Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 6 – 9 (Jangan gopoh minta mukjizat)

Ra’d Ayat 6: Ayat zajrun (teguran) dan takhwif duniawi. Kemusykilan yang kedua daripada orang kafir adalah tentang janji-janji azab yang telah diberikan oleh Rasulullah ﷺ kepada mereka jikalau mereka tidak taat kepada Allah ﷻ dan baginda. Mereka kata jikalau benar ada azab-azab itu, seperti yang dikenakan kepada umat-umat terdahulu, maka kenapa azab-azab begitu tidak datang lagi kepada mereka?

وَيَستَعجِلونَكَ بِالسَّيِّئَةِ قَبلَ الحَسَنَةِ وَقَد خَلَت مِن قَبلِهِمُ المَثُلٰتُ ۗ وَإِنَّ رَبَّكَ لَذو مَغفِرَةٍ لِّلنّاسِ عَلىٰ ظُلمِهِم ۖ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They impatiently urge you to bring about evil before good,¹ while there has already occurred before them similar punishments [to what they demand]. And indeed, your Lord is full of forgiveness for the people despite their wrongdoing, and indeed, your Lord is severe in penalty.

  • They said, challenging the Prophet () in ridicule, “Bring on the punishment, if you are truthful,” rather than asking for mercy and forgiveness from Allāh.

(MALAY)

Mereka meminta kepadamu supaya disegerakan (datangnya) seksa, sebelum (mereka meminta) kebaikan, padahal telah terjadi bermacam-macam contoh seksa sebelum mereka. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai ampunan (yang luas) bagi manusia sekalipun mereka zalim, dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar sangat keras seksanya.

 

وَيَستَعجِلونَكَ بِالسَّيِّئَةِ قَبلَ الحَسَنَةِ

Mereka meminta kepadamu supaya disegerakan (datangnya) seksa, sebelum (mereka meminta) kebaikan,

Amat pelik sekali apa yang mereka lakukan: mereka minta ditunjukkan azab untuk mereka. Iaitu mereka minta disegerakan azab (mereka kata kalau betul mereka akan dikenakan azab atas kesalahan mereka, bawalah ke mari, segerakanlah!). Itu sebelum mereka minta kebaikan iaitu hidayah. Sepatutnya mereka minta diberikan pemahaman iaitu hidayah. Minta bagi nampak kebenaran sampai mereka tidak boleh tolak lagi. Sepatutnya mereka minta kebaikan yang disegerakan, sebaliknya mereka minta keburukan yang disegerakan.

Maka dari sini kita boleh tahu yang mereka itu sebenarnya sudah gila! Akal mereka sebenarnya sudah rosak! Namun bagaimana dengan orang Muslim kita? Ada juga yang rosak akal sebenarnya. Sebagai contoh, kita semua tahu yang kalau buat dosa, akan diazab di akhirat kelak. Namun masih lagi buat dosa!

Kalimah استعجل tidak sama dengan سرع yang bermaksud bersegera. Ia daripada katadasar ع ج ل yang bermaksud menyegerakan; tergesa-gesa; lakukan dengan cepat; mempercepatkan; anak lembu. Kalimah استعجل digunakan apabila tergesa-gesa buat sesuatu yang sebelum waktunya. Kalau سرع (bersegera) untuk solat, maka itu adalah perkara yang sangat baik sebab hendak bersegera untuk beribadat. Manakala kalimah استعجل itu pula bermaksud solat sebelum masuk waktunya. Perumpamaan استعجل ini seumpama minta gaji sebelum hujung bulan. Belum masa lagi tetapi sudah meminta-minta.

Permintaan mereka itu adalah permintaan yang kurang ajar dan amat bodoh sekali. Sepatutnya mereka minta kebaikan sebaliknya mereka minta azab pula. Ini amat menghairankan sekali. Banyak sekali disebut tentang permintaan mereka ini di dalam ayat-ayat yang lain. Antaranya:

يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا وَالَّذِينَ آمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ
Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat meminta supaya hari (kiamat) itu disegerakan datangnya dan orang-orang yang beriman merasa takut kepadanya dan merasa yakin bahawa kiamat itu adalah benar (akan terjadi). (Syura: 18)

Pelik sungguh mereka ini. Mereka kata begini: “Kalau aku salah, azablah aku!”. Kenapa pula sampai minta begitu? Tidakkah lebih elok mereka minta, “Ya Allah, kalau aku salah, betulkanlah aku….” Ternyata ini adalah kata-kata orang yang sombong dan degil. Yang rasa mereka sahaja yang betul. Banyak kali Allah ﷻ sebut tentang kebodohan mereka ini, antaranya di dalam Anfal: 32

وَإِذ قالُوا اللَّهُمَّ إِن كانَ هٰذا هُوَ الحَقَّ مِن عِندِكَ فَأَمطِر عَلَينا حِجارَةً مِّنَ السَّماءِ أَوِ ائتِنا بِعَذابٍ أَليمٍ
Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Ya Allah, jika betul (Al Qur’an) ini benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih”.

 

وَقَد خَلَت مِن قَبلِهِمُ المَثُلٰتُ

padahal telah terjadi bermacam-macam contoh seksa sebelum mereka. 

Bagaimana mereka sanggup minta begitu, sedangkan telah datang banyak contoh-contoh azab kepada umat terdahulu sebagai contoh untuk mereka. Kalimah المَثُلٰتُ adalah jamak bagi مثلة iaitu hukuman yang dikenakan kepada pesalah di khalayak ramai supaya menjadi contoh bagi mereka yang melihatnya. Dengan tujuan mereka tidak melakukannya kerana takut dikenakan dengan hukuman yang sama.

Begitulah apa yang terjadi kepada kaum-kaum sebelum Musyrikin Mekah itu. Mereka tahu apa yang terjadi kepada umat-umat terdahulu sebelum mereka seperti Aad dan Tsamud. Malah mereka pun biasa melalui kawasan kaum-kaum yang telah dimusnahkan itu . Sepatutnya mereka lihat apa yang terjadi kepada mereka ingkar, ambillah pengajaran – janganlah buat seperti mereka itu. Apa mereka sangka mereka akan selamatkah? Siapa pula beri berjanji yang mereka pasti akan selamat?

 

وَإِنَّ رَبَّكَ لَذو مَغفِرَةٍ لِّلنّاسِ عَلىٰ ظُلمِهِم

Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai ampunan (yang luas) bagi manusia sekalipun mereka zalim,

Sepatutnya mereka minta ampun daripada kesalahan mereka kerana Allah ﷻ Maha Pemaaf. Allah ﷻ tidak tutup pintu keampunan lagi – maka kenapa mereka mahu meminta azab dengan cepat? Walaupun teruk sekali penolakan mereka itu, namun Allah ﷻ masih sanggup mengampunkan mereka. Walaupun mereka terlalu banyak membuat salah dan kezaliman, maka ambillah peluang itu. Janganlah pula minta disegerakan azab.

Kita ini tentulah ada banyak dosa, tetapi Allah ﷻ sentiasa memaafkan kesalahan dan dosa kita. Seandainya Allah ﷻ terus membalas dengan azab di atas segala dosa-dosa kita, maka tentulah kita semua ini sudah lama pupus di atas muka bumi ini.

Jika diperhatikan, Allah ﷻ bukan kata Dia boleh mengampunkan dosa orang beriman kerana setakat mengampunkan dosa orang beriman sahaja, ini tidak hebat. Sebaliknya Allah ﷻ kata Dia boleh mengampunkan dosa لِلنّاسِ iaitu mana-mana manusia.

Maka walaupun golongan Musyrikin Mekah itu telah lama melakukan kesalahan syirik, dan sekarang mereka menentang Rasul mereka sendiri, Allah ﷻ tetap memberi peluang kepada mereka. Allah ﷻ masih tetap bersedia memaafkan mereka kerana mereka masih ada pelindung kepada mereka seperti disebu dalam Anfal: 33

وَما كانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم وَأَنتَ فيهِم ۚ وَما كانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُم وَهُم يَستَغفِرونَ
Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun

Maknanya, selagi Rasulullah ﷺ ada bersama mereka, mereka akan selamat. Selagi baginda ada dalam kalangan mereka yang meminta ampun, maka mereka juga akan selamat. Maka ambillah peluang itu, jangan disia-siakan!

Apa pengajaran kepada kita? Setelah kita tahu yang Allah ﷻ maha pengampun, maka selalulah minta ampun kepada Allah ﷻ. Jangan lepaskan peluang ini. Ada yang tidak ambil peluang ini dengan bersungguh. Contohnya ada orang kita yang suka minta orang lain buatkan Solat Hajat bagi pihak mereka. Bila ditanya kenapa mereka sendiri tidak buat, mereka kata kerana mereka banyak dosa. Aduhai, kenapa bodoh sangat? Kalau sudah banyak dosa, mintalah ampun kepada Allah ﷻ, kenapa susah sangat untuk faham?

 

وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَديدُ العِقابِ

dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar sangat keras seksaNya.

Walaupun Allah ﷻ maha pengampun, namun jangan sangka Allah ﷻ akan sentiasa memaafkan sahaja. Allah ﷻ maha berkuasa untuk beri hukuman kepada makhluk. Oleh itu jangan senang hati sangat. Kalau mereka minta azab, Allah ﷻ boleh sahaja berikan azab kepada mereka. Yang pasti, kalau mereka tidak ubah perangai mereka, mereka akan dikenakan azab di akhirat kelak.

Sebelum ini Allah ﷻ sebut tentang Dia sebagai Maha Pengampun, sekarang Allah ﷻ sebut tentang azab pula. Ini adalah rahmat daripada Allah ﷻ iaitu Allah ﷻ memberitahu benda baik dahulu. Ini sepertimana kita mengajak anak kita untuk belajar di sekolah supaya berjaya. Kita akan suruh dia dan berikan motivasi kepadanya supaya dia pergi sekolah. Kita tidaklah terus beri ancaman kepadanya, bukan? Kalau dia berdegil untuk pergi ke sekolah, barulah kita beri ancaman (ayah rotan kalau kau tak pergi sekolah!)


 

Ra’d Ayat 7: Ayat syikayah (rungutan Allah ﷻ) tentang kata-kata golongan Musyrik. Ini tentang kesamaran ketiga mereka. Mereka berkata kalaulah benar Nabi Muhammad ﷺ itu seorang Rasul, kenapa baginda tidak mengeluarkan mukjizat seperti yang mereka minta? Nabi Muhammad ﷺ bukannya tidak pernah keluarkan mukjizat, tetapi mereka hendak mukjizat seperti yang mereka minta.

وَيَقولُ الَّذينَ كَفَروا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيَةٌ مِّن رَّبِّهِ ۗ إِنَّما أَنتَ مُنذِرٌ ۖ وَلِكُلِّ قَومٍ هادٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieved say, “Why has a sign not been sent down to him from his Lord?” You are only a warner, and for every people is a guide.

(MALAY)

Orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) suatu tanda (kebesaran) dari Tuhannya?” Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan; dan bagi tiap-tiap kaum ada orang yang memberi petunjuk.

 

وَيَقولُ الَّذينَ كَفَروا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيَةٌ مِّن رَّبِّهِ

Orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) suatu tanda (kebesaran) dari Tuhannya?”

Kalimah ءآيَةٌ di sini bermaksud mukjizat kerana maksud ءآيَةٌ adalah ‘tanda’ dan mukjizat itu adalah tanda kekuasaan Allah ﷻ (bukannya kuasa Nabi). Kenapa disebut tentang ءآيَةٌ mukjizat pula?

Kerana salah satu daripada hujah golongan musyrik untuk menolak Nabi Muhammad ﷺ, mereka berhujah begini: “Kenapa Muhammad itu tidak dapat mukjizat?” Sebenarnya, Nabi Muhammad ﷺ sudah pernah tunjuk mukjizat kepada mereka untuk membuktikan kerasulan baginda. Namun mereka masih juga minta lagi dan lagi. Apakah mukjizat yang pernah ditunjukkan kepada mereka? Salah satunya adalah kejadian bulan terbelah seperti disebut dalam Qamar: 1-2 tetapi mereka tetap menolak juga.

اقتَرَبَتِ السّاعَةُ وَانشَقَّ القَمَرُ
Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.

وَإِن يَّرَوا ءآيَةً يُّعرِضوا وَيَقولوا سِحرٌ مُّستَمِرٌّ
Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.

Mereka pernah pula mengatakan dengan nada ingkar yang isinya meminta agar Nabi Muhammad ﷺ mengubah Bukit Safa menjadi emas buat mereka, dan semua bukit di Mekah dilenyapkan, lalu digantikan dengan ladang-ladang dan sungai-sungai. Allah ﷻ berfirman menjawab mereka dalam ayat lainnya:

وَمَا مَنَعَنَا أَنْ نُرْسِلَ بِالآيَاتِ إِلا أَنْ كَذَّبَ بِهَا الأوَّلُونَ
Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. (Isra’: 59)

Maka tidak memberikan mukjizat seperti yang mereka minta itu pun adalah sebuah rahmat daripada Allah ﷻ kerana kalau Allah ﷻ beri juga dan mereka tolak selepasnya, maka azab akan terus diberikan kepada mereka. Ini kerana kalau yang diminta telah diberi, tetapi masih berdegil juga, maka sudah tidak ada harap bagi mereka. Ini seperti disebut dalam Isra’: 59

وَما مَنَعَنا أَن نُرسِلَ بِالآياتِ إِلّا أَن كَذَّبَ بِهَا الأَوَّلونَ ۚ وَآتَينا ثَمودَ النّاقَةَ مُبصِرَةً فَظَلَموا بِها ۚ وَما نُرسِلُ بِالآياتِ إِلّا تَخويفًا
Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu. Dan Kami tidak memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakuti.

Di sini Allah ﷻ beri contoh kaum Tsamud yang minta mukjizat unta berita. Kemudian ia telah diberikan dan kita pun tahu yang mereka telah tetap kufur juga terhadap Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akhirnya mereka telah dikenakan dengan azab yang teruk. Maka Allah ﷻ tidak beri mukjizat yang diminta oleh Musyrikin Mekah itu kerana Allah ﷻ sedang memberi mereka peluang.

Allah ﷻ beri peluang untuk mereka berfikir. Jangan gopoh minta sesuatu yang tidak patut-patut. Apabila mereka minta mukjizat lain, ini bermakna mereka tidak nampak hebatnya mukjizat Al-Qur’an itu sendiri yang telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kena fikirkan tentang Al-Qur’an yang mereka sendiri pun pening untuk menolaknya. Mereka pun takjub juga dengan Al-Qur’an itu! Maka, kenapakah perlunya kepada mukjizat yang lain?

 

إِنَّما أَنتَ مُنذِرٌ

Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan; 

Bukanlah Allah ﷻ tidak boleh memberikan mukjizat itu kepada Rasul-Nya, tetapi Allah ﷻ tahu hati mereka, Allah ﷻ tahu yang permintaan mereka itu bukanlah untuk beriman, tetapi hanya untuk menentang sahaja. Kalau permintaan mereka dikabulkan, belumlah tentu mereka akan percaya dan mengubah sikap mereka. Ini telah terbukti pada Nabi dan Rasul yang terdahulu. Sebab itu Allah ﷻ memperingatkan kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya permintaan-permintaan yang semacam itu, jangan dilayan.

Lagi pun baginda memang tidak ada kuasa untuk mendatangkan mukjizat setiap kali Musyrikin Mekah minta. Bukan kerja baginda hendak buat magik dengan mereka kerana baginda tugas hanya sebagai pemberi peringatan sahaja, bukan seorang yang memiliki mukjizat. Maka baginda jangan lagi minta mukjizat ditunjukkan kepada mereka yang masih tidak mahu beriman.

Allah ﷻ mengingatkan bahawa tugas baginda hanyalah menyampaikan risalah Allah ﷻ yang diperintahkan kepadanya untuk menyampaikannya:

لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ
bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya. (Baqarah: 272)

Oleh itu, bukanlah kerja baginda membawakan mukjizat sahaja (bila minta sahaja, dapat). Kita kena faham dengan perkara-perkara khawariqul adah (mencarik adat) iaitu perkara luar biasa. Antaranya mukjizat dan karamah. Mukjizat untuk para Nabi manakala karamah untuk para wali.

Para Nabi dan para wali tidak mempunyai mukjizat dan karamah. Mereka hanya diberikan pada ketika-ketika tertentu sahaja, apabila Allah ﷻ beri sahaja. Bukanlah mereka ada kuasa itu sendiri – bukanlah kalau mereka mahu menggunakannya sahaja, maka muncul mukjizat/karamah itu. Ia hanya berlaku sekali sekala sahaja. Bila masa untuk tunjukkan mukjizat atau karamah adalah ketentuan daripada Allah ﷻ semata-mata.

Selalunya di dalam ayat-ayat lain ada diberitahu yang Nabi itu menyampaikan amaran dan berita baik. Namun tidak ada dalam surah ini – disebut مُنذِرٌ sahaja. Ini adalah kerana surah ini adalah surah yang mengandungi banyak ancaman.

 

وَلِكُلِّ قَومٍ هادٍ

dan bagi tiap-tiap kaum ada orang yang memberi petunjuk.

Nabi Muhammad ﷺ adalah pemberi peringatan dan setiap umat ada Nabi/pemimpin/pendakwah yang mengajak kepada kebenaran dan menyampaikan wahyu Tuhan. Ini juga ada disebut melalui firman-Nya yang lain:

وَإِنْ مِنْ أُمَّةٍ إِلا خَلا فِيهَا نَذِيرٌ
Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan. (Fathir: 24)

Oleh itu semua umat ada pemberi petunjuk. Nabi Muhammad ﷺ bukanlah Nabi dan Rasul yang pertama. Umat-umat sebelum ini pun sudah ada Rasul mereka yang menyampaikan hidayah kepada manusia. Itulah tugas mereka dan mereka pun tidak boleh keluarkan mukjizat ikut kehendak mereka sendiri.

Jelas di sini kita dapat tahu bahawa setiap kawasan atau negeri ada pemberi peringatan. Ini adalah tanda Allah ﷻ sayang kepada makhluk-Nya. Tidaklah semestinya seorang Nabi kerana Nabi juga boleh menghantar wakil mereka untuk menyampaikan dakwah seperti disebut dalam Yaasin: 13

وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا أَصحٰبَ القَريَةِ إِذ جاءَهَا المُرسَلونَ
Dan ceritakanlah kepada mereka satu perbandingan mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

‘Rasul’ di dalam ayat Yaasin ini bukanlah para Nabi tetapi utusan daripada Nabi. Maka utusan daripada Allah ﷻ boleh sahaja terdiri daripada pendakwah dalam kalangan manusia yang bukan Nabi. Macam kita sekarang tidak ada Nabi, bukan? Akan tetapi kita tetap menerima ajaran dan dakwah daripada para pendakwah. Sebab itulah orang yang ingkar dan dimasukkan ke dalam neraka akan ditanya tentang pemberi peringatan kepada mereka. Termasuklah kita nanti. Semuanya akan mengaku telah datang kepada mereka seperti disebut  dalam Mulk: 8-9

كُلَّما أُلقِيَ فيها فَوجٌ سَأَلَهُم خَزَنَتُها أَلَم يَأتِكُم نَذيرٌ
Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: “Tidakkah kamu pernah didatangi pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?”

قالوا بَلىٰ قَد جاءَنا نَذيرٌ
Mereka menjawab: “Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami pemberi ingatan,

Peringatan itu tidak semestinya dalam bentuk seorang manusia kerana Al-Qur’an juga adalah pemberi petunjuk juga dan ia bukanlah manusia. Oleh itu apabila dikatakan setiap umat akan mendapat petunjuk, ia bermaksud dengan berbagai cara – ada yang nampak mukjizat, ada yang nampak kebenaran yang dibawa oleh para Rasul, ada yang dapat membaca ilmu wahyu dan sebagainya.

Sebagaimana kita tidak ada lagi Nabi dan Rasul tetapi kita ada Al-Qur’an dan pendakwah yang mengajar dan mengajar kepada Al-Qur’an. Maka Allah ﷻ yang tentukan manusia dapat petunjuk jenis apa.

Habis Ruku’ 1 daripada 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ra’d Ayat 8: Dalil aqli tanbih ke 2. Allah ﷻ menyebutkan tentang ilmu-Nya Yang Maha sempurna. Hanya Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu ghaib.

اللهُ يَعلَمُ ما تَحمِلُ كُلُّ أُنثىٰ وَما تَغيضُ الأَرحامُ وَما تَزدادُ ۖ وَكُلُّ شَيءٍ عِندَهُ بِمِقدارٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh knows what every female carries¹ and what the wombs lose [prematurely] or exceed.² And everything with Him is by due measure.

  • With absolute knowledge inclusive of every aspect of the fetus’ existence.
  • Beyond their normal period of pregnancy and/or the number of fetuses therein.

(MALAY)

Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap betina, dan kandungan rahim yang kurang sempurna dan yang bertambah. Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya.

 

اللهُ يَعلَمُ ما تَحمِلُ كُلُّ أُنثىٰ

Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap betina,

Allah ﷻ hendak memberitahu yang Allah ﷻ kenal makhluk itu sebelum mereka itu lahir lagi; Allah ﷻ tahu tentang mereka sebelum mereka kenal diri mereka lagi. Sebab itu Allah ﷻ beritahu apa yang ada dalam perut ibu yang hamil. Allah ﷻ tahu dengan segala maklumat yang lengkap walaupun kadang-kadang ibu itu sendiri tidak tahu yang dia sedang hamil. Bukan manusia sahaja, tetapi semua makhluk betina.

Kalau ibu itu tahu yang dia sedang mengandung pun, dia tidak tahu bagaimanakah kandungannya itu – sihat atau tidak, akal sempurna atau tidak, sihat atau cacat, ada satu atau lebih, dan sebagainya. Allah ﷻ sudah tahu segala-galanya. Perihalnya sama dengan yang disebutkan oleh firman-Nya:

هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ إِذْ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الأرْضِ وَإِذْ أَنْتُمْ أَجِنَّةٌ
Dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) kalian ketika Dia menjadikan kalian daripada tanah dan ketika kalian masih janin. (Najm:32)

Di dalam Luqman: 34 Allah ﷻ juga berfirman:

إِنَّ اللهَ عِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الغَيثَ وَيَعلَمُ ما فِي الأَرحامِ
Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim.

Akan tetapi mungkin ada yang berhujah, zaman moden sekarang ini sudah boleh tahu tentang kandungan dalam perut ibu, bukan? Ini tidak sama kerana kalau ada doktor tahu pun ada banyak prosesnya. Doktor itu kena belajar dahulu sekian punya lama, hendak lihat pun memerlukan alatan khas, dan alat itu pula memerlukan elektrik. Ini semua tidak diperlukan oleh Allah ﷻ. Setelah dapat imbas pun, bukannya setiap kali berjaya. Kadang bayi dalam perut itu bergerak ke arah lain, menyebabkan pengimbas itu sudah tidak dapat mengesan janin itu. Malah walaupun dapat dikesan jantina janin itu tidak dapat dikenalpastikan secara tepat kerana kadangkala yang disangkakan anak perempuan, tahu-tahu anak lelaki pula yang keluar!

Doktor itu pun hanya tahu apa yang dia boleh imbas sahaja. Doktor itu tidak tahu pun sama ada anak itu akan sihat atau tidak, apakah nasib dia, beriman atau tidak, bila dia mati, tinggal di mana, di mana dia akan mati dan lain-lain. Maka jangan kata sama pula doktor itu dengan Allah ﷻ!

Apa pengajaran bagi kita sekarang? Kita tahu yang segalanya dalam takdir Allah ﷻ. Kita kena sedar yang kita hanya boleh merancang sahaja, namun sama ada menjadi atau tidak, ia terpulang kepada Allah ﷻ. Maka kena belajar serahkan urusan kita kepada Allah ﷻ sepenuhnya.

 

وَما تَغيضُ الأَرحامُ

dan kandungan rahim yang kurang

Namun begitu ada rahim yang mulanya menyimpan kandungan tetapi selepas itu ‘berkurang’. Maksudnya kandungan itu gugur tidak menjadi. Begitu ramai yang mengalami keadaan begini. Kebanyakan ibu dan ayah berharap semoga kandungan itu sihat sampai dapat melahirkan, tetapi semuanya ditentukan oleh Allah ﷻ. Berkenaan hal ini, Rasulullah ﷺ ada bersabda,

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ خَمْسٌ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ وَلَا يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الْأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ وَلَا يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي الْمَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ وَلَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ وَلَا يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ
Daripada [Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kunci perkara ghaib itu ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah ﷻ. Tidak ada yang tahu apa yang akan terjadi dengan hari esok kecuali Allah ﷻ. Tidak ada yang tahu apa yang terjadi di dalam rahim-rahim kecuali Allah ﷻ. Tidak ada yang tahu bilakan datangnya hujan kecuali Allah ﷻ. Tidak ada seorang pun yang tahu di mana dia akan meninggal. Dan tidak ada yang tahu bilakan terjadi hari kiamat kecuali Allah ﷻ.”
(Sahih Bukhari (4328))

Ia juga boleh bermaksud berkurangnya masa kehamilan itu kerana ada sahaja yang tidak cukup bulan tetapi terpaksa keluarkan anak itu.

 

وَما تَزدادُ

dan yang bertambah.

Allah ﷻ tahu bila rahim semakin besar. Ini tentang kandungan yang berterusan membesar dalam kandungan ibunya itu. Mulanya kandungan itu ringan tetapi lama-lama ia menjadi berat. Allah ﷻ yang mencipta makhluk itu dan membesarkan janin di dalam rahim.

Ia juga boleh bermaksud bilangan anak. Kadang-kadang bilangan anak dalam perut itu boleh bertambah. Disangkakan janin satu sahaja, tetapi kemudian baru tahu rupanya ada kembarnya.

Lagi satu tafsir, ia boleh bermaksud bertambahnya masa kandungan itu di dalam perut. Ini kerana tidak ada sesiapa pun yang dapat memastikan berapa lama kandungan itu akan lahir. Maka ada tempoh kehamilan yang panjang dan ada yang pendek; semuanya itu adalah dalam taqdir Allah ﷻ. Ada yang kurang daripada 9 bulan dan ada juga yang sampai melebihi 9 bulan.

 

وَكُلُّ شَيءٍ عِندَهُ بِمِقدارٍ

Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya.

Semua yang terjadi itu adalah dikira dalam qadar Allah ﷻ. Allah ﷻ menjaga setiap perkara, kecil atau besar. Sama ada kandungan itu menjadi atau tidak, berapa lama kandungan itu dalam perut, semua itu dalam penentuan Allah ﷻ. Berapa kadar rezeki yang dia akan dapat sepanjang hidupnya dan bilakan ajalnya, Allah ﷻ yang tentukan. Di dalam hadith ada disebutkan:

قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ أَنَّهُ يُجْمَعُ خَلْقُ أَحَدِكُمْ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ إِلَيْهِ الْمَلَكَ فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ فَيَقُولُ اكْتُبْ عَمَلَهُ وَأَجَلَهُ وَرِزْقَهُ وَشَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا
[Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; telah menceritakan kepada kami Rasulullah ﷺ dan baginda seorang yang jujur lagi dipercayai: “Penciptaan masing-masing kalian dihimpun dalam perut ibu selama empat puluh hari hingga menjadi segumpal darah. Kemudian menjadi segumpal daging seperti itu pula, kemudian Allah mengutus seorang malaikat kepadanya, dia diperintahkan dengan empat kalimat, kemudian Dia berfirman: ‘Tulislah amal, ajal, dan rezekinya serta sengsara atau bahagia.’ Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya ada salah seorang kalian berbuat dengan amalan penghuni syurga hingga tidak ada jarak antara dirinya dengan syurga kecuali sehasta, namun catatan telah mendahuluinya hingga dia mengerjakan perbuatan penghuni neraka dan akhirnya masuk neraka. Dan sesungguhnya ada salah seorang kalian melakukan amalan penghuni neraka hingga tidak ada jarak antara dirinya dengan neraka kecuali satu hasta, namun catatan mendahuluinya hingga dia mengerjakan amalan penghuni syurga dan akhirnya dia masuk ke syurga.”
(Sahih Bukhari (73))

Bahkan bukan kandungan dan nyawa seorang manusia sahaja yang Allah ﷻ tentukan, malah semua perkara di dalam alam ini. Lalu bagaimana puak musyrikin itu berani meminta azab? Allah ﷻ juga memberitahu yang apa sahaja yang kamu lakukan, Allah ﷻ rekodkan dan simpan. Kalau Allah ﷻ boleh rekod keadaan kamu dalam rahim ibumu, tentu Allah ﷻ boleh sahaja merekod apa yang kamu telah dan sedang lakukan.


 

Ra’d Ayat 9: Sambungan tentang ilmu Allah ﷻ yang tahu segalanya.

عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ الكَبيرُ المُتَعالِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He is] Knower of the unseen and the witnessed, the Grand, the Exalted.

(MALAY)

Yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nampak; Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi.

 

عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

Yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nampak;

Allah ﷻ Maha Mengetahui segala perkara sama ada zahir atau pun tidak. Lihatlah bagaimana keadaan kandungan dalam perut pun Allah ﷻ tahu. Allah ﷻ tahu perkara yang makhluk nampak dan benda yang kita tidak nampak pun, Allah ﷻ pasti nampak. Pandangan kita terhad, nampak yang zahir sahaja; tetapi pandangan Allah ﷻ tiada terhad. Kalau pandangan yang zahir itu pun belum tentu betul. Kadang-kadang nampak dari jauh kawan kita dan kita sudah siap untuk menegur, tetapi bila sudah dekat, baru perasan itu bukan kawan kita. Nasib baik belum tegur lagi.

Golongan yang kafir bukannya tidak kenal Allah ﷻ, tetapi mereka ada tanggapan yang salah tentang Allah ﷻ. Sebagai contoh Musyrikin Mekah kenal Allah ﷻ itu sebagai Tuhan, sebagai Pencipta. Akan tetapi mereka sangka kalau mereka bercakap secara rahsia, Allah ﷻ tidak tahu; Yahudi dan Nasrani juga kenal Allah ﷻ, tetapi mereka anggap Allah ﷻ macam manusia pula mengambil anak. Maka di dalam Al-Qur’an Allah ﷻ banyak menyebut tentang sifat-sifat-Nya supaya manusia kenal betul-betul dengan Dia.

 

الكَبيرُ

Yang Maha Besar

Allah ﷻ itu Maha Besar. Allah ﷻ lebih besar daripada alam ini. Kita kena sedar betapa kerdilnya kita. Manusia kecil sahaja semasa dalam perut ibu mereka. Apabila sudah keluar pun, masih kecil lagi. Maka tidak perlulah berlagak dan sombong di atas muka bumi ini. Orang kata jangan besar kepala lah!

 

المُتَعالِ

Maha Tinggi.

Kalimah المُتَعالِ daripada katadasar ع ل و yang bermaksud tinggi; dinaikkan; ditinggikan; naik; mengatasi; berbangga; kenaikan pangkat atau martabat; mengambil; ketinggian; kemuliaan; kebanggaan; kurang ajar; ketinggian yang hebat; menguasai; menakluki; menang. Maka المُتَعالِ bermaksud kedudukan yang tinggi. Kedudukan Allah ﷻ amat tinggi. Manusia itu dan segala makhluk amat rendah kalau dibandingkan dengan Allah ﷻ. Maka tunduklah semua diri kepada-Nya, dan tertakluklah semua hamba kepada-Nya, baik dengan senang hati ataupun terpaksa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 3 – 5 (Jangan lagi minta mukjizat)

Ra’d Ayat 3: Sebelum ini kita disuruh melihat alam langit, sekarang lihatlah alam bumi pula.

وَهُوَ الَّذي مَدَّ الأَرضَ وَجَعَلَ فيها رَوسِيَ وَأَنهٰرًا ۖ وَمِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ جَعَلَ فيها زَوجَينِ اثنَينِ ۖ يُغشِي اللَّيلَ النَّهارَ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who spread the earth and placed therein firmly set mountains and rivers; and from all of the fruits He made therein two mates; He causes the night to cover the day. Indeed in that are signs for a people who give thought.

(MALAY)

Dan Dialah Tuhan yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai padanya. Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan, Allah menutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.

 

وَهُوَ الَّذي مَدَّ الأَرضَ

Dan Dialah Tuhan yang membentangkan bumi

Allah ﷻ telah menghamparkan bumi ini untuk kita mudah diami. Kalaulah bumi ini berbukit bukau sahaja, tentu susah kita untuk tinggal di bumi ini. Allah ﷻ telah memudahkan kita hidup di bumi ini supaya kita boleh berkembang biak. Allah ﷻ juga berfirman dalam Baqarah: 22

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ فِرٰشًا
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan

Ayat ini bukanlah dalil yang mengatakan bumi ini datar (flat). Sekarang ini ada kumpulan yang mendakwa bumi ini datar. Ini tidak benar. Memang banyak Allah ﷻ mengatakan bumi ini dihamparkan, namun bukanlah bermaksud bumi ini datar. Bumi ini sfera, cuma kerana ia besar, kita tidak rasa yang ia datar. Bukti-bukti saintifik banyak menunjukkan kepada rupa sfera bumi ini. Namun kita pun tidaklah mahu berhujah panjang tentang hal ini kerana ia bukan perkara yang penting pun. Kalau ada yang hendak mengatakan bumi ini datar, silakan.

وَجَعَلَ فيها رَوٰسِيَ

dan menjadikan di atasnya pasak-pasak

‘Pasak’ yang dimaksudkan adalah ‘gunung’ dan ‘banjaran’. Memang Allah ﷻ menjadikan bumi ini terbentang tetapi ada juga dijadikan gunung ganang dan ia adalah untuk kebaikan kita juga. Gunung ganang sebagai ‘pasak’ untuk bumi. Hebatnya Allah ﷻ, sudahlah menjadikan bumi yang luas ini, pasak pun Dia buatkan juga. Seandainya kita terpaksa pasak bumi ini sendiri, tentu sekali tidak mampu, bukan?

Kalimah رَوٰسِيَ daripada katadasar ر س و yang bermaksud tegas; set; ditubuhkan; stabil; tidak beralih; kekal; meletakkan sauh; tambatan; ketibaan; akan berlaku. Bumi memerlukan pasak kerana kerak bumi ini terletak seolah-olah sebagai permaidani di atas bumi dan kalau tidak ada pasak, ia akan bergerak-gerak dan kita pun susah untuk hidup di atasnya. Allah ﷻ telah sebut tentang hal ini dalam Luqman: 10

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم
Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu;

Maka kerak bumi yang bertembung antara satu sama lain akan bertindak – yang bahagian keras akan menusuk ke dalam bumi dan yang lembut akan naik menjadi gunung. Ini dipanggil proses isostasi.

Atau kalimah رَواسِيَ itu daripada kalimah ر س و yang bermaksud ‘sauh’ di mana apabila kapal hendak berlabuh ia akan menurunkan sauh supaya kapal itu tetap dan stabil pada satu tempat. Tanpa sauh, kapal akan bergerak.

Di dalam Naba’: 6-7 Allah ﷻ sebut bagaimana Dia menjadikan bumi ini mudah untuk diduduki dan kemudian meletakkan pasak padanya.

أَلَم نَجعَلِ الأَرضَ مِهادًا
(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?

وَالجِبالَ أَوتادًا
Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?

 

وَأَنهٰرًا

dan sungai-sungai 

Selain tanah yang datar, juga gunung sebagai pasak, Allah ﷻ juga menjadikan sungai-sungai yang kecil dan besar. Jika kita menaiki kapalterbang dan melihat bumi dari atas, kita akan nampak amat banyak sungai-sungai itu yang airnya mengalir tidak berhenti langsung. Sangat hebat sekali ciptaan Allah ﷻ!

Kehebatan Allah mencipta sungai-sungai begitu banyak sekali untuk kegunaan makhluk-Nya

Allah ﷻ menjadikan sungai-sungai yang mengalirkan air untuk digunakan kepada manusia. Kita memerlukan air untuk kehidupan kita. Antaranya air itu digunakan untuk mengairi tanam-tanaman. Semua ini untuk kita kerana Allah ﷻ tidak perlukan pun buah-buahan itu. Sungai-sungai digunakan juga sebagai tempat pengangkutan, terutama sekali pada zaman dahulu kala. Sebab itulah bandar-bandar besar yang ada sekarang ini dulunya berdekatan dengan sungai kerana sumber air yang berterusan. Kuala Lumpur pun ada sungainya.

Air sungai itu sangat hebat sekali. Air dari sungai itu mengalir ke laut. Akan tetapi dari mana air itu datang dengan banyaknya? Ada pendapat yang mengatakan air itu dari tanah tinggi. Ini adalah apabila awan yang mengandungi air banyak tertahan di puncak gunung dan air diturunkan di situ. Apabila air hujan turun di tanah tinggi, ia seperti tangki yang menurunkan air kepada sungai. Satu lagi, di tanah tinggi juga ada salji dan apabila salji itu mencair, air diturunkan ke bawah dan pergi ke sungai.

 

وَمِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ جَعَلَ فيها زَوجَينِ اثنَينِ

Dan menjadikan pada semua buah-buahan berpasang-pasangan, dua jenis

Daripada air yang satu jenis itu menyuburkan tumbuhan dan pokok-pokok. Manakala tumbuhan pula ada jenis jantan dan juga betina. Maka ini mengajar kita buah-buahan itu ada jantan dan betinanya, cuma kita sahaja yang tidak tahu. Sains belum menjumpa rahsianya lagi.

Atau Allah ﷻ memberitahu bahawa dalam setiap pokok itu sekurang-kurangnya ada dua jenis buah. Maksudnya, walaupun buah itu sama sahaja rupanya, tetapi rasa berlainan walaupun daripada pokok yang sama. Pokok yang sama, diairkan daripada sumber air yang sama, tetapi hebat kerana rasanya berlainan. Ada yang manis dan ada yang tawar.

 

يُغشِي اللَّيلَ النَّهارَ

Allah menutupkan malam kepada siang.

Allah ﷻ menutup malam ke atas siang. Allah ﷻ menutup/selimut siang dengan malam. Kejadian ini kita dapat lihat kalau kita melihat bumi dari tempat yang tinggi seperti gambar di bawah ini:

Hanya Allah ﷻ yang mampu menyelimuti siang dengan malam

Pergerakan malam menutupi siang seperti dalam gambar ini sebiji seperti malam sedang menyelimuti siang. Tidaklah malam dan siang itu terjadi sendiri tapi Allah lah yang menjadikan siang dan malam pada setiap hari itu. Ini semasa dunia yang ada malam dan siang kerana akhirat nanti tidak bertukar siang dan malam (syurga siang sentiasa dan neraka malam sentiasa).

Pergerakan malam menutupi siang seperti dalam gambar ini adalah seolah-seolah seperti malam sedang menyelimuti siang. Tidaklah malam dan siang itu terjadi sendiri tetapi Allah ﷻlah yang menjadikan siang dan malam pada setiap hari itu. Ini semasa dunia yang ada malam dan siang kerana akhirat nanti tidak bertukar siang dan malam (syurga siang sentiasa manakala neraka malam sentiasa).

Dia menjadikan masing-masing daripada keduanya menyusul yang lainnya dengan cepat. Dengan kata lain, apabila yang satunya pergi, maka yang lainnya datang; dan apabila yang lainnya berlalu pergi, maka yang satunya datang. Allah ﷻ pulalah yang mengatur waktu, sebagaimana Dia mengatur tempat dan penduduknya.

Kita sebagai manusia memerlukan siang dan juga malam. Kalau siang sahaja tentu susah untuk berehat, dan kalau ada malam sahaja, tentu susah untuk bekerja pula. Maka Allah ﷻ menukar silih berganti. Allah ﷻ berfirman dalam Qasas: 71-72 tentang kepentingan siang dan malam. Kalau bukan Allah ﷻ yang tukarkan, siapa lagi yang mampu?

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ اللَّيلَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِضِياءٍ ۖ أَفَلا تَسمَعونَ
Katakanlah: “adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?”

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ النَّهارَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِلَيلٍ تَسكُنونَ فيهِ ۖ أَفَلا تُبصِرونَ
Katakanlah: “adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.

Kejadian ini semua bukanlah Allah ﷻ jadikan sengaja sahaja untuk main-main tetapi ada pengajarannya. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bahawa alam ini ada yang mengemudikannya. Semuanya teratur kerana ada yang mengatur. Semua yang ada pada alam itu adalah tanda kepada kekuasaan Allah ﷻ. Ia diberikan kepada semua, tetapi yang boleh terima adalah mereka yang mahu berfikir sahaja dan menggunakan akal. Kalimah yang digunakan adalah يَتَفَكَّرونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang bermaksud ia berterusan. Maka kita kena sentiasa berfikir tentang hal-hal kejadian ini untuk menimbulkan perasaan cinta kepada Allah ﷻ.

Untuk taat kepada Allah ﷻ, kita kena ada rasa ta’zhim (pengagungan) dan mahabbah (cinta) kepada Allah ﷻ. Baru senang untuk kita taat kepada yang kita agungkan dan kita cinta kepadanya. Bukankah kalau kita cinta kepada seseorang, kita akan senang untuk taat kepada-Nya? Untuk hadhirkan rasa ta’zhim dan mahabbah itu, kenalah kenal Allah ﷻ dengan membaca ayat-ayat sebegini. Kita boleh lihat bagaimana Allah ﷻ telah memudahkan kehidupan kita di dunia ini, sampaikan kita boleh menjadi sayang kepada Allah ﷻ.


 

Ra’d Ayat 4:

وَفِي الأَرضِ قِطَعٌ مُّتَجٰوِرٰتٌ وَجَنّٰتٌ مِّن أَعنٰبٍ وَزَرعٌ وَنَخيلٌ صِنوانٌ وَغَيرُ صِنوانٍ يُسقىٰ بِماءٍ وٰحِدٍ وَنُفَضِّلُ بَعضَها عَلىٰ بَعضٍ فِي الأُكُلِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And within the land are neighboring plots and gardens of grapevines and crops and palm trees, [growing] several from a root or otherwise,¹ watered with one water; but We make some of them exceed others in [quality of] fruit. Indeed in that are signs for a people who reason.

  • i.e., only one from a root.

(MALAY)

Dan di bumi ini terdapat tanah-tanah yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.

 

وَفِي الأَرضِ قِطَعٌ مُّتَجٰوِرٰتٌ

Dan di bumi ini terdapat tanah-tanah yang berdampingan,

Kalimah قِطَعٌ dari katadasar ق ط ع yang bermaksud memotong; potongan; membahagikan; pusing; memutuskan; menyeberang; mengasingkan; menindas; menyekat; terbelah; memutuskan; melepasi atau melintasi; memintas; bahagian; rakyat atau lembu; apa-apa jenis kumpulan; kawanan binatang; kumpulan; kegelapan malam menuju pagi;. Kita boleh lihat bagaimana ada pokok-pokok yang hidup berdekatan antara sama lain. Kalimah قِطَعٌ bermaksud bahagian atau potongan dari bumi.

Kalimah مُّتَجٰوِرٰتٌ pula daripada katadasar ج و ر yang bermaksud berpaling ke tepi; sesat; bertindak salah; pembaikan; melindungi; menyelamat; tinggal berdekatan; penyelewengan; menyimpang; tidak adil; menindas; menganiaya. Katadasar ini digunakan untuk kalimah ‘jiran’. Kalimat قِطَعٌ مُّتَجٰوِرٰتٌ bermaksud tanah yang berbagai bentuk dan rupa yang duduk berdekatan, duduk bersebelahan antara satu sama lain. Walaupun duduk berdekatan dan bersebelahan sahaja, namun sifat-sifatnya berlainan – dari segi warna, dari segi kesuburan, dari segi bentuk dan kekerasan.

Bagi orang yang menjalankan kerja sawah dan ladang, akan faham sangat perkara ini. Kadangkala tanah bersebelahan sahaja, tetapi satu tanah subur dan satu tanah lagi tidak subur. Ada tanah yang lembut dan senang menanam padanya; dan ada yang keras dan tidak berguna kalau bercucuk tanam. Ada pula yang berair molek dan ada yang berpaya. Kerana itulah tidak sama kesuburan tanah walaupun bersebelahan.

Macam Mangga Harum Manis, ia hanya subur dan menjadi di Negeri Perlis sahaja. Kalau tanam di negeri lain malah di Thailand pun, tidak menjadi seperti yang hidup segar dan manis di Perlis. Mana mana buat pun tidak menjadi juga buah mangga Harum Manis itu kalau di tempat lain. Ini bermakna ketentuan dan urusan alam termasuk tanam-tanaman adalah di tangan Allah ﷻ.

 

وَجَنّٰتٌ مِّن أَعنٰبٍ وَزَرعٌ وَنَخيلٌ صِنوانٌ وَغَيرُ صِنوانٍ

dan kebun-kebun anggur, dan tanam-tanaman lain, dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang,

Di bumi ini banyak taman daripada berbagai jenis. Ada yang jenis buah seperti anggur, ada yang jenis gandum atau padi, kurma. Kalimah زَرعٌ bermaksud tanam-tanaman lain. Memang ada banyak jenis tanaman lagi tetapi Allah ﷻ sebut jenis tanaman yang orang Arab kenal. Takkan hendak cerita tentang rambutan dan durian sedangkan mereka waktu itu tidak tahu menahu tentangnya.

Tumbuhan itu pula ada yang bercabang dan ada yang tidak bercabang. Kalimah صِنوانٌ daripada katadasar ص ن و yang bermaksud pohon palma atau pohon lain yang tumbuh daripada akar yang sama dengan pohon lainnya. Maka kita boleh katakan kalimah صِنوانٌ pohon yang bercabang, seperti delima, pohon tin, dan sebahagian pohon kurma serta lain-lainnya. Sedangkan غَيرُ صِنوانٍ ertinya pohon yang tidak bercabang, melainkan hanya satu pokok saja. Allah ﷻ memang menjadikan pokok yang berbagai-bagai jenis dan rupa, agar kehidupan kita dengan tanaman lebih menarik.

 

يُسقىٰ بِماءٍ وٰحِدٍ

disirami dengan air yang sama. 

Kalau kita lihat, semua jenis tumbuhan yang disebut itu dapat hidup kerana menerima air yang sama sahaja iaitu asalnya daripada air hujan. Ini menunjukkan kehebatan Allah ﷻ – daripada satu jenis air, keluar berbagai jenis tanaman. Penciptaan Allah ﷻ tidak sama dengan penciptaan manusia. Kita pun ada juga membuat rekaan. Contohnya kita membuat minyak untuk menggerakkan kereta. Akan tetapi untuk enjin, minyak jenis lain yang diperlukan, untuk pelincir, brek dan sebagainya, digunakan minyak yang lain pula, bukannya minyak yang sama.

Apabila disebut air, ia juga adalah sebagai isyarat kepada wahyu. Ini kerana kedua-dua datang dari langit. Sifat air itu datang dari langit dan ia memberi kehidupan kepada makhluk hidup yang memerlukan air. Daripada air itu ada memberi kebaikan untuk semua. Pokok mengambil air yang sama, tetapi menghasilkan buah yang tidak sama – ada yang sedap manis dan ada yang tidak – padahal daripada pokok yang sama.

Sepertimana kita jugalah, ada yang baca Al-Qur’an yang sama, ada yang faham dan ada yang tidak, ada pula yang faham begini dan ada pula yang faham begitu. Ada yang beriman setelah membaca Al-Qur’an dan ada yang tidak. Maka kena teruskan belajar supaya dapat memahami sebaik mungkin. Hendaklah berdoa kepada Allah ﷻ supaya berikan kita pemahaman yang benar. Amatlah bahaya sekiranya salah faham dengan ayat Al-Qur’an kerana boleh jadi sesat bangat.

 

وَنُفَضِّلُ بَعضَها عَلىٰ بَعضٍ فِي الأُكُلِ

Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya.

Ada tumbuhan yang lebih baik daripada yang lain. Ada kelebihan yang diberikan kepada pokok-pokok yang Allah ﷻ tidak beri kepada pokok yang lain. فِي الأُكُلِ (dalam rasa) bermaksud rasa yang tidak sama. Sebab itu ada buah yang lebih orang suka daripada buah yang lain. Ada buah yang sedap dan ada yang kurang kerana itulah ada yang mahal dan ada yang murah-murah sahaja.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَعقِلونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.

Semua ini bukan saja-saja Allah ﷻ buat tetapi ini semua adalah tanda qudrat Allah ﷻ bagi kaum yang memikirkan. Semua itu adalah dalam taqdir Allah ﷻ. Kita mahukan jadikan buah itu manis pun tidak boleh kalau memang sudah masam, bukan? Lemahnya kita ini. Maka apa yang kita perlu buat? Mestilah mentaati Allah ﷻ di dalam semua perkara. Jangan kita buat tidak endah tentang arahan dan ajaran daripada-Nya.


 

Ra’d Ayat 5: Ayat syikayah (rungutan Allah ﷻ) berserta takhwif ukhrawi. Allah ﷻ hendak menceritakan tentang fahaman orang ingkar yang tidak munasabah itu. Ada tiga kemusykilan mereka tentang Risalah Nabi Muhammad ﷺ dan sekarang dijawab di dalam ayat-ayat ini.

۞ وَإِن تَعجَب فَعَجَبٌ قَولُهُم أَءِذا كُنّا تُرٰبًا أَءِنّا لَفي خَلقٍ جَديدٍ ۗ أُولٰئِكَ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم ۖ وَأُولٰئِكَ الأَغلٰلُ في أَعناقِهِم ۖ وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you are astonished,¹ [O Muḥammad] – then astonishing is their saying, “When we are dust, will we indeed be [brought] into a new creation?” Those are the ones who have disbelieved in their Lord, and those will have shackles² upon their necks, and those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally.

  • At those who deny resurrection.
  • Iron collars to which their hands are chained.

(MALAY)

Dan jika (ada sesuatu) yang kamu hairankan, maka yang patut menghairankan adalah ucapan mereka: “Apabila kami telah menjadi tanah, apakah kami sesungguhnya akan (dikembalikan) menjadi makhluk yang baru?” Orang-orang itulah yang kafir kepada Tuhannya; dan orang-orang itulah (yang dilekatkan) belenggu di lehernya; mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

وَإِن تَعجَب فَعَجَبٌ قَولُهُم

Dan jika (ada sesuatu) yang kamu hairankan, maka yang patut menghairankan adalah ucapan mereka:

Allah ﷻ hendak memberitahu begitu teruk sekali apabila manusia tidak beriman dan tidak menggunakan akal mereka untuk berfikir. Amat mengejutkan sekali setelah diberi dengan segala dalil, didakwah dengan cara baik, tetapi mereka tidak mahu juga beriman – ini amat mengejutkan. Seandainya kamu terkejut dengan kejadian alam yang begini punya hebat dengan susunan Allah ﷻ, ada lagi satu yang lebih mengejutkan iaitu kata-kata yang keluar daripada mulut mereka.

Inilah masalah manusia apabila sudah terbiasa melihat dunia dan langit ini. Mereka sudah rasa biasa. Mereka hanya terkesan kalau ada benda-benda yang pelik sahaja. Sebagai contoh Allah ﷻ telah berfirman tentang hal ini di dalam Kahf: 9

أَم حَسِبتَ أَنَّ أَصحٰبَ الكَهفِ وَالرَّقيمِ كانوا مِن ءآيٰتِنا عَجَبًا
Adakah engkau menyangka, bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?

Allah ﷻ menegur mereka yang takjub dengan Pemuda Kahf yang tidur selama 300 tahun namun tidak pelik pula dengan kejadian alam ini yang Allah ﷻ yang dipelihara selama entah berapa juta tahun. Oleh kerana mereka tidak takjub, maka mereka tidak menghargai Allah ﷻ.

Atau yang dimaksudkan adalah pengingkaran mereka tentang hari kiamat. Allah ﷻ tanya: Adakah kamu takjub mereka tidak percaya tentang Hari Kiamat? Sebenarnya bukan itu sahaja yang mereka tidak boleh terima, ada lagi yang mereka tidak boleh terima. Yang itu lebih pelik lagi. Peliknya adalah kerana mereka tidak boleh hendak percaya. Apakah itu?

 

أَءِذا كُنّا تُرٰبًا أَءِنّا لَفي خَلقٍ جَديدٍ

“Apabila kami telah menjadi tanah, apakah kami sesungguhnya akan (dikembalikan) menjadi makhluk yang baru?”

Mereka berhujah dengan berkata kalau kita semua sudah menjadi tanah selepas mati, takkan boleh hidup semula? Pada mereka ini amat mustahil sekali sampaikan mereka mengejek-ngejek Nabi Muhammad ﷺ seperti disebut di dalam ayat yang lain iaitu Saba’: 7

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا هَل نَدُلُّكُم عَلىٰ رَجُلٍ يُنَبِّئُكُم إِذا مُزِّقتُم كُلَّ مُمَزَّقٍ إِنَّكُم لَفي خَلقٍ جَديدٍ
Dan orang-orang kafir berkata (kepada teman-temannya). “Mahukah kamu kami tunjukkan kepadamu seorang laki-laki yang memberitakan kepadamu bahwa apabila badanmu telah hancur sehancur-hancurnya, sesungguhnya kamu benar-benar (akan dibangkitkan kembali) dalam ciptaan yang baru?

Ini amat menghairankan, kerana tidakkah mereka lihat yang Allah ﷻ yang menghidupkan semua sekali hidupan dalam dunia ini? Daripada tidak ada langsung, Allah ﷻ jadikan dengan segala kehebatan. Kemudian Allah ﷻ urus semuanya sekali dengan tepat sekali.

Lihatlah tumbuhan boleh keluar daripada tanah, siapa yang buat? Ia tumbuh subur, siapa yang jaga? Ia berbuah, siapa yang keluarkan buah itu? Itu semua adalah kerja Allah ﷻ. Oleh kerana mereka tidak membuka minda mereka, maka mereka tidak dapat terima Qudrat Tuhan dalam melakukan apa sahaja, termasuk menghidupkan mereka kembali setelah mereka mati.

Mungkin mereka tidak dapat terima yang apabila manusia mati dan hancur menjadi debu, bagaimana Allah ﷻ boleh kumpulkan semula debu-debu itu untuk menjadi manusia dan diadili? Tidakkah mereka terfikir yang diri mereka sendiri itu terjadi daripada bahan-bahan makanan daripada seluruh dunia seperti makanan dari Afrika atau dari China? Sekiranya Allah ﷻ boleh jadikan sebegitu, maka apa yang menghalang Allah ﷻ untuk mengembalikan tubuh manusia untuk dihidupkan kembali? Tambahan pula alam seperti air dan angin adalah di bawah takluk Allah ﷻ, maka Allah ﷻ boleh arahkan makhluk-makhluk Allah ﷻ itu untuk mengumpulkan manusia kembali. Semua ini mudah saja bagi Allah ﷻ.

Tidakkah juga mereka melihat tanam-tanaman dan tanah yang gersang ketandusan kerana tiada air? Kemudian dengan air, Allah ﷻ boleh hidupkan tanah dan tanaman yang mati itu? Jika Allah ﷻ boleh hidupkan tanah yang mati, tentulah boleh sahaja Allah ﷻ hidupkan manusia yang telah mati. Begitulah yang Allah ﷻ beri analogi tentang kehidupan selepas kematian seperti firman Allah ﷻ dalam Rum: 50

فَانظُر إِلىٰ ءآثٰرِ رَحمَتِ اللهِ كَيفَ يُحيِي الأَرضَ بَعدَ مَوتِها ۚ إِنَّ ذٰلِكَ لَمُحيِي المَوتىٰ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Maka perhatikanlah bekas-bekas rahmat Allah, bagaimana Allah menghidupkan bumi yang sudah mati. Sesungguhnya (Tuhan yang berkuasa seperti) demikian benar-benar (berkuasa) menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم

Orang-orang itulah yang kafir kepada Tuhannya; 

Mereka yang tidak percaya kepada kebangkitan semula itu telah kufur dengan Allah ﷻ sebenar-benarnya. Memang telah tsabit (pasti) yang mereka itu kafir. Tidak ada lagi yang lebih kufur atau lebih bodoh daripada mereka. Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana mereka menolak wahyu yang disampaikan kepada mereka.

Ayat ini asalnya ditujukan kepada Musyrikin Mekah. Akan tetapi sekiranya orang Islam pun tidak percaya dan tidak mengendahkan arahan dan larangan Allah ‎ﷻ, maka mereka pun sama sahaja kufur dengan Allah ﷻ. Cuma nama sahaja Muslim, namun hakikatnya tidak pun.

 

وَأُولٰئِكَ الأَغلٰلُ في أَعناقِهِم

dan orang-orang itulah (yang dilekatkan) belenggu di lehernya; 

Mereka tidak akan selamat. Inilah takhwif untuk mereka. Di akhirat kelak mereka akan diikat dengan rantai pada leher-leher mereka dan ini adalah rantai diperbuat daripada api neraka! الأَغلالُ adalah rantai yang mengikat lebih daripada satu benda. Maknanya, mereka akan diikat dan kemudian rantai itu akan diikat kepada orang lain pula – berantai-rantai. Ini sepertimana hamba abdi yang diikat bersama supaya mereka tidak boleh lari. Mereka akan diikat bersama dengan orang yang mereka sesatkan, atau orang yang mereka biarkan menjadi sesat seperti keluarga mereka sendiri.

Maksudnya, kita lihat sahaja mereka tidak beriman, buat tidak tahu sahaja. Jikalau mereka sesat, nanti ahli keluarga itu akan diikat dengan mereka sekali. Oleh itu, takkan kita melihat sahaja ahli keluarga kita menjadi sesat? Maka kena fikirkan cara untuk dakwah kepada mereka, kerana memang susah sedikit untuk dakwah kepada keluarga sendiri. Kadang-kadang dengan orang lain kita boleh dakwah, namun dengan keluarga sendiri memang payah.

Mereka akan diikat dengan rantai besi. Seperti kita tahu, keadaan di neraka itu panas dan tentu rantai itu pun akan menjadi panas juga nanti. Aduh, bagaimana rantai yang panas itu melekat pada leher? Kalau hamba abdi yang diikat itu, rantai belenggu itu tidak panas, sebaliknya di neraka, dengan rantai itu pun turut panas sekali. Ternyata azab yang bertimpa-timpa ke atas mereka.

Ini adalah satu jenis rantai. Dalam Al-Qur’an ada banyak disebut tentang rantai. Nanti akan disebut rantai jenis lain pula dalam surah ini nanti.

Namun itu adalah azab di akhirat. Di dunia ini juga sudah ada الأَغلالُ bagi mereka. Iaitu sesiapa sahaja yang fikiran mereka sudah terbelenggu. Sampaikan apa-apa sahaja nasihat dan dakwah yang diberikan kepada mereka, langsung tidak memberi kesan apa-apa. Sama ada mereka menolak, atau mereka buat tidak endah sahaja.

 

وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

mereka itulah penghuni neraka,

Mereka adalah penduduk tetap dalam neraka – mereka mempunyai ‘geran’ untuk duduk di neraka. Kita ini sebenarnya sedikit pun tidak mahu kena mengena dengan neraka. Lihat pun tidak mahu, apatah lagi mendengar malah cium bau neraka pun kita berharap semoga kita diselamatkan darinya.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka tidak akan mati-mati dan terus akan menerima azab selama-lamanya. Kalau duduk sekejap sahaja pun sudah sangat azab, tambahan pula kalau kekal di dalamnya! Semoga Allah ﷻ selamatkan kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Yusuf Ayat 102 (Bukti Kenabian Rasulullah ﷺ)

PERINGATAN KEPADA NABI MUHAMMAD ﷺ

Yusuf Ayat 102: Kita sekarang sudah masuk ke ayat-ayat akhir penutup surah. Ayat ini adalah Dakwa Ketiga bagi surah ini. Dakwa terbahagi kepada tiga jenis (Tauhid, Risalah dan Akhirah). Ini adalah Dakwa tentang Risalah. Allah hendak menekankan yang memang benar baginda adalah seorang Rasul.

Sekarang kita masuk ke bahagian penutup Surah Yusuf ini. Daripada ayat ini sampai ke hujung (ayat 111) adalah Perenggan Makro Ketiga iaitu Rumusan bagi surah ini.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah tamat di dalam ayat sebelum ini. Sebaik sahaja kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencapai kesimpulannya, Allah ‎ﷻ memulakan satu kelas induk dalam komunikasi ilahi. Sekarang Allah ‎ﷻ bercakap terus kepada Nabi Muhammad ﷺ. Di ayat-ayat terakhir inilah terletaknya sebuah komentar agung daripada Allah ‎ﷻ. Ia adalah sebuah ulasan bukan sahaja tentang kisah itu sendiri, tetapi juga tentang kehidupan Nabi Muhammad ﷺ dan hakikat wahyu itu sendiri. Di sinilah rahsia-rahsia itu terungkap.

Sekarang akan disebut pengajaran yang kita kena ambil daripada kisah yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Kita kena ingat yang waktu surah ini diturunkan di Mekah, Nabi Muhammad ﷺ sedang dihentam dengan teruk di Mekah. Maka Allah ‎ﷻ turunkan surah ini kerana Allah ‎ﷻ hendak memujuk hati Nabi ﷺ (tasliah). Allah ‎ﷻ memulakan surah ini dengan kisah ujian yang telah diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kemudian diberikan berita gembira di penghujungnya. Allah ‎ﷻ hendak ingatkan kepada Rasulullah ﷺ, walaupun permulaannya susah, tetapi penghujungnya baik. Maka Rasulullah ﷺ kenalah bersabar.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Nabi dan Rasul yang benar kerana kisah ini datangnya daripada wahyu menandakan yang baginda adalah seorang Rasul. Ini kerana kalau baginda bukan seorang Nabi, tidak mungkin baginda boleh ceritakan kisah ini dengan jelas kerana kisah ini tidak ada dalam maklumat orang Arab Mekah.

ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم وَهُم يَمكُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is from the news of the unseen which We reveal, [O Muḥammad], to you. And you were not with them when they put together their plan while they conspired.

(MALAY)

Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.

ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌

Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu

Selepas ayat 101, kisah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berakhir. Kemudian, secara tiba-tiba, dari ayat 102 hingga 111, Allah ‎ﷻ mengalihkan firman-Nya secara langsung kepada Nabi Muhammad ﷺ, kerana digunakan kalimah إِلَيْكَ. Ini adalah satu isyarat yang amat penting, satu peralihan yang disengajakan. Allah ‎ﷻ seolah-olah berfirman, “Semua yang telah engkau baca tadi, kisah kesabaran, pengkhianatan, dan kemenangan itu, adalah untukmu.” Ini menjadikan Nabi Muhammad ﷺ sebagai “penerima manfaat pertama” surah ini. Ia bukan sekadar sebuah kisah sejarah; ia adalah hadiah peribadi daripada Allah ‎ﷻ untuk memberikan kelegaan, kekuatan, dan ketenangan kepada Rasul-Nya yang sedang menghadapi cabaran hebat di Mekah.

Namun, tentulah ayat ini bukan untuk baginda sahaja. Bagi kita sebagai pembaca dan pengkaji Al-Qur’an, pemahaman ini mewujudkan satu hubungan yang istimewa antara kita dan Rasulullah ﷺ. Apabila kita mencari ketenangan dalam Surah Yusuf, kita sebenarnya sedang berkongsi “hadiah istimewa yang sama” yang telah diterima oleh Rasulullah ﷺ, menghidupkan semula pengalaman baginda mencari kekuatan melalui firman Allah ‎ﷻ yang sama. Hebatnya surah ini, mesti ada mana-mana bahagian yang menyentuh anda kerana ia seperti menceritakan kehidupan anda, bukan? 

Di dalam ayat sebelum ini, doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhir sekali adalah وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ (gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh). Surah ini adalah Surah Makkiah, berkemungkinan besar diturunkan di hujung-hujung masa baginda di Mekah. Selepas itu, baginda berhijrah ke Madinah apabila baginda terpaksa meninggalkan Mekah. Ketika di Madinah, bukankah baginda digabungkan dengan para sahabat yang memberi perlindungan kepada baginda? Jadi doa Nabi Yusuf أَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ Allah ‎ﷻ penuhi bagi Nabi Muhammad ﷺ semasa di dunia lagi tetapi ketika baginda membaca ayat ini pertama kali, baginda tidak tahulah yang ia akan terjadi. Baginda masih tetap terpaksa menghadapi kerenah golongan Musyrikin di Mekah itu. Akan tetapi, Allah ‎ﷻ sudah ada perancangan untuk Nabi kita ini.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah disebut itu adalah antara berita ghaib yang diberikan kepada baginda. Tidak ada cara bagi Nabi Muhammad ﷺ untuk mengetahuinya sebelum itu, melainkan Allah ‎ﷻ yang memberitahu baginda. Ini adalah satu tanda yang baginda adalah seorang Rasul. Tidak mungkin baginda tahu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan fakta-fakta sebegini melainkan ia mestilah daripada Allah ﷻ. Ada yang menuduh baginda menciplak kisah-kisah itu daripada kitab-kitab Yahudi atau Nasrani, tetapi ia tidak mungkin! Nabi ﷺ terus tinggal di Mekah dan tidak ada diberitakan baginda belajar dengan ahli kitab mana-mana pun. Memang baginda ada keluar Mekah tetapi untuk masa  yang singkat sahaja dan tidak mungkin dapat belajar kisah itu daripada sesiapa pun. Kalau pun dikatakan baginda menciplak, tetapi kalau diperhatikan, banyak kisah-kisah ini tidak sama dengan apa yang ada di dalam kitab mereka.

Apakah yang terlintas di fikiran anda apabila mendengar perkataan “yang ghaib”? Selalunya, kita akan memikirkan tentang malaikat, syurga, atau neraka. Namun, Surah Yusuf memperluaskan definisi kita. Ayat-ayat terakhir ini mengajar kita bahawa “yang ghaib” (ٱلغَيبِ) juga merangkumi sejarah manusia yang telah hilang dari catatan dunia, di mana satu-satunya saksi yang tinggal hanyalah Allah ﷻ. Al-Qur’an tidak akan membazirkan wahyu untuk memberitahu kita perkara yang boleh kita fikirkan sendiri. Ia datang untuk mendedahkan apa yang mustahil untuk kita ketahui. Perincian perbualan rahsia abang-abang Yusuf adalah bukti mutlaknya. Mustahil bagi Nabi Muhammad ﷺ, yang tidak boleh membaca atau mempelajari kitab-kitab lama, untuk mengetahui butiran ini. Hanya ada satu saksi lain kepada perbualan rahsia itu: Allah ﷻ. Fakta bahawa baginda mampu menyampaikannya dengan begitu tepat membuktikan bahawa sumbernya adalah ilahi—daripada Allah ﷻ, Saksi Yang Maha Agung.

 

وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم

padahal engkau tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka bersepakat memutuskan rencana mereka

Nabi Muhammad ﷺ telah membacakan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang begini panjang, sedangkan baginda tidak ada pun semasa abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu membuat rancangan mereka untuk menghilangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada ayah mereka. Iaitu telah disebut di dalam Ayat 15,

فَلَمَّا ذَهَبُواْ بِهِۦ وَأَجمَعُوٓاْ أَن يَجعَلُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلجُبِّ‌ۚ
Maka tatkala mereka membawanya dan mereka sepakat memasukkannya ke dasar sumur

Ketika itu mereka telah sepakat dan membulatkan tekad untuk melakukan rancangan mereka itu. Kisah ini hanya boleh diketahui melalui wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan kerana mereka tidak cerita kepada orang lain. Ia ada di dalam Kitab Taurat dan hanya para pendeta Yahudi sahaja yang mengetahuinya. Terdapat kisah seorang pendeta Yahudi (habr/ahbar) yang masuk Islam kerana mendengar Nabi Muhammad ﷺ membaca dan menceritakan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Menurut riwayat yang disebut oleh Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, seorang pendeta Yahudi yang mahir membaca Taurat datang kepada Nabi ﷺ dan mendapati baginda sedang membaca Surah Yusuf. Pendeta itu sangat terkejut kerana kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dibaca oleh Nabi Muhammad ﷺ sama seperti yang terdapat dalam Taurat. Beliau bertanya: “Wahai Muhammad! Siapa yang mengajarkanmu kisah ini?” Nabi ﷺ menjawab: “Allah yang mengajarkannya kepadaku.” Pendeta itu pulang dan memberitahu kaumnya: “Sesungguhnya Muhammad membaca kisah Yusuf sebagaimana yang diturunkan dalam Taurat.” Lalu beliau membawa beberapa orang Yahudi lain, mereka mengenali Nabi ﷺ melalui sifat-sifat kenabian dan melihat tanda kenabian di belakang baginda. Mereka mendengar sendiri bacaan Surah Yusuf dan akhirnya mereka semua memeluk Islam kerana kebenaran yang mereka saksikan.

 

وَهُم يَمكُرونَ

dan mereka sedang mengatur tipu daya.

Nabi Muhammad ﷺ pun tidak ada semasa abang-abangnya itu meletakkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam telaga dan meninggalkan baginda di dalam telaga itu. Rancangan mereka itu rupanya ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ benarkan terjadi. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak membawa Bani Israil ke Mesir. Memang Nabi Muhammad ﷺ tidak ada waktu itu tetapi Allah ‎ﷻ beritahu kisah baginda kepada Rasulullah ﷺ sebagai pengajaran dan panduan untuk kita semua.

Di sinilah kita menemui kunci kepada komentar ilahi ini. Daripada semua babak dalam kisah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah memilih satu momen spesifik untuk memulakan pesanan-Nya kepada Nabi di ayat 102: Dan engkau (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka menetapkan rancangan mereka, dan semasa mereka menjalankan tipu daya mereka.” Perhatikan keajaiban sastera di sini. Allah ‎ﷻ tidak merujuk kepada mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau pertemuannya dengan ayahandanya. Sebaliknya, Allah ‎ﷻ menyorot kembali kepada muslihat rahsia abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mengapa? Kerana mesej ini direka khusus untuk menenangkan hati Nabi yang pada ketika itu juga sedang berhadapan dengan “abang-abangnya” (kaum Quraisy) yang bermesyuarat secara rahsia untuk merancang kejatuhannya.

Hubungan yang paling menakjubkan ialah bagaimana rancangan terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencerminkan secara tepat dua fasa utama penganiayaan terhadap Nabi ﷺ di Mekah:

1. Cadangan pertama terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: “Campakkanlah dia ke suatu tempat yang jauh terpencil.” Ini selari dengan peristiwa pemulauan Bani Hasyim dan Bani Muthalib selama tiga tahun. Ia adalah salah satu peristiwa penting dalam sejarah awal Islam. Ketika dakwah Nabi Muhammad ﷺ semakin berkembang dan mendapat banyak pengikut, kaum Quraisy merasa terancam dan memutuskan untuk mengambil tindakan tegas. Mereka sepakat untuk memboikot secara total Bani Hasyim dan Bani Muthalib, baik yang Muslim mahupun yang masih kafir, kecuali Abu Lahab yang memilih memihak Quraisy. Pemulauan ini meliputi larangan berjual beli, menikah, dan berinteraksi secara sosial dengan anggota Bani Hasyim dan Bani Muthalib. 

2. Cadangan kedua terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: “Bunuhlah Yusuf.” Ini mencerminkan rancangan terakhir kaum Quraisy untuk membunuh Rasulullah ﷺ kerana berbagai-bagai rancangan yang mereka lakukan tidak berjaya. Akhirnya, mereka sepakat dengan cadangan Abu Jahal, iaitu setiap kabilah Quraisy memilih seorang pemuda yang gagah, lalu mereka bersama-sama menyerang dan membunuh Nabi Muhammad ﷺ dengan satu pukulan serentak. Dengan cara ini, darah baginda akan tersebar di antara banyak kabilah, sehingga Bani Hasyim tidak mampu menuntut balas terhadap semua kabilah Quraisy dan akhirnya hanya akan menerima diyat (wang tebusan darah). Akan tetapi, rancangan itu juga akhirnya gagal akibat peristiwa Hijrah.

Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Ali Imran:54

وَمَكَرُوا۟ وَمَكَرَ ٱللَّهُ ۖ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَٰكِرِينَ
“Mereka (orang-orang kafir) membuat tipu daya (rencana), dan Allah pun membalas tipu daya mereka. Dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya.” 

 

Allah ‎ﷻ seolah-olah berkata, “Engkau tidak bersama mereka dahulu, dan engkau juga tidak bersama mereka (Quraisy) sekarang. Tetapi Aku tahu setiap rancangan mereka.” Ini adalah jaminan bahawa kita tidak perlu risau tentang muslihat orang lain, kerana Perancang Terbaik sedang menguruskan segalanya dan ini mengajar kita Let Go and let God. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ali Imran:54

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
“Dan mereka (orang-orang kafir) membuat tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan Allah sebaik-baik yang membalas tipu daya.”

Memang yang utama di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah rancangan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Namun begitu, kalimah yang digunakan adalah أَجمَعُوٓاْ dan يَمكُرُونَ di dalam bentuk umum sahaja tetapi spesifik kepada abang-abang itu. Dan bukankah ada banyak lagi rancangan jahat di dalam surah ini?

1. Para pedagang yang menemui Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam telaga itu juga merancang untuk menyorok baginda dan menjual baginda, bukan? Mereka boleh sahaja cari ini anak siapa dan pulangkan balik, tetapi mereka nampak peluang boleh buat duit.

2. Al-Aziz Mesir apabila jumpa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tidaklah juga tanya mana kampung baginda untuk pulangkan baginda, sebaliknya telah membuat rancangan untuk menjadikan baginda sebagai hamba di rumahnya kerana nampak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu ada kelebihan.

3. Isteri Al-Aziz membuat rancangan untuk menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kemudian rancangan untuk mendapatkan sokongan daripada wanita-wanita elit di Mesir itu.

4. Para pemimpin di Mesir juga bergabung membuat rancangan untuk memenjarakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah mereka perhati yang kes baginda itu bakal menjadi skandal besar di Mesir. Mereka tahu baginda tidak bersalah, tetapi mereka tetap menghantar baginda ke penjara.

Pengajaran kepada kita adalah kita tidak perlu tahu apa rancangan jahat manusia terhadap kita. Kita mungkin dapat rasa ada orang yang merancang, tetapi kita tidak ada cara untuk tahu apakah rancangan mereka dan bagaimana mereka akan menjalankan rancangan itu. Mungkin rancangan mereka hendak mematikan gerakan ajaran Sunnah di negara kita ini kerana ia semakin tersebar (kerana ia lebih mesra akal), maka ramai yang tidak suka. Bagaimana mereka tidak suka memandangkan semakin ramai orang beralih kepada ajaran Sunnah dan semakin banyak kesalahan fahaman mereka disebarkan? Ini kerana ia membuka pekung di dalam ajaran mereka sendiri yang tidak selari dengan wahyu. Mereka marah kerana ajaran dan fahaman tok nenek mereka yang turun-temurun sedang ditinggalkan. Mereka tetap juga hendak menjaga ajaran tok nenek itu (sebab apa, kita tak tahulah). Jadi mereka hendak tutup mulut asatizah Sunnah dengan gam, hina, tuduh, tidak beri tauliah dan sebagainya.

Dan berbagai lagi rancangan jahat mereka, tetapi Allah ‎ﷻ tahu apa rancangan mereka. Dan sebagaimana Allah ‎ﷻ gagalkan rancangan jahat kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ, Allah ‎ﷻ juga boleh gagalkan rancangan mereka terhadap gerakan Sunnah. Antara rancangan mereka adalah dengan menuduh ustaz ini kata itu dan ini yang bunyinya sesat. Tapi apabila ada yang mencari-cari, benarkan ustaz itu cakap begitu, tidak jumpa pula, bukan? Contohnya, mereka tuduh kita menjisimkan Allah ‎ﷻ, tetapi tidak pernah pun ada bukti asatizah sunnah kata begitu.

 

Struktur Cermin

Dalam psikologi komunikasi dan pembelajaran, Konsep Primacy and Latency Effect menyatakan bahawa manusia cenderung mengingati permulaan dan pengakhiran sesuatu dengan paling jelas. Kalau ceramah yang panjang, selalunya yang diingati adalah perkara yang mula-mula sekali dan yang di hujung sekali. Al-Qur’an sering menggunakan teknik ini dengan cara yang luar biasa, di mana ayat-ayat pembukaan dan penutup sebuah surah saling berkaitan. Ini dinamakan Struktur Cermin. Struktur Cermin ini bukan secara kebetulan; ia adalah untuk mendalami pemahaman kita. Surah Yusuf adalah contoh yang sempurna, di mana ayat-ayat pembukaan (1-3) dan penutup (102-111) saling berbicara dan berkaitan seolah-olah seperti cermin.

Pertama, kita lihat Ringkasan Ayat 102-111 ini,

Sekarang kita bandingkan dengan ayat-ayat permulaan surah ini dan kita kaitkan dengan ayat-ayat penghujung.

Jadi kita boleh lihat kaitan antara ayat-ayat permulaan dan penutup. Allah ‎ﷻ telah mula sebut di permulaan dan kemudian Allah ‎ﷻ kuatkan lagi di ayat-ayat penghujung. Di dalam Ayat 1, Allah ‎ﷻ kata الر ۚ تِلكَ. Penggunaan huruf-huruf الر bukan cara penggunaan kalimah manusia biasa, tapi ia datang daripada Allah ‎ﷻ semata-mata. Dan apabila digunakan kalimah تِلكَ yang asalnya menunjuk kepada sesuatu yang jauh, ia merujuk kepada Kitab Induk Al-Qur’an yang datang daripada Allah ‎ﷻ yang di langit. Maka ia bukanlah kata-kata rekaan manusia dan apa kata Allah ‎ﷻ pula di dalam Ayat 111? ما كانَ حَديثًا يُفتَرىٰ (ia bukanlah cerita yang dibuat-buat). Jadi ia apa? Allah ‎ﷻ kata di dalam Ayat 1 bahawa ia adalah ءآيٰتُ الكِتٰبِ. Apabila ia ءآيٰتُ maka ia bukan kata-kata manusia biasa kerana ia adalah tanda-tanda yang mempunyai makna yang lebih besar lagi. Kemudian Allah ‎ﷻ sebut di dalam Ayat 1 yang Al-Qur’an adalah dalam bentuk الكِتٰبِ dan kemudian di dalam Ayat 111 diberitahu pula yang ia adalah حَديثًا. Kalau الكِتٰبِ ia merujuk kepada sifatnya yang ditulis dan apabila digunakan حَديثًا ia merujuk kepada sifatnya yang disebut/dibaca. Ini kerana Al-Qur’an ada kedua-dua elemen ini.

Daripada Kitab yang Jelas (الكِتٰبِ المُبينِ) kepada Ucapan yang Bukan Rekaan (ما كانَ حَديثًا يُفتَرىٰ). Di awal surah, Allah ‎ﷻ memperkenalkan Al-Qur’an sebagai “kitab (kitab) yang jelas”. Di penghujungnya, Allah memperincikan maksudnya dengan menyatakan ia “bukanlah ucapan (hadith) yang direka-reka”. Kemudian apabila Allah ‎ﷻ sebut Al-Qur’an sifatnya المُبينِ, ia bermaksud Al-Qur’an memperjelaskan. Memperjelaskan apa? Itulah Allah ‎ﷻ sebut di dalam Ayat 111 تَصديقَ الَّذي بَينَ يَدَيهِ (membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya) iaitu kitab-kitab yang ada pada tangan Ahli Kitab. Mana yang benar, Allah ‎ﷻ tetapkan; mana yang mereka ubah, Allah ‎ﷻ perbetulkan. Kerana itu menarik kalau kita baca juga kisah Nabi Yusuf ini di dalam kitab mereka kerana kita boleh bandingkan mana kisah yang mereka pegang selama ini tapi salah sebenarnya.

Dan kemudian Allah ‎ﷻ berkata وَتَفصيلَ كُلِّ شَيءٍ (dan menjelaskan segala sesuatu). Jelaskan apa? Selepas itu Allah sebut هُدًى وَرَحمَةً (petunjuk dan rahmah). Maka dengan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini Allah ﷻ jelaskan apa itu petunjuk dan apa itu rahmah. Kita mungkin faham tentang apa itu rahmah tetapi pemahaman kita tidak semestinya benar, jadi kena lihat bagaimana rahmah Allah ﷻ berjalan dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini.

Pada permulaannya, Allah ﷻ menyatakan Dia menurunkan Al-Qur’an dalam bahasa Arab (قُرءٰنًا عَرَبِيًّا). Kalimah قُرءٰنًا sendiri sudah memberi makna bacaan, bermaksud orang yang menyebutnya hanya membacanya kepada orang lain, bukannya dia membuatnya sendiri. Di penghujungnya, Dia menjelaskan mengapa pilihan ini sendiri adalah satu bentuk “petunjuk” dan “rahmat”. Ia bukan untuk mengagungkan satu bangsa, tetapi kerana Allah ﷻ telah melengkapkan bahasa ini dengan kualiti yang menjadikannya sesuai untuk menyampaikan firman terakhir-Nya kepada seluruh umat manusia. Ini rahmat Allah yang telah memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar Al-Qur’an. Bahasa Arab Al-Qur’an bukan hanya untuk bangsa Arab sahaja, tetapi ia dipelajari oleh bangsa lain pun, dan mereka pun sangat mahir di dalamnya serta menyampaikan mesej Al-Qur’an ini. Walaupun bahasa mereka lahir bukanlah bahasa Arab.

Jadi bahasa Arab ini bukan orang Arab sahaja. Perhatikan perbincangan kita di dalam Ayat 2 dan kepentingan belajar bahasa Arab:

إِنّآ أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا
Sesungguhnya Kami menurunkannya Al-Qur’an dengan berbahasa Arab

Malah ramai Non-Arab hebat dalam bahasa Arab dan lebih baik lagi dari orang Arab yang biasa. Ini dibuktikan oleh sejarah, di mana ulama’ bukan Arab sangat ramai seperti Hamiduddin Farahi dari India dan Imam Fakhruddin al-Razi dari Parsi yang menjadi pakar tafsir kerana kefasihan mereka dalam bahasa Al-Qur’an sampai mengagumkan penutur asli Arab itu sendiri. Malah para pengumpul hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim dan banyak lagi bukannya orang Arab! Ini adalah rahmat Allah yang menjadikan mesej-Nya universal. Agama Islam ini bukan untuk orang Arab sahaja.

Perhatikan di dalam Ayat 111 Allah ﷻ sebut, Supaya Kalian Memahami (لَعَلَّكُم تَعقِلونَ) dan di dalam Ayat 2 Allah ﷻ kata Al-Qur’an itu Bagi Kaum yang Mahu Beriman (لِقَومٍ يُؤمِنونَ). Al-Qur’an ini hebat, tapi bagi orang yang mahu sahaja. Yang mahu kenal Allah ﷻ dan cara menjadi hamba yang sejati, sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk mendalami maksud ayat-ayat Kalam Allah ini. Ini adalah hubungan yang indah antara intelek (akal) dan hati (iman). Al-Qur’an diturunkan untuk difahami oleh akal, tetapi manfaat terbesarnya hanya akan diraih oleh mereka yang membuka hati untuk beriman. Oleh itu kena ada keinginan dan kena ada kefahaman. Mahu tahu tetapi tak sanggup belajar, tidak ada gunanya juga.

Namun, malangnya ramai yang masih tidak diberikan dengan keinginan ini. Ilmu Tafsir dan Tadabbur Al-Qur’an sangat jauh daripada mereka. Mereka rasa selesa sahaja dengan tidak memahami apa-apa tentang Al-Qur’an. Mereka agaknya rasa mereka pasti akan masuk syurga kerana mereka sudah beragama Islam. Mereka hidup di dunia tunggu mati dan tunggu masuk syurga agaknya tetapi bolehkah mereka masuk syurga tanpa faham dan mengamalkan kehendak Allah ﷻ?

Daripada Kisah Terbaik (أَحسَنَ القَصَصِ) kepada Pelajaran yang Mengesankan (عِبرَةٌ).  Di awal surah, Allah ﷻ menjanjikan “kisah terbaik”. Kehebatannya datang daripada tiga sumber: kehebatan نَحنُ Pengarangnya (Allah ﷻ, yang bukan sahaja mengarang cerita tetapi mengarang realiti itu sendiri), kehebatan عَلَيكَ Penerima pertamanya (Nabi Muhammad ﷺ), dan kehebatan Kisah itu sendiri أَحسَنَ القَصَصِ. Ketiga-tiganya hebat.

Di penghujungnya, Allah ﷻ mendedahkan tujuan teragung di sebalik semua kehebatan ini: untuk menjadi عِبرَةٌ bagi mereka yang berfikiran murni (لِأُولِي الأَلبابِ). Kalimah عِبرَةٌ berakar daripada kata kerja yang bermaksud “menyeberang”. Ia adalah sebuah pelajaran yang begitu mendalam sehingga ia menyeberangi batasan akal dan menyentuh hati, menyebabkan air mata menyeberang dari mata. Kenapa? Kerana hati mereka yang suci itu tersentuh dengan pengajaran daripada Allah ﷻ. Bukan semua orang dapat, jadi kita berharap kita pun termasuk orang-orang sebegini.

Sekarang kita kaji sedikit kaitan antara Ayat 3 dan Ayat 102 dan ada sedikit perbincangan nahwu sedikit. Kita perhatikan kalimah ‘wahyu’ pula. Di dalam Ayat 3 digunakan kalimah أَوحَينآ (Kami telah wahyukan) dan di dalam Ayat 102 digunakan kalimah نُوحِيهِ pula. Kalimah نُوحِيهِ (Kamu sedang wahyukannya dan akan wahyukan) di dalam bentuk fi’il mudhari (present and continuous tense) sedangkan kalimah أَوحَينآ di dalam bentuk fi’il madhi (past tense). Ayat 3 adalah di awal dan Ayat 102 di penghujung. Sepatutnya ketika di awallah digunakan fi’il mudhari’ (sebelum kisah diberikan) dan setelah kisah selesai, barulah disebut ‘telah’ diwahyukan, bukan? Namun, sekarang Allah ‎ﷻ letak terbalik pula. Tentu ada sebab kerana Allah ‎ﷻ tidak akan buat silap dan buat perkara yang sia-sia.

Allah ‎ﷻ menggunakan fi’il madhi (أَوحَينآ) di dalam permulaan Surah Yusuf kerana Al-Qur’an telah diwahyukan sebelum itu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Dan kisah di dalam Surah Yusuf ini adalah tambahan kepada kisah-kisah yang telah diberikan kepada baginda sebelum itu. Dan apabila kisah dan pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf telah disampaikan, Allah ‎ﷻ menggunakan fi’il mudhari’ pula kerana Allah ‎ﷻ akan terus memberikan wahyu kepada baginda نُوحِيهِ selepas ini. Ada banyak lagi pengajaran kepada baginda. Tambahan pula surah ini masih lagi Surah Makkiyah.

Kita sambung lagi. Di dalam Ayat 3 Allah ﷻ berfirman وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ (engkau sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang tidak mengetahui). Dan kemudian di dalam Ayat 102 Allah berfirman وَمَا كُنتَ لَدَيهِم (dan engkau tidak berada pada sisi mereka). Dua-dua ini ada persamaan. Kenapa Nabi ﷺ tidak tahu, الغٰفِل? Kerana baginda tidak ada bersama mereka ketika mereka membuat segala rancangan mereka.

Rasulullah ﷺ tidak tahu tentang apa? Disebut di dalam Ayat 102 أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ (berita-berita yang ghaib), bukan? Kalau disebut perkara ٱلغَيبِ kita selalu bayangkan Tuhan, jin, malaikat, bukan? Sekarang Allah ﷻ mengajar kita yang berita yang kita tidak tahu juga adalah berita ghaib. Iaitu perkara yang terjadi dahulukala yang kita tidak ada bersama mereka, itu pun berita ghaib. Ini sama macam apa yang terjadi kepada Pemuda Kahfi yang hanya Allah ﷻ sahaja tahu kisah mereka kerana tidak ada sesiapa yang boleh beritahu tentangnya melainkan Allah ﷻ sahaja. Itulah kerja Al-Qur’an iaitu menceritakan perkara yang kita takkan tahu dengan akal kita sendiri. Kalau perkara kita boleh fikirkan, Allah ﷻ tidak perlu beritahu kita, bukan?

Di dalam Surah Yusuf ini kita disuruh untuk melihat apa yang berlaku dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan abang-abangnya, bukan? Ayat sebut di dalam Ayat 7 لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ (Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah ﷻ) pada (kisah) Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya). Kerana pada perlakuan mereka itu ada pengajaran kepada kita. Dan nanti selepas ini kita akan melihat apakah perlakuan ‘abang-abang’ Nabi Muhammad ﷺ pula dan apa yang mereka telah lakukan. Begitulah kadang-kadang perbuatan orang yang rapat dengan kita lebih pedih.

Berikut adalah pengajaran ringkas yang boleh diambil:

1. Bukti Kenabian yang Mutlak: Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sangat terperinci ini adalah sebahagian daripada berita ghaib yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Memandangkan baginda tidak hadir semasa peristiwa itu berlaku dan tidak mempelajarinya daripada mana-mana kitab, ketepatan fakta ini menjadi bukti kuat bahawa baginda adalah seorang Rasul yang benar.

2. Wahyu sebagai Hadiah dan Penghibur Hati (Tasliah): Ayat ini merupakan peralihan daripada kisah sejarah kepada hadiah peribadi daripada Allah untuk memujuk hati Nabi Muhammad ﷺ yang sedang dihentam hebat oleh kaum Quraisy di Mekah. Ia memberikan pengajaran bahawa setiap permulaan yang susah akan berakhir dengan kemenangan.

3. Definisi “Ghaib” yang Lebih Luas: Perkataan “ghaib” dalam ayat ini tidak hanya merujuk kepada malaikat atau syurga, tetapi juga merangkumi sejarah manusia yang telah hilang dari catatan dunia, di mana satu-satunya saksi yang tinggal hanyalah Allah ‎ﷻ.

4. Persamaan Ujian Antara Para Nabi: Rancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencerminkan secara tepat ujian yang dihadapi Nabi Muhammad ﷺ. Rancangan membuang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selari dengan pemulauan Bani Hasyim, manakala rancangan membunuh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencerminkan pakatan Quraisy untuk membunuh Nabi Muhammad ﷺ sebelum peristiwa Hijrah.

5. Allah ‎ﷻ adalah Perancang Terbaik: Kita tidak perlu merasa bimbang atau terbeban untuk mengetahui setiap rancangan jahat manusia terhadap kita. Cukuplah kita tahu bahawa Allah ﷻ menjadi saksi kepada setiap perbincangan rahsia dan Dialah sebaik-baik pembalas tipu daya.

6. Konsep Let Go and Let God: Pengajaran ini mengajak kita untuk melepaskan kerisauan tentang muslihat orang lain kepada Allah ﷻ. Sebagaimana Allah ﷻ menggagalkan rancangan terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ, Allah ﷻ juga mampu menggagalkan rancangan jahat manusia pada zaman sekarang.

7. Kepentingan ‘Ibrah (Pelajaran yang Menyeberangi Hati): Tujuan akhir kisah ini adalah sebagai ‘ibrah, iaitu pelajaran yang sangat mendalam sehingga ia menyeberangi batasan akal dan menyentuh hati orang-orang yang berfikiran murni.

Kuiz Soalan Jawapan Pendek

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat, berdasarkan pemahaman daripada teks sumber.

1. Apakah tema utama atau “Dakwa” yang diketengahkan dalam Surah Yusuf ayat 102?

2. Mengapakah Allah menurunkan Surah Yusuf kepada Nabi Muhammad ﷺ ketika baginda berada di Mekah?

3. Bagaimanakah penceritaan kisah Nabi Yusuf dalam ayat 102 menjadi bukti bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Rasul yang benar?

4. Siapakah yang dimaksudkan sebagai “penerima manfaat pertama” Surah Yusuf, dan mengapa?

5. Bagaimanakah doa Nabi Yusuf, وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ, dipenuhi oleh Allah untuk Nabi Muhammad ﷺ semasa hayat baginda?

6. Selain daripada malaikat atau syurga, apakah maksud lain bagi perkataan “ٱلغَيبِ” (yang ghaib) seperti yang dijelaskan dalam tafsir surah ini?

7. Mengapakah Allah secara spesifik menyorot kembali kepada momen muslihat rahsia abang-abang Nabi Yusuf dalam ayat 102 ketika berfirman kepada Nabi Muhammad ﷺ?

8. Huraikan dua persamaan utama antara rancangan jahat terhadap Nabi Yusuf dan penganiayaan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad ﷺ di Mekah.

9. Apakah yang dimaksudkan dengan “Struktur Cermin” dan bagaimana ia diaplikasikan dalam Surah Yusuf?

10. Terangkan perbezaan dan kepentingan linguistik penggunaan kata kerja أَوحَينآ (fi’il madhi) dalam ayat 3 dan نُوحِيهِ (fi’il mudhari’) dalam ayat 102.

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks Sumber
Risalah
Salah satu daripada tiga jenis Dakwa (tuntutan utama) dalam surah Al-Qur’an, yang merujuk kepada tema kenabian atau kerasulan.
Tasliah
Pujukan hati. Ia merujuk kepada cara Allah ‎ﷻ memujuk dan menenangkan hati Nabi Muhammad ﷺ melalui wahyu ketika baginda menghadapi kesusahan dan penentangan hebat di Mekah.
ٱلغَيبِ (Al-Ghaib)
Berita-berita yang ghaib. Konteks surah ini memperluaskannya untuk merangkumi bukan sahaja perkara seperti malaikat dan syurga, tetapi juga sejarah manusia yang telah hilang yang hanya Allah sahaja menjadi saksinya.
Struktur Cermin
Satu teknik sastera dalam Al-Qur’an di mana ayat-ayat pembukaan dan penutup sebuah surah saling berkaitan, berbicara, dan mencerminkan tema yang sama untuk mendalami pemahaman pembaca.
Fi’il Mudhari’
Istilah tatabahasa Arab untuk kata kerja yang menunjukkan perbuatan yang sedang berlaku atau akan berterusan pada masa hadapan (contoh: نُوحِيهِ – Kami sedang/akan mewahyukannya).
Fi’il Madhi
Istilah tatabahasa Arab untuk kata kerja yang menunjukkan perbuatan yang telah berlaku pada masa lampau (contoh: أَوحَينآ – Kami telah mewahyukan).
عِبرَةٌ (‘Ibrah)
Sebuah pelajaran yang begitu mendalam sehingga ia mampu “menyeberangi” batasan akal untuk menyentuh hati, menyebabkan seseorang itu terkesan sehingga menitiskan air mata.
أَحسَنَ القَصَصِ (Ahsan al-Qasas)
Gelaran untuk kisah Nabi Yusuf, yang bermaksud “kisah terbaik”. Kehebatannya datang dari kehebatan Pengarangnya (Allah), Penerimanya (Nabi Muhammad ﷺ), dan kisah itu sendiri.
Dakwa
Tuntutan atau tema utama sesebuah surah dalam Al-Qur’an. Ia terbahagi kepada tiga jenis: Tauhid (Keesaan Allah), Risalah (Kenabian), dan Akhirah (Hari Kemudian).
Habr/Ahbar
Gelaran yang digunakan untuk seorang pendeta atau sarjana Yahudi yang mahir dalam kitab Taurat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Januari 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 2 (Makna Istiwa’)

Ra’d Ayat 2: Tamrid (peringatan) yang pertama tentang Tauhid dalam Tasarruf.

اللهُ الَّذي رَفَعَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجري لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ يُدَبِّرُ الأَمرَ يُفَصِّلُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم بِلِقاءِ رَبِّكُم توقِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is Allāh who erected the heavens without pillars that you [can] see; then He established Himself above the Throne and made subject¹ the sun and the moon, each running [its course] for a specified term. He arranges [each] matter; He details the signs that you may, of the meeting with your Lord, be certain.

  • For the benefit of mankind.

(MALAY)

Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu menyakini pertemuan(mu) dengan Tuhanmu.

 

اللهُ الَّذي رَفَعَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها

Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang-tiang (sebagaimana) yang kamu lihat,

Surah sebelum ini adalah Surah Yusuf dan di dalam Yusuf: 105 Allah ﷻ menyebut tentang banyaknya tanda-tanda di dalam alam ini. Maka di dalam surah Ra’d ini Allah ﷻ menyebut beberapa tanda sebagai contoh.

وَكَأَيِّن مِن آيَةٍ فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ يَمُرّونَ عَلَيها وَهُم عَنها مُعرِضونَ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Allah ﷻ menceritakan kehebatan Diri-Nya dalam ayat ini. Selalu dalam ayat-ayat yang lain, Allah ﷻ telah sebut tentang langit dan Dia yang menjadikannya. Sebaliknya dalam ayat ini ada tambahan kalimat: بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها (tanpa tiang yang kamu nampak). Kenapakah ditambah kalimat ini?

Kerana Allah ﷻ hendak memberitahu yang wahyu itu turun dari langit. Langit itu pula tidak ada tiang – kita boleh lihat sendiri pada alam, langit yang begitu hebat itu Allah ﷻ jadikan tetap tanpa ada tiang pun. Ini mengingatkan kita yang tempat turun wahyu pun sudah hebat dan ini menambahkan kehebatan wahyu itu kerana tempat turun pun sudah hebat.

Ada satu lagi tafsir bagi kalimat ini. Ada pendapat yang mengatakan langit itu ada tiang, tetapi kamu sahaja yang tidak nampak kerana tiang itu ghaib. Namun tentulah lebih hebat kalau langit itu memang benar tidak ada tiang. Ini lebih menunjukkan kehebatan Allah ﷻ.

Tinggilah sangat langit itu dan banyaklah lapis-lapisnya, sehingga gagallah penglihatan kita untuk melihatnya, oleh kerana sangat jauhnya, yang dapat kita lihat hanyalah warna biru belaka. Langit itu banyak lapis dan kerana itulah kalimah yang digunakan adalah السَّمٰوٰتِ (langit-langit). Ternyata hebat sangatlah Allah ﷻ ini, maka pengajarannya kita hendaklah taat kepada Allah ﷻ dan ikut arahan-Nya. Kita kenalah takjub kepada Allah ﷻ. Sekiranya seorang guru sesat boleh buat perkara pelik sedikit pun sudah ramai yang mengikut membabi buta, sepatutnya dengan Allah ﷻ lagilah kita kena takjub, bukan?

 

ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ

kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy, 

Ini adalah salah satu daripada ayat Al-Qur’an yang menjadi dalil bahawa Allah ﷻ ada di langit. Selepas Allah ﷻ menceritakan tentang langit itu, kemudian Dia mengatakan yang Dia bersemayam di Arasy. Di Arasy itulah Allah ﷻ mengurus sekalian makhluk. Apakah maksud استَوىٰ? Ia daripada katadasar س و ي yang bermaksud setara; peringkat; lengkap; mengatur; seragam; memenuhi ruang; konsisten; dengan cara yang sesuai; menyempurnakan sesuatu; duduk dengan teguh dan tetap; menjadi teguh atau mantap; untuk beralih kepada sesuatu; berpaling arah; menaiki, lengkapkan; betul; kesihatan yang baik; perkadaran yang betul; sempurna.

Akan tetapi apakah maksud استَوىٰ? Ini menjadi perbincangan hangat dalam kalangan umat Islam. Sampaikan berpecah umat Islam setelah beratus tahun dan nampaknya tidak ada penghujungnya. Namun mari kita lihat apa kata ulama’ salaf.

Makna istiwa’ sebagaimana dijelaskan oleh Abul ‘Aliyah dan Mujahid yang dinukil oleh Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitab sahihnya:

قَالَ أَبُو الْعَالِيَةِ ( اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ ) ارْتَفَعَ
Abul ‘Aliyah mengatakan bahawa maksud dari ‘istiwa’ di atas langit’ adalah irtafa’a (naik).

وَقَالَ مُجَاهِدٌ ( اسْتَوَى ) عَلاَ عَلَى الْعَرْشِ
Mujahid mengatakan mengenai istiwa’ adalah ‘alaa (menetap tinggi) di atas ‘Arsy.

Abu Bakr Al-Khollal رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, telah mengabarkan kepada kami Al-Maruzi. Beliau katakan, telah mengabarkan pada kami Muhammad bin Shobah An-Naisaburi. Beliau katakan, telah mengabarkan pada kami Abu Daud Al-Khonaf Sulaiman bin Daud. Beliau katakan, Ishaq bin Rohuwyah berkata, “Allah Ta’ala berfirman,

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
“Allah menetap tinggi di atas ‘Arsy”. Para ulama sepakat (berijmak) bahawa Allah berada di atas ‘Arsy dan beristiwa’ (menetap tinggi) di atas-Nya. Namun Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang terjadi di bawah-Nya, sampai di bawah lapis bumi yang ketujuh.

Imam Adz-Dzahabi رَحِمَهُ اللَّهُ ketika membawakan perkataan Ishaq di atas, beliau رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, “Dengarkanlah perkataan Imam yang satu ini. Lihatlah bagaimana beliau menukil adanya ijmak (kesepakatan ulama) mengenai masalah ini. Sebagaimana pula ijmak ini dinukil oleh Qutaibah di masanya.”

Imam Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ berkata, “Perkataan dalam As-Sunnah yang aku dan pengikutku serta pakar hadith meyakininya, juga hal ini diyakini oleh Sufyan, Malik, dan selainnya: ‘Kami mengakui bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah dengan benar kecuali Allah. Kami pun mengakui bahawa Muhammad adalah utusan Allah.” Lalu Imam Asy Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, “Sesungguhnya Allah berada di atas ‘Arsy-Nya yang berada di atas langit-Nya, namun walaupun begitu Allah pun dekat dengan makhluk-Nya sesuai yang Dia kehendaki. Allah Ta’ala turun ke langit dunia sesuai dengan kehendak-Nya.” Kemudian beliau رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutkan beberapa keyakinan lainnya.

Diriwayatkan daripada Yusuf bin Musa Al-Ghadadiy, beliau berkata, Imam Ahmad bin Hambal رَحِمَهُ اللَّهُ pernah ditanyakan, “Apakah Allah ‘azza wa jalla berada di atas langit ketujuh, di atas ‘Arsy-Nya, terpisah daripada makhluk-Nya, sedangkan kemampuan dan ilmu-Nya di setiap tempat (di mana-mana)?” Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ pun menjawab,

نَعَمْ عَلَى العَرْشِ وَ لاَيَخْلُو مِنْهُ مَكَانٌ
“Betul sekali. Allah berada di atas ‘Arsy-Nya, setiap tempat tidaklah lepas daripada ilmu-Nya.”

‘Arsy memiliki banyak makna dalam bahasa ‘Arab bersesuaian dengan konteks penggunaannya. Namun apabila ia dikaitkan dengan Allah ﷻ, maka berikut perinciannya. ‘Arsy dari sudut bahasa bererti singgahsana raja (سرير الملك). Allah ﷻ berfirman (berkaitan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) di dalam Yusuf: 100:

وَرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى الْعَرْشِ
“Dan baginda menaikkan ibu bapanya ke atas ‘arsy (singgahsana)…”

Allah ﷻ berfirman (berkaitan Ratu Saba’) di dalam  dalam Naml: 23:

وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ
“Dan dia memiliki ‘arsy (singgahsana) yang besar.”

Ada pun ‘Arsy Allah ﷻ yang Maha Pemurah yang Dia bersemayam di atasnya adalah ‘Arsy yang besar yang meliputi seluruh makhluk. Di dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ , Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَأَقَامَ الصَّلاَةَ، وَصَامَ رَمَضَانَ، كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ أَنْ يُدْخِلَهُ الجَنَّةَ، هَاجَرَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، أَوْ جَلَسَ فِي أَرْضِهِ الَّتِي وُلِدَ فِيهَا»، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَلاَ نُنَبِّئُ النَّاسَ بِذَلِكَ؟ قَالَ: «إِنَّ فِي الجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ، أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِهِ، كُلُّ دَرَجَتَيْنِ مَا بَيْنَهُمَا كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الجَنَّةِ، وَأَعْلَى الجَنَّةِ، وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الجَنَّةِ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mendirikan solat, dan berpuasa di bulan Ramadhan, maka telah menjadi hak bagi Allah untuk memasukkannya ke dalam Syurga, sama ada dia berhijrah di jalan Allah atau tetap tinggal di bumi tempat kelahirannya.”
Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah perlu kami khabarkan manusia (dengan berita ini)?” Nabi bersabda:
“Sesungguhnya di Syurga ada seratus darjat (tingkatan) yang disediakan untuk para mujahid (yakni para pejuang) di jalan Allah. Jarak setiap antara dua tingkatannya seperti jarak antara bumi dan langit. Apabila kamu memohon kepada Allah, maka mohonlah Syurga Al-Firdaus, kerana ia adalah Syurga yang paling tengah dan paling tinggi.
Dan di atasnya adalah ‘Arsy Ar-Rahman, darinya terpancar sungai-sungai Syurga.”
(Sahih Bukhari No. 7423)

Allah ﷻ berfirman di dalam Hud: 7:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ
“Dan Allah telah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, dan bahawasanya ‘Arsy-Nya di atas air…”

Tentulah singgahsana Allah ﷻ tidak sama dengan singgahsana manusia. Memang tidak tercapai oleh akal kita bagaimana rupanya. Malah bukan itu sahaja, Allah ﷻ tambah maklumat, waktu Allah ﷻ ciptakan dunia, `Arasy Allah ﷻ itu berada di atas air. Bagaimana keadaannya pun kita tidak tahu. Yang pasti, ia bukan air yang sama seperti yang ada di dunia. Kerana itu tidak mungkin kerana `Arasy itu sendiri merangkumi seluruh alam ini dan bukan hanya bumi sahaja.

Ini adalah antara perkara yang akal kita tidak akan mampu untuk mengetahuinya dan dapatkan kepastian kerana kita tidak ada pada masa itu. Maka, tidak perlu difikirkan dengan panjang lebar kerana ini adalah perkara di luar jangkauan akal fikiran kita untuk memahaminya. Perkara ini ada sedikit disebut dalam hadith-hadith antaranya seperti berikut:

عَنْ وَكِيعِ بْنِ حُدُسٍ عَنْ عَمِّهِ أَبِي رَزِينٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيْنَ كَانَ رَبُّنَا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ خَلْقَهُ قَالَ كَانَ فِي عَمَاءٍ مَا تَحْتَهُ هَوَاءٌ وَمَا فَوْقَهُ هَوَاءٌ وَمَا ثَمَّ خَلْقٌ عَلَى الْمَاءِ
Daripada [Waki’ bin Hudus] daripada bapa saudaranya [Abu Razin] dia berkata; Aku bertanya; “Wahai Rasulullah, di manakah Rabb kita sebelum menciptakan makhluk-Nya?” Baginda menjawab: “Dia berada di ruang hampa, di bawah dan di atasnya tidak ada udara, dan di sana tidak ada makhluk. Setelah itu Dia menciptakan ‘Arsy-Nya di atas air.”
(Sahih Bukhari (178))

Di dalam hadith yang lain,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنْفِقْ أُنْفِقْ عَلَيْكَ وَقَالَ يَدُ اللَّهِ مَلْأَى لَا تَغِيضُهَا نَفَقَةٌ سَحَّاءُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَقَالَ أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْفَقَ مُنْذُ خَلَقَ السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ فَإِنَّهُ لَمْ يَغِضْ مَا فِي يَدِهِ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ وَبِيَدِهِ الْمِيزَانُ يَخْفِضُ وَيَرْفَعُ { اعْتَرَاكَ } افْتَعَلَكَ مِنْ عَرَوْتُهُ أَيْ أَصَبْتُهُ وَمِنْهُ يَعْرُوهُ وَاعْتَرَانِي { آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا } أَيْ فِي مِلْكِهِ وَسُلْطَانِهِ عَنِيدٌ وَعَنُودٌ وَعَانِدٌ وَاحِدٌ هُوَ تَأْكِيدُ التَّجَبُّرِ { اسْتَعْمَرَكُمْ } جَعَلَكُمْ عُمَّارًا أَعْمَرْتُهُ الدَّارَ فَهِيَ عُمْرَى جَعَلْتُهَا لَهُ { نَكِرَهُمْ } وَأَنْكَرَهُمْ وَاسْتَنْكَرَهُمْ وَاحِدٌ { حَمِيدٌ مَجِيدٌ } كَأَنَّهُ فَعِيلٌ مِنْ مَاجِدٍ مَحْمُودٌ مِنْ حَمِدَ سِجِّيلٌ الشَّدِيدُ الْكَبِيرُ سِجِّيلٌ وَسِجِّينٌ وَاللَّامُ وَالنُّونُ أُخْتَانِ وَقَالَ تَمِيمُ بْنُ مُقْبِلٍ وَرَجْلَةٍ يَضْرِبُونَ الْبَيْضَ ضَاحِيَةً ضَرْبًا تَوَاصَى بِهِ الْأَبْطَالُ سِجِّينَا
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah Azza wa Jalla berfirman: ‘Berinfaqlah, maka aku akan berinfaq kepadamu.’ Dan Nabi ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya tangan Allah terisi penuh, pemberian-Nya siang mahupun malam tidak pernah menguranginya.” Juga baginda bersabda: “Tidakkah kalian melihat bagaimana Allah telah memberikan nafkah (rezeki) semenjak Dia mencipta langit dan bumi. Sesungguhnya Allah tidak pernah berkurang apa yang ada pada tangan kanan-Nya.” Baginda bersabda: “Dan ‘Arsy-Nya ada di atas air, di tangan-Nya yang lain terdapat neraca, Dia merendahkan dan meninggikan.”
(Sahih Bukhari (4316))

Apabila kalimah كان terdapat di dalam ayat ini, ia bermakna `Arasy Allah ﷻ itu telah ada sebelum alam ini dicipta. Maksudnya semasa langit dan bumi dicipta, `Arasy sudah ada. Itulah kepentingan kalimah كان di sini.

Akan tetapi apakah maksud air di sini? Bagaimanakah rupa air itu? Kenapakah perlu adanya air itu? Allahu a’lam kerana kita tidak tahu dan tidak akan dapat tahu kerana maklumat ini tidak disampaikan kepada Rasulullah ﷺ dan kerana itu baginda tidak memperincikan maklumat ini. Kita kena terima seadanya sahaja dan tidak perlu dirincikan tentang hal ini. Ini sama seperti soalan tentang Istiwa’ yang telah diberikan kepada Imam Malik رَحِمَهُ اللَّهُ;

Dalam kitab Syarh Usul I’tiqad Ahlis Sunnah Wal Jamaah, al-Shaikh al-Imam Hibatullah al-Lalika’i رَحِمَهُ اللَّهُ telah mendatangkan riwayat yang masyhur berkenaan kenyataan al-Imam Malik bin Anas رَحِمَهُ اللَّهُ tentang Istiwa, iaitu:

Daripada Jaafar bin Abdullah katanya, “Seorang lelaki telah datang kepada Malik bin Anas رَحِمَهُ اللَّهُ lalu berkata, “Wahai Abu Abdillah {Al-Rahman alal ‘arsyistawa} bagaimanakah Dia istawa’?” Katanya, “Saya tidak pernah melihat Malik begitu marah tentang sesuatu seperti marahnya dia dengan persoalan itu dan dia kelihatan berpeluh.” Katanya, “Orang ramai menunggu apa yang akan disebutnya tentang hal ini.” Katanya, “Kemudian Malik kembali tenang lalu berkata, “Bagaimana, adalah ghair ma‘qul (tidak dapat dicapai akal), istiwa’ pula ghair majhul (tidak merupakan perkara yang tidak diketahui), beriman dengannya adalah wajib dan bertanya tentangnya adalah bidaah. Aku risau engkau ini sesat.” Lalu dia menghalaunya keluar.”

Menurut pentahkik kitab Syarh Usul I’tiqad, athar ini dinilai salah satu sanadnya sebagai sanad jayyid (jalur periwayatan yang baik) oleh al-Imam Ibnu Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ.

Begitulah kita dapati betapa al-Imam Malik رَحِمَهُ اللَّهُ begitu marah sekali terhadap soalan yang tidak beretika ini, iaitu tentang kaifiyyah (bagaimana) iaitu bentuk dan bagaimana Allah ‎ ﷻ istiwa’. Al-Imam Malik رَحِمَهُ اللَّهُ adalah merupakan salah seorang ulama’ Salaf di peringkat Tabiut Tabiin. Kenyataan beliau mengandungi empat bahagian.

Pertama, “Bagaimana, adalah ghair ma‘qul (tidak dapat dicapai akal)”; ertinya sebagai seorang muslim yang beriman dengan apa sahaja yang datang daripada Allah Taala, wajarlah kita mengetahui bahawa terdapat perkara yang tidak mampu dicapai akal manusia. Justeru, janganlah membincang tentangnya kerana itu di luar tanggungjawab kita.

Kedua, “Istiwa’ pula ghair majhul (tidak merupakan perkara yang tidak diketahui)”; ertinya istiwa’ adalah satu perkataan yang sedia maklum di sisi orang Arab. Hal ini dijelaskan lagi oleh al-Imam al-Lalikai رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitabnya ini dengan mengatakan bahawa {Istawa alal arsy}: ‘ala. ‘Ala dapatlah diterjemahkan kepada: meninggi.

Ketiga, “Beriman dengannya adalah wajib dan bertanya tentangnya adalah bidaah”; ertinya menurut ulama’ Salaf, apa sahaja yang Allah Taala beritahu tentang nama-nama-Nya yang termulia dan sifat-sifat-Nya yang teragung; hukumnya adalah wajib diimani oleh kita. Seterusnya kita dilarang bertanya tentang perinciannya melebihi mafhumnya dalam Bahasa Arab yang fasih.
Kita juga sedia maklum bahawa tiada persamaan antara Allah ﷻ dengan makhluk-Nya.

Justeru, kita diperintahkan untuk mengikuti jejak langkah generasi terawal dalam kehidupan beragama; jika mereka berbicara kita berbicara, dan jika mereka senyapkan kita juga senyapkan.

Keempat, “Aku risau engkau ini sesat.” Lalu dia menghalaunya keluar.”; ertinya Imam Malik bin Anas رَحِمَهُ اللَّهُ merupakan seorang ulama’ yang tegas dalam urusan akidah. Ketegasan ini wajar diikuti oleh umat Islam. Dalam hal akidah kita bertegas, manakala dalam hal fiqh kita berlapang dada dalam kepelbagaian pendapat dan pandangan.

Malangnya umat kita telah menyibukkan diri dalam hal yang tidak perlu disibukkan. Sudah beratus tahun ada perbezaan tentang di mana Allah ﷻ, tentang `Arasy, tentang sifat-sifat Allah ﷻ yang mutashabihat. Ini adalah membuang masa kerana kita tidak akan dapat mengetahui dengan tepat. Malah kita tidak diberatkan pun untuk tahu perkara ini. Malangnya umat Islam telah saling kafir mengkafirkan orang lain hanya kerana berpegang dengan pendapat yang dia tidak pegang. Sepatutnya dia pegang satu pendapat kemudian kalau orang lain terima, maka berlapang dadalah kerana dia pun tidak pasti sebenarnya pendapat itu benar atau tidak.

Bagaimanakah semayam-Nya itu pun tidaklah kita ketahui, dan tidak perlu kita mencari berbagai tafsir, misalnya dilaksanakan dengan seorang raja yang duduk bersemayam memegang tongkat lambang kekuasaan dan bola lambang kebesaran pada kedua belah tangannya; kerana apa yang kita gambarkan itu pasti tidak sama dengan keadaan sebenarnya yang ada dalam Ilmu Tuhan.

Sifat istiwa’ adalah salah satu sifat Allah ﷻ yang telah Allah ﷻ tetapkan untuk diri-Nya dalam tujuh ayat Al-Qur’an, iaitu Surat Al-A’raf: 54, Yunus: 3, Ar-Ra’d: 2, Al-Furqan: 59, As-Sajdah: 4 dan Al-Hadid: 4, semuanya dengan lafaz:

ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ
“Kemudian Dia berada di atas ‘Arsy.”

Istiwa’ adalah hakikat dan bukan majaz. Kita boleh memahaminya dengan bahasa Arab yang biasa. Yang tidak kita ketahui adalah kaifiyyah (cara/bentuk) istiwa’ Allah ﷻ, kerana Dia tidak menjelaskannya. Ketika ditanya tentang ayat 5 Surat Taha (الرحمن على العرش استوى), Rabi’ah bin Abdurrahman dan Malik bin Anas mengatakan:

الاِسْتِوَاءُ مَعْلُوْمٌ، وَاْلكَيْفُ مَجْهُوْلٌ، وَالإِيمَانُ بِهِ وَاجِبٌ
“Istiwa’ itu diketahui, kaifiyyahnya tidak diketahui, dan mengimaninya wajib.” (Al-Iqtishad fil I’tiqad, Al-Ghazali)

Menafsirkan istawa (اِسْتَوَى) dengan istawla (اِسْتَوْلَى) yang ertinya menguasai adalah salah satu bentuk ta’wil yang bathil. Penafsiran ini tidak dikenal dalam kalangan generasi awal umat Islam, tidak juga dalam kalangan ahli bahasa Arab. Abul Hasan Al-Asy’ari menyebutkan bahawa penafsiran ini pertama kali dimunculkan oleh orang-orang Jahmiyyah dan Mu’tazilah. Mereka ingin menafikan sifat keberadaan Allah ﷻ di atas langit dengan penafsiran ini. Kita tidak menafikan sifat kekuasaan bagi Allah ﷻ, tetapi bukan itu erti istiwa’.

Tambahan pula kalimah اِسْتَوْلَى bermaksud menguasai yang sebelum tidak menguasai. Contohnya satu negara menakluk negara lain, yang sebelum itu negara itu merdeka. Maka seandainya Allah ﷻ baru menguasai `Arasy, maka adakah sebelum itu Allah ﷻ tidak menguasai? Ini tidak patut!

Cuma mungkin ramai keliru kerana kita banyak menggunakan kalimah ‘bersemayam’. Penerjemahan yang mengatakan istawa’ (اِسْتَوَى) dengan “bersemayam” perlu ditinjau semula, kerana dalam bahasa biasa kita, bersemayam bermakna duduk, tinggal, berkediaman. Padahal erti istawa’ bukanlah ini, sebagaimana telah dijelaskan. Cuma bahasa kita miskin, maka tidak ada kalimah yang boleh terus diterjemahkan kalimah اِسْتَوَى itu, sebab itulah kita gunakan kalimah ‘semayam’ sahaja.

Apabila ada `Arasy, tidaklah kita katakan Allah ﷻ memerlukan `Arasy pula, malah `Arasy itulah yang memerlukan Allah ﷻ. Tujuan Allah ﷻ menyebut tentang `Arasy adalah untuk menceritakan kehebatan-Nya. Alam dunia ini sudah luas, langit lebih lagi luas manakala `Arasy itu meliputi langit-langit dan bumi. Maka ia adalah makhluk terbesar. Dalilnya seperti diberitahu oleh Rasulullah ﷺ,

إِنَّ الله عَلَى عَرْشِهِ وَ إِنَّ عَرْشَهُ عَلَى سَمَوَاتِهِ وَ أَرْضِهِ كَهَكَذَا وَ قَالَ بِأَصَابِعِهِ مِثْلَ اْلقُبَّةِ
“Sesungguhnya Allah di atas ‘Arsy-Nya dan Arsy-Nya di atas langit-langit dan bumi, seperti begini dan baginda memberikan isyarat dengan jari-jemarinya seperti kubah.”
(HR. Abu Daud No. 4726)
Status: dhaif oleh al-Albani

 

وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ

dan Dia menundukkan matahari dan bulan.

Kalimah سخر bermaksud menundukkan sesuatu dan menggunakannya. Ia daripada katadasar س خ ر yang bermaksud mengejek; ketawakan; mempersendakan; ejekan; memandang rendah/memaksa bekerja tanpa bayaran; membuat tunduk; tekan ke dalam perkhidmatan; abah-abah; membawa di bawah kawalan; menundukkan. Ia digunakan di dalam pelbagai bentuk di dalam Al-Qur’an. Di sini سخر bermaksud ‘menundukkan’ atau ‘menguasai’. Matahari dan bulan yang besar itu pun di bawah takluk Allah ‎ﷻ. Ia adalah dua objek hebat yang kita boleh nampak dengan mata kita. Setiap kali kita melihatnya, kita sepatutnya ingat yang Allah ﷻ menguasai kedua-duanya.

 

كُلٌّ يَجري لِأَجَلٍ مُّسَمًّى

Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan.

Kalimah يَجري daripada katadasar: ج ر ي yang bermaksud mengalir, berlari dengan cepat, ikut satu jalan, berlaku, mensasarkan sesuatu, untuk berterusan atau kekal, untuk menghantar wakil. Untuk manusia ia bermaksud berlari, jika untuk air ia maksud mengalir. Sekarang untuk pergerakan planet, ia bermaksud beredar mengikut orbit.

Semua makhluk Allah ‎ﷻ termasuk bulan dan matahari itu bergerak mengikut arahan Allah ﷻ. Semuanya bergerak dari mula dijadikan, sampailah waktu ia tiba ajalnya. Ini mengajar kita yang semua alam ini sentiasa bergerak. Daripada yang sebesar-besarnya hingga ke sekecil-kecilnya. Sebagai contoh, atom pun bergerak juga. Semua bergerak sehingga tiba ajalnya iaitu masa yang telah ditetapkan untuknya. Iaitu sama ada ia hancur/mati atau telah sampai kiamat. Sebagaimana kita juga ada ajalnya.

Kita lihat matahari dan bulan itu pun sudah terlalu kagum, apatah lagi kalau memikirkan tentang fungsinya. Sudah berjuta tahun matahari membakar sebegitu rupa dan sudah berjuta tahun juga bulan duduk tetap di situ. Berjalan di dalam orbit mereka tanpa henti dan tidak sedikit pun lari. Ini kerana kalau lari tersasar walau sedikit sahaja, maka akan berantakanlah alam ini. Selain itu kadar kelajuannya pun kena tepat, tidak boleh terlalu laju atau terlalu perlahan. Siapakah yang mentadbirnya? Tentulah Allah ﷻ yang mempunyai kuasa tasarruf itu.

Hanya Allah ﷻ mempunyai kuasa tasarruf mentadbir pergerakan bulan dan matahari

Kita takjub kerana kita pun ada mencipta peralatan juga seperti kereta contohnya. Namun sebuah kereta itu memerlukan minyak petrol untuk bergerak, perlu diservis dan itu pun tidak dapat mampu bertahan lama. Selepas 5 tahun mulalah kereta itu buat hal minta ditukar itu dan ini. Akan tetapi planet-planet yang entah berapa juta itu berjalan selamba sahaja tanpa perlu diservis langsung.

 

يُدَبِّرُ الأَمرَ

Allah mengatur urusan

Inilah Tauhid di dalam Tasarruf (mengurus tadbir). Segala apa yang berlaku, Allah ﷻlah yang mengaturnya. Kita telah belajar dalam Surah Yusuf tentang perkara ini. Semua yang terjadi adalah dalam takluk-Nya. Apa-apa sahaja yang berlaku adalah dalam perancangan Allah ﷻ dan ikut kehendak Allah ﷻ belaka.

 

يُفَصِّلُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم بِلِقاءِ رَبِّكُم توقِنونَ

menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu menyakini pertemuan(mu) dengan Tuhanmu.

Ayat-ayat Allah ﷻ ada dua jenis: satu ayat-ayat Al-Qur’an dan satu lagi adalah ayat-ayat (tanda-tanda) Allah ﷻ pada alam. Kedua-dua ini Allah ﷻ jadikan untuk kita kenal Dia dan menghambakan diri kita kepada-Nya. Allah ﷻ menjelaskan semua ayat-ayat-Nya sebagai tanda bahawa kita semua akan mati dan akhirnya akan bertemu dengan Allah ﷻ. Inilah takdir alam ini – tidak kira matahari, bulan, manusia dan juga jin, semuanya akan hancur. Allah ﷻ boleh buat semua itu, maka senang sahaja bagi Allah ﷻ untuk menghidupkan kita semula untuk bertemu dengan-Nya di akhirat kelak.

Akan tetapi bukan semua manusia boleh yakin dengan apa yang Allah ﷻ sampaikan ini. Mereka lihat sendiri alam ini dengan segala kehebatannya, namun sedikit pun tidak mengubah mereka. Mereka tetap lalai leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persediaan untuk akhirat. Oleh itu segala peringatan ini hanya berguna bagi orang yang ada hati dan mahu mendengar pengajaran seperti disebut dalam Qaf: 37

إِنَّ في ذٰلِكَ لَذِكرىٰ لِمَن كانَ لَهُ قَلبٌ أَو أَلقَى السَّمعَ وَهُوَ شَهيدٌ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.

Akan tetapi apabila manusia tidak yakin akan bertemu dengan Allah ﷻ, mereka tidak takut melakukan dosa. Ini kerana kalau manusia tidak yakin dengan akhirat, maka mereka sangka segala perbuatan mereka habis di dunia sahaja. Maka mereka membuat zalim, menipu manusia dan berbagai dosa kerana mereka sangka semua itu habis setakat di dunia sahaja. Sebaliknya bagi orang yang yakin dengan akhirat akan berhati-hati dengan segala perbuatannya kerana dia tahu yang dia akan disoal di akhirat kelak dan dia akan dipertanggungjawabkan nanti.

Akan tetapi ramai yang buta hati mereka daripada kebenaran ini seperti disebut dalam Hajj: 46

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَتَكونَ لَهُم قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها أَو آذانٌ يَسمَعونَ بِها ۖ فَإِنَّها لا تَعمَى الأَبصٰرُ وَلٰكِن تَعمَى القُلوبُ الَّتي فِي الصُّدورِ
maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.

Mereka yang selamat hanyalah mereka yang yakin akan bertemu dengan Allah ﷻ sahaja seperti disebut dalam Baqarah: 46

الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلاقو رَبِّهِم وَأَنَّهُم إِلَيهِ رٰجِعونَ
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Yusuf Ayat 101 (2) (Doa Mati yang Baik)

أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ

Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat,

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengaku bahawa Allah ‎ﷻ adalah penolong baginda sepanjang masa. Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja bersama baginda walaupun baginda dalam kesusahan dan menerima musibah dan ujian. Allah ‎ﷻ tidak pernah meninggalkan baginda. Baginda dipisahkan daripada bapanya, dibuang oleh abang-abangnya. Maknanya baginda tidak ada sesiapa yang melindunginya sejak kecil sehinggalah baginda dewasa. Akan tetapi, baginda sedar bahawa Allah ﷻ sentiasa bersama. Dan kalau Allah wali baginda semasa di dunia, tentulah baginda lebih memerlukan Allah ﷻ di akhirat kelak.

Kalimah ini banyak digunakan oleh umat Islam. Jadi mari kita bincangkan secara mendalam sedikit. Perkataan “وَلِيٍّ” (waliyy) dalam bahasa Arab mempunyai beberapa makna utama, bergantung kepada konteks penggunaannya. Secara asas, “الولي” berasal daripada akar kata و ل ي yang bermaksud rapat; dekat; ikut; berpaling; jalan belok; menjalankan; berada dalam kuasa; mengambil sebagai kawan; melindungi; mempertahankan; membuat kawan; penolong; sekutu; pengganti; penjaga; pewaris; pembela; warisan; penaung; tuan; pemilik; pelindung; dermawan; pelanggan; tempat tumpuan. Berikut adalah makna-makna utama “وَلِيٍّ” menurut sumber-sumber klasik:

1. Penolong, Pelindung, dan Penjaga. Kalimah “الولي” bermaksud penolong, pelindung, atau penjaga, iaitu seseorang yang dekat dan bertanggungjawab terhadap urusan orang lain. Dalam konteks agama, Allah disebut sebagai “ولي” bagi orang beriman, bermaksud Allah ﷻ adalah pelindung, penolong, dan yang mengurus urusan mereka. Perhatikan Baqarah:257 الله ولي الذين آمنوا (Allah Pelindung orang-orang yang beriman)

2. Orang yang Mengurus atau Mentadbir. Kalimah “الولي” juga bermaksud orang yang mengurus atau mentadbir sesuatu urusan, seperti wali kepada anak yatim, wali dalam pernikahan, atau pemerintah yang mentadbir urusan rakyat.

3. Sahabat, Kekasih, atau Orang yang Rapat. Dalam makna lain, “الولي” juga bermaksud sahabat, kekasih, atau orang yang sangat rapat, lawan kepada “عدو” (musuh). Mereka ini yang selalu membantu kita dan selalu bersama dengan kita.

4. Makna-makna Lain. Kalimah “الولي” boleh juga bermaksud “mereka yang mewarisi” (dalam konteks warisan). Dalam konteks sosial, ia boleh bermaksud jiran, pembantu, atau orang yang membela.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut di sini yang Allah ﷻ adalah wali kepada baginda. Yang selalu bersama baginda, memberi perlindungan kepada baginda. Baginda tidak kata baginda yang sendiri dekat dengan Allah ﷻ, sebaliknya kata Allah ﷻ yang dekat dengan baginda. Ada perbezaan di situ, bukan?

Kemudian, ada satu lagi istilah yang datang daripada kata dasar yang sama, المَولىٰ. Ini seperti digunakan di dalam Anfal:40

وَإِن تَوَلَّوا فَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَولىٰكُم ۚ نِعمَ المَولىٰ وَنِعمَ النَّصيرُ
Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahwasanya Allah Pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

 

Berikut adalah perbezaan antara Al-Wali (الولي) dan Al-Mawla (المولى):

1. Al-Wali (الولي)

Kalimah ini lebih menekankan aspek kedekatan (proximity) dan kasih sayang. Makna: Pelindung, teman setia, atau penolong yang sangat dekat.

Nuansa: Ia menggambarkan hubungan yang bersifat peribadi dan penuh kasih sayang. Apabila Allah ﷻ disebut sebagai Wali, ia bermakna Allah ﷻ sangat dekat dengan hamba-Nya, menjaga urusan mereka, dan mencintai mereka. Contoh dalam Al-Qur’an adalah Baqarah:257.

Wali ini adalah sifat seseorang yang mahu membantu; ada keinginan dan potensi untuk membantu. Tapi tidaklah semestinya sekarang. Sebagai contoh, saya mungkin berkawan dengan awak dan ingin membantu awak. Akan tetapi, ketika saya tidur, saya tidaklah sedang bertindak sebagai kawan. Namun, kita tahu yang apabila awak memerlukan saya, saya akan datang kerana kita kawan.

2. Al-Mawla (المولى)

Kalimah ini lebih menekankan aspek autoriti, ketuanan, dan pembelaan. Makna: Tuan, Pemilik, atau Pelindung yang mempunyai kuasa mutlak.

Nuansa: Ia menggambarkan hubungan antara “Tuan dan Hamba” atau “Pemimpin dan Pengikut”. Al-Mawla adalah pihak yang memberikan perlindungan kerana dia mempunyai kuasa dan kekuatan untuk membela. Contoh dalam Al-Qur’an adalah Anfal:40.

Kalau المولى pula, ia bukan bercakap tentang potensi lagi, tapi memang sedang dilakukan. Kalau contoh kawan rapat, dia sedang membantu kawan dia. Ini lebih dijelaskan lagi di dalam Muhammad:11

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ مَولَى الَّذينَ ءآمَنوا وَأَنَّ الكٰفِرينَ لا مَولىٰ لَهُم
Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai pelindung.

Di dalam Muhammad:11 ini kita diberitahu yang hanya orang Mukmin sahaja yang ada المولى. Sedangkan di dalam Baqarah:257 kita diberitahu yang orang kafir pun ada وَلِيُّ. Perhatikan ayat penuhnya,

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروٓا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ
Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).

Jadi kita diberitahu yang orang kafir ada وَلِيُّ malah mereka ada banyak wali dan kerana itu digunakan kalimah أَولِياؤُ (jamak bagi وَلِيُّ) tapi mereka tidak ada المولى. Tidak ada yang dapat membantu menyelamatkan mereka daripada Allah ﷻ. Hanya orang Mukmin sahaja yang ada المولى iaitu Allah. Jadi Allah ﷻ adalah وَلِيُّ dan juga مولى bagi kita.

Maksud “وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ” dalam ayat ini ialah Allah ﷻ adalah pelindung, penolong, dan pengurus urusan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. Para mufassir menjelaskan bahawa “wali” di sini bermaksud Allah ﷻ yang mengurus, menjaga, dan memberikan kebaikan kepada hamba-Nya dalam segala urusan, termasuk urusan akhirat seperti keselamatan dari azab, kemuliaan, dan penyertaan bersama golongan yang soleh. Imam al-Tabari menyebut: ﴾أنت وليي في دنياي على من عاداني وأرادني بسوء بنصرك، وتغذوني فيها بنعمتك، وتليني في الآخرة بفضلك ورحمتك﴿ Maksudnya: “Engkaulah pelindungku di dunia terhadap sesiapa yang memusuhiku dan menginginkan keburukan padaku dengan pertolongan-Mu, Engkau juga yang memberiku nikmat di dunia, dan Engkau yang mengurusku di akhirat dengan kelebihan dan rahmat-Mu”.

Imam al-Razi pula menyatakan: ﴾أنت الذي تتولى إصلاح جميع مهماتي في الدنيا والآخرة﴿ Maksudnya: “Engkaulah yang mengurus dan memperbaiki semua urusanku di dunia dan di akhirat”. Tafsir al-Baydawi juga menegaskan: ﴾أنت وليي ناصري ومتولي أمري في الدنيا والآخرة أو الذي يتولاني بالنعمة فيهما﴿ Maksudnya: “Engkaulah penolongku dan yang mengurus urusanku di dunia dan akhirat, atau yang melimpahkan nikmat kepadaku pada kedua-duanya”. Justeru, maksud “wali” di akhirat ialah Allah yang akan menjaga, melindungi, memberi rahmat, dan memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam golongan orang-orang yang soleh serta menyempurnakan segala kebaikan untuknya di akhirat, sebagaimana Allah menjadi pelindung dan penolongnya di dunia.

 

تَوَفَّني مُسلِمًا

wafatkanlah aku dalam keadaan Islam

Sekarang baru masuk doa permintaan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebelum ini baginda buat apa? Baginda memuji-muji Allah ‎ﷻ. Memuji Allah ‎ﷻ sebelum berdoa adalah satu adab yang sangat ditekankan dalam Islam dan mempunyai beberapa kepentingan utama:

1. Mencontohi Sunnah Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ mengajarkan agar seseorang memulakan doa dengan memuji Allah ‎ﷻ dan berselawat ke atas Nabi sebelum menyatakan hajatnya. Dalam hadith sahih, Nabi ﷺ bersabda:

عَنْ فَضَالَةَ بْنِ عُبَيْدٍ قَالَ: بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ، إِذْ دَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى، فَقَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «عَجِلْتَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي، إِذَا صَلَّيْتَ فَقَعَدْتَ فَاحْمَدِ اللَّهَ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ، وَصَلِّ عَلَيَّ، ثُمَّ ادْعُهُ. قَالَ: ثُمَّ صَلَّى رَجُلٌ آخَرُ بَعْدَ ذَلِكَ، فَحَمِدَ اللَّهَ وَصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَيُّهَا الْمُصَلِّي، ادْعُ تُجَبْ
Daripada Fadhalah bin Ubaid, beliau menceritakan: “Ketika Rasulullah ﷺ sedang duduk, tiba-tiba seorang lelaki masuk lalu menunaikan solat. Kemudian (setelah selesai solat) lelaki itu berdoa: ‘Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku’. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Kamu telah terburu-buru, wahai orang yang solat! Apabila kamu telah solat dan kamu duduk (untuk berdoa), maka pujilah Allah dengan pujian yang layak bagi-Nya, dan berselawatlah ke atasku, kemudian barulah berdoa kepada-Nya.’ Kemudian, selepas itu seorang lelaki lain pula solat. (Setelah selesai solat), dia pun memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi ﷺ. Maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya: ‘Wahai orang yang solat, berdoalah (sekarang), nescaya doamu akan dikabulkan!'”

Sunan al-Tirmidzi: Hadis No. 3477 (Beliau mengatakan: Hadis ini Hasan Sahih); Sunan Abu Dawud: Hadis No. 1481; Sunan al-Nasa’i: Hadis No. 1284.

2. Lebih Mudah Diterima. Memuji Allah ‎ﷻ sebelum berdoa menjadikan doa lebih mudah diterima. Para ulama menyatakan bahawa memulakan doa dengan pujian dan sanjungan kepada Allah ‎ﷻ adalah lebih dekat untuk dikabulkan kerana ia menunjukkan kerendahan hati dan pengakuan terhadap keagungan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam A’raf:55

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri (tadharru’) dan dengan suara yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

3. Mengakui Keagungan dan Nikmat Allah ‎ﷻ. Dengan memuji Allah ‎ﷻ, seseorang mengakui segala nikmat, keagungan, dan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Ini adalah bentuk pengabdian dan pengakuan bahawa hanya Allah ‎ﷻ yang layak dipuji dan dimohon pertolongan.

4. Mengikuti Adab Para Nabi. Para nabi seperti Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekarang kita lihat juga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan doa mereka dengan pujian kepada Allah ‎ﷻ sebelum menyatakan permintaan mereka.

5. Membuka Pintu Keikhlasan dan Kekhusyukan. Memuji Allah ‎ﷻ sebelum berdoa membantu menanamkan rasa keikhlasan dan kekhusyukan dalam hati, serta mengingatkan diri bahawa segala sesuatu adalah milik Allah ‎ﷻ dan hanya Dia yang berkuasa memberi pertolongan.

6. Menjadi Sebahagian daripada Tauhid dan Pengesaan Allah ‎ﷻ. Memuji Allah ‎ﷻ dengan nama-nama-Nya yang indah dan sifat-sifat-Nya yang mulia adalah sebahagian daripada tauhid dan pengesaan Allah ‎ﷻ, sebagaimana firman-Nya di dalam A’raf:180

وَلِلَّهِ الأَسماءُ الحُسنىٰ فَادعوهُ بِها
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu

7. Membuka “Pintu Langit”. Para ulama menjelaskan bahawa pujian kepada Allah ‎ﷻ (seperti membaca Alhamdulillah, Subhanallah, atau Asma’ul Husna) bertindak sebagai “pembuka” kepada pintu rahmat. Sebagaimana kita tidak akan meminta hajat kepada seorang raja sebelum memberikan salam dan penghormatan, begitulah kiasannya dengan Allah yang Maha Raja.

8. Meniru Pola Surah Al-Fatihah. Allah ‎ﷻ mengajar kita cara berdoa yang terbaik melalui Surah Al-Fatihah. Allah ‎ﷻ mengajar kita memuji-Nya dahulu sebelum meminta hidayah. Perhatikan susunannya:

Pujian: Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin… (Ayat 1-4).
Ikrar Penghambaan: Iyyaka Na’budu… (Ayat 5).
Permohonan (Doa): Ihdinas Siratal Mustaqim… (Ayat 6).

Sekarang kita lihat kandungan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda telah mendapat segala nikmat yang telah disebut tadi dan banyak lagi. Sekarang baginda berdoa supaya bila sampai masa nanti, apabila telah habis ajal baginda, baginda minta dimatikan baginda sebagai seorang Muslim. Maksudnya supaya mati dalam tauhid. Ini penting kerana kita dikira dan dinilai dengan iman kita semasa kita mati. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”

[Riwayat al-Bukhari (6607)]

Masa sekarang, kalau kita sudah beriman, belum tentu kita selamat lagi kerana mungkin kita mati dalam keadaan kufur. Kita minta berlindung daripada keadaan itu. Kerana itu, kita pun kena minta supaya akhir hayat kita nanti kita masih lagi beriman sempurna.

Maksud Muslim seperti yang kita tahu adalah berserah kepada Allah ‎ﷻ. Nama Muslim dipilih sendiri oleh moyangnya Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Hajj:78

مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ ۚ هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ
(Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berserah diri dan sekarang anaknya pun meneruskan legasi itu seperti disebut di dalam Baqarah:131

إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ
“Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: ‘Berserahlah diri (wahai Ibrahim)!’ Nabi Ibrahim menjawab: ‘Aku berserah diri (menjadi Muslim) kepada Tuhan semesta alam.'”

Dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berdoa supaya anak cucu keturunannya juga jadi Muslim berserah diri seperti disebut di dalam Baqarah:128

رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada zuriat keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu;

Kenapa sebut tentang kematian pula? Ini kerana kita kena sentiasa melihat dan bersedia untuk mati. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingat sungguh yang segala nikmat yang baginda dapat itu tidak kekal. Akhirnya baginda tetap akan wafat. Entah bila masanya baginda akan wafat, baginda belum tahu lagi, tapi ia pasti. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ nanti, apabila telah mendapat kejayaan menyebarkan agama Islam dan apabila sudah dapat mengembalikan agama tauhid di Mekah, maka baginda sudah bersedia untuk mati. Ini disebut dalam Surah an-Nasr.

Doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat ini adalah tentang kematian. Akan tetapi bukanlah baginda minta dimatikan seperti pendapat sesetengah ulama’. Mereka berpendapat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cakap begitu kerana baginda telah selesai urusan baginda di dunia, jadi baginda minta mati. Tidak begitu sama sekali. Moyang baginda Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah melepasi segala ujian yang Allah ‎ﷻ kenakan ke atas baginda seperti disebut dalam Baqarah:124, tetapi baginda pun tidak minta mati.

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa perintah (dan larangan), lalu Nabi Ibrahim memenuhinya (menunaikannya dengan sempurna).

Malah kita pun diajar doa yang lebih kurang sama dalam Ali Imran:193. Tidak pun kita minta mati di dalam doa ini, bukan?

رَبَّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّـَٔاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ ٱلْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama-sama orang-orang yang berbakti (dalam iman).”

Maksud baginda apabila baginda sudah sampai ajalnya nanti. Doa sebegini boleh. Yang tidak boleh adalah doa minta mati. Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ مِنْ ضُرٍّ أَصَابَهُ
“Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita (meminta) untuk mati kerana sesuatu kemudaratan (musibah/kesusahan) yang menimpanya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5671 & Muslim, No. 2680)

Sambungan daripada hadith di atas, sekiranya seseorang itu merasa ujian yang dihadapi sudah tidak tertanggung, Rasulullah ﷺ mengajar doa yang menyerahkan urusan tersebut sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ:

فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ فَاعِلًا، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
“Sekiranya dia terpaksa melakukannya (memohon sesuatu), maka hendaklah dia berdoa: ‘Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu lebih baik bagiku.'”

Kenapa Minta Mati Itu Dilarang? Terdapat hadith lain yang menjelaskan hikmah di sebalik larangan ini. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ، إِمَّا مُحْسِنًا فَلَعَلَّهُ يَزْدَادُ، وَإِمَّا مُسِيئًا فَلَعَلَّهُ يَسْتَعْتِبُ
“Janganlah salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian… kerana jika dia seorang yang baik, semoga dia dapat menambah kebaikannya. Dan jika dia seorang yang buruk (berdosa), semoga dia dapat bertaubat (meminta keredaan Allah).”

(Hadith Riwayat al-Bukhari, No. 7235)

Kembali kepada doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, hendaklah kita mengikutinya. Yang penting adalah cara kita mati, bukannya panjang atau tidak umur kita. Adakah kita ikut cara doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Kalau kita perhatikan, yang banyaknya berdoa minta dipanjangkan umur sahaja, bukan?

Doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini juga adalah mengikut apa yang telah diwasiatkan oleh leluhur baginda seperti disebut di dalam Baqarah:132

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرٰهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
“Dan Ibrahim pun mewasiatkan (pesanan berserah diri) itu kepada anak-anaknya, dan demikian juga Yaakub (mewasiatkan kepada anak-anaknya), katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi pilihan untuk kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan menjadi orang-orang Islam (Muslimun)’.”

 

وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ

dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa semoga baginda digabungkan dengan orang-orang soleh selepas baginda wafat nanti. Kalimah أَلحِق daripada kata dasar ل ح ق yang bermaksud menyertai atau bergabung. Di dunia, baginda waktu itu telah digabungkan dengan keluarga baginda, tetapi ada lagi yang lebih penting. Sebelum ini baginda telah menyebut Allah ‎ﷻ sebagai wali baginya, tapi sekarang baginda menyebut pertalian yang lain. Iaitu apabila mati, semoga dikumpulkan dengan orang-orang yang soleh di akhirat nanti. Iaitu semoga baginda ditempatkan di dalam syurga kerana orang soleh tempatnya di syurga. Ini sejajar dengan apa yang telah dianugerahkan kepada moyangnya Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti yang disebut di dalam Baqarah:130

وَلَقَدِ ٱصطَفَينَـٰهُ فِي الدُّنيا ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedar yang baginda memerlukan teman dan kenalan yang rapat. Namun, baginda juga sedar yang kawan dan keluarga di dunia datang dan pergi. Yang baginda mahukan adalah kawan dan keluarga yang kekal di akhirat kelak. Baginda hidup lama di awal kehidupan baginda di dalam keseorangan, jadi baginda memang berharap sangat dapat ada kawan dan keluarga di akhirat kelak yang berterusan.

Maka kita pun kena berdoa seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Kerana takut kita semasa hidup di dunia banyak bergaul dengan orang baik-baik, tetapi takut diri kita sendiri tidak baik. Tengok-tengok dihidupkan balik dengan golongan ahli neraka pula. Tapi jangan berdoa sahaja, kita kenalah belajar apakah amalan dan fahaman orang yang baik-baik itu dan kita kenalah ikut.

Bagaimana kita boleh dimasukkan ke dalam golongan orang yang baik-baik? Dengan berkawan dengan orang baik-baik seperti diajar oleh Rasulullah ﷺ di dalam sebuah hadith,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّاعَةِ، فَقَالَ: مَتَى السَّاعَةُ؟ قَالَ: مَا أَعْدَدْتَ لَهَا؟ قَالَ: مَا أَعْدَدْتُ لَهَا مِنْ كَثِيرِ صَلاَةٍ وَلاَ صَوْمٍ وَلاَ صَدَقَةٍ، وَلَكِنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ قَالَ: أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ: فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ: فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّي إِيَّاهُمْ، وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau menceritakan: “Seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ tentang hari Kiamat, katanya: ‘Bilakah berlakunya Kiamat?’ Baginda ﷺ bertanya kembali: ‘Apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapinya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Aku tidak menyediakan (amalan sunat) yang banyak, sama ada daripada solat, puasa, mahupun sedekah, tetapi aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.’ Baginda ﷺ bersabda: ‘Engkau akan bersama dengan siapa yang engkau cintai.’ Anas menceritakan: ‘Maka kami (para sahabat) tidak pernah merasa sangat gembira dengan sesuatu perkara sepertimana kegembiraan kami mendengar sabda Nabi ﷺ: Engkau akan bersama dengan siapa yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata lagi: ‘Maka aku mencintai Nabi ﷺ, Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Aku berharap dapat bersama mereka (di akhirat nanti) disebabkan kecintaanku kepada mereka, walaupun amalanku tidaklah menyamai amalan mereka.'”

Sahih al-Bukhari: No. 3688; Sahih Muslim: No. 2639

Maka kita kena pandai memilih kawan dan dengan siapa kita banyak berinteraksi. Ini kerana siapa kawan kita akan mempengaruhi kita. Ia juga boleh mempengaruhi emosi dan mental kita. Tidak ada gunanya terus duduk dengan orang yang toksik kerana mereka itu akan memburukkan kita sahaja. Dalam Islam, hukum tidak berkawan atau menjauhkan diri daripada orang yang “toksik” (dalam bahasa agama disebut sebagai Jalis al-Su’ atau teman yang buruk) adalah diharuskan, malah dalam banyak keadaan, ia menjadi tuntutan (disunnahkan) untuk menjaga agama, mental, dan maruah diri.

Dalam Islam, terdapat konsep Hajr, iaitu memutuskan hubungan atau menjauhkan diri daripada seseorang. Hukum asalnya adalah haram memutuskan silaturahim lebih daripada 3 hari bagi sesama Muslim. Akan tetapi para ulama (seperti Imam Ahmad dan Imam al-Nawawi) menyatakan bahawa jika bergaul dengan seseorang itu mendatangkan mudarat kepada agama (maksiat) atau mudarat kepada dunia (mental/emosi/fizikal), maka dibolehkan menjauhkan diri lebih daripada 3 hari sehingga keadaan menjadi selamat. Kita biarkanlah mereka dengan perangai mereka itu. Memang Rasulullah ﷺ sudah mengajar kita supaya berhati-hati dengan kawan di sekeliling kita,

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالجَلِيسِ السَّوْءِ، كَمَثَلِ صَاحِبِ المِسْكِ وَكِيرِ الحَدَّادِ، فَصَاحِبُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَكِيرُ الحَدَّادِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً
Daripada Abu Musa al-Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ bersabda: “Perumpamaan teman duduk (kawan rapat) yang baik dan teman duduk yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi: sama ada dia memberinya kepadamu, atau kamu membelinya daripadanya, atau sekurang-kurangnya kamu mendapat bau wanginya. Manakala tukang besi: sama ada percikan apinya mengenai dan membakar bajumu, atau kamu mendapat bau asapnya yang busuk.”

Sahih al-Bukhari: Hadis No. 5534; Sahih Muslim: Hadis No. 2628.

Nota: Al-Jalis (الجليس): Merujuk kepada orang yang kita selalu duduk bersama (kawan rapat). Ia bukan sekadar kenalan biasa, tetapi orang yang kita pilih untuk menghabiskan masa bersama.

Malah ada doa yang diajar untuk mengelakkan kita daripada kawan yang toksik,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ يَوْمِ السُّوءِ، وَمِنْ لَيْلَةِ السُّوءِ، وَمِنْ سَاعَةِ السُّوءِ، وَمِنْ صَاحِبِ السُّوءِ، وَمِنْ جَارِ السُّوءِ فِي دَارِ الْمُقَامَةِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada hari yang buruk, daripada malam yang buruk, daripada waktu yang buruk, daripada kawan yang buruk, dan daripada jiran yang buruk di tempat tinggal tetapku.”

Rujukan: Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (No. 14227). Status: Hadith ini dinilai Hasan oleh ramai ulama, antaranya Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (No. 1443).

Perhatikan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini mengulang kembali kata-kata tok nenek baginda Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita banyak perhatikan ada persamaan antara kata-kata baginda dengan mereka. Maknanya, baginda menerima ilmu agama daripada leluhur baginda juga. Perhatikan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Syu’ara:77-83

فَإِنَّہُمۡ عَدُوٌّ لِّىٓ إِلَّا رَبَّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٧٧) ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَہۡدِينِ (٧٨) وَٱلَّذِى هُوَ يُطۡعِمُنِى وَيَسۡقِينِ (٧٩) وَإِذَا مَرِضۡتُ فَهُوَ يَشۡفِينِ (٨٠) وَٱلَّذِى يُمِيتُنِى ثُمَّ يُحۡيِينِ (٨١) وَٱلَّذِىٓ أَطۡمَعُ أَن يَغۡفِرَ لِى خَطِيٓـَٔتِى يَوۡمَ ٱلدِّينِ (٨٢) رَبِّ هَبۡ لِى حُڪۡمًا وَأَلۡحِقۡنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ (٨٣)
Sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhku, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam; (77) Tuhan yang menciptakan daku, maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; (78) Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum, (79) Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku; (80) Dan (Dialah) yang mematikan daku, kemudian Dia menghidupkan daku; (81) Dan (Dialah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat; (82) Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh; (83)

Perhatikan ada elemen yang sama dengan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

    • iktiraf jasa Allah ‎ﷻ kepada dirinya
    • iktiraf kedudukan dan ketinggian Allah ‎ﷻ
    • doa minta dikumpulkan dengan orang-orang soleh

Maka, untuk dapat dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh, kita hendaklah tahu siapakah mereka dan kita hendak ikut mereka. Kita diajar untuk tahu apakah ciri-ciri orang soleh ini setiap hari iaitu ketika kita membaca Fatihah:7 صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم (Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka). Siapakah pula orang-orang yang dimaksudkan itu? Ayat ini ditafsirkan dalam Ayat Nisa: 69

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Akan tetapi, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu seorang Nabi, kenapa baginda minta yang paling rendah sekali iaitu الصّالِحينَ? Ulama’ mengatakan ini adalah adab baginda dan baginda hendak merendah diri.

Sekian topik yang melibatkan mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada keindahan pada Struktur Cincin yang kita telah kenalkan di dalam Ayat 3 dahulu. Perhatikan cermin B dan B’. Di dalam Ayat 4, Nabi Yusuf menceritakan tentang mimpi baginda kepada ayahnya Nabi Ya’qub. Dan di dalam Ayat 100, sekali lagi Nabi Yusuf memperkatakan tentang mimpi itu, tapi kali ini tentang ta’birnya.

Jadi sudah habis tentang mimpi. Selepas ini kita akan lihat bagaimana Allah ‎ﷻ bercakap kepada Nabi Muhammad ﷺ pula.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)