Tafsir Surah Hajj Ayat 65 – 69 (Allah kawal langit)

Ayat 65:Ayat dalil aqli.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ سَخَّرَ لَكُم مّا فِي الأَرضِ وَالفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِأَمرِهِ وَيُمسِكُ السَّماءَ أَن تَقَعَ عَلَى الأَرضِ إِلّا بِإِذنِهِ ۗ إِنَّ اللهَ بِالنّاسِ لَرَءوفٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that Allāh has subjected to you whatever is on the earth and the ships which run through the sea by His command? And He restrains the sky from falling upon the earth, unless by His permission. Indeed Allāh, to the people, is Kind and Merciful.

(MELAYU)

Apakah kamu tiada melihat bahawasanya Allah menundukkan bagimu apa yang ada di bumi dan bahtera yang berlayar di lautan dengan perintah-Nya. Dan Dia menahan (benda-benda) langit jatuh ke bumi, melainkan dengan izin-Nya? Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada Manusia.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ سَخَّرَ لَكُم مّا فِي الأَرضِ

Apakah kamu tidak melihat bahawasanya Allah menundukkan bagimu apa yang ada di bumi

Allah mengingatkan kita yang Dia telah mudahkan kita hidup di bumi ini. Segala yang ada di dunia ini adalah untuk kita gunakan. Kita boleh menguasai binatang dan tanaman. Kita boleh gunakan tanah, air, angin, matahari dan lain-lain. Sebagai contoh, Allah beri ilham kepada kita bagaimana nak gunakan air untuk buar kincir angin untuk mengeluarkan tenaga elektrik.

 

وَالفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِأَمرِهِ

dan bahtera yang berlayar di lautan dengan perintah-Nya.

Dan Allah tundukkan juga laut untuk kita. Maksudnya Allah memperjalankan kapal dengan izinNya. Kita diberi ilham untuk buat kapal dan Allah ajar bagaimana nak belayar di laut yang besar. Kita boleh pergi ke tempat-tempat yang jauh. Boleh berniaga, melancong dan mengerjakan Haji (tema surah ini) dan sebagainya.

 

وَيُمسِكُ السَّماءَ أَن تَقَعَ عَلَى الأَرضِ إِلّا بِإِذنِهِ

Dan Dia menahan (benda-benda) langit jatuh ke bumi, melainkan dengan izin-Nya

Allah memberitahu bahawa Dia yang menahan langit dari jatuh ke bumi. Maksud langit itu adalah apa-apa sahaja yang berada di atas kepala kita termasuklah segala bintang-bintang, segala meteor, segala pancaran-pancaran yang membahayakan kita.

Semua itu Allah tahan daripada mengenai kita. Sebagai contoh, atmosfera bumi menghalang meteor besar dari mengenai bumi. Hanya yang kecil-kecil sahaja yang jatuh ke bumi. Dan medan magnet yang dinamakan Van-Allen Belt menahan sinaran yang merbahaya dari matahari.

Semua itu di dalam pemeliharaan Allah Ta’ala. Maka kerana itu jangan kita risau dengan kata-kata para Saintis yang mengatakan kita akan dilanggar meteor dan sebagainya. Selagi belum sampai masanya Kiamat, Allah akan elak perkara itu dari terjadi.

 

إِنَّ اللهَ بِالنّاسِ لَرَءوفٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada Manusia.

Semua kelebihan yang Allah berikan kita, pemeliharaan yang Allah telah adakan untuk kita, adalah kerana Allah amat sayang kepada kita.

Maka kenalah kita menghargai jasa Allah ini dan sembahlah Dia sahaja, berdoa kepada Allah lah sahaja.


 

Ayat 66: Ayat dalil aqli.

وَهُوَ الَّذي أَحياكُم ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم ۗ إِنَّ الإِنسٰنَ لَكَفورٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He is the one who gave you life; then He causes you to die and then will [again] give you life. Indeed, mankind is ungrateful.

(MELAYU)

Dan Dialah Allah yang telah menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu (lagi), sesungguhnya manusia itu, benar-benar sangat mengingkari nikmat.

 

وَهُوَ الَّذي أَحياكُم ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم

Dan Dialah yang telah menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu (lagi),

Ayat ini ada persamaan dengan ayat di dalam Surah Al-Baqarah kerana surah ini ada banyak persamaan dengan Surah Baqarah. Iaitu ayat,

{كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ}

Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal kamu asalnya mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya kembali, kemudian kepada-Nyalah kalian dikembalikan? (Al-Baqarah: 28)

Mulanya kita dihidupkan ke atas dunia ini. Kemudian bila sampai masanya, kita akan mati. Dan kemudian kita akan dihidupkan di akhirat kelak.

Ini adalah proses kehidupan manusia. Semua ini dalam qudrat Allah, dan hanya Allah sahaja yang menentukannya. Kita tak boleh nak tentukan bila nak mati dan hidup balik. Maka hendaklah kita mengabdikan diri kepada Allah sahaja. Hendaklah berdoa kepada Allah sahaja.

 

إِنَّ الإِنسٰنَ لَكَفورٌ

sesungguhnya manusia itu, benar-benar sangat mengingkari nikmat.

Tapi manusia banyak yang kufur tidak menghargai nikmat yang Allah beri dengan melakukan syirik. Mereka lupa bahawa Allah yang telah menghidupkan mereka pertama kali di dunia dan akan menghidupkan mereka sekali lagi di akhirat kelak. Mereka tidak bersyukur atas segala nikmat dunia, nikmat Allah beri keselamatan kepada mereka.

Allah sahaja yang beri segala keperluan kita tapi ada juga manusia sembah dan doa kepada selain Allah. Tetapi manusia yang engkar dengan wahyu telah engkar dengan larangan Allah. Ramai yang melakukan syirik seperti berdoa kepada selain Allah, sembah kepada selain Allah dan macam-macam lagi perkara syirik yang manusia lakukan dalam kehidupan mereka. Ini mereka lakukan tanpa sedar atau tidak.


 

Ayat 67:

لِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلنا مَنسَكًا هُم ناسِكوهُ ۖ فَلا يُنٰزِعُنَّكَ فِي الأَمرِ ۚ وَادعُ إِلىٰ رَبِّكَ ۖ إِنَّكَ لَعَلىٰ هُدًى مُّستَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For every religion We have appointed rites which they perform. So, [O Muḥammad], let them [i.e., the disbelievers] not contend with you over the matter but invite them to your Lord. Indeed, you are upon straight guidance.

(MELAYU)

Bagi tiap-tiap umat telah Kami tetapkan syari’at tertentu yang mereka lakukan, maka janganlah sekali-kali mereka membantah kamu dalam urusan (syari’at) ini dan serulah kepada Tuhanmu. Sesungguhnya kamu benar-benar berada pada jalan yang lurus.

 

لِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلنا مَنسَكًا هُم ناسِكوهُ

Bagi tiap-tiap umat telah Kami tetapkan syari’at tertentu yang mereka lakukan, 

Setiap umat ada syariat dan cara ibadat yang Allah ajar termasuk cara mengerjakan Korban. Setiap umat ada cara-cara korban yang telah Allah syariatkan kepada mereka maka janganlah hendak mengatakan cara mereka itu lebih baik daripada cara yang lain.

Memang cara syariat berlainan antara satu sama lain. Akidah sahaja yang sama. Maka apabila puak Yahudi tegur cara korban umat Nabi Muhammad, itu tidak benar.

Ibnu Jarir mengatakan bahawa asal kata mansak menurut istilah bahasa ertinya tempat yang biasa didatangi oleh manusia yang dia selalu bolak-balik kepadanya, adakalanya untuk tujuan baik atau tujuan buruk. Kerana itulah ‘manasik haji’ dinamakan dengan memakai kata ini, mengingat banyak manusia yang berdatangan kepada­nya dan bermukim padanya.

Dan jika makna yang dimaksudkan ialah bagi tiap-tiap umat Allah telah tetapkan syariat tertentu dengan ketetapan secara takdir, bererti maknanya sama dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا}

Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang dia menghadap kepadanya. (Al-Baqarah: 148)

 

فَلا يُنٰزِعُنَّكَ فِي الأَمرِ

lakukan, maka janganlah sekali-kali mereka membantah kamu dalam urusan (syari’at) ini

Jadi tidak patut mereka bantah cara syariat Islam dalam ibadah korban. Tidak perlu berbantah dengan mereka untuk menegakkan mana cara yang lebih baik. Jangan nak persoalkan syariat Islam sekarang. Taurat dan Injil memang lain tapi sekarang sudah kena pakai cara yang diajar dalam Islam. Apabila Nabi Muhammad telah naik menjadi Rasul, maka segala syariat yang lepas sudah tidak terpakai lagi.

Ada juga perbantahan dari Musyrikin Mekah. Mereka kutuk cara Islam yang menyembelih binatang dan tidak makan bangkai yang mati tanpa disembelih. Mereka berhujah yang kata binatang yang mati sendiri itu dimatikan oleh Allah. Maka mereka kata itu patutnya lebih mulia kerana Allah sendiri yang mematikan binatang itu.

Allah kata jangan berbantah dengan mereka dalam hal ini. Tidak perlu dilayan hujah-hujah karut mereka itu.

 

وَادعُ إِلىٰ رَبِّكَ

dan serulah kepada Tuhanmu.

Yang pasti sama adalah berkenaan tauhid. Maka ajak manusia kepada tauhid. Ajak kepada kenal Allah dan hargai Allah sebagaimana yang sepatutnya. Yang sepatutnya adalah menghargai Allah dalam fahaman tauhid. Ini hanya dapat difahami kalau belajar tafsir Qur’an. Kerana kalau tidak belajar, tidak akan faham.

 

إِنَّكَ لَعَلىٰ هُدًى مُّستَقيمٍ

Sesungguhnya engkau benar-benar berada pada jalan yang lurus.

Dan Allah tekankan yang Nabi Muhammad sudah berada di atas jalan yang lurus. Oleh kerana itu kena ikut cara syariat Nabi, kena ikut arahan Nabi.

Maka jangan sangsi lagi kalau umat sebelum itu hendak melecehkan apa yang baginda ajar. Maka kalau ada yang kata apa-apa dan nak berdebat tentang perkara itu, tidak perlu dilayan kerana lebih baik tumpukan perhatian kepada ibadat saja. Tetaplah teguh di atas syariat Nabi Muhammad.

 


Ayat 68:

وَإِن جٰدَلوكَ فَقُلِ اللهُ أَعلَمُ بِما تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they dispute with you, then say, “Allāh is most knowing of what you do.

(MELAYU)

Dan jika mereka membantah kamu, maka katakanlah: “Allah lebih mengetahui tentang apa yang kamu kerjakan”.

 

وَإِن جٰدَلوكَ

Dan jika mereka membantah kamu,

Allah beritahu yang memang ada yang akan bantah. Semakin kita menghampiri penghujung surah ini kita akan kembali melihat isu tentang perdebatan yang telah disebut di awal surah ini. Allah nak sentuh lagi perkara itu. Manusia memang akan ada sahaja yang membantah perkara yang mereka tidak tahu, perkara yang mereka tidak setuju.

 

فَقُلِ اللهُ أَعلَمُ بِما تَعمَلونَ

maka katakanlah: “Allah lebih mengetahui tentang apa yang kamu kerjakan”.

Apabila kalimah yang digunakan adalah تَعمَلونَ (kamu perbuat), ia bermaksud perbuatan dan juga niat; yang memberi isyarat bahawa Allah bukan saja tahu apa yang mereka lakukan tetapi Allah tahu niat mereka di dalam melakukannya.

Allah tahu apa yang mereka lakukan maka pandailah Allah nak balas mereka atas segala perbuatan mereka. Jangan nak sibuk bantah syariat yang Nabi Muhammad bawakan. Jangan kamu rasa yang kamu hebat, kerana Allah tahu apa yang kamu telah perbuat. Ada banyak kesalahan yang kamu telah lakukan dan semua itu Allah tahu.

Apabila Allah kata Dia tahu apa yang mereka lakukan, ini sebenarnya adalah peringatan dan ancaman. Allah nak beritahu yang apa yang mereka buat itu akan dibalas nanti akhirnya. Jangan sangka Allah tengok sahaja.


 

Ayat 69:

اللهُ يَحكُمُ بَينَكُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh will judge between you on the Day of Resurrection concerning that over which you used to differ.”

(MELAYU)

Allah akan mengadili di antara kamu pada hari kiamat tentang apa yang kamu dahulu selalu berselisih padanya.

 

Perkara yang kamu perdebatkan dan tidak bersetuju dan berbalah bantah antara satu sama lain itu akan dihukum oleh Allah di akhirat kelak. Waktu itu akan dilakukan pengadilan secara amali. Waktu itu akan pasti mana yang benar dan mana yang salah.

Tapi semasa di dunia ini telah diberitahu mana yang benar dan mana yang salah. Maka kenalah kita belajar semasa di dunia dan kita amalkan. Janganlah baru tahu di akhirat kelak kerana waktu itu sudah terlambat untuk baiki diri kita. Waktu itu sangatlah menyesal. Kerana waktu itu bukan nak jelaskan siapa yang bersalah sahaja, tapi yang bersalah akan dimasukkan ke dalam neraka. Maka kalau baru tahu salah amalan mereka, sudah terlambat untuk buat apa-apa lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Hajj Ayat 65 – 69 (Allah kawal langit)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s