Tafsir Surah an-Nahl Ayat 121 – 122 (Kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Nahl Ayat 121: Sambungan sifat Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bermula ayat ini adalah khulasah (ringkasan) surah An-Nahl ini.

شاكِرًا لِّأَنعُمِهِ ۚ اجتَبٰهُ وَهَدىٰهُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He was] grateful for His favors. He [i.e., Allāh] chose him and guided him to a straight path.

(MELAYU)

(lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah. Allah telah memilihnya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.

 

شاكِرًا لِّأَنعُمِهِ

(lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat-Nya.

Sepanjang hidup Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda adalah seorang yang sentiasa bersyukur. Baginda bersyukur kepada Allah ﷻ atas segala nikmat yang Allah ﷻ telah berikan.

Musyrikin Mekah diperli dalam ayat ini kerana mereka tidak bersyukur. Mereka mendapat banyak nikmat sebagai kedudukan mereka menjaga Ka’bah, tetapi mereka tidak taat kepada Allah ﷻ. Mereka kononnya ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi sebenarnya mereka tidak ikut pun amalan baginda. Maka Allah ﷻ perli Musyrikin Mekah di sini yang perasan mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Syukur itu maksudnya kena taat kepada apa yang Allah ﷻ perintah, tetapi Musyrikin Mekah sebaliknya tidak taat.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sentiasa bersyukur terhadap nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada baginda. Tentunya baginda mendapat banyak nikmat, tetapi baginda hanya boleh bersyukur terhadap sebahagian sahaja kerana banyak lagi nikmat yang kita dapat daripada Allah ﷻ, tetapi kita tidak tahu. Tidak mungkin kita boleh tahu semua sekali.

Bagaimana bersyukur kepada Allah ﷻ? Ini telah banyak kali disebut dan kita nyatakan lagi di sini sebagai pengulangan. Syukur itu bukan hanya menyebut alhamdulillah sahaja, tetapi harus taat kepada Allah ﷻ. Jangan pula semua nikmat Allah ﷻ kita mahu gunakan, tetapi hukum Dia kita tidak ikut pula. Ini tidak patut sama sekali.

Banyak ayat menyebut arahan untuk syukur kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Fatir: 12

وَما يَستَوِي البَحرانِ هٰذا عَذبٌ فُراتٌ سائِغٌ شَرابُهُ وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ ۖ وَمِن كُلٍّ تَأكُلونَ لَحمًا طَرِيًّا وَتَستَخرِجونَ حِليَةً تَلبَسونَها ۖ وَتَرَى الفُلكَ فيهِ مَواخِرَ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan supaya kamu bersyukur.

Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Ternyata di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim (5046))

Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.

Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?

 

اجتَبٰهُ

Allah telah memilihnya

Allah ﷻ telah memilih Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi seorang Nabi lagi Rasul.

Kalimah ijtiba’ bermaksud pemilihan kerana ada kelebihan yang ada pada seseorang. Ada maksud tertentu kenapa ijtiba’ ini berbeza dengan kalimah lain yang digunakan untuk ‘pemilihan’. Memang ada lagi kalimah-kalimah lain. Sebagai contoh, kalimah ‘ikthiar’ itu digunakan kalau memilih berdasarkan kebaikan. Akan tetapi kalau digunakan kalimah ijtiba’, ia bermaksud pemilihan berdasarkan kepada kebolehan.

Kalimah ijtaba’ ini adalah satu perkataan yang unik. Kadang-kadang kita sendiri tidak tahu kelebihan diri kita. Namun Allah ‎ﷻ tahu kelebihan diri kita lebih daripada diri kita sendiri. Untuk memahami maksud perkataan ijtaba’ ini, kita ambil satu perumpamaan.

Katakanlah kita ini seorang yang mempunyai ijazah dalam bidang media. Namun oleh kerana tidak ada pekerjaan, kita sudah sanggup untuk bekerja apa sahaja yang mungkin di luar bidang kemahiran atau kelayakan kita. Suatu hari, kita ternampak sebuah iklan menawarkan pekerjaan sebagai “Graphic Designer” (Pereka Grafik). Kita memang tidak ada kelayakan, tetapi kita tidak ada peluang lain lagi. Maka, kita pun pergilah ke proses temuduga itu. Dalam temuduga itu, penemuduga telah menceritakan keperluan kerja sebagai seorang “Graphic Designer”. Dalam dia bercerita tugas-tugas yang perlu dilakukan, kita sudah mula rasa kita tidak sesuai kerana memang kita tidak layak disebabkan tiada kemahiran yang diperkukan. Kita mula merasakan yang kita tidak mampu melakukan tugas-tugas yang disebut itu.

Di hujung temuramah itu, akhir sekali penemuduga telah menawarkan kerja “Graphic Designer” itu kepada kita. Tentulah kita kehairanan, kerana kita tahu kita tidak layak, bukan? Kita pun cakap kita tidak layak kepada penemuduga itu sendiri. Tetapi penemuduga itu berkata: “Saya sudah lama menemuduga bakal pekerja. Walaupun anda rasa anda tidak sesuai, tetapi daripada pengalaman saya, saya tahu yang anda boleh buat kerja ini dan anda akan buat kerja ini dengan baik. Jangan takut, anda memang sesuai.”

Maka ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana menunjukkan yang baginda ada kelebihan yang melayakkan baginda dipilih menjadi Rasul.

Begitulah juga diri kita yang telah terpilih untuk membawa jalan sunnah ini. Kita pun tidak tahu bagaimana kita dipilih oleh Allah ‎ﷻ untuk menyebarkan dakwah ini. Namun Allah ‎ ﷻ telah memilih kita. Kalau kita fikirkan kekurangan diri kita, memang kita rasa tidak layak. Akan tetapi Allah ‎ ﷻ Maha Mengetahui hamba-Nya. Jika Allah ‎ ﷻ telah memilih kita, maka tentunya kita sesuai untuk menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah ‎ ﷻ ini. Oleh itu, kita kena teruskan tugas ini, jangan rasa kita tidak layak.

Maka, berbalik semula kepada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda telah ditinggikan darjat menjadi Nabi lagi Rasul. Allah ‎ﷻ sendiri yang buat pemilihan itu dan itu adalah hak Allah ‎ﷻ untuk memilih sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Bukan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja, tetapi ahli keluarga baginda juga telah mendapat nikmat itu. Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi. Alangkah besarnya hati apabila keturunan dan waris baginda ramai yang dilantik menjadi Nabi dan sama-sama bekerja untuk agama.

Namun begitu, ingatlah mereka asalnya mula berdakwah berseorangan. Seperti kita juga kadang-kadang bersendirian sahaja atas jalan Sunnah. Kadang-kadang kita mulakan daripada kosong kerana kita tidak ada latar belakang pendidikan sekolah agama. Kena ingatlah yang bukan semua orang terus ada ilmu agama.

Mula-mula kita seorang sahaja yang belajar dalam keluarga kita. Mungkin kitalah seorang dalam keluarga kita yang mula belajar tafsir Al-Qur’an dan mula menjalani kehidupan berdasarkan sunnah. Kemudian kita mula ajak orang lain. Lama kelamaan, semakin ramai yang kenal sunnah dan mula untuk mendalami agama seperti kita juga. Walau bagaimanapun, ia dimulakan dengan diri kita terlebih dahulu.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dipilih menjadi salah seorang daripada Rasul Ulul Azmi. Ada 5 orang Rasul yang diberikan dengan gelaran ini iaitu Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah gelaran dan kedudukan yang diberikan Allah ﷻ kepada hamba-hamba-Nya dengan ujian yang sangat besar dan mampu dilalui dengan kesabaran dan keimanan. Cubaan yang diberikan Allah ﷻ kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ begitu berat sehingga gelaran yang diberikan Allah ﷻ kepadanya begitu tinggi kerana ketaatan, keikhlasan dan keimanan yang tinggi yang dimiliki Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Banyak pelajaran yang dapat kita petik daripada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam menghadapi ujian yang datangnya daripada Allah ﷻ. Sekurang-kurangnya ada empat ujian yang diberikan Allah ﷻ kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

1. Dibakar Raja Namrud

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir di Fadan Aram Irak, di tengah kaum penyembah berhala, termasuk ayahnya sendiri, yang disebut di dalam Al-Qur’an sebagai Azar). Sedangkan rajanya bernama Namrud. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak ayahnya untuk beriman, antaranya seperti disebut di dalam An’am: 74

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ لِأَبيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصنامًا ءآلِهَةً ۖ إِنّي أَرٰىكَ وَقَومَكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.

Akan tetapi bapanya menolak dan menghalau baginda seperti disebut di dalam Maryam: 46,

قالَ أَراغِبٌ أَنتَ عَن آلِهَتي يٰۤاِبرٰهِيمُ‌ۚ ۖ لَئِن لَّم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ ۖ وَاهجُرني مَلِيًّا
(Bapanya) menjawab: “Adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti (daripada menyeru dan menasihati daku) sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.

Kemudian, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghancurkan patung berhala mereka. Kerana itu, Raja Namrud akhirnya memerintahkan rakyatnya untuk membakar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hidup-hidup. Namun, api yang berkobar yang hendak membakar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi dingin atas perintah Allah ﷻ. Di dalam Anbiya: 69, Allah ﷻ berfirman:

قُلْنَا يَا نَارُ كُوْنِيْ بَرْدًا وَّسَلَمًا عَلَى إِبْراهِيْمَ
“Kami berfirman, ‘Wahai api! Jadilah kamu dingin, dan penyelamat bagi Ibrahim!’,”

Setelah peristiwa itu, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama isterinya berhijrah ke Syam untuk beribadah dengan tenang.

2. Diperintahkan khitan

Pada usia 99 tahun, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan oleh Allah ﷻ untuk melakukan khitan, maka kemudian baginda berkhitan bersama anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berusia 13 tahun ketika itu. Sejak saat itu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mulai melaksanakan khitan dalam keluarganya sehingga menjadi sunnah bagi kita sekarang.

Atau, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikhitan pada usia 80 tahun, sesuai hadith daripada Rasulullah ﷺ.

اختتن إبراهيم عليه السلام وهو ابن ثمانين سنة بالقدوم
Rasulullah ﷺ bersabda, “Ibrahim al Khalil berkhitan setelah mencapai usia 80 tahun dan beliau berkhitan menggunakan kapak.”
(Sahih Bukhari No. 3107)

3. Diperintahkan menyembelih anaknya

Allah ﷻ juga memerintah dan memberikan ujian kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menyembelih puteranya Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang masih berusia 13 tahun sebagai qurban. Demi membuktikan kecintaannya kepada Allah ﷻ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun melaksanakannya dengan penuh ketaatan, keimanan dan keikhlasan yang tinggi. Ini disebut di dalam Saffat: 102

فَلَمّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعيَ قالَ يٰبُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ ۖ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰبِري
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

Namun, Allah ﷻ kemudian menggantikannya dengan menyembelih haiwan. Peristiwa besar ini telah dilakukan umat Islam sampai saat ini hingga hari akhir yang disebut dengan Hari Raya Qurban atau Idul Adha.

4. Diperintahkan membangunkan Ka’bah

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan Allah ﷻ untuk membangun Ka’bah menjadi kiblat solat umat Islam seluruh dunia hingga saat ini. Ka’bah menjadi salah satu bukti kebesaran maqam Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sisi Allah ﷻ.

Ka’bah merupakan sebuah bangunan suci yang sangat bersejarah dan akan tetap abadi hingga sampai hari akhir nanti. Dalam membangun Ka’bah ini, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang menjadi tukangnya dan dibantu oleh puteranya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi kulinya, serta dibantu Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi arkiteknya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 127

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu

 

وَهَدىٰهُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.

Allah ﷻ telah menunjukkan jalan yang lurus kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda telah mengikuti jalan itu. Iaitu menyembah Allah ﷻ semata-mata, tiada menjadikan sekutu bagi-Nya, menurut syariat yang diredhai-Nya.

Maka kita pun haruslah mengikuti jalan baginda itu. Dalam ayat yang lain, disebut yang Nabi Muhammad ﷺ juga mengikut jalan baginda. Maka kita kalau mengikut jalan Nabi Muhammad ﷺ, bermakna kita sebenarnya telah mengikut jalan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Daripada 5 orang Rasul itu, ada dua orang yang mendapat gelaran lain yang lagi tinggi kedudukannya iaitu Khalilullah. Khalilullah ialah gelaran istimewa yang diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan juga Nabi Muhammad ﷺ. Maksud gelaran itu ialah ‘Kekasih Allah’. Gelaran itu telah disebut di dalam Nisa’: 125

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ ِللهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ حَنِيفًا وَاتَّخَذَ اللَهُ إِبْرٰهِيمَ خَلِيلًا
Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.

Di dalam kitab Nashoihul Ibad karangan Syeikh Imam Nawawi al-Bantani, terdapat tiga sebab yang memungkinkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendapat gelaran “khalilullah” yang mulia itu.

Pertama, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu mendahulukan perintah Allah ﷻ daripada perintah lainnya. Layaknya kepada seorang kekasih, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu mendahulukan kepentingan Allah ﷻ daripada yang lain. Hal ini terzahir ketika Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintah Allah ﷻ untuk menyembelih anaknya sendiri, Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Sebelum kelahiran Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat mendambakan seorang anak. Namun hingga berpuluh-puluh tahun baginda belum dikurniai anak. Pada akhirnya baginda meminta izin kepada isterinya, Sarah, untuk menikah kedua kalinya dengan Hajar.

Melalui pernikahan ini lahirlah Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hingga saat menginjak masa remaja, Allah ﷻ memerintahkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Tanpa berfikir panjang, baginda menjalankan perintah Allah. Dengan kuasa Allah ﷻ, Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diselamatkan Allah ﷻ dan diganti dengan domba.

Kedua, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu tawakal kepada Allah ﷻ. Ketika turun perintah Allah ﷻ untuk meninggalkan Siti Hajar di kawasan yang asing dan kering kontang di tengah padang pasir, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ taat dan bertawakal kepada Allah ﷻ dengan sepenuhnya tanpa keraguan.

Ketiga, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak pernah makan kecuali ada tamu yang menemaninya. Baginda rela berjalan untuk mencari tamu agar dapat makan bersamanya. Hal ini membuat baginda diberi jolokan “Abu ad-Duyuf” atau bapa para tamu.


 

Nahl Ayat 122: Ini adalah balasan yang diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

وَءآتَينٰهُ فِي الدُّنيا حَسَنَةً ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We gave him good in this world, and indeed, in the Hereafter he will be among the righteous.

(MELAYU)

Dan Kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.

 

وَءآتَينٰهُ فِي الدُّنيا حَسَنَةً

Dan Kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. 

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mendapat banyak kebaikan di dunia. Namun harus diingat yang ia bukanlah kebaikan dari segi harta. Kerana ‘kebaikan’ itu bukanlah tentang keduniaan sahaja. Yang lebih hebat adalah baginda dipilih menjadi Nabi dan pemimpin kepada golongan yang kemudian. Kemuliaan yang diberikan kepada baginda adalah amat hebat. Memang baginda diberikan dengan kebaikan semasa di dunia, tetapi kebaikan-kebaikan itu membawa kepada kebaikan di akhirat.

Namun itu semua diberi setelah baginda melalui berbagai kesusahan. Lihatlah bagaimana baginda diseksa, dibakar, disembelih anaknya, dihalau dari kampung halaman, ditinggalkan anak isteri di tempat yang jauh dan bermacam-macam lagi.

Semua ujian yang dikenakan kepada baginda itu adalah amat berat tetapi baginda dapat melepasi segala ujian itu dan kerana berjaya melepasi segala ujian itu, maka baginda telah dikurniakan dengan kebaikan yang baginda dapat di dunia ini lagi.

Antara kebaikan yang baginda dapat di dunia ini adalah nama baginda sentiasa disebut-sebut. Bayangkan di dalam Selawat Ibrahimiyah (selawat terbaik) nama baginda disebut bersama nama Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya nama baginda akan disebut sehingga ke hari Kiamat nanti.

Baginda juga menjadi ikutan contoh bagi umat manusia termasuklah Nabi Muhammad ﷺ sendiri disuruh untuk ikut baginda. Ini nanti akan disebut di dalam ayat seterusnya.

Antaranya lagi baginda telah dikurniakan dengan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika usia baginda 86 tahun; dan kemudian mendapat Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda berumur 100 tahun tanpa disangka-sangka. Melalui kedua mereka ini telah menurunkan bangsa-bangsa yang besar dan hebat. Kedua-dua anak itu telah diangkat menjadi Nabi. Malah cucu (Nabi Ya’kob عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) dan cicitnya (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) juga telah diangkat menjadi Nabi. Melalui anak-anaknya itu lahir keturunan yang mulia dan beriman. Anak-anak beriman adalah harta yang paling baik sekali kerana ia membawa sampai ke akhirat kerana anak yang ditinggalkan akan mendoakan kita dan melakukan amal ibadat yang pahalanya akan terus mengalir kepada arwah bapa.

Nama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga amat mulia di dunia kerana semua penganut agama langit (Yahudi, Kristian dan Islam) memuji-muji baginda.

 

وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصّٰلِحينَ

Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.

Pasti di akhirat nanti baginda akan dapat kedudukan yang lebih tinggi lagi. Baginda dimasukkan ke dalam sebahagian daripada golongan solehin.

Dalam Nisa: 69, Allah ﷻ ada meletak 4 tahap manusia – Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan akhir sekali Solehin. Oleh kerana itu kalau lihat kedudukan tahap itu, kedudukan paling rendah adalah Solehin, bukan? Namun bagaimana pula Allah ﷻ meletakkan kedudukan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini pada kedudukan solehin pula? Memang nampak macam kedudukan yang rendah tetapi ini menunjukkan kalau kita mendapat kedudukan solehin pun, maknanya kita sudah dapat duduk dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Namun bukanlah soleh baginda itu adalah soleh biasa, tetapi ia peringkat soleh para Nabi yang bermakna ia adalah antara darjat yang tinggi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Februari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 118 – 120 (Kedudukan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Nahl Ayat 118: Masih lagi di dalam perbincangan tentang pemakanan. Ini adalah ayat Jawab Syubhah (kekeliruan). Ayat ini adalah jawapan bagi soalan: kenapa ada benda yang halal dalam Islam, namun haram dalam syariat Bani Israil, iaitu unta? Kenapa tidak sama?

وَعَلَى الَّذينَ هادوا حَرَّمنا ما قَصَصنا عَلَيكَ مِن قَبلُ ۖ وَما ظَلَمنٰهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to those who are Jews, We have prohibited that which We related to you before.¹ And We did not wrong them [thereby], but they were wronging themselves.

(MELAYU)

Dan terhadap orang-orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah Kami ceritakan dahulu kepadamu; dan Kami tiada menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

 

وَعَلَى الَّذينَ هادوا حَرَّمنا ما قَصَصنا عَلَيكَ مِن قَبلُ

Dan terhadap orang-orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah Kami ceritakan dahulu kepadamu; 

Sekarang disentuh pula tentang golongan Yahudi. Di dalam ayat ini, mereka disebut الَّذينَ هادوا iaitu kalimah هادوا itu di dalam bentuk fi’il madhi. Ia adalah bentuk perbuatan. Sedangkan ada juga disebut mereka itu di dalam bentuk isim seperti di dalam Baqarah: 113

وَقالَتِ اليَهودُ لَيسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلىٰ شَيءٍ
Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”;

Apabila digunakan kalimah الَّذينَ هادوا, ia bermaksud mereka telah melakukan هادوا iaitu satu jenis perbuatan. Kalimah هادوا daripada katadasar ه و د yang bermaksud menjadi seorang Yahudi; dibimbing; kembali kepada tugasnya dengan lembut; merayap; merangkak; bertaubat. Maka ada beberapa pendapat kenapa mereka digelar begini:

1. Berasal daripada kata ه و د, yang bererti bertaubat atau kembali ke jalan yang benar. Hal ini didasarkan pada Firman Allah ﷻ di dalam A’raf: 156:

وَاكتُب لَنا في هٰذِهِ الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ إِنّا هُدنا إِلَيكَ
“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada-Mu”

Dikatakan demikian, kerana mereka bertaubat daripada kesalahan menyembah anak lembu, dan kembali kepada kebenaran. Ini disebut di dalam Baqarah: 54

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يَـٰقَومِ إِنَّكُم ظَلَمتُم أَنفُسَكُم بِاتِّخاذِكُمُ العِجلَ فَتوبوا إِلىٰ بارِئِكُم فَاقتُلوا أَنفُسَكُم ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم عِندَ بارِئِكُم فَتابَ عَلَيكُم ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

2. Berasal daripada perkataan Yahuda, yang dibangsakan kepada Yehuda, salah seorang anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Pendapat ini agak kuat kerana nama Yahuda berasal daripada suku yang terkuat, iaitu Yehuda. Ada juga disebut sebagai Yahudza.

Secara khusus, Yahudi dinisbahkan kepada kecenderungan politik dan kedudukan geografi kerajaan Yahudza Selatan yang merupakan pecahan daripada kerajaan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Pada sudut sejarah, nama Yahudza adalah merupakan salah satu kelompok Bani Israil. Yahudza adalah salah seorang anak Nabi Ya’aqub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Yahudza menjadi tokoh penting di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melebihi pentingnya kedudukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (menurut orang Yahudi). Kepentingan nama Yahudza menurut orang Yahudi adalah disebabkan beberapa faktor:

a) Yahudza menjadi pelindung dan penyebab kepada tidak terbunuhnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila dia mencadangkan supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijual sebagai hamba. (Kitab Kejadian 37: 26-27)

b) Yahudza menjadi faktor kepada Nabi Ya’aqub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan saudaranya untuk kekal hidup apabila baginda mencadangkan supaya dirinya dan Bunyamin diutuskan menemui Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Mesir untuk meminta bantuan makanan. Tanpa cadangan Yahudza, pastilah Nabi Ya’aqub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan saudaranya akan mati kelaparan. (Kitab Kejadian 43: 8, 49: 8-10)

c) Yahudza berjaya mendapatkan kerajaan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan selamat daripada dihukum akibat perbuatannya dahulu. Manakala, saudaranya yang lain tidak dapat diselamatkan. (Kitab Kejadian pasal 49)

Rujukan kitab Yahudi ini bermaksud untuk mengangkat kerajaan Yahudza setelah terpecahnya kerajaan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehinggalah kerajaannya jatuh ditawan oleh Nebuchadnezzar, Raja Babylon pada tahun 582 SM. Kerajaan Yahudza Selatan ini bertahan lebih lama iaitu selama 135 tahun berbanding Kerajaan Israil Utara yang ditawan oleh bangsa Asyur.

3. Disebut sebagai Yahudi kerana mereka telah menyimpang daripada aturan-aturan yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ, baik aturan yang dibawa oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mahupun yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Nama ini bersifat kutukan, sebab ia menunjukkan bahawa mereka tidak hanya menolak ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ, yang seharusnya mereka ikuti sesuai dengan tuntunan kitab mereka, tetapi juga memberkan isyarat bahawa mereka telah menyimpang daripada petunjuk kitab suci mereka sendiri.

4. Disebut Yahudi kerana mereka bersikap lemah lembut dan gementar ketika mereka membaca Taurat. Bahkan, ada yang mengatakan bahawa bumi dan langit pun gementar ketika Allah ﷻ memberikan Taurat kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Begitulah serba sedikit pengenalan kepada nama Yahudi ini. Kepada mereka ini, Allah ﷻ telah haramkan apa yang telah pernah disebutkan sebelum ini di dalam surah yang lain. Atau hukum ini telah diberitahu kepada mereka sudah lama dahulu. Maknanya mereka sudah tahu apa yang diharamkan kepada mereka. Perkara ini telah disebut di dalam ayat yang lain yang telah diwahyukan di dalam surah Pengharaman yang dimaksudkan telah disebut dalam Surah Al-An’am iaitu surah yang turun sebelum Surah Nahl ini:

وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا كُلَّ ذِي ظُفُرٍ وَمِنَ الْبَقَرِ وَالْغَنَمِ حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَا إِلا مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَا
Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala binatang yang berkuku: dan daripada sapi dan domba. Kami haramkan atas mereka lemak daripada kedua binatang itu, selain lemak yang melekat di punggung keduanya.
(Al-An’am: 146)

Ini adalah kerana kesalahan mereka menghalang manusia daripada agama yang benar, dan kerana mereka juga selalu mengubah hukum iaitu mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Maka ini adalah ancaman kepada golongan Jahiliyyah itu yang suka-suka mengubah hukum halal dan haram. Kesalahan Bani Israil itu disebut di dalam Nisa’: 160

فَبِظُلمٍ مِّنَ الَّذينَ هادوا حَرَّمنا عَلَيهِم طَيِّبٰتٍ أُحِلَّت لَهُم وَبِصَدِّهِم عَن سَبيلِ اللهِ كَثيرًا
Maka disebabkan kezaliman yang amat besar daripada perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.

.

 

وَما ظَلَمنٰهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

dan Kami tiada menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Allah ﷻ tidak menzalimi mereka dengan memberikan pengharaman itu kepada mereka. Akan tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri. Bukanlah Allah ﷻ sengaja hendak susahkan mereka dalam hal pengharaman makanan bagi mereka itu. Allah ﷻ jelaskan dalam ayat yang lain kenapa mereka dikenakan dengan pengharaman itu. Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa mereka memang layak untuk dikenakan pengharaman itu.

Segala kelakuan manusia akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ. Jangankan orang kafir, kalau orang Islam pun melakukan kesalahan, Allah ﷻ pun akan balas juga seperti disebut di dalam Ali Imran: 165

أَوَلَمّا أَصَٰبَتْكُم مُّصيبَةٌ قَد أَصَبتُم مِّثلَيها قُلتُم أَنّىٰ هٰذا ۖ قُل هُوَ مِن عِندِ أَنفُسِكُم
(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kemalangan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan) itu ialah daripada kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”.

Akan tetapi kalau kita selamat pun, jangan rasa selesa dan selamat pula. Kerana kesenangan yang manusia alami mungkin sebagai istidraj. Iaitu Allah ﷻ beri kesenangan kepada kita bukannya sebagai rahmat, tetapi sebagai azab. Iaitu Allah ﷻ terus beri kesenangan untuk leka dan lalaikan kita. Ini seperti disebut di dalam Ali Imran: 178

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا أَنَّما نُملي لَهُم خَيرٌ لِّأَنفُسِهِم ۚ إِنَّما نُملي لَهُم لِيَزدادوا إِثمًا ۚ وَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ
Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).


 

Nahl Ayat 119: Ayat targhib (ajakan) kepada taubat dan juga ayat tabshir. Sebelum ini Allah ﷻ sebut tentang mereka yang menzalimi diri mereka sendiri. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ sebut tentang taubat.

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذينَ عَمِلُوا السّوءَ بِجَهٰلَةٍ ثُمَّ تابوا مِن بَعدِ ذٰلِكَ وَأَصلَحوا إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعدِها لَغَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, indeed your Lord, to those who have done wrong out of ignorance and then repent after that and correct themselves – indeed, your Lord, thereafter, is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohannya, kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذينَ عَمِلُوا السُّوءَ بِجَهٰلَةٍ

Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohannya,

Ini adalah tentang mereka yang melakukan dosa kerana jahil, kemudian mereka bertaubat. Memang mereka melakukan kesalahan, sebagai contohnya makan makanan haram dan lain-lain dosa dan termasuk di dalam السُّوءَ adalah kesyirikan yang dilakukan. Mereka lakukan dosa itu kerana jahil.

‘Jahil’ itu maksudnya bukanlah tidak tahu, tetapi mereka kalah dengan emosi. Ulama Salaf mengatakan bahawa setiap orang yang berbuat derhaka, dia adalah orang yang jahil. Maknanya dia mungkin orang yang ada ilmu, akan tetapi dia tetap dikira jahil juga. Maksud jahil itu adalah tidak tahu tentang azab Allah ﷻ. Ini kerana kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah جَهٰلَةٍ dan bukannya جَهَل. Kerana kalau kalimah جَهَل yang digunakan, ia adalah kata-lawan kepada kalimah عِلِم. Maka kadangkala orang yang melakukan dosa bukan kerana dia جَهَل, akan tetapi dia جَهٰلَةٍ.

Maka, bukannya bermaksud ‘jahil’ itu dia tidak tahu benda itu salah. Kerana kalau dia tidak tahu benda itu salah, itu adalah ghaflah. Maka, kita kena faham maksud ayat ini – kadang-kadang walaupun kita tahu yang perkara itu salah, berdosa, tetapi kadang-kadang kita buat juga kerana kalah dengan emosi dan nafsu. Kerana asal maksud ‘jahil’ itu memang ‘ikut emosi’. Kerana itu orang yang berakal itu adalah mereka yang buat keputusan menggunakan intelek dan bukan kerana ikut kehendak nafsu/emosi.

Mereka ini mungkin orang yang ada ilmu dan malah mungkin ulama. Akan tetapi jahil mereka itu adalah jahil tentang azab Allah ﷻ, kerana tidak pernah nampak azab Allah ﷻ lagi. Kerana itulah kalau ada ilmu, yang paling penting adalah takut kepada azab Allah ﷻ. Kerana itu ulama’ yang sebenarnya adalah yang takut kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Fatir: 28

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama.

Oleh kerana itu, semakin kita pandai dan berilmu, sepatutnya kita semakin takut dengan Allah ﷻ. Barulah ilmu kita memberi manfaat kepada kita.

 

ثُمَّ تابوا مِن بَعدِ ذٰلِكَ

kemudian mereka bertaubat sesudah itu

Yang penting, selepas mereka melakukan dosa itu, mereka bertaubat. Kita sebagai manusia, memang tidak dapat lari daripada melakukan dosa – kalau bukan dosa besar, tentu ada melakukan dosa-dosa kecil. Hanya para Nabi sahaja yang tidak melakukan dosa.

Yang penting, kita kena bertaubat (kembali kepada Allah ﷻ). Mengaku kesalahan yang kita telah lakukan dan menyesal di atas perbuatan kita itu dan bertekad untuk tidak melakukannya lagi.

 

وَأَصلَحوا

dan memperbaiki 

Satu lagi, mereka kemudian kena baiki diri mereka. Jangan lagi lakukan dosa yang sama. Lakukan sesuatu ke arah kebaikan. Sebagai contoh, kalau duduk dalam kawasan yang menyebabkan mudah untuk berbuat maksiat, maka tinggalkan tempat itu.

Kalau berkawan dengan orang yang mengajak kepada maksiat, maka tinggalkan orang itu. Kalau dulu melakukan dosa kerana tidak ada ilmu, maka kenalah mula belajar agama (mulakan dengan belajar tafsir Al-Qur’an). Ini semua antara termasuk perkara ‘membaiki diri’. Janganlah sama sahaja dulu dan sekarang tetapi hendaklah bergerak ke arah kebaikan.

 

إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعدِها لَغَفورٌ رَّحيمٌ

sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kena buat segala perkara itu, maka berharaplah semoga Allah ﷻ ampunkan dosa-dosa kita. Allah ﷻ itu Maha Pengampun – Dia suka untuk ampunkan dosa hamba-Nya asalkan mereka mahu bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Dua sifat ini amat penting bagi kita. Kita memang banyak dosa, maka kita memerlukan sifat Allah ﷻ yang غَفُورٌ kerana kalau tidak, kita pasti akan masuk ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita. Kemudian kita tentu mahu masuk ke dalam syurga-Nya, maka ini memerlukan sifat Allah ﷻ yang رَحِيمٌ kerana kita tidak akan dapat masuk syurga melainkan dengan rahmat-Nya.

Kadang-kadang, mungkin kita masih juga buat dosa yang sama walaupun telah bertaubat, maka bertaubatlah lagi. Walau selepas itu pun, Allah ﷻ masih tetap pengampun.

Kalau kita perhatikan ayat ini, Allah ﷻ tidak kata Dia akan ampunkan dosa mereka, tetapi Dia hanya sebut yang Dia bersifat غَفورٌ رَّحيمٌ. Ini lebih besar maknanya daripada Dia mengatakan Dia akan ampunkan dosa manusia kerana kalau Dia akan ampunkan, bermakna Allah ﷻ mungkin sesetengah dosa sahaja dan ini terhad. Akan tetapi apabila Allah ﷻ kata Dia bersifat Pemaaf, maka ia bermaksud Allah ﷻ boleh ampunkan segala jenis dosa. Begitulah cara Allah ﷻ mengajak manusia untuk bersegera meminta ampun kepada-Nya. Allah ﷻ selalu menyebut sifat-Nya yang Maha Pengampun, antaranya seperti disebut di dalam Najm: 32

الَّذينَ يَجتَنِبونَ كَبائِرَ الإِثمِ وَالفَواحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ واسِعُ المَغفِرَةِ
(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunan-Nya.

Perhatikan satu lagi susunan ayat ini. Selepas Allah ﷻ sebut sifatnya yang mengampunkan (غَفُورٌ) Allah ﷻ selalu sebut sifat رَحِيمٌ. Ini sebenarnya memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Apabila kita bertaubat, Allah ﷻ akan memasukkan kita ke dalam rahmah-Nya. Maka untuk segera dapat rahmah, maka bersegeralah meminta ampun. Perumpamaannya begini, katakanlah kita ada berbuat salah dengan seorang yang kaya. Kemudian dia kata kalau kita meminta maaf kepadanya, bukan sahaja dia akan maafkan kita, malah dia juga akan hadiahkan kita sebuah kereta BMW baru! Apa kita akan buat kalau begitu? Tentulah kita akan segera meminta maaf, bukan?

Sekian Ruku’ 15 daripada 16 ruku’ surah ini.


 

Nahl Ayat 120: Ayat 120-124 adalah Perenggan Makro ke 5 yang menceritakan bahawa hari Sabtu untuk Yahudi. Ia terbahagi kepada 2 bahagian. Bahagian pertama adalah bermula ayat ini sehingga ke ayat 123. Ia berkenaan Tauhid Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ mengiktiraf Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh dijadikan imam (contoh ikutan).

Ayat ini adalah juga Dalil Naqli Tafsili iaitu Allah ﷻ bercerita tentang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai panduan bagi kita.

Kenapa tiba-tiba Allah ﷻ masuk tentang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula? Kenapa apabila Musyrikin Mekah reka fahaman dan amalan, mereka sandarkan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana mereka kena petik nama individu yang telah diterima ramai untuk menguatkan hujah mereka yang lemah. Maka Allah ﷻ kena jelaskan bahawa itu adalah alasan dan rekaan mereka sahaja.

Ini sama lah dengan masyarakat kita yang reka fahaman baru dan sandarkan kepada individu-individu tertentu. Kadangkala tidak sebut pun siapa, setakat sebut kata ‘ulamak berpendapat’ sedangkan tidak tahu ulamak mana. Ini kerana rata-rata masyarakat kita asal dengar nama ulamak sahaja mereka terus terima.

Ini kerana mereka gagal faham bahawa hal-hal agama kena ada sandaran dalil. Ya, kita bukannya tolak ulamak, tetapi kalau petik nama ulamak pun, sebutlah apa sandaran hujah mereka. Kerana hujah kita bukannya ulamak itu tetapi apa dalil yang mereka bawa. Maknanya hujah kita tetap juga memerlukan dalil, cuma dibawa oleh ulamak. Maka kalau ada jenis yang sikit-sikit petik ulamak, maka mereka ini sama sahaja perangainya dengan Musyrikin Mekah.

إِنَّ إِبرٰهيمَ كانَ أُمَّةً قانِتًا لِّلهِ حَنيفًا وَلَم يَكُ مِنَ المُشرِكينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Abraham was a [comprehensive] leader,¹ devoutly obedient to Allāh, inclining toward truth, and he was not of those who associate others with Allāh.

  • i.e., embodying all the excellent qualities which make one an example to be followed.

(MELAYU)

Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan hanif. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan),

 

إِنَّ إِبرٰهيمَ كانَ أُمَّةً

Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan

Siapakah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Baginda lahir dan membesar di bumi Iraq. Kemudian baginda telah hijrah ke Palestin. Baginda turut menziarahi bumi Mesir, dan di sinilah berlakunya peristiwa Sarah di’rampas’ oleh Raja Mesir dalam Hadith Bukhari dengan kisah yang panjang. Dengan ketakutan Raja tersebut, lantas menghadiahkan seorang hamba yang bernama Hajar kepada Sarah, lalu mereka pulang ke Palestin. Selepas kelahiran Ismail, Allah ﷻ memerintahkan Baginda untuk berhijrah ke bumi Hijjaz (Mekah). Al-Qur’an merekodkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkunjung ke Mekah hanya beberapa kali sahaja melalui plot yang bersejarah. Iaitu ketika Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih bayi, kemudian ketika Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah berkahwin, kemudian membina Ka’bah dan terakhir ketika peristiwa penyembelihan Qurban.

Kenapa sekarang disebut Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula? Kerana Musyrikin Mekah itu ada rasa kaitan dengan baginda. Kerana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah Nabi mereka dahulu dan mereka itu sangka yang mereka mengamalkan agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebenarnya. Memang masih ada saki bagi lagi ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam amalan mereka seperti nikah cerai, iktikaf dan sebagainya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah ‘ummah’. ‘Ummah’ selalunya bermaksud satu kumpulan manusia yang ada hala tujuan yang sama. Iaitu semua dalam umat itu ada tujuan yang sama yang mereka hendak capai.

1. Ini memberi isyarat bahawa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada arah tujuan yang tetap. Namun selalunya ummah itu adalah kumpulan manusia yang ramai, tetapi bukankah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu seorang sahaja? Ini adalah kerana Allah ﷻ mahu beritahu yang baginda adalah satu ummah yang tersendiri. Baginda seorang pun sudah dikira sebagai satu ummah.

Ini adalah kerana baginda selalu berseorangan sahaja. Baginda tidak ada pengikut yang ramai. Namun, baginda tetap berdakwah ke merata tempat. Ini sama dengan pendapat Mujahid yang mengatakan bahawa Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang ummah, yakni orang yang beriman sendirian, sedangkan manusia semuanya di masa itu kafir. Walaupun baginda seorang sahaja, tetapi bukankah daripadanya bercambah banyak jenis ummah yang lain? Lihatlah umat Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi Bani Israil dan melalui anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi umat Nabi Muhammad. Ini adalah satu penghormatan kepada baginda.

2. Satu lagi maksud, baginda mempunyai sifat seluruh umat. Memang ada manusia yang ada sifat yang baik, tetapi tidak menyeluruh. Namun pada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu ada keseluruhan sifat baik pada baginda.

3. Satu lagi makna al-ummah dalam ayat ini ialah ‘imam yang dijadikan ikutan’. Memang baginda menjadi ikutan orang sesudah baginda. Daripada Malik رَحِمَهُ اللَّهُ, disebutkan bahawa Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan bahawa al-ummah ialah orang yang mengajar manusia akan agama mereka.

وقال الأعمش، [ عن الحكم ] عن يحيى بن الجزار، عن أبي العبيدين أنه جاء إلى عبد الله فقال: من نسأل إذا لم نسألك؟ فكأن ابن مسعود رق له، فقال: أخبرني عن الأمة فقال: الذي يعلم الناس الخير
Al-A’masy mengatakan daripada Yahya ibnul Jazzar, daripada Abul Abidin, bahawa dia datang kepada Abdullah ibnu Mas’ud رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, lalu dia berkata, “Kepada siapa lagi kami bertanya kalau bukan kepada engkau?” Maka Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا kelihatan seakan-akan kasihan kepadanya, lalu Abul Abidin bertanya, “Ceritakanlah kepadaku apakah makna al-ummah itu!” Abdullah ibnu Mas’ud رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menjawab bahawa al-ummah ialah orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.

Begitulah kalimah ummah mempunyai banyak maksud. Itulah pentingnya belajar tafsir dengan belajar sekali bahasa Arab untuk mengetahui penjelasan tentang kalimah-kalimah yang kita mungkin tersilap terjemah dan tafsir jikalau tidak tahu. Kalau kita tahu satu terjemahan sahaja, maka pening kita untuk sesuaikan dengan maksud ayat ini. Begitulah kalimah أُمَّةٍ ini sampai ada 4 jenis maksud yang digunakan di dalam Al-Qur’an seperti kita telah bincangkan dalam ayat 93 sebelum ini.

 

قانِتًا لِّلهِ

lagi patuh kepada Allah

Kalimah قانِتًا adalah salah satu dari maksud ‘taat’. Iaitu taat dalam fokus kepada Allah ﷻ, suka dalam melakukan taat itu dan menurut perintah. Dalam masa yang sama, ia membawa maksud taat dalam merendah diri. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga adalah contoh ketaatan kepada Allah ﷻ tanpa berbelah bahagi, tanpa soal jawab lagi. Apabila baginda diarahkan berhijrah, apabila baginda disuruh hantar anak isterinya ke Mekah yang tandus, apabila baginda disuruh menyembelih anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan banyak lagi, baginda taat tanpa soal.

 

حَنيفًا وَلَم يَكُ مِنَ المُشرِكينَ

hanif dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan),

Kalimah حَنيفًا dari segi bahasa bermaksud fokus. Maksudnya baginda selalu ikut dan taat kepada perintah Allah ﷻ. Ia juga digunakan untuk membawa maksud ‘tauhid’. Memang baginda adalah ikon bagi ajaran Tauhid.

Kemudian ditambah pula penekanan bahawa baginda tidak pernah buat syirik. Walaupun kalimah ‘hanif’ sudah membawa maksud ‘tauhid’, tetapi Allah ﷻ tambah lagi dengan penekanan (taukid) bahawa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak pernah buat syirik. Ini adalah kerana, ada dalam teks agama Ahli Kitab ada yang mengatakan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah melakukan syirik di hujung hayat baginda. Maka Allah ﷻ hendak membersihkan nama baginda dengan menekankan baginda tidak pernah buat syirik.

Penekanan yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak syirik ini adalah kerana Musyrikin Mekah mengaku yang mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka kata mereka anak cucu baginda dan apa yang mereka amalkan itu adalah peninggalan daripada ajaran baginda. Sampaikan mereka kata mereka mengamalkan Agama Hanif. Mereka pun guna gelaran ‘hanif’ bagi diri mereka.

Akan tetapi Allah ﷻ ingin tekankan bahawa, tidak sama sekali. Mereka tidak ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sama sekali kerana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak pernah buat syirik, sedangkan amalan Musyrikin Mekah itu penuh dengan syirik. Mana mungkin mereka mendakwa yang mereka amal itu adalah ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Februari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 95 – 99 (Solat sehingga al-yaqin)

Hijr Ayat 95: Apabila menyampaikan dakwah tauhid secara terang-terangan, mungkin ada orang yang tidak suka dan akan mencederakan kita. Oleh itu sekarang Allah ‎ﷻ beri jaminan daripada-Nya sendiri. Kadang-kadang kita takut kepada orang lain, namun Allah ﷻ beritahu yang kita tidak perlu takut pun.

إِنّا كَفَينٰكَ المُستَهزِءينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We are sufficient for you against the mockers

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (kamu),

 

Allah ﷻ itu cukup terhadap mereka itu yang memperolok-olokkan kamu. Cukuplah Allah ﷻ sebagai pembantu dan pelindung baginda daripada ancaman mereka. Tidak perlu bantuan daripada makhluk. Mereka kata baginda gila, ahli sihir dan macam-macam lagi. Kalau kita mahu lawan mereka, tentu tidak boleh kerana kadang-kadang mereka itu lebih ramai dan lebih kuat. Mereka mungkin hendak mencederakan kita (tangkap, bunuh dan sebagainya). Maka, kita serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Cukup dengan Allah ﷻ sahaja untuk menangani mereka.

Dengan ayat ini, Rasulullah ﷺ dan para sahabat terus melakukan dakwah secara terbuka. Mereka tidak takut lagi dengan ancaman para penentang. Maka kita pun kena ambil semangat daripada ayat ini, iaitu kalau kita menjalankan kerja dakwah kita, Allah ﷻ ada untuk memelihara kita.

Siapakah asal-asal المُستَهزِءينَ yang disebut di dalam ayat ini? Berkata Muhammad bin Ishaq: “Pembesar-pembesar Quraisy yang mengolok-olok Nabi ﷺ sebagaimana yang diriwayatkan kepadaku oleh Yazid bin Ruman, daripada `Urwah bin az-Zubair, jumlah mereka adalah lima orang, yang mana mereka itu orang-orang kuat dan terpandang dalam kaum mereka.

1. Daripada Bani Asad bin `Abdil `Uzza bin Qushay, ialah al-Aswad bin al-Muththalib, Abu Zam’ah.
2. Daripada Bani Zahrah, al-Aswad bin `Abdi Yaguts bin Wahb bin `Abdi Manaf bin Zahrah.
3. Daripada Bani Makhzum, al-Walid bin al-Mughirah bin `Abdillah bin `Amr bin Makhzum.
4. Daripada Bani Salim bin `Amr bin Hashish bin Ka’ab bin Lu-ay, al-‘Ash bin Wa-il bin Hisyam bin Sa’id bin Sa’ad.
5. Daripada Bani Khuza’ah, al-Harits bin ath-Thalathilah bin `Amr bin al-Harits bin `Abd bin `Amr bin Malkan.

Mereka ini semuanya binasa semasa Perang Badr bersama rakan-rakan mereka yang lain.

Maka ini mengajar kita cara berdakwah iaitu ketika suasana tidak mengizinkan kerana bahaya ke atas nyawa kita, maka berdakwahlah dengan cara yang bersembunyi. Akan tetapi kalau keadaan mengizinkan, maka hendaklah disampaikan dengan cara terang-terangan. Ada pun di negara kita ini, tidaklah ada ancaman nyawa kalau kita berdakwah secara terang-terangan maka hendaklah kita tidak berselindung.


 

Hijr Ayat 96: Siapakah mereka yang memperolok-olokkan itu? Apakah kesalahan mereka?

الَّذينَ يَجعَلونَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءاخَرَ ۚ فَسَوفَ يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who make [equal] with Allāh another deity. But they are going to know.

(MELAYU)

(Iaitu) orang-orang yang menganggap adanya ilah yang lain di samping Allah; maka mereka kelak akan mengetahui (akibat-akibatnya).

 

الَّذينَ يَجعَلونَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءاخَرَ

(Iaitu) orang-orang yang menjadikan ilah yang lain di samping Allah;

Ilah adalah tempat sandaran hati kita. Tempat kita berharap, tempat kita berdoa dan tempat kita taat. Oleh itu, kalau kita ada entiti selain Allah ﷻ yang kita berharap, berdoa dan tempat kita taat, maka kita telah menjadikan ilah lain selain Allah ﷻ.

Ini adalah syirik dan berdosa sedangkan dalam syahadah kita, kita sebut: Tidak ada ilah selain Allah ﷻ, bukan? Namun dek kerana tidak faham maksud ilah, maksud tauhid dan syirik, maka ramailah dalam kalangan orang Islam sendiri yang berbuat syirik dan adakan ilah lain selain Allah ﷻ. Ini adalah kerana kebanyakan masyarakat Muslim kita jahil dalam agama terutama sekali jahil wahyu Allah ﷻ.

Juga kerana mereka telah bergelumang dengan fahaman itu, apabila dibawakan ayat-ayat Allah ﷻ tentang salahnya perkara itu, lalu mereka olok-olokkan ayat-ayat Allah ﷻ itu pula. Maksudnya mereka melawan wahyu.

 

فَسَوفَ يَعلَمونَ

maka mereka kelak akan mengetahui 

Kelak mereka akan tahu balasan yang mereka akan terima. Iaitu apabila mereka mati nanti dan dimasukkan ke dalam neraka. Mungkin sekarang mereka buat dungu sahaja tidak mahu dengar apa yang kita sampaikan, tetapi nanti akan sampai masa yang mereka akan tahu juga akhirnya.


 

ALLAH ﷻ SAHAJA TEMPAT BERLINDUNG

Hijr Ayat 97: Allah ﷻ faham apa yang dirasakan dalam hati Nabi ﷺ dan penyebar tauhid itu apabila mereka diperolok-olokkan.

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We already know that your breast is constrained by what they say.

(MELAYU)

Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahwa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,

 

Allah ﷻ tahu betapa ketatnya hati Rasulullah ﷺ apabila baginda ditolak oleh kaum baginda sendiri. Mereka juga menghina Nabi ﷺ dengan berkata baginda itu seorang yang gila. Baginda juga seorang manusia maka tentunya baginda terkesan juga. Apakah tuduhan mereka terhadap baginda? Dituduh gila, tukang sihir, tukang tenung; dikatakan akan putus keturunan (abtar), kerana tidak beranak laki-laki. Dinyatakan penyebar khabar bohong dan lain-lain.

Maka Allah ﷻ beri tasliah kepada baginda dengan beritahu yang bukannya Allah ﷻ tidak tahu apa yang dilalui oleh baginda. Kalau orang tahu apa yang kita lalui, sedikit sebanyak akan legalah hati kita. Apatah lagi kalau Allah ﷻ yang kata Dia tahu? Tentu lebih lega lagi. Maka ada banyak ayat-ayat pujukan sebegini di dalam Al-Qur’an seperti di dalam An’am: 33

قَد نَعلَمُ إِنَّهُ لَيَحزُنُكَ الَّذي يَقولونَ ۖ فَإِنَّهُم لا يُكَذِّبونَكَ وَلٰكِنَّ الظّٰلِمينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجحَدونَ
Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah sebenarnya.


 

Hijr Ayat 98: Ini juga adalah ayat tasliah. Allah ﷻ suruh sibukkan dengan amal ibadat supaya tidak fikirkan sangat tentang apa yang para penentang kata. Maka ini adalah cara untuk menghilangkan kesedihan sempit dada yang kita alami.

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So exalt [Allāh] with praise of your Lord and be of those who prostrate [to Him].

(MELAYU)

maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat),

 

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ

maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu

Jangan hiraukan apa yang mereka katakan, sebaliknya teruslah buat amal ibadat. Maksudnya, ubah fokus kepada amal ibadat. Jangan hiraukan apa yang mereka kata, apa yang mereka lakukan. Kerana kalau fikirkan hal mereka, hanya akan buat susah hati sahaja. Kita bukan boleh tukar pun keadaan itu kerana kita lemah.

Daripada ingat kepada hal mereka, baik ingat kepada Allah ﷻ dengan melakukan amal ibadat, kerana kalau ingat kepada Allah ﷻ, hati akan menjadi tenang. Maka bertasbihlah banyak-banyak kepada Allah ﷻ. Zikir dan tasbih ada di dalam solat, maka kerana itu ada yang menafsirkan ‘tasbih’ ini bermaksud ‘solat’.

Yang penting kita kena ingat kepada Allah ﷻ kerana ia dapat menenangkan hati kita seperti disebut dalam Ra’d: 28

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Ada dua elemen zikir yang disebut di dalam ayat ini iaitu Tasbih dan Tahmid. Tasbih itu membersihkan Allah ﷻ daripada sifat-sifat yang tidak patut bagi Allah ﷻ dan Tahmid itu pula adalah memuji Allah ﷻ. Ini dinamakan konsep nafi dan ithbat. Iaitu menafikan dan menetapkan sifat-sifat yang patut bagi Allah ﷻ. Ia adalah kalimah yang paling kuat, kerana itulah kalimah Syahadah kita pun ada nafi dan ithbat. Kalimah لا اله adalah nafi dan إلا الله adalah ithbat.

 

وَكُن مِّنَ السّٰجِدينَ

dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud

Kerjakanlah solat dengan banyak melakukan sujud. Janganlah jadi iblis yang enggan melakukan sujud setelah diarahkan oleh Allah ﷻ (seperti yang telah disebut dalam ayat 29 surah ini).

Allah ﷻ tidak sebut solat di dalam ayat ini tetapi Allah ﷻ sebut tentang sujud. Ini adalah kerana sujud adalah pergerakan paling utama di dalam solat (sampaikan kita sujud dua kali di dalam setiap rakaat sedangkan pergerakan lain satu sahaja). Ia juga adalah kedudukan yang kita paling hampir dengan Allah ﷻ. Kerana itulah kita dianjurkan untuk memperbanyakkan doa di dalam solat. Dalilnya adalah hadith,

أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ
Keadaan yang paling hampir seseorang itu kepada Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud.
(Hadith Riwayat Muslim: (482))


 

Hijr Ayat 99: Teruskanlah melakukan amal ibadat itu terutama solat.

وَاعبُد رَبَّكَ حَتّىٰ يَأتِيَكَ اليَقينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And worship your Lord until there comes to you the certainty [i.e., death].

(MELAYU)

dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).

 

Amal ibadat terutama solat itu kenalah dilakukan sehingga mati. Tidak ada masa rehat daripada solat (kecuali bagi wanita yang di dalam haid dan nifas). Kalimah اليَقينُ ini ditafsirkan sebagai mati. Semasa di hujung hayat Rasulullah ﷺ, ketika baginda dalam keadaan yang sakit sangat, sampaikan baginda tidak sedarkan diri, baginda tetap juga solat. Kalau baginda tidak sedarkan diri, sampai hendak berjalan pun tidak boleh berjalan sendiri, baginda dipapah oleh para sahabat untuk ke masjid menunaikan solat.

Memang tidak ada alasan untuk tidak mengerjakan solat kerana solat itu boleh dikerjakan dalam keadaan mana pun yang mampu dilakukan oleh kita. Ini seperti yang telah disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari,

Daripada Imran ibnu Husain رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ كَانَ بِي النَّاصُورُ فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ صَلِّ قَائِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Daripada [Imran bin Hushain رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; “Aku menderita penyakit buasir, lalu aku tanyakan hal itu kepada Nabi ﷺ, maka baginda bersabda: “Solatlah dengan berdiri, dan apabila kamu tidak mampu, maka dengan duduk, jika tidak mampu, maka dengan berbaring.”
(Sahih Bukhari (815))

Maknanya kalau kita susah, maka Allah ‎ﷻ mudahkan cara solat itu. Kalau di dalam perang pun, ada cara untuk solat. Kalau di dalam perjalanan musafir, boleh qasar dan juga boleh jamakkan solat itu. Kalau tiada air atau air terlalu sejuk, maka boleh gunakan Tayammum. Berbagai-bagai cara kita boleh gunakan di dalam keadaan-keadaan tertentu. Asalkan solat sahaja.

Malangnya kita ada perhatikan masyarakat kita yang culas tentang solat ini. Mereka selamba sahaja tidak solat. Ada yang solat, tetapi apabila dia mengalami masalah sedikit, dia tidak solat. Contohnya dia sibuk dengan kerja, tersangkut di dalam perjalanan balik kerja, atau sakit. Bab sakit ini memang masalah kalau orang kita kena. Mereka seolah-olah mendapat ‘lesen’ tidak solat. Siapa beri lesen entahlah tetapi mereka anggap kalau sakit, lebih-lebih lagi kalau dimasukkan ke wad, sudah tidak perlu solat lagi.

Jangan culas tentang solat, teruskan solat sampai mati tetapi ayat ini banyak disalahgunakan oleh golongan jahil dan sesat terutama golongan tarekat yang kononnya mengamalkan sufi. Mereka kata, solat itu dilakukan oleh orang yang tidak ‘yakin’ sahaja. Apabila mereka kononnya sudah sampai ‘tahap yakin’, mereka sudah tidak perlu solat lagi seperti orang kebanyakan. Yakin taik kucing sebenarnya.

Memang golongan ini ada, termasuk di negara ini juga, banyak yang jahil dan banyak yang tertipu dengan ajaran sesat. Mereka kata mereka itu sudah ada ilmu ‘makrifat’ yang kenal Allah ﷻ, maka tidak perlu lagi solat. Mereka tidak fikirkah, para Nabi itu lebih lagi makrifat dengan Allah ﷻ, tetapi mereka tetap solat? Ilmu makrifat mana yang mereka belajar ini, melainkan makrifat daripada syaitan? (Yang telah menipu mereka). Maka kita tidak boleh kata ilmu mereka itu ‘ilmu Makrifat’ tetapi ‘ilmu Makripat’ kerana tidak layak dipanggil makrifat (mengenal) Allah ﷻ.

Ini adalah fahaman yang sesat yang boleh diterima sahaja oleh mereka yang bodoh dan jahil kerana orang bodoh dan jahil sahaja yang boleh menyebabkan seseorang itu percaya dengan ajaran tarekat. Mereka ini memang asalnya hendak belajar agama, tetapi tersilap pilih guru. Mereka telah tersilap pilih jalan sampai termasuk ke dalam ajaran tarekat. Ada yang telah terselamat daripada ajaran sesat itu tetapi bagi yang sombong, mereka tetap terus tertipu.

Ini adalah kerana asalnya ilmu agama mereka kurang, maka mereka senang sahaja ditipu oleh mereka yang berperawakan ‘alim’ dan ‘warak’. Akhirnya mereka ambil agama bukan daripada dalil nas tetapi daripada ilmu ajaran khayalan guru-guru tarekat itu. Bila sudah belajar ilmu khayalan, maka teruslah mereka khayal dalam dunia sesat mereka itu.

Kenapa pula mati dinamakan ‘yakin’? Ini adalah kerana mati sahaja yang kita yakin akan berlaku kepada kita. Ada lagikah perkara lain yang kita yakin? Adakah anda yakin anda akan kaya? Akan berjaya? Akan dapat anak? Akan berkahwin? Akan, akan, akan? Semua itu kita tidak yakin akan berlaku tetapi satu perkara yang kita yakin dan pasti akan berlaku kepada kita tanpa syak lagi – itulah mati. Kita yakin dan pasti yang kita akan mati, bukan? Kerana itulah mati dinamakan juga اليَقينُ.

Seperti yang dikatakan oleh Ibnu Jarir, bahawa telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Basysyar, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id, daripada Sufyan, telah menceritakan kepada kami Tariq ibnu Abdur Rahman, daripada Salim ibnu Abdullah sehubungan dengan makna firman-Nya: dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal). (Al-Hijr: 99) Menurutnya, yang dimaksudkan dengan hal yang diyakini ialah maut atau ajal.

Kalaulah umat manusia belajar wahyu Al-Qur’an ini sebelum mereka terjebak dengan ajaran-ajaran salah, tentulah mereka akan selamat dan tidak membuang masa tidak tentu arah. Tentulah mereka dapat menolak ajakan-ajakan daripada mereka yang sesat seperti golongan tarekat itu dan juga golongan Syiah dan seangkatan dengan mereka (Tarekat itu adalah adik beradik Syiah).

 

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah al-Hijr. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah an-Nahl.

Kemaskini: 29 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 90 – 94 (Membahagi-bahagikan Al-Qur’an)

Hijr Ayat 90:

كَما أَنزَلنا عَلَى المُقتَسِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Just as We had revealed [scriptures] to the separators¹

  • Specifically, the Jews and Christians, who separated from the teachings of their prophets.

(MELAYU)

Sebagaimana (Kami telah memberi peringatan), Kami telah menurunkan (azab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagikan,

 

Ada muqaddar dalam ayat ini: ‘Kami turunkan wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ sepertimana diturunkan wahyu kepada Ahli Kitab’. Kalimah المُقتَسِمينَ dalam ayat ini ditafsirkan sebagai ‘Ahli Kitab’. Ia daripada kalimah ق س م yang bermaksud ‘pisah’, ‘pecah’, ‘bahagi’. Mereka dikatakan Ahli Kitab kerana mereka terpisah daripada ajaran yang benar yang diajar oleh Rasul mereka. Rasul ajar lain, mereka amal lain.

Ada pendapat lain juga bagi kalimah المُقتَسِمينَ ini. Ini kerana kalimah المُقتَسِمينَ juga digunakan untuk orang-orang yang melakukan ‘sumpah ikrar’ di mana ada puak yang telah berikrar antara mereka untuk menolak ajaran Rasul mereka. Pengertiannya sama dengan yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam firman-Nya tentang berita kaum Saleh, iaitu:

قَالُوا تَقَاسَمُوا بِاللَّهِ لَنُبَيِّتَنَّهُ وَأَهْلَهُ
Mereka berkata, “Bersumpahlah kalian dengan nama Allah, bahawa kita sungguh-sungguh akan menyerangnya dengan tiba-tiba berserta keluarganya di malam hari.”
(An-Naml: 49)

Ada juga yang kata kalimah المُقتَسِمينَ itu merujuk kepada golongan Yahudi kerana mereka telah pecah-pecahkan kitab Taurat. Mereka cuma berikan bahagian yang mereka rasa ‘selamat’ sahaja kepada umum, selebihnya mereka simpan. Yang melakukan itu adalah para pendeta mereka supaya senanglah mereka menipu kaum mereka, kerana kaum mereka tidak ada keseluruhan kitab yang lengkap. Maka ketua agama mereka akan kata ia ada dalam kitab asal, tetapi tidak ditunjukkan kitab asal itu kepada pengikut. Dalilnya adalah hadith,

حَدَّثَنِي زِيَادُ بْنُ أَيُّوبَ حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ أَخْبَرَنَا أَبُو بِشْرٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ هُمْ أَهْلُ الْكِتَابِ جَزَّءُوهُ أَجْزَاءً فَآمَنُوا بِبَعْضِهِ وَكَفَرُوا بِبَعْضِهِ يَعْنِي قَوْلَ اللَّهِ تَعَالَى { الَّذِينَ جَعَلُوا الْقُرْآنَ عِضِينَ }
Daripada [Ibnu ‘Abbas] رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata; “Mereka adalah Ahlul Kitab yang telah memilh-milih (aturan Allah). Sebahagian mereka mengimani sebahagian dan sebahagian lagi mereka mengingkarinya.” Ini adalah maksud firman Allah “(iaitu) orang-orang yang telah menjadikan al Qur’an terbahagi-bahagi.” Hijr: 91.
(Sahih Bukhari (3651))

Ada juga pendapat yang kata ia merujuk kepada Musyrikin Mekah kerana mereka memperolok-olok Al-Qur’an. Mereka membuat perancangan sesama mereka untuk dapatkan kesepakatan antara mereka apakah yang mereka akan katakan tentang Al-Qur’an. Mereka bersumpah ikrar sesama mereka. Ini seperti yang disebut dalam hadith:

وقال محمد بن إسحاق ، عن محمد بن أبي محمد ، عن سعيد أو عكرمة ، عن ابن عباس : أن الوليد بن المغيرة اجتمع إليه نفر من قريش ، وكان ذا شرف فيهم ، وقد حضر الموسم فقال لهم : يا معشر قريش ، إنه قد حضر هذا الموسم ، وإن وفود العرب ستقدم عليكم فيه ، وقد سمعوا بأمر صاحبكم هذا ، فأجمعوا فيه رأيا واحدا ولا تختلفوا فيكذب بعضكم بعضا ، ويرد قولكم بعضه بعضا . فقالوا : وأنت يا أبا عبد شمس ، فقل وأقم لنا رأيا نقول به . قال : بل أنتم قولوا لأسمع . قالوا : نقول كاهن ” . قال : ما هو بكاهن . قالوا : فنقول : “ مجنون ” . قال : ما هو بمجنون ! قالوا فنقول : “ شاعر ” . قال : ما هو بشاعر . قالوا : فنقول : “ ساحر ” . قال : ما هو بساحر . قالوا : فماذا نقول ؟ قال : والله إن لقوله حلاوة ، فما أنتم بقائلين من هذا شيئا إلا عرف أنه باطل ، وإن أقرب القول أن تقولوا : هو ساحر . فتفرقوا عنه بذلك ، وأنزل الله فيهم : ( الذين جعلوا القرآن عضين (أصنافا
Muhammad ibnu Ishaq mengatakan daripada Muhammad ibnu Abu Muhammad, daripada Ikrimah atau Sa’id ibnu Jubair, daripada Ibnu Abbas, bahawa Al-Walid ibnul Mughirah menghimpun sejumlah orang dalam kalangan kabilah Quraisy; dia adalah orang yang terhormat dalam kalangan mereka, saat itu telah datang musim Haji. Lalu Al-Walid ibnul Mughirah berkata kepada mereka, “Hai orang-orang Quraisy, sesungguhnya musim haji tahun ini telah tiba, dan sesungguhnya para delegasi dalam kalangan orang-orang Arab semuanya akan datang bertamu kepada kalian, mereka telah mendengar perihal urusan teman kalian ini (yakni Nabi Muhammad ﷺ). Maka bersepakatlah kalian dalam suatu pendapat sehubungan dengannya, dan janganlah kalian bertentangan, sehingga sebahagian daripada kalian mendustakan dengan sebahagian yang lainnya, dan pendapat sebahagian daripada kalian bertentangan dengan pendapat sebahagian yang lainnya.” Lalu mereka berkata, “Dan engkau, hai Abdu Syams (nama jolokan Al-Walid ibnul Mughirah), kemukakanlah pendapatmu yang nanti akan kami jadikan sebagai pegangan.” Al-Walid kembali bertanya, “Tidak, tetapi kalianlah yang mengatakannya, nanti saya akan menurutinya.” Mereka berkata, “Kami katakan dia adalah tukang tenung.” Al-Walid menjawab, “Dia bukanlah tukang tenung.” Mereka berkata, “Dia gila.” Al-Walid berkata, “Dia tidak gila.” Mereka berkata, “Dia seorang penyair.” Al-Walid berkata, “Dia bukan penyair.” Mereka berkata, “Dia seorang penyihir.” Al-Walid berkata, “Dia bukan penyihir.” Mereka berkata, “Lalu apakah yang harus kami katakan?” Al-Walid berkata, “Demi Allah, sesungguhnya ucapan Muhammad benar-benar manis. Tidak sekali-kali kalian mengatakan sesuatu daripadanya melainkan pasti diketahui bahawa perkataanmu itu batil. Dan sesungguhnya pendapat yang paling dekat untuk kalian katakan sehubungan dengannya ialah dia adalah seorang penyihir.” Akhirnya mereka berpisah dengan kesepakatan yang bulat akan hal tersebut dalam bersikap terhadap Nabi ﷺ. Lalu Allah menurunkan firman-Nya sehubungan dengan mereka: (iaitu) orang-orang yang telah menjadikan Al-Qur’an itu terbahagi-bahagi. Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan menanyai mereka semua tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu. (Al-Hijr: 91-93) Yang dimaksudkan dengan mereka ialah orang-orang yang mengatakan hal itu kepada Rasulullah ﷺ.
(HR. Ibnu Hisyam dalam Sirahnya 1/174-175, al-Baihaqi dalam Dalail Nubuwah 2/199, al-Hakim dalam Mustadraknya 2/506-507)
Disahihkan al-Hakim dan disepakati az-Zahabi

Satu lagi pendapat yang diberikan kepada Musyrikin Mekah itu digelar المُقتَسِمينَ adalah kerana mereka ialah pemuka-pemuka Quraisy, orang-orang hartawan, disegani orang dan sangat berpengaruh. Merekalah yang dengan keras menentang Rasulullah ﷺ di Mekah. Itulah orang-orang seperti al-‘Ash bin Wail, ‘Utaibah dan Syaibah, keduanya anak Rabi’ah, Abu Jahal bin Hisyam, an-Nadhr bin al-Harits, Umayyah bin Khalaf, Munabbih bin al-Hajjaj dan beberapa orang lain. Mereka dengan sombongnya telah membahagi-bahagi daerah pengaruh dalam kota Mekah itu. Si anu berkuasa di kampung anu. Si fulan pula menguasai daerah anu. Daerah-daerah yang tidak ditentukan bagi mereka masing-masing, mereka bertanggungiawab menghalangi orang datang kepada Nabi ﷺ untuk mendengar Al-Qur’an. Terutama terhadap orang yang datang dari tempat-tempat jauh. Mereka itu pulalah yang telah menuduh-nuduh Al-Qur’an. Kata mereka bahawa isi Al-Qur’an itu seperti sihir, seperti syi’ir, seperti kahanah (tenung) dan lain-lain. Malah mereka tidak mahu mengakui bahawa Al-Qur’an itu adalah Nur bagi jiwa dan petunjuk untuk menempuh jalan menuju Tuhan.

Pendapat lain tentang siapakah المُقتَسِمينَ itu adalah manusia yang memecah-mecahkan agama Allah ‎ﷻ ini menjadi banyak, sedangkan kitab wahyu itu satu sahaja. Ini kerana ada manusia yang beriman dengan sebahagian Al-Qur’an dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi ancaman kepada semua golongan yang telah disebut tadi, iaitu adakah kamu berasa selamat? Maka kita telah berikan banyak pendapat tentang siapakah المُقتَسِمينَ itu. Tidak kira mana satukah yang tepat, ancaman kepada mereka tetap sama: adakah kamu berasa selamat? Tidakkah kamu takut kamu akan dikenakan azab seperti yang telah dikenakan kepada umat-umat yang terdahulu?


 

Hijr Ayat 91: Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang golongan المُقتَسِمينَ. Telah diberikan beberapa pendapat tentang siapakah mereka itu. Sekarang diberikan penerangan, apakah yang mereka telah lakukan.

الَّذينَ جَعَلُوا القُرءانَ عِضينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who have made the Qur’ān into portions.¹

  • Accepting part and rejecting part according to their own inclinations.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang telah menjadikan Al Qur’an itu terbagi-bagi.

 

Kalimah عِضينَ daripada katadasar ع ض و yang bermaksud membahagikan kepada bahagian-bahagian, bahagian yang berasingan, serpihan, pembohongan, fitnah. Mereka pilih bagaimana mana daripada Kalam wahyu Allah ﷻ yang mereka hendak gunakan. Mereka pilih bahagian mana yang berkepentingan pada mereka. Sepatutnya wahyu Allah ﷻ itu kita kena belajar dan amalkan semua sekali. Tidak boleh pilih-pilih mana yang kita suka sahaja. Kita kena belajar dan faham semua sekali ayat-ayat Al-Qur’an. Jangan main petik-petik sahaja. Allah ﷻ mengutuk hal ini seperti disebut dalam Baqarah: 85

ثُمَّ أَنتُم هٰؤُلاءِ تَقتُلونَ أَنفُسَكُم وَتُخرِجونَ فَريقًا مِّنكُم مِّن دِيَـٰرِهِم تَظَـٰهَرُونَ عَلَيهِم بِالإِثمِ وَٱلعُدوٰنِ وَإِن يَأتوكُم أُسَـٰرَىٰ تُفَـٰدُوهُم وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيكُم إِخراجُهُم ۚ أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ ۚ فَما جَزاءُ مَن يَفعَلُ ذٰلِكَ مِنكُم إِلّا خِزيٌ فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَيَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ يُرَدّونَ إِلىٰ أَشَدِّ العَذابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ
Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu di antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Namun malangnya begitulah yang terjadi dengan orang Melayu kita. Mereka kebanyakannya hanya tahu Surah Yaasin sahaja – itu pun tahu baca sahaja. Jangan ditanya terjemahan Yaasin itu kerana mereka tidak tahu. Kalau tanya tafsir lagilah jauh api dari panggang. Macamlah tidak ada surah lain dalam Al-Qur’an. Seolah-olah Al-Qur’an bagi mereka adalah Surah Yaasin sahaja. Seolah-olah surah keramat.

Ada pula yang hanya baca Surah Mulk sahaja, ada yang baca Surah Waqiah sahaja kerana hendak menjadi kaya, ada yang baca Surah Kahf di hari Jumaat sahaja. Surah-surah yang lain, entah namanya pun mereka tidak tahu. Ini adalah amat memalukan kerana jauh sekali umat Melayu kita ini daripada ilmu terutama sekali Al-Qur’an. Sedangkan ia adalah sumber rujukan utama agama kita. Semoga kita dapat mengubah hal ini dan memberikan ilmu agama kepada anak-anak kita. Kena kenalkan mereka kepada ilmu tafsir sejak usia muda lagi supaya pengajian tafsir tidak asing bagi mereka.

Apabila kita tidak faham keseluruhan Al-Qur’an, maknanya kita tidak faham keseluruhan agama ini. Sedangkan bukankah kita disuruh untuk mengamalkan agama ini dengan penuh dan lengkap? Bukankah Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 208?

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Kalau dikaitkan ayat ini tentang Ahli Kitab, ia bermaksud mereka pun memilih-milih ayat Al-Qur’an. Apabila disampaikan kepada mereka ayat-ayat Al-Qur’an, mereka siap boleh kata Al-Qur’an itu benar tetapi ada yang boleh terima dan ada yang tidak. Yang mana mereka lihat berlawanan dengan fahaman mereka, mereka terus tolak. Sampai ada yang kata Al-Qur’an itu hanya untuk orang Arab sahaja.


 

Hijr Ayat 92: Berani sungguh mereka buat begitu. Di awal surah ini di ayat 3 Allah ﷻ suruh biarkan mereka. Dalam ayat ini, Allah ﷻ kata yang mereka akan ditanya.

فَوَرَبِّكَ لَنَسئَلَنَّهُم أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So by your Lord, We will surely question them all

(MELAYU)

Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan menanyai mereka semua,

 

فَوَرَبِّكَ

Maka demi Tuhanmu,

Ini adalah sumpah daripada Allah ﷻ. Apabila Allah ﷻ bersumpah dengan Diri-Nya sendiri, ini bermaksud ia adalah perkara yang amat penting.

 

لَنَسئَلَنَّهُم أَجمَعينَ

Kami pasti akan menanyai mereka semua,

Nabi Muhammad ﷺ tidak perlu sibuk-sibuk dengan mereka, biar Allah ﷻ sahaja yang akan tangani mereka nanti. Begitu jugalah dengan kita sebagai penyebar tauhid ini. Jangan kecoh sangat dengan apa yang dikatakan oleh orang yang menentang jalan sunnah ini. Serah sahaja hal mereka kepada Allah ﷻ. Kita tidak perlu risau hal mereka kerana Allah ﷻ yang akan uruskan mereka.

Apakah yang akan ditanyakan nanti? Kalau kita lihat ayat sebelumnya, ia tentang manusia yang membahagi-bahagikan Al-Qur’an atau kitab wahyu Allah ﷻ yang lain. Maka mereka akan ditanya atas perbuatan mereka itu.

Imam Al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ memberi pendapat bahawa yang dimaksudkan adalah pemenuhan kepada kalimah la ilaaha illallah (kalimah Tauhid) kerana ini adalah kalimah yang terpenting. Adakah mereka telah memenuhinya? Untuk memenuhinya mestilah dengan akal, percakapan dan juga amalan. Ini kerana kalau setakat menyebut sahaja, golongan Munafik pun ada sebut dan ramai lagi orang telah menyebutnya. Akan tetapi adakah mereka memenuhi kewajipan ke atas kalimah itu? Maka ini amat menakutkan kerana kita pun tidak tahu entah-entah ada lagi perkara tentang Tauhid yang kita tidak kemas.

Bukan itu sahaja yang akan ditanya, kerana ada pendapat yang mengatakan kita akan ditanya adakah kita telah ikut ajaran Rasul kita? Dalilnya adalah hadith,

وقال عبد الله هو ابن مسعود والذي لا إله غيره ما منكم من أحد إلا سيخلو الله به يوم القيامة كما يخلو أحدكم بالقمر ليلة البدر فيقول: ابن آدم ماذا غرك منى بي؟ ابن آدم ماذا عملت فيما علمت؟ ابن آدم ماذا أجبت المرسلين؟
Telah berkata Abdullah (yakni Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ), “Demi Tuhan yang tidak ada Tuhan selain Dia, tiada seorang pun di antara kalian melainkan akan diajak berbicara secara bersendiri oleh Allah pada hari kiamat nanti, sebagaimana seseorang di antara kalian memandang bulan di malam purnama. Lalu Allah ﷻ berfirman, ‘Hai anak Adam, apakah yang memperdayakanmu (berbuat derhaka) terhadap-Ku. Hai anak Adam, apakah yang telah engkau lakukan? Hai anak Adam, apakah engkau memperkenankan seruan para rasul?’ .”
(Dikeluarkan oleh Tabrani di dalam Mu’jam Kabir dengan sanad yang sahih, mauquf kepada Ibn Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ)

Alangkah menakutkan sekali kalau kita bersama Allah ﷻ dan Allah ﷻ bertanya kita tentang kesalahan yang kita lakukan semasa di dunia? Hendak jawab apa pada waktu itu? Adakah kita benar-benar bertauhid? Adakah kita benar-benar ikut ajaran Rasulullah ﷺ?


 

Hijr Ayat 93:

عَمّا كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

About what they used to do.

(MELAYU)

tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu.

 

Mereka akan ditanya tentang apa yang mereka biasa buat semasa mereka hidup di dunia. Segala amalan mereka akan diperiksa, segala tingkah laku dan kata-kata mereka. Kalau ada amalan yang syirik, memang bernasib malang. Begitu juga kalau ada amalan bi’dah. Maka ayat ini memberi peringatan kepada kita untuk berhati-hati dengan segala amalan yang kita lakukan.

Ketahuilah yang segala perbuatan kita sekarang sedang direkodkan dan akan ditanya nanti di akhirat. Kitab amalan kita akan dibentangkan dan kita akan ditanya satu persatu. Kalau kita ingat tentang perkara ini, maka kita akan berhati-hati dengan segala perbuatan kita kerana takut kita akan ditanya: “Kenapa buat ini? Kenapa buat itu?”

Namun di dalam Rahman: 39 telah disebut yang ahli neraka tidak ditanya tentang dosa-dosa mereka. Kenapa di sini Allah ‎ﷻ kata mereka ditanya pula? Allah ﷻ bertanya bukannya Allah ﷻ tidak tahu apa dan kenapa kita lakukan, tetapi ia adalah untuk mempersoalkan.

وقال علي بن أبي طلحة ، عن ابن عباس : ( فوربك لنسألنهم أجمعين عما كانوا يعملون ) ثم قال ( فيومئذ لا يسأل عن ذنبه إنس ولا جان ) [ الرحمن : 39 ] قال : لا يسألهم : هل عملتم كذا ؛ لأنه أعلم بذلك منهم ، ولكن يقول : لم عملتم كذا وكذا ؟
`Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas tentang firman Allah فوربك لنسألنهم أجمعين عما كانوا يعملون dan firman-Nya فيومئذ لا يسأل عن ذنبه إنس ولا جان (“Maka pada hari itu tidak ditanya manusia atau pun jin tentang dosanya,” Rahman: 39). Dia (Ibn Abbas) mengatakan: “Allah tidak bertanya apakah kalian berbuat begini, kerana Allah lebih mengetahui hal itu daripada mereka sendiri. Tetapi Allah bertanya kepada mereka: “Mengapa kalian berbuat begini dan begitu?”
(AR. at-Thabari dalam Tafsirnya 14/141, at-Qurthubi dalam Tafsirnya 9/6344, Ibnu Abi Hatim dalam Tafsirnya sepertimana disebutkan oleh as-Suyuthi dalam Tafsirnya 6/145 dan Al Baihaqi dalam Al Ba’ts Wan Nusyur ha. 269)
Sanadnya dhaif kerana kedhaifan perawi Ali bin Abi Thalhah, dan sanad Ali bin Abi Thalhah terputus.

Penjelasan lagi adalah waktu tidak ditanya itu adalah ketika para malaikat menangkap mereka untuk dimasukkan ke dalam neraka. Ini kerana para malaikat sudah tahu mereka daripada tanda-tanda yang ada pada wajah mereka. Malaikat tinggal tangkap sahaja. Akan tetapi ayat di dalam Surah Hijr ini adalah peristiwa lain, lebih awal lagi di mana mereka diberi peluang untuk menjawab kenapa mereka melakukan sesuatu perkara semasa di dunia dahulu.


 

Hijr Ayat 94: Jangan hiraukan mereka yang menentang itu, tetapi teruskan sahaja dengan dakwah.

فَاصدَع بِما تُؤمَرُ وَأَعرِض عَنِ المُشرِكينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then declare what you are commanded¹ and turn away from the polytheists.²

  • The implication is “Thereby you will distinguish or separate the disbelievers from the believers.”
  • Any who persist in association of others with Allāh.

(MELAYU)

Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah daripada orang-orang yang musyrik.

 

فَاصدَع بِما تُؤمَرُ

Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan

Ini bukan arahan kepada Nabi ﷺ untuk mulakan dakwah tetapi untuk meneruskan apa yang baginda tengah buat. فَاصدَع daripada kalimah إصدع yang bermaksud mendedahkan, mematuhi, berselerak. Semua maksud إصدع itu berkenaan dengan dakwah kerana dakwah itu perlu mendedahkan perkara sebenar, mematuhi arahan Allah ‎ﷻ untuk menyampaikan kepada manusia dan berselerak segenap bumi untuk menyampaikan dakwah.

Ia juga bermaksud melakukan sesuatu perkara yang betul walaupun susah. Allah ﷻ tahu berdakwah itu susah, bukan senang. Namun kena terus sebarkan wahyu kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Maka tidak perlu mengeluh susah menegur orang itu dan ini. Tidak perlu mengadu kerana memang semua kita patut tahu yang kerja dakwah itu memang susah. Anda tidak cakap pun kita sudah tahu.

Ada juga berpendapat ini adalah arahan untuk menyebarkan agama Islam secara terang-terangan. Sebelum ayat ini diturunkan, Nabi Muhammad ﷺ berdakwah secara rahsia sahaja selama tiga tahun. Baginda juga melakukan ibadah secara sembunyi-sembunyi sahaja. Selepas ayat ini diturunkan, barulah baginda berdakwah secara terang-terangan.

وقال أبو عبيدة ، عن عبد الله بن مسعود : ما زال النبي – صلى الله عليه وسلم – مستخفيا ، حتى نزلت :
(فاصدع بما تؤمر) فخرج هو وأصحابه
Abu Ubaidah telah meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ masih tetap sembunyi-sembunyi dalam menjalankan ibadahnya, hingga turun firman-Nya: Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu). (Al-Hijr: 94) Maka barulah baginda ﷺ keluar bersama para sahabatnya menyerukan agama Islam secara terang-terangan.
(AR. at-Thabari dalam Tafsirnya 17/152)

 

وَأَعرِض عَنِ المُشرِكينَ

dan berpalinglah daripada orang-orang yang musyrik.

Biarkan sahaja apa yang dilakukan oleh golongan musyrikin itu. Jangan peduli dengan mereka, teruskan dakwah. Kalau dilayan apa yang mereka buat itu, akan mengganggu kerja dakwah sahaja. Ini kerana kepala kita asyik fikir tentang mereka sahaja sampai kita tidak boleh hendak buat apa yang sepatutnya kita lakukan.

Kalau para penentang itu tetap tidak mahu beriman, maka tidak perlu lagi susah-susah dengan mereka. Sebaliknya Nabi ﷺ disuruh untuk berdakwah kepada orang lain pula. Ini kerana ada orang yang kita dakwah tetapi selamanya dia tidak mahu ikut juga. Jangan lagi buang masa dengan dia, cari orang lainlah pula.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 48 – 52 (Balasan Allah ‎ﷻ sangat cepat)

Ibrahim Ayat 48: Allah ﷻ kembali menceritakan tentang Hari Akhirat. Allah ﷻ mampu untuk membalas segala perancangan musuh Islam dan ia akan bermula pada Hari Akhirat nanti. Maka Allah ﷻ membayangkan kepada kita keadaannya nanti. Tujuan Allah ﷻ sebut tentang segala kejadian ini adalah untuk memberitahu kehebatan-Nya dan yang lebih penting, untuk kita menjadi takut.

Akan tetapi sekiranya kita baca sahaja tanpa ada apa-apa perasaan, maka itu bermakna belum lagi mencapai tahap tadabbur. Itu baca biasalah sahaja. Ini seperti orang beritahu rumah kita sedang terbakar, tetapi kita buat tidak tahu sahaja tanpa ada perasaan apa-apa.

يَومَ تُبَدَّلُ الأَرضُ غَيرَ الأَرضِ وَالسَّمٰوٰتُ ۖ وَبَرَزوا ِللهِ الوٰحِدِ القَهّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It will be] on the Day the earth will be replaced by another earth, and the heavens [as well], and they [i.e., all creatures] will come out before Allāh, the One, the Prevailing,

(MELAYU)

(Iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit, dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadirat Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.

 

يَومَ تُبَدَّلُ الأَرضُ غَيرَ الأَرضِ

(Iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain

Mereka akan dibalas pada Hari Kebangkitan nanti. Iaitu apabila makhluk dihidupkan semula. Waktu itu mereka akan dihidupkan pada bumi yang lain. Bumi yang kita hidup sekarang akan ditukarkan dengan bumi yang lain. Kerana bumi yang kita hidup di atasnya sekarang akan dihancurkan tidak ada kesan. Bila kita bangkit nanti, kita sendiri akan perasan ini bukan bumi yang dahulu.

Kalau kita perasan, selalunya apabila ayat Al-Qur’an menyebut langit dan bumi, akan disebut langit dahulu, baru bumi. Namun kali ini disebut bumi dulu sebab sekarang menceritakan berkenaan bumi yang ditukar. Oleh itu, susunan biasa pun ditukar.

Ada juga pendapat lain yang mengatakan Allah ﷻ bukan gantikan bumi ini dengan ganti dzatnya, tetapi hanya ganti sifatnya sahaja. Iaitu ia masih bumi yang sama, tetapi sudah menjadi bentuk lain seperti disebut dalam Taha: 107

لا تَرىٰ فيها عِوَجًا وَلا أَمتًا
Engkau tidak akan melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi.

 

وَالسَّمٰوٰتُ

dan langit-langit

Bukan sahaja bumi malah langit juga akan ditukar dengan langit lain. Bukan langit yang sama lagi. Ini kerana bumi dan langit yang ada sekarang akan dihancurkan. Allah ﷻ akan buat langit dan bumi yang baru.

 

وَبَرَزوا ِللهِ الوٰحِدِ القَهّارِ

dan mereka semuanya keluar segera menghadap ke hadirat Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.

Kita semua akan dibawa mengadap Allah ﷻ. Allah ﷻ sebut sifat-Nya yang Maha Esa dan Maha Perkasa boleh berbuat apa-apa sahaja. Maka tidak ada sesiapa yang dapat dikecualikan dan melarikan diri daripada dihakimi oleh Allah ﷻ. Maka mereka yang telah berbuat zalim terhadap Nabi akan diberi balasan yang setimpal.


 

Ibrahim Ayat 49:  Apakah keadaan mereka nanti semasa mereka dibawa mengadap Allah ﷻ itu?

وَتَرَى المُجرِمينَ يَومَئِذٍ مُقَرَّنينَ فِي الأَصفادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you will see the criminals that Day bound together in shackles,

(MELAYU)

Dan kamu akan melihat orang-orang yang berdosa pada hari itu diikat bersama-sama dengan belenggu.

 

Orang-orang berdosa pada hari itu akan diikat bersama. مُقَرَّنينَ daripada katadasar ق ر ن yang bermaksud ‘dirantai bersama’ (kalau qarin, ia bermaksud jin yang sentiasa bersama dengan kita). Oleh itu, مُقَرَّنينَ bermaksud mereka diikat bersama. Ia adalah kalimah mubalaghah kerana ada syaddah padanya.

Kalimah الأَصفادِ pula dari katadasar ص ف د yang bermaksud untuk mengikat, membelenggu, rantai, nikmat atau hadiah yang diberikan kepada seseorang kerana ia mengikat penerima kepada pemberi itu. Di dalam ayat ini konteks yang digunakan adalah untuk membawa maksud rantai.

Maksudnya ahli neraka akan dirantai beramai-ramai dengan satu rantai sahaja. Ini adalah supaya mereka tidak dapat melarikan diri kerana telah dirantai bersama. Kalau penjenayah di dunia pun ada yang dilakukan sebegini supaya mereka tidak boleh lari. Golongan ahli neraka itu akan ditambat dan dibawa bersama untuk dihumban ke dalam neraka sebagai penghinaan kepada mereka kerana memang mereka tidak boleh lari ke mana-mana pun. Kalau mahu bayangkan, bayangkan seperti hamba abdi yang diikat dengan rantai beramai-ramai. Begitulah cara hamba abdi dibawa dari satu tempat ke satu tempat. Apabila dirantai bersama, tidak ada sesiapa pun yang boleh lari.

Contoh hamba abdi yang diikat dengan rantai besi beramai-ramai

 

Maka kalimah الأَصفادِ bermaksud belenggu. Berkemungkinan besar, ia adalah rantai besi. Oleh kerana neraka itu panas, maka rantai yang panas itu akan melekat kepada mereka dan menyebabkan rantai itu sendiri sudah menjadi azab bagi mereka. Sudahlah suasana di neraka itu panas, rantai yang dikenakan kepada mereka pun panas.


 

Ibrahim Ayat 50:

سَرابيلُهُم مِّن قَطِرانٍ وَتَغشىٰ وُجوهَهُمُ النّارُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their garments of liquid pitch and their faces covered by the Fire

(MELAYU)

Pakaian mereka adalah dari minyak tar dan muka mereka ditutup oleh api neraka,

 

سَرابيلُهُم مِّن قَطِرانٍ

Pakaian mereka adalah daripada tembaga cair

Kalimah سرابيل daripada katadasar س ر ب ل yang bermaksud pakaian; baju; baju besi. Maka kalimah سرابيل boleh jadi pakaian atau baju besi. Selalunya pakaian dan baju besi itu bersifat memberi perlindungan dan menahan daripada panas, bukan? Malah baju besi sepatutnya memberi perlindungan daripada tusukan senjata. Akan tetapi bukan begitu keadaannya di dalam neraka nanti. Ini kerana pakaian itu sendiri menjadi azab kerana ia diperbuat daripada tembaga atau besi dan tentunya dengan keadaan yang panas di dalam neraka, pakaian itu lebih panas dan melekat pada tubuh mereka!

Ini kerana kalimah قَطِرانٍ bermaksud minyak tar atau tembaga cair. Bayangkan sekiranya minyak tar yang dilumurkan ke badan ahli neraka itu. Tentu ia amat panas sekali dan apabila ia terkena pada kulit, ia akan membakar kulit dan menyebabkan berasap. Jelas bukan bagaimana pakaian yang fungsinya di dunia ini sepatutnya memberikan perlindungan namun sebaliknya ia menjadi azab di neraka!

Di dalam Hajj: 19 disebut juga tentang perkara ini,

فَالَّذينَ كَفَروا قُطِّعَت لَهُم ثِيابٌ مِّن نّارٍ
Maka orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian-pakaian daripada api neraka.

Maka dari sini kita dapat tahu yang ia sebenarnya bukanlah pakaian pun, tetapi sebenarnya azab! Bandingkan dengan ayat-ayat tentang pakaian ahli syurga diperbuat daripada sutera dan sebagainya. Nah! Buatlah pilihan sendiri mana satu yang anda mahu.

 

وَتَغشىٰ وُجوهَهُمُ النّارُ

dan muka mereka ditutup oleh api neraka,

Oleh kerana baju panas itu terkena kulit, membakar kulit, maka asap keluar daripada tubuh dan pakaian mereka sendiri! Apabila asap keluar, muka mereka ditutup dengan asap. Asap itu datang daripada pakaian dan kulit mereka sendiri! Subhanalla… amat berat sekali gambaran yang Allah ﷻ berikan. Begitulah balasan buat mereka.

Sebenarnya seluruh badan itu terbakar, tetapi Allah ﷻ selalu menyebut wajah sebagai wakil bagi keseluruhan tubuh. Ini kerana wajah adalah anggota yang paling dipandang pada tubuh seseorang. Ia juga amat penting dan kerana itulah kita selalu akan menjaga muka kita kalau diserang, bukan? Namun di neraka nanti, muka pun mereka tidak dapat jaga. Malah di dalam Zumar: 24 Allah ﷻ menyebut muka itulah yang digunakan untuk menghalang kepanasan azab neraka kerana tangan sudah terikat!

أَفَمَن يَتَّقي بِوَجهِهِ سوءَ العَذابِ يَومَ القِيٰمَةِ
Maka adakah orang yang menahan dengan mukanya akan (selaran) azab yang buruk pada hari kiamat (sama seperti orang yang terselamat)?

Disebut pula di dalam Qamar: 48 bagaimana muka yang kita jaga dan pelihara setiap hari inilah yang akan diseret di dalam api neraka! Kita pun tahu yang kulit muka ini sensitif maka mukalah yang diseret-seret untuk memberi azab yang maksimum!

يَومَ يُسحَبونَ فِي النّارِ عَلىٰ وُجوهِهِم ذوقوا مَسَّ سَقَرَ
Semasa mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka.


 

Ibrahim Ayat 51: Kenapa Allah ﷻ lakukan semua itu?

لِيَجزِيَ اللهُ كُلَّ نَفسٍ مّا كَسَبَت ۚ إِنَّ اللهَ سَريعُ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So that Allāh will recompense every soul for what it earned. Indeed, Allāh is swift in account.

(MELAYU)

agar Allah memberi pembalasan kepada tiap-tiap orang terhadap apa yang dia usahakan. Sesungguhnya Allah Maha cepat hisab-Nya.

 

لِيَجزِيَ اللهُ كُلَّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

agar Allah memberi pembalasan kepada tiap-tiap orang terhadap apa yang dia usahakan. 

Allah ﷻ akan membalas dengan apa yang mereka layak dapat. Walaupun nampak berat sekali balasan yang dikenakan kepada mereka, tetapi yakinlah yang balasan itu adalah layak dan tepat untuk mereka. Allah ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan melakukan kezaliman. Allah ﷻ tidaklah beri azab yang lebih daripada sepatutnya. Allah ﷻ juga sebut di dalam Baqarah: 286 tentang hal ini,

لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت
Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

 

 

إِنَّ اللهَ سَريعُ الحِسابِ

Sesungguhnya Allah Maha cepat hisab-Nya.

Nanti apabila telah sampai masa untuk Allah ﷻ menghisab perbuatan mereka di dunia, Dia akan cepat menghitung. Begitulah dikatakan bahawa apabila Allah ﷻ telah membuka mahkamah penghakiman di akhirat kelak, hanya mengambil masa selama setengah hari sahaja. Atau sekadar waktu tidur di tengahari sahaja (tidur qailullah).

Imam Al-Muzani رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

وَبَعْدَ البِلَى مَنْشُوْرُوْنَ وَيَوْمَ القِيَامَةِ إِلَى رَبِّهِمْ مَحْشُوْرُوْنَ وَلَدَى العَرْضِ عَلَيْهِ مُحَاسَبُوْنَ بِحَضْرَةِ الموَازِيْنِ وَنَشْرِ صُحُفِ الدَّوَاوِيْنَ وَنَسُوْهُ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِيْنَ أَلْفَ سَنَةٍ لَوْ كَانَ غَيْرُ اللهِ الحَاكِمَ بَيْنَ خَلْقِهِ لَكِنَّهُ اللهُ يَلِي الحُكْمَ بَيْنَهُمْ بِعَدْلِهِ بِمِقْدَارِ القَائِلَةِ فِي الدُّنْيَا “وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ”[الأنعام:٦٢] كَمَا بَدَأَهُ لَهُمْ مِنْ شَقَاوَةٍ وَسَعَادَةٍ يَوْمَئِذٍ يَعُوْدُوْنَ “فَرِيْقٌ فِي الجَنَّةِ وَفَرِيْقٌ فِي السَّعِيْرِ” [الشورى:٧]
“Setelah hancur, manusia dibangkitkan. Dan pada hari kiamat, manusia dikumpulkan di hadapan Rabb-Nya. Di masa penampakan amal manusia dihisab. Dengan dihadirkannya timbangan-timbangan dan ditebarkannya lembaran-lembaran (catatan amal). Allah menghitung dengan teliti, sedangkan manusia melupakannya. Hal itu terjadi pada hari yang kadarnya di dunia adalah 50 ribu tahun. Seandainya bukan Allah sebagai hakimnya nescaya tidak akan mampu, akan tetapi Allahlah yang menetapkan hukum di antara mereka secara adil. Sehingga lama waktunya (bagi orang beriman) adalah sekadar masa istirehat siang di dunia, dan Allah Yang Paling Cepat Perhitungan Hisabnya. Sebagaimana Allah memulai menciptakan mereka, ada yang sengsara atau bahagia, pada hari itu mereka dikembalikan. Sebahagian masuk syurga, sebahagian masuk neraka.”

Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 202

أُولٰئِكَ لَهُم نَصيبٌ مِّمّا كَسَبوا ۚ وَاللَّهُ سَريعُ الحِسابِ
Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.

Apabila Allah ﷻ sebut hisab-Nya amat cepat, ia mempunyai tiga makna,

1. Hisab Allah ﷻ sudah dekat, boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka jangan lengah dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Dalilnya adalah Anbiya’: 1

اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ
Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

2. Hisab sebelum mati. Allah ﷻ boleh beri terus balasan semasa di dunia lagi dan kadangkala ia sangat cepat. Contohnya selepas kita baca Al-Qur’an dan selepas solat, kita terus rasa tenang. Kalau kita buat dosa, selepas buat dosa sahaja kita rasa bersalah, bukan? Kadang selepas kita buat dosa, Allah ﷻ terus beri balasannya secara ‘cash’. Sebagai contoh, bila kita melihat aurat orang lain, kemudian Allah ﷻ beri kepala kita terlanggar dinding.

3. Apabila Allah ﷻ buat pengiraan hisab di akhirat, ia cepat sahaja. Menunggu di Mahsyar yang lama, sampai keresahan yang amat besar sampaikan makhluk akan pergi dari satu Rasul ke Rasul yang lain untuk meminta Allah ﷻ percepatkan hisab. Apabila Mahkamah Pengadilan dimulakan, ia akan selesai dalam masa setengah hari sahaja. Ada yang kata satu hari dan ada yang kata selama memerah susu sahaja. Bagaimana mungkin Allah ﷻ lakukan audit yang sebegini?

Pernah Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ditanya tentang hal ini. Beliau jawab sebagaimana Allah ﷻ mampu untuk memberikan rezeki kepada semua makhluk-Nya tanpa tertinggal, maka begitu jugalah Allah ﷻ mampu untuk membuat pengiraan hisab itu serentak. Kita sahaja yang tidak dapat bayangkan kerana ia adalah perkara ghaib dan akal kita tidak mampu mencapai pemahaman itu.

Kenapa Allah ﷻ beritahu perkara ini? Kerana ia hendak memberi galakan kepada orang yang baik supaya bersegera buat kebaikan. Kerana kita suka jikalau balasan kita diberikan dengan segera. Ini sepertimana kita apabila menunggu gaji bulanan – lagi cepat lagi bagus, bukan? Ia sebagai peringatan kepada orang yang jahat supaya mengubah hidup mereka. Kerana orang jahat takut kepada balasan yang segera, kalau boleh mereka hendak ditangguhkan hukuman buat mereka.


 

MESEJ SEJAGAT

Ibrahim Ayat 52: Ini adalah penutup surah ini.

هٰذا بَلٰغٌ لِّلنّاسِ وَلِيُنذَروا بِهِ وَلِيَعلَموا أَنَّما هُوَ إِلٰهٌ وٰحِدٌ وَلِيَذَّكَّرَ أُولُو الأَلبٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This [Qurān] is notification for the people that they may be warned thereby and that they may know that He is but one God and that those of understanding will be reminded.

(MELAYU)

(Al Qur’an) ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia, dan supaya mereka diberi peringatan dengan-Nya, dan supaya mereka mengetahui bahawasanya Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran.

 

هٰذا بَلٰغٌ لِّلنّاسِ

ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia,

Kalimah بَلاغٌ bermaksud ‘sampai’ (seperit baligh bermaksud sudah sampai umur seseorang yang dewasa). Kalimah balaghah bermaksud mesej yang boleh sampai ke hati. Untuk nasihat yang sampai ke hati, ia memerlukan cara komunikasi yang hebat.

Itulah Al-Qur’an; ia adalah cara komunikasi yang hebat. Al-Qur’an menggunakan cara-cara yang efektif dalam menyampaikan pengajaran agama. Ia hebat kerana Allah ﷻ kenal kita dan cara Allah ﷻ sampaikan kepada kita tentulah dengan cara yang tepat.

Al-Qur’an ini untuk disampaikan kepada manusia. Tugas kita sampaikan sahaja. Kalau ada yang tidak faham, itu adalah kerana mereka degil sahaja.

 

 

وَلِيُنذَروا بِهِ

dan supaya mereka diberi peringatan dengan-nya,

Kalimah لِيُنذَروا dalam bentuk majhul (bentuk pasif). Al-Qur’an diturunkan supaya mereka diberi peringatan. Kalimat بِهِ (dengannya) merujuk kepada Al-Qur’an. Kena gunakan Al-Qur’an ini untuk beri peringatan kepada manusia. Maka kita sebagai orang yang sudah tahu serba sedikit tafsir Al-Qur’an ini kena ingatkan mereka yang lalai dan masih tidak tahu lagi tentang wahyu. Kita yang kena sampaikan kepada mereka kerana kalau hendak tunggu mereka datang minta ajaran, tentulah mereka tidak datang. Takkan mereka hendak serahkan kepala mereka kepada kita pula dan mengaku kesalahan mereka, bukan? Maka kita yang kena pergi kepada mereka dan ingatkan.

Peringatan itu mestilah diberikan dengan wahyu daripada Allah ﷻ. Maka kenalah kita ingatkan manusia kepada ayat-ayat Al-Qur’an. Bacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia dan jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ayat itu. Maka untuk itu kenalah kita dahulu yang belajar tafsir, baru boleh sampaikan kepada orang lain. Sebagai permulaan belajar sedikit dan sampai kepada anak isteri di rumah dahulu. Memang kena berlatih sampaikan. Apabila kita telah mula sampaikan, maka Allah ﷻ akan beri pemahaman yang lebih lagi supaya kita boleh sampaikan kepada orang lain pula. Yang penting, kena mulakan. Selagi tidak mulakan, memang tidak ke mana-manalah.

Kita kena sampaikan kepada semua manusia, tidak kira siapa mereka. Sama ada mereka Muslim atau tidak, kaya atau miskin, tua atau muda, terpelajar atau orang kampung. Semua kita kena redah dan sampaikan ajaran dari Al-Qur’an ini.

Apabila kita melakukan إنذر (peringatan) ini, ia hendaklah disertai dengan sesuatu yang menakutkan kerana kebanyakan manusia terkesan dengan ‘fear motivation’. Kena ada ancaman hukuman, barulah mereka akan ikut. Sebagai contoh kalau setakat kita suruh sahaja anak kita untuk pergi solat tanpa apa-apa ancaman, ada kemungkinan dia tidak pergi solat pun. Akan tetapi jikalau kita ancam dengan rotan, barulah mereka akan segera melakukannya.

Ayat ini adalah Penutup Surah. Ia untuk mengikat kembali di antara pangkal surah dengan hujung surah. Jika di ayat yang pertama telah dikatakan bahawa dengan Al-Qur’an, Nabi Muhammad ﷺ sudah diperintah untuk mengeluarkan manusia daripada gelap-gelita kemusyrikan, kejahilan dan keburukan, kepada terang-benderang iman dan Tauhid, dalam Jalan Tuhan Yang Gagah dan Terpuji, maka di penutupnya diperingatkan lagi, bahawa Al-Qur’an ini adalah peringatan untuk manusia, bahawa Tuhan, hanyalah Tuhan Yang Esa, tiada Tuhan lain. Maka permulaan surah sebut Al-Qur’an dan penutupnya juga sebut Al-Qur’an.

 

وَلِيَعلَموا أَنَّما هُوَ إِلٰهٌ وٰحِدٌ

dan supaya mereka mengetahui bahawasanya Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa

Yang paling penting untuk diingatkan kepada manusia adalah tentang Allah ﷻ. Inilah ilmu Tauhid yang amat penting sekali, iaitu dengan kenal Allah ﷻ. Allah ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an dengan banyak sekali. Kita kena ambil perhatian kerana kalau hendak kenal Allah ﷻ, kenalah Allah ﷻ sendiri yang perkenalkan Diri-Nya, bukan?

Perkara peringatan yang paling penting tentang Allah ﷻ adalah Allah ﷻ sahaja ilah. Tidak ada ilah yang lain. Tidak ada sembahan kepada selain Allah ﷻ; dan tidak ada seruan doa selain kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ kata kena لِيَعلَموا maka kena tahu dan kena belajar. Maka ini adalah arahan yang wajib.

 

وَلِيَذَّكَّرَ أُولُو الأَلبٰبِ

dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran.

Tujuan kita adalah untuk sampaikan wahyu Allah ﷻ kepada manusia. Sama ada manusia terima atau tidak, kita pun tidak pasti. Yang penting, kita kena sampaikan dulu. Memang akan ada yang terima dan lagi ramai yang tidak akan terima.

Ayat-ayat Al-Qur’an ini disampaikan kepada semua manusia tetapi yang akan menerimanya dan ambil peringatan itu adalah mereka yang digelar oleh Allah ﷻ sebagai: ‘ulul albaab’ sahaja. Mereka itu adalah orang yang memiliki akal fikiran yang sempurna. Mereka adalah manusia yang boleh menggunakan akal mereka untuk mencari kebenaran.

Kalimah الأَلبٰبِ adalah daripada katadasar ل ب ب yang bermaksud pintar; baik hati; hati; bahagian tengah; teras; pulpa buah; fikiran; tulen; tahan karat; saripati; berbakat dengan pertimbangan yang wajar. Maka Ulul Albaab adalah orang yang ada isi, ada akal. Oleh itu, sebenarnya Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa orang yang tidak yakin dengan ajaran wahyu itu adalah mereka yang bodoh sekali. Allah ﷻ sebut ciri-ciri mereka di dalam Ali Imran: 190-194

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Jelas bukan, dalam Islam yang mendapat pujian adalah golongan yang bijak, berilmu dan juga pintar. Tidak ada tempat bagi orang yang bodoh dan jahil agama. Maka ini mengajar kita, orang yang jahil agama tidak selamat. Namun malangnya, begitu ramai sekali dalam kalangan masyarakat kita berasa tenang sahaja walaupun mereka tidak mahir hal agama. Mereka rasa tidak ada salahnya kalau tidak belajar agama.

Mereka banyaknya serahkan sahaja kepada orang lain untuk belajar. Sebagai contoh, ada ibubapa yang hantar anak mereka ke kelas agama, kelas tahfiz dan kelas-kelas agama lain, tetapi mereka sendiri tidak belajar; atau, ada yang suami hantar isteri ke masjid/surau untuk belajar agama, tetapi mereka tidak ikut pun. Mereka hantar dan kemudian pulang balik ke rumah tengok TV.

Bagi mereka yang memang tidak mahu mencari kebenaran, memang mereka tidak akan terima. Namun ada dalam kalangan manusia yang memang ada sifat ulul albaab ini. Oleh kerana itu apabila kita sampaikan ayat-ayat Allah ﷻ yang jelas nyata itu, mereka boleh terima kerana ia bersamaan dengan akal yang sihat.

Apalagi ciri-ciri Ulul Albaab ini? Allah ‎ﷻ sebut di dalam Ra’d: 19 – 22

۞ أَفَمَن يَعلَمُ أَنَّما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ الحَقُّ كَمَن هُوَ أَعمىٰ ۚ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ
Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,

الَّذِيْنَ يُوْفُوْنَ بِعَهْدِ اللّٰهِ وَلَا يَنْقُضُوْنَ الْمِيْثَاقَۙ
(iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosak perjanjian,

وَالَّذِيْنَ يَصِلُوْنَ مَآ اَمَرَ اللّٰهُ بِهٖٓ اَنْ يُّوْصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُوْنَ سُوْۤءَ الْحِسَابِ ۗ
dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk.

وَالَّذِيْنَ صَبَرُوا ابْتِغَاۤءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَاَقَامُوا الصَّلٰوةَ وَاَنْفَقُوْا مِمَّا رَزَقْنٰهُمْ سِرًّا وَّعَلَانِيَةً وَّيَدْرَءُوْنَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ اُولٰۤىِٕكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِۙ
Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik)

 

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Ibrahim ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Hijr.

Kemaskini: 25 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin