Tafsir Surah Naml Ayat 64 – 68 (Siapa tahu bila kiamat?)

Ayat 64:

أَمَّن يَبدَؤا الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ وَمَن يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ ۗ أَءِلٰهٌ مَّعَ اللهِ ۚ قُل هاتوا بُرهٰنَكُم إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is He [not best] who begins creation and then repeats it and who provides for you from the heaven and earth? Is there a deity with Allāh? Say, “Produce your proof, if you should be truthful.”

(MELAYU)

Atau siapakah yang menciptakan (manusia dari permulaannya), kemudian mengulanginya (lagi), dan siapa (pula) yang memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi? Apakah disamping Allah ada ilah (yang lain)?. Katakanlah: “Bawalah bukti kebenaranmu, jika kamu memang orang-orang yang benar”.

 

أَمَّن يَبدَؤا الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ

Atau siapakah yang menciptakan (manusia dari permulaannya), kemudian mengulanginya (lagi), 

Allahlah yang mula-mula menjadikan makhluk tanpa contoh, dari tiada kepada ada (maksud bid’ah); dan kemudian Dia akan masukkan kita kembali ke dalam ibu kita yang baru iaitu bumi ini dan akan mengeluarkan kita kembali. Maknanya Allah ulang balik kejadian kita.

Ini juga mengingatkan kita yang kita akan mati dan akan dibangkitkan kembali. Maka kenalah kita fikirkan keadaan itu nanti. Bagaimana kita mahu nasib kita ketika dibangkitkan – adakah dalam keadaan baik atau dalam keadaan buruk?

 

وَمَن يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ

dan siapa (pula) yang memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi

Dan Allah tanya: siapa yang memberikan rezeki kepada kamu daripada langit dan bumi? Hanya Allah sahaja yang menurunkan rezeki dan mengeluarkan rezeki, tidak ada yang lain. Maka kalau hendak rezeki, kena minta dengan Allah.

 

أَءِلٰهٌ مَّعَ اللهِ

Apakah disamping ilah ada tuhan (yang lain)?

Maka adakah lagi ilah selain Allah yang kamu sembah dan puja? Memang tidak patut kalau begitu, kerana Allah yang beri rezeki, tapi kamu sembah dan puja selain Allah?

 

قُل هاتوا بُرهٰنَكُم إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Katakanlah: “Bawalah bukti kebenaranmu, jika kamu memang orang-orang yang benar”.

Kalau ada ilah selain Allah, maka bawalah bukti. Dan kalimah haatu dalam nada marah. Kerana kalau biasa, pakai a’tu sahaja.

Ini juga mengajar kita yang agama ini adalah agama dalil. Bukan boleh senang cakap sahaja atau berikan kata-kata manusia sahaja seperti yang dilakukan oleh puak tarekat dan puak Habib. Kena bawa dalil dari Al-Qur’an dan sunnah. Ini yang diajar berkali-kali dalam Al-Qur’an.


 

Ayat 65: Selepas ini ada empat ayat yang dimulai dengan kalimah قُل. Ayat-ayat ini nisbah kepada dakwa 1 – ilmu Allah sempurna dan tidak ada yang memiliki sifat ini selain Allah.

قُل لّا يَعلَمُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ الغَيبَ إِلَّا اللهُ ۚ وَما يَشعُرونَ أَيّانَ يُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “None in the heavens and earth knows the unseen except Allāh, and they do not perceive when they will be resurrected.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah”, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan.

 

قُل لّا يَعلَمُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ الغَيبَ إِلَّا اللهُ

Katakanlah: “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah”,

Tidak ada yang tahu ilmu ghaib melainkan Allah Ta’ala sahaja. Ini adalah akidah pegangan ahli sunnah: Hanya Allah tahu ilmu ghaib.

Ramai juga yang tidak faham perkara ini. Ada yang sangka para Rasul tahu perkara ghaib. Mereka beri contoh yang Nabi tahu siapakah golongan munafik. Ini adalah salah faham sahaja kerana Nabi bukannya ‘tahu’ sendiri siapa yang munafik tapi ianya disampaikan kepada baginda melalui wahyu. Kalau tak diberitahu, maka baginda pun tidak tahu kerana apa yang ada dalam hati manusia seperti sifat nifak, adalah termasuk perkara ghaib.

Dalam masa yang sama, jangan terkeliru dengan akidah sesat dalam kalangan kelompok yang ada masalah seperti puak Syiah dan golongan Sufi. Puak Syiah mengatakan Imam-imam mereka tahu perkara ghaib. Kalau mereka cerita tentang kehebatan Imam-imam mereka, sudah melebihi para Rasul pula.

Dan ahli sufi dan tariqat pula, kalau bercerita tentang guru-guru mereka dan para wali, pun macam itu juga – seolah-olah para wali dan guru sufi itu lebih hebat dari para Rasul. Maka tidak hairanlah kalau ada pertalian rapat akidah dan fahaman Syiah dan ahli-ahli sufi itu.

Maka janganlah terlibat dengan dua golongan ini dari mula lagi. Kerana kalau tidak ada ilmu, memang susah untuk keluar dari dua golongan ini. Ini adalah syirik fil ilmi (Syirik berkenaan ilmu). Biarlah mereka yang jahil sahaja yang masuk ke dalam Syiah dan tarekat.

 

وَما يَشعُرونَ أَيّانَ يُبعَثونَ

dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan.

Ilmu ghaib adalah hak Allah taala sahaja, makhluk memang tidak ada ilmu ini melainkan yang disampaikan sahaja. Dan disampaikan pun kepada para Nabi sahaja. Banyak sekali perkara ghaib yang tidak ada manusia tahu. Antaranya, tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah mereka akan dihidupkan kembali dari mati mereka.

Hari Kebangkitan itu juga boleh bermakna Hari Kiamat. Tidak ada yang tahu bilakah hari kiamat itu melainkan Allah Taala sahaja. Jangan katakan manusia biasa, Nabi Muhammad pun tidak tahu dan Jibrail pun tidak tahu. Inilah akidah ahli sunnah.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Ali ibnul Ja’d, telah menceritakan kepada kami Abu Ja’far Ar-Razi, dari Daud ibnu Abu Hindun, dari Asy-Sya’bi, dari Masruq, dari Aisyah r.a. yang mengatakan bahawa barang siapa yang menduga bahawa dia (Nabi Saw.) mengetahui apa yang akan terjadi esok, maka sesungguhnya dia telah berdusta besar terhadap Allah, kerana Allah Swt. telah berfirman: Katakanlah, “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah.” (An-Naml: 65)


 

Ayat 66:

بَلِ ادّٰرَكَ عِلمُهُم فِي الآخِرَةِ ۚ بَل هُم في شَكٍّ مِّنها ۖ بَل هُم مِّنها عَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Rather, their knowledge is arrested concerning the Hereafter. Rather, they are in doubt about it. Rather, they are, concerning it, blind.

(MELAYU)

Sebenarnya pengetahuan mereka tentang akhirat tidak sampai (ke sana) malahan mereka ragu-ragu tentang akhirat itu, lebih-lebih lagi mereka buta daripadanya.

 

بَلِ ادّٰرَكَ عِلمُهُم فِي الآخِرَةِ

Sebenarnya pengetahuan mereka tentang akhirat tidak sampai

Kalimah درك bermaksud ‘turun’. Sedikit demi sedikit mereka telah mendapat ilmu tentang hari akhirat. Iaitu ilmu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepada mereka. Kalau tidak disampaikan, maka mereka tidak akan tahu.

Tafsir lainnya, pengetahuan mereka tidak mampu dan lemah untuk mengetahui waktu terjadinya hari kiamat. Seperti yang disebutkan di dalam hadis Sahih Muslim, bahawa Rasulullah Saw. dalam jawapannya terhadap Malaikat Jibril yang menanyakan kepadanya tentang waktu hari kiamat mengatakan:

مَا الْمَسْؤُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ

Tiadalah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.

Yakni keduanya sama-sama tidak mengetahui bilakah hari kiamat terjadi, baik orang yang ditanya mahupun sipenanya.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman-Nya: Sebenarnya pengetahuan mereka tentang akhirat tidak sampai (ke sana). (An-Naml: 66) Iaitu tidak dapat menjangkau, kerana perkara terjadinya hari kiamat adalah hal yang ghaib.

Qatadah telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Sebenarnya pengetahuan mereka tentang akhirat tidak sampai (ke sana). (An-Naml: 66) Kerana ketidaktahuan mereka terhadap Tuhannya, maka pengetahuan mereka tidak dapat menembus tentang hari akhirat (kiamat); ini merupakan pendapat yang lain.

Ibnu Juraij telah meriwayatkan dari Ata Al-Khurrasani dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman-Nya: Sebenarnya pengetahuan mereka tentang akhirat tidak sampai (ke sana). (An-Naml: 66) Yakni di saat pengetahuan tidak ada manfaatnya lagi.

 

بَل هُم في شَكٍّ مِّنها

malahan mereka ragu-ragu tentang akhirat itu,

Tapi mereka masih ada lagi syak-wasangka terhadap maklumat yang mereka terima dari baginda.

Atau, kerana pengetahuan mereka tidak sampai, maka mereka meragui tentang adanya Kiamat dan hari kebangkitan. Maka mereka tidak bersedia untuk menghadapinya.

 

بَل هُم مِّنها عَمونَ

lebih-lebih lagi mereka buta daripadanya.

Tentang hal akhirat ini mereka memilih untuk membutakan sahaja mata mereka dan tidak mahu beriman dengannya. Bukan mata mereka yang buta tetapi mata hati mereka. Ini adalah kerana kalau mereka terima, mereka kena terima yang segala perbuatan salah mereka akan dipertanggungjawabkan ke atas mereka, dan mereka tidak mahu.

Mereka tidak mahu kerana mereka nak buat apa sahaja yang mereka hendak buat dan mereka tidak suka dipertanggungjawabkan. Maka mereka akan butakan sahaja mata mereka (atau buat pekak sahaja).


 

Ayat 67: Apakah hujah Musyrikin Mekah menolak adanya kebangkitan semula?

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا أَءِذا كُنّا تُرٰبًا وَءآباؤُنا أَئِنّا لَمُخرَجونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieve say, “When we have become dust as well as our forefathers, will we indeed be brought out [of the graves]?

(MELAYU)

Berkatalah orang-orang yang kafir: “Apakah setelah kita menjadi tanah dan (begitu pula) bapa-bapa kita; apakah sesungguhnya kita akan dikeluarkan (dari kubur)?

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا أَءِذا كُنّا تُرٰبًا

Berkatalah orang-orang yang kafir: “Apakah setelah kita menjadi tanah

Musyrikin Mekah tahu yang mereka akan mati dan akan jadi tanah. Maknanya mereka terima yang mereka akan mati.

 

وَءآباؤُنا أَئِنّا لَمُخرَجونَ

dan (begitu pula) bapa-bapa kita; apakah sesungguhnya kita akan dikeluarkan (dari kubur)?

Mereka juga tahu yang tok nenek mereka pun jadi tanah juga. Dan apabila Nabi Muhammad beritahu yang semua yang mati akan dihidupkan semula satu hari nanti, mereka tidak percaya kerana mereka kata takkan apabila mereka telah jadi tanah dah hancur dalam kubur itu mereka akan dikembalikan semula ke dunia?

Kalau mereka yang baru mati, ada juga kemungkinan dihidupkan semula. tapi apabila mereka lihat kepada tulang belulang tok nenek mereka yang telah hancur, mereka tak dapat bayangkan yang tulang-tulang itu akan dihidupkan semula. Mereka rasa ianya mustahil sungguh kerana sudah lama sangat tok nenek mereka mati.


 

Ayat 68:

لَقَد وُعِدنا هٰذا نَحنُ وَءآباؤُنا مِن قَبلُ إِن هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We have been promised this, we and our forefathers, before. This is not but legends of the former peoples.”

(MELAYU)

Sesungguhnya kami telah diberi ancaman dengan ini dan (juga) bapa-bapa kami dahulu; ini tidak lain hanyalah dongengan-dongengan orang dahulu kala”.

 

لَقَد وُعِدنا هٰذا نَحنُ وَءآباؤُنا مِن قَبلُ

Sesungguhnya kami telah diberi ancaman dengan ini dan (juga) bapa-bapa kami dahulu;

Ayat ini menunjukkan yang mereka bukannya tidak tahu langsung tentang kebangkitan semula itu kerana mereka kata tok nenek mereka pun ada juga bercakap tentang perkara ini. Mereka rasa macam mereka pernah dengar. Ini adalah kerana Rasul mereka dulu adalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail maka tentulah ada sampai sedikit sebanyak ajaran dari mereka.

 

إِن هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

ini tidak lain hanyalah dongengan-dongengan orang dahulu kala”.

Akan tetapi Musyrikin Mekah memilih untuk mengatakan yang kisah kebangkitan semula yang mereka pernah dengar itu hanyalah kisah-kisah dongeng sahaja. Jadi pada mereka apa yang Nabi Muhammad sampaikan kepada mereka itu bukanlah benar-benar perkara yang baru tetapi mereka memang sudah tahu. Kerana mereka dulu pun ada nabi dan rasul juga dan maklumat itu telah sampai kepada mereka.

Mereka ada juga dengar desas desus tentang perkara itu. Tapi pada mereka, itu semua adalah kisah dongeng sahaja, tidak boleh dipercayai. Dan mereka kata Nabi Muhammad pun dapat kisah itu dari dongengan dahulukala juga.

Mereka hendak memberi isyarat yang orang-orang dulu itu tidak tinggi pemikiran mereka dan kerana itu boleh percaya dengan kisah-kisah yang tidak masuk akal itu. Tapi mereka kononnya berakal tinggi dan tak mudah nak terima kisah-kisah dongeng itu.

Atau, mereka nak kata: dari dulu sampai sekarang tidak pernah pun ada yang orang dulu mati dan hidup balik. Ini pun hujah yang bodoh. Sebab Nabi tidak kata orang mati hidup balik di dunia, tapi hidup balik di akhirat kelak (bukannya sekarang).

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s