Tawbah Ayat 37: Penerangan lanjut tentang perbuatan mengubah takwim bulan-bulan.
إِنَّمَا النَّسيءُ زِيادَةٌ فِي الكُفرِ ۖ يُضَلُّ بِهِ الَّذينَ كَفَروا يُحِلّونَهُ عامًا وَيُحَرِّمونَهُ عامًا لِّيُواطِئوا عِدَّةَ ما حَرَّمَ اللَّهُ فَيُحِلّوا ما حَرَّمَ اللَّهُ ۚ زُيِّنَ لَهُم سوءُ أَعمٰلِهِم ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, the postponing [of restriction within sacred months] is an increase in disbelief by which those who have disbelieved are led [further] astray. They make it¹ lawful one year and unlawful another year to correspond to the number made unlawful by Allāh² and [thus] make lawful what Allāh has made unlawful. Made pleasing to them is the evil of their deeds; and Allāh does not guide the disbelieving people.
- Fighting during a sacred month.
- If they found it advantageous to violate a sacred month, they would do so, designating another month in its place in which to observe the restrictions concerning fighting.
(MALAY)
Sesungguhnya mengundur-undurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran. Disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur-undurkan itu, mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, agar mereka dapat mempersesuaikan dengan bilangan yang Allah mengharamkannya, maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah. (Syaitan) menjadikan mereka memandang perbuatan mereka yang buruk itu. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.
إِنَّمَا النَّسيءُ زِيادَةٌ فِي الكُفرِ
Sesungguhnya mengundur-undurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran.
Ini merujuk kepada perbuatan mereka menangguh-nangguh Bulan Haram yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Ini sesungguhnya penambahan kepada kekufuran. Maknanya, mereka sudah kufur, tapi tambah lagi dengan perbuatan kufur ini.
Sudahlah mereka amalkan syirik, ini dengan bulan yang Allah telah susun pun mereka ubahsuai pula. Perbuatan mengubah-ubah kalender yang Allah telah tetapkan ini dipanggil النَّسيءُ. Ia dari katadasar ن س أ yang mempunyai banyak maksud: tongkat, yang memerintah dan berkuasa, menangguh, mencampurkan, mengubah. Jadi dimaksudkan di sini mereka telah menangguh, mengubah dan campur aduk bulan-bulan Haram itu. Ini adalah perbuatan dosa besar. Akidah mereka sudahlah syirik, perbuatan mereka pun menambahkan lagi kekufuran itu. Maka bertambah-tambah kufur mereka dengan Allah.
Jadi ini mengajar kita untuk menjaga bulan-bulan Qamariah (kalender berlandaskan kiraan bulan) ini (orang panggil ‘Bulan Islam’ tapi tidaklah tepat sangat). Bulan Qamariah ini penting kerana ia menentukan ibadah-ibadah dalam Islam seperti Puasa dan Haji. Akan tetapi tidaklah kita lupakan terus Bulan-bulan Syamsiah (kiraan ikut matahari). Dua-dua boleh dipakai sebenarnya. Allah berfirman di dalam Yunus:5
هُوَ الَّذي جَعَلَ الشَّمسَ ضِياءً وَالقَمَرَ نورًا وَقَدَّرَهُ مَنازِلَ لِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ
Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.
Jadi bulan dan matahari dua-dua terpakai. Sebab untuk kira ibadah solat pun kena pakai matahari, bukan? Jadi bukanlah bulan Qamariyah ini sahaja ‘bulan Islam’ kerana bulan Syamsiah juga diterimapakai di dalam agama Islam juga.
يُضَلُّ بِهِ الَّذينَ كَفَروا
Disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur-undurkan itu,
Dengan sebab perubahan takwim yang Allah telah tetapkan itu, makin disesatkan lagi orang kafir dengan ketua-ketua mereka yang hendak berperang. Sebenarnya, ketua masyarakatlah yang alih kedudukan bulan itu dan orang mereka ikut sahaja.
يُحِلّونَهُ عامًا وَيُحَرِّمونَهُ عامًا
mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain,
Para pemimpin itu menghalalkan yang Allah telah haramkan. Mereka pandai-pandai kata tahun ini halal untuk berperang dalam Bulan Haram, tapi tahun depan jadi haram balik. Mereka ikut juga konsep bulan-bulan Haram itu sebab mereka sudah mengaku mereka pengikut ajaran Nabi Ibrahim. Tapi mereka tak terima semua, mereka ada ubah-ubah. Jadi campur aduk halal dan haram, ubah agama sikit-sikit ini adalah perbuatan golongan Musyrikin Mekah.
Jadi kalau kita pun macam mereka juga, maka samalah kita dengan mereka. Sebab masyarakat kita tak berani nak tolak keseluruhan Islam itu, tapi yang mereka berani buat adalah ubah sana dan sini. Sebab itulah banyak fahaman baru dan amalan bid’ah baru bercambah dalam masyarakat kita, kerana sifat Musyrikin Mekah memang ada dalam diri mereka.
لِّيُواطِئوا عِدَّةَ ما حَرَّمَ اللَّهُ
agar mereka dapat mempersesuaikan dengan bilangan yang Allah mengharamkannya,
Mereka tetap juga jaga bilangan 12 bulan itu, tapi setakat itu sahaja. Sepatutnya bukan dijaga bilangan sahaja, tapi kena jaga kedudukan bulan itu dan namanya juga. Jangan diubah-ubah. Kerana kadangkala mereka ubah nama bulan (contohnya bulan Rejab mereka ubah jadi bulan lain sebab bulan Rejab tidak boleh berperang).
Mereka itu sudah teruk. Mereka berani kata tahun ini halal, tapi tahun depan haram. Atau mereka ubah nama bulan itu jadi nama bulan lain. Tapi mereka tetap jaga supaya semua bulan ada 12. Itu adalah cubaan mereka untuk perbetulkan balik takwim yang telah rosak. Tapi perbuatan mereka itu telah menyebabkan bilangan bulan dan susunan bulan tidak dapat ditentukan lagi.
Lafaz يُواطِئوا dari katadasar و ط أ yang bermaksud berjalan atas sesuatu, menekan tanah di bawah dengan kaki, menjadikan sama, memperbetulkan. Ini seperti seorang yang berjalan dan menghancurkan apa yang ada di bawah kaki. Sebagai contoh jalan atas pokok bunga, tentu pokok bunga itu akan rosak, bukan? Jadi mereka perbetulkan balik tanah itu supaya jadi sama balik. Sudah rosakkan, kemudian betulkan balik. Tapi ia tetap juga telah rosak. Begitulah yang mereka lakukan terhadap takwim bulan yang Allah telah tetapkan.
فَيُحِلّوا ما حَرَّمَ اللَّهُ
maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah.
Oleh kerana perbuatan pemimpin itu, maka yang sepatutnya haram telah menjadi halal. Apabila mereka buat sendiri keputusan melawan hukum Allah, lalu mereka telah melakukan peperangan dalam Bulan Haram. Hukumnya haram berperang dalam Bulan Haram tapi jadi halal pula bila mereka sudah memandai ubah takwim itu.
زُيِّنَ لَهُم سوءُ أَعمٰلِهِم
dijadikan cantik kepada mereka memandang perbuatan mereka yang buruk itu.
Amalan mereka itu buruk tapi diperlihatkan kepada mereka yang amalan itu baik. Yang menghasut dan mengelabui mata mereka adalah syaitan. Syaitan bisikkan kepada mereka yang mereka itu ada kuasa untuk buat apa sahaja yang mereka hendak. Sedangkan yang ada kuasa itu adalah Allah.
Kita kena taat kepada Allah kerana Allah yang berhak menghalalkan dan haramkan. Jadi apabila mereka rasa yang mereka layak ubah apa yang Allah tetapkan, maka mereka telah mengambil alih kuasa Allah – dan ini adalah perbuatan yang syirik kerana mengambil tugas Allah.
وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ
Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.
Kalau manusia tidak mahu mendengar suara hati mereka, dan menutup apa yang Allah telah berikan sebagai fitrah kepada semua manusia, maka tidak ada petunjuk lagi untuk mereka. Allah tidak beri lagi petunjuk kepada mereka dan ini dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati)
Habis bahagian pertama Surah Tawbah ini. Secara ringkasnya, bahagian pertama ini telah membincangkan tiga perkara penting:
1. iklan pemutusan perjanjian dengan pihak musyrikin.
2. dipatahkan satu persatu hujah yang dikatakan menghalang peperangan diadakan. Ada 4 perkara semua sekali.
3. disebutkan 6 golongan kafir yang kena diperangi.
Tawbah Ayat 38: Ini adalah Bahagian Kedua surah ini. Allah akan beritahu kelebihan perang dalam bahagian ini. Allah juga akan sebut tentang 7 golongan dalam bahagian ini; ada 3 golongan Mukmin dan 4 golongan Munafik.
Dalam ayat ini, ada targhib (ajakan) kepada qital (perang) dan teguran kepada golongan munafikin. Latar belakang perang yang dimaksudkan adalah Perang Tabuk. Ia adalah perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا ما لَكُم إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ ۚ أَرَضيتُم بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ ۚ فَما مَتاعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, what is [the matter] with you that, when you are told to go forth in the cause of Allāh, you adhere heavily to the earth?¹ Are you satisfied with the life of this world rather than the Hereafter? But what is the enjoyment of worldly life compared to the Hereafter except a [very] little.
- i.e., inclining toward the comforts of worldly life.
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا ما لَكُم
Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya dengan kamu ini?
Ini adalah teguran kepada orang Islam. Ada yang tidak suka kepada peperangan kerana takut mati. Atau, mereka kalah dengan perkara dunia sampai menyebabkan mereka berat untuk menjalankan jihad. Maka Allah tegur mereka dalam ayat ini. Allah beri galakan kepada golongan Mukmin untuk berperang.
إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ
bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu?
Allah tegur puak Muslim, kenapa apabila mereka diajak keluar berjihad perang pada jalan Allah, mereka rasa berat? Kalimah الأَرضِ (bumi) merujuk kepada bumi Madinah (mereka tak mahu keluar) iaitu mereka berat hati nak tinggalkan kampung halaman mereka. Kenapa kamu begini? Apa yang tidak kena dengan kamu ini?
Kalimah انفِروا dari katadasar ن ف ر yang bermaksud keluar berperang. Kalimah اثّاقَلتُم dari katadasar ث ق ل yang bermaksud ‘berat’. Mereka rasa hendak melekat pada tanah (rumah) sahaja.
Ini adalah tentang Perang Tabuk yang berlaku pada Tahun 9 Hijrah. Semua umat Islam yang boleh berperang diwajibkan untuk menyertainya. Tabuk berada berdekatan dengan Syria pada masa itu. Dan Syria di bawah takluk kerajaan Kristian Byzantine (Kerajaan Rom). Waktu itu adalah setelah penaklukan Mekah dan setelah Perang Hunain dan Perang Taif. Jadi waktu itu sebahagian besar dari Semenanjung Tanah Arab di bawak takluk kerajaan Islam.
Hirakl (Hiracklius) adalah ketua kepada kerajaan Kristian Rom pada masa itu dan dia tidak puas hati dengan pengembangan Kerajaan Islam. Maka dia telah buat perancangan untuk menyerang Madinah. Tentera Byzantine telah diletak di Tabuk iaitu sempadan kepada Syria. Mereka telah diberi gaji awal selama setahun. Maklumat perancangan ini telah sampai kepada Rasulullah maka baginda bercadang untuk menangani serangan itu dengan membuat persediaan. Ini adalah perang ke 27 dan yang terakhir disertai oleh Rasulullah.
Berbeza dengan perang-perang sebelumnya, Nabi sengaja memberitahu awal rancangan perang ini kepada kaum Muslimin. Padahal biasanya, apabila hendak berangkat berperang, baginda selalu menampakkan seolah-olah bukan untuk berperang. Atau baginda memberikan maklumat yang tidak benar kerana ditakuti akan bocor pula maklumat itu. Contohnya kalau rancangan hendak ke barat, baginda kata mereka akan ke timur. Tapi kali ini baginda awal-awal beritahu yang mereka akan ke Tabuk.
Dalam perang ini, Abu Bakar mengorbankan seluruh hartanya. Umar juga telah mengorbankan setengah hartanya. Begitu pun dengan Uthman yang mengorbankan perlengkapan perang untuk sepertiga pasukan. Berserta sahabat lainnya, yang mereka itu menginfakkan lebih dari kemampuan mereka.
Akan tetapi ramai dari kalangan umat Islam pada waktu itu berat hati untuk menyertainya. Ada berbagai sebab kenapa boleh jadi begini:
1. Waktu itu, ianya adalah musim menuai hasil tanaman. Ramai dari kalangan umat Islam di Madinah ketika itu adalah petani. Dan sebagai petani, hasil tuaian diambil setahun sekali sahaja. Bayangkan, kerja menjaga tanaman selama setahun, tapi hasil boleh dituai sekali sahaja. Maka peluang itu bukan boleh ditangguh-tangguh. Kalau tertinggal masanya, maka hilanglah peluang itu. Itulah gaji mereka untuk setahun.
Dan kalau orang lelaki pergi keluar jihad, yang perempuan dan kanak-kanak sahaja yang tinggal, mereka itu tidak mampu nak ganti kerja menuai itu. Kalau ditangguhkan menuai, hasil tanaman itu akan rosak dan habislah punca pendapatan mereka tahun itu. Mereka bukannya orang kaya. Sedangkan Tabuk jauh dari Madinah. Memang kalau pergi dan balik, tanaman sudah rosak. Ini adalah dugaan dan ujian yang berat dari Allah kepada mereka.
2. Tambahan pula Tabuk itu jauh, susah untuk pergi dan memerlukan kenderaan. Bayangkan jaraknya adalah 778 KM dari Madinah! Dan untuk ada kenderaan, kena buat persediaan dengan wang sendiri. Dan bukannya semua naik kenderaan unta. Satu unta dikongsi oleh 10 orang. Perjalanan pasukan kaum Muslimin menuju Tabuk memakan waktu hingga 20 hari.
Kita kalau balik raya redah jem pun sudah bising, bukan? Jadi bagi para sahabat, medan yang mereka tempuh sangat sulit. Selain keterbatasan bahan makanan, mereka harus menghadapi panasnya gurun pasir. Perang ini bahkan digelar “Pasukan Jaisyul Usrah” yang ertinya pasukan yang dalam keadaan sulit.
3. Waktu itu musim panas, maka tentunya perjalanan ke sana tidak selesa langsung. Dan bukannya sekejap ekspedisi ini, totalnya 50 hari kesemuanya (jangkamasa perjalanan pergi balik dan menunggu di Tabuk).
4. Mereka baru sahaja berperang di Peperangan Hunain dan Perang Taif. Maknanya sudah 8 tahun mereka berperang bermula dari Perang Badr. Sangka mereka, inilah waktu untuk berehat seketika. Mereka sudah jadi malas.
Maka memang dugaan besar untuk menyertainya. Kita sebut di sini supaya dapat faham dilema para sahabat waktu itu. Oleh kerana dugaan yang besar ini, maka ada yang berat hati nak pergi. Terutama sekali golongan Munafik.
Akan tetapi perang kali ini bukan perang yang mereka telah lalui selama 8 tahun itu. Selama ini mereka berperang sesama bangsa Arab sahaja. Kali ini mereka akan menghadapi kerajaan Rom iaitu kerajaan yang besar. Zaman itu dua kerajaan paling besar adalah Kerajaan Rom dan Kerajaan Parsi (kiranya macam USA dan Russia lah). Kerana itu Rasulullah mengerahkan semua golongan Mukmin di Madinah untuk turut serta berperang dan malah baginda telah mengajak kabilah-kabilah di sekitar Madinah untuk turut menyertainya.
أَرَضيتُم بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ
Apakah kamu puas (redha) dengan kehidupan di dunia berbanding kehidupan di akhirat?
Berat sekali soalan Allah ini: adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan dunia lebih lagi dari kehidupan di akhirat? Kamu lebihkan dunia dari akhirat? Memang kalau berjihad itu kena tinggal segala kesenangan yang biasa di dunia. Malah, boleh jadi mati. Akan tetapi, setelah apa yang kamu lalui, kamu masih lagi tidak faham dan melebihkan dunia dari akhirat?
Soalan ini diberikan secara umum, kepada orang-orang beriman, juga termasuk dalam seruan ini kepada orang munafik sekali. Walaupun mereka itu dalam hati mereka tidak beriman sebenarnya, tapi kekufuran mereka tersembunyi. Maka Allah masukkan sekali mereka dalam golongan ‘orang-orang beriman’.
Setelah ajakan jihad kali ini, Muslimin pada waktu itu boleh dibahagikan kepada 6 golongan:
1. Golongan yang hebat iman mereka, yang terus menyahut ajakan Rasulullah. Mereka inilah sebenar-benar Mukmin seperti yang Allah sebut dalam Hujurat:15
إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ ثُمَّ لَم يَرتابوا وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.
2. Golongan yang pada mulanya keberatan, tapi akhirnya mengikuti rombongan jihad itu. Allah sebut tentang mereka ini dalam ayat 117 nanti,
لَقَد تابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالمُهاجِرينَ وَالأَنصارِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ في ساعَةِ العُسرَةِ مِن بَعدِ ما كادَ يَزيغُ قُلوبُ فَريقٍ مِنهُم ثُمَّ تابَ عَلَيهِم
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang Ansar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu.
3. Golongan yang tidak dapat menyertai perang itu dan mereka mempunyai alasan yang kukuh. Allah sebut tentang mereka dalam ayat 91,
لَيسَ عَلَى الضُّعَفاءِ وَلا عَلَى المَرضىٰ وَلا عَلَى الَّذينَ لا يَجِدونَ ما يُنفِقونَ حَرَجٌ إِذا نَصَحوا لِلَّهِ وَرَسولِهِ ۚ ما عَلَى المُحسِنينَ مِن سَبيلٍ
Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya.
4. Golongan Mukmin yang tiada alasan untuk tidak menyertai perang. Mereka itu tidak pergi kerana malas sahaja. Ada beberapa ayat tentang mereka ini,
وَآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم خَلَطوا عَمَلًا صالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم
Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Tawbah:102
وَآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم
Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; sama ada Allah akan mengazab mereka dan sama ada Allah akan menerima taubat mereka. Tawbah:106
وَعَلَى الثَّلاثَةِ الَّذينَ خُلِّفوا حَتّىٰ إِذا ضاقَت عَلَيهِمُ الأَرضُ بِما رَحُبَت وَضاقَت عَلَيهِم أَنفُسُهُم
dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka. Tawbah:118
5. Golongan Munafik yang amat berat untuk menyertai jihad. Kalau dulu mereka boleh lagi sertai jihad walaupun mereka itu Munafik, tapi kali ini ia berat sangat sampaikan mereka tidak sanggup isi nama dalam ‘borang jihad’. Keluar Whatsapp group terus mereka ini. Sikap golongan Munafik yang tidak mahu menyertai perang banyak disebut dalam Al-Qur’an di surah-surah yang lain. Antaranya ayat Muhammad:20
فَإِذا أُنزِلَت سورَةٌ مُّحكَمَةٌ وَذُكِرَ فيهَا القِتالُ ۙ رَأَيتَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ يَنظُرونَ إِلَيكَ نَظَرَ المَغشِيِّ عَلَيهِ مِنَ المَوتِ
Maka apabila diturunkan suatu surat yang jelas maksudnya dan disebutkan di dalamnya (perintah) perang, kamu lihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya memandang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan kerana takut mati.
6. Golongan Munafik, tapi mereka menyertai jihad Tabuk ini. Tapi mereka hendak mengintip dan buat kacau sahaja dalam pasukan tentera Islam. Allah ada sebut tentang mereka dalam beberapa ayat,
لَو خَرَجوا فيكُم ما زادوكُم إِلّا خَبالًا وَلَأَوضَعوا خِلالَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ وَفيكُم سَمّاعونَ لَهُم
Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu; sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Tawbah:47
وَلَئِن سَأَلتَهُم لَيَقولُنَّ إِنَّما كُنّا نَخوضُ وَنَلعَبُ
Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan jawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja”. Tawbah:65
يَحلِفونَ بِاللَّهِ ما قالوا وَلَقَد قالوا كَلِمَةَ الكُفرِ وَكَفَروا بَعدَ إِسلامِهِم وَهَمّوا بِما لَم يَنالوا
Mereka (orang-orang munafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran, dan telah menjadi kafir sesudah Islam dan mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya.
Golongan yang majoriti adalah yang menyertai jihad, yang iman mereka kuat. Kerana itulah ketumbukan tentera Muslim besar, lebih dari 30,000 orang kali ini (pasukan musuh pula seramai 40,000). Inilah pasukan tentera Muslim yang terbesar setakat itu. Kerana ramainya tentera Muslim, Hirakl ketakutan dan tidak datang pun ke medan perang. Pasukan tentera Muslim melepak tunggu di sempadan Tabuk selama 20 hari, kemudian pulang ke Madinah. Rasulullah mengirim beberapa pasukan kecil ke sekitar daerah Tabuk.
Tindakan ini telah menambah kekuatan dan wibawa Islam di wilayah utara jazirah Arab serta membuka jalan ke arah penaklukan daerah Syam. Syekh Ibnul Qayyim al-Jauziy menuturkan, ketika sampai di Tabuk, Rasulullah didatangi pemimpin Ailah yang menawarkan perdamaian dan jizyah. Baginda juga didatangi penduduk Jarba dan Adzrah untuk memberikan jizyah.
Di dalam ayat ini, Allah menegur golongan Mukmin yang berat hati untuk menyertai Perang Tabuk ini. Allah ingatkan balik kepada mereka tentang dunia dan akhirat. Jangan kalah dengan dunia. Kerana memang ia adalah ujian untuk masuk ke syurga seperti firman Allah dalam Baqarah:214
أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
فَما مَتاعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ
Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.
Allah ingatkan kembali kepada mereka, kehidupan dunia itu sedikit sahaja kalau dibandingkan dengan kehidupan akhirat. Tidak patut melebihkan dunia dari akhirat. Kerana nikmat di dunia tidak lain dan tidak bukan adalah sedikit. Kalimah إِلّا قَليلٌ di sini adalah إن لَا قَليلٌ. Oleh kerana itu kenalah berjihad, kerana tidak ada apa yang boleh dibandingkan dengan akhirat.
Begitulah banyak ayat menyebut tentang dunia dan hakikat dunia itu. Kerana manusia engkar kepada kebenaran dan sanggup buat dosa adalah kerana sayang dunia dan tidak takut kepada akhirat. Ada khabar mutawatir dari ulama Salaf mengatakan, حُبُّ الدُّنْيَا رَأْسُ كُلِّ خَطِيئَةٍ (Cinta dunia merupakan induk dari segala kesalahan (dosa) dan merosak agama). Hal ini kerana:
Pertama: Mencintai dunia bererti mengagungkan dunia, padahal ia sangat hina di mata Allah. Termasuk dosa yang paling besar adalah mengagungkan sesuatu yang direndahkan oleh Allah.
Kedua: Allah mengutuk, memurkai, dan membenci dunia, kecuali yang ditujukan kepada-Nya. Kerana itu, barangsiapa mencintai apa yang dikutuk, dimurkai, dan dibenci oleh Allah maka dia akan berhadapan dengan kutukan, murka dan kebencian-Nya.
Ketiga: Mencintai dunia bererti menjadikan dunia sebagai tujuan dan menjadikan amal dan ciptaan Allah yang seharusnya menjadi jalan menuju kepada Allah dan negeri akhirat berubah menjadi kepentingan dunia.
Tawbah Ayat 39: Takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia lagi). Ini adalah balasan kalau tidak menjalankan kewajipan jihad qital.
إِلّا تَنفِروا يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا وَيَستَبدِل قَومًا غَيرَكُم وَلا تَضُرّوهُ شَيئًا ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
If you do not go forth, He will punish you with a painful punishment and will replace you with another people, and you will not harm Him at all. And Allāh is over all things competent.
(MALAY)
Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
إِلّا تَنفِروا يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا
Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih
Kalimah إِلّا di dalam ayat ini juga adalah gabungan إن dan لا. Allah memberi ancaman kepada umat Islam: sekiranya mereka tidak ingin untuk berjihad apabila diseru, nescaya akan dikenakan dengan azab yang pedih. Kalau sebut عَذابًا pun memang kita sudah tahu yang ia pedih, tapi Allah sengaja tambah penekanan lagi dengan kalimah أَليمًا. Maknanya memang pedih sungguh!
Maka ingatan dari Allah, kalau kamu takutkan kerugian di dunia, atau kamu takut dengan tentera musuh, azab dari Allah lagi besar.
وَيَستَبدِل قَومًا غَيرَكُم
dan digantinya (kamu) dengan kaum yang selain kamu,
Allah sambung lagi ancaman: Dia akan matikan kamu dan ganti dengan kaum lain, untuk bela jihad. Kaum muslimin yang baru itu akan taat untuk melakukan jihad. Perkara yang sama juga ada disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{إِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ}
dan jika kalian berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kalian) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kalian (ini). (Muhammad: 38)
Lihatlah ancaman Allah kepada para sahabat yang amat keras sekali. Sedangkan mereka telah banyak berjasa kepada agama. Bandingkan dengan kita yang tidak buat apa-apa pun lagi. Kalau Allah boleh gantikan mereka, apatah lagi kita?
Dan memang Allah pernah tukarkan puak Islam dengan kaum yang lain. Pernah puak Tartar menyerang kerajaan Islam sampai hancur terus kerajaan Islam pada ketika itu. Ini adalah kerana umat Islam waktu itu telah jadi lemah kerana kekayaan dan tidak hiraukan tentang agama dan dakwah.
Kemudian puak Tartar itu pula yang jadi Muslim. Begitu juga, sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, tampuk Islam dipegang oleh Bani Israil. Merekalah Muslim waktu itu patutnya. Tapi kita pun tahu bagaimana mereka telah sesat dan tidak menjalankan agama seperti yang sepatutnya. Maka mereka telah ditukar ganti dengan umat yang baru.
وَلا تَضُرّوهُ شَيئًا
dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikit pun.
Kalau kita umat Islam tidak berjihad, kita tidak bahayakan Allah sikit pun. Allah tidak perlukan kita pun untuk mengembangkan agamaNya. Kita sendiri yang membahayakan diri kita sendiri kalau tidak jalankan kewajipan perang. Kita sendiri yang rugi kalau tidak ambil peluang ini.
وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Allah boleh buat apa sahaja yang Dia hendak. Kalau kita tidak mahu jaga agama Dia, Dia boleh sahaja gantikan dengan orang lain yang akan menjaganya. Allah tidak perlukan kita pun sebenarnya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 9 Mei 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir