Baqarah Ayat 105: Ini adalah ayat teguran dari Allah ﷻ kepada para sahabat رضي الله عنهم.
مّا يَوَدُّ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ وَلَا المُشرِكينَ أَن يُنَزَّلَ عَلَيكُم مِّن خَيرٍ مِّن رَّبِّكُم ۗ وَاللَّهُ يَختَصُّ بِرَحمَتِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ
Neither those who disbelieve from the People of the Scripture nor the polytheists wish that any good should be sent down to you from your Lord. But Allah selects for His mercy whom He wills, and Allah is the possessor of great bounty.
Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu walau sedikit pun dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
مَّا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا
Amat tidak suka orang-orang kafir itu;
Dalam ayat ini, Allah ﷻ menceritakan apakah perasaan orang-orang Yahudi terhadap kejayaan umat Islam. Apakah yang sebenarnya yang mereka sorok di dalam hati mereka? Ini kerana umat Islam tidak tahu dan tidak boleh baca hati manusia, maka Allah yang beritahu kepada mereka.
Kenapakah Allah ﷻ menggunakan perkataan مَا (tidaklah) dalam ayat ini? Perkataan مَا adalah menidakkan sesuatu. Allah ﷻ menidakkan anggapan orang-orang mukmin di Madinah. Kita kena tahu serba sedikit tentang sejarah mereka.
Arab Madinah telah lama berada di Madinah bersama dengan orang-orang Yahudi yang berada di Madinah. Mereka telah berkawan lama. Mereka menghormati orang-orang Yahudi itu yang telah lama mendapat kitab Taurat. Jadi mereka rasa bahawa apabila wahyu baru telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ, mereka sangka tentulah mudah untuk orang-orang Yahudi menerima Nabi Muhammad ﷺ kerana bukankah mereka telah lama beragama dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah bersamaan dengan agama yang mereka pegang iaitu sama-sama agama dari langit?
Allah ﷻ menidakkan pemahaman mereka yang sebegitu. Jika mereka berfikiran begitu, mereka adalah naif. Allah ﷻ hendak beritahu, sebagaimana orang-orang Musyrik di Mekah dulu menentang Nabi ﷺ, begitu juga dengan sesetengah orang Yahudi di Madinah. Walaupun mungkin dahulu mereka berkawan baik, tetapi dengan perubahan pandangan agama, segala-galanya boleh berubah. Macam juga kita, dahulu kita sama-sama berkawan baik dengan orang. Tetapi apabila kita mengambil jalan sunnah dan belajar tafsir Al-Qur’an, ada orang yang sudah tidak mahu berkawan dengan kita lagi kerana kita sudah ‘macam lain’ pula kepada mereka. Mereka sudah memandang serong terhadap kita.
Berkawan baik dengan orang Yahudi tidak semestinya mereka kekal baik dengan kita. Pernah ada orang Palestin beritahu mereka apa terjadi semasa Yahudi datang beramai-ramai ke Palestin. Dahulu mereka ada jiran Yahudi di Palestin. Mereka memang berkawan baik, lawat melawati, anak-anak bermain bersama. Memang waktu itu duduk dengan aman. Tetapi apabila Palestin diambil alih oleh puak Yahudi, jiran dan kawan mereka daripada kalangan Yahudi itu menjadi orang asing pula seolah-olah tidak kenal dengan mereka. Orang-orang Yahudi itu boleh buat tidak kenal sahaja jiran mereka itu. Dengan selamba sahaja tanah yang asalnya milik orang Palestin mereka ambil begitu sahaja.
Lagi satu, digunakan kalimah ما untuk menidakkan dakwaan Yahudi pada zaman Nabi Muhammad itu. Mereka kata kononnya mereka suka apabila bangsa Arab dapat wahyu. Akan tetapi itu adalah kata-kata dari mulut mereka sahaja. Dalam hati mereka, mereka benci sebenarnya apabila wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad.
مِنْ أَهْلِ ٱلكِتَـٰبِ
yang terdiri dari Ahli Kitab;
Golongan pertama adalah Ahli Kitab – Yahudi dan Nasara, kerana mereka telah mendapat kitab wahyu. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa ahli-ahli Kitab itu tidak seperti yang diharapkan oleh para sahabat yang beriman. Apa yang orang mukmin di Madinah sangkakan itu adalah tidak benar. Ini kerana ada golongan orang kafir dari kalangan orang Yahudi itu tidak suka jikalau ada kebaikan yang didapati oleh orang Islam. Ini adalah kerana sikap dengki yang ada pada mereka.
Bukan semua tidak suka. Sebahagian sahaja. Sebab itu Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘orang kafir dari ahli Kitab’. Perkataan ‘kafir’ dalam Al-Qur’an lain dari pemahaman biasa kita. Ia bermaksud mereka yang menolak Islam setelah memahaminya. Iaitu mereka tahu bahawa Islam itu benar, tetapi mereka tolak juga.
Dan mereka juga memerangi Islam dengan berbagai-bagai cara. Jadi ada beza antara “non-Muslim” dan “anti-Muslim”. Kebanyakan dari orang bukan Islam tidak mengganggu orang Islam pun. Seperti yang kita tahu, tidak semua orang bukan Islam yang memerangi Islam. Ada yang berbaik dengan Muslim dan tidak ada berniat buruk terhadap Muslim. Cuma mereka tidak masuk Islam kerana mereka belum lagi diberi hidayah. Mereka mungkin belum faham Islam. Mungkin juga mereka telah menerima Islam itu agama yang baik, tetapi belum terbuka lagi hati mereka untuk benar-benar masuk Islam. Mungkin mereka tidak nampak kelebihan Islam itu kerana kalau lihat kepada orang Islam pun, mereka tidak teringin hendak masuk Islam kerana buruknya perangai umat Islam. Maka orang-orang yang sebegini tidak dipanggil ‘kafir’ dalam Al-Qur’an. Cuma dalam penggunaan biasa, kita selalunya panggil mereka ‘kafir’. Sebaiknya, kita gunakan sahaja kalimah “non-Muslim” terhadap mereka.
Lihatlah dalam ayat ini tidak digunakan kalimat ما يود أهل الكتاب (tidaklah suka Ahli Kitab) akan tetapi ada ditambah kalimah الذين كفروا (orang-orang yang kafir) kerana Allah hendak menekankan yang mereka itu kufur, malah kufur dengan kitab-kitab wahyu mereka sendiri. Kerana kalau mereka benar-benar beriman dengan kitab wahyu mereka, memang telah disebut pun tentang Nabi Muhammad di dalamnya. Kalau mereka beriman, tentu mereka akan beriman dengan baginda.
وَلَا الْمُشْرِكِينَ
dan juga dari orang-orang Musyrikin;
Ini adalah golongan kafir yang kedua – yang musyrik seperti Musyrikin Mekah. Orang Musyrik memang tidak suka jika ada kebaikan diberikan kepada orang beriman. Mereka dari dahulu lagi tidak sukakan Nabi Muhammad ﷺ. Merekalah yang pertama menentang baginda apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul. Merekalah yang mula-mula menentang Nabi ﷺ tetapi kenapa ahli kitab disebut dahulu di dalam ayat ini?
Ahli Kitab disebut dahulu kerana mereka lebih penting hendak diberitahu di dalam situasi ini kerana ayat ini diturunkan semasa orang Islam berhadapan dengan orang Yahudi di Madinah. Orang Islam di Madinah memerlukan saranan yang lebih kuat untuk menyedarkan mereka dari pemahaman mereka yang salah tentang kawan-kawan mereka dari orang Yahudi itu. Ini kerana mereka sudah faham tentang tentangan dari orang Musyrikin Mekah tapi mereka sangka golongan Yahudi pasti akan senang terima Islam. Allah ﷻ hendak memberikan peringatan kepada orang Islam di Madinah bahawa sebagaimana orang Musyrik telah menentang Islam, begitu juga orang Yahudi di Madinah.
Satu lagi, dipisahkan antara golongan Ahli Kitab dan Musyrikin walaupun kedua-duanya kafir, adalah kerana hukum hubungan kita dengan mereka berbeza. Sebagai contoh kita tidak boleh makan sembelihan Musyrikin akan tetapi kita boleh makan sembelihan Ahli Kitab. Kita tidak boleh menikahi orang Musyrik akan tetapi kita boleh menikahi wanita Ahli Kitab. Jadi oleh kerana kedudukan status mereka ada sedikit kelainan, maka kerana itu dipisahkan sebutan tentang mereka.
Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa akan sentiasa ada dua golongan ini yang akan sentiasa menentang Islam. Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati dengan mereka. Jangan jadikan mereka wali kita atau pemimpin kita kerana sifat mereka yang tidak mesra terhadap Islam. Selepas ini diberitahu apakah yang mereka tidak suka.
Cuma mungkin timbul persoalan: Adakah semua orang kafir dan musyrikin ini memusuhi umat Islam? Tentulah tidak semua. Kita sudah lihat contohnya bapa saudara Nabi Abu Thalib yang dari awal sehingga ke akhir hayatnya membantu anak saudara Nabi Muhammad. Jadi takkan boleh kita katakan semua orang kafir itu menentang Islam. Kerana ada sahaja yang hatinya baik. Akan tetapi tetap jangan kita jadikan mereka sebagai pemimpin kita kerana tidak tahu apakah kesannya nanti kepada Islam.
أَن يُنَزَّلَ عَلَيكُم مِّن خَيرٍ مِّن رَّبِّكُم
bahawa didatangkan kepada kamu semua satu kebaikan apa pun dari Tuhan kamu;
Mereka tidak suka apabila orang Islam mendapat kebaikan kerana sifat dengki yang ada pada mereka. Ini adalah kerana rasa permusuhan yang tinggi dari kepada terhadap agama Islam. Apabila mereka tidak suka, mereka mencari berbagai-bagai jalan untuk melemahkan Islam. Mereka tidak suka Islam jadi kuat dan berpengaruh. Antaranya mereka cuba mencari kesalahan Nabi ﷺ. Mereka juga mencari-cari jalan bagaimana hendak menyebabkan orang Islam sangsi dengan Islam.
Mereka benci apabila Muslim mendapat kebaikan padahal kebaikan itu dari Allah ﷻ semata-mata. Mereka tidak suka orang beriman mendapat kebaikan dari Allah ﷻ. Apa-apa sahaja kebaikan, tidak kira walau apa jenis pun sama ada keduniaan atau akhirat. Sama ada dari segi wahyu, kemenangan dalam peperangan, pangkat kenabian, ilmu, iman, kesenangan, harta atau apa-apa sahaja. Ini adalah kerana kalimah yang digunakan adalah مِن خَيرٍ di dalam bentuk nakirah (umum) jadi ia bukan khusus; jadi ia bermaksud apa-apa sahaja kebaikan.
Pertamanya, mereka tidak suka Nabi Muhammad ﷺ yang mendapat wahyu – ini yang paling utama. Kita telah belajar sebelum ini yang orang-orang Yahudi tidak dapat menerima bahawa wahyu akhir zaman diturunkan kepada Bangsa Arab. Orang Arab Mekah yang musyrik pula, tidak dapat menerima Nabi Muhammad ﷺ diberikan wahyu. Pada mereka, ada lagi orang lain yang lebih layak dari kalangan orang terkenal di Tanah Arab. Kita akan belajar tentang ini dalam surah-surah yang lain.
Macam masyarakat kita juga, ada yang tidak suka kalau orang baik-baik dapat kebaikan. Kalau mereka tengok ada ustaz pakai kereta cantik sedikit, mereka akan mengata. Mereka tidak suka orang yang sebar agama mendapat kebaikan. Sama ada orang-orang agama itu mendapat kedudukan, harta atau sebagainya. Kalau pihak yang dituduh sebagai ‘Wahabi’ terkehadapan, ada golongan yang tak suka. Sebagai contoh, apabila pihak yang dituduh Wahabi ini yang di hadapan dalam membongkarkan kesesatan dan kezaliman GISB pada tahun 2024, pihak yang selalu menuduh-nuduh Wahabi ini senyap sahaja kerana tidak suka bukan mereka yang yang di hadapan dalam perkara ini. Mereka memang tidak suka golongan Sunnah dapat kebaikan seperti menang dalam debat, pandai kerana belajar lebih dari mereka, mendapat penghormatan dari negara-negara lain dan sebagainya. Jadi mereka akan selalu menunggu peluang untuk memburukkan kita.
Kerana Allah beritahu tentang sifat dengki golongan musyrikin dan Ahli Kitab itu? Supaya kita terus berhati-hati dengan mereka. Jangan tertipu dengan diayah mereka yang hendak merosakkan kita. Peliharalah baik-baik iman dan amal kita supaya tidak terpengaruh dengan mereka. Dan dianjurkan kita untuk berlindung dengan Allah dari kejahatan mereka seperti disebut di dalam satu hadis,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ جَهْدِ الْبَلَاءِ وَدَرَكِ الشَّقَاءِ وَسُوءِ الْقَضَاءِ وَشَمَاتَةِ الْأَعْدَاءِ
Dari Abu Hurairah radiallahuanhu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mintalah perlindungan kepada Allah dari cubaan yang menyulitkan, kesengsaraan yang menderitakan, takdir yang buruk dan diketawakan oleh musuh.”
Sahih Bukhari (6126)
Musuh memang suka kalau melihat kita susah, dan mereka akan mengambil peluang ketika kita lemah. Maka kerana itu kita kena minta perlindungan dari Allah. Kalau nampak ada orang yang macam tidak suka dengan kita, maka berdoalah kepada Allah. Ini macam orang yang mengamalkan bid’ah, amat tidak suka kalau orang golongan Ahli Sunnah pandai dalam agama dan mengalahkan mereka di dalam hujah. Padahal sepatutnya mereka pun belajarlah juga tafsir Al-Qur’an dan syarahan hadis, jangan terus duduk di dalam kebodohan. Akan tetapi tindakan mereka hanya mengutuk dan meratib wahabi, wahabi sahaja.
وَاللَّهُ يَختَصُّ بِرَحمَتِهِ مَن يَشاءُ
Sedangkan Allah akan memberikan pengkhususan dengan RahmatNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki;
Rahmat itu adalah dari Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa ia adalah hak Allah ﷻ untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya secara khusus. Bukan tempat kita untuk mempersoalkan kepada siapakah yang Allah ﷻ berikan rahmat-Nya itu. Ikut Allah ﷻlah siapa yang Dia hendak beri kebaikan itu. Contohnya kedudukan Nabi itu dipilih oleh Allah sendiri seperti disebut di dalam An’am:124
وَإِذَا جَآءَتهُم ءَايَةٌ قَالُواْ لَن نُّؤمِنَ حَتَّىٰ نُؤتَىٰ مِثلَ مَآ أُوتِىَ رُسُلُ ٱللَّهِۘ ٱللَّهُ أَعلَمُ حَيثُ يَجعَلُ رِسَالَتَهُ ۥۗ
Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu.
Kita telah tahu yang Ahli Kitab tidak suka pangkat Nabi diberikan kepada orang Arab. Begitu juga mereka tidak suka manusia dapat nikmat agama Islam itu. Sebagai contoh, kita tahu bahawa Bilal رضي الله عنه itu adalah seorang yang miskin. Begitu juga dengan Salman al Farisi dan Suhail رضي الله عنهما. Orang-orang musyrik tidak suka mereka ini mendapat rahmat apa-apa dari Allah ﷻ. Tetapi Allah ﷻ telah pilih mereka menjadi sahabat yang mulia. Itu semua adalah kehendak Allah ﷻ. Kita tidak dapat mempersoalkannya langsung. Siapa kita untuk persoalkan keputusan Allah ﷻ?
Memang dahulu Bani Israil telah mendapat begitu banyak kebaikan dari Allah ﷻ. Mereka telah diberikan dengan kelebihan demi kelebihan – antaranya begitu ramai Nabi dan Rasul dari kalangan mereka. Mereka juga telah mendapat kekayaan dan kebaikan dalam kehidupan. Tetapi Allah ﷻ boleh tidak memilih mereka lagi untuk memberi kebaikan. Siapakah mereka sebagai manusia hendak mempersoalkan Allah ﷻ?
وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar sekali.
Allah ﷻ ada banyak rahmat yang akan diberikan-Nya kepada manusia lain yang dipilih-Nya. Tunggu masa sahaja untuk Allah berikan kepada makhluk. Asal sahaja kita jaga rahmat yang Allah telah beri kepada kita dari segi agama, maka akan ditambahNya lagi rahmat itu dengan tidak terhitung.
Dari ayat ini, kita dapat tahu yang orang Yahudi marah kerana Nabi akhir zaman yang dibangkitkan bukan dari golongan mereka. Orang Musyirikin pun marah juga kerana yang diangkat menjadi Nabi itu bukan dari orang-orang yang mereka sangka patut menjadi Nabi.
Pelajaran dari ayat: Peringatan agar berwaspada terhadap orang-orang kafir dari kalangan Ahli Kitab atau orang-orang musyrik, kerana mereka adalah musuh yang dengki terhadap orang-orang mukmin. Maka tidak halal bagi seorang Muslim untuk merendahkan diri dan merasa tenang dengan ucapan dan perbuatan mereka, sebab mereka tidak pernah berhenti melakukan tipu daya kepada kaum muslimin.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 4 November 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Assalamualaikum ustaz, berkenaan dengan hukuman rejam, tiada perkataan hukuman rejam di dalam A-Quran. Hukuman rejam hanya ada di nyata kan dalam hadis dan hadis tersebut perlu dilihat secara konteks dan diperhalusi keadaan nya. Harap ustaz dapat memberi maklumat terperinci berkenaan perkara ini. Terima kasih.
LikeLike
Memang ada disebut dalam hadis. Dan hadis itu pun menjadi polemik juga di kalangan sarjana. Yang rajihnya, memang ada hukuman rejam. Tapi jawapan terperinci hendaklah dipelajari hadis itu dan melihat semua pendapat yang ada. Saya terus beri jawapan ringkas sahaja. Iaitu: ada hukuman rejam bagi penzina yang sudah pernah bernikah halal.
LikeLike
Assalamualaikum..
Jadi kesimpulannya utk kita berpegang adalah sebenarnya tiada sebarang ayat yg dimansuhkan walaupun satu ayat? Betul ustaz? Dan saya nak tahu kalau begitu, dari mana datangnya tentang mansuh2 ayat ni ustaz? Contoh yg kerap sy dengar yg bab nikah kontrak tu. Tlg sy ustaz utk jelaskan. Terima kasih
LikeLike
Tiada ayat Qur’an yang dimansukhkan adalah salah satu pendapat.
Tapi memang ada pendapat lain, bezanya banyak dan sikit sahaja. Perbincangan yang panjang tentang perkara ini.
Jadi memang ada yang kata ada ayat Qur’an yang dimansukhkan.
Konsep mansukh wahyu memang ada. Iaitu kitab wahyu seperti Taurat dan Injil telah dimansukhkan. Kita tak pakai lagi syariat dari kitab-kitab itu.
Dan mansukh hukum memang berlaku sepanjang hidup Rasulullah. Seperti awak sebut tentang nikah kontrak itu. Tapi itu bukan ayat Qur’an. Itu adalah hukum, dulu boleh sekarang tidak boleh. Ini sudah masuk bab ilmu hadis kerana ia disentuh di situ.
LikeLike