat gunung api meletus, tetapi di atasnya tumbuh pohon-pohon yang menghijau. Kayu atau batu pun dapat mengeluarkan api apabila digosok-gosokkan. Di dalam air pun terdapat unsur oksigen yang menyebabkan api menyala.

Atau, yang dimaksudkan adalah tentang Nabi Muhammad ﷺ melihat Pokok Zaqqum itu sendiri ketika di dalam perjalanan Mi’raj.

Sekali lagi kalimah ٱلقُرءَانِ disebut. Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut.

1. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus.

2. Kemudian Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ di dalam ayat 41 dengan menyebut ia menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami ajaran yang disampaikan.

3. Di dalam ayat 45 kita diberitahu lagi satu maklumat tentang ٱلقُرءَانِ. Ia menjadi pembimbing kepada orang yang percaya adanya akhirat, akan tetapi kepada orang yang tidak percaya akhirat, ia akan menjadi dinding yang menghalang.

4. Di dalam ayat 46 kita diberitahu yang orang musyrik melarikan diri apabila Al-Qur’an hanya menyebut Allah ﷻ sahaja Tuhan yang Esa.

5. Sekarang disebut satu ancaman di dalam neraka iaitu Zaqqum tetapi Musyrikin Mekah memperolok-olokkannya. Maknanya mereka memperolok dan mengejek Al-Qur’an.

 

وَنُخَوِّفُهُم فَمَا يَزِيدُهُم إِلَّا طُغيَـٰنًا كَبِيرًا

Dan Kami menakut-nakuti mereka, tetapi yang demikian itu hanyalah menambah besar kedurhakaan mereka.

Seperti telah dikatakan tadi, mereka tetap berdegil. Walaupun Allah ﷻ telah menakutkan mereka dengan ancaman-ancaman di akhirat seperti pohon Zaqqum, tetapi ia tidak menambah iman pada mereka bahkan ia telah menyebabkan mereka terus menjadi derhaka malah bertambah kederhakaan mereka. Begitulah Allah ﷻ menceritakan betapa degilnya mereka itu. Sedangkan peringatan dan cerita-cerita yang menakutkan itu adalah daripada rahmat Allah ﷻ – Allah ﷻ beritahu awal-awal supaya mereka beringat. Namun mereka langsung tidak ambil peduli.

Sekian Ruku’ 6 daripada 12 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 57 – 58 (Maksud mencari Wasilah)

Isra’ Ayat 57: Mereka menyeru untuk meminta tolong kepada para Nabi itu tetapi para Nabi itu sendiri bagaimana? Mari kita belajar tentang mereka. Kerana salah faham tentang merekalah yang menyebabkan ramai manusia sesat.

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ يَبتَغُونَ إِلَىٰ رَبِّهِمُ ٱلوَسِيلَةَ أَيُّہُم أَقرَبُ وَيَرجُونَ رَحمَتَهُ ۥ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحذُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those whom they invoke¹ seek means of access to their Lord, [striving as to] which of them would be nearest, and they hope for His mercy and fear His punishment. Indeed, the punishment of your Lord is ever feared.

  • Among the righteous of Allāh’s creation, such as angels, prophets, deceased scholars, etc.

(MELAYU)

Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka siapa di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah) dan mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya; sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ يَدعونَ

Orang-orang yang mereka seru itu,

Iaitu seruan dalam sembahan, seruan dalam tawasul. Iaitu minta tolong kepada para Nabi, wali dan malaikat. Nabi, wali dan malaikat itu diseru untuk sampaikan doa manusia kepada Allah ﷻ. Malah ada yang lagi sesat, terus minta kepada Nabi, wali, malaikat dan jin itu.

Kerana itu ada yang beri alasan, mereka bukan minta tolong kepada Nabi, wali dan malaikat itu, tetapi mereka minta tolong Nabi, wali dan malaikat itu sampaikan sahaja doa mereka kepada Allah ﷻ. Iaitu mereka hanya jadikan para Nabi, wali dan malaikat itu sebagai wasilah untuk sampaikan doa.

Ini dinamakan tawasul. Ketahuilah yang ini pun sudah salah. Bukanlah semua tawasul itu salah tetapi kalau menjadikan Nabi, wali, malaikat dan jin sebagai perantara, ia adalah syirik. Kerana Nabi, wali dan malaikat itu tidak ada kuasa untuk sampaikan doa kepada Allah ﷻ. Mereka yang diseru itu pun tidak dengar seruan kita, maka kenapa lah kita hendak membuang masa?

Masalahnya, apabila manusia seru Nabi, wali dan malaikat untuk sampaikan doa, maka manusia akan akhirnya sembah Nabi, wali dan malaikat itu. Kerana mereka hendak beri ‘upah’ kepada Nabi, wali dan malaikat itu. Maka mereka puja, kirim salam, sedekah pahala, sembelih binatang di kubur dan macam-macam lagi amalan syirik yang dilakukan oleh manusia yang jahil (termasuk umat Islam sendiri – iaitu yang mereka jahil ilmu wahyu). Mula-mula mereka itu dijadikan sebagai perantara sahaja, namun lama kelamaan terus disembah sebagai tuhan, contohnya kita boleh lihat dengan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Jesus) yang sekarang disembah oleh penganut Kristian.

 

يَبتَغونَ إِلىٰ رَبِّهِمُ الوَسيلَةَ

mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka

Allah ﷻ beritahu yang para Nabi, wali dan malaikat yang mereka seru itu sendiri sentiasa mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Itulah yang mereka lakukan semasa mereka hidup. Inilah wasilah yang kita boleh ertikan sebagai pertalian persambungan dengan Tuhan.

Mereka berterusan melakukan amalan-amalan soleh dan ketaatan yang boleh mendekatkan diri mereka dengan Allah ﷻ. Mereka melakukan amalan baik dan meninggalkan maksiat. Itulah dua perkara yang dapat mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Inilah yang dinamakan wasilah. Maknanya untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ adalah dengan melakukan amal kebaikan. Inilah yang sepatutnya yang dilakukan. Inilah yang diajar oleh Allah ﷻ di dalam Maidah: 35

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.

Maka carilah ‘wasilah’ untuk hampir kepada Allah ‎ ﷻ iaitu, carilah jalan yang membolehkan kita menghampiri Allah ﷻ. Ayat inilah yang menyebabkan ramai orang Islam keliru. Ketahuilah, semua kitab tafsir muktabar berkata maksud ayat ini: meninggalkan yang haram dan membuat yang makruf, iaitu jalan yang Allah ‎ ﷻtelah tetapkan.

Janganlah ditafsir mengikut fahaman yang karut. Malangnya, ramai yang tafsir dengan cara karut kerana mereka tidak belajar tafsir. Mereka kata yang dimaksudkan dengan wasilah itu adalah ‘perantara’ seperti tok wali lah, Nabi lah dan sebagainya. Oleh kerana itu mereka mengatakan yang ini adalah dalil yang Allah ‎ ﷻmenyuruh kita mengamalkan tawasul dalam ibadah dan doa.

Ini adalah tafsiran orang yang jahil tentang Al-Qur’an dan kita jangan mengikut orang jahil. Memang kalau kita baca sendiri ayat ini dan cuba faham sendiri tanpa belajar tafsir, nampak memang seperti ada suruhan supaya menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah kita dalam ibadat dan doa dan memang ramai yang menggunakan ayat ini sebagai dalil mereka bagi mengamalkan tawasul. Namun itu hanyalah kepada mereka yang jahil sahaja.

Apakah maksud ‘wasilah’? Ia adalah cara untuk mendapatkan sesuatu iaitu membuat sesuatu untuk mendekatkan diri dengan seseorang. Dalam ayat ini, ia tentang mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Namun kerana salah faham, ramai yang menggunakan orang alim sebagai wasilah mereka sampai ada yang menggunakan ‘berkat’ ahli kubur dan sebagainya.

Ini sedang banyak diperkenalkan oleh golongan yang menggelarkan diri mereka ‘Habib’ di Malaysia. Mereka memang mengamalkan melawat kubur di tempat asal mereka dan meminta tolong kepada orang dalam kubur (yang mereka dakwa sebagai ‘wali’) dan kerana orang kita ‘import’ mereka datang ke sini, sedikit demi sedikit mereka telah memperkenalkan amalan syirik itu. Ramai yang tertipu dengan perawakan golongan Habib ini.

Maka di sini Allah ﷻ memberitahu perbuatan syirik yang dilakukan oleh golongan musyrikin dulu. Mereka mengambil wasilah (broker) untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Selain daripada Nabi, wali dan malaikat, mereka juga gunakan perantaraan jin.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ { إِلَى رَبِّهِمْ الْوَسِيلَةَ } قَالَ كَانَ نَاسٌ مِنْ الْإِنْسِ يَعْبُدُونَ نَاسًا مِنْ الْجِنِّ فَأَسْلَمَ الْجِنُّ وَتَمَسَّكَ هَؤُلَاءِ بِدِينِهِمْ
Daripada [‘Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] mengenai firman Allah: Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka.., (Al Isra: 57). Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Sebahagian orang menyembah bangsa jin. Lalu bangsa jin tersebut masuk Islam, sedangkan orang yang menyembahnya tetap pada keyakinan mereka.
(Sahih Bukhari (4345))

 

أَيُّهُم أَقرَبُ

siapa di antara mereka yang lebih dekat 

Para Nabi, wali dan malaikat itu berlumba-lumba antara mereka, siapakah yang lebih dekat dengan Allah ﷻ. Mereka bukannya hendak setakat lulus peperiksaan, tetapi mereka hendak dapat nombor 1. Ini adalah pertandingan yang bagus, kerana masing-masing berlumba-lumba meningkatkan amal melebihi orang lain. Tidak ada yang kalah dalam hal ini.

Ya memang para Nabi, wali dan malaikat itu dekat dengan Allah ﷻ kerana kesolehan dan ketaatan mereka. Akan tetapi manusia yang jahil salah anggap kedudukan ini. Mereka anggap, kalau Nabi, wali dan malaikat itu sudah dekat dengan Allah ﷻ, maka gunalah kedudukan dekat mereka itu. Hendak menumpang pula kedekatan para Nabi, wali dan malaikat itu. Sedangkan sepatutnya kita kalau hendak doa makbul, disayangi oleh Allah ﷻ, diberi rahmat oleh Allah ﷻ, sepatutnya kitalah yang kena beramal supaya dapat dekat dengan Allah ﷻ. Bukannya menumpang kedudukan orang lain.

Malangnya ramai yang salah konsep, asyik hendak menumpang kedudukan orang lain sahaja. Antaranya mereka hendak menumpang kedudukan para wali Allah ﷻ. Menempeklah golongan bodoh dan sesat ini di kuburan yang mereka anggap sebagai wali itu. Siapa lantik wali itu pun kita tidak tahu. Mereka sendiri lantik dan kemudian mereka sendiri sembah. Sedangkan di dalam Yunus: 62-64, Allah ﷻ suruh kita sendiri yang berusaha menjadi wali.

أَلا إِنَّ أَولِياءَ اللَّهِ لا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

الَّذينَ ءآمَنوا وَكانوا يَتَّقونَ
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

لَهُمُ البُشرىٰ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat;

 

وَيَرجونَ رَحمَتَهُ

dan mengharapkan rahmat-Nya

Mereka sentiasa melakukan amalan baik dan sentiasa berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Maka mereka bukan sahaja berharap kosong, tetapi mereka berusaha dengan beramal.

 

وَيَخافونَ عَذابَهُ

dan takut akan azab-Nya;

Mereka sentiasa takut kepada azab Allah ﷻ kerana itu mereka tidak berani melakukan kesalahan dan maksiat. Mereka akan mengelakkan diri daripada melakukan dosa. Mereka memperbanyakkan amal mereka dan taat dengan sempurna kepada arahan Allah ﷻ. Ini seperti disebut di dalam Nahl: 50

يَخافونَ رَبَّهُم مِّن فَوقِهِم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ ۩
Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka).

Inilah dua konsep yang penting ada pada manusia yang beriman iaitu خوف (khauf) dan رجع (raja’) – takut dan harap. Sebagai seorang Muslim mesti mempunyai dua perasaan ini dan ia kenalah seimbang. Kalau takut yang terlebih, maka kita akan susah hidup di dunia ini kerana asyik takut sahaja, hendak makan pun tidak lalu nanti; kalau berlebihan dalam berharap pun bahaya juga, kerana akan senang dan selesa sahaja membuat dosa kerana berharap dengan rahmat Allah ﷻ untuk mengampunkan. Maka kena ada keseimbangan. Sebab itu selalu disebut sifat ini bersama-sama seperti Allah ﷻ berfirman di dalam Anbiya’: 90,

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ
“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.”

Apabila terlalu besar dan mendominasi rasa takut (khauf), maka akan terjerumus dalam akidah khawarij yang putus asa daripada rahmat Allah ﷻ padahal Allah ﷻ Maha Pengasih.

Apabila terlalu besar dan mendominasi rasa raja’ (berharap), maka akan terjerumus dalam akidah murji’ah yang menghilangkan rasa takut kepada Allah ﷻ, hanya menonjolkan ampunan dan rasa harap padahal Allah ﷻ juga “syadidul iqab” iaitu keras azabnya.

Kerana itulah dua hal ini dimisalkan seperti sayap burung, tidak boleh ada yang lebih berat atau rosak sebelah. Syeikh Abdul Aziz bin Baz رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

والعبد يسير إلى الله بين الرجاء والخوف كالجناحين للطائر، يخاف الله ويرجوه
“Seorang hamba harus beribadah kepada Allah di antara raja’ dan khauf sebagaimana dua sayap burung.”

Satu lagi ayat yang menyentuh perkara ini adalah Sajdah: 16

تَتَجافىٰ جُنوبُهُم عَنِ المَضاجِعِ يَدعونَ رَبَّهُم خَوفًا وَطَمَعًا وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.

Mereka ini melakukan solat malam, tetapi apa yang mereka takutkan? Takut Allah ﷻ tidak terima doa mereka. Takut Allah ﷻ tidak terima ibadat mereka. Takut atas segala dosa yang telah dilakukan. Takut kepada hukuman Allah ﷻ. Takut kepada kemarahan Allah ﷻ. Macam-macam takut yang ada dalam diri manusia. Takut yang sebeginilah yang perlu ada dalam diri manusia.

Namun dalam masa yang sama, mereka amat berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Akan tetapi harapan mereka itu bukanlah kosong sahaja, sebaliknya mereka ikut pengharapan mereka itu dengan melakukan ibadat yang banyak kepada Allah ﷻ. Barulah patut untuk berharap kalau sudah berusaha, bukannya sekadar goyang kaki sahaja!

 

إِنَّ عَذابَ رَبِّكَ كانَ مَحذورًا

sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.

Allah ﷻ sentiasa mengingatkan manusia tentang azab. Inilah yang terdapat dalam semua wahyu dari dulu hingga kepada Al-Qur’an – mengingatkan tentang azab. Kerana azab itu memang patut untuk ditakuti kerana ianya amat menyakitkan.

Tidak akan ada makhluk yang sanggup untuk menghadapinya. Dengan mengingat azab yang Allah ﷻ telah diancamkan, akan menyebabkan kita takut untuk melakukan maksiat dan takut untuk meninggalkan ketaatan kepada Allah ﷻ. Para malaikat dan para Nabi juga takut kerana mereka kenal keagungan Tuhan. Mereka juga risau kedudukan mereka di sisi Allah ﷻ, bukanlah mereka perasan mereka terus selamat. Mereka juga akan diadili nanti di hadapan Allah ﷻ. Allah ﷻ telah berfirman mengancam mereka di dalam Zumar: 65

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

Malah para malaikat juga akan dipersoalkan nanti seperti disebut di dalam Saba’: 40-41

وَيَومَ يَحشُرُهُم جَميعًا ثُمَّ يَقولُ لِلمَلىٰئِكَةِ أَهٰؤُلاءِ إِيّاكُم كانوا يَعبُدونَ
Dan (ingatlah) hari (yang di waktu itu) Allah mengumpulkan mereka semuanya kemudian Allah berfirman kepada malaikat: “Apakah mereka ini dahulu menyembah kamu?”.

قالوا سُبحٰنَكَ أَنتَ وَلِيُّنا مِن دونِهِم ۖ بَل كانوا يَعبُدونَ الجِنَّ ۖ أَكثَرُهُم بِهِم مُّؤمِنونَ
Malaikat-malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau. Engkaulah pelindung kami, bukan mereka; bahkan mereka telah menyembah jin; kebanyakan mereka beriman kepada jin itu”.


 

MUKJIZAT SELALU DITOLAK

Isra’ Ayat 58: Tapi ada makhluk yang tidak mengendahkan ancaman azab daripada Allah ﷻ, maka mereka akan dikenakan dengan azab di dunia lagi.

وَإِن مِّن قَريَةٍ إِلَّا نَحنُ مُهلِڪُوهَا قَبلَ يَومِ ٱلقِيَـٰمَةِ أَو مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا‌ۚ كَانَ ذٰلِكَ فِى ٱلكِتَـٰبِ مَسطُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there is no city but that We will destroy it¹ before the Day of Resurrection or punish it with a severe punishment. That has ever been in the Register¹ inscribed.

  • Because of the sins of its inhabitants.
  • The Preserved Slate (al-Lawḥ al-Maḥfūth), which is with Allāh.

(MELAYU)

Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuzh).

 

وَإِن مِّن قَريَةٍ إِلَّا نَحنُ مُهلِڪُوهَا قَبلَ يَومِ ٱلقِيَـٰمَةِ

Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat

Allah ﷻ beri ancaman dalam ayat ini. Semua negeri yang penduduknya melakukan kezaliman, akan dimusnahkan. Bila Allah ﷻ sebut sebelum Kiamat, maksudnya semasa di dunia, kerana semasa Kiamat, memang satu dunia akan hancur. Walaupun dalam lafaz tidak disebut tentang penduduk negeri derhaka, akan tetapi kita faham yang ia merujuk kepada negeri yang penduduknya menentang Tauhid dan menentang kebenaran. Di awal surah ini juga kita telah melihat contoh Bani Israil yang telah dimusnahkan kerana kezaliman mereka. Azab yang dikenakan semasa di dunia tidaklah total seperti kehancuran hari Kiamat nanti.

Sebelum itu kita kena faham, walaupun dalam ayat ini Allah ﷻ sebut قَريَةٍ (negeri, tempat), tetapi yang dimaksudkan di sini adalah penduduk di dalamnya. Kerana penduduk di dalamnya lah yang melakukan kezaliman dan kesyirikan, bukan tempat itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak mengenakan azab melainkan kerana kesalahan manusia itu sendiri, bukan kerana tempat tinggal dia. Di dalam ayat yang lain Allah ﷻ menyebutkan kisah tentang umat-umat terdahulu:

وَمَا ظَلَمْنَاهُمْ وَلَكِنْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ
Dan Kami tidaklah menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
(Hud: 101)

Maka ini ada sunnatullah, iaitu para penentang Tauhid dan melakukan kerosakan akan dihapuskan seperti yang telah berlaku zaman berzaman. Kalau masih ada yang selamat lagi, itu adalah kerana Allah ﷻ beri tangguh sahaja.

 

أَو مُعَذِّبوها عَذابًا شَديدًا

atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. 

Ini pula tentang azab di akhirat. Maknanya Allah ﷻ boleh beri azab itu di dunia terus, atau Allah ﷻ boleh kenakan azab itu di akhirat sahaja. Yang pasti, mereka tetap dikenakan azab. Maka kalau negeri mereka tidak dihancurkan di dunia, jangan rasa selamat sangat, kerana mereka mesti akan kena juga di akhirat kelak.

Ada yang membezakan kalimah هلك dengan kemusnahan kepada negeri dan penduduknya. Ini seperti yang terjadi kepada kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan عذب hanya dikenakan kepada penduduknya sahaja, negeri dibiarkan. Ini seperti Firaun dan pengikutnya yang dikeluarkan dan mereka dimatikan di laut. Begitu juga dengan azab yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah. Para pemimpin mereka kebanyakannya dibunuh di medan Badr.

 

كَانَ ذٰلِكَ فِى ٱلكِتَـٰبِ مَسطُورًا

Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuzh).

Azab yang akan dikenakan kepada mereka itu telah pun tertulis dalam kitab. Yang dimaksudkan adalah Kitab Lauh Mahfuz. Maksud ‘mahfuz’ itu adalah ia terpelihara. Oleh kerana itu tidak ada sesiapa yang tahu apakah kandungannya melainkan Allah ﷻ sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 54 – 56 (Mencari wasilah)

JEMPUTAN KEPADA ORANG KAFIR

Isra’ Ayat 54: Ayat ini menjelaskan kenapa kaum Muslimin diperintahkan untuk berucap baik terhadap golongan penentang dan musyrik itu.

رَّبُّكُم أَعلَمُ بِكُم إِن يَشَأ يَرحَمكُم أَو إِن يَشَأ يُعَذِّبكُم وَمَآ أَرسَلنَـٰكَ عَلَيہِم وَڪِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your Lord is most knowing of you. If He wills, He will have mercy upon you; or if He wills, He will punish you. And We have not sent you, [O Muḥammad], over them as a manager.

(MELAYU)

Tuhanmu lebih mengetahui tentang kamu. Dia akan memberi rahmat kepadamu jika Dia menghendaki dan Dia akan mengazabmu, jika Dia menghendaki. Dan, Kami tidaklah mengutusmu untuk menjadi penjaga bagi mereka.

 

رَّبُّكُم أَعلَمُ بِكُم

Tuhanmu lebih mengetahui tentang kamu.

Allah ﷻ kenal kita lebih daripada kita kenal diri kita sendiri. Tidak ada perkara yang kita boleh tipu Allah ﷻ. Oleh kerana Allah ﷻ kenal kita, maka Allah ﷻ layak untuk menentukan siapakah yang layak dapat hidayah dan siapakah yang tidak. Ada orang yang telah ditakdirkan mendapat hidayah dan ada yang ditakdirkan kekal sebagai kafir. Kita tidak boleh mengubah mereka walaupun kita berkasar terhadap mereka.

Kita juga tidak boleh kata orang itu dan orang ini sebagai ahli neraka, kerana kita tidak tahu nasib mereka. Allah ﷻ lebih tahu iman mereka. Allah ﷻ lebih tahu keupayaan mereka. Entah mereka itu nanti jadi beriman lebih lagi daripada kita.

Kenapa disebut dhomir كم di dalam ayat ini sedangkan ayat sebelumnya tentang dakwah kepada orang kafir? Ini kerana dalam kita dakwah kepada orang lain, kita sebenarnya dakwah kepada diri kita sendiri sebenarnya. Dalam kita menghalang orang lain daripada kemungkaran, kita sebenarnya menasihati diri kita supaya tidak melakukan kemungkaran juga.

Maka ini mengajar kita supaya dalam kita berdakwah kepada orang lain, jangan rasa diri itu suci. Jangan rasa kita lebih baik, lebih banyak pahala daripada orang lain. Jangan membiasakan diri suka menerakakan orang lain tetapi mensyurgakan diri sendiri pula.

 

إِن يَشَأ يَرحَمكُم

Dia akan memberi rahmat kepadamu jika Dia menghendaki 

Maka terpulang kepada Allah ﷻ untuk beri apa yang ingin diberikan-Nya kepada kita. Mungkin Dia pilih untuk beri taufik kepada kita dan orang yang kita dakwahkan itu. Sesungguhnya inilah yang kita harapkan.

 

أَو إِن يَشَأ يُعَذِّبكُم

dan Dia akan mengazabmu, jika Dia menghendaki.

Atau Allah ﷻ boleh buat keputusan untuk menarik taufik daripada kita atau tidak beri kepada orang yang kita dakwahkan itu. Kita berkasar bagaimana sekalipun, mereka tetap begitu. Apabila tiada taufik, maka balasannya adalah neraka! Ini adalah hak Allah ﷻ dan kita tidak boleh persoalkan.

Pengulangan kata إِن يَشَأ di sini (kalau tidak letak pun ayatnya masih memberi maksud yang sama) mengisyaratkan bahawa kehendak yang berbeza itu – merahmati dan menyeksa – bukannya bersumber daripada kehendak Allah ﷻ semata, tanpa memperhatikan dan berkaitan keadaan manusia. Kehendak merahmati berkaitan dengan sikap dan perbuatan yang taat, dan seksa-Nya pun berkaitan dengan sikap kederhakaan. Maknanya bukanlah Allah ﷻ yang tetapkan mereka itu pasti beriman atau pasti kufur, akan tetapi ia bergantung kepada orang itu sendiri.

 

وَمَآ أَرسَلنَـٰكَ عَلَيہِم وَڪِيلاً

Dan, Kami tidaklah mengutusmu untuk menjadi penjaga bagi mereka.

Bukan tugas Nabi untuk menjaga amalan umat baginda. Nabi juga tidak boleh memaksa sesiapa beriman. Baginda hanya boleh sampaikan sahaja. Begitu jugalah dengan kita. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk ikut apa yang kita hendak. Kita tidak boleh paksa orang untuk amalkan sunnah. Kita hanya boleh ajak mereka sahaja dan sampaikan ilmu kepada mereka. Sama ada mereka mahu terima atau tidak, itu adalah keputusan yang mereka kena buat sendiri.

Sesiapa yang ikut kepada dakwah Rasulullah ﷺ, maka mereka akan masuk ke dalam syurga dan sesiapa yang tidak taat, maka mereka akan masuk ke dalam neraka. Itulah sahaja formulanya.

Maka bukanlah salah kita apabila ada orang yang menolak dakwah kita. Kita telah lakukan sebaik mungkin, maka kita telah terlepas daripada tanggungjawab kita untuk menyampaikan kepada mereka. Kalau kita sudah lakukan perkara itu, maka kita tidak dipersalahkan lagi.


 

Isra’ Ayat 55: Bukan hanya keadaan manusia yang diliputi oleh ilmu Allah ﷻ tetapi seluruh jagat raya.

وَرَبُّكَ أَعلَمُ بِمَن فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ‌ۗ وَلَقَد فَضَّلنَا بَعضَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ عَلَىٰ بَعض وَءَاتَينَا دَاوُ ۥدَ زَبُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord is most knowing of whoever is in the heavens and the earth. And We have made some of the prophets exceed others [in various ways], and to David We gave the book [of Psalms].

(MELAYU)

Dan Tuhan-mu lebih mengetahui siapa yang di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebahagian nabi-nabi itu atas sebahagian (yang lain), dan Kami berikan Zabur kepada Daud.

 

وَرَبُّكَ أَعلَمُ بِمَن فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ‌ۗ

Dan Tuhan-mu lebih mengetahui siapa yang di langit dan di bumi.

Dalam ayat 54 Tuhan telah menyatakan bahawa Dia mengetahui apa saja yang ada pada manusia sebagai hamba-Nya, maka Dia pun mengetahui pula segala apa yang terkandung di semua langit, iaitu langit yang tujuh tingkat itu, kerana Dia yang menjadikan. Oleh kerana yang demikian itu selalu Tuhan menganjurkan manusia menuntut ilmu, dengan segala macam cabang dan ranting ilmu itu, supaya dia mengetahui bagaimana ilmu Allah ﷻ itu meliputi segala yang ada di permukaan bumi besar dan kecil, dan yang ada di lingkungan cakrawala langit.

Maka berusahalah manusia zaman sekarang mempelajari ruang angkasa dan banyaklah keajaiban ilmu itu diperoleh, sehingga sudah sampai manusia ke bulan (sejak bulan Julai 1960) dan bermulalah penyelidikan pula keadaan bulan itu, sampai dibawa pasir di bulan kembali ke bumi untuk diselidiki persamaan dan perbezaannya dengan keadaan di bumi, sampai kepada telah berapa juta tahunkah usia bulan itu.

Selain daripada itu, yang ada di bumi adalah manusia dan para Nabi mereka. Seperti yang kita tahu, Surah al-Isra’ ini berkenaan Bani Israil atau golongan Yahudi. Golongan Yahudi itu sudah ada kitab dan mereka sudah semestinya telah dengar kisah tentang para Nabi dalam Al-Qur’an. Siapakah yang paling kenal dengan para Rasul itu? Tentulah Allah ﷻ!

Akan tetapi lain dengan bangsa Yahudi itu. Apabila mereka dengar tentang para Nabi mereka disebut dalam Al-Qur’an, maka mereka mahu membandingkan antara Nabi-nabi itu. Itulah perangai mereka dan ini tidak baik. Kerana Nabi ﷺ sendiri pernah melarang baginda dibandingkan dengan Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kerana ada sahabat yang hendak mengatakan Nabi Muhammad ﷺ lebih mulia daripada Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini dilarang kerana ini tidak baik. Kerana kalau dibanding-bandingkan, nanti akan jadi pertandingan dan perbalahan pula (Nabi aku lebih hebat daripada Nabi kamu dan macam-macam lagi).

Kita jangan buat begitu kerana kita tidak kenal kedudukan para Nabi itu. Kerana itulah Allah ﷻ berfirman dalam ayat ini yang Dia lebih kenal tentang makhluk-Nya. Termasuk dalam kalangan makhluk itu adalah para Nabi. Siapa kita hendak bandingkan para Nabi itu?

 

وَلَقَد فَضَّلنا بَعضَ النَّبِيّينَ عَلىٰ بَعضٍ

Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebahagian nabi-nabi itu atas sebahagian (yang lain),

Allah ﷻ yang layak untuk beri kelebihan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dalam ramai-ramai manusia, ada yang Dia pilih untuk diberikan kurnia sebagai Nabi. Kemudian dalam ramai-ramai Nabi itu, ada yang mendapat kelebihan dan kedudukan yang lebih daripada Nabi yang lain. Ini seperti Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dapat berbicara terus dengan Allah ﷻ; Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula diberi gelaran Khalilullah (Kekasih Allah) dan lain-lain kelebihan lagi yang kita pun mungkin tidak tahu. Allah ﷻ beri kedudukan yang berbeza-beza itu di atas kebijaksanaan Allah ﷻ yang tiada hadnya.

Sedangkan kita tidak tahu. Maknanya Allah ﷻ sahaja yang tahu kedudukan dan keistimewaan para Nabi itu. Ini bukan kerja kita, maka pulangkan kepada Allah ﷻ. Dalam ayat yang lain disebutkan melalui firman-Nya:

تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ مِنْهُمْ مَنْ كَلَّمَ اللهُ وَرَفَعَ بَعْضَهُمْ دَرَجَاتٍ
Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengan dia) dan sebahagiannya Allah meninggikannya beberapa darjat.
(Al-Baqarah: 253)

Hal ini tidaklah bertentangan dengan apa yang disebutkan di dalam kitab Sahihain, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ بَيْنَمَا يَهُودِيٌّ يَعْرِضُ سِلْعَةً لَهُ أُعْطِيَ بِهَا شَيْئًا كَرِهَهُ أَوْ لَمْ يَرْضَهُ شَكَّ عَبْدُ الْعَزِيزِ قَالَ لَا وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى الْبَشَرِ قَالَ فَسَمِعَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَلَطَمَ وَجْهَهُ قَالَ تَقُولُ وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى الْبَشَرِ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَظْهُرِنَا قَالَ فَذَهَبَ الْيَهُودِيُّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا أَبَا الْقَاسِمِ إِنَّ لِي ذِمَّةً وَعَهْدًا وَقَالَ فُلَانٌ لَطَمَ وَجْهِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَ لَطَمْتَ وَجْهَهُ قَالَ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى الْبَشَرِ وَأَنْتَ بَيْنَ أَظْهُرِنَا قَالَ فَغَضِبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى عُرِفَ الْغَضَبُ فِي وَجْهِهِ ثُمَّ قَالَ لَا تُفَضِّلُوا بَيْنَ أَنْبِيَاءِ اللَّهِ فَإِنَّهُ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ فَيَصْعَقُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ قَالَ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ أُخْرَى فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ بُعِثَ أَوْ فِي أَوَّلِ مَنْ بُعِثَ فَإِذَا مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام آخِذٌ بِالْعَرْشِ فَلَا أَدْرِي أَحُوسِبَ بِصَعْقَتِهِ يَوْمَ الطُّورِ أَوْ بُعِثَ قَبْلِي وَلَا أَقُولُ إِنَّ أَحَدًا أَفْضَلُ مِنْ يُونُسَ بْنِ مَتَّى عَلَيْهِ السَّلَام
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; “Pada suatu ketika ada seorang Yahudi yang menawarkan barang dagangannya, tetapi dia mendapat penawaran yang tidak disepakatinya (‘Abdul ‘Aziz merasa ragu; atau ada yang tidak disukainya), hingga dia berkata; ‘Demi Dzat yang telah mengutamakan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada semua manusia, tidak boleh kalau penawarannya seperti itu.’ Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Ternyata ucapan orang Yahudi itu didengar oleh seorang sahabat Ansar. Maka tanpa banyak komentar, ditamparnya muka orang Yahudi tersebut.’ ‘Mengapa kamu berani berkata, ‘Hujah sahabat Ansar itu. ‘Demi Dzat yang telah mengutamakan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada semua manusia, sementara Rasulullah ﷺ masih berada di antara kami? ‘Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Akhirnya orang Yahudi itu datang menemui Rasulullah ﷺ dan berkata; ‘Wahai Abu Qasim, saya ini adalah orang kafir dzimmi yang dilindungi dan mempunyai hak, sebagaimana kaum muslimin lainnya. Ketahuilah bahawasanya si fulan telah menampar muka saya.’ Lalu Rasulullah ﷺ memanggil sahabat Ansar itu dan bertanya; ‘Hai sahabat Ansar, mengapa kamu tampar muka orang Yahudi ini? ‘ Sahabat Ansar pun menjawab; ‘Ya, Rasulullah, saya menampar muka orang Yahudi ini lantaran dia berkata; ‘Demi Dzat yang telah mengutamakan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada semua manusia.’ Mendengar penjelasan sahabat Ansar itu, maka marahlah Rasulullah ﷺ dan kemarahannya itu tampak raut muka hingga baginda bersabda: ‘Janganlah kamu mengutamakan seorang Nabi daripada Nabi yang lain. Sesungguhnya, ketika sangkakala mulai ditiup, maka pada saat itu pula semua makhluk yang ada di langit dan di muka bumi akan mati, terlebih dahulu. Setelah itu, sangkakala pun ditiup kembali. Maka aku adalah orang yang pertama kali dibangkitkan atau: aku termasuk salah seorang makhluk Allah yang pertama kali dibangkitkan dan ternyata Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah tiba di ‘Arasy. Sebenarnya aku juga tidak tahu apakah pengsannya Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada peristiwa Thur itu sudah dianggap sebagai kematiannya ataukah (Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا tidak pasti) dibangkitkan lebih daripadaku. Aku sendiri tidak berani mengatakan bahawa ada seorang manusia yang lebih utama dan mulia daripada Yunus bin Matta عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
(Sahih Muslim No. 4376)

Ini kerana Allah ﷻ sahaja yang layak untuk membandingkan para Nabi itu, dan kita sendiri tidak layak. Tidak ada perselisihan dalam kalangan ulama bahawa para rasul itu lebih utama daripada para nabi, dan bahawa ulul ‘azmi dalam kalangan para rasul adalah yang paling utama di antara mereka. Mereka yang termasuk ke dalam golongan ulul ‘azmi ada lima orang, sebagaimana yang disebutkan dalam dua ayat Al-Qur’an; iaitu yang pertama terdapat dalam surat Al-Ahzab melalui firman-Nya:

وَإِذْ أَخَذْنَا مِنَ النَّبِيِّينَ مِيثَاقَهُمْ وَمِنْكَ وَمِنْ نُوحٍ وَإِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ
Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian ‘daripada nabi-nabi dan daripada kamu (sendiri), daripada Nuh, Ibrahim, Musa, dan Isa putera Maryam.
(Ahzab: 7)

Tidak ada yang memperselisihkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah yang paling utama di antara mereka, sesudah itu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, lalu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, selanjutnya Nabi Isa putra Maryam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, menurut pendapat yang terkenal. Penetapan ini terdapat dalam dalil-dalil yang sahih. Kita menerimanya kerana ia ditentukan sendiri oleh Allah ﷻ dan diberitahu kepada kita melalui Rasul-Nya Muhammad ﷺ.

 

وَءَاتَينَا دَاوُ ۥدَ زَبُورًا

dan Kami berikan Zabur kepada Daud.

Apabila Allah ﷻ lantik Nabi Muhammad ﷺ melebihi para Rasul yang lain, bukanlah Allah ﷻ hendak rendahkan para Nabi dalam kalangan Bani Israil. Sebagai contoh, sekarang Allah ﷻ sebut tentang Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ iaitu Nabi Bani Israil, yang telah diberikan dengan kelebihan mendapat Kitab Zabur. Disebut di dalam hadith bagaimana sukanya Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membaca Zabur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خُفِّفَ عَلَى دَاوُدَ الْقِرَاءَةُ فَكَانَ يَأْمُرُ بِدَابَّتِهِ لِتُسْرَجَ فَكَانَ يَقْرَأُ قَبْلَ أَنْ يَفْرُغَ يَعْنِي الْقُرْآنَ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ bersabda: “Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimudahkan untuk membaca, dia pernah menyuruh orang untuk memasangkan pelana pada tunggangannya, dan dia membaca Al Qur`an (Zabur) terlebih dahulu sebelum pelananya selesai dipasangkan pada tunggangannya.”
(Sahih Bukhari No. 4344)

Maka kita jangan susun kedudukan sesiapa pun dalam kalangan Nabi itu kerana tidak perlu dan tidak mampu kita lakukan. Kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu kedudukan mereka itu.

Ayat ini secara khusus menyebut Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mungkin juga disebabkan kerana orang-orang Yahudi mengira bahawa tidak ada lagi Nabi sesudah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Penyebutan Kitab Zabur juga memberi isyarat tentang kedudukan Nabi Muhammad ﷺ sebagai Pemerintah selain daripada Nabi dan Rasul. Ini kerana telah disebut di dalam ayat yang lain iaitu di dalam Anbiya’: 105. Bukan semua para Rasul menjadi pemerintah, melainkan beberapa orang sahaja, maka ini adalah kelebihan tambahan.

وَلَقَد كَتَبنا فِي الزَّبورِ مِن بَعدِ الذِّكرِ أَنَّ الأَرضَ يَرِثُها عِبادِيَ الصّٰلِحونَ
Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) al-Kitab, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh.

Dari segi bahasa Zabur ertinya sama dengan kitab. Kata banyaknya (jamaknya) ialah Zubur. Dalam hal syariat, Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah penerus dan penegak daripada syariat yang diturunkan Allah ﷻ kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang diturunkan kepadanya Kitab Taurat. Lantaran itu maka Zabur ini tidaklah mengandungi perintah syariat. Isinya yang terutama ialah doa dan pujian kepada Allah ﷻ, nyanyian dan munajat dan penuh berisi kata-kata hikmat yang mendalam. Tidak kurang daripada 150 puji-pujian kepada Ilahi, yang turun kepada diri baginda sebagai wahyu yang lalu baginda nyanyikan di dalam memuja Tuhan.

Tercatatlah di dalam sejarah hidup Nabi yang seorang ini, bahawa selain menjadi Nabi dan Rasul, baginda juga adalah Raja daripada Bani Israil. Al-Qur’an mengatakan bahawa kelebihan Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu ialah kerana kepandaiannya membuat baju besi untuk berperang, pandai pula membuat senjata yang lain-lain. Di waktu senggang baginda petiklah kecapinya yang merdu suaranya itu dan baginda bernyanyi memuja Allah ﷻ. Apabila suara yang merdu itu telah mendengung dibawa angin di udara, sehingga burung-burung yang sedang terbang pun dengan sendirinya berkumpul hinggap kepada ranting-ranting dan dahan-dahan kayu yang ada di keliling Raja/Nabi itu bernyanyi. Cuma bukanlah baginda menyanyi seperti kita sekarang ini. Baginda membaca kitab dengan suara yang merdu seperti juga kita dianjurkan untuk mencantikkan bacaan Al-Qur’an.

Di sisi lain juga untuk mengisyaratkan bahawa keutamaan Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan kerana kedudukannya sebagai raja, tetapi kerana anugerah kenabian dan kitab suci. Dengan demikian, Nabi Muhammad ﷺ dan para pengikut baginda boleh memperoleh keutamaan yang lebih besar dengan turunnya Al-Qur’an, walau Nabi Muhammad ﷺ bukan raja (ketika itu Rasulullah ﷺ di Mekah dan tidak ada kedudukan langsung di mata masyarakat).

Ada juga yang berpendapat bahawa penyebutan Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Zabur di sini berkaitan dengan perintah mengucapkan perkataan yang terbaik (di dalam ayat 53), kerana Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terkenal sebagai seorang yang sangat pandai dan bijaksana dalam memilih kata-kata, dan juga kerana kitab Zabur mengandungi tuntunan dan nasihat-nasihat yang sangat indah.


 

ADAKAH ILAH SELAIN ALLAH?

Isra’ Ayat 56: Selepas sebut tentang para Nabi sebelum ini, Allah ﷻ terangkan kepada kita tentang mereka. Ini kerana ada yang menjadikan para Nabi itu sebagai wasilah, atau tempat istighatsah (tempat minta doa). Maka ini adalah ayat Dalil Tauhid yang kita mesti beri perhatian.

قُلِ ٱدعُواْ ٱلَّذِينَ زَعَمتُم مِّن دُونِهِۦ فَلَا يَملِكُونَ كَشفَ ٱلضُّرِّ عَنكُم وَلَا تَحوِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Invoke those you have claimed [as gods] besides Him, for they do not possess the [ability for] removal of adversity from you or [for its] transfer [to someone else].”

(MELAYU)

Katakanlah: “Panggillah mereka yang kamu anggap (tuhan) selain Allah, maka mereka tidak akan mempunyai kekuasaan untuk menghilangkan bahaya daripadamu dan tidak pula memindahkannya”.

 

قُلِ ٱدعُواْ ٱلَّذِينَ زَعَمتُم مِّن دُونِهِۦ

Katakanlah: “Panggillah mereka yang kamu anggap (ilah) selain Allah,

Allah ﷻ bawa kembali kepada fokus utama Al-Qur’an iaitu tentang tauhid. Allah ﷻ cabar mereka untuk seru sembahan selain Allah ﷻ yang mereka anggap (زعم) sebagai ilah itu. Termasuk dalam maksud ayat ini adalah orang musyrik dan juga golongan ahli kitab, kerana mereka pun menyebut dan menyeru Rasul-rasul mereka. Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan kalimah زعم bermaksud dusta kerana ia adalah anggapan tanpa dalil, agak-agak sahaja.

Oleh itu, ilah selain Allah ﷻ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah para Nabi dan malaikat. Kerana salah satu daripada ilah yang dijadikan manusia adalah roh Nabi dan malaikat. Ini adalah kerana kefahaman syirik yang ada dalam hati manusia. Termasuk dalam kalangan orang Islam yang jahil wahyu juga. Ramai daripada mereka yang seru roh Nabi, wali dan malaikat.

 

فَلا يَملِكونَ كَشفَ الضُّرِّ عَنكُم

mereka tidak akan mempunyai kekuasaan untuk menghilangkan bahaya daripadamu

Allah ﷻ hendak memberitahu mereka yang roh-roh yang mereka seru itu, tidak memiliki kuasa untuk buang kesusahan mereka pun. Serulah banyak mana pun, para Nabi dan malaikat itu tidak ada kuasa. Ini kerana mereka itu adalah makhluk juga.

 

وَلا تَحويلًا

dan tidak pula memindahkannya”.

Iaitu para Nabi, wali dan malaikat itu tidak dapat pindahkan mudarat yang dikenakan kepada penyembah mereka kepada orang lain. Sudahlah mereka tidak dapat menghilangkan mudarat daripada penyeru mereka, roh Nabi dan malaikat itu tidak ada kuasa untuk ubah apa-apa pun keadaan kerana mereka itu adalah makhluk yang tidak berkuasa.

Kenapa Allah ﷻ sebut tentang perkara ini selepas sebut tentang kedudukan dan kelebihan para Nabi itu? Allah ﷻ hendak beritahu yang masalah mereka bukan mereka meninggikan dan merendahkan kedudukan para Nabi itu, tetapi masalah mereka yang lebih besar adalah mereka seru para Nabi itu dalam ibadah mereka. Inilah bahayanya apabila terlalu meninggikan kedudukan para Nabi hingga ke tahap tuhan. Itulah yang paling salah kerana itu adalah syirik.

Amalan menyeru Nabi dan malaikat itu membuang masa sahaja kerana memang yang diseru itu tidak dapat membantu apa-apa pun. Mereka sekarang di alam barzakh dan tidak mendengar apa-apa pun seruan dan panggilan daripada kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 51 – 53 (Hari Kebangkitan)

Isra’ Ayat 51: Allah ﷻ beri lagi satu Syikayah (rungutan) dan jawapannya (Jawab Syikayah) dalam ayat ini.

أَو خَلقًا مِّمَّا يَڪبُرُ فِى صُدُورِكُم فَسَيَقُولُونَ مَن يُعِيدُنَا‌ۖ قُلِ ٱلَّذِى فَطَرَكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ فَسَيُنغِضُونَ إِلَيكَ رُءُوسَہُم وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هُوَ‌ۖ قُل عَسَىٰٓ أَن يَكُونَ قَرِيبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or [any] creation of that which is great¹ within your breasts.” And they will say, “Who will restore us?” Say, “He who brought you forth the first time.” Then they will nod their heads toward you² and say, “When is that?” Say, “Perhaps it will be soon –

  • Such as the heavens and earth.
  • In disbelief and ridicule.

(MELAYU)

atau suatu makhluk dari makhluk yang lebih besar menurut fikiranmu”. Maka mereka akan bertanya: “Siapa yang akan menghidupkan kami kembali?” Katakanlah: “Yang telah menciptakan kamu pada kali yang pertama”. Lalu mereka akan menggeleng-gelengkan kepala mereka kepadamu dan berkata: “Bilakah itu (akan terjadi)?” Katakanlah: “Mudah-mudahan waktu berbangkit itu dekat”,

 

أَو خَلقًا مِّمّا يَكبُرُ في صُدورِكُم

atau suatu makhluk daripada makhluk yang lebih besar menurut dalam hati-hatimu”.

Atau kamu dijadikan makhluk yang lagi susah untuk dibentuk. Kalau kamu masih rasa batu atau besi boleh lagi dibentuk, apa lagi yang kamu rasa bahan yang Allah ﷻ susah hendak bentuk? Kamu pilihlah sendiri. Pilihlah mana-mana bahan yang kamu tahu, yang kamu rasa Allah ﷻ susah buat balik, yang kamu rasa Allah ﷻ tidak boleh jadikan kamu balik. Ini nada marah sungguh bunyinya.

Bahan apa pun, ketahuilah wahai manusia yang degil, Allah ﷻ masih tetap boleh jadikan kamu semula. Kamu semua akan tetap akan dihadapkan kepada-Nya juga. Kalau kamu jadi bulan, bintang, langit, apa sahaja pun, semua itu akan musnah juga dan akan dijadikan semula, seperti kamu juga akan dimatikan dan dibangkitkan kelak.

 

فَسَيَقولونَ مَن يُعيدُنا

Maka mereka akan berkata: “Siapa yang akan menghidupkan kami kembali?”

Ada yang tetap berdegil akan bertanya dengan soalan yang bodoh: “Siapa yang akan hidupkan kami semula?” Kenapa mereka bodoh? Kerana selama ini mereka mengakui beragama dengan menyembah berhala, menuruti dan taqlid kepada kepercayaan nenek-moyang, sehingga mereka tidak mempergunakan akal fikiran untuk meneliti dengan faham yang hening dan jernih.

Begitulah kalau agama hanya sekadar ikut-ikutan sahaja seperti kebanyakan dalam masyarakat kita. Entah berapa banyak amalan dan fahaman yang pelik-pelik mereka terima dan telan begitu sahaja. Yang terkini, fahaman golongan sesat Habib yang mengarut itu diterima sahaja tanpa periksa. Kebodohan masyarakat kita dalam hal ini tidak ada batasnya. Memang kasihan kita lihat mereka mengagungkan golongan Habib, memakai logo capal di kepala, mengamalkan ajaran mereka. Kemudian apabila disebut kononnya kehebatan habib-habib mereka boleh terbang, tidak ada jantung tetapi hidup, boleh baca Yaasin 60,000 kali antara Maghib dan Isyak, ada pula yang percaya!

Itu pun hanya kerana kononnya golongan Habib ini keturunan Rasulullah ﷺ. Setakat itu sahaja? Nah sekarang sudah ada pembongkaran yang apabila diperiksa DNA mereka itu, tidak pun berkaitan dengan keturunan Rasulullah ﷺ! Lalu apa lagi alasan pentaksub mereka ini?

 

قُلِ الَّذي فَطَرَكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ

Katakanlah: “Yang telah menciptakan kamu pada kali yang pertama”.

Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ jawab kepada mereka, kerana tidak layak Allah ﷻ melayan mereka. Oleh kerana Allahﷻ sudah terlalu murka dan benci kepada mereka sampai tidak mahu terus bercakap dengan mereka.

Allah ﷻ suruh beritahu, apa yang perlu dihairankan, tentulah yang mula-mula buat kamu dulu (daripada tiada kepada ada) boleh bangkitkan kamu semua. Masa kamu tidak ada dulu, siapa yang jadikan? Tentulah Allah ﷻ juga, bukan?

Musyrikin Mekah pun tahu dan menerima yang Allah ﷻ yang menjadikan mereka dan segala dalam alam ini. Maka apa yang perlu dihairankan lagi?

 

فَسَيُنغِضونَ إِلَيكَ رُءوسَهُم

Lalu mereka akan menggeleng-gelengkan kepala mereka kepadamu

Bila dijawab begitu, Allah ‎ﷻ beritahu yang mereka akan turun dan naikkan kepala sambil tidak percaya. Atau mereka gelang kepala di hadapan Nabi ﷺ. Maknanya mereka tetap tidak percaya dan tunjuk isyarat tidak percaya itu dengan kepala mereka.

Mereka tidak buat lagi, tetapi Allah ﷻ sudah siap beritahu apa yang mereka akan lakukan. Kerana Allah ﷻ tahu yang mereka itu adalah manusia yang amat degil.

.

 

وَيَقولونَ مَتىٰ هُوَ

dan mereka berkata: “Bilakah itu (akan terjadi)?”

Mereka tanya dengan nada mengejek: “Ha, kalau betul akan terjadi benda yang kamu cakap itu, bila? Bila nak jadi hari itu?”. Ini adalah soalan cepu emas yang selalu orang kafir berikan kepada para Nabi. Soalan mereka ini adalah untuk mempersendakan Nabi.

Berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi ﷺ yang secara pasti menyatakan bahawa hari kiamat tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan hanya Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ:

يَسْأَلُكَ النَّاسُ عَنِ السَّاعَةِ ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّهِ ۚ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ السَّاعَةَ تَكُونُ قَرِيبًا
“Manusia bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang kedatangan hari kiamat, katakanlah, ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu hanya ada di sisi Allah. Bagaimana kamu dapat mengetahui? Barangkali kiamat itu sudah dekat.’”
(Ahzab: 63)

Selain itu terdapat hadith riwayat Umar al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menceritakan berkenaan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang bertemu dengan Nabi ﷺ yang mana Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ  bertanya kepada Baginda ﷺ:

فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ. قَالَ: مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا؟ قَالَ: أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ. ثُمَّ انْطَلَقَ، فَلَبِثْتُ مَلِيًّا، ثُمَّ قَالَ: يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ؟. قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ “.
“Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat (bila ia akan berlaku)”. Baginda bersabda: “Yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.” Beliau berkata: “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda: “Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat pengembala kambing yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan miskin, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya”.
(Riwayat Muslim (8))

 

قُل عَسىٰ أَن يَكونَ قَريبًا

Katakanlah: “Mudah-mudahan waktu berbangkit itu dekat”,

Walaupun Rasulullah ﷺ tidak dapat menjawab soalan mereka, tetapi Allah ﷻ suruh beritahu mereka: “Mungkin tak lama lagi. Yang kamu kurang ajar ini, bukannya lama pun, tak lama lagi kamu akan tahulah apa yang akan terjadi kepada kamu. Kamu sahaja yang sangka ia lama lagi, tapi entah-entah ia tidak lama lagi.” Kalimah عَسىٰ di sini juga boleh ditafsirkan sebagai ‘pasti’.

Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Ma’arij: 6-7

إِنَّهُم يَرَونَهُ بَعيدًا
Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku),

وَنَرىٰهُ قَريبًا
Sedang Kami memandangnya dekat,

Lagi satu, kiamat itu mungkin lambat lagi (memandangkan tanda-tanda Kiamat semuanya belum keluar lagi), akan tetapi ada satu lagi kiamat iaitu Kiamat Kecil. Ini adalah kematian kita. Kalau Kiamat Besar itu lambat lagi, tapi Kiamat Kecil iaitu kematian kita adalah dekat. Bila-bila masa sahaja kita boleh mati kerana kematian itu tidak ada tandanya. Ketahuilah bahawa kematian kita adalah permulaan kepada Akhirat bagi kita.


 

Isra’ Ayat 52: Ayat takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab akhirat). Bilakah Kiamat itu datang tidak boleh diberitahu, tetapi ia pasti akan berlaku. Ini telah disebut sebelum ini. Maka sekarang diberitahu apakah yang akan berlaku apabila ia datang.

يَومَ يَدعُوكُم فَتَستَجِيبُونَ بِحَمدِهِۦ وَتَظُنُّونَ إِن لَّبِثتُم إِلَّا قَلِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day He will call you and you will respond with praise of Him and think that you had not remained [in the world] except for a little.”

(MELAYU)

iaitu pada hari Dia memanggil kamu, lalu kamu mematuhi-Nya sambil memuji-Nya dan kamu mengira, bahawa kamu tidak berdiam (di dalam kubur) kecuali sebentar saja.

 

يَومَ يَدعوكُم

iaitu pada hari Dia memanggil kamu, 

Tidak lama lagi, akan sampailah pada hari yang kamu akan dipanggil. Tidak disebut siapa yang akan panggil, mungkin malaikat atau mungkin ada pemanggil yang khusus. Kamu akan dipanggil mengadap-Nya. Dikatakan yang memanggil itu adalah Malaikat Israfil  dengan tiupan Sangkakala. Kita semua akan dipanggil untuk pergi ke Mahsyar. Waktu itu amat takutlah kamu, kerana hari yang kamu kata tidak ada itu, akan berada depan mata kamu nanti.

Melalui ayat-ayat dan hadith-hadith Nabi ﷺ diketahui bahawa kelak akan terjadi dua kali “peniupan sangkakala”. Yang pertama menjadikan seluruh alam raya hancur. Selanjutnya terjadi peniupan kedua di mana manusia yang telah mati bahkan semua yang bernyawa akan dihidupkan Allah ﷻ kembali, dan ketika itu dilukiskan bahawa manusia sambil menundukkan pandangan, keluar dari kubur-kubur mereka yakni meninggalkan alam barzakh dalam keadaan beramai-ramai, sedemikian banyaknya sehingga mereka bagaikan belalang yang berterbangan, bahkan sebenarnya lebih banyak dari itu. Mereka datang dengan cepat kepada penyeru itu menuju tempat yang diserukan untuk mendatanginya. Tempat itu adalah Padang Mahsyar. Lihat penerangan yang Allah ﷻ gambarkan di dalam Qamar: 7-8.

خُشَّعًا أَبصٰرُهُم يَخرُجونَ مِنَ الأَجداثِ كَأَنَّهُم جَرادٌ مُّنتَشِرٌ
(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan, keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.

مُّهطِعينَ إِلَى الدّاعِ ۖ يَقولُ الكٰفِرونَ هٰذا يَومٌ عَسِرٌ
Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar!

Atau, bukan dipanggil dengan tiupan Sangkakala, akan tetapi dipanggil dengan nama masing-masing. Kerana itulah kita digalakkan untuk beri nama yang baik-baik kepada anak-anak kita. Kerana malulah kalau nama pelik-pelik pula dipanggil. Ini seperti disebut di dalam hadith,

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Sesungguhnya pada hari kiamat nanti kalian akan dipanggil dengan nama-nama kalian dan nama-nama bapak kalian. Oleh kerana itu, buatlah nama-nama yang baik untuk kalian.
(Riwayat Abu Dawud, No. 4948)
Didhaifkan oleh Albani رَحِمَهُ اللَّهُ

Kita tidak tahu siapa yang akan menyeru memanggil kita, di dalam ayat lain juga hanya disebut penyeru sahaja seperti di dalam Qaf: 41-43

وَاستَمِع يَومَ يُنادِ المُنادِ مِن مَّكانٍ قَريبٍ
Dan dengarkanlah (seruan) pada hari penyeru (malaikat) menyeru dari tempat yang dekat.

يَومَ يَسمَعونَ الصَّيحَةَ بِالحَقِّ ۚ ذٰلِكَ يَومُ الخُروجِ
(Iaitu) pada hari mereka mendengar teriakan dengan sebenar-benarnya itulah hari keluar (dari kubur).

إِنّا نَحنُ نُحيي وَنُميتُ وَإِلَينَا المَصيرُ
Sesungguhnya Kami lah yang menghidupkan dan mematikan dan hanya kepada Kami-lah tempat kembali (semua makhluk).

 

فَتَستَجِيبُونَ بِحَمدِهِۦ

lalu kamu mematuhi-Nya sambil memuji-Nya

Waktu itu barulah kamu menyesal dan barulah kamu hendak taat. Kamu akan cuba jawab sambil puji Allah ﷻ melambung-lambung. Allah ﷻ beritahu keadaan mereka waktu itu yang baru mereka hendak meminta maaf, baru hendak mengagungkan Allah ﷻ. Walaupun yang beriman dan tidak beriman pun akan melakukan perkara yang sama, tetapi ayat ini tentang golongan yang ingkar. Orang mukmin memang semenjak di dunia lagi sudah memuji Allah ﷻ, tetapi yang disebut sekarang adalah orang kafir pun memuji Allah ﷻ juga. Akan tetapi pujian mereka dan ketaatan pada waktu itu tidak berguna lagi.

Kenapa orang kafir pun akan taat kepada Allah ﷻ dan memuji-muji Allah ﷻ? Kerana mereka sendiri sudah melihat dengan mata mereka akan kehebatan Allah ﷻ dan kehebatan Hari Akhirat, maka mereka tidak boleh tidak akan terkesima dan akan takjub. Maka automatik mulut mereka pun akan mengakuinya.

Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan ayat ini adalah tentang kata-kata orang Mukmin. Kerana di dalam ayat-ayat yang lain, disebut lain pula kata-kata orang kafir. Sebagai contoh, lihat Yaasin: 52

قالوا يٰوَيلَنا مَن بَعَثَنا مِن مَّرقَدِنا ۜ ۗ هٰذا ما وَعَدَ الرَّحمٰنُ وَصَدَقَ المُرسَلونَ
Mereka berkata: “Aduhai celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat-tidur kami (kubur)?”. Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya).

Juga lihatlah Zumar: 56

أَن تَقولَ نَفسٌ يٰحَسرَتا عَلىٰ ما فَرَّطتُ في جَنبِ اللهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ السّٰخِرينَ
“(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: `sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)!

Berkemungkinan besar, orang kafir akan kata semua seperti yang disebut di atas. Puji pun ya, menangisi nasib mereka yang malang pun ya juga. Kerana disebut di dalam ayat Zumar: 75, semua makhluk akan memuji Allah ﷻ.

وَتَرَى المَلائِكَةَ حافّينَ مِن حَولِ العَرشِ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم ۖ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَقيلَ الحَمدُ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ
Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil; dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam!”

 

وَتَظُنّونَ إِن لَّبِثتُم إِلّا قَليلًا

dan kamu mengira, bahawa kamu tidak berdiam (di dalam kubur) kecuali sebentar saja.

Waktu itu kamu akan rasa yang kamu duduk di dunia sekejap sahaja. Kamu sangka lama bukan hidup di dunia? Sebenarnya tidak. Nanti bila sudah lama duduk di Mahsyar, barulah kamu rasa yang duduk di dunia ini sekejap sahaja kalau dibandingkan dengan duduk di akhirat kerana akhirat itu tiada penghujungnya. Berada di Mahsyar pun berpuluh ribu tahun (ada yang kata 50 ribu tahun menunggu sahaja perbicaraan dimulakan).

Memang kehidupan dunia ini terasa sekejap sahaja. Begitulah firman Allah ﷻ memberitahu kepada kita.

قَٰلَ كَمۡ لَبِثۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ عَدَدَ سِنِينَ ١١٢ قَالُواْ لَبِثۡنَا يَوۡمًا أَوۡ بَعۡضَ يَوۡمٖ فَسۡـَٔلِ ٱلۡعَآدِّينَ ١١٣ قَٰلَ إِن لَّبِثۡتُمۡ إِلَّا قَلِيلٗاۖ لَّوۡ أَنَّكُمۡ كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١١٤
Allah bertanya: “Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?”
Mereka menjawab: “Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung”.
Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui”
(Al Muminun: 112-114)

Kalimah لَّبِثتُم boleh ditafsirkan tinggal di dunia atau pun di dalam kubur. Kerana dua-dua itu terasa singkat sahaja masanya bagi kita apabila dibangkitkan kelak. Walaupun kita memang tahu ia lama (bayangkan manusia yang paling awal hidup dan di dalam alam kubur sekarang), akan tetapi ia akan dirasai sekejap sahaja kalau dibandingkan dengan kebangkitan di akhirat kelak.

Sekian Ruku’ 5 daripada 12 ruku’ surah ini


 

NASIHAT KEPADA NABI

Isra’ Ayat 53: Dalam ayat sebelum ini telah disebut kata-kata puak musyrik dan puak penentang yang tidak percaya kepada agama yang benar. Telah disampaikan ajaran Islam namun masih lagi mereka menentang. Maka tentulah kalau begitu terjadi kepada kita, kita akan marah, bukan?

Begitulah juga dengan para sahabat – mereka marah kepada golongan penentang itu. Akan tetapi lihatlah bagaimana Allah ﷻ ajar cara bercakap dengan mereka. Allah ﷻ ajar cara berdakwah kepada mereka.

Penyeru kepada tauhid hendaklah berbudi pekerti dan menggunakan bahasa yang lembut. Rasulullah ﷺ tidak menjawab kecaman-kecaman terhadapnya. Maka kita kena berhati-hati dan bersabar kerana syaitan akan mengambil peluang untuk menimbulkan perselisihan

وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُواْ ٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُ‌ۚ إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ يَنزَغُ بَينَہُم إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ كَانَ لِلإِنسَـٰنِ عَدُوًّا مُّبِينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And tell My servants to say that which is best. Indeed, Satan induces [dissension] among them. Indeed Satan is ever, to mankind, a clear enemy.

(MELAYU)

Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.

 

وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُواْ ٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُ‌ۚ

Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik

Allah ﷻ suruh umat Islam untuk balas kata-kata orang kafir (atau golongan sesat atau musyrik atau golongan penentang) dengan kata-kata yang lebih baik. Kita disuruh untuk cari jalan untuk buat lebih baik daripada apa yang mereka lakukan dan katakan itu. Kerana kalau kita tidak jaga mulut, hati dan emosi kita, kita boleh maki semula para penentang itu. Sekiranya itu terjadi, maka dakwah itu sudah tidak baik lagi dan tidak memberi kesan. Kerana manusia melihat akhlak kita sebenarnya.

Kalimah أَحسَنُ maksud ‘lebih baik’, bukan yang ‘terbaik’, kerana ‘terbaik’ itu adalah kata-kata Allah ﷻ sahaja. Cuma kita disuruh buat sehabis baik setakat yang kita mampu sahaja. Maka sebelum bercakap, kena fikirkan dulu apa yang nak cakap.

Namun kenapa dengan orang kafir, musuh dan penentang kebenaran pun kita kena cakap dengan baik? Kerana itulah cara dakwah. Bayangkan, kepada Firaun yang paling jahat itu pun Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh untuk bercakap dengan lembut. Ini seperti disebut di dalam Taha: 44

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Ayat daripada Surah Isra’ ini diturunkan di Mekah ketika Rasulullah ﷺ dan para sahabat berada di Mekah lagi. Ketika itu memang ada para sahabat yang sudah teringin hendak berkasar dengan golongan Musyrikin Mekah yang kurang ajar. Akan tetapi Allah ﷻ menahan mereka kerana ia memberi mudarat yang lebih besar lagi kerana mereka masih lemah.

Namun begitu ayat ini terpakai pada mana-mana zaman pun, terutama dalam dakwah. Allah ﷻ mengajar kita bersifat rahmah kepada orang-orang lain. Banyak sekali ditunjukkan dalam Al-Qur’an dan ajaran Nabi Muhammad ﷺ bagaimana cara dakwah. Lihatlah dalam sunnah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ melayan orang lain yang tidak tahu. Amat lembut sekali baginda dengan para sahabat. Malah kepada orang kafir pun.

Ada satu kisah bagaimana seorang Badwi telah masuk ke dalam masjid dan telah kencing dalam Masjid Nabi sebab dia tidak tahu adab kerana dia baru masuk Islam. Para sahabat ada yang sudah mahu menangkap dan memukulnya, tetapi Nabi ﷺ larang. Nabi ﷺ suruh basuh bekas kencing itu dan kemudiannya Nabi ﷺ telah mengajar lelaki dengan cara lembut tentang adab-adab dalam masjid.

Bagaimanakah cara yang sepatutnya kita bercakap dengan manusia? Jangan kita berkasar dengan orang lain. Islam tidak mengajar begitu. Nabi ﷺ tidak pernah menunjuk dengan jarinya. Kalau dia perlu menunjuk, dia akan tunjuk dengan tangannya. Sebab itulah penting untuk kita mengetahui bagaimana cara hidup Nabi Muhammad ﷺ. Orang dulu akan memulakan mengajar cara hidup Nabi ﷺ.

Dakwah pun ada taktiknyaa. Kalau kita perli, mengutuk dan menghina manusia, maka mungkin yang didakwah akan senang terima. Tidak rugi kalau kita bercakap baik dengan orang yang kita dakwahkan itu. Walaupun mungkin mereka itu bercakap kasar dengan kita, tuduh kita macam-macam. Allah ﷻ telah ajar taktik ini di dalam Fussilat: 34

وَلا تَستَوِي الحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ فَإِذَا الَّذي بَينَكَ وَبَينَهُ عَدٰوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَميمٌ
Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

Hikmah itu kenalah ikut cara Nabi ﷺ. Maka kena cari caranya. Untuk tahu, kena tahu cara hidup Nabi ﷺ dan bagaimana baginda berdakwah. Kita kena usaha dakwah dengan hikmah – seolah-olah perumpamaan ‘ular mati, tongkat tak patah’.

Maksudnya, dengan cara dakwah kita itu, syirik hilang dan hubungan kita dengan orang yang didakwah itu tidak tercalar. Kita kena guna hemah, sampai orang yang kita dakwah itu masih mahu jumpa kita di kemudian hari. Maka kena pandai menggunakan perkataan yang sesuai. Jangan kita hina dia sampai dia sudah tidak mahu menemui kita lagi.

Jangan juga kita perli dia dalam dakwah kita. Hendaklah bersabar banyak-banyak supaya jangan keluar kata-kata yang boleh menyakitkan hati. Kalau yang didakwah itu kata kita gila pun, kita katalah ‘terima kasih’. Banyakkan senyuman. Buat latihan senyuman selalu.

Inilah hikmah dan tidak dinafikan yang ia memang payah. Kerana selalunya kita tidak tahan juga. Kadang-kadang kita terkasar juga dalam membalas kata-kata nista orang yang didakwah dan itu tidak ‘أَحسَنُ’. Lihatlah bagaimana cara Nabi ﷺ sendiri berurusan dengan manusia, walaupun orang yang telah melakukan kesalahan lari dari medan Perang Uhud. Lihat Ali Imran: 159

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

Balaghah: Digunakan kalimah عِبَادِيَ dengan ya’ mutakallim dalam ayat ini. Bandingkan dengan ayat-ayat yang dihazafkan ya’ mutakallim seperti dalam Zumar: 10. Ini kerana apabila ada ya’ mutakallim, ia membawa makna putus, tidak kekal. Dan apabila dihazafkan ya’ mutakallim, ia bermaksud ‘berkekalan’ dan ‘berterusan’.

Allah ﷻ kekalkan ya’ mutakallim dalam ayat ini kerana ia ditujukan kepada orang beriman tetapi masih lagi boleh diganggu oleh syaitan kerana iman mereka belum sempurna. Syaitan masih lagi boleh ambil peluang menaikkan kemarahan mereka. Maka kerana itu Allah ﷻ beri peringatan dan ajaran kepada mereka dalam ayat ini.

 

إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ يَنزَغُ بَينَہُم

Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. 

Kerana ada makhluk yang akan ambil kesempatan kalau kita buat silap. Iaitu syaitan akan petik/bisikkan supaya kamu kata benda-benda yang menyakitkan hati. Kalau kita terpengaruh dengan bisikan itu, maka kita pun tercakap benda yang teruk.

Kemudian syaitan pergi pula kepada orang itu semula dan sampaikan apa yang kita kata. Lalu dia pun marah dan tentu dia pun mahu bercakap benda yang menyakitkan hati. Kemudian keadaan akan menjadi lebih teruk dek kerana balas membalas yang tidak berkesudahan. Sampai bila hendak habis?

Oleh itu, Nabi ﷺ ajar kepada Muslim cara berinteraksi dengan baik. Jangan memaki hamun. Jangan cakap perkara yang kita akan menyesal nanti. Selalu bukan kita kata perkataan yang keluar semasa kita marah dan kemudian kita menyesal? Maka berhati-hatilah.

Kerana kalau tidak buat begitu, syaitan akan ambil peluang. Syaitan akan jadikan perselisihan antara manusia. Inilah kesempatan yang syaitan akan ambil kalau menggunakan perkataan yang tidak tepat.

Atau kalau kita cakap dengan cara biadab. Waktu itu kedua-dua puak akan cuba untuk menjatuhkan sesama sendiri. Syaitan akan petik kata-kata kita dan akan tambah-tambah lagi jadi lagi supaya menjadi lebih teruk. Malangnya, kadangkala ada pendakwah yang rasa dakwah dengan cara perli dan kutuk itu bagus, padahal ia tidak.

Maka cubalah cakap dengan baik. Kena belajarlah sikit-sikit tentang komunikasi. Perbaikilah serta tingkatkan kualiti diri kita. Kita kena tahu serba sedikit cara bercakap yang efektif agar tidak disalahertikan oleh pihak lain. Kadang bahasa yang kita gunakan bermaksud lain pada telinga orang lain.

Ini penting kerana kita semua dalam usaha berdakwah. Maka jangan beri alasan untuk mereka tolak. Jangan mereka kata orang sunnah kurang ajar. Tunjukkan akhlak yang baik supaya orang boleh terima dengan mudah. Apa guna kalau kita menang hujah (kerana kita ada dalil dan nas), sebaliknya orang benci kerana mulut kita yang buruk?

Syaitan akan sentiasa mengambil peluang terhadap kita dan kerana itu diingatkan kepada kita tentang perkara ini dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Kerana itulah Nabi ﷺ pernah menasihati supaya jangan diacukan senjata kepada sesama Muslim.

حَدَّثَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ أَحَادِيثَ مِنْهَا وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُشِيرُ أَحَدُكُمْ إِلَى أَخِيهِ بِالسِّلَاحِ فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي أَحَدُكُمْ لَعَلَّ الشَّيْطَانَ يَنْزِعُ فِي يَدِهِ فَيَقَعُ فِي حُفْرَةٍ مِنْ النَّارِ
Telah diceritakan [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] kepada kami daripada Rasulullah ﷺ lalu beliau menyebutkan beberapa Hadith di antaranya; Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Janganlah kamu mengacukan senjata kepada saudaramu kerana seseorang di antara kamu tidak dapat mengetahui kemungkinan syaitan akan melemparkan apa yang ada di tangannya sehingga dia terjerumus ke dalam jurang neraka.”
(Sahih Bukhari (4742))

 

إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ كَانَ لِلإِنسَـٰنِ عَدُوًّا مُّبِينًا

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.

Kena ingat perkara ini kerana memang syaitan sentiasa menjadi musuh kepada manusia. Macam-macam cara dia cuba buat. Sudah disebut berkali-kali cara mereka dalam Al-Qur’an ini, dan kali ini kita diberitahu yang syaitan menggunakan peluang apabila kita menggunakan bahasa yang salah. Bila kita salah cakap, maka syaitan akan bangkitkan kebencian.

Lalu apakah yang kita kena lakukan? Allah juga ajar di dalam Fussilat: 36 iaitu kita hendaklah berlindung kepada Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh bantu kita untuk selamat daripada syaitan. Ini kerana syaitan bukannya boleh dibawa bincang. Mereka memang dilahirkan untuk menyesatkan manusia dan menjadi musuh manusia. Mereka bukan ada kerja lain, melainkan untuk menyesatkan manusia sahaja.

وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطٰنِ نَزغٌ فَاستَعِذ بِاللهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 46 – 50 (Tidak memahami Al-Qur’an)

Isra’ Ayat 46: Oleh sebab itu mereka dihalang daripada mendapat hidayah. Mereka dihalang kerana mereka sendiri yang menolak untuk percaya.

 

وَجَعَلنَا عَلَىٰ قُلُوبِہِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِہِم وَقرًا‌ۚ وَإِذَا ذَكَرتَ رَبَّكَ فِى ٱلقُرءَانِ وَحدَهُ ۥ وَلَّواْ عَلَىٰٓ أَدبَـٰرِهِم نُفُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have placed over their hearts coverings, lest they understand it, and in their ears deafness. And when you mention your Lord alone in the Qur’ān, they turn back in aversion.

(MELAYU)

dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. Dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam Al Qur’an, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana benci,

 

وَجَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ

dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka agar mereka tidak dapat memahaminya. 

Bukan sahaja ada penghalang, tetapi pada hati mereka juga ada أَكِنَّةً (penutup). Kalimah أَكِنَّةً adalah dalam bentuk jamak daripada كنان kinan, ertinya selaput yang menutupi hati. Asalnya ia adalah penutup sebagai penghalang daripada sinaran matahari, selimut yang menutupi badan atau penutup bekas makanan.

Ia digunakan dalam ayat ini sebagai analogi ada penutup yang menghalang ‘cahaya’ kebenaran daripada sampai kepada mereka. Allah ﷻ selalu ibaratkan kebenaran dalam bentuk cahaya. Ini menjadikan mereka duduk dalam kegelapan agama. Allah ﷻ terus letak mereka dalam gelap sampai wahyu tidak sampai kepada mereka. Kerana itu mereka tidak faham.

 

وَفي آذانِهِم وَقرًا

dan sumbatan di telinga mereka,

Pada pendengaran mereka juga ada penutup maknawi. Kalimah وَقرًا asalnya bermaksud sesuatu yang berat. Maka kiasannya seperti ada benda yang berat sangat di telinga seseorang itu sampai tidak dapat mendengar. Ia adalah kiasan sahaja kerana yang dimaksudkan di sini adalah mereka tidak dapat mendengar kebenaran. Walaupun telah disampaikan kepada mereka, mereka tidak mampu untuk dengar. Mereka dengar, tetapi mereka tidak faham.

Anda jangan beranggapan bahawa ayat ini menunjukkan bahawa Allah ﷻ yang menghalang mereka beriman, dengan dalih “Kami telah meletakkan di atas hati mereka penutup-penutup”. Jangan beranggapan demikian, kerana penutup-penutup itu diletakkan Allah ﷻ setelah terbukti keengganan mereka menerima kebenaran. Keengganan itu lahir akibat keburukan hati serta sikap mereka yang dengki dan ingin mempertahankan keistimewaan yang selama ini mereka nikmati (dan kedudukan mereka di dalam masyarakat), serta kerana ada penyumbat di telinga mereka, sehingga walau mereka dengan sengaja dan bersungguh-sungguh mendengarkan ayat-ayat Al-Qur’an dan keterangan-keterangan Nabi ﷺ, mereka tidak dapat mengambil manfaat. Penutup-penutup hati itu diletakkan Allah ﷻ setelah sebelumnya sudah ada sumbatan di telinga mereka, sehingga mereka tuli bahkan buta. Ini kerana nafsu mereka yang telah menutupnya.

Al-Qur’an adalah bacaan, dan ketika turun ia bukanlah satu tulisan. Masyarakat Arab yang pertama menerimanya pun tidak pandai membaca, sehingga alat pancaindera pertama untuk menangkap pesan-pesannya adalah pendengaran. Bahkan seseorang tidak akan mampu membaca sebelum dia mendengar bunyi pengucapan huruf-huruf yang dibacanya. Setelah itu barulah dengan melihat huruf-huruf itu dia dapat membacanya. Maka kalau tidak mampu mendengar Al-Qur’an, memang akan ada masalah.

Golongan Musyrikin Mekah itu tidak faham Al-Qur’an walaupun mereka dengar Al-Qur’an dibacakan. Sekarang bagaimana dengan orang Islam kita? Kalau mereka pun tidak faham Al-Qur’an, maka apa bezanya dengan orang musyrikin itu? Maka kerana itulah kena belajar tafsir Al-Qur’an, jangan setakat baca sahaja.

 

وَإِذا ذَكَرتَ رَبَّكَ فِي القُرءآنِ وَحدَهُ

Dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam Al Qur’an, 

Dalam ayat ini, ditekankan tentang Tuhan itu satu sahaja kerana ramai orang kafir mengambil banyak tuhan-tuhan rekaan mereka. Malangnya, orang Islam pun ada fahaman sebegitu kerana itu mereka ada banyak sembahan ilah-ilah selain Allah ﷻ.

Mereka seolah-olah tidak berpuas hati yang Al-Qur’an sebut tentang Allah ﷻ sahaja sebagai ilah. Mereka berharap kalau-kalau ada disebut tentang manusia-manusia yang ada berkat, para malaikat yang dijadikan wasilah (perantara), kerana itulah fahaman mereka. Kerana itu mereka bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat. Ramai orang Islam yang bertawasul dengan Nabi, wali dan malaikat kerana diajar oleh guru-guru yang sesat. Sedangkan tidak ada dalil tentang amalan ini dalam agama. Dalam Al-Qur’an hanya sebut tentang Allah ﷻ sahaja sebagai ilah dan tidak ada yang lain.

Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut.

    1. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus.
    2. Kemudian Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ di dalam ayat 41 dengan menyebut ia menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami ajaran yang disampaikan.
    3. Di dalam ayat 45 kita diberitahu lagi satu maklumat tentang ٱلقُرءَانِ. Ia menjadi pembimbing kepada orang yang percaya adanya akhirat, akan tetapi kepada orang yang tidak percaya akhirat, ia akan menjadi dinding yang menghalang.
    4. Sekarang di dalam ayat ini kita diberitahu yang orang musyrik melarikan diri apabila Al-Qur’an hanya menyebut Allah ﷻ sahaja Tuhan yang Esa.

 

وَلَّوا عَلىٰ أَدبارِهِم نُفورًا

nescaya mereka berpaling ke belakang kerana benci,

Oleh itu, apabila disampaikan (didakwah) kepada mereka yang dalam Al-Qur’an kena doa terus kepada Allah ﷻ sahaja, tidak boleh melalui perantara, mereka tidak suka. Kalau dikatakan boleh puja Allah ﷻ sahaja, pun mereka tidak suka kerana mereka juga memuja selain Allah ﷻ. Kalau kita tekankan perkara ini kepada mereka, mereka berpusing kerana benci dengan apa yang kita sampaikan.

Mereka mulalah kata macam-macam tohmahan dan ejekan kepada kita. Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya di dalam Zumar: 45:

وَإِذا ذُكِرَ اللَهُ وَحدَهُ اشمَأَزَّت قُلوبُ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ ۖ وَإِذا ذُكِرَ الَّذينَ مِن دونِهِ إِذا هُم يَستَبشِرونَ
Dan apabila disebut nama Allah semata-mata (di dalam doa dan sebagainya), liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain daripada Allah, mereka dengan serta merta gembira.

Ini kerana mereka ada akidah salah tentang Allah ﷻ dan buruk sangka tentang Allah ﷻ. Mereka sangka kalau mereka doa terus kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ tidak dengar doa mereka. Maka mereka pun carilah perantara-perantara untuk sampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ. Tujuan mereka adalah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Namun ini adalah akidah dan fahaman yang salah dan Allah ﷻ telah kutuk di dalam Zumar: 3

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ
Dan orang-orang yang mengambil selain Allah pelindung dan penolong (wali-wali): “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”


 

Isra’ Ayat 47: Ayat sebelum ini menyebut golongan penentang itu tidak faham apabila dibaca ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. . Di sini disebut mereka sebenarnya dengar juga Al-Qur’an, namun bukan untuk memahami, sebaliknya hanya untuk mencari-cari kelemahan dan kesalahan di dalam Al-Qur’an.

Oleh kerana Nabi ﷺ membawakan ajaran tauhid, melarang menggunakan tawasul, maka mereka tidak suka dengan apa yang disampaikan oleh baginda. Maka mereka buat rancangan untuk menjatuhkan ajaran tauhid. Allah ﷻ memberitahu kita bahawa memang golongan penentang ada buat rancangan untuk menjatuhkan Islam.

نَّحنُ أَعلَمُ بِمَا يَستَمِعُونَ بِهِۦۤ إِذ يَستَمِعُونَ إِلَيكَ وَإِذ هُم نَجوَىٰٓ إِذ يَقُولُ ٱلظَّـٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلاً مَّسحُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We are most knowing of how they listen to it when they listen to you and [of] when they are in private conversation, when the wrongdoers say, “You follow not but a man affected by magic.”

(MELAYU)

Kami lebih mengetahui dalam keadaan bagaimana mereka mendengarkan sewaktu mereka mendengar kepada kamu, dan sewaktu mereka berbisik-bisik (iaitu) ketika orang-orang zalim itu berkata: “Kamu tidak lain hanyalah mengikuti seorang laki-laki yang kena sihir”.

 

نَّحنُ أَعلَمُ بِمَا يَستَمِعُونَ بِهِۦۤ إِذ يَستَمِعُونَ إِلَيكَ

Kami lebih mengetahui dalam keadaan bagaimana mereka mendengarkan sewaktu mereka mendengar kepada kamu,

Seperti yang kita tahu, nilai Al-Qur’an itu tinggi yang memberi pengajaran kepada mereka yang membuka hati untuk menerimanya. Namun ada yang hanya mendengar bacaan Al-Qur’an tetapi mereka tidak mahu beriman pun dengan apa yang disampaikan di dalamnya. Begitulah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah, walaupun mereka faham bahasa Arab, malangnya hati mereka tidak menerima apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu.

Allah ﷻ gunakan kalimah يَستَمِعُونَ yang bermaksud mendengar sungguh-sungguh Al-Qur’an itu, tetapi bukan untuk mencari kebenaran namun untuk mencari kelemahan. Di sini kita dapat tahu yang Allah ﷻ bukan sahaja tahu apa yang mereka lakukan, tetapi Allah ﷻ tahu apakah motivasi atau tujuan mereka melakukannya. Kalimah بِهِۦۤ di dalam يَستَمِعُونَ بِهِ ada yang mentafsirkan ia dhomir kepada Al-Qur’an, tetapi ada juga yang menisbahkannya kepada telinga.

Bukan mereka sahaja, umat zaman berzaman ada sahaja berperangai begitu. Malah umat Islam pun ada juga yang begitu. Mereka datang dengar bacaan Al-Qur’an atau kelas Tafsir sekadar hanya mahu memperolok-olokkan ajaran di dalamnya. Sebagai contoh, ada juga yang masuk kelas tafsir tetapi bukan mahu belajar sebenarnya, tetapi mahu mengejek. Kalau kelas itu dalam media sosial, mereka akan sampaikan ajaran itu kepada kawan-kawan yang sefahaman dengan mereka sampai mengejek-ngejek.

Asal ayat ini adalah tentang pemuka Quraish yang datang dengar-dengar bacaan Al-Qur’an daripada Nabi Muhammad ﷺ (secara rahsia). Allah ﷻ tahu bagaimana cara mereka dengar Al-Qur’an itu. Mereka tidak hiraukan pun ajaran yang ada dalam Al-Qur’an itu. Mereka cuma dengar Al-Qur’an itu kerana mereka suka dengar sahaja kerana Al-Qur’an itu sedap didengar. Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu mereka dengar Al-Qur’an itu untuk tujuan apa.
Ada hadith yang berkenaan perkara ini:

قال محمد بن إسحاق في السيرة : حدثني محمد بن مسلم بن شهاب الزهري أنه حدث أن أبا سفيان بن حرب وأبا جهل بن هشام والأخنس بن شريق بن عمرو بن وهب الثقفي حليف ابن زهرة خرجوا ليلة ليستمعوا من رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو يصلي بالليل في بيته فأخذ كل واحد منهم مجلسا يستمع فيه وكل لا يعلم بمكان صاحبه فباتوا يستمعون له حتى إذا طلع الفجر تفرقوا حتى إذا جمعتهم الطريق فتلاوموا وقال بعضهم لبعض لا تعودوا فلو رآكم بعض سفهائكم لأوقعتم في نفسه شيئا ثم انصرفوا حتى إذا كانت الليلة الثانية عاد كل رجل منهم إلى مجلسه فباتوا يستمعون له حتى إذا طلع الفجر تفرقوا حتى إذا جمعتهم الطريق فقال بعضهم لبعض مثل ما قال أول مرة ثم انصرفوا حتى إذا كانت الليلة الثالثة أخذ كل رجل منهم مجلسه فباتوا يستمعون له حتى إذا طلع الفجر تفرقوا فجمعهم الطريق فقال بعضهم لبعض لا نبرح حتى نتعاهد لا نعود فتعاهدوا على ذلك ثم تفرقوا
فلما أصبح الأخنس بن شريق أخذ عصاه ثم خرج حتى أتى أبا سفيان بن حرب في بيته فقال أخبرني يا أبا حنظلة عن رأيك فيما سمعت من محمد قال : يا أبا ثعلبة والله لقد سمعت أشياء أعرفها وأعرف ما يراد بها وسمعت أشياء ما عرفت معناها ولا ما يراد بها قال الأخنس وأنا والذي حلفت به . قال ثم خرج من عنده حتى أتى أبا جهل فدخل عليه بيته فقال يا أبا الحكم ما رأيك فيما سمعت من محمد قال ماذا سمعت تنازعنا نحن وبنو عبد مناف الشرف أطعموا فأطعمنا وحملوا فحملنا وأعطوا فأعطينا حتى إذا تجاثينا على الركب وكنا كفرسي رهان قالوا منا نبي يأتيه الوحي من السماء فمتى ندرك هذه والله لا نؤمن به أبدا ولا نصدقه قال فقام عنه الأخنس وتركه

Muhammad ibnu Ishaq di dalam kitab As-Sirah-nya mengatakan, telah menceritakan kepadaku Muhammad ibnu Muslim ibnu Syihab Az-Zuhri; dia pernah menceritakan suatu kisah bahawa Abu Sufyan ibnu Harb dan Abu Jahal ibnu Hisyam serta Al-Akhnas ibnu Syuraiq ibnu Amr ibnu Wahb As-Saqafi keluar di suatu malam dengan tujuan untuk mendengar apa yang dibaca oleh Rasulullah ﷺ dalam solatnya di malam hari di dalam rumahnya. Kemudian mereka masing-masing mengambil posisinya untuk mencuri dengar dari tempat (posisi)nya, sehingga masing-masing tidak mengetahui tempat temannya. Maka semalaman penuh mereka mendengarkan apa yang dibaca oleh Rasulullah ﷺ. Setelah fajar terbit, mereka bubar.’ Dan ketika mereka bertemu di tengah perjalanan pulang, mereka saling mencela di antara sesamanya. Sebahagian daripada mereka mengatakan kepada sebahagian yang lain, “Janganlah kalian lakukan lagi, kerana kalau ada seseorang dalam kalangan awam kalian melihat kalian, maka akan menimbulkan kecurigaan di hatinya terhadap kalian.” Setelah itu mereka pulang ke tempatnya masing-masing. Kemudian pada malam yang kedua, masing-masing daripada mereka kembali ke tempat posisinya semula, lalu semalaman mereka mendengarkan bacaan Nabi ﷺ. Ketika fajar terbit mereka bubar; dan dalam perjalanan pulangnya mereka bersua, lalu sebahagian daripada mereka mengatakan hal yang sama seperti kelmarin kepada sebahagian yang lainnya, kemudian pulang ke rumahnya masing-masing. Pada malam yang ketiganya masing-masing kem¬bali ke tempat posisinya semula, lalu semalaman mereka mendengarkan bacaan Nabi ﷺ (dalam solatnya) hingga fajar terbit, kemudian mereka pulang. Di tengah jalan mereka bersua, maka sebahagian daripada mereka mengatakan kepada sebahagian yang lain, “Kita tidak mahu meninggalkan tempat ini sebelum ada perjanjian di antara kita, bahawa kita tidak akan kembali lagi melakukan hal ini!” Akhirnya mereka mengadakan perjanjian di antara sesamanya, bahawa mereka tidak akan mengulanginya lagi. Setelah itu masing-masing pulang ke rumahnya. Pada keesokan harinya Al-Akhnas ibnu Syuraiq mengambil tong-katnya, lalu keluar rumah menuju ke tempat Abu Sufyan ibnu Harb. Sesampainya di rumah Abu Sufyan, Al-Akhnas berkata kepadanya, “Hai Abu Hanzalah, bagaimanakah pendapatmu tentang apa yang telah engkau dengar dari Muhammad?” Abu Sufyan menjawab, “Hai Abu Salabah, demi Allah, sesungguh¬nya saya telah mendengar banyak hal yang saya ketahui, dan saya mengetahui apa yang dimaksudkan olehnya dengan perkataannya itu. Tetapi saya juga telah mendengar banyak hal yang tidak saya ketahui makna dan maksudnya.” Al-Akhnas berkata, “Demi yang engkau sebut dalam sumpahmu itu, saya pun mempunyai pemahaman yang sama.” Al-Akhnas pergi meninggalkan Abu Sufyan, lalu menuju ke rumah Abu Jahal. Sesampainya di rumah Abu Jahal, Al-Akhnas bertanya kepa¬danya, “Hai Abul Hakam, bagaimanakah pendapatmu tentang apa yang telah engkau dengar dari Muhammad?” Abu Jahal menjawab, “Apa yang saya dengar?” Abu Jahal melanjutkan perkataannya, “Kami dan Bani Abdu Manaf bersaing untuk merebut kedudukan. Mereka memberi makan, maka kami memberi makan pula. Mereka memberikan tunggang-an, maka kami pun memberikan tunggangan pula. Dan mereka memberi, maka kami pun memberi pula. Hingga manakala kami sedang sengit-sengitnya berlumba, mereka mengatakan, ‘Di antara kami ada seorang nabi yang mendapat wahyu dari langit.’ Maka jika kami menjumpai masanya, demi Allah, kami tidak akan beriman kepadanya dan tidak mempercayainya selama-lamanya.” Maka Al-Akhnas bangkit meninggalkan Abu Jahal dan pulang ke rumahnya.
(HR. Ibnu Hisyam dalam Sirahnya 1/328 dan al-Baihaqi dalam Dalail Nubuwah 2/206, dengan sanadnya ke Ibnu Ishaq)

Menurut pengarang Sirah Nabawiyah Dr. Ali Battikh, pada nota kakinya kepada kepada hadith tersebut hal. 202, beliau mengatakan sanadnya dhaif, akan tetapi matannya boleh jadi benar.
Az-Zuhri menggunakan ungkapan حدثت (aku diceritakan/diberitahu), yang menunjukkan ada perawi lain di antara Az-Zuhri tetapi, Az-Zuhri tidak sebut nama perawi tersebut, sehingga terdapat perawi majhul. Hal ini menyebabkan sanadnya dhaif.

 

وَإِذ هُم نَجوَىٰٓ

dan sewaktu mereka berbisik-bisik

Allah ﷻ juga tahu apa yang mereka bermesyuarat bersama mereka secara rahsia. Mereka berbisik sesama mereka kerana mereka sedang buat rancangan jahat untuk menjatuhkan ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah tentang musyrikin Mekah yang buat rancangan untuk selamatkan diri mereka daripada ajaran ‘sesat’ Nabi Muhammad ﷺ, kononnya.

Mereka sudah tidak tahan dengan apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an kerana ia bertentangan dengan ajaran tok nenek mereka yang mengamalkan syirik, mengamalkan tawasul. Maka mereka telah merancang untuk halang Al-Qur’an dan Rasulullah ﷺ.

إِذ يَقُولُ ٱلظَّـٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلاً مَّسحُورًا

ketika orang-orang zalim itu berkata: “Kamu tidak lain hanyalah mengikuti seorang laki-laki yang kena sihir”.

Mereka sudah risau dengan perkembangan agama Islam kerana sudah ramai yang mula percaya kepada Al-Qur’an. Kerana mereka lihat, semakin ramai yang dengar bacaan Al-Qur’an, semakin ramai yang beriman. Oleh itu, orang-orang musyrik yang zalim itu buat rancangan untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Muhammad ﷺ.

Mereka telah pergi jumpa golongan yang telah beriman dan mereka terus kata yang Nabi Muhammad ﷺsebenarnya seorang yang sudah terkena sihir. Ini adalah percubaan mereka untuk kembalikan orang-orang yang telah beriman itu ke jalan syirik. Mereka kata yang Nabi ﷺ adalah seorang yang terkena sihir yang memiliki jin. Mereka kata jin itu selalu datang kepada baginda untuk menyam¬paikan kalam yang telah didengarnya, kemudian Nabi ﷺ membacakannya kepada manusia. Itulah tohmahan mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ.

Kalau orang kita sekarang, mereka akan pergi kepada orang yang telah mula untuk menerima sunnah, dan mereka ‘menasihati’ orang itu jangan percaya dengan ustaz-ustaz ‘Wahabi’ itu. Mereka kata jangan pergi dengar dengan ajaran sunnah lagi kerana kalau ikut, akan terpengaruh dengan ajaran ‘Wahabi’.


 

Isra’ Ayat 48:

ٱنظُر كَيفَ ضَرَبُواْ لَكَ ٱلأَمثَالَ فَضَلُّواْ فَلَا يَستَطِيعُونَ سَبِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Look how they strike for you comparisons;¹ but they have strayed, so they cannot [find] a way.

  • Describing the Prophet () as a poet, a madman or one under the influence of sorcery.

(MELAYU)

Lihatlah bagaimana mereka membuat perumpamaan-perumpamaan terhadapmu; kerana itu mereka menjadi sesat dan tidak dapat lagi menemukan jalan (yang benar).

 

انظُر كَيفَ ضَرَبوا لَكَ الأَمثالَ

Lihatlah bagaimana mereka membuat perumpamaan-perumpamaan terhadapmu;

Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang mengandungi kalimah انظُر. Asalnya ia bermaksud ‘lihatlah’ akan tetapi ia bermaksud perhatikan dan fikirkanlah. Ini adalah kerana Allah ﷻ mengajar manusia untuk menggunakan akal. Allah ﷻ mencela manusia yang tidak menggunakan akal seperti ayat-ayat أفلا تعقلون، أفلا تتفكرون dan sebagainya. Maknanya Islam tidaklah memandulkan akal melainkan menggalakkan kita menggunakan akal.

Penentang-penentang yang musyrik itu telah menjadikan perumpamaan yang buruk tentang Nabi. Mereka kata baginda ahli sihir lah, kena sihir lah, kena rasuk jin lah, penipu lah, tukang tenung lah, penyair lah dan lain-lain lagi. Nabi ﷺ sendiri tidak tahu apa yang telah dikatakan oleh mereka di belakang baginda, tetapi Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu.

 

فَضَلّوا

kerana itu mereka menjadi sesat 

Mereka yang telah buat perkara itu, tidak akan memperolehi jalan kepada hidayah kerana mereka telah menghina Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah menolak dari awal lagi ajaran kebenaran yang sampai kepada mereka. Maka hati mereka telah ditutup.

 

فَلا يَستَطيعونَ سَبيلًا

dan tidak dapat lagi menemukan jalan

Mereka akan terus sesat kerana menolak dari awal. Maka kita takut kalau ramai dalam kalangan puak-puak bid’ah sekarang yang mengatakan bermacam-macam fitnah kepada kepada orang-orang sunnah. Amat bahaya kalau mereka menentang. Kalau mereka tidak terima sahaja, tanpa menentang, masih lagi ada harapan untuk mereka menerima hidayah itu.

Mungkin ramai yang tidak dapat terima ajaran Sunnah (kerana tidak biasa lagi dengar), tetapi mereka tidak menentang, mereka biarkan sahaja. Lama kelamaan, kalau mereka yang jenis begini buka hati mereka dan cuba perhatikan manakah pihak yang beri hujah yang lebih kuat (sama ada puak sunnah atau puak bid’ah itu), lama kelamaan mereka akan nampak yang puak sunnah lah yang lebih kuat hujahnya.

Manakan tidak, puak sunnah beri hujah daripada Al-Qur’an dan hadith yang sahih, sedangkan puak bid’ah itu asyik beri hujah-hujah yang merapu sahaja. Mereka boleh terbuka hati kerana mereka tidak menentang dari awal. Mereka mungkin tunggu dengar dan lihat.

.


 

KEBANGKITAN SEMULA

Isra’ Ayat 49: Ayat syikayah (rungutan daripada Allah ﷻ). Di dalam ayat jenis ini Allah ﷻ mengulang kembali kata-kata golongan penentang. Ini adalah salah satu daripada hujah bodoh mereka.

Setelah ayat yang lalu menjelaskan kesesatan kaum musyrikin secara umum, kini dihuraikan kesesatan mereka secara khusus, yakni berkaitan dengan penolakan tentang kepastian adanya hari Kiamat.

وَقَالُوٓاْ أَءِذَا كُنَّا عِظَـٰمًا وَرُفَـٰتًا أَءِنَّا لَمَبعُوثُونَ خَلقًا جَدِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “When we are bones and crumbled particles, will we [truly] be resurrected as a new creation?”

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Apakah bila kami telah menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur, apa benar-benarkah kami akan dibangkitkan kembali sebagai makhluk yang baru?”

 

وَقَالُوٓاْ أَءِذَا كُنَّا عِظَـٰمًا وَرُفَـٰتًا

Dan mereka berkata: “Apakah bila kami telah menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur, 

Mereka tidak percaya yang mereka akan dihidupkan. Mereka guna akal mereka untuk menolak kebenaran. Mereka lihat tulang belulang manusia dan fikir: ‘Bagaimanalah tulang-tulang ini boleh hidup balik?’

Kata (رفات) rufat terambil daripada kata (رفت) rafata yang bererti menghancurkan sehingga menjadi keping-keping yang sangat kecil, bagaikan pasir, atau tepung.

.

 

أَءِنَّا لَمَبعُوثُونَ خَلقًا جَدِيدًا

apa benar-benarkah kami akan dibangkitkan kembali sebagai makhluk yang baru?”

Mereka beri hujah begini: ‘Takkan apabila tulang mereka sudah hancur, nanti mereka akan dihidupkan balik?’ Ini tidak masuk akal pada mereka. Maka soalan ini telah disentuh dan dijawab berkali-kali oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an, dan sekarang ada disebut lagi di sini. Allah ﷻ akan beri jawapannya.

Allah ﷻ telah pernah beri jawapan kepada soalan mereka yang sebegini di dalam Yaasin: 78-79

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ
Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

قُل يُحييهَا الَّذي أَنشَأَها أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلقٍ عَليمٌ
Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya);


 

Isra’ Ayat 50: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang syikayah Allah ﷻ berkenaan orang yang tidak percaya tentang kehidupan selepas mati. Mereka kata kalau mereka sudah jadi tulang yang hancur, takkan mereka dihidupkan balik? Maka Allah ﷻ jawab syikayah itu dalam ayat ini.

۞ قُل كونوا حِجارَةً أَو حَديدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Be you stones or iron¹

  • i.e., even if you should be stones or iron.

(MELAYU)

Katakanlah: “Jadilah kamu sekalian batu atau besi,

 

Allah ﷻ jawab kepada mereka dengan nada yang marah. Allah ﷻ marah kerana Allah ﷻ telah beri mereka berbagai perumpamaan dalam berbagai ayat, tetapi masih tidak faham-faham. Maka Allah ﷻ perli mereka, bagaimana kalau mereka jadi batu atau besi?

Maknanya tidak hancur menjadi tanah pun, tetapi menjadi batu atau besi. Atau, kalau kamu hairan sangat, kamu jadilah batu atau besi (yang keras), pun Allah ﷻ boleh hidupkan mereka balik. Ini cara Allah ﷻ suruh mereka senyap dan tutup mulut mereka daripada berhujah dengan cara yang kurang ajar. Allah ﷻ gunakan kata yang keras kerana mereka sudah teruk sangat.

Atau, Allah ﷻ perli mereka sepatutnya mereka menjadi batu atau besi kerana batu dan besi tidak ada tanggungjawab syariat dan mereka tidak diadili di akhirat kelak. Namun itu tentulah mustahil kerana Allah ﷻ yang menentukan mereka menjadi apa. Maka apakah faedah Rasulullah ﷺ disuruh untuk mereka menjadi besi atau batu? Ia untuk menunjukkan ketidakupayaan mereka sebagai makhluk. Semuanya ditentukan oleh Allah ﷻ .

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)