Tafsir Surah Baqarah Ayat 259 (Kisah lelaki dimatikan dan dihidupkan kembali)

KISAH ORANG MATI YANG DIHIDUPKAN KEMBALI

Baqarah Ayat 259: Ini adalah Contoh kedua kuasa-Nya untuk mencipta dan mematikan. Ini pula adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan namanya Uzair. Status Uzair (Ezra) pun tidak dapat dipastikan sama ada beliau seorang Nabi ataupun tidak. Malah, namanya pun tidak disebut di dalam ayat ini.

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها ۖ فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ ۖ قالَ كَم لَبِثتَ ۖ قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ ۖ قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه ۖ وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ ۖ وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا ۚ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Or [consider such an example] as the one who passed by a township which had fallen into ruin. He said, “How will Allah bring this to life after its death?” So Allah caused him to die for a hundred years; then He revived him. He said, “How long have you remained?” The man said, “I have remained a day or part of a day.” He said, “Rather, you have remained one hundred years. Look at your food and your drink; it has not changed with time. And look at your donkey; and We will make you a sign for the people. And look at the bones [of this donkey] – how We raise them and then We cover them with flesh.” And when it became clear to him, he said, “I know that Allah is over all things competent.”

MALAY
Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

 

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ

Atau tentang seorang yang melalui sebuah negeri

Ini satu lagi kisah yang disebut oleh Allah ‎ﷻ. Memang ada banyak kisah yang disebut di dalam Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻ tahu manusia suka dengar kisah. Ada ditulis di dalam kitab-kitab tafsir bahawa lelaki ini adalah Uzair. Akan tetapi ia tidak dapat dipastikan kerana Allah ‎ﷻ tidak menyebut namanya. Maka oleh kerana Allah ‎ﷻ tidak menyebut namanya, maka kita pun tidak berhajat untuk mengatakan dengan pasti namanya adalah Uzair. Kita tidak perlu pun untuk pastikan.

Dikatakan yang negeri yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah BaitulMaqdis, iaitu negara Palestin. Waktu itu setelah Babylon menyerang BaitulMaqdis. Puak itu telah membunuh 600 ribu orang dalam kalangan Bani Israil dan menjadikan hamba lagi 600 ribu. Ini adalah satu tempat yang banyak kali makmur dan banyak kali ranap zaman berzaman. Apabila naik agama Islam, maka ia kembali makmur dan kemudian ditakluk oleh bangsa kafir dan meranapkannya kembali. Begitulah nasib yang dialami oleh Bani Israil dan tempat tinggal mereka, kerana umatnya banyak yang degil. Sampai sekarang tidak pernah aman penempatan mereka. Itulah juga nasib negara Palestin. Padahal itu adalah tempat paling ramai Nabi dibangkitkan. Semua ini terjadi kerana umatnya yang degil dan ramai menentang.

Akan tetapi bukan sahaja nama lelaki ini tidak disebut, nama tempat ini juga tidak disebut oleh Allah ‎ﷻ. Hikmahnya adalah supaya kita mengambil pengajaran daripada kisah ini dan bukannya sibuk dengan nama pelakonnya dan nama tempatnya.

 

وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها

yang telah runtuh di atas bumbungnya,

Kalimah خاوِيَةٌ daripada kata dasar خ و ي yang bermaksud jatuh, tidak berpenghuni, telah ditinggalkan, runtuh. Kalimah عُرُوشِ adalah dalam bentuk isim jamak dan ia bermaksud ‘bumbung-bumbung’. Ia daripada kata dasar: ع ر ش yang bermaksud para untuk tanaman menjalar, bumbung, singgahsana. Kalimah Arasy diambil daripada kata dasar ini lah.

Perkataan yang digunakan kalau diterjemahkan secara literal: ‘Dinding jatuh timpa bumbung’. Agak pelik, bukan? Ini kerana kalau bangunan yang sudah lama, tiada ada siapa yang menjaganya, tentunya bumbung yang jatuh dahulu. Selalunya bahagian rumah yang rosak dahulu adalah bumbung kerana bumbunglah bahagian yang paling lemah.

Oleh kerana itu, bumbung yang akan jatuh terlebih dahulu. Kemudian baru dinding runtuh dan apabila ia jatuh, ia akan jatuh atas bumbung yang telah jatuh itu. Ini adalah bahasa kiasan memberi isyarat lama sangat kawasan dan rumah-rumah itu ditinggalkan.

Maka ia bertujuan untuk menunjukkan betapa lama sangat kota itu ditinggalkan. Kalau sampai bangunan pun sudah runtuh, manusia yang tinggal di situ, tentulah lagi lama sudah tiada. Begitulah Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan bagaimana keadaan BaitulMaqdis itu pada waktu itu. Allah ‎ﷻ sebut pendek sahaja tetapi kita boleh bayangkan.

 

قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها

Orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?”

Ini adalah kata-kata lelaki itu dalam hati. Beliau bercakap begitu bukan kerana beliau tidak yakin dengan kuasa Allah ‎ﷻ. Tidak mungkin Nabi tidak yakin pula. Ini kalau dikatakan beliau adalah Nabi Uzair.

Namun lelaki cakap begitu sebab hendak tahu cara sahaja. Sebab lelaki tengok teruk sangat keadaan kota itu, lelaki tidak dapat bayangkan bagaimana caranya Allah ‎ﷻ akan membinanya kembali. Jadi lelaki terfikir-fikir bagaimanakah caranya? Atau ada pendapat yang mengatakan dia berharap semoga desa itu cepat dibangunkan kembali.

 

فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ

Lalu dia dimatikan oleh Allah selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula

Allah ‎ﷻ memang betul-betul mematikan lelaki ini, dan bukan tidurkan. Memang ada pendapat yang mengatakan lelaki ini hanya ditidurkan kerana di banyak tempat, tidur juga dianggap sebagai mati. Sebagai contoh, perhatikan ayat Zumar: 42

اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Allah memegang (mengambil) jiwa (seseorang) pada saat kematiannya, dan (memegang) jiwa orang yang belum mati ketika ia tidur; maka Dia menahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain (hidup kembali) sampai waktu yang ditentukan. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

Namun kita lebih selesa mengatakan Allah ‎ﷻ memang telah mematikan dan kemudian Allah ‎ﷻ hidupkan kembali. Allah ‎ﷻ memang boleh buat begitu kerana Allah ‎ﷻ yang menghidupkan dan mematikan. Kemudian Allah ‎ﷻ boleh hidupkan semula. Tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ. Lagi pun Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah yang mengatakan Dia mematikan lelaki itu.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menggunakan istilah عامٍ untuk maksud ‘tahun’ akan tetapi ada lagi kalimah lain yang digunakan untuk tahun iaitu سنةٍ seperti di dalam Hajj: 47

وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ
“Dan sesungguhnya satu hari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun (سنة) daripada apa yang kamu hitung.”

Dalam Al-Qur’an, kalimah عامٍ (ʻām) dan سنة (sanah) kedua-duanya merujuk kepada tahun atau tempoh setahun. Walaupun secara asasnya membawa maksud yang sama, para ulama bahasa dan tafsir telah mengesan adanya perbezaan halus dalam penggunaannya di dalam Al-Qur’an, yang menunjukkan hikmah tersendiri daripada pemilihan lafaz oleh Allah ‎ﷻ.

1. Kalimah سنة (sanah)

Kalimah سنة cenderung digunakan untuk merujuk kepada tahun yang dikaitkan dengan kesukaran, kesusahan, kekeringan, atau ujian. Ia membawa konotasi tempoh yang berat dan mencabar. Contoh Penggunaan dalam Al-Qur’an:

Hajj: 47

وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ
“Dan sesungguhnya satu hari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun (سنة) daripada apa yang kamu hitung.”

Penjelasan: Dalam konteks ini, ia merujuk kepada tempoh waktu yang sangat panjang dan mungkin berat bagi manusia, berbanding dengan kecepatan perhitungan Allah ‎ﷻ.

Yusuf: 47

قالَ تَزرَعونَ سَبعَ سِنينَ دَأَبًا فَما حَصَدتُم فَذَروهُ في سُنبُلِهِ إِلّا قَليلًا مِمّا تَأكُلونَ
Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di bulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan.

Penjelasan: 7 tahun ini adalah tahun-tahun yang susah kerana mereka terpaksa mengikat perut dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga tanaman. Maka digunakan kalimah سِنينَ (jamak kepada سنة).

2. Kalimah عامٍ (ʻām)

Kalimah عامٍ (ʻām) pula cenderung digunakan untuk merujuk kepada tahun yang dikaitkan dengan kebaikan, kemakmuran, kemudahan, atau kelapangan. Ia membawa konotasi tempoh yang baik dan menyenangkan. Contoh Penggunaan dalam Al-Qur’an:

Baqarah: 259 (Kisah yang kita sedang bincangkan)

فَأَمَاتَهُ اللَّهُ مِائَةَ عَامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ ۖ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ ۖ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۖ قَالَ بَل لَّبِثْتَ مِائَةَ عَامٍ
“Lalu Allah mematikannya selama seratus tahun (عامٍ), kemudian membangkitkannya semula.”

Penjelasan: Walaupun ia adalah tempoh kematian, yang boleh dianggap ‘susah’, konteks ayat ini lebih kepada menunjukkan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Semasa di dalam tidurnya, dia tidak terasa pun apa-apa yang menyusahkan dirinya. Namun ada juga pandangan bahawa عَامٍ di sini bermaksud tahun secara umum, tanpa konotasi negatif yang kuat. Ini mungkin satu pengecualian atau menunjukkan fleksibiliti.

Yusuf: 49

ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِفِيهِ يَعْصِرُونَ
Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur”.

Penjelasan: Ini adalah kesinambungan selepas ayat-ayat sebelum ini yang bercakap tentang سبع سنين (tujuh tahun) kemarau dan kesusahan. Oleh kerana telah lepas tahun-tahun yang susah, maka sekarang sudah sampai kepada tahun-tahun yang senang, maka digunakan istilah عَامٌ.

 

قالَ كَم لَبِثتَ

lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”

Selepas lelaki itu dihidupkan kembali, Allah ‎ﷻ tanya kepada beliau berapa lama beliau tinggal di situ. Tubuh beliau memang nampak biasa sahaja.

Ayat ini juga menjadi dalil yang Allah ‎ﷻ berkata-kata kepada makhluk. Dengan cara bagaimana, kita tidak perlu hendak bayangkan kerana kita takkan dapat menggarapnya. Jadi tidak perlu kita bersilat untuk menafikan Allah ‎ﷻ boleh berkata-kata. Kerana kalau kita kata Allah ‎ﷻ tidak berkata-kata, adakah kemungkinan kita tersilap faham sampai mengatakan Allah ‎ﷻ bisu?

 

قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ

Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”.

Oleh kerana tubuhnya nampak biasa sahaja, lelaki itu kata beliau tentu tidak tinggal lama – sehari atau setengah hari sahaja (ikut kebiasaan). Begitulah kalau kita tidur nyenyak kadang-kadang kita bangun tidur, tidak tahu berapa lama kita tidur, bukan? Begitulah juga para Pemuda Kahf pun tidak tahu berapa lama mereka ditidurkan di dalam gua itu seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Kahf: 19

وَڪَذٰلِكَ بَعَثنَـٰهُم لِيَتَسَآءَلُواْ بَينَہُم قَالَ قَآٮِٕلٌ مِّنہُم ڪَم لَبِثتُم قَالُواْ لَبِثنَا يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ
Dan demikianlah Kami bangkitkan mereka (daripada tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian daripada) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”

 

قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ

Allah berfirman:”bahkan engkau telah tinggal selama seratus tahun.

Mungkin lelaki itu terkejut apabila dikatakan yang beliau telah tinggal selama seratus tahun di situ. Maka dia mungkin minta bukti.

 

فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه

perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya,

Allah ‎ﷻ tunjuk contoh qudrat-Nya dengan menyuruh lelaki itu lihat kepada makanan yang beliau bawa sebagai bekal. Kalimah يَتَسَنَّه‌ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘berubah mengikut masa’, ‘basi’. Ia daripada kata dasar: س ن ه yang bermaksud basi, berubah, rosak. Kata dasar yang sama juga digunakan untuk سنة (tahun) kerana di dalam masa setahun, selalunya benda akan banyak berubah.

Selalunya makanan senang rosak, tetapi Allah ‎ﷻ jadikannya masih baik lagi. Sekali lagi Allah ‎ﷻ tidak sebut makanan apa, roti canai atau daging kambing bakar. Ini tidak penting dan kalau sebut, sibuk pula orang jadikan makanan itu sebagai ‘makanan Sunnah’ pula. Perangai orang kita ini jangan dipandang rendah ya, macam-macam benda karut mereka boleh buat. Yang pengajaran penting tidak diambil nanti, tetapi sibuk dengan hal makanan sahaja nanti. Tengoklah kisah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah banjir habis. Sepatutnya disambut peristiwa itu dengan berpuasa akan tetapi puak-puak kita sibuk dengan buat bubur Asyura pula.

 

وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ

dan perhatikanlah pula kepada keldaimu

Makanan yang cepat basi, Allah ‎ﷻ boleh kekalkan. Namun binatang yang tentunya lambat reput, sudah tinggal tulang sahaja. Menunjukkan memang lama beliau tidur di situ.

 

وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ

dan Kami jadikan engkau sebagai tanda bagi umat manusia;

Allah ‎ﷻ menghidupkan itu semula sebagai tanda kepada manusia. Menjadi inspirasi kepada manusia yang lain. Menjadi tanda bahawa Allah ‎ﷻ itu maha berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Allah ‎ﷻ boleh hidupkan, matikan, hidupkan balik tidak kira berapa lama. Jadi tidak susah bagi Allah ﷻ hendak membangunkan kembali kampung yang telah rosak itu.

Bagaimana kisah lelaki ini boleh menjadi tanda? Apabila lelaki ini kembali ke kampungnya, orang-orang yang dia kenal sudah lama tiada. Namun mereka yang hidup itu ada teringat tentang kisahnya yang disampaikan oleh tok nenek mereka. Maka mereka akhirnya percaya bahawa lelaki itu lah yang telah hilang seratus tahun dahulu entah ke mana. Maka sekarang mereka yakin bahawa Allah ﷻ mampu mematikan dan menghidupkan manusia.

Bagaimana mereka boleh yakin? Di sinilah yang menjadi hujah beliau adalah Uzair (khilaf beliau Nabi atau tidak). Orang yang sudah mendengar kisah beliau mengatakan kalau betul dia Uzair seperti didakwanya, maka salah satu kelebihan Uzair adalah beliau hafal Kitab Taurat. Maka apabila beliau telah membuktikannya, maka barulah mereka percaya beliau adalah Uzair yang hilang seratus tahun dahulu.

 

وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا

dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “.

Allah ‎ﷻ menjadikan keldai itu hidup dengan segera di depan matanya. Kalimah نُـنشِزُ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘kami menaikkan’. Ia daripada kata dasar: ن ش ز yang bermaksud dinaikkan, ditinggikan, menaik, degil, melawan, melayan isteri dengan buruk, memberi kehidupan semula. Maknanya tulang-tulang itu diangkat dan disusun semula oleh Allah ﷻ. Kalimah ‘nusyuz’ diambil daripada kata dasar ini. Ini kerana apabila isteri itu nusyuz, salah satu perbuatannya adalah naik suara tinggi kepada suaminya.

Kalimah نَكسُوا adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘kami membalut’. Ia daripada kata dasar ك س و yang bermaksud baju, pakaian, orang miskin, pembalut. Kita biasa dengar Kiswah Ka’bah, bukan? Ia adalah balutan yang menjadi penutup Ka’bah.

Kita boleh bayangkan kejadian itu sebab kita yang hidup zaman moden ini selalu melihat ‘special effect’ dalam media. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana tulang keldai itu bercantum kembali, dan kemudian dagingnya bercantum semula. Kalau benda sebegini pun Allah ﷻ boleh buat, apatah lagi kalau membangunkan kembali kampung dan malah membangkitkan semula manusia yang telah mati.

Begitulah Allah ﷻ menjadikan makhluk ini ada daging yang membalut tulang. Barulah tulang itu terpelihara. Kalau tidak, senanglah retak riuk tulang kita ini setiap hari. Dengan ada daging, nampaklah cantik sikit, bukan? Bayangkan kalau kita dan makhluk lain semua tulang belaka?

 

فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Maka apabila telah jelas kepadanya, berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Telah jelas kepada lelaki itu yang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Allah ﷻ telah memberikan satu anugerah kepada beliau kerana ditunjukkan secara praktikal di hadapan matanya bagaimana Allah ﷻ mudah sahaja untuk menghidupkan makhluk yang telah mati. Maka tentulah beliau sudah yakin dengan sebenar-benar yakin yang mati dan hidup adalah dalam tangan Allah ‎ﷻ dan beliau sudah tahu bagaimana cara Allah ‎ﷻ melakukannya. Kalau begitu keadaannya, maka tentulah mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk menghidupkan bandar/kampung yang telah mati itu.

Selepas itu lelaki itu tidak akan tanya lagi. Beliau telah dinampakkan dengan ilmu musyahadah – beliau lihat sendiri dengan matanya. Sebelum ini ilmu makrifat sahaja. Sebelum ini beliau sudah ada Ilmul Yaqeen (keyakinan dari segi ilmu) dan sekarang beliau diberikan dengan Ainul Yaqeen (keyakinan setelah melihat dengan mata sendiri). Apabila nampak dengan mata kepala sendiri, maka tentulah yakin sangat. Maka ini menjadi bukti bahawa lelaki ini adalah seorang yang soleh, dan mungkin seorang Nabi seperti pendapat yang mengatakan beliau adalah Nabi Uzair.

Untuk kita, tidaklah diberikan dengan kelebihan ini. Namun kita tetap yakin dengan kemampuan Allah ﷻ kerana kita sendiri melihat alam yang indah ini dan Allah ﷻ telah sebut di dalam Talaq: 12

اللَّهُ الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ وَمِنَ الأَرضِ مِثلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الأَمرُ بَينَهُنَّ لِتَعلَموا أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَد أَحاطَ بِكُلِّ شَيءٍ عِلمًا
Allah-lah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 258 (Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Namrud)

NABI IBRAHIM عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DAN NAMRUD YANG ANGKUH

Baqarah Ayat 258: Allah ‎ﷻ memberikan tiga contoh golongan yang beriman kepada tauhid iaitu dua kisah daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan satu kisah seorang lelaki (yang ada pendapat mengatakan beliau adalah Nabi Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan tetapi pendapat ini khilaf dalam kalangan ulama). Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberikan teori tentang akidah, dan sekarang Allah ‎ﷻ berikan contoh pula supaya kita lebih faham dan boleh ikut mereka.

Di dalam ayat sebelum ini telah disebut Allah ﷻ menjadi pelindung kepada orang beriman. Maka sekarang diberi contoh perlindungan diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

أَلَم تَرَ إِلَى ٱلَّذِى حَآجَّ إِبرٰهِـۧمَ فِى رَبِّهِۦۤ أَن ءَاتَٮٰهُ ٱللَّهُ ٱلمُلكَ إِذ قَالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّىَ ٱلَّذِى يُحىِۦ وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۟ أُحىِۦ وَأُمِيتُ‌ۖ قَالَ إِبرٰهِـۧمُ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأتِى بِٱلشَّمسِ مِنَ ٱلمَشرِقِ فَأتِ بِهَا مِنَ ٱلمَغرِبِ فَبُهِتَ ٱلَّذِى كَفَرَ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهدِى ٱلقَومَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

SAHIH INTERNATIONAL
Have you not considered the one who argued with Abraham about his Lord [merely] because Allah had given him kingship? When Abraham said, “My Lord is the one who gives life and causes death,” he said, “I give life and cause death.” Abraham said, “Indeed, Allah brings up the sun from the east, so bring it up from the west.” So the disbeliever was overwhelmed [by astonishment], and Allah does not guide the wrongdoing people.

MALAY
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Dia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat.” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

 

أَلَم تَرَ إِلَى ٱلَّذِى حَآجَّ إِبرٰهِـۧمَ فِى رَبِّهِۦۤ

Tidakkah engkau memikirkan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya,

Pertama disampaikan adalah kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Namrud (Nimrod). Namrud atau Namrudz atau Numruz itu adalah raja besar kerajaan Babylon dan tidak sama dengan Firaun yang hanya Raja kepada negara Mesir sahaja. Walaupun dia seorang raja besar, tetapi dia tidak berapa cerdik. Sampaikan nama dia pun tidak disebut di dalam Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ hanya sebut dia dengan lafaz mubham (tidak jelas, tidak spesifik) sahaja (hanya disebut seorang yang berhujah) menunjukkan betapa dia tidak cerdik dan namanya tidak layak disebut pun. Sedangkan Firaun disebut berkali-kali dalam Al-Qur’an kerana dia hebat berhujah. Maka namanya ini kita dapat tahu melalui kitab-kitab tafsir sahaja tanpa dalil yang nyata tentang kebenaran namanya. Kalau Allah ‎ﷻ tidak sebutkan nama, maka ia tidak penting. Allah ‎ﷻ tidak mahu kita sibuk dengan nama orang dan tempat dan kemudian abaikan pula pengajaran di dalam satu-satu kisah itu.

Tajuk perdebatan mereka ini adalah tentang Allah ‎ﷻ, iaitu tentang Tauhid.

Latar belakang kisah ini adalah sebahagian daripada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah menghancurkan berhala-berhala kaumnya dan telah berdebat dengan kaumnya. Ini boleh dibaca di dalam Surah Anbiya’ ayat 51 – 73. Akhirnya arahan telah dikeluarkan untuk membakar baginda,

قالوا حَرِّقوهُ وَانصُروا آلِهَتَكُم إِن كُنتُم فٰعِلينَ
Mereka berkata: “Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak”.

Namun sebelum baginda dibakar, baginda telah dihadapkan di hadapan Raja Namrud.

Mengenai Namrud ini, perlu dijelaskan bahawa tidak ada hadith sahih yang secara jelas menyebutkan namanya atau menceritakan kisahnya secara terperinci. Kisah Namrud ini lebih banyak disebutkan dalam riwayat-riwayat Israiliyyat (kisah-kisah daripada sumber Yahudi dan Nasrani yang masuk ke dalam tradisi tafsir Islam) dan kitab-kitab sejarah Islam yang menukil daripada sumber-sumber tersebut.

 

Hukum Debat

Di dalam ayat ini kita akan belajar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdebat dengan raja ini. Maka apakah pula hukum berdebat di dalam Islam? Tambahan pula ada hadith yang seolah-olah menganjurkan jangan berdebat,

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا، وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا، وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ»
Daripada Abu Umamah Al-Bahili رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Aku menjamin sebuah rumah di pinggir syurga bagi sesiapa yang meninggalkan al-mira’ (perdebatan/bantahan) walaupun dia berada di pihak yang benar. Dan (aku menjamin) sebuah rumah di tengah syurga bagi sesiapa yang meninggalkan dusta walaupun dia hanya bergurau. Dan (aku menjamin) sebuah rumah di bahagian atas syurga bagi sesiapa yang memperelok akhlaknya.”

Sumber: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (No. 4800), At-Tirmidzi (No. 1993), dan Ibnu Majah (No. 51). At-Tirmidzi berkata: “Hadith Hasan”. Syeikh Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ menilainya Hasan Sahih.

Hukum berdebat dalam Islam tidaklah bersifat mutlak, tetapi ia bergantung kepada niat, tujuan, subjek perdebatan, adab yang digunakan, dan hasilnya. Secara umumnya, berdebat boleh menjadi wajib, sunat, harus, makruh, atau haram. Al-Qur’an dan Sunnah menggariskan beberapa panduan asas:

  • Berhujah dengan Cara Terbaik: Allah ‎ﷻ berfirman dalam Nahl: 125

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik (ahsan).”

  • Menghindari Perdebatan yang Buruk: Allah ‎ﷻ juga berfirman dalam Kahf: 56

وَلَا تُجَادِلْ أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ
“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka.”

Kategori Hukum Berdebat

1. Wajib:

    • Tujuan: Untuk menegakkan kebenaran Allah ‎ﷻ, membela syariat Islam, atau menangkis syubhat (keraguan) yang disebarkan oleh musuh-musuh Islam, apabila tiada cara lain yang berkesan. Ini biasanya bagi mereka yang mempunyai ilmu yang cukup dan mampu berhujah. Gunakan dalil dari Al-Qur’an dan Sunnah dan hujah-hujah yang mantap untuk mematikan fahaman yang salah di dalam masyarakat.
    • Contoh: Perdebatan para Nabi dengan kaum mereka yang ingkar untuk membuktikan keesaan Allah ‎ﷻ dan kebenaran risalah. Termasuklah perbuatan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat ini.

2. Sunat:

    • Tujuan: Untuk menjelaskan ajaran Islam, memperbetulkan kesalahfahaman, atau berdakwah kepada orang yang belum Islam, dengan harapan mereka akan mendapat hidayah. Ini hendaklah dilakukan dengan niat ikhlas dan cara yang baik.
    • Contoh: Berdebat dengan seseorang yang mempunyai kekeliruan dalam fiqh atau akidah untuk menjelaskan pandangan yang sahih.

3. Harus (Mubah):

    • Tujuan: Apabila perdebatan itu melibatkan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan akidah atau hukum syariat yang jelas, atau untuk bertukar pendapat dalam isu-isu ijtihadi (yang ada ruang untuk perbezaan tafsiran), dan ia dilakukan dengan niat mencari kebenaran dan adab yang baik.
    • Contoh: Perbincangan ilmiah antara ulama mengenai isu fiqh yang rumit di mana ada pelbagai pandangan. Semoga dengan perdebatan seperti ini dapat merungkai kekeliruan dan mencapai kata sepakat manakah pandangan yang lebih rapat kepada kebenaran.

4. Makruh:

    • Tujuan: Apabila perdebatan itu tidak membawa kepada kebaikan, atau melibatkan perkara remeh-temeh, atau ada risiko akan timbulnya permusuhan, riak, atau kesombongan, tetapi tidak sampai ke tahap haram. Debat sebeginilah yang patut dielak.
    • Ciri-ciri: Berdebat hanya untuk menunjukkan kepintaran, atau berdebat tentang perkara yang sudah jelas tanpa ada keraguan.

5. Haram:

    • Tujuan: Apabila perdebatan itu bertujuan untuk merendahkan orang lain, menyebarkan keraguan terhadap Islam, membela kebatilan, menimbulkan perpecahan, atau dilakukan dengan cara yang kasar, sombong, memfitnah, dan mencederakan hati.
    • Ciri-ciri:
      • Berdebat dalam perkara yang sudah jelas hukumnya (contoh: menghalalkan yang haram).
      • Berdebat dengan niat untuk menang sahaja, bukan mencari kebenaran.
      • Menggunakan kata-kata kesat, mencaci, menghina.
      • Menimbulkan permusuhan dan kebencian antara Muslim.
      • Berdebat dengan orang yang jelas-jelas tidak mahu menerima kebenaran dan hanya ingin membantah. Ini buang masa sahaja dan jangan dilakukan. Kalau jumpa orang sebegitu, beri salam dan tinggalkan sahaja dia itu.

Jadi bukanlah semua debat tidak boleh. Kena perhatikan keperluannya dan adab-adab di dalam debat itu. Kita boleh perhatikan kebelakangan ini sudah ada banyak perdebatan antara golongan Salafi dan Aswaja yang dapat memberikan pencerahan kepada banyak perkara. Perdebatan yang sihat dapat membuka minda pendengar dan mereka yang hendak mencari kebenaran. Ketika perdebatan ada banyak hujah-hujah yang akan dikeluarkan dan ini menambah ilmu kepada para pendengar. Malah kepada pada pendebat pun yang mereka mungkin tidak terfikir.

Para ulama’ dahulu pun banyak berdebat untuk menjatuhkan pihak lawan yang sesat. Maka kita boleh buat kesimpulan asatizah yang kuat di media sosial dengan pengikutnya sahaja tetapi takut untuk berdebat, bermakna mereka sebenarnya tidak ada hujah pun. Antara debat yang dilakukan oleh ulama’ silam adalah seperti Perdebatan Imam Ahmad bin Hanbal dengan Kaum Mu’tazilah (Isu Penciptaan Al-Qur’an), Perdebatan Imam Al-Ghazali dengan Ahli Falsafah (Isu Falsafah dan Akidah), Perdebatan Imam Syafi’i dengan Imam Malik dan Sufyan Ats-Tsauri (Isu Fiqh), Perdebatan Ibnu Taimiyyah dengan Fuqaha’ dan Ahli Kalam Zamannya.

 

أَن ءَاتَٮٰهُ اللَهُ المُلكَ

kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan

Walaupun dia tidak berapa cerdik, tetapi Allah ‎ﷻ telah takdirkan yang dia dapat memerintah belahan dunia yang besar. Ini mengajar kita yang menjadi raja tidak semestinya kena pandai; orang bodoh pun boleh menjadi raja. Namun kerana dia ada kuasa, maka dia rasa diri dia besar disebabkan dia memerintah kerajaan yang besar. Malah dia berani melawan seorang Nabi. Maka namanya kita tidak tahu (kerana tidak diberitahu oleh Allah ‎ﷻ) akan tetapi jelas yang dia telah diberikan kerajaan. Dan kerana itu dia sombong. Tambahan pula tentu orang di kiri kanannya tidak berani membantah kata-katanya.

Dalam psikologi, kondisi ini dinamakan “God Complex’. Mereka rasa mereka ada kuasa dan perangai mereka jadi lain macam. Padahal bukan banyak pun kuasa mereka. Sebagai contoh, doktor pun ada rasa sebegitu sebab mereka rasa mereka menyelamatkan nyawa manusia. Jangan kata mereka, “guard” yang jaga pintu masuk pun ada masalah ini juga kadangkala.

Ini mengajar kita satu dugaan bagi manusia apabila diberikan dengan kerajaan. Ada yang kata ini merupakan salah satu daripada 3 ta: Wanita, Harta, Takhta. Manusia apabila ada kuasa, mereka menjadi mabuk dengan kuasa dan menyebabkan mereka menjadi sombong dan sesat. Ramai yang menyalahgunakan kuasa dan kemudian berlaku zalim terhadap orang lain terutama yang di bawah kuasa mereka. Kerana itu salah satu daripada 4 kisah utama di dalam Surah Kahf adalah tentang kuasa ini disebut di dalam kisah DzulQarnain. Di dalam kisah itu kita telah belajar bagaimana DzulQarnain walaupun menjadi raja dunia, namun beliau tetap beriman dan tetap menjadi orang yang baik. Maka beliau menjadi contoh kepada mana-mana pemimpin yang ada kuasa, tidak kira berapa banyak jajahan takluk yang ada. Kalau DzulQarnain itu pun tidak sombong dengan kerajaan beliau yang amat besar, janganlah jadi JKKK pun sudah sombong ya amat.

Di dalam kisah DzulQarnain itu mengajar kita ubat bagi penyakit sombong dengan kerajaan dan kuasa adalah dengan menjadi ikhlas dan sedar yang kuasa yang ada itu adalah daripada Allah ‎ﷻ. Lihatlah kata-kata DzulQarnain apabila beliau telah berjaya bina tembok mengurung Ya’juj Ma’juj disebut di dalam Kahf: 98

قَالَ هَـٰذَا رَحمَةٌ مِّن رَّبِّى‌
berkatalah ZulQarnain: “Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku

 

إِذ قَالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّىَ ٱلَّذِى يُحىِۦ وَيُمِيتُ

Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku lah Yang menghidupkan dan mematikan”.

Dia membantah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu semasa baginda berdakwah kepadanya. Dalam ayat Kursi, Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia lah yang Maha Hidup اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ (Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Sekarang di dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu yang Dialah yang menghidupkan dan mematikan.

Semasa mereka berdebat itu, Namrud tanya siapakah Tuhan yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sembah? Maknanya Namrud ini adalah seorang kafir yang tidak kenal Allah sebagai Tuhan. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jawab dengan menekankan tentang salah satu sifat terpenting Allah ‎ﷻ.

 

قَالَ أَنَا۟ أُحىِۦ وَأُمِيتُ‌

Raja itu berkata: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”.

Namrud pun kata dia pun boleh menghidupkan dan mematikan juga. Dalam riwayat ada disebut bagaimana dia memanggil dua orang lelaki yang telah dihukum bunuh, bawa ke hadapan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dia. Maka dia kata dia ampunkan seorang lelaki dan teruskan hukuman bunuh kepada seorang lagi lelaki itu. Daripada itu, Namrud kata dia telah menghidupkan seorang lelaki dan mematikan seorang lagi.

Dia terlalu bodoh sampai tidak faham apakah maksud menghidupkan. Menghidupkan itu maksudnya menjadikan daripada tidak ada kepada ada. Adakah semua bayi yang lahir itu Namrud yang lahirkan ke dunia? Tentu tidak! Adakah dia yang memberi mereka makan untuk meneruskan kehidupan?

Adakah dia terlalu bodoh sampai tidak faham maksud mematikan dengan membunuh? Yang dia beri arahan itu bukan mematikan tetapi membunuh. Kalau dia boleh matikan, maknanya dia boleh ambil nyawa orang itu tanpa pancung atau tikam orang itu.

Namun kita pun boleh melihat penggunaan bahasa yang berlainan antara Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Namrud. Apabila Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap tentang Allah ‎ﷻ, baginda menggunakan susunan: رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ. Sedangkan apabila Namrud berhujah, dia hanya sebut أَناْ أُحيي وَأُميتُ. Dia tidak meletakkan الَّذي (yang). Maknanya dia tidaklah mengatakan dia sahaja yang menghidup dan mematikan. Dia cuma kata dia juga boleh menghidup dan mematikan. Akan tetapi bahasa yang digunakan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lain; baginda mengatakan hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menghidup dan mematikan.

Jadi Namrud telah memberi hujah yang bodoh. Kita pun boleh tahu bahawa lain apa yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, bukan? Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menjawab hujah Namrud itu dan terus sambung dengan sifat Allah yang lain. Kalau hendak jawab pun terasa bodoh juga jika melayan orang bodoh, bukan? Maka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ teruskan dengan hujah seterusnya.

 

قالَ إِبرٰهِـۧمُ فَإِنَّ اللَهَ يَأتي بِالشَّمسِ مِنَ المَشرِقِ

Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur,

Kerana bodohnya Namrud, maka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bawakan hujah yang satu lagi. Sekarang baginda sebut tentang perbuatan Allah ‎ﷻ yang takdirkan matahari naik dari arah timur. Ini mengingatkan kepada kita yang perjalanan matahari, bulan dan segala planet adalah dalam takdir dan kuasa Allah ‎ﷻ yang menentukan. Bukanlah semua itu berjalan sendiri.

 

فَأتِ بِها مِنَ المَغرِبِ

oleh itu engkau terbitkanlah ia dari barat.”

Kalau kamu Namrud, rasa yang kamu pun macam tuhan juga, maka tolong naikkan matahari dari barat pula esok. Sebelum ini dia berhujah dengan keupayaan menghidupkan dan mematikan. Nah, kali ini kita tengok dia boleh ubah perjalanan matahari ataupun tidak.

 

فَبُهِتَ الَّذي كَفَرَ

Maka hairan terdiamlah orang yang kafir itu

Maka, dengan hujah itu, Namrud bungkam tidak berkata apa-apa lagi. Sebab kalau dia hendak jawab, dia kenalah tukar perjalanan matahari itu dan dia pun tahu dia tidak boleh. Jadi krik, krik, krik sahajalah. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak suruh pun raja itu mencipta matahari, tetapi setakat ubah pergerakan matahari yang Allah ‎ﷻ jadikan sahaja; itu pun dia tidak mampu.

Apabila dikatakan raja itu dikatakan بُهِتَ, ia adalah satu keadaan di mana raja itu sudah tidak boleh cakap apa-apa lagi dan menerima kegagalan. Asy Sya’rawi mengatakan بُهِتَ ini adalah peringkat ketiga setelah berlalu dua peringkat:

1. Tercengang dan hairan
2.  Bingung bagaimana hendak menghadapinya
3. Kegagalan menghadapinya dan mahu tidak mahu terpaksa mengakui kegagalan. Inilah raja itu rasa.

Perhatikan di sini baru Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah كَفَرَ buat raja itu. Ini menandakan kalau ikut sifat raja ini yang sombong untuk terima kebenaran Allah ‎ﷻ itu sahaja Tuhan, maka sudah menjadi kafir.

Mungkin timbul satu persoalan. Apa kata kalau Namrud berhujah balik? Dia mungkin boleh kata: “Baiklah, aku memang tak boleh nak terbitkan matahari dari barat. Sekarang engkau kata Tuhan kamu boleh terbitkan matahari dari barat. Suruhlah Tuhan kamu itu terbitkan dari barat!” Dalam kitab tafsir ada disebutkan, kalaulah Namrud berhujah macam itu, Allah ‎ﷻ akan terbitkan matahari dari barat esoknya sebagai hujah. Tetapi tidak berlaku perkara itu sebab Namrud mengalah dan tidak menyambung perdebatan itu. Namrud tidak ada hujah apa-apa lagi. Namun selepas itu Namrud telah memasukkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam api.

Biasalah, kalau tidak ada hujah, ramai yang gunakan kuasa kekerasan. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentu sedar yang kalau baginda cakap begitu, boleh menyebabkan baginda dibunuh. Namun baginda yakin yang Allah ‎ﷻlah al-hayyul qayyum, Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh mematikan, maka baginda tidak takut untuk menyatakan kebenaran. Kita pun tahu daripada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini semenjak muda lagi baginda sudah berani bercakap dengan orang yang ada kedudukan.

 

وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Penghujung ayat ini bermakna Namrud tidak menerima apa yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Dia tetap berdegil untuk menerima kebenaran. Oleh kerana hujah mantap telah diberikan, tetapi masih degil lagi, maka Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk menutup pintu hatinya kepada kebenaran. Ini dinamakan khatmul qalbi di mana hati seseorang itu sudah tidak mampu lagi menerima hidayah. Datang macam mana pun orang dengan apa hujah sekali pun, mereka tidak akan percaya lagi.

Ini pun boleh jadi kepada orang kita juga walaupun dia seorang Muslim. Kadangkala mereka ada fahaman atau amalan yang salah, sama ada syirik atau bid’ah. Kita pun datang dengan hujah yang disertai dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith yang sahih. Kalau mereka menentang juga dan degil untuk menerima, Allah ‎ﷻ boleh tutup hatinya daripada kebenaran. Jadi ini amat bahaya. Orang kita pun senang-senang sahaja tolak hujah daripada Al-Qur’an. Mereka tidak ada hujah lain sebab mereka pun tidak belajar tafsir, tetapi mereka degil untuk terima kerana hujah Al-Qur’an itu lain daripada hujah tok guru mereka. Maka mereka tolak begitu sahaja.

Mereka jadi orang yang zalim kerana kedegilan mereka. Tidak disebutkan zalim apa yang dimaksudkan jadi ia boleh bermaksud berbagai jenis kezaliman. Kezaliman kepada Allah ‎ﷻ, kepada diri sendiri, kepada orang lain. Allah ‎ﷻ tidak memberi hidayah kerana mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Ini kerana tidak ada keinginan dalam hati mereka untuk mengetahui apakah yang benar. Jadi ia mengajar kita yang dakwah ini hanya boleh diterima oleh membuka pintu hati mereka dan tidak zalim.

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 257 (Mahu Wali yang Mana?)

Baqarah Ayat 257:

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروٓا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ ۗ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah is the ally of those who believe. He brings them out from darknesses into the light. And those who disbelieve – their allies are Taghut. They take them out of the light into darknesses. Those are the companions of the Fire; they will abide eternally therein.

MALAY
Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا

Allah Pelindung orang-orang yang beriman.

Apabila seseorang itu telah berpegang dengan akidah tauhid, sudah betul-betul beriman, tidak menyembah dan memuja taghut dan tidak melakukan syirik, maka Allah ‎ﷻ akan menjadi wali (pelindung) kepada orang yang beriman itu. Ini adalah sesuatu yang kita amat-amat harapkan. Ia mengajar kita bahawa untuk mendapat perlindungan Allah ﷻ adalah dengan beriman yang sebenarnya. Kalau Allah ﷻ yang menjadi pelindung kita, tentulah kita akan selamat.

Di sini kita berjumpa istilah ‘wali’. Ia ada banyak maksud. Ia berasal daripada kata dasar: و ل ي yang bermaksud rapat; dekat; ikut; berpaling; jalan belok; menjalankan; berada dalam kuasa; mengambil sebagai kawan; melindungi; mempertahankan; membuat kawan; penolong; sekutu; pengganti; penjaga; pewaris; pembela; warisan; penaung; tuan; pemilik; pelindung; dermawan; pelanggan; tempat tumpuan. Dari sini ia menjadi banyak maksud:

1. Wali-wali Allah (أولياء الله)

Ini adalah penggunaan yang paling agung dan utama. Wali Allah merujuk kepada kekasih-kekasih Allah, iaitu orang-orang yang beriman, bertaqwa, dan sentiasa dekat dengan Allah ﷻ melalui ketaatan dan ibadah mereka. Allah ﷻ berfirman dalam Yunus:62-63,

أَلَآ إِنَّ أَوۡلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ (٦٢) ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَڪَانُواْ يَتَّقُونَ (٦٣)
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (62) (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (63)

Melalui ayat ini kita dapat tahu ciri-ciri Wali Allah:

    • Iman yang Kuat: Memiliki akidah yang benar dan teguh.
    • Taqwa yang Berterusan: Sentiasa melaksanakan perintah Allah ﷻ dan menjauhi larangan-Nya.
    • Ibadah yang Konsisten: Rajin melakukan ibadah fardu dan memperbanyakkan ibadah sunat.
    • Akhlak Mulia: Memiliki sifat-sifat terpuji dan menjauhi akhlak tercela.

Akan tetapi istilah ini telah disalahgunakan sudah lama oleh golongan yang keliru. Wali Allah tidak semestinya seorang yang mempunyai “keramat” atau kebolehan luar biasa, tetapi fokus utamanya adalah pada ketaqwaan dan kedekatan mereka dengan Allah ﷻ. Namun kebanyakan golongan seperti ahli sufi, tarekat, habib dan umat Islam secara umumnya telah melantik dengan sesuka hati orang-orang yang mereka anggap ‘wali’. Siapa yang beri mandat wali itu pun kita tidak tahu lah. Sampaikan kuburan ‘wali’ ini dihias, dipuja, dikerumuni dan dibuat berbagai-bagai ibadah yang bid’ah. Malah ada yang perasan dan mengaku wali kepada anak murid mereka yang bodoh dan sedang ditipu. Malah golongan ini tidak habis-habis bercerita kehebatan wali itu dan ini. Wali itu boleh terbang, boleh tahu isi hati orang, buat itu dan ini, sampai ke tahap kartun pun ada. Jadi ini adalah salah faham golongan yang telah lama jauh daripada ilmu wahyu tetapi banyak mendapat ilmu khayalan daripada guru-guru mereka.

Kalau kita tidak faham bab wali ini, maka semakin ramailah yang akan tertipu dengan ajaran golongan yang sesat dan keliru. Sampaikan orang gila pun mereka lantik sebagai wali. Mereka reka pula istilah “Wali Majzub” (ولي مجذوب) yang kononnya merujuk kepada seorang wali Allah yang berada dalam keadaan spiritual yang sangat mendalam dan kuat, sehingga tingkah laku dan tutur katanya mungkin kelihatan tidak normal atau di luar kebiasaan orang awam. Habis, takkan hendak ikut orang sebegitu? Adakah kita kena menjadi gila beramai-ramai?

Apabila mati golongan yang dianggap sebagai wali ini, puak-puak sesat ini akan kerumun kubur mereka. Bila berdoa, mereka berdoa kepada wali yang telah mati di dalam kubur itu sebagai wasilah untuk sampaikan doa kepada Allah ﷻ. Yang untung adalah penjaga kubur itu sebab orang bodoh akan menabur duit di kubur itu sebagai upah kepada wali yang sampaikan doa kepada Allah ﷻ. Siapa yang kutip? Tentulah penjaga kubur itu. Jadi ia sudah menjadi satu industri yang menguntungkan sesetengah pihak. Mereka akan mengadakan pelbagi kisah untuk menaikkan nama kuburan dan wali itu. Kononnya orang itu dapat ini dan itu setelah berdoa di kuburan wali itu. Kadangkala bau kubur itu wangi padahal penjaga kubur yang meletakkan minyak wangi. Memang golongan jahil mudah ditipu. Ubatnya adalah belajar agama yang benar. Namun malangnya, asatizah yang mengajar ajaran yang benar daripada wahyu pula yang ditahan daripada mendapat tauliah dan apabila mengajar ditangkap pula. Agaknya yang jadi pegawai di Jabatan Agama pun tidak pandai rasanya.

Kalau pun memang benar ada kubur yang baunya wangi, ia adalah kelebihan bagi penghuni kubur itu. Bukanlah kubur wangi kita pergi ambil pula tanah kubur itu dan ambil berkat pula. Pelik-pelik orang kita dari dulu sampai sekarang. Sampaikan waris si mati sudah terpaksa memasang pagar pula dan membuat rondaan untuk mengelakkan daripada puak-puak jahil sesat ini buat sesuatu dengan kubur itu.

Jangan kita mengikut puak Habib yang sesat itu. Mereka sampai boleh buat perniagaan jual tanah kubur tok wali mereka pula. Jadi perbuatan mengambil tanah yang dikatakan wangi itu hendaklah dihentikan. Tidak ada kelebihan apa-apa bagi tanah kubur itu. Yang sepatutnya kalau orang yang mati itu ada kebaikan, maka diikuti apa yang dilakukannya.

 

2. Wali Nikah (ولي النكاح)

Ini adalah penggunaan dalam konteks fiqh (hukum Islam) berkaitan perkahwinan. Wali Nikah merujuk kepada penjaga atau pihak yang memiliki hak dan tanggungjawab untuk menikahkan seorang wanita. Tanpa wali yang sah, pernikahan seorang wanita (kecuali dalam keadaan tertentu yang dibenarkan syarak seperti wali hakim) adalah tidak sah.

 

3. Wali Amri (ولي الأمر)

Wali Amri atau Ulil Amri merujuk kepada pihak yang memiliki kekuasaan dan autoriti dalam urusan kenegaraan atau kepemimpinan. Ini termasuklah:

    • Pemerintah/Penguasa: Raja, Sultan, Presiden, atau Perdana Menteri yang sah. Di negara Malaysia tidaklah digunakan istilah wali bagi pemimpin, tetapi di Indonesia ada sahaja digunakan.
    • Ulama/Pakar: Para ulama atau cendekiawan yang memiliki ilmu dan autoriti dalam bidang keagamaan atau kepakaran tertentu yang dirujuk oleh masyarakat. Ketaatan kepada Ulil Amri adalah wajib dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah ﷻ.

 

4. Wali Ad-Dam (ولي الدم)

Ini mungkin jarang dengar sebab kita tidak mengamalkan Hukum Syariat Islam. Wali Ad-Dam bermaksud penjaga atau ahli waris mangsa pembunuhan. Dam itu bermaksud ‘darah’. Mereka adalah pihak yang memiliki hak untuk menuntut qisas (hukuman balasan) atau memaafkan pembunuh dan menerima diyat (denda) dalam kes pembunuhan. Hak ini biasanya diberikan kepada waris terdekat mangsa. Kita telah bincangkan tentang Qisas di dalam Baqarah: 178

فَمَن عُفِىَ لَهُ ۥ مِن أَخِيهِ شَىءٌ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلمَعرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيهِ بِإِحسَـٰنٍ۬‌
Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya

 

5. Wali Mal (ولي المال)

Ini juga mungkin jarang dengar. Wali Mal merujuk kepada penjaga harta. Ini adalah individu yang diamanahkan untuk menguruskan harta milik orang lain yang tidak mampu menguruskan hartanya sendiri, seperti:

    • Anak yatim: Wali yang menguruskan harta anak yatim sehingga mereka mencapai usia baligh dan mampu menguruskan harta sendiri.
    • Orang kurang upaya akal: Wali yang menguruskan harta individu yang tidak sempurna akalnya.
    • Orang gila: Wali yang menguruskan harta orang yang hilang kewarasan.

 

6. Allah ﷻ Pelindung dan Penolong (المتولي أمور خلقه)

Inilah yang dimaksudkan di dalam ayat ini. Allah ﷻ adalah Pelindung mutlak bagi hamba-hamba-Nya yang beriman. Dia menjaga, memelihara, dan menolong mereka daripada segala keburukan dan kesulitan. Ini adalah perlindungan yang menyeluruh, merangkumi urusan dunia dan akhirat.

 

7. Mukmin menjadi wali bagi mukmin yang lain: “Awliya’u Ba’dhin” (أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ)

Mereka menjadi pelindung satu sama lain. Ini bermakna mereka saling melindungi daripada keburukan dan bahaya. Mereka saling membantu dan menyokong dalam kebaikan. Mereka juga mempunyai ikatan persahabatan dan kasih sayang yang tulus. Mereka berpihak kepada kebenaran dan keadilan apabila melibatkan sesama mukmin. Dalilnya seperti firman Allah ﷻ di dalam Tawbah: 71

وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ وَيُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ وَيُطيعونَ اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ سَيَرحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Disebut lagi di dalam Anfal: 72 tentang mereka,

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللَّهِ وَالَّذينَ ءآوَوا وَّنَصَروا أُولٰئِكَ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi. 

 

8. Wali-wali syaitan أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ

Sebagaimana ada Wali Allah (kekasih dan pelindung Allah ﷻ), ada juga kebalikannya, iaitu Wali Syaitan (أولياء الشيطان). Istilah ini merujuk kepada orang-orang yang menjadi pengikut, sekutu, atau kekasih syaitan, yang berada di bawah pengaruh dan pimpinan syaitan. Dalilnya adalah ayat seperti Nisa’:76 

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ ۖ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا
“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Thaghut. Maka perangilah sekutu-sekutu (wali-wali) syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”

 

يُخرِجُهُم مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ

Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya.

Kelebihan kalau mendapat Allah ‎ﷻ sebagai pelindung adalah, Dia akan mengeluarkan orang yang beriman itu daripada segala kegelapan jenis kegelapan kepada cahaya kebenaran terutama sekali tauhid. Maka mereka tidak lagi akan melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat. Kalimah yang digunakan adalah يُخرِجُ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang bermakna ia berterusan.

Jenis kegelapan (الظُّلُمَاتِ) yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah kegelapan fizikal, tetapi adalah kegelapan spiritual, intelektual, dan moral. Ia merangkumi pelbagai bentuk kesesatan dan keburukan yang berlawanan dengan cahaya keimanan dan kebenaran. Jika Allah ﷻ menjadi wali, maka Allah ﷻ akan pelihara daripada kegelapan-kegelapan ini. Berikut adalah beberapa jenis kegelapan yang dimaksudkan:

1. Kegelapan Kekufuran dan Kesyirikan

    • Ini adalah kegelapan utama yang disebut dalam ayat tersebut. Orang-orang yang kafir, hatinya gelap daripada kebenaran tauhid. Mereka menyembah selain Allah ﷻ, tidak percaya kepada-Nya, atau menyekutukan-Nya.
    • Cahaya (النُّورِ – an-nūr) yang berlawanan dengannya adalah cahaya iman kepada Allah ﷻ yang Maha Esa.

2. Kegelapan Kebodohan (Kejahilan)

    • Kegelapan ini adalah akibat daripada tiadanya ilmu dan petunjuk Ilahi. Orang yang berada dalam kejahilan tidak tahu mana yang benar dan mana yang salah, hidup tanpa arah, dan tidak mengenal Penciptanya. Ini masalah yang banyak terjadi dengan masyarakat kita. Sampaikan mudah sahaja ditipu dengan syaitan, dengan guru yang sesat, dengan penipu-penipu dalam agama.
    • Cahaya yang berlawanan dengannya adalah ilmu dan petunjuk daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Maka hendaklah meluangkan masa untuk belajar agama dengan berpandukan kepada Al-Qur’an dan Sunnah.

3. Kegelapan Maksiat dan Dosa

    • Setiap dosa dan maksiat yang dilakukan akan meninggalkan noda hitam di hati, menjadikan hati itu gelap dan jauh daripada kebaikan. Semakin banyak dosa, semakin gelap hati seseorang. Dalilnya hadith yang mengatakan setiap kali kita buat dosa, Allah ﷻ akan berikan titik hitam pada hati pelaku dosa itu.
    • Cahaya yang berlawanan dengannya adalah ketaatan kepada Allah ﷻ, bertaubat, dan beramal soleh.

4. Kegelapan Keraguan dan Syak Wasangka

    • Apabila seseorang ragu-ragu tentang kebenaran Islam, tentang Allah ﷻ, atau tentang Hari Akhirat, hatinya akan berada dalam kegelapan yang tidak menentu, tanpa keyakinan yang kukuh.
    • Cahaya yang berlawanan dengannya adalah keyakinan (yaqin) yang teguh dan kejelasan hujah.

5. Kegelapan Kezaliman dan Ketidakadilan

    • Menzalimi diri sendiri dengan syirik dan maksiat, atau menzalimi orang lain dengan perbuatan tidak adil, akan membawa kepada kegelapan di dunia dan akhirat.
    • Cahaya yang berlawanan dengannya adalah keadilan, kebenaran, dan ihsan.

Digunakan perumpamaan cahaya di sini untuk mengajar kita bahawa sepertimana kita memerlukan cahaya untuk melihat jalan di dalam kegelapan, maka untuk melihat kebenaran juga memerlukan cahaya. Barulah tidak senang tertipu kerana ada banyak kesesatan dalam dunia ini. Walaupun agamanya Islam, tapi manusia berpecah kepada banyak firqah (kumpulan fahaman). Kalau tidak mendapat bimbingan dan petunjuk daripada Allah ﷻ tentulah kita boleh terkeliru dan terikut kumpulan yang sesat. Dalil perpecahan umat Islam adalah hadith yang masyhur,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أُمَّتِي مَا أَتَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ، حَتَّى إِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى أُمَّهُ عَلَانِيَةً لَكَانَ فِي أُمَّتِي مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ، وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً» قَالُوا: وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «مَا أَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَأَصْحَابِي»
Daripada Abdullah bin Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sungguh akan menimpa umatku apa yang telah menimpa Bani Israil, sama seperti anak panah dengan anak panah, hingga seandainya di antara mereka (Bani Israil) ada yang menzinai ibunya secara terang-terangan, nescaya akan ada di antara umatku yang melakukan hal itu. Dan sesungguhnya Bani Israil telah berpecah kepada tujuh puluh dua agama (milah), dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga agama (milah), semuanya di neraka kecuali satu golongan.” Para sahabat bertanya: “Siapakah golongan itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya pada hari ini.”

    • Diriwayatkan oleh: Imam At-Tirmidzi (dalam Sunannya, Kitab Al-Iman, Hadith No. 2641, dengan lafaz yang agak serupa), Imam Abu Dawud (dalam Sunannya, Kitab As-Sunnah, Hadith No. 4597), Ibnu Majah (dalam Sunannya, Muqaddimah, Hadith No. 3991), dan Imam Ahmad (dalam Musnadnya).
    • Status: Hadis ini dinilai Hasan oleh At-Tirmidzi dan Sahih oleh Syeikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah (No. 203) serta dalam Sahih Sunan At-Tirmidzi dan Sahih Sunan Abi Dawud. Lafaz yang menyebutkan “كلهم في النار إلا ملة واحدة” (semuanya di neraka kecuali satu golongan) dan ciri golongan yang selamat ( “ما أنا عليه اليوم وأصحابي” ) adalah tambahan yang diriwayatkan dalam jalur-jalur lain yang menguatkan hadis asal, dan diterima oleh ulama Ahlus Sunnah.

Perkataan الظُّلُماتِ itu dalam bentuk jamak (plural) yang bermaksud bermacam-macam jenis kegelapan. Lihatlah bagaimana perkataan النّورِ pula dalam bentuk singular – maknanya, kegelapan kufur ada banyak jenis, tetapi cahaya tauhid hanya ada satu sahaja, tidak ada yang lain. Entah berapa kesesatan yang kita sedang lihat sekarang di dalam dunia Islam. Ramai orang bijak pandai pun boleh terkeliru dengan fahaman yang salah dan akhirnya terpesong. Hanya kepada Allah ‎ﷻlah sahaja kita berharap menyelamatkan kita. Kerana itu ada diajar doa meminta Allah ‎ﷻ tunjukkan kebenaran dan tunjukkan kesesatan supaya kita mengelak daripadanya.

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ
“Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu benar, dan berikanlah kami kekuatan untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu batil, dan berikanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.”

Nota. Namun, perlu diketahui bahawa doa ini tidak ditemukan dalam kitab-kitab hadith utama dengan sanad yang sahih yang berasal langsung daripada Nabi Muhammad ﷺ. Meskipun begitu, ia sering disebut dan diajarkan oleh para ulama sebagai doa yang maknanya baik dan sesuai dengan ajaran Islam.

Perkataan يُخرِجُ itu adalah dalam bentuk present continuous tense, maksudnya Allah ‎ﷻ akan sentiasa melakukannya. Ini penting kerana walaupun kita telah beriman, namun sekali sekala kita akan ada masalah dengan iman kita kerana iman akan turun dan naik. Tambahan pula dalam zaman sekarang yang banyak gangguan dan pujukan dunia. Kalau ia turun pun, tidaklah ia sampaikan menjadikan orang itu kufur. Maka kalau kita beriman, Allah ‎ﷻ akan sentiasa menyelamatkan kita daripada masalah kita yang sekali sekala akan berlaku. Kita mungkin tersasar sekejap, tetapi Allah ‎ﷻ akan selamatkan kita balik. Allah‎ ﷻ akan tarik kita kembali ke jalan yang benar. Asalkan kita terus beriman dan mahu kepada kebenaran.

Dari segi bahasa, ‘wali’ adalah entiti yang ‘mahu’ melindungi seseorang. Dalam Al-Qur’an juga, ada disebut satu lagi perkataan daripada katadasar yang sama dengan wali, iaitu ‘mawla’. Apakah bezanya?

‘Wali’ bermaksud entiti yang ‘mahu’ melindungi dan menolong, sedangkan ‘mawla’ adalah entiti yang benar-benar boleh melindungi dan menolong. Bapa seorang perempuan juga selalu dikatakan sebagai wali. Ini adalah kerana bapa itu adalah pelindung perempuan itu dan dia memang mahu melindungi anaknya pun. Namun begitu, walaupun dia memang mahu melindungi, tetapi apabila datang sesuatu musibah, adakah setiap kali bapa itu dapat melindungi? Tentu tidak, kerana ada masanya bapanya pun tidak dapat membantu dan melindungi anaknya itu kerana ia adalah di luar kemampuannya, walaupun dia hendak sangat melindungi anaknya itu. Allah ‎ﷻ tidak mengalami masalah ini kerana Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja mampu kerana itu Allah ‎ﷻ sahaja mawla.

Kenapa diberi penerangan ini? Kerana dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia adalah wali kepada orang beriman dan wali kepada orang kafir adalah taghut. Jadi, dua-dua pihak ada wali tetapi nanti dalam surah yang lain, Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa orang-orang beriman ada ‘mawla’, tetapi orang kafir tidak ada ‘mawla’. Jadi, orang beriman akan mendapat kelebihan. Contohnya perhatikan Tawbah:51

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
“Katakanlah (Muhammad): ‘Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami (Mawlānā). Dan hanya kepada Allah sajalah hendaknya orang-orang mukmin bertawakal.'”

 

وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ

Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah taghut 

Pelindung mereka mereka yang kafir adalah taghut. Sebenarnya taghut itu tidak dapat melindungi mereka tetapi mereka sahaja yang sangka pelindung mereka adalah taghut itu. Taghut adalah apa sahaja yang menjauhkan manusia daripada Allah ‎ﷻ. Ini kita telah bincangkan di dalam ayat sebelum ini. Yang paling utama adalah syaitan seperti disebut di dalam Ali Imran:175

إِنَّما ذٰلِكُمُ الشَّيطٰنُ يُخَوِّفُ أَولِياءَهُ
Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik).

Apabila mengambil syaitan sebagai wali (tentunya tanpa sedar) maka syaitan-syaitan itu mengelabui mata mereka sampai menyebabkan mereka sangka apa yang mereka lakukan itu benar. Kerana itulah ramai yang buat perkara yang salah seperti syirik dan bid’ah tapi mereka sangka mereka itu melakukan amalan kebaikan. Allah ‎ﷻ telah berfirman tentang hal ini di dalam A’raf:30

فَريقًا هَدىٰ وَفَريقًا حَقَّ عَلَيهِمُ الضَّلٰلَةُ ۗ إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ مِن دونِ اللَّهِ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُّهتَدونَ
Sebahagian diberi-Nya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah, dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.

Dari segi susunan bahasa pun berbeza antara wali orang mukmin dan wali kepada orang kafir. Apabila disebut Allah ‎ﷻ sebagai wali, Allah ‎ﷻ disebut dahulu اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا (Allah ‎ﷻ menjadi mubtada’). Namun apabila disebut wali kepada orang kafir, orang kafir itu yang disebut dahulu – taghut itu hanya menjadi khabar sahaja. Tidaklah ia disusun begini: والطّٰغوتُ أَولِياؤُ الَّذينَ كَفَروا. Dalam susunan bahasa Arab, ada perbezaan dalam susunan ini yang tidak dapat difahami kalau kita hanya membaca terjemahan sahaja. Ini memerlukan sedikit pengetahuan tentang bahasa Arab untuk dapat memahaminya. Ini sudah termasuk dalam Ilmu Balaghah (pemahaman lebih dalam melihat daripada bahasa yang digunakan). Ringkasnya ia bermaksud mereka itu tidak layak disusun sama seperti kedudukan Allah ‎ﷻ yang diletakkan di awal ayat. Jikalau ia diletakkan di awal juga, seolah-olah kedudukannya sama pula dengan Allah ‎ﷻ dan tidak tentu tidak patut.

 

يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ

mereka (taghut) mengeluarkan mereka (orang-orang kafir) dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).

Taghut itu akan mengeluarkan pengikutnya daripada cahaya kepada kegelapan. Kalimah  yang digunakan adalah يُخرِجونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang memberi isyarat ia berterusan berlaku sepanjang zaman. Begitulah kadang-kadang manusia ada yang nampak kebenaran Islam, tetapi sekejap sahaja kerana syaitan akan menarik dan mengheret mereka ke dalam kegelapan semula. Bukan orang kafir sahaja ada masalah ini, tetapi orang yang mengaku Muslim pun ada yang mengalami masalah ini. Kalau dia seorang Islam pun, namun kalau dia menjadikan taghut sebagai wali, orang itu akan mengalami masalah ini. Sebab itu kita boleh lihat banyak sekali manusia yang telah dilahirkan dalam keluarga Islam tetapi kehidupan mereka tidak melambangkan agama yang suci ini.

Berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an, ciri-ciri Wali Syaitan adalah kebalikan daripada ciri-ciri Wali Allah:

    1. Kekufuran dan Kesyirikan: Mereka tidak beriman kepada Allah ‎ﷻ dengan keimanan yang benar, dan seringkali terjebak dalam syirik atau penyekutuan Allah ‎ﷻ.
    2. Fasiq dan Maksiat: Mereka cenderung melakukan dosa-dosa besar dan maksiat, serta tidak peduli dengan perintah dan larangan Allah ‎ﷻ.
    3. Mengikuti Hawa Nafsu: Mereka lebih mengutamakan hawa nafsu dan keinginan duniawi daripada petunjuk Allah ‎ﷻ.
    4. Mencegah Kebaikan dan Menganjurkan Kemungkaran: Berbeza dengan orang beriman yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, Wali Syaitan melakukan sebaliknya, atau setidaknya tidak peduli dengan hal tersebut.
    5. Bergantung kepada Selain Allah ‎ﷻ: Mereka mencari perlindungan, pertolongan, dan keberuntungan daripada selain Allah ‎ﷻ, termasuk syaitan atau apa yang disembah oleh syaitan.
    6. Memusuhi Kebenaran: Mereka memusuhi kebenaran yang datang daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya, serta memusuhi orang-orang yang beriman.

Perhatikan ayat ini: mengeluarkan daripada ‘cahaya’ ke arah kegelapan. Adakah ini bermakna mereka itu sudah ada cahaya dahulu? Ya, mungkin mereka itu sudah pernah Muslim akan tetapi kerana tertipu dengan dengan anasir-anasir yang tidak benar, maka mereka telah tertipu dan terkeluar daripada Islam dan murtad. Mereka sudah dapat cahaya, tetapi mereka pilih kegelapan.

Atau ia merujuk kepada setiap manusia itu sudah ada cahaya fitrah di dalam diri mereka. Sejak lahir lagi manusia ada cahaya keimanan akan tetapi manusialah yang memilih jalan kegelapan. Rasulullah ﷺ bersabda,

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.

(Riwayat Bukhari No. 1385)

Ada yang lahir di dalam keluarga kafir tetapi mereka menutup pintu hati mereka daripada kebenaran. Jadi walaupun mereka dengar tentang Islam, tetapi mereka tidak mengkaji Islam itu sampaikan mereka tidak menemui kebenaran. Mereka terus dengar kepada taghut yang terus menyesatkan mereka dan kekal di dalam agama ibu bapa mereka.

Asbabun Nuzul ayat ini: Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an (Tafsir Ath-Thabari) menukil riwayat daripada Said bin Jubair (salah seorang tabi’in besar) yang menyatakan bahawa ayat ini turun mengenai dua orang Ansar daripada Bani Harithah. Salah seorang daripada mereka bernama Abu Al-Haytham bin At-Tayyihan. Seorang lagi bernama Abu Habibah bin Al-Az’ar. Kisah ini menyebutkan bahawa Abu Al-Haytham dan Abu Habibah pergi mencari rezeki dan mencari ilmu. Mereka berinteraksi dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kedua-duanya pada asalnya adalah penyembah berhala sebelum Islam. Namun, ketika Nabi Muhammad ﷺ datang dan membawa risalah Islam, mereka berdua memeluk Islam. Setelah itu, mereka menjadi sangat bersemangat dalam beribadah dan mengikuti petunjuk Al-Qur’an dan Sunnah.

Menurut riwayat ini:

    • Abu Al-Haytham dan Abu Habibah, yang dulunya berada dalam kegelapan syirik (penyembahan berhala) dan kejahilan, telah dikeluarkan oleh Allah ‎ﷻ kepada cahaya Islam melalui petunjuk Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ.
    • Manakala orang-orang Yahudi dan Nasrani yang pada asalnya memiliki sedikit “cahaya” daripada kitab-kitab mereka (Taurat dan Injil) dan pengenalan terhadap ketuhanan, tetapi kemudian menolak kenabian Muhammad ﷺ dan terperangkap dalam kesesatan syirik dan penyelewengan (seperti yang dilakukan oleh sebahagian Yahudi dan Nasrani yang menyeleweng), telah dikeluarkan oleh thaghut (syaitan dan nafsu mereka) daripada cahaya yang mereka miliki menuju kegelapan yang lebih pekat.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

Mereka itulah ahli-ahli neraka,

Akhirnya mereka akan masuk ke dalam neraka. Mereka dapat ‘geran’ neraka. Digunakan istilah ini kerana الصحابي bermaksud لازم. Maksud لازم adalah sentiasa ada bersama dan tidak berpisah. Kerana itulah kawan baik kita disebut sahabat kerana sentiasa ada bersama kita.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Sekarang disebut dengan pasti yang mereka akan kekal dalam neraka. Mereka akan pegang geran neraka itu dan kekal di dalamnya. Mereka tidak akan keluar sampai bila-bila. Ini adalah satu nasib yang amat-amat malang sekali. Semoga kita diselamatkan daripada neraka. Maka janganlah kita melakukan sesuatu yang menyebabkan kita boleh kekal di dalamnya.

Sekian Ruku’ 34 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 256 (Tolak Taghut) Bahagian 2

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ

kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kesesatan

Fahaman tauhid ini sangat jelas kebenarannya sampai tidak perlu dipaksa manusia untuk masuk Islam. Sangat jelas yang petunjuk tauhid itulah yang benar, kalau dibandingkan dengan kesesatan syirik. Manusia yang sudah mempunyai Tauhid di dalam hatinya dan tidak dipesongkan oleh taghut (akan dijelaskan sebentar lagi) pasti akan beriman sepenuhnya. Oleh kerana Iman dan Islam ini sudah amat jelas, maka sepatutnya manusia masuk Islam tanpa mereka perlu dipaksa. Mereka yang tidak jelas itu adalah kerana mereka jahil tidak belajar. Maka hendaklah mereka itu belajar tafsir Al-Qur’an barulah jelas. Ataupun mereka mungkin sudah nampak tetapi mereka menutup hati mereka kepada Islam. Ini kerana mereka tetap hendak ikut hawa nafsu mereka.

Apabila tauhid sudah jelas, maka syirik itu juga jelas sepertimana juga apabila hitam telah jelas maka putih pun jelas. Namun kalau yang tidak belajar ilmu wahyu, mereka tidak akan tahu mana satu tauhid dan mana satu syirik. Oleh itu, apabila kita memberitahu tentang apakah akidah yang benar dan lawannya syirik, masyarakat Islam banyak yang menjadi keliru kerana tidak biasa mendengar tentangnya. Memang pembelajaran tentang Tauhid tidak kemas di negara kita kerana tidak diajar apakah syirik. Jadi ramai yang ada fahaman syirik dan mengamalkan amalan syirik kerana tidak tahu ia adalah syirik.

Nota: Ada banyak kalimat berbeza-beza yang digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menunjukkan makna ‘zahir’. Ini adalah kerana bahasa Arab ini amat kaya jadi semua kalimat itu walaupun diterjemahkan sebagai ‘menzahirkan’, akan tetapi ada perbezaan antara semuanya itu. Kita senaraikan di sini untuk perbandingan:

1. ظَهَرَ bermaksud luaran, yang senang nampak.; lawannya adalah بطن yang bermaksud ‘perut’, ‘dalaman’. Contohnya seperti Rum: 41.

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut

2. جَهْرً pula bermaksud terang jelas. Contohnya di dalam Baqarah: 55.

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”

Ia juga digunakan untuk suara yang jelas seperti ‘Solat Jahr’ untuk Subuh, Maghrib dan Isya’. Lihat juga contoh yang kedua adalah dalam Nisa’:148 yang berkenaan dengan suara,

لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ إِلّا مَن ظُلِمَ
Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang;

3. بَدَا bermaksud jelas kelihatan tanpa kerelaan orang itu. Ini seperti digunakan dalam An’am: 28

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ
bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Satu lagi contoh adalah di dalam A’raf:2 2

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما
Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya

Satu lagi contoh adalah Yusuf: 35

ثُمَّ بَدا لَهُم مِن بَعدِ ما رَأَوُا الآياتِ لَيَسجُنُنَّهُ حَتّىٰ حينٍ
Kemudian jelas pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

4. عُثِرَ digunakan apabila seseorang menipu dan kemudian dia telah tersilap cakap sampaikan kebenaran itu terserlah. Ini seperti digunakan dalam Maidah: 107

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا
Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,

5. تَّبَيَّن apabila sesuatu itu jelas apabila dibandingkan dengan sesuatu yang lain. Contohnya di dalam Baqarah: 256 (ayat yang kita bincangkan ini)

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Satu lagi contoh adalah di dalam An’am: 55

وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ
dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

6. حَصْحَصَ digunakan apabila sudah jelas apabila kebenaran telah timbul. Contohnya digunakan dalam Yusuf: 51

قالَتِ امرَأَتُ العَزيزِ الآنَ حَصحَصَ الحَقُّ أَنا راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ
Berkata isteri Al Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku),

7. تَجَلَّىٰ digunakan apabila sesuatu yang cantik dan terang benderang seperti digunakan dalam A’raf: 143

فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا
Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur

8. شرع digunakan apabila sesuatu itu jelas kelihatan seperti digunakan di dalam A’raf: 163

إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا
ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;

Perbezaan antara الرُّشدُ dan الهدى

Di dalam ayat ini digunakan kalimah الرُّشدُ yang selalu diterjemahkan sebagai hidayah, petunjuk, jalan yang benar dan lurus. Ia daripada kata dasar sama ر ش د yang bermaksud mengikut jalan yang benar, diberi hidayah dan petunjuk, arah yang benar, cara yang benar, akal yang dewasa, kemampuan untuk menangani urusan dengan baik.

Walau bagaimanapun terdapat satu lagi kalimah yang lebih kurang sama iaitu الهدى yang juga mempunyai maksud yang lebih kurang sama sahaja. Malah kalau digunakan الرُّشدُ ia juga bermaksud الهدى dan kalau digunakan الهدى ia juga boleh bermaksud الرُّشدُ. Namun, terdapat perbezaan halus pada makna dan konotasinya.

1. الرُّشدُ (Ar-Rusyd) – Kematangan, Kebijaksanaan, Jalan yang Benar & Lurus

Secara bahasa, Ar-Rusyd bermaksud kematangan, kedewasaan, kebijaksanaan, dan ketetapan hati dalam mengambil jalan yang benar. Ia juga merujuk kepada jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada kebaikan dan kebenaran. Ar-Rusyd lebih menekankan kepada ketepatan atau kejelasan jalan yang benar setelah dipertimbangkan dan diselidiki. Ia adalah lawan kepada al-ghayy (kesesatan, kebatilan, kegelapan, ketidakbijaksanaan).

Kalimah غَىِّ‌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘kesesatan’. Ia daripada kata dasar: غ و ي yang bermaksud tidak berfikir, tidak endah, tidak beri perhatian, tidak sengaja, tidak bertimbang rasa, tidak peduli, pelupa, perjalanan di dalam gelap, tersasar terlalu jauh, kegelapan, hitam yang amat sangat, bahagian awal dari masa muda, perut.

Apabila seseorang mendapat rusyd, ia bermaksud dia telah membuat pilihan yang tepat dan mengambil jalan yang betul, berdasarkan pemahaman yang jelas. Kadang-kadang, rusyd merujuk kepada petunjuk yang dicapai melalui akal dan pemikiran yang sihat, atau kebenaran yang jelas secara logik.

2. الهدى (Al-Huda) – Petunjuk, Bimbingan, Pimpinan

Secara bahasa, Al-Huda bermaksud petunjuk, bimbingan, atau pimpinan ke arah sesuatu. Ia adalah lawan kepada adh-dhalal (kesesatan, kehilangan arah). Al-Huda seringkali merujuk kepada petunjuk yang datang langsung daripada Allah ‎ﷻ melalui wahyu (kitab suci dan rasul-Nya). Ia adalah cahaya yang membimbing manusia keluar daripada kegelapan. Al-Huda juga boleh merangkumi hidayah taufik, iaitu kemampuan atau keizinan daripada Allah ‎ﷻ untuk menerima dan mengikuti petunjuk tersebut. Tanpa hidayah daripada Allah ‎ﷻ, seseorang tidak akan dapat menemukan jalan yang benar.

 

فَمَن يَكفُر بِالطّٰغوتِ

Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada taghut,

Yang enggan memeluk agama ini pada hakikatnya terbawa oleh rayuan thaghut, sedangkan yang memeluknya adalah yang ingkar dan menolak ajakan thaghut, dan mereka itulah orang-orang yang memiliki pegangan yang kukuh. Maka untuk mendapat iman yang sebenar, kena ditolak taghut itu. Kalimah يَكفُر itu bermaksud tolak.

Kalimah طَّـٰغُوتِ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘yang disembah selain Allah’. Ia daripada kata dasar ط غ ي yang bermaksud melebihi batas, keluar dari orbit, melepasi kawasan, naik tinggi, marah, sesat, nakal, melawan, sangat jahat, tidak adil dan lain-lain. Oleh itu taghut itu bermaksud segala apa yang dipuja selain daripada Allah ‎ﷻ. Tidak kira apa benda pun. Asalnya ia adalah syaitan tetapi ia kemudian boleh jadi manusia, kerajaan, fahaman, wang dan sebagainya. Orang yang beriman akan menolak taghut itu. Mereka tidak akan sembah, taat dan ikut selain daripada Allah ‎ﷻ. Kalimah taghut ada disebut sebanyak tujuh kali di dalam Al-Qur’an, antaranya di dalam Nisa’: 51

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ يُؤمِنونَ بِالجِبتِ وَالطّٰغوتِ
Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian daripada Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain daripada Allah, dan kepada Taghut,

Thaghut berasal daripada kata tagha’ (طغى) yang bermaksud melampaui batas. Dalam konteks syariat, Thaghut adalah segala sesuatu yang disembah, ditaati, atau diikuti selain Allah ‎ﷻ, dalam keadaan ia (taghut) redha atau memerintahkan untuk disembah, ditaati, atau diikuti, melampaui batas yang ditetapkan Allah ‎ﷻ.

Thaghut merujuk kepada segala bentuk penyimpangan daripada penyembahan kepada Allah ‎ﷻ semata. Ia adalah kepala kesesatan yang mengajak manusia kepada selain Allah ‎ﷻ. Ia boleh jadi syaitan, berhala, manusia, atau apa sahaja yang dijadikan objek ketaatan atau penyembahan selain Allah ‎ﷻ. Jadi taghut ini boleh merujuk kepada banyak benda.

 

Jenis-Jenis Thaghut

Para ulama Islam telah menghuraikan pelbagai jenis Thaghut berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah. Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutkan Thaghut itu banyak, dan ketua mereka ada lima:

1. Syaitan yang mengajak manusia untuk menyembah selain Allah ﷻ: Ini adalah Thaghut yang paling utama dan sumber segala kesesatan. Syaitan sentiasa membisikkan manusia untuk kufur dan berbuat syirik. Allah ﷻ berfirman di dalam Yaasin: 60

أَلَم أَعهَد إِلَيكُم يٰبَني ءآدَمَ أَن لّا تَعبُدُوا الشَّيطٰنَ ۖ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

2. Penguasa zalim yang mengubah hukum Allah ﷻ: Ini adalah pemimpin atau pemerintah yang tidak berhukum dengan apa yang Allah ﷻ turunkan, dan dia memerintahkan rakyatnya untuk mengikuti hukum-hukum ciptaan manusia yang bertentangan dengan syariat Allah ﷻ. Mereka menjadikan diri mereka sebagai pembuat hukum yang setara dengan Allah ﷻ. Perhatikan firman Allah ﷻ di dalam Nisa’: 60

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ يَزعُمونَ أَنَّهُم ءآمَنوا بِما أُنزِلَ إِلَيكَ وَما أُنزِلَ مِن قَبلِكَ يُريدونَ أَن يَتَحاكَموا إِلَى الطّٰغوتِ وَقَد أُمِروا أَن يَكفُروا بِهِ
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Qur’an yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu.

3. Orang yang berhukum (membuat keputusan) bukan dengan apa yang Allah ﷻ turunkan: Ini boleh jadi hakim, kadi, atau siapa saja yang memiliki autoriti untuk memutuskan perkara di antara manusia, tetapi dia memilih untuk berhukum dengan undang-undang buatan manusia yang bertentangan dengan syariat Allah ﷻ, meskipun dia mengetahui hukum Allah.

4. Orang yang mengaku mengetahui ilmu ghaib selain Allah ﷻ: Ini termasuk dukun, tukang tilik, ahli nujum, ahli sihir, atau siapa saja yang mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti masa depan, nasib, atau berita dari alam ghaib, kerana ilmu ghaib mutlak adalah milik Allah ﷻ semata. Sedangkan Allah ﷻ telah berfirman di dalam Naml: 65

قُل لّا يَعلَمُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ الغَيبَ إِلَّا اللهُ
Katakanlah: “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah”,

5. Sesiapa yang disembah selain Allah ﷻ dan dia redha dengan penyembahan itu: Ini termasuk individu yang angkuh dan sombong yang rela atau bahkan meminta agar dirinya disembah atau dijadikan tuhan selain Allah ﷻ. Contohnya seperti Firaun. Manusia biasa yang dijadikan objek penyembahan, baik ketika hidup mahupun setelah mati, termasuk dalam kategori ini jika mereka redha atau menyerukan kepada penyembahan tersebut. Dalilnya di dalam Saba’: 40-41

وَيَوۡمَ يَحۡشُرُهُمۡ جَمِيعًا ثُمَّ يَقُولُ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ أَهَـٰٓؤُلَآءِ إِيَّاكُمۡ ڪَانُواْ يَعۡبُدُونَ (٤٠) قَالُواْ سُبۡحَـٰنَكَ أَنتَ وَلِيُّنَا مِن دُونِهِمۖ بَلۡ كَانُواْ يَعۡبُدُونَ ٱلۡجِنَّۖ أَڪۡثَرُهُم بِہِم مُّؤۡمِنُونَ (٤١)
Dan (ingatkanlah) apabila Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Dia bertanya kepada para malaikat: Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu dahulu? (40) Malaikat menjawab: Maha Suci Engkau (daripada adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada hubungan daripada pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah jin syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada jin syaitan itu. (41)

Ini menunjukkan para malaikat tidak redha disembah. Adapun yang redha adalah taghut seperti syaitan.

Selain itu, ada lagi pembahagian Thaghut kepada tiga jenis utama berdasarkan aspek bagaimana ia ditaati atau disembah selain Allah ﷻ. Pembahagian ini adalah tafsiran dan klasifikasi untuk memudahkan pemahaman mengenai konsep Thaghut. Tiga jenis Thaghut tersebut adalah:

    • Ma’bud (المعبود): Ini adalah Thaghut yang disembah selain Allah ﷻ. Ia merujuk kepada segala sesuatu yang dijadikan objek ibadah, pujaan, atau sembahan selain Allah ﷻ. Ini termasuklah berhala, patung, kubur-kubur yang disembah, jin, syaitan, matahari, bulan, bintang, dan juga manusia yang disembah atau redha disembah (seperti Firaun). Contoh: Orang yang menyembah berhala batu.
    • Muta’ (المطاع): Ini adalah Thaghut yang ditaati selain Allah ﷻ dalam perkara yang bertentangan dengan syariat Allah ﷻ. Ia merujuk kepada pemimpin, penguasa, hakim, atau individu lain yang ditaati secara mutlak dalam perintah atau larangan yang jelas-jelas menyalahi hukum Allah ﷻ, seolah-olah dia memiliki hak untuk membuat hukum di samping Allah ﷻ. Contoh: Penguasa yang membuat undang-undang yang menghalalkan perkara haram atau mengharamkan perkara halal, dan rakyat mentaatinya. Atau orang yang taat kepada syaitan dalam melakukan maksiat.
    • Muttaba’ (المتَّبَع): Ini adalah Thaghut yang diikuti selain Allah ﷻ dalam perkara yang bukan syariat Allah ﷻ dan bukan pula petunjuk daripada Allah ﷻ. Ia merujuk kepada individu atau ajaran yang diikuti secara membabi buta, tanpa hujah daripada Al-Qur’an dan Sunnah, sehingga meninggalkan petunjuk Allah ﷻ. Ini termasuklah:
    • Dukun, tukang sihir, peramal: Orang-orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan diikuti atau dipercayai dalam urusan ghaib.
    • Orang yang membuat syariat baru: Individu yang mencipta ajaran atau cara hidup yang tidak ada dasarnya dalam Islam dan mengajak orang untuk mengikutinya sebagai satu agama atau jalan hidup. Ini termasuklah golongan agama yang reka fahaman dan ibadah yang baru (bid’ah). Ini ramai dalam kalangan orang kita yang hanya ikut sahaja tanpa dalil.
    • Hawa nafsu yang diikuti secara melampau: Hawa nafsu yang mendorong seseorang untuk melakukan dosa dan melanggar perintah Allah ﷻ.
    • Contoh: Orang yang mempercayai ramalan nasib daripada dukun dan mengikutinya, atau orang yang mengikuti tradisi sesat nenek moyang secara membabi buta.

 

وَيُؤمِن بِاللَّهِ

dan dia pula beriman kepada Allah, 

Setelah menolak taghut, kita kena benar-benar beriman dengan Allah ‎ﷻ. Itulah ‘iman yang sempurna’ iaitu tidak menyembah dan taat kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Ini penting kerana manusia ada yang beriman dengan Allah ‎ﷻ, namun dalam masa yang sama, mereka beriman dengan ilah-ilah yang lain lagi. Iman yang sempurna adalah seperti disebut di dalam An’am: 82

الَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يَلبِسوا إيمٰنَهُم بِظُلمٍ أُولٰئِكَ لَهُمُ الأَمنُ وَهُم مُّهتَدونَ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Sedangkan iman yang tidak diiktiraf kerana ada bercampur dengan syirik adalah seperti disebut di dalam Yusuf: 106.

وَما يُؤمِنُ أَكثَرُهُم بِاللهِ إِلّا وَهُم مُشرِكونَ
Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain).

Inilah orang-orang yang beriman kepada Allah ﷻ, para malaikat, kitab-kitab dan lain-lain lagi rukun iman; namun di dalam masa yang sama mereka percaya kepada bomoh, mereka minta tolong kepada wali yang mati di dalam kubur, mereka melakukan ibadah kepada selain Allah ﷻ, mereka bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat dan banyak lagi kepercayaan lain yang tidak berlandaskan kepada wahyu. Mereka ini mencampurkan Tauhid dengan syirik tanpa mereka sedari ianya salah.

Lihatlah susunan ayat ini. Mulanya Allah ﷻ sebut يَكفُر بِالطّٰغوتِ dan kemudian barulah disebut وَيُؤمِن بِاللَّهِ. Maka sebelum beriman, kena tolak taghut dahulu barulah sempurna beriman dengan Allah ‎ﷻ. Macam kalimah la ilaaha illallah – kena tolak ilah selain Allah ‎ﷻ dahulu. Dalam istilah disebut kena nafi dahulu sebelum ithbat. Selepas sudah tolak, barulah kita terima masuk iman itu. Begitulah kalau kita hendak memasukkan air ke dalam gelas, kita kena pastikan yang gelas itu bersih daripada kekotoran dahulu. Jangan terus masukkan air yang baru kerana itu akan menyebabkan air itu akan bercampur dengan kekotoran yang sudah ada.

Maknanya, kena ada takhalli (تخلّي) dan tahalli (تحلّي). Secara bahasa, takhalli berasal daripada kata “خلى” yang bermaksud mengosongkan, meninggalkan, atau melepaskan. Secara bahasa, tahalli berasal daripada kata “حلّى” yang bermaksud menghiasi, mengisi, atau memakai perhiasan. Malangnya, masyarakat Islam kita sekarang banyak yang mencampur adukkan iman dan fahaman syirik. Ini adalah kerana mereka itu jahil dengan wahyu dan tidak dapat membezakan mana tauhid dan mana syirik. Kerana itu kita kena ajak umat Islam mempelajari tafsir dan membiasakan diri dengan tadabbur Al-Qur’an.

 

فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها

sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus.

Kalimah ٱستَمسَكَ adalah dalam bentuk fi’il madhi dan ia bermaksud ‘telah menggenggam’. Ia daripada kata dasar: م س ك yang bermaksud simpan, menahan, kedekut, memegang sesuatu dengan kuat, menangkap sesuatu, memegang dengan tangan, bijak dalam membuat keputusan. .

Kalimah عُروَةِ bermaksud sesuatu yang boleh dipegang. Ia daripada kata dasar: ع ر و yang bermaksud datang kepada seseorang, ditimpa, meliputi, menghentam, dikenakan, sokongan, pegangan, kekal, harta yang berharga. Ini macam stereng kereta pun boleh dikatakan sebagai salah satu عُروَةِ juga kerana kita pegang padanya. Ia selalu digunakan dalam bahasa Arab untuk merujuk kepada tali yang digunakan untuk menimba air. Ia memberi gambaran sesuatu yang diperlukan kerana air memang kita perlukan sangat.

Kemudian Allah ﷻ gunakan kalimah الوُثقىٰ (simpulan). Ia daripada kata dasar و ث ق yang bermaksud meletakkan kepercayaan kepada seseorang, bergantung kepada seseorang, ikatan atau simpulan. Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan tali itu disimpul kuat sampaikan boleh dipegang. Begitulah dalam keadaan yang bergolak, seperti kapal yang dilanda badai lautan, kita kena pegang kepada sesuatu yang boleh meneguh dan menyelamatkan kita. Antaranya adalah tali tetapi tali yang boleh dipegang mestilah yang ada simpul, baru senang dipegang.

Apakah yang dimaksudkan dengan العُروَةِ الوُثقىٰ? Secara umumnya ia adalah inti atau asas kepada keimanan dan petunjuk yang kukuh yang menyelamatkan seseorang dari kesesatan. Namun jikalau kita hendak nyatakan secara spesifik, antara tafsiran yang masyhur adalah:

    1. Kalimah Tauhid (Laa Ilaha Illallah): Ini adalah tafsiran yang paling umum dan kuat. Memegang teguh kalimah tauhid yang menafikan segala bentuk penyembahan selain Allah ﷻ dan hanya mengesakan-Nya adalah pegangan terkuat yang tidak akan pernah putus. Namun kenalah faham apakah maksudnya dan bagaimana ia dipegang dan diamalkan.
    2. Iman: Secara umum, ia merujuk kepada iman yang sebenar, yang bersih dari syirik dan kemunafikan. Apabila seseorang benar-benar beriman, hatinya akan tenang dan ia akan berada di atas jalan yang benar. Akan tetapi persoalannya, adakah iman kita sempurna? Iman yang sempurna adalah iman tanpa syirik. Oleh itu kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik.
    3. Islam: Sebahagian ulama menafsirkan Al-‘Urwah al-Wuthqā sebagai agama Islam itu sendiri, iaitu penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah ﷻ dan mengamalkan syariat-Nya.
    4. Al-Qur’an: Al-Qur’an adalah petunjuk yang jelas daripada Allah ﷻ, dan berpegang teguh kepadanya adalah seperti berpegang pada tali yang kuat yang tidak akan menyesatkan. Maknanya kita kena berpegang dengan Al-Qur’an. Maka, kenalah belajar sampai habis tafsir Al-Qur’an ini dan terus mempelajari dan mendalami pemahamannya. Ia mesti selalu dibaca dan dirujuk di dalam kehidupan seharian. Kalau baca tetapi tidak faham (seperti ramai orang kita lakukan), adakah Al-Qur’an boleh menjadi العُروَةِ الوُثقىٰ kepadanya? Tentu tidak sama sekali.

Hendaklah pegang betul-betul dan kuat-kuat kerana kalimah yang digunakan adalah استَمسَكَ. Apabila ditambah huruf س dan ت, maka ia menambah kekuatan dan makna kepada sesuatu kalimah itu. Kalimah yang biasa adalah مسك sahaja. Kenapa kena kuat, kerana gangguan daripada taghut pun kuat juga, bukan main-main punya. Apa yang dipegang mestilah sesuatu yang amat kuat sampaikan tidak putus. Kerana itu dikatakan لَا انفِصامَ (tidak akan putus). Ia daripada kata dasar: ف ص م yang bermaksud mematahkan atau memutuskan, meretakkan tanpa putus. Ia penting kerana kalau kita pegang tali dengan kuat, tetapi tali yang dipegang itu pun senang putus pun tidak berguna juga.

Orang yang menolak taghut dan betul-betul beriman dengan Allah ﷻ akan teguh imannya dan tidak goyah. Tidaklah senang disesatkan dengan fahaman-fahaman mengarut. Tidaklah terikut-ikut dengan amalan dan fahaman yang tidak bersumberkan daripada wahyu. Tidaklah dia terikut-ikut dengan trend semasa. Contohnya apabila ramai orang ikut golongan Habib, tidaklah dia pun tiba-tiba memakai rida’ di bahu pula. Tidaklah dia sibuk hendak memakai logo capal merata-rata. Contoh mereka yang teguh imannya dan tidak goyah adalah seperti ahli-ahli sihir di zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Walaupun mereka diancam bunuh oleh Firaun, mereka tidak kisah. Perhatikan kisah ini dalam Taha: 71-73

قَالَ ءَامَنتُمۡ لَهُ ۥ قَبۡلَ أَنۡ ءَاذَنَ لَكُمۡ‌ۖ إِنَّهُ ۥ لَكَبِيرُكُمُ ٱلَّذِى عَلَّمَكُمُ ٱلسِّحۡرَ‌ۖ فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيۡدِيَكُمۡ وَأَرۡجُلَكُم مِّنۡ خِلَـٰفٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمۡ فِى جُذُوعِ ٱلنَّخۡلِ وَلَتَعۡلَمُنَّ أَيُّنَآ أَشَدُّ عَذَابًا وَأَبۡقَىٰ (٧١) قَالُواْ لَن نُّؤۡثِرَكَ عَلَىٰ مَا جَآءَنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَـٰتِ وَٱلَّذِى فَطَرَنَا‌ۖ فَٱقۡضِ مَآ أَنتَ قَاضٍ‌ۖ إِنَّمَا تَقۡضِى هَـٰذِهِ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَآ (٧٢) إِنَّآ ءَامَنَّا بِرَبِّنَا لِيَغۡفِرَ لَنَا خَطَـٰيَـٰنَا وَمَآ أَكۡرَهۡتَنَا عَلَيۡهِ مِنَ ٱلسِّحۡرِ‌ۗ وَٱللَّهُ خَيۡرٌ وَأَبۡقَىٰٓ (٧٣)
Firaun berkata: Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dialah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal. (71) Mereka menjawab: Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami daripada mukjizat-mukjizat yang terang nyata dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja. (72) Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkan-Nya kesalahan-kesalahan kami dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahala-Nya. (73)

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Ini satu lagi sifat Allah ‎ﷻ yang Dia beritahu kepada kita. Dia Maha Mendengar segalanya. Kita pun mendengar juga, tetapi tidaklah pendengaran kita seperti pendengaran Allah ‎ﷻ. Kalau orang jauh sedikit, kita pun sudah tidak dengar.

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apa sahaja yang kita lakukan. Maka kita kena sedar dan berhati-hati dengan kata-kata kita kerana Allah ‎ﷻ tahu. Kalau kata-kata dan perbuatan kita itu salah, maka Allah ‎ﷻ akan buat penilaian dan buat pembalasan di akhirat kelak.

Satu lagi tafsir kalau kita kita gabungkan dua sifat Allah سَميعٌ عَليمٌ ini. Ia khusus merujuk kepada tauhid dalam berdoa. Kita hendaklah hanya berdoa kepada Allah ﷻ sahaja kerana hanya Dia yang maha mendengar doa kita. Malah hanya Dia yang boleh beri apa yang kita hajati dan perlukan kerana Dia yang maha tahu apa yang baik untuk kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 256 (Tiada paksaan dalam agama) Bahagian 1

MASUK ISLAM TANPA PAKSAAN

Baqarah Ayat 256: Hati yang ikut fitrahnya akan mudah sahaja untuk menerima iman yang sempurna dan kenal Allah ﷻ seperti disebut di dalam Ayat Kursi sebelum ini. Sebelum ini telah disebut kekuasaan Allah ﷻ. Mungkin ada yang berkata, dengan kekuasaan Allah ﷻ itu tentu Allah ﷻ akan paksa sahaja manusia beriman. Maka Allah ﷻ tolak sangkaan itu di dalam ayat ini.

لٓا إِكراهَ فِي الدّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ ۚ فَمَن يَكفُر بِالطّٰغوتِ وَيُؤمِن بِاللَّهِ فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
There shall be no compulsion in [acceptance of] the religion. The right course has become clear from the wrong. So whoever disbelieves in Taghut and believes in Allah has grasped the most trustworthy handhold with no break in it. And Allah is Hearing and Knowing.

MALAY
Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

لٓا إِكراهَ فِي الدّينِ

Tidak ada paksaan dalam ugama

Selepas Allah ‎ﷻ memberitahu Sifat-sifat-Nya, Allah ‎ﷻ sekarang Allah ﷻ memberitahu yang tidak ada paksaan dalam agama. Kalimah إِكرَاهَ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘paksaan’. Ia daripada kata dasar sama ك ر ه yang bermaksud sesuatu yang sukar, tidak disukai, dibenci, tidak rela. Kita biasa gunakan istilah ini dalam kalimah makruh (tidak disukai). Memang kalau dipaksa, kita tidak suka, bukan?

Kenapa tidak boleh paksa orang lain masuk Islam? Tidakkah ia sesuatu yang amat penting dalam hidup kita? Kalau ada orang sakit dan dia perlu makan ubat untuk sihat, tentu kita akan paksa dia makan ubat, bukan? Kalau anak tidak mahu pergi ke sekolah pun kita akan paksa dia, bukan? Nah, takkan agama tidak penting kerana ia menyelamatkan manusia di dunia dan lebih penting lagi di akhirat! Allah ‎ﷻ tidak mahu manusia beriman kepada-Nya jika di atas dasar paksaan. Ini kerana iman adalah perkara hati dan hati itu tidak boleh dipaksa oleh manusia lain. Yang kena paksa masuk Islam ini, dan katakanlah mereka mengaku masuk Islam, ia adalah seumpama telur yang luarnya nampak cantik tetapi di dalamnya sudah busuk iaitu telur tembelang.

Kita kena tahu syarat iman itu diterima. Iman harus ada unsur hubb (cinta) dan ta’dzim (pengagungan/penghormatan). Kedua-dua ini adalah tunjang utama yang menjadikan iman itu hidup, tulus, dan berbuah amal soleh.

1. Hubb (Cinta)

Cinta adalah elemen fundamental dalam keimanan. Ia bukan sekadar pengakuan lisan, tetapi perasaan kasih sayang yang mendalam yang mendorong seseorang untuk taat dan mendekatkan diri kepada yang dicintai. Cinta kepada Allah ﷻ adalah puncak segala cinta. Seorang mukmin mencintai Allah ﷻ melebihi segala-galanya. Cinta ini akan melahirkan:

    • Ketaatan: Seseorang yang benar-benar mencintai Allah ﷻ akan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ketaatan itu datang daripada kerelaan dan kegembiraan, bukan paksaan atau beban.
    • Keinginan untuk Mendekat: Cinta mendorong untuk sentiasa mengingati Allah ﷻ (zikir), bermunajat kepada-Nya (doa), dan melakukan ibadah yang disyariatkan.
    • Redha dengan Takdir: Cinta kepada Allah ﷻ juga membuat hati redha dengan segala ketentuan-Nya, baik suka mahupun duka, kerana yakin itu adalah yang terbaik daripada Kekasihnya.
    • Cinta kepada Rasulullah ﷺ: Cinta kepada Allah ﷻ secara tidak langsung melahirkan cinta kepada Rasulullah ﷺ. Ini kerana Rasulullah ﷺ adalah utusan Allah ﷻ, dan melalui bagindalah ajaran Allah ﷻ disampaikan kepada kita. Cinta ini mendorong kita untuk meneladani baginda dan mencintai sunnahnya.

Dalil: Firman Allah ﷻ dalam Surah Baqarah: 165:

وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ
“Dan orang-orang yang beriman itu amat sangat cintanya kepada Allah.”

2. Ta’dzim (Pengagungan / Penghormatan)

Ta’dzim bermaksud mengagungkan, memuliakan, dan menghormati. Ia adalah perasaan takzim dan hormat yang mendalam yang lahir daripada kesedaran akan kebesaran dan kekuasaan Allah ﷻ. Pengagungan kepada Allah ﷻ bermaksud rasa takjub, tunduk, dan rendah diri di hadapan kebesaran Allah ﷻ. Ia melahirkan:

    • Rasa Takut (Khauf) dan Harap (Raja’): Takut kepada azab-Nya dan berharap kepada rahmat-Nya, yang kedua-duanya didasari oleh pengagungan akan kekuasaan-Nya.
    • Penyempurnaan Ibadah: Ketika solat, misalnya, perasaan ta’dzim membuat seseorang khusyuk, menyedari bahawa dia sedang berhadapan dengan Raja segala raja.
    • Menjauhi Maksiat: Pengagungan kepada Allah ﷻ membuat seseorang malu dan takut untuk melanggar perintah-Nya, kerana itu bermakna tidak menghormati kebesaran-Nya.
    • Pengagungan Syariat Allah: Ta’dzim juga meluas kepada pengagungan terhadap apa saja yang diagungkan oleh Allah ﷻ, seperti Al-Qur’an, Rasulullah ﷺ, syiar-syiar Islam, dan rumah Allah ﷻ (Ka’bah).

Dalil: Firman Allah ﷻ dalam Fath: 9

لِّتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ وَتُسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
“Agar kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan (agama)Nya dan mengagungkan-Nya, dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang.”

(Kata تُوَقِّرُوهُ di sini membawa makna ta’dzim atau penghormatan yang mendalam).

Hubungan Hubb dan Ta’dzim dengan Iman

  • Saling Melengkapi: Hubb dan ta’dzim adalah seumpama dua sisi mata wang yang sama dalam iman. Cinta tanpa pengagungan mungkin menjadi manja atau tidak serius. Pengagungan tanpa cinta mungkin menjadi kosong dan tanpa roh. Keduanya harus ada untuk iman yang sempurna.
  • Motivasi Amal: Cinta (hubb) adalah motif untuk melakukan kebaikan, sementara pengagungan (ta’dzim) adalah motif untuk meninggalkan keburukan.
  • Iman yang Hidup: Iman yang hanya diucapkan di lisan atau dipercayai di hati tanpa disertai cinta dan pengagungan adalah iman yang mati atau lemah. Iman yang sejati meresap ke dalam jiwa dan terpancar melalui perilaku yang penuh kasih dan hormat kepada Allah ﷻ.

Lagi satu, kenapa Allah ﷻ perlu paksa manusia beriman, sedangkan Dia tidak memerlukan pun iman kita. Kita beriman atau tidak pun tidak menambah atau mengurangkan keagungan Allah ﷻ. Kita yang perlu kepada iman, bukannya Allah ﷻ. Seandainya Allah ﷻ mahu semua makhluk beriman, tidak ada yang menentang, boleh sahaja Dia buat. Maknanya bukanlah Allah ﷻ tidak boleh buat. Banyak kali Allah ﷻ berfirman tentang hal ini seperti disebut di dalam Maidah: 48

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً وٰحِدَةً وَلٰكِن لِّيَبلُوَكُم في ما ءآتٰكُم
Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu

Lagi pun telah diberitahu sebelum ini tentang kelebihan Allah ﷻ di dalam Ayat Kursi. Kalau selepas diberitahu sifat-Nya sebegitu hebat, tetapi masih tidak mahu beriman, tidak ada gunanya untuk memaksa sesiapa. Sepatutnya selepas tahu sifat Allah ‎ﷻ, siapakah Allah ‎ﷻ itu, manusia kena datang taat kepada Allah ‎ﷻ dengan rela.

Dari segi nahu bahasa Arab, apabila kalimah لا dan selepasnya kalimah dalam bentuk nakirah dan berbaris fatrah (baris atas) seperti kalimah إِكراهَ ini, maka ia hendak menafikan keseluruhan jenis. Maknanya tidak ada langsung apa-apa paksaan untuk masuk Islam. Memang tidak boleh paksa sesiapa pun untuk masuk agama Islam. Tidak boleh tangkap orang dan suruh mereka mengucap. Tidak ada gunanya kalau iman itu dipaksa. Maknanya, bukan dia beriman pun. Mereka akan jadi orang munafik dan mereka itu tidak memberi nilai kepada Islam; malah mereka akan melemahkan Islam dari dalam dan musuh dalam selimut. Allah ﷻ tidak memerlukan iman yang dipaksa; Allah ﷻ mahukan keikhlasan. Perhatikan penjelasan orang munafik di dalam Munafiqun: 4

وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ ۖ وَإِن يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ ۖ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ ۖ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ ۚ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ ۚ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ ۖ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ
“Dan apabila engkau melihat mereka, tubuh mereka mengagumkanmu. Dan jika mereka berkata, engkau mendengar perkataan mereka. Mereka seolah-olah kayu yang tersandar. Mereka mengira setiap teriakan ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka berhati-hatilah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai berpaling (daripada kebenaran)?”

Namun apabila telah masuk agama Islam, mereka boleh dipaksa dalam perkara-perkara hukum. Maka kita kena bezakan dua jenis paksaan ini. Perumpamaan kalau sudah masuk sekolah, kena taat kepada guru. Selagi belum masuk sekolah, guru tidak boleh paksa pelajar itu untuk masuk kelas atau mendendanya untuk mengutip sampah yang berselerakan di padang. Akan tetapi apabila pelajar sekolah itu sudah mula belajar di sekolah itu, maka guru-guru boleh memaksa pelajar itu untuk melakukan sesuatu kerana telah ada perjanjian daripada pelajar itu untuk taat kepada guru. Sememangnya pelajar kena ikut undang-undang sekolah.

Oleh kerana itu tidak boleh paksa sesiapa pun masuk Islam tetapi apabila sudah masuk Islam, ada undang-undang yang perlu ditaati. Jangan pula bila kita suruh anak kita solat, dia jawab tidak boleh paksa solat pula, siap bagi ayat ini pula nanti. Atau ada yang kata tidak boleh paksa menggunakan Hukum Hudud kerana ‘tidak ada paksaan dalam agama’. Itu adalah fahaman yang keliru dan separuh masak sahaja. Apabila sudah masuk Islam, maka kewajipan beramal dengan undang-undang suruh dalam Islam sudah menjadi wajib bagi orang itu. Sebagai contoh, ibu bapa boleh memaksa anaknya solat seperti yang diajar,

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ»
Daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika enggan) ketika mereka berusia sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka.”

Hadith ini diriwayatkan oleh:

    • Imam Abu Dawud dalam Sunannya (Kitab Ash-Shalah), Nombor 495
    • Imam At-Tirmidzi dalam Sunannya (Kitab Ash-Shalah), Nomor 407.
    • Imam Ahmad dalam Musnadnya.
    • Hadith ini dinilai hasan oleh Imam At-Tirmidzi dan disahihkan oleh beberapa ulama seperti Imam Al-Hakim, Syeikh Al-Albani, dan lainnya.

 

Islam disebarkan dengan pedang? 

Mungkin ada hujah yang kata bukankah Islam mengembangkan agama dengan pedang? Ini kerana mereka baca dalam sejarah, umat Islam banyak menjalankan jihad perang semenjak zaman Nabi Muhammad ﷺ lagi. Kalau ada yang berkata begitu, mereka telah mendapat maklumat yang salah tentang peperangan dalam Islam. Nabi Muhammad ﷺ dan Islam tidak pernah memaksa manusia masuk Islam. Nabi ﷺ berperang untuk menegakkan keadilan. Agama Islam menjalankan jihad perang untuk membebaskan rakyat yang ditindas, bukannya memaksa mereka masuk Islam. Ini kerana mereka telah melakukan kerosakan di bumi dan Allah ﷻ tidak suka seperti disebut di dalam Maidah: 64

وَيَسعَونَ فِي الأَرضِ فَسادًا ۚ وَاللهُ لا يُحِبُّ المُفسِدينَ
dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan

Jihad dijalankan untuk membuka jalan untuk dakwah. Ini adalah kerana yang selalu menghalang dakwah Islam sampai adalah para pemimpin mereka, maka mereka itu yang mesti ditentang supaya dakwah Islam boleh sampai. Namun selepas negara itu dibebaskan daripada cengkaman pemerintah zalim, kerajaan Islam tidak memaksa rakyat negara itu beriman. Terpulang kepada mereka sama ada hendak beriman atau kekal dalam agama asal mereka. Islam tidak memerlukan manusia masuk Islam dalam paksaan. Allah ‎ﷻ mahu hamba-Nya yang ikhlas hati menyembah dan taat kepada-Nya. Buktinya, kita boleh lihat dalam sejarah. Memang ramai yang masuk Islam selepas negara mereka dibebaskan tetapi selepas negara itu bebas daripada kerajaan Islam, mereka tidak pula tukar agama, bukan? Ini menunjukkan memang mereka masuk Islam kerana ikhlas dan mereka tidak tinggalkan Islam kerana mereka tahu yang Islam itu adalah agama yang benar.

Apabila angkatan Perang Islam masuk ke suatu negeri, terlebih dahulu dikirim surat atau utusan yang membawa tiga tawaran:

1. Ajakan masuk Islam. Kalau ajakan ini diterima, timbullah persaudaraan seagama. Sama darjat, sama kedudukan, tidak ada yang menjajah dan tidak ada yang terjajah. Hak sama dan kewajipan pun sama.
2. Kalau tidak mahu memeluk Islam, bolehlah terus memeluk agama yang lama. Mereka akan diberi perlindungan dengan syarat membayar Jizyah.
3. Kalau salah satu daripada dua ini tidak diterima, itu adalah alamat akan terjadinya peperangan. Kalau peperangan terjadi, berlakulah hukum perang. Negeri mereka dikuasai, tetapi tidak juga ada paksaan untuk memeluk Islam.

Kisah penaklukan Baitul Maqdis (Jurusalem) oleh Sayyidina Umar al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah salah satu peristiwa paling monumental dalam sejarah Islam, dan memang menjadi bukti nyata prinsip toleransi dan kebebasan beragama dalam Islam, di mana tidak ada paksaan untuk memeluk Islam. Pada tahun 637 M (tahun 16 Hijriah), setelah serangkaian kemenangan di Syam (Syria Raya), pasukan Muslim di bawah pimpinan Abu Ubaidah bin Al-Jarrah mengepung kota Baitul Maqdis, yang pada masa itu berada di bawah kekuasaan Kekaisaran Bizantium (Romawi Timur) dan majoriti penduduknya adalah Nasrani. Pengepungan berlangsung selama beberapa bulan. Penduduk Jurusalem, yang dipimpin oleh Patriark Sophronius (pemimpin gereja Ortodoks Jurusalem), menolak untuk menyerah kepada panglima Muslim mana pun kecuali kepada Khalifah Umar al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sendiri. Mereka telah mendengar tentang keadilan dan reputasi Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ . Setelah Abu Ubaidah memberitahu Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tentang permintaan ini, Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun melakukan perjalanan ke Baitul Maqdis. Perjalanannya ini sangat sederhana, beliau hanya ditemani oleh seorang pelayan, bergantian menunggang seekor unta. Ini menunjukkan kerendahan hati seorang pemimpin besar. Ketika Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tiba di gerbang kota, Sophronius dan para pemimpin kota menyambutnya. Pada saat itulah, Perjanjian Aelia (Al-Uhdatul Umariyyah) disepakati. Perjanjian ini adalah dokumen bersejarah yang menunjukkan sikap Islam terhadap non-Muslim. Poin-poin penting dalam perjanjian itu antara lain:

    1. Jaminan Keamanan: Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ memberikan jaminan keamanan kepada semua penduduk Jurusalem, baik nyawa, harta, gereja, dan salib mereka.
    2. Kebebasan Beragama: Gereja-gereja mereka tidak akan dihancurkan, dan mereka tidak akan dipaksa untuk meninggalkan agama mereka. Mereka bebas mempraktikkan ajaran agama Kristian mereka.
    3. Hak untuk Beribadah: Mereka diizinkan untuk beribadah di gereja-gereja mereka tanpa gangguan.
    4. Kewajipan Jizyah: Sebagai balasannya, penduduk non-Muslim wajib membayar jizyah, iaitu pajak tahunan yang ringan. Pembayaran jizyah ini membebaskan mereka daripada kewajipan ketenteraan dan memberikan mereka perlindungan penuh dari negara Islam.
    5. Tidak Ada Pemaksaan Tukar ke Agama Islam: Perjanjian ini secara jelas menegaskan bahawa tidak ada paksaan untuk memeluk Islam. Siapa pun yang ingin tetap pada agamanya diizinkan.

Begitulah kisah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Juga terdapat satu lagi kisah. Dikisahkan, suatu hari Sayyidina Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berjumpa dengan seorang wanita tua yang menganut agama Nasrani (Kristian). Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kemudian mengajak wanita tua itu untuk memeluk Islam, menjelaskan tentang keindahan ajaran Islam, keesaan Allah ‎ﷻ, dan kebenaran Nabi Muhammad ﷺ. Beliau berbicara dengannya dengan lembut dan penuh hikmah, berharap wanita itu akan menerima petunjuk. Namun, wanita tua itu, meskipun telah mendengar penjelasan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, tetap teguh pada agamanya dan enggan untuk masuk Islam. Dia mungkin mengatakan sesuatu seperti: “Wahai Umar, aku sudah tua dan kematian sudah dekat. Aku tidak ingin meninggalkan agama yang telah aku anut sejak kecil, dan aku juga tidak tahu apakah aku akan dapat mengikuti ajaran barumu dengan baik.” Mendengar penolakan wanita itu, Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tidak sedikit pun memaksa atau mengancamnya. Beliau hanya berkata:

“أَخْبِرُوا النَّاسَ بِأَنْ لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ”
Katakanlah (kepada orang ramai bahawa) Tiada paksaan dalam beragama.

Lalu Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pergi meninggalkannya tanpa melakukan sebarang bentuk paksaan atau tekanan. Beliau menghormati pilihannya dan tidak melampaui batas dalam dakwah, kerana tujuan dakwah adalah menyampaikan, bukan memaksa.

 

Asbabun Nuzul ayat ini:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ كَانَتِ الْمَرْأَةُ تَكُونُ مِقْلاَتًا فَتَجْعَلُ عَلَى نَفْسِهَا إِنْ عَاشَ لَهَا وَلَدٌ أَنْ تُهَوِّدَهُ فَلَمَّا أُجْلِيَتْ بَنُو النَّضِيرِ كَانَ فِيهِمْ مِنْ أَبْنَاءِ الأَنْصَارِ فَقَالُوا لاَ نَدَعُ أَبْنَاءَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ‏{‏ لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَىِّ ‏}‏ قَالَ أَبُو دَاوُدَ الْمِقْلاَتُ الَّتِي لاَ يَعِيشُ لَهَا وَلَدٌ ‏.‏
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: Apabila anak-anak seorang wanita (pada zaman sebelum Islam) tidak hidup, dia bernazar dengan dirinya sendiri bahawa jika anaknya dapat terus hidup, dia akan menjadikannya sebagai seorang Yahudi. Ketika Bani an-Nadhir diusir (dari Tanah Arab), terdapat beberapa anak Ansar di antara mereka. Mereka berkata: “Kami tidak akan meninggalkan anak-anak kami.” Maka Allah Taala mewahyukan; “Tidak ada paksaan dalam agama. Kebenaran terserlah daripada kesesatan.” Abu Dawud berkata: al-miqlaat bermaksud perempuan yang tidak hidup anaknya.
(Sunan Abu Dawud No. 2682) disahihkan oleh Albani

Satu lagi asbabun nuzul dengan naratif yang sedikit berbeza,

عن ابن عباس في قوله: {لا إكراه في الدين} قال: كانت المرأة من الأنصار إذا كان لها الولد لم يعش حبت أن تهوده على نفسها لما رأت من فضله على اليهود فإذا أسلمت الأنصار أرسلتهم إلى المدينة، فقالوا: يا رسول الله، ابناؤنا ونساؤنا لا يدرون، فنزلت {لا إكراه في الدين}
Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengenai firman Allah: {Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama}. Beliau berkata: “Dahulu seorang wanita dari kaum Ansar, apabila anaknya tidak hidup (meninggal), dia bernazar untuk menjadikan anaknya Yahudi demi kebaikan dirinya (berharap anak itu panjang umur) kerana dia melihat keutamaan pada orang-orang Yahudi (dalam hal anak). Maka ketika kaum Ansar masuk Islam, mereka ingin mengirim anak-anak itu ke Madinah (untuk masuk Islam). Lalu mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, anak-anak dan wanita-wanita kami tidak tahu (ingin kami paksa masuk Islam).’ Maka turunlah ayat {Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama}.’ “

Nota: Riwayat ini disebutkan dalam kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ath-Thabari, Tafsir Ibnu Katsir, dan lainnya. Jalur sanad yang disebutkan di atas (daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا) adalah jalur yang banyak digunakan dalam tafsir. Meskipun riwayat asbabun nuzul ini masyhur dan dijadikan sandaran oleh para mufassir, perlu diketahui bahawa status sanadnya mungkin tidak mencapai tingkat ‘sahih’ mutlak seperti hadith-hadith hukum dalam Bukhari atau Muslim, namun ia diterima dalam bidang tafsir untuk menjelaskan konteks ayat, asalkan maknanya tidak bertentangan dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Dalam konteks ini, makna “tidak ada paksaan dalam agama” adalah prinsip Al-Qur’an yang tegas.

Penerangan tentang kisah ini. Mungkin boleh dapat faham situasi bangsa Arab ketika itu dan perhubungan mereka dengan golongan Yahudi yang banyak hidup di situ. Penduduk Madinah (ketika itu namanya Yathrib) sebelum mereka memeluk Agama Islam, merasa bahawa kehidupan orang Yahudi lebih baik daripada hidup mereka, sebab mereka Jahiliyah. Sebab itu ada di antara mereka yang menyerahkan anak mereka kepada orang Yahudi untuk mereka didik dan setelah besar anak-anak itu menjadi orang Yahudi. Ada pula perempuan Arab yang setiap kali beranak anaknya mati, maka kalau dapat anak lagi, cepat-cepat diserahkannya kepada orang Yahudi dengan harapan anak itu dapat terus hidup di tangan orang Yahudi itu. Mungkin mereka nampak ada keberkatan pada orang Yahudi. Dan tentulah setelah besar, anak itu diYahudikan. Seperti yang kita tahu, orang Madinah kemudiannya menjadi Muslim, menyambut Rasulullah ﷺ dan menjadi kaum Ansar. Setelah Rasulullah ﷺ berpindah ke Madinah dibuatlah perjanjian bertetangga baik dengan kabilah-kabilah Yahudi yang tinggal di Madinah itu. Akan tetapi dari bulan ke bulan, tahun ke tahun, perjanjian itu mereka mungkiri, baik secara halus ataupun secara kasar. Akhirnya terjadilah pengusiran ke atas Bani Nadhir yang telah membuat kesalahan merancang hendak membunuh Nabi ﷺ. Kisah mereka ini ada disebut di dalam Surah Hasyr. Habis seluruh kabilah Bani Nadhir itu dihalau keluar dari Madinah. Rupanya ada pada Bani Nadhir itu anak orang Anshar yang telah mulai dewasa, dan telah menjadi orang Yahudi. Ayah anak itu memohon kepada Rasulullah ﷺ supaya anak itu ditarik ke Islam, kalau perlu dengan paksa kerana si ayah tidak sampai hati dia memeluk Islam, sedang anaknya menjadi Yahudi. “Takkan belahan diriku sendiri akan masuk neraka, ya Rasulullah!” Kata orang Ansar itu dan di waktu itulah turun ayat ini.

Menurut riwayat Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Nabi ﷺ hanya memanggil anak-anak itu dan disuruh memilih, apakah mereka sudi memeluk agama ayah mereka, iaitu Islam atau tetap dalam Yahudi dan turut diusir? Menurut riwayat, ada di antara anak-anak itu yang memilih Islam dan ada yang terus menjadi Yahudi dan sama berangkat dengan Yahudi yang mengasuhnya itu meninggalkan Madinah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke sambungan yang seterusnya

Kemaskini: 26 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah