Tafsir Surah Ali Imran Ayat 3 (Hubungan Al-Qur’an dengan Kitab-Kitab Terdahulu)

Ali Imran Ayat 3: Sekarang Allah beritahu yang Dia yang menurunkan kitab-kitab wahyu. Akan tetapi sebelum ini, Allah mengingatkan kita siapa Dia dengan ayat اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ di dalam Ayat 2. Iaitu Allah menekankan tentang Tauhid. Allah tidak sebut NamaNya sahaja, tapi dikaitkan dengan NamaNya itu konsep Tauhid sekali. Jadi kita kena ingat Siapa yang menurunkan kitab-kitab wahyu ini.

نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

SAHIH INTERNATIONAL
He has sent down upon you, [O Muhammad], the Book in truth, confirming what was before it. And He revealed the Torah and the Gospel.

MALAY
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab Taurat dan Injil.

 

نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ

Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Qur’an) dengan mengandungi kebenaran, 

Struktur ayat dari segi nahu agak menarik. Bagi yang tahu struktur ayat di dalam Bahasa Arab, ia mesti ada mubtada‘ dan khabar. Kalimah ٱللَّهُ adalah mubtada’ dan khabarnya adalah نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلۡكِتَـٰبَ. Jadi ayat yang lengkap adalah ٱللَّهُ نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلۡكِتَـٰبَ. Kalimat لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ adalah sisipan atau mu’taridah. Allah menyelitkan maklumat yang amat penting di dalam potongan ayat ini. Tujuannya adalah supaya kita berhenti sejenak dan memikirkan tentang siapakah Allah. Sekarang barulah kita sambung kepada ayat yang utama.

Kalimah ٱلكِتَـٰبَ di dalam ayat ini bermaksud Al-Qur’an. Kenapa Allah tidak menggunakan kalimah ‘Al-Qur’an’ di sini? Penggunaan kata nama ini (bukan sekadar menyebut “Al-Qur’an” yang bermaksud bacaan) adalah satu bentuk pujian dan pengagungan (Tashrif). Penggunaan kata Al-Kitab dengan huruf Alif Lam (ال) di hadapannya memberikan makna Al-Kamal (Kesempurnaan), seolah-olah Allah ingin menyatakan: “Inilah satu-satunya kitab yang paling sempurna dan paling layak dipanggil sebagai Kitab daripada segala jenis kitab yang ada di dunia.” Sebab itu nanti untuk Taurat dan Injil tidak digunakan istilah ‘Al-Kitab’ bagi keduanya.

Selain dari itu, digunakan juga kalimah ٱلكِتَـٰبَ di sini kerana Yahudi dan Israil lebih familiar dengan istilah ini. Dan Surah Ali Imran ini ada menyentuh mereka, jadi digunakan istilah ٱلكِتَـٰبَ. Tapi tidak banyak, kerana istilah Al-Qur’an yang lebih banyak digunakan.

Istilah ٱلكِتَـٰبَ juga digunakan kerana hendak menekankan yang ia adalah kitab wahyu yang mengandungi hukum hakam yang tertulis. Kita kena ikut segala hukum hakam itu.

Balaghah (Iltifat): Jika kita melihat ayat 2 sebelum ini, Allah disebut menggunakan kata ganti nama ketiga: “اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ…” (Allah, tiada Tuhan melainkan Dia…). Masuk sahaja ayat 3, subjeknya masih Allah (kata ganti nama ketiga/ghaib), tetapi ayat ini ditujukan secara langsung kepada Nabi Muhammad (kata ganti nama kedua/muwajjah – عَلَيكَ / Kepadamu). Perubahan dinamik ini dalam ilmu balaghah dipanggil Iltifat. Ia berfungsi untuk menghidupkan suasana teks, menarik perhatian pembaca, dan menunjukkan keakraban hubungan antara Sang Pencipta (Allah) dan utusan-Nya (Nabi Muhammad). Apabila bercakap terus, ia mengandungi unsur keakraban, kemesraan, dan ketenangan jiwa.

Allah menekankan di sini yang Dia yang menurunkan Al-Qur’an. Bukannya dari Nabi Muhammad, bukannya dari mana-mana tempat lain. Tapi dari Allah! Maka kerana Dia Tuhan kita, maka kenalah kita beri perhatian kepada Al-Qur’an ini. Ramai yang memang sudah menganggap Al-Qur’an ini mulia, mereka baca dan hafal, mereka simpan di tempat yang tinggi. Tapi adakah itu sudah cukup? Ada yang sayang Al-Qur’an, jadi dia gantung di dinding, di kereta, letak di bawah bantal dan sebagainya. Tapi adakah itu cukup? Inilah persoalannya yang kita kena fikir-fikirkan.

Ia juga hendak menolak tuduhan Ahli Kitab. Mereka juga ada kitab-kitab wahyu, tapi apabila Al-Qur’an datang, mereka tolak. Mereka kata kitab-kitab mereka dari Tuhan tapi Al-Qur’an ini dari syaitan! Jadi Allah hendak buat penegasan yang Al-Qur’an ini juga dari Allah.

Allah ‎ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah satu kemuliaan yang Allah sebut di dalam ayat ini. Allah tidak sebut orang lain, Allah tidak beri kepada sesiapa dari Bani Israil, tapi kepada Nabi Muhammad, dari Bani Ismail.

Balaghah: Penggunaan kalimah عَلَى. Perbezaan penggunaan huruf jar (kata sendi nama) عَلَى (`ke atas) dan إِلَى (kepada) selepas kata kerja نَزَّلَ membongkar rahsia keindahan balaghah (seni sastera) Al-Qur’an yang sangat mendalam. Ia membawa nuansa makna dan kesan psikologi yang jauh berbeza berbanding jika ditukar kepada إِلَيْكَ (kepada kamu). Berikut adalah 3 perbezaan utamanya mengikut huraian ulama tafsir dan nahu:

1. Kedudukan Tinggi

Menggunakan عَلَى dari sudut bahasa membawa maksud العِلى (ketinggian/di atas). Penggunaan عَلَيْكَ memberikan gambaran visual dan maknawi bahawa Al-Qur’an itu turun dari tempat yang Maha Tinggi (Lauh Mahfuz / Sisi Allah) lalu turun menyelubungi dan menaungi Nabi Muhammad.

Jika menggunakan إِلَى ia sekadar berfungsi sebagai penanda sempadan atau destinasi terakhir sahaja. Kalau ayat itu berbunyi نَزَّلَ إلَيكَ ia hanya bermaksud Al-Qur’an itu dihantar dari poin A dan sampai kepada poin B (iaitu Nabi Muhammad), tanpa memberi penekanan kepada keagungan dan ketinggian darjat sumber penurunan tersebut.

2. Beban Tanggungjawab dan Ketetapan Yang Utuh

Dalam kaedah bahasa Arab, huruf عَلَى sering digunakan untuk perkara yang bersifat tanggungjawab, kewajipan, atau bebanan yang berat (Contoh: كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ – Diwajibkan ke atas kamu puasa). Penurunan “ke atas” Nabi bermaksud Al-Qur’an itu datang sebagai amanah besar, ketetapan yang kukuh, dan wahyu yang berat untuk dipikul oleh jiwa baginda.

Jika menggunakan إِلَى, ia bersifat neutral. Sesuatu yang dihantar “kepada” anda boleh jadi sebuah hadiah, surat biasa, atau perkara ringan yang terpulang kepada anda untuk menerimanya dengan bersahaja atau tidak. Ia kurang menggambarkan elemen “amanah berat” yang wajib dipikul.

Ia adalah perli kepada golongan Kristian yang tidak jaga agama wahyu mereka. Hukum dan undang-undang sudah tidak mereka jaga lagi. Kerana apa? Kerana bagi mereka, asal terima Nabi Isa sebagai tuhan, semua dosa mereka akan dihapuskan, tunggu nak masuk syurga sahaja. Perasan masuk syurga tak habis mereka ini. Sedangkan agama ini bukan goyang kaki, tapi ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Dan semua itu disebut di dalam kitab wahyu.

Memang kadang-kadang Allah menggunakan kalimah إلى seperti di dalam Baqarah:4 

وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِمآ أُنزِلَ إِلَيكَ
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu

Tapi di dalam Surah Baqarah itu Allah hendak menekankan yang Allah memberikan Al-Qur’an sebagai ‘hadiah’ kepada Rasulullah dan umat Islam. Sedangkan di dalam Ali Imran ini, penekanan adalah kepada tanggungjawab terhadapnya.

Ia bukan sahaja untuk Nabi Muhammad tetapi bagi kita, umat baginda. Kita juga telah dipikulkan dengan tanggungjawab ini untuk menyampaikan ajaran Al-Qur’an kepada manusia. Tidak kiralah orang kafir atau orang Muslim sendiri. Kerana ramai Muslim pun tidak tahu menahu tentang Al-Qur’an ini. Dan ia memang tugas yang berat dan ditentang habis-habisan oleh golongan yang jahil. Antaranya mereka tuduh kita Wahabi, kita tafsir sendiri, dan berbagai lagi tohmahan. Sabar sahajalah.

3. Kemuliaan Khusus Bagi Penerima

Para ulama menyebut, penggunaan عَلَى dalam konteks penurunan wahyu mengandungi unsur penghormatan dan pemuliaan yang tinggi kepada Nabi Muhammad. Ia menunjukkan hati dan jiwa baginda telah dipilih dan “ditinggikan” kedudukannya oleh Allah supaya layak menjadi hamparan untuk menerima penurunan ayat-ayat suci tersebut. Ketika itu baginda sedang menerima penolakan dari puak musyrikin dan juga dari golongan Ahli Kitab. Dengan penekanan عَلَيكَ (ke atas ENGKAU) bermaksud Allah telah memilih baginda kerana baginda yang layak. Jadi jangan hirau kata-kata puak lain.

Di sini juga ada balaghah yang lain iaitu taqdim pada kalimah عَلَيكَ. Kerana susunan yang biasa adalah نَزَّلَ ٱلكِتَـٰبَ عَلَيكَ. Ia bertujuan untuk memberikan makna pembatasan (Al-Hasr) dan pengkhususan (Al-Ikhtisas). Ia hendak menolak dakwaan sebahagian daripada manusia (kaum kafir) yang mendakwa bahawa wahyu turut diturunkan kepada mereka juga, dan bahawa mereka juga mampu untuk mendatangkan wahyu yang semisal ini. Tidak sama sekali. Wahyu itu diturunkan kepada Nabi Muhammad sahaja.

Tapi tentulah ia bukan sahaja untuk baginda. Ia untuk semua umat manusia. Ia menjadi panduan hidup kita yang sepatutnya kita kena pelajari. Kerana Allah ﷻ yang turunkan, maka kita sebagai hambaNya, kenalah tahu apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita. Maka berhentilah setakat baca sahaja Al-Qur’an siang dan malam tanpa faham apa yang hendak disampaikan. Luangkanlah masa untuk belajar tafsir sedikit demi sedikit.

Kalimah نَزَّلَ maksudnya daripada segi bahasa adalah: menurunkan. Kenapa digunakan kalimah menurunkan? Kerana yang menurunkannya adalah Allah dan Allah di atas langit. Ini adalah satu lagi bukti dari bukti-bukti yang banyak sebagai dalil yang Allah di langit.

Balaghah: Susunan ayat yang biasa dalam tatabahasa Arab sepatutnya: نَزَّلَ ٱلكِتَـٰبَ عَلَيكَ (Dia menurunkan Al-Kitab kepadamu). Namun, Allah mengubah susunannya (Taqdim wa Ta’khir) menjadi: نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ (Dia menurunkan kepadamu Al-Kitab).

Rahsia Balaghah: Mendahului kata ganti nama “kepadamu” (عَلَيكَ) yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW berfungsi sebagai Al-Ihtimam (memberi perhatian khusus) dan Al-Ikram (memuliakan kedudukan Nabi SAW). Allah ingin menegaskan betapa tingginya darjat Nabi Muhammad SAW di sisi-Nya kerana bagindalah insan terpilih yang dada dan jiwanya mampu menerima bebanan wahyu yang sangat berat itu. Allah yang mulia, menurunkan Al-Qur’an yang mulia kepada insan yang mulia iaitu Nabi Muhammad.

Dan Allah kata Dia menurunkan Al-Qur’an itu بِالحَقِّ (dengan kebenaran). Ia bukan turun main-main, tapi ada sebab. Ia bukan untuk hanya dibaca dan dihafal sahaja, tapi ia mempunyai kepentingan berat dan besar. Ada beberapa maksud di sini:

1. Allah ﷻ menegaskan yang Kitab Al-Qur’an itu adalah benar dan ia diturunkan dengan tujuan memberitahu kebenaran – iaitu kebenaran tentang Allah ‎ﷻ. Maka untuk kita tahu kebenaran, kenalah kita belajar tentang Al-Qur’an ini, iaitu dengan mempelajari ilmu tafsir.

2. Proses penurunan Al-Qur’an juga benar. Ia dari Allah dan bukanlah rekaan Nabi Muhammad atau baginda cedok dari mana-mana sumber lain.

3. Memang Nabi Muhammad layak menerima Al-Qur’an ini.

 

مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ

yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya,

Al-Qur’an itu membenarkan ajaran akidah tauhid yang ada dalam Taurat dan Injil dan kitab-kitab yang lain. Kalimah ما بَينَ يَدَيهِ secara literal bermaksud ‘di antara tangannya’. Jadi ia bermaksud apa yang ada pada tangan mereka. Yang merujuk kepada kitab-kitab wahyu seperti Taurat dan Injil. Al-Qur’an bukanlah bawa benda baru tapi perkara sama yang telah disebut di dalam kitab-kitab wahyu sebelumnya. Syariat di dalam kitab-kita itu mungkin berbeza, tapi hal Tauhid sama sahaja.

Faedah (hikmah) menyebut hal ini adalah untuk menggesa dan mendorong penganut kedua-dua kitab (Yahudi dan Kristian) agar beriman kepada kitab yang diturunkan ini (Al-Qur’an), serta menyedarkan mereka tentang kewajipan beriman kepadanya. Hal ini kerana keimanan kepada kitab yang membenarkan (Al-Musaddiq / Al-Qur’an) secara pasti akan mewajibkan juga keimanan kepada kitab yang dibenarkannya (Al-Musaddaq / Taurat dan Injil yang asal). Kalau sudah percaya dengan Taurat dan Injil, kena jugalah percaya kepada Al-Qur’an juga kerana sumbernya adalah sama sahaja iaitu Allah. Ahli Kitab disuruh fikir: “Kalau Al-Qur’an ini membenarkan apa yang ada pada kita, kenapa kita hendak tolak? Adakah kita menolaknya kerana ia membongkar kepalsuan di dalam agama kita?”

Bagi sebilangan Ahli Kitab yang masuk Islam, ia sepatutnya menjadi ketenangan kepada mereka. Pegangan agama mereka sebelum ini tidaklah mereka tolak semua sekali. Ada sahaja perkara yang sama dipakai juga di dalam agama baru ini (Islam).

Bukanlah Allah ﷻ beritahu kitab-kitab itu sekarang benar. Ini adalah kerana semua kitab-kitab wahyu lain sebelum Al-Qur’an telah diselewengkan. Antara yang diselewengkan adalah konsep Tauhid لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ. Kerana itu sebelum disebut tentang kitab, Allah sebut tentang Tauhid dahulu di dalam ayat sebelum ini kerana itulah yang paling penting.  Namun sebelum ia diselewengkan, kitab-kitab itu juga membawa ajaran yang benar terutama sekali tentang Tauhid. Allah ﷻ hendak memberitahu, sama sahaja ajaran Tauhid di dalam kitab-kitab itu dengan Al-Qur’an.

Jadi di sini Allah hendak menempelak golongan Ahli Kitab yang tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an. Sedangkan mereka beriman dengan Taurat dan Injil. Tapi sumber Al-Qur’an adalah sama dengan sumber Taurat dan Injil juga iaitu dari Allah yang satu. Jadi kalau mereka menolak Al-Qur’an, mereka juga sebenarnya menolak kitab mereka sendiri.

Bagaimana contoh cara Al-Qur’an membenarkan kitab-kitab sebelumnya? Bukankah di dalam kitab-kitab itu menyebut kedatangan Nabi Muhammad? Nah sekarang Nabi Muhammad yang dijanjikan telah muncul.

Jadi sebenarnya ada persamaan perkara yang disebut di dalam Al-Qur’an yang sudah ada di dalam kitab-kita mereka. Kerana itu bagi orang yang mahir dengan Taurat dan Injil, apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, terus mereka menangis kerana mereka nampak ada persamaan. Tidaklah semua, tapi ada. Kerana itu Allah berfirman di dalam Qasas:53 tentang mereka ini,

وَإِذا يُتلىٰ عَلَيهِم قالوا ءآمَنّا بِهِ إِنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّنا إِنّا كُنّا مِن قَبلِهِ مُسلِمينَ
Dan apabila dibacakan (Al-Qur’an itu) kepada mereka, mereka berkata: “Kami beriman kepadanya; sesungguhnya; Al-Qur’an itu adalah suatu kebenaran dari Tuhan kami, sesungguhnya kami sebelumnya adalah orang-orang yang membenarkan(nya).

Seperti yang kita tahu, kitab-kita wahyu sebelum Al-Qur’an telah diselewengkan. Tapi tidaklah semua yang ada di dalam kitab-kitab itu langsung tidak boleh pakai. Ada sahaja yang benar; akan tetapi persoalannya, bagaimana kita hendak tahu mana benar dan tidak? Itulah tugas Al-Qur’an sebagai مُصَدِّقً iaitu mana yang benar, itulah yang diulang. Jadi kita cuma perlu baca Al-Qur’an sahaja. Yang mana Al-Qur’an tak sebut, maka itu adalah tanda ia tidak benar.

Selain dari itu, interpretasi ayat dari Bible/Injil juga diperbetulkan di dalam Al-Qur’an. Mungkin ada persamaan antara ayat Al-Qur’an dan Bible/Taurat dari segi teks, akan tetapi ia telah disalahtafsirkan oleh golongan Kristian. Sebagai contoh, di dalam John 1:1 ada disebut  “In the beginning was the Word, and the Word was with God, and the Word was God.” Ayat ini merujuk kepada Nabi Isa (Jesus). Dan di dalam Al-Qur’an ada ayat yang mengatakan Nabi Isa adalah ‘kalimah dari Allah’ iaitu disebut di dalam Ali Imran:45

إِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنهُ اسمُهُ المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ
(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam

Tafsiran salah mereka akan ayat ini adalah Jesus itu Anak Tuhan atau Logos. Maka mereka menyembah Jesus pula kerana jahil. Inilah antara kekeliruan yang ada di kalangan mereka. Maka Allah perbetulkan pemahaman ini. Nanti akan diterangkan apakah maksud ayat ini pada tempatnya.

Dan Al-Qur’an terus melakukan tugas membenarkan mana yang benar kerana kalimah مُصَدِّقًا adalah di dalam bentuk اسْمُ الْفَاعِلِ yang bermaksud ia bukan melakukannya sekali, tapi berterusan.

 

وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

dan Dia juga yang menurunkan Taurat dan Injil.

Sebelum ini telah disebut مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ. Tapi apakah yang dimaksudkan dengan بَينَ يَدَيهِ (di antaranya dua tangannya – di hadapan mereka – yang ada pada mereka). Begitu juga di Allah berfirman di dalam Baqarah:4 Allah berfirman:

وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِمآ أُنزِلَ إِلَيكَ وَمآ أُنزِلَ مِن قَبلِكَ
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu

Ketika itu Allah hanya sebut وَمآ أُنزِلَ مِن قَبلِكَ tanpa disebut nama kitab-kitab itu. Dan sekarang baru disebut nama Kitab Taurat dan Injil dalam ayat ini, memberi isyarat bahawa surah ini adalah tentang puak Nasara kerana mereka sahaja yang terima Taurat dan Injil. Ini kerana puak Yahudi tidak terima Injil sebagai kalam Allah ‎ﷻ.

Allah sebut dua kitab itu secara spesifik kerana kedudukan kitab yang dibenarkan oleh Al-Qur’an itu akan semakin meningkat tinggi dan tersohor kemuliaannya. Ia juga akan menambahkan lagi penerimaan yang baik serta rasa gerun/hormat di dalam hati-hati manusia terhadap dua kitab itu. Kerana kita sebagai umat Islam pun kena beriman dengan kitab-kitab itu juga.

Ia juga menekankan sifat Allah yang tidak pernah membiarkan manusia di dalam kesesatan. Bukanlah Allah baru berikan wahyu ketika Al-Qur’an diturunkan, tapi sebelum itu lagi telah banyak kitab-kitab wahyu sebagai petunjuk telah diberikan. Yang manusia jadi sesat bukanlah kerana tidak ada panduan, tapi panduan itu yang tidak diikut.

Allah tidak mengutuk kitab-kitab wahyu seperti Taurat dan Injil. Dan memang menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk beriman dengan semua kitab wahyu. Dan ia menjadi kebanggaan bagi golongan Ahli Kitab kerana merekalah yang beriman benar-benar kepada semua kitab wahyu itu. Macam kita umat Islam, kita tidak berpeluang kerana kita kenal Al-Qur’an sahaja. Kita beriman juga kepada semua kitab-kitab itu tapi setakat terima yang ia telah diturunkan juga oleh Allah. Sedangkan golongan Ahli Kitab, mereka boleh berbangga yang mereka beriman juga kepada kitab selain Al-Qur’an.

Seterusnya, (penyebutan ini) akan menonjolkan betapa buruk dan kejinya keadaan orang yang kufur terhadap kedua-dua kitab tersebut, serta menjelaskan impak rentetan daripada kekufuran itu yang berupa azab yang sangat pedih dan balasan seksaan (sebagaimana yang akan disebutkan pada ayat berikutnya).

Golongan Nasara pun kena terima Taurat juga kerana itu juga sebahagian daripada kitab mereka. Kalau dalam Bible mereka sekarang, Taurat itu adalah Old Testament dan Injil adalah New Testament. Tapi ia tidaklah sama. Apabila Al-Qur’an menyebut tentang Taurat (التوراة), ia tidak merujuk secara mutlak kepada kitab Torah (atau Pentateuch / Lima Kitab Nabi Musa) yang ada di tangan penganut Yahudi dan Kristian pada hari ini. Para ulama tafsir, perbandingan agama, dan akidah (seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn Kathir) membahagikan isu ini kepada beberapa dimensi penting untuk mengelakkan kekeliruan:

Taurat yang dipuji dan disahkan oleh Al-Qur’an adalah Taurat yang asli, iaitu wahyu suci yang diturunkan secara langsung daripada Allah kepada Nabi Musa di Bukit Sina. Ia mengandungi hukum-hakam, syariat, cahaya petunjuk, serta khabar gembira mengenai kedatangan Nabi Muhammad. Manusia pada hari ini tidak mempunyai naskhah asal Taurat dalam bentuknya yang murni tanpa sebarang perubahan.

Kitab Torah yang ada sekarang (yang membentuk bahagian awal daripada kitab Old Testament / Perjanjian Lama) dinamakan oleh para sarjana sebagai Kitab yang telah mengalami Tahrif (Penyelewengan/Perubahan). Al-Qur’an sendiri menegaskan bahawa tangan-tangan manusia telah mengubah isi kandungan kitab tersebut di dalam Baqarah:79

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَّهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَّهُم مِّمّا يَكسِبونَ
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

Sebab itulah, Torah moden mengandungi campuran antaranya:

  • Sisa-sisa Wahyu Asal: Hukum-hakam seperti Ten Commandments (Sepuluh Perintah Allah) yang masih selari dengan prinsip Islam.
  • Tulisan Sejarah Manusia: Catatan peristiwa harian, salasilah keturunan, malah bab yang menceritakan tentang kematian dan pengkebumian Nabi Musa sendiri (menunjukkan ia ditulis oleh orang lain selepas kewafatan baginda).
  • Unsur Dongeng & Fitnah: Terdapat dakwaan-dakwaan yang tidak layak di dalam Torah hari ini yang menuduh para Nabi melakukan dosa besar (seperti tuduhan zina atau mabuk terhadap Nabi Luth dan Nabi Daud) — sesuatu yang ditolak sekeras-kerasnya oleh akidah Islam.

Bagaimana dengan Bible? Situasinya hampir sama dengan isu Kitab Taurat. Di dalam Al-Qur’an, Allah menyebut tentang Injil (الإنجيل), manakala kitab yang ada pada penganut Kristian hari ini dikenali sebagai Bible (Al-Kitab) atau Gospel. Secara ringkasnya: Bible yang ada hari ini bukanlah Injil asli yang dimaksudkan oleh Al-Qur’an, melainkan sebuah kompilasi karangan manusia yang hanya mengandungi sisa-sisa atau cebisan daripada wahyu asal tersebut.

Di dalam Islam, Injil ialah satu kitab wahyu tunggal yang diturunkan oleh Allah secara langsung kepada Nabi Isa (Jesus) untuk disampaikan kepada Bani Israil. Kitab Injil asli ini mengandungi ajaran tauhid (menyembah Allah yang Esa), hukum-hakam yang membenarkan sebahagian syariat Taurat, nasihat rohani, serta ramalan tentang kedatangan Nabi terakhir, iaitu Nabi Muhammad.

Sila ambil perhatian: Injil dalam perspektif Islam ialah wahyu yang diterima oleh Nabi Isa, bukannya buku yang ditulis mengenai kisah hidup Nabi Isa seperti yang ada di dalam Bible sekarang. Bible yang ada di tangan penganut Kristian hari ini bukanlah sebuah kitab tunggal yang turun dari langit, tetapi ia merupakan sebuah “perpustakaan besar” (kompilasi) yang mengandungi puluhan buku (kitab-kitab kecil) yang ditulis oleh ramai penulis berbeza dalam tempoh ratusan tahun.

Bible dibahagikan kepada dua bahagian utama:

    • Perjanjian Lama (Old Testament): Mengandungi kitab-kitab Yahudi terdahulu termasuk Torah (Taurat yang telah berubah), Mazmur (Zabur), dan kitab para Nabi Bani Israil yang lain.
    • Perjanjian Baru (New Testament): Bahagian inilah yang sering dikaitkan dengan Nabi Isa. Di dalam Perjanjian Baru ini, terdapat 4 kitab biografi utama yang dipanggil sebagai “The Four Gospels”, iaitu:
        1. Injil Matius (Matthew)
        2. Injil Markus (Mark)
        3. Injil Lukas (Luke)
        4. Injil Yohanes (John)

Para ulama tafsir dan pengkaji perbandingan agama menjelaskan beberapa sebab mengapa Gospels di dalam Bible hari ini telah mengalami penyelewengan (tahrif):

A. Ia Ditulis oleh Orang Lain, Bukan Nabi Isa

Empat Injil yang ada di dalam Bible hari ini bukan dari Allah, malah tidak ditulis oleh Nabi Isa pun. Ia merupakan catatan biografi (kisah hidup dan khutbah) Nabi Isa yang ditulis oleh pengikut-pengikutnya atau generasi selepasnya (Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes) puluhan tahun setelah Nabi Isa diangkat ke langit. Yang peliknya, tidak ada sesiapa pun yang tahu siapakah empat penulis ini, termasuk pengkaji Bible. Malahan, kisah-kisah yang mereka sampaikan banyak percanggahan antara seorang penulis dan penulis yang lain.

B. Ditulis di Atas Pihak Ketiga (ini boleh dilihat dari gaya penceritaan)

Gaya bahasa di dalam Bible moden adalah dalam bentuk penceritaan pihak ketiga, bukannya firman Allah yang langsung atau kalam Nabi Isa sendiri. Contoh ayat Bible: “Dan ketika Yesus berjalan di situ, Ia melihat seorang yang bernama Matius… lalu Ia berkata kepadanya: Ikutlah Aku…” (Matius 9:9). Ini membuktikan teks tersebut adalah penulisan memoir sejarah oleh manusia.

C. Wujud Ratusan Injil Lain yang Dimusnahkan

Dari sudut sejarah kemasukan agama Kristian ke Empayar Rom, terdapat ratusan naskhah “Injil” lain yang ditulis oleh pelbagai kumpulan awal Kristian (seperti Injil Barnabas, Injil Thomas, dll). Namun, semasa Persidangan Nicaea (tahun 325 Masihi), pihak gereja dan pemerintah Rom telah menapis dan memilih 4 Injil ini sahaja sebagai kitab rasmi, manakala Injil-Injil lain yang tidak selari dengan doktrin Triniti kerajaan telah diharamkan dan dibakar. Bagaimana sesuatu yang asli boleh ada banyak salinan yang bercanggah antara satu sama lain?

Mungkin ramai yang tidak tahu, di dalam sejarah rantaian wahyu, Kitab Injil yang dibawa oleh Nabi Isa tidak berfungsi untuk meruntuhkan atau memadamkan sistem perundangan Kitab Taurat (hukum-hakam syariat Nabi Musa), melainkan ia datang sebagai pengesah, pelengkap, dan pembawa keringanan (fleksibiliti). Al-Qur’an menjelaskan dengan sangat harmoni bahawa Nabi Isa diutus untuk membenarkan syariat Musa, namun baginda diberikan autoriti oleh Allah untuk menghalalkan beberapa perkara yang dahulunya diharamkan atas kaum Yahudi sebagai bentuk kasih sayang dan keringanan. Ini kita lihat nanti di dalam Ali Imran:50, Nabi Isa AS berkata kepada Bani Israil:

وَمُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّورَٮٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعضَ الَّذي حُرِّمَ عَلَيكُم
“Dan (aku datang) membenarkan apa yang sedia ada di hadapanku dari Kitab Taurat, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian dari perkara yang telah diharamkan kepada kamu”

Para ulama tafsir menjelaskan bahawa Taurat adalah kitab yang sarat dengan hukum-hakam (Syariah), manakala Injil diturunkan lebih fokus kepada aspek akhlak, penyucian jiwa, kasih sayang, dawah, dan kemaafan. Injil tidak membawa sistem undang-undang yang baru akan tetapi ia “menumpang” kerangka besar hukum syariat yang sedia ada dalam Taurat. Ini disebut sendiri di dalam Bible (Matthew 5:17)

“Think not that I am come to destroy the law, or the prophets: I am not come to destroy, but to fulfil.”

Jadi sifat dan kandungan Taurat lain dan tugas Injil juga lain. Akan tetapi kedua-dua elemen ini ada di dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an ada hukum dan ia juga ada elemen spiritual.

 

Balaghah: Perhatikan apabila menyebut tentang penurunan Al-Qur’an, kalimah نَزَّلَ digunakan dan apabila menyebut tentang Taurat dan Injil, kalimah أَنزَلَ pula yang digunakan. Kedua-duanya bermaksud menurunkan, tapi kenapa menggunakan wazan yang berbeza? Apabila digunakan dua-dua kalimah ini di dalam satu ayat, maka kenalah kita bezakan antara keduanya.

Nazzala (نَزَّلَ – Kata kerja berulang/bertahap): Perkataan ini mengandungi makna At-Tadrij (penurunan secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit, dan memakan masa yang lama).

Rahsia Balaghah: Allah menggunakan kata Nazzala khusus untuk Al-Qur’an kerana mukjizat ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara bertahap-tahap selama kira-kira 23 tahun. Istimewanya, di hujung ayat yang sama, apabila Allah menyebut tentang kitab Taurat dan Injil, Allah beralih menggunakan perkataan أَنْزَلَ, kerana kedua-dua kitab terdahulu itu diturunkan sekali gus secara sekelip mata kepada Nabi mereka.

Penurunan Al-Qur’an secara beransur-ansur selama kira-kira 23 tahun mempunyai hikmah dan kelebihan yang sangat besar, sama ada terhadap diri Nabi Muhammad mahupun kepada para sahabat dan umat Islam keseluruhannya. Al-Qur’an sendiri merakamkan persoalan orang kafir yang mempertikaikan mengapa Al-Qur’an tidak diturunkan sekali gus, lalu Allah menjawabnya di dalam Furqan:32

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لَولا نُزِّلَ عَلَيهِ القُرءآنُ جُملَةً وٰحِدَةً ۚ كَذٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلنٰهُ تَرتيلًا
Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa Al Qur’an itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”; demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar).

 

Kelebihan Al-Qur’an diturunkan beransur-ansur

1. Tugas menyampaikan dakwah adalah sesuatu yang teramat berat. Nabi SAW sentiasa berhadapan dengan ujian, ancaman, penghinaan, dan penolakan daripada kaum musyrikin. Apabila wahyu turun secara berkala, ia bertindak sebagai sokongan moral yang berterusan daripada Allah. Setiap kali Nabi berada dalam kesedihan atau menghadapi jalan buntu, Jibril akan datang membawa ayat baharu untuk memujuk, menguatkan semangat, dan memberikan panduan terus kepada baginda.

2. Masyarakat Arab pada zaman tersebut adalah masyarakat Ummi (majoritinya tidak tahu membaca dan menulis) yang bergantung sepenuhnya kepada kekuatan hafalan. Jika Al-Qur’an diturunkan sekali gus dalam sebuah buku yang tebal, sudah tentu ia teramat sukar untuk dihafal, diingati, dan difahami oleh para sahabat. Penurunan beberapa ayat demi ayat membolehkan para sahabat menghafalnya dengan mantap, memahaminya dengan mendalam, dan memindahkan ayat tersebut ke dalam dada mereka dengan sempurna sebelum berpindah ke ayat yang lain. Allah berfirman di dalam Isra’:106

وَقُرءَانًا فَرَقنَـٰهُ لِتَقرَأَهُ ۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكثٍ وَنَزَّلنَـٰهُ تَنزِيلاً
Dan Al-Qur’an itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.

Jadi maknanya Al-Qur’an ini bukanlah untuk dibaca sahaja tapi untuk difahami dan diamalkan. Kalau setakat dibaca sahaja macam orang Melayu sekarang buat, turun sekaligus pun tidak mengapa, bukan?

3. Masyarakat jahiliah ketika itu sudah sebati dengan tabiat buruk yang mendarah daging seperti menyembah berhala, berzina, berjudi, dan meminum arak. Untuk mengubah budaya ini, Islam menggunakan pendekatan psikologi yang bertahap untuk mengubah masyarakat. Contoh klasik adalah pengharaman arak. Allah tidak mengharamkan arak secara mengejut. Fasa pertama, Allah menyatakan ada manfaat dan ada dosa pada arak, tetapi dosanya lebih besar (Baqarah:219). Fasa kedua, Allah melarang solat dalam keadaan mabuk (Nisa’:43). Fasa ketiga, barulah arak diharamkan secara mutlak dan total (Maidah:90). Saidatuna Aisyah RA pernah berkata:

عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَكَ قَالَ: إِنَّمَا نَزَلَ أَوَّلَ مَا نَزَلَ مِنْهُ سُورَةٌ مِنَ الْمُفَصَّلِ، فِيهَا ذِكْرُ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ، حَتَّى إِذَا ثَابَ النَّاسُ إِلَى الْإِسْلَامِ نَزَلَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ، وَلَوْ نَزَلَ أَوَّلَ شَيْءٍ: لَا تَشْرَبُوا الْخَمْرَ، لَقَالُوا: لَا نَدَعُ الْخَمْرَ أَبَدًا، وَلَوْ نَزَلَ: لَا تَزْنُوا، لَقَالُوا: لَا نَدَعُ الزِّنَا أَبَدًا، لَقَدْ نَزَلَ بِمَكَّةَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنِّي لَجَارِيَةٌ أَلْعَبُ: {بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ} وَمَا نَزَلَتْ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَالنِّسَاءِ إِلَّا وَأَنَا عِنْدَهُ. 
Daripada Yusuf bin Mahak, beliau menceritakan bahawa Saidatuna Aisyah RA pernah berkata: “Sesungguhnya ayat yang mula-mula turun daripada Al-Quran adalah surah daripada al-Mufassal (surah-surah pendek di bahagian akhir Al-Quran) yang di dalamnya disebut perihal syurga dan neraka. Sehinggalah apabila manusia telah murni hatinya dan kembali kepada Islam, maka barulah turun ayat-ayat mengenai halal dan haram. Sekiranya perkara pertama yang turun adalah larangan: ‘Janganlah kamu meminum arak’, nescaya mereka akan berkata: ‘Kami tidak akan meninggalkan arak selama-lamanya’. Dan sekiranya turun larangan: ‘Janganlah kamu berzina’, nescaya mereka akan berkata: ‘Kami tidak akan meninggalkan zina selama-lamanya’. Sesungguhnya telah turun di Mekah kepada Nabi Muhammad SAW ketika aku masih seorang kanak-kanak yang suka bermain, ayat (Qamar:46): ‘Bahkan hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka, dan hari kiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit.’ Dan tidaklah Surah Al-Baqarah dan Surah An-Nisa’ (yang sarat dengan hukum-hakam) itu turun melainkan ketika aku sudah pun menjadi isteri di sisi baginda.”

Sahih Al-Bukhari. No. Hadis: 4993

4. Banyak ayat Al-Qur’an turun sebagai respons langsung kepada peristiwa yang sedang berlaku atau jawapan kepada soalan yang dikemukakan kepada Nabi. Apabila orang Yahudi atau musyrikin mencabar Nabi dengan soalan-soalan sukar (seperti bertanya tentang roh, kisah Ashabul Kahfi, atau Zulqarnain), Allah menurunkan wahyu yang bermula dengan lafaz “Mereka bertanya kepadamu…” (يسألونك) untuk memberikan jawapan yang tuntas.

Ia juga turun untuk menyelesaikan konflik domestik, seperti peristiwa Hadithul Ifki (fitnah terhadap Aisyah) di mana Allah menurunkan ayat untuk membersihkan maruah beliau selepas sebulan berlalu.

5. Al-Qur’an diturunkan dalam tempoh 23 tahun, mengharungi pelbagai fasa kehidupan Nabi SAW: fasa duka di Mekah, fasa hijrah, fasa perang, dan fasa kemenangan di Madinah. Walaupun situasi dan emosi manusia bertukar-tukar sepanjang dua dekad tersebut, gaya bahasa, uslub, kualiti sastera, dan intipati Al-Qur’an tetap konsisten, harmoni, dan langsung tidak mempunyai percanggahan antara satu sama lain. Ini membuktikan secara balaghah dan akidah bahawa ia bukan rekaan fikiran Muhammad, melainkan ia adalah sebagai bukti kalam mutlak daripada Allah Yang Maha Mengetahui.

Allah sebut ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ. Adakah ia sama dengan Torah dan Bible sekarang? Tidak! Taurat yang asal ialah wahyu mutlak daripada Allah yang diturunkan secara sekali gus kepada Nabi Musa AS khusus untuk Bani Israil. Torah hari ini pula merujuk kepada lima kitab pertama di dalam Hebrew Bible (Old Testament) yang dipanggil Pentateuch (Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan, Ulangan). Dari sudut sejarah, manuskrip tertua Torah yang ada hari ini ditulis ratusan tahun selepas kewafatan Nabi Musa oleh para rabi, sehinggakan ia mengandungi kisah kematian dan pengebumian Nabi Musa itu sendiri.

Injil yang asal ialah wahyu mutlak (berupa satu kitab) yang Allah turunkan kepada Nabi Isa untuk membenarkan Taurat dan membawa syariat baharu. Bible (New Testament) yang ada pada hari ini bukan sebuah kitab yang ditulis oleh Nabi Isa, sebaliknya ia adalah kompilasi karangan biografi dan surat-surat yang ditulis oleh para pengikut kemudian (seperti Injil Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes).

Jadi Al-Qur’an menjadi kayu ukur atas kitab-kitab itu semua. Kalau ada kandungan dua kitab itu yang sama dengan Al-Qur’an, maka ia boleh diterima. Kalau tidak, kena ditinggalkan. Kita pun tidak tahu di manakah kitab tulen bagi Taurat dan Injil itu, kalau pun ada disorok oleh pihak tertentu. Yang pasti, ia sudah tidak boleh dijadikan sumber rujukan lagi bagi manusia kerana telah banyak diselewengkan. Rasulullah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ أَهْلُ الْكِتَابِ يَقْرَؤُونَ التَّوْرَاةَ بِالْعِبْرَانِيَّةِ، وَيُفَسِّرُونَهَا بِالْعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الْإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ، وَقُولُوا: {آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ} الآيَةَ». 
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Dahulu Ahli Kitab (kaum Yahudi) sering membaca kitab Taurat dalam bahasa Ibrani, kemudian mereka menafsirkannya ke dalam bahasa Arab untuk disampaikan kepada umat Islam. Melihat keadaan itu, Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kamu membenarkan Ahli Kitab dan jangan pula kamu mendustakan (menyalahkan) mereka, tetapi katakanlah: {Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), serta apa yang diturunkan kepada kamu…} (Surah Al-Baqarah: 136).'”

Sahih Al-Bukhari. No. Hadis: 7362 (Serta disebut juga pada No. 4485)

Ada juga pendapat lain yang mengatakan digunakan kalimah نَزَّلَ bagi Al-Qur’an kerana ia lebih kuat lagi dari kalimah أَنزَلَ. Oleh kerana Al-Qur’an lebih utama, maka digunakan kalimah penurunan yang lebih kuat.

Ada pula yang berpendapat kalimah نَزَّلَ digunakan kerana ia bermaksud ketika itu Al-Qur’an masih lagi di dalam proses penurunan sedikit demi sedikit sedangkan kalimah أَنزَلَ bermaksud penurunan yang telah lengkap, maka ia sesuai untuk Taurat dan Injil.

Perhatikan juga apabila disebut penurunan Al-Qur’an, disebut ia diturunkan kepada Nabi Muhammad (نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ). Akan tetapi tidak disebut kepada siapa diturunkan Taurat dan juga Injil. Tindakan ini adalah sebagai bentuk pengkhususan (Takhsis) dan penghormatan yang agung (Tasyrif) kepada baginda Nabi Muhammad melalui penyebutan tersebut. Nama kedua-dua Nabi tersebut tidak disebutkan di dalam ayat ini kerana paksi perbincangan (fokus utama) sekarang adalah mengenai kedua-dua kitab itu, bukannya mengenai pihak yang menerima penurunan kitab tersebut,

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Dorar.net

Tafsir Surah Baqarah Ayat 286 (Doa yang hebat)

DOA PERMOHONAN RAHMAT ALLAH ‎ﷻ

Baqarah Ayat 286: Ini adalah huraian bahawa Allah ‎ﷻ tidak mengenakan azab kerana lintasan hati yang buruk kerana lintasan hati bukan perkara taklif – yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Namun akidah sesat dan sifat mazmumah (buruk) tidak boleh ada walaupun dalam hati.

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت ۗ رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا أَو أَخطَأنا ۚ رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا ۚ رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ ۖ وَاعفُ عَنّا وَاغفِر لَنا وَارحَمنا ۚ أَنتَ مَولَٮٰنَا فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah does not charge a soul except [with that within] its capacity. It will have [the consequence of] what [good] it has gained, and it will bear [the consequence of] what [evil] it has earned. “Our Lord, do not impose blame upon us if we have forgotten or erred. Our Lord, and lay not upon us a burden like that which You laid upon those before us. Our Lord, and burden us not with that which we have no ability to bear. And pardon us; and forgive us; and have mercy upon us. You are our protector, so give us victory over the disbelieving people.”

MALAY
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

 

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Kalimah وُسعَ daripada kata dasar و س ع yang bermaksud kemampuan; bidang. Ayat ini juga bermakna yang syari’at yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita adalah yang mampu ditanggung oleh manusia. Tidaklah Allah ‎ﷻ berikan syariat yang manusia tidak mampu tanggung. Allah ‎ﷻ maha tahu kemampuan diri kita. Maka, Allah ‎ﷻ berikan kepada kita syari’at agama yang praktikal. Maka ini bermakna tidak ada amalan agama yang tidak boleh dilakukan. Malah, sekiranya kita dalam keadaan susah untuk mengamalkan sesuatu syari’at, ia akan dimudahkan untuk kita. Sebagai contoh, kalau kita sakit, kita dibolehkan untuk solat duduk atau berbaring; zakat hanya diwajibkan kepada mereka yang mampu; haji kepada mereka yang boleh sampai sahaja; dan bermacam-macam lagi kemudahan dalam ibadat yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Tidak diberati kepada mereka yang tidak mampu. Inilah yang dinamakan rukhsah.

Ini juga bermakna yang kita boleh menanggung segala arahan yang dimasukkan oleh Allah ‎ﷻ ke dalam Al-Qur’an ini dan hadith daripada Nabi ﷺ. Kita boleh bawa Al-Qur’an dan amalkan ajarannya dalam kehidupan kita. Jangan kita rasa ia berat sangat kerana ia adalah sesuai dengan diri kita. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang cakap kita boleh.

Yang tidak rasa berat adalah orang yang beriman seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini. Kalau tidak beriman, memang semua arahan agama mereka akan rasa berat. Ada sahaja alasan yang mereka beri apabila mereka tidak mahu melakukan ibadah. Allah ‎ﷻ berfirman dalam Baqarah:45

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;”

Ketidakprihatin umat Islam di negara kita tentang solat amatlah membimbangkan. Ada yang selamba sahaja tidak solat seolah-olah tidak ada apa-apa kalau tidak solat. Orang di sekeliling mereka pun tidak tegur, jadi mereka pun rasa tidak malu. Maka kita kena tegur dan ajar anak-anak kita untuk solat semenjak kecil lagi. Merentung buluh biarlah dari rebungnya. Memanglah susah kerana mereka tidak nampak kepentingan solat itu. Namun kena mulakan daripada kecil supaya mereka sudah jadi biasa dengan solat.

Jadi syariat dan hukum hakam di dalam agama Islam ini tidak berat bagi manusia sebenarnya. Memang boleh buat sangat. Pernah ada seorang Non-Muslim komen kepada seorang Muslim yang dia suka dengan agama Islam dan dia percaya agama Islam ini benar. Namun yang menyebabkan dia tidak masuk Islam adalah kerana ibadah yang berat seperti solat lima waktu dan puasa sampai sebulan. Muslim itu jawab bahawa ibadah di dalam Islam tidak berat kerana kalau berat, umat Islam akan buat yang wajib sahaja. Akan tetapi sebaliknya kita perhatikan ramai umat Islam yang solat sunat dengan banyak dan mereka tambah puasa Ramadan dengan puasa sunat di bulan-bulan yang lain. Itu tanda yang ia tidak beratlah.

Allah ‎ﷻ tidak membebani manusia dengan apa yang mereka tidak sanggup. Semua manusia mempunyai kapasiti untuk menanggung beban yang berbeza. Ada orang yang boleh terima banyak beban dan ada orang yang tidak mampu. Setiap individu berbeza: Meskipun ada batasan umum, “وُسعَ” (kesanggupan) juga merujuk kepada kemampuan setiap individu yang berbeza-beza. Ada orang yang sanggup terima ujian yang lebih, tetapi tidak untuk orang yang lain. Namun ketahuilah yang apa sahaja yang Allah ‎ﷻ kenakan ujian kepada kita, ia adalah atas kemampuan kita. Kalau Allah ‎ﷻ sudah beri ujian itu, maksudnya Allah ‎ﷻ tahu yang kita mampu menghadapinya.

Kemampuan ibadah kita pun berbeza. Oleh itu, kita kena lihat kemampuan diri kita. Adakah kita mampu untuk beribadah seperti orang lain? Kalau kita lihat orang lain boleh solat sunat banyak, boleh berpuasa banyak, jangan kita terus ikut seperti mereka kerana kita mungkin tidak sekuat mereka. Mereka itu telah menjalani proses istiqamah yang lama. Kita kenalah ikut proses kita juga dengan mula yang sedikit dahulu.

Namun begitu janganlah pula kita sengaja buat yang rendah, sedangkan kita mampu lebih lagi. Kita kena tanya diri kita, apakah usaha kita cukup dengan kebolehan kita? Contohnya kita boleh mengajar tetapi kita sengaja tidak mengajar kerana kita hendak hidup dengan senang lenang. Kita kena lakukan sebaik mungkin dalam dunia ini. Kemampuan itu kenalah mengikut peredaran zaman dan suasana. Contohnya zaman sekarang sudah semakin mudah untuk menulis dan memaparkan hasil tulisan kita kerana sudah ada internet sekarang. Juga kena ikut kemampuan diri kita. Ada orang yang tidak mampu mengajar, jadi janganlah dia mengajar; mungkin dia lebih sesuai berdakwah dengan menulis, contohnya. Maka buatlah tulisan untuk sebarkan dakwah. Allah ‎ﷻ akan menilai kita nanti ikut kemampuan kita, bukannya kemampuan orang lain.

 

لَها ما كَسَبَت

baginya pahala kebaikan yang diusahakannya, 

Kita akan dapat pahala daripada segala amalan kebaikan yang kita lakukan. Dari segi bahasa yang digunakan, kalimah كَسَبَت menunjukkan yang amalan kebaikan itu mudah untuk dibuat. Maknanya, Allah ‎ﷻ mudahkan untuk kita mengerjakan pahala.

Maka ini mengajar kita bahawa untuk mendapat pahala, maka kenalah kita buat sendiri. Bukannya mengharap pahala sedekah dari orang yang buat Tahlilan, sedekah bacaan Al-Qur’an dan sebagainya. Maka kitalah yang kena beramal sendiri semasa kita masih hidup ini. Maka amalan sedekah pahala ini bukan sahaja bid’ah, malah ia adalah sia-sia sahaja.

 

وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت

dan ke atasnya dosa akibat kejahatan yang diusahakannya. 

Manusia akan menanggung dosa daripada amalan keburukan yang dia lakukan sahaja. Maka ini menjawab persoalan keluh kesah dari para sahabat yang telah disebut di dalam ayat 284 sebelum ini:

وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم أَو تُخفوهُ يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ
Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitungnya

Maka Allah ‎ﷻ beritahu di sini bahawa yang menjadi dosa adalah kalau ia dilakukan atau dikeluarkan dengan perkataan. Kalau di dalam perkara yang tidak mampu kita mengawalnya seperti lintasan hati, kita tidaklah dipertanggungjawabkan dan menjadi dosa. Begitu juga kalau perbuatan itu tidak sengaja seperti dengan tidak sengaja terpukul orang lain, ia tidak bersalah.

Perhatikan apabila untuk pahala, digunakan kalimah لَها dan apabila menyebut tentang dosa, digunakan kalimah عَلَيها. Ini kerana kalimah على digunakan untuk benda yang berat seperti dosa yang kita tidak suka dan tanggungjawab yang dipikulkan. Kalau sedekah pahala pun yang ada dalil adalah sedekah pahala yang melibat harta (maaliyah). Kalau pahala sedekah amalan badan, tidak ada dalil tentangnya. Kalau ada yang mengatakan ia sampai, ia hanyalah pendapat sahaja dan tentunya pendapat tidak kuat.

Daripada penggunaan kalimah اكتَسَبَت juga ada isyarat kerana kalau melakukan amalan yang mendatangkan pahala sebelum ini digunakan kalimah كَسَبَت. Ini kerana apabila ditambah huruf, ia memberi maksud yang lebih sama ada lebih banyak, lebih berat. Maka penggunaan kalimah اكتَسَبَت memberi isyarat bahawa dosa itu susah untuk dibuat. Mungkin ada yang berasa hairan. Sebenarnya, dosa itu susah untuk dilakukan sebab ia bertentangan dengan naluri diri kita sebagai manusia. Manusia memang tahu (dalam dirinya) yang perkara itu salah dan mereka yang melakukan dosa, sebenarnya melawan naluri fitrah manusia. Sebagai contoh, kalau menipu, bukankah hati kita akan berasa gundah gulana dan berdebar-debar? Orang yang pertama kali mencuri, tentu menggelabah kerana ia berlawanan dengan naluri kemanusiaan yang baik.

Kemudian bezakan kepayahan untuk membuat dosa dengan membuat pahala. Kalau buat ibadah seperti baca Al-Qur’an dan zikir, terus boleh sahaja buat. Akan tetapi kalau buat, ada proses dia, bukan? Bayangkan buat dosa yang semudah mengumpat pun tidak boleh buat seorang diri, kena tunggu ‘geng’ ada baru boleh buat.

Satu lagi, ia bermaksud susah, kerana jika kita membuat dosa, Allah ‎ﷻ akan beri peringatan kepada kita dengan diberikan musibah. Maka, kalau ada musibah yang dikenakan kepada kita, maka fikirkanlah mungkin ada kesalahan yang kita telah lakukan.

 

رَبَّنا لا تُؤاخِذنآ إِن نَّسينا

“Wahai Tuhan kami! Janganlah menghukum kami salah jika kami lupa

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ ajar doa kepada kita. Hamba yang mendapat taufiq, akan berdoa dan dia akan diberikan dengan apa yang dia minta. Doa amat penting kerana semua amalan agama dimulakan dengan doa. Doa yang terbaik adalah doa yang diajar Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an, kemudian doa yang diajar Nabi ﷺ di dalam hadith. Kemudian jika tidak ada doa-doa di dalam Al-Qur’an dan hadith, maka bolehlah menggunakan teks doa sendiri yang tidak berlawanan dengan konsep doa-doa yang baik.

Untuk melakukan segala amal agama dan taat dalam agama, mesti ada usaha. Sudah banyak hukum kita pelajari dalam Surah Baqarah ini dan sekarang kita tentunya sudah mula berasa berat. Maka Allah ‎ﷻ ajarkan tentang doa di hujung surah untuk memberi ‘kunci’ bagi mengamalkan hukum yang telah diberikan-Nya. Untuk memudahkan segalanya adalah dengan doa.

Perhatikan kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah رَبَّنا sahaja dan tidak ada kalimah panggilan يا yang bermaksud ‘wahai’. Ulama’ mengatakan kalimah يا itu digunakan apabila kita menyeru orang yang jauh sedangkan Allah ‎ﷻ dekat. Kerana itu tidak akan kita jumpa kalimah doa di dalam Al-Qur’an yang dimulakan dengan kalimah يا.

Inilah doa yang kita selalu baca: Jangan kira lagi dosa kami kalau kami buat dengan sengaja (sebab dalam hadith, Nabi ﷺ terjemah perkataan نَسينا dengan maksud ‘sengaja’) atau ia juga boleh mengambil maksud daripada lafaz terjemah ayat ini: terlupa. Ini kerana kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita terlupa. Iaitu yang benar-benar terlupa, bukan buat-buat lupa! Sebagai contoh, solat empat rakaat tetapi terbuat tiga rakaat sahaja. Atau kadangkala terlupa langsung untuk solat di dalam waktunya kerana sibuk sangat. Allah ‎ﷻ telah memaafkan kesalahan lupa ini seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ”
“Barangsiapa lupa solat, maka hendaklah dia solat (menggantinya) ketika dia mengingatnya. Tidak ada tebusan baginya selain itu.”
Dalam riwayat Muslim ada tambahan: “أَوْ نَامَ عَنْهَا” (atau tertidur darinya)
(Riwayat Bukhari No. 597 dan Muslim No. 684)

Nota: perhatikan yang ada dalil qadha solat adalah kerana terlupa dan tertidur. Tidak ada dalil ganti solat bagi mereka yang sengaja meninggalkannya. Maka kerana itulah ada pandangan yang mengatakan memang tidak ada ganti bagi solat yang sengaja ditinggalkan. Pendapat ini walaupun tidak dipersetujui oleh semua orang, akan tetapi hujahnya ada, maka ia adalah salah satu pendapat yang juga perlu diperhatikan.

 

أَو أَخطَأنا

atau kami tersalah. 

Begitu juga, kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita tersalah. Tidak sengaja kita hendak menentang Allah ‎ﷻ, tetapi kerana tersalah sahaja. Memang kalau terlupa atau tidak sengaja tidaklah berdosa seperti yang telah diriwayatkan di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يُفِيقَ
“Pena (pencatat amal) diangkat daripada tiga golongan: daripada orang yang tidur sampai dia bangun, daripada anak kecil sampai dia baligh, dan daripada orang gila sampai dia sedar (sembuh).”
(Sunan Abu Daud No. 4398; Sunan At-Tirmidzi (o. 1423; Sunan Ibnu Majah No. 2041). Hadith ini adalah hadith sahih dan diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad dan lainnya.

Syarah: Meskipun hadith di atas secara langsung tidak menyebutkan kata “lupa” (نِسْيَان – nisyān) atau “tidak sengaja” (خَطَأ – khata’), namun para ulama sepakat bahawa hukum yang sama (pena diangkat, dosa tidak dicatat) berlaku juga untuk perbuatan yang dilakukan kerana lupa, tidak sengaja, atau dipaksa.

Begitulah jikalau lupa, tidak sengaja atau tidak sedar itu tidaklah berdosa. Jadi kenapa berdoa lagi supaya Allah ‎ﷻ tidak kira sebagai dosa? Ini kerana orang yang suci hatinya dan takut dengan Allah ‎ﷻ, akan tetap risau kerana dia telah melakukan kesalahan. Maka ditambah dalam doanya supaya Allah ‎ﷻ benar-benar tidak menulisnya sebagai dosa. Ini juga adalah menunjukkan kerendahan hati kita di hadapan Allah ‎ﷻ. Begitulah orang yang baik seperti disebut di dalam hadith, yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ
“Sesungguhnya seorang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang duduk di bawah gunung dan dia takut gunung itu akan jatuh menimpanya. Adapun orang yang fajir (berdosa/munafik), dia melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang lalu di hidungnya.”
(Sahih Bukhari No. 6308)

Walaupun tidak berdosa, akan tetapi tentulah ada kekurangan pada diri orang yang melakukan dosa itu kerana dia tidak berhati-hati, bukan? Bayangkan kalau kita ada pekerja yang asyik buat salah, bagaimana? Memanglah dia bukannya sengaja buat salah itu tetapi kalau asyik salah sahaja, adakah kita akan biarkan begitu sahaja? Maka molek sangat kalau kita amalkan doa ini. Sekurang-kurangnya bacalah setiap kali kita hendak tidur di malam hari. Tentunya dengan memahami apa yang kita sedang bacakan itu.

Jangan jadikan ini sebagai alasan tidak berdosa kerana ‘tidak tahu’ hukum kerana kita kena belajar agama dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak tersalah. Kalau kita tidak belajar, nanti takut kita dipersalahkan kerana tidak belajar pula. Kalaulah tidak tahu itu boleh dijadikan sebagai hujah di hadapan Allah, baik kita semua ramai-ramai jangan belajar supaya nanti di hadapan Allah ‎ﷻ boleh kata ‘maaf ya Allah, kami tak tahu!’. Adakah anda agak ia akan diterima? Kalau ia boleh diterima, tentu orang kafir juga boleh beri alasan begitu kerana mereka tentu tidak tahu agama Islam ini agama yang benar, bukan? Jadi kejahilan bukanlah satu alasan yang akan diterima.

 

رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينآ إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Jangan pikulkan kepada kami bebanan beragama – mudahkanlah agama kepada kami dengan beri tauhid kepada kami. Kalimah إِصرًا daripada kata dasar ا ص ر yang bermaksud membebankan; beban dosa; mempunyai tanggungjawab; ikatan, perjanjian, kewajipan, komitmen. Maksud ayat ini, kita minta supaya kewajipan syariat agama tidak disusahkan untuk kita. Berilah syariat yang kita mampu dan mudah buat. Melalui sejarah kita dapat tahu yang syari’at yang diberikan kepada bangsa Bani Israil itu adalah amat berat dan terbeban sekali. Kita doa kepada Allah ‎ﷻ supaya jangan jadikan kita seperti mereka, kerana mereka tidak mampu hendak menanggung bebanan syariat itu.

Syari’at kepada Bani Israil itu amat berat. Antaranya, mereka langsung tidak boleh bekerja pada hari Sabtu (hari kita adalah Hari Jumaat), tetapi tidaklah kita sampai langsung tidak boleh bekerja sepanjang hari itu. Allah ‎ﷻ suruh berhenti kerja waktu solat Jumaat sahaja. Kita juga telah belajar dalam surah ini bagaimana hukuman kerana mengerjakan amalan syirik menyembah lembu adalah hukuman bunuh, sedangkan syari’at Nabi Muhammad ﷺ tidaklah sampai begitu (hanya perlu bertaubat sahaja); mereka telah diharamkan daripada memakan banyak jenis makanan; Apabila pakaian mereka terkena najis seperti air kencing, mereka wajib memotong bahagian yang terkena najis tersebut; Keringanan dalam beribadah (seperti tayammum ketika tidak ada air, atau menjamak/mengqasar solat dalam safar) tidak ada atau sangat terbatas bagi mereka. Malah mereka kena solat di tempat ibadah yang telah telah ditentukan; dan bermacam-macam lagi syari’at yang berat-berat dikenakan kepada mereka.

Allah ‎ﷻ telah mengabulkan doa orang Islam sebenarnya kerana Allah ‎ﷻ telah sebut yang Allah ‎ﷻ tidak memberati manusia melainkan yang dia sanggup sahaja. Allah ﷻ telah beri banyak kemudahan di dalam syari’at Nabi Muhammad sebagai contoh telah disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ بِمَسِيرَةِ شَهْرٍ، وَجُعِلَتْ لِيَ الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، فَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ، وَأُحِلَّتْ لِيَ الْغَنَائِمُ وَلَمْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ قَبْلِي، وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ، وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ عَامَّةً
“Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun daripada para nabi sebelumku: Aku ditolong dengan rasa gentar (yang menimpa hati musuh) sejauh perjalanan sebulan; Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat solat) dan alat bersuci (tayammum). Maka, siapapun daripada umatku yang waktu solat mendatanginya, hendaklah dia solat; Dihalalkan bagiku harta rampasan perang, yang tidak dihalalkan bagi seorang pun sebelumku; Aku diberikan syafaat (agung di Hari Kiamat); Dan seorang nabi dahulu diutus khusus untuk kaumnya saja, sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia.”
(Sahih Bukhari No. 438 dan Muslim No. 521)

Maka syari’at agama Islam ini mudah sahaja dan memang boleh sangat untuk kita amalkan. Kalau ada yang rasa berat, maknanya ada masalah dalam diri dia. Kalau ada kita jumpa hukum hakam yang berat-berat, itu selalunya bukan ada di dalam sunnah Nabi, sebaliknya telah disusahkan oleh orang terkemudian. Sedangkan Rasulullah ﷺ telah bersabda di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ,

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ
“Sesungguhnya agama ini mudah, dan tidaklah seseorang memberat-beratkan agama melainkan dia akan dikalahkan (oleh agama itu). Maka, luruskanlah (perbaiki niat dan amalan), dekatkanlah diri (kepada kesempurnaan), bergembiralah (dengan balasan Allah), dan mintalah pertolongan (kepada Allah) di waktu pagi, petang, dan sebahagian malam.”
(Sahih Bukhari No. 39)

Syarah: syari’at agama Islam mudah, yang menyusahkan itu adalah orang yang datang kemudian sampaikan umat rasa terbeban. Begitulah kalau kita perhatikan orang awam yang mengambil ajaran agama daripada media sosial dan melihat hukum hakam daripada ustaz yang tidak belajar sunnah, maka agama menjadi susah bagi mereka. Sampaikan ramai yang dapat penyakit was-was (OCD) kerana terjumpa ajaran agama daripada golongan asatizah penyusah agama ini. Sampai susah untuk kita pula hendak betulkan balik fahaman agama mereka.

Maka jangan susahkan agama ini. Kita pun boleh lihat bagaimana perkara ini diamalkan oleh Rasulullah ﷺ sendiri seperti yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, dia berkata:

مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَيْنَ أَمْرَيْنِ قَطُّ إِلاَّ أَخَذَ أَيْسَرَهُمَا مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا، فَإِنْ كَانَ إِثْمًا كَانَ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْهُ، وَمَا انْتَقَمَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِنَفْسِهِ إِلاَّ أَنْ تُنْتَهَكَ حُرْمَةُ اللَّهِ فَيَنْتَقِمَ لِلَّهِ بِهَا
“Tidaklah Rasulullah ﷺ diberi dua pilihan dalam suatu perkara, melainkan baginda akan memilih yang paling mudah di antara keduanya, selama itu bukan dosa. Jika (pilihan yang mudah itu) adalah dosa, maka baginda adalah orang yang paling menjauhinya. Dan tidaklah Rasulullah ﷺ membalas dendam untuk dirinya sendiri, melainkan jika kehormatan Allah dilanggar, maka beliau membalasnya demi Allah.”
(Sahih Bukhari No. 3560 dan Muslim No. 2327)

 

رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. 

Sekali lagi diulang doa supaya Allah ‎ﷻ tidak bebankan kita. Pengulangan ini ada yang berpendapat sebagai penguat kerana kita kalau berdoa pun kena selalu ulang, bukan? Akan tetapi ada pendapat yang membezakan anda dua potongan ayat ini. Perhatikan sebelum ini digunakan kalimah تَحْمِلْ dan sekarang digunakan kalimah تُحَمِّلْنَا yang berasal daripada kalimah تُحَمِّلْ. Kita telah sebutkan jikalau ada penambahan huruf, maka ia menambah maksud. Sekarang kita lihat penambahan huruf م (kerana itu ada sabdu).

Jadi ulama’ ada mengatakan sebelum ini (penggunaan kalimah تَحْمِلْ) adalah tentang bebanan dalam syari’at agama. Janganlah diberi syari’at agama yang berat-berat. Kali ini (penggunaan kalimah تُحَمِّل) kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya jangan bebankan ujian dalam kehidupan yang kita tidak mampu untuk tanggung. Ini merujuk kepada segala bentuk beban yang tidak mampu dipikul oleh kemampuan fizikal, mental, atau spiritual manusia, baik itu berupa ujian, cubaan, musibah, penyakit, atau perintah yang berada di luar batas kesanggupan manusia.

Kalimah طاقَةَ daripada kata dasar ط و ق yang bermaksud mampu; berada dalam kedudukan untuk melakukan sesuatu; keupayaan; kuasa; kekuatan; untuk memutar kolar; mengenakan tugas yang sukar kepada seseorang; membolehkan; gantung di leher; mengenakan; berbaring di atas; melakukan sesuatu dengan susah payah. Apa pula perbezaan dengan kalimah وُسعَ yang di awal ayat ini? Kedua-duanya boleh diterjemahkan sebagai “kemampuan” atau “kesanggupan” akan tetapi tentu ada perbezaan antara keduanya.

Kalimah وُسعَ merujuk kepada kemampuan yang sifatnya luas dan umum, sering kali berkaitan dengan potensi atau jangkauan maksima seseorang. Ini adalah batas kemampuan yang logik dan wajar yang dimiliki oleh manusia secara umum untuk menjalankan perintah atau menanggung sesuatu. Digunakan kalimah وُسعَ untuk merujuk kepada prinsip umum dalam syariat Islam, iaitu setiap perintah atau larangan Allah ‎ﷻ itu selalu dalam batas kemampuan manusia. Allah ‎ﷻ tidak akan memerintahkan sesuatu yang secara tabi’i tidak mungkin dilakukan manusia. Contoh: Solat lima waktu, puasa Ramadan, zakat, haji. Ini semua adalah ibadah yang berada dalam wus’a (kemampuan) seorang Muslim yang mukallaf (dibebani syariat). Walaupun kadang berat, ia masih dalam ruang kemampuan manusia.

Sedangkan penggunaan kalimah طاقَةَ pada daya tahan atau kekuatan untuk menahan sesuatu yang sangat berat, di luar batas kemampuan normal, atau bahkan hampir tidak tertahankan. Ini adalah kemampuan untuk menghadapi beban yang ekstrem atau di luar batas. Doa ini memohon agar Allah ‎ﷻ tidak menimpakan ujian, cubaan, musibah, atau bahkan azab yang begitu berat sehingga manusia tidak memiliki daya tahan lagi untuk menanggungnya. Ini adalah beban yang sifatnya ekstrem dan melampaui kemampuan daya tahan yang biasa. Contoh: Ujian yang sangat dahsyat sehingga menyebabkan kekufuran, musibah yang menghancurkan seluruh jiwa raga, penyakit yang benar-benar melumpuhkan dan menghilangkan akal sihat. Ini adalah beban di luar طاقَةَ seseorang. Ini dalam hal takwini (berkaitan kejadian yang kena kepada kita) seperti sakit, hutang, dugaan mental dan bermacam-macam lagi. Ia beban yang manusia boleh buat kerana ramai sahaja yang mengalaminya akan tetapi kita minta supaya jangan berat sangat sampai tidak mampu menghadapinya.

Kerana itulah kita diajar oleh Rasulullah ﷺ untuk berlindung daripada empat perkara. Doa ini diajar oleh baginda untuk dibaca selepas solat (hujung solat sebelum beri salam). Hadith ini diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ، يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
“Apabila salah seorang di antara kalian bertasyahhud (akhir), maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah daripada empat perkara, dengan mengucapkan: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab Jahannam, dan daripada azab kubur, dan daripada fitnah kehidupan dan fitnah kematian, serta daripada kejahatan fitnah Al-Masih Ad-Dajjal.'”
(Sahih Muslim No. 588)

Penjelasan: Doa ini sangat hebat dan panjang syarahnya. Kita sentuh tentang fitnah kehidupan dan kematian sahaja di sini.

    • Fitnah Kehidupan: Meliputi segala cubaan dan godaan yang dapat menyesatkan manusia selama hidupnya, seperti fitnah harta, wanita/laki-laki, kekuasaan, syahwat, syubhat (kekeliruan pemikiran), dan segala hal yang dapat menjerumuskan pada dosa atau kesesatan. Ini adalah ujian yang berlanjutan tanpa henti. Ada orang yang tidak mampu menghadapinya sampai dia membunuh diri dan kufur kepada Allah ‎ﷻ.

    • Fitnah Kematian: merujuk kepada cubaan yang dialami seseorang menjelang kematian (sakaratul maut) seperti bisikan syaitan yang ingin menyesatkan iman di akhir hayat, atau ketakutan serta kepanikan yang menyebabkan kekufuran.

 

وَاعفُ عَنّا

Dan maafkanlah kesalahan kami,

Lafaz وَاعْفُ عَنَّا adalah jawapan bagi ayat لَا تُؤَاخِذْنَا. Janganlah hukum kita dalam bebanan agama. Afwun adalah memaafkan seseorang kerana rasa sayang pada seseorang itu. Kita kata kepada Allah ‎ﷻ: Kerana sayang Kau kepada kami, maafkanlah kami kalau ada syari’at agama yang kami tidak dapat penuhi.

 

وَاغفِر لَنا

serta ampunkanlah dosa kami,

Lafaz وَاغْفِرْ لَنَا untuk ayat وَلَا تُحَمِّلْنَا. Ampunlah kami kalau ada hukum kami tidak mampu buat dan larangan kami tidak mampu tinggalkan. Tutuplah kesalahan kami itu supaya orang lain tidak nampak.

Perhatikan kalimah اعفُ dan اغفِر yang sekali pandang sama sahaja; maaf dan ampun bukankah lebih kurang sahaja? Namun kalau diletakkan di dalam satu ayat sebegini, tentu ada perbezaan antara keduanya. Memohon kedua jenis pengampunan ini dalam satu doa menunjukkan kesempurnaan permohonan seorang hamba:

    1. Dihapus dosanya (اعْفُ): Agar dosa itu benar-benar lenyap daripada catatan dan tidak menjadi beban di akhirat. Maknanya rekod kesalahan itu tidak ada langsung kerana telah dipadamkan. Ini adalah permintaan yang lebih tinggi.

    2. Ditutupi dosanya (اغْفِرْ): Jika pun ada sisa atau bekas dosa yang belum sepenuhnya terhapus, setidaknya Allah ‎ﷻ menutupi aibnya di hadapan makhluk dan melindunginya dari azab. Maknanya rekod dosa itu masih ada lagi.

Ini merujuk kepada situasi di akhirat kelak di mana Allah ‎ﷻ akan sebut dosa orang mukmin. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

“إِنَّ اللَّهَ يُدْنِي الْمُؤْمِنَ فَيَضَعُ عَلَيْهِ كَنَفَهُ وَيَسْتُرُهُ، فَيَقُولُ: أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا؟ أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا؟ فَيَقُولُ: نَعَمْ أَيْ رَبِّ. حَتَّى إِذَا قَرَّرَهُ بِذُنُوبِهِ وَرَأَى فِي نَفْسِهِ أَنَّهُ قَدْ هَلَكَ قَالَ: سَتَرْتُهَا عَلَيْكَ فِي الدُّنْيَا، وَأَنَا أَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ. فَيُعْطَى كِتَابَ حَسَنَاتِهِ. وَأَمَّا الْكَافِرُ وَالْمُنَافِقُونَ فَيَقُولُ الْأَشْهَادُ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللَّهِ”
“Sesungguhnya Allah akan mendekatkan seorang mukmin (pada Hari Kiamat), lalu meletakkan penutup-Nya (perlindungan-Nya) kepadanya dan menutupinya (daripada pandangan orang lain). Kemudian Dia berfirman: ‘Apakah kamu mengakui dosa ini? Apakah kamu mengakui dosa ini?’ Maka dia (mukmin itu) menjawab: ‘Ya, wahai Tuhanku.’ Hingga apabila Dia telah membuatnya mengakui dosa-dosanya dan dia (mukmin itu) mengira bahawa dirinya telah binasa, maka Allah berfirman: ‘Aku telah menutupi (merahsiakan)nya untukmu di dunia, dan Aku mengampuninya untukmu pada hari ini.’ Maka diberikanlah kepadanya kitab catatan amal kebaikannya. Adapun orang kafir dan munafik, maka para saksi akan berkata: ‘Mereka itulah orang-orang yang telah berdusta atas nama Allah’.”
(Sahih Bukhari No. 244 dan Muslim No. 2768)

Ini adalah bentuk kesempurnaan doa daripada Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya, agar diberikan pengampunan yang menyeluruh dari segala sisi. Dimulai dengan permohonan penghapusan (اعْفُ), kemudian penutupan (اغْفِرْ), dan kemudian selepas ini diakhiri dengan rahmat (ارْحَمْنَا) yang mencakupi segala kebaikan dan keberkahan.

Ada juga pendapat yang mengatakan اعفُ itu setakat maafkan sahaja. Contohnya seorang ayah maafkan anaknya yang bersalah. Akan tetapi mungkin dia berikan pemaafan itu di hadapan adik beradik yang lain sedangkan kalau اغفِر adalah dengan memanggil anak itu seorang diri di bilik dan memaafkan supaya anak-anak yang lain tidak tahu. Jadi ini pun satu permaafan yang lebih tinggi lagi.

Ada juga pendapat yang mengatakan اعفُ adalah untuk dosa tidak melakukan perkara yang wajib, contohnya solat; sedangkan اغفِر adalah untuk dosa perlanggaran benda yang haram seperti mengumpat. Jadi dua-dua sekali kita minta.

Ada juga pendapat yang mengatakan وَاعفُ عَنّا berkaitan dengan potongan doa رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينآ إِصرًا dan وَاغفِر لَنا berkait dengan doa وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ.

Maka jangan kita tinggalkan minta ampun kepada Allah ‎ﷻ setiap hari. Sebelum ini kita telah telah kongsikan hadith daripada Al-Agharr bin Yasar Al-Muzani رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

“يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ”
“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya, kerana sesungguhnya aku bertaubat (beristighfar) dalam sehari seratus kali.”
(Sahih Muslim No. 2702)

وَارحَمنا

dan berilah rahmat kepada kami.

Berilah rahmat kepada kami dengan beri kami taufiq untuk menjalankan segala suruhan Engkau dan meninggalkan segala larangan Engkau, ya Allah. Kasihanilah kami, ya Allah. Jangan beri ujian yang kami tidak mampu tanggung. Maka ini ada hubungan dengan وَلَا تُحَمِّلْنَا. Dibawa semula dalam potongan ayat ini.

Kenapa minta rahmat lagi setelah meminta keampunan daripada dosa? Kerana meminta ampun itu adalah untuk perbuatan yang telah lalu. Entah ke hadapan nanti kita akan buat dosa lagi, maka kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk bantu kita supaya kita tidak melakukan dosa lagi.

 

أَنتَ مَولَٮٰنَا

Engkaulah Penolong kami;

Kita telah pernah sebut sebelum ini yang wali beza dengan mawla. Wali adalah mereka yang mahu menolong kita dan tidak semestinya boleh menolong tetapi mawla adalah yang memang boleh menolong. Maksudnya, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mampu melindungi kita, membantu kita dan menyelesaikan masalah kita. Jadi di sini kita berharap Allah ‎ﷻ menjadi penolong kita di dunia dan di akhirat. Siapalah kita kalau tidak mendapat pertolongan daripada Allah ‎ﷻ di waktu yang tidak ada pertolongan melainkan pertolongan Allah ‎ﷻ sahaja.

 

فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Bantulah kami menegakkan agama Engkau, ya Allah ‎ﷻ kerana kadang-kadang dalam menjalankan tugas dakwah, ada orang yang tidak suka, sampaikan mungkin ke tahap kita terpaksa lawan berperang dengan orang kafir. Memang di dalam surah ini mengandungi ayat-ayat tentang anjuran jihad, maka di hujung ini Allah ‎ﷻ mengajar kita berdoa meminta tolong kepada Allah. Memang kita amat memerlukan نصر  nasrun daripada Allah ‎ﷻ. Nasrun adalah pertolongan yang besar dan bukan yang biasa-biasa. Maka, apabila berhadapan dengan orang kafir, maka kita hanya dapat mengharapkan bantuan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita telah belajar, beginilah doa tentera Talut semasa hendak melawan tentera Jalut. Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri kemenangan kepada tentera yang lemah, kurang kelengkapan senjata dan bilangan tentera sekiranya Allah ‎ﷻ kehendaki.

Sekian kita cuba memahami doa yang Allah ‎ﷻ sendiri ajar di hujung Surah Baqarah ini. Surah yang hebat dan doa pun hebat juga (kalau kita memahaminya). Lihatlah doa yang Allah ‎ﷻ ajar ini tidak pun diajar bertawasul dengan Nabi, wali atau malaikat. Allah ‎ﷻ hanya ajar tawasul dengan kalimah رَبَّنا sahaja iaitu tawasul dengan Nama Allah. Inilah tawasul yang benar dan dianjurkan. Malangnya umat Islam telah lama jauh daripada wahyu maka yang diajar oleh guru yang sesat adalah ajar tawasul dengan meminta perantaraan (tawasul) Nabi, wali dan malaikat. Ia adalah salah dan membawa kepada kesyirikan kerana wasilah yang digunakan itu lama kelamaan jadi ilah (tuhan) pula kepada mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, puak Syiah asalnya bertawasul dengan Hussein namun lama kelamaan terus meminta kepada Saidina Hussein (mereka panggil Imam Hussein).

 

Sekian kita telah bincangkan ayat terakhir Surah Baqarah ini. Mari kita lihat kepada Penutup & Konklusi kepada Surah ini.

Kemaskini: 27 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 1 – 2 (Asas Akidah)

Ali Imran Ayat 1:

الم

Pembukaan yang sama dengan Surah Baqarah. Ini menjadi satu lagi isyarat bahawa ada kaitan yang rapat antara dua surah ini.

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib. Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah. Ia termasuk ayat-ayat Mutashabihaat (samar maknanya dan tidak jelas), bukan Muhkam. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong atau terputus kerana huruf yang ada disebut satu persatu seperti dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak diketahui kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas. Akan tetapi ini juga adalah pendapat kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah beritahu kita: ia ada makna tetapi kita sahaja tidak tahu.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu apapun. Maknanya kita ini sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan. Maka ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia merupakan kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Sebab itulah apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan Bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan mim, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alam’. Namun, tidak pula dalam kes Surah Baqarah ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu per satu. Maka, perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya kerana ia telah menarik perhatian mereka untuk mendengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Oleh sebab itu, kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Ada hikmah lain yang diutarakan. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kehebatan Al-Qur’an iaitu sebagai cabaran dan sindiran kepada golongan Arab Mekah ketika itu yang kononnya mahir bahasa itu. Allah ﷻ menyebut huruf yang ada di dalam bahasa Arab mereka itu seolah-olah perli: ‘Inilah dia huruf daripada bahasa kamu juga. Kamu kata Muhammad yang reka Al-Qur’an ini, maka nah, sekarang gunakanlah juga huruf-huruf yang sama untuk membuat satu Al-Qur’an lagi kalau kamu tu hebat sangat!’

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang mengetahui) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan Bahasa Arab.

Ringkasnya, ada 4 pendapat tentang Huruf-huruf Muqatta’ah ini:

1. Ada makna dan maknanya alif untuk Allah ﷻ, lam untuk Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mim untuk Muhammad ﷺ. Akan tetapi pendapat ini tiada dalil dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka jangan bersandar kepada sesuatu yang rapuh.

2. Ada makna tetapi hanya Allah ﷻ yang tahu. Ini pun tiada dalil.

3. Tidak ada makna (tetapi ada hikmah – iaitu untuk Allah ﷻ zahirkan kehebatan Al-Qur’an). Antara yang mengatakan tidak ada makna adalah Mujahid, tabein menggunakan tafsir Al-Qur’an.

4. Tawaqquf, tidak menyebelahi mana-mana pendapat tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.


 

Ali Imran Ayat 2: Selepas menyebut huruf Muqatta’ah tadi, sekarang Allah ﷻ memulakan ayat baru. Para ulama tafsir dan balaghah mengategorikan ayat ini sebagai Isti’naf Bayani, iaitu ayat baharu yang berfungsi untuk menjawab satu persoalan tersembunyi (muqaddar) yang timbul secara automatik di dalam minda pendengar selepas membaca ayat pertama tadi. Apabila telinga mendengar “Alif Lam Mim” yang penuh keagungan dan misteri itu, minda pembaca secara tidak sedar akan tertanya-tanya: “Siapakah yang menurunkan huruf-huruf yang agung ini? Dan siapakah pemilik kalam yang penuh mukjizat ini?” Nah, sekarang Allah ﷻ berikan jawapannya.

اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah – there is no deity except Him, the Ever-Living, the Sustainer of existence.

MALAY
Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.

 

اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,

Kalimah ini berbunyi اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ dan bukannya kalimah Tahlil yang kita biasa gunakan iaitu لآ إِلٰهَ إِلّا اللَّهُ. Allah ﷻ gunakan sebagai dhomir (kata ganti nama) kerana Nama Allah telah disebut di awal. Jadi هُوَ itu adalah dhomir sahaja, bukannya nama Allah. Bukannya boleh dijadikan zikir Hu, Hu, Hu, seperti yang diamalkan oleh golongan karut sekarang ini. Beza nama dengan dhomir pun tidak boleh dibezakan, kah?

Frasa ni adalah ayat Dakwa Surah ini. Allah ﷻ menegaskan yang tiada ilah melainkan Dia. Hanya Dia sahaja yang layak dipuja, diibadati, ditaati dan tempat kita minta doa. Di sini terus ada tempelak kepada golongan Kristian yang menuhankan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ jelaskan yang ilah itu hanya Allah sahaja.

Dan ayat ini bukanlah kali pertama kita dengar. Kita sebenarnya telah selalu baca iaitu di permulaan Ayat Kursi, bukan? Jadi ada kesinambungan daripada Surah Baqarah yang diteruskan di dalam Surah Ali Imran ini.

Kalimah ini seringkali disebut oleh orang kita. Namun, begitu ramai yang tidak tahu maksud ‘ilah’. Dalam bahasa Melayu, ilah selalunya hanya disebut ‘Tuhan’. Akan tetapi: Siapakah ‘Tuhan’ itu? Ramai dalam kalangan orang Islam tidak faham pun apakah maksud ilah itu, tetapi Musyrikin Mekah amat faham lafaz ilah itu. Sebab fahamlah, mereka lawan Nabi ﷺ kerana tidak ada persetujuan kefahaman dalam tauhid pada ilah. Maknanya, pertentangan itu adalah atas perkara akidah.

Akidah yang Haq adalah tidak membenarkan lafaz ilah berkongsi dengan selain Allah ﷻ. Lafaz ilah itu hanya untuk Allah ﷻ sahaja. Nabi, wali, malaikat dan sesiapa sahaja tidak boleh memilikinya. Sifat ketuhanan hanya milik Allah ﷻ semata-mata.

Sedangkan akidah yang batil itu membenarkan lafaz ilah itu dikongsi dengan selain Allah ﷻ; iaitu kepada roh Nabi, wali, malaikat dan jin. Mereka berkongsi status ilah itu dengan Allah ﷻ. Inilah akidah Musyrikin Mekah. Tugas terbesar Nabi Muhammad ﷺ adalah untuk menerangkan tauhid dan menolak perkongsian ilah dengan selain Allah ﷻ. Itulah Tauhid pada lafaz ilah. Namun, malang sekali, dek kerana tidak faham, umat Islam sekarang pun melanggar apa yang Nabi ﷺ telah murnikan.

Panjang perbincangan tentang maksud ilah dan bagaimana kekeliruan umat Islam sendiri menyebabkan Tauhid mereka tidak kemas. Ini kita telah terangkan di dalam Usul Tafsir.

Dalam konteks akidah Islam, perkataan “Ilah” (إله) bukan sekadar bermaksud “Tuhan yang mencipta”, tetapi bermaksud “Sesuatu yang dipuja, ditaati, dicintai, dan ditakuti secara mutlak melebihi segalanya”. Oleh itu, ia bukan terpakai untuk ‘tuhan’ sahaja. Apabila seorang Muslim meletakkan sesuatu perkara pada kedudukan mutlak tersebut, dia telah menjadikan perkara itu sebagai “ilah” selain Allah, sehinggakan boleh merosakkan atau menggugurkan kalimah tauhid (La ilaha illallah) di dalam dirinya.

Al-Qur’an dan realiti kehidupan manusia menunjukkan beberapa contoh “ilah” moden dan klasik yang sering disembah secara tidak sedar:

1. Hawa Nafsu dan Keinginan Diri (Al-Hawa)

Ini adalah “ilah” yang paling dekat dengan manusia dan paling banyak disebut di dalam Al-Qur’an. Apabila seseorang menjadikan kehendak nafsu sebagai undang-undang tertinggi dalam hidupnya (melebihi perintah Allah ‎ﷻ), maka dia telah mempertuhankan nafsunya.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila dia tahu sesuatu perkara itu haram secara mutlak (seperti menghalalkan zina, menghalalkan arak, atau menolak hukum syariat secara terang-terangan), tetapi dia tetap menghalalkannya demi memuaskan nafsu diri. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Furqan:43

أَرَءَيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوَىٰهُ
Tidakkah engkau lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? 

2. Ideologi, Sistem, dan Undang-Undang Manusia yang Mengatasi Syariat

Menjadikan pemikiran manusia, ideologi barat/timur (seperti sekularisme tegar, komunisme, atau liberalisme yang melampau), atau sistem perundangan ciptaan manusia sebagai sesuatu yang lebih suci, lebih benar, dan lebih wajib ditaati daripada hukum Allah.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila seseorang menyakini bahawa undang-undang Allah sudah lapuk, tidak adil, atau dia secara sedar memberikan hak Hakimiyyah (kuasa mutlak menentukan halal dan haram) kepada manusia, lalu menolak autoriti Allah ‎ﷻ sebagai Pembuat Syariat.

3. Harta, Wang, dan Kebendaan (Al-Mal)

Ini dinamakan sebagai penyembahan materialistik. Bukanlah bermaksud seseorang itu sujud melutut di hadapan duit, tetapi seluruh hidup, cinta, takut, dan harapnya diserahkan kepada harta.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila dia sanggup melakukan apa sahaja demi wang, termasuk menggadaikan akidah (cth: murtad demi harta), menggunakan sihir/syirik demi melariskan perniagaan, atau menyakini bahawa wanglah yang memberi rezeki dan menghidupkannya, bukan Allah ‎ﷻ.

Sindiran Nabi ﷺ:

تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ، وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ، وَعَبْدُ الْخَمِيصَةِ، إِنْ أُعْطِيَ رَضِيَ، وَإِنْ لَمْ يُعْطَ سَخِطَ
Celakalah penyembah dinar (wang emas), penyembah dirham (wang perak), dan penyembah khamisah (pakaian mewah/baldu). Jika dia diberi (harta dunia), dia merasa reda (gembira), namun jika tidak diberi, dia merasa marah (benci)

(Sahih Al-Bukhari No. 2887)

4. Pemimpin, Guru, atau Tokoh Agama yang Diikuti Secara Buta Tuli

Menjadikan manusia (sama ada ketua parti, pemimpin negara, malah guru agama sekalipun) sebagai entiti yang “maksum” (tidak boleh salah) sehinggakan kata-kata mereka ditaati walaupun jelas melanggar perintah Allah ‎ﷻ.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila seseorang itu tahu guru atau pemimpinnya menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, tetapi dia tetap mengikutinya dengan reda dan yakin.

Dalil Al-Qur’an: Kisah Ahli Kitab yang mempertuhankan paderi mereka di dalam Tawbah:31

اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبٰنَهُم أَربابًا مِّن دونِ اللَّهِ
Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah

Nabi ﷺ menjelaskan ayat ini bermaksud: Mereka mengikut paderi yang mengubah hukum halal/haram Allah.

5. Kuasa Ghaib Selain Allah ‎ﷻ (Sihir, Dukun, dan Khurafat)

Bergantung harap, takut, dan meminta pertolongan kepada makhluk halus, jin, syaitan, azimat, atau kubur keramat untuk mendapatkan perlindungan atau keuntungan.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Ini adalah syirik jali (nyata). Seseorang itu gugur tauhidnya apabila dia percaya bomoh atau jin tersebut mempunyai kuasa mutlak memberi manfaat dan mudarat secara berasingan daripada kehendak Allah ‎ﷻ.

Apabila kita faham maksud ilah, barulah kita menyembah Allah ‎ﷻ dengan sempurna. Kerana menyembah Allah ‎ﷻ bukan sahaja dari segi perbuatan, tetapi ia mesti dilakukan dengan memenuhi syarat-syaratnya. Kena ada 4 perkara:

1. Cinta (Mahabbah) – Penggerak Utama

Sembah Allah ‎ﷻ dengan rasa cinta bermaksud kita melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya bukan kerana terpaksa, bukan sekadar menggugurkan taklif (kewajipan), dan bukan seperti seorang hamba yang takutkan sebatan tuannya. Kalau sembah Allah ‎ﷻ tanpa rasa cinta, itu bukan ikhlas namanya.

Hakikatnya kita beribadah kerana kita rindu, sayang, dan bersyukur atas segala nikmat-Nya. Apabila ada cinta, ibadah yang berat (seperti bangun tahajjud di waktu sejuk) akan terasa ringan dan manis. Orang yang ada cinta kepada Allah, akan suka untuk buat ibadat dengan banyak.

Kata Ulama: “Sesiapa yang menyembah Allah dengan cinta sahaja tanpa rasa takut, dia boleh menjadi zindiq (bebas melanggar hukum kerana merasa Allah tersangat mencintainya).”

2. Agung (Ta’zim) – Melahirkan Rasa Hormat dan Khusyuk

Ta’zim bermaksud membesarkan dan mengagungkan kehebatan, kemuliaan, serta kekuasaan Allah SWT di dalam hati. Rasa agung ini lahir apabila kita sedar betapa kerdilnya diri kita manusia yang penuh dosa, berhadapan dengan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pentadbir Semesta Alam. Rasa ta’zim inilah yang melahirkan sifat khusyuk dalam solat, ketertiban dalam membaca Al-Qur’an, dan rasa gerun untuk meremehkan syariat-Nya.

3. Takut (Khauf) – Benteng daripada Maksiat

Sembah Allah dengan rasa takut bermaksud kita bimbang akan kemurkaan Allah, azab seksa neraka, dan takut sekiranya pengakhiran hidup kita mati dalam keadaan yang buruk (su’ul khatimah).

Takut kepada Allah tidak sama seperti takut kepada harimau (yang membuatkan kita lari menjauhinya). Takut kepada Allah membuatkan kita lari lurus menuju kepada-Nya untuk berlindung. Rasa takut ini berfungsi sebagai “brek” yang menghalang kita daripada melayan nafsu untuk melakukan maksiat ketika bersendirian.

4. Harap (Raja’) – Penawar Putus Asa

Raja’ bermaksud hati yang sentiasa bergantung harap, bersangka baik (husnuzon), dan mendambakan rahmat, keampunan, serta ganjaran syurga daripada Allah. Kita tidak boleh ada rasa yakin yang ibadat kita diterima.

Hakikatnya: Selepas kita penat melakukan ibadah, kita tidak boleh sombong dengan amalan tersebut. Sebaliknya, kita meletakkan harapan yang tinggi agar Allah menerima amalan kita yang serba kekurangan itu. Sifat ini sangat penting sebagai “sayap pengimbang” agar seseorang itu tidak berputus asa daripada rahmat Allah walaupun dia merasakan dosanya teramat banyak.

Inilah keseimbangan yang patut ada pada seorang mukmin, iaitu keseimbangan antara takut dan harap (khauf dan raja’). Dalam kehidupan seorang Muslim, terdapat dua unsur penting dalam hubungan dengan Allah yang perlu diseimbangkan:

1️⃣ Khauf (الخوف) – Takut kepada Allah ‎ﷻ
2️⃣ Raja’ (الرجاء) – Harapan kepada rahmat Allah ‎ﷻ

Kedua-duanya sangat penting untuk memastikan kita berada di jalan yang benar, tidak terlalu takut sehingga berputus asa, dan tidak terlalu berharap sehingga lalai dalam beribadah. Islam mengajar umatnya untuk menyeimbangkan rasa takut (khauf) dan harapan (raja’) supaya tidak terlalu ekstrim ke satu arah:

✔️ Jika terlalu takut (khauf) tanpa harapan (raja’), seseorang mungkin berputus asa dan merasa tidak layak mendapat keampunan Allah ‎ﷻ. Boleh gila jadinya kerana ada takut sahaja.
✔️ Jika terlalu berharap (raja’) tanpa takut (khauf), seseorang mungkin menjadi lalai dan terus melakukan dosa dengan alasan Allah ‎ﷻ Maha Pengampun. Seseorang yang tidak ada rasa takut tidak akan memperbaiki amal ibadat dia kerana sangka Allah terus terima.

Imam Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:

“Hati yang sempurna adalah yang mempunyai dua sayap: satu sayap adalah khauf dan satu lagi adalah raja’. Jika salah satu patah, maka seseorang tidak akan dapat terbang ke akhirat dengan selamat.“

Daripada 4 sifat ini, 2 kena ada sebelum sembah, dan 2 kena ada selepas sembah Allah. Sebelum sembah Allah, kita kena ada Cinta dan Ta’zim. Barulah kita rasa kita kena sembah Allah dan melakukan ibadat kepadaNya. Selepas kita melakukan ibadat, kena ada pula Takut dan Harap. Takut Allah tidak terima ibadah yang baru dilakukan dan di dalam masa yang sama, berharap sangat Allah terima.

 

الحَيُّ القَيّومُ

Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya.

Selepas diberikan Dakwa, seterusnya Allah ‎ﷻ terus beri Dalil kenapa hanya Dia sahaja ilah dan hanya Dia sahaja yang layak disembah. Bukan sahaja Dia layak disembah, tapi apa sahaja yang Dia sampaikan di dalam bentuk wahyu, perlu diikuti. Kerana ini bukannya makhluk tetapi Allah yang mempunyai sifat-sifat yang agung! Jadi jangan buat tidak endah!

Di dalam ayat ini, Allah sebut dua Sifat. Dua nama Allah yang agung ini, iaitu Al-Hayyu (الحَيُّ) dan Al-Qayyum (القَيُّومُ), disebut bersama-sama dalam beberapa tempat di dalam Al-Qur’an (seperti dalam Ayat Kursi). Kombinasi dua nama ini disifatkan oleh para ulama (seperti Imam Ibnu al-Qayyim) sebagai pusat atau paksi kepada seluruh nama-nama Allah yang lain.

 

Al-Hayyu (الحَيُّ) – Yang Maha Hidup

Nama ini bermaksud Allah mempunyai kehidupan yang mutlak, sempurna, kekal abadi, dan tidak didahului oleh ketiadaan serta tidak akan diakhiri oleh kematian.

Sifat Kesempurnaan: Kehidupan Allah bersih daripada segala sifat kekurangan makhluk. Allah tidak mengantuk, tidak letih, tidak sakit, dan tidak tidur (seperti yang disebut dalam Ayat Kursi).

Punca Kehidupan: Hidup-Nya adalah dengan zat-Nya sendiri, bukan kerana ada pihak lain yang menghidupkan-Nya. Malah, Dialah yang memberi pinjaman nyawa dan kehidupan kepada seluruh makhluk.

Kaitan dengan Nama Lain: Nama Al-Hayyu menjadi asas kepada semua nama Allah yang berkaitan dengan Sifat Zat (Sifat Dzatiyyah), seperti Ilmu (Maha Mengetahui), Sama’ (Maha Mendengar), dan Basar (Maha Melihat). Sesuatu yang tidak hidup, mustahil boleh mendengar, melihat, atau mengetahui.

Oleh kerana itu, hanya Dia sahaja ilah kerana Dia sahaja yang Maha Hidup dan tidak mati-mati. Semua makhluk akan mati semuanya. Nanti kita akan belajar tentang Nabi Isa عليه السلام dan Maryam رضي الله عنها. Mereka berdua telah pun wafat walaupun dipuja oleh penganut Kristian. Begitu juga dengan manusia lain dan mana-mana makhluk pun tidak akan kekal. Maka tidak patut mana-mana makhluk dipuja.

Dan ini menyentuh terus akidah Nasara yang percaya Anak Tuhan (Nasi Isa) mati selama tiga hari sebelum dihidupkan balik. Maka Allah tekankan di dalam ayat ini yang Tuhan tak mati-mati. Jadi tuhan jenis apa yang mati pula? Itu bukanlah Tuhan tetapi makhluk!

 

Al-Qayyum (القَيُّومُ) – Yang Maha Berdiri Sendiri & Mentadbir

Nama ini berasal daripada kata dasar Al-Qiyam (berdiri/tegak). Ia mengandungi dua makna yang sangat besar:

Pertama: Allah Maha Berdiri Sendiri dan tidak memerlukan apa-apa atau sesiapa pun. Allah tidak memerlukan ruang, tidak memerlukan bantuan malaikat, dan tidak memerlukan ibadah daripada makhluk-Nya untuk mengekalkan kehebatan-Nya. Sebagai contoh, Allah cipta langit tapi Allah tidak memerlukan langit.

Kedua: Allah ialah Pentadbir, Penjaga, dan Pengurus mutlak bagi seluruh alam semesta. Setiap detik, zarah di langit dan di bumi boleh terus wujud dan berfungsi hanya kerana Allah yang sedang “menegak” dan menguruskannya. Jika Allah berhenti mentadbir sekedip mata sekalipun, seluruh alam ini akan hancur runtuh. Kitalah yang memerlukan Allah, bukan?

Kaitan dengan Nama Lain: Nama Al-Qayyum menjadi asas kepada semua nama Allah yang berkaitan dengan Sifat Perbuatan (Sifat Fi’liyyah), seperti Al-Khaliq (Maha Pencipta), Ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki), Al-Muhyi (Maha Menghidupkan), dan Al-Mumit (Maha Mematikan).

Allah ‎ﷻlah sahaja Dzat yang Sedia mengurus semua makhluk-Nya, tidak ada kuasa lain. Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam رضي الله عنها tidak dapat menguruskan alam ini. Begitu juga, para wali dan para Nabi tidak menguruskan alam ini. Maka untuk apa sembah mereka?

Dua nama dan sifat Allah ini sendiri sudah hebat. Tapi apabila digabungkan, ia memberi makna tambahan. Ibnu al-Qayyim menjelaskan bahawa gabungan dua nama ini menghimpunkan seluruh sifat-sifat Allah tanpa ada yang tertinggal.

    • Al-Hayyu merangkumi semua Sifat Zat yang menunjukkan kesempurnaan diri Allah.
    • Al-Qayyum merangkumi semua Sifat Perbuatan yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaan Allah ke atas makhluk.

Apabila kita menyebut Al-Hayyu Al-Qayyum, kita sedang menyeru Tuhan yang Sentiasa Hidup (Mendengar doa kita pada bila-bila masa tanpa mati) dan pada masa yang sama Mempunyai Kuasa Mutlak untuk mengubah dan mentadbir urusan hidup kita (Maha Mengurus). Maka ia mengajar kepada kita untuk bergantung hanya kepada Allah. Berdoalah hanya kepada Allah sahaja, jangan kepada selainNya. Sesiapa yang bergantung dan menyandarkan harapan kepada Allah, dia akan kuat dan dia akan selamat. Kerana itu Allah berfirman di dalam Furqan:58 

وَتَوَكَّل عَلَى الحَيِّ الَّذي لا يَموتُ
Dan bertawakkallah kepada Allah yang hidup (kekal) Yang tidak mati

Kalau bergantung kepada manusia, manusia akan mati akhirnya. Tapi Allah takkan mati-mati. Maka kerana itu berdoalah kepada Allah sahaja, tidak perlu istighasah kepada selain Allah. Banyak sangat polemik tentang istighasah ini sekarang, hanya kerana tidak faham tafsir Al-Qur’an. Apabila tidak belajar, maka kefahaman Tauhid menjadi longgar.

Banyak hadis sahih mengisyaratkan bahawa gabungan nama Al-Hayyu al-Qayyum inilah Ismullah al-A’zam (Nama Allah yang Paling Agung). Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang berdoa kepada Allah dengan memanggil dua nama ini, nescaya doanya tidak akan ditolak dan permintaannya akan ditunaikan. Sifat inilah yang sering dibaca oleh Nabi ketika baginda berada dalam kesusahan yang amat berat:

«يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ»
(Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri Mentadbir, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan).

Ini adalah salah satu pendapat. Ada lagi pendapat lain apakah yang dimaksudkan dengan Ismullah al-A’zam itu.

Balaghah: Disebutkan nama yang Maha Agung dan Mulia (iaitu Allah); bertujuan untuk mendidik rasa gerun dan hormat (di dalam hati) apabila mendengarnya, kemudian ia disusuli pula dengan frasa لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ (Tiada Tuhan melainkan Dia). Frasa ini berfungsi sebagai ayat selingan (Jumlah Mu’taridhah) atau penerang keadaan (Jumlah Haliyyah); sebagai bantahan/sanggahan terhadap kaum musyrikin, dan (ditujukan) khusus buat kaum Nasrani (Kristian).”

Dan ia (nama Allah) disusuli pula dengan dua sifat (iaitu الحَيُّ – Yang Maha Hidup, dan القَيّومُ – Yang Maha Berdiri Sendiri/Mengurus makhluk-Nya); bertujuan untuk menolak sebarang kekeliruan terhadap Dzat yang dinamakan dengan nama ini, serta sebagai isyarat kepada punca keesaan-Nya dalam ketuhanan. (Ia juga menunjukkan) bahawa selain daripada-Nya tidak layak langsung untuk memiliki sifat ketuhanan tersebut; kerana selain-Nya itu sama ada tidak hidup (mati/tiada nyawa) atau tidak قَيّومُ (lemah/bergantung kepada yang lain).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Dorar.net

Tafsir Surah Baqarah Ayat 285 (Dengar dan Taat) Part 2

وَرُسُلِهِ

dan Rasul-rasul-Nya.

Iman kepada rasul-rasul Allah adalah rukun iman yang keempat dalam Islam. Ini bererti seorang Muslim wajib menyakini dengan sepenuh hati bahawa Allah ‎ﷻ telah memilih laki-laki tertentu (tiada Nabi dan Rasul dalam kalangan wanita) dalam kalangan manusia (pendapat yang kuat mengatakan tidak ada Nabi dalam kalangan jin), mengutus mereka dengan wahyu, dan memerintahkan mereka untuk menyampaikan petunjuk kepada umat manusia.

Beriman kepada rasul-rasul Allah mencakupi beberapa perkara penting:

1. Semua Rasul adalah Manusia yang Dipilih Allah ‎ﷻ: Para rasul adalah manusia biasa, bukan makhluk ilahi atau anak Tuhan. Mereka makan, minum, menikah, tidur, merasa sakit, dan meninggal dunia seperti manusia lainnya. Namun, mereka istimewa kerana dipilih oleh Allah ‎ﷻ untuk menerima wahyu dan menjadi perantara antara Allah ‎ﷻ dan hamba-Nya. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Kahf:110

قُل إِنَّمَآ أَنَا۟ بَشَرٌ مِّثلُكُم يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُم إِلَـٰهٌ وٰحِدٌ
“Katakanlah (Muhammad), ‘Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahwasanya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa’.”

2. Jumlah Mereka Banyak, dan Percaya kepada yang Disebutkan Namanya: Allah ‎ﷻ telah mengutus ramai rasul ke seluruh umat di setiap zaman. Bilangan mereka kita tidak tahu dengan pasti. Kalau ada bilangan-bilangan yang disebut, itu tidak ada dalil padanya. Al-Qur’an menyebutkan nama 25 nabi dan rasul, dan kita wajib menyakini keberadaan dan kenabian/kerasulan mereka semua. Meskipun hanya 25 orang yang disebutkan, kita menyakini bahawa ada ramai rasul lain yang tidak disebutkan dalam Al-Qur’an.

3. Mereka Diutus dengan Kebenaran dan Mukjizat: Para rasul diutus dengan membawa kebenaran (tauhid dan ajaran ilahi) serta didukung oleh mukjizat-mukjizat yang luar biasa untuk membuktikan kerasulan mereka. Mukjizat adalah kejadian di luar kebiasaan yang tidak dapat ditiru oleh manusia, seperti mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tongkatnya, Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghidupkan orang mati, dan Al-Qur’an sebagai mukjizat terbesar Nabi Muhammad ﷺ.

4. Mereka Menyampaikan Risalah dengan Amanah: Para rasul adalah orang-orang yang sangat jujur (siddiq), terpercaya (amanah), menyampaikan (tabligh) seluruh wahyu tanpa menyembunyikan atau mengubahnya, dan cerdas (fathanah). Mereka telah menyampaikan risalah yang diperintahkan Allah ‎ﷻ secara sempurna kepada umat mereka.

5. Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul Terakhir dan Universal: Nabi Muhammad ﷺ adalah penutup para Nabi dan Rasul (Khatamun Nabiyyin). Tidak akan ada nabi atau rasul lagi setelah baginda. Risalah baginda (Islam) adalah universal, untuk seluruh umat manusia hingga Hari Kiamat, membatalkan dan menyempurnakan syariat-syariat sebelumnya. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ahzab:40

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَٰكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ
Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi (khataman-nabiyyin).

5. Wajib Mentaati dan Mengikuti Rasulullah ﷺ: Iman kepada rasul-rasul, khususnya Nabi Muhammad ﷺ, menuntut ketaatan penuh kepada ajaran dan sunnah baginda. Mengikuti sunnah Nabi adalah bentuk ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nisa’:80

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ
“Barangsiapa mentaati Rasul, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah.”

Pentingnya Iman kepada Rasul-rasul Allah:

  • Penyampai Petunjuk Ilahi: Para Rasul adalah satu-satunya jalan bagi manusia untuk menerima petunjuk langsung daripada Allah ‎ﷻ mengenai tujuan hidup, cara beribadah yang benar, dan hukum-hukum-Nya. Tanpa mereka, manusia akan tersesat.
  • Contoh Terbaik: Para Rasul adalah teladan hidup yang sempurna dalam segala aspek: akhlak, ibadah, muamalah, kepemimpinan, dan kesabaran.
  • Membangun Dasar Tauhid: Semua Rasul menyeru kepada tauhid (pengesaan Allah ‎ﷻ), mengikis segala bentuk syirik, sehingga menguatkan asas akidah.
  • Tanda Keadilan dan Rahmat Allah ‎ﷻ: Pengutusan Rasul menunjukkan keadilan Allah ‎ﷻ yang tidak akan menghukum suatu kaum sebelum diutusnya seorang pemberi peringatan, serta rahmat-Nya yang tidak membiarkan manusia tanpa bimbingan. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Isra’:15

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا
dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Surah ini bermula dengan iman dan sekarang lihatlah yang ia juga ditutup dengan topik tentang iman juga. Akan tetapi kita belajar akidah dengan sempurna iaitu kena luangkan masa untuk tahu tuntutan kepada kita dalam setiap Rukun Iman ini. Ini kerana ramai yang buat fahaman sendiri dan kemudian ajar kepada orang yang jahil; orang yang jahil pun ikutlah pula fahaman sesat dan salah itu.

 

لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ

“Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”.

Maksud ayat ini adalah semua Rasul kita terima. Kita terima semua Nabi-Nabi عَلَيْهِمُ السَّلَامُ itu adalah utusan Allah ‎ﷻ juga tetapi kepada Nabi Muhammad ﷺ, kita ikut sepenuhnya syari’at baginda. Tentang tidak membezakan antara Rasul ini telah disebut di dalam Baqarah:136 sebelum ini. Ringkasnya, semua para Nabi itu kita terima sebagai Nabi, kita tidak tolak mana-mana Nabi. Kalau tolak satu Nabi sahaja bermakna menolak semua sekali Nabi dan akan jadi kafir. Akan tetapi tidaklah salah kalau kita melebihkan sesetengah Nabi daripada para Nabi yang lain kerana kedudukan para Nabi itu tidak sama. Antaranya, Nabi yang paling utama dan tertinggi adalah Nabi Muhammad ﷺ.

Oleh itu, kita hendaklah ada hubungan dengan hadith. Mesti mempelajari hadith-hadith Nabi. Tidak boleh bezakan mana-mana rasul. Jangan jadi seperti Yahudi yang menolak Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan jangan jadi seperti Nasara yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi.

Jadi ayat ini telah menyebut senarai Rukun Iman yang wajib kita percayai dan perhatikan. Perhatikan juga hadith yang dinamakan Hadith Jibril tentang Rukun Iman ini. Kita berikan bahagian iman sahaja, kerana hadith ini asalnya panjang.

قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ اْلإِيْمَانِ قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ
(Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata): “Khabarkan aku tentang Iman”. Lalu baginda bersabda: “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk”
(Riwayat Muslim No. 8)

Cuma kalau mata anda pantas, mungkin anda akan perasan di dalam hadith ini dan silibus kita menyebut Rukun Iman itu ada 6 akan tetapi di dalam ayat ini hanya menyebut 4 sahaja. Tidak disebut di dalam ayat beriman kepada Hari Akhirat dan Qada’ dan Qadar. Ini kerana Ayat 285 ini lebih fokus pada prinsip-prinsip dasar tauhid (keesaan Allah ‎ﷻ) dan risalah (kenabian dan kitab suci). Rukun Iman itu saling terkait satu sama lain. Ketika seseorang beriman kepada 4 rukun yang disebutkan dalam ayat ini, maka secara tersirat dia juga beriman kepada hari akhir dan qada/qadar:

  • Iman kepada Allah ‎ﷻ termasuk keyakinan bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Kehadiran hari akhir (hari perhitungan, balasan syurga dan neraka) adalah kesan yang logik daripada keadilan dan kebijaksanaan Allah ‎ﷻ. Tanpa hari akhir, tujuan penciptaan manusia dan adanya perintah serta larangan menjadi tidak sempurna. Oleh kerana itu, iman kepada Allah ‎ﷻ secara automatik tersirat di dalamnya iman kepada hari akhir.

  • Iman kepada Kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya: Semua kitab suci dan rasul Allah, tanpa terkecuali, menyampaikan berita tentang hari kebangkitan, hari perhitungan, syurga, dan neraka. Jadi, ketika seseorang beriman kepada kitab dan rasul, dia pasti beriman kepada apa yang mereka sampaikan, termasuk hari akhir.

  • Kaitan dengan Qada/Qadar: Keyakinan kepada Allah yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, dan Maha Bijaksana (yang termaktub dalam iman kepada Allah ‎ﷻ) secara automatik mencakupi keyakinan bahawa segala sesuatu terjadi atas kehendak dan ketetapan-Nya. Oleh kerana itu, iman kepada qada dan qadar adalah bahagian yang sudah termasuk daripada iman kepada Allah ‎ﷻ itu sendiri.

 

وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا

dan mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat

Inilah yang perlu kita lakukan: Dengar wahyu dan ikut apa yang disampaikan dalam wahyu itu. Kalau setakat dengar sahaja, tetapi tidak taat dan tidak ikut, juga langsung tidak berguna. Di dalam hal ini terbahagi kepada tiga:

1. Ada yang tidak dengar dan tidak taat. Ini adalah contoh orang kafir.
2. Ada yang dengar tetapi tidak taat. Ini adalah contoh orang munafik.
3. Ada yang dengar dan taat, inilah contoh orang Mukmin.

Maka kita kena tanya, kita termasuk golongan yang mana? Berapa ramaikah dalam kalangan kita sudah tahu tentang kewajipan yang perlu mereka lakukan, tetapi mereka tidak melakukannya? Semoga kita tidak menjadi orang yang sebegitu.

Di dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ suruh kita dengar dahulu, kemudian baru taat. Maka kena tahu syariat Allah, apa yang Allah ‎ﷻ mahukan daripada kita. Maka mestilah belajar tentang agama terutama sekali mesti ambil tahu wahyu Allah daripada Al-Qur’an dan hadith. Kalau kita kata kita taat, sudahkah kita tahu apa yang kita kena taat dahulu? Pelik bukan, kata taat tetapi tidak tahu apa yang perlu ditaati. Maknanya, ‘dengar’ itu kenalah dengan ‘faham’. Kita yang menjadi umat Nabi Muhammad ﷺ hendaklah dengar wahyu yang baginda sampaikan. Memang ilmu agama ini kita kena tadah telinga untuk menerimanya. Kena luangkan masa dan fokus belajar, barulah ilmu akan masuk. Tidaklah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Kena dengar dan terima dengan hati. Jangan jadi seperti orang munafik seperti disebut di dalam Anfal:21-22

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ قَالُواْ سَمِعۡنَا وَهُمۡ لَا يَسۡمَعُونَ (٢١) ۞ إِنَّ شَرَّ ٱلدَّوَآبِّ عِندَ ٱللَّهِ ٱلصُّمُّ ٱلۡبُكۡمُ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡقِلُونَ (٢٢)
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: Kami dengar, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya). (21) Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatu pun (dengan akal fikirannya). (22)

Maka jangan kita jadi seperti orang kafir yang disebut di dalam Baqarah: 171 yang tidak mahu mendengar, degil untuk menerima nasihat dan dakwah. Allah ﷻ tempelak mereka sebagai orang yang pekak, bisu dan buta!

وَمَثَلُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا كَمَثَلِ الَّذِيْ يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ اِلَّا دُعَاۤءً وَّنِدَاۤءً ۗ صُمٌّ ۢ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُوْنَ
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain daripada mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

Dalam ayat ini, orang beriman dengar dan taat. Bandingkan dengan Yahudi yang dengar, tetapi mereka tidak taat. Maka kalau kita tidak taat setelah mendengar kewajipan, maka samalah kita dengan orang-orang Yahudi itu. Lihat Baqarah:93

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ خُذُوا مَا آتَيْنَاكُم بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا ۚ قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا
“Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji kalian lalu Kami angkat bukit Thur (di atas)mu (seraya Kami berfirman): “Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan dengarkanlah!” Mereka menjawab: “Kami dengar tetapi kami tidak taat.”

 

Asbabun Nuzul Ayat 285 Surah Al-Baqarah

Seperti yang telah dibahas sebelumnya, ayat 284 Surah Al-Baqarah (لِّلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ وَإِن تُبْدُوا مَا فِي أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغْفِرُ لِمَن يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ) telah menimbulkan kekhuatiran dan ketakutan yang mendalam dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana ketika ayat 284 turun, para sahabat memahami bahawa mereka akan dihisab oleh Allah ‎ﷻ di atas segala sesuatu yang terlintas di hati mereka, baik niat baik mahupun niat buruk, bahkan bisikan hati yang tidak disengaja. Mereka merasa sangat berat dan tidak mampu mengendalikan fikiran serta bisikan hati sepenuhnya. Mereka datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata:

“Ya Rasulullah, kami dibebani dengan sesuatu yang tidak mampu kami pikul. Kami telah dibebani dengan solat, puasa, jihad, dan sedekah. Sekarang turun ayat ini (ayat 284), dan kami tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya. Kami akan dihisab atas apa yang ada dalam hati kami.”

Mereka merasakan kesulitan yang luar biasa kerana hal-hal dalam hati seringkali tidak mampu dikendalikan sepenuhnya oleh manusia. Melihat kegelisahan para sahabat, Nabi Muhammad ﷺ menenangkan mereka dan memerintahkan mereka untuk tetap beriman dan taat. Baginda bersabda: “Apakah kalian ingin berkata seperti dua umat sebelum kalian (Yahudi dan Nasrani) yang berkata: ‘Kami dengar dan kami tidak taat’? Katakanlah: ‘Kami dengar dan kami taat, kami memohon ampunan-Mu ya Tuhan kami dan kepada-Mu tempat kembali’.” Maknanya Allah ‎ﷻ telah  berfirman, maka hendaklah mereka ikut, walaupun mereka rasa berat. Setelah Rasulullah ﷺ berkata begitu, maka mereka pun redha dan mengucapkan سَمِعنا وَأَطَعنا (kami dengar dan kami taat). Ketika para sahabat mengucapkan kalimat tersebut dengan penuh kepatuhan dan keimanan, kemudian Allah ‎ﷻ menurunkan dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah, iaitu ayat 285 dan 286.

Oleh itu ayat 285 ini datang sebagai penegasan keimanan dan kepasrahan yang diminta oleh Nabi ﷺ dari para sahabat. Ini menunjukkan sikap seorang mukmin yang sejati: mendengar perintah Allah ‎ﷻ, mempercayainya sepenuh hati, dan melaksanakannya dengan ketaatan, sambil senantiasa memohon ampunan dan menyedari bahawa hanya kepada Allah ‎ﷻ tempat kembali. Ayat ini adalah bentuk pujian Allah ‎ﷻ kepada Rasul-Nya dan orang-orang beriman atas ketaatan dan keyakinan mereka. Kemudian, datanglah ayat 286 sebagai pelengkap, yang memberikan keringanan langsung atas kekhuatiran mereka yang akan kita bincangkan selepas ini.

Ayat ini juga mengajar kita yang kita mestilah mendengar سمع wahyu Allah ‎ﷻ – maknanya mestilah belajar, bukan dengar kosong sahaja. Orang kita selalu kata mereka taat, tetapi apa yang mereka hendak taat, kalau wahyu itu sendiri mereka belum belajar lagi? Maka, kenalah kita pergi ke kuliah agama dan mempelajari wahyu Allah ‎ﷻ ini. Hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an, belajar syarah hadith-hadith kerana hadith adalah wahyu daripada Allah ‎ﷻ juga.

Ingatlah yang golongan yang selamat adalah golongan yang dengar dan taat. Jika susah untuk taat kepada arahan, maka akan ada masalah. Antaranya, golongan Ateis yang susah untuk terima ada kuasa di atas mereka yang mereka kena taat.

 

غُفرانَكَ رَبَّنا

keampunan-Mu wahai Tuhan kami,

Fi’il bagi doa ini telah dihilangkan iaitu نسئل (kami meminta). Di sini mengajar kita yang semakin tinggi iman dan ketaatan seseorang, semakin banyak dia akan minta ampun kerana dia sedar ada banyak kekurangan pada dirinya. Kita minta ampun kepada Allah ‎ﷻ kerana kita banyak dosa. Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
“Setiap anak Adam pasti berbuat kesalahan (dosa), dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah yang bertaubat.”
(Sunan At-Tirmidzi No. 2499, Ibnu Majah No. 4251)
Status: Sahih (Al-Albani)

Kita pun sudah pernah dengar hadis yang Nabi Muhammad sendiri istighfar seratus kali dalam sehari. Kalau baginda yang tiada dosa pun begitu, kita apatah lagi? Dari Al-Agharr bin Yasar Al-Muzani radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

“يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ”
“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya, kerana sesungguhnya aku bertaubat (beristighfar) dalam sehari seratus kali.”

Sahih Muslim: (No. Hadis 2702)

Lihatlah bagaimana doa ini tentang mereka yang telah mendengar dan telah kata mereka akan taat tetapi kenapa kita kena meminta ampun lagi? Kerana kalau kita sudah taat pun, kita kena sedar yang entah-entah kewajipan yang kita perlu lakukan itu tidak seperti yang Allah ‎ﷻ harapkan. Maka, kita minta ampun kalau-kalau ada salah dan kurang dalam amalan kita. Beginilah halusnya mereka yang beriman. Kalau tidak beriman, langsung tidak kisah tentang perkara ini. Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah membangunkan Ka’bah pun baginda minta ampun lagi kepada Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam Baqarah:127

وَأَرِنا مَناسِكَنا وَتُب عَلَينا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
Dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani

Inilah satu lagi ubat kepada ujub. Kita kena rasa ada kurang dengan ibadah kita. Kita tidak boleh yakin yang pahala sudah tentu dapat kerana walaupun kita sedang melakukan ketaatan, kita tidak pasti ia adalah seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki ataupun tidak. Entah ada kurang di mana-mana, kita pun tidak tahu. Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ telah mengajar kita untuk terus istighfar tiga kali selepas sahaja salam dalam solat. Ini adalah kerana kita tidak tahu sama ada solat kita itu cukup ataupun tidak, kita khusyuk ataupun tidak, kita baca betul ataupun tidak dan bermacam-macam lagi kekurangan yang ada. Perhatikan juga setelah Nabi Muhammad ﷺ berjaya menakluk Mekah dan Ka’bah setelah sekian lama ia menjadi pusat syirik, dan setelah baginda mengembangkan agama Islam setelah berdakwah selama 21 tahun, apa yang Allah ‎ﷻ suruh baginda buat di dalam Nasr:3?

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَاستَغفِرهُ ۚ إِنَّهُ كانَ تَوّابًا
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Sekali lagi perhatikan di dalam Muzzammil:20. Setelah orang mukmin melakukan Solat Tahajjud dengan berjaga malam, apa yang mereka disuruh lakukan? Bukankah mereka disuruh lagi istighfar?

وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ هُوَ خَيرًا وَأَعظَمَ أَجرًا ۚ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ
Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.

Kita sedar bahawa kita semua akan mati akhirnya dan akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Maka kita kenalah sentiasa ingat hal ini dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik. Kita kena ingat yang hidup kita di dunia ini, walau bagaimana sedap pun, ia hanya sementara sahaja. Jadi jangan kita lebihkan dunia ini atas akhirat. Banyak sekali peringatan daripada Rasulullah ﷺ tentang hal ini seperti hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

“Rasulullah ﷺ tidur di atas tikar kasar, lalu tikar itu membekas di tubuh baginda. Kami berkata: “Wahai Rasulullah, bolehkah kami buatkan alas tidur yang lebih lembut untukmu?” Maka baginda bersabda:
“مَا لِي وَلِلدُّنْيَا؟ إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ الدُّنْيَا كَرَاكِبٍ قَالَ تَحْتَ شَجَرَةٍ، ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا”
“Ada apa denganku dan dunia? Sesungguhnya perumpamaanku dan perumpamaan dunia adalah seperti seorang pengembara yang berteduh di bawah pohon, lalu dia pergi meninggalkannya.”
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi No. 2377)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 285 (Rukun Iman) Part 1

RUKUN-RUKUN IMAN

Baqarah Ayat 285: Dalam hadith ada disebut bahawa dua ayat terakhir Surah Baqarah ini telah diberikan kepada Nabi ﷺ semasa baginda mi’raj bertemu Allah ‎ﷻ. Dalilnya adalah hadith,

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ، قَالَ: لَمَّا أُسْرِيَ بِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم انْتُهِيَ بِهِ إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَهِيَ فِي السَّمَاءِ السَّابِعَةِ، إِلَيْهَا يَنْتَهِي مَا يُهْبَطُ بِهِ مِنْ فَوْقِهَا، وَيُقْبَضُ مِنْ تَحْتِهَا… فَأُعْطِيَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثَلاَثًا: أُعْطِيَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ، وَأُعْطِيَ خَوَاتِيمَ سُورَةِ الْبَقَرَةِ، وَغُفِرَ لِمَنْ لَمْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ مِنْ أُمَّتِهِ شَيْئًا.
Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Ketika Rasulullah ﷺ diperjalankan (Isra’), baginda sampai ke Sidratul Muntaha, dan ia (Sidratul Muntaha) berada di langit ketujuh. Kepadanya berhenti segala sesuatu yang diturunkan dari atasnya, dan kepadanya pula diambil apa yang dinaikkan dari bawahnya… Lalu Rasulullah ﷺ diberikan tiga perkara: Baginda diberikan solat lima waktu, baginda diberikan penutup (ayat-ayat terakhir) Surah Al-Baqarah, dan diampuni bagi umatnya yang tidak menyekutukan Allah sedikit pun.”
(Sahih Muslim No. 163)

Maka ia adalah ayat yang amat penting sekali sampaikan diberikan kepada baginda semasa pertemuan dengan Allah ‎ﷻ. Ayat ini adalah Ayat Tabshir. Ia adalah  tentang golongan yang Allah ‎ﷻ beri janji kepada mereka kerana mereka beriman. Beriman yang bagaimana? Beriman dengan apa yang Allah ﷻ sebut nanti di dalam ayat ini.

Dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah, iaitu ayat 285 dan 286, memiliki kelebihan dan keutamaan yang sangat besar dalam Islam. Ayat-ayat ini dikenal sebagai “penutup Al-Baqarah” (Khawatim Al-Baqarah) dan banyak disebutkan dalam hadith-hadith. Antaranya, diriwayatkan daripada Abu Mas’ud Al-Badri (Uqbah bin Amr Al-Anshari) رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِالآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
“Barangsiapa membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah pada suatu malam, nescaya keduanya akan mencukupinya.”
(Sahih Bukhari No. 5009 dan Muslim No. 808)

Penjelasan: Kalimah كَفَتَاهُ (mencukupinya) dalam hadis ini memiliki beberapa penafsiran dalam kalangan ulama, di antaranya:

    • Mencukupi daripada segala keburukan: Melindungi daripada gangguan syaitan, jin, manusia, musibah, dan segala hal yang tidak disukai pada malam itu.
    • Mencukupi daripada ibadah malam: Seolah-olah sudah cukup baginya daripada keperluan untuk solat malam (qiyamul lail) pada malam itu, kerana pahala membaca dua ayat ini sudah sangat besar.
    • Mencukupi daripada godaan: Melindungi daripada godaan nafsu atau dosa.

Maka hadith ini mendorong umat Islam untuk mengamalkan pembacaan dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah ini secara rutin setiap malam untuk mendapatkan keutamaan dan perlindungan daripada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi kenalah faham dahulu maksud dan tafsir ayat ini. Jangan jadi Melayu sangat yang setakat ‘baca’ kosong sahaja tanpa tahu dan ambil pengajaran daripada ayat ini.

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ وَالمُؤمِنونَ ۚ كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۖ غُفرانَكَ رَبَّنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

SAHIH INTERNATIONAL
The Messenger has believed in what was revealed to him from his Lord, and [so have] the believers. All of them have believed in Allah and His angels and His books and His messengers, [saying], “We make no distinction between any of His messengers.” And they say, “We hear and we obey. [We seek] Your forgiveness, our Lord, and to You is the [final] destination.”

MALAY
Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasul-Nya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.

 

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, 

Allah ‎ﷻ menyebut tentang kepentingan iman di sini. Di awal surah ini Allah ‎ﷻ telah menyebut tentang iman dan sekarang di hujung surah ini Allah ‎ﷻ mengulang tentangnya kembali. Di tengah-tengah surah ini telah banyak kita pelajari tentang hukum hakam tetapi semua itu tidak bermakna jikalau tidak ada iman. Iman itu hendaklah diikuti. Secara umum, definisi iman yang disepakati oleh majoriti ulama Ahlus Sunnah Wal Jama’ah adalah:

“Pengakuan dengan hati (تَصْدِيْقٌ بِالْقَلْبِ), ucapan dengan lisan (قَوْلٌ بِاللِّسَانِ), dan pembuktian dengan anggota badan (عَمَلٌ بِالْأَرْكَانِ).”

Kalau setakat percaya sahaja tetapi tidak diikuti, tidaklah dikira iman itu. Kalau setakat percaya sahaja, Abu Talib bapa saudara Nabi Muhammad ﷺ pun percaya dengan apa yang dibawa oleh baginda, akan tetapi Abu Talib tidak beriman sepenuhnya.

Nabi Muhammad ﷺ sendiri percaya kepada wahyu yang diturunkan kepadanya. Apakah wahyu itu? Tentulah Al-Qur’an yang menjadi kitab baginda dan untuk umat baginda. Maka ini mengajar kita untuk berpegang dengan Al-Qur’an. Bukan setakat terima sahaja tetapi hendaklah difahami dan diikuti. Bukan setakat baca sahaja seperti kebanyakan orang Melayu buat, tetapi hendaklah diamalkan.

Allah ‎ﷻ menekankan di sini bahawa Al-Qur’an itu مِن رَّبِّهِ (Daripada Tuhannya). Maka jangan main-main dengan Al-Qur’an. Sekiranya menerima surat daripada kekasih pun kita baca berkali-kali, takkan ‘surat’ daripada Allah ‎ﷻ kita tidak baca? Bukan hanya baca sahaja, tetapi hendaklah difahami. Kerana kalau baca tanpa faham, adakah itu dikira ‘baca’? Tentu tidak.

Wahyu itu pula أُنزِلَ (diturunkan). Kalau diturunkan, maka tentulah ia dari atas, bukan? Kenapakah ia diturunkan dari atas? Kerana Allah ‎ﷻ itu di atas, di langit! Maka ini adalah antara dalil daripada banyak-banyak dalil yang ada di dalam Al-Qur’an tentang keberadaan Allah ‎ﷻ di langit. Maka tidak perlu untuk dipanjangkan hal ini dan tidak perlu dibahaskan panjang lebar sebenarnya kerana ia sudah sangat jelas.

Di sini disebut الرَّسولُ sahaja yang merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tidak disebut nama baginda akan tetapi disebut pangkat baginda. Nabi ﷺ kenalah percaya terlebih dahulu sebelum baginda sampaikan kepada orang lain. Bagindalah orang pertama yang beriman dengan Al-Qur’an. Kita mungkin rasa yang baginda terus sahaja percaya kepada wahyu yang diberikan kepada baginda, tetapi bayangkan keadaan Nabi ﷺ pada waktu itu. Apa yang baginda terima adalah amat berlawanan dengan fahaman masyarakat ketika itu sampaikan ramai yang menuduh baginda gila. Baginda pun begitu terkejut pada mulanya. Ingat kembali peristiwa bagaimana takutnya baginda sehingga menggigil kesejukan ketika pertama kali menerima wahyu. Tiba sahaja di rumah baginda perlu diselimutkan dan ditenangkan oleh isteri tercinta baginda, Khadijah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا.

Akan tetapi keimanan baginda telah dipelihara oleh Allah ‎ﷻ. Oleh kerana Nabi Muhammad ﷺ percaya kepada kerasulannyalah yang menyebabkan baginda sanggup menghadapi segala tentangan dan cabaran dalam menyampaikan agama ini. Sekiranya baginda tidak yakin, tentulah baginda tidak sanggup. Tentu tidaklah baginda akan sudi menderita, berkorban, terusir dari Thaif, berhijrah ke Madinah, berkali-kali memimpin sendiri peperangan melawan musuh, nyaris dibunuh di Mekah, nyaris dibunuh Yahudi Bani Nadhir di Madinah, nyaris termakan racun perempuan di Khaibar. Sampai ketika wafatnya, sesaat pun tidak pernah kendur keyakinannya bahawa memang dia adalah Rasulullah.

 

وَالمُؤمِنونَ

dan juga orang-orang yang beriman; 

Begitu juga para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ yang mukmin yang sempurna iman, mereka beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada baginda. Ini kerana mereka percaya kepada bagindalah yang menyebabkan mereka sanggup berkorban bersama baginda, sanggup menghadapi tentangan dan seksaan ketika di Mekah, meninggalkan Mekah menuju ke Madinah, berperang bersama baginda dan ramai yang wafat kerana agama Islam ini. Semuanya kerana iman di dalam dada yang menyebabkan mereka sanggup melakukan segalanya.

Maka kerana mereka itu golongan yang terpilih di sisi Allah ‎ﷻ, maka kita pun kena ikut iman seperti iman mereka. Iman yang kita mahu adalah ‘iman mujmal‘, iaitu menerima belaka wahyu yang disampaikan. Jadi kita kena belajar apakah pegangan mereka dan apakah ibadah mereka supaya kita tidak reka fahaman sendiri pula. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Tawbah:100 akan dalil kita kena ikut para sahabat itu,

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) daripada golongan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.”

Perhatikan Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini, ‘Orang Mukmin’. Tidaklah Allah ‎ﷻ khususkan kepada para sahabat Rasulullah ﷺ sahaja. Maknanya, kita juga disebut dalam ayat ini jikalau kita ini adalah orang mukmin. Bayangkan kita disebut di Langit Ketujuh semasa Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Allah ‎ﷻ.

Perhatikan juga susunan ayat ini: ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ وَالمُؤمِنونَ dan bukannya ءآمَنَ الرَّسولُ وَالمُؤمِنونَ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ. Maknanya Allah ﷻ pisahkan iman Nabi Muhammad ﷺ dan orang mukmin yang lain. Kerana walaupun sama-sama beriman, akan tetapi tahap keimanan tidaklah sama. Takkan iman kita sama dengan para sahabat dan tidaklah iman para sahabat setaraf iman Rasulullah ﷺ pula. Yang perasan iman melambung tinggi adalah golongan sufi tarekat dan habaib sahaja. Iman para Rasul adalah hasil daripada wahyu yang dapat secara langsung daripada Allah ﷻ. Mereka menerima ilmu dan petunjuk secara langsung, tanpa keraguan. Keyakinan mereka kepada Allah,ﷻ  hari akhir, malaikat, kitab, dan takdir adalah mutlak dan sempurna, tidak pernah goyang oleh keraguan sedikit pun. Mereka melihat bukti-bukti kebesaran Allah ﷻ secara langsung (seperti Nabi Muhammad ﷺ yang melihat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam bentuk asal, atau Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berbicara langsung dengan Allah ﷻ).

Satu lagi maksud potongan المُؤمِنونَ ini adalah orang yang beriman itu beriman dengan apa yang Nabi Muhammad ﷺ beriman. Takkan kita yang kena ikut Nabi ﷺ ini berlainan pula dengan iman baginda. Maka kena tahulah iman baginda macam mana. Dalam hal akidah dan amalan, mesti ada contoh daripada Nabi ﷺ dan diikuti oleh para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ yang belajar terus daripada baginda. Ini sangatlah logik dan sangatlah mudah untuk diterima. Kenapa hendak dicari fahaman dan akidah yang lain pula?

 

كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ

semuanya beriman kepada Allah, 

Semua iaitu Rasulullah ﷺ dan orang beriman itu beriman dengan apa yang patut diimani. Sebelum ini telah disebut Iman secara umum, sekarang disebut secara tafsili, disebut satu persatu Rukun Iman yang perlu diimani. Daripada susunan ayat ini, kita boleh susun begini – Allah ‎ﷻ beri wahyu, disampaikan melalui malaikat, dalam kitab dan kepada Rasul. Itulah proses bagaimana wahyu disampaikan kepada kita.

Ringkasan kepada Percaya kepada Allah ‎ﷻ mencakupi beberapa aspek penting:

  1. Iman kepada Rububiyah Allah: Ini bererti menyakini bahawa Allah ‎ﷻ adalah satu-satunya Pencipta, Pemilik, Pengatur, dan Pemberi Rezeki bagi seluruh alam semesta. Tidak ada sekutu bagi-Nya dalam penciptaan, pengaturan, mahupun penguasaan. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, yang memberi manfaat dan mudarat.
  2. Iman kepada Uluhiyah Allah: Ini adalah keyakinan bahawa Allah ‎ﷻ adalah satu-satunya Zat yang berhak disembah dan diibadahi. Tidak ada Tuhan selain Dia yang patut ditaati segala perintah dan larangan-Nya, serta dicintai melebihi segalanya. Bentuk-bentuk ibadah seperti solat, puasa, zakat, haji, doa, tawakal, nazar, dan qurban hanya boleh dipersembahkan kepada-Nya semata. Bab Tauhid Uluhiyyah ini yang manusia termasuklah umat Islam sendiri pun ada masalah kerana kurang faham. Ramai yang melakukan ibadah kepada selain Allah. Sebagai contoh utama, doa sepatutnya diberikan kepada Allah ‎ﷻ sahaja (kerana doa adalah ibadah), akan tetapi ramai yang berdoa kepada selain Allah ‎ﷻ juga.
  3. Iman kepada Nama-nama dan Sifat-sifat Allah (Asmaul Husna wa Sifatul Ulya): Ini bererti menyakini bahawa Allah ‎ﷻ memiliki nama-nama yang indah dan sifat-sifat yang sempurna, yang telah Dia sebutkan sendiri dalam Al-Qur’an dan melalui lisan Rasul-Nya ﷺ dalam hadith-hadith sahih. Kita wajib menyakini nama dan sifat tersebut sesuai dengan apa yang ada tanpa mengubah makna, menolaknya, mempersamakannya dengan makhluk, atau mempertanyakan bagaimana (kaifiyah) sifat tersebut. Contohnya: Ar-Rahman (Maha Pengasih), Al-Qadim (Maha Dahulu), Al-Bashir (Maha Melihat), Al-‘Alim (Maha Mengetahui), dan sebagainya.

Keimanan yang benar kepada Allah ‎ﷻ adalah dasar utama seluruh ajaran Islam. Tanpa keyakinan ini, rukun iman lainnya dan rukun Islam tidak akan memiliki makna atau kekuatan. Ini memberikan arah hidup, ketenangan jiwa, dan motivasi untuk berbuat baik serta menjauhi larangan-Nya, dengan harapan meraih keredhaan dan syurga-Nya. Keyakinan ini juga membebaskan manusia dari perhambaan kepada sesama makhluk atau hawa nafsu, serta mengarahkan seluruh perhambaan hanya kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ

dan Malaikat-malaikat-Nya, 

Iman kepada malaikat adalah rukun iman yang kedua dalam Islam, setelah iman kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah kepercayaan yang wajib diyakini oleh setiap Muslim, dan tanpanya, keimanan seseorang tidak sempurna. Setelah kita telah percaya dan beriman kepada Allah ‎ﷻ, bagaimana pula percaya kepada malaikat? Antaranya, kita percaya yang Malaikat itu hanyalah hamba Allah ‎ﷻ, bukan wakil Allah ‎ﷻ. Oleh itu, tidak boleh puja Malaikat, tidak boleh minta pertolongan kepada malaikat dan tidak boleh seru malaikat.

Beriman kepada malaikat bererti menyakini beberapa hal fundamental tentang mereka:

1. Malaikat Itu Ada dan Diciptakan daripada Cahaya: Kita wajib menyakini keberadaan malaikat sebagai makhluk ciptaan Allah ‎ﷻ. Mereka bukan makhluk khayalan atau personifikasi daripada kekuatan alam. Sebab ada juga yang kata dengan jahilnya yang para malaikat itu tidak ada tetapi hanyalah dalam energi.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « خُلِقَتِ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ ».
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyala api, dan Adam (manusia) diciptakan daripada apa yang telah disebutkan (ciri-cirinya) untuk kalian.”
(Sahih Muslim No. 2996)

2. Malaikat adalah Hamba Allah yang Patuh Sepenuhnya: Malaikat adalah makhluk yang diciptakan khusus untuk beribadah dan mentaati perintah Allah ‎ﷻ tanpa pernah membangkang atau derhaka. Mereka tidak memiliki syahwat seperti manusia dan jin. Allah ‎ﷻ berfirman dalam Anbiya’:19-20

وَلَهُ ۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۚ وَمَنۡ عِندَهُ ۥ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِهِۦ وَلَا يَسۡتَحۡسِرُونَ (١٩) يُسَبِّحُونَ ٱلَّيۡلَ وَٱلنَّہَارَ لَا يَفۡتُرُونَ (٢٠)
Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua dan malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepada-Nya dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. (19) Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti. (20)

Allah ‎ﷻ juga berfirman di dalam Tahreem:6

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

3. Jumlah Mereka Sangat Banyak: Hanya Allah ‎ﷻ yang mengetahui jumlah pasti malaikat. Kita hanya mengetahui bahawa jumlah mereka sangat banyak, jauh melebihi manusia dan jin. Ada yang terus-menerus bertasbih di Arsy, ada yang mengisi langit-langit, dan sebagainya. Di dalam hadith yang panjang tentang Isra’ Mi’raj, Rasulullah ﷺ bersabda (setelah melewati langit keenam dan bertemu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kemudian naik ke langit ketujuh dan bertemu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ):

“…فَرُفِعَ لِيَ الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ، فَسَأَلْتُ جِبْرِيلَ، فَقَالَ: هَذَا الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ، يُصَلِّي فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ، إِذَا خَرَجُوا لَمْ يَعُودُوا إِلَيْهِ آخِرَ مَا عَلَيْهِمْ.”
“…Kemudian diangkatlah kepadaku Baitul Ma’mur. Lalu aku bertanya kepada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau menjawab: ‘Ini adalah Baitul Ma’mur. Setiap hari tujuh puluh ribu malaikat solat di dalamnya. Apabila mereka keluar (dari Baitul Ma’mur setelah solat), mereka tidak akan kembali lagi kepadanya hingga hari terakhir mereka (Hari Kiamat/hingga tugas mereka selesai)’.”
(Sahih Bukhari No. 3207 dan Muslim No. 162)

4. Mereka Memiliki Tugas-Tugas Spesifik: Setiap malaikat memiliki tugas yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Beberapa yang dikenali dan tugasnya adalah:

    • Jibril: Menyampaikan wahyu kepada para nabi dan rasul.
    • Mikail: Mengatur hujan dan rezeki.
    • Israfil: Meniup sangkakala pada hari kiamat.
    • Malakul Maut: Mencabut nyawa.
    • Raqib dan Atid: Mencatat amal baik dan buruk manusia.
    • Munkar dan Nakir: Menyoal manusia di alam kubur.
    • Malik: Penjaga neraka.
    • Ridwan: Penjaga syurga.
    • Malaikat yang memikul Arasy, malaikat yang bertasbih, malaikat yang melindungi manusia, dan lain-lain.

5. Mereka Memiliki Bentuk dan Kekuatan yang Luar Biasa: Malaikat dapat memiliki sayap, bahkan hingga ribuan sayap, dan memiliki kekuatan yang besar. Namun, mereka juga dapat menjelma menjadi bentuk manusia atas izin Allah ‎ﷻ untuk menjalankan tugas tertentu, seperti Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang pernah menampakkan diri di hadapan Nabi ﷺ dalam wujud manusia. Telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, mengenai penglihatan Nabi Muhammad ﷺ terhadap Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam wujud aslinya.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم جِبْرِيلَ لَهُ سِتُّمِائَةِ جَنَاحٍ.
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Rasulullah ﷺ melihat Jibril memiliki enam ratus sayap.”
(Sahih Bukhari No. 3232 dan Muslim No. 174)

Iman kepada malaikat memiliki kesan yang besar dalam kehidupan seorang Muslim:

  • Meningkatkan Ketaatan: Menyedari bahawa ada malaikat yang selalu mencatat setiap perbuatan dan perkataan akan mendorong seseorang untuk lebih berhati-hati dan taat kepada Allah ‎ﷻ.

  • Merasa Sentiasa Diawasi: Keyakinan akan keberadaan malaikat Raqib dan Atid menumbuhkan rasa muraqabah (merasa diawasi) oleh Allah ‎ﷻ, sehingga terhindar daripada maksiat.

  • Menambah Rasa Syukur: Dengan mengetahui ada malaikat yang mengurus rezeki dan hujan (Mikail), serta tugas-tugas kebaikan lainnya, akan menambah rasa syukur atas nikmat Allah ‎ﷻ.

  • Mengetahui Keagungan Allah ‎ﷻ: Keberadaan malaikat dan ketaatan mutlak mereka menunjukkan keagungan dan kekuasaan Allah ‎ﷻ yang mampu menciptakan makhluk yang begitu patuh dan sempurna dalam menjalankan perintah-Nya.

 

وَكُتُبِهِ

dan kitab-kitab-Nya, 

Iman kepada kitab-kitab Allah adalah rukun iman yang ketiga dalam Islam. Ini bererti seorang Muslim wajib menyakini dengan sepenuh hati bahawa Allah ‎ﷻ telah menurunkan kitab-kitab suci kepada para Nabi dan Rasul-Nya sebagai petunjuk bagi umat manusia. Kita percaya bahawa semua kitab itu daripada Allah ‎ﷻ tetapi yang mesti kita ikuti adalah Al-Qur’an sahaja. Maksudnya, bukanlah kita kena terima ajaran-ajaran yang dibawa oleh kitab-kitab lain.

Beriman kepada kitab-kitab Allah mencakupi beberapa hal penting:

1. Semua Kitab Berasal daripada Allah ‎ﷻ: Kita wajib menyakini bahawa semua kitab suci, baik yang disebutkan namanya mahupun tidak, adalah firman Allah ‎ﷻ yang diwahyukan kepada para nabi dan rasul-Nya. Bukan karangan manusia atau hasil pemikiran para nabi.

2. Percaya kepada Nama-nama Kitab yang Disebutkan: Ada beberapa kitab yang namanya disebutkan secara spesifik dalam Al-Qur’an, dan kita wajib mempercayainya:

    • Taurat: Diturunkan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    • Zabur: Diturunkan kepada Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    • Injil: Diturunkan kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    • Al-Qur’an: Diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ.
    • Kita juga menyakini adanya shuhuf (lembaran-lembaran) yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum Taurat.
    • Dan entah berapa banyak lagi kitab-kitab lain yang diberikan kepada para Nabi yang lain yang kita pun tidak tahu.

3. Membenarkan Kandungan Kitab-kitab Terdahulu (Secara Umum): Kita membenarkan ajaran dasar kitab-kitab terdahulu yang berisi perintah untuk mengesakan Allah ‎ﷻ (tauhid) dan dasar-dasar syariat. Namun, kita juga menyakini bahawa kitab-kitab selain Al-Qur’an telah mengalami perubahan (tahrif), baik penambahan, pengurangan, mahupun perubahan makna oleh tangan-tangan manusia sepanjang sejarah. Oleh kerana itu, kita tidak mengamalkan hukum-hukum spesifik dari kitab-kitab terdahulu yang tidak sesuai atau telah dimansukh oleh syariat Islam.

4. Al-Qur’an adalah Kitab Terakhir, Terlengkap, dan Terpelihara: Al-Qur’an adalah puncak dan penyempurna dari semua kitab suci sebelumnya. Ia adalah mukjizat Nabi Muhammad ﷺ yang paling agung dan terpelihara keasliannya hingga Hari Kiamat. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hijr:9

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”

Al-Qur’an berfungsi sebagai hakim atas kitab-kitab sebelumnya.

5. Mengamalkan Isi Al-Qur’an: Iman kepada kitab-kitab Allah ‎ﷻ, khususnya Al-Qur’an, tidak hanya setakat pengakuan lisan atau keyakinan hati, tetapi harus diwujudkan dalam pengamalan isinya. Membaca, memahami, menghafal, mengkaji, dan yang terpenting, menerapkan hukum-hukum serta petunjuknya dalam kehidupan sehari-hari. Inilah yang tidak dilakukan oleh kebanyakan daripada umat Islam sekarang.

Pentingnya Iman kepada Kitab-kitab Allah ‎ﷻ:

  • Mengetahui Bimbingan Ilahi: Kitab-kitab Allah ‎ﷻ adalah petunjuk langsung daripada Sang Pencipta untuk membimbing manusia menuju jalan yang benar dan menyelamatkan mereka dari kesesatan.
  • Memahami Tujuan Hidup: Dengan petunjuk kitab suci, manusia memahami tujuan penciptaan mereka dan bagaimana menjalani hidup sesuai kehendak Allah ‎ﷻ.
  • Memperkuat Iman kepada Allah ‎ﷻ: Keyakinan akan adanya kitab-kitab ini memperkuat iman kepada Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana, Maha Tahu, dan Maha Pengasih yang tidak membiarkan hamba-Nya tanpa petunjuk.
  • Sumber Hukum dan Hikmah: Al-Qur’an khususnya, adalah sumber utama hukum Islam dan mengandung hikmah yang mendalam untuk setiap aspek kehidupan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah