Tafsir Surah Baqarah Ayat 273 – 274 (Infak kepada ahli agama)

MEMBERI KEPADA MEREKA YANG MEMERLUKAN

Baqarah Ayat 273: Allah ‎ﷻ ajar kita untuk memilih tempat infak dengan terbaik. Infak yang elok adalah kepada fakir miskin seperti yang telah disebut. Namun yang terbaik adalah kepada fakir miskin yang sedang menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

لِلفُقَراءِ الَّذينَ أُحصِروا في سَبيلِ اللَّهِ لا يَستَطيعونَ ضَربًا فِي الأَرضِ يَحسَبُهُمُ الجاهِلُ أَغنِياءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعرِفُهُم بِسيمٰهُم لا يَسأَلونَ النّاسَ إِلحافًا ۗ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
[Charity is] for the poor who have been restricted for the cause of Allah , unable to move about in the land. An ignorant [person] would think them self-sufficient because of their restraint, but you will know them by their [characteristic] sign. They do not ask people persistently [or at all]. And whatever you spend of good – indeed, Allah is Knowing of it.

MALAY
Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

 

لِلفُقَراءِ الَّذينَ أُحصِروا في سَبيلِ اللَّهِ

Bagi orang-orang fakir miskin yang terikat pada jalan Allah

Infak terbaik yang boleh kita berikan adalah kepada fakir miskin yang terikat mereka itu di jalan Allah ‎ﷻ. Mereka terhalang mencari rezeki seperti manusia yang lain kerana mereka telah meletakkan diri mereka pada jalan Allah. Sebab fakir miskin ada juga yang tidak baik, tidak beriman dan mungkin jadi fakir sebab mereka malas bekerja sahaja. Akan tetapi ada fakir miskin yang mengajar agama, berdakwah dan kerja-kerja lain dalam agama. Allah ﷻ berfirman di dalam Tawbah:122

وَما كانَ المُؤمِنونَ لِيَنفِروا كافَّةً ۚ فَلَولا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ مِّنهُم طائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهوا فِي الدّينِ وَلِيُنذِروا قَومَهُم إِذا رَجَعوا إِلَيهِم لَعَلَّهُم يَحذَرونَ
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.

Mereka telah ‘mengikat’ diri mereka di jalan Allah ‎ﷻ sampai tidak ada masa mencari harta. Mungkin mereka telah mewakafkan diri mereka untuk mengajar Al-Qur’an kepada masyarakat atau mengajar hadith kepada manusia. Infak kepada mereka seperti ini adalah yang terbaik.

Begitulah pada zaman Nabi dahulu, ada golongan yang dikenali sebagai Ahlus Suffah. Mereka ini golongan yang dhaif yang tidak ada harta, malah tubuh badan pun tidak kuat untuk berjihad. Mereka ini duduk tinggal di serambi Masjid Nabawi dan mereka itu belajar agama. Bilangan mereka tidak disepakati boleh jadi antara 200 ke 400 orang. Mereka ini ada yang duduk seketika belajar dan kemudian kembali ke kampung asal mereka untuk mengajar agama di sana pula. Maka Allah ﷻ menganjurkan pada sahabat supaya jangan dilupai mereka ini. Bantulah mereka kerana mereka dhaif dan mereka ada keperluan belajar agama.

Kalau zaman sekarang, ada golongan agamawan yang mewakafkan diri mereka untuk belajar agama dan mengajar agama. Mereka mendalami agama lebih mendalam daripada orang kebanyakan supaya mereka boleh menjawab persoalan daripada masyarakat. Mereka menjadi pakar rujuk yang diperlukan oleh masyarakat. Kerana mereka fokus kepada belajar agama, maka mereka tidak bekerja. Kerana kalau bekerja, sudah terbahagi pula masa mereka dan tidaklah mereka boleh mendalami agama. Maka kepada golongan ini patutlah dibantu untuk kehidupan mereka.

 

لا يَستَطيعونَ ضَربًا فِي الأَرضِ

yang tidak berupaya berjalan di muka bumi (untuk mencari rezeki)

Mereka tidak sempat ke sana sini untuk mencari rezeki kerana sibuk mengajar. Kalimah ضَربًا asalnya bermaksud ‘memukul’. Di sini ia membawa maksud mengembara kerana orang yang berjalan kaki (mengembara) itu kaki mereka memukul tanah, bukan? Mereka ini perlu dibantu untuk kelangsungan hidup mereka kerana kalau mereka sibuk cari pendapatan, mereka akan kurang kerja pada agama pula. Kita kena sedar yang mereka itu bukan malas bekerja, tetapi mereka rasa tugas mereka mengajar atau berdakwah itu lebih penting lagi untuk kepentingan masyarakat.

Ada juga guru agama yang ada kerja dan mereka mengajar separuh masa. Maka mereka seperti ini tidak memerlukan bantuan orang lain. Mereka lebih suka tidak mengambil apa-apa daripada anak murid. Namun ada guru agama yang memang sepenuh hidup mereka mengajar agama. Mereka tidak ada kerja lain. Maka kepada mereka yang sebegini, kenalah bantu mereka. Tidak perlu tunggu mereka meminta. Mereka ini sepatutnya dibayar gajinya oleh pihak kerajaan, akan tetapi ramai yang tidak sampai bantuan kepada mereka.

 

يَحسَبُهُمُ الجاهِلُ أَغنِياءَ مِنَ التَّعَفُّفِ

orang yang jahil menyangka mereka itu kaya kerana kerana mereka menahan diri daripada meminta.

Orang yang jahil tidak pandai melihat di sebalik perkara yang jelas, tentu akan menyangka mereka yang mengajar itu kaya raya sebab mereka itu tidak meminta-minta kerana mereka tahan diri mereka daripada meminta. Kalimah تَعَفُّفِ daripada kata dasar: ع ف ف yang bermaksud menahan diri daripada perkara yang salah, sederhana, pantang.

Maksud jahil di dalam ayat ini adalah tidak mengetahui tentang hal orang fakir itu. Mereka mungkin orang yang ada ilmu agama tetapi mungkin dia tidak ambil tahu tentang orang itu. Yang jahil menyangka, orang yang susah tentulah minta tolong, bukan? Akan tetapi guru-guru agama itu tidak meminta-minta tolong pun, relaks sahaja nampaknya. Jadi orang jahil sangka: Mereka tidak minta tolong, tentu mereka itu sudah cukup keperluan.

Inilah salah faham manusia dan bukan semua boleh nampak. Ingatlah yang mengajar itu tidak meminta-minta dengan orang, tetapi mereka akan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ akan bantu mereka kerana Allah ‎ﷻ sudah berjanji untuk beri jalan keluar kepada orang yang bertaqwa. Mereka ini ada iffah, iaitu tidaklah mereka meminta-minta kepada orang. Sebenarnya meminta itu tidak bagus sebenarnya.

أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ الْمِسْكِينُ الَّذِي تَرُدُّهُ التَّمْرَةُ وَالتَّمْرَتَانِ وَلَا اللُّقْمَةُ وَلَا اللُّقْمَتَانِ إِنَّمَا الْمِسْكِينُ الَّذِي يَتَعَفَّفُ وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ يَعْنِي قَوْلَهُ { لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا }
Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Nabi ﷺ bersabda: “Orang yang miskin bukanlah orang yang merasa telah cukup dengan satu atau dua buah kurma, atau sesuap atau dua suap makanan. Tetapi orang miskin adalah orang yang tidak meminta-minta dan tidak menunjukkan kemiskinannya kepada orang lain. Jika kalian mahu, bacalah firman Allah: “Mereka tidak meminta-minta kepada orang lain.” (Al Baqarah:273).
(Sahih Bukhari No. 4175)

Apakah itu iffah? Dalam Islam, ‘Iffah (العِفَّة) adalah sebuah konsep akhlak yang sangat penting dan luas maknanya. Ia sering diterjemahkan sebagai menjaga kehormatan diri, kesucian, atau menahan diri daripada perkara-perkara yang haram atau tidak patut.

Secara lebih mendalam, ‘Iffah adalah:

1. Menahan Diri daripada Syahwat Haram: Ini adalah makna yang paling sering dikaitkan dengan ‘Iffah, terutamanya dalam konteks wanita. Ia merujuk kepada kemampuan seseorang untuk mengendalikan hawa nafsu dan syahwatnya daripada terjerumus ke dalam perbuatan zina, maksiat, atau perkara-perkara yang dilarang oleh syarak, terutamanya yang berkaitan dengan kehormatan diri dan seksualiti. Ia melibatkan menundukkan pandangan (ghaddul bashar), menjaga kemaluan, dan menjauhi pergaulan bebas.

2. Menjaga Maruah Diri daripada Perkara yang Merendahkan: ‘Iffah bukan hanya terbatas pada aspek seksual, tetapi juga merangkumi menjaga diri daripada segala bentuk kehinaan, kerendahan, atau perbuatan yang boleh mencemarkan maruah dan harga diri, sama ada dari sudut pandangan syarak mahupun pandangan masyarakat yang baik. Ini termasuk:

    • Menahan diri daripada meminta-minta: Orang yang memiliki ‘Iffah tidak akan mudah meminta-minta kepada orang lain walaupun dalam keadaan kesusahan, sebaliknya mereka akan berusaha mencari rezeki sendiri dan bersabar. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam ayat Baqarah:273 ini.
    • Menjaga lisan: Tidak berkata-kata kotor, mencarut, mengumpat, atau membuka aib orang lain.
    • Menjaga tingkah laku: Berperilaku sopan, tidak sombong, tidak berlebihan dalam penampilan atau gaya hidup yang boleh mengundang fitnah atau pandangan negatif.
    • Menjaga harta: Tidak mengambil harta yang haram (seperti rasuah, mencuri, riba) dan mengelola harta dengan jujur.

3. Kesederhanaan dan Rasa Cukup (Qana’ah): ‘Iffah juga berkait rapat dengan sifat qana’ah, iaitu merasa cukup dengan apa yang dimiliki dan tidak tamak atau menginginkan apa yang ada di tangan orang lain secara tidak wajar. Ia adalah sikap puas dengan rezeki yang halal walaupun sedikit, dan tidak mengejar kemewahan dunia secara berlebihan.

4. Mengawal Diri: Pada intinya, ‘Iffah adalah kemampuan untuk mengawal dan menguasai hawa nafsu serta keinginan diri agar sentiasa selari dengan tuntutan syarak dan akal yang sihat. Ia adalah benteng pertahanan diri daripada godaan dunia dan syaitan.

Malah dalam hadith Rasulullah ﷺ, baginda sering berdoa:

اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى ، والتُّقَى ، والعَفَافَ ، والغِنَى
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketaqwaan, ‘afaf (iffah), dan kecukupan (kekayaan jiwa/qana’ah).”
(HR. Muslim)

Maka amat penting mereka ini jangan dilupakan. Kita kena ingat ada orang yang meminta dan ada yang tidak meminta. Jangan kita beri kepada yang meminta sahaja kerana Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Ma’arij:24-25

وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ (24) لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ (25)
“Dan orang-orang (mukmin yang bertaqwa) yang di dalam harta mereka ada bahagian yang tertentu, (24) Iaitu bagi orang yang meminta dan orang yang tidak meminta.”

 

تَعرِفُهُم بِسيمٰهُم

Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka 

Kamu yang mengaji agama akan kenal mereka yang memerlukan pertolongan dengan melihat cara hidup mereka. Ini kerana orang yang mengaji agama mereka akan dapat apa yang dinamakan firasat. Lihatlah bagaimana cara mereka pakai, bagaimana cara mereka makan dan sebagainya. Kadangkala kita boleh perhatikan seseorang itu bersih bajunya dan sihat mukanya dan mungkin tersenyum sahaja, namun pada pakaian itu ada tanda dijahit-jahit, maka tahulah kita yang dia adalah orang yang susah.

Maka kena sensitiflah sedikit dengan memerhatikan memek muka mereka, pakaian mereka, cara mereka bercakap yang mungkin mereka ada sebut keperluan mereka dengan amat berhalus. Dalam hal ini kena faham-fahamlah. Kena lebih banyak mendengar yang tersirat daripada yang tersurat.

 

لا يَسأَلونَ النّاسَ إِلحافًا

mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. 

Mereka tidak suka meminta dan menahan diri mereka daripada meminta. Namun kalau pun mereka terdesak sangat dan terpaksa meminta, beginilah cara mereka. Mereka tidak meminta kepada manusia dengan cara bersungguh-sungguh atau mendesak-desak. Kalimah إِلحَافًا‌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘permintaan yang membosankan’. Ia dari kata dasar: ل ح ف yang bermaksud menutup dengan kain, berselimut, mendesak, meminta-minta dengan desakan, berterusan.

Maknanya mereka tidak minta dengan cara yang memalukan. Mereka tidak memalukan diri mereka dengan minta dengan cara yang kuat. Mungkin mereka beri isyarat sahaja dan kalau dia nampak kita macam berat hendak beri, dia dengan segera kata sebenarnya dia tidak perlukan pun. Mereka yang jahil, akan rasa kalau dia tidak minta bersungguh-sungguh, tentulah dia tidak perlu mana.

Namun Allah ‎ﷻ sudah beritahu sifat mereka – mereka tidak mendesak. Mereka memang memerlukan, tetapi mereka tidak mendesak-desak seperti orang lain. Ini kerana pengharapan mereka telah letakkan pada Allah ‎ﷻ. Tambahan pula dalam kerja mengajar agama ini, takut orang salah faham. Ramai yang jahil menuduh orang yang mengajar agama kerana hendakkan duit masyarakat.

Dalam Islam, meminta-minta (التسول – at-tasawwul) atau mengemis, terutamanya jika dilakukan tanpa keperluan mendesak atau dijadikan profesion, adalah perbuatan yang sangat tidak digalakkan dan dianggap sebagai suatu keburukan. Islam menggalakkan umatnya untuk berusaha mencari rezeki yang halal dan menjaga kehormatan diri (`iffah). Perbuatan mengemis itu tidak baik seperti sabda Rasulullah ﷺ,

لاَ يَزَالُ الرَّجُلُ يَسْأَلُ حَتَّى يَأْتِيَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَيْسَ فِي وَجْهِهِ مُزْعَةُ لَحْمٍ
“Seseorang itu sentiasa meminta-minta (mengemis) sehingga dia datang pada hari Kiamat dengan tidak ada sepotong daging pun di wajahnya.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Kitab Az-Zakah, No. Hadith: 1474; Muslim, Kitab Az-Zakah, No. Hadith: 1040)

Secara umumnya, agama Islam sangat menggalakkan umatnya untuk:

    • Bekerja keras mencari rezeki yang halal.
    • Menjaga kehormatan diri (`iffah) dan tidak menampakkan kehinaan.
    • Bersifat qana’ah (merasa cukup) dan bertawakal kepada Allah ‎ﷻ.
    • Bersabar dalam menghadapi kesusahan dan bergantung sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, meminta-minta adalah keburukan yang harus dijauhi, melainkan dalam keadaan darurat yang tidak ada pilihan lain. Para sahabat dididik oleh Rasulullah ﷺ supaya bergantung kepada Allah ‎ﷻ sahaja dan tidak bergantung dengan manusia. Sampaikan ada para sahabat yang berbaiah dengan Nabi Muhammad ﷺ supaya langsung tidak meminta tolong kepada manusia di dalam hal yang sebenarnya diperbolehkan. Ini untuk mendidik jiwa mereka supaya tidak berharap dengan manusia. Ini seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Auf bin Malik Al-Asyja’ie رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

عن عوف بن مالك الأشجعي رضي الله عنه قال: كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم تِسْعَةً أَوْ ثَمَانِيَةً أَوْ سَبْعَةً، فَقَالَ: “أَلاَ تُبَايِعُونَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم؟” فَبَسَطْنَا أَيْدِيَنَا، وَقُلْنَا: قَدْ بَايَعْنَاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ: “عَلَى أَنْ تَعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، وَالصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ، وَتُطِيعُوا – وَذَكَرَ كَلِمَةً خَفِيَةً – وَلاَ تَسْأَلُوا النَّاسَ شَيْئًا”. فَلَقَدْ رَأَيْتُ بَعْضَ أُولَئِكَ النَّفَرِ يَسْقُطُ سَوْطُ أَحَدِهِمْ فَمَا يَسْأَلُ أَحَدًا يُنَاوِلُهُ إِيَّاهُ
Daripada Auf bin Malik Al-Asyja’ie رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Kami pernah berada di sisi Rasulullah ﷺ, sembilan atau lapan atau tujuh orang. Lalu Baginda bersabda: ‘Tidakkah kalian mahu berbai’ah kepada Rasulullah ﷺ?’ Maka kami menghulurkan tangan-tangan kami dan berkata: ‘Sungguh kami telah berbai’ah kepadamu wahai Rasulullah.’ Maka Baginda bersabda: ‘Di atas dasar kalian menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, menunaikan solat lima waktu, dan mentaati – Baginda menyebutkan perkataan yang perlahan (tidak jelas) – dan tidak akan meminta-minta kepada manusia sedikit pun.’ Maka sungguh aku melihat sebahagian daripada mereka (yang berbai’ah itu), jika cambuk salah seorang daripada mereka jatuh, dia tidak akan meminta sesiapa pun untuk mengambilkannya untuknya (dia akan turun sendiri dan mengambilnya).”
(Riwayat Muslim, Kitab Az-Zakah, No. Hadith: 1043)

Ada sebuah hadith lagi tentang bagaimana Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kelaparan sangat. Beliau sebenarnya mengharap dijemput makan daripada para sahabat yang lain. Akan tetapi beliau tidaklah meminta dengan jelas namun berharap mereka tahu. Akhirnya yang menjemput beliau makan adalah Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: (وَاللَّهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ إِنْ كُنْتُ لأَلْصَقَ كَبِدِي بِالأَرْضِ مِنَ الجُوعِ، وَإِنْ كُنْتُ لأَشُدُّ الحَجَرَ عَلَى بَطْنِي مِنَ الجُوعِ، وَلَقَدْ قَعَدْتُ يَوْمًا فِي طَرِيقِهِمُ الَّذِي يَخْرُجُونَ مِنْهُ، فَمَرَّ أَبُو بَكْرٍ فَسَأَلْتُهُ عَنْ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَا سَأَلْتُهُ إِلَّا لِيُشْبِعَنِي، فَمَرَّ وَلَمْ يَفْعَلْ. ثُمَّ مَرَّ عُمَرُ فَسَأَلْتُهُ عَنْ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَا سَأَلْتُهُ إِلَّا لِيُشْبِعَنِي، فَمَرَّ وَلَمْ يَفْعَلْ. ثُمَّ مَرَّ أَبُو القَاسِمِ صلى الله عليه وسلم فَتَبَسَّمَ حِينَ رَآنِي وَعَرَفَ مَا فِي وَجْهِي وَمَا فِي نَفْسِي… إلخ).

Terjemahan (Ringkasan daripada riwayat panjang):

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sungguh aku pernah menekapkan perutku ke tanah kerana kelaparan, dan sungguh aku pernah mengikat batu di perutku kerana kelaparan. Suatu hari aku duduk di jalan yang biasa mereka (para sahabat) lalui. Maka Abu Bakar lalu, maka aku bertanya kepadanya tentang satu ayat daripada Kitabullah, tidaklah aku bertanya kepadanya melainkan agar dia memberiku makan. Namun dia berlalu dan tidak melakukannya. Kemudian Umar lalu, maka aku bertanya kepadanya tentang satu ayat daripada Kitabullah, tidaklah aku bertanya kepadanya melainkan agar dia memberiku makan. Namun dia berlalu dan tidak melakukannya. Kemudian Abu Al-Qasim (Nabi Muhammad ﷺ)  lalu, lalu baginda tersenyum ketika melihatku dan mengetahui apa yang ada di wajahku dan apa yang ada dalam diriku…”

Pada riwayat yang lebih panjang, Nabi memanggil Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan mengajaknya pulang ke rumah baginda.

“…Kemudian Nabi ﷺ berkata: ‘Wahai Abu Hurairah!’ Aku menjawab: ‘Aku di sini, wahai Rasulullah!’ Baginda berkata: ‘Pergilah dan panggillah Ahlus Suffah (orang-orang fakir yang tinggal di serambi Masjid Nabawi) ke mari.'”

Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ merasa berat hati kerana susu yang ada dalam bejana di rumah Nabi ﷺ kelihatan sedikit dan beliau sendiri sangat lapar, namun beliau tetap patuh. Beliau membawa Ahlus Suffah yang berjumlah sekitar 70 orang.

“…Kemudian Nabi ﷺ berkata: ‘Wahai Abu Hurairah, ambil bejana ini dan berikan kepada mereka.’ Aku pun mengambil bejana itu dan memberikannya kepada seorang demi seorang, mereka minum sehingga kenyang. Aku terus memberikan kepada mereka sehingga semua Ahlus Suffah minum dan kenyang. Aku menyangkakan tiada apa yang akan tinggal untukku. Ketika semua selesai minum, aku menyerahkan bejana itu kepada Nabi ﷺ.”

“…Lalu Nabi ﷺ mengambil bejana itu, meletakkannya di tangan Baginda, memandang kepadaku dan tersenyum seraya bersabda: ‘Wahai Abu Hurairah!’ Aku menjawab: ‘Aku di sini, wahai Rasulullah!’ Baginda bersabda: ‘Sekarang tinggal aku dan kamu.’ Aku berkata: ‘Benar, wahai Rasulullah!’ Baginda bersabda: ‘Duduklah dan minumlah.’ Aku pun duduk dan minum. Baginda terus berkata: ‘Minumlah!’ dan aku terus minum, sehingga aku berkata: ‘Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, aku sudah tidak ada ruang lagi (di perutku) untuk susu ini!’ Baginda bersabda: ‘Kalau begitu, berikan kepadaku.’ Maka aku berikan bejana itu kepada Baginda, lalu Baginda memuji Allah dan membaca basmalah, kemudian meminum sisa susu itu.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Kitab Ar-Riqaq, No. Hadith: 6452)

Maka ini mengajar kita jangan suka meminta-minta. Kalau terpaksa meminta pun, jangan mendesak. Yang penting, kalau tidak ada keperluan, jangan meminta. Ada ulama’ mengatakan ia adalah haram berdasarkan hadith ini,

مَنْ سَأَلَ النَّاسَ وَعِنْدَهُ مَا يُغْنِيهِ، فَإِنَّمَا يَسْتَكْثِرُ مِنَ النَّارِ
“Sesiapa yang meminta-minta kepada orang ramai padahal dia mempunyai sesuatu yang mencukupkannya, maka sesungguhnya dia memperbanyakkan (memakan) bara api (neraka).”
(Hadith Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya, No. Hadith: 2368. Diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad dan lainnya. Disahihkan oleh Syeikh Al-Albani.)

Jadi bagaimana dengan orang kita yang asyik meminta daripada kerajaan, daripada BaitulMal, daripada kawan-kawan dia minta belanja? Kalau memang ada keperluan tidak mengapa, tetapi kalau segala keperluan cukup namun hanya hendak jimatkan duit sendiri, bagaimana? Tentulah tidak elok. Maka ingatlah sebuah hadith yang semua orang pernah dengar agaknya. Jangan menghinakan diri kita sendiri.

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى
“Tangan yang di atas (memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (meminta).”
(Hadith Riwayat Bukhari, Kitab Az-Zakah, No. Hadith: 1429; Muslim, Kitab Az-Zakah, No. Hadith: 1033)

Maka cubalah menahan diri kita daripada meminta. Lebih baik kita gunakan tulang empat kerat kita untuk mencari sendiri rezeki seperti sabda Rasulullah ﷺ,

لَأَنْ يَحْتَطِبَ أَحَدُكُمْ حُزْمَةً عَلَى ظَهْرِهِ، خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ أَحَدًا، فَيُعْطِيَهُ أَوْ يَمْنَعَهُ
“Sesungguhnya seseorang daripada kalian mengambil tali-talinya, lalu dia pergi ke gunung dan mencari seikat kayu bakar untuk dibawa di belakangnya lalu dijualnya, itu lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada manusia, sama ada diberi atau dihalau (tidak diberi).”
(Hadith Riwayat Bukhari, Kitab Az-Zakat, No. Hadis: 1471; dan Muslim, Kitab Az-Zakat, No. Hadith: 1042)

 

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

Allah ‎ﷻ beri lagi motivasi kepada kita untuk infak dan sedekah. Entah berapa kali Allah ‎ﷻ sudah beritahu. Maka kena ingatlah perkara ini. Pahala amat banyak bagi mereka yang infakkan harta mereka di jalan Allah.

Sekian Ruku’ 37 daripada 40 surah ini


 

Baqarah Ayat 274: Ini adalah ayat terakhir tentang infak. Sekarang Allah ﷻ beritahu bila infak itu diberikan dan cara untuk melakukannya.

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ سِرًّا وَعَلانِيَةً فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Those who spend their wealth [in Allah ‘s way] by night and by day, secretly and publicly – they will have their reward with their Lord. And no fear will there be concerning them, nor will they grieve.

MALAY
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

 

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) harta-harta mereka pada waktu malam dan siang, 

Allah ﷻ menggunakan kalimah يُنفِقونَ di dalam bentuk fi’il mudhari‘ yang memberi isyarat yang mereka itu bersedekah sentiasa, bukan sekali dua sahaja. Maksud malam dan siang itu adalah ‘sentiasa’. Maknanya memberi infak tidak kira masa sebenarnya, tidak ada masa khusus seperti sedekah subuh dan sebagainya. Ini mengajar kita bahawa infak itu perlu dilakukan berterusan. Perlu dilakukan setiap masa dan bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Bila ada peluang sahaja, kita jalankan infak kita. Mata kita sentiasa mencari peluang untuk menolong orang lain.

Disebut malam sebelum siang kerana kalau sedekah siang biasa sahaja, tetapi kalau sedekah waktu malam lebih hebat. Ini kerana mungkin ada orang yang waktu malam pula yang dia amat memerlukan dan kita kalau melayan orang pada waktu begini lebih hebat lagi. Disebut malam dahulu juga kerana sebelum ini telah disebut tentang kelebihan sedekah dengan secara rahsia. Maka malam-malam ada waktu yang amat sesuai untuk bersedekah secara rahsia.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ menggunakan kalimah أَموٰلَهُم (harta-harta mereka) sahaja tanpa kalimah من (sebahagian daripada). Maka tidak ada had untuk infak. Maka kerana itu ada kisah Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menginfak seluruh hartanya dan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mensedekahkan separuh hartanya. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dan lain-lain, terutamanya daripada Zaid bin Aslam, daripada ayahnya, dari Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sendiri:

عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رضي الله عنه يَقُولُ: “أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمًا أَنْ نَتَصَدَّقَ، فَوَافَقَ ذَلِكَ عِنْدِي مَالاً، فَقُلْتُ: الْيَوْمَ أَسْبِقُ أَبَا بَكْرٍ إِنْ سَبَقْتُهُ يَوْمًا، فَجِئْتُ بِنِصْفِ مَالِي، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ؟” قُلْتُ: أَبْقَيْتُ لَهُمْ مِثْلَهُ. قَالَ: وَجَاءَ أَبُو بَكْرٍ بِكُلِّ مَا عِنْدَهُ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ يَا أَبَا بَكْرٍ؟” فَقَالَ: “أَبْقَيْتُ لَهُمُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ”. قُلْتُ: لَا أُسَابِقُكَ إِلَى شَيْءٍ أَبَدًا”
Daripada Zaid bin Aslam, daripada ayahnya, dia berkata: Aku mendengar Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Rasulullah ﷺ pada suatu hari memerintahkan kami untuk bersedekah. Kebetulan pada waktu itu aku mempunyai harta. Maka aku berkata dalam hati, ‘Hari ini aku akan mengalahkan Abu Bakar jika suatu hari aku mampu mengalahkannya.’ Maka aku pun datang dengan separuh hartaku. Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: ‘Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?’ Aku menjawab: ‘Aku tinggalkan untuk mereka separuh daripadanya (seperti yang kubawa ini).’ Kemudian Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dengan membawa seluruh hartanya. Rasulullah ﷺ bertanya kepadanya: ‘Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu, wahai Abu Bakar?’ Maka Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: ‘Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.’ Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: ‘Demi Allah, aku tidak akan pernah dapat mengalahkanmu dalam apa pun selama-lamanya!'”
(Riwayat At-Tirmidzi, Kitab Al-Manaqib, No. Hadith: 3675. At-Tirmidzi berkata: Hadith ini Hasan Sahih.)

 

سِرًّا وَعَلانِيَةً

dengan cara sulit atau terbuka, 

Kadang-kadang kita infak secara senyap dan tersembunyi سِرًّا dan kadang-kadang kita terpaksa infak di depan orang yang melihat kita عَلانِيَةً. Kalimah عَلانِيَةً daripada kata dasar ع ل ن yang bermaksud terbuka atau terzahir  kepada umum, diketahui. Kita bukannya sengaja hendak tunjuk tetapi waktu itu memang ada orang lain. Maknanya bila ada peluang sahaja, kita akan infakkan harta kita. Sama ada secara senyap atau tidak. Takkan kalau ada orang minta kita di khalayak ramai kita tidak terus beri, suruh dia datang senyap-senyap pula.

Di dalam Ali Imran:134 disebut dua lagi cara:

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah

 

Asbabun Nuzul (Sebab Turun) Ayat Al-Baqarah: 274

Ayat ini diturunkan untuk memuji dan menggalakkan amalan infak (bersedekah) secara berterusan dan dalam pelbagai keadaan, sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi. Meskipun ayat ini bersifat umum dan berlaku untuk semua orang yang berinfak seperti yang digambarkan, terdapat beberapa riwayat mengenai sebab turunnya yang mengaitkannya dengan individu atau kumpulan tertentu:

1. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dan lain-lain (tentang Ali bin Abi Talib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ): Riwayat yang paling masyhur menyebutkan bahawa ayat ini turun berkaitan dengan Ali bin Abi Talib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Diceritakan bahawa beliau hanya memiliki empat dirham. Beliau menyedekahkan satu dirham pada waktu malam secara rahsia, satu dirham pada waktu siang secara rahsia, satu dirham pada waktu malam secara terang-terangan, dan satu dirham pada waktu siang secara terang-terangan. Setelah itu, ayat ini diturunkan. Ini adalah riwayat yang kuat dan sering disebut dalam kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibnu Katsir dan Al-Qurtubi. Ia menunjukkan bahawa Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah teladan dalam mengaplikasikan spektrum infak yang disebutkan dalam ayat ini.

2. Diriwayatkan daripada Al-Kalbi (tentang Abdul Rahman bin Auf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ): Ada juga riwayat yang menyebutkan ayat ini diturunkan berkaitan dengan Abdul Rahman bin Auf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Beliau bersedekah 40,000 dinar pada suatu malam, kemudian 40,000 dinar pada waktu siang, dan begitu seterusnya. Ini menunjukkan kemurahan hati beliau yang sangat besar dan berterusan.

3. Diriwayatkan daripada Al-Hasan Al-Basri (tentang umum para sahabat): Sebahagian ulama tafsir berpendapat bahawa ayat ini turun untuk memuji mereka yang senantiasa berinfak (para sahabat), sama ada pada waktu malam atau siang, secara rahsia atau terang-terangan, dan tidak terikat kepada individu tertentu. Ia adalah gambaran umum tentang sifat orang Mukmin yang dermawan.

 

فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, 

Allah ‎ﷻ menjadikan pahala dari sisi-Nya. Kalau Allah ‎ﷻ kata ia dari Sisi-Nya, tentulah ia adalah amat besar sekali. Tidak dapat dibayangkan bagaimana banyaknya pahala itu.

 

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Takut dan bimbang adalah untuk perkara yang akan datang (ia belum berlaku). Orang yang takut adalah orang yang takut harta mereka tidak cukup setelah diberi orang. Namun mereka yang ikhlas dan telah mengikuti syarat-syarat itu tidak akan takut untuk menghadapi akhirat kerana mereka ada bekal. Allah ‎ﷻ akan beri kesenangan kepada mereka di akhirat kelak. Di akhirat nanti pahala infak itu semua akan menunggu mereka.

Kalau di dunia pula, mereka tidak takut harta mereka berkurang. Kerana mereka percaya bahawa Allah ‎ﷻ akan gantikan dan cukupkan segala keperluannya. Begitulah pernah ada cakap dengan saya, orang Arab dalam memberi seolah-olah mereka tidak takut miskin kerana mereka senang sahaja memberi. Mungkin didikan daripada ayat-ayat Al-Qur’an agaknya.

Mereka yakin Allah ‎ﷻ akan ganti rezeki yang mereka telah infak itu. Kena ingat yang rezeki itu ada dua jenis: aktif dan pasif. Kalau dalam bentuk pasif itu kita senang nampak pada gajinya, hartanya, rumah dan keretanya. Akan tetapi ada satu jenis rezeki dalam bentuk pasif yang kita sukar nampak, iaitu terhindarnya daripada hal-hal yang memerlukan biaya. Ada orang gajinya besar tetapi ada banyak keperluan atau masalah hidupnya sampai gajinya yang besar itu habis untuk menyelesaikan masalahnya. Namun ada orang yang Allah ‎ﷻ tidak beri pendapatan yang besar tetapi Allah ‎ﷻ tidak kenakan dia dengan masalah yang memerlukan belanja sampaikan pendapatannya yang kecil itu nampak lebih banyak daripada orang yang gajinya lebih besar.

 

وَلا هُم يَحزَنونَ

serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Kalau kalimah خَوفٌ ia digunakan untuk masa hadapan, maka kalimah يَحزَنونَ untuk sesuatu yang telah berlaku. Orang yang infak dan tidak menyebut-nyebut pemberian itu tidak takut tentang masa hadapan dan tidak bersedih dengan apa yang telah berlalu. Orang yang bersedih itu adalah mereka yang fikir: habislah harta aku sudah berkurang. Namun mereka yang infak dengan ikhlas dan ikut syarat-syarat yang Allah ‎ﷻ telah beri tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia kerana mereka tahu bahawa apa yang mereka tuju itu di akhirat itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Di dunia dia tidak bersedih dengan pemberiannya kerana dia tahu bahawa apa yang dia lakukan itu adalah terbaik dan Allah ‎ﷻ akan balas dengan yang lebih baik. Maka tidaklah dia terkenang-kenang kepada harta yang telah diberikan.

Begitulah ayat-ayat tentang infak yang Allah ﷻ kumpulkan di dalam bahagian Surah Baqarah ini. Ada terdapat lagi ayat-ayat infak di tempat lain di dalam surah ini, tetapi yang menarik di dalam gugusan surah ini (Ayat 261 – 274), kita boleh nampak ada Komposisi Cincin. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini.

Penerangan:

[A7.1/A7.1’] – Di dalam Bahagian ini Allah ﷻ memberi motivasi dengan  menjanjikan ganjaran bagi mereka infak. Pertama dijanjikan balasan yang berganda-ganda banyak dan di hujung kedua-dua Bahagian ini diulang kalimat yang sama:  لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ.

[A7.2/A7.2’/A7.3”] – Bahagian ini ada sedikit kelainan daripada komposisi cincin yang lain kerana Bahagian tengah adalah berkaitan dengan cincin yang lain. Ini kerana Allah ﷻ hendak mengajar kita tiga perkara: Cara Memberi, Apa yang Patut Diberi dan Kepada Siapa (How, What, Who).

[A7.3/A7.3’] – Setelah disebut ganjaran memberi dan Allah ﷻ mengajar cara, apa dan kepada siapa yang patut diberi, sekarang Allah ﷻ menekankan tentang keikhlasan dan menjaga niat di dalam memberi infak itu. Ini kerana kalau salah niat, infak itu menjadi sia-sia kerana pahalanya batal.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Asbabun Nuzul – Imam As Suyuthi

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 272 (Hukum Infak kepada Non-Muslim)

Baqarah Ayat 272: 

۞ لَيسَ عَلَيكَ هُدِىٰهُم وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ ۗ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم ۚ وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ ۚ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم وَأَنتُم لا تُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Not upon you, [O Muhammad], is [responsibility for] their guidance, but Allah guides whom He wills. And whatever good you [believers] spend is for yourselves, and you do not spend except seeking the countenance of Allah . And whatever you spend of good – it will be fully repaid to you, and you will not be wronged.

MALAY
Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.

 

لَيسَ عَلَيكَ هُدىٰهُم

Tidaklah ke atas engkau memberi hidayah kepada mereka

Tidak boleh berhenti daripada berbuat baik kalau apa yang kita hendak tidak menjadi. Contohnya, mungkin kita tolong orang supaya dia ikut kita belajar, tetapi dia tetap tidak mahu datang. Atau kita bantu dia kerana kita hendak nasihatkan dia menjadi orang yang baik, tetapi itu tidak terjadi. Atau, kita hanya infak kepada orang Islam atau orang beriman sahaja. Ini ditegur di dalam ayat ini. Kerana kadangkala kita mungkin rasa sia-sia sahaja kita infak dan bantu orang dan orang itu tidak jadi seperti yang kita harapkan. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini yang janganlah kita sampai berhenti daripada menolong orang kafir sekali pun. Kerana yang memberikan hidayah bukan atas kuasa kita. Kita tidak pilih kasih di dalam memberi dan mana tahu, dengan kita memberi itu, terbuka hatinya kepada iman. Ini kerana orang yang menerima pemberian orang lain, jadi lembut hatinya untuk menerima nasihat.

Zaman Nabi ﷺ pun jadi seperti itu. Sahabat ada yang tolong keluarga mereka yang kafir tetapi mereka tidak mahu juga masuk Islam. Mereka sampai satu ketika sudah tidak mahu hendak menolong keluarga mereka lagi. Jadi Allah ‎ﷻ tegur perbuatan mereka itu. Allah‎ ﷻ mengingatkan yang bukan kita yang beri hidayah kepada orang lain.

Maka pengajaran daripada ayat ini adalah boleh untuk memberi sedekah kepada non-Muslim. Mungkin ada yang sangka ayat-ayat tentang tentang infak sebelum ini maksudnya diberikan kepada Muslim sahaja, maka pandangan itu diluruskan oleh Allah ﷻ di dalam ayat ini. Tentunya yang dimaksudkan adalah sedekah sunat, bukannya zakat. Ini kerana zakat hanya boleh diberikan kepada umat Islam. Kecuali kalau kepada golongan Muallaf yang hendak dijinakkan hatinya kepada Islam. Sedekah sunat itu juga tidak boleh diberikan kepada Kafir Harbi, hanya Kafir Dzimmi sahaja.

Allah ﷻ sebut yang kita manusia tidak boleh memberi hidayah kepada manusia. Sebenarnya ada dua jenis hidayah iaitu Hidayah Al-Irsyad wal Dalalah (Petunjuk dan Penerangan) dan Hidayah At-Taufiq (Taufik).

1. Hidayah Al-Irsyad wal Dalalah (هداية الإرشاد والدلالة) – Petunjuk dan Penerangan

Jenis hidayah ini merujuk kepada petunjuk dalam bentuk penerangan, penjelasan, pengajaran, dakwah, dan penyampaian kebenaran. Ia adalah peranan para nabi dan rasul, ulama, pendakwah, dan juga ibu bapa atau guru untuk menunjukkan jalan yang benar kepada manusia. Ini adalah jenis hidayah yang boleh diberikan oleh manusia kepada manusia lain. Para nabi dan rasul adalah contoh terbaik pemberi hidayah jenis ini, kerana mereka diutuskan untuk membimbing umat manusia ke jalan yang lurus.

Contoh:

    • Seorang guru mengajar ilmu agama kepada muridnya.
    • Seorang pendakwah menjelaskan hukum-hakam Islam kepada masyarakat.
    • Ayah atau ibu menasihati anak-anak tentang kebaikan.
    • Al-Qur’an dan Sunnah adalah sumber utama hidayah jenis ini, kerana ia adalah petunjuk dan penerangan daripada Allah ﷻ kepada manusia.

2. Hidayah At-Taufiq (هداية التوفيق) – Taufik

Hidayah jenis ini adalah kurniaan istimewa daripada Allah ﷻ yang memampukan seseorang untuk menerima, memahami, dan mengamalkan petunjuk yang telah disampaikan kepadanya. Ia adalah pembukaan hati, kekuatan iman, dan kemahuan untuk mengikuti kebenaran. Tanpa hidayah taufik, seseorang tidak akan dapat beriman atau beramal soleh, walaupun telah menerima hidayah Al-Irsyad wal Dalalah.

Hidayah ini adalah hak mutlak Allah ﷻ semata-mata. Tiada siapa pun, termasuk para nabi, yang mampu memberikannya kepada orang lain. Manusia hanya mampu menyampaikan petunjuk (irsyad), tetapi kemampuan untuk menerima dan mengamalkannya (taufiq) datang daripada Allah ﷻ.

Contoh:

    • Seseorang mendengar dakwah tentang Islam, lalu hatinya terbuka dan dia memeluk Islam. Ini adalah hidayah taufik.
    • Seseorang mengetahui hukum wajib solat, dan Allah ﷻ memberinya kekuatan untuk bangun dan melaksanakannya dengan istiqamah.
    • Walaupun Firaun mendengar dakwah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dia tidak diberikan hidayah taufik untuk beriman.

Oleh itu, hidayah yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah hidayah taufik. Hidayah itu hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh beri. Ada pun hidayah irsyad, kita tetap boleh berikan iaitu sampaikan kepada manusia.

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ

akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya 

Kita hanya boleh sampaikan dakwah sahaja. Kita hanya boleh mengajak sahaja. Namun jangan jadikan sedekah kita untuk memaksa non-Muslim masuk Islam. Allah ‎ﷻ tidak perlukan orang masuk Islam yang bukan kerana keikhlasan hati. Bukan begitu cara kita hendak dakwah kepada manusia kerana kita tidak boleh beri hidayah kepada manusia. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh beri hidayah. Jadi jangan rasa bersalah kalau orang yang kita dakwah itu tidak mahu menerima dakwah itu kerana hidayah dan iman di dalam tangan Allah ‎ﷻ.

Mungkin kalimat اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ mengelirukan ramai orang. Seolah-olah Allah ﷻ pilih siapa yang patut dapat hidayah. Jadi kalau begitu, kalau ada yang tidak beriman, kerana Allah ‎ﷻ tidak pilihlah untuk dia beriman? Sebenarnya ini adalah salah faham. Allah ‎ﷻ beri hidayah kepada sesiapa yang mahu beriman. Jadi kalimah مَن itu boleh bermaksud ‘Allah’ dan boleh bermaksud ‘seseorang’. Apabila seseorang itu sendiri mahu beriman, Allah ‎ﷻ akan lorongkan dia kepada kebenaran.

Sedangkan kalau seseorang itu enggan beriman kerana degil, bagilah apa sahaja, dia tidak akan beriman. Kalau diberi beratus mukjizat pun, namun kalau Allah ﷻ tidak beri hidayah untuk masuk ke dalam hatinya, tidak akan beriman juga. Di dalam ayat lain disebutkan oleh firman-Nya:

وَلَو جاءَتهُم كُلُّ ءآيَةٍ حَتّىٰ يَرَوُا العَذابَ الأَليمَ
Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasul-Nya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
(Yunus:97)

وَمَا تُغْنِي الآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَنْ قَوْمٍ لَا يُؤْمِنُونَ
Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman
(Yunus:101)

Akan tetapi kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka baru Allah ﷻ buat keputusan untuk menutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Inilah yang dinamakan Khatmul Qalbi seperti dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ini penting kerana ramai yang terkeliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, maka bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah buat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf:5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak paksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf:29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi mereka pilih untuk beriman dan membersihkan hati mereka daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams:8-10 maka mereka itulah yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.

 

Asbabun Nuzul (Sebab Turun) Ayat Al-Baqarah: 272

Ayat ini diturunkan untuk memberikan penjelasan dan ketenangan kepada para sahabat yang merasa bimbang atau ragu-ragu tentang hukum bersedekah kepada orang-orang bukan Islam (kafir). Pada awal Islam, sebahagian sahabat merasa keberatan untuk bersedekah kepada orang musyrik atau Ahli Kitab kerana mereka bimbang sedekah itu tidak akan mendapat pahala di sisi Allah, atau kerana mereka ingin memastikan sedekah hanya diberikan kepada sesama Muslim agar pahalanya tidak sia-sia.

Terdapat beberapa riwayat yang menjelaskan sebab turunnya ayat ini:

    1. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: Ayat ini diturunkan berkaitan dengan para sahabat yang enggan bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang masih musyrik, atau kepada jiran tetangga mereka yang bukan Muslim. Mereka bimbang amalan sedekah itu tidak akan diterima oleh Allah ‎ﷻ kerana penerimanya bukan Muslim, atau mereka merasa lebih utama untuk bersedekah hanya kepada saudara Muslim.

    2. Diriwayatkan daripada beberapa Mufassir: Sebahagian ulama tafsir menyebutkan bahawa ayat ini turun ketika Nabi Muhammad ﷺ memerintahkan para sahabat untuk bersedekah kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang miskin di Madinah. Para sahabat bertanya atau merasa ragu-ragu: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan bersedekah kepada mereka sedangkan mereka tidak beriman?” Lalu ayat ini turun untuk menjawab keraguan tersebut.

 

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم

Dan apa jua harta yang halal yang kamu infakkan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri

Jangan berhenti daripada infak termasuk kepada orang yang tidak mengikut ajakan dakwah kita. Ini kerana kalau mereka masih tidak mahu beriman, tidak mahu datang belajar agama, kita masih juga dapat pahala infak itu. Maka tidaklah sia-sia perbuatan infak kita itu kerana pahala sudah tertulis.

Kalimah مِن خَيرٍ itu di dalam bentuk nakirah (umum) maka ia boleh jadi apa-apa sahaja infak sedekah. Sama harta, ilmu, malah senyuman sekali pun termasuk juga. Jangan tidak tahu yang senyum itu juga adalah sedekah seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “لاَ تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ”
Rasulullah ﷺ bersabda kepadaku: “Janganlah engkau meremehkan sedikit pun daripada perbuatan makruf (kebaikan), meskipun hanya bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (berseri-seri/senyum).”
(Hadith Riwayat Muslim, Kitab Al-Birr wa As-Silah wa Al-Adab, No. Hadith: 2626)

Semua infak memberi kebaikan kepada diri kita di akhirat kelak. Malah di dunia lagi kebaikan memberi infak kepada orang yang susah itu sudah memberi kebaikan kepada orang kaya. Ini kerana jurang perbezaan antara orang kaya dan miskin kalau terlalu jelas, ia menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang miskin; orang kaya pula memandang hina kepada orang miskin itu. Dalam keadaan ini, dua golongan ini tidak bertegur sapa dan benci membenci sesama sendiri. Maka apabila Islam menganjurkan membantu orang susah, maka ia membuka hati kepada orang kaya untuk sayang kepada orang miskin dan orang miskin akan rasa hormat dan sanjung kepada orang kaya yang memberi kepada mereka. Maka suasana masyarakat menjadi harmoni.

Perhatikan Allah ‎ﷻ mengingatkan فَلِأَنفُسِكُم. Maknanya walaupun kita berikan kepada orang, namun kesan kebaikannya kembali semula kepada kita. Walaupun Allah ‎ﷻ suruh kita infak, tetapi Allah ‎ﷻ tidak perlukan sedekah kita, maka kebaikannya kembali kepada diri kita sebenarnya.

 

وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ

dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah

Di sini digunakan frasa “وَجْهِ اللَّهِ” yang diterjemahkan sebagai “wajah Allah” atau boleh diterjemah“keredhaan Allah”, adalah sebuah konsep penting dalam tafsir Al-Qur’an. Ia mungkin menjadi isu kerana antara perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuwan adalah sama ada melihat secara literal atau ditakwilkan maksudnya? Ini kerana ada yang menolak Allah ‎ﷻ ada wajah kerana kalau Allah ‎ﷻ ada wajah, mereka mengatakan Allah ‎ﷻ sama seperti makhluk pula. Sepatutnya tidak ada masalah dalam hal ini kerana ia boleh ditangani dengan ilmu. Ia boleh ditafsirkan dalam dua-dua terjemahan:

 

1. Hakikat Wajah Allah (Sifat Dzat Allah)

Bagi kebanyakan ulama Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, “Wajah Allah” adalah salah satu sifat Dzat Allah (Sifat Khobariyyah) yang kita wajib imani sebagaimana Allah ‎ﷻ menyebutnya. Namun, kita mengimaninya tanpa menyerupakan dengan makhluk (bila kayf) dan tanpa mentafsirkan secara harfiah yang boleh membawa kepada tasybih (menyerupakan Allah ‎ﷻ dengan makhluk) atau tajsim (menggambarkan Allah ‎ﷻ memiliki jasad).

Ahli Hadith dan Salaf berpegang teguh pada teks Al-Qur’an dan Hadith, mengimani sifat-sifat Allah sebagaimana adanya tanpa takwil (penafsiran) atau ta’til (penolakan). Mereka menyakini Allah ‎ﷻ memiliki Wajah yang sesuai dengan keagungan dan kesempurnaan-Nya, dan kita tidak mengetahui hakikatnya melainkan Allah ‎ﷻ. Maka jika ditafsirkan sebagai sifat Dzat, maka maknanya adalah seseorang berinfak kerana Allah Dzat Yang Maha Suci itu sendiri, semata-mata mengharapkan keredhaan-Nya dan balasan daripada-Nya.

Tidak ada masalah pun kalau kita berpegang dengan pendapat yang mengatakan Allah ‎ﷻ ada wajah. Kerana memang di syurga nanti ahli syurga akan dapat melihat Allah ‎ﷻ termasuk dengan wajah-Nya sekali seperti disebut di dalam Qiyamah:22-23

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ (22) إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ (23)
“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri (indah), (kerana) memandang kepada Tuhan mereka.” 

 

2. Keredhaan Allah ‎ﷻ (Redha Allah)

Ini adalah tafsiran yang paling umum dan popular, terutama dalam konteks ayat-ayat seperti Al-Baqarah 272 yang berbicara tentang amalan infak atau sedekah. Dalam konteks ini, “Wajah Allah” ditafsirkan sebagai mencari keredhaan Allah ‎ﷻ, balasan daripada Allah ‎ﷻ, atau pahala daripada Allah ‎ﷻ. Mengapa ditafsirkan demikian?

    • Kesesuaian Konteks: Dalam ayat-ayat yang membicarakan amal ibadah, tujuan utama seorang mukmin adalah mencari keredhaan Allah ‎ﷻ dan balasan akhirat, bukan tujuan duniawi.
    • Penekanan Ikhlas: Tafsiran ini menekankan aspek keikhlasan (إخلاص) dalam beramal. Berinfak “kerana mencari wajah Allah” bermaksud berinfak dengan niat yang tulus semata-mata untuk Allah ‎ﷻ, tanpa mengharapkan pujian manusia, balasan dunia, atau tujuan-tujuan lain yang fana.
    • Makna Metafora (Majaz): Sebahagian ulama berpandangan bahawa “wajah” di sini adalah majaz (kiasan) kepada Dzat Allah itu sendiri, dan dengan mencari wajah-Nya, ia bermaksud mencari keredaan dan balasan daripada Dzat Allah. Ini kerana keredhaan dan kegembiraan selalunya nampak pada wajah.

Maka yang penting adalah pengajaran yang kita perlu ambil dari maksud ayat ini, bukannya hendak berbalah tentang wajah Allah pula. Di sini kita diajar hendaklah kita infak kerana mencari redha Allah ‎ﷻ. Bukannya kerana tujuan-tujuan lain. Inilah tujuan kita infak sebenarnya yang kena disematkan di dalam hati kita setiap kali kita infak. Maka kalau kita infak kerana hendak mengubah seseorang, kena ingat balik yang kita infak itu adalah untuk mencari redha Allah ‎ﷻ, bukannya kerana hendak ubah orang. Ubah orang ke arah kebaikan itu adalah bonus sahaja. Kalau kita berdakwah kepada orang dan dia tidak terima, kita tetap mendapat pahala. Kalau dia ikut, itu adalah bonus.

Ayat ini sebenarnya adalah ayat arahan daripada Allah ‎ﷻ walaupun ia dalam jumlah khabar (pemberitahuan). Nampaknya macam ayat beritahu, namun sebenarnya ia adalah ayat suruhan. Maksudnya jangan infak melainkan dengan ikhlas. Macam kita cakap kepada anak-anak kita: “Ingat yer… keluarga kita tidak ada kurang ajar dengan orang tua…” Ayat itu macam ayat beritahu (ayat khabar), tetapi sebenarnya ia adalah ayat suruhan dan larangan supaya jangan kurang ajar dengan orang tua.

 

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم

dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu

Nescaya infak kita itu akan dibalas dengan baik di akhirat. Pahala infak tetap akan dapat. Ini adalah janji daripada Allah ‎ﷻ dan kalau Allah ‎ﷻ yang janji, tentu Allah ‎ﷻ akan tepati.

Ini mengajar kita bahawa harta kita yang sebenarnya dan kekal dengan kita adalah harta yang sedekahkan. Kalau harta yang kita simpan, ia akan rosak atau hilang begitu sahaja. Kalau kita mati, ia jadi harta orang lain. Sebaliknya apa yang kita sedekahkan itulah yang kekal dengan kita seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Asy-Syikhkhir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقْرَأُ ” أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ” قَالَ ‏”‏ يَقُولُ ابْنُ آدَمَ مَالِي مَالِي وَهَلْ لَكَ يَا ابْنَ آدَمَ مِنْ مَالِكَ إِلاَّ مَا أَكَلْتَ فَأَفْنَيْتَ أَوْ لَبِسْتَ فَأَبْلَيْتَ أَوْ تَصَدَّقْتَ فَأَمْضَيْتَ ‏”‏
Aku mendatangi Nabi ﷺ ketika baginda sedang membaca Surah At-Takathur (أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ). Baginda bersabda: “Anak Adam berkata, ‘Hartaku, hartaku.’ Padahal, adakah kamu mempunyai harta, wahai anak Adam, melainkan apa yang kamu makan lalu habis, atau apa yang kamu pakai lalu usang, atau apa yang kamu sedekahkan lalu kamu kekalkan (menjadi pahala)?”
(Riwayat Muslim, Kitab Az-Zuhd wa Ar-Raqaiq, No. Hadith: 2958)

Di dalam hadith lain, Rasulullah ﷺ mengajar Saidatina Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا tentang hal ini,

عن عائشة رضي الله عنها: أنهم ذبحوا شاة، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: “مَا بَقِيَ مِنْهَا؟” قَالَتْ: مَا بَقِيَ مِنْهَا إِلاَّ كَتِفُهَا. قَالَ: “بَقِيَ كُلُّهَا إِلاَّ كَتِفُهَا”
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: Bahawa mereka telah menyembelih seekor kambing. Lalu Nabi ﷺ bertanya: “Apa yang tinggal daripadanya?” Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menjawab: “Tidak tinggal daripadanya melainkan bahunya (atau seketul kecil).” Baginda bersabda: “(Bahkan) semuanya telah kekal melainkan bahunya itu.”

(Riwayat At-Tirmidzi, Kitab Sifat Al-Qiyamah, No. Hadith: 2470. Diriwayatkan juga dengan makna yang serupa dalam Musnad Ahmad dan beberapa kitab lain)

 

وَأَنتُم لا تُظلَمونَ

dan kamu tidak akan dizalimi

Maksudnya tidak kurang pahala yang Allah ‎ﷻ balas daripada infak kita itu. Malah Allah ‎ﷻ beri berlebih-lebih kali ganda lagi. Contoh bagaimana Allah ‎ﷻ beri lebih lagi kepada kita: Kadang-kadang kita hendak beri kepada orang lain supaya ikut kita belajar, tetapi kadang-kadang Allah ‎ﷻ beri orang lain yang ikut kita. Maknanya Allah ‎ﷻ menggantikan dengan orang lain. Maka, yang kita infak itu, kita dapat pahala infak walaupun dia tidak ikut belajar dan yang ikut belajar itu pun kita dapat pahala dakwah pula.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Asbabun Nuzul – Imam As Suyuthi

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 270 – 271 (Nazar)

SEDEKAH RAHSIA ATAU TERBUKA

Baqarah Ayat 270:

وَما أَنفَقتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَو نَذَرتُم مِّن نَّذرٍ فَإِنَّ اللَّهَ يَعلَمُهُ ۗ وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

SAHIH INTERNATIONAL
And whatever you spend of expenditures or make of vows – indeed, Allah knows of it. And for the wrongdoers there are no helpers.

MALAY
Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahui-Nya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

 

وَما أَنفَقتُم مِّن نَّفَقَةٍ

Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan daripada infak

Tidak disebut infak apa dalam ayat ini. Kalimah نَفَقَةٍ adalah di dalam bentuk nakirah (umum) jadi ia boleh merujuk kepada mana-mana infak sama ada untuk jalan Allah ‎ﷻ atau infak kepada maksiat. Ia termasuk infak yang ikut syarat-syarat atau yang melanggari syarat. Maknanya semua jenis infak termasuk.

 

أَو نَذَرتُم مِّن نَّذرٍ

atau apa sahaja yang kamu nazarkan

Nazar disebut dalam ayat ini sebab nazar pun adik beradik infak juga. Ini kerana ada nazar yang melibatkan janji untuk sedekah. Kalimah نَّذرٍ daripada kata dasar ن ذ ر yang bermaksud memberi amaran; berbakti; berikrar; berhati-hati; janji; tawaran; hadir. Kita biasa lihat kalimah إنذَرَ yang juga daripada kata dasar yang sama. Nazar adalah satu janji untuk melakukan sesuatu sama ada jikalau sesuatu terjadi atau pun tanpa syarat. Sebagai contoh, kita bernazar untuk infak kepada sekolah agama kalau anak kita mendapat keputusan yang baik. Ramai juga orang kita yang bernazar sebegini. Akan tetapi ada juga nazar yang baik yang akan perbincangan tentang hal ini. Ini kerana kalimah نَذرٍ juga di dalam bentuk nakirah jadi ia boleh merujuk kepada semua nazar.

Nazar sudah ada sebelum Islam lagi, diamalkan oleh semua agama, termasuk Hindu (sebagai contoh, nazar membawa kavadi). Zaman Jahiliyah pun sudah ada perbuatan Nazar, sebagai contoh Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah bernazar untuk i’tikaf di Ka’bah. Apabila dia masuk Islam, beliau bertanya Rasulullah ﷺ perlukah diteruskan nazarnya itu. Hadith ini diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, daripada bapanya Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي نَذَرْتُ فِي الْجَاهِلِيَّةِ أَنْ أَعْتَكِفَ لَيْلَةً فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ.‏ فَقَالَ ‏”‏أَوْفِ بِنَذْرِكَ‏”
Aku (Umar) berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku pernah bernazar pada zaman Jahiliyah untuk beriktikaf satu malam di Masjidil Haram.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Tunaikanlah nazarmu.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Kitab Al-I’tikaf, No. Hadith: 2032; Muslim, Kitab An-Nuzur, No. Hadith: 1656)

Apabila Islam datang, maka nazar dibahagi dua:

Nazar Mu’allaq atau nazar meraih manfaat daripada Tuhan dengan menawarkan ‘ibadah rasuah’. Ini seperti rasuah kepada Tuhan. Jika Tuhan beri apa yang dipinta, maka barulah hamba itu akan melakukan ketaatan. Contoh: “Jika aku dapat 10A dalam SPM, maka wajiblah aku bernazar puasa 5 hari.” Maksudnya dia rasuah Tuhan dengan ibadah puasa, jika Tuhan menunaikan hajatnya, barulah dia akan melakukan ibadah. Di dalam fiqh, ini tidak disukai dan ada seperti larangan daripada Rasulullah ﷺ. Cuma apabila larangan daripada Rasulullah ﷺ, ia boleh dikira makruh, tidak semestinya haram. Akan tetapi jika Allah ‎ﷻ yang larang, ia terus dikira haram. Ini kaedah emas yang mesti dipegang.

Maka nazar seperti ini tidak disukai dan hukumnya makruh, malah ada yang berpendapat ia haram. Dalilnya adalah hadith:

نَهَى النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – عَنِ النَّذْرِ قَالَ « إِنَّهُ لاَ يَرُدُّ شَيْئًا ، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ »
“Nabi ﷺ melarang untuk bernazar, baginda bersabda: ‘Nazar sama sekali tidak mampu menolak sesuatu. Nazar hanyalah dikeluarkan daripada orang yang bakhil’.”
(Sahih Bukhari No. 6693 dan Muslim No. 1639 dari sanad Ibn Umar)

Jadi nazar jenis ini adalah kedekut dengan Allah ‎ﷻ sedangkan Allah ‎ﷻ telah beri segalanya kepada kita. Namun kita pula hanya hendak buat ibadah kalau Allah ‎ﷻ beri sesuatu kepada kita? Tidakkah itu kurang ajar? Bayangkan kita cakap dengan ayah kita, “Kalau ayah tolong saya, saya akan bagi bagi hadiah kepada ayah.” Bayangkan ayah yang telah banyak berbakti itu pun kita berkira untuk beri hadiah kepadanya?

Namun begitu, harus diingatkan walaupun nazar ini tidak bagus, akan tetapi kalau sudah bernazar ia hendaklah dipenuhi. Nazar menyebabkan sesuatu ibadah sunat yang asalnya sunat terus menjadi wajib apabila kita bernazar. Maka kena ada ilmu tentang nazar dan jangan senang-senang hendak bernazar. Ramai orang kita jahil tentang hal ini. Mungkin ada lah mana-mana ustaz yang ajar orang itu untuk bernazar tetapi tidak diajar habis tentang nazar. Mungkin ustaz itu pun tidak tahu agaknya. Kemudian orang yang di dalam kepayahan mungkin akan buat apa sahaja cara untuk selesaikan masalahnya itu. Namun kalau ada ilmu, seseorang itu tidak mudah-mudah bernazar. Kita boleh tahu orang yang ada ilmu atau tidak apabila seseorang itu bertanya kepada para ustaz adakah mereka kena penuhi nazar atau tidak. Maknanya semasa bernazar itu mereka tidak fikir pun masak-masak apa yang mereka cakap; apabila sudah Allah ‎ﷻ beri apa yang mereka kehendaki, mulalah terfikir rupanya tidak berapa mampu pula untuk buat apa yang mereka janjikan.

Kalau seseorang yang telah bernazar tetapi tidak mampu untuk menunaikannya, maka dia kena bayar kaffarah sumpah kerana nazar termasuk jenis sumpah juga. Kaffarah sumpah disebut disebut di dalam Maidah: 89

لا يُؤاخِذُكُمُ اللهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمٰنَ ۖ فَكَفّٰرَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَسٰكينَ مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم أَو كِسوَتُهُم أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ ثَلٰثَةِ أَيّامٍ ۚ ذٰلِكَ كَفّٰرَةُ أَيمٰنِكُم إِذا حَلَفتُم ۚ وَاحفَظوا أَيمٰنَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu daripada makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).

Maka penjelasannya, iaitu:

    • Memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang layak.
    • Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin.
    • Memerdekakan seorang budak (jika ada).
    • Jika tidak mampu melakukan salah satu dari tiga pilihan di atas, maka wajib berpuasa tiga hari.

Jadi itu tentang nazar. Akan tetapi ada sebahagian ulama seperti daripada Mazhab Maliki dan Syafi’iy yang mengatakan nazar adalah sunnah. Kita pun boleh lihat dalam ayat Surah Baqarah yang kita bincangkan ini. Jadi bagaimana pula? Kita kena faham yang maksud nazar yang sunnah itu ialah jenis ‘Nazar Mutlak‘. Iaitu janji kepada Allah ‎ﷻ, tanpa memberi syarat kepada Allah ‎ﷻ. Contoh: “Aku bernazar untuk berpuasa 10 hari di bulan Rejab”. Nazar yang sebegini adalah sunnah sebab tidak diikat dengan apa apa syarat. Ia berbeza dengan nazar bersyarat (نذر معلق) yang mengikat ibadah dengan tercapainya suatu syarat (contoh: “Jika aku lulus ujian, aku akan berpuasa tiga hari”). Walaupun bentuknya berbeza, hukum asalnya tetap sama: jika nazar itu baik dan bukan maksiat, ia wajib ditunaikan. Dalil wajibnya menunaikan nazar adalah firman Allah ‎ﷻ dalam Hajj:29

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
“Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”

Di dalam Maryam:26 juga ada disebut nazar Maryam,

فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا ۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَن أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا
“Maka makanlah dan minumlah serta bersenang hatilah engkau dengan anakmu. Kemudian jika engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku bernazar untuk Ar-Rahman (Allah) berpuasa (daripada berbicara), maka aku tidak akan berbicara dengan seorang pun pada hari ini.'” 

Malah, di dalam Al-Qur’an Ali Imran:35 ada disebut nazar ibu Maryam sendiri.

إِذْ قَالَتِ امْرَأَتُ عِمْرَانَ رَبِّ إِنِّي نَذَرْتُ لَكَ مَا فِي بَطْنِي مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّي ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: ‘Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu, anak yang dalam kandunganku ini menjadi seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada-Mu semata-mata), maka terimalah nazar daripadaku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.'”

Di dalam Insan:5-7 juga ada disebut golongan al-Abrar yang menyempurnakan nazar mereka,

إِنَّ الْأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسٍ كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورًا (5) عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ اللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا (6) يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا (7)
“Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (Al-Abrar) akan meminum daripada piala: sejenis minuman yang bercampur dengan ‘Kafur’, (5) Iaitu sebuah mata air (di syurga) yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah, mereka dapat mengalirkannya (sesuka hati) dengan aliran yang deras. (6) (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazar mereka (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.”

Selain daripada itu, kita telah kongsikan hadith riwayat Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا tentang nazar bapanya. Ada hadith lain yang menjadi dalil,

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَ اللَّهَ فَلَا يَعْصِهِ
“Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaati-Nya. Dan sesiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat kepada Allah, maka janganlah dia melakukan maksiat itu.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Kitab Al-Ayman wa An-Nuzur, No. Hadith: 6696)

Hadith ini juga menjelaskan ada dua kategori utama nazar:

    1. Nazar Ketaatan: Jika seseorang bernazar untuk melakukan ibadah atau kebaikan yang diredhai Allah ‎ﷻ (contohnya puasa, solat, sedekah, haji, iktikaf), maka nazar itu menjadi wajib untuk ditunaikan.
    2. Nazar Maksiat: Jika seseorang bernazar untuk melakukan sesuatu yang haram atau maksiat (contohnya mencuri, minum arak, tidak solat), maka nazar itu haram untuk ditunaikan. Dalam kes ini, tidak boleh menunaikan nazar tersebut, dan sebahagian ulama berpendapat wajib membayar kafarat sumpah.

Jadi kalau kita perhatikan contoh nazar di atas, ia berkenaan janji untuk beribadah. Bagaimana kalau bernazar kalau pasukan bolasepaknya menang, dia akan berjalan kaki dari stadium Johor ke stadium KL? Itu nazar bangang, bukannya ibadah, jadi lupakan sahaja. Ini termasuk juga kalau parti politik menang, dia akan botakkan kepala, pun tidak perlu ditunaikan kerana membotakkan kepala bukan ibadah.

 

فَإِنَّ اللَّهَ يَعلَمُهُ

sesungguhnya Allah mengetahui-Nya

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang apa sahaja yang kita infakkan untuk kebaikan, Allah ‎ﷻ tahu, maka tidak payah sibuk beritahu kepada orang kerana kita harap pahala daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan yang kalau kita infak atau nazar kepada keburukan, pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Apabila Allah ‎ﷻ tahu, maknanya Allah ‎ﷻ akan balas dengan balasan yang berganda-ganda kebaikannya.

Allah ‎ﷻ tahu sama ada kamu infak, sedekah atau nazar itu kerana Allah ‎ﷻ atau kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia. Kena ingat yang Allah ‎ﷻ tahu zahir dan batin. Perbuatan kamu dan juga isi hati kamu pun Allah ‎ﷻ tahu juga dengan sepenuhnya.

 

وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan yang kalau sesiapa infak kepada perkara keburukan, Allah ‎ﷻ akan beri balasan azab dan tidak akan ada sesiapa yang dapat menyelamatkan dia. Kalimat مِن أَنصارٍ itu di dalam bentuk nakirah, maka ia bermaksud mereka tidak akan dapat apa-apa jenis bantuan, dari sesiapa dan apa pun.

Di sini Allah ‎ﷻ juga hendak memberitahu bahawa infak yang tidak syariat juga adalah zalim. Begitu juga dengan nazar yang ikut syariat dan yang tidak ikut syariat, disempurnakan atau tidak, Allah ‎ﷻ tahu dan akan balas seadanya.


 

Baqarah Ayat 271: Sekarang diajar pula cara memberi infak itu. Sebelum ini telah disebut infak itu jangan ada riya’. Jadi adalah tidak boleh langsung kita menzahirkan infak kita itu? Maka di sini diajar yang infak itu ada dua cara: sama ada dengan terang-terangan atau dengan cara tersembunyi. Kadang-kadang kerana tuntutan semasa, kita kena zahirkan sedekah kita. Terutama kalau zakat wajib. Ini pun bagus juga supaya orang kaya lain pun ikut keluarkan zakat sebab ikut kita. Sampai ulama’ kata sunat untuk menzahirkan zakat wajib. Namun begitu jika ‘sedekah sunat’, digalakkan untuk merahsiakannya untuk menjaga keikhlasan kerana takut ada timbul suka dalam hati kita kalau ada orang nampak atau disebut-sebut.

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ ۖ وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
If you disclose your charitable expenditures, they are good; but if you conceal them and give them to the poor, it is better for you, and He will remove from you some of your misdeeds [thereby]. And Allah , with what you do, is [fully] acquainted.

MALAY
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

 

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ

Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik

Ayat ini memberi hukum bahawa boleh untuk kita zahirkan sedekah kita. Kadang-kadang itu adalah sebaik-baik cara tetapi kena tengok keadaan juga. Ini kerana kadang-kadang ada suasana yang apabila kita mula keluarkan sedekah, orang lain ada ikut.

Ada satu hadith bagaimana semasa Nabi ﷺ di dalam satu majlis dengan para sahabat, telah datang seorang peminta sedekah. Nabi ﷺ suruh mereka membantu peminta sedekah itu tetapi tidak ada sesiapa pun yang bangun membantu pada mulanya. Namun kemudian seorang sahabat telah bangun dan memberi sedekah kepada lelaki itu. Melihat perbuatan sahabat yang pertama itu, para sahabat yang lain pun mula bangun dan memberi sedekah kepada lelaki itu. Maka Rasulullah ﷺ memberitahu yang sahabat yang mula buat itu dapat pahala sedekah sahabat-sahabat yang lain juga. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang selalu disalahguna oleh pengamal bid’ah (kerana mereka tidak belajar syarah hadith ini).

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawasanya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
(Sahih Muslim No. 4831)

Maka di sini mengajar kita bahawa boleh kalau kita menzahirkan infak kita itu. Akan tetapi hendaklah pandai menjaga hati kita supaya jangan ada rasa riya’. Jangan kita suka pula dengan pandangan dan kata-kata manusia yang memuji. Ketahuilah dan pandangan mereka dan kata-kata mereka tidak bermakna dan tidak bernilai. Yang bernilai hanyalah apa yang Allah ‎ﷻ pandang.

 

وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم

Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu;

Namun kalau kita sembunyikan sedekah itu dan berikan pada tempat yang betul iaitu kepada yang memerlukan (terutama sekali orang fakir miskin), itu lebih baik kerana hati kita terjaga daripada sifat riak dan ujub. Kita sudah selalu berikan hadith tentang tujuh golongan yang diberi naungan di Mahsyar nanti,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: إِمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ»
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: “Tujuh golongan (manusia) yang Allah akan beri naungan kepada mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya:

1. Imam (pemimpin) yang adil.
 2. Pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Tuhannya.
 3. Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.
 4. Dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah, mereka berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya.
 5. Lelaki yang diajak (berzina) oleh wanita berkedudukan dan cantik, lalu dia berkata: ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’
 6. Lelaki yang bersedekah dengan satu sedekah, lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.
 7. Lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan bersendirian, lalu mengalir air matanya.”
Sahih Al-Bukhari (No. 660, 1423, 6806); Sahih Muslim (No. 1031)

Apabila menyebut tentang pemberian secara zahir, Allah ‎ﷻ gunakan kalimah فَنِعِمّا (baik). Akan tetapi apabila sebut pemberian dengan cara rahsia, Allah ‎ﷻ sebut خَيرٌ (lebih baik). Maka kalau kita bijak, tentulah kita akan pilih cara yang lebih baik, bukan? Allah ‎ﷻ sendiri kata cara itu lebih baik.

Perhatikan apabila menyebut tentang pemberian yang zahir, Allah ‎ﷻtidak sebut penerimanya. Akan tetapi apabila disebut tentang pemberian yang rahsia, Allah ‎ﷻ penerimanya iaitu الفُقَراءَ. Maka ini mengajar kita apabila memberi kepada fakir miskin, sepatutnya kita rahsiakan. Kerana kita menjaga identiti mereka supaya tidak diketahui orang ramai dan menjaga air muka dan maruah mereka. Maka merahsiakan pemberian ini memberi kebaikan kepada pemberi dan juga kepada yang menerima. Kepada pemberi, menjaga hatinya daripada riya’; kepada penerima, menjaga air mukanya.

Memberi pada tempat yang betul adalah lebih baik. Ini penting kerana kadang-kadang manusia beri kepada tempat yang tidak kena. Maka, kita bukan sahaja kena sedekah, tetapi kena pandai memilih tempat pemberian yang sesuai. Dalam ayat ini disebut fakir miskin, kerana mereka antara golongan yang amat memerlukan bantuan daripada orang lain. Kita kena ada cinta kepada fakir miskin malah ada doa yang dipanjatkan oleh Rasulullah ﷺ sendiri:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَتَرْكَ الْمُنْكَرَاتِ وَحُبَّ الْمَسَاكِينِ وَأَنْ تَغْفِرَ لِي وَتَرْحَمَنِي وَإِذَا أَرَدْتَ فِتْنَةَ قَوْمٍ فَتَوَفَّنِي غَيْرَ مَفْتُونٍ أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَحُبَّ عَمَلٍ يُقَرِّبُنِي إِلَى حُبِّكَ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu untuk melakukan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, dan kecintaan kepada orang-orang miskin. Aku memohon kepada-Mu agar Engkau mengampuniku dan merahmati aku. Jika Engkau menghendaki suatu fitnah bagi suatu kaum, maka wafatkanlah aku dalam keadaan tidak terfitnah. Aku memohon kepada-Mu kecintaan-Mu, kecintaan orang-orang yang mencintai-Mu, dan kecintaan amalan yang mendekatkan diriku kepada kecintaan-Mu.”

(Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad. Hadith ini disahihkan oleh Al-Albani)

Maka jangan pandang mereka dengan pandangan hina sebaliknya pandanglah mereka dengan pandangan kasih sayang. Mereka itu ada gunanya di dalam masyarakat dan sebenarnya memberi keberkatan kepada kita. Ada hadith-hadith yang menyebut peranan penting orang-orang lemah dalam masyarakat dan bagaimana membantu mereka membawa keberkatan:

هَلْ تُنْصَرُونَ وَتُرْزَقُونَ إِلاَّ بِضُعَفَائِكُمْ
“Kalian hanyalah mendapat pertolongan dan rezeki dengan sebab adanya orang-orang lemah dalam kalangan kalian.”
(Riwayat Bukhari No. 2896)

Dalam riwayat lain ada disebut:

إِنَّمَا يَنْصُرُ اللَّهُ هَذِهِ الْأُمَّةَ بِضَعِيفِهَا بِدَعْوَتِهِمْ وَصَلَاتِهِمْ وَإِخْلَاصِهِمْ
“Sesungguhnya Allah menolong umat ini dengan sebab orang-orang lemah mereka, iaitu dengan doa, solat, dan keikhlasan mereka.”
(Riwayat An-Nasa’i No. 3179, disahihkan oleh Al-Albani)

Malah ada hadith yang menyebut doa Nabi ﷺ supaya dihidupkan dan dimatikan dalam keadaan miskin,

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِينًا وَتَوَفَّنِي مِسْكِينًا وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ الْمَسَاكِينِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, wafatkanlah aku dalam keadaan miskin, dan kumpulkanlah aku pada Hari Kiamat bersama golongan orang-orang miskin.”
(Riwayat At-Tirmidzi No. 2352, disahihkan oleh Al-Albani)

Penjelasan: Doa ini bukan bermaksud Nabi ﷺ memohon kefakiran yang membawa kepada kekufuran, tetapi ia menunjukkan kecintaan baginda terhadap akhlak dan kerendahan hati orang miskin, serta menjauhi sifat-sifat sombong dan tamak yang mungkin timbul dari kekayaan. Ia juga isyarat keinginan baginda untuk bersama dengan golongan yang sabar dan bersyukur di antara orang miskin, yang mungkin lebih dahulu masuk syurga.

Jangan lupa ada ancaman bagi mereka yang menghalau orang miskin yang disebut di dalam Ma’un:1-3

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ (1) فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ (2) وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ (3)
“Tahukah kamu orang yang mendustakan agama (hari pembalasan)? (1) Itulah orang yang menghalau anak yatim, (2) Dan tidak menganjurkan untuk memberi makan orang miskin.” 

Ada yang membahagikan dua cara ini (zahir dan tersembunyi) ikut keadaan. Apabila infak itu untuk kegunaan umum seperti bina asrama agama, bina masjid, pemberian kepada persatuan dakwah, maka elok dizahirkan supaya lebih ramai lagi melakukannya. Akan tetapi apabila pemberian itu berbentuk kepada orang perseorangan, elok dirahsiakan. Kerana ia boleh menjaga air muka dan maruah orang yang diberi. Kerana dia pun tentu tidak suka kesusahannya itu diwar-warkan. Maka kita telah sebut sebelum ini tentang ambil gambar semasa memberi sedekah yang tidak patut dilakukan. Infak sebegitu sepatutnya dirahsiakan sahaja.

Maka yang terbaik adalah kita cari sendiri orang yang susah-susah dan kita beri sendiri dengan tangan kita. Ini supaya identiti mereka terpelihara. Kalau beri kepada mana-mana badan, entah mereka akan ambil gambar dan letak di media massa maka malulah mereka. Tambahan pula kalau gunakan NGO, selalunya mereka akan ambil sebahagian daripada wang itu. Takpun ada yang sakau terus duit itu semua, tidak sampai kepada orang yang memerlukan. Lagi pun kalau kita jumpa sendiri, kita boleh beramah mesra dengan orang miskin itu dan tahu dengan lebih lanjur masalah dan keperluan mereka.

Begitulah infak, atau bersedekah di jalan Allah, adalah amalan yang sangat ditekankan dalam Islam. Namun, bukan semua infak itu sama. Ada ciri-ciri tertentu yang menjadikan sesuatu infak itu lebih utama dan lebih besar pahalanya di sisi Allah ‎ﷻ. Berdasarkan ajaran Al-Qur’an dan Sunnah, tiga ciri infak yang terbaik adalah:

1. Dipercepatkan (Tidak Menangguhkan Infak): Istilah yang paling tepat untuk ini ialah تَعْجِيلُ الصَّدَقَةِ (Ta’jil As-Sadaqah). Maka jangan ditangguh-tangguh kerana orang yang memerlukan itu mungkin sudah terdesak. Kita pula jangan tangguh, takut kalau disimpan-simpan nanti dibuat beli benda lain pula.

2. Dirahsiakan (Tidak Menunjuk-nunjuk): Istilah ini dikenali sebagai إِخْفَاءُ الصَّدَقَةِ (Ikhfa’us Sadaqah) atau الصَّدَقَةُ السِّرُّ (As-Sadaqah As-Sirr). Ia bermaksud “merahsiakan sedekah” atau “sedekah secara rahsia”.

3. Menganggapnya Sedikit (Tidak Merasa Banyak): Prinsip ini lebih kepada aspek kerendahan hati dan tidak takjub dengan amalan sendiri. Istilah yang berkaitan ialah عَدَمُ الْإِعْجَابِ بِالْعَمَلِ (Adamul I’jab bil ‘Amal) atau التَّقْلِيلُ مِنَ الْعَمَلِ (At-Taqlil minal ‘Amal). Ia bermaksud “tidak takjub/kagum dengan amalan” atau “menganggap sedikit amalan yang dilakukan”. Ini adalah lawan kepada ‘Ujub (العُجْبُ) yang bermaksud takjub diri.

 

وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم

dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu.

Berkat daripada amalan infak (sama ada secara zahir atau tersembunyi), Allah ‎ﷻ akan tutup dosa-dosa kita. Inilah yang termasuk iringi perbuatan dosa dengan melakukan kebaikan seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِيْ ذَرٍّ جُنْدُبِ بنِ جُنَادَةَ وَأَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: (اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ) رَوَاهُ التِّرْمِذِي وَقَالَ: حَدِيْثٌ حَسَنٌ. وَفِي بَعْضِ النُّسَخِ: حَسَنٌ صَحِيْحٌ
Daripada Abu Dzarr Jundub bin Junadah dan Abu ‘Abdirrahman Mu’adz bin Jabal رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dari Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, “Bertaqwalah kepada Allah di mana pun engkau berada; iringilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, maka kebaikan akan menghapuskan keburukan itu; dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.”
(Jami’ Tirmidzi, no. 1987. Beliau mengatakan hadithnya ini hasan, dalam sebahagian naskah disebutkan bahawa hadith ini hasan sahih) Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa hadith ini hasan

Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini, ‘sebahagian’ daripada dosa-dosa kita. Maknanya, bukan semua dosa akan ditutup. Kalau dosa kecil, Allah ‎ﷻ ampunkan terus. Namun kalau dosa besar, Allah ‎ﷻ akan gerakkan hati kita untuk bertaubat. Ini adalah kerana perkataan من maksudnya ‘sebahagian’ dan bukan semua. Dosa-dosa yang besar hendaklah kita minta ampun secara khusus.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Sama ada kita beri secara zahir atau kita sembunyikan sedekah kita itu, Allah ‎ﷻ tahu. Allah ﷻ tahu sama ada kita ikhlas atau pun. Ikhlas itu antara kita dengan Allah ﷻ. Maka orang lain yang melihat perbuatan itu, jangan pula memandai kata: “Eleh, itu riya’ lah tu!”. Siapa kita yang tahu hati orang?

Apabila Allah ﷻ tahu akan perbuatan kita, maka Dia akan balas dengan secukupnya, malah berlebihan lagi. Maka janganlah kita risau sama ada Allah ‎ﷻ balas atau tidak. Tidak perlu kita hendak beritahu kepada orang lain, yang penting Allah ‎ﷻ sudah tahu dan yang kita pentingkan adalah Allah ‎ﷻ sedar apa yang kita lakukan, bukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 269 (Maksud Hikmah)

BUKAN SEMUA MENDAPAT HIKMAH

Baqarah Ayat 269: Ayat yang lalu menjelaskan dua jalan terbentang, jalan Allah dan jalan syaitan. Sungguh berbahagia lagi bijaksana yang mengetahui dan menerapkan yang baik dan benar. Akal yang sihat menetapkan bahawa jalan yang baik dan benar adalah jalan Allah, kerana yang menelusurinya mendapat ketenteraman serta meraih peningkatan. Itulah pilihan yang bijaksana; sayang tidak semua orang menelusurinya. Memang hanya yang dianugerahi hikmah yang dapat memahami dan mengambil pilihan yang tepat.

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

SAHIH INTERNATIONAL
He gives wisdom to whom He wills, and whoever has been given wisdom has certainly been given much good. And none will remember except those of understanding.

MALAY
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

 

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ

Dia (Allah) memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

Setelah disebut banyak ayat-ayat tentang infak, sekarang Allah ﷻ sebut tentang hikmah pula. Mungkin tidak terus nampak kaitan antara rahmat dan infak tetapi sebenarnya ada. Apakah kaitan hikmah dengan infak? Di sini kita diberitahu bahawa orang yang memberi infak sebenarnya telah diberi hikmah. Kalau tidak ada hikmah maka kita akan buat benda-benda yang bodoh seperti infak kepada madrasah yang mengajak ilmu bid’ah dan rekaan; juga seperti orang yang cetak buku Yaasin dan beri kepada ramai orang. Orang bukan baca pun buku Yaasin dan ia hanya menghadkan umat Bani Melayu ini tahu baca Yaasin sahaja.

Namun apakah hikmah itu? Ada banyak sekali pendapat tentangnya. Kalimah Hikmah daripada kata dasar ح ك م, yang pada mulanya bererti menghalangi. Orang yang ada hikmah akan menghalanginya daripada melakukan kesalahan dan keburukan. Jadi hikmah adalah sesuatu yang fungsinya membawa kepada yang baik dan menghindarkan daripada yang buruk. Untuk mencapai maksud tersebut diperlukan pengetahuan dan kemampuan untuk menerapkannya.

1. Syaikh Muhammad Abduh رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan hikmah adalah kefahaman agama yang benar. Iaitu ilmu agama yang benar, yang boleh dipertanggungjawabkan. Kerana ramai orang belajar agama tetapi belum tentu lagi ia adalah fahaman yang benar. Banyak fahaman sesat, menyimpang dan bid’ah yang dipelajari oleh masyarakat kita. Amatlah malang apabila ilmu yang mereka dapat itu bukannya hikmah.

Antara yang diberi adalah kefahaman yang betul tentang infak iaitu kita faham kenapa kita kena infak. Mereka yang ada hikmah sahaja yang akan melakukan infak dengan betul. Ayat Baqarah:269 ini berperanan sebagai penjelasan puncak dan prasyarat rohani untuk memahami dan melaksanakan perintah-perintah infak yang dibincangkan sebelumnya. Ia menekankan bahawa untuk benar-benar mendapat manfaat dan pahala dari infak, seseorang memerlukan hikmah — kebijaksanaan untuk beramal dengan ikhlas, memahami tujuan syariat, dan membuat pilihan yang tepat dalam pengeluaran hartanya. Tanpa hikmah, infak mungkin hanya menjadi sekadar ritual tanpa nilai di sisi Allah ‎ﷻ, sepertimana perumpamaan kebun yang musnah oleh puting beliung berapi dalam ayat 266.

Kefahaman (ilmu) ini amat penting kerana ramai yang tidak tahu apakah kelebihan dan kepentingan infak dalam Islam. Ini adalah kerana mereka tidak belajar. Apabila tidak belajar, mereka akan terkesan dengan bisikan syaitan yang menjanjikan kemiskinan kepada mereka kalau mereka infak. Maka ramai yang tidak infak.

Maka kerana itu kita hendaklah berdoa minta supaya diberikan hikmah, seperti diajar oleh Rasulullah ﷺ,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”
(Riwayat Ibnu Majah, disahihkan oleh Al-Albani)

2. Hikmah adalah ilmu bermanfaat yang diamalkan. Kalau setakat tahu ilmu sahaja tetapi tidak buat, itu bukan hikmah, itu setakat ilmu sahaja. Sebagai contoh, banyak orang sudah tahu mereka tidak patut membazir tetapi bila dapat gaji, membazir juga. Bukannya mereka tidak tahu membazir itu tidak elok, tetapi mereka buat juga. Apabila gaji mereka bazirkan, maka mereka sudah tidak ada duit untuk infak sebab sudah dihabiskan ke tempat yang tidak berfaedah.

Maka sebenarnya ‘ilmu’ dan ‘hikmah’ tidak sama sebenarnya. Dalam konteks Islam, ilmu dan hikmah adalah dua konsep yang saling berkaitan rapat namun mempunyai perbezaan yang ketara dari segi makna, skop, dan aplikasinya. Ilmu secara asasnya bermaksud pengetahuan, pemahaman, atau maklumat yang diperoleh melalui pembelajaran, kajian, pengalaman, atau wahyu. Ia merujuk kepada segala bentuk pengetahuan yang sahih dan benar tentang sesuatu perkara.

Ciri-ciri Ilmu:

    • Pengumpulan Data/Fakta: Ilmu melibatkan pengumpulan fakta, teori, dan data.
    • Pemahaman Konsep: Ia adalah tentang memahami “apa”, “bagaimana”, dan “mengapa” sesuatu itu berlaku, sama ada dalam bidang agama, sains, sejarah, atau lain-lain.
    • Objektif: Ilmu boleh bersifat objektif dan boleh dipelajari, diajar, dan diukur.
    • Sumber: Sumber ilmu dalam Islam sangat luas, termasuk Al-Quran, Sunnah, akal, pancaindera, dan intuisi.
    • Tujuan: Tujuan ilmu adalah untuk mengenal kebenaran, mengenal Allah SWT, dan juga untuk memudahkan kehidupan manusia di dunia.

Contoh Ilmu:

    • Mengetahui hukum-hakam solat.
    • Memahami teori graviti.
    • Mempelajari sejarah sesuatu bangsa.
    • Menghafal Al-Qur’an dan maknanya.

Hikmah pula lebih daripada sekadar pengetahuan. Ia adalah kebijaksanaan, pemahaman yang mendalam, keupayaan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul (kebenaran dalam perkataan dan perbuatan), dan membuat keputusan yang tepat berdasarkan ilmu yang ada serta pemahaman tentang rahsia di sebalik sesuatu perkara. Hikmah lebih luas daripada ilmu, bahkan hujung daripada ilmu adalah permulaan daripada hikmah. Hikmah boleh juga diertikan sebagai mengetahui yang tersirat di belakang yang tersurat, menilik yang ghaib daripada melihat yang nyata, mengetahui akan kepastian hujung kerana telah melihat pangkal. Hikmah seringkali dianggap sebagai aplikasi praktikal ilmu dengan cara yang paling efektif dan bijaksana, serta disertai dengan ketajaman hati dan pandangan jauh.

Ciri-ciri Hikmah:

    • Aplikasi & Tindakan: Hikmah adalah tentang bagaimana menggunakan ilmu yang ada untuk bertindak dengan betul dan bijaksana dalam situasi kehidupan sebenar.
    • Kearifan & Ketajaman Hati: Ia melibatkan kemampuan untuk melihat jauh ke hadapan, memahami implikasi, dan membuat keputusan yang membawa manfaat.
    • Integriti & Keadilan: Orang yang berhikmah akan bertindak adil, jujur, dan berpegang pada prinsip kebenaran.
    • Anugerah Ilahi: Dalam Al-Qur’an, hikmah sering digambarkan sebagai anugerah besar daripada Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, seperti firman Allah dalam Baqarah:269 yang kita sedang bincangkan ini.
    • Keseimbangan: Hikmah juga bermaksud mencapai keseimbangan antara dunia dan akhirat, antara hak individu dan hak masyarakat.

Contoh Hikmah:

    • Memilih diam ketika marah atau difitnah untuk mengelakkan konflik yang lebih besar.
    • Menyampaikan nasihat dengan cara yang lembut, empati, dan sesuai dengan keadaan penerima agar mesej sampai.
    • Menggunakan ilmu agama untuk menyelesaikan masalah kehidupan dengan bijak, bukan sekadar mengetahui hukumnya tetapi memahami roh dan tujuannya.
    • Mengatur kewangan dengan bijak, menabung, dan menyiapkan dana darurat — ini bukan hanya pengetahuan (ilmu) tentang pengurusan kewangan, tetapi aplikasi kebijaksanaan dalam hidup.

3. Apakah ilmu yang paling penting? Itulah kefahaman Al-Qur’an. Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan,

الحكمة هو الفقه في القرءان
Hikmah itu adalah kefahaman mendalam tentang Al-Qur’an.

Ertinya apabila seseorang sudah dapat memahamkan dari dalam Al-Qur’an mana yang hudan (petunjuk) dan mana yang hukum, mana yang disuruh (wajib) dan apa sebab wajibnya dan mana yang ditegah (haram) dan apa sebab ditegah, lalu dapat membandingkan atau mengqiyaskan yang furu'(cabang) kepada yang ushul (pokok), itulah orang yang diberi hikmah.

4. Hikmah juga bermaksud kenabian di tempatnya yang sesuai. Ini seperti diberikan kepada Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Baqarah:251. Di dalam ayat 269 ini tentulah bukan ini yang dimaksudkan.

وَءَاتَٮٰهُ اللَّهُ المُلكَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمّا يَشاءُ
Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya.

Ini kerana menurut Tafsir al-Bahar al-Muhit, hikmah itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para Nabi melakukan hal ini dengan kesempurnaan. Maka kerana itu pangkat kenabian diberi dengan hikmah kerana apa yang mereka lakukan adalah sebagaimana yang sepatutnya.

5. Hikmah juga bermaksud takut kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana kalau tidak ada takut kepada Allah ‎ﷻ, kita sebagai manusia akan senang sahaja buat dosa dan zalim kepada orang lain. Konsep ini bukan takut seperti rasa takut kepada makhluk, tetapi lebih kepada rasa kagum, hormat, tunduk, dan menyedari keagungan serta kekuasaan Allah ‎ﷻ, yang mendorong seseorang untuk menjauhi larangan-Nya dan melaksanakan perintah-Nya. Rasa takut inilah yang akan membimbing kepada kebijaksanaan sejati. Dalilnya disebut di dalam Fathir:28

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
“Sesungguhnya yang benar-benar takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah para ulama (orang-orang yang berilmu). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

6. Kalimah Hikmah juga bermaksud Hadith dan Sunnah. Terlebih utama lagi adalah pemahaman kepada maksud hadith dan sunnah yang perlu dipelajari. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Ali Imran:164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم يَتلو عَلَيهِم ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَالحِكمَةَ
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Qur’an yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat).

Jadi kefahaman kepada Hadith dan Sunnah adalah kefahaman mendalam tentang agama. Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
“Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, maka Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama.

7. Hikmah juga merujuk kepada ketepatan dan kebenaran dalam perkataan dan tindakan. Ini bermakna seseorang yang memiliki hikmah akan berbicara dengan kata-kata yang bermanfaat, tepat pada waktunya, dan sesuai dengan keadaan. Begitu juga, setiap tindakannya akan didasari oleh pertimbangan yang matang, keadilan, dan membawa maslahah (kebaikan). Dalil: Firman Allah ‎ﷻ dalam Nahl:125

“ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ…”
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik…”

Ayat ini memerintahkan dakwah dilakukan dengan hikmah, iaitu dengan cara yang bijaksana, berstrategi, dan sesuai dengan penerima dakwah, sehingga mesej dapat disampaikan dengan efektif.

 

وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا

Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. 

Amat beruntung sekali mereka yang diberikan dengan hikmah itu. Oleh kerana mereka dapat kefahaman yang betul, maka mereka akan infak dengan banyak dan hasilnya, mereka akan jadi kaya raya di akhirat. Malah di dunia lagi mereka akan mendapat balasan baik.

Siapakah yang disebut di dalam Al-Qur’an telah diberi hikmah? Tentu anda pernah mendengar nama Luqman dan malah namanya menjadi salah satu daripada nama surah Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Luqman:12

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ
“Dan sesungguhnya Kami telah memberikan hikmah kepada Luqman, (iaitu): ‘Bersyukurlah kepada Allah.’ Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang ingkar (tidak bersyukur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

Maka untuk memahami apa yang Luqman ada, maka kita kena pelajari Surah Luqman dan ikut langkah beliau. Di dalam kisah Luqman itu kita akan banyak dengar nasihat beliau kepada anaknya yang juga menjadi nasihat bagi kita. Maka kita kena ubah paradigma kita tentang infak. Kita mungkin sangka pemberian itu hanya di dalam bentuk wang sahaja, tetapi apakah yang umat perlukan melebihi wang?

Ilmu agama, manusia lebih memerlukan ilmu agama. Begitulah para Nabi tidaklah meninggalkan harta kepada pengikut mereka tetapi meninggalkan agama. Kejahilan agama sekarang amatlah menakutkan kerana dengan kejahilan itu, entah berapa banyak kesesatan yang dilakukan manusia. Ada yang menggunakan nama agama untuk menyampaikan kesesatan mereka. Mereka ajar benda yang sesat, tetapi kata itulah agama Islam. Ini kerana manusia sudah jauh daripada ajaran wahyu. Mereka belajar agama, tetapi bukannya berlandaskan kepada wahyu. Jadi manusia memerlukan ilmu agama lebih lagi dari wang dan harta. Wang hanya selamatkan manusia di dunia sahaja, tetapi ajaran agama yang benar menyelamatkan manusia dunia dan akhirat sekali.

Maka dakwah dan pengajaran agama amatlah diperlukan sangat. Antara infak yang kita boleh berikan adalah dengan menyampaikan ilmu. Kerana itulah blog ini dibina untuk sampaikan wahyu kepada umat. Kita berharap supaya penulisan ini dapat memudahkan manusia untuk faham tafsir Al-Qur’an dan tadabbur. Malangnya, ada juga yang menentangnya kerana kejahilan. Sebagai contoh, lihat ini,

Pertamanya, tahulah mereka siapa Wahabi itu? Dan apakah firqah Mu’tazilah? Kalau ditanya kembali kepada mereka apa itu Wahabi dan apa itu Mu’tazilah, rasa gagap mereka hendak menjawabnya. Sudahlah tidak tahu definisi, tetapi pandai pula meletakkan label itu kepada orang lain, hanya kerana berbeza fahaman dengan mereka.

Keduanya, bila masa pula kita mengkafirkan orang? Kita yang berpegang dengan wahyu hanya sampaikan wahyu sahaja dan tahu bahawa haram mengkafirkan orang. Jadi tidak pernah kita mengkafirkan orang Islam. Sebaliknya kumpulan sana yang bermudah-mudah mengkafirkan orang yang berpegang dengan wahyu dan berakidah dengan akidah Salafi. Mereka menuduh, sebaliknya mereka sendiri yang buat.

Perhatikan satu lagi masalah masyarakat kita,

Masyarakat kita rajin belajar agama. Segala macam kitab mereka pelajari. Namun soalan kita adalah: bila masa pula hendak pelajari Kitab Kalam Allah ini? Tidakkah patut sebelum dipelajari segala kitab itu dipelajari dahulu apa kata dan kehendak Allah ‎ﷻ? Maka tugas kita masih jauh lagi untuk menyampaikan dakwah wahyu kepada umat Islam di negara kita.

Semoga kita diberikan dengan hikmah, maka hendaklah berdoa kepada Allah ‎ﷻ sebagaimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri memohon hikmah kepada Allah ‎ﷻ, menunjukkan betapa pentingnya kurniaan ini seperti disebut di dalam Syu’ara:83:

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ
“Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan pertemukanlah aku dengan orang-orang soleh.” 

Juga berdoalah seperti doa Ashabul Kahf seperti disebut di dalam Kahf:10

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, dan persiapkanlah bagi kami daripada urusan kami petunjuk yang lurus (kebijaksanaan).”

Ataupun, boleh juga baca doa ini,

اَللَّهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا حِكْمَتَكَ وَانْشُرْ عَلَيْنَا مِنْ خَزَائِنِ رَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
“Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmah-Mu, dan limpahkanlah ke atas kami daripada khazanah rahmat-Mu, wahai Yang Maha Mengasihani daripada segala yang mengasihani.”

 

وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Kalimah الأَلبٰبِ adalah daripada katadasar ل ب ب yang bermaksud pintar; baik hati; hati; bahagian tengah; teras; pulpa buah; fikiran; tulen; tahan karat; saripati; berbakat dengan pertimbangan yang wajar. Maka Ulul Albaab adalah orang yang ada isi, ada akal. Oleh itu, sebenarnya Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa orang yang tidak yakin dengan ajaran wahyu itu adalah mereka yang bodoh sekali. Allah ﷻ sebut ciri-ciri mereka di dalam Ali Imran:190-194

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Jelas bahawa di dalam Islam, yang mendapat pujian adalah golongan yang bijak, berilmu dan juga pintar. Tidak ada tempat bagi orang yang bodoh dan jahil agama. Maka ini mengajar kita, orang yang jahil agama tidak selamat. Namun malangnya, begitu ramai sekali dalam kalangan masyarakat kita berasa tenang sahaja walaupun mereka tidak mahir hal agama. Mereka rasa tidak ada salahnya kalau tidak belajar agama. Mereka banyaknya serahkan sahaja kepada orang lain untuk belajar. Sebagai contoh, ada ibubapa yang hantar anak mereka ke kelas agama, kelas tahfiz dan kelas-kelas agama lain, tetapi mereka sendiri tidak belajar; atau, ada yang suami hantar isteri ke masjid/surau untuk belajar agama, tetapi mereka tidak ikut pun. Mereka hantar dan kemudian pulang balik ke rumah tengok TV.

Bagi mereka yang memang tidak mahu mencari kebenaran, memang mereka tidak akan terima. Namun ada dalam kalangan manusia yang memang ada sifat ulul albaab ini. Oleh kerana itu apabila kita sampaikan ayat-ayat Allah ﷻ yang jelas nyata itu, mereka boleh terima kerana ia bersamaan dengan akal yang sihat.

Apalagi ciri-ciri Ulul Albaab ini? Allah ‎ﷻ sebut di dalam Ra’d:19 – 22

۞ أَفَمَن يَعلَمُ أَنَّما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ الحَقُّ كَمَن هُوَ أَعمىٰ ۚ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ
Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,

الَّذِيْنَ يُوْفُوْنَ بِعَهْدِ اللّٰهِ وَلَا يَنْقُضُوْنَ الْمِيْثَاقَۙ
(iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosak perjanjian,

وَالَّذِيْنَ يَصِلُوْنَ مَآ اَمَرَ اللّٰهُ بِهٖٓ اَنْ يُّوْصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُوْنَ سُوْۤءَ الْحِسَابِ ۗ
dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk.

وَالَّذِيْنَ صَبَرُوا ابْتِغَاۤءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَاَقَامُوا الصَّلٰوةَ وَاَنْفَقُوْا مِمَّا رَزَقْنٰهُمْ سِرًّا وَّعَلَانِيَةً وَّيَدْرَءُوْنَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ اُولٰۤىِٕكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِۙ
Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik)

Kita pun boleh jadi ulul albab kalau kita tahu dan kita berusaha untuk mencapai darjat itu. Janganlah kita sangka yang ia adalah kedudukan yang tidak boleh dicapai.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 267 – 268 (Infak yang diterima)

SEDEKAH YANG BERKUALITI

Baqarah Ayat 267: Sekarang Allah ﷻ menjelaskan cara bersedekah dengan memberitahu kita apakah barang yang patut kita pilih untuk disedekahkan. Orang yang beriman hendaklah menggunakan hati budinya sendiri supaya bukanlah hanya diberi sahaja apa yang boleh diberi tanpa diperhatikan akan barangan itu.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَنفِقوا مِن طَيِّبٰتِ ما كَسَبتُم وَمِمّا أَخرَجنا لَكُم مِّنَ الأَرضِ ۖ وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, spend from the good things which you have earned and from that which We have produced for you from the earth. And do not aim toward the defective therefrom, spending [from that] while you would not take it [yourself] except with closed eyes. And know that Allah is Free of need and Praiseworthy.

MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Dengarlah wahai orang-orang yang beriman. Ini adalah ajaran daripada Allah ‎ﷻ tentang cara infak. Allah ﷻ telah memanggil kita dengan panggilan yang mulia dan mesra, maka dengarlah. Apabila Allah ﷻ menyeru begini, maka tentu ada perkara yang penting yang hendak disampaikan; sama ada suruhan, atau larangan.

 

أَنفِقوا مِن طَيِّبٰتِ ما كَسَبتُم

Belanjakanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, 

Ini syarat yang kena ada. Barang yang kita infak itu mestilah barang yang baik-baik. Barang yang boleh digunakan dan masih boleh dipakai lagi. Boleh digunakan oleh orang yang diberi. Ia juga kenalah sesuai dengan orang yang diberi. Jangan beri baju perempuan kepada orang lelaki, contohnya.

Apabila digunakan kalimah طَيِّبٰتِ, ia juga bermaksud harta yang halal dan baik. Cara mendapatkan harta itu dan penghasilannya mestilah dengan cara yang halal. Maknanya jangan berikan infak daripada harta yang haram, contohnya hartanya yang didapati dengan cara yang haram. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّباً
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللهُ عَنْهُ beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik.
(Riwayat Muslim No. 1015)

Di dalam hadith yang lain, Rasulullah ﷺ bersabda,

لاَ يَتَصَدَّقُ أَحَدٌ بِتَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ إِلاَّ أَخَذَهَا اللَّهُ بِيَمِينِهِ فَيُرَبِّيهَا كَمَا يُرَبِّى أَحَدُكُمْ فَلُوَّهُ أَوْ قَلُوْصَهُ حَتَّى تَكُوْنَ مِثْلَ الْجَبَلِ أَوْ أَعْظَمَ
“Tidaklah seseorang bersedekah dengan sebutir kurma daripada hasil kerjanya yang halal melainkan Allah akan mengambil sedekah tersebut dengan tangan kanan-Nya lalu Dia membesarkannya sebagaimana ia membesarkan anak kuda atau anak unta betinanya hingga sampai semisal gunung atau lebih besar dari itu.”
(Sahih Muslim No. 1014)

Malangnya, dalam masyarakat, ada yang dapatkan harta dengan cara haram dan konon hendak bersihkan harta itu, mereka derma sedikit supaya nampak mereka menderma. Ada juga orang Islam (di negara lain) yang jual arak, selamba sahaja dan sekali sekala mereka akan derma dan sedekah kepada masjid. Sepatutnya tidak boleh diterima infak itu kalau kita tahu dari mana sumbernya.

Namun bagaimana kalau kita ada harta yang daripada sumber yang haram? Contohnya kita sudah bertaubat tetapi duit haram ada banyak. Juga kita simpan duit dalam bank dan dapat banyak riba di dalamnya. Kita tahu yang haram untuk kita menggunakan duit itu, tetapi bagaimana kita hendak lakukan? Pertama, memang kita tidak boleh sedekah, kerana ia tidak layak dijadikan sebagai sedekah. Akan tetapi keduanya, kita kena lupuskan wang itu. Daripada kita lupus dan beri ke tempat yang tidak berfaedah, baik kita berikan kepada yang memerlukan. Boleh kita beri kepada masjid untuk kegunaan awam atau pun kepada individu yang boleh guna benda itu. Cuma kita tidak boleh berniat sedekah, cuma niat hendak lupuskan wang haram itu dengan cara yang baik. Kita tidak dapat pahala daripada sedekah itu tetapi kita akan mendapat pahala daripada taubat kita itu. Yang mendapat wang itu dengan cara haram tidak boleh guna wang itu tetapi orang yang menerima daripada pemberi itu boleh kerana dia menerima sebagai sedekah atau hadiah.

Jadi Allah ‎ﷻ suruh belanjakan di jalan Allah, harta hasil usaha dan kerja kita. Pengajaran pertama yang kita dapat daripada ayat ini ialah bahawa orang yang beriman itu tentu suka berusaha dan bekerja. Orang yang beriman tidaklah akan mahu menganggur membuang-buang waktu dan mengharapkan pemberian daripada orang lain. Segala macam usaha yang halal termasuklah ke dalamnya, termasuk juga bercucuk-tanam dan bertani, bersawah dan berladang. Tidak kiralah apa pun pekerjaan tetapi bekerja yang halal yang mendapat upah atau gaji. Tidaklah berharap emak ayah tanggung atau isteri pula yang kena tanggung. Ada juga kita dengar orang yang bawa perawakan agama tetapi tidak bekerja, isteri yang tanggung. Kononnya mereka itu berdakwah, belajar atau mengajar, maka isteri yang kena tanggung. Ini tidak benar. Seorang suami yang ada ilmu agama, pasti kena ada tanggungjawab untuk menyara anak isteri.

Daripada kerja dan usaha kita itu, hendaklah sebahagian daripadanya kita infak. Memang ia hasil usaha kita, berpenat lelah kita buat kerja, namun bukanlah pendapatan itu hanya untuk kita sahaja. Perhatikan hadith,

عَنْ سَعْدِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يَكُونُ حَامِيَةَ الْقَوْمِ أَيَكُونُ سَهْمُهُ وَسَهْمُ غَيْرِهِ سَوَاءً قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ سَعْدٍ وَهَلْ تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ
Daripada Sa’d bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Aku bertanya; “Wahai Rasulullah, seorang laki-laki yang menjadi pelindung bagi suatu kaum, apakah bahagiannya sama dengan bahagian yang lainnya?” Nabi ﷺ menjawab; “Kenapa kamu ini wahai Ibnu Ummi Sa’d, tidaklah kalian diberi rezeki dan dimenangkan kecuali kerana adanya orang-orang lemah daripada kalian.” (Sahih Bukhari No. 1411)

Di dalam hadith yang lain,

أَبَا الدَّرْدَاءِ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ابْغُونِي الضُّعَفَاءَ فَإِنَّمَا تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ بِضُعَفَائِكُمْ
Abu Ad Darda`  رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; aku mendengar Rasulullah ﷺ berkata: “Carikan orang-orang lemah untukku, sesungguhnya kalian diberi rezeki dan diberi kemenangan kerana orang-orang lemah kalian.” (Sunan Nasa’i (2227) disahihkan oleh Darussalam)

 

وَمِمّا أَخرَجنا لَكُم مِّنَ الأَرضِ

dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.

Berikanlah daripada sumber rezeki yang Allah ‎ﷻ sendiri yang telah beri kepada kita. Allah ‎ﷻ berikan rezeki yang banyak kepada kita supaya kita dapat salurkan kepada orang lain yang memerlukan. Di sini perhatikan Allah ﷻ kata أَخرَجنا لَكُ (Kami keluarkan untuk kamu) sedangkan sebelum ini disebut usaha manusia (ما كَسَبتُم). Jadi Allah ﷻ hendak tekankan, ada rezeki itu hasil usaha kita juga, tetapi ada yang Allah ﷻ beri kepada kita. Kerana dalam hal tanaman, kita tanam benih sahaja tetapi yang jadikan benih itu subuh berkembang adalah Allah ﷻ.

Berkenaan hasil tanaman, ada hukum zakat yang kita perlu perhatikan. Zakat Ushr (زكاة العشر) adalah salah satu jenis zakat yang wajib dikeluarkan daripada hasil pertanian dan buah-buahan. Perkataan “Ushr” itu sendiri berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud “satu persepuluh” (1/10). Zakat ushr wajib dikeluarkan segera setelah hasil pertanian dituai dan telah dibersihkan daripada kotoran atau kulit yang tidak dimakan. Ini merujuk kepada frasa “pada hari memetik hasilnya” dalam An’am:141

ڪُلُواْ مِن ثَمَرِهِۦۤ إِذَآ أَثمَرَ وَءَاتُواْ حَقَّهُ ۥ يَومَ حَصَادِهِۦ‌
Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya;

 

وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ

Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu infakkan

Jangan sengaja memilih yang buruk daripada barang yang hendak diberi itu. Perhatikan kalimah تَيَمَّمُوا yang memberi maksud sengaja. Contohnya, sengaja pilih kambing yang buruk-buruk daripada banyak-banyak kambing. Atau baju yang buruk-buruk yang kita memang hendak buang pun, yang tidak boleh dipakai lagi. Jadi kalau kita beri banyak barang dan termasuk di dalam barang itu ada termasuk barang buruk dan rosak, bukanlah disengajakan, maka itu dimaafkan. Bukannya termasuk di dalam perkara yang sengaja kita lakukan.

Syarat ini bagi orang yang ada barang yang baik. Kalau seseorang itu pun tidak ada barang yang baik, sebagai contoh, mungkin dia pun ada baju buruk dan dia sendiri memakai baju buruk, maka bolehlah dia berikan baju buruk kepada orang lain. Syarat yang disebut di dalam ayat ini adalah orang yang ada barang yang baik-baik, tetapi sengaja pilih yang buruk-buruk untuk diberi kepada orang lain.

Bukanlah kita kena pilih yang terbaik daripada barang yang kita ada. Kerana kadang-kadang ada barang yang kita sayang, kalau kita simpan sendiri pun tidak bersalah. Asalkan kita jangan beri barang yang buruk. Perhatikan apabila Nabi Muhammad ﷺ beri arahan kepada Muaz bin Jabal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengambil zakat, baginda bersabda jangan diambil yang terbaik daripada mereka. Hadith ini diriwayatkan oleh Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ مُعَاذًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ إِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ: “إِنَّكَ تَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ. فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ، وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ.”
Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata: Nabi ﷺ mengutus Muaz رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ke Yaman, lalu Baginda bersabda kepadanya: “Sesungguhnya engkau akan mendatangi suatu kaum daripada Ahli Kitab. Maka hendaklah perkara pertama yang kamu seru mereka kepadanya adalah syahadah bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah. Jika mereka mentaatimu dalam hal itu, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu pada setiap siang dan malam. Jika mereka mentaatimu dalam hal itu, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka, lalu diberikan kepada orang-orang fakir dalam kalangan mereka. Jika mereka mentaatimu dalam hal itu, maka janganlah kamu mengambil harta-harta mereka yang paling baik (kerana ia adalah hak mereka), dan berhati-hatilah dengan doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tiada hijab antara doanya dengan Allah.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ

padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu, kecuali dengan memejamkan mata padanya.

Apakah kriteria barang yang baik-baik itu? Sekarang Allah ‎ﷻ ajar menggunakan diri kita sendiri sebagai kayu ukur. Bayangkan kalau kita sendiri diberi dengan benda itu? Jangan beri barang yang kita sendiri pun tidak mahu kalau diberi oleh orang. Yang kalau kita terima pun dengan pejam mata kerana tidak suka dengan apa yang diberi. Maksudnya, barang itu kalau diberikan kepada kita pun, kita tidak mahu terima, tetapi ambil sahaja sebab orang sudah beri.

Atau, pejam mata itu adalah daripada pihak yang memberi kerana dia sendiri malu kepada pemberi. Dia malu sebab dia sendiri tahu barang yang dia beri itu tidak ada nilai. Namun jangan kata: “Tapi aku bagi orang itu ambik!” Kena faham yang orang yang diberi itu kadangkala ambil juga sebab orang sudah beri, ambil jugalah. Itulah maksudnya. Maknanya, buruk sangat benda yang diberikan itu tetapi ambil kerana jaga hati orang yang memberi sahaja.

Maka ini mengajar kita untuk meletakkan diri di tempat orang lain. Kalau orang lain buat begitu kepada kita, bagaimana? Kalau kita boleh ada rasa empati ini, maka senanglah kita faham. Kerana itu Rasulullah ﷺ mengajar kita supaya suka kalau orang ada apa yang kita suka. Hadith ini masyhur akan tetapi selalunya disalah terjemahkan,

عَنْ أَبِي حَمْزَةَ أَنَسٍ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – خَادِمِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ ” رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ
Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, pembantu Rasulullah ﷺ, daripada Nabi ﷺ bersabda, “Salah seorang di antara kalian tidaklah beriman (dengan iman sempurna) sampai dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri.”
(Sahih Bukhari No. 13 dan Muslim No. 45)

Syarah: hadith ini selalu diterjemahkan dengan kurang tepat begini: sayangilah saudara kamu seperti kamu menyayangi diri kamu sendiri. Ini kurang tepat dan bagi kita, terjemahan yang betul adalah seperti yang kita kongsikan di atas. Iaitu kita suka saudara kita dapat apa yang kita juga suka. Sebagai contoh, kita dapat ilmu agama yang kita suka, maka kita pun mahu orang yang kita kenal dan sayang pun dapat begitu juga. Apakah kaitan dengan ayat ini? Kalau kita pun tidak suka dengan barang itu, takkan kita hendak beri kepada orang lain pula?

Menurut riwayat Ibnu Jarir yang diterimanya daripada al-Bara’ bin Azib, dan suatu riwayat pula daripada al-Hasan, pada waktu itu ada beberapa orang di antara mereka yang ketika hasil ladang mereka telah keluar, mereka pisah-pisahkan hasil-hasil yang bagus-bagus dengan yang buruk-buruk. Nanti setelah amil zakat datang, mereka serahkan hasil yang buruk-buruk itu. Inilah asal mula turun ayat; perbuatan yang demikian amat dicela, tidak patut dan tidak seirama dengan jiwa orang yang beriman.

Asbabun Nuzul (Sebab Turun) Ayat Al-Baqarah: 267

Ayat ini diturunkan untuk menegur amalan sebahagian orang (termasuk dalam kalangan sahabat) yang bersedekah atau mengeluarkan zakat daripada harta benda yang berkualiti rendah atau tidak elok, sedangkan mereka sendiri tidak akan menerima atau menggunakan harta tersebut melainkan dengan rasa jijik atau terpaksa. Terdapat beberapa riwayat mengenai sebab turunnya ayat ini, yang saling melengkapi dan menguatkan makna yang sama:

    1. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: Ayat ini diturunkan berkaitan dengan amalan bersedekah daripada kurma yang berkualiti rendah atau rosak (kurma hasysyaf atau jaiyid). Pada masa itu, orang ramai kadang-kadang mengasingkan kurma yang baik untuk diri mereka, dan kemudian mengumpulkan kurma yang buruk atau tidak layak untuk dimakan lalu menjadikannya sedekah atau zakat.

    2. Diriwayatkan daripada Al-Barra’ bin Azib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: Ayat ini diturunkan mengenai golongan Ansar. Apabila musim menuai kurma tiba, setiap pemilik kebun akan membawa hasil kurma mereka ke masjid Nabi ﷺ. Kemudian, ada di antara mereka yang sengaja memilih kurma yang sudah kering dan tidak elok, atau yang kurang matang, untuk disedekahkan atau digantung di antara dua tiang masjid. Ini adalah kurma yang mereka sendiri tidak suka memakannya. Allah ‎ﷻ menegur perbuatan ini melalui ayat ini.
    3. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: Beliau menceritakan tentang perlakuan orang-orang yang berhutang atau yang mempunyai janji untuk memberi sedekah. Mereka mencari-cari harta atau hasil pertanian yang paling rendah kualitinya untuk ditunaikan hak orang lain atau sedekah. Padahal, jika harta itu untuk diri mereka, mereka tidak akan memilih yang buruk sedemikian rupa.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Sifat Allah غَنِيٌّ

Allah ‎ﷻ Maha Kaya dan tidak perlukan infak kita itu, bukan Allah ‎ﷻ hendak menggunakannya pun. Allah ‎ﷻ suruh infak itu bukan kerana Dia yang mahu dan perlukan harta kita. Kalau seorang guru agama ajar tentang infak entah dia sebenarnya berharapkan sumbangan dari anak muridnya, tetapi Allah ﷻ tidak perlukan apa-apa daripada kita. Allah‎ ﷻ hendak beri peluang kepada kita untuk buat dan kumpul pahala. Allah ﷻ yang sebenarnya kaya dan Dia telah beri segala macam nikmat kepada kita, maka kongsilah dengan orang lain juga.

Allah Maha Kaya, jadi Dia tidak terima pemberian yang buruk-buruk. Ini berbeza dengan manusia yang mungkin kerana terlalu dhaif, maka pemberian buruk pun mereka terpaksa juga.

Lagi satu maksud Allah Maha Kaya adalah Allah ﷻ boleh beri pahala tanpa batasan. Kalau ramai orang infak maka tidaklah Allah ﷻ jadi susah pula untuk balas dengan pahala kerana kekayaan Allah ﷻ tidak terhad.

Sifat Allah حَميدٌ

Allah ‎ﷻ sudah sempurna dan tidak perlukan ibadat kita. Kalau kita tidak buat amal ibadah pun Allah ‎ﷻ tetap mulia dan sudah terpuji. Allah ﷻ terpuji kerana telah memberikan segala nikmat kepada kita maka kita pun kenalah buat perkara yang terpuji juga, iaitu beri barangan yang boleh dipakai. Allah‎ ﷻ beri peluang kepada kita untuk infak untuk kebaikan kita sebenarnya. Maka, ambillah peluang itu.

Di sini juga ada maksud Allah ﷻ memuji orang-orang yang baik yang melakukan infak.

Gabungan غَنِيٌّ dan حَميدٌ

Gabungan Kaya dan Terpuji ini membezakan antara Allah ﷻ dan makhluk. Manusia apabila kaya, selalunya mereka tidak terpuji. Ramai orang kaya melakukan perkara yang salah sampaikan mereka dipandang buruk oleh orang-orang lain. Namun Allah dengan segala kekayaan-Nya, tidaklah melakukan apa-apa perkara buruk.


 

SYAITAN MENGHALANG MANUSIA BERSEDEKAH

Baqarah Ayat 268: Ayat ini memberitahu kita, kalau tidak infak, termasuk dalam golongan syaitan. Ia juga mengajar kita yang untuk menjalankan infak, ada satu cabaran besar yang kena dihadapi iaitu bisikan syaitan. Maka ini adalah salah satu penghalang infak.

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ وَفَضلًا ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Satan threatens you with poverty and orders you to immorality, while Allah promises you forgiveness from Him and bounty. And Allah is all-Encompassing and Knowing.

MALAY
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.

 

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan

Setiap kali kita hendak infak, syaitan akan bisik kepada kita supaya jangan infak seperti bisikan: [kalau kita beri sedekah, infak, derma, nanti duit kita akan habis. Keadaan ekonomi susah sekarang, baik simpan duit. Jangan tolong orang sangat… bukan orang tolong kita pun….], [jangan bagi banyak-banyak, nanti engkau nak makan apa?], [itu datang lagi orang hendak minta duit lagi, hari tu dah minta, ini datang lagi? Kau duduk senyap jer dalam rumah!] dan macam-macam lagi hasutan daripada syaitan supaya kita tidak infak.

Kalimah يَعِدُكُمُ di dalam bentuk present and continuous tense, maka ia bermaksud ia akan berterusan berlaku sampai bila-bila. Akan ada sahaja syaitan yang akan membisikkan perkara ini dan menghasut manusia lain.

Kalimah الفَقرَ daripada kata dasar ف ق ر yang bermaksud miskin, melarat, memerlukan, dikenakan dengan kesusahan sampai boleh mematahkan tulang belakangnya, kesakitan pada tulang belakang. Jadi ia ada dikaitkan dengan tulang belakang yang menjadi kekuatan kepada seseorang. Apabila tulang belakang pun sudah ada masalah, maka ini menandakan kesusahan yang amat teruk.

Ada syaitan yang menghasut manusia supaya jangan belajar agama atau hantar anak belajar agama, kerana mereka kata nanti bila keluar nanti tidak ada kerja dan jadi papa kedana berharap kepada pemberian orang. Kalau kita percaya dengan hasutan syaitan ini, maka kita telah bersangka buruk dengan Allah ﷻ, iaitu kita kata Allah ﷻ tidak akan beri rezeki kepada kita.

Susunan ayat ini berlainan daripada kebiasaan bahasa Arab. Kalimah الشَّيطٰنُ diletakkan di awal ayat. Ini adalah sebagai penekanan untuk kita terus fokus kepada syaitan dan apa yang dilakukannya itu.

Kita telah bincang dan jelaskan di dalam Baqarah:36 siapakah syaitan itu. Ia adalah sifat dan ia boleh jadi jin atau manusia. Sifat itu adalah menjauhkan dari kebenaran. Jadi kalau manusia yang melakukannya, maka manusia itu juga adalah syaitan. Jadi kadang-kadang cadangan supaya jangan infak itu bukannya bisikan dari jin, tetapi kata-kata daripada manusia yang mungkin kawan atau keluarga kita sendiri. Ketahuilah yang ketika itu mereka menjadi syaitan.

Mutawalli asy-Sya’rawi رَحِمَهُ اللَّهُ mengemukakan, dalam bukunya yang berjudul asy-Syithan wa al-lnsan, lebih kurang sebagai berikut, “Kita harus tahu bahawa ada syaitan-syaitan daripada jenis jin dan syaitan-syaitan daripada jenis manusia. Kedua jenis itu dihimpun oleh sifat yang sama dan juga tugas yang sama, iaitu menyebarluaskan kedurhakaan dan kerosakan di bumi. Syaitan-syaitan jin adalah mereka yang derhaka daripada jenis jin yang membendung kebenaran dan mengajak kepada kekufuran. Syaitan-syaitan jenis manusia melaksanakan tugas yang sama. ” Apa yang dikemukakan ini berdasarkan firman Allah ‎ﷻ di dalam An‘am:112

وَكَذٰلِكَ جَعَلنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا شَيَـٰطِينَ ٱلإِنسِ وَٱلجِنِّ يُوحِى بَعضُهُم إِلَىٰ بَعضٍ زُخرُفَ ٱلقَولِ غُرُورًا‌
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.

Orang yang berilmu dan tinggi imannya tentu tidak termakan dengan kata-kata hasutan daripada syaitan ini. Kerana itulah ada banyak ayat Al-Qur’an dan hadith tentang kelebihan infak. Orang mukmin yakin bahawa berapa banyak pun dia beri, ia tidak akan mengurangkan hartanya, malah hartanya akan bertambah lagi. Mereka berpegang dengan hadith ini,

“مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ، وَمَا زَادَ اللهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَنْ تَوَاضَعَ ِللهِ رَفَعَهُ اللهُ”
Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berin­fak melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang berendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya).
(Sahih Muslim No. 4689)

Bagaimana mungkin orang berinfak itu akan kerugian, sedangkan para malaikat berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk beri balasan kepada orang yang berinfak,

“مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا وَمَلَكَانِ يَنْزِلَانِ مِنَ السَّمَاءِ يَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الْآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا”
Tiada suatu hari pun yang padanya hamba-hamba Allah berpagi hari melainkan terdapat dua malaikat yang turun dari langit. Salah seorang yang mengatakan, “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak.” Sedangkan malaikat yang lain­nya mengatakan, “Ya Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang kikir.”
(Sahih Bukhari No. 1442)

Nota: Orang kita buat pandai pula dengan reka satu amalan yang dinamakan ‘Sedekah Subuh’ setelah dengar hadith ini. Pada mereka, hadith ini beri gambaran kepada sedekah subuh. Maka adalah yang buat tabung di rumah dan waktu subuh dia masukkan sedikit duit. Entah bila dia hendak hantar ke tempat yang sepatutnya. Kalau betul hendak sedekah waktu subuh, kenalah cari orang untuk diberi waktu subuh itu juga! Setelah diteliti, sebenarnya tidak terdapat sebarang petunjuk yang jelas yang mengkhususkan perbuatan bersedekah di situ dilakukan pada waktu subuh. Bahkan, yang jelas adalah dua malaikat itu turun pada waktu subuh, dan salah satunya mendoakan gantian yang baik daripada Allah ‎ﷻ kepada orang yang bersedekah. Ini sebenarnya meliputi orang yang bersedekah pada bila-bila masa, baik subuh, petang, atau malam. Doa ini tidak terkhusus kepada mereka yang melakukan sedekah pada waktu subuh sahaja.

Ini juga dapat difahami, dengan melihat kepada doa yang berikutnya. Apakah mereka yang menahan hartanya daripada sedekah pada waktu subuh sahaja yang termasuk dalam doa malaikat agar Allah ‎ﷻ binasakan hartanya? Atau mereka yang menahan hartanya pada waktu-waktu yang lain turut termasuk dalam doa tersebut? Tentulah termasuk juga. Ini menunjukkan bahawa kedekut dan bakhil dengan harta tidak dianggap mempunyai keburukan yang lebih pada waktu subuh berbanding waktu-waktu lain. Sama keadaannya bersedekah dengan harta tidak dianggap mempunyai keutamaan yang lebih pada waktu subuh berbanding waktu-waktu lain. Bahkan sebenarnya dalam sebahagian riwayat, Rasulullah ﷺ bukan sekadar menyebutkan dua malaikat itu turun pada waktu subuh. Bahkan juga turut turun pada waktu Maghrib. Ini berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:

وَلَا غَرَبَتْ إِلَّا بِجَنْبَتَيْهَا مَلَكَانِ يُنَادِيَانِ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Dan tidak terbenam matahari melainkan pada dua sudutnya terdapat dua malaikat yang menyeru : Ya Allah, berikanlah gantian kepada orang yang menginfaqkan (hartanya). Dan berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (kedekut dan bakhil).
(Riwayat Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban No. 3329)

Tidaklah pula orang kita ada yang buat satu istilah baharu pula: ‘Sedekah Maghrib’. Mungkin kerana belum menemui hadith ini agaknya. Kesimpulannya, bersedekah itu merupakan suatu kebaikan yang besar. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Baik subuh, petang, mahupun malam. Tidak ada waktu yang mengatasi fadhilat waktu yang lain dari sudut ini.

 

وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ

dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji

Syaitan hanya menyuruh kepada melakukan perbuatan dosa dan perkara yang memalukan. Ada yang mengatakan yang dimaksudkan di dalam ayat ini bermaksud ‘kedekut’ kerana memang kedekut adalah satu sifat yang memalukan. Ini kerana ia suatu sifat yang tidak patut ada pada orang yang baik. Satu dunia tahu yang kedekut adalah sifat yang buruk, hatta orang kafir pun tahu. Ulama’ mengatakan apabila kalimah الفَحشاءِ digunakan di dalam Al-Qur’an, ia bermaksud dosa-dosa yang berkenaan seks seperti zina dan yang membawa kepadanya; kecuali di dalam ayat ini yang membawa maksud bakhil atau kedekut.

Akan tetapi ini telah menyempitkan maksud الفَحشاءِ yang lebih luas lagi. Kalau setakat kedekut, ia telah diberi maksudnya di atas apabila syaitan menyuruh manusia jangan infak. Kerana orang yang tidak infak, automatik akan menjadi kedekut. Jadi الفَحشاءِ adalah segala sesuatu yang dihimpun oleh apa yang dianggap sangat buruk oleh akal yang sihat, agama, budaya, dan naluri manusia. Ia merangkumi banyak sekali dosa-dosa dan bukan hanya kedekut sahaja.

Lihatlah dalam ayat ini, disebut syaitan ‘menyuruh’ يَأمُرُ, maknanya memberi arahan kepada manusia. Maknanya, Syaitan sudah boleh beri arahan kepada orang itu. Mula-mula dia hanya boleh bisikkan sahaja tetapi kalau sudah selalu sangat ikut bisikan dan saranan syaitan, sampai satu masa syaitan sudah boleh beri arahan terus.

 

وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ

sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya

Di sini kita dapat tahu yang Allah ‎ﷻ akan beri keampunan kepada kita apabila kita infak. Kita tentunya banyak dosa, maka infak itu dapat membersihkan dosa-dosa kita. Ini dikuatkan lagi dengan ayat Tawbah:104

أَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ وَيَأخُذُ الصَّدَقٰتِ وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?

Ayat Tawbah:104 ini disebut oleh Allah ﷻ setelah menyebut tentang sedekah dan zakat. Maka ada kaitan yang amat rapat antara sedekah dan pengampunan daripada Allah ﷻ.

Mungkin ada tidak nampak kepentingan pengampunan ini kerana mereka hendak juga balasan di dunia lagi. Maka jangan kita pandang rendah janji Allah ﷻ ini kerana pengampunan dosa akan menambah rezeki kita seperti disebut dalam Nuh:10-12. Ini kerana rezeki kita sempit adalah kerana dosa yang banyak.

فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ إِنَّهُ ۥ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارًا (١١) وَيُمۡدِدۡكُم بِأَمۡوَٲلٍ وَبَنِينَ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ جَنَّـٰتٍ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ أَنۡہَـٰرًا (١٢)
Sehingga aku (Nabi Nuh) berkata: Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (10) (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; (11) Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (12)

Begitulah kalau kita taat kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan berikan kekayaan yang melimpah ruah kepada kita seperti disebut di dalam A’raf:96

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ 
Dan sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membukakan kepada mereka (pintu-pintu) keberkatan dari langit dan bumi. 

Di dalam ayat ini Allah ﷻ tekankan keampunan daripada Dia مَغفِرَةً مِّنهُ. Keampunan daripada Allah ﷻ tentulah tidak sama dengan pemaafan daripada manusia. Kalau manusia ampunkan, dia tidak beri hadiah sebagaimana Allah ﷻ berikan kepada kita.

Malah yang lebih penting, apabila di akhirat pula dosa kita tiada dan mendapat rahmat Allah ﷻ untuk masuk syurga. Ini kerana punca kita dimasukkan ke dalam neraka adalah kerana dosa. Maka kita kena berharap dan minta ampun banyak-banyak daripada Allah ﷻ. Sekarang kita diberitahu yang kalau infak, Allah ﷻ akan beri pengampunan.

 

وَفَضلًا

serta kurnian-Nya.

Maksudnya فَضلًا pula adalah rezeki yang tidak disangka-sangka sebagai kurniaan daripada Allah ﷻ. Atau ia boleh jadi Allah ﷻ jauhkan kita daripada musibah. Mungkin tidak nampak duit yang banyak tetapi apabila jauh daripada musibah itu kadangkala lebih bagus kerana duit kita selamat. Apa guna kalau gaji tinggi dan harta banyak kalau sikit-sikit ada musibah yang menyebabkan wang kita habis begitu sahaja. Perhatikan entah berapa ramai sakit dan habis duit mereka bayar kepada hospital sahaja. Jadi kalau Allah ﷻ berikan فَضلًا bermaksud Allah ﷻ selamatkan.

Atau ia bermakna Allah ﷻ beri keberkatan pada duit kita yang ada. Apabila ada keberkatan pada harta dan pendapatan, walaupun sedikit tetapi nampak cukup sahaja. Kerana itu ramai kita lihat orang yang gaji kecil sahaja tetapi kita tidak lihat pun mereka ada masalah untuk makan dan pakai dan menjalani kehidupan mereka.

Dari segi agama, Allah ‎ﷻ akan beri taufik kepada kita untuk mengerjakan amal ibadat. Taufik adalah kekuatan untuk melakukan perkara yang Allah ‎ﷻ suruh. Kadang-kadang ada manusia yang hidayah sudah sampai kepada dia – dia tahu dia kena buat amal ibadat, tetapi dia tidak buat kerana dia tidak dapat taufik. Tidak ada kekuatan pada diri dia.

 

وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.

Allah ‎ﷻ akan balas dengan beri tambahan ganjaran di akhirat. Dia Maha Tahu siapakah yang beri infak dan Dia akan balas infak itu dengan pahala yang lebih baik daripada infak yang kita beri itu. Allah ‎ﷻ boleh beri ganjaran yang berganda-ganda kerana rahmat-Nya amat luas.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah