Tafsir Surah an-Nahl Ayat 42 (Kepentingan Sabar & Tawakal)

Nahl Ayat 42: Apakah sifat mereka yang berhijrah itu kena ada?

الَّذينَ صَبَروا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They are] those who endured patiently and upon their Lord relied.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal.

 

الَّذينَ صَبَروا

orang-orang yang sabar

Mereka itu adalah orang yang sabar semasa hijrah. Ini adalah kerana dugaan ketika berhijrah itu bukannya mudah. Tambahan pula kerana sebelum ini mereka harus meredah padang pasir atau lautan untuk ke tempat hijrah. Nanti sampai ke tempat yang mereka tidak ada kenalan, tidak ada kerja dan tidak ada keluarga. Maka para peringkat awal, mereka memang kena bersabar.

Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan benda yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: sabar ya, sabar ya…. Namun tahukah anda maksud sebenar ‘sabar’ dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:

1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.

2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.

3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

 

وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakal.

Mereka sanggup menghadapi segala dugaan itu dan mereka letakkan nasib mereka di tangan Allah ﷻ. Mereka tawakal terhadap apa yang terjadi bila sudah berhijrah. Maka di dalam ayat ini mengandungi dua lagi syarat untuk mendapat kelebihan di dalam berhijrah. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut ia mestilah dilakukan kerana Allah ﷻ dan setelah dizalimi di tempat asal mereka. Dua syarat lagi adalah:

Ketiga, mereka kena bersabar. Mungkin pada peringkat awal mereka akan susah kerana berhijrah bukannya senang. Maka kena ada sifat sabar yang kuat.

Keempat, mereka tawakal kepada Allah ﷻ setelah mereka berusaha. Serahkan kepada Allah ﷻ akan nasib dan takdir kita.

Untuk mendapat kelebihan setelah berhijrah, maka kena ada keempat-empat syarat ini. Kalau setelah berhijrah, tetapi hidup masih lagi susah, maka kena selidiki semula empat syarat ini.

Apabila melakukan hijrah itu, kena letakkan nasib kita di dalam tangan Allah ﷻ kerana Dia sahaja yang Maha Hidup seperti disebut dalam Furqan: 58

وَتَوَكَّل عَلَى الحَيِّ الَّذي لا يَموتُ
Dan bertawakallah kepada Allah yang hidup (kekal) Yang tidak mati,

Kenapa berharap kepada selain Allah ﷻ yang akan mati? Kalau dia mati, tentulah dia tidak dapat memberikan apa-apa kepada kita. Akan tetapi Allah ﷻ yang tidak mati-mati inilah yang kita sepatutnya berharap. Maka ayat ini mengingatkan kita supaya bertawakal kepada Allah ﷻ kalau kita benar-benar beriman. Tidak ada cara lain. Kita hendaklah berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Hendaklah mereka serahkan semua urusan kita kepada Allah ﷻ. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. Dan formula untuk tawakal telah disebut di dalam Ahzab: 22.

وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

Kita boleh belajar betapa hebatnya tawakal Rasulullah ﷺ kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam hadith,

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَ أَنَّهُ غَزَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ نَجْدٍ فَلَمَّا قَفَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَفَلَ مَعَهُ فَأَدْرَكَتْهُمْ الْقَائِلَةُ فِي وَادٍ كَثِيرِ الْعِضَاهِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَفَرَّقَ النَّاسُ يَسْتَظِلُّونَ بِالشَّجَرِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ سَمُرَةٍ وَعَلَّقَ بِهَا سَيْفَهُ وَنِمْنَا نَوْمَةً فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَا وَإِذَا عِنْدَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ إِنَّ هَذَا اخْتَرَطَ عَلَيَّ سَيْفِي وَأَنَا نَائِمٌ فَاسْتَيْقَظْتُ وَهُوَ فِي يَدِهِ صَلْتًا فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي فَقُلْتُ اللَّهُ ثَلَاثًا وَلَمْ يُعَاقِبْهُ وَجَلَسَ
Bahawa [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] mengabarkan bahawa dia berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ melewati Najd. Ketika Rasulullah ﷺ kembali dan Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا pun ikut kembali, mereka menjumpai sungai di bawah lembah yang banyak pepohonannya. Maka Rasulullah ﷺ turun dan para sahabat pun bertebaran mencari tempat berteduh di bawah pohon. Dan Rasulullah ﷺ singgah berteduh di bawah suatu pohon lalu menggantungkan pedang baginda pada pohon tersebut kemudian baginda tidur sejenak. Ketika Rasulullah ﷺ memanggil kami, di hadapan baginda ada seorang lelaki Badwi. Baginda berkata: “Orang ini telah mengambil pedangku ketika aku tidur lalu aku bangun sedang tangannya sudah memegang pedang yang terhunus lalu dia berkata: “Siapa yang dapat melindungimu daripadaku?” Aku jawab: “Allah” sebanyak tiga kali. Maka orang itu tidak dapat berbuat apa-apa kepada baginda lalu dia terduduk lemah.
(Sahih Bukhari (2694))

Maka kita diajar untuk membiasakan diri ingat kepada tawakal. Maka satu amalan yang boleh mengingatkan kita adalah zikir yang dibaca ketika keluar rumah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ قَالَ يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang laki-laki keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: ‘BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah). ‘ Beliau bersabda: “Maka pada saat itu akan dikatakan kepadanya, ‘Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan’, hingga syaitan-syaitan menjauh daripadanya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan.”
(Sunan Abi Dawud (4431))
Status: Sahih

Maka amalkan doa ini dan faham maksudnya apabila anda membacanya. Kalau selalu dilakukan, maka anda akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah ﷻ. Ia juga akan mengingatkan anda kepada tawakal kerana setiap kali hendak keluar, anda akan menyebutnya.

Bertawakallah sepertimana tawakalnya Hajar apabila ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di tanah tandus Mekah,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا كَانَ بَيْنَ إِبْرَاهِيمَ وَبَيْنَ أَهْلِهِ مَا كَانَ خَرَجَ بِإِسْمَاعِيلَ وَأُمِّ إِسْمَاعِيلَ وَمَعَهُمْ شَنَّةٌ فِيهَا مَاءٌ فَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ فَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ فَوَضَعَهَا تَحْتَ دَوْحَةٍ ثُمَّ رَجَعَ إِبْرَاهِيمُ إِلَى أَهْلِهِ فَاتَّبَعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ حَتَّى لَمَّا بَلَغُوا كَدَاءً نَادَتْهُ مِنْ وَرَائِهِ يَا إِبْرَاهِيمُ إِلَى مَنْ تَتْرُكُنَا قَالَ إِلَى اللَّهِ قَالَتْ رَضِيتُ بِاللَّهِ قَالَ فَرَجَعَتْ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى لَمَّا فَنِيَ الْمَاءُ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا قَالَ فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ هَلْ تُحِسُّ أَحَدًا فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا فَلَمَّا بَلَغَتْ الْوَادِيَ سَعَتْ وَأَتَتْ الْمَرْوَةَ فَفَعَلَتْ ذَلِكَ أَشْوَاطًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ تَعْنِي الصَّبِيَّ فَذَهَبَتْ فَنَظَرَتْ فَإِذَا هُوَ عَلَى حَالِهِ كَأَنَّهُ يَنْشَغُ لِلْمَوْتِ فَلَمْ تُقِرَّهَا نَفْسُهَا فَقَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا حَتَّى أَتَمَّتْ سَبْعًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ فَإِذَا هِيَ بِصَوْتٍ فَقَالَتْ أَغِثْ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ خَيْرٌ فَإِذَا جِبْرِيلُ قَالَ فَقَالَ بِعَقِبِهِ هَكَذَا وَغَمَزَ عَقِبَهُ عَلَى الْأَرْضِ قَالَ فَانْبَثَقَ الْمَاءُ فَدَهَشَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ فَجَعَلَتْ تَحْفِزُ قَالَ فَقَالَ أَبُو الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ تَرَكَتْهُ كَانَ الْمَاءُ ظَاهِرًا قَالَ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الْمَاءِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا قَالَ فَمَرَّ نَاسٌ مِنْ جُرْهُمَ بِبَطْنِ الْوَادِي فَإِذَا هُمْ بِطَيْرٍ كَأَنَّهُمْ أَنْكَرُوا ذَاكَ وَقَالُوا مَا يَكُونُ الطَّيْرُ إِلَّا عَلَى مَاءٍ فَبَعَثُوا رَسُولَهُمْ فَنَظَرَ فَإِذَا هُمْ بِالْمَاءِ فَأَتَاهُمْ فَأَخْبَرَهُمْ فَأَتَوْا إِلَيْهَا فَقَالُوا يَا أُمَّ إِسْمَاعِيلَ أَتَأْذَنِينَ لَنَا أَنْ نَكُونَ مَعَكِ أَوْ نَسْكُنَ مَعَكِ فَبَلَغَ ابْنُهَا فَنَكَحَ فِيهِمْ امْرَأَةً
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata; “Ketika Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar berkelana bersama Isma’il dan ibu Isma’il, mereka membawa geriba (kantung empat air) yang berisi air, ibu Isma’il minum daripada persediaan air dalam geriba tersebut sehingga dia dapat menyusui bayinya. Ketika tiba di Makkah, Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menempatkan keduanya di bawah sebuah pondok. Tatkala Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak kembali kepada keluarganya, ibu Isma’il mengikutinya di belakang hingga ketika sampai di dataran yang agak tinggi, ibu Isma’il memanggilnya dari belakang; “Wahai Ibrahim, kepada siapa engkau meninggalkan kami?” Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab; “Kepada Allah”. Hajar berkata; “Kalau begitu, Aku telah redha kepada Allah”. Perawi berkata; “Lalu Hajar kembali (ke tempatnya semula dan minum geriba kunonya dan menyusui bayinya hingga ketika air persediaan habis dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Perawi berkata; “Maka dia pergi dan naik ke atas bukit Safaa lalu melihat-lihat adakah ada orang namun dia tidak merasakan ada seorang pun. Ketika sampai di lembah dia berlari-lari kecil dan mendatangi Marwa, dia melakukan yang demikian berkali-kali. Kemudian dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihatnya, yang dimaksudnya adalah bayinya. Maka dia pergi mendatangi bayinya yang ternyata keadaannya seperti ketika ditinggalkan seolah-olah menghisap nafas-nafas kematian sehingga hati Hajar tidak tenang. Dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Maka dia pergi untuk mendaki bukit Safaa lalu melihat-lihat namun tidak ada seorang pun yang ditemuinya hingga ketika dia telah melakukan upaya itu sebanyak tujuh kali (antara bukit Safaa dan Marwah) dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat apa yang terjadi dengan bayiku”, ternyata dia mendengar suara, maka dia berkata; “Tolonglah (aku) jika memang kamu baik”. Ternyata (suara itu) adalah malaikat Jibril ‘عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Perawi berkata; Lalu Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbuat dengan tumitnya begini. Dia mengais-ngais tanah dengan tumitnya”. Perawi berkata; “Maka memancarlah air dan ibu Ism’ail terperanjat dan segera menampungnya”. Perawi berkata; Berkata Abu Al Qasim ﷺ: “Seandainya Hajar membiarkannya pasti air akan mengalir”. Perawi berkata; “Maka Hajar minum air (zamzam) itu sehingga dapat menyusui bayinya”. Kemudian serombongan orang daripada suku Jurhum melewati di dasar lembah dan mereka melihat ada seekor burung, seakan mereka tidak percaya, Mereka berkata: “Tidak akan ada burung melainkan pasti kerana ada air”. Akhirnya mereka mengutus seorang utusan mereka untuk melihatnya yang ternyata mereka memang berada di kawasan yang ada air. Utusan itu kemudian kembali kepada mereka dan mengabarkan (apa yang dilihatnya). Kemudian mereka menemui Hajar dan berkata; “Wahai Ibu Isma’il, apakah kamu mengizinkan kami untuk tinggal bersama kamu atau kami hidup bertetangga bersama kamu?”. Kemudian anaknya (Isma’il) membesar menjadi seorang pemuda lalu menikah dengan seorang wanita”.
(Sahih Bukhari (3114))

Ya kita harus bertawakal dalam apa jua keadaan sekalipun, namun apakah maksud tawakal yang sebenar-benarnya? Kena faham apa maksud tawakal. Bukan setakat serah sahaja urusan kita kepada Allah ﷻ. Namun kena ada usaha, kemudian serah kepada Allah ﷻ, dan selepas itu apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ berikan kepada kita, kita kena redha. Janganlah pula kata tawakal, tetapi apabila Allah ﷻ buat keputusan yang kita tidak suka, kita marah pula.

Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan hasilnya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Namun kena pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))

Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya tunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan usaha dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita lakukan, kita serah kepada Allah ﷻ. Melalui sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang. Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.
(Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708))

Maka daripada hadith ini kita tahu yang kita bukannya bergantung kosong sahaja tetapi hendaklah kita mengambil langkah-langkah untuk memastikan apa yang kita hendak itu boleh tercapai. Cuma kita tahu yang apa-apa sahaja usaha kita itu tidak akan berjaya jikalau Allah ﷻ tidak izinkan dan kerana itu kita serah kepada Allah ﷻ.

Oleh itu kita kena ingat bahawa ada syarat-syarat tawakal sebenarnya:

1. Tinggalkan dosa dan bertaubat kepada Allah ﷻ.

2. Sentiasa mentaati perintah Allah ﷻ.

3. Yakin apa yang Allah ﷻ telah catit di Lauh Mahfuz pasti akan berlaku sama ada baik atau buruk. Yakin bahawa apa yang Allah ﷻ taqdirkan adalah terbaik walaupun bukan seperti yang kita rancang dan kehendaki. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Tawbah: 51

قُل لَّن يُصيبَنا إِلّا ما كَتَبَ اللَّهُ لَنا هُوَ مَولىٰنا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kita melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kita. Dialah Pelindung kita, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal”.

4. Mesti berusaha tidak kira sekecil manapun. Bukannya menunggu sahaja. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ perintahkan Maryam menggoncang pokok kurma untuk menjatuhkan kurma seperti disebut dalam Maryam: 25. Kalau difikirkan dengan akal logik, apalah sangat goncangan seorang wanita yang baru sahaja melahirkan anak dapat lakukan terhadap pokok kurma yang teguh keras itu? Memang tidak ada apa-apa pun, tetapi Allah ﷻ hendak kita ada usaha.

وَهُزّي إِلَيكِ بِجِذعِ النَّخلَةِ تُسٰقِط عَلَيكِ رُطَبًا جَنِيًّا
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

5. Hendaklah yakin bahawa dengan tawakal kepada Allah ﷻ itu dia akan mendapat ganjaran yang paling besar iaitu redha dan cinta Allah ﷻ. Dalilnya Allah ﷻ berfirman dalam Ali Imran: 159

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

6. Mesti merasakan diri sebagai makhluk yang lemah dan sangat berhajat kepada Allah ﷻ yang Maha Hebat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 41 (Galakan Hijrah)

Nahl Ayat 41: Ayat 41 & 42 adalah Perenggan Makro ke 3 (Bahagian 2). Allah ﷻ hendak memberitahu balasan baik kepada mereka yang berhijrah di jalan Allah ﷻ. Kenapa disebut tentang hijrah selepas ayat-ayat tentang akhirat sebelum ini?

Kerana apabila menyampaikan ajaran agama berdasarkan wahyu, akan ada banyak penentangan dari manusia. Sampaikan kadangkala kita tidak boleh tinggal di kawasan itu lagi kerana ada orang yang sangat jahat. Maka langkah yang terpaksa diambil adalah berhijrah.

Ayat 41 ini adalah Ayat tabshir (berita gembira). Apakah kebaikan yang akan didapati oleh mereka yang sanggup untuk taat kepada Allah ﷻ? Dalam ayat ini juga ada hukum untuk berhijrah.

وَالَّذينَ هاجَروا فِي اللهِ مِن بَعدِ ما ظُلِموا لَنُبَوِّئَنَّهُم فِي الدُّنيا حَسَنَةً ۖ وَلَأَجرُ الآخِرَةِ أَكبَرُ ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who emigrated for [the cause of] Allāh after they had been wronged – We will surely settle them in this world in a good place; but the reward of the Hereafter is greater, if only they could know.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui.

 

وَالَّذينَ هاجَروا فِي اللهِ مِن بَعدِ ما ظُلِموا

Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya,

Bagi mereka yang sanggup berhijrah kerana mahu menjaga agama Allah ﷻ, mereka akan memperolehi kebaikan. Iaitu selepas mereka dizalimi, sampaikan mereka tidak boleh hendak beramal agama dengan sempurna, maka mereka terpaksa mengambil keputusan untuk berhijrah meninggalkan kampung halaman mereka. Ini kerana tempat asal mereka tidak ada peluang untuk mereka mengamalkan agama Islam.

Ini adalah ayat tentang hijrah pertama para sahabat dari Mekah ke Habasyah. Para sahabat waktu itu telah ditindas dengan teruk sekali. Maka untuk menjaga agama dan iman mereka, mereka telah diarahkan oleh Nabi Muhammad ﷺ untuk berhijrah.

Di antara mereka yang hijrah ke negeri Habasyah dan termasuk orang yang paling terhormat dalam kalangan mereka ialah Uthman ibnu Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan isterinya (iaitu Siti Ruqayyah binti Rasulullah رضي الله عنها), Ja’far ibnu Abu Talib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (anak saudara Rasulullah ﷺ), Abu Salamah ibnu Abdul Aswad رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berserta sejumlah orang — lebih kurang lapan puluh orang — yang terdiri daripada lelaki dan wanita, dan isteri Abu Bakar As-Siddiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Kisah ini boleh dibaca di dalam sirah Islam.

Berhijrah kerana hendak mengamalkan agama Allah ﷻ dengan sempurna adalah wajib jikalau kita dihalang mengamalkan agama. Allah ﷻ telah mengingatkan perkara ini di dalam Nisa’: 97

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ وٰسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Bayangkan ayat ini tentang golongan sahabat yang beriman, tetapi tetap mereka dikenakan dengan azab kerana mereka tidak berhijrah kerana cintakan dunia.

Kepada mereka yang sanggup berhijrah, mereka dijanjikan dengan berbagai kelebihan. Akan tetapi di sini ada disebut syarat-syaratnya:

1. Ia mestilah فِي اللهِ (kerana Allah ﷻ). Ia mestilah kerana hendak menjaga Allah ﷻ, mencari redha Allah ﷻ; bukannya kerana hendak mendapatkan kesenangan dunia. Maknanya di sini, kena ada ikhlas hijrah itu kerana Allah ﷻ. Ia mesti dilakukan kerana Allah ﷻ.

2. Mereka berhijrah itu setelah mereka dizalimi مِن بَعدِ ما ظُلِموا di tempat tinggal asal mereka sampaikan mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka. Atau mereka terusir hanya kerana menyampaikan kebenaran dan kerana hendak mengamalkan agama dengan sempurna. Atau, mereka diboikot sampaikan mereka sudah tidak selesa lagi tinggal di situ.

Kedua-dua elemen ini ada disebut di dalam Hashr: 8

لِلفُقَراءِ المُهٰجِرينَ الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم وَأَموٰلِهِم يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا وَيَنصُرونَ اللهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ
(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.

Selain daripada dua syarat ini, ada dua lagi yang akan disebut di ayat seterusnya.

لَنُبَوِّئَنَّهُم فِي الدُّنيا حَسَنَةً

pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. 

Allah ﷻ akan berikan mereka tempat di dunia dengan baik. Yang dimaksudkan adalah Madinah. Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Asy-Sya’bi رَحِمَهُ اللَّهُ dan Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa tempat yang bagus itu adalah Kota Madinah.

Ini adalah berita gembira yang diberikan sebagai motivasi kepada para sahabat untuk meninggalkan kampung halaman (Mekah) mereka. Siapa yang tidak sedih untuk meninggalkan kampung halaman, tempat mereka membesar, keluarga, kawan dan segala harta mereka ada di situ? Maka Allah ﷻ berikan semangat kepada mereka di mana Allah ﷻ berjanji akan beri tempat yang selamat dan tetap. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Nisa’: 100 tentang hal ini,

وَمَن يُهاجِر في سَبيلِ اللهِ يَجِد فِي الأَرضِ مُرٰغَمًا كَثيرًا وَسَعَةً
Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur;

Maka para sahabat telah mendapat tempat yang baik di Habasyah dan Madinah. Di Mekah mereka ditindas, maka di tempat hijrah mereka mendapat kawan dan komuniti yang baik; di Madinah mereka mendapat kekuatan sampaikan mereka dapat menguasai tanah-tanah tempat mereka berdakwah; dulu mereka susah di Mekah dari segi ekonomi tetapi di Madinah ramai para sahabat mendapat kekayaan. Maka janji Allah ﷻ kepada mereka telah dipenuhi.

Walaupun asbabun nuzul ayat ini tentang hijrah para sahabat, namun ia juga boleh terpakai di mana-mana zaman. Kerana kadangkala seorang Muslim perlu mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung halaman kalau mereka tersekat untuk mengamalkan agama Islam dengan sempurna. Jangan takut untuk meninggalkan kampung halaman dan segala harta benda di kampung asal, kerana Allah ﷻ akan gantikan yang lebih baik di tempat yang baru.

 

وَلَأَجرُ الآخِرَةِ أَكبَرُ

Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar,

Bukan sahaja mereka mendapat kebaikan di dunia kerana mereka hijrah, malahan di akhirat nanti, mereka akan diberikan dengan balasan yang lebih hebat. Ini adalah kerana mereka telah berkorban untuk menjaga agama dan ini adalah pengorbanan yang besar. Namun pengorbanan mereka itu tidak setimpal dengan balasan daripada Allah ﷻ yang berlipat kali ganda.

Manakan tidak, berapa lama sahaja kita kena bersabar dan berusaha menjaga agama? Mungkin dalam 30 tahun sahaja. Namun balasannya adalah nikmat berpanjangan sampai bila-bila di syurga! Inilah perniagaan dan saham yang paling menguntungkan.

Kenapa mereka diberi dengan balasan yang amat hebat itu? Mereka akan mendapat rahmat Allah ﷻ kerana memang mereka berharapkan rahmat Allah ﷻ seperti disebut di dalam Baqarah: 218

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.

 

لَو كانوا يَعلَمونَ

kalau mereka mengetahui,

Alangkah baiknya kalau mereka dapat mengetahui perkara ini. Tahu apa? Tahu bahawa jika mereka sanggup berhijrah, di dunia mereka akan dapat kebaikan dan di akhirat akan dapat lebih banyak kebaikan lagi.

Maksudnya, seandainya orang-orang yang tidak ikut hijrah bersama kaum Muhajirin mengetahui pahala yang disimpan oleh Allah ﷻ. di sisi-Nya bagi orang-orang yang taat kepada-Nya dan mengikuti Rasul-Nya. Ini adalah kerana ada Muslim yang tidak ikut berhijrah dengan Nabi ﷺ dan para sahabat.

Ini kerana mereka tidak sanggup meninggalkan Mekah. Pada zaman sekarang pun ramai Muslim yang tinggal di negara yang tidak membenarkan Islam diamalkan. Maka mereka itu ada masalah nanti kerana akan ditanya kenapa mereka tidak berhijrah. Kalau mereka tidak ada jawapan yang baik, maka mereka akan diazab nanti.

Ibnu al-Arabi رَحِمَهُ اللَّهُ (bukan Ibnu Arabi) telah menyenaraikan 6 jenis hijrah dan hukum berkenaannya:

1. Hijrah daripada Dar al-Kufr kepada Dar al-Islam. Ini adalah wajib jikalau di tempat tinggal mereka itu menyebabkan mereka terhalang daripada mengamalkan agama dengan sempurna.

2. Hijrah daripada Dar al-Bid’ah. Ini juga mesti dilakukan jikalau tidak mampu menghalang masyarakat bid’ah itu mengubah cara beragama mereka. Dalilnya adalah An’am: 68

وَإِذا رَأَيتَ الَّذينَ يَخوضونَ في ءآيٰتِنا فَأَعرِض عَنهُم حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ وَإِمّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيطٰنُ فَلا تَقعُد بَعدَ الذِّكرىٰ مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ
Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

3. Jikalau tempat tinggal kita dipenuhi dengan segala perkara yang haram. Ini pun perlu dilakukan kerana kita hendak melakukan perkara halal dan kalau perkara haram berleluasa, maka ia tidak baik bagi agama kita.

4. Untuk menyelamatkan diri daripada dicederakan atau dibunuh. Ini dibenarkan. Ini seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Ankabut: 26 setelah baginda ditolak oleh umat baginda.

وَقالَ إِنّي مُهاجِرٌ إِلىٰ رَبّي
Dan berkatalah Ibrahim: “Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku);

Begitulah juga yang dilakukan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah baginda dengan tidak sengaja telah membunuh seorang lelaki Qibti seperti disebut di dalam Qasas: 21

فَخَرَجَ مِنها خائِفًا يَتَرَقَّبُ ۖ قالَ رَبِّ نَجِّني مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ
Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut menunggu-nunggu dengan khuatir, dia berdoa: “Ya Tuhanku, selamatkanlah aku daripada orang-orang yang zalim itu”.

5. Juga dibenarkan untuk meninggalkan tempat yang cuacanya tidak baik atau sedang dilanda penyakit berjangkit.

6. Meninggalkan tempat yang bahaya bagi harta kita kerana mungkin banyak kejadian rompakan dan kecurian.

Maka di atas adalah 6 situasi di mana hijrah wajib atau digalakkan. Kemudian kita pun patut lihat tentang perjalanan dan musafir pula. Ada 9 kesemuanya.

1. Perjalanan untuk memperbetulkan diri. Ini seperti untuk melihat alam dan kebesaran Allah ﷻ, melihat tempat-tempat azab yang diturunkan kepada umat terdahulu yang degil. Allah ﷻ banyak menyebut tentang perkara ini di dalam Al-Qur’an seperti An’am: 11

قُل سِيرُوا فِي الأَرضِ ثُمَّ انظُرُوا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.”

2. Perjalanan untuk mengerjakan Haji dan Umrah.

3. Perjalanan untuk berjihad

4. Untuk mencari pekerjaan dan rezeki

5. Untuk berniaga seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 198

لَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَبتَغوا فَضلًا مِّن رَّبِّكُم
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia daripada Tuhan kamu

6. Musafir untuk mencari ilmu. Ini amat digalakkan malah ia adalah fardhu kifayah.

مَنْ خَرَجَ في طَلَبِ العِلْمِ فَهُوَ في سَبيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ
“Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke tempat asalnya).”
(Riwayat Tirmidzi daripada hadith Anas bin Malik)
Kata al-Tirmidzi: “Hadith ini hasan gharib.”

7. Musafir ke tempat yang mulia dan mendapatkan berkat. Dalam hal ini, hanya tiga tempat sahaja yang dibenarkan seperti disebut di dalam hadith,

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
“Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah ﷺ dan juga Masjid al-Aqsa”.
(Riwayat al-Bukhari (1189))

8. Perjalanan untuk mempertahankan sempadan negara Islam. Ini dinamakan ar-Ribat.

Salman al-Farisi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
رِبَـاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ وَأَمِنَ الْفَتَّانَ.
‘Berjuang sehari semalam lebih baik daripada puasa selama sebulan berserta solatnya. Jika dia mati, maka pahala amal yang telah dia lakukan akan tetap mengalir, rezekinya pun akan tetap berlangsung dan akan dijaga daripada fitnah kubur.
(Sahih Muslim (1913))

9. Perjalanan melawat sanak saudara dan rakan taulan. Nabi ﷺ bersabda:

أَنَّ رَجُلاً زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى ، فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ ، قَالَ : أَيْنَ تُرِيدُ ؟ قَالَ : أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ ، قَالَ : هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا ؟ قَالَ : لاَ ، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ ، بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ
“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat malaikat itu bertanya: “ke manakah engkau mahu pergi?” Jawab lelaki itu: “aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini”. Malaikat berkata: “Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya?”. Lelaki itu berkata: “Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah عَزَّ وَجَلَّ”. Malaikat itu berkata: “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.”
(Riwayat Muslim (6714))

Jenis-jenis Hijrah

Di atas adalah hijrah yang melibatkan tempat iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Ini adalah jenis Hijrah Makaniyah. Akan tetapi ada satu lagi jenis Hijrah yang dipanggil Hijrah Maknawiyah (dari segi makna sahaja). Maka seseorang itu tidak berpindah pun tempat akan tetapi dia dikira telah berhijrah. Iaitu dia mengubah dirinya ke arah kebaikan. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Daripada [Abdullah bin ‘Amru رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] daripada Nabi ﷺ, bersabda: “Seorang muslim adalah orang yang Kaum Muslimin selamat daripada lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.”
(Sahih Bukhari (9))

Kemudian ulama’ membahagikan Hijrah Maknawiyah ini kepada beberapa jenis:

1. I’tiqadiyah (hijrah keyakinan). Iman mengalami proses naik dan turun, kuat dan lemah. Terkadang Iman bercampur dengan kemusyrikan dan terkadang Iman berada dalam kemurnian. Maka hijrah keyakinan mesti dilakukan bila keyakinan berada di tepi jurang kekufuran dan kemusyrikan.

2. Fikriyah (hijrah pemikiran). Berbagai informasi dan pemikiran dari belahan bumi boleh diperoleh di dunia maya dengan mudah. Maka hijrah fikriyah mesti dilakukan dalam rangka meninggalkan pemikiran-pemikiran yang tidak sesuai dengan ajaran Islam.

3. Syu’uriyah (hijrah kesenangan). Misalnya membaiki hal-hal seperti pakaian, gayahidup, musik. Contohnya meninggalkan pemikiran ketika membeli pakaian hanya kerana suka-suka dan untuk kepuasan/hanya atas dasar kesenangan semata tanpa memikirkan manfaat yang lebih.

4. Sulukiyah (hijrah tingkah laku). Membaiki akhlak ke arah yang baik dan islamik. Sebagai contoh, dahulu orang kafir membenci Rasulullah ﷺ bukan kerana diri baginda tetapi kerana apa yang baginda sampaikan. Namun mereka tidak dapat mengutuk akhlak baginda dan malah ramai yang beriman kerana akhlak baginda. Dalam kisah Rasulullah ﷺ ada seorang ibu tua yang selalu membenci Rasulullah ﷺ dan bahkan sering meludahi baginda, kemudian orang itu pun mengalami sakit dan baginda pun menjenguk orang itu, akhirnya kerana kebaikan hati Rasulullah ﷺ, orang tersebut masuk agama Islam.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 37 – 40 (Hikmah Hari Kebangkitan)

Nahl Ayat 37: Ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ.

إِن تَحرِص عَلىٰ هُدىٰهُم فَإِنَّ اللَهَ لا يَهدي مَن يُضِلُّ ۖ وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Even] if you should strive for their guidance, [O Muḥammad], indeed, Allāh does not guide those He sends astray,¹ and they will have no helpers.

  • As a result of their choice to reject guidance.

(MELAYU)

Jika kamu sangat mengharapkan agar mereka mendapat petunjuk, maka sesungguhnya Allah tiada memberi petunjuk kepada orang yang disesatkan-Nya, dan sekali-kali mereka tiada mempunyai penolong.

 

إِن تَحرِص عَلىٰ هُدىٰهُم

Jika kamu sangat mengharapkan agar mereka dapat petunjuk, 

Kalimah تَحرِص daripada katadasar ح ر ص yang bermaksud mengingini; tamak; bersemangat; keinginan yang kuat. Ayat ini ditujukan kepada Rasullah ﷺ. Sebagai seorang Rasul, baginda sedar kesan buruk kalau menolak kebenaran, maka kerana itu baginda amat berharap supaya semua umat baginda menerima kebenaran. Baginda amat sedih sekali apabila ramai yang menolak dakwah baginda. Baginda telah berusaha siang dan malam, berjumpa dengan mereka secara terang-terangan atau secara bersembunyi. Baginda tamak (tamak yang baik) mahukan seluruh umat baginda beriman.

Namun begitu masih ramai lagi yang tidak mahu beriman. Baginda amat risau jikalau ada kesilapan dalam cara dakwah baginda. Baginda sebagai seorang yang lembut hati, telah menyalahkan diri baginda. Maka Allah ﷻ mahu memberitahu bahawa bukannya salah baginda. Allah ﷻ tahu bahawa baginda amat berharap sangat supaya semua umat baginda beriman, tetapi tidak semestinya keinginan baginda itu akan diperolehi.

 

فَإِنَّ اللَهَ لا يَهدي مَن يُضِلُّ

maka sesungguhnya Allah tiada memberi petunjuk kepada orang yang disesatkan-Nya,

Akan ada sahaja yang tidak beriman sampai bila-bila. Walaupun baginda berusaha bersungguh-sungguh sekali pun untuk dakwah mereka, baginda tidak dapat keluarkan mereka daripada kesesatan. Baginda tidak mampu melakukannya kerana hidayah itu datang daripada Allah ﷻ.

Ada orang yang Allah ﷻ telah tetapkan tidak akan beriman. Namun bukanlah Allah ﷻ buat keputusan untuk terus sesatkan mereka semenjak mula lagi. Mereka yang telah tetap akan disesatkan itu adalah kerana mereka telah sampai peringkat keempat kekufuran. Ini adalah kerana mereka telah diberi peluang berkali-kali untuk menerima dakwah, tetapi mereka menolak dan mereka menentang berkali-kali pula.

Hingga sampai pada satu tahap, Allah ﷻ akan membuat keputusan Khatmul Qalbi, terus tutup hati mereka daripada kebenaran hidayah. Waktu itu, walau apa pun yang terjadi, walau sesiapa pun yang dakwah mereka, mereka tidak akan dapat menerima hidayah.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ menegur Rasulullah ﷺ kerana terlalu berharap sesuatu yang baginda tidak boleh capai. Kadangkala baginda mahu melakukan perkara yang tidak perlu dan tidak patut baginda lakukan. Allah ﷻ pernah tegur baginda di dalam An’am: 35

وَإِن كانَ كَبُرَ عَلَيكَ إِعراضُهُم فَإِنِ استَطَعتَ أَن تَبتَغِيَ نَفَقًا فِي الأَرضِ أَو سُلَّمًا فِي السَّماءِ فَتَأتِيَهُم بِئآيَةٍ ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَجَمَعَهُم عَلَى الهُدىٰ ۚ فَلا تَكونَنَّ مِنَ الجٰهِلينَ
Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi daripada orang-orang yang jahil.

Malah baginda terlalu mahukan umat baginda yang berkedudukan di Mekah itu beriman, sampaikan baginda mengabaikan sahabat baginda yang telah beriman. Allah ﷻ tegur baginda di dalam Abasa: 1-2

عَبَسَ وَتَوَلّىٰ
Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling,

أَن جاءَهُ الأَعمىٰ
kerana telah datang seorang buta kepadanya.

Akan tetapi jangan kita lihat ini hanya teguran sahaja, malah ia juga mengandungi pujian daripada Allah ﷻ. Dari sini kita tahu betapa baginda itu amat bersemangat dan prihatin kepada keselamatan umat baginda. Begitulah Allah ﷻ telah puji baginda di dalam Tawbah: 128

لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِّن أَنفُسِكُم عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم حَريصٌ عَلَيكُم بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَّحيمٌ
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Maka kita kena ambil sedikit semangat baginda ini. Kena prihatin dengan orang sekeliling kita. Tidak kasihankah kita kepada mereka dan nasib mereka? Ramai dalam kalangan keluarga kita dan kenalan kita tidak tinggal solat dan puasa, akan tetapi mereka masih banyak melakukan kesalahan dalam agama kerana amalan salah dan fahaman salah mereka. Kenapa kita tidak berdakwah dan mengajar mereka ajaran yang benar? Kenapa kita berat hati hendak tegur mereka? Ya memang orang tidak suka ditegur dan mereka akan marah kita semula kalau kita nasihat mereka. Akan tetapi begitu jugalah yang telah dialami oleh Rasulullah ﷺ, namun baginda tetap jalankan dakwah baginda walaupun ditentang oleh umat dan keluarga baginda sendiri!

Namun kita hanya boleh berdakwah dan menyampaikan sahaja agama kepada umat manusia. Jangan bersedih jikalau mereka tetap tidak mahu beriman. Begitulah Nabi Muhammad ﷺ dan para pendakwah dipujuk seperti firman Allah ﷻ di dalam Fatir: 8

فَإِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ ۖ فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِما يَصنَعونَ
Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Allah ﷻ terpaksa memberi nasihat ini kepada Rasulullah ﷺ kerana baginda amat halus dan amat prihatin terhadap umat baginda. Baginda hendak menyelamatkan umat baginda kesemuanya sekali. Baginda tahu jikalau mereka tidak beriman, mereka akan diazab selama-lamanya di dalam neraka. Akan tetapi kerana mereka tidak beriman, ia telah memberi kesan yang buruk kepada hati baginda seperti disebut di dalam Kahf: 6

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا
Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Maka Allah ﷻ ingatkan Nabi ﷺ supaya jangan sampai membinasakan diri baginda sendiri dek kerana umat baginda ramai yang tidak mahu beriman. Di dalam ayat Yunus: 99 Rasulullah ﷺ diingatkan yang baginda tidak boleh memaksa manusia beriman dan baginda tidak akan mampu melakukannya,

وَلَو شاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِي الأَرضِ كُلُّهُم جَميعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكرِهُ النّاسَ حَتّىٰ يَكونوا مُؤمِنينَ
Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

 

وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

dan sekali-kali mereka tiada mempunyai penolong.

Apabila Allah ﷻ telah membuat keputusan untuk menutup pintu hati mereka daripada kebenaran, tidak ada sesiapa pun yang dapat menyelamatkan mereka daripada kesesatan – sama ada Rasul, ahli keluarga atau kawan-kawan mereka sekalipun.

Mereka itu Allah ﷻ telah tulis sebagai ahli neraka. Tunggu masa untuk mati dan dikenakan dengan azab sahaja. Sama halnya dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ فِتْنَتَهُ فَلَنْ تَمْلِكَ لَهُ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا
Barang siapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka sekali-kali kamu tidak akan mampu menolak sesuatu pun (yang datang) daripada Allah.
(Al-Maidah: 41)


 

Nahl Ayat 38: Ayat Zajrun terhadap mereka yang mengatakan akhirat tidak ada.

وَأَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم ۙ لا يَبعَثُ اللهُ مَن يَموتُ ۚ بَلىٰ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they swear by Allāh their strongest oaths [that] Allāh will not resurrect one who dies. But yes – [it is] a true promise [binding] upon Him, but most of the people do not know.

(MELAYU)

Mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sumpahnya yang sungguh-sungguh: “Allah tidak akan membangkitkan orang yang mati”. (Tidak demikian), bahkan (pasti Allah akan membangkitnya), sebagai suatu janji yang benar dari Allah, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui,

 

وَأَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم

Mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sumpahnya yang sungguh-sungguh: 

Mereka bersungguh-sungguh bersumpah dengan tangan kanan (أَيمٰنِ) mereka. Kenapa tangan kanan? Kerana kebiasaan manusia bersumpah dengan mengangkat tangan kanan.

Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah itu apabila bersumpah, mereka menggunakan nama Allah ﷻ. Ini menunjukkan kepada kita yang mereka sebenarnya kenal dan beriman dengan Allah ﷻ (Tauhid Rububiyyah). Mereka kenal yang hanya Allah ﷻ sahaja Maha Pencipta dan Maha Berkuasa. Kerana itulah mereka tidak bersumpah dengan nama berhala mereka kerana jauh di sudut hati mereka, mereka tahu yang berhala itu tidak ada kuasa apa-apa.

Namun dek kerana jahil, mereka tetap juga menyembah berhala-berhala itu. Oleh kerana kebodohan dan kedegilan mereka, mereka sanggup bersumpah menggunakan nama Allah ﷻ di atas perkara yang bathil. Apakah sumpah mereka itu?

 

لا يَبعَثُ اللهُ مَن يَموتُ

“Allah tidak akan akan membangkitkan orang yang mati”.

Mereka sanggup mengatakan yang Allah ﷻ tidak akan menghidupkan makhluk yang sudah mati. Ini adalah kerana mereka ingkar dengan Hari Akhirat. Mereka tidak boleh terima ada kiamat, kerana itu bermakna mereka tidak boleh lakukan apa yang mereka hendak lakukan di dunia ini. Mereka mahu katakan bahawa apa yang berlaku di dunia akan habis begitu sahaja. Maka senanglah mereka hendak berbuat apa-apa sahaja tanpa takut.

Mereka juga tidak boleh terima dan percaya yang Allah ﷻ boleh menghidupkan kembali orang yang telah mati. Kalau baru mati dihidupkan, boleh juga mereka terima, tetapi mereka lihat tulang yang telah hancur, maka mereka sangkakan ia mustahil. Ya, ia mustahil bagi mereka, namun tidak mustahil bagi Allah ﷻ. Mereka bersangka begini kerana mereka tidak kenal Allah ﷻ dan kuasa Allah ﷻ. Allah ﷻ sentuh tentang sangkaan mereka ini di dalam Yaasin: 78-79

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ
Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

قُل يُحييهَا الَّذي أَنشَأَها أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلقٍ عَليمٌ
Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya);

 

بَلىٰ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا

bahkan (pasti Allah akan membangkitnya), sebagai suatu janji yang benar dari Allah,

Mengapa pula Allah ﷻ tidak akan membangkitkan makhluk yang telah mati? Bahkan membangkitkan makhluk yang telah mati itu adalah sebahagian daripada janji Allah ﷻ. Ia pasti akan dilakukan untuk menegakkan keadilan dan Allah ﷻ telah berjanji untuk berlaku adil. Allah ﷻ telah tetapkan ke atas Diri-Nya عَلَيهِ حَقًّا. Ia sesuatu yang pasti akan berlaku seperti disebut dalam An’am: 73

وَيَومَ يَقولُ كُن فَيَكونُ ۚ قَولُهُ الحَقُّ
dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah”, lalu terjadilah ia. Firman-Nya itu adalah benar. Dan bagi-Nyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala.

Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk menjadikan Kiamat, kebangkitan semula, syurga dan neraka. Ini hanya dapat diyakini oleh mereka yang ada iman yang kuat dengan Hari Akhirat. Kadangkala orang Islam pun tidak berapa yakin kerana kalau mereka benar-benar yakin, tentu mereka takut untuk melakukan dosa. Namun ramai kita lihat Muslim hidup bagaikan tidak ada akhirat sahaja. Mereka buat semua ikut nafsu mereka sahaja, seolah-olah akidah mereka sama sahaja seperti akidah Musyrikin Mekah (kehidupan diakhiri dengan kematian, tidak ada apa-apa selepas itu).

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui,

Akan tetapi ramai manusia yang tidak percaya tentang perkara ini dan ia menjadi kerugian buat mereka. Mereka tidak kenal Allah ﷻ dan kemampuan Allah ﷻ yang tiada batasnya. Ini adalah kerana mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran. Bila mereka sudah menutup pintu hati mereka, maka apa-apa hujah pun mereka tidak mahu terima. Mereka akan menyesal nanti seperti yang disebut di dalam An’am: 29-30

وَقالوا إِن هِيَ إِلّا حَياتُنَا الدُّنيا وَما نَحنُ بِمَبعوثينَ
Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”.

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلىٰ رَبِّهِم ۚ قالَ أَلَيسَ هٰذا بِالحَقِّ ۚ قالوا بَلىٰ وَرَبِّنا ۚ قالَ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ
Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!” Allah berfirman lagi: “Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar”.


 

Nahl Ayat 39: Adanya akhirat dan hari pembalasan adalah satu hikmah. Kenapa begitu? Allah ﷻ sebut tujuan Hari Akhirat akan diadakan. Ia adalah untuk menegakkan keadilan.

لِيُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذي يَختَلِفونَ فيهِ وَلِيَعلَمَ الَّذينَ كَفَروا أَنَّهُم كانوا كٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is] so He will make clear to them [the truth of] that wherein they differ and so those who have disbelieved may know that they were liars.

(MELAYU)

agar Allah menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu, dan agar orang-orang kafir itu mengetahui bahawasanya mereka adalah orang-orang yang berdusta.

 

لِيُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذي يَختَلِفونَ فيهِ

agar Allah menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu, 

Di akhirat nanti, akan jelas siapa yang salah dan benar. Sekarang semasa mereka hidup, mereka berselisih tentang banyak perkara dalam agama. Tentang Allah ﷻ, tentang Akhirat, tentang dosa dan pahala dan berbagai lagi. Walaupun telah ada dalil yang terang, mereka masih lagi berselisih. Ini adalah kerana mereka kononnya mahu lihat sendiri dengan mata mereka, baru mereka akan percaya. Memang mereka akan lihat sendiri, tetapi itu nanti di akhirat kelak. Pada waktu itu, walaupun mereka sudah tahu dan percaya sungguh, ia sudah terlambat.

Maka, Hari Akhirat itu penting untuk menjelaskan dengan pasti, siapa yang benar dan siapa yang salah. Di dunia sekarang ini, ada yang beriman dan tidak beriman. Maka kerana itu, ada perselisihan antara kedua pihak ini. Oleh itu, keadilan harus ditegakkan. Apakah dibiarkan sahaja orang yang telah beriman itu tanpa keputusan yang muktamad? Allah ﷻ berfirman di dalam Hajj: 68-69

وَإِن جٰدَلوكَ فَقُلِ اللهُ أَعلَمُ بِما تَعمَلونَ
Dan jika mereka membantah kamu, maka katakanlah: “Allah lebih mengetahui tentang apa yang kamu kerjakan”.

اللهُ يَحكُمُ بَينَكُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ
Allah akan mengadili di antara kamu pada hari kiamat tentang apa yang kamu dahulu selalu berselisih padanya.

Maka semasa di dunia ini kita lihat ramai yang berbantah-bantah tentang hal agama. Tugas kita adalah dengan menyampaikan sahaja, tetapi kita tidak dapat ubah fikiran manusia. Keputusan akhir nanti adalah di akhirat.

Akan tetapi kenapa Allah ﷻ hanya beri keputusan di akhirat? Kenapa tidak terus beritahu di dunia lagi? Ini adalah kerana dunia adalah tempat ujian dan kita dikehendaki melalui ujian dahulu sebelum keputusan diketahui selepas musim peperiksaan. Lagi pun pelajaran telah diberikan, fakta-fakta dan dalil telah diberikan, sepatutnya manusia merujuk kepada sumber yang sahih. Kalau mereka degil, maka mereka akan diberitahu yang mereka salah di akhirat nanti.

 

وَلِيَعلَمَ الَّذينَ كَفَروا أَنَّهُم كانوا كٰذِبينَ

dan agar orang-orang kafir itu mengetahui bahawasanya mereka adalah orang-orang yang berdusta.

Allah ﷻ pasti akan adakan Hari Akhirat itu supaya semua akan tahu bahawa yang tidak beriman itu, mereka menipu sahaja sebelum itu. Di akhirat nanti akan jelas penipuan mereka itu.

Orang yang menipu itu, kadang-kadang dia tahu yang dia menipu dan kadang-kadang dia tidak tahu. Ini adalah kerana kadang-kadang bila sudah menipu diri sendiri lama sangat, sampai mereka berasa itulah kebenaran. Maka di akhirat nanti, Allah ﷻ akan beritahu kembali kepada mereka, bahawa sebenarnya mereka menipu selama mereka hidup di dunia.

Sebenarnya, mereka bukan tidak tahu mana benar dan mana tidak (kerana semua manusia telah dikurniakan dengan fitrah kebenaran), namun mereka sahaja yang menutup perasaan itu. Mereka itu nanti akan dimasukkan ke dalam neraka dan akan dikatakan kepada mereka:

هَذِهِ النَّارُ الَّتِي كُنْتُمْ بِهَا تُكَذِّبُونَ أَفَسِحْرٌ هَذَا أَمْ أَنْتُمْ لَا تُبْصِرُونَ اصْلَوْهَا فَاصْبِرُوا أَوْ لَا تَصْبِرُوا سَوَاءٌ عَلَيْكُمْ إِنَّمَا تُجْزَوْنَ مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
(Dikatakan kepada mereka), “Inilah neraka yang dahulu kalian selalu mendustakannya.” Maka apakah ini sihir? Ataukah kalian tidak melihat? Masuklah kalian ke dalamnya (rasakanlah panas apinya), maka baik kalian bersabar atau tidak, sama saja bagi kalian, kalian hanya diberi balasan terhadap apa yang telah kalian kerjakan.
(Ath-Thur: 14-16)

Allah ﷻ perli mereka: sabar sahajalah ya kerana kamu bukannya boleh berbuat apa-apa lagi.


 

Nahl Ayat 40: Adakah mereka sangka yang Allah ﷻ tidak mampu hendak menghidupkan kembali semua yang telah mati? Atau adakah mereka sangka yang Allah ﷻ tidak mampu hendak menjadikan Hari Kiamat itu? Pasti Allah ﷻ mampu!

إِنَّما قَولُنا لِشَيءٍ إِذا أَرَدنٰهُ أَن نَّقولَ لَهُ كُن فَيَكونُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Our word to a thing when We intend it is but that We say to it, “Be,” and it is.

(MELAYU)

Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya: “kun (jadilah)”, maka jadilah ia.

 

إِنَّما قَولُنا لِشَيءٍ إِذا أَرَدنٰهُ

Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, 

Allah ﷻ mahu menjelaskan bahawa bukan untuk Allah ﷻ menghidupkan semula semua makhluk. Hanya mereka sahaja yang berasa mustahil kerana akal mereka tidak dapat menerima perkara itu boleh terjadi. Allah ﷻ beritahu di sini yang qudrat Allah ﷻ tidak sama dengan makhluk. Keupayaan makhluk dan keupayaan Allah ﷻ langsung tidak sama!

Apabila Allah berkehendak sahaja,

 

أَن نَّقولَ لَهُ كُن فَيَكونُ

Kami hanya mengatakan kepadanya: “kun (jadilah)”, maka jadilah ia.

Begitulah mudahnya, Allah ﷻ sebut ‘kun fayakun’ sahaja. Cepat sekali perkara itu akan terjadi. Di dalam Qamar: 50 Allah ﷻ juga telah berfirman:

وَما أَمرُنا إِلّا وٰحِدَةٌ كَلَمحٍ بِالبَصَرِ
Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat terjadinya) seperti sekelip mata.

Maka ini mengajar kita mudahnya bagi Allah ﷻ untuk menjadikan akhirat dan membangkitkan semua makhluk yang telah mati. Entah berapa ramai makhluk yang Allah ﷻ telah cipta dari mulanya penciptaan sehinggalah yang mati pada Hari Kiamat. Jumlahnya tidak terkira. Adakah susah bagi Allah ﷻ untuk menghidupkan semua makhluk itu kembali? Tidak langsung kerana Allah ﷻ berfirman di dalam Luqman: 28

مّا خَلقُكُم وَلا بَعثُكُم إِلّا كَنَفسٍ وٰحِدَةٍ
Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa saja.

Maknanya bagi Allah ﷻ, sama ada cipta satu, cipta sepuluh, cipta sejuta, cipta tiga puluh bilion, sama sahaja mudahnya bagi Allah ﷻ. Allah ﷻ bayangkan mudahnya dengan kalimah كُن sahaja. Allah ﷻ sebut ‘kun fayakun’ ini bukanlah bermaksud mahu memberitahu bahawa setiap kali Allah ﷻ berkehendak, Allah ﷻ harus sebut كُن pula. Tidaklah mahu mencipta Nabi Adam, كُن; kemudian cipta Hawwa, كُن lagi, hendak buat hujan كُن lagi. Allah ﷻ tidak perlu pun sebut كُن. Ia sebagai satu isyarat yang mudah sekali bagi Allah ﷻ untuk menjadikan apa-apa. Tidak perlu buat rancangan, tidak perlu bentuk apa-apa, tidak perlu ambil masa.

Sekian Ruku’ 5 daripada 16 ruku’ surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 35 – 36 (Antara kehendak dan redha Allah ﷻ)

Nahl Ayat 35: Bermula ayat ini sehingga ke ayat 89 adalah Perenggan Makro ke 3 surah ini. Ia terbahagi kepada 7 bahagian kerana perenggan ini agak panjang. Bermula ayat ini ke ayat 40 adalah jawapan kepada pihak yang menolak risalah dan hari akhirat.

Ayat 35 ini adalah Ayat Syikayah (rungutan daripada Allah ﷻ). Allah ﷻ memberitahu dalil bodoh yang digunakan oleh golongan musyrik. Mereka menjadikan kehendak Allah ﷻ sebagai tanda keredhaan-Nya dan Allah ﷻ jawab salah faham mereka itu dalam ayat ini. Maka ini adalah salah satu syubhah (kekeliruan) kenapa manusia melakukan syirik.

وَقالَ الَّذينَ أَشرَكوا لَو شاءَ اللَهُ ما عَبَدنا مِن دونِهِ مِن شَيءٍ نَّحنُ وَلا ءآباؤُنا وَلا حَرَّمنا مِن دونِهِ مِن شَيءٍ ۚ كَذٰلِكَ فَعَلَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ فَهَل عَلَى الرُّسُلِ إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who associate others with Allāh say, “If Allāh had willed, we would not have worshipped anything other than Him, neither we nor our fathers, nor would we have forbidden anything through other than Him.” Thus did those do before them. So is there upon the messengers except [the duty of] clear notification?

(MELAYU)

Dan berkatalah orang-orang musyrik: “Jika Allah menghendaki, nescaya kami tidak akan menyembah sesuatu apapun selain Dia, baik kami mahupun bapa-bapa kami, dan tidak pula kami mengharamkan sesuatu pun tanpa (izin)-Nya”. Demikianlah yang diperbuat orang-orang sebelum mereka; maka tidak ada kewajipan atas para Rasul, selain dari menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

 

وَقالَ الَّذينَ أَشرَكوا

Dan berkatalah orang-orang musyrik:

Orang yang mengamalkan syirik, tetap juga tidak mengalah dengan amalan mereka. Walaupun telah diberitahu kesalahan amalan dan fahaman mereka, mereka tetap juga tidak mahu mendengar hujah dan dalil yang diberikan. Ini pula hujah mereka.

 

لَو شاءَ اللَهُ ما عَبَدنا مِن دونِهِ مِن شَيءٍ

“Jika Allah menghendaki, nescaya kami tidak akan menyembah sesuatu apapun selain Dia,

Mereka sebut nama Allah ﷻ, menunjukkan yang mereka ini jenis orang yang kenal Allah ﷻ itu Tuhan. Namun mereka masih juga melakukan syirik. Maka, tidak hairanlah kalau musyrikin ini boleh juga orang Islam yang kenal Allah ﷻ. Maka jangan sangka orang-orang Islam di negara kita terselamat. Kalau tidak belajar dan memahami wahyu, memang boleh tergelincir walaupun kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan, sebagaimana terjadi kepada Musyrikin Mekah ini.

Mereka beriman kepada Allah ﷻ, tetapi dalam masa yang sama, mereka ada fahaman dan amalan syirik. Ini adalah kerana mereka tidak belajar wahyu, maka mereka telah ditipu oleh syaitan yang mengajar ajaran-ajaran sesat kepada mereka. Apabila disampaikan ajaran yang benar kepada mereka, mereka menolak kerana degil. Sudahlah bodoh, tidak boleh diajar pula.

Untuk membenarkan amalan mereka yang syirik itu, mereka telah berhujah seperti yang Allah ﷻ firmankan dalam ayat ini. Ini adalah kerana Allah ﷻ tahu apakah yang berada di dalam hati mereka. Memang selalunya hujah orang-orang yang melakukan syirik ini Allah ﷻ telah siap-siap berikan di dalam Al-Qur’an. Kita hanya cuma perlu semak sahaja. Orang musyrik itu tidak sedar bahawa hujah mereka ada dalam Al-Qur’an.

Mereka katakan bahawa apa yang mereka lakukan itu Allah ﷻ redha dan ini adalah ‘takdir’. Mereka berkata bahawa jikalau Allah ﷻ tidak suka, tentu mereka tidak lakukan apa yang mereka lakukan itu; maknanya, mereka sangka, kerana tiada apa-apa halangan mahupun hukuman yang Allah ﷻ timpakan kepada mereka, maka mereka rasakan amalan dan fahaman mereka itu benar. Mereka sangka, kerana Allah ﷻ tidak beri apa-apa tanda yang ia salah (tidak sakit perut, jatuh sakit, kena panah petir dan sebagainya), maka tentulah apa yang mereka lakukan itu benar. Mereka sembah berhala selamba sahaja tidak pula disambar petir; mereka ber Ya Hanana di stadium, tidak runtuh pun stadium itu. Maka kalau Allah ﷻ tidak buat apa-apa, maknanya Allah ﷻ sukalah, bukan? Benarkah begitu?

Mereka katakan lagi, Allah ﷻ tidak ganggu apa yang mereka lakukan itu kerana Allah ﷻ suka apa yang mereka lakukan. Dengan kata lain, perkataan mereka mengandungi kesimpulan bahawa seandainya Allah ﷻ tidak suka dengan apa yang mereka lakukan, tentulah Allah ﷻ mengingkari perbuatan itu dengan menurunkan hukuman, dan tentulah Dia tidak akan memberikan kesempatan kepada mereka untuk melakukannya. Maknanya, mereka kata apa yang mereka buat itu adalah atas kehendak Allah ﷻ.

 

نَّحنُ وَلا ءآباؤُنا

baik kami mahu pun bapa-bapa kami,

Mereka kata bukan mereka sahaja yang beramal dengan amalan itu tetapi tok nenek mereka juga selama ini beramal dengan amalan yang sama. Mereka itu selamat sahaja hidup mereka di dunia. Sudah diamalkan sekian lama, takkan salah pula. Mereka kata, “kalau ia salah, tok nenek kami juga tidak akan lakukan. Tetapi tok nenek (golongan terdahulu) ramai yang lakukan, sehingga ia menjadi amalan turun temurun.” Mustahil mereka salah juga? Adakah kamu mahu mengatakan bahawa mereka itu sesat?” Itulah tuduhan mereka kepada Rasulullah ﷺ dan para pendakwah.

Maka begitulah hujah mereka yang kita selalu dengar selama ini dan ini pun kita sudah nampak ada di dalam Al-Qur’an disebut dengan jelas sejelas-jelasnya. Hujah tok nenek ini memang selalu digunakan. Maka kalau ada yang mengatakan amalan itu sudah lama ada di dalam masyarakat, beritahu mereka yang hujah mereka itu sama seperti hujah orang kafir yang Allah ﷻ sampaikan dalam Al-Qur’an. Beritahu mereka: “eh, hujah awak ini samalah dengan hujah orang kafir, awak tidak tahu kah?”. Memang dia tidak tahu kerana dia tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Begitulah juga masalah masyarakat kita yang menolak ajakan Sunnah. Pegang sangat amalan tok nenek yang telah diturunkan turun temurun tanpa usul periksa. Padahal amalan tok nenek banyak yang tidak ada dalil. Namun dek kerana malas hendak fikir, mereka terus pakai sahaja. Kalau orang sunnah tegur mereka tentang amalan salah mereka itu, mereka marah.

Mereka kata kita bawa ajaran pelik, ajaran yang ‘sesat’. Mereka kata kita hendak memecahkan-belahkan masyarakat pula. Bila kita kata amalan mereka salah, akan ada yang mahu pegang juga amalan itu – ada yang terima dan ada yang tidak – maka masyarakat terpecah dua.

Mereka hairan sangat kenapa baginda melarang mereka daripada menyembah apa yang pernah disembah oleh tok nenek mereka. Itulah kebanggaan mereka selama hari ini – meneruskan tradisi tok nenek, golongan yang terdahulu.

Memang manusia suka untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh golongan terdahulu. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama. Kalau perkara lain, tidaklah dijaga sangat, namun dalam bab agama, memang suka sahaja menggunakan apa yang telah lama ada.

Macam golongan kita lah juga, kalau bab agama, sentiasa mahu meneruskan apa yang telah diamalkan oleh golongan-golongan sebelum ini. Seolah-olah berdosa besar apabila ditinggalkan atau diubah amalan itu. Kalau kita tegur, marah betul mereka yang menjaganya. Mereka ikut sahaja amalan tok nenek, tanpa memikirkan sama ada amalan itu benar atau tidak. Ternyata amat susah untuk kita menghilangkan amalan syirik, bid’ah dan khurafat dalam masyarakat kerana memang ramai yang berfikiran cetek begini. Maka kita kena terus sampaikan ilmu.

Menggunakan hujah amalan tok nenek adalah satu hujah yang selalu digunakan oleh para penentang tauhid dan Sunnah. Ini adalah kerana pada mereka, sesuatu amalan itu sudah lama diamalkan oleh tok nenek dan kita manusia memang ada pertalian yang rapat dengan tok nenek. Sebagaimana kita hormat apa yang dilakukan oleh ayah kita jugalah. Berat hati kita untuk kata ayah kita salah, bukan? Salah bagaimana pun, dia tetap ayah kita, bukan? Mereka sangka apabila amalan itu telah lama diamalkan maka tentulah ia benar kerana jikalau ia salah maka tentu telah lama ditolak.

Lagi satu mereka percaya kepada amalan tok nenek ini adalah kerana yang menjadi penganjurnya juga adalah golongan-golongan agama juga seperti ustaz dan tok lebai. Bayangkan amalan syirik buang sial ke laut dahulu dilakukan oleh para-para ustaz juga yang membacakan doa dan menjadi tekong kepada amalan itu. Alhamdulillah masyarakat kita sudah semakin pandai sedikit dan sudah nampak yang amalan itu adalah amalan syirik. Akan tetapi masih ada lagi amalan-amalan lain yang bersaki baki di dalam masyarakat kita.

Ringkasnya amalan tok nenek dipegang kuat oleh golongan yang jahil kerana,

1. Sudah lama diamalkan maka kenapa hendak tukar?
2. Tok nenek yang kita hormat yang amalkan
3. Kalau salah, kenapa ia diamalkan sekian lama?
4. Ia juga diamalkan oleh ahli agama selama ini

Al-Qur’an menegur hujah bathil mereka ini seperti disebut dalam Baqarah: 170

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”.

Hujah mereka ini dijawab oleh Allah ﷻ di dalam sambungan ayat itu. Kalau amalan itu memang ada hujah dan dalil, maka bolehlah diteruskan, tetapi ia dilakukan tanpa apa-apa sandaran agama, maka kenapa diteruskan? Takkan masih hendak ikut amalan orang yang tidak berilmu hanya kerana semata-mata mereka itu tok nenek kita?

أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ
Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?

Oleh itu orang yang berilmu dan menggunakan otak dan telah belajar agama kena berani untuk meninggalkan amalan-amalan salah walaupun ia telah lama diamalkan. Kita tidak perlu untuk menjaga tradisi golongan yang sebelum kita jikalau ia menyelisihi wahyu.

Kalau amalan salah dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat tidak ditegur, maka ia akan menjadi semakin teruk dan lama kelamaan akan dianggap sebagai agama dan baik. Sebab itulah amalan tok nenek itu dianggap sebagai baik kerana tidak pernah ditegur oleh ahli agama yang sepatutnya tahu. Begitu jugalah kita terpaksa menegur amalan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana jikalau kita tidak tegur, entah apa yang akan terjadi kepada masyarakat kita. Kalaulah kita dapat hidup 50 tahun lagi dan lihat amalan masyarakat ketika itu, kita pun tidak tahu masyarakat kita itu beragama apa agaknya kerana amalan sudah menjadi pelik-pelik.

Jangan kita jadi orang yang hanya menerima sahaja apa-apa yang disampaikan kepada kita. Ini kerana Allah ﷻ telah beri kita pancaindera untuk mendapat ilmu dan minda untuk menilai mana yang benar dan mana yang tidak. Allah ﷻ memuji orang yang bijak di dalam Zumar: 18

الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدٰهُمُ اللَهُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُم أُولُو الأَلبٰبِ
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

Maknanya kita boleh dengar hujah yang disampaikan oleh orang, tetapi mestilah dinilai semula supaya kita ikut yang أَحسَنَهُ (yang terbaik). Apakah pula أَحسَنَهُ itu? Ia disebut dalam Zumar: 23 pula,

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang

Maknanya, أَحسَنَ yang dimaksudkan adalah wahyu Al-Qur’an. Maka kita kena bandingkan apa-apa sahaja yang disampaikan kepada kita dengan neraca Al-Qur’an. Cuma malangnya ramai yang tidak mahir dengan tafsir Al-Qur’an maka kerana itu senang sekali mereka ditipu.

 

وَلا حَرَّمنا مِن دونِهِ مِن شَيءٍ

dan tidak pula kami mengharamkan sesuatu pun tanpa (izin)-Nya”.

Mereka katakan lagi, kalau Allah ﷻ tidak benarkan, tentulah mereka tidak haramkan perkara yang halal. Kalau tok nenek haramkan, mereka sangka tentulah ia ada sandaran (mereka tidak tahu sandaran apa, mereka terima sahaja tanpa usul periksa).

Perbuatan mengharamkan yang halal adalah perbuatan kufur kerana Allah ﷻ sahaja yang boleh menjatuhkan hukum halal dan haram. Kalau kita haramkan yang halal, maka itu sudah ambil kerja Tuhan. Bagaimana agaknya kalau ambil kerja Tuhan? Tentu berat hukumannya, bukan? Begitulah yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah seperti disebut di dalam Maidah: 103

ما جَعَلَ اللَّهُ مِن بَحيرَةٍ وَلا سائِبَةٍ وَلا وَصيلَةٍ وَلا حامٍ ۙ وَلٰكِنَّ الَّذينَ كَفَروا يَفتَرونَ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ ۖ وَأَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ
Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah, saaibah, washiilah dan haam. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.

Mereka memandai mengharamkan makanan yang Allah ﷻ tidak pernah haramkan. Mereka reka kepercayaan baru dalam agama dan kemudian diikuti oleh orang yang kemudian. Bagaimana pula dengan masyarakat kita? Antara contoh mengharamkan yang halal adalah amalan mengharamkan makan daging ketika mengamalkan zikir-zikir tertentu. Ada juga golongan masyarakat yang kata keturunan mereka diharamkan daripada memakan jenis ikan tertentu.

 

كَذٰلِكَ فَعَلَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Demikianlah yang diperbuat orang-orang sebelum mereka; 

Allah ﷻ tidak jawab pun hujah bodoh mereka itu sebaliknya Allah ﷻ beritahu, begitulah hujah yang dikatakan oleh orang-orang dahulu. Waktu itu ia hanya diulang oleh Musyrikin Mekah. Maka jangan hairan sangat. Sekarang diulang oleh Musyrikin Malaysia pula. Semuanya kerana ikut-ikutan sahaja dan tidak tahu tentang wahyu.

Begitulah juga amalan masyarakat sebelum kita yang mengikut amalan tok nenek mereka. Mereka kata perbuatan mereka itu telah ditakdirkan oleh Allah ﷻ – maka tidak salah lah kalau begitu.

Maka kita harus faham benar-benar beza antara ‘kehendak’ dan ‘redha’. Memang Allah ﷻ biarkan mereka lakukan amalan itu, tanpa dikenakan azab semasa di dunia. Akan tetapi tidak semestinya Allah ﷻ benarkan ia terjadi itu, menjadi hujah yang Allah ﷻ‘redha’. Kerana Allah ﷻ benarkan sahaja perbuatan jahat seseorang, tetapi dalam masa yang sama, Allah ﷻ tidak redha. Untuk orang mahu sesat, Allah ﷻ biarkan sahaja. Allah ﷻ tunggu di akhirat kelak untuk hukum dan azab mereka.

Sebagai satu contoh, sihir adalah suatu perbuatan yang haram. Ia sudah tentu salah, tetapi Allah ﷻ benarkan ia terjadi, bukan? Adakah Allah ﷻ redha? Tentu tidak. Allah ﷻ benarkan sihir terjadi setelah pengamalnya melakukan proses-proses tertentu. Allah ﷻ pasti tidak redha dengan sihir.

 

فَهَل عَلَى الرُّسُلِ إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

maka tidak ada kewajipan atas para rasul, selain dari menyampaikan dengan terang.

Allah ﷻ tidak jawab kekeliruan mereka itu sebaliknya Allah ﷻ sebut tentang para Rasul. Beritahu mereka: kalau kamu dengar wahyu yang disampaikan oleh Rasul, kamu tidak akan cakap perkara seperti ini. Kerana para Rasul telah diutuskan kepada mereka, telah sampaikan dengan jelas nyata tentang hal agama. Maka apabila kamu lakukan perkara sebegini, ini bermakna hati kamu yang tidak baik.

Mereka kononnya berkata bahawa Allah ﷻ tidak ingkari apa yang mereka telah lakukan itu. Padahal sebenarnya Allah ﷻ telah mengingkari perbuatan mereka dengan tindakan yang keras, dan Dia telah melarang manusia melakukannya dengan larangan yang kuat. Iaitu Dia telah mengutus seorang Rasul kepada setiap umat, memberitahu mana boleh lakukan dan mana tidak.

Rasul tidak boleh menghalang kamu daripada melakukan apa yang kamu lakukan, kerana tugas Rasul hanya menyampaikan. Para Rasul telah menjalankan tugas mereka – yang tidak terima dan dengar itu adalah kerana degil sahaja. Maka begitu jugalah dengan kita sebagai pendakwah – kita hanya sampaikan sahaja dengan jelas. Terpulang kepada pendengar untuk menerima dan mengamalkannya atau tidak.


 

Nahl Ayat 36: Dalil naqli ijmali dan takhwif duniawi.

وَلَقَد بَعَثنا في كُلِّ أُمَّةٍ رَّسولًا أَنِ اعبُدُوا اللَهَ وَاجتَنِبُوا الطّٰغوتَ ۖ فَمِنهُم مَّن هَدَى اللهُ وَمِنهُم مَّن حَقَّت عَلَيهِ الضَّلٰلَةُ ۚ فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly sent into every nation a messenger, [saying], “Worship Allāh and avoid ṭāghūt.”¹ And among them were those whom Allāh guided, and among them were those upon whom error was [deservedly] decreed. So proceed [i.e., travel] through the earth and observe how was the end of the deniers.

  • False objects of worship.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).

 

وَلَقَد بَعَثنا في كُلِّ أُمَّةٍ رَّسولًا

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat

Ada penekanan di dalam ayat ini dengan penggunaan kalimah لقد kerana ada dua penekanan: harf ل dan kalimah قد. Maka ada perkara penting yang Allah ﷻ hendak sampaikan di sini yang kita harus beri perhatian.

Allah ﷻ mencipta manusia dan tidak membiarkan mereka terkontang kanting dalam dunia ini tanpa petunjuk. Allah ﷻ bangkitkan Rasul dan Nabi untuk setiap kaum. Apabila kalimah كل digabungkan dengan isim nakirah (kalimah dalam bentuk umum) seperti أمة di dalam ayat ini, bermakna semua umat mendapat Rasul tanpa pengecualian. Sekurang-kurangnya mereka mendapat seorang Rasul (mungkin ada yang dapat lebih lagi). Semua mendapat peluang untuk menerima ajaran agama. Selain itu, Allah ﷻ telah menurunkan wahyu yang disampaikan melalui para Rasul.

Rasul terakhir adalah Nabi Muhammad ﷺ, dan kita adalah umat baginda. Walaupun kita tidak dapat berjumpa dengan Nabi Muhammad ﷺ, tetapi ajaran baginda telah sampai kepada kita melalui hadith dan ajaran guru-guru agama. Tidak ada alasan mengatakan kita tidak dapat ilmu yang disampaikan daripada baginda.

 

أَنِ اعبُدُوا اللَهَ

“Sembahlah Allah, 

Kalimah أن di sini adalah untuk menjelaskan kenapa para Rasul itu diutuskan. Maka tahulah kita apakah ajaran yang disampaikan oleh setiap Rasul kepada umat mereka. Ada dua perkara utama. Yang pertama adalah perintah dan keduanya ada larangan. Kedua-duanya di dalam bentuk fi’il amr (kata arahan), maka ia adalah sesuatu yang wajib kita lakukan. Maka perintahnya di sini iaitu beribadatlah, serulah, hanya kepada Allah ﷻ sahaja.

Maksudnya apa? Itulah kita mengesakan Allah ﷻ dan kita kena taat kepada Allah ﷻ dengan mengikuti segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, dalam keadaan merendah diri dan penuh kehinaan dalam perasaan takut, cinta dan harap.

Inilah yang disampaikan oleh para Nabi sedangkan sebelum ini orang kafir kata apa yang mereka buat itu adalah apa yang Allah ﷻ suka. Tidak mungkin Nabi ajar berlainan dengan apa yang Allah ﷻ hendak, pula? Maka amalan orang kita pun kenalah diperiksa dengan dalil Al-Qur’an dan hadith.

 

وَاجتَنِبُوا الطّٰغوتَ

dan jauhilah Thaghut”, 

Sekarang disebut larangan pula. Maka kita bukan sahaja harus sembah dan seru kepada Allah ﷻ, tetapi harus jauhkan daripada sembahan dan seruan kepada taghut. Jangan pula lakukan dua-dua – sembah Allah ﷻ dan sembah taghut pula.

Kalimah اجتب itu bermaksud kena pastikan duduk di sebelah yang lain. Jangan jauh sahaja, tetapi duduk di sebelah yang sama. Kena pastikan dia duduk sebelah sana, kita duduk sebelah sini. Ini kerana ia daripada katadasar ج ن ب yang antara lain bermaksud ‘sebelah’. Sebab itu kalau terjemahan Bahasa Melayu yang lama: hendaklah kamu berseberang daripada Taghut (jangan duduk bersama). Maksudnya kena tinggalkan.

Meninggalkan Taghut itu adalah tauhid. Kerana tidak mungkin kita boleh menjauhi Taghut melainkan dengan mentauhidkan Allah ﷻ. Kedua-duanya kena berlaku serentak dan bersama. Tidak boleh buat satu sahaja. Maka Allah ﷻ bukan sahaja suruh kita lakukan sesuatu (اعبُدُوا اللَهَ) tetapi mesti sekali dengan tinggalkan sesuatu (اجتَنِبُوا الطّٰغوتَ). Kepada mereka yang boleh melakukan dua perkara ini, maka mereka akan selamat seperti disebut di dalam Baqarah: 256

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ ۚ فَمَن يَكفُر بِالطّٰغوتِ وَيُؤمِن بِاللَّهِ فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus.

Inilah masalah dengan kebanyakan orang kita, dua-dua mereka lakukan. Mereka beriman dengan Allah ﷻ dan segala yang perlu diimani; namun dalam masa yang sama, fahaman syirik pun mereka amalkan juga. Sedangkan dalam agama, kena ada ‘nafi‘ dan ‘ithbat‘. Kena nafikan benda yang salah – seperti taghut, syirik dan bid’ah. Kena tetapkan ajaran yang benar (iaitu ajaran Tauhid). Jangan jadi seperti golongan Yahudi yang percaya dengan Taghut seperti disebut dalam Nisa’: 51

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ يُؤمِنونَ بِالجِبتِ وَالطّٰغوتِ
Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian daripada Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain daripada Allah, dan kepada Taghut,

Apakah pula taghut itu? Ia diambil daripada kalimah تغيان yang bermaksud melepasi had atau melebihi had dari segi bahasa. Dari segi syariat, ada dua makna taghut. Makna khusus adalah syaitan. Makna am yang lebih umum pula adalah syaitan dan pengikutnya. Dihimpunkan maknanya yang terbaik adalah ‘setiap apa yang dilanggari sempadannya oleh seseorang hamba sama ada disembah, atau diikuti, atau ditaati.’

Maka taghut terbahagi kepada 3 jenis:

1. Yang disembah. Setiap apa yang disembah selain daripada Allah ﷻ.

2. Yang diikuti. Setiap apa yang diikuti yang menyelisihi Sunnah Rasulullah.

3. Yang ditaati. Setiap apa yang ditaati yang menyalahi perintah Allah ﷻ dan Rasul-Nya.

Maka secara praktikalnya taghut ini boleh menjadi banyak perkara. Sebagai contoh, kenduri arwah, tahlil arwah, tekong yang mengendalikan majlis itu pun taghut belaka. Kalau kita ikut ajaran daripada guru yang salah (mengajar tanpa dalil) maka guru itu pun adalah taghut juga. Masalah dengan orang kita adalah rajin terus mengikut sahaja ajaran tanpa memeriksa sama ada ia benar atau tidak.

Taghut itu tidak semestinya kafir. Ramai yang bersangkaan salah yang semua taghut itu kafir. Akan tetapi taghut itu mungkin sahaja perbuatan maksiat tanpa mengeluarkan seseorang itu daripada Islam. Namun kita tetap mesti tinggalkan taghut sama ada ia haram atau makruh. Tentunya yang paling besar adalah syirik yang wajib ditinggalkan keseluruhannya. Maka ayat ini menjadi dalil bagi kewajipan kepada Tauhid dan meninggalkan syirik selama-lamanya. Kita kena ikut Sunnah Nabi Ibrahim dan pengikut baginda di dalam hal ini seperti disebut di dalam Mumtahanah: 4

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ
Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu daripada daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.

Maka jikalau masyarakat sekeliling kita mengamalkan fahaman dan ajaran syirik, maka kita kena tinggalkan. Maka kena belajar apakah itu Tauhid dan apakah itu Syirik. Yang jadi masalahnya ramai tidak tahu kerana tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

 

فَمِنهُم مَّن هَدَى اللهُ

maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah

Ada dalam kalangan umat Rasul itu yang mahu beriman. Selalunya mereka ini tidak ramai. Mereka selalunya dalam kalangan orang-orang yang lemah dan miskin. Namun begitu mereka masih sanggup untuk menerima kebenaran.

Merekalah yang menjadi pembantu kepada Rasul-rasul mereka dan mereka selalu akan menjadi orang yang ditindas dan diperlakukan dengan teruk. Ini adalah kerana golongan penentang selalunya adalah golongan yang kuat dan berkuasa dalam masyarakat.

 

وَمِنهُم مَّن حَقَّت عَلَيهِ الضَّلٰلَةُ

dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. 

Namun lebih ramai dalam kalangan manusia yang tidak mahu beriman. Mereka ini lebih banyak daripada bilangan mereka yang beriman. Walaupun telah diberikan dengan berbagai hujah, dalil dan tanda kebenaran, mereka masih juga tidak mahu terima.

Telah pasti kesesatan ke atas mereka kerana kesalahan kepada diri mereka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran. Mereka ada rasa ragu-ragu kepada kebenaran yang disampaikan oleh Rasul mereka.

Keraguan adalah perkara biasa sahaja, kerana bukan semua manusia terus beriman. Akan tetapi apabila ragu-ragu, haruslah dapatkan maklumat yang sebenarnya – kena dengar, fikir dan buat keputusan. Jangan terus berada dalam keraguan itu. Janganlah menentang penyebar tauhid kerana kalau mereka menentang, maka kesesatan itu mereka memang patut dapat.

Di dalam ayat lain disebutkan oleh firman-Nya:

وَلَو جاءَتهُم كُلُّ ءآيَةٍ حَتّىٰ يَرَوُا العَذابَ الأَليمَ
Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasul-Nya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
(Yunus: 97)

وَمَا تُغْنِي الآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَنْ قَوْمٍ لَا يُؤْمِنُونَ
Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman
(Yunus: 101)

Namun kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka baru Allah ﷻ buat keputusan untuk menutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Ini kita telah sentuh tentang Khatmul Qalbi dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ini penting kerana ramai yang keliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, jadi bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah buat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf: 5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak memaksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi dia pilih untuk beriman dan membersihkan hatinya daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams: 8-10 maka dia itulah yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Maka di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.

 

فَسيروا فِي الأَرضِ

Maka berjalanlah kamu di muka bumi 

Ini adalah takhwif duniawi. Kepada mereka yang tidak mahu percaya kepada kebenaran wahyu, maka Allah ﷻ suruh mereka berjalan di dunia ini. Ambil masa dan lihatlah alam ini serta fikir-fikirkan. Maka memang ada kelebihan kalau berjalan di atas muka bumi ini. Kerana banyak perkara kita boleh dapat tahu.

 

فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan

Lihatlah kesan orang-orang terdahulu yang telah dikenakan dengan azab kerana menolak wahyu dan Rasul mereka. Allah ﷻ berikan azab yang amat menghinakan dan Allah ﷻ hapuskan terus keturunan mereka. Ini begitu mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk lakukan.

Di dalam ayat sebelum ini disebutkan salah faham golongan musyrik apabila mereka lihat mereka tidak dikenakan dengan azab, walaupun mereka telah buat perkara salah (dan mereka anggap Allah ﷻ suka dengan perbuatan mereka itu). Maka sekarang Allah ﷻ suruh lihat umat-umat terdahulu. Bukankah mereka telah dikenakan dengan azab kerana penentangan mereka terhadap Rasul-rasul mereka dan pengamalan syirik mereka? Maka bagaimana mereka boleh kata Allah ﷻ redha pula? Kalau Allah ﷻ redha, takkan Allah ﷻ azab golongan musyrik sebelum ini?

Maka Allah ﷻ suruh mereka itu ambillah pengajaran. Akan tetapi saranan ini kepada orang yang tidak mahu percaya sahaja. Kepada kita yang percaya, tidak perlu pergi ke tempat-tempat sebegitu. Kerana ada larangan daripada Nabi ﷺ untuk pergi ke tempat-tempat yang telah dikenakan dengan azab itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibnu Kathir

Mutiara al-Qur’an

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 32 – 34 (Masuk syurga dengan amal)

Nahl Ayat 32: Tabshir ukhrawi dan Idkhal ilahi – keadaan orang yang beramal dengan wahyu.

الَّذينَ تَتَوَفّٰهُمُ المَلٰٓئِكَةُ طَيِّبينَ ۙ يَقولونَ سَلٰمٌ عَلَيكُمُ ادخُلُوا الجَنَّةَ بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The ones whom the angels take in death, [being] good and pure; [the angels] will say, “Peace be upon you. Enter Paradise for what you used to do.”

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): “Salaamun’alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan”.

 

الَّذينَ تَتَوَفّٰهُمُ المَلٰٓئِكَةُ طَيِّبينَ

orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat

Sebelum ini telah disebut tentang mereka yang diwafatkan dalam keadaan mereka menzalimi diri mereka sendiri. Sekarang ayat ini tentang mereka yang dimatikan dalam keadaan baik iaitu,

1. Mereka yang menjaga diri mereka daripada mengamalkan syirik. Mereka mengamalkan dan menjaga Tauhid

2. Hasil daripada akidah yang baik di atas, maka amalan mereka pun baik juga. Mereka beramal dengan amalan yang Sunnah yang asalnya dari wahyu

3. Hasil daripada akidah dan amal yang baik, maka akhlak mereka juga baik.

Akhlak amat penting dan kerana itu ditekankan oleh Rasulullah ﷺ seperti sabda baginda,

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Daripada [Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepadaku: “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta pergauilah manusia dengan akhlak yang baik.”
(Jami’ Tirmidzi (1910))
Status: Hasan Sahih

Malah ia adalah punca untuk masuk ke dalam syurga seperti disebut oleh Rasulullah ﷺ,

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ
Daripada [Abu Umamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun bersifat gurau, dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.
Sunan Abi Dawud (4167) disahihkan oleh Albani.

Malah akhlak adalah antara ajaran Rasulullah ﷺ yang paling utama seperti sabda baginda,

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
(Riwayat Ahmad (8952))
Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat

Maka mereka yang berbuat ihsan, bertaqwa, percaya kepada Al-Qur’an semasa hujung nyawa mereka, mereka akan mendapat kebaikan yang banyak. Maka ini mengajar kita kepentingan untuk istiqamah di dalam amal kebaikan kita. Ini kerana KPI kita dikira di hujung nyawa kita seperti sabda Rasulullah ﷺ,

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Dan sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”
(Riwayat al-Bukhari (6607))

Seandainya kita beramal sepanjang hidup kita, namun di hujung hayat kita melakukan maksiat, maka azablah yang akan diberikan kepada kita. Maka selagi kita belum dicabut nyawa kita, jangan sangka kita akan selamat lagi kerana kita tidak tahu pengakhiran hidup kita nanti. Semoga kita diberi taufiq untuk istiqamah di atas iman dan amal baik kita.

 

يَقولونَ سَلٰمٌ عَلَيكُمُ

dengan mengatakan (kepada mereka): “Salaamun’alaikum,

Apabila mereka diwafatkan, mereka disambut baik. Ini adalah semasa mereka diambil nyawa oleh malaikat. Masa itu mereka suci dengan Tauhid tidak bercampur dengan syirik. Mereka diberi salam oleh malaikat yang mencabut nyawa mereka. Dalam ayat yang lain Allah ‎ﷻ berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنزلُ عَلَيْهِمُ الْمَلائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ نُزُلًا مِنْ غَفُورٍ رَحِيمٍ
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah, ” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan), “Janganlah kalian merasa takut dan janganlah kalian merasa sedih; dan bergembiralah kalian dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepada kalian.” Kamilah Pelindung-pelindung kalian dalam kehidupan dunia dan di akhirat; di dalamnya kalian memperoleh apa yang kalian inginkan dan memperoleh (pula) di dalamnya apa yang kalian minta. Sebagai hidangan (bagi kalian) dari Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Fussilat: 30-32)

Mereka diberikan dengan ucapan salam ini adalah sebagai ucapan penghormatan kepada mereka. Biasanya orang yang baru datanglah yang mengucapkan salam kepada yang ditepati, tetapi oleh kerana yang datang ini adalah orang-orang yang dimuliakan oleh penyambut, maka malaikat-malaikat itulah yang menyambut dengan ucapan “Salam ‘alaikum”, sejahteralah atasmu.

Ia juga sebagai pemberitahu berita baik yang apa sahaja yang mereka akan hadapi selepas itu adalah baik-baik belaka. Tidak akan ada apa-apa masalah bagi mereka. Mereka juga tidak perlu bersedih tentang apa yang mereka tinggalkan seperti harta, keluarga dan dunia keseluruhannya, kerana apa yang mereka akan hadap selepas itu adalah hanya kebaikan sahaja, lebih baik daripada apa yang mereka tinggalkan.

 

ادخُلُوا الجَنَّةَ بِما كُنتُم تَعمَلونَ

masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan”.

Masuk ke dalam syurga adalah nikmat yang amat besar sekali. Kita semua mestilah menyimpan hasrat untuk masuk ke dalam syurga. Akan tetapi bagaimana mereka dijemput masuk ke dalam syurga sedangkan amal mereka belum diadili lagi? Maka ada beberapa pendapat tentang perkara ini.

1. Mereka diberitahu yang mereka akan masuk ke dalam syurga kerana mereka telah kerjakan kebaikan semasa mereka hidup. Mereka belum masuk lagi, cuma diberitahu dengan berita gembira itu sahaja dahulu.

2. Mereka bukan terus masuk ke dalam syurga, tetapi akan masuk ke alam kubur. Akan tetapi berdasarkan hadith, kubur bagi orang Mukmin adalah salah satu daripada taman-taman syurga.

إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.
(Riwayat al-Tirmizi (2460))
Akan tetapi Imam al-Tirmidzi mengatakan hadith ini gharib. Tidak beliau ketahui kecuali jalan ini. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Sanad ini amat dha’if. Ini kerana Athiyyah ibn Sa’d al-‘Aufi al-Qisi dha’if dan didha’ifkannya oleh al-Nasa’ie, Abu Zur’ah, al-Saji dan lain-lain. (Lihat al-Tahzib, 7/200-202)

Akan tetapi di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Rasulullah ﷺ ada bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.”
(Riwayat al-Bukhari (1379) dan Muslim (2866))

3. Ada juga orang yang terus dimasukkan ke dalam syurga sebaik sahaja mati. Ini seperti Habib an-Najar seperti disebut di dalam Yaasin: 26

قيلَ ادخُلِ الجَنَّةَ ۖ قالَ يٰلَيتَ قَومى يَعلَمونَ
Dikatakan (kepadanya): “Masuklah ke syurga”. Dia berkata: “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui.

Ayat ini menyebut mereka dimasukkan ke dalam syurga kerana amalan mereka. Namun bukankah kita tidak masuk syurga dengan amal melainkan dengan rahmat Allah ‎ﷻ? Bukankah Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah ﷻ.”
(Riwayat Muslim (5042))

Namun ayat di atas mengatakan orang yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Malah ada banyak lagi ayat-ayat lain seperti A’raf: 43

وَنودوا أَن تِلكُمُ الجَنَّةُ أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

Begitu juga di dalam Baqarah: 25

وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;

Maka bagaimana kita hendak menjamakkan dua wahyu yang seperti bertentangan ini? Ia tidak bertentangan sebenarnya kalau kita belajar. Jangan ambil secara literal sahaja. Memang kita masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ tetapi bagaimana hendak mendapat rahmat Allah ﷻ? Adakah dengan berharap kosong dan goyang kaki sahaja? Sesekali tidak! Rahmat Allah ﷻ diberikan kepada orang yang beramal dengan amalan yang baik. Rujuk A’raf: 56

إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Maka amal perbuatan yang baik adalah penyebab dimasukkan ke dalam syurga. Bukannya amal perbuatan itu layak dengan syurga kerana syurga itu sangat hebat dan amal kita sangatlah sedikit dan tidak setimpal dengan syurga. Namun ia sebagai penyebab Allah ﷻ memasukkan kita ke dalam syurga.


 

Nahl Ayat 33: Ayat ini dan ayat 34 adalah Perenggan Makro ke 2 (Bahagian 3). Ia memberitahu kepada kita akibat yang akan didapati apabila tidak percaya kepada Hari Akhirat.

Ayat 33 ini adalah Ayat Takhwif duniawi. Berusahalah supaya kita mati dalam keadaan baik dan disambut dengan baik semasa malaikat mencabut nyawa kita. Janganlah kita diambil dalam keadaan kita dalam kesyirikan dan kekufuran.

هَل يَنظُرونَ إِلّا أَن تَأتِيَهُمُ المَلٰٓئِكَةُ أَو يَأتِيَ أَمرُ رَبِّكَ ۚ كَذٰلِكَ فَعَلَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ وَما ظَلَمَهُمُ اللهُ وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they [i.e., the disbelievers] await except that the angels should come to them or there comes the command of your Lord? Thus did those do before them. And Allāh wronged them not, but they had been wronging themselves.

(MELAYU)

Tidak ada yang ditunggu-tunggu orang kafir selain dari datangnya para malaikat kepada mereka atau datangnya perintah Tuhanmu. Demikianlah yang telah diperbuat oleh orang-orang (kafir) sebelum mereka. Dan Allah tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang selalu menganiaya diri mereka sendiri,

 

هَل يَنظُرونَ إِلّا أَن تَأتِيَهُمُ المَلٰٓئِكَةُ

Tidak ada yang ditunggu-tunggu mereka selain dari datangnya para malaikat kepada mereka

Kalimah هل di sini bukan bermaksud ‘adakah’ tetapi bermaksud ‘tidak’. Tidaklah yang mereka tunggu melainkan ketetapan daripada Allah ﷻ sahaja. Apa lagi mereka yang tidak terima tauhid itu tunggu? Adakah mahu tunggu diambil nyawa oleh malaikat baru mereka mahu berubah? Pada waktu itu, tentu sudah terlambat. Kalau nyawa sudah sampai di kerongkongan, taubat sudah tidak berguna lagi.

 

أَو يَأتِيَ أَمرُ رَبِّكَ

atau datangnya perintah Tuhanmu.

Yang dimaksudkan adalah Kiamat berserta ketakutan dan kengerian di dalamnya. Maka, adakah mereka menunggu kiamat baru mahu berubah? Atau adakah mereka menunggu azab diturunkan kepada mereka baru mereka hendak beriman?

Mereka ini jenis yang degil dan tidak akan beriman. Memang akan ada yang degil tidak boleh diberi nasihat lagi. Ini adalah kerana mereka sendiri yang tidak mahu berubah. Allah ﷻ tidak memaksa sesiapa pun untuk beriman. Namun mereka sendirilah yang kena mengubah diri mereka seperti disebut di dalam Ra’d: 11

إِنَّ اللهَ لا يُغَيِّرُ ما بِقَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم
Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

.

 

كَذٰلِكَ فَعَلَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Demikianlah yang telah diperbuat oleh orang-orang (engkar) sebelum mereka.

Itulah yang dilakukan oleh orang kafir dan orang yang ingkar dengan tauhid. Mereka itu buat tidak tahu sahaja tentang iman dan hidup mereka, ikut suka hati mereka sahaja. Mereka itu akan terkejut apabila datangnya kematian mereka dan datangnya kiamat nanti.

 

وَما ظَلَمَهُمُ اللهُ وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

Dan Allah tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang selalu menganiaya diri mereka sendiri,

Mereka akan mendapat balasan yang teruk nanti. Apabila Allah ﷻ mengazab mereka dengan teruk, tidaklah Allah ﷻ menzalimi mereka. Allah ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan zalim. Merekalah sebenarnya yang menzalimi diri mereka sendiri. Apa yang dikenakan kepada mereka nanti adalah amat patut sekali.

Ramai yang tidak sedar yang mereka sebenarnya menzalimi diri sendiri. Mereka sangka segala perbuatan mereka tidak akan ada kesannya kepada mereka, tetapi sebenarnya mereka yang menyebabkan diri mereka diazab sengsara nanti.


 

Nahl Ayat 34: Apakah yang akan dikenakan kepada mereka nanti?

فَأَصابَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they were struck by the evil consequences of what they did and were enveloped by what they used to ridicule.

(MELAYU)

Maka mereka ditimpa oleh (akibat) kejahatan perbuatan mereka dan mereka diliputi oleh azab yang selalu mereka perolok-olokan.

 

فَأَصابَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا

Maka mereka ditimpa oleh (akibat) kejahatan perbuatan mereka

Dosa-dosa yang mereka buat dahulu semasa di dunia akan dibalas kepada mereka. Sekarang memang tidak nampak dosa itu, tetapi apabila di akhirat kelak, ia akan menjadi makhluk yang akan menyerang pelakunya.

Mereka tidak boleh salahkan sesiapa kerana apa yang akan dikenakan kepada mereka adalah hasil dari tangan-tangan (perbuatan) mereka sendiri. Ini seperti yang Allah ﷻ telah beritahu di dalam Syura: 30

وَما أَصٰبَكُم مِّن مُّصيبَةٍ فَبِما كَسَبَت أَيديكُم
Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa);

 

وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

dan mereka diliputi oleh azab yang selalu mereka perolok-olokan.

Dahulu mereka tidak percaya kepada azab yang diancam kepada mereka. Mereka berkata “mana ada azab?” Di akhirat nanti, azab yang mereka ejekkan dulu akan mengepung dan menimpa ke atas mereka. Mereka tidak boleh lari lagi ke mana-mana. Dulu mereka tidak percaya kepada azab dan malaikat-malaikat penjaga neraka, kekal di dalam neraka, pohon Zaqqum, sungai daripada nanah, dan lain-lain sebagainya, hanya menjadi buah olok-olok mereka. Sekarang mereka telah di dalam Jahannam, ke kiri, ke kanan memandang tidak lain daripada neraka.

Sekian Ruku’ 4 daripada 16 ruku’ surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Disember 2023

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin