Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 43 – 45 (Semua makhluk bertasbih)

Isra’ Ayat 43: Allah ﷻ menolak fahaman syirik golongan Musyrikin Mekah itu.

سُبحَـٰنَهُ ۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يَقُولُونَ عُلُوًّا كَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Exalted is He and high above what they say by great sublimity.

(MELAYU)

Maha Suci dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka katakan dengan ketinggian yang sebesar-besarnya.

 

سُبحَـٰنَهُ ۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يَقُولُونَ

Maha Suci dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka katakan

Allah ﷻ tidak layak seperti apa yang mereka katakan. Kedudukan Allah ﷻ tidak seperti kedudukan makhluk seperti yang manusia musyrik itu gambarkan. Mereka itu hanya menggunakan akal dan nafsu mereka sahaja dengan kata ada ilah-ilah yang lain.

Maka kalimah Tasbih adalah untuk menolak kesesatan yang dilakukan oleh manusia. Ia adalah kalimah yang kita ucapkan untuk membersihkan/menyucikan Allah ﷻ daripada sifat-sifat yang tidak sesuai bagi-Nya. Contohnya ayat ini membersihkan sifat Allah ﷻ yang dikatakan sama seperti ilah-ilah yang lain.

 

عُلُوًّا كَبيرًا

dengan ketinggian yang sebesar-besarnya.

Allah ﷻ terlalu tinggi dan terlalu besar untuk dicapai oleh ilah-ilah yang lain. Memang tidak ada ilah lain pun. Sifat Allah ﷻ maha tinggi daripada sifat makhluk. Mana mungkin ada makhluk yang ada sifat Tuhan?


 

Isra’ Ayat 44: Sudah ada tasbih di dalam ayat sebelum ini maka sekarang diberitahu lagi tentang tasbih sebagai pelengkapan hujah. Ayat sebelum ini Allah ﷻ yang bertasbih menyucikan Diri-Nya, sekarang disebut segala alam ini juga bertasbih menyucikan-Nya. Ini adalah bukti Allah ﷻ tidak memerlukan anak langsung. Seluruh makhluk bertasbih kepada Allah ﷻ, maka ini bukti yang tidak ada ilah selain-Nya. Semua makhluk mengakui kekuasaan Allah ﷻ. Tasbih kepada Allah ﷻ dilakukan melalui ucapan dan anggota badan iaitu dengan mentaati arahan Allah ﷻ.

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوٰتُ ٱلسَّبعُ وَٱلأَرضُ وَمَن فِيہِنَّ‌ۚ وَإِن مِّن شَىءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفقَهُونَ تَسبِيحَهُم إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The seven heavens and the earth and whatever is in them exalt Him. And there is not a thing except that it exalts [Allāh] by His praise, but you do not understand their [way of] exalting. Indeed, He is ever Forbearing and Forgiving.

(MELAYU)

Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.

 

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوٰتُ ٱلسَّبعُ وَٱلأَرضُ وَمَن فِيہِنَّ‌ۚ

Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah.

Mana mungkin ada ilah selain Allah ﷻ, sedangkan semua yang di langit dan bumi bertasbih kepada-Nya. Semua makhluk di langit dan bumi bertasbih kepada Allah ‎ ﷻ. Kita sahaja yang tidak nampak kerana cara mereka bertasbih bukan sama seperti kita. Ini adalah perli Allah ﷻ kepada kita: makhluk lain bertasbih, bagaimana pula dengan kamu wahai manusia?

Satu lagi maksud tasbih yang dibincangkan oleh ulama’: setiap makhluk seperti bulan, bintang, binatang, bumi masing-masing mempunyai tugas yang telah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka tidak boleh menolak untuk tidak menjalankannya. Perbuatan mereka itulah yang dinamakan ‘tasbih’. Maknanya tidaklah mereka bertasbih seperti kita. Maksudnya tasbih mereka adalah dengan taat kepada Allah ‎ﷻ. Tasbih mereka adalah dengan perbuatan, bukannya dengan perkataan.

Satu lagi maksud yang diberikan tasbih alam ini dalam bentuk kesempurnaan dan keserasian antara satu sama lain. Alam ini telah Allah ﷻ susun dengan begitu hebat. Keserasian itulah tasbihnya. Keserasian ini menjadi bukti kewujudan Allah ﷻ – Takkan alam yang begini punya hebat tidak ada penciptanya?

Akan tetapi ada juga yang mengatakan memang alam ini bertasbih, tapi dengan cara mereka. Ini telah diberi isyaratnya di dalam ayat Fussilat: 21

ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ وَهِيَ دُخانٌ فَقالَ لَها وَلِلأَرضِ ائتِيا طَوعًا أَو كَرهًا قالَتا أَتَينا طائِعينَ
Kemudian Dia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”

Semua makhluk melakukan Tasbih kepada Allah ﷻ. Akan tetapi apakah maksud ‘Tasbih’?

Salah satu daripada maksudnya adalah membesarkan Allah ﷻ. Kita berikan satu analogi untuk menjelaskan: Kita boleh tahu kemahiran pelukis hanya dengan melihat gambarnya tanpa perlu kita melihat pelukis itu sendiri, bukan? Maka kita boleh kenal kehebatan Allah ﷻ melalui melihat alam ini. Kalau alam ini sudah sangat hebat, maka tentu Allah ﷻ lebih hebat lagi. Maka kerana itu kita memuji-Nya dengan mengucapkan Tasbih.

Semua makhluk tidak kira bagaimana kejadiannya diberi dengan cara dan bahasa mereka untuk bertasbih kepada Allah ﷻ. Kita sahaja tidak faham kerana kita tidak diberi kelebihan untuk memahami mereka.

 

وَإِن مِّن شَىءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمدِهِ

Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya,

Allah ﷻ tekankan lagi yang semua yang wujud hanya memuji Allah ﷻ. Ini juga disebut di dalam ayat lain iaitu Nur: 41

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالطَّيرُ صٰفّٰتٍ ۖ كُلٌّ قَد عَلِمَ صَلاتَهُ وَتَسبيحَهُ ۗ وَاللهُ عَليمٌ بِما يَفعَلونَ
Tidaklah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

Menurut Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ, sesungguhnya Allah ﷻ menyatakan bahawa segala apa yang berada di langit dan di bumi terdiri daripada para malaikat, manusia, jin, dan haiwan sehinggalah makhluk yang tidak bernyawa, semuanya bertasbih kepada Allah ﷻ. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/556)

Seluruh makhluk yang disebutkan tadi beribadah dan mematuhi Allah ﷻ. Ia mentauhidkan-Nya dengan mengiktiraf bahawa Dialah satu-satunya Tuhan yang berkuasa dan mentadbir terhadap seluruh alam semesta ini. Adapun cara atau kaedah setiap makhluk ini bertasbih ataupun beribadah, hanya Allah ﷻ yang mengetahuinya. Al-Sa’di رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, setiap makhluk memiliki cara ibadah bersesuaian dengan keadaan mereka. Allah ﷻ telah mengilhamkan bagaimana cara beribadah dan cara bertasbih, yang diutus kepada kalangan jin, manusia, dan malaikat. Bagi makhluk lain selain daripada jin, manusia, dan malaikat, Allah ﷻ mengilhamkan kepada makhluk ini secara langsung cara bertasbih bersesuaian dengan keadaannya.

Para sahabat pernah mendengar sendiri batu-batu bertasbih. Suatu hari datang seorang laki-laki ke rumah Rasulullah ﷺ, tetapi ketika sampai di rumah Rasulullah ﷺ, laki-laki itu mendapati Rasulullah ﷺ tiada di rumahnya. Beliau bertanya kepada pelayan baginda yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ sedang berada di sebuah tempat. Maka, beliau pergi ke tempat yang ditunjukkan si pelayan itu.

Setibanya di tempat tujuan, beliau melihat Rasulullah ﷺ sedang duduk sendirian, tanpa seorang sahabat pun menemaninya. Beliau mengira Rasulullah ﷺ sedang menerima wahyu. Beliau berjalan mendekati baginda, mengucapkan salam, dan Rasulullah ﷺ menjawabnya. Namun, laki-laki itu tidak berani mengucapkan sepatah pun kata sehingga beliau hanya duduk di samping baginda, kerana laki-laki itu tetap mengira bahawa Rasulullah ﷺ sedang menerima wahyu.

Tidak lama kemudian, datang Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berjalan dengan cepat. Setelah menjawab ucapan salam Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ menyuruhnya duduk di sebelah laki-laki itu. Lalu, datang Umar ibn Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang disuruh duduk di sisi Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Tidak lama kemudian datang Uthman ibn Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang disuruh duduk di samping Umar ibn Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Rasulullah ﷺ mengucapkan beberapa kalimat yang tidak difahami laki-laki itu. Beliau hanya mendengar baginda mengatakan, “Sedikit yang tersisa.”

Lalu, Rasulullah ﷺ mengambil beberapa butir kerikil. Dan, sungguh ajaib! Kerikil itu bertasbih di tangan baginda hingga semua yang hadir mendengarnya dengan jelas. Kemudian Rasulullah ﷺ memberikan kerikil-kerikil itu kepada Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dan lagi-lagi kerikil itu bertasbih di tangan Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, juga ketika diberikan kepada Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dan terakhir kerikil itu bertasbih di tangan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menuturkan bahawa suatu ketika Rasulullah ﷺ mengambil beberapa kerikil dan semuanya bertasbih di tangan baginda hingga para sahabat mendengar tasbihnya. Mengenai peristiwa itu, lbn Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengatakan, “Kami sedang makan bersama Rasulullah ﷺ dan mendengar suara tasbih yang dilantunkan oleh kerikil-kerikil itu.”

Sementara, Ali ibn Abi Talib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menuturkan kisah yang berbeza, “Kami bersama Rasulullah ﷺ di Makkah, kemudian baginda pergi ke salah satu sudut Makkah. Kami mendengar pepohonan dan gunung-gunung memberi salam kepadanya, ‘Assalamu’alaikum, ya Rasulullah.’

Di riwayat yang lain,

Abu Zar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ suka mendampingi Rasulullah ﷺ untuk mendengar hadith dan belajar daripada baginda. Pada suatu hari, Abu Zar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pergi menemui Rasulullah ﷺ di satu tempat. Rasulullah ﷺ bertanya: “Apa yang menyebabkan kamu datang ke mari?” Maka dijawabnya kerana rasa cinta dia kepada ALLAH ﷻ dan Rasul-Nya. Kemudian baginda meminta Abu Zar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ duduk di sampingnya.

Tidak lama kemudian Abu Bakar as-Siddiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang. Rasulullah ﷺ bertanya kepada Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: ” Apa yang menyebabkan kamu datang ke mari? ” Jawapan Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. serupa dengan jawapan Abu Zar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ “Yang menyebabkan saya datang ke sini hanyalah cinta saya kepada ALLAH ﷻ dan Rasul-Nya.” Kemudian datanglah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan menyampaikan salam kepada Rasulullah ﷺ. Baginda menjawab salamnya dan bertanya kepada Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: “Apa yang menyebabkan kamu datang ke mari?” Jawapan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ juga serupa. “Saya datang ke sini kerana cinta saya kepada ALLAH ﷻ dan Rasulullah ﷺ.”
Terakhir, datanglah Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ Kemudian Rasulullah ﷺ bertanya: “Apakah yang menyebabkan engkau datang ke sini?” Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab dengan perasaan dan hati yang sama, “Saya datang ke sini didorong oleh kecintaan saya kepada ALLAH ﷻ dan Rasulullah ﷺ.”
Kemudian Rasulullah ﷺ menggenggam tujuh atau sembilan butir batu kerikil. Tiba-tiba batu itu bertasbih di tangannya. Kemudian baginda memberi batu-batu itu kepada Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Batu kerikil itu terus bertasbih di tangan Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Kemudian Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُmeletakkan batu itu di atas tanah, dan batu itu diam membisu. Rasulullah ﷺ meminta Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ untuk mengambil batu itu. Kemudian batu-batu itu bertasbih di tangan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ seperti mana ia bertasbih di tangan Rasulullah ﷺ dan Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.
Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meletakkan batu-batu kerikil itu di atas tanah dan batu itu terdiam semula seperti yang asal. Kemudian Rasulullah ﷺ meletakkannya di atas tangan Uthman bin Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Batu itu juga bertasbih di tangan Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Kemudian, baginda ﷺ mengambilnya lalu meletakkannya di atas tanah. Batu-batu kerikil itu berhenti bertasbih.
(Riwayat Al-Baihaqi, Al-Bazzar dan At-Tabrani)

Perkara ini tidaklah mustahil. Allah ﷻ pernah menyebut gunung ganang juga bertasbih bersama Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Sad: 18

إِنّا سَخَّرنَا الجِبالَ مَعَهُ يُسَبِّحنَ بِالعَشِيِّ وَالإِشراقِ
Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Daud) di waktu petang dan pagi,

Walaupun kita tidak rasa benda-benda jumud seperti batu, pokok dan tanah itu tidak ada nyawa dan tidak ada emosi, akan tetapi Al-Qur’an menyebut yang mereka juga ada perasaan. Lihat Baqarah: 74

وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ
dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah

Kalau kita tahu yang batu dan alam juga ada perasaan, maka tidaklah pelik kalau mereka juga bertasbih. Batu juga biasa memberi salam kepada Rasulullah ﷺ, berdasarkan hadith daripada Jabir bin Samurah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنِِّّي لََأَعْرِفُ حَجَرًا بِِمَكَّةَ كَانَ يُسَلِّمُ عَلَيَّ قَبْلَ أَنْ أُبْعَثَ إِنِِّّي لََأَعْرِفُهُ الْْآنَ
Sesungguhnya aku mengetahui sebuah batu di Makkah yang mengucapkan salam kepadaku sebelum aku diutuskan menjadi rasul. Sesungguhnya sekarang aku benar-benar mengenali batu tersebut.
(Riwayat Muslim No. 2277)

Para sahabat juga pernah melihat perkara ajaib sebegini, contohnya Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah berkata:

وَلَقَدْ كُنَّا نَسْمَعُ تَسْبِيحَ الطَّعَامِ وَهُوَ يُؤْكَلُ
Sesungguhnya kami mendengar makanan bertasbih ketika ia dimakan.
(Riwayat Bukhari (3579))

Justeru, berdasarkan riwayat-riwayat yang dinyatakan, al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ cenderung menyatakan bahawa makhluk-makhluk selain malaikat, jin dan manusia bertasbih secara hakiki, tetapi tidak didengari dan difahami oleh manusia. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/89-92)

Allah ﷻ mampu sahaja menjadikan apa sahaja berbicara. Disebut di dalam Fussilat: 21 tentang hal ini:

وَقالوا لِجُلودِهِم لِمَ شَهِدتُّم عَلَينا ۖ قالوا أَنطَقَنَا اللهُ الَّذي أَنطَقَ كُلَّ شَيءٍ
Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata;

 

وَلَـٰكِن لَّا تَفقَهُونَ تَسبِيحَهُم

tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. 

Semua makhluk itu bertasbih, cuma kita sahaja yang tidak dapat faham bagaimana cara mereka bertasbih. Kerana lain jenis makhluk, lain cara tasbih mereka. Sebagai contoh, dalam ayat lain disebut bagaimana guruh di langit itu adalah cara tasbih langit.

Kita tidak tahu cara tasbih mereka kerana kita tidak dengar tasbih mereka itu. Susah juga hidup kita kalau sentiasa mendengar makhluk-makhluk lain seperti batu, tanah, air, pokok dan segala benda itu bertasbih. Ini sama macam kita ini dihijab pandangan daripada melihat jin, malaikat kerana kalau sentiasa nampak, susah hidup kita, bukan? Begitu juga kita tidak nampak microbiome dalam air yang kita minum, takutlah kita hendak minum air itu, bukan?

Abdullah ibnu Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ melarang membunuh katak, lalu baginda bersabda:

لَا تَقْتُلُوا الضَّفَادِعَ فَإِنَّ نَقِيقَهَا تَسْبِيحٌ
Janganlah kamu membunuh katak-katak kerana sesungguhnya bunyinya itu ialah tasbih.
(Hadith riwayat Baihaqi (19382) dalam Sunan al-Kubra)
Al-Baihaqi berkata sanadnya sahih

Bagi manusia, ibadah solat telah diketahui umum oleh umat Islam, kerana ia merupakan ibadah yang penting. Bagi haiwan, mereka turut beribadah dan bertasbih dengan caranya yang tersendiri. Ini kerana masing-masing telah mengetahui cara ibadah dan tasbihnya. Namun bentuk solat dan tasbih makhluk ini tidaklah diketahui dan yang penting diketahui bahawa setiap makhluk tersebut bersolat dan bertasbih dengan cara yang tersendiri. Allah ﷻ telah mengajarkan dan mengilhamkannya kepada makhluk ini, bagaimanakah mereka bersolat dan bertasbih. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/135-136)

Kalau para malaikat dan orang Islam bertasbih, kita senang untuk faham. Namun bagaimana pula orang kafir yang tidak mengiktiraf kedudukan Allah ﷻ itu bertasbih? Bukankah Allah ﷻ kata langit dan bumi dan segala yang ada di langit dan bumi itu bertasbih? Maka tentulah termasuk dengan orang kafir sekali, bukan?

Allah ﷻ memberitahu yang mereka juga bertasbih. Namun bagaimanakah caranya, kita pun tidak tahu. Allah ﷻ beritahu di sini yang kita tidak tahu bagaimana cara mereka bertasbih. Walaupun mereka ingkar kepada Allah ﷻ, akan tetapi tubuh badan mereka tidak ingkar, bukan? Maka tubuh mereka bertasbih kepada Allah ﷻ secara automatik.

Satu lagi tafsiran tasbih bagi alam adalah kesempurnaan dan keserasian antara elemen-elemen dalam alam ini. Ya ini pun kita tidak faham secara mendalam (kerana itu kalimah فقه yang digunakan. Secara luaran kita tahu, tetapi tidak secara mendalam. Kita tidak tahu bagaimana alam ini berfungsi secara terperinci, bukan? Semakin sains moden berkembang maju, semakin kita tahu rupanya ada banyak elemen-elemen yang kompleks di dalam alam ini. Kita tidak mungkin akan dapat memahaminya sekali pun nyawa kita diberi sekali ganda lagi.

 

إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.

Tidak mengapa kalau kamu tidak tahu tasbihnya para makhluk itu, kerana Allah ﷻ mengampuni kekurangan itu. Kalimah حلم itu kalau hendak dibayangkan adalah seolah-olah kasih sayang seorang emak kepada anaknya yang degil. Walaupun anak itu degil, namun emak masih tetap sayang dan kasih kepada anaknya itu. Maka, apabila seluruh alam ini bertasbih kepada Allah ﷻ, tetapi ada manusia yang tidak buat, Allah ﷻ masih tetap sayang.

Maka Allah ﷻ beri peluang untuk manusia yang ingkar itu masih hidup untuk beri peluang kepadanya untuk bertaubat. Allah ﷻ boleh sahaja mengenakan azab kepada makhluk-Nya akan tetapi oleh kerana sifat Halim-Nya ini, maka Dia memberi tangguh. Maka sifat Halim adalah sifat yang ada kemampuan untuk memberi azab akan tetapi tidak dilakukan. Ini seperti firman Allah ﷻ:

وَكَأَيِّنْ مِنْ قَرْيَةٍ أَمْلَيْتُ لَهَا وَهِيَ ظَالِمَةٌ
Dan berapalah banyaknya kota yang Aku tangguhkan azab-(Ku) kepadanya, yang penduduknya berbuat zalim.
(Hajj: 48)

Walaupun mereka masih juga melakukan kesalahan, namun Allah ﷻ masih boleh mengampunkan dosa-dosa mereka. Asalkan mereka sanggup untuk menyerah diri dan bertaubat kepada Allah ﷻ.


 

MUSYRIKIN MENGHINA AL-QUR’AN

Isra’ Ayat 45: Di dalam ayat 41 sebelum ini telah disebut yang walaupun ayat-ayat Al-Qur’an  dijelaskan dengan berbagai aneka ragam cara (kaedah تصريف), akan tetapi golongan yang menentang tidak juga mahu faham dan menerima. Maka mereka tidak memperolehi manfaat dari Al-Qur’an. Sekarang diberi penjelasan kenapa manusia tidak memahami Al-Qur’an walaupun dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, atau mereka sendiri baca Al-Qur’an itu.

وَإِذَا قَرَأتَ ٱلقُرءَانَ جَعَلنَا بَينَكَ وَبَينَ ٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ بِٱلأَخِرَةِ حِجَابًا مَّستُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you recite the Qur’ān, We put between you and those who do not believe in the Hereafter a concealed partition.¹

  • Preventing guidance from reaching them.

(MELAYU)

Dan apabila kamu membaca Al-Qur’an nescaya Kami adakan antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, suatu dinding yang tertutup,

 

وَإِذَا قَرَأتَ ٱلقُرءَانَ

Dan apabila kamu membaca Al Qur’an

Ini adalah orang yang beriman dengan Al-Qur’an. Mereka meluangkan masa untuk baca dan belajar ajaran dalam Al-Qur’an itu. Kerana itu mereka akan berusaha untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Apabila sudah mula belajar, maka mereka itu akan faham agama.

Setelah faham Al-Qur’an ini, maka tidak mahu tidak, sifat mereka yang utama adalah mereka akan sampaikan kepada manusia lain. Mereka sangat takjub dengan ilmu yang mereka dapat, mereka mesti akan sampaikan kepada orang lain. Kerana mereka hendak selamatkan orang lain juga. Begitulah kalau kita tahu ada barang baik, kita akan beritahu orang lain, bukan? Memang begitulah yang Al-Qur’an ajar. Jangan simpan sendiri tetapi hendaklah dakwah dan sampaikan kepada manusia.

Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus. Kemudian Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ di dalam ayat 41 dengan menyebut ia menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami ajaran yang disampaikan. Sekarang kita diberitahu lagi satu maklumat tentang ٱلقُرءَانِ. Ia menjadi pembimbing kepada orang yang percaya adanya akhirat, akan tetapi kepada orang yang tidak percaya akhirat, ia akan menjadi dinding yang menghalang.

 

جَعَلنَا بَينَكَ وَبَينَ ٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ بِٱلأَخِرَةِ حِجَابًا مَّستُورًا

Kami adakan antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, suatu dinding yang tertutup,

Apabila orang mukmin baca dan memahami Al-Qur’an, Allah ﷻ akan jadikan hijab antara orang mukmin itu dan mereka yang tidak percaya kepada akhirat. Hijab adalah penghalang untuk sampai kepada sesuatu. Ia boleh jadi apa-apa sahaja yang menghalang jalan atau yang menghalang pandangan. Satu lagi kalimah yang digunakan untuk penghalang adalah ستر tetapi ستر tidak halang dengan penuh.

Mereka yang dihalang adalah orang yang tidak beriman dengan hari akhirat. Ini menunjukkan bahawa masalah utama dengan manusia yang ingkar itu adalah kerana mereka tidak percaya kepada hari kebangkitan. Sekiranya kita lihat ajaran ahli kitab pun, mereka sudah keluarkan berita tentang hari akhirat itu. Sedangkan tentu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tahu tentang akhirat dan menyampaikannya kepada umat baginda, bukan?

Kalimah حِجابًا adalah dalam bentuk masdar (kata terbitan). Ia juga dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan). Kemudian Allah ﷻ tambah dengan kalimah مَستورًا tetapi مَستورًا pula dalam bentuk maf’ul. Kita telah katakan yang ستر adalah jenis penghalang yang tidak menutup sepenuhnya. Maka Allah ﷻ beritahu bahawa hijab itu seolah-olah tidak nampak.

Ia bukanlah jenis penghalang yang kita nampak seperti pagar dan sebagainya, maka ia adalah hijab maknawi (hijab dari segi makna). Maka kerana itu ada orang yang kita nampak ada penghalang itu antara kita dan mereka. Kadang-kadang kita cakap apa sahaja pun tentang agama, mereka tidak faham dan nampak mereka macam tidak faham. Kadang-kadang penghalang itu tidak berapa jelas. Iaitu kita pun tidak tahu dia faham atau tidak kerana dia tidak memberikan respon.

Maka, Allah ﷻ hendak memberitahu yang ada golongan yang ditahan daripada memahami Al-Qur’an kerana mereka sendiri tidak mahu. Oleh kerana itu ada hijab kepada mereka yang menghalang mereka untuk faham. Perihalnya sama dengan apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

وَقَالُوا قُلُوبُنَا فِي أَكِنَّةٍ مِمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ وَفِي آذَانِنَا وَقْرٌ وَمِنْ بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ
Mereka berkata, “Hati kami berada dalam tutupan (yang menutup) apa yang kamu seru kami kepadanya dan di telinga kami ada sumbatan dan antara kami dan kamu ada dinding.”
(Fussilat: 5)

Dalam Tafsir Jalalain dan kitab-kitab tafsir yang lain ada disebut satu lagi tafsir. Iaitu maksud ayat ini adalah penglihatan Musyrikin Mekah yang hendak membunuh Nabi ﷺ ditutup daripada melihat baginda.

Maka terdapatlah ceritera darihal isteri Abu Lahab, yang bernama Ummu Jamil binti Harb. Bencinya kepada Nabi ﷺ bukan alang kepalang, serupa juga dengan kebencian suaminya Abu Lahab terhadap kepada Muhammad ﷺ, walaupun anak saudara kandungnya. Maka ketika turun Surat Tabbat Yadaa Abi Lahab, yang di dalam surah itu tersebut وَٱمرَأَتُهُ ۥ حَمَّالَةَ ٱلحَطَبِ (Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api). Maka bukan main murkanya kepada Nabi ﷺ, sehingga dicarinya hendak dibunuhnya, dan telah dibawanya sebuah batu besar, yang kalau dihumbankannya kepada Nabi ﷺ boleh pecah kepalanya.

Demikianlah terdindingnya hati yang kufur itu daripada Al-Qur’an! Namun hairan sekali ketika dia masuk ke dalam Masjidil Haram dan di sana sedang duduk Nabi ﷺ bersama Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Ummu Jamil tidak melihat beliau, yang dilihatnya hanya Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dan kepada Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُlah dia memuntahkan kemurkaan hatinya. Maka berbisiklah Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kepada Nabi ﷺ: “إني أخاف أن تراك .” (Saya takut akan kelihatan olehnya engkau). “أنها لن تراني.” (Dia tidak akan dapat melihat aku), kata Nabi ﷺ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 38 – 42 (Hujah menolak fahaman syirik)

KEPATUHAN KEPADA PERINTAH ALLAH ﷻ

Isra’ Ayat 38: Khulasah (kesimpulan) daripada ayat-ayat yang telah disampaikan sebelum ini.

كُلُّ ذٰلِكَ كَانَ سَيِّئُهُ ۥ عِندَ رَبِّكَ مَكرُوهًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

All that [i.e., the aforementioned] – its evil is ever, in the sight of your Lord, detested.

(MELAYU)

Semua itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu.

 

Semua yang disebut di atas tadi adalah kesalahan yang Allah ﷻ tidak suka dan suruhan yang wajib kita buat semampu kita. Telah banyak disebut hukum-hukum daripada Allah ﷻ sebelum ini. Ada 25 perkara semua sekali yang disenaraikan ulama’:

1) Jangan menjadikan bersama Allah ﷻ tuhan yang lain.
2) Dan Tuhanmu telah menetapkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia. Hal ini mengandungi dua tuntunan, pertama mengesakan Allah ﷻ dan kedua melarang mempersekutukan-Nya.
3) Dan hendaklah (kamu berbakti) kepada ibu bapa.
4) Janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah”.
5) Janganlah kamu membentak keduanya.
6) Ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang mulia.
7) Rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua.
8) Ucapkanlah (berdoalah): “Tuhanku! kasihilah keduanya.
9) Berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya.
10) Juga berikan kepada orang miskin.
11) Dan kepada yang dalam perjalanan.
12) Jangan membazir.
13) Katakanlah ucapan yang mudah kalau tidak dapat membantu.
14) Jangan jadikan tanganmu terbelenggu.
15) Jangan terlalu mengulurkan bantuan sampai penat atau habis.
16) Jangan membunuh anak-anak kamu.
17) Jangan mendekati zina.
18) Jangan membunuh jiwa.
19) Jangan melampaui batas dalam membunuh.
20) Janganlah kamu mendekati (makan) harta anak yatim.
21) Sempurnakan janji.
22) Sempurnakan timbangan.
23) Timbanglah dengan adil.
24) Jangan mengikuti apa yang tiada bagimu pengetahuan.
25) Jangan berjalan di bumi dengan sombong.

Semua itu dari dulu lagi Allah ﷻ tidak suka perkara itu. Apabila digunakan kalimah مَكروهًا (makruh – tidak disukai) dalam Al-Qur’an, ia bermaksud dosa besar. Jangan samakan ‘makruh’ dalam Al-Qur’an dan ‘makruh’ dalam hukum feqah. Ini kerana Allah ﷻ kata bunuh itu juga ‘makruh’. Maka takkan setakat Allah ﷻ ‘tidak suka’ sahaja, bukan?


 

Isra’ Ayat 39:  I’adah (pengulangan) kepada Dakwa Tauhid. Ia adalah ulangan arahan yang telah disebut di dalam ayat 22 sebelum ini.

Diriwayatkan oleh Ibn Jarir daripada Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa beliau berkata: “Seluruh isi at-Taurat diperoleh 15 ayat daripada surah Bani Israil.

ذٰلِكَ مِمَّآ أَوحَىٰٓ إِلَيكَ رَبُّكَ مِنَ ٱلحِكمَةِ‌ۗ وَلَا تَجعَل مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ فَتُلقَىٰ فِى جَهَنَّمَ مَلُومًا مَّدحُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is from what your Lord has revealed to you, [O Muḥammad], of wisdom. And, [O mankind], do not make [as equal] with Allāh another deity, lest you be thrown into Hell, blamed and banished.

(MELAYU)

Itulah sebahagian hikmah yang diwahyukan Tuhanmu kepadamu. Dan janganlah kamu mengadakan tuhan yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu dilemparkan ke dalam neraka dalam keadaan tercela lagi dijauhkan (dari rahmat Allah).

 

ذٰلِكَ مِمّا أَوحىٰ إِلَيكَ رَبُّكَ مِنَ الحِكمَةِ

Itulah sebahagian hikmah yang diwahyukan Tuhanmu kepadamu.

Semua hukum yang telah disampaikan adalah daripada hikmah kebijaksanaan yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Ianya indah dan hebat kerana ia daripada Allah ﷻ yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Ia ada kelebihan untuk menjaga keharmonian kehidupan kita semasa kita di dunia ini. Apabila ia tidak dijaga, maka masyarakat menjadi rosak, seperti yang kita boleh lihat pada zaman sekarang.

Ada kelebihan-kelebihan yang kita dapat fikirkan daripada undang-undang Allah ﷻ, tetapi ada banyak lagi yang akal kita tidak dapat fikirkan. Kalau kita ikut hukum dan arahan itu, maka Allah ﷻ akan beri rahmat kepada kita.

Maka Allah ﷻ telah berfirman, “Semua yang Kami perintahkan kepadamu, Muhammad, berupa akhlak-akhlak yang baik; dan semua yang Kami larang kamu mengerjakannya, berupa sifat-sifat yang tercela yang Kami wahyukan kepadamu, hendaklah kamu anjurkan kepada manusia.

 

وَلا تَجعَل مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ

Dan janganlah kamu mengadakan ilah yang lain di samping Allah,

Kemudian Allah ﷻ ulang perkara penting dalam agama, iaitu tentang tauhid. Iaitu jangan buat syirik. Ini adalah perkara yang amat penting. Kerana itu selepas Allah ﷻ sebut tentang hukum-hukum, Allah ﷻ ingatkan semula perkara yang amat penting ini – jangan buat syirik sekali lagi. Kerana kalau buat syirik, akan menyebabkan segala amalan dan segala tindakan baik (termasuk menjaga hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan itu) menjadi sia-sia sahaja.

Akan tetapi ramai dalam kalangan umat Islam pun yang masih tidak faham apakah tauhid dan apakah syirik. Mereka sangka ‘ilah’ itu adalah mengadakan ‘tuhan’ lain seperti Allah ﷻ. Memang itu jarang dilakukan manusia. Namun yang selalu dilakukan manusia adalah menjadikan ‘ilah’ selain Allah ﷻ.

Ilah ini boleh jadi daripada berbagai-bagai keadaan seperti Nabi, jin, wali dan malaikat malah nafsu dan lain-lain lagi. Maka kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan ilah. Ini adalah pemahaman yang amat penting. Ringkasnya ilah adalah tempat pengharapan, yang kita taati.

 

فَتُلقىٰ في جَهَنَّمَ مَلومًا مَّدحورًا

yang menyebabkan kamu dilemparkan ke dalam neraka dalam keadaan tercela lagi dijauhkan

Jikalau menjadikan ilah selain Allah ﷻ, pasti manusia itu akan dibuang dalam neraka dalam keadaan tercela (kamu akan cela diri kamu, Allah ﷻ akan cela dan semua makhluk lain pun akan cela juga).

Takut kamu nanti akan ditolak jauh masuk dengan kasar ke dalam neraka dan dijauhkan daripada rahmat Allah ﷻ, tidak ada peluang langsung untuk masuk ke dalam syurga. Maknanya mereka adalah orang-orang yang diusir. Kalimah مَّدحورًا daripada katadasar د ح ر yang bermaksud menghalau; menolak jauh; menutup; buang; dihalau; ditolak. Maksudnya mereka akan ditendang masuk ke dalam neraka. Maksudnya juga mereka terusir dan maksudnya adalah terusir dari rahmat. Kerana manusia akan masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ dan mereka tidak akan dapat rahmat Allah ﷻ itu dan kerana itu mereka akan masuk ke dalam neraka.

Khitab (penyampaian) ayat ini memang ditujukan kepada Rasulullah ﷺ, tetapi makna yang dimaksudkan ialah buat umatnya, kerana Rasulullah ﷺ adalah seorang yang ma’sum (dipelihara) daripada dosa.


 

PENOLAKAN KEPADA HUJAH MUSYRIKIN

Isra’ Ayat 40: Penjelasan tentang salah satu kesalahan syirik yang dilakukan oleh manusia. Maka ini adalah ayat Zajrun (teguran).

Bermula ayat ini sehingga ke ayat 60 adalah Perenggan Makro ke 4. Ia mengandungi jawapan kepada Musyrikin Mekah. Berbagai-bagai kesalahan yang mereka lakukan seperti disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an yang banyak. Ayat sebelum ini menyebut larangan melakukan syirik, maka di dalam ayat ini disambung dengan contoh kesyirikan yang dilakukan mereka iaitu berkenaan para malaikat.

Antaranya Musyrikin Makkah mengadakan ilah-ilah tambahan, mendakwa malaikat itu anak perempuan Allah ﷻ, manusia tidak akan dibangkitkan, mempersenda kedatangan hari kiamat, mereka kata tiada azab neraka dan isinya (seperti pokok Zaqqum). Mereka juga menuduh Nabi ﷺ terkena sihir. Selain daripada itu mereka menyangka ilmu pengetahuan Allah ﷻ terbatas, tidak meluas.

أَفَأَصفَٮٰكُم رَبُّڪُم بِٱلبَنِينَ وَٱتَّخَذَ مِنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنَـٰثًا‌ۚ إِنَّكُم لَتَقُولُونَ قَولاً عَظِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, has your Lord chosen you for [having] sons and taken [i.e., adopted] from among the angels daughters? Indeed, you say a grave saying.

(MELAYU)

Maka apakah patut Tuhan memilihkan bagimu anak-anak laki-laki sedang Dia sendiri mengambil anak-anak perempuan di antara para malaikat? Sesungguhnya kamu benar-benar mengucapkan kata-kata yang besar (dosanya).

 

أَفَأَصفَٮٰكُم رَبُّڪُم بِٱلبَنِينَ

Maka apakah patut Tuhan memilihkan bagimu anak-anak laki-laki

Salah satu salah faham syirik yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah adalah mereka mengatakan yang para malaikat itu adalah anak perempuan Allah ﷻ. Sekarang Allah ﷻ berhujah menolak fahaman bodoh mereka itu. Kalimah أَفَأَصفَٮٰكُم daripada katadasar ص ف و yang bermaksud jelas; tulen; mengambil yang terbaik; dijelaskan; memilih mengikut keutamaan; beri keutamaan kepada orang lain dalam memilih apa-apa; memilih; yang terpilih; yang terbaik dan terpilih; batu keras; batu. Di sini diambil maksud memilih kerana kelebihan. Iaitu Musyrikin Mekah bukan sahaja mengatakan Allah ﷻ ada anak, tetapi mereka khusus memilih anak perempuan pula bagi Allah ﷻ.

Sedangkan mereka sendiri pun tidak suka kepada anak perempuan seperti disebut di dalam Nahl: 58

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالأُنثىٰ ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا وَهُوَ كَظيمٌ
Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia menahan marah.

Maka amatlah tidak patut kalau mereka menisbahkan anak-anak Allah ﷻ itu anak perempuan, sedangkan mereka sendiri tidak suka anak perempuan. Tidak masuk akal mereka beri apa yang mereka sendiri tidak suka. Allah ﷻ sebut di dalam Zukhruf: 18

أَوَمَن يُنَشَّؤُا فِي الحِليَةِ وَهُوَ فِي الخِصامِ غَيرُ مُبينٍ
Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang dia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?

Musyrikin Mekah ini memang kenal yang Allah ﷻ itu adalah Tuhan Pencipta, tetapi mereka memandai pula kata yang para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah ﷻ. Sudahlah entah datang dari mana mereka tahu yang jantina para malaikat itu perempuan pun kita tidak tahu. Kerana tidak mungkin mereka pernah lihat para malaikat itu, bukan? Bukti mereka kenal Allah ﷻ adalah seperti disebut di dalam Luqman: 25

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ ۚ قُلِ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ
Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Oleh kerana pada pandangan mereka para malaikat itu adalah anak perempuan Allah ﷻ, maka mereka memuja dan berdoa kepada para malaikat itu supaya menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ. Sangka mereka, kalau anak perempuan yang tolong mintakan, tentulah Allah ﷻ akan beri, bukan?

Itu adalah salah satu contoh amalan syirik Musyrikin Mekah malangnya masyarakat kita pun buat juga tetapi dalam bentuk yang lain. Ramai yang sangka kerana para Nabi itu disayangi oleh Allah ﷻ, maka kalau minta menggunakan para Nabi itu, tentu Allah ﷻ akan beri. Maka ada yang meminta kepada para Nabi untuk sampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ. Inilah amalan sesat Tawassul.

Orang Melayu kita ada yang minta kepada Nabi Muhammad ﷺ dan puak Habib itu memuja dan berdoa kepada Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk sampaikan doa mereka. Kalau Syiah pula mereka akan berdoa melalui Husin dan juga Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Ini semua adalah kesesatan-kesesatan yang sedang diamalkan oleh masyarakat Muslim kita. Semoga kita diselamatkan daripada salahfaham dan kesesatan ini.

Untuk kesalahan menganggap malaikat adalah anak perempuan Allah ﷻ, Allah ﷻ jawab kekeliruan sesat mereka itu dalam ayat ini. Allah ﷻ beri hujah menggunakan kebiasaan mereka dalam kehidupan mereka. Masyarakat Arab memang teramat suka kepada anak lelaki dan tidak suka kalau mereka dapat anak perempuan. Maka Allah ﷻ kata, takkan kamu hendak Allah ﷻ beri anak lelaki kepada kamu, tetapi anak perempuan untuk Allah ﷻ pula?

 

وَٱتَّخَذَ مِنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنَـٰثًا‌ۚ

sedang Dia sendiri mengambil anak-anak perempuan di antara para malaikat?

“Tapi kamu kata Allah ambil anak perempuan?” Ini kerana mereka kata para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah ﷻ. Ini pun memang tidak patut kerana mana mereka tahu yang para malaikat itu berkelamin perempuan? Sebab itu dalam ayat 36 telah ditegur jangan cakap tanpa ilmu.

Jelas sekali ini memang tidak patut langsung – yang kamu tidak suka, kamu beri kepada Allah ﷻ; yang kamu suka, kamu ambil sendiri. Adakah ini patut? Takkan Allah ﷻ ambil anak perempuan dan beri anak lelaki pula untuk kamu? Takkan Allah ﷻ melebihkan kamu pula wahai manusia?

Takkan Dia terpaksa ambil anak perempuan kerana Dia telah beri anak lelaki kepada kamu? Kalimah ٱتَّخَذَ ada penambahan huruf ت di dalamnya yang memberi isyarat kesungguhan serta keterpaksaan. Ini tentulah mustahil kerana Allah ﷻ tidak boleh dipaksa-paksa.

 

إِنَّكُم لَتَقولونَ قَولًا عَظيمًا

Sesungguhnya kamu benar-benar mengucapkan kata-kata yang besar

Oleh itu, sangkaan kamu itu adalah kata-kata yang amat besar dari segi dosa. Pandai sahaja kamu kata yang Allah ﷻ ada anak perempuan. Dari mana kamu dapat kisah Allah ﷻ ada anak? Kemudian mana kamu tahu anak itu khusus anak perempuan pula? Sudahlah kamu buat syirik, kamu reka perkara yang tidak benar tentang Allah ﷻ.

Namun cara kamu buat itu pun teruk sangat – kamu beri kepada Allah ﷻ benda yang kamu tidak suka. Kamu sangka ini perkara kecil sahaja, perkara yang baik, Allah ﷻ pun kamu kata suka akan hal ini, tetapi sekarang Allah ﷻ beritahu yang ia adalah perkara yang amat-amat berat. Dalam ayat-ayat yang lain disebutkan oleh Allah ﷻ melalui firman-Nya:

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَنُ وَلَدًا * لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا* تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الأرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا* أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا* وَمَا يَنْبَغِي لِلرَّحْمَنِ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا* إِنْ كُلُّ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ إِلا آتِي الرَّحْمَنِ عَبْدًا* لَقَدْ أَحْصَاهُمْ وَعَدَّهُمْ عَدًّا* وَكُلُّهُمْ آتِيهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَرْدًا
Dan mereka berkata, “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.” Sesungguhnya kalian mendatangkan suatu perkataan yang sangat mungkar, hampir-hampir langit pecah kerana perkataan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh, kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak. Tidak ada seorang pun di langit dan bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri. (Maryam: 88-95)

Sekian Ruku’ 4 dari 12 ruku’ surah ini


 

Isra’ Ayat 41: Ayat Zajrun (teguran) lagi. Dalam ayat ini Allah ﷻ telah berhujah tentang kebodohan kata-kata mereka tentang para malaikat. Setelah Allah ﷻ beri teguran kepada mereka, mereka tetap juga berdegil. Maka Allah ﷻ cerita tentang golongan yang degil, yang tak boleh menerima teguran. Ramai juga orang kita sebegini. Kita tegur kerana kita sayang mereka, kita hendak beri kebaikan kepada mereka, tetapi kita pula yang dimarahi kerana menegur.

وَلَقَد صَرَّفنَا فِى هَـٰذَا ٱلقُرءَانِ لِيَذَّكَّرُواْ وَمَا يَزِيدُهُم إِلَّا نُفُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly diversified [the contents] in this Qur’ān that they [i.e., mankind] may be reminded, but it does not increase them [i.e., the disbelievers] except in aversion.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya dalam Al Qur’an ini Kami telah ulang-ulangi (peringatan-peringatan), agar mereka selalu ingat. Dan ulangan peringatan itu tidak lain hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran).

 

وَلَقَد صَرَّفنَا فِى هَـٰذَا ٱلقُرءَانِ لِيَذَّكَّرُواْ

Dan sesungguhnya dalam Al Qur’an ini Kami telah ulang-ulangi, agar mereka selalu ingat.

Kalau kita lihat, surah ini menyebut Al-Qur’an dengan nama Al-Qur’an sendiri banyak kali. Kalau dibandingkan dengan surah-surah lain, kebanyakannya menyebut nama al-Kitab sahaja. Kenapa agaknya?

Kerana Allah ﷻ hendak memberitahu yang peringatan telah diberikan dengan berbagai-bagai cara untuk memberi kefahaman kepada manusia melalui Al-Qur’an ini. Atas kesalahan Musyrikin Mekah itu Allah ﷻ telah menjelaskan mereka berkali-kali akan kesalahan yang mereka telah lakukan. Allah ﷻ ubah-ubah cara penjelasan supaya mereka cuba memikirkan. Kerana ada orang yang faham cara begini dan ada yang faham dengan cara begitu. Maka banyak cara Allah ﷻ beritahu supaya manusia boleh faham.

Kerana itu kalimah yang digunakan adalah لِيَذَّكَّرُواْ yang bermaksud Al-Qur’an ini diberikan sebegitu rupa untuk kita ambil peringatan. Ulama’ ada menafsirkan kalimah لِيَذَّكَّرُواْ sebagai لِيَتَدَبَّرُوا (untuk mereka tadabbur – memikirkan) akan ayat-ayat Al-Qur’an itu.

Kalimah لِيَذَّكَّرُواْ asalnya daripada kalimah لِيَتَذَّكَّرُواْ akan tetapi huruf ت telah dihazafkan. Ini kerana huruf ت dan ذ makhrajnya sama. Al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ juga menyatakan hazaf tersebut untuk mengisyaratkan kesedikitan, yakni sedikit pun mereka tidak ingat. Atau, sedikit sangat mereka ingat.

Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus. Sekarang Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami Al-Qur’an.

Allah ﷻ ulangi cara memberitahu dengan mengulang-ulang tetapi dengan berbagai-bagai cara. Kalau kita lihat, ada banyak sekali ayat-ayat tentang tauhid yang disebut tetapi dalam berbagai-bagai cara. Ia mengulang perkara yang sama, tapi dengan cara yang berlainan. Sebagai contoh dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ bagi perbandingan: Takkan Dia beri kamu anak lelaki dan Dia ambil anak perempuan pula? Sekali dengan penjelasan yang menyentuh hati, di kali lain dengan argumen yang meyakinkan minda. Kali ketiga melalui perumpamaan, di kali lain dengan pengulangan dan pemaparan pengalaman sejarah. Ada ayatnya yang memerintah dengan tegas, ada juga yang menyinggung dengan halus, dan masih banyak cara serta gaya lainnya untuk meyakinkan manusia tentang keesaan Allah ﷻ dan kebenaran Rasul-Nya.

Cara berhujah sebegini diberikan supaya manusia senang faham dan tidak ada alasan yang mereka tidak faham kerana sudah berbagai cara diberikan kepada mereka untuk mereka faham. Allah ﷻ sebut sebanyak empat kali ayat yang mengatakan yang Dia telah memudahkan Al-Qur’an ini untuk diambil peringatan, lihat Qamar: 17

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Maka kalau Allah ﷻ kata Al-Qur’an ini untuk kita ambil pengajaran dan Dia sendiri sudah mudahkan, kenapa kita tidak ambil pengajaran? Kenapa masih hanya setakat baca tanpa faham? Kenapa belajar tajwid sahaja dan kemudian Tarannum (tarannum tidak pernah menjadi sebahagian daripada ilmu Al-Qur’an maka tidak perlu belajar) sahaja? Kenapa ada ustaz yang jahil sangat sampai mengatakan Al-Qur’an ini ‘terlalu tinggi’ sampaikan kita tidak boleh faham. Orang tertentu sahaja yang boleh faham, katanya. Entah siapalah yang dia maksudkan mereka sahaja boleh faham. Malaikat agaknya. Orang sebegini sepatutnya ditarik status ‘ustaz’ dia kerana dia merosakkan manusia sahaja.

Antara perkara lain yang diulang-ulang dengan berbagai cara adalah ancaman (takhwif duniawi dan ukhrawi). Supaya manusia sentiasa diingati. Kerana itu kalau baca Al-Qur’an, rasanya tidak ada satu muka yang tidak ada peringatan kepada akhirat. Boleh dikatakan, setiap muka akan ada peringatan kepada akhirat.

 

وَما يَزيدُهُم إِلّا نُفورًا

Dan ulangan peringatan itu tidak lain hanyalah menambah mereka lari 

Walaupun telah diberi peringatan dengan berbagai-bagai cara, diulang-ulang penerangan tentang perkara yang penting-penting, tetapi Allah ﷻ menegur mereka kerana ia hanya menambah kebencian mereka kepada Al-Qur’an ini. Sepatutnya ia memberi kefahaman kepada mereka, tetapi tidak jadi begitu. Ini kerana mereka itu orang yang degil. Kalau memang sudah tidak suka, sampai bila pun mereka benci juga kepada Al-Qur’an itu.

Kalimah نُفورًا diambil daripada kalimah النفر an-nafar iaitu kebangkitan dengan bergegas atau dengan penuh semangat menuju sesuatu atau meninggalkan sesuatu dengan tergesa kerana takut atau tidak menyenangi. Makna meninggalkan dengan bergegas kerana tidak senang, itulah yang dimaksud ayat ini. Dalam bahasa kita, ‘angkat kaki’ sebab tidak tahan dengar apa yang disampaikan.

Begitulah yang terjadi dengan sebahagian masyarakat kita. Kita ajak mereka untuk faham tafsir Al-Qur’an supaya mereka dapat meninggalkan ajaran yang pelik dan khurafat. Namun tetap mereka akan pekakkan telinga dan tinggalkan kita.

Atau, kalau mereka tidak pergi, kita yang dimarahi pula. Mereka marah kita, akan tetapi mereka tidak perasan yang sebenarnya mereka marah kepada Al-Qur’an kerana apa yang kita sampaikan adalah daripada ayat-ayat Al-Qur’an. Kalau marah Al-Qur’an, siapa sebenarnya yang mereka marah? Siapa yang buat Al-Qur’an? Tentulah Allah ﷻ! Maka mereka ini marah kepada Allah ﷻ pula tetapi mereka tidak perasanlah kerana mereka itu setakat baca Al-Qur’an sahaja. Mereka bukan tahu pun apa yang mereka baca itu.

Mungkin ada orang berhujah: kalau memang Allah ﷻ telah memutuskan bahawa kehadiran Al-Qur’an dengan aneka cara dan argumentasi itu hanya menjauhkan mereka daripada tuntunan Ilahi, maka mengapa ayat-ayatnya masih terus turun? Jawapan yang dapat dikemukakan antara lain adalah jika ayat-ayatnya tidak terus diturunkan, maka keadaan mereka dapat lebih parah lagi.


 

ADAKAH ADA TUHAN YANG LAIN?

Isra’ Ayat 42: Ini adalah salah satu cara yang Allah ﷻ gunakan untuk menerangkan tentang kebodohan syirik, iaitu kepercayaan yang ada ilah selain Allah ﷻ. Dalam ayat sebelum ini telah disebut mereka menolak malah lari daripada kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Maka apa yang perlu dilakukan terhadap mereka? Biarkan sahaja? Tentu tidak, sebaliknya kita kena berhujah lagi dengan mereka untuk membuktikan kesalahan cara fikir mereka. Maka sekarang Allah ﷻ beri hujah yang lain pula.

قُل لَّو كَانَ مَعَهُ ۥۤ ءَالِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ إِذًا لَّٱبتَغَواْ إِلَىٰ ذِى ٱلعَرشِ سَبِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “If there had been with Him [other] gods, as they say, then they [each] would have sought to the Owner of the Throne a way.”¹

  • To please Him, recognizing His superiority. Another interpretation is “…they would seek a way” to depose Him (subḥānahu wa ta‘ālā) and take over His Throne.

(MELAYU)

Katakanlah: “Jikalau ada tuhan-tuhan di samping-Nya, sebagaimana yang mereka katakan, nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada Tuhan yang mempunyai ‘Arsy”.

 

قُل لَّو كَانَ مَعَهُ ۥۤ ءَالِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ

Katakanlah: “Jikalau ada tuhan-tuhan di samping-Nya, sebagaimana yang mereka katakan, 

Apabila ada kalimah قل (katakanlah), ia bermakna arahan daripada Allah ﷻ kepada Rasulullah ﷺ untuk sampaikan kepada umat. Akan tetapi, bukankah seluruh ayat Al-Qur’an baginda kena sampaikan? Tentu sekali. Maka apabila ada arahan spesifik قل ini, maka ia adalah penekanan kepada baginda untuk sampaikan. Juga bermaksud apa yang hendak disampaikan itu adalah amat penting. Oleh itu bagi kita yang membaca Al-Qur’an ini, kena sedar yang ini adalah makluman yang besar dan berat, maka kena beri perhatian yang lebih lagi.

Banyak manusia yang mencipta ilah-ilah selain Allah ﷻ. Mereka meninggikan kedudukan Nabi, wali dan malaikat terlalu tinggi daripada yang sepatutnya sampai mencapai status ilah atau sebagai tuhan. Allah ﷻ suruh mereka fikirkan, kalaulah memang ada ilah-ilah lain seperti kata mereka itu,

 

إِذًا لَّٱبتَغَواْ إِلَىٰ ذِى ٱلعَرشِ سَبِيلاً

nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada Tuhan yang mempunyai ‘Arsy”.

Tentulah ilah-ilah itu akan berkeinginan untuk naik pangkat lagi, bukan? Semua hendak jadi tuhan nombor 1, yang mutlak berkuasa. Sama ada mereka pergi lawan dan kalahkan Allah ﷻ, atau mereka berdebat untuk mendapat kuasa. Begitulah kalau kita lihat dalam agama yang ada banyak tuhan, tuhan-tuhan itu selalunya akan berkelahi sesama mereka. Kerana apabila banyak tuhan, tentu akan ada ‘tuhan utama’ dan tuhan-tuhan yang lain akan cuba untuk dapatkan tempat tuhan utama itu.

Maka ini tentunya akan menyebabkan kekacauan dalam alam ini. Akan tetapi ini tidak terjadi kerana alam ini harmoni sahaja, bukan? Hujah yang hampir sama telah Allah ﷻ berikan di dalam Mukminoon: 91

مَا اتَّخَذَ اللهُ مِن وَلَدٍ وَما كانَ مَعَهُ مِن إِلٰهٍ ۚ إِذًا لَّذَهَبَ كُلُّ إِلٰهٍ بِما خَلَقَ وَلَعَلا بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ ۚ سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يَصِفونَ
Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada ilah (yang lain) berserta-Nya, kalau ada tuhan berserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian daripada tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu,

Disebut juga di dalam Anbiya’: 22

لَو كانَ فيهِما ءآلِهَةٌ إِلَّا اللهُ لَفَسَدَتا
Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah binasa.

Begitu juga kita boleh bandingkan dengan monarki yang ada ramai Raja Muda yang masing-masing akan cuba untuk dapatkan kedudukan raja. Sampaikan ada yang saling bunuh membunuh sesama adik beradik kerana mahu hapuskan lawan mereka kepada takhta kerajaan.

Kerana itu Allah ﷻ suruh mereka fikirkan semula, kalaulah memang ada ilah-ilah yang lain, tentu ilah-ilah itu akan cuba untuk dapatkan kedudukan Allah ﷻ yang berada di Arasy. Tentu itu akan menjadikan alam ini kelam kabut kerana ilah-ilah berperang sesama mereka. Fahaman ini banyak terjadi dan kita boleh lihat dalam agama-agama sesat dalam dunia sekarang pun.

Tafsir yang lain: sekiranya memang ada ilah-ilah itu, maka tentulah ilah-ilah itu sendiri akan menyembah Allah ﷻ juga, mendekatkan diri mereka kepada-Nya, serta mencari jalan untuk sampai kepada-Nya. Mana patut, kamu sembah ilah-ilah itu sedangkan ilah-ilah yang kamu sembah pula sebenarnya sembah Allah ﷻ! Sebagai contoh, Nabi Isa  yang disembah sebagai tuhan, sebagai ilah, sebenarnya baginda itu menyembah Allah ﷻ. Hujah ini juga kuat kerana golongan musyrikin juga faham bahawa tujuan mereka menyembah ilah-ilah selain Allah ﷻ itu adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Maka ilah-ilah itu juga tentunya hendak mendekatkan diri kepada-Nya. Ini seperti disebut di dalam Zumar: 3

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ
Dan orang-orang yang mengambil selain daripada Allah pelindung dan penolong (wali-wali): “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”

Oleh kerana itu, sembahlah Allah ﷻ sahaja, sebagaimana sembahan-sembahan kalian menyeru-Nya. Kalian tidak memerlukan adanya sembahan yang menjadi perantara antara kalian dan Allah ﷻ. Sesungguhnya Allah ﷻ tidak menyukai hal tersebut dan tidak rela, bahkan membenci dan menolaknya. Tidak perlu perantara kerana Allah ﷻ mendengar apa sahaja permintaan daripada hamba-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 35 – 37 (Jangan beramal tanpa ilmu)

PERINTAH 11) MENJAGA KEADILAN

Isra’ Ayat 35: Selepas disentuh tentang harta anak yatim, sekarang tentang harta dalam perniagaan pula. Untuk menjaga harta perniagaan, maka kena dijaga takarannya. Maka hendaklah disempurnakan sukatan dan timbangan dalam perniagaan dan jangan ada penipuan. Kalau kita tidak menyempurnakannya, itu adalah satu kezaliman.

وَأَوفُواْ ٱلكَيلَ إِذَا كِلتُم وَزِنُواْ بِٱلقِسطَاسِ ٱلمُستَقِيمِ‌ۚ ذٰلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأوِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And give full measure when you measure, and weigh with an even [i.e., honest] balance. That is the best [way] and best in result.

(MELAYU)

Dan sempurnakanlah takaran apabila kamu menakar, dan timbanglah dengan neraca yang benar. Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

 

وَأَوفُوا الكَيلَ إِذا كِلتُم

Dan sempurnakanlah ukuran apabila kamu mengukur,

Penuhilah ukuran dan timbangan. Bukan sekali dua, tetapi setiap kali, kerana itu ada kalimah إِذا كِلتُم. Maknanya mesti dijaga perkara ini setiap kali menimbang. Kalimah الكَيلَ merujuk kepada semua jenis ukuran – tinggi, luas dan kadang termasuk dengan masa kerana ia bukan terhad kepada benda fizikal sahaja. Maka ini termasuk janji untuk menjalankan servis mengikuti masa dan sebagainya.

Ayat ini juga bermaksud jangan campur barang dagangan kita dengan air untuk menjadikan ia banyak dan macam-macam cara lagi yang direka oleh penipu untuk mendapatkan untung lebih yang tidak halal.

Bila menyediakan servis, kena berikan betul-betul kerana servis tidak boleh dikuantitikan, tetapi servis lebih kepada kualiti kerja. Ini pun mesti diberi seperti yang dikehendaki dan dijanjikan. Maksudnya kena penuhi janji kita yang kita sudah berikan masa mula-mula mengadakan perjanjian itu.

 

وَزِنوا بِالقِسطاسِ المُستَقيمِ

dan timbanglah dengan neraca yang benar.

Apabila menimbang, mesti timbang dengan tepat. Kata القِسطاسِ ada yang memahaminya dalam erti ‘neraca’, ada juga dalam erti ‘adil’. Kalimah ini adalah salah satu kalimah asing (dalam hal ini Romawi) yang masuk dan diserapkan ke dalam perbendaharaan bahasa Arab yang digunakan Al-Qur’an. Maka ia bukan berasal daripada bahasa Arab. Demikian pendapat Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ yang ditemukan dalam Sahih al-Bukhari. Kalimah ini juga disebut di dalam An’am: 152

وَأَوفُواْ الْكَيْلَ وَٱلمِيزَانَ بِٱلقِسطِ‌ۖ
dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”

Tidak kisah ia bermaksud neraca atau adil kerana kedua-dua neraca dan adil itu penting. Kita memerlukan neraca sebagai alat untuk mengukur dan menimbang; kemudian apabila mengukur atau menimbang, mesti bersikap adil.

Mesti beri cukup seperti yang dijanjikan. Jangan cari jalan untuk menipu dalam timbangan. Perkara ini ada juga disebut di dalam Surah Mutaffifin ayat 1 – 4

وَيلٌ لِلمُطَفِّفينَ
Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang

الَّذينَ إِذَا اكتالوا عَلَى النّاسِ يَستَوفونَ
(iaitu) orang-orang yang apabila menerima timbangan daripada orang lain, mereka minta dipenuhi,

وَإِذا كالوهُم أَو وَزَنوهُم يُخسِرونَ
dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.

أَلا يَظُنُّ أُولٰئِكَ أَنَّهُم مَبعوثونَ
Tidaklah orang-orang itu menyangka, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan,

Di dalam Al-Qur’an juga disebut kisah umat Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dimusnahkan kerana antara dosa yang mereka lakukan adalah menipu dalam perniagaan. Kerana itu baginda diutus kepada mereka untuk memperbetulkan amalan salah itu tetapi mereka tetap menolak. Kisah itu bermula dalam Hud: 84

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا ۚ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ وَلا تَنقُصُوا المِكيالَ وَالميزانَ ۚ إِنّي أَرىٰكُم بِخَيرٍ وَإِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ مُّحيطٍ
Dan kepada (penduduk) Mad-yan (Kami utus) saudara mereka, Syu’aib. Dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia. Dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan, sesungguhnya aku melihat kamu dalam keadaan yang baik (mampu) dan sesungguhnya aku khuatir terhadapmu akan azab hari yang membinasakan (kiamat)”.

 

ذٰلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأويلًا

Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

Itulah yang خَيرٌ lebih baik walaupun nampak tidak dapat untung lebih. Tidak ada manusia normal yang tidak mementingkan timbangan yang tepat dalam perniagaan. Semua orang sama ada Muslim atau tidak, tahu yang timbangan yang tepat adalah baik.

Dalam menjaga hal ini akan membawa kepada أَحسَنُ تَأويلًا akibat yang baik. Masyarakat yang percaya mempercayai sesama sendiri akan menjadikan negeri itu aman. Kalau bidang perniagaan banyak penipuan, maka masyarakat akan rasa tidak selesa dan ini tidak baik bagi negara itu. Asyik rasa sangsi sahaja kepada orang lain.

Kebaikan itu akan kembali kepada peniaga yang jujur. Kerana itu digunakan kalimah تَأويلًا yang daripada katadasar ا و ل yang antara lain bermaksud ‘kembali’. Sebab itulah apabila kita jujur dalam timbangan, ia akan memberi kebaikan untuk semua, lebih-lebih lagi kepada peniaga. Pelanggan kita pun akan percaya kepada kita dan mereka akan datang lagi dan lagi ke kedai kita kerana mereka nampak kejujuran kita. Lalu mereka akan sebut tentang kejujuran kita dan bisnes akan semakin maju. Ini adalah kerana, dalam jangka panjang, berlaku jujur itu yang lebih baik. Maksudnya, penghujungnya akan menjadi baik. Itulah maksud ‘takwil’ iaitu ‘di hujungnya’.

Kalau kita menipu, mungkin kita akan dapat keuntungan yang segera, tetapi perniagaan itu tidak akan berkembang kerana lama kelamaan penipuan itu akan diketahui orang juga dan orang akan beritahu perkara itu kepada orang lain dan akhirnya tidak dapat bisnes lagi.

Tentunya أَحسَنُ تَأويلًا itu merujuk kepada balasan baik di akhirat bagi para peniaga. Kerana jujur dalam perniagaan, maka Allah ﷻ akan balas dengan kebaikan di akhirat.


 

PERINTAH 12) KENA YAKIN BERDASARKAN ILMU

Isra’ Ayat 36: Ini adalah ayat yang amat penting sekali dan diharap semua akan dapat beri perhatian kepada perkara ini. Ayat ini mengajar kita supaya jangan beramal dengan amalan yang salah dan bid’ah. Ayat-ayat sebelum ini telah menyebut berbagai-bagai arahan dan larangan. Itu semua termasuk arahan daripada wahyu. Maka sekarang diberi tuntutan universal kepada semua manusia, kenalah ikut wahyu, jangan beramal sesuatu perkara yang tidak ada dalil ilmunya. Itu amat bahaya.

وَلَا تَقفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِۦ عِلمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمعَ وَٱلبَصَرَ وَٱلفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنهُ مَسـُٔولاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not pursue¹ that of which you have no knowledge. Indeed, the hearing, the sight and the heart – about all those [one] will be questioned.

  • i.e., do not assume and do not say.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

 

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.

Kalimah تَقفُ daripada katadasar ق ف و yang bermaksud ‘ikut dari belakang’. Bukankah kalau kita ikut seseorang, kita ikut berada di belakang dia? Oleh itu ayat ini bermaksud jangan duduk belakang seseorang, jangan ikut seseorang, jangan buat sesuatu tanpa pengetahuan. Sama ada dari segi perkataan atau perbuatan. Jangan senang-senang sahaja ikut amalan yang diajar, melainkan ustaz yang ajar itu sertakan dalil sekali.

Kalimah لا تَقفُ adalah larangan daripada Allah ﷻ. Apabila ia larangan, maka kalau kita buat juga, bagaimana? Bukankah berdosa? Maka bagaimana dengan golongan yang ikut amalan bid’ah tanpa dalil itu? Fikir-fikirkanlah.

Kalimah لا تَقفُ ini khitabnya adalah untuk seorang (mufrad). Ia memberi isyarat yang setiap orang kena perhatikan dan berhati-hati tentang hal ini.

Kita hendaklah melakukan amalan agama dan fahaman berdasarkan ilmu. Ada ilmu yang diturunkan dan ada ilmu yang kita dapat sendiri melalui hasil usaha kita mempelajarinya. Namun yang lebih penting adalah ilmu wahyu kerana ilmu wahyu itu daripada Allah ﷻ dan kita kena taat dengan ajaran Allah ﷻ.

Allah ﷻ sampaikan ajaran melalui Nabi Muhammad ﷺ kepada kita. Oleh itu, kita sebagai seorang Muslim, dalam hal agama kena ikut yang ada ilmu. Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu wahyu, ilmu yang ada sandaran nas daripada wahyu.

Malangnya, ramai orang kita yang jahil wahyu dan agama. Bila kita tegur amalan mereka tidak ada dalil yang sahih, mereka jawab balik: “Nabi tidak pernah larang pun”. Itu adalah jawapan yang tidak benar dan tidak cerdik. Begitulah, kalau jahil tetapi senyap dan terima apa yang disampaikan, maka senang juga hendak ajar mereka. Akan tetapi kalau sudah jahil namun mulut pandai pula menjawab balas jawapan kurang cerdik, memang payah untuk mengajar mereka.

Maka ayat ini adalah jawapan kepada hujah jahil mereka itu. Memang Nabi ﷺ tidak melarang banyak perkara yang diamalkan oleh masyarakat Islam sekarang. Namun itu tidak bermakna amalan mereka itu benar. Kita kena sedar sesungguhnya Allah ﷻ sudah larang kita buat sesuatu tanpa dalil.

Walaupun tidak ada larangan, tetapi kalau buat sesuatu tanpa dalil, itu sudah salah sebenarnya. Oleh itu kalau hendak buat amalan dalam bentuk agama, kena ada dalil. Jangan ikut ajaran daripada guru atau ustaz yang suruh buat, tetapi tidak beri sandaran dalil. Maka kena berani sikit tanya ustaz: “Boleh saya tahu dalil amalan ini, ustaz?”

Akan tetapi ramai takut hendak bertanya kerana kalau ditanya, kebiasaannya tentu dimarahi oleh ustaz itu pula. Ketahuilah dia marah kerana dia sendiri tidak ada dalil kerana kalau ada dalil, tentulah dia boleh beri terus, bukan? Namun dek kerana tidak ada dalillah, yang menyebabkan dia marah apabila kita bertanya. Maka tinggalkan ustaz yang sebegitu. Biar ajar dia sedikit supaya lain kali hendak mengajar, pastikan ada dalilnya. Yang menjadikan ustaz sebegitu berani mengajar tanpa dalil adalah kerana tetap ramai yang ikut pengajian dia. Buatnya kalau semua orang awam sudah pandai tanya dalil, memang tidak boleh cari makan ustaz begitu.

 

إِنَّ السَّمعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولٰئِكَ كانَ عَنهُ مَسئولًا

Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Dari satu sisi, tuntunan ayat ini mencegah sekian banyak keburukan, seperti tuduhan, sangka buruk, kebohongan dan kesaksian palsu. Di sisi lain ia memberi tuntunan untuk menggunakan pendengaran, penglihatan dan hati sebagai alat-alat untuk meraih pengetahuan, terutama sekali pengetahuan ilmu agama. Rujuklah ke Nahl: 78 untuk memperoleh informasi lebih banyak tentang ketiga alat pengetahuan yang disebut oleh ayat di atas.

وَاللهُ أَخرَجَكُم مِّن بُطونِ أُمَّهٰتِكُم لا تَعلَمونَ شَيئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ ۙ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.

Di dalam Nahl: 78 ini kalimah الأَبصٰرَ digunakan dalam bentuk jamak sedangkan di dalam Isra’: 32 ini kalimah yang digunakan adalah البَصَرَ yang di dalam bentuk mufrad. Ini mungkin kerana di dalam Nahl: 78 itu penekanan adalah kepada pemberitahuan betapa manusia telah diberikan dengan berbagai aneka jenis penglihatan. Di dalam Isra’: 32 ini adalah tentang tanggungjawab terhadap penglihatan yang diberikan, maka sebut satu sahaja sudah mencukupi.

Lihatlah Allah ﷻ telah berikan tiga jenis pancaindera untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, maka gunalah dengan sebaiknya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, yang merupakan alat-alat pengetahuan semua itu yakni alat-alat itu masing-masing akan ditanya tentang bagaimana pemiliknya menggunakannya atau pemiliknya akan dituntut mempertanggungjawabkan bagaimana dia menggunakannya.

Kenapa kena ikut ilmu wahyu dan kena ada dalil dalam amalan agama? Kerana semua amalan yang kita lakukan akan ditanya. Maksudnya, nanti kita akan diberitahu yang kita sudah ada mata, telinga dan hati, kenapa tidak buka kitab dan belajar? Apa lagi alasan waktu itu? Lainlah kalau pancaindera tidak ada, bolehlah hendak kata maklumat tidak sampai kepada kita.

Apabila Allah ﷻ tanya sahaja, maksudnya memang sudah ada masalah. Maksudnya apabila Allah ﷻ tanya, itu adalah kerana Allah ﷻ hendak azab. Sudah menjadi satu kesalahan (berdosa) apabila buat amalan tanpa periksa dalilnya.

Kenapa disebut tiga pancaindera ini sahaja? Kerana ketiga-tiga pancaindera inilah yang dikira nikmat yang paling hebat sekali kalau dibandingkan dengan nikmat-nikmat yang lain. Melalui ketiga-tiga pancaindera utama inilah yang kita dapat ilmu dan pemahaman. Telinga mendengar, mata melihat dan kemudian akal akan menilai.

Ingatlah telinga akan ditanya tentang segala apa yang ia telah dengar sepanjang hidupnya. Mata akan ditanya tentang apa yang ia telah lihat. Manakala, hati dan akal akan ditanya tentang apa yang difikirkan dan apa yang dipercayainya.

Bagaimana keadaannya nanti kalau pancaindera-pancaindera kita ini akan bercakap dan menjadi saksi di atas segala perbuatan kita? Ini disebut di dalam Yaasin: 65

اليَومَ نَختِمُ عَلىٰ أَفوٰهِهِم وَتُكَلِّمُنا أَيديهِم وَتَشهَدُ أَرجُلُهُم بِما كانوا يَكسِبونَ
Pada waktu itu Kami meterikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

Kita pasti akan ditanya tentang gerak geri semua organ tubuh, sama ada digunakan secara bermanfaat untuk kita gunakan untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ, atau menimbulkan mudharat dengan maksiat terhadap Allah ﷻ. Ini termasuk juga amalan ibadah kita.

Kalau kita mendengar perkara yang salah seperti ghibah tentang orang lain, maka kita akan dipertanggungjawabkan. Kalau mata memandang benda yang haram seperti wanita ajnabi, lelaki amrad (lelaki tanpa janggut, lelaki jambu sampai timbul syahwat), maka kita akan kena jawab dengan dosa itu. Kalau fikiran menyimpan fahaman sesat yang berlawanan dengan wahyu, maka ini pun kena jawab dan ini yang paling payah untuk dijawab nanti.

Malah kita akan ditanya tentang segala nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Ini seperti disebut di dalam Takathur: 8

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ
kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

Dengan segala nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita, sepatutnya kita taat kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya. Kalau kita tidak menggunakannya untuk kebaikan, bermakna kita tidak bersyukur dengan pemberian Allah ﷻ itu. Kerana tanda syukur adalah taat kepada Allah ﷻ. Apakah pula balasan kalau tidak bersyukur (tidak taat)? Allah ﷻ berfirman di dalam Ibrahim: 7 bahawa azab yang pedih untuk mereka.

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكُم لَئِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم ۖ وَلَئِن كَفَرتُم إِنَّ عَذابي لَشَديدٌ
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Maka kena ikut ajaran dan amalan yang ada sandaran daripada wahyu lah. Jikalau kita mengamalkan sesuatu ibadah tanpa ada dalilnya, maka ini juga akan ditanya. Sekiranya di dunia, berbagailah alasan yang diberikan: tok guru ajar, masyarakat kita sudah lama amal, benda baik apa salahnya, ada dalam kitab… dan berbagai lagi alasan bathil yang diberikan. Kalau di dunia lagi mereka bersilat, berpusing-pusing menggoreng jawapan, apa agaknya mereka rasa mereka akan dapat jawab di akhirat kelak?

Disebut ‘pendengaran’ dan ‘penglihatan’ – ini adalah tentang ilmu yang boleh didapati dengan akal kita. Kita boleh bandingkan mana benar dan mana yang tidak benar dengan menggunakan kedua-dua pancaindera itu, maka jangan ikut perkara yang tidak ada sandaran daripada nas.

Apa lagi alasan di hadapan Allah ﷻ nanti kalau kita melakukan perkara yang salah? Kerana Dia telah memberikan kita pendengaran, penglihatan dan akal untuk menilai sesuatu perkara itu benar atau tidak. Maka kita sebagai seorang Muslim hendaklah menggunakan fakulti yang Allah ﷻ telah berikan untuk menilai. Jangan ikut-ikutan sahaja tanpa periksa.

Dalam hidup beragama amat diperlukan penggunaan pendengaran, penglihatan dan hati bagi menimbang. Sebab kadang-kadang dipercampur-adukkan orang amalan yang sunnah dengan yang bid’ah. Bahkan kerapkali kejadian perkara yang sunnah tertimbun dan yang bid’ah muncul dan lebih masyhur. Maka wajiblah kita beragama dengan ilmu.

Begitu juga, jangan percaya kepada perkara khurafat dan tahyul. Malangnya ramai ikut tanpa soal lagi. Contohnya ada yang kata tidak boleh kahwin bulan-bulan tertentu dan hari-hari tertentu. Itu semua adalah kepercayaan khurafat. Ada pula yang kata amalan sekian-sekian akan menyelamatkan mereka daripada mara bahaya. Ini adalah bahaya kerana senang sangat percaya kepada kata-kata orang. Maka jangan ikut amalan yang tidak ada dalil.

Mungkin pada peringkat awal seseorang itu tidak tahu lagi mana satu yang benar dan salah. Ini kerana ilmu mereka kurang. Begitu juga dengan amalan yang sunnah dan bid’ah. Ramai yang kurang faham. Tambahan pula ramai daripada kita yang lahir-lahir sahaja amalan bid’ah itulah yang menjadi norma di dalam masyarakat (seperti Tahlilan dan Yasinan). Jangan takut kerana Allah ﷻ telah ajar caranya di dalam Nahl: 43

فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ
maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,

Begitulah semua pancaindera kita akan ditanya. Termasuk hati kita pun akan ditanya. Yang dimaksudkan adalah, intelek kita yang akan ditanya. Maka kita jangan ikut nafsu kita dalam melakukan sesuatu perkara terutama dalam hal agama. Kalau tidak dikawal, nafsu memang kuat membuat keputusan untuk pihak kita.

Sebagai contoh, kalau keadaan ekonomi sudah teruk, ramailah yang mula risau. Ramai yang terus jadi kelam kabut – kerana itu kadang-kadang tengok keadaan pasaran yang jatuh sahaja, sudah teruk ekonomi negara. Ini kerana orang kita mudah terkesan dengan perasaan yang tidak ada sandaran daripada fakta.

Kadang-kadang hati kita akan terangsang dan menyusahkan kita untuk membuat keputusan. Maka kita kena kawal apa yang dirasa oleh perasaan kita supaya kita tidak terikut-ikut dengan hati kita yang ke sana dan ke sini.

Hati yang sudah terangsang dan terkesan dengan sesuatu perkara luaran, memang bahaya. Jangan jadi seperti orang yang kata dia buat sesuatu kerana dia sedang dalam keadaan marah. Kita selalu dengar alasan seseorang yang telah melakukan perkara yang bodoh dan kalau ditanya balik, mereka beri alasan yang mereka tidak dapat kawal diri mereka kerana mereka sedang marah sangat waktu itu. Adakah alasan itu boleh diterima?

Itu bukanlah alasan yang boleh diterima kerana kalau kita dalam keadaan begitu pun, kita tetap kena akan dipersoalkan juga. Kerana yang marah dan yang buat keputusan untuk melakukan sesuatu itu, ia tetap diri kita juga, bukan? Tidaklah kita apabila marah sudah bertukar menjadi seorang individu yang berlainan pula. Maka cuba jaga perasaan kita supaya jangan terkesan sangat.

Ayat ini menegaskan bahawa manusia pun akan dituntut mempertanggungjawabkan kerja hatinya الفُؤادَ itu. Ini pun agak menakutkan juga. Maka para ulama menyebut yang tersirat dalam hati itu bermacam-macam dan bertingkat-tingkat. Ada yang dinamai (هاجس) hajis iaitu sesuatu yang terlintas dalam fikiran secara spontan dan berakhir seketika. Selanjutnya (خاطر) khathir, yakni yang terlintas sejenak kemudian terhenti; tingkat ketiga adalah apa yang dinamai (حدث نفس) hadits nafs, yakni bisikan-bisikan hati yang dari saat ke saat muncul dan bergejolak.

Peringkat yang lebih tinggi adalah (همّ) hamm, iaitu kehendak melakukan sesuatu sambil memikirkan cara-cara pencapaiannya, dan yang terakhir sebelum melangkah mewujudkan kegiatan adalah (عزم) ‘azm, yakni kebulatan tekad setelah kemasnya seluruh proses hamm dan dimulainya langkah awal bagi pelaksanaan. Yang dituntut kelak adalah ‘azm itu, sedang semua yang ada dalam hati dan belum mencapai tingkat ‘azm ditoleransi oleh Allah ﷻ.


 

PERINTAH 13) MERENDAH DIRI

Isra’ Ayat 37: Ayat sebelum ini tentang ilmu, iaitu kita kena buat amalan ikut ilmu. Kerana itu kenalah belajar dan belajar lagi. Akan tetapi ada satu masalah, kerana dengan ada banyak ilmu, boleh menyebabkan seseorang itu berlagak. Maka Allah ﷻ ingatkan kita supaya jangan berlagak kalau ada ilmu yang banyak.

Telah banyak disebut tentang larangan berlaku zalim. Sekarang ini adalah zalim kepada diri sendiri kalau sombong. Maka kena beringat supaya jangan sombong di atas muka bumi ini.

وَلَا تَمشِ فِى ٱلأَرضِ مَرَحًا‌ۖ إِنَّكَ لَن تَخرِقَ ٱلأَرضَ وَلَن تَبلُغَ ٱلجِبَالَ طُولاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not walk upon the earth exultantly. Indeed, you will never tear the earth [apart], and you will never reach the mountains in height.¹

  • Man, for all his arrogance, is yet a weak and small creature.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.

 

وَلا تَمشِ فِي الأَرضِ مَرَحًا

Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong,

Allah ﷻ larang perbuatan menunjuk-nunjuk yang diri itu hebat. Kalimah مَرَحًا daripada katadasar م ر ح yang bermaksud gembira yang berlebihan kerana rasa diri hebat dan angkuh. Mungkin seseorang itu sudah belajar di merata tempat, sudah lama belajar, mungkin juga sudah mengajar pun dan anak murid ramai pula yang ikut sahaja apa yang dia sampaikan. Selalunya dalam keadaan begini, orang itu sudah lain macam dia pandang diri dia sendiri. Akan tetapi Allah ﷻ tetap larang daripada beranggapan diri itu hebat dan bersifat angkuh.

Al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ menekankan tanggungjawab pendengaran, penglihatan dan hati yang disebut oleh ayat yang lalu terutama dalam penggunaannya sebagai alat-alat ilmu pengetahuan. Dari sini, pakar hubungan antara ayat ini berpendapat bahawa ayat 37 ini mengandungi larangan angkuh, kerana keangkuhan merupakan bahana yang paling besar dalam perolehan ilmu yang membawa kepada penyakit parah yang melahirkan kebodohan sehingga menyebabkan pelakunya menuju kejahatan.

Oleh itu kalimah مَرَحًا kita ertikan sebagai sombong, iaitu orang yang tidak tahu di mana letak dirinya. Bersifat angkuh, kerana dia telah lupa bahawa hidup manusia di dunia ini hanyalah semata-mata kerana pinjaman Tuhan, termasuk ilmunya itu. Lupa bahawa asalnya hanya dari air mani yang bergetah, campuran air si laki-laki dengan air si perempuan. Kelak dia mati dia akan kembali masuk tanah dan kembali jadi tanah, tinggal tulang-tulang yang berserak, dan menakutkan.

Allah ﷻ kata jangan berjalan sombong. Adakah boleh pula untuk duduk sombong, baring sombong? Tentulah tidak boleh juga. Cuma Allah ﷻ sebut apa yang selalu dilakukan oleh mereka yang sombong. Iaitu yang nampak mereka sombong adalah ketika mereka berjalan.

Kita selalu dengar sombong, sombong. Namun apakah ia? Sombong ada dua jenis. Satu adalah berasa diri mereka sudah besar, lebih bijak pandai, lebih berilmu. Dalam Al-Qur’an banyak menyebut contoh apabila para Nabi menyampaikan dakwah kepada umat mereka, mereka tidak mahu dengar. Orang sombong jenis begini selalu sahaja kita jumpa. Terutama mereka yang sudah banyak belajar agama sekian lama, apabila kita sampaikan ajaran wahyu kepada mereka, mereka tidak mahu terima.

Satu lagi sombong adalah rasa diri lebih hebat daripada orang lain. Mereka berasa mereka lebih kaya, lebih kuat, lebih baik keturunan, bangsa dan lain-lain. Ini pun memang bahaya. Dua jenis sombong ini diperjelaskan oleh Rasulullah ﷺ di dalam satu hadith. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda,

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“
(Riwayat Muslim No. 91)

Begitu juga dengan kita yang sudah belajar ini mungkin ada sedikit sebanyak berasa lebih pandai daripada orang lain, bukan? Maka kenalah jaga hati. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan harus mempunyai rasa rendah diri. Jika ilmu kita banyak pun, ini kerana Allah ﷻ yang berikan kepada kita kerana kita dulu pun yang belajar daripada orang lain juga. Jangan sesekali memandang rendah terhadap orang lain yang belum pandai. Entah apabila dia terima agama dan dia belajar, mungkin dia lebih pandai daripada kita. Maka jangan sombong.

 

إِنَّكَ لَن تَخرِقَ الأَرضَ

kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi 

Allah ﷻ beritahu kenapa tidak patut untuk manusia menjadi angkuh: kerana hebat sebagaimana kamu hentak kaki dalam sombong itu, tidak akan dapat mengoyakkan bumi pun. Sudah beribu tahun kaki manusia memijak bumi, tetapi bumi tetap teguh sahaja. Tidak boleh tembus bumi pun kalau hentak kaki sekuat mungkin. Iaitu tidak ke mana pun.

 

وَلَن تَبلُغَ الجِبالَ طولًا

dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.

Setinggi mana pun kamu, kamu tidak mampu mencapai ketinggian gunung pun kerana kamu rendah sahaja. Ini pun suatu ungkapan yang tepat buat orang yang sombong. Dia menengadah ke langit laksana menantang puncak gunung dan melawan awan; padahal puncak gunung itu akan melihat lucunya si kecil ini menantang dia, laksana senyumnya seorang manusia melihat seekor semut kecil mengangakan mulutnya hendak mematuk kakinya. Padahal ditekan saja sedikit dengan hujung kuku, dia pun hancur lumat.

Mungkin ada yang berhujah, bukankah ada yang sudah memanjat dan sampai ke puncak gunung? Ya memang, tetapi kita jawab balik, bukan semua gunung kamu boleh panjat.

Thabathaba’i رَحِمَهُ اللَّهُ memahami ayat 37 di atas dalam erti kiasan, yakni kesombongan yang manusia lakukan untuk menampakkan kekuasaan dan kekuatannya, pada hakikatnya adalah hanya ilusi, sebab sebenarnya ada yang lebih kuat daripada engkau yakni bumi, terbukti kakimu tidak dapat menembus bumi, dan ada juga yang lebih tinggi daripadamu iaitu gunung, buktinya engkau tidak setinggi gunung. Maka akuilah bahawa engkau sebenarnya rendah lagi hina. Tidak ada sesuatu yang dikehendaki dan diperebutkan manusia dalam hidup ini seperti kerajaan, kekuasaan, kemuliaan, harta benda dan lain-lain kecuali hal-hal yang bersifat sangkaan sahaja yang tidak mempunyai hakikat di luar batas pengetahuan manusia. Itu semua diciptakan dan ditundukkan Allah ﷻ untuk digunakan manusia untuk memakmurkan bumi dan penyempurnaan kalimat (ketetapan) Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 33 – 34 (Larangan membunuh)

PERINTAH 8) JANGAN MEMBUNUH

Isra’ Ayat 33: Kita masih lagi dalam ayat-ayat yang berkenaan dengan Amalan Tiga Serangkai (Jangan berlaku zalim). Ayat ini mengandungi larangan membunuh. Sebelum ini disebut membunuh yang khusus (kerana takut anak habiskan rezeki) dan membunuh secara spiritual (berzina). Sekarang disebut membunuh yang umum pula. Ada banyak sebab manusia membunuh dan ini semuanya ini termasuk di dalam larangan ini. Apa sahaja sebab, janganlah membunuh jiwa (orang lain atau nyawa sendiri) yang diharamkan untuk kita membunuhnya. Pembunuhan yang boleh dilakukan hanyalah melalui arahan pemerintah dan itu pun kena mengikut syarat-syaratnya.

وَلَا تَقتُلُواْ ٱلنَّفسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلحَقِّ‌ۗ وَمَن قُتِلَ مَظلُومًا فَقَد جَعَلنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلطَـٰنًا فَلَا يُسرِف فِّى ٱلقَتلِ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ مَنصُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not kill the soul [i.e., person] which Allah has forbidden, except by right.¹ And whoever is killed unjustly – We have given his heir authority,² but let him not exceed limits in [the matter of] taking life. Indeed, he has been supported [by the law].

  • i.e., through legal justice or during jihad.
  • Grounds for legal action.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya dia adalah orang yang mendapat pertolongan.

 

وَلَا تَقتُلُواْ ٱلنَّفسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلحَقِّ‌ۗ

Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar.

Sekarang baru disebut bunuh secara fizikal pula setelah disebut membunuh anak dan berzina. Allah ﷻ beritahu jangan bunuh orang lain kerana Dia yang telah haramkan. Nyawa manusia adalah sesuatu yang mulia yang Allah ﷻ telah jadikan. Maka kena ambil perhatian, kalau bunuh juga, maka itu sudah melawan Allah ﷻ.

Ayat sebelum ini tentang zina. Apakah kaitan antara zina dan bunuh? Nampak macam tidak ada kaitan, tetapi ada sebenarnya. Kalau perbuatan zina tidak dijaga dan dibiarkan berleluasa, wanita dilihat sebagai tempat untuk melepaskan hawa nafsu sahaja, maka rasa hormat kita kepada manusia lain tidak ada lagi. Bila tidak ada hormat lagi, menyebabkan kita tidak menghargai orang lain dan kalau begitu jadi senang sahaja untuk bunuh. Seolah-olah nyawa itu suatu yang tiada nilai.

Memang Allah ﷻ mengharamkan pembunuhan, tetapi dibolehkan menjalankan pembunuhan itu dengan jalan yang haq dan mengikut lunas undang-undang serta prosesnya. Sebagai contoh kerajaan menetapkan hukuman menjual dan mengedar dadah adalah hukuman bunuh, maka ini juga adalah cara yang haq. Begitu juga, dibenarkan membunuh dalam perang, asalkan mesti mengikuti syarat-syaratnya.

Selain itu, ada disebutkan di dalam sebuah hadith yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ: النَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالزَّانِي الْمُحْصَنِ، وَالتَّارِكِ لِدِينِهِ الْمُفَارِقِ لِلْجَمَاعَةِ”
Tidak halal darah seorang Muslim yang telah bersaksi bahawa tiada ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, terkecuali kerana tiga perkara, iaitu membunuh jiwa dibalas dengan jiwa, penzina muhsan, dan orang yang murtad daripada agamanya lagi memisahkan diri daripada jamaah.
(Sahih Muslim No. 3175)

Maka di dalam hadith ini ada tiga situasi yang boleh satu jiwa diambil daripada seorang Muslim:

      1. Qisas, balas bunuh kerana pelaku telah membunuh satu jiwa dengan sengaja.
      2. Penzina yang telah pernah berkahwin. Kerana mereka telah pernah merasai jimak yang halal, maka sepatutnya mereka tidak melakukan zina lagi.
      3. Keluar daripada Islam (murtad). Ini setelah dia memeluk agama Islam dengan sukarela tanpa paksa. Kemudian orang yang keluar itu menzahirkan kekafirannya.

Selain daripada itu, seseorang boleh membunuh orang lain di dalam rangka mempertahankan dirinya, ketika rumahnya dimasuki perompak. Ini semua tidak disebut secara khusus di dalam ayat ini apa yang dimaksudkan dengan ‘haq’ itu, maka kena diperiksa dengan sumber-sumber yang lain. Ada pun tentang qisas ada disebut dalam Baqarah: 178

يٰٓاَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيكُمُ ٱلقِصَاصُ فِى ٱلقَتلَى‌ۖ ٱلحُرُّ بِٱلحُرِّ وَٱلعَبدُ بِٱلعَبدِ وَٱلأُنثَىٰ بِٱلأُنثَىٰ‌ۚ
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.

Bukan sahaja kita dilarang daripada membunuh jiwa orang lain, diri sendiri pun kita dilarang. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasululah ﷺ bersabda:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا
“Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, dia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti dia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, dia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”
(Sahih Muslim No. 109)

وَمَن قُتِلَ مَظلُومًا فَقَد جَعَلنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلطَـٰنًا

Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya,

Ini adalah hukum yang berkenaan kalau ada yang dibunuh. Kalau seseorang dibunuh مَظلُومًا secara zalim (tanpa haq), maka keluarganya ada kuasa untuk menuntut haq dan memilih hukuman untuk dikenakan kepada pembunuh. Mereka ada kuasa untuk menuntut qisas daripada kerajaan. Kerajaan kena jalankan keadilan supaya keluarga waris yang dibunuh buat pilihan sama ada:

1. Balas bunuh
2. Diyat
3. Beri maaf tanpa balasan atau bayar diyat. Inilah yang terbaik.

Cuma dari segi perlaksanaan, bukanlah wali itu pergi cari sendiri pembunuh keluarganya macam cerita koboi. Ia tetap memerlukan proses perundangan dan hukuman bunuh itu dilakukan oleh kerajaan Islam. Jikalau wali si mati tidak ada, maka kerajaan boleh memulakan proses perundangan untuk menangkap si pembunuh.

 

فَلا يُسرِف فِّي القَتلِ

tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh.

Walaupun keluarga si mati mempunyai hak, tetapi apabila ketika mahu membalasnya, janganlah berlebihan pula. Ini kerana kalau sudah mula balas berlebihan daripada yang sepatutnya, akan menimbulkan huru hara dalam masyarakat.

Sebagai contoh, ada yang ganas sampai balas dendam dengan membunuh semua ahli keluarga pembunuh itu. Inilah yang terjadi di zaman Arab Jahiliyah. Atau, setelah dibunuh pembunuh itu, dicincang-cincang tubuhnya. Maka ini adalah kesalahan yang amat besar. Oleh itu, jangan bunuh yang bukan pembunuh. Yang boleh dibunuh adalah pembunuh sahaja.

 

إِنَّهُ ۥ كَانَ مَنصُورًا

Sesungguhnya dia adalah orang yang mendapat pertolongan.

Keluarga waris yang dibunuh akan dibantu oleh kerajaan. Sama ada dibunuh dengan sengaja atau kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian seseorang. Kena cari siapakah yang bersalah dalam sesuatu kes seperti kemalangan. Inilah keadilan Islam di mana sesiapa yang terbunuh akan terbela. Kerajaan dan mahkamah akan beri hak dan pilihan kepada mereka.

Maknanya tugas kerajaanlah yang memastikan keadilan berlaku dan menjalankan pampasan. Setelah kes itu dikenalpasti telah berlaku, siasatan mesti dijalankan dengan saksama, kemudian ahli keluarga akan diberi pilihan untuk membuat keputusan apa hukuman yang patut dikenakan kepada pembunuh. Mereka yang buat pilihan dan ini akan memuaskan hati mereka agar kes itu selesai di situ sahaja.

Ini kerana kalau hukuman yang diberikan bukan pilihan mereka, entah mereka akan berasa tidak puas hati dan takut mereka akan mengambil tindakan yang lain pula. Sebagai contoh, kalau bukan mengikut undang-undang Islam, maka mahkamah yang akan membuat keputusan. Ada yang dikenakan dengan hukuman mati, ada yang dikenakan dengan penjara seumur hidup.

Namun begitu apakah yang waris itu dapat? Mereka mungkin tidak berpuas hati kalau mereka tidak dapat bunuh sendiri pembunuh waris mereka. Atau mereka disara oleh si mati yang telah dibunuh itu dan ini menyebabkan mereka berada dalam kesusahan dari segi ekonomi. Maka kalau mereka diberi pilihan untuk mengambil diyat, mereka dapatlah sumber kewangan dari situ. Kalau pembunuh itu masuk penjara sahaja, apa yang mereka akan dapat?

Di sinilah agama Islam berperanan membantu yang dizalimi dengan bantuan yang lebih praktikal. Itu pun dengan syarat mereka melakukannya mengikuti lunas undang-undang dan tidak melampau. Jika mereka melampau, Allah ﷻ pun tidak akan bantu mereka.

Bayaran diyat itu sama ada dibayar oleh keluarga yang bertanggungjawab atau bersalah menyebabkan kematian itu. Kalau keluarga itu tidak boleh bayar, kerajaan yang akan bayar. Maka kerajaan sepatutnya kena bekerja keras untuk mencari siapakah yang bersalah dalam pembunuhan itu atau kematian itu.

Bukannya dibayar dengan insurans sebenarnya. Akan tetapi oleh kerana kerajaan tidak mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya, maka sebab itulah kita kalau hendak dapat pampasan, sudah kena ambil insurans pula. Kalau orang yang mati itu tidak ada insurans, maka mati begitu sahajalah dia. Kalau dia yang menyara keluarga dia, bagaimana? Kasihan keluarga itu. Sedangkan Islam sudah mengajar cara bagaimana memberi bantuan kepada keluarga yang kehilangan keluarga.

Bagaimana pula kalau pembunuh itu tidak boleh bayar pampasan? Ahli keluarga dia yang kena bayar. Maka kena kumpul duit masing-masing bagi cukup untuk bayar pampasan itu. Oleh kerana ahli keluarga juga bertanggungjawab, maka mereka akan ajar untuk memastikan ahli keluarga dia tidak membunuh, tidak cuai sampai menyebabkan kematian orang lain. Kalau membunuh orang lain walaupun kemalangan kena bayar duit yang banyak, maka umat manusia akan lebih berhati-hati di jalanraya lah kalau begitu.

Lihatlah bagaimana Islam mengajar hal sebegini untuk menjaga keharmonian masyarakat dan membantu rakyat yang telah dizalimi atau ditimpa musibah. Walaupun ayat ini diturunkan di Mekah dan kerajaan Islam pun belum ada lagi pada waktu itu, akan tetapi telah diajar tentang keadilan kepada umat Islam.


PERINTAH:
9) MENJAGA HARTA ANAK YATIM
10) MENUNAIKAN JANJI

Isra’ Ayat 34: Larangan berlaku zalim yang seterusnya adalah jangan memakan harta anak yatim. Kita akan bertemu tiga hukum berkenaan harta di dalam ayat ini dan ayat seterusnya. Hukum ini disebut selepas disebut penzinaan dan pembunuhan. Sekarang disebut satu lagi perkara yang berkaitan dengan jiwa dan kehormatan manusia pula, iaitu harta.

وَلَا تَقرَبُواْ مَالَ ٱليَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُ حَتَّىٰ يَبلُغَ أَشُدَّهُ ۥ‌ۚ وَأَوفُواْ بِٱلعَهدِ‌ۖ إِنَّ ٱلعَهدَ كَانَ مَسـُٔولاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not approach the property of an orphan, except in the way that is best,¹ until he reaches maturity. And fulfill [every] commitment. Indeed, the commitment is ever [that about which one will be] questioned.

  • i.e., to improve or increase it.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai dia dewasa dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungan jawabnya.

 

وَلا تَقرَبوا مالَ اليَتيمِ

Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim,

Sebelum ini telah disebut jangan dekati zina, sekarang diajar kepada kita supaya jangan dekati harta anak yatim pula. Ini adalah arahan khusus kepada mereka yang dilantik untuk mengurus harta anak yatim. Jangan cuba-cuba campur harta anak yatim dengan harta kita. Mungkin kita telah diberi amanah untuk menjaga harta anak yatim yang mungkin banyak. Maka kena asingkan harta itu betul-betul. Kena bezakan mana satu harta kita dan mana satu harta mereka. Kerana takut termakan harta anak-anak yatim itu. Jangan kita cuba guna dulu harta itu untuk kegunaan kita dan kata hendak ganti kemudian. Ini pun bahaya juga.

Ayat ini amat menakutkan orang Mukmin yang menjaga anak-anak yatim mereka. Mereka amat berjaga-jaga sampaikan bahan makanan pun mereka asingkan. Semasa makan pun mereka tidak makan bersama kerana takut sangat kalau mereka termakan harta anak yatim. Allah ﷻ mengajar bukanlah sampai begitu. Ini disebut di dalam Baqarah: 220

وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ ۖ قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ ۖ وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم ۚ وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ
dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya.

Siapakah anak yatim dan kenapakah mereka disebut secara khusus di dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat lain di dalam Al-Qur’an? Kita pun tahu yang kita tidak boleh ambil harta orang, tetapi kenapa disebut anak yatim secara khusus?

Anak yatim adalah anak yang kehilangan bapanya, dan dia pun belum baligh lagi. Sekiranya anak itu kehilangan bapa tetapi dia sudah dewasa, maka itu bukanlah anak yatim lagi. Mereka ini kehilangan tempat perlindungan mereka yang utama iaitu bapa mereka dan kerana umur mereka masih muda, mereka memerlukan bantuan di dalam penjagaan harta mereka. Mungkin mereka ada dapat harta peninggalan daripada bapa mereka. Kalau tidak dibantu, entah habislah harta itu nanti.

 

إِلّا بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ

kecuali dengan cara yang lebih baik

Akan tetapi bukanlah tidak boleh hampiri langsung. Larangan yang keras ini perlu diikuti, kecuali kalau dengan cara baik iaitu kena ikut cara yang telah diajar oleh syariat. Ini kerana dalam ayat-ayat yang lain, dibolehkan untuk penjaga harta yang miskin untuk mengambil upah untuk menjaga harta itu. Lihat firman Allah ﷻ:

لَا تَأْكُلُوهَا إِسْرَافًا وَبِدَارًا أَنْ يَكْبَرُوا وَمَنْ كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ وَمَنْ كَانَ فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوفِ
Dan janganlah kalian makan harta anak yatim lebih dari yang patut dan (janganlah kalian) tergesa-gesa (membelanjakan) sebe¬lum mereka dewasa. Barang siapa (di antara pemeliharaan itu) mampu, maka hendaklah dia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barang siapa miskin, maka bolehlah dia makan harta itu menurut yang patut.
(Nisa’: 6)

Maknanya kalau orang kaya dan tidak perlukan harta anak yatim itu kerana dia ada harta sendiri, tidak payahlah ambil. Namun kalau dia pun susah, maka bolehlah ambil tetapi dengan cara yang patut. Iaitu ambil sekadar cukup-cukup makan sahaja.

Satu lagi, boleh untuk menggunakan harta itu untuk mendapatkan keuntungan supaya harta itu bertambah. Jangan biarkan harta anak yatim itu dibayar zakat sahaja tanpa diusahakan. Kerana kalau tidak diusahakan, lama kelamaan harta itu akan berkurang kerana harta itu kena bayar zakat juga, bukan? Maka suburkannya, sebagai contoh dijadikan kebun atau dilaburkan dalam perniagaan yang selamat. Jangan melabur dalam MLM pula. Ini pun kena ikut syariat juga. Kena lihat perbincangan ulama yang panjang tentang perkara ini. Ini penting kerana kita tidak mahu ada penyalahgunaan dalam perkara ini.

Satu lagi perkara أَحسَنُ yang penjaga anak yatim itu kena perhatikan adalah pendidikan mereka terutama sekali pendidikan agama Islam mereka. Jangan hanya jaga makan pakai mereka sahaja, akan tetapi diabaikan pula pendidikan dan pembaikan akhlak mereka.

 

حَتّىٰ يَبلُغَ أَشُدَّهُ

sampai dia dewasa 

Mereka yang telah diamanahkan untuk menjaga harta anak yatim itu mestilah berlaku jujur dan menjaga harta itu dengan baik, sampailah anak-anak yatim itu matang. Apabila mereka telah dewasa, maka kenalah pulangkan harta itu kepada anak yatim itu kerana itu adalah hak dia. Kalimah يَبلُغَ أَشُدَّهُ bukanlah bermaksud ‘baligh’ tetapi ‘matang’. Kerana ada sahaja orang baligh tetapi tidak matang. Selagi tidak matang, jangan diberi harta mereka itu kerana mereka akan habiskan begitu sahaja.

Kerana itulah di dalam ayat dalam Surah Nisa’ telah disebut yang kena buat ujian dahulu untuk melihat sama ada dia sudah bersedia untuk menjaga harta itu. Ini kerana kalau mereka dewasa sahaja tetapi tidak pandai untuk menjaga harta lagi, maka tentu mereka akan habiskan sahaja harta itu nanti. Ini disebut di dalam Nisa’: 6

وَابتَلُوا اليَتٰمىٰ حَتّىٰ إِذا بَلَغُوا النِّكاحَ فَإِن ءآنَستُم مِّنهُم رُشدًا فَادفَعوا إِلَيهِم أَموٰلَهُم
Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya;

Contoh uji mereka adalah dengan diberi sedikit wang dan lihatlah apakah yang mereka lakukan dengan duit itu. Kalau dia habiskan dengan boros, maka belum matanglah. Ternyata menjadi pengurus anak-anak yatim bukanlah tugas yang mudah. Kerana itulah Rasulullahﷺ menjanjikan pahala yang hebat kepada pengurus anak-anak yatim. Daripada Sahl bin Sa’ad رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

أَنَا وَكَافِلُ اليَتِيمِ فِي الجَنَّةِ كَهَاتَيْنِ، وَأَشَارَ بِأُصْبُعَيْهِ يَعْنِي السَّبَّابَةَ وَالوُسْطَى
“Aku dan orang yang menjaga anak yatim seperti ini di dalam syurga. Baginda ﷺ mengisyaratkan dengan merapatkan dua jari baginda ﷺ iaitu jari telunjuk dan jari tengah”.
(Riwayat Tirmidzi (1918))
Hadith ini dinilai hasan sahih oleh imam al-Tirmidzi

وَأَوفوا بِالعَهدِ

dan penuhilah janji;

Kemudian Allah ﷻ ingatkan untuk penuhi janji. Yang penting di sini adalah tentang janji untuk memulangkan harta kepada anak yatim itu kerana telah disebut tentang harta itu.

Ini penting kerana semua janji akan ditanya. Peringatan ini diletakkan dalam ayat tentang anak yatim kerana anak yatim itu secara umumnya lemah. Mereka tidak kuat untuk menegakkan hak mereka. Ini macam kita buat janji kepada anak kita dan kita tidak penuhi. Tentulah anak itu tidak boleh buat apa-apa pun kalau kita tidak penuhi. Maka Allah ﷻ ingatkan yang anak-anak yatim itu ada Allah ﷻ yang mewajibkan kita memenuhi janji kita kepada mereka. Kalau tidak penuhi janji itu, maka kena jawab dengan Allah ﷻ.

Akan tetapi ayat ini berbentuk umum juga, bukanlah hanya untuk janji memulangkan harta anak yatim sahaja. Kita sebagai manusia ada banyak janji. Kalimah عَهدٌ merujuk kepada apa sahaja transaksi, janji atau amanah yang telah diterima dan dipersetujui secara bertulis atau mulut, sama ada ditambah dengan sumpah atau tidak, mungkin untuk melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu. Maka, apabila Allah ﷻ suruh kita memenuhi janji, melanggarinya menjadi suatu dosa yang besar.

Jelas sekali, ia adalah arahan kepada kita semua untuk penuhi janji. Pertama sekali adalah janji dengan Allah ﷻ iaitu janji yang pernah kita buat sebelum kita dilahirkan. Semua manusia telah mengenal Allah ﷻ dan ini adalah fitrah manusia. Ini disebut dalam A’raf: 172

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”.

Sebelum kita dilahirkan kita telah berjanji kepada Allah ﷻ berkenaan tauhid. Kita sudah kenal Allah ﷻ dan telah berjanji yang akan taat kepada-Nya. Setelah kita dilahirkan, kita pun banyak kali berjanji dengan Allah ﷻ. Bila masa kita berjanji? Bukankah kita bersumpah di dalam Syahadah kita (untuk ikut Allah ﷻ dan ikut ajaran Rasulullah ﷺ). Antaranya di dalam Doa Iftitah di dalam solat kita bukankah mengandungi janji,

إِنَّ صَلَاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam

Maka, tanyalah diri kita sendiri: Adakah kita sudah menunaikan janji kita ini? Baiklah kalau tidak baca Doa Iftitah pun, tentu setiap hari kita akan baca Surah Fatihah, bukan? Di dalam Surah Fatihah itu mengandungi ayat Fatihah: 4

إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ
Hanya kepada Engkau Kami menghambakan diri dan Hanya kepada Engkau kami berdoa

Soalannya, adakah benar kita hanya sembah Allah ﷻ sahaja dan berdoa kepada Allah ﷻ sahaja? Ini ada perbincangan yang panjang di dalam ayat berkenaan. Belum tentu kita telah memenuhi janji di dalam ayat ini yang kita baca setiap hari. Kemudian, adakah kita telah memenuhi janji kita untuk ikut ajaran dan amalan Rasulullah ﷺ seperti yang kita sebut di dalam syahadah kedua kita? Kalau benar, kenapa banyak sangat amalan-amalan bid’ah yang diamalkan oleh masyarakat kita? Setiap hari mereka berjanji hendak ikut ajaran Nabi ﷺ, tetapi mereka langgar dan tambah-tambah ajaran dan amalan Nabi ﷺ seolah-olah apa yang baginda lakukan tidak cukup pula. Macam koman sahaja amalan Nabi ﷺ maka kena ditambah baik, ditokok di sana sini.

Secara umumnya lagi, ayat ini mengingatkan kita supaya menepati janji kita. Bukannya dalam hal-hal agama sahaja, tetapi di dalam semua perkara. Walaupun janji itu dengan manusia, mereka Muslim atau tidak. Kerana janji itu amat penting untuk dijaga dan dipenuhi. Jangan berjanji dan selepas itu tidak ditepati. Terutama kalau janji itu dengan Allah ﷻ. Memanglah berdosa kalau tidak menepatinya. Sebagai contoh, kalau kita sudah tandatangan kontrak untuk buat sesuatu, itu adalah juga perjanjian kita dengan orang lain. Maka kita kena penuhi kontrak itu.

Inilah satu ungkapan yang merangkumkan ‘Islam’ di dalamnya. Kerana Islam itu adalah berkenaan ‘perjanjian’. Kita ada banyak perjanjian sebenarnya. Perjanjian dengan Allah ﷻ, perjanjian dengan Rasulullah ﷺ dan perjanjian dengan Al-Qur’an. Kita telah berjanji dan kita kena penuhi janji itu. Semua perjanjian yang halal mesti dipenuhi.

Yang lebih umum pula adalah apa-apa sahaja janji kita dengan orang. Untuk tolong dia, untuk jumpa dia, untuk beri sesuatu kepadanya. Begitulah manusia dipegang pada janjinya. Semua janji selagi boleh kita kena tepati, walaupun kalau kita berjanji dengan anak kecil. Kita pun sudah tahu memungkiri janji adalah sifat golongan munafik seperti disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tanda-tanda munafik ada tiga; jika berbicara dusta, jika berjanji mengingkari dan jika diberi amanat dia khianat”.
(Sahih Bukhari (32))

إِنَّ العَهدَ كانَ مَسئولًا

sesungguhnya janji itu pasti akan ditanya.

Sekiranya kita tidak jalankan tanggungjawab kita, mungkin ada yang rasa tidak ada siapa yang akan tanya mereka. Mungkin mereka rahsiakan pengambilan harta anak yatim itu. Tiada siapa pun yang tahu kerana harta itu atas nama penjaga amanah.

Namun Allah ﷻ ingatkan yang Dia sendiri akan tanya mereka. Sanggupkah untuk hadapi pertanyaan Allah ﷻ ini? Mungkin perjanjian kita tidak ada dokumen yang kita tandatangan, dimeterai di pejabat LHDN, maka kita tidak boleh bawa orang yang mungkir janji itu ke mahkamah. Akan tetapi di sini Allah ﷻ beritahu, nanti segala janji yang kamu buat dulu dan kamu mungkiri, akan ditanya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 32 (Jangan dekati Zina)

PERINTAH 7) JANGAN BERZINA

Isra’ Ayat 32: Jangan dekati zina. Ia disebut selepas larangan membunuh anak-anak terutama sekali anak perempuan. Ini adalah kerana antara faktor yang mendorong para bapa membunuh anak perempuan mereka adalah kerana takut nanti anak-anak perempuan mereka diperkosa atau berzina. Sekarang Allah ﷻ memerintahkan semua anggota masyarakat agar menghindari penyebab ke arah itu.

Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ mengaitkan penzinaan dengan zina juga. Beliau menulis bahawa dalam penzinaan terdapat pembunuhan dalam beberapa segi:

    1. Pertama pada penempatan sebab kehidupan (sperma) bukan pada tempatnya yang sah. Ini biasa disusuli dengan keinginan untuk menggugurkan yakni membunuh janin yang dikandung.
    2. Kalau anak itu dilahirkan hidup, maka biasanya ia dibiarkan begitu saja tanpa ada yang memelihara dan mendidiknya, dan ini merupakan salah satu bentuk pembunuhan juga.
    3. Penzinaan juga merupakan pembunuhan terhadap masyarakat yang merajalela di tengah-tengahnya keburukan ini, kerana di sini menjadi tidak jelas atau bercampur baur keturunan seseorang serta menjadi hilang kepercayaan dan kehormatan kepada anak zina, sehingga hubungan antara masyarakat jadi lemah yang akhirnya membawa kepada kematian umat.
    4. Di sisi lain penzinaan juga membunuh masyarakat dari segi kemudahan melampiaskan nafsu sehingga kehidupan rumah tangga menjadi sangat rapuh bahkan tidak diperlukan lagi. Keluarga menjadi sangat rapuh padahal ia merupakan wadah yang terbaik untuk mendidik dan mempersiapkan generasi muda memikul tanggungjawabnya.

Demikian lebih kurang tulis Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ, ketika menghubungkan ayat ini dengan ayat yang lalu.

وَلَا تَقرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not approach unlawful sexual intercourse.¹ Indeed, it is ever an immorality and is evil as a way.

  • i.e., avoid all situations that might possibly lead to it.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

 

وَلَا تَقرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ

Dan janganlah kamu mendekati zina;

Dua dosa besar yang banyak disebut dalam Al-Qur’an adalah zina dan pembunuhan. Kadang-kadang Allah ﷻ sebut zina dulu dan kadang-kadang Allah ﷻ sebut pembunuhan dulu. Allah ﷻ sebut dua dosa ini kerana dua-duanya adalah dosa berat. Ini adalah kerana dua-dua termasuk di dalam Maqasid Syariah Dalam Tabir Urus

      1. Menjaga Agama
      2. Menjaga Nyawa
      3. Menjaga Akal
      4. Menjaga Keturunan
      5. Menjaga Harta

Kalau bunuh termasuk dalam maqasid Menjaga Nyawa dan Zina termasuk di dalam maqasid Menjaga Keturunan. Dua perkara ini ada kaitannya. Kadang-kadang kerana penzinaan yang telah terlanjur, menyebabkan malu di salah satu pihak, menyebabkan mereka akan berusaha untuk menutupnya. Mungkin sampai kepada membunuh pasangan zinanya itu. Atau, setelah lahirnya anak zina hasil daripada perbuatan terkutuk itu dan kerana hendak menutup kes, bayi yang baru lahir itu dilemparkan ke hutan atau ke semak begitu sahaja!

Sebelum ini Allah ﷻ telah sebut tentang pembunuhan anak dan sekarang disebut tentang zina pula kerana ia juga berat seperti bunuh – kerana ia membunuh hati. Ini bukanlah bunuh secara fizikal tetapi bunuh secara spiritual.

Allah ﷻ kata jangan ‘hampiri zina’. Allah ﷻ tidak kata jangan ‘hampiri bunuh’ kerana zina lebih senang terjadi kalau didekati. Memang bahaya kerana kalau tidak dijaga daripada terlibat, boleh menyebabkan zina. Kadang-kadang lelaki dan perempuan itu hanya ingin duduk bersembang sahaja. Namun lama-lama boleh melarat kepada perkara yang lain. Kalau dalam masyarakat kita, kes senang-senang bunuh orang jaranglah berlaku (walaupun kita nampak ia semakin banyak terjadi) seperti di negara seperti Amerika itu yang kalau berjalan seorang diri pun bahaya di malam hari kerana boleh dirompak dan dibunuh begitu sahaja. Akan tetapi kes zina ini senang sangat terjadi dan memang telah banyak terjadi setiap hari walau dalam rumah kediaman sendiri. Maka ini adalah perkara yang sangat penting untuk kita perhatikan dan jaga kerana ia sangat senang berlaku, dalam segala peringkat umur tidak kira yang muda mahupun tua.

Malangnya ia amat susah dijaga. Tambahan pula suasana masyarakat yang tidak ambil kisah pun percampuran lelaki dan wanita duduk bersama-sama bersembang (ikhtilat). Kadang-kadang yang duduk berdua itu guna alasan hendak beri dakwah kononnya, tetapi lama-lama jadi benda lain pula. Tiba-tiba sudah termengandung! Maka kena berhati-hati dengan perkara ini. Kalau mahu berdakwah kepada wanita, biar wanita juga yang dakwah kepada dia.

Maka pintu ke arah zina itu kena ditutup supaya jangan terlanjur. Konsep ini dinamakan سد ذرائع Sadd al-zara’ie yang bermaksud menghalang jalan-jalan yang membawa kepada perbuatan jenayah, dosa dan maksiat. Memang, siapa yang berada di sekeliling satu jurang, dia dikhuatirkan terjerumus ke dalamnya. Adapun pelanggaran yang tidak memiliki rangsangan yang kuat, maka biasanya larangan langsung tertuju kepada perbuatan itu, bukan larangan mendekatinya.

Kita ingatkan perkara ini kerana ramai yang sudah tertipu dengan perkara ini kerana ia amat mudah melarat, maka Allah ﷻ berfirman: jangan dekati langsung. Allah ﷻ kenal sifat kita dan kerana itu Allah ﷻ telah beri jalan keluar untuk menahan perkara itu daripada melarat. Kita mungkin sangka zina itu hanya terjadi setelah berlakunya seks, akan tetapi sebelum itu berlaku, telah berlaku zina-zina yang lain sebenarnya. Ini seperti penjelasan Rasulullah ﷺ. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melalui hadith ini baru kita tahu yang ‘zina’ itu bukanlah apabila sudah mengadakan seks sahaja kerana ada banyak lagi jenis zina seperti zina mata, zina mulut, zina tangan, kaki dan sebagainya. Akan tetapi yang ada hukuman hudud dalam Islam adalah Zina Seksual sahaja dan kerana itu ramai sangka itu sahaja zina dan yang lain tidak. Alangkah ceteknya ilmu mereka.

Sebenarnya banyak lagi jenis zina dan semua ini kena dijaga kerana kalau salah satu terjadi, boleh membawa kepada zina seksual. Terutama sekali zina mata, kerana ia membawa ke tempat yang bahaya. Seperti orang selalu kata: dari mata turun ke hati. Maka kita kena jaga segala perkara itu.

Kena ambil langkah yang sepatutnya. Jangan kita tertipu kononnya kita boleh tahan diri kita kalau ada pergaulan antara lelaki dan perempuan. Sebagai lelaki dan wanita, hendaklah belajar menjaga pandangan mata. Kita sendiri pun sudah baca dan lihat perkara sebegini yang mulanya macam biasa sahaja, kawan biasa sahaja, tetapi lama kelamaan sudah jadi benda lain. Masalah ini terjadi kerana bermula dengan tidak menjaga sosial/pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bagaimana kita menahan diri kita? Bayangkan, apabila kita melihat wanita lain, kita kena ingat yang dia itu adik dan anak orang. Kemudian bayangkan pula kalau orang ganggu anak dan adik kita, bagaimana? Tentu kita marah dan kita tidak redha, bukan? Maka janganlah kita ganggu atau cuba-cuba hendak berbaik dan rapat dengan ajnabi atau ajnabiah.

Mungkin kadang-kadang kita rasa macam kita boleh tahan daripada terjadinya zina (“kami kawan sahaja ….), maka ingat kembali tentang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semasa di syurga dan larangan mendekati pokok larangan. Bagaimana arahan Allah ﷻ kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Bukankah Allah ﷻ berfirman ‘jangan dekati’ pokok itu?

Allah ﷻ beri arahan begitu kerana Dia tahu yang kalau dekati sahaja pokok itu, akan ada masalah. Ringkasnya, Allah ﷻ beritahu yang ada benda yang bahaya kalau dekati sahaja pun. Ini adalah kerana daya tarikannya tinggi betul. Maka percayalah dengan nasihat dan arahan Allah ﷻ ini.

Seringkala kita dengar dalam adat orang Islam, dijaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, kerana memang ulama’ sudah lama memang dijaga perkara ini. Mereka tidak benarkan lelaki dan perempuan duduk bersama dan duduk dalam kawasan yang dekat. Ke mana anak pergi akan ditanya, apa yang mereka baca, apa yang mereka lakukan, sentiasa diperiksa dan diperhatikan. Maka ayat ini difahami oleh mereka yang faham dan tajam akalnya. Melalui ayat ini sahaja, ulama’ telah buat jalan penyelesaian – jangan bergaul rapat antara lelaki dan wanita. Di dalam hadith-hadith pun sudah ada pengajaran tentang pergaulan lelaki dan wanita,

Terdapat riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.
(Riwayat Muslim No. 1341)

Di dalam riwayat yang lain, mungkin ramai tahu hadith ini, daripada Saidina Abdullah Ibn Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan.
(Riwayat Al-Tirmidzi No. 2165)

Ketahuilah pada lelaki itu ada syahwat kehendak kepada persetubuhan. Begitu juga wanita pun ada keinginan ini juga. Apabila duduk rapat sahaja, terus ada perasaan itu. Ia lebih tinggi apabila tidak ada orang lain di situ. Syaitan akan mengambil peluang untuk mengapi-apikan nafsu ini sampai ke tahap segala sifat malu hilang asalkan dapat melampiaskan kehendak itu. Waktu akal budi sudah tidak kuat lagi, yang kuat adalah nafsu syahwat itu.

Namun kita tahu ada yang kata, apa masalah kalau berjumpa, berdating, pergi ke rumah dan sebagainya? Mereka kata, bagaimana hendak kenal hati budi bakal isteri/suami kalau tidak berjumpa dan bergaul begitu? Nanti sudah kahwin nanti baru hendak kenal kah?

Kita katakan, memang susah hendak kenal pun lelaki dan perempuan. Adakah anda rasa dengan duduk-duduk dengan kekasih itu anda akan kenal mereka? Tentu tidak kerana kalau kita dating pun, bukan kita boleh kenal mereka pun kerana mereka tidak akan tunjuk diri mereka yang sebenar. Kita pun sudah selalu dengar kisah bagaimana lelaki/perempuan itu berbeza perangainya sebelum dan selepas kahwin.

Sekiranya ada yang kata mereka kenal pasangan kekasih mereka pun, nanti lihatlah bila sudah kahwin. Sebenarnya sudah kahwin baru tahu perangai sebenar. Maka alasan hendak kenal bakal isteri atau suami sebelum menikah itu tidak boleh dipakai.

Kita menyokong usaha kerajaan dan pihak berkuasa yang mencegah khalwat. Khalwat ialah apabila berdua-duaan sahaja antara laki-laki dengan perempuan dan ini sudah termasuk mendekati zina. Oleh kerana itu, Islam mengharamkan khalwat.

Ini adalah antara usaha yang diambil oleh pihak berkuasa untuk memenuhi ‘jangan dekati zina’ ini. Akan tetapi, daripada cara pengurusannya mungkin boleh diperbaiki. Janganlah dua orang itu sudah siap selesai jimak baru diketuk pintu. Halangnya mereka dari mula lagi masuk ke dalam bilik hotel.

 

إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلاً

sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

Allah ﷻ suruh kita berjaga-jaga sungguh kerana perbuatan zina itu amat buruk sekali dari dulu lagi. Maknanya bukan zaman sekarang ia buruk, tetapi dari dulu lagi ia sudah buruk. Maka ada dua sebab yang disebut di sini kenapa diharamkan zina.

1. Ia adalah فَـٰحِشَةً iaitu satu perbuatan yang memalukan, tidak sopan. Apabila sifat malu telah hilang daripada manusia, maka iman pun telah hilang kerana malu adalah sebahagian daripada iman. Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Iman memiliki lebih daripada enam puluh cabang, dan malu adalah bahagian daripada iman”.
(Sahih Bukhari No. 8)

Rosaklah masyarakat jikalau sifat malu telah hilang daripada diri mereka. Kerana itu kita kena teruskan mengutuk perbuatan-perbuatan keji supaya manusia kekal malu untuk melakukannya. Kalau telah berlaku proses normalisasi dalam kalangan masyarakat seperti pergaulan yang bebas lelaki dan wanita, homseksual, sumbang mahram dan sebagainya, maka apa lagi yang ada harapan bagi kita? Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَبِي مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بِنْ عَمْرٍو الأَنْصَارِي الْبَدْرِي رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى، إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ.[رواه البخاري ]
Daripada Abu Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al Anshari Al Badri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya di antara ungkapan yang dikenal manusia daripada ucapan kenabian terdahulu ialah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah semahumu.”
(Sahih Bukhari No. 3483)


Makna hadith ini, perbuatan malu tertahan daripada melakukan kesalahan kerana sifat malu yang masih ada dalam diri manusia. Akan tetapi kalau malu itu sudah hilang, apa lagi yang boleh menghalang mereka?

Perbuatan zina memang berleluasa dari dulu sampai sekarang. Lalu bagaimana kita hendak mengawal diri kita daripada melakukannya? Tahukah anda yang pernah seorang sahabat minta kebenaran kepada Rasulullah ﷺ untuk berzina? Mari kita lihat bagaimana Nabi ﷺ menasihati sahabat itu. Mungkin kita boleh ambil pengajaran daripadanya.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ: إِنَّ فَتًى شَابًّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ائْذَنْ لِي بِالزِّنَا. فَأَقْبَلَ الْقَوْمُ عَلَيْهِ فَزَجَرُوهُ، وَقَالُوا: مًهْ مَهْ. فَقَالَ: “ادْنُهْ”. فَدَنَا مِنْهُ قَرِيبًا فَقَالَ اجْلِسْ”. فَجَلَسَ، قَالَ: “أَتُحِبُّهُ لِأُمِّكَ؟ ” قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأُمَّهَاتِهِمْ”. قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِابْنَتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِبَنَاتِهِمْ”، قَالَ: “أَتُحِبُّهُ لِأُخْتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأَخَوَاتِهِمْ”، قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِعَمَّتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِعَمَّاتِهِمْ” قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِخَالَتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِخَالَاتِهِمْ” قَالَ: فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهِ وَقَالَ: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ وَحَصِّنْ فَرْجَهُ” قَالَ: فَلَمْ يَكُنْ بَعْدَ ذَلِكَ الْفَتَى يَلْتَفِتُ إِلَى شَيْءٍ
Daripada Abu Umamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa pernah ada seorang pemuda datang kepada Nabi ﷺ lalu pemuda itu bertanya, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berbuat zina.” Maka kaum yang hadir memusatkan pandangan mereka ke arah pemuda itu dan mengherdiknya seraya berkata, “Diam kamu, diam kamu!” Rasulullah ﷺ bersabda, “Dekatkanlah dia kepadaku.” Maka pemuda itu mendekati Rasulullah ﷺ dalam jaraknya yang cukup dekat, lalu Rasulullah ﷺ bersabda, “Duduklah!” Pemuda itu duduk, dan Nabi ﷺ bertanya kepadanya, “Apakah kamu suka perbuatan zina dilakukan terhadap ibumu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang lain pun tentu tidak suka hal tersebut di lakukan terhadap ibu-ibu mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap anak perempuanmu?” Pemuda itu menjawab, ‘Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, semoga diriku menjadi tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda menguatkan, “Orang-orang pun tidak akan suka bila hal itu dilakukan terhadap anak-anak perempuan mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda menguatkan, “Orang lain pun tidak akan suka bila hal tersebut dilakukan terhadap saudara perempuan mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ayah)mu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang lain pun tidak akan suka bila perbuatan itu dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ayah) mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ibu)mu? Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang lain pun tidak akan suka bila hal itu dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ibu) mereka.” Kemudian Rasulullah ﷺ meletakkan tangannya ke dada pemuda itu seraya berdoa: Ya Allah, ampunilah dosanya dan bersihkanlah hatinya serta peliharalah farjinya. Maka sejak saat itu pemuda tersebut tidak lagi menoleh kepada perbuatan zina barang sedikit pun.
(Musnad Ahmad No. 21185)

Lihatlah bagaimana berhemahnya dan bijaknya cara Rasulullah ﷺ menangani perkara itu. Apabila Nabi Muhammad ﷺ suruh dia sendiri bayangkan kalau ahli keluarga dia sendiri yang berzina, barulah dia sedar. Selama hari ini dia lupa yang wanita yang dia hendak berzina itu adalah anak orang, adik orang, kakak orang lain.

2. Sebab kedua zina dilarang sungguh adalah kerana ia adalah سَآءَ سَبِيلاً (jalan yang buruk). Kerana ia adalah jalan yang membawa ke neraka! Ia juga adalah jalan kepada perkara yang lebih buruk lagi. Antara yang terpenting ialah:

o Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang penzina perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki itu tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur. Anak itu hidup melarat dan dia sendiri akan mudah terjerumus ke lembah kehinaan. Maka kitaran itu berterusan lagi.

o Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga kadang-kadang kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!” Ini kerana manusia berkelahi kerana perempuan, sampai berbunuh kerana perempuan, negara dijajah pun boleh jadi asalnya kerana perempuan.

o Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah ﷻ sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)