Tafsir Surah an-Nahl Ayat 94 – 96 (Jangan Rasuah)

Nahl Ayat 94: I’adah (pengulangan) tentang masalah janji.

وَلا تَتَّخِذوا أَيمٰنَكُم دَخَلًا بَينَكُم فَتَزِلَّ قَدَمٌ بَعدَ ثُبوتِها وَتَذوقُوا السّوءَ بِما صَدَدتُم عَن سَبيلِ اللهِ ۖ وَلَكُم عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not take your oaths as [means of] deceit between you, lest a foot slip after it was [once] firm, and you would taste evil [in this world] for what [people] you diverted from the way of Allāh,¹ and you would have [in the Hereafter] a great punishment.

  • Referring to those who would be dissuaded from Islām as a result of a Muslim’s deceit and treachery.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu, yang menyebabkan tergelincir kaki(mu) sesudah kukuh tegaknya, dan kamu rasakan kemelaratan (di dunia) kerana kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah; dan bagimu azab yang besar.

 

وَلا تَتَّخِذوا أَيمٰنَكُم دَخَلًا بَينَكُم

Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu,

Jangan jadikan sumpah kamu sebagai alat penipuan. Ada orang yang semasa bersumpah setia itu pun sudah ada niat yang lain, bukan? Mereka bukannya hendak bersama dengan kumpulan yang mereka melakukan sumpah setia itu. Akan tetapi mereka sudah ada rancangan untuk memungkiri sumpah itu. Mereka cuma melalui proses sumpah itu untuk menipu sahaja. Ini lebih teruk lagi daripada perbuatan memungkiri sumpah selepas itu kerana orang yang memungkiri sumpah itu mungkin berniat untuk kekal dalam sumpah setia itu. Namun begitu kalau sejak mula lagi dia tidak ikhlas, tentulah lebih teruk lagi.

 

فَتَزِلَّ قَدَمٌ بَعدَ ثُبوتِها

yang menyebabkan tergelincir kaki(mu) sesudah kukuh tegaknya, 

Kerana kalau buat juga, nanti akan tergelincir kaki kamu selepas kukuh. Sudah duduk di dalam jalan benar tetapi tergelincirlah pula kerana telah melakukan kesalahan yang amat-amat besar.

Ada yang mengatakan khitab seruan ini adalah kepada kaum Muslimin yang ketika itu masih berada di Mekah, yang telah mengikat sumpah dan bai’at akan setia membela Nabi di negeri Mekah, walaupun musuh mereka kaum Quraisy jumlahnya ketika itu kuat, sedangkan golongan Mukmin masih sedikit dan lemah. Allah ﷻ suruh mereka pegang teguh sumpah itu, walaupun kena sediakan harta dan jiwa untuk membelanya. Jangan sampai dijadikan tipu daya, dicarikan jalan keluar untuk terlepas daripada ikatan sumpah itu. Sedangkan mereka telah berpegang teguh dengan agama Islam.

Sedangkan kita sepatutnya mencari jalan untuk meneguhkan kaki kita di atas agama ini. Bagaimanakah caranya? Iaitu dengan membantu agama Allah ﷻ dengan menjalankan dakwah. Ini seperti disebut di dalam Muhammad: 7

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِنْ تَنْصُرُوا اللّٰهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ اَقْدَامَكُمْ
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.

Dengan ayat Muhammad: 7 ini Allah ﷻ memberi jaminan dan janji akan menetapkan hati orang Mukmin yang menjalankan kerja dakwah. Mereka akan diberikan keteguhan iman dan kekal di dalam agama Islam.

 

وَتَذوقُوا السّوءَ بِما صَدَدتُم عَن سَبيلِ اللهِ

dan kamu rasakan keburukan kerana kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah; 

Jikalau kamu buat juga, nanti kamu akan merasai azab kerana kamu halang orang daripada mengenal dan mengamalkan agama Allah ﷻ. Sudahlah kamu sesat, kamu sesatkan orang lain pula. Di dunia lagi kamu akan dikenakan dengan azab ini.

Dengan menyatakan taat setia kepada Rasulullah ﷺ, memilih pendirian yang suci dengan beriman kepada Allah ﷻ, tegak di dalam hidup telah kukuh di atas kebenaran. Namun apabila digoyahkan pendirian itu dan dicari tipu daya “jalan keluar” pastilah tergelincir kaki dari tempat tegak itu dan terjerembab masuk ke dalam bahaya kehancuran, dan sengsaralah yang akan dirasai kerana berpaling dari jalan Allah ﷻ.

Bagaimana pula mereka menghalang manusia daripada agama Islam? Kerana apabila mereka tidak memenuhi janji mereka untuk kekal di dalam agama Islam, orang luar akan nampak Islam itu lemah dan ada masalah. Maka mereka pun tidak teringin atau takut untuk masuk ke dalam agama Islam.

Begitulah kita ini sebenarnya diperhatikan oleh orang lain. Tindakan kita mungkin menyebabkan orang lain jauh daripada agama. Sebagai contoh lain di dalam kehidupan kita, katakanlah ibubapa tidak menjaga solat. Maka anak-anak mereka akan pandang solat itu tidak penting, malah tinggalkan solat terus. Maka itu juga termasuk sebagai menghalang manusia dari jalan Allah ﷻ.

 

وَلَكُم عَذابٌ عَظيمٌ

dan bagimu azab yang besar.

Tentunya kamu akan mendapat azab yang berat di akhirat kelak. Azab di akhirat itu lebih teruk kalau dibandingkan dengan azab dunia. Inilah pesan keras Allah ﷻ menyuruh kaum Muslimin itu setia memegang sumpahnya, mengikat diri dengan disiplin yang keras, bersaksi kepada Allah ﷻ, walaupun apa yang akan terjadi. Jangan sedikit pun ada rasa-rasa hendak mencari dalih melepaskan diri. Jangan sampai rasa segan musyrikin itu hilang kepada Muslimin kerana mudah memungkiri janji.

Ramai yang kagum dengan pendirian umat Islam ketika itu mereka sabar dengan penindasan ke atas mereka. Walaupun mereka itu masih lagi musyrik, tetapi mereka tidaklah marah atau menentang umat Islam. Mereka itu di atas pagar sahaja. Mereka lihat sahaja penindasan yang dilakukan terhadap umat Islam dan mereka memang ada kasihan tapi mereka tidaklah buat apa-apa. Kerana itulah apabila Nabi Muhammad ﷺ masuk ke Mekah pada tahun 9 Hijrah bersama dengan umat Islam dari Madinah, kebanyakan penduduk Mekah itu terus sahaja masuk Islam beramai-ramai kerana mereka memang tidak ada masalah sangat dengan agama Islam. Memang mereka telah ada belas kasihan kepada umat Islam semasa mereka ditindas di Mekah.


 

Nahl Ayat 95:

وَلا تَشتَروا بِعَهدِ اللهِ ثَمَنًا قَليلًا ۚ إِنَّما عِندَ اللهِ هُوَ خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not exchange the covenant of Allāh for a small price. Indeed, what is with Allāh is best for you, if only you could know.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu tukar perjanjianmu dengan Allah dengan harga yang sedikit (murah), sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah, itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

 

وَلا تَشتَروا بِعَهدِ اللهِ ثَمَنًا قَليلًا

Dan janganlah kamu tukar perjanjianmu dengan Allah dengan harga yang sedikit 

Jangan tukar perjanjian dengan Allah ﷻ dengan balasan harta dunia yang sedikit. Maknanya jangan jual agama untuk mendapat habuan dunia. Tidak kira berapa banyaknya harta yang ditawarkan dan diterima, ia masih sedikit kalau dibandingkan dengan azab di akhirat kelak, walaupun diberi satu dunia dan segala isinya.

Apakah perjanjian kaum Mukminin dengan Allah ﷻ? Ialah bahawa tidak akan menyembah sebarang tuhan pun selain Dia. Kena bebas jiwa daripada pengaruh apa sahaja dan siapa sahaja. Tidak mungkin dibeli orang dan tidak mahu menjual, walaupun dengan harga berapa, kerana semua harga selama di dalam dunia ini adalah sedikit. Jangan menukar Allah ﷻ dengan berhala. Janganlah mengganti Nabi Muhammad ﷺ dengan pemimpin lain. Jangan menukar keyakinan Islam dengan keyakinan lain. Walaupun untuk semuanya itu akan dibayar orang.

Yang gagal adalah mereka yang cintakan dunia. Inilah bahayanya kalau terlalu cintakan dunia. Kerana ramai yang sudah tahu kebenaran dan kepentingan agama, tetapi mereka kalah kerana keduniaan. Mereka tidak dapat hendak tinggalkan habuan dunia. Maka mereka sanggup menipu dalam hal agama. Mereka sanggup bertukar pihak kerana melihat kepada kepentingan dunia. Kadangkala memang orang kafir itu lebih kaya dan lebih berkuasa. Allah ﷻ telah beri peringatan jangan terpedaya dengan kelebihan dunia mereka. Lihat Ali Imran: 196-197

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي ٱلْبِلَٰدِ
Jangan sekali-kali engkau terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

مَتَاعٌ قَلِيْلٌ ۗ ثُمَّ مَأْوٰىهُمْ جَهَنَّمُ ۗوَبِئْسَ الْمِهَادُ
Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat kembali mereka ialah neraka Jahanam. (Jahanam) itu seburuk-buruk tempat tinggal.

Ramai yang gagal dengan ujian ini. Ramai yang memandang kepada keduniaan. Mereka sanggup melanggar tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka. Contohnya pegawai kerajaan. Mereka itu telah disediakan dengan gaji untuk buat sesuatu, tetapi ada antara mereka yang jahat dan melengahkan tugas mereka. Contohnya kerja mereka untuk meluluskan sesuatu tetapi mereka buat lambat-lambat supaya yang minta kelulusan itu bagi ‘duit kopi’ atau apa-apalah namanya (sebenarnya ia ada rasuah), barulah dia jalankan kerja dia. Kalau tidak, ditahankan borang kita sampailah kita bagi duit kopi. Ini amat menyusahkan orang, dan sebenarnya mereka telah mengambil rasuah. Mungkin mereka sangka jumlah yang mereka minta itu kecil sahaja, tetapi kecil atau besar ia tetap rasuah.

Mereka juga tidak sedar yang jikalau mereka telah diamanahkan dengan sesuatu seperti kerja, maka mereka ada tanggungjawab dengan Allah ﷻ. Mereka wajib untuk melaksanakan tanggungjawab itu. Maka kerja mereka itu bukan hanya melibatkan hubungan dengan sesama manusia sahaja, akan tetapi ada kaitan dengan Allah ﷻ juga. Allah ﷻ sedang memerhatikan kelakuan mereka dan menilai adakah mereka memenuhi tanggungjawab dan amanah itu atau tidak.

 

 

إِنَّما عِندَ اللهِ هُوَ خَيرٌ لَّكُم

sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah, itulah yang lebih baik bagimu

Janganlah terikat dengan dunia kerana apa sahaja yang kamu boleh dapat dari dunia itu, tidak dapat hendak dibandingkan langsung dengan apa yang ada dengan Allah ﷻ. Apa yang Allah ﷻ boleh beri kepada kita itu tentu sahaja lebih baik untuk kita berbanding dengan dunia. Kalau kita tahan diri kita daripada mengambil imbuhan yang haram, maka Allah ﷻ akan beri berlipat kali ganda lagi di akhirat.

Kenapa dikejar barangan dunia yang tidak ada nilainya ini? Perumpamaannya adalah, kalau kita pergi ke kedai telefon bimbit, kedai itu ada sample telefon bimbit yang plastik sebagai model kepada telefon yang sebenar, bukan? Maka ketahuilah yang segala keindahan dunia ini adalah sample plastik itu, dan telefon bimbit yang sebenar itu adalah dunia. Maka takkan kita hendak pakai telefon bimbit sample plastik itu dan tinggalkan telefon bimbit sebenar?

Begitulah arak di akhirat lebih sedap daripada arak di dunia; susu akhirat lebih sedap daripada susu dunia; sutera akhirat lebih hebat daripada sutera dunia; makanan di syurga lebih sedap daripada makanan di dunia tidak kira sedap macam mana pun. Maknanya, apa yang ada di dunia ini hanyalah ciplak bagi apa yang ada yang di syurga nanti. Kalau lelaki tahan dirinya daripada memakai sutera dunia, maka dia akan dapat memakai pakaian sutera di syurga; kalau dia tahan daripada meminum arak di dunia, maka dia akan dapat meminum arak di syurga.

Maka jangan kita terpesona dan terkejar-kejar sangat keduniaan. Itu semua adalah dugaan sahaja. Kalau kita dapat tahan diri kita, maka balasannya adalah nikmat yang lebih hebat di akhirat kelak. Sebagai contoh lagi, kalau kita dapat tahan diri kita daripada melakukan zina di dunia, maka kita akan diberikan bidadari di syurga kelak yang tentunya lebih hebat daripada wanita dunia.

 

إِن كُنتُم تَعلَمونَ

jika kamu mengetahui.

Jika kita dapat mengetahui perkara ini dengan yakin, tentulah dunia ini senang sahaja untuk kita tinggalkan kalau ia ada konflik dengan agama. Bukanlah kita hendak tinggalkan dunia terus, tetapi harus lebihkan akhirat. Lebih-lebih lagi kalau ada pertentangan antara keduanya. Kita harus pilih akhirat setiap masa.

Kalau kita percaya dengan balasan di akhirat, maka senang sahaja kita tinggalkan dosa di dunia ini. Kalau ada wanita goda kita ajak berzina pun, kita dapat tahan kerana kita tahu yang balasan menahan zina itu akan dibalas dengan bidadari syurga yang jauh lebih hebat.

Akan tetapi kebanyakan manusia tidak tahu dan tidak yakin dengan akhirat. Kerana ia amat jauh, tidak nampak di mata, sedangkan dunia ini sedang terbentang di hadapannya. Kerana itu ramai yang gagal. Mereka tidak faham tentang konsep “delayed gratification”, atau dalam istilah bahasa Melayunya “kepuasan yang dilengahkan”. Sikap ini adalah sikap positif, di mana seseorang itu mengorbankan keseronokan hari ini untuk kepuasan pada masa akan datang. Konsep ini sebenarnya sudah ada dalam ajaran Islam itu sendiri, seorang Muslim menangguhkan kepuasan kehidupan di dunia dan sabar dengan dugaan untuk menerima ganjaran yang hebat ketika di akhirat kelak.

 

Eksperimen Marshmallow

Eksperimen ini dijalankan oleh seorang profesor di Universiti Stanford bernama Wilter Mischel. Ujian ini dikendalikan kepada kanak-kanak berumur 4-5 tahun. Tujuan eksperimen ini dijalankan adalah untuk melihat sikap kanak-kanak ketika kecil dan peranannya ketika usia besar dari segi kesihatan, kewangan dan kejayaan.

Setiap kanak-kanak diberikan seketul marshmallow dan diberikan syarat penting. Penyelidik memberitahu yang beliau akan meninggalkan mereka sebentar dan akan kembali semula ke bilik ujian tersebut. Jika kanak-kanak tidak makan marshmallow yang diberikan, kanak-kanak terbabit akan diberikan seketul lagi marshmallow. Jika makan, tiada marshmallow kedua diberikan.

Penyelidik meninggalkan bilik tersebut selama 15 minit. Ada kanak-kanak melompat riang dan memakan terus marshmallow. Hanya ada beberapa kanak-kanak menunggu sepanjang tempoh tersebut.

Penyelidik mengikut perkembangan kanak-kanak tersebut selama 40 tahun. Beliau mendapati kanak-kanak yang sabar untuk menunggu marshmallow kedua mempunyai kecenderungan untuk cemerlang dalam bidang diceburi. Eksperimen ini menunjukkan bahawa sikap mengawal kehendak untuk tujuan lebih besar membantu dalam kehidupan. Untuk berjaya dalam pengurusan kewangan pada masa akan datang memerlukan disiplin pada hari ini.


 

Nahl Ayat 96:

ما عِندَكُم يَنفَدُ ۖ وَما عِندَ اللهِ باقٍ ۗ وَلَنَجزِيَنَّ الَّذينَ صَبَروا أَجرَهُم بِأَحسَنِ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whatever you have will end, but what Allāh has is lasting. And We will surely give those who were patient their reward according to the best of what they used to do.

(MELAYU)

Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

 

ما عِندَكُم يَنفَدُ

Apa yang di sisimu akan lenyap,

Ramai dalam kalangan kita yang sayang sangat dengan dunia. Harta yang kita ada itu sayang sekali kita hendak tinggalkan. Akan tetapi Allah ﷻ hendak beritahu kita perkara sebenar: Apa yang ada pada diri kita ini, tidak kira berapa banyak sekali pun, akhirnya akan lenyap juga. Sama ada kita yang mati dahulu atau benda itu yang rosak dahulu.

Yang menariknya Allah ﷻ gunakan kalimah يَنفَدُ dalam ayat ini dalam bentuk mudhari’ (present tense) kerana ia tidak kekal. Ia daripada katadasar ن ف د yang bermaksud lenyap; gagal; berhenti; melepas; habis; telah dimakan; telah dibelanjakan. Kalau tidak sedar tentang perkara inilah yang menyebabkan orang pegang sungguh-sungguh dunia ini. Mereka susah mahu tinggalkan kerana harta dunia ini telah ada depan mata, tetapi harta akhirat yang dijanjikan itu, walaupun banyak mana pun, ia tidak ada depan mata lagi. Itu yang susah mahu bayangkan kalau kita tidak yakin.

Selalunya kita pandang ما عِندَكُم sebagai harta. Akan tetapi kalimah ما itu di dalam bentuk umum dan ia boleh jadi apa-apa sahaja. Maka ia boleh juga termasuk perasaan seperti gembira dan sediah, sakit dan selesa, sakit dan sihat, dapat kawan dan hilang kawan, dan apa sahaja kerana ini pun dikejar manusia juga, bukan?

 

وَما عِندَ اللهِ باقٍ

dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal.

Kalau apa yang ada di dunia tidak kekal (sama ada ia rosak dahulu atau kita mati dahulu), sebaliknya apa yang ada dengan Allah ﷻ itu akan kekal sampai bila-bila. Kalau kalimah يَنفَدُ dalam ayat sebelum ini dalam fi’il mudhari, kalimah باقٍ dalam ayat ini pula dalam bentuk isim kerana hendak menunjukkan ia kekal.

Maka kalau kita kena pilih antara yang kekal atau yang akan rosak, mana kita mahu pilih? Tentulah jawapannya adalah yang kekal, bukan? Kita tentu tidak suka benda yang sekejap-sekejap sahaja. Malangnya kebanyakan manusia memang hanya mementingkan keduniaan sahaja seperti teguran Allah ﷻ di dalam A’la: 16-17

بَل تُؤثِرونَ الحَياةَ الدُّنيا
Tetapi kamu memilih kehidupan duniawi.

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

Malang sekali kalau kita melebihkan dunia dan mengejar dunia kerana dunia ini tidak ada apa kalau dibandingkan dengan akhirat. Kita mungkin nampak dunia ini hebat, akan tetapi segala dunia dan seisinya ini hanyalah air yang melekat pada jari yang dicelup ke dalam laut sahaja. Ini seperti gambaran yang diberikan oleh Rasulullah ﷺ,

حَدَّثَنَا قَيْسٌ قَالَ سَمِعْتُ مُسْتَوْرِدًا أَخَا بَنِي فِهْرٍ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاللَّهِ مَا الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا مِثْلُ مَا يَجْعَلُ أَحَدُكُمْ إِصْبَعَهُ هَذِهِ وَأَشَارَ يَحْيَى بِالسَّبَّابَةِ فِي الْيَمِّ فَلْيَنْظُرْ بِمَ تَرْجِعُ
[Qais] berkata: Aku mendengar [Mustaurid] salah seorang daripada bani Fihr berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi Allah, tidaklah dunia di akhirat kecuali seperti sesuatu yang dijadikan oleh jari salah seorang daripada kalian -Yahya (perawi) berisyarat dengan jari telunjuk di laut- maka perhatikanlah apa yang dibawa.”
(Sahih Muslim (5101))

Dunia ini akan hancur, yang kekal adalah pahala yang akan menunggu kita. Kita bukanlah menolak dunia langsung, tetapi ia boleh menjadi saham buat kita di akhirat kelak. Sebagai contoh kalau kita dapat sesuatu dan kita bersyukur dan menyebut ‘alhamdulillah’, kalimah itu yang akan menjadi pahala buat kita dan ia akan disimpan di sisi Allah ﷻ. Lihat hadith berikut,

ما أنْعَمَ اللهُ عَلَى عَبْدٍ بنعْمةٍ فَقالَ الحَمْدُ لِلَّهِ إلاَّ كانَ ما أعْطَى أفْضَلَ مِمَّا أخَذَ
Tidaklah Allah menganugerahkan kenikmatan apapun pada seorang hamba lalu dia mengucapkan ALHAMDULILLAH, kecuali apa yang yang Dia berikan (kepadanya berupa membaca alhamdulillah) lebih utama daripada (nikmat) apa yang dia terima.
(H.R Ibnu Majah)
Disahihkan oleh Syaikh al Albani

 

وَلَنَجزِيَنَّ الَّذينَ صَبَروا أَجرَهُم بِأَحسَنِ ما كانوا يَعمَلونَ

Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

Allah ﷻ pasti akan balas perbuatan baik dengan kebaikan. Atas janji inilah yang menyebabkan Rasulullah ﷺ dapat bertahan menyebarkan agama Islam walaupun diserang, ditentang dan diherdik. Baginda percaya janji Allah ﷻ antaranya di dalam Dhuha: 4-5

وَلَلأَخِرَةُ خَيرٌ لَّكَ مِنَ ٱلأُولَىٰ
Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

Siapakah yang akan mendapat balasan baik itu? Itulah mereka yang sabar. Sabar dalam melakukan amal ibadat dan amal kebaikan. Oleh kerana itulah ‘sabar’ itu juga boleh bermaksud ‘istiqamah’. Iaitu tetap melakukan perkara kebaikan itu secara berterusan.

Ternyata ini adalah susah kerana kita selalunya boleh mulakan melakukan ibadat, tetapi masalahnya untuk kekal terus melakukan perkara yang sama setiap hari. Memang mahu menjadi sabar dalam taat ini adalah amat susah. Maka kena pupuk sifat ini. Akan tetapi kena faham dahulu apakah ‘sabar’ ini.

Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan benda yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: sabar ya, sabar ya…. Namun tahukah anda maksud sebenar ‘sabar’ dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

      1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.
      2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.
      3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:

      1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.
      2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.
      3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Mereka ini adalah orang yang ‘sabar dalam taat’. Maksudnya mereka mengerjakan segala suruhan Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya dengan sabar. Kalimah صَبَرُ ini perlu dilihat daripada makna bahasa Arabnya kerana kalau menggunakan bahasa kita, mungkin kita tidak berapa faham. Dari segi syariat, صَبَرُ bermaksud terus melakukan perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan Allah ﷻ walau apa pun terjadi. Mungkin ada yang mereka rasa susah untuk lakukan, tetapi mereka tetap sabar melakukannya kerana mereka mahu tetap taat kepada Allah ﷻ.

Ini memerlukan kesabaran kerana syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk meninggalkan taat. Antaranya syaitan akan beri kita rasa bosan untuk melakukan ibadat. Akan tetapi orang yang beriman akan tetap sabar untuk melakukannya.

Soalan: bilakah perlu sabar? Ia hendaklah bermula sejak pertama kali ia berlaku. Kita selalunya melenting apabila sesuatu yang kita tidak suka terjadi, bukan? Namun dua tiga hari selepas itu barulah datang sabar. Ini tidak dikira sabar kerana itu adalah perkara normal bagi manusia (lama kelamaan apabila sudah terima hakikat, memang semua orang akan jadi sabar). Akan tetapi itu tidak dikira sebenarnya kerana Rasulullah ﷺ beritahu kita yang sabar itu dari mula-mula lagi,

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصَّبْرُ فِي الصَّدْمَةِ الْأُولَى
Daripada [Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kesabaran itu ada pada saat pertama kali tertimpa (musibah) “.
(Sahih Bukhari (908))

Oleh itu sekiranya baru bersabar setelah lama masa berlalu, itu bukannya kerana Allah ﷻ lagi, tetapi kebiasaan manusia. Ia tidaklah mencabar sangat kalau sabar setelah lama ujian itu berlalu maka ia bukanlah sesuatu hebat sangat. Mukmin yang sebenar akan terus sabar dari mula lagi kerana mereka hendak mencari redha Allah ﷻ. Mereka tahu yang Allah ﷻ suka kalau hamba-Nya sabar dengan melakukan taat dan sabar dalam menghadapi ujian daripada-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Qalam: 48 tentang contoh orang yang tidak sabar,

فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تَكُن كَصاحِبِ الحوتِ إِذ نادىٰ وَهُوَ مَكظومٌ
Maka bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa sedang dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).

Yang dimaksudkan adalah Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sabar dengan penolakan kaumnya. Maka ia menjadi contoh bagi kita untuk bersabar kerana Allah ﷻ. Kerana sabar itu kalau bukan kerana Allah ﷻ, ia tidaklah mendapat pahala. Semua orang boleh sabar sebenarnya. Namun sabar yang dituntut adalah kerana mencari redha Allah ﷻ.

Ramai orang boleh bersabar tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Sebagai contoh, seorang pencuri penyabar juga orangnya. Dia akan tunggu sehingga tuan rumah tidur, kemudian sabar untuk membuka pintu rumah orang itu. Kemudian sabar memilih benda-benda yang dia boleh ambil. Atau, bila masuk rumah tengok tidak ada apa yang boleh diambil, dia pun sabar juga dan berlalu pergi rumah orang lain pula. Ini bukanlah sabar terpuji, bukannya kerana mencari redha Allah ﷻ, bukan?

Allah ﷻ janjikan ganjaran yang amat besar bagi orang yang boleh bersabar. Allah ﷻ berfirman di dalam Insan: 12. Bayangkan kunci syurga adalah sabar!

وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا جَنَّةً وَحَريرًا
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera,

Apabila digunakan kalimah بِأَحسَنِ, ia bermaksud Allah ﷻ akan balas mengikut markah yang paling tinggi dalam amalan kita. Ini adalah kerana amalan kita ada yang baik dan ada yang tidak berapa baik. Apabila Allah ﷻ balas nanti, Allah ﷻ akan beri ikut markah yang paling tinggi sekali.

Ia juga boleh bermaksud: Allah ﷻ balas lebih lagi daripada apa yang kita lakukan. Kita beramal bukannya banyak pun, dan bukan sangat lama. Namun apabila Allah ﷻ balas, ia tentulah berlebihan daripada apa yang kita telah amal. Dengan umur kita tidak seberapa, tetapi apabila dapat balasan itu, akan diberikan selama-lamanya kepada kita. Tidak baik lagikah jikalau begitu?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 91 – 93 (Kesalahan memungkiri janji)

Nahl Ayat 91: Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang janji. Kita akan ada masalah besar kalau membatalkan janji.

وَأَوفوا بِعَهدِ اللهِ إِذا عٰهَدتُم وَلا تَنقُضُوا الأَيمٰنَ بَعدَ تَوكيدِها وَقَد جَعَلتُمُ اللهَ عَلَيكُم كَفيلًا ۚ إِنَّ اللهَ يَعلَمُ ما تَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And fulfill the covenant of Allāh when you have taken it, [O believers], and do not break oaths after their confirmation while you have made Allāh, over you, a security [i.e., witness]. Indeed, Allāh knows what you do.

(MELAYU)

Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah(mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpahmu itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.

 

وَأَوفوا بِعَهدِ اللهِ إِذا عٰهَدتُم

Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji

Kalimah عَهدٌ merujuk kepada apa sahaja transaksi, janji atau amanah yang telah diterima dan dipersetujui secara bertulis atau mulut, sama ada ditambah dengan sumpah atau tidak, mungkin untuk melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu. Ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini yang menyuruh melakukan keadilan dan Ihsan. Termasuk di dalam keadilan dan Ihsan adalah dengan memenuhi janji. Apabila Allah ﷻ suruh kita memenuhi janji, maka kalau melanggarinya adalah berdosa besar.

Kepada siapakah khitab (ditujukan) ayat ini? Ada yang berkata bahawa ia ditujukan kepada semua manusia. Kalau begitu, ia adalah arahan kepada kita semua untuk penuhi janji. Iaitu janji yang pernah kita buat sebelum kita dilahirkan. Kerana janji yang disebut adalah بِعَهدِ اللهِ (perjanjian dengan Allah ﷻ). Kerana semua manusia telah mengenal Allah ﷻ dan ini adalah fitrah manusia. Ini disebut dalam A’raf: 172

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”.

Sebelum kita dilahirkan kita telah berjanji kepada Allah ﷻ berkenaan tauhid. Kita sudah mengenal Allah ﷻ dan telah berjanji yang akan taat kepada-Nya. Setelah kita dilahirkan, kita pun banyak kali berjanji dengan Allah ﷻ. Bila masa kita berjanji? Bukankah kita bersumpah di dalam Syahadah kita (untuk ikut Allah ﷻ dan ikut ajaran Rasulullah ﷺ). Antaranya di dalam Doa Iftitah di dalam solat kita bukankah mengandungi janji,

إِنَّ صَلَاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam

Maka apakah kita menjalankan janji kita ini? Baiklah kalau tidak baca Doa Iftitah pun, tentu setiap hari kita akan baca Surah Fatihah, bukan? Di dalam Surah Fatihah itu ada ayat Fatihah: 4

إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ
Hanya kepada Engkau Kami menghambakan diri dan Hanya kepada Engkau kami berdoa

Soalannya, adakah benar kita hanya sembah Allah ﷻ sahaja dan berdoa kepada Allah ﷻ sahaja? Ini ada perbincangan yang panjang di dalam ayat berkenaan. Belum tentu kita telah memenuhi janji di dalam ayat ini yang kita baca setiap hari.

Ada juga pendapat yang mengatakan ayat ini ditujukan khusus kepada Ahli Kitab. Ini adalah kerana ayat-ayat selepas ini berkenaan mereka, maka itu telah ada isyarat yang ia ditujukan kepada mereka. Ini adalah janji mereka untuk beriman dengan Nabi akhir zaman. Mereka telah kenal sifat Nabi akhir zaman itu dan apabila Nabi Muhammad ﷺ naik menjadi Rasul, mereka telah kenal yang itu adalah Nabi akhir zaman. Allahu a’lam.

Secara umumnya, ayat ini mengingatkan kita supaya menepati janji kita. Walaupun janji itu dengan manusia, Muslim atau tidak. Kerana janji itu amat penting untuk dijaga dan dipenuhi. Jangan berjanji dan selepas itu tidak ditepati. Terutama kalau janji itu dengan Allah ﷻ. Memang berdosa kalau tidak menepatinya.

 

وَلا تَنقُضُوا الأَيمٰنَ بَعدَ تَوكيدِها

dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah(mu) itu, sesudah meneguhkannya,

Allah ﷻ melarang untuk batal atau memusnahkan sumpah setelah ditetapkan. Inilah sifat Mukmin seperti disebut di dalam Mukminoon: 8

وَالَّذينَ هُم لِأَمٰنٰتِهِم وَعَهدِهِم راعونَ
Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.

Sebenarnya setelah Allah ﷻ sebut kena penuhi janji, itu bermakna larangan membatalkan janji dan amanah. Tidak perlu sebut pun tidak mengapa. Akan tetapi apabila Allah ﷻ sebut juga, maka ia bermakna ada penegasan di sini. Jangan sekali-kali memutuskan janji dan amanah.

Jangankan putus dengan sesama Muslim, kalau perjanjian itu dengan orang kafir pun kena dipenuhi. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ pun ada membuat perjanjian dengan Golongan Yahudi untuk sama-sama mempertahankan Madinah. Akan tetapi golongan Yahudi yang memutuskannya maka kerana itu mereka diperangi dan dihalau dari Madinah. Begitu juga baginda pernah mengadakan Perjanjian Hudaybiyyah dengan Musyrikin Mekah. Baginda memenuhi perjanjian itu walaupun ada umat Islam tidak suka, sehinggalah Musyrikin Mekah yang melanggarnya.

Jikalau berpegang pendapat bahawa ayat ini tentang Ahli Kitab, maka ini adalah teguran berkenaan pembatalan janji Ahli Kitab selepas mereka tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul. Mereka telah berjanji akan ikut dan taat kepada Nabi Akhir Zaman akan tetapi apabila Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat, mereka tolak pula.

Atau dalam bentuk umum, kalau sudah bersumpah, harus penuhi sumpah itu. Allah ﷻ sebut dalam firman-Nya:

وَلا تَجْعَلُوا اللَّهَ عُرْضَةً لأيْمَانِكُمْ أَنْ تَبَرُّوا وَتَتَّقُوا
Janganlah kalian jadikan (nama) Allah dalam sumpah kalian sebagai penghalang.
(Al-Baqarah: 224)

 

وَقَد جَعَلتُمُ اللهَ عَلَيكُم كَفيلًا

sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu

Amat buruk sekali kalau memungkiri janji dan membatalkan sumpah mereka, sedangkan dahulu mereka telah menjadikan Allah ﷻ sebagai saksi atas sumpah dan janji itu. Kalimah كَفيلًا daripada katadasar ك ف ل yang bermaksud menjaga; menyuburkan; membawa kepada yang lain; menjadi penjaga; bertanggungjawab kepada sesuatu; mengamanahkan; sebahagian; tanggungjawab. Di dalam ayat ini bermaksud menjadikan Allah ﷻ sebagai saksi penjamin.

Sebelum ini telah disebut janji tanpa sumpah, dan ia kena dipenuhi. Sekiranya janji itu disertai dengan menyebut nama Allah ﷻ, maka ia telah menjadi sumpah. Kalau sudah bersumpah tentulah lagi kuat kena disempurnakan. Ini kerana orang yang bersumpah itu telah menyerahkan urusan itu kepada Allah ﷻ.

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, ada pendapat yang mengatakan ayat ini tentang Ahli Kitab. Dahulu semasa golongan Ahli Kitab itu berlawan dengan golongan Arab dalam perang, mereka kata mereka bersaksi dengan Allah ﷻ yang musuh mereka itu akan dikalahkan.

Mereka waktu berlawan dengan orang musyrikin maka mereka rasa mereka berada di pihak yang benar dan Allah ﷻ tentu akan bantu mereka. Mereka kata: ‘Demi Allah’ dalam sumpah mereka. Allah ﷻ hendak ingatkan mereka semula kerana apabila menyebut nama Allah ﷻ di dalam sumpah, ia bukan main-main. Tidak boleh ambil ringan sumpah yang sebegitu.

Kalau bersumpah dengan nama Allah ﷻ, itu harus ditepati dan kalau terpaksa melanggar sumpah itu kerana sebab tertentu, maka harus bayar kifarah. Ini boleh dirujuk di dalam ayat yang lain:

ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ
Yang demikian itu adalah kifarat sumpah-sumpah kalian bila kalian bersumpah (dan kalian langgar). Dan jagalah sumpah kalian.
(Al-Maidah: 89)

Tidaklah ada pertentangan akan hal ini dengan sabda Nabi ﷺ yang disebutkan di dalam kitab hadith, iaitu:

وَاللَّهِ إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَا أَحْلِفُ عَلَى يَمِينٍ فَأَرَى غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَتَيْتُ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ وَتَحَلَّلْتُهَا
“Demi Allah, insya Allah tidaklah aku bersumpah dengan suatu sumpah, kemudian kulihat ada sesuatu yang lebih baik daripadanya, selain kulakukan yang lebih baik, dan kubayar kaffarat sumpahku.”
(Sahih Bukhari (6186))

 

إِنَّ اللهَ يَعلَمُ ما تَفعَلونَ

Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.

Ini adalah ayat ancaman. Kalau mungkir janji dengan manusia, manusia itu mungkin tidak boleh buat apa-apa. Akan tetapi kalau mungkir janji dengan Allah ﷻ, akan ada masalah kita nanti.

Maka jangan buat sewenang-wenangnya dalam kehidupan ini kerana Allah ﷻ tahu apa yang kita buat. Jangan berasa yang kita boleh lari daripada Allah ﷻ. Jangan lupa yang Allah ﷻ mengetahui segala apa yang kita lakukan. Allah ﷻ tahu zahir dan batin. Apa yang kita sebutkan dan apa yang kita simpan di dalam hati pun Allah ﷻ tahu.

Kita akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan kita. Jikalau kita sudah berjanji pasti Allah ﷻ mengetahui; kalau kita memungkiri janji juga Allah ﷻ mengetahuinya.


 

Nahl Ayat 92: Allah ﷻ memberi perumpamaan yang membatalkan sumpahan atau janji adalah seperti seorang perempuan gila.

وَلا تَكونوا كَالَّتي نَقَضَت غَزلَها مِن بَعدِ قُوَّةٍ أَنكٰثًا تَتَّخِذونَ أَيمٰنَكُم دَخَلًا بَينَكُم أَن تَكونَ أُمَّةٌ هِيَ أَربىٰ مِن أُمَّةٍ ۚ إِنَّما يَبلوكُمُ اللهُ بِهِ ۚ وَلَيُبَيِّنَنَّ لَكُم يَومَ القِيٰمَةِ ما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not be like she who untwisted her spun thread after it was strong [by] taking your oaths as [means of] deceit between you because one community is more plentiful [in number or wealth] than another community.¹ Allāh only tries you thereby. And He will surely make clear to you on the Day of Resurrection that over which you used to differ.

  • i.e., do not swear falsely or break a treaty or contract merely for a worldly advantage.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali, kamu menjadikan sumpah (perjanjian)mu sebagai alat penipu di antaramu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain. Sesungguhnya Allah hanya menguji kamu dengan hal itu. Dan sesungguhnya di hari kiamat akan dijelaskan-Nya kepadamu apa yang dahulu kamu perselisihkan itu.

 

وَلا تَكونوا كَالَّتي نَقَضَت غَزلَها مِن بَعدِ قُوَّةٍ أَنكٰثًا

Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali, 

Allah ﷻ buat satu perbandingan. Jangan jadi seperti seorang perempuan yang menguraikan pintalan benang, selepas pintalan itu sudah menjadi kuat dan tersusun. Kalimah غَزلَ adalah kaitan tenunan seperti benang. Kalimah أَنكٰثًا dari katadasar ن ك ث yang bermaksud memungkiri (janji); melanggar (perjanjian); buka lilitan (tali atau benang); membongkar; pecah menjadi benang. Bayangkan lama masa yang diambil oleh seorang perempuan yang memintal-mintal benang, tetapi tiba-tiba suatu hari dia buka pintalan itu satu persatu. Ataupun dia uraikan benang itu hingga kusut semula. Ini adalah perumpamaan orang yang tidak menepati janji.

Ada riwayat yang menyatakan memang pernah ada orang perempuan gila yang melakukan. Abdullah ibnu Kasir dan As-Saddi mengatakan bahawa wanita itu adalah seorang wanita yang kurang akalnya, dia tinggal di Mekah pada masa silam. Apabila telah susah payah memintal sesuatu, dia menguraikannya kembali sesudah kuat pintalannya. Allah ﷻ jadikan kisah yang orang Arab tahu ini sebagai perumpamaan. Maknanya Allah ﷻ hendak ingatkan mereka jangan jadi bodoh dan gila seperti perempuan itu. Sesudah berjanji dan kemudian memutuskannya adalah kerja gila juga.

Ada pendapat yang mengatakan ayat ini ditujukan kepada Ahli Kitab. Maka apa yang hendak disampaikan kepada mereka adalah begini: kamu sudah ada Kitab Taurat dan kamu sudah belajar dan tahu agama, kamu sudah boleh kaitkan satu ayat dengan ayat yang lain, maka kamu sudah tahu yang Muhammad ﷺ itu adalah benar seorang Rasul, bukan? Namun kenapa kamu pusing cerita supaya orang lain tidak tahu yang baginda itu adalah Rasul?

Dulu kamu juga yang beriya-iya menceritakan tentang kedatangan Rasul akhir zaman dan kamu sudah pun beritahu kepada orang Arab tentang sifat-sifat Rasul itu. Akan tetapi sekarang kamu mahu tarik balik kata-kata kamu itu? Kamu ingin katakan yang Muhammad ﷺ yang sudah diangkat ini bukan Rasul yang kamu maksudkan dulu? Memang tidak patut begitu. Memang kerja gila apa yang kamu buat ini, sama seperti wanita gila pada satu masa dahulu.

 

تَتَّخِذونَ أَيمٰنَكُم دَخَلًا بَينَكُم

kamu menjadikan sumpah-sumpah (perjanjian)mu sebagai alat penipu di antaramu,

Kenapa kamu jadikan sumpah antara kamu sebagai penghalang kepada kebenaran? Kenapa kamu jadikan sumpah kamu itu sebagai penipuan? Mungkin kamu bersumpah hanya untuk melepaskan diri dari sesuatu masalah.

Kalimah دَخَلًا daripada katadasar د خ ل yang juga bermaksud masuk; menyertai sesuatu organisasi; melawat; menceroboh; campur tangan; melakukan persetubuhan; tipu daya; menembusi; menipu; rosak; curang; palsu. Mungkin ramai yang tahu katadasar ini digunakan untuk ‘masuk’, akan tetapi ia ada banyak makna yang terbit daripadanya. Maka di dalam ayat ini digunakan sebagai ‘penipuan’. Mereka menjadikan sumpah mereka itu sebagai cara penipuan untuk buat kerosakan dalam kalangan mereka. Atau mereka jadikan sumpah itu sebagai alasan untuk tipu dalam perjanjian.

 

أَن تَكونَ أُمَّةٌ هِيَ أَربىٰ مِن أُمَّةٍ

disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak manfaatnya dari golongan yang lain.

Adakah kerana satu umat lagi kuat dan terkehadapan daripada umat yang lain? أَربىٰ daripada katadasar ر ب و yang bermaksud ‘bertambah’. Kerana itu ia digunakan juga untuk ‘riba’ kerana harta orang memberi pinjaman dalam riba itu bertambah. Apabila digunakan dalam bentuk أَربىٰ ia bermaksud ‘maju’, ‘lebih lagi’. Iaitu kadangkala kita bertukar perjanjian kerana melihat ada pihak lain yang lebih kuat, lebih banyak manfaatnya kepada kita.

Satu lagi maksud ayat ini, Allah ﷻ menegur mereka yang tidak mahu mengakui yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul kerana mereka tidak mahu bangsa Arab jadi lebih lagi daripada mereka. Ini adalah kerana mereka dengki. Kenapa?

Kerana selama hari itu, merekalah bangsa yang ada agama dari langit dan mereka dihormati kerana mereka ada ramai Rasul dalam kalangan mereka dan mereka ada kitab wahyu (sampaikan mereka digelar Ahli Kitab). Akan tetapi kalau mereka menerima yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul, dan Rasul Akhir Zaman pula, tentulah nampak bangsa Arab pun terkehadapan daripada Bani Israil. Hati mereka tidak dapat menerima kerana keangkuhan mereka.

Secara umumnya pula ayat ini menegur manusia yang memungkiri janji hanya kerana kedudukan dan imbuhan. Mungkin ada puak yang berjanji dan mengadakan pakatan dengan satu puak. Namun kemudian apabila dilihatnya ada puak lain yang lebih hebat, lebih berkuasa dan kaya, ada yang sanggup pula mengubah perjanjian berpihak kepada pihak yang lebih kuat itu. Ini adalah salah dan dilarang dalam Islam. Kekallah dengan pihak yang kita telah ada perjanjian pakatan itu walaupun nampak macam kita kerugian. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ, jangan patahkan prinsip kita.

Bukanlah kita dilarang langsung untuk memutuskan perjanjian. Rasulullah ﷺ pun pernah putuskan perjanjian dengan Golongan Yahudi di Madinah dan juga dengan Musyrikin Mekah di dalam Perjanjian Hudaybiah. Namun itu berlaku kerana mereka khianat. Ini telah diberi hukumnya di dalam Anfal: 58

وَإِمّا تَخافَنَّ مِن قَومٍ خِيانَةً فَانبِذ إِلَيهِم عَلىٰ سَواءٍ ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الخائِنينَ
Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan daripada suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.

Bagaimana pula dengan kita orang awam ini? Kadangkala kita lihat seseorang berkawan dengan seseorang. Namun apabila melihat ada orang lain yang lebih berkedudukan, maka ditinggalkan kawan yang asal kepada kawan yang lain.

Maka perbuatan jenis ini adalah amat buruk sekali kerana memilih-milih kedudukan. Sampaikan sanggup memutuskan perhubungan dengan kawan lama yang lemah dan tidak ada apa.

 

إِنَّما يَبلوكُمُ اللهُ بِهِ

Sesungguhnya Allah hanya menguji kamu dengan hal itu. 

Allah ﷻ suruh mereka sedar bahawa apa yang Allah ﷻ lakukan itu adalah ujian bagi mereka sahaja. Apa-apa yang terjadi adalah ujian daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ ingin menguji adakah mereka boleh menerima kebenaran walaupun ia datang daripada orang lain.

Allah ﷻ juga menguji untuk melihat kesetiaan manusia. Adakah sanggup berterusan dengan pihak yang lama walaupun ada pihak lain lagi yang nampaknya ada kedudukan yang lebih baik. Ramai yang gagal dengan ujian ini. Memang perkara ini sepatutnya dijaga oleh kita walaupun mungkin ada kerugian kepada pihak kita. Lihat contoh perbuatan Muawiyah ini.

أَبُو الْفَيْضِ قَال سَمِعْتُ سُلَيْمَ بْنَ عَامِرٍ يَقُولُ كَانَ بَيْنَ مُعَاوِيَةَ وَبَيْنَ أَهْلِ الرُّومِ عَهْدٌ وَكَانَ يَسِيرُ فِي بِلَادِهِمْ حَتَّى إِذَا انْقَضَى الْعَهْدُ أَغَارَ عَلَيْهِمْ فَإِذَا رَجُلٌ عَلَى دَابَّةٍ أَوْ عَلَى فَرَسٍ وَهُوَ يَقُولُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَفَاءٌ لَا غَدْرٌ وَإِذَا هُوَ عَمْرُو بْنُ عَبَسَةَ فَسَأَلَهُ مُعَاوِيَةُ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ كَانَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ قَوْمٍ عَهْدٌ فَلَا يَحُلَّنَّ عَهْدًا وَلَا يَشُدَّنَّهُ حَتَّى يَمْضِيَ أَمَدُهُ أَوْ يَنْبِذَ إِلَيْهِمْ عَلَى سَوَاءٍ قَالَ فَرَجَعَ مُعَاوِيَةُ بِالنَّاسِ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
[Abul Faidh] dia berkata; Aku mendengar [Sulaim bin Amir] berkata, “Antara Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan penduduk Romawi mempunyai perjanjian. Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kemudian melakukan perjalanan di negeri mereka, dengan harapan ketika masa perjanjian telah habis dia akan menyerang negeri tersebut. Namun tiba- tiba ada seorang laki-laki di atas kenderaan atau kuda berkata, “Allahu Akbar, hendaklah kalian penuhi perjanjian dan jangan berlaku curang.” Dan ternyata laki-laki itu adalah [Amru bin Abasah], Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kemudian menanyakan hal itu kepada Amru bin Abasah, dia menjawab, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa di antara kalian mempunyai perjanjian dengan suatu kaum, maka jangan sekali-kali mengkhianati perjanjiannya hingga selesai masanya atau mengembalikan kepada mereka dengan cara yang baik (jujur).” Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kemudian pulang bersama pasukannya.”
(Riwayat Tirmidzi (1506))
Abu Isa berkata, “Hadith ini darjatnya hasan sahih.”

 

وَلَيُبَيِّنَنَّ لَكُم يَومَ القِيٰمَةِ ما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

Dan sesungguhnya di hari kiamat akan dijelaskan-Nya kepadamu apa yang dahulu kamu perselisihkan itu.

Mereka haruslah menerima kebenaran dan jangan berselisih. Kalau mereka berselisih juga, mereka akan dipertanggungjawabkan atas kesalahan mereka itu. Allah ﷻ akan tunjukkan kebenaran kepada perselisihan itu nanti di akhirat.

Kalau di akhirat baru sedar, baru jelas yang mereka salah, itu sudah terlambat untuk membaiki diri. Maka kenalah beringat sementara masih hidup lagi dan ada peluang untuk memperbetulkan kesalahan.

Perselisihan terbesar manusia di dalam dunia ini adalah tentang Allah ﷻ dan tentang Tauhid. Kerana perbezaan pendapat itulah menyebabkan ada banyak agama, dan malah dalam agama Islam sendiri pun ada banyak jenis pegangan. Ini pun akan diperhakimi di akhirat kelak. Di sanalah nanti akan diberitahu oleh Allah ﷻ mana satukah pegangan yang benar. Antara sekarang yang timbul adalah kenapa ramai berpegang dengan fiqh Imam Syafie tetapi tidak berpegang dengan akidah pegangan beliau juga? Ini agak pelik sebab mereka main pilih-pilih pula. Maka antara alasan karut yang mereka berikan adalah akidah Imam Syafie amat lemah. Sebab hendak sangat pertahankan pegangan mereka, mereka sanggup kata akidah Imam Syafie lemah! Maka menjawablah nanti di akhirat. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Hajj: 68-69

وَإِن جٰدَلوكَ فَقُلِ اللهُ أَعلَمُ بِما تَعمَلونَ
Dan jika mereka membantah kamu, maka katakanlah: “Allah lebih mengetahui tentang apa yang kamu kerjakan”.

اللهُ يَحكُمُ بَينَكُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ
Allah akan mengadili di antara kamu pada hari kiamat tentang apa yang kamu dahulu selalu berselisih padanya.


 

Nahl Ayat 93: Kenapa Allah ﷻ jadikan ada manusia yang tidak tunaikan janji? Kenapa tidak jadikan semua manusia baik-baik belaka?

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً وٰحِدَةً وَلٰكِن يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ ۚ وَلَتُسئَلُنَّ عَمّا كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if Allāh had willed, He could have made you [of] one religion, but He causes to stray whom He wills and guides whom He wills.¹ And you will surely be questioned about what you used to do.

  • According to His knowledge of each soul’s preference.

(MELAYU)

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (sahaja), tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan.

 

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً وٰحِدَةً

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat

Kalimah di dalam ayat ini bermaksud ‘agama’. Kalimah أُمَّةٍ ini sampai ada 4 jenis maksud yang digunakan di dalam Al-Qur’an. Mari kita lihat satu persatu.

1. Ia bermaksud sekumpulan manusia. Ini yang kita banyak gunakan di dalam Al-Qur’an. Ini apabila kita kata ‘umat manusia’. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 134 & 141

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت
Mereka itu adalah satu umat yang telah berlalu sejarahnya;

2. Yang membawa maksud syariat, jalan agama atau manhaj di dalam agama. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Zukhruf: 22

بَل قالوا إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّهتَدونَ
(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

Inilah yang digunakan dalam ayat Nahl: 93 ini.

3. Seorang lelaki yang diikuti dalam semua hal. Contohnya firman Allah ﷻ di dalam Nahl: 120

إِنَّ إِبراهيمَ كانَ أُمَّةً
Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan

4. Tempoh masa. Ini juga digunakan di dalam Yusuf: 45

وَقالَ الَّذي نَجا مِنهُما وَادَّكَرَ بَعدَ أُمَّةٍ أَنا أُنَبِّئُكُم بِتَأويلِهِ فَأَرسِلونِ
Dan berkatalah orang yang selamat di antara mereka berdua dan teringat (kepada Yusuf) sesudah beberapa waktu lamanya: “Aku akan memberitahumu berkenaan ta’wil mimpi itu, maka utuslah aku”.

Sekarang kita kembali kepada perbincangan ayat Nahl: 93 ini. Mungkin ada yang timbulkan persoalan: kalau Allah ﷻ berkuasa, kenapa Allah ﷻ tidak jadikan semua manusia itu satu bangsa sahaja? Serabut pula ada yang beriman dan ada yang tidak, bukan? Atau dalam semua manusia di dalam satu pegangan agama sahaja, supaya tidak ada perpecahan, tidak ada perbezaan pendapat antara satu dengan yang lain? Bukankah lebih aman kalau begitu? Kenapa tidak jadikan semua manusia beriman, bukankah senang begitu? Kalau begitu tidak adalah perpecahan antara manusia dan semua hidup dalam aman sahaja.

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Dia boleh sahaja jadikan semua makhluk beriman. Allah ﷻ sudah jadikan para malaikat itu semua beriman, tidak ingkar kepada-Nya walau sedikit pun. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لآمَنَ مَنْ فِي الأرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا
Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya.
(Yunus: 99)

Maka jangan sangka yang Allah ﷻ tidak boleh buat. Senang sahaja bagi Allah ﷻ untuk melakukannya (seperti Allah ﷻ jadikan semua malaikat taat belaka), akan tetapi Allah ﷻ tidak kehendaki manusia beriman dengan cara begitu. Allah ﷻ beri pilihan kepada manusia sama ada ingin beriman atau tidak. Kemudian Allah ﷻ uji dengan berbagai ujian untuk lihat siapakah antara manusia itu yang boleh beriman dan melepasi ujian Allah ﷻ itu.

Jikalau berjaya, maka mereka akan dapat balasan yang amat baik di akhirat, tetapi kalau gagal mereka akan mendapat balasan yang amat malang nanti di neraka.

 

وَلٰكِن يُضِلُّ مَن يَشاءُ

tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya

Allah ﷻ tidak jadikan semua makhluk beriman. Dia akan sesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Bukanlah Allah ﷻ sengaja ingin sesatkan dari awal lagi tetapi mereka disesatkan kerana mereka degil. Iaitu setelah diberikan dengan berbagai dalil dan hujah, mereka masih lagi tidak mahu beriman dan menentang kebenaran.

Maka mereka yang sebegitu akan disesatkan terus oleh Allah ﷻ dan tidak diberi peluang lagi untuk beriman. Ini dinamakan Khatmul Qalbi. Iaitu hati mereka telah tertutup kepada kebenaran. Datanglah sesiapa sahaja berdakwah kepada mereka, mereka tidak akan beriman.

 

وَيَهدي مَن يَشاءُ

dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. 

Mereka yang mahu mencari kebenaran dan sanggup untuk mengubah diri mereka dengan mengikuti kebenaran yang disampaikan, mereka itu akan mendapat petunjuk. Allah ﷻ akan pilih mereka untuk dapat petunjuk itu. Setelah ada keinginan, Allah ﷻ akan bantu mereka. Keputusan di tangan Allah ﷻ dan Allah ﷻ buat keputusan berdasarkan kepada kehendak manusia itu sendiri.

Kerana itulah, kalau kita sampaikan dakwah, bukan kita yang bawa mereka kepada Islam, tetapi Allah ﷻ yang bawa mereka. Allah ﷻ akan beri hidayah kepada mereka yang mahu hidayah. Maksudnya harus ada kehendak daripada diri mereka sendiri. Kerana kita tidak ada kuasa untuk paksa orang lain beriman.

Oleh itu ingatlah yang tugas kita hanya menyampaikan sahaja dakwah kepada manusia. Kita sendiri pun tidak tahu bagaimana cara Allah ﷻ bawa manusia ke dalam Islam. Kalau kita tanya mereka bagaimana mereka kenal Islam (walaupun lahir dalam keluarga non-Muslim), mereka akan sebut berbagai-bagai cara. Sememangnya kita tidak dapat sangka bahawa dengan cara itu mereka dapat tertarik kepada Islam.

Ada yang masuk kerana dengar azan sahaja; ada yang masuk Islam kerana tertarik dengan perbuatan orang Islam yang solat di khalayak ramai dan entah berapa banyak kisah lagi. Selepas mereka tertarik, mereka kaji apakah agama Islam itu dan mereka yang hatinya ada keinginan untuk mendapatkan kebenaran, tentu akan masuk Islam.

Begitulah Allah ﷻ tidak memaksa manusia dan jin beriman. Kerana Allah ﷻ mahu iman daripada manusia itu dengan cara yang ikhlas, bukannya kerana terpaksa. Manusia dan jin telah diberi dengan kelebihan memilih seperti disebut di dalam Kahf: 29

فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya

Ayat ini jangan pula disalahtafsir pula. Bukanlah boleh pilih salah satu. Kalau salah pilih maka akan hancur bencana seperti sambungan ayat ini,

إِنّا أَعتَدنا لِلظّٰلِمينَ نارًا أَحاطَ بِهِم سُرادِقُها ۚ وَإِن يَستَغيثوا يُغاثوا بِماءٍ كَالمُهلِ يَشوِي الوُجوهَ ۚ بِئسَ الشَّرابُ وَساءَت مُرتَفَقًا
Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

Maknanya kalau salah pilih, maka azabnya adalah neraka yang tidak berhenti azab itu!

 

وَلَتُسئَلُنَّ عَمّا كُنتُم تَعمَلونَ

Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan.

Allah ﷻ ingatkan sekali lagi yang mereka akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan. Maka janganlah buat apa sahaja tanpa rasa takut. Ingatlah yang Allah ﷻ akan soal kembali apa yang kita lakukan di akhirat kelak. Kalau buat salah tanpa rasa takut, maka persiapkanlah diri di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 90 (Ayat Khutbah Jumaat)

Nahl Ayat 90: Bermula ayat ini sehingga ke ayat 119 adalah Perenggan Makro ke 4 dan ia berkenaan hak Allah ﷻ dan hak hamba. Ia dibahagikan kepada 4 bahagian. Maka ia adalah khulasah (kesimpulan) agama Tauhid Islam ini.

Bahagian pertama adalah bermula ayat ini sehingga ke ayat 97 dan ia berkenaan sumpah. Allah ﷻ mengajar kita untuk menjaga janji dan jangan bersumpah untuk menipu.

Ayat 90 ini adalah ayat yang selalu dibaca dalam Khutbah Jumaat. Mungkin ramai yang hafal ayat ini kalau tidak hafal ayat-ayat lain pun kerana selalu sangat dengar. Maka kenalah kita faham apakah yang hendak disampaikan. Ia adalah ayat yang komprehensif tentang agama Islam, maka kerana itulah ia dibaca di hujung Khutbah Jumaat.

Ini juga adalah jenis ‘Ayat Tiga Serangkai‘ untuk menolak azab. Apabila kita ditimpa azab, maka hendaklah amalkan tiga perkara: tinggalkan syirik, jangan berbuat zalim, lakukanlah kebaikan. Oleh itu ayat 90 ini adalah tentang tauhid, jangan zalim dan saranan untuk melakukan keadilan.

۞ إِنَّ اللهَ يَأمُرُ بِالعَدلِ وَالإِحسٰنِ وَإيتاءِ ذِي القُربىٰ وَيَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغيِ ۚ يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh orders justice and good conduct and giving to relatives and forbids immorality and bad conduct and oppression. He admonishes you that perhaps you will be reminded.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi nasihat kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

 

إِنَّ اللهَ يَأمُرُ بِالعَدلِ

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil

Allah ﷻ menyuruh kepada menegakkan keadilan. Lawan kepada adil adalah zalim. Apabila kalimah يَأمُرُ ini di dalam bentuk fi’il mudhori’ (present and continuous tense) maka ia bermaksud arahan ini berterusan, bukannya bermusim.

Yang dimaksudkan adil di sini adalah terus berpegang dengan ‘tauhid’, seperti kata ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Kerana adil itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan memang Allah ﷻ itu adalah Tuhan dan kita harus menerima Allah ﷻ sebagai Tuhan yang mesti ditaati.

‘Keadilan’ adalah sesuatu yang mesti diamalkan oleh setiap manusia. Tidak kira dia seorang Muslim atau pun tidak. Terutama sekali jikalau kita di dalam kedudukan untuk meletakkan hukum kepada manusia seperti firman Allah ﷻ di dalam Nisa’: 58

وَإِذا حَكَمتُم بَينَ النّاسِ أَن تَحكُموا بِالعَدلِ
dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil

Satu lagi ‘adil’ itu adalah peringkat pertengahan (al-i’tidal) iaitu di antara ekstrem berlebih-lebihan (al-ifrat) dan kekurangan (al-tafrit). Ini adalah kerana Islam adalah agama pertengahan.

Ada juga yang mengatakan adil itu sama antara dalaman dan luaran seseorang itu. Maksudnya perbuatannya selari dengan apa yang di dalam hatinya. Tidaklah dia hipokrit. Begitulah ada banyak pendapat tentang maksud ‘adil’.

Keadilan adalah sikap paling kurang yang mesti kita kena ada kerana kalau kurang sahaja berlaku adil, sudah dianggap sebagai penjenayah. Jangan kita sangka yang ‘keadilan’ itu adalah sesuatu yang tinggi, kerana ia adalah yang paling kurang sekali kena ada dalam diri kita kerana kurang sahaja adil, sudah menjadi kesalahan.

 

وَالإِحسٰنِ

dan berbuat kebajikan,

Kemudian baru Allah ﷻ suruh kita buat lebih lagi daripada peringkat ‘adil’, iaitu ihsan. Ihsan ini bermaksud buat yang lebih lagi daripada adil. Kerana adil itu adalah kemestian yang paling kurang dan kalau kita buat lebih lagi, itu dipanggil ihsan dan Allah ﷻ anjurkan kita berbuat ihsan. Jangan buat cukup-cukup makan sahaja, tetapi haruslah berusaha untuk buat lebih lagi.

Macam kita kalau bab pakaian contohnya, kita harus pakai pakaian yang lebih cantik lagi, bukan? Kerana pakaian itu sepatutnya untuk tutup tubuh kita sahaja, tetapi kita bukan setakat ingin menutup tubuh kita sahaja, tetapi kita selalunya pakai pakaian yang cantik, yang lembut dan sedap dipakai.

Maka kalau dalam pakaian pun kita sudah buat lebih daripada keperluan minima, maka apakah tidak patut kalau dalam hal agama dan kehidupan kita, kita buat lebih lagi? Ihsan ini tidak ada hadnya, lagi kita boleh buat lebih, lagi baik.

Di dalam ayat ini, Ihsan hanya disebut secara umum sahaja. Maka kita boleh bahagikan kepada dua bahagian:

1. Ihsan kepada diri sendiri, seperti membaiki diri dan amalan-amalan kita ke arah kebaikan
2. Ihsan kepada orang lain, iaitu berbuat baik kepada makhluk. Ini tidak kira kepada Muslim atau Kafir, manusia atau binatang.

Kalau untuk diri sendiri, ia disebut di dalam hadith Jibril yang masyhur itu,

قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِحْسَانِ, قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
Dia (Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”.
Nabi ﷺ menjawab,”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Kalaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.”
(Sahih Muslim (8))

Dalam peringkat adil, kita melakukan ibadah yang wajib (cukup-cukup makan sahaja). Ada pun pada peringkat Ihsan, kita memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat.

Kalau untuk makhluk lain, kita berbuat baik dengan orang dalam segala hal seperti membantu mereka. Kita beri lebih daripada yang sepatutnya kepada mereka. Sebagai contoh, jikalau seseorang melakukan kerja untuk kita, maka kalau kita berikan upah yang setimpal, maka ini adalah adil; akan tetapi jikalau kita beri lebih lagi daripada yang sepatutnya sampai dapat menggembirakan hatinya, maka ini adalah Ihsan. Satu lagi contoh, kalau seseorang berhutang dengan kita, maka kita layak dan boleh untuk menagih hutang itu daripadanya; akan tetapi jikalau kita maafkan hutang itu, maka ini adalah Ihsan.

Peringkat ihsan tertinggi adalah melakukan kebaikan kepada orang yang menzalimi kita. Kalau peringkat adil, kita boleh balas balik kezaliman yang dilakukan terhadap kita kerana kita ada hukum Qisas (balas balik); akan tetapi pada peringkat Ihsan, kita boleh maafkan orang yang melakukan kezaliman terhadap kita.

Malah kepada binatang pun kita hendaklah berbuat baik. Telah berkata Imam Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, sesiapa yang tidak memberi makan kepada kucingnya di rumah dan menjaganya, dan sesiapa yang tidak menjaga sangkar burung peliharaannya, maka walau banyak mana pun ibadahnya, tidaklah dia dikira sebagai seorang Muhsin.

Secara ringkasnya, paling kurang kena ada keadilan dan paling tinggi adalah ihsan. Maka dalam ayat ini disebut yang paling rendah dan paling tinggi sekali.

 

وَإيتاءِ ذِي القُربىٰ

dan memberi kepada kaum kerabat,

Allah ﷻ memberi arahan kepada kita untuk memberi bantuan kepada kaum kerabat. Kita kena ingat yang ini adalah ‘arahan’ kepada kita. Apabila ia berbentuk arahan, ia adalah suruhan, bukan galakan sahaja. Maka ia memang harus dilakukan. Sekurang-kurangnya beri setakat adil sahaja dan cuba untuk berbuat ihsan (iaitu dengan beri lebih daripada yang sepatutnya). Kalau buat setakat adil, ia beri yang sepatutnya diberi dan kalau ihsan, beri lebih lagi daripada yang sepatutnya.

Kenapa Allah ﷻ suruh memberi kepada keluarga? Kerana kalau ingin sebut tentang keadilan dalam masyarakat dan dalam negara, ia tidak akan dapat dicapai kalau ia tidak kemas di bahagian keluarga dahulu. Oleh itu, harus mulakan dengan keluarga kerana dengan keluarga menjadi masyarakat dan daripada masyarakat menjadi negara dan dari negara membentuk dunia keseluruhannya.

Maka berikan bantuan kepada ahli keluarga kita, jangan buat tidak tahu sahaja. Walaupun di dalam ayat ini tidak disebut beri apa, tetapi ada terdapat di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ
Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya
(Al-Isra: 26)

Apakah hak mereka? Termasuk di dalam memberi hak keluarga itu adalah membantu mereka dari segi kewangan, bantuan fizikal, melawat mereka ketika sakit, membantu ketika mereka susah, memberikan nasihat kepada mereka, berdakwah dan memberi peringatan kepada mereka. Maknanya kita kena lihat apa yang mereka perlukan, jikalau perlukan wang, kita berikan wang, dan sebagainya.

Allah ﷻ memberi peringatan tentang perkara ini kerana dengan keluargalah kita culas. Kita sangka adik beradik kita kena pandailah hidup sendiri. Akan tetapi rezeki orang tidak sama, walaupun satu keluarga. Ada yang dapat rezeki yang kurang daripada kita, maka hendaklah kita bantu mereka. Namun selalunya perkara ini tidak diperhatikan. Kerana itulah kita boleh lihat ramai yang bantu orang lain tetapi dengan keluarga sendiri, dia tidak berbuat baik. Kadang-kadang ada perkelahian dalam keluarga pula. Sedangkan sepatutnya dengan keluarga yang kita harus rapat. Dengan keluargalah yang kita kena banyak luangkan waktu dan bantu mereka. Kadang-kadang itu masalah kecil sahaja, malah diperbesarkan sampai tidak bertegur sapa.

Cuma memanglah ada masalah bila rapat, tentu ada yang berkecil hati, salah cakap dan sebagainya. Kalau orang lain kutuk kita, kita tidak terasa sangat; tetapi kalau ahli keluarga yang kutuk kita, mulalah tidak mengaku adik beradik lagi. Sebab itu kalau seseorang itu berhati kecil macam semut, senang sahaja tercalar.

Maka kenalah ingat yang terasa hati dengan ahli keluarga itu adalah perkara biasa sahaja, tetapi janganlah jadikan sebagai penyebab untuk berkelahi pula. Kalau ada masalah komunikasi, haruslah diperbetulkan. Maka kita kena ajar diri kita jangan main cakap lepas sahaja, haruslah fikirkan perasaan orang lain juga. Kalau memang ada perkelahian, tidak boleh tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari.

Maka kena bantu yang dekat dengan kita dahulu. Jangan terus dahulukan orang jauh. Ini pun masyarakat kita ada masalah. Sebagai contoh untuk ibadah korban, ramai yang hantar ke Kemboja dan sebagainya kerana dikatakan murah. Atau dikatakan penduduk sana susah. Akan tetapi bagaimana dengan masyarakat kita sendiri? Sebenarnya ramai yang tidak biasa makan daging dan peluang mereka ada pada Hari Raya Qurban lah untuk merasa makan daging sikit. Kalau kita mengerjakan korban di negara lain ini sudah menjadi seperti pepatah: “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”.

 

وَيَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ

dan Dia melarang daripada perbuatan keji, 

Allah ﷻ suruh kita menahan daripada melakukan الفَحشاءِ. Sebelum ini telah disebut tentang membantu keluarga yang rapat dan الفَحشاءِ ini adalah musuh kepada institusi kekeluargaan. الفَحشاءِ adalah jenis dosa yang keji, yang memalukan. Ia adalah perbuatan dosa yang kita sendiri malu kalau orang lain tahu.

Ia selalunya melibatkan nafsu syahwat seks dan yang paling berat sekali adalah zina. Namun begitu jangan ingat zina sahaja kerana itu sudah peringkat tertinggi. Jenis-jenis zina:

1. Zina Mata: apabila mata itu digunakan untuk melihat sesuatu yang diharamkan oleh Allah ﷻ. Contohnya melihat aurat orang lain.

2. Zina Telinga: apabila telinga itu digunakan untuk mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah ﷻ, contohnya: Mendengar lagu-lagu yang bertentangan dengan Islam dan mendengar umpatan dan carutan.

3. Zina Hidung: apabila hidung itu digunakan untuk mencium sesuatu yang diharamkan oleh Allah ﷻ, contohnya sengaja mencium bau wangi daripada wanita yang tidak halal untuk kita.

4. Zina Mulut: apabila mulut itu digunakan pada perkara yang tidak dibenarkan oleh Allah ﷻ, contohnya menikmati makanan dan minuman yang dilarang “ .

5. Zina Tangan: apabila tangan digunakan untuk perbuatan maksiat (menderhakai Allah ﷻ ). Contohnya “ Tikam “ nombor ekor atau pun meraba ajnabi.

6. Zina Kaki: apabila digunakan untuk maksiat (menderhakai Allah ﷻ), contohnya melangkah masuk ke pusat-pusat maksiat dengan niat untuk berbuat maksiat.

Ia amat penting untuk ditinggalkan dan dielak dari mula lagi kerana ia boleh merosakkan perhubungan kekeluargaan. Orang kata dari mata turun ke hati. Dari hati pula dia akan melakukan zina yang paling teruk iaitu berjimak. Ini kerana Rasulullah ﷺ telah bersabda di dalam satu hadith riwayat daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka kita kena menahan dan melarang orang lain daripada melakukan perkara ini. Kena beri nasihat kepada mereka kerana ini adalah perkara yang amat buruk.

 

وَالمُنكَرِ

dan kemungkaran

Selain daripada melarang orang melakukan الفَحشاءِ, kita juga hendaklah melarang orang daripada melakukan kemungkaran. Kalimah المُنكَرِ merujuk kepada segala perbuatan yang buruk. Amat banyak perkara yang termasuk dalam perkara ini. Ia senang sahaja untuk kita tahu kerana المُنكَرِ adalah perkara yang semua orang terima bahawa ia adalah perkara buruk.

Oleh itu, tidak perlu disenaraikan satu persatu sebenarnya kerana orang yang akal sihat tahu yang ia adalah perkara buruk. المُنكَرِ adalah lawan kepada al-makruf yang dikenali oleh semua orang sebagai perkara yang baik.

Ada juga yang mengatakan الفَحشاءِ adalah perbuatan salah yang semua orang tahu ia buruk dan salah termasuk yang bukan Muslim dan المُنكَرِ adalah perbuatan salah yang melanggar syariat.

 

وَالبَغيِ

dan melampau batas. 

Kalimah البَغيِ daripada katadasar ب غ ي yang antara lain bermaksud memberontak dan melawan. Mereka yang melakukan البَغيِ adalah orang melawan hukum-hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan. Ia juga termasuk di dalam kezaliman.

Ia juga bermaksud penindasan apabila melakukan kezaliman ke atas orang lain. Awal ayat ini Allah ﷻ telah suruh kita berlaku adil, tetapi ada orang yang berlaku zalim kepada orang lain. Zalim ini dalam erti luasnya adalah tidak meletakkan sesuatu kepada tempatnya. Maksudnya tidak memberi hak seseorang.

Tidak dinafikan ramailah yang melakukan kesalahan ini. Maka harus kita berjaga-jaga tentang perkara ini. Harus tahu apa yang kita boleh dan tidak boleh lakukan. Harus fikirkan tentang hukum dalam setiap hal kehidupan kita. Kita tidak boleh buat ikut suka kita sahaja.

Kadang-kadang kita sangka perkara itu tidak ada masalah apa-apa, tetapi sebenarnya telah dibincangkan dalam agama. Namun kerana tidak belajar, maka kita tidak tahu yang itu adalah perkara salah kerana kita jahil agama. Alangkah malangnya kalau kita disoal tentang perkara itu di akhirat kelak.

 

يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

Dia memberi nasihat kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

Allah ﷻ memberi peringatan dan nasihat kepada kita supaya kita dapat beringat. Allah ﷻ tidak jadikan kita dan kemudian biar sahaja kita merayau dalam dunia ini tanpa bimbingan. Allah ﷻ berikan kitab wahyu dan Allah ﷻ bangkitkan para Rasul untuk menyampaikan cara hidup yang benar. Cuma kalau tidak belajar, memang tidak tahu.

Kalimah يَعِظُكُم berasal daripada katadasar و ع ظ yang bermaksud menegur seseorang, menasihati; memberi peringatan tentang kebaikan, kebenaran; mengingatkan seseorang; mengingatkan orang lain untuk meninggalkan syirik dan dosa-dosa yang lain.

Al-Qur’an sememangnya mengandungi nasihat yang amat besar. مَّوْعِظَةٌ adalah jenis nasihat yang menjadikan hati lembut dan terbuka untuk menerima. Apabila hati sudah menjadi lembut, maka senang untuk diajak kepada Allah ﷻ dan taat kepada-Nya. Kesan ajakan keduniaan akan berkurangan. Hati mula ingat kepada Akhirat.

Oleh itu jika hati keras, hendaklah selalu membaca Al-Qur’an supaya dapat melembutkan hati itu. Akan tetapi kenalah faham apa yang dibaca barulah ia menjadi nasihat kepada kita. Jika dibaca sahaja tanpa memahami apa yang dibaca, bagaimanakah ia mampu menjadi nasihat, bukan?

Maka kita harus belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana Allah ﷻ juga telah berikan akal dan pancaindera kepada kita untuk memahami apa yang disampaikan. Cuma harus luangkan masa dan tenaga. Ingatlah masa juga Allah ﷻ telah berikan. Takkan kita mahu guna seluruh masa itu untuk bersuka-suka sahaja? Nanti tiba masa akan mati, tidakkah akan rugi?

Kesimpulannya di dalam ayat ini mengandungi tiga perkara yang kita kena lakukan dan tiga perkara yang kita kena tinggalkan. Enam perkara ini kalau kita perhatikan akan dapat menjadi ubat kepada kehidupan manusia yang menjadikan kehidupan manusia aman sentosa. 3 perkara yang kena lakukan:

1. Keadilan
2. Kebaikan
3. Memberi kepada kaum kerabat

Manakala ada 3 perkara yang perlu ditinggalkan:

1. Perbuatan keji
2. Kemungkaran
3. Permusuhan

Apakah kelebihan ayat ini? Sahabat Nabi Muhammad ﷺ Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengatakan bahawa Nahl 90 adalah ayat yang mengandung erti kumpulan kebaikan dan keburukan. Kata beliau: إِنَّ أَجْمَعَ آيَةٍ فِي الْقُرْآنِ لِخَيْرٍ وَشَرٍّ هَذِهِ الْآيَةُ “Sesungguhnya satu ayat di dalam Al-Qur’an yang kandungan ertinya mencakup (perintah melakukan) kebaikan dan (larangan melakukan) keburukan adalah ayat ini.”

Seorang sahabat bernama Usman bin Mazh’un رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjadi salah seorang sahabat setia Rasulullah ﷺ disebabkan ayat ini. Pada suatu hari dia lalu di hadapan rumah Rasulullah ﷺ sedang baginda sedang duduk-duduk. Mulanya Usman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ acuh tidak acuh sahaja, malahan diseringaikannya giginya. Beliau dipanggil Nabi ﷺ dan disuruh mendekati baginda. Tiba-tiba Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun membawa ayat ini, lalu dibaca oleh Rasulullah ﷺ supaya didengar oleh Usman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Berkata Usman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: “Menyelinaplah ayat itu ke dalam hatiku hingga meneguhkan imanku, dan menjadi sangat cintalah aku kepada Muhammad.”

Begitu juga kisah Aktsam bin Shaifi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang terkenal dan dahulunya pemeluk agama Nasrani mengatakan kepada kaum keluarganya yang pernah menemui Nabi Muhammad ﷺ lalu diterangkan Nabi Muhammad ﷺ akan ayat ini kepada mereka. Setelah mereka kembali kepada Aktsam bin Shaifi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, berkatalah beliau kepada kaumnya itu: “Kalau demikian, dia menyuruh kita agar berpegang kepada akhlak yang mulia dan mencegah kita daripada akhlak yang hina. Oleh sebab itu aku anjurkan kepada kamu semuanya supaya segeralah kita terima ajakan orang ini, kita mesti menjadi pengikutnya. Hendaklah kamu semuanya dalam hal ini menjadi kepala-kepala yang terkemuka, jangan hanya menjadi ekor-ekor yang di belakang-belakang.”

Begitulah kita kadang-kadang tidak tahu mana satu ayat yang akan membuka hati manusia. Ayat-ayat Al-Qur’an adalah mukjizat dan kerana itulah kita kena bacakan semuanya kepada manusia.

Ikrimah رَحِمَهُ اللَّهُ bercerita bahawa ayat ini pun pernah dibaca Rasulullah ﷺ di hadapan seorang pemuka Quraisy yang kuat penentangannya selama ini, bernama al-Walid bin al-Mughirah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Setelah didengarya, beliau pun berkata: “Hai anak saudaraku! Ulang sekali lagi!” Lalu diulang oleh Nabi ﷺ. Maka berkatalah al-Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: “Demi Allah, susun katanya lemak manis. Senang sekali telinga mendengarkannya. Pucuknya mendatangkan buah, uratnya penuh dengan kesuburan. Ini bukan kata sembarang kata, ini bukan kata-kata manusia.” Ertinya, meskipun beliau seorang penentang, payah beliau hendak memungkiri bahawa perkataan ini bukanlah perkataan Muhammad ﷺ, melainkan wahyu daripada Allah ‎ﷻ.

Bagi orang lelaki, setiap minggu akan mendengar ayat ini dibaca di dalam Khutbah Jumaat. Awal mula sejarah Khatib Khutbah Jumaat membaca ayat Nahl: 90 ini adalah ketika Khalifah ke-5 daripada bani Umayyah iaitu Umar Bin Abdul Aziz mengirim surat kepada penguasa wilayah bawahannya dari Jazirah Arab hingga Afrika yang berisi perintah kepada orang-orang yang menjadi Khatib dalam khutbah Jumaat untuk membaca ayat ini. Tujuannya adalah menghentikan Khatib menyebut kata-kata kebencian di atas mimbar. Ini kerana dahulunya, ada masjid-masjid yang menjadi tempat caci maki kepada Sayyidina Ali bin Abi Thalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ demikian pula sebaliknya, jika Masjid yang pro Sayyidina Ali, dipastikan cacian dan makian terjadi kepada Muawiyah setelah terjadinya perang Siffin.

Pasca setelah perang saudara sesama umat Islam pada tahun 657 M/37 H di tebing Sungai Furat (Syiria) yang melibatkan dua tokoh besar Sayyidina Ali bin Abi Thalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ atau dikenal dengan Perang Siffin, umat Islam terpecah belah menjadi berbagai kelompok. Ada kelompok yang fanatik terhadap Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ada yang teguh pendirian mengikuti Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dan ada yang tidak terlibat sama sekali ke dalam pertikaian politik berdarah itu.

Setelah terjadi pertentangan yang begitu hebat di antara golongan Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, yang berakhir dengan kemenangan Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, terutama setelah Ali bin Abu Thalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mati terbunuh, maka kaum kerajaan Bani Umaiyah telah mempergunakan khutbah-khutbah Jumaat untuk tujuan politik. Lalu pada khutbah yang kedua di seluruh mimbar masjid yang dikuasai oleh Bani Umaiyah, ditambahkanlah di dalam khutbah itu untuk mengutuk Saiyidina Ali bin Abu Thalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Maka berlakulah yang demikian itu bertahun-tahun lamanya.

Maka setelah jabatan Khalifah jatuh ke atas diri Khalifah Umar bin Abdul Aziz, beliau perintahkan menghentikan ucapan mencela dan mengutuk Ali bin Abu Thalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu, dan beliau suruh menggantinya dengan ayat 90 daripada Surat an-Nahl ini. Menjadi kebiasaanlah pada tiap-tiap Khutbah Jumaat yang kedua menutupnya dengan ayat ini, dan berlakulah pusaka Umar bin Abdul Aziz itu pada khutbah yang kedua di serata-rata negeri Islam yang memegang Sunnah sampai masa sekarang ini. Sehingga terhitunglah ini salah satu bekas yang mulia daripada tangan beliau.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 88 – 89 (Kesalahan menghalang manusia daripada Al-Qur’an)

Nahl Ayat 88: Takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab di Akhirat)

الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ زِدنٰهُم عَذابًا فَوقَ العَذابِ بِما كانوا يُفسِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who disbelieved and averted [others] from the way of Allāh – We will increase them in punishment over [their] punishment for what corruption they were causing.

(MELAYU)

Orang-orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka seksaan di atas seksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.

 

الَّذينَ كَفَروا

Orang-orang yang kafir

Iaitu orang-orang yang ingkar untuk menerima ajaran tauhid. Bukan sahaja mereka tidak menerima ajaran tauhid, malah mereka lawan pula. Ini bukanlah semua non-Muslim, kerana ada non-Muslim yang tidak ganggu agama Islam, malah ramai yang menghormatinya.

Akan tetapi ada pula yang sengaja menentang agama Islam ini daripada disebarkan dan diamalkan oleh manusia. Mereka inilah yang digelar sebagai ‘kafir’ dalam Al-Qur’an. Maka, kalau ada orang yang namanya Muslim tetapi menentang Islam pun, mereka itu pun sebenarnya kafir juga.

 

وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ

dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah,

Bukan sahaja mereka tidak mahu menerima ajaran tauhid itu, malah mereka menghalang pula orang lain daripada menerima ajaran tauhid itu. Mereka buat berbagai-bagai hujah untuk menghalang manusia lain daripada beriman. Mereka halang manusia daripada mendapat ilmu Allah ﷻ, halang manusia daripada mengamalkan agama Allah ﷻ, halang manusia daripada ketaatan, dan berbagai lagi.

Mereka gunakan kedudukan mereka, mereka gunakan akal mereka untuk mempersoalkan agama Islam ini. Mereka buat kajian, mereka buat tohmahan, mereka ganggu dan tindas Muslim, serta bermacam-macam lagi. Ini seperti yang disebut dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَهُمْ يَنْهَوْنَ عَنْهُ وَيَنْأَوْنَ عَنْهُ
Mereka melarang (orang lain) mendengarkan Al-Qur’an dan mereka sendiri menjauhkan diri daripadanya.
(Al-An’am: 26)

Hasil daripada usaha mereka, maka ada manusia yang pandang serong tentang agama Islam. Kerana mereka mendapat maklumat yang salah tentang agama Islam dari orang-orang kafir itu.

Kita mungkin sangka orang kafir sahaja yang menjauhkan manusia daripada agama Islam tetapi bagaimana dengan golongan Muslim sendiri? Bukankah ada yang menghalang manusia daripada mempelajari tafsir Al-Qur’an? Ia sudahlah tidak diajar secara menyeluruh, apabila ada asatizah yang mengajar pula, dihalang dan dituduh dengan pelbagai tuduan. Antaranya dikatakan mereka ini Wahabi dan sesat. Salahnya kerana menegur kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat. Sedangkan teguran itu datang daripada Allah ﷻ seperti yang disebut dalam Al-Qur’an.

Hasilnya masyarakat terus menjadi rosak dan semakin teruk. Akhlak sudah ke laut kerana tiada didikan dan teguran daripada Al-Qur’an. Sedangkan akhlak kita semestinya bersandarkan Al-Qur’an, bukan?

Sa’d bin Hisham bin Amir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah datang ke Madinah dan bertemu dengan Saidatina Aisyah رضي الله عنها dan bertanya:
يَا أُمَّ المُؤمِنِينَ ! أَنبئِينِي عَن خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ ؟
“Wahai Ummul Mukminin, ceritakan kami tentang akhlak Rasulullah ﷺ.” Lalu Aisyah رضي الله عنها menjawab dan bertanya kepadanya: “Apakah engkau tidak membaca al-Quran?” Sa’d رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: Bahkan aku membacanya. Lalu Aisyah رضي الله عنها berkata:
قَالَت : فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ كَانَ القُرآنَ .
“Sesungguhnya akhlak Nabi ﷺ itu adalah al-Quran.”
(Riwayat Muslim No. 1233)

Di dalam Fussilat: 26-27 Allah ﷻ menceritakan bagaimana golongan Musyrikin Mekah mengajak manusia untuk tidak mendengar Al-Qur’an dibacakan.

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَسمَعوا لِهٰذَا القُرءآنِ وَالغَوا فيهِ لَعَلَّكُم تَغلِبونَ
Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

Kemudian Allah ﷻ beritahu apakah balasan kepada mereka yang menghalang daripada Al-Qur’an. Maka kalau umat Islam pun menghalang manusia daripada Al-Qur’an apakah mereka pun tidak dikenakan dengan azab yang sama?

فَلَنُذيقَنَّ الَّذينَ كَفَروا عَذابًا شَديدًا وَلَنَجزِيَنَّهُم أَسوَأَ الَّذي كانوا يَعمَلونَ
Maka, demi sesungguhnya! Kami akan merasakan orang-orang yang kafir itu azab seksa yang seberat-beratnya, dan Kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.

 

 

زِدنٰهُم عَذابًا فَوقَ العَذابِ

Kami tambahkan kepada mereka seksaan di atas seksaan

Orang kafir yang menyebabkan orang lain tidak mengamalkan Islam itu akan ditambah azab kepada mereka. Kenapa? Kerana mereka bukan sahaja kufur, tetapi mereka halang orang lain daripada kebenaran juga. Mereka telah menjadi musuh Islam.

Maka mereka akan digandakan azab. Azab kufur mereka sudah tentu ada azab, kemudian ditambah lagi dengan azab menghalang orang lain. Bukan sahaja dosa mereka sendiri mereka harus tanggung, dengan dosa-dosa orang-orang lain yang disesatkan oleh mereka itu juga mereka harus tanggung. Maka dosa yang ditampuk ke atas mereka bertimpa-timpa.

 

بِما كانوا يُفسِدونَ

disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.

Mereka dikenakan dengan balasan yang teruk kerana kerosakan yang mereka jadikan. Kerosakan yang mereka lakukan adalah menghalang manusia daripada beramal agama dengan benar. Bukan mereka sahaja rosak, tetapi mereka merosakkan orang lain pula. Dosa menyesatkan orang lain dia akan tanggung. Namun kita kena tahu yang bukanlah dia ambil dosa orang itu sampai habis. Orang yang sesat itu pun harus tanggung juga.

Maka jangan kita sangka orang yang disesatkan itu selamat pula. Mereka pun harus tanggung dosa mereka sendiri. Kerana mereka juga bersalah tidak menggunakan intelek dan pancaindera yang Allah ﷻ telah berikan untuk mencari kebenaran. Sepatutnya mereka harus dapatkan kebenaran dan cerita sebenar, jangan percaya bulat-bulat kepada kata-kata orang kafir itu.

Hal ini menunjukkan bahawa orang-orang kafir itu berbeza-beza dalam menerima azabnya. Sebagaimana orang-orang mukmin pula, berbeza-beza tingkatannya di dalam syurga, begitu pula darjat (kedudukan)nya. Seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

قَالَ لِكُلٍّ ضِعْفٌ وَلَكِنْ لَا تَعْلَمُونَ
Allah berfirman,” Masing-masing mendapat (seksaan) yang berlipat ganda, tetapi kalian tidak mengetahui.”
(Al-A’raf: 38)


 

Nahl Ayat 89: Allah ﷻ menceritakan keadaan di akhirat nanti. Ini adalah i’adah (pengulangan) kepada penjelasan tentang kezaliman dan dalil wahyi.

وَيَومَ نَبعَثُ في كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا عَلَيهِم مِّن أَنفُسِهِم ۖ وَجِئنا بِكَ شَهيدًا عَلىٰ هٰؤُلاءِ ۚ وَنَزَّلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ تِبيٰنًا لِّكُلِّ شَيءٍ وَهُدًى وَرَحمَةً وَبُشرىٰ لِلمُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] the Day when We will resurrect among every nation a witness over them from themselves [i.e., their prophet]. And We will bring you, [O Muḥammad], as a witness over these [i.e., your nation]. And We have sent down to you the Book as clarification for all things and as guidance and mercy and good tidings for the Muslims.¹

  • Those who have submitted themselves to Allāh.

(MELAYU)

(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.

 

وَيَومَ نَبعَثُ في كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا عَلَيهِم مِّن أَنفُسِهِم

(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat saksi atas mereka dari kalangan mereka sendiri

Pada hari akhirat nanti Allah ﷻ akan bangkitkan saksi kepada setiap umat, dalam kalangan mereka juga. Maksud ‘dari diri mereka juga’ ialah saksi itu adalah orang yang rapat dengan mereka. Orang yang memang kenal dengan mereka kerana duduk sekampung dengan mereka dan tahu apa yang dilakukan oleh mereka. Para Nabi dan Rasul datangnya dalam kalangan umat mereka sendiri.

Kenapa diangkat para Rasul itu? Kerana para Rasul itu akan ditanya berkenaan penerimaan kaum terhadap dakwah yang disampaikan oleh para Rasul itu. Pendapat ini dikuatkan dengan sambungan ayat ini selepas ini.

Bukan para Rasul sahaja yang menjadi saksi akan tetap orang awam juga diangkat menjadi saksi seperti disebut di dalam Baqarah: 143

وَكَذٰلِكَ جَعَلْنٰكُمْ اُمَّةً وَّسَطًا لِّتَكُوْنُوْا شُهَدَاۤءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُوْنَ الرَّسُوْلُ عَلَيْكُمْ شَهِيْدًا ۗ
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi saksi umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi saksi di atas perbuatan kamu.

Kenapakah pula Allah ﷻ perlukan saksi? Tidakkah Allah ﷻ tahu apa yang manusia lakukan? Tentulah Allah ﷻ tahu dan Allah ﷻ tidak perlukan saksi pun. Namun atas dasar keadilan, Allah ﷻ jadikan adanya saksi nanti di akhirat. Supaya tidaklah nampak Allah ﷻ terus beri seksaan kepada orang kafir dan orang tidak taat. Mereka yang dikenakan dengan azab di neraka nanti tidak ada alasan lagi dan tidak boleh merungut kerana mahkamah pengadilan telah diadakan dan malah saksi pun telah diberikan untuk membuktikan kes terhadap mereka.

 

وَجِئنا بِكَ شَهيدًا عَلىٰ هٰؤُلاءِ

dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas mereka ini. 

Begitulah Rasulullah ﷺ itu lahir di Mekah dan membesar di Mekah juga. Mereka memang kenal rapat dengan baginda dan baginda kenal mereka. Nabi Muhammad ﷺ akan dijadikan saksi ke atas mereka. Iaitu ke atas Kaum Quraish yang menolak baginda. Dalam Surah an-Nisa’, disebut yang baginda akan menjadi saksi termasuk ke atas orang Islam semua (dan kerana itu mengejutkan).

Dalam surah ini tidak mengejutkan sangat (kalau dibandingkan dengan ayat dalam Nisa itu) kerana dalam ayat ini baginda dikatakan menjadi saksi bagi masyarakat baginda waktu itu sahaja. Kerana ayat ini adalah ayat Makkiah, maka ia menyentuh tentang mereka.

Ayat yang dimaksudkan adalah Nisa’: 41

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاءِ شَهِيدًا
Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti) apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) daripada tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu.

 

 

وَنَزَّلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ تِبيٰنًا لِّكُلِّ شَيءٍ

Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu

Ini adalah Dalil Wahyi iaitu penerangan atau pemberitahuan daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa Al-Qur’an ini adalah sebagai penjelasan bagi ‘segala sesuatu’.

Tidaklah Al-Qur’an menjelaskan segala sesuatu perkara dalam alam ini. Yang dimaksudkan adalah segala perkara tentang agama. Hal-hal agama yang penting dan perlu diketahui oleh manusia telah disentuh dalam Al-Qur’an. Namun begitu kalau kita perhatikan, Al-Qur’an ini tidaklah panjang sangat, sedangkan banyak permasalahan lagi agama tidak dijawab di dalamnya. Sebenarnya ia telah disentuh juga di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Ini kerana Al-Qur’an ada suruh kita ikut Rasulullah ﷺ dan hukum agama diperjelaskan lagi dalam hadith dan sunnah daripada Rasulullah ﷺ. Kalau ia tidak disebut di dalam hadith, ia ada di dalam qiyas dan ijmak yang mana ini juga disentuh di dalam Al-Qur’an. Permasalahan agama sebenarnya telah disebut di dalam Al-Qur’an.

Yang penting, kita kena rujuk kepada Al-Qur’an dahulu. Oleh kerana itu, mana-mana yang Al-Qur’an dan hadith tidak sebut, tidak perlu kita kisahkan sangat. Maka jangan reka perkara baru dalam agama kerana agama Islam ini telah lengkap.

Kalimah تِبيانًا dalam ayat ini adalah bentuk isim mubalaghah (bersangatan). Maksudnya, amat-amat jelas. Allah ﷻ telah sebut di dalam Nahl: 44 tentang Al-Qur’an ini menjelaskan,

وَأَنزَلنا إِلَيكَ الذِّكرَ لِتُبَيِّنَ لِلنّاسِ ما نُزِّلَ إِلَيهِم وَلَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ
Dan Kami turunkan kepadamu Al Qur’an, agar kamu menerangkan pada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan,

Begitulah Al-Qur’an memberi penjelasan yang jelas tentang agama terutama dalam perkara tauhid. Penjelasan tentang tauhid sudah kemas dan lengkap dalam Al-Qur’an, sampaikan tidak perlu lagi kepada penjelasan daripada sumber lain.

Kerana tauhid ini perkara yang amat penting, maka Allah ﷻ telah jelaskan semua sekali dalam Al-Qur’an. Maka, kalau ada penyusunan ulama tentang tauhid di dalam kitab-kitab mereka, ia sebagai penjelasan dan pemantapan sahaja tentang apa yang ada dalam Al-Qur’an. Jangan keluar daripada pemahaman Al-Qur’an kerana kalau begitu, itu bermaksud kita telah reka perkara baru dan ini amat bahaya.

Adakah لِكُلِّ شَيءٍ itu merujuk kepada semua perkara dalam dunia ini? Tentulah tidak kerana Al-Qur’an banyak menceritakan perkara agama dan disentuh tentang perkara yang penting-penting sahaja. Kalau semua disentuh dengan panjang lebar, entah berapa tebal pula Al-Qur’an jadinya. Al-Qur’an sebut konsep mudah, iaitu apa sahaja yang perlu diketahui, boleh bertanya kepada yang tahu seperti disebut di dalam Nahl: 43

فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ
maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui

Maka kalau hendak tahu cara berniaga, tanya kepada ahli perniagaan; kalau hendak tahu cara buat roti canai, maka tanyalah kepada penebar roti canai.

Apakah yang akan ditanya kepada saksi-saksi itu? Salah satunya tentang Al-Qur’an. Kerana selepas sahaja sebut tentang saksi, Allah ﷻ sebut tentang kitab Al-Qur’an. Maksudnya ada kaitan antara dua perkara itu. Iaitu kita telah disampaikan dengan Al-Qur’an dan kita akan ditanya nanti sama ada kita telah sampaikan pula kepada orang lain atau tidak. Adapun Firman Allah ﷻ:

إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَى مَعَادٍ
Sesungguhnya yang mewajibkan atasmu (melaksanakan hukum-hukum) Al-Qur’an benar-benar akan mengembalikan kamu ke tempat kembali.
(Al-Qashash: 85)

Maksudnya, Allah ﷻ yang telah mewajibkan kita untuk menyampaikan Al-Qur’an ini, akan mengembalikan kita kepada-Nya, dan Dia akan tanya kita kembali: Adakah kita telah sampaikan kepada manusia? Bagaimana kita mahu jawab nanti kalau kita tidak jalankan kerja dakwah?

Di sini kita dapat tahu bahawa untuk selamat, maka kenalah faham dan berpegang dengan ajaran Al-Qur’an. Malangnya ia telah lama ditinggalkan oleh masyarakat kita. Masyarakat Islam sekarang kebanyakannya hanya membaca dan menghafal Al-Qur’an tanpa memahami apa yang mereka baca. Pengajian Tafsir Al-Qur’an amat asing bagi kebanyakan masyarakat kita. Kalau golongan kafir dan musyrikin tidak selamat kerana tidak berpegang dengan Al-Qur’an, adakah kita rasa selamat apabila tidak memahami Al-Qur’an? Memang sebenarnya tidak selamat!

Kerana bukti kita sebagai seorang Muslim adalah berpegang dengan Al-Qur’an, tetapi kalau tidak faham, bagaimana? Ramai yang mengaku sebagai Muslim akan tetapi tidak berpegang pun dengan kitabnya sendiri. Ramai perasan mereka telah mengamalkan Islam dengan benar, tanpa diperiksa dan dibandingkan dengan apa yang ada di dalam kitab wahyu Al-Qur’an.

Sepatutnya kita kena selalu rujuk segala urusan kehidupan kita dengan Al-Qur’an kerana Allah ﷻ sebut di sini yang ia menjelaskan segala perkara lengkap untuk mengurus kehidupan kita. Apa sahaja keperluan Muslimin, telah cukup dijelaskan di dalamnya, sama ada urusan dunia dan akhiratnya, sampai urusan nikah dan faraidh, urusan perang dan damai, pemerintahan dan musyawarat, ibadat dan mu’amalat.

 

 

وَهُدًى وَرَحمَةً وَبُشرىٰ لِلمُسلِمينَ

dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.

Sememangnya Al-Qur’an ini adalah sebagai petunjuk untuk kita dalam hal agama dan hal kehidupan kita. Ini kepada mereka yang mahu luangkan masa untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Setelah belajar, mereka sanggup untuk mengikutinya. Kerana kalau setakat tahu sahaja tetapi tidak mahu ikut, maka tidak ada gunanya.

Kalau kita amalkan petunjuk yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an ini, kita akan mendapat rahmat. Rahmat itu diberitahu kepada kita dalam bentuk berita gembira yang banyak sekali ada dalam Al-Qur’an ini – yang dinamakan ayat-ayat tabshir. Rahmat yang amat besar adalah dimasukkan apabila berjaya masuk ke dalam syurga. Begitu juga telah disebut di dalam Isra’: 9

إِنَّ هٰذَا القُرآنَ يَهدي لِلَّتي هِيَ أَقوَمُ وَيُبَشِّرُ المُؤمِنينَ الَّذينَ يَعمَلونَ الصّالِحاتِ أَنَّ لَهُم أَجرًا كَبيرًا
Sesungguhnya Al Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar,

Muslimin yang dimaksudkan di sini adalah muwahhideen, iaitu mereka yang mengamalkan ajaran tauhid. Kerana kalau tidak beramal dengan tauhid, memang tidak akan mendapat rahmat dan tidak akan dapat berita gembira itu. Mereka akan kekal selama-lamanya dalam neraka. Walaupun mereka itu mengaku sebagai orang Islam! Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 121

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Maka amat rugilah umat Islam jikalau tidak menghiraukan pengajian Tafsir Al-Qur’an ini.

Sekian Ruku’ 12 daripada 16 ruku’ surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 83 – 87 (Kufur nikmat jadi kufur akidah)

Nahl Ayat 83: Allah ﷻ beritahu apakah keadaan mereka itu.

يَعرِفونَ نِعمَتَ اللهِ ثُمَّ يُنكِرونَها وَأَكثَرُهُمُ الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They recognize the favor of Allāh; then they deny it. And most of them are disbelievers.

(MELAYU)

Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kafir.

 

يَعرِفونَ نِعمَتَ اللهِ

Mereka mengetahui nikmat Allah,

Mereka itu bukan tidak tahu bahawa semua nikmat yang mereka dapat itu daripada Allah ﷻ. Kalimah يَعرِفونَ itu di dalam bentuk fi’il mudhori, maka ia bukan tentang Musyrikin Mekah sahaja tetapi ia berterusan sampai ke zaman sekarang. Kerana kalau kita tanya kepada orang yang ingkar dengan arahan Allah ﷻ, tentang dari mana nikmat mereka dapat, tentu mereka juga akan menjawab yang ia datang daripada Allah ﷻ.

Maka kalau tahu nikmat daripada Allah ﷻ, namun masih juga menolak arahan daripada Allah ﷻ, maka ini amatlah teruk. Ingatlah yang bukan Musyrikin Mekah itu sahaja akan ditanya tentang nikmat mereka dapat itu, tetapi kita juga seperti disebut dalam Takathur: 8

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ
kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

Cuba renungi hadith yang menakutkan kita ini,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ أَوْ لَيْلَةٍ فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ فَقَالَ مَا أَخْرَجَكُمَا مِنْ بُيُوتِكُمَا هَذِهِ السَّاعَةَ قَالَا الْجُوعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَنَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَخْرَجَنِي الَّذِي أَخْرَجَكُمَا قُومُوا فَقَامُوا مَعَهُ فَأَتَى رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَإِذَا هُوَ لَيْسَ فِي بَيْتِهِ فَلَمَّا رَأَتْهُ الْمَرْأَةُ قَالَتْ مَرْحَبًا وَأَهْلًا فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيْنَ فُلَانٌ قَالَتْ ذَهَبَ يَسْتَعْذِبُ لَنَا مِنْ الْمَاءِ إِذْ جَاءَ الْأَنْصَارِيُّ فَنَظَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَاحِبَيْهِ ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ مَا أَحَدٌ الْيَوْمَ أَكْرَمَ أَضْيَافًا مِنِّي قَالَ فَانْطَلَقَ فَجَاءَهُمْ بِعِذْقٍ فِيهِ بُسْرٌ وَتَمْرٌ وَرُطَبٌ فَقَالَ كُلُوا مِنْ هَذِهِ وَأَخَذَ الْمُدْيَةَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكَ وَالْحَلُوبَ فَذَبَحَ لَهُمْ فَأَكَلُوا مِنْ الشَّاةِ وَمِنْ ذَلِكَ الْعِذْقِ وَشَرِبُوا فَلَمَّا أَنْ شَبِعُوا وَرَوُوا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ الْجُوعُ ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ
[Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah ﷺ pergi keluar rumah, tiba-tiba baginda bertemu dengan Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan ‘Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Lalu baginda bertanya: “Mengapa kalian keluar rumah malam-malam begini?” Mereka menjawab; ‘Kami lapar, ya Rasulullah! ‘ Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi Allah yang jiwaku dalam Tangan-Nya, aku juga keluar kerana lapar seperti kalian. Marilah!” Mereka pergi mengikuti baginda ke rumah sahabat Anshar (Abu Haitsam bin At Taihan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ). Namun sayang beliau tiada di rumah. Tetapi tatkala isterinya melihat Rasulullah ﷺ datang, beliau mengucapkan; “Marhaban wa Ahlan (selamat datang).” Maka Rasulullah ﷺ bertanya: “Ke mana si Fulan (Abu Haitsam رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ)?”‘ Isterinya menjawab; ‘Dia sedang mengambil air tawar untuk kami.’ Tiba-tiba suaminya datang dan melihat Rasulullah ﷺ berserta dua sahabat baginda, maka beliau berkata; ‘Alhamdulillah, tidak ada orang yang lebih bahagia daripadaku hari ini, kerana kedatangan tamu yang mulia.’ Lalu beliau mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang masih muda, yang mulai masak, dan yang sudah masak betul. Katanya; ‘Silakan dimakan ini.’ Sambil beliau mengambil pisau. Nabi ﷺ bersabda: ‘Jangan disembelih yang lagi mempunyai susu.’ Maka dipotongnya seekor kambing, lalu mereka makan kambing, makan kurma setandan, dan minum. Setelah semuanya kenyang dan puas makan dan minum, Rasulullah ﷺ bersabda kepada Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan ‘Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: ‘Demi Allah yang jiwaku berada dalam Tangan-Nya, kalian akan ditanya pada hari kiamat tentang nikmat yang kalian peroleh ini. Kalian keluar dari rumah kerana lapar dan pulang sesudah memperoleh nikmat ini.’
(Sahih Muslim (3799))

 

ثُمَّ يُنكِرونَها

kemudian mereka mengingkarinya

Akan tetapi walaupun mereka tahu, kemudian mereka tolak dengan menderhakai Allah ﷻ. Mereka buat-buat lupa bahawa segala nikmat yang mereka dapat itu adalah daripada Allah ﷻ. Kerana sepatutnya, kalau sudah tahu nikmat daripada Allah ﷻ, maka taat kepada Allah ﷻ sahaja, bukan? Tetapi mereka ingkar. Tetap juga melakukan syirik.

Mereka menyembah selain-Nya bersama Dia, dan mereka sandarkan pertolongan serta rezeki kepada selain-Nya. Sebagai contoh, mereka kata mereka dapat kesenangan dalam hidup kerana mereka selalu pergi ke kubur wali itu dan ini, kerana mereka zikir itu dan ini.

 

وَأَكثَرُهُمُ الكٰفِرونَ

dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kafir.

Mereka kebanyakannya adalah kufur. Bermula daripada kufur nikmat, menjadi kufur akidah (buat syirik). Namun ayat ini agak pelik kerana Allah ﷻ kata ‘kebanyakan’ mereka. Bukankah mereka semuanya kufur? Maka ulama’ berpendapat kalimah اكثر tetapi bermaksud كل semuanya.

Pendapat yang kedua mengayakan yang dimaksudkan adalah orang-orang yang telah baligh dan mukallaf, tidak termasuk kanak-kanak.

Atau ada yang mengatakan pendapat bukan semua mereka itu kufur nikmat. Ada juga yang bersyukur kepada Allah ﷻ.

Ada yang membezakan antara kufur degil dan kufur jahil. Ada yang tahu tetapi tetap menolak, dan mereka inilah yang dimaksudkan di dalam ayat ini.

Yang dimaksudkan di dalam ayat ini kebanyakan daripada Arab Mekah. Ini adalah kerana ada alif lam makrifah pada kalimah الكافِرونَ yang merujuk kepada orang tertentu (Arab Mekah). Mereka itu teruk kerana mereka kenal dan lihat sendiri Nabi Muhammad ﷺ, mereka dengar Al-Qur’an daripada mulut Nabi ﷺ sendiri. Mereka didakwah sendiri dengan Nabi ﷺ yang tentunya sebaik-baik pendakwah.

Oleh itu, mereka sebenarnya sudah tahu dan kenal Allah ﷻ tetapi mereka degil. Mereka ini adalah ‘kafir degil’, bukan ‘kafir jahil’. Oleh kerana mereka itu sangat teruk, maka mereka itu disebut secara khusus oleh Allah ﷻ, hinggakan Allah ﷻ letak alif lam untuk merujuk kepada mereka.

Oleh kerana itu, kita harus sedar yang orang kafir yang ada sekarang tidak sama macam Quraisy yang menolak Nabi Muhammad ﷺ itu. Mereka itu adalah manusia yang paling teruk. Kita tidak akan jumpa orang yang teruk seperti mereka. Kerana orang kafir sekarang, memang mereka menolak agama Islam, tetapi kita kena ingat yang mereka tidak nampak Nabi Muhammad ﷺ. Sedangkan Musyrikin Mekah itu mereka kenal Nabi ﷺ namun masih lagi menolak Nabi Muhammad ﷺ. Orang kafir sekarang mungkin ada alasan lagi tidak masuk Islam; antaranya mereka tidak nampak kehebatan Islam kerana dikelabui oleh buruknya perangai golongan Muslim sekarang. Akan tetapi Musyrikin Mekah itu telah nampak kebaikan umat Islam, namun mereka sahaja yang degil.

Sekian Ruku’ 11 daripada 16 ruku’ surah ini.


 

Nahl Ayat 84: Bermula ayat ini ke ayat 89 adalah Perenggan Makro ke 3 (Bahagian 7). Ia berkenaan ancaman dengan diberikan gambaran Hari Akhirat yang dahsyat.

Maka ayat ini adalah Takhwif ukhrawi. Ia memberikan berita buruk kepada orang kafir.

وَيَومَ نَبعَثُ مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا ثُمَّ لا يُؤذَنُ لِلَّذينَ كَفَروا وَلا هُم يُستَعتَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] the Day when We will resurrect from every nation a witness [i.e., their prophet]. Then it will not be permitted to the disbelievers [to apologize or make excuses], nor will they be asked to appease [Allāh].

(MELAYU)

Dan (ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (rasul), kemudian tidak diizinkan kepada orang-orang yang kafir (untuk membela diri) dan tidak (pula) mereka dibolehkan meminta maaf.

 

وَيَومَ نَبعَثُ مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا

Dan (ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi 

Allah ﷻ menceritakan keadaan di Mahsyar kelak. Semua manusia akan dibangkitkan dan dikumpulkan di Mahsyar nanti. Setiap umat akan ada saksi. Saksi yang dimaksudkan adalah Rasul mereka sendiri. Begitulah Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi saksi ke atas kita seperti disebut dalam Baqarah: 143

وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيكُم شَهِيدًا
dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

Maka para Rasul adalah salah satu daripada saksi yang akan dibangkitkan kelak. Kerana dalam ayat-ayat lain, ada disebut tentang saksi-saksi lain seperti tubuh badan kita sendiri.

Kenapa Rasul-rasul itu dibangkitkan sebagai saksi? Kerana Rasul dan Nabi-nabi itu akan ditanya tentang penerimaan umat mereka terhadap dakwah yang para Rasul itu telah sampaikan – adakah umat mereka terima atau tidak? Maka Rasul dan Nabi itu akan berkata yang benar, iaitu kebanyakan daripada mereka tidak terima. Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ rasa keberatan dengan hal ini seperti disebut tentang ayat Nisa’: 41

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا
Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?

Nabi Muhammad ﷺ menangis apabila dibacakan ayat ini kepada baginda seperti disebut di dalam hadith riwayat Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata,

قَالَ لِى النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « اقْرَأْ عَلَىَّ » .قُلْتُ آقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ قَالَ « فَإِنِّى أُحِبُّ أَنْ أَسْمَعَهُ مِنْ غَيْرِى » . فَقَرَأْتُ عَلَيْهِ سُورَةَ النِّسَاءِ حَتَّى بَلَغْتُ
( فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا )
قَالَ « أَمْسِكْ » . فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ
“Nabi ﷺ berkata kepadaku,
“Bacalah Al Qur’an untukku.”
Maka aku menjawab, “Wahai Rasulullah, bagaimana aku membacakan Al Qur’an untukmu, bukankah Al-Qur’an diturunkan kepadamu?”
Nabi ﷺ bersabda, “Aku suka mendengarnya daripada selainku.”
Lalu aku membacakan untuknya surat An Nisaa’ hingga sampai pada ayat (yang ertinya), “Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) daripada tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu)” (Nisa’: 41).
Baginda berkata, “Cukup.”
Maka aku menoleh kepada baginda, ternyata kedua mata baginda dalam keadaan bercucur air mata.”
(Bukhari No. 4582 dan Muslim No. 800)

 

ثُمَّ لا يُؤذَنُ لِلَّذينَ كَفَروا

kemudian tidak diizinkan kepada orang-orang yang kafir

Kalimah يُؤذَنُ daripada katadasar أ ذ ن yang bermaksud ‘izin’ dan juga ‘telinga’. Maknanya selepas para Rasul itu sudah memberikan persaksian, tentulah yang kufur itu mahu berhujah; tetapi mereka tidak diberi izin untuk berhujah; juga mereka tidak didengari lagi. Mereka tidak diberi izin untuk memberi keuzuran mereka.

Mereka tidak akan ada peluang untuk beri hujah mereka dan hujah mereka tidak didengar. Mereka tidak diberi izin untuk bela diri. Masa untuk mereka telah terlambat.

Ini sebenarnya adalah satu penghinaan kepada mereka. Bayangkan kalau di dalam kelas anak murid hendak bercakap dan memberikan alasan tetapi gurunya cakap: “Sudah! Awak senyap! Saya tak mahu dengar alasan awak lagi!”. Kalau itu terjadi, tentulah terkedu anak murid itu, bukan? Rasa terhina sungguh kalau begitu.

 

وَلا هُم يُستَعتَبونَ

dan tidak (pula) mereka dibolehkan meminta maaf.

Kalimah يُستَعتَبونَ daripada katadasar ع ت ب yang bermaksud kebenaran untuk membela diri. Mereka tidak diberi peluang untuk membela diri mereka dan buat dalihan lagi. ع ت ب digunakan apabila orang marah kita dan kita pujuk orang itu. Memang mereka akan cuba memujuk Allah ﷻ, tetapi mereka tidak akan diberi peluang. Ini seperti juga firman Allah ﷻ di dalam Mursalat: 35-36

هٰذا يَومُ لا يَنطِقونَ
Ini adalah hari, yang mereka tidak dapat berbicara (pada hari itu),

وَلا يُؤذَنُ لَهُم فَيَعتَذِرونَ
dan tidak diizinkan kepada mereka minta uzur sehingga mereka (dapat) minta uzur.

Maka janganlah kita jadi seperti mereka itu. Jangan kita sangka yang kita atau mereka akan ada peluang untuk bela diri, untuk pujuk, untuk berhujah langsung di akhirat kelak. Apabila Allah ﷻ telah buat keputusan, tidak ada peluang untuk ubah keputusan Allah ﷻ itu.

Namun bagaimana dengan ayat-ayat yang menunjukkan golongan kafir juga seolah-olah ada diberi peluang bercakap seperti di dalam Mukminon: 106-108?

قالوا رَبَّنا غَلَبَت عَلَينا شِقوَتُنا وَكُنّا قَومًا ضالّينَ
Mereka berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan adalah kami orang-orang yang sesat.

رَبَّنا أَخرِجنا مِنها فَإِن عُدنا فَإِنّا ظٰلِمونَ
Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (dan kembalikanlah kami ke dunia), maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”.

Maka bagaimanakah kita hendak selarikan ayat-ayat sebegini? Nampak macam boleh bercakap pula. Sebenarnya ia hanya peringkat permulaan sahaja. Kerana di dalam ayat seterusnya Allah ﷻ suruh mereka senyap dan tidak dibenarkan bercakap lagi.

قالَ اخسَئوا فيها وَلا تُكَلِّمونِ
Allah berfirman: “Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.


 

Nahl Ayat 85: Setelah tidak diberi peluang untuk bela diri, mereka akan dibawa ke neraka. Dan ditunjukkan kepada mereka neraka itu sebelum mereka dimasukkan.

وَإِذا رَأَى الَّذينَ ظَلَمُوا العَذابَ فَلا يُخَفَّفُ عَنهُم وَلا هُم يُنظَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when those who wronged see the punishment, it will not be lightened for them, nor will they be reprieved.

(MELAYU)

Dan apabila orang-orang zalim telah menyaksikan azab, maka tidaklah diringankan azab bagi mereka dan tidak pula mereka diberi tangguh.

 

وَإِذا رَأَى الَّذينَ ظَلَمُوا العَذابَ

Dan apabila orang-orang zalim melihat azab, 

Sekarang mereka sudah dibawa ke neraka dan mereka sudah lihat sendiri azab itu. Orang-orang zalim yang dimaksudkan adalah orang-orang yang mengamalkan syirik kerana syirik adalah kezaliman yang paling besar seperti disebut di dalam Luqman: 13

لا تُشرِك بِاللهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
“Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Alangkah menakutkan sekali kerana mereka nampak sendiri neraka di hadapan mereka. Tidak dapat dibayangkan perasaan mereka waktu itu. Bagaimana kalau kita dalam keadaan mereka itu? Nauzubillahi min dzaalik!

Allah ﷻ berfirman menggambarkan keadaan neraka Jahannam:

إِذَا رَأَتْهُمْ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ سَمِعُوا لَهَا تَغَيُّظًا وَزَفِيرًا وَإِذَا أُلْقُوا مِنْهَا مَكَانًا ضَيِّقًا مُقَرَّنِينَ دَعَوْا هُنَالِكَ ثُبُورًا لَا تَدْعُوا الْيَوْمَ ثُبُورًا وَاحِدًا وَادْعُوا ثُبُورًا كَثِيرًا
Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, mereka mendengar kegeramannya dan suara nyalanya. Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka itu dengan dibelenggu, mereka di sana mengharapkan kebinasaan. (Akan dikatakan kepada mereka), “Jangan kamu sekalian mengharapkan satu kebinasaan, melainkan harapkanlah kebinasaan yang banyak.”
(Al-Furqan: 12-14)

 

فَلا يُخَفَّفُ عَنهُم

maka tidaklah diringankan azab bagi mereka

Apabila sudah dimasukkan ke dalam neraka, azab tidak akan diringankan. Kalau ada pun hanya bertambah sahaja, tidak berkurang. Ini seperti diberitahu oleh Allah ﷻ di dalam Naba’: 30

فَذوقوا فَلَن نَزيدَكُم إِلّا عَذابًا
(Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.

Mungkin mereka sangka, kalau sudah masuk neraka dan teruk diazab, ada harapan azab itu akan dikurangkan, tetapi Allah ﷻ tutup harapan itu. Rasa sakit itu tidak akan berkurang seperti dalam dunia. Bukankah kalau sudah lama diseksa, lama-lama akan lali dan tidak terasa teruk sangat seksaan itu? Namun itu tidak akan berlaku di neraka kelak. Memang tidak ada kekurangan langsung. Mereka tidak akan ada menjadi lali dengan azab itu.

Malaikat yang mengazab ahli neraka pula tidak ada belas kasihan langsung walau sedikit kerana mereka taat kepada Allah ﷻ. Maka mereka akan azab berterusan. Allah ﷻ tidak beri sifat Rahmah kepada para malaikat yang mengazab itu maka mereka tidak ada rasa belas kasihan langsung. Malah mereka bukannya perlu berhenti rehat kerana penat atau untuk makan, maka mereka akan berterusan mengazab! Allah ﷻ berfirman tentang mereka di dalam Tahreem: 6

عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Malah api neraka itu tidak akan malap apatah lagi padam. Ia akan berterusan panas dan semakin panas. Lihat Isra’: 97

مَأواهُم جَهَنَّمُ ۖ كُلَّما خَبَت زِدناهُم سَعيرًا
Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya.

 

وَلا هُم يُنظَرونَ

dan tidak pula mereka diberi tangguh.

Kalimah يُنظَرونَ daripada katadasar ن ظ ر yang bermaksud ‘lihat’, ‘lihat’ dengan belas kasihan’, ‘tunggu’, ‘tangguh’. Maknanya mereka tidak akan dilihat pun. Mereka akan cuba untuk minta perhatian, meminta-minta tolong, minta dikurangkan azab kepada mereka, minta ditangguhkan, namun tidak akan dilayan. Ini seperti disebut dalam Ghafir: 49-50

وَقَالَ الَّذِينَ فِي النَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ادْعُوا رَبَّكُمْ يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ الْعَذَابِ
Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa daripada kami, barang sehari”.

قَالُوا أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِالْبَيِّنٰتِ قَالُوا بَلَىٰ قَالُوا فَادْعُوا وَمَا دُعٰؤا الْكٰفِرِينَ إِلَّا فِي ضَلٰلٍ
Malaikat penjaga neraka menjawab: “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang”. Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja”.

Kalau di penjara, penghuni penjara akan mencuba untuk panggil warden, untuk lihat mereka pun cukup kerana mereka mahu minta tolong, tetapi mereka tidak akan ada peluang. Malaikat penjaga neraka tidak toleh pun kepada mereka. Maka tidak ada harapan mahu tahan sebentar azab itu walau sehari atau sesaat. Memang terus diazab malah azab tidak berhenti walaupun sesaat.


 

Nahl Ayat 86: Mereka seperti ada peluang untuk berhujah kerana mereka nampak sembahan mereka. Namun sebenarnya tidak. Ini juga adalah penafian adanya syuraka’ (yang dijadikan sekutu buat Allah ﷻ) yang kononnya dapat membantu penyembahnya di akhirat kelak.

وَإِذا رَأَى الَّذينَ أَشرَكوا شُرَكاءَهُم قالوا رَبَّنا هٰؤُلاءِ شُرَكاؤُنَا الَّذينَ كُنّا نَدعو مِن دونِكَ ۖ فَأَلقَوا إِلَيهِمُ القَولَ إِنَّكُم لَكاذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when those who associated others with Allāh see their “partners,” they will say, “Our Lord, these are our partners [to You] whom we used to invoke besides You.” But they will throw at them the statement, “Indeed, you are liars.”

(MELAYU)

Dan apabila orang-orang yang mempersekutukan (Allah) melihat sekutu-sekutu mereka, mereka berkata: “Ya Tuhan kami mereka inilah sekutu-sekutu kami yang dahulu kami sembah selain dari Engkau”. Lalu sekutu-sekutu mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya kamu benar-benar orang-orang yang dusta”.

 

وَإِذا رَأَى الَّذينَ أَشرَكوا شُرَكاءَهُم

Dan apabila orang-orang yang mempersekutukan (Allah) melihat sekutu-sekutu mereka, 

Orang yang zalim dan telah melakukan syirik itu akan nampak syuraka’ yang mereka gunakan dalam amalan syirik mereka. Sebagai contoh, mereka akan nampak Abdul Qadir Jailani, Wali Songo, Tok Kenali, dan lain-lain wali (yang mereka sendiri lantik) yang mereka dulu pergi ke kuburan mereka itu.

Waktu di Mahsyar itu nanti mereka minta dipanggil syuraka’ mereka itu. Allah ﷻ bawakan segala ma’bud bathil mereka. Mereka nampak seperti ada peluang kerana dahulu semasa mereka di dunia, mereka telah seru berhala, roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu. Mereka sangka tentu roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu akan kenal mereka dan tolong mereka. Maka mereka mahu minta tolong.

 

قالوا رَبَّنا هٰؤُلاءِ شُرَكاؤُنَا

mereka berkata: “Ya Tuhan kami mereka inilah sekutu-sekutu kami

Orang musyrik itu berkata, itulah roh-roh yang mereka syirikkan dahulu. Inilah yang kami anggap sekutu Engkau, ya Allah.

 

الَّذينَ كُنّا نَدعو مِن دونِكَ

yang dahulu kami seru selain dari Engkau”.

Mereka berkata dahulu roh-roh itulah yang mereka sembah, yang mereka puja, yang mereka seru, yang mereka beri salam malam-malam, yang mereka sedekah Fatihah (amalan karut) setiap hari itu, yang mereka jadikan sebagai wasilah dalam doa mereka kepada Allah ﷻ.

Mereka mahu minta tolong kepada roh-roh itu; mereka mahu berkata: “Takkan tak kenal kami? Dulu kan kami buat ini dan itu untuk kamu?”

 

فَأَلقَوا إِلَيهِمُ القَولَ إِنَّكُم لَكاذِبونَ

Lalu sekutu-sekutu mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya kamu benar-benar orang-orang yang dusta”.

Memang benar golongan musyrik itu sembah ma’bud bathil itu seperti yang mereka katakan. Maka kenapa dikatakan mereka berdusta pula (seolah-olah mereka tidak sembah)?

Maksudnya, yang dijadikan sebagai sembahan dan seruan itu akan pulangkan kembali kata-kata mereka kepada golongan penyembah itu. Roh-roh itu akan menidakkan sembahan-sembahan yang telah diberikan kepada mereka kerana mereka tidak pernah kenal dengan mereka yang seru mereka dulu.

Kerana mereka dulu duduk di alam lain, bagaimana mahu dengar seruan syirik daripada penyembah-penyembah itu. Roh-roh yang disembah itu tidak tahu menahu pun yang mereka dulu disembah, dipuja, diminta doa kepada mereka. Ini seperti disebut dalam Fatir: 14

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم
Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu

Roh-roh itu dulu tidak pernah menyuruh mereka dipuja dan diseru. Ini seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ مَنْ لَا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَنْ دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ
Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan-sembahan selain Allah yang tiada dapat memperkenankan (doa)nya sampai hari kiamat dan mereka lalai daripada (memperhatikan) doa mereka? Dan apabila manusia (mereka) dikumpulkan (pada hari kiamat) nescaya sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka dan mengingkari pemujaan-pemujaan mereka.
(Al-Ahqaf: 5-6)

Mereka sahaja yang reka amalan syirik itu atau mereka ikut ajaran sesat daripada guru-guru sesat yang mengajar mereka. Oleh kerana mereka tidak kenal wahyu, tidak belajar wahyu, maka mereka hanya ikut sahaja. Inilah bahananya kalau tersalah pilih guru.

Mereka sangka amalan itu baik, ada dalam Islam, maka mereka terus buat tanpa soal. Ini kerana yang ajar mereka itu pun nampak hebat juga, pakai jubah juga, pandai bercakap dalam berhujah membenarkan amalan syirik dan bid’ah mereka itu. Maka mereka tiada rasa bersalah apabila ikut amalan itu. Maka mereka pun serulah para Nabi, para wali, kononnya para Nabi dan wali itu akan tolong mereka di akhirat kelak. Namun sia-sia sahaja seperti firman Allah ﷻ,

وَاتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ آلِهَةً لِيَكُونُوا لَهُمْ عِزًّا كَلا سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا
Dan mereka telah mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar sembahan-sembahan itu menjadi pelindung bagi mereka, sekali-kali tidak! Kelak mereka (sembahan-sembahan) itu akan mengingkari penyembahan terhadap mereka, dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan menjadi musuh bagi mereka (yang menyembah).
(Maryam: 81-82)


 

Nahl Ayat 87: Memang kalau sudah nampak akhirat itu benar depan mata, semua akan jadi baik.

وَأَلقَوا إِلَى اللهِ يَومَئِذٍ السَّلَمَ ۖ وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will impart to Allāh that Day [their] submission, and lost from them is what they used to invent.

(MELAYU)

Dan mereka menyatakan ketundukannya kepada Allah pada hari itu dan hilanglah dari mereka apa yang selalu mereka ada-adakan.

 

وَأَلقَوا إِلَى اللهِ يَومَئِذٍ السَّلَمَ

Dan mereka menyatakan ketundukannya kepada Allah pada hari itu

Bila sudah nampak kebenaran di depan mata mereka, mereka sudah sedar yang mereka sudah salah amalan semasa di dunia, mereka akan serahkan diri mereka kepada Allah ﷻ. Waktu itu tunduk sungguh-sungguh kepada Allah ﷻ. Mereka orang yang paling mukmin sekali waktu itu. Allah ﷻ telah berfirman tentang mereka di dalam Sajdah: 12

وَلَو تَرىٰ إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا فَارجِعنا نَعمَل صٰلِحًا إِنّا موقِنونَ
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Maka ia dibaca yaumaizinissalam.

 

وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

dan hilanglah daripada mereka apa yang selalu mereka ada-adakan.

Akan tetapi semua amalan rekaan yang mereka biasa buat sudah tidak ada untuk bantu mereka, sudah tidak jumpa satu pahala pun untuk membantu mereka. Semua sembahan-sembahan mereka tidak mengaku bahawa mereka itu kawan, sebaliknya menjadi lawan. Kalau berhala yang disembah, berhala itu pun akan dimasukkan ke dalam neraka sekali seperti disebut dalam Anbiya’: 98

إِنَّكُم وَما تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُم لَها وٰرِدونَ
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah, adalah kayu api Jahannam, kamu pasti masuk ke dalamnya.

Mereka memang banyak amalan tetapi ia sedikitpun tidak dapat menolong mereka kerana tidak ada nilai. Itulah amalan-amalan syirik seperti tawasul dan amalan-amalan bid’ah dalam agama. Sia-sia sahaja mereka buat semasa mereka hidup di dunia. Begitulah apa yang akan terjadi kalau disuruh belajar tetapi mereka tidak mahu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin