Ali Imran Ayat 24: Allah beritahu kenapa mereka berdegil tidak mahu terima kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka. Inilah punca kenapa golongan ahli kitab itu berani menolak kebenaran. .
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ ۖ وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ
SAHIH INTERNATIONAL
That is because they say, “Never will the Fire touch us except for [a few] numbered days,” and [because] they were deluded in their religion by what they were inventing.
MALAY
Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ
Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”.
Ini akidah Puak Yahudi dan Nasara. Mereka sangka (perasan) yang mereka akan masuk neraka tidak lama. Maksud مَّعدودٰتٍ adalah bilangan yang boleh dibilang; dan bila boleh dibilang, tidak banyak lah. Ada pendapat yang kata paling lama pun selama 40 hari sahaja. Dan perhatikan kalimah yang digunakan adalah تَمَسَّنَا iaitu bermaksud mereka ‘disentuh’ sahaja. Maknanya kena sedikit sahaja pada pandangan mereka. Tapi kenapa 40 hari? Kerana itulah lamanya tok nenek mereka menyembah anak patung yang dibuat oleh Samiri. Ada juga yang kata 7 hari sahaja kerana itulah lamanya hari dalam seminggu. Oleh kerana sangka sekejap sahaja masuk nerakalah yang mereka berani buat apa sahaja di dunia ini walaupun berlaku zalim kepada orang lain.
Jadi sebenarnya mereka tahu adanya neraka dan malah mereka terima kemungkinan mereka akan masuk neraka. Dan mereka tidak takut, malah berbangga pula! Ini yang peliknya. Sepatutnya mereka bertaubatlah supaya tak masuk neraka langsung. Adakah mereka sangka neraka itu seperti masuk penjara di dunia sahaja? Sedangkan Rasulullah bersabda:
نَارُكُمْ هَذِهِ الَّتِي يُوقِدُ ابْنُ آدَمَ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا مِنْ حَرِّ جَهَنَّمَ
“Api kamu yang dinyalakan oleh anak Adam di dunia ini hanyalah satu bahagian daripada 70 bahagian panasnya api neraka Jahannam.”
Para sahabat berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah, api dunia ini sahaja pun sudah cukup (untuk menyeksa).” Baginda bersabda:
فَإِنَّهَا فُضِّلَتْ عَلَيْهَا بِتِسْعَةٍ وَسِتِّينَ جُزْءًا كُلُّهَا مِثْلُ حَرِّهَا
“Sesungguhnya api neraka itu dilebihkan (ditingkatkan panasnya) 69 kali ganda berbanding api dunia, yang mana setiap bahagiannya sama panasnya dengan api dunia itu.”
(Sahih al-Bukhari, No. 3265 & Sahih Muslim, No. 2843)
Oleh kerana ada akidah ini, jadi mereka sampaikan tidak takut menipu dalam hal agama. Mereka tahu ada neraka, tahu mereka mungkin akan masuk tapi mereka sangka kalau masuk pun sekejap sahaja. Kerana mereka sangka mereka itu umat terpilih. Macam ayah, takkan nak hendak hukum lama sangat anak kesayangan dia, bukan?
Balaghah: Dalam ayat ini digunakan lafaz مَعدوداتٍ. Ianya bermaksud jumlah yang banyak tapi tidak banyak sangat. Ini adalah salah satu dari ilmu nahwu bahasa Arab. Dalam Baqarah:80, digunakan lafaz مَعدودَةً.
وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”
Oleh kerana kalimah yang digunakan berlainan, tentu ada perbezaan. Kedua-duanya berbentuk jamak (plural) akan tetapi tidak sama. Kalimah مَعدودَةً bermaksud jumlah yang lebih banyak akan tetapi ia tidak sebanyak مَعدوداتٍ. Di dalam Bahasa Arab, jamak ada dua jenis. Ada jamak qillah (جمع قلة) dan jamak kasrah (جمع كثرة). جمع قلة digunakan apabila banyak itu tidak banyak sangat dan boleh dikira sedangkan جمع كثرة digunakan apabila ia lebih banyak. Digunakan جمع كثرة kerana ada yang 40 hari dan ada yang kata 7 hari sahaja maka di sana digunakan جمع قلة. Oleh itu kalimah مَعدوداتٍ yang digunakan di dalam Ali Imran ini adalah bilangan yang lebih banyak daripada مَعدودَةً.
Kenapa mereka sangka mereka pasti masuk syurga dan kalaulah masuk neraka kerana ada kesalahan yang mereka lakukan, mereka masuk sekejap sahaja? Frasa selepas ini menjawab persoalan itu.
وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ
Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.
Mereka diperdaya oleh fahaman sesat mereka. Mereka sendiri yang reka fahaman sesat itu. Pendeta dan ulama’ agama mereka telah memutar-belit agama dan mereka terus percaya (tanpa usul periksa lagi). Malah yang lebih pelik lagi, mereka sangka mereka pasti akan masuk neraka. Dan mereka yakin mereka sahaja yang masuk! Mereka bercakap tanpa dalil dan Allah tempelak mereka di dalam Baqarah:111
وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰۗ تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.
Kalimah غَرَّ digunakan apabila penipuan itu diberikan dalam bentuk nasihat. Jadi kerana itu ramai yang percaya kerana ia datang dari ahli agama. Mereka tidak periksa sama sekali sama ada yang disampaikan itu ada dalil atau tidak. Ini macam masyarakat kita juga, kalau ustaz cakap begini dan begitu, masyarakat yang jahil akan terima bulat-bulat sahaja. Macam mereka tidak ada akal untuk periksa sendiri.
Begitulah akidah sesat golongan ahli kitab. Padahal tiada dalil sahih yang kata mereka akan kena azab sekejap sahaja. Inilah bahaya propaganda. Mungkin pada mulanya ada yang cakap satu idea yang tiada asas. Tapi apabila sudah ramai yang terima, ramai yang cakap benda yang sama, ia sudah jadi macam fakta, padahal asalnya tidak. Antara contohnya, mereka didoktrin oleh ahli agama mereka yang mereka anak-anak Allah, kesayangan Allah, seperti disebut di dalam Maidah:18. Jadi bila anak Tuhan, takkan Tuhan hendak azab?
وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَؤا اللهِ وَأَحِبَّؤُهُ قُلْ فَلِمَ يُعَذِّبُكُم بِذُنُوبِكُم بَلْ أَنتُم بَّشَرٌ مِّمَّنْ خَلَقَ
Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”. Katakanlah: “Maka mengapa Allah menyeksa kamu kerana dosa-dosamu?” (Kamu bukanlah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya), tetapi kamu adalah manusia (biasa) diantara orang-orang yang diciptakan-Nya.
Masyarakat kita pun ada fahaman sesat ini. Mereka kata “kalau masuk neraka, orang Muslim akhirnya akan masuk syurga juga, bukan?” Tentu anda pernah dengar kata-kata sebegini. Maka fahaman itu menyebabkan ramai Muslim yang rasa selamba sahaja, macam tak takut kalau buat dosa. Yakin benar mereka yang mereka akan masuk sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk syurga akhirnya. Sedangkan akidah entah benar atau tidak, solat pun culas, tapi perasan duduk sekejap sahaja dalam neraka! Siapa yang ada bagi janji kepada mereka, begitu? Apa mereka sangka neraka itu macam kena tahan di penjara dunia sahajakah? Amat malang sekali kepada mereka yang ada fahaman sebegitu. Kerana fahaman lebih kurang sahaja dengan fahaman Yahudi dan Kristian.
Ali Imran Ayat 25:
فَكَيفَ إِذا جَمَعنٰهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ
SAHIH INTERNATIONAL
So how will it be when We assemble them for a Day about which there is no doubt? And each soul will be compensated [in full for] what it earned, and they will not be wronged.
MALAY
Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang dia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.
فَكَيفَ إِذا جَمَعنٰهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ
Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya;
Bagaimana agaknya mereka pada Hari Kiamat itu? Bahasa yang digunakan menunjukkan ketakjuban. Hari itu pasti datang dan mereka akan mendapat balasan mereka. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan mereka lalui nanti. Tidakkah mereka pernah terfikir? Tidakkah mereka takut? Sama ada takut kepada Hari Kiamat atau takut kepada hari yang mereka pastinya akan mati (juga dipanggil Kiamat Kecil).
Maka kita pun kena ingat selalu perkara ini. Kena kenang apalah balasan untuk kita di akhirat kelak. Jangan fikir hal dunia sahaja tapi fikirkan juga hal-hal akhirat yang pasti datang. Mahu fikir atau tidak, ia tetap datang (kerana ia tidak syak lagi, pasti akan datang).
وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت
dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan,
Manusia akan dapat balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukannya di dunia. Kalau dia pernah melakukan kesalahan akidah sesat, maka dia akan kekal dalam neraka (bukan sementara sahaja). Kalau dia ada dosa, maka dia akan diazab di dalam neraka kalau dosanya melebihi pahalanya.
Apa sahaja yang Allah lakukan, ianya pasti adil. Apa sahaja balasan yang Allah berikan, memang ia patut diberikan kepada orang yang menerimanya.
Ayat ini juga dalil bahawa kita hanya mendapat hasil dari usaha kita sahaja. Maka, kalau sedekah atau hadiah pahala tidak sampai. Maka jangan berharap subsidi pahala dari anak beranak. Kena usahakan sendiri semasa kita masih lagi hidup.
وَهُم لا يُظلَمونَ
sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.
Mereka tidak akan diberikan azab melainkan apa yang mereka buat sahaja. Tidaklah macam di dunia, kadang-kadang mahkamah kenakan hukuman kepada orang yang tidak bersalah. Allah tidak zalim dan tidak pernah tersilap. Apa-apa sahaja yang Allah lakukan, tidak pernah dan tidak akan zalim.
KUASA MUTLAK ALLAH
Ali Imran Ayat 26: Ini adalah natijah dari fahaman yang tauhid, maka doa pun dalam bentuk tauhid juga. Ayat ini mengajar kita untuk minta kepada Allah sahaja. Kalau minta kepada wali dan Nabi, itu tanda orang yang ada masalah dengan tauhid.
Ini adalah salah satu daripada doa yang masyhur dalam masyarakat kita. Ayat ini selalu dibaca dalam Majlis Tahlil. Adakah mereka yang membacanya tahu maksud ayat ini agaknya? Mereka mungkin tidak tahu kerana mereka masih mengamalkan amalan bidaah (Majlis Tahlil). Mereka hanya ikut-ikut sahaja amalan tok nenek dahulu tanpa melihat kepada dalil.
Jadi ayat ini adalah doa yang bagus untuk kita amalkan. Kalau kita lihat di dalam Al-Qur’an terdapat dua jenis doa yang disebut:
1. Ada jenis doa yang Allah pulangkan kembali kata-kata manusia untuk dijadikan sebagai contoh doa kepada kita. Maknanya kita boleh minta dengan cara kita sendiri.
2. Tetapi ada doa yang Allah sendiri ajarkan pada kita untuk menyebutnya seperti yang Allah gunakan di dalam ayat ini. Allah sendiri suruh kita sebut dengan cara seperti yang tertulis kerana ada perkataanقل (katakanlah) di awal ayat ini.
قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ ۖ بِيَدِكَ الخَيرُ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
SAHIH INTERNATIONAL
Say, “O Allah , Owner of Sovereignty, You give sovereignty to whom You will and You take sovereignty away from whom You will. You honor whom You will and You humble whom You will. In Your hand is [all] good. Indeed, You are over all things competent.
MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!
Maksud اللَّهُمَّ adalah cara panggilan kepada Allah. Ia diterjemahkan: “ya Allah!”. Doa Nabi selalu menggunakan اللَّهُمَّ. Maka, elok kalau kita guna cara begitu.
Dialah Allah dan Dia sahaja yang memiliki kerajaan yang sebenar. Maksud المُلكِ adalah kerajaan yang besar.
Ada perbezaan antara maksud مالِكَ dan المُلكِ walaupun bunyinya seakan-akan sama. Maksud مالِكَ adalah ‘memiliki’. ‘Memiliki’ maksudnya ada benda yang menjadi hak kita. Macam kita miliki rumah atau pen.
Tapi kalimah المُلكِ bermaksud kerajaan besar yang selalunya ditadbir oleh seorang Raja. Tapi walaupun dia Raja, tidaklah dia memiliki semuanya seperti rumah dan pen. Jadi, apabila Allah menggunakan perkataan المُلكِ dan مالِكَ ini, maksudnya Allah memiliki kerajaan yang besar dan apa-apa sahaja yang kecil-kecil. Allah memiliki yang makro dan mikro.
تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ
Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,
Allah yang beri kuasa kerajaan di dunia. Ini adalah antara perkara yang tidak dapat dijangka. Ada orang yang tidak pernah sangka akan menjadi raja, akhirnya menjadi raja.
Sebagai contoh, dalam kerajaan Melayu dahulu, keturunan Raja-raja telah ditetapkan. Tetapi apabila Kerajaan British campurtangan, mereka telah menukar Sultan yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka dengan orang lain. Orang yang tidak sepatutnya menjadi raja, dia pula yang dinaikkan jadi Sultan.
Begitulah juga, Nabi Muhammad bukanlah berdakwah mengajar agama kerana hendakkan kuasa pemerintahan. Tetapi kuasa memerintah diberikan juga kepada baginda untuk menegakkan hukum agama. Ini kerana apabila hendak menegakkan undang-undang agama Islam, maka kenalah ada kerajaan dan kuasa dahulu.
وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ
dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.
Dan Allah boleh ambil balik kerajaan yang telah diberikanNya. Ada kerajaan yang besar yang tak sangka boleh diambil. Macam Allah ambil kekuasaan Hosni Mubarak di Mesir tidak lama dahulu. Kerajaan di Malaysia pun begitu juga. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tapi akhirnya jatuh juga. Itu memang tidak disangka.
Kalau beberapa tahun sebelum itu ditanya adalah Hosni Mubarak akan kehilangan kuasa dia, orang yang pandang kita dan kata: “Engkau dah gila?”. Tapi segala-galanya dalam kekuasaan Allah. Allah boleh beri dan Allah boleh tarik. Kalau kita sedang berada di tampuk pemerintah tertinggi mana pun, ingatlah yang kita tidak selama-lamanya ada di situ.
Ibnu Abbas ada menafsirkan lafaz al-Mulk dalam ayat ini adalah an-nubuwwah. Kerana ada kekuasaan kepemimpinan dalam nubuwwah juga. Maksudnya Allah boleh memberi dan menarik nubuwwah dari golongan mana-mana sahaja dan diberikan kepada mereka yang lain. Sebagaimana dulu Allah beri wahyu kepada Bani Israil, tapi kemudian Allah telah tarik dan beri kepada Bani Ismail iaitu Nabi Muhammad dari Bani Ismail – bangsa Arab.
وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ
Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki,
Allah boleh muliakan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Kita pun kadang-kadang boleh lihat dalam masyarakat kita, orang yang tidak pernah dikenali sebelum itu, tiba-tiba jadi terkenal dan tersohor dalam masyarakat. Ada orang yang tidak ada harta tapi mulia di mata orang.
Sebagai contoh, dalam sejarah banyak kali kita dengar, bagaimana ulama’ yang tinggi ilmu agama mereka, dan besar jiwa mereka dihormati oleh manusia walaupun mereka tidak ada kuasa pemerintahan. Sebagai contoh, Imam Malik amat dihormati oleh Khalifah. Dan banyak lagi kisah yang kita biasa dengar.
وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ
dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.
Dan Allah boleh malukan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Orang yang dipandang tinggi selama hari ini, tiba-tiba ada rahsia dia yang keluar dalam berita sampaikan menghinakan orang itu. Dari pemimpin negara yang besar, boleh jatuh sampai jadi sampah masyarakat.
بِيَدِكَ الخَيرُ
di tanganMu kebaikan
Segala kebaikan adalah pada Allah. Maksudnya, segala apa sahaja yang Allah buat adalah baik belaka. Jangan kita pertikai apa yang Allah telah lakukan. Kena redha dengan apa yang Allah telah rancang dan jalankan. Jangan kita gunakan akal kita yang lemah ini untuk menilai baik dan buruk apa yang Allah lakukan.
إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Allah boleh lakukan apa sahaja yang Allah mahu. Keputusan Allah tidak tertakluk dengan apa-apa sebab pun. Sebab? Sebab Dia Tuhan. Siapa kita untuk mempertikaikan apakah yang Allah hendak lakukan?
Allah hendak memberitahu yang sebelum ini tampuk agama adalah pada Bani Israil, banyak Nabi dari kalangan mereka. Tapi sekarang Allah sudah buat keputusan untuk memberi tampuk itu kepada orang lain – Nabi Muhammad dari bangsa Arab. Dari Tanah Arab yang kering kontang itu, telah mengubah dunia.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 28 Februari 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
