Tafsir Surah Tawbah Ayat 51 – 54 (Hakikat musibah)

Tawbah Ayat 51: Allah ﷻ ajar Nabi Muhammad ﷺ bagaimana hendak menjawab dakwaan puak munafik dalam ayat sebelum ini. Apabila mereka melihat umat Islam ditimpa musibah, kalah dalam perang, golongan munafiqin kata mereka telah membuat tindakan awal dengan tidak keluar perang, sebab itulah mereka selamat daripada musibah itu.

Mereka juga kata golongan Mukmin itu telah ditipu dengan agama kerana telah menyusahkan diri mereka. Allah ﷻ ajar bagaimana hendak menjawab fahaman sesat mereka itu.

قُل لَّن يُصيبَنا إِلّا ما كَتَبَ اللَّهُ لَنا هُوَ مَولىٰنا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Never will we be struck except by what Allāh has decreed for us; He is our protector.” And upon Allāh let the believers rely.

(MALAY)

Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kita melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kita. Dialah Pelindung kita, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal”.

 

قُل لَّن يُصيبَنا إِلّا ما كَتَبَ اللَّهُ لَنا

Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kita.

Ini adalah jawapan kepada syikayah (teguran daripada Allah ﷻ) dalam ayat sebelum ini. Setiap manusia tidak sunyi daripada ditimpa musibah kerana kita adalah manusia dan itu adalah ujian dan juga boleh menjadi sebagai hukuman. Oleh itu, musibah yang Allah ﷻ timpakan kepada golongan munafik itu memang musibah sungguh sebagai hukuman untuk mereka. Akan tetapi kalau musibah itu dikenakan kepada orang beriman, ia bukan musibah tetapi sebagai ujian untuk meninggikan darjat. Apabila mereka dikenakan dengan ujian musibah, mereka sabar, dan kerana sabar itu mereka akan mendapat pahala.

Allah ﷻ memang akan berikan musibah sekali sekala, kerana kalau tidak ditimpa kesusahan, tidaklah dapat pahala sabar. Oleh itu, kesimpulannya Allah ﷻ kenakan musibah kepada orang beriman adalah untuk kebaikan mereka juga, kerana Allah ﷻ mahu lihat bagaimana mereka sabar dengan ujian itu, bagaimana mereka berdoa kepada Dia.

Dengan ujian itu akan mendekatkan diri mereka dengan Allah ﷻ dan Allah ﷻ akan beri pahala jenis sabar. Pahala untuk amalan mereka sudah banyak, tetapi kalau pahala sabar, lain pula bentuknya. Maka bertambah-tambahlah pahala bagi orang mukmin itu.

Kita kena redha dengan musibah itu kerana tidak akan menimpa kita musibah itu kecuali yang Allah ﷻ telah tetapkan untuk faedah kita. Kita sebagai manusia kena redha dengan segala apa yang Allah ﷻ kenakan kepada kita. Kerana Dia Tuhan dan kita hamba-Nya. Kita terima sahaja ia sebagai ujian.

Oleh sebab itulah Nabi Muhammad ﷺ yang paling banyak mendapat kesusahan sedangkan baginda yang paling disayangi oleh Allah ﷻ. Bukan baginda sahaja tetapi para Nabi yang lain pun dikenakan dengan musibah yang hebat-hebat. Oleh itu, bukanlah Allah ﷻ beri musibah kepada seseorang sebab Allah ﷻ benci. Kita dapat tahu dari sini bahawa orang mukmin diberitahu yang apa sahaja musibah yang dikenakan kepada kita, ia adalah ‘rahmat’ untuk kita.

Daripada lafaz yang digunakan juga kita dapat tahu, kerana kalau ia adalah untuk kebaikan kita, digunakan lafaz لَنا seperti yang digunakan dalam ayat ini dan jika ia adalah sesuatu yang buruk untuk kita, digunakan pula lafaz علينا. Maka ini mengajar kita yang musibah menimpa kita adalah kebaikan sebenarnya, kerana kita akan mendapat pahala. Ini seperti disebut dalam hadith,

عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Daripada [Shuhaib] berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Perkara orang mukmin mengagumkan, sesungguhnya semua perihalnya baik dan itu tidak dimiliki seorang pun selain orang mukmin, bila tertimpa kesenangan, dia bersyukur dan syukur itu baik baginya dan bila tertimpa musibah, dia bersabar dan sabar itu baik baginya.”
(Sahih Muslim (5318))

Begitu jugalah dalam kehidupan kita seharian. Apa-apa sahaja yang terjadi adalah dalam takdir Allah ﷻ, namun malangnya ramai seperti susah untuk menerimanya. Jika musibah terjadi kepada mereka, sama ada mereka sakit, terkena penyakit yang tidak ada sembuhnya, mereka seolah-olah menyalahkan Allah ﷻ kerana mengenakan penyakit itu kepada mereka. Mereka menjadi keluh kesah tidak keruan. Mereka memikirkan kalaulah mereka tidak buat itu dan ini, tidak pergi ke sana atau ke sini, tentu musibah itu tidak kena kepada mereka. Sedangkan itu semua adalah takdir Allah ﷻ dan kita tidak boleh mempersoalkannya. Seperti disebut di dalam hadith ini, kalau redha dan sabar, maka dia akan mendapat pahala.

Oleh itu jikalau pun umat Islam kalah di dalam perang contohnya, ia adalah ujian bagi mereka. Ia telah ditetapkan. Ini adalah pemahaman penting iaitu Qada’ dan Qadar malah ia adalah Rukun Iman. Kalau ada masalah dengan perkara ini, maka ada masalah dengan iman kita. Maka kita kena sedar yang bukanlah kekalahan umat Islam itu bermaksud orang kafir itu benar pula.

 

هُوَ مَولىٰنا

Dialah Pelindung kita,

Sekiranya kita susah kerana mendapat musibah, maka hadapkan wajah kita kepada-Nya kerana Dialah pelindung kita. Serahkan diri kita dan urusan kita semuanya kepada Allah ﷻ. Dialah sahaja tempat kita meminta pertolongan kerana Dia sahaja yang mampu untuk memberikan pertolongan. Allah ﷻ amat suka kalau kita minta tolong kepada-Nya.

 

وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal”.

Sebagai seorang mukmin, kena tawakal kepada Allah ﷻ dan hanya kepada Allah ﷻ sahaja kita boleh bertawakal. Ini kerana kalimah عَلَى ditaqdimkan di dalam kalimah وَعَلَى اللَّهِ yang memberi isyarat eksklusif. Ternyata sia-sia sahaja kalau kita tawakal kepada selain Allah ﷻ kerana mereka tidak boleh diharap.

Apakah maksud tawakal? Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan kesannya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Akan tetapi kena pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith,

Daripada Umar bin al-Khattab رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda:
لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), Tirmidzi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))

Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya tunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan jihad dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita melakukannya, barulah kita serahkan kepada Allah ﷻ. Daripada sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang. Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal.
(Riwayat Tirmidzi (2157) dan Ibn Hibban (708))

Akan tetapi tetap kita selepas itu berserah kepada Allah ﷻ kerana semua keputusan di tangan Allah ﷻ. Allah ﷻlah yang menentukan sama ada segala usaha kita menjadi atau tidak, menang atau kalah.


 

Tawbah Ayat 52: Ini adalah jawapan kepada syikayah lagi. Jawapan kepada hujah puak munafik.

قُل هَل تَرَبَّصونَ بِنا إِلّا إِحدَى الحُسنَيَينِ ۖ وَنَحنُ نَتَرَبَّصُ بِكُم أَن يُصيبَكُمُ اللَّهُ بِعَذابٍ مِّن عِندِهِ أَو بِأَيدينا ۖ فَتَرَبَّصوا إِنّا مَعَكُم مُّتَرَبِّصونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Do you await for us except one of the two best things [i.e., martyrdom or victory] while we await for you that Allāh will afflict you with punishment from Himself or at our hands? So wait; indeed we, along with you, are waiting.”

(MALAY)

Katakanlah: “tidak ada yang kamu tunggu-tunggu bagi kami, kecuali salah satu dari dua kebaikan. Dan Kami menunggu-nunggu bagi kamu bahawa Allah akan menimpakan kepadamu azab (yang besar) dari sisi-Nya, atau dengan perantaraan tangan kami. Sebab itu tunggulah, sesungguhnya kami menunggu-nunggu bersamamu”.

 

قُل هَل تَرَبَّصونَ بِنا إِلّا إِحدَى الحُسنَيَينِ

Katakanlah: “tidak ada yang kamu tunggu-tunggu bagi kami, kecuali salah satu dari dua kebaikan.

Yang golongan munafik tertunggu-tunggu dan mahu melihat apa yang akan menimpa kepada puak mukmin itu kenapa? Mereka hendak melihat kalau ada keburukan menimpa kepada pihak mukmin. Kalimah هَل selalunya bermaksud ‘adakah’. Akan tetapi apabila selepasnya ada harf إِلّا, ia bermaksud ‘tidaklah.

Tidaklah ada kesan kepada Mukmin itu melainkan salah satu daripada dua kemungkinan sahaja. Allah ﷻ kata dalam ayat ini: apa-apa yang terjadi, itu adalah salah satu daripada dua kebaikan. Ternyata kedua-duanya adalah baik-baik sahaja. Jikalau mati di medan pertempuran, itu adalah mati syahid dan itu adalah baik; manakala jikalau menang dan dapat meneruskan hidup, akan mendapat harta rampasan dan kejayaan perang – ini pun baik juga. Kedua-duanya akan mendapat pahala yang besar. Jelas di sini, mana-mana pun adalah kebaikan kepada orang mukmin yang berjihad.

Puak munafik sahaja yang berkata orang mukmin kalah, itu adalah musibah, namun sebenarnya syahid adalah jalan pintas ke syurga.

Lafaz تَرَبَّصونَ bermaksud menunggu, tetapi lebih spesifik ia bermaksud menunggu sesuatu untuk menjadi lebih baik. Lafaz yang sama digunakan untuk wanita yang telah bercerai, di mana mereka pun kena tunggu juga. Selepas tamat tempoh iddah itu, keadaan menjadi baik bagi mereka.

Oleh itu, lafaz ini digunakan sesuai dalam ayat ini, kerana yang ditunggu-tunggu itu adalah cuma salah satu daripada kebaikan: sama ada menang atau mati syahid.

 

وَنَحنُ نَتَرَبَّصُ بِكُم

Dan Kami menunggu-nunggu bagi kamu

Allah ﷻ suruh katakan juga kepada golongan munafik itu: kalau kamu tunggu lihat apa yang terjadi kepada kami, kami pun tunggu apa yang akan terjadi untuk kamu. Marilah kita sama-sama tunggu.

 

أَن يُصيبَكُمُ اللَّهُ بِعَذابٍ مِّن عِندِهِ أَو بِأَيدينا

bahawa Allah akan menimpakan kepadamu azab (yang besar) dari sisi-Nya, atau dengan perantaraan tangan kami.

Yang ditunggu tentang orang munafik itu pun adalah dua perkara juga: Sama ada Allah ﷻ sendiri timpakan azab atas kamu; atau azab itu disampaikan oleh tangan umat Islam, iaitu golongan Mukmin yang akan memancung kepala kamu dalam medan perang. Seperti yang telah pernah dibincangkan, balasan yang menggunakan tangan orang Mukmin sangatlah memuaskan hati orang Mukmin itu.

Maka untuk golongan munafik pun ada kemungkinan ini juga. Cuma tidak pernah ada pertempuran darah antara puak Mukmin dan puak Munafik. Namun amaran tetap kena diberikan kepada mereka. Nabi ﷺ tidak membenarkan orang mukmin membunuh orang munafik. Ini kerana kalau itu berlaku, nanti akan dikatakan Nabi ﷺ suruh bunuh umat baginda pula. Tidak pernah arahan perang dilancarkan kepada golongan munafik. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith,

جَابِرًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ غَزَوْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ ثَابَ مَعَهُ نَاسٌ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ حَتَّى كَثُرُوا وَكَانَ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ رَجُلٌ لَعَّابٌ فَكَسَعَ أَنْصَارِيًّا فَغَضِبَ الْأَنْصَارِيُّ غَضَبًا شَدِيدًا حَتَّى تَدَاعَوْا وَقَالَ الْأَنْصَارِيُّ يَا لَلْأَنْصَارِ وَقَالَ الْمُهَاجِرِيُّ يَا لَلْمُهَاجِرِينَ فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا بَالُ دَعْوَى أَهْلِ الْجَاهِلِيَّةِ ثُمَّ قَالَ مَا شَأْنُهُمْ فَأُخْبِرَ بِكَسْعَةِ الْمُهَاجِرِيِّ الْأَنْصَارِيَّ قَالَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعُوهَا فَإِنَّهَا خَبِيثَةٌ وَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَيٍّ ابْنُ سَلُولَ أَقَدْ تَدَاعَوْا عَلَيْنَا لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ فَقَالَ عُمَرُ أَلَا نَقْتُلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا الْخَبِيثَ لِعَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّهُ كَانَ يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ
[Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] berkata; “Kami pernah berperang bersama Nabi ﷺ, ketika itu orang-orang Kaum Muhajirin sudah bergabung dan jumlah mereka semakin ramai. Di antara Kaum Muhajirin itu ada seorang laki-laki yang pandai memainkan senjata lalu dia memukul punggung seorang sahabat Ansar sehingga menjadikan orang Ansar ini sangat marah, lalu dia berseru seraya berkata; “Wahai Kaum Ansar”. Laki-laki Muhajirin tadi berseru pula; “Wahai Kaum Muhajirin”. Akhirnya Nabi ﷺ datang dan bersabda: “Mengapa seruan-seruan kaum jahiliyah masih saja terus dipertahankan? ‘. Kemudian baginda bertanya; “Apa yang terjadi dengan mereka?”. Lalu baginda diberitahu bahawa ada seorang sahabat Muhajirin yang memukul punggung seorang sahabat Ansar. Maka Nabi ﷺ bersabda: “Tinggalkanlah seruan itu kerana hal semacam itu tercela (buruk) “. Setelah itu ‘Abdullah bin Ubbay bin Salul berkata; “Apakah mereka (Kaum Muhajirin) tengah mengumpulkan kekuatan untuk melawan kami?. Seandainya kita kembali ke Madinah maka orang yang kuat pasti akan mengusir orang yang hina” (Allah ﷻ mengabadikan perkataannya ini dalam QS al-Munafiqun ayat 8). Spontan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ berkata; “Tidak sebaiknyakah kita bunuh saja orang tercela ini, wahai Rasulullah!” Yang dimaksudnya adalah ‘Abdullah bin Ubay bin Salul. Maka Nabi ﷺ bersabda: “Tidak, agar orang-orang tidak berkata bahawa dia (Muhammad) membunuh sahabatnya’.
(Sahih Bukhari (3257))

 

 

فَتَرَبَّصوا إِنّا مَعَكُم مُّتَرَبِّصونَ

Sebab itu tunggulah, sesungguhnya kami menunggu-nunggu bersamamu”.

Oleh itu kalau kamu (orang Munafik) mahu menunggu tanpa pergi berjihad, tunggulah. Kami yang Mukmin pun akan tunggu juga seperti kamu. Kami tidaklah tunggu sahaja, kami akan tetap pergi berjihad. Kami mahu menunggu untuk melihat apa yang akan jadi kepada kamu, itu sahaja.


 

DERMA YANG TIDAK DITERIMA

Tawbah Ayat 53: Ini pula ayat Zajrun berkenaan infak.

قُل أَنفِقوا طَوعًا أَو كَرهًا لَّن يُتَقَبَّلَ مِنكُم ۖ إِنَّكُم كُنتُم قَومًا فٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Spend willingly or unwillingly; never will it be accepted from you. Indeed, you have been a defiantly disobedient people.”

(MALAY)

Katakanlah: “Nafkahkanlah hartamu, baik dengan sukarela ataupun dengan terpaksa, namun nafkah itu sekali-kali tidak akan diterima dari kamu. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang fasik.

 

قُل أَنفِقوا طَوعًا أَو كَرهًا

Katakanlah: “Nafkahkanlah hartamu, baik dengan sukarela ataupun dengan terpaksa, 

Ini adalah ayat teguran kepada pihak munafik kerana mereka tidak infak di jalan Allah ﷻ. Selepas mereka ditegur kerana mereka tidak berjihad, mereka sudah mula risau. Untuk menutupi kesalahan mereka, mereka datang untuk menghulurkan duit kepada Nabi ﷺ untuk digunakan sebagai modal berjihad kononnya mereka juga Mukmin.

Allah ﷻ berfirman: infaklah sama ada mereka sukarela atau terpaksa. Mereka sebenarnya tidaklah sukarela mahu memberi kerana mereka sayangkan duit mereka, tetapi mereka seolah-olah terpaksa bagi menutup kesalahan mereka itu. Atau memang kadangkala mereka ikhlas infak, ada kemungkinan.

Dari sini kita dapat tahu yang orang Munafik pun ada juga infak (walaupun mereka tidak ikhlas). Oleh itu, jikalau kita yang mengaku Mukmin tetapi tidak infak, maka sedarlah betapa teruknya kita ini.

 

لَّن يُتَقَبَّلَ مِنكُم

namun nafkah itu sekali-kali tidak akan diterima dari kamu.

Allah ﷻ kata, kalau mereka infak pun, sama ada sukarela atau terpaksa, ia tidak diterima. Maknanya tidak ada pahala bagi mereka. Adakah umat Islam memerlukan harta dan wang untuk berjihad? Sudah tentu kerana jihad memerlukan belanja yang besar. Namun Allah ﷻ tidak memerlukan infak daripada puak munafik itu. Allah ﷻ tidak akan terima infak mereka.

Kalau mereka infak pun, infak itu habis begitu sahaja tanpa pahala untuk mereka kerana mereka tidak beriman. Infak yang diterima sebagai pahala adalah daripada mereka yang beriman sahaja. Ternyata orang Munafik itu tidak beriman, bukan?

 

إِنَّكُم كُنتُم قَومًا فٰسِقينَ

Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang fasik.

Allah ﷻ kata orang munafik itu sebenarnya kaum yang fasik. Lafaz ‘fasik’ dalam ayat ini bermaksud ‘kafir’. Tidak diterima infak daripada mereka kerana mereka itu kafir sebenarnya, bukan sebab lain. Walaupun pada zahirnya mereka nampak Muslim tetapi mereka bukan Muslim, kerana mereka tidak beriman.

Kenapa tidak disebut mereka kufur sahaja? Kerana mereka menzahirkan Islam maka kita gelar mereka sebagai fasik. Sama seperti Muslim yang membuat amalan syirik dan bid’ah, kita tidak kafirkan mereka, tetapi kita cuma cakap mereka itu fasik. Cuma fasik yang mana satu, kita tidak pasti kerana fasik itu ada banyak tahap. Itu biarlah Allah ﷻ yang tentukan.

Kalimah ‘fasik’ di dalam Al-Qur’an kena dilihat kepada konteks ayat itu. Dari segi umumnya, ia bermaksud keluar daripada ketaatan. Dari segi perbuatan pula, ia sama ada merujuk kepada orang yang melakukan dosa besar atau istiqamah dalam melakukan dosa kecil. Walaupun dosa itu kecil, tetapi kalau sentiasa dilakukan, ia boleh dinaiktaraf menjadi dosa besar.


 

Tawbah Ayat 54: Ini adalah huraian (bayan) bagi maksud ‘fasik’ yang disebut dalam ayat sebelum ini. Ini juga adalah sebab kenapa Allah ﷻ tidak terima infak mereka.

وَما مَنَعَهُم أَن تُقبَلَ مِنهُم نَفَقٰتُهُم إِلّا أَنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَبِرَسولِهِ وَلا يَأتونَ الصَّلَوٰةَ إِلّا وَهُم كُسالىٰ وَلا يُنفِقونَ إِلّا وَهُم كٰرِهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what prevents their expenditures from being accepted from them but that they have disbelieved in Allāh and in His Messenger and that they come not to prayer except while they are lazy and that they do not spend except while they are unwilling.

(MALAY)

Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima dari mereka nafkah-nafkahnya melainkan kerana mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.

 

وَما مَنَعَهُم أَن تُقبَلَ مِنهُم نَفَقٰتُهُم إِلّا أَنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَبِرَسولِهِ

Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima dari mereka nafkah-nafkahnya melainkan kerana mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya

Infak mereka tidak diterima kerana akidah mereka tidak betul kepada Allah ﷻ dan Nabi. Itulah sebabnya kita katakan lafaz ‘fasik’ itu bermaksud ‘kufur’. Kalau kufur, tidak ada maknanya infak mereka itu. Ini seperti orang kafir yang menderma duit mereka juga. Memang mereka buat perkara yang baik dan terpuji, tetapi adakah mereka akan mendapat pahala daripada derma mereka itu? Tiada pahala kerana syarat utama tidak ada – iman.

Maka untuk diterima amal ibadah termasuk infak, kenalah daripada orang Muslim yang beriman kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya. Di sini disebut kedua-duanya kerana kalau iman hanya kepada salah satu sahaja, tidak termasuk sebagai Muslim. Ini sebagaimana golongan Anti-Hadith yang tidak percaya dengan hadith, maknanya iman mereka itu ada masalah. Mereka kononnya hendak percaya kepada Al-Qur’an sahaja dan tidak mahu percaya kepada Hadith yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ.

Ada satu ayat yang agak menakutkan, iaitu Allah ﷻ hanya terima daripada orang yang bertaqwa sahaja,

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ ابنَي ءآدَمَ بِالحَقِّ إِذ قَرَّبا قُربانًا فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِما وَلَم يُتَقَبَّل مِنَ الآخَرِ قالَ لَأَقتُلَنَّكَ ۖ قالَ إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ
Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertaqwa”.
[Al-Ma’idah: 27]

Ayat ini menakutkan, kerana di hujung ayat ini disebut: إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ. Bagaimana kalau sedekah kita, amal ibadah kita, tidak diterima oleh Allah ﷻ kerana kita tidak bertaqwa?

 

وَلا يَأتونَ الصَّلَوٰةَ إِلّا وَهُم كُسالىٰ

dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas

Dari segi amalan pula, golongan munafik datang solat dengan malas. Kalau iman itu di dalam hati, golongan Mukmin tidak tahu. Akan tetapi kalau bab solat, ia boleh dilihat kerana golongan Munafik itu menzahirkan kemalasan mereka. Mereka ada datang juga solat berjemaah dengan para sahabat lain, tetapi mereka datang kerana terpaksa kerana mereka hendak tunjukkan diri mereka sebagai orang Muslim juga, maka mereka kenalah juga datang solat di masjid. Namun pada waktu Subuh dan Isyak mereka tidak datang kerana waktu itu gelap dan tidak nampak jelas siapa yang datang dan ponteng.

Namun Allah ﷻ beritahu yang mereka itu bukan mahu solat pun sebenarnya dan oleh itu mereka solat dengan malas, bagaikan terpaksa sahaja, buat sambil lewa sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak ada keinginan untuk merapatkan diri kepada Allah ﷻ. Mereka buat ibadat kerana mahu menunjuk sahaja kononnya mereka itu Muslim. Mereka tidak nampak kepentingan solat.

Inilah tanda-tanda munafik. Maka takut sangat kalau kita pun ada rasa malas dengan solat kita. Adakah kita juga tidak nampak kepentingan solat? Adakah kita solat hanya kerana terpaksa? Kita kena perhatikan solat kita, adakah kita buat dengan bersemangat atau kita buat kerana terpaksa sahaja? Adakah pergerakan kita pun sambil lewa sahaja, lafaz disebut tidak bersemangat? Kerana kalau ada, itu adalah tanda kita pun ada sifat-sifat munafik. Kita kena periksa balik perasaan kita terhadap solat. Adakah ia sebagai beban, bila selesai sahaja kita solat, kita rasa lega kerana kita telah lepaskan satu ‘beban’ daripada bahu kita?

Jangan lupa, solat golongan Munafik ini sebenarnya di masjid dan berjemaah juga. Maka kalau golongan lelaki dalam kalangan kita pergi solat berjemaah di masjid pun tidak, apakah kita lebih teruk daripada Munafik itu? Fikir-fikirkan.

 

وَلا يُنفِقونَ إِلّا وَهُم كٰرِهونَ

dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.

Golongan munafik itu pun ada juga infak, tetapi mereka keluarkan duit itu dalam keadaan mereka tidak suka, kerana terpaksa. Mereka sayangkan harta dan mereka kedekut. Ini juga adalah syarat yang perlu dipenuhi untuk diterima infak kita – kena ada rasa ikhlas. Sikit atau banyak adalah perkara kedua, yang penting kena ikhlas.

Adakah begini sikap kita dengan sedekah, bukan? Kita memang sayangkan duit kita kerana kita telah bekerja, berusaha untuk mendapatkannya. Namun kita pun sedar yang duit gaji kita itu akan habis juga akhirnya. Akan tetapi adakah kita perasan bagaimana kita habiskan duit kita itu? Kadang-kadang pada tempat yang tidak penting pun tetapi kerana kita belanjakan untuk diri kita, kita tidak kisah pun. Kadangkala habis beratus dan beribu, tidak kisah. Namun, bandingkan kalau kita hendak infak, kalau sepuluh dua puluh ringgit pun sudah berkira, bukan? Maka di sini ada sifat nifak dalam diri kita.

Maka, kita kena mulakan dari mula lagi. Kita kena gerakkan anak-anak kita untuk suka infak, beri sedekah dan tolong orang lain. Kita kena beritahu mereka yang apa sahaja yang kita beri, Allah ﷻ akan balas dengan lebih lagi. Kita kena yakin yang apa yang kita sedekahkan itu tidak akan menjadikan kita miskin, malahan ia akan menambahkan harta kita, sama ada kita sedar atau tidak.

Banyak sekali ayat-ayat tentang infak dalam Al-Qur’an dan juga dalam hadith. Semoga kita mengambil pengajaran daripada ayat-ayat itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Jun 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 46 – 50 (Perangai orang Munafik)

PARA PENGACAU

Tawbah Ayat 46: Ini adalah kenapa Rasulullah ﷺ tidak sepatutnya dengan mudah memberikan keizinan kepada mereka. Allah ﷻ bongkar apa yang di dalam hati mereka. Alasan yang mereka berikan tidak patut diterima.

۞ وَلَو أَرادُوا الخُروجَ لَأَعَدّوا لَهُ عُدَّةً وَلٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعاثَهُم فَثَبَّطَهُم وَقيلَ اقعُدوا مَعَ القٰعِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they had intended to go forth, they would have prepared for it [some] preparation. But Allah disliked their being sent, so He kept them back, and they were told, “Remain [behind] with those who remain.”¹

  • i.e., the women and children.

(MALAY)

Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. Dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu”.

 

وَلَو أَرادُوا الخُروجَ لَأَعَدّوا لَهُ عُدَّةً

Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu,

Alasan yang mereka beri kepada Rasulullah ﷺ itu hanyalah alasan sahaja. Ini kerana kalaulah mereka memang ada kehendak untuk keluar berjihad, nescaya mereka akan membuat persiapan awal lagi. Baik persediaan dari segi harta dan diri mereka. Tidaklah mereka berlengah-lengah sampai hujung waktu. Ini kerana Rasulullah ﷺ sudah beritahu awal-awal rancangan untuk ke Tabuk.

Mereka beri alasan kepada Nabi ﷺ setelah sudah hampir waktu hendak pergi keluar jihad. Disebabkan masa sudah suntuk, maka alasan mereka tidak dapat dipastikan sama ada benar ataupun tidak. Akan tetapi Allah ﷻ pecahkan tembelang mereka. Allah ﷻ buka rahsia dalam hati mereka.

Kalau mereka benar-benar hendak pergi berjihad, tentu mereka sudah membuat persiapan awal lagi. Akan tetapi mungkin ada perkara yang menghalang di saat akhir yang menyebabkan mereka tidak boleh pergi. Ini barulah alasan yang benar. Seumpama seorang yang telah membuat rancangan untuk ke masjid Solat Jumaat, tetapi kemudian dia kemalangan di rumah yang menghalang dia untuk bergerak. Barulah benar dan terbukti yang dia ada niat hendak beribadah. Maka Allah ﷻ akan beri pahala sama seperti dia telah pergi Solat Jumaat.

Satu lagi contoh seorang yang membuat rancangan untuk bangun Solat Subuh. Dia telah mengunci jamnya, malah telah pesan kepada temannya untuk mengejutkannya supaya boleh solat sekali. Kemudian entah bagaimana, mungkin kerana terlalu penat, sampai tidak sedar bunyi jam. Kedua-dua dirinya dan temannya itu sama-sama berdengkur. Maka ini adalah alasan yang diterima. Rasulullah ﷺ pun pernah mengalami kejadian seperti ini. Baginda dan rombongan berehat setelah kepenatan dalam perjalanan dan baginda telah pesan kepada Saidina Bilal رضي الله عنه untuk mengejutkan semua orang. Akan tetapi kemudian tidak ada seorang pun perasan waktu Subuh termasuklah Bilal رضي الله عنه.

Maka ini mengajar kita yang dalam ibadah kita pun kena membuat persediaan awal. Sebagai contoh, kalau kita mahu solat berjemaah di masjid, maka kita akan menyusun jadual waktu kita dengan rapi, masa untuk kerja, tanggungjawab kepada keluarga, waktu makan dan sebagainya. Begitulah kita akan buat persediaan awal, bukannya apabila masa sudah masuk.

 

وَلٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعاثَهُم

tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka,

Kalimah انبِعاثَهُم berasal daripada katadasar ب ع ث yang bermaksud bangkit, bergerak. Oleh kerana mereka munafik, Allah ﷻ tidak suka pemergian mereka ikut berjihad. Mereka tidak pergi pun memang bagus kerana kalau mereka pergi, mereka akan buat kekacauan sahaja. Mereka akan mengotori iman para pejuang yang lain. Mereka akan melemahkan semangat orang mukmin yang ada.

Nanti akan disebut apakah yang golongan munafik lakukan (kerana ada juga golongan munafik yang pergi ikut sekali ke Tabuk).

 

فَثَبَّطَهُم

maka Allah melemahkan keinginan mereka.

Kalimah فَثَبَّطَهُم berasal daripada katadasar ث ب ط dan ia digunakan dalam ayat ini sahaja. Ia bermaksud tahan, halang. Maksudnya Allah ﷻ melemahkan semangat mereka untuk ikut serta dalam rombongan jihad. Allah ﷻ menahan mereka daripada pergi.

Memang mereka sendiri tidak mahu pergi dengan memberikan berbagai-bagai alasan. Akan tetapi sebenarnya Allah ﷻ pun tidak mahu mereka pergi. Mereka menjadi terhegeh-hegeh untuk membuat persediaan. Hendak tidak hendak sahaja buat persediaan.

Maka ini memberi sebuah lagi pengajaran yang menakutkan kepada kita iaitu jikalau Allah ﷻ tidak suka kepada kita, Allah ﷻ akan menghalang kita daripada melakukan ibadah. Kalau Allah ﷻ tidak suka dengar suara kita baca Al-Qur’an, akan ada sahaja halangan untuk kita membaca. Kalau Allah ﷻ tidak suka kita, solat sunat selepas solat fardhu pun kita tidak dapat buat! Ada sahaja perkara yang menyibukkan kita dengan perkara keduniaan yang remeh temeh. Atau, kalau ada beribadah pun, ibadah-ibadah yang bid’ah (yang tidak ada nilai). Nauzubillah min zalik, semoga kita tidak termasuk golongan ini.

Yang kita berharap adalah semoga Allah ﷻ memberikan kita minat kepada agama, senang untuk belajar, ringan untuk beribadah, benci kepada dosa seperti yang Allah ﷻ telah berikan kepada para sahabat dan disebut dalam Hujurat:7

وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمٰنَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم وَكَرَّهَ إِلَيكُمُ الكُفرَ وَالفُسوقَ وَالعِصيانَ
tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kederhakaan.

Maka kalau kita suka dan ringan untuk beribadah seperti solat sunat, baca Al-Qur’an, hafal Al-Qur’an dan sebagainya, maka itu adalah nikmat yang amat-amat besar kerana bukan semua orang dapat buat perkara itu. Maknanya Allah ﷻ suka hendak menerima ibadah kita. Kerana itu antara doa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ adalah doa Nabi Daud عليه السلام seperti di bawah:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِى يُبَلِّغُنِى حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَىَّ مِنْ نَفْسِى وَأَهْلِى وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ
“Ya Allah, aku mohon pada-Mu cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, amalan yang mengantarkanku menggapai cinta-Mu.Ya Allah, jadikan kecintaanku kepada-Mu lebih aku cintai daripada cintaku pada diriku sendiri, keluargaku, dan air dingin.”
Jami’ Tirmidzi (3490)
Status: Hasan

وَقيلَ اقعُدوا مَعَ القٰعِدينَ

dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu”.

Lalu Allah ﷻ mengarahkan mereka untuk tidak ikut serta. Namun arahan ini dengan cara taqwini, bukan dengan syarak. Atau, dengan secara takdir, iaitu Allah ﷻ takdirkan mereka tidak ikut serta. Bukannya Allah ﷻ beri keizinan mereka untuk tidak pergi atau bercakap terus dengan mereka.

Maknanya tidaklah mereka diberi arahan daripada Nabi ﷺ yang mereka tidak perlu berjihad. Kerana arahan jihad tetap keluar untuk mereka. Akan tetapi Allah ﷻ campakkan dalam hati mereka, tidak ada keinginan untuk pergi jihad. Allah ﷻ jadikan mereka duduk bersama dengan orang-orang yang duduk tidak berperang (mereka yang lemah kerana ada keuzuran atau kanak-kanak dan para wanita).

Memang ada yang tidak diwajibkan jihad seperti kaum wanita, kanak-kanak dan orang yang uzur. Sedangkan puak munafik itu sihat sahaja. Namun Allah ﷻ jadikan mereka duduk dengan golongan yang dibenarkan untuk tidak serta. Maka ini sepatutnya memalukan mereka, kerana zaman dahulu kalau tidak pergi berperang, maknanya pengecut dan duduk pula bersama dengan golongan yang lemah. Maka ayat ini sebenarnya memperlekehkan mereka kerana dikatakan mereka hanya setaraf budak dan kaum wanita sahaja.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ tidak khitab terus dengan mereka kerana Allah ﷻ marah. Allah ﷻ tidak mahu bercakap terus dengan mereka tetapi disebut dalam pihak ketiga sahaja.


 

Tawbah Ayat 47: Allah ﷻ menjelaskan kenapa Dia tidak suka puak munafik itu ikut serta dalam jihad. Ini adalah hikmah tidak adanya golongan munafik dalam tentera Muslim. Ramai yang tidak pergi walaupun ada juga yang terlepas dan ikut serta pergi berjihad.

لَو خَرَجوا فيكُم مّا زادوكُم إِلّا خَبالًا وَلَأَوضَعوا خِلٰلَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ وَفيكُم سَمّٰعونَ لَهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Had they gone forth with you, they would not have increased you except in confusion, and they would have been active among you, seeking [to cause] you fitnah [i.e., chaos and dissension]. And among you are avid listeners to them. And Allah is Knowing of the wrongdoers.

(MALAY)

Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu; sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.

 

لَو خَرَجوا فيكُم مّا زادوكُم إِلّا خَبالًا

Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka,

Sekiranya orang-orang munafik itu pergi juga bersama tentera Islam, mereka tidak menambahkan manfaat kecuali kerosakan sahaja. Sebab mereka bukan jiwa yang beriman. Kerana itu Allah ﷻ gunakan kalimah فيكُم (di dalam kamu) dan bukan مَعَكُم kerana mereka tidak pernah beriman lagi. Mereka bukan bersama (مع) dengan golongan mukmin. Lihatlah Allah ﷻ menggunakan kalimah yang tepat di dalam Al-Qur’an dan kita boleh mengetahui maksud tambahan kalau kita tadabbur (melihat dengan lebih mendalam) penggunaan ayatnya.

Lafaz خَبالًا bermaksud anggota badan yang tidak sihat, ada sakit. Maknanya, mereka itu bukan menambahkan kekuatan, tetapi melemahkan umat Islam adalah. Mereka akan mengadu domba, menyebarkan fitnah dan permusuhan dalam kalangan umat Islam yang pergi jihad itu.

Maka memang molek bila mereka tidak menyertai pasukan Muslim kerana mereka akan membuat onar. Mereka akan mengomel dan mengutuk macam-macam hal, contohnya. Ini akan melemahkan semangat para pejuang yang lain. Mereka tidak membantu pun tetapi mereka akan hanya mahu menyelamatkan diri mereka sahaja. Jika nampak seolah-olah pasukan Muslim akan kalah, mereka dulu yang lari ke belakang nanti.

 

وَلَأَوضَعوا خِلٰلَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ

dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu;

Mereka akan memecut laju di celah-celah orang beriman. Kenapa? Mereka akan pergi ke sana ke sini, bercakap-cakap dengan puak Muslim yang lain supaya wujud fitnah dalam kalangan pasukan. Contohnya mereka mengadu kenapalah perjalanan ini jauh, kenapa keluar perang ketika berjihad, bolehkah melawan tentera Rom yang kuat itu, dan sebagainya. Ini bahaya kerana boleh melemahkan semangat pejuang Muslim yang lain.

Lafaz ‘fitnah’ yang dimaksudkan itu adalah kerosakan dan kekacauan dalam agama. Tujuan mereka adalah hendak merosakkan akidah. Lafaz أَوضَعوا berasal daripada katadasar و ض ع yang bermaksud ‘letak ke bawah’. Digunakan dalam ayat ini untuk menjelaskan bagaimana mereka menunggang kuda mereka dengan laju, di mana mereka akan menekan leher kuda itu ke bawah. Mereka buat begitu supaya kuda itu lari dengan laju. Maka ini adalah isyarat pergerakan mereka yang cepat di tengah-tengah para pejuang Muslim.

Ini adalah kerana rombongan perang itu tentu bergerak perlahan kerana ramai orang. Mereka yang munafik itu pula menaiki kuda. Maka mereka dapat bergerak dengan laju. Mereka akan pergi dari satu kumpulan ke satu kumpulan lain untuk menyebarkan fitnah mereka. Mereka akan mengeluarkan kata-kata yang tidak elok. Antaranya mereka akan merendahkan Nabi ﷺ, kutuk apa yang sedang berlaku dan sebagainya.

Contohnya, mereka mungkin berkata: “Ish, kenapalah kita kena pergi berjihad ini… kalau duduk-duduk di Madinah sahaja, bukankah senang?”. Kemudian mereka pecut ke kawasan lain pula dan bersembang dengan orang lain pula mengatakan perkara yang sama. Kata-kata sebegini boleh merendahkan motivasi mereka yang ikhlas mahu berjihad. Maka sebenarnya golongan munafik itu buat kerja syaitan bagi pihak syaitan.

 

وَفيكُم سَمّٰعونَ لَهُم

sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. 

Dalam kalangan Muslim ada yang suka mendengar kata-kata mereka itu. Iaitu golongan Muslim yang mudah ditipu dan terpesona dengan kata-kata manusia. Mereka pun dengarlah sahaja kerana yang datang kepada mereka pun berperawakan orang Islam juga, maka mereka sangka orang itu adalah dalam kalangan mereka juga, sedangkan mereka itu adalah munafik.

Ada lagi maksud lain, iaitu dalam kalangan munafik itu ada ‘pendengar’. Mereka yang mencuri dengar apakah yang dilakukan oleh pihak mukmin. Mereka masuk dalam kumpulan mukmin dan pasang mata, pasang telinga dan dengar apa yang dirancang oleh pihak mukmin.

Kemudian mereka akan sampaikan kepada sekutu mereka dalam kalangan munafik yang tegar. Kerana ada yang munafik tegar, langsung tidak mahu pergi jihad atau bercampur dengan mukmin yang lain. Mereka dapat maklumat daripada munafik lembut yang boleh lagi bercampur dengan pihak mukmin.

Begitu jugalah, zaman sekarang pun tentu ada orang-orang yang sebegini. Pihak yang ikhlas hendak berjuang, menegakkan sunnah ada, tetapi ada juga yang hanya datang untuk mencuri-curi dengar dan sampaikan maklumat kepada mereka yang anti-sunnah. Mereka masuk dalam kumpulan-kumpulan whatsapp pihak sunnah dan “shortcreen” kemudian sampaikan kepada teman mereka dalam kalangan anti-sunnah.

Oleh itu, maksud potongan ayat ini ada dua:

    1. Ada dalam kalangan mukmin yang mendengar dan memikirkan apa yang dikatakan oleh pihak munafik itu. Itu pun sudah tidak bagus; sepatutnya jangan dilayan mereka itu.
    2. Dalam kalangan Muslim, ada pihak yang menjadi mata-mata untuk sampaikan maklumat kepada musuh.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.

Allah ﷻ mengetahui hati-hati mereka. Maka ada yang Allah ﷻ takdirkan untuk tidak sertai langsung rombongan jihad itu. Golongan mukmin tidak kenal mereka maka sekarang Allah ﷻ ceritakan tentang mereka dan apakah sifat-sifat mereka.


 

Tawbah Ayat 48: Masih lagi Allah ﷻ membuka rahsia dalam hati golongan munafik.

لَقَدِ ابتَغَوُا الفِتنَةَ مِن قَبلُ وَقَلَّبوا لَكَ الأُمورَ حَتّىٰ جاءَ الحَقُّ وَظَهَرَ أَمرُ اللَّهِ وَهُم كٰرِهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They had already desired dissension before and had upset matters for you¹ until the truth came and the ordinance [i.e., victory] of Allah appeared, while they were averse.

  • Or “turned matters related to you over [in their minds, considering how to cause you failure].”

(MALAY)

Sesungguhnya dari dahulu pun mereka telah mencari-cari fitnah dan mereka mengatur pelbagai macam tipu daya untuk (merosakkan)mu, hingga datanglah kebenaran (pertolongan Allah) dan menanglah agama Allah, padahal mereka tidak menyukainya.

 

لَقَدِ ابتَغَوُا الفِتنَةَ مِن قَبلُ

Sesungguhnya dari dahulu pun mereka telah mencari-cari fitnah

Allah ﷻ beritahu tentang sifat orang-orang munafik itu lagi: sebelum Perang Tabuk ini pun mereka telah cuba menabur fitnah, menimbulkan kekacauan dalam fikiran umat Islam. Mereka telah membuat banyak kerosakan dalam Madinah, antaranya mereka menuduh Aisyah رضي الله عنها telah berzina dengan lelaki lain.

Ini kita dapat tahu daripada kisah yang telah Allah ﷻ ceritakan dalam Surah Nur dan daripada pembelajaran hadith. Mereka juga telah membuat tohmahan lain-lain juga untuk melemahkan umat Islam. Mereka buat tuduhan-tuduhan seperti itu supaya menyusahkan Rasulullah ﷺ dan menimbulkan salah sangka dalam kalangan umat Islam.

Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah tindakan mereka di dalam Perang Uhud. Apabila perang hendak berlaku, Rasulullah ﷺ telah bertanyakan pandangan umat Islam. Golongan munafik mencadangkan supaya perang dilakukan di Madinah sahaja (kerana senang mereka mahu lari perang terus masuk rumah). Akan tetapi Rasulullah ﷺ telah menerima pandangan orang-orang muda yang hendak berperang luar Madinah.

Oleh kerana tidak berpuas hati, golongan munafik telah meninggalkan medan perang. Asalnya tentera Muslim seramai seribu orang tetapi 300 daripada mereka meninggalkan perang diketuai oleh Abdullah bin Ubay. Maknanya 1/3 daripada kekuatan tentera Muslim telah hilang begitu sahaja! Ia telah menyebabkan Muslim lain pun mula goyang, malah ada yang hampir hendak ikut meninggalkan medan perang seperti disebut dalam Ali Imran:122

إِذ هَمَّت طّائِفَتانِ مِنكُم أَن تَفشَلا وَاللَّهُ وَلِيُّهُما ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
(Ingatlah) ketika dua puak daripada kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.

 

وَقَلَّبوا لَكَ الأُمورَ

dan mereka mengatur pelbagai macam tipu daya untuk menyusahkanmu,

Mreka telah mengatur berbagai-bagai helah untuk menymemusahkan Nabi ﷺ dan merosakkan keadaan umat Islam. Mereka tidak suka Nabi ﷺ dan mereka buat pelbagai rancangan untuk menyusahkan baginda. Sampaikan kalimah yang digunakan adalah قلبوا daripada katadasar ق ل ب yang bermaksud berbolak balik, tunggang terbalik, dan selalu digunakan untuk hati/jantung kerana hati/jantung itu berbolak balik.

Mereka membolak balikkan kebenaran. Yang benar menjadi buruk dan yang buruk menjadi baik. Contohnya mereka kata sebab keluar berperang luar Madinahlah yang menyebabkan umat Islam kalah.

Mereka ini musuh dalam selimut sebenarnya. Sampaikan mereka pernah buat perancangan untuk menghalau keluar golongan mukmin dari Madinah. Mereka telah bergabung dengan Yahudi untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Mereka beri maklumat kepada musuh, dan sebagainya.

 

حَتّىٰ جاءَ الحَقُّ

hingga datanglah kebenaran

Mereka cuba membuat onar, sampailah Allah ﷻ datangkan kebenaran – janji Allah ﷻ. Sebagai contoh, Allah ﷻ telah membersihkan nama Aisyah رضي الله عنها daripada tohmahan mereka itu. Allah ﷻ juga telah memberikan kemenangan kepada umat Islam walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh golongan munafik itu. Allah ﷻ tetap membantu umat Islam yang mukmin, yang benar-benar beriman.

 

وَظَهَرَ أَمرُ اللَّهِ

dan menanglah agama Allah,

Sehingga zahirlah kehendak Allah ﷻ untuk beri kemenangan kepada umat Islam. Allah ﷻ buat seperti mana yang Allah ﷻ kehendaki dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang. Segala usaha golongan munafik atau musuh itu tidak berjaya. Islam tetap juga berkembang dan semakin ramai yang masuk Islam. Maka kita jangan takut sangat usaha untuk menjatuhkan Islam kerana Allah ﷻ tetap memberikan kemenangan kepada Islam, agama-Nya.

Di awal Islam di Madinah lagi, Allah ﷻ telah memberikan kemenangan kepada umat Islam di Perang Badr seperti Allah ﷻ sebut dalam Ali Imran:123.

وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah

Ini telah menyebabkan puak-puak munafik mula nampak bahawa Islam ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dijatuhkan. Akan tetapi mereka tetap juga berusaha dan Allah ﷻ sekarang suruh kita berhati-hati dengan mereka.

 

وَهُم كٰرِهونَ

padahal mereka tidak menyukainya.

Allah ﷻ menzahirkan kemenangan Islam, walaupun golongan munafik itu tentu tidak suka. Kemenangan demi kemenangan diberikan kepada umat Islam, dan agama Islam telah tersebar luas ke daerah-daerah dan kawasan-kawasan lain.

Tentunya mereka tidak suka begitu. Mereka tidak suka rancangan mereka tidak berjaya, tetapi Allah ﷻ tidak peduli dengan rancangan mereka.


 

ALASAN PALSU (2) GODAAN

Tawbah Ayat 49: Ini adalah ayat zajrun. Allah ﷻ menceritakan salah satu daripada alasan yang mereka berikan kenapa tidak menyertai Perang Tabuk (dan mana-mana jihad pun). Ada dalam kalangan munafik itu yang berani meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk tidak menyertai peperangan dengan alasan yang bodoh. Dalam riwayat ada disebutkan yang namanya adalah Ibn Qais.

وَمِنهُم مَّن يَقولُ ائذَن لّي وَلا تَفتِنّي ۚ أَلا فِي الفِتنَةِ سَقَطوا ۗ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحيطَةٌ بِالكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among them is he who says, “Permit me [to remain at home] and do not put me to trial.” Unquestionably, into trial they have fallen.¹ And indeed, Hell will encompass the disbelievers.

  • By avoiding their obligation, they fell into destruction.

(MALAY)

Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan aku terjerumus dalam fitnah”. Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.

 

وَمِنهُم مَّن يَقولُ ائذَن لّي وَلا تَفتِنّي

Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan aku terjerumus dalam fitnah”.

Ini adalah kisah seorang munafik yang bernama Jadd ibnu Qais. Dia telah meminta izin kepada Nabi ﷺ dan minta Nabi ﷺ jangan masukkan dia dalam fitnah (ujian). Dia kata begitu kerana dia dengar yang wanita-wanita kafir itu cantik-cantik belaka dan kononnya dia takut dia rosak akidah kerana tertarik dengan wanita-wanita itu nanti dan dia pun masih muda. Dia kata dia tidak boleh tahan dengan wanita cantik. Itulah sebabnya dia minta dibenarkan tidak menyertai ekspedisi ke Tabuk itu. Lalu Nabi ﷺ telah beri izin kepadanya. Ibn Kathir رحمه الله meriwayatkan kisah ini di dalam tafsirnya:

Muhammad ibnu Ishaq telah meriwayatkan daripada Az-Zuhri, Yazid ibnu Rauman, Abdullah ibnu Abu Bakar. Asim ibnu Qatadah dan lain-lainnya. Mereka mengatakan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah ﷺ sedang bersiap-siap untuk berangkat berjihad, baginda bersabda kepada Jadd ibnu Qais, saudara lelaki Bani Salamah,
هل لك يا جد العام في جلاد بني الأصفر؟) فقال: يا رسول اللّه أو تأذن لي ولا تفتني، فواللّه لقد عرف قومي ما رجل أشد عجباً بالنساء مني، وإني أخشى إن رأيت نساء بني الأصفر أن لا أصبر عنهن، فأعرض عنه رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم وقال: (قد أذنت لك)، ففي الجد بن قيس نزلت هذه
“Hai Jadd, mengapa tahun ini kamu tidak berangkat untuk memerangi Banil Asfar (orang-orang Romawi)?” Jadd menjawab, “Wahai Rasulullah, berilah saya izin untuk tidak berangkat, dan janganlah engkau jerumuskan diriku ke dalam fitnah. Demi Allah, sesungguhnya semua kaumku telah mengetahui bahawa tidak ada seorang lelaki pun yang lebih suka kepada wanita selain diriku. Dan sesungguhnya aku merasa khuatir bila melihat kaum wanita Banil Asfar, maka aku tidak dapat mengekang diriku lagi daripada mereka.” Maka Rasulullah ﷺ berpaling daripadanya dan bersabda, “Aku memberi izin kepadamu untuk tidak berangkat.” Sehubungan dengan peristiwa Al-Jadd ibnu Qais inilah diturunkan ayat ini.
[Ibnu Ishaq meriwayatkan secara muallaq, Ibnu Hisyâm, 4/216- 217; at-Thabari, at-tafsîr, 14/287-288]

Ini memang alasan yang bongok sekali. Ia seumpama kalau ada orang kata dia tidak mahu pergi solat berjemaah di masjid kerana takut menjadi riak! Atau ada yang kata dia tidak pergi kelas pengajian kerana nanti kena tanya, atau nanti jadi pandai sangat, susah! Itu semua alasan mengarut sahaja. Yang sebenarnya mereka tidak mahu pergi.

 

أَلا فِي الفِتنَةِ سَقَطوا

Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah.

Allah ﷻ beritahu sebenarnya mereka telah jatuh dalam fitnah pun kerana derhaka kepada suruhan Nabi ﷺ kepada jihad. Fitnah mereka adalah kerana kerugian besar kerana tidak ikut serta dengan Rasulullah ﷺ dan golongan mukmin untuk berperang. Memang mereka telah lama jatuh dalam fitnah, bukan akan jatuh. Ini adalah kerana iman mereka yang lemah.

 

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحيطَةٌ بِالكٰفِرينَ

Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.

Allah ﷻ beritahu yang di akhirat nanti mereka akan masuk Neraka Jahanam. Neraka itu akan mengepung mereka, mereka tidak boleh lari dan tidak boleh pergi ke mana-mana lagi.

Lihatlah dalam ayat ini, Allah ﷻ panggil mereka ‘kafir’. Sebelum ini, mereka masih lagi termasuk dalam golongan Muslim kerana tidak jelas kekafiran mereka. Oleh itu selepas ayat ini, hanya ada orang mukmin dan orang kafir. Sama ada kamu mukmin atau kamu kafir, itu sahaja dan tidak ada pertengahan. Ayat ini telah membuka apa yang ada dalam hati mereka – kufur kepada Allah ﷻ dan agama. Jelas di sini bahawa golongan munafik itu sebenarnya kafir.


 

MEREKA YANG TINGGAL DI BELAKANG

Tawbah Ayat 50: Ayat Syikayah.

إِن تُصِبكَ حَسَنَةٌ تَسُؤهُم ۖ وَإِن تُصِبكَ مُصيبَةٌ يَقولوا قَد أَخَذنا أَمرَنا مِن قَبلُ وَيَتَوَلَّوا وَهُم فَرِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If good befalls you, it distresses them; but if disaster strikes you, they say, “We took our matter [in hand] before,”¹ and turn away while they are rejoicing.

  • The hypocrites claim to have protected themselves by remaining behind.

(MALAY)

Jika kamu mendapat suatu kebaikan, mereka menjadi tidak senang kerananya; dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami (tidak pergi perang)” dan mereka berpaling dengan rasa gembira.

 

إِن تُصِبكَ حَسَنَةٌ تَسُؤهُم

Jika kamu mendapat suatu kebaikan, mereka menjadi tidak senang kerananya; 

Begitu teruknya golongan munafik itu, sekiranya kebaikan yang diperolehi oleh orang mukmin, mereka pula yang susah hati, tidak senang duduk. Mereka tidak suka Islam berjaya seperti menang dalam perang, ramai masuk Islam dan sebagainya, itu semua menyesakkan hati mereka. Mereka benci kepada Islam sampaikan kalau Islam berkembang, telah menyebabkan hati mereka resah dan sesak.

Bencinya mereka kepada orang mukmin dan Islam, sampaikan apabila Muslim pergi ke Mekah untuk mengerjakan Umrah pertama kali, mereka sudah gembira. Ini kerana mereka sangka tentunya umat Islam itu akan dibunuh semuanya oleh puak Mekah kerana orang Islam datang tanpa membawa senjata berat. Namun apabila umat Islam pulang dalam keadaan selamat, mereka marah sungguh.

 

وَإِن تُصِبكَ مُصيبَةٌ يَقولوا قَد أَخَذنا أَمرَنا مِن قَبلُ

dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami”

Jikalau puak mukmin mendapat musibah, mereka gembira. Sebagai contoh, jika mukmin kalah perang, mereka akan suka. Mereka kata: “sesungguhnya kami dahulu sudah ambil keputusan untuk berjaga-jaga dalam urusan kami dengan tidak menyertai jihad. Kerana kalau kami pergi, kami pun akan mati juga. Nasib baiklah kami tidak pergi….”

Oleh itu, mereka bangga kerana tidak terkena musibah. Ini semua adalah dalam fahaman mereka yang sesat kerana tidak percaya kepada janji Allah ﷻ.

 

وَيَتَوَلَّوا وَهُم فَرِحونَ

dan mereka berpaling dengan rasa gembira.

Selepas bercakap begitu, mereka berpaling. Mereka berpaling dengan berasa gembira sangat kerana musibah telah menimpa umat Islam. Mereka berpaling dengan perasaan puas hati. Mereka gembira namun mereka tidak sedar yang sebenarnya mereka menjerumuskan diri mereka ke lembah kehinaan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Mei 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 42 – 45 (Orang munafik tidak sertai jihad)

ALASAN PALSU (1) TIDAK MAMPU

Tawbah Ayat 42: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 4 surah ini. Dalam perenggan ini, perkara utama yang Allah ﷻ tekankan adalah perang kepada orang kafir dan kepada orang munafik. Maka sekarang masuk kisah orang munafik pula. Mereka pun perlu diperangi juga tetapi dengan cara yang benar. Nanti akan disebutkan dengan jelas. Perenggan ini panjang dan berterusan sehingga ke ayat 127. Mulanya diceritakan yang mereka itu berat untuk menyertai jihad.

Dalam Perang Tabuk itu, orang mukmin semua pergi keluar jihad kecuali lapan orang. Selain daripada itu semua mukmin pergi berperang kecuali mereka yang dibenarkan untuk bertahan di Madinah. Daripada 8 orang itu, 5 orang daripada kumpulan Lubabah dan 3 lagi daripada kumpulan Ka’ab bin Malik. Mereka itu mukmin tetapi ada masalah pada mereka, kerana itu mereka tidak pergi. Kisah mereka ini nanti akan disebut di hadapan nanti.

Selain itu, ada ramai lagi golongan munafik yang tidak pergi berperang. Mereka itu tidak dikira mukmin dan mereka itu lebih ramai yang tidak pergi. Kumpulan Munafik itu pula terbahagi kepada 4 golongan. Dua kumpulan yang pertama adalah:

I. Ada yang minta izin kepada Nabi ﷺ untuk tidak berjihad
II. Ada yang tidak minta izin pun dan apabila Nabi ﷺ pulang, barulah mereka beri alasan.

Selain daripada dua jenis ini, ada dua kumpulan pula yang pergi juga berjihad. Di dalam ayat ini disebut tentang mereka yang tidak pergi. Allah ﷻ beri teguran kepada mereka dalam ayat ini. Maka ayat ini adalah jenis Ayat Zajrun. Munafik itu tidak pergi berperang kerana munafik itu pilih keuntungan dunia. Mereka itu memang tidak ada iman langsung atau mereka lemah iman.

لَو كانَ عَرَضًا قَريبًا وَسَفَرًا قاصِدًا لَّاتَّبَعوكَ وَلٰكِن بَعُدَت عَلَيهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَوِ استَطَعنا لَخَرَجنا مَعَكُم يُهلِكونَ أَنفُسَهُم وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Had it been a near [i.e., easy] gain and a moderate trip, they [i.e., the hypocrites] would have followed you, but distant to them was the journey. And they will swear by Allāh,¹ “If we were able, we would have gone forth with you,” destroying themselves [through false oaths], and Allāh knows that indeed they are liars.

  • When you return from the Tabūk expedition.

(MALAY)

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

 

لَو كانَ عَرَضًا قَريبًا

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh

Menurut Ibnu Abbas رضي الله عنهما, yang dimaksudkan dengan ‘aradan qariban’ ialah ghanimah (rampasan perang) yang dekat (mudah diperoleh).

Sekarang Allah ﷻ beritahu apa yang dalam hati orang-orang Munafik itu: sekiranya apa yang dijanjikan itu mudah dapat, mereka akan ikut serta kerana mereka tahu mereka akan untung kerana yang mereka hendak dapat berperang itu adalah harta rampasan perang. Akan tetapi mereka tidak mahu bersusah payah. Mereka tidak mahu berkorban untuk agama. Mereka hanya hendakkan benda yang senang sahaja, yang mudah dicapai.

Maka kena tanya diri kita: Adakah kita pun seperti itu juga? Adakah kita juga berkira-kira untuk berkorban dalam hal agama? Adakah kita hanya mahukan keuntungan yang mudah? Kalau ada untung baru kita hendak beribadah atau hendak berdakwah?

 

وَسَفَرًا قاصِدًا

dan perjalanan yang tidak seberapa jauh,

Untuk mendapatkannya perjalanan pun dekat, tidak susah sangat, maka mereka pun akan pergi juga. Seperti yang telah disebut sebelum ini, kedudukan Tabuk itu adalah jauh dan musim itu sedang panas pula. Kena berjalan pula kerana kalau ada unta pun kena berkongsi seramai sepuluh orang. Maka tentunya golongan munafik itu tidak ada selera hendak pergi.

 

لَّاتَّبَعوكَ

pastilah mereka mengikutimu,

Jika senang dapat dan perjalanan tidak jauh, Allah ﷻ kata nescaya puak munafikin itu akan ikut serta orang-orang mukmin menyertai Perang Tabuk itu. Memang ada perang jihad yang mereka sertai kerana mereka rasa perang tidak susah dan kalau pergi, boleh dapat harta ghanimah nanti. Akan tetapi kali ini Allah ﷻ uji dengan satu perang yang amat payah.

Maka kita dapat tahu yang mereka hendakkan harta rampasan perang sahaja sebenarnya. Mereka bukannya hendak menegakkan agama Allah ﷻ di bumi ini. Itulah yang dimaksudkan dengan عَرَضًا iaitu pulangan yang boleh dilihat dengan mata. Sedangkan pahala dan balasan syurga mereka tidak nampak, bukan?

Maka kita dapat tahu dari sini yang golongan munafik ini sanggup buat ibadah yang mudah-mudah sahaja. Itu pun kerana untuk ditunjukkan kepada orang lain seperti disebut di dalam ayat yang lain. Maka kalau kita pun begitu juga, malas hendak beribadah, maka kita pun ada ciri-ciri munafik sebenarnya dan ini kita amat takut. Adakah kita solat setakat yang fardhu sahaja? Adakah kita sebagai lelaki hanya solat sendirian sahaja? Adakah kita buat ibadah ‘cukup-cukup makan’ sahaja? Asal ada nampak sebagai Muslim sahaja?

 

وَلٰكِن بَعُدَت عَلَيهِمُ الشُّقَّةُ

akan tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.

Akan tetapi Tabuk itu nampak jauh bagi mereka, maka mereka tidak mahu pergi. Yang dimaksudkan dengan syuqqah ialah jauh dan dalam kes Perang Tabuk, mereka kena menuju ke negeri Syam. Mereka terasa payah kalau mereka menyertainya.

Kerana itulah nama lain bagi perang ini juga ialah perang Al-Fadhihah yang bermaksud “mengungkap hakikat kaum munafik.” Hal ini adalah kerana peperangan ini menyerlahkan perangai sebenar puak munafik, cara permusuhan mereka, dan mengungkap permusuhan mereka kepada kaum Muslimin. Allah ﷻ hendak tunjukkan mana mukmin dan mana yang munafik kerana yang munafik akan berat untuk pergi jihad.

Maka puak munafik ramai yang tidak pergi dan ada antara mereka yang tidak pergi berjumpa Nabi ﷺ pun untuk meminta keizinan pelepasan. Sepatutnya, kerana ini adalah nafrul am (arahan wajib), maka semua kena pergi dan kalau tidak boleh pergi, kena beritahu kepada Nabi ﷺ menjelaskan kenapa tidak boleh pergi.

Mereka tidak berjumpa Nabi ﷺ meminta izin untuk tidak menyertai perang dan apabila Nabi ﷺ pulang daripada peperangan, baru mereka menemui Nabi ﷺ untuk memberi alasan. Ternyata ini adalah munafik yang jenis paling teruk.

 

 

وَسَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَوِ استَطَعنا لَخَرَجنا مَعَكُم

Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”.

Allah ﷻ beritahu, pasti mereka akan datang kepada Nabi ﷺ dan bersumpah dengan nama Allah ﷻ: “Kalau kami mampu, tentu kami pergi juga; akan tetapi kami tidak mampu”. Maka mereka telah datang bertemu Nabi Muhammad ﷺ dengan pelbagai alasan.

Sampai ada yang kata, oleh kerana Nabi ﷺ ajak pergi berperang dengan ‘orang putih’, dan orang-orang perempuan mereka cantik bermata biru, mereka kata mereka takut nanti kalau mereka nampak, mereka akan terpikat dan rosak diri mereka pula nanti. Mereka kata nafsu mereka lemah dan elok mereka duduk di Madinah sahaja. Ini memang alasan kelas murahan betul.

Golongan munafik menggunakan senjata sumpah untuk menguatkan hujah mereka. Mereka terpaksa menggunakannya kerana kata-kata mereka itu lemah, maka kena kuatkan dengan sumpah. Mereka sendiri sedar yang kalau mereka cakap kosong sahaja, mereka pun tahu yang orang lain tidak akan percaya. Maka kalau suka bersumpah, itu adalah perangai orang munafik sebenarnya dan ini disebut dalam Munafiqoon:2

اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً
Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai

 

يُهلِكونَ أَنفُسَهُم

Mereka membinasakan diri mereka sendiri 

Allah ﷻ beritahu bohongan mereka itulah yang membinasakan diri mereka sendiri. Tambahan pula mereka bersumpah dengan nama Allah ﷻ dan ini amat berat kerana mempermainkan nama Allah ﷻ.

Mereka beri alasan sahaja dan Allah ﷻ tahu yang ia tidak benar kerana Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati mereka. Kita memang tidak tahu, tetapi Allah ﷻ tahu. Maka dari sini kita tahu yang alasan mereka tidak diterima oleh Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah beri segala peluang kepada mereka untuk mereka gunakan tetapi mereka tidak menggunakannya.

Allah ﷻ kata mereka binasa kerana sudahlah tidak pergi berjihad, main sumpah pula dalam memberi alasan yang lemah. Ternyata dari sini kita tahu yang bukan jihad yang membinasakan manusia, tetapi binasa itu kerana tidak pergi berjihad. Yang munafik mungkin berasa selamat kerana tidak mati di medan perang, tetapi sebenarnya mereka telah binasa, mereka sahaja yang tidak tahu.

Bagaimana dengan kita? Mari lihat satu senario. A pergi ke kelas pengajian, tetapi B tidak pergi kelas pengajian walaupun diajak oleh A. Dalam perjalanan ke kelas, A kemalangan dan mati. Apa agaknya kata B nanti? Adakah dia akan kata, “Selamat aku sebab tak ikut si A tu pergi kelas, kalau tak dengan aku sekali mati!” Kalau inilah kata-katanya maka dialah yang tersilap kerana A walaupun telah mati kemalangan, tetapi mati dalam perjalanan menuntut ilmu bermakna syahidlah balasan untuknya. Sedangkan B tidak mendapat apa-apa pun melainkan kebodohan yang berpanjangan.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

Allah ﷻ tahu yang mereka memang berbohong dan Allah ﷻ beritahu Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka. Baginda itu manusia sahaja dan tidak dapat membaca niat dan bisikan hati manusia. Hanya apabila Allah ﷻ sendiri yang beritahu, barulah baginda tahu.

Habis Ruku’ 6 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.


 

Tawbah Ayat 43: Ayat Zajrun (teguran) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kenapa pula Allah ﷻ tegur baginda? Kita kena faham keadaan waktu itu. Semasa Perang Tabuk, jihad telah diwajibkan kepada semua yang mampu pergi. Apabila telah diwajibkan, maka kalau ada yang tidak dapat pergi, mereka mestimeminta izin daripada Nabi ﷺ untuk tidak pergi.

Inilah disiplin yang diajar dalam hal ini. Kita dalam kerja pun kena ada disiplin, bukan? Kita kena ikut cara dan protokol tempat kerja kita – kalau tidak dapat hadir untuk bekerja, kenalah laporkan kepada majikan atau kepada HR. Takkan buat tidak tahu sahaja dan ambil cuti sendiri, bukan? Ini penting, kerana kalau tidak ada protokol, maka akan kacau bilau sesebuah organisasi itu.

Masalah besar bagi mukmin di Madinah adalah golongan munafik. Mereka itu adalah ‘api dalam sekam’, ‘gunting dalam lipatan’. Mereka bercampur gaul dengan puak mukmin dan berlagak sebagai orang yang beriman, tetapi sebenarnya tidak. Hati mereka sebenarnya benci kepada Islam.

Mereka itu tidak boleh dipercayai kerana mereka mungkin boleh pecahkan rahsia umat Islam. Tambahan pula waktu itu adalah zaman peperangan bergolak di antara Muslim dengan puak kafir dan puak Ahli Kitab. Akan tetapi golongan mukmin tidak kenal siapakah golongan munafik kerana sifat munafik itu adalah perkara dalam hati dan kita tidak dapat membaca hati orang, bukan? Kalau ada tanda di dahi siapa yang munafik, mudahlah hendak berhati-hati dengan orang yang sebegitu. Namun memang tidak ada tanda yang jelas.

Oleh itu, Perang Tabuk ini adalah satu peluang untuk puak mukmin tahu siapakah yang munafik dalam kalangan mereka. Kalau ada yang tidak pergi berperang, maka tahulah yang mereka itu munafik dan kena berhati-hati dengan mereka ini. Ini adalah peluang kerana berlainan daripada peperangan sebelum itu.

Peperangan sebelum itu adalah fardhu Kifayah sahaja dan tidak wajib, maka kalau puak munafik tidak pergi, mereka tidak boleh dipersalahkan kerana memang tidak wajib pun. Mereka yang tidak mahu pergi pun tidak perlu meminta izin. Namun Perang Tabuk ini Allah ﷻ telah menjadikan sebagai peluang untuk membongkar hati puak munafik itu.

Akan tetapi, apabila diwajibkan berjihad ke Tabuk, ada dalam kalangan golongan munafik yang meminta izin daripada Nabi ﷺ, dan disebabkan sifat baginda yang berhati lembut, maka dengan mudah saja baginda telah memberi izin kepada mereka untuk tidak menyertai Perang Tabuk itu. Maka hilanglah peluang untuk mengetahui siapa yang munafik. Ini kerana jika ditanya kenapa mereka tidak pergi, mereka boleh jawab: “Kami sudah minta izin daripada Rasulullah ﷺ dan baginda benarkan kami tidak sertai perang ini”.

Maka, kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ ditegur oleh Allah ﷻ dalam ayat ini.

عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذينَ صَدَقوا وَتَعلَمَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

May Allāh pardon you, [O Muḥammad]; why did you give them permission [to remain behind]? [You should not have] until it was evident to you who were truthful and you knew [who were] the liars.

(MALAY)

Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?

 

عَفَا اللَّهُ عَنكَ

Semoga Allah memaafkanmu. 

Ayat ini dimulakan terus dengan menyatakan yang Allah ﷻ memaafkan Nabi Muhammad ﷺ. Memang Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ tetapi ayat ini dimulakan dengan pemaafan. Maknanya ada kesalahan yang telah dilakukan boleh baginda sebenarnya. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ beri kemaafan sedangkan seorang Nabi itu adalah maksum dan tidak ada dosa? Kita kena faham yang bukanlah Nabi ﷺ tidak melakukan kesalahan, tetapi kesalahan itu tidaklah berat sampai ke tahap berdosa. Ia dipanggil khilaaful awla (berlawanan dengan cara yang terbaik).

Mungkin ada yang tidak senang hati untuk mengatakan Nabi ﷺ telah bersalah. Namun di sini Allah ﷻ sendiri yang menegur dan menyatakan yang Nabi ﷺ telah bersalah. Maka kita terima seadanya, tidak berlebih-lebih. Kita kena ingat yang Allah ﷻ sahaja yang boleh menegur baginda. Jangan kita berlebihan pula dalam hal ini menyalahkan baginda atau merendahkan kedudukan baginda.

Permulaan ayat ini agak pelik dan kalau tidak belajar tafsir tentu tidak tahu latar belakang ayat ini dan kenapa Allah ﷻ terus memaafkan baginda. Selalunya sebelum peperangan, Nabi ﷺ tidak memberitahu kepada puak Muslim, ke mana mereka akan berperang. Ini adalah sebagai taktik peperangan kerana takut musuh dalam selimut menyampaikan berita kepada orang kafir.

Sebagai contoh, kadangkala kalau baginda hendak menyerang di timur, baginda akan tanya khabar bahagian barat. Atau baginda sengaja bertanya mana tempat ada air, tempat persinggahan dan sebagainya. Itu adalah untuk mengelirukan musuh dalam selimut – supaya mereka beritahu kepada sekutu mereka daripada pihak musuh yang Nabi ﷺ hendak menyerang dari arah barat. Akan tetapi keesokkannya Nabi ﷺ telah menghantar tentera ke arah lain. Inilah hikmah Nabi ﷺ dalam strategi peperangan.

Namun begitu berlainan pula strategi baginda dalam Perang Tabuk ini. Awal-awal lagi Nabi ﷺ sudah beritahu yang mereka akan pergi ke Tabuk untuk berperang dengan tentera Rom. Itu adalah tempat paling jauh yang pasukan tentera Islam pernah pergi. Tambahan pula ketika itu adalah musim panas. Bagi penduduk Madinah, tanaman utama mereka adalah kurma dan masa itulah buah kurma akan dikutip kerana sudah masak dan ranum. Ini adalah kerana ketika musim panas, lagi manis buah itu.

Kita juga jangan lupa yang hasil tahunan mereka bergantung kepada hasil tanaman kurma. Kebiasaannya yang berlaku sebelum ini, jika ada keperluan untuk keluar berjihad, mereka akan berhutang dengan pihak Yahudi yang dipercayai bagi mendapatkan modal berjihad. Setelah pulang berperang dan mereka memperoleh hasil tuaian maka mereka dapat membayar semula hutang tadi.

Namun keadaan sekarang tidak sama. Mereka berasa dilema kerana arahan untuk keluar berjihad dikeluarkan ketika mereka baru sahaja hendak menuai hasil tanaman mereka itu. Ditambah pula dengan faktor musim panas serta jarak Tabuk yang sangat jauh. Lebih membebankan lagi apabila arahan berjihad diwajibkan ke atas mereka SEMUA dan tidak ada yang terkecuali sebagaimana perang-perang sebelum ini.

Allah ﷻ sebenarnya tidak mahu Nabi ﷺ memberi izin kepada sesiapa pun untuk tinggal, melainkan alasan uzur syar’ie. Tujuan utamanya adalah kerana Allah ﷻ hendak menzahirkan siapakah yang munafik. Nanti akan terserlah bagaimana yang tidak pergi jihad itulah yang munafik. Allah ﷻ buat begini supaya orang-orang mukmin senang kenal mereka selepas itu. Begitulah cara untuk mengenal orang munafik dan selepas ini sampai bila-bila. Jikalau infak dan jihad disyariatkan dan ada yang tidak menyertainya atau menghulurkan infak, maka itulah tanda mereka itu adalah munafik.

Inilah satu kaedah pengecaman yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Ia amat penting kepada khalifah negara Islam supaya mereka dapat gunakan kaedah ini untuk tahu siapa munafik dan mereka bolehlah berjaga-jaga dengan mereka. Amat berbahaya sekali jikalau ada munafik dalam negara kerana mereka boleh menghancurkan umat Islam dari dalam.

Namun begitu masalahnya, Nabi ﷺ telah memberi izin kepada para munafik yang datang kepada baginda dengan pelbagai alasan untuk tidak menyertai Perang Tabuk ini. Semuanya baginda beri izin tanpa diperiksa secara mendalam. Dengan sebab izin itu, orang mukmin tidak dapat membezakan, sama ada orang yang tidak pergi perang itu adalah kerana mereka munafik atau tidak.

Oleh kerana Nabi ﷺ telah beri izin kepada mereka, Allah ﷻ tegur baginda kerana ini adalah sebuah kesilapan yang memberikan kesan yang besar. Walau bagaimanapun, Allah ﷻ telah memaafkan awal-awal lagi kesilapan Nabi ﷺ itu. Lihat kepada permulaan ayat ini, terlebih dahulu Allah ﷻ memaafkan Nabi ﷺ sebelum Allah ﷻ tegur. Ini menunjukkan sayangnya Allah ﷻ kepada baginda. Namun tegur tetap kena tegur juga kerana ia menjadi pengajaran buat kita semua.

 

لِمَ أَذِنتَ لَهُم

Mengapa kamu memberi izin kepada mereka

Sekarang barulah disebut teguran Allah ﷻ kepada baginda. Allah ﷻ mulakan dengan beri kemaafan sebelum disebut kesalahan baginda kerana kalau dimulakan dengan teguran, tentulah hati Nabi ﷺ akan pecah kerana baginda sangat terkesan dengan teguran daripada Allah ﷻ.

Begitulah sayangnya Allah ﷻ kepada baginda, Allah ﷻ mulakan dengan pemaafan dahulu. Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Abu Husain ibnu Sulaiman Ar-Razi, telah menceritakan kepada kami Sufyan ibnu Uyaynah, daripada Mis’ar, daripada Aun yang mengatakan, “Apakah kalian pernah mendengar suatu teguran yang lebih baik daripada ayat ini? Iaitu seruan yang menyatakan pemberian maaf sebelum penyaksian.” Allah ﷻ telah berfirman: Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang)? (At-Taubah: 43)

Apakah teguran Allah ﷻ? Allah ﷻ tanya baginda kenapa baginda cepat sangat beri izin kepada mereka, sedangkan Allah ﷻ tidak beri izin lagi? Ini pula adalah perang yang fardhu ain, bukan fardhu kifayah. Sepatutnya Nabi ﷺ kena tanya balik apa masalah mereka itu sebenarnya kalau betul ada masalah. Janganlah terus terima sahaja kerana mungkin alasan mereka tidak masuk akal dan tidak patut diterima.

Tentulah suka hati golongan munafik itu sebab mendapat izin daripada baginda. Mereka pun canang keliling kampung kata mereka berjaya menipu Rasulullah ﷺ. Atau mereka kata senang sahaja dengan Rasulullah ﷺ ini, boleh dibuat main-main sahaja. Sementara itu mukmin lain tidak tahu sama ada orang yang tidak pergi jihad itu munafik atau tidak kerana mereka telah mendapat izin daripada Nabi ﷺ. Seolah-olah mereka sudah dapat ‘lesen’ untuk tidak pergi jihad. Maka kerana itulah Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ, kenapalah baginda dengan mudah sahaja memberi izin kepada mereka?

 

حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذينَ صَدَقوا

sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar

Sepatutnya baginda tidak beri izin (kena tangguh dulu) sehingga nyata kepada baginda siapa orang yang benar. Kalau hendak beri izin pun, biarlah kepada yang betul-betul ada uzur. Kalau tidak, maka wajibkan juga mereka untuk berjihad kerana ini cara untuk tahu siapa yang benar beriman dan siapa yang mengaku sahaja. Iaitu, mereka yang pergi berjihad ke Tabuk itulah yang benar dalam iman mereka dan merekalah orang mukmin yang sebenar.

Yang tidak pergi, buat tidak tahu sahaja, buat senyap sahaja apabila orang lain pergi, maka ketahuilah yang hati mereka itu sebenarnya ada sifat munafik. Oleh itu, selepas itu jangan lagi beri izin kepada mereka yang datang minta izin tanpa memberikan alasan yang benar.

 

وَتَعلَمَ الكٰذِبينَ

dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?

Sepatutnya Nabi ﷺ tidak beri izin sehingga nyata kepada baginda siapa yang berbohong. Iaitu berbohong dalam hal iman mereka (kata beriman tapi sebenarnya tidak). Ini dapat diagak dari alasan yang mereka berikan.


 

PELEPASAN DARI BERJIHAD

Tawbah Ayat 44: Sebelum ini disebut sifat golongan munafik dan sekarang disebut tentang orang Mukmin sejati pula. Allah ﷻ membuat perbandingan siapa yang kita jangan ikut, dan sekarang Allah ﷻ ajar kita sifat siapa yang kita patut ikut.

لا يَستَئذِنُكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ أَن يُجٰهِدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالمُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who believe in Allāh and the Last Day would not ask permission of you to be excused from striving [i.e., fighting] with their wealth and their lives. And Allāh is Knowing of those who fear Him.

(MALAY)

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.

 

لا يَستَئذِنُكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ أَن يُجٰهِدوا

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad 

Inilah cara untuk mengenal siapakah yang benar-benar beriman dan yang munafik. Mereka akan taat apabila arahan daripada Rasulullah ﷺ sudah keluar. JIkalau sudah keluar arahan nafrul am, tidak boleh minta izin untuk ponteng. Mereka akan pergi walaupun berat bagi mereka. Orang yang benar-benar beriman kepada Allah ﷻ dan hari akhirat, tidak akan mencari alasan untuk tidak keluar berjihad apabila arahan jihad yang wajib telah dikeluarkan. Ini kerana mereka tahu kepentingan jihad itu.

Dalam Surah Nur juga ada disebut tentang meminta izin tetapi itu adalah keizinan dalam perkara yang lain. Maka kena pandai bezakan. Surah Tawbah ini adalah tentang jihad yang memerlukan semua orang Islam turun. Ayat daripada Surah itu adalah Nur:62

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَإِذا كانوا مَعَهُ عَلىٰ أَمرٍ جامِعٍ لَّم يَذهَبوا حَتّىٰ يَستَئذِنوهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَأذِنونَكَ أُولٰئِكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللهِ وَرَسولِهِ ۚ فَإِذَا استَأذَنوكَ لِبَعضِ شَأنِهِم فَأذَن لِّمَن شِئتَ مِنهُم وَاستَغفِر لَهُمُ اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Mukminin tidak akan meminta izin untuk tidak menyertai peperangan kerana mereka percaya kepada janji yang Allah ﷻ telah berikan dan mereka amat berharap. Sifat mereka ini disebut juga di dalam Mukminoon:61

أُولٰئِكَ يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَهُم لَها سٰبِقونَ
mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.

Maknanya mereka tidak akan lepaskan peluang untuk mendapat kebaikan.

 

بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم

dengan harta dan diri mereka. 

Apabila arahan jihad dikeluarkan, orang mukmin mesti mesti bersedia untuk mengorbankan diri dan harta mereka. Ini kerana jihad memerlukan belanja yang besar. Kebanyakan mereka yang hendak berjihad itu memang akan mengeluarkan belanja sendiri. Bukan sahaja belanja untuk diri mereka malah harus menyiapkan belanja untuk keluarga mereka yang akan ditinggalkan. Maka ini memang memerlukan pengorbanan tinggi yang tidak sanggup dilakukan oleh golongan munafik yang kedekut dan amat sayangkan harta.

Bukan setakat keluarkan harta sahaja, malah diri sendiripun mesti berani untuk keluar berperang. Ini memang agak berat kerana mereka mungkin akan kehilangan nyawa. Akan tetapi kalau mereka percaya kepada janji Allah ﷻ, maka mereka sebenarnya berharap yang mereka akan mati di medan jihad. Inilah peluang mereka seandainya mereka benar-benar faham kerana jihadlah satu-satu jalan pintas ke syurga.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِالمُتَّقينَ

Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.

Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati manusia. Dia tahu siapa yang bertaqwa dan yang tidak. Cuma Allah ﷻ zahirkan siapa yang munafik dengan mengadakan kewajipan jihad. Ini kerana mereka yang tidak keluar berjihad tanpa alasan yang munasabah adalah tanda golongan munafik. Allah ﷻ tahu siapa yang beriman dan bertaqwa dan siapa yang munafik, cuma Allah ﷻ zahirkan kepada orang mukmin kerana orang mukmin tidak tahu apa yang di dalam hati manusia.


 

Tawbah Ayat 45:

إِنَّما يَستَئذِنُكَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَارتابَت قُلوبُهُم فَهُم في رَيبِهِم يَتَرَدَّدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Only those would ask permission of you who do not believe in Allāh and the Last Day and whose hearts have doubted, and they, in their doubt, are hesitating.

(MALAY)

Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguan.

 

إِنَّما يَستَئذِنُكَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, 

Allah ﷻ beritahu yang minta izin itulah yang munafik. Mereka nampak seperti Muslim tetapi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya iman.

 

وَارتابَت قُلوبُهُم

dan hati mereka ragu-ragu, 

Hati mereka ragu-ragu tentang agama Islam. Ada perkara yang mereka terima dan ada yang mereka tidak terima. Sebagai contoh, mereka tidak percaya kepada janji Allah ﷻ tentang jihad. Sebab itu mereka sanggup mencari alasan untuk tidak keluar berjihad.

 

فَهُم في رَيبِهِم يَتَرَدَّدونَ

kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguan.

Hati mereka goyah serta dalam kebimbangan kerana keraguan yang sudah ada dalam hati mereka. Apabila sudah diwajibkan jihad, mereka sudah bimbang. Mereka bimbang sebab mereka tidak mahu berjihad, tidak mahu susah, tidak mahu keluarkan harta mereka, tetapi kalau mereka tidak pergi, mereka takut pecah tembelang mereka. Maka hati sering berbolak balik mahu pergi kah atau tidak?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Mei 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 40 – 41 (Rasulullah ﷺ dan Abu Bakr رضي الله عنه dalam gua)

MEMBANTU RASULULLAH ﷺ

Tawbah Ayat 40:

إِلّا تَنصُروهُ فَقَد نَصَرَهُ اللَّهُ إِذ أَخرَجَهُ الَّذينَ كَفَروا ثانِيَ اثنَينِ إِذ هُما فِي الغارِ إِذ يَقولُ لِصٰحِبِهِ لا تَحزَن إِنَّ اللَّهَ مَعَنا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكينَتَهُ عَلَيهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنودٍ لَّم تَرَوها وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذينَ كَفَرُوا السُّفلىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُليا ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you do not aid him [i.e., the Prophet (s)] – Allah has already aided him when those who disbelieved had driven him out [of Makkah] as one of two,¹ when they were in the cave and he [i.e., Muḥammad (s)] said to his companion, “Do not grieve; indeed Allah is with us.” And Allāh sent down His tranquility upon him and supported him with soldiers [i.e., angels] you did not see and made the word² of those who disbelieved the lowest,³ while the word of Allah – that is the highest. And Allah is Exalted in Might and Wises

  • The second was his companion, Abu Bakr.
  • i.e., their claims and slogans.
  • i.e., degraded and dishonored.

(MALAY)

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (Musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah berserta kita”. Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya ke atasnya dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan menjadikan kalimah orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

إِلّا تَنصُروهُ فَقَد نَصَرَهُ اللَّهُ

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya

Ada jumlah muqaddar di sini, iaitu sesuatu yang mesti dijelaskan dengan ditambah lafaz pada ayat itu, jika tidak akan susah untuk faham. Di dalam ini sebenarnya Allah ﷻ hendak memberitahu, jika umat Islam tidak mahu menolong agama Allah ﷻ (dengan membantu Rasulullah ﷺ), tidak mengapa pun kerana Allah ﷻ dan Rasul-Nya memang tidak memerlukan mereka pun. Buktinya Allah ﷻ telah pernah menolong Nabi ﷺ.

Allah ﷻ akan tetap menolong baginda kalau mereka tidak mahu tolong baginda. Allah ﷻ maha berkuasa untuk membuat apa sahaja dan memenangkan agama Islam tanpa bantuan para sahabat. Cuma Allah ﷻ beri peluang sahaja kepada mereka untuk menyimpan saham bagi menyebarkan agama Islam ini dan memang mereka telah lakukan.

Sepatutnya umat Islam membantu Rasulullah ﷺ menjalankan misi baginda kerana misi itu dibebankan oleh Allah ﷻ. Akan tetapi jikalau tidak tolong, yang ruginya adalah umat, kerana Allah ﷻ beri peluang untuk umat Islam membantu supaya mendapat habuan daripada bantuan itu. Walau bagaimanapun jikalau tidak mahu tolong, Allah ﷻ sendiri pun sudah cukup untuk membantu baginda.

Secara umum pula, ayat ini bukan sahaja berkenaan menolong Rasulullah ﷺ, tetapi bagi kita ia merujuk juga kepada pemimpin (pemimpin negara) dan secara tidak langsungnya memang terkena kepada kitalah juga. Kita sekarang ini hendak menjalankan kerja dakwah untuk sebarkan agama Islam atau tidak? Kalau tidak ambil peluang, Allah ﷻ tetap akan sebarkan agama Islam ini dengan cara-Nya. Berapa ramai yang masuk Islam kerana mereka jumpa sendiri kelebihan agama Islam tanpa ada seorang pun berdakwah kepadanya? Ramai sekali.

 

إِذ أَخرَجَهُ الَّذينَ كَفَروا

ketika orang-orang kafir (Musyrikin Mekah) mengeluarkannya

Allah ﷻ beri contoh bagaimana Dia pernah bantu Rasulullah ﷺ. Iaitu ketika baginda ditentang kuat oleh Kafir Mekah, sehingga baginda terpaksa keluar berhijrah ke Madinah. Sebelum baginda keluar, para pemimpin Musyrikin Mekah telah bermesyuarat di Darun Nadwah (tempat mereka bersidang) dan mereka telah membuat keputusan sama ada hendak bunuh, tangkap atau usir baginda dari bumi Mekah.

Waktu itu Rasulullah ﷺ telah diarahkan oleh Allah ﷻ untuk berhijrah. Maka baginda telah bergerak dengan cara yang senyap untuk keselamatan. Perancangan baginda amat teliti sekali kerana Musyrikin Mekah sedang mengejar baginda dan mereka tidak mahu melepaskan baginda.

.

 

ثانِيَ اثنَينِ

sedang dia salah seorang daripada dua orang

Ketika baginda melarikan diri itu, baginda berdua sahaja, iaitu dengan Abu Bakr رضي الله عنه. Tidak perlu ramai orang pun untuk menemani baginda. Abu Bakr رضي الله عنهlah teman baginda yang bersama-sama melarikan diri, terpaksa menyembunyikan diri daripada ditangkap oleh musuh. Pada waktu itu Musyrikin Mekah sedang mencari-cari baginda dan mereka berdua terpaksa menjalankan helah untuk menyelamatkan diri. Keluarga Abu Bakr رضي الله عنهlah yang banyak membantu.

Ini boleh dipelajari secara lanjut daripada sirah Nabi. Cuma perlu ditekankan yang kisah ini perlu ‘pemutihan’ daripada yang biasa kita dengar. Selalunya kita sudah biasa dengar yang Nabi Muhammad ﷺ keluar berhijrah ke Madinah di malam hari, waktu itu Sayidina Ali رضي الله عنه yang menggantikan tempat tidur baginda, bukan?

Sebenarnya kisah ini tidak benar, kerana berdasarkan hadith yang ada dalam Sahih Bukhari, Nabi ﷺ berhijrah dari rumah Abu Bakr رضي الله عنه di siang hari (tengahari). Akan tetapi kisah Sayidina Ali رضي الله عنه itu telah ditambah daripada riwayat Syiah. Mereka memasukkan kisah palsu ini ke dalam sirah kerana mereka mahukan Sayidina Ali رضي الله عنه terlibat dalam sejarah besar ini. Walaupun tidak ada nama Sayidina Ali رضي الله عنه, mereka tetap sumbat juga bagi ada! Ini kerana pada mereka, Sayidina Ali رضي الله عنه itu adalah Imam mereka (yang mereka lantik ikut suka hati mereka sendiri) dan pada mereka berasa ralat pula bila Imam mereka tidak terlibat dalam peristiwa yang besar itu. Mereka hendak mencapai matlamat mereka, sampaikan mereka sanggup melakukan penipuan dalam sejarah!

 

إِذ هُما فِي الغارِ إِذ يَقولُ لِصٰحِبِهِ لا تَحزَن إِنَّ اللَّهَ مَعَنا

ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah berserta kita”.

Dalam mereka berdua melarikan diri, mereka telah berlindung di dalam Gua Thur, untuk menyelamatkan diri daripada pihak musyrikin yang mencari-cari mereka. Tempat perlindungan baginda itu bukanlah kubu yang kuat, tetapi sebuah gua sahaja yang pintunya bukan boleh ditutup. Ketika kedua-duanya berada dalam Gua Thur, musuh telah berada di sekeliling kawasan itu. Perjalanan mereka telah dikepung, sehingga mereka terpaksa melarikan diri memasuki gua. Mereka terpaksa bersembunyi dan menunggu selama tiga hari sampai tidak ada orang mengelilingi mereka lagi.

Mereka berdua tidak dapat terus pergi ke Madinah kerana musyrikin telah mengawal selia semua jalan. Ramai yang mencari-cari baginda kerana mereka ditawarkan upah yang lumayan untuk menangkap Nabi ﷺ. Semasa mereka di dalam gua itu, anak Abu Bakr رضي الله عنه yang bernama Asma’ yang menghantar makanan untuk Nabi ﷺ dan ayahnya.

Rasulullah ﷺ telah mengaturkan strategi dan pelbagai ikhtiar dengan menggunakan jalan rahsia dan bersembunyi di Gua Thur, namun dapat dijejak oleh kaum kafir Quraish sampai ke Gua Thur. Ini kerana mereka mempunyai ilmu mengesan tapak kaki sehingga jejak tapak kaki terhenti di hadapan Gua Thur. Dengan keadaan Gua Thur yang kecil jika tunduk sahaja pun sudah nampak orang ada atau tiada di dalamnya.

Ketika itu tentunya keadaan amat genting. Waktu itulah Nabi Muhammad ﷺ berkata kepada Abu Bakr رضي الله عنه seperti yang termaktub dalam ayat ini. Tentang benarkah yang dimaksudkan ‘seorang lagi teman’ itu adalah Abu Bakr رضي الله عنه, tidak ada khilaf dalam kalangan mufassir yang ia adalah Abu Bakr رضي الله عنه.

Sebab itulah Imam Malik رحمه الله telah mengeluarkan fatwa, sesiapa yang kata Abu Bakr رضي الله عنه telah kufur, orang itu telah kufur kerana ingkar dengan ayat ini. Maka bagaimana dengan pendapat Syiah yang mengatakan Abu Bakr رضي الله عنه telah murtad setelah Nabi Muhammad ﷺ wafat?

Semasa Musyrikin Mekah mencari-cari mereka berdua, sebenarnya mereka memang berada dekat sangat, sampaikan Abu Bakr رضي الله عنه boleh nampak kaki-kaki mereka dari dalam gua itu. Beliau berkata kepada baginda: “Seandainya salah seorang daripada mereka melihat ke arah bawah kakinya, nescaya dia akan dapat melihat kita berdua”. Abu Bakr رضي الله عنه waktu itu berasa amat takut sekali.

Nabi ﷺ jawab kepada Abu Bakr رضي الله عنه: “jangan bimbang”. Kita kena faham bahawa memang Abu Bakr رضي الله عنه waktu itu takut, tetapi bukan takut tentang dirinya sendiri namun beliau takut jika Nabi ﷺ yang akan dibunuh. Biasanya jikalau seseorang itu dikatakan takut, dia ‘takut’ atas dirinya sendiri, tetapi apabila dikatakan ‘bimbang’, maksudnya ke atas orang lain. Beliau takut Nabi Muhammad ﷺ yang ditangkap dan dibunuh kerana baginda seorang Rasul yang ditugaskan menyebarkan agama Islam.

Oleh kerana itu, Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya memberitahu kepada Abu Bakr رضي الله عنه, jangan bimbang atas diri baginda. Kata-kata ini ringkas sahaja tetapi ia datang dari hati yang tenang murni. Nabi Muhammad ﷺ berkata begitu kerana baginda tahu yang Allah ﷻ ada bersama mereka berdua (bersama dari segi ilmu, bukannya duduk sekali dalam gua itu pula). Allah ﷻ tidak akan membiarkan mereka ditangkap dan dibunuh.

Kita selalu sahaja mendengar kisah tentang labah-labah dan burung merpati membuat sarang, bukan? Kisah itu tidak benar, dongeng sahaja. Peristiwa Hijrah Rasulullah ﷺ dari Mekah ke Madinah itu diabadikan orang dalam sirah Rasulullah yang diperingati, dibaca, dipidatokan dan dihayati dari dahulu sampai sekarang. Akan tetapi kerana terpesona dengan peristiwa hijrah itu orang sampai terlupa kepada satu hakikat yang bukan hakikat, iaitu satu KHURAFAT yang tersembunyi di sebaliknya. Para ahli sejarah selama ini mencatatkan bahawa semasa di dalam gua Thur itu Rasulullah ﷺ dilindungi oleh BURUNG MERPATI dan LABAH-LABAH yang membuat sarang di pintu gua sehingga meyakinkan pemuda-pemuda Quraisy itu bahawa tiada sesiapa yang berada di dalam gua itu. Sehingga terselamatlah Rasulullah ﷺ dan sahabatnya Abu Bakar رضي الله عنه daripada buruan pemuda-pemuda Quraisy yang mengejar baginda.

Kisah dongeng masyhur kononnya merpati dan labah-labah melindungi Nabi dengan sarang ketika peristiwa Hijrah.

Demikianlah apa yang tertulis dalam sejarah dan telah menjadi keyakinan umum di seluruh dunia Islam, sehinggalah sarang Labah-Labah itu dijadikan lambang bagi peristiwa Hijrah itu. Sebenarnya kepercayaan tersebut tidaklah benar dan catatan sejarah itu menyimpang daripada hakikat sebenarnya. Walaupun ada hadith-hadith yang menyokong kepercayaan itu tetapi hadith-hadith itu semuanya tidak sahih belaka. Tiada satu hadith pun yang sahih tentang sarang labah-labah dan kewujudan dua ekor burung merpati, di mulut gua Thur, meskipun banyak disebut dalam sesetengah buku dan ceramah yang disampaikan bersempena sambutan Ma’al Hijrah. [Silsilah al-Ahadith al-Daifah, jilid 3, halaman 339]

 

فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكينَتَهُ عَلَيهِ

Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya ke atasnya

Allah ﷻ turunkan sakinah ke atas Abu Bakr رضي الله عنه. Kita tafsirkan yang lafaz عَلَيهِ (ke atasnya) itu merujuk kepada Abu Bakr رضي الله عنه kerana beliau yang berasa bimbang. Sedangkan Nabi ﷺ tidak bimbang. (Ada juga pendapat yang mengatakan dhomir dalam lafaz عَلَيهِ itu merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ).

Kalimah سَكينَةٌ berasal daripada katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Maka kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental.

Oleh itu sakinah bermaksud perasaan ketenangan dan Allah ﷻ berikan kepada beliau kerana beliau rasa bimbang dan juga sedih melihatkan keadaan Nabi ﷺ yang diperlakukan sedemikian – sedangkan baginda adalah orang yang paling mulia.

Beliau juga amat bimbang sekiranya Nabi ﷺ wafat, itu tentunya menjadi satu kerugian yang amat besar kerana baginda adalah Nabi dan beliau takut Islam tidak berkembang. Oleh kerana semua kerisauan yang dalam hati Abu Bakr رضي الله عنه itu, maka Allah ﷻ turunkan ketenangan kepadanya.

 

وَأَيَّدَهُ بِجُنودٍ لَّم تَرَوها

dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, 

Allah ﷻ telah kuatkan Nabi ﷺ dengan tentera yang manusia tidak dapat nampak. Iaitu Allah ﷻ telah menurunkan para malaikat untuk membantu baginda semasa di gua itu; dan bukan sahaja di gua itu sahaja, malah Allah ﷻ juga menurunkan malaikat di waktu-waktu peperangan lain untuk membantu tentera Muslim. Itu adalah salah satu cara bagaimana Allah ﷻ membantu baginda Nabi ﷺ.

Jelas sekali di sini yang Allah ﷻ hantar adalah para malaikat, bukannya labah-labah dan burung merpati seperti yang banyak disebut oleh orang kita.

 

وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذينَ كَفَرُوا السُّفلىٰ

dan menjadikan kalimah orang-orang kafir itulah yang rendah.

Maksudnya, Allah ﷻ telah menjadikan akidah syirik orang kafir itu duduk di bawah, rendah. Ia duduk luar dari hati manusia. Ia tidak akan berjaya, Islam pasti akan tetap menang.

 

وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُليا

Dan kalimat Allah itulah yang tinggi.

Allah ﷻ menjadikan kalimah-Nya duduk di tempat yang tinggi. Bukanlah Allah ﷻ menaikkan kalimah itu dari bawah ke atas, kerana kalimah Allah ﷻ tidak pernah rendah. Kalimat yang dimaksudkan adalah Kalimah Syahadah.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ Maha Perkasa, Dia boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki, dan tidak ada yang dapat mengalahkan-Nya. Kalau ada yang hendak membunuh agama Islam, bunuh kalimat-Nya, mereka tidak akan berjaya.

Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam merancang. Segala yang terjadi adalah dalam perancangan-Nya dan perancangan-Nya amat teliti dan pasti akan terjadi.


 

Tawbah Ayat 41: Ini adalah ayat targhib (galakan) kepada jihad. Dalam ayat sebelum ini, Allah telah beritahu kalau tidak menjalankan jihad, Allah akan seksa dan ganti dengan kaum lain, maka kenalah keluar berjihad. Sebelum kena tukar dengan kaum yang lain, baiklah berjihad di jalan Allah.

انفِروا خِفافًا وَثِقالًا وَجٰهِدوا بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم في سَبيلِ اللَّهِ ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Go forth, whether light or heavy,¹ and strive with your wealth and your lives in the cause of Allah. That is better for you, if you only knew.

  • i.e., young or old, riding or walking, in ease or in hardship – in all circumstances and conditions.

(MALAY)

Keluarlah kamu kamu berperang, baik dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

 

انفِروا خِفافًا وَثِقالًا

Keluarlah kamu kamu berperang, baik dalam keadaan ringan mahupun berat,

Kalimah خِفافًا bermaksud ringan dan ثِقالًا bermaksud berat. Ada banyak maksud yang boleh diambil daripada dua kalimah ini. Antaranya Allah ﷻ suruh umat Islam keluar menjalankan kewajipan jihad, sama ada dalam keadaan rasa ringan untuk berperang atau rasa berat hati. Perasaan berat dan ringan itu perasaan sahaja. Ringan juga boleh bermaksud muda dan berat bermaksud sudah tua; ringan boleh bermaksud tidak ada senjata dan berat boleh bermaksud berat dengan senjata.

Walau apa pun, kena keluar juga. Maka ini adalah arahan wajib terutama sekali pada Perang Tabuk kerana perang ini adalah perang yang wajib. Ini adalah perang yang disertai oleh orang awam, tidak sama dengan askar yang dibayar gajinya oleh kerajaan. Dalam sejarah Islam, bukan semua jihad itu wajib kerana pada peringkat permulaan Islam, jihad adalah sukarela sahaja.

Di dalam Perang Tabuk, Allah ﷻ mewajibkan golongan mukmin untuk berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ dalam keadaan apa pun, baik ia dalam keadaan ada semangat mahupun dalam keadaan malas, dan baik dalam keadaan sulit mahupun dalam keadaan mudah. Begitu juga, baik telah berusia lanjut mahu pun berusia muda, semuanya harus berangkat. Kerana itulah para sahabat, tetap juga pergi berperang walaupun pada usia mereka yang lanjut.

Ibnu Abu Najih telah meriwayatkan daripada Mujahid sehubungan dengan firman-Nya: Berangkatlah kalian, baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat. (At-Taubah: 41) Para sahabat mengatakan, dalam kalangan kami terdapat orang yang keberatan, orang yang mempunyai keperluan, orang yang miskin, orang yang sibuk, dan orang yang keadaannya mudah. Maka Allah ﷻ menurunkan firman-Nya menolak alasan mereka. Tiada lain bagi mereka kecuali harus berangkat, baik dalam keadaan ringan ataupun merasa berat. Yakni mereka tetap harus berangkat dalam keadaan apa pun yang mereka alami.

Setelah ayat ini diturunkan, para sahabat merasa keberatan dengan perintah itu. Maka Allah ﷻ memansukhnya dengan firman Allah ﷻ:

لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلا عَلَى الْمَرْضَى وَلا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ
Tidak dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, atas orang-orang yang sakit, dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. (At-Taubah: 91)

Maka pengecualian diberikan kepada orang yang benar-benar tidak mampu. Akan tetapi kalau mereka tidak ada alasan, mereka kena pergi sama ada mereka suka atau tidak. Namun kenapakah seolah-olah ada paksaan pula? Kerana ia adalah penting untuk dilakukan oleh umat Islam. Ia ada kepentingan untuk negara Islam dan juga untuk individu itu sendiri.

Allah ﷻ terus suruh pergi sebagai arahan yang wajib ditaati kerana manusia perlu diberi arahan dan desakan. Jika hendak ditunggu ada motivasi untuk buat, maka tidak akan jadi apa-apa kerana nafsu memang akan malas untuk membuat perkara yang baik. Nafsu akan mengarahkan kita untuk hidup senang lenang duduk makan kerepek depan TV sahaja. Oleh itu, arahan tegas perlu diberikan.

Begitu juga dalam kehidupan kita, jangan tunggu ada motivasi baru hendak buat kerana motivasi itu mungkin tidak akan datang-datang. Contohnya anda tahu anda kena beriadah untuk jaga kesihatan. Kalau tunggu semangat sampai, memang membuntatlah jawabnya badan anda kerana emosi anda akan timbang antara rehat tidur dan pergi jogging. Memang tidur akan menang. Maka otak kita kena ambil alih iaitu abaikan perasaan kita dan terus buat sahaja sebab kita secara intelek tahu yang memang perkara itu memang kena buat pun. Contoh lain: nak terus tidur atau bangun pergi sekolah/kerja? Nak belajar atau pergi main dengan kawan?

Kalau kita beri peluang kepada emosi kita untuk mengambil alih, maka hidup kita akan jadi porak peranda kerana emosi dan nafsu sentiasa akan pilih benda yang senang. Sebab itu saya sarankan anda membaca buku yang bertajuk ‘5 Second Rule’ yang amat menarik.

 

وَجٰهِدوا بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم في سَبيلِ اللَّهِ

dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah.

Yang penting adalah untuk keluar jihad kerana agama. Dan untuk berjihad, perlu mengeluarkan harta (kerana jihad memerlukan modal) dan kena diri sendiri keluar juga. Kena bawa diri sendiri untuk berperang. Tidaklah boleh hendak wakilkan orang lain pula seperti puak Syiah upah orang lain untuk pukul diri sampai luka itu.

Jihad qital itu ada dua kemungkinan: ada yang fardu dan ada yang kifayah. Ia menjadi fardu kifayah apabila sudah ada tentera kerajaan untuk keluar berjihad. Memang kalau tentera itu kerja mereka memang berperang dan mereka dibayar gaji untuk berperang. Akan tetapi ada juga jihad yang dinamakan nafrul am – semua rakyat yang mampu kena keluar jihad.

Ini seperti yang diwajibkan dalam Perang Tabuk, dan tidak ada keizinan untuk tinggal di rumah waktu itu, kecuali yang diberi kebenaran kerana ada keuzuran. Ini adalah kerana Perang Tabuk itu umat Islam mesti berhadapan dengan tentera kafir Rom yang ramai. Maka arahan itu adalah arahan wajib kerana memerlukan tentera yang ramai.

Masing-masing pasukan yang Muslim dan pasukan yang kufur akan ada rasa berat dan ringan. Akan tetapi pihak Muslim kena tabahkan hati dan terus sahaja ke medan perang. Ini kerana Allah ﷻ telah beri banyak arahan dan beri janji yang amat besar kepada mereka. Janji itu tidak ada bagi orang kafir kerana mereka keluar perang kerana keduniaan sahaja.

Dua perkara utama yang perlu dikorbankan dalam jihad adalah harta dan diri. Namun begitu dalam ayat Al-Qur’an, Allah ﷻ sebut harta dahulu. Ini kerana walaupun nyawa itu lebih bernilai, akan tetapi ia adalah pra-syarat untuk menjalankan jihad kerana jikalau tidak ada modal untuk keluar berjihad, maka diri sendiri pun tidak berguna.

Satu lagi, Allah ﷻ mulakan dengan sebut tentang harta, kerana itulah yang lebih mudah untuk dikeluarkan berbanding dengan nyawa.

Selain itu, kena pastikan jihad itu adalah في سَبيلِ اللَّهِ. Ia dinamakan ‘jalan Allah’ kerana jalan itu Allah ﷻ yang buat. Sekiranya kita ikut jalan itu, ia pasti membawa kita menuju kepada Allah ﷻ. Apabila jalan itu Allah ﷻ yang buat, maka kenalah ikut syarat-syarat yang Allah ﷻ telah tetapkan. Jangan buat jalan sendiri pula.

Kalau kita pada zaman sekarang tidak ada perang qital, maka kita jalankan usaha kita dengan cara lain. Iaitu jihad kita adalah dakwah yang kita kena sampaikan kepada manusia. Apabila perlu tenaga kita dalam menegakkan Islam, kita kena ke hadapan dan tawarkan diri. Jikalau bukan kita yang pertahankan Islam, siapa lagi?

Sebagai contoh, kalau ada yang buat fitnah tentang Islam, maka kitalah yang kena pertahankan agama Islam dengan berhujah dengan mereka yang membuat tohmahan itu; kalau ada aktiviti dakwah yang memerlukan sumbangan kita, berilah sumbangan itu. Maka kita kena sumbangkan ke arah menegakkan agama sama ada dengan tenaga kudrat kita atau dengan bantuan kewangan.

Sama juga seperti jihad perang, jihad dakwah juga memerlukan harta dan juga diri. Kadangkala untuk menjalankan jihad, kena ada modal untuk mencetak buku, risalah, makalah, sewa tempat, bayaran internet, dan lain-lain. Manakala diri itu bermaksud kita sendiri yang berhadapan dengan orang untuk menyampaikan dakwah. Cuma kadangkala bukan semua orang boleh bercakap, maka kita buat sekadar kemampuan kita. Kalau boleh menulis, maka tulis nasihat kepada manusia. Kalau tidak mampu, maka bantu orang yang pandai bercakap dan menulis itu sampaikan kepada orang lain.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Kalaulah kita tahu kelebihan yang ada dalam jihad ini, tentu kita tidak akan menahan diri kita. Tentu kita tidak berasa berat hati untuk berperang. Namun malangnya kadang-kadang iman kita lemah dan tidak nampak kelebihan yang Allah ﷻ telah janjikan. Ini kerana pahala itu ghaib, kita tidak nampak kecuali di akhirat kelak. Kita kena percaya sahaja dahulu semasa di dunia.

Maka ramai yang tidak menjalankan jihad kerana tidak yakin dengan janji Allah ﷻ kerana kita tidak nampak syurga dan balasan Allah ﷻ. Mungkin dari segi akademik, kita tahu yang ia adalah baik, akan tetapi kita tidak yakin benar, sebab itulah kita tidak buat, bukan? Contohnya semua orang tahu solat berjemaah bagi lelaki itu lebih baik, tetapi ramai yang tidak buat, bukan? Kerana pahala yang dijanjikan itu tidak nampak.

Maka beruntunglah orang yang yakin dengan janji Allah ﷻ dan mereka lakukan seperti yang Allah ﷻ suruh, sama ada mereka faham atau tidak, nampak atau tidak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Kisah tidak sahih

Tafsir Surah Naaziat Ayat 28 – 46 (Bilakah Hari Kiamat itu?)

Naaziat Ayat 28:

رَفَعَ سَمكَهَا فَسَوَّٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He raised its ceiling and proportioned it.

(MALAY)

Dia meninggikan bumbungnya lalu menyempurnakannya,

 

Allah ﷻ menaikkan bahagian langit yang paling tinggi itu sampai kita tidak nampak langsung. t adalah siling, iaitu bahagian tertinggi sesuatu bangunan. Ia dari katadasar س م ك yang bermaksud meningkatkan; naik; menjadi tinggi; bumbung; bahagian tertinggi dalam bangunan; kanopi; ketebalan. Ia digunakan sekiranya lebarnya kecil dan ketinggiannya tinggi. Ini berbeza dengan kalimah أمت yang digunakan apabila ketinggian itu tidak disebut mana yang lebih, tinggikah atau lebarkah. Ia digunakan dalam Naaziat:28 لا تَرىٰ فيها عِوَجًا وَلا أَمتًا

 

Ketinggian sesuatu bangunan bergantung kepada tingginya bahagian atasnya. Kalau bahagian atas / bumbung itu sudah ditinggikan, sampai kita tidak nampak pun hujung langit itu, maka itu sudah amat tinggi.

Dan selepas itu Allah ﷻ mencantikkannya sampai tiada langsung kekurangan. Jadi, mana satu agaknya yang susah hendak buat? Tentulah langit itu lagi susah hendak buat kalau hendak dibandingkan dengan manusia.


 

Naaziat Ayat 29:

وَأَغطَشَ لَيلَهَا وَأَخرَجَ ضُحَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He darkened its night and extracted its brightness.¹

  • i.e., created the day from within the surrounding darkness.

(MALAY)

dan Dia menjadikan malamnya gelap gelita, dan menjadikan siangnya terang benderang.

 

Kalimah أَغطَشَ adalah malam yang gelap di mana kita tidak boleh nampak apa di hadapan kita. Iaitu sudah tidak jelas apakah yang di depan kita, lembukah atau orangkah sebab sangat gelap. Ada banyak lafaz digunakan untuk gelapnya malam dalam Al-Qur’an, kerana kegelapan malam itu ada banyak peringkat.

Kalimah ضُحا pula adalah waktu siang yang terang, sampaikan senang kita hendak tengok sekeliling kita dengan jelas. Masyarakat kita biasa dengan dhuha kerana ramai yang suka Solat Dhuha. Solat Dhuha itu dinamakan begitu kerana dilakukan dalam waktu dhuha. Ia adalah waktu selepas subuh dan sebelum tengahari. Maka ia adalah waktu yang agak panjang.

Allah ﷻlah yang menjadikan malam itu gelap dan siang dalam cahaya. Siang dan malam itu tidak terjadi sendiri, tetapi Allah ﷻlah yang menentukan dan menguruskannya. Setiap pagi, matahari akan mengadap Allah ﷻ menunggu arahan Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ tidak benarkan matahari keluar, maka tidaklah ada siang hari itu.

Siang dan malam ini adalah satu imbalan bagaimana Allah ﷻ memasukkan manusia ke dalam cahaya kebenaran tauhid, keluar daripada cahaya kegelapan syirik. Begitulah wahyu, sebelum datang wahyu kepada manusia, tidak jelas manakah yang benar. Ini seperti malam yang kita tidak dapat nak tentukan mana lembu mana manusia. Maka waktu gelap dalam kejahilan adalah waktu tidak dapat hendak menentukan mana yang benar dan mana yang salah.

Manusia memang telah ada perasaan untuk beribadat kepada Tuhan (dari fitrah yang memang Allah ﷻ beri dalam diri manusia), tetapi tidak kenal Tuhan yang mana, bagaimana hendak melakukan ibadat kepada Tuhan itu. Maka Allah ﷻ bangkitkan para Rasul untuk mengajar manusia dan Allah ﷻ turunkan wahyu sebagai rujukan manusia.


 

Naaziat Ayat 30:

وَٱلأَرضَ بَعدَ ذَٲلِكَ دَحَٮٰهَآ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And after that He spread the earth.

(MALAY)

Dan bumi sesudah itu dihamparkan-Nya.

 

Selepas itu Allah ﷻ menjadikan bumi ini luas terbentang. Senang kita hidup di atas bumi ini, berjalan di atasnya dan melakukan pekerjaan.

Baru-baru ini (tahun 2017) ada pertelingkahan dalam media bagaimana ada pihak yang mengatakan sebenarnya bumi ini datar/leper/flat dan bukannya bulat (sfera) seperti yang kita diajar dari sekolah lagi. Pihak yang mengatakan demikian, mendakwa yang teori ‘Bumi adalah bulat’, adalah penipuan manusia paling besar sekali.

Ini adalah sesuatu yang pelik sampaikan ada kalangan umat Islam pun terbawa-bawa dalam pertelingkahan ini. Ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil yang bumi ini datar (flat). Mereka kata: lihat, dalam Al-Qur’an pun kata ayat kata dunia datar! Eh, nanti dulu….

Walaupun kita tidak dapat tahu dengan pasti, selagi kita tidak dapat pergi ke angkasa dan ambil sendiri gambar bumi ini, ayat ini juga digunakan sebagai dalil bahawa bumi ini bulat sebenarnya. Ini adalah kerana lafaz دحى digunakan untuk menceritakan telur burung unta (ostrich). Oleh itu, ramai yang mengatakan inilah dalil bahawa bumi ini adalah berbentuk sfera, dan bertepatan dengan pandangan sains yang majoriti. Allahu a’lam.

Oleh itu, maksud terbentang luas dan terhampar ini, bukanlah bermaksud bumi ini datar, tapi kerana besarnya bumi ini, kita tidak terasa kebulatan bumi ini. Kita rasa ianya terhampar luas sahaja kerana bumi ini besar sangat. Ayat ini juga boleh dijadikan sebagai peringatan bahawa kita semua akan dibangkitkan di tanah yang luas di Mahsyar kelak. Kita hidup di tanah yang luas dan akan dibangkitkan nanti di tanah yang luas juga.

Sebenarnya tidak ada dalil jelas dari Al-Qur’an dan Hadis sama ada bumi ini leper atau bulat. Kerana perkara ini tidak penting pun. Ramai yang bertelagah tentang perkara ini dan ini adalah sesuatu yang membuang  masa sahaja. Kerana ianya bukanlah perkara syariat.

Ayat Al-Qur’an yang sama digunakan oleh pihak yang mengatakan bumi sfera dan ayat yang sama juga digunakan oleh mereka yang mengatakan bumi leper. Tapi pendapat yang berbeza. Tapi dari angkasawan yang telah pergi ke angkasa, mereka semua kata yang bumi ini memang sfera. Maka inilah jawapan kita.

Semoga kita tidak terbabit dengan pertelingkahan yang tidak perlu ini (dan amat bodoh sekali). Tapi kalau ada yang mahu berpegang bumi ini leper, silakan; kalau hendak mengatakan bumi ini sfera seperti bola, silakan. Tidak ada masalah untuk kita kalau mereka nak kata leper atau sfera. Kita bukan angkasawan untuk tahu perkara ini dengan tepat.


 

Naaziat Ayat 31:

أَخرَجَ مِنہَا مَآءَهَا وَمَرعَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He extracted from it its water and its pasture,

(MALAY)

Dia memancarkan daripadanya mata airnya, dan (menumbuhkan) tumbuh-tumbuhannya.

 

Allah ﷻ mengeluarkan air dari bumi itu dalam bentuk mata air. Bukan sahaja Allah ﷻ turunkan air dari langit tetapi ada sumber air dari dalam tanah juga. Allah ﷻ turunkan air hujan dan air hujan itu disimpan dalam tanah untuk keperluan. Air adalah sumber kehidupan dan Allah ﷻ beri banyak sumber itu merata-rata.

Dari air itu, Allah ﷻ keluarkan tumbuh-tumbuhan dari bumi untuk kita. Dengan tumbuh-tumbuhan itu, kita dan haiwan boleh makan dan dapat hidup di muka bumi ini. Kalimah مَرعَ digunakan untuk merujuk kepada padang ragut sebagai tempat makanan bagi binatang ternak. Allah ﷻ bukan sahaja jadikan kita dan bumi, tetapi Allah ﷻ juga beri sumber kehidupan untuk kita.

Itulah maksud ‘Rabb’ ﷻ- Dia bukan sahaja cipta dan jadikan kita, tetapi Dia juga memelihara dan menjaga kita dari sebelum kita lahir lagi sampailah bila-bila. Segala keperluan kita seperti makanan diberi olehNya. Dalam ayat lain, kita diberitahu yang bumi ini adalah untuk kegunaan kita. Termasuklah dengan binatang dan tumbuh-tumbuhan itu.


 

Naaziat Ayat 32:

وَٱلجِبَالَ أَرسَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the mountains He set firmly

(MALAY)

Dan gunung-gunung dijadikan-Nya dengan teguh,

 

Kalimah أَرۡسَٮٰ asalnya bermaksud sauh yang dilabuhkan oleh kapal laut yang besar. Bila begitu, kapal itu tidak bergerak lagi. Ia bermaksud yang Allah ﷻ mengukuhkan gunung-ganang supaya tidak bergerak. Kalau dalam ayat Naba’:7, disebut bagaimana gunung-ganang itu sebagai ‘pasak’. Kalau sudah jadi pasak, maka ianya teguh tidak bergerak. Ianya adalah sesuatu yang besar dan menakjubkan kalau kita tengok.

Orang-orang Arab pun terpesona dengan gunung, kerana itulah Allah ﷻ banyak sebut dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ kaitkan hujahNya dengan perkara-perkara yang mereka biasa lihat, yang mereka suka dan mereka pandang tinggi.


 

Naaziat Ayat 33: 

مَتَـٰعًا لَّكُم وَلِأَنعَـٰمِكُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As enjoyment [i.e., provision] for you and your grazing livestock.

(MALAY)

(semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu.

 

Segala apa yang ada atas bumi ini adalah untuk kegunaan kita. Perkataan مَتاعًا adalah sesuatu yang kita gunakan, tetapi tidaklah bernilai mana. Seumpama kain buruk untuk membasuh pinggan. Ianya adalah untuk kegunaan sahaja, tetapi tidaklah kalau ianya hilang, kita resah gelisah, bukan?

Begitulah, dunia dikatakan sebagai tempat untuk kita tinggal dan gunakan segala yang ada tetapi jangan letak dalam hati sangat. Iaitu tidaklah sampai ianya kita fikirkan sangat, kejar sampai tertinggal tentang akhirat pula. Kerana akhirat itu lebih kekal dan lebih hebat lagi dari dunia.

Malangnya, ramai yang terperangkap dengan keindahan dunia sampaikan terlupa tentang akhirat. Maka kena selalu tadabbur Al-Qur’an supaya kita tidak terkesan sangat dengan dunia.


 

Naaziat Ayat 34: Dan sekarang masuk kepada perenggan yang baru dan kita dapat tahu dari perubahan ritma ayat. Ayat 34 – 41 adalah Perenggan Makro Kelima dan ia mengandungi ancaman azab kepada pendusta yang engkar dan ganjaran nikmat untuk orang yang bertaqwa.

فَإِذَا جَآءَتِ ٱلطَّآمَّةُ ٱلكُبرَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when there comes the greatest Overwhelming Calamity¹ –

  • i.e., the Day of Resurrection.

(MALAY)

Maka apabila malapetaka yang sangat besar (hari kiamat) telah datang.

 

Apabila datang berita yang besar. Kalimah فَإِذَا bermaksud ia datang dengan tiba-tiba. Dan kalimah جَآءَ pula bermaksud datangnya perkara yang besar. Iaitu satu berita yang besar. Apakah berita itu?

Lafaz الطّامَّةُ dari katadasar ط م م yang bermaksud sesuatu yang sudah penuh sangat dalam bekasnya sampai melimpah. Ianya adalah sesuatu yang melimpah dan di sini Allah hendak menceritakan keadaan Kiamat yang penuh dengan kesusahan di mana-mana.

Ianya adalah peristiwa yang besar dan menyusahkan sangat. Ditambah pula dengan kalimah ٱلۡكُبۡرَىٰ untuk menambah kedahsyatan kejadian itu. Kejadian pada hari itu amat dahsyat sekali. Semoga kita diselamatkan dari menyaksikannya.


 

Naaziat Ayat 35:

يومَ يَتَذَكَّرُ ٱلإِنسَـٰنُ مَا سَعَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day when man will remember that for which he strove,

(MALAY)

Pada hari (ketika) manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya,

 

Manusia akan melihat apa kesan perbuatan mereka yang mereka telah usahakan, sibukkan semasa kehidupan mereka di dunia. Lafaz سَعىٰ bermaksud yang disibukkan, yang diusahakan bersungguh-sungguh. Macam kita melakukan saie semasa ihram memang kena berlari-lari anak. Itu tanda usaha yang banyak.

Manusia di akhirat nanti akan ingat balik semua sekali yang dia telah buat semasa di dunia. Dari segi bahasa, apabila digunakan wazan يَتَذَكَّرُ, itu bermaksud manusia akan ingat semua sekali, bukan sikit-sikit. Ingatan kita mungkin tidak kuat semasa di dunia, tetapi di akhirat nanti kita akan ingat semua, tambahan pula akan ditunjukkan segala perbuatan kita dalam Kitab Amalan kita. Maka tidak ada peluang untuk ‘buat-buat lupa’.

Maka akan teringatlah, dahulu mereka kelam kabut untuk buat benda yang disukai semasa di dunia: hendak kejar harta, jaga harta, luangkan masa dengan keluarga, melancong ke sana sini, beli belah sana sini. Mereka sibuk sangat dengan dunia sampai tinggalkan akhirat, tidak hiraukan agama dan tidak beramal untuk disimpan di akhirat. Waktu itu adalah penyesalan yang amat sangat.


 

Naaziat Ayat 36:

وَبُرِّزَتِ الجَحيمُ لِمَن يَرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Hellfire will be exposed for [all] those who see –

(MALAY)

dan diperlihatkan neraka dengan jelas kepada setiap orang yang melihat.

 

Neraka jahanam akan dikeluarkan untuk ditunjukkan di Mahsyar yang akan melihatnya. Lafaz بُرِّزَ maksudnya sesuatu yang ditarik dan ditunjukkan di hadapan seseorang. Neraka nanti akan ditarik oleh para malaikat dengan 70 ribu tali; dan setiap tali akan ditarik oleh 70 ribu malaikat.

Perkataan الجَحيمُ asalnya bermaksud mata binatang yang bersedia untuk menerkam. Binatang itu pula sedang melihat dengan mata yang lapar. Sama seperti api yang bersedia untuk menyambar manusia. Itulah perumpamaan neraka itu. Kerana neraka telah bersedia untuk menerkam penghuninya (yang akan bakal masuk ke dalam neraka). Pemandangan yang sebenarnya nanti tentulah lebih menakutkan lagi.

Neraka Jahannam akan diperlihatkan kepada orang kafir dan yang derhaka. Akan ditunjukkan dengan jelas kepada mereka kerana dahulu mereka tidak percaya kerana mereka kata mereka tidak nampak dan tidak dapat bayangkan tentang neraka yang disebut-sebut itu.

Oleh itu, neraka itu akan ditunjukkan kepada mereka terus. Adakah yang tidak percaya neraka lagi waktu itu? Seolah-olah dikatakan kepada mereka: “Nah sekarang sudah nampak, tak percaya lagi?”


 

Naaziat Ayat 37: Setelah diterangkan sedikit tentang Neraka itu, sekarang akan diberitahu siapakah yang akan menghuninya. Semoga kita tidak termasuk penghuninya. Maka kita kena belajar sifat-sifat ahli neraka dan jauhkan diri kita darinya.

فَأَمّا مَن طَغىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So as for he who transgressed

(MALAY)

Adapun orang yang melampaui batas,

 

Neraka itu adalah untuk mereka yang melampaui batas. Allah ﷻ tidak sebut ‘untuk orang kafir’. Kerana sifat yang ditekankan adalah mereka yang derhaka dan melampau batas.

Contoh kesalahan yang telah dilakukan Firaun telah diberikan. Tetapi sesiapa sahaja boleh jadi macam dia. Iaitu mereka yang derhaka semasa hidup di dunia. Yang paling teruk adalah melampau dalam akidah. Perkara yang tidak ada dalam akidah, ditambah-tambah. Maka kalau orang Muslim pun, tapi menambah dan reka perkara yang tidak ada dalam syariat, pun akan masuk neraka juga.


 

Naaziat Ayat 38:

وَءَاثَرَ ٱلحَيَوٰةَ ٱلدُّنيَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And preferred the life of the world,

(MALAY)

dan lebih mengutamakan kehidupan dunia,

 

Dan satu lagi sifat mereka ialah mereka melebihkan dunia dari akhirat. Mereka bukannya tidak terima dan tidak percaya kepada akhirat, tetapi mereka melebihkan dunia. Oleh itu, melebihkan dunia sahaja pun sudah ada masalah.

Oleh itu kita kena melebihkan akhirat berbanding dunia. Dan mereka yang engkar dan tidak taat kepada ajaran agama adalah kerana mereka melebihkan dunia. Mereka terlalu tertarik dengan keindahan dunia.

Oleh itu, kita kena faham, surah ini bukan tentang percaya atau tidak kepada akhirat. Tetapi tentang melebihkan satu atas lainnya. Malangnya, ramai dari manusia melebihkan dunia dari akhirat, dan kerana itu ramai yang terperangkap.

Dan ini adalah bahaya kerana Muslim yang sudah percaya kepada akhirat pun boleh jatuh ke dalam perangkap ini. Semua tahu tentang agama Islam, tentang syurga dan neraka, tapi kehidupan mereka tidak menunjukkan mereka beriman, tidak menunjukkan yang mereka sedar yang mereka akan dibicarakan di Mahsyar kelak.

Kita boleh lihat mereka ini tidak kisah apa yang mereka akan lalui di akhirat kelak. Dan kita boleh lihat mereka ini tidak buat persediaan untuk akhirat.


 

Naaziat Ayat 39: Apakah kesudahan mereka? Ayat ini adalah takhwif ukhrawi.

فَإِنَّ الجَحيمَ هِيَ المَأوىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then indeed, Hellfire will be [his] refuge.

(MALAY)

maka sesungguhnya neraka lah tempat tinggal(nya).

 

Nerakalah tempat ‘istirehat’ bagi mereka yang sebegitu. Dari segi bahasa, المَأوىٰ sepatutnya adalah tempat yang kita gunakan untuk berlindung dari bahaya dan berehat. Tetapi jadi sebaliknya pula bagi mereka yang engkar. Tentulah neraka itu bukan tempat istirehat.

Maka sebenarnya Allah ﷻ sedang menyindir mereka dalam ayat ini dengan menggunakan kalimah المَأوىٰ. Kerana Musyrikin Mekah itu juga telah mengejek seperti yang kita baca di awal surah ini. Kalau mereka terus tidak beriman, maka mereka akan terus kekal dalam neraka.


 

Naaziat Ayat 40: Ini pula tentang mereka yang selamat. Maka ayat ini adalah tabshir ukhrawi.

وَأَمّا مَن خافَ مَقامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفسَ عَنِ الهَوىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for he who feared the position of his Lord and prevented the soul from [unlawful] inclination.

(MALAY)

Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya,

 

Ini adalah tentang mereka yang takut untuk berdiri di hadapan Allah ﷻ dan oleh itu mereka menahan nafsu mereka. Bukan ‘nafsunya’, akan tetapi nafsu dengan alif lam seolah-olah nafsu itu adalah satu elemen yang di luar dari dirinya. Seolah-olah ianya adalah musuh kita.

Ini adalah kerana nafsu itu selalu mengajak kepada kehendaknya dan selalunya kalau tidak dikawal, ia membahayakan. Oleh itu, kita kena lihat nafsu itu sebagai satu musuh yang kita kena berhati-hati dengannya. Hawa nafsu mempunyai keinginan yang kosong. Mereka yang takut mengadap Tuhan ﷻ akan tahan jiwanya dari ikut kehendak nafsu yang melanggar syarak.

Jiwa pula adalah diri yang duduk di tengah. Ia boleh ikut ilham malaikat yang mengajak kepada kebaikan atau ikut nafsu dan syaitan yang mengajak kepada keburukan. Maka jiwa ini selalu terkontang kanting – sekejap jadi baik dan sekejap jadi jahat. Kerana ia selalu dipujuk oleh kebaikan dan juga keburukan.

Kehendak nafsu kita ada banyak. Dan nafsulah yang menjadikan kita manusia. Kalau tidak ada nafsu, bukan manusialah jawapnya. Memang Allah ﷻ telah bekalkan kita dengan nafsu ini. Dan kehendak nafsu tidaklah semuanya salah.

Sebagai contoh, dengan kehendak nafsu kepada hubungan lelaki dan wanitalah keturunan manusia dapat berterusan. Kalau tidak ada nafsu langsung kepada jantina lain, tidak adalah anak beranak. Tetapi nafsu itu perlu dijaga, supaya tidak melanggar batas-batas syarak. Perhubungan lelaki dan wanita tidaklah salah kalau ianya diikat dengan ikatan nikah. Yang jadi salahnya, kalau ikut terus nafsu itu dan melampiaskannya tanpa pernikahan yang sah (zina).

Kenapa kita kena takut untuk mengadap Tuhan ﷻ? Kerana kita orang yang banyak dosa dan kita tidak tahu sama ada kita akan selamat atau tidak. Jangan kita rasa selamat. Kita kena selalu takut kalau-kalau kita ada melakukan kesalahan dan kerana itu kita kena sentiasa meminta ampun kepada Allah ﷻ dan cuba memperbaiki diri kita dari masa ke semasa.


 

Naaziat Ayat 41: Apakah balasan bagi mereka yang takut berdiri di hadapan Allah ﷻ dan kerana itu mereka menjaga nafsunya?

فَإِنَّ الجَنَّةَ هِيَ المَأوىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then indeed, Paradise will be [his] refuge.

(MALAY)

maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya).

 

Bagi mereka yang menjaga nafsunya, tempat istirehatnya adalah di syurga. Inilah yang kita hendak dengar dan kita kena harapkan. Segala apa yang kita lakukan di dunia ini, hendaklah kita ingat yang tujuan kita adalah kembali ke syurga, tempat asal bapa kita, Nabi Adam عليه السلام.

Dapatkan keinginan untuk masuk ke dalam syurga dengan belajar tentang ayat-ayat dan hadis yang menceritakan tentang syurga. Supaya kita mendapat gambaran ringkas tentang syurga itu dan membina semangat kita untuk sampai kepadanya.

Surah ini bukan tentang percaya atau tidak kepada akhirat. Tapi tentang melebihkan dunia atas akhirat. Ada Muslim yang sudah percaya kepada akhirat, tapi mereka hanya buat persediaan untuk dunia, tapi bersedia untuk akhirat. Maka mereka ditegur dalam surah ini.


 

Naaziat Ayat 42: Ini adalah perenggan baru kerana kita boleh lihat bagaimana hujung ayat diakhiri dengan ritma ها pula. Ini adalah perenggan terakhir sekali. Ayat 42 – 46 adalah Perenggan Makro Keenam dan terakhir surah ini. Ia menceritakan yang orang yang takutkan Allah akan bersiap sedia menghadapi Hari Akhirat.

Ayat 42 ini adalah Ayat Zajrun.

يَسـٴَـلُونَكَ عَنِ ٱلسَّاعَةِ أَيَّانَ مُرسَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They ask you, [O Muḥammad], about the Hour: when is its arrival?¹

  • Literally, “resting” or “establishment.”

(MALAY)

(Orang-orang kafir) bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari kebangkitan, bilakah akan terjadinya?

 

Orang kafir mengejek dan memperlekehkan  berita tentang Hari Kiamat dengan bertanya kepada Nabi Muhammad  ﷺ, bilakah akan terjadinya hari kiamat itu? Mereka kata, kalau benar sangat ia akan terjadi, bila pula akan terjadinya?

Mereka tanya itu bukan kerana hendak tahu tetapi kerana hendak mengejek kerana mereka memang tidak percaya.

Lafaz مُرساها telah digunakan dalam ayat sebelum ini (ayat 32) untuk menceritakan bagaimana keadaan gunung itu tetap. Dan ia digunakan di sini juga. Mereka tanya (dengan nada mengejek) bilakah Hari Kiamat itu akan jadi ‘tetap’.


 

Naaziat Ayat 43: Bolehkah Nabi Muhammad ﷺ menjawab bilakah terjadinya Kiamat?

فِيمَ أَنتَ مِن ذِكرَٮٰهَآ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In what [position] are you that you should mention it?¹

  • Meaning that Muḥammad () had no knowledge of it, so how could he inform them?

(MALAY)

Siapakah kamu (maka) dapat menyebutkan (waktunya)?

 

Tugas Nabi ﷺ adalah untuk memberi peringatan kepada umatnya tentang Hari Kiamat. Bukanlah tugasnya untuk beritahu bilakah ianya akan terjadi. Baginda tidak tahu dan baginda pun tidak perlu tahu pun bilakah ianya akan terjadi. Kerana tidak ada sesiapa yang tahu bilakah ianya akan terjadi, hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu.

Bila berlaku peristiwa itu tidak penting. Yang penting adalah apakah persediaan kita untuk menghadapi hari itu.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ berpaling dan khitab (berkata) kepada Nabi ﷺ dan tanya baginda: Siapa kamu yang boleh beritahu bila Kiamat akan terjadi? Setinggi-tinggi kedudukan baginda pun tidak tahu bilakah ianya akan terjadi.

Malah, Jibrail عليه اليلام pun tidak tahu bilakah ia akan terjadi. Sebab itulah ketika Jibril عليه السلام bertanya kepada Rasulullah ﷺ, maka baginda ﷺ. menjawabnya dengan perkataan:

“مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ”.

Tidaklah orang yang ditanya mengenai waktu kedatangannya lebih mengetahui daripada orang yang menanyakannya.

Hadis ini dari hadis yang lebih panjang lagi tentang iman, Islam dan ihsan. Hadis itu adalah hadis yang terkenal dikenali dengan nama ‘Hadis Jibril’ iaitu apabila Jibril datang menemui Nabi ﷺ dalam rupa seorang lelaki.

Maksud hadis ini, yang ditanya (Nabi Muhammad ﷺ) tidak tahu, dan yang bertanya (Jibrail عليه السلام) pun tidak tahu juga bilakah Kiamat itu akan terjadi. Kalau diumumkan maksud hadis ini, tidak kira siapa yang bertanya dan siapa yang ditanya, tidak ada sesiapa pun yang tahu, dari dulu sampai bila-bila.

Oleh itu, kita tidak perlu malu kalau kita tidak tahu bilakah ia akan terjadi. Ia dalam rahsia Allah ﷻ dan ia boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Oleh itu, kenalah kita sentiasa bersedia.


 

Naaziat Ayat 44:

إِلَىٰ رَبِّكَ مُنتَہَٮٰهَآ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To your Lord is its finality.¹

  • i.e., its destination and termination. And to Him belongs ultimate knowledge of it.

(MALAY)

Kepada Tuhanmulah dikembalikan kesudahannya (ketentuan waktunya).

 

Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu bilakah Kiamat akan terjadi. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Dan ini boleh diketahui dari susunan lafaz ayat ini: apabila lafaz إِلىٰ diletakkan sebelum lafaz رَبِّكَ, ia menunjukkan takhsis (eksklusif) – maksudnya hanya Allah ﷻ sahaja.

Lafaz مُنتَها dari katadasar ن ه ى yang bermaksud menahan, memberhentikan. Maksudnya Allah ﷻ memberhentikan perbincangan tentang bilakah terjadinya Kiamat – maklumat itu berhenti pada Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu konklusinya. Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah ia akan terjadi. Maka tidak perlu kita sibuk-sibuk lagi tentang tarikhnya ia akan terjadi. Berhentilah dari bertanya.


 

Naaziat Ayat 45: Kalau Nabi Muhammad ﷺ pun tidak tahu bilakah terjadinya Hari Kiamat itu, jadi apakah tugas baginda?

إِنَّمَآ أَنتَ مُنذِرُ مَن يَخشَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You are only a warner for those who fear it.

(MALAY)

Kamu hanyalah pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya (hari berbangkit)

 

Ditekankan di sini bahawa Nabi ﷺ adalah sebagai pemberi peringatan kepada mereka yang takutkan Hari Kiamat itu sahaja. Nabi ﷺ tidak boleh beritahu bilakah ianya akan terjadi, tetapi baginda kena ingatkan kepada manusia tentangnya. Kerana Nabi ﷺ kena beritahu yang ia pasti akan terjadi. Dan kita pun kena sambung tugas Nabi ﷺ itu untuk menyampaikannya kepada manusia.

Peringatan akan diberikan kepada semua orang, tapi yang boleh terima dan mendidik jiwanya adalah mereka yang ada perasaan takut sahaja dalam hatinya. Iaitu takut kepada Allah ﷻ dan juga takut kepada Hari Akhirat.

Memang selalu disebut tentang takut dalam surah ini. Ini adalah kerana ini adalah sifat yang penting yang perlu ada dalam diri hamba. Kerana kalau ada perasaan akut, maka kita akan takut untuk melakukan dosa.


 

Naaziat Ayat 46:

كَأَنَّہُم يَومَ يَرَونَہَا لَم يَلبَثُوٓاْ إِلَّا عَشِيَّةً أَو ضُحَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It will be, on the Day they see it,¹ as though they had not remained [in the world] except for an afternoon or a morning thereof.

  • i.e., the Hour, the Resurrection.

(MALAY)

Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu sore atau pagi hari.

 

Ada jumlah muqaddar (tambahan) dalam ayat ini. Ayat ini menceritakan perasaan mereka yang engkar nanti di akhirat. Apabila dibandingkan hari akhirat dan dunia nanti, seolah-olah mereka akan rasa pendek sangatlah rasa hidup masa kita di dunia ini. Kerana dek lamanya menunggu di Mahsyar nanti.

Kalimah عَشِيَّةً – waktu antara matahari tenggelam sampai waktu Maghrib. Waktu itu keadaan menjadi semakin gelap.

Kalimah ضُحا – waktu pertengahan pagi sampai ke tengahari.

Kedua-dua waktu itu adalah pendek sahaja. Padahal manusia hidup di dunia, mungkin sampai 60 tahun. Tetapi kerana lama sangat Hari Akhirat itu, bermula dari dibangkitkan, perkumpulan di Mahsyar, mereka akan rasa kehidupan mereka yang di dunia dahulu itu selama waktu hujung petang atau hujung pagi sahaja.

Ini adalah kerana masa itu relatif dalam fikiran kita. Tentu kita perasan, kalau kita buat perkara yang kita suka, masa akan terasa pendek tetapi kalau kita sedang menghadapi perkara yang kita tidak suka, masa akan terasa lama sangat. Begitulah nanti di akhirat kelak. Rasa dunia ini sekejap sahaja.

 

Allahu a’lam. TAMAT SURAH NAAZIAT. Sambung ke surah seterusnya, Surah Abasa.

Kemaskini: 24 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir