Tafsir Surah Tawbah Ayat 32 – 34 (Menyimpan harta)

Tawbah Ayat 32: Apa lagi kesalahan Ahli Kitab itu?

يُريدونَ أَن يُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم وَيَأبَى اللَّهُ إِلّا أَن يُتِمَّ نورَهُ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They want to extinguish the light of Allāh with their mouths, but Allāh refuses except to perfect His light, although the disbelievers dislike it.

(MALAY)

Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.

 

يُريدونَ أَن يُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم

Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka,

Lafaz نورَ اللَّهِ bermaksud ‘agama Allah’. Allah kaitkan ‘cahaya’ dengan agama Islam kerana agama ini membawa manusia keluar dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid. Dari kegelapan kufur kepada kegelapan iman.

Ada puak kufur dari kalangan Ahli Kitab yang ingin memadamkan agama Allah. Dan mereka hendak melakukannya dengan lidah mereka, iaitu menggunakan propaganda dan diayah palsu mereka. Ramai dari kalangan mereka yang mengkritik Islam supaya manusia curiga dengan agama. Mereka menggunakan media massa yang mereka kawal, untuk mencapai hasrat itu, sama ada dengan berita dunia, dengan filem atau dengan media cetak.

Mereka lakukan itu semua kerana mereka memang benci dengan Islam. Mereka tidak suka apa-apa sahaja yang terlibat dengan Islam. Kalau mereka nampak orang Islam tutup aurat, mereka benci; kalau nampak masjid pun mereka benci juga; kalau tengok ada orang berjambang pun, mereka sudah geram. Hati mereka tidak puas kalau lihat Islam senang dan ramai orang masuk Islam.

Di dalam ayat ini Allah bandingkan agamaNya dengan cahaya, dan kita pun tahu ada jenis binatang-binatang yang tidak suka cahaya dan kalau ada sikit cahaya pun, mereka tidak suka. Begitulah juga dengan orang-orang kafir yang benci kepada Islam. Islam itu menyakitkan mata dan hati mereka.

Hajat mereka itu sia-sia sahaja. Allah mengumpamakan perbuatan mereka itu dengan seseorang yang berkeinginan memadamkan sinar matahari atau cahaya bulan dengan tiupan (mulut mereka). Dengan kata lain, hal ini jelas tidak mungkin dan tidak ada jalan untuk mereka berjaya. Maka demikian pula apa yang disampaikan oleh Allah melalui Rasul-Nya, pasti akan sempurna dan akan menang.

 

وَيَأبَى اللَّهُ إِلّا أَن يُتِمَّ نورَهُ

Allah tidak menghendaki begitu, selain menyempurnakan cahaya-Nya,

Walaupun mereka berusaha dengan teruk sekali, tetapi Allah enggan menjadikan kehendak mereka sebagai kenyataan. Allah takkan menjayakan rancangan mereka itu. Maka biarlah apa yang mereka hendak lakukan kerana ianya tidak akan berjaya.

Maka jangan kita kelam kabut dengan perkara ini. Jangan kita melatah dan melompat apabila ada orang yang mengutuk Islam, caci Islam di media massa dan sebagainya. Itu adalah cubaan mereka sahaja dan Allah tidak akan menjayakannya. Kita kena tawakal kepada Allah sahaja iaitu serahkan sahaja kepada Allah untuk menyelesaikan hal itu. Dalam masa yang sama, kita terus amalkan Islam seperti yang sepatutnya.

Allah tetap akan menyempurnakan cahayaNya jika ada di kalangan hambaNya yang ingin menghidupkan agama ini. Maknanya, kita kena jalankan kerja kita untuk menghidupkan agama Allah ini. Kenalah kita mengamalkan Islam dengan benar dan kenalah kita sampaikan Islam ini kepada manusia yang lain. Allah mahu kita mulakan sahaja, dan Dia akan tolong.

Di sini Allah beritahu yang walau bagaimana pun dilakukan oleh orang kafir untuk melemahkan agama Islam, ia tidak akan berlaku. Jadi kalau sekarang Islam itu nampak lemah di mata dunia, ia adalah kerana perbuatan umat Islam sendiri. Apabila agama tidak diamalkan seperti yang sepatutnya, maka keindahan agama Islam itu akan tercemar. Apabila kita meninggalkan Islam, maka Allah akan cabut kekuatan Islam itu dari diri kita.

 

وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.

Allah akan tetap memenangkan agama Islam, walaupun orang kafir cuba nak memadamkannya. Walaupun mereka tidak suka, tapi agama Islam pasti akan tertegak juga.

Dalam ayat ini, disebut ‘orang-orang kafir’. Ini merujuk kepada mereka yang benci kepada Islam dan melakukan usaha untuk menjatuhkan Islam. Bukanlah semua orang kafir tidak suka Islam. Ada yang baik dengan orang Islam, bantu orang Islam; dan ada yang tidak kisah pun dengan kita – mereka hidup cara mereka dan kita hidup dengan cara kita. Mereka tidak cari pasal pun dengan kita.

Jadi, janganlah kita samakan semua orang yang kafir itu dengan ‘kafir’ yang disebut dalam ayat ini. Ada orang bukan Islam tapi mereka tidak ‘kafir’. Begitulah penggunaan kalimah ‘kafir’ dalam Al-Qur’an yang merujuk kepada mereka yang menentang agama Islam sahaja. Kalau yang tidak menentang, kita tidak gelar mereka ‘kafir’. Jadi ada beza antara non-Muslim dan anti-Muslim.


 

Tawbah Ayat 33: Bagaimana cara Allah menangkan agamaNya?

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who has sent His Messenger with guidance and the religion of truth to manifest it over all religion, although they who associate others with Allāh dislike it.

(MALAY)

Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.

 

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ

Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar

Dialah yang telah memilih rasulNya sebagai utusan untuk menyampaikan agamaNya kepada manusia. Rasul itu bukan datang dengan tangan kosong tapi Allah bekalkan dengan wahyu. Nabi Muhammad telah diberi Al-Qur’an.

Dan baginda juga telah diberi dengan دينِ الحَقِّ iaitu penghayatan Al-Qur’an. Dari pemahaman Al-Qur’an itulah yang menjadi agama. Oleh itu kita kena sedar yang agama ini menjadi haq apabila Al-Qur’an dihayati dan diamalkan, Barulah ia akan jadi agama. Kerana kalau ayat-ayat Al-Qur’an itu terus duduk dalam kitab tanpa dipelajari dan diamalkan, ianya jadi Al-Qur’an sahajalah yang hanya dibaca-baca dalam majlis (ceremonial) sahaja.

Kita kena sedar yang agama ini adalah akidah dan cara hidup. Apabila dikatakan ianya cara hidup, ianya kena diamalkan. Jangan kita jahil tentang wahyu Allah ini dan kerana itu kita kena sampaikan kepada manusia.

Memang amat penting tugas Rasul itu kerana merekalah yang membimbing umat manusia. Tanpa mereka, manusia tidak akan faham agama, tidak akan faham bagaimana untuk beramal dengan kitab wahyu yang Allah berikan. Di dalam ayat lain ada disebut tugas-tugas mereka yang penting seperti di dalam Ali Imran:164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم يَتلو عَلَيهِم ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَالحِكمَةَ وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلَٰلٍ مُّبينٍ

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Qur’an), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Kita masih di dalam bahagian perintah jihad dengan Bani Israil. Mereka itu memang tidak mengenang untung. Allah telah berikan mereka nikmat banyaknya Nabi dari kalangan mereka dan diberikan ilmu seperti disebut dalam Maidah:20 tapi mereka tetap juga menentang kebenaran.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يٰقَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنبِيَاءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا وَءآتَٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ الْعٰلَمِينَ

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu, dan dijadikan-Nya kamu sebagai pemerintah, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun diantara umat-umat yang lain”.

 

لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ

untuk dimenangkan-Nya atas segala agama,

Tujuan diutuskan Rasul, diberi dengan wahyu dan disuruh menghayati wahyu itu adalah supaya dizahirkan (zahir kemenangan) agama Islam ke atas fahaman dan cara hidup yang lain, semua sekali. Tidak ada agama lain sebenarnya selain Islam, jadi agama lain kena kalah dengan Islam.

Ini kita boleh lihat pada zaman Rasulullah dan berterusan di zaman para sahabat. Ketika itu Islam berada di atas dan dihormati oleh kawan dan lawan. Ini kerana mereka mengamalkan Islam dengan sebenarnya berpandukan ajaran Al-Qur’an. Cuma apabila Al-Qur’an ditinggalkan, maka kerana itu kedudukan Islam nampak lemah dan penganutnya dipandang lekeh oleh masyarakat dunia. Maka kita kita kena kembali kepada ajaran wahyu.

Oleh kerana itu, kita kena jaja agama Islam untuk dihidupkan. Maksudnya kita kena dakwah dan sampaikan kepada manusia seluruhnya. Kita kena faham bahawa agama ini ada dua sahaja dalam dunia: sama ada agama Islam atau agama selain Islam. Kerana agama selain Islam, tidak kira apa agama pun, adalah satu jenis sahaja – kafir.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو الْمُغِيرَةِ، حَدَّثَنَا صَفْوَانُ، حَدَّثَنَا سُلَيْمُ بْنُ عَامِرٍ، عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الأمرُ مَا بَلَغَ الليلُ وَالنَّهَارُ، وَلَا يَتْرُكُ اللَّهُ بَيْتَ مَدَر وَلَا وَبَر إِلَّا أَدْخَلَهُ هَذَا الدِّينَ، بعِزِّ عَزِيزٍ، أَوْ بِذُلِّ ذَلِيلٍ، عِزًّا يُعِزُّ اللَّهُ بِهِ الْإِسْلَامَ، وَذُلًّا يُذِلُّ اللَّهُ بِهِ الْكُفْرَ”، 

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abul Mugirah, telah menceritakan kepada kami Safwan, telah menceritakan kepada kami Salim ibnu Amir, dari Tamim Ad-Dari r.a. yang mengata­kan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya perkara ini (agama Islam) akan mencapai apa yang dicapai oleh malam dan siang hari. Dan Allah tidak akan membiarkan suatu kota pun, tidak pula suatu kampung pun, melainkan dimasuki oleh agama ini. Agama ini memuliakan orang yang mulia dan menghinakan orang yang hina; ia menjadi mulia kerana Allah memuliakannya melalui agama Islam, dan menjadi terhina kerana Allah menghinakan orang kafir melaluinya.

Di dalam kitab Musnad Imam Ahmad disebutkan pula bahawa:

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ سَمِعَهُ يَقُولُ: دَخَلْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: “يَا عَدِيُّ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ”. فَقُلْتُ: إِنِّي مِنْ أَهْلِ دِينٍ. قَالَ: “أَنَا أَعْلَمُ بِدِينِكَ مِنْكَ”. فَقُلْتُ: أَنْتَ أَعْلَمُ بِدِينِي مِنِّي؟ قَالَ: “نَعَمْ، أَلَسْتَ مَنِ الرَّكُوسِيَّة، وَأَنْتَ تَأْكُلُ مِرْبَاعَ قَوْمِكَ؟ “. قُلْتُ: بَلَى. قَالَ: “فَإِنَّ هَذَا لَا يَحِلُّ لَكَ فِي دِينِكَ”. قَالَ: فَلَمْ يَعْدُ أَنْ قَالَهَا فَتَوَاضَعْتُ لَهَا، قَالَ: “أَمَا إِنِّي أَعْلَمُ مَا الَّذِي يَمْنَعُكَ مِنَ الْإِسْلَامِ، تَقُولُ: إِنَّمَا اتَّبَعَهُ ضَعَفَةُ النَّاسِ وَمَنْ لَا قُوَّةَ لَهُ، وَقَدْ رَمَتْهم الْعَرَبُ، أَتَعْرِفُ الْحِيرَةَ؟ ” قُلْتُ: لَمْ أَرَهَا، وَقَدْ سَمِعْتُ بِهَا. قَالَ: “فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لِيُتِمَّنَّ اللَّهُ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى تَخْرُجَ الظَّعِينة مِنَ الْحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالْبَيْتِ فِي غَيْرِ جِوَارِ أَحَدٍ، وَلَتَفْتَحُنَّ كُنُوزَ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ”. قُلْتُ: كِسْرَى بْنُ هُرْمُزَ؟. قَالَ: “نَعَمْ، كِسْرَى بْنُ هُرْمُزَ، وليُبْذَلنَّ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ”. قَالَ عَدِيُّ بْنُ حَاتِمٍ: فَهَذِهِ الظَّعِينَةُ تَخْرُجُ مِنْ الْحِيرَةِ، فَتَطُوفُ بِالْبَيْتِ فِي غَيْرِ جِوَارِ أَحَدٍ، وَلَقَدْ كُنْتُ فِيمَنْ فَتَحَ كُنُوزَ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتَكُونَنَّ الثَّالِثَةَ؛ لِأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قد قَالَهَا

Addi ibnu Hatim menceritakan hadis berikut bahawa dia masuk menemui  Rasulullah Saw. Maka Rasulullah Saw. bersabda, “Hai Addi, masuk Islamlah kamu, maka selamatlah kamu.” Addi menjawab, “Saya telah memeluk suatu agama.” Rasulullah Saw. bersabda, “Aku lebih mengetahui agamamu daripada kamu.” Addi bertanya, “Benarkah engkau lebih mengetahui agamaku daripada aku sendiri?” Rasulullah Saw. menjawab, “Ya, bukankah kamu dari kalangan Raksawiyyah, dan kamu biasa memakan (memungut) ufti kaummu?” Addi ibnu Hatim menjawab, “Memang benar.” Rasulullah Saw. bersabda, “Sesungguhnya hal itu tidak dihalalkan me­nurut agamamu.” Addi ibnu Hatim mengatakan bahawa Nabi Saw. tidak mengulangi ucapannya itu sehingga dia merasa rendah diri dan malu kepadanya. Rasulullah Saw. bersabda, “Sesungguhnya aku mengetahui hal yang menghambatmu untuk masuk Islam. Kamu menduga bahawa agama Islam hanyalah diikuti oleh orang-orang yang lemah yang tidak mempunyai kekuatan, dan memang dugaan yang serupa telah dilontarkan pula oleh orang-orang ArabTahukah kamu Hirah?’ Addi ibnu Hatim menjawab, “Saya belum pernah melihatnya, tetapi saya pernah mendengarnya.” Rasulullah Saw. bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan­nya, sesungguhnya Allah akan menyempurnakan urusan ini (agama Islam) sehingga seorang wanita berpergian dari Hirah, lalu melakukan tawaf di Baitullah tanpa ditemani oleh seorang lelaki pun (yakni keadaan atau situasi masa itu sangat aman). Dan sesung­guhnya kelak perbendaharaan kerajaan Persia benar-benar akan dibuka (dikuasai oleh kaum Muslim). Addi ibnu Hatim berkata, “Apakah yang dimaksudkan adalah kerajaan Kisra Ibnu Hurmuz?, Nabi SAW Bersabda : Ya, Kisra ibnu Hurmuz; dan sesungguhnya harta benda akan diberikan hingga tidak ada lagi seseorang yang mahu menerimanya. Addi ibnu Hatim mengatakan, “Musafir wanita itu memang telah berangkat dari Hirah, lalu melakukan tawaf di Baitullah tanpa ditemani oleh seorang lelaki pun. Dan sesungguhnya aku termasuk salah seorang yang ikut membuka perbendaharaan Kisra ibnu Hurmuz. Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, akan terjadi hal yang ketiga, kerana Rasulullah Saw. telah menyebutkannya (yakni saat harta benda diberikan, kemudian tiada seorang pun yang mau menerimanya; yang dimaksudkan ialah dekat hari kiamat. Pent.).”

Janji Allah ini telah dijalankan oleh Allah. Kerajaan Islam telah memerintah sebahagian besar dunia selama seribu tahun sehinggalah kita menjadi lemah kerana tidak hiraukan ajaran wahyu.

Sekarang walaupun umat Islam lemah, agama Islam itu sendiri tetap hebat. Bukanlah agama pun turut lemah pula. Kerana itulah ramai dan semakin ramai yang masuk Islam kerana apabila mereka mempelajari Islam, mereka rasa tenang dan jiwa mereka rasa selesa dengan apa yang disampaikan oleh agama Islam. Ia mudah diterima oleh akal kerana penjelasannya yang logik dan tersusun. Alhamdulillah mereka tidak tengok sangat golongan Muslim yang lemah itu, tapi mereka terus ke sumber agama itu sendiri. Kerana kalau tengok umat Islam, memang memalukan.

 

وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.

Allah akan menangkan agama Islam ini atas agama-agama lain, sekali pun tidak disukai orang musyrik.

Kesyirikan itu banyak jenis. Jadi kita kena faham hal syirik itu supaya kita tidak terjerumus. Mereka yang ada fahaman syirik tentu tidak suka ajaran agama Islam yang sebenar diamalkan kerana berlawanan dengan fahaman syirik mereka. Maka kerana itu mereka akan lawan habis-habisan. Kerana mereka itu dibantu dan dibisikkan oleh syaitan.

Malangnya, ramai yang tidak faham apakah itu syirik, sampaikan umat Islam sendiri pun tidak faham kerana mereka tidak belajar. Mereka sangka mereka mengamalkan Islam, tapi mereka tidak beriman dengan sempurna sebenarnya. Mereka buat amal ibadat Islam, tapi dalam masa yang sama, mereka bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat.

Mereka tidak perasan yang mereka buat ibadat kepada Nabi, wali dan malaikat; mereka berdoa kepada Nabi, wali dan malaikat; dan mereka menjadikan Nabi, wali dan malaikat itu sebagai wasilah (pengantar) mereka dalam doa dan ibadah.

Dan banyak lagi fahaman syirik lain yang diamalkan oleh manusia termasuk umat Islam sendiri. Antaranya mereka sangka ada makhluk yang tahu ilmu ghaib, sedangkan hanya Allah sahaja yang tahu ilmu ghaib; mereka sangka ada wali-wali yang mengurus alam ini, sedangkan Allah sahaja yang menguruskan alam ini tanpa bantuan dari para wali.

Dan banyak lagi yang panjang kalau disebut satu persatu. Sebenarnya kena belajar seluruh ayat Al-Qur’an baru akan dapat satu persatu apakah perkara yang melibatkan syirik itu. Dan ini hanya boleh difahami kalau belajar tafsir Al-Qur’an.


 

Ayat 34:

۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّ كَثيرًا مِّنَ الأَحبارِ وَالرُّهبانِ لَيَأكُلونَ أَموٰلَ النّاسِ بِالبٰطِلِ وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ ۗ وَالَّذينَ يَكنِزونَ الذَّهَبَ وَالفِضَّةَ وَلا يُنفِقونَها في سَبيلِ اللَّهِ فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, indeed many of the scholars and the monks devour the wealth of people unjustly¹ and avert [them] from the way of Allāh. And those who hoard gold and silver and spend it not in the way of Allāh – give them tidings of a painful punishment.

  • i.e., through false pretense.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya sebahagian besar dari orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih,

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Ini adalah suruhan kepada orang-orang beriman. Kita sekarang di dalam perenggan yang mengajar kita yang kita kena perangi puak-puak Ahli Kitab itu. Ini adalah kerana banyak kesalahan yang mereka telah lakukan dalam agama dan dalam kehidupan manusia.

Di dalam masa yang sama, kita kena jadikan ini sebagai peringatan kepada diri kita supaya jangan jadi seperti mereka. Jadi ayat ini ditujukan kepada umat Islam kerana awal-awal lagi Allah sudah seru umat Islam. Tapi nanti ceritanya tentang golongan Ahli Kitab. Apa maksudnya? Maksudnya kita kena tahu apa yang mereka telah lakukan, dan berjaga-jaga supaya kita tidak jadi seperti mereka.

 

إِنَّ كَثيرًا مِّنَ الأَحبارِ وَالرُّهبانِ لَيَأكُلونَ أَموٰلَ النّاسِ بِالبٰطِلِ

sesungguhnya sebahagian besar dari orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan batil

Umat Islam kena perangi golongan ahli kitab itu kerana ada kalangan ulama’ dan ahli ibadat mereka yang tutup kebenaran yang ada dalam agama kerana hendakkan kelebihan dunia.

Kalimah الأَحبارِ adalah ulama mereka, yang banyak membaca kitab-kitab agama mereka dan banyak menulis – oleh itu, mereka adalah ulama dari kalangan Ahli Kitab yang ada ilmu sebenarnya. Sementara الرُّهبانِ pula adalah ahli ibadat mereka, yang mengkhususkan kehidupan mereka untuk ibadat sahaja – macam orang sufi kitalah lebih kurang.

Kedua-dua golongan ini adalah mereka yang disanjung dalam kalangan Ahli Kitab. Mereka inilah yang dirujuk kalau mereka ada masalah atau ada perkara agama yang masyarakat perlukan penjelasan. Inilah masalahnya – apabila mereka disanjung, dirujuk dalam segala hal, maka lama-lama kumpulan ahbar dan rahib ini mengambil kesempatan dari kedudukan mereka itu. Kerana mereka dihasut oleh syaitan sampaikan mereka menjadikan agama sebagai satu ‘industri’.

Apakah maksudnya? Ini adalah kerana sesungguhnya ramai dari kalangan ulama’ Yahudi dan Nasara yang makan harta orang ramai dengan cara salah. Mereka sorok agama yang sebenar dan sebar agama ikut apa yang masyarakat mahu. Mereka sanggup ubah agama asalkan mereka dapat keuntungan. Mereka mengajar ajaran sesat untuk makan harta manusia. Tetapi, untuk mengajar ajaran sesat, mereka kena sembunyikan agama yang sebenar. Antaranya mereka sorok Kitab Taurat itu dari orang ramai. Orang tertentu sahaja yang boleh baca.

Cuma kita kena lihat Allah kata kebanyakan كَثيرًا sahaja dari mereka, bukannya semua. Jadi jangan pukul rata semua mereka itu sesat belaka. Kita kenalah adil.

Mereka memang boleh buat duit. Jual agama memang laku kerana ramai sahaja yang jahil. Mereka akan beritahu apa yang masyarakat mereka mahu dengar. Supaya masyarakat beri duit kepada mereka. Mereka ‘jual’ fatwa ikut apa kehendak orang yang minta fatwa itu. Ini adalah kerana mereka ditipu dengan dunia. Memang kita sebagai manusia memerlukan duit, bukan? Tapi mereka nampak peluang untuk buat duit dengan tipu manusia yang mengharapkan maklumat dari mereka.

Mereka buat fatwa yang dikehendaki oleh penganut mereka. Mereka ajar apa yang masyarakat hendak dengar dan tidak membetulkan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat. Mereka tidak tegur kerana kalau mereka tegur, masyarakat tak suka dan masyarakat sudah tidak datang ke rumah ibadat mereka dan tidak masukkan duit dalam tabung lagi! Jadi mereka akan tutup mulut mereka dan kata baik-baik sahaja apa yang dilakukan oleh orang ramai.

Begitu jugalah masyarakat kita sekarang. Ramai golongan agama yang menjadikan agama sebagai industri juga. Kalau ada majlis-majlis agama, kena jemput ustaz-ustaz, orang alim, lebai-lebai, habib-habib. Sama ada Kenduri Selamat, Solat Hajat, Majlis Cukur Jambul, Majlis Tahlil dan macam-macam lagi ibadah bid’ah yang mereka reka, dan kemudian mereka jadi tekongnya.

Dan kalau nak jemput mereka, tentulah kena ada bayaran. Dan bayaran ongkosnya bukan mur-mur, tapi mahal juga kerana selera mereka besar. Sudahlah dapat bayaran, dapat makanan percuma lagi. Masyarakat pula memang sudah jahil, nak buat apa-apa majlis pun, mereka rasa mesti nak kena jemput ustaz, tok imam dan ahli kariah masjid/surau kerana mereka tidak tahu nak buat apa kalau tidak ada ‘ahli surau’ dan ‘ahli masjid’. Kerana mereka ada salah faham tentang ‘berkat’.

Dan ustaz-ustaz jenis inilah juga yang mengajar masyarakat di surau-surau dan masjid-masjid. Mereka akan ajar tentang ibadat sahaja (solat, puasa, wuduk dan perkara seumpama itu). Iaitu perkara-perkara ‘selamat’ yang masyarakat senang terima. Dan disaluti dengan lawak jenaka dan gelak ketawa berdekah-dekah.

Mereka tidak sentuh perkara-perkara sensitif seperti tauhid, syirik, bidaah dan sebagainya. Kerana mereka tahu yang kalau mereka tegur, mereka tidak dijemput lagi untuk mengajar. Kerana setiap kali mengajar, mereka akan dapat upah. Kalau mereka tegur, tentulah hilang punca pendapatan mereka. Maka, kesalahan masyarakat mereka tidak tegur.

 

وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ

dan mereka menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah. 

Dan mereka menghalang agama Allah dari sampai kepada manusia. Kerana kalau agama yang benar sampai kepada masyarakat, tentu mereka akan susah kerana mereka sudah tidak boleh ‘cari makan’ lagi. Kalau ada yang mengajar lain dari apa yang mereka sampaikan, mereka akan halang.

Begitu juga, mereka telah beri contoh yang buruk kepada orang bawahan mereka. Kalau ketua agama pun buat perangai, apatah lagi anak murid, bukan? Maka ini menjadi pengajaran juga kepada ahli-ahli agamawan supaya berhati-hati dengan perbuatan mereka kerana mereka itu dipandang oleh masyarakat.

Maka ulama Ahli Kitab lah yang jadi penghalang dari agama yang sebenar sampai kepada manusia. Mereka tidak akan benarkan Islam didakwah kepada penganut agama mereka. Oleh itu umat Islam kena perangi mereka itu dan mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kerana kalau dibiarkan, maka masyarakat tidak akan dapat kenal agama Islam.

Cuma perkara ini tidak dapat dijalankan pada zaman ini, kerana kita tidak ada khalifah; kerana khalifah sahaja yang boleh keluarkan arahan perang. Tapi kita tetap kena belajar juga tentang perkara ini kerana konsep Khalifah tentu akan datang juga di masa hadapan. Apabila ramai umat Islam sudah faham tentang Islam, mereka tentu mahu supaya dunia Islam diperintah oleh seorang khalifah.

Lihatlah betapa teruknya ahli agama dari kalangan Ahli Kitab itu. Malangnya, begitu jugalah yang terjadi di negara kita. Ada golongan agama yang sudah ‘lama’, tidak benarkan ajaran Sunnah diajar. Mereka akan halang, mereka akan tohmah dan kata macam-macam tentang ajaran Sunnah ini supaya masyarakat tolak. Sebab kita inilah yang selalu menegur kesalahan amalan bid’ah mereka itu!

Mereka kata inilah ajaran Wahabi yang sesat. Mereka tidak benarkan ustaz-ustaz Sunnah mengajar di tempat-tempat awam kerana kalau dibenarkan ustaz-ustaz Sunnah itu mengajar, maka akan pecahlah tembelang mereka, yang selama ini mereka mengajar ajaran yang salah. Maka, kita kena teruskan dakwah sunnah ini, supaya ajaran sunnah dapat bertempat di hati manusia. Ya tidak dibenarkan di media massa, maka kita cari cara lain untuk sampaikan.

Alhamdulillah sekarang, walaupun mendapat tentangan yang banyak, ajaran sunnah semakin bertapak dan semakin ramai. Kerana mereka yang berpelajaran akan senang untuk menerima ajaran Sunnah ini kerana ianya lebih sesuai dengan minda yang sihat. Dalil-dalil yang diberikan amat jelas dan akal yang sihat akan mudah untuk menerimanya.

 

وَالَّذينَ يَكنِزونَ الذَّهَبَ وَالفِضَّةَ

Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak

Ulama dan ahli ibadat yang disebut itu tadi, dan juga sesiapa sahaja yang ada kuasa dari kalangan pemimpin, ada antara mereka yang cari kekayaan dunia bukanlah atas dasar keperluan hidup, bahkan mereka cari dan kaut keuntungan dunia untuk melonggokkan harta. Kemudian zakat tidak dibayar pun. Harta yang dilonggokkan dan tidak dikeluarkan zakatnya dinamakan al-kanzu.

Ia dari katadasar ك ن ز yang bermaksud kumpul dan simpan, harta, tanam harta dalam tanah, harta yang disorok, harta yang bahagian zakatnya tidak dikeluarkan. Jadi dari segi bahasa ia adalah harta yang dilonggok, dipendam. Dari segi syarak pula ia adalah harta yang tidak dikeluarkan zakat.

Dan perbuatannya seperti disebut dalam ayat ini يَكنِزونَ. Ini terjadi apabila seseorang itu sudah mula ambil harta dan upah dari orang ramai dengan cara bathil, lama-lama mereka jadi orang yang cinta dunia. Mereka asalnya kumpul harta dengan cara haram dan kemudian Allah akan campakkan ‘cinta dunia’ ke dalam hati mereka. Ini adalah teruk sekali kerana mereka kumpul harta dengan ajar ajaran sesat. Dan harta yang mereka dapat itu menjadi suhtun. Dan harta suhtun ini lebih berat haramnya dari daging babi.

Nota: ayat inilah yang menyebabkan Abu Dzar takut. Pada satu ketika, beliau memberitahu kepada Muawiyah yang menjadi Gabenor waktu itu, yang umat Islam sedang menjadi kaya dan mereka mengumpul emas dan perak. Muawiyah menjawab yang ayat ini tentang Ahli Kitab. Dan menarik jawapan yang diberikan oleh Abu Dzar. Beliau kata, ya memang ‘tentang’ mereka, tapi pengajaran itu ‘untuk’ kita.

Di dalam sebuah hadis sahih disebutkan:

لَتَرْكَبُنَّ سَنَن مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ حَذْو القُذّة بالقُذّة”. قَالُوا: الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: “فَمَنْ؟ “. وَفِي رِوَايَةٍ: فَارِسَ وَالرُّومَ؟ قَالَ: “وَمَن النَّاسُ إِلَّا هَؤُلَاءِ؟ “

Sesungguhnya kalian benar-benar akan meniru perbuatan orang-orang sebelum kalian, satu langkah demi satu langkah. Para sahabat bertanya, “Apakah yang dimaksudkan adalah orang-orang Yahudi dan Nasrani?” Nabi Saw. menjawab, “Lalu siapa lagi?” Menurut riwayat lain, mereka mengatakan Persia dan Romawi, maka Nabi Saw. menjawab, “Lalu siapa lagi kalau bukan mereka?”

Maknanya, kita kena ambil pengajaran dari perkara-perkara yang disebut tentang Ahli Kitab itu. Kerana Allah sebut kisah mereka sebagai pengajaran untuk kita, umat Islam yang baru. Kerana Ahli Kitab itu adalah umat Islam pada zaman mereka, tapi mereka telah jauh dari agama, kerana kesalahan-kesalahan yang banyak disebut dalam Al-Qur’an. Dan kalau kita pun tidak berhati-hati, maka kita pun boleh jadi seperti mereka.

Maka, kenalah kita sedar apabila kita baca ayat-ayat tentang Ahli Kitab itu, janganlah kita rasa ianya tidak berkenaan dengan kita; jangan kita kata: “eh, ini tentang Ahli Kitab, Yahudi dan Nasara sahaja, bukan kita….”. Kalau itulah faham kita, maka akan sia-sialah sahaja kita baca Al-Qur’an kerana kita tidak mendapat pengajaran dari ayat-ayatnya.

Bukanlah kita dilarang untuk mengumpulkan harta. Umar ibnul Khattab dan lain-lainnya mengatakan bahawa suatu harta yang zakatnya ditunaikan bukan dinamakan al-kanzu seperti dalam ayat ini, sekalipun ditanam di dalam tanah. Sedangkan suatu harta yang tidak ditunaikan zakatnya, maka harta itu adalah harta simpanan; kelak pemiliknya akan diseterika dengannya (di hari kiamat), sekalipun harta itu ada di permukaan bumi.

 

وَلا يُنفِقونَها في سَبيلِ اللَّهِ

dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah,

Mereka kumpul dan kumpul harta itu, sampai banyak sekali dan mereka tidak infak pun di jalan Allah. Mereka memang nak kumpul dan mereka nak kira harta itu kerana mereka suka apabila harta mereka bertambah. Mereka rasa, kalau mereka infak, tentulah akan berkurangan harta mereka. Ini adalah kerana mereka sudah dikenakan dengan penyakit cinta dunia.

Oleh itu mereka menjadi bakhil dan ini dikutuk oleh Allah di dalam Layl:8-11

وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱستَغنَىٰ

Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup,

وَكَذَّبَ بِالحُسنىٰ

serta mendustakan pahala terbaik,

فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلعُسرَىٰ

maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.

وَمَا يُغنِى عَنهُ مَالُهُ ۥۤ إِذَا تَرَدَّىٰٓ

Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila ia telah binasa.

Kalimat وَلا يُنفِقونَها memberi indikasi kepada kita yang kalau kewajipan infak telah dijalankan (seperti zakat yang wajib atau memberi nafkah yang wajib), maka orang itu tidak dipersalahkan. Yang bersalah adalah apabila menjadi bakhil. Dan bakhil akan dihukum di akhirat kelak seperti disebut di dalam Ali Imran:180

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ يَبخَلونَ بِما ءَاتَىٰهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ هُوَ خَيرًا لَّهُم ۖ بَل هُوَ شَرٌّ لَّهُم ۖ سَيُطَوَّقونَ ما بَخِلوا بِهِ يَومَ ٱلْقِيَٰمَةِ

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.

 

فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

maka beritahukanlah kepada mereka, dengan seksa yang pedih,

Allah suruh Nabi beritahu mereka yang mereka akan dikenakan dengan azab yang pedih kerana perbuatan mereka itu. Harta mereka yang banyak yang mereka kumpulkan itu tidak akan dapat membantu mereka langsung. Kalau di dunia, mereka mungkin akan dikalahkan oleh umat Islam dan di akhirat kelak, mereka akan mendapat azab neraka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 April 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien