Tafsir Surah Balad Ayat 11 – 20 (Kesusahan yang digalakkan)

Ayat 11: Ayat 11 – 18 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu bahawa menjaga, menegakkan keadilan dan kemakmuran dalam masyarakat adalah amal yang tinggi darjatnya.

Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut bagaimana Allah ﷻ telah memberi pilihan kepada manusia, sama ada memilih jalan yang baik atau jalan yang buruk. Tetapi Allah ﷻ beritahu yang kebanyakan manusia masih tidak mahu menempuh kesusahan dalam beragama.

Agama ini dikatakan satu kesusahan yang dinisbahkan kepada infak kerana sebelum ini telah disebut tentang pengeluaran harta. Mereka yang tidak sedar tentang tanggungjawab sebagai hamba, amat susah sungguh untuk infak.

فَلَا اقتَحَمَ العَقَبَةَ

Sahih International

But he has not broken through the difficult pass.

Malay

Dalam pada itu manusia tidak merempuh jalan mendaki yang sukar

 

Perkataan ‘العَقَبَةَ’ dari segi bahasa bermaksud ‘gunung yang susah untuk didaki’. Jalan-jalan di pergunungan amat susah dan amat bahaya untuk dilalui. Ianya adalah jalan yang sempit. Sebab untuk membuat kebaikan tentulah ada kesusahan dan struggle yang perlu dilalui. Bukan senang-senang sahaja.

Maka aqabah adalah jalan yang paling payah untuk naik bukit. Ada jalan mudah untuk naik bukit tapi aqabah adalah jalan yang susah. Jalan yang susah itu adalah jalan yang menuju kepada kebaikan. Kebanyakan manusia tidak mahu merempuh jalan yang susah – mereka mahu senang sahaja. Sedangkan untuk memenuhi tuntutan agama, memerlukan kesabaran dalam menempuh kesusahan dalam memenuhinya.

Kalimah اقتَحَمَ bermaksud melompat ke dalam sesuatu tanpa berfikir panjang lagi. Tetapi bukanlah ini bermaksud kita menjerumuskan diri kita ke dalam bahaya. Itu tidak dibenarkan oleh Allah ﷻ. Tapi kita kena ingat yang jalan ke syurga adalah jalan yang susah tapi kita kena ambil jalan itu. Tidak ada jalan lain yang selamat. Jalan ke syurga itu dikelilingi dengan perkara-perkara yang tidak disukai oleh nafsu.

Ada sahaja dugaan kalau kita hendak buat perkara baik. Kita kena lawan dugaan itu. Jangan hendak fikir panjang lagi. Sebagai contoh, untuk sedekah (infaq) adalah amat-amat sukar, sebab itulah dipanggil ianya ‘aqabah’. Padahal, terdapat banyak kebaikan dalam infaq harta. Untuk mengubat dan melepaskan kesempitan hati, kita kena keluarkan harta kita untuk infaq.

Maka kita kena terus infaq sahaja. Biasakan diri untuk infaq. Jangan nak kira-kira sangat duit itu kerana amat banyak kepentingan infaq kepada kita dan agama kita. Oleh kerana kepentingan infaq, maka ayat-ayat selepas ayat ini adalah tentang infaq belaka.

Kenapakah manusia tidak mengikut jalan benar (walaupun ianya jalan yang sukar) setelah Dia memberikan segala nikmat kepadanya? Tidakkah dia mahu menerima semua yang Allah ﷻ janjikan itu? Adakah kerana dia takut? Seorang mukmin tidak boleh takut dengan dugaan hidup. Dengan ujian hidup itulah yang akan menaikkan tingkatan kita di mata Allah ﷻ.

Dengan segala dugaan yang dihadapi, iman akan semakin diasah. Kalau kita tidak dicuba dengan dugaan hidup, lagi bahaya kerana kita akan rasa kita sudah selamat di akhirat. Berapa ramai manusia yang hidupnya amat senang di dunia sampaikan mereka tertipu dan terpesona dengan dunia dan tidak ingat langsung kepada akhirat.

Memang payah hendak buat amal soleh sebab nak kena lawan nafsu dan syaitan. Allah ﷻ pun telah pagarkan syurga dengan benda-benda yang payah. Bila Jibril عليه السلام tengok Syurga, dia kata dia rasa tidak ada orang yang boleh masuk syurga. Sebab dia tengok susah sangat untuk masuk. Tapi nak masuk neraka senang pula. Jibril عليه السلام takut semua manusia akan masuk neraka. Ini terdapat dalam satu hadis dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahwa Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ الْجَنَّةَ قَالَ لِجِبْرِيلَ اذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَذَهَبَ فَنَظَرَ إِلَيْهَا ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ وَعِزَّتِكَ لَا يَسْمَعُ بِهَا أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَهَا ثُمَّ حَفَّهَا بِالْمَكَارِهِ ثُمَّ قَالَ يَا جِبْرِيلُ اذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَذَهَبَ فَنَظَرَ إِلَيْهَا ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ وَعِزَّتِكَ لَقَدْ خَشِيتُ أَنْ لَا يَدْخُلَهَا أَحَدٌ قَالَ فَلَمَّا خَلَقَ اللَّهُ النَّارَ قَالَ يَا جِبْرِيلُ اذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَذَهَبَ فَنَظَرَ إِلَيْهَا ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ وَعِزَّتِكَ لَا يَسْمَعُ بِهَا أَحَدٌ فَيَدْخُلُهَا فَحَفَّهَا بِالشَّهَوَاتِ ثُمَّ قَالَ يَا جِبْرِيلُ اذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَذَهَبَ فَنَظَرَ إِلَيْهَا ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ وَعِزَّتِكَ لَقَدْ خَشِيتُ أَنْ لَا يَبْقَى أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَهَا

“Ketika Allah selesai menciptakan syurga, Dia berfirman kepada Jibril: ”Pergi dan lihatlah syurga.” Maka Jibril pergi dan melihatnya. Kemudian dia datang dan berkata: ”Demi keagungan-Mu ya Rabb, tidak seorang pun yang mendengar perihal syurga melainkan pasti ingin memasukinya.” Kemudian Allah lapisi syurga dengan al-makaarih (hal-hal yang tidak disukai manusia) lalu Allah berfirman: ”Hai Jibril, pergi dan lihatlah syurga.” Maka Jibril pergi dan melihatnya. Kemudian dia datang dan berkata: ”Demi keagunganMu ya Rabb, sungguh aku khawatir tidak seorang pun bakal ingin memasukinya.” Baginda bersabda “Ketika  Allah selesai menciptakan neraka, Dia berfirman kepada Jibril: ”Pergi dan lihatlah neraka.” Maka Jibril pergi dan melihatnya. Kemudian dia datang dan berkata: ”Demi keagunganMu ya Rabb, tidak seorang pun yang mendengar perihal neraka bakal mahu memasukinya.” Kemudian Allah lapisi neraka dengan asy-syahawaat (hal-hal yang disukai manusia) lalu Allah berfirman: ”Hai Jibril, pergi dan lihatlah neraka.” Maka Jibril pergi dan melihatnya. Kemudian dia datang dan berkata: ”Demi keagunganMu ya Rabb, sungguh aku khawatir tidak akan ada seorang pun yang bakal terselamat (dari api neraka).”

[Abu Daud no. 4119; Hasan Sahih menurut Syaikh al-Albani, Ahmad no. 8294; sanadnya Sahih menurut Syaikh Syuaib al-Arnaut]

Memang jalan ke syurga itu payah, tetapi bukanlah sampai tak boleh nak buat. Kerana Allah ﷻ beri taklif (tanggungjawab) ikut kemampuan manusia. Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah:286

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Kalau kita kata tak boleh ikut hukum-hukum kehidupan dan agama yang diberikan oleh Allah ﷻ, itu sudah bertentangan dengan ayat dari Surah Baqarah di atas. Ketahuilah yang kita boleh hidup dengan mengikut hukum yang Allah ﷻ telah berikan, cuma kena mujahadah (berusaha) lawan nafsu.

Macam zaman sekarang, lagi banyak cabaran yang perlu dihadapi – dengan handphone, dengan Facebook dan sebagainya. Tidur pula atas tilam yang empuk-empuk sampai susah hendak bangun malam. Bahan hiburan pula ada di mana-mana dan senang sangat untuk dicari. Semua perkara keduniaan itu kena dilawan supaya tidak melalaikan kita dari akhirat.


 

Ayat 12: Tahukah kamu jalan sukar untuk agama, yang bersangkutan dengan infak itu? Allah ﷻ akan beri contoh beberapa perkara.

وَمَآ أَدرَٮٰكَ مَا ٱلعَقَبَةُ

Sahih International

And what can make you know what is [breaking through] the difficult pass?

Malay

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

 

Kenapa Allah ﷻ tanya macam ini? Apabila Dia tanya macam ini, sebenarnya Allah ﷻ hendak beritahu apakah yang dimaksudkan. Ianya adalah soalan dalam bentuk retorik. Allah ﷻ tanya begini untuk menarik keinginan kita untuk mengetahui apakah jawapannya.


 

Ayat 13: Allah ﷻ sekarang menjelaskan apakah ‘aqabah’ itu. Ini yang pertama. 

فَكُّ رَقَبَةٍ

Sahih International

It is the freeing of a slave

Malay

Memerdekakan hamba abdi;

 

Agama Islam dari dulu lagi memang telah menyuruh umatnya untuk memerdekakan hamba. Ini adalah jawapan kepada mereka yang mengatakan bahawa ada perhambaan dalam Islam. Islam bukanlah memulakan sistem perhambaan. Apabila Islam ditegakkan semula oleh Nabi Muhammad ﷺ, sistem perhambaan sudah ada.

Islam tidak boleh terus memusnahkan sistem perhambaan itu tetapi ia menghapuskannya sedikit demi sedikit. Antaranya digalakkan umat Islam untuk memerdekakan hamba sahaya. Ayat ini menunjukkan bahawa Allah ﷻ menunjukkan kebaikan di dalam memerdekakan hamba dari zaman Mekah lagi.

Bukanlah Islam yang memulakan perhambaan, tetapi Islamlah yang mula menghabiskan sistem perhambaan. Kerana banyak keadaan di mana hukum Islam menyuruh hamba dibebaskan. Sebagai contoh, kalau melakukan kesalahan dalam bersetubuh di siang Ramadhan, kafarahnya adalah membebaskan hamba. Ada banyak lagi contoh hamba dibebaskan, maka lama kelamaan tidak ada perhambaan lagi.

Islam memberitahu kebaikan membebaskan hamba seperti hadis riwayat Abu Hurairah رضي الله عنه  Rasulullah ﷺ telah bersabda:

مَنْ أَعْتَقَ رَقَبَةً مُؤْمِنَةً أَعْتَقَ اللَّهُ بِكُلِّ إِرْبٍ مِنْهُ إِرْبًا مِنْ النَّارِ حَتَّى أَنَّهُ لَيَعْتِقُ بِالْيَدِ الْيَدَ وَبِالرِّجْلِ الرِّجْلَ وَبِالْفَرْجِ الْفَرْجَ

“Barang siapa yang memerdekakan seorang budak yang mukminah, maka Allah memerdekakan setiap anggota tubuhnya dengan tiap anggota tubuh budak itu dari api neraka, sehingga sesungguhnya Allah memerdekakan tangan dengan tangan, kaki dengan kaki, dan kemaluan dengan kemaluan.”

[Musnad Ahmad no. 9072. Sanadnya Sahih sesuai syarat Muslim menurut Syaikh Syuaib al-Arnaut]

Membebaskan hamba memerlukan pengorbanan harta yang tinggi kerana hamba itu dikira sebagai harta yang amat besar waktu itu. Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, ayat-ayat bermula dari ayat ini adalah tentang infaq. Walaupun yang disebut adalah pembebasan hamba, namun sebenarnya hamba itu adalah harta sebenarnya.

Jadi, dengan membebaskan hamba, sebenarnya seseorang itu telah mengeluarkan hartanya. Itulah yang dilakukan oleh para sahabat dan yang paling terkenal adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Abu Bakr رضي الله عنه banyak mengeluarkan hartanya untuk membebaskan hamba orang lain. Ianya bukan perkara yang senang kerana ianya memerlukan wang yang banyak.

Selain dari itu, perhambaan itu bukan sahaja hamba dari segi fizikal, tetapi boleh juga termasuk perhambaan dari segi kewangan. Oleh itu, walaupun zaman sekarang, sudah tidak ada lagi perhambaan yang diamalkan oleh dunia, tapi ada juga manusia yang terbelenggu dengan perhambaan harta.

Contohnya, mereka telah terlalu banyak hutang dengan bank atau dengan orang lain, maka mereka langsung tidak boleh bergerak ke mana-mana. Nak buat pinjaman tidak boleh, nak ada rumah dan kereta tidak boleh dan sebagainya kerana mereka telah disenarai sebagai muflis.

Hati mereka sentiasa tidak tenang kerana mereka kena selesaikan hutang mereka itu. Tambahan lagi kalau ada yang berhutang dengan Ah Long. Maka, mereka yang sebegini sepatutnya ditolong untuk dibebaskan dari hutang mereka.


 

Ayat 14: Selain dari membebaskan hamba, apa lagi infaq yang boleh dilakukan?

أَوۡ إِطعَـٰمٌ فِى يَومٍ ذِى مَسغَبَةٍ

Sahih International

Or feeding on a day of severe hunger

Malay

Atau memberi makan pada hari kelaparan –

 

Iaitu memberi makan kepada orang lain semasa makanan kurang, sebagai contoh, semasa kemarau. Ianya bukan sahaja kelaparan biasa, tetapi sudah sampai ke tahap kebuluran. Ini kerana kalimah مَسغَبَةٍ dari katadasar س غ ب yang bermaksud lapar. Jadi مَسغَبَةٍ bermaksud lapar yang sangat, iaitu kebuluran.

Allah ﷻ menyuruh umat Islam untuk berkorban kepada orang lain dalam memberi makan kepada mereka. Di dalam ayat yang lain, Allah ﷻ mengatakan mereka yang buruk perangainya tidak memberi makan. Dan di ayat ini Allah ﷻ menyuruh umat Islam untuk jadi lain dari mereka.

Hendaklah kita buat yang bertentangan dengan orang yang buruk perangai. Orang yang tidak beriman akan menyimpan makanan mereka dan mereka tidak mengendahkan orang lain tapi sebaliknya kita hendaklah memberi makan kepada orang lain. Lainkan diri kita dari mereka.

Allah ﷻ mengajar kita untuk memikirkan orang lain juga. Lebih-lebih lagi dalam keadaan susah. Kita kena menjadi penolong kepada orang lain. Jangan mementingkan diri sahaja tetapi kena fikirkan orang lain juga.

Memang dugaan yang besar untuk mengeluarkan makanan kepada orang lain waktu kebuluran kerana waktu itu kita pun mungkin lapar juga. Kita takut juga kalau kita beri orang lain makan, entah apa yang akan jadi kepada kita. Akan tetapi mereka yang benar-benar percaya dengan janji Allah ﷻ, akan mengeluarkan hartanya untuk beri makan kepada orang lain yang susah.


 

Ayat 15: Beri makan kepada siapa? Allah ﷻ suruh beri dulu kepada anak yatim yang rapat dari segi kekeluargaan. Kerana anak yatim kena dijaga oleh mereka yang waris dengan dia. Dia yang kena jaga dulu. Maka mereka ini ada dua hak: hak anak yatim dan hak sebagai kaum kerabat.

يَتيمًا ذا مَقرَبَةٍ

Sahih International

An orphan of near relationship

Malay

Kepada anak yatim dari kaum kerabat,

 

Yang paling dekat dengan kita adalah saudara-mara kita. Akan tetapi ia juga mungkin bermaksud mereka yang dekat dengan kawasan kita. Kita hendaklah kenal dengan mereka untuk kita membantu mereka. Kalau tidak kenal mereka, bagaimana hendak bantu mereka, bukan?

Dalam surah sebelum ini, Allah ﷻ mengatakan mereka yang buruk perangai itu tidak mengendahkan anak yatim. Dalam ayat ini, kita kena memberi pertolongan kepada anak yatim, dan mulakan dengan mereka yang dekat dengan kita dahulu. Rasulullah ﷺ bersabda:

«الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ: صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ»

Bersedekah kepada (orang lain) yang miskin berpahala sedekah; dan kepada orang miskin yang ada hubungan kerabat dua pahala, pahala sedekah dan pahala silaturrahmi. 

[Sunan Nasa’i no.2535 dengan lafaz ini. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh Abu Thahir Zubair ‘Ali Zai. Juga diriwayatkan Imam at-Tirmuzi no. 594 dalam Sunannya dan juga diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnadnya]

Kita kena tolong anak-anak yatim kerana mereka tidak ada bapa untuk memberi makanan kepada mereka. Tambahan pula, anak-anak yatim adalah kanak-kanak lagi dan maknanya mereka tidak boleh hendak mencari sumber makanan sendiri.

Malangnya, mungkin kita sendiri tidak kenal dengan anak-anak yatim dalam kawasan kita pun. Kerana kita tidak mengendahkan mereka. Kita banyak mementingkan diri sendiri sahaja.


 

Ayat 16: Kalau tidak ada anak yatim, boleh juga bantu orang miskin yang ada tanah sahaja sebagai tempat tinggal mereka. Iaitu mereka yang duduk gelandangan.

أَو مِسكينًا ذا مَترَبَةٍ

Sahih International

Or a needy person in misery

Malay

Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.

 

Perkataan ‘مَترَبَةٍ’ dari katadasar ت ر ب yang bermaksud ‘debu tanah’. Ia merujuk kepada mereka yang tidak cukup keperluan mereka. Sampai berdebu-debu diri mereka. Atau mereka yang tidak ada apa-apa melainkan debu tanah sahaja. Mungkin juga mereka adalah orang yang berkeliaran tiada tempat tinggal dan tinggal di tanah sahaja.

Sama juga, surah sebelum ini tentang orang jahat yang tidak mengendahkan orang miskin. Sekarang Allah ﷻ menyuruh kita supaya memberi pertolongan kepada mereka. Kerana mereka amat memerlukan pertolongan dan dengan membantu mereka, ia memberi pahala yang amat banyak kepada kita.

Mereka yang perlu ditolong adalah mereka yang miskin dan faqir. Malangnya, kadangkala kita tidak kenal pun siapa yang miskin di kalangan kita kerana kita sentiasa bercampur dengan golongan kita sahaja yang hidup senang atau sederhana. Maka, dengan ayat ini mengajar kita untuk buka mata dan tengok siapakah yang memerlukan pertolongan dalam masyarakat kita.


 

Ayat 17: Selain dari membantu mereka yang susah, ada syarat yang amat penting. Pertama sekali kena beriman. Kerana kalau tolong orang tetapi diri sendiri tidak beriman, tidak berguna juga.

ثُمَّ كانَ مِنَ الَّذينَ آمَنوا وَتَواصَوا بِالصَّبرِ وَتَواصَوا بِالمَرحَمَةِ

Sahih International

And then being among those who believed and advised one another to patience and advised one another to compassion.

Malay

Selain dari itu, dia menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

 

ثُمَّ كانَ مِنَ الَّذينَ آمَنوا

Selain dari itu, ia menjadi dari orang-orang yang beriman

Selain daripada membantu mereka yang dalam kesusahan, kita juga sepatutnya mempunyai iman yang kuat. Syarat segala amal kebaikan itu diterima, seseorang itu kenalah beriman. Kerana kalau dia sendiri tidak beriman, pahala untuknya tidak dikira. Ini seperti firman Allah ﷻ.

مَنْ عَمِلَ صالِحاً مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثى وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Dan barang siapa mengerjakan amal yang saleh, baik laki-laki mahupun perempuan, sedangkan dia dalam keadaan beriman. (Al-Mukmin: 40), hingga akhir ayat.

Iman amat penting sekali, kerana jika tidak, kesusahan dalam dunia ini akan bertambah-tambah. Bertambah ramai lagi orang yang kita kena tolong. Padahal kalau semua mempunyai iman, Allah ﷻ akan memberkati negeri kita. Apabila Allah ﷻ memberkati, maka negara itu akan jadi kaya.

Ini seperti yang terjadi pada zaman Khalifah Umar رضي الله عنه, Khalifah Umar Abdul Aziz dan khalifah-khalifah yang baik-baik. Dan nanti pada pemerintahan Imam Mahdi dan Nabi Isa عليه السلام juga keadaan jadi aman sampaikan tidak ada orang yang susah. Ini adalah kerana iman yang tinggi dalam penduduknya, menyebabkan Allah ﷻ bantu mereka.

Kalau ramai tidak beriman, akan penat kita nak tolong orang. Sebab apabila ramai tidak beriman, sistem kerajaan akan jadi korup dan apabila sistem yang korup, akan menyebabkan yang kaya semakin kaya dan yang miskin akan merempat. Semakin lama, semakin banyak orang miskin.

 

وَتَواصَوا بِالصَّبرِ

dan berpesan-pesan dengan sabar

Kita juga disuruh berpesan dan bantu-membantu rakan masing-masing di dalam perjalanan aqabah ini. Kerana perjalanan itu memang susah. Ia memerlukan kekuatan motivasi dan bantuan dari kawan-kawan.

Ia juga memerlukan kesabaran yang tinggi. Kalau tidak sabar, tidak boleh kita nak membantu orang lain, lebih-lebih lagi kalau semua berada dalam keadaan yang susah seperti kemarau dan kebuluran. Jadi kita kena sama-sama menasihati orang lain untuk sama-sama sabar. Kalau semua berada dalam keadaan yang sama, maka tentulah semangat lebih kuat lagi untuk jadi baik.

 

وَتَواصَوا بِالمَرحَمَةِ

serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

Dan kita disuruh untuk mempunyai kasih sayang dan juga belas kasihan kepada dunia seluruhnya. Kalau kita beriman, ianya bermakna yang kita akan ada perasaan kasih dan sayang sesama manusia. Mereka yang tidak ada kasih dan sayang sesama manusia yang lain sebenarnya tidak beriman dan mereka akan dibenci oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak suka walau bagaimana kuat pun dia beribadat. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ:

« مَنْ لَا يَرْحَمْ النَّاسَ لَا يَرْحَمْهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ »

“Siapa yang tidak menyayangi manusia maka tidak disayangi Allah عز و جل”. [Sahih Muslim no. 4283]

Maka, sayangilah manusia lain serta sentiasa bersabar atas gangguan mereka supaya Allah ﷻ menyayangi kita, sebagaimana sabda Nabi ﷺ :

  «  الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ، ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ  »

Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Tuhan Yang Maha Penyayang. Sayangilah orang-orang yang ada di bumi, maka orang-orang yang ada di langit akan menyayangimu.

[At-Tirmizi no. 1924; Abu Daud no. 4941; Ahmad no. 6494 dan 2/160 ; al-Hakim no. 4/175. Hadis daripada riwayat عبدالله بن عمرو رضي الله عنهما . Hadis didiamkan oleh Imam Abu Daud,  dinilai Hasan Sahih oleh Imam Abu Isa,  disahihkan oleh Syaikh al-Arifi dalam ((الأربعون العشارية)) (ص: 125) dan dinilai Sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Ash-Shahihah (922)]


 

Ayat 18: Apa kata Allah ﷻ berkenaan mereka yang bersifat dengan sifat-sifat yang baik dalam ayat-ayat sebelum ini?

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصحَـٰبُ ٱلمَيمَنَةِ

Sahih International

Those are the companions of the right.

Malay

(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).

 

Mereka akan menerima kitab amalan mereka di tangan kanan mereka. Mereka adalah orang yang akan masuk syurga. Allah ﷻ balas perbuatan baik mereka dengan balasan yang paling baik – syurga di mana mereka akan menikmati kesenangan dan nikmat selama-lamanya.


 

Ayat 19: Sebaliknya, apa kata Allah ﷻ tentang mereka yang tidak mengendahkan suruhanNya itu? Ayat 19 – 20 adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Allah ﷻ memberitahu balasan untuk Ashabul Maimanah dan Ashabul Masy’amah.

وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا هُم أَصحَـٰبُ ٱلمَشـَٔمَةِ

Sahih International

But they who disbelieved in Our signs – those are the companions of the left.

Malay

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. –

 

Orang Arab dari dulu lagi tahu bahawa bahagian kiri dikaitkan dengan perkara tidak baik. Dan ini diteruskan lagi sampai zaman Nabi Muhammad ﷺ kerana ianya adalah dari ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri.

Mereka yang engkar dengan syariat Allah ﷻ akan diberikan kitab amalan mereka di tangan kiri. Ini adalah tanda yang mereka itu adalah ahli neraka. Banyak hal ini disebut dan diterangkan dalam surah-surah yang lain. Antaranya di dalam Surah al-Waqiah yang menjelaskan siapakan golongan kiri itu.


 

Ayat 20:

عَلَيهِم نارٌ مُؤصَدَةٌ

Sahih International

Over them will be fire closed in.

Malay

Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).

 

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Mereka tidak akan ada peluang untuk keluar daripada neraka lagi. Ini kerana Neraka itu ditutup dengan serapat-rapatnya. Tidak akan dapat keluar untuk lari langsung.

Dan Allah ﷻ hendak kita membayangkan betapa panasnya dalam neraka itu, kerana ianya tertutup. Api yang besar, tetapi tertutup pula. Macam sekarang, kalau kita lihat kepada pressure cooker, ianya amat panas kerana tidak ada lubang langsung, jadi api itu jadi lebih panas dari biasa.

Allah ﷻ memberi peluang kepada mereka untuk susah di dunia ini supaya nanti mereka akan senang di akhirat kelak. Tetapi kalau sekiranya mereka tidak mahu, mereka akan merasai susah yang amat susah di akhirat kelak. Susah di neraka tidak sama dengan susah di dunia. Susah di dunia masih boleh lagi ditahan, namun kita tidak akan mampu untuk melayan susah di neraka kelak.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah ash-Syams.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abu Ihsan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s