Tafsir Surah Ali Imran Ayat 29 – 31

ILMU ALLAH YANG LUAS

Ali Imran Ayat 29:

قُل إِن تُخفوا ما في صُدورِكُم أَو تُبدوهُ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَيَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Say, “Whether you conceal what is in your breasts or reveal it, Allah knows it. And He knows that which is in the heavens and that which is on the earth. And Allah is over all things competent.

MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

قُل إِن تُخفوا ما في صُدورِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu

Sama sahaja pada Allah ‎ﷻ, apa sahaja yang kita lakukan dan rasa, Dia Maha Mengetahui. Sama ada muwallat, muwassat dan mudharat nampak pada luaran sama sahaja, namun apa yang ada di dalam dada kita, Allah ‎ﷻ tahu. Orang nampak kita layan seseorang itu sama sahaja, tetapi dalam hati kita, mereka tidak tahu dan yang dikira adalah pada dalaman kita iaitu apakah niat kita.

 أَو تُبدوهُ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ

atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; 

Sama sahaja kepada Allah ‎ﷻ, kerana Ilmu-Nya sempurna. Kalau dalam hati pun Allah ‎ﷻ tahu, tentulah Allah ﷻ juga tahu yang dilahirkan oleh mulut kita.

وَيَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam dada kita, segala yang terjadi di langit dan bumi pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Tidak ada perkara yang berlaku tanpa pengetahuan-Nya. Malah apa sahaja yang berlaku adalah kerana izin-Nya.

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Bukan sahaja ilmu Allah‎ ﷻ sempurna, kuasa Allah ‎ﷻ juga sempurna. Dia boleh buat apa sahaja yang Dia mahu dan kita tidak dapat halang langsung, tidak dapat persoal langsung.

Maka kita sebagai manusia kena belajar redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Apa sahaja yang berlaku, terimalah ia sebagai ujian daripada Allah ﷻ. Katakan pada diri: “Oh, Allah nak uji aku begini hari ini.. “.

Sekian Ruku’ 3 dari 20 ruku’ surah ini


 

BALASAN BAIK DAN BURUK

Ayat 30:

يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت مِن خَيرٍ مُّحضَرًا وَما عَمِلَت مِن سوءٍ تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ أَمَدًا بَعيدًا ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

SAHIH INTERNATIONAL

The Day every soul will find what it has done of good present [before it] and what it has done of evil, it will wish that between itself and that [evil] was a great distance. And Allah warns you of Himself, and Allah is Kind to [His] servants.”

MALAY

(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

 

يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت مِن خَيرٍ مُّحضَرًا

hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, dihadapkan ke hadapannya

Ingatlah yang kita akan jumpa balik amalan yang kita buat di dunia dahulu. Mungkin kita pun sudah lupa kebaikan yang kita pernah buat itu. Namun Allah ﷻ telah merekod semua sekali perbuatan kita. Maka di akhirat akan ditunjukkan semuanya kepada kita walau sekecil mana pun seperti memberi senyuman kepada orang lain.

Kalimah محضرا maksudnya ia akan dibawa ke hadapan kita. Ia dari kata dasar ح ض ر yang juga digunakan untuk kalimah ‘hadhir’.

Allah ﷻ tunjuk semula kerana Allah ﷻ hendak balas. Segala penat lelah kita menjalankan amal yang baik itu semasa di dunia akan dibalas dengan berlebihan lagi. Nanti kita sudah tidak ingat susah payah kita dahulu kerana terlalu suka dengan balasan yang berlipat kali ganda itu. Jadi susah payah itu hanyalah di dunia ini sahaja.

 وَما عَمِلَت مِن سوءٍ

dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya.

Malangnya, semuanya akan ditunjuk, termasuk juga perbuatan buruk kita sama ada besar ataupun kecil. Sebagai contoh, mungkin kita ada jeling tengok perempuan yang bukan mahram. Ini pun akan ditulis juga dan akan ditunjukkan dosa kita itu. Itu kalau ia tidak diampunkan semasa di dunia lagi.

تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ أَمَدًا بَعيدًا

dia ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu.

Semua orang akan berharap kalaulah ada cara untuk menjauhkan benda buruk yang dia pernah buat dahulu. Kalimah أمداً maksudnya masa yang lama sangat. Maksudnya jauh sangat sampai hendak pergi ke situ pun tidak boleh dikira masanya.

Kemudian Allah‎ ﷻ tambah pula kalimah بعيداً yang bermaksud jauh sangat. Apabila digabungkan dua perkataan ini, hendak menunjukkan betapa orang itu hendak dijauhkan sangat dosa dia itu sejauh-jauhnya.

 وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ

Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya

Allah ‎ﷻ ajar kita supaya takut kepada-Nya. Allah ‎ﷻ beritahu Sifat-sifat-Nya dalam Al-Qur’an supaya kita kenal Dia dan berhati-hati dengan peringatan yang diberikan oleh-Nya. Jangan buat tidak tahu sahaja. Jangan baca kosong sahaja ayat-ayat ini.

وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

Selepas Dia takutkan kita dengan Sifat keras-Nya, Allah ‎ﷻ sebut pula sifat lembut-Nya pula. Begitulah Allah ‎ﷻ dalam memperkenalkan Diri-Nya, akan menyebut kedua-dua jenis Sifat-Nya itu. Ada Sifat jenis Jalal dan Jamal.

Apakah Sifat رَءوفٌ itu? Ini seperti bila kita tengok kesusahan orang yang kebuluran dan kita hendak tolong mereka. Hati kita remuk bila tengok keadaan mereka. Begitulah juga, Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang Dia tahu apa yang kita lalui. Allah ‎ﷻ tahu apa kita hendak, apa kita rasa, apa yang kita lalui, segalanya Allah ‎ﷻ tahu. Namun Allah ‎ﷻ berikan semua yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu sebagai ujian kepada kita. Kerana memang dunia adalah tempat ujian.

Maka amat indah sekali sifat ini kalau kita faham. Kita akan semakin kenal dan sayang kepada Allah ‎ﷻ. Barulah kita dapat rasa bahawa tidaklah Allah‎ ﷻ tinggalkan kita. Walaupun kita susah, tetapi kita sedar yang Allah ﷻ sedang perhatikan sahaja semua perkara yang kita sedang lalui itu dan ia akan dibalas nanti dengan kebaikan kerana apabila kita redha dengan kesusahan itu semua, kita akan diberi pahala.

Kawan paling rapat kitalah yang kenal dan tahu apa yang kita lalui. Kadang-kadang kita tidak perlu cakap pun, kita tahu dia tahu. Sekarang Allah ‎ﷻ kata Dialah kawan itu. Alangkah indahnya.

Allah ‎ﷻ juga tahu yang kadang-kadang dalam kita menjaga amal dan perbuatan kita, kadangkala tergelincir juga. Maka cepat-cepatlah mohon keampunan daripada Allah ‎ﷻ dan berhenti daripada meneruskan kesalahan itu. Allah ﷻ sanggup untuk ampunkan.


TAAT KEPADA ALLAH DAN RASUL

Ayat 31: Ayat ini adalah Ayat Tabshir (Ayat gembira).

Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Dia bersifat رَءوفٌ. Maka selepas kita tahu sifat Allah ‎ﷻ begitu, maka timbullah rasa cinta kita kepada Allah ‎ﷻ.

Cinta memerlukan dua belah pihak saling mencintai, barulah lengkap. Kalau kita kasih kepada Allah ‎ﷻ, tetapi Allah ‎ﷻ murka, tidak ada gunanya. Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu cara bagaimana hendak mendapatkan kasih-Nya.

Cara untuk kasih kepada Allah ‎ﷻ adalah dengan mengikut cara yang Allah ‎ﷻ suruh. Iaitu kita taat kepada kehendakNya. Sebagaimana kita sayang kekasih kita di dunia, tentulah kita akan ikut kehendak dia seboleh mungkin, bukan?

Dalam Tafsir Jalalain, ada disebut bahawa ayat ini tentang segolongan ahli syirik yang kata mereka seru para wali yang mereka seru dengan harapan Allah ‎ﷻ mencintai mereka. Mereka kata yang mereka seru itu bukan makhluk biasa tetapi yang mulia, yang disayangi Allah ‎ﷻ. Jadi mereka sebut-sebut dan puja wali itu supaya pujaan-pujaan itu sebut pula nama mereka di hadapan Allah ‎ﷻ, supaya kemudian Allah ‎ﷻ pula cinta mereka.

Maka Allah ‎ﷻ memperbetulkan pemahaman syirik ini. Fahaman salah ini juga banyak dalam masyarakat kita seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah, tarekat dan golongan Habib.

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, [O Muhammad], “If you should love Allah , then follow me, [so] Allah will love you and forgive you your sins. And Allah is Forgiving and Merciful.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

Kalau benar kasih kepada Allah ‎ﷻ, jangan buat fahaman agama ikut cara sendiri. Jangan pakai cara yang tidak tahu dari mana datangnya (tanpa dalil). Kalau buat cara sendiri, itu adalah kasih ‘sebelah pihak’ sahaja, sedangkan Allah ‎ﷻ murka kepada mereka. Itu maknanya perasan seorang diri sahaja. Cara Nabi ﷺlah yang Allah ‎ﷻ suka. Maka ikutlah cara yang Nabi ﷺ ajar.

Nabi ﷺ suruh kita ittiba‘ kepada baginda. Maksud ittiba’ itu adalah ikut dengan rapat. Macam kalau kita nampak tapak kaki di pantai, kita letak kaki kita letak betul-betul atas bekas tapak kaki itu menyelusuri pantai itu.

Ia berbeza sedikit dengan itaa’ah. Itaa’ah adalah taat atau ikut arahan iaitu, setelah disuruh buat sesuatu, kita lakukan seperti yang disuruh. Paling kurang yang kita lakukan adalah itaa’ah.

Akan tetapi ittiba‘ lebih tinggi lagi daripada itu. Kalau mahu Allah ‎ﷻ cinta kita, kena ittiba’ kepada Nabi ﷺ seperti yang diberitahu dalam ayat ini. Ia berlaku apabila kita tanya bagaimana hendak buat sesuatu (itaa’ah sudah diberi arahan baru buat). Maknanya orang yang ittiba’ itu orang yang ada inisiatif untuk tahu dan ikut.

Keinginan hendak ikut itu adalah kerana ada rasa cinta dan sayang kepada Nabi ﷺ. Maka dia hendak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk melakukan sesuatu. Sebagai contoh, selalu apabila seseorang itu sudah mula terima tauhid dengan cara yang betul, sudah belajar tentang kepentingan sunnah, mereka akan cari maklumat bagaimana Nabi ﷺ salat, cara baginda berpakaian, cara baginda makan dan sebagainya. Itulah yang dikatakan ittiba’. Semoga kita ada perasaan ini dalam hati kita.

Jadi cinta kepada Nabi Muhammad adalah dengan ikut cara baginda. Bukannya puja dan puji baginda melambung-lambung, dalam majlis bidaah, dengan cara yang bidaah. Zaman sekarang yang banyak mendakwa mereka cinta Nabi tapi buat dengan cara yang salah adalah golongan Habib. Sekarang  mereka terkenal di negara kita (asal mereka dari Yaman) dan ramai dari kalangan orang kita tertipu dengan mereka.

Apakah kesannya nanti kalau kita ada ittiba’?

يُحبِبكُمُ اللَّهُ

nescaya Allah mengasihi kamu

Sekiranya dapat ikut Nabi ﷺ, maka barulah Allah ‎ﷻ cinta kepada para pelakunya. Ayat ini menunjukkan betapa Allah ‎ﷻ sayangkan Nabi ﷺ sampai kalau kita ikut baginda, Dia akan suka dan akan cinta pula kepada kita.

Yang pertama sekali kita kena ikut adalah dari segi akidah (terutama sekali tauhid). Tinggalkan segala fahaman dan amalan syirik. Syirik itu lebih buruk daripada seorang isteri tidur dengan lelaki lain atas katil yang ada suaminya. Itu adalah perbuatan kurang ajar menduakan suami, tetapi syirik itu lebih buruk lagi kerana menduakan Allah ‎ﷻ!

Itulah bandingan mereka yang sebut nama Allah ‎ﷻ tetapi dalam masa yang sama, sebut dan seru pujaan lain. Malangnya, ilmu tauhid dan syirik ini jarang dipelajari oleh masyarakat kita, sampai menyebabkan banyak kekeliruan dan terdapat amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita, kerana mereka tidak tahu.

Kemudian selepas ikut hal tauhid (dan akidah), kena ikut dari segi ibadat dan adat. ‘Ibadat’ adalah hubungan makhluk dengan Allah ‎ﷻ dan ‘adat’ adalah hubungan makhluk dengan makhluk. Tentang dua perkara ini, memang ada yang menjaganya (mereka jaga ibadat dan adat mereka), tetapi ada yang culas dalam hal tauhid. Malangnya kalau hal tauhid tidak dijaga, sia-sia sahaja segala amalan yang dilakukan manusia itu kerana dia akan kekal dalam neraka.

وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم

serta Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu.

Kelebihan kalau kita melakukan segala perkara yang disebut di atas, Allah ‎ﷻ akan tutup dosa kita. Kita manusia yang banyak dosa dan amat memerlukan pengampunan dosa daripada Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut dosa kita pun akan dihadhirkan di akhirat kelak. Maka untuk elak dan jauhkan dosa itu dari kita, hendaklah kita ikut cara Rasulullah ﷺ.  Kena belajar cara sunnah.

Malang sekali, ada orang yang mengaku cinta Nabi ﷺ sampai menangis kalau sebut nama Nabi ﷺ tetapi tidak ikut cara baginda, tidak ikut sunnah baginda. Amalan ibadat banyak yang mereka tambah. Itu semua dipanggil bid’ah. Ramai yang rasa ringan sahaja buat amalan bid’ah. Berbagai alasan mereka bagi untuk membenarkan amalan bid’ah mereka.

Ada pula yang sudah menjaga amalan ibadat ikut cara Nabi ﷺ tetapi cara Nabi ﷺ berurusan dengan makhluk, tidak pula mereka ikut. Maksudnya, akhlak Nabi ﷺ, mereka tidak ikut. Mereka tidak jaga hubungan dan ada yang zalim kepada orang lain. Dengan makhluk lain pun mereka tidak jaga (dengan binatang dan tanaman).

Lihatlah apakah maksud ‘akhlak’ itu. ‘Akhlak’ daripada kata dasar yang sama dengan ‘makhluk’. Maksudnya akhlak adalah tentang interaksi kita dengan makhluk Allah ‎ﷻ yang lain. Yang terbaik interaksi mereka dengan makhluk lain, mereka itulah yang ada akhlak yang terbaik. Maka akhlak ada satu perkara yang penting dalam kehidupan kita. Sebagaimana Rasulullah ﷺ jaga akhlak baginda, maka kita pun kenalah ikut juga.

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kepada Sifat-Nya yang Maha Pengampun. Ghafara maksudnya Allah ‎ﷻ akan menutup kesalahan dosa yang kita telah lakukan sampai tidak diketahui oleh mana-mana makhluk. Hanya Dia sahaja yang tahu. Kerana malu juga kalau orang lain tahu dosa kita, bukan?

Allah ﷻ sanggup ampunkan dosa kita kerana Allah ﷻ kasih kepada kita. Allah ‎ﷻ amat bersifat kasih kepada makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ bukan hendak menyusahkan hamba-Nya. Segala yang Dia lakukan dan arahkan kepada kita, adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.

Nota tambahan: ada puak-puak tertentu yang mengajar untuk mengamalkan ayat ini sebagai ‘Ayat Pengasih’. Kononnya kalau dibaca, akan menyebabkan kita dikasihi. Sebagai contoh, Darul Syifa’ ada mengajar untuk baca ayat ini selepas setiap kali solat lima waktu.

Ini adalah amalan yang bid’ah dan karut. Ia termasuk salah satu penyalahgunaan ayat Al-Qur’an. Begitulah kalau tidak belajar tafsir, ramai yang akan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Mereka jadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai sihir untuk mendapatkan sesuatu. Ini hanya dilakukan oleh orang-orang yang jahil wahyu sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Februari 2021

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 28 (Kekuasaan Allah dan Larangan Setia Kepada Musuh)

MENGAMBIL ORANG KAFIR SEBAGAI WALI

Ali Imran Ayat 28:

لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِيآءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۖ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ إِلّآ أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ

SAHIH INTERNATIONAL
Let not believers take disbelievers as allies rather than believers. And whoever [of you] does that has nothing with Allah , except when taking precaution against them in prudence. And Allah warns you of Himself, and to Allah is the [final] destination.

MALAY
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

 

لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. 

Ini adalah undang-undang kejayaan. Di dalam Ayat 26 sebelum ini telah disebut kuasa milik Allah dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka jangan berharap dan berkawan rapat dan berharap perlindungan dari orang kafir. Dalam kehidupan dunia, orang tauhid patutnya tidak berkawan baik dengan orang yang berakidah syirik. ‘Wali’ dalam ayat ini bermaksud kawan rapat yang kita harapkan bantuan mereka dalam kesusahan. Allah telah berfirman di dalam Baqarah:257

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروٓا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ ۗ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ
Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Ayat ini memberitahu kita yang wali orang-orang kafir adalah Taghut. Menurut Imam Ibnul Qayyim, taghut didefinisikan sebagai: “Setiap perkara yang dengannya seseorang hamba itu melampaui batasannya, sama ada berbentuk sesembahan (ma’bud), pengikut/pemimpin yang diikuti (matbu’), atau sesuatu yang ditaati (muta’).”

Maka jikalau kita mengambil orang kafir sebagai wali, maka kita telah mengambil taghut dan ia akan menjerumuskan kita ke lembah kehinaan. Jadi siapakah kita patut jadikan sebagai wali? Ini Allah telah sebut di dalam Tawbah:71

وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar

Maka apabila kita berkawan dengan orang Mukmin juga, sama-sama akan tolong menolong dalam dakwah, ingat mengingati sesama sendiri untuk menjaga agama kita. Kerana itulah sangat penting kita pandai memilih kawan rapat kita. Kalau kita berkawan rapat dengan orang kafir, mereka akan mengajak kita ke arah taghut, menyuruh buat perkara yang jahat dan mencegah buat perkara yang baik. Allah juga telah berfirman di dalam Mumtahanah:1

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا عَدُوّي وَعَدُوَّكُم أَولِياءَ تُلقونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ وَقَد كَفَروا بِما جاءَكُم مِّنَ الحَقِّ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu

Allah juga ada berfirman di dalam Maidah:51

۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا اليَهودَ وَالنَّصٰرىٰ أَولِياءَ ۘ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَإِنَّهُ مِنهُم ۗ إِنَّ اللهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman rapat; sebahagian mereka adalah teman rapat bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Malah, tidak boleh mengambil sebagai wali orang kafir itu walaupun mereka itu ahli keluarga kita sendiri! Ini seperti disebut di dalam Mujadalah:22

لّا تَجِدُ قَومًا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ يُوادّونَ مَن حادَّ اللهَ وَرَسولَهُ وَلَو كانوا ءآباءَهُم أَو أَبناءَهُم أَو إِخوٰنَهُم أَو عَشيرَتَهُم
Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka.

 

Asbabun Nuzul: Ayat ini awal sekali diterima oleh para sahabat. Pada zaman sahabat, tentunya mereka banyak bersahabat dengan rakan mereka yang sama-sama musyrik dengan mereka dahulu. Arab Madinah pula sudah lama berbaik dengan puak Yahudi. Tentu susah hendak meninggalkan kawan-kawan musyrik mereka itu sebab sudah lama kenal dan berkawan dengan mereka. Islam beritahu yang boleh kawan biasa sahaja dengan mereka tetapi jangan jadikan mereka sebagai wali.

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Sa’id bin Jubair atau ‘Ikrimah, yang bersumber daripada Ibnu ‘Abbas: Beberapa tokoh Yahudi Madinah, antaranya Al-Hajjaj bin ‘Amr (sekutu Ka’ab bin al-Asyraf), Ibn Abi al-Huqaiq, dan Qais bin Zaid, sentiasa cuba mendekati dan bersahabat rapat dengan beberapa orang sahabat Ansar. Tujuan mereka adalah untuk menggoyahkan iktikad dan memalingkan orang-orang beriman daripada agama Islam. Melihat keadaan tersebut, Rifa’ah bin al-Mundhir, ‘Abdullah bin Jubair, dan Sa’id bin Khaitsamah mengingatkan sahabat-sahabat mereka dengan berkata:

“Jauhilah orang-orang Yahudi ini dan berhati-hatilah daripada bersahabat rapat dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu daripada agama kamu.”

Namun, sebahagian sahabat tetap meneruskan hubungan akrab tersebut. Maka Allah menurunkan ayat Ali Imran:28 ini sebagai larangan tegas agar tidak menjadikan orang-orang kafir sebagai teman setia atau pelindung (wali) dengan membelakangkan orang-orang beriman.

Jangan kita salah faham pula ayat ini. Islam tidaklah melarang berkenalan dan berbaik dengan non-Muslim. Tapi untuk hidup berkawan, ada cara-caranya yang diajar dalam Islam. Ini kita boleh perhatikan di dalam urusan Rasulullah, para Khalifah, para sahabat dan ulama’ Islam.

Pertama, berkawan atas dasar sahabat sesama Muslim iaitu mereka yang sama akidah dan mengamalkan syari’at yang sama dengan kita. Ini adalah persahabatan yang terbaik. Ia adalah hubungan yang datang hati yang kasih dan sayang, hubungan yang sangat rapat. Perhubungan ini dinamakan muwallat – tunjuk baik di luar dan di dalam hati.

Kedua, yang dinamakan muwaasat, iaitu kita berhubungan dengan orang lain atas dasar untuk tolong orang susah. Tidak semestinya yang ditolong itu akidahnya kena betul baru kita kena tolong. Jadi kalau kita hendak menolong orang kafir, sama-sama buat kebaikan dengan mereka, ini tidak mengapa. Islam tidak melarang dalam hal ini, malah Islam menganjurkan.

Ketiga, dinamakan mudharat. Ini adalah apabila luaran kita tunjuk baik dengan orang yang berlainan akidah, tetapi dalam hati kita, kita marah kerana dalam keadaan tertentu kena tunjuk baik walaupun kita tidak suka. Ini juga penting untuk dilakukan supaya suatu hari nanti, kita dapat dekatkan dia dengan agama.

Terutama sekali jikalau mereka lebih kuat dan berkuasa dari kita, maka kita kena mengambil hati mereka. Sebentar lagi kita akan lihat firman Allah: إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً (kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka). Dan ini tidak salah dan perhatikan apa firman Allah tentang hal ini di dalam Mumtahanah:8-9

لَّا يَنهَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَم يُقَـٰتِلُوكُم فِى ٱلدِّينِ وَلَم يُخرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُم أَن تَبَرُّوهُم وَتُقسِطُوٓاْ إِلَيہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلمُقسِطِينَ (٨) إِنَّمَا يَنہَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَـٰتَلُوكُم فِى ٱلدِّينِ وَأَخرَجُوڪُم مِّن دِيَـٰرِكُم وَظَـٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخرَاجِكُم أَن تَوَلَّوهُمۡ‌ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ (٩)
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)

Maka Non-Muslim sepatutnya tidak ada masalah berhubungan dengan kita. Kita tetap sahaja tunjuk baik kepada orang yang baik. Kalau mereka berbuat baik dengan kita, kita berbuatlah baik dengan mereka. Jangan sampai Non-Muslim lihat kita ini kasar dengan mereka, sombong dengan mereka pula.

Namun begitu, janganlah kita ikut dia buat maksiat pula. Janganlah sampai begitu. Patutnya kita boleh tegur dia atas kesalahan dia, tetapi kita tangguhkan teguran itu kerana kita simpan teguran itu pada satu masa lain yang sesuai. Tegur tetap kena tegur, cuma kita tangguhkan sahaja. Ini kerana hendak menegur waktu itu mungkin tidak sesuai kerana susah hendak faham, terutama apabila memerlukan masa yang lama untuk menjelaskan sesuatu permasalahan agama.

Contohnya hendak jelaskan tentang konsep syirik dan bid’ah, tentu memakan masa kalau hendak beritahu kepada mereka yang tidak faham lagi. Kita tidak boleh menegur pada waktu itu kerana hati mungkin tengah marah dan kita tidak redha dengan apa yang orang itu lakukan.

Lainlah kalau kesalahan itu jelas sangat, maka kena tegur pada waktu itu juga. Contohnya, kalau dia sedang berzina atau mencuri, maka tidak boleh ditunggu lagi, hendaklah ditegur terus sebab sudah jelas kesalahan itu.

Keempat dinamakan Muamalat, iaitu hubungan transaksi seperti perniagaan, sosial dan sebagainya antara sesama manusia. Ini pun tidak ada masalah. Kita hidup di dunia ini bukannya semua orang Muslim, bukan? Jadi mesti akan ada hubungan transaksi setiap hari dengan mereka. Kecuali jikalau hubungan transaksi itu membahayakan umat Islam seperti menjual senjata kepada musuh orang Islam.

 

Oleh itu, berbuat baik dan bersahabat yang sepatutnya adalah sesama Mukmin, bukan dengan orang kafir kecuali kalau keadaan mudharat, iaitu kalau kita tidak berbaik dengan dia, maka boleh menyusahkan kita.

Kalau dengan non-Muslim, kita berkawan biasa-biasa sahaja. Bukanlah kita sentiasa berkepit dengan dia ke mana-mana dan kita menceritakan segala rahsia dan kesusahan kita kepadanya. Itu kita lakukan kepada orang Mukmin kerana mereka boleh beri nasihat berdasarkan agama, bukannya nafsu semata-mata seperti non-Muslim.

Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh akhlak yang sangat mulia (uswah hasanah) dalam berinteraksi dengan masyarakat non-Muslim (orang kafir), sama ada dalam kalangan jiran, tetamu, musuh perang, mahupun tawanan. Berikut adalah contoh-contoh konkrit kebaikan dan keadilan Baginda SAW secara ringkas:

1. Ziarah dan Mendoakan Anak Muda Yahudi yang Sakit

Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Anas bin Malik RA, seorang anak muda Yahudi yang pernah berkhidmat dengan Nabi SAW telah jatuh sakit. Nabi SAW pergi menziarahinya di rumahnya, duduk di sebelah kepalanya, lalu mengajak anak muda itu kepada Islam. Anak muda itu memandang bapanya, dan bapanya berkata: “Taatilah Abul Qasim (panggilan Nabi SAW).” Anak muda itu pun memeluk Islam sebelum meninggal dunia. Baginda keluar sambil bersyukur kerana Allah menyelamatkannya daripada api neraka.

2. Memuliakan Jenazah Orang Yahudi

Diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim, ketika satu rombongan membawa jenazah seorang Yahudi lalu di hadapan Nabi SAW, Baginda berdiri sebagai tanda hormat. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, itu ialah jenazah orang Yahudi.” Nabi SAW menjawab: “Bukankah dia juga satu jiwa (manusia)?”

3. Mengiktiraf dan Menerima Tetamu Kafir di Masjid

Apabila utusan Kristian dari Najran (sebuah wilayah di Selatan Arab) datang ke Madinah untuk berbincang dengan Baginda, Nabi SAW menyambut mereka dengan penuh penghormatan di dalam Masjid Nabawi. Baginda membenarkan mereka menginap di dalam masjid dan membenarkan mereka bersembahyang mengikut kiblat mereka (ke arah timur) di dalam satu bahagian masjid tersebut.

4. Melayan Tawanan Perang Badr dengan Ihsan

Selepas Perang Badr, Nabi SAW memerintahkan para sahabat untuk melayan tawanan perang (orang musyrik Quraisy) dengan baik. Salah seorang tawanan, Abu ‘Aziz (saudara Mus’ab bin ‘Umair), menceritakan bahawa para sahabat menawarkannya roti (makanan mewah pada waktu itu) manakala mereka sendiri hanya makan kurma, semata-mata kerana mematuhi pesanan Nabi SAW: “Layanlah tawanan perang dengan kebaikan.”

5. Keadilan dalam Urusan Jual Beli dan Hutang

Nabi SAW bermuamalat secara adil dengan ahli kitab tanpa menganiaya mereka. Sehinggakan ketika Nabi SAW wafat, baju besi baginda masih berada dalam gadaian seorang Yahudi di Madinah sebagai cagaran bagi pinjaman gandum untuk keperluan keluarga baginda.

6. Pemaafan Teragung: Pembukaan Kota Mekah

Semasa Pembukaan Kota Mekah, pemimpin dan penduduk musyrik Quraisy yang pernah menyeksa, membunuh ahli keluarga, dan mengusir baginda berada di bawah kekuasaan Islam sepenuhnya. Baginda bertanya: “Apakah yang kamu sangka aku akan lakukan kepada kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan, wahai saudara yang mulia.” Nabi SAW lalu bersabda: “Pergilah, kamu semua bebas!” (Tiada dendam atau pembalasan dendam).

7. Memulangkan Harta Amanah Musuh (Malam Hijrah)

Walaupun pemuka Quraisy memusuhi dan merancang untuk membunuh Nabi SAW, mereka tetap mengakui sifat jujur baginda (mereka gelar baginda Al-Amin – yang dipercayai) dan menyerahkan harta simpanan mereka untuk dijaga oleh baginda. Pada malam Hijrah ke Madinah, Nabi SAW menugaskan Ali bin Abi Talib RA untuk tinggal di Mekah semata-mata untuk memulangkan semula semua barang amanah kepunyaan musyrik Quraisy tersebut kepada pemiliknya.

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ

Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia daripada Allah dalam sesuatu apapun

Yang tidak boleh adalah muwalat – berbaik luar dan dalam dengan orang kafir. Muwalat itu kita berbaik dengan orang dan dalam hati pun kasih juga kerana sesama Muslim dan sama akidah dan sama-sama mengikut sunnah. Zahir dan batin kita muliakan dia. Dengan orang kafir tidak boleh kerana kalau kita buat, dikutuk oleh Allah ‎ﷻ.

Sesiapa yang buat begitu, dia tidak ada dalam agama Allah ‎ﷻ walau sedikit. Allah akan meninggalkannya dan membiarkannya. Akan putus dari pimpinan Allah. Ini kerana dia dikira redha kepada kekufuran yang dilakukan oleh kawan mereka yang kufar itu. Padahal apabila kita rapat dengan seseorang, kita kena tegur dan ajak dia ke arah kebaikan. Namun adakah kita lakukan begitu dengan orang bukan Islam?

Tapi mungkin timbul persoalan: kenapa Allah tidak membenarkan kita orang Mukmin mengambil orang kafir sebagai wali? Sampai diberikan dengan ancaman yang keras di dalam ayat ini?

Kerana manusia hidup di dunia ini bukannya untuk lahir, membesar, kerja, beranak dan kemudian mati begitu sahaja. Manusia ada tujuan hidup dan ini telah digariskan dengan jelas di dalam Al-Qur’an antaranya seperti disebut di dalam An’am:162,

قُل إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Jadi kalau manusia tidak menyembah Allah dan menghambakan diri kepada Allah, maka mereka telah gagal untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai manusia. Mereka telah meninggalkan dakwah dan ajaran para Nabi, sebaliknya mereka telah ikut bisikan syaitan yang menyesatkan mereka. Maka mereka ini tidak layak dibuat kawan baik, dijadikan wali, diambil sebagai pemimpin. Kita membenci mereka dan tidak menjadikan mereka sebagai kawan rapat kerana ia adalah arahan Allah dan ini adalah kewajipan kita seperti sabda Rasulullah,  di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Al-Bahili RA,

مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ، وَأَبْغَضَ لِلَّهِ، وَأَعْطَى لِلَّهِ، وَمَنَعَ لِلَّهِ، فَقَدِ اسْتَكْمَلَ الإِيمَانَ
“Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan tidak memberi (menahan) kerana Allah, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan imannya.”

Sunan Abi Daud (Hadis No. 4681), Sunan At-Tirmidzi (Hadis No. 2521). Status Hadis: Hadis ini dinilai Sahih oleh Sheikh Al-Albani. 

 

إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً

kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka

Melainkan jika mudharat untuk melindungi diri daripada bahaya mereka iaitu perkara itu tidak dapat dielakkan. Contohnya mereka itu pemimpin, ketua kita di tempat kerja, rakan sekerja kita dan sebagainya. Mereka itu tidak boleh dijadikan sebagai pelindung kita, tetapi bolehlah ada hubungan dengan mereka.

Ini amat relevan zaman sekarang kerana umat Islam sedang lemah. Maka kita terpaksa bersikap lunak kepada mereka. Inilah yang dinamakan Taqiyah. Kita terpaksa angguk dan tunduk kepada orang kafir yang lebih kuat untuk menyelamatkan diri kita. Supaya mereka sangka kita berpihak kepada mereka, akan tetapi hati kita tidak sebenarnya. Maka kalau kerajaan Islam adakan “peace treaty” dengan Amerika adalah dibolehkan, tetapi jangan jadikan Amerika sebagai pelindung kita.

Mungkin ada terkejut saya gunakan istilah ‘taqiyyah’ ini kerana ia sinonim dengan ajaran Syiah yang sesat itu. Istilah taqiyah memang ada dan dibenarkan, tapi tidaklah seperti yang digunakan oleh golongan Syiah itu. Mereka menggunakan taqiyah untuk menipu, termasuk menipu orang Islam. Mereka bukanlah taqiyah kerana lemah tapi kerana hendak merahsiakan akidah dan rancangan jahat mereka. Ini adalah taqiyyah yang salah.

Begitu juga di dalam negara kita, ada yang non-Muslim menjadi pemimpin negara. Kita tetap kena hormati mereka sebagai pemimpin yang dilantik. Namun begitu, kalau boleh, janganlah kita pula melantik mereka kerana pemimpin sepatutnya adalah dalam kalangan orang Islam. Maka kerana itu kalau mengundi itu kenalah undi orang Islam. Maka dalam pilihanraya, kita kena pilih pemimpin yang Muslim, tidak kira dari mana parti politiknya.

Ayat ini sama sekali tidak mengajar atau membimbing kita menjadi munafik. Sebaliknya, ayat ini memberikan rukhsah (kelonggaran/kemudahan) serta panduan Syariat untuk menyelamatkan nyawa dan keselamatan diri apabila orang beriman berada dalam keadaan darurat, terancam, atau tertindas. Konsep yang dimaksudkan dalam ayat ini dipanggil sebagai Taqiyyah (تَقِيَّة) atau Tuqah (تُقَاة). Ibnu ‘Abbas RA menjelaskan maksud Tuqah dalam ayat ini: “Taqiyyah itu hanyalah pada ucapan lidah. Apabila seseorang dipaksa mengucapkan sesuatu yang merupakan maksiat/kekufuran sedangkan hatinya tetap tenang dengan iman, maka hal itu tidak memudaratkannya.”

Imam Bukhari meriwayatkan kata-kata Abu Ad-Darda’,

إِنَّا لَنَشِرُّ فِي وُجُوهِ أَقْوَامٍ وَإِنَّ قُلُوبَنَا لَتَلْعَنُهُمْ
“Sesungguhnya kami bermuka manis/tersenyum di hadapan sesetengah kaum, sedangkan hati kami melaknati (membenci perbuatan) mereka.”

Sahih Al-Bukhari Hadis No. 6131

 

وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ

Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap diri-Nya

Allah ‎ﷻ ajar supaya kenal Dia dan kenal sifat-Nya. Kena ambil tahu tentang Allah ‎ﷻ. Kena letak Allah ‎ﷻ di hadapan dalam membuat keputusan. Jadi kena pegang hukum yang Allah ‎ﷻ letak. Kena takut Allah ‎ﷻ lebih daripada takut kepada makhluk.

 

وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ

Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

Kalimah المصير adalah tempat akhir kita. Setelah pergi merata-rata, akhirnya pergi ke satu tempat sebagai destinasi akhir kita. Maka ingatlah yang akhirnya kita akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kita. Apa yang kita hendak jawab kalau perbuatan kita tidak taat kepada-Nya?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Oktober 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 27 (Kekuasaan Allah dan Larangan Setia Kepada Musuh)

Ali Imran Ayat 27:

تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ ۖ وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ ۖ وَتَرزُقُ مَن تَشآءُ بِغَيرِ حِسابٍ

SAHIH INTERNATIONAL
You cause the night to enter the day, and You cause the day to enter the night; and You bring the living out of the dead, and You bring the dead out of the living. And You give provision to whom You will without account.”

MALAY
“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

 

تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ

“Engkaulah (wahai Tuhan) yang menyumbat waktu malam ke dalam waktu siang, 

Allah ‎ﷻ berkuasa melakukan apa sahaja, termasuklah untuk menukar kejadian siang dan malam. Ada kala malam ‘disumbat’ masuk dalam siang sampai malam jadi panjang.

Perkataan تولِجُ bukan bermaksud ‘masukkan’ tapi ‘menyumbat’. Bayangkan kita menyumbat pakaian kita ke dalam beg yang sudah sendat.

 

وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ

dan Engkaulah yang menyumbatkan waktu siang ke dalam waktu malam.

Allah ‎ﷻ boleh menyumbatkan siang ke dalam waktu malam sampai siang menjadi panjang.

Kejadian ini kita boleh lihat di negara-negara yang ada banyak musim. Kadang-kadang tempoh waktu malam menjadi panjang dan kadang-kadang tempoh waktu siang menjadi panjang oleh kerana peredaran musim sepanjang tahun. Itu semua Allah‎ ﷻ yang mengaturkannya.

Sebagaimana Allah ‎ﷻ mengatur peredaran musim, Allah ‎ﷻ juga mengatur peredaran kekuasaan manusia. Ada yang hamba menjadi raja dan ada raja Allah ‎ﷻ turunkan menjadi hamba. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tapi akhirnya Allah boleh jatuhkan sahaja dengan mudah.

 

وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ

Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, 

Allah ‎ﷻ juga boleh bawa keluar kehidupan daripada kematian. Dari benda yang mati, boleh keluar sesuatu yang hidup. Contohnya, daripada air mani yang mati, Allah ‎ﷻ boleh jadikan manusia; daripada telur ayam yang mati, Allah ‎ﷻ boleh keluarkan anak ayam, dari benih yang mati, menjadi pokok yang tumbuh besar; dan banyak lagi contoh.

Ini juga imbalan bagaimana dari negeri Mekah yang mati tauhid dan akidah itu, lahir seorang Nabi dan umat yang menegakkan hukum tauhid. Hasilnya mereka ‘hidup’ dengan beragamakan ajaran tauhid.

 

وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ

dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup.

Allah‎ ﷻ juga boleh keluarkan mati daripada kehidupan. Iaitu apabila telah sampai masa, setiap makhluk akan mati. Ia juga bermaksud, daripada binatang yang hidup seperti ayam, boleh keluarkan telur ayam yang mati.

Ada juga yang berpendapat, ia bukan hanya merujuk kepada material sahaja, tapi kepada yang hidup dan mati hatinya. Jadi maksud ayat ini adalah Allah ‎ﷻ boleh jadikan seorang mukmin dari keluarga yang kafir dan menjadikan orang kafir daripada keluarga yang mukmin; kerana orang yang benar-benar beriman adalah berasal dari hatinya yang mah kepada kebenaran. Bukanlah keluarganya yang menentukan imannya. Akan tetapi tentu kalau keluarga beriman, akan lebih mudah mengeluarkan anak yang beriman.

Allah ‎ﷻ juga boleh keluarkan anak yang pandai daripada ayah yang bodoh, dan anak yang bodoh daripada ayah yang pandai. Kepandaian dan kebodohan tidak ada di dalam DNA kita. Ia adalah rezeki daripada Allah ‎ﷻ yang dibantu oleh kehendak dan usaha kita.

Contoh yang kita selalu baca di dalam kisah Al-Qur’an adalah Nabi Ibrahim yang lahir daripada ayah yang buat berhala; dan dari Nabi Nuh yang beriman mengeluarkan pula anaknya yang kafir itu. Ini semua adalah di dalam kuasa Allah, perancangan Allah.

 

وَتَرزُقُ مَن تَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

Allah ‎ﷻ memberi rezeki tidak terhitung banyaknya kepada makhluk. Allah ‎ﷻ tidak mengira berapa banyak Dia beri sebab sebanyak mana pun diberi, langsung tidak merugikan diri-Nya. Ini seperti disebut di dalam Hadis Qudsi daripada Abu Dharr Al-Ghifari, yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim (Hadis No. 2577) serta menjadi Hadis Ke-24 dalam Hadis 40 Imam An-Nawawi.

يَا عِبَادِي، لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ، قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي، فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلاَّ كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَاطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ
“Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya dari orang yang pertama hingga orang yang terakhir di antara kamu, sama ada manusia mahupun jin, berkumpul di satu padang yang luas lalu mereka memohon kepada-Ku, kemudian Aku berikan kepada setiap seorang daripada mereka apa yang dimintanya, hal itu sedikit pun tidak mengurangkan apa yang ada di sisi-Ku, melainkan seperti berkurangnya air laut apabila dimasukkan sebatang jarum ke dalamnya.”

Ayat ini adalah doa yang hebat. Apabila kita faham ayat ini dan kita baca dalam doa kita, ia akan ingatkan kita supaya tidak terumbang ambing dengan perubahan keadaan dan suasana dalam dunia ini. Kita akan terbangkit rasa tauhid, iaitu ingat dan sedar bahawa segalanya dalam kekuasaan Allah ‎ﷻ dan tidak ada elemen dan entiti lain yang boleh menentukan sebaliknya.

Maka kita akan bersyukur apabila Allah ‎ﷻ beri nikmat kepada kita dan bersabar apabila Allah ‎ﷻ cabut nikmat itu. Kerana kita sedar yang semua itu di dalam ketentuan Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻ uji kita dengan berbagai cara.

Selepas kita membaca lafaz ayat ini, boleh kita bacakan doa apa sahaja kehendak kita. Ini kerana dalam berdoa, kita harap kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Bila pengharapan kita lebih tinggi kepada Allah ﷻ, maka doa kita lebih mudah dimakbulkan. Sebagai contoh ada disebut di dalam hadis, diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah bersabda kepada Mu’adh bin Jabal:

أَلَا أُعَلِّمُكَ دُعَاءً تَدْعُو بِهِ لَوْ كَانَ عَلَيْكَ مِثْلُ جَبَلِ أُحُدٍ دَيْنًا لَأَدَّاهُ اللَّهُ عَنْكَ؟ قُلْ يَا مُعَاذُ:اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. رَحْمَنَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَرَحِيمَهُمَا، تُعْطِيهِمَا مَنْ تَشَاءُ وَتَمْنَعُ مِنْهُمَا مَنْ تَشَاءُ، ارْحَمْنِي رَحْمَةً تُغْنِينِي بِهَا عَنْ رَحْمَةِ مَنْ سِوَاكَ
Mahukah aku ajarkan kepadamu suatu doa yang jika engkau membacanya, sekiranya engkau mempunyai hutang sebesar gunung Uhud, nescaya Allah akan melunaskannya bagimu? Katakanlah wahai Mu’adh:(Wahai Allah, Pemilik Mutlak Segala Kekuasaan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan-Mulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Wahai Yang Maha Pemurah di dunia dan akhirat serta Maha Penyayang bagi kedua-duanya, Engkau memberikan kedua-duanya kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan menghalangnya daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Rahmatilah aku dengan rahmat-Mu yang dengannya mencukupkan aku daripada memerlukan rahmat selain daripada-Mu).”

Nota: Hadis ini direkodkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir, no. 558 dan al-Mu’jam al-Kabir, jilid 20, no. 323). Sanad (rantaian perawi) asal hadis ini dalam kitab al-Tabarani sebenarnya mempunyai sedikit kelemahan pada perawinya (dhaif). Bagaimanapun, status hadis ini dinaikkan kepada Hasan atas faktor berikut adanya Jalur Penguat (Mutaba’at & Syawahid). Hadis dengan teks yang hampir serupa turut diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak. Imam al-Hakim menilai hadis ini sebagai sahih, dan dipersetujui oleh Imam al-Dzahabi. Tokoh ulama hadis zaman moden, Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, telah meneliti jalur-jalur riwayat ini dan mengkategorikannya sebagai Hasan di dalam kitabnya, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (no. 1821).

Berharaplah sahaja kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh, dalam mendapatkan rezeki pun kena berharap kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan bergantung kepada makhluk walaupun kita mungkin berniaga atau bekerja makan gaji. Namun pelanggan dan gaji itu semua adalah dalam tangan Allah ﷻ. Kita telah baca sebelum ini bagaimana semua kuasa-kuasa dan kejadian-kejadian itu Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh buat, maka minta kepada Allah ‎ﷻ lah sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Oktober 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 26 (Kekuasaan Mutlak Milik Allah) Part 2

وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ

Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah boleh muliakan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Kemuliaan ini boleh jadi dalam bentuk agama atau dunia. Kita pun kadang-kadang boleh lihat dalam masyarakat kita, orang yang tidak pernah dikenali sebelum itu, tiba-tiba jadi terkenal dan tersohor dalam masyarakat. Ada orang yang tidak ada harta tapi mulia di mata orang.

Sebagai contoh, kita lihat di dalam Abasa:1-4 bagaimana seorang sahabat buta dan hina dina di mata manusia iaitu Abdullah bin Ummi Maktum, Allah muliakan di dalam Al-Qur’an dan dibaca kisah beliau sampai bila-bila.

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلأَعمَىٰ (٢) وَمَا يُدرِيكَ لَعَلَّهُ ۥ يَزَّكَّىٰٓ (٣) أَو يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ ٱلذِّكرَىٰٓ (٤)
Dia memasamkan muka dan berpaling, (1) Kerana dia didatangi orang buta. (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! (3) Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. (4)

Begitulah Allah muliakan orang yang beriman. Abdullah ini Allah muliakan kerana ia bersegera untuk mendapatkan ilmu dan hendak membersihkan hatinya. Maka di sini mengajar kita yang Allah muliakan manusia yang beriman dan berilmu. Selepas Allah menurunkan teguran di dalam Surah ‘Abasa, Rasulullah memuliakan Abdullah bin Ummi Maktum dengan penghormatan yang luar biasa tinggi.

Penzahiran rasa hormat dan kasih sayang baginda ini direkodkan dalam sejarah. Setiap kali Abdullah bin Ummi Maktum datang menemui Rasulullah, baginda akan menyambutnya dengan wajah yang berseri-seri, menghamparkan kain selendang baginda untuknya duduk, sambil bersabda dengan nada penuh kemuliaan مَرْحَبًا بِمَنْ عاتَبَنِي فِيهِ رَبِّي (Selamat datang wahai orang yang kerananya Tuhanku telah menegurku). Baginda akan melayaninya dengan penuh santun, bertanyakan khabarnya, dan segera memenuhi apa sahaja keperluannya.

Apabila Rasulullah keluar meninggalkan kota Madinah untuk memimpin peperangan (seperti Perang Badar, Uhud, dan beberapa ekspedisi lain), baginda melantik Abdullah bin Ummi Maktum sebagai pemimpin sementara kota Madinah. Menurut catatan sejarah, baginda mempercayakan tanggungjawab kepimpinan dan keselamatan kota Madinah kepada beliau sebanyak lebih daripada 10 kali sepanjang hayat baginda.

Sebagai contoh lain, dalam sejarah banyak kali kita dengar, bagaimana ulama’ yang tinggi ilmu agama mereka, dan besar jiwa mereka dihormati oleh manusia walaupun mereka tidak ada kuasa pemerintahan. Sebagai contoh, Imam Malik amat dihormati oleh Khalifah. Dan banyak lagi kisah yang kita biasa dengar.

Maka Allah tidaklah semestinya memuliakan manusia dengan harta dan kuasa. Tapi ada yang dimuliakan dengan ilmu dan iman. Kalau harta dan kuasa, itu hanya mulia di mata manusia sahaja, dan ia tidak bernilai pun. Yang kita hendak mulia adalah di mata Allah. Cuma manusia yang tidak beriman, mereka hanya melihat kemuliaan dari segi harta dan kuasa sahaja. Lihatlah Allah perbetulkan fahaman salah ini apabila berfirman di dalam Munafiqun:8

يَقولونَ لَئِن رَّجَعنا إِلَى المَدينَةِ لَيُخرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنهَا الأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ العِزَّةُ وَلِرَسولِهِ وَلِلمُؤمِنينَ وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَعلَمونَ
Mereka berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang rendah daripadanya”. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.

Ayat ini tentang Abdullah bin Ubay, ketua munafik yang hendak mengeluarkan Rasulullah dan Muhajirin dari Madinah. Kerana dia sangka dia yang mulia kerana dia asalnya dulu pemimpin di situ dan dia memandang dan Nabi dan golongan Muhajirin sebagai hina kerana tidak berharta. Maka Allah menegaskan yang dia tidak mulia, kerana dia orang munafik. Allah tegaskan yang kemuliaan adalah di TanganNya dan maka kalau kita hendak kemuliaan, kita kena dapatkan dari Allah. Kita mahu dipandang mulia di sisi Allah, bukannya di sisi manusia.

Dan Allah kata kemuliaan ini ada pada Rasulullah. Maka untuk mulia, kita kena ikut Nabi, ikut ilmu-ilmu yang baginda telah sampaikan kepada kita dan ikut sunnahnya.

Dan Allah juga kata kemuliaan itu ada pada orang Mukmin. Maka ia mengajar kita yang iman itu yang memuliakan manusia. Kalau tidak ada iman, tidak mulia langsung.

Maka kerana itulah Rasulullah dan para sahabat mulia dan sampai sekarang nama mereka disebut-sebut. Baginda dan para sahabat telah dihina ketika di Mekah, tapi akhirnya baginda dan orang Mukmin telah menakluk Mekah. Baginda telah dihina di Taif juga, bukan? Akhirnya baginda berperang dengan mengalahkan mereka dalam Perang Hunayn.

Balaghah: Kerana itulah Allah bezakan antara المُلكَ (kerajaan) dengan عِزُّ (kemuliaan). Kerana tidak semestinya orang yang ada المُلكَ ada juga عِزُّ. Ada yang mempunyai kedua-duanya sekali seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang ada kerajaan dan ada kemuliaan. Akan tetapi Al-Qur’an juga menyebut contoh orang yang mempunyai المُلكَ akan tetapi tidak ada عِزُّ seperti Firaun dan Namrud.

Malah ada orang yang tidak ada المُلكَ tetapi ada عِزُّ seperti kebanyakan para Nabi dan Maryam. Dan ada yang tidak ada kedua-duanya sekali seperti Bani Israil yang disesatkan oleh Allah di padang pasir kerana menolak arahan Allah dan Nabi Musa.

Begitulah, dari sudut sosial, kekuasaan/kuasa dan kemuliaan/maruah sering kali mengelirukan manusia. Orang ramai menganggap bahawa jika mereka mempunyai kuasa, mereka secara automatik akan dihormati. Atau mereka menganggap bahawa jika mereka tidak mempunyai kuasa, mereka tidak mempunyai maruah. Allah memisahkan kedua-dua konsep ini bagi memperbetulkan kekeliruan tersebut.

Anda boleh mempunyai kuasa yang sangat besar tetapi dihinakan sepenuhnya di sisi Allah dan bahkan di mata manusia (seperti Firaun). Anda juga boleh menjadi tidak berkuasa tetapi mempunyai kemuliaan dan maruah yang sangat tinggi (seperti umat Islam terawal di Mekah, atau seperti Maryam ketika menghadapi ujiannya).

Pembezaan ini sangat penting untuk keadilan sosial. Golongan yang tertindas mungkin tidak mempunyai mulk, tetapi mereka tidak kekurangan ‘izza sekiranya mereka memelihara iman dan integriti mereka. Golongan penindas mungkin mempunyai mulk, tetapi mereka tidak mempunyai ‘izza yang hakiki. Ini memberikan ketahanan psikologi kepada golongan yang tertindas. Ia mengajar kita yang maruah tidak ditentukan oleh kuasa politik, sebaliknya ditentukan oleh hubungan dengan Allah.

Ayat-ayat ini diturunkan semasa satu tempoh di mana Nabi dan umat Islam belum lagi mempunyai kuasa yang kuat. Ketika ini walaupun sudah ada kerajaan di Madinah, akan tetapi tidak lama dahulu Nabi langsung tidak mempunyai sebarang kekuasaan politik (mulk) di Mekah dan dihina dan ditindas oleh kaum Quraisy. Namun, baginda diperintahkan untuk mengisytiharkan bahawa Allah adalah Malik al-Mulk (Pemilik Mutlak Segala Kekuasaan) dan Allah memberikan serta mencabut kerajaan mengikut kehendak-Nya. Ini merupakan satu pengajaran yang amat mendalam tentang tawakal (berserah diri kepada Allah) ketika berada dalam keadaan yang kelihatan tidak berdaya.

Kemudian, di Perang Badr, umat Islam mengecapi kemenangan yang tidak disangka-sangka; Allah mengurniakan kepada mereka suatu bentuk kekuasaan (mulk). Seterusnya di Perang Uhud, mereka merasai pula kekalahan; Allah menarik balik kekuasaan tersebut buat sementara waktu. Kitaran-kitaran ini menjadi bukti nyata yang hidup bagi ayat تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ (Engkau berikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki). Orang-orang beriman sedang dididik agar tidak menjadi takbur ketika menang atau berputus asa apabila kalah, kerana kedua-duanya datang daripada Allah semata-mata.

 

Kalimat ini mengandungi puji-pujian kepada Allah yang merupakan sebahagian daripada wasilah (perantara) untuk mendekatkan diri kepada Allah. Maka apabila anda memuji Allah dengan menyatakan bahawa Dialah yang memuliakan sesiapa yang dikehendaki-Nya, itu bermakna anda sebenarnya sedang memohon kemuliaan daripada-Nya.

 

وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ

dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah boleh malukan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Orang yang dipandang tinggi selama hari ini, tiba-tiba ada rahsia dia yang keluar dalam berita sampaikan menghinakan orang itu. Dari pemimpin negara yang besar, boleh jatuh sampai jadi sampah masyarakat.

Daripada firman Allah وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ ini mengandungi pengajaran bahawa Allah mempunyai kekuasaan dan pemerintahan yang sempurna; ini kerana Dialah yang menghinakan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, biarpun individu tersebut telah mencapai kemuncak kemuliaan manusiawi. Tidak kiralah kalau satu dunia mengagungkannya. Sesungguhnya “tangan” (kekuasaan) Allah berada di atasnya walau sejauh mana sekalipun manusia itu mencapai kemuliaan; maka Allah sentiasa Maha Berkuasa untuk menghinakannya.

 

Balaghah: Perhatikan pengulangan kalimat مَن تَشآءُ (Sesiapa yang Engkau kehendaki) sebanyak 4 kali di dalam ayat ini. Ia memberi beberapa isyarat:

1. Penekanan Terhadap Kehendak Ilahi: Setiap pengulangan menegaskan bahawa perkara-perkara ini sepenuhnya di bawah kebijaksanaan Allah, bukannya berdasarkan pengiraan atau kelayakan manusia.

2. Keterasingan Setiap Tindakan: Dengan memisahkan تُؤتِي (Engkau berikan) dan تَنزِعُ (Engkau cabut) kepada dua klausa yang berbeza (dua-dua ada مَن تَشآءُ) dan bukannya satu – تُؤتِي المُلكَ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ (yang mana lebih ringkas dalam bahasa Arab), Allah mengajar bahawa ini merupakan tindakan-tindakan yang berasingan. Kejatuhan seseorang tidak semestinya menjadi kebangkitan bagi yang lain. Pemberian kepada seseorang tidak memerlukan pengambilan daripada yang lain. Semua ini adalah keputusan Ilahi yang berasingan.

3. Ruang untuk Merenung: Setiap ungkapan مَن تَشآءُ (sesiapa yang Engkau kehendaki) mewujudkan satu hentian, membolehkan pembaca dan pendengar merenung: Kepada siapakah Allah berikan kerajaan/kekuasaan? Daripada siapakah Dia mencabutnya? Jawapannya sengaja dibiarkan terbuka: sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

 

بِيَدِكَ الخَيرُ

Hanya di tanganMu kebaikan

Segala kebaikan adalah pada Allah. Allah adalah sumber kebaikan yang diberikan kepada makhluk. Nabi Isa yang dituhankan oleh golongan Nasara itu tidak boleh memberikan kebaikan kepada manusia. Maka kerana itu baginda bukan Tuhan, baginda adalah manusia, baginda adalah makhluk.

Ia juga mengajar kita yang kalau kita mahukan kebaikan, kita kena dapatkan dari Allah, kerana kebaikan datang dariNya. Perhatikan kalimah يَدِكَ (tanganMu) yang ditaqdimkan (diawalkan) sebelum kalimah الخَيرُ. Ia memberi maksud eksklusif iaitu kebaikan *hanya* di tangan Allah dan tidak ada pada sesiapa selainNya. Maka kerana itu kita kena berdoa dan meminta kebaikan, keselamatan, rahmat dan segala yang baik daripada Allah. Hati kita jangan berhenti berharap kepada Allah. Kalau kita sudah tahu Allah sumber kebaikan, kenapa tidak diminta dariNya? Dia boleh memberi, bukan?

Tapi bagaimana dengan kejahatan? Bolehkah kejahatan berlaku tanpa izin Allah? Tidak boleh, bukan? Maka kejahatan pun kita boleh katakan ia berpunca dari Allah juga. Tapi kenapa hanya disebut kebaikan sahaja yang disandarkan kepada Allah? Pertama, dari segi adab, kita tidak sandarkan benda yang buruk kepada Allah. Ini seperti salah satu dari Doa Iftitah yang diamalkan oleh Rasulullah,

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ إِذَا قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ، قَالَ: وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا، وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ. اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَنْتَ رَبِّي وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِي وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا، إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، وَاهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنْي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ، تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
Daripada Ali bin Abi Talib r.a., daripada Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bahawasanya baginda apabila berdiri untuk mendirikan solat (malam), baginda akan membaca (doa iftitah):”Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan penuh penyerahan (ikhlas), dan aku bukanlah dari kalangan orang-orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan demikianlah aku diperintahkan, dan aku adalah daripada kalangan orang-orang Islam. Ya Allah, Engkaulah Raja (Pemilik Mutlak), tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkaulah Tuhanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku telah menzalimi diriku sendiri dan aku mengakui segala dosaku, maka ampunilah segala dosaku kesemuanya. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau. Dan tunjukilah aku kepada akhlak yang paling baik, kerana tiada yang dapat menunjukkan kepada akhlak yang baik melainkan Engkau. Dan palingkanlah aku daripada akhlak yang buruk, kerana tiada yang dapat memalingkan aku daripada akhlak yang buruk melainkan Engkau. Aku menyahut seruan-Mu (demi ketaatan) dan aku berbahagia melaksanakan perintah-Mu. Segala kebaikan berada di kedua-dua tangan-Mu, manakala keburukan tidak dinisbahkan kepada-Mu. Aku wujud dengan pertolongan-Mu dan aku akan kembali kepada-Mu. Maha Suci Engkau dan Maha Tinggi Engkau. Aku memohon ampun daripada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.”

Sahih Muslim, Hadis No. 771

Keduanya, tidak ada apa-apa yang jahat dan buruk dari Allah sebenarnya. Dalam akidah Islam, setiap perbuatan dan ketetapan Allah pada hakikatnya mengandungi kebaikan, keadilan, dan hikmah yang maha luas, walaupun pada pandangan mata kasar manusia ia kelihatan seperti sesuatu yang buruk atau memudaratkan. Maksudnya, segala apa sahaja yang Allah buat adalah baik belaka. Jangan kita pertikai apa yang Allah telah lakukan. Kena redha dengan apa yang Allah telah rancang dan jalankan.

Jangan kita gunakan akal kita yang lemah ini untuk menilai baik dan buruk apa yang Allah lakukan. Kadangkala kita lihat sesuatu itu sebagai buruk, bukan? Mungkin kita terkena musibah dan kita tidak suka. Maka kena ingat ayat ini iaitu apa sahaja yang Allah kenakan kepada kita adalah baik-baik belaka. Semua ketetapan Allah didasari oleh hikmah dan kasih sayang. Sesuatu perkara itu dinamakan “buruk” atau “musibah” berdasarkan sudut pandang manusia yang terbatas, kerana ia menyakitkan, merugikan, atau tidak disukai oleh nafsu dan fizikal kita. Contoh: Ubat yang pahit atau pembedahan yang menyakitkan kelihatan “buruk” dari segi kesakitan fizikal, tetapi matlamat dan hasilnya adalah “baik” iaitu untuk menyembuhkan penyakit.

Bagaimana dengan perkara buruk dan yang membahayakan yang terjadi kepada kita? Allah membenarkan perkara yang kelihatan buruk atau berbahaya berlaku di dunia ini atas beberapa sebab dan hikmah yang besar. Ia menjadi penyebab penghapusan dosa dan mengangkat darjat manusia. Musibah, kesakitan, mahupun kesusahan yang menimpa seorang mukmin berfungsi sebagai pembersih dosa dan peningkat kedudukan di sisi Allah. Rasulullah bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ، وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حَزَنٍ، وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ، حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا، إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, mahupun duka cita, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya dengan sebab perkara itu.”

Sahih al-Bukhari, No. 5641; Sahih Muslim, No. 2573

Ia juga menjadi ujian keimanan bagi manusia. Dunia dicipta sebagai tempat ujian, bukannya tempat pembalasan kekal. Tanpa adanya cabaran, bahaya, atau kesusahan, sifat sabar, syukur, tawakal, dan keberanian tidak akan dapat diuji.

Kadangkala Allah menghalang kita daripada sesuatu yang kita inginkan atau menimpa kita dengan kesusahan kecil untuk menyelamatkan kita daripada bahaya yang lebih besar yang tidak kita ketahui. Ini seperti firman Allah di dalam Baqarah:216

وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Dan jangan lupa yang keburukan yang terjadi itu adalah kesan daripada perbuatan dan kebebasan manusia. Allah benarkan manusia buat keputusan sendiri dan kerana salah pilih, kesannya adalah keburukan yang Allah benarkan sebagai pengajaran kepada kita. Maka banyak keburukan atau bahaya di bumi ini berpunca daripada perbuatan manusia itu sendiri (seperti kezaliman, pencemaran, atau kecuaian) akibat kebebasan memilih (free will) yang Allah berikan kepada manusia.

Pernyataan بِيَدِكَ الخَيرُ (Di tangan-Mulah sahaja segala kebaikan) di sini selepas menyebut tentang pemberian dan pencabutan kuasa, memuliakan dan menghinakan. Bagaimana penghinaan boleh dianggap “baik”? Bagaimana kehilangan kekuasaan boleh menjadi “khayr” (kebaikan)?

Allah sedang melatih orang beriman dengan satu hakikat psikologi dan kerohanian yang amat penting: kemudaratan yang nyata boleh mengandungi manfaat yang tersembunyi, dan manfaat yang nyata boleh mengandungi kemudaratan yang tersembunyi. Perhatikan hadis yang penting ini:

عَنْ صُهَيْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Daripada Suhaib RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin! Sesungguhnya seluruh urusannya adalah baik baginya, dan perkara itu tidak ada pada sesiapa pun melainkan hanya bagi orang mukmin: Jika dia ditimpa kesenangan/kebahagiaan, dia bersyukur, maka itu adalah baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan/penderitaan, dia bersabar, maka itu juga adalah baik baginya.”

Sahih Muslim. Nombor Hadis: 2999 

Sudut pandang ini mengubah tindak balas psikologi seseorang. Daripada jatuh ke dalam keputusasaan apabila kehilangan mulk (kekuasaan) atau ‘izza (kemuliaan), orang beriman yakin bahawa khayr tersembunyi di sebalik ujian tersebut. Kepercayaan (tawakkul) ini menstabilkan jiwa secara psikologi serta mencegah rasa pahit, dendam, dan putus asa.

 

Balaghah: Di dalam ilmu Balaghah (retorik bahasa Arab), penyusunan struktur ayat بِيَدِكَ الْخَيْرُ mempunyai keistimewaan dan rahsia keindahan yang sangat mendalam dari segi tatabahasa dan makna. Dari sudut tatabahasa biasa, susunan asalnya ialah الْخَيْرُ بِيَدِكَ (Kebaikan itu di tangan-Mu), di mana الْخَيْرُ ialah mubtada’ (subjek) dan بِيَدِكَ ialah khabar (predikat). Namun, Al-Qur’an mendahulukan frasa بِيَدِكَ (Taqdim al-Jarr wal-Majrur). Berikut adalah kepentingan dan hikmah meletakkan بِيَدِكَ di awal kalimah:

1. Faedah Pengkhususan dan Pembatasan (Al-Khasis wa Al-Hasr). Apabila khabar (predikat) didahulukan daripada mubtada’ (subjek) dalam bahasa Arab, ia memberikan makna pengkhususan mutlak (Al-Hasr). Jika dibaca biasa (الْخَيْرُ بِيَدِكَ): Maksudnya sekadar “Kebaikan itu ada di tangan-Mu” (tetapi tidak menafikan secara tegas kemungkinan ia ada di tempat lain). Apabila didahulukan (بِيَدِكَ الْخَيْرُ): Maksudnya menjadi “Hanya di tangan-Mu lah sahaja (segala) kebaikan”. Ini menegaskan bahawa tiada sebarang kebaikan hakiki yang boleh datang daripada sesiapa pun melainkan daripada Allah SWT semata-mata.

2. Mengaitkan Semua Ketetapan dengan Kebaikan Mutlak. Dalam bahagian awal ayat ini, Allah menyebut tentang memberi kekuasaan, mencabut kekuasaan, memuliakan, dan menghinakan. Di penghujungnya, Allah menutup dengan بِيَدِكَ الْخَيْرُ untuk menegaskan bahawa segala tindakan Allah adalah baik. Kalimah الْخَيْرُ bukan sahaja bermaksud ‘kebaikan’ tapi kerana ada ال padanya, ia bermaksud ‘semua kebaikan’ atau ‘kebaikan tertinggi’. Sama ada Dia memberi atau mencabut, memuliakan atau menghinakan, semuanya berada di dalam “tangan” kekuasaan-Nya yang penuh dengan kebaikan dan hikmah. Walaupun pencabutan kekuasaan atau penghinaan kelihatan “buruk” pada pandangan manusia, pada hakikatnya ia adalah keadilan dan kebaikan (khair) mengikut ilmu Allah yang Maha Luas.

3. Menguatkan Rasa Tauhid dan Pengabdian (At-Tauhid wal-I’timad). Meletakkan nama/sifat Allah di hadapan secara langsung mengarahkan fokus dan pergantungan hati hamba terus kepada Allah sebelum menyebut perkara yang diingini (kebaikan). Pembaca diajak untuk mengiktiraf Pemilik kebaikan itu terlebih dahulu sebelum mengharapkan kebaikan tersebut.

4. Keindahan Bahasa Al-Qur’an (Al-Fasilah al-Qur’aniyyah). Dari segi gaya bahasa Al-Qur’an (I’jaz Lughawi), penstrukturan ini memberikan rentak dan penekanan yang sangat kuat dan mantap ketika dibaca, sesuai dengan keagungan ayat yang membicarakan kekuasaan mutlak Allah dalam mentadbir alam.

 

Konsep ini juga sudah ada di dalam agama Nasara kerana ada di dalam 1 Chronicles 29:12 “Kekayaan dan kehormatan datang daripada-Mu, dan Engkaulah yang berkuasa atas segala-galanya. Di dalam tangan-Mu ada kekuatan dan keperkasaan, dan di dalam tangan-Mu jugalah ada kuasa untuk membesarkan serta memberikan kekuatan kepada sesiapa sahaja.”

 

إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah boleh lakukan apa sahaja yang Allah mahu. Mungkin ada yang mempersoalkan bolehkah Allah buat itu dan ini seperti yang disebut di dalam ayat ini? Bolehkah umat Islam yang lemah ketika ayat ini diturunkan, menjadi kerajaan yang besar? Bolehkah umat Islam sekarang yang kembali lemah di mata dunia ini naik kembali dan menguasai kembali dunia dan membawa keamanan semula? Allah menegaskan dengan meletakkan kalimah taukid إِنَّ di sini. Jangan kita ragu dengan kemampuan Allah melakukan apa-apa sahaja. Keputusan Allah tidak tertakluk dengan apa-apa sebab pun. Sebab? Sebab Dia Tuhan. Siapa kita untuk mempertikaikan apakah yang Allah hendak lakukan?

Allah hendak  memberitahu yang sebelum ini tampuk agama adalah pada Bani Israil, banyak Nabi dari kalangan mereka. Tapi sekarang Allah sudah buat keputusan untuk memberi tampuk itu kepada orang lain – Nabi Muhammad dari bangsa Arab. Dari Tanah Arab yang kering kontang itu, telah mengubah dunia.

Frasa إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ ini selalu kita baca di dalam Al-Qur’an, bukan? Tapi mungkin kerana selalu dibaca, kita rasa ia biasa sahaja. Tapi kalau kita faham dan kita sematkan di dalam hati, selalu kita ingat, ia akan memberi kesan pengharapan yang tinggi kepada Allah. Kerana kita tahu dan yakin yang Allah boleh buat apa-apa sahaja. Tidak ada apa yang Allah tidak boleh lakukan.

Ada orang sakit? Allah boleh sembuhkan walaupun doktor kata tidak ada harapan. Ada orang buta? Allah boleh sahaja bagi dia celik boleh melihat. Sudah menikah bertahun-tahun tapi masih tidak dapat anak? Allah boleh sahaja beri anak. Maka ini mengajar kita untuk meminta dan berharap kepada Allah. Kita jangan berputus asa kerana Allah boleh sahaja berikan keputusan yang baik.

Kerana itulah Nabi Musa tidak gentar ketika melarikan diri dari Firaun dan tenteranya. Ketika itu Bani Israil semua sudah marah kepada Nabi Musa akan tetapi Nabi Musa percaya terus kepada Allah dan yakin Allah akan menyelamatkan mereka. Allah menceritakan keadaan genting ini di dalam Syu’ara:61-63

فَلَمَّا تَرٰءَا ٱلجَمعَانِ قَالَ أَصحَـٰبُ مُوسَىٰٓ إِنَّا لَمُدرَكُونَ (٦١) قَالَ كَلَّآ‌ۖ إِنَّ مَعِىَ رَبِّى سَيَہدِينِ (٦٢) فَأَوحَينَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنِ ٱضرِب بِّعَصَاكَ ٱلبَحرَ‌ۖ فَٱنفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرقٍ كَٱلطَّودِ ٱلعَظِيمِ (٦٣)
Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. (61) Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku. (62) Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Pukullah laut itu dengan tongkatmu. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. (63)

Ayat-ayat yang disebut ini bukannya perkara baru bagi Ahli Kitab. Ia juga telah ada di dalam kitab-kitab mereka. Allah ingatkan kepada mereka untuk kembali kepada kebenaran dan jangan lagi berselindung dengan helah yang pelbagai.

 

Mengapa kita memberitahu Allah apa yang telah pun Dia ketahui tentang diri-Nya? Kita kata kepada Allah اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ, Allah sudah pun tahu. Hikmahnya adalah pengisytiharan ini adalah untuk diri kita, bukannya untuk Dia. Dengan melafazkan keyakinan kita tentang Allah, kita sedang menyerapkannya masuk dan menghayatinya ke dalam jiwa. Dengan mengisytiharkan بِيَدِكَ الخَيرُ, kita sedang melatih hati kita untuk menerima qadar-Nya. Dengan menyebut “Engkau memberi dan Engkau mencabut,” kita sedang melepaskan pegangan keterlaluan kita untuk mengawal segala-galanya. Inilah fungsi zikir (mengingati Allah). Kita mengulang-ulang sebutan “SubhanAllah” bukanlah kerana Allah perlu mendengarnya, tetapi kerana kita yang perlu menyebutnya. Hati kita dilatih melalui lidah kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 September 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Maani

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 26 (Kerajaan Mutlak Milik Allah) Part 1

KUASA MUTLAK ALLAH

Ali Imran Ayat 26: Di dalam ayat sebelum ini (Ayat 23-25) telah disebut golongan yang menolak berhukum dengan kitab wahyu. Mereka akan menerima hukuman yang setimpal dengan penolakan mereka itu. Setelah diajak kepada kitab wahyu, mereka degil, berpaling tidak mahu ikut. Maka sekarang Allah suruh Nabi bercakap denganNya pula. Tak payah hendak layan mereka lagi. Ia mengajar kita yang kalau dengan orang degil, tak perlu untuk banyak berdebat dengan mereka.

Jadi di dalam ayat ini kita diajar tentang Allah lebih-lebih lagi tentang kerajaan-Nya. Sesiapa yang menolak kitab wahyu dan rasa selamat, mereka perlu diingatkan Siapa Allah. Tidak kira siapa kalian, perlu tunduk kepada kerajaan Allah.

Kedudukan Allah ini disebut di dalam bentuk deklarasi. Ini adalah natijah dari fahaman yang bertapak kepada tauhid, maka deklarasi pun dalam bentuk tauhid juga. Ayat ini juga adalah satu doa dan ia mengajar kita untuk minta kepada Allah sahaja. Kalau minta kepada wali dan Nabi, itu tanda orang yang ada masalah dengan tauhid. Kerana kerajaan sepenuhnya milik Allah.

Ini adalah salah satu daripada doa yang masyhur dalam masyarakat kita. Dua ayat yang kita akan bincangkan ini boleh dikatakan dua ayat yang paling indah di dalam Surah ini. Ayat doa ini selalu dibaca dalam Majlis Tahlil. Adakah mereka yang membacanya tahu maksud ayat ini agaknya? Mereka mungkin tidak tahu kerana  mereka masih mengamalkan amalan bid’ah (Majlis Tahlil). Mereka hanya ikut-ikut sahaja amalan tok nenek dahulu tanpa melihat kepada dalil. Maknanya mereka tidak belajar pun tafsir Al-Qur’an.

Ayat ini adalah doa yang bagus untuk kita amalkan. Kalau kita lihat di dalam Al-Qur’an terdapat dua jenis doa yang disebut:

1. Ada jenis doa yang Allah pulangkan kembali kata-kata manusia untuk dijadikan sebagai contoh doa kepada kita. Maknanya kita boleh minta dengan cara kita sendiri.

2. Tetapi ada doa yang Allah sendiri ajarkan pada kita untuk menyebutnya seperti yang Allah gunakan di dalam ayat ini. Allah sendiri suruh kita sebut dengan cara seperti yang tertulis kerana ada perkataanقل ‏  (katakanlah) di awal ayat ini.

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشآءُ ۖ بِيَدِكَ الخَيرُ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “O Allah , Owner of Sovereignty, You give sovereignty to whom You will and You take sovereignty away from whom You will. You honor whom You will and You humble whom You will. In Your hand is [all] good. Indeed, You are over all things competent.

MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan Pemilik seluruh kerajaan

Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang mengandungi arahan قُلِ (katakanlah) ini. Sebenarnya semua ayat Al-Qur’an Nabi kena sampaikan, tapi apabila ada kalimah قُلِ, bermaksud ia adalah satu arahan khusus kerana ia amat penting untuk disampaikan.

Kenapa perlu ada arahan ini? Kerana ia adalah yang berat. Tambahan pula kalau seperti ayat ini, ia kena ditujukan kepada pihak musuh, orang kafir, iaitu golongan Ahli Kitab terutama sekali golongan Nasara, tema utama surah ini.

Adakah Nabi sampaikan? Tentu sekali! Yang tidak sampaikan adalah kita sahaja. Takut sangat hendak ajar ajaran Tauhid yang benar. Jangan kata kepada musuh, kepada pakcik sendiri pun kita takut, bukan? Maka ini memberitahu betapa lemahnya iman kita. Setakat belajar sahaja, tapi takut untuk sampaikan.

Sedangkan kalau kita benar-benar sayang Nabi, ikut ajaran baginda, kita kena sampaikan dakwah ajaran Tauhid ini. Barulah benar sayang Nabi. Tapi orang kita sayang Nabi, macam mana? Setakat buat Sambutan Mawlid Nabi, buat Majlis Selawat banyak-banyak… itu sahaja yang mereka buat. Sudahlah bid’ah, tidak memberi kesan pun. Ya mereka katalah ada kesan itu dan ini, tapi apa gunanya kalau ia majlis bid’ah?

 

Balaghah: Sekarang kita masuk ke lafaz yang Allah ajar kita untuk menyebutnya. Tapi perhatikan ada iltifat (perubahan) di dalam ayat ini. Kita memuji Allah terus kepadaNya. Kalau sebelum ini kita menyebut Allah di dalam bentuk pihak ketiga tapi kali ini kita memuji Allah terus kepadaNya. Maknanya kita berdialog dengan Allah! Ini jarang berlaku di dalam Al-Qur’an. Maka ini adalah contoh Allah mengajar kita bagaimana untuk berdialog dengan-Nya.

Kita telah katakan tadi yang ayat ini adalah doa, tapi di dalam ayat ini dan ayat selepasnya, tidak disebut pun apakah permintaan yang diajar. Maka ini adalah sebagai pembukaan bagi doa hamba. Kita memuji-muji Allah dan mengiktiraf kebesaran Allah sebelum meminta apa-apa kepadaNya. Inilah tawasul yang dibenarkan dan digalakkan di dalam berdoa.

Tapi perhatikan kata-kata di dalam ayat ini Allah sudah tahu pun. Jadi kenapa kita kena cakap lagi kepada-Nya? Kerana ia adalah untuk memberitahu apa yang kita faham tentang-Nya, apa pandangan kita tentang-Nya. Maka ia adalah pernyataan cinta dan rapat dengan Allah, sebagaimana kita pun ada bercakap dengan emak kita, “Emaklah emak yang terbaik, telah menjaga saya selama ini, terlalu menyayangi saya….” sebelum cakap benda-benda yang lain. Emak kita pun tahu, bukan? Tapi apabila kita sebut, tentu dia suka. Maka begitu jugalah Allah suka kalau kita memuji-Nya.

 

Maksud اللَّهُمَّ adalah cara panggilan kepada Allah. Ia diterjemahkan: “ya Allah!”. Para ulama nahu (seperti Sibawayh dan al-Khalil) menjelaskan bahawa huruf Mim yang bertasdid di akhir (ـهُمَّ) berfungsi sebagai pengganti kepada huruf panggilan (Huruf an-Nida’) “Ya” (يَا). Kita sekarang diajar berdoa dengan bertawasul dengan nama Allah yang mulia. Seolah-olah apabila seseorang menyebut “Allahumma”, dia tidak hanya memanggil “Ya Allah”, tetapi sedang menyeru Allah dengan bertawasul menggunakan seluruh Asma’ul Husna dan Sifat Agung-Nya secara serentak.

Doa Nabi selalu menggunakan اللَّهُمَّ. Maka, elok kalau kita guna cara begitu. Dan kelebihan permulaan doa sebegini ada disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Buraidah bin al-Husaib, bahawasanya Rasulullah mendengar seorang lelaki berdoa dengan mengucapkan:

«اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ الأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ»
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan bersaksi bahawa Engkau adalah Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Yang Maha Esa, tempat bergantung segala sesuatu, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, serta tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.”

Maka Rasulullah SAW bersabda:

«وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ سَأَلَ اللَّهَ بِاسْمِهِ الأَعْظَمِ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ وَإِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى»
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh dia telah memohon kepada Allah dengan Nama-Nya yang Maha Agung, yang apabila Dia menyeru/berdoa dengannya pasti Dia memperkenankan, dan apabila meminta dengannya pasti Dia memberi.”

(HR at-Tirmidzi, No. 3475 & Abu Dawud, No. 1493 — Hadis Sahih)

 

Di dalam Ayat 23 – 25 kita telah belajar tentang penolakan Ahli Kitab kepada Kitab Allah. Apabila Ahli Kitab berpaling daripada Nabi ﷺ dan enggan berhukum dengan Kitab Allah, tindak balas yang diberikan oleh Allah bukanlah dengan suruh Nabi Muhammad mengejar mereka atau berhujah tanpa kesudahan, sebaliknya dengan berpaling dan menyembah Allah secara langsung. Ini memberikan satu pengajaran rohani yang sangat mendalam: apabila manusia menolak kita dalam dakwah, berpalinglah kepada Allah. Apabila usaha dakwah kelihatan sia-sia, berpalinglah kepada Allah. Apabila kita disisihkan dan dihina, berpalinglah kepada Allah.

Kena ingat selalu yang sumber pengiktirafan bagi seorang mukmin bukanlah daripada penerimaan manusia, melainkan daripada hubungan dengan pencipta-Nya. Ini mengajar untuk beralih dari mengharap kepada manusia, kepada mengharap dengan Allah. Ini memberikan kebebasan yang besar dari sudut psikologi dan rohani. Anda tidak lagi bergantung kepada keredaan atau kelulusan manusia untuk menentukan nilai diri anda.

 

Kemudian doa ini memuji Allah setelah menyeru kepada-Nya. Dialah Allah dan Dia sahaja yang memiliki kerajaan yang sebenar. Maksud المُلكِ adalah kerajaan yang besar.

Ada perbezaan antara maksud مالِكَ dan المُلكِ walaupun bunyinya seakan-akan sama. Maksud مالِكَ adalah ‘memiliki’. ‘Memiliki’ maksudnya ada benda yang menjadi hak kita. Macam kita miliki rumah atau pen.

Tapi kalimah المُلكِ bermaksud kerajaan besar yang selalunya ditadbir oleh seorang Raja. Tapi walaupun dia Raja, tidaklah dia memiliki semuanya seperti rumah dan pen. Jadi, apabila Allah menggunakan perkataan المُلكِ dan مالِكَ ini, maksudnya Allah memiliki kerajaan yang besar dan apa-apa sahaja yang kecil-kecil. Allah memiliki yang makro dan mikro.

Dalam konsep ketuhanan, nama dan sifat مٰلِكَ الْمُلْكِ (Pemilik Kerajaan Mutlak) dibuktikan melalui tiga rukun kekuasaan alam semesta yang dipegang sepenuhnya oleh Allah. Tiga sifat tersebut adalah Mamluk (Status Makhluk yang Dimiliki), Tadbir (Pengurusan), dan Tasarruf (Kebebasan Bertindak).

1. Mamluk (المَمْلُوك) – Status Segala Sesuatu Sebagai “Yang Dimiliki”. Istilah mamluk bermaksud harta, barang, atau hamba yang dimiliki oleh seorang tuan. Dalam konteks مٰلِكَ الْمُلْكِ, sifat ini menegaskan bahawa seluruh alam semesta dan segala isinya adalah hak milik mutlak Allah. Langit, bumi, manusia, malaikat, jin, bintang, malah setiap zarah terkecil pun berstatus mamluk (hamba/barang milik-Nya). Oleh kerana status kita hanyalah mamluk, maka manusia sebenarnya tidak memiliki apa-apa pun di dunia ini secara hakiki. Harta, pangkat, dan tubuh badan kita hanyalah pinjaman. Hak milik kekal hanyalah bagi Allah.

2. Tadbir (التَّدْبِير) – Pengurusan dan Pentadbiran yang Sempurna. Ia bermaksud mengatur, mengurus, merancang, dan menyusun sesuatu dengan bijaksana. Ini mengajar kita yang Allah bukan sekadar memiliki alam ini lalu membiarkannya begitu sahaja. Sebagai مٰلِكَ الْمُلْكِ, Allah memegang sifat Tadbir, iaitu menguruskan perjalanan seluruh makhluk-Nya setiap saat tanpa henti. Allah yang mengatur putaran planet, menurunkan hujan, menetapkan kadar rezeki manusia, menumbuhkan pokok, dan mengawal denyutan jantung. Pengurusan (tadbir) Allah sangat rapi, sistematik, dan tiada cacat cela (makro dan mikro). Manusia boleh merancang, tetapi Tadbir (ketentuan akhir) tetap di tangan Allah.

3. Tasarruf (التَّصَرُّف) – Kebebasan Bertindak Secara Mutlak. Ia bermaksud mengendalikan, mengubah, atau memperlakukan sesuatu mengikut kehendak sendiri. Sifat Tasarruf bagi Allah bermaksud Allah mempunyai hak dan kebebasan mutlak untuk melakukan apa sahaja ke atas milik-Nya (makhluk) tanpa perlu meminta izin, tanpa boleh dihalang, dan tanpa boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun. Ciri inilah yang digambarkan di dalam Ayat 26 ini; Allah berhak tasarruf dengan memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki, menghinakan sesiapa yang Dia kehendaki, menukar siang kepada malam, serta menghidupkan atau mematikan makhluk. Tiada undang-undang atau kuasa lain yang boleh menyekat tindakan (tasarruf) Allah.

Maka ayat ini merupakan satu pengajaran daripada Allah kepada Nabi-Nya, Muhammad صلى الله عليه وسلم, agar menyerahkan (menyerah bulat-bulat) segala urusan kepada-Nya. Dan khitab (seruan/perintah) yang ditujukan kepada baginda adalah ditujukan juga kepada umat baginda, kerana seruan yang ditujukan kepada seorang pemimpin (imam) dikira sebagai seruan untuk dirinya dan juga sesiapa yang mengikutinya, selagi mana tiada dalil yang menunjukkan bahawa perintah tersebut khusus untuk baginda sahaja.

 

Jadi Allah adalah مٰلِكَ المُلكِ. Maka doa ini bertawasul dengan dua nama Allah iaitu الله di dalam اللَّهُمَّ dan yang keduanya adalah مٰلِكَ المُلكِ. Maknanya sebelum berdoa lagi, kita sudah menyakini yang kita sekarang sedang meminta kepada Allah Tuhan yang mencipta segalanya dan kekuasaan adalah di TanganNya sepenuhnya. Jadi memang layak kita meminta kepadaNya.

Allah suruh beritahu kepada golongan Nasara itu dan bandingkan Nabi Isa yang mereka anggap sebagai Tuhan (Satu dalam Tiga) itu adalah baginda مٰلِكَ الْمُلْكِ? Tentu sekali tidak.

Kalimat مٰلِكَ المُلكِ dalam ayat ini juga menegaskan bahawa Allah adalah Pemilik Mutlak segala kekuasaan, yang berkuasa memberi atau mencabut kerajaan dan kemuliaan daripada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ia memusnahkan dakwaan kaum Yahudi dan Nasrani yang menanti-nantikan sebuah kerajaan akhir zaman, sama ada melalui kepulangan Nabi Isa atau kemunculan seorang pemimpin agung daripada keturunan Bani Israil. Ayat ini sebagai penolakan terhadap sikap takbur bangsa tersebut terhadap kuasa politik dunia.

Kaum Yahudi dan Nasrani sering mendakwa bahawa kekuasaan, kenabian, dan janji kerajaan akhir zaman adalah hak eksklusif bangsa atau keturunan tertentu (khususnya Bani Israil). Kalimat مٰلِكَ المُلكِ mengajar bahawa kerajaan tidak diwarisi secara mutlak oleh sesuatu bangsa akibat keturunan, sebaliknya ia adalah hak Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, termasuklah kepada Nabi Muhammad dan umat Islam yang bukan dari susur galur Bani Israil.

Walaupun penganut Yahudi menanti seorang “Messiah” (Raja penakluk dari keturunan Daud) dan Nasrani menanti kembalinya Nabi Isa a.s. untuk menegakkan kerajaan Tuhan di bumi, mereka menetapkan syarat perkauman dan menolak kenabian Nabi Muhammad SAW kerana baginda bukan dari Bani Israil. Allah melalui ayat ini mengingatkan bahawa penentuan siapa yang memegang tampuk kekuasaan dunia dan agama bukanlah terletak pada ramalan atau selera kaum tertentu, melainkan ketetapan mutlak kekuasaan Allah.

Dan Allah telah pernah menukar kerajaan di dunia ini dari tangan mereka.  Ayat ini mengandungi isyarat bahawa Allah akan mencabut kekuasaan daripada empayar-empayar besar dunia pada masa itu (seperti Rom dan Parsi yang didominasi atau diiringi pengaruh Ahli Kitab) dan menyerahkan sebahagian kekuasaan tersebut kepada umat Nabi Muhammad. Sehinggakan umat Islam pernah menguasai 2/3 dari kerajaan dunia.

 

تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,

Ini adalah salah satu bentuk dan bukti kekuasaan Allah dan pemilikanNya. Allah yang beri kuasa kerajaan di dunia. Perhatikan, Allah tidak kata Dia ‘milikkan’ kerajaan ini kepada makhluk, tapi ‘beri’ sahaja. Kerana ‘beri’ itu bersifat sementara dan boleh diambil balik.

Digunakan perkataan تُؤتِي (Engkau memberi) bagi menunjukkan bahawa kekuasaan itu diperoleh daripada Allah tanpa memerlukan kekuatan, kemenangan (melalui peperangan), ataupun pertikaian yang berpanjangan. Allah boleh beri sahaja kalau Dia mahu.

Jadi Allah boleh beri kerajaan dan pemerintahan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ini adalah antara perkara yang tidak dapat dijangka. Ada orang yang tidak pernah sangka akan menjadi raja, akhirnya menjadi raja. Sebagai contoh, dalam kerajaan Melayu dahulu, keturunan Raja-raja telah ditetapkan. Tetapi apabila Kerajaan British campur tangan, mereka telah menukar Sultan yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka dengan orang lain. Orang yang tidak sepatutnya menjadi raja, dia pula yang dinaikkan jadi Sultan. Maka kuasa pemerintahan ini boleh sahaja Allah berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu. Dia yang tetapkan.

Begitulah juga, Nabi Muhammad bukanlah berdakwah mengajar agama kerana hendakkan kuasa pemerintahan. Tetapi kuasa memerintah diberikan juga kepada baginda untuk menegakkan hukum agama. Ini kerana apabila hendak menegakkan undang-undang agama Islam, maka kenalah ada kerajaan dan kuasa dahulu. Jadi Tanah Arab yang tidak ada apa-apa sebelum itu, telah menjadi satu tempat yang hebat dan berkuasa dan dipandang tinggi oleh seantaro dunia.

Asbabun Nuzul: Ayat ini mengandungi isyarat yang umat Islam akan berkuasa menguasai orang kafir. Berita kejayaan ini telah diberikan kepada Rasulullah ketika peristiwa Perang Khandaq.

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ: أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَفْرِ الْخَنْدَقِ، قَالَ: وَعَرَضَتْ لَنَا صَخْرَةٌ فِي مَكَانٍ مِنْ الْخَنْدَقِ لاَ تَأْخُذُ فِيَهَا المَوَاعِينُ، فَشَكَوْهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ… فَأَخَذَ المِعْوَلَ فَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ»، فَضَرَبَ ضَرْبَةً فَكَسَرَ ثُلُثَ الصَّخْرَةِ، وَقَالَ: «اللَّهُ أَكْبَرُ، أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ الشَّامِ، وَاللَّهِ إِنِّي لأَبْصِرُ قُصُورَهَا الْحُمْرَ السَّاعَةَ

ثُمَّ ضَرَبَ الثَّانِيَةَ فَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ»، فَكَسَرَ ثُلُثًا آخَرَ، فَقَالَ: «اللَّهُ أَكْبَرُ، أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ فَارِسَ، وَاللَّهِ إِنِّي لأَبْصِرُ قَصْرَ المَدَائِنِ الأَبْيَضَ الآنَ

ثُمَّ ضَرَبَ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ»، فَقَطَعَ بَقِيَّةَ الْحَجَرِ، فَقَالَ: «اللَّهُ أَكْبَرُ، أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ الْيَمَنِ، وَاللَّهِ إِنِّي لأَبْصِرُ أَبْوَابَ صَنْعَاءَ مِنْ مَكَانِي هَذَا

Daripada al-Bara’ bin ‘Aazib RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menggali parit (ketika Perang Khandaq). Di satu sudut parit, kami terhalang oleh sebuah batu besar yang tersangat keras dan tidak dapat dipecahkan oleh peralatan kami. Lalu para sahabat mengadukan perkara itu kepada Rasulullah SAW…”

“Maka Rasulullah SAW datang, lalu Baginda mengambil cangkul/penukul besi dan mengucapkan: ‘Bismillah’. Baginda memukul batu itu sekali pukulan, lalu pecahlah sepertiga daripada batu tersebut. Baginda bersabda: ‘Allahu Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Syam. Demi Allah, sesungguhnya aku sedang melihat istana-istananya yang merah sekarang ini!’

“Kemudian Baginda memukul untuk kali kedua seraya mengucapkan: ‘Bismillah’, lalu pecah sepertiga batu yang lain. Baginda bersabda: ‘Allahu Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Parsi. Demi Allah, sesungguhnya aku sedang melihat istana Al-Mada’in yang putih sekarang ini!’

“Kemudian Baginda memukul untuk kali ketiga seraya mengucapkan: ‘Bismillah’, lalu pecahlah baki batu tersebut. Baginda bersabda: ‘Allahu Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Yaman. Demi Allah, sesungguhnya aku sedang melihat pintu-pintu kota San’a daripada tempatku berdiri ini!’

(HR an-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra, No. 8858 & Ahmad, No. 18721 — Hadis Hasan)

Kaum munafik yang menyaksikan peristiwa itu mengejek dan memperlekehkan sabda Nabi. Mereka berkata: “Lihatlah Muhammad, kami mahu buang air pun takut dan terpaksa bersembunyi di dalam parit, tetapi dia menjanjikan kami istana-istana Parsi dan Rom!” Begitu juga apabila hal ini ketahui oleh Ahli Kitab. Mereka juga mengejek Nabi Muhammad. Maka Allah menurunkan ayat ini sebagai respons untuk membantah ejekan orang munafik dan golongan Ahli Kitab, menegaskan bahawa kekuasaan, keagungan, dan kejatuhan sesebuah empayar besar (seperti Parsi dan Rom) adalah sepenuhnya di bawah genggaman kekuasaan Allah.

Apa yang hendak dihairankan, bukankah Allah telah berfirman di dalam Ayat 12 sebelum ini?

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini)

Allah suruh beritahu kepada golongan Nasara itu dan bandingkan Nabi Isa yang mereka anggap sebagai Tuhan (Satu dalam Tiga) itu adalah baginda boleh memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa? Tentu sekali tidak.

 

Begitulah nanti kita akan bertemu di dalam Ayat 140 وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ (Dan demikian itulah hari-hari [kejayaan dan kejatuhan], Kami gilirkan di antara manusia) yang merupakan satu prinsip politik yang boleh diambil daripada ayat-ayat ini. Tiada sesebuah bangsa, empayar, mahupun tamadun yang akan kekal berada di puncak kemuncak buat selamanya. Bangsa Rom pernah mempunyai zaman kegemilangan mereka; bangsa Parsi pernah mempunyai zaman mereka; umat Islam pernah mempunyai zaman mereka; dan bangsa Eropah juga pernah mempunyai zaman mereka. Setiap satu daripadanya bangkit, mencapai kemuncak, dan akhirnya merosot. Inilah sunnatullah (ketetapan Allah yang konsisten).

Dari sudut politik, perkara ini sepatutnya mencegah sifat sombong ketika mencapai kemenangan dan rasa putus asa ketika mengalami kekalahan. Negara-negara yang berkuasa pada masa ini tidak sepatutnya menjadi angkuh dengan menganggap dominasi mereka adalah kekal. Manakala negara-negara yang lemah pada masa ini pula tidak sepatutnya berputus asa, kerana mengetahui bahawa “giliran” itu akan kembali jika mereka memenuhi syarat-syaratnya. Pengajaran dari sudut psikologi dan politiknya ialah: sentiasa merendah diri ketika memegang kuasa, dan sentiasa mempunyai harapan ketika berada dalam keadaan tidak berdaya.

 

Frasa تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ menimbulkan satu persoalan politik dan teologi yang sukar: jika Allah yang memberikan kerajaan/kekuasaan, adakah ini bermakna setiap pemerintah itu sah? Adakah ini bermakna tindakan mereka adalah betul dari sudut moral?

Jawapannya ialah tidak. Contohnya Allah memberikan kekuasaan kepada Firaun, tetapi Firaun adalah seorang yang jahat. Allah memberikan kekuasaan kepada Namrud, tetapi Namrud adalah seorang zalim. Oleh itu, pemberian kerajaan oleh Allah tidak merujuk kepada keredaan atau kelulusan Ilahi terhadap tindakan pemerintah tersebut. Ia bermaksud Allah telah mentakdirkan kekuasaan itu bagi sesuatu tujuan. Kadang-kala untuk menguji rakyat di bawah pemerintah tersebut, kadang-kala untuk memberikan mereka apa yang mereka berhak dapat dari segi balasan atau pengajaran, dan kadang-kala sebagai sebahagian daripada perancangan-Nya yang lebih besar yang sedang berlaku. Kita pun tidak tahu dan tidak nampak.

Pengajaran politiknya: jangan menyamakan kekuasaan/kekuatan dengan kebenaran. Jangan menganggap bahawa hanya kerana sesebuah kerajaan itu berkuasa, maka ia adalah benar. Jangan menganggap bahawa hanya kerana seorang pemerintah mempunyai autoriti, maka Allah meredai perbuatannya. Kuasa ialah satu ujian, bukannya satu pengesahan keredaan dari Allah.

 

Seperti yang kita telah pernah sebut, Surah Ali Imran ini banyak menyentuh tentang golongan Nasara. Jadi Allah ada menggunakan konsep-konsep yang ada di dalam kitab mereka sendiri, untuk menarik minat mereka. Jadi jikalau kita perhatikan di dalam Daniel 4:17 ada disebut “…supaya orang yang hidup tahu bahawa Yang Maha Tinggi berkuasa atas kerajaan manusia. Dia mengurniakannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, malah Dia dapat mengangkat orang yang paling hina untuk mengepalainya.”

 

وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ

dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah boleh ambil balik kerajaan yang telah diberikanNya. Digunakan kalimah تَنزِعُ di sini kerana orang yang kuasa, takkan senang-senang dia hendak beri kuasanya itu. Maka ia akan dicabut darinya tanpa kerelaannya. Maka ayat ini mendidik kita yang kerajaan, milik kita, apa-apa sahaja, bukan hak kita sebenarnya. Kalau kita telah terima yang ia adalah milik Allah, maka kita tenang sahaja apabila ia diambil. Kalau kita lihat ahli politik sekarang, ada yang kita lihat mengamuk apabila kedudukannya ditarik, tapi ada juga yang tenang-tenang sahaja, tidak kecoh pun. orang sebeginilah yang kita hendak tiru – tenang sahaja kalau kuasa diambil kerana dia sedar yang asalnya kuasa itu pun bukan miliknya.

Ada kerajaan yang besar yang tak sangka boleh diambil. Dalam Al-Qur’an disebut berkali-kali tentang kerajaan Mesir yang hebat dipunyai oleh Firaun. Entah berapa mereka memerintah, tapi Allah begitu sahaja dan musnahkan kerajaan itu. Yang menjatuhkan kerajaan Allah naikkan anak angkat Firaun sendiri yang dia bela dan beri makan. Dan Firaun yang hebat dan bala tentera yang besar itu Allah kalahkan bagaimana? Dengan air sahaja.

Di dunia juga kita banyak melihat contoh-contohnya. Macam Allah ambil kekuasaan Hosni Mubarak di Mesir tidak lama dahulu. Kerajaan di Malaysia pun begitu juga. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tapi akhirnya jatuh juga. Itu memang tidak disangka. Kalau beberapa tahun sebelum itu ditanya adalah Hosni Mubarak akan kehilangan kuasa dia, orang yang pandang kita dan kata: “Engkau dah gila?”. Tapi segala-galanya dalam kekuasaan Allah. Allah boleh beri dan Allah boleh tarik. Kalau kita sedang berada di tampuk pemerintah tertinggi mana pun, ingatlah yang kita tidak selama-lamanya ada di situ. Maka bagi orang yang memerintah dan ada kerajaan, jangan rasa hebat sangat, jangan rasa selamat dan sangka akan berkuasa sampai bila-bila. Boleh sahaja Allah lucutkan kuasa itu tiba-tiba.

Jadi ayat-ayat ini mematahkan keangkuhan orang kafir. Ketika Allah mengkhabarkan bahawa orang-orang kafir itu akan dikalahkan, dan bahawa tiada sesiapa pun yang dapat menolong mereka, keadaan mereka (ketika mendengar berita itu) mendorong mereka untuk berkata: “Bagaimanakah kami boleh dikalahkan sedangkan kami mempunyai kekuatan dan bilangan yang ramai, manakala musuh kami pula sedikit dan lemah?” Maka Allah pun menyampaikan ayat-ayat ini sebagai pemberitahuan yang kerajaan dan kekuasaan ini semua milik Allah semua sekali.

 

Balaghah: Pemisahan antara تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ dan تَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ kepada dua frasa yang berbeza mengajar kita satu bentuk psikologi yang penting. Allah boleh sahaja gabungkan dengan berfirman تُؤتِي وَتَنزِعُ المُلكَ مَن تَشآءُ tapi Allah pisahkan. Ia mengajar kita untuk menangani satu corak psikologi yang beracun: pemikiran bahawa kejayaan orang lain adalah kerugian bagi diri kita, atau kerugian orang lain adalah keuntungan buat kita. Inilah hakikat kepada sifat dengki (hasad).

Apakah contoh pemikiran rosak ini? Iblis mencerminkan pemikiran ini: “Jika aku boleh membinasakan dia (Adam), maka aku akan berada di tempat yang lebih baik.” Firaun berfikir: “Jika aku boleh menghapuskan Musa, kerajaanku akan selamat.” Saudara-saudara Nabi Yusuf berfikir: “Jika kita menyingkirkan Yusuf, ayah kita akan lebih menyayangi kita.”

Allah sedang mengajar kita bahawa perkara-perkara ini tidak saling bergantung. Pemberian kepada seseorang tidak memerlukan pengambilan daripada orang lain. Pengambilan daripada seseorang pula tidak menjamin pemberian kepada orang lain. Perubahan sudut pandang ini membebaskan jiwa secara psikologi Anda boleh sahaja meraikan kejayaan orang lain tanpa rasa terancam, dan anda boleh melihat kejatuhan orang lain tanpa rasa puas hati. Rezeki anda, kedudukan anda, dan kemuliaan (‘izza) anda adalah terpisah dan tidak bergantung pada orang lain.

Kalau Allah beri rezeki kepada orang lain, itu rezeki dia, rezeki kita hari lain pula. Jangan banding-bandingkan dengan orang lain, susah hidup kita jadinya. Kalau kita dapat rezeki, bukannya kita ambil rezeki orang lain; kalau kita tidak dapat sesuatu yang kita hendak, bukannya ia diberikan kepada orang lain. Allah boleh sahaja beri tanpa ambil dari sesiapa.

 

Ibnu Abbas ada menafsirkan lafaz al-Mulk dalam ayat ini adalah an-nubuwwah. Kerana ada kekuasaan kepemimpinan dalam nubuwwah juga. Maksudnya Allah boleh memberi dan menarik nubuwwah dari golongan mana-mana sahaja dan diberikan kepada mereka yang lain. Sebagaimana dulu Allah beri wahyu kepada para Nabi dari kalangan Bani Israil, tapi kemudian Allah telah tarik dan beri kepada Bani Ismail iaitu Nabi Muhammad dari Bani Ismail – bangsa Arab.

 

Apakah mesej kepada Nasara ketika itu? Allah suruh beritahu kepada golongan Nasara itu supaya mereka bandingkan Nabi Isa yang mereka anggap sebagai Tuhan (Satu dalam Tiga) itu adakah baginda boleh menjatuhkan kuasa pemerintahan daripada sesiapa? Tentu sekali tidak. Beri pun tidak boleh, ambil pun tidak boleh.

 

Balaghah: Pada firman Allah تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ, didahulukan penyebutan tentang “pemberian” (الإيتاءِ) sebelum “pencabutan” (النَّزع) adalah sebagai isyarat bahawa seorang pendakwah itu sewajarnya bermula dengan targhib (memberikan galakan/dorongan). Manakala firman-Nya وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ di dalamnya terdapat isyarat bahawa sekiranya dakwah secara lembut tidak memberikan kesan, maka ia diikuti pula dengan tarhib (memberikan amaran/peringatan).

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 21 September 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Maani