Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 38 – 39 (Taqdir boleh diubah)

Ra’d Ayat 38: Ayat ini adalah sebagai Jawab Syubhah. Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa diangkat rasul dalam kalangan manusia untuk mereka, kenapa tidak diturunkan malaikat sahaja. Pada mereka, Nabi Muhammad ﷺ itu manusia biasa sahaja, tiada yang luar biasa; makan minum dan pergi ke pasar macam mereka sahaja, apakah kelebihannya pula sehingga diangkat menjadi Nabi?

Maka ini adalah jawapan bagi persoalan mereka. Kita kena ingat yang orang Mekah itu adalah orang darat, tidak biasa ada Nabi dan kerana itu mereka mahu rasul dalam kalangan malaikat yang tidak makan minum dan tidak pergi ke pasar – maknanya bukan seperti manusia biasa. Allah ﷻ jawab kata-kata mereka itu dalam ayat ini.

وَلَقَد أَرسَلنا رُسُلًا مِّن قَبلِكَ وَجَعَلنا لَهُم أَزوٰجًا وَذُرِّيَّةً ۚ وَما كانَ لِرَسولٍ أَن يَأتِيَ بِئآيَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللهِ ۗ لِكُلِّ أَجَلٍ كِتابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have already sent messengers before you and assigned to them wives and descendants. And it was not for a messenger to come with a sign except by permission of Allāh. For every term is a decree.

(MALAY)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan. Dan tidak ada hak bagi seorang Rasul mendatangkan sesuatu ayat (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Bagi tiap-tiap masa ada Kitab (yang tertentu).

 

وَلَقَد أَرسَلنا رُسُلًا مِّن قَبلِكَ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu

Allah ﷻ ingatkan kembali yang sebelum Nabi Muhammad ﷺ menjadi Rasul, telah ada banyak Nabi lain sebelum baginda. Nabi-nabi lain itu pun bukanlah malaikat, tetapi manusia juga. Mereka pun tahu tentang para Nabi itu. Musyrikin Mekah kenal Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Untuk Bani Israil, lagilah banyak Nabi yang mereka kenal. Nabi dalam kalangan manusia sepatutnya bukan perkara baru – mereka pun bukan malaikat. Maka apa yang hendak dihairankan? Kenapa tiba-tiba minta Nabi Muhammad ﷺ jadi lain pula? Kenapa persoalkan status kenabian Nabi Muhammad ﷺ?

 

وَجَعَلنا لَهُم أَزوٰجًا وَذُرِّيَّةً

dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan. 

Para Nabi dulu pun ada pasangan isteri dan anak cucu. Maka tidaklah salah jika Nabi Muhammad ﷺ pun berumahtangga, sebab Rasul-rasul yang dahulu pun berumahtangga juga. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ beristeri dua, Sarah dan Hajar, yang melahirkan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Begitu juga dengan Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang melahirkan Nabi Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berkahwin dengan perempuan dua bersaudara dan ditambah dengan dua orang hamba. Demikian juga Nabi-nabi yang lain. Mereka berumahtangga, beristeri dan beranak cucu, tidaklah itu menurunkan darjat Nabi-nabi itu. Malahan Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ beristeri sampai beratus orang, kerana demikian susunan masyarakat pada masa itu, apatah lagi kedua mereka itu adalah Raja-raja besar.

Semasa ayat ini diturunkan (di Mekah) isteri Rasulullah ﷺ baru seorang iaitu Khadijah رضي الله عنها dan baginda dikurniakan dengan empat anak perempuan (Fatimah, Zainab, Ummu Kultsum dan Ruqaiyah) dan laki-laki dua orang, Qasim dan Abdullah. Di Madinah baginda memperolehi anak paling akhir, iaitu Ibrahim. Namun sayangnya kesemua anak laki-laki baginda, menurut hikmat tertinggi daripada Allah ﷻ, meninggal di waktu kecil belaka, sehingga baginda menjadi bapa daripada seluruh ummatnya, malahan lebih daripada bapa dan lebih daripada diri kita sendiri, dan isteri- isteri baginda adalah ibu-ibu kita seluruh Mu’minin seperti disebut di dalam Ahzab: 6

النَّبِيُّ أَولىٰ بِالمُؤمِنينَ مِن أَنفُسِهِم ۖ وَأَزوٰجُهُ أُمَّهٰتُهُم
Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka.

Hal Nabi kita beristeri dan beranak-cucu ini, dijelaskan pada ayat ini, kerana kadang-kadang menyelinap pengaruh agama Nasrani ke dalam fikiran orang Islam, sehingga ada yang menganjur-anjurkan kependitaan dan sangka seorang Nabi hendaklah seperti Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tidak pernah berkahwin, dan tidak pernah mempunyai isteri. Perkara ini juga menjadi syubhah kepada agama lain seperti Yahudi dan Nasara mengatakan ketua agama seperti Nabi Muhammad ﷺ tidak sepatutnya menikah, lebih-lebih lagi ada banyak isteri, sepatutnya hanya menumpukan perhatian kepada agama sahaja. Maka kerana itulah Allah ﷻ jawab di dalam ayat ini.

Adapun Nabi Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lain halnya. Memang, Nabi Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum wafat belum sempat berkahwin, tetapi baginda tidaklah menganjurkan hal itu, dan tidak mungkin menganjurkan supaya tidak kahwin. Kerana kalau ada seorang Nabi menganjurkan supaya orang jangan berkahwin, ertinya dia menganjurkan hapusnya keturunan manusia daripada muka bumi ini; iaitu suatu perintah yang berlawanan dengan kehendak Allah ﷻ. Sedangkan menikah adalah Sunnah para Nabi dan Nabi Muhammad ﷺ sendiri menganjurkannya. Hal ini merujuk kepada sabda Nabi ﷺ:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
“Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”
(Riwayat Abu Daud (1664))

Di dalam Al-Qur’an Hadid: 27 diterangkan benar-benar bila bermula ada anjuran tidak kahwin dalam kalangan agama Nasrani. Iaitu daripada pengikut-pengikut Nabi yang berperasaan terlalu halus dan kasihan, lalu mereka mengadakan satu konsep yang dinamakan Allah ﷻ sebagai Rahbaniyyah, iaitu pertapaan dengan tidak kahwin. Ayat itu menerangkan bahawa yang demikian itu ialah lbtodo’uuho, ertinya perbuatan yang mereka timbulkan kemudian, bukan daripada ajaran Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri, dan tentunya bukan daripada syariat Tuhan.

وَرَهبانِيَّةً ابتَدَعوها ما كَتَبنٰها عَلَيهِم إِلَّا ابتِغاءَ رِضوٰنِ اللهِ فَما رَعَوها حَقَّ رِعايَتِها
Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya.

Ini adalah amalan rekaan kerana kalau kita perhatikan pula di dalam Kitab “Perjanjian Baru”, terutama daripada ajaran-ajaran Paulus, yang banyak sekali membuat perubahan daripada ajaran Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang asli. Dia lah yang menganjurkan supaya pendita-pendita atau orang-orang yang hendak tekun beragama supaya tidak berkahwin. Sebab itu paderi tidak menikah. Malang sekali, bukan? Apa mengarut punya ajaran. Orang yang baik-baik pula yang dilarang menikah, padahal sepatutnya merekalah yang harus menunjukkan contoh bagaimana cara untuk menjadi ketua keluarga yang baik.

Disebut dalam Hadid: 27 itu yang mereka tidak dapat pelihara pun ajaran yang mereka reka itu. Pada akhir-akhir ini timbullah gerakan dalam kalangan Pendita Katholik di kota-kota besar dan berpengaruh di Eropah dan Amerika, supaya pendita-pendita diperbolehkan berkahwin, dan sekarang sudah banyak yang berkahwin. Ini kerana mereka sendiri pun rasa betapa mengarut ajaran yang mereka amal itu dan mereka pun sudah tidak dapat menahan gejolak nafsu mereka. Daripada mereka melempiaskan nafsu terhadap budak-budak koir bawah umur, atau ke atas rahib wanita mereka, eloklah mereka benarkan perkahwinan kepada ahli agama mereka itu.

Kesimpulannya hidup sebagai manusia biasa itu biasa sahaja, mak kenapa pada Nabi Muhammad ﷺ, sebagai seorang Rasul bertindak sebagai manusia dan ada anak isteri dan berhajat seperti manusia yang lain? Malah itulah yang lebih baik kerana baginda boleh menjadi contoh kepada kita bagaimana hidup sebagai seorang manusia normal yang mempunyai keinginan. Baginda boleh menjadi contoh bagaimana untuk menjadi seorang suami, seorang ayah dan sebagainya. Barulah kita ada contoh ikutan, bukan? Seandainya golongan malaikat yang dijadikan Nabi, bagaimana manusia boleh ikut kerana spesies yang berbeza. Maka langsung tidak salah Nabi diangkat daripada golongan manusia biasa. Di dalam kitab Sahihain disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُجَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
Anas bin Malik رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ berkata; Ada tiga orang mendatangi rumah isteri-isteri Nabi ﷺ dan bertanya tentang ibadah Nabi ﷺ. Dan setelah diberitakan kepada mereka, mereka bagaikan merasa hal itu masih sedikit bagi mereka. Mereka berkata, “Ibadah kita tak ada apa-apanya dibanding Rasulullah ﷺ, bukankah baginda sudah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan juga yang akan datang?” Salah seorang daripada mereka berkata, “Sungguh, aku akan solat malam selama-lamanya.” Kemudian yang lain berkata, “Kalau aku, maka sungguh aku akan berpuasa Dahr (setahun penuh) dan aku tidak akan berbuka.” Dan yang lain lagi berkata, “Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan menikah selama-lamanya.” Kemudian datanglah Rasulullah ﷺ kepada mereka sambil bertanya: “Kalian berkata begini dan begitu. Ada pun aku, demi Allah, adalah orang yang paling takut kepada Allah di antara kalian, dan juga paling bertaqwa. Aku berpuasa dan juga berbuka, aku solat dan juga tidur serta menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka bukanlah daripada golonganku.”
(Sahih Bukhari (4675))

Allah ﷻ telah berfirman kepada rasul-Nya yang paling utama dan yang menjadi penutup para rasul bahawa baginda juga adalah seorang manusia, tidak lebih daripada itu:

قُل إِنَّما أَناْ بَشَرٌ مِّثلُكُم يوحىٰ إِلَيَّ أَنَّما إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu;

Di dalam Kahf: 110 di atas ini kita ditekankan bahawa baginda adalah Rasul sahaja dalam kalangan manusia. Maka kalau ada yang kata lebih lagi seperti ada ajaran sesat yang kata baginda itu adalah Allah ﷻ, maka ini adalah fahaman sesat. Nama ajaran itu adalah Si Hulk. Fahaman sesat sebegini boleh timbul kerana kejahilan wahyu. Begitulah apabila jahil wahyu, maka senang syaitan masukkan fahaman-fahaman mengarut.

Kerana itulah sepatutnya ilmu tafsir Al-Qur’an mesti dipopularkan dan diajar dari sekolah lagi supaya ramai ada ilmu. Malang sekali ramai tidak suka kerana bila belajar tafsir, maka akan terbukalah pekung ramai orang. Kerana banyak amalan-amalan yang bersalahan dengan Al-Qur’an. Akibatnya pelajaran tafsir Al-Qur’an disekat kerana ramai akan malu kalau ia tersebar. Maka jadilah pengajaran tafsir Al-Qur’an terpencil, hanya dipelajari oleh sebilangan kecil sahaja dalam masyarakat.

Lagi satu, susah ustaz-ustaz Nusantara kita untuk cari makan. Susah mereka hendak mengambil upah menjadi tekong Tahlil, doa selamat. Susah mereka hendak mengajar amalan-amalan syirik dan bi’dah kepada masyarakat. Ajar sedikit sahaja pelajar minta dalil sedangkan mereka tidak ada dalil. Maka mereka akan halang pelajaran Tafsir Al-Qur’an dan Sunnah diajar. Senang sahaja mereka halang, mereka label ajaran Sunnah sebagai ‘Wahabi’. Masyarakat pun terima sahaja tanpa tahu apa-apa. Sebab pada mereka, mereka menolak ajaran Wahabi, bukan tolak Islam!

 

وَما كانَ لِرَسولٍ أَن يَأتِيَ بِئآيَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللهِ

Dan tidak ada hak bagi seorang Rasul mendatangkan sesuatu ayat melainkan dengan izin Allah.

Ini pula tentang soalan kedua daripada Musyrikin Mekah itu. Permintaan mereka yang biasa mereka sebut ada dua. Yang pertama, mereka hendak kitab wahyu ikut tekak (kehendak nafsu) mereka. Maka ini kalau kita terjemahkan ءَايَةٍ di dalam ayat ini sebagai ayat Al-Qur’an. Mereka tidak suka Al-Qur’an yang melarang mereka buat itu dan ini. Mereka minta bawa kitab wahyu yang lain. Ini seperti disebut dalam Yunus: 15

قالَ الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنَا ائتِ بِقُرءآنٍ غَيرِ هٰذا أَو بَدِّلهُ ۚ قُل ما يَكونُ لي أَن أُبَدِّلَهُ مِن تِلقاءِ نَفسي ۖ إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ
berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah Qur’an yang lain daripada ini atau tukarkanlah ia”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja.

Allah ﷻ jawab syubhah mereka itu dengan mengatakan Nabi ﷺ langsung tidak boleh melakukannya dengan menggunakan kalimah ما كانَ yang bermaksud tidak boleh langsung. Nabi ﷺ tidak boleh bawa sendiri kecuali hanya menyampaikan sahaja. Ia hanya dengan izin Allah ﷻ sahaja, kerana ia di luar kemampuan manusia walaupun seorang Nabi.

Yang kedua, mereka berhujah kenapa rasul tidak boleh tunjuk mukjizat yang mereka minta? Ini jikalau kita terjemahkan ءَايَةٍ sebagai tanda mukjizat kerana maksud ءَايَةٍ adalah ‘tanda’ dan mukjizat adalah tanda bagi kerasulan. Allah ﷻ beritahu yang tidak ada Nabi yang boleh ada kuasa sendiri untuk keluarkan mukjizat ikut suka mereka. Mukjizat tidak terjadi melainkan daripada kehendak Allah ﷻ, bukan kehendak rasul. Itulah maksudnya إِلّا بِإِذنِ اللهِ.

Rasul-rasul yang mana pun yang membawakan mukjizat, baik Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan bahteranya, atau Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terbakar dimasukkan ke dalam api, atau Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melemparkan tongkatnya lalu menjadi ular, baik Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan untanya, ataupun Nabi Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit kusta, bukanlah semuanya itu atas kekuasaan mereka sendiri. Semua perkara ini dinamakan Kharqul Adah (mencarik adat) iaitu lain daripada sebab musabbab yang Allah ﷻ telah tentukan. Contohnya api itu membakar seperti kita tahu, tetapi sesekali Allah ﷻ carik adat itu sampaikan api itu tidak membakar. Ini kerana api boleh membakar pun adalah atas adat yang Allah ﷻ tentukan. Maka Allah ﷻ boleh sahaja ubah adat itu kerana Dia yang buat.

Begitu juga, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan dapat berbuat apa-apa dengan tongkatnya itu atas kehendaknya sendiri kerana tongkat itu sendiri tidak ada kuasa apa-apa. Baginda bukan baru dapat tongkat itu kerana sudah ada lama dengan baginda tetapi selama itu tidak boleh buat perkara pelik. Boleh buat perkara biasa sahaja seperti disebut dalam Taha: 17-18

وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَا مُوسَىٰ
“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?”

قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّأُ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَآرِبُ أُخْرَىٰ
Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”.

Setiap mukjizat tongkatnya keluar, terlebih dahulu mesti ada perintah Allah ﷻ: “Lemparkan tongkatmu hai Musa!” seperti disebut dalam Taha: 19 قَالَ أَلْقِهَا يَا مُوسَىٰ. Kalau tidak ada perintah daripada Allah ﷻ, ia tidak akan menjadi mukjizat. Walaupun telah berpuluh kali tongkat itu memperlihatkan keganjilan tetapi semua itu adalah atas suruhan dan kehendak Allah ﷻ. Kalau baginda sendiri sengaja mahu membuatnya, tidak akan terjadi.

Begitu juga Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berani bertindak sendiri masuk ke dalam api dengan tidak ada suruhan daripada Allah ﷻ. Sebab kalau berani-berani bertindak sendiri, baginda pasti terbakar. Nabi Muhammad ﷺ Isra’ ke Baitul Maqdis dan Mi’raj ke langit, hanya sekali. Tidak akan dapat mengulang yang kedua kali, kalau tidak ada izin dan panggilan daripada Tuhan.

 

لِكُلِّ أَجَلٍ كِتابٌ

bagi setiap tempoh, ada ukuran dan tempoh tertentu.

Kalimah أَجَلٍ sudah dimasukkan ke dalam bahasa kita (sudah sampai ajal). Ia daripada katadasar ا ج ل yang bermaksud dilewatkan; ditangguhkan; menetapkan waktu; sebab; penyebab; demi; kerana; waktu yang ditetapkan; tempoh yang ditentukan; beri tangguh; azab; kehidupan masa depan; kehidupan yang akan datang. Maksud asal adalah tentang tempoh, bukannya tentang mati. Orang kita mungkin gunakan untuk kematian sahaja kerana terhad ilmu bahasa mereka.

Kalimah كِتابٌ juga bukan hanya bermaksud buku seperti yang kita gunakan. Ia daripada katadasar ك ت ب yang bermaksud menulis; nota; rekod; mengumpul; membawa bersama-sama; menetapkan; takdir; dekri; menyalin; perintah; buku; kitab suci; wahyu bertulis; dekri; surat; tempoh yang ditetapkan; menyebabkan sesuatu ditulis. Maka ada banyak maksud yang boleh digunakan. Maksud كِتابٌ di dalam ayat ini ditafsirkan dengan beberapa maksud.

Pertama, ia bermaksud Allah ﷻ sudah tentukan bila mukjizat akan berlaku. Sekiranya mereka ditentukan dapat melihat mukjizat, mereka akan dapat lihat. Ini memberi isyarat bahawa memang akan ada mukjizat yang akan ditunjukkan kepada mereka. Namun bukanlah mereka boleh minta mukjizat itu dan ini kepada baginda.

Baginda bukan boleh keluarkan kecuali tunggu penetapannya daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ sahaja yang tahu bilakah sesuatu mukjizat itu sesuai ditunjukkan. Bukannya kerana manusia meminta. Ada kala manusia minta dan Allah ﷻ berikan (seperti permintaan kaum Tsamud); dan adakala diminta pun Allah ﷻ tidak berikan seperti permintaan Musyrikin Mekah itu. Para sahabat tahu tentang perkara ini. Oleh itu walaupun pernah Nabi ﷺ mengeluarkan air daripada jari-jari baginda, tidaklah para sahabat pernah minta Rasulullah ﷺ keluarkan air lagi apabila mereka keputusan air.

Kedua, ketentuan di dalam bentuk umum. Semua yang berlaku di dalam alam ini sudah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Sebagai contoh, bila kita akan dilahirkan, apakah nasib kita, kerja kita, rezeki kita, bila akan mati dan di mana, telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Inilah yang kita tahu sebagai qada’ dan qadar.

Ketiga, ia juga bermaksud, setiap sesuatu itu ada ajalnya yang akan tiba. Ini lebih kurang dengan maksud yang kedua di atas cuma dikhususkan di sini tentang ajal. Semuanya Allah ﷻ telah tentukan dan ditulis di dalam Kitab Lauh Mahfuz, seperti firman-Nya:

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاءِ وَالأرْضِ إِنَّ ذَلِكَ فِي كِتَابٍ إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
Apakah kamu tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang ada di langit dan di bumi; bahawasanya yang demikian itu terdapat dalam sebuah kitab (Lauh Mahfuz)? Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah.
(Al-Hajj: 70)

Keempat, berkenaan pemansuhan kitab wahyu:

Ad-Dahhak ibnu Muzahim mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Bagi tiap-tiap masa ada Kitab (yang tertentu). (Ar-Ra’d: 38) Yakni bagi tiap kitab ada batas masanya. Dengan kata lain, setiap kitab yang diturunkan dari langit ada batasan masa yang telah ditentukan di sisi Allah dan ada batas masa berlakunya. Allah tahu bilakah satu kitab itu patut diturunkan dan sampai bilakah ia boleh digunakan. Apabila sampai masanya, ia akan dimansukhkan. Ini juga pendapat yang kuat kerana bersambungan dengan ayat seterusnya.


 

Ra’d Ayat 39: Ini pula ada satu lagi hujah kenapa Allah ﷻ ganti kitab wahyu yang telah ada (Taurat dan Injil) dengan kitab yang baru (Al-Qur’an)? Kitab wahyu selain Al-Qur’an telah sampai ajalnya (masanya) dan sekarang telah diganti dengan Al-Qur’an.

يَمحُو اللهُ ما يَشاءُ وَيُثبِتُ ۖ وَعِندَهُ أُمُّ الكِتٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh eliminates what He wills or confirms, and with Him is the Mother of the Book.¹

  • The Preserved Slate (al-Lawḥ al-Maḥfūth), in which is inscribed the original of every scripture revealed by Allāh.

(MALAY)

Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Ummul-Kitab (Lauh mahfuzh).

 

يَمحُو اللهُ ما يَشاءُ وَيُثبِتُ

Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan

Untuk menafsirkan ayat ini harus kita ingat bahawa ia adalah lanjutan daripada ayat yang sebelumnya, iaitu Rasul-rasul tidaklah berkuasa membuat mukjizat sendiri. Sebab Ummul Kitab – Ibu Kitab, – Pusat Tulisan, ada pada Allah ﷻ sendiri. Ummul Kitab yang dimaksudkan adalah Lauh Mahfuz. Misalnya, peraturan Tuhan dalam alam yang dikenal oleh manusia, tidak mungkin pergi naik ke langit. Akan tetapi Ummul Kitab yang sebenarnya, sumber daripada segala sebab dan akibat ada di tangan Tuhan. Allah ﷻ boleh ubah peraturan itu. Sekali-sekali Tuhan perlihatkan, bahawa Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak hangus dibakar, Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat berjalan di atas air sebagai orang berjalan di atas tanah rata, tongkat Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat menjelma menjadi ular, Nabi Muhammad ﷺ diperjalankan dalam Isra’ dan Mi’raj ke langit.

Ummul Kitab adalah rahsia llahi ke atas alam. Memang sudah banyak yang dapat kita ketahui melalui pemerhatian dan pengkajian kita, akan tetapi berjuta-juta kali lebih banyak yang tidak dapat kita ketahui. Tuhan dapat menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan dapat pula menetapkan. Tuhan Allah ﷻ mempunyai “Administrasi” tersendiri. Kalau tidak demikian, bukanlah Dia Tuhan.

Begitu jugalah dengan kitab wahyu yang Allah ﷻ turunkan. Allah ﷻ boleh hapus dan boleh tetapkan. Ikut suka dan kehendak Allah ﷻ semata-mata. Kalau Allah ﷻ mahu memansukhkan mana-mana kitab yang Dia sendiri yang turunkan dan naikkan mana-mana kitab wahyu, itu adalah kehendak Allah ﷻ. Ayat ini semakna dengan firman-Nya dalam ayat yang lain:

مَا نَنْسَخْ مِنْ آيَةٍ أَوْ نُنْسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍ مِنْهَا أَوْ مِثْلِهَا
Ayat apa saja yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya.
(Al-Baqarah: 106),

Allah ﷻ telah tetapkan yang sesuatu kitab dan hukum itu akan berubah. Bukanlah Allah ﷻ tidak tahu, cuba-cuba dulu lihat bagaimana kemudian ubah ikut keadaan. Bukan begitu. Allah ﷻ memang sudah tahu yang hukum itu akan berubah. Ini seperti seorang doktor yang bagi ubat lain pada peringkat awal dan kemudian menukar dos ubat itu setelah berlalu satu waktu tertentu. Doktor itu sudah tahu yang ia akan berlaku.

Kerana itu ada banyak hukum yang Allah ﷻ ubah. Pada peringkat awal Islam begini dan kemudian diubah seperti yang kita boleh lihat di dalam Anfal: 65-66. Pada peringkat awal, umat Islam tidak dibenarkan berpaling dari medan jihad walaupun nisbahnya adalah 1:10

إِن يَكُن مِّنكُم عِشرونَ صٰبِرونَ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ يَغلِبوا أَلفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ
Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.

Akan tetapi kemudian nisbah itu ditukar kepada 1:2

الئٰنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا ۚ فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ
Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.

Ayat ini juga dengan takdir manusia. Ia telah ditentukan dari azali lagi iaitu sebelum manusia itu sendiri dilahirkan. Ia telah siap ditulis, menunggu untuk dijalankan sahaja. Ia merangkumi semua perkara seperti bila orang itu akan dilahirkan, tinggal di mana, rezekinya, perbuatannya, akhirnya bila dan di mana dia akan mati.

Akan tetapi bukan semua takdir itu tetap tidak berubah-ubah. Masih ada lagi takdir yang boleh berubah. Memang ada takdir yang jenis mubram yang tidak boleh berubah langsung. Akan tetapi ada takdir yang muallaq (tergantung) yang boleh berubah. Berikut contoh-contoh takdir mubram:

• Jenis kelamin manusia
• Ajal manusia
• Kejadian kiamat
• Jodoh
• Kelahiran manusia

Takdir muallaq definisinya adalah takdir yang pelaksanaannya sangat dipengaruhi oleh usaha manusia. Meski demikian, dalam pelaksanaannya, takdir ini dilakukan sesuai dengan hukum sebab akibat (sunatullah) yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ bagi kehidupan di muka bumi ini.

Dengan kata lain, takdir muallaq boleh berubah-ubah sesuai dengan usaha dan doa seseorang. Hal ini sesuai dengan firman Allah ﷻ dalam Ra’d: 11 yang berbunyi:

لَهٗ مُعَقِّبٰتٌ مِّنْۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهٖ يَحْفَظُوْنَهٗ مِنْ اَمْرِ اللّٰهِ ۗاِنَّ اللّٰهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتّٰى يُغَيِّرُوْا مَا بِاَنْفُسِهِمْۗ وَاِذَآ اَرَادَ اللّٰهُ بِقَوْمٍ سُوْۤءًا فَلَا مَرَدَّ لَهٗ ۚوَمَا لَهُمْ مِّنْ دُوْنِهٖ مِنْ وَّالٍ
“Baginya (manusia) ada (malaikat-malaikat) yang menyertainya secara bergiliran dari depan dan belakangnya yang menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum hingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka. Apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, tidak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”

Maka ia bergantung kepada kehendak Allah ﷻ jikalau hendak mengubah apa-apa. Sebagai contoh lagi, ada perbuatan dosa kita yang Allah ﷻ hapuskan. Apabila kita melakukan dosa, maka malaikat akan menulis di dalam catatan amal kita. Akan tetapi jikalau kita bertaubat, maka Allah ﷻ akan hapuskan.

 

وَعِندَهُ أُمُّ الكِتٰبِ

dan di sisi-Nya-lah terdapat Ummul-Kitab

Di sisi Allah ﷻ ada ‘ilmu ilahi’. Ummul Kitab itu ada di Lauh Mahfuz. Inilah yang ditulis oleh qalam (pen) seperti disebut di dalam sebuah hadith,

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ بْنُ سُلَيْمٍ قَالَ قَدِمْتُ مَكَّةَ فَلَقِيتُ عَطَاءَ بْنَ أَبِي رَبَاحٍ فَقُلْتُ لَهُ يَا أَبَا مُحَمَّدٍ إِنَّ أُنَاسًا عِنْدَنَا يَقُولُونَ فِي الْقَدَرِ فَقَالَ عَطَاءٌ لَقِيتُ الْوَلِيدَ بْنَ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ فَقَالَ حَدَّثَنِي أَبِي قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمَ فَقَالَ لَهُ اكْتُبْ فَجَرَى بِمَا هُوَ كَائِنٌ إِلَى الْأَبَدِ
[Abdul Wahid bin Sulaim], dia berkata; saya datang ke Mekah dan bertemu dengan [Atho` bin Abu Rabah], kemudian saya katakan kepadanya; Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya orang-orang di sekitar kami berbicara mengenai takdir. ‘Atho` berkata; aku pernah bertemu dengan [Al Walid bin ‘Ubadah bin Ash Shamit], kemudian dia berkata; telah menceritakan kepadaku [ayahku], dia berkata; aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya pertama kali yang Allah ciptakan adalah pena, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Tulislah.” Maka terjadilah apa yang akan terjadi hingga selamanya.
(Jami’ Tirmidzi (3241))
Status: Sahih

Itulah tempat asal semua kitab yang diturunkan kepada manusia. Allah ﷻ yang menetapkan mana yang akan ada dan yang akan dihilangkan. Itu adalah haq Allah ﷻ hendak buat apa. Apabila telah sampai masa untuk Al-Qur’an diturunkan dan ditetapkan sebagai kitab yang terpakai pada zaman itu, maka itulah yang manusia mesti gunakan sebagai panduan dan hukum.

Ayat ini juga bermaksud, walaupun Allah ﷻ telah tulis ketentuan sesuatu kejadian itu dalam kitab di Lauh Mahfuz, tetapi Allah ﷻ masih lagi boleh ubah. Maknanya, takdir masih lagi boleh berubah, ikut kehendak Allah ﷻ. Ini adalah dalil adanya ‘Takdir Muallaq’ iaitu takdir tergantung. Akan tetapi perubahan itu Allah ﷻ sahaja yang tahu. Kerana itu di sini ia disebut وَعِندَهُ (di Sisi-Nya) bermaksud ia adalah eksklusif ilmu Allah ﷻ. Ia hanya diberitahu kepada para malaikat untuk menjalankan kejadian tahunan semasa di Malam Qadr (Lailatul Qadr).

Allah ﷻ masih boleh ubah lagi berdasarkan kehendak-Nya. Maka kita hanya berdoa sahaja kalau ada apa-apa masalah atau kehendak kerana kita pun tidak tahu mana satu doa yang Allah ﷻ akan perkenankan. Kita tidak tahu takdir apa yang Allah ﷻ telah tentukan. Jangan kita tidak doa dan terima sahaja dengan kata: Ini sudah takdir.

وقال ابن جرير أيضا : حدثنا عمرو بن علي ، حدثنا معاذ بن هشام ، حدثني أبي ، عن أبي حكيمة عصمة ، عن أبي عثمان النهدي; أن عمر بن الخطاب – رضي الله عنه – قال وهو يطوف بالبيت وهو يبكي : اللهم ، إن كنت كتبت علي شقوة أو ذنبا فامحه ، فإنك تمحو ما تشاء وتثبت ، وعندك أم الكتاب ، فاجعله سعادة ومغفرة .
Ibnu Jarir mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Amr ibnu Ali, telah menceritakan kepada kami Mu’az ibnu Hisyam, telah menceritakan kepada kami ayahku, daripada Abu Hakimah Ismah, daripada Abu Usman An-Nahdi, bahawa Umar ibnul Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengucapkan doa berikut dalam tawafnya di Baitullah seraya menangis: “Ya Allah, jika Engkau telah mencatat nasibku celaka atau berdosa, maka hapuskanlah, kerana sesungguhnya Engkau menghapuskan apa yang Engkau kehendaki dan menetapkan apa yang Engkau kehendaki; dan di sisi-Mu terdapat Ummul Kitab (Lauh Mahfuz), maka jadikanlah (catatan nasibku) bahagia dan mendapat ampunan.

Ini selari dengan hadith-hadith yang mengatakan nasib boleh diubah. Contohnya rezeki dan umur boleh dipanjangkan seperti sabda Rasulullah ﷺ,

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
(Riwayat Bukhari (5986) dan Muslim (2557))

Dalam hadith yang lain kita diberitahu,

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزِيدُ فِي الْعُمْرِ إِلَّا الْبِرُّ وَلَا يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلَّا الدُّعَاءُ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِخَطِيئَةٍ يَعْمَلُهَا
Daripada [Tsauban] dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak menambah umur kecuali perbuatan baik, tidak ada yang menolak takdir kecuali doa, dan sungguh, seorang laki-laki tertahan daripada rezekinya kerana kesalahan yang telah dia lakukan.”
(Jami’ Tirmidzi (87))
Disahihkan oleh Albani

Maka jangan kita berhenti daripada berdoa. Ini penting kerana ada yang salah faham. Mereka kata kalau sesuatu itu telah ditentukan, maka apa perlunya lagi doa? Mereka ini keliru dan tidak tahu apa-apa tentang takdir melainkan agak-agak mereka sahaja. Kalau ia tidak ada gunanya, kenapa lagi Allah ﷻ suruh kita berdoa? Pelik bukan sekiranya Allah ﷻ suruh kita berdoa, tetapi doa itu tidak berguna pula.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Februari 2024

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 37 (Wajib belajar Bahasa Arab)

Ra’d Ayat 37:

وَكَذٰلِكَ أَنزَلنٰهُ حُكمًا عَرَبِيًّا ۚ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَما جاءَكَ مِنَ العِلمِ ما لَكَ مِنَ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا واقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus We have revealed it as an Arabic legislation.¹ And if you should follow their inclinations after what has come to you of knowledge, you would not have against Allāh any ally or any protector.

  • i.e., revealed in the Arabic language.

(MALAY)

Dan demikianlah, Kami telah menurunkan Al-Qur’an itu sebagai peraturan (yang benar) dalam bahasa Arab. Dan seandainya kamu mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu, maka sekali-kali tidak ada pelindung dan pemelihara bagimu terhadap (seksa) Allah.

 

وَكَذٰلِكَ أَنزَلنٰهُ حُكمًا عَرَبِيًّا

Dan demikianlah, Kami telah menurunkan Al-Qur’an itu sebagai hukum  dalam bahasa Arab. 

Kalimah كَذٰلِكَ diterjemahkan: bagi tujuan kesempurnaan itulah. Allah ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an untuk menyempurnakan agama. Maka kena ikutlah kitab wahyu yang baru ini iaitu Al-Qur’an. Jangan diabaikan, jangan sesekali ditinggalkan. Kalau mahu agama ini jadi sempurna, jangan abaikan Al-Qur’an ini.

Satu lagi maksud كَذٰلِكَ adalah, sebagaimana umat-umat dahulu telah ada kitab wahyu mereka, maka bagi umat terakhir iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ ini juga diberikan dengan kitab wahyu iaitu Al-Qur’an. Maka jangan abaikan seperti yang telah umat terdahulu abaikan kitab wahyu mereka. Jangan ulangi kesilapan mereka.

Maka begitulah Rasulullah ﷺ telah diberikan dengan Al-Qur’an untuk menyampaikan wahyu Ilahi kepada kita seperti disebut dalam Jumuah: 2

هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِهِ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ
Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah).

Allah ﷻ beritahu sifat Al-Qur’an itu adalah حُكمًا. Ini kerana isinya ialah Hukum yang memutuskan menjelaskan garis pemisah di antara kegelapan jahiliyah dengan Nurul Islam. Pemisah di antara yang Hak dengan yang Batil. Menjelaskan halal dan haram.

Untuk umat-umat yang berselisih itu, iaitu ahli kitab, mereka sekarang sudah dapat hukum yang teguh yang tidak akan berubah lagi kerana tidak ada kitab lain lagi yang akan membatalkan Al-Qur’an. Ini kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi terakhir dan Al-Qur’an adalah kitab wahyu yang terakhir. Maka senang menggunakan Al-Qur’an sahaja kerana ia akan tetap kekal sampai ke Hari Kiamat.

Satu lagi Al-Qur’an itu mengandungi hikmah. Maka hukum dan hikmah ini hanya dapat dipelajari jikalau kita memahaminya. Untuk memahaminya, hendaklah belajar tafsir. Selepas belajar tafsir, barulah boleh tadabbur. Kita tidak akan dapat tadabbur sebelum mengetahui tafsir Al-Qur’an. Ramai yang terus tadabbur, dan ini adalah salah kerana tidak mengikut tangga yang sepatutnya.

Kemudian Allah ﷻ menyebut satu lagi sifat yang jelas pada Al-Qur’an itu adalah ia dalam bahasa Arab. Selalu Allah ﷻ tekankan tentang bahasa Arab ini, padahal semua orang sudah tahu Al-Qur’an itu dalam bahasa Arab. Ia adalah bahasa yang kaya dan tepat. Kalau dibandingkan bahasa Melayu kita dan bahasa Arab, amatlah miskin bahasa kita ini. Kerana itulah Allah ﷻ pilih untuk menurunkan Kitab Wahyu terakhir di dalam bahasa Arab.

Sudahlah Al-Qur’an itu dalam bahasa Arab yang kaya dan tepat, menggunakan pula bahasa Al-Qur’an yang penuh dengan hikmah. Namun kena ingat yang bahasa Arab yang digunakan dalam percakapan harian sekarang tidak sama dengan bahasa Arab yang digunakan dalam Al-Qur’an. Ini kerana bahasa Arab percakapan bangsa Arab telah melalui proses perubahan. Macam bahasa percakapan kitalah juga, tidaklah sama dengan zaman Kesultanan Melaka dulu, bukan? Maka bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an itu lagi tinggi nilainya dan kehebatannya. Bahasa Arab yang di dalam Al-Qur’an ini adalah bahasa Arab klasik. Sebab itulah kalau orang Arab pun kena belajar tafsir juga walaupun Al-Qur’an itu di dalam bahasa mereka.

Oleh itu, sebenarnya tidak perlu susah untuk jelaskan tentang Al-Qur’an ini. Memang ia sendiri sudah hebat kalau manusia itu tahu bahasa Arab. Sepatutnya beri sahaja Al-Qur’an ini dan biar mereka nilai sendiri kerana ia memang sudah hebat. Maka tidak perlu susah sangat untuk menjelaskan pada mereka yang menolak kerana kita sudah ada hujah yang amat kuat – Al-Qur’an itu sendiri. Kerana itulah amat teruk Musyrikin Mekah dulu kerana mereka sendiri tahu bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an itu adalah hebat sangat.

Kenapa Allah ﷻ sebut Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, sedangkan ia diberikan kepada orang bangsa Arab yang bercakap Arab. Ini sama seperit kita bagi anak kita novel Melayu dan beritahu dia, “Ha ini ayah belikan novel dalam bahasa Melayu untuk awak.” Kenapa lagi perlu diberitahu?

Allah ﷻ beritahu kerana hendak menekankan yang Dia berikan wahyu itu dalam bahasa yang mereka faham. Allah ﷻ tidak beri dalam bahasa langit, atau bahasa yang pelik-pelik. Kalau bagi bahasa yang mereka tidak faham, tentulah susah mereka. Makanya yang hendak disampaikan adalah wahyu ini untuk mereka fahami, untuk mereka senang amalkan. Allah ﷻ telah mudahkan kerana Allah ﷻ mahu mereka faham.

Namun kita yang orang Melayu ini, bagaimana? Ternyata sebenarnya sudah menjadi wajib belajar bahasa Arab. Oleh kerana Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, maka jatuh wajib untuk kita mempelajari bahasa Arab untuk memahami Al-Qur’an. Ini adalah kerana ada kaedah ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب (Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib).

Belajar bahasa Arab asalnya tidaklah wajib kerana ia bukan bahasa kita. Akan tetapi ia menjadi wajib kerana bersabit dengan keperluan memahami Al-Qur’an. Ini adalah seperti wudhu’ yang asalnya juga tidaklah wajib. Namun untuk mendirikan solat yang wajib yang tidak akan sempurna tanpa wuhu’, maka wudhu’ itu berubah menjadi wajib.

Saya tahu ramai yang mengeluh. Namun di sini saya bukan kata anda kena panjat Gunung Everest. Ini hanya belajar bahasa Arab sahaja. Berjuta-juta orang sudah melakukannya. Ia antara mahu atau tidak, rajin atau tidak, tahu kepentingan Al-Qur’an atau tidak, mahu masuk syurga atau tidak. Itu sahaja. Ia juga memerlukan kesabaran seperti firman Allah ﷻ dalam Insan: 23-24

إِنّا نَحنُ نَزَّلنا عَلَيكَ القُرآنَ تَنزيلًا
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al Qur’an kepadamu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur.

فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تُطِع مِنهُم آثِمًا أَو كَفورًا
Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka.

Ini kerana hendak belajar bahasa Arab kena sabar, untuk belajar tafsir pun kena sabar, untuk beramal dengannya pun kena sabar, dan kemudian untuk menyampaikan kepada masyarkaat dan menghadapi penolakan mereka pun kena bersabar. Kesimpulannya: sabar, sabar, sabar dan sabar.

Namun bukanlah kita suruh tunggu sampai sudah tahu bahasa Arab baru boleh belajar tafsir. Itu entah berapa tahun pula kena tunggu. Pembelajaran Tafsir sekarang sudah dimudahkan kerana sudah banyak kitab-kitab tafsir di dalam bahasa Melayu dan guru-guru pun sudah banyak yang mengajar dalam bahasa Melayu. Cuma untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam maka perlu untuk anda mempelajari bahasa Arab. Akan tetapi untuk peringkat permulaan bolehlah menggunakan tafsir-tafsir dan belajar dengan guru-guru yang ada.

Kerana sesuatu itu kena dimulakan dengan mudah dahulu. Memang kita tahu yang Al-Qur’an ini amat tinggi perbahasannya, tetapi kalau kita gunakan bahasa yang tinggi sangat dalam dakwah, takut ada yang tidak dapat faham pula. Kita kena ingat yang orang Quraish itu dulu ‘simple’ sahaja akal mereka. Maka, kena tunjuk yang senang dilihat sahaja. Cubalah mudahkan dakwah dan ajaran kita kepada manusia. Kerana kalau kita gunakan bahasa tinggi sangat, mereka pun tidak faham dan nanti mereka akan cemuh dengan agama pula.

Maka, ada masa untuk lihat secara mendalam dan ada masa untuk mudahkan. Apabila mahu perkenalkan agama kepada orang yang baru, mudahkan sahaja ajaran kita. Oleh itu, kalau kita sudah belajar sikit, boleh terus cerita tentang apa yang kita telah belajar itu kepada keluarga. Kita juga sudah boleh ajar anak kita walaupun mereka itu kanak-kanak sahaja – ajar setakat yang mereka boleh faham.

Ingatlah yang apabila hendak mula mengajar, tidak perlu tunggu untuk bergelar ustaz, tidak perlu tunggu menjadi alim. Tidak perlu ada sanad baru boleh cerita kepada orang. Bila sudah semakin lama belajar, barulah lihat Al-Qur’an itu dengan secara mendalam. Apabila kita berusaha amalkan Al-Qur’an setakat yang kita sudah tahu, Allah ﷻ akan beri ilmu yang lain.

Sebenarnya pemahaman anda akan lebih cepat dan mantap apabila anda sudah mula mengajar. Ini kerana apabila anda mengajar, anda sebenarnya belajar dua kali. Anda akan mendalami sesuatu perkara itu kerana anda hendak mengajar. Maka pemahaman anda semakin tinggi jadinya. Cara ini bukan tertakluk untuk bidang agama sahaja, malah mana-mana bidang pun. Ia adalah jalan pintas untuk mendapat pemahaman yang lebih di dalam mana-mana topik.

Ringkasannya, Allah ﷻ telah membuat keputusan untuk turunkan dalam Al-Qur’an dalam bahasa Arab. Ini menjawab kekeliruan Ahli Kitab tentang Al-Qur’an. Mungkin mereka tanya kenapa kitab wahyu yang terakhir ini bukan dalam bahasa mereka. Maka Allah ﷻ jelaskan bahawa itu adalah keputusan Allah ﷻ. Mereka tidak berhak untuk mempersoalkan Allah ﷻ. Siapa mereka mahu persoalkan Allah ﷻ?

 

وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَما جاءَكَ مِنَ العِلمِ

Dan seandainya kamu mengikuti hawa-hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu, 

Nabi Muhammad ﷺ dan kita diberitahu oleh Allah ﷻ, kalau kita ikut hawa nafsu mereka (yang sesat itu), walaupun selepas kita dapat Al-Qur’an ini, maka kita tidak akan selamat. Kalau kita ikut mereka dan tinggalkan Al-Qur’an ini, Allah ﷻ tidak akan tolong dan tidak ada sesiapa lain yang boleh tolong kita. Walaupun ahli kitab sudah lama beragama dan telah ada kitab, kita tidak boleh ikut mereka, mereka yang kena ikut kita.

Allah ﷻ kata jangan ikut ‘hawa nafsu’ mereka. Maksud hawa nafsu dalam konteks ini setiap hukum yang sudah dimansuhkan seperti dalam kitab Taurat dan Injil. Kalau masih juga mahu mengikut hukum yang telah dimansuhkan itu, maknanya itu ikut hawa nafsu.

Atau, ‘hawa nafsu’ itu boleh juga bermaksud hukum daripada kitab mereka yang mereka telah ubahsuai daripada kitab wahyu yang asal. Sebagai contoh, tidak ada pun disebut tentang pecahan Tuhan kepada tiga – tuhan Bapa, tuhan Anak dan Ruh Qudus. Ini adalah antara perkara yang mereka reka dengan hawa nafsu mereka dan ada banyak lagi perkara yang mereka ubah daripada kitab asal, mereka ikut suka mereka sahaja. Kalau kita pula ikut, memang akan sesatlah kita.

Lagi satu ia bermaksud ikut mereka yang tidak ikut wahyu Al-Qur’an. Apa sahaja selain Al-Qur’an atau amalan yang tidak berdasarkan pemahaman Al-Qur’an, ia adalah hawa nafsu. Itulah amalan-amalan bid’ah yang masyarakat kita lakukan sekarang. Tiada sandaran daripada Al-Qur’an mahu pun Sunnah. Apabila tidak ada sandaran daripada ilmu wahyu, maka tidak lain dan tidak bukan, ia adalah bersandarkan kepada ‘hawa nafsu’. Maka tidak boleh ikut mereka dan amalan mereka.

Begitulah kalimah أَهواءَ itu adalah dalam bentuk jamak, kerana ada banyak jenis hawa nafsu. macam-macam nafsu manusia yang tidak akan habis kalau dilayan. Namun begitu bukanlah bermaksud nafsu ini perlu dihapuskan, cuma ia hendaklah dipandu oleh wahyu. Kenalah tahu wahyu dan hukum-hukum yang Allah ﷻ telah letakkan. Pertamanya kena tahu hukum-hukum daripada Al-Qur’an kerana Allah ﷻ telah beritahu dalam ayat ini yang Al-Qur’an ini mengandungi hukum, bukan?

Juga jangan kerana hendak mereka ikut kita, kita berlembut dengan mereka, ikut apa yang mereka hendak (hawa nafsu mereka). Ini perkara penting harus diberitahu. Ini kerana kadangkala semasa kita berdakwah, kita hendak mereka berlembut hati dengan kita. Maka kita terpaksa sembunyikan sesetengah perkara demi menjaga hati mereka takut mereka terasa pula. Sebagai contoh kadangkala pelajar kita mengamalkan bid’ah di dalam kehidupan mereka. Kita tahu mereka lakukan, tetapi kerana takut mereka akan tolak kita terus, maka kita senyapkan sahaja, tidak beritahu pun tentang amalan bid’ah mereka itu.

Mana-mana amalan bid’ah yang tentunya tidak ada dalil, adalah amalan ikut hawa nafsu. Oleh itu kalau kita tidak tegur, kita sudah ikut hawa nafsu mereka. Kita pun takut hendak cakap, bukan? Namun bahayanya adalah mereka akan sangka amalan mereka itu benar kalau kita tidak tegur. Mereka akan berhujah: “Ustaz yang ajar kami pun tak tegur, maka betullah amalan kami!”. Ha lihatlah, mereka boleh menjadi salah faham. Kerana itulah kita kena tegur. Jangan jadi ‘dalil’ bagi orang yang ‘jahil’.

Maka tegur sahaja amalan mereka itu. Mereka hendak ikut atau tidak, terpulang kepada mereka. Mereka mungkin tidak akan mengundang kita lagi untuk mengajar? Biarlah. Jangan kita pula dijadikan dalil bagi amalan bid’ah mereka. Kadangkala kita rancang, nanti lama-lama sudah mengajar, mereka lembut hati nanti barulah kita cakap. Namun sampai bila? Anda sudah mengajar sudah tahun ke lima, dan tahun ke lima itu baru mahu tegur, ada kemungkinan mereka tidak terima juga! Sia-sia sahaja mengajar orang degil selama 5 tahun, bukan? Kerana yang degil tetap degil. Maka senang beritahu awal-awal supaya tahu mereka ini mahu belajar atau tidak supaya tidak perlu buang masa dengan mereka. Baik luangkan masa ajar kepada orang lain yang mahu belajar dengan betul.

Kerana itulah Allah ﷻ beritahu Nabi ﷺ supaya tegas jangan ikut hawa nafsu golongan yang salah. Kena tetap di atas kebenaran. Jangan goyang hanya kerana hendak menarik hati mereka. Namun tentulah Nabi ﷺ tidak begitu, maka kenapa diberitahu kepada Nabi ﷺ? Kerana Nabi ﷺ akan sampaikan kepada kita. Maka kita beringat, bahawa Nabi ﷺ pun diarahkan begitu, maka kita pun mestilah begitu juga.

Jangan lagi ikut mereka setelah kamu ada ilmu wahyu. Ini juga mengajar kita, apabila kita sudah belajar ilmu wahyu, maka jangan lagi ikut golongan masyarakat yang sesat dan keliru. Kita yang sudah ada ilmu ini jangan lagi rasa terpaksa untuk kita sesiapa yang menyelisihi wahyu. Memang berat apabila masyarakat kita bergelumang dalam kesesatan, tetapi kena kuatkan semangat dan iman kita. Jangan lemah semangat sampai terpengaruh dengan masyarakat sekeliling kita.

 

ما لَكَ مِنَ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا واقٍ

maka sekali-kali tidak ada pelindung dan pemelihara bagimu terhadap (seksa) Allah.

Sekiranya Nabi Muhammad ﷺ ikut mereka itu, Allah ﷻ tidak akan melindungi baginda. Ini kerana khitab (disampaikan) ayat ini adalah kepada Nabi Muhammad ﷺ – bayangkan, seandainya baginda pun tidak ada pelindung jika buat begitu, apatah lagi kita? Maka tempatnya ada di neraka bagi yang ingkar kepada Allah ﷻ.

Ini kerana Allah ﷻ tidak berhajat kepada makhluk sebaliknya makhluk yang berhajat kepada Allah ﷻ. Tidak akan ada pelindung dan tidak ada sebarang penjaga selain Allah ﷻ. Maka kena rapatkan diri dengan Allah ﷻ. Jangan kita termasuk golongan yang sesat kerana amat malang sekali kalau kita termasuk dalam golongan itu.

Habis Ruku’ 5 daripada 6 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 35 – 36 (Beriman tetapi syirik)

Ra’d Ayat 35: Ayat tabshir. Ayat sebelum initentang orang yang ingkar yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Akan tetapi kepada orang yang bertaqwa, Allah ﷻ akan masukkan ke dalam syurga.

۞ مَّثَلُ الجَنَّةِ الَّتي وُعِدَ المُتَّقونَ ۖ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ أُكُلُها دائِمٌ وَظِلُّها ۚ تِلكَ عُقبَى الَّذينَ اتَّقَوا ۖ وَّعُقبَى الكٰفِرينَ النّارُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The example [i.e., description] of Paradise, which the righteous have been promised, is [that] beneath it rivers flow. Its fruit is lasting, and its shade. That is the consequence for the righteous, and the consequence for the disbelievers is the Fire.

(MALAY)

Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.

 

مَّثَلُ الجَنَّةِ الَّتي وُعِدَ المُتَّقونَ

Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa

Allah ﷻ memberi contoh misal syurga itu. Allah ﷻ jelaskan dalam bentuk grafik supaya kita boleh gunakan imaginasi untuk memikirkannya. Kerana kalau hendak diceritakan secara terperinci, kita tidak akan boleh terima. Oleh itu cubalah bayangkan kerana tidak ada brosur syurga lagi setakat ini. Allah ﷻ berfirman di dalam Sajdah: 17

فَلا تَعلَمُ نَفسٌ مّا أُخفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعيُنٍ جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ
Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Walau bagaimanapun apa sahaja yang dibayangkan itu, syurga itu lebih lagi dan lebih lagi daripada apa yang kita dapat bayangkan. Cuma Allah ﷻ suruh kita cuba bayangkan untuk menaikkan semangat kita, maka bolehlah cuba bayangkan. Maka bayangan kita ini berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi, antaranya,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لَنَا إِذَا كُنَّا عِنْدَكَ رَقَّتْ قُلُوبُنَا وَزَهِدْنَا فِي الدُّنْيَا وَكُنَّا مِنْ أَهْلِ الْآخِرَةِ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِكَ فَآنَسْنَا أَهَالِينَا وَشَمَمْنَا أَوْلَادَنَا أَنْكَرْنَا أَنْفُسَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ تَكُونُونَ إِذَا خَرَجْتُمْ مِنْ عِنْدِي كُنْتُمْ عَلَى حَالِكُمْ ذَلِكَ لَزَارَتْكُمْ الْمَلَائِكَةُ فِي بُيُوتِكُمْ وَلَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَجَاءَ اللَّهُ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ كَيْ يُذْنِبُوا فَيَغْفِرَ لَهُمْ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِمَّ خُلِقَ الْخَلْقُ قَالَ مِنْ الْمَاءِ قُلْنَا الْجَنَّةُ مَا بِنَاؤُهَا قَالَ لَبِنَةٌ مِنْ فِضَّةٍ وَلَبِنَةٌ مِنْ ذَهَبٍ وَمِلَاطُهَا الْمِسْكُ الْأَذْفَرُ وَحَصْبَاؤُهَا اللُّؤْلُؤُ وَالْيَاقُوتُ وَتُرْبَتُهَا الزَّعْفَرَانُ مَنْ دَخَلَهَا يَنْعَمُ لَا يَبْأَسُ وَيَخْلُدُ لَا يَمُوتُ لَا تَبْلَى ثِيَابُهُمْ وَلَا يَفْنَى شَبَابُهُمْ ثُمَّ قَالَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا فَوْقَ الْغَمَامِ وَتُفَتَّحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ وَعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata: Kami berkata: Wahai Rasulullah, kenapa kami bila berada dekat engkau, hati kami melunak, kami zuhud di dunia dan kami termasuk ahli akhirat, tetapi bila kami bergegas meninggalkan engkau lalu kami bergaul dengan keluarga kami, mencium anak-anak kami, kami mengingkari diri kami sendiri. Rasulullah ﷺ bersabda: “Andai kalian bila pergi meninggalkanku berada dalam keadaan kalian seperti itu, nescaya para malaikat mengunjungi kalian di rumah-rumah kalian dan seandainya kalian tidak berbuat dosa, nescaya Allah menciptakan makhluk baru agar mereka berbuat dosa lalu Allah akan mengampuni mereka.” Berkata Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: Aku berkata: Wahai Rasulullah, daripada apa makhluk diciptakan? Rasulullah ﷺ menjawab: “Daripada air.” Kami bertanya: Syurga, apakah bangunannya? Baginda menjawab: Bata daripada perak dan bata daripada emas, simennya minyak kasturi yang harum, tanahnya mutiara dan permata, debunya za’faran, barangsiapa memasukinya, dia bersenang-senang dengan tidak jemu, kekal, tidak mati, baju mereka tidak usang, kemudaan mereka tidak lenyap.” Setelah itu baginda bersabda: “Tiga orang yang doanya tidak tertolak; imam yang adil, orang puasa saat berbuka dan doa orang yang terzalimi, doanya diangkat di atas awan dan pintu-pintu langit dibukakan, Rabb عَزَّ وَجَلَّ berfirman: Demi keperkasaan-Ku, aku akan menolongmu meski setelah selang berapa lama.”

(Jami’ Tirmidzi (2449) dengan sanad yang sahih)

 

Kenapa Allah ﷻ sembunyikan maklumat syurga (dan neraka)? Kenapa tidak diberikan maklumat yang lebih terperinci? Kerana hendak memberi kejutan gembira kepada mereka yang akan memasukinya nanti. Juga sebagai ujian bagi umat manusia. Supaya mereka hendak kepada syurga itu walaupun mereka tidak nampak dan tidak jelas apa yang ada di dalamnya.

Dalam ayat sebelum Sajdah: 17 di atas pun menceritakan tentang amalan manusia yang rahsia, yang tersembunyi iaitu Solat Malam dan juga sedekah. Maka untuk masuk ke syurga yang tersembunyi nikmatnya itu, pun kenalah melakukan amalan-amalan yang tersembunyi daripada manusia agar dapat mengelak riak dan menyuburkan ikhlas.

تَتَجافىٰ جُنوبُهُم عَنِ المَضاجِعِ يَدعونَ رَبَّهُم خَوفًا وَطَمَعًا وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.
(Sajdah: 16)

Ini mengajar kita yang amalan yang ditunjuk-tunjuk kepada manusia itu bukanlah boleh memasukkan diri kita ke dalam syurga. Hentilah untuk post aktiviti ibadah seperti yang selalu dibuat di bulan Ramadan. Itu sangatlah mengarut dan buang pahala sahaja. ‘Orang bukan heran pun engkau solat Terawih’.

 

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di bawahnya;

Syurga itu adalah taman yang indah tetapi bukan ada pokok-pokok sahaja, malah ada sungai-sungai. Sungai-sungai itu mengalir di dalam syurga itu. Ini amat indah sekali. Tambahan pula kepada bangsa Arab waktu itu yang jarang dapat melihat sungai kerana tempat mereka hanya ada padang pasir sahaja. Maka ini sangat menarik perhatian mereka dan dapat memberi motivasi yang amat tinggi kepada mereka.

Allah ﷻ banyak kali menyebut tentang sungai-sungai di dalam Al-Qur’an untuk memberitahu motivasi kepada kita untuk beriman dan beramal. Ini kerana manusia memang sukakan air seperti sungai. Ramai yang suka berkelah di sungai tetapi kena pergi jauh sebab sungai selalunya jauh dari tempat tinggal kita. Apatah lagi orang Arab yang mungkin tidak pernah melihat sungai pun, dengar cerita sahaja. Maka Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia.

Di sini tidak disebut apakah jenis sungai itu tetapi disebut di dalam ayat yang lain iaitu Muhammad: 15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

Cerita tentang sungai ini pun sudah hebat kerana ia tidak sama dengan sungai di dunia ini. Ini semua untuk menaikkan semangat kita untuk memasuki syurga.

 

أُكُلُها دائِمٌ وَظِلُّها

buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). 

Allah ﷻ sebut tentang buah-buahan dalam ayat ini walaupun ada makanan yang lain juga. Ini adalah kerana bangsa Arab amat menggemari buah-buahan kerana mereka tidak ada pokok buah-buahan yang banyak di tempat mereka. Maka Allah ﷻ beritahu kehebatan buah-buahan di syurga, di mana buahnya sentiasa ada berterusan tidak bermusim, tidak perlu tunggu musim baru boleh makan. Allah ﷻ sebut di dalam Waqiah: 32-33

وَفٰكِهَةٍ كَثيرَةٍ
Serta buah-buahan yang banyak,

لّا مَقطوعَةٍ وَلا مَمنوعَةٍ
Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,

Tidak terhalang untuk mendapat buah itu, boleh makan dengan banyak. Kalau zaman sekarang, ada buah yang kita tidak boleh makan, bukan? Lebih hebat lagi buah itu akan kekal elok, tidak akan jadi rosak dan masam. Atau ia bermaksud, rasa sedapnya yang berkekalan kerana kadangkala di dunia, buah yang kita beli dan tanam tidak semestinya sedap semuanya. Tentunya buah di syurga itu tidak sama dengan buah di dunia. Di dalam kitab Sahihain disebutkan hadith Ibnu Abbas tentang salat gerhana matahari, yang di dalamnya antara lain disebutkan tentang buah anggur syurga:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ أَنَّهُ قَالَ خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّاسُ مَعَهُ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا نَحْوًا مِنْ سُورَةِ الْبَقَرَةِ قَالَ ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلًا ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ مِنْ الرُّكُوعِ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلًا وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ ثُمَّ قَامَ قِيَامًا طَوِيلًا وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلًا وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَفَعَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلًا وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ تَجَلَّتْ الشَّمْسُ فَقَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ رَأَيْنَاكَ تَنَاوَلْتَ شَيْئًا فِي مَقَامِكَ هَذَا ثُمَّ رَأَيْنَاكَ تَكَعْكَعْتَ فَقَالَ إِنِّي رَأَيْتُ الْجَنَّةَ فَتَنَاوَلْتُ مِنْهَا عُنْقُودًا وَلَوْ أَخَذْتُهُ لَأَكَلْتُمْ مِنْهُ مَا بَقِيَتْ الدُّنْيَا وَرَأَيْتُ النَّارَ فَلَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ مَنْظَرًا قَطُّ وَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ قَالُوا لِمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لِكُفْرِهِنَّ قِيلَ أَيَكْفُرْنَ بِاللَّهِ قَالَ وَيَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ وَيَكْفُرْنَ الْإِحْسَانَ لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ كُلَّهُ ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ
Daripada [Abdullah bin Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] bahawa dia berkata; “Telah terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah ﷺ. Baginda lalu solat dan orang-orang ikut bersamanya. Baginda berdiri dalam waktu yang panjang seperti panjangnya bacaan surah Al Baqarah.” Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; “Kemudian baginda rukuk dengan rukuk yang panjang, lalu baginda bangkit daripada rukuk. Baginda berdiri bangun dengan berdiri yang panjang, namun tidak sepanjang yang pertama. Kemudian baginda rukuk dengan rukuk yang panjang, namun tidak sepanjang rukuk yang sebelumnya. Kemudian baginda bersujud, lalu berdiri lama namun tidak selama berdirinya yang pertama. Kemudian baginda rukuk dengan panjang namun tidak selama rukuk yang pertama. Baginda bangkit daripada rukuk dan berdiri dengan panjang, namun tidak sepanjang yang pertama. Kemudian rukuk dengan rukuk yang panjang, namun tidak sepanjang rukuk yang sebelumnya. Setelah itu sujud dan berlalu pergi (selesai). Sementara matahari sudah mulai nampak, baginda kemudian bersabda: “Matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda Kebesaran Allah. Terjadinya gerhana pada keduanya bukan kerana kematian atau hidupnya seseorang. Jika kalian melihat itu, maka berzikirlah kepada Allah.” Mereka bertanya; “Wahai Rasulullah! Kami melihat engkau menjulurkan tangan kepada sesuatu di tempat engkau berdiri. Lalu kami melihat engkau mundur ke belakang.” Baginda menjawab: “Aku telah melihat syurga. Lalu aku meraih buah dari syurga, sekiranya aku mengambilnya, nescaya kalian akan memakannya selama dunia masih ada. Aku juga melihat neraka, aku tidak pernah melihat pemandangan seperti itu. Dan aku lihat paling banyak penghuninya adalah para wanita.” Mereka bertanya; “Kenapa wahai Rasulullah! ” Baginda menjawab: “Kerana keingkaran mereka.” Mereka bertanya: “Apakah kerana mereka ingkar terhadap Allah?” Baginda menjawab; “Mereka ingkar terhadap suami dan ingkar terhadap kebaikan. Jika kamu berbuat kepadanya dalam waktu yang lama, lalu mereka melihat sesuatu daripadamu, dia berkata; ‘Aku tidak pernah melihat kebaikanmu sedikit pun’.”

(Sahih Bukhari (399))

Lagi satu hal menarik mengenai buah-buahan dalam syurga itu iaitu tidak perlu susah-susah dikutip dikopek. Tidak perlu pergi ke ladang, atau beli. Buah itu datang sendiri apabila kita hendak makan seperti disebut dalam Haqqah: 23

قُطوفُها دانِيَةٌ
buah-buahannya dekat,

Kemudian Allah ﷻ sebut tentang teduhan di syurga itu. Ini adalah kerana cuaca di Tanah Arab itu panas terik sahaja sepanjang masa. Pokok untuk dijadikan teduhan pun tidak banyak. Maka Allah ﷻ sebut tentang suasana nyaman di syurga yang sentiasa ada teduhan.

Keadaan di syurga amat nyaman sekali. Tiada langsung kepanasan kerana tidak ada matahari pun di sana. Ini seperti disebut dalam Insan: 13

لا يَرَونَ فيها شَمسًا وَلا زَمهَريرًا
mereka tidak merasakan di dalamnya (teriknya) matahari dan tidak pula dingin yang bersangatan.

Keadaan sentiasa siang sahaja tidak ada malam-malam kerana badan kita tidak penat dan tidak perlu rehat di malam hari. Naungan pula adalah yang terhebat sekali memberikan keselesaan kepada penghuninya. Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan sebuah hadith melalui berbagai jalur, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

أَبُو سَعِيدٍ الْخُدْرِيُّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ شَجَرَةً يَسِيرُ الرَّاكِبُ الْجَوَادَ الْمُضَمَّرَ السَّرِيعَ مِائَةَ عَامٍ مَا يَقْطَعُهَا
[Abu Sa’id Al Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat sebuah pohon yang mana seorang pengendara yang mahir dan penuh persiapan berjalan dengan cepat di bawah naungannya selama seratus tahun, dia tidak juga sampai.”
(Sahih Bukhari (5056))

 

تِلكَ عُقبَى الَّذينَ اتَّقَوا

Itulah kesudahan bagi orang-orang yang bertaqwa, 

Allah ﷻ ceritakan dalam ayat ini dan banyak dalam ayat-ayat lain tentang keadaan di dalam syurga sebagai motivasi kepada kita. Kalau kita sanggup beriman dan istiqamah dalam iman itu, maka syurga itulah tempat kekal kita. Maka tanyalah diri sendiri: Adakah terkesan dan ia mengubah diri kita? Atau biasa sahaja bagaikan membaca sebuah novel? Bandingkan promosi yang Allah ﷻ beri di dalam ayat ini atau promosi jualan murah di supermarket?

Sekarang bayangkan kalau anda hendak pergi ke negara Jepun minggu depan. Tentu kita akan mencari maklumat tentang Jepun, bukan? Tentu kita ingin tahu tentang cuaca waktu itu, bagaimana alat pengangkutan di sana, bagaimana cara sampai ke Jepun, hotel di sana bagaimana, apa bahasa yang boleh digunakan di sana, bagaimana mencari makanan halal dan macam-macam lagi maklumat, bukan?

Ini adalah kerana kita memang akan pergi ke sana. Sekarang, soalan saya, adakah anda tahu cuaca di Syurga, bahasa apa yang digunakan di sana, berapa lama akan tinggal di sana, makanan apa yang akan diberikan, siapa lagi yang ada di dalam syurga itu dan lain-lain lagi maklumat.

Kalau jawapannya anda tidak tahu, maka soalan saya seterusnya: Adakah anda tidak mahu pergi ke syurga? Kerana kalau memang mahu pergi ke syurga, tentu anda akan cari maklumat tentang syurga, bukan? Lebih-lebih lagi cara bagaimana kita dapat masuk ke syurga.

Yang menakutkan kita di dalam ayat ini adalah kalimat الَّذينَ اتَّقَوا iaitu syurga itu diberi kepada golongan yang bertaqwa! Aduh, adakah kita termasuk golongan itu? Maka kena tahu ciri-ciri taqwa itu dan amalkan. Apabila sudah amalkan, barulah boleh berangan untuk masuk ke syurga. Kalau setakat tahu sahaja, belum boleh berangan lagi!

Banyak sekali ciri-ciri orang bertaqwa yang disebut di dalam Al-Qur’an. Kena pelajari semuanya sekali kerana ia berterabur di dalam surah-surah. Antaranya yang kita boleh kongsi di sini adalah ayat Baqarah: 177

۞ لَيْسَ الْبِرَّاَنْ تُوَلُّوْا وُجُوْهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ اٰمَنَ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِ وَالْمَلٰۤىِٕكَةِ وَالْكِتٰبِ وَالنَّبِيّٖنَ ۚ وَاٰتَى الْمَالَ عَلٰى حُبِّهٖ ذَوِى الْقُرْبٰى وَالْيَتٰمٰى وَالْمَسٰكِيْنَ وَابْنَ السَّبِيْلِۙ وَالسَّاۤىِٕلِيْنَ وَفىِ الرِّقَابِۚ وَاَقَامَ الصَّلٰوةَ وَاٰتَى الزَّكٰوةَ ۚ وَالْمُوْفُوْنَ بِعَهْدِهِمْ اِذَا عَاهَدُوْا ۚ وَالصّٰبِرِيْنَ فِى الْبَأْسَاۤءِ وَالضَّرَّاۤءِ وَحِيْنَ الْبَأْسِۗ اُولٰۤىِٕكَ الَّذِيْنَ صَدَقُوْا ۗوَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُتَّقُوْنَ
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

 

وَّعُقبَى الكٰفِرينَ النّارُ

sedang kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.

Ini adalah takhwif ukhrawi. Untuk mereka yang kufur pula, tempat kekal mereka adalah neraka. Tidak perlu cakap panjang pun kerana ayat ini sebagai motivasi ke syurga, bukan hendak cerita sangat tentang neraka. Namun Allah ﷻ memang selalu iringkan, kalau sebut syurga maka Allah ﷻ akan sebut tentang neraka. Kerana ada yang kita kena kejar dan ada yang kita kena usaha untuk elakkan. Kena kejar syurga dan elak dari neraka. Sekarang sudah dibentangkan dua pilihan maka hendaklah buat keputusan sendiri.


 

Ra’d Ayat 36: Dalil naqli dari golongan ahli kitab. Ahli Kitab pun ada yang beriman, maka janganlah berat hati untuk beriman dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ itu kerana orang yang ada kitab wahyu pun boleh terima baginda.

وَالَّذينَ ءآتَينٰهُمُ الكِتٰبَ يَفرَحونَ بِما أُنزِلَ إِلَيكَ ۖ وَمِنَ الأَحزابِ مَن يُنكِرُ بَعضَهُ ۚ قُل إِنَّما أُمِرتُ أَن أَعبُدَ اللهَ وَلا أُشرِكَ بِهِ ۚ إِلَيهِ أَدعو وَإِلَيهِ مَئآبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [the believers among] those to whom We have given the [previous] Scripture rejoice at what has been revealed to you, [O Muḥammad], but among the [opposing] factions are those who deny part of it [i.e., the Qur’ān]. Say, “I have only been commanded to worship Allāh and not associate [anything] with Him. To Him I invite, and to Him is my return.”

(MALAY)

Orang-orang yang telah Kami berikan kitab kepada mereka bergembira dengan kitab yang diturunkan kepadamu, dan di antara golongan-golongan (Yahudi dan Nasrani) yang bersekutu, ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah “Sesungguhnya aku hanya diperintah untuk menyembah Allah dan tidak mempersekutukan sesuatupun dengan Dia. Hanya kepada-Nya aku seru (manusia) dan hanya kepada-Nya aku kembali”.

 

وَالَّذينَ ءآتَينٰهُمُ الكِتٰبَ يَفرَحونَ بِما أُنزِلَ إِلَيكَ

Dan orang-orang yang telah Kami berikan kitab kepada mereka, mereka itu bergembira dengan kitab yang diturunkan kepadamu,

Mereka yang telah diberi kitab wahyu itu adalah Golongan Yahudi dan Nasrani. Mereka itu digelar Ahli Kitab kerana mereka itu ada kitab wahyu dan mereka sepatutnya berilmu. Mereka sudah ada agama, maka Allah ﷻ puji mereka. Begitulah, tanda Allah ﷻ sayang kepada umat adalah diberikan ilmu kepada mereka. Rasulullah ﷺ bersabda,

عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ )) أَخْرَجَه البُخَارِي وَ مُسْلِم
Daripada Muawiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: (( Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya, maka Allah akan menjadikan dia faham dalam bidang agama.))
(Riwayat Bukhari No. 216)

Walaupun ramai dalam kalangan Ahli Kitab itu yang tidak beriman, tetapi ada yang gembira dengan apa yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka suka kerana apa yang dijanjikan kepada mereka dalam kitab-kitab mereka telah datang. Apa yang ada di dalam Al-Qur’an sama dengan apa yang disebut di dalam kitab wahyu mereka (yang asal). Walaupun ada perbezaan di dalam bab syariat, akan tetapi bab akidah, sama sahaja. Tentunya mereka ini orang-orang yang tidak dihinggapi hawa nafsu, kerana itu mereka boleh terima Islam. Oleh itu ada dalam kalangan mereka yang beriman, maka jangan pukul rata mereka sama sahaja. Lihat Ali Imran: 113

لَيْسُوا سَوَاءً مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

Antara nama-nama mereka ini adalah seperti Abdullah bin Salam (bekas pendita Yahudi), Adi bin Hatim (asalnya penganut Nasrani) dan Tamim ad-Dari. Mereka masuk Islam dengan besar hati dan Nur Hidayat terbuka, sebab tidak dipengaruhi oleh rasa dengki. Mereka ini seperti Allah ﷻ sebut di dalam Maidah: 83

وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ ۖ يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ
Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (daripada kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad).

Hebat mereka ini sampai menangis. Anda pernah menangis baca Al-Qur’an? Mereka menangis kegembiraan kerana mereka memang menunggu-nunggu dan mereka gembira kerana kedatangan Nabi akhir zaman yang dijanjikan itu datang pada masa mereka hidup. Keturunan mereka dulu pun tunggu juga, tetapi mereka tidak berpeluang kerana mereka mati sebelum sempat Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul. Memang ada Golongan Yahudi yang datang ke Madinah kerana mereka tahu yang Nabi akhir zaman akan datang ke Madinah. Keturunan mereka dulu tidak dapat jumpa dengan Nabi, tetapi anak cucu mereka yang dapat. Oleh itu mereka beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dan Al-Qur’an.

Hal ini sama dengan yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya di dalam Ali Imran: 199

وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَٰبِ لَمَن يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِمْ خَٰشِعِينَ لِلَّهِ لَا يَشْتَرُونَ بِـَٔايَٰتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَٰئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ
Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Qur’an) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka.

Kenapa di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut يَفرَحونَ بِما أُنزِلَ إِلَيكَ dan tidak kata mereka beriman dengan Al-Qur’an? Ini kerana Allah ﷻ hendak menekankan yang kalau kita gembira mendapat sesuatu, kita akan guna, bukan? Itulah tanda gembiranya kita dengan pemberian itu. Maka kalau kita gembira dengan Al-Qur’an, kita akan gunakan, selalu baca, teringin hendak mempelajari untuk mengetahui maksudnya.

Jelaslah Al-Qur’an bukan untuk disimpan seperti yang dilakukan oleh orang Melayu kita. Bila dapat hadiah seperti semasa menikah, disimpannya Al-Qur’an itu sampai mati tidak buka-buka! Memang pelik orang Melayu kita ini. Kemudian bila kita sebut sesuatu daripada Al-Qur’an, mereka terpinga-pinga. Kemudian kalau berlainan dengan fahaman mereka, mereka melenting marahkan kita pula! Sedangkan perkara itu ada di dalam Al-Qur’an. Oleh kerana mereka tidak tahu menahu tentang apa yang di dalam Al-Qur’an, yang mereka tahu hanya menyalak sahaja.

Sedangkan Ahli Kitab yang beriman itu mereka memang gunakan Al-Qur’an itu untuk mendapatkan hidayah. Mereka membaca dan memahaminya dengan sebenar seperti disebut dalam Baqarah:121

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya;

 

وَمِنَ الأَحزابِ مَن يُنكِرُ بَعضَهُ

dan di antara golongan-golongan (Yahudi dan Nasrani) yang bersekutu, ada yang mengingkari sebahagiannya.

Akan tetapi ada juga yang tidak mahu menerima kerasulan Nabi Muhammad ﷺ dan juga Al-Qur’an. Allah ﷻ gunakan kalimah الأَحزابِ iaitu jamak bagi الحزب. Terjemahan di dalam bahasa kita adalah parti (ya macam parti politik itu, bukan parti pinggan mangkuk). Mereka ini hanya mengikut golongan mereka sahaja, dan ya sama seperti ahli politik zaman sekarang. Apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka, ahli parti akan ikut sahaja tanpa fikir.

Begitulah juga dengan majoriti Ahli Kitab itu. Mereka menolak sebahagian daripada wahyu kitab mereka. Mereka bukan tolak semua kerana ada juga yang mereka boleh terima kerana sama seperti di dalam kitab mereka dan mereka boleh hadap. Contohnya tentang Allah ﷻ sebagai Tuhan, mereka terima (kalau dirujuk kitab mereka yang dahulu sebelum diubah). Namun banyak yang mereka tolak kerana berlawanan dengan pegangan mereka. Contohnya dalam kitab mereka telah disebut tentang kebangkitan Nabi akhir zaman itu dan tidak mahu terima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi akhir zaman itu kerana mereka hendakkan dalam kalangan mereka sahaja. Maknanya mereka menolak kitab mereka sendiri. Mereka ini golongan yang ikut hawa nafsu mereka.

Ternyata sifat Nabi akhir zaman yang disebut dalam kitab mereka itu sama dengan sifat Nabi Muhammad ﷺ. Namun mereka tidak terima Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda datang daripada bangsa Arab, bukan daripada keturunan Bani Israil. Oleh itu mereka sebenarnya telah tolak apa yang disebut dalam kitab mereka sendiri. Kalau tolak satu sahaja ayat daripada wahyu, itu maknanya telah tolak kesemuanya.

Oleh itu, kita tidak boleh terima sikit-sikit sahaja wahyu ini. Antaranya, ada yang kata, Al-Qur’an itu untuk puak Arab sahaja, maka mereka tidak terima. Mereka ini telah menolak dan bermuka-muka dengan Rasulullah ﷺ dan umat Islam. Asalnya semasa baginda mula hijrah ke Madinah, telah ada persetujuan untuk sama-sama saling menghormati dan mempertahankan Madinah daripada serangan musuh. Namun berkali-kali mereka melanggarnya sehinggalah mereka dihalau terus dari bumi Madinah.

 

قُل إِنَّما أُمِرتُ أَن أَعبُدَ اللهَ وَلا أُشرِكَ بِهِ

Katakanlah “Sesungguhnya aku hanya diperintah untuk menyembah Allah dan tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan Dia.

Kepada mereka itu, Allah ﷻ mudahkan sahaja dakwah kepada mereka. Hanya beritahu mereka, kalau mereka masih juga berselisih dari segi akidah, terpulanglah. Yang penting adalah kita sembah Allah ﷻ dan tidak membuat syirik. Ini mengingatkan kembali kepada apa yang ada dalam kitab mereka sendiri.

Kalau sudah disebut أَعبُدَ اللهَ, kenapa perlu ditambah dengan لا أُشرِكَ بِهِ pula? Apakah tidak cukup kita disuruh sembah Allah ﷻ sahaja? Kerana kita bukan sahaja perlu sembah Allah ﷻ, tetapi kena tinggalkan syirik. Barulah iman itu sempurna. Kalau setakat beriman sahaja, maka itu tidak lengkap. Wajib hilangkan syirik dahulu seperti disebut dalam An’am: 82

الَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يَلبِسوا إيمٰنَهُم بِظُلمٍ أُولٰئِكَ لَهُمُ الأَمنُ وَهُم مُّهتَدونَ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Malangnya ramai dalam kalangan orang kita pun beriman, tetapi iman tidak sempurna kerana masih ada syirik di dalam hati mereka. Mereka percaya kepada Allah ﷻ, tetapi masih juga percaya kepada bomoh, contohnya. Ini seperti disebut dalam Yusuf:106

وَما يُؤمِنُ أَكثَرُهُم بِاللهِ إِلّا وَهُم مُشرِكونَ
Dan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain).

Kenapakah ini terjadi? Kerana jahil wahyu sahaja. Al-Qur’an sentiasa menyebut-nyebut tentang Tauhid dan lawannya syirik, tetapi orang kita tidak rajin belajar. Degil tidak tentu pasal sahaja apabila diingatkan dengan pelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Maka teruslah mereka di dalam kesesatan. Mereka sangka Al-Qur’an ini main-main sahaja agaknya. Mereka pun sangka syirik ini pun main-main agaknya. Tidakkah mereka tahu bahawa kalau ada syirik sedikit pun, maka amalan mereka akan kosong menjadi habuk? Ini seperti disebut dalam Zumar: 65. Akan tetapi tentulah mereka tidak tahu kerana mereka hanya tahu baca sahaja, malah khatam berkali-kali tanpa memahaminya sedikitpun.

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi.

 

إِلَيهِ أَدعو وَإِلَيهِ مَئآبِ

Hanya kepada-Nya aku seru (manusia) dan hanya kepada-Nya aku kembali”.

    • Beritahu sahaja yang kita mengajak kepada Allah ﷻ. Ini adalah tentang Tauhid dan inilah yang penting sekali. Kita sampaikan kepada manusia tentang Allah ﷻ dan mengajak mereka menyembah Allah ﷻ sahaja. Satu lagi maksud, hanya kepada Allah ﷻ sahaja baginda dan kita kena berdoa.
    • Beritahu mereka yang sebagai Nabi, tugas baginda adalah menyampaikan. Ini adalah tentang Risalah. Kita sebagai umat baginda pun kenalah ikut sunnah baginda dengan menjalankan dakwah.
    • Juga beritahu yang kita semua akan kembali kepada-Nya. Ini adalah tentang Akhirat.

Maka telah disentuh tentang tauhid, risalah dan akhirat dalam ayat ini. Inilah tiga perkara utama dalam agama yang mesti disampaikan oleh pendakwah. Selalu dakwah kita akan berlegar tentang tiga perkara ini sahaja. Inilah juga tiga perkara utama yang disampaikan dalam Al-Qur’an dan kita akan faham kalau kita belajar tafsir. Apabila berdakwah jangan lupa sentuh tiga perkara ini berselang seli supaya manusia boleh faham.

Balaghah: Frasa ini menggunakan kaedah Taqdim wa Ta’khir. Dua ayat ini merupakan penutup (khitam) yang tersangat menggerunkan bagi golongan yang berpaling daripada dakwah. Di sini, Allah SWT menggunakan aplikasi taqdim wa ta’khir sebanyak dua kali berturut-turut dalam dua ayat yang bersebelahan untuk memberikan tekanan psikologi dan penegasan akidah yang mutlak. Kalau susunan yang normal, ia berbunyi إِنَّ إِيَابَهُمْ إِلَيْنَا dan ثُمَّ إِنَّ حِسَابَهُمْ عَلَيْنَا. Akan tetapi Allah telah mendahulukan pelengkap {إِلَيْنَا} (Kepada Kami) ke hadapan dan mengubah maksud dua potong ayat ini.

Apabila Allah mengubah susunan menjadi إِنَّ إِلَينَآ إِيَابَهُم, ia membawa makna pengkhususan yang sangat ketat — “HANYA kepada Kami sahajalah tempat mereka akan pulang (tidak ada jalan lari, tidak ada dimensi atau tuhan lain yang boleh mereka tuju).”

Dan apabila Allah susun menjadi إِنَّ عَلَينَا حِسَابَهُم, ia membawa makna: “HANYA di atas tanggungjawab Kami sahajalah urusan menghisab dan mengira amalan mereka.” (Tiada sesiapa boleh masuk campur, tiada peguam bela, dan tiada pemberi syafaat yang boleh merasuah atau mengubah keputusan hukum Allah pada hari itu).

Kenapa Allah menutup surah ini dengan gaya bahasa taqdim berganda yang begitu tegas? Untuk menghiburkan hati Nabi (Tasliyah). Sebelum dua ayat ini (pada ayat 21-22), Allah berpesan kepada Nabi Muhammad: “Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi peringatan. Engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka.” Nabi Muhammad berasa sangat sedih dan berat hati apabila melihat kaumnya degil dan berpaling. Maka, ayat 25-26 ini turun sebagai ubat dan keadilan: “Wahai Muhammad, tugasmu cuma sampaikan. Jangan bebankan fikiranmu dengan kedegilan mereka. Serahkan mereka kepada-Ku, kerana HANYA kepada-Ku mereka akan pulang, dan HANYA Aku yang akan menghisab mereka!”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Mei 2026

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Hud Ayat 120 – 123 (Tujuan kisah para Nabi)

PENGAJARAN DI DALAM KISAH-KISAH

Hud Ayat 120: Ayat Tasliah (pujukan)

وَكُلًّا نَّقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ ۚ وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And each [story] We relate to you from the news of the messengers is that by which We make firm your heart. And there has come to you, in this, the truth and an instruction and a reminder for the believers.

(MALAY)

Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.

 

وَكُلًّا نَّقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ

Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu,

Telah banyak kisah-kisah Rasul disebut dan akan disebut lagi dalam ayat lain dalam surah-surah yang lain. Semua kisah itu ada tujuannya yang hendak disampaikan, bukan kisah kosong sahaja. Salah satunya yang kita kena lakukan adalah mengikut jejak mereka kerana kalimah نَّقُصُّ daripada katadasar ق ص ص yang bermaksud menyampaikan; beritahu; berkomunikasi; menceritakan; ikut jejak seseorang; mengisytiharkan; menyebut tentang sesuatu; naratif; kejadian sesuatu; perbuatan mengikut; membalas dendam yang adil; pembalasan. Maka ada elemen ikut jejak seperti disebutdalam Qasas: 12

وَقالَت لِأُختِهِ قُصّيهِ
Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa yang perempuan: “Ikutilah dia”

Akan tetapi bagaimana kita boleh ikut jejak para Rasul itu kalau kita tidak tahu kisah mereka? Maka kita kenalah pelajari kisah-kisah itu.

Kalimah النَّبَإِ daripada katadasar ن ب ا yang bermaksud tinggi; berita; maklumat; nubuwwat; nabi; untuk memaklumkan; mesej; pengumuman (orang yang diberi kitab suci). Maka kalimah النَّبَإِ bermaksud ‘berita yang besar’. Bukan setakat khabar biasa sahaja. Kalau khabar (berita biasa) itu, digunakan lafaz ‘khabar’ sahaja. Sebagai contoh, berita biasa (khabar) itu adalah berita pukul 8 yang kita tonton setiap hari dalam berita di TV.

Akan tetapi berita besar adalah berita tentang kejadian tsunami contohnya. Oleh itu, berita-berita besar dalam Al-Qur’an ini bukanlah untuk kita baca sahaja, sebaliknya ada tindakan yang kita kena lakukan – sama ada kita kena berhenti melakukannya kerana ia salah, atau kita kena lakukannya kerana Allah ﷻ suruh kita buat. Berita-berita itu juga relevan dengan keadaan masyarakat semasa. Apa yang terjadi zaman dahulu, masih lagi terjadi pada zaman sekarang. Jangan kita lihat kisah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini sebagai hanya kisah sejarah sahaja, tetapi kita kena ambil pengajaran daripada kisah baginda ini.

Lafaz ‘Nabi’ juga diambil daripada kata yang sama, kerana para Nabi itu membawa berita besar kepada umat mereka.

ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ

ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu;

Dengan setiap kisah-kisah itu, Allah ‎ﷻ teguhkan hati kita yang mahu mengambil pengajaran darinya. Kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah فُؤادَ yang bermaksud hati. Apakah beza dengan قَلبٌ? Kedua-duanya diterjemahkan sebagai ‘hati’. Namun ada yang mengatakan apa-apa maklumat akan sampai untuk diproses dahulu dan inilah tempat فُؤادَ. Kemudian barulah dihantar ke قَلبٌ untuk diambil tindakan seterusnya.

Maka tujuan kisah-kisah itu disampaikan kepada kita untuk meneguhkan hati kita. Kadang-kadang kita lemah semangat dalam menyampaikan agama ini kerana banyak sekali gangguan dan halangan. Namun Allah ﷻ telah berikan segala kisah-kisah perjuangan Rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad ﷺ untuk memberi semangat kepada baginda dan juga kita.

Kenapakah harus teguhkan hati dan bukan tubuh badan? Kerana untuk menjalankan kerja dakwah memerlukan hati yang teguh dan kental. Ia bukan bidang bagi orang yang lemah jiwanya. Kalau kuat tubuh badan pun belum tentu boleh berdakwah. Sedangkan ada sahaja para pendakwah yang lumpuh tetapi menjadi pendakwah yang tegar kerana hati mereka kuat.

Kita belajar daripada kisah mereka dan mengambil semangat mereka untuk terus menyampaikan dakwah tauhid kepada manusia. Walau betapa susah pun kita, adakah kita lebih susah daripada Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berdakwah dengan berbagai-bagai cara selama 950 tahun? Baginda hanya berhenti hanya apabila Allah ﷻ kata yang tidak akan ada lagi yang beriman.

Begitulah semangat yang amat tinggi dan kita sepatutnya cuba untuk mengikutinya. Kisah-kisah ini telah memberi semangat kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat dan kita sepatutnya pun begitu juga. Dengan membaca kisah-kisah itu, sepatutnya hati kita terus tetap dalam dakwah.

 

وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ

dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran

Melalui kisah-kisah itu termasuk surah Hud ini, kita belajar apakah agama yang benar. Ini kerana sama sahaja ajaran tauhid yang disampaikan oleh Rasul-rasul dahulu dan Nabi Muhammad ﷺ. Itulah kebenaran yang hakiki. Bagaimana kita tahu ia benar? Kerana ia datang daripada Allah ﷻ disampaikan terus kepada Rasulullah ﷺ. Bukanlah kisah mengarut yang mengandungi kisah tambahan seperti yang Yahudi cerita dan kadangkala disampaikan oleh ustaz-ustaz di meja penceramah. Kadang kisah tiada hujung pangkal mereka sampaikan kepada masyarakat.

 

وَمَوعِظَةٌ

serta pengajaran

Tentunya di dalam kisah-kisah itu ada banyak pengajaran dan nasihat yang boleh kita belajar daripadanya. Belajarlah bagaimana Allah ﷻ menyelamatkan mereka bersama orang-orang yang beriman kepada mereka, lalu Allah ﷻ membinasakan orang-orang yang kafir.

Kita kena ambil pengajaran yang ada daripada kisah para Nabi itu. Untuk mengetahui pengajaran dan untuk mengambil manfaat itu, kenalah belajar tafsir kerana kalau baca sendiri, mungkin tidak faham. Kalau faham, maka ia akan memberi kesan yang hebat kepada kita seperti disebut dalam Yunus: 57

يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ menyusun kisah para Rasul dalam surah ini berturutan. Allah ‎ﷻ beri contoh apa yang berlaku dalam kalangan para Nabi terdahulu dan masyarakat mereka supaya kita mengambil pengajaran. Kita dalam belajar memang memerlukan contoh.

Banyak kisah para Nabi disampaikan di dalam Al-Qur’an yang menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita. Ada tiga sebab kisah para Nabi disampaikan di dalam Al-Qur’an. Dua daripadanya disebut di dalam ayat ini. Satu lagi Allah ‎ﷻ sebut di dalam Yusuf: 111

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ
(Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal).

 

وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ

dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.

Di dalam kisah-kisah itu juga ada peringatan. ‘Peringatan’ adalah kepada perkara yang kita sudah tahu. Maknanya ia bukan maklumat baru kerana kita sudah tahu, tetapi kena diingatkan selalu kerana kalau tidak diingatkan, selalunya kita terlupa. Maka, apabila baca kisah-kisah itu, kita teringat kembali kepada perkara yang kita perlu tahu. Oleh kerana itu Al-Qur’an ini kena selalu dibaca supaya kita boleh selalu diingatkan. Bukanlah sekali baca (khatam) terus tutup Al-Qur’an ini. Mungkin sekali sahaja khatam di bulan Ramadan. Tunggu Ramadan seterusnya barulah dibuka semula dan khatam sekali lagi. Itu pun belum tentu dibaca tafsir, difahami dan ditadabburi Al-Qur’an.

Kisah-kisah itu boleh menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua orang, tetapi yang mengambil manfaat daripadanya adalah orang-orang beriman sahaja. Hanya mereka yang mahu mencari kebenaran dan kerana itu mereka boleh beroleh kebaikan daripada kisah-kisah itu.


 

Hud Ayat 121: Ini adalah ayat zajrun dan takhwif ukhrawi.

وَقُل لِّلَّذينَ لا يُؤمِنونَ اعمَلوا عَلىٰ مَكانَتِكُم إِنّا عٰمِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say to those who do not believe, “Work according to your position; indeed, we are working.

(MALAY)

Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman: “Berbuatlah menurut kedudukanmu; sesungguhnya kami-pun berbuat (pula)”.

 

وَقُل لِّلَّذينَ لا يُؤمِنونَ

Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman:

Orang yang beriman akan mengambil pengajaran dan peringatan, namun orang yang tidak beriman tidak mahu. Kadang-kadang, setelah diberikan dengan segala peringatan dan ancaman kepada mereka, mereka masih juga tidak mahu mengambil manfaat dan tidak mahu dengar. Maka apakah yang kita disuruh untuk cakap kepada mereka?

 

اعمَلوا عَلىٰ مَكانَتِكُم

“Berbuatlah menurut kedudukanmu;

Katakan kepada mereka: “Kamu lakukanlah apa sahaja atas keadaan kamu. Kamu mungkin ada kedudukan yang tinggi.” Katakan kepada mereka: “Buatlah apa yang ajaran kamu rasakan betul itu.” Ini adalah perintah suruh mereka takut dan mereka sedar. Bukannya betul-betul suruh mereka buat begitu. Kalau berani, buatlah. Ini seperti kita melarang anak kita buat sesuatu tetapi tetap juga mereka degil, maka kita kata: “Ha buatlah! buatlah lagi!”. Ini bukan suruh buat, tetapi ancaman sebenarnya.

Ini kerana kita sudah beri pesanan yang amalan mereka itu ada kalanya amalan yang syirik dan ada yang bid’ah. Begitulah kadangkala ada orang yang dalam masyarakat kita yang ada kedudukan maka mereka lah yang menganjurkan amalan syirik, khurafat dan bid’ah itu. Bila kita tegur, kita pula yang ditempelak kerana mereka itu orang yang ada kedudukan. Kalau begitu, ikutlah apa yang mereka hendak buat. Nanti mereka juga yang akan tanggung sendiri, bukan?

 

إِنّا عٰمِلونَ

sesungguhnya kami pun berbuat (pula)”.

Mereka buatlah dengan apa yang mereka mahu lakukan, dan kita lakukan apa yang kita mahu buat berdasarkan sunnah. Kita tidak mahu melakukan amalan syirik dan bid’ah itu. Kita tetap dengan amalan yang ada dalil daripada Nabi dan para sahabat. Amalan-amalan sunnah itu pun tidak mampu kita hendak buat sepanjang hidup kita, buat apa hendak buat amalan yang tidak sahih pula?


 

Hud Ayat 122:

وَانتَظِروا إِنّا مُنتَظِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And wait; indeed, we are waiting.”

(MALAY)

Dan tunggulah (akibat perbuatanmu); sesungguhnya kami pun menunggu (pula)”.

 

وَانتَظِروا

Dan tunggulah

Namun katakanlah juga kepada mereka: “Kamu tunggu sahajalah kalau tidak mahu terima ajaran sunnah ini. Kamu tunggulah nanti apa yang akan jadi kerana kamu degil itu. Jangan sangka yang kamu akan selamat. Nanti di akhirat kamu akan dikenakan dengan balasan azab kerana perbuatan kamu itu.” Kerana amalan-amalan yang kita lakukan ada kesan. Kalau buat amalan benar: dapat pahala; kalau buat amalan salah: dapat dosa.

 

إِنّا مُنتَظِرونَ

sesungguhnya kami pun menunggu (juga)”.

Kamu tunggu dan kami pun menunggu juga. Menunggu apakah balasan baik yang kami akan terima kerana kami sudah dijanjikan dengan balasan yang baik dan kami pun tertunggu-tunggu apakah balasan itu sebenarnya.


 

ALLAH ﷻ YANG MAHA BERKUASA

Hud Ayat 123: Ini adalah ayat penutup surah ini sebagai khulasah surah ini.

وَلِلَّهِ غَيبُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَإِلَيهِ يُرجَعُ الأَمرُ كُلُّهُ فَاعبُدهُ وَتَوَكَّل عَلَيهِ ۚ وَما رَبُّكَ بِغٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belong the unseen [aspects] of the heavens and the earth and to Him will be returned the matter, all of it, so worship Him and rely upon Him. And your Lord is not unaware of that which you do.

(MALAY)

Dan kepunyaan Allah-lah apa yang ghaib di langit dan di bumi dan kepada-Nya-lah dikembalikan urusan-urusan semuanya, maka sembahlah Dia, dan bertawakkallah kepada-Nya. Dan sekali-kali Tuhanmu tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.

 

وَلِلَّهِ غَيبُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan Allah-lah apa yang ghaib di langit dan di bumi

Allah ﷻ sahaja yang memiliki ilmu ghaib. Allah ﷻ sahaja yang tahu dan tidak ada sesiapa lagi yang tahu. Kalau Nabi Muhammad ﷺ atau mana-mana Nabi tahu tentang perkara ghaib, itu setakat yang Allah ﷻ beritahu sahaja. Mereka sendiri tidak ada ilmu ghaib.

Maka jangan kita sangka yang ada makhluk lain yang tahu perkara ghaib. Namun malangnya ramai dalam kalangan kita yang tidak faham perkara ini, mereka kata ada guru-guru tertentu yang tahu ilmu ghaib – ini adalah fahaman syirik.

Itu belum kira fahaman penganut Syiah yang kata para imam mereka tahu perkara ghaib sampaikan melebihi ilmu para Nabi. Inilah yang terjadi kalau jauh daripada ajaran sunnah. Inilah yang terjadi kalau tidak tahu hal agama yang sebenar sampai senang ditipu oleh orang lain.

 

وَإِلَيهِ يُرجَعُ الأَمرُ كُلُّهُ

dan hanya kepada-Nya-lah dikembalikan urusan-urusan semuanya, 

Kepada Allah ﷻ sahaja segala keputusan ditentukan. Kita hanya boleh berusaha dan berdoa sahaja untuk menjalankan sesuatu, namun Allah ﷻ sahaja yang boleh memastikan apa yang berlaku.

Itulah penerimaan seorang hamba. Kalau kita sedar yang diri kita ini hamba sahaja, kita akan terima apa sahaja dan redha dengan apa yang Allah ﷻ lakukan kepada kita. Kita tidak mempersoalkan apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan terhadap diri kita kerana kita sedar siapakah diri kita.

Balaghah: Frasa ini menggunakan kaedah Taqdim wa Ta’khir. Ayat ini merupakan salah satu ayat “kemuncak” (klimaks) yang menutup keseluruhan surah ini dengan mesej tauhid dan tawakal yang sangat indah. Susunan Normal sepatutnya ialah: {وَيُرْجَعُ الْأَمْرُ كُلُّهُ إِلَيْهِ} di mana Kata Kerja (Fi’il) dan Subjek (Naib Al-Fa’il) didahului, manakala Pelengkap (Jar wa Majrur) diletakkan di belakang.

Kesan Balaghah (Al-Hasr): Maknanya menjadi: “Dan HANYA kepada-Nyalah akan dikembalikan segala urusan (makhluk).” Musuh-musuh Islam sedang merancang pelbagai konspirasi jahat untuk menghentikan dakwah. Allah menegaskan: “Biarkan mereka merancang. Akhirnya nanti, HANYA kepada Allah segala urusan dan pakatan mereka itu akan dipulangkan untuk diadili.”

 

فَاعبُدهُ وَتَوَكَّل عَلَيهِ

maka sembahlah Dia, dan bertawakkallah kepada-Nya. 

Oleh kerana itu, maka seru dan ibadat kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan buat ibadat kepada selain Allah ﷻ kerana ibadat kepada selain Allah ﷻ itu adalah syirik.

Mesti berharap kepada Allah ﷻ sahaja (tawakal). Serahkan segala pengharapan kita kepada Allah ﷻ selepas kita berusaha sedaya upaya kita. Jangan berharap kepada selain Allah ﷻ. Kita kena ingat yang kita tawakal setelah melakukan ibadat dan taat. Tawakal dalam bahasa kita adalah bergantung. Kalau sudah bergantung dengan Allah ﷻ, sudah tidak perlu takut lagi kerana Allah ﷻ itu adalah Tuhan baginda dan Tuhan mereka juga. Yang mereka puja dan sembah itu bukanlah tuhan, dan tidak dapat melakukan apa-apa pun.

Ini mengingatkan kita supaya bertawakal kepada Allah ﷻ kalau kita benar-benar beriman. Tidak ada cara lain. Kita hendaklah berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Hendaklah mereka serahkan semua urusan kita kepada Allah ﷻ. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. Formula untuk tawakal telah disebut di dalam Ahzab: 22.

وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

Kita boleh belajar daripada hebatnya tawakal Rasulullah ﷺ kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam hadith,

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَ أَنَّهُ غَزَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ نَجْدٍ فَلَمَّا قَفَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَفَلَ مَعَهُ فَأَدْرَكَتْهُمْ الْقَائِلَةُ فِي وَادٍ كَثِيرِ الْعِضَاهِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَفَرَّقَ النَّاسُ يَسْتَظِلُّونَ بِالشَّجَرِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ سَمُرَةٍ وَعَلَّقَ بِهَا سَيْفَهُ وَنِمْنَا نَوْمَةً فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَا وَإِذَا عِنْدَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ إِنَّ هَذَا اخْتَرَطَ عَلَيَّ سَيْفِي وَأَنَا نَائِمٌ فَاسْتَيْقَظْتُ وَهُوَ فِي يَدِهِ صَلْتًا فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي فَقُلْتُ اللَّهُ ثَلَاثًا وَلَمْ يُعَاقِبْهُ وَجَلَسَ
Bahawa [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] mengabarkan bahawa dia berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ melewati Najd. Ketika Rasulullah ﷺ kembali dan Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا pun ikut kembali, mereka menjumpai sungai di bawah lembah yang banyak pepohonannya. Maka Rasulullah ﷺ turun dan orang-orang pun bertebaran mencari tempat berteduh di bawah pohon. Dan Rasulullah ﷺ singgah berteduh di bawah suatu pohon lalu menggantungkan pedang baginda pada pohon tersebut kemudian baginda tidur sejenak. Ketika Rasulullah ﷺ memanggil kami, di hadapan baginda ada seorang lelaki Badwi. Baginda berkata: “Orang ini telah mengambil pedangku ketika aku tidur lalu aku bangun sedang tangannya sudah memegang pedang yang terhunus lalu dia berkata: “Siapa yang dapat melindungimu dariku?” Aku jawab: “Allah” sebanyak tiga kali. Maka orang itu tidak dapat berbuat apa-apa kepada baginda lalu dia terduduk lemah.
(Sahih Bukhari (2694))

Maka kita diajar untuk membiasakan diri ingat kepada tawakal. Maka satu amalan yang boleh mengingatkan kita adalah zikir yang dibaca ketika keluar rumah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ قَالَ يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang laki-laki keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: ‘BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah). ‘ Beliau bersabda: “Maka pada saat itu akan dikatakan kepadanya, ‘Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan’, hingga syaitan-syaitan menjauh daripadanya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan.”
Sunan Abi Dawud (4431)
Status: Sahih

Maka amalkan doa ini dan faham maksudnya apabila anda membacanya. Sekiranya selalu dilakukan, maka anda akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah ‎ﷻ. Ia juga akan mengingatkan anda kepada tawakal kerana setiap kali hendak keluar, anda akan menyebutnya.

Kena faham apa maksud tawakal. Bukan setakat serah sahaja urusan kita kepada Allah ‎ ﷻ tetapi kena ada usaha, kemudian serah kepada Allah ﷻ, dan selepas itu apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ berikan kepada kita, kita kena redha. Janganlah pula kata tawakal, namun apabila Allah ﷻ buat keputusan yang kita tidak suka, kita marah pula.

Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ. Kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan kesannya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Namun kena pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah ﷻ, sungguh Allah ﷻ akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))

Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya tunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan usaha dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita lakukan, kita serah kepada Allah ﷻ. Melalui sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang. Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.
(Riwayat al-Tirmidzi (2157) dan Ibn Hibban (708))

Maka daripada hadith ini kita tahu yang kita bukannya bergantung kosong sahaja tetapi hendaklah kita mengambil langkah-langkah untuk memastikan apa yang kita hendak itu boleh tercapai. Cuma kita tahu yang apa-apa sahaja usaha kita itu tidak akan berjaya jikalau Allah ﷻ tidak izinkan dan kerana itu kita serah kepada Allah ﷻ.

 

وَما رَبُّكَ بِغٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Dan sekali-kali Tuhanmu tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ tahu segala apa yang kita lakukan. Maksud Allah ﷻ tidak lalai itu adalah Allah ﷻ tidak akan biarkan sahaja. Allah ﷻ tidak akan biarkan sahaja mereka yang menolak Rasulullah ﷺ. Allah ﷻ akan balas dengan sepatutnya. Kalau amalan baik, akan dibalas baik dan kalau tidak baik, akan dibalas dengan azab. Tidak ada satu pun amalan yang kamu boleh sorok daripada Allah ﷻ. Maka berhati-hatilah dengan apa yang kita lakukan.

 

Alhamdulillah, tamat sudah tafsir Surah Hud ini. Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Yusuf.

Kemaskini: 26 Mei 2026

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Hud Ayat 117 – 119 (Perbezaan pendapat)

Hud Ayat 117: Ayat takhwif duniawi.

وَما كانَ رَبُّكَ لِيُهلِكَ القُرىٰ بِظُلمٍ وَأَهلُها مُصلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord would not have destroyed the cities unjustly while their people were reformers.

(MALAY)

Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan.

 

Di sini Allah ﷻ sebut القُرىٰ (kampung, tempat, negeri) akan tetapi bukanlah tempat itu yang dimusnahkan tetapi penduduknya. Ini kerana kita belajar tentang kisah-kisah para Nabi sebelum ini, tempat tinggal mereka tidak dimusnahkan pun. Allah ﷻ tidak akan binasakan dengan azab sedangkan penduduk itu memperbaiki umat Islam yang lain. Allah ﷻ tidak zalim suka-suka hendak mengazab hamba-Nya. Ini kalau kalimah بِظُلمٍ dinisbahkan kepada Allah ﷻ.

Satu lagi tafsir maksud بِظُلمٍ itu dinisbahkan kepada umat manusia. Kalau mereka membuat dosa pun, tidaklah Allah ﷻ terus azab mereka, kalau kemudian mereka bertaubat dan membaiki keadaan mereka.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah المُصلِحينَ dan ini jarang digunakan di dalam Al-Qur’an kerana selalunya digunakan kalimah ٱلصَّـٰلِحِينَ seperti dalam Baqarah: 130

وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah daripada orang-orang yang soleh

Sekiranya kalimah المُصلِحينَ digunakan ia bermaksud mereka bukan sahaja baik, tetapi memperbaiki diri orang lain juga. Mereka juga bukan sahaja memperbaiki keadaan peribadi mereka, tetapi mereka juga memperbaiki masyarakat. Mereka melakukan islah (pembaikan) dalam masyarakat. Mereka itulah orang yang tetap akan mendapat pahala daripada Allah ﷻ. Mereka tidak mementingkan dan menyelamatkan diri sendiri sahaja.

Mereka inilah yang selamat. Sekiranya kita hendak semuanya selamat, maka kita kenalah menyebarkan kebaikan di dunia ini. Di dalam sebuah hadith disebutkan:

حَدَّثَنَا قَيْسٌ قَالَ قَامَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَحَمِدَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَأَثْنَى عَلَيْهِ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الْآيَةَ { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ وَإِنَّكُمْ تَضَعُونَهَا عَلَى غَيْرِ مَوْضِعِهَا وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الْمُنْكَرَ وَلَا يُغَيِّرُوهُ أَوْشَكَ اللَّهُ أَنْ يَعُمَّهُمْ بِعِقَابِهِ قَالَ وَسَمِعْتُ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ مُجَانِبٌ لِلْإِيمَانِ
Telah menceritakan kepada kami [Qais], dia berkata; ” [Abu Bakar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] berdiri lalu memuji Allah dan mensucikan-Nya, kemudian dia berkata; “Wahai manusia, sesungguhnya kalian membaca ayat ini: “Wahai orang-orang yang beriman, kalian bertanggungjawab atas diri kalian masing-masing, tidak akan membahayakan kalian sedikit pun orang yang tersesat.. (Maidah:105 sampai akhir ayat), dan kalian menempatkannya tidak pada tempatnya, aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya jika manusia melihat kemungkaran, kemudian tidak merubahnya, maka dikhuatirkan Allah akan meluaskan azab kepada mereka semua.” Dia berkata; “Dan aku mendengar Abu Bakar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ berkata; “Wahai manusia jauhilah dusta kerana sesungguhnya dusta itu menjauhkan kalian daripada iman.”
Musnad Ahmad (16) dengan sanad yang sahih

Maka janganlah kita lupakan tanggungjawab kita untuk menegakkan amar makruf dan nahi mungkar kalau mahu selamat.

Ada juga pendapat yang mengatakan kalau penduduk negeri itu tidak melakukan kerosakan, mereka pun akan selamat daripada azab Allah ﷻ walaupun mereka kufur. Iaitu mereka tidak zalim kepada orang lain, tidak ambil duit orang, tidak menipu, tidak merompak, tidak melakukan kacau bilau. Kalau mereka kufur dan melakukan syirik, azab mereka di akhirat kelak menanti mereka. Namun di dunia tidak dikenakan dengan azab.

Kalau kita lihat kisah-kisah para Nabi sebelum ini pun mereka dikenakan dengan azab kerana perbuatan jahat mereka. Umat Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyakiti baginda dengan berbagai cara, umat Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menipu dalam timbangan dan takaran, umat Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuat amalan homoseksual, umat Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyakiti Rasul mereka; sebab itulah mereka dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi. Maka kesimpulan daripada ayat ini, Allah ﷻ tidak kenakan azab kepada sesuatu kaum,

1. Jikalau penduduknya tidak melakukan kezaliman, walaupun mereka orang yang kufur dengan Allah ﷻ.

Atau,

2. Ada dalam kalangan penduduk itu yang المُصلِحينَ iaitu melakukan amar ma’ruf nahi mungkar.


 

ALLAH ﷻ MEMBERI PILIHAN KEPADA MANUSIA

Hud Ayat 118: Jawab Syubhah.

وَلَو شاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النّاسَ أُمَّةً وٰحِدَةً ۖ وَلا يَزالونَ مُختَلِفينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if your Lord had willed, He could have made mankind one community; but they will not cease to differ,

(MALAY)

Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat,

 

وَلَو شاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النّاسَ أُمَّةً وٰحِدَةً

Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu,

Umat yang satu bermaksud semua manusia bersatu di atas satu akidah dan satu fahaman syariat agama. Kalau kalimah أُمَّةٍ ini sampai ada 4 jenis maksud yang digunakan di dalam Al-Qur’an. Mari kita lihat satu persatu.

1. Sekumpulan manusia. Ini yang kita banyak gunakan di dalam Al-Qur’an. Ini apabila kita kata ‘umat manusia’. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 134 & 141

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya;

2. Syariat, jalan agama atau manhaj di dalam agama. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Zukhruf: 22

بَل قالوا إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّهتَدونَ
(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

Inilah yang digunakan  ayat Hud:117 ini.

3. Seorang lelaki yang diikuti dalam semua hal. Contohnya firman Allah ﷻ didalam Nahl: 120

إِنَّ إِبراهيمَ كانَ أُمَّةً
Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang sahaja, maka tidak patutlah kalau dikatakan baginda ‘sekumpulan manusia’. Maksudnya di sini adalah baginda menjadi contoh bagi manusia. Inilah juga maksud gelaran ‘Imam’ yang diberikan kepada orang yang menguasai banyak ilmu agama yang menjadi rujukan kita. Ini seperti Imam Syafie, Imam Bukhari dan sebagainya kerana mereka menjadi contoh. Kita juga diajar untuk berdoa semoga Allah ﷻ menjadikan kita sebagai ‘imam’ di dalam Furqan: 74

وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa

4. Tempoh masa. Ini juga digunakan di dalam Yusuf: 45

وَقالَ الَّذي نَجا مِنهُما وَادَّكَرَ بَعدَ أُمَّةٍ أَنا أُنَبِّئُكُم بِتَأويلِهِ فَأَرسِلونِ
Dan berkatalah orang yang selamat di antara mereka berdua dan teringat (kepada Yusuf) sesudah beberapa waktu lamanya: “Aku akan memberitahumu berkenaan ta’wil mimpi itu, maka utuslah aku”.

Baik, kembali kepada perbincangan ayat. Mungkin ada yang tertanya, kenapa Allah ﷻ tidak jadikan sahaja semua manusia ini beriman, baik belaka? Allah ﷻ jawab yang Allah ﷻ boleh sahaja buat begitu. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ telah menjadikan malaikat sebagai satu makhluk yang taat sahaja.

Allah ﷻ boleh menjadikan manusia begitu juga, akan tetapi Allah ﷻ tidak kehendaki begitu. Allah ﷻ mahu berikan ujian kepada manusia, untuk melihat mana yang baik dan mana yang tidak. Maka Allah ﷻ beri kebebasan bagi manusia untuk memilih sama ada mahu menjadi baik atau jahat. Allah ﷻ juga telah memberikan akal untuk manusia memilih mana yang baik. Kalau akal tidak mahu digunakan, lebih baik Allah ﷻ jadikan kita ini binatang sahaja tanpa tanggungjawab syariat.

Hanya dengan akal lah manusia bertamadun dan beradab. Dengan akal lah juga manusia tahu menjaga kehidupan di dunia. Sebagaimana arak, walaupun ada antara mereka yang meminumnya tetapi mereka tidak beri anak-anak mereka minum. Walaupun mereka tidak tutup aurat, tetapi mereka tidaklah bogel berjalan di pekan dan bandar. Dengan akal manusia akan menghalang membuat perkara yang mendatangkan kesusahan untuk diri mereka. Maka gunakanlah akal juga untuk mencari kebahagiaan yang hakiki di akhirat juga.

Allah ﷻ boleh sahaja memaksa dan menjadikan semua makhluk beriman tetapi Allah ﷻ tidak mahu begitu. Kerana itulah Allah ﷻ tidak memaksa sesiapa beriman dan kita tidak boleh paksa sesiapa untuk beriman. Iman mesti ikhlas daripada hati. Allah ﷻ telah berfirman dalam Yunus: 99

وَلَو شاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِي الأَرضِ كُلُّهُم جَميعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكرِهُ النّاسَ حَتّىٰ يَكونوا مُؤمِنينَ
Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

 

وَلا يَزالونَ مُختَلِفينَ

tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat,

Manusia itu memang sentiasa berselisih terutama dalam perkara akidah dan perkara agama. Ini juga kerana manusia diberi akal dan semua boleh berfikir. Ada yang fikirannya tidak selari dengan wahyu kerana mereka menolak fitrah. Maka kita kenalah mencari manakah agama yang benar dan amalan yang benar. Jangan terikut-ikut dengan manusia yang sentiasa berbalah sahaja dan menegakkan pendapat mereka sahaja. Ini adalah dugaan bagi kita: mencari manakah ajaran agama yang benar.

Mengikuti cara sahabat yang terawal adalah cara paling mudah untuk tahu bagaimana untuk beramal agama. Ingatlah sabda Nabi ﷺ yang mengatakan golongan umat Islam akan terpecah kepada 73 kumpulan. Ini seperti disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَفَرَّقَتْ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ أَوْ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَالنَّصَارَى مِثْلَ ذَلِكَ وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kaum Yahudi terpecah menjadi tujuh puluh satu atau tujuh puluh dua golongan. Sedangkan kaum Nasrani seperti itu juga. Dan umatku terpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan.”
(Sunan Ibn Majah (2564))
Sanadnya disahihkan oleh Albani

Sahabat kemudian bertanya siapakah mereka. Ini disebut di dalam hadith yang lain,

حَدَّثَنَا حَسَنٌ حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعَةَ حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ يَزِيدَ عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي هِلَالٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً فَهَلَكَتْ سَبْعُونَ فِرْقَةً وَخَلَصَتْ فِرْقَةٌ وَاحِدَةٌ وَإِنَّ أُمَّتِي سَتَفْتَرِقُ عَلَى اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً فَتَهْلِكُ إِحْدَى وَسَبْعِينَ وَتَخْلُصُ فِرْقَةٌ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ تِلْكَ الْفِرْقَةُ قَالَ الْجَمَاعَةُ الْجَمَاعَةُ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda, “Bani Isra’il terpecah menjadi tujuh puluh satu golongan, akan hancur tujuh puluh golongan dan tersisa satu golongan sahaja. Dan sesungguhnya umatku akan terpecah menjadi tujuh puluh dua golongan, akan hancur tujuh puluh satu golongan, dan yang selamat hanya satu golongan saja.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah siapakah glongan itu tersebut?” Baginda menjawab, “Iaitu jama’ah, iaitu jama’ah.”
(Jami’ Tirmidzi (12022))
Sanad dhaif tetapi Sahih dengan Syawahid

Lihatlah sahabat waktu itu tidak bertanya siapa yang tidak selamat, siapa golongan yang 72 lagi itu. Mereka tanya yang siapa yang selamat sahaja, sebab tidak perlu tahu pun golongan sesat pun, membuang masa sahaja. Golongan sesat itu tidak perlu dicari siapa mereka. Lihatlah bagaimana sahabat itu bijak, tidak bertanya benda tidak patut. Sebaliknya orang kita, mahu tahu sangat siapakah golongan 72 itu, siap kira dan buat kajian pula.

Nabi ﷺ jawab: mereka yang berada dalam jamaah. Itulah yang digelar: ahli sunnah wal jamaah. Kalimah ‘jamaah’ itu maksudnya ‘sahabat Nabi’. Maksudnya yang bersatu dengan amalan dan fahaman para sahabat akan masuk ke dalam syurga. Akan tetapi, ramai yang silap faham tentang gelaran ini. Mereka sangka mereka Ahli Sunnah wal Jamaah tetapi mereka tidak amal pun amalan para sahabat, malah mereka banyak tambah. Mereka kata kena ikut ‘jamaah’ mereka seolah-olah jemaah mereka sahaja yang ada. Kononnya jemaah mereka yang majoriti. Siapa pula cakap begitu?

Mereka pun buatlah nama golongan baru – ASWAJA. Lalu ramai pula mengaku mereka aswaja tetapi amalan mereka punah. Yang kata mereka aswaja itu adalah dengan lidah mereka sahaja. Sesiapa pun boleh mengaku sedangkan mereka itu ahli bid’ah. Amalan mereka bukan amalan sunnah dan bukan mengikut amalan para sahabat.

Kita ikut Nabi ﷺ atas dasar syariat dan sahabat itu kita ikut atas dasar mencari cara yang benar untuk mengikut syariat. Kita cuba ikut rapat yang setepat mungkin. Oleh itu sekiranya sahabat ada perselisihan antara mereka, kita tidak ikut kerana itu tanda yang itu adalah amalan yang tidak dipersetujui. Kita cuba tidak ikut kecuali menepati dalil.

Akan tetapi dalam mazhab, mereka ikut sesetengah pendapat sahaja. Ini kerana sahabat pun ada khilaf antara mereka. Namun ini masih lagi dipanggil ikhtilaf mahmud (perselisihan terpuji) dan masih boleh diikuti lagi. Bandingkan dengan ‘ikhtilaf mazmum’ (selisih yang keji) adalah khilaf yang datang bukan daripada sahabat Nabi.

Contoh ikhtilaf mahmud: isu sentuh perempuan, sama ada batal wudhu’ atau tidak. Yang kata batal wuduk adalah pendapat Abdullah Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Sedangkan Mazhab Hanafi berpendapat tidak batal kerana mereka pegang pendapat Abdullah ibn Abbas رضي الله عنهما. Untuk perbezaan sebegini dikira tidak ada masalah kerana sahabat yang berselisih. Maka boleh pilih salah satu pendapat itu.

Akan tetapi sekiranya tiada langsung sahabat memberikan pendapat, itu adalah ikhtilaf mazmum. Banyak amalan bid’ah sekarang tidak ada punca daripada para sahabat. Ini adalah masalah yang besar dalam kalangan masyarakat kita. Puncanya adalah kerana tidak mengaji agama dengan benar.

Bila tidak belajar, mereka akan membuat kesalahan besar, sampaikan ada yang kata Imam Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ sebut begini dan begitu, namun sebenarnya beliau tidak sebut pun. Perbuatan sebegini merupakan satu kezaliman. Ramai sangat yang jahil sampaikan benda yang bukan daripada agama tetapi mereka kata datang daripada agama. Mereka telah berbohong atas agama dan anda rasa orang bohong sebegini akan selamat?

Nabi ﷺ pernah berkata yang akan di ada akhir zaman nanti, terdapat golongan Islam yang mencela sahabat. Lihatlah sekarang adakah yang terdapat golongan yang mencela sahabat? Memang ada, iaitu golongan Syiah. Mereka itu memang sudah jelas sesat, tetapi bukan mereka yang dimaksudkan. Memang ada orang Islam yang bukan Syiah tetapi masih ada lagi yang menolak apa yang sahabat lakukan dan fahami. Apabila mereka tidak mengikut amalan para sahabat, itu seolah-olah mereka mahu berkata amalan sahabat tidak benar dan secara tidak langsung, mereka telah mencela sahabat!

Ini terjadi apabila mereka mengamalkan amalan yang lain daripada amalan sahabat dan bila kita tegur, kita kata mereka mencela sahabat, mereka kata mereka tidak cela sahabat pun. Akan tetapi apabila mereka cela golongan yang mahu mengikut sahabat, iaitu golongan yang mahu mengikut sunnah, mereka sebenarnya sudah mencela sahabat. Kita yang mahu mengikut sunnah ini dituduh dengan pelbagai gelaran, puak sesat lah, puak Wahabi lah dan macam-macam lagi.

Oleh itu, jangan lagi buat perkara yang Nabi ﷺ dan sahabat tidak ajar – ini dinamakan Sunnah Tarku – iaitu tinggalkan apa yang tidak dilakukan oleh golongan sahabat. Jangan jadi golongan ahli bid’ah: mereka tidak tinggalkan, tetapi mereka membuat perkara yang tidak ada dalam Sunnah.

Maka kena jaga kata-kata kita supaya dapat mengelakkan perpecaha kerana perpecahan itu adalah suatu azab sebenarnya seperti disebut oleh Rasulullah ﷺ,

عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ مَنْ لَمْ يَشْكُرْ الْقَلِيلَ لَمْ يَشْكُرْ الْكَثِيرَ وَمَنْ لَمْ يَشْكُرْ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَالتَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللَّهِ شُكْرٌ وَتَرْكُهَا كُفْرٌ وَالْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ
Daripada [An Nu’aman bin Basyir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Nabi ﷺ bersabda di mimbar ini: “Siapa yang tidak mampu mensyukuri nikmat yang sedikit, maka dia tidak akan mampu mensyukuri nikmat yang banyak. Dan siapa yang tidak mampu berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak akan mampu bersyukur kepada Allah عَزَّ وَجَلَّ. Membicarakan nikmat Allah adalah syukur, sedangkan meninggalkannya adalah kufur. Hidup berjamaah adalah rahmat, sedangkan perpecahan adalah azab.”
(Musnad Ahmad (18449)
Sahih Lighairihi

Maka cubalah menjaga ukhwah dalam kalangan kita. Kalau perkara kecil janganlah diperbesarkan sangat. Carilah titik persamaan. Jangan sampai kafir mengkafir, kutuk mengutuk, hina menghina, perli memerli. Bermaafanlah sesama kita. Ini tidak, ahli agama pun buat kerja tidak patut menghina dan perli kepada orang lain yang tidak sefahaman dengan mereka. Apa yakin sangatkah mereka di pihak yang benar?

Selagi tidak mati dan masuk di alam akhirat, tidak ada sesiapa yang boleh pasti dia benar atau tidak. Kalau mahu mempertahankan sangat fahaman kita sambil mengutuk fahaman orang lain, ditakuti fahaman orang lain yang benar. Bagaimana nanti kalau begitu?

Maka di sini kita mahu menegurlah sedikit tentang perdebatan tentang Allah ﷻ di mana. Ini perbalahan yang sudah beratus tahun dalam kalangan umat Islam. Masing-masing dengan hujah dan pegangan. Memang Allah ‎ﷻ telah beritahu yang Dia di langit dan kita yang belajar tafsir ini akan berpegang begitu. Namun begitu ada yang tidak belajar tafsir maka mereka tidak tahu hal ini. Mereka hanya terima apa sahaja yang disampaikan oleh guru agama mereka. Tidak akan sama pegangan kalau masing-masing tidak belajar tafsir.

Maka sepatutnya yang diajar mereka yang berfahaman begitu adalah dengan mengajak mereka belajar tafsir, barulah akan sama pegangan. Bukannya kita mengutuk fahaman mereka itu dan hina mereka. Akibatnya semakin mereka akan melawan balik dengan memberikan hujah mereka dan ini tidak akan bawa ke mana. Lagi pun ia bukanlah perbahasan yang penting. Ya, ia tidak penting sebenarnya walaupun anda nampak ia penting. Kerana kita tidak diberatkan untuk mengetahui Allah ﷻ di mana. Zaman dahulu pun tidak ada perdebatan ini, kerana itu para sahabat tidak pernah bertanya. Para sahabat bijak-bijak belaka, tanya perkara yang penting sahaja. Orang kita sekarang sahaja sibuk dengan benda yang tidak penting.


 

Hud Ayat 119:

إِلّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذٰلِكَ خَلَقَهُم ۗ وَتَمَّت كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except whom your Lord has given mercy, and for that He created them. But the word of your Lord is to be fulfilled that, “I will surely fill Hell with jinn and men all together.”

(MALAY)

kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.

 

إِلّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ

kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu.

Kebanyakan manusia akan berbalah dan berbeza pendapat dalam hal agama, melainkan mereka yang Allah ﷻ kasihani. Mereka itu tahu manakah sumber rujukan yang benar dan mereka berpegang dengan sumber rujukan itu: Al-Qur’an dan Sunnah. Apabila berpegang kepada manhaj ini, maka tidak ada khilaf lagi antara kita (kecuali dalam perkara-perkara yang ranting sahaja).

Dari sini juga kita dapat tahu yang bersatu adalah rahmat daripada Allah ﷻ. Ini kita dapat tahu daripada tafsiran Ibn Abbas رضي الله عنهما

‏وقال ابن عباس خلقهم فريقين فريقا يرحم فلا يختلف، وفريقا لا يرحم فيختلف، فذلك قوله: فمنهم شقي وسعيد
Ibnu Abbas رضي الله عنهما telah berkata: Dia menciptakan mereka menjadi dua golongan: golongan yang diberikan rahmat dan tidak berselisih, dan golongan yang tidak diberikan rahmat maka mereka berselisih. Itulah firman-Nya: Ada di antara mereka yang celaka dan bahagia.

Seandainya tiada rahmat daripada Allah ﷻ ini, maka sentiasa sahaja kita bertelagah. Bagaimana untuk kita mendapat rahmat ini? Iaitu dengan taat kepada Allah ﷻ dan menganggap orang Muslim itu adalah seperti adik beradik kita. Kalau adik beradik, sesekali bertelagah juga, tetapi hendaklah didamaikan. Allah ﷻ sebut dalam Hujurat: 10

إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ فَأَصلِحوا بَينَ أَخَوَيكُم ۚ وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara keduanya itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

Jika ada perbezaan pendapat, janganlah sampai berpecah belah. Sepertimana hubungan adik beradik, kalau berpecah mahu ke mana lagi? Pertalian darah tidak boleh dibuang, sama seperti bangsa kita yang tidak boleh ditukar. Maka ini pun adalah rahmat juga, iaitu orang yang walaupun ada perselisihan, tidaklah meroyan sangat. Biasalah orang lain tidak sama pendapat dan pegangan dengan kita. Siapakah kita ini yang semua orang kena ikut kita pula? Awak Nabi kah yang semua orang kena ikut awak? Jangan perasan!

Kena faham yang bukan semua orang pandai dan bijak; bukan semua dilahirkan dalam keadaan dan persekitaran yang sama dengan kita; bukan semua belajar dengan guru yang sama. Memang akan sentiasa ada banyak perbezaan di antara satu sama lain. Tidak perlu berangan untuk mendapatkan sebuah utopia kehidupan di mana semua orang sependapat sahaja di mana tiada persengketaan, satu fahaman sahaja. Simpan sajalah angan-angan sebegini kerana ia ibarat menanti kucing bertanduk sahaja.

Bagaimanakah pula dengan debat antara ahli agama itu? Kita ambil sebagai hikmah bagi kita. Kerana apabila orang ilmu berbeza pendapat, berdebat, yang mereka keluarkan adalah hujah dan dalil. Kita ambil mana yang pada kita lebih rapat dengan wahyu. Untuk orang lain, terpulang kepada mereka. Diingatkan ambil daripada perdebatan ahli ilmu. Perdebatan golongan tidak cukup ilmu seperti dalam posting FB itu tidak perlulah baca sangat, masing-masing tidak ada ilmu tetapi mahu keluarkan pendapat juga. Buang masa sahaja dibaca.

 

وَلِذٰلِكَ خَلَقَهُم

Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. 

Allah ﷻ menjadikan manusia untuk memberi rahmat kepada kita. Kerana itulah disebutdi dalam Rahman: 1-3

الرَّحْمٰنُ
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.

عَلَّمَ الْقُرْءآنَ
Dialah yang mengajarkan Al-Qur’an.

خَلَقَ الْإِنسٰنَ
Dialah yang telah menciptakan manusia;

Allah ﷻ menjadikan kita untuk memberi rahmat kepada kita. Terlalu banyak rahmat dan kurnia-Nya kepada kita sampai tidak terkira banyaknya. Daripada sebelum lahir pun kita sudah mendapat rahmat di dalam perut ibu kita, bukan? Rahmat itu akan didapati oleh mereka yang mahu mencari kebenaran. Kerana itulah sebelum disebut tentang kita dijadikan, Allah ﷻ sebut tentang Al-Qur’an kerana itulah rahmat terbesar. Bagi mereka yang hendak mencari kebenaran, mereka akan mencari kebenaran itu di dalam Al-Qur’an, dan mereka akan mendapat lebih banyak rahmat lagi.

Atau, tafsir lain bagi potongan ayat ini: kerana perselisihan inilah Allah ﷻ ciptakan manusia. Allah ﷻ memang ciptakan mereka sebegitu dan semasa Allah ﷻ hantar Nabi Adam dan Hawa ke dunia pun, memang Allah ﷻ sudah kata perkara begitu akan berlaku. Akan ada banyak perbezaan dalam kalangan kita, antara kita, antara kita dan syaitan. Maka dalam kehidupan kita kenalah melalui ujian perbezaan pendapat ini setiap hari. Tugas kita adalah mencari pendapat manakah yang paling rapat dengan wahyu. Ini memerlukan pembelajaran dan juga pemikiran yang tajam.

Kenapa pula Allah ﷻ jadikan kita, kemudian Allah ﷻ bagi pula musibah perselisihan ini? Di mana pula rahmatnya? Kerana Allah ﷻ jadikan semua ini sebagai ujian bagi kita untuk menilai siapa yang layak masuk syurga. Ketahuilah syurga itu mahal dan tidak layak diberikan kepada sesiapa sahaja. Bayangkan kalau PM kata dia hendak masukkan semua rakyat ke dalam universiti. Kita tentu kata ini tidak patut sebab bukan semua layak untuk masuk universiti. Maka begitulah juga, kalau masukkan semua makhluk ke dalam syurga, bukan rahmat namanya.

وَتَمَّت كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ أَجمَعينَ

Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.

Allah ﷻ telah menetapkan akan memenuhkan neraka itu dengan manusia dan jin. Sudah tammat, sudah lengkap, sudah tetap. Jangan kita persoalkan lagi, terima sahajalah keputusan Tuhan ini. Siapalah kita layak untuk mempersoalkan kenapa Allah ﷻ buat begini dan begitu? Kadang-kadang manusia ini perasan sahaja hebat sampai sanggup persoal keputusan Tuhan.

Maknanya yang masuk syurga adalah jin dan manusia sahaja. Tidak disebut malaikat pun masuk syurga kecuali menyambut ahli syurga sahaja. Begitu juga di neraka, hanya ada jin dan manusia sahaja. Kalau para malaikat ada pun, untuk mengazab ahli neraka sahaja.

Allah ﷻ beritahu di sini dan tempat lain, ramai yang akan masuk ke dalamnya iaitu mereka yang tidak mengendahkan hal agama. Mereka itu tidak menggunakan akal mereka untuk mencari manakah pendapat yang benar. Maka akhirnya mereka telah tersalah pilih pendapat. Mereka ingkar dengan arahan dan larangan daripada Allah ﷻ. Semoga kita tidak termasuk di dalam golongan itu.

Kita kena tahu, bukanlah Allah ﷻ suka untuk memasukkan makhluk-Nya ke dalam neraka. Bukanlah itu tujuan Allah ﷻ jadikan manusia dan jin. Ayat ini bukanlah tentang kehendak Allah ﷻ, tetapi tentang ilmu Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu yang ramai yang akan ke dalam neraka, malah majoriti manusia dan jin akan masuk ke dalam neraka itu. Sebab itu kita jangan ikut orang yang ramai, kononnya kata itu pendapat majoriti. Kita bukannya pilihanraya, yang majoriti akan menang. Kita kena ikut pendapat yang benar walaupun sedikit yang berpegang padanya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 September 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA