Tafsir Surah Ankabut Ayat 49 – 52 (Kelebihan Hafiz Qur’an)

Ayat 49: Ini adalah sambungan hujah menolak tohmahan yang mengatakan Al-Qur’an ini adalah cedokan dari kitab-kitab lain. Allah menekankan apakah hakikat Al-Quran ini.

بَل هُوَ ءآيٰتٌ بَيِّناتٌ في صُدورِ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ ۚ وَما يَجحَدُ بِئآيٰتِنا إِلَّا الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Rather, it [i.e., the Qur’ān] is distinct verses [preserved] within the breasts of those who have been given knowledge. And none reject Our verses except the wrongdoers.

(MELAYU)

Sebenarnya, Al Qur’an itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim.

 

بَل هُوَ ءآيٰتٌ بَيِّناتٌ في صُدورِ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ

Sebenarnya, Al Qur’an itu adalah ayat-ayat yang jelas di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu.

Jadi Al-Qur’an itu bukannya disalin dari kitab-kitab lain tetapi ianya adalah pembacaan yang mulia. Ia adalah ءآيٰتٌ بَيِّناتٌ (ayat-ayat yang jelas lagi terang). Jelas dan terang kepada mereka yang mahu belajar dan membuka harinya.

Allah memberitahu yang Al-Qur’an itu berada di dalam hati orang-orang yang beriman dan Allah tidak kata yang ianya ‘tertulis’. Allah berfirman yang ianya ‘dalam dada orang berilmu’. Al-Qur’an yang bertulis itu adalah di Lauh Mahfuz dan di dunia ini ia berada di dalam dada orang-orang yang beriman.

Ini adalah pujian Allah kepada orang-orang yang menghafaz Al-Qur’an kerana mereka cintakan Allah dan cintakan Al-Qur’an maka mereka berusaha untuk menghafalnya. Maka cubalah untuk hafal Al-Qur’an ini sebanyak yang boleh.

Allah panggil mereka itu adalah orang yang ‘diberi ilmu’. Ia juga menjadi hujah yang orang yang memahami tafsir Al-Qur’an ini adalah orang yang berilmu di sisi Allah. Ia adalah ilmu yang paling penting sekali. Dan kalau ada orang yang kata tidak perlu atau tidak boleh belajar tafsir, itu adalah datangnya dari bisikan syaitan untuk terus menjahilkan manusia supaya senang ditipu.

Amat ramai yang menghafal Al-Qur’an dalam dunia ini. Maka kalau ada orang yang membuat upacara untuk membakar Al-Qur’an, biarlah mereka kerana mereka tidak akan dapat membakar semua Al-Qur’an kerana Al-Qur’an itu di dalam dada orang-orang beriman. Kalau mereka nak musnahkan Al-Qur’an, mereka kena bunuh semua orang Islam. Tentu tidak boleh sampai begitu, bukan?

Kenapa kita simpan Al-Qur’an dalam dada kita? Kalau kita ada sesuatu yang berharga tentu kita akan simpan di dalam tempat yang selamat, bukan? Dan Al-Qur’an ini tentunya amat berharga dan Allah pilih ianya berada di dalam hati orang-orang mukmin. Maka begitu tingginya hati orang-orang mukmin itu mereka Allah pilih mereka sebagai ‘penjaga’ Al-Qur’an.

 

وَما يَجحَدُ بِئآيٰتِنا إِلَّا الظّٰلِمونَ

Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim.

Begitu punya hebat pun Al-Qur’an ini, tetap ada juga yang menentangnya. Yang berdebat dan berhujah tentang Al-Qur’an itu adalah orang-orang yang zalim sahaja. Zalim iaitu tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Al-Qur’an yang hebat ini mereka tidak muliakan, maka zalimlah mereka.

Apabila mereka zalim, maka Allah akan balas kezaliman mereka itu nanti. Maka tidak perlu nak kisah sangat hal mereka. Mereka akan dapat balasan mereka nanti. Kita kena sampaikan sahaja Al-Qur’an ini kepada manusia. Sampaikan dengan cara yang terbaik sekali.


 

Ayat 50: Ayat syikayah. Allah merungut lagi tentang hujah puak penentang Nabi Muhammad.

وَقالوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيٰتٌ مِّن رَّبِّهِ ۖ قُل إِنَّمَا الأيٰتُ عِندَ اللهِ وَإِنَّما أَناْ نَذيرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they say, “Why are not signs sent down to him from his Lord?” Say, “The signs are only with Allāh, and I am only a clear warner.”

(MELAYU)

Dan orang-orang kafir Mekah berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?” Katakanlah: “Sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu terserah kepada Allah. Dan sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata”.

 

وَقالوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيٰتٌ مِّن رَّبِّهِ

Dan (orang-orang kafir) berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?”

Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa Nabi Muhammad tidak diberikan dengan mukjizat dan perkara yang sama juga ditanya oleh Ahli Kitab. Mereka kata kenapa baginda tidak mendapat mukjizat seperti diberikan kepada rasul-rasul yang terdahulu? Antaranya mereka tahu Nabi Musa ada tongkat boleh jadi ular dan belah laut dan tangan baginda boleh bercahaya. Maka mana mukjizat Nabi Muhammad?

Bukannya Nabi Muhammad tidak menunjukkan mukjizat tetapi yang mereka persoalkan adalah mukjizat tertentu yang mereka minta. Dan permintaan mereka itu memang pelik-pelik belaka. Ini ada disebut dalam surah-surah yang lain. Antaranya mereka minta Nabi jadikan tanah Mekah itu subur dan berubah jadi padang rumput dari padang pasir. Kononnya kalau baginda boleh buat, barulah mereka nak beriman.

 

قُل إِنَّمَا الأيٰتُ عِندَ اللهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu terserah kepada Allah. 

Allah memberitahu dengan mengajar Nabi Muhammad bagaimana nak jawap mereka. Allah suruh beritahu yang mukjizat itu adalah di dalam kuasa dan kehendak Allah Taala dan baginda tidak ada kuasa untuk mengeluarkannya.

Maka ini mengajar kita yang para Nabi tidak ada kuasa. Mukjizat bukan hak mereka. Kalau Allah tak beri, memang ia tidak akan terjadi. Semuanya terjadi kalau Allah nak jadikan. Sebagai contoh, kalau Nabi Musa suka-suka nak jadikan ular dari tongkat baginda, ia tidak akan terjadi. Bukan kehendak Nabi Musa yang menjadikannya ular, tapi kehendak Allah. Sebab itu kita baca dalam Al-Qur’an, ia hanya menjadi ular apabila Allah suruh lemparkan.

Begitu jugalah dengan karomah yang diberikan kepada para wali. Tidak boleh dikeluarkan ikut suka. Maka kalau mana-mana guru yang boleh keluarkan perkara ajaib ikut kehendak mereka, maka itu bukanlah karomah, tapi ‘sihir’. Maka kena tahu untuk bezakan antara keduanya.

Ini penting kerana ada ajaran sesat yang ramai pengikut mereka kerana guru boleh buat magik. Mereka sangka tentu itu karomah, padahal itu adalah sihir sahaja.

 

وَإِنَّما أَناْ نَذيرٌ مُّبينٌ

Dan sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata”.

Allah suruh Nabi Muhammad beritahu yang tugas baginda hanya untuk menyampaikan sahaja wahyu Al-Qur’an ini. Bukannya tugas baginda untuk keluarkan mukjizat. Nabi bukan ahli silap mata.

Allah mudah sahaja hendak jadikan apa sahaja yang mereka minta itu, tapi Allah tahu yang mereka tidak mahu beriman pun. Permintaan mereka itu sebagai helah sahaja.  Oleh kerana itu Allah tidak mengabulkan permintaan mereka, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَمَا مَنَعَنَا أَنْ نُرْسِلَ بِالآيَاتِ إِلا أَنْ كَذَّبَ بِهَا الأوَّلُونَ وَآتَيْنَا ثَمُودَ النَّاقَةَ مُبْصِرَةً فَظَلَمُوا بِهَا}

Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu. (Al-Isra: 59)


 

Ayat 51: Mereka sibuk nak tengok mukjizat, padahal mukjizat yang mereka minta itu tidak penting dan kecil sahaja kalau dibandingkan dengan Al-Qur’an yang berada di depan mata mereka.

Mereka sudah ada mukjizat paling hebat, tapi masih lagi nak minta mukjizat lain pula. Maka Allah tegur mereka.

أَوَلَم يَكفِهِم أَنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ يُتلىٰ عَلَيهِم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَرَحمَةً وَذِكرىٰ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And is it not sufficient for them that We revealed to you the Book [i.e., the Qur’ān] which is recited to them? Indeed in that is a mercy and reminder for a people who believe.

(MELAYU)

Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawasanya Kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) sedang dia dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya dalam (Al Qur’an) itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

 

أَوَلَم يَكفِهِم أَنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ يُتلىٰ عَلَيهِم

Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawasanya Kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) sedang dibacakan kepada mereka?

Tidakkah menjadi hujah yang cukup kepada musyrikin Mekah itu apabila Rasulullah membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka sedangkan sebelum ini telah diberitahu yang baginda itu bukan seorang yang boleh membaca dan menulis?

Maka Al-Qur’an itu sendiri adalah mukjizat yang mereka boleh dengar. Dan ia mengandungi maklumat yang hebat yang tidak mungkin baginda boleh reka sendiri. Tidak cukup lagi kah? Al-Qur’an ini hebat sekali dan pernah Nabi bersabda:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ، حَدَّثَنَا لَيْثٌ، حَدَّثَنِي سَعِيدُ بن أبي سعيد، عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم: “ما من الْأَنْبِيَاءِ مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا قَدْ أُعْطِيَ مِنَ الْآيَاتِ مَا مِثْلُهُ آمَنَ عَلَيْهِ الْبَشَرُ، وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُهُ وَحْيًا أَوْحَاهُ اللَّهُ إِلَيَّ، فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ تَابِعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hajjaj, telah menceritakan kepada kami Lais, telah menceritakan kepadaku Sa’id ibnu Abu Sa’id, dari ayahnya, dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Tiada seorang nabi pun dari kalangan para nabi melainkan dianugerahi mukjizat yang mirip dengan apa yang dipercayai oleh manusia (di masanya). Dan sesungguhnya mukjizat yang diberikan kepadaku adalah berupa wahyu yang diturunkan Allah kepadaku, maka aku berharap semoga akulah yang paling banyak pengikutnya di antara mereka kelak pada hari kiamat.

Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkan hadis ini melalui jalur Al-Lais.

Dengan mukjizat Al-Qur’an itu dapat membuka hati manusia dan buka kebuntuan yang dialami oleh manusia. Maka kena ajak manusia belajar tafsir Al-Qur’an. Banyak benda akan dapat belajar dan hati akan jadi lebih tenang dalam ibadat dan amal lain.

Dan mereka pun tahu yang cara bercakap baginda tidak sama dengan bahasa Al-Qur’an. Maka bukanlah Nabi reka Al-Qur’an itu.  Ini kerana dalam ilmu bahasa dan percakapan, kajian menunjukkan yang setiap manusia itu ada cara percakapannya masing-masing dan mereka tidak boleh elak daripadanya. Dan bahasa percakapan Nabi berlainan sekali dengan bahasa Al-Qur’an.

Kerana itu jikalau kita membaca buku-buku cerita kepada anak-anak kita, maka anak-anak kita akan tahu bahawa itu bukan bahasa kita kerana dia sudah biasa dengan cara percakapan kita dan dia tahu yang apa yang kita sebut itu walaupun ia keluar daripada mulut kita tetapi mereka tahu ianya datang dari buku. Kerana bahasa kita dan bahasa buku berlainan.

Begitu juga Musyrikin Mekah itu sepatutnya sudah kenal Nabi Muhammad itu daripada baginda kecil lagi dan apa yang baginda sampaikan di dalam Al-Qur’an itu mereka pun tahu ianya bukanlah cara pertuturan baginda pun.

Maka kenapa lagi mereka boleh kata yang Al-Qur’an itu adalah dari baginda sendiri sedangkan mereka pun tahu ianya bukan kerana ia bukan bahasa yang selalu digunakan oleh baginda? Melainkan degil sahaja.

Nota tambahan: Kassim Ahmad telah menggunakan ayat 50 dan 51 ini sebagai dalil bahawa mukjizat yang diberikan kepada Nabi Muhammad hanyalah Al-Qur’an sahaja. Maka beliau menolak hadith sebagai sumber dalam agama.

Ini adalah hujah dangkal kerana bukanlah ayat ini menolak hadith pula. Dan ia juga tidak menolak mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada baginda. Ayat ini cuma menyebut mukjizat Al-Qur’an itu sepatutnya sudah cukup untuk mereka beriman. Bukanlah menidakkan hadith atau mukjizat yang lain.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَرَحمَةً وَذِكرىٰ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

Sesungguhnya dalam (Al Qur’an) itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

Dan ayat ini juga sebagai hujah dari Allah kepada kita. Tidakkah Al-Qur’an ini cukup sebagai panduan hidup? Kenapa nak cari sumber lain lagi?

Kadang-kadang ada manusia yang rasa lemah semangat atau kurang iman maka mereka hendak menegakkan iman dengan nasyid, pakai zikir rekaan tarekat dan sebagainya. Padahal sebenarnya kita patut mendekatkan diri kita dengan Al-Qur’an. Bacalah selalu Al-Qur’an itu dan tadabbur maknanya. Tentu ia akan meningkatkan iman dan ilmu agama.

Dekatkanlah diri dengan Al-Qur’an kerana ia ada rahmat. Allah akan berikan rahmat yang banyak kalau kita menjadi ahli Al-Qur’an. Iaitu mereka yang memahami Al-Qur’an dan mengamalkannya.

Dan kerana ia mengandungi peringatan yang kuat. Kadang-kadang apabila kita baca sesuatu ayat itu, ianya memberi kesan mendalam kerana seolah-olah seperti kita baru membacanya kali pertama. Ianya amat menyentuh hati. Itulah sebabnya kita katakan yang Al-Qur’an ini adalah mukjizat. Dan kerana itulah kena selalu dibaca. Bukan khatam sekali sahaja dan terus tutup tak buka-buka lagi (seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu).


 

Ayat 52:

قُل كَفىٰ بِاللهِ بَيني وَبَينَكُم شَهيدًا ۖ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۗ وَالَّذينَ ءآمَنوا بِالبٰطِلِ وَكَفَروا بِاللهِ أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Sufficient is Allāh between me and you as Witness. He knows what is in the heavens and earth. And they who have believed in falsehood and disbelieved in Allāh – it is those who are the losers.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan antaramu. Dia mengetahui apa yang di langit dan di bumi. Dan orang-orang yang percaya kepada yang batil dan engkar kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang merugi.

 

قُل كَفىٰ بِاللهِ بَيني وَبَينَكُم شَهيدًا

Katakanlah: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan antaramu.

Kadangkala setelah lama dakwah, manusia masih tidak mahu terima. Maka nak cakap apa lagi kepada mereka? Allah ajar dalam ayat ini: Katakanlah, cukuplah Allah menjadi saksi antara kami dan kamu.

Kerana jikalau yang lain-lain pun tidak percaya, sudah cukuplah Allah sahaja yang menjadi saksi. Kamu tak mahu percaya, ikut kamulah. Allah tahu yang Nabi Muhammad tidak reka Al-Qur’an itu sebagaimana yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الأقَاوِيلِ. لأخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ. ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ. فَمَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِينَ}

Seandainya dia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya. Maka sekali-kali tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami) dari pemotongan urat nadi itu. (Al-Haqqah: 44-47)

Maknanya, kalau Nabi reka Al-Qur’an itu dan mengaku ianya dari Allah, nyawa baginda sudah lama pendek. Tapi apabila baginda masih lagi hidup setelah sekian lama, maka itu adalah bukti bahawa baginda tidak menipu. Arab Mekah pun tahu perkara ini. Mereka tahu bahawa tidak ada sesiapa yang boleh menipu atas nama Allah dan hidup lama.

 

يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dia mengetahui apa yang di langit dan di bumi.

Allah cukup jadi saksi kerana Allah tahu apa yang terjadi di lapisan langit dan bumi. Ini kerana Dia sendiri yang menentukan apakah yang terjadi di dalam alam ini. Allahlah Tuhan kita dan kalau Allah yang jadi saksi kepada iman kita, ini sudah cukup. Yang kita perlukan memang penerimaan Allah sahaja, bukan penerimaan manusia yang kita cari.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا بِالبٰطِلِ وَكَفَروا بِاللهِ أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Dan orang-orang yang percaya kepada yang batil dan engkar kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang merugi.

Kedegilan manusia yang percaya kepada perkara yang batil itu tidak ada ubatnya. Ada antara mereka bukannya tolak adanya Tuhan dan adanya Allah, tetapi mereka menolak tauhid kepada Allah. Ini kerana mereka tidak faham wahyu kerana tidak belajar.

Maka kerana itu ramai dari kalangan masyarakat Islam kita sendiri amat jauh dari tauhid kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Padahal mereka beriman dengan Allah. Maknanya iman dengan Allah sahaja tidak cukup. Kena tolak syirik juga. Mereka sangka kalau belajar Sifat 20 sudah cukup, tapi tidak sebenarnya. Kerana ilmu tauhid dan syirik kena diambil dari Al-Qur’an.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s