Tafsir Surah Baqarah Ayat 259 (Kisah lelaki dimatikan dan dihidupkan kembali)

KISAH ORANG MATI YANG DIHIDUPKAN KEMBALI

Baqarah Ayat 259: Ini adalah Contoh kedua kuasa-Nya untuk mencipta dan mematikan. Ini pula adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan namanya Uzair. Status Uzair (Ezra) pun tidak dapat dipastikan sama ada beliau seorang Nabi ataupun tidak. Malah, namanya pun tidak disebut di dalam ayat ini.

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها ۖ فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ ۖ قالَ كَم لَبِثتَ ۖ قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ ۖ قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه ۖ وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ ۖ وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا ۚ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Or [consider such an example] as the one who passed by a township which had fallen into ruin. He said, “How will Allah bring this to life after its death?” So Allah caused him to die for a hundred years; then He revived him. He said, “How long have you remained?” The man said, “I have remained a day or part of a day.” He said, “Rather, you have remained one hundred years. Look at your food and your drink; it has not changed with time. And look at your donkey; and We will make you a sign for the people. And look at the bones [of this donkey] – how We raise them and then We cover them with flesh.” And when it became clear to him, he said, “I know that Allah is over all things competent.”

MALAY
Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

 

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ

Atau tentang seorang yang melalui sebuah negeri

Ini satu lagi kisah yang disebut oleh Allah ‎ﷻ. Memang ada banyak kisah yang disebut di dalam Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻ tahu manusia suka dengar kisah. Ada ditulis di dalam kitab-kitab tafsir bahawa lelaki ini adalah Uzair. Akan tetapi ia tidak dapat dipastikan kerana Allah ‎ﷻ tidak menyebut namanya. Maka oleh kerana Allah ‎ﷻ tidak menyebut namanya, maka kita pun tidak berhajat untuk mengatakan dengan pasti namanya adalah Uzair. Kita tidak perlu pun untuk pastikan.

Dikatakan yang negeri yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah BaitulMaqdis, iaitu negara Palestin. Waktu itu setelah Babylon menyerang BaitulMaqdis. Puak itu telah membunuh 600 ribu orang dalam kalangan Bani Israil dan menjadikan hamba lagi 600 ribu. Ini adalah satu tempat yang banyak kali makmur dan banyak kali ranap zaman berzaman. Apabila naik agama Islam, maka ia kembali makmur dan kemudian ditakluk oleh bangsa kafir dan meranapkannya kembali. Begitulah nasib yang dialami oleh Bani Israil dan tempat tinggal mereka, kerana umatnya banyak yang degil. Sampai sekarang tidak pernah aman penempatan mereka. Itulah juga nasib negara Palestin. Padahal itu adalah tempat paling ramai Nabi dibangkitkan. Semua ini terjadi kerana umatnya yang degil dan ramai menentang.

Akan tetapi bukan sahaja nama lelaki ini tidak disebut, nama tempat ini juga tidak disebut oleh Allah ‎ﷻ. Hikmahnya adalah supaya kita mengambil pengajaran daripada kisah ini dan bukannya sibuk dengan nama pelakonnya dan nama tempatnya.

 

وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها

yang telah runtuh di atas bumbungnya,

Kalimah خاوِيَةٌ daripada kata dasar خ و ي yang bermaksud jatuh, tidak berpenghuni, telah ditinggalkan, runtuh. Kalimah عُرُوشِ adalah dalam bentuk isim jamak dan ia bermaksud ‘bumbung-bumbung’. Ia daripada kata dasar: ع ر ش yang bermaksud para untuk tanaman menjalar, bumbung, singgahsana. Kalimah Arasy diambil daripada kata dasar ini lah.

Perkataan yang digunakan kalau diterjemahkan secara literal: ‘Dinding jatuh timpa bumbung’. Agak pelik, bukan? Ini kerana kalau bangunan yang sudah lama, tiada ada siapa yang menjaganya, tentunya bumbung yang jatuh dahulu. Selalunya bahagian rumah yang rosak dahulu adalah bumbung kerana bumbunglah bahagian yang paling lemah.

Oleh kerana itu, bumbung yang akan jatuh terlebih dahulu. Kemudian baru dinding runtuh dan apabila ia jatuh, ia akan jatuh atas bumbung yang telah jatuh itu. Ini adalah bahasa kiasan memberi isyarat lama sangat kawasan dan rumah-rumah itu ditinggalkan.

Maka ia bertujuan untuk menunjukkan betapa lama sangat kota itu ditinggalkan. Kalau sampai bangunan pun sudah runtuh, manusia yang tinggal di situ, tentulah lagi lama sudah tiada. Begitulah Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan bagaimana keadaan BaitulMaqdis itu pada waktu itu. Allah ‎ﷻ sebut pendek sahaja tetapi kita boleh bayangkan.

 

قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها

Orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?”

Ini adalah kata-kata lelaki itu dalam hati. Beliau bercakap begitu bukan kerana beliau tidak yakin dengan kuasa Allah ‎ﷻ. Tidak mungkin Nabi tidak yakin pula. Ini kalau dikatakan beliau adalah Nabi Uzair.

Namun lelaki cakap begitu sebab hendak tahu cara sahaja. Sebab lelaki tengok teruk sangat keadaan kota itu, lelaki tidak dapat bayangkan bagaimana caranya Allah ‎ﷻ akan membinanya kembali. Jadi lelaki terfikir-fikir bagaimanakah caranya? Atau ada pendapat yang mengatakan dia berharap semoga desa itu cepat dibangunkan kembali.

 

فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ

Lalu dia dimatikan oleh Allah selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula

Allah ‎ﷻ memang betul-betul mematikan lelaki ini, dan bukan tidurkan. Memang ada pendapat yang mengatakan lelaki ini hanya ditidurkan kerana di banyak tempat, tidur juga dianggap sebagai mati. Sebagai contoh, perhatikan ayat Zumar: 42

اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Allah memegang (mengambil) jiwa (seseorang) pada saat kematiannya, dan (memegang) jiwa orang yang belum mati ketika ia tidur; maka Dia menahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain (hidup kembali) sampai waktu yang ditentukan. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

Namun kita lebih selesa mengatakan Allah ‎ﷻ memang telah mematikan dan kemudian Allah ‎ﷻ hidupkan kembali. Allah ‎ﷻ memang boleh buat begitu kerana Allah ‎ﷻ yang menghidupkan dan mematikan. Kemudian Allah ‎ﷻ boleh hidupkan semula. Tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ. Lagi pun Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah yang mengatakan Dia mematikan lelaki itu.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menggunakan istilah عامٍ untuk maksud ‘tahun’ akan tetapi ada lagi kalimah lain yang digunakan untuk tahun iaitu سنةٍ seperti di dalam Hajj: 47

وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ
“Dan sesungguhnya satu hari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun (سنة) daripada apa yang kamu hitung.”

Dalam Al-Qur’an, kalimah عامٍ (ʻām) dan سنة (sanah) kedua-duanya merujuk kepada tahun atau tempoh setahun. Walaupun secara asasnya membawa maksud yang sama, para ulama bahasa dan tafsir telah mengesan adanya perbezaan halus dalam penggunaannya di dalam Al-Qur’an, yang menunjukkan hikmah tersendiri daripada pemilihan lafaz oleh Allah ‎ﷻ.

1. Kalimah سنة (sanah)

Kalimah سنة cenderung digunakan untuk merujuk kepada tahun yang dikaitkan dengan kesukaran, kesusahan, kekeringan, atau ujian. Ia membawa konotasi tempoh yang berat dan mencabar. Contoh Penggunaan dalam Al-Qur’an:

Hajj: 47

وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ
“Dan sesungguhnya satu hari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun (سنة) daripada apa yang kamu hitung.”

Penjelasan: Dalam konteks ini, ia merujuk kepada tempoh waktu yang sangat panjang dan mungkin berat bagi manusia, berbanding dengan kecepatan perhitungan Allah ‎ﷻ.

Yusuf: 47

قالَ تَزرَعونَ سَبعَ سِنينَ دَأَبًا فَما حَصَدتُم فَذَروهُ في سُنبُلِهِ إِلّا قَليلًا مِمّا تَأكُلونَ
Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di bulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan.

Penjelasan: 7 tahun ini adalah tahun-tahun yang susah kerana mereka terpaksa mengikat perut dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga tanaman. Maka digunakan kalimah سِنينَ (jamak kepada سنة).

2. Kalimah عامٍ (ʻām)

Kalimah عامٍ (ʻām) pula cenderung digunakan untuk merujuk kepada tahun yang dikaitkan dengan kebaikan, kemakmuran, kemudahan, atau kelapangan. Ia membawa konotasi tempoh yang baik dan menyenangkan. Contoh Penggunaan dalam Al-Qur’an:

Baqarah: 259 (Kisah yang kita sedang bincangkan)

فَأَمَاتَهُ اللَّهُ مِائَةَ عَامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ ۖ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ ۖ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۖ قَالَ بَل لَّبِثْتَ مِائَةَ عَامٍ
“Lalu Allah mematikannya selama seratus tahun (عامٍ), kemudian membangkitkannya semula.”

Penjelasan: Walaupun ia adalah tempoh kematian, yang boleh dianggap ‘susah’, konteks ayat ini lebih kepada menunjukkan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Semasa di dalam tidurnya, dia tidak terasa pun apa-apa yang menyusahkan dirinya. Namun ada juga pandangan bahawa عَامٍ di sini bermaksud tahun secara umum, tanpa konotasi negatif yang kuat. Ini mungkin satu pengecualian atau menunjukkan fleksibiliti.

Yusuf: 49

ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِفِيهِ يَعْصِرُونَ
Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur”.

Penjelasan: Ini adalah kesinambungan selepas ayat-ayat sebelum ini yang bercakap tentang سبع سنين (tujuh tahun) kemarau dan kesusahan. Oleh kerana telah lepas tahun-tahun yang susah, maka sekarang sudah sampai kepada tahun-tahun yang senang, maka digunakan istilah عَامٌ.

 

قالَ كَم لَبِثتَ

lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”

Selepas lelaki itu dihidupkan kembali, Allah ‎ﷻ tanya kepada beliau berapa lama beliau tinggal di situ. Tubuh beliau memang nampak biasa sahaja.

Ayat ini juga menjadi dalil yang Allah ‎ﷻ berkata-kata kepada makhluk. Dengan cara bagaimana, kita tidak perlu hendak bayangkan kerana kita takkan dapat menggarapnya. Jadi tidak perlu kita bersilat untuk menafikan Allah ‎ﷻ boleh berkata-kata. Kerana kalau kita kata Allah ‎ﷻ tidak berkata-kata, adakah kemungkinan kita tersilap faham sampai mengatakan Allah ‎ﷻ bisu?

 

قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ

Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”.

Oleh kerana tubuhnya nampak biasa sahaja, lelaki itu kata beliau tentu tidak tinggal lama – sehari atau setengah hari sahaja (ikut kebiasaan). Begitulah kalau kita tidur nyenyak kadang-kadang kita bangun tidur, tidak tahu berapa lama kita tidur, bukan? Begitulah juga para Pemuda Kahf pun tidak tahu berapa lama mereka ditidurkan di dalam gua itu seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Kahf: 19

وَڪَذٰلِكَ بَعَثنَـٰهُم لِيَتَسَآءَلُواْ بَينَہُم قَالَ قَآٮِٕلٌ مِّنہُم ڪَم لَبِثتُم قَالُواْ لَبِثنَا يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ
Dan demikianlah Kami bangkitkan mereka (daripada tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian daripada) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”

 

قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ

Allah berfirman:”bahkan engkau telah tinggal selama seratus tahun.

Mungkin lelaki itu terkejut apabila dikatakan yang beliau telah tinggal selama seratus tahun di situ. Maka dia mungkin minta bukti.

 

فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه

perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya,

Allah ‎ﷻ tunjuk contoh qudrat-Nya dengan menyuruh lelaki itu lihat kepada makanan yang beliau bawa sebagai bekal. Kalimah يَتَسَنَّه‌ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘berubah mengikut masa’, ‘basi’. Ia daripada kata dasar: س ن ه yang bermaksud basi, berubah, rosak. Kata dasar yang sama juga digunakan untuk سنة (tahun) kerana di dalam masa setahun, selalunya benda akan banyak berubah.

Selalunya makanan senang rosak, tetapi Allah ‎ﷻ jadikannya masih baik lagi. Sekali lagi Allah ‎ﷻ tidak sebut makanan apa, roti canai atau daging kambing bakar. Ini tidak penting dan kalau sebut, sibuk pula orang jadikan makanan itu sebagai ‘makanan Sunnah’ pula. Perangai orang kita ini jangan dipandang rendah ya, macam-macam benda karut mereka boleh buat. Yang pengajaran penting tidak diambil nanti, tetapi sibuk dengan hal makanan sahaja nanti. Tengoklah kisah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah banjir habis. Sepatutnya disambut peristiwa itu dengan berpuasa akan tetapi puak-puak kita sibuk dengan buat bubur Asyura pula.

 

وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ

dan perhatikanlah pula kepada keldaimu

Makanan yang cepat basi, Allah ‎ﷻ boleh kekalkan. Namun binatang yang tentunya lambat reput, sudah tinggal tulang sahaja. Menunjukkan memang lama beliau tidur di situ.

 

وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ

dan Kami jadikan engkau sebagai tanda bagi umat manusia;

Allah ‎ﷻ menghidupkan itu semula sebagai tanda kepada manusia. Menjadi inspirasi kepada manusia yang lain. Menjadi tanda bahawa Allah ‎ﷻ itu maha berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Allah ‎ﷻ boleh hidupkan, matikan, hidupkan balik tidak kira berapa lama. Jadi tidak susah bagi Allah ﷻ hendak membangunkan kembali kampung yang telah rosak itu.

Bagaimana kisah lelaki ini boleh menjadi tanda? Apabila lelaki ini kembali ke kampungnya, orang-orang yang dia kenal sudah lama tiada. Namun mereka yang hidup itu ada teringat tentang kisahnya yang disampaikan oleh tok nenek mereka. Maka mereka akhirnya percaya bahawa lelaki itu lah yang telah hilang seratus tahun dahulu entah ke mana. Maka sekarang mereka yakin bahawa Allah ﷻ mampu mematikan dan menghidupkan manusia.

Bagaimana mereka boleh yakin? Di sinilah yang menjadi hujah beliau adalah Uzair (khilaf beliau Nabi atau tidak). Orang yang sudah mendengar kisah beliau mengatakan kalau betul dia Uzair seperti didakwanya, maka salah satu kelebihan Uzair adalah beliau hafal Kitab Taurat. Maka apabila beliau telah membuktikannya, maka barulah mereka percaya beliau adalah Uzair yang hilang seratus tahun dahulu.

 

وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا

dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “.

Allah ‎ﷻ menjadikan keldai itu hidup dengan segera di depan matanya. Kalimah نُـنشِزُ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘kami menaikkan’. Ia daripada kata dasar: ن ش ز yang bermaksud dinaikkan, ditinggikan, menaik, degil, melawan, melayan isteri dengan buruk, memberi kehidupan semula. Maknanya tulang-tulang itu diangkat dan disusun semula oleh Allah ﷻ. Kalimah ‘nusyuz’ diambil daripada kata dasar ini. Ini kerana apabila isteri itu nusyuz, salah satu perbuatannya adalah naik suara tinggi kepada suaminya.

Kalimah نَكسُوا adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘kami membalut’. Ia daripada kata dasar ك س و yang bermaksud baju, pakaian, orang miskin, pembalut. Kita biasa dengar Kiswah Ka’bah, bukan? Ia adalah balutan yang menjadi penutup Ka’bah.

Kita boleh bayangkan kejadian itu sebab kita yang hidup zaman moden ini selalu melihat ‘special effect’ dalam media. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana tulang keldai itu bercantum kembali, dan kemudian dagingnya bercantum semula. Kalau benda sebegini pun Allah ﷻ boleh buat, apatah lagi kalau membangunkan kembali kampung dan malah membangkitkan semula manusia yang telah mati.

Begitulah Allah ﷻ menjadikan makhluk ini ada daging yang membalut tulang. Barulah tulang itu terpelihara. Kalau tidak, senanglah retak riuk tulang kita ini setiap hari. Dengan ada daging, nampaklah cantik sikit, bukan? Bayangkan kalau kita dan makhluk lain semua tulang belaka?

 

فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Maka apabila telah jelas kepadanya, berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Telah jelas kepada lelaki itu yang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Allah ﷻ telah memberikan satu anugerah kepada beliau kerana ditunjukkan secara praktikal di hadapan matanya bagaimana Allah ﷻ mudah sahaja untuk menghidupkan makhluk yang telah mati. Maka tentulah beliau sudah yakin dengan sebenar-benar yakin yang mati dan hidup adalah dalam tangan Allah ‎ﷻ dan beliau sudah tahu bagaimana cara Allah ‎ﷻ melakukannya. Kalau begitu keadaannya, maka tentulah mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk menghidupkan bandar/kampung yang telah mati itu.

Selepas itu lelaki itu tidak akan tanya lagi. Beliau telah dinampakkan dengan ilmu musyahadah – beliau lihat sendiri dengan matanya. Sebelum ini ilmu makrifat sahaja. Sebelum ini beliau sudah ada Ilmul Yaqeen (keyakinan dari segi ilmu) dan sekarang beliau diberikan dengan Ainul Yaqeen (keyakinan setelah melihat dengan mata sendiri). Apabila nampak dengan mata kepala sendiri, maka tentulah yakin sangat. Maka ini menjadi bukti bahawa lelaki ini adalah seorang yang soleh, dan mungkin seorang Nabi seperti pendapat yang mengatakan beliau adalah Nabi Uzair.

Untuk kita, tidaklah diberikan dengan kelebihan ini. Namun kita tetap yakin dengan kemampuan Allah ﷻ kerana kita sendiri melihat alam yang indah ini dan Allah ﷻ telah sebut di dalam Talaq: 12

اللَّهُ الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ وَمِنَ الأَرضِ مِثلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الأَمرُ بَينَهُنَّ لِتَعلَموا أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَد أَحاطَ بِكُلِّ شَيءٍ عِلمًا
Allah-lah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.


 

Faedah-Faedah Tarbiyah (Pendidikan Jiwa):

1. Diharuskan (boleh) menguji seorang hamba tentang maklumat atau pengetahuannya; ini berdasarkan firman Allah كَم لَبِثتَ (Berapa lamakah engkau telah tinggal (di sini)?)

2. Diharuskan (boleh) bagi seseorang untuk mengkhabarkan sesuatu berdasarkan apa yang menjadi sangkaan kuatnya. Ini berdasarkan firman Allah قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ (Dia berkata: Aku telah tinggal (di sini) sehari atau sebahagian hari), padahal hakikatnya dia telah tinggal selama seratus tahun.

3. Dituntut) untuk berfikir (tafakkur) tentang apa yang telah diciptakan oleh Allah serta apa yang telah Dia wujudkan di alam semesta ini; kerana hal itu dapat menambah keimanan, memandangkan perkara tersebut merupakan salah satu daripada tanda-tanda kebesaran Allah, sebagaimana dalam firman-Nya فَانظُر (Maka lihatlah (perhatikanlah)…)

4. Seharusnya kita memerhatikan tanda-tanda kebesaran Allah (ayat-ayat-Nya) secara menyeluruh (ijmal) dan juga secara terperinci (tafsil); ini berdasarkan firman Allah Ta’ala:

وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ (Dan lihatlah kepada keldaimu): (Ini adalah perintah) secara mutlak (umum).

Kemudian Allah Ta’ala berfirman: وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا (dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging).

Maka hal ini menuntut kita supaya bertafakkur (merenung) terhadap alam semesta ini bermula daripada sudut umum terlebih dahulu, kemudian daripada sudut perinciannya; kerana sesungguhnya hal yang demikian itu juga akan menambah keimanan kita.”

5. Bahawasanya manusia, dengan melakukan tadabbur (penghayatan), ta’ammul (renungan mendalam), dan nazhar (pemerhatian), akan menjadi jelas baginya tanda-tanda kebesaran Allah. Suatu kejelasan yang tidak akan diperolehi jika dia lalai; ini berdasarkan firman Allah فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ (Maka tatkala telah jelas baginya…)

6. Bahawasanya hasil daripada memerhatikan tanda-tanda kebesaran Allah (ayat-ayat-Nya) mestilah membawa kepada ilmu (pengetahuan) dan keyakinan; ini berdasarkan firman Allah فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ (Maka tatkala hal itu telah jelas baginya, dia pun berkata: Aku mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu)


 

Faedah-Faedah Ilmiah dan Al-Lataif (Sisi Halus/Unik):

1. Terdapat isyarat bahawasanya tidak seharusnya bagi seseorang itu terlalu mementingkan (mencari-cari) identiti individu-individu di dalam sesuatu kisah; kerana sekiranya perkara tersebut merupakan hal yang penting, nescaya Allah akan menjelaskannya: (seperti) menyebutkan si fulan (nama watak), dan menjelaskan nama kampungnya. Maka, ibrah (pengajaran) itu terletak pada makna-makna dan objektif-objektif kisah tersebut, bukannya pada susuk peribadi (watak).”

2. Penggunaan istilah ‘Al-Qaryah’ (negeri/bandar) untuk merujuk kepada tempat kediaman (bangunan); ini berdasarkan firman Allah Ta’ala: ‘Atau (tidakkah engkau perhatikan) orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya’.

Walaupun begitu, terdapat kemungkinan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah tempat kediaman sekaligus dengan penduduknya; kerana keadaan negeri yang ‘runtuh segala bangunannya’ menunjukkan bahawa penduduknya juga telah tiada dan mereka telah binasa.

3. Bahawasanya manusia, apabila dia merasakan sesuatu itu mustahil atau jauh untuk berlaku (berdasarkan logik akal) — namun dalam masa yang sama dia tidak meragui kekuasaan Allah atas perkara tersebut — maka dia tidak menjadi kafir dengan sebab itu. Hal ini berdasarkan kata-kata lelaki yang melalui sebuah negeri itu: قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها (Bagaimanakah (dengan cara apa) Allah akan menghidupkan semula (negeri) ini setelah matinya?).

4. Bahawasanya Allah kadangkala memberikan kurniaan kepada hamba-Nya dengan memperlihatkan tanda-tanda kebesaran-Nya secara langsung, yang dengannya akan bertambah lagi keyakinan hamba tersebut; ini berdasarkan firman Allah ….فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ (Maka lihatlah kepada makananmu… (dan seterusnya))

5. Bahawasanya kekuasaan Allah itu mengatasi apa yang menjadi kebiasaan bagi lumrah alam (hukum tabii); di mana makanan dan minuman ini kekal selama seratus tahun dalam keadaan langsung tidak berubah.

6. Bahawasanya Allah (kadangkala) mewujudkan ke atas diri seseorang hamba itu sesuatu yang akan menjadi ibrah (pengajaran/tanda) bagi orang lain; ini berdasarkan firman Allah وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ (Dan agar Kami menjadikanmu sebagai tanda (kebesaran Kami) bagi manusia).

Perkara yang serupa dengannya adalah firman Allah Ta’ala mengenai Maryam dan puteranya, ‘Isa Alaihis Salam di dalam Anbiya’:91

وَالَّتي أَحصَنَت فَرجَها فَنَفَخنا فيها مِن رّوحِنا وَجَعَلنٰها وَابنَها آيَةً لِّلعٰلَمينَ
(Dan (ingatlah kisah Maryam) yang telah memelihara kehormatannya, lalu Kami tiupkan ke dalam (tubuh)nya ruh daripada Kami, dan Kami jadikan dia bersama anaknya sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi seluruh alam). 

7. Bahawasanya Allah menjadikan daging yang menyaluti tulang-belulang itu ibarat pakaian; malah ia sememangnya adalah pakaian pada hakikatnya; ini berdasarkan firman Allah ثُمَّ نَكسوها لَحمًا (…kemudian Kami membungkusnya (memakaikannya) dengan daging’, dan firman-Nya dalam Mu’minun:14

فَكَسَونَا العِظامَ لَحمًا
lalu Kami bungkus tulang-tulang itu dengan daging

Oleh sebab itu, engkau akan dapati bahawa daging berfungsi melindungi tulang daripada patah dan kecederaan; kerana kecederaan pada tulang adalah lebih parah (kesannya) berbanding kecederaan pada daging.”

8. Sanggahan terhadap golongan yang mengingkari adanya Perbuatan yang berasaskan Pilihan (Al-Af’al al-Ikhtiyariyyah) bagi Allah; ini berdasarkan firman Allah: فَأَماتَهُ اللَهُ ….. ثُمَّ بَعَثَهُ (Maka Allah mematikannya… kemudian Dia membangkitkannya). Perbuatan-perbuatan ini adalah berkait rapat dengan Masyiah (kehendak) dan Ikhtiyar (pilihan)-Nya: Jika Dia berkehendak, Dia melakukannya; dan jika Dia tidak berkehendak, Dia tidak melakukannya.”

9. Bahawasanya Kalam (kata-kata) Allah terdiri daripada huruf-huruf dan suara yang dapat didengar; ini berdasarkan firman Allah كَم لَبِثتَ (Berapakah lamanya engkau tinggal?), dan firman-Nya: بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ (Bahkan engkau telah tinggal selama seratus tahun). Sesungguhnya apa yang diucapkan dalam perkataan tersebut adalah huruf-huruf dengan suara yang didengar oleh lawan bicara (mukhatab), dan dia menjawabnya dengan berkata: لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ (Aku telah tinggal sehari atau sebahagian hari).

Walau bagaimanapun, suara yang didengar daripada Kalam Allah tidaklah menyerupai suara makhluk. Huruf-huruf (yang digunakan) adalah huruf yang sama yang digunakan manusia untuk mengungkapkan sesuatu, namun suaranya tidak (sama); kerana suara itu adalah sifat bagi Rabb ‘Azza wa Jalla. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman di dalam Syura:11

لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ
(Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya). 

10. Pada firman Allah فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ (Maka Allah mematikannya selama seratus tahun), terdapat pensabitan tentang adanya karamah para wali. Karamah ialah setiap perkara luar biasa (khariqul ‘adah) yang diwujudkan oleh Allah melalui tangan salah seorang wali-Nya; sebagai bentuk penghormatan (takrim) kepadanya, serta sebagai penyaksian terhadap kebenaran syariat yang dipeganginya. Oleh itu, ada dikatakan: Setiap karamah bagi seorang wali, maka ia adalah mukjizat (tanda) bagi Nabi yang diikuti olehnya.”

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 11 Mei 2026

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Dorar.net

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment