Tafsir Surah Baqarah Ayat 106 – 108 (Hukum nasikh mansukh)

Ayat 106: Apabila Yahudi ada peluang untuk mengkritik agama Islam, mereka akan kritik. Terutama tentang bab syariat. Sebab itulah penting untuk kita faham dan mahir agama kita sendiri supaya mereka tidak ada peluang untuk mengkritik agama kita. Jangan kita pula termakan dengan kritikan mereka.

Masalah timbul apabila kita sendiri tidak faham agama sendiri. Disebabkan ramai tidak faham agamalah, yang menyebabkan Syiah boleh mendapat pengaruh banyak dari kalangan orang Islam di negara ini. Apabila Syiah dakwah kepada orang-orang kita yang tidak ada asas agama, senang untuk mereka masuk Syiah kerana mereka senang ditipu. Begitulah kalau tidak ada ilmu agama (manusia boleh tipu, syaitan pun senang tipu).

Puak Yahudi tahu yang ada amalan yang telah mansukh dalam agama Islam. Contohnya, ada yang wajib kemudian menjadi sunat; dahulu boleh, sekarang tidak boleh; ada yang tidak boleh, kemudian menjadi boleh; dan macam-macam lagi. Ini dinamakan nasikh mansukh dan memang ada di dalam agama Islam.

Dalam Al-Qur’an pun ada ayat yang telah dimansukhkan hukumnya. Tidak banyak ayat yang dimansukhkan dan ulama’ khilaf tentang bilangannya, malah ada yang berkata tidak ada ayat yang sebenarnya dimansukhkan (kerana ada penggunaannya juga pada waktu-waktu tertentu). Oleh itu, kita katakan dalam salah satu pendapat, hanya ada empat sahaja ayat Al-Qur’an yang telah dimansukhkan. Ia masih lagi dibaca tetapi hukumnya telah dimansukhkan.

Jadi Yahudi telah mengkritik perkara ini dengan mengatakan: “agama apakah ini? Sekejap begitu dan sekejap begini. Dahulu boleh dan sekarang tidak boleh?” Mereka kata, kalau benar Islam adalah agama Tuhan, tidak mungkin begini? Mereka telah mengambil kesempatan dalam perkara ini. Maka Allah ‎ﷻ sendiri menjawab kritikan mereka di dalam ayat ini.

Oleh itu, ini adalah ayat berkenaan Nasikh dan Mansukh untuk menjawab tohmahan dari puak Yahudi yang hendak menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam. Banyak ustaz-ustaz yang mengajar salah tentang nasikh dan mansukh. Iaitu apabila mereka mengatakan bahawa ada ayat Al-Qur’an yang telah dimansukhkan. Mereka kata ada ayat yang diturunkan kemudian dari ayat yang sebelumnya, dan ayat yang terkemudian itu mereka kata telah membatalkan ayat sebelumnya.

Ada kitab tafsir yang kata ada beberapa ratus ayat Al-Qur’an telah dimansukhkan. Imam Suyuti رحمه الله pula dalam kitab tafsirnya, Tafsir Jalalain, berkata ada hanya 20 sahaja ayat yang dimansukhkan. Syah Waliyullah رحمه الله pula kata hanya 4 ayat sahaja yang dimansukhkan. Maulana Husin Ali juga berkata hanya 4 ayat sahaja yang dimansukhkan.

Dan 4 ayat tersebut walaupun dikatakan telah dimansukhkan, boleh lagi digunakan dalam sesetengah situasi dengan beberapa syarat. Maknanya, kalau kena pada keadaan tertentu, boleh digunakan ayat itu. Maknanya, secara efektifnya tidak ada ayat yang mansukh pun.

Contohnya, ayat tentang wasiat. Ada ayat Al-Qur’an yang kata orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka. Seorang yang asalnya kafir, apabila telah masuk Islam, dan keluarganya masih kafir. Hukum dari ayat Al-Qur’an adalah, orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka dari orang Islam walaupun keluarga sendiri.

Maknanya, kalau seorang ayah telah masuk Islam dan dia mati, anaknya tidak dapat mewarisi harta pusaka ayahnya yang telah masuk Islam itu. Tetapi dari ayat yang lain, ada juga mengatakan bahawa seseorang Muslim, dia masih boleh mewasiatkan sebanyak 1/3 dari hartanya kepada sesiapa yang dia hendak beri (asalkan bukan penerima pusaka). Jadi, ada penggunaan ayat itu lagi di tempat-tempat yang tertentu.

Contohnya, walaupun ibu bapanya masih kafir, dia boleh wasiatkan lagi sebahagian dari hartanya. Syaratnya adalah, orang yang mati itu membuat wasiat itu semasa dia hidup. Ini juga boleh digunakan untuk orang yang memberi wasiat kepada orang yang bukan ahli keluarganya. Contohnya, seseorang boleh memberi wasiat kepada anak angkatnya, sebanyak 1/3 juga. Itu adalah hadnya.

Maknanya, walaupun ada ayat yang mengatakan orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka, tetapi masih lagi boleh orang yang berwasiat kepada had 1/3 dari keseluruhan hartanya. Cuma, wasiat tidak boleh diberikan kepada penerima pusaka. Ia hanya dibolehkan beri kepada orang yang bukan penerima pusaka. Maknanya, tidak boleh memberi wasiat kepada anak-anaknya.

Tentang harta pusaka ini banyak kesalahan yang dibuat oleh masyarakat kita. Tidak boleh seorang yang mempunyai harta memberikan wasiat supaya memberikan harta sama rata kepada anak-anaknya, kerana tidak sama bahagian yang anak-anaknya patut dapat. Ini kerana ada perbezaan antara penerimaan harta pusaka kepada yang lelaki dan perempuan. Tidak sama bahagian mereka.

Kalau anak perempuan, harta pusaka yang dia dapat adalah separuh dari bahagian anak lelaki. Ini disebut dalam Surah Nisa’ dengan panjang lebar dan ada perbincangan tentang perkara itu di sana nanti.

Jadi, ayat yang dikatakan telah dimansukhkan itu, masih boleh lagi dipakai jikalau kena dengan syaratnya. Bukan senang kita hendak kata bahawa ayat Allah ‎ﷻ telah dimansukhkan. Ini bukan ayat-ayat biasa, tapi ia adalah Kalam Allah ‎ﷻ. Maka ulama’ kena berhati-hati kalau mereka kata sesuatu ayat itu telah dimansukhkan. Tentunya ini memerlukan perbincangan khusus berkenaannya dan boleh dirujuk perbincangan ulama’ tentang perkara ini.

Salah satu perkara yang dimansukhkan adalah kitab-kitab wahyu sebelum Al-Qur’an diturunkan. Apabila Al-Qur’an diturunkan, syariat di dalam kitab-kitab sebelumnya tidak terpakai lagi kerana semua umat manusia kena pakai syariat di dalam Al-Qur’an ini.

ما نَنسَخ مِن ءَايَةٍ أَو نُنسِها نَأتِ بِخَيرٍ مِّنها أَو مِثلِها ۗ أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

We do not abrogate a verse or cause it to be forgotten except that We bring forth [one] better than it or similar to it. Do you not know that Allah is over all things competent?

Malay

Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?

 

مَا نَنْسَخْ مِنْ ءَايَةٍ

Tidaklah dimansukh dari mana-mana ayat;

Penggunaan kata مَا (tidak) digunakan sekali lagi dalam ayat ini. Penggunaan kata مَا digunakan apabila hendak menyanggah sesuatu pendapat (bukan hendak kata ‘tidak’ sahaja). Ia adalah hendak menjawab pertanyaan orang Yahudi yang mempersoalkan kenapa Kitab Taurat mereka dimansukhkan, padahal ia juga adalah Kalam Allah ‎ﷻ.

Naskh secara bahasa ertinya: menghilangkan; menghapuskan; memindahkan; menulis. Naskh adalah penjelasan berhentinya hukum syari’at dengan jalan syar’i yang datang setelahnya”. Mansukh pula ada perbuatan melakukan naskh itu.

 

أَوْ نُنْسِهَا

atau Kami ia dilupakan;

Iaitu dihilangkan dari hati Nabi Muhammad ﷺ;

Atau Allah ‎ﷻ hilangkan dari digunakan oleh manusia. Iaitu kitab-kitab dari Kalam Allah ‎ﷻ yang telah hilang ditelan zaman. Macam Kitab Taurat dan Injil, kita sampai sekarang tidak jumpa kitab yang asli lagi.

 

نَأْتِ بِخَيْرٍ مِّنْهَا

(melainkan) Kami datangkan yang lebih baik dari ayat yang telah dimansukhkan itu;

Yang telah dibatalkan dan dilupakan, akan diganti dengan yang lebih baik darinya. Allah ‎ﷻ hendak kata bahawa walaupun Kitab Taurat atau mana-mana kitab Kalam Allah ‎ﷻ telah dimansukhkan, tetapi Allah ‎ﷻ telah mendatangkan Al-Qur’an yang lebih baik dari Taurat dan Injil itu. Allah ‎ﷻ telah memberikan hukum yang baru yang lebih baik dari sebelumnya.

Ada hukum dalam Taurat yang tidak dipakai lagi. Contohnya seperti larangan kepada mereka untuk bekerja pada hari Sabtu. Pada hari Sabtu, mereka langsung tidak boleh membuat kerja apa-apa kerana hari Sabtu adalah hari untuk beribadat.

Tidak ada larangan kepada kita seperti mereka itu. Yang kita ada hanyalah hari Jumaat sahaja. Itu pun bukan sepanjang hari kita dilarang dari bekerja. Kita disuruh supaya pergi Salat Jumaat untuk beberapa waktu sahaja. Selepas itu, boleh sambung bekerja balik seperti biasa. Ini adalah lebih baik dari hukum yang telah diberikan kepada mereka dan ini adalah satu rahmat dari Allah ‎ﷻ.

Maka ini juga menjadi hujah yang syariat Taurat tidak dipakai lagi. Walaupun untuk Bani Israil. Mereka sekarang kena pakai syariat di dalam Al-Qur’an. Agak pelik apabila ada di kalangan umat Islam yang kata puak Bani Israil boleh pakai syariat mereka lagi. Sedangkan syariat mereka telah hilang ditelan zaman. Kalau nak pakai syariat mereka, di manakah hendak dirujuk syariat mereka?

 

أَوْ مِثْلِهَا

atau Kami berikan yang sama;

Kalau Allah ‎ﷻ tidak beri yang lebih baik pun, maka Allah ‎ﷻ tetap berikan yang sama kedudukannya. Maka tidak ada kerugian apa-apa bagi manusia. Kalau tidak dapat yang baik pun, tetap akan dapat yang sama kedudukan dengan syariat yang dahulu.

Seperti telah disebut sebelum ini, oleh kerana ayat ini, orang-orang Yahudi telah mengkritik Al-Qur’an. Mereka kata, walaupun mereka telah ubah kitab mereka, tetapi mereka kata ada juga ayat-ayat Al-Qur’an sendiri yang telah dimansukhkan. Jadi mereka hendak kata, tidak salahlah kalau mereka ubah kitab mereka, kerana Al-Qur’an pun ada juga perubahan.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu walaupun Kitab Taurat telah dimansukhkan, tetapi masih ada lagi hukum syariat dalam Taurat yang masih kekal. Bukan semuanya dihilangkan. Contohnya, hukum Qisas ada terdapat di dalam Taurat dan ada juga di dalam Al-Qur’an. Begitu juga dengan hukuman rejam sampai mati bagi lelaki dan wanita muhsan (yang sudah pernah bernikah secara halal).

Maka tidak patut mereka membuat bising hendak mempersoalkan kenapa Kitab mereka dimansukhkan. Ada hukum-hukum yang masih lagi terpakai (setelah ditetapkan oleh Nabi Muhammad).

Apabila Kitab mereka telah dimansukhkan, maka hukum yang ada dalam Kitab itu tidak boleh dipakai mereka. Mereka sekarang sepatutnya menerima hukum baru yang ada dalam Al-Qur’an. Hukum-hukum itu lebih baik, maksudnya amalan lebih mudah dan dapat pahala lebih banyak.

Tetapi kenapa Allah ‎ﷻ memberikan hukum yang lain dahulu, kenapa tidak terus bagi hukuman yang akhirnya akan diberikan juga? Kenapa syariat tidak sama sahaja dari zaman Nabi Adam عليه السلام sampai sekarang?

Ini kerana Allah ‎ﷻ melatih manusia dengan memberikan hukum syariat yang susah terlebih dahulu supaya ia sudah menjadi tabiat. Macam juga dalam latihan tentera. Masa latihan, gaji yang diberikan sedikit sahaja tetapi tugas yang diberikan amat berat, tidak ada masa rehat langsung (sama juga dengan doktor lepas pengajian). Bila sudah habis latihan, kerja yang diberikan kepada mereka lagi mudah dan gaji lebih mahal kalau dibandingkan dengan masa latihan dahulu.

Jadi, dia sudah biasa dengan perkara yang susah. Oleh itu, kalau keadaan memerlukan dia dalam keadaan yang susah, dia sudah biasa. Dalam kehidupan, ini perkara biasa sahaja, jadi kenapa hendak hairan? Allah ‎ﷻ maha bijaksana dalam mengurus hambaNya. Segala yang Allah ‎ﷻ buat adalah sesuai dengan manusia.

Yang tidak baiknya ada kalangan orang Islam yang mengatakan bahawa ayat-ayat Allah ‎ﷻ telah mansukh tetapi ia sebenarnya tidak mansukh. Senang-senang sahaja mereka kata ayat-ayat itu mansukh. Contohnya, ada yang kata ayat-ayat tentang perang telah dimansukhkan. Mereka telah memberi hujah-hujah yang batil sebagai menguatkan pandangan mereka.

Yang mereka hendak kata ayat-ayat tentang perang itu telah mansukh adalah kerana mereka takut dengan propaganda orang kafir. Mereka tidak mahu orang kafir nampak Islam ini adalah satu agama yang keras. Jadi mereka kata arahan perang telah dimansukhkan kononnya. Padahal ia ada lagi sampai akhir zaman.

Satu lagi contoh adalah orang Islam yang marah sangat kepada orang kafir sampai mereka kata seluruh ayat-ayat Makkiah yang mengatakan tentang kesabaran dalam Islam telah dimansukhkan. Semasa di Mekah, para sahabat telah memohon kepada Nabi ﷺ supaya mereka dibenarkan untuk memerangi Musyrikin Mekah. Tetapi Allah ‎ﷻ telah menurunkan ayat-ayat menyuruh para sahabat bersabar kerana belum masanya untuk berperang.

Puak-puak sesat yang marah sangat kepada orang kafir telah mengatakan bahawa ayat-ayat tentang kesabaran itu telah dimansukhkan – yang tinggal hanya ayat tentang memerangi mereka sahaja. Maka mereka kata tidak lain yang ada kecuali arahan perang kepada orang kafir sahaja. Kerana itu ada sampai berani bom diri sendiri kerana tertipu dengan hujah-hujah bathil sebegini.

Dua-dua contoh ini adalah bertolak dari dua sifat yang tidak patut dalam Islam – satu puak yang takut dengan orang kafir dan satu puak lagi yang marah sangat dengan orang kafir. Ini ada dua sifat ekstrem yang patut tidak ada dalam pemikiran orang kita. Mereka terlalu ekstrem sampai mereka sanggup mengatakan ada surah-surah yang telah dimansukhkan untuk mencapai tujuan mereka.

 

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Tidakkah kamu tahu bahawa Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh?

Seperti yang kita tahu, Allah ‎ﷻ berkuasa penuh untuk melakukan segala kehendak-Nya. Kita hanya menerima sahaja. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan tujuan Allah ‎ﷻ. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tanya balik: tidakkah orang Yahudi (dan kita juga) tahu, bahawa Allah ‎ﷻlah yang Maha Berkuasa dalam segala hal? Dia boleh buat apa sahaja yang Dia hendak?

Adakah kita tak tahu atau kita buat-buat tidak tahu? Kalau Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa, Dia boleh buat apa yang Dia hendak, bukan kita boleh persoalkan.

Jadi Allah ‎ﷻ hendak menekankan kepada Bani Israil dan Nasrani bahawa syariat agama mereka telah dimansukhkan dan mereka kena pegang syariat yang terbaru sekarang, iaitu yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah keputusan dari Allah ﷻ. Jadi, kita sebagai hamba-Nya, kenalah ikut sahaja. Tidak perlu untuk dipersoalkan lagi. Kita tidak perlu tahu kenapa Allah ﷻ buat begitu. Akal kita tidak mampu untuk memahaminya dengan sempurna.


 

Ayat 107: Allah ‎ﷻ hendak menempelak orang Yahudi dan Nasrani yang mempersoalkan tentang perbuatan Allah ‎ﷻ memansukhkan ayat-ayat dari Kitab mereka.

أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَالأَرضِ ۗ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Sahih International

Do you not know that to Allah belongs the dominion of the heavens and the earth and [that] you have not besides Allah any protector or any helper?

Malay

Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.

 

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَالْأَرْضِ

Tidakkah kamu tahu bagi Allahlah milikNya segala kerajaan tujuh langit dan tujuh bumi?;

Tidak ada makhluk lain yang boleh mengatakan sesuatu ayat itu telah mansukh atau tidak melainkan hanya Allah ‎ﷻ sahaja. Ini adalah kerana kerajaan langit dan bumi hanya milik-Nya sahaja. Semua yang berada di langit dan bumi adalah dalam milik Allah ‎ﷻ.

Apabila Allah ‎ﷻ meletakkan perkataan لَهُ sebelum perkataan مُلْكُ, itu bermaksud ‘exclusivity’: bermakna *hanya* milik Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak berkongsi kerajaan-Nya dengan sesiapa pun. Allah ﷻ tidak berkongsi pemilikanNya dengan sesiapa pun.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ Maha Memiliki segala-galanya, maka terpulang kepada Allah ‎ﷻ untuk melakukan apa sahaja. Kalau Dia terhalang (ada perkara tidak boleh buat pula), bukan sifat Tuhanlah kalau begitu. Jadi, kalau Allah ‎ﷻ hendak memansukhkan sesuatu, itu adalah hak Allah ‎ﷻ. Bukan kita boleh persoalkan.

 

وَمَا لَكُمْ مِّنْ دُونِ اللَّهِ

Dan tidak ada lagi bagi kamu selain dari Allah;

Kalau kamu mempersoalkan juga hak Allah ‎ﷻ untuk memansukhkan apa-apa sahaja, buat apa-apa sahaja, ada balasan buruk untuk kamu di akhirat kelak. Kamu akan dikenakan dengan azab sengsara.

 

مِنْ وَلِيٍّ

sebagai wali;

Dan apabila Allah ‎ﷻ berikan balasan azab kepada kamu, tidak ada sesiapa yang boleh memberi perlindungan. ‘Wali’ iaitu bermaksud pelindung. Orang yang degil untuk menerima kebenaran akan dikenakan dengan azab akhirat dan tidak ada sesiapa yang boleh melindunginya.

Ini juga merujuk kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hendak masuk Islam, tetapi takut. Mereka takut mereka disakiti oleh masyarakat mereka. Mereka takut mereka disisihkan oleh masyarakat mereka kalau mereka tukar agama. Ini kerana yang masuk Islam bukanlah semua sekali masyarakat mereka (seperti Arab Madinah pada waktu itu). Yang ada masuk adalah sedikit demi sedikit sahaja.

Jadi pada mereka, sementara mereka dalam jumlah yang sedikit, mereka nampak mereka akan berada dalam keadaan yang payah. Maka Allah ‎ﷻ hendak memberitahu mereka bahawa tidak ada yang dapat memberi perlindungan kepada mereka melainkan Allah ‎ﷻ. Mereka hendaklah bergantung kepada Allah ‎ﷻ sebagai pelindung. Jangan takut kepada orang lain. Allah ‎ﷻ akan melindungi mereka.

Maka ini juga peringatan kepada orang zaman sekarang yang masih takut-takut untuk masuk Islam. Mereka sudah nampak kebenaran Islam tetapi masih takut untuk mengucap syahadah. Ini adalah kerana mereka takut keluarga marah, dibuang kerja, kurang pendapatan, dan sebagainya.

Kalimah وَلِيٍّ bermaksud ‘sesiapa yang mahu memberi pertolongan’. Allah ‎ﷻ nak beritahu bahawa Dialah yang akan melindungi mereka. Adakah sesiapa lagi yang lebih baik dalam melindungi?

 

وَلَا نَصِيرٍ

atau yang boleh memberi pertolongan;

Kalau Allah ‎ﷻ berikan balasan azab kepada kamu yang mempersoalkan hak Allah ‎ﷻ, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kamu lagi.

Selain dari Allah ‎ﷻ, tidak ada lagi yang boleh menolong. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu mereka bahawa Allah ‎ﷻ akan menolong mereka kalau mereka masuk Islam. Allah ‎ﷻ pasti akan selamatkan mereka.

Maksud perkataan نَصِيرٍ adalah ‘yang sentiasa menolong’. Allah ‎ﷻ akan sentiasa membantu mereka yang masuk Islam. Serahkan segalanya kepada Allah ‎ﷻ. Kena letakkan tawakal yang tinggi kepada Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 108:

أَم تُريدونَ أَن تَسأَلوا رَسولَكُم كَما سُئِلَ موسىٰ مِن قَبلُ ۗ وَمَن يَتَبَدَّلِ الكُفرَ بِٱلإِيمَـٰنِ فَقَد ضَلَّ سَواءَ السَّبيلِ

Sahih International

Or do you intend to ask your Messenger as Moses was asked before? And whoever exchanges faith for disbelief has certainly strayed from the soundness of the way.

Malay

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya dia telah sesat dari jalan yang lurus.

 

أَمْ تُرِيدُونَ أَنْ تَسْأَلُوا رَسُولَكُمْ

Adakah kamu hendak tanya Rasul kamu

Ini adalah teguran Allah ‎ﷻ kepada para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Ada kalangan sahabat yang tanya soalan-soalan tentang perkara yang tidak berlaku. Hanya berkemungkinan sahaja ia berlaku. Allah ‎ﷻ menegur perbuatan mereka ini kerana bertanya perkara yang sia-sia.

Kalau hendak kirakan kemungkinan, semua benda boleh menjadi kemungkinan. Kalau hendak layan semua, jenuh untuk dijawab semua soalan-soalan itu. Perkara ini banyak ada terdapat di dalam kitab feqah. Semua perkara diperbincangkan sampai manusia menjadi pening. Sebagai contoh, adakah halal makan ikan duyung? Atau satu lagi: adakah terlepas kewajipan mandi mayat kalau mayat itu bangun sendiri dan memandikan dirinya?

Soalan-soalan sebegini tidak memberi keuntungan. Jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada mereka supaya tak payah tanya soalan-soalan begitu.

 

كَمَا سُئِلَ مُوسَىٰ مِنْ قَبْلُ

sepertimana telah ditanya Nabi Musa sebelum ini? 

Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang perbuatan orang Yahudi kepada Nabi yang mereka sanjung dahulu – Nabi Musa عليه السلام. Sedangkan Nabi Musa عليه السلام sendiri telah mereka sakiti dengan menanyakan soalan yang tidak patut. Mereka bertanya itu sebenarnya kerana mereka tidak mahu buat seperti mana yang disuruh. Bila disuruh buat sesuatu, mereka persoal: “Kenapa kena buat?” Sekarang mereka tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ pula.

Sahabat-sahabat Nabi ﷺ juga ada tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang perkara yang karut atau tidak berfaedah. Antaranya mereka tanya siapakah bapa mereka yang sebenarnya. Ini kerana mereka tidak pasti jikalau ayah mereka adalah ayah mereka yang sebenarnya disebabkan ibu mereka telah mempunyai lebih dari satu pasangan (ini semasa zaman Jahiliyah dulu di mana ia adalah perkara biasa). Perkara tersebut merupakan perkara biasa ketika itu semasa zaman jahiliah ketika penzinaan masih berleluasa.

Itu adalah soalan yang tidak elok. Itu adalah antara soalan yang membuang masa sahaja. Tidaklah patut soalan sebegitu ditanya kepada Nabi kerana tujuan Nabi Muhammad ﷺ bukanlah untuk menjawab perkara-perkara sebegitu. Banyak lagi tugas Nabi ﷺ di muka bumi ini.

Nabi ﷺ tidak mempunyai banyak masa kerana baginda menjadi Rasul selama 23 tahun sahaja dan dalam waktu yang singkat itu baginda kena menyampaikan segala maklumat penting tentang agama. Jadi apabila mereka bertanya soalan yang tidak patut, maka ia hanyalah membuang masa Nabi ﷺ sahaja.

Atau, kerana kita masih lagi dalam bahagian Surah Baqarah yang berkenaan Bani Israil, maka pertanyaan ini ditujukan kepada mereka. Kalau begitu, ayat ini adalah tentang pertanyaan-pertanyaan mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan رَسُولَكُمْ – Rasul kamu – kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul mereka sekarang. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu juga merupakan rasul mereka. Mereka sepatutnya telah menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul mereka, tetapi mereka yang tidak terima.

Dalam ayat sebelum ini, mereka mempersoalkan tentang Allah ‎ﷻ memansukhkan Kitab-kitab mereka dan hukum-hukum dalam agama. Kali ini mereka mempersoalkan tentang kenabian Nabi Muhammad ﷺ pula. Begitu juga yang mereka telah buat kepada Nabi Musa عليه السلام dahulu. Mereka mempersoalkan arahan yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام. Mereka kata arahan itu dari Nabi Musa عليه السلام, bukan dari Allah ‎ﷻ.

Islam memang menggalakkan manusia bertanya untuk mendalami agama. Tetapi soalan mereka ini bukan soalan yang hendak mendalami agama. Contohnya ada jenis soalan yang baik seperti: Bagaimana cara hendak bayar zakat? Itu adalah soalan yang baik.

Tetapi berbeza pula dengan soalan: Kenapa kita kena bayar zakat pula? Itu soalan yang mempersoalkan kesahihan sesuatu hukum. Maka beginilah soalan yang mereka telah berikan dahulu kepada Nabi Musa عليه السلام. Kita telah belajar bagaimana mereka bertanya dan bertanya lagi tentang arahan Allah ‎ﷻ untuk mereka menyembelih lembu betina itu. Mereka tanya untuk memperolokkan arahan yang telah diberikan kepada mereka.

 

وَمَنْ يَتَبَدَّلِ الْكُفْرَ بِٱلإِيمَـٰنِ

Dan sesiapa yang ingin tukar iman kepada kufur;

Iaitu mereka yang mengambil kufur, dengan menolak iman. Ingatlah kalau bertanya tetapi bukan kerana hendak amal, itu boleh menyebabkan jatuh kufur.

Begitu juga kalau soalan mereka adalah untuk mempersoalkan kedudukan Nabi. Mereka kena faham, mempersoalkan Rasul adalah sama juga mempersoalkan Allah ‎ﷻ. Ini kerana arahan yang Rasul sampaikan adalah dari Allah ‎ﷻ – bukannya dari diri rasul itu. Maka sesiapa yang mempersoalkan Allah ‎ﷻ, itu adalah tindakan kufur. Itulah makna ayat ini – mereka telah menukar iman dengan kekufuran dengan bertanya soalan yang mempersoalkan Nabi Muhammad ﷺ.

Zaman sekarang, banyak manusia yang mempersoalkan Nabi. Mereka kononnya terima Allah ‎ﷻ, tetapi tidak terima Nabi. Sebab itu ada kumpulan-kumpulan yang anti-hadith. Padahal, mereka tidak belajar hadith-hadith Nabi ﷺ itu (mereka setakat baca sahaja dan buat konklusi sendiri). Mereka terus sangka bahawa hadith-hadith itu semua tidak boleh pakai kerana ia adalah kata-kata manusia.

Ini semua adalah fahaman yang amat bahaya. Ini kerana pendapat sebeginilah yang menyebabkan manusia menjadi sesat. Bagaimana kita hendak menerima Al-Qur’an tetapi tidak menerima Hadith Nabi, padahal hadith Nabi itu memperjelaskan apa yang ada dalam Al-Qur’an? Kita tidak akan faham apakah yang Allah ‎ﷻ maksudkan dalam ayat-ayat-Nya tanpa penjelasan dari Nabi ﷺ.

Kita juga tidak tahu bagaimana hendak mengamalkan suruhan dalam Al-Qur’an kalau tidak ditunjukkan caranya oleh Nabi ﷺ. Bagaimana pula mereka boleh berkata mereka terima Al-Qur’an tetapi tidak terima Nabi ﷺ, sedangkan Al-Qur’an itu juga telah disampaikan melalui mulut Nabi ﷺ? Ini semua terjadi kerana mereka tidak belajar Al-Qur’an dan tidak belajar ilmu hadith. Padahal, dua perkara itu adalah sumber rujukan utama kepada manusia.

Namun lihatlah bagaimana umat Islam sendiri amat jauh daripada dua sumber ini. Mereka langsung tidak ambil peduli tentang ilmu tafsir Al-Qur’an dan ilmu Hadith. Yang mereka belajar dan pegang dengan kuat adalah ajaran dari guru-guru mereka dan dari kitab-kitab karangan manusia.

 

فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

sesungguhnya telah sesat mereka itu dari jalan yang benar.

Ini kerana mereka tolak Nabi, mereka telah sesat jauh dari kebenaran. Allah ‎ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka yang berterusan menolak Nabi. Kalau tidak mahu memberi telinga mendengar dakwah dari Nabi dan penyeru Tauhid, maka akan ada masalah dengan iman nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 27 November 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 106 – 108 (Hukum nasikh mansukh)”

  1. Assalamualaikum ustaz, berkenaan dengan hukuman rejam, tiada perkataan hukuman rejam di dalam A-Quran. Hukuman rejam hanya ada di nyata kan dalam hadis dan hadis tersebut perlu dilihat secara konteks dan diperhalusi keadaan nya. Harap ustaz dapat memberi maklumat terperinci berkenaan perkara ini. Terima kasih.

    Like

    1. Memang ada disebut dalam hadis. Dan hadis itu pun menjadi polemik juga di kalangan sarjana. Yang rajihnya, memang ada hukuman rejam. Tapi jawapan terperinci hendaklah dipelajari hadis itu dan melihat semua pendapat yang ada. Saya terus beri jawapan ringkas sahaja. Iaitu: ada hukuman rejam bagi penzina yang sudah pernah bernikah halal.

      Like

  2. Assalamualaikum..
    Jadi kesimpulannya utk kita berpegang adalah sebenarnya tiada sebarang ayat yg dimansuhkan walaupun satu ayat? Betul ustaz? Dan saya nak tahu kalau begitu, dari mana datangnya tentang mansuh2 ayat ni ustaz? Contoh yg kerap sy dengar yg bab nikah kontrak tu. Tlg sy ustaz utk jelaskan. Terima kasih

    Like

    1. Tiada ayat Qur’an yang dimansukhkan adalah salah satu pendapat.
      Tapi memang ada pendapat lain, bezanya banyak dan sikit sahaja. Perbincangan yang panjang tentang perkara ini.
      Jadi memang ada yang kata ada ayat Qur’an yang dimansukhkan.

      Konsep mansukh wahyu memang ada. Iaitu kitab wahyu seperti Taurat dan Injil telah dimansukhkan. Kita tak pakai lagi syariat dari kitab-kitab itu.
      Dan mansukh hukum memang berlaku sepanjang hidup Rasulullah. Seperti awak sebut tentang nikah kontrak itu. Tapi itu bukan ayat Qur’an. Itu adalah hukum, dulu boleh sekarang tidak boleh. Ini sudah masuk bab ilmu hadis kerana ia disentuh di situ.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s