Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 27 – 29 (Soluti Kesihatan Mental)

Ra’d Ayat 27: Ini adalah hujah yang dikeluarkan oleh Musyrikin Mekah untuk menolak Nabi Muhammad ﷺ. Ia adalah ayat Syikayah (rungutan Allah ﷻ tentang kata-kata golongan penentang).

وَيَقولُ الَّذينَ كَفَروا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيَةٌ مِّن رَّبِّهِ ۗ قُل إِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي إِلَيهِ مَن أَنابَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieved say, “Why has a sign not been sent down to him from his Lord?” Say, [O Muḥammad], “Indeed, Allāh leaves astray whom He wills and guides to Himself whoever turns back [to Him] –

(MALAY)

Orang-orang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) tanda (mukjizat) dari Tuhannya?” Katakanlah: “Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan menunjuki orang-orang yang bertaubat kepada-Nya”,

 

وَيَقولُ الَّذينَ كَفَروا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيَةٌ مِّن رَّبِّهِ

Orang-orang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) tanda (mukjizat) dari Tuhannya?”

Ini adalah pengulangan kepada ayat 7 surah ini. Kalimah ءآيَةٌ di sini bermaksud mukjizat. Ini kerana maksud ءآيَةٌ adalah ‘tanda’ dan mukjizat itu adalah tanda kekuasaan Allah ﷻ (bukannya kuasa Nabi ﷺ). Kenapa disebut tentang ءآيَةٌ mukjizat pula?

Kerana salah satu daripada hujah golongan musyrik untuk menolak Nabi Muhammad ﷺ, mereka berhujah begini: “Kenapa Muhammad itu tidak dapat mukjizat?” Sebenarnya, Nabi Muhammad ﷺ sudah pernah tunjukkan mukjizat kepada mereka untuk membuktikan kerasulan baginda. Akan tetapi mereka masih juga minta lagi dan lagi. Apakah mukjizat yang pernah ditunjukkan kepada mereka? Bulan terbelah seperti disebut dalam Qamar: 1-2 tetapi mereka tetap menolak juga.

اقتَرَبَتِ السّاعَةُ وَانشَقَّ القَمَرُ
Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.

وَإِن يَّرَوا ءآيَةً يُّعرِضوا وَيَقولوا سِحرٌ مُّستَمِرٌّ
Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.

Mereka pernah pula mengatakan dengan nada ingkar yang isinya meminta agar Nabi Muhammad ﷺ mengubah Bukit Safa menjadi emas buat mereka, dan semua bukit di Mekah dilenyapkan, lalu digantikan dengan ladang-ladang dan sungai-sungai. Allah ﷻ berfirman menjawab mereka dalam ayat lainnya:

وَمَا مَنَعَنَا أَنْ نُرْسِلَ بِالآيَاتِ إِلا أَنْ كَذَّبَ بِهَا الأوَّلُونَ
Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu.
(Isra’: 59)

Dengan tidak memberikan mukjizat seperti yang mereka minta itu sebenarnya adalah rahmat daripada Allah ﷻ kerana seandainya Allah ﷻ beri juga dan mereka tolak selepasnya, maka azab akan terus diturunkan kepada mereka. Ini kerana kalau yang diminta telah diberi, tetapi masih berdegil juga, maka sudah tidak ada harapan lagi buat mereka.

Di sini Allah ﷻ beri contoh kaum Tsamud yang meminta mukjizat unta berita. Kemudian ia telah diberikan dan kita pun tahu yang mereka tetap kufur terhadap Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akhirnya mereka telah dikenakan dengan azab yang teruk. Maka Allah ﷻ tidak beri mukjizat yang diminta oleh Musyrikin Mekah itu kerana Allah ﷻ sedang memberi mereka peluang.

Allah ﷻ beri peluang untuk mereka berfikir. Jangan gopoh minta sesuatu yang tidak patut-patut. Apabila mereka minta mukjizat lain, ini bermakna mereka tidak nampak hebatnya mukjizat Al-Qur’an itu sendiri yang telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka mereka kena fikirkan tentang Al-Qur’an yang mereka sendiri pun pening untuk menolaknya. Mereka pun takjub juga dengan Al-Qur’an itu! Kenapa perlu kepada mukjizat yang lain?

Mereka yang Nabi Muhammad ﷺ berhujah: kenapa tidak ada mukjizat yang dikeluarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ? Sebenarnya sudah ada mukjizat yang ditunjukkan oleh baginda, namun mereka tanya kenapa tidak diturunkan lagi? Mereka minta macam-macam perkara yang mengarut, semuanya ikut kehendak nafsu mereka. Sudah diberi apa yang mereka minta, mereka minta mukjizat lain. Ini adalah kerana mereka main-main sahaja, bukannya mahu jadikan mukjizat itu sebagai punca untuk beriman. Di dalam sebuah hadith disebutkan bahawa Allah ﷻ menurunkan wahyu kepada Rasul-Nya ketika kaumnya meminta baginda mengubah Bukit Safa menjadi emas buat mereka,

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَتْ قُرَيْشٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ادْعُ لَنَا رَبَّكَ أَنْ يَجْعَلَ لَنَا الصَّفَا ذَهَبًا وَنُؤْمِنُ بِكَ قَالَ وَتَفْعَلُونَ قَالُوا نَعَمْ قَالَ فَدَعَا فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ إِنَّ رَبَّكَ عَزَّ وَجَلَّ يَقْرَأُ عَلَيْكَ السَّلَامَ وَيَقُولُ إِنْ شِئْتَ أَصْبَحَ لَهُمْ الصَّفَا ذَهَبًا فَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ مِنْهُمْ عَذَّبْتُهُ عَذَابًا لَا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِنْ الْعَالَمِينَ وَإِنْ شِئْتَ فَتَحْتُ لَهُمْ بَابَ التَّوْبَةِ وَالرَّحْمَةِ قَالَ بَلْ بَابُ التَّوْبَةِ وَالرَّحْمَةِ
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا], dia berkata; Orang-orang Quraisy berkata kepada Nabi ﷺ; “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, agar merubah bukit Safaa menjadi emas maka kami akan beriman kepadamu.” Baginda bersabda: “Sungguh kalian akan melakukannya (beriman)?” Mereka menjawab; “Ya.” Maka baginda berdoa lalu datanglah Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan berkata; “Sesungguhnya Tuhanmu عَزَّ وَجَلَّ menyampaikan salam untukmu.” Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melanjutkan; “Jika engkau menghendaki maka bukit Safaa akan berubah emas untuk mereka. Siapa sahaja di antara mereka kafir setelah itu, Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang belum pernah Aku seksakan kepada seorang pun di alam semesta ini. Dan jika engkau menghendaki Aku akan membukakan pintu taubat dan rahmat untuk mereka.” Baginda bersabda: “Bahkan pintu taubat dan rahmat (yang aku kehendaki).”
(Musnad Ahmad (2058))
Status: Sahih

Maka dengan Allah ﷻ tidak memberikan mukjizat yang mereka minta itu pun adalah kebaikan untuk mereka sebenarnya. Lagi pun bukankah sudah ada di hadapan mereka satu mukjizat yang amat hebat? Itulah dia ءآيَةٌ Al-Qur’an. Itu pun adalah mukjizat juga (yang kita sampai sekarang pegang di tangan kita). Apabila mereka minta mukjizat lain, ini memberitahu kita yang mereka sebenarnya memang tidak menghargai ayat-ayat Allah ﷻ di dalam bentuk Al-Qur’an sampai pergi minta pula mukjizat dan ayat yang lain. Dasar tidak kenal dek untung!

Maka kalau masyarakat kita pun tidak kenal Al-Qur’an, maka sama sahajalah dengan Musyrikin Mekah itu. Ada Al-Qur’an di hadapan mata pun buat tidak tahu sahaja, tidak langsung teringin hendak mengetahui kenapa ya Al-Qur’an ini mukjizat? Apa yang ada di dalamnya? Namun berapa ramai yang meluangkan masa untuk belajar tafsir Al-Qur’an dan menjumpai segala macam kehebatan di dalamnya?

 

قُل إِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ

Katakanlah: “Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki 

Allah ﷻ beritahu, tidak perlu tanyalah tentang mukjizat. Allah ﷻ pilih siapa yang patut dapat hidayah. Sekiranya seseorang itu sudah dapat hidayah dari awal, dia tidak perlukan mukjizat untuk jadikan dia beriman kerana bukan mukjizat itu yang menyebabkan dia akan beriman.

Kalau diberi beratus mukjizat pun, namun kalau Allah ﷻ tidak beri hidayah untuk masuk ke dalam hatinya, tidak akan beriman juga. Di dalam ayat lain disebutkan oleh firman-Nya:

وَلَو جاءَتهُم كُلُّ ءآيَةٍ حَتّىٰ يَرَوُا العَذابَ الأَليمَ
Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasul-Nya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
(Yunus: 97)

وَمَا تُغْنِي الآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَنْ قَوْمٍ لَا يُؤْمِنُونَ
Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman
(Yunus: 101)

Akan tetapi kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka baru Allah ﷻ buat keputusan untuk menutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Ini kita telah sentuh tentang Khatmul Qalbi dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ini penting kerana ramai yang keliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, maka bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah buat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf :5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak paksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi mereka pilih untuk beriman dan membersihkan hati mereka daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams: 8-10 maka mereka itulah yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.

 

وَيَهدي إِلَيهِ مَن أَنابَ

dan menunjuki orang-orang yang cenderung kepada-Nya”,

Sebaliknya, bagi manusia yang ada keinginan untuk kembali kepada Allah ﷻ, mereka pasti akan nampak kebenaran, dan tidak perlukan mukjizat untuk mengubah pendirian mereka. Mereka inilah yang ada inabah dalam diri mereka. Kalimah أَنابَ daripada katadasar ن و ب yang bermaksud bertaubat dan kembali lagi dan lagi dan berturut-turut (kepada Allah ﷻ) dengan amal yang ikhlas apabila ditimpa musibah; kembali (kepada Allah ﷻ) dengan bertaubat lagi dan lagi dengan keikhlasan. Inabah adalah sifat condong kepada Allah ﷻ, mahu kepada Allah ﷻ.

Berbeza sekali dengan orang degil diberi dengan banyak mukjizat namun mereka tetap tidak nampak tanda-tanda itu kerana mereka tidak ada keinginan untuk melihat dan mencari kebenaran. Yang boleh terima dan dapat hidayah adalah mereka yang ada sifat inabah ini. Sifat ‘inabah’ adalah keinginan untuk tahu kebenaran kerana bila dalam hati ada keinginan kepada kebenaran, mereka tidak degil, mudah menerima dan boleh beriman dengan mudah.

Entah berapa ramai orang yang telah jumpa kebenaran, dan apabila kita tanya kepada mereka apa yang menyebabkan mereka jumpa kebenaran itu, mereka akan jawab bahawa pada satu ketika mereka berdoa supaya diberikan dan ditunjukkan kebenaran. Maknanya hati mereka telah bersedia untuk menerima kebenaran, dan apabila kebenaran itu ditunjukkan kepada mereka, mereka telah bersedia untuk menerimanya. Mereka terus ambil dan pegang dengan kemas.


 

Ra’d Ayat 28: Siapakah yang ada sifat inabah itu?

الَّذينَ ءآمَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who have believed and whose hearts are assured by the remembrance of Allāh. Unquestionably, by the remembrance of Allāh hearts are assured.”

(MALAY)

(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

 

الَّذينَ ءآمَنوا

(iaitu) orang-orang yang beriman

Itulah mereka yang mahu beriman benar-benar kepada Allah ﷻ. Ini adalah ‘iman yang sempurna’. Iaitu beriman dengan fahaman tauhid dan fahaman tauhid ini kenalah menolak syirik. Kalau tolak syirik barulah iman itu sempurna kerana kalau beriman sahaja, tetapi dalam masa yang sama masih lagi ada fahaman dan amalan syirik, ini bukan ‘iman yang sempurna’. Oleh itu, kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan syirik.

 

وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللهِ

dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah.

Satu lagi sifat mereka, hati mereka menjadi tenang dengan ingat kepada Allah ﷻ. Yang tenang itu adalah di hati. Bukannya pada fizikal, pada pakaian atau sebagainya. Hati ini yang menjadi tempat ketenangan itu. Yang sukar untuk dijelaskan melainkan kepada orang yang merasainya.

‘Zikir’ yang dimaksudkan adalah fahaman tauhid yang diambil melalui kitab wahyu. Inilah yang dinamakan ‘zikir tauhid’. Iaitu kita ingat kepada Allah ﷻ, dalam kita kenal Allah ﷻ dalam fahaman ‘tauhid’. Kita kena kenal Allah ﷻ dalam faham tauhid. Cara untuk mengetahui perkara ini dengan paling sempurna adalah dengan mempelajari dan memahami tafsir Al-Qur’an.

Zikir terbesar adalah dengan mentaati Allah ﷻ. Apabila taat kepada Allah ﷻ, maka orang itu senang untuk melakukan zikir-zikir lain seperti solat, baca Al-Qur’an, tasbih, tahmid, takbir dan sebagainya. Apabila mereka melakukan perkara itu hati mereka menjadi tenang setenang tenangnya.

Kalimah تَطمَئِنُّ daripada katadasar ط م ن yang bermaksud berehat daripada sesuatu; bergantung kepada sesuatu; membongkok; menenangkan supaya jadi tenang; menenangkan; ketenangan; selamat daripada bahaya; senyap dan kedamaian. Maka ini adalah satu sifat yang kita kejar-kejar selama ini, iaitu rasa tenang sentosa, tidak ribut-ribut. Apa-apa terjadi pun mereka tenang-tenang sahaja. Mereka sentiasa tenang bukan sekali sekala kerana kalimah yang digunakan adalah تَطمَئِنُّ iaitu di dalam bentuk fi’il mudhari’.

Sebelum ini telah disebut bagaimana orang yang tidak beriman itu bergembira dengan kehidupan dunia (فَرِحوا). Namun فَرِح, itu adalah kegembiraan yang sekejap sahaja. Sebaliknya apabila digunakan kalimah تَطمَئِنُّ, ia adalah perasaan yang tenang yang lebih kekal.

Oleh kerana mereka dapat merasai kemanisan zikir itu, maka mereka semakin suka hendak melakukannya. Kerana itulah kita tahu ada orang yang rajin solat, rajin baca Al-Qur’an, rajin zikir dan sebagainya. Ini kerana mereka merasa nikmat melakukannya. Maka mereka hendak sentiasa melakukannya. Kalau kita rasa malas, maka ini adalah kerana ia menjadi satu beban bagi kita, tidak manis bagi kita. Kerana itu ramai yang solat seperti melepaskan batuk di tangga, malas baca Al-Qur’an (kalau baca pun seolah-olah seperti terpaksa).

 

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Ini adalah idkhal Ilahi. Allah ﷻ hendak memberitahu sesuatu. Memang dengan mengingati Allah ﷻ, hati akan menjadi tenang. Ayat ini juga memberitahu kita yang hanya dengan mengingati Allah ﷻ sahaja hati ini boleh tenang yang berpanjangan. Bukannya kerana tidur, kerana melancong, kerana ambil dadah, kerana bercinta, kerana duduk-duduk ‘healing’ di laut atau di sungai atau di mana-mana sahaja. Itu semua adalah tenang yang sementara sahaja.

Tenang yang dimaksudkan adalah ketenangan apabila dalam mentaati Allah ﷻ. Iaitu apabila solat, baca Al-Qur’an dan buat amal-amal kebaikan yang lain. Semakin dia tenang, semakin dia suka untuk melakukan kebaikan itu lagi dan lagi. Kerana itulah Rasulullah ﷺ boleh solat berjam-jam kerana baginda sudah sampai ke tahap ini. Ini amat berbeza dengan orang yang buat maksiat. Hati mereka sebenarnya tidak tenang pun kerana mereka sedang melawan fitrah mereka di mana ada satu naluri di dalam hati mereka yang ingin, mahu taat dan kenal kepada Allah ﷻ. Akan tetapi apabila fitrah itu dilanggar dan tidak dipenuhi, maka jiwa kita akan memberontak sebenarnya.

Dalam perkara ini, mengajar kita penyelesaian kepada masalah psikologi. Kita manusia selalu sahaja ada masalah hati dan kadang-kadang manusia menggunakan cara yang tidak baik untuk menghilangkan masalah psikologi mereka – ada yang minum arak, ada yang pukul orang, ada yang berbuat zalim kepada orang dan macam-macam lagi perkara yang menjahanamkan diri mereka.

Tahap kesihatan mental masyarakat kita semakin teruk. Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 mendedahkan satu per tiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas berdepan masalah mental. Pada tahun 2019 pula, KKM telah merekodkan sebanyak 2.3% orang dewasa dan 9.5% kanak-kanak berusia 10-15 tahun mengalami masalah mental dan KKM mengunjurkan peratusan tersebut dijangka akan terus meningkat.

Permasalahan kesihatan mental di Malaysia turut dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri di mana terdapat 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 dan 631 kes dilaporkan pada tahun 2020. Jumlah kes bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus berbanding tahun 2020 (Sumber: Berita Harian, Oktober 10, 2022). Tingkah laku bunuh diri menunjukkan kadar membimbangkan dan kita belum pasti perangkaan bagi tahun 2022.

Lebih daripada itu, masalah kesihatan mental kini turut menular kepada golongan kanak-kanak. Seorang daripada 20 orang kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun di Malaysia kini mengalami gangguan mental. Kini KKM telah merekodkan 424,000 kanak-kanak di Malaysia disahkan mengalami masalah mental. UNICEF turut merekodkan 12.3 % remaja 10-17 tahun yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri (Sumber: Harian Metro, Mac, 18, 2023). Pada 18 Jun 2022, Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres menyatakan hampir 1 billion penduduk dunia mengalami masalah mental.

Sekarang di dalam ayat ini, kita diajar dengan satu solusi yang hebat – dengan mengingati Allah ﷻ. Oleh itu, kalau ada masalah emosi, kita kena ingat kepada Allah ﷻ iaitu melalui cara-cara dan pemahaman yang diajar melalui kitab Allah ﷻ. Ini penting untuk dijelaskan kerana orang buat syirik pun ada zikir kepada Allah ﷻ juga.

Sebagai contoh, ahli tarekat ramai yang berzikir kepada Allah ﷻ dan mereka kata mereka sentiasa ingat Allah ﷻ. Akan tetapi cara mereka ‘mengingati’ itu tidak sama kerana mereka tidak ingat Allah ﷻ dalam bentuk tauhid. Begitu juga orang kafir pun ada zikir juga, tetapi yang mereka amalkan adalah zikir syirik, oleh itu tidak ada hasil seperti yang dikehendaki.

Dengan ayat ini kepada kita dijelaskan bahawa iman menyebabkan senantiasa ingat kepada Tuhan, atau zikir. Iman menyebabkan hati kita mempunyai pusat ingatan atau tujuan ingatan. Ingatan kepada Tuhan itu menimbulkan ketenteraman, dan dengan sendirinya hilanglah segala macam kegelisahan, fikiran kusut, putus asa, ketakutan, kecemasan, keragu-raguan dan dukacita. Ketenteraman hati adalah pokok kesihatan rohani dan jasmani.

Ragu dan gelisah adalah pangkal segala penyakit. Orang lain tidak dapat menolong orang yang meracun hatinya sendiri dengan kegelisahan. Kalau hati telah ditumbuhi penyakit, dan tidak segera diubati dengan iman, iaitu iman yang menimbulkan zikir dan zikir yang menimbulkan thuma’ninoh, maka celakalah yang akan menimpa. Hati yang telah sakit akan bertambah sakit. dan puncak segala penyakit hati ialah kufur akan nikmat Allah ﷻ.

Di sini telah disebut jiwa yang tenang. Al-Qur’an telah membahagikan tingkat nafsu kepada tiga, iaitu:

1. An-Nafsul Ammarah Bissu’ seperti disebut dalam Yusuf: 53, iaitu nafsu yang selalu menyuruh dan mendorong supaya berbuat yang jahat, kerana nafsu yang demikian telah dapat ditunggangi oleh syaitan,

وَما أُبَرِّئُ نَفسي ۚ إِنَّ النَّفسَ لَأَمّارَةٌ بِالسّوءِ إِلّا ما رَحِمَ رَبّي
Dan aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.

2. An-Nofsul Lawwamah seperti yang disebut dalam Qiyamah: 2, iaitu tekanan batin dan penyesalan kerana telah terlanjur.

وَلا أُقسِمُ بِالنَّفسِ اللَّوّامَةِ
Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah”!

3. Kerana pengalaman-pengalaman diri yang memperturutkan An-Nafsul Ammarah Bissu’, yang menimbulkan sesal kepda An-Nofsul Lawwamah, bagi orang yang mengambil pengalaman daripada beberapa kegagalan, dapatlah dia mencapai An-Nofsul Muthmainnah. Ini seperti disebut dalam Fajr: 27-28. Ini adalah nafsu yang telah mencapai ketenteramannya, setelah menempuh berbagai pengalaman.

يٰأَيَّتُهَا النَّفسُ المُطمَئِنَّةُ
Hai jiwa yang tenang.

ارجِعي إِلىٰ رَبِّكِ راضِيَةً مَّرضِيَّةً
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.

Namun bagaimana kita boleh dapat ketenangan ini? Iaitu dengan ilmu. Apabila kita semakin belajar dan semakin faham, maka hati kita akan tenang. Ini seperti yang disebut dalam Baqarah: 260

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”.

Di dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingin lebih menenangkan hatinya dengan iman. Baginda sudah ada ilmul yaqin (keyakinan tahap ilmu), maka bukanlah baginda tidak percaya kuasa Allah ﷻ. Namun baginda hendak menambah iman baginda dengan ainul yaqin (keyakinan setelah melihat sendiri). Tentunya kita tidak boleh dapat tahap iman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang Allah ﷻ tunjukkan sendiri kuasa-Nya. Akan tetapi kita boleh meningkatkan iman kita dan ketenangan kita dengan menambah ilmu kita. Belajarlah tafsir Al-Qur’an dan tadabburlah berkali-kali sampai timbul rasa yakin itu di dalam diri kita. Maka asas kepada iman dan ketenangan adalah ilmu. Tanpa ilmu, kita tidak ke mana.

Kita juga dianjurkan untuk sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberikan ketenangan kepada kita. Antaranya kita boleh baca doa,

اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ نَفْسًا مُطمَئِنَّةً ، تُؤْمِنُ بِلِقَائِكَ ، وتَرْضَى بِقَضَائِكَ ، وتَقْنَعُ بِعَطَائِكَ
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu jiwa yang merasa tenang kepada-Mu, yang yakin akan bertemu dengan-Mu, yang redha dengan ketetapan-Mu, dan yang merasa cukup dengan pemberian-Mu.”
(Riwayat Imam Thabrani)
Walaupun ia didhaifkan oleh Albani, akan tetapi ia boleh dibaca kerana maknanya bagus.


 

Ra’d  Ayat 29:

الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ طوبىٰ لَهُم وَحُسنُ مَئآبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who have believed and done righteous deeds – a good state is theirs and a good return.

(MALAY)

Orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.

 

الَّذينَ ءآمَنوا

Orang-orang yang beriman

Iaitu iman yang sempurna – bukan setakat mempercayai apa yang perlu dipercayai sahaja, tetapi kena tinggalkan fahaman syirik. Untuk kenal apakah syirik, tetap kena belajar tafsir Al-Qur’an sehingga tamat 30 juzuk.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan beramal soleh,

Iman bukan sahaja di mulut sahaja tetapi perlu ditunjukkan dengan amalan. Amalan itu mestilah amalan yang soleh, iaitu ada sunnah daripada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat – bukan amalan bid’ah. Malangnya masyarakat Islam kita tidak kenal mana bid’ah dan mana sunnah, maka banyak amalan ibadat orang kita adalah amalan bid’ah.

Kalimah الصّٰلِحٰتِ dalam bentuk jamak, tetapi bukanlah jamak yang banyak. Maka ini mengajar kita bukanlah amalan banyak yang dipandang, tetapi kualiti. Kalau banyak tetapi tidak ada kualiti pun tidak berguna. Kalau berkualiti dan banyak, tentulah lagi bagus.

 

طوبىٰ لَهُم

bagi mereka kebahagiaan

Kalimah طوبىٰ adalah dari katadasar ط ي ب yang bermaksud kebaikan, kesenangan, kegembiraan, keberkatan. Bagi mereka yang beriman sempurna dan beramal dengan amalan sunnah, mereka akan mendapat طوبىٰ iaitu kegembiraan yang menerangkan hati dan segala pancaindera. Maknanya, bukan setakat rasa dalam emosi sahaja, malah tubuh badan pun rasa segar. Amat bertuahlah mereka itu. Maka طوبىٰ adalah kehidupan yang baik, kehidupan yang toyyib. Ia adalah kepuasan di dunia. Di akhirat kelak dia akan dimasukkan ke dalam syurga.

Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ pula ada meriwayat pendapat yang mengatakan bahawa طوبىٰ adalah nama sebuah pohon di dalam syurga; semua pepohonan syurga berasal daripadanya, ranting-rantingnya berasal daripada sebalik tembok syurga. Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ dan Imam Muslim رَحِمَهُ اللَّهُ meriwayatkan:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِي الْجَنَّةِ شَجَرَةٌ يَسِيرُ الرَّاكِبُ فِي ظِلِّهَا مِائَةَ عَامٍ لَا يَقْطَعُهَا وَقَالَ ذَلِكَ الظِّلُّ الْمَمْدُودُ
Daripada [Abu Sa’id Al Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Di dalam syurga ada pohon (yang panjangnya sejauh) seorang pengendera berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun dan tidak mampu menyelesaikannya, ” dan baginda berkata: Itulah maksud naungan yang terbentang luas.”
(Sahih Bukhari (2447))

Akan tetapi ada banyak kisah pelik yang diambil daripada sumber israiliyyat tentang pohon ini yang dinamakan Pohon Tuba. Kita tidak berharap kepadanya.

 

وَحُسنُ مَئآبٍ

dan tempat kembali yang baik.

Mereka mendapat tempat pulangan yang baik iaitu syurga yang mereka akan kekal di dalamnya. Tidak ada tempat yang lebih baik daripada syurga. Ia diberikan kepada orang yang ada sifat مَئآبٍ. Kalimah مَئآبٍ daripada katadasar ا و ب yang bermaksud kembali daripada sesuatu, bertaubat, bintang yang keluar, mengulangi, kembali (daripada kemaksiatan kepada ketaatan), bergema, turun pada waktu malam. Kalimat taubat diambil daripada katadasar ini juga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 23 – 26 (Hakikat Dunia)

Ra’d Ayat 23: Apakah kebaikan yang mereka akan dapat?

جَنّٰتُ عَدنٍ يَدخُلونَها وَمَن صَلَحَ مِن ءآبائِهِم وَأَزوٰجِهِم وَذُرِّيّٰتِهِم ۖ وَالمَلٰئِكَةُ يَدخُلونَ عَلَيهِم مِّن كُلِّ بابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Gardens of perpetual residence; they will enter them with whoever were righteous among their fathers, their spouses and their descendants. And the angels will enter upon them from every gate,

(MALAY)

(iaitu) Syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang saleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;

 

جَنّٰتُ عَدنٍ يَدخُلونَها

syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya

Kebaikan yang dimaksudkan dalam ayat sebelum ini adalah Syurga Adnin. Golongan Kristian menamakannya dengan Garden of Eden. Ada pendapat yang mengatakan ia adalah nama bagi syurga yang pertengahan. Maksud عَدنٍ adalah kekal abadi. Ia daripada katadasar ع د و yang kekal; keabadian; Eden. Di dalam syurga itu ada banyak taman-taman (bukan satu sahaja). Ini sebagai isyarat kepada begitu hebatnya nikmat yang diberikan kepada mereka. Ini kerana manusia tentu suka kepada taman yang subur. Kalau satu sahaja sudah bagus, apatah lagi kalau banyak.

 

وَمَن صَلَحَ مِن ءآبائِهِم وَأَزوٰجِهِم وَذُرِّيّٰتِهِم

dengan orang-orang yang saleh dari ibu-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, 

Mereka bukan seorang sahaja tetapi akan masuk dengan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana kita suka untuk berkongsi dan bermesra dengan ahli keluarga kita, bukan? Kerana merekalah yang rapat dengan kita semenjak kita lahir lagi. Maka kalau dapat duduk dalam syurga dengan mereka, alangkah nikmatnya!

Apakah maksudnya dalam kalangan keluarga mereka dimasukkan sekali? Maksudnya dimasukkan sekali duduk dalam syurga di tingkatan yang sama. Kita kena tahu yang syurga itu ada banyak tingkatan (satu pendapat mengatakan ada 100 tingkatan). Ada yang amalan tidak sama, maka ada yang dapat masuk syurga tingkatan rendah dan tinggi.

Namun Allah ﷻ beri peluang mereka dikumpulkan sekali dalam satu tingkatan. Kalau yang duduk di tingkatan bawah, mereka boleh dinaikkan ke tingkatan yang atas supaya dapat duduk dengan ahli keluarga. Katakanlah ada anak yang duduk di tingkatan ke 50, maka seandainya ibunya duduk di tingkatan 25, maka ibunya itu akan dinaikkan ke tingkatan 50, bukannya anak kena turun ke tingkatan 25 pula. Ia menaik, bukan menurun.

Ini adalah satu nikmat yang amat besar. Kita di dunia ini pun belum tentu boleh berkumpul anak beranak kerana masing-masing sudah duduk di negeri lain. Mungkin hanya berjumpa ketika Hari Raya sahaja. Namun di syurga boleh duduk bersama selama-lamanya. Inilah kelebihan orang Islam, dapat berkumpul bersama keluarga sendiri. Bagi orang kafir, apabila meninggal, maka tidak ada peluang langsung untuk bertemu dengan ahli keluarganya nanti.

Namun kena pastikan kena masuk syurga dululah. Kerana itu disebut mereka itu adalah orang yang soleh, yang menjaga agama. Bukanlah hanya semata-mata ada pertalian kekeluargaan sahaja. Mereka yang di tingkatan rendah itu memang sudah masuk syurga, cuma duduk di tingkatan rendah sahaja. Mereka yang duduk di neraka, tidaklah termasuk dalam maksud ayat ini. Maksud ayat ini adalah menaikkan dari tingkatan rendah ke tingkatan tinggi. Ini juga disebut dalam Thur: 21

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَاتَّبَعَتهُم ذُرِّيَّتُهُم بِإيمٰنٍ أَلحَقنا بِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَما أَلَتنٰهُم مِّن عَمَلِهِم مِن شَيءٍ
Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun pahala amal mereka.

Ini penting disebut di sini kerana ada juga salah faham tentang ayat-ayat sebegini. Mereka sangka ahli-ahli syurga boleh memasukkan ahli keluarga mereka yang di dalam neraka. Ini tidak benar. Sebab itu dimasukkan kalimah صَلَحَ di dalam ayat ini. Maknanya hendaklah menjadi orang yang soleh dahulu barulah masuk ke dalam syurga. Jangan lupa pula amal-amal soleh itu adalah dua syarat. Pertama, ia mestikan ikhlas kerana Allah ﷻ. Keduanya, ia mestilah amal-amal yang Sunnah. Bukannya amal bid’ah yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita sekarang. Mereka sangka amal itu baik dan soleh, padahal tidak!

Setiap hari mereka menyebut syahadah Muhammarrasulullah, namun mereka tidak ikut pun amalan Rasulullah ﷺ. Mereka tidak faham, apabila mereka mengaku Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasulullah ﷺ, kenalah ikut amalan baginda. Kenapa memandai reka amalan yang baginda tidak buat? Adakah mereka sangka mereka lebih baik daripada baginda, lebih pandai agama daripada baginda? Sebagai contoh, apakah yang menghalang baginda untuk mengadakan Majlis Tahlil sedekah pahala (kalau baginda hendak buat?). Tidak ada yang menghalang, bukan? Namun kenapa baginda tidak buat? Kerana ia bukan sebahagian daripada agama. Ia hanya rekaan golongan jahil wahyu sahaja.

Amat kelakar sekali bila ada pula golongan yang hendak menegakkan benang yang basah. Mereka keluarkan hujah-hujah bodoh. Mereka kata baginda tidak sempat buat sebab baginda banyak berperang. Hujah ini amatlah bodoh sebab mereka tidak tahu yang bukannya baginda sentiasa keluar berperang. Kebanyakan waktu baginda duduk di Madinah mengajar umat. Yang pergi berperangnya adalah para sahabat.

Keturunan ini pula sama ada keturunan atas kita, atau keturunan bawah kita. Bukan bapa sahaja, tetapi datuk dan ke atas; bukan anak sahaja, tetapi cucu, cicit dan ke bawah lagi. Maknanya, generasi demi generasi. Begitu pemurah-Nya Allah ﷻ!

Maka anak-anak itu ‘saham’ bagi kita sebenarnya. Kalau mereka duduk di tingkatan lebih tinggi daripada kita di syurga, ia boleh menaikkan kita ke tingkatannya. Maka kena latih dan didik anak-anak kita untuk jadi orang yang soleh. Namun bagaimana caranya? Tentulah untuk dapat anak yang soleh, diri kita sendiri kenalah soleh dahulu. Jangan jadi bapa-bapa yang hantar anak ke sekolah Tahfiz tetapi mereka sendiri tidak mahu belajar Al-Qur’an. Jangan jadi pakcik-pakcik yang hantar isteri mereka untuk ke kelas agama tetapi mereka selepas hantar patah balik lepak di rumah atau di kedai mamak.

Alangkah hebatnya hidup ini jikalau kita diberikan dengan anak-anak yang soleh. Bayangkan jikalau kita dapat melihat anak kita membuka dan membaca Al-Qur’an tanpa kita suruh dan paksa mereka. Akan tetapi bagaimanakah cara untuk mendapat anak yang soleh ini? Kita dahulu kena jadi orang yang soleh dahulu lah. Pernah bapa Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ ditanya bagaimana beliau mendidik anaknya sampai menjadi seorang ulama’ yang besar? Beliau jawab, sebelum beliau mendidik anaknya, beliau telah mendidik dirinya sendiri.

 

وَالمَلٰئِكَةُ يَدخُلونَ عَلَيهِم مِّن كُلِّ بابٍ

sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;

Para malaikat akan datang kepada ahli syurga itu daripada berbagai pintu yang ada di syurga itu. Maksudnya para malaikat itu datang dengan membawa ahli keluarga mereka yang dinaikkan dari tingkatan bawah ke tingkatan mereka yang tinggi.

Juga mungkin bermaksud para malaikat itu datang untuk mengucapkan tahniah kepada ahli syurga itu kerana telah berjaya dapat memasuki syurga. Kiranya mereka melawat ahli syurga. Apa yang mereka cakap akan disebut selepas ini.


 

Ra’d Ayat 24: Dalam ayat sebelum ini telah disebut yang para malaikat akan mendatangi ahli syurga itu. Tapi apakah yang dilakukan oleh para malaikat itu?

سَلٰمٌ عَلَيكُم بِما صَبَرتُم ۚ فَنِعمَ عُقبَى الدّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

“Peace [i.e., security] be upon you for what you patiently endured. And excellent is the final home.”

(MALAY)

(sambil mengucapkan): “Salamun ‘alaikum bima shabartum”. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.

 

سَلٰمٌ عَلَيكُم بِما صَبَرتُم

(sambil mengucapkan): “Sejahtera ke atas kamu atas kesabaran kamu”. 

Dalam ayat ini tidak disebut siapa yang berikan salam itu. Ia mungkin daripada Allah ﷻ sendiri atau daripada malaikat yang datang ke syurga ahli-ahli syurga itu seperti disebut di dalam ayat sebelum ini. Mereka memberi salam itu adalah sebagai pemakluman bahawa ahli syurga itu akan selamat sejahtera selama-lamanya di dalam Syurga.

Lihatlah apa yang para malaikat itu puji ahli syurga Ulul Albaab itu. Dalam 9 sifat-sifat yang telah disebut sebelum ini, yang para malaikat itu puji adalah tentang sabar. Ini mengajar kita betapa pentingnya sifat sabar itu. Memang seperti yang kita sebut sebelum di dalam perbahasan sabar, ia adalah kunci kepada pintu syurga.

Atau ia juga boleh bermaksud datangnya daripada ahli keluarga mereka yang baru sahaja dinaikkan untuk bersama dengan mereka. Oleh itu, ia boleh datang dari mana-mana sahaja.

Ucapan salam dan selamat ini adalah sebagai ucapan tahniah kepada ahli syurga kerana berjaya melepasi ujian di dunia dengan sabar. Ini menunjukkan kepentingan sabar dalam menghadapi ujian yang Allah ﷻ berikan kepada kita semua. Walau apa pun yang terjadi, hendaklah kita sabar dan terus taat kepada suruhan Allah ﷻ dalam menegakkan agama Allah ﷻ ini.

 

فَنِعمَ عُقبَى الدّارِ

Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.

Alangkah hebatnya tempat ini. Memang kesusahan yang kita alami di dunia ini amat teruk, tetapi pulangan kesabaran itu amat besar sekali. Kalau kita dapat ingat ayat-ayat tentang sabar ini, tentulah ia akan dapat memberikan kita semangat.

Dengan menghayatinya, kita dapat bayangkan bagaimana keadaan kita di syurga kelak, dan kesusahan yang kita alami semasa di dunia ini terasa kurang sedikit.


 

Ra’d Ayat 25: Takhwif duniawi. Ini adalah tentang orang-orang yang celaka. Sebelum ini disebut sifat Ulul Albaab iaitu orang baik. Sekarang disebut golongan yang malang pula. Oleh kerana sifat mereka lain dengan orang mukmin, maka balasan kepada mereka juga amatlah berlainan.

Selalunya memang Allah ﷻ akan seimbangkan, selepas sebut tentang orang baik, maka akan disebut tentang orang yang buruk; selepas sebut syurga, akan disebut neraka. Maka tidaklah kita terbuai dan sangka kita pun sudah automatik tergolong dalam Ulul Albaab. Kena lihat dulu sifat-sifat yang tidak patut ada selepas ini kerana ditakuti kita pun entah ada sifat-sifat itu.

وَالَّذينَ يَنقُضونَ عَهدَ اللهِ مِن بَعدِ ميثٰقِهِ وَيَقطَعونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ وَيُفسِدونَ فِي الأَرضِ ۙ أُولٰئِكَ لَهُمُ اللَّعنَةُ وَلَهُم سوءُ الدّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who break the covenant of Allāh after contracting it and sever that which Allāh has ordered to be joined and spread corruption on earth – for them is the curse, and they will have the worst home.¹

  • i.e., Hell. Another meaning is (in contrast to verse 22), “…and they will have the bad consequence of [this] home,” also referring to Hell.

(MALAY)

Orang-orang yang merosak janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerosakan di bumi, orang-orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahannam).

 

وَالَّذينَ يَنقُضونَ عَهدَ اللهِ مِن بَعدِ ميثٰقِهِ

Orang-orang yang memecahkan janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh

Ini pula tentang orang yang buruk dan tidak beriman. Itulah mereka yang memutuskan perjanjian setelah mereka ambil perjanjian itu. Perjanjian yang dimaksudkan ini telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Ada banyak perjanjian yang kita terlibat semasa kita hidup di dunia ini. Yang paling utama adalah perjanjian untuk mentauhidkan Allah ﷻ dan taat kepada perintah-Nya.

Namun ramai yang memecahkan perjanjian ini kerana mereka pun tidak tahu apa yang mereka kena jaga. Punca utama adalah kerana mereka tidak belajar pun wahyu Al-Qur’an dan Hadith. Begitulah kebanyakan daripada masyarakat kita yang amat jauh daripada wahyu. Mereka setakat baca sahaja Al-Qur’an, namun tidak belajar tafsir. Namun mereka perasan mereka adalah golongan taat seperti disebut dalam Baqarah: 285

وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا
Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat

Ramai sangka mereka telah taat. Akan tetapi mereka belum ‘dengar’ pun lagi apa yang perlu mereka taati itu. Mereka belum lagi belajar wahyu tetapi sudah perasan mereka orang yang taat.

 

وَيَقطَعونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ

dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan

Mereka juga memutuskan talian yang Allah ﷻ suruh sambung. Hubungan yang pertama mestilah hubungan dengan Allah ﷻ yang perlu dijaga. Mestilah dipenuhi tuntutan daripada Allah ﷻ seperti yang disebut dalam wahyu Al-Qur’an dan Hadith. Kemudian mesti juga dijaga hubungan lain seperti hubungan silaturrahim. Sekiranya tidak dijaga, kelak nasib mereka akan jadi sangat malang seperti disebut di dalam sebuah hadith,

وَعَنْ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ – رضي الله عنه – قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – – لَا يَدْخُلُ اَلْجَنَّةَ قَاطِعٌ – يَعْنِي: قَاطِعَ رَحِمٍ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Daripada Jubair bin Muth’im رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak akan masuk syurga orang yang memutus silaturahim.”
(Muttafaqun ‘alaih)
(Riwayat Bukhari (2984) dan Muslim (2556))

وَيُفسِدونَ فِي الأَرضِ

dan mereka melakukan kerosakan di bumi,

Setelah mereka tidak menjaga perjanjian dan pertalian, tentulah mereka juga akan berbuat kerosakan di bumi. Kerosakan yang dimaksudkan adalah kerosakan dari segi agama. Kerosakan syirik dan maksiat yang manusia lakukan terus menerus. Bukan diri mereka sahaja yang mereka rosakkan, malah orang lain pun terlibat juga kerana mungkin ada orang yang akan terikut-ikut dengan cara dan amalan mereka.

Di dalam Baqarah: 26-27 mereka ini disebut sebagai golongan sesat dan fasik.

يُضِلُّ بِهِ كَثيرًا وَيَهدي بِهِ كَثيرًا ۚ وَما يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الفٰسِقينَ
Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;

الَّذينَ يَنقُضونَ عَهدَ اللهِ مِن بَعدِ ميثٰقِهِ وَيَقطَعونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ وَيُفسِدونَ فِي الأَرضِ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ
(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.

Agama sekarang dirosakkan oleh agamawan juga, yang dipandang sebagai orang yang pandai dalam agama. Malang sekali mereka yang dipercayai itu yang mengajar ajaran yang salah. Mereka mengambil agama bukan daripada wahyu, tetapi daripada kata-kata manusia. Ajaran mereka tidak ada sandaran kepada wahyu. Kenapa kita katakan agamawan yang merosakkan agama? Kerana agama ini semenjak dahulu lagi bukannya dirosakkan oleh si tukang kasut dan tukang besi, tetapi golongan agamawan. Lihat sahaja agama Yahudi dan Nasrani yang asalnya agama Islam, namun telah dirosakkan oleh golongan pendita, rahib dan paderi-paderi mereka. Mereka itu adalah golongan agamawan.

Sekarang lihatlah pula agama Islam dirosakkan oleh golongan asatizah yang mengambil agama bukannya daripada wahyu. Ia menjadi semakin teruk kerana media sosial sekarang digunakan untuk menyampaikan ajaran mereka itu. Kita pula yang payah kerana terpaksa menepis ajaran-ajaran mereka itu. Sedangkan ia telah banyak disebarkan merata-rata. Apabila sampai kepada kita dan kita jelaskan kesilapan-kesilapan yang ada, bukannya semua orang baca dan menerima penjelasan kita sebagai asatizah sunnah. Lebih menyedihkan lagi teguran kita dipandang serong pula.

Apa lagi cara agama dirosakkan? Bagaimana dengan ibubapa yang tidak memberikan ajaran agama kepada anak-anak mereka? Anak-anak dipentingkan untuk mempelajari ilmu di sekolah, namun ilmu agama dibiarkan sahaja. Setakat tahu solat, puasa dan itu ini sahaja. Namun yang lain-lain tidak diberi penekanan. Apabila ibubapa sendiri tidak mementingkan agama, maka anak-anak mereka pun buat tidak kisahlah kepada pelajaran agama. Maka kejahilan berlarutan sampailah ketika anak-anak itu dewasa dan mempunyai anak-anak sendiri. Kitaran sama berlaku di mana mereka mengulang perkara yang sama (tidak mementingkan pelajaran agama).

 

أُولٰئِكَ لَهُمُ اللَّعنَةُ

orang-orang itulah yang memperoleh laknat

Laknat bermaksud doa kutukan. Mereka akan mendapat laknat yang bermaksud tidak ada harapan untuk mendapat kebaikan. Ia bermaksud mereka itu jauh daripada rahmat Allah ‎ﷻ. Apabila sudah jauh daripada rahmat Allah ‎ﷻ, memang tidak harapan. Mereka tidak akan masuk syurga kerana untuk masuk syurga adalah hanya dengan rahmat Allah ‎ﷻ, bukan? Ini seperti disebut di dalam hadith masyhur,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun dari kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim (5042))

Tidak disebut siapakah yang melaknat, tetapi melalui ayat-ayat yang lain, ada ramai pelaknat, termasuk Allah ﷻ dan para malaikat dan juga manusia. Maka ini adalah amat bahaya sekali.

Mereka bukan sahaja dilaknat semasa di akhirat, malah di dunia lagi mereka sudah dilaknat. Hati mereka menjadi keras sampaikan susah untuk mereka menerima hidayah. Apabila nasihat agama diberikan kepada mereka, mereka keras tidak mahu menerimanya.

 

وَلَهُم سوءُ الدّارِ

dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahannam).

Ini keterbalikan daripada ahli syurga yang baik. Ahli syurga dapat tempat yang paling baik tetapi mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini akan mendapat tempat yang paling teruk iaitu neraka. Kehidupan ini bukanlah di dunia sahaja tetapi akhirat juga. Seandainya dimasukkan ke dalam neraka, adakah berbaloi apa yang mereka lakukan itu? Apalah sangat kelebihan dan kesenangan yang mereka dapat di dunia ini berbanding dengan kesusahan yang berpanjangan di akhirat kelak?


 

Ra’d Ayat 26: Ayat tanbih ketujuh. Ini juga adalah ayat zajrun. Sekarang Allah ﷻ beritahu apakah penyebab kepada lemahnya iman. Iaitu kerana tertipu dengan keindahan dunia.

اللهُ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ ۚ وَفَرِحوا بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا مَتٰعٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh extends provision for whom He wills and restricts [it]. And they rejoice in the worldly life, while the worldly life is not, compared to the Hereafter, except [brief] enjoyment.

(MALAY)

Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibandingkan dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit).

 

اللهُ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ

Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.

Mereka yang tidak menghiraukan arahan Allah ﷻ, memecahkan perjanjian dan memutuskan talian itu adalah kerana mereka terpesona dengan dunia. Mereka mengejar kelebihan dan kekayaan di dunia kerana mereka rasa itulah kepentingan yang perlu ada. Mereka hanya nampak dunia sahaja, tanpa memikirkan dan membuat persediaan untuk akhirat kelak.

Oleh kerana panggilan dunia itu kuat, maka Allah ﷻ mengingatkan kita yang Dialah mengembangkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ada yang Allah ﷻ bagi banyak dan ada yang Allah ﷻ bagi kurang. Allah ﷻ akan beri mengikut apa yang seseorang itu layak dapat. Ada orang mudah sahaja dapat kesenangan di dunia dan ada yang susah.

Itu semua adalah ujian (kesusahan itu ujian dan kesenangan itu juga ujian). Allah ﷻ hendak beritahu, yang manusia kejar dengan bersungguh-sungguh itu mereka bukannya yang mengawal pemberian kekayaan itu. Allah ﷻ yang menentukannya, kerana khazanah kekayaan ada pada-Nya. Maka tidak perlulah terkejar-kejar sangat dengan keindahan dunia ini dan mengejar kekayaan. Allah ﷻ sudah berikan mengikut keperluan.

Kalau Allah ﷻ tentukan kita dapat banyak, maka kita akan dapat banyak; kalau memang Allah ﷻ tentukan kita dapat sedikit, sekuat manapun usaha kita, tidak akan dapat lebih lagi. Maka jangan kita usaha terlajak untuk mengejar dunia sehingga terabai akhirat.

Jelas sekali sini kita diingatkan yang pengembang dan penyempit rezeki adalah Allah ﷻ. Kita tahu ini, bukan? Namun bukankah kita ada juga rasa yang rezeki itu adalah hasil usaha kita juga? Kita sangka, kalau kita kerja keras dan kerja banyak, akan banyaklah pendapatan dan harta kita. Kita lupa bahawa rezeki telah ditentukan oleh Allah ﷻ dari dahulu lagi. Kalau kita kerja keras pun, tidaklah akan menambahkan rezeki itu pun. Maka kenapa kita terlalu mementingkan mencari rezeki?

Bukanlah kita menghalang manusia mencari rezeki dan suruh duduk beribadat sahaja, bukan begitu. Kerja tetap kena kerja kerana itu pun adalah asbab untuk kita mendapat rezeki. Akan tetapi janganlah terlalu teruk sampai keluarga, kesihatan dan agama diabaikan. Siang malam bekerja sampaikan tidak belajar agama, ibadah entah ke mana, keluarga pun tidak tahu jadi apa. Adakah berbaloi kalau begitu? Tentu tidak!

Bayangkan ayat ini memberitahu kita yang rezeki itu Allah ﷻ yang beri. Maka apa kita kena buat untuk mendapat rezeki? Tentulah dengan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ, bukannya menjauhkan diri daripada-Nya! Contohnya lihat Ali Imran: 37 bagaimana Maryam diberi rezeki oleh Allah ﷻ kerana beribadat dan mendekatkan dirinya kepada Allah ﷻ.

وَكَفَّلَها زَكَرِيّا ۖ كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.

Oleh itu kunci utama untuk mendapatkan rezeki daripada Allah ﷻ adalah dengan taqwa. Ini disokong dengan firman Allah ﷻ di dalam Talaq: 2-3

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا
Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

وَيَرزُقهُ مِن حَيثُ لا يَحتَسِبُ
Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.

 

 

وَفَرِحوا بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا

Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, 

Begitulah kebanyakan mereka yang ingkar hanya tahu bergembira dengan dunia. Mereka keterlaluan dalam keseronokan mereka terhadap dunia. Mereka lupa yang kehidupan di dunia ini adalah sekejap sahaja. Akan tetapi benda yang sekejap inilah yang mereka kejar-kejar dan suka sangat untuk dimiliki.

Bukanlah salah kalau kita mahu mencari dan menggunakan dunia, namun janganlah bangga sangat dengan kehidupan dunia sahaja sampai tidak hiraukan akhirat. Kehidupan dunia ini adalah ujian sahaja – maka gunakan sekadar yang cukup itu sudah memadai.

Kalimah الدُّنيا daripada katadasar د ن و yang bermaksud dekat; lebih rendah; kurang; lebih berkemungkinan; dalam jangkauan; dunia ini. Maka dunia ini sebenarnya rendah kalau dibandingkan dengan akhirat. Akan tetapi ia dalam jangkauan, senang didapati kerana di depan mata kita sahaja.

Ramai manusia salah faham dengan dunia. Orang kafir, orang munafik dan orang yang ingkar itu amat suka dan bergembira dengan nikmat yang mereka dapat di dunia. Mereka sangka mereka itu orang terpilih, sedangkan sebenarnya pemberian yang mereka dapat itu adalah istidraj daripada Allah ﷻ – bukan mendekatkan mereka kepada Allah ﷻ, malah menjauhkan lagi daripada Allah ﷻ. Ini kita dapat faham melalui firman-Nya:

اَيَحْسَبُوْنَ اَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهٖ مِنْ مَّالٍ وَّبَنِيْنَ ۙ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa)

نُسَارِعُ لَهُمْ فِى الْخَيْرٰتِۗ بَلْ لَّا يَشْعُرُوْنَ
Kami bersegera memberikan kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.
(Al-Mu’minun: 55-56)

Ramai yang kalah dengan keindahan dunia. Mereka nampak semuanya dunia, dunia, dunia. Mereka tidak nampak akhirat kerana jauh sangat daripada pandangan mata (malah tidak nampak pun kecuali melalui berita wahyu sahaja). Maka kerana itu Allah ﷻ berulang-ulang menerangkan hakikat dunia ini seperti disebut dalam Hadid: 20

اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.

Allah ﷻ hendak memastikan kita tahu bahawa dunia ini hanyalah ‘permainan’ sahaja. ‘Permainan’ ini selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana itulah sahaja yang mereka ingat dalam kehidupan mereka. Mereka tidak fikirkan tentang makan, tentang kerja, tentang tugas, kerana mereka hanya hendak bermain saja. Kanak-kanak itu beriya-iya sangat main permainannya, sampai masanya dia tinggalkan sahaja. Maknanya ia tidak penting dan tidak bernilai, bukan?

Maka takkanlah kita mahu menjadi seperti kanak-kanak pula? Adakah kita masih kanak-kanak lagi yang masih tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang insan, sebagai seorang hamba Allah ﷻ? Kalau kita kata seseorang itu berperangai macam ‘budak-budak’ pun, tentu dia akan marah, bukan?

 

وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا مَتٰعٌ

padahal kehidupan dunia itu (dibandingkan dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit).

Mereka berbangga dan bergembira sangat dengan kehidupan dunia ini, sedangkan ia tidak ada apa-apa pun. Kalau dibandingkan dunia dengan akhirat, dunia ini tidak ada apa-apa pun. Kalimah مَتٰعٌ bermaksud sedikit. Ia daripada katadasar م ت ع yang bermaksud membawa sesuatu; terlebih dahulu; naik; menjadi kuat; memberi mas kahwin (kepada perempuan yang diceraikan); biarkan seseorang menikmati sesuatu dengan kadar yang lama; menjadikan hidup selesa; membuat peruntukan dengan umur yang panjang; keselesaan; memudahkan; keseronokan; peruntukan; barangan rumah; perkakas; barangan; semua jenis perkara yang diperlukan untuk kehidupan manusia dan binatang ternak.

مَتٰعٌ ini adalah perkara dunia yang kita gunakan. Memang boleh gunakan tetapi tidaklah kita pegang sangat kerana ia tidak berharga sangat. Bagaikan kain yang kita gunakan untuk mencuci kekotoran di rumah. Ia memang berguna tetapi kalau ia hilang, tidaklah kita kelam kabut.

Begitulah dunia ini tidak patut kita susah-sudah dengannya, terlalu mengejar sangat kerana dunia ini akan hancur akhirnya. Sama ada ia pergi dulu atau kita yang pergi dulu. Akhirat akan bermula dan akhirat itu lebih penting lagi. Memang dunia ini nampak menarik dan menyenangkan, namun kesenangan yang diberikannya adalah sangat sedikit dan tidak kekal lama. Ini sama halnya dengan yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya:

قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالآخِرَةُ خَيْرٌ لِمَنِ اتَّقَى وَلا تُظْلَمُونَ فَتِيلا
Katakanlah, “Kesenangan dunia ini hanya sementara dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertaqwa, dan kalian tidak akan dianiaya sedikit pun.
(An-Nisa’: 77)

Di dalam hadith ada disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ telah melalui bangkai seekor kambing yang kedua telinganya kecil (kurus),

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِالسُّوقِ دَاخِلًا مِنْ بَعْضِ الْعَالِيَةِ وَالنَّاسُ كَنَفَتَهُ فَمَرَّ بِجَدْيٍ أَسَكَّ مَيِّتٍ فَتَنَاوَلَهُ فَأَخَذَ بِأُذُنِهِ ثُمَّ قَالَ أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنَّ هَذَا لَهُ بِدِرْهَمٍ فَقَالُوا مَا نُحِبُّ أَنَّهُ لَنَا بِشَيْءٍ وَمَا نَصْنَعُ بِهِ قَالَ أَتُحِبُّونَ أَنَّهُ لَكُمْ قَالُوا وَاللَّهِ لَوْ كَانَ حَيًّا كَانَ عَيْبًا فِيهِ لِأَنَّهُ أَسَكُّ فَكَيْفَ وَهُوَ مَيِّتٌ فَقَالَ فَوَاللَّهِ لَلدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ هَذَا عَلَيْكُمْ
Daripada [Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا], Rasulullah ﷺ melintas masuk ke pasar selepas pergi dari tempat-tempat tinggi sementara orang-orang berada di sisi baginda. Baginda melintasi bangkai anak kambing dengan telinga melekat, baginda mengangkat telinganya lalu bersabda: “Siapa di antara kalian yang mahu membeli ini seharga satu dirham?” Mereka menjawab: Kami tidak mahu memilikinya, untuk apa? Baginda bersabda: “Apa kalian mahu (bangkai) ini milik kalian?” Mereka menjawab: Demi Allah, andai masih hidup pun ada cacatnya kerana telinganya menempel, lalu bagaimana halnya dalam keadaan sudah mati? Baginda bersabda: “Demi Allah, dunia lebih hina bagi Allah melebihi (bangkai) ini bagi kalian.”
(Sahih Muslim (5257))

Syarah: lihatlah betapa hinanya dunia ini. Sebab itulah Allah ﷻ boleh sahaja berikan kekayaan dan harta yang melimpah ruah kepada orang kafir walaupun mereka itu musuh-Nya. Ini adalah kerana kalau kita beri barang kepada musuh kita, adakah kita beri barang yang terbaik atau yang terburuk? Tentu yang buruk-buruk, bukan? Di dalam hadith yang lain,

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كَانَتْ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ
Daripada [Sahl bin Sa’ad رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Seandainya dunia itu di sisi Allah sebanding dengan sayap nyamuk tentu Allah tidak mahu memberi orang orang kafir walaupun hanya seteguk air.”
(Jami’ Tirmidzi (2242))
Status: Sahih

Maka begitulah Allah ﷻ tidak kisah berikan dunia kepada orang kafir atau musuh-Nya kerana dunia ini tidak ada nilai. Yang bernilai adalah iman dan hidayah dan itu hanya diberikan kepada orang yang Dia sayang.

Habis Ruku’ 3 daripada 6 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 22 (Penjelasan maksud Sabr)

Ra’d Ayat 22: Sambungan sifat-sifat mereka itu dan apa yang mereka lakukan.

وَالَّذينَ صَبَرُوا ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِم وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً وَيَدرَءونَ بِالحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولٰئِكَ لَهُم عُقبَى الدّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who are patient, seeking the countenance of their Lord, and establish prayer and spend from what We have provided for them secretly and publicly and prevent evil with good – those will have the good consequence of [this] home¹ –

  • i.e., the world and its trials, its good consequence being Paradise.

(MALAY)

Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik),

 

وَالَّذينَ صَبَرُوا ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِم

Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhan mereka,

Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan perkara yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: sabar ya, sabar ya…. Namun tahukah apa itu ‘sabar’ yang sebenarnya dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:

1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.

2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.

3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Maka golongan Ulul Albaab itu adalah orang yang ‘sabar dalam taat’. Maksudnya mereka mengerjakan segala suruhan Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya dengan sabar. Kalimah صَبَرُ ini perlu dilihat daripada makna bahasa Arabnya kerana kalau menggunakan bahasa kita, mungkin kita tidak berapa faham. Dari segi syariat, صَبَرُ bermaksud terus melakukan perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan Allah ﷻ walau apa pun terjadi. Mungkin ada yang mereka rasa susah untuk lakukan, tetapi mereka tetap sabar melakukannya kerana mereka mahu tetap taat kepada Allah ﷻ.

Ini memerlukan kesabaran kerana syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk meninggalkan taat. Antaranya syaitan akan beri kita rasa bosan untuk melakukan ibadat. Akan tetapi orang yang beriman akan tetap sabar untuk melakukannya.

Soalan: bilakah perlu sabar? Ia hendaklah bermula sejak pertama kali ia berlaku. Kita selalunya melenting apabila sesuatu yang kita tidak suka terjadi, bukan? Namun dua tiga hari selepas itu barulah datang sabar. Ini tidak dikira sabar kerana itu adalah perkara normal bagi manusia (lama kelamaan apabila sudah terima hakikat, memang semua orang akan jadi sabar). Akan tetapi itu tidak dikira sebenarnya kerana Rasulullah ﷺ beritahu kita yang sabar itu dari mula-mula lagi,

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصَّبْرُ فِي الصَّدْمَةِ الْأُولَى
Daripada [Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kesabaran itu ada pada saat pertama kali tertimpa (musibah) “.
(Sahih Bukhari (908))

Oleh itu sekiranya baru bersabar setelah lama masa berlalu, itu bukannya kerana Allah ﷻ lagi, tetapi kebiasaan manusia. Ia tidaklah mencabar sangat kalau sabar setelah lama ujian itu berlalu maka ia bukanlah sesuatu hebat sangat. Maka golongan Ulul Albaab akan terus sabar dari mula lagi kerana mereka hendak mencari redha Allah ﷻ. Mereka tahu yang Allah ﷻ suka kalau hamba-Nya sabar dengan melakukan taat dan sabar dalam menghadapi ujian daripada-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Qalam: 48 tentang contoh orang yang tidak sabar,

فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تَكُن كَصاحِبِ الحوتِ إِذ نادىٰ وَهُوَ مَكظومٌ
Maka bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa sedang dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).

Yang dimaksudkan adalah Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sabar dengan penolakan kaumnya. Maka ia menjadi contoh bagi kita untuk bersabar kerana Allah ﷻ. Kerana sabar itu kalau bukan kerana Allah ﷻ, ia tidaklah mendapat pahala. Semua orang boleh sabar sebenarnya. Namun sabar yang dituntut adalah kerana mencari redha Allah ﷻ seperti disebut di dalam ayat Ra’d ini (ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِم). Mencari ‘wajah Allah ﷻ’ bermaksud mencari redha Allah ﷻ. Disebut wajah Allah ﷻ kerana redha itu ditunjukkan di wajah.

Ramai orang boleh bersabar tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Sebagai contoh, seorang pencuri penyabar juga orangnya. Dia akan tunggu sehingga tuan rumah tidur, kemudian sabar untuk membuka pintu rumah orang itu. Kemudian sabar memilih benda-benda yang dia boleh ambil. Atau, bila masuk rumah tengok tidak ada apa yang boleh diambil, dia pun sabar juga dan berlalu pergi rumah orang lain pula. Ini bukanlah sabar terpuji, bukannya kerana mencari redha Allah ﷻ, bukan?

Allah ﷻ janjikan ganjaran yang amat besar bagi orang yang boleh bersabar. Allah ﷻ berfirman di dalam Insan: 12. Bayangkan kunci syurga adalah sabar!

وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا جَنَّةً وَحَريرًا
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera,

 

 

وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ

dan mendirikan solat,

Mereka dapat mendirikan solat, walau dalam keadaan mana pun. Antaranya, mungkin mereka kena solat di tempat yang sejuk. Antaranya mereka kena solat di tempat yang susah untuk solat seperti di lautan, contohnya. Namun walaupun susah, mereka tetap melakukannya.

Sebab itulah Allah ﷻ letakkan sabar dahulu sebelum solat. Maknanya ia lebih penting kena ada dahulu. Akan tetapi solat adalah rukun Islam, manakala sabar bukan rukun Islam pun, maka kenapakah diletakkan lebih awal? Kerana hendak mengerjakan solat dan buat apa-apa ibadah sekalipun kena ada sabar. Maka sabar adalah syarat yang utama.

Bukanlah mereka melakukan ibadah solat sahaja, tetapi solat adalah wakil kepada amal-amal ibadat yang lain. Kerana ia adalah amal ibadat yang terpenting, maka ia dijadikan sebagai wakil. Ini adalah wakil kepada ‘hubungan dengan Allah ﷻ’ (habluminallah).

Selalu Allah ﷻ menyebut tentang solat dan perincian tentang solat ini terdapat dalam hadith dan sunnah Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Kita kena belajar bab solat ini supaya kita dapat mengerjakan solat sepertimana yang diajar oleh baginda.

Kalau dilihat apabila Allah ﷻ menyebut arahan tentang solat, mesti ditambah dengan kalimah أَقِمِ dan sepertinya. Maksudnya adalah ‘mendirikan’ solat. Allah ﷻ tidak kata: lakukan solat. Ini adalah kerana solat itu merangkumi banyak perbuatan, bukan solat itu sahaja. Contohnya sebelum solat kena membersihkan diri (taharah) dan menjaga tempat solat, jaga aurat dan banyak lagi. Maka untuk kita ‘mendirikan’ solat itu, banyak perkara yang kita kena lakukan dan jaga, yang memerlukan ilmu tentang solat. Maka kena dipelajari ilmu fiqh solat supaya kita menyerupai cara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.

Solat ini amat penting untuk menghalang kita daripada melakukan dosa seperti disebut dalam Ankabut: 45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Maka dari sini kita tahu bahawa solat yang baik dan khusyuk itu akan mendidik pelakunya untuk meninggalkan amalan-amalan yang salah terutama sekali syirik. Solat adalah pembeza antara iman dan kufur seperti disebut dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة
Daripada Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata, saya mendengar Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Riwayat Muslim No. 116)

Sebab itulah benar pendapat yang mengatakan kalau tidak solat, tidak berguna puasa yang dilakukan di bulan Ramadan. Ramai orang kita yang walaupun tidak solat, namun tiba datang bulan puasa, mereka berpuasa. Akan tetapi mereka tidak sedar yang amalan ibadah puasa mereka itu sebenarnya tidak diterima kerana syarat diterima ibadah adalah seseorang itu mesti muslim. Jikalau tidak mengerjakan solat, maka keislaman seseorang tidak sah (salah satu pendapat). Akan tetapi perkara ini jangan diberitahu kepada orang-orang yang bodoh kerana jikalau mereka tahu hal ini, mereka bukannya hendak solat tetapi sebaliknya dengan puasa-puasa sekali mereka tinggalkan!

Solat adalah amalan pertama yang disoal di akhirat kelak. Mereka yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka seperti disebut dalam Muddaththir: 42-43

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

Kalau orang kata kenapa kita kena solat? Maka jawapannya ada di dalam Al-Qur’an iaitu untuk mengingati Allah ﷻ seperti disebut dalam Taha: 114

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

Untuk mengerjakan solat ini juga memerlukan sabar, kerana bukan semua orang boleh buat. Kalau kita lihat zaman sekarang, ramai sangat orang Islam yang tidak solat. Mereka tidak sabar untuk melakukannya, untuk luangkan barang 5 minit, dan kemudian melakukannya lagi selepas itu. Maka dengan selambanya mereka tidak solat. Memang ia berat bagi orang yang tidak takut dengan Allah ﷻ seperti disebut dalam Baqarah: 45

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

Disebut solat, sabar dan khusyuk di dalam ayat ini. Khusyuk itu maksudnya ‘takut’. Tentang خشية telah disebut sebelum ini sebagai salah satu sifat golongan Ulul Albaab.

 

وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً

dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan

Mereka infak daripada apa yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Allah ﷻ ingatkan yang rezeki yang kita dapat ini adalah daripada Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ suruh kita beri rezeki ‘yang Dia beri’, bukan hasil usaha kita pun sangat. Semua orang tahu rezeki itu daripada Allah ﷻ, maka kenapa perlu disebut? Kerana ramai tidak ingat, maka Allah ﷻ ingatkan.

Sebelum ini disebut solat dan sekarang disebut tentang mengeluarkan harta. Selalunya memang begini (apabila sebut solat, disebut infak). Ini adalah kerana untuk mengeluarkan harta kita, tentu susah bagi kebanyakan orang. Mereka rasa mereka telah berusaha untuk mendapatkannya dan rasa sayang pula untuk mengeluarkannya. Namun Allah ﷻ mulakan sebut tentang solat dahulu kerana orang yang solat akan lebih mudah untuk infak kerana di dalam solat kita sembah Tuhan yang Pemurah, maka kita hendaklah jadi pemurah juga.

Infak adalah wakil kepada ‘hubungan antara makhluk’ (habluminannas). Kerana apabila kita infak kepada orang lain, bukan sahaja kita taat kepada Allah ﷻ, tetapi kita juga menjalinkan hubungan yang baik dengan orang lain. Apabila kita beri sedekah kepada mereka, tentunya mereka akan gembira dan baik dengan kita. Kalau Solat tadi berkenaan hubungan dengan Allah ﷻ, maka infak ini adalah berkenaan hubungan dengan manusia pula.

Kalimah مِمّا adalah gabungan مِن (daripada sebahagian) dan مَا (apa). Maka Allah ﷻ suruh kita infak sebahagian sahaja, bukannya keseluruhan harta kita. Kalau disuruh beri semua harta kita, tentulah kita tidak mampu kerana kita juga perlu hidup, bukan?

Ia juga adalah isyarat kepada zakat. Zakat itu ada kiraan bahagiannya, iaitu 2.5% daripada harta kita. Maka Allah ﷻ ingatkan di sini yang sedikit sahaja yang kita kena beri, bukannya keseluruhan. Isyaratnya adalah, kalau sedikit sahaja, takkan tidak boleh bagi? Kenapa hendak kedekut sangat?

Infak itu boleh diberikan secara rahsia atau secara terang. Yang sebaiknya dilakukan secara rahsia supaya dapat mengelakkan diri kita daripada unsur riak. Ini kerana jikalau terdapat sikap riak walauapun sedikit, maka akan hilanglah pahala itu. Sekiranya kita tidak dapat elak daripada rasa sebegitu, maka seeloknya kita beri tanpa orang lain ketahui. Tidak perlulah dikongsi di medsos seperti FB, tiktok dan lain-lain sebagaimana yang banyak berlaku hari ini.

Juga dengan memberi secara rahsia itu, dapat menjaga hati orang yang diberi bantuan itu. Kerana ramai orang yang walaupun mereka susah, mereka malu untuk meminta-minta kepada orang lain. Maka kalau kita tunjukkan pemberian kita itu, mereka akan menjadi malu sangat. Kerana itu tidak bagus apabila para penderma mengambil gambar penerima dan ditunjukkan di khalayak ramai sampai satu Malaya dapat tahu. Bukan semua orang rela diperagakan sebegitu rupa. Kita haruslah bersikap prihatin kerana ramai seolah-olah tidak tahu perkara ini. Kerana itulah pemberian-pemberian sekarang dijadikan sebagai “content” di medsos. Ini memang orang yang tidak ada hati perut agaknya.

Walaupun begitu ada kalanya baik untuk dilakukan secara terang kerana orang lain akan nampak dan boleh menjadi contoh dan mendatangkan semangat kepada mereka untuk melakukan perkara yang sama.

 

وَيَدرَءونَ بِالحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ

serta menolak kejahatan dengan kebaikan;

Kalimah يَدرَءونَ bermaksud tolak dengan kuat untuk menyelamatkan seseorang. Bayangkan ada orang yang hampir hendak dilanggar kereta, maka kita yang nampak keadaan itu, tentu kita akan tolak dia ke tepi dengan kuat kerana kita hendak menyelamatkannya.

Akan tetapi dalam ayat ini, ia berkenaan menolak untuk menyelamatkan diri sendiri. Setelah berbuat dosa, terus sahaja lakukan kebaikan. Maknanya, tolak keburukan dengan cara kebaikan.

Satu lagi maksud: mereka membalas perbuatan jahat orang lain dengan perbuatan yang baik. Untuk itu, apabila seseorang menyakiti mereka, lalu mereka membalasnya dengan kebaikan dan ia datang daripada sikap sabar mereka. Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah teman yang sangat setia.

وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.
(Fussilat: 34-35)

Ada juga ulama’ yang berpendapat melakukan kebaikan itu adalah dengan melakukan amal baik setelah melakukan dosa. Amal baik itu dilakukan setelah pelaku dosa itu rasa bersalah dengan dosa yang dilakukan maka dia menebus dosa itu dengan amalan baik seperti ibadah solat, contohnya. Amal atau ibadah baik itu dapat menghapuskan dosa (tetapi dosa kecil sahaja) seperti disebut dalam Hud: 114

إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.

 

أُولٰئِكَ لَهُم عُقبَى الدّارِ

orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik),

Mereka yang ada tujuh sifat yang telah disebut di atas, akan mendapat kesudahan yang terbaik. Kesudahan yang baik itu tentunya di akhirat kelak di mana mereka akan diberikan dengan balasan tinggal di dalam syurga dan mereka akan mendapat segala nikmat yang mereka dambakan.

Ada juga pendapat yang mengatakan di dunia ini lagi mereka telah mendapat kesudahan yang baik. Walaupun mereka mengalami kesusahan, kepayahan yang banyak, namun mereka tenang-tenang sahaja. Ini kerana mereka redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘syurga dunia’.

Makna “syurga dunia” ini telah diungkapkan oleh Ibnu Taimiyah رَحِمَهُ اللَّهُ yang bermaksud keyakinan iman kepada Allah ﷻ, sikap cinta kepada Allah ﷻ, redha terhadap ketentuan-Nya, serta berbagai perkara keimanan lainnya. Maka barangsiapa yang tidak memasuki “syurga dunia” ini yang merupakan faktor utama kebahagiaan dunia akhirat, maka dia tidak akan memasuki syurga Allah ﷻ di akhirat kelak, demikian pula sebaliknya, barangsiapa yang memasukinya, maka dia mesti memasuki syurga akhirat atas izin Allah ﷻ, kerana “ganjaran itu sesuai dengan jenis dan kadar amalan.”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 18 – 21 (Siapakah Ulul Albaab?)

Ra’d Ayat 18: Di dalam ayat-ayat selepas ini, Allah ﷻ akan banyak buat perbandingan antara yang benar dan tidak, antara orang yang selamat dan yang Allah ﷻ murka kepada mereka.

لِلَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِمُ الحُسنىٰ ۚ وَالَّذينَ لَم يَستَجيبوا لَهُ لَو أَنَّ لَهُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ ۚ أُولٰئِكَ لَهُم سوءُ الحِسابِ وَمَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المِهادُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For those who have responded to their Lord is the best [reward], but those who did not respond to Him – if they had all that is in the earth entirely and the like of it with it, they would [attempt to] ransom themselves thereby. Those will have the worst account, and their refuge is Hell, and wretched is the resting place.

(MALAY)

Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan Tuhan, sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, nescaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu. Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.

 

لِلَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِمُ الحُسنىٰ

Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. 

Ini adalah berkenaan mereka yang memenuhi kehendak Tuhan dengan sebaik mungkin. Mereka belajar apa yang mereka perlu lakukan dan tinggalkan, dan mereka ikut taat. Mereka taat dalam semua perkara dari segi akidah dan juga amalan.

Allah ﷻ beri janji kepada mereka yang sebegitu: kepada mereka akan mendapat kebaikan yang besar; iaitu syurga yang mereka akan kekal di dalamnya menikmati segala macam nikmat-nikmat yang tidak terhingga dan tidak terkira.

 

وَالَّذينَ لَم يَستَجيبوا لَهُ

Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan-Nya,

Sebaliknya pula tentang mereka yang tidak menyahut seruan Allah ﷻ dan Nabi, yang tidak mahu mengikut syariat dan peraturan yang Allah ﷻ telah tetapkan. Bagaimana pula mereka?

 

لَو أَنَّ لَهُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ

sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, nescaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu.

Mereka nanti akan ditunjukkan dengan azab yang mereka akan terima. Waktu itu, mereka akan sanggup untuk berbuat apa-apa sahaja supaya mereka selamat daripada azab itu. Allah ﷻ beri perumpamaan: kalaulah mereka ada emas sepenuh bumi semua sekalipun, dan kemudian diberi lagi sekali ganda (maknanya mereka ada dua bumi dipenuhi emas!), tentu mereka pasti akan jadikan ia sebagai fidyah/tebusan untuk melepaskan diri mereka daripada azab.

Harta-harta dan kekayaan yang mereka kejar semasa mereka di dunia, yang mereka simpan dan banggakan setiap masa, mereka sanggup bagi semua sekali – kerana waktu itu mereka tidak pedulikan harta itu lagi. Sebab azab itu terlampau dahsyat, waktu itu mereka mahu selamat sahaja. Kalau tiada harta pun tidak mengapalah pada mereka.

Akan tetapi tentulah tidak ada sesiapa pun yang ada emas sepenuh bumi. Ini adalah kiasan sahaja untuk menunjukkan betapa mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka itu.

 

أُولٰئِكَ لَهُم سوءُ الحِسابِ

Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk

Namun segala pengharapan mereka akan menjadi sia-sia sahaja. Mereka tidak akan ada peluang untuk menebus kesalahan yang mereka telah lakukan di dunia dulu. Mereka akan diadili dan yang menakutkan, mereka (atau kita, kalau kita pun seperti mereka) akan mendapat audit yang paling teruk.

Allah ﷻ tidak kata ‘azab paling teruk’, tetapi ‘audit paling teruk’. Maksudnya setiap satu perkara akan diperiksa sehalus-halusnya. Ini amat menakutkan kerana kita sendiri pun tahu kita ada masalah dengan amalan kita, bukan? Seandainya diperiksa betul-betul, memang akan sangkut punya, bukan?

Mereka tidak akan dapat lepas dan kerana itu, tempat terakhir mereka adalah neraka. Tentang سوءُ الحِسابِ ini akan diterangkan nanti selepas ini dengan panjang lebar lagi.

 

وَمَأوىٰهُم جَهَنَّمُ

dan tempat kediaman mereka ialah Jahanam

Kalimah مَأْوَ adalah tempat pulang yang terakhir iaitu tempat yang kekal abadi. Tempat yang kita akan kembali setelah kita merantau ke mana-mana, akhirnya pulang ke kampung juga kerana itulah tempat kekal kita, rumah kita. Maka مَأْوَ memberi isyarat sebagai tempat kekal abadi.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka tetapi bukan masuk sahaja (kerana kalau masuk, mungkin akan keluar). Maka Allah ﷻ gunakan kalimah مَأويٰ untuk memberitahu mereka itu kekal di dalam neraka, bukan setakat melawat sahaja. Allah ﷻ perli dengan menggunakan kalimah مَأويٰ yang asalnya bermaksud tempat berlindung. Mereka ini tidak dapat tempat berlindung langsung kerana tempat perlindungan mereka sendiri adalah neraka! Ini adalah seumpama yang datang melindungi kita adalah api, bukannya bomba untuk memadamkan api!

 

وَبِئسَ المِهادُ

dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.

Neraka itulah ‘pelukan’ yang paling teruk. Kalimah المِهادُ bermaksud ‘pelukan’ dari segi bahasa – seperti pelukan ibu yang menenangkan anaknya. Sebaliknya Allah ﷻ menggunakan kalimah ini untuk menyakitkan hati mereka – ini bukan pelukan yang baik, tetapi pelukan yang buruk sekali. Di negara itulah tempat tinggal mereka.

Maka neraka itu bukanlah المِهادُ yang sebenar. Ini adalah seumpama warden penjara baru banduan baru dan cakap secara sindirian kepada banduan itu: “Silalah jemput masuk ke Hotel lima bintang tuan ya…”. Itu perli sahaja, bukan?

Habis Ruku’ 2 daripada 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ra’d Ayat 19: Bermula ayat ini sehingga ke ayat 29 adalah Perenggan Makro ke 2. Ia memberitahu kita bahawa mereka yang beriman kepada Tauhid adalah Golongan Ulul Albab dan mereka yang menolak akidah yang benar adalah golongan yang bodoh.

Allah ﷻ adakan perbandingan dalam ayat ini. Sebenarnya, ada dua jenis manusia sahaja: yang beriman dan yang tidak beriman. Maka kenalah perhatikan apakah beza antara keduanya supaya kita termasuk golongan beriman kerana tidak ada golongan pertengahan.

۞ أَفَمَن يَعلَمُ أَنَّما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ الحَقُّ كَمَن هُوَ أَعمىٰ ۚ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then is he who knows that what has been revealed to you from your Lord is the truth like one who is blind? They will only be reminded who are people of understanding –

(MALAY)

Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,

 

أَفَمَن يَعلَمُ أَنَّما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ الحَقُّ

Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu adalah benar

Ini adalah tentang orang yang beriman. Mereka merupakan orang yang tahu bahawa Allah ﷻ telah berikan wahyu yang benar kepada Nabi Muhammad ﷺ iaitu Al-Qur’an. Maka mereka beriman dan belajar apakah ajaran wahyu itu dan kemudian mereka beramal dengannya. Apabila sudah yakin, kenalah beramal, jangan buat tidak tahu sahaja. Maka ini adalah golongan satu pihak.

Apa yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu adalah perkara yang haq yang tiada keraguan di dalamnya, tiada kebimbangan, tiada kebingungan, dan tiada pertentangan di dalamnya. Bahkan semuanya adalah benar, sebahagian daripadanya membenarkan sebahagian yang lain, tiada sesuatu pun daripadanya yang bertentangan dengan lainnya.

Semua berita yang disebutkan di dalam Al-Qur’an adalah benar, dan semua perintah serta larangannya adalah adil. Maka kenalah kita semua belajar dan amalkan. Jangan sombong dan malas untuk belajar tafsir Al-Qur’an ini. Kena luangkan masa dan ajak orang lain belajar.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ gunakan kalimah Rabb untuk merujuk kepada Diri-Nya dan tidak menggunakan Nama Allah. Allah ﷻ sebut مِن رَّبِّكَ الحَقُّ dan bukan مِن اللهِ الحَقُّ. Ini kerana Allah ﷻ hendak menekankan sifat Rabb itu. Apa itu Rabb? Rabb bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara dan memiliki semua makhluk. Ada 3 elemen di situ yang kena ada dan kita kena faham Siapa Rabb:

1. Dia mencipta alam ini

2. Maka Dia memiliki alam ini

3. Dia mengurus dan memelihara alam ini. Semua keperluan makhluk diberi oleh-Nya. Allah ﷻ sahaja yang menguruskan alam ini sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana Nabi, wali atau malaikat. Malaikat itu hanya menerima arahan Allah ﷻ sahaja, bukannya mereka yang menentukan apa yang akan berlaku.

Maka banyak sekali nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita, maka kita kena berterima kasih kepada-Nya dengan taat kepada-Nya. Oleh kerana Dia mengurus kita, maka Dia tahu apa yang penting dan perlu untuk diri kita. Maka ajaran di dalam Al-Qur’an itu sangat tepat bagi kehidupan kita. Kalau kita tidak belajar, alangkah ruginya!

Maksud Rabb juga digunakan di dalam kalimah tarbiyah iaitu mendidik kita dari kecil sehingga besar sehinggalah kita mati. Maka Dia sayang kepada kita. Kalau Dia sayang kepada kita, takkan Dia berikan perkara yang buruk kepada kita, bukan? Maka percayalah yang Al-Qur’an itu terlalu baik untuk kita. Marilah pelajari apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan dalam Al-Qur’an ini.

 

كَمَن هُوَ أَعمىٰ

sama dengan orang yang buta?

Pihak yang kedua adalah pihak yang tidak yakin dan tidak menerima sepenuhnya wahyu yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka ini adalah orang yang menolak Al-Qur’an.

Allah ﷻ tanya: Adakah orang yang yakin itu sama dengan orang yang buta? Allah ﷻ ibaratkan mereka yang tidak yakin itu seperti buta. Ini adalah kerana mereka buta untuk melihat keindahan alam ini dan menisbahkannya kepada Allah ﷻ. Mereka buta hati daripada melihat kebenaran wahyu yang Allah ﷻ sampaikan kepada kita ini.

Lihatlah di dalam ayat ini Allah ﷻ mengumpamakan mereka yang menolak Al-Qur’an sebagai buta. Bagaimana pula kalau tidak mengendahkannya? Mereka juga buta kerana sama sahaja kalau tidak percaya Al-Qur’an dengan yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Ini kerana kalau tidak mahu belajar untuk ambil manfaat daripada Al-Qur’an, mereka juga buta sebenarnya.

Kenapa mereka dikatakan sebagai buta? Kerana kalau buta, tidak nampak jalan. Bagaimana dia hendak berjalan kerana dia akan langgar sana sini, lubang dan longkang pun mereka tidak nampak. Mereka akan terjatuh, mereka akan masuk lubang. Begitu juga kalau tidak tahu pengajaran daripada Al-Qur’an. Mereka tidak tahu mana yang benar, mana yang bathil; mereka tidak tahu mana yang kena buat, mana yang kena tinggal; mereka tidak tahu mana haram, mana halal.

Kerana itulah sangat pentingnya belajar Al-Qur’an. Ia adalah kayu ukur dan pemandu kita di dalam kehidupan ini. Ia adalah ilmu yang dapat membenteng kita daripada melakukan dosa dan kesilapan. Kalau kita jahil wahyu, maka senanglah syaitan untuk menipu kita. Mereka akan bisikkan kita untuk buat perkara yang sesat dan kita tidak tahu apa yang dibisikkan itu adalah sesat kerana kita jahil!

Kita kena ikut ajaran Al-Qur’an seperti mana Rasulullah ﷺ juga hanya mengikut arahan Al-Qur’an. Kalau tidak ikut, memang dikira sebagai buta seperti juga firman Allah ﷻ di dalam An’am: 50

إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ ۚ قُل هَل يَستَوِي الأَعمىٰ وَالبَصيرُ ۚ أَفَلا تَتَفَكَّرونَ
aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”

 

إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ

Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,

Allah ﷻ kata bahawa orang yang boleh terima kebenaran hanyalah Ulul Albaab iaitu mereka yang ada akal yang cerdik sahaja. Kalimah الأَلبٰبِ adalah daripada katadasar ل ب ب yang bermaksud pintar; baik hati; hati; bahagian tengah; teras; pulpa buah; fikiran; tulen; tahan karat; saripati; berbakat dengan pertimbangan yang wajar. Maka Ulul Albaab adalah orang yang ada isi, ada akal. Oleh itu, sebenarnya Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa orang yang tidak yakin dengan ajaran wahyu itu adalah mereka yang bodoh sekali.

Apabila kalimah إِنَّما digunakan, ia bermaksud yang boleh mengambil pelajaran itu hanyalah golongan Ulul Albaab itu sahaja. Kalimah إِنَّما menolak golongan yang lain. Lihat contoh ini,

Kalau ayat إن زيد مدرس (Sesungguhnya Zaid adalah seorang guru). Zaid boleh juga menjadi seorang pemain bola sepak, seorang tukang masak dan sebagainya lagi. Ia tidak menolak kemungkinan itu.

Sekiranya ayat yang digunakan adalah إنما زيد مدرس (Sesungguhnya Zaid adalah seorang guru). Namun di sini, ia menolak kemungkinan Zaid bekerja profesion lain. Beliau esklusif hanya menjadi guru sahaja kerana kalimah إِنَّما yang digunakan.

Allah ﷻ sebut ciri-ciri mereka di dalam Ali Imran: 190-194

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Maka dalam Islam yang mendapat pujian adalah golongan yang bijak, berilmu dan juga pintar. Tidak ada tempat bagi orang yang bodoh dan jahil agama. Maka ini mengajar kita, orang yang jahil agama tidak selamat. Namun malang sekali, ramai dalam kalangan masyarakat kita rasa tenang sahaja walaupun mereka tidak mahir hal agama. Mereka rasa tidak ada salahnya kalau tidak belajar agama.

Mereka banyaknya serahkan sahaja kepada orang lain untuk belajar. Sebagai contoh, ada ibubapa yang hantar anak mereka ke kelas agama, kelas tahfiz dan kelas-kelas agama lain, sebaliknya mereka sendiri tidak belajar; atau, ada yang suami hantar isteri ke masjid/surau untuk belajar agama, tetapi mereka tidak ikut pun. Mereka hantar dan kemudian pulang balik ke rumah tengok TV.


 

Ra’d Ayat 20: Siapakah dan apakah sifat golongan Ulul Albaab itu? Allah ﷻ jelaskan dalam ayat ini tentang sifat-sifat mereka. Semua sekali ada 9 sifat-sifat mereka yang akan disebut selepas ini. Ayat ini adalah ayat tentang Akidah.

الَّذينَ يوفونَ بِعَهدِ اللهِ وَلا يَنقُضونَ الميثٰقَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who fulfill the covenant of Allāh and do not break the contract,

(MALAY)

(iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosak perjanjian,

 

الَّذينَ يوفونَ بِعَهدِ اللهِ

(iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah

Mereka itu adalah orang yang memenuhkan perjanjian mereka dengan Allah ﷻ iaitu janji untuk menyempurnakan tauhid kepada Allah ﷻ. Ada banyak janji kita dengan Allah ﷻ dan yang penting sekali adalah untuk taat kepada suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Perkara ini banyak disebut dalam Al-Qur’an. Sebab itu kena belajar semua ayat Al-Qur’an supaya tahu apakah perjanjian kita dengan Allah ﷻ. Yang paling-paling penting sekali adalah: Mentauhidkan Allah ﷻ. Kita semua sudah mengucap dua kalimah syahadah, bukan? Maka itu pun adalah salah satu perjanjian dengan Allah ﷻ juga. Ini telah disebut dalam A’raf: 172

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيٰمَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غٰفِلينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

Kita memang tidak ingat perjanjian ini, tetapi ia telah dipaterikan di dalam fitrah kita. Fitrah itu adalah “common sense”. Kerana itulah orang yang mengikut fitrahnya, akan mudah untuk menerima Islam. Kerana ia selari dengan apa yang telah ada di dalam teras dirinya. Semua perkara tentang Allah ﷻ dan Tauhid itu tepat seperti apa yang ada di dalam dirinya.

Maka segala janji kita yang lain, janji mengikut perintah, janji menghentikan larangan, dan janji melaksanakan ibadat, pendeknya semua janji, semua akan berpusat kepada janji yang pertama itu, jauh sebalum kita diciptakan dengan hidup yang nyata ini. Maka orang yang fikirannya berisi, akalnya mempunyai teras yang hidup, selalu dia ingat akan janji itu, ingat dengan tidak disedari secara sedar, tidak diselaputi janjinya oleh hawa nafsunya. Sehingga bila didengarnya saja seruan Rasul, mengertilah dia akan kebenarannya dan taat patuhlah dia mengikutinya seakan-akan telah pernah didengamya, tetapi dia tidak ingat entah di mana. Tidaklah sekali-kali janji yang telah diikat dengan Tuhan itu dimungkirinya. Itulah pokok yang pertama daripada orang yang fikirannya berisi itu.

Kemudian itu dipenuhinya segala janjinya dengan sesama manusia; bukan sebagai orang munafik yang apabila berjanji mungkir, apabila bercakap bohong. Ingatlah bahawasanya segala urusan masyarakat kita ini adalah berkenaan janji belaka, sampai kepada jual-beli, sampai kepada akad-nikah. Malahan akad-nikah, yang menyebabkan kesetiaan suami-isteri adalah dimulai dengan ijab-kabul, janji si mempelai akan menerima dan menampung isterinya yang diserahkan tanggungjawabnya oleh mertuanya kepadanya. Sampai kepada janji yang diikat dengan kontrak oleh pejabat-pejabat ketika dia diserahkan tanggungjawab.

 

وَلا يَنقُضونَ الميثٰقَ

dan tidak merosak perjanjian,

Kalimah الميثاقَ digunakan apabila dua-dua pihak sedar tentang kepentingan perjanjian itu. Oleh itu, ia adalah perjanjian yang kuat dan besar dan perlu dipenuhi. Jika tidak dipenuhi, akan menyebabkan masalah besar. Maka ketahuilah yang ini bukan perjanjian yang biasa. Jangan jadi seperti golongan Yahudi yang telah mengingkari perjanjian mereka seperti disebut dalam Baqarah: 83

وَاِذْ اَخَذْنَا مِيْثَاقَ بَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ لَا تَعْبُدُوْنَ اِلَّا اللّٰهَ وَبِالْوَالِدَيْنِ اِحْسَانًا وَّذِى الْقُرْبٰى وَالْيَتٰمٰى وَالْمَسٰكِيْنِ وَقُوْلُوْا لِلنَّاسِ حُسْنًا وَّاَقِيْمُوا الصَّلٰوةَ وَاٰتُوا الزَّكٰوةَۗ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ اِلَّا قَلِيْلًا مِّنْكُمْ وَاَنْتُمْ مُّعْرِضُوْنَ
Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji daripada Bani Israil, “Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat-baiklah kepada kedua orang tua, kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin. Dan bertuturkatalah yang baik kepada manusia, laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat.” Tetapi kemudian kamu berpaling (mengingkari), kecuali sebagian kecil daripada kamu, dan kamu (masih menjadi) pembangkang.

Kenapa Allah ﷻ sebut perjanjian dengan Bani Israil pula? Kerana sebagaimana perjanjian itu dengan mereka, begitulah ia sekarang adalah perjanjian dengan kita juga, kerana itulah Allah ﷻ masukkan dalam Al-Qur’an. Akan tetapi Bani Israil telah mengingkarinya. Allah ﷻ selalu memberi contoh kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasrani kerana memberi pengajaran kepada kita. Jikalau kita tidak jaga agama ini dan perjanjian ini, maka kita akan jadi seperti dua golongan itu.

Bukan sahaja perjanjian dengan Allah ﷻ yang perlu dijaga, tetapi segala perjanjian kita dengan makhluk lain. Orang yang beriman sebenar tidak sama dengan orang-orang munafik yang apabila seseorang daripada mereka mengadakan perjanjian, maka dilanggarnya; apabila bersengketa, mereka curang; apabila berbicara, dusta; dan apabila dipercaya, khianat.

Maka di dalam ayat ini disebut sifat Ulul Albaab yang pertama dan kedua,

1. Memenuhi janji dengan Allah ﷻ

2. Tidak merosak perjanjian


 

Ra’d Ayat 21: Kalau ayat 20 tadi tentang Akidah, ayat 21 ini pula tentang amalan. Maka selepas akidah benar, maka amalan pun kenalah benar juga.

وَالَّذينَ يَصِلونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ وَيَخشَونَ رَبَّهُم وَيَخافونَ سوءَ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who join that which Allāh has ordered to be joined¹ and fear their Lord and are afraid of the evil of [their] account,

  • i.e., they uphold the ties of relationship.

(MALAY)

dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk.

 

وَالَّذينَ يَصِلونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ

dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, 

Mereka juga menghubungkan apa yang Allah ﷻ suruh hubungkan. Ini adalah ayat yang penting dan ia disebut secara umum sahaja di sini. Ini adalah amat penting kerana banyak yang Allah ﷻ suruh kita hubungkan dan jangan pisahkan dan tidak dapat disenaraikan di dalam satu ayat.

Antaranya hubungan yang kita hubungkan adalah hubungan dengan Allah ﷻ, dengan keluarga, dengan Nabi dan sebagainya. Ini memang kena rujuk ayat-ayat yang lain kerana disebut secara ringkas sahaja di sini. Oleh itu kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah Hadith supaya kita tahu apakah semua perkara itu.

Akan tetapi jika kita hendak ringkaskan di sini, ada dua jenis hubungan yang penting secara umumnya: Hubungan dengan Allah dan Hubungan dengan makhluk. Habluminallah dan habluminnnas. Hubluminallah adalah ‘ibadat’ dan habluminnas adalah ‘adat’ (amalan).

Adapun yang sangat diperintahkan Tuhan supaya dihubungkan ialah silatur-rahim dengan sesama manusia, budipekerti yang mulia, tolong-menolong, kasih-mengasihi, sehingga di samping pertalian dengan Allah ﷻ, bertali pula jiwanya dengan sesama manusia. Maka orang yang suka memutuskan silatur-rahim, mengganti kasih-sayang dengan kebencian, adalah termasuk orang yang fikirannya tidak berisi atau buta. Allah ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 1

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي تَساءَلونَ بِهِ وَالأَرحامَ
Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat;

Perkataan silaturrahim (صلة الرحم) berasal daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” (tautan) dan “الرحم”. Al-Raghib al-Asfahani رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut:

الرَّحِمُ: رَحِمُ المرأة (أي بيت منبت ولدها ووعاؤه) . ومنه استعير الرَّحِمُ للقرابة، لكونهم خارجين من رحم واحدة
“Al-Rahim yang dimaksudkan adalah rahim wanita iaitu tempat di mana janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Dan istilah al-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal dari satu rahim.”

Amat malang sekali apabila ada dalam kalangan kita yang sentiasa sahaja ada masalah dengan ahli keluarga. Sepatutnya dengan ahli keluarga dia rapat, tetapi kerana ada sedikit masalah, terus berkelahi dan tidak bertegur sapa bertahun-tahun. Padahal semuanya keluar daripada perut yang sama, membesar pun bersama-sama. Namun tidak reti hendak faham adik beradik sendiri. Kemudian senang sentap pula dengan kata-kata adik beradik, dalam masa yang sama tidak sedar mulut dia pun puaka juga!

Biasalah adik beradik akan berbeza pendapat, sekali sekala keluar kata-kata yang tidak manis sebab masing-masing bukannya ada belajar “communication skill” pun, setakat habis sekolah menengah sahaja pun. Maka tidak pandai hendak berbahasa bahasi. Akan tetapi jikalau sudah kelahi itu, pandai-pandailah berbaik semula. Jangan hanya mahu sentap sahaja, jangan ego sangat. Kamu itu bukannya ada apa pun, kalau ada masalah nanti bukan pandai hendak selesaikan sendiri, berharap kepada adik beradiklah juga, bukan?

Disebabkan selalu ada masalahlah yang menyebabkan Allah ﷻ berikan kelebihan yang besar bagi mereka yang ‘menyambung’ silaturrahim seperti disebut dalam hadith,

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
(Riwayat Bukhari (5986) dan Muslim (2557))

Apabila dikatakan ‘sambung’, maksudnya sudah pernah terputus. Jikalau belum terputus lagi, itu bermakna perlu dieratkan sahaja. Akan tetapi yang menjadi payah adalah apabila sudah terputus. Maka Allah ﷻ beri balasan yang hebat kalau berusaha untuk menyambungnya kembali. Ancaman kalau memutuskan silaturrahim juga hebat seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ
Daripada [Abu Bakrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada suatu dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia oleh Allah kepada pelakunya di samping (azab) yang disimpan baginya di akhirat daripada perbuatan zalim dan memutus silaturrahim.
(Sunan Abi Dawud (2435))
Status: Sahih

Kalau ada masalah sesama saudara, maka Rasulullah ﷺ telah ajar paling lama pun tidak bertegur sapa adalah selama 3 hari sahaja seperti disebut dalam hadith masyhur,

Daripada Abu Ayyub al-Ansari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ bersabda:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ
“Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari.”
(Riwayat Muslim (2560))

Akan tetapi sekiranya dibiarkan sampai setahun, bagaimana? Ini pun Rasulullah ﷺ ada sebut di dalam hadith riwayat daripada Abi Khirash al-Sulami bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِ
“Barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya selama setahun sama seperti dia telah menumpahkan darahnya.”
(Riwayat Abu Daud (4915))
Syeikh Syu’aib al-Arna’outh telah menilai sanad hadith ini sebagai sahih

Mungkin ada yang kata: “Tapi ustaz, adik saya ini macam setanlah ustaz! Macam mana saya nak berbuat baik dengan dia?” Kena ingat, kita berbaik dengan adik beradik kita bukannya kerana mereka. Mereka mungkin sepupu syaitan, tetapi Allah ﷻ telah beri ujian kepada anda untuk dapat saudara yang sebegitu. Kawan kita boleh pilih, tetapi adik beradik Allah ﷻ yang pilihkan buat kita. Kita berbaik dengan mereka, bukannya kerana mereka baik dengan kita, tetapi kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Maka kita buat kerana Allah ﷻ. Kita kena taat Allah ﷻ kerana kita takut kepada Allah ﷻ.

 

وَيَخشَونَ رَبَّهُم

dan mereka takut kepada Tuhan mereka

Mereka sentiasa takut kepada Allah ﷻ. Kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah خَشيَهٌ dan bukannya خَوفٌ seperti yang selalu digunakan. Yang dimaksudkan di sini bukannya jenis takut kepada binatang buas. Kalimah خَشيَهٌ lebih sesuai digunakan apabila takut seorang anak kepada ayahnya atau takut seorang pelajar kepada gurunya; iaitu takut kerana hormat. Kita akan jadi takut bercakap dengan ayah dan guru kerana takut kalau-kalau perbuatan dan percakapan kita menyebabkan mereka terasa. Ia adalah jenis takut yang timbul kerana cinta dan hormat. Kerana itu kalau menyebut takut kepada Allah ﷻ, kalimah خَشيَهٌ yang digunakan.

Mereka rasa Allah ﷻ sentiasa sahaja memerhatikan mereka. Mereka takut serta gerun kerana mereka kenal Allah ﷻ. Apabila kenal Allah ﷻ, maka telah timbul rasa cinta kepada Allah ﷻ kerana mereka tahu yang Allah ﷻ ada sifat baik dan ada sifat kuasa. Mereka tahu yang kalau mereka tidak taat kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan menggunakan kuasa-Nya untuk beri azab kepada kita dan kalau berbuat baik, Allah ﷻ akan menggunakan Sifat Rahmah-Nya untuk beri segala macam nikmat kepada kita.

Namun begitu mereka tetap takut kerana mereka takut sangat kalau tersilap langkah. Disebabkan sentiasa takut itulah yang menyebabkan mereka akan jaga segala tingkah laku mereka. Sebab itulah perasaan takut ini kena ada. Yang menghalang manusia daripada buat sesuka hati adalah perasaan takut. Kalau tidak ada takut, manusia berani berbuat apa-apa sahaja, termasuk dosa yang melampau.

Jelas sekali kena ada takut kepada Allah ﷻ, bukannya takut kepada hantu dan jin. Malangnya orang kita banyak sangat takut. Ini bukan kerana apa, tetapi sebab selalu sangat menonton cerita hantu. Kemudian baca kisah hantu, kemudian sembang dengan orang yang pernah nampak hantu. Ini semua adalah gangguan sahaja. Hantu itu adalah jin dan mereka hanya berani kacau orang yang tidak ada ilmu dan iman. Maka kena tingkatkan ilmu dan iman, barulah tiada rasa takut terhadap hantu jin. Apabila bertambah takut kepada Allah ﷻ, maka hantu jin pula yang akan takut kepada kita.

 

وَيَخافونَ سوءَ الحِسابِ

dan mereka takut kepada hisab yang buruk.

Mereka bukan sahaja takut kepada Allah ﷻ, tetapi mereka juga takut ‘audit’. Namun perhatikan kalimah takut di sini bukan خَشيَهٌ tapi خَوفٌ kerana ia adalah jenis takut yang berbeza dengan yang sebelum ini. Apa yang mereka takut? Takut hisab yang buruk. Ia adalah audit yang amat terperinci dan ini menakutkan kerana mereka takut segala amalan mereka akan dikira satu persatu. Kerana kalau dikira satu persatu, tentu akan ada masalah nanti.

Yang kita semua harapkan adalah kalau pengiraan hisab itu dibuat ringan sahaja, iaitu dilihat sambil lalu sahaja. Itulah ‘hisab yang ringan’. Ini sepertimana kita berada di imigresen di lapangan kapal terbang, pegawai di situ tengok barang-barang kita lebih kurang sahaja. Kalau pegawai itu cakap sahaja: “Encik sila ke tepi, cik?” pun kita sudah berasa takut, bukan? Maka kalaulah di akhirat nanti segala perkara yang kita lakukan diperiksa dengan terperinci, tentu kita susah hati. Kalau ditanya sahaja sudah celaka seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ هَلَكَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ { فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ إِلَى قَوْلِهِ يَسِيرًا } قَالَ ذَلِكِ الْعَرْضُ
Daripada [Aisyah رضي الله عنها], dia berkata; saya mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Barang siapa yang diperdebatkan hisabnya, dia binasa.” Maka saya katakan; wahai Rasulullah, bukankah Allah berfirman: “Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, –hingga ayat-maka akan dihisab dengan hisab yang mudah?.” (Al-Insyiqaq: 7-8), Baginda bersabda: Yang dimaksudkan ayat itu hanyalah saat catatan amal diperlihatkan.
(Jami’ Tirmidzi (3260))
Status: Sahih (Darussalam)

Sebagai contoh, kalau kita ditanya: kenapa lakukan amalan ini? Ada dalilkah? Kalau ditanya sahaja, itu maksudnya memang akan diazab di dalam neraka. Lalu, tidak takutkah wahai pengamal bid’ah, jika Allah ﷻ bertanya apakah dalil kita lakukan sesuatu amalan yang Nabi ﷺ tidak ajar itu?

Semoga kita jangan buat amal tanpa periksa kerana yang harapkan adalah seperti yang disebut dalam Insyiqaq: 7-8 itu,

فَأَمّا مَن أوتِيَ كِتابَهُ بِيَمينِهِ
Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya,

فَسَوفَ يُحاسَبُ حِسابًا يَسيرًا
maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah,

Maka di dalam ini disambung 3 lagi sifat Ulul Albaab:

3. Menyambungkan apa yang Allah ﷻ suruh sambung

4. Takutkan Allah ﷻ

5. Takut kiraan hisab di Akhirat

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (2) (Cara Berdakwah)

أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ

aku mengajak kepada Allah 

Apabila Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan untuk berkata, “قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي” (Katakanlah, “Inilah jalanku“), frasa itu membawa makna yang jauh lebih mendalam. Ungkapan “ini jalanku” menunjukkan bahawa baginda sudah pun berada di atas jalan tersebut, bukan sekadar menunjuk ke arahnya dari kejauhan. Bayangkan perbezaannya: berkata “itu jalanku” adalah seperti menunjuk ke satu matlamat masa depan. Tetapi dengan berkata “ini jalanku” adalah seperti seseorang yang sedang berjalan di atas sebuah laluan, dan sambil berjalan, baginda mengajak (أَدعُوٓاْ) orang lain untuk turut serta. Ia adalah satu tindakan yang sedang berlaku, satu demonstrasi yang hidup. Kalau kita dapat bayangkan, seseorang yang sudah berada dan berjalan di atas satu jalan, dan di masa yang sama dia mengajak yang lain untuk mengikutinya. Dan jalan itu menuju ke mana? Kepada Allah ‎ﷻ! 

Wawasan ini mengubah konsep dakwah secara total. Ajakan Rasulullah ﷺ bukanlah kepada suatu set idea atau falsafah, tetapi kepada satu perjalanan yang sudah terbukti dan sedang dilalui. Lebih penting lagi, ia adalah jemputan menuju destinasi, bukan kepada dirinya sendiri. Baginda tidak berkata, “Ikutlah aku,” tetapi “Aku mengajak kamu kepada Allah.” أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌. Ajakan ini bukan untuk memuja peribadinya, tetapi untuk bersama-sama menuju destinasi agung: Allah ﷻ. Iaitu jalan La ilaaha Illallah, Tauhid kepada Allah ﷻ sahaja. 

Kalimah “إِلَى ٱللَّهِ” dalam ini bermakna bahawa segala urusan, tujuan, dan seruan dalam dakwah adalah hanya kepada Allah semata, bukan kepada selain-Nya. Para mufassir menjelaskan bahawa “إِلَى ٱللَّهِ” menunjukkan keikhlasan dan penyerahan total dalam beribadah dan berdakwah, serta menegaskan bahawa semua perkara pada akhirnya kembali kepada Allah untuk diputuskan dan diberi balasan. Penjelasan daripada tafsir menyebutkan:”إلى الله وحده لا إلى أحد غيره. تصير الأمور: أي ترجع وتنتهي جميع الأمور للقضاء فيها والحكم والفصل.” Ertinya: “Kepada Allah saja, tidak kepada selain-Nya. Semua urusan kembali dan berakhir kepada-Nya untuk diputuskan dan ditetapkan hukum serta keputusannya.” Akan tetapi, bagaimana kita tahu ketetapan Allah dan kehendak Allah jikalau kita tidak belajar wahyu Al-Qur’an?

Dan yang lebih menarik lagi, tidak ada maf’ul bihi di dalam kalimah ini. Hanya disebut mengajak sahaja, namun tidak disebut siapa yang diajak? Tidak ada أدعوكم (aku mengajak kalian) atau أدعو الناس (aku mengajak manusia) atau yang lain-lain. Ia dibiarkan tergantung ‘aku mengajak’ dan dibiarkan luas begitu. Ia terbuka kepada mereka yang mendengar (sama ada mahu ikut atau tidak), kepada mereka yang belum mendengar lagi, tetapi akan mendengar nanti; yang dekat dengan baginda, yang jauh dengan baginda; sesiapa sahaja. Tidak terhad kepada orang tertentu, masa dan zaman tertentu, tempat tertentu; sesiapa dan semua diajak! Ketika baginda menyebut ayat-ayat ini, baginda hampir keseorangan dengan para sahabat yang tidak ramai mana pun. Akan tetapi dakwah dan ajakan baginda ini didengar dan sampai sekarang umat Islam adalah agama kedua terbesar di dunia dan berterusan bertambah ahlinya. Bayangkan keadaan baginda ketika itu, tetapi baginda adalah Nabi dalam sejarah yang paling ramai pengikut, bukan?

Dan satu lagi yang menarik adalah Nabi ﷺ menyebut ‘jalan’ sebelum ini yang baginda telah berada di atasnya – هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ. Maknanya, untuk selamat, kena ikut jalan itu. Kalau ikut jalan lain, itu bukan jalan baginda dan jalan yang lain itu tidak akan selamat. Oleh kerana yang betul-betul benar adalah Nabi Muhammad ﷺ, maka kita kena ikut jalan baginda. Ini menolak fahaman seperti sufi tarekat yang kata, jalan Allah itu banyak…. macam hendak pergi ke Kelantan, ikut jalan Grik boleh, ikut jalan Terengganu pun boleh….asalkan sampai ke Kelantan…” Itu mengarut! Kerana kalau hendak jalan yang selamat, kena berada di atas jalan serta mengikut jalan yang diikuti oleh Rasulullah ﷺ! Sekiranya memandai-mandai memilih jalan lain, entah ke mana perginya, dan sebab itulah orang sufi tarekat ini pening sudah pemikiran mereka!

Dan kalau kita perhalusi lagi, baginda suruh ikut jalan yang baginda lalui itu, bukannya ikut baginda. Baginda tidak boleh selamatkan manusia, tetapi jalan itu sebenarnya yang membawa kepada Allah ‎ﷻ dan kepada kesejahteraan. Ini berbeza dengan fahaman Kristian yang kata jalan ke arah keselamatan hanya melalui Jesus (Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Nabi Muhammad ﷺ tidak disuruh berkata begitu, tetapi disuruh mengajak kepada jalan. Bukannya dengan bertawasul kepada Nabi Muhammad ﷺ dengan memberi salam kepada baginda, sedekah Fatihah kepada baginda, kononnya supaya baginda kenal dan menghargai orang yang buat begitu dan nanti baginda akan selamatkan! Tidak! Kalau hendak ikut Nabi dan selamat seperti baginda, kena ikut jalan bagindalah. Dan untuk itu, kena belajar apakah jalan baginda itu dan ikut seperti apa yang baginda lakukan. Bukannya berharap kepada batang tubuh baginda!

Jangan lupa yang kata-kata ini adalah arahan wahyu daripada Allah ‎ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ terus kepada baginda, dan ini adalah tugas baginda. Memang baginda sayang kepada umat dan baginda hendak semua umat baginda selamat. Namun, permulaannya adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Kita juga diajak untuk berdakwah kepada manusia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Fussilat:33

وَمَن أَحسَنُ قَولًا مِّمَّن دَعا إِلَى اللهِ وَعَمِلَ صٰلِحًا
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, 

Cuma bagi manusia selain Rasulullah ﷺ, kita ada diletakkan syarat: وَعَمِلَ صٰلِحًا. Maka, ada suruhan utama, iaitu kena berdakwah, tetapi di dalam masa yang sama ada suruhan kedua iaitu mengerjakan amal soleh. Cuma mengerjakan amal soleh itu jatuh nombor dua, jadi ia adalah suruhan supaya kita bersungguh-sungguh mengamalkan amalan soleh itu, namun ia tetap arahan kedua. Kerana kadangkala kita tidak mampu mengerjakan sepenuhnya amalan soleh itu, tetapi jangan pula kerana tidak mampu kita meninggalkan dakwah.

Namun begitu, kepada Nabi Muhammad ﷺ, tidak disuruh baginda mengerjakan amal soleh di sini; ia tidak sama dengan arahan kepada kita. Kepada Nabi ﷺ, disebut هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ (Inilah jalanku) yang memberi isyarat yang baginda sudah pun mengerjakan amal soleh itu; baginda sudah lulus! Sekarang ajak sahaja.

 

عَلىٰ بَصيرَةٍ

dengan hujah yang nyata,

Bagi kebanyakan kita, iman adalah sesuatu yang diwarisi, diterima sebagai sebahagian daripada tradisi keluarga, Islam keturunan. Bagi yang lain, ia adalah sebuah perjalanan peribadi yang sunyi kerana dia sahaja yang beriman dalam keluarganya. Namun, bagaimana jika iman sejati bukanlah suatu perasaan tenteram di dalam hati, tetapi satu pendirian yang teguh di atas bukti yang nyata? Sekarang kita dijemput untuk menilai semula asas keyakinan kita. Adakah kita hanya mengikut sahaja fahaman dan amalan leluhur kita (tok nenek)? Ayat ini melukiskan gambaran iman sebagai sebuah perjalanan yang aktif, bertenaga, dan yang paling penting, berpijak di atas wawasan yang jernih. Ia bukan sekadar kepercayaan, tetapi sebuah keyakinan yang disengajakan.

Begitulah agama Islam ini, ia adalah agama yang unik. Kalau agama lain, mereka pun ada ‘iman’ dan kepercayaan mereka juga, tetapi mereka kena percaya sahaja tanpa boleh dijelaskan dengan akal yang waras. Jikalau mereka bertanya tentang sesuatu permasalahan kepada paderi atau sesama mereka, mereka akan dimarah balik, akan disuruh percaya tanpa bertanya soalan! Ini seperti masyarakat kita yang hanya membuta tuli mengikut sahaja fahaman dan amalan tok nenek. Yang kadangkala ada juga ustaz yang apabila diminta dalil bagi fahaman atau amalan, akan dimarah balik dan dituduh wahabi! Ini terjadi sebab ustaz itu sendiri tidak ada dalil dan dia pun ikut-ikut sahaja orang dulu (masyarakat atau tok gurunya yang  mengajar). Agama Islam yang sebenar tidak begitu. Agama kita ini ada dalil dan berlandaskan akal yang sihat. Kita tidak disuruh percaya membabi buta.

Namun, apa beza dengan kita yang juga mengikuti ajaran terdahulu seperti Nabi Muhammad ﷺ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Mereka juga orang terdahulu daripada kita, bukan? Apa beza dengan orang yang pakai ikut sahaja orang terdahulu? Bezanya adalah mereka itu tidak ada بَصيرَةٍ, iaitu mata hati. Sedangkan para Nabi terdahulu itu di atas baseerah (mata hati). Mata hati ini bukan mata penglihatan kita. Lihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, walaupun buta matanya, namun mata hatinya tidak buta. Kita memang kena ikut ajaran para Nabi dan kita lakukan dengan mata terbuka, bukannya ikut membabi buta!

Sekiranya kita kembali kepada analogi berkenaan Rasulullah ﷺ yang di atas jalan, bayangkan jalan yang berliku. Ia berliku kerana jalan itu tidak dibiarkan begitu sahaja oleh syaitan. Ini sepertimana yang Allah ‎ﷻ beritahu dalam A’raf:16-17

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (١٦) ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ (١٧)
Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus; (16) Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (17) 

Jadi, jalan ini bukanlah jalan yang sentiasa tenang tanpa gangguan kerana syaitan sendiri sudah berjanji akan mengganggu kita jika kita berada di atas jalan ini. Bayangkan sebuah jalan berliku, yang kadangkala kita tidak nampak apa yang di hadapan kita, kadang ada banyak pokok yang melindungi kita dari jalan kita, kadang waktu malam dan kita tidak nampak; ketika itu kita memerlukan panduan, bukan? Oleh itu, kenalah ada panduan, seperti kompas atau GPS yang menetapkan kita di atas jalan kita itu. Dan kita telah lihat contoh panduan seperti yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat Yusuf:24

وَلَقَد هَمَّت بِهِۦ‌ۖ وَهَمَّ بِهَا لَولَآ أَن رَّءَا بُرهَـٰنَ رَبِّهِۦ‌ۚ ڪَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلفَحشَآءَ‌ۚ إِنَّهُ ۥ مِن عِبَادِنَا ٱلمُخلَصِينَ
Sesungguhnya wanita itu telah bersungguh dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya. Demikianlah, Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.

Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada panduan baginda, kita pun ada panduan kita yang membimbing kita. Kita tidak boleh menggunakan alasan segala gangguan  yang mendatang itu kerana kita sudah ada panduan. Kita tidak boleh kata oh zaman sekarang susah, ramai sangat orang yang mengajak kita ke arah kebinasaan, atau apa-apa sahaja alasan. Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan keluarga kita, kawan-kawan sekeliling kita, kerajaan, ahli politik dan sesiapa sahaja.

 

Maksud Baseerah

Jadi apakah بَصِيرَةٍ ini? Kalimah “بَصِيرَةٍ” (baseerah) dalam ayat ini memiliki beberapa tafsiran dari para ulama:

  1. Ilmu, Keyakinan, dan Hujjah yang Jelas
    Imam al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ menafsirkan “على بصيرة” sebagai “على يقين وحق” (di atas keyakinan dan kebenaran). Ibn ‘Ashur رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutnya sebagai “الحجة الواضحة” (hujjah yang jelas). Jadi, baseerah adalah ilmu dan keyakinan yang kukuh serta bukti yang nyata dalam berdakwah. Bagi kita apa? Ia adalah Al-Qur’an, jadi berdakwah mestilah menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an.

  2. Pengetahuan Mendalam dan Pemahaman Hati
    Dalam Lisan al-Arab, baseerah diertikan sebagai “عقيدة القلب” (keyakinan hati) dan “اسم لما اعتقد في القلب من الدين وتحقيق الأمر” (nama bagi apa yang diyakini dalam hati tentang agama dan penegasan perkara). Ini menunjukkan bahawa baseerah adalah pemahaman mendalam yang berakar di hati.

  3. Cahaya dan Kekuatan Hati untuk Melihat Kebenaran
    Sebahagian ulama menyebut baseerah sebagai “قوة في القلب تدرك بها المعقولات” (kekuatan di hati yang dengannya seseorang memahami hal-hal yang masuk akal). Ini seperti analogi mata yang melihat secara fisik, maka baseerah adalah “mata hati” yang melihat kebenaran.

  4. Tingkat Tertinggi daripada Ilmu
    Disebutkan juga bahawa baseerah adalah “أعلى درجات العلم التي تكون نسبة العلوم فيها إلى القلب كنسبة المرئي إلى البصر” (tingkatan tertinggi ilmu, di mana hubungan ilmu dengan hati seperti hubungan objek yang terlihat dengan mata).

  5. Pembeza antara Kebenaran dan Kebatilan
    Sheikh al-Tusi menafsirkan baseerah sebagai “المعرفة التي يميز بها بين الحق والباطل في الدين والدنيا” (pengetahuan yang membedakan antara kebenaran dan kebatilan dalam agama dan dunia).

Kesimpulannya, “بَصِيرَةٍ” dalam ayat ini bermaksud ilmu, keyakinan, dan hujjah yang jelas, serta kekuatan hati yang mampu membezakan kebenaran daripada kebatilan, sehingga seseorang berdakwah kepada Allah ‎ﷻ dengan pengetahuan dan pemahaman yang mendalam, bukan sekadar ikut-ikutan atau tanpa dasar.

Dan menarik apabila baginda disuruh menyebut بَصِيرَةٍ yang bermaksud ‘penglihatan’. Baginda tidak menyebut perkataan lain seperti ‘dalil’, ‘hujah’ dan lain-lain. Apabila digunakan kalimah penglihatan, seolah-olah baginda sudah melihat sendiri. Baseerah bukan sekadar dalil atau bukti, tetapi mencakup ilmu, keyakinan, pemahaman mendalam, dan hujjah yang jelas. Al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ menafsirkan “على بصيرة” sebagai “على يقين وحق” (di atas keyakinan dan kebenaran).

Ibn ‘Ashur رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutnya baseerah sebagai “الحجة الواضحة” (hujjah yang jelas). Sementara ‘dalil’ hanya bermakna bukti atau argumen, baseerah adalah ilmu yang meresap ke dalam hati dan menghasilkan keyakinan serta pemahaman yang mendalam. Menurut Ibn al-Kamal dan al-Raghib, baseerah adalah “قوة للقلب المنور بنور القدس ترى حقائق الأشياء وبواطنها بمثابة البصر للنفس” (kekuatan hati yang diterangi cahaya ilahi, yang melihat hakikat dan batin sesuatu seperti mata melihat yang lahir).

Ini menunjukkan bahawa baseerah adalah kemampuan hati untuk memahami kebenaran secara mendalam, bukan sekadar mengetahui dalil secara lahiriah. Said bin Wahf al-Qahthani رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut baseerah sebagai “أعلى درجات العلم التي تكون نسبة العلوم فيها إلى القلب كنسبة المرئي إلى البصر” (tingkatan tertinggi ilmu, di mana hubungan ilmu dengan hati seperti hubungan objek yang terlihat dengan mata). Ini menegaskan bahawa baseerah adalah ilmu yang benar-benar diyakini dan dirasakan, bukan sekadar diketahui secara teori.

 

Menyematkan Keyakinan dalam Diri

Maka ini mengajar kita kena percaya kepada agama ini dengan بَصيرَةٍ (pandangan mata hati) dengan penuh yakin dan keyakinan tidak akan datang melainkan dengan ilmu. Jadi kena belajar, luangkan masa untuk menelaah agama ini. Kita kena percaya dalam hati dengan bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama, kita nampak apa yang disebut dalam Al-Qur’an itu benar-benar terjadi. Apa yang disebut di dalam Al-Qur’an berlaku di hadapan mata kita, menguatkan lagi iman kita terhadap Al-Qur’an. Sebagai contoh, kita akan baca dalam Al-Qur’an ini hujah-hujah penolakan daripada manusia dan kita sendiri perhatikan itulah yang umat manusia cakap sekarang!

Dan manusia yang paling yakin dengan Allah ﷻ adalah Rasulullah ﷺ sendiri. Nabi Muhammad ﷺ sudah berjumpa dengan Allah ‎ﷻ, dan baginda pernah lihat malaikat. Jadi, apa yang disebut oleh baginda adalah benda yang benar, bukan khayalan. Maka kita kena belajar dalil-dalil yang Nabi ﷺ sampaikan, bukannya kata-kata tok guru semata. Guru apabila mengajar, kena beri dalil sekali. Bukannya dengar dia gebang, “tok guru saya ajar”, “ulama’ sudah lama bincang”, tetapi tidak disebut pun nama ulama’, “ada dalam kitab”, tetapi entah kitab mana kita pun tidak tahu. Jangan lagi senang percaya kata-kata orang walaupun mereka itu digelar ‘ustaz’, malah ‘ulama’ sekalipun melainkan mereka berikan sekali dengan dalil daripada Al-Qur’an atau Sunnah.

 

Baseerah dalam Dakwah

Sekarang kita disuruh untuk mengatakan yang kita ajak kepada Allah ‎ﷻ berdasarkan penglihatan yang jelas, bukan dengan mata tertutup. Apabila mereka minta dalil, kita berikan. Mereka minta bukti; kita beri. Ini kerana agama Islam ini bukan agama buta hati, hanya mengikut sahaja. Ia adalah agama yang  berdasarkan bukti.

Kalimat عَلىٰ بَصيرَةٍ juga bermaksud agama kita ini diajar dengan jelas. Kita tidak berselindung kerana tidak ada apa yang hendak dimalukan dengan agama Islam ini. Yang mengajar sorok-sorok adalah golongan sesat kerana mereka tahu apa yang mereka ajar itu tidak ada dalil dan mengarut. Ini kita boleh lihat pada ajaran sufi tarekat yang terpaksa merahsiakan apa yang mereka ajar kepada anak murid. Apabila mereka ajak anak murid mereka, mereka suruh rahsiakan, kerana mereka kata, “orang lain tidak faham”. Yang sebenarnya, kerana ajaran mereka itu mengarut! Begitu juga dengan Syiah yang sampai terpaksa melakukan taqiyah (menipu) kerana takut mereka akan dilawan kerana memang mereka ajar itu adalah ajaran yang salah.

Ayat “…aku menyeru kepada Allah ‎ﷻ di atas ‘baseerah'” ini sangat penting. Perkataan “عَلَىٰ بَصِيرَةٍ” (di atas wawasan atau bukti yang jelas) adalah antitesis (lawan) kepada konsep kepercayaan buta. Baseerah adalah bukti yang jelas, meyakinkan, dan muktamad; ia adalah keyakinan yang begitu kukuh sehingga seolah-olah kita dapat melihat kebenaran itu dengan mata kepala sendiri.

Secara tatabahasa, penggunaan kalimah عَلَىٰ (di atas) sangat penting. Ayat ini tidak menggunakan بِبَصِيرَةٍ (“dengan wawasan”), tetapi عَلَىٰ بَصِيرَةٍ (“DI ATAS wawasan”). Ini membawa perbezaan yang besar. Ia bermaksud baseerah bukan sekadar alat yang kita gunakan untuk berdakwah; ia adalah tapak, asas, dan landasan tempat kita berdiri. Seluruh keyakinan kita berpijak di atasnya. Ini sangat berbeza dengan sikap para penyembah berhala yang berkata, “Kami hanya mengikut apa yang kami dapati datuk nenek kami lakukan.” Sebaliknya, Islam meraikan teladan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berani menolak tradisi bapanya kerana baginda “membuka matanya” dan mencari kebenaran berasaskan bukti. Malah, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri, ketika diuji di sebalik pintu yang terkunci, diselamatkan kerana baginda telah melihat burhan (bukti) daripada Tuhannya — satu manifestasi baseerah dalam keadaan yang paling getir.

Wawasan ini sangat berkuasa kerana ia menunjukkan bahawa Islam mengalu-alukan persoalan, kajian, dan pencarian bukti sebagai jalan menuju keyakinan sejati. Ia bukan agama yang meminta pengikutnya menutup mata, tetapi yang meminta mereka untuk membukanya seluas-luasnya. Maka ini mengajar kita cara berdakwah kepada manusia mesti dengan baseerah. Apa maksudnya? Dakwah Bukan Sekadar “Syarahan”. Ia Adalah Seni Memahami Manusia.

Ramai yang menyangka dakwah itu sekadar menyampaikan ucapan yang telah dihafal. Namun, ayat ini memperkenalkan konsep Baseerah, iaitu celik mata hati atau pandangan yang mendalam. Ia bukanlah alat, tetapi intipati kebijaksanaan (hikmah) dan kemuncak seni retorik (balaghah). Ia adalah keupayaan untuk memahami realiti, keadaan, dan latar belakang seseorang, lalu menyampaikan kebenaran dengan cara yang paling berkesan. Baseerah adalah keupayaan untuk:

1. Menyesuaikan Mesej Mengikut Individu: Sebagai contoh, Rasulullah ﷺ pernah ditanya soalan yang sama oleh orang yang berbeza: “Apakah amalan terbaik?” Jawapan baginda berbeza-beza setiap kali, mengikut orang yang bertanya. Kepada seseorang itu, baginda mungkin menyarankan untuk berbakti kepada ibu bapa; kepada yang lain, mungkin jihad. Ini adalah baseerah dalam tindakan. Baginda melihat keadaan rohani dan keperluan unik setiap individu, lalu memberikan nasihat yang paling relevan untuk mereka.

2. Memahami Konteks Semasa: Kita kena gunakan bahasa yang mudah difahami oleh pendengar. Kalau dengan orang kampung, lain bahasa yang kita gunakan dengan pelajar universiti. Ini adalah satu bentuk baseerah moden, iaitu menggunakan kebijaksanaan untuk menjadikan mesej lebih mudah diakses tanpa menggadaikan prinsip. Dakwah yang berkesan bukanlah tentang “memuntahkan” apa yang kita tahu. Ia adalah tentang kebijaksanaan untuk melihat siapa di hadapan kita dan menyampaikan kebenaran dengan cara yang paling menyentuh hati mereka. Kalau kita tahu latarbelakang mereka, pengalaman mereka, pendidikan mereka dan apa yang mereka suka, maka kita boleh gunakan maklumat itu untuk memberi nasihat yang lebih tepat kepada mereka. 

 

Sauh Hidup

Dengan ada baseerah ini, hidup kita akan lebih tenang. Dalam Teori Hierarki Keperluan Maslow, Maslow menyebut tentang keperluan asas manusia. Selain keperluan fizikal yang paling utama, manusia memerlukan rasa aman. Antara rasa aman itu adalah seseorang yang memiliki tempat tinggal yang tetap. Kalau berpindah randah, seseorang itu rasa dia tidak ada tempat yang tetap.

Ini kita boleh lihat dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Secara fizikalnya, baginda sentiasa berada di tempat asing: dibuang ke dalam perigi, dijual sebagai hamba, tinggal di rumah Al-Aziz dan kemudian telah dipenjarakan. Baginda sentiasa jauh dari “rumah”. Namun, “rumah” dan sauhnya yang sebenar adalah baseerah—wawasannya yang jelas tentang Tuhannya. Hubungan inilah yang menjadi tempatnya berlindung. Baseerah inilah yang memberikan rasa selamat dan ketenangan (sakinah), tidak kira apa pun keadaan luaran yang melanda. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ra’d:28 

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Kita kena ingat yang kita ada Allah ‎ﷻ. Jadikanlah Allah ‎ﷻ sebagai sauh kita, tempat kita berharap, tempat kita mengadu. 1. Ya Allah!…. Ia adalah sauh (anchor) spiritual yang mengikat seseorang kepada asal-usulnya. Lebih mendalam lagi, ia mengembalikan kita ke “rumah” asal kita. Sebelum kita dilahirkan ke dunia ini, roh kita berada bersama Allah ‎ﷻ. Maka, dengan mengingati Allah ‎ﷻ dan berpijak atas baseerah, hati kita sebenarnya sedang “pulang ke rumah” — sumber ketenangan yang paling hakiki. Kalau di dunia, kita akan tenang di rumah kita, tempat asal kita, bukan? Jadi dari segi spiritual, kita dahulu duduk di mana, sebelum kita lahir ke dunia? Bukankah dengan Allah ‎ﷻ? Kerana itu, kita akan tenang kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ! Ini seperti disebut di dalam A’raf:172

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. 

Baseerah itu bukan untuk baginda sahaja tetapi kepada mereka yang mengikut baginda juga. Ini kerana agama kita ini bukannya ‘blind faith’ sahaja. Agama ini ada segala bukti. Namun malangnya ramai orang kita yang mengikut sahaja membuta tuli sepanjang masa. Mereka tidak memikirkan tentang dalil-dalil yang ada dan kerana itu iman mereka tidak mantap. Sedangkan Al-Qur’an inilah baseerah untuk kita. Setiap kali kita membacanya, ia menguatkan  iman kita.

 

Kuiz Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)
Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

1. Apakah perbezaan makna antara ungkapan “ini jalanku” dengan “itu jalanku” dalam konteks dakwah Rasulullah SAW?
2. Mengapakah teks menyatakan bahawa seruan dakwah Rasulullah SAW adalah “kepada Allah” dan bukannya kepada peribadi baginda?
3. Jelaskan kepentingan ketiadaan maf’ul bihi (objek yang diajak) dalam kalimah “aku mengajak” dalam ayat ini.
4. Bagaimanakah ayat ini menyanggah fahaman yang mengatakan terdapat banyak jalan untuk menuju kepada Allah?
5. Apakah perbezaan antara konsep keselamatan dalam Islam dengan fahaman Kristian mengikut huraian teks?
6. Mengapakah baseerah (mata hati) dianggap lebih utama daripada sekadar mengikut tradisi nenek moyang atau “Islam keturunan”?
7. Apakah yang dimaksudkan dengan dakwah bukan sekadar “syarahan” tetapi merupakan “seni memahami manusia”?
8. Bagaimanakah gangguan syaitan digambarkan dalam perjalanan di atas jalan yang lurus?
9. Jelaskan kaitan antara baseerah dengan ketenangan jiwa (sakinah) yang dialami oleh Nabi Yusuf AS semasa diuji.
10. Mengapakah seorang guru atau pendakwah dilarang mengajar secara bersembunyi atau tanpa dalil yang jelas?

 

Glosari Istilah Kunci

Amal Soleh: Perbuatan-perbuatan baik yang dilakukan mengikut syariat dan merupakan bukti praktikal kepada keimanan seseorang.

Baseerah (بَصِيرَةٍ): Secara literal bermaksud “penglihatan”, tetapi dalam konteks agama merujuk kepada mata hati, ilmu yang mendalam, keyakinan yang kukuh, dan hujah yang jelas yang membezakan antara hak dan batil.

Burhan (بُرهَان): Bukti atau tanda yang sangat jelas daripada Tuhan yang mampu memalingkan seseorang daripada kemungkaran, seperti yang diberikan kepada Nabi Yusuf AS.

Dalil: Bukti, hujah, atau argumen yang menjadi sandaran bagi sesuatu hukum atau kepercayaan dalam agama.

Ila Allah (إِلَى ٱللَّهِ): Bermaksud “kepada Allah”; menunjukkan bahawa destinasi dan matlamat akhir segala urusan, ibadah, dan dakwah adalah semata-mata untuk Allah SWT.

Maf’ul Bihi: Istilah tatabahasa Arab yang merujuk kepada objek atau sasaran yang dikenakan perbuatan; dalam ayat ini, ketiadaannya menunjukkan dakwah bersifat sejagat.

Sakinah: Ketenangan hati dan jiwa yang dianugerahkan Allah kepada orang-orang beriman, terutamanya semasa menghadapi ujian.

Sauh Spiritual (Anchor): Perumpamaan bagi hubungan yang kukuh dengan Allah yang mengikat seseorang kepada asal-usul rohnya, memberikan kestabilan dalam mengharungi cabaran hidup.

Taqiyah: Konsep dalam ajaran Syiah yang merujuk kepada tindakan menyembunyikan kepercayaan atau menipu untuk mengelakkan ancaman, yang dikritik dalam teks sebagai tanda ajaran yang tiada dalil.

Tauhid: Konsep mengesakan Allah (La ilaaha Illallah) sebagai teras utama dalam ajaran Islam dan matlamat dakwah para Nabi.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian seterusnya

Kemaskini: 4 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)