Mukadimah:
Dalam ayat terakhir Surah Al-Fatihah, telah disentuh tentang empat golongan yang sesat: Yahudi, Musyrikin, Nasara dan munafik. Kisah Yahudi sudah banyak disebut dalam Surah Baqarah. Kisah Nasara pula banyak disebut dalam surah Ali Imran. Maka sekarang kita akan belajar tentang golongan Nasara (Kristian) pula.
Sebenarnya, Yahudi yang mengawal Nasara dari dahulu sampai sekarang. Kita boleh lihat bagaimana Amerika itu tunduk kepada arahan Zionis Israel, bukan? Yang menyesatkan mereka pun asalnya adalah puak Yahudi. Jadi kisah Yahudi pun ada juga dalam surah ini walaupun surah ini tentang golongan Nasara. Ini adalah kerana mereka ada kaitan yang amat rapat. Dua-dua sifat mereka kita kena belajar.
Kita kena tahu apakah sifat Nasara sebab kita telah minta dijauhkan daripada menjadi seperti mereka (dalam Surah Al-Fatihah وَلَا الضَّالِّينَ). Maka kita kena tahu sifat-sifat mereka supaya kita boleh periksa pada diri kita kerana takut kita sendiri atau kenalan dan keluarga kita pula ada sifat seperti mereka.
Surah An-Nisa’ pula selepas surah ini akan menerangkan tentang sifat-sifat munafiqin dan akhirnya, Surah Al-Maidah akan menyebut tentang ketiga-tiga golongan itu. Ia dijelaskan lagi dalam surah Al-Maidah supaya pemahaman mengenai ketiga-tiga golongan itu menjadi semakin jelas kepada kita.
Kemudian Surah Al-An’am pula menceritakan tentang golongan musyrikin. Ini adalah kerana Surah itu turun di Mekah, maka ia menceritakan tentang sifat-sifat Musyrikin Mekah.
Begitulah surah-surah awal ini diberikan kepada kita untuk menjelaskan kesesatan golongan-golongan itu. Semua golongan itu sesat, tetapi ada kelainan antara mereka, iaitu kesesatan mereka berbeza-beza. Dengan mempelajari tafsir surah-surah ini, maka kita akan semakin faham agama kita ini dan beza dengan agama lain. Iaitu kita akan tahu apakah fahaman sesat yang kita kena elak. Ia macam kita belajar memandu: kita belajar apa yang kita buat (cara memandu), tapi dalam masa yang sama, kena belajar apa yang jangan dibuat, apa yang kena elak (jangan masuk jalan sebelah).
Seperti yang kita telah belajar, surah Al-Baqarah ada menyentuh tentang Tauhid, Risalah, Jihad dan Infak. Surah Ali Imran ini akan mengulangi semula empat perkara ini dengan cara sedikit berbeza iaitu akan ditambah penjelasan tentang kesamaran-kesamaran yang ada dalam hati manusia.
Surah Al-Baqarah banyak menyentuh tentang taqwa dan perkara yang berkaitan dengan iman. Sedangkan Surah Ali Imran ini nanti, kita akan lihat banyak memperkatakan tentang Rukun Islam pula.
Memang ada banyak persamaan antara Surah Baqarah dan Ali Imran kalau kita perhatikan. Ada topik-topik dari Surah Baqarah yang diulang dan diperjelaskan lagi di dalam Surah Ali Imran. Kerana apabila surah Al-Baqarah memberitahu tentang hukum-hukum, ada perkara yang menyebabkan manusia keliru kerana ada kesamaran. Maka kesamaran-kesamaran itu dijelaskan dalam surah ini. Ada hukum hakam yang hanya disentuh, dan diperjelaskan di dalam Surah Ali Imran.
Surah Ali Imran ini terbahagi kepada dua bahagian:
Ayat 1 – 92 adalah bahagian pertama dan ia memperkatakan tentang Tauhid dan Risalah.
Ayat 93 – 200 adalah bahagian kedua dan ia mengandungi dalil-dalil Tauhid serta Jihad dan Infak.
Ada juga yang membahagikan:
Ayat 1 – 101 adalah tentang Ahli Kitab
Ayat 102 – 200 adalah tentang Umat Islam
Di dalam ayat terakhir Surah Baqarah ada disebut doa untuk mengalahkan orang kafir. Oleh itu Mesej Utama surah ini adalah untuk mencapai kemenangan Umat Islam dan ini boleh dicapai dengan:
1. Dakwah kepada Ahli Kitab
2. Mengambil manfaat dari kelebihan yang ada pada Ahli Kitab
3. Menjauhi keburukan yang ada pada Ahli Kitab
4. Kesatuan dan kesepakatan umat Islam disamping mereka diikat dengan pergerakan yang tersusun kukuh
Kaitan Dengan Surah Lain:
1. Di dalam ayat terakhir Surah Baqarah kita telah diajar untuk berdoa فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ (tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir). Oleh kerana untuk mendapatkan kemenangan, kita kena berhadapan dengan orang kafir, maka di dalam Surah Ali Imran ini, kita akan bertemu ayat-ayat tentang Jihad. Di dalam surah ini Allah mengajar umat Islam bagaimana cara mengalahkan mereka, iaitu kena ada kesatuan.
2. Di dalam Surah Fatihah telah disebut tentang golongan الضّالّينَ. Seperti yang telah ditafsirkan di dalam Surah Fatihah, ia merujuk kepada Golongan Nasara (Kristian). Maka akan dijelaskan tentang mereka.
3. Di dalam Surah Baqarah telah disebut tentang Nabi Adam yang lahir tanpa bapa. Sekarang di dalam Surah Ali Imran kita belajar tentang Nabi Isa yang lahir tanpa bapa pula.
4. Seperti yang telah disebut, Surah Baqarah banyak sebut tentang golongan Yahudi, sekarang kita belajar tentang golongan Kristian pula.
5. Di permulaan Surah Baqarah disebut tentang kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al-Qur’an. Di dalam Surah Ali Imran disebut tentang Taurat dan Injil.
6. Di dalam Surah Baqarah telah disebut perang jihad secara umum. Sekarang disebut tentang Perang Uhud secara terperinci.
Itulah antara kesinambungan dari Surah Baqarah. Tentulah ada lagi.
Struktur Makro:
Ayat 1 – 9: Pendahuluan
Ayat 10 – 32: Menyeru Ahli Kitab kepada Islam
Ayat 33 – 63: Kisah Maryam dan Zakariya untuk membatalkan Akidah 3 tuhan
Ayat 64 – 101: Perincian tentang keburukan Ahli Kitab
Ayat 102 – 120: Arahan untuk memperkukuhkan pergerakan ‘sebaik-baik Umat’
Ayat 121 – 189: Kekalahan dalam Perang Uhud & ulasan tentang sifat nifaq
Ayat 190 – 200: Penutup
Surah Al-Baqarah ada kisah lembu di dalamnya. Antaranya, Allah ﷻ melarang manusia daripada memuja lembu dan sebaliknya Allah ﷻ suruh puja Dia sahaja. Puak Yahudi pula selain daripada puja Allah ﷻ, mereka juga ada memuja lembu. Mereka lakukan begitu kerana mereka lihat ada kepelikan pada lembu. Jadi, walaupun bangsa Yahudi itu cerdik-cerdik belaka, ada juga kebodohan mereka dan kerana itu akidah mereka punah. Maka memang tepat apabila surah itu dinamakan dengan Al-Baqarah kerana itu yang mereka puja.
Kalau Yahudi puja baqarah (lembu), puak Nasara pula puja Ali Imran (keluarga Imran). Mereka ini disebut di dalam Ayat 33 nanti:
إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ ءآدَمَ وَنوحًا وَءآلَ إِبرٰهيمَ وَءآلَ عِمرٰنَ عَلَى العٰلَمينَ
Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).
Imran adalah bapa kepada Maryam yang melahirkan Nabi Isa. Imran mempunyai seorang isteri yang solehah bernama Hannah binti Faqudh. Manakala Nabi Zakaria AS pula berkahwin dengan adik-beradik perempuan kepada Hannah, yang bernama Isyba’ (atau Eshba / Elizabath dalam tradisi sebahagian kitab tafsir dan ahli kitab). Ini bermakna Imran dan Nabi Zakaria AS adalah biras kerana mengahwini dua beradik (Hannah dan Isyba’). Jadi mereka ini adalah keluarga yang hebat-hebat.
Golongan Nasara telah puja ahli keluarga Imran seperti Maryam رضي الله عنها dan Nabi Isa عليه السلام kerana mereka telah jadi keliru dalam hal agama. Kalau Yahudi puja lembu kerana nampak lembu itu pelik, Nasara puja Ali Imran kerana mereka itu ada karamah dan mukjizat. Selain daripada mereka berdua yang dipuja, Nasara juga puja Ruhul Qudus, iaitu Jibril عليه السلام.
Golongan Nasara yang asal tidak begitu. Apabila setelah sekian lama barulah golongan ini menjadi sesat. Macam juga dengan agama Islam, asalnya penganutnya betul di atas landasan kebenaran, tetapi lama kelamaan ada ajaran sesat yang dimasukkan. Ini adalah kerana ramai yang jahil kerana tidak belajar wahyu, maka senang ditipu. Mereka itu macam juga penganut Nasara yang tidak belajar agama mereka. Maka kena jelaskan wahyu kepada orang Islam yang sesat dan Nasara kerana mereka itu sesat kerana jahil sahaja. Oleh kerana jahil, maka ada yang reka dan tambah benda baharu dalam agama. Memang kafirnya Nasara kerana jahil. Memang bahaya apabila agama ini ditambah-tambah dengan perkara baru yang bukan datang dari nas wahyu.
Kerana itu kita ingatkan tentang ajaran Sunnah yang menentang bid’ah. Bid’ah akan merosakkan agama. Dan inilah yang terjadi kepada Nasara dan sekarang kepada orang Islam juga. Maka kena sampaikan ajaran Sunnah ini kepada manusia dan kalau mereka mahu kepada kebenaran, mereka akan terima ajakan dakwah yang disampaikan.
Jadi lambang pujaan Yahudi dalam Surah Baqarah adalah baqarah (lembu) sementara pujaan golongan Nasara pula adalah Ali Imran (keluarga Imran). Jadi kekeliruan dan kesesatan mereka diperbetulkan dalam surah Ali Imran ini dan memang sudah ramai Kristian yang telah masuk Islam setelah mereka faham Surah Ali Imran ini, ditambah pula kalau mereka dengar dan belajar Surah Maryam.
Ada masalah yang timbul dalam masyarakat kita di mana ramai yang telah masuk agama Kristian kerana mereka jahil dan senang ditipu. Mereka masuk Kristian kerana mereka nampak Kristian ada hujah, agama kasih sayang, nampak macam baik sahaja mereka itu. Kalaulah mereka tahu apakah yang benar dengan mempelajari tafsir surah Ali Imran ini, mereka tidak akan masuk Kristian. Itulah penting umat Islam kena faham tentang agama Islam supaya tidak tertipu. Kadangkala ada orang yang bangkitkan kekeliruan tentang agama Islam, sedangkan kalau faham betul, kita tidak akan tertipu. Di dalam agama Islam tidak ada kekeliruan sebenarnya. Tapi untuk dapat kefahaman ini, kena belajar tafsir Al-Qur’an.
Asbabun Nuzul: Sebelum surah ini turun, ada wakil dari Najran yang datang untuk berdebat dengan Nabi Muhammad ﷺ. Kejadian itu berlaku pada tahun 9 Hijrah iaitu setelah Mekah ditakluki dan negara Islam telah terbentuk di Madinah. Najran adalah daerah yang ramai penganut Kristian. Mereka dengar tentang Nabi Muhammad ﷺ dan Islam dan mereka marah apabila dikatakan yang penganut Kristian sesat dan Nabi Isa bukan Tuhan/Anak Tuhan. Maka mereka datang untuk berdebat dengan Rasulullah ﷺ. Ada lebih kurang seramai 60 orang datang hendak berjumpa Nabi ﷺ di mana 14 daripadanya adalah pemuka agama mereka. Mereka menjadi tetamu umat Islam waktu itu dan mereka ditempatkan di Masjid Nabawi. Umat Islam melayan mereka dengan baik. Walaupun mereka kafir, dan hendak berdebat tentang Islam, namun mereka tetap dilayani dengan baik.
Mereka marah apabila dikatakan yang Nabi Isa عليه السلام itu hanyalah manusia sahaja dan tidak boleh dipuja. Macam orang kita juga, kalau dikatakan yang tok wali tidak boleh dipuja dan tidak boleh bertawasul dengan mereka, ramailah yang melompat marah. Itu memang sudah tanda orang-orang yang jahil dan keliru.
Apabila mereka hendak berhujah dengan Nabi ﷺ, baginda tunggu sahaja. Maka Allah ﷻ turunkan surah ini. Di akhir surah ini nanti ada ajakan mubahalah dengan mereka. Ini kerana setelah diberikan dengan ayat-ayat dari Surah Ali Imran dan hujah-hujah mantap, mereka tetap juga tidak boleh terima. Ia adalah sumpah laknat antara orang kafir dan mukmin. Dalam mubahalah ini, kita minta Allah ﷻ tunjuk siapa yang benar. Ini dilakukan kalau telah diberitahu juga kebenaran dalam ayat-ayat daripada surah Ali Imran ini, namun mereka masih juga berdegil.
Mubahalah ini adalah syariat antara Islam dan musyrik sahaja. Maka jangan pula ada orang Islam hendak mubahalah dengan orang Islam lain. Pernah puak Syiah mengajak mubahalah tetapi akhirnya mereka yang tidak muncul. Mubahalah ini adalah senjata terakhir kepada mereka yang degil sangat. Hafiz ibn Hajar رحمه الله pernah bermubahalah dengan ajaran tarekat sesat di Mesir. Ibn Hajar رحمه الله sudah kata ajaran itu sesat kufur. Maka, selepas mubahalah itu, laknat Allah ﷻ telah dikenakan kepada golongan sesat. Pengamal tarekat itu mati dalam tempoh masa tidak sampai tiga hari.
Surah Ali Imran ini akan menjawab banyak kesamaran. Apakah kesamaran dalam Surah Baqarah yang akan dijawab dalam Ali Imran?
1. Allah ﷻ menggunakan gelaran kepada Nabi Isa عليه السلام yang boleh menyebabkan kesamaran dan kekeliruan kepada manusia terutama penganut Nasara. Antara yang disebut dalam Kitab-kitab sebelum Al-Qur’an, Allah ﷻ sebut Nabi Isa عليه السلام itu adalah ‘Anak Allah’ dan ‘Roh Allah’. Maka, keliru habislah penganut Nasara yang tidak belajar wahyu. Ini berlaku terutama bagi mereka yang tidak belajar kitab mereka dengan benar sebab Kalam Allah ﷻ tidak akan menyesatkan manusia.
Begitulah kalau tidak belajar dengan benar, maka memang boleh jadi sesat. Macam juga yang berlalu kepada umat Islam sekarang pun. Mereka baca ayat Al-Qur’an dan mereka dapat kefahaman yang salah sebab tidak belajar. Ini banyak terjadi, kerana mereka baca sendiri atau belajar dengan orang yang salah faham juga.
Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat 7.
2. Mukjizat yang diberikan kepada Nabi Isa عليه السلاه memang hebat. Mukjizat baginda termasuk boleh menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang buta asli, pekak asli. Kesemua itu adalah penyembuhan yang dikira luar biasa (zaman sekarang pun masih tidak boleh buat lagi). Baginda juga boleh membuat seekor burung daripada tanah liat kemudian menghidupkannya. Ini tentulah menakjubkan mereka kerana memang mereka umat yang suka kepada bidang kedoktoran/perubatan.
Daripada segi ilmu, baginda juga boleh mengetahui apa yang disimpan dalam rumah. Oleh itu, apabila Nabi Isa عليه السلام boleh buat benda-benda ajaib dan hebat sebegitu, mereka pandang baginda lain macam kerana kelebihan itu semua adalah sifat Tuhan sahaja. Maka mereka telah memuja baginda sebagai tuhan.
Padahal itu adalah mukjizat Nabi Isa عليه السلام dan mukjizat itu hanya dengan kuasa Allah ﷻ sahaja. Ini adalah kekeliruan yang jelas tentang mukjizat. Allah ﷻ hendak menunjukkan yang baginda itu adalah benar seorang Nabi dan keajaiban itu bukanlah boleh dibuat sentiasa tetapi hanya terhad kepada waktu itu sahaja.
Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat 49 hingga ayat 51.
3. Ada kitab tulisan ulama’ mereka yang kata Nabi Isa عليه السلام itu adalah ‘anak Tuhan’ dan mempunyai kuasa. Penganut Nasara memandang tinggi kitab-kitab ulama’ mereka itu. Mereka percaya sepenuhnya apa yang dikatakan oleh golongan ulama’ itu. Macam masyarakat kita jugalah, kalau ada dalam kitab, mereka terus anggap macam segalanya adalah benar belaka. Sikit-sikit mereka berhujah dengan kata ada dalam kitab sekian -sekian. Ini kumpulan AADK (Asal Ada Dalam Kitab).
Allah ﷻ hendak beritahu dalam surah Ali Imran ini, kalau ada kitab yang ajar akidah yang salah, itu bukan kitab ulama’, tetapi kitab syaitan. Tidak kira siapa yang tulis. Jangan jadi AADK.
Kesamaran ini dijawab dalam Ayat 79.
4. Terdapat juga kekeliruan tentang Maryam رضي الله عنها. Beliau bukanlah Nabi tetapi wali. Beliau mendapat rezeki dalam bentuk makanan kerana sifat ketaqwaannya. Kita akan belajar kisah Maryam رضي الله عنها yang hanya duduk di loteng membuat ibadat sahaja. Tidak ada orang lain yang boleh naik untuk berjumpa dengannya kecuali Nabi Zakaria. Yang bertanggungjawab menjaga beliau adalah Nabi Zakaria عليه السلام sahaja.
Nabi Zakaria عليه السلام sahaja yang memberinya makan, dan apabila baginda nampak ada makanan lain bersama Maryam رضي الله عنها, baginda amat terkejut. Makanan itu pula adalah makanan yang segar dan buah-buahan yang di luar musim. Apabila ditanya, Maryam رضي الله عنها menjawab yang itu adalah rezeki daripada Allah ﷻ. Ini adalah balasan kerana ketaqwaan serta sikapnya yang sentiasa menjaga mata dan mulut daripada maksiat. Maka Allah ﷻ memakbulkan doa beliau dan Allah ﷻ menghantar rezeki kepadanya.
Perkara ini cukup luar biasa dan kerana itulah penganut Nasara memuja Maryam رضي الله عنها. Mereka lihat beliau sebagai bukan manusia biasa.
Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat ke 37.
5. Terdapat juga kekeliruan mengenai Nabi Zakaria عليه السلام. Baginda juga merupakan ahli keluarga Imran dan ada golongan sesat yang memujanya. Ini kerana kelebihan baginda yang mendapat anak dalam usia sangat tua dan isterinya pula yang tidak pernah mengandung dan melahirkan. Maka mereka memuja dan ada yang meminta berkat atas sebab kelebihannya itu. Sama juga seperti orang kita, ada yang tidak dapat anak maka ada guru sesat yang mengajarkan agar meminta berkat daripada Nabi Zakaria عليه السلام. Sama sahaja akidah mereka ini dengan golongan Nasara.
Allah ﷻ ajar bahawa perkara pelik yang terjadi kepada baginda adalah kurnia daripada Allah ﷻ. Nabi Zakaria عليه السلام sendiri pun terkejut apabila baginda diberikan seorang anak dalam usia yang sangat tua. Maknanya, itu bukanlah kuasa baginda. Kalaulah ia kuasa baginda, takkan baginda terkejut pula. Sebenarnya Nabi Zakaria عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ setelah baginda melihat bagaimana Maryam رضي الله عنها boleh mendapat rezeki daripada Allah ﷻ sedangkan Maryam رضي الله عنها bukanlah seorang Nabi. Allah ﷻ yang makbulkan baginda, bukannya baginda ada kuasa pun.
Kekeliruan ini dijawab dalam ayat 38.
Kelima-lima syubhat (kesamaran) di atas adalah tentang Tauhid dan Allah ﷻ telah menjawabnya di dalam surah ini.
Syubhat tentang Risalah pula ada tiga.
1. Tentang Kiblat. Mereka kata kalau Nabi Muhammad ﷺ itu benar, kenapa tidak ikut Nabi-nabi lain dalam hal kiblat? Kenapa tidak ikut kiblat yang di BaitulMaqdis? Kenapa berkiblat ke Mekah pula?
Mereka itu jahil atau lupa yang Mekah itu adalah kiblat pada suatu waktu dahulu. Daripada Nabi Adam عليه السلام sehinggalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام, Kaabah itulah Kiblat. Cuma bermula Nabi Ishak عليه السلام dan Nabi-nabi عليهم السلام selepasnya sahaja yang bertukar kiblat ke BaitulMaqdis.
Untuk sementara waktu sahaja zaman Nabi Muhammad ﷺ berkiblatkan ke arah BaitulMaqdis dan selepas itu Kiblat telah bertukar semula ke Kaabah iaitu kembali kepada kiblat asal. Kalau mereka kaji, memang tidak salah apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ kerana memang Kaabah adalah kiblat juga. Kalau mereka mengkaji agama mereka sendiri, dalam kitab mereka juga ada diberitahu yang Nabi akhir zaman akan berkiblatkan Kaabah. Jadi kenapa mereka menolaknya? Tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana jahil sahaja.
Kekeliruan ini dijawab oleh Allah ﷻ dalam ayat 97.
2. Kekalahan dalam Perang Uhud. Mereka mempersoalkan: Bagaimana seorang Nabi boleh kalah? Adakah kerana Allah ﷻ tidak menolong NabiNya? Kekeliruan ini Allah ﷻ jawab dalam ayat 121 – 152. Panjang lebar Allah ﷻ menjawabnya kerana kekalahan itu mempunyai maksud tersendiri.
Allah ﷻ beritahu bahawa bukanlah Dia tidak menolong Nabi-Nya. Allah ﷻ telah tolong umat Islam dalam Perang Badr. Pada peringkat awal Perang Uhud itu sebenarnya Allah ﷻ telah tolong dan memang pihak Muslim sudah menang pun. Namun malangnya, oleh kerana arahan Nabi ﷺ yang tidak ditaati oleh segelintir kaum muslimin yang berperang waktu itu, maka Allah ﷻ menghentikan pertolongan itu. Akhirnya baru Allah ﷻ menolong mereka semula. Allah ﷻ hendak mengajar, selain daripada tauhid kepada Allah ﷻ, kita juga kena taat kepada Rasul. Maknanya kita kena ikut hukum.
3. Tentang makan unta. Dalam syariat Bani Israil, mereka berpegang dengan hukum unta tidak boleh dimakan. Namun dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ pula kata unta halal dimakan. Mereka kata halal dan haram ini adalah keputusan Allah ﷻ, bukannya manusia. Mereka tuduh Nabi Muhammad ﷺ ambil kerja Tuhan pula. Maka Allah ﷻ menjelaskan bahawa unta itu sebenarnya halal. Nabi Ya’qub عليه السلام tidak memakan unta kerana dinasihati oleh tabib yang unta tidak sesuai untuk baginda kerana masalah kesihatan baginda. Kerana itulah baginda tidak makan unta. Bukannya unta itu haram kepada semua orang. Anak cucu baginda yang telah tersilap faham sampai mengharamkan kepada umat Bani Israil keseluruhannya.
Oleh kerana mereka yang berbuat begitu, pandai-pandai pantangkan sendiri, maka Allah ﷻ mengharamkan terus kepada mereka. Ini adalah sebagai hukuman kepada mereka untuk menyusahkan mereka. Kepada umat Nabi Muhammad ﷺ, hukuman telah berbalik kepada asal.
Ini telah dijelaskan dalam ayat 93.
Kelebihan Surah Ali Imran
Surah Ali ‘Imran (bersama-sama dengan Surah Al-Baqarah) dinamakan sebagai Az-Zahraawan (الزَّهْرَاوَان), yang merupakan bentuk kata nama berkembar (dua) bagi perkataan Az-Zahrah (الزَّهْرَاء). Dari sudut bahasa Arab, Az-Zahrah atau Al-Zahra’ bermaksud yang bercahaya, yang bersinar, yang cemerlang, atau yang putih bersih.
Penamaan ini thabit (tetap) secara langsung daripada lisan Rasulullah SAW melalui hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ، اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ: الْبَقَرَةَ، وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا
Daripada Abu Umamah Al-Bahili RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Qur’an, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Az-Zahraawan (dua surah yang bercahaya/gemilang) iaitu Al-Baqarah dan Surah Ali ‘Imran. Kerana sesungguhnya kedua-duanya akan datang pada hari kiamat seolah-olah seperti dua kelompok awan, atau dua naungan, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya, kedua-duanya akan mempertahankan (membela) orang yang rajin membaca dan mengamalkannya…”
(Riwayat Muslim, No. 804)
Penjelasan: Di akhirat kelak, cuaca tidaklah sama semasa di dunia. Kalau Mahsyar nanti, sangatlah panas, maka dari hadis ini, ia memberitahu kita yang dua surah ini akan menjadi penaung bagi kita.
Perkataan أَصْحَابِهِمَا (aṣḥābihimā) di dalam hadis ini dari segi bahasa bermaksud “pemilik/sahabat bagi kedua-dua surah tersebut” (iaitu Surah Al-Baqarah dan Surah Ali ‘Imran). Namun, para ulama hadis (seperti Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim) menjelaskan bahawa gelaran “Sahabat Al-Baqarah dan Ali ‘Imran” ini bukan sekadar merujuk kepada orang yang membaca harfiahnya sahaja, tetapi mengandungi makna dan kriteria yang khusus.
Dalam bahasa Arab, perkataan صاحب (sahabat) bermaksud sesiapa yang sentiasa mendampingi dan meluangkan masa yang lama dengan sesuatu. Maka, أَصْحَابِهِمَا bermaksud orang yang menjadikan Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran sebagai wirid harian atau kerap membacanya sehingga kedua-dua surah itu “akrab” dengan hidupnya, bukan sekadar membaca sekali-sekala atau setahun sekali. Ia juga merujuk kepada para penghafal (huffaz) kedua-dua surah ini yang sentiasa menjaga hafalan mereka melalui murajaah (ulangan) di dalam solat mahupun di luar solat, sehinggakan ayat-ayat tersebut melekat kuat di dalam dada mereka.
Dan yang paling utama, seseorang itu tidak dianggap sebagai “sahabat” kepada Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran sekiranya dia menghafal kelancaran lafaznya tetapi melanggar hukum-hakam di dalamnya. Sahabat bagi kedua-dua surah ini adalah mereka yang:
-
- Mengambil akidah tauhid yang terkandung di dalamnya.
- Menjauhi larangan Riba (yang ditegaskan dalam kedua-dua surah).
- Mengambil pengajaran daripada kisah-kisah kaum terdahulu (Bani Israil, Perang Uhud, dll).
- Melaksanakan tuntutan syariat yang digariskan.
Nota: Perhatikan di dalam hadis ini disebut ‘baca’. Kalau dari sudut logik, orang yang baca, mestilah dia faham apa yang dia baca, bukan? Kalau setakat sebut sahaja, itu orang tak panggil baca, tapi mengeja. Orang Melayu sahaja agaknya yang faham maksud ‘baca’ itu dengan sebut ayat-ayat Al-Qur’an tapi tidak faham sikit habuk pun apa yang mereka baca.
Kenapa Dinamakan “Zahrah” (Yang Bercahaya)? Para ulama hadis dan ahli tafsir (seperti Imam al-Nawawi dan Al-Qadi ‘Iyad) menjelaskan beberapa hikmah mengapa Surah Ali ‘Imran dan Al-Baqarah mendapat gelaran yang agung ini:
1. Menjadi Cahaya Penunjuk Jalan di Akhirat. Dinamakan Zahrah kerana kedua-dua surah ini akan memberikan cahaya yang terang-benderang kepada pembacanya pada hari kiamat kelak. Di saat manusia berada dalam kegelapan, ketakutan, dan kebingungan di Padang Mahsyar, cahaya daripada surah ini akan datang menaungi dan memandu mereka.
2. Kandungan Hukum-Hakam yang Menerangi Jiwa. Kedua-dua surah ini sarat dengan syariat, hukum-hakam (seperti muamalat, nikah kahwin, jihad), dan hujah-hujah aqidah yang sangat jelas. Kejelasan isi kandungannya menerangi (memberi cahaya) kepada hati dan akal fikiran orang beriman, sekali gus memandu mereka keluar daripada kegelapan syubhat (kekeliruan) dan syahwat.
3. Besarnya Pahala dan Ganjaran. Perkataan Az-Zahrah juga digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang sangat bernilai, indah, dan megah. Ganjaran bagi orang yang membaca, menghafal, dan mengamalkan Surah Ali ‘Imran serta Al-Baqarah adalah teramat besar di sisi Allah, seumpama memiliki permata yang paling berkilau.
4. Pembela di Hadapan Allah (Syafaat yang Jelas). Sifatnya yang “terang” itu juga digambarkan melalui peranannya di akhirat. Kedua-dua surah ini akan menjelma menjadi hujah yang nyata untuk mempertahankan pembacanya di hadapan Allah SWT, sehingga mereka terselamat daripada azab api neraka.
Dari sudut bahasa Arab, az-zahrah (الزَّهْرَة) juga bermaksud bunga (kata jamaknya ialah al-azhaar / الأَزْهَار). Dalam loghat Arab klasik, sekuntum bunga dipanggil zahrah kerana sifatnya yang berseri, mempunyai warna yang terang, indah dipandang, dan menarik perhatian seolah-olah ia memancarkan cahaya di tengah-tengah kebun yang hijau. Kedua-dua surah ini adalah “bunga-bunga Al-Qur’an” yang paling indah, mekar, dan wangi kerana di dalamnya terkumpul intipati syariat Islam yang paling utama.
Kerana itulah juga gelaran anak perempuan Rasulullah SAW, adalah Fatimah Az-Zahra’. Para sejarawan Islam menyatakan beliau digelar Az-Zahra’ kerana wajahnya yang sangat putih bersih, berseri-seri seperti bunga yang mekar, dan memancarkan cahaya kebaikan serta kemuliaan akhlak.
Jadi, apabila anda membaca Surah Ali ‘Imran, anda boleh membayangkan dua makna ini serentak: Ia adalah surah yang memberikan cahaya (Zahrah) yang menerangi kegelapan akhirat, dan ia juga merupakan bunga (Zahrah) syariat yang paling indah dan harum dalam Al-Qur’an. Keduanya adalah benar dari segi linguistik Arab!
Kerana itulah juga Surah Ali Imran ini ada beberapa nama, walaupun yang terkenal dan yang orang tahu adalah Ali Imran. Berikut adalah nama-nama lain bagi Surah Ali ‘Imran:
1. Az-Zahrah (الزَّهْرَاء). Seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, secara bersendirian surah ini dipanggil Az-Zahrah (Yang Bercahaya/Bunga yang berseri). Apabila digabungkan bersama Surah Al-Baqarah, kedua-duanya dipanggil Az-Zahraawan (الزَّهْرَاوَان). Nama ini thabit (sahih) daripada hadis Nabi SAW riwayat Imam Muslim.
2. Al-Aman (الأَمَان). Sebahagian ulama tafsir (seperti yang dinukilkan dalam beberapa kitab tafsir klasik) menggelar surah ini sebagai Al-Aman yang bermaksud “Keamanan” atau “Perlindungan”. Kerana surah ini mengandungi ayat-ayat hujah yang kukuh untuk mempertahankan akidah Islam daripada syubhat (kekeliruan) musuh, sekali gus memberikan rasa aman, ketenangan, dan ketetapan iman di dalam hati orang yang mengamalkannya.
3. Al-Kanz (الْكَنْز). Nama ini bermaksud “Gudang Kekayaan” atau “Harta Karun”. Nama ini bersumberkan daripada athar (kata-kata) sahabat Nabi, antaranya daripada Abdullah bin Mas’ud RA atau Makhul yang menyebut: “Surah Ali ‘Imran adalah Al-Kanz (gudang harta/pahala) bagi orang yang miskin (yang memerlukan pahala) di akhirat kelak.” Ia dinamakan sedemikian kerana saratnya surah ini dengan ilmu tauhid, hukum-hakam yang berharga, dan ganjaran pahala yang melimpah-limpah bagi pembacanya.
4. Al-Ma’niyyah (الْمَعْنِيَّة). Sebahagian ulama menggelarnya Al-Ma’niyyah yang membawa maksud “Yang Dimaksudkan” atau “Yang Diperhatikan”. Kerana surah ini secara khusus diturunkan dengan memberikan perhatian yang sangat besar dalam menjawab, membantah, dan memperincikan perihal Ahli Kitab (khususnya kaum Nasrani/Kristian), serta menjelaskan kedudukan sebenar Nabi Isa AS dan ibunya, Maryam.
5. Surah Tayyibah (سُورَة طَيِّبَة). Ada juga riwayat yang menggelar surah ini dengan nama Tayyibah yang bermaksud “Yang Baik/Suci”. Namun, nama ini kurang masyhur berbanding nama-nama di atas.
Selain dari itu, di dalam Surah Ali ‘Imran terdapat rahsia makbulnya doa, iaitu kewujudan Ismullah al-A’zam. Sesiapa yang berdoa kepada Allah dengan menyebut nama-nama agung ini, doanya tidak akan ditolak. Rasulullah SAW bersabda:
اسْمُ اللَّهِ الأَعْظَمُ فِي سُورَتَيْنِ: ﴿وَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ﴾ [البقرة: 163]، وَفَاتِحَةِ آلِ عِمْرَانَ: الم * اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
“Nama Allah yang Paling Agung (Ismullah al-A’zam) berada di dalam dua surah, iaitu pada ayat: ‘Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani’ (Al-Baqarah: 163) dan pada permulaan Surah Ali ‘Imran: ‘Alif, Lam, Mim. Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Kehidupan-Nya Abadi lagi Sentiasa Mengatur makhluk-Nya’ (Ali ‘Imran: 1-2).”
(Riwayat At-Tirmidzi, No. 3478 & Abu Dawud. Dinilai Hasan oleh Syeikh Al-Albani)
Dalam kalangan para sahabat Nabi SAW, sesiapa yang berjaya menghafal, memahami hukum, dan mengamalkan Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran, mereka akan dipandang tinggi dan dihormati sebagai ketua atau tokoh rujukan masyarakat. Anas bin Malik RA menceritakan status sosial para penghafal dua surah ini:
كَانَ الرَّجُلُ إِذَا قَرَأَ الْبَقَرَةَ وَآلَ عِمْرَانَ، جَدَّ فِينَا – أَيْ: عَظُمَ فِي عُيُونِنَا وَصَارَ ذَا قَدْرٍ عَالٍ
Dahulu, apabila seseorang lelaki (sahabat) telah selesai membaca/menghafal Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran, maka dia akan menjadi seorang yang sangat agung (dihormati dan dipandang tinggi) di kedudukan kami.”
(Riwayat Ahmad, No. 12222. Syeikh Syuaib Al-Arnaut menyatakan sanadnya Sahih mengikut syarat Imam Muslim)
Rasulullah SAW menjadikan ayat-ayat terakhir Surah Ali ‘Imran sebagai zikir dan renungan harian baginda, terutamanya apabila terjaga di tengah malam untuk menunaikan solat Tahajjud. Ibnu Abbas RA meriwayatkan suasana malam bersama Nabi SAW:
«…فَاسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَلَسَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بِيَدِهِ، ثُمَّ قَرَأَ الْعَشْرَ الْآيَاتِ الْخَوَاتِمَ مِنْ سُورَةِ آلِ عِمْرَانَ…»
“…Maka Rasulullah SAW terjaga dari tidur, baginda duduk lalu mengusap sisa tidur pada wajahnya dengan tangan baginda. Kemudian baginda membaca 10 ayat terakhir daripada Surah Ali ‘Imran (bermula dari ayat 190 hingga 200). Selepas itu baginda bangun menuju ke bekas air, berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri menunaikan solat.”
(Riwayat Al-Bukhari, No. 4569 & Muslim, No. 763)
Para ulama tafsir dan ahli sejarah Islam mencapai ijmak (sepakat) bahawa Surah Ali ‘Imran ialah surah Madaniyyah (surah yang diturunkan selepas peristiwa Hijrah Nabi SAW ke Madinah). Kesepakatan ini bukan sahaja bersandarkan kepada riwayat-riwayat athar yang sahih, tetapi ia disokong kuat oleh bukti dalaman (internal evidence) yang ada pada kandungan, tema, dan peristiwa sejarah yang diceritakan di dalam surah ini.
Ini kerana ia mengandungi kisah Perang Uhud & Perang Badar. Ciri paling ketara bagi surah Madaniyyah adalah perbincangan mengenai jihad fizikal, peperangan, dan strategi ketenteraan umat Islam, kerana perintah perang hanya disyariatkan selepas berhijrah. Hampir separuh daripada Surah Ali ‘Imran (bermula dari ayat 121 sehingga hampir ke penghujung surah) membincangkan secara terperinci tentang Perang Uhud yang berlaku pada tahun ke-3 Hijrah. Surah ini juga merakamkan post-mortem Perang Uhud yang menyentuh tentang kesedihan umat Islam, kesilapan pasukan pemanah di bukit, peranan golongan munafik, serta ujian keimanan para sahabat. Malah, surah ini juga menyentuh serba sedikit tentang Perang Badar (tahun ke-2 Hijrah).
Di fasa Mekah (Makkiyyah), fokus dakwah Nabi SAW adalah berhadapan dengan kaum Musyrikin Quraisy yang menyembah berhala. Manakala di fasa Madinah (Madaniyyah), umat Islam mula berinteraksi secara meluas dengan golongan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian). Bahagian awal Surah Ali ‘Imran (sekitar ayat 1 hingga 80) diturunkan khusus berkaitan dengan kedatangan rombongan Kristian dari Najran ke Madinah pada tahun ke-9 Hijrah (Tahun Utusan/’Am al-Wufud). Mereka datang berdialog dan berdebat dengan Nabi SAW tentang status ketuhanan Nabi Isa AS. Al-Qur’an menjawab hujah mereka dalam surah ini, termasuklah pensyariatan ayat Mubahalah (ayat 61).
Surah ini juga menyebut tentang Golongan Munafik (orang yang berpura-pura Islam tetapi menyembunyikan kekufuran) dan mereka hanya wujud di Madinah. Di Mekah, umat Islam adalah golongan yang ditindas, jadi tidak ada sebab untuk sesiapa berpura-pura menjadi Muslim. Surah Ali ‘Imran sarat dengan ayat-ayat yang membongkar belang, kata-kata sinis, dan pakatan jahat orang munafik (seperti Abdullah bin Ubai bin Salul) terutamanya sewaktu mereka berpaling tadah dalam Perang Uhud.
Surah-surah Madaniyyah terkenal dengan pengisian undang-undang awam dan kemasyarakatan (Tasyri’). Dalam Surah Ali ‘Imran, Allah SWT menurunkan hukum-hakam penting.
Selain dari itu terdapat kaedah masyhur dalam Ulum Al-Quran yang berbunyi: “Setiap ayat yang bermula dengan panggilan ‘Wahai orang-orang yang beriman’ (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) adalah Madaniyyah, manakala ayat yang bermula dengan ‘Wahai manusia’ (يَا أَيُّهَا النَّاسُ) adalah Makkiyah.” Jika kita semak Surah Ali ‘Imran, panggilan (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) ini disebut sebanyak 7 kali (contohnya dalam ayat tentang larangan riba, kewajipan bertaqwa, dan kesabaran). Kehadiran ungkapan ini mengukuhkan lagi hujah para ulama bahawa surah ini adalah Madaniyyah tulen.
Sejarah Turun
Secara umumnya bolehlah dikatakan Surah Ali `Imran diturunkan pada tahun ke-3 Hijrah, selepas Perang Uhud. Ketika itu telah pun nyata kesan dan akibat daripada kesyahidan sekian ramai sahabat di medan Perang Uhud, di mana sudah mula terdapat agak ramai isteri yang menjanda dan anak-anak kecil yang menjadi yatim.Semua itu telah menimbulkan masalah masyarakat yang memerlukan penyelesaian.
Ayat ke-33 hingga ke-70 bagaimanapun dipercayai diturunkan pada tahun ke-9 Hijrah, ketika mana rombongan orang-orang Kristian Najran datang ke Madinah dan terjadi perdebatan di antara mereka dengan Rasulullah, sehingga membawa kepada cabaran Rasulullah terhadap mereka untuk bermubahalah.Tetapi mereka tidak berani menyahut cabaran Rasulullah itu.
Allahu a’lam. Sambung kepada tafsir ayat
Kemaskini: 7 Jun 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

