Ayat 190: Ini ayat berkenaan Jihad fi Sabilillah (jihad di jalan Allah ﷻ). Ada dua jenis jihad. Satu adalah jihad yang angkat senjata, memerangi orang kafir. Ini termasuklah Jihad Pertahan Diri. Iaitu apabila kita diserang oleh orang kafir, maka wajib kita mempertahankan diri.
Satu lagi adalah jihad mulut/lisan, iaitu tabligh (menyampaikan) tentang agama Tauhid kepada manusia supaya mereka kembali kepada Islam.
Dari segi terma, perlu kita fahami apakah maksud ‘jihad’ itu. Dari segi bahasa, ‘jihad’ itu bermaksud ‘berusaha bersungguh-sungguh’ dan kerana itu, maksudnya adalah luas. Sebagai contoh, apabila kita bangun malam selepas tidur untuk salat, salat itu dinamakan Salat Tahajjud, kerana kita berusaha melawan nafsu tidur kita. Dakwah juga adalah satu jihad kerana kita berusaha untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia.
Sebelum Jihad Perang, kena dimulakan dengan jihad lisan terlebih dahulu kepada manusia. Adakah kita berani hendak jihad peperangan kalau jihad lisan pun kita tidak berani lagi? Hendak tegur manusia dari buat majlis bersanding pun tidak berani, bgaimana kita sangka kita mampu hendak pergi berjuang menentang orang kafir? Yang lebih menyedihkan kalau ada Muslim yang beriya-iya hendak berjihad, tetapi diri sendiri belum kemas dari segi tauhid.
Tujuan Nabi ﷺ dan pendakwah adalah seperti yang disebut dalam ayat Baqarah:151 iaitu untuk menyucikan hati manusia daripada syirik kufur dan amalan bid’ah yang mereka amal. Guru mesti baca dan ajar ayat Al-Qur’an untuk menyucikan hati manusia. Kena beritahu apakah kesalahan yang mereka lakukan.
Bila sudah tahu manakah perbuatan salah yang mereka lakukan, barulah mereka hendak bertaubat dan buang perbuatan mereka yang salah. Kalau mereka tidak tahu mana yang salah, bagaimana mereka hendak bertaubat? Selalunya, guru agama akan mengajar apa yang kena buat sahaja, tetapi mereka tidak ajar mana yang salah. Oleh itu, anak murid tidak tahu manakah perbuatan mereka yang salah.
Selain daripada Al-Qur’an, guru agama juga kena mengajar ‘hikmah’, iaitu hadith. Ajarkan apa yang mereka sebelum itu tidak tahu. Sebelum itu anak murid tidak tahu tentang Islam, mereka hanya terima perbuatan dari nenek moyang dan apa yang diamalkan masyarakat sahaja. Jadi kena berikan ajaran yang sebenarnya kepada mereka.
Dalam Baqarah:159, Allah ﷻ memberitahu bahawa sesiapa yang takut kepada orang kafir sampai menyembunyikan hukum-hukum agama kepada orang ramai. Padahal Allah ﷻ telah turunkan Al-Qur’an kepada manusia dengan sejelas-jelasnya. Namun ada yang setelah belajar, mereka tidak sampaikan kepada manusia, tetapi mereka sembunyi. Mereka simpan sendiri. Mereka yang buat begitu, akan dapat laknat dari Allah ﷻ dan laknat dari orang-orang yang melaknati.
Jadi, seorang guru itu mesti mengajar tauhid kepada manusia dalam pengajaran dia. Itu adalah satu kemestian kerana itu adalah perkara yang paling besar. Sebab kalau seorang Muslim itu masih lagi mengamalkan syirik, amal ibadat dia Allah ﷻ tidak terima lagi kerana syarat untuk sesuatu amalan itu diterima, mestilah seseorang itu seorang yang beriman.
Kalau buat syirik, bermakna orang itu tidak beriman lagi – tidak beriman sempurna dan amalan yang dibuatnya itu mestilah mengikut sunnah. Maka rugilah segala salat, sedekah, puasa, umrah dan haji mereka kerana tidak diterima lagi amalan ibadah mereka itu. Ini kerana dalam mereka mengamalkan Islam, mereka ada lagi buat perkara-perkara syirik. Mereka buat amalan syirik itu kerana mereka tidak tahu pun amalan itu salah kerana tidak diberitahu oleh guru agama mereka.
Dalam Baqarah:174, Allah ﷻ juga mengutuk guru yang menyimpan pengajaran yang ada dalam Al-Qur’an. Mereka tidak menerangkan kepada manusia kerana mereka hendakkan upah. Mereka takut kalau mereka menceritakan kebenaran, mereka tidak lagi mendapat upah dalam pengajaran mereka. Ini kerana orang tidak suka mendengar perkara sebegitu dan mereka tidak lagi dijemput untuk memberi ceramah agama lagi.
Maka, apabila mereka tidak dijemput lagi beri ceramah, mereka akan hilang pendapatan mereka. Maka mereka sanggup untuk senyapkan tentang amalan salah yang diamalkan oleh masyarakat. Mereka beli kesesatan dengan jual hidayah.
Berbalik kepada ayat ini, Allah ﷻ sudah masuk kepada arahan kepada umat Islam untuk memerangi orang kafir.
Jihad dan infaq bukanlah perkara yang utama tetapi ia perlu untuk melakukan perkara yang lebih besar lagi iaitu memperkenalkan Allah ﷻ kepada manusia. Iaitu dakwah untuk memperkenalkan akidah tauhid kepada manusia yang belum mengetahuinya.
Ini bukan hendak kenalkan Allah ﷻ sahaja kerana kalau hendak kenalkan Allah ﷻ kepada manusia, Musyrikin Mekah itu memang sudah mengenali Allah ﷻ tetapi mereka dipanggil ‘musyrik’. Jadi kita melakukan jihad untuk memperkenalkan akidah tauhid kepada manusia sejagat.
Ada hadith sahabat bertanya apakah maksud jihad yang sebenarnya kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana peperangan bukanlah maksud yang utama kerana peperangan adalah perkara biasa sahaja di mana orang kafir pun berperang juga. Maka apa bezanya antara peperangan mereka dan jihad orang Islam?
Manusia ada yang berperang untuk mendapatkan harta, meluaskan tanah jajahan mereka ataupun kerana marahkan orang lain dan bukanlah mereka berperang untuk memperkenalkan Allah ﷻ dalam akidah tauhid. Kalau mereka berperang seperti mereka juga maka itu bukanlah jihad yang dikehendaki oleh Allah ﷻ. Jadi sahabat bertanya apakah maksud jihad di ‘Jalan Allah ﷻ’ itu? Nabi ﷺ menjawab:
“Barangsiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimatullah – yakni agama Allah ﷻ itu menjadi tinggi-maka orang sedemikian itulah yang disebut jihad fisabilillah”. ( Muttafaqun Alaih )
Kalimah Allah ﷻ itu dikira tinggi apabila ia berada dalam hati manusia. Kalau dalam hati kita masih ada faham syirik, maka kalimah Allah ﷻ telah direndahkan.
Peperangan diizinkan kepada umat Islam apabila kita ini dizalimi. Bukannya kita terus sahaja pergi berperang dan membunuh orang-orang kafir. Ramai yang beranggapan begitu dan itu adalah fahaman yang salah. Kita hendak menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia dan kalau mereka mati sebelum mereka mendengar dakwah kita, bagaimana pula kita dianggap mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah ﷻ?
Selain dari dizalimi, kita juga dibenarkan untuk memerangi orang kafir jikalau mereka menghalang kita untuk menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia. Ini berkenaan dengan pemimpin negara yang tidak membenarkan dakwah Tauhid dibenarkan dalam negara mereka. Sudahlah dia tidak kenal Allah ﷻ malah dia menghalang pula orang lain untuk kenal Allah ﷻ dan Tauhid, maka mereka sebegitu tidak layak untuk hidup di dunia lagi.
Kalau mereka begitu, barulah boleh kita menghantar tentera Islam ke sana untuk membebaskan rakyat negara itu. Tetapi jikalau mereka tidak menghalang, maka umat Islam tidak boleh yang mula mencetuskan peperangan.
Dari segi sejarah, peperangan hanya dibenarkan kepada umat Islam selepas hijrah ke Madinah. Semasa umat Islam di Mekah lagi para sahabat sudah meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk memerangi puak kuffar tetapi tidak diizinkan.
Jadi keinginan untuk berperang sudah lama ada tetapi hanya dibenarkan bila sudah berhijrah ke Madinah sahaja. Ini adalah kerana Allah ﷻ mahu fahaman agama yang ada dalam diri umat Islam kuat terlebih dahulu. Allah ﷻ membenarkan peperangan hanya diturunkan selepas 70 ayat Al-Qur’an diturunkan untuk melarang mereka berperang.
Jadi sekarang kita akan belajar ayat Jihad yang pertama di dalam Surah Baqarah ini.
وَقَـٰتِلُواْ في سَبيلِ اللَّهِ الَّذينَ يُقَـٰتِلُونَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ
Fight in the way of Allah those who fight you but do not transgress. Indeed. Allah does not like transgressors.
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.
وَقَـٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Dan berperanglah kamu di jalan Allah;
Allah ﷻ sebut dengan jelas bahawa Jihad yang dikehendaki adalah jihad di jalan Allah ﷻ dan bukan peperangan yang biasa. Jadi peperangan yang dibenarkan adalah peperangan untuk menegakkan tauhid di muka bumi. Bukannya perang untuk mendapatkan harta rampasan perang, meluaskan tanah jajahan, kerana marahkan negara lain atau puak kuffar atau apa-apa sahaja sebab lain.
Ini adalah ayat yang memberi arahan kepada umat Islam untuk berjihad di atas Jalan Allah ﷻ. Seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini, Allah ﷻ telah beri isyarat kepada umat Islam di Madinah yang mereka akan kena pergi memerangi Musyrikin Mekah. Ayat-ayat sebelum ini adalah sebagai isyarat sahaja tetapi tidak dalam bentuk arahan lagi. Dalam ayat ini baru ada arahan yang Allah ﷻ berikan.
Kenapa orang Islam kena memerangi Musyrikin Mekah? Kerana Kaabah waktu itu berada dalam tangan mereka. Kaabah di dalam tawanan mereka. Umat Islam mesti membebaskan Kaabah daripada genggaman mereka dan membersihkan Kaabah daripada unsur-unsur syirik.
Selagi mereka tidak buat begitu, orang Islam tidak akan dapat hendak mengerjakan ibadah Haji; selagi tidak dibersihkan Kaabah dari unsur syirik, selagi itulah umat Islam mengadap kepada kiblat yang penuh dengan berhala. Hati mukmin mana yang tenang begitu?
الَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَكُم
orang-orang yang memerangi kamu;
Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa orang-orang Musyrikin Mekahlah yang memulakan peperangan ini. Bukanlah orang Islam. Ini penting untuk dijelaskan kerana dalam sejarah dunia, dikatakan bahawa orang Islam yang memulakan perang ini. Ahli sejarah dunia mengatakan yang orang Islam di Madinahlah yang memulakan Perang Badr dan seterusnya mengambil alih Mekah daripada penduduknya.
Ini adalah tidak tepat kerana semua itu bermula dari sebelum Hijrah Nabi ﷺ dan para sahabat ke Madinah lagi. Ingatlah, apabila Nabi Muhammad ﷺ dan orang Islam menyebarkan agama Islam di Mekah, mereka telah ditindas, sampai ada yang dibunuh hanya kerana mereka cuba menyebarkan hidayah kepada manusia. Mereka terpaksa meninggalkan Mekah menuju ke Madinah untuk menjaga agama mereka (dan nyawa mereka).
Apabila Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat berhijrah ke Madinah, mereka telah membina satu negara Islam. Pusat pentadbiran pada waktu itu adalah di Masjid Nabawi. Dalam masa enam bulan, pembinaan negara Islam telah berjalan. Dalam masa yang sama, Nabi ﷺ telah menghantar pengintip ke Mekah untuk melihat apakah yang dilakukan oleh puak Musyrikin.
Orang Musyrik telah menjumpai pengintip Nabi ﷺ dan pertelingkahan telah berlaku. Maka terbunuhlah semua sekali orang musyrik yang berada dalam rombongan perniagaan itu. Kejadian ini tidak disangka dan apabila Nabi ﷺ diberitahu tentangnya, Nabi ﷺ tidak suka tapi ia telah terjadi. Maka Nabi ﷺ menyuruh para sahabat untuk bersiap sedia untuk menerima tindak balas dari kejadian ini.
Sebelum itu, puak Musyrikin Mekah terbahagi kepada dua bahagian. Ada yang boleh menerima kalau pengaruh Nabi Muhammad ﷺ semakin besar kerana baginda pun bukan orang lain, tetapi bangsa Quraish juga. Mereka tidak ada masalah kalau Nabi Muhammad ﷺ memerintah di satu tempat yang jauh dari Mekah.
Abu Sufyan adalah antara orang yang berada di pihak ini. Namun begitu ada juga yang tidak setuju kerana mereka melihat Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran sesat, menentang apa yang mereka sudah biasa amalkan, maka Nabi ﷺ dan orang Islam perlu diserang sebelum fahaman mereka merebak. Yang berpandangan sebegitu adalah Abu Jahal.
Disebabkan oleh kejadian rombongan perniagaan yang terbunuh itu, Abu Jahal telah mendapat sokongan yang kuat dari Musyrikin Mekah. Ini kerana sudah ada satu sebab yang kukuh untuk mereka menyerang Madinah. Abu Jahal telah berjaya mengumpulkan kekuatan tentera untuk bersedia menyerang orang Islam di Madinah.
Dari sejarah ringkas ini, kita kena ingat kembali bahawa peperangan ini bermula dengan orang Musyrik yang memulakannya dengan menindas orang Islam sampai mereka terpaksa meninggalkan Mekah. Sejarah hanya melihat orang Islam Madinah yang memulakan perang dengan menyerang rombongan dari Mekah.
Tetapi sebenarnya, ingatlah yang mereka bukan berniat hendak menyerang. Mereka hendak mengintip sahaja. Tetapi telah ditakdirkan, mereka telah dilihat dan pergelutan telah berlaku. Sebab itulah dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi arahan untuk berperang dengan mereka ‘yang memerangi kamu’.
Maka, dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu siapakah yang boleh diperangi itu iaitu mereka yang memerangi kita. Tidak boleh memerangi mereka yang tidak memerangi kita.
وَلَا تَعْتَدُوا
dan jangan kamu melampaui batas;
Walaupun Islam membenarkan peperangan, tetapi Islam telah meletakkan beberapa syarat perang. Antaranya, jangan mulakan perang. Kalau sudah berperang, jangan melampaui batas. Dalam peperangan, ada undang-undang perang, iaitu jangan seksa orang yang berperang dengan kita.
Sebagai contoh, jangan lepas kita tawan musuh kita, kita kerat tangan mereka. Jangan kita ganggu orang perempuan, budak-budak dan orang tua-tua. Jangan kita berbuat khianat terhadap manusia. Jangan ganggu orang-orang yang berlindung dalam rumah ibadat mereka. Orang yang tidak melawan jangan bunuh mereka. Tidak boleh bunuh seseorang di hadapan anak beranaknya.
Ini semua adalah undang-undang perang yang telah diletakkan dalam Islam. Tidaklah macam zaman sekarang, ada orang yang bunuh siap letak dalam video semasa seksa atau bunuh orang yang lemah. Yang menyedihkan, dikatakan orang yang membunuh itu adalah pejuang Islam, di mana kita pun tidak dapat pastikan sama ada ia benar atau tidak. Kalau kita tengok video-video itu, semuanya tutup muka, bukan?
Ini tidak patut berlaku. Maknanya peperangan yang dibenarkan adalah peperangan antara askar dan askar sahaja. Kecualilah jikalau perempuan itu ada dilatih untuk memerangi kita maka bolehlah kita memerangi mereka dan bunuh mereka di medan peperangan.
Ini adalah satu peringatan yang amat sukar kepada para sahabat. Sebab mereka dahulu telah ditindas, diseksa sampai ada kenalan dan ahli keluarga mereka yang mati di tangan Musyrikin Mekah. Tentulah mereka ada perasaan hendak membalas dendam. Tetapi Allah ﷻ telah memperingatkan para sahabat supaya jangan melampau.
Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan sebuah hadith:
عَنْ بُرَيدة أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: “اغْزُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَاتِلُوا مَنْ كَفَرَ بِالْلَّهِ، اغْزُوا وَلَا تَغُلّوا، وَلَا تَغْدروا، وَلَا تُمَثِّلُوا، وَلَا تَقْتُلُوا وَلِيدًا، وَلَا أَصْحَابَ الصَّوَامِعِ”.
Dari Buraidah, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: “Pergilah di jalan Allah dan perangilah orang yang kafir kepada Allah. Berperanglah kalian, tetapi janganlah kalian curang, jangan khianat, jangan mencincang, dan jangan membunuh anak-anak serta jangan membunuh orang-orang yang ada di dalam gereja-gerejanya.”
إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampau;
Para sahabat amat menjaga arahan ini sampaikan mereka takut kalau-kalau mereka melampaui batas sampaikan mereka memberi makanan yang lebih baik daripada makanan mereka sendiri untuk diberikan kepada para tawanan perang dalam Perang Badr. Ini adalah kerana memang banyak pesan Rasulullah ﷺ tentang perang seperti dua hadith di bawah:
Hadith riwayat Abdullah bin Umar رضي الله عنهما: Bahawa seorang wanita didapati terbunuh dalam suatu peperangan yang diikuti Rasulullah ﷺ lalu baginda mengecam pembunuhan kaum wanita dan anak-anak kecil. (Sahih Muslim No.3279)
Rasulullah ﷺ bersabda: “Bunuhlah orang-orang musyrik yang tua dan biarkanlah anak-anak muda di antara mereka.” (Riwayat Abu Dawud. Hadith sahih menurut Tirmidzi).
Maka dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu tujuan berperang yang dibenarkan dan siapakah yang dibenarkan untuk diperangi. Inilah undang-undang peperangan yang perlu kita ikuti.
Sistem peperangan ini sebenarnya diperkenalkan oleh Islam tetapi pada zaman sekarang ia juga telah dipakai oleh orang kafir kerana mereka nampak bagaimana sistem inilah sistem yang adil. Tetapi mungkin orang kita yang tidak belajar agama tidak tahu bahawa ia berasal daripada Islam. Mereka mungkin sangka yang ia adalah dari pemikiran Barat sahaja.
Jangan ‘melampaui batas’ juga bermaksud jikalau mereka sudah tidak memerangi kita maka kita pun hendaklah berhenti daripada memerangi mereka kerana tuntutan perang sudah tiada. Maknanya perang ini adalah keperluan darurat sahaja iaitu apabila ia perlu. Kalau tidak perlu lagi, maka kena berhenti.
Maka apabila kita sedang berperang, dan jikalau mereka mengaku untuk masuk Islam, maka kita kena hentikan memerangi mereka serta merta. Walaupun jikalau pedang kita sudah berada di tengkuk mereka.
Sebagaimana yang terjadi kepada seorang sahabat. Beliau hampir hendak membunuh seorang kafir, dan tiba-tiba lelaki itu mengucap kalimah syahadah. Sahabat itu tetap membunuh lelaki itu kerana tidak mempercayainya. Sahabat itu sangka yang itu hanyalah helah lelaki itu sahaja.
Apabila Nabi ﷺ diberitahu, Nabi ﷺ telah memarahi sahabat itu. Sebab kita tidak tahu apakah yang ada dalam hati manusia. Kita hanya boleh menilai dari zahir sahaja.
Hadith riwayat Usamah bin Zaid رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ mengirim kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah di pagi hari. Lalu aku menjumpai seorang kafir. Dia mengucapkan: Laa ilaaha illallah, tetapi aku tetap menikamnya. Ternyata kejadian itu membekas dalam jiwaku, maka aku menuturkannya kepada Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ bertanya: Apakah dia mengucapkan: Laa ilaaha illallah dan engkau tetap membunuhnya? Aku menjawab: Wahai Rasulullah, dia mengucapkan itu hanya kerana takut pedang. Rasulullah ﷺ bersabda: Apakah engkau sudah membelah dadanya sehingga engkau tahu apakah hatinya berucap demikian atau tidak? Beliau terus mengulangi perkataan itu kepadaku, hingga aku berharap kalau saja aku baru masuk Islam pada hari itu. Saad berkata: Demi Allah ﷻ, aku tidak membunuh seorang muslim, hingga dibunuh Dzul Buthain, Usamah. Seseorang berkata: Bukankah Allah ﷻ telah berfirman: Dan perangilah mereka, agar tidak ada fitnah dan agar agama itu semata-mata untuk Allah ﷻ. Saad berkata: Kami telah berperang, agar tidak ada fitnah. Sedangkan engkau dan pengikut-pengikutmu ingin berperang, agar timbul fitnah. (Sahih Muslim No.140)
Ayat 191: Kemudian Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa ‘perang’ dan ‘bunuh’ itu adalah dua perkara yang berlainan. Dalam perang tidak semestinya ada pembunuhan.
Perang itu apabila kita datang dengan kekuatan tentera untuk memberhentikan orang degil yang tidak membenarkan dakwah Islam. Kalau mereka sudah terima, tidak boleh bunuh mereka.
وَاقتُلوهُم حَيثُ ثَقِفتُموهُم وَأَخرِجوهُم مِّن حَيثُ أَخرَجوكُم ۚ وَالفِتنَةُ أَشَدُّ مِنَ القَتلِ ۚ وَلا تُقَـٰتِلُوهُم عِندَ المَسجِدِ الحَرامِ حَتّىٰ يُقَـٰتِلُوكُم فيهِ ۖ فَإِن قَـٰتَلُوكُم فَاقتُلوهُم ۗ كَذٰلِكَ جَزاءُ ٱلكَـٰفِرِينَ
And kill them wherever you overtake them and expel them from wherever they have expelled you, and fitnah is worse than killing. And do not fight them at al-Masjid al- Haram until they fight you there. But if they fight you, then kill them. Such is the recompense of the disbelievers.
Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.
وَاقْتُلُوهُمْ
Dan bunuhlah mereka
Kalau mereka degil juga, maka bolehlah bunuh mereka. Bunuhlah mereka sahaja di mana mereka dijumpa.
حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ
di mana sahaja kamu jumpa mereka
Makna ‘di mana sahaja jumpa mereka’ adalah jumpa di medan peperangan. Bukanlah dengan tidak semena-mena diserang sahaja orang kafir di dunia ini pula. Tetapi apabila berjumpa mereka di medan perang, maka bunuhlah mereka di mana sahaja jumpa mereka. Jangan baca secara literal pula (memang ada yang baca secara literal kerana tidak belajar).
Bahasa yang digunakan dalam ayat ini menghairankan sedikit. Kalau ditujukan kepada orang yang kuat dan ramai, maka ia mungkin lebih sesuai. Baru boleh kata: “Cari mereka dan bunuh mereka”. Tetapi realitinya, orang Islam sedikit sahaja sewaktu ayat ini diturunkan. Yang ramai adalah puak Musyrikin.
Mereka yang lebih ramai dan lebih kuat serta kelengkapan perang mereka lebih hebat daripada tentera Islam. Nabi ﷺ baru sahaja hijrah di Madinah selama enam bulan. Para sahabat tidak ramai, banyak antara mereka tidak pernah berperang pun. Ini adalah kerana orang asal Madinah adalah kalangan petani. Tentunya mereka tidak biasa berperang.
Apabila diketahui bahawa tentera Musyrikin Mekah sudah dalam perjalanan, Nabi ﷺ bertanya kepada para sahabat sama ada mereka patut keluar berperang atau tidak? Sahabat-sahabat dari Muhajirun bangkit seperti Abu Bakr, Umar dan Uthman رضي الله عنهم. Nabi ﷺ nampak suka dengan reaksi mereka tetapi baginda senyap sahaja tanpa berkata apa-apa.
Barulah Puak Ansar tahu bahawa Nabi ﷺ tidak boleh menyuruh mereka berperang, tetapi mereka yang kena menawarkan diri mereka sendiri. Maka mereka berkata bahawa mereka tidak akan menjadi seperti Bangsa Yahudi dan Nabi Musa عليه السلام yang tidak mahu berperang dengan baginda. Mereka pun menawarkan diri untuk berperang bersama Nabi Muhammad ﷺ. Barulah peperangan Badr dilancarkan.
وَأَخْرِجُوهُمْ
dan kamu halaulah mereka
Keluarkan mereka dari daerah mereka. Halau mereka ke hutan dan ambil alih tempat mereka. Jangan bagi mereka duduk di kawasan tempat tinggal biasa. Biar mereka susah kerana mereka terus duduk dalam kufur. Mereka tidak layak hidup dengan selesa di dunia.
مِّنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ
dari tempat mereka halau kamu dulu;
Dahulu kaum Muslim kena halau dari Mekah, sekarang orang kafir Mekah pula yang kena halau dari Mekah.
Allah ﷻ menyebut ayat ini dalam bentuk yang nampak puak Muslim itu kuat sampai boleh menghalau orang Musyrik dari Mekah itu kerana Allah ﷻ hendak memberi semangat kepada mereka bahawa mereka akan memenangi peperangan itu. Apabila mereka baca ayat-ayat ini, orang Islam dapat tahu bahawa Allah ﷻ akan membantu mereka memenangi perang itu kerana itu adalah janji Allah ﷻ.
Jadi, walaupun mereka lemah pada waktu itu, tetapi akhirnya mereka akan menjadi kuat dan akan berjaya kerana dalam ayat ini, ia menunjukkan bagaimana mereka akan menjadi kuat. Dan merekalah nanti yang akan membunuh puak-puak Musyrik itu dan akan mengeluarkan mereka dari Mekah.
Hukum Perang: Kalau mereka tidak mahu memeluk Islam juga selepas mereka kalah, mereka layak menjadi hamba abdi. Panglima perang yang boleh membuat keputusan sama ada hendak bunuh semua lelaki yang berperang itu atau tidak. Yang perempuan dan kanak-kanak tidak boleh dibunuh. Mereka hendaklah diambil sebagai hamba abdi.
Kita boleh bunuh mereka kerana mereka duduk di dunia Allah ﷻ tetapi tidak mahu sembah Allah ﷻ. Ini kerana tidak menyembah Allah ﷻ dan menyembah tuhan yang lain adalah satu kesalahan yang amat besar. Mereka tidak layak hidup di dunia Allah ﷻ ini. Bayangkan kalau di sesuatu negara, kita menentang raja negara itu, itu adalah kesalahan paling besar di negara itu, boleh dihukum bunuh. Sekarang, orang kafir tidak menyembah Tuhan sekalian alam, adakah itu boleh dibenarkan?
Kita kena lihat situasi itu begini, baru kita boleh faham kenapa kita kena bunuh puak-puak musyrik itu.
Walau bagaimana pun, sekarang kita tidak boleh pergi bunuh orang kafir sesuka hati kita kerana telah ada perjanjian antara kita dan mereka untuk hidup aman. Nabi ﷺ dahulu pun ada juga membuat perjanjian damai dengan orang-orang kafir. Kaum kafir yang duduk di Malaysia, kita telah bersetuju untuk mereka duduk di negara ini.
Tidak boleh kita menyerang mereka selagi mereka duduk dengan aman di negara ini. Tidak boleh juga kita hendak menyerang puak-puak kafir di negara lain. Jadi, apabila ada usaha untuk panggil mereka sebagai ‘Kafir Harbi’, itu tidak benar kerana mereka bukan kafir yang diperangi. Salah faham begini amat-amat bahaya.
Tujuan jihad adalah untuk menghilangkan kesyirikan dalam hati manusia. Orang yang melakukan syirik kepada Allah ﷻ, tidak layak untuk mereka berperang pada jalan Allah ﷻ kerana merekalah yang sepatutnya diperangi. Ini termasuklah orang-orang yang mengamalkan ilmu kebal, pedang terbang, keris azimat dan sebagainya. Mereka pun mengamalkan syirik, lalu bagaimana hendak memerangi orang kafir?
Banyak dari golongan datuk nenek kita dahulu mengamalkan ilmu-ilmu sebegitu dalam peperangan. Banyak dijumpai baju, pedang, perisai yang ada tulisan-tulisan yang pelbagai. Itu adalah amalan syirik, maka mereka adalah musyirikun sebenarnya. Mereka tidak layak menjadi tentera Islam. Padahal, Nabi ﷺ sendiri dan sahabat-sahabat tidak ada ilmu kebal. Nabi ﷺ hendak berperang pun pakai baju besi. Nabi ﷺ sendiri pernah cedera dalam peperangan.
وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ
dan ‘fitnah’ itu lebih dahsyat dari pembunuhan;
Apakah makna ‘fitnah’ dalam ayat ini? Fitnah yang dimaksudkan adalah syirik kepada Allah ﷻ. Bukanlah ia bermakna menuduh orang seperti yang kita selalu faham itu. Fitnah yang kita faham itu adalah dalam bahasa Melayu sahaja, bukan bahasa Arab.
Yang dimaksudkan dengan ‘syirik itu lebih dahsyat’ adalah kerana orang yang syirik itu akan kekal duduk dalam neraka tidak keluar-keluar sampai bila-bila. Kalau kita bunuh orang, orang itu mati sahaja dan mungkin dia masuk syurga. Tetapi kalau orang yang mengamalkan syirik, mereka akan terus masuk neraka apabila mereka mati.
Kalimah الْفِتْنَةُ itu dari segi bahasa adalah ‘dugaan’ atau ‘ujian’. Ini adalah keadaan di mana mempersekutukan Allah ﷻ lebih mudah daripada mengikuti perintah-Nya. Itulah ujian bagi manusia. Kalau zaman dahulu, puak Musyrikin Mekah telah menjadikan Kaabah sebagai tempat sembahan berhala, memudahkan orang melakukan syirik. Ini tidak patut dibenarkan.
Jadi Allah ﷻ hendak memberitahu kepada orang Islam bahawa memang membunuh itu tidak elok, tetapi menyebabkan syirik tersebar lebih teruk lagi daripada itu. Kalau tidak memerangi mereka, fitnah/syirik akan terus berleluasa. Maka kita kena wujudkan suasana dunia di mana ajaran tauhid yang berleluasa, bukannya ajaran syirik.
Cuma, sekarang umat Islam sedang lemah, maka jihad yang ada adalah jihad lisan sahaja. Iaitu kita menyampaikan dakwah dengan cara penyampaian ilmu dan penerangan kepada manusia. Ini seperti usaha Ahmad Deedat, Dr. Zakir Naik dan ramai lagi yang berusaha menyampaikan ajaran yang benar.
وَلَا تُقَـٰتِلُوهُم عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Dan jangan kamu perangi mereka di Masjidil Haram
Jangan memerangi musuh di Tanah Haram kerana Allah ﷻ telah jadikan Tanah Haram itu sebagai tempat yang aman dan mulia. Maka jangan kita cemari tempat itu yang Allah ﷻ telah muliakan.
Di dalam kitab Sahihain disebutkan:
“إِنَّ هَذَا الْبَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ، فَهُوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَلَمْ يَحِلَّ لِي إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ، وَإِنَّهَا سَاعَتِي هَذِهِ، حَرَام بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، لَا يُعْضَد شَجَرُهُ، وَلَا يُخْتَلى خَلاه. فَإِنْ أَحَدٌ تَرَخَّصَ بِقِتَالِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُولُوا: إِنَّ اللَّهَ أَذِنَ لِرَسُولِهِ وَلَمْ يَأْذَنْ لَكُمْ”
Sesungguhnya kota ini telah disucikan Allah ﷻ sejak Dia menciptakan langit dan bumi, maka ia tetap suci kerana disucikan Allah ﷻ sampai hari kiamat dan tidak pernah dihalalkan kecuali sesaat untukku di waktu siang hari, ia tetap suci kerana disucikan Allah ﷻ sampai hari kiamat; pepohonannya tidak boleh ditebang, rerumputannya tidak boleh dicabut. Jika ada seseorang membolehkan kerana alasan Rasulullah ﷺ pernah melakukan perang padanya, maka katakanlah oleh kalian bahawa sesungguhnya Allah ﷻ hanya mengizinkan bagi Rasul-Nya dan Dia tidak mengizinkan bagi kalian.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi isyarat bahawa orang Islam akan menyerang Musyrikin Mekah sampai mereka terpaksa lari kepada Kaabah. Begitulah, kalau sesuatu negara itu diserang, apabila mereka telah kalah, mereka mulanya akan lari ke ibu negara. Akhir sekali mereka akan berkumpul di istana Raja atau Presiden mereka.
Bagi Musyrikin Mekah, mereka akan lari berlindung di Kaabah. Ini menunjukkan bahawa orang musyrik akan kalah sampai mereka terpaksa buat begitu. Ini memberi semangat kepada orang Islam. Mereka nampak janji Allah ﷻ yang mereka akan menang.
حَتَّىٰ يُقَـٰتِلُوكُم فِيهِ
sehinggalah mereka perangi kamu di dalamnya;
Kecuali kalau mereka yang ceroboh dahulu. Barulah kita boleh memerangi mereka di situ. Kalau mereka masuk serang kita dalam Masjidil Haram, barulah boleh kita lawan mereka balik.
فَإِنْ قَـٰتَلُوكُم
Dan jika mereka memerangi kamu
Kalau mereka menyerah diri, tidak melawan tidak mengapa. Namun kalau mereka menyerang kita, maka:
فَاقْتُلُوهُمْ
maka bunuhlah mereka;
Namun kita kena ingat, dalam kita bunuh mereka itu, tidak boleh seksa mereka. Ini seperti telah banyak disebut syarat-syarat sebelum ini. Kita kena terus bunuh mereka tanpa seksa mereka. Kalau hukum gantung pun sudah dikira menyeksa mereka kerana apabila kita gantung seseorang, dia tidak terus mati. Sebaliknya dia akan terseksa dalam masa yang lama.
Sebaik-baik hukuman bunuh adalah pancung kepala, kerana mereka akan terus mati dan tidak menyeksakan orang yang dibunuh itu. Itu adalah cara bunuh yang paling baik sekali. Kita sangkakan bahawa itu adalah pembunuhan yang paling dahsyat sebab darah menyembur dan badan akan menggeletar selepas bercerai dengan badan, tetapi itu adalah tindak balas badan sahaja.
Sebenarnya, yang kena pancung itu akan terus mati dengan cepat dan tidak merasa sakit yang berpanjangan. Kemudian, setelah dibunuh, tidak boleh dikelar mayat orang kafir yang telah dibunuh itu.
كَذَٰلِكَ جَزَاءُ ٱلكَـٰفِرِينَ
Demikianlah balasan bagi orang kafir;
Begitulah balasan yang sepatutnya diberikan kepada orang kafir. Tidak boleh dibiarkan mereka berleluasa kerana mereka menentang Islam, maka mereka layak diperlakukan sedemikian.
Begitu pun, Rasulullah ﷺ memasuki Kota Mekah dengan aman dan telah memberikan peluang untuk penduduknya untuk menyelamatkan diri. Sabda Nabi ﷺ yang mengatakan:
مَنْ أَغْلَقَ بَابَهُ فَهُوَ آمِنٌ، وَمَنْ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَهُوَ آمِنٌ، وَمَنْ دَخَلَ دَارَ أَبِي سُفْيَانَ فَهُوَ آمِنٌ
Barang siapa yang menutup pintunya, maka dia aman; dan barang siapa yang masuk ke dalam Masjidil Haram, maka dia aman; dan barang siapa yang memasuki rumah Abu Sufyan, maka dia aman.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 4 Disember 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan