Tafsir Surah Tawbah Ayat 102 – 106 (Golongan Mukmin yang kena pulau)

Ayat 102: Setelah Allah menjelaskan keadaan orang-orang munafik yang tidak ikut berperang kerana tidak suka berjihad, dan mendustakan serta meragu­kannya, maka Allah menerangkan tentang keadaan orang-orang yang berdosa, iaitu mereka yang tidak ikut berjihad kerana malas dan cenderung kepada keadaan yang santai, padahal mereka beriman dan membenarkan perkara yang hak.

وَآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم خَلَطوا عَمَلًا صالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] others who have acknowledged their sins. They had mixed [i.e., polluted] a righteous deed with another that was bad.¹ Perhaps Allāh will turn to them in forgiveness. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

  • This refers to their having previously taken part in jihād but having abstained on the occasion of Tabūk.

(MALAY)

Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

 

وَآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم

Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka,

Golongan mukmin juga ada dua golongan: ada orang mukmin yang pernah buat silap. Ini adalah perkara biasa kerana semua manusia ada buat kesalahan, walaupun orang mukmin pun. Ini adalah kerana kita bukan maksum. Tetapi, orang buat silap yang terbaik adalah sahabat Nabi kerana apabila mereka melakukan kesalahan, mereka terus minta maaf.

Mereka mengaku yang mereka ada buat salah dan terus minta ampun. Ada sahabat yang bernama Abu Lubabah yang tidak pergi berjihad di Tabuk, tapi apabila para sahabat pulang dari Tabuk, dia terus masuk masjid dan terus tambat diri dia ke tiang. Dia kata kalau Allah tak ampunkan dia, dia akan tetap di situ sampai dia mati kering di situ. Dia telah berdoa kepada Allah dengan mengaku yang dia telah buat salah. Akhirnya Allah telah maafkan.

Akan tetapi ada golongan kedua yang tidak buat apa. Mereka tetap jumpa Nabi dan mengaku salah kerana telah menangguh untuk pergi jihad sampaikan tidak sempat nak bersedia dan akhirnya tidak dapat pergi jihad. Nabi kata, tunggulah apa keputusan Allah.

Selepas itu, Allah turunkan wahyu memberitahu umat Islam kena pulau mereka itu, jangan tegur mereka langsung. Perkara itu berlangsung selama 40 hari dan kemudian ditambah 10 hari lagi. Mereka kena dipisahkan dari masyarakat lain termasuk dengan isteri pun kena pisah dari tempat tidur.

Selepas seksaan batin itu, barulah Allah zahirkan kemaafan kepada mereka. Mereka juga tidak sorok kesalahan diri mereka, mereka terus terang mengaku dan akhirnya berjaya juga mendapat keampunan.

 

خَلَطوا عَمَلًا صالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا

mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk.

Mereka ini walaupun mereka telah buat kesalahan kerana tidak pergi berjihad ke Tabuk, tapi mereka itu bukanlah munafik. Mereka cuma lalai dan leka sahaja. Mereka telah campur amalan baik dan ada yang tidak baik. Yang dimaksudkan amalan tidak baik dalam ayat ini adalah tidak pergi Perang Tabuk.

Ibnu Abbas telah mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: dan (ada pula) orang-orang lain. (At-Taubah: 102) Menurutnya ayat ini diturunkan berkenaan dengan Abu Lubabah dan sejumlah orang dari kalangan teman-temannya yang tidak ikut perang dengan Rasulullah Saw. dalam Perang Tabuk.

Menurut sebahagian ulama, mereka terdiri atas Abu Lubabah dan lima orang temannya. Sedangkan pendapat yang lainnya lagi mengatakan tujuh orang bersama Abu Lubabah, dan menurut yang lainnya lagi adalah sembilan orang bersama Abu Lubabah.

Ketika Rasulullah Saw. kembali dari perangnya, mereka meng­ikat diri ke tiang-tiang masjid dan bersumpah bahawa tidak boleh ada orang yang melepaskan mereka kecuali Rasulullah Saw. sendiri. Ketika Allah Swt. menurunkan ayat ini, iaitu firman-Nya: Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka. (At-Taubah: 102) Maka Rasulullah Saw. melepaskan ikatan mereka dan memaafkan mereka.

Maksudnya, mereka mengakui dosa-dosa yang mereka lakukan terhadap Tuhan, tetapi mereka mempunyai amal perbuatan lain yang saleh. Mereka mencampurbaurkan amal yang baik dan yang buruk. Mereka adalah orang-orang yang masih berada di bawah pemaafan dan pengam­punan Allah Swt.

Ayat ini sekalipun diturunkan berkenaan dengan orang-orang ter­tentu, tetapi pengertiannya umum mencakup seluruh orang yang berbuat dosa lagi bergelumang dalam kesalahannya, serta mencampurbaurkan amal baik dan amal buruknya, hingga diri mereka tercemari oleh dosa-dosa.

 

عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم

Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. 

Allah berfirman, mudah-mudahan Allah akan terima taubat mereka. Maknanya, ada harapan untuk mereka diampunkan. Dan memang mereka akhirnya telah diampunkan kerana keikhlasan mereka.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

Allah sanggup menerima permintaan ampun mereka kerana Dia memang bersifat Maha Pengampun dan amat sayang kepada hambaNya. Allah sayang terutama kepada mereka yang mengaku kesalahan yang telah dilakukan.


 

Ayat 103: Sebelum ini telah ada disebut tentang hukum zakat. Sekarang disebut hikmah zakat pula.

خُذ مِن أَموالِهِم صَدَقَةً تُطَهِّرُهُم وَتُزَكّيهِم بِها وَصَلِّ عَلَيهِم ۖ إِنَّ صَلاتَكَ سَكَنٌ لَهُم ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Take, [O Muḥammad], from their wealth a charity by which you purify them and cause them increase, and invoke [Allāh’s blessings] upon them. Indeed, your invocations are reassurance for them. And Allāh is Hearing and Knowing.

(MALAY)

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan doalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

خُذ مِن أَموالِهِم صَدَقَةً

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka,

Nabi Muhammad disuruh mengambil harta zakat dari mereka yang layak untuk mengeluarkan zakat. Dalam hal ini, jangan susahkan sesiapa. Maksudnya, orang yang keluarkan zakat tidak perlu pergi untuk beri zakat dan orang yang sepatutnya menerima zakat, tidak perlu pergi minta zakat.

Oleh itu, kena dilantik orang yang tahu siapa yang kaya dan siapa yang miskin. Dengan cara begini, orang itu tahu dengan siapa yang dia patut ambil zakat dan siapa yang dia patut bahagikan zakat itu. Inilah cara zaman Nabi dan sahabat.

Dan tugas ini perlu diteruskan oleh khalifah atau pemerintah Islam. Pemerintah kena lantik amil untuk periksa dan ambil zakat dari orang kaya dan beri kepada orang miskin. Oleh itu, orang kaya dan miskin tidak perlu susah nak pergi bayar dan kena ambil zakat. Semua dilakukan oleh amil yang dilantik untuk ambil dan beri.

Zaman sekarang sahaja tidak ada amalan ini kerana ilmu dalaman yang lemah. Orang kita termasuk yang menguruskan zakat tidak belajar pun dan kerana itu tidak tahu perkara ini. Mereka nak belajar pun lemah, sedangkan bukan susah pun.

Allah Swt. memerintahkan Rasul-Nya untuk mengambil zakat dari harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka melalui zakat itu. Pengertian ayat ini umum, sekalipun sebahagian ulama mengembalikan dhomir yang terdapat pada lafaz amwalihim kepada orang-orang yang mengakui dosa-dosa mereka dan yang mencampurbaurkan amal soleh dengan amal buruknya.

Maka literal ayat ini Nabi yang mengambil bahagian zakat itu dari orang kaya. Kerana itulah ada sebahagian orang yang enggan membayar zakat dari kalangan orang-orang Arab Badwi (selepas kewafatan baginda) kerana mereka kata, pembayaran zakat bukanlah kepada imam, dan hanya khusus bagi Rasulullah Saw. Mereka berhujah dengan firman Allah Swt. yang mengatakan:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka. (At-Taubah: 103), hingga akhir ayat

Mereka kata kalimah خُذْ itu hanya dikhususkan kepada Rasulullah sahaja, jadi apabila Rasulullah sudah tiada, mereka kata tidak perlu bayar zakat lagi kepada khalifah. Pemahaman dan takwil yang salah ini dijawab dengan tegas oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan sahabat lainnya dengan memerangi mereka, hingga mereka mahu membayar zakat kepada khalifah.

 

تُطَهِّرُهُم

dengan zakat itu kamu membersihkan

Ini adalah hikmah yang pertama untuk mengeluarkan zakat. Zakat itu untuk membersihkan mereka dalam kehidupan harta. Iaitu membersihkan harta dari perkara-perkara gharar. Kerana kalau tak ambil zakat itu, harta jadi cemar dan akan menyebabkan susah di akhirat.

Sebagai contoh, katakanlah kita berniaga makanan. Kadang-kadang kita buat silap, buat air minuman tapi lupa letak gula. Maka pelanggan itu tidak jadi minum. Tapi dia bayar juga harga minuman itu. Jadi itu sudah termasuk dalam harta yang gharar; atau kita kerja, tapi ada masa kita tidak bekerja mungkin bersembang atau sibuk dengan perkara lain yang bukan perkara kerja, tapi kita tetap dibayar gaji penuh. Maka harta sebegini perlulah dibersihkan.

 

وَتُزَكّيهِم بِها

dan menyucikan mereka

Ini adalah hikmah zakat yang kedua. Dengan pemberian zakat itu, dapat menyucikan hati mereka dari sifat-sifat yang tidak baik – tidak kasihan belas kepada orang; zalim (kerana simpan harta yang hak orang miskin) dan sebagainya;

Jadi kena beritahu kepada manusia kepentingan zakat itu. Kerana ia dapat membersihkan harta kita dan membersihkan hati kita juga. Maka ini menjadi hikmah untuk memberi motivasi kepada mereka yang layak mengeluarkan zakat.

 

وَصَلِّ عَلَيهِم

dan doalah untuk mereka. 

Ini adalah hikmah yang ketiga. Orang yang mengeluarkan zakat akan m endapat doa dari Rasulullah. Oleh itu apabila ambil zakat dari pengeluar zakat, doakanlah untuk mereka.

Imam Muslim di dalam kitab Sahih-nya telah meriwayatkan melalui Abdullah ibnu Abu Aufa yang mengatakan bahawa Nabi Saw. apabila menerima zakat dari suatu kaum, maka baginda berdoa untuk mereka. Lalu datanglah ayahku (perawi) dengan membawa zakatnya, maka Rasulullah Saw. berdoa:

“اللَّهُمَّ صَل عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى”

Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada keluarga Abu Aufa.

 

إِنَّ صَلاتَكَ سَكَنٌ لَهُم

Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka.

Doa itu penting kerana doa baginda itu menteramkan hati mereka. Ini adalah kerana mereka tahu yang doa Nabi memang makbul.

Kalau zaman sekarang, Nabi tidak doakan untuk pemberi zakat lagi. Tapi masih lagi pemberi zakat menerima doa mereka yang menerima zakat itu. Orang yang terima zakat pun kena buat begitu juga: doa kelebihan kepada orang yang beri zakat. Janganlah pakai terima sahaja dan makan sahaja harta itu. Ingatlah kepada orang yang memberikan.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah maha mendengar rintihan hati manusia yang memerlukan; Allah maha mendengar doa hambaNya; dan Allah maha mengetahui apa yang diperlukan oleh hambaNya.


 

Ayat 104:

أَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ وَيَأخُذُ الصَّدَقاتِ وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not know that it is Allāh who accepts repentance from His servants and receives charities and that it is Allāh who is the Accepting of repentance, the Merciful?

(MALAY)

Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?

 

أَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ

Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya

Kita kena tahu yang Allah sanggup untuk terima taubat kita asalkan kita minta ampun kepada Allah dengan ikhlas. Kita yang kena bertaubat sendiri dan bukan suruh orang lain yang doakan. Jangan jadi macam puak Kristian yang mengadu kepada paderi mereka untuk ampunkan dosa mereka. Kalau umat Islam pun jadi begitu tentu telah sesat sungguh. Kita yang ada Qur’an ini janganlah jadi bodoh macam mereka. Dalam ayat ini Allah beritahu yang taubat itu untuk orang yang bersalah dan Allah sahaja yang boleh ampun dosa hamba.

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang doa dari Rasulullah dan kemudian sekarang disebut tentang doa untuk meminta ampun. Allah beritahu yang Dia menerima taubat dari hambaNya. Maknanya, hamba itu yang kena doa sendiri. Jangan berharap kepada doa dan syafaat dari Rasulullah, tapi kenalah doa sendiri untuk minta ampun.

Jangan tunggu di akhirat nanti untuk dapat syafaat Nabi, tapi mohonlah ampun kepada Allah semasa di dunia lagi supaya di dunia lagi sudah bersih kita dari dosa. Kenapa nak harapkan syafaat kerana syafaat Nabi itu diberi kepada mereka yang telah masuk ke dalam neraka. Takkan kita nak masuk ke dalam neraka dahulu?

Allah beri soalan retorik: tidakkah mereka tahu bahawasanya Allah sahaja yang boleh terima taubat dari sekalian hamba? Ini hendak menekankan yang selain Allah tidak boleh terima taubat. Tidak kira sama ada Nabi Isa, tok guru, sesiapa sahaja pun, tidak boleh mengampunkan dosa orang. Yang buat salah itulah yang kena bertaubat sendiri.

Dan kita pun tahu yang kita ini selalu buat dosa, tidak sunyi dari buat dosa, maka kenalah selalu minta ampun, istighfar.

 

وَيَأخُذُ الصَّدَقاتِ

dan menerima sedekah 

Dan Allah akan terima sedekah dan memberi balasan dengan pahala yang amat banyak. Kalau kita infak harta kita kepada jalan Allah, Allah akan terima dan Allah akan balas dengan beri balasan pahala yang banyak.

As-Sauri dan Al-A’masy telah meriwayatkan dari Abdullah ibnus Saib, dari Abdullah ibnu Abu Qatadah yang mengatakan bahawa Abdullah ibnu Mas’ud r.a. pernah berkata, “Sesungguhnya sedekah itu diterima di tangan Allah Swt. sebelum sedekah itu diterima oleh tangan peminta.” Kemudian Ibnu Mas’ud membacakan firman-Nya: Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat. (At-Taubah: 104)

 

وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?

Allah suka terima taubat dari mereka yang bertaubat. Kita kena sedar tentang perkara ini dan semoga kita selalu bertaubat kepada Allah. Berharaplah yang Allah akan terima taubat kita kerana mereka yang diterima taubat tidak diazab lagi di akhirat.


 

Ayat 105:

وَقُلِ اعمَلوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ ۖ وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عالِمِ الغَيبِ وَالشَّهادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “Do [as you will], for Allāh will see your deeds, and [so will] His Messenger and the believers. And you will be returned to the Knower of the unseen and the witnessed, and He will inform you of what you used to do.”

(MALAY)

Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

 

وَقُلِ اعمَلوا

Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu,

Dan kamu semua buatlah amalan atas dunia ini. ‘Kerja’ itu maksudnya amal-amal yang baik. Maka buatlah amalan kebaikan mulai sekarang. Terutama mereka yang tidak pergi ke Tabuk itu hari. Buatlah amal dengan bersungguh-sungguh.

 

فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم

maka Allah akan melihat pekerjaanmu itu,

Allah akan tengok amalan kamu untuk dihukum nanti sama ada diterima atau tidak, bagus atau tidak.

 

وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ

Rasul-Nya serta orang-orang mukmin

Rasul juga akan tengok amalan kamu. Baginda akan tengok untuk menilai sama ada itu amalan mukmin atau tidak.

Para mukmin lain pun akan tengok. Mereka akan tengok untuk tahu adakah ada alamat mukmin pada kamu atau tidak.

 

وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عالِمِ الغَيبِ وَالشَّهادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

Dan akhirnya kamu akan dihadapkan kepada Allah yang tahu perkara ghaib dan yang nyata. Dan akan diceritakan balik segala amalan kita, kecil dan besar untuk diberi markah dan dibalas sama ada dengan syurga atau neraka.


 

Ayat 106:

وَآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] others deferred until the command of Allāh – whether He will punish them or whether He will forgive them. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; sama ada Allah akan mengazab mereka dan sama ada Allah akan menerima taubat mereka. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ

Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; 

Ada pula golongan mukmin yang ketiga yang dilambatkan sedikit pengampunan kepada mereka. Ini lain dengan kumpulan Abu Lubabah yang cepat diterima taubat mereka. Abu Lubabah yang terus mengikat dirinya di tiang masjid itu, Rasulullah terus buka tali beliau. Ini adalah kerana dia spontan beritahu kesalahan dia.

Ada tiga lagi sahabat yang tidak pergi jihad – salah seorangnya adalah Kaab bin Malik. Pengampunan kepada beliau ditangguhkan sehingga keputusan Allah diterima. 50 hari pengampunannya ditangguh. Sepanjang waktu itu, beliau kena pulau oleh umat Islam yang lain. Kalau dia beri salam pun mereka tidak boleh dijawab. Sampaikan mereka rasa macam duduk negeri lain.

Waktu itu memang mereka sedih sangat. Sehinggakan kalau mereka tegur Nabi dan beri salam, Nabi tak layan, tak jawab pun salam mereka. Dia cuma boleh jeling sahaja kepada Nabi dan nampak Nabi juga jeling kepadanya. Mereka dipulaukan kerana tidak seperjuangan dengan umat Mukmin yang lain.

Dan pemulauan itu kerana Allah hendak mengajar orang lain, jihad dan infak ini bukan perkara biasa, kalau tidak pergi apabila diwajibkan, ianya akan ada kesan. Mereka terus dipulau sampaikan ada orang Kristian ajak mereka masuk agama Kristian dan ikut mereka (kerana mereka kata umat Islam sudah tinggalkan mereka). Memang Allah tangguhkan taubat mereka tapi Allah terima juga kerana mereka jujur. Tentunya mereka tidak meninggalkan agama Islam.

Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, Ad-Dahhak, dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang mengatakan bahawa mereka adalah tiga orang yang tidak ikut berperang. Dengan kata lain, mereka ditangguhkan dari diterima taubat. Mereka adalah Mararah ibnur Rabi’, Ka’b ibnu Malik, dan Hilal ibnu Umayyah. Mereka duduk —tidak ikut berperang dalam Perang Tabuk— bersama orang-orang lainnya yang duduk kerana malas dan cenderung kepada kehidupan yang tenang, santai, dan bermalas-malasan di bawah naungan pohon-pohon kurma yang berbuah.

 

إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم

sama ada Allah akan mengazab mereka dan samada Allah akan menerima taubat mereka.

Sama ada Allah akan seksa mereka kerana tidak sertai jihad atau tidak. Mereka dikenakan dengan balasan itu kerana tidak sertai Perang Tabuk sahaja, sedangkan perang-perang sebelum ini, mereka telah sertai. Maknanya bukanlah mereka itu jenis tidak pergi berjihad.

Dan boleh jadi Allah terima taubat mereka kerana mereka ikhlas. Memang mereka telah bersalah tapi mungkin Allah terima taubat mereka kerana mereka telah mengaku sunguh-sungguh. Akan tetapi, rahmat Allah mengalahkan murka-Nya.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Ilmu Allah luas dan Allah maha bijaksana, tahu mengurus hambaNya. Allah tahu hati-hati hambaNya. Keputusan yang Allah lakukan amat bijak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Mac 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

 

Tafsir Surah Tawbah Ayat 97 – 99 (Munafik dari Arab Badwi)

Ayat 97: Semasa permulaan Islam di Mekah, tidak ada sangat sifat munafik. Kerana semasa di Mekah, orang yang masuk Islam itu betul-betul masuk kerana mahu kepada agama Islam. Mereka bukan masuk Islam kerana mahukan kesenangan dunia sebab mereka tidak nampak pun kesenangan dunia kerana ikut Nabi. Malah, mereka terpaksa menempah penderitaan kerana ikut Nabi.

Mereka yang masuk Islam waktu itu kena bersedia untuk diseksa dan diganggu oleh mereka yang kufur dan lebih ramai dari mereka dan ada antara mereka yang ganas. Walaupun mereka tidak ada asas agama, baru mula belajar dengan Rasulullah, tapi kerana mereka ikhlas hendak mendampingkan diri dengan Allah, mereka telah selamat.

Akan tetapi keadaan tidak sama apabila Islam bertapak di Madinah. Di Madinah, mereka yang masuk Islam ada dua kemungkinan: kemungkinan pertama, mereka yang ikhlas masuk Islam seperti mereka yang masuk Islam semasa di Mekah dulu. Mereka yang jenis ini masuk Islam kerana hendak kepada kebenaran dan nak selamat dunia dan akhirat. Oleh itu mereka boleh buat perkara agama yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, sama ada arahan itu mudah atau payah. Mereka sanggup pergi berjihad dan mengeluarkan infak dan mereka boleh buat apa sahaja yang Nabi ajar mereka buat.

Akan tetapi ada yang masuk agama di Madinah kerana tertekan oleh keadaan. Pada mereka, kalau mereka tak masuk Islam, nanti mereka kena berperang dengan orang Islam pula. Waktu itu, orang Islam sudah ada kedudukan, tidak seperti keadaan semasa permulaan Islam di Mekah. Jadi mereka yang sebegini terpaksa mengaku masuk Islam walaupun sebenarnya mereka tidak mahu.

Maka waktu itu timbullah golongan munafikin. Iaitu mereka yang masuk agama Islam kerana tertekan dengan keadaan, terpaksa masuk Islam, dan bukan dengan kehendak hati mereka. Mereka buat itu kerana mahu keuntungan untuk mereka sahaja. Mereka akan lihat, kalau ada untung, mereka akan buat; kalau tidak ada untung dan menyusahkan mereka, mereka tidak mahu buat, seperti infak dan keluar jihad. Tetapi, Allah mahu manusia masuk Islam kerana kehendak sendiri, Allah tidak mahu ada yang masuk Islam kerana terpaksa.

Golongan munafik pula terbahagi kepada dua jenis waktu itu: ada yang duduk di kawasan bandar dan ada yang duduk di kawasan desa. Yang duduk dalam bandar pula, ada jenis kaum Yahudi dan ada jenis bangsa Arab. Dan di luar desa pula juga ada dua golongan: ada yang mudah jinak dengan Islam dan masuk Islam akhirnya walaupun asalnya mereka munafik, dan ada yang kepala keras tidak mahu langsung jinak kepada Islam.

Jenis seperti mereka inilah yang tidak mahu menyertai kalau ada majlis wahyu dibaca. Kalau ada, mereka akan menjauhi majlis itu. Oleh itu, hati mereka menjadi sangat keras kerana mereka tidak mendekatkan diri dengan wahyu Allah. Sedangkan ada antara mereka yang lembut hati, mencari peluang untuk dengar wahyu dibacakan hingga hati mereka menjadi lembut dan mereka akhirnya masuk Islam setelah mereka faham.

Ayat yang kita akan baca sebentar lagi ini adalah tentang Arab Badwi yang dua jenis itu. Yang membezakan antara dua mereka itu adalah sama ada hati mereka terbuka untuk mendengar wahyu atau tidak.

الأَعرابُ أَشَدُّ كُفرًا وَنِفاقًا وَأَجدَرُ أَلّا يَعلَموا حُدودَ ما أَنزَلَ اللَّهُ عَلىٰ رَسولِهِ ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The bedouins are stronger in disbelief and hypocrisy and more likely not to know the limits of what [laws] Allāh has revealed to His Messenger. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Orang-orang Arab Badwi itu, lebih kuat kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih berkemungkinan tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

الأَعرابُ أَشَدُّ كُفرًا وَنِفاقًا

Orang-orang Arab Badwi itu, lebih kuat kekafiran dan kemunafikannya,

Golongan Arab Badwi yang munafik itu adalah golongan yang paling keras menentang Islam walaupun mereka mengaku sudah masuk Islam. Mereka itu digelar Arab Badwi kerana mereka tinggal di luar bandar, di padang pasir dalam khemah.

Mereka ini adalah golongan yang tidak mengenal lagi erti tamadun dan adab-adab bermasyarakat. Kalau kita sekarang, panggil mereka ini jenis ‘orang bukit’. Merekalah yang kuat kufurnya dan golongan yang paling teruk sifat munafiknya.

 

وَأَجدَرُ أَلّا يَعلَموا حُدودَ ما أَنزَلَ اللَّهُ عَلىٰ رَسولِهِ

dan lebih berkemungkinan tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. 

Kerana mereka tidak terbuka lagi kepada ilmu agama, maka mereka paling tidak dapat mengetahui sempadan atau batasan (hudud) undang-agama Allah. Mereka tidak boleh memahami lagi kerana mereka duduk jauh dari suasana agama dan mereka pun tidak berusaha mencari suasana ilmu. Mereka tetap dalam kejahilan kerana sifat itu. Oleh itu, mereka tidak tahu hukum-hukum Allah.

Mengingat sifat keras dan kasar kebanyakan terjadi di kalangan penduduk pedalaman, maka Allah tidak pernah mengutus seorang rasul pun dari kalangan mereka, dan sesungguhnya kerasulan itu hanya terjadi di kalangan penduduk kota, seperti yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam firman-Nya:

{وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى}

Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk kota. (Yusuf: 109)

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah maha mengetahui keadaan mereka dan Allah maha bijaksana dalam menguruskan hal mereka.

Allah Maha Mengetahui terhadap orang yang berhak untuk Dia ajarkan iman dan ilmu kepadanya, lagi Maha bijaksana dalam pembahagian ilmu, kebodohan, iman, kekufuran, dan kemunafikan di antara hamba-hamba-Nya; tidak ada yang bertanya kepada-Nya tentang apa yang dilakukan­Nya berkat ilmu dan kebijaksanaan-Nya.


 

Ayat 98:

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يَتَّخِذُ ما يُنفِقُ مَغرَمًا وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ الدَّوائِرَ ۚ عَلَيهِم دائِرَةُ السَّوءِ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among the bedouins are some who consider what they spend as a loss¹ and await for you turns of misfortune. Upon them will be a misfortune of evil. And Allāh is Hearing and Knowing.

  • i.e., a fine or penalty.

(MALAY)

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah), sebagai suatu kerugian, dan mereka menanti-nanti marabahaya menimpamu, sedangkan merekalah yang akan ditimpa marabahaya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يَتَّخِذُ ما يُنفِقُ مَغرَمًا

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang memandang apa yang dinafkahkannya, sebagai suatu kerugian,

Ada dari golongan Arab Badwi itu yang beranggapan yang arahan untuk infakkan harta adalah arahan yang membebankan mereka. Mereka tidak suka kena infak, sama ada dari jenis zakat atau sedekah. Kerana pada mereka, harta itu susah nak dapat tapi kena beri kepada orang lain pula.

Pada mereka itu adalah kerugian yang besar – sudahlah susah dapat, kena beri pula. Jadi mereka benci kepada orang Madinah, kerana zaman itu amil zakat akan datang kutip harta mereka untuk diambil sebagai zakat dan mereka itu datang dari Madinah.

Sebenarnya, itulah yang sepatutnya dilakukan oleh pegawai zakat yang ambil dari orang kaya dan beri kepada orang miskin. Maknanya, mereka buat kerja dan sebab itu mereka layak untuk terima sebahagian dari kutipan zakat itu. Mereka layak jadi amil kerana mereka buat kerja. Mereka yang akan kira harta orang kaya dan mereka yang buat kiraan berapa harta zakat yang perlu diberikan.

Kemudian mereka kutip dan mereka bawa pemberian zakat itu kepada mereka yang memerlukan (asnaf). Apabila mereka buat kerja, orang kaya tak penat nak hantar zakat dan orang miskin pun tidak penat untuk pergi dan kutip zakat. Mereka tetap di tempat mereka, dan amil zakat yang datang dan beri bantuan zakat kepada mereka.

Malangnya, zaman kita lain pula jadinya. Sekarang kita pun tak tahu mana orang kaya dan mana orang miskin. Amil zakat tunggu sahaja di pusat pungutan zakat. Asnaf pula yang kena datang ke pusat pungutan dan kena minta zakat. Dan asnaf itu sampai kena merayu dan kena isi borang dan ditanya macam-macam soalan. Memang susah untuk mereka dapat zakat dari pusat pungutan zakat.

Mungkin ada yang rasa, baik tak payah pergi minta, sebab nak pergi pun bukan senang. Dan mereka orang susah dan tidak berpelajaran, bukannya pandai isi borang. Kalau tanya, kena marah pula! Ini sudah tak kena cara seperti yang sepatutnya. Padahal Allah dan Nabi sudah ajar caranya. Kerana itu, kita berbangga apabila ada usaha di Negeri Perlis untuk kerajaan Negeri Perlis sendiri pergi ke ceruk-ceruk kampung dan cari orang yang hendak diberikan zakat. Ini adalah kerja yang mulia.

Malangnya, Negeri Perlis ini adalah negeri yang paling dipandang serong oleh ramai orang kerana mereka mengamalkan Islam cara sunnah. Ramai yang kata, Negeri Perlis adalah tempat pembiakan Wahabi. Mereka yang kata begini adalah mereka yang amal jahil sekali. Maaf, kerana luahan rasa tentang zakat dan tentang Negeri Perlis ini.

 

وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ الدَّوائِرَ

dan mereka menanti-nanti marabahaya menimpamu,

Kembali kepada suasana pada zaman Nabi dan tentang Arab Badwi itu. Apabila amil zakat datang kepada Arab Badwi itu, mereka benci kepada orang dari Madinah itu kerana mereka rasa orang Madinah itu datang untuk senang-senang sahaja ambil harta mereka yang mereka telah susah payah cari. Ini adalah kerana mereka tidak faham agama dan tidak tahu ada keberkatan pada pemberian zakat itu.

Sebenarnya tidak patut mereka benci kerana amil pun memang ambil benda yang patut-patut sahaja. Mereka tidaklah mengambil harta yang terbaik, tidak yang terburuk, tapi pertengahan sahaja dari yang dimiliki oleh mereka. Akan tetapi orang kaya dari kalangan Arab Badwi itu tidak tahu semua itu, mereka nampak yang buruk sahaja. Ada antara mereka yang rasa harta zakat yang mereka kena keluarkan itu adalah sebagai satu (penalti) مَغرَمًا ke atas mereka.

Dan oleh kerana benci sangat, mereka menunggu-nunggu bala bencana untuk kena kepada orang Madinah. Mereka berharap supaya kerajaan bertukar, tidak ada lagi Islam, tidak ada lagi pungutan zakat. Kerana inilah, apabila Nabi Muhammad wafat sahaja, ada yang tidak mahu mengeluarkan zakat lagi. Sampaikan Abu Bakr yang menjadi khalifah Islam selepas Nabi wafat kena memerangi mereka.

 

عَلَيهِم دائِرَةُ السَّوءِ

sedangkan merekalah yang akan ditimpa marabahaya.

Mereka mahu bencana kena kepada kerajaan Islam, tetapi Allah kata sebenarnya bencana buruk akan jatuh ke atas mereka. Ini adalah kerana kebodohan dan kejahilan mereka. Oleh kerana mereka jahil tentang keberkatan zakat, maka mereka tidak keluarkan zakat dan tidak mendapat keberkatan, malah keburukan kerana menentang hukum Allah.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah memberitahu apa yang dalam hati mereka dalam Qur’an ini. Kerana Allah Maha Tahu apa yang dalam hati mereka. Walaupun mereka itu duduk jauh dari Madinah dan mereka bercakap sesama mereka sahaja tentang ketidakpuasan hati mereka itu, tapi Allah Maha Mendengar dan Allah sebut balik dalam Qur’an ini supaya semua orang tahu.

Allah Maha Mendengar doa hamba-hamba-Nya, lagi Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat kemenangan dan siapa yang berhak mendapat kekalahan (kehinaan).


 

Ayat 99: Tapi ada juga golongan yang baik:

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَيَتَّخِذُ ما يُنفِقُ قُرُباتٍ عِندَ اللَّهِ وَصَلَواتِ الرَّسولِ ۚ أَلا إِنَّها قُربَةٌ لَهُم ۚ سَيُدخِلُهُمُ اللَّهُ في رَحمَتِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But among the bedouins are some who believe in Allāh and the Last Day and consider what they spend as means of nearness to Allāh and of [obtaining] invocations of the Messenger. Unquestionably, it is a means of nearness for them. Allāh will admit them to His mercy. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah) itu, sebagai jalan untuk mendekatkannya kepada Allah dan sebagai jalan untuk memperoleh doa Rasul. Ketahuilah, sesungguhnya nafkah itu adalah suatu jalan bagi mereka untuk mendekatkan diri (kepada Allah). Kelak Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat (syurga)Nya; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian,

Bukanlah semua Arab Badwi seperti yang disebut dalam dua ayat sebelum ini. Masih ada yang buat suasana ilmu di kalangan mereka supaya sentiasa dapat dengar wahyu dan kerana itu maklumat wahyu sampai dalam diri mereka. Oleh kerana itu, mereka betul-betul dapat mengetahui agama Islam dengan cara yang sebenarnya.

Jadi, jangan kita kata secara umum yang semua puak Arab Badwi itu sesat semuanya. Dan ada antara mereka yang ada keimanan yang sebenar. Ini adalah kerana mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Oleh itu, kita kenalah bermesra dengan majlis ilmu. Kalau boleh, buat majlis ilmu di kawasan kita, di rumah kita. Kalau tidak ada, maka carilah majlis ilmu di tempat lain. Dan kalau tidak ada juga, kita masih boleh mendapat ilmu dengan mendengar ceramah-ceramah online sekarang. Tapi pastikanlah yang ceramah agama itu dari asatizah yang Sunnah.

 

وَيَتَّخِذُ ما يُنفِقُ قُرُباتٍ عِندَ اللَّهِ

dan memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah) itu, sebagai jalan untuk mendekatkannya kepada Allah

Dan kerana mereka belajar agama dan dengar wahyu dibacakan, mereka faham yang apa sahaja yang mereka infakkan pada jalan Allah adalah satu perkara yang boleh menghampirkan diri mereka kepada Allah.

 

وَصَلَواتِ الرَّسولِ

dan sebagai jalan untuk memperoleh doa Rasul.

Dan mereka sedar yang infak yang mereka keluarkan itu akan menyebabkan mereka mendapat doa dari Rasulullah. Dan tentunya doa Rasulullah makbul.

Kalau zaman sekarang, Rasul tidak ada maka tidaklah dapat doa Rasulullah secara langsung. Tapi kita masih akan dapat doa juga. Ini adalah kerana, apabila seseorang itu beri zakat, penerima zakat akan doakan kebaikan orang yang beri zakat itu.

Oleh itu, ada puak Arab Badwi yang beri zakat untuk dapat rapat dengan Allah dan untuk dapat doa Nabi. Mereka inilah orang yang baik dan faham agama. Mereka dapat faham kerana mereka belajar wahyu. Itulah, nak dapat perkara macam ini kerana belajarlah.

 

أَلا إِنَّها قُربَةٌ لَهُم

Ketahuilah, sesungguhnya nafkah itu adalah suatu jalan bagi mereka untuk mendekatkan diri

Allah beritahu yang sesungguhnya memang zakat dan infak itu jalan yang boleh menghampirkan mereka kepada Allah. Mereka akan dapat apa yang mereka hajatkan.

 

سَيُدخِلُهُمُ اللَّهُ في رَحمَتِهِ

Kelak Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya; 

Inilah makna قُربَةٌ: mereka akan dimasukkan ke dalam rahmat khas Allah – yang akan lindung mereka dari azab. Dan rahmat khas itu juga bermaksud mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah Maha Pengampun – kalau ada dosa-dosa mereka dalam mana-mana kesilapan dan kesalahan dosa yang mereka lakukan, Allah masih boleh ampun lagi. Kerana Allah amat sayang kepada hambaNya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Mac 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 60 – 61 (Asnaf Zakat)

Ayat 60: Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana orang-orang Munafik itu marah kalau mereka tidak dapat pembahagian zakat. Mereka tidak diberikan dengan zakat kerana biasanya orang-orang munafik itu sudah kaya raya dan sebab itulah mereka tidak layak dapat zakat.

Allah menjelaskan dalam ayat ini yang zakat kena beri kepada golongan Asnaf. Allah hendak memberitahu mereka supaya jangan dengki kalau tidak dapat. Kerana yang patut dapat zakat itu sudah ditetapkan oleh Allah.

۞ إِنَّمَا الصَّدَقاتُ لِلفُقَراءِ وَالمَساكينِ وَالعامِلينَ عَلَيها وَالمُؤَلَّفَةِ قُلوبُهُم وَفِي الرِّقابِ وَالغارِمينَ وَفي سَبيلِ اللَّهِ وَابنِ السَّبيلِ ۖ فَريضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Zakāh expenditures are only for the poor and for the needy it¹ and for those employed for and for bringing hearts together [for Islām] and for freeing captives [or slaves] and for those in debt and for the cause of Allāh and for the [stranded] traveler – an obligation [imposed] by Allāh. And Allāh is Knowing and Wise.

  • By the state to collect, guard and distribute the zakāh.

(MALAY)

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

إِنَّمَا الصَّدَقاتُ لِلفُقَراءِ وَالمَساكينِ

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, 

Ulama tafsir bersetuju yang lafaz الصَّدَقاتُ dalam ayat ini bermaksud zakat. Dari segi bahasa, الصَّدَقاتُ dari katadasar ص د ق yang bermaksud ‘benar’. Mereka yang memberi sedekah dan zakat itu membenarkan ajaran Islam. Memberi membenarkan janji Allah yang mereka yang infak/sedekah/zakat akan mendapat balasan baik dari Allah.

Mereka percaya yang zakat itu adalah wajib dan memberi sedekah itu adalah sesuatu yang baik dan akan mendapat balasan yang baik. Bezanya, sedekah adalah infak yang sunat dan zakat adalah infak yang wajib.

Pembahagian zakat dibahagikan kepada 8 golongan seperti yang disenaraikan dalam ayat ini. Yang pertama adalah golongan ‘fakir’ dan yang kedua adalah golongan ‘miskin’. Kedua-dua golongan adalah mereka yang kurang harta mereka akan tetapi golongan fakir lebih memerlukan  sumbangan wang dari golongan miskin.

Untuk memudahkan kiraan, kita boleh beri satu contoh: katakanlah keperluan sederhana untuk hidup di Kuala Lumpur adalah RM100 sehari. Golongan miskin berpendapatan RM70 sehari dan golongan fakir berpendapatan RM50 sahaja. Kedua-dua golongan tidak dapat memenuhi keperluan hidup kehidupan sederhana di sesuatu kawasan itu.

Sesungguhnya kaum fakir miskin disebutkan lebih dahulu dalam ayat ini daripada golongan yang lain, kerana mereka lebih memerlukannya kalau dibandingkan dengan golongan lain, menurut pendapat yang terkenal; juga mengingat hajat dan keperluan mereka yang sangat mendesak.

 

وَالعامِلينَ عَلَيها

pengurus-pengurus zakat,

Asnaf yang ketiga adalah pengurus zakat. Ini adalah para pegawai zakat atau selalunya disebut ‘amil zakat’. Ini adalah mereka yang bekerja sepenuh masa untuk mengutip dan membahagikan zakat. Oleh kerana mereka bekerja untuk mengurus zakat itu, maka patutlah mereka diberikan sebahagian dari hasil pungutan zakat itu.

Cuma mungkin sebagai satu perbincangan ringkas di sini, kita kena faham bahawa pada zaman Nabi dan sahabat, seorang amil itu akan menjalankan dua tugas yang utama: mereka perlu mengutip dan juga perlu membahagikan zakat itu. Mereka kutip dari mereka yang kena keluarkan zakat dan merekalah juga yang mencari mereka yang sepatutnya mendapat pembahagian zakat itu.

Jadi mereka bukanlah duduk sahaja di pejabat zakat tunggu pemberi zakat datang bayar dan penerima zakat datang minta. Pengurusan zakat dulu dan sekarang nampaknya berlainan. Kalau zakat dulu, pemberi zakat tidak susah dan penerima zakat juga tidak susah untuk datang meminta dengan disuruh untuk mengisi segala macam borang dan sebagainya.

 

وَالمُؤَلَّفَةِ قُلوبُهُم

para mu’allaf yang dipujuk hatinya,

Asnaf yang keempat adalah golongan mualaf. Ini adalah mereka yang hati sudah jinak untuk masuk Islam. Maknanya mereka belum masuk Islam lagi tapi sudah berminat. Mereka sudah ada keinginan untuk masuk Islam dan pemberian zakat itu sebagai pemberian ihsan dari kerajaan Islam kepada mereka. Ini untuk melembutkan hati mereka dan mendekatkan lagi mereka kepada agama Islam.

 

وَفِي الرِّقابِ

untuk (memerdekakan) hamba, 

Asnaf yang kelima adalah orang yang dalam keadaan untuk dimerdekakan. Digunakan wang zakat untuk diberikan kepada hamba untuk membebaskan diri mereka dari perhambaan.

Kalau diluaskan kriteria ini, boleh dimasukkan mereka yang dijadikan sebagai hamba seks, kena tangkap jadi banduan dan sebagainya. Iaitu mereka yang memerlukan wang untuk membebaskan diri mereka dari belenggu orang lain.

 

وَالغارِمينَ

orang-orang yang berhutang,

Asnaf yang keenam adalah mereka yang tertanggung dan terbeban dengan hutang. Ada orang yang kerana hutang, terpaksa menghabiskan segala hartanya dan tidak dapat menanggung dirinya dan keluarganya. Mungkin sahaja dia kehilangan segala hartanya itu kerana sebab maksiat, tapi dia telah bertaubat.

Dalil asal dalam bab ini ialah hadis Qubaisah ibnu Mukhariq Al-Hilali yang menceritakan bahawa dia menanggung suatu tanggungan hutang, lalu dia datang menghadap Rasulullah Saw. untuk meminta sebahagian dari harta zakat untuk melunasinya. Maka Rasulullah Saw. bersabda:

“أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ، فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا”. قَالَ: ثُمَّ قَالَ: “يَا قَبِيصة، إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لَا تَحِلُّ إِلَّا لِأَحَدِ ثَلَاثَةٍ: رَجُلٍ تحمَّل حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا، ثُمَّ يُمْسِكَ. وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ، فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ: أَوْ قَالَ: سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ -وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلَاثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ، فَيَقُولُونَ: لَقَدْ أَصَابَتْ فُلَانًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ، حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ -أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ -فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ سُحْتٌ، يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا”.

Tinggallah kamu hingga harta zakat datang kepada kita, maka akan kami perintahkan untuk memberikan sebahagiannya kepadamu. Selanjutnya Rasulullah Saw. bersabda: Hai Qubaisah, sesungguhnya meminta itu tidak halal kecuali bagi salah seorang di antara tiga macam orang:
iaitu bagi seorang lelaki yang menanggung suatu tanggungan hutang, maka dihalalkan baginya meminta hingga dia dapat melunasinya, kemudian menahan diri dari meminta-minta.
Dan seorang lelaki yang tertimpa suatu musibah hingga semua hartanya habis, maka dihalalkan baginya meminta-minta hingga dia memperoleh pegangan bagi kehidupannya, atau kecukupan bagi kehidupannya.
Dan seorang lelaki yang tertimpa kemiskinan, hingga ada tiga orang yang berakal 
(bijak) dari kalangan kerabat dalam kaumnya mengatakan bahawa sesungguhnya si Fulan telah jatuh miskin, maka dihalalkan baginya meminta-minta hingga beroleh pegangan kehidupan atau ke­cukupan bagi penghidupannya. Adapun meminta-minta yang bukan berdasarkan alasan tersebut, maka hal itu merupakan barang haram yang dimakan oleh pelakunya. Hadis ini merupakan riwayat Imam Muslim.

 

وَفي سَبيلِ اللَّهِ

untuk jalan Allah

Asnaf yang ketujuh adalah mereka berusaha untuk mengembangkan Islam. Antaranya adalah untuk jihad. Juga untuk menjalankan usaha dakwah. Juga untuk memajukan umat Islam.

Ada pelajar-pelajar kita yang diberikan dengan bantuan zakat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan dikira sebagai jihad fisabilillah juga. Tapi yang diberi adalah pelajar-pelajar dalam bidang agama. Sedangkan kita juga memerlukan pakar-pakar dalam bidang yang lain juga.

Sebagai contoh dalam bidang kedoktoran, bidang jurutera dan sebagainya. Kerana untuk memajukan umat Islam, memerlukan semua itu kerana kita hidup pada zaman teknologi dan memerlukan segala perkara itu.

 

وَابنِ السَّبيلِ

dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan,

Asnaf yang kelapan dan terakhir adalah ‘anak perjalanan’ atau musafir. Yang dimaksudkan adalah musafir yang putus bekalan semasa dalam perjalanan mereka. Bukan semua kena diberi kerana ada musafir yang cukup bekalan mereka.

Maknanya, tidaklah semua orang yang dalam perjalanan diberikan dengan bantuan kewangan. Antara perkara yang kerajaan boleh lakukan adalah dengan mendirikan rumah tumpangan untuk musafir yang boleh dijadikan sebagai tempat persinggahan.

 

فَريضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ

suatu ketetapan yang diwajibkan dari Allah,

Senarai asnaf-asnaf ini adalah satu ketetapan dari Allah dan tidak boleh diubahsuai. Oleh itu, zakat itu kena diberikan kepada 8 golongan ini sahaja dan kerana itu pegawai zakat kena cari 7 jenis (tolak amil) ini juga. Allah sudah beri panduan yang jelas maka hendaklah kita ikuti panduan ini.

Ada perbincangan ulama tentang 8 golongan ini: sama ada kena diberikan kepada semua atau boleh sahaja kalau diberikan kepada beberapa golongan sahaja. Ada yang kata kena cari dan dibahagikan kepada semua golongan dan ada juga yang mengatakan kalau dapat beberapa golongan sahaja pun boleh, kerana tidak semestinya semua golongan yang 8 itu ada pada setiap masa.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah maha mengetahui keperluan manusia dan Allah telah jadikan hukum untuk keperluan hidup kita. Kita kena terima bahawa apa yang Allah telah tetapkan itu adalah sudah cantik dan molek dan untuk kebaikan kita. Maka hendaklah kita jaga perkara ini. Terutama sekali kepada mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan zakat ini.


 

Ayat 61:

وَمِنهُمُ الَّذينَ يُؤذونَ النَّبِيَّ وَيَقولونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُل أُذُنُ خَيرٍ لَكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤمِنُ لِلمُؤمِنينَ وَرَحمَةٌ لِلَّذينَ آمَنوا مِنكُم ۚ وَالَّذينَ يُؤذونَ رَسولَ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among them are those who abuse the Prophet and say, “He is an ear.”¹ Say, “[It is] an ear of goodness for you that believes in Allāh and believes the believers and [is] a mercy to those who believe among you.” And those who abuse the Messenger of Allāh – for them is a painful punishment.

  • i.e., one who believes everything he hears.

(MALAY)

Di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan: “Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya”. Katakanlah: “Dia mempercayai semua yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah, mempercayai orang-orang mukmin, dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.

 

وَمِنهُمُ الَّذينَ يُؤذونَ النَّبِيَّ

Di antara mereka ada yang menyakiti Nabi

Yang dimaksudkan adalah puak munafik itu. Ada dari kalangan mereka yang menyakiti Nabi dengan perkataan mereka. Mereka tidak hormat dengan Nabi dan mereka tidak beradab dengan Nabi. Ada kata-kata mereka yang menyakitkan hati Nabi.

 

وَيَقولونَ هُوَ أُذُنٌ

dan mengatakan: “Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya”.

Dari lafaz ini, mereka kata Nabi ‘banyak telinga’. Maksudnya Nabi Muhammad dengar sahaja apa yang mereka katakan dan tidak ada apa-apa balasan dari Nabi. Ia membawa maksud Nabi mudah dengar. Maksud mereka, Nabi percaya sahaja apa sahaja yang mereka cakap kepada baginda.

Jadi, apabila mereka datang jumpa Nabi dan beri alasan apa sahaja, Nabi akan terima. Jadi mereka tidak ambil berat tentang Nabi. Mereka kata tentu Nabi akan benarkan sahaja. Mereka pandang rendah sahaja kepada Nabi yang ikut sahaja apa yang mereka kata.

 

قُل أُذُنُ خَيرٍ لَكُم

Katakanlah: “Dia mempercayai semua yang baik bagi kamu,

Allah beritahu yang Nabi memang mudah dengar dan tidak jawab balik segala apa yang mereka kata. Baginda tidak peduli apa sahaja orang kata. Selalunya Nabi diam sahaja, tidak zahirkan tindak tanduk tidak suka kepada apa yang mereka katakan. Itu lebih-lebih lagi kepada orang jenis munafik kerana baginda mengharapkan mereka akan beriman. Baginda tidak mahu mereka ada alasan untuk tidak suka kepada baginda.

Allah suruh beritahu, dengan sebab Nabi dengar sahaja, itu lebih baik bagi mereka. Baguslah kalau Nabi tidak cakap apa-apa dan membongkar apa yang ada dalam hati mereka. Baguslah Nabi tidak tegur mereka kerana kalau Nabi tegur dan bongkar, tentu mereka akan malu pula nanti.

 

يُؤمِنُ بِاللَّهِ

dia beriman kepada Allah

Sifat Rasulullah begitu kerana baginda beriman kepada Allah.

 

وَيُؤمِنُ لِلمُؤمِنينَ

mempercayai orang-orang mukmin,

Dan baginda yakin kepada orang mukmin. Tidaklah maksud potongan ayat ini yang Nabi ‘beriman’ pula dengan orang mukmin. Kerana huruf ل digunakan (لِلمُؤمِنينَ) dalam ayat ini sedangkan kalau ‘beriman kepada’ Allah, huruf ب digunakan (بِاللَّهِ).

Maksud Nabi yakin itu adalah Nabi percaya dengan apa yang diberitahu oleh orang mukmin. Baginda senang untuk percaya kepada mereka, tidaklah baginda ada rasa tidak percaya kepada mereka. Jadi, bila mereka datang dan beritahu kepada baginda, baginda terima sahaja. Dan baginda pun tidak boleh nak baca hati manusia, jadi Nabi tidak tahu apakah mereka buat alasan sahaja atau benar-benar ikhlas.

 

وَرَحمَةٌ لِلَّذينَ آمَنوا مِنكُم

dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”.

Dan Allah ingatkan bahawa Rasulullah itu adalah sebagai rahmat untuk orang beriman di kalangan mereka. Rahmat besar sungguh kerana Nabi ada di kalangan mereka. Mereka dapat lihat akhlak Nabi dan dapat belajar terus dari Nabi. Itu adalah kelebihan mereka yang langsung tidak dapat dirasa oleh orang selepas mereka.

 

وَالَّذينَ يُؤذونَ رَسولَ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.

Allah beri ancaman kepada mereka yang mencela Nabi, menyakiti hati Nabi dalam apa cara pun, ada balasan azab kepada mereka. Begitu jugalah sampai sekarang, kalau ada yang menghina Nabi, mereka itu juga menerima azab yang pedih.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir