Tafsir Surah Furqan Ayat 44 – 49 (Perumpamaan bayang)

Ayat 44:

أَم تَحسَبُ أَنَّ أَكثَرَهُم يَسمَعونَ أَو يَعقِلونَ ۚ إِن هُم إِلّا كَالأَنعٰمِ ۖ بَل هُم أَضَلُّ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do you think that most of them hear or reason? They are not except like livestock.¹ Rather, they are [even] more astray in [their] way.

  • i.e., cattle or sheep, that follow without question wherever they are led.

(MELAYU)

atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu).

 

أَم تَحسَبُ أَنَّ أَكثَرَهُم يَسمَعونَ أَو يَعقِلونَ

atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami?

Adakah kamu sangka yang orang yang degil itu dengar apa yang kamu katakan dan faham apa yang kamu sampaikan? Adakah kamu sangka yang mereka akan ikut apa yang kamu dakwah mereka?

 

إِن هُم إِلّا كَالأَنعٰمِ

Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak,

Mereka tidak mendengar dan tidak mengikut dakwah kita, kerana mereka itu seperti binatang ternak sahaja yang tidak memahami apa-apa kalau kita bercakap kepada mereka.

Ini adalah penghinaan dari Allah kepada mereka yang jauh dari ajaran wahyu. Allah samakan mereka dengan binatang. Macam binatang kalau kita laung kepadanya, dia dengar tapi dia tidak faham, bukan?

Ini adalah kerana mereka itu hanya mengikut kehendak hati dan nafsu mereka dan tidak menggunakan akal mereka lagi. Kerana walaupun mereka dengar apa yang kita cakap, tetapi mereka tidak masuk ke dalam otak dan hati mereka kerana ianya telah penuh dengan hawa nafsu iaitu kehendak mereka.

 

بَل هُم أَضَلُّ سَبيلًا

bahkan mereka lebih sesat jalannya 

Kemudian Allah kata mereka itu lebih teruk dari binatang kerana binatang ternak itu bila kita panggil, mahu juga mereka melihat kepada kita. Dan jikalau kita paksa mereka, binatang itu ikut juga untuk masuk ke kandang dan sebagainya.

Tetapi manusia yang degil dan ikut nafsu sahaja, memang tidak ada harapan. Bukan sahaja mereka tidak mengikut kita, malah mereka menentang dan mengutuk kita pun ada. Kerana itu Allah kata mereka itu lagi teruk dari binatang.

Habis Ruku’ 4 dari 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 45: Dari ayat ini sehingga ke ayat 54 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi Dalil Afaqi dan Anfusi untuk jihad dakwah. Allah menjelaskan beberapa ciptaanNya seperti bayang-bayang dan cahaya matahari, angin, hujan, malam dan siang, air laut yang berlainan tidak bercampur kerana adanya batas barzakh. Juga penciptaan manusia daripada air mani.

Ayat 45 ini adalah ayat dalil aqli. Allah cerita tentang bayang-bayang.

أَلَم تَرَ إِلىٰ رَبِّكَ كَيفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَو شاءَ لَجَعَلَهُ ساكِنًا ثُمَّ جَعَلنَا الشَّمسَ عَلَيهِ دَليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered your Lord – how He extends the shadow, and if He willed, He could have made it stationary? Then We made the sun for it an indication.¹

  • i.e., showing the existence of a shadow or making it apparent by contrast.

(MELAYU)

Apakah kamu tidak memperhatikan (penciptaan) Tuhanmu, bagaimana Dia memanjangkan (dan memendekkan) bayang-bayang dan kalau Dia menghendaki nescaya Dia menjadikan tetap bayang-bayang itu, kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk atas bayang-bayang itu,

 

أَلَم تَرَ إِلىٰ رَبِّكَ كَيفَ مَدَّ الظِّلَّ

Apakah kamu tidak memperhatikan (penciptaan) Tuhanmu, bagaimana Dia memanjangkan (dan memendekkan) bayang-bayang

Bayang adalah gelap dan ia mengingatkan kita kepada kegelapan malam. Dan apabila bayang itu semakin memanjang ia memberi isyarat bahawa semakin mendekati malam. Kerana matahari akan semakin rendah dan apabila kedudukannya semakin rendah, bayang-bayang akan menjadi semakin panjang, bukan?

 

وَلَو شاءَ لَجَعَلَهُ ساكِنًا

dan kalau Dia menghendaki nescaya Dia menjadikan tetap bayang-bayang itu, 

Allah berkuasa ke atas bayang-bayang itu. Maksudnya Allah boleh terus kekalkan malam sahaja yang ada tanpa ada siang.

Seperti kita tahu, cahaya Al-Qur’an menerangi kegelapan hati manusia. Tetapi ada orang yang masih tetap mahu berada di dalam kegelapan. Allah beritahu yang jikalau Allah hendak, Dia boleh saja membiarkan manusia di dalam kegelapan dengan tidak memberikan wahyu Al-Qur’an langsung. Mereka sampai bila-bila pun tidak akan faham dengan wahyu Allah itu.

 

ثُمَّ جَعَلنَا الشَّمسَ عَلَيهِ دَليلًا

kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk atas bayang-bayang itu,

Kemudian Allah datangkan cahaya matahari sebagai dalil adanya malam. Kerana jikalau tidak ada cerah maka manusia tidak tahu bezanya malam.

Ini memberi isyarat yang Islam itu seperti terang cahaya siang, dan malam itu adalah ibarat kepada kegelapan kufur. Kalau orang yang tidak pernah mengalami siang mesti dia sangka yang kehidupan malam itulah yang normal.

Kalau tidak ada wahyu Al-Qur’an kepada manusia, tentulah manusia tidak tahu yang fahaman dan amalan mereka itu salah. Maka Allah berikan ajaran wahyu ini kepada manusia supaya manusia tahu mana benar dan mana yang tidak. Tapi kita kena belajarlah, jangan baca sahaja tanpa faham apa yang dibaca.


 

Ayat 46:

ثُمَّ قَبَضنٰهُ إِلَينا قَبضًا يَسيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We hold it in hand for a brief grasp.¹

  • i.e., when the sun is overhead at noon.

(MELAYU)

kemudian Kami menarik bayang-bayang itu kepada Kami dengan tarikan yang perlahan-lahan.

 

Kemudian Allah menarik bayang itu kepadaNya dan itu adalah mudah sahaja bagi Allah. Ini kerana Allah yang menguasai alam ini. Bayang-bayang pun kena ikut arahan Allah.

Ini memberi isyarat bahawa pertarungan antara hak dan batil (terang dan gelap) sentiasa akan berlaku. Terpulang kepada Allah sama ada membiarkan manusia itu terus berada dalam kegelapan syirik atau menariknya ke arah tauhid. Tapi kita kena ingat, kepada mereka yang mahukan kebenaran, Allah akan menariknya ke arah kebenaran.


 

Ayat 47: Selepas cakap tentang gelap dan terang, Allah sebut tentang siang dan malam pula.

وَهُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ لِباسًا وَالنَّومَ سُباتًا وَجَعَلَ النَّهارَ نُشورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who has made the night for you as clothing¹ and sleep [a means for] rest and has made the day a resurrection.²

  • Covering and concealing you in its darkness.
  • For renewal of life and activity.

(MELAYU)

Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirehat, dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.

 

وَهُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ لِباسًا

Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, 

Allah yang menjadikan malam itu dan ianya adalah seumpama pakaian atau selimut yang besar yang menutupi kita semua. Kalau dalam selimut, orang lain tak nampak kita, maka begitulah dengan malam. Maka kerana itu ramai yang boleh buat perkara-perkara tak elok di malam hari kerana orang tak nampak.

 

وَالنَّومَ سُباتًا

dan tidur untuk istirehat, 

Dan kerana malam gelap, maka kita boleh tidur. Tidur menjadi waktu istirehat dan memberi kembali tenaga kepada kita. Ini kerana apabila gelap, otak kita akan mengeluarkan melatonin yang akan menyebabkan kita mudah tidur.

Kalimah سُباتًا juga bermaksud ‘ketenangan’. Kita akan lebih tenang di malam hari kerana kita penat dari gerak geri sepanjang hari dan ini akan memberi rehat kepada otak kita.

Bila malam, nak aktif pun susah kerana persekitaran tidak berapa nampak, maka manusia selalunya akan duduk dengan tenang dalam kebeningan malam. Apabila tidur, otak pun boleh rehat. Maka ini memberi isyarat yang kita digalakkan untuk berehat dan tidur di rumah sahaja pada malam hari. Tidak perlu berpeleseran merata-rata dan melepak di kedai mamak bersembang tidak tentu pasal.

 

وَجَعَلَ النَّهارَ نُشورًا

dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.

Dan Allah jadikan siang untuk kita bangun daripada tidur kita. Bila ada cahaya, susah kita nak tidur. Apabila tubuh kita terkena cahaya matahari, maka pengeluaran melatonin akan diberhentikan dan kita akan susah tidur dan terjaga.

Maka kita akan bangun dan waktu inilah senang untuk kita berusaha bekerja mencari rezeki. Ini adalah kerana suasana terang benderang dan mudah untuk buat kerja dan untuk ke mana-mana mencari rezeki.

Allah nak beritahu, malam dan siang itu, Dia yang jadikan. Bukannya siang dan malam itu terjadi sendiri. Ianya terjadi kerana qudrat Allah taala.


 

Ayat 48: Allah sambung menceritakan QudratNya lagi.

وَهُوَ الَّذي أَرسَلَ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَي رَحمَتِهِ ۚ وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً طَهورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who sends the winds as good tidings before His mercy [i.e., rainfall], and We send down from the sky pure water

(MELAYU)

Dialah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih,

 

وَهُوَ الَّذي أَرسَلَ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَي رَحمَتِهِ

Dialah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); 

Allah menghantar angin sebelum menurunkan hujan sebagai tanda yang hujan akan datang. Kerana dengan angin yang bertiup sahaja, manusia sudah boleh agak bahawa hujan yang ditunggu sebagai rahmat itu akan datang tidak lama lagi.

Tanda-tanda sebegini boleh diketahui oleh mereka yang tahu melihat tanda. Apabila sudah ada angin bertiup itu sahaja, manusia sudah suka. Ini kerana manusia memerlukan air hujan untuk mengairi tanaman dan sumber air untuk minuman.

 

وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً طَهورًا

dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih,

Dan kemudian Allah menurunkan air hujan dari langit itu yang bukan sahaja suci tetapi ia juga menyucikan. Dengan air itu boleh membersihkan diri dan juga untuk ambil wuduk dan mandi junub.

Ayat ini walaupun menyebut tentang air tapi ia memberi isyarat kepada kedatangan Rasulullah. Para ahli kitab yang tahu ilmu wahyu telah dapat merasa kedatangan dan kebangkitan Rasulullah sebagai Rasul akhir zaman dari tanda-tanda yang telah disebut-sebut dalam kitab mereka. Dan kerana itu ramai antara mereka yang telah menunggu-nunggu kedatangan baginda di Madinah. Mereka sanggup berpindah ke Madinah, tempat yang tandus itu, semata-mata untuk menunggu kedatangan Nabi Akhir Zaman.

Dan air hujan itu adalah isyarat kepada wahyu yang membersihkan akidah manusia sebagaimana juga air hujan itu membersihkan bumi. Sebagaimana air hujan itu memberi kesegaran kepada fizikal manusia, maka begitu juga wahyu Al-Qur’an memberi kesegaran kepada iman dan minda kita.


 

Ayat 49:

لِنُحيِيَ بِهِ بَلدَةً مَّيتًا وَنُسقِيَهُ مِمّا خَلَقنا أَنعٰمًا وَأَناسِيَّ كَثيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That We may bring to life thereby a dead land and give it as drink to those We created of numerous livestock and men.

(MELAYU)

agar Kami menghidupkan dengan air itu negeri (tanah) yang mati, dan agar Kami memberi minum dengan air itu sebahagian besar dari makhluk Kami, binatang-binatang ternak dan manusia yang banyak.

 

لِنُحيِيَ بِهِ بَلدَةً مَّيتًا

agar Kami menghidupkan dengan air itu negeri (tanah) yang mati,

Dengan air hujan itu Allah menghidupkan tanah yang mati dan ini memberi isyarat menghidupkan hati manusia yang mati kerana telah lama berada di dalam aqidah syirik.

Ramailah manusia yang sudah kenal ajaran tauhid setelah wahyu diturunkan. Akan tetapi malangnya walaupun Al-Qur’an telah lama turun tapi masih ramai lagi yang tidak tahu ajaran tauhid.

Ini adalah kerana ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Hanya apabila sudah belajar tafsir Al-Qur’an baru tahu dan ramai yang meninggalkan ajaran syirik yang telah diamalkan zaman berzaman.

Alhamdulillah ajaran tafsir Al-Qur’an sudah mula di negara ini walaupun ianya cuba disekat-sekat. Semoga ianya akan terus berkembang. Kalau kita perhatikan, semakin ramai yang mahu belajar tafsir dan cuba mendalaminya. Kelas pengajian pun semakin banyak.

 

وَنُسقِيَهُ مِمّا خَلَقنا أَنعٰمًا وَأَناسِيَّ كَثيرًا

dan agar Kami memberi minum dengan air itu sebahagian besar dari makhluk Kami, binatang-binatang ternak dan manusia yang banyak.

Dengan air itu dapat memberi sumber kehidupan kepada binatang dan juga manusia. Dan begitu juga apabila wahyu itu turun ia memberi kebaikan kepada banyak makhluk.

Maka teruskanlah belajar tafsir Al-Qur’an ini kerana ia dapat menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s