Tafsir Surah an-Najm Ayat 32 (Jauhi dosa besar)

Ayat 32: Ini adalah sifat-sifat mereka yang akan dibalas dengan syurga. Ini juga adalah sifat-sifat lain bagi ahli tauhid. Asalnya dia bermula dengan terima akidah tauhid maka amalannya pun jadi baik. Memang ada banyak sifat-sifatnya yang baik dan sekarang disebut sifat-sifat yang paling penting.

الَّذينَ يَجتَنِبونَ كَبائِرَ الإِثمِ وَالفَواحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ واسِعُ المَغفِرَةِ ۚ هُوَ أَعلَمُ بِكُم إِذ أَنشَأَكُم مِنَ الأَرضِ وَإِذ أَنتُم أَجِنَّةٌ في بُطونِ أُمَّهاتِكُم ۖ فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم ۖ هُوَ أَعلَمُ بِمَنِ اتَّقىٰ

Sahih International

Those who avoid the major sins and immoralities, only [committing] slight ones. Indeed, your Lord is vast in forgiveness. He was most knowing of you when He produced you from the earth and when you were fetuses in the wombs of your mothers. So do not claim yourselves to be pure; He is most knowing of who fears Him.

Malay

(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Dia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ

(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar

Ini adalah sifat orang-orang yang Allah akan balas dengan syurga seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini.

Dalam ayat sebelum ini telah disentuh bagaimana Allah akan membalas manusia dengan kebaikan amal yang mereka lakukan. Tetapi dalam agama ini, kita bukan sahaja perlu beramal, tetapi ada perkara-perkara yang kita perlu tinggalkan. Oleh itu, ayat ini memperkatakan tentang meninggalkan dosa pula.

Penting untuk kita meninggalkan dosa-dosa kerana kita hanya boleh beramal dengan kebaikan jikalau kita berusaha meninggalkan dosa. Janganlah kita menjadi orang yang buat amal ibadat, tapi dalam masa yang sama, masih lagi melakukan dosa-dosa besar. Dosa-dosa yang besar akan menghalang kita dari melakukan amal ibadat.

Ayat ini tentang mereka yang meninggalkan dosa-dosa besar. Dia memang tak buat dosa-dosa syirik, tetapi dalam masa yang sama, dia juga tidak mahu langsung buat dosa-dosa besar. Sebagai contoh, kalau ada orang yang buat Majlis Tahlil dan ajak dia datang, dia memang tidak akan hadir.

Ataupun kalau ada yang buat majlis perkahwinan dan ada bersanding, dia tak jadi naik ke rumah itu. Sanggup dia patah balik dan makan di kedai makan sahaja dari bersekongkol dengan majlis syirik kepada Allah.

Ulama mengatakan bahawa كَبَائِرَ الْإِثْمِ ini adalah dosa-dosa yang membawa kita ke Neraka jikalau kita melakukannya. Dalam Al-Qur’an telah dijelaskan berbagai macam dosa-dosa besar dan keharusan kita untuk bertaubat serta menjauhkan diri dari hal-hal yang dilarang oleh Allah.

Tapi apakah ‘dosa besar’ itu? Banyaklah tafsiran di kalangan ulama’ dan kita cuba berikan sebahagian darinya. Dosa besar merupakan sesuatu dosa yang dalam Al-Qur’an sudah diancam hukuman yang sangat berat dan tidak mendapat ampunan dari Allah. Sebagai seorang Muslim, kewajipan kita adalah menjalankan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya yang timbul dari keimanan dan ketakwaan kita.

Ada ulama’ yang cuba menyenaraikan semua dosa besar itu. Sebagai contoh, ada 70 jenis dosa besar yang disebut dalam kitab Al-Kabair oleh Adz-Dzahabi. Alasan dan dasar hukumnya dapat dilihat sendiri dalam kitab Al-Kabair (الكبائر) karya Adz-Dhahabi.

1. Menyekutukan Allah atau Syirik
2. Membunuh manusia
3. Melakukan sihir
4. Meninggalkan solat
5. Tidak mengeluarkan zakat
6. Tidak berpuasa ketika bulan Ramadhan tanpa alasan yang kuat
7. Tidak mengerjakan Haji walaupun berkecukupan
8. Durhaka kepada Ibu Bapa
9. Memutuskan silaturahim
10. Berzina
11. Melakukan sodomi atau homoseksual
12. Memakan riba
13. Memakan harta anak yatim
14. Mendustakan Allah S.W.T dan rasul-Nya
15. Lari dari medan perang
16. Pemimpin yang penipu dan kejam
17. Sombong
18. Saksi palsu
19. Meminum minuman beralkohol
20. Berjudi
21. Menuduh orang baik melakukan zina
22. Menipu harta rampasan perang
23. Mencuri
24. Merompak
25. Sumpah palsu
26. Berlaku zalim
27. Pemungut cukai yang zalim
28. Makan dari harta yang haram
29. Bunuh diri
30. Berbohong
31. Hakim yang tidak adil
32. Memberi dan menerima rasuah
33. Wanita yang menyerupai lelaki dan sebaliknya juga
34. Membiarkan isteri, anaknya atau anggota keluarganya yang lain berbuat maksiat dan membantu anggota keluarganya untuk berbuat maksiat
35. Menikahi wanita yang telah bercerai agar wanita tersebut nantinya boleh kembali menikah dengan suaminya terdahulu (Cina Buta)
36. Tidak melindungi pakaian dan tubuhnya dari terkena hadas kecil seperti air kencing atau kotoran
37. Riya’ atau suka menunjuk-nunjuk
38. Ulama’ yang memiliki ilmu namun tidak mahu mengamalkan ilmu tersebut untuk orang lain
39. Berkhianat
40. Mengungkit-ungkit pemberian
41. Mengingkari takdir Allah SWT
42. Mencari-cari kesalahan orang lain
43. Menyebarkan tohmah
44. Mengutuk umat Islam
45. Mengingkari janji
46. Percaya kepada sihir dan nujum
47. Durhaka kepada suami
48. Membuat patung
49. Menampar pipi dan meratap jika terkena bala
50. Mengganggu orang lain
51. Berbuat zalim terhadap yang lemah
52. Mengganggu jiran
53. Menyakiti dan memaki orang Islam
54. Durhaka kepada Allah S.W.T dan menganggap dirinya baik
55. Memakai pakaian labuh
56. Lelaki yang memakai sutera dan emas
57. Seorang hamba yang lari dari tuannya
58. Sembelihan untuk selain Allah S.W.T
59. Seorang yang mengaku bahawa seseorang itu adalah ayahnya namun dia tahu bahawa itu tidak benar
60. Berdebat dan bermusuhan
61. Enggan memberikan kelebihan air
62. Mengurangi timbangan
63. Merasa aman dari kemurkaan Allah S.W.T
64. Putus asa dari rahmat Allah S.W.T
65. Meninggalkan solat berjemaah tanpa alasan yang kuat
66. Meninggalkan Solat Jumaat tanpa alasan yang kuat
67. Merebut hak warisan yang bukan miliknya
68. Menipu
69. Mengintip rahsia dan membuka rahsia orang lain
70. Mencela Nabi dan para sahabat baginda

 

وَالْفَوَاحِشَ

dan perbuatan keji

Orang yang beriman itu juga akan meninggalkan dosa-dosa keji yang memalukan. Ini adalah dosa perbuatan yang keji, yang dengan kawan atau dengan isteri kita sendiri pun kita tak mahu dia tahu yang kita melakukan perbuatan itu kerana ianya memang memalukan.

Kadang-kadang dengan kawan atau dengan isteri, mereka tahu kebanyakan dari kelakuan kita. Tapi, ada dosa-dosa keji yang dengan isteri atau kawan baik kita pun kita malu kalau mereka tahu.

Dosa الْفَوَاحِشَ ini juga sebenarnya termasuk dalam dosa besar tapi Allah sebut dengan khusus kerana ianya melibatkan nafsu syahwat. Ianya melibatkan nafsu seks dan memalukan seperti penzinaan. Allah sebut dengan khusus kerana ianya senang sangat terjadi. Sebagai contoh, kita tentu tidak bunuh orang, tapi bagaimana dengan zina? Mana lagi ada kemungkinan kita lakukan? Tentulah zina, bukan? Kerana ia agak mudah dilakukan.

Meninggalkan dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan yang keji memerlukan iman yang tinggi. Kita mungkin tidak mencari untuk berbuat dosa besar itu tetapi bagaimana pula kalau Allah tiba-tiba uji kita dengan meletakkannya berada di depan mata kita?

Sebagai contoh, kita memang tidak mahu melakukan zina tetapi bagaimana pula kalau ada seorang perempuan yang cantik yang mahu berzina dengan kita, adakah kita mempunyai kekuatan iman untuk menolaknya? Itulah ujian iman yang memerlukan kekuatan dan keimanan yang tinggi.

Sebab itu dosa الْفَوَاحِشَ disebut secara khusus dalam ayat ini kerana walaupun ianya memang sudah termasuk di dalam jenis dosa, tetapi dosa jenis ini amat susah untuk dijaga. Maka Allah selalu letak penekanan khusus bagi dosa jenis ini. Kita mungkin lebih mudah untuk tidak melakukan dosa besar seperti bunuh orang lain, minum arak, makan babi, dan sebagainya.

Tetapi apabila melibatkan dosa yang berkaitan dengan nafsu syahwat, ianya amat sukar. Sebab itu walaupun ada yang mengaku Muslim tetapi mereka juga menonton video lucah, dan ada juga yang melakukan zina. Dan ada yang mengaku Muslim, tapi mengamalkan homoseksual. Mereka seperti tidak dapat meninggalkan perbuatan itu walaupun mereka tahu ianya salah.

 

إِلَّا اللَّمَمَ

yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil.

‘Dosa-dosa kecil’ ini adalah dosa yang tidak berapa jelas. Oleh sebab itu ianya memang susah untuk ditinggalkan. Jadi ini adalah jenis dosa yang sukar kita nak elak. Dan kerana itu tiada celaan khusus kepadanya.

Perkataan اللَّمَمَ dari katadasar ل م م yang bermaksud ‘perkara yang kecil’. Ia juga bermaksud ‘sesuatu yang dilakukan sekali sekala’. Ia juga bermaksud ‘singgah’. Maknanya, dosa yang singgah sekejap sahaja dan tidak kekal. Contohnya seorang lelaki goda perempuan dan tidak jadi apa-apa.

Oleh itu, dalam perkara dosa ini, ianya adalah dosa yang kecil sahaja yang dilakukan sekali sekala. Bukanlah sampai menjadi tabiat. Dan setiap kali melakukan dosa kecil itu, kita sepatutnya menyesali perbuatan kita dan meminta ampun kepada Allah. Janganlah kita buat lagi, walaupun kita tahu ianya dosa kecil.

Kita sebagai manusia biasa tentunya tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dosa-dosa kecil. Nabi pernah bersabda:

كُلُّ بَنِى آدَمَ خَطَّاؤُوْنَ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّبُوْنَ

“Setiap Bani Adam itu bersalah dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan itu adalah mereka yang bertaubat”.

Hadis ini memberitahu kita bahawa sebagai manusia, kita tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dosa. Hadis di atas juga menyatakan bahawa semulia-mulia manusia adalah yang bertaubat apabila menyedari dirinya telah melakukan dosa atau bersalah.

Allah Azza wa-Jalla pula telah memerintahkan setiap mukmin agar mereka segera bertaubat, dan janganlah ditangguh-tangguh atau dilewat-lewatkan. Adapun antara dalil-dalil dari Al-Qur’an tentang wajibnya segera bertaubat ialah Nur:31

وَتُوْبُوْااِلَىاللهِ جَمِيْعًااَيُّهَاالْمُؤْمِنُوْنَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.

“Bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin kepada Allah semoga kamu mendapat keuntungan”

Dosa-dosa kecil juga akan dibersihkan dengan amalan-amalan ibadah kita yang baik. Walaupun kita tidak minta ampun dengan khusus. Sebagai contoh dengan ambil wuduk, solat, puasa dan amal-amal lain seperti zikir dan sebagainya, dosa-dosa itu akan dihapuskan (ia akan gugur sendiri). Itu adalah jenis-jenis dosa kecil yang kita pun tak minta ampun untuknya.

Kita tidak minta ampun kerana kadang-kadang kita pun tidak sedar kita telah melakukannya. Walaupun kita tak sebut minta ampun dengan khusus, tapi ianya terhapus begitu sahaja. Sebagaimana firman Allah di dalam Hud:114

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ

Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.

Kadang-kadang kita tak perasan pun kita ada buat dosa-dosa kecil itu. Dengan melakukan amal ibadat, dosa-dosa itu akan hilang dengan sendiri atas kurniaan dan rahmat Allah. Maka kena banyakkan amal ibadat.

Tetapi perlu juga diingat, jikalau dosa-dosa kecil itu dilakukan berterusan, maka ianya boleh menjadi dosa yang besar. Seperti kita telah sebut maksud لمم tadi, ia bermaksud ‘singgah’ sahaja. Jangan berterusan melakukan dosa kecil kerana kalau berterusan, maka ia menjadi dosa besar juga.

Tambahan pula, dosa-dosa kecil inilah yang membawa kepada perbuatan dosa-dosa besar kalau tidak diperhatikan. Sebagai contoh, melihat kepada wanita adalah dosa kecil. Tapi kalau tidak dijaga, ianya akan membuka kepada kebiasaan melihat wanita dan lama-lama akan membuka hati manusia kepada zina. Mula-mula lihat sahaja, kemudian melihat dengan nafsu, kemudian mula menegur, kemudian bersembang, jadi mesra dan seterusnya.

Ada satu penyakit dalam masyarakat kita: dalam hal dosa-dosa kecil, mereka jaga betul. Sebagai contoh, kalau solat, kena sengseng seluar (isbal); kalau gula-gula, tidak boleh ada alkohol dan sebagainya. Tapi dalam dosa-dosa besar, mereka tak kisah pula. Macam tak kisah kalau beli rumah pakai sistem kewangan yang mengamalkan riba. Memang dosa-dosa kecil itu perlu juga dijaga, tapi dosa-dosa besar lebih-lebih lagi sepatutnya dijauhkan.

 

إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ

Sesungguhnya Tuhanmu maha luas ampunan-Nya.

Allah sentiasa membuka pintu taubatNya. Maka kalau kita ada melakukan kesalahan-kesalahan dosa apa pun, maka mohonlah ampun kepada Allah dan Allah akan ampunkan. Allah ampunkan dosa-dosa kecil manusia dengan dua cara: dengan amalan baik manusia dan kerana mereka meninggalkan dosa-dosa besar.

Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil kita selagi mana kita meninggalkan dosa-dosa besar. Ini berdasarkan daripada firman Allah di dalam Nisa’:31

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

Seperti yang telah disebut sebelum ini, Allah boleh ampunkan dosa-dosa kecil tanpa kita minta ampun pun. Cukup dengan amalan baik sahaja. Dengan sifat rahmat Allahlah Dia ampunkan dosa kita. Kalau Allah tak ampunkan, tidak ada manusia yang akan selamat. Allah sanggup ampun kerana Allah ada perasaan sayang kepada kita.

Tapi, ada dosa yang Allah takkan ampunkan selagi kita tak minta ampun secara khusus untuknya. Sebagai contoh, dosa syirik. Allah telah sebut dalam Nisa:48

إِنَّ اللهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.

Maknanya, kena minta ampun dosa atas dosa syirik secara khusus. Kena cakap: “ya Allah, ampunkan dosa syirik aku dulu, yang aku amal doa tawasul masa tarekat dulu, masa silat dulu… ” dan sebagainya. Tak bolehlah pakai doa umum “ya Allah, ampunkan dosa aku”. Sedangkan kalau kita minta sesuatu kebaikan dengan Allah, satu-satu kita sebut. Tapi kalau minta ampun, kita sebut sekali lalu sahaja?

Tetapi, untuk mula minta ampun kepada dosa besar seperti dosa syirik itu, seseorang itu kenalah tahu bahawa sesuatu perbuatan itu adalah syirik dan dia pernah lakukan. Sebagai contoh, ramai yang tidak tahu yang bersanding adalah syirik. Ianya adalah satu perbuatan syirik kerana ianya adalah perbuatan ibadat dalam agama Hindu dan kita pun tahu Hindu itu agama syirik.

Jadi, kalau seseorang itu tidak tahu yang bersanding adalah syirik, dia pun tidak akan minta ampun untuk dosa syiriknya kerana dia sendiri pun tidak tahu yang ianya syirik. Jadi, untuk tahu, kena datang belajar tauhid. Dan untuk tahu tentang tauhid, kena belajar tafsir Al-Qur’an. Tidak dapat kita belajar tentang syirik tanpa kita belajar dan memahami Al-Qur’an.

Dosa syirik adalah dosa yang amat besar. Tapi ramai manusia tidak sedar kesannya. Kalau dia mati tanpa sempat minta ampun atas dosa syiriknya, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka, tidak keluar-keluar sampai bila-bila. Mereka akan duduk kekal dalam neraka sepertimana orang-orang kafir juga.

Jangan sangka kalau kita sudah Muslim, kita akan keluar akhirnya dari neraka seperti orang Islam yang lain kalau kita ada melakukan syirik. Orang Islam yang masuk neraka kerana ada dosa, memang akan masuk syurga akhirnya, *asalkan* dia tidak melakukan syirik, atau dia pernah melakukan syirik tapi dia sudah minta ampun kepada Allah atas kesalahan syirik itu.

Satu lagi kesan yang ramai tidak tahu adalah, dosa syirik itu akan menyebabkan *seluruh* amal ibadatnya sebelum itu akan dihapuskan pahalanya. Ini berdasarkan kepada ayat Zumar:65

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu. “Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi.

Alangkah ruginya! Untuk faham ayat ini, bayangkan kalau pahala kita sebagai angin yang ditiupkan ke dalam belon. Semakin banyak amal, semakin besar belon itu. Setiap perbuatan syirik yang dilakukan pula adalah ibarat satu jarum. Jarum itu akan memecahkan belon itu dan semua angin itu akan hilang. Maka, segala pahala solat, puasa, sedekah, umrah, haji, malah apa sahaja akan hilang begitu sahaja.

Alangkah ruginya! Dia kena kumpul balik pahala sedikit demi sedikit balik. Malanglah kalau dia masih tidak tahu perbuatan syirik itu, kerana dia kemudiannya akan melakukan kembali dosa syirik itu dan pahalanya akan jadi kosong balik. Maknanya, dia tidak ada langsung pahala lagi untuk dibawa ke akhirat!

Banyak yang sudah sedar banyak amalan mereka dulu salah. Maka, mereka pun risau, sesak dada mengenangkan dosa mereka dahulu. Mereka khuatir macam mana keadaan mereka di akhirat nanti. Sebab sudah lama buat amalan tawasul, amalan bidaah, amalan syirik dan amalan yang sesat. Maka, kepada mereka ini, jawapannya ada dalam Zumar:53

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Apabila kita sudah sedar dengan dosa-dosa kita, maka jangan kita sangka Allah tak ampunkan kita terus. Allah mampu untuk ampunkan dosa kita semuanya sekali walaupun sebanyak buih di lautan. Asalkan kita minta ampun dengan ikhlas kepadaNya.

 

هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ

Dia lebih mengetahui (tentang keadaan)mu

Allah paling mengetahui tentang diri kita. Allah tahu tentang diri kita lebih lagi daripada orang-orang lain. Malah, Allah lebih tahu tentang diri kita lebih dari kita sendiri. Tidak ada apa yang kita boleh sembunyikan daripada Allah.

 

إِذْ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ

ketika Dia menjadikan kamu dari tanah

Yang sebenarnya dijadikan daripada tanah adalah Nabi Adam a.s. Kita pun belum ada lagi waktu itu. Kita pula sebenarnya dijadikan dari air mani. Tetapi Allah kata kita dijadikan dari tanah kerana tok Adam itu dijadikan dari tanah dan kita adalah anak cucunya. Allah beritahu kita Dia sudah kenal kita waktu Nabi Adam dijadikan lagi kerana waktu itu kita sudah ada dalam bentuk roh. Cuma jasad yang belum ada.

Kita ini asal kejadian dari tanah yang hina sahaja. Maka jangan perasan kalau kita ini jenis yang tak buat dosa besar. Jangan bangga sangat dan rasa selamat kalau kita ini kuat ibadat dan alim dalam segala ilmu. Kita kena sedar yang kita ini semua dari asal kejadian yang jijik (dari tanah dan dari air mani). Tidak ada kelayakan untuk masuk dalam syurga kalau tengok asal kejadian. Tapi Allah banyak beri rahmatNya kepada kita.

 

وَإِذْ أَنتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ

dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu;

Ini adalah isyarat kepada lemahnya insan waktu itu.

Allah hendak memberitahu yang waktu kita dalam perut ibu kita lagi pun Allah sudah kenal kita. Walaupun kita sudah ada dalam perut, tetapi ibu kita tidak kenal kita lagi dan bapa kita pun tidak kenal kita. Mereka tidak tahu macam mana kita akan jadi nanti, bagaimanakah rupa kita, apakah perangai kita dan sebagainya. Tetapi Allah sudah kenal kita. Malah Allah tahu apakah yang akan terjadi kepada kita di masa hadapan. Ini kerana ilmu Allah amat luas.

 

فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ

maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci.

Maka, janganlah kamu anggap diri kamu itu suci. Kerana Allah tahu apakah perangai kita, apakah kelemahan kita dan apakah kesalahan-kesalahan yang kita lakukan. Manusia dan makhluk lain tidak tahu, tetapi Allah Maha Tahu tentang kita.

Allah larang kita untuk mengatakan yang diri kita ini baik, suci atau pun sudah bertaqwa kerana itu seperti meninggikan diri dan juga berlagak. Lagi pun kita sendiri tidak tahu kedudukan kita di mata Allah, bukan?

Jangan sangka kita sudah jaga solat kita, kita puasa, kita ada sedekah dan buat amal ibadat yang lain, kita sudah rasa kita baik sangat. Jangan kita mula pandang rendah kepada orang lain. Jangan mula ada perasaan ‘holier than thou‘. Kena tengok banyak perkara lagi selain daripada amal ibadat itu sahaja.

Jangan rasa kita sudah selamat atau lebih baik dari orang lain. Selagi belum mati, belum tentu lagi kita akan selamat di akhirat. Kita tak tahu hujung hayat kita macam mana lagi. Walaupun kita sudah belajar agama, belajar tafsir Al-Qur’an dan sunnah Nabi. Oleh itu, kenalah kita berdoa kepada Allah untuk menetapkan iman kita dalam Islam.

Sebagai contoh, ini ada dua doa yang elok diamalkan:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ

Artinya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” (HR. Ahmad dan at Tirmidzi)

Juga amalkan doa dalam Ali Imran:8

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi”.

Hendaklah kita berharap sangat supaya kita tetap dalam Islam (sampai ke hujung hayat). Kalau sepanjang hidup kita, kita duduk dalam Islam dan iman, tapi kalau di hujung hayat kita, kita terkeluar dari Islam kerana buat syirik, maka yang dikira adalah penghujung hayat kita, bukan perkara yang dilakukan dahulu.

Dan hendaklah kita memohon perlindungan dari ujian yang kita tidak mampu menghadapinya. Sebagaimana doa Nabi:

اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسيحِ الدَّجَّال، وأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيا والمَماتِ، اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ من المأثمِ والمَغْرَمِ”

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah masih ad-dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada hambatan dosa dan hutang”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Nota: amalan doa ini Nabi baca di dalam tasyahud akhir solat baginda sebelum salam. Eloklah kita pun amalkan begitu juga. Kerana waktu itu kita masih lagi di dalam solat yang bermakna kita masih berhadapan dengan Allah Taala lagi. Jadi, doa kita lebih makbul lagi.

Jadi, kembali kepada maksud ayat ini, kita jangan kata diri kita sudah suci, sudah baik. Tetapi, kalau kita mengatakan untuk orang lain, itu dibolehkan. Kalau ada saudara kita yang ditohmah, difitnah, maka kita kena pergi ke hadapan dan menyatakan yang orang itu tidak melakukannya. Kita disuruh untuk ‘menyucikan’ kedudukan saudara kita itu kalau kita tahu kedudukan yang sebenarnya.

Jangan kita biarkan fitnah berleluasa. Seperti kisah Aisyah yang dikatakan berzina dengan lelaki lain. Sepatutnya semua mukmin waktu itu kena mengatakan yang Aisyah itu suci. Allah tegur dalam Al-Qur’an dalam Nur:16

وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَا أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَٰذَا سُبْحَانَكَ هَٰذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ

Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah pantas bagi kita memperkatakan ini, Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang besar”.

Dalam ayat itu, Allah menegur para sahabat yang tidak terus bangkit membersihkan nama Aisyah. Sepatutnya mereka membela Aisyah. Oleh itu, kalau penyucian dilakukan untuk orang lain, bagus. Tapi untuk diri sendiri, tidak boleh.

Banyak salah faham terjadi tentang perkara ini. Sebab itulah, ada dalam masyarakat kita yang kata diri mereka sudah sampai ‘maqam tinggi’, sampai mereka tak perlu lagi solat, puasa dan sebagainya. Itu adalah mengarut sekali. Mereka inilah yang kononnya mengaku sebagai ‘wali’. Mereka mengaku begitu supaya mereka dipandang tinggi dan supaya ada anak murid yang jahil mengagungkan mereka.

Kita juga tidak boleh menceritakan amalan-amalan kebaikan yang sudah kita lakukan. Antaranya cerita berapa lama kita sudah solat, berapa banyak kita sedekah dan sebagainya. Jangan kita buat begitu. Kerana kalau kita buat begitu, akan hilang keikhlasan dalam diri kita. Allah mahu hati kita ikhlas. Allah sendiri akan balas amalan baik kita itu, tak perlu kita nak dapatkan pujian dari manusia.

Tak payahlah nak post kalau buat ibadat tu...
Tak payahlah nak post kalau buat ibadat tu…

Kita juga tidak boleh menceritakan kebaikan yang kita hendak lakukan. Buat apa? Bukannya Allah tak tahu niat dalam hati kita. Kita sudah ada niat sahaja, Allah sudah tahu. Jadi tidak perlu nak ceritakan niat kita macam orang kita yang lafaz niat solat dengan kuat – usolli fard….  Kenapa nak kena buat begitu? Adakah sengaja dia nak beritahu orang lain? Kalau nak beritahu Allah, buat apa? Sebab Allah sudah tahu pun.

Jangan juga berikan nama kedudukan tinggi kepada diri kita. Sebagai contoh, kita beri pangkat Syeikhul Islam kepada diri kita. Macam Ibn Taimiyyah, bukan dia yang kata dia Syeikhul Islam. Bila dia sudah tiada barulah anak muridnya yang sebutkan kedudukannya itu. Masa dia hidup, mungkin tidak ada lagi.

Kita pula janganlah beri nama yang memuji melampau kepada orang lain semasa dia hidup lagi. Itu akan menyebabkan dia pula tak selesa nanti. Atau dia rasa tinggi diri dan ini akan memudharatkan diri dia pula. Itulah sebabnya Nabi melarang kita memuji orang lain depan-depan. Lihatlah satu hadis:

Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya,:”Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya: ”Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.) “Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata: ”Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.” Riwayat Muslim.

Untuk tidak merasa tinggi diri, Nabi Muhammad sampai suruh sahabat tukar nama jikalau nama itu meninggikan diri. Sebagai contoh, ada sahabah nama asalnya Barrah yang bermaksud ‘Wanita yang sangat baik’. Nabi berikan nama Zainab kepadanya.

Lagi satu yang dibenarkan untuk cakap tentang diri sendiri adalah kalau nak bagi semangat kepada orang lain. Macam dulu kita jahil dan sekarang sudah tahu tentang tauhid. Maka bolehlah cakap begitu kepada orang lain kerana nak ajak dia juga belajar sekali dengan kita. Katakanlah begini: “Tengok, dulu aku jahil, buat benda syirik dan bidaah, tapi sekarang aku dah amalkan tauhid kerana aku belajar. Marilah belajar sekali….”

Amat bahaya kalau kita rasa diri kita sudah selamat. Agama Kristian kata, kalau mereka menerima Jesus, mereka akan masuk syurga. Itu pun sudah mengatakan diri selamat dan itu adalah amat bahaya sekali. Kerana kita tidak tahu bagaimanakah kesudahan diri kita.

Dan jangan puji berlebihan orang lain dengan mengatakan dia akan dapat itu dan ini. Ini kerana itu semua adalah rahmat Allah dan kita tidak tahu kerana itu benda ghaib. Siapa kita yang tahu orang itu akan dapat apa dan apa?

 

هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ

Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.

Allah tahu siapakah yang bertaqwa. Tak perlu kita hendak memberi tahu kepada Allah yang kita ini bertakwa kepadaNya kerana Allah sendiri sudah tahu. Tak perlu juga kita nak beritahu orang lain. Kita tidak tahu kerana ini adalah perkara dalam hati dan perkara dalam hati adalah perkara ghaib dan Allah sahaja yang tahu.

Ada satu kisah peperangan yang berlaku semasa tentera Muslim mengepung kubu tentera Rom. Berhari-hari mereka cuba untuk menembusi kubu itu tapi tidak berjaya. Sampailah ada yang berjaya membuat lubang yang kecil. Diberitahu kepada Amir tentera itu yang mereka memerlukan orang yang bertubuh kecil untuk memasuki lubang itu supaya dapat membuka pintu kubu dari dalam. Belum sempat Amir perang mengeluarkan perintah, sudah ada yang masuk dan membuka pintu kubu dari dalam dan tentera Muslim dapat masuk dan menakluki kubu itu.

Amir bertanya siapakah yang telah membuka pintu dari dalam itu tetapi tidak ada sesiapa yang tampil mengaku. Berhari-hari Amir itu bertanya siapakah yang melakukannya kerana dia hendak memberi habuan kepada orang itu. Masih tiada sesiapa yang mengaku sampaikan pada satu malam, datang seorang lelaki kepada Amir secara tersembunyi dengan muka tertutup. Dia kata dia boleh beritahu siapakah orang itu, dengan syarat Amir itu tidak memberikan hadiah, tidak menyebut siapakah dia dan tidak bertanya lagi selepas itu.

Apabila Amir itu bersetuju, barulah dia memberitahu bahawa dialah orangnya. Kemudian dia telah meninggalkan tentera itu dan pergi ke tempat lain. Kerana orang itu bukannya mahukan kedudukan atau hadiah, tetapi apa yang dia lakukan adalah untuk Islam, dan yang penting Allah tahu siapakah dia dan apa yang dia telah lakukan untuk agama.

Ada tiga perkara yang perlu kita berhati-hati takut ada dalam hati kita:

1. Riak. Riak adalah melakukan sesuatu kebaikan supaya manusia lain nampak.

2. Sum’ah. Dari perkataan sama‘ yang bermaksud ‘mendengar’. Ada orang yang melakukan sesuatu amal supaya didengari oleh orang lain. Termasuklah kalau dia ceritakan dia berniat nak buat itu dan ini.

3. Ujub. Dari perkataan yang bermaksud ‘ajaib‘. Itulah orang yang melakukan sesuatu supaya orang ta’jub dengan dia. Ataupun dia ta’jub dengan dirinya sendiri (wah.. hebatnya aku beribadat!).

Ketiga-tiga perkara ini adalah bahaya kerana ianya adalah sifat yang boleh menyebabkan hilangnya ikhlas dalam amal. Oleh itu, kalau kita belajar agama ini kerana tiga perkara ini, maka berhentilah. Kerana ada yang belajar agama supaya mereka dipandang tinggi oleh manusia lain. Itu adalah perkara yang amat bodoh sekali.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah an-Najm Ayat 27 – 31 (Jangan tahu ilmu dunia sahaja)

Ayat 27:

إِنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ لَيُسَمّونَ المَلٰئِكَةَ تَسمِيَةَ الأُنثىٰ

Sahih International

Indeed, those who do not believe in the Hereafter name the angels female names,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, menamakan malaikat itu dengan nama perempuan,

إِنَّ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat,

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, mereka sanggup melakukan apa sahaja yang mereka hendak tanpa mengikut arahan dan larangan agama. Dan mereka akan beramal dan menyatakan perkara yang jauh tersasar daripada landasan agama yang benar. Kerana mereka sudah tidak takut kepada balasan kerana pada pada mereka, tidak ada balasan kepada mereka.

Sebaliknya, orang yang benar-benar beriman dan takut kepada hari akhirat akan berhati-hati di dalam setiap perbuatan dan percakapan mereka. Mereka tidak akan berani memperkatakan sesuatu yang bukan daripada dalil yang sahih dan sarih.

Amat malang sekali apabila ahli bidaah di negara ini, apabila mereka berhujah, mereka menggunakan dalil-dalil yang batil seperti akal mereka, hawa nafsu mereka, kata-kata manusia lain, kitab-kitab yang ditulis oleh manusia, perbuatan orang ramai, dan sebagainya.

Mereka mungkin boleh berhujah dengan kita menggunakan dalil-dalil batil itu, tetapi bolehkah mereka berhujah dengan menggunakan dalil yang sama di hadapan Allah Ta’ala nanti apabila Allah mempersoalkan perbuatan dan percakapan mereka nanti?

Bagaimana kita boleh mengenalpasti mereka yang tidak beriman dengan hari Akhirat? Itulah mereka yang tidak tahu langsung pasal Mahsyar, syurga dan neraka. Apabila ditanya bagaimanakah syurga, mereka hanya boleh jawab: “tempat yang sedap”.

Apabila ditanya bagaimanakah neraka, mungkin mereka jawab: “tempat kena bakar dengan api”. Maknanya, ramai antara kita ini yang tidak ambil peduli tentang hari Akhirat dan kerana itu, tidak kisah pun apa terjadi di Akhirat kelak.

Sebagai orang yang beriman, kita sepatutnya tahu apa yang akan terjadi dan suasana di sana, kerana kita pasti akan ke sana. Kita pun hanya dapat tahu dari sumber-sumber yang sahih sahaja. Ianya tentu tidak dapat dibayangkan secara penuh kepada kita, tetapi sekurang-kurangnya ada maklumat yang serba sedikit.

Kita juga kena takut yang kita tidak selamat, supaya memberi motivasi untuk kita beramal di dunia. Dan kita kena berharap kepada rahmat Allah supaya menyelamatkan kita di sana. Inilah yang ulama’ kata, kena ada: khauf dan raja’ (takut dan harap).

Kalau mereka tidak takut kepada Akhirat, apa yang mereka sanggup lakukan?

 

لَيُسَمُّونَ الْمَلٰئِكَةَ تَسْمِيَةَ الْأُنثَىٰ

mereka benar-benar menamakan malaikat itu dengan nama perempuan.

Puak Musyrikin Mekah mengatakan bahawa malaikat-malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah. Mereka berani untuk berkata begini kerana mereka tidak percaya dan tidak beriman kepada hari akhirat.

Itulah sebabnya bahaya kalau seseorang itu tidak beriman kepada hari akhirat. Mereka cakap ikut sedap mulut dan hati mereka sahaja. Kalau takut dengan akhirat, seseorang itu akan berhati-hati dalam berkata, terutama tentang agama.

Pujaan dan sembahan orang kufur memang banyak dalam jantina betina. Lihatlah kepada agama Kristian dengan Maryam yang mereka jadikan sebagai sembahan, agama Hindu dengan dewi-dewi perempuan mereka, begitu juga dengan agama kuno yang lain. Maknanya, inilah yang selalu syaitan bisikkan, iaitu menjadikan ilah selain Allah sebagai perempuan. Sama sahaja modal yang syaitan gunakan zaman berzaman.


 

Ayat 28:

وَما لَهُم بِهِ مِن عِلمٍ ۖ إِن يَتَّبِعونَ إِلَّا الظَّنَّ ۖ وَإِنَّ الظَّنَّ لا يُغني مِنَ الحَقِّ شَيئًا

Sahih International

And they have thereof no knowledge. They follow not except assumption, and indeed, assumption avails not against the truth at all.

Malay

Sedang mereka tidak mempunyai sebarang ilmu mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).

وَمَا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ

Dan mereka tidak mempunyai sesuatu ilmu tentang itu.

Apa yang mereka kata itu bukanlah berdasarkan ilmu. Maknanya, tidak ada dalil dari nas, dari syarak dan dari agama. Sepatutnya nak cakap hal agama, kenalah ada dalil. Tidaklah boleh nak cakap ikut sedap mulut sahaja.

Kalau mereka ada ilmu, mereka tak berani nak cakap sebegitu. Tapi kerana tidak ada ilmulah yang menyebabkan mereka tidak faham bahawa hal dalam agama kenalah ada dalil. Kalau tidak ikut dalil dari ilmu, maka apakah ikutan mereka?

 

إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan

Inilah satu perkara yang penting untuk kita fahami. Kita kena jauhkan dari menjelaskan agama ini dengan ‘persangkaan’. Ada yang dengan senang sahaja berkata, “pada pendapat saya, tidak salah kalau buat begitu dan begini”. Ini adalah fahaman dan kata-kata yang salah, kerana agama Islam ini bukan berdasarkan ‘pendapat’ kita.

Sedangkan kita yang belajar agama ini dengan susah payahnya mencari dalil dari Al-Qur’an dan hadis dalam mencari penjelasan tentang agama. Mereka senang-senang pula guna pendapat sendiri sahaja. Siapa mereka yang boleh agak sangkaan mereka tentu benar?

 

وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

sedang sesungguhnya persangkaan itu tiada berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran.

Tentulah tidak sama sangkaan itu dengan dalil-dalil yang sah. Bayangkan kalau di mahkamah dunia ini pun, jikalau seseorang saksi memberi persaksian mengikut sangkaannya sahaja tanpa memberikan bukti, tentulah tuan hakim itu akan menolak persaksiannya itu. Persangkaan di dunia sudah tiada nilai, apatah lagi dalam hal akhirat.


 

Ayat 29: Mereka yang kata begitu itu bukanlah tidak diberitahu manakah ajaran yang benar. Mereka sudah diberitahu tapi mereka tolak. Mereka menolak ajaran Nabi kerana degil dan dengki. Maka apa Allah kata tentang mereka?

Ayat 29 – 35 ini adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia menceritakan kesan akibat menolak atau menerima seruan wahyu. Kalau terima, maka balasan baik; kalau tolak, maka balasan buruk.

فَأَعرِض عَن مَّن تَوَلّىٰ عَن ذِكرِنا وَلَم يُرِد إِلَّا الحَيَوٰةَ الدُّنيا

Sahih International

So turn away from whoever turns his back on Our message and desires not except the worldly life.

Malay

Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran Kami, dan mereka tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata.

فَأَعْرِضْ عَن مَّن تَوَلَّىٰ عَن ذِكْرِنَا

Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari orang yang berpaling dari peringatan Kami,

Allah suruh Nabi Muhammad berpaling dari mereka. Iaitu mereka yang berpaling dari peringatan yang Allah telah sampaikan. Memang banyak masyarakat kita yang macam ini. Mereka tolak ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi dan pakai pendapat tok guru mereka.

Apabila kita telah dakwah dan nasihat mereka yang sebegitu sudah berkali-kali, dengan diberikan segala dalil, tetapi mereka masih menolak juga, maka tinggalkanlah mereka. Jangan peduli kata-kata penolakan mereka itu. Maksudnya jangan balas kalau mereka hina kita atau kutuk kita. Biarkan dahulu mereka. Serahkan sahaja hal mereka kepada Allah untuk uruskan.

Jadi, ayat ini bukannya kata jangan dakwah lagi. Kerana kita kena tetap dakwah kepada mereka. Cuma kena pandai cari cara yang lain. Mungkin waktu itu tidak sesuai, maka tinggalkan mereka sebentar dan cari jalan yang lain.

Kenapa mereka jadi begitu?

 

وَلَمْ يُرِدْ إِلَّا الْحَيَوٰةَ الدُّنْيَا

dan mereka tidak mengingini kecuali kehidupan duniawi.

Jangan campur dengan mereka kerana mereka hanya mementingkan dunia sahaja. Biarkan mereka kerana mereka itu jadi begitu kerana mereka tertipu dengan dunia. Mereka mahukan kesenangan di dunia sahaja.

Jangan rapat dengan mereka kerana takut kita terikut dengan cara-cara mereka. Kerana hati kita lemah. Kita mungkin tak dapat nak tolak mereka kalau kita rapat dengan mereka. Kerana apa yang mereka buat, adalah amat menarik kerana mereka ikut hawa nafsu sahaja, jadi takut kita pun terjerumus ikut mereka.


 

Ayat 30:

ذٰلِكَ مَبلَغُهُم مِّنَ العِلمِ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ وَهُوَ أَعلَمُ بِمَنِ اهتَدىٰ

Sahih International

That is their sum of knowledge. Indeed, your Lord is most knowing of who strays from His way, and He is most knowing of who is guided.

Malay

(Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir dari pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.

ذَٰلِكَ مَبْلَغُهُم مِّنَ الْعِلْمِ

Itulah sejauh-jauh pengetahuan mereka.

Kalimah مَبْلَغُهُم dari kata dasar ب ل غ yang bermaksud ‘sampai’. Pengetahuan mereka sampai setakat dunia sahaja. Kemuncak ilmu mereka setakat dunia sahaja tidak sampai kepada ilmu akhirat. Kerana mereka tidak tahu hal agama kerana mereka tidak belajar.

Padahal agama Islam ini adalah tentang perkara yang lebih penting lagi. Kalau hal dunia, mereka amat pandai. Kerana mereka selalunya telah belajar tinggi-tinggi. Untuk dapatkan kerja yang bagus, kedudukan yang tinggi di dunia, mereka sanggup belajar tinggi-tinggi sampai ke universiti, sampai dapat PhD. Akan tetapi untuk hal agama, mereka pakai ilmu agama yang mereka dapat semasa di sekolah rendah dulu sahaja.

Sebagai contoh, kalau kita lihat cara solat kebanyakan masyarakat kita, mereka akan mulakan solat dengan lafaz “usolli fard…..” Bukankah cara lafaz begitu diajar semasa sekolah rendah semasa mula-mula belajar solat dahulu? Diajar kepada kanak-kanak yang masih tidak faham maksud ‘niat’.

Lihatlah bagaimana ianya dibawa sampai ke tua? Mereka sampai tidak tahu pun yang lafaz itu tidak ada dan cara itu adalah bidaah. Sampai ke tua pun mereka masih tidak faham maksud ‘niat’. Apa mereka tidak ada sambung belajar bab agamakah?

Mereka hanya mencapai pengetahuan dan mencapai kejayaan di dalam hal dunia sahaja. Padahal untuk akhirat, sepatutnya kenalah belajar untuk mendapatkannya. Bukanlah guna akal dan agak-agak sahaja. Tapi kerana tidak belajar maka ramai yang gunakan ‘gerak hati’ sahaja. Ini adalah salah.

 

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang paling mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya

Ini adalah jumlah mu’taridah (ayat yang nampak seperti lari dari ayat-ayat lain sebelum ini). Allah mencelah kerana hendak memberitahu yang Dia tahu segala-galanya tentang hal makhlukNya. Allah nak beritahu yang mereka yang berfikiran sebegitu itu adalah mereka yang sesat. Tak payah beritahu kepada Allah, Dia sudah tahu siapa mereka itu.

 

وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اهْتَدَىٰ

dan Dia jugalah yang paling mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.

Musyrikin Mekah sangka mereka yang benar dan mendapat hidayah. Begitu juga dengan ahli bidaah sekarang. Mereka sangka merekalah yang betul. Mereka sangka, merekalah yang mempertahankan ASWJ. Yang tak setuju dengan mereka, mereka gelar ‘Wahabi’.

Dari ayat ini kita tahu bahawa Allahlah yang menentukan siapa yang benar. Kalau kita yang mengaku sendiri, amatlah tidak patut. Maka serahkan keputusan mereka sama ada masuk neraka atau masuk syurga kepada Allah sahaja. Tak boleh nak buat apa kepada mereka yang mati dalam kufur.


 

Ayat 31: Ini adalah Jumlah mu’taridah lagi kerana Allah nak beritahu tentang QudratNya. Bagaimana Allah boleh tahu manakah makhlukNya yang mana engkar dan yang mana mendapat petunjuk?

وَِلِلهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ لِيَجزِيَ الَّذينَ أَسٰئوا بِما عَمِلوا وَيَجزِيَ الَّذينَ أَحسَنوا بِالحُسنَى

Sahih International

And to Allah belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth – that He may recompense those who do evil with [the penalty of] what they have done and recompense those who do good with the best [reward] –

Malay

Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan, dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.

وَِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ

Dan hanya kepunyaan Allah-lah apa yang ada di langit

Kalimah وَِلِلهِ disebut dahulu dalam ayat, bermaksud ini adalah pernyataan ‘eksklusif’. *Hanya* Allah sahaja yang memilikinya. Tidak ada yang lain. Segala yang ada di langit adalah milikNya.

Entah berapa banyak makhluk yang ada di langit. Kita pun tak tahu kesemuanya. Semua itu milik Allah. Antara yang diberitahu kepada kita dalam surah al-Mutaffifin, roh mereka yang beriman diletakkan di Illiyin, iaitu di langit ke tujuh.

 

وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan apa yang ada di bumi

Allah tahu sama ada kita engkar atau tidak, kerana kita semuanya milikNya. Semua yang ada di bumi adalah milikNya belaka.

Segala yang ada di bumi juga adalah kepunyaanNya. Tapi bukankah kita pun ada harta di dunia juga? Memang ada. Tapi ingatlah bahawa pemilikan kita itu sementara sahaja. Apabila sudah mati, kita akan tinggalkan segala harta itu. Maka pemilik sebenar harta itu adalah Allah.

Dan kalau kita kata kita miliki sesuatu, pemilikan kita bukan penuh pun. Kita tak boleh nak kawal sepenuhnya, tak dapat nak kawal dari hilang, dari rosak dan sebagainya. Sebagai contoh, kita miliki kereta, tapi bolehkah kita pastikan ianya tidak rosak, tidak hilang?

Dan dari syariat pun ada halangan untuk kita. Sebagai contoh, kalau kita ada duit, kita tak boleh nak pakai ikut suka hati kita. Kita tak boleh gunakan untuk perkara yang haram. Kita boleh gunakan hak kita, tapi hendaklah dalam perkara yang halal sahaja.

Kalau Allah memiliki semuanya dan sepenuhnya, maka Allah boleh buat segala-galanya ikut kemahuanNya. Maka kalau Allah buat sesuatu, kita kena redha dengan apa yang Allah lakukan dengan kepunyaanNya.

Tak boleh kita nak komen. Tak boleh kita nak merungut. Kita kena terima sahaja apa sahaja keputusan Allah dan tindakan Allah. Kerana semua itu adalah hakNya. Allah yang tentukan perjalanan alam ini.

Tidaklah Allah adakan dan lakukan apa-apa pun secara main-main. Ada sebab di atas perbuatan Allah itu. Ini Allah telah sebut dalam Anbiya:16

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَاعِبِينَ

Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan main-main.

 

لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسٰئوا بِمَا عَمِلُوا

supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan

Allah jadikan segala-gala dalam dunia ini sebagai ujian untuk kita. Dunia ini adalah medan ujian buat kita. Allah menilai bagaimana kita gunakan segala nikmat dan harta yang diberikan kepada kita itu. Adakah kita gunakan untuk kebaikan, atau keburukan.

Kalau kita gunakan untuk cara yang salah, tidak mengikut syariat, Allah akan balas kita setimpal dengan perbuatan buruk itu. Maka sesiapa yang kena azab di akhirat, itu bukanlah salah Allah, tapi orang itu yang bersalah kerana perbuatan mereka sendiri.

 

وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى

dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga).

Lihatlah bagaimana Allah menggunakan perkataan الحُسنَى apabila menyebut balasan atas kebaikan kita. Ini bermakna, Allah membalas dengan yang lebih baik lagi. Padahal, kalau membalas keburukan yang kita lakukan, Allah kata بِمَا عَمِلُوا sahaja.

Ini adalah kerana dosa akan dibalas dengan dosa yang sama. Tapi kebaikan akan dibalas lebih baik lagi dari apa yang kita lakukan. Perkataan الحسنى yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘syurga’. Itulah sebaik-baik balasan yang boleh diberikan.

Perkataan بِمَا عَمِلُوا (apa yang telah mereka kerjakan) tidak ada dalam potongan terakhir ini. Kenapa? Ini adalah kerana kita tidak akan dapat masuk syurga kerana amalan kita. Berapa banyak pun amalan kita, tidak cukup untuk melayakkan kita untuk dapat syurga.

Hanya dengan rahmat Allahlah yang memasukkan kita ke syurga. Jangan sangka amal kita banyak, kita boleh masuk syurga. Amal kita tidak cukup tambang untuk masuk ke dalam syurga sebenarnya.

Tapi, untuk mendapatkan rahmat Allah, kenalah kita beramal. Amal ibadat perlulah dilakukan. Jangan kita kata kita tak masuk syurga dengan amalan, maka kita tak buat langsung amal kebaikan. Jangan nak mengharap kosong sahaja. Itu adalah angan-angan dan itu pemahaman yang amat salah. Kita masih kena buat amalan kebaikan sebanyak yang kita mampu, dan dalam masa yang sama, kita berharap rahmat Allah.

Dan بِمَا عَمِلُوا (apa yang telah mereka kerjakan) tidak ada dalam potongan terakhir ini kerana kita bukan sahaja dibalas syurga dengan amalan yang kita kerjakan. Ada amalan baik yang kita berniat untuk melakukannya tetapi tidak sempat atau tidak mampu.

Sebagai contoh, kita sudah berniat untuk pergi ke kelas tafsir Al-Qur’an, tetapi oleh kerana ada kemalangan di tengah jalan sampai kita tidak boleh pergi. Walaupun kita tidak boleh pergi, tetapi kerana kita telah ada niat, maka pahala belajar itu sudah ditulis untuk kita.

Ataupun kita sudah berniat menghafal Al-Qur’an 30 juzuk tetapi setelah mati, kita masih tidak mampu menghafalnya. Tetapi kerana kita telah berniat untuk menghafal Al-Qur’an, maka pahala menghafal Al-Qur’an itu sudah ditulis untuk kita. Begitulah besarnya rahmat Allah kepada kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya 

Kemaskini: 30 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah an-Najm Ayat 21 – 26 (Kekeliruan tentang syafaat)

Najm Ayat 21: Ayat 21 – 28 menyentuh tentang sangkaan sesat Musyrikin Mekah yang mengatakan Allah mempunyai anak perempuan. Ini adalah satu lagi salah faham Musyrikin Mekah iaitu tentang malaikat. Mereka sangka yang malaikat adalah anak perempuan Allah. Mereka kata sahaja, padahal tiada dalil pun. Dari mana pula malaikat jadi anak perempuan Allah? Mereka kata Allah kahwin dengan jin bangsawan sampaikan jadi malaikat.

Maka mereka seru juga malaikat untuk sampaikan doa mereka kepada Allah. Kerana hujah mereka, kalau malaikat itu anak perempuan Allah, maka mereka sangka Allah akan kabulkan doa mereka kalau yang sampaikan doa mereka adalah anak-anak perempuannya.

أَلَكُمُ الذَّكَرُ وَلَهُ الأُنثىٰ

Sahih International

Is the male for you and for Him the female?

Malay

Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?

أَلَكُمُ الذَّكَرُ

Apakah (patut) untuk kamu (anak) laki-laki

Seperti yang kita tahu, bangsa Arab amat suka kalau mereka dapat anak lelaki dan mereka tidak suka kalau mereka dapat anak perempuan. Kerana pada mereka, anak perempuan itu tidak dapat membantu keluarga. Anak perempuan tidak boleh tolong dalam musafir, dalam perang. Dan ada yang lebih hina, ada yang jadi pelacur sahaja.

Pada mereka, hina sangat kalau mereka dapat anak perempuan. Sampaikan ada yang sanggup membunuh anak perempuan mereka hidup-hidup kerana malunya mereka mendapat anak perempuan.

 

وَلَهُ الْأُنثَىٰ

dan untuk Allah (anak) perempuan?

Musyrikin mengatakan yang berhala-berhala itu adalah ‘anak perempuan’ Allah. Lihatlah bagaimana kalau untuk mereka, mereka hendakkan anak lelaki. Tapi untuk Allah, mereka berikan anak perempuan pula. Adakah patut begini? Pelik kerana kepada Allah mereka kata Dia ada anak perempuan pula?


 

Najm Ayat 22: Ayat ini adalah tamparan besar bagi Musyrikin Mekah. Mereka memandai sahaja kata Malaikat itu anak perempuan sedangkan malaikat itu tidak ada jantina lelaki atau perempuan.

تِلكَ إِذًا قِسمَةٌ ضيزىٰ

Sahih International

That, then, is an unjust division.

Malay

Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.

 

Memang tidak patut apa yang mereka lakukan itu. Tidak patut mereka menisbahkan anak perempuan kepada Allah. Mereka berikan kepada Allah apa yang mereka sendiri tak mahu. Kalau menetapkan anak lelaki untuk Allah pun sudah satu kesalahan besar, apatah lagi kalau anak perempuan.

Janganlah pula kita kata tidak mengapa kalau untuk Allah anak lelaki pula. Itu pun sudah perbuatan syirik. Tapi ianya lebih teruk lagi kalau mereka memberikan anak perempuan untuk Allah sedangkan mereka sendiri tidak suka anak perempuan. Allah hendak menunjukkan mentaliti mereka yang sudah teruk. Mereka beri benda yang mereka tidak suka pula kepada Allah.

Apa yang kita boleh belajar dari ayat ini? Kita kena berikan yang terbaik kepada Allah. Jangan berikan yang sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga sahaja kepada Allah. Sebagai contoh, jangan kita beribadah kepada Allah dalam keadaan sambil lewa. Kalau ada masa, baru nak solat; kalau ada kesempatan, baru nak pergi kelas belajar agama, baru nak belajar Tafsir Al-Qur’an.

Maknanya, kita beri kepada Allah sesuatu yang tidak berharga. Itu amat tidak adil. Allah tidak suka kalau kita buat begitu.


 

Najm Ayat 23:

إِن هِيَ إِلّا أَسماءٌ سَمَّيتُموها أَنتُم وَءآباؤُكُم مّا أَنزَلَ اللهُ بِها مِن سُلطٰنٍ ۚ إِن يَتَّبِعونَ إِلَّا الظَّنَّ وَما تَهوَى الأَنفُسُ ۖ وَلَقَد جاءَهُم مِّن رَّبِّهِمُ الهُدىٰ

Sahih International

They are not but [mere] names you have named them – you and your forefathers – for which Allah has sent down no authority. They follow not except assumption and what [their] souls desire, and there has already come to them from their Lord guidance.

Malay

Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakannya. Allah sekali-kali tidak menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.

إِنْ هِيَ إِلَّا أَسْمَاءٌ سَمَّيْتُمُوهَا

Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang diada-adakan

Mereka sahaja yang memandai-mandai meletakkan kedudukan Lata, Uzza dan Manat itu sebagai tuhan atau sebagai perantara kepada Allah. Mereka yang beri nama, mereka yang beri pangkat dan mereka yang reka cara beramal kepada berhala itu.

Padahal tidaklah ada tuhan yang bernama Lata, Uzza, Manah atau mana-mana tuhan lain selain Allah. Tidaklah dengan meletakkan nama sesuatu, yang tak wujud jadi wujud pula. Itu adalah mustahil.

Sebagai contoh, puak Hindu reka nama tuhan mereka Murugan dengan mereka beri pangkat Murugan itu sebagai ‘tuhan Perang’, sebagai panglima perang kepada dewa-dewa. Mereka juga reka siapakah ibubapa dia, dan cara bagaimana nak puja dia.

Sebagai contoh, cara pemujaan kepada Murugan adalah dengan perayaan Thaipusam yang diadakan di Batu Caves yang kita selalu saksikan itu. Mereka kata Murugan dapat lembing di tangannya itu dari emak dia semasa di Batu Caves itulah.

Orang Kristian pula, reka tugas Nabi Isa sebagai ‘anak tuhan’, mereka beri juga pangkat kepada ibunya Maryam, kemudian mereka reka cara beribadat kepada Nabi Isa dan ibunya Maryam. Antaranya, mereka menyanyi dalam gereja mereka.

Malangnya, kita pun sekarang nak ikut Kristian dan Hindu yang menggunakan nyanyian dalam dakwah dan agama sampaikan ada nasyid, ada Qasidah dan ada pula Zikir Munajat berlagu.

Puak tarekat pula lagi pandai dalam hal mereka-reka ini. Antaranya, mereka beri pangkat kepada Sheikh Qadir Jalani sebagai ‘Sultan para Wali-wali’. Maknanya, semua wali-wali dalam dunia ini diketuai oleh Sheikh Abdul Qadir. Pelantikan ini tidak memerlukan apa-apa bukti, malah boleh dibuat sesuka hati oleh guru dan pengikut Tasawwuf.

Mereka juga ‘melantik’ Sheikh Abdul Qadir ini sebagai ‘penjaga masa’. Maknanya, Sheikh Abdul Qadir ini boleh memberhentikan masa kalau dia mahu. Ini lebih karut dan banyak lagi kekarutan puak Sufi Tarekat ini.

Mereka juga menamakan dan memberi tugas kepada orang-orang tertentu sebagai wali dan diberikan tugas kepada wali-wali itu. Macam kabinet pula jadinya, ada yang jaga kutub selatan, kutub Utara, bahagian ini dan itu.

Wali-wali itu pula dari masa ke semasa ada ‘mesyuarat’ dengan Nabi Muhammad tentang pemerintahan dan penjagaan dunia ini! Sebagaimana agama Hindu memandai beri nama dan tugas, begitu jugalah yang dilakukan oleh orang Islam kita yang sudah keliru ini.

Dari pembacaan kita, ramai dari mereka yang ‘dilantik’ itu adalah orang yang baik-baik, termasuklah Sheikh Abdul Qadir, Nabi Isa dan Saidina Ali, Hasan dan Husein. Bukanlah salah mereka apabila mereka dipuja dan diberi pangkat sebegitu kerana mereka tidak pernah suruh pun.

Tidaklah pernah Nabi Isa suruh baginda disembah. Begitu juga Saidina Ali, Hasan dan Hussein tidak pernah mengaku sebagai ‘Imam’ kepada pengikut Syiah. Pengikut Syiah sahaja yang memandai ‘menamakan’ mereka itu sebagai ‘Imam Syiah’ dan mereka jadikan ‘Imam-Imam’ itu sebagai perantara antara mereka dan Allah.

Mereka juga minta pertolongan kepada Iman-Iman itu dengan ucapan “madad Ali, madad Hussein“. Dan ajaran ini sedang diajar pula kepada orang Sunni dengan diajar masyarakat yang jahil dengan ucapan “madad Rasulullah“. Ma sha Allah! Ini adalah satu kesyirikan!

Tapi apabila dibincangkan di dalam media massa, masih ada lagi ustaz-ustaz yang jahil yang  mengatakan ini tidak mengapa! Bagaimana ini boleh terjadi!? Tidak lain dan tidak bukan kerana ustaz-ustaz itu pun jahil wahyu juga!

Bagaimana dengan Nabi Muhammad SAW? Adakah baginda terselamat dari perkara rekaan ini? Tidak juga. Orang Islam telah ‘menamakan’ atau ‘memberi pangkat’ kepada Nabi kita dengan gelaran ‘Sayyidina’ juga, sama seperti yang diberikan kepada sahabat-sahabat baginda yang lain. Ini pun adalah pangkat rekaan juga. Kerana tidak pernah Allah beri, dan tidak pernah para sahabat panggil baginda dengan gelaran ‘Sayyidina’, bukan?

Mereka kata pangkat itu diberikan sebab nak hormat baginda, tapi mereka sebenarnya telah ‘turunkan’ pangkat baginda sampai disamakan dengan sahabat pula. Kerana sahabat seperti Abu Bakr pun digelar Saidina juga, bukan?

Dan ada pula yang angkat baginda melebihi manusia lain dengan mengatakan baginda itu ‘Nur’ – (cahaya). Maka timbullah konsep ‘Nur Muhammad’ yang penuh syirik itu. Ini pun dimulakan oleh golongan sufi tarekat tapi sudah diikuti oleh orang awam yang jahil wahyu dan jahil agama. Susah pula kita nak terangkan kepada masyarakat kerana dalam TV pun sudah ada zikir tentang Nur Muhammad ini.

Dan ada juga golongan Muslim yang kata Nabi Muhammad tidak wafat (dinamakan konsep ‘hayati’). Walaupun baginda sudah wafat, tugas sudah habis, puak-puak sesat ini masih lagi beri tugas kepada baginda. Maka, mereka kata Nabi Muhammad ‘hadhir’ pada majlis Tahlil mereka, Marhaban mereka, majlis Mawlid mereka, Qasidah mereka. Mereka kata Nabi Muhammad sekali sekala ada ‘mesyuarat’ dengan para wali seluruh dunia dalam pentadbiran dunia dan langit ini.

Mereka juga kata Nabi jadi tukang beri Syafaat, tukang beri berkat sekarang. Cara ibadat kepada Nabi juga diajar oleh mereka – ada yang hantar hadiah Fatihah sebagai upah kepada baginda, ada yang reka berjenis-jenis Selawat sampaikan ada yang berbau syirik seperti Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyah, ada ajaran beri salam kepada Nabi dan macam-macam lagi.

Susah kita nak senaraikan semuanya kerana puak-puak sesat ini amat-amat kreatif dalam cara mereka. Itu belum lagi dikira golongan sesat yang mengatakan Nabi Muhammad itu ‘bersemayam di Arash sebagai Tuhan, turun ke bumi sebagai Muhammad’. Ini pun ada di Malaysia ini. Memang macam-macam jenis akan ada kalau pengajaran tafsir Al-Qur’an ini ditinggalkan. Kerana akan ada sahaja yang pandai buat rekaan.

Kumpulan silat pun ada juga buat macam-macam rekaan dalam amalan mereka. Apabila mereka buka atau hendak masuk gelanggang, mereka akan beri salam kepada Nabi tertentu, kerana mereka kata Nabi itu menjaga tanam-tanaman dan pokok. Jadi, semasa mereka di gelanggang silat itu, banyak pokok mereka akan cantas dan pijak, jadi mereka minta maaf melalui Nabi itu.

Mereka juga ‘tugaskan’ Malaikat Jibrail untuk menjaga mereka di hadapan, Malaikat Mikail di sebelah kanan dan sebagainya. Ini semua adalah kerana kejahilan yang berleluasa dalam masyarakat kita yang mengaku Islam ini.

 

أَنتُمْ وَءآبَاؤُكُم

oleh kamu dan bapa-bapa kamu

Mereka hanya ikut sahaja amalan tok nenek mereka. Musyrikin Mekah kononnya mengatakan yang mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim. Tok Nenek mereka telah lama mengamalkan amalan itu.

Jadi, apabila Nabi Muhammad berdakwah ajaran tauhid kepada mereka, mereka tuduh Nabi Muhammad sebagai sesat pula kerana memperkenalkan amalan agama yang lain dari amalan agama yang dibawa oleh tok nenek mereka. Padahal, apa yang Nabi Muhammad bawa itu adalah yang benar.

Bagaimana pula dengan masyarakat kita? Mereka amat menghormati amalan dulu-dulu yang diamalkan oleh tok nenek kita. Mereka tak periksa pun sama ada amalan itu benar atau tidak. Mereka terus terima ianya sebagai sesuatu yang benar. Apabila kita tegur, mereka pula marah kita. Mereka kata kalau amalan itu salah, takkan diamalkan dari dulu lagi sampai sekarang?

Kerana itu bila kita tegur, mereka akan jawab: “Ulama’ dulu dah lama bincang dah, tak payah nak buat bising lah….” Kita pula yang salah kerana beri teguran. Memang kebanyakan manusia memang susah ditegur. Kita nak beri nasihat kerana kita kasihan kepada mereka. Tapi mereka pula yang marah kita.

Sebagai contoh, amalan Majlis Tahlil, Kenduri Arwah, Bacaan Talqin, Bacaan Yaasin malam Jumaat dan banyak lagi. Amalan-amalan itu adalah amalan bidaah. Memang kita tahu sudah lama diamalkan. Tapi tidaklah amalan yang lama diamalkan boleh menjadi dalil yang ianya benar.

Sesuatu amalan itu kenalah diperiksa sama ada bertepatan dengan syarak atau tidak. Jangan kita jadi macam Musyrikin Mekah yang terus memegang amalan tok nenek mereka.

 

مَّا أَنزَلَ اللهُ بِهَا مِن سُلْطٰنٍ

Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun untuk (menyembah)nya.

Mereka langsung tidak ada dalil untuk membenarkan amalan menyembah berhala mereka itu. Itu semua adalah hasil dari ajaran syaitan. Allah tak pernah suruh dan ajar mereka dengan amalan syirik itu.

Ini mengajar kita untuk memeriksa sesuatu amalan itu ada dalam nas syarak atau tidak. Nas syarak adalah dari Al-Qur’an dan sunnah Nabi. Itu adalah rujukan utama kita. Bukannya amalan orang terdahulu dan bukan juga dari ‘Kitab’.

Amat menyedihkan apabila ditanya dalil sesuatu amalan, jawapan yang diberikan adalah: “ada dalam kitab’. Ini adalah jawapan yang diberikan oleh orang yang jahil dan degil. Yang jadi masalahnya, jawapan itu diberikan oleh ustaz-ustaz dan agamawan pula. Kalau ustaz pun beri jawapan sebegitu, apakah agaknya jawapan dari orang awam? Tentulah lagi memalukan.

 

إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan,

Musyrikin Mekah membuat amalan mereka dari agak-agak fikiran mereka sahaja. Dan ini juga yang dilakukan oleh masyarakat kita.

Sebagai contoh, amalan Marhaban. Mereka yang buat majlis ini kata, Nabi Muhammad hadir dalam majlis itu. Kalau kita mempertikaikan kepada mereka, takkan kalau ada dua majlis, roh Nabi akan berada pada dua majlis itu, mereka akan jawab: jangan persoal kurnia Allah dan kelebihan Nabi Muhammad!

Mereka kata begitu kerana mereka agak-agak bahawa Nabi Muhammad itu mestilah lain daripada roh manusia yang biasa. Dan mereka agak, tentulah Allah boleh beri kelebihan yang lebih kepada kekasihNya.

image

Tetapi, mana dalilnya? Agakan akal fikiran bukanlah dalil yang sah. Kalau ianya boleh diterima, maka akan rosaklah agama. Kerana semua orang boleh ‘agak-agak’ belaka.

Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana masyarakat kita memang masih jauh dari budaya ilmu. Akal yang cetek memang akan ikut sahaja amalan tok nenek. Mereka tidak gunakan akal mereka untuk membuat penilaian.

Sebagai contoh, makcik-makcik yang menyanyi Marhaban itu bukannya tahu pun apa lagu yang mereka nyanyikan itu. Mereka pakai menyanyi sahaja tanpa tahu terjemahan kalimah-kalimah dan Marhaban itu. Mereka sangka, kalau bahasa Arab, tentulah betul! Amat menyedihkan.

 

وَمَا تَهْوَى الْأَنفُسُ

dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka

Selain dari andaian akal fikiran, Musyrikin Mekah juga beramal ikut kehendak nafsu mereka sahaja. Mereka buat apa yang mereka suka. Mereka hiaskan berhala itu cantik-cantik ikut suka mereka.

Hawa nafsu mereka mahukan macam-macam perkara yang tidak sama dengan apa yang syariat hendak. Maka, mereka buat sendiri ilah mereka, dan dengan itu mereka boleh kawal apa yang ‘ilah’ mereka cakap. Sudah semestinya mereka akan kata perkara-perkara yang nafsu mereka mahukan, bukan apa yang syariat mahukan.

Masyarakat kita pun ikut hawa nafsu mereka dalam beramal. Amalan-amalan bidaah seperti Majlis Tahlil, bacaan Talqin, Doa Selamat, Solat Hajat, tunggu kubur dan macam-macam lagi adalah ‘sumber pendapatan’ yang lumayan bagi pengamal-pengamal ini. Mereka ini selalunya golongan ‘ahli masjid’ dan surau, Pak lebai, ustaz-ustaz dan guru-guru agama. Mereka akan dapat upah apabila mengepalai majlis bidaah itu.

Yang hadir sekali, sekurang-kurangnya dapat makan percuma hari itu. Itu semua adalah kehendak nafsu mereka. Kalau amalan-amalan itu dihapuskan, mereka sudah tidak dapat upah, sudah tidak dapat makan percuma. Tentunya mereka kata, mereka buat amalan itu ‘ikhlas’.

Untuk dapatkan kepastian sama ada mereka ikhlas atau tidak, apa kata tuan rumah buat majlis, tapi tak beri upah kepada imam itu, dan tak hidangkan makanan. Agak anda, golongan surau itu akan datang lagikah esok?

Berhentilah dari buat majlis bidaah itu. Berhentilah dari menyusahkan keluarga yang kematian ahli keluarga mereka. Sudahlah mereka baru kematian ahli keluarga yang disayangi, kita pula susahkan mereka dengan kena beri makan kepada kita pula. Tidakkah kita ada hati perut? Tidakkah kita terfikir kesusahan mereka itu?

Bagaimana pula kalau yang meninggal itu adalah bapa kepada keluarga itu dan dia sahaja yang bekerja? Sudahlah mereka hilang sumber pendapatan, tak tahu macam mana nak hidup selepas ini, tapi kena beri makan kepada orang ramai pula. Kalau anda makan juga, anda sebenarnya tidak berhati perut langsung!

Ada pula yang bagi hujah: “kalau tak mampu tak payah buat. Tapi kalau mampu, boleh buat. Jangan bising-bising!” Kita jawab: kalau ada yang masih buat, tentulah orang yang tak mampu itu malu kalau tak buat. Mereka sampai berhabis duit mana yang tinggal, asalkan mereka tetap juga buat majlis bidaah itu.

Kerana mereka tahu, orang kampung bukannya pandai tutup mulut. Kalau mereka tidak buat, mesti ada orang kampung menjuihkan mulut kerana mereka tidak dapat makan percuma hari itu.

 

وَلَقَدْ جَاءَهُم مِّن رَّبِّهِمُ الْهُدَىٰ

dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka.

Allah telah memberikan petunjuk kepada manusia dalam bentuk ayat-ayat Al-Qur’an dan juga hadis-hadis Nabi, tetapi mereka masih melakukan perkara-perkara sesat dan khurafat. Alangkah rugi apa yang Musyrikin Mekah itu tolak. Nabi Muhammad sudah ada di kalangan mereka, Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa mereka, tapi mereka berpaling.

Masyarakat kita amat rugi. Kita sudah dilahirkan dalam agama Islam, dalam masyarakat Islam, tapi masih lagi berpaling dari petunjuk Allah. Ini adalah kerana tafsir Al-Qur’an mereka tidak belajar dan syarah kepada hadis juga mereka tidak belajar. Dan rujukan mereka adalah kepada guru-guru dan ustaz-ustaz yang mereka pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan juga hadis Nabi.

Oleh kerana itu, kejahilan itu diwarisi turun temurun daripada dulu sampai sekarang. Walaupun kitab tafsir dan kitab hadis sudah ada banyak, tetapi yang mereka rujuk masih lagi kepada kitab-kitab karangan manusia yang tidak berlandaskan kepada ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi.

Jadi ayat ini memberi dua pilihan kepada manusia: sama ada nak ikut mereka yang ‘agak-agak’ dan ikut hawa nafsu atau nak ikut mereka yang mendapat hidayah? Tentulah pilihan kita kepada mereka yang ikut petunjuk dari Allah, bukan?


 

Najm Ayat 24: Mereka reka kelebihan-kelebihan dalam amalan. Mereka kata, kalau nak A, seru wali A dan kalau nak B, seru wali lain pula.

أَم لِلإِنسٰنِ ما تَمَنّىٰ

Sahih International

Or is there for man whatever he wishes?

Malay

Adakah manusia akan dapat mencapai segala yang dicita-citakannya? (Tidak!).

 

 

Adakah manusia patut dapat semua yang mereka ingini? Manusia ada macam-macam kehendak, tapi tidaklah mereka dapat semua yang mereka hendak itu. Kalau diberikan semua yang manusia hendak, rosak binasalah dunia ini.

Apakah kaitan ayat ini dengan berhala-berhala itu? Allah nak beritahu, walaupun mereka berkeinginan kepada berhala-berhala itu, tapi mereka tak akan dapat. Manusia tidak mendapat semua yang mereka inginkan. Semuanya bergantung kepada kehendak Allah.

Kerana salah faham ini, maka ramai manusia reka tempat minta doa. Termasuk dalam masyarakat Islam yang jahil. Jadi fahaman mereka, kalau nak anak kena minta kepada Nabi Zakaria; kalau nak dapat ilmu agama kena minta dari Nabi Khadr dan lain-lain lagi fahaman itu adalah salah sama sekali. Itu adalah fahaman khayalan tanpa bukti. Mereka kata boleh dapat itu dan ini dengan seru wali itu dan ini. Padahal Allah dan Nabi tidak ada cakap pun.

Kita kenalah tahu cara berdoa yang benar dan kita berharap sahaja kepada Allah dalam berdoa itu. Kita wajib berdoa kepada Allah tapi ‘harus’ sahaja Allah hendak beri atau tidak permintaan kita. Jangan sangka setiap permintaan dan doa kita akan diberikan oleh Allah. Walaupun kita telah melakukan semua perkara untuk beri doa itu ‘mustajab’. Kena ikut kehendak Allah juga. Allah tidak boleh dipaksa untuk berikan apa yang kita hendak.


 

Najm Ayat 25:

فَلِلَّهِ الآخِرَةُ وَالأولىٰ

Sahih International

Rather, to Allah belongs the Hereafter and the first [life].

Malay

Kerana Allah jualah yang menguasai segala urusan akhirat dan urusan dunia.

 

 

Manusia tidak mendapat semua yang mereka inginkan, sebaliknya apa yang manusia akan dapat atau tidak itu terpulang kepada Allah. Allah sahaja yang ada hak untuk menentukan apa yang kita akan dapat. Kenapa? Kerana akhirat dan dunia adalah kepunyaanNya.

Kalau akhirat dan dunia ini milik Allah, maka kenapa kita perlu minta pertolongan kepada Nabi, Wali dan malaikat? Kenapa nak minta kepada ilah-ilah rekaan yang memang tidak boleh memberikan apa-apa? Sepatutnya kita minta terus kepada Allah Ta’ala sahaja. Maka kalau perlukan apa-apa sahaja, terus doa kepada Allah. Inilah cara termudah.

Dalam ayat ini, ‘akhirat’ disebut dahulu, sedangkan dari segi kronologi, kehidupan dunia dulu, kemudian barulah kehidupan akhirat, bukan? Akhirat disebut dahulu kerana kekuasaan Allah akan lebih jelas di akhirat nanti. Sekarang ini pun dalam dunia, Allah juga berkuasa penuh, tapi manusia tak nampak. Nanti, bila di akhirat nanti, tidak ada yang akan mempersoalkannya lagi.

Maka kerana akhirat itu milik Allah, maka Allah akan balas amalan dan fahaman syirik manusia semasa di dunia. Jangan mereka sangka yang mereka akan selamat di akhirat kalau mereka selamat di dunia pun.


 

Najm Ayat 26: Sekarang kita belajar tentang Syafaat pula. Ini adalah satu perkara yang banyak salah faham dalam masyarakat.

۞ وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِي السَّمٰوٰتِ لا تُغني شَفٰعَتُهُم شَيئًا إِلّا مِن بَعدِ أَن يَأذَنَ اللهُ لِمَن يَشاءُ وَيَرضىٰ

Sahih International

And how many angels there are in the heavens whose intercession will not avail at all except [only] after Allah has permitted [it] to whom He wills and approves.

Malay

(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya.

وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِي السَّمٰوٰتِ

Dan entah berapa banyaknya malaikat di langit,

Berapa banyak malaikat pun kita tak akan tahu. Allah sahaja yang tahu bilangan mereka. Kita pun tahu bahawa malaikat itu rapat dengan Allah. Kerana itu mereka dikatakan ‘di langit’, kerana Allah di langit.

Mereka menerima arahan terus dari Allah. Mereka makhluk yang taat. Mereka tidak ada dosa.

Sebelum ini di awal surah ini telah disebut sifat-sifat Jibril yang hebat. Tetapi kenapa disebut tentang malaikat lagi dalam ayat ini?

 

لَا تُغْنِي شَفٰعَتُهُمْ شَيْئًا

syafaat mereka sedikit pun tidak berguna,

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa mereka yang ada meminta tolong kepada malaikat ataupun menjadikan malaikat sebagai perantaraan untuk mereka memohon kepada Allah adalah sia-sia sahaja. Walaupun para malaikat itu banyak.

Musyrikin Mekah menyembah berhala-berhala mereka kerana mereka kata berhala itu akan menyampaikan permintaan mereka kepada Allah. Dalam masa yang sama, mereka juga menyembah malaikat-malaikat yang mereka kata kononnya anak-anak perempuan Allah.

Jadi mereka sangka mereka selamat kerana mereka kononnya sudah baik dengan malaikat dan malaikat itu pula banyak. Adakah begitu? Tidak sama sekali. Allah kata pertolongan mereka tidak berguna pun. Itu pun kalau malaikat itu hendak menolong.

Allah nak suruh mereka bandingkan berhala mereka dengan malaikat-malaikat itu. Tentulah malaikat lebih hebat dari berhala itu, bukan? Walaupun hebat, tapi mereka pun masih tidak dapat membantu manusia kalau Allah tak izinkan. Kalau malaikat pun tak boleh tolong, apatah lagi berhala mereka yang tidak ada apa-apa itu? Sia-sia sahaja.

Mereka berhujah pula yang mereka tahu yang malaikat dan wali-wali itu tidak ada kuasa. Tapi mereka nak syafaat sahaja. Ini juga fahaman bahaya. Macam sekarang pun banyak ustaz-ustaz ajar tentang syafaat kerana memang ‘syafaat’ itu ada dalam istilah agama. Tapi mereka keliru dengan maksudnya dan mereka telah mengelirukan ramai umat Islam.

Allah beritahu dalam ayat ini yang malaikat (dan juga Nabi dan wali) tidak boleh beri syafaat. Tapi ada juga yang boleh memberi syafaat, tapi dengan syarat.

 

إِلَّا مِن بَعْدِ أَن يَأْذَنَ اللَهُ

kecuali sesudah Allah mengizinkan

Ada syarat untuk malaikat itu memberi pertolongan kepada manusia. Kita kena ingat bahawa para Malaikat ikut perintah Allah sahaja. Allah boleh izinkan kalau Allah mahu. Ini adalah syarat pertama: syarat itu adalah – Allah izinkan malaikat itu untuk menolong. Maknanya, syafaat itu hak Allah sahaja, malaikat tukang sampaikan sahaja.

Syafaat dalam Islam hanya biizni (dengan izin). Iaitu hanya dengan izin Allah sahaja. Maka tidak ada ajaran dari Nabi untuk minta syafaat dari baginda. Maka amalan qasidah puak Habib yang minta syafaat kepada Nabi Muhammad itu adalah ajaran sesat.

Kita akan dapat syafaat secara automatik apabila seru Allah sahaja dalam tauhid. Kalau amalkan tauhid, akan dapat syafaat secara automatik. Bukannya dengan cara seru Nabi dan wali. Kalau buat begitu, memang tidak akan dapat syafaat kerana anda telah mengamalkan syirik dan orang musyrik tidak akan dapat syafaat.

Jadi ayat ini menjawab kekeliruan tentang syafaat.

 

لِمَن يَشَاءُ وَيَرْضَىٰ

bagi orang yang dikehendaki dan diredhai (Nya).

Ini adalah syarat kedua: yang ditolong oleh malaikat itu pun kena dapat kelulusan dari Allah juga. Bukanlah malaikat itu boleh tolong sesiapa sahaja.

Maka ini adalah Syarat ketiga: Allah redha dengan Syafaat itu.

Maknanya, bukan senang nak dapatkan Syafaat. Ini mengajar kita untuk jangan berharap kepada orang lain. Kita kena berharap dengan Allah sepenuhnya. Kerana segalanya Allah yang tentukan. Entah berapa ramai masyarakat kita yang mengharapkan Syafaat dari malaikat, dari Nabi, dari wali, dari guru mereka, tanpa mereka sedari sama ada mereka melepasi syarat-syarat itu atau tidak.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Mac 2020

Ringkasan Makro Najm


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah an-Najm Ayat 7 – 20 (Kisah Mi’raj)

Najm Ayat 7: Dalam riwayat hadis ada disebut Rasulullah melihat rupa asal Jibril dua kali: pertama kali ketika pertama kali Jibril menyampaikan wahyu. Dan inilah ayat tentangnya.

وَهُوَ بِالأُفُقِ الأَعلىٰ

Sahih International

While he was in the higher [part of the] horizon.

Malay

Sedang dia berada di arah yang tinggi (di langit);

Semasa Nabi Muhammad menerima wahyu yang pertama dan baginda didatangi oleh Jibril, Jibril waktu itu menjelma dalam rupanya yang asal dan dia berada di ufuk yang tinggi.

Ufuk yang tinggi itu bermaksud tidaklah tinggi sangat kerana kalau tinggi, Nabi Muhammad kena dongak pula. Tapi ia bermaksud yang Nabi Muhammad dapat melihat keseluruhan Jibril tanpa perlu mendongak pun.

Perkataan ‘ufuk’ adalah garisan di mana kita melihat langit dan bumi bertemu. Itulah tempatnya kita melihat matahari terbit dan terbenam setiap hari. ‘Ufuk yang tinggi’ bermaksud tubuh Jibril memenuhi ufuk itu sampaikan menutupi segala-galanya.


 

Najm Ayat 8:

ثُمَّ دَنا فَتَدَلّىٰ

Sahih International

Then he approached and descended

Malay

Kemudian dia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu dia mendekat sedikit demi sedikit,

Kalimah دَنَا bermaksud Jibril mendekati Nabi Muhammad dengan turun perlahan-lahan. Kalau turun dengan cepat, nampak macam nak menyerang pula. Maka kedatangan Jibril mendekati itu dalam keadaan aman dan tenang sahaja.

Kalimah فَتَدَلَّىٰ bermaksud Jibril turun. Ianya dari katadasar د ل و yang bermaksud ‘timba’. Ia bermaksud timba yang diturunkan sedikit demi sedikit ke dalam perigi.

Selepas Jibril menampakkan dirinya dalam rupanya yang besar, Jibril kemudian telah turun mendekati Nabi Muhammad sambil mengecilkan dirinya. Kemudian Jibril datang berjalan mendatangi Nabi. Maknanya semakin merupai manusia sedikit demi sedikit. Mulanya dalam bentuk asal dia, tapi semakin datang dekat, semakin menjadi rupa manusia.


 

Najm Ayat 9:

فَكانَ قابَ قَوسَينِ أَو أَدنىٰ

Sahih International

And was at a distance of two bow lengths or nearer.

Malay

Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi;

Kalimah قَابَ adalah jarak antara tengah panah ke hujung – setengah panah. Oleh itu, perkataan قَابَ قَوْسَيْنِ bermaksud jarak sepanjang satu panah. Menunjukkan bahawa kedudukan Jibril dan Nabi Muhammad adalah amat dekat. Dalam riwayat hadis, ada disebut jaraknya adalah ‘dua hasta’.

Kalimat قَابَ قَوْسَيْنِ juga adalah pepatah Arab yang digunakan untuk menyatakan dua kaum yang bersatu. Sebagai satu upacara untuk menyatakan penyatuan mereka, seorang lelaki dari setiap puak itu akan datang ke hadapan dengan busur masing-masing. Kemudian mereka akan merapatkan busur mereka, dan memanah menggunakan satu anak panah. Maknanya, mereka berdiri bersentuhan bahu. Itu adalah sebagai simbol bahawa kaum mereka telah bersatu.

Jadi, kalau perkataan قَابَ قَوْسَيْنِ itu diambil daripada pepatah Arab itu, ini bermaksud bahawa Nabi Muhammad dan Jibril telah bersentuhan antara satu sama lain. Maknanya kedudukan Jibril amat dekat dengan Nabi Muhammad. Sebab itu telah diceritakan bagaimana Jibril telah mendakap Nabi kerana mereka memang berdekatan.

Kenapa Jibril perlu berdekatan dengan Nabi? Kerana semakin dekat kita dengan seseorang, semakin senang untuk kita menyampaikan sesuatu.

أَبُو إِسْحَاقَ الشَّيْبَانِيُّ قَالَ سَأَلْتُ زِرَّ بْنَ حُبَيْشٍعَنْ قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى{ فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى فَأَوْحَى إِلَى عَبْدِهِ مَا أَوْحَى }قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ مَسْعُودٍ أَنَّهُ رَأَى جِبْرِيلَ لَهُ سِتُّ مِائَةِ جَنَاحٍ

Abu Ishaq asy-Syaibaniy berkata; Aku bertanya kepada Zirra bin Hubaisy tentang firman Allah Ta’ala dalam an-Najm ayat 9-10: “Fa kaana qaaba qausaini aw adnaa. Fa awhaa ilaa ‘abdihii maa awhaa” (“Maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) sedekat dua ujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan”). Dia berkata, telah bercerita kepada kami Ibnu Mas’ud, bahawa baginda shallallahu ‘alaihi wasallam telah melihat Jibril yang memiliki enam ratus sayap”.  (Bukhari, Muslim).


 

Najm Ayat 10:

فَأَوحىٰ إِلىٰ عَبدِهِ ما أَوحىٰ

Sahih International

And he revealed to His Servant what he revealed.

Malay

Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukanNya.

 

Maka di situlah Jibril telah mentalqinkan kepada Nabi Muhammad wahyu pertama dari Allah kepada baginda yang dimulai dengan perkataan yang pertama: iqra’.

Ayat ini menyebut: “diwahyukan apa yang diwahyukan”. Kenapa tidak dikatakan terus yang ‘Al-Qur’an’ telah diwahyukan? Ini adalah kerana hendak menunjukkan kehebatan Al-Qur’an. Apabila sesuatu itu tidak disebut secara terus, menambahkan lagi kehebatan sesuatu itu. Oleh kerana itu, dalam ayat ini hanya disebut مَا أَوْحَىٰ – apa yang diwahyukan. Selalu digunakan cara begini dalam Al-Qur’an.

Sekarang sudah habis ayat-ayat yang menceritakan bagaimana Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad. Kalau orang tanya, kita sudah tahu nak jawab macam mana.


 

Najm Ayat 11: Ayat 11 – 18 ini menceritakan tentang kebenaran Peristiwa Nabi Mi’raj ke Sidratul Muntaha. Seperti yang telah diberitahu, surah ini adalah tentang mi’raj.

ما كَذَبَ الفُؤادُ ما رَأىٰ

Sahih International

The heart did not lie [about] what it saw.

Malay

Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.

Hati Nabi Muhammad tidak mendustakan baginda, bermakna baginda yakin bahawa apa yang baginda saksikan itu adalah kebenaran. Hati baginda tidak ragu-ragu. Sebab baginda boleh nampak dengan jelas sekali.

Ia juga bermaksud yang Nabi Muhammad boleh faham apa yang disampaikan oleh Jibril itu. Kerana baginda sudah kenal dengan Jibril sungguh-sungguh. Ini adalah jawapan kepada kesamaran manusia tentang wahyu dari malaikat. Mungkin ada yang mempersoalkan: benarkah apa yang Nabi nampak itu benar? Entah khayalan baginda sahaja? Entah-entah syaitan yang datang.

Maka Allah nak tekankan di sini yang bukanlah apa yang Nabi nampak itu suatu ilusi. Memang Nabi benar nampak Jibril, seorang malaikat yang bukannya syaitan. Kadang-kadang kita nampak sesuatu, kita sangka ianya air, tapi rupaya ia fatamorgana sahaja.

Ataupun kadang-kadang kita duduk rumah seorang diri, kita macam nampak kelibat sesuatu, tapi bila pergi periksa, tidak ada apa-apa pun. Itu bermakna, kita tak jelas dan keliru waktu itu. Ini biasa sahaja terjadi kepada manusia.

Tapi, apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad ini adalah benar, bukan fatamorgana, bukan kelibat sesuatu, ia memang Jibril datang bertemu Nabi dan menyampaikan wahyu kepada baginda. Memang ada yang mempersoalkan apa yang dilihat oleh baginda itu, dan kerana itu kalimah ما digunakan dalam ayat ini untuk menidakkan salah faham itu. Ia menidakkan fahaman yang memang sudah ada ketika itu.


 

Najm Ayat 12:

أَفَتُمٰرونَهُ عَلىٰ ما يَرىٰ

Sahih International

So will you dispute with him over what he saw?

Malay

Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?

Apakah kamu kaum Musyrikin hendak mempertikaikan yang Jibril telah datang kepada baginda? Sedangkan apa yang Nabi nampak itu benar-benar Jibril? Macam mana mereka nak tolak apa yang Nabi nampak? Bayangkan kalau saya nampak sesuatu, bagaimana ada orang yang boleh menidakkan sesuatu yang memang terjadi. Itu tidak masuk akal langsung. Memang saya sudah nampak, bukan?

Musyrikin Mekah juga mempersoalkan kejadian baginda naik ke langit (mi’raj) dengan tubuh badan baginda. Mereka kata, walaupun ia terjadi, bukanlah dengan tubuh badan tetapi hanya mimpi baginda sahaja. Itu juga adalah kata-kata mereka sahaja kerana mereka memang tidak mahu menerima apa-apa sahaja yang disampaikan oleh baginda.


 

Najm Ayat 13: Sekarang disebut tentang kisah Mi’raj.

وَلَقَد رَءآهُ نَزلَةً أُخرىٰ

Sahih International

And he certainly saw him in another descent

Malay

Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi,

 

Kalimah نَزْلَةً bermaksud ‘penurunan’. Maknanya, Jibril pernah turun sekali lagi untuk bertemu dengan Nabi Muhammad dengan rupanya yang asal. Kejadian itu berlaku semasa Mi’raj Nabi ke langit.

Maknanya, Nabi Muhammad memang kenal benar dengan Jibril kerana baginda sudah pernah lihat Jibril. Kali pertama baginda lihat semasa menerima wahyu di Gua Hira’ dan sekarang sekali lagi baginda melihat Jibril di langit semasa mi’raj.

Ada tafsir yang salah tentang ayat ini. Mereka kata yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ‘melihat’ Allah. Itu adalah tafsiran yang amat salah. Selalunya dipelopori oleh golongan sufi yang memang suka buat pandangan sendiri. Maka jangan terlibat dengan mereka kerana kita tidak berjumpa lagi tarekat sufi yang benar. Mereka adalah ahli ibadat yang jauh dari ilmu yang benar.

Dalam ayat al-An’am:103, telah dibincangkan bagaimana Allah tidak boleh digarap dengan pandangan mata manusia. Tambahan pula, ayat ini menyebut ‘waktu yang lain’, iaitu Nabi sudah pernah lihat Jibril dan sekarang Nabi dapat melihatnya sekali lagi. Kalau dikatakan ayat ini bermaksud Nabi Muhammad melihat Allah sekali lagi, bila pula baginda melihat Allah buat kali pertama?


 

Najm Ayat 14: Sekarang, Al-Qur’an menceritakan sedikit apakah yang ada di langit ke tujuh.

عِندَ سِدرَةِ المُنتَهىٰ

Sahih International

At the Lote Tree of the Utmost Boundary –

Malay

Di sisi “Sidratul-Muntaha”;

Dalam hadis telah diberitahu bahawa Sidratul-Muntaha ini adalah atas lagi dari langit yang ketujuh.

Kalimah سِدْرَةِ dari segi bahasa bermaksud ‘pohon bidara’. Tetapi bukanlah ianya pohon bidara yang sama dengan yang ada di dunia.

Kalimah الْمُنتَهَىٰ dari katadasar ن ه ي yang bermaksud ‘berhenti’. Oleh itu الْمُنتَهَىٰ bermaksud ‘tempat berhenti’ yang menahan sesuatu dari melepasinya (macam sempadan). Oleh itu, Sidratul-Muntaha ini terletak di sempadan antara langit ketujuh dan Arasy Allah Ta’ala. Inilah sempadan yang malaikat Jibril dan malaikat-malaikat lain pun tidak boleh melepasinya.

Ayat ini memberi tahu kepada kita bahawa Nabi Muhammad sekali lagi nampak Jibril dalam rupanya yang asal berdekatan dengan Sidratul-Muntaha.


 

Najm Ayat 15:

عِندَها جَنَّةُ المَأوىٰ

Sahih International

Near it is the Garden of Refuge –

Malay

Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.

Ayat ini memberitahu kepada kita yang Sidratul-Muntaha itu berdekatan dengan Syurga Ma’wa. Tetapi kita perlu ingat bahawa bukanlah syurga itu berada di antara tujuh langit itu. Cuma berdekatan sahaja. Semua syurga-syurga yang ada adalah di luar daripada langit yang tujuh. Cuma dalam ayat ini disebut bagaimana Syurga Ma’wa itu berdekatan dengan Sidratul-Muntaha.

Ayat ini juga sebagai dalil bahawa syurga telah ada. Allah sudah siap-siap buat syurga. Hanya menunggu ahlinya sahaja.


 

Najm Ayat 16:

إِذ يَغشَى السِّدرَةَ ما يَغشىٰ

Sahih International

When there covered the Lote Tree that which covered [it].

Malay

(Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh apa yang menutupinya.

Ada sesuatu yang meliputi Sidratul Muntaha itu, tapi Allah menggunakan perkataan مَا يَغْشَىٰ – ‘yang meliputinya’ – tidak disebut apakah ia dan ini bermaksud ianya tidak dapat digambarkan oleh akal. Ianya adalah sesuatu yang hebat sampaikan tidak ada perkataan yang kita dapat faham yang dapat menggambarkannya.

Tapi ada juga tafsir yang mengatakan yang meliputi itu adalah hamparan emas. Ini pun sudah tidak dibayangkan. Maka kita biarkan sahaja. Bukan semua perkara kita kena tahu dengan terperinci.

Ibn Kathir pula menyebut bahawa banyak sekali ‘malaikat’ yang meliputi pokok Sidratul-Muntaha itu bagaikan banyaknya burung-burung gagak yang meliputi pokok. Itulah perumpamaan yang Nabi Muhammad berikan kepada kita dan disampaikan oleh Ibn Kathir. Setakat itu sahaja yang kita tahu. Memang tidak dapat dibayangkan dengan akal kita yang lemah.


 

Najm Ayat 17:

ما زاغَ البَصَرُ وَما طَغىٰ

Sahih International

The sight [of the Prophet] did not swerve, nor did it transgress [its limit].

Malay

Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak tersasar daripada menyaksikan dengan tepat, dan tidak pula melampaui batas.

Perkataan زَاغَ bermaksud ‘melihat ke kiri dan ke kanan’ dan tidak menumpukan perhatian kepada objek di hadapan. Pandangan Nabi Muhammad tidak زَاغَ. Ini menunjukkan adab Nabi Muhammad. Mata baginda tidak melilau-lilau.

Walaupun Nabi Muhammad nampak pokok Sidratul-Muntaha itu, tapi pandangan baginda tidak beralih dari melihat Jibril. Seperti Nabi Muhammad hanya melihat dari ekor matanya sahaja. Lihatlah akhlak yang ditunjukkan oleh baginda. Walaupun baginda berada di tempat yang asing, yang ada macam-macam perkara ajaib dan menghairankan, tapi baginda menjaga pandangan baginda.

Baginda tidak ‘jakun’ – jenis semua nak tengok. Kalau kita, tentu mata kita sudah ke merata-rata. Kalau orang cakap dengan kita pun, kita sudah tak dengar apa yang diperkatakan kepada kita.

Pandangan baginda juga tidak melebihi dari melihat Jibril. Baginda tidak melihat melepasi apa yang ditunjukkan kepada baginda. Baginda dapat mengawal diri baginda.

Ini mengajar kita dalam belajar, kenalah ada adab. Kalau semasa belajar Al-Qur’an atau belajar tafsir dalam kuliah, mata kita hendaklah melihat kepada Al-Qur’an. Hendaklah kita menumpukan perhatian kepada pelajaran hari itu. Tidaklah kita membiarkan mata kita melihat kepada perkara-perkara yang lain. Kerana kita kena menghormati Al-Qur’an itu.

Kalau mata kita melihat perkara-perkara yang lain, maka kita akan hilang tumpuan dan kita akan lalai dari belajar. Lebih ditakuti, kita silap dengar dan silap tafsir pula nanti.


 

Najm Ayat 18:

لَقَد رَأىٰ مِن ءآيٰتِ رَبِّهِ الكُبرىٰ

Sahih International

He certainly saw of the greatest signs of his Lord.

Malay

Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.

Semasa dalam perjalanan isra’ dan mi’raj itu, berbagai-bagai tanda kebesaran Allah yang telah ditunjukkan kepada Nabi Muhammad. Antaranya, Malaikat Jibril, Buraq, Sidratul Muntaha dan macam-macam lagi.

Apabila digunakan kalimah الكُبرىٰ dalam ayat ini, maka ia memberi isyarat yang Nabi Muhammad ada nampak benda yang lebih besar dari Jibril lagi. Untuk mengetahui dengan panjang lebar, kena belajar khusus berkenaan perjalanan isra’ mi’raj itu. Ia terlalu panjang untuk dimasukkan di sini.


 

Najm Ayat 19: Ayat 19 – 28 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi bantahan terhadap amalan menggunakan perantaraan berhala dan melakukan syirik kepada sifat Allah. Pertamanya, ayat 19 & 20 menceritakan tentang berhala Quraisy Makkah.

Ayat ini adalah Maksud Surah ini. Allah hendak menegur fahaman Arab Mekah yang mengatakan wali-wali boleh menjadi wakil bagi Allah. Mereka kata, kerana semasa hidup itu para wali itu orang yang baik, maka bila mereka meninggal dunia maka mereka boleh beri khidmat kepada orang yang hidup pula. Iaitu mereka kata Allah lantik mereka menjadi wali kerana kebaikan mereka semasa mereka di dunia.

Ini adalah salah faham manusia yang jahil dengan ilmu wahyu. Maka syaitan suruh manusia doa kepada para wali itu untuk memudahkan sampai doa kepada Allah. Ini adalah fahaman sesat tentang wali yang diajar oleh syaitan. Malangnya ramai orang Islam yang ada salah faham ini.

Oleh kerana roh arwah wali itu sudah tak nampak, maka mereka jadikan ukiran sebagai kiblat tawajuh (untuk fokus penumpuan dalam ibadat). Mereka pun tahu para wali itu bukan tuhan. Mereka tahu yang para wali itu tidak ada kuasa mencipta pun. Tapi mereka beranggapan wali itu ada kuasa yang diberikan oleh Allah. Oleh kerana itu mereka nak jadikan wali itu sebagai wasilah (broker) untuk hampirkan diri mereka dengan Allah.

Itu semua adalah fahaman salah dan syirik, Maka Allah nak betulkan balik fahaman syirik itu dengan angkat Nabi Muhammad menjadi Rasul di tengah-tengah suasana syirik di Mekah. Maka kita juga kena baca dan fahami ayat-ayat ini kerana fahaman syirik ini juga ada di kalangan orang kita terutama yang menyertai tarekat sufi.

أَفَرَءَيتُمُ اللّٰتَ وَالعُزّىٰ

Sahih International

So have you considered al-Lat and al-‘Uzza?

Malay

(Setelah kamu – wahai kaum musyrik Makkah – mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa “Al-Laat” dan “Al-Uzza” –

Ayat ini boleh juga dibaca: “Tidakkah kau pernah memikirkan tentang al Lata dan al Uzza?” Adakah kamu sangka mereka boleh dengar doa kamu? Atau ia bermaksud: Tolong beritahu apa fahaman kamu tentang mereka?

Berhala adalah setiap benda yang disembah dan dipuja oleh manusia dalam bentuk patung batu, kayu atau benda-benda lain dengan maksud untuk lebih mendekatkan diri mereka kepada Tuhan.

Lata dan Uzza asalnya adalah dua orang alim dari kalangan orang Arab dan apabila mereka mati, mereka telah dipuja oleh puak musyrikin. Bukanlah mereka itu terus dijadikan sebagai patung berhala. Mula-mula, mereka beri salam kepada kubur mereka sahaja, kemudian mungkin buat gambar. Lama kelamaan, sudah sampai dijadikan patung dan dipuja sebagai tuhan.

Begitulah permulaan penyembahan manusia kepada selain Allah. Mulanya sebagai peringatan sahaja tapi lama kelamaan, benda itu akan dipuja dan disembah. Mungkin generasi pertama yang memulakannya tahu bahawa mereka letak gambar orang-orang alim mereka sebagai peringatan sahaja kepada orang-orang alim itu supaya memberi semangat kepada mereka untuk menjadi baik seperti orang-orang alim itu, tidak lebih dari itu.

Kemudian, lama kelamaan mereka telah menjadikan orang-orang alim yang telah mati itu sebagai perantara untuk doa mereka. Inilah yang dinamakan tawasul. Dan tawasul ini adalah perbuatan kufur. Akhirnya, syaitan akan menyesatkan manusia dengan menyatakan bahawa itulah tuhan mereka yang sebenarnya. Akhirnya, jadilah patung berhala yang mereka sembah sebagai tuhan.

Dan inilah yang telah dilakukan dan diajar oleh golongan Habib yang datang dari Yaman. Dengan jelas kita lihat bagaimana mereka menghias kubur Habib-habib mereka yang telah mati dan kemudian mereka letak pula gambar habib-habib mereka. Dan kita telah dengar berbagai amalan kesesatan yang mereka lakukan di kuburan itu. Maka eloklah kalau kesesatan golongan Habib ini dibongkar supaya berhentilah masyarakat kita disesatkan oleh mereka.

Itulah sebabnya kita menentang perbuatan bidaah yang telah dimulakan oleh guru-guru yang sesat. Mereka sudah mula mengajar beri salam kepada orang yang mati, sedekah Fatihah kepada mereka dan macam-macam lagi amalan bidaah yang tidak ada asas dalam agama.

Asalnya nampak macam tidak ada apa-apa (malah nampak baik pula). Tetapi lama kelamaan, ianya akan menjadi seperti kanser yang sudah susah untuk dibuang. Sebagaimana di negara ini sudah datang puak Habib yang mengajar masyarakat kita untuk jadi sesat dengan menghias kubur-kubur guru mereka dengan cantik, letak gambar pula dan duduk-duduk di kubur itu dengan amalan-amalan bidaah mereka yang sesat.

Memang mula-mula ahli kubur itu dijadikan sebagai perantara sahaja dalam doa tapi lama kelamaan, manusia akan berdoa terus kepada tuan kubur itu sendiri. Asalnya, perbuatan bidaah itu nampak kecil sahaja, tapi kalau tidak dibanteras, kesannya amat berat kerana boleh  sampai jadi syirik! Kita sudah lihat bagaimana puak Syiah terus minta kepada Hussein sekarang.

Asalnya, syaitan akan membisikkan untuk buat benda-benda kecil dahulu. Yang tak jelas syiriknya. Sebagai contoh, kalau ditanya kepada pengikut Habib sekarang, mereka kata tidak ada apa salah perbuatan mereka. Mereka kata mereka cuma hormat guru mereka yang sudah mati.

Dan mereka kata mereka tidak sembah pun kubur guru mereka itu, cuma mereka jadikan sebagai perantaraan dalam berdoa sahaja. Itu pun sudah salah kerana tawasul dengan makhluk adalah amalan kufur. Tapi lama kelamaan, kalau tidak dibanteras, akhirnya anak cucu kita akan puja dan sembah guru-guru itu. Seperti yang terjadi dengan Lata dan Uzza ini.

Dari segi sejarah, Lata ini adalah berhala penduduk Taif. Ada yang mengatakan makna اللَّاتَ ini asalnya bermaksud ‘tawaf’ kerana mereka yang menyembahnya akan tawaf mengelilinginya. Ada pula yang mengatakan yang اللَّاتَ adalah nama الله  yang difemininkan. Itu bermakna, mereka menukar nama Allah. Ini adalah satu perbuatan yang amat mungkar.

Uzza pula adalah berhala penduduk Ghatfan. Quraisy juga mengagungkan berhala Uzza ini. Sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Sufyan pada peristiwa Perang Uhud,

لنا العزى ولا عزى لكم

(kami memiliki ‘Uzzà, sedang kamu wahai kaum muslimin tidak memiliki ‘Uzzà). Lalu, Rasulullah saw., bersabda:

قولوا: الله مولانا ولا مولى لكم

(katakanlah oleh kalian, Allah adalah pelindung kami dan tidak ada pelindung buat kalian).

Kedua-dua berhala ini adalah dalam jantina betina. Memang Musyrikin Mekah menjadikan berhala dalam bentuk perempuan kerana mereka ada masalah yang amat berat dalam akidah mereka. Mereka kaitkan feminin kepada wasilah-wasilah kepada Allah ini seperti mereka kata para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah.


 

Najm Ayat 20:

وَمَنَوٰةَ الثّالِثَةَ الأُخرىٰ

Sahih International

And Manat, the third – the other one?

Malay

Serta “Manaat” yang ketiga, yang lagi satu?

Manat ini asalnya adalah seorang bomoh perempuan. Jadi apabila mereka ada hajat jenis perubatan, Musyrikin Mekah akan minta tolong kepada Manat ini. Berhala Manat ini juga berjantina betina pada mereka. Ketiga-tiga berhala utama bangsa Arab ini adalah berjantina perempuan.

Adapun Manat terdapat di Musyallal di daerah Qadid yang terletak antara Mekah dan Madinah. Adalah Khuza’ah, Aus, dan Khazraj (yang duduk di Yathrib, kemudian ditukar namanya kepada Madinah apabila Nabi berhijrah ke sana) sangat mengagungkannya di masa jahiliah dan mereka mengucapkan talbiah dari sana ketika hendak berhaji menuju Ka’bah. Imam Bukhari telah meriwayatkan dari Aisyah keterangan seperti ini.

Sebetulnya, di Jazirah Arab dan yang lainnya terdapat taghut-taghut lain yang senantiasa diagungkan oleh orang-orang Arab, selain berhala-berhala yang telah ditegaskan melalui nas oleh kitab-Nya yang mulia. Tapi ketiga berhala ini disebutkan secara khusus, kerana lebih popular dibandingkan dengan yang lainnya.

Rasulullah SAW sendiri kemudiannya selepas Pembukaan Mekah, telah mengutus Mughirah bin Syu’bah dan Abu Sufyan bin Harb agar mendatangi patung al-Lata. Kemudian, mereka pun menghancurkannya dan mendirikan sebuah masjid di Thaif pada tempat yang sebelumnya diletakkan berhala itu.

Baginda juga telah mengutus Khalid bin Walid agar mendatangi berhala al-‘Uzza. Dia pun menghancurkannya. Dan baginda mengutus Abu Sufyan bin Harb agar mendatangi berhala Manat, yang ketika itu terletak di pinggir Musyallal di daerah Qadid, maka dia pun menghancurkannya.

Terdapat pula patung-patung lainnya, seperti Dzil Khilshah, Qais, Riyam, Ridha, Dzil Ka’baat yang tersebar di beberapa daerah. Maka, Rasulullah pun mengutus sejumlah sahabatnya agar menghancurkan semuanya dan membersihkan jazirah Arab dari kotoran-kotoran syirik itu.

Allah menyebut berhala-berhala ini kerana hendak menyedarkan Musyrikin Mekah. Dalam ayat sebelum ini, telah diceritakan bagaimana hebatnya malaikat Jibril. Dengan segala kekuatan, kebesaran dan kekuatan akalnya, dia masih lagi pesuruh kepada Allah. Kalau orang suruhan pun sudah hebat macam itu, bagaimana pula dengan Allah? Tentu tidak terbayang kehebatan Allah, bukan? Sedangkan kehebatan Jibril pun tidak dapat dibayangkan, apatah lagi Allah.

Dan sekarang, Allah tanya mereka, tidakkah mereka memikirkan tentang tuhan-tuhan berhala mereka itu? Bolehkah berhala-berhala itu buat apa-apa? Adakah berhala-berhala itu ada kuasa? Bolehkah berhala itu beri mereka apa-apa? Tentulah tidak boleh sama sekali. Sedangkan berhala itu, manusia juga yang jadikan.

Kalau ada lalat singgah kepada hidung berhala itu, berhala itu pun tak boleh nak halau sendiri. Begitulah lemahnya patung-patung itu, tapi kenapa mereka memujanya? Kenapa dangkal sangat fikiran mereka? Begitulah Allah suruh mereka fikir untuk menyedarkan mereka.

 

Qishah al-Gharaniq

Maksud Qishah al-Gharaniq adalah Kisah Burung Bangau. Ini ada satu perbincangan yang menjadi polemik di kalangan ahli tafsir. Kisah inilah yang menjadi topik buku The Satanic Verses (Ayat-ayat Setan) yang ditulis oleh Salman Rushdie itu. Buku itu memanglah karut akan tetapi kisah tentang al-Gharaniq ini dapat kita temui dalam buku-buku sirah Nabi Muhammad dan dalam beberapa karya tafsir Al-Qur’an.

Kisahnya ketika Nabi Muhammad sampai pada ayat 19-20, syaitan telah menaruh dua ayat tambahan di lisan Nabi Muhammad:

اَفَرَءَيْتُمُ اللّٰتَ وَالْعُزّٰى وَمَنٰوةَ الثَّالِثَةَ الْاُخْرٰى

Apakah patut kamu (orang-orang musyrik) menganggap (dua berhala) al-Lata dan al-‘Uzza. Serta Manata; (berhala) ketiga yang lain (sebagai anak-anak perempuan Allah yang kamu sembah)?

تِلْكَ الْغَرَانِيْقُ الْعُلٰى. وَإِنَّ شَفَاعَتَهُنَّ لَتُرْتَجَى

Ialah burung-burung bangau (para malaikat) yang mulia. Pertolongan mereka sungguh diharapkan.

Setelah Nabi Muhammad selesai membaca surah Annajm [53], bersujudlah seluruh orang yang berada di keliling Ka’bah, baik mukmin (kerana membenarkan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad) mahu pun kafir (kerana tuhan-tuhan mereka disebut dan dipuji), kecuali satu orang, iaitu al-Walid bin al-Mughirah (al-Thabari, hal. 338).

Setelah bangun dari sujud, semua orang kembali ke aktiviti masing-masing. Para kafir Quraisy sangat bahagia mendengar dua ayat tadi. “Muhammad telah menyebut tuhan-tuhan kita dengan sebaik-baiknya,” kata mereka. Lalu sampailah khabar itu ke negeri Habasyah bahawa para kafir Quraisy telah masuk Islam. Para sahabat yang sedang berada di sana telah pulang kerana sangka mereka, kafir Quraisy telah masuk Islam.

Selepas kejadian tersebut, mengikut al-Thabari, datanglah Jibril kepada Nabi Muhammad seraya berkata, “Wahai Muhammad! Apa yang kau lakukan? Kau telah membacakan kepada manusia ayat-ayat syaitan! Kau mengatakan apa yang tidak sepatutnya kau katakan!”

Mendengar itu, Nabi Muhammad sangat bersedih dan takut kepada Allah. Akan tetapi kemudian Allah menenangkan hati Nabi Muhammad dan mengabarkan kepadanya bahawa semua Nabi dan Rasul terdahulu juga mengalami hal yang sama; dikacau oleh syaitan. Lalu turunlah Hajj: 52;

وَمَآ اَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَّسُوْلٍ وَّلَا نَبِيٍّ اِلَّآ اِذَا تَمَنّٰىٓ اَلْقَى الشَّيْطٰنُ فِيْٓ اُمْنِيَّتِهٖۚ فَيَنْسَخُ اللّٰهُ مَا يُلْقِى الشَّيْطٰنُ ثُمَّ يُحْكِمُ اللّٰهُ اٰيٰتِهٖۗ وَاللّٰهُ عَلِيْمٌ حَكِيْمٌ ۙ

Kami tidak mengutus seorang rasul dan tidak (pula) seorang nabi  sebelum engkau (Nabi Muhammad), kecuali apabila dia mempunyai suatu keinginan, syaitan pun memasukkan (godaan-godaan) ke dalam keinginannya itu. Lalu, Allah menghapus apa yang dimasukkan syaitan itu, kemudian Allah memantapkan ayat-ayat-Nya (dalam hati orang-orang beriman). Allah Maha Mengetahui lagi Maha bijaksana.

Maka Allah menasakh ayat-ayat setan tersebut dengan ayat-ayat lain dari-Nya, iaitu ayat seterusnya ayat 21-26.

Kemudian ketika kaum kafir Quraisy mendengar penasakhan tersebut, mereka saling berkata; “Muhammad menyesal telah menyebut tuhan-tuhan kita disandingkan dengan Allah. Akhirnya dia menggantinya dengan yang lain”. Selepas itu kaum kafir Quraisy meningkatkan seksaan mereka terhadap pengikut Nabi Muhammad di Mekah.

 

Kritik atas Kisah Burung Bangau

Kisah di atas ditolak oleh banyak ulama. Salah satunya adalah Qadhi Iyadh. Dalam karyanya, al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa (2013), Qadhi Iyadh mengkritiknya dalam satu subbab panjang dengan beberapa hujah yang diajukannya.

Kritik pertama dari segi sanad. Qadhi Iyadh mengatakan tidak ada satu pun perawi yang dapat dipercaya status mereka. Hanya para mufasir dan sejarawan yang suka pada hal-hal aneh saja yang menyertakan riwayat tersebut dalam karyanya tanpa peduli kebenarannya.

Hanya satu riwayat sahih yang dapat diterima. Namun, redaksi riwayat tersebut sama sekali berbeza dan hanya menceritakan sujudnya semua manusia dan jin bersama Nabi Muhammad selepas pembacaan Surah An-Najm. Riwayat ini menunjukkan keagungan Al-Qur’an. Dengan demikian tidak ada penasakhan yang terjadi.

Kritik kedua adalah dari sudut matan. Qadhi Iyadh mengatakan, tidak ada di antara para sahabat Nabi, bahkan para musyrik Makkah yang mendengar eulogi di tengah-tengah nistaan. Surah An-Najm ayat 19-23 adalah nistaan Al-Qur’an kepada berhala-berhala musyrik Makkah. Dengan demikian, sangat tidak masuk akal jika di tengah-tengah nistaan terhadap sesembahan musyrik Makkah ada eulogi atau pujian kepada mereka. Kita baca An-Najm:23 yang jelas-jelas menyebut berhala-berhala itu hanyalah selonggok batu yang tidak memiliki faedah sama sekali.

اِنْ هِيَ اِلَّآ اَسْمَاۤءٌ سَمَّيْتُمُوْهَآ اَنْتُمْ وَاٰبَاۤؤُكُمْ مَّآ اَنْزَلَ اللّٰهُ بِهَا مِنْ سُلْطٰنٍۗ اِنْ يَّتَّبِعُوْنَ اِلَّا الظَّنَّ وَمَا تَهْوَى الْاَنْفُسُۚ وَلَقَدْ جَاۤءَهُمْ مِّنْ رَّبِّهِمُ الْهُدٰىۗ

(Berhala-berhala) itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu ada-adakan. Allah tidak menurunkan suatu keterangan apa pun untuk (menyembah)-nya. Mereka hanya mengikuti dugaan dan apa yang diinginkan oleh hawa nafsu. Padahal, sungguh, mereka benar-benar telah didatangi petunjuk dari Tuhan mereka.

Selanjutnya, Qadhi Iyadh mengutip beberapa riwayat; Qatadah dan Muqatil mengatakan bahawa Nabi Muhammad membaca Surah An-Najm dalam keadaan mengantuk sehingga perkataan beliau dianggap sebagai igauan.

Selain itu, Ibn Syihab dari Abu Bakr bin Abd al-Rahman pula mengatakan bahawa Nabi Muhammad lupa, sehingga kesempatan itu dipakai oleh syaitan. Andai riwayat-riwayat tersebut diterima (itupun kalau benar), maka tetap tidak masuk akal sebab Nabi Muhammad terpelihara (ma’shum) dari semua kesengajaan dan kelalaian.

Dan yang terakhir dari segi tarikh kejadian. Hudhari Beik, menukil dari para sejarawan, menyebut bahawa hijrah kaum muslim Mekah ke Habasyah terjadi pada bulan Rajab dan kembali ke Mekah pada bulan Syawal. Sedangkan Surah An-Najm turun pada bulan Ramadhan. Dengan demikian, ada rentang waktu satu bulan antara turunnya surah dan kembalinya muhajirin ke Mekah.

Menilik pada masa itu, perjalanan dari Mekah ke Habasyah dan kembali lagi ke Mekah tidak cukup ditempuhi dalam satu bulan. Tak ada kenderaan, baik darat maupun laut, atau teknologi yang mampu menyampaikan sebuah khabar dengan cepat. Apalagi perjalanan Mekah-Habasyah mesti menyeberangi Laut Merah. Dengan demikian, khabar yang diterima muhajirin di Habasyah tidak dapat diterima sebab alasan-alasan di atas.

Demikian ulasan singkat Kisah Burung Bangau dan ayat-ayat setan serta komentar para ulama terhadapnya. Wallahu a’lam.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Ogos 2023

Ringkasan Makro Najm


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah an-Najm Ayat 1 – 6 (Nabi jumpa Jibrail pertama kali)

Pengenalan

Surah Najm ini adalah surah tentang Mi’raj Nabi dari MasjidilAqsa ke langit. Tentang Isra’ (perjalanan dari Mekah ke MasjidilAqsa) telah diberitahu dalam Surah Isra’. Maka Surah Najm ini tentang kenaikan Nabi ke langit pula.

Ianya adalah Surah Makkiah. Ianya adalah surah pertama yang Nabi bacakan secara keseluruhan kepada penduduk Mekah (kerana surah-surah yang lain datang sikit demi sedikit). Dalam surah inilah, ayat tentang sujud telah dibacakan dan baginda terus sujud. Waktu itu baginda membacakan ayat ini di khalayak ramai, iaitu kepada sahabat-sahabat baginda dan juga kepada kaum Musyrikin Mekah.

Yang menariknya, apabila baginda sujud, sahabat kesemuanya telah sujud bersama baginda. Dan yang lebih hebatnya, puak-puak musyrikin yang tidak mahu beriman itu pun terpesona sangat dengan Surah an-Najm yang baginda bacakan dan perbuatan sujud baginda, maka mereka pun ramai-ramai sujud bersama Nabi!

Ini memang menakjubkan. Bayangkan mereka semua sekali yang berada di situ telah sujud, kecuali seorang sahaja yang degil. Begitu pun, dia telah mengambil sedikit tanah dan meletakkan tanah itu ke dahinya. Dia tahan dirinya dari sujud penuh, tapi dia telah terpanggil untuk meletakkan tanah ke dahinya. Kejadian ini boleh dibaca dalam Seerah.

Surah ini juga memberitahu tentang kebenaran kerasulan Nabi Muhammad. Jadi Dakwa Surah ini adalah tentang Risalah (tentang kenabian baginda).

Dan ianya mengandungi teguran kepada amalan-amalan syirik Musyrikin Mekah. Mereka menyembah sembahan-sembahan lain selain Allah. Ini ada fahaman bathil yang tiada asas. Mereka sembah dan seru roh wali-wali dengan menamakan mereka Latta, Uzza, Manat dan lain-lain untuk tujuan supaya mereka yang disembah itu bawa doa mereka kepada Allah. Allah jelaskan bahawa fahaman itu adalah bathil tidak berasas.

Musyrikin Mekah itu kenal Allah dan terima Allah sebagai Tuhan. Mereka terima Allah sebagai pencipta alam dan menguruskan perkara yang besar-besar. Tapi dalam masa yang sama, mereka ada fahaman syirik yang hendak diperbetulkan dalam surah ini. Maka ia juga ditujukan kepada golongan musyrik negara ini juga.


 

Najm Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 18 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberikan hujah kebenaran wahyu dan menyentuh peristiwa Isra’ Mi’raj.

Sebelum itu, ayat 1 – 10 menyentuh tentang kebenaran Wahyu Al-Qur’an dan kerasulan Nabi Muhammad. Allah menekankan yang Al-Qur’an itu bukan daripada diri Nabi sendiri.

وَالنَّجمِ إِذا هَوىٰ

Sahih International

By the star when it descends,

Malay

Demi bintang semasa ia menjunam, –

 

Dalam ayat ini, Allah bersumpah dengan ‘bintang yang terbenam’. Hanya Allah sahaja yang berhak bersumpah dengan makhlukNya. Allah jadikan makhlukNya sebagai dalil bukti yang Dia yang buat makhluk itu. Allah hendak menzahirkan bukti QudratNya.

Kita pula hanya boleh bersumpah dengan menggunakan nama Allah sahaja. Kita menggunakan sumpah untuk menguatkan kata-kata dakwaan kita. Maka kita kena guna nama Allah sahaja. Tidak boleh guna nama makhluk dan ini dilarang. Dalilnya, Nabi pernah bersabda:

Sesiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah.

Maka orang yang ingin bersumpah hendaklah menyebut “Wallahi”, “Billahi” atau “Tallahi” yang semuanya bermaksud “Demi Allah”. Inilah juga yang digunakan oleh bangsa Arab. Selain dari itu, boleh juga bersumpah dengan salah satu nama Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Khalik dan sebagainya. Seumpama: “Demi al-Rahman, aku tidak pernah melakukan hal itu”.

Boleh juga bersumpah dengan sifat-sifat Allah. Sebagaimana Nabi pun selalu lakukan:

Demi yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang jua dari umat ini yang mendengar tentang aku, baik Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman kepada apa yang aku diutus dengannya (Islam) melainkan dia menjadi dari kalangan ahli neraka.

Memang jiwa Nabi dan juga jiwa kita berada dalam Tangan Allah, maka itu tidaklah salah, tambahan pula Nabi Muhammad selalu gunakan sumpah begitu.

Oleh itu, ada tiga cara untuk bersumpah yang dibenarkan, maka gunakan cara itu sahaja. Maka janganlah kita buat seperti sesetengah orang yang bersumpah dengan ‘cahaya api’, dengan ‘matahari yang tengah naik’, sumpah dengan nama emak dan sebagainya. Itu semua memang berlaku tapi dilakukan oleh mereka yang jahil yang tidak tahu tentang larangan Allah.

Jika seseorang bersumpah dengan sesuatu selain Allah, nama-nama Allah atau sifat-sifat Allah, sumpahnya bukan sahaja tidak sah tetapi dia telah menyekutukan Allah. Ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampuni oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala jika orang itu tidak bertaubat. Hadis berikut menjadi rujukan:

Ibn ‘Umar (radhiallahu ‘anhuma) mendengar seorang lelaki bersumpah: “Tidak, demi Ka’bah!” Lalu Ibn ‘Umar berkata kepadanya: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah berbuat syirik.”

Kalimah نَجْمِ merujuk kepada bintang di langit yang manusia boleh lihat – jelas kelihatan di malam hari. Bintang-bintang itu digunakan sebagai penunjuk arah kepada bangsa Arab yang selalu mengembara waktu malam. Oleh itu, salah satu sifat bintang itu adalah sebagai ‘penunjuk di dalam kegelapan’ malam.

Bagaimana pula kaitannya dengan Al-Qur’an? Ianya adalah isyarat kepada Al-Qur’an yang memberi petunjuk kepada kaum yang berada di dalam kegelapan iman.

Apabila ditambah dengan ال, maka ia merujuk kepada satu bintang spesifik. Maka kerana itu ada pendapat yang mengatakan yang bintang ini adalah Bintang Suraya. Kerana ianya adalah bintang yang dikenali oleh masyarakat Arab.

Kalimah هَوَىٰ adalah apabila bintang hilang dari langit, tak nampak lagi (terbenam). Apabila matahari keluar, bintang sudah tidak kelihatan lagi. Ianya akan terjadi setiap hari. Perkataan هَوَىٰ ini selalunya digunakan untuk mengungkapkan objek-objek di langit yang terbenam.

Lagi satu, bintang itu akan jatuh apabila ia digunakan untuk menembak syaitan-syaitan yang cuba untuk mendengar rahsia-rahsia dari langit. Ini seperti yang disebut dalam Mulk:5

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (langit dunia) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu sebagai rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

Jadi dalam potongan ayat pertama Surah Najm ini, Allah bersumpah dengan bintang untuk memberitahu kepada kita satu perkara yang penting yang akan disebutkan selepas ini. Macam kita juga, apabila hendak menekankan sesuatu perkara yang penting, kita akan kata sebagai contoh: “demi Allah, aku tak tipu, aku cakap benar ni!”.

Allah menggunakan bintang sebagai sumpahNya dalam ayat ini. Bintang adalah satu elemen penting dalam kehidupan orang Arab. Mereka suka melihat bintang. Mereka tidak ada TV nak tonton, supermarket untuk pergi jalan-jalan, internet nak dilayari. Maka, bintanglah yang mereka tenung malam-malam hari untuk mengisi masa lapang mereka. Maka, Allah menggunakan bintang sebagai sumpah kerana ianya penting kepada bangsa Arab.

Pada zaman itu, seperti juga zaman sekarang, ada Kaahin (tukang tenung) yang membaca nasib manusia dengan membaca bintang. Zaman sekarang pun ada juga, tapi lagi senang sekarang mereka boleh tengok suratkhabar dan tengok zodiak mereka. Ada Sagittarius, Pisces dan sebagainya. Mereka tengok ramalan nasib itu sebab nak tahu sama ada mereka akan bernasib baik atau tidak, dan sebagainya. Ini adalah syirik kerana nasib tidak ditentukan oleh bintang.

Malangnya ramailah budak-budak kita yang tertipu. Pada zaman Nabi pun memang sudah ada yang baca bintang ini. Mereka pun ada yang menuduh Nabi Muhammad sebagai ahli nujum atau kaahin juga. Mereka tuduh Nabi Muhammad mendapat maklumat dari bintang juga. Itulah Allah menyentuh hal bintang dalam ayat pertama ini.

Ataupun, mereka ada juga menuduh Nabi mendapat maklumat dari jin-jin yang kononnya menjaga bintang itu. Mana mungkin itu terjadi. Sedangkan kalau jin-jin itu cuba mendapatkan maklumat dari langit pun, mereka akan kena lempar dengan bintang-bintang itu seperti yang disebut dalam Surah al-Mulk.


 

Najm Ayat 2: Inilah perkara penting yang Allah hendak sebutkan sampaikan Allah bersumpah dengan bintang. Tujuan sumpah adalah untuk memberitahu sesuatu perkara yang penting. Jadi apakah yang Allah hendak tekankan?

ما ضَلَّ صاحِبُكُم وَما غَوىٰ

Sahih International

Your companion [Muhammad] has not strayed, nor has he erred,

Malay

Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah dia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan dia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).

 

Kalimah ضَلَّ bermaksud sesat yang disebabkan oleh kejahilan. Iaitu apabila sudah cari tapi tak jumpa. Jadi Allah menekankan dalam ayat ini  yang tidaklah Nabi Muhammad itu sesat setelah mendapat wahyu. Tidaklah Nabi itu seorang yang jahil. Memang baginda telah mencari-cari kebenaran dan apa yang baginda dapat itu adalah kebenaran.

Kalimah غَوَىٰ pula bermaksud terpesong atau keliru. Tidaklah juga baginda terpesong daripada jalan yang benar. Ia juga bermaksud sesat setelah sudah tahu kebenaran tapi tolak untuk menerimanya. Baginda tidaklah juga begitu. Jadi ada sedikit perbezaan antara ضَلَّ dan غَوَىٰ. Apabila wahyu diberikan kepada baginda tentang tauhid, baginda menerimanya dengan rela.

Ayat ini bermaksud, apa-apa sahaja yang Nabi Muhammad sampaikan kepada kita adalah berdasarkan panduan daripada Allah. Ianya berdasarkan ilmu dari Allah dan juga hidayah yang diberikan oleh Allah. Maka tentulah kita tidak akan tersesat kalau pegang ajaran dari baginda.

Tidaklah Al-Qur’an itu menyesatkan dan memesongkan manusia. Malangnya, kadang-kadang ada antara kita yang telah belajar tafsir Al-Qur’an dan juga belajar hadis Nabi, tetapi masih juga terpesong. Itu adalah mereka yang belajar bukan kerana hendak mendapat petunjuk, tapi mungkin kerana hendakkan ilmu supaya mereka boleh berlagak dengan orang lain.

Dalam ayat ini, perkataan صَاحِبُكُمْ – sahabat kamu – digunakan. Allah tidak mengatakan “Nabi Muhammad itu tidak sesat dan tidak keliru”, tapi Allah gunakan perkataan صَاحِبُكُمْ untuk merujuk kepada baginda. Kenapakah begitu?

Perkataan صَاحِبُكُمْ dari perkataan صحب yang bermaksud seseorang yang telah tinggal lama dengan kita. Yang kita memang kenal siapa dia, dan apakah perangainya kerana telah lama kita kenal.

Digunakan perkataan صَاحِبُكُمْ dalam ayat ini untuk mengingatkan kepada Musyrikin Mekah bahawa mereka telah lama kenal dan hidup dengan Nabi Muhammad. Bukan mereka baru kenal baginda semalam tetapi telah 40 tahun baginda tinggal bersama mereka. Mereka pun tahu bagaimana sifat Nabi Muhammad yang amanah dan tidak pernah menipu. Sampaikan mereka menggelar baginda dengan panggilan alAmin (yang amanah).

Sekarang Allah tempelak mereka: Kenapa dulu mereka menggelarnya al-Amin tetapi apabila baginda membawakan agama yang benar, kenapa mereka menggelar baginda al-kaazib – (penipu) pula? Ini adalah satu perkara yang menghairankan.

Dan Allah mengingatkan kepada puak Musyrikin yang Nabi Muhammad itu adalah sahabat mereka dan apabila kita dengan sahabat, sepatutnya dibantu oleh sahabatnya yang lain, bukannya macam yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu. Mereka bukan sahaja tidak membantu baginda, tapi mereka menentang baginda pula. Allah mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah dan tak kena langsung.


 

Najm Ayat 3:

وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰ

Sahih International

Nor does he speak from [his own] inclination.

Malay

Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut hawa nafsunya sendiri.

 

Takkanlah Nabi Muhammad itu sesat kerana baginda bukannya berkata dari hawa nafsu dirinya sendiri tetapi baginda dipandu sendiri oleh Allah. Kata-kata Nabi sama ada dalam bentuk Al-Qur’an ataupun dalam bentuk hadis, bukanlah dari hawa nafsunya tetapi ianya adalah dari Allah.

Kerana itu kita katakan kata-kata Nabi sebagai ‘sabda’ yang bererti wujud dari lafaz baginda itu ‘makna agama’. Bukan cakap kosong sahaja, tapi ada nilai agama. Kalau untuk Allah, kita gunakan kalimah ‘firman’ pula. Digunakan dua terma itu untuk membezakan mana kalam Allah dan mana kalam Rasul.

Maka Nabi berkata tentang agama dengan wahyu dan panduan dari Allah. Ini berlainan dengan Musyrikin Mekah yang berkata dari hawa nafsu mereka sahaja.

Tapi kalam baginda ada banyak, bukan? Maka kita boleh bahagikan kata-kata Nabi Muhammad itu kepada tiga jenis. Yang pertama adalah kata-kata dalam bentuk Al-Qur’an yang tentunya hanya daripada Allah sahaja.

Yang keduanya adalah kata-katanya dalam bentuk Sunnah ataupun hadis dan itu juga bukanlah dari hawa nafsunya. Kata-kata Nabi dalam bentuk Sunnah itu adalah untuk memperjelaskan apa yang telah disebut di dalam Al-Qur’an. Dengan cara kita dengar dan lihat amalan baginda, kita dapatlah tahu bagaimana mengamalkan Al-Qur’an.

Yang ketiganya, ada juga kata-kata Nabi yang berbentuk ijtihad ataupun dari pemikiran baginda berdasarkan pengetahuan dan fikiran baginda yang sihat. Kita kena ingat bahawa baginda sebagai seorang Nabi telah diberikan dengan akal fikiran yang bijak. Walaupun ianya adalah ijtihad baginda, tapi itu pun bukanlah daripada hawa nafsu baginda. Nabi Muhammad tidaklah sama seperti kita, kerana kita sebagai manusia, kadang-kadang berkata dari hawa nafsu kita sahaja.

Dan kalau kata-kata Nabi yang berasaskan kepada ijtihad itu salah, Allah akan memperbetulkan kata-kata baginda itu dengan diturunkan wahyu. Ada banyak insiden yang kita dapat tahu daripada hadis yang sampai kepada kita, bagaimana Allah telah memperbetulkan kata-kata Nabi Muhammad kalau ianya salah.

Sebagai contoh, pernah seorang lelaki bertanya kepada Nabi, jikalau beliau mati dalam jihad Fisabilillah, adakah beliau akan masuk syurga? Nabi Muhammad beritahu kepada lelaki itu ‘ya’. Semasa lelaki itu sedang bergerak pergi, Nabi Muhammad telah memanggil balik lelaki itu. Kerana Jibril telah memberitahu baginda bahawa orang yang mati pada jalan Allah akan masuk syurga, kecuali mereka yang ada hutang (tidak terus masuk syurga tapi rohnya akan tergantung-gantung).

Nabi Muhammad tidak reka agama, semua perkara yang Nabi Muhammad sebut dengan mulut baginda itu adalah wahyu dari Allah. Maka kata-kata baginda ada nilai sabdaan. Kita pun apabila menyebut balik kata-kata baginda, kita kata: “Rasulullah bersabda….”

Oleh itu, jikalau apa yang Nabi kata itu bukan daripada hawa nafsu baginda, maka kita hendaklah mengambil serius kata-kata baginda itu dan tidak mempersoalkannya lagi. Tidaklah boleh kita berfikir atau mempersoalkan sama ada kata Nabi itu benar ataupun tidak. Kita kena terima sebagai satu kebenaran. Ada satu hadis untuk menjelaskan perkara ini:

قال عبد الله بن عمرو ـ رضي الله عنه: كنت أكتب كل شيء أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ، فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ، فَقَالُوا: إِنَّكَ تَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا، فَأَمْسَكْتُ عَنِ الْكِتَابِ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: اكْتُبْ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا خَرَجَ مِنِّي إِلَّا حَقٌّ.

رواه أحمد في المسند وأبو داود في السنن.

Abdullah bin Amr, ra berkata: Aku menulis semua yang aku dengar dari Rasul Allah SAW kerana aku mahu menyimpannya, maka ada orang Quraisy (mereka pun orang Islam juga) yang melarangku, mereka berkata: Kamu menulis semua yang kamu dengar daripada Rasulullah SAW, sedangkan Rasulullah SAW itu seorang manusia, yang kadang-kadang bercakap dalam kemarahan dan rasa tidak puas hati, maka aku berhenti dari menulisnya. Aku kemudiannya telah menyatakan perkara ini kepada Rasulullah SAW. Baginda berkata: tulislah, demi jiwaku yang di tanganNya, tidaklah yang keluar dariku melainkan haq.

Diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad dan Sunan Abu Daud dalam Sunannya.

Tidaklah Nabi salah di dalam memperkatakan tentang hal agama. Cuma kalau kita lihat ada perbezaan di dalam hadis-hadis yang kita baca, itu adalah kerana kesilapan perawi. Atau, kadangkala kita tidak faham apakah yang baginda maksudkan. Maka ini memerlukan pembelajaran khusus tentang hadis Nabi.


 

Najm Ayat 4:

إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ

Sahih International

It is not but a revelation revealed,

Malay

Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Qur’an atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

 

Jadi, tidak boleh ada keraguan dalam diri kita tentang apa yang Nabi katakan itu mungkin salah atau baginda menipu atau baginda keliru. Semua itu pasti tidak ada. Kerana tugas baginda adalah untuk mengajar kita tentang agama dan Allah tidak akan benarkan Nabi mengajar perkara yang salah. Kita kena yakin bahawa segala suruhan yang Nabi sampaikan kepada kita adalah benar dan kita kenalah mengikutinya.

Ayat ini juga sebagai dalil untuk menyatakan bahawa hadis dari Nabi pun adalah ‘wahyu’ juga. Bukanlah hanya Al-Qur’an sahaja yang dinamakan wahyu. Tapi tidaklah boleh kita baca hadis itu dalam solat kita pula. Hanya wahyu dalam bentuk Al-Qur’an sahaja yang boleh dibaca dalam Solat.

Ayat ini juga mengingatkan kita yang hadis juga adalah wahyu dari Allah. Maka, tidaklah boleh kalau kita tidak jumpa apa-apa hukum dalam Al-Quran, kita kata: “mana ada Qur’an cakap begitu? Tunjukkan kat aku yang Al-Qur’an ada cakap begitu..” Kadang-kadang hukum itu tidak ada dalam Al-Qur’an, tapi ada dalam hadis. Dan kalau dalam hadis, ianya masih lagi hukum dalam syariat, kerana ianya adalah wahyu juga.


 

Najm Ayat 5: Setelah diberitahu yang Nabi Muhammad bersabda berdasarkan wahyu, maka timbul soalan: bagaimana baginda dapat wahyu itu?

Maka Allah menceritakan tentang Jibril yang membawakan wahyu kepada Nabi Muhammad. Jibril adalah ketua malaikat yang dipilih oleh Allah untuk menyampaikan wahyu kepada para Nabi. Jadi Allah hendak menceritakan tentang sifat-sifat Jibril. Beliau adalah wakil bagi para malaikat. Beliau juga diberi pangkat ‘Rasul’ oleh Allah.

عَلَّمَهُ شَديدُ القُوىٰ

Sahih International

Taught to him by one intense in strength –

Malay

wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, –

 

Jibrillah yang membawakan wahyu kepada para Nabi walaupun tidak disebut namanya di sini. Dhomir ه di dalam عَلَّمَهُ boleh merujuk kepada Al-Qur’an dan juga merujuk kepada Rasulullah. Dua-dua boleh terpakai kerana dua-dua perkara ini telah disebut sebelum ini iaitu (وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰ) merujuk kepada Rasulullah dan (إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ) yang merujuk kepada Al-Qur’an. Jadi kalimah عَلَّمَهُ boleh merujuk kepada kedua-duanya.

Dalam ayat ini, perkataan عَلَّمَ (mengajar) yang digunakan. Maknanya, Jibril bukan sahaja menyampaikan wahyu itu tetapi Jibril telah mengajarnya kepada Nabi Muhammad. Sebagai contoh, apabila Jibril memberitahu tentang sembahyang kepada Nabi Muhammad, bukanlah beliau hanya memberitahu Nabi kena solat sahaja, tetapi beliau juga memberitahu cara-cara untuk mengerjakannya dan juga waktu-waktu solat itu.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa ilmu agama ini perlu dipelajari. Nabi Muhammad pun ada guru dan guru Nabi adalah Jibril. Bukanlah agama ini boleh didapati dengan hanya membaca sahaja. Kerana kalau kita membaca sahaja, ada perkara-perkara yang kita tidak faham yang memerlukan kita untuk bertanya kepada mereka yang boleh menjelaskannya. Itulah sebabnya adalah baik kita berguru dengan guru yang boleh mengajar kita.

Oleh itu saya mengajak anda semua yang membaca penulisan ini untuk menghadiri kelas pengajian tafsir Al-Qur’an di mana-mana. Kerana tentunya semasa anda membaca penulisan ini terdapat banyak persoalan-persoalan yang timbul di hati anda yang memerlukan jawapan. Kita memang memerlukan guru untuk mengajar kita kerana lihatlah bagaimana Nabi Muhammad pun telah diberikan seorang guru oleh Allah Taala.

Ayat ini juga menceritakan satu sifat Jibril itu. Iaitu Jibril itu mempunyai kekuatan yang hebat. Sebagai contoh, kita telah diberitahu bahawa penerimaan wahyu itu amat berat kepada Nabi Muhammad. Kalau Nabi Muhammad mempunyai kepayahan yang susah untuk menerima wahyu itu, sampaikan kalau baginda sedang duduk atas unta, unta itu pun terduduk kerana beratnya wahyu itu, bayangkan Jibril yang membawanya dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad. Ianya satu perjalanan yang amat jauh. Maknanya, Jibril itu kuat benar.

Kita juga telah belajar di dalam sirah bagaimana Jibrillah yang telah mengangkat tempat tinggal kaum Luth ke langit dan menghempaskannya kembali ke bumi. Tentulah kerja itu memerlukan kekuatan yang amat hebat.

Begitu juga ada diberitahu di dalam ayat-ayat lain bagaimana pekikan daripada Jibril itu sampai boleh menghancurkan satu kaum. Sebagai contoh, dalam ayat Yaasin:28-29, telah diceritakan bagaimana pekikan Jibril yang mematikan penduduk Antokiah semuanya.

Begitulah hebatnya Al-Qur’an itu. Ianya diberikan kepada seorang manusia yang paling afdhal dan paling hebat dan yang menyampaikannya pula adalah juga makhluk Allah yang amat hebat, iaitu Jibril.

Dalam hadis ada diberitahu bagaimana Jibril itu amat kuat dan mulia, sampaikan malaikat lain pun takut dan hormat kepada baginda. Kalau malaikat pun takut kepada Jibril, apatah lagi syaitan, bukan?

Dalam masa yang sama, ada hadis yang mengatakan apabila Jibril membawa turun ayat-ayat Al-Qur’an, baginda ditemani oleh malaikat-malaikat lain, sampaikan ada sampai beratus-ratus malaikat yang mengiringinya.

Ada yang jahil mengatakan bahawa malaikat-malaikat itu turun menemani Jibril sebagai pengawal kepada Jibril, takut Al-Qur’an itu kena curi. Itu adalah pendapat yang amat salah sekali. Kerana Jibril itu adalah makhluk Allah yang amat kuat. Tiada makhluk lain yang dapat kacau beliau buat kerja.

Maka sebenarnya, malaikat yang ramai turun sekali itu adalah kerana sebagai penghormatan kepada ayat-ayat Al-Qur’an yang diturunkan. Bukan sebab nak tolong bantu beri bantuan keselamatan kepada Jibril.

Ini penting untuk difahami kerana kalau kita tidak dapat terima yang Jibril itu kuat, maka ada kemungkinan ada yang kata ada syaitan yang curi wahyu dari Jibril pula. Ini memang tidak pernah berlaku kerana kehebatan Jibril.

Apa pengajaran yang kita dapat dari pemberitahu yang Jibril itu kuat? Kadangkala apabila kita bersama dengan orang yang kuat, kita pun jadi kuat dan berani, bukan? Kekuatan Jibril itu telah menyebabkan Rasulullah juga kuat untuk menyampaikan dakwah kepada manusia. Dan kekuatan Rasulullah itu juga telah menyebabkan para sahabat yang di sisi baginda juga jadi kuat dan berani. Dan kita yang dapat ilmu dari mereka juga telah mendapat kekuatan itu.

Kalimah القُوىٰ adalah jamak kepada قُوَّةٌ maknanya Jibril ada banyak kekuatan dan bukan satu sahaja. Setiap satu kekuatan itu adalah hebat kerana ada kalimah شَديدُ di situ. Contohnya kekuatan pergerakan, pemahaman, tubuh badan dan sebagainya. Ia juga boleh menjadi ancaman (kalau menolak ajaran yang Jibril sampaikan ini, dia sangat kuat tau…. jangan main-main!).

Kalau kita kata kita belajar dari guru yang bijak, kita boleh katakan yang kita mendapat manfaat dari kebijakan dia itu, bukan? Kalau kita belajar dari seorang guru yang kreatif, kita boleh kata kita dapat sifat kreatif juga, bukan? Kalau kita belajar dari guru yang kuat, bukankah kita dapat sedikit kekuatan itu?

Rasulullah di dalam kedudukan lemah semasa di Mekah, bukan? Tapi baginda belajar dari guru yang kuat. Jadi baginda mendapat kekuatan supaya baginda dapat membawa kekuatan itu. Kerana kekuatan itu penting untuk bawa Al-Qur’an ini. Kerana Al-Qur’an itu sendiri berat dan hebat. Kerana itu ia hanya boleh dibawa dan disampaikan oleh Jibril yang kuat. Allah sebut di dalam Muzzammil:5

إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا

Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Qur’an yang mengandungi perintah-perintah) yang berat

Dan Allah sebut di dalam Hashr:21

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ ۚ وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

Dalam istilah Ilmu Hadis, kita belajar tentang sanad, bukan? Dan untuk sesuatu hadis itu menjadi kuat, sanad itu juga perlu kuat. Sekarang sanad Al-Qur’an antara Rasulullah dan Allah adalah Jibril dan Jibril adalah perawi yang ‘amat kuat’.

Penggunaan bahasa yang digunakan hebat juga. Kalimah شَديدُ dari شدّ digunakan untuk mengikat tali jadi ketat. Kalimah قُوَّ pula digunakan untuk tali yang kuat kerana makna asal قُوَّ adalah tali. Dua-dua kalimah ada kaitan dengan tali. Dan kalimah yang digunakan dalam ayat selepas ini juga adalah مِرَّةٍ yang datang dari مِرَّ yang digunakan dalam bahasa Arab klasik untuk merujuk kepada tali juga.

Kenapa banyak tentang tali ini? Kerana bukankah Al-Qur’an diibaratkan sebagai tali di dalam Al-Qur’an seperti disebut di dalam Ali Imran:103

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah

Apabila kita berpegang dengan Al-Qur’an, kita sebenarnya berpegang kepada satu tali sebenarnya. Dan siapakah di hujung tali itu? Itulah Allah! Tali itu dipegang oleh Rasulullah, Jibril dan Allah!

Maka apabila kita sampaikan Al-Qur’an ini kepada umat Islam, ingatlah yang kita ada kekuatan. Jadi kata-kata manusia yang menentang, yang panggil kita Wahabi, sesat, dan apa-apa sahaja, itu semua lemah belaka. Hendak takut apa, bossku?


 

Najm Ayat 6: Masih lagi tentang Jibril dan sifatnya yang kedua.

ذو مِرَّةٍ فَاستَوىٰ

Sahih International

One of soundness. And he rose to [his] true form

Malay

Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian dia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, –

ذو مِرَّةٍ

Lagi yang mempunyai kebijaksanaan

Ada tiga terjemahan bagi kalimah مِرَّةٍ ini:

1. Perkataan مِرَّةٍ bermaksud kekuatan tubuh yang amat kuat dan tidak dapat dikalahkan.

2. Perkataan مِرَّةٍ bermaksud ‘kekuatan’ lebih-lebih lagi ‘kekuatan akal’. Jibril bukan sahaja mempunyai kekuatan tubuh tetapi juga mempunyai kekuatan mental yang tinggi. Sangat kuat mengingat. Maksudnya bukanlah Jibril ada tertinggal untuk memberi tahu hal agama kepada Nabi Muhammad kerana terlupa atau tak faham bagaimana nak sampaikan.

3. Perkataan مِرَّةٍ juga bermaksud ‘molek untuk dilihat’. Ini bermaksud Jibril hadir kepada Nabi dalam rupa yang cantik dan indah. Sebab itu, walaupun Jibril menunjukkan dirinya yang asal dengan besarnya dan dengan 600 sayapnya, tetapi tidaklah rupanya itu menakutkan Nabi malah ianya mempersonakan Nabi Muhammad.

 

فَاستَوىٰ

kemudian dia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal

Perkataan اسْتَوَىٰ bermaksud berdiri tegak. Maknanya Jibril datang bertemu Nabi dalam bentuknya yang lengkap dan asal. Ini adalah kali pertama Nabi Muhammad melihat Jibril dalam keadaan asalnya.

Nabi Muhammad dapat melihat Jibrail dengan segala kebesarannya. Baginda dapat melihat Jibril mempunyai 600 sayap. Dan setiap satu sayap boleh menutupi timur dan barat.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Mei 2023

Ringkasan Makro Najm


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair