Tafsir Surah Tawbah Ayat 61 – 63 (Puak munafik berolok-olok)

MENGKRITIK RASULULLAH ﷺ

Tawbah Ayat 61: Di dalam ayat 58 sebelum ini telah disebut golongan munafik menghina Nabi ﷺ kononnya tidak berlaku adil dalam pembahagian harta. Sekarang disebut satu lagi penghinaan mereka terhadap baginda.

وَمِنهُمُ الَّذينَ يُؤذونَ النَّبِيَّ وَيَقولونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُل أُذُنُ خَيرٍ لَّكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤمِنُ لِلمُؤمِنينَ وَرَحمَةٌ لِّلَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم ۚ وَالَّذينَ يُؤذونَ رَسولَ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among them are those who abuse the Prophet and say, “He is an ear.”¹ Say, “[It is] an ear of goodness for you that believes in Allah and believes the believers and [is] a mercy to those who believe among you.” And those who abuse the Messenger of Allah – for them is a painful punishment.

  • i.e., one who believes everything he hears.

(MALAY)

Di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan: “Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya”. Katakanlah: “Dia mempercayai semua yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah, mempercayai orang-orang mukmin, dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.

 

وَمِنهُمُ الَّذينَ يُؤذونَ النَّبِيَّ

Di antara mereka ada yang menyakiti Nabi

Yang dimaksudkan adalah puak munafik itu. Ada dalam kalangan mereka yang menyakiti Nabi ﷺ dengan perkataan mereka. Mereka tidak menghormati Nabi ﷺ dan mereka tidak beradab dengan Nabi ﷺ. Ada kata-kata mereka yang menyakitkan hati Nabi ﷺ.

Begitulah teruknya perangai orang munafik itu. Mereka sanggup mengatakan perkara yang tidak baik tentang Rasul mereka sendiri. Walau bagaimanapun bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja kena perkara ini malah Nabi Musa عليه السلام pun kena juga seperti disebut di dalam Saf: 5

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?”

Pengajaran kepada kita adalah kalau para Rasul pun disakiti, maka apa sangatlah kalau kita pun disakiti juga? Lumrah manusia memang suka mengutuk orang lain dan itu adalah perbuatan biasa bagi orang jahil. Maka tidak perlu dipedulikan sangat kata-kata orang jahil. Samakan sahaja seperti kata budak-budak hingusan yang tidak tahu apa-apa.

Juga mengajar kita yang semakin tinggi dan mulia orang itu, semakin dia akan disakiti. Begitulah yang berlaku kalau kita menjalankan kerja dakwah. Memang menjadi sunnatullah akan ada sahaja penentang kalau kita berdakwah. Yang menjadi pelik kalau kita dakwah punya dakwah, semua orang suka, semua orang sayang. Ini menandakan ada masalah dengan dakwah kita kerana dakwah kita itu tidak mengetuk hati mereka.

 

وَيَقولونَ هُوَ أُذُنٌ

dan mereka mengatakan: “Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya”.

Daripada lafaz ini, mereka kata Nabi ﷺ ‘banyak telinga’. Iaitu sangat terbuka, dengar semua, percaya semua. Maksudnya mereka kata Nabi Muhammad ﷺ dengar sahaja apa yang mereka katakan dan tidak ada apa-apa balasan daripada Nabi ﷺ. Ia membawa maksud Nabi ﷺ mudah dengar. Maksud mereka, Nabi ﷺ percaya sahaja apa sahaja yang mereka cakap kepada baginda. Atau dalam erti kata lain, mereka kata Nabi ﷺ ‘lurus bendul’. Ini tentunya menyakitkan hati baginda apabila ia sampai kepada baginda tentang hal ini.

Pada mereka, apabila mereka datang jumpa Nabi ﷺ dan beri alasan apa sahaja, Nabi ﷺ akan terima. Mereka kata tentu Nabi ﷺ akan benarkan sahaja. Mereka pandang rendah sahaja kepada Nabi ﷺ yang ikut sahaja apa yang mereka kata.

Imam Abu Ja’far al-Tabari رحمه الله berkata: “Bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah ﷺ yang dengan perkataan mereka: “Bahawa dia (Nabi Muhammad ﷺ) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”, dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai baginda, dan mereka yang berkata dengan mulut yang celupar dan batil, bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah ‎ﷻ di dalam neraka Jahanam.”

 

قُل أُذُنُ خَيرٍ لَّكُم

Katakanlah: “Dia mempercayai semua yang baik bagi kamu,

Yang munafik itu kutuk adalah Nabi ﷺ namun baginda senyap sahaja. Akan tetapi Allah ‎ﷻ yang jawab dalam ayat Al-Qur’an ini. Ini sama seperti kes Abu Lahab kutuk baginda, tetapi Allah ﷻ yang jawab dalam Surah Masad. Selain itu pernah para sahabat duduk lama melepak di rumah Nabi ﷺ selepas kenduri sampai Nabi ﷺ tidak selesa, pun Nabi ﷺ tidak bercakap apa-apa tetapi Allah ﷻ sebut di dalam Surah Hujurat menegur mereka. Begitulah sayangnya Allah ﷻ terhadap Nabi ﷺ.

Allah ﷻ beritahu yang Nabi ﷺ memang mudah dengar dan tidak menjawab balik segala apa yang mereka kata. Baginda tidak peduli apa sahaja orang kata. Selalunya baginda diam sahaja, tidak menzahirkan tindak tanduk tidak suka kepada apa yang mereka katakan. Itu lebih-lebih lagi kepada orang jenis munafik kerana baginda mengharapkan mereka akan beriman. Baginda tidak mahu mereka ada alasan untuk tidak suka kepada baginda.

Allah ﷻ suruh beritahu, dengan sebab Nabi ﷺ dengar sahaja, itu lebih baik bagi mereka. Baguslah kalau Nabi ﷺ tidak cakap apa-apa dan membongkar apa yang ada dalam hati mereka. Memang Nabi Muhammad ﷺ pun menilai dari segi zahir sahaja kerana baginda pun tidak tahu apa yang ada di dalam hati mereka. Maka baguslah Nabi ﷺ tidak tegur mereka kerana kalau Nabi ﷺ tegur dan bongkar, tentu mereka akan malu pula nanti.

 

يُؤمِنُ بِاللَّهِ

dia beriman kepada Allah

Sifat Rasulullah ﷺ begitu kerana baginda beriman kepada Allah ﷻ.

 

وَيُؤمِنُ لِلمُؤمِنينَ

dan dia mempercayai orang-orang mukmin,

Baginda yakin kepada orang mukmin. Tidaklah maksud potongan ayat ini yang Nabi ﷺ ‘beriman’ pula dengan orang mukmin kerana huruf ل digunakan (لِلمُؤمِنينَ) dalam ayat ini sedangkan kalau ‘beriman kepada’ Allah ﷻ, huruf ب digunakan (بِاللَّهِ).

Maksud Nabi ﷺ yakin itu adalah Nabi ﷺ percaya dengan apa yang diberitahu oleh orang Muslim. Baginda senang untuk percaya kepada mereka, tidaklah baginda ada rasa tidak percaya kepada mereka. Maka, bila mereka datang dan beritahu kepada baginda, baginda terus terima sahaja. Baginda pun tidak boleh membaca hati manusia, maka Nabi ﷺ tidak tahu apakah mereka buat alasan sahaja atau benar-benar ikhlas.

 

وَرَحمَةٌ لِّلَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم

dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”.

Allah ﷻ mengingatkan bahawa Rasulullah ﷺ itu adalah sebagai rahmat untuk orang beriman dalam kalangan mereka. Terlalu besar rahmat besar untuk mereka kerana Nabi ﷺ ada dalam kalangan mereka. Mereka dapat menyaksikan sendiri akhlak Nabi ﷺ dan dapat belajar terus daripada baginda. Itu adalah kelebihan mereka yang tidak dapat dirasa oleh orang selepas mereka.

Baginda mempunyai rahmat yang diberikan oleh Allah ﷻ. Dengan rahmat itulah baginda lembut sahaja tindakannya kepada para sahabat baginda. Ini seperti disebut dalam Ali Imran: 159

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

 

وَالَّذينَ يُؤذونَ رَسولَ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.

Ini adalah perangai buruk manusia yang sentiasa menyakiti Nabi ﷺ. Dikatakan ‘sentiasa’ kerana kalimah يُؤذونَ itu di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang membawa maksud berterusan dan selalu. Maknanya bukan sekali dua mereka lakukan perkara itu namun sudah menjadi kebiasaan.

Ia juga bermaksud sampai sekarang pun masih ada lagi yang melakukannya. Allah ﷻ beri ancaman kepada mereka yang mencela Nabi ﷺ, menyakiti hati Nabi ﷺ dalam apa cara pun, ada balasan azab kepada mereka. Begitu jugalah sampai sekarang, kalau ada yang menghina Nabi ﷺ, mereka itu juga akan menerima azab yang pedih.

Syeikh al-Maraghi رحمه الله berkata dalam tafsirnya: “Menyakiti Rasulullah ﷺ selepas kewafatannya, sama seperti menyakitinya semasa hayatnya. Keimanan kepada baginda akan menghalang orang mukmin daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti baginda. Ini adalah dosa dan kederhakaan yang paling besar.”

Ada satu peristiwa sebagai contoh daripada hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما, beliau menceritakan:

أنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وَتَقَعُ فِيهِ فَيَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَيَزْجُرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ قَالَ فَلَمَّا كَانَتْ ذَاتَ لَيْلَةٍ جَعَلَت تَقَعُ في النَّبيِّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَشْتُمُهُ فَأَخَذَ المِغْولَ سَيْفٌ قَصِيرٌ فَوَضَعَهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكَأ عَلَيْهَا فَقَتَلَهَا فَوَقَعَ بَيْنَ رِجْلَيْهَا طِفْلٌ فَلَطَّخَتْ مَا هُنَاكَ بِالدَّمِ فَلَمَّا أَصْبَحَ ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَمَعَ النَّاسَ فَقَالَ أَنْشُدُ اللّهَ رَجُلًا فَعَل مَا فَعَل لِي عَلَيْه حَقٌّ إِلَّا قَامَ فَقَامَ الأَعْمَى يَتَخَطَّى رقَابَ النَّاسِ وَهُوَ يَتَزَلْزلُ حَتَّى قَعَدَ بَيْنَ يَدَي النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَا صَاحِبُهَا كَانَتْ تَشْتُمُكَ وَتَقَع فِيْكَ فَأَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَأَزجرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ وَلي مِنْهَا ابْنَان مثلُ الُّلؤْلُؤَتَينِ وَكَانَت بِي رَفِيْقَة فَلَمَّا كَانَتْ الْبَارِحَةُ جَعَلَت تَشْتُمُكَ وَتَقَعُ فِيْكَ فَأَخَذْتُ المِغْولَ فَوَضَعْتُهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكأْتُ عَلَيْهَا حَتَّى قَتَلْتُهَا فَقَالَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ألا اشهَدوا أنَّ دمَها هَدَرٌ
“Seorang lelaki buta mempunyai (isteri) Ummu Walad yang menghina Nabi ﷺ dan ia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya namun ia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut. Ibn Abbas رضي الله عنهما meneruskan lagi: Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi ﷺ, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakkannya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah. Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi ﷺ, lalu baginda mengumpul orang ramai dan bersabda: “Aku bersumpah kepada Allah ﷻ atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (perbuatannya)”. Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah ﷺ. Beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku adalah suaminya akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehingga meninggal. Nabi ﷺ bersabda : “Ketahuilah bahawa darah wanita itu adalah sia-sia (halal).”
(Riwayat Abu Daud No. 4361)
Kitab al-Hudud, Bab Hukum Orang Yang Mencela Rasulullah ﷺ. Hadith ini adalah Sahih dan perawi-perawinya adalah tsiqah.

Terdapat sebuah atsar daripada Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin Abdul Aziz. Maka beliau telah menulis kepada Umar bin Abdul Aziz:

“Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.”
Maka Umar bin Abdul Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, Demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini maka keluarlah engkau dengannya ke al-Kunasah (tempat pembuangan sampah) maka engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu lebih aku suka. Ini kerana, tidak halal membunuh seorang muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang itu mencela Rasulullah ﷺ.”
Lihat al-Muhalla (14/434)

 

Hukum Menghina Rasulullah ﷺ

Tidak syak lagi bahawa orang yang menghina Nabi ﷺ wajib dibunuh, seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Antaranya:

• Ada pendapat yang mengatakan wajib dibunuh tanpa perlu diberi peluang untuk bertaubat. Inilah pendapat Ibn al-Qasim.
• Al-Auza`ie dan Imam Malik berpendapat bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. Lihat Tabsirah al-Hukkaam (2/212) oleh Syeikh Ibn Farhun.
• Begitu juga haram dan dihukum kufur sesiapa yang menghina mana-mana Nabi atau menjatuhkan darjat dan martabat seperti menuduh kejelikan pada tubuh badannya sebagai pincang, lumpuh atau kurang ilmunya serta jahil. Lihat al-Fiqh `ala Madzahib al-Arba`ah (5/372) oleh Syeikh Abdurrahman al-Jaziri.
• Imam Ibn Mundzir telah menukilkan bahawa secara sepakat ulama barangsiapa yang mencela Nabi Muhammad ﷺ secara nyata maka wajib dibunuh.
• Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafie berkata: “Barangsiapa yang menghina Nabi ﷺ seperti menuduh beliau secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya.” Lihat kitab Fath al-Baari (12/348) oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.
• Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku mendengar Abu Abdillah berkata:Barangsiapa yang mencerca Nabi ﷺ atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.” Lihat al-Sarim al-Maslul `ala Syatim al-Rasul (1/9).
• Syeikh Taqiuddin al-Subky dalam al-Saif al-Maslul menyebut: “Siapa yang mencerca Nabi ﷺ tidak perlu diminta bertaubat dan boleh dibunuh terus.
• Al-Qadhi Abu Ya`la pula berkata: “Barangsiapa yang mencerca Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ dia sesungguhnya telah kufur sama ada dia menghalalkan (perbuatan itu) atau dia tidak menghalalkan.”
• Al-Khattabi berkata: “Aku tidak tahu mana-mana ulama Islam yang khilaf mengenai wajibnya membunuh orang yang mencerca Nabi ﷺ.

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan betapa beratnya hukuman dan balasan kepada mereka yang menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah Rasulullah ﷺ termasuk Nabi-Nabi yang lain. Oleh itu, amat perlu kita berhati-hati daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan dan pendapat yang menunjukkan betapa hinanya Rasulullah ﷺ kerana itu boleh membawa kepada kekufuran dan kemurkaan Allah ﷻ.


 

PENGHINAAN

Tawbah Ayat 62: Apakah lagi perangai golongan Munafik itu?

يَحلِفونَ بِاللَّهِ لَكُم لِيُرضوكُم وَاللَّهُ وَرَسولُهُ أَحَقُّ أَن يُرضوهُ إِن كانوا مُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They swear by Allah to you [Muslims] to satisfy you. But Allāh and His Messenger are more worthy for them to satisfy, if they should be believers.

(MALAY)

Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredhaanmu, padahal Allah dan Rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredhaannya jika mereka adalah orang-orang yang mukmin.

 

يَحلِفونَ بِاللَّهِ لَكُم لِيُرضوكُم

Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredhaanmu, 

Golongan munafik itu telah bersumpah lagi. Kali ini kepada orang mukmin pula untuk mengatakan mereka itu benar Mukmin kononnya dan niat mereka baik. Tujuannya supaya sumpah itu dapat menyenangkan hati orang Mukmin, supaya orang Mukmin tidak fikir sangat tentang mereka. Malah sumpah mereka itu menggunakan nama Allah ‎ﷻ pula.

Ini kerana mereka telah ditegur oleh Nabi Muhammad ﷺ, lebih-lebih lagi diboikot, sudah tidak dilayan, maka mereka mencari orang Mukmin yang lain untuk menyatakan yang mereka sebenarnya berniat baik. Mereka sanggup bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ untuk menguatkan alasan mereka.

هؤلاء لخيارنا وأشرافنا ، وإن كان ما يقول محمد حقا ، لهم شر من الحمير . قال : فسمعها رجل من المسلمين فقال : والله إن ما يقول محمد لحق ، ولأنت أشر من الحمار . قال : فسعى بها الرجل إلى النبي – صلى الله عليه وسلم – فأخبره ، فأرسل إلى الرجل فدعاه فقال : ما حملك على الذي قلت ؟ فجعل يلتعن ، ويحلف بالله ما قال ذلك . وجعل الرجل المسلم يقول : اللهم صدق الصادق وكذب الكاذب . فأنزل الله – عز وجل – : (يحلفون بالله لكم ليرضوكم والله ورسوله أحق أن يرضوه إن كانوا مؤمنين)
Qatadah telah mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: Mereka bersumpah kepada kalian dengan (nama) Allah untuk mencari keredhaan kalian. (At-Taubah: 62), hingga akhir ayat. Qatadah mengatakan: telah menceritakan kepada kami bahawa pernah ada seorang lelaki munafik berkata, “Demi Allah, sesungguhnya mereka (orang-orang munafik sebangsanya) adalah orang-orang pilihan kami dan orang-orang terhormat kami. Sekalipun apa yang dikatakan oleh Muhammad adalah benar bagi mereka, tetapi lebih buruk daripada keldai.” Kemudian seorang lelaki dalam kalangan kaum Muslim mendengarnya, maka dia langsung menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya apa yang dikatakan oleh Muhammad adalah benar, dan sesungguhnya kamu lebih buruk daripada keldai.” Maka orang-orang melaporkan hal tersebut kepada Nabi ﷺ dan menceritakan peristiwa itu, lalu Nabi ﷺ memanggil lelaki tersebut dan bertanya, “Apakah yang mendorongmu mengatakan apa yang telah kamu ucapkan itu?” Lelaki yang berkata demikian itu memaki lawannya dan bersumpah dengan menyebut nama Allah, bahawa dia tidak mengucapkannya. Sedangkan lelaki Muslim itu berkata, “Ya Allah, benarkanlah yang benar dan salahkanlah yang dusta.” Maka Allah ﷻ menurunkan ayat ini.
(Diriwayatkan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya)

Surah ini banyak mengandungi ayat tentang sumpah (sampai 7 kali). Ini adalah kerana golongan munafik itu memang selalu bersumpah. Mereka melakukannya semata-mata kerana mahukan orang Mukmin percaya kata-kata mereka. Mereka terpaksa kuatkan kata-kata mereka dengan sumpah kerana mereka sendiri sudah rasa kata-kata mereka itu sukar untuk dipercayai. Mereka juga tahu manusia lain sudah tidak percaya dengan mereka kerana mereka suka sangat menipu.

Sudah menjadi kebiasaan orang munafik suka bersumpah. Maka jangan kita selalu bersumpah pula. Kita tidak perlu bersumpah kerana kita tidak perlu pun orang percaya kata-kata kita. Kita hanya sampaikan yang benar dan terpulang kepada manusia hendak percaya atau tidak. Kita juga tidak pernah menipu maka orang sepatutnya percaya kepada apa yang kita sampaikan. Kalau mereka tidak percaya, maka kita tidaklah perlulah ambil pusing sangat kerana kita sudah sampaikan yang benar dan selebihnya terpulang kepada mereka.

Ternyata sifat orang munafik juga adalah hanya mahu mengejar redha manusia sahaja kerana mereka hendakkan untung. Mereka memerlukan manusia, kerana itu mereka kena pastikan orang lain redha dengan mereka. Maka mereka akan bermanis mulut dengan orang lain supaya suka kepada mereka.

Ini berbeza dengan orang Mukmin yang hanya mengejar redha Allah ‎ﷻ. Kita tetap katakan yang benar walaupun ia pahit dan sukar diterima oleh manusia. Terutama sekali dalam dakwah dan menyatakan kebenaran terutama dalam hal agama. Kita cakap sahaja mana yang benar dan tidak peduli apa pandangan manusia kerana yang kita kejar adalah redha Allah ‎ﷻ . Kalau manusia tidak suka dengan apa yang kita sampaikan, ‘so be it’ (biarkan saja). Pedulikan sahaja dengan segala kutukan dan cacian manusia lain.

Kerana itulah juga asatizah Sunnah tidak disukai oleh ramai orang kerana kita bukan bercakap tentang perkara yang mereka suka dengar sahaja. Kadang-kadang ada perkara yang mereka pedih telinga terutama apabila ada teguran daripada kita. Teguran itu pun daripada wahyu pun, bukannya daripada kita. Kita sampaikan bukan untuk sakiti hati mereka tetapi kerana ia telah ada di dalam wahyu Al-Qur’an ataupun Hadith.

Termasuklah penulisan ini juga. Ada yang agak sensitif dan terasa juga dengan apa yang disampaikan di sini. Ini biasa sahaja sebenarnya. Masalahnya bukan dengan apa yang disampaikan tetapi dengan anda yang membacanya. Anda yang kena betulkan diri anda sendiri dan hendaklah membuka minda dan hati kepada teguran. Sekiranya hati senang sentap, hati tisu orang kata, maka susahlah. Tidak payah belajar agamalah kalau begitu, baik pergi belajar menari sahaja.

Janganlah bandingkan dakwah di sini dengan dakwah asatizah selebriti. Mereka dapat gelaran selebriti sebab mereka bercakap perkara-perkara yang menyenangkan hati orang ramai. Tenang dan boleh bergelak ketawa sahaja dengan penyampaian mereka. Itu cara mereka. Akan tetapi kalau belajar wahyu terutama tafsir Al-Qur’an, memang akan ada sindiran, teguran, ancaman dan kutukan daripada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ hendak betulkan kita, bukannya untuk beri kita dibuai dengan sangkaan semuanya baik-baik sahaja.

Oleh itu, jikalau kita takut hendak berdakwah, berat hati, berat mulut untuk sampaikan kebenaran kerana takut sakitkan hati manusia, takut ada yang terasa, maka memang ada masalah dengan kita. Maknanya kita ada sifat-sifat dan ciri golongan munafik kerana mereka hanya mencari redha manusia sahaja, bukannya redha Allah ﷻ.

 

وَاللَّهُ وَرَسولُهُ أَحَقُّ أَن يُرضوهُ إِن كانوا مُؤمِنينَ

padahal Allah dan Rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredhaannya jika mereka adalah orang-orang yang mukmin.

Golongan munafik mencari redha para mukmin, sedangkan Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺlah yang lebih patut mereka dapatkan keredhaan. Maknanya mereka sudah silap fokus. Begitulah kita kadangkala mencari redha manusia, padahal sebenarnya kita patut mencari redha Allah ﷻ.

Disebabkan itulah ada yang takut untuk memboikot majlis bid’ah seperti Majlis Tahlil dan sebagainya kerana takut masyarakat pandang serong terhadap mereka. Padahal sepatutnya mereka lebih takut dengan Allah ﷻ. Janganlah begitu, sebaliknya kenalah ada prinsip. Iaitu mencari redha Allah ﷻ dan Rasul.

Mulanya disebut Allah ﷻ dan Rasul, namun kemudian kalimah yang digunakan adalah يُرضوهُ sedangkan sepatutnya kalimah يُرضوهُما digunakan untuk merujuk kepada Allah ﷻ dan juga Rasul, bukan? Namun tidak begitu kerana ia memberi isyarat yang redha Allah ﷻ dan redha Rasul adalah sama sahaja. Rasul akan redha jikalau Allah ﷻ redha. Tidak pernah Rasul tidak selari dengan Allah ﷻ.

Konsep ini pun ada yang salah faham. Sebagai contoh, lihat Dhuha: 5

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

Ada yang berhujah, nanti di akhirat Allah ﷻ tidak akan masukkan umat Nabi Muhammad ﷺ ke dalam neraka kerana tentu Nabi Muhammad ﷺ tidak redha (sedangkan Allah ﷻ sudah berjanji untuk beri baginda redha). Mereka kata walaupun orang itu berdosa tetapi untuk meredhakan baginda, Allah ﷻ akan masukkan juga dia ke dalam syurga juga.

Ini adalah fahaman yang sesat. Adakah mereka hendak kata redha Allah ﷻ dan Rasul tidak sama? Adakah mereka tidak tahu yang baginda akan redha apa yang Allah ﷻ redha? Kalau Allah ﷻ redha orang berdosa dimasukkan ke dalam neraka, adakah mereka hendak kata Rasulullah ﷺ tidak redha dengan keputusan Allah ﷻ itu? Inilah bahayanya kalau ayat-ayat Al-Qur’an ditafsirkan ikut nafsu sendiri.

Maka kita hendaklah mengejar redha Allah ﷻ namun bagaimana hendak menjadi redha Allah ﷻ? Oleh kerana redha Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ adalah sama, maka kita hendaklah taat kepada ajaran baginda seperti disebut dalam Nisa’: 80

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ
Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah;

Sebagaimana taat kepada Rasul bermaksud taat kepada Allah ﷻ, maka begitulah juga redha Rasul sama dengan redha Allah ﷻ. Maka kenalah ikut ajaran baginda. Janganlah direka-reka amalan dan fahaman yang baru (bid’ah) pula kemudian kata ini Nabi ﷺ suka, ini Allah ﷻ akan beri pahala. Nabi ﷺ dan Allah ﷻ tidak pernah ajar, tetapi kamu kata mereka suka?


 

Tawbah Ayat 63: Ayat takhwif ukhrawi. Allah ﷻ beri ancaman kepada mereka.

أَلَم يَعلَموا أَنَّهُ مَن يُحادِدِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَأَنَّ لَهُ نارَ جَهَنَّمَ خٰلِدًا فيها ۚ ذٰلِكَ الخِزيُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not know that whoever opposes Allah and His Messenger – that for him is the fire of Hell, wherein he will abide eternally? That is the great disgrace.

(MALAY)

Tidakkah mereka (orang-orang munafik itu) mengetahui bahawasanya barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka jahannamlah baginya, kekal mereka di dalamnya. Itu adalah kehinaan yang besar.

 

أَلَم يَعلَموا أَنَّهُ مَن يُحادِدِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَأَنَّ لَهُ نارَ

Tidakkah mereka (orang-orang munafik itu) mengetahui bahawasanya barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka baginya, 

Kalimah يُحادِدِ berasal daripada katadasar ح د د yang bermaksud had, menahan, tolak balik, menghalang, berpaling dan sebagainya. Di dalam Al-Qur’an selalunya digunakan untuk hudud/had akan tetapi di sini ia bermaksud menolak balik atau menentang.

Allah ﷻ sebut menentang Allah ﷻ DAN Rasul kerana menentang Rasulullah bermaksud menentang Allah ﷻ juga. Menolak Rasul bermaksud menolak Allah ﷻ juga. Maka kalau ada golongan yang menolak Hadith seperti golongan Anti-Hadith itu, sebenarnya mereka menolak Allah ﷻ lah juga.

Sesiapa yang menentang Allah ﷻ dan Rasul seperti yang dilakukan oleh puak munafik itu, akan dimasukkan ke dalam neraka. ‘Menentang’ itu maksudnya tidak taat kepada arahan Nabi ﷺ dan Allah ﷻ. Antara yang mereka telah lakukan adalah tidak pergi keluar berjihad ke Tabuk. Itu pun sudah dikira sebagai menentang dan tentunya banyak lagi dosa-dosa yang mereka lakukan.

 

خٰلِدًا فيها

kekal mereka di dalamnya.

Oleh kerana menentang Allah ﷻ dan Rasul adalah dosa besar, mereka akan kekal di dalam neraka itu, tidak ada peluang untuk keluar.

 

ذٰلِكَ الخِزيُ العَظيمُ

Itu adalah kehinaan yang besar.

Mereka sangka mereka dipulau (oleh orang Mukmin) dan tidak dilayan oleh baginda itu sudah menjadi satu kesusahan yang besar, namun bagaimanakah pula nanti kalau kena masuk neraka? Itu adalah lebih teruk lagi daripada apa yang mereka dikenakan semasa di dunia. Yang mereka hadapi adalah kehinaan. Bukan kehinaan yang biasa tetapi kehinaan yang agung, yang besar.

Mereka sangka hina itu adalah apabila dipandang rendah oleh manusia. Akan tetapi di sini Allah ﷻ memperbetulkan fahaman kita semua bahawa hina yang paling besar nanti apabila dimasukkan ke dalam neraka. Tidak ada hina yang lebih hina daripada itu. Maka kerana itulah kita dianjurkan untuk berdoa supaya tidak dihinakan di Akhirat seperti diajar di dalam Ali Imran:194

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat;

Dlam ayat 192 sebelum itu pun telah disebut kehinaan jikalau dimasukkan ke dalam neraka.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya

Semoga kita semua diselamatkan dari neraka, aameen.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tafsir Surah Tawbah Ayat 60 (Bahagian 3: Asnaf – Musafir dan Seputar Isu Zakat)

وَابنِ السَّبيلِ

dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan,

Asnaf yang kelapan dan terakhir adalah ‘anak perjalanan’ atau musafir. Yang dimaksudkan adalah musafir yang putus bekalan semasa dalam perjalanan mereka. Bukan semua harus diberi kerana ada musafir yang cukup bekalan mereka.

Maknanya, tidaklah semua orang yang dalam perjalanan diberikan dengan bantuan kewangan. Antara perkara yang kerajaan boleh lakukan adalah dengan mendirikan rumah tumpangan untuk musafir yang boleh dijadikan sebagai tempat persinggahan.

Mereka diberi zakat agar dapat melanjutkan perjalanan ke negerinya. Namun ibnu sabil tidaklah diberi zakat kecuali bila memenuhi syarat:

(1) Muslim dan bukan termasuk ahlul bait (keluarga Nabi ﷺ),
(2) Tidak memiliki harta pada ketika itu sebagai biaya untuk kembali ke negerinya walaupun di negerinya dia adalah orang yang berkecukupan,
(3) Safar yang dilakukan bukanlah safar maksiat.

Ibnu Kathir رحمه الله juga berpendapat zakat ini boleh diberikan kepada orang yang hendak memulakan perjalannya tetapi tiada bekal. Namun begitu Imam Malik dan Imam Ahmad رحمهما الله berpendapat, zakat ini hanya untuk mereka yang terputus bekalan dalam perjalanan (bukannya hendak memulakan perjalanan).

Orang yang memulakan perjalanan dan tidak ada bekal, hendaklah meminjam wang dan nanti akan diganti kemudian. Meminjam lebih baik daripada diambil duit zakat. Kalau tidak ada orang yang hendak beri pinjam, maka sepatutnya janganlah memulakan perjalanan kecuali terpaksa.

Begitu juga kalau seseorang itu kaya dan putus perjalanan dalam musafirnya, dia boleh sahaja meminjam daripada mengambil duit zakat. Ini lebih baik. Cuma kalau kita lihat zaman sekarang, terputus wang di tengah perjalanan tidaklah bermaksud terus terputus kerana ada lagi cara lain seperti mengeluarkan duit di ATM atau banyak sahaja kaedah sekarang yang membolehkan urusan jualbeli tanpa memerlukan wang tunai.

Oleh itu, penerima zakat di bawah kategori ibnu sabil adalah agak khusus juga, iaitu mereka yang terputus bekalan dan serta tidak mempunyai harta. Kerana itu di dalam hadith ini tidak disebut Ibnu Sabil:

عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ إِلَّا لِخَمْسَةٍ لِغَازٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ لِعَامِلٍ عَلَيْهَا أَوْ لِغَارِمٍ أَوْ لِرَجُلٍ اشْتَرَاهَا بِمَالِهِ أَوْ لِرَجُلٍ كَانَ لَهُ جَارٌ مِسْكِينٌ فَتُصُدِّقَ عَلَى الْمِسْكِينِ فَأَهْدَاهَا الْمِسْكِينُ لِلْغَنِيِّ
Daripada [‘Atha` bin Yasar رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak halal zakat bagi orang kaya kecuali bagi lima orang, iaitu orang yang berperang di jalan Allah, atau petugas zakat, atau orang yang berhutang, atau seseorang yang membelinya dengan hartanya, atau orang yang memiliki tetangga miskin kemudian orang miskin tersebut diberi zakat, lalu dia memberikannya kepada orang yang kaya.”
(Riwayat Abu Dawud No. 1393)

Syarah: dalam hadith ini tidaklah disebut: ‘orang kaya dalam musafir’. Maknanya, tidaklah asalkan musafir sahaja boleh dapat duit zakat.

 

فَريضَةً مِّنَ اللَّهِ

suatu ketetapan yang diwajibkan daripada Allah,

Senarai asnaf-asnaf ini adalah satu ketetapan daripada Allah ‎ﷻ dan tidak boleh diubahsuai. Oleh itu, zakat itu mestilah diberikan kepada 8 golongan ini sahaja dan kerana itu pegawai zakat yang ditugaskan hendaklah mencari 7 jenis (tidak termasuk amil) ini juga. Allah ﷻ sudah beri panduan yang jelas maka hendaklah kita ikuti panduan ini.

Ada perbincangan ulama tentang 8 golongan ini: sama ada kena diberikan kepada semua atau boleh sahaja kalau diberikan kepada beberapa golongan sahaja. Ada yang kata kena cari dan dibahagikan kepada semua golongan dan ada juga yang mengatakan kalau dapat beberapa golongan sahaja pun boleh, kerana tidak semestinya semua golongan yang 8 itu ada pada setiap masa.

Akan tetapi apakah kesan atau ancaman jikalau tidak menjalankan kewajipan zakat ini? Lihat ancaman Allah ﷻ tentang mereka yang tidak menghiraukan orang miskin, seperti di dalam Ma’un:1-3

أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ
Adakah kamu lihat (orang) yang mendustakan agama?

فَذٰلِكَ الَّذي يَدُعُّ اليَتيمَ
Itulah orang yang mengherdik anak yatim,

وَلا يَحُضُّ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ
dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Juga disebut dalam Haqqah:30-34

خُذوهُ فَغُلّوهُ
(Allah berfirman): “Peganglah dia lalu belenggulah tangannya ke lehernya.

ثُمَّ الجَحيمَ صَلّوهُ
Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

ثُمَّ في سِلسِلَةٍ ذَرعُها سَبعونَ ذِراعًا فَاسلُكوهُ
Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta.

إِنَّهُ كانَ لا يُؤمِنُ بِاللَّهِ العَظيمِ
Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar.

وَلا يَحُضُّ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ
Dan juga dia tidak mendorong (orang lain) untuk memberi makan orang miskin.

Kemudian disebut dalam Fajr:17-20

كَلّا ۖ بَل لّا تُكرِمونَ اليَتيمَ
Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim,

وَلا تَحٰضّونَ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ
dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin,

وَتَأكُلونَ التُّراثَ أَكلًا لَمًّا
dan kamu memakan harta pusaka dengan cara rakus

وَتُحِبّونَ المالَ حُبًّا جَمًّا
dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha mengetahui keperluan manusia dan Allah ﷻ telah menjadikan hukum untuk keperluan hidup kita. Kita kena terima bahawa apa yang Allah ﷻ telah tetapkan itu adalah sudah cantik dan molek untuk kebaikan kita. Maka hendaklah kita jaga perkara ini. Terutama sekali kepada mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan zakat ini.

 

Beberapa perkara berkenaan Zakat

1. Isu Tamlik (Pemilikan). Keempat-empat mazhab dan majoriti ulama’ berpendapat harta zakat itu hendaklah diberi kepada penerimanya supaya mereka memilikinya. Maknanya kena sampai kepada individu-individu daripada 8 Asnaf itu.

Kerana itulah majoriti para ulama’ berpendapat harta zakat tidak boleh digunakan untuk pembinaan masjid, madrasah, hospital, rumah anak yatim dan sebagainya. Walaupun semua perkara itu adalah baik dan bermanfaat kepada masyarakat, akan tetapi tidak ada tamlik di dalamnya. Akan tetapi kalau diberikan pakaian kepada anak-anak yatim, atau ubatan diberikan kepada para pesakit yang layak, maka ini dibenarkan kerana ada tamlik.

Begitu jugalah tidak boleh diberikan zakat kepada si mati (contohnya untuk bayar keranda) kerana orang mati tidak boleh memiliki. Namun begitu jikalau diberikan kepada warisnya, mereka boleh gunakan zakat itu untuk membeli keranda itu. Asalkan mesti ada tamlik orang yang hidup.

Ini kerana ayat Al-Qur’an menyebut kalimah ءآتَوُا yang membawa maksud ‘memberikan’. Ini seperti disebut dalam Baqarah: 277

وَاَقَامُوا الصَّلٰوةَ وَاٰتَوُا الزَّكٰوةَ
dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat,

2. Menurut pandangan yang zahir dan sahih dalam mazhab Syafie, harta zakat yang dikutip di sesebuah negeri wajib dikembalikan kepada asnaf di negeri itu, dan bukannya dipindahkan ke negeri lain.

Ini berdasarkan kepada sebuah hadith Nabi Muhammad ﷺ yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas رضي الله عنهما, ketika Baginda mengutus Muaz bin Jabal رضي الله عنه ke negeri Yaman, Baginda bersabda kepada beliau:

«ادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ«
“Serulah mereka kepada syahadah (persaksian) bahawa tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Allah ﷻ dan aku adalah utusan Allah ﷻ. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah ﷻ telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam ke atas mereka. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah ﷻ telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.”
(Riwayat al-Bukhari (1395))

Rasulullah ﷺ bersabda di sini تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ bermaksud ia hendaklah diberikan kepada orang-orang miskin dalam ‘kalangan mereka’. Iaitu negeri tempat zakat itu dikutip.
Imam al-Syirbini menyatakan larangan memindahkan zakat ke negeri lain disebabkan negeri itu masih ada golongan yang berhak menerima zakat. Harta zakat yang dikutip adalah untuk golongan asnaf di negeri tersebut, maka sekiranya ia dipindahkan, nescaya ia akan membuatkan mereka bersedih kerana mereka menaruh harapan dan bergantung kepadanya.

Meskipun begitu, sekiranya terdapat sebab seperti ketiadaan asnaf yang memerlukan harta zakat di negeri tersebut atau hanya ada sebahagian atau ada lebihan zakat, atau adanya hajat dan keperluan lain seperti membantu negeri jiran dan sebagainya, maka harus hukumnya untuk menyalurkan dana zakat tersebut ke negeri lain.

3. Adakah barang dikenakan zakat? Syeikh Muhammad al-Zuhaili رحمه الله berkata:“Sesungguhnya zakat harta itu diwajibkan ke atas pemilik harta. Akan tetapi, zakat itu tidak berkaitan dengan semua jenis harta yang seseorang itu miliki. Hanya zakat itu terhad kepada harta yang boleh dikembangkan secara hakikat, realiti dan perbuatan, atau dengan kekuatan sehingga ia boleh dikembangkan sekalipun pemiliknya tidak mampu mengembangkannya sendiri. Adapun harta yang jumud yang tidak bergerak, iaitu harta yang pemilik itu mengkhususkan untuk keperluannya sahaja seperti rumah, kereta, perabot, dan perkakas-perkasan kerja, dan selainnya, maka tidak ada zakat ke atasnya. Ini kerana jika diwajibkan zakat ke atasnya sedangkan ia tidak mampu dikembangkan, nescaya hukum zakat akan menghabiskan harta itu dalam tempoh 40 tahun atau lebih cepat daripada itu, sehingga terjadilah bahaya terhadap pemiliknya itu sebagai permulaan, kemudian terhadap masyarakat dan umat sebagai pihak seterusnya.“
Terdapat lima jenis harta yang menepati kriteria harta boleh kembang yang dikenakan zakat:

I. Haiwan ternakan yakni unta, lembu dan kambing.
II. Al-Mu`asysyarat yakni makanan ruji seperti gandum dan beras, dan buah-buahan yakni kurma dan anggur.
III. Duit seperti emas, perak dan duit kertas
IV. Harta perdagangan
V. Harta galian daripada emas dan perak, termasuk harta karun.

Adapun barang-barang seumpama buku-buku, pinggan mangkuk, dan pakaian, ia tidak dinaskan oleh Syarak sebagai harta zakat. Tambahan lagi sifatnya tidak boleh dikembangkan, kecuali jika dijual beli maka masuklah dalam zakat perniagaan, sedangkan jika ia tidak diniagakan, maka ia tidak dapat dikembangkan lantaran nilainya sebagai keperluan manusia bersifat sangat relatif.

4. Bolehkah beri terus zakat kepada penerima? Jikalau ada ahli keluarga terdekat yang memang layak menerima zakat, maka ia boleh diberikan kepada mereka. Ada dua pahala pemberi itu akan dapat iaitu pahala mengeluarkan zakat dan pahala membantu keluarga. Cuma apabila diberi, tidaklah perlu diberitahu yang ia adalah pemberian zakat kepada mereka untuk menjaga hati mereka.

Akan tetapi zakat tidaklah boleh diberikan kepada tanggungan sendiri seperti daripada suami kepada isteri atau bapa kepada anak. Ini kerana ia seperti keluar poket kanan dan masuk poket kiri.

Selain daripada keluarga terdekat, maka zakat hendaklah diberikan kepada pihak yang telah dilantik kerajaan seperti Pusat Pungutan Zakat. Ini adalah kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk mengutip zakat dan memberikan kepada yang layak.

Para fuqaha’ bersepakat bahawa pemerintah mempunyai hak untuk mengutip dan mengagihkan zakat, serta pemerintah hendaklah mengurusnya secara sistematik dan tersusun. Ini supaya zakat tersebut dapat diuruskan dengan efisyen serta memastikan ia disalurkan kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan. (Rujuk Fiqh al-Zakat al-Qaradawi, 2/208)

Mengikut undang-undang di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah kuasa negeri. Tugas tersebut dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang di bawah Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

5. Adakah perlu periksa latarbelakang penerima zakat? Tidak perlu. Kemudian seandainya setelah itu ternyata dia bukanlah orang yang berhak menerimanya maka tidak perlu mengulangi zakat.

Dalil daripada pernyataan ini adalah kisah seorang lelaki yang mensedekahkan harta, pada awalnya dia bersedekah kepada pencuri, kemudian dia bersedekah lagi pada malam yang kedua, jatuhlah sedekahnya ke tangan seorang perempuan penzina (pelacur), selanjutnya dia bersedekah lagi pada malam yang ketiga kepada orang kaya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَالَ رَجُلٌ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ زَانِيَةٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ غَنِيٍّ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى سَارِقٍ وَعَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ أَمَّا صَدَقَتُكَ عَلَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عَنْ سَرِقَتِهِ وَأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عَنْ زِنَاهَا وَأَمَّا الْغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه]; Rasulullah ﷺ berkata,: “Ada seorang laki-laki berkata,: Aku pasti akan bersedekah. Lalu dia keluar dengan membawa sedekahnya dan ternyata jatuh ke tangan seorang pencuri. Keesokan paginya orang-orang ramai membicarakan bahwa dia telah memberikan sedekahnya kepada seorang pencuri. Mendengar hal itu orang itu berkata,: “Ya Allah segala puji bagi-Mu, aku pasti akan bersedekah lagi”. Kemudian dia keluar dengan membawa sedekahnya lalu ternyata jatuh ke tangan seorang penzina. Keesokan paginya orang-orang ramai membicarakan bahawa dia tadi malam memberikan sedekahnya kepada seorang penzina. Maka orang itu berkata, lagi: Ya Allah segala puji bagi-Mu, (ternyata sedekahku jatuh) kepada seorang penzina, aku pasti akan bersedekah lagi. Kemudian dia keluar lagi dengan membawa sedekahnya lalu ternyata jatuh ke tangan seorang yang kaya. Keesokan paginya orang-orang kembali ramai membicarakan bahawa dia memberikan sedekahnya kepada seorang yang kaya. Maka orang itu berkata,: Ya Allah segala puji bagi-Mu, (ternyata sedekahku jatuh) kepada seorang pencuri, penzina, dan orang kaya. Setelah itu orang tadi bermimpi dan dikatakan padanya: “Adapun sedekah kamu kepada pencuri, mudah-mudahan dapat mencegah si pencuri daripada perbuatannya, sedangkan sedekah kamu kepada penzina, mudah-mudahan dapat mencegahnya berbuat zina kembali dan sedekah kamu kepada orang yang kaya mudah-mudahan dapat memberikan pelajaran baginya agar menginfaqkan harta yang diberikan Allah ‎ﷻ kepadanya”.
(Sahih Bukhari (1332))

Maka pihak yang mengagihkan zakat tidak perlu periksa sangat latarbelakang penerima zakat itu. Cuma di dalam kes orang yang berhutang dan juga orang yang bermusafir, kena dilakukan sedikit pemeriksaan untuk memastikan mereka memang sedang dilanda masalah dan layak untuk menerima zakat itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 60 (Bahagian 2: 3 Golongan Asnaf Zakat – Hamba, Gharim dan Fi sabilillah)

Sambungan 4 lagi golongan yang berhak menerima zakat. Kali ini semuanya dimulakan dengan harf في (dalam) pula. Al-Zamakhshari رَحِمَهُ اللَّهُ memberikan pendapat perbezaan antara golongan yang dimulakan dengan harf ل dan sekarang golongan yang dimulai dengan في. Beliau berpendapat golongan yang dimulakan dengan في ini lebih memerlukan harta zakat kerana kalimat في digunakan, seolah-olah harta itu mesti dimasukkan ke dalam golongan itu.

Ini kerana golongan yang diperhambakan lebih memerlukan bantuan daripada golongan fakir dan miskin (mereka walaupun miskin tetapi masih merdeka). Begitu juga dengan orang yang berhutang. Yang berhutang lebih memerlukan kerana mereka ada orang yang sedang menuntut-nuntut pembayaran daripada mereka itu.

 

وَفِي الرِّقابِ

dan di dalam (memerdekakan) hamba, 

Asnaf yang kelima adalah orang yang dalam keadaan untuk dimerdekakan. Kalimah الرِّقابِ adalah jamak bagi رقبة dan ia diambil daripada katadasar ر ق ب yang bermaksud mengawal, memerhati, hormat, menunggu, ikat di tengkuk, beri amaran, takut, tengkuk, hamba, tawanan. Kita boleh bayangkan hamba yang diikat pada tengkuknya. Maka digunakan wang zakat untuk diberikan kepada hamba untuk membebaskan diri mereka daripada perhambaan.

Istilah: kalau nampak kalimah ‘budak’ dalam kitab-kitab fiqh, ia bukanlah bermaksud budak tidak cukup umur, tetapi hamba sahaya (atau ada yang guna terma hamba abdi).

Pembebasan hamba yang termasuk di dalam golongan ini adalah:

(1) Pembebasan hamba mukatab, iaitu yang berjanji dengan tuannya untuk memerdekakan diri dengan dengan syarat melunaskan pembayaran tertentu (bersetuju satu nilai wang). Hamba jenis ini dibenarkan oleh tuannya untuk berniaga contohnya, untuk membayar wang tebusannya. Kalimah ‘mukatab’ bermaksud sudah ada perjanjian antara mereka.

Jumhur ulama’ mazhab (Syafie, Hanafi dan Hanbali) berpendapat jenis hamba inilah yang dimaksudkan di dalam ayat ini atas. Adapun jenis-jenis hamba selepas ini tidak sepakat mereka akan kebolehan menggunakan wang zakat untuk membebaskan mereka.

(2) Pembebasan hamba Muslim. Terdapat ramai para sahabat membayar wang kepada tuannya dan membebaskan jenis hamba Muslim ini. Kisah yang biasa kita dengar bagaimana Abu Bakr رضي الله عنه membebaskan Bilal رضي الله عنه. Allah ﷻ memberitahu ia adalah suatu amalan baik yang amat besar nilainya seperti disebut dalam Balad:12-13

وَمَآ أَدرَٮٰكَ مَا ٱلعَقَبَةُ
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

فَكُّ رَقَبَةٍ
Memerdekakan hamba abdi;

(3) Pembebasan tawanan muslim yang ada di tangan orang kafir.

(4) Kalau diluaskan kriteria ini, boleh dimasukkan mereka yang dijadikan sebagai hamba seks, mereka yang ditangkap kemudian dipaksa menjadi pelacur, yang ditangkap menjadi banduan tidak sah dan sebagainya. Iaitu mereka yang memerlukan wang untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu orang lain.

Contoh penyaluran zakat untuk pembebasan hamba mukatab: Ada seorang hamba yang berjanji pada tuannya ingin merdeka dengan bayaran 10 dinar. Enam bulan pertama, dia berjanji membayar 5 dinar dan enam bulan berikutnya ia membayar 5 dinar lagi. Maka ketika itu dia diberi zakat masing-masing 5 dinar untuk tahap pertama dan kedua.

Untuk pembebasan budak mukatab, boleh sahaja zakat diserahkan pada si hamba lalu dia melunasi hutangnya pada tuannya atau boleh juga zakat tersebut diserahkan terus pada tuannya. Ini kerana dalam ayat digunakan kata “فى” (di dalam), yang bererti untuk pembebasan budak dan tidak semestinya langsung diserahkan pada budaknya, beza halnya dengan fakir dan miskin (diberikan terus kepada penerima).

Untuk zaman sekarang sudah tidak ada lagi istilah hamba di dunia ini (secara umumnya. Kalau ada pun mungkin terpencil). Maka ada yang meluaskan makna ‘hamba’ ini. Hamba adalah mereka yang tidak ada kebebasan diri, tidak boleh berbuat sekehendak mereka. Maka ini termasuk juga dengan orang yang ditangkap dan dipenjarakan tanpa keadilan. Ini adalah seperti kes tahanan yang ditangkap dan dipenjarakan di Guantanamo Bay itu. Dengarnya memang ada urusan pembayaran dikeluarkan untuk mengeluarkan mereka yang ditangkap itu. Maka ini juga boleh dikira sebagai zakat ar-riqab. Sehingga kini masih ada tahanan berada di situ, walaupun sudah sebahagian tahanan telah dipindahkan dan dibebaskan.

Tahanan penjara tanpa keadilan contoh hamba yang layak mendapat zakat masakini

 

وَالغٰرِمينَ

dan orang-orang yang berhutang,

Asnaf yang keenam adalah mereka yang tertanggung dan terbeban dengan hutang. Ada orang yang kerana hutang, terpaksa menghabiskan segala hartanya dan tidak dapat menanggung dirinya dan keluarganya. Mungkin sahaja dia kehilangan segala hartanya itu kerana sebab maksiat, tetapi dia telah bertaubat.

Oleh itu Gharim adalah orang yang terbelit hutang dan golongan ini juga ada bahagiannya daripada zakat. Dia terbelit sampai tidak mampu membayarnya. Namun bukanlah semua jenis hutang. Kalau hutang kereta kenalah usaha bayar sendiri.

Golongan yang dibincangkan ulama’ ada seperti berikut:

Pertama: Orang yang terlilit hutang demi kemaslahatan dirinya. Namun ada beberapa syarat yang harus dipenuhi:

    1. Yang berhutang adalah seorang Muslim.
    2. Bukan termasuk ahlul bait (keluarga Nabi ﷺ).
    3. Bukan orang yang sengaja berhutang untuk mendapatkan zakat.
    4. Orang yang berhutang bukan dalam rangka maksiat seperti untuk minum minuman keras, berjudi atau berzina, kecuali jika dia bertaubat (kalau bertaubat masih boleh dapat zakat).
    5. Hutang tersebut mesti segera dilunasi (sudah ‘due’), bukan hutang yang masih tertunda untuk dilunasi beberapa tahun lagi kecuali jika hutang tersebut mesti dilunasi di tahun itu, maka dia diberikan zakat.
    6. Bukan orang yang masih memiliki harta simpanan untuk melunasi hutangnya.

Kedua: Orang yang terlilit hutang kerana untuk memperbaiki hubungan orang lain (dalam istilah Arab dipanggil ‘hamalah’. Ertinya, dia berhutang bukan untuk kepentingan dirinya. Dalil asal dalam bab ini ialah hadith Qabishah ibnu Mukhariq Al-Hilali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menceritakan bahawa beliau menanggung suatu tanggungan hutang, lalu beliau datang menghadap Rasulullah ﷺ untuk meminta bantuan Rasulullah ﷺ. Maka Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ قَبِيصَةَ بْنِ مُخَارِقٍ الْهِلَالِيِّ قَالَ تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا قَالَ ثُمَّ قَالَ يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لَا تَحِلُّ إِلَّا لِأَحَدِ ثَلَاثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٌ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ وَرَجُلٌ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلَاثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلَانًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ فَمَا سِوَاهُنَّ مِنْ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا
Daripada Qabishah bin Mukhariq Al Hilali رضي الله عنه dia berkata; Aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua kabilah yang saling bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah ﷺ, meminta bantuan baginda untuk membayarnya. Baginda menjawab: “Tunggulah sampai orang datang menghantarkan zakat, nanti kusuruh menyerahkannya kepadamu.” Kemudian baginda melanjutkan sabdanya: “Hai Qabishah, sesungguhnya meminta-minta itu tidak boleh (tidak halal) kecuali untuk tiga golongan. (Satu) orang yang menanggung hutang (gharim, untuk mendamaikan dua orang yang saling bersengketa atau seumpamanya). Maka orang itu boleh meminta-minta, sehingga hutangnya lunas. Bila hutangnya telah lunas, maka tidak boleh lagi dia meminta-meminta. (Dua) orang yang terkena bencana, sehingga harta bendanya musnah. Orang itu boleh meminta-minta sampai dia memperoleh sumber kehidupan yang layak baginya. (Tiga) orang yang ditimpa kemiskinan, (disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin). Orang itu boleh meminta-minta, sampai dia memperoleh sumber penghidupan yang layak. Selain tiga golongan itu, haram baginya untuk meminta-minta, dan haram pula baginya memakan hasil meminta-minta itu.”
(Sahih Muslim No. 1730)

Ketiga: Orang yang berhutang kerana sebab dhomin (penanggung jaminan hutang orang lain). Namun di sini disyaratkan orang yang menjamin hutang dan yang dijamin hutang sama-sama orang yang sulit dalam melunasi hutang kerana sepatutnya orang yang berhutanglah yang kena bayar dahulu. Sekiranya penjamin mempunyai harta, dia mestilah menggunakan hartanya dahulu.

Mengenai contoh penyaluran zakat pada orang yang berhutang disampaikan oleh Syeikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin رحمه الله,

“Jika seseorang memiliki hutang 10.000 riyal. Gaji bulanannya sebesar 2000 riyal. Adapun keperluannya dalam sebulan juga 2000 riyal. Maka apakah orang seperti ini diberikan zakat? Ya. Kerana pada saat ini dia termasuk orang yang memerlukan kerana terlilit hutang. Dia diberikan zakat bukan maksud memenuhi keperluan bulanannya kerana daripada gajinya sudah mencukupi. Dia diberikan zakat untuk melunasi hutangnya kerana dari sisi ini dia dianggap fakir.”

 

وَفي سَبيلِ اللَّهِ

dan di dalam jalan Allah

Asnaf yang ketujuh adalah mereka berusaha untuk mengembangkan Islam. Fi sabilillah bermaksud di jalan Allah. Antaranya adalah untuk jihad. Juga untuk menjalankan usaha dakwah. Juga untuk memajukan umat Islam.

Ada pelajar-pelajar kita yang diberikan dengan bantuan zakat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan dikira sebagai jihad fisabilillah juga. Namun begitu kebiasaannya yang diberi adalah hanya untuk pelajar-pelajar dalam bidang agama. Sedangkan kita juga memerlukan pakar-pakar dalam bidang yang lain juga. Sebagai contoh dalam bidang kedoktoran, bidang jurutera dan sebagainya kerana untuk memajukan umat Islam, memerlukan kemajuan dalam semua bidang itu. Tidak dapat dinafikan kita hidup pada zaman teknologi tinggi yang memerlukan segala perkara tersebut.

Oleh itu, mari kita lihat perbincangan dan pengkelasan oleh ahli ilmu tentang hal ini. Siapakah yang termasuk di dalam golongan ini?

Pertama: Berperang di jalan Allah.
Menurut majoriti ulama, penerima jenis ini tidak disyaratkan miskin. Orang kaya pun boleh diberi zakat dalam hal ini kerana orang yang berperang di jalan Allah tidak berjuang untuk kemaslahatan dirinya sahaja, namun juga untuk kemaslahatan seluruh kaum muslimin. Sehingga tidak perlu disyaratkan fakir atau miskin.

Kedua: Untuk kemaslahatan perang.
Seperti untuk pembangunan benteng pertahanan, penyediaan kenderaan perang, penyediaan persenjataan, pemberian upah pada mata-mata baik muslim atau kafir yang bertugas untuk merisik musuh.

Asalnya asnaf fi sabilillah ini adalah untuk yang terlibat dengan jihad perang. Akan tetapi bahagian inilah yang selalunya hendak diluaskan maknanya. Antaranya ada yang kata boleh digunakan untuk membiayai pelajar Muslim dalam apa-apa bidang pun kerana ia juga termasuk dalam perkara fi sabililah. Maka kita cuba bincangkan sedikit di sini:

Para fuqaha sepakat bahawa orang-orang yang sedang berperang di jalan Allah ﷻ termasuk dalam kategori fi sabilillah, sedangkan selain orang-orang yang sedang berperang masih diperselisihkan oleh para ulama, apakah mereka masuk dalam fi sabilillah ataukah tidak? Kemudian perbezaan pendapat ini semakin melebar di zaman-zaman ini dan terbahagi menjadi lima pendapat:

 

Pendapat 1: Maksud daripada fi sabilillah adalah perang saja.

Ini adalah pendapat Abu Yusuf رحمه الله dalam kalangan Hanafiyah, juga pendapat mazhab Malikiyah, Syafi’iyah dan salah satu riwayat daripada Hanabilah yang dirajihkan oleh Ibnu Qudamah رحمه الله.

Dalil pendapat ini adalah:

Hujah 1: Yang dimaksud dengan fi sabilillah secara mutlak adalah perang dan kebanyakan penggunaan kalimat ini dalam Al-Qur`an adalah dalam maksud berperang.

Hujah balas: Dalil ini tidak boleh terus diterima, kerana apabila tidak ada nukilan daripada syari’at tentang pengertiannya, maka kita harus mengambil maknanya secara bahasa dan kalimat fi sabilillah dalam konteks ini menunjukkan makna umum.

Hujah 2: Hadith Abu Said al-Khudriy رضي الله عنه yang marfu’:

لاَ تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ إِلاَّ لِخَمْسَةٍ : لِغَازٍ فِي سَبِيْلِ اللهِ أَوْ لِعَامِلٍ عَلَيْهَا أَوْ لِغَارِمٍ أَوْ لِرَجُلٍ اِشْتَرَاهَا بِمَالِهِ أَوْ لِرَجُلٍ كَانَ لَهُ جَارٌ مِسْكِينٌ فَتَصَدَّقَ عَلىَ المِسْكِيْنِ فَأَهْدَاهَا المِسْكِيْنُ لِلْغَنِي
Zakat itu tidak halal untuk orang kaya kecuali lima orang (kaya): orang yang berperang di jalan Allâh atau amil zakat atau gharim atau orang yang membelinya dengan hartanya atau orang yang memiliki tetangga miskin, dia memberikan zakat kepada tetangga tersebut lalu tetangga yang miskin tersebut menghadiahkannya kepada orang kaya.
(Sunan Abi Dawud No. 1635)

Syarah: Sisi pengambilan dalil daripada hadith ini iaitu Rasulullah ﷺ menyebutkan لِغَازٍ ‘kepada ghazi’ (orang yang sedang berperang) di antara lima orang yang disebutkan dalam hadith di atas, sedangkan di antara lapan golongan orang penerima zakat yang disebutkan dalam ayat di atas tidak ada yang boleh diberikan kepada orang yang berperang kecuali bahagian fi sabilillah.

Hujah balas: Namun sisi pendalilan ini juga terbantah, kerana dalil di dalam hadith di atas paling kuat pun menunjukkan bahawa seorang yang sedang berjihad diberi bahagian zakat daripada bahagian fi sabilillah sekalipun dia orang yang kaya, sementara jalan-jalan Allah banyak, tidak hanya terbatas pada erti perang di jalan Allah ﷻ.

 

Pendapat 2: Maksud daripada fi sabilillah adalah berperang, haji dan umrah.

Ini adalah pendapat Muhammad bin al-Hasan daripada Hanafiyah dan sebuah mazhab dalam kalangan Hanabilah. Dalil daripada pendapat kedua ini adalah:

Hujah 1: Hadith berikut:

Ummu Ma’qil رضي الله عنها mengatakan bahawa Abu Ma’qil رضي الله عنه berangkat haji bersama Rasulullah ﷺ. Ketika beliau pulang, Ummu Ma’qil رضي الله عنها berkata, “Saya tahu bahawa saya wajib haji.” Lalu keduanya berangkat menuju Rasulullah ﷺ. Saat sampai di depan baginda ﷺ, Ummu Ma’qil رضي الله عنها berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya wajib haji sementara Abu Ma’qil رضي الله عنه sendiri memiliki unta muda.” Abu Ma’qil رضي الله عنه menjawab, “Kamu benar, tetapi aku telah menjadikannya untuk di jalan Allah.”
Lalu Rasulullah ﷺ bersabda:
أَعْطِهَا فَلتَحُجَّ عَلَيْهِ فَإِنّهُ فِي سَبِيلِ اللهِ
Berikanlah kepadanya agar dia boleh pergi haji, kerana itu termasuk fi sabilillah.
(Riwayat Abu Dawud No. 1988)

Hujah balas: Namun dalil ini pun dibantah dengan beberapa hal berikut:

Pertama, ada pendapat yang mengatakan hadith ini dhaif (walaupun ada juga yang mengatakan ia sahih)

Kedua, zakat hanya diberikan kepada seorang sahaja di antara dua orang:
a) Orang yang memerlukannya seperti orang fakir, miskin, hamba sahaya dan orang yang berhutang untuk membayar hutangnya.
b) Orang yang diperlukan khidmat mereka oleh kaum Muslimin seperti amil zakat, orang yang berperang, mu`allaf (orang yang baru masuk Islam), gharim (orang yang menanggung hutang) demi mendamaikan dua pihak yang bertikai.

Sedangkan haji untuk orang miskin tidak mendatangkan manfaat bagi kaum Muslimin secara umum. Kaum Muslimin tidak memerlukan ibadah haji orang miskin tersebut dan orang fakir sendiri juga tidak memerlukan ibadah haji itu, kerana orang fakir tidak ada kewajipan ibadah haji.

Hujah 2: Atsar-atsar mauquf (yang berhenti pada sahabat, bukan sabda Nabi ﷺ) yang menunjukkan bahawa haji termasuk fi sabilillah, seperti atsar yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang diriwayatkan Abu Ubaid رضي الله عنه dengan sanadnya dari jalan Abu Mu’âwiyah daripada al-A’masy daripada Hasan bin al-Asyras daripada Mujahid رحمه الله daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما bahawa dia membolehkan seseorang memberikan zakatnya untuk menunaikan haji dan memerdekakan budak.

Demikian juga atsar daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما ketika ditanya tentang seorang wanita yang mewasiatkan tiga puluh dirham di jalan Allah, maka Ibnu Umar رضي الله عنهما ditanya, “Bolehkan ia digunakan untuk haji?” Baginda menjawab, “Ia termasuk fi sabilillah.”

Hujah balas: Dalil ini pun dibantah dengan menyatakan bahawa atsar Ibnu Abbas رضي الله عنهما tidak sahih, sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Hajar رحمه الله dalam Fathul Bari.

 

Pendapat 3: Maksud daripada fi sabilillah adalah segala perkara kebaikan dan ketaatan.

Ini adalah pendapat yang dinisbatkan oleh al-Qaffal kepada sebagian fuqaha` tanpa menyebut nama mereka, sebagaimana yang dinukil oleh ar-Razi dalam tafsirnya. Al-Kasani memilih pendapat ini, sekalipun dia membatasinya pada orang-orang yang memerlukan. Pendapat ini diterima oleh banyak Ulama’ di zaman ini.

Hujah: Dalil daripada pendapat ini adalah kalimah ‘fi sabilillah’ bersifat umum, tidak boleh dibatasi pada sebahagian maknanya kecuali dengan berdasarkan dalil yang sahih, padahal tidak ada dalil sahih yang membatasi maknanya.

Hujah balas: Dalil ini tidak boleh diterima, kerana keumuman tersebut dibatasi dengan konteks penggunaannya. Jika pendapat ini diterima, maka konsekuensinya adalah semua orang yang melakukan kebaikan dan ketaatan seperti solat, puasa, sedekah dan lain sebagainya berhak menerima zakat, kerana mereka telah melakukan kebaikan dan termasuk dalam kategori fi sabilillah jugalah kiranya, bukan? Inilah konsekuensi hukumnya, padahal tidak seorang pun ulama yang terkenal keulamaannya berpendapat seperti itu.

 

Pendapat 4: Maksud daripada fi sabilillah adalah kemaslahatan umum.

Ini adalah pendapat sebahagian ulama zaman ini. Di antara yang berpendapat demikian adalah as-Sayyid Muhammad Rasyid Ridha dan Syaikh Mahmud Syaltut.

Hujah 1: Tidak dikenali dalam Al-Qur`an kalimat sabilillah kecuali bermakna kebaikan umum yang menyeluruh.

Hujah balas: Hujah ini juga tidak boleh diterima, kerana kalimah fi sabilillah disebutkan dengan beberapa makna, sekalipun banyak digunakan untuk kalimat yang bermakna jihad di jalan Allah ‎ﷻ.

Hujah 2: Nabi ﷺ membayar diyat seorang sahabat yang tidak diketahui pembunuhnya diambil daripada unta zakat.

Ini terdapat dalam hadith berikut:

Sahal bin Abu Hatsmah al-Anshari رضي الله عنه bahawa dia berkata:
فَكَرِهَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُبْطِلَ دَمَهُ، فَوَدَاهُ مِائَةً مِنْ إِبِلِ الصَّدَقَةِ
Lalu Rasulullah ﷺ tidak ingin darahnya sia-sia, maka baginda membayar diyatnya seratus unta daripada unta zakat.
(Muttafaq alaihi)

Apakah kaitan hadith ini dengan perbincangan kita?: Bila membayar diyat korban pembunuhan daripada zakat dibolehkan demi meredakan pertikaian dan demi menjaga ketertiban umum, maka lebih utama lagi untuk dibolehkan menggunakan zakat demi menjaga keamanan masyarakat dan kehidupan mereka di negeri Islam serta menjaga kemaslahatan umum mereka.

Hujah balas: Dalil di atas dibantah dengan bantahan berikut:

a) Hadith ini disebutkan dalam sahih al-Bukhari dengan lafaz yang berbeza. Dalam lafaz itu disebutkan yang Nabi ﷺ membayar diyat daripada duit baginda sendiri (bukan daripada harta zakat).
Majoriti ulama telah mengkompromikan antara dua riwayat tersebut dengan mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ membeli unta-unta zakat daripada para penerima zakat setelah mereka memilikinya, kemudian menyerahkannya kepada keluarga korban.

b) Kalau pun diterima bahawa Nabi ﷺ membayar diyat itu daripada harta zakat, tetap saja bukan termasuk kemaslahatan umum kerana itu adalah kes terpencil sahaja.

c) Maksud daripada pembayaran diyat bukan hanya meredakan pertikaian semata, sebaliknya ia hanyalah sebahagian daripada illat (sebab hukum). Mendamaikan di antara dua pihak yang bertikai dan membuat jiwa keluarga korban mahu menerima juga termasuk tujuan-tujuan syari’at di balik pembayaran diyat.

Kemudian alasan menjaga keamanan masyarakat tidak terwujud pada seluruh kemaslahatan umum.

 

Pendapat 5: Maksud daripada kalimat fi sabîlillâh adalah jihad dalam erti umum, baik jihad dengan tangan, harta mahupun lisan. Dengan demikian, ini mencakupi perang di jalan Allâh ﷻ dan dakwah kepada Allâh ‎ﷻ.

Ini adalah keputusan al-Mujamma’ al-Fiqhi al-Islami dan an-Nadwah li Qadhaya az-Zakah al-Mu’ashirah yang pertama. Dalil pendapat ini adalah:

Hujah 1: Yang diinginkan dari penyebutan kalimat fi sabilillah dalam ayat tentang zakat adalah maknanya yang khusus iaitu jihad atau yang semakna dengannya. Inilah yang terfahami daripada gaya bahasa penyampaiannya yang diawali dengan pembatasan (kalimah: hanyalah sekian dan sekian).

Jika pengertian kalimat fi sabilillah dibawa kepada pengertian umum, maka tentulah yang terlibat sangat banyak dan ini bertentangan dengan gayabahasa pembatasan yang hanya membatasi pembahagian zakat pada lapan golongan saja.

Hujah 2: Jihad dalam Islam tidak terbatas pada perang dengan senjata semata. Dalam sebuah riwayat sahih:

Daripada Nabi ﷺ bahawa baginda ditanya, “Jihad apakah yang paling utama?”
Maka baginda ﷺ menjawab:
كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
Kalimat haq di depan pemimpin zalim.
(Sunan Abu Dawud No. 4344 dan at-Tirmidzi No. 4011)
Riwayat ini disahihkan oleh Ibnu Katsir dalam Tafsirnya 4/99 dan al-Albani dalam as-Silsilah ash-Shahihah no. 491

Baginda ﷺ juga bersabda:
جَاهِدُوا المُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُمْ
Berjihadlah melawan orang-orang musyrik dengan harta, jiwa dan lisan kalian.
(Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasaa’I)
Disahihkan al-Albani dalam al-Misykah no. 3821

Oleh itu, dakwah juga termasuk dalam fi sabilillah juga.

Hujah 3: Kalaupun dakwah kepada Allah ‎ﷻ tidak termasuk dalam jihad di jalan Allah ﷻ berdasarkan dalil itu, namun dakwah tetap boleh masuk ke dalam kategori jihad melalui cara qiyas, kerana keduanya memiliki tujuan yang sama iaitu mendukung agama Allah ﷻ dan menjunjung tinggi kalimat-Nya.

Kesimpulan:
Pendapat yang kelima inilah pendapat yang rajih. Iaitu pendapat yang mengatakan bahawa maksud dari fi sabilillah adalah maknanya yang khusus iaitu jihad dalam pengertian luas, mencakupi semua aktiviti dalam rangka menolong agama Allah ﷻ. Pendapat ini yang rajih kerana dalil-dalilnya yang kuat dan beberapa hal berikut ini:

1. Kalimah fi sabilillah banyak digunakan dengan makna jihad. Ini lebih kuat kalau dibandingkan dengan makna selainnya.

Kalimah fi sabilillah disebutkan 50 kali dalam Al-Qur’an; 38 kali disebutkan beriringan dengan jihad dan perang; Di 8 tempat disebutkan bersama infak, 7 daripada 8 ini disebutkan bersama infak dan perang sementara yang ke 8 disebutkan pada ayat zakat; Dan 4 yang tersisa sehingga genap 50 itu disebutkan bersama kalimat hijrah yang bererti pergi ke negeri Islam demi menjunjung tinggi kehormatan agama.

Dari sini diketahui bahawa kalimat fi sabilillah disebutkan di kebanyakan tempat dengan makna jihad.

2. Penafsiran golongan fi sabilillah dengan makna jihad merupakan pendapat majoriti ulama salaf dan jumhur fuqaha` zaman dulu dan zaman sekarang.

3. Seluruh ayat yang disebut kalimat fi sabilillah yang terkait jihad dengan jiwa juga disebutkan di tempat yang sama tentang jihad dengan menggunakan harta. Ini menunjukkan adanya perluasan makna jihad fi sabilillah kepada makna yang lebih umum, ertinya jihad fi sabilillah tidak hanya bermakna perang.

Sebagaimana penggunaan kalimat jihad pada beberapa nas dengan makna yang lebih luas, tidak hanya bermakna perang, seperti firman Allâh ﷻ:

وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا
Dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al-Qur’an dengan jihad yang besar
[Al-Furqan: 52]

Dan sebahagian hadith yang menetapkan hal ini telah dijelaskan pada dalil-dalil pendapat kelima.

4. Tujuan daripada peperangan itu adalah menolong agama dan mengusir orang-orang kafir yang berlaku zalim. Tujuan ini juga boleh terwujud melalui jihad dengan harta dan lisan dengan cara menjelaskan kebenaran, mendakwahnya, membantah dan menolak kebatilan. Terutama di zaman ini, di mana media informasi telah menyebar luas hingga menjangkau seluruh pelusuk bumi dan memiliki pengaruh yang signifikan dalam membentuk pola pemikiran masyarakat dan merubah pemahaman mereka.

Bahkan perang informasi melalui media massa lebih besar kesannya daripada perang menggunakan senjata. Fakta ini semakin menegaskan pentingnya sikap yang tidak memisahkan antara satu bentuk jihad dengan bentuk jihad lainnya dalam masalah penyaluran zakat kaum Muslimin kepada mereka yang berjihad, selama tujuannya adalah menegakkan kebenaran dan menghancurkan kebatilan.

5. Pendapat ini mewujudkan kaitan antara gaya bahasa pembatasan dalam ayat zakat dengan adanya peluasan makna fi sabilillah yang terdapat dalam Al-Qur`an dan Sunnah. Iaitu dengan memahaminya tidak sebagai sebuah pengkhususan yang sempit namun juga tidak melebar ke makna yang terlalu umum.

Oleh itu, jelas sekali ini adalah konsep pengkhususan makna fi sabilillah disertai peluasan makna namun tidak keluar daripada makna fi sabilillah yang sering dipergunakan dan tidak hanya sebatas makna secara bahasa semata. Pendapat ini didukung oleh keputusan al-Mujamma’ al-Fiqhi al-Islami di Makkah.

Bagaimana mengamalkan pemahaman ini? Daripada keterangan di atas diketahui bahawa yang dimaksudkan dengan fi sabilillah adalah menolong agama melalui jihad dengan jiwa, harta dan lisan. Tentu ini mencakupi semua urusan dakwah dan sekaligus menjelaskan bahawa di antara gerakan yang patut untuk dibantu melalui jalur fi sabilillah adalah seperti:

Pertama, segala aktiviti untuk mewujudkan persiapan jihad yang diperintahkan oleh Allah ﷻ dalam firman-Nya:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).”
[Anfal:60]

Contoh yang boleh dilakukan:

– Mendirikan dan membiayai kilang-kilang yang mengeluarkan senjata perang dan alat perang, berat mahupun ringan; dan membeli senjata bila diperlukan.

– Mendirikan akademi-akademi ketenteraan yang mendidik para pemuda kaum Muslimin untuk menggunakan senjata dan berperang demi membela negeri kaum Muslimin.

– Mencetak buku-buku dan majalah-majalah ketenteraan yang memberikan arahan dan informasi kepada kaum Muslimin terkait dengan perkara-perkara yang mereka perlukan dalam jihad.

– Mendirikan pusat-pusat kajian dan penelitian yang mengkaji langkah-langkah musuh.

Perkara-perkara di atas boleh dibiayai daripada zakat melalui bahagian fi sabilillah apabila ulama’ umat menetapkan bahawa itu telah memenuhi kriteria syar’i.

Kedua, perkara yang mewujudkan jihad dan menolong agama Allah melalui jalan dakwah. Ini memiliki beberapa bentuk, di antaranya:

– Mendirikan pusat-pusat dakwah dan bimbingan dan memenuhi keperluan dakwah seperti prasarana, gaji para pegawainya dan biaya operasi dan selainnya.

– Mencetak buku-buku dan buletin-buletin yang bertujuan menyebarkan ilmu syar’i dan dakwah serta mengedarkan audio dakwah Islam yang membawa misi dakwah.

– Mendukung halaqah-halaqah hafalan Al-Qur’an dan membiayai kos operasinya. Dengan ini dapat kita mengajarkan kitabullah lalu mengamalkannya. Ini termasuk pintu jihad yang paling besar, kerana ayat tentang jihad yang pertama kali turun adalah jihad dengan Al-Quran, sebagaimana Allah ﷻ berfirman:

وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا
Dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al-Quran dengan jihad yang besar.
[Al-Furqan:52]

– Membuat dan biaya laman web yang menjelaskan kebenaran, membimbing manusia dan berdakwah kepada Allah ﷻ dengan hikmah dan nasihat yang baik. Terutama di zaman ini di mana teknologi telah menjadi ruang komunikasi paling efektif.

– Mendirikan jaringan TV Islam yang mengajak kepada Allah ﷻ dan mendukungnya demi mewujudkan visi dan misinya. Ini termasuk saranan jihad dengan menggunakan lisan yang paling agung, kerana ia memiliki pengaruh yang besar. Kerana cara ini memiliki daya tarik dan pengaruh yang tinggi. Perang di jalur ini lebih besar kesannya daripada perang senjata, kerana ia berkesan secara khusus terhadap akal manusia. Ini berbeza dengan perang senjata, ia hanya mengusai hal-hal kecil dan terkadang tidak menyentuh akal dan akidah.

– Mendirikan yayasan-yayasan dakwah yang memperhatikan dakwah Islam, baik dakwah kepada orang-orang kafir agar masuk Islam atau dakwah kepada kaum Muslimin dengan memahamkan mereka terhadap agamanya dan memperteguh keyakinan mereka, terutama yang baru masuk Islam.

Di atas adalah antara cadangan yang boleh dipertimbangkan. Ini memerlukan perbincangan yang lebih lanjut di antara pihak yang menguruskan harta zakat.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 23 Disember 2024

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 60 (Bahagian 1: 4 Golongan Asnaf Zakat – Fakir, Miskin, Amil dan Muallaf)

PENERIMA-PENERIMA ZAKAT

Tawbah Ayat 60: Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana orang-orang Munafik itu marah kalau mereka tidak mendapat pembahagian zakat. Mereka tidak diberikan dengan zakat kerana biasanya orang-orang munafik itu sudah kaya raya dan sebab itulah mereka tidak layak mendapat zakat.

Allah ﷻ menjelaskan dalam ayat ini yang zakat mesti diberikan kepada golongan Asnaf. Allah ﷻ hendak memberitahu mereka supaya jangan dengki kalau tidak dapat kerana yang patut dapat zakat itu sudah ditetapkan oleh Allah ﷻ.

Di dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang golongan Munafik yang marah apabila mereka tidak diberi zakat. Maknanya mereka itu marah dengan Allah ﷻ kerana pembahagian harta zakat sebenarnya ditentukan oleh Allah ﷻ, bukannya Rasulullah ﷺ.

۞ إِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلفُقَراءِ وَالمَسٰكينِ وَالعٰمِلينَ عَلَيها وَالمُؤَلَّفَةِ قُلوبُهُم وَفِي الرِّقابِ وَالغٰرِمينَ وَفي سَبيلِ اللَّهِ وَابنِ السَّبيلِ ۖ فَريضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Zakāh expenditures are only for the poor and for the needy it¹ and for those employed for and for bringing hearts together [for Islām] and for freeing captives [or slaves] and for those in debt and for the cause of Allāh and for the [stranded] traveler – an obligation [imposed] by Allāh. And Allāh is Knowing and Wise.

  • By the state to collect, guard and distribute the zakāh.

(MALAY)

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

إِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلفُقَراءِ وَالمَسٰكينِ

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, 

Ulama tafsir bersetuju yang lafaz الصَّدَقاتُ dalam ayat ini bermaksud zakat, bukan sedekah yang sunat. Di dalam surah ini juga di dalam ayat 103 juga memberi indikasi yang ia adalah zakat kerana ia kena diambil, bukan secara sukarela.

خُذ مِن أَموالِهِم صَدَقَةً
Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka

Dari segi bahasa, الصَّدَقاتُ berasal daripada katadasar ص د ق yang bermaksud ‘benar’. Mereka yang memberi sedekah dan zakat itu membenarkan ajaran Islam. Mereka juga membenarkan janji Allah ﷻ yang mengatakan bahawa mereka yang infak/sedekah/zakat akan mendapat balasan baik daripada Allah ﷻ. Maka ada banyak perkara yang boleh dimasukkan sebagai sedekah seperti disebut oleh Rasulullah ﷺ:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَأَمْرُكَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيُكَ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَإِرْشَادُكَ الرَّجُلَ فِي أَرْضِ الضَّلَالِ لَكَ صَدَقَةٌ وَبَصَرُكَ لِلرَّجُلِ الرَّدِيءِ الْبَصَرِ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِمَاطَتُكَ الْحَجَرَ وَالشَّوْكَةَ وَالْعَظْمَ عَنْ الطَّرِيقِ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِفْرَاغُكَ مِنْ دَلْوِكَ فِي دَلْوِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ
Daripada [Abu Dzarr رضي الله عنه] dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Senyummu kepada saudaramu merupakan sedekah, engkau berbuat ma’ruf dan melarang daripada kemungkaran juga sedekah, engkau menunjukkan jalan kepada orang yang tersesat juga sedekah, engkau menuntun orang yang berpenglihatan kabur juga sedekah, menyingkirkan batu, duri dan tulang dari jalan merupakan sedekah, dan engkau menuangkan air daripada baldimu ke baldi saudaramu juga sedekah.”
Jami’ Tirmidzi (1879)
Status: Hasan

Orang yang mengeluarkan zakat itu membenarkan janji Allah ﷻ. Mereka percaya yang zakat itu adalah wajib dan memberi sedekah itu adalah sesuatu yang baik dan akan mendapat balasan yang baik. Bezanya, sedekah adalah infak yang sunat dan zakat adalah infak yang wajib.

Sesungguhnya kebanyakan manusia tidak beriman dan mereka amat sayangkan harta mereka. Umat Islam pun tidak terkecuali. Kalau dibandingkan dengan ibadah lain seperti solat, puasa, mereka tidak ada masalah. Namun bila melibatkan keluar duit dan harta, kebanyakannya menjadi takut miskin. Sedangkan Allah ﷻ telah berjanji akan beri balasan yang berlebih-lebih kali ganda. Tidak akan miskin orang yang bersedekah seperti sabda Rasulullah ﷺ:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ للَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ
Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta seseorang dan Allah ﷻ akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah ﷻ akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.”
(HR Muslim 4689)

Akan tetapi manusia ramai menidakkan hal ini. Seperti firman Allah ﷻ di dalam Ma’un:1-3

أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ
Adakah kamu lihat (orang) yang mendustakan agama?

فَذٰلِكَ الَّذي يَدُعُّ اليَتيمَ
Itulah orang yang mengherdik anak yatim,

وَلا يَحُضُّ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ
dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Jikalau kita dapat menerima suruhan Allah ﷻ untuk mengeluarkan zakat, maka kena ikut cara pembahagiannya juga. Pembahagian zakat dibahagikan kepada 8 golongan seperti yang disenaraikan dalam ayat ini. Allah ﷻ tambah إِنَّمَا menunjukkan yang ‘hanya’ 8 golongan ini sahaja yang layak menerima zakat. Maka kena belajar dan faham, kerana ramai juga yang tidak tahu hal ini.

Yang pertama adalah golongan ‘fakir’ dan yang kedua adalah golongan ‘miskin’. Kedua-dua golongan adalah mereka yang kurang harta mereka akan tetapi golongan fakir lebih memerlukan sumbangan wang berbandingan dengan golongan miskin.

Untuk memudahkan kiraan, kita boleh beri satu contoh: katakanlah keperluan sederhana untuk hidup di Kuala Lumpur adalah RM100 sehari. Golongan miskin berpendapatan RM70 sehari dan golongan fakir berpendapatan RM50 sahaja. Kedua-dua golongan ini tidak dapat memenuhi keperluan hidup kehidupan sederhana di sesuatu kawasan itu.

Sesungguhnya kaum fakir miskin disebutkan terlebih dahulu dalam ayat ini daripada golongan yang lain, kerana mereka lebih memerlukannya berbanding dengan golongan lain, menurut pendapat yang terkenal; ini juga termasuk hajat dan keperluan mereka yang sangat mendesak.

Cuma kena pandai bezakan antara fakir dan miskin. Kena tahu yang orang miskin itu bukanlah tidak ada apa-apa langsung, cuma pendapatan dan harta mereka tidak cukup sahaja. Lihat pada ayat Kahfi:79

أَمَّا السَّفينَةُ فَكانَت لِمَسٰكينَ يَعمَلونَ فِي البَحرِ
Adapun perahu itu dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut

Tafsir: dalam ayat ini, Allah ﷻ mengatakan pemilik perahu itu ‘orang miskin’ sedangkan mereka ada perahu yang digunakan untuk mencari rezeki. Maknanya mereka ada juga harta, bukannya tidak ada langsung. Akan tetapi harta mereka itu tidak cukup nisab (setelah ditolak keperluan hidup) untuk keluarkan zakat. Kalau fakir, mungkin langsung tidak ada apa-apa. Cuma pendapatan mereka tidaklah cukup untuk menampung keperluan. Memang mereka hidup sahaja, tetapi tidaklah cukup dan kita pun boleh lihat keadaan mereka.

Ada satu lagi pendapat tentang perbezaan antara orang fakir dan miskin ini:

i. Orang miskin itu meminta-minta kepada orang lain.
ii. Akan tetapi orang fakir itu tidak meminta-minta. Walaupun dia susah namun dia buat relaks biasa sahaja.

Oleh itu kena pilih mereka yang layak dikira sebagai fakir/miskin berdasarkan sebuah hadith tentang orang-orang fakir dan miskin

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ وَلَا لِذِي مِرَّةٍ سَوِيٍّ
Daripada Abdullah bin ‘Amr رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Tidak halal zakat bagi orang kaya dan orang yang kuat dan sihat badan.”
(Riwayat Abu Dawud No. 1392)

Syarah: maka sedekah/zakat hanya diberikan kepada fakir miskin sahaja. Bukannya diberikan kepada orang yang kaya (yang cukup pendapatan mereka). Akan tetapi nanti kita akan lihat ada juga asnaf yang tidak miskin.

Terdapat sebuah lagi hadith:

عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَدِيِّ بْنِ الْخِيَارِ قَالَ أَخْبَرَنِي رَجُلَانِ أَنَّهُمَا أَتَيَا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ وَهُوَ يُقَسِّمُ الصَّدَقَةَ فَسَأَلَاهُ مِنْهَا فَرَفَعَ فِينَا الْبَصَرَ وَخَفَضَهُ فَرَآنَا جَلْدَيْنِ فَقَالَ إِنَّ شِئْتُمَا أَعْطَيْتُكُمَا وَلَا حَظَّ فِيهَا لِغَنِيٍّ وَلَا لِقَوِيٍّ مُكْتَسِبٍ
Daripada Ubaidillah bin Adi bin Al Khiyar رضي الله عنه berkata; telah telah mengabarkan kepadaku [dua orang yang telah menemui Rasulullah ﷺ pada waktu haji wada’] sementara baginda sedang membahagikan zakat, mereka berdua meminta kepada baginda sebahagian daripada zakat tersebut, lalu baginda mengangkat pandangannya kepada kami lalu menundukkannya dan baginda melihat kami adalah orang yang kuat, lalu baginda berkata: “Kalau kalian berdua menginginkannya maka kami akan memberikan kepada kalian berdua, dan tidak ada bahagian dalam zakat tersebut bagi orang yang kaya dan orang yang mampu untuk bekerja.”
(Riwayat Abu Dawud No. 1391)

Syarah: maka orang yang mampu bekerja dan mencari pendapatan, janganlah mengambil daripada harta zakat kerana ia adalah hak orang fakir miskin dan asnaf yang lain. Zalim kalau kita mengambil hak orang lain.

Imam Nawawi رحمه الله mengatakan:

Jika seseorang memiliki tanah yang boleh disewakan, namun pendapatannya tidak mampu menampung keperluannya, maka dia termasuk orang fakir dan berhak mendapat zakat untuk memenuhi keperluannya. Orang seperti ini tidak dituntut untuk menjual tanahnya (untuk mengeluarkan zakat).

Di dalam kitab al-Mughni disebutkan:

Al-Maimun pernah bertanya kepada Abu Abdillah Ahmad bin Hanbal tentang orang yang memiliki unta dan kambing yang telah wajib dikeluarkan zakatnya tetapi orang tersebut adalah fakir. Atau seseorang yang memiliki 40 ekor kambing dan mempunyai ladang, namun harta tersebut belum dapat mencukupi keperluan asasnya. Apakah dia berhak mendapatkan bahagian zakat? Imam Ahmad رحمه الله menjawab: “kerana dia tidak memiliki harta yang cukup dan tidak mampu melakukan usaha tambahan untuk memenuhi keperluan asasnya. Orang seperti ini boleh mengambil bahagian daripada zakat. Sebab, orang yang tidak memiliki apa-apa tidak diwajibkan zakat atasnya.”

 

وَالعٰمِلينَ عَلَيها

pengurus-pengurus zakat,

Asnaf yang ketiga adalah pengurus zakat. Ini adalah para pegawai zakat atau selalunya disebut ‘amil zakat’. Tugas mengutip zakat adalah tugas kerajaan, tetapi kerajaan boleh melantik para Amil untuk melakukannya. Ini adalah mereka yang bekerja sepenuh masa untuk mengutip dan membahagikan zakat. Oleh kerana mereka bekerja untuk mengurus zakat itu, maka patutlah mereka diberikan sebahagian daripada hasil pungutan zakat itu. Maknanya imbuhan yang diberikan kepada mereka ini bukanlah ‘sedekah’, tetapi ‘upah’.

Sebenarnya, Amil ini adalah wakil kepada penerima zakat yang lain. Amil mengutip zakat bagi pihak mereka dan memberikan kepada mereka. Namun begitu tidaklah penerima zakat yang melantik para Amil itu, tetapi mereka itu dilantik oleh kerajaan Islam.

Pada zaman sekarang mereka adalah orang yang ditugaskan oleh kerajaan untuk mengutip dan mengumpulkan zakat. Ada yang kerja sepenuh masa dan ada yang sebagai sambilan sahaja. Kita juga memanggil mereka dengan gelaran ‘amil zakat’. Mereka ini juga berhak mengambil bahagian daripada zakat kecuali jikalau mereka keturunan Rasulullah ﷺ kerana keturunan baginda dilarang menerima sedekah (termasuklah zakat).

Cuma mungkin sebagai satu perbincangan ringkas di sini, kita kena faham bahawa pada zaman Nabi ﷺ dan sahabat, seorang amil itu akan menjalankan dua tugas yang utama: mereka perlu mengutip dan juga perlu membahagikan zakat itu. Mereka kutip daripada mereka yang kena keluarkan zakat dan merekalah juga yang mencari mereka yang sepatutnya mendapat pembahagian zakat itu. Pangkat mereka pun dinamakan عامل (orang yang bekerja) maka sepatutnya mereka buat kerjalah.

Maka mereka bukanlah duduk sahaja di pejabat zakat tunggu pemberi zakat datang membayar dan penerima zakat datang meminta. Pengurusan zakat dulu dan sekarang nampaknya berlainan. Kalau zakat pada waktu dahulu, pemberi zakat tidak susah dan penerima zakat juga tidak susah untuk datang meminta dengan disuruh untuk mengisi segala macam borang dan sebagainya. Sedih kalau hanya disebut tentang berapa banyak zakat yang dikutip, tetapi tidak disebut sangat tentang zakat yang diberikan kepada Asnaf.

Akan tetapi pusat pungutan zakat pun ada dugaan mereka juga. Bukan senang untuk membantu orang yang susah. Kadangkala yang susah itu kerana malas, sudah berkali-kali dibantu namun tetap seperti itu juga. Maka kita jangan cepat sangat mengkritik pusat pungutan zakat kerana kita tidak duduk di tempat mereka dan memahami masalah yang mereka hadapi.

Amil ini tidak semestinya miskin seperti Asnaf pertama dan kedua. Rasulullah ﷺ telah bersabda:

عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ إِلَّا لِخَمْسَةٍ لِغَازٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ لِعَامِلٍ عَلَيْهَا أَوْ لِغَارِمٍ أَوْ لِرَجُلٍ اشْتَرَاهَا بِمَالِهِ أَوْ لِرَجُلٍ كَانَ لَهُ جَارٌ مِسْكِينٌ فَتُصُدِّقَ عَلَى الْمِسْكِينِ فَأَهْدَاهَا الْمِسْكِينُ لِلْغَنِيِّ
Daripada ‘Atha` bin Yasar رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “tidak halal zakat bagi orang kaya kecuali bagi lima orang, iaitu orang yang berperang di jalan Allah ﷻ, atau petugas zakat, atau orang yang berhutang, atau seseorang yang membelinya dengan hartanya, atau orang yang memiliki tetangga miskin kemudian orang miskin tersebut diberi zakat, lalu dia memberikannya kepada orang yang kaya.”
(Riwayat Abu Dawud No. 1393)

Oleh itu, tidak kisah jika amil itu orang yang kaya dan tidak memerlukan bahagian daripada zakat itu. Malah ada baiknya Amil itu dilantik daripada orang yang kaya supaya dia tidak lapar dengan harta zakat itu. Namun apabila diberi imbuhan (diambil daripada kutipan zakat juga) dia kena terima. Kalau selepas itu dia hendak beri kepada orang lain sebagai sedekah, terpulang. Akan tetapi kena ambil dulu. Lihat hadith di bawah:

عَنْ ابْنِ السَّاعِدِيِّ الْمَالِكِيِّ أَنَّهُ قَالَ اسْتَعْمَلَنِي عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الصَّدَقَةِ فَلَمَّا فَرَغْتُ مِنْهَا وَأَدَّيْتُهَا إِلَيْهِ أَمَرَ لِي بِعُمَالَةٍ فَقُلْتُ إِنَّمَا عَمِلْتُ لِلَّهِ وَأَجْرِي عَلَى اللَّهِ فَقَالَ خُذْ مَا أُعْطِيتَ فَإِنِّي عَمِلْتُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَمَّلَنِي فَقُلْتُ مِثْلَ قَوْلِكَ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أُعْطِيتَ شَيْئًا مِنْ غَيْرِ أَنْ تَسْأَلَ فَكُلْ وَتَصَدَّقْ
Daripada Ibnu As Sa’idi Al Maliki رضي الله عنه bahawa dia berkata; Umar bin Al Khathab رضي الله عنه pernah menugaskanku sebagai amil zakat. Setelah tugas itu selesai kulaksanakan, dan hasil zakat yang kukumpulkan telah kuserahkan kepadanya, maka Umar رضي الله عنه menyuruhku mengambil bahagian amil untukku. Lalu jawabku, “Aku bekerja kerana Allah, kerana itu upahku pun kuserahkan kepada Allah.” Umar رضي الله عنه berkata, “Ambillah apa yang diberikan kepadamu itu, sesungguhnya aku pernah pula bertugas pada masa Rasulullah ﷺ sebagai amil zakat. Aku menolak pemberian itu seraya menjawab seperti jawapanmu juga. Maka Rasulullah ﷺ pun bersabda: ‘Apabila kamu diberi orang suatu pemberian tanpa kamu minta, makanlah atau sedekahkanlah.’”
(Sahih Muslim No. 17833)

Kadar bayaran bagi amil ini ditentukan oleh pihak yang berkuasa, tentulah mengikut kadar yang sesuai setelah ditimbang segala perkara. Upah itu diambil daripada harta zakat itu sendiri, bukannya daripada harta lain. Syeikh Muhammad bin Sholeh Al ‘Utsaimin رحمه الله menjelaskan, “Ia diberikan sebagaimana upah hasil kerja kerasnya.” Maknanya bergantung kepada usahanya dan tidaklah boleh terlalu banyak. Ulama’ mengatakan tidak boleh lebih daripada separuh daripada kutipan zakat. Maknanya kalau kutipan kurang, maka imbuhan kepadanya pun kurang.

Petugas zakat bukan sahaja mereka yang mengutip zakat itu tetapi termasuk yang terlibat dalam pengurusannya. Seperti penghitung zakat, juru tulis, pengumpul zakat, penjaga harta zakat, penggembala haiwan zakat dan lain-lain.

 

وَالمُؤَلَّفَةِ قُلوبُهُم

para mu’allaf yang dipujuk hatinya,

Asnaf yang keempat adalah golongan muallaf. Kalimah المُؤَلَّفَةِ berasal daripada katadasar ا ل ف yang bermaksud tahu, dikumpul bersama, gabung, mendamaikan, dijinakkan, penyatuan, padat, pakatan, ribu.

Maka maksud المُؤَلَّفَةِ adalah mereka yang hati sudah jinak untuk masuk Islam. Maknanya mereka belum masuk Islam lagi namun sudah berminat. Mereka sudah ada keinginan untuk masuk Islam dan pemberian zakat itu sebagai pemberian ihsan daripada kerajaan Islam kepada mereka. Pemberian ini bertujuan untuk melembutkan hati mereka dan mendekatkan lagi mereka kepada agama Islam dan ia diberikan kepada yang memerlukan.

Adakah golongan Muallaf itu disyaratkan memerlukan wang zakat itu? Bagaimana kalau dia seorang yang kaya? Ulama’ khilaf tentang perkara ini.

Pendapat Imam Syafie dan Imam Ahmad رحمهما الله:
Semua muallaf layak menerima zakat walaupun mereka kaya (kaya itu maksudnya mereka ada harta yang cukup nisab untuk mengeluarkan zakat).

Pendapat Imam Malik dan Imam Abu Hanifah رحمهما الله:
Mensyaratkan muallaf mereka miskin. Pada mereka, semua penerima zakat daripada 8 golongan ini (kecuali para Amil) mestilah daripada golongan yang memerlukan wang zakat itu.

Isu ini menarik kerana tidak berapa lama sebelum ini, Negeri Perlis telah memberikan zakat kepada golongan non-Muslim. Ramai yang kecoh kerana tidak faham tentang istilah ‘muallaf’. Mereka sangka muallaf itu orang yang sudah masuk Islam (yang asalnya daripada agama lain). Kerana itulah orang seperti Sheikh Hussein Yee رَحِمَهُ اللَّهُ masih dipanggil muallaf walaupun sudah 30 tahun memeluk Islam. Maka haruslah diperincikan sedikit apakah muallaf ini kerana orang seperti Sheikh Hussein رَحِمَهُ اللَّهُ itu bukan muallaf lagi, malah beliau lebih Muslim daripada kita. Para sahabat dulu pun semuanya bukan Muslim awalnya, tetapi bila mereka memeluk Islam, tidaklah mereka dipanggil muallaf, bukan?

Ada beberapa jenis golongan Muallaf ini:

1. Termasuk dalam golongan muallaf itu adalah mereka yang belum memeluk Islam. Para muallaf diberi zakat untuk melembutkan hati mereka pada Islam dan mereka tidak menentang Islam. Mungkin mereka sudah menunjukkan minat kepada Islam. Maka zakat diberikan kepada mereka sebagai motivasi agar mereka lebih tertarik dan dengan mudah memeluk Islam.

2. Termasuk juga golongan ini adalah muslim untuk memperkuatkan imannya. Syeikh Muhammad Shalih Al-Munajjid حفظه الله menyatakan bahawa kalau orang fakir sahaja diberikan zakat kerana keperluan dunia dan badannya, maka kalau muallafatu qulubuhum diberi demi menguatkan imannya tentu lebih utama lagi. Ini kerana kita tahu bahawa keperluan orang pada kuatnya iman itu lebih diutamakan daripada keperluan akan kuatnya jasad.

Syeikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin رحمه الله menjelaskan, “Termasuk golongan muallafatu qulubuhum adalah orang yang diharapkan ketika diberikan zakat imannya akan semakin kuat. Orang yang diberi di sini adalah yang lemah imannya seperti sering meremehkan solat, lalai akan zakat, lalai akan kewajipan haji dan puasa, serta semacamnya.” (Syarh Al-Mumthi’, 6: 227)

Oleh itu, boleh beri zakat kepada muallaf yang sudah masuk Islam itu kerana mereka mungkin memerlukan wang tambahan untuk belajar agama, pergi ke kelas pengajian dan sebagainya.

3. Atau ada juga yang diberikan zakat supaya tidak mengganggu kaum muslimin. Ini kerana ada manusia tidak ada kisah tentang hal lain melainkan harta sahaja. Maka hati mereka dilembutkan dengan wang zakat. Sebagai contoh, pemimpin puak yang duduk berdekatan dengan negara Islam. Intinya, kalau zakat diberi pada orang yang mengganggu seperti itu akan memberikan manfaat untuk kaum muslimin.

Itu adalah tiga golongan yang termasuk di dalam kategori muallaf. Adapun bagi orang yang sudah lama masuk Islam dan sudah bagus Islamnya, maka tidak tepat kalau diberikan zakat untuknya berterusan kerana ia bukan lagi orang yang dikira sebagai muallafatu qulubuhum.

Dalil-dalil bagi pemberian zakat kepada golongan Muallaf ini (sama ada telah Muslim atau tidak) antaranya:

عَنْ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ غَزَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَزْوَةَ الْفَتْحِ فَتْحِ مَكَّةَ ثُمَّ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْ مَعَهُ مِنْ الْمُسْلِمِينَ فَاقْتَتَلُوا بِحُنَيْنٍ فَنَصَرَ اللَّهُ دِينَهُ وَالْمُسْلِمِينَ وَأَعْطَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَئِذٍ صَفْوَانَ بْنَ أُمَيَّةَ مِائَةً مِنْ النَّعَمِ ثُمَّ مِائَةً ثُمَّ مِائَةً قَالَ ابْنُ شِهَابٍ حَدَّثَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّ صَفْوَانَ قَالَ وَاللَّهِ لَقَدْ أَعْطَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَعْطَانِي وَإِنَّهُ لَأَبْغَضُ النَّاسِ إِلَيَّ فَمَا بَرِحَ يُعْطِينِي حَتَّى إِنَّهُ لَأَحَبُّ النَّاسِ إِلَيَّ
Daripada Ibnu Syihab رضي الله عنه dia berkata; “Setelah Rasulullah ﷺ berjaya menakluk kota Mekah, baginda pergi dengan pasukannya untuk berperang di Hunain. Dalam peperangan itu Allah ‎ﷻ memenangkan agama-Nya dan kaum muslimin. Dan Rasulullah ﷺ memberi Shafwan bin Umayyah رضي الله عنه seratus ekor binatang ternak, kemudian ditambah dua ratus ekor lagi.” Ibnu Syihab رضي الله عنه berkata; Telah menceritakan kepadaku Sa’id bin Musayyab رضي الله عنه bahawa Shafwan رضي الله عنه berkata; ‘Demi Allah, Rasulullah ﷺ telah memberiku hadiah yang banyak sekali. Sebenarnya dahulu baginda adalah orang yang paling aku benci, tetapi kerana baginda selalu memberi hadiah kepadaku, sehingga baginda kini adalah orang yang paling aku cintai.’
(Sahih Muslim No. 4277)

Syarah: memang pemberian dapat melembutkan hati manusia. Shafwan رضي الله عنه pada waktu itu bukanlah masuk Islam lagi. Namun kemurahan hati baginda telah menyebabkan Shafwan رضي الله عنه menjadi lembut hati dan dapat melihat kebenaran Islam itu. Ada antara manusia yang kena dilembutkan hati dahulu. Inilah yang terjadi dalam situasi yang lain seperti hadith di bawah:

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَنَمًا بَيْنَ جَبَلَيْنِ فَأَعْطَاهُ إِيَّاهُ فَأَتَى قَوْمَهُ فَقَالَ أَيْ قَوْمِ أَسْلِمُوا فَوَاللَّهِ إِنَّ مُحَمَّدًا لَيُعْطِي عَطَاءً مَا يَخَافُ الْفَقْرَ فَقَالَ أَنَسٌ إِنْ كَانَ الرَّجُلُ لَيُسْلِمُ مَا يُرِيدُ إِلَّا الدُّنْيَا فَمَا يُسْلِمُ حَتَّى يَكُونَ الْإِسْلَامُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا عَلَيْهَا
Daripada Anas رضي الله عنه katanya: “Ada seorang laki-laki meminta seekor kambing kepada Nabi ﷺ di antara dua bukit. Kemudian tanpa ragu-ragu, Rasulullah ﷺ pun memberikan kambingnya kepada orang itu. Lalu orang itu datang kepada kaumnya seraya berkata; “Hai, kaumku! Masuklah kalian semua ke dalam agama Islam kalian! Demi Allah, sesungguhnya Muhammad telah memberiku suatu pemberian tanpa takut miskin.” Maka Anas رضي الله عنه berkata; “Jika ada seseorang yang dahulu masuk Islam kerana niat menginginkan harta dunia, tidaklah dia masuk Islam sehingga Islam itu sendiri lebih dicintainya daripada dunia dan segala isinya.”
(Sahih Muslim (2312))

Syarah: lihat lelaki ini. Dia asalnya memang hendakkan harta, akan tetapi kemurahan hayi Rasulullah ﷺ telah melembutkan hatinya kepada Islam. Kadangkala, kita hanya perlu bukakan sahaja pintu dan orang akan masuk Islam setelah mengenalinya.

Berbalik kepada isu di negara kita, Negeri Perlis telah mula memberikan zakat kepada non-Muslim dan ia telah menjadi isu untuk beberapa ketika. Maka ada baiknya saya nukilkan jawapan daripada Pejabat Mufti negeri Perlis (Dr. MAZA) untuk menjelaskan hal ini.

1. Masalah bolehkah bahagian sadaqah wajib atau yang dinamakan zakat diberikan kepada bukan muslim adalah masalah khilafiyyah (perbezaan pendapat) dalam kalangan fuqaha (sarjana fekah). Al-Imam al-Syafi’i رحمه الله (w. 204H) berpendapat tidak boleh. Pendapat yang sama dikeluarkan oleh fuqaha lain. Pendapat ini beliau sebutkan dalam karyanya yang terkenal al-Umm, katanya: “Golongan muallaf (mereka yang dijinakkan jantung hati) ialah sesiapa yang masuk ke dalam Islam. Tidak diberikan sadaqah (zakat) kepada musyrik untuk menjinakkannya dengan Islam. Jika ada yang berkata: Ketika peperangan Hunain Nabi telah berikannya kepada sebahagian muallaf dari kalangan musyrikin. (Jawapannya) itu adalah pemberian dari harta fai (harta rampasan), atau dari harta Nabi ﷺ sendiri. Bukan dari harta zakat”. (al-Umm, 2/338. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

2. Pendapat al-Imam al-Syafi’i رحمه الله tersebut telah menjadi pegangan dalam Mazhab al-Syafi’i. Maka, kita dapati tokoh-tokoh dalam mazhab al-Syafi’i akan menegaskan hal yang sama. Ini seperti al-Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab, al-Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’ dan lain-lain. Berdasarkan asas ‘kekufuran’ itu menghalang bukan muslim menerima peruntukan zakat, maka –dalam Mazhab al-Syafi’i mereka tidak boleh menerimanya sama ada atas tiket kefakiran ataupun muallaf.

3. Adapun jika kita melihat pendapat yang lain, sebahagian para fuqaha menyatakan mereka boleh menerima zakat atas peruntukan ‘al-muallafah qulubuhum’ iaitu yang dijinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Ini seperti yang dinaskan oleh al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 60. Peruntukan ini merangkumi mereka yang masih kafir dan yang telah menjadi muslim. Kata al-Imam Ibn Qudamah (w. 620): “Muallaf itu dua bahagian: kuffar dan muslimin yang mana mereka itu pemimpin yang ditaati dalam kaum dan keluarga mereka. Bahagian kuffar ini pula ada dua kelompok: pertama; orang yang diharapkan dia menganut Islam, maka diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada Islam, lalu dia menjadi muslim…kelompok kedua; orang yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian kepadanya akan menghalang kejahatannya dan mereka yang bersamanya..” (Ibn Qudamah, al-Mughni 9/317. Kaheran: Hijr).

4. Inilah pendapat yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat penghujahannya) oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan dalam al-Mufassal, juga Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar dalam kertas Ta’lif al-Qulub ‘ala al-Islam bi Amwal al-Sadaqah dan lain-lain. Maka, berdasarkan pendapat ini boleh diberikan zakat bahagian muallaf kepada bukan muslim yang berpengaruh dalam kaum atau masyarakat mereka yang diharapkan pemberian itu menggalakkan dia atau pengikutnya menerima Islam, atau mengurangkan sikap permusuhan dengan Islam. Pendapat ini disokong oleh pelbagai riwayat yang mana Nabi ﷺ memberikan kepada pemimpin-pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan bin Umayyah. Sehingga Sofwan pernah berkata:
وَاللهِ لَقَدْ أَعْطَانِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَعْطَانِي، وَإِنَّهُ لَأَبْغَضُ النَّاسِ إِلَيَّ، فَمَا بَرِحَ يُعْطِينِي حَتَّى إِنَّهُ لَأَحَبُّ النَّاسِ إِلَيَّ
“Demi Allah! Rasulullah ﷺ memberikan kepadaku begitu banyak. Dahulunya, dia adalah orang yang paling aku benci. Dia terus memberi kepadaku sehingga dia menjadi orang yang paling aku sayangi.”
(Riwayat Muslim).

5. Walaupun Mazhab al-Syafi’i dan selainnya menyatakan bahawa nas Surah al-Taubah itu bermaksud mereka yang sudah menganut Islam dan kisah Nabi ﷺ memberikan harta kepada pembesar-pembesar Arab yang masih kafir itu diambil dari peruntukan selain zakat, namun di sana ada ayat al-Qur’an lain yang menunjukkan bahawa Nabi ﷺ memberikan sadaqah (zakat) kepada bukan muslim. Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 58-59:
وَمِنْهُمْ مَنْ يَلْمِزُكَ فِي الصَّدَقَاتِ فَإِنْ أُعْطُوا مِنْهَا رَضُوا وَإِنْ لَمْ يُعْطَوْا مِنْهَا إِذَا هُمْ يَسْخَطُونَ (58) وَلَوْ أَنَّهُمْ رَضُوا مَا آتَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ سَيُؤْتِينَا اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَرَسُولُهُ إِنَّا إِلَى اللَّهِ رَاغِبُونَ
(maksudnya) “dan antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (mengikut kehendak mereka) mereka suka, dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. Dan (alanglah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka dan berkata: “cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; Sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”.

Kata Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar: “Nas ini amat jelas bahawa golongan ini yang mendapat sadaqat (zakat), pemberian tersebut adalah untuk menjinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Pastinya belum menganut Islam jantung hati yang orang mencela Rasulullah ﷺ mengenai zakat”. Ertinya, mereka itu belum menganut Islam, jika tidak, mana mungkin mereka mencela Rasulullah ﷺ kerana itu perbuatan yang kufur. Justeru, ayat ini memberi maksud Rasulullah ﷺ memberikan zakat kepada bukan muslim untuk dijinakkan jantung hati mereka pada zaman baginda.

6. Bagi saya, pendapat yang membolehkan zakat bahagian muallaf diberikan kepada bukan muslim dengan tujuan dakwah adalah lebih kukuh dan sangat relevan untuk masa kini. Hari ini Islam disalahfahami dan dituduh sebagai agama yang negatif. Pemberian zakat kepada muallaf yang sudah muslim dan belum muslim dapat membantu memelihara keindahan Islam. Jika kita bimbang aktiviti dakwah agama lain yang menggunakan sumbangan kewangan dan bantuan, mengapa tidak kita mengamalkan pendapat para ulama yang membolehkan pemberian zakat muallaf kepada mereka yang bukan muslim untuk menarik minat mereka kepada Islam?!

7. Selain daripada peruntukan zakat kepada bukan muslim atas nama muallaf, para ulama juga berbeza pendapat tentang peruntukan zakat fakir miskin kepada bukan muslim. Jumhur (majoriti) berpendapat tidak boleh. Namun, Dr Yusuf al-Qaradawi mentarjihkan bahawa ia dibolehkan (lihat: Fiqh al-Zakat, 2/707). Antara dalil dalam hal ini, Saidina ‘Umar ketika membaca firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 60 itu: (maksudnya) “Sesungguhnya sadaqat (zakat) itu untuk golongan fakir…”, beliau berkata: “Di zamanku ini mereka itu adalah Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian)” (Riwayat Ibn Abi Syaibah).

8. Para sarjana fekah bersepakat bahawa peruntukan zakat tidak boleh diberikan kepada kuffar yang memerangi Islam atau golongan kafir harbi. Ini berasaskan firman Allah:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
(maksudnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah 8-9).

9. Namun bagi yang tidak memerangi Islam; sama ada mereka warga negara umat Islam, atau yang ada perjanjian keamanan dengan kerajaan umat Islam, atau anak-anak dan kaum wanita kafir harbi yang bapa mereka memerangi tetapi mereka tidak terlibat, boleh diberikan peruntukan zakat muallaf atau fakir miskin ini.

10. Institusi zakat sebenarnya, jika berperanan dengan betul akan membangun umat Islam, dakwah Islam dan membina imej yang baik untuk masyarakat Islam. Jika zakat diuruskan dengan baik, banyak yang dapat dilakukan. Hanya kepada Allah tempat kita mengadu!

Sekian kita telah lihat 4 golongan Asnaf yang kesemuanya dimulai dengan harf ل iaitu bermula dengan لِلفُقَراءِ dan diikuti dengan tiga lagi golongan yang termasuk sekali menggunakan ل yang sama. Selepas ini kita lihat golongan yang dimulakan dengan harf في pula.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 20 Jun 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 55 – 59 (Redha dengan apa yang ada)

Tawbah Ayat 55:

فَلا تُعجِبكَ أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم ۚ إِنَّما يُريدُ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِها فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So let not their wealth or their children impress you. Allāh only intends to punish them through them in worldly life and that their souls should depart [at death] while they are disbelievers.

(MALAY)

Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir.

 

فَلا تُعجِبكَ أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم

Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. 

Memang ramai dalam kalangan munafik itu yang kaya raya dan hidup mereka nampak senang-senang sahaja dan anak pinak mereka pun ramai. Akan tetapi Allah ﷻ pesan dalam ayat ini, orang mukmin jangan terpikat dengan harta mereka yang banyak dan anak-anak mereka di sekeliling mereka. Itu hanyalah kelebihan dari segi keduniaan sahaja. Lihatlah sahaja, tetapi jangan sampai kamu terpesona dengan apa yang mereka ada itu dan mahu menjadi seperti mereka pula kerana cara hidup mereka itu bukanlah selamat.

Ayat ini sama dengan firman Allah ﷻ yang mengatakan:

وَلا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى
Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan daripada mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami uji mereka dengannya. Dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal. [Taha: 131]

Maka jangan kita terpengaruh dengan kekayaan dan kesenangan orang lain. Itu rezeki mereka dan bahagian mereka daripada qadar Allah ﷻ. Buang masa sahaja kalau kita terpengaruh dan bercita-cita menjadi seperti mereka. Satu lagi jangan dengki juga dengan mereka. Dengki ini satu perasaan yang akan memakan diri sendiri sahaja dan menidakkan qada’ dan qadar Allah ﷻ. Sabda Rasulullah ﷺ:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah ﷻ kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.
(Sahih al-Bukhari (73))

 

إِنَّما يُريدُ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِها فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا

Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia

Sebenarnya, Allah ﷻ melimpahkan kesenangan dan kekayaan kepada mereka kerana Allah ﷻ akan azab mereka di dunia ini lagi. Sebagai contoh, kerana mereka tidak infak, Allah ﷻ akan jadikan harta dan anak-anak mereka itu sebagai penyesalan untuk mereka nanti. Dengan harta itu mereka menjadi sibuk untuk jaga, untuk mencari lagi harta kekayaan sampaikan terabai kehidupan dan keluarga. Hidup mereka tidak tenang dan mereka akan kepenatan ke sana dan ke sini.

Dengan anak pula mungkin anak-anak mereka tidak menghormati mereka, buat perkara yang memalukan mereka, menjadi penjenayah, hantar mereka ke rumah orang tua dan apa-apa sahaja boleh terjadi. Anak yang mereka banggakan semasa muda akhirnya memalukan mereka di masa tua. Di dunia lagi anak-anak itu tidak menjadi orang, apatah lagi apabila ibubapa itu sudah mati dan masuk ke alam kubur.

Di dunia mungkin ibubapa perlukan bantuan anak-anak untuk menjaganya selama 10 tahun sahaja, tetapi di alam kubur mereka lebih memerlukan bantuan daripada anaknya. Ini kerana anak-anak adalah ‘saham’ bagi ibubapanya. Supaya daripada amalan anak-anak terus mengalir menjadi pahala tambahan buat ibubapa itu. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Daripad [Abu Hurairah رضي الله عنه], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfa’at baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya.”
(Sahih Muslim (3084))

Akan tetapi kalau di dunia lagi mereka akan nampak yang anak-anak mereka itu tidak boleh diharap untuk bantu mereka selepas mereka tidak ada. Maknanya mereka sudah dibalas di dunia lagi supaya mereka akan rasa menyesal yang amat sangat. Harta dan anak-anak mereka itu yang akan menyeksa jiwa mereka nanti. Dalam ayat yang lain, Allah ﷻ berfirman:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ
Apakah mereka sangka bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar. [Al-Mu’minun: 55-56]

Al-Hasan Al-Basri رحمه الله mengatakan bahawa yang dimaksudkan ialah mereka dibebani untuk membayar zakatnya dan menginfakkan sebahagian daripadanya di jalan Allah ﷻ (padahal semuanya itu tidak diterima daripada mereka).

Maka jangan dipandang dan dikejar sangat harta di dunia ini. Di dalam Taghabun:15 Allah ﷻ memberitahu kita hakikat harta dan anak-anak itu,

إِنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ
Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Allah ﷻ beritahu kita di sini yang harta dan anak-anak itu adalah fitnah (ujian). Kalau ujian, adakah manusia berbangga dengannya? Tentu tidak. Maka ia adalah sesuatu yang menduga kita. Kalau kita tersilap langkah, kita akan binasa. Bukanlah harta dan anak-anak itu buruk terus, tetapi yang bahaya adalah kalau kita gagal dengan ujian itu sampai melupakan persediaan kita kepada akhirat.

Harta dan anak-anak juga boleh menyebabkan manusia berbangga dan rasa diri mereka serba cukup sampaikan mereka sudah tidak rasa mereka memerlukan Allah ﷻ lagi. Ini disebut dalam Alaq:6-7

كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ
kerana dia melihat dirinya serba cukup.

Begitulah bahayanya harta ini sehingga menyebabkan timbulnya sifat materialistik dan hanya pentingkan dunia sahaja. Ramai manusia yang terpengaruh dengan gemerlapan kekayaan dan kesenangan orang lain. Maka orang itulah yang dijadikan sebagai idola mereka. Maka cara hidup mereka yang kaya raya itu dijadikan contoh dan bukannya orang berilmu. Lihatlah pengajaran yang Allah ﷻ beri dengan contoh Qarun di dalam Qasas:79-80

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ في زينَتِهِ ۖ قالَ الَّذينَ يُريدونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا يٰلَيتَ لَنا مِثلَ ما أوتِيَ قٰرونُ إِنَّهُ لَذو حَظٍّ عَظيمٍ
Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

Ramai masyarakat di sekeliling Qarun telah terpengaruh dengan keindahan materialistik kerana dikelabui oleh kekayaan Qarun. Alhamdulillah ada yang tidak terpengaruh dan mereka telah memberi nasihat kepada kaum itu. Ini adalah kerana mereka itu ada ilmu. Ada ilmu baru selamat tuan-tuan. Lihat apa mereka kata,

وَقالَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ وَيلَكُم ثَوابُ اللهِ خَيرٌ لِّمَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا وَلا يُلَقّٰها إِلَّا الصّٰبِرونَ
Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: “Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar”.

 

وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كٰفِرونَ

dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir.

Bukan sahaja mereka akan diseksa jiwa di dunia, di akhirat nanti pun mereka akan diseksa juga. Kelak akan dicabut nyawa mereka dalam keadaan mereka kafir. Mereka tidak sempat hendak mengucap syahadah dan mereka akan mati begitu sahaja.

Kemudian bila mereka mati dalam keadaan kafir, mereka akan diseksa sebagai orang kafir, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka tidak akan keluar sampai bila-bila. Mereka mungkin nampak dari segi luaran sebagai orang Muslim dan mereka mengaku Muslim, tetapi mereka mati dalam keadaan kufur. Alangkah menakutkan sekali! Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Muzzammil:11-13

وَذَرني وَالمُكَذِّبينَ أُولِي النَّعمَةِ وَمَهِّلهُم قَليلًا
Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;

إِنَّ لَدَينا أَنكالًا وَجَحيمًا
Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan neraka yang menjulang-julang,

وَطَعامًا ذا غُصَّةٍ وَعَذابًا أَليمًا
Serta makanan yang menjadikan pemakannya tercekik, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Oleh kerana itu, harta mereka yang banyak itu menjadi istidraj bagi mereka – iaitu harta itu menarik-narik mereka untuk melakukan mungkar, bukannya melakukan kebaikan.

Sekali lagi Allah ﷻ sebut di dalam Muddaththir:11-17 dan kali ini disebut nikmat ada anak yang ramai. Bukan sahaja ramai, anak-anaknya itu membesar dan duduk bersamanya dan dia dapat selalu berjumpa. Akan tetapi dia tidak mengamalkan agama seperti yang sepatutnya maka mereka akan dibalas dengan azab seksa.

ذَرني وَمَن خَلَقتُ وَحيدًا
Biarkanlah Aku sahaja membalas orang yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri

وَجَعَلتُ لَهُ مالًا مَّمدودًا
Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang panjang,

وَبَنينَ شُهودًا
Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.

وَمَهَّدتُ لَهُ تَمهيدًا
Dan Aku siapkan dia dengan segala persiapan.

ثُمَّ يَطمَعُ أَن أَزيدَ
Kemudian dia tamak, supaya Aku tambahi lagi;

كَلّا ۖ إِنَّهُ كانَ لِأَيَـٰتِنَا عَنيدًا
Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya ayat-ayat Kami

سَأُرهِقُهُ صَعودًا
Aku akan mengenakan dia dengan azab yang menaik.

 


 

SUMPAH PALSU

Tawbah Ayat 56: Sekarang kita berubah kisah. Ini adalah kisah apabila Rasulullah ﷺ dan golongan Mukmin pulang dari Tabuk. Allah ﷻ ulang kata-kata golongan Munafik.

وَيَحلِفونَ بِاللَّهِ إِنَّهُم لَمِنكُم وَما هُم مِّنكُم وَلٰكِنَّهُم قَومٌ يَفرَقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they swear by Allāh that they are from among you while they are not from among you; but they are a people who are afraid.

(MALAY)

Dan mereka (orang-orang munafik) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa sesungguhnya mereka termasuk golonganmu; padahal mereka bukanlah dari golonganmu, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang sangat takut.

 

وَيَحلِفونَ بِاللَّهِ إِنَّهُم لَمِنكُم

Dan mereka (orang-orang munafik) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa sesungguhnya mereka termasuk golonganmu;

Apabila rombongan perang pulang dari Tabuk, puak munafik datang bertemu Nabi ﷺ dan mereka bersumpah di hadapan baginda. Mereka bukan cakap biasa, tetapi siap bersumpah sebab mahukan Nabi ﷺ percayakab mereka. Bersumpah pula dengan nama Allah ﷻ!

Kenapa mereka bersumpah? Ini adalah kerana mereka rasa kalau mereka tidak bersumpah, Nabi ﷺ tidak puas hati, para sahabat pun tidak percaya. Manakan tidak, mereka itu sudah dikenali sebagai orang yang tidak dipercayai, selalu menipu dan selalu mengelat. Maka mereka datang bertemu Nabi ﷺ dengan bersumpah dengan nama Allah ﷻ supaya kata-kata mereka diambil berat.

Itu pun bagus juga mereka bersumpah dengan nama Allah ﷻ (seperti yang sepatutnya). Tidaklah seperti orang kita yang tidak tahu cara bersumpah, maka yang bersumpah dengan menjunjung Al-Qur’an pun ada. Ini memang pelik dari manalah mereka dapat idea karut begini kerana ia memang tidak ada dalam syarak.

Ternyata dari sini kita dapat tahu yang golongan Munafik itu sangat suka bersumpah. Oleh itu kalau kita pun sikit-sikit suka bersumpah, maka kta ini ada ciri-ciri mereka. Bukanlah kalau bersumpah terus menjadi Munafik, tetapi takut-takut ada sifat itu. Ini kerana orang Mukmin sepatutnya tidak perlu bersumpah pun. Orang Mukmin sentiasa berkata benar dan kalau orang tidak mahu percaya, itu silap orang itu lah.

Waktu itu golongan Munafik akan mengaku yang mereka tergolong daripada umat Islam yang benar. Apabila mereka baru mengaku yang mereka adalah puak Islam, maknanya mereka dalam masa yang sama mengaku yang mereka bermasalah kerana seolah-olah mereka bukanlah dalam kalangan orang Islam semenjak dulu, bukan? Sebab sekarang baru mereka hendak mengaku Muslim. Sebab kalau tidak ada masalah, sepatutnya tidak perlu pun disebut kamu daripada golongan Muslim, bukan?

 

وَما هُم مِّنكُم

padahal mereka bukanlah daripada golonganmu, 

Mereka bersumpah yang mereka itu Muslim dan Mukmin. Namun Allah ﷻ sendiri kata tidak. Mereka bersumpah dengan nama Allah ﷻ tetapi kemudian Allah ﷻ buka apa yang di dalam hati mereka. Allah ﷻ sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati manusia. Dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu yang mereka bukan dalam kalangan umat Islam. Pengakuan mereka tidaklah menjadikan mereka Muslim sejati. Sumpah mereka murah sangat, senang sahaja mereka bersumpah.

 

وَلٰكِنَّهُم قَومٌ يَفرَقونَ

akan tetapi mereka adalah orang-orang yang sangat takut.

Mereka adalah jenis kaum yang takut. Macam-macam yang mereka takut: takut untuk mengaku yang mereka Muslim dan dalam masa yang sama, takut hendak mengaku yang mereka bukan umat Islam. Tentunya mereka takut mengaku munafik kerana takut kena pancung. Takut golongan Mukmin buat sesuatu terhadap mereka. Oleh itu mereka dalam keadaan serba tidak kena sahaja. Sekejap ke sana dan sekejap ke sini. Hidup mereka tidak tenteram langsung.


 

Tawbah Ayat 57: Namun ke mana mereka boleh melarikan diri?

لَو يَجِدونَ مَلجَأً أَو مَغٰرٰتٍ أَو مُدَّخَلًا لَّوَلَّوا إِلَيهِ وَهُم يَجمَحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If they could find a refuge or some caves or any place to enter [and hide], they would turn to it while they run heedlessly.

(MALAY)

Jikalau mereka memperoleh tempat perlindungan atau gua-gua atau lubang-lubang (dalam tanah) nescaya mereka pergi kepadanya dengan secepat-cepatnya.

 

لَو يَجِدونَ مَلجَأً أَو مَغٰرٰتٍ أَو مُدَّخَلًا

Jikalau mereka memperoleh tempat perlindungan atau gua-gua atau lubang-lubang

Kalaulah mereka boleh dapat tempat berlindung di mana-mana di bukit, atau mana-mana lubang di tanah, atau gua, atau apa sahaja tempat yang mereka boleh menyorok dan mengasingkan diri.

 

لَّوَلَّوا إِلَيهِ وَهُم يَجمَحونَ

nescaya mereka pergi kepadanya dengan secepat-cepatnya.

Kalaulah mereka tahu ada tempat untuk berlindung, mereka pasti akan pergi terus ke tempat itu untuk menyelamatkan diri. Mereka akan berlari-lari kelam kabut ke tempat perlindungan itu – ini adalah kerana mereka takut sangat. Mereka akan lari seperti binatang yang lari sampai putus tali hidung. Kalimah يَجمَحونَ juga bermaksud lompat masuk seperti kuda.

Ini adalah peribahasa Arab untuk menunjukkan kadar takut yang amat sangat kerana binatang ada yang diikat hidung mereka untuk tidak dibiarkan mereka lari. Namun apabila mereka takut sangat, mereka akan tarik tali yang ikat hidung mereka itu dan mereka tidak kisah kalau hidung mereka putus atau berdarah.


 

TIDAK CUKUP DENGAN PEMBERIAN

Tawbah Ayat 58: Ayat Zajrun (teguran) tentang perbuatan orang Munafik yang teruk sungguh.

وَمِنهُم مَّن يَلمِزُكَ فِي الصَّدَقٰتِ فَإِن أُعطوا مِنها رَضوا وَإِن لَّم يُعطَوا مِنها إِذا هُم يَسخَطونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among them are some who criticize you concerning the [distribution of] charities. If they are given from them, they approve; but if they are not given from them, at once they become angry.

(MALAY)

Dan di antara mereka ada orang yang mencelamu tentang (pembahagian) zakat; jika mereka diberi sebahagian daripadanya, mereka senang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian dari padanya, dengan serta merta mereka menjadi marah.

 

وَمِنهُم مَّن يَلمِزُكَ فِي الصَّدَقٰتِ

Dan di antara mereka ada orang yang mencelamu tentang sedekah;

Ada beberapa tafsiran tentang ayat ini:

    1. Puak munafik itu tidak suka infak harta mereka di jalan Allah ﷻ kerana mereka sayang sangat kepada hartabenda dan mereka tidak mengharap balasan di syurga pun atas sedekah itu. Kalau orang lain beri sedekah pun, mereka akan persendakan. Mereka kata, kenapalah orang itu membazirkan hartanya beri kepada orang lain. Maka, yang dicela adalah orang yang infak harta atau keluarkan zakat.
    2. Makna yang kedua: ada antara mereka, yang mencela Rasulullah ﷺ semasa membahagikan zakat. Ini kerana zakat juga adalah sejenis sedekah juga di mana ia berasal daripada katadasr ص د ق yang bermaksud ‘membenarkan’. Orang yang mengeluarkan zakat bermakna dia membenarkan arahan dan janji Allah ﷻ yang akan memberi balasan baik.

Selain daripada mengutuk baginda di dalam membahagikan harta zakat, ada juga yang mencela baginda dalam pembahagian ghanimah pun. Mereka berkata baginda tidak adil dalam pembahagian itu.

Memang baginda tidak beri sama rata. Ini kerana baginda akan beri berdasarkan keperluan orang itu. Kalau ada yang lebih memerlukan, baginda akan beri lebih. Kadang-kadang orang munafik itu tidak dapat sama seperti orang lain. Untuk harta zakat, ia diberi mengikut siapa yang layak (asnaf) yang akan disebut dalam ayat 60 nanti. Akan tetapi golongan Munafik itu tidak berpuas hati apabila mereka tidak dapat. Maka mereka pun bising dengan mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ tidak adil.

Ini adalah amat tidak patut kerana kalau baginda tidak adil, siapakah lagi yang boleh dikatakan adil? Lihatlah bagaimana mereka tidak hormat kepada baginda sebagai Rasulullah ﷺ. Ini sebagaimana yang disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ شَرِيكِ بْنِ شِهَابٍ قَالَ كُنْتُ أَتَمَنَّى أَنْ أَلْقَى رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْأَلُهُ عَنْ الْخَوَارِجِ فَلَقِيتُ أَبَا بَرْزَةَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فِي نَفَرٍ مِنْ أَصْحَابِهِ فَقُلْتُ لَهُ هَلْ سَمِعْتَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ الْخَوَارِجَ فَقَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأُذُنِي وَرَأَيْتُهُ بِعَيْنِي أُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَالٍ فَقَسَمَهُ فَأَعْطَى مَنْ عَنْ يَمِينِهِ وَمَنْ عَنْ شِمَالِهِ وَلَمْ يُعْطِ مَنْ وَرَاءَهُ شَيْئًا فَقَامَ رَجُلٌ مِنْ وَرَائِهِ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ مَا عَدَلْتَ فِي الْقِسْمَةِ رَجُلٌ أَسْوَدُ مَطْمُومُ الشَّعْرِ عَلَيْهِ ثَوْبَانِ أَبْيَضَانِ فَغَضِبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَضَبًا شَدِيدًا وَقَالَ وَاللَّهِ لَا تَجِدُونَ بَعْدِي رَجُلًا هُوَ أَعْدَلُ مِنِّي ثُمَّ قَالَ يَخْرُجُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ كَأَنَّ هَذَا مِنْهُمْ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنْ الْإِسْلَامِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنْ الرَّمِيَّةِ سِيمَاهُمْ التَّحْلِيقُ لَا يَزَالُونَ يَخْرُجُونَ حَتَّى يَخْرُجَ آخِرُهُمْ مَعَ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ هُمْ شَرُّ الْخَلْقِ وَالْخَلِيقَةِ
Daripada [Syarik bin Syihab] dia berkata; dahulu saya berharap untuk bertemu dengan seorang sahabat Nabi ﷺ dan bertanya kepadanya mengenai Khawarij, lalu aku bertemu dengan [Abu Barzah] pada hari ‘Eid di antara beberapa orang daripada sahabatnya, saya katakan kepadanya; apakah engkau mendengar Rasulullah ﷺ menyebutkan mengenai khawarij? Dia menjawab; ya. Saya mendengar Rasulullah ﷺ dengan dua telingaku dan melihat dengan kedua mataku, didatangkan kepada Rasulullah ﷺ suatu harta lalu baginda mulai membahagi untuk orang yang berada di sebelah kanan dan kiri baginda, dan baginda tidak memberi yang berada di belakangnya sedikit pun, lalu seseorang yang berada di belakang baginda berdiri dan berkata; “Wahai Muhammad, engkau tidak adil dalam membahagi”, dia adalah orang yang hitam, rambutnya dicukur, dia mengenakan dua kain putih, lalu Rasulullah ﷺ marah dan bersabda: “Demi Allah kalian tidak akan mendapati seorang pun yang lebih adil setelahku, ” lalu baginda bersabda: “Akan keluar pada akhir zaman, suatu kaum seakan-akan orang ini termasuk daripadanya, yang mereka membaca Al-Qur’an tidak melebihi kerongkongan mereka, mereka melesat daripada Islam seperti melesatnya anak panah daripada busurnya, ciri-ciri mereka adalah bercukur, mereka senantiasa keluar hingga keluar akhir daripada mereka bersama Al Masih Ad Dajjal, jika kalian bertemu dengan mereka maka bunuhlah mereka, mereka adalah seburuk-buruk makhluk dan ciptaan, ”
(Sunan Nasa’i (4103))
Status: hasan

 

 

فَإِن أُعطوا مِنها رَضوا

jika mereka diberi sebahagian daripadanya, mereka senang hati,

Mereka amat mementingkan keduniaan dan harta benda. Oleh itu, jika mereka diberi sebahagian daripada zakat, sedekah atau ghanimah itu, mereka sangat puas hati. Waktu itu mereka akan pergi dengan hati yang gembira.

Namun manusia yang jenis sebegini tidak akan puas hati. Rasulullah ﷺ bersabda :

ﻟَﻮْ ﺃَﻥَّ ﻻِﺑْﻦِ ﺁﺩَﻡَ ﻭَﺍﺩِﻳًﺎ ﻣِﻦْ ﺫَﻫَﺐٍ ﺃَﺣَﺐَّ ﺃَﻥْ ﻳَﻜُﻮﻥَ ﻟَﻪُ ﻭَﺍﺩِﻳَﺎﻥِ ، ﻭَﻟَﻦْ ﻳَﻤْﻸَ ﻓَﺎﻩُ ﺇِﻻَّ ﺍﻟﺘُّﺮَﺍﺏُ ، ﻭَﻳَﺘُﻮﺏُ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻋَﻠَﻰ ﻣَﻦْ ﺗَﺎﺏَ
“Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu dia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.”
(Muttafaqun ‘alaih)

 

وَإِن لَّم يُعطَوا مِنها إِذا هُم يَسخَطونَ

dan jika mereka tidak diberi sebahagian dari padanya, dengan serta merta mereka menjadi marah.

Akan tetapi kalau mereka tidak diberi bahagian dari harta itu, tapi diberikan kepada orang lain, mereka naik marah. Tiba-tiba mereka jadi marah. Kerana kalimah إِذا di sini di dalam bentuk Fuja’iyah حرف الفُجائية iaitu bermakna “tiba-tiba”. (Satu lagi sebagai zorof untuk waktu akan datang dan bukan ini yang dimaksudkan di sini). Tiba-tiba mereka jadi marah dan jadi kurang ajar dengan Rasulullah. Padahal mereka tidak diberi kerana mereka tidak perlu dan ada orang lain lagi yang lebih memerlukan.

Dari sini kita boleh tahu yang sifat Munafik itu adalah mementingkan dunia dan harta sahaja, bukannya Allah. Yang mereka hendak adalah duit, harta, wang, kaya sahaja. Cara mereka buat keputusan pun mereka akan tengok apakah yang menguntung mereka.


 

Tawbah Ayat 59: Apakah sikap yang sepatutnya?

وَلَو أَنَّهُم رَضوا ما ءآتىٰهُمُ اللَّهُ وَرَسولُهُ وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ سَيُؤتينَا اللَّهُ مِن فَضلِهِ وَرَسولُهُ إِنّا إِلَى اللَّهِ رٰغِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If only they had been satisfied with what Allāh and His Messenger gave them and said, “Sufficient for us is Allāh; Allāh will give us of His bounty, and [so will] His Messenger; indeed, we are desirous toward Allāh,”¹ [it would have been better for them].

  • Meaning “We desire Allāh and His grace and acceptance,” or “We desire whatever Allāh wills to give us of His bounty.”

(MALAY)

Jikalau mereka sungguh-sungguh redha dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka, dan berkata: “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan sebahagian dari kurnia-Nya dan demikian (pula) Rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berharap kepada Allah,” (tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka).

 

وَلَو أَنَّهُم رَضوا ما ءآتيٰهُمُ اللَّهُ وَرَسولُهُ

Jikalau mereka sungguh-sungguh redha dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka,

Allah ﷻ ajar apa yang patut mereka lakukan. Kalaulah mereka itu berpuas hati dengan apa yang Allah ﷻ beri dan apa yang Nabi ﷺ beri kepada mereka, tentulah ada kebaikan bagi mereka. Inilah yang sepatutnya mereka rasa. Jangan dilihat kepada keduniaan sahaja.

 

وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ

dan berkata: “Cukuplah Allah bagi kami,

Hati mereka kena redha dan mulut mereka kena kata: “Cukuplah kami dengan Allah. Allahlah yang akan mencukupkan kami, bukan pemberian zakat, bukan harta ghanimah, bukan sedekah dari orang.” Jangan mengharap pemberian dan dapat benda percuma sahaja.

Di sini hendaklah manusia memupuk sifat qana’ah di dalam dirinya.

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحُبُلِيِّ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ
Daripada [Abdullah bin Amru bin Ash رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sungguh amat beruntunglah seorang yang memeluk Islam dan diberi rezeki yang cukup serta qana’ah terhadap apa yang diberikan Allah ﷻ.”
(Sahih Muslim (1746))

Secara istilah Qana’ah bererti menerima keputusan Allah ﷻ dengan tidak mengeluh, merasa puas dan penuh keredhaan atas keputusan Allah ﷻ, serta sentiasa tetap berusaha sehingga batas maksima kemampuannya.

Dapat diertikan pula qana’ah merasa cukup terhadap pemberian rezeki daripada Allah ﷻ. Dengan sikap inilah maka jiwa akan menjadi tenteram dan terjauh daripada sifat serakah atau tamak. Orang yang bersikap qana’ah, dia rela menerima kenyataan hidup yang dialami, tidak berkeluh kesah, tidak mengangan-angan kesenangan yang diterima orang lain.

 

سَيُؤتينَا اللَّهُ مِن فَضلِهِ وَرَسولُهُ

Allah akan memberikan sebahagian dari kurnia-Nya kepada kami dan demikian (pula) Rasul-Nya,

Kalaulah mereka boleh buat seperti itu, nescaya Allah ﷻ akan tambahkan kurniaan-Nya dan Rasulullah akan beri zakat kepada mereka. Namun tidak semestinya kurnia daripada Allah ﷻ itu dalam bentuk harta, kerana ada banyak lagi perkara lain yang lebih penting seperti rahmat, ilmu, kesihatan, ketenangan dan sebagainya. Mereka kena ubah paradigma tentang kurnia Allah ﷻ. Jangan hanya nampak harta benda serta nikmat fizikal sahaja tetapi lihatlah perkara yang lain juga.

Untuk mendapat perkara ini, kenalah redha dengan takdir Allah ﷻ, sama ada baik atau buruk. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut di atas iaitu:

وَلَو أَنَّهُم رَضوا ما ءآتيٰهُمُ اللَّهُ وَرَسولُهُ
kemudian mengucapkan حَسبُنَا اللَّهُ kemudian ada ucapan seterusnya di bawah,

 

إِنّا إِلَى اللَّهِ رٰغِبونَ

sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berharap kepada Allah,”

Berharapkan apa? Berharap redha Allah ﷻ kerana inilah yang paling penting untuk kita selamat di akhirat kelak. Dalam hati kita kena yakin yang sesungguhnya kita semua akan kembali kepada Allah ﷻ. Kita ini hanya duduk di dunia sekejap sahaja. Maka kerana itu kita kena berharap kepada Allah ﷻ seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Sharh:8

وَإِلىٰ رَبِّكَ فَارغَب
dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

Kita mengharap kepada Allah ﷻ sahaja sebenarnya. Kerana apabila harf إِلَى diletakkan di hadapan, ia bermaksud eksklusif. Kalau susunan biasa sepatutnya راغبون إلى الله. Maka hanya kepada Allah ﷻ sahaja kita berharap. Kita bukan hendakkan harta itu tetapi kita sebenarnya hendak bertemu dengan Allah ﷻ di syurga.

Ini jugalah sepatutnya sikap kita tentang harta. Jangan berharap sangat kepada harta. Jangan sayang sangat kepada harta, tetapi tumpukan harapan kita kepada Allah ﷻ.

Ada jumlah muqaddar (maklumat tambahan) dalam ayat ini: kalau mereka rasa dan kata begitu, tentu itu lebih baik bagi mereka. Akan tetapi, yang berlaku tidak begitu.

Habis Ruku’ 7 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Jun 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien