Tafsir Surah Tawbah Ayat 37 – 39 (Perang Tabuk)

Tawbah Ayat 37: Penerangan lanjut tentang perbuatan mengubah takwim bulan-bulan.

إِنَّمَا النَّسيءُ زِيادَةٌ فِي الكُفرِ ۖ يُضَلُّ بِهِ الَّذينَ كَفَروا يُحِلّونَهُ عامًا وَيُحَرِّمونَهُ عامًا لِّيُواطِئوا عِدَّةَ ما حَرَّمَ اللَّهُ فَيُحِلّوا ما حَرَّمَ اللَّهُ ۚ زُيِّنَ لَهُم سوءُ أَعمٰلِهِم ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the postponing [of restriction within sacred months] is an increase in disbelief by which those who have disbelieved are led [further] astray. They make it¹ lawful one year and unlawful another year to correspond to the number made unlawful by Allāh² and [thus] make lawful what Allāh has made unlawful. Made pleasing to them is the evil of their deeds; and Allāh does not guide the disbelieving people.

  • Fighting during a sacred month.
  • If they found it advantageous to violate a sacred month, they would do so, designating another month in its place in which to observe the restrictions concerning fighting.

(MALAY)

Sesungguhnya mengundur-undurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran. Disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur-undurkan itu, mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, agar mereka dapat mempersesuaikan dengan bilangan yang Allah mengharamkannya, maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah. (Syaitan) menjadikan mereka memandang perbuatan mereka yang buruk itu. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

 

إِنَّمَا النَّسيءُ زِيادَةٌ فِي الكُفرِ

Sesungguhnya mengundur-undurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran. 

Ini merujuk kepada perbuatan mereka menangguh-nangguh Bulan Haram yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Ini sesungguhnya penambahan kepada kekufuran. Maknanya, mereka sudah kufur, tetapi ditambah lagi dengan perbuatan kufur ini.

Sudahlah mereka mengamalkan syirik, ini dengan bulan yang Allah ﷻ telah susun pun mereka ubahsuai pula. Perbuatan mengubah-ubah kalendar yang Allah ﷻ telah tetapkan ini dipanggil النَّسيءُ. Ia berasal daripada katadasar ن س أ yang mempunyai banyak maksud: tongkat, yang memerintah dan berkuasa, menangguh, mencampurkan, mengubah. Oleh itu yang dimaksudkan di sini mereka telah menangguh, mengubah dan campur aduk bulan-bulan Haram itu. Ini adalah perbuatan dosa besar. Akidah mereka sudahlah syirik, perbuatan mereka pun menambahkan lagi kekufuran itu. Maka bertambah-tambah kufur mereka dengan Allah ﷻ.

Maka ini mengajar kita untuk menjaga bulan-bulan Qamariah (kalender berlandaskan kiraan bulan) ini (orang panggil ‘Bulan Islam’ tetapi tidaklah tepat sangat). Bulan Qamariah ini penting kerana ia menentukan ibadah-ibadah dalam Islam seperti Puasa dan Haji. Akan tetapi tidaklah kita lupakan terus Bulan-bulan Syamsiah (kiraan ikut matahari). Dua-dua boleh digunapakai sebenarnya. Allah ﷻ berfirman di dalam Yunus:5

هُوَ الَّذي جَعَلَ الشَّمسَ ضِياءً وَالقَمَرَ نورًا وَقَدَّرَهُ مَنازِلَ لِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ
Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.

Maka perkiraan kalendar berdasarkan bulan dan matahari terpakai kedua-duanya. Sebab untuk mengira ibadah solat pun mesti berdasarkan kedudukan matahari, bukan? Maka bukanlah bulan Qamariyah ini sahaja ‘bulan Islam’ kerana bulan Syamsiah juga diterimapakai di dalam agama Islam juga.

 

يُضَلُّ بِهِ الَّذينَ كَفَروا

Disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur-undurkan itu,

Dengan sebab perubahan takwim yang Allah ﷻ telah tetapkan itu, makin disesatkan lagi orang kafir dengan ketua-ketua mereka yang hendak berperang. Sebenarnya, ketua masyarakatlah yang mengalih kedudukan bulan itu dan pengikut mereka hanya mengikut sahaja.

 

يُحِلّونَهُ عامًا وَيُحَرِّمونَهُ عامًا

mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain,

Para pemimpin itu menghalalkan yang Allah ﷻ telah haramkan. Mereka pandai-pandai mengatakan tahun ini halal untuk berperang dalam Bulan Haram, tetapi tahun depan bertukar menjadi haram semula. Mereka mengikut konsep bulan-bulan Haram itu sebab mereka sudah mengaku mereka pengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Namun begitu mereka tidak mahu menerima semua ajaran, malah mereka sesuka hati merubah serta campur aduk halal dengan yang haram. Sememangnya sikap suka mengubah agama sikit-sikit ini adalah perbuatan golongan Musyrikin Mekah.

Oleh itu, jikalau kita pun mempunyai sikap seperti mereka yang suka mengubah dan menambah sikit di sana sini, maka tidak ada bezalah kita dengan mereka sebenarnya. Masyarakat kita tidaklah berani untuk menolak terus keseluruhan Islam itu, akan tetapi yang mereka berani buat adalah mengubah sana dan sini. Sebab itulah banyak fahaman baru dan amalan bid’ah baru bercambah dalam masyarakat kita, kerana sifat Musyrikin Mekah memang ada dalam diri mereka.

 

لِّيُواطِئوا عِدَّةَ ما حَرَّمَ اللَّهُ

agar mereka dapat mempersesuaikan dengan bilangan yang Allah mengharamkannya,

Mereka tetap juga menjaga bilangan 12 bulan itu, tetapi setakat itu sahajalah. Sepatutnya bukan dijaga bilangan sahaja, akan tetapi kena dijaga kedudukan bulan itu dan namanya juga. Jangan diubah-ubah. Kadangkala mereka mengubah nama bulan (contohnya bulan Rejab mereka ubah menjadi bulan lain sebab bulan Rejab tidak boleh berperang).

Perbuatan mereka itu sudah teruk. Mereka berani kata tahun ini halal, tetapi tahun depan haram. Atau mereka ubah nama bulan itu menjadi nama bulan lain. Namun dalam masa yang sama mereka mengekalkan agar semua bulan tetap ada 12. Itu adalah cubaan mereka untuk perbetulkan takwim yang telah rosak. Akan tetapi perbuatan mereka itu telah menyebabkan bilangan bulan dan susunan bulan tidak dapat ditentukan lagi.

Lafaz يُواطِئوا berasal daripada katadasar و ط أ yang bermaksud berjalan atas sesuatu, menekan tanah di bawah dengan kaki, menjadikan sama, memperbetulkan. Ini seperti seorang yang berjalan dan menghancurkan apa yang ada di bawah kaki. Sebagai contoh berjalan di atas pokok bunga, tentu pokok bunga itu akan rosak, bukan? Maka mereka perbetulkan balik tanah itu supaya menjadi sama semula. Setelah merosakkan, kemudian diperbetulkan semula. Namun ia tetap juga telah rosak. Begitulah yang mereka lakukan terhadap takwim bulan yang Allah ﷻ telah tetapkan.

 

فَيُحِلّوا ما حَرَّمَ اللَّهُ

maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah.

Oleh kerana perbuatan pemimpin itu, maka yang sepatutnya haram telah menjadi halal. Apabila mereka membuat sendiri keputusan melawan hukum Allah ﷻ, lalu mereka telah melakukan peperangan dalam Bulan Haram. Hukumnya haram berperang dalam Bulan Haram tetapi menjadi halal pula bila mereka sudah memandai mengubah takwim itu.

 

زُيِّنَ لَهُم سوءُ أَعمٰلِهِم

dijadikan cantik kepada mereka memandang perbuatan mereka yang buruk itu.

Amalan mereka itu buruk tetapi diperlihatkan kepada mereka yang amalan itu baik. Yang menghasut dan mengelabui mata mereka adalah syaitan. Syaitan bisikkan kepada mereka yang mereka itu ada kuasa untuk membuat apa sahaja yang mereka hendak. Sedangkan yang ada kuasa itu adalah Allah ﷻ.

Kita mesti taat kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang berhak menghalalkan dan haramkan. Apabila mereka rasa yang mereka layak mengubah apa yang Allah ﷻ tetapkan, maka mereka telah mengambil alih kuasa Allah ﷻ – dan ini adalah perbuatan yang syirik kerana mengambil alih tugas Allah ﷻ.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

Sekiranya manusia tidak mahu mendengar suara hati mereka, dan menutup apa yang Allah ﷻ telah berikan sebagai fitrah kepada semua manusia, maka tidak ada petunjuk lagi untuk mereka. Allah ﷻ tidak beri lagi petunjuk kepada mereka dan ini dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati)

Selesai bahagian pertama Surah Tawbah ini. Secara ringkasnya, bahagian pertama ini telah membincangkan tiga perkara penting:

    1. Iklan pemutusan perjanjian dengan pihak musyrikin.
    2. Dipatahkan satu persatu hujah yang dikatakan menghalang peperangan diadakan. Ada 4 perkara semua sekali.
    3. Disebutkan 6 golongan kafir yang mesti diperangi.

Habis Ruku’ 5 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.


 

MEMULIAKAN BULAN-BULAN HARAM

Tawbah Ayat 38: Ini adalah Bahagian Kedua surah ini. Allah ﷻ akan beritahu kelebihan perang dalam bahagian ini. Allah ﷻ juga akan sebut tentang 7 golongan dalam bahagian ini; ada 3 golongan Mukmin dan 4 golongan Munafik.

Dalam ayat ini, ada targhib (ajakan) kepada qital (perang) dan teguran kepada golongan munafikin. Latar belakang perang yang dimaksudkan adalah Perang Tabuk. Ia adalah perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah ﷺ.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا ما لَكُم إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ ۚ أَرَضيتُم بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ ۚ فَما مَتاعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, what is [the matter] with you that, when you are told to go forth in the cause of Allāh, you adhere heavily to the earth?¹ Are you satisfied with the life of this world rather than the Hereafter? But what is the enjoyment of worldly life compared to the Hereafter except a [very] little.

  • i.e., inclining toward the comforts of worldly life.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا ما لَكُم

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya dengan kamu ini?

Ini adalah teguran kepada orang Islam. Ada yang tidak suka kepada peperangan kerana takut mati. Atau, mereka kalah dengan perkara dunia sampai menyebabkan mereka berat untuk menjalankan jihad. Maka Allah ﷻ tegur mereka dalam ayat ini. Allah ﷻ beri galakan kepada golongan Mukmin untuk berperang.

 

إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ

bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu?

Allah ﷻ menegur puak Muslim, kenapa apabila mereka diajak keluar berjihad perang pada jalan Allah ﷻ, mereka merasa berat? Kalimah الأَرضِ (bumi) merujuk kepada bumi Madinah (mereka tidak mahu keluar) iaitu mereka berat hati untuk meninggalkan kampung halaman mereka. Kenapa kamu begini? Apa yang tidak kena dengan kamu ini?

Kalimah انفِروا berasal daripada katadasar ن ف ر yang bermaksud keluar berperang. Kalimah اثّاقَلتُم pula berasal daripada katadasar ث ق ل yang bermaksud ‘berat’. Mereka merasa hendak melekat pada tanah (rumah) sahaja.

Teguran ini adalah berkisar tentang Perang Tabuk yang berlaku pada Tahun 9 Hijrah. Semua umat Islam yang boleh berperang diwajibkan untuk menyertainya. Tabuk berada berdekatan dengan Syria pada masa itu. Syria berada di bawah takluk kerajaan Kristian Byzantine (Kerajaan Rom). Pembahagian ini semua adalah setelah penaklukan Mekah dan setelah terjadinya Perang Hunain dan Perang Taif. Maka pada waktu itu sebahagian besar daripada Semenanjung Tanah Arab adalah di bawah takluk kerajaan Islam.

Hirakl (Hiracklius) adalah ketua kepada kerajaan Kristian Rom pada masa itu dan dia tidak berpuas hati dengan pengembangan Kerajaan Islam. Maka dia telah membuat perancangan untuk menyerang Madinah. Tentera Byzantine telah diletakkan di Tabuk iaitu sempadan kepada Syria. Mereka telah diberi gaji awal selama setahun. Maklumat perancangan ini telah sampai kepada Rasulullah ﷺ maka baginda bercadang untuk menangani serangan itu dengan membuat persediaan. Ini adalah perang ke 27 dan yang terakhir disertai oleh Rasulullah ﷺ.

Berbeza dengan perang-perang sebelumnya, Nabi ﷺ sengaja memberitahu awal rancangan perang ini kepada kaum Muslimin. Padahal biasanya, apabila hendak berangkat berperang, baginda selalu menampakkan seolah-olah bukan untuk berperang. Atau baginda memberikan maklumat yang tidak benar kerana ditakuti akan bocor pula maklumat itu. Contohnya kalau rancangan hendak ke barat, baginda kata mereka akan ke timur. Namun kali ini baginda awal-awal telah mengumumkan yang mereka akan ke Tabuk.

Dalam perang ini, Abu Bakar رضي الله عنه telah mengorbankan seluruh hartanya. Manakala Umar رضي الله عنه, pula telah mengorbankan setengah daripada hartanya. Begitu pun dengan Uthman رضي الله عنه yang mengorbankan perlengkapan perang untuk sepertiga pasukan. Berserta sahabat lainnya, yang mereka itu menginfakkan lebih daripada kemampuan mereka.

Akan tetapi ramai dalam kalangan umat Islam pada waktu itu berat hati untuk menyertainya. Ada berbagai sebab kenapa boleh jadi begini:

 1. Waktu itu adalah musim menuai hasil tanaman. Ramai dalam kalangan umat Islam di Madinah ketika itu adalah petani dan sebagai petani, hasil tuaian diambil setahun sekali sahaja. Bayangkan, kerja menjaga tanaman selama setahun, tetapi hasil boleh dituai sekali sahaja. Maka peluang itu bukan boleh ditangguh-tangguh. Kalau tertinggal masanya, maka hilanglah peluang itu. Itulah gaji mereka untuk setahun.

Selain itu, sekiranya orang lelaki pergi keluar berjihad, yang perempuan dan kanak-kanak sahaja yang tinggal, mereka itu tidak mampu untuk menggantikan kerja menuai itu. Kalau ditangguhkan proses menuai, maka hasil tanaman itu akan rosak dan habislah punca pendapatan mereka untuk tahun itu. Mereka bukannya orang kaya. Sedangkan Tabuk jauh dari Madinah. Memang kalau pergi dan balik, tanaman sudah rosak. Ini adalah dugaan dan ujian yang berat daripada Allah ﷻ kepada mereka.

2. Tambahan pula kedudukan Tabuk itu jauh, susah untuk pergi dan memerlukan kenderaan. Bayangkan jaraknya adalah 778 KM dari Madinah! Untuk mempunyai kenderaan, kena buat persediaan dengan wang dan hartabenda sendiri. Lagipun bukannya semua dapat menaiki kenderaan unta. Seekor unta dikongsi oleh 10 orang. Perjalanan pasukan kaum Muslimin menuju Tabuk memakan masa sehingga 20 hari.

Kita yang terpaksa meredah jem untuk pulang beraya pun sudah bising, bukan? Maka bagi para sahabat, medan yang mereka perlu tempuh itu sangat sulit. Selain keterbatasan bahan makanan, mereka harus menghadapi panasnya gurun pasir. Begitu payah sekali untuk menghadapi perang ini sehingga ia digelarkan sebagai “Pasukan Jaisyul Usrah” yang ertinya pasukan yang dalam keadaan sulit.

3. Waktu itu musim panas, maka tentunya perjalanan ke sana tidak selesa langsung dan bukannya sekejap ekspedisi ini, keseluruhannya berjumlah 50 hari (jangkamasa perjalanan pergi balik dan menunggu di Tabuk).

4. Mereka baru sahaja melalui Peperangan Hunain dan Taif. Maknanya sudah 8 tahun mereka berperang bermula daripada Perang Badr. Sangka mereka, inilah waktu untuk berehat seketika. Mereka sudah menjadi malas dan penat.

Jelas di sini ia sememangnya dugaan besar untuk menyertainya. Kita sebut di sini supaya dapat difahami dilema para sahabat ketika itu. Oleh kerana dugaan yang besar ini, maka ada yang merasa berat hati untuk pergi. Terutama sekali golongan Munafik.

Akan tetapi perang kali ini bukan perang yang mereka telah lalui selama 8 tahun itu. Selama ini mereka berperang sesama bangsa Arab sahaja. Kali ini mereka akan menghadapi kerajaan Rom iaitu kerajaan yang besar. Pada zaman itu dua kerajaan paling besar adalah Kerajaan Rom dan Kerajaan Parsi (analoginya sebagaimana kerajaan USA dan Russia lah pada hari ini). Kerana itu Rasulullah ﷺ mengerahkan semua golongan Mukmin di Madinah untuk turut serta berperang dan malah baginda telah mengajak kabilah-kabilah di sekitar Madinah untuk menyertainya.

 

أَرَضيتُم بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ

Apakah kamu puas (redha) dengan kehidupan di dunia berbanding kehidupan di akhirat?

Berat sekali soalan Allah ﷻ ini: adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan dunia melebihi daripada kehidupan di akhirat? Kamu melebihkan dunia daripada akhirat? Memang berjihad itu mesti meninggalkan segala kesenangan yang ada di dunia. Malah, boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan kesakitan fizikal yang teruk. Akan tetapi, setelah apa yang kamu lalui, kamu masih lagi tidak faham dan melebihkan dunia daripada akhirat?

Soalan ini diberikan secara umum, kepada orang-orang beriman, juga termasuk dalam seruan ini kepada orang munafik sekali. Walaupun mereka itu dalam hati mereka tidak beriman sebenarnya, tetapi kekufuran mereka tersembunyi. Maka Allah ﷻ memasukkan sekali mereka dalam golongan ‘orang-orang beriman’.

Setelah ajakan jihad kali ini, Muslimin pada waktu itu boleh dibahagikan kepada 6 golongan:

1. Golongan yang hebat iman mereka, yang terus menyahut ajakan Rasulullah ﷺ. Mereka inilah sebenar-benar Mukmin seperti yang Allah ‎ﷻ sebut dalam Hujurat:15

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ ثُمَّ لَم يَرتابوا وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.

2. Golongan yang pada mulanya keberatan, tetapi akhirnya mengikuti rombongan jihad itu. Allah ﷻ sebut tentang mereka ini dalam ayat 117 nanti,

لَقَد تابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالمُهاجِرينَ وَالأَنصارِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ في ساعَةِ العُسرَةِ مِن بَعدِ ما كادَ يَزيغُ قُلوبُ فَريقٍ مِنهُم ثُمَّ تابَ عَلَيهِم
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang Ansar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan daripada mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu.

3. Golongan yang tidak dapat menyertai perang itu dan mereka mempunyai alasan yang kukuh. Allah ﷻ sebut tentang mereka dalam ayat 91,

لَيسَ عَلَى الضُّعَفاءِ وَلا عَلَى المَرضىٰ وَلا عَلَى الَّذينَ لا يَجِدونَ ما يُنفِقونَ حَرَجٌ إِذا نَصَحوا لِلَّهِ وَرَسولِهِ ۚ ما عَلَى المُحسِنينَ مِن سَبيلٍ
Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya.

4. Golongan Mukmin yang tiada alasan untuk tidak menyertai perang. Mereka itu tidak pergi kerana malas sahaja. Ada beberapa ayat tentang mereka ini,

وَآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم خَلَطوا عَمَلًا صالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم
Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Tawbah:102

وَآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم
Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; sama ada Allah akan mengazab mereka dan sama ada Allah akan menerima taubat mereka.
Tawbah:106

وَعَلَى الثَّلاثَةِ الَّذينَ خُلِّفوا حَتّىٰ إِذا ضاقَت عَلَيهِمُ الأَرضُ بِما رَحُبَت وَضاقَت عَلَيهِم أَنفُسُهُم
dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka.
Tawbah:118

5. Golongan Munafik yang amat berat untuk menyertai jihad. Kalau dulu mereka boleh lagi sertai jihad walaupun mereka itu Munafik, tetapi kali ini ia berat sangat sampaikan mereka tidak sanggup isi nama dalam ‘borang jihad’. Keluar Whatsapp group terus mereka ini. Sikap golongan Munafik yang tidak mahu menyertai perang banyak disebut dalam Al-Qur’an di surah-surah yang lain. Antaranyaayat Muhammad:20

فَإِذا أُنزِلَت سورَةٌ مُّحكَمَةٌ وَذُكِرَ فيهَا القِتالُ ۙ رَأَيتَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ يَنظُرونَ إِلَيكَ نَظَرَ المَغشِيِّ عَلَيهِ مِنَ المَوتِ
Maka apabila diturunkan suatu surat yang jelas maksudnya dan disebutkan di dalamnya (perintah) perang, kamu lihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya memandang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan kerana takut mati.

6. Golongan Munafik, tetapi mereka ada yang menyertai jihad Tabuk ini. Namun mereka hendak mengintip dan buat kacau sahaja dalam pasukan tentera Islam. Allah ﷻ ada sebut tentang mereka dalam beberapa ayat,

لَو خَرَجوا فيكُم ما زادوكُم إِلّا خَبالًا وَلَأَوضَعوا خِلالَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ وَفيكُم سَمّاعونَ لَهُم
Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu; sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Tawbah:47

وَلَئِن سَأَلتَهُم لَيَقولُنَّ إِنَّما كُنّا نَخوضُ وَنَلعَبُ
Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan jawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja”.
Tawbah:65

يَحلِفونَ بِاللَّهِ ما قالوا وَلَقَد قالوا كَلِمَةَ الكُفرِ وَكَفَروا بَعدَ إِسلامِهِم وَهَمّوا بِما لَم يَنالوا
Mereka (orang-orang munafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran, dan telah menjadi kafir sesudah Islam dan mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya.
[Tawbah: 74]

Golongan yang majoriti adalah yang menyertai jihad, yang iman mereka kuat. Kerana itulah ketumbukan tentera Muslim besar, lebih daripada 30,000 orang kali ini (pasukan musuh pula seramai 40,000). Inilah pasukan tentera Muslim yang terbesar setakat itu. Oleh kerana ramainya tentera Muslim, Hirakl ketakutan dan tidak datang pun ke medan perang. Pasukan tentera Muslim melepak tunggu di sempadan Tabuk selama 20 hari, kemudian pulang ke Madinah. Rasulullah ﷺ mengirim beberapa pasukan kecil ke sekitar daerah Tabuk.

Tindakan ini telah menambah kekuatan dan wibawa Islam di wilayah utara jazirah Arab serta membuka jalan ke arah penaklukan daerah Syam. Syekh Ibnul Qayyim al-Jauziy رحمه الله menuturkan, ketika sampai di Tabuk, Rasulullah ﷺ didatangi pemimpin Ailah yang menawarkan perdamaian dan jizyah. Baginda juga didatangi penduduk Jarba dan Adzrah untuk memberikan jizyah.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ menegur golongan Mukmin yang berat hati untuk menyertai Perang Tabuk ini. Allah ﷻ mengingatkan mereka tentang dunia dan akhirat. Jangan kalah dengan dunia kerana dunia adalah tempat ujian untuk memasuki syurga seperti firman Allah ﷻ dalam Baqarah: 214

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

 

فَما مَتاعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ

Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.

Allah ﷻ mengingatkan kembali kepada mereka, kehidupan dunia itu sedikit sahaja jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat. Tidak patut melebihkan dunia daripada akhirat kerana nikmat di dunia tidak lain dan tidak bukan adalah sedikit. Kalimah إِلّا قَليلٌ di sini adalah إن لَا قَليلٌ. Oleh kerana itu kenalah berjihad, kerana tidak ada apa yang boleh dibandingkan dengan akhirat.

Begitulah banyak ayat menyebut tentang dunia dan hakikat dunia itu. Kebanyakan manusia ingkar kepada kebenaran dan sanggup membuat dosa kerana sayangkan dunia dan tidak takut kepada akhirat. Ada khabar mutawatir daripada ulama Salaf mengatakan, حُبُّ الدُّنْيَا رَأْسُ كُلِّ خَطِيئَةٍ (Cinta dunia merupakan induk kepada segala kesalahan (dosa) dan merosak agama). Hal ini kerana:

Pertama: Mencintai dunia bererti mengagungkan dunia, padahal ia sangat hina di mata Allah ﷻ. Termasuk dosa yang paling besar adalah mengagungkan sesuatu yang direndahkan oleh Allah ﷻ.

Kedua: Allah ﷻ mengutuk, memurkai, dan membenci dunia, kecuali yang ditujukan kepada-Nya. Kerana itu, barangsiapa mencintai apa yang dikutuk, dimurkai, dan dibenci oleh Allah ﷻ maka dia akan berhadapan dengan kutukan, murka dan kebencian-Nya.

Ketiga: Mencintai dunia bererti menjadikan dunia sebagai tujuan dan menjadikan amal dan ciptaan Allah ﷻ yang seharusnya menjadi jalan menuju kepada Allah ﷻ dan negeri akhirat berubah menjadi kepentingan dunia.


 

Tawbah Ayat 39: Takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia lagi). Ini adalah balasan kalau tidak menjalankan kewajipan jihad qital.

إِلّا تَنفِروا يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا وَيَستَبدِل قَومًا غَيرَكُم وَلا تَضُرّوهُ شَيئًا ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you do not go forth, He will punish you with a painful punishment and will replace you with another people, and you will not harm Him at all. And Allāh is over all things competent.

(MALAY)

Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

إِلّا تَنفِروا يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا

Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih 

Kalimah إِلّا di dalam ayat ini juga adalah gabungan إن dan لا. Allah ﷻ memberi ancaman kepada umat Islam: sekiranya mereka tidak ingin untuk berjihad apabila diseru, nescaya akan dikenakan dengan azab yang pedih. Jika disebut عَذابًا pun memang kita sudah tahu yang ia pedih, tetapi Allah ﷻ sengaja tambah penekanan lagi dengan kalimah أَليمًا. Maknanya memang pedih sungguh!

Maka ingatan daripada Allah ﷻ, kalau kamu takutkan kerugian di dunia, atau kamu takut dengan tentera musuh, azab daripada Allah ﷻ lagi besar.

وَيَستَبدِل قَومًا غَيرَكُم

dan digantinya (kamu) dengan kaum yang selain kamu, 

Allah ﷻ sambung lagi ancaman: Dia akan mematikan kamu dan digantikan dengan kaum lain, untuk membela jihad. Kaum muslimin yang baru itu akan taat untuk melakukan jihad. Perkara yang sama juga ada disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

إِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
dan jika kalian berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kalian) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kalian (ini). (Muhammad: 38)

Lihatlah ancaman Allah ﷻ kepada para sahabat yang amat keras sekali. Sedangkan mereka telah banyak berjasa kepada agama. Bandingkan dengan kita yang tidak buat apa-apa pun lagi. Kalau Allah ﷻ boleh gantikan mereka, apatah lagi kita?

Memang Allah ﷻ pernah menukarkan puak Islam dengan kaum yang lain. Pernah puak Tartar menyerang kerajaan Islam sampai hancur terus kerajaan Islam pada ketika itu. Ini adalah kerana umat Islam pada waktu itu telah menjadi lemah dek hanyut oleh kekayaan sehingga tidak menghiraukan lagi tentang agama dan dakwah.

Kemudian puak Tartar itu pula yang menjadi Muslim. Begitu juga, sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, tampuk Islam dipegang oleh Bani Israil. Merekalah Muslim ketika itu sepatutnya. Namun kita pun tahu bagaimana mereka telah sesat dan tidak menjalankan agama seperti yang sepatutnya. Maka mereka telah ditukar ganti dengan umat yang baru.

 

وَلا تَضُرّوهُ شَيئًا

dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikit pun. 

Jikalau kita umat Islam tidak berjihad, kita tidak bahayakan Allah ﷻ sedikit pun. Allah ﷻ tidak perlukan kita pun untuk mengembangkan agama-Nya. Kita sendiri yang membahayakan diri kita sendiri jika tidak menjalankan kewajipan perang. Kita sendiri yang rugi kalau tidak mengambil peluang ini.

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia hendak. Kalau kita tidak mahu jaga agama Dia, Dia boleh sahaja gantikan dengan orang lain yang akan menjaganya. Allah ﷻ tidak perlukan kita pun sebenarnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Mei 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 35 – 36 (Tukar Bulan Haram)

Tawbah Ayat 35: Balasan kepada mereka dalam ayat sebelum ini. Maka ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

يَومَ يُحمىٰ عَلَيها في نارِ جَهَنَّمَ فَتُكوىٰ بِها جِباهُهُم وَجُنوبُهُم وَظُهورُهُم ۖ هٰذا ما كَنَزتُم لِأَنفُسِكُم فَذوقوا ما كُنتُم تَكنِزونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day when it¹ will be heated in the fire of Hell and seared therewith will be their foreheads, their flanks, and their backs, [it will be said], “This is what you hoarded for yourselves, so taste what you used to hoard.”

  • The gold and silver which was hoarded, i.e., whose zakāh was not paid.

(MALAY)

pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, rusuk dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: “Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu”.

 

يَومَ يُحمىٰ عَلَيها في نارِ جَهَنَّمَ

pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka jahannam,

Allah ﷻ menceritakan apa yang akan terjadi pada harta yang mereka simpan itu pada hari kiamat. Emas dan perak itu akan dibakar di dalam neraka jahanam. Harta yang mereka sayang dan banggakan itu akan menjadi azab bagi mereka.

Ucapan ini dikatakan sebagai kecaman, penghinaan, dan ejekan buat mereka; sama halnya dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat berikut:

{ثُمَّ صُبُّوا فَوْقَ رَأْسِهِ مِنْ عَذَابِ الْحَمِيمِ ذُقْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْكَرِيمُ}

Kemudian tuangkanlah di atas kepalanya seksaan (dari) air yang panas. Rasakanlah, sesungguhnya kamu orang yang perkasa lagi mulia. (Ad-Dukhan: 48-49)

Inilah pembalasan buat mereka di atas sikap mereka yang dahulu, dan inilah hasil daripada apa yang mereka dulu simpan buat diri mereka. Kerana itulah dikatakan, “Barangsiapa yang mencintai sesuatu hingga ia melebihkannya lebih dahulu atas taat kepada Allah, maka ia akan diazab dengannya.”

Sememangnya orang kafir sayang kepada harta dunia seperti disebut dalam Baqarah:212

زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَرُوا ٱلحَيَوٰةُ الدُّنيا

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir

Maka jangan kita jadi seperti mereka pula! Jangan kita terpedaya dengan dunia. Ia sebenarnya tidak cantik pun tetapi dicantikkan (زُيِّنَ) oleh Allah ﷻ sebagai ujian daripada Allah ﷻ. Ia hanya dinampakkan cantik sahaja pada mata orang-orang yang malang.

 

فَتُكوىٰ بِها جِباهُهُم وَجُنوبُهُم وَظُهورُهُم

lalu diseterikakan dengannya dahi mereka, rusuk dan punggung mereka

Lafaz فَتُكوىٰ maksudnya emas dan perak itu dipanaskan sampai merah dan dilekapkan pada kulit manusia yang mengumpulkan dan menyimpan harta yang mereka dapat daripada penganut agama mereka. Digunakan semula benda yang mereka buat salah itu untuk menghukum mereka kembali di akhirat. Maknanya diselar emas perak itu di dahi mereka, rusuk mereka, belakang mereka. Ini adalah emas perak yang mereka tidak infak dan tidak bayar zakat. Mereka dapatkan harta itu dengan cara salah kemudian mereka tidak infakkan pula.

Mereka yang telah menghimpun harta benda itu dan lebih mementingkannya daripada keredhaan Allah ﷻ, akibatnya mereka diseksa dengan harta benda itu. Seperti apa yang dialami oleh Abu Lahab laknatullah, di mana dia telah berusaha dengan sekuat tenaga memusuhi Rasulullah ﷺ. Manakala isterinya pula membantunya untuk melampiaskan permusuhannya itu. Maka kelak di hari kiamat si isteri akan membantu mengazabnya, iaitu di lehernya ada tali diperbuat daripada sabut untuk mengumpulkan kayu di neraka, lalu kayu itu dilemparkan kepada Abu Lahab, agar menambah pedih seksaan yang sedang dialaminya.

Sebagaimana harta benda tersebut sangat disayangi oleh pemiliknya, maka kelak di hari akhirat harta benda itu berubah bentuk menjadi sesuatu yang paling membahayakan pemiliknya. Harta benda itu dipanaskan di dalam neraka Jahanam yang panasnya tidak terperi, lalu diseterika ke wajah, rusuk, dan punggung mereka.

Kenapa disebut tiga bahagian tubuh itu? Mungkin ia bermaksud seluruh tubuh mereka atau memang tiga tempat itu sahaja kerana bahagian tubuh itulah yang terlibat jika ada orang yang datang minta bantuan kepada mereka. Pertama, dahi mereka akan berkerut benci kalau ada orang datang meminta. Kemudian mereka cuba berpusing dengan rusuk mereka, hendak berpusing menunjukkan tidak suka. Dan jika masih ada lagi orang yang meminta itu, mereka berpusing terus meninggalkan orang itu dengan menunjukkan belakang punggung mereka.

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan melalui hadith daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ لَا يُؤَدِّي زَكَاةَ مَالِهِ إِلَّا جُعِلَ  يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَفَائِحُ مِنْ نَارٍ يُكْوَى بِهَا جَنْبُهُ وَجَبْهَتُهُ وَظَهْرُهُ، فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ، حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ، ثُمَّ يَرَى سَبِيلُهُ إِمَّا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِمَّا إِلَى النَّارِ” وَذَكَرَ تَمَامَ الْحَدِيثِ

Tidak sekali-kali seseorang tidak menunaikan zakat harta bendanya melainkan akan dijadikan baginya kelak di hari kiamat lempengan-lempengan (plak) daripada api, lalu diseterikakan ke rusuk, dahi, dan punggungnya dalam suatu hari yang lamanya sama dengan lima puluh ribu tahun, hingga perkara hisab di antara sesama hamba diselesaikan. Kemudian diperlihatkan jalan yang akan ditempuhinya, adakah ke syurga, dan adakah ke neraka.
(HR. Muslim No. 987)

Terdapat satu lagi tafsir ayat ini. Ia adalah pendapat Abu Zar رضي الله عنه, salah seorang sahabat yang keras pandangannya. Imam Bukhari رحمه الله mengatakan bahawa,

Daripada Zaid ibnu Wahb yang mengatakan bahawa beliau telah bersua dengan Abu Zar رضي الله عنه di Rabzah, lalu beliau bertanya, “Apakah yang mendorongmu sampai datang di daerah ini?” Abu Zar رضي الله عنه menjawab bahawa pada asal mulanya beliau tinggal di negeri Syam, lalu beliau membacakan firman-Nya: Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya di jalan Allah, maka gembirakanlah mereka dengan seksaan yang pedih. (At-Taubah: 34) Maka Mu’awiyah رضي الله عنه berkata, “Ayat ini bukanlah ditujukan kepada kami, tiada lain apa yang dimaksudkan oleh ayat ini melainkan ia terjadi dalam kalangan kaum Ahli Kitab.” Abu Zar رضي الله عنه menjawab, “Sesungguhnya hal itu terjadi dalam kalangan kita dan kalangan mereka (Ahli Kitab).”

Ibnu Jarir meriwayatkannya melalui hadith Ubaid ibnul Qasim, daripada Husain, daripada Zaid ibnu Wahb, daripada Abu Zar رضي الله عنه. Hanya dalam riwayat ini ditambahkan ‘maka ketegangan pun terjadi antara Abu Zar dan Mu’awiyah mengenai masalah ini’. Lalu Muawiyah رضي الله عنه berkirim surat kepada Khalifah Uthman رضي الله عنه, mengadukan perihalku (Abu Zar). Lalu Khalifah Uthman رضي الله عنه mengirimkan surat kepadaku, isinya memerintahkan kepadaku untuk menghadap kepadanya. Abu Zar رضي الله عنه melanjutkan kisahnya, “Ketika aku tiba di Madinah, maka orang-orang mengerumuniku seakan-akan mereka belum pernah melihatku sebelum hari itu. Lalu aku mengadu kepada Khalifah Uthman tentang hal tersebut, maka Khalifah Uthman berkata, ‘Keluarlah kamu dari Madinah, tetapi jangan terlalu jauh.” Aku (Abu Zar) berkata, ‘Demi Allah, aku tidak akan beranjak daripada pendapatku’.”

Oleh itu, pendapat Abu Zar رضي الله عنه mengatakan bahawa haram menyimpan harta lebih daripada apa yang diperlukan untuk nafkah orang-orang yang berada di dalam tanggungannya. Beliau selalu memberi fatwa dengan pendapat ini dan menganjurkan serta memerintahkan orang-orang untuk mengamalkannya, bahkan beliau bersikap keras terhadap orang yang melanggarnya. Maka sikapnya itu telah dicegah oleh Mu’awiyah رضي الله عنه, tetapi Abu Zar رضي الله عنه tidak menurut dan terus melanjutkan fatwanya itu.

Mu’awiyah رضي الله عنه merasa khuatir bila orang-orang tertimpa mudarat dalam masalah itu. Maka beliau menulis surat kepada Amirul Mu’minin Uthman ibnu Affan رضي الله عنه, mengadukan perkara Abu Zar رضي الله عنه dan meminta agar Abu Zar رضي الله عنه ditarik ke Madinah. Maka Uthman ibnu Affan رضي الله عنه memanggilnya ke Madinah dan menempatkannya di Rabzah seorang diri. Di Rabzah itu pula Abu Zar رضي الله عنه meninggal dunia dalam masa pemerintahan Khalifah Uthman رضي الله عنه.

 

هٰذا ما كَنَزتُم لِأَنفُسِكُم

“Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri,

Sewaktu emas dan perak itu ditekapkan pada mereka, dikatakan kepada mereka: “Inilah dia barang yang kamu simpan untuk diri kamu.” Kata-kata ini sebagai penambah azab mereka. Sudahlah mereka dikenakan dengan azab fizikal, malah azab emosi pun ditambah.

 

فَذوقوا ما كُنتُم تَكنِزونَ

maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu”.

Ini merupakan suatu penyeksaan batin, seksaan emosi. Sudahlah mereka dikenakan dengan azab itu, kemudian dikutuk, diperli dan diingatkan lagi kepada mereka, kenapa mereka dikenakan dengan azab itu.

Sila baca ayat ini dalam konteks keseluruhan surah. Ayat ini diturunkan bersamaan dengan Perang Tabuk dan pada waktu itu sedang dikumpulkan wang bagi menjalankan peperangan itu. Akan tetapi pada waktu itu masih ada yang enggan mengeluarkan wang untuk diinfakkan kepada peperangan itu. Maka ayat ini memberikan takhwif yang amat keras.

Maka dalam keadaan biasa, tidaklah haram atau salah kalau menyimpan harta asalkan zakat dikeluarkan dan infak dijalankan.


 

Tawbah Ayat 36: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 3. Akan dibentangkan galakan jihad dan juga arahan untuk memerangi Kaisar Rom. Perenggan ini sampai ayat ke 41.

Ayat adalah sebab keenam kenapa jihad qital mesti diteruskan terhadap musuh: kerana Musyrikin Mekah itu telah mengubah agama Allah ﷻ. Allah ﷻ telah mengharamkan empat bulan untuk berperang, tetapi kaum musyrikin telah melanggar susunan bulan itu, sehingga bulan-bulan itu habis bertukar.

Orang Kafir Mekah sudah sedia tahu tentang Bulan Haram itu kerana mereka berketurunan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهماالسلام. Mereka tahu yang ada empat bulan yang tidak boleh berperang di dalamnya. Akan tetapi, oleh kerana orang kafir itu telah dihasut oleh syaitan, maka mereka telah mengubah kedudukan bulan-bulan Haram itu. Semasa berperang, kadang-kadang peperangan mereka itu berlanjutan sehingga termasuk dalam Bulan Haram. Mereka pula memang jenis kaum yang suka berperang.

Sepatutnya mereka kenalah berhenti daripada berperang apabila sudah memasuki bulan Haram. Akan tetapi, mereka mengalih sedikit bulan itu supaya mereka boleh juga meneruskan peperangan. Contohnya mereka isytihar, ‘Muharram tahun ini tidak haram, ganti dengan bulan depan (Safar).’ Namun mereka tetap mencukupkan 4 bulan setahun sebagai bulan Haram kerana tetap hormat ajaran lama Nabi Ibrahim عليه السلام. Hormat sedikit sahajalah, bukan semua. Cuma mereka ubah sahaja kedudukan bulan Haram itu sesuka hati mereka.

Pada awalnya mereka ubah sikit-sikit sahaja, namun lama-kelamaan menjadi celaru habis sampai tidak tahu bulan mana yang sebenar. Kalendar mereka telah jadi kucar-kacir habis. Padahal Allah ‎ﷻ telah menjadikan bulan Haram itu semenjak awal masa lagi iaitu semasa penciptaan bumi lagi.

Perbuatan ini tidak sepatutnya berlaku. Mungkin ada yang kata, apalah sangat asalkan tidak mengubah 12 bulan menjadi 14 bulan, bukan? Akan tetapi ibadah dalam agama berkaitrapat dengan bulan-bulan. Contohnya Ramadhan untuk puasa, Syawal untuk berhari raya, DzulHijjah untuk mengerjakan Haji, dan sebagainya. Bagaimanakah hendak tetapkan ibadah kalau bulan yang tepat tidak ketahuan?

Akhirnya Nabi Muhammad ﷺ telah memperbetulkan semula susunan bulan itu setelah Pembukaan Mekah supaya kembali kepada bulan yang asal. Ini baginda lakukan semasa baginda datang mengerjakan Haji pada tahun 10 Hijrah. Ketika baginda mengerjakan Haji tahun itu, ia bertepatan pula dengan DzulHijjah dalam kiraan Musyrikin Jahiliyah. Manakala untuk bulan-bulan lain telah diperbetulkan semula susunannya.

Maka begitulah kesalahan besar yang telah dilakukan oleh Musyrikin Mekah pada waktu itu. Mereka mengambil mudah ketetapan agama dan ketetapan daripada Allah ﷻ. Disebabkan sikap mereka yang suka mempermudah-mudahkan serta sesuka hati mereka menukar ketetapan daripada Allah ﷻ, maka mereka memang patut diperangi.

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهورِ عِندَ اللَّهِ اثنا عَشَرَ شَهرًا في كِتٰبِ اللَّهِ يَومَ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ مِنها أَربَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ ۚ فَلا تَظلِموا فيهِنَّ أَنفُسَكُم ۚ وَقٰتِلُوا المُشرِكينَ كافَّةً كَما يُقٰتِلونَكُم كافَّةً ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the number of months with Allāh is twelve [lunar] months in the register of Allāh [from] the day He created the heavens and the earth; of these, four are sacred. That is the correct religion [i.e., way], so do not wrong yourselves during them.¹ And fight against the disbelievers collectively as they fight against you collectively. And know that Allāh is with the righteous [who fear Him].

  • i.e., do not violate the sacred months or commit aggression therein.

(MALAY)

Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.

 

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهورِ عِندَ اللَّهِ اثنا عَشَرَ شَهرًا في كِتٰبِ اللَّهِ

Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah

Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ﷻ adalah 12 bulan. Tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang. Oleh itu, kita tahu yang kalendar kita yang gunakan 12 bulan dari dulu sampai sekarang ini, bukanlah rekaan manusia, tetapi Allah ﷻ yang tentukan. Ia telah ditetapkan dari mula lagi iaitu semasa alam ini diciptakan. Kalimah كِتٰبِ اللَّهِ merujuk kepada Kitab Lauh Mahfuz.

Semua bulan adalah milik Allah ﷻ. Maka apabila ada yang mendakwa bahawa terdapat kelebihan untuk bulan Rejab kerana ia adalah bulan Allah ﷻ, maka itu adalah dusta kerana mereka berdalilkan hadith palsu ini:

رَجَبُ شَهْرُ اللَّهِ وَشَعْبَانُ شَهْرِي وَرَمَضَانُ شَهْرُ أُمَّتِي

“Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban pula adalah bulanku (Rasulullah SAW) dan Ramadhan adalah bulan umatku”.

Berikut adalah beberapa pendapat para ulama’ dalam menilai dan menghukum hadith di atas:

    • Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menilai hadith ini sebagai bathil. [Lihat: Tabyin al-‘Ajab, 14]
    • Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadith tersebut sebagai palsu. [Lihat: al-Maudhu’at, 124/2]
    • Imam al-Suyuthi mengatakan hadith ini dhaif. [Lihat: Jami’ al-Saghir, 426]
    • Imam Ibn ‘Arraq al-Kinani menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: Tanzih al-Syari’ah, 90/2]
    • Imam al-Syaukani mengatakan hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 47]
    • Syeikh Mulla Ali al-Qari menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 460]
    • Syeikh al-Albani menghukum hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Dhaifah]

 

يَومَ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

di waktu Dia menciptakan langit dan bumi,

Susunan bulan yang 12 itu disusun semasa Allah ﷻ mencipta alam lagi, bukan selepasnya. Maka memang itu telah tetap dan tidak akan berubah sehingga kiamat. Oleh kerana Allah ﷻ yang tetapkan, tentulah Dia marah kalau manusia dengan selamba sahaja sesuka hati menukarnya.

Manakala matahari dan bulan pula Allah ﷻ jadikan untuk mudah manusia mengira perubahan kalendar itu. Sekiranya kita menggantung kalendar di dinding rumah, maka seolah-olah Allah ﷻ yang menggantung ‘kalendar’ untuk kita semua di langit. Oleh itu, amat kurang ajarlah Kafir Mekah apabila mereka senang-senang sahaja mengubah apa yang Allah ﷻ telah adakan.

 

مِنها أَربَعَةٌ حُرُمٌ

di antaranya empat bulan haram. 

Daripada 12 bulan itu, ada empat bulan yang telah ditetapkan tidak boleh berperang. ‘Haram’ itu bermaksud ‘suci’ dan juga kerana haramnya berperang di bulan-bulan itu. Maksudnya, tidak boleh dimulakan perang. Maka, jikalau orang kafir menyerang kita, bolehlah kita balas, jangan duduk diam sahaja.

Empat bulan yang dimaksudkan itu ada disebutkan dalam hadith daripada Abu Bakroh رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda,

الزَّمَانُ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا ، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ ، وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِى بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

”Setahun berputar sebagaimana keadaannya sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan haram (suci). Tiga bulannya berturut-turut iaitu Dzulqo’dah, Dzulhijjah dan Muharram. (Satu bulan lagi adalah) Rajab Mudhor yang terletak antara Jumadal (akhir) dan Sya’ban.”

(Bukhari no. 3197 dan Muslim no. 1679).

Empat bulan ini adalah kelebihannya untuk melebihkan ibadah padanya. Ibnu Abbas رضي الله عنه menafsirkan ayat di atas,

في كلهن، ثم اختص من ذلك أربعة أشهر فجعلهن حراما، وعظم حرماتهن، وجعل الذنب فيهن أعظم، والعمل الصالح والأجر أعظم.

“(Janganlah kalian menganiaya diri kalian) dalam seluruh bulan. Kemudian Allah mengkhususkan empat bulan sebagai bulan-bulan haram dan Allah pun mengagungkan kemuliaannya. Allah juga menjadikan perbuatan dosa yang dilakukan di dalamnya lebih besar. Demikian pula, Allah pun menjadikan amalan soleh dan ganjaran yang didapatkan di dalamnya lebih besar pula” (Tafsir Ibnu Katsir: 3/26).

 

ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ

Itulah (ketetapan) agama yang lurus,

Ketetapan bulan yang 12 dan empat bulan yang haram itu adalah sebahagian daripada agama. Ia tidak akan berubah sampai kiamat nanti. Oleh itu, kenalah hormati. Antara hikmah diadakan empat bulan itu adalah supaya ada rehat daripada peperangan dan supaya umat boleh melakukan ibadah, antaranya ibadah Haji. Jika sepanjang tahun asyik berperang sahaja, bilakah masanya untuk melakukan perkara-perkara lain pula?

Dengan orang kafir ini bukannya boleh dibuat kira, ada yang tidak kisah pun untuk berbuat apa sahaja kerana mereka tidak ada adab dan tidak ada agama. Mereka tidak takut dengan Allah ﷻ dan balasan daripada-Nya.

Maka di sini mereka telah melanggar larangan berperang dalam bulan Haram. Memang menyerang di bulan Haram adalah haram, akan tetapi jika kita diserang, kita boleh pertahankan diri. Begitulah juga jika mereka menyerang kita di Tanah Haram, kita boleh balas untuk pertahankan diri kita. Ini seperti yang ada dalam ayat yang lain:

{الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ}

Bulan Haram dengan bulan Haram dan pada sesuatu yang patut dihormati berlaku hukum qisas. Oleh sebab itu, barang siapa yang menyerang kalian, maka seranglah dia yang seimbang dengan serangannya terhadap kalian. (Al-Baqarah: 194), hingga akhir ayat.

Juga dalam ayat lain:

{وَلا تُقَاتِلُوهُمْ عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ حَتَّى يُقَاتِلُوكُمْ فِيهِ فَإِنْ قَاتَلُوكُمْ فَاقْتُلُوهُمْ}

dan janganlah kalian memerangi mereka di Masjidil Haram, kecuali jika mereka memerangi kalian di tempat itu. Jika mereka memerangi kalian (di tempat itu), maka bunuhlah mereka. (Al-Baqarah: 191), hingga akhir ayat.

Oleh itu, bulan yang diharamkan ada empat: tiga bulan di antaranya berurutan letaknya, sedangkan yang satunya lagi terpisah; hal ini tiada lain demi menunaikan manasik Haji dan Umrah. Maka diharamkan (disucikan) satu bulan sebelum bulan Haji, iaitu bulan ZulQaedah, kerana mereka dalam bulan itu adalah untuk beristirehat tidak mahu berperang untuk persiapan menunaikan Haji; dan diharamkan bulan ZulHijjah kerana dalam bulan itu mereka menunaikan ibadah Haji dan sibuk dengan penunaian manasiknya.

Kemudian diharamkan pula satu bulan sesudahnya —iaitu bulan Muharram— agar orang-orang yang telah menunaikan Haji pulang ke negerinya yang jauh dalam keadaan aman. Kemudian diharamkan bulan Rejab di pertengahan tahun, untuk melakukan ziarah ke Baitullah dan melakukan ibadah Umrah padanya, bagi orang yang datang kepadanya dari daerah yang jauh dari Jazirah Arab. Maka mereka dapat menunaikan ibadah umrahnya, lalu kembali ke negeri masing-masing dalam keadaan aman.

Cuma, yang menjadi khilaf ulama’ sama ada masih haram lagi berperang di bulan Haram atau tidak. Jumhur ulama’ (majoriti) berpendapat bahawa pengharaman tersebut telah dihapuskan hukumnya. Inilah seperti yang dinyatakan oleh Imam Ahmad رحمه الله dan selainnya.

Sekelompok ulama’ salaf termasuk Ata’ رحمه الله berpendapat bahawa larangan itu adalah kekal. Sebahagian ulama’ khalaf (yang kemudian) menguatkan pendapat ini dan mereka berdalilkan dengan ayat daripada surah Al-Ma’idah, di mana surah ini merupakan surah yang paling akhir diturunkan daripada Al-Qur’an. Dalam sebuah riwayat, dinyatakan:

أَحِلُّوا حَلَالَها وَحَرِّمُوا حَرَامَهَا

Halalkan apa yang dihalalkan dalam al-Qur’an dan haramkan apa yang telah diharamkan.”

Riwayat Ahmad (6606)

Rujuk Maidah:97 tentang bulan Haram:

جَعَلَ اللهُ الكَعبَةَ البَيتَ الحَرامَ قِيٰمًا لِّلنّاسِ وَالشَّهرَ الحَرامَ وَالهَديَ وَالقَلٰئِدَ

Allah telah menjadikan Ka’bah, rumah suci itu sebagai pusat (peribadatan dan urusan dunia) bagi manusia, dan (demikian pula) bulan Haram, had-ya, qalaid.

Pendapat ini menyatakan bahawa tidak ada yang dihapuskan dalam masalah ini. Diriwayatkan bahawa Aisyah رضي الله عنها berkata:

فَإِنَّهَا آخِرُ سُورَةٍ نَزَلَتْ، فَمَا وَجَدْتُمْ فِيهَا مِنْ حَلَالٍ فَاسْتَحِلُّوهُ، وَمَا وَجَدْتُمْ فِيهَا مِنْ حَرَامٍ فَحَرِّمُوهُ

“Itulah surah terakhir yang diturunkan, apa yang kamu semua dapatkan padanya berupa sesuatu yang halal, maka halalkanlah. Dan apa yang kamu semua dapatkan padanya berupa sesuatu yang haram, maka haramkanlah.”
(Riwayat Ahmad (25547), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11138))
Syeikh Syu’aib al-Arna’ut رحمه الله menyatakan, isnadnya sahih berdasarkan syarat Muslim.

Imam Ahmad رحمه الله juga meriwayatkan dalam Musnadnya, daripada Jabir رضي الله عنه, katanya:

لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْزُو فِي الشَّهْرِ الْحَرَامِ إِلَّا أَنْ يُغْزَى – أَوْ يُغْزَوْا – فَإِذَا حَضَرَ ذَاكَ، أَقَامَ حَتَّى يَنْسَلِخَ

“Rasulullah ﷺ tidak pernah berperang di bulan haram, kecuali jika diserang terlebih dahulu. Jika bulan haram tiba, baginda berhenti sehinggalah bulan haram itu berlalu.”
(Riwayat Ahmad (14583))
Syeikh Syu’aib al-Arna’ut رحمه الله menyatakan isnadnya sahih berdasarkan syarat Muslim.

Sebahagian ulama’ menyebut bahawa Nabi ﷺ mengepung Taif pada bulan Syawal. Ketika memasuki bulan ZulQa’edah, baginda beristirehat dan tidak memerangi orang-orang kafir, tetapi hanya mengepung mereka, kemudian kembali ke tempat semula. Begitu juga, ketika umrah dalam peristiwa Hudaibiyyah, baginda tidak berperang. Sehinggalah apabila mendengar khabar Uthman رضي الله عنه dibunuh, maka baginda membai’ah para sahabat untuk berperang. Namun, setelah jelas bahawa berita itu tidak benar, maka baginda menahan niatnya untuk memerangi kaum kafir.

Akan tetapi jumhur ulama’ berdalilkan bahawa para sahabat, setelah kewafatan Rasulullah ﷺ sibuk mengadakan perluasan wilayah ke pelbagai negeri dan melanjutkan jihad. Tidak pernah dinukilkan satu riwayat pun bahawa ada dalam kalangan mereka yang berhenti berperang (dalam keadaan telah berniat untuk berjihad) pada bulan-bulan haram. Ini menunjukkan kesepakatan mereka tentang dihapusnya hukum berperang pada bulan tersebut. Wallahu a’lam.

Justeru, agak kuat juga pendapat yang mengatakan pengharaman bulan-bulan haram untuk berperang telah dinasakhkan berdasarkan nas dan amalan para sahabat selepas itu. Semoga Allah ﷻ memberi kefahaman kepada kita semua. Allahu a’lam.

 

فَلا تَظلِموا فيهِنَّ أَنفُسَكُم

maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan itu,

Allah ﷻ tegaskan supaya janganlah menzalimi sesiapa pada bulan-bulan itu. Mungkin ada pendapat yang mengatakan ‘bulan-bulan’ yang dimaksudkan adalah empat bulan itu. Namun sebenarnya lebih baik kalau kita katakan, keseluruhan bulan untuk sepanjang tahun itu jangan zalimi orang lain kerana takkan empat bulan itu sahaja yang tidak boleh zalimi orang lain, tetapi dalam bulan lain, boleh pula. Adakah begitu? Tentu tidak.

Oleh itu maksudnya jaga semua bulan. Jangan ubah-ubah apa yang Allah ﷻ telah tetapkan. Terutama kepada Musyrikin Mekah. Mereka kata mereka adalah penjaga Ka’bah dan Tanah Haram, maka kenalah jaga sekali dengan bulan-bulan yang Allah ﷻ telah tetapkan. Apabila mereka ubah satu bulan, tentunya bulan-bulan yang lain akan berubah sekali, bukan?

Kalau kita mahu memegang pendapat yang dimaksudkan adalah bulan-bulan Haram yang empat itu, maka kita boleh terima bahawa kalau dalam bulan lain pun tidak boleh menzalimi, lebih-lebih lagi dalam empat bulan itu.

Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, lafaz yang digunakan adalah ‘jangan menzalimi diri kamu’. Ini kerana apa sahaja kezaliman yang mereka lakukan terhadap bulan itu, mereka sebenarnya menzalimi diri mereka sendiri, kerana mereka akan menanggung akibatnya nanti.

 

وَقٰتِلُوا المُشرِكينَ كافَّةً كَما يُقٰتِلونَكُم كافَّةً

dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, 

Allah ﷻ suruh puak Muslim hendaklah memerangi orang yang berakidah syirik semua sekali, sepertimana mereka juga ingin memerangi puak Islam semua sekali. Memang ada orang musyrikin yang kalau boleh memang hendak membunuh habis puak tauhid. Mereka itulah yang mesti diperangi.

Di sini sama ada Allah ﷻ suruh serang mereka semua, atau kamu semua serang mereka.

Cuma janganlah ayat ini digunakan sebagai dalil untuk memerangi orang kafir sekarang. Kerana zaman sekarang, kita ada perjanjian damai dengan negara-negara lain. Maka, apa yang dilakukan oleh terroris-terroris, IS, ISIS dan Daesh itu, adalah menyimpang jauh daripada Islam.

Mereka sahaja yang mengaku mereka Muslim dan melakukan perkara itu atas nama Islam, akan tetapi mereka itu bukanlah menegakkan Islam. Mereka itu membunuh tanpa haq dan mereka akan dipertanggungjawabkan nanti di akhirat kelak di atas perbuatan mereka itu.

Ringkasnya, kena musnahkan semua sekali musuh (Kafir Harbi sahaja). Manakala ada satu lagi maksud: umat Islam mesti bersatu semua sekali untuk menentang kafir Harbi itu. Malangnya ayat ini tidak diamalkan sekarang. Negara-negara Muslim di seluruh dunia sekarang tidak bersatu dalam mempertahankan negara Islam lain yang diserang. Sedangkan apabila musuh Islam menyerang sebuah negara Islam, mereka bersatu dan berjaya memusnahkan kita. Beginilah yang berlaku apabila ajaran wahyu jauh daripada manusia.

Selain itu, negara Muslim sekarang pun tidak mempunyai Khalifah untuk menjalankan perintah perang itu. Maka kena sesuaikan dengan keadaan. Hendaklah diingatkan bahawa bukanlah ayat-ayat perang ini sudah dimansukhkan. Ia masih tetap ada, kerana tidak semestinya keadaan akan aman sepanjang masa. Ada masanya nanti yang ayat-ayat hukum peperangan ini akan digunakan kembali. Dan kita kena bersedia.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ

dan ketahuilah bahwasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.

Jangan takut untuk berperang dengan musuh sekali pun kamu sedikit dan mereka ramai. Ini kerana Allah ﷻ akan bantu mereka yang bertaqwa; iaitu mereka yang takutkan Allah ﷻ dan sentiasa menjaga hukum Allah ﷻ. Allah ﷻ pasti akan menangkan golongan muttaqin. Kalau Allah ﷻ tidak bantu, itu tanda bukan muttaqin lah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 April 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Naaziat Ayat 14 – 27 (Kisah Nabi Musa)

Ayat 14: Selepas mereka dibangkitkan, apa yang akan terjadi?

فَإِذا هُم بِالسّاهِرَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And suddenly they will be [alert] upon the earth’s surface.

(MALAY)

maka dengan serta merta mereka hidup kembali di permukaan bumi.

 

Allah ﷻ beritahu, selepas dikenakan dengan tempikan (tiupan Sangkakala) itu, manusia akan dibangkitkan dari tidur di dunia ini dalam kubur dan akan menghadapi kehidupan yang sebenarnya di akhirat nanti.

Lafaz  السّاهِرَةِ bermaksud tidur yang telah hilang. Ia juga digunakan untuk tempat. Ia dari katadasar س ه ر yang bermaksud berjaga-jaga, bermalam dalam keadaan jaga (sedar), permukaan bumi  yang terbuka luas (digunakan seperti Padang Sahara), terjaga dari tidur, tanah lapang tanpa tumbuhan.

Digunakan dalam bahasa Arab untuk menceritakan keadaan seseorang yang mengembara di padang pasir dan malam telah sampai dan dia perlu tidur. Tetapi tempat itu adalah padang yang luas terbentang dan tidak ada tempat berlindung. Maka dia berada dalam keadaan tidak selesa kerana apa sahaja boleh menyerangnya, jadi tidur dia pun tidak selesa – tidur telah hilang.

Atau, ia bermaksud orang yang terjaga selepas tidur dan bila itu berlaku, dia tidak dapat tidur langsung lagi selepas itu. Begitulah kita nanti apabila dibangkitkan dari kubur. Tidak akan ada tidur lagi selama-lamanya.

Oleh itu, ia digunakan untuk perasaan dan juga digunakan sebagai tempat: padang yang luas yang mendatar dan perasaan yang tidak tenang ketika itu. Begitulah keadaan tempat yang kita semua akan dihidupkan kembali – Mahsyar.

Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan bahawa as-sahirah ertinya bumi seluruhnya. Hal yang sama dikatakan oleh Sa’id ibnu Jubair, Qatadah, dan Abu Saleh. Ikrimah, Al-Hasan, Ad-Dahhak, dan Ibnu Zaid mengatakan bahawa as-sahirah ertinya permukaan bumi.

Tetapi bumi tersebut bukanlah seperti bumi kita sekarang, melainkan bumi lain yang belum pernah dikerjakan suatu dosa pun di atas permukaannya dan belum pernah dialirkan setitis darah pun padanya. Ini seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

يَوْمَ تُبَدَّلُ الْأَرْضُ غَيْرَ الْأَرْضِ وَالسَّماواتُ وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْواحِدِ الْقَهَّارِ

(Iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit, dan mereka semua (di padang mahsyar) berkumpul menghadap ke hadirat Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. (Ibrahim: 48)


 

Ayat 15: Sekarang kita boleh lihat bagaimana ada pertukaran topik dari ayat-ayat sebelum ini. Surah ini bermula tentang angin. Allah ﷻ beri isyarat yang  mudah sahaja Allah ﷻ nak musnahkan manusia – Allah ﷻ boleh beri angin sahaja. Dan angin itu adalah perkara yang manusia tahu tapi tidak nampak. Ia isyarat kepada Allah ﷻ. Dan sekarang Allah ﷻ ubah topik.

Allah ﷻ sekarang membawa kisah Nabi Musa عليه السلام kerana Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa bukanlah puak Musyrikin Mekah itu yang pertama sekali memberontak kepada Allah ﷻ tetapi sebelum itu pun sudah ada ramai lagi yang melakukannya dan Allah ﷻ beri contoh kaum Nabi Musa عليه السلام.

Maka ayat 15 – 26 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia mengandungi dalil adanya akhirat dari sejarah Nabi Musa عليه السلام dan Firaun.

هَل أَتَٮٰكَ حَدِيثُ مُوسَىٰٓ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has there reached you the story of Moses? –

(MALAY)

Sudah sampaikah kepadamu (ya Muhammad) kisah Musa.

 

Adakah kamu dengar tentang Nabi Musa عليه السلام? Dalam ayat ini, Allah ﷻ bercakap terus kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah perubahan dari khitab kepada musyrikin sebelum ini. Allah ﷻ sudah tidak layan orang kafir lagi kerana Allah ﷻ telah murka kepada mereka.

Lafaz حَديثُ digunakan dalam ayat ini yang bermaksud ‘perkara baru’: Sama ada kisah itu tidak pernah didengari atau pernah dengar tetapi sudah lupa kerana lama sangat. Jadi apabila ianya disebut, ianya macam perkara baharu.

Juga boleh bermaksud, Allah ﷻ hendak ingatkan kembali kisah itu, walaupun sudah pernah didengar, tapi Allah ﷻ hendak bawa ia seperti kisah baharu, dan menunjukkan ianya masih lagi relevan dengan kita. Kerana benda baharu tentunya relevan dengan kita, bukan? Ini adalah supaya kisah itu dibaca dengan nafas yang baru.

Oleh itu, kisah ringkas tentang Musa عليه السلام disebut dalam surah ini dan kerana disebut dengan ringkas sahaja, maka kena rujuk kepada surah-surah yang lain.


 

Ayat 16:

إِذ نَادَٮٰهُ رَبُّهُ ۥ بِٱلوَادِ ٱلمُقَدَّسِ طُوًى

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When his Lord called to him in the sacred valley of Ṭuwā,

(MALAY)

Tatkala Tuhannya memanggilnya di lembah suci ialah Lembah Thuwa;

 

Allah ﷻ memanggil Nabi Musa عليه السلام untuk menerima wahyu. Kalimah nida’ bermaksud memanggil dengan kuat. Memang Allah ﷻ memanggil Nabi Musa عليه السلام untuk bercakap denganNya tetapi mestilah difahami sebagaimana yang layak bagi Allah ﷻ.

Kita tidak tahu bagaimana cara Allah ﷻ memanggil itu, kerana ini adalah antara perkara yang termasuk dalam ayat-ayat mutasyabihaat. Jangan bayangkan pula suara Allah garau atau kasar atau keras atau lembut. Jangan bayangkan. Kan saya kata jangan bayangkan?

Lafaz المُقَدَّسِ bermaksud tempat untuk untuk mensucikan Allah ﷻ. Kalau perbuatan taqdees, ia bermaksud mensucikan Allah dari sifat-sifat yang tidak patut bagiNya. Jadi المُقَدَّسِ adalah tempat yang suci.

Allah ﷻ memanggil Nabi Musa عليه السلام untuk datang ke situ. Dan begitulah juga Nabi Muhammad  ﷺ dipanggil ke Gua Hira’ untuk menerima wahyu yang pertama untuk baginda. Semuanya yang terjadi itu adalah dalam perancangan Allah ﷻ.


 

Ayat 17: Apakah arahan yang Allah ﷻ beri kepada Nabi Musa عليه السلام?

ٱذهَب إِلَىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ ۥ طَغَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

“Go to Pharaoh. Indeed, he has transgressed.

(MALAY)

“Pergilah kamu kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas,

 

Setelah Nabi Musa  عليه السلام dilantik sebagai Rasul, Allah ﷻ mengarahkan Nabi Musa عليه السلام untuk pergi berdakwah kepada Firaun sebab dia sudah melampaui batas. Begitulah juga Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk berdakwah kepada bangsa Quraisy yang telah melakukan kesyirikan yang besar di Kaabah.

Lafaz طَغىٰ dari segi bahasa adalah macam air laut yang melimpah dari pantainya. Inilah perumpamaan apabila manusia telah melampau batas. Kerana manusia ini ada had apa yang boleh dilakukannya, kerana Allah ﷻ telah tetapkan had itu. Dan kita pun sudah tahu yang Firaun memang telah melampau.

Bayangkan, dia telah menggelar dirinya rabb (tuhan) dan dia telah menghambakan Bani Israil dan entah apa lagi kesalahan yang dia telah lakukan. Tetapi dua perkara inilah yang pertama sekali disentuh oleh Nabi Musa عليه السلام kepada Firaun – tentang siapakah rabb yang sebenar dan tentang perhambaan Bani Israil.

Tetapi begitulah manusia, tidak suka dihadkan apa yang mereka boleh buat. Itu sebab ramai yang memberontak, kerana mereka tidak suka dikongkong, mereka hendak buat apa sahaja yang mereka mahu. Tetapi kita diajar dalam Islam, bahawa kita kena sedar siapa diri kita – kita adalah hamba dan Allah itu Tuhan ﷻ, maka kita kena taat.

Kita kena hinakan diri kita di hadapan Allah dan sedar kedudukan kita. Kalau susah untuk menerima perkara ini, maka akan susahlah untuk taat kepada Allah ﷻ. Malangnya, ramai manusia yang rasa besar dan tinggi diri dan mereka rasa mereka tidak layak dikongkong. Namun, berapa kuat sangatlah mereka?


 

Ayat 18: Allah ﷻ ajar Nabi Musa عليه السلام cara berdakwah kepada Firaun.

فَقُل هَل لَّكَ إِلَىٰٓ أَن تَزَكَّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say to him, ‘Would you [be willing to] purify yourself

(MALAY)

dan katakanlah (kepada Fir’aun): “Adakah ada keinginan bagimu untuk membersihkan diri (dari kesesatan)?”.

 

Musa عليه السلام disuruh untuk bertanya kepada Firaun: ada tak sekelumit dalam hati kamu untuk menerima jalan kesucian? Kamu ada rasa hendak cuci tak kekotoran yang ada dalam diri kamu? Iaitu dari kekotoran syirik yang selama ini telah diamalkan.

Nabi Muhammad ﷺ juga mengajak kaumnya membersihkan diri mereka dari amalan dan fahaman syirik. Begitu juga kita dalam berdakwah, perkara pertama yang kita kena bersihkan adalah dari fahaman syirik.

Itulah lebih kurang soalan yang Musa عليه السلام disuruh tanya kepada Firaun. Maka inilah juga yang kita disuruh tanya kepada manusia lain. Kita hendak tarik minat mereka untuk menyucikan diri. Kerana semua manusia ada perasaan untuk kebaikan, kerana Allah ﷻ telah isikan fitrah itu dalam diri manusia. Cuma mereka yang kufur sahaja yang telah menutup fitrah itu.

Nabi Musa عليه السلام disuruh tanya kepada Firaun, kerana kalau ada lagi fitrah itu, maka ada harapan lagi untuk dia beriman. Kerana kena ada sekelumit kebenaran yang ada dalam roh manusia, barulah boleh terima dakwah kebenaran.

Lafaz هَل لَكَ bermaksud: bukan sahaja kena ada sekelumit cahaya keimanan itu, tetapi kena ada juga rasa hendak mengeluarkannya. Macam Firaun tentu ada perasaan itu, kerana Allah ﷻ telah berikan kepada semua manusia, hanya sama ada dia hendak keluarkan atau tidak sahaja.

Oleh itu, kalau kita berdakwah kepada manusia, suruh mereka dengar suara hati mereka. Ada yang boleh terima suara hati, namun sebaliknya kalau nafsu menguasai diri, mereka akan pendamkan suara hati itu.

Balaghah: Penggunaan lafaz تَزَكّىٰ dalam ayat ini juga ada membawa maksud dari segi balaghah. Lafaz تَزَكّىٰ itu asal wazan yang sebenar adalah تَتَزَكّىٰ (tatazakka). Maknanya, ada pengurangan dari wazan yang asal, maksudnya ada pengurangan yang membawa maksud ‘sedikit’ dalam susunan ini.

Maka kita boleh terjemahkan begini: “tidakkah kau nampak boleh membersihkan ’sedikit’ pun dari hati engkau?” Kerana kalau تَتَزَكّىٰ digunakan, ia bermaksud penuh, sempurna. Kita hendak ada sedikit sahaja pun jadilah untuk memulakan proses pembersihan hati itu.

Akan tetapi masalah dengan Firaun, dia tidak nampak pun kesalahan yang dilakukannya. Maka dia tidak mahu dengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام. Begitu jugalah dengan Musyrikin Mekah (yang degil) apabila Nabi Muhammad ﷺ berdakwah kepada mereka. Kerana pada mereka, mereka tidak salah; pada mereka yang sesatnya adalah Nabi Muhammad ﷺ.

Begitu jugalah puak yang mengamalkan bid’ah dan syirik dalam negara ini, mereka rasa mereka tidak salah, itulah sebabnya mereka tidak mahu menerima dakwah sunnah. Mereka rasa, puak yang membawa sunnah inilah yang sesat.

Jadi, kita kena ajak mereka untuk cuba dengar suara hati mereka, ajar suara hati mereka untuk terima kebenaran. Kata kepada mereka: “cuba kau dengar rasa hati kamu, adakah yang aku bawa ini agak-agak ada kebenarannya?”. Ada orang dapat rasa perasaan itu, tapi ramai juga yang benamkan rasa itu.


 

Ayat 19: Selepas membersihkan diri dari syirik, barulah boleh terima hidayah. Kerana kalau hati tidak bersih dari syirik, hidayah tidak boleh masuk.

وَأَهدِيَكَ إِلىٰ رَبِّكَ فَتَخشىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let me guide you to your Lord so you would fear [Him]?’ “

(MALAY)

Dan kamu akan ku tunjuk ke jalan Tuhanmu agar supaya kamu takut kepada-Nya?”

 

Dari sudut bahasa, ayat ini adalah sambungan terus dari ayat sebelumnya.

Musa عليه السلام  beritahu Firaun yang baginda boleh memberi hidayah kepada Firaun. Itu pun kalau Firaun mahu dengar.

Dari segi bahasa, lafaz yang digunakan dalam ayat ini adalah أَهدِيَ إِلىٰ. Lain dari lafaz yang digunakan dalam Surah Fatihah bukan?

اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ

Kerana dalam Surah al-Fatihah, hanya ada lafaz أَهدِيَ sahaja, tidak ada lafaz إِلىٰ. Kita telah katakan dalam syarah Surah al-Fatihah itu, bahawa ada beza jikalau ada huruf jar إِلىٰ dan jikalau tidak ada. Kerana kalau أَهدِيَ sahaja, seperti dalam ayat al-Fatihah itu, ia bermaksud ‘pimpin’ dan bukan hanya ‘tunjuk jalan’ sahaja.

Kalau tunjuk jalan, itu hanya tunjuk sahaja, sebaliknya kalau ‘pimpin’, akan bersama dengan orang itu sehingga sampai ke destinasi. Oleh itu, kalau dalam surah ini, kalau digunakan lafaz أَهدِيَ untuk Firaun, yang bermaksud ‘pimpin’ sekali, tidak sesuai. Kerana kepada Firaun, Nabi Musa عليه السلام boleh berikan pengetahuan sahaja.

Pertamanya, Firaun tidak mahu dipimpin pun, kalau dia mahu dengar pun sudah bagus; dan keduanya, kerana memang Nabi Musa عليه السلام hanya layak beri pengetahuan sahaja, sedangkan yang boleh ‘memimpin’ itu hanya Allah ﷻ sahaja seperti dalam Surah Fatihah itu.

Dalam ayat ini, Nabi Musa عليه السلام kata baginda boleh tunjuk hidayah kepada Rabb – ini berkenaan Tauhid Rububiyyah. Tidak digunakan lafaz Allah ﷻ dalam ayat ini. Ini adalah kerana hendak tekankan sifat Rabb Allah ﷻ, iaitu Tuhan yang mencipta, menjaga dan memelihara semua sekali alam ini.

Kalimah Rabb digunakan di sini kerana Firaun perasan dia tuhan, dia kata dia tuhan kerana dia rasa dia yang paling besar sekali dan paling berkuasa di Mesir. Jadi, perlu ditekankan yang dia bukan Tuhan, tetapi ada Tuhan lain, iaitu Tuhan semesta alam.

Disebut tujuan untuk ditunjukkan hidayah itu adalah supaya paling kurang, Firaun itu jadi takut. Kalimah خَشِيَ bermaksud jenis takut kepada seseorang yang lebih besar. Jadi tugas pertama Nabi Musa عليه السلام adalah kenalkan Firaun kepada Allah Tuhan yang sebenarnya supaya dia kenal dan jadi takut kepada Rabb.

Kerana kalau sudah tahu siapakah Rabb itu, akan menyebabkan seseorang itu takut. Sebab ilmu yang benar sahaja yang akan menyebabkan seseorang itu takut. Yang tidak takut adalah kerana tidak tahu, yang jahil sahaja. Kerana itu banyak digunakan kalimat ‘ulul albaab’ dalam Al-Qur’an iaitu mereka yang cerdik dan ada ilmu.


 

Ayat 20: Selain dari bercakap, Nabi Musa عليه السلام juga telah menunjukkan mukjizat kepada Firaun. Ini adalah setelah Firaun minta bukti kerasulan baginda.

فَأَرَٮٰهُ ٱلأَيَةَ ٱلكُبرَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he showed him the greatest sign,¹

  • i.e., the miracle of his staff becoming a great snake.

(MALAY)

Lalu Musa memperlihatkan kepadanya mukjizat yang paling besar.

 

Allah ﷻ menunjukkan kepada Firaun mukjizat yang paling besar iaitu tongkat Nabi Musa عليه السلام yang menjadi ular. Tujuan ditunjukkan mukjizat ini adalah untuk beri Firaun percaya bahawa Nabi Musa عليه السلام itu benar-benar seorang Rasul. Kerana kalau bukan Rasul, tentu tidak boleh mengeluarkan mukjizat sehebat begitu.

Jadi mukjizat yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah tongkat Nabi Musa عليه السلام menjadi ular. Kenapa mufassirin mengatakan yang الآيَةَ الكُبرىٰ (tanda yang paling besar) itu adalah tongkat menjadi ular itu? Sedangkan, bukan itu sahaja mukjizat yang ditunjukkan kepada beliau. Dari ayat-ayat yang lain, kita tahu bahawa Nabi Musa عليه السلام  juga menunjukkan mukjizat tangan baginda bercahaya. Tetapi itu tidaklah dikatakan sebagai الآيَةَ الكُبرىٰ.

Ini adalah kerana walaupun Firaun ada diberikan dengan mukjizat yang lain, tetapi yang paling dia takut adalah ular. Ini kita dapat tahu kerana apabila dia suruh ahli sihir lawan Nabi Musa عليه السلام, Firaun suruh mereka lawan dengan mukjizat ular itu. Apabila pertembungan antara Nabi Musa عليه السلام dan ahli-ahli sihir yang ramai itu, mereka menggunakan tongkat dan tali mereka untuk menjelma menjadi ular (menggunakan sihir). Jadi kita dapat tahu, itulah yang ditumpukan oleh Firaun, bukan yang lain.

Akan tetapi, kita tahu yang sihir mereka itu tidaklah dapat mengalahkan mukjizat Nabi Musa عليه السلام. Tongkat yang menjadi ular itu telah memakan semua ular-ular jelmaan sihir mereka. Ini juga menunjukkan itu adalah mukjizat yang terbesar. Sehinggakan ahli-ahli sihir Firaun itu semuanya masuk Islam apabila melihat keajaiban itu.

Sebab mereka hanya mampu menipu mata orang-orang yang melihat sihir mereka. Tetapi mereka tidaklah dapat menukar tali mereka menjadi ular. Mereka tipu mata orang sahaja, sedangkan tongkat Nabi Musa عليه السلام memang benar-benar menjadi ular dengan kuasa Allah ﷻ. Maka mereka sedar yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام itu bukanlah sihir, tapi memang mukjizat.

Ini ada persamaan dengan Musyrikin Mekah, bagaimana mereka juga ditunjukkan dengan mukjizat yang terbesar – iaitu Al-Qur’an. Tetapi Musyrikin Mekah pun tolak juga mukjizat Al-Qur’an. Kalau dengar mukjizat yang dapat dilihat dengan mata pun ada umat terdahulu yang tolak, jadi jangan pelik kalau ada juga yang menolak mukjizat Al-Qur’an.


 

Ayat 21: Setelah ditunjukkan dengan mukjizat itu, apakah reaksi Firaun?

فَكَذَّبَ وَعَصىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But he [i.e., Pharaoh] denied and disobeyed.

(MALAY)

Tetapi Fir’aun mendustakan dan mendurhakai.

 

Firaun tidak mahu menerima kebenaran walaupun ianya ada di depan mata. Memang dia seorang yang amat-amat degil.

Dua benda disebut dalam ayat ini: yang pertama adalah takzib (mendustakan). Maksudnya dia tidak mahu terima dakwah tauhid sampaikan dia kata apa yang Nabi Musa عليه السلام bawa itu adalah dusta.

Tetapi tidak disebut Firaun mendustakan apa, Allah ﷻ biarkan terbuka sahaja. Sedangkan selalunya dalam Al-Qur’an, kalau ada takzib, selalu ditambah dengan huruf ب dan disebut apakah yang didustakan. Tapi tidak kali ini. Ini adalah kerana semua benda yang Nabi Musa عليه السلام bawa, dia tolak. Termasuklah dia mendustakan apakah yang ada dalam hatinya.

Begitulah juga yang dilakukan oleh Quraisy terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Mereka juga telah takzib kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tahu bahawa apa yang baginda bawa itu benar, tapi mereka tetap dustakan juga.

Yang kedua, isyan (derhaka). Kalimah isyan digunakan kalau seseorang itu engkar kepada sesuatu yang dia sudah tahu bahawa sesuatu itu baik, tetapi masih hendak tolak lagi. Yang menolak itu kerana degil sahaja, sampai sanggup menolak kebenaran yang dia sendiri tahu memang benar.


 

Ayat 22: Selepas Firaun menolak kebenaran, apa yang Firaun lakukan?

ثُمَّ أَدبَرَ يَسعىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then he turned his back, striving [i.e., plotting].

(MALAY)

Kemudian dia berpaling dan berusaha menentang (Musa).

 

Firaun telah membelakangi Nabi Musa عليه السلام dari perjumpaan dengan baginda dan kemudian dia يَسعىٰ – mundar mandir mencari jalan bagaimana hendak melawan Musa عليه السلام. Disebut mundar mandir itu sebagai isyarat bahawa dia sedang berfikir. Dia merancang tetapi perancangan yang tidak panjang (idbar beza dengan tadbir) kerana dia sudah terdesak.

Dia terdesak kerana ramai rakyat sudah mula percaya kepada Nabi Musa عليه السلام, termasuk dari kalangan para menteri dia pun. Dia dalam kerisauan kerana semakin dia tolak Nabi Musa عليه السلام, semakin Nabi Musa عليه السلام berjaya tunjukkan kebenaran. Jadi dia tengah tidak betul fikirannya, tidak senang duduk dan dia berjalan mundar mandir sibuk berfikir apa yang dia hendak buat. Dia berusaha keras untuk menjatuhkan populariti Nabi Musa عليه السلام.


 

Ayat 23: Firaun sudah tahu apa yang dia hendak buat:

فَحَشَرَ فَنادىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he gathered [his people] and called out

(MALAY)

Maka dia mengumpulkan (rakyatnya) lalu berseru memanggil kaumnya.

 

Dia mengumpulkan rakyatnya. Allah ﷻ menggunakan lafaz حَشَرَ, bukan جمع yang juga bermaksud ‘kumpulkan’. Ia ada makna yang berbeza kerana lafaz حَشَرَ itu digunakan untuk  mengumpul binatang dan berkata dengan kasar kepada binatang. Begitulah cara dia panggil rakyatnya kerana dia rasa dia amat berkuasa.

Firaun kena paksa mereka datang jumpa dia dan beritahu mereka apa yang mereka kena percaya. Sebelum ini, dia tidak akan bercakap dengan rakyat marhaen, tetapi kali ini sebab terdesak, dia bercakap juga. Dia kena buat rapat umum untuk menjelaskan kedudukan dan cuba untuk mengawal pemikiran rakyatnya.


 

Ayat 24: Apa yang dia hendak beritahu kepada rakyatnya?

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ ٱلأَعلَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And said, “I am your most exalted lord.”

(MALAY)

(Seraya) berkata: “Akulah tuhanmu yang paling tinggi”.

 

Dia menegaskan sekali lagi kepada mereka bahawa dia adalah tuhan mereka. Rakyat memang sudah tahu sebab sebelum ini pun dia memang pernah dakwa macam itu pun. Jadi, apa lainnya kali ini? Kenapa dia kena bercakap lagi?

Kali ini dia rasa yang dia kena bercakap lagi sebab rakyat sudah semakin hendak percaya kepada Nabi Musa عليه تلسلام. Jadi dia hendak tekankan balik, kena ingatkan mereka balik. Kerana dalam dakwah Nabi Musa عليه السلام, baginda selalu menekankan siapa Rabb yang sebenar, iaitu Allah ﷻ, dan dia rasa dia kena lawan balik.

Apakah maksud Firaun yang dia itu tuhan mereka yang ‘paling tinggi’? Maksudnya, paling tinggi dari patung-patung yang dia buat. Maknanya, mereka ada juga sembah patung-patung tuhan yang lain, tetapi dalam banyak-banyak patung sembahan itu, dialah yang paling tinggi. Jadi, kalau rakyat datang ke kuil, mereka akan sembah semua patung lain dan bila sampai ke Firaun, mereka kena sujud kepada Firaun sebagai tuhan yang paling besar.


 

Ayat 25: Ayat Takhwif duniawi dan ukhrawi

فَأَخَذَهُ اللَّهُ نَكالَ الآخِرَةِ وَالأولىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So Allāh seized him in exemplary punishment for the last and the first [transgression].¹

  • i.e., for Pharaoh’s setting himself up as a deity and for his previous oppression of the people and denial of Moses.

(MALAY)

Maka Allah mengazabnya dengan azab di akhirat dan azab di dunia.

 

Allah ﷻ telah menjadikan Firaun sebagai peringatan bagi orang-orang yang mengingkariNya. نَكالَ adalah rantai pada kaki yang dikenakan kepada banduan supaya banduan tidak dapat bergerak dan selalunya diikat bersama dengan banduan lain.

Ini dilakukan dan ditunjukkan kepada khalayak ramai sebagai hukuman, supaya orang lain yang nampak, tidak berani hendak buat macam mereka, takut untuk jadi macam mereka yang kena نَكالَ itu. Jadi, ini adalah cara untuk menakutkan orang. Allah ﷻ jadikan Firaun sebagai نَكالَ, supaya manusia lain ingat, jangan jadi macam dia.

Hukuman dan azab yang dikenakan kepada Firaun ini menjadi pengajaran kepada manusia dari dahulu sampai hujung waktu (الآخِرَةِ وَالأولىٰ). Ianya dijadikan sebagai contoh yang paling teruk. Ia juga boleh bermakna: Firaun dikenakan dengan hukuman akhirat dan dunia sekali.

Ini juga sebagai peringatan kepada kafir Quraisy yang sedang mengingkari Nabi Muhammad ﷺ. Mereka disuruh untuk ambil peringatan ini: orang yang lebih kuat dari kamu pun sudah kena teruk, janganlah kamu pun jadi macam dia.

Allah ﷻ juga beri pujukan kepada Nabi ﷺ, buat sahaja kerja dakwah kepada tauhid dan jangan risau penolakan dari golongan musyrik itu. Orang yang lebih teruk dari Quraisy itu pun Allah ﷻ sudah kalahkan; jadi, ayat ini untuk takutkan Quraisy dan dalam masa yang sama, pujukan kepada Nabi ﷺ; dua dalam satu.


 

Ayat 26:

إِنَّ فِى ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّمَن يَخشَىٰٓ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed in that is a lesson [i.e., warning] for whoever would fear [Allāh].

(MALAY)

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang yang takut (kepada Tuhannya).

 

Kisah Nabi Musa عليه السلام dan Firaun ini adalah sebagai peringatan kepada kita semua. Lafaz عِبرَةً itu adalah satu perasaan yang boleh membawa seseorang kepada hampir menangis kerana terkesan sangat. Ia dari katadasar ع ب ر yang bermaksud melintasi, menafsir, menyebut dengan jelas, melepasi. Selalunya digunakan untuk perbuatan melintasi air seperti merentas sungai atau laut.

Digunakan dalam pepatah Arab apabila air mata melintas dan melepasi masa kerana sedih atau terkesan sangat. Oleh itu, orang itu akan ambil pengajaran betul-betul kalau begitu.

Menarik juga pepatah yang digunakan ini kerana nanti Nabi Musa dan Bani Israil akan melintasi Laut Khulzum untuk melarikan diri dari Firaun. Dan ia memberi isyarat melintas dari kegelapan kejahilan kepada kebenaran. Orang yang sanggup sahaja yang mampu. Iaitu orang yang boleh terima dia sebelum ini salah dan hendak membaiki dirinya.

Peringatan ini diberikan kepada semua orang tetapi yang mengambil peringatan adalah mereka yang ada sifat takut kepada Allah ﷻ. Ianya adalah peringatan kepada mereka yang takutkan sesuatu yang lebih besar dari dirinya. Hanya orang yang ada perasaan takut dalam hatinya sahaja yang boleh menerima peringatan ini.


 

Ayat 27: Sekarang kita memasuki topik yang baharu dan kita dapat tahu kerana ritma hujung ayat pun sudah bertukar. Kali ini memasuki topik melihat alam. Allah ﷻ suruh kita lihat di sekeliling kita untuk mengambil pengajaran. Ini adalah dalil aqli adanya Kiamat.

Ayat 27 – 33 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia mengandungi dalil adanya Akhirat daripada Sifat Rububiyyah Allah.

ءَأَنتُم أَشَدُّ خَلقًا أَمِ ٱلسَّمَآءُ‌ۚ بَنَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Are you a more difficult creation or is the heaven? He [i.e., Allāh] constructed it.

(MALAY)

Apakah kamu lebih sulit penciptaannya ataukah langit? Allah telah membinanya,

 

Allah ﷻ suruh kita lihat langit yang begitu indah dan besar itu dan cubalah fikir, mana yang lagi susah hendak buat? Agak-agaknya, manusiakah ataupun langit yang amat luas itu? Tentulah langit itu lebih besar penciptaannya dari penciptaan manusia. Ini jelas disebut dalam firmanNya yang lain:

لَخَلْقُ السَّماواتِ وَالْأَرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ

Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia. (Al-Mu’min: 57)

Langit adalah apa sahaja yang di atas kita. Allah ﷻ yang membinanya dengan diletakkan segala kehebatan pada langit itu. Jadi, kalau langit yang begitu besar pun Allah ﷻ mampu untuk menjadikannya, tentulah Allah ﷻ mampu untuk menjadikan Hari Pembalasan dan apa-apa sahaja, bukan? Seperti yang disebut dalam firman yang lain:

أَوَلَيْسَ الَّذِي خَلَقَ السَّماواتِ وَالْأَرْضَ بِقادِرٍ عَلى أَنْ يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ بَلى وَهُوَ الْخَلَّاقُ الْعَلِيمُ

Dan tidakkah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menciptakan yang serupa dengan itu? Benar. Dia berkuasa. Dan Dialah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui. (Yaasin: 81)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 32 – 34 (Menyimpan harta)

IMAN YANG SEBENAR

Tawbah Ayat 32: Apa lagi kesalahan Ahli Kitab itu?

يُريدونَ أَن يُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم وَيَأبَى اللَّهُ إِلّا أَن يُتِمَّ نورَهُ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They want to extinguish the light of Allāh with their mouths, but Allāh refuses except to perfect His light, although the disbelievers dislike it.

(MALAY)

Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.

 

يُريدونَ أَن يُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم

Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka,

Lafaz نورَ اللَّهِ bermaksud ‘agama Allah’. Allah ﷻ kaitkan ‘cahaya’ dengan agama Islam kerana agama ini membawa manusia keluar daripada kegelapan syirik kepada cahaya tauhid. Daripada kegelapan kufur kepada kegelapan iman.

Ada puak kufur dalam kalangan Ahli Kitab yang ingin memadamkan agama Allah ﷻ. Mereka hendak melakukannya dengan lidah mereka, iaitu menggunakan propaganda dan diayah palsu mereka. Ramai dalam kalangan mereka yang mengkritik Islam supaya manusia curiga dengan agama. Mereka menggunakan media massa yang mereka kawal, untuk mencapai hasrat itu, sama ada dengan berita dunia, dengan filem atau dengan media cetak.

Mereka lakukan itu semua kerana mereka memang bencikan Islam. Mereka tidak suka apa-apa sahaja yang terlibat dengan Islam. Kalau mereka nampak orang Islam menutup aurat, mereka benci; kalau nampak masjid pun mereka benci juga; kalau lihat ada orang berjambang pun, mereka sudah geram. Hati mereka tidak puas kalau lihat Islam senang dan ramai orang masuk Islam.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ bandingkan agama-Nya dengan cahaya, dan kita pun tahu ada jenis binatang-binatang yang tidak sukakan cahaya dan walau ada sedikit cahaya pun, mereka tidak suka. Begitulah juga dengan orang-orang kafir yang benci kepada Islam. Islam itu menyakitkan mata dan hati mereka.

Hajat mereka itu sia-sia sahaja. Allah ﷻ mengumpamakan perbuatan mereka itu dengan seseorang yang berkeinginan memadamkan sinar matahari atau cahaya bulan dengan tiupan (mulut mereka). Dengan kata lain, hal ini jelas tidak mungkin dan tidak ada jalan untuk mereka berjaya. Maka demikian pula apa yang disampaikan oleh Allah ﷻ melalui Rasul-Nya, pasti akan sempurna dan akan menang.

.

وَيَأبَى اللَّهُ إِلّا أَن يُتِمَّ نورَهُ

Allah tidak menghendaki begitu, selain menyempurnakan cahaya-Nya,

Walaupun mereka berusaha dengan teruk sekali, tetapi Allah ﷻ enggan menjadikan kehendak mereka sebagai kenyataan. Allah ﷻ tidak akan menjayakan rancangan mereka itu. Maka biarlah apa yang mereka hendak lakukan kerana ia tidak akan berjaya.

Maka jangan kita kelam kabut dengan perkara ini. Jangan kita melatah dan melompat apabila ada orang yang mengutuk Islam, cacimaki Islam di media massa dan sebagainya. Itu adalah cubaan mereka sahaja dan Allah ﷻ tidak akan menjayakannya. Kita hendaklah tawakal kepada Allah ﷻ sahaja iaitu serahkan sahaja kepada Allah ﷻ untuk menyelesaikan hal itu. Dalam masa yang sama, kita terus mengamalkan Islam seperti yang sepatutnya.

Allah ﷻ tetap akan menyempurnakan cahay-aNya jika ada dalam kalangan hamba-Nya yang ingin menghidupkan agama ini. Maknanya, kita kenalah menjalankan tanggungjawab kita untuk menghidupkan agama Allah ﷻ ini. Kenalah kita mengamalkan Islam dengan benar dan kenalah kita sampaikan Islam ini kepada manusia yang lain. Allah ﷻ mahu kita mulakan sahaja, dan Dia akan tolong.

Di sini Allah ﷻ beritahu yang walau bagaimana cara sekalipun dilakukan oleh orang kafir untuk melemahkan agama Islam, ia tidak akan berlaku. Maka sekiranya sekarang Islam itu nampak lemah di mata dunia, ia adalah akibat perbuatan umat Islam sendiri. Apabila agama tidak diamalkan seperti yang sepatutnya, maka keindahan agama Islam itu akan tercemar. Apabila kita meninggalkan Islam, maka Allah ﷻ akan cabut kekuatan Islam itu daripada diri kita.

 

وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.

Allah ﷻ akan tetap memenangkan agama Islam, walaupun orang kafir cuba memadamkannya. Walaupun mereka tidak suka, tetapi agama Islam pasti akan tertegak juga.

Dalam ayat ini, disebut ‘orang-orang kafir’. Ini merujuk kepada mereka yang benci kepada Islam dan melakukan usaha untuk menjatuhkan Islam. Bukanlah semua orang kafir tidak sukakan Islam. Ada yang baik dengan orang Islam, bantu orang Islam; dan ada yang tidak kisah pun dengan kita – mereka hidup cara mereka dan kita hidup dengan cara kita. Mereka tidak cari pasal pun dengan kita.

Maka, janganlah kita samakan semua orang yang kafir itu dengan ‘kafir’ yang disebut dalam ayat ini. Ada orang bukan Islam tetapi mereka tidak ‘kafir’. Begitulah penggunaan kalimah ‘kafir’ dalam Al-Qur’an yang merujuk kepada mereka yang menentang agama Islam sahaja. Kalau yang tidak menentang, kita tidak gelar mereka ‘kafir’. Maka ada beza antara non-Muslim dan anti-Muslim.


 

Tawbah Ayat 33: Bagaimana cara Allah ﷻ menangkan agama-Nya?

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who has sent His Messenger with guidance and the religion of truth to manifest it over all religion, although they who associate others with Allāh dislike it.

(MALAY)

Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.

 

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ

Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar

Dialah yang telah memilih rasul-Nya sebagai utusan untuk menyampaikan agama-Nya kepada manusia. Rasul itu bukan datang dengan tangan kosong tetapi Allah ﷻ bekalkan dengan wahyu. Nabi Muhammad ﷺ telah diberi Al-Qur’an.

Baginda juga telah diberikan dengan دينِ الحَقِّ iaitu penghayatan Al-Qur’an. Daripada pemahaman Al-Qur’an itulah yang menjadi agama. Oleh itu kita kena sedar yang agama ini menjadi haq apabila Al-Qur’an dihayati dan diamalkan, barulah ia akan jadi agama. Ini kerana kalau ayat-ayat Al-Qur’an itu terus duduk dalam kitab tanpa dipelajari dan diamalkan, ia menjadi sekadar kitab Al-Qur’an sahajalah yang hanya dibaca-baca dalam majlis (ceremonial) sahaja.

Kita kena sedar yang agama ini adalah akidah dan cara hidup. Apabila dikatakan ia adalah cara hidup, maka ia mestilah diamalkan. Jangan kita jahil tentang wahyu Allah ﷻ ini dan kerana itu kita kena sampaikan kepada manusia.

Memang amat penting tugas Rasul itu kerana merekalah yang membimbing umat manusia. Tanpa mereka, manusia tidak akan faham agama, tidak akan faham bagaimana untuk beramal dengan kitab wahyu yang Allah ﷻ berikan. Di dalam ayat lain ada disebut tugas-tugas mereka yang penting seperti di dalam Ali Imran:164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم يَتلو عَلَيهِم ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَالحِكمَةَ وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلَٰلٍ مُّبينٍ

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Qur’an), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Kita masih di dalam bahagian perintah jihad dengan Bani Israil. Mereka itu memang tidak mengenang untung. Allah ﷻ telah berikan mereka nikmat dengan banyaknya Nabi dalam kalangan mereka dan diberikan ilmu seperti disebut dalam Maidah:20 namun mereka tetap juga menentang kebenaran.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يٰقَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنبِيَاءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا وَءآتَٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ الْعٰلَمِينَ

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu, dan dijadikan-Nya kamu sebagai pemerintah, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun diantara umat-umat yang lain”.

 

لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ

untuk dimenangkan-Nya atas segala agama,

Tujuan diutuskan Rasul, diberi dengan wahyu dan disuruh menghayati wahyu itu adalah supaya dizahirkan (zahir kemenangan) agama Islam ke atas fahaman dan cara hidup yang lain, semua sekali. Tidak ada agama lain sebenarnya selain Islam, maka agama lain kena kalah dengan Islam.

Ini kita boleh lihat pada zaman Rasulullah ﷺ dan berterusan di zaman para sahabat. Ketika itu Islam berada di atas dan dihormati oleh kawan dan lawan. Ini kerana mereka mengamalkan Islam dengan sebenarnya berpandukan ajaran Al-Qur’an. Cuma apabila Al-Qur’an ditinggalkan, maka kerana itu kedudukan Islam nampak lemah dan penganutnya dipandang lekeh oleh masyarakat dunia. Maka kita kita mestilah kembali kepada ajaran wahyu.

Oleh kerana itu, kita hendaklah menjaja agama Islam untuk dihidupkan. Maksudnya kita kena dakwah dan sampaikan kepada manusia seluruhnya. Kita kena faham bahawa agama ini ada dua sahaja dalam dunia: sama ada agama Islam atau agama selain Islam. Ini kerana agama selain Islam, tidak kira apa agama pun, adalah satu jenis sahaja – kafir.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو الْمُغِيرَةِ، حَدَّثَنَا صَفْوَانُ، حَدَّثَنَا سُلَيْمُ بْنُ عَامِرٍ، عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الأمرُ مَا بَلَغَ الليلُ وَالنَّهَارُ، وَلَا يَتْرُكُ اللَّهُ بَيْتَ مَدَر وَلَا وَبَر إِلَّا أَدْخَلَهُ هَذَا الدِّينَ، بعِزِّ عَزِيزٍ، أَوْ بِذُلِّ ذَلِيلٍ، عِزًّا يُعِزُّ اللَّهُ بِهِ الْإِسْلَامَ، وَذُلًّا يُذِلُّ اللَّهُ بِهِ الْكُفْرَ”، 

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abul Mugirah, telah menceritakan kepada kami Safwan, telah menceritakan kepada kami Salim ibnu Amir, daripada Tamim Ad-Dari رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Sesungguhnya perkara ini (agama Islam) akan mencapai apa yang dicapai oleh malam dan siang hari. Dan Allah tidak akan membiarkan suatu kota pun, tidak pula suatu kampung pun, melainkan dimasuki oleh agama ini. Agama ini memuliakan orang yang mulia dan menghinakan orang yang hina; ia menjadi mulia kerana Allah memuliakannya melalui agama Islam, dan menjadi terhina kerana Allah menghinakan orang kafir melaluinya.
(HR. Ahmad No. 16957)
Sanadnya sahih menurut Syeikh al-Arnauth

Di dalam kitab Musnad Imam Ahmad disebutkan pula bahawa:

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ سَمِعَهُ يَقُولُ: دَخَلْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: “يَا عَدِيُّ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ”. فَقُلْتُ: إِنِّي مِنْ أَهْلِ دِينٍ. قَالَ: “أَنَا أَعْلَمُ بِدِينِكَ مِنْكَ”. فَقُلْتُ: أَنْتَ أَعْلَمُ بِدِينِي مِنِّي؟ قَالَ: “نَعَمْ، أَلَسْتَ مَنِ الرَّكُوسِيَّة، وَأَنْتَ تَأْكُلُ مِرْبَاعَ قَوْمِكَ؟ “. قُلْتُ: بَلَى. قَالَ: “فَإِنَّ هَذَا لَا يَحِلُّ لَكَ فِي دِينِكَ”. قَالَ: فَلَمْ يَعْدُ أَنْ قَالَهَا فَتَوَاضَعْتُ لَهَا، قَالَ: “أَمَا إِنِّي أَعْلَمُ مَا الَّذِي يَمْنَعُكَ مِنَ الْإِسْلَامِ، تَقُولُ: إِنَّمَا اتَّبَعَهُ ضَعَفَةُ النَّاسِ وَمَنْ لَا قُوَّةَ لَهُ، وَقَدْ رَمَتْهم الْعَرَبُ، أَتَعْرِفُ الْحِيرَةَ؟ ” قُلْتُ: لَمْ أَرَهَا، وَقَدْ سَمِعْتُ بِهَا. قَالَ: “فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لِيُتِمَّنَّ اللَّهُ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى تَخْرُجَ الظَّعِينة مِنَ الْحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالْبَيْتِ فِي غَيْرِ جِوَارِ أَحَدٍ، وَلَتَفْتَحُنَّ كُنُوزَ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ”. قُلْتُ: كِسْرَى بْنُ هُرْمُزَ؟. قَالَ: “نَعَمْ، كِسْرَى بْنُ هُرْمُزَ، وليُبْذَلنَّ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ”. قَالَ عَدِيُّ بْنُ حَاتِمٍ: فَهَذِهِ الظَّعِينَةُ تَخْرُجُ مِنْ الْحِيرَةِ، فَتَطُوفُ بِالْبَيْتِ فِي غَيْرِ جِوَارِ أَحَدٍ، وَلَقَدْ كُنْتُ فِيمَنْ فَتَحَ كُنُوزَ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتَكُونَنَّ الثَّالِثَةَ؛ لِأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قد قَالَهَا

Addi ibnu Hatim menceritakan hadith berikut bahawa dia masuk menemui Rasulullah ﷺ. Maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Addi, masuk Islamlah kamu, maka selamatlah kamu.” Addi menjawab, “Saya telah memeluk suatu agama.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Aku lebih mengetahui agamamu daripada kamu.” Addi bertanya, “Benarkah engkau lebih mengetahui agamaku daripada aku sendiri?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Ya, bukankah kamu dalam kalangan Raksawiyyah, dan kamu biasa memakan (memungut) ufti kaummu?” Addi ibnu Hatim menjawab, “Memang benar.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya hal itu tidak dihalalkan menurut agamamu.” Addi ibnu Hatim mengatakan bahawa Nabi ﷺ tidak mengulangi ucapannya itu sehingga dia merasa rendah diri dan malu kepadanya. Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya aku mengetahui hal yang menghambatmu untuk masuk Islam. Kamu menduga bahawa agama Islam hanyalah diikuti oleh orang-orang yang lemah yang tidak mempunyai kekuatan, dan memang dugaan yang serupa telah dilontarkan pula oleh orang-orang Arab. Tahukah kamu Hirah?’ Addi ibnu Hatim menjawab, “Saya belum pernah melihatnya, tetapi saya pernah mendengarnya.” Rasulullah ﷺ bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaannya, sesungguhnya Allah akan menyempurnakan urusan ini (agama Islam) sehingga seorang wanita berpergian dari Hirah, lalu melakukan tawaf di Baitullah tanpa ditemani oleh seorang lelaki pun (yakni keadaan atau situasi masa itu sangat aman). Dan sesungguhnya kelak perbendaharaan kerajaan Persia benar-benar akan dibuka (dikuasai oleh kaum Muslim). Addi ibnu Hatim berkata, “Apakah yang dimaksudkan adalah kerajaan Kisra Ibnu Hurmuz?, Nabi ﷺ Bersabda : Ya, Kisra ibnu Hurmuz; dan sesungguhnya harta benda akan diberikan hingga tidak ada lagi seseorang yang mahu menerimanya. Addi ibnu Hatim mengatakan, “Musafir wanita itu memang telah berangkat dari Hirah, lalu melakukan tawaf di Baitullah tanpa ditemani oleh seorang lelaki pun. Dan sesungguhnya aku termasuk salah seorang yang ikut membuka perbendaharaan Kisra ibnu Hurmuz. Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, akan terjadi hal yang ketiga, kerana Rasulullah ﷺ telah menyebutkannya (yakni saat harta benda diberikan, kemudian tiada seorang pun yang mau menerimanya; yang dimaksudkan ialah dekat hari kiamat. Pent.).”
(HR. Ahmad No. 18260)
Sanadnya hasan menurut Syeikh al-Arnauth

Janji Allah ‎ﷻ ini telah dijalankan oleh Allah ﷻ. Kerajaan Islam telah memerintah sebahagian besar dunia selama seribu tahun sehinggalah kita menjadi lemah kerana tidak hiraukan ajaran wahyu.

Sekarang walaupun umat Islam lemah, agama Islam itu sendiri tetap hebat. Tidaklah agama pun turut menjadi lemah pula. Kerana itulah ramai dan semakin ramai yang masuk Islam kerana apabila mereka mempelajari Islam, mereka rasa tenang dan jiwa mereka berasa selesa dengan apa yang disampaikan oleh agama Islam. Ia mudah diterima oleh akal kerana penjelasannya yang logik dan tersusun. Alhamdulillah mereka tidak memandang sangat kepada golongan Muslim yang lemah itu, tetapi mereka terus ke sumber agama itu sendiri. Ini kerana jika melihat kepada umat Islam, memang memalukan.

 

وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.

Allah ﷻ akan menangkan agama Islam ini atas agama-agama lain, sekali pun tidak disukai orang musyrik.

Kesyirikan itu banyak jenis. Maka kita kena faham hal syirik itu supaya kita tidak terjerumus. Mereka yang ada fahaman syirik tentu tidak suka ajaran agama Islam yang sebenar diamalkan kerana berlawanan dengan fahaman syirik mereka. Oleh kerana itu mereka akan lawan habis-habisan. Lebih-lebih lagi mereka itu dibantu dan dibisikkan oleh syaitan.

Malangnya, ramai yang tidak faham apakah itu syirik, sampaikan umat Islam sendiri pun tidak faham kerana mereka tidak belajar. Mereka sangka mereka mengamalkan Islam, tetapi mereka tidak beriman dengan sempurna sebenarnya. Mereka buat amal ibadat Islam, tetapi dalam masa yang sama, mereka bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat.

Mereka tidak perasan yang mereka buat ibadat kepada Nabi, wali dan malaikat; mereka berdoa kepada Nabi, wali dan malaikat; dan mereka menjadikan Nabi, wali dan malaikat itu sebagai wasilah (pengantar) mereka dalam doa dan ibadah.

Manakala banyak lagi fahaman syirik lain yang diamalkan oleh manusia termasuk umat Islam sendiri. Antaranya mereka sangka ada makhluk yang tahu ilmu ghaib, sedangkan hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu ilmu ghaib; mereka sangka ada wali-wali yang mengurus alam ini, sedangkan Allah ﷻ sahaja yang menguruskan alam ini tanpa bantuan daripada para wali.

Malah banyak lagi yang panjang kalau disebut satu persatu. Sebenarnya kena belajar seluruh ayat Al-Qur’an baru akan dapat satu persatu apakah perkara yang melibatkan syirik itu. Ini hanya boleh difahami kalau belajar tafsir Al-Qur’an.


 

REZEKI YANG HARAM

Tawbah Ayat 34:

۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّ كَثيرًا مِّنَ الأَحبارِ وَالرُّهبانِ لَيَأكُلونَ أَموٰلَ النّاسِ بِالبٰطِلِ وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ ۗ وَالَّذينَ يَكنِزونَ الذَّهَبَ وَالفِضَّةَ وَلا يُنفِقونَها في سَبيلِ اللَّهِ فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, indeed many of the scholars and the monks devour the wealth of people unjustly¹ and avert [them] from the way of Allāh. And those who hoard gold and silver and spend it not in the way of Allāh – give them tidings of a painful punishment.

  • i.e., through false pretense.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya sebahagian besar dari orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih,

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Ini adalah suruhan kepada orang-orang beriman. Kita sekarang di dalam perenggan yang mengajar kita yang kita mesti perangi puak-puak Ahli Kitab itu. Ini adalah kerana banyak kesalahan yang mereka telah lakukan dalam agama dan dalam kehidupan manusia.

Di dalam masa yang sama, kita hendaklah menjadikan ini sebagai peringatan kepada diri kita supaya jangan jadi seperti mereka. Jelas di sini ayat ini ditujukan kepada umat Islam kerana awal-awal lagi Allah ﷻ sudah seru umat Islam. Akan tetapi nanti ceritanya adalah tentang golongan Ahli Kitab. Apakah maksudnya? Maksudnya kita kena tahu apa yang mereka telah lakukan, dan berjaga-jaga supaya kita tidak jadi seperti mereka.

 

إِنَّ كَثيرًا مِّنَ الأَحبارِ وَالرُّهبانِ لَيَأكُلونَ أَموٰلَ النّاسِ بِالبٰطِلِ

sesungguhnya sebahagian besar dari orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan batil

Umat Islam mesti memerangi golongan ahli kitab itu kerana ada dalam kalangan ulama’ dan ahli ibadat mereka yang menutup kebenaran yang ada dalam agama kerana hendakkan kelebihan dunia.

Kalimah الأَحبارِ adalah ulama’ mereka, yang banyak membaca kitab-kitab agama mereka dan banyak menulis – oleh itu, mereka adalah ulama’ dalam kalangan Ahli Kitab yang ada ilmu sebenarnya. Sementara الرُّهبانِ pula adalah ahli ibadat mereka, yang mengkhususkan kehidupan mereka untuk ibadat sahaja – sepertimana orang sufi kitalah lebih kurang.

Kedua-dua golongan ini adalah mereka yang disanjung dalam kalangan Ahli Kitab. Mereka inilah yang dirujuk kalau mereka ada masalah atau ada perkara agama yang masyarakat perlukan penjelasan. Inilah masalahnya – apabila mereka disanjung, dirujuk dalam segala hal, maka lama-kelamaan kumpulan ahbar dan rahib ini mengambil kesempatan daripada kedudukan mereka itu. Ini kerana mereka telah dihasut oleh syaitan sampaikan mereka menjadikan agama sebagai satu ‘industri’.

Apakah maksudnya? Ini adalah kerana sesungguhnya ramai dalam kalangan ulama’ Yahudi dan Nasara yang memakan harta orang ramai dengan cara salah. Mereka menyembunyikan agama yang sebenar tetapo menyebarkan agama mengikut apa yang masyarakat mahu. Mereka sanggup mengubah agama asalkan mereka memperoleh keuntungan. Mereka mengajar ajaran sesat untuk memakan harta manusia. Akan tetapi, untuk mengajar ajaran sesat, mereka kena sembunyikan agama yang sebenar. Antaranya mereka menyorok Kitab Taurat itu daripada orang ramai. Orang tertentu sahaja yang boleh baca.

Cuma kita kena lihat Allah ﷻ kata kebanyakan كَثيرًا sahaja daripada mereka, bukannya semua. Oleh itu, jangan pukul rata semua mereka itu sesat belaka. Kita kenalah bersikap adil.

Mereka memang boleh buat duit. Jual agama memang laku kerana ramai sahaja yang jahil. Mereka akan beritahu apa yang masyarakat mereka mahu dengar. Supaya masyarakat beri duit kepada mereka. Mereka ‘jual’ fatwa mengikut apa kehendak orang yang meminta fatwa itu. Ini adalah kerana mereka ditipu dengan dunia. Memang kita sebagai manusia memerlukan duit, bukan? Namun mereka nampak peluang untuk menghasilkan wang dengan meniipu manusia yang mengharapkan maklumat daripada mereka.

Mereka mengadakan fatwa yang dikehendaki oleh penganut mereka. Mereka ajar apa yang masyarakat hendak dengar dan tidak membetulkan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat. Mereka tidak menegur kerana kalau mereka tegur, masyarakat tidak suka dan masyarakat sudah tidak datang ke rumah ibadat mereka dan tidak memasukkan duit ke dalam tabung lagi! Maka mereka akan menutup mulut mereka dan berkata yang baik-baik sahaja apa yang dilakukan oleh orang ramai.

Begitu jugalah masyarakat kita sekarang. Ramai golongan agama yang menjadikan agama sebagai industri juga. Jika ada majlis-majlis agama, mestilah dijemput ustaz-ustaz, orang alim, lebai-lebai, habib-habib. Sama ada Kenduri Selamat, Solat Hajat, Majlis Cukur Jambul, Majlis Tahlil dan macam-macam lagi ibadah bid’ah yang mereka reka, dan kemudian mereka menjadi tekongnya.

Malah untuk menjemput mereka itu, tentulah ada bayaran dikenakan. Tentu sekali bayaran ongkosnya bukan mur-mur, tetapi mahal juga kerana selera mereka besar. Sudahlah dapat bayaran, dapat makanan percuma lagi. Masyarakat pula memang sudah jahil, hendak mengadakan apa sahaja majlis, mereka merasakan perlunya untuk menjemput ustaz, tok imam dan ahli kariah masjid/surau kerana mereka yakin kehadiran mereka ini dapat membawa keberkatan terhadap majlis mereka itu. Begitulah bagaimana masyarakat jahil yang telah tersalahanggap dengan konsep ‘berkat’ ini. Kadangkala dalam majlis yang bercampur aduk dengan maksiat juga mereka menjemput para ‘agamawan’ untuk mengadakan doa. Maka bagaimana mungkin majlis berunsur maksiat akan memperolehi keberkatan pula?

Para ustaz-ustaz jenis inilah juga yang mengajar masyarakat di surau-surau dan masjid-masjid. Mereka akan ajar tentang ibadat sahaja (solat, puasa, wudhu’ dan perkara seumpama itu). Iaitu perkara-perkara ‘selamat’ yang masyarakat mudah untuk terima. Ajaran mereka pula disaluti dengan lawak jenaka dan gelak ketawa berdekah-dekah.

Mereka tidak sentuh perkara-perkara sensitif dan sangat penting seperti tauhid, syirik, bid’ah dan sebagainya kerana mereka tahu yang kalau mereka tegur, mereka tidak dijemput lagi untuk mengajar. Mereka tahu setiap kali mengajar, mereka akan mendapat upah. Kalau mereka tegur, tentulah hilang punca pendapatan mereka. Maka, masyarakat akan terus membuat kesalahan yang sama kerana mereka tidak ditegur.

 

وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ

dan mereka menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah. 

Mereka menghalang agama Allah ﷻ daripada sampai kepada manusia. Ini kerana jika agama yang benar sampai kepada masyarakat, tentu mereka akan susah kerana mereka sudah tidak boleh ‘cari makan’ lagi. Kalau ada yang mengajar lain daripada apa yang mereka sampaikan, mereka akan halang.

Begitu juga, mereka telah memberi contoh yang buruk kepada orang bawahan mereka. Kalau ketua agama pun buat perangai, apatah lagi anak murid, bukan? Maka ini menjadi pengajaran juga kepada ahli-ahli agamawan supaya berhati-hati dengan perbuatan mereka kerana mereka itu dipandang tinggi oleh masyarakat.

Maka ulama’ Ahli Kitab lah yang menjadi penghalang daripada agama yang sebenar sampai kepada manusia. Mereka tidak akan membenarkan Islam didakwah kepada penganut agama mereka. Oleh itu umat Islam mesti perangi mereka itu dan mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Jika dibiarkan, maka masyarakat tidak akan dapat mengenal agama Islam.

Cuma perkara ini tidak dapat dijalankan pada zaman ini, kerana kita tidak ada khalifah; kerana khalifah sahaja yang boleh keluarkan arahan perang. Akan tetapi kita tetap kena belajar juga tentang perkara ini kerana konsep Khalifah tentu akan dijalankan juga di masa hadapan. Apabila ramai umat Islam sudah faham tentang Islam, mereka tentu mahu dunia Islam diperintah oleh seorang khalifah.

Lihatlah betapa teruknya ahli agama dalam kalangan Ahli Kitab itu. Malangnya, begitu jugalah yang terjadi di negara kita. Ada golongan agama yang sudah sekian ‘lama’, tidak membenarkan ajaran Sunnah diajar. Mereka akan halang, mereka akan tohmah dan menuduh dengan bermacam-macam tuduhan tentang ajaran Sunnah ini supaya masyarakat menolaknya. Yang membawa ajaran Sunnah dianggap pelik dan sesat pula kerana perkara Sunnah memang bertentangan dengan amalan bid’ah mereka itu!

Mereka kata inilah ajaran Wahabi yang sesat. Mereka tidak membenarkan ustaz-ustaz Sunnah mengajar di tempat-tempat awam kerana kalau dibenarkan ustaz-ustaz Sunnah itu mengajar, maka akan pecahlah tembelang mereka, yang selama ini mereka mengajar ajaran yang salah. Maka, kita hendaklah meneruskan dakwah sunnah ini, supaya ajaran sunnah mendapat tempat di hati manusia. Ya, sekiranya ia tidak dibenarkan di media massa, maka kita cari cara lain untuk menyampaikannya.

Alhamdulillah sekarang, walaupun mendapat tentangan yang banyak, ajaran sunnah semakin bertapak dan semakin ramai. Ini kerana kebiasaannya mereka yang terpelajar akan senang untuk menerima ajaran Sunnah ini kerana ia adalah lebih sesuai dengan minda yang sihat. Dalil-dalil yang diberikan amat jelas dan akal yang sihat akan mudah untuk menerimanya berbanding dengan mereka yang kurang terpelajar yang jenis suka mengikut sahaja norma kebiasaan sekeliling tanpa berfikir secara rasional segala ajaran yang dibawakan.

 

وَالَّذينَ يَكنِزونَ الذَّهَبَ وَالفِضَّةَ

Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak

Ulama’ dan ahli ibadat yang disebut itu tadi, dan juga sesiapa sahaja yang mempunyai kuasa dalam kalangan pemimpin, ada antara mereka yang mencari kekayaan dunia bukanlah atas dasar keperluan hidup, namun mereka menjadi tamak untuk mengaut keuntungan dunia dengan melonggokkan harta. Kemudian zakat tidak dibayar pun. Harta yang dilonggokkan dan tidak dikeluarkan zakatnya dinamakan al-kanzu.

Ia berasal daripada katadasar ك ن ز yang bermaksud kumpul dan simpan, harta, tanam harta dalam tanah, harta yang disorok, harta yang bahagian zakatnya tidak dikeluarkan. Dari segi bahasa ia adalah harta yang dilonggok, dipendam. Dari segi syarak pula ia adalah harta yang tidak dikeluarkan zakat.

Perbuatan tersebut dalam ayat ini adalah يَكنِزونَ. Ini terjadi apabila seseorang itu sudah mula mengambil harta dan upah daripada orang ramai dengan cara bathil, lama-kelamaan mereka menjadi orang yang cinta dunia. Mereka pada asalnya mengumpul harta dengan cara haram dan kemudian Allah ﷻ akan campakkan ‘cinta dunia’ ke dalam hati mereka. Perbuatan ini adalah amat teruk sekali kerana mereka mengumpul harta dengan mengajar ajaran sesat. Harta yang mereka dapat itu menjadi suhtun. Harta suhtun ini lebih berat haramnya daripada daging babi.

Nota: ayat inilah yang menyebabkan Abu Dzar takut. Pada satu ketika, beliau memberitahu kepada Muawiyah yang menjadi Gabenor ketika itu, yang umat Islam sedang menjadi kaya dan mereka mengumpul emas dan perak. Muawiyah menjawab yang ayat ini adalah tentang Ahli Kitab. Menarik sekali jawapan yang telah dilontarkan oleh Abu Dzar. Beliau berkata, ya memang ‘tentang’ mereka, tetapi pengajaran itu adalah ‘untuk’ kita.

Di dalam hadith sahih disebutkan:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: فَمَنْ
“Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nashrani?” Baginda menjawab, “Lantas siapa lagi?”
(HR Muslim (2669))

Juga hadith:

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda,
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَأْخُذَ أُمَّتِى بِأَخْذِ الْقُرُونِ قَبْلَهَا ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ . فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَفَارِسَ وَالرُّومِ . فَقَالَ وَمَنِ النَّاسُ إِلاَّ أُولَئِكَ
“Kiamat tidak akan terjadi hingga umatku mengikuti jalan generasi sebelumnya sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta.” Lalu ada yang menanyakan pada Rasulullah ﷺ , “Apakah mereka itu mengikuti seperti Persia dan Romawi?” Baginda menjawab, “Selain mereka, lantas siapa lagi?“
(Sahih Bukhari No. 7319)

Maknanya, kita kena ambil pengajaran daripada perkara-perkara yang disebut tentang Ahli Kitab itu. Allah ﷻ sebut kisah mereka sebagai pengajaran untuk kita, umat Islam yang baru. Ini kerana Ahli Kitab itu adalah umat Islam pada zaman mereka, namun malangnya mereka telah jauh daripada agama, kerana kesalahan-kesalahan yang banyak disebut dalam Al-Qur’an. Sekiranya kita pun tidak berhati-hati, maka kita berkemungkinan besar boleh menjadi seperti mereka juga. Menakutkan, bukan?

Maka, kenalah kita sedar apabila kita baca ayat-ayat tentang Ahli Kitab itu, janganlah kita rasa ia tiada kaitan dengan kita; jangan kita kata: “Eh, ini tentang Ahli Kitab, Yahudi dan Nasara sahaja, bukan kita….”. Jika itulah fahaman kita, maka akan sia-sialah sahaja kita baca Al-Qur’an kerana kita tidak mendapat pengajaran daripada ayat-ayatnya.

Bukanlah kita dilarang untuk mengumpulkan harta. Umar ibnul Khattab رضي الله عنه dan lain-lainnya mengatakan bahawa suatu harta yang zakatnya ditunaikan bukan dinamakan al-kanzu seperti dalam ayat ini, sekalipun ditanam di dalam tanah. Sedangkan suatu harta yang tidak ditunaikan zakatnya, maka harta itu adalah harta simpanan; kelak pemiliknya akan diseterika dengannya (di hari kiamat), sekalipun harta itu ada di permukaan bumi.

 

وَلا يُنفِقونَها في سَبيلِ اللَّهِ

dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah,

Mereka kumpul dan kumpul harta itu, sampai banyak sekali dan mereka tidak infak pun di jalan Allah ﷻ. Mereka memang mahu mengumpul dan mereka suka untuk menghitung jumlah harta itu kerana mereka seronok apabila harta mereka bertambah. Mereka rasa, kalau mereka infak, tentulah akan berkurangan harta mereka. Ini adalah kerana mereka sudah dikenakan dengan penyakit cinta dunia.

Oleh itu mereka menjadi bakhil dan ini dikutuk oleh Allah ﷻ di dalam Layl: 8-11

وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱستَغنَىٰ

Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup,

وَكَذَّبَ بِالحُسنىٰ

serta mendustakan pahala terbaik,

فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلعُسرَىٰ

maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.

وَمَا يُغنِى عَنهُ مَالُهُ ۥۤ إِذَا تَرَدَّىٰٓ

Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila ia telah binasa.

Kalimat وَلا يُنفِقونَها memberi indikasi kepada kita yang kalau kewajipan infak telah dijalankan (seperti zakat yang wajib atau memberi nafkah yang wajib), maka orang itu tidak dipersalahkan. Yang bersalah adalah apabila menjadi bakhil. Perbuatan bakhil akan dihukum di akhirat kelak seperti disebut di dalam Ali Imran:180

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ يَبخَلونَ بِما ءَاتَىٰهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ هُوَ خَيرًا لَّهُم ۖ بَل هُوَ شَرٌّ لَّهُم ۖ سَيُطَوَّقونَ ما بَخِلوا بِهِ يَومَ ٱلْقِيَٰمَةِ

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.

 

فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

maka beritahukanlah kepada mereka, dengan seksa yang pedih,

Allah ﷻ perintahkan Nabi ﷺ beritahu mereka yang mereka akan dikenakan dengan azab yang pedih kerana perbuatan mereka itu. Harta mereka yang banyak mereka kumpulkan itu tidak akan dapat membantu mereka langsung. Kalau di dunia, mereka mungkin akan dikalahkan oleh umat Islam manakala di akhirat kelak, mereka akan mendapat azab neraka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 April 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 30 – 31 (Menjadikan ulama’ sebagai tuhan)

TAKLID BUTA

Tawbah Ayat 30: Di dalam ayat sebelum ini telah disebut yang golongan Ahli Kitab itu tidak beriman dengan Allah ﷻ dengan sebenar-benarnya. Sekarang disebut apakah antara masalah mereka, iaitu mereka melakukan syirik.

Mungkin ada orang Islam yang beranggapan, Ahli Kitab itu lebih kurang sama sahaja dengan Islam dan kerana itu mereka tidak patut diserang. Akan tetapi Allah ﷻ membetulkan fahaman mereka itu dengan menyatakan yang akidah Ahli Kitab itu amat jauh berbeza dengan Islam. Akidah mereka adalah akidah syirik.

Oleh itu, ayat ini adalah huraian kenapa mereka dikatakan ‘tidak beriman’. Allah ﷻ hendak memberitahu kita, apakah yang dimaksudkan mereka ‘tidak beriman’ itu. Di manakah kesalahan mereka?

وَقالَتِ اليَهودُ عُزَيرٌ ابنُ اللَّهِ وَقالَتِ النَّصٰرَى المَسيحُ ابنُ اللَّهِ ۖ ذٰلِكَ قَولُهُم بِأَفوٰهِهِم ۖ يُضٰهِئونَ قَولَ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ ۚ قٰتَلَهُمُ اللَّهُ ۚ أَنّىٰ يُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Jews say, “Ezra is the son of Allāh”; and the Christians say, “The Messiah is the son of Allāh.” That is their statement from their mouths; they imitate the saying of those who disbelieved before [them]. May Allāh destroy them; how are they deluded?

(MALAY)

Orang-orang Yahudi berkata: “Uzair itu Anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al Masih itu Anak Allah”. Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka, bagaimana mereka sampai berpaling?

 

وَقالَتِ اليَهودُ عُزَيرٌ ابنُ اللَّهِ

Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Uzair itu Anak Allah”

Allah ﷻ menegaskan kepada golongan muslimin, yang mereka mesti perangi golongan yang kata para Nabi itu Anak Allah. Kalimah ‘anak’ di sini maksudnya ‘wakil’ kerana kalau sekadar anak itu tidaklah hebat sangat, tetapi sebenarnya mereka beri pangkat ‘anak’ itu kerana mereka untuk menjadikan Nabi-nabi itu sebagai wakil mereka kepada Allah ﷻ.

Inilah pertalian tawasul mereka dengan Allah ﷻ. Mereka hendak seru dan berdoa kepada para Nabi itu. Tujuan diseru mereka itu adalah untuk menyempurnakan hajat mereka. Inilah tawasul sesat yang selalu kita tekankan dalam penulisan tafsir ini dari mula lagi.

Di sini disebut Uzair yang di dalam Bible dikenali sebagai Ezra. Terdapat Kitab The Book of Ezra dalam Bible sekarang. Nama beliau disebut di sini sahaja dalam Al-Qur’an akan tetapi kisah beliau juga ada disebut dalam Baqarah:259

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها ۖ فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ

Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula.

Panjang kisah itu sebenarnya, boleh rujuk pada tafsiran ayat itu. Cuma kedudukan beliau khilaf dalam kalangan ulama’ sama ada seorang Nabi atau hanya seorang lelaki soleh. Oleh kerana itu kita hanya sebut nama beliau sebagai Uzair sahaja di sini.

Dalam akidah penganut Yahudi, Uzair itu adalah ‘Anak Allah’. Ini adalah sebagai kaedah pengagungan sahaja kerana mereka pun tahu yang beliau bukanlah anak kandung Allah ﷻ. Ini kerana Uzair itu pada mereka amat hebat kerana mampu menghafal keseluruhan Kitab Taurat. Di atas telah disebut bagaimana beliau dimatikan selama seratus tahun. Ketika itu, Kitab Taurat telah dibakar oleh seorang raja yang zalim iaitu Bukhtunassar atau lebih dikenali sebagai Nebuchadnezzar II. Maka apabila Uzair dihidupkan semula dan mendakwa yang beliaulah Uzair, mereka minta beliau buktikan dengan menulis kembali Kitab Taurat yang telah dibakar itu.

Oleh kerana beliau dapat melakukannya, maka mereka telah menyanjung beliau sehingga ke tahap mengangkat kedudukannya sebagai Anak Tuhan. Ini adalah salah satu perkara di mana mereka telah berbuat syirik. Ini adalah kerana mereka hendak menjadikan beliau sebagai ‘wakil’ mereka kepada Allah ﷻ. Ini adalah akidah syirik yang kufur. Namun begitu bukanlah ini sahaja kesalahan mereka. Malah bukanlah semua sekte Yahudi menuhankan Uzair atau mengatakan beliau anak Tuhan. Ia sebagai contoh antara kesalahan yang dilakukan sebahagian daripada mereka.

Perkara ini telah dilakukan semenjak zaman berzaman oleh manusia di mana mereka telah mengangkat orang soleh untuk menjadi ‘broker’ (orang tengah) dalam doa. Masalahnya kemudian lama kelamaan kedudukan mereka diangkat terlalu tinggi, mulanya anak Tuhan sahaja tetapi akhirnya menjadi Tuhan terus. Lihatlah apa yang terjadi dengan Nabi Isa عليه السلام.

Maka Allah ﷻ menutup pintu syirik dengan mengarahkan kita untuk terus berdoa kepada-Nya sahaja tanpa perlu melalui perantaraan (broker) tanpa gaji itu. Kita kena faham bahawa ‘syirik’ adalah salah satu jenis ‘kekufuran’. Bukanlah syirik sahaja sebagai syarat untuk menjadi kufur. Syirik itu pun banyak jenis dan salah satunya menjadikan seseorang sebagai ‘wakil Allah’. Walaupun bukanlah semua penganut Yahudi memperkatakan yang Uzair itu Anak Allah, namun mereka tetap juga kufur.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’.

 

وَقالَتِ النَّصٰرَى المَسيحُ ابنُ اللَّهِ

dan orang-orang Nasrani berkata: “Al Masih itu Anak Allah”.

Sementara itu, puak Nasara pula mengatakan Nabi Isa عليه السلام itu adalah Anak Allah juga. Ini merupakan salah satu daripada fahaman konsep Triniti Kristian. Fahaman mereka sesat sekali sehingga ada sekte lain yang mengatakan Jesus itu sendiri adalah Tuhan. Ini pun adalah salah satu daripada akidah kufur mereka.

Kenapakah mereka mengatakan baginda anak Tuhan? Kerana baginda dilahirkan tanpa bapa. Mereka melihat itu adalah perkara yang hebat sangat sampaikan meletakkan kedudukan baginda sebagai anak Tuhan pula. Sedangkan jika mahu dikira hebat, hebat lagilah Nabi Adam عليه السلام kerana bukan sahaja baginda tidak ada bapa, emak pun tidak ada! Allah ﷻ sudah sebut perkara ini dalam Ali Imran:59

إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ ۖ خَلَقَهُ مِن تُرابٍ ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ

Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.

Di sini juga kita dapat lihat gelaran bagi Nabi Isa عليه السلام adalah Al-Masih. Ia daripada katadasar م س ح yang bermaksud sapu, gosok, melalukan tangan kepada sesuatu, memilih, mengurap (dengan minyak). Ini adalah kerana Nabi Isa عليه السلام mempunyai mukjizat menyembuhkan manusia dan baginda melakukannya dengan menyapu bahagian tubuh orang yang sakit itu.

Selain daripada baginda, Dajjal juga digelari Al-Masih juga. Akan tetapi ia kerana mata kanannya ‘disapu’ sehingga tidak ada. Ada juga pendapat yang mengatakan kerana dia berjalan seluruh dunia dan menyapu menghapuskan iman-iman manusia sehingga menjadi kafir untuk mengikutinya.

Oleh itu, Nasara juga ditempelak di sini kerana ada akidah mengagungkan Nabi mereka dan kata-kata mereka yang menjadikan makhluk sebagai anak Allah adalah perkara yang amat berat dosanya. Allah ﷻ sebut di dalam Kahf:4-5

وَيُنذِرَ الَّذينَ قالُوا اتَّخَذَ اللهُ وَلَدًا

Dan juga Al-Qur’an itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.

مّا لَهُم بِهِ مِن عِلمٍ وَلا لِآبائِهِم ۚ كَبُرَت كَلِمَةً تَخرُجُ مِن أَفوٰهِهِم ۚ إِن يَقولونَ إِلّا كَذِبًا

(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.

Oleh kerana itu Allah ﷻ menganjurkan kepada kaum mukmin untuk memerangi orang-orang kafir dalam kalangan Ahli Kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani kerana mereka telah mengucapkan perkataan yang sangat keji itu dan membuat kedustaan terhadap Allah ﷻ. Takkan mereka dibiarkan sahaja melakukan syirik kepada Allah ﷻ dan mengelirukan manusia yang banyak?

Bagaimana pula dengan kita? Kita belum sampai kepada tahap mendakwa Nabi Muhammad ﷺ itu sebagai Anak Allah lagi setakat yang kita tahu. Namun begitu kita tahu ada juga terdapat puak tarekat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu sendiri adalah Allah ﷻ dalam bentuk manusia. Ini adalah kerana golongan tarekat memang selalunya jahil dan senang ditipu oleh syaitan. Ini seperti yang telah tular baru-baru ini di mana terdapat individu yang bernama Suhaini bin Mohamed ataupun digelar sebagai SiHulk yang telah membawa fahaman sesat yang mendakwa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Tuhan, serta dakwaan lain mengenai baginda ﷺ yang jelas sekali telah menyimpang jauh daripada ayat Al-Quran dan hadith.

Walaupun tidak ada yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu anak Allah ﷻ, akan tetapi ramai dalam kalangan masyarakat kita yang jahil, menggunakan Nabi Muhammad ﷺ sebagai wakil mereka kepada Allah ﷻ. Itu pun salah satu daripada konsep ‘anak Tuhan’ juga kerana salah faham inilah ada dalam kalangan orang Islam yang berdoa kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk sampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ; ada yang menggunakan keberkatan Nabi ﷺ sebagai wasilah untuk memakbulkan doa mereka; ini juga adalah amalan kufur dan syirik. Tidak kira sama ada yang melakukan perkara itu Ahli Kitab atau orang Islam, ia tetap kufur dan syirik.

 

ذٰلِكَ قَولُهُم بِأَفوٰهِهِم

Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, 

Itu semua adalah perkataan daripada mulut dan lidah mereka sahaja, dan bukannya datang daripada agama mereka yang asal. Ini kerana Nabi mereka tidaklah memperkatakan sedemikian. Oleh itu, apa yang mereka lafazkan dan iktikadkan itu bukan wahyu tetapi hasil daripada nafsu mereka. Maka ia tidak boleh dibuat hujah daripada dalil sama sekali.

Begitu juga, ajaran yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu sebagai wakil Allah ﷻ, boleh bertawasul dengan baginda, boleh menggunakan keberkatan baginda dalam berdoa, itu pun tidak ada dalam agama Islam tetapi hanyalah ajaran yang datang kemudian. Sama sahaja modal yang syaitan gunakan untuk menyesatkan orang terdahulu dan modal yang sama diulang kepada umat Islam yang jahil. Mereka pun tidak dapat membawa dalil yang kuat melainkan hujah pusing sana dan pusing sini sahaja. Kita boleh lihat bagaimana teruknya mereka terpaksa ‘bersilat’ untuk menegakkan hujah batil mereka.

Oleh hal yang demikian kita mestilah menyampaikan pengetahuan ini kepada umat Islam kerana ramai yang tidak tahu perkara ini. Mereka sangka apa yang mereka lakukan itu benar. Mereka tidak perasan yang akidah mereka sama sahaja dengan akidah Yahudi dan Nasrani (Kristian). Memang begitulah orang jahil, mereka sangka apa yang mereka lakukan itu benar sehinggalah ada orang yang dapat menegakkan hujah ke atas mereka.

 

يُضٰهِئونَ قَولَ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ

mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. 

Sebenarnya, mereka cuma meniru perkataan orang kafir sebelum mereka itu yang tidak ada ilmu daripada kitab wahyu. Semua itu adalah fahaman datuk nenek mereka yang telah kufur daripada akidah yang benar. Mereka kitar semula fahaman yang sama dan ulang-ulang sahaja. Ini kerana agama Yahudi dan agama Nasrani yang asal tidak begitu.

Sebagai contoh, fahaman Kristian sekarang ini diambil daripada seorang lelaki yahudi yang bernama St Paul atau Paulus atau Saulus. Dialah yang bertanggungjawab di atas semua perubahan dan penyelewengan terhadap ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Isa عليه السلام. Dialah orang yang pertama mendakwa Nabi Isa عليه السلام itu adalah anak Tuhan. Seterusnya fahaman sesatnya itu telah diterimapakai oleh penganut Kristian ketika itu, sampailah sekarang. Oleh kerana mereka mengikut ajaran sesat golongan sebelum mereka itu, maka mereka pun menjadi sesatlah juga.

Kita pun tahu yang Musyrikin Mekah juga mencipta fahaman sesat tentang para malaikat. Mereka turut mendakwa yang para malaikat itu adalah anak Allah. Namun bezanya mereka bukan sahaja menjadikan anak yang seorang dua, malah keseluruhan para malaikat. Lebih dahsyat lagi mereka menuduh para malaikat itu adalah anak perempuan. Sementara kaum Yahudi dan Nasara mendakwa Allah ﷻ mempunyai anak lelaki, Musyrikin Mekah lebih teruk lagi sebab mendakwa Allah ﷻ mempunyai anak-anak perempuan pula iaitu para malaikat itu. Ini seperti disebut di dalam Saffat:149

فَاستَفتِهِم أَلِرَبِّكَ البَناتُ وَلَهُمُ البَنونَ

Tanyakanlah (ya Muhammad) kepada mereka (orang-orang kafir Mekah): “Apakah untuk Tuhanmu anak-anak perempuan dan untuk mereka anak laki-laki,

Semua dakwaan ini bertujuan semata-mata untuk mencari broker bagi menolong mereka menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Begitu jugalah dengan fahaman sesat masyarakat kita tentang tawasul ini. Ia datang daripada ajaran tok nenek kita juga yang tersilap tentang agama. Masyarakat kita yang tidak teliti dalam mengambil ilmu, maka mereka terimapakai sahaja apa yang disampaikan oleh mereka. Apabila kita tegur, mereka akan jawab: “Takkan tok nenek kita salah dan masuk neraka pula?”.

قٰتَلَهُمُ اللَّهُ

Dilaknati Allah mereka,

Menurut Ibnu Abbas رضي الله عنهما, makna ayat ini ialah ‘semoga Allah melaknat mereka’. Semoga Allah ﷻ melaknat mereka kerana akidah mereka punah. Janganlah kita pun ada akidah sesat yang sama kerana Allah ﷻ pun boleh melaknat kita juga. Kalau dilaknat oleh Allah ﷻ, maknanya tidak ada harapan untuk mendapat rahmat daripada Allah ﷻ lagi. Malang sekali, terdapat ramai lagi yang ada akidah seumpama mereka itu.

أَنّىٰ يُؤفَكونَ

bagaimana mereka sampai berpaling?

Ini adalah pernyataan takjub: segala wahyu dan hujah telah diberikan kepada mereka, bagaimana lagi mereka boleh terpesong? Memang teruk sangat mereka ini! Inilah yang akan terjadi jika wahyu ditinggalkan tetapi mengambil pendapat manusia yang tidak disandarkan kepada wahyu Allah ﷻ yang jelas. Oleh itu sekiranya masyarakat kita juga jahil wahyu seperti yang kita lihat sekarang, begitulah yang akan terjadi.


 

Tawbah Ayat 31: Ayat sebelum ini adalah mengenai kufur dari segi iktikad. Sekarang ayat ini adalah tentang kufur dari segi perbuatan pula. Ayat ini juga menjelaskan kenapa teruk sangat mereka itu sampaikan sanggup berkata-kata seperti di dalam ayat sebelum ini. Maka ini adalah puncanya.

‎اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبٰنَهُم أَربابًا مِّن دونِ اللَّهِ وَالمَسيحَ ابنَ مَريَمَ وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدوا إِلٰهًا وٰحِدًا ۖ لّا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۚ سُبحٰنَهُ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have taken their scholars and monks as lords besides Allāh,¹ and [also] the Messiah, the son of Mary.¹ And they were not commanded except to worship one God; there is no deity except Him. Exalted is He above whatever they associate with Him.

* By their obedience to them rather than to what Allāh ordained.

* By their worship of him in conjunction with Allāh.

(MALAY)

Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

 

اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبٰنَهُم أَربابًا مِّن دونِ اللَّهِ

Mereka menjadikan pendeta-pendeta mereka dan rahib-rahib mereka sebagai rabb selain Allah

Lafaz أَحبارَهُم itu berasal daripada katadasar ح ب ر yang bermaksud ‘dakwat’. Ia merujuk kepada golongan ulama’ dalam kalangan Yahudi dan Nasara. Ulama’ mereka itu banyak membaca dan menulis sampaikan mereka dikaitkan dengan dakwat. Mereka banyak membaca dan menulis sampaikan jari-jari mereka ada kesan dakwat. Kerana itulah mereka digelar ‘ahbar’.

Lafaz وَرُهبٰنَهُم pula daripada katadasar ر ه ب yang bermaksud ‘takut’. Ini adalah biarawan mereka yang banyak menyendiri dan bermeditasi. Mereka adalah ahli ibadah dalam kalangan mereka. Sepertimana dalam agama kita iaitu jenis orang sufi itu (pun golongan yang pelik juga). Mereka itu adalah penganut Nasara yang jenis ekstrim. Sebab itulah ada pendapat yang mengatakan ajaran sufi itu diambil daripada puak Nasara. Ini adalah kerana apa yang mereka lakukan itu tidak ada dalam Islam pun. Setelah dikaji, rupanya amalan ini telah diceduk daripada Kristian.

Kenapa para rahib itu dikaitkan dengan ‘takut’? Kerana mereka takut dengan keduniaan. Mereka hanya mahu bermunajat kepada Tuhan sahaja. Mereka tidak mahu ada kena mengena dengan dunia. Kita seharusnya kena ingat yang amalan ini tidak ada dalam ajaran Islam. Islam tidak menyuruh kita menolak dunia terus. Itulah sebabnya pelik jadinya golongan sufi dan tarekat ini – kerana mereka banyak mengambil ajaran yang tidak ada kena mengena dengan Islam. Entah ambil dari mana pun kita tidak pasti sebenarnya.

Allah ﷻ mengutuk Yahudi dan Nasara kerana menjadikan ulama’ dan ahli ibadat mereka sebagai Tuhan. Begitulah juga yang terjadi kepada golongan Muslim yang sesat. Dari segi amalan dan perbuatan mereka, mereka telah menjadikan ulama’ dan ahli ibadat mereka sebagai tuhan, selain daripada Allah ﷻ. Kalau kita kata begini, mereka akan marah kerana mereka kata mereka tidak sembah pun ulama’ dan rahib-rahib itu seperti mereka sembah Allah ﷻ. Kita pun lihat tidaklah mereka buat seperti itu, maka bagaimana pula?

Terdapat sebuah hadith yang menjelaskan perkara ini, iaitu kisah seorang lelaki yang hampir memeluk Islam, namanya Addi bin Hatim, tetapi beliau belum jelas tentang agama Islam. Apabila beliau mendengar ayat ini, beliau berkata ketika beliau beragama Nasrani, mereka tidak menyeru dan memuja ulama’ dan rahib mereka.

Nabi ﷺ beritahu, tidakkah dia mengikut hukum yang difatwa oleh ahbar dan rahib itu? Addi mengaku kata memang ada. Maknanya, penganut itu ikut sahaja fatwa yang ahli agama mereka beri sebagaimana mereka mengikut arahan Tuhan. Maka ulama’ mereka itu seolah-olah sudah sama kedudukan dengan Tuhan sehingga boleh menetapkan hukum pula. Golongan awam hanya mengikut sahaja walaupun ajaran mereka itu dan hukum yang mereka keluarkan tidak mengikut kehendak Allah ﷻ.

Oleh itu, apabila pemuka agama mereka menghalalkan yang haram dan menghalalkan yang haram, pengikut itu hanya mengikut sahaja. Tidakkah itu menjadikan pemuka agama mereka itu sebagai tuhan/rabb? Kerana sepatutnya mengharamkan dan menghalalkan adalah haq Tuhan. Oleh kerana mereka mengiyakan apa yang dikatakan oleh ulama’ dan rahib mereka itu, maka mereka juga telah kufur.

Hadith penuh mengenai kisah ini adalah seperti berikut:

أَنَّهُ لَمَّا بَلَغَتْهُ دَعْوَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فرَّ إِلَى الشَّامِ، وَكَانَ قَدْ تَنَصَّرَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، فَأُسِرَتْ أُخْتُهُ وَجَمَاعَةٌ مِنْ قَوْمِهِ، ثمَّ منَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أُخْتِهِ وَأَعْطَاهَا، فَرَجَعَتْ إِلَى أَخِيهَا، ورَغَّبته فِي الْإِسْلَامِ وَفِي الْقُدُومِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَدِمَ عَدِيّ الْمَدِينَةَ، وَكَانَ رَئِيسًا فِي قَوْمِهِ طَيِّئٍ، وَأَبُوهُ حَاتِمٌ الطَّائِيُّ الْمَشْهُورُ بِالْكَرَمِ، فتحدَّث النَّاسُ بِقُدُومِهِ، فَدَخَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي عُنُقِ عَدِيّ صَلِيبٌ مِنْ فِضَّةٍ، فَقَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ} قَالَ: فَقُلْتُ: إِنَّهُمْ لَمْ يَعْبُدُوهُمْ. فَقَالَ: “بَلَى، إِنَّهُمْ حَرَّمُوا عَلَيْهِمُ الْحَلَالَ، وَأَحَلُّوا لَهُمُ الْحَرَامَ، فَاتَّبَعُوهُمْ، فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ إِيَّاهُمْ”. وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا عَدِيُّ، مَا تَقُولُ؟ أيُفرّك أَنْ يُقَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ؟ فَهَلْ تَعْلَمُ شَيْئًا أَكْبَرَ مِنَ اللَّهِ؟ مَا يُفرك؟ أَيُفِرُّكَ أَنْ يُقَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ؟ فَهَلْ تَعْلَمُ مِنْ إِلَهٍ إِلَّا اللَّهُ”؟ ثُمَّ دَعَاهُ إِلَى الْإِسْلَامِ فَأَسْلَمَ، وَشَهِدَ شَهَادَةَ الْحَقِّ، قَالَ: فَلَقَدْ رأيتُ وَجْهَهُ اسْتَبْشَرَ ثُمَّ قَالَ: “إِنَّ الْيَهُودَ مَغْضُوبٌ عَلَيْهِمْ، وَالنَّصَارَى ضَالُّونَ”

Bahawa ketika sampai kepadanya dakwah daripada Rasulullah ﷺ, beliau lari ke negeri Syam. Sejak zaman Jahiliah beliau telah masuk agama Nasrani, kemudian saudara perempuannya ditahan bersama sejumlah orang daripada kaumnya. Lalu Rasulullah ﷺ menganugerahkan kebebasan kepada saudara perempuan Addi ibnu Hatim رضي الله عنه dan memberinya hadiah. Saudara perempuan Addi ibnu Hatim رضي الله عنه kembali kepada saudara lelakinya dan menganjurkannya untuk masuk Islam dan menghadap kepada Rasulullah ﷺ. Akhirnya Addi رضي الله عنه datang ke Madinah. Beliau adalah pemimpin kaumnya, iaitu kabilah Tayyi’; dan ayahnya (iaitu Hatim At-Tai’) terkenal dengan kedermawanannya. Maka orang-orang Madinah ramai membicarakan kedatangan Addi ibnu Hatim رضي الله عنه. Addi رضي الله عنه masuk menemui Rasulullah ﷺ, sedangkan pada leher Addi رضي الله عنه tergantung salib yang terbuat daripada perak. Saat itu Rasulullah ﷺ sedang membacakan firman-Nya: Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah. (At-Tawbah: 31) Addi رضي الله عنه melanjutkan kisahnya, bahawa beliau menjawab, “Sesungguhnya mereka tidak menyembahnya.” Rasulullah ﷺ bersabda: Tidak, sesungguhnya mereka mengharamkan hal yang halal bagi para pengikutnya dan menghalalkan hal yang haram bagi mereka, lalu mereka mengikutinya; yang demikian itulah ibadah mereka kepada orang-orang alim dan rahib-rahib mereka. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Addi, bagaimanakah pendapatmu? Apakah membahayakan bila dikatakan Allah Maha besar? Apakah kamu mengetahui sesuatu yang lebih besar daripada Allah bila Allah menimpakan bahaya kepadamu? Apakah membahayakanmu bila dikatakan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah? Apakah kamu mengetahui ada Tuhan selain Allah?” Rasulullah ﷺ mengajaknya masuk Islam. Akhirnya Addi رضي الله عنه masuk Islam dan mengucapkan syahadat yang benar. Addi رضي الله عنه melanjutkan kisahnya, bahawa setelah itu beliau melihat wajah Rasulullah ﷺ bersinar ceria, lalu bersabda: Sesungguhnya orang-orang Yahudi itu dimurkai dan orang-orang Nasrani itu orang-orang yang sesat.

(HR. Tirmidzi No. 3095, Ibnu Sa’ad dalam Thabaqat al-Kubra No. 289, al-Baihaqi dalam Sunan Kubra No. 20847, daripada Addi bin Hatim At-Tai’ رضي الله عنه)
Hadith hasan menurut Syeikh al-Albani dalam Ghiyatul Maram No. 6

Masyarakat kita pun melakukan kesalahan yang sama juga sebenarnya. Kita banyak hanya berpegang sahaja kepada pendapat yang dikeluarkan oleh ulama’ atau ustaz. Kita tidak tanya pun dari mana dalil yang mereka bawa itu – adakah daripada wahyu atau hanya pendapat mereka. Ramai dalam kalangan kita tidak teliti tentang perkara ini.

Selalunya ada pendapat yang dikeluarkan itu daripada manusia sahaja, atau yang didapati dalam kitab. Kita tidaklah menolak pendapat ulama’ atau kitab. Akan tetapi ulama’ atau kitab itu kenalah naqalkan/bawakan dalil daripada wahyu – sama ada daripada Al-Qur’an atau hadith sahih. Malangnya, budaya masyarakat kita pula kebanyakannya malas berfikir dan kurang minat untuk membaca apatah lagi mengkaji ilmu lebih-lebih lagi bab agama, maka apa yang keluar dari mulut manusia yang dipandang sebagai ada faham agama, mereka terima bulat-bulat sahaja.

Segelintir ulama’ dan ustaz pula bersikap garang tidak tentu fasal – apabila ditanya dan diminta dibawakan dalil, ramai yang marah. Sedangkan mereka sendiri sepatutnya bawakan dalil awal-awal lagi kerana agama ini tertegak atas nas. Bukannya daripada kitab itu dan ini. Bukan semua ilmu dalam kitab yang ditulis oleh manusia itu benar. Dek kerana terlalu percaya apa yang ada dalam kitablah yang menyebabkan agama kita ini sedang bercelaru akibat daripada banyak sangat pendapat yang tidak diambil daripada nas yang sahih.

Di sini kita dapat belajar bahayanya kalau kita terus sahaja terima apa-apa yang disampaikan oleh mereka yang dipanggil sebagai ulama’. Begitulah keadaan di dunia sekarang: yang membetulkan agama itu adalah ulama’ namun ulama’ lah juga yang merosakkan agama. Kebanyakan mereka mengambil peluang daripada sikap masyarakat kita sendiri yang malas membaca dan mengkaji ilmu terutama ilmu agama. Kebanyakan daripada mereka masing-masing mahukan jalan pintas untuk mendapatkan ilmu di mana semua maklumat berada di hujung jari sahaja. Terlalu banyak info sesat yang bercampur aduk dalam media sosial seperti TikTok, Facebook, Youtube dan sebagainya. Akibatnya, makin ramai yang keliru dan celaru. Ini kerana orang awam tidak akan rosak dengan kata-kata orang biasa tetapi mereka akan percaya dan yakin sungguh dengan kata-kata orang-orang yang dianggap sebagai alim ulama’. Tidak ramai yang ingin benar-benar memahami bab hukum hakam dalam agama sehinggalah terjadinya kes viral artis tersohor yang melafazkan ijab kabul ringkas dikecam hebat di media sosial. (https://www.astroawani.com/berita-hiburan/ijab-kabul-ringkas-sabri-angeline-sah-mufti-perlis-442112) Hanya apabila terdapat artis yang terkenal melakukan sesuatu yang terkait bab hukum hakam agama barulah masyarakat ambil peduli dan minat untuk belajar mengenainya. Apabila timbul isu sebegini barulah juga terbongkar yang manakah di antara agamawan kita yang benar-benar berilmu dan yang tidak. Sehingga ada ‘ulama’ yang berani dengan sewenang-wenangnya memberi hukuman zina terhadap perkara yang mereka tidak fahami!.

Walau bagaimanapun, dalam waktu yang sama, kita hendaklah seimbangkan dengan arahan Allah ﷻ untuk bertanya kepada ulama’ tentang perkara agama seperti disebut di dalam Nahl:43

فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ

maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui

Kita memang disuruh untuk bertanya kepada orang yang berilmu, akan tetapi jawapan itu mestilah yang ada sandaran dengan wahyu. Jangan kita lari daripada bergantung kepada wahyu yang Allah ﷻ sampaikan, sama ada daripada Al-Qur’an ataupun daripada hadith Nabi. Maka ulama’ itu hendaklah memberitahu kita jawapan yang diambil daripada wahyu.

Semuanya berpunca daripada kesilapan yang dilakukan oleh agama sebelum kita di mana mereka meninggalkan wahyu dan bergantung kepada pendapat dan kehendak agamawan mereka dalam kalangan ahbar dan rahib-rahib mereka. Hasilnya kita dapat lihat bagaimana mereka telah tersesat jauh daripada kebenaran.

.

وَالمَسيحَ ابنَ مَريَمَ

dan Al Masih putera Maryam,

Ada antara mereka juga menjadikan Nabi Isa عليه السلام sebagai tuhan. Kalau anda perasan, kebanyakan tempat apabila Allah ﷻ sebut nama Nabi Isa عليه السلام, akan disebut yang baginda adalah putera Maryam. Ini adalah kerana baginda tidak ada ayah maka baginda dinasabkan kepada ibunya. Juga kerana Allah ﷻ hendak menekankan yang baginda adalah anak Maryam, anak ibunya, bukan anak Tuhan.

Akan tetapi kedudukan baginda telah disalah anggap oleh golongan Nasara (Kristian). Mereka telah mengangkat kedudukan baginda melebihi daripada yang sepatutnya. Inilah juga yang kita takut terjadi dalam masyarakat kita. Ada yang mengangkat kedudukan Nabi Muhammad ﷺ melebihi daripada yang sepatutnya. Sedangkan Nabi ﷺ sendiri sudah berpesan jangan buat begitu.

Daripada Ibn ‘Abbas yang berkata beliau pernah mendengar ‘Umar رضي الله عنه berkata di atas mimbar: Saya pernah mendengar Nabi ﷺ bersabda:
لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
“Jangan kamu semua berlebih-lebihan memujiku, seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasara (Kristian) terhadap Ibn Maryam (Nabi ‘Isa AS), sebaliknya saya hanyalah hamba-Nya. Maka kamu sebutlah (kepada Saya) Hamba Allah dan Rasul-Nya.”
(HR Bukhari No. 3445, 6830)

Sebagai contoh, ada yang minta berkat terus dengan Nabi ﷺ, minta syafaat terus dengan Nabi ﷺ; dan macam-macam lagi perkara salah yang dilakukan; termasuk ada yang kata Nabi Muhammad ﷺ itu bukan ‘manusia biasa’ sedangkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri disuruh beritahu bahawa baginda adalah manusia – ini terdapat dalam banyak ayat Al-Qur’an.

Semenjak kebelakangan ini pula sudah keluar golongan sesat yang mengatakan Allah ﷻ itu adalah ‘pangkat’ dan sebenarnya Nabi Muhammad ﷺ itu memegang pangkat Allah ﷻ. Mereka dakwa baginda berlakon sahaja sebagai manusia biasa sedangkan baginda itulah Allah ﷻ! Sebenarnya pendapat ini sudah lama ada kerana ia sama sahaja dengan kesesatan agama-agama yang terdahulu yang terlalu menyanjung Nabi mereka. Cumanya yang amat membimbangkan adalah kerana mereka telah berani menonjolkan diri mereka. Mereka sudah tidak segan silu lagi menampakkan kebodohan dan kejahilan mereka yang amat pekat. Boleh rujuk fahaman SiHulk yang telah tular baru-baru ini: Ajaran SiHulk difatwakan sesat

Begitulah yang terjadi apabila masyarakat kita yang tidak faham Al-Qur’an kerana tidak ada rasa keperluan untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an. Banyak ilmu keduniaan lain didalami dan dipelajari sehingga ke peringkat tertinggi, malangnya pengajian Al-Qur’an masih lagi di tangkuk lama. Kebanyakannya hanya menekankan pembetulan tilawah, tajwid, tarannum dan lain-lain. Khatam Al-Qur’an berkali-kali dan seronok sangat dapat khatam namun apalah erti khatam tanpa memahami sedikitpun apa yang telah dikhatam berkali-kali itu? Segala suruhan dan larangan Allah ﷻ di dalam kitab wahyu ini tidak diambil peduli. Dek kerana itulah banyak fahaman dan amalan yang pelik dalam masyarakat kita semenjak dahulu sehinggalah sekarang. Hafal ayat-ayat Al-Qur’an namun masih mengamalkan fahaman yang tidak berlandaskan Al-Qur’an. Kalau kita yang sedang berusaha memahami Al-Qur’an ini tidak perbetulkan mereka dengan menyampaikan ajaran wahyu ini, entah apalah yang akan terjadi kepada masyarakat kita kelak.

 

وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدوا إِلٰهًا وٰحِدًا

padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, 

Puak-puak ahli kitab itu telah melakukan kesalahan mengangkat selain Allah ﷻ sebagai tuhan, sebagai ilah sembahan dan seruan mereka. Sedangkan mereka tidak diarahkan dalam kitab mereka sendiri melainkan untuk sembah Allah ﷻ yang esa sahaja.

Suruhan untuk menaikkan kedudukan makhluk lebih daripada sepatutnya tidak ada dalam kitab mereka pun. Sebagai contoh, tidak ada dalam Injil itu yang mengatakan yang Nabi Isa عليه السلام itu adalah tuhan, malah sebagai anak Tuhan pun. Ia hanyalah disebut dalam kitab-kitab tulisan tangan manusia.

Mereka lebih gemar mempelajari serta mempercayai apa yang ditulis dalam kitab yang ditulis oleh ahli agama mereka. Begitulah yang terjadi dalam masyarakat Islam kita pun – pegang sangat ajaran dalam kitab seolah-olah itulah wahyu. Mereka tidak periksa pun sama ada yang tertulis dalam kitab itu selari dengan nas agama ataupun tidak.

Ramai yang marah kalau kita sebut begini – mereka kata mana ada mereka menjadikan para Nabi sebagai ilah. Mereka yang kata begitu adalah kerana mereka tidak faham konsep ilah. Ketahuilah, mereka yang seru Nabi itu telah menjadikan Nabi itu sebagai ilah. Padahal ilah itu hanya Allah ﷻ sahaja. Mereka menduakan ilah, bukan menduakan Allah ﷻ. Oleh itu kena faham di manakah salahnya.

Termasuk kesalahan yang disebut dalam ayat ini adalah menerima hukum yang disyariatkan oleh manusia dan ternyata perbuatan itu juga menduakan ilah. Kalau dalam Kristian, mereka menjadikan Pope mereka sebagai pembuat hukum. Bagaimana pula dengan kita? Tidakkah kita juga menjadikan mereka yang dipanggil sebagai ‘ulama’ sebagai pembuat hukum?

Sebaliknya kita sepatutnya menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja, menyembah Allah ﷻ sahaja dan melakukan ibadah kepada Allah ﷻ sahaja. Namun apakah maksud ibadah? Di antara definisi terbaik dan terlengkap adalah yang disampaikan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله.

Beliau رحمه الله mengatakan, “Ibadah adalah suatu istilah yang mencakupi segala sesuatu yang dicintai Allah ﷻ dan diredhai-Nya, baik berupa perkataan mahupun perbuatan, yang tersembunyi (batin) mahupun yang nampak (zahir). Maka solat, zakat, puasa, haji, berbicara jujur, menunaikan amanah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali kekerabatan, menepati janji, memerintahkan yang ma’ruf, melarang daripada yang munkar, berjihad melawan orang-orang kafir dan munafiq, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan bekal di perjalanan), berbuat baik kepada orang atau haiwan yang dijadikan sebagai pekerja, memanjatkan do’a, berzikir, membaca Al-Qur’an dan lain sebagainya adalah termasuk bahagian daripada ibadah.

Begitu pula rasa cinta kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya, takut kepada Allah ﷻ, inabah (kembali taat) kepada-Nya, memurnikan agama (amal ketaatan) hanya untuk-Nya, bersabar terhadap keputusan (takdir)-Nya, bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya, merasa redha terhadap qadha/takdir-Nya, tawakal kepada-Nya, mengharapkan rahmat (kasih sayang)-Nya, merasa takut akan seksaan-Nya dan lain sebagainya itu semua juga termasuk bahagian daripada ibadah kepada Allah ﷻ.” (Al ‘Ubudiyah, cet. Maktabah Darul Balagh hal. 6).

 

لّا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. 

Allah ﷻ tekankan tentang kalimah Tauhid di sini. Hanya Allah ﷻ sahaja tempat pengharapan kita dan tempat kita meminta doa. Hanya Allah ﷻ sahaja yang layak disembah dan ditaati. Jangan letakkan kedudukan makhluk sama dengan kedudukan Allah ﷻ.

Apabila Yahudi dan Nasara mengambil hukum selain daripada Allah ﷻ, maka mereka telah menjadikan ahbar dan rahib mereka sebagai ilah dan ini adalah satu kesyirikan. Maka begitu juga dengan kita, jangan kita lakukan perkara yang sama.

 

سُبحٰنَهُ عَمّا يُشرِكونَ

Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Apa-apa sahaja rekaan mereka tentang Allah ﷻ yang tidak sesuai dengan Allah ﷻ itu ditolak oleh Allah ﷻ di sini. Semua itu tidak layak bagi-Nya. Allah ﷻ suci daripada apa-apa penafsiran yang salah yang mereka berikan itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 April 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien